Hilal Asyraf's Blog, page 4
July 31, 2018
10 Ubat Untuk Manusia Yang Suka Mengeluh
Sifat Manusia Yang Memang Suka Mengeluh
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut.
Surah al-Maarij (70) : 19-21.
Dulu masa hidup kita susah, kita suka mengeluh sampai seolah-olah kita tidak ada masa depan. “Sampai bilalah aku nak hidup macam ini. Kadang cukup, kadang tidak. Kesian kat isteri dan anak-anak aku. Ya Allah! Tolonglah murahkanlah rezeki aku”.
Kemudian kita berazam, “Kalau bisnes aku menjadi kali ini, aku akan sedekah banyak-banyak, aku nak bagi RM 10 ribu kat sekolah tahfiz, aku nak hantar emak ayah pergi umrah, aku nak hantar anak-anak aku kelas mengaji, aku nak bagi makan kat gelandangan dan macam-macam kebaikan lagi yang aku nak buat.”
Tiba-tiba, betul bisnes kita menjadi. Kita pun suka dan seronok. “Alhamdulillah terima kasih Allah kerana mendengar doa hambamu ini.” Masa ini rancangan kita pun berubah. Kita lupa dengan azam yang kita buat dahulu, kita utamakan nafsu. Kita beli kereta dan rumah mewah, pakaian-pakaian yang mahal untuk anak-anak kita, beli itu dan beli ini sehinggalah duit kita tinggal sedikit.
Masa tu nak sedekah pun kita berfikir dua tiga kali, duit baki ni nak buat sara hidup tiga bulan lagi. Kita pun katalah, “Lepas ini dapat untung lagi, barulah aku buat apa yang aku azamkan dulu.”
Begitulah sifat manusia. Masa susah mengeluh, masa senang kedekut. Bukankah kita orang yang beriman sepatutnya sentiasa bersyukur tidak kira susah dan tidak kira senang.
Jadi, apakah ubat untuk orang yang suka mengeluh ni?
Pertama – Kedua : Melaksanakan Solat Dan Istiqamah
Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.
Surah al-Maarij (70) : 22-23.
Maksudnya ialah sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang mendirikan solat. Mereka menjaga waktu solat, menjaga rukun-rukun solat, syarat wajib dan syarat sah solat, khusyuk dan melakukan perkara-perkara sunat dalam solat.
Mereka terus istiqamah melakukan solat, walaupun apa pun keadaan mereka. Ketika susah khusyuk dan ketika senang pun mereka khusyuk. Mereka mendirikan solat sehingga mampu mencegah diri mereka daripada melakukan maksiat.
Ketiga : Membayar Zakat Dan Sedekah
Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
Surah al-Maarij (70) : 24-25.
Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang membayar zakat. Mereka tahu bahawa harta yang mereka miliki, ada bahagian untuk orang-orang yang miskin dan susah sama ada mereka meminta atau pun tidak.
Kalau sudah membayar zakat, mereka pula melakukan sedekah, infaq dan yang seumpama dengannya sebagai tanggungjawab sosial. Setelah kita melaksanakan tanggungjawab diri, kita sempurnakan pula tanggungjawab kepada masyarakat.
Situasi ini selalu berlaku kat restoran, semasa menunggu makanan sampai, akan ada orang yang menghampiri meja kita untuk menjual. Biasanya orang jual tisu, buah, jam dan sebagainya. Kita tidak sepatutnya layan mereka acuh tak acuh, kalau nak sedekah silakanlah sedekah, kalau tak nak tolaklah dengan cara yang baik.
Ini tidak, orang mintak sedekah kita marah, orang menjual pun kita marah, kita lupa ke siapa yang beri rezeki kepada kita?
Keempat : Membenarkan Hari Pembalasan
Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya).
Surah al-Maarij (70) : 26.
Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang meyakini Hari Kiamat atau tempat kembali, perhitungan dan pembalasan.
Mereka tidak sekali-kali meragui dan mengingkarinya. Oleh itu, mereka akan melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh menyebabkan mereka mendapat pahala. Ini menunjukkan bahawa amal perbuatan mempunyai tujuan yang mendorong seseorang membenarkan akidah, ucapan dan perbuatan. Kadang-kadang timbul rasa malas beribadah dalam diri kita, ingat tentang hari pembalasan dapat memberi kita motivasi.
Kelima : Takut Dengan Azab Allah
Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya. Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka , tidak patut (bagi seorangpun) merasa aman terhadapnya.
Surah al-Maarij (70) : 27-28.
Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang takut dengan azab Allah SWT. Mereka risau dan bimbang apabila melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah dan meninggalkan perintah-perintah Allah SWT.
Mereka yakin dan percaya bahawa apabila mereka melakukan maksiat, sudah pasti mereka akan mendapat balasan yang buruk daripada Allah SWT sama ada di dunia dan di akhirat. Mereka hidup dalam keadaan ketakutan dan merasa tidak tenang. Ini menunjukkan bahawa takut dengan seksaan Allah mampu meningkatkan ketaatan dan memberi amaran kepada kita untuk tidak melakukan maksiat.
Keenam : Menjaga Diri Dan Menjauhi Perbuatan Keji
Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas.
Surah al-Maarij (70) : 29-31.
Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang memelihara kemaluannya daripada perkara yang haram. Mereka tidak melakukan zina, tidak bercumbu, atau berkhalwat.
Mereka juga memelihara diri mereka daripada perbuatan keji dan mungkar seperti tidak menonton video lucah, tidak merenung perempuan, dan tidak membayangkan perkara yang tidak sepatutnya.
Mereka hanya memuaskan nafsu kepada isterinya sahaja seperti yang dianjurkan oleh syariat.
Ketujuh – Kelapan : Menjalankan Amanah Dan Memenuhi Janji
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.
Surah al-Maarij (70) : 32.
Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang menjalankan amanah dengan baik. Mereka juga menunaikan janji-janji yang telah dibuat olehnya . Mereka tidak khianat ketika diberi amanah dan tidak mengingkari ketika diberi janji.
Kesembilan : Memberi Kesaksian Dengan Benar
Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi).
Surah al-Maarij (70) : 33.
Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang memberikan kesaksian pada para hakim dengan benar serta tidak melakukan tokok tambah, tidak berdolak dalih sama ada pada kerabat atau orang jauh, orang berkedudukan tinggi atau rendah. Mereka tidak menyembunyikannya dan tidak pula mengubahnya.
Kesepuluh : Menjaga Kesempurnaan Solat
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.
Surah al-Maarij (70) : 34.
Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang menjaga kesempurnaan solat. Mereka menjaga waktu solat, rukun-rukun, kewajipan-kewajipan dan hal-hal yang disukai dalam solat.
Mereka tidak meninggalkan sama sekali bahagian-bahagian solat. Mereka tidak disibukkan oleh apa pun. Setelah solat, mereka tidak melakukan apa yang membatalkan atau bertentangan dengan solat sehingga pahala solat batal dan terhapus ganjarannya.
Mereka mendirikan solat dengan penuh semangat dan keinginan. Mereka mengosongkan hati mereka daripada kesibukan-kesibukan dunia, menghayati apa yang mereka baca atau mengulang-ulang zikir, menghadirkan hati mereka bersama Allah dan memahami ayat-ayat al-Quran yang dibacakan.
Kesimpulan
Pada asalnya, memang kita berniat baik. Contohnya seperti situasi di atas, ketika susah, kita berazam untuk melakukan pelbagai kebaikan apabila kita berjaya dalam bisnes, dapat bonus dan sebagainya. Namun, kita kena ingat syaitan sentiasa menunggu peluang untuk melalaikan kita. Syaitan akan sentiasa berusaha untuk memujuk kita pada waktu senang dan susah.
Jadi kita jangan mudah terpedaya dengan pujukan syaitan. Amalkanlah apa yang telah diajarkan oleh Allah dalam ayat-ayat ini. 10 perkara ini dapat membantu kita mengelak daripada menjadi orang yang suka mengeluh. Malah Allah telah menyebut dua kali tentang solat menunjukkan solat adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian lebih.
Semoga kita tidak menjadi orang yang berkeluh kesah!
July 19, 2018
Syifa
“Ada sesiapa yang jawab selain daripada ini? Kalau ada, sila bangun dan jawab.” Guru lelaki itu bertanya pada seluruh kelas. Riak wajahnya yakin sekali bahawa semua anak muridnya mempunyai pandangan yang serupa. Sekiranya benar, dia adalah guru yang paling bahagia sekali kerana pelajar-pelajarnya masih ingin memelihara warisan Melayu.
“Cikgu, Syifa jawab tak wajar!” Guru itu terkejut. Ada juga pelajar yang menjawab selain daripada wajar? Bukankah jawapannya agak jelas bahawa sememangnya tarian tradisional wajar dipelihara kerana ia merupakan warisan bangsa?
Hari ini merupakan giliran untuk kelas karangan bagi subjek Bahasa Malaysia di kelas 6 Budiman iaitu kelas pertama bagi keseluruhan darjah 6. Subjek ini dibahagikan kepada dua komponen iaitu pemahaman dan penulisan jadi setiap minggu akan bergilir-gilir antara kedua-dua komponen itu. Cikgu Rosli yang telah 13 tahun mengajar di sekolah itu memberikan karangan bertajuk “Wajarkah tarian tradisional di Malaysia dipelihara? Berikan sebab anda.” dan menyuruh anak muridnya berbincang sesama rakan sebelum membentangkan idea masing-masing dan menulisnya dalam bentuk karangan. Umumnya, Cikgu Rosli yakin bahawa anak-anak muridnya mempunyai akal budi yang serupa.
Tumpuan Cikgu Rosli kembali pada seorang pelajar bernama Syifa yang duduk di belakang bersama rakan-rakannya. Syifa merupakan seorang pelajar yang baru berpindah pada tahun ini. Dia seorang yang agak pendiam dan jarang bersuara ketika proses pembelajaran berlangsung. Maka, apabila jawapan sedemikian lahir dari butir pemikirannya, Cikgu Rosli terkejut.
“Syifa, kenapa awak jawab macam tu? Cuba awak kongsikan dengan kelas.” Cikgu Rosli cuba membuang nada prejudis dan ayat yang menjurus ke arah paksaan untuk menerima ideologinya. Mungkin anak muridnya ini mempunyai pandangan yang berbeza atas dasar yang berbeza. Amat menarik untuk dikaji cara pemikiran manusia yang berbeza-beza terutamanya jika kita mengetahui latar belakangnya, cara dia dibesarkan, mutu pembacaannya dan juga pergaulan hariannya.
Syifa kelihatan teragak-agak. Dia memandang rakan yang menyebut namanya sebentar tadi dengan riak geram kemudian pandangan dialihkan pada Cikgu Rosli yang menunggu jawapan. Satu kelas memandang Syifa. Gugup, namun kerusi perlahan-lahan ditolak dan akhirnya Syifa berdiri namun kepalanya masih menunduk. Segan.
“Kenapa awak jawab tidak wajar, Syifa? Jadi awak fikir tarian hip-hop dan sebagainya itu adalah lebih baik untuk mengganti tarian tradisional sedia ada?” Cikgu Rosli cuba bertanya soalan agar Syifa lebih mudah untuk menjawab berdasarkan huraian yang lebih spesifik berbanding soalan umum.
“Bagi saya, err.” Bicaranya teragak-agak kerana gugup.
Dia menarik nafas panjang.
“Bagi saya, kalau dah ada benda baru yang menggantikan yang lama, apa salahnya? Mungkin saja yang baru itu boleh jadi yang lebih baik. Mungkin saja yang lama itu sudah tidak relevan lagi. Kalau yang lama ada unsur yang tidak baik, apa salahnya jika ditinggalkan saja? Lagipun, lecehlah zaman sekarang nak memelihara warisan lama. Mempelajari benda baru adalah lebih mudah berbanding memelihara kerana jika apa yang dipelihara hilang atau tidak lagi diterima orang, kita akan sedih. Zaman berubah sentiasa. Apa yang memberi makna pada kita dahulu mungkin tidak sama atau tiada makna bagi generasi akan datang. Sebab itu saya rasa tidak wajar tarian tradisional dipelihara. Kita harus belajar maju ke hadapan dan bukannya berpegang pada satu perkara saja.”
Sunyi sepi. Kelas 6 Budiman yang sering mendapat gelaran kelas paling ceria itu hanya dihingari dengan bunyi bilah-bilah kipas yang saling berkejaran. Cikgu Rosli tergamam di hadapan kelas. Satu kelas ternganga. Syifa yang baru saja menyedari kelantangan suaranya, malu sendiri. Dia duduk perlahan dan menunduk menekuni lantai.
“Bagus jawapan awak, Syifa. Ada lagi tak yang lain jawab tidak wajar?” satu kelas menggeleng.
“Baik, siapkan karangan kamu dan hantar bila habis kelas nanti. Kalau tak sempat, letak atas meja saya sebelum balik.”
***
“Syifa, Cikgu Rosli kata nak jumpa kau di bilik guru.”
‘Aduh, takkan sebab jawapan aku tadi Cikgu Rosli nak marah aku?’ gumam Syifa tidak puas hati. Apa salahnya jika dia menjawab lain dari yang lain? Tiada siapa kata jawapan yang betul adalah wajar. Itu merupakan soalan justifikasi dan pandangan. Tiada yang betul atau salah. Kerana itu Syifa gemarkan subjek Bahasa Melayu penulisan. Akalnya bebas meneroka segala kemungkinan seiring pen yang dilarikan di atas kertas.
Syifa sengaja mengatur langkah perlahan sambil membuang pandang ke tingkat bawah. Kelihatan pelajar sesi petang sedang seronok berlari-lari dan saling berkejaran. Walaupun Syifa baru berusia 12 tahun, tapi tingkahnya matang. Fikirannya tidak seperti rakan sebayanya. Maka, dia jarang ingin bermain bersama rakan-rakannya kerana merasakan dia sudah dewasa dan tidak sesuai lagi untuk bermain seperti itu.
Akhirnya langkah Syifa berhenti di hadapan pintu bilik guru. Dia menarik nafas sebelum masuk dan mencari meja Cikgu Rosli. Pencarian itu tidak lama kerana Cikgu Rosli seakan dapat menghidu kehadirannya lantas memanjangkan leher bagi dirinya mudah dinampak. Syifa melemparkan senyuman sopan kepada guru-guru yang berselisih dengannya.
“Assalamualaikum, cikgu.”
“Waalaikumussalam. Duduklah.” Cikgu Rosli mempelawa Syifa duduk di kerusi Cikgu Anida yang terletak bersebelahan kerusi Cikgu Rosli.
“Ada apa ya cikgu nak jumpa saya? Saya ada buat salah ke tadi? Cikgu tak suka jawapan saya?” Syifa tidak berani menentang mata Cikgu Rosli. Gentar.
“Tak, tak ada yang salah dengan jawapan awak tadi. Malah, cikgu kagum dan suka. Cikgu saja nak berkenalan dengan awak. Menarik cara pemikiran awak tu.”
“Oh. Jadi?” Menjadi seorang introvert, Syifa tidak gemar berbicara dengan panjang lebar. Percakapannya ringkas namun tepat.
Cikgu Rosli tersenyum. Tangannya mencapai tangan Syifa. Terkejut, Syifa menarik tangannya kembali. Tindakan refleks itu seolah-olah sudah dijangka Cikgu Rosli menyebabkan tindakannya selepas itu lebih pantas dari tarikan tangan Syifa. Dia menarik kembali tangan mulus itu dan mengenggamnya kuat. Syifa seakan ingin meronta namun tertahan-tahan.
“Cikgu, apa ni?” nada suaranya ditahan agar tidak terlalu kuat. Air matanya bergenang di tubir mata namun di ketap bibir untuk menahannya daripada jatuh. Jantungnya berdebar dengan maha hebat. Apa yang sedang berlaku ni???????! Jiwanya menjerit.
“Takda apa lah. Kenapa takut sangat ni? Hei, cikgu cuma nak memuji kebijaksanaan awak saja. Jangan takut. Tenang.”Cikgu Rosli masih mengenggam tangan Syifa dengan kuat agar gadis cilik itu tidak dapat melarikan diri. Jemari kasar itu mengusap-usap kekura tangan Syifa dengan lembut. Bulu roma Syifa menegak. Dia benar-benar ketakutan. Dahinya mula berpeluh.
“Cikgu suka gadis yang pandai dan matang macam Syifa. Syifa nak kahwin dengan cikgu tak?” Guru yang berusia awal 30-an itu tersenyum gatal. Syifa menunduk sambil cuba untuk melepaskan tangannya. Mata guru muda itu langsung tidak mahu ditatapnya. Dia jijik!
“Eh, ni kenapa ni? Syifa, Cikgu Rosli, semua baik-baik saja ke?” Cikgu Anida menegur sambil meletakkan buku-buku latihan di atas mejanya. Syifa yang meminjam kerusi Cikgu Anida segera bangun setelah genggaman tangannya dilepaskan oleh Cikgu Rosli.
“Semua baik-baik saja, cikgu. Syifa ni ada masalah sikit tadi. Dia bercerita dengan saya. Sekarang saya harap awak dah kembali tenang ya Syifa?” Cikgu Rosli menjeling Syifa yang sedang berdiri di sebelah Cikgu Anida dan menekur lantai. Cikgu Anida mengalihkan pandangan pada Syifa. Dia cuba mencari anak mata gadis itu. Nalurinya dapat mengesan sesuatu yang lain. Hatinya tidak tenang.
“Kalau awak dah tenang, awak boleh balik Syifa. Kalau ada apa-apa lagi nanti, bagitahu saya saja.” Cikgu Anida menolak sedikit tubuh Syifa agar dia segera pulang. Cikgu Rosli pura-pura sibuk dan seolah-olah tidak mempedulikan sesiapa lagi. Syifa berjalan laju seperti hampir berlari keluar dari bilik guru. Dia tak mampu berfikir sekarang. Hati kecilnya keliru apa yang baru saja berlaku. Adakah perbuatan itu salah? Normalkah layanan dan kata-kata seperti itu dilemparkan dari seorang yang bergelar guru? Syifa tidak tahu. Langkahnya tidak teratur. Sekejap dia naik tangga kemudian turun kembali. Cikgu Anida yang menuruti Syifa memanggilnya. Syifa menghampiri Cikgu Anida.
“Awak okey tak Syifa?” Cikgu Anida memegang bahu Syifa. Syifa mengangguk dalam keadaan menunduk.
“Cikgu Rosli ada buat apa apa pada awak ke tadi?” Syifa mengetap bibir. Apa yang harus aku lakukan, bisik hatinya.
“Cikgu Rosli…err..dia…”
“Dia buat apa, Syifa?” nada Cikgu Anida tegas.
“Dia ramas tangan saya. Dan dia kata, dia…”
“Lagi? Dia buat apa pada awak?”
“Dia kata dia suka gadis yang pandai dan matang seperti saya. Dia nak kahwin dengan saya!” usai mengucapkan kata-kata itu, tangisan yang ditahan sedari tadi akhirnya terhambur. Syifa menangis semahunya di bahu Cikgu Anida.
“Ini adalah gangguan seksual, Syifa. Saya akan bantu awak laporkan pada guru besar, ya. Awak jangan risau.” Syifa mengangguk. Jiwanya sedikit tenang.
Cikgu Anida membawa Syifa bertemu guru besar yang kebetulan mempunyai masa lapang pada waktu itu. Dia menceritakan segala-galanya dan diakui oleh Syifa. Guru besar itu mencatit segala keterangan dan berjanji akan mengambil tindakan lanjut.
Keesokan harinya, Syifa demam selama tiga hari. Sebaik saja dia hadir ke sekolah, ternyata berita tentang Cikgu Rosli telah tersebar luas.
“Cikgu Rosli dipindahkan ke sekolah lain.” Cikgu Anida memaklumkan kepada Syifa. Wajahnya kosong, seperti tawar hati.
“Saya ingat dia kena buang.” Syifa teragak-agak melontarkan kata-kata.
“Sepatutnya. Tapi, entahlah. Guru besar bertindak memindahkan dia ke sekolah lain saja. Dia telah melakukan gangguan seksual terhadap pelajar bawah umur. Sepatutnya hukumannya lebih keras. Saya memang tak berpuas hati.” Cikgu Anida bebas meluahkan ketidakpuasan hatinya pada Syifa kerana kematangan anak gadis itu membuatkan dia selesa berbicara seperti dewasa.
“Di sekolah lain nanti, dia boleh melakukan perkara yang sama.” Pendek saja respon Syifa.
“Takpalah Syifa. Yang penting, sekarang awak dah selamat. Saya harap Cikgu Rosli dah tak buat lagi perkara terkutuk macam ni. Awak fokus pada pelajaran dan apa-apa masalah, awak boleh percayakan saya. Cerita saja pada saya. Kalau boleh bantu, saya bantu.”
“Terima kasih, cikgu.”
Pedofilia, seseorang yang telah dewasa namun mempunyai nafsu seksual terhadap kanak-kanak. Barah yang kian merebak dalam kalangan masyarakat hari ini. Perlakuan jijik itu disulami dengan gangguan seksual bermula dengan memegang tangan dan akhirnya ke perlakuan sumbang atau seks terhadap kanak-kanak sekiranya tidak dibendung. Bahkan, tanda-tanda gangguan seksual itu juga menimbulkan kekeliruan bagi kanak-kanak bawah umur yang tidak mengetahui apakah perbuatan yang menjurus pada gangguan seksual dan apa yang normal. Pada tangan siapakah kita meletakkan nasib generasi yang akan datang?
July 18, 2018
Pesanan Buat Penyelam Hati
Menyelami hati. Tidak mudah seperti ungkapan suara yang dikeluarkan. Kata memang senang untuk diungkapkan. Tetapi, untuk lakukan itu memerlukan ilmu dari perbagai aspek. Belajar dari satu ke satu perkara.
Seperti mahu belajar menyelam atau berenang. Tidak boleh melakukannya di dalam air yang cetek kerana ia tidak akan boleh melakukan pergerakan yang betul. Setakat badan mencecah tanah, bukanlah dinamakan berenang. Tidak pula boleh melakukan di dalam air yang terlalu dalam hingga menenggelami seluruh anggota kerana boleh jadi dia tenggelam, lemas dan hanyut.
Sepatutnya, dalam proses pembelajaran perlu pada air yang separa badan. Tidak cetek dan tidak dalam. Ini membantu untuk melakukan latihan dan pergerakan dengan baik. Memerlukan latihan dan mengikut langkah-langkah serta kaedah yang betul.
Apabila sudah berada pada peringkat profesional pun perlu berhati-hati jika berada di laut dalam. Perlu gas yang cukup supaya tidak hilang nyawa akibat kehilangan gas. Ketika menyelamatkan orang yang lemas juga perlu pergantungan penuh kepada Allah. Boleh jadi terhanyut lemas sama dengan mangsa yang kita ingin selamatkan walaupun dikatakan perenang profesional.
Jika diperhatikan, kebanyakan kes lemas pasti mangsanya dua orang atau lebih kerana mangsa kedua yang ingin menyelamatkan mangsa pertama dan seterusnya.
Tidaklah mahu mengatakan tiada kesan dan tidak bagus. Ianya sangat bagus kerana ingin selamatkan orang lain. Tetapi, harus hati-hati dan betul-betul tahu cara menyelamatkan serta tawakkal kepada Allah.
Begitu juga jika ingin menyelami hati manusia. Tidak boleh terus menerjah terjun terus ke dasar hatinya. Hati manusia itu bersifat bolak balik. Ada langkah-langkah dan batas yang perlu kita ikut dan jaga.
Tidak boleh cetek ilmunya kerana berkemungkinan tiada pergerakan berterusan. Tidak juga boleh terus ke dalam dengan perasaan ilmu yang banyak sehingga tenggelam, hanyut dan lemas sekaligus.
Sepatutnya, dengan ilmu yang kita pelajari, jika ingin menyelami hati manusia perlu mengikut langkah-langkah dan kaedah yang betul. Ini dapat membantu hati antara keduanya sedikit-sedikit terikat dengan sendirinya.
Juga seperti penyelam, jika sudah berada pada peringkat professional pun, perlu hati-hati menyelami hati insan tersebut agar tidak terhanyut lemas sama. Selamilah dengan penuh kasih-sayang dan lemah-lembut. Perlukan persediaan tenaga, ukhuwah dan fikrah.
Antara kaedah untuk menyelami hati manusia ialah:
Melakukan hanya kerana Allah
Berpijak di bumi yang nyata
Ikhtiar yang terbaik
Doa dan tawakkal
Jangan tergesa-gesa
Tetapi, tiap penyelam perlu ingat dan insaf bahawa pengisian hatinya hendaklah lebih diutamakan dari segala-galanya. Jika aqal dan jasadnya diberi habuan dan ubatan untuk berfungsi dengan sempurna, maka demikian juga hati. Dengan hati ia dapat menjadi da’ie dan mukmin yang sebenar dan dengan hati juga boleh menjadi Rabbani.
Sabda Rasulullah s.a.w mengenai tanggungjawab terhadap muslim:
عَنْ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لا يَظْلِمُهُ وَلا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”
July 15, 2018
Perkongsian Pengalaman: Pantang Larang ketika Haid
“Ada tak sebenarnya pantang larang ketika haid?” Saya bertanya.
“Tak ada!”
Jawab mereka beramai-ramai.
“Eh, siapa kata tak ada? Ada!”
Pelajar-pelajar perempuan di hadapan saya kelihatan terpinga-pinga. Ada yang berkerut dahi. Ada pula yang terkebil-kebil memandang saya yang masih tersenyum. Baru beberapa slaid sebelum ini saya bercerita mengenai mitos-mitos pantang larang ketika haid. Mitos pantang larang minum ais, mitos pantang larang makan nenas dan mitos pantang mandi. Mengikut pakar-pakar perubatan, semua pantang larang tersebut tidak wujud sebenarnya. Saya ada berkongsi di pautan ini: https://www.langitilahi.com/haid-dan-sains-perubatan/
“Apa pantang larang yang Allah sendiri larang wanita haid daripada melakukannya?” Saya mengubah soalan.
Satu dewan dipenuhi bunyi ‘oh’ dan ‘lah’ dengan harakat yang panjang. Giliran saya pula tertawa.
Lima Pantang Larang yang Disepakati Ulama’
“Solat!”
“Ya, betul. Pantang larang pertama yang disepakati oleh semua ialah wanita haid dilarang menunaikan solat. Selepas suci, adakah kita perlu qadha’ atau ganti solat yang telah kita tinggalkan ketika haid?”
“Tak perlu!”
Jawab para pelajar beramai-ramai.
“Seronokkan, Allah bagi cuti pada wanita haid.”
Kami semua tersengih lebar.
“Untunglah, sesiapa yang masa dia sedang suci daripada haid, solat fardhunya penuh, siap ada tambah solat sunat seperti solat sunat Dhuha, Tahajjud dan Witir. Kemudian ketika datang haid, dia meninggalkan semua solat tersebut kerana mentaati perintah Allah yang melarangnya daripada solat. Cuti-cuti semasa haid pun pahala bagi semua solat tu dia akan dapat juga. Kenapa? Sebab masa suci dia rajin solat. Kalau masa suci tak solat, rugilah kan?” Saya tersenyum memandang para pelajar yang terangguk-angguk.
“Seterusnya, puasa. Wanita haid dilarang berpuasa. Tapi wajib qadha’ puasa. Puasa apa yang wajib qadha’?” Tanya saya cuba menguji.
“Puasa Ramadhan!”
Jawab mereka beramai-ramai.
“Bagus! Tepat sekali! Lagi? Apa lagi yang dilarang?”
Seisi dewan terdiam. Ada beberapa yang cuba menjawab, namun perkara yang disebutkan ialah perkara yang menjadi khilaf dalam kalangan ulama’.
“Betul, tapi itu ada khilaf. Sekarang kita sebut dulu yang tiada khilaf. Pertama tadi, solat. Kedua, puasa. Ketiga ialah tawaf. Keempat, jima’ iaitu persetubuhan. Kelima, cerai iaitu suami diharamkan menceraikan isterinya yang dalam keadaan haid.”
Saya menyebut secara ringkas lima perkara yang disepakati oleh para ulama’ sekadar untuk pengetahuan mereka. Memandangkan pelajar yang berada di hadapan saya adalah terdiri daripada pelajar sekolah menengah, yang mana ada dalam kalangan mereka yang belum pun didatangi haid. Malah, ditambah pula masa sangat cepat berlalu (masa hanya tinggal lebih kurang 30 minit sahaja lagi), saya memilih untuk tidak memanjangkan perbincangan kecuali jika ada yang bertanya lanjut.
Pantang Larang yang Terdapat Perbezaan Pendapat Ulama’ Mengenainya
“Baiklah, sekarang kita masuk kepada topik pantang larang yang ada khilaf dalam kalangan ulama’. Mari kita perhatikan jadual di hadapan.” Saya mengalihkan fokus para pelajar kepada jadual yang telah disediakan.
Pantang Larang yang Terdapat Khilaf Ulama’
Isu-isu berkaitan
Masuk dan duduk di dalam masjid
1. Masuk sekadar lalu atau ada keperluan dan diyakini tidak akan mengotori masjid adalah dibolehkan.
Contohnya Yasmin mencari Aminah di dalam masjid kemudian keluar semula sedangkan Yasmin dalam keadaan haid. Dibolehkan dengan syarat Yasmin meyakini haidnya tidak akan bocor dan mengotori masjid.
2. Duduk di dalam masjid kerana ada keperluan.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi membolehkan dengan dalil-dalilnya selagi mana diyakini tidak akan mengotori masjid seperti duduk untuk mendengar majlis ilmu dan seumpamanya.
Namun, adalah lebih baik untuk tidak berada di kawasan solat. Wanita haid boleh duduk di bahagian belakang atau kawasan khusus untuk wanita haid yang disediakan oleh masjid jika ada.
Memegang dan membawa Mashaf al-Qur’an
1. Tafsir dan al-Qur’an terjemahan adalah dibolehkan. Hanya mashaf al-Qur’an tanpa apa-apa terjemahan yang dilarang. Namun, ada ulama’ yang membenarkan untuk mereka yang belajar dan mengajar al-Qur’an.
2. Jika mashaf al-Qur’an terjatuh dan hanya wanita haid berada di situ, maka boleh mengangkatnya dengan berlapik untuk menjaga adab dengan al-Qur’an.
Membaca al-Qur’an
1. Ayat-ayat al-Qur’an yang berbentuk zikir dan doa seperti ‘bismillah’ sebelum makan, membaca ayat Kursi sebelum tidur, membaca 3 Qul dan seumpamanya adalah dibolehkan kepada wanita haid untuk membacanya.
2. Adapun ayat-ayat al-Qur’an lain, maka tidak dibolehkan membacanya tanpa keperluan. Ulama’ seperti ulama’ mazhab Maliki membenarkan membaca al-Qur’an dengan tujuan belajar dan mengajar begitu juga bagi penghafal al-Qur’an.
Sebahagian ulama’ mazhab Syafi’e mensyaratkan wanita haid berniat untuk zikir apabila ada keperluan membaca al-Qur’an seperti ketika peperiksaan al-Qur’an dan seumpamanya.
Setelah selesai menerangkan isi kandungan jadual dengan terperinci, saya melepaskan nafas lega. Lega kerana dapat menyampaikan segala yang saya rasakan penting dalam masa 2 jam yang diberikan.
Eh, 2 jam?
Ya, 2 jam, dan sebenarnya banyak masa telah dihabiskan dalam perkongsian sebelum ini: https://www.langitilahi.com/haid-dan-sains-perubatan/
Saya memandang para pelajar di hadapan saya.
“Inilah antara isu yang ustazah boleh kongsikan supaya nanti para pelajar sekalian tidak terkejut jika melihat ada yang mempunyai pendapat yang berbeza. Sebab, kalau kita tak tahu ada perbezaan pendapat, boleh terkejut beruk nanti!” Saya membuat aksi ‘terkejut beruk’.
Macam mana tu? Em, ibaratnya apabila saya terkejut dan terlompat sebaik sahaja nampak katak dalam kasut!
Satu dewan pecah dengan ketawa. Saya hanya senyum selamba. Maklumlah, hanya pelajar wanita yang berada di dalam dewan ini.
“Ada apa-apa soalan sebelum kita akhiri ceramah untuk hari ini?”
Namun, tiada sesiapa yang mengangkat tangan untuk bertanya.
Saya sebenarnya agak terkilan apabila tidak menerima sebarang soalan daripada mereka. Saya akui, ini akibat kelemahan saya juga yang tidak berpengalaman memberikan penyampaian kepada pelajar-pelajar sekolah menengah. Berbeza apabila saya mengajar Fiqh Wanita yang dihadiri oleh orang dewasa di universiti, masjid dan surau, di mana saya akan dihujani dengan soalan dan komentar mereka.
Apapun, saya doakan pelajar-pelajar di hadapan saya ini maju jaya dan terus rajin menimba ilmu. Semoga mereka menjadi lebih berani untuk menyuarakan pendapat dan bertanya suatu hari nanti.
Akan Datang
Setakat ini dulu yang mampu saya coretkan. Insya-Allah, perkongsian akan datang akan berkisar berkenaan wanita haid dan isu-isu qadha’ solat setelah suci.
Eh, ada solat yang kena qadha’ ke? Bukan tadi kata tak perlu qadha’?
Ya, asalnya solat yang ditinggalkan ketika haid tidak perlu kepada qadha’. Namun, ada beberapa perbincangan ulama’ berkenaan solat yang perlu diqadha’kan oleh wanita setelah suci daripada haid. Mohon doa para pembaca sekalian. Semoga Allah mudahkan dan berkati perkongsian ini. Amin, amin ya Rabb.
July 13, 2018
Tirulah Macam Talut!
Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”.
Surah al-Baqarah (2) : 250.
Tentera Talut VS Tentera Jalut
Kisah pertembungan di antara tentera Talut dan tentera Jalut ada dirakamkan di dalam al-Quran. Bermula daripada ayat 246 sehingga ayat 251 Surah al-Baqarah. Doa ini dipanjatkan oleh tentera Talut yang menghadapi situasi genting apabila melihat tentera Jalut yang ramai serta lengkap dengan senjata.
Kisah ini bermula ketika Bani Israil mahu merampas kembali negaranya iaitu Palestin. Setelah mereka bermesyuarat, mereka telah bersatu hati memilih Talut sebagai individu yang akan mengetuai misi ini.
Menurut pendapat para ulama, tentera mereka seramai lapan puluh ribu orang yang terdiri daripada pemuda Bani Israil.
Jadi memandangkan pada waktu itu cuaca sangat panas, Talut yang bijaksana ingin menguji para tenteranya yang benar-benar mahu pergi berperang. Seolah-olah Talut ingin beritahu bahawa peperangan ini sangat penting, kita tidak mahu berbangga dengan ramainya tentera, tetapi kita mahu membawa tentera yang benar-benar berkualiti.
Berapa Ramai Yang Tidak Mengikut Arahan Talut?
Talut memberitahu kepada tenteranya, dalam perjalanan nanti kita akan bertemu dengan sebatang sungai,
“Barangsiapa yang minum air sungai itu, mereka bukanlah dari kalangan aku, barangsiapa yang tidak minum air sungai itu mereka adalah dari kalangan aku. Namun barangsiapa yang mahu minum sekadar ingin membasahi tekaknya atau menghilangkan dahaga, maka mereka juga termasuk dalam kalangan aku.”
Seperti yang dijangkakan oleh Talut, ramai di kalangan tentera yang ingkar dengan arahan tersebut kerana Bani Israil memang terkenal dengan tabiat mereka yang selalu melanggar perintah nabi dan betapa lemahnya iman mereka.
Reaksi Apabila Berjumpa Dengan Tentera Jalut
Hanya sebahagian sahaja yang melepasi ujian ini. Ada pendapat ulama yang menyatakan jumlah mereka lebih kurang empat ribu orang.
Setelah mereka melepasi sungai tersebut, mereka bertembung dengan tentera Jalut. Lalu ada sebahagian tentera Talut yang berbincang sesama mereka menyatakan,
“Kita tidak akan mampu memerangi musuh kita, lebih-lebih lagi mengharap untuk mengalahkan mereka.”
Manakala sebahagian yang beriman pula meyakini dengan pertemuan dengan Allah dan balasan yang akan mereka dapat di akhirat nanti. Mereka pun berkata,
“Kamu semua jangan gentar melihat besarnya jumlah tentera musuh, kerana seringkali kelompok yang jumlahnya kecil berjaya mengalahkan kelompok yang besar kerana berkat kekuatan iman mereka dengan izin Allah SWT.”
Setelah itu mereka pun memanjatkan doa ini,
“Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”.
Surah al-Baqarah (2) : 250.
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, doa ini merupakan doa yang luar biasa kerana diungkapkan ketika menghadapi situasi yang sangat tegang. Doa ini mengandungi kebijaksanaan dan kecerdasan kerana kesabaran adalah sebab keteguhan dan keteguhan adalah sebab kemenangan.
Allah ingin beritahu kepada kita bahawa apabila kita memiliki iman yang benar-benar mantap, ikhlas dan benar-benar berserah diri kepada Allah, maka Allah akan memberi kemenangan kepada orang yang beriman.
Pada waktu inilah muncul watak Daud (waktu ini belum dilantik menjadi nabi) yang hanya membaling batu ke arah Jalut dan terkena pada kepalanya lalu jatuh.
Daud pun mendekati Jalut dan memenggal kepalanya lalu bawa menghadap Talut.
Akhirnya tentera Talut berjaya mengalahkan tentera Jalut.
Tadabbur : Bagaimana Umat Islam Mahu Menang Hari Ini?
Umat Islam hari ini dalam keadaan lemah. Banyak tetapi seperti buih-buih di lautan. Umat Islam ramai tetapi ramai yang tidak berkualiti.
Ayuh kita bangkit!
Kisah ini banyak memberi pelajaran kepada kita. Pertama, umat Islam harus bersatu padu memilih pemimpin yang adil dan berani. Pemimpin yang berkualiti bukanlah pemimpin yang hanya mempunyai pengaruh dan kekayaan, tetapi seorang pemimpin mesti seorang yang mempunyai ilmu, pengalaman, kemampuan dan keperibadian yang mulia.
Kedua, syarat utama untuk kita menang adalah harus benar-benar patuh kepada arahan pemimpin. Kita juga boleh ambil pelajaran yang berlaku kepada para sahabat yang mengingkari arahan Nabi Muhammad SAW dalam Perang Uhud.
Ketiga, kisah ini mengajar kita bahawa doa yang dipanjatkan ketika menghadapi bahaya dan di tengah pertempuran sangat mustajab kerana doa adalah bukti iman dan membantu manusia untuk istiqamah bersama Allah SWT. Sekiranya kita dalam keadaan terdesak, takut dan tidak ada tempat berlindung selain daripada Allah maka kita amalkanlah doa ini.
Akhir sekali, kita semua kena yakin bahawa berkat iman yang mantap, kesabaran, keteguhan dan kepatuhan kepada pemimpin mampu memberi kemenangan kepada kita.
Kita kena yakin dengan pertemuan dengan Allah. Kita kena yakin dengan pahala yang besar. Kita kena yakin dengan kedudukan tinggi yang akan kita dapat bagi orang-orang yang mati syahid di Syurga.
Perkongsian Pengalaman: 1 Rahsia Penting Jika Mahu Jadi Penulis
Dahsyat, 7 tahun kemudian baru saya sedar akan sesuatu.
Nak tahu apa?
8 Julai 2018, saya berkongsi tips jadi penulis di Instagram stori, baru saya sedar aturan Tuhan dalam hidup saya pada tahun 2011 dahulu.
Apa yang berlaku pada diri saya tahun itu?
Tahun itu adalah permulaan hijrah saya dan juga Allah swt telah campak kecintaan saya pada buku. Suka sangat baca buku.
Zaman sekolah saya bukan seorang yang suka membaca buku melainkan buku-buku teks sekolah. Haha.
Amazing!
8 Julai 2018, saat saya menulis di IG stori :
“A. Samad Said berkata, jika kamu ingin menjadi seorang penulis, pertama sekali kena membaca, kedua membaca, ketiga membaca, keempat membaca dan kelima membaca.”
Dalam hati ketika itu bersuara, “oh patutlah 2011 dulu aku mula suka membaca. Rupanya Allah nak jadikan aku penulis.”
Nak tahu, tips dari A. Samad Said itu sudah berulang kali saya kongsikan di media tetapi 2018 baru sedar kenapa 2011 saya dijadikan seorang yang suka membaca.
Semasa dalam penghijrahan, kebanyakan buku bacaan saya adalah berkisar wanita Muslimah. Rakan-rakan juga ada menghadiahkan buku begitu sebab mereka tahu itulah buku kegemaran saya.
Ketika itu saya sangat ingin jadi wanita solehah yang Allah swt cintai.
Saya juga banyak membaca buku genre kerohanian, untuk mendekatkan diri kepada Rabb.
Ada sebuah novel saya sudah berhasil siapkan zaman itu tetapi saya ‘peram’ selepas ditolak oleh satu syarikat penerbitan.
Ditolak kerana pada masa itu hampir dengan tarikh PBAKL jadi mereka mahu utamakan penulisan penulis yang sudah ada nama.
Itulah keajaiban Tuhan yang tak diduga.
Nampak, kan?
Benar kata A. Samad Said. Dengan membaca kita akan berupaya menjadi seorang penulis.
Dengan membaca kita akan mendapat ilmu, membuka minda dan tak mustahil dengan membaca juga beroleh idea.
Saya begitulah, adakala baca sehelai dua, dapat idea dari buku itu. Itulah rezeki dari Tuhan kepada penulis.
Jika anda yang sedang membaca artikel ini berimpian mahu jadi penulis, paksa diri membaca buku.
Nasihat S.M Zakir, “Kegagalan penulis ialah mereka tidak membaca. Membaca buku dan majalah sastera, baca ulasan dan kritikan serta membaca tulisan dan karya lain adalah penting.”
Mulakan dahulu dengan buku genre kegemaran anda dan berkaitan penulisan.
Kalau suka genre motivasi, cari buku begitu dan baca sedikit demi sedikit.
Orang yang berkehendak, dia akan berusaha sehingga berjaya!
Saya bukanlah penulis terkenal tetapi alhamdulillah ada bingkisan penulisan saya pernah diterbitkan oleh Karya Bestari Karangkraf, penerbitan Nur Elhikmah, Tazkirah.net, AkuIslam.com dan sekarang Langit Ilahi.
Alhamdulillah berkat penghijrahan itu, Allah swt bimbing saya jadi seorang pencinta buku, sejurus itu dijadikan seorang penulis untuk sampaikan kebaikan kepada sekalian hamba-Nya.
Buat sekalian pembaca, jika ada minat, asahlah.
Minta bantuan dari Tuhan agar dipermudahkan kita mengasah bakat untuk sebarkan agama-Nya.
Tulis perkara yang baik-baik, yang bawa manusia lebih kenal Allah swt, lebih cintakan agama. InsyaAllah, sama-sama kita berusaha ya.
Bakat yang Allah kurnia, manfaatkanlah untuk mengait pahala dan bukannya mengumpul dosa. Nauzubillahi min zalik.
Saya doakan semoga sekalian pembaca dipermudahkan proses untuk menjadi penulis berjiwa hamba. Amin!
Perkongsian Pengalaman: Selagi Jasad Masih Bernyawa
Kelas Tafsir Ustaz Safwan
Pada jam 9.30 pagi, aku sudah siap berjubah biru gelap dan berskaf biru polka dot. Aku ingin mengikuti Maktok ke kelas pengajian tafsir al-Quran oleh Ustaz Safwan. Ini rasanya kali kedua aku hadir ke kelas tafsir ustaz itu. Lokasi pengajian ialah sebuah rumah semi-D dua tingkat di Petaling Jaya. Ruangan hadapannya yang berkarpet telah pun disusun dengan barisan meja lipat dan kerusi plastik. Persis seperti sebuah kelas, ruangan itu juga dilengkapi dengan papan putih, sedikit rak-rak buku dan pendingin hawa.
Ketika sampai, Maktok bersalaman dengan beberapa orang kawan beliau sambil memperkenalkan aku sebagai cucunya. Aku gembira melihat keterujaan Maktok menemui kawan-kawan beliau. Setelah memerhatikan persekitaranku, seperti biasa , aku pelajar termuda dalam kelas itu. Para hadirin wanita bertaraf nenek dan makcik kepadaku memenuhi empat per lima daripada ruangan kelas. Hanya dua orang atuk yang ada. Mereka sudah berambut putih, berkedut seribu dan bertongkat. Namun begitu, mereka masih lagi bersemangat waja untuk menuntut ilmu.
Latar Belakang Komuniti Warga Emas Kampung T
Kata Ibu, kawasan Kampung T di Petaling Jaya ini, suatu ketika dahulu ialah kawasan elit dan tempat tinggal pegawai-pegawai kerajaan yang bergaji besar. Daripada audiens hari itu, terserlah kebenarannya. Makcik pakcik, atuk nenek yang ke kelas itu bukan sembarangan orang. Ada yang berpangkat Datuk, Datin, Tan Sri dan sebagainya. Ada yang bergaya bersahaja, ada yang terserlah glamornya dari kerlipan batu permata di baju, tudung malah kadang kala di tali kaca mata.
Nenek atuk yang mampu bertutur Bahasa Inggeris dengan fasih itu merupakan pegawai-pegawai atasan kerajaan pada zaman muda mereka. Selagi jasad mereka masih sihat, mereka bertungkus-lumus untuk menghabiskan usia pasca pencen mereka sebaik mungkin. Aku kagum dengan kesatuan usaha mereka menubuhkan beberapa kelas agama untuk orang dewasa dan warga emas di kawasan Petaling Jaya. Ada kelas tafsir biasa, tafsir harfiah, hadith, malah balaghoh. Maktok siap ada jadual seminggu pengajian, wlaupun kepadatannya sudah berkurang berbanding sebelum ini.
Selain itu, mereka juga kebanyakannya masih memandu sendiri ke kelas pengajian. Setiap kelas diadakan di rumah yang berbeza mengikut perancangan. Kadang-kadang merisaukan juga apabila melihat Maktok aku memandu sendiri ke mana-mana. Tapi Maktok selalu menyedapkan hati aku dengan berkata, “Takpe Maktok boleh drive sendiri, dekat je.”
Dulu-dulu sewaktu aku masih bersekolah, aku pernah juga mengikuti kelas Bahasa Arab mereka. Maju! Kelas mereka mempunyai modul dan buku latihan yang mereka usahakan sendiri. Seorang daripada mereka merupakan bekas guru bahasa Arab. Beliau yang sukarela menubuhkan modul-modul nota dan latihan bahasa Arab khusus untuk kelas tersebut. Modul tersebut ditaip dan disusun mengikut topik. Sebagai contoh, dalam i’rab, ada modul marfu’, majrur dan mansub.
Bayangkan seorang atuk yang sudah kabur penglihatannya, gigih belajar menaip huruf Arab di komputer semata-mata untuk pembikinan modul itu. Memandangkan sebelum ini, Maktok aku juga mengajar Bahasa Arab, Maktok selalu bagi aku nota, modul dan kamus Arab secara percuma.
Kadar kelajuan pengajaran dalam kelas pula ialah sekadar yang mampu dihadam oleh warga emas. Bohonglah kalau aku tidak pernah bosan atau mengantuk tersengguk-sengguk dalam kelas orang-orang tua.Tetapi pengalaman melihat dan bergaul dengan komuniti warga tua yang aktif sebegini sememangnya mahal.
Guru sebagai Pemandu Arah
Lamunan aku dipecahkan dengan ucapan salam daripada Ustaz Safwan yang baru tiba di kelas. Rambutnya sudah memutih diselindung sedikit oleh kopiah putihnya. Matanya sepet seperti orang Cina dan kulitnya cerah. Badannya masih tegap walaupun aku jangkakan umurnya dalam lingkungan 50-an. Ustaz Safwan berasal dari Indonesia. Maka, jelas sekali kedengaran slanga Indonesia beliau apabila berkata-kata.
Ustaz Safwan mengajar dengan menyebut perkataan satu per satu dengan jelas. Kaedah begitu sesuai dengan kemampuan para pelajarnya yang mungkin tidak boleh menangkap sebutannya jika percakapannya terlalu laju. Kadang kala penerangan beliau diselangi dengan lawak ringan untuk menghilangkan rasa mengantuk pelajar.
“Iya lah dah tua-tua ni, cepat mengantuk,” seloroh Ustaz Sawan sambil tersenyum. Ada juga lawak yang tidak aku fahami, mungkin kerana perbezaan generasi dan umur. Tapi aku senyum sahaja lah. Nampaknya Ustaz Safwan bijak menyesuaikan kaedah penyampaian beliau dengan keadaan para pelajarnya.
Walau bagaimanapun, aku juga tidak tahan untuk senyum sendiri apabila melihat beberapa nenek atau atuk yang tak dapat menahan diri daripada tersengguk-sengguk. Mujurlah Ustaz memahami. Fitrah sebagai warga emas tidak mampu dielakkan.
Selain itu, beliau banyak menggunakan kaedah tafsir al-Quran dengan al-Quran yang membuatkan aku nampak kaitan yang jelas antara satu ayat al-Quran dengan yang ayat yang lain. Sesungguhnya aku amat merasakan kepentingan hafazan al-Quran ketika itu. Ustaz Safwan dengan begitu lancar memetik ayat al-Quran tanpa melihat kepada mushaf; lengkap dengan nama surah, nombor ayat dan muka surat. Terkial-kial para audiens hendak membelek mushaf untuk mencari ayat yang berkenaan. Aku juga yang malu sendiri dengan kehebatan ingatan ustaz yang berusia itu.
Suatu ilham tiba-tiba mengetuk mindaku dek terinspirasi dengan suasana kelas tafsir itu. Al-Quran itu umpama peta yang sudah terbentang dengan nyata. Segala titik lokasi sudah tertanda padanya. Namun, gurulah yang dapat memandu kita untuk memahami kaitan antara satu sama lain dan tiba pada satu kefahaman dengan lebih mudah. Jika kita cuba memahami isinya membabi buta dan secara rawak, kemungkinan besar, kita boleh sesat walaupun peta sudah jelas di depan mata. Mungkin itu merupakan satu daripada sebab para warga emas ini rajin benar menapak ke kelas-kelas pengajian. Mereka sedar akan kepentingan belajar secara berguru.
Minda, emosi dan sosial
Sememangnya jelas, kelas-kelas sebegini baik untuk kognitif warga emas kerana minda mereka dilatih untuk kekal aktif berfikir dan menelaah pelajaran. Minda yang dibiarkan kaku dan tidak dirangsang boleh merosot dengan lebih pantas, lebih-lebih lagi seiring dengan proses penuaan.
Aku juga berpendapat bahawa kelas-kelas pengajian sebegini bukan sahaja baik untuk minda atau kognitif warga emas, malah baik untuk aspek emosi dan sosial mereka juga. Maktok sering berkata bahawa beliau gembira dapat berjumpa dengan kawan-kawan seusianya di kelas. Mungkin dengan cara begini, Maktok atau mana-mana warga emas dapat menghilangkan rasa sunyi di rumah.
Kebanyakan nenek atuk itu tinggal dengan pasangan masing-masing (jika masih hidup) bersama pembantu rumah. Anak-anak yang sudah dewasa tinggal di rumah berasingan dengan keluarga masing-masing. Dengan sedikit nikmat harta yang Allah kurniakan kepada mereka, mereka beruntung untuk mendapatkan pembantu rumah untuk membantu dalam pengurusan hidup mereka secara fizikal. Bukan semua orang mampu menggajikan seorang pembantu rumah. Namun tidak dapat dinafikan, mana mungkin perhatian daripada pembantu rumah semata-mata mampu menggantikan kasih sayang dan perhatian daripada seorang anak.
Aku benar-benar berharap lebih banyak inisiatif ilmiah begini diwujudkan untuk warga emas. Namun, aku faham bahawa setiap komuniti warga emas mempunyai ciri-ciri tersendiri yang perlu diambil kira; tahap pendidikan, sosio-ekonomi dan lain-lain. Apa pun, selagi jasad masih bernyawa, masih banyak yang kita boleh lakukan.
Selamat berbakti.
July 8, 2018
Haid dan Sains Perubatan
“Apa istimewanya wanita?” Saya bertanya.
Pelajar-pelajar perempuan di hadapan saya kelihatan tersenyum-senyum.
“Apa yang Allah hadiahkan pada perempuan, tapi tak pada lelaki?” Saya cuba mencungkil lagi.
“Rahim,” jawab beberapa orang pelajar.
Mungkin kerana saya menggunakan mikrofon dan pembesar suara betul-betul berada di sebelah saya, jawapan tersebut terdengar sangat perlahan di telinga saya. Saya menunjukkan slaid.
“Betul! Rahim jawapannya. Ha, jawapan dah ada pada slaid kan? Besar pula tu.”
Para pelajar ketawa kecil. Mereka terdiri daripada pelajar wanita tingkatan satu hingga lima.
Alhamdulillah! Ini kali pertama saya diberikan peluang oleh sebuah sekolah menengah harian untuk berkongsi berkenaan haid khusus untuk pelajar perempuan sekolah tersebut. Sebagai pendahuluan, saya bercerita dahulu berkenaan rahim anugerah istimewa daripada Tuhan.
“Rahim itu sendiri daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud rahmat dan kasih sayang. Kita baca ‘bismillah’ sebelum memulakan sesuatu. Perasan tak ada nama Allah ar-Rahim kat hujung ‘bismillah’?.”
Saya memandang para pelajar. Mereka terangguk-angguk.
“Bezanya ‘Rahim’ pada bismillah ada huruf ‘ya’. Menunjukkan Yang Maha Pengasih. Harakat belakang jadi panjang. Bismillahirrahmanirrahim,” saya membacanya dengan enam harakat.
Beza Solat Jenazah untuk Perempuan
Saya beralih kepada slaid yang seterusnya.
“Siapa di sini pernah solat jenazah?”
Kelihatan hanya beberapa orang mengangkat tangan.
“Perasan tak imam berdiri dekat mana? Dekat kepala ke kat pinggang jenazah?” Saya bertanya kepada salah seorang yang mengangkat tangan.
Dia menggelengkan kepala.
“Perasan tak?” Saya bertanya kepada beberapa yang lain pula. Semua mereka menggelengkan kepala.
‘Ya, tak ya! Makmum perempuan kat belakang, mana nak nampak imam. Lagi-lagi kalau ramai,’ hati saya berbisik.
“Baiklah. Ini ilmu baru untuk anda semua. Solat jenazah untuk lelaki, imam akan berdiri berhampiran kepala jenazah. Namun, bagi jenazah wanita, imam akan berdiri berhampiran pinggang jenazah. Jom, tengok video!”
Saya memainkan video di ‘Youtube’. 14 saat yang cukup untuk menunjukkan kedudukan jenazah di hadapan imam.
“Rasa-rasa, kenapa imam berdiri dekat kepala lelaki?” Saya bertanya sebaik sahaja tayangan selesai.
Pelajar-pelajar masih tersenyum. Ada yang menunduk sebaik sahaja bertemu mata dengan saya. Mungkin bimbang saya bertanya kepadanya. Aduhai, teringat perancangan awal saya dan suami yang terbengkalai. Asalnya saya dan suami ingin membeli maruku atau kerepek yang telah dibungkus secara mini untuk dijadikan hadiah kepada pelajar yang menjawab soalan. Sayang pula tidak sempat.
‘Lain kali kena sempatkan juga! Barulah budak-budak semangat nak menjawab.’ Saya berjanji kepada diri sendiri.
“Untuk pengetahuan adik-adik yang dikasihi, antara hikmah kenapa imam berdiri berhampiran kepala jenazah lelaki adalah sebagai pengiktirafan kepada kemuliaan dan kejaiban otak. Kekuatan lelaki sinonim dengan penggunaan logik otak,” saya menjawab sendiri soalan yang dilontarkan.
“Kenapa pula imam berdiri dekat pinggang jenazah wanita?” Saya bertanya lagi sambil tersenyum.
Kedengaran suara bertingkah, beberapa pelajar menjawab. Walaupun tidak jelas ayat yang ingin dikatakan, namun, saya dapat menangkap perkataan ‘rahim’ daripada mereka.
“Ya, betul. Rahim ada di kawasan pinggang. Walaupun wanita sama seperti lelaki mempunyai otak, namun jika otak wanita dibandingkan dengan rahim, rahim lebih istimewa dan unik. Kekuatan wanita sangat sinonim dengan rahim yang banyak berjasa bagi menempatkan khalifah-khalifah kecil sebelum dilahirkan ke dunia. Jadi, sebagai penghormatan terakhir ketika solat jenazah untuk wanita, imam akan berdiri berhampiran rahim.”
Analogi Haid
Prof. Imelda memberikan satu analogi yang menarik untuk menggambarkan bagaimana proses haid berlaku. Ibarat ‘flush’ yang digunakan setiap hari untuk membersihkan lubang jamban. Rahim kita juga dikurniakan Tuhan sistem pembersihan automatik yang bertindak untuk ‘flush’ sel-sel endometrium yang tidak digunakan daripada rahim. Cuma ‘flush’ ini menggunakan darah, bukan air.
Saya menunjukkan kepada para pelajar jadual penebalan dinding rahim dengan sel-sel endometrium yang semakin meningkat ketika tempoh ovulasi seperti di bawah:
“Apabila tiada persenyawaan berlaku, signal akan diberikan kepada rahim untuk ‘flush’ keluar sel-sel endometrium yang lama. Tekanan otot macam tekan span untuk keluarkan air. Masa tu akan rasa sakit senggugut.”
Kedengaran bunyi ‘oh’ panjang daripada para pelajar.
“Nak tengok video tak?” Saya bertanya sambil tersenyum.
“Nak!”
Kuat bunyi jawapan satu dewan. Semangat betul mereka hendak menonton video.
Saya memainkan video oleh MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan senggugut seperti di bawah:
https://www.youtube.com/watch?v=S15_HKnWVdk
http://www.langitilahi.com/wp-content/uploads/2018/07/myhealth-senggugut.mp4
“Kalau senggugut teruk, jumpa doktor ye. Jangan makan atau beli produk yang macam-macam ada sekarang. Bahaya!”
Saya mengingatkan sebaik sahaja tayangan selesai.
“Baik, itu berkenaan haid, sekarang kita nak tahu pula berkenaan istihadah”.
Istihadah
“Istihadah ialah darah penyakit. Berbeza dengan haid sebab haid ialah darah normal yang keluar bersama sel-sel endometrium, sedangkan istihadah ialah darah yang tidak normal. Sebab apa tidak normal? Sebab ia tanda sakit. Mungkin ada penyakit kanser ke, ketumbuhan ke, keputihan berdarah ke..”
Saya berhenti seketika sambil tangan menekan punat-punat di laptop.
“Ha, adik-adik nak tengok video lagi tak?”
“Nak!”
Sekali lagi satu dewan bergema dengan jawapan ‘nak!’
Saya tersenyum lebar.
“Baiklah, video ni berkenaan ‘Endometriosis’ iaitu satu jenis penyakit yang menyebabkan keluarnya darah istihadah.”
Saya menekan butang ‘play’ dan video pun bermula.
https://www.youtube.com/watch?v=8lYe7eXsOpQ
http://www.langitilahi.com/wp-content/uploads/2018/07/myhealth-endometriosis.mp4
Setelah selesai tayangan video, saya menunjukkan slaid yang membezakan antara haid dan istihadah.
BEZA
HAID
ISTIHADAH
Tempoh masa
Minimum: 1 hari
Normal 6-7 hari
Maximum: 15 hari
Tidak menentu
Melebihi tempoh maximum haid atau kurang daripada tempoh minimum haid.
Warna, bau dan tekstur
Darah pekat kehitaman, merah, perang kecoklatan, kuning, keruh.
Cair dan berbeza dengan tekstur darah haid.
Kadang-kadang mungkin sama dan tidak dapat dibezakan.
Jumpa doktor
Senggugut teruk
Rasa tidak pasti
Saya menerangkan satu-persatu perbezaan di dalam slaid. Kemudian saya mengingatkan mereka supaya bertemu doktor jika ada sebarang keraguan. Ini kerana doktor lebih arif berbanding ustazah dalam membezakan antara haid dan istihadah.
Jumpa Doktor, Jangan Takut, Jangan Malu
Prof. Imelda Balchin ada berkongsi berkenaan “bilakah anda perlu bimbang dan berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan?”
Slaid berikutnya adalah perkongsian daripada Prof. Imelda sendiri dalam facebook beliau.
“1) Jika pendarahan berlaku di antara dua haid, iaitu intermenstrual bleeding.
2) Jika ada perubahan haid anda selepas umur 40 tahun.
3) Jika senggugut yang teruk.
4) Jika haid menjadi tidak regular, sebanyak tiga kali berturut-turut atau lebih, tanpa penggunaan kaedah perancang keluarga.
5) Jika tiada haid melebihi 6 minggu tanpa penggunaan kaedah perancang keluarga dan anda tidak hamil.
6) Jika ada pendarahan haid yang berterusan dan berpanjangan melebihi 2 minggu.
7) Jika pendarahan haid terlalu banyak, yang mengganggu kualiti hidup anda, sebagai contoh memerlukan pertukaran pad setiap satu jam dan ini berterusan lebih dari sehari.
8)Jika anda sudah menopos tetapi ada pendarahan, walaupun hanya sedikit.
9) Jika anda hamil tetapi ada pendarahan, walaupun hanya sedikit.
10) Jika ada keraguan dan anda tidak pasti sama ada perubahan haid anda normal atau tidak.”
“Ini Prof. Imelda sendiri yang pesan ni. Prof. Imelda ni seorang pakar atas pakar sakit puan. Ingat ye adik-adik yang dikasihi sekalian. Jumpa doktor, jangan takut, jangan malu. Jauhi dengan sejauh-jauhnya segala produk yang katanya boleh hilangkan senggugut lah, hilangkan keputihan lah, hilangkan istihadah lah. Pesan pada mak, kakak, adik, mak cik, nenek semua.”
Ketawa mereka pecah seketika. Saya pula hanya tersenyum lebar. Pendek kata, saya sangat berharap agar mereka semua berjumpa doktor jika ada apa-apa masalah berkaitan kesihatan. Sekali lagi, pesanan Prof. Imelda dikongsikan:
Jika anda bimbang, sila berjumpa doktor untuk penilaian kesihatan dan pemeriksaan. Jangan beli ubat hormon atau produk untuk merawat diri sendiri.
Jika perlu, doktor akan membuat keputusan untuk membuat ultrasound untuk mengkaji dinding rahim dan ovari anda.
Jika perlu, doktor akan membuat analisa hormon dengan ujian darah.
Doktor juga akan membuat Pap smear dan memeriksa sama ada terdapat jangkitan penyakit yang boleh dirawat.
Rawatan untuk setiap masalah yang ditemui adalah berlainan. Sebab inilah pemeriksaan perlu dibuat terlebih dahulu untuk mengenalpasti apakah penyakitnya supaya boleh membuat keputusan jika anda perlukan rawatan dan apakah rawatan yang terbaik untuk anda.
Mitos berkenaan Haid
“Mitos pertama, makan ais menyebabkan darah haid membeku dan berketul-ketul! Salah! Cuba tengok ni.”
“Bila kita makan dan minum, makanan dan minuman akan masuk ke dalam organ pencernaan, masuk perut, bukan masuk dalam rahim. Malah, semua yang kita makan atau minum, apapun suhunya sebelum tu, akan berubah menjadi suhu badan selepas masuk ke dalam badan. Itu yang diterangkan oleh para doktor. Jadi, darah haid berketul tu bukan sebab ais, tapi sebab lain. Tiada masalah nak makan atau minum ais.”
Para pelajar mengangguk-angguk.
“Bukti yang paling jelas, masa kencing, seharian minum ais, makan ais krim, air kencing tu sejuk tak? Ada sesiapa kat sini pernah kencing sejuk dan dingin?”
Satu dewan ketawa lagi.
“Baiklah, mitos kedua. Makan nenas menyebabkan rahim terhakis dan menjadi punca keluarnya darah istihadah. Salah juga. Sama juga, kita makan, masuk perut. Nanti keluar kot saluran dubur ni. Tiada kaitan dengan rahim dan salurannya.”
Saya menunjukkan saluran-saluran pada slaid. Saluran dubur di sana, sedangkan saluran faraj yang bersambung dengan rahim di situ.
Para pelajar ber’oh’ panjang.
“Mitos ketiga, wajib hukumnya basuh darah sampai bersih sebelum membuang pad. Kalau tak, nanti jin makan darah tu. Betul ke? Jin makan darah..” Saya mengubah suara ala-ala suara hantu pada ayat terakhir ‘jin makan darah’.
Para pelajar ketawa terkekeh-kekeh.
“Salah! Mufti Wilayah ada ulas pasal ni dalam web rasmi beliau. Sebenarnya, tak wajib pun basuh ‘pad’. Cukup buang pada tempatnya. Contohnya kalau ada tong khas untuk buang ‘pad’, buang elok-elok dalam tu. Jangan buang merata-rata. Jangan buang dalam lubang jamban.”
“Sumbat lubang jamban tu nanti, ustazah.” Ada pelajar yang sudah berani bersuara.
“Betul. Buang elok-elok. Bungkus elok-elok guna kertas surat khabar ke. Kalau tong dah penuh, jangan letak macam tu saja atas tong. Islam amat menitik beratkan kebersihan. Kotor-kotor, syaitan memang suka.”
Para pelajar terangguk-angguk.
“Mitos terakhir, jangan mandi ketika haid! Salah! Boleh saja nak mandi ketika haid. Tinggal mandi wajib tu selepas suci daripada haid. Mandi biasa tu, hari-hari pun boleh.”
Sudah sucikah?
Slaid terakhir menerangkan cara untuk seorang wanita itu mengetahui bahawa dirinya sudah suci daripada haid.
“Ingat tau, jangan korek belah dalam. Prof. Imelda sendiri yang pesan pada ustazah. Cukup cek di bahagian luar. Kalau masih ada kuning-kuning, keruh-keruh, tu masih di kira haid. Bila dah tak ada apa-apa atau ada lendir putih, baru betul suci. Wajib mandi. Kalau lepas tu tiba-tiba ada warna kuning ke keruh ke, itu dah bukan haid dah. Jelas tak?”
“Jelas.”
Para pelajar menjawab beramai-ramai. Saya tersenyum puas.
Akan Datang
Setakat ini dulu yang mampu saya coretkan. Insya-Allah, perkongsian akan datang akan berkisar berkenaan perbezaan pandangan ulama’ berkenaan perkara-perkara yang dilarang ketika haid seperti masuk masjid, membaca al-Qur’an dan sebagainya. Mohon doa para pembaca sekalian. Semoga Allah mudahkan dan berkati perkongsian ini. Amin, amin ya Rabb.
July 3, 2018
Maze: The Unknown
Most of us may have read or maybe heard of the Maze Runner series. Some of us may have even watched the movie adaptation of it as it is quite famous. In the series, the protagonist and his friends are stuck in an unknown place and the only way out is to go through the maze. However, going into the maze is a hard thing for them to do. Why would they? The only thing they knew about the maze is that there is some kind of monster lurking around in there, seeking hungrily for preys. Moreover, they have a perfectly established accommodation with plenty of food source and clean water together with comfy beds to sleep at night. So why would they ever leave that comfortable place and venture into the unknown? They may get killed when they can just stay there and live. But they still went into the maze.
From the above plot, it seems to portray something similar with a certain part of our life. That is the action of leaving our comfort zone to seek for something more, something out there to improve our current self.
Now what is a maze? A maze is a network of paths and hedges designed as a puzzle through which one has to find a way, according to Google.
Throughout our lives, there are many paths that we can choose to take, and all these paths comes from our decision. Every single time that we decide on something, the routes spread before us change. It will then lead to other passages. Just like an enchanted maze, with the ever-changing walls, and its path leading to some place we are not certain of. It might lead to somewhere that we wished to be at or it might lead to somewhere that we wanted to avoid. We do not know what lies within the chosen path until we actually wander along it.
In the Maze Runner series, the characters are afraid to step into the maze because the only thing they know of it is the monster within, nothing else. The same thing occurs in our mind.
What is in the path that I am taking? Will this lead to something good or will it turn out to be disastrous? We are afraid of the monster in our own maze, and we are afraid of the unknown. Stepping into that is definitely terrifying, there is no doubt about that. The human instinct to protect ourselves are strongly instilled in ourselves, and it is for a good reason. In that case, do not go into the passage without any preparation. Equip ourselves with knowledge. Ask those with the experiences. Seek guidance and support from people around us. Doing all of these will definitely build up the courage we seek to break free of the bubble we are in, our own protection bubble.
Benedict Cumberbatch, the actor that played the part of Sherlock Holmes in the famous BBC series “Sherlock” once said, “The further you get away from yourself, the more challenging it is. Not to be in your comfort zone is great fun.”
The courage to leave our own comfort zone is tremendous. We have settled on someplace safe and familiar, and to leave that is something that can take a lot of nerve. However, as we do so, we might be greeted with something better and unexpected. We might stumble on paths that can lead us to self-improvement and self-discovery. New doors of paths that lead to endless possibilities. But that can only be done if we choose to change, if we choose to take on the challenge. Put our hand on the doorknob, twist it open and push the door open with a broad mind. Leaving behind our own comfort zone is a scary thing but staying still in one place when the door of possibilities is wide open is no better.
There is usually something that lingers around in our mind. What if I choose the wrong path? Time cannot be reversed. What should I do if that happens? Can I go back? Will I be able to get back on the right track? What if there’s no way of returning?
When we think that we took a wrong path, stop and take a deep breath. Among all the roads that are presented to us, there must be at least one or two routes that can lead us back on track. Choose the path that can make us think, this is the right one, morally and logically. If we are still unsure of what is the right thing to do, it is never too late to go back to Allah SWT. Ask Him for guidance and the strength to go through with the situation. Making mistakes is a common thing to do as we are only human. What human does not make mistakes? But it will be such a shame if we leave the mistake as it is. Take it and change it to lessons and there will be no regrets.
Now, every maze has its own design. Some might be easier to escape, and some might have more complicated paths. That can be said about each of our lives. Some of us might have it easy in some way. Some of us might have it harder. Everyone has their own maze. Thus, we have different ways of going through our adventure and the time we took in each path is also varied. Just like our development from a small kid to a full-grown adult, the period for each development differs based on the individual.
Therefore, let us go on our own path at our own pace. Venture through all the routes in the maze and with the courage we have, tear open the door we were once so afraid of. Tear open the door and go through all the obstacles there is. The maze is nothing to be feared of. The maze is something to be explored.
July 1, 2018
Belajar Tawakal Daripada 3 Manusia Pilihan Allah
Makan Gaji Vs Kerja Sendiri
“Abang, sampai bila nak hidup macam ini? Hidup cukup-cukup makan je.”
“Kenapa, awak dah tak tahan ke hidup dengan saya? Awak menyesal ke kahwin dengan saya?”
“Bukan macam tu, bila kerja sendiri ini, kadang-kadang cukup dan kadang-kadang tidak. Abang cubalah makan gaji.”
“Awak ni kan, saya dah beritahu awal-awal dulu, saya dah nekad untuk kerja sendiri, memanglah sekarang agak susah, saya tahu kadang cukup dan kadang tidak, tapi awak bersabarlah sikit. Awak tak percaya dengan rezeki Allah ke?”
“Percaya je.”
“Dahlah, kalau awak tak sokong saya pun tak apalah, tapi tolong jangan tanya lagi perkara ini, saya tertekan tahu tak? Sepatutnya awak beri sokongan padu kepada saya, ini tidak, asyik nak tekan saya je, dahlah malas layan awak ni.”
Inilah antara dilema yang sering menghantui pasangan yang baru kahwin. Berdasarkan pemerhatian rambang saya, kebanyakan isteri mempunyai gaji yang lebih tinggi dan tetap berbanding suami.
Para suami lebih suka bekerja sendiri kerana kebanyakan mereka tidak suka diarahkan oleh orang lain. Mereka suka menjadi bos. Mereka yang akan mengarahkan orang lain.
Tetapi mereka kena ingat bahawa memilih jalan ini bukanlah satu perkara yang mudah. Mereka kena betul-betul hadamkan satu perkara iaitu “Tawakal”.
Belajar Tawakal Daripada Nabi Ibrahim AS
Setelah kaum Nabi Ibrahim tidak mampu membalas hujah baginda, mereka telah memutuskan untuk mencampakkan baginda ke dalam api.
Ketua-ketua mereka berkata: Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!
Surah al-Anbiya’ (21) : 68.
Setelah mereka berjaya menghidupkan api yang sangat besar dengan membakar kayu-kayu yang telah dikumpulkan, mereka pun mencampakkan baginda menggunakan alat pelontar (manjaniq).
Malaikat Jibril AS ada menawarkan bantuan kepada baginda namun ditolak, baginda hanya menjawab “Cukuplah Allah SWT menjadi penolongku dan Allah SWT adalah sebaik-baik pelindung”.
Hadis Riwayat al-Bukhari (4563).
Hasilnya? Satu perkara yang tidak pernah terbayang dan di luar kemampuan manusia. Baginda keluar daripada api seolah-oleh seperti baru keluar daripada bilik mandi. Api tersebut tidak membakar kecuali tali yang mengikat tubuh baginda.
Belajar Tawakal Daripada Nabi Musa AS
Setelah Nabi Musa AS mengemukakan hujah dan bukti-bukti kebenaran-Nya kepada Firaun, mereka tetap sombong dan menentang baginda. Lalu Allah telah memerintahkan kepada baginda supaya membawa keluar Bani Israil daripada Mesir.
Nabi Musa bersama rombongannya pun keluar melarikan diri sehinggalah tiba waktu matahari terbit, Firaun bersama tenteranya berjaya mengejar Nabi Musa dan rombongan. Baginda telah menemui jalan mati. Firaun dan tenteranya sudah berada betul-betul di belakang mereka dan di hadapan mereka pula adalah laut yang terbentang luas.
Kaum Nabi Musa mula mengeluh, “Habislah kita. Kita akan berjaya ditangkap oleh Firaun”. Apabila Kaum Bani Israil mula menyalahkan baginda, baginda menjawab bahawa Allah bersama kita dan tidak akan meninggalkan kita.
Dan sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: Hendaklah engkau membawa hamba-hamba-Ku keluar mengembara, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh dan jangan pula engkau takut tenggelam.
Surah Taha (20) : 77.
Hasilnya? Satu perkara yang tidak pernah terbayang dan di luar kemampuan manusia. Setelah baginda mendapat wahyu untuk memukul laut menggunakan tongkatnya, laut pun terbelah dan setiap bahagian dari pecahan lautan itu bagaikan gunung besar. Baginda dan rombongannya selamat manakala Firaun dan tenteranya ditenggelamkan oleh Allah.
Belajar Tawakal Daripada Nabi Muhammad SAW
Setelah pelbagai usaha dilakukan untuk menggagalkan dakwah Nabi Muhammad SAW, orang kafir Quraish pun berazam untuk membunuh baginda. Lalu baginda pun mendapat perintah supaya berhijrah ke Madinah.
Sebelum itu, Ali Bin Abi Talib telah menawarkan diri untuk ganti tempat tidur baginda. Kemudian baginda pun keluar menuju ke Madinah bersama-sama dengan Abu Bakar al-Siddiq. Mereka keluar pada waktu malam dan melalui jalan yang tidak biasa dilalui oleh orang sehinggalah sampai ke Gua Tsur. Pada masa yang sama orang kafir Quraish bergegas mengerahkan orang ramai untuk mengejar baginda dan menawarkan hadiah yang lumayan. Akhirnya orang kafir Quraish berjaya juga sampai di pintu Gua Tsur.
Pada waktu inilah Abu Bakar al-Siddiq telah melahirkan rasa bimbang tentang keselamatan mereka. Baginda pun memujuk Abu Bakar, “Jangan engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”
Surah al-Taubah (9) : 40.
Pelajaran Daripada Tiga Orang Rasul
Nabi Ibrahim AS mengajar kita bahawa tawakal itu merupakan pekerjaan hati dan bukannya pekerjaan fizikal. Mengikut logik akal, boleh sahaja baginda meminta Malaikat Jibril untuk memadamkan api tersebut. Tetapi baginda tidak mahu, kerana baginda tahu bahawa Jibril juga merupakan makhluk sama sepertinya. Jadi apa yang diperlukan pada saat itu hanyalah Allah SWT.
Kita boleh mencontohi Nabi Ibrahim AS dengan mengamalkan doa tersebut “Cukuplah Allah SWT menjadi penolongku dan Allah SWT adalah sebaik-baik pelindung”.
Nabi Musa AS mengajar kita bahawa tawakal itu adalah kita berusaha bersungguh-sungguh sehingga ke penghujung. Baginda juga mengajar kita supaya yakin dan percaya bahawa Allah sesekali tidak akan meninggalkan orang yang beriman dalam kesusahan. Biarlah satu dunia berpakat untuk menghancurkan Islam, tetapi jika Allah tidak izin, tidak akan berlaku.
Akhir sekali Nabi Muhammad SAW mengajar kita bahawa tawakal itu mestilah disertakan dengan usaha. Bukan hanya duduk diam sahaja. Bukan hanya kata “saya bertawakal kepada Allah”. Lihatlah peristiwa hijrah ini, walaupun baginda utusan Allah, baginda tetap menyusun strategi yang sangat rapi bagi menjayakannya.
Baginda mengajar kita, walau dekat macam mana pun hubungan kita dengan Allah SWT, kita perlu berusaha, bergerak, menyusun strategi dan yakin bahawa Allah bersama kita.
Kepada mereka yang mahu bekerja sendiri, belajarlah tawakal daripada tiga manusia pilihan Allah ini.


