Hilal Asyraf's Blog, page 3

June 26, 2019

Tadabbur – Bagaimana Untuk Lebih Memahami Al-Quran?





Al-Quran adalah kitab mukjizat yang tidak pernah terhenti
keajaibannya. Para ulama’ telahpun membincangkan sisi kemukjizatannya yang
terdiri dari pelbagai bentuk. Dan antara bentuk yang paling dominan adalah kemukjizatan
kefasihan bahasanya yang merangkumi setiap huruf, perkataan dan ayat al-Quran.





Disebabkan al-Quran itu bahasanya adalah Bahasa Arab, maka
sebahagian mereka yang membacanya dari kalangan bukan Arab tidak dapat memahami
apatahlagi menghayati keindahan dan keagungan al-Quran.





Pun begitu, satu perkara yang perlu setiap pembaca al-Quran
yakini, ianya bersifat universal. Setiap yang membacanya boleh merasai
keagungannya. Cuma, perlu ada sedikit usaha untuk mencapai tujuan tersebut.





Jika kita ibaratkan membaca al-Quran seperti menyelam di
lautan yang dalam, maka semakin mahir penyelam semakin dalam dapat ia gali
mutiara di dasar laut tersebut. Begitu juga al-Quran. Jika tidakpun kita
menjadi mahir paling kurang asas untuk ‘menyelam’ di lautan al-Quran perlu
dipelajari untuk melihat lebih mendalam pesanan Allah yang ingin disampaikan
kepada manusia.





Justeru, apakah langkah-langkah dalam usaha untuk lebih
memahami al-Quran?





Timbulkan persoalan!





Ya, soalan demi soalan yang timbul akan menyebabkan kita
ingin mencari rahsia-rahsia disebalik ayat-ayat al-Quran ini. Fasa interaksi
dengan al-Quran melalui bertanyakan soalan ini merupakan antara fasa kritikal
kerana ia memerlukan pembaca bukan sekadar membaca tetapi berfikir tentang
ayat-ayat Allah yang mulia ini. Justeru itu, tidak sedikit para pembaca
al-Quran meninggalkan fasa ini kerana tergesa-gesa mengejar untuk menamatkan
bacaan.





Apa contoh persoalan yang boleh ditimbulkan?





Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah:





ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى
لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢





Al-Quran ini, tidak ada
sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya);
ia juga menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa (2)





Dalam ayat lain dalalm surah Luqman, Allah s.w.t berfirman:





تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ ﴿ ٢ ﴾ هُدًى وَرَحْمَةً لِّلْمُحْسِنِينَ ﴿ ٣





Ini ialah
ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang
tetap kukuh (2). Menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang
sedia mengerjakan amal-amal yang baik. (3)





Jika kita renung pada ayat-ayat ini apa persoalan yang boleh
kita timbulkan?





Kedua-dua ayat ini kelihatan hampir serupa tetapi ada
bezanya.





Pada ayat al-Baqarah, Allah s.w.t sebutkan al-Quran itu
sebagai (هُدًى
لِّلْمُتَّقِينَ ) petunjuk bagi orang-orang bertaqwa
sedangkan dalam surah Luqman, Allah menyatakan al-Quran itu sebagai (هُدًى وَرَحْمَةً لِّلْمُحْسِنِينَ )
petunjuk dan rahmat bagi orang yang muhsinin.





Bukankah pada ayat surah Luqman terdapat penambahan ‘rahmat’
pada sifat al-Quran? Mengapa adanya perbezaan?





Kata Dr Fadil Solih as-Samiraie:





Ayat surah al-Baqarah bercerita tentang orang yang bertaqwa,
maka maksud orang yang bertaqwa itu adalah menjaga dirinya dari maksiat dan
larangan Allah.





Manakala dalam surah Luqman menyebutkan tentang orang yang
muhsinin, maka orang yang muhsinin itu adalah mereka yang ihsan pada diri
mereka dan ihsan pada selain mereka.





Justeru itu, pada surah Luqman ada penambahan perkataan
‘rahmat’ disamping ‘petunjuk’ kerana sifat muhsinin itu mempunyai penambahan
makna iaitu bukan sekadar baik untuk diri sendiri bahkan kepada orang lain.





Tambahan pula, sifat ihsan kepada orang lain itu adalah
salah satu bentuk kerahmatan maka Allah tambahkan rahmat kerana mereka
merahmati orang lain.





Menarik bukan?!





Inilah indahnya apabila al-Quran kerana setiap satu
‘penambahan’ bahkan setiap susunan, pilihan perkataan itu tidaklah sia-sia
tetapi mempunyai makna tersirat yang akan menonjolkan keagungan al-Quran.





Pun begitu, untuk mewujudkan persoalan-persoalan yang
kritikal ini bukan usaha yang mudah namun ia tidak juga terlalu susah. Ia
memerlukan kepada penilitian yang menyeluruh terhadap al-Quran sama ada dengan
banyak membaca al-Quran atau membaca buku-buku yang membahaskan tentang
al-Quran disamping berguru.





Tambahan lagi, langkah yang praktikal yang boleh diambil
oleh pembaca adalah mencari kenalan yang rapat atau mungkin juga pasangan hidup
masing-masing untuk membantu menimbulkan pelbagi persoalan. Dan yang paling
penting, ikhlaskan niat dan mohonlah doa dari Allah SWT diberikan kefahaman
yang baik terhadap al-Quran melalui persoalan-persoalan yang boleh ditimbulkan.





Akhir sekali penulis cuba untuk berkongsi bentuk-bentuk
soalan yang boleh ditimbulkan ketika proses tadabbur dilakukan. Antaranya





Kenapa sesuatu perkataan itu digunakan? Berapa
kali ia disebutkan dalam al-Quran? Adakah ada perkataan lain dalam bahasa Arab
yang merujuk makna yang sama apabila ia diterjemahkan?Kenapa Allah mendahulukan sesuatu ayat
berbanding ayat selepasnya?Adakah terdapat persamaan ayat yang dibaca
dengan ayat-ayat lain. Jika ia kenapa ia berulang? Atau sebenarnya perkataan
yang digunakan atau penceritaan yang dibentangkan terdapat sedikit perbezaan?Adakah terdapat ayat-ayat yang hampir sama
tetapi wujud perbezaan dari sudut pengurangan atau penambahan perkataan?



Rujukan





Ulum Quran, Syeikh Manna’ QatthanAs-Ilah Bayaniyyah Fi al-Quran, Fadhl Salih
As-SamiraieMembumikan Tadabbur, Tadabbur Centre.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 26, 2019 19:41

June 19, 2019

Naiklah Bersama Kami – Kami Adalah Yang Beriman Dengan Akhirat.





Kita terus menyelak lembaran Irkam Ma’ana. Tanpa rasa
bosan dan jemu. Untuk meyakinkan jiwa kita bahawa menaiki bahtera keimanan
inilah apa yang sepatutnya kita lakukan. Keindahan wujud di dalamnya, kekuatan
ada bersamanya. Menaiki bahtera ini, seakan-akan kita bakal menjadi manusia
paling bahagia, paling hebat di atas dunia, dan berjaya pula di akhirat sana.





            Akhirat.
Ya. Kita menyatakan bahawa bahtera ini adalah bahtera yang menuju kepada Allah
SWT, menuju kepada redhaNya dan syurgaNya. SyurgaNya berada di akhirat sana.
Tanda bahawa, penumpang-penumpang bahtera ini antara ciri-cirinya adalah yang
beriman dengan akhirat.





            Mengapa
kami beriman dengan akhirat?





            Sedangkan
akhirat itu tidak pula kami lihat?





Cukuplah Pada Kami Apa Yang Tuhan Kami
Khabarkan.





“Dan
tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan
yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi
orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
Surah Al-An’am ayat 32.





            “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia
ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan
kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan
sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah
mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).
Surah Al-Ankabut ayat 64.





“(Ingatlah)
bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat
permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan
memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda
kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).
Surah Muhammad ayat 36.





            Itulah
firman Tuhan kami, para penumpang bahtera. Cukuplah pada kami apa yang Dia
sampaikan melalui KitabNya, Al-Quran, melalui RasulNya, Rasulullah SAW.





            Akhirat
yang kami percaya adalah negeri yang kekal abadi. Di sana, kami akan
dibangkitkan semula daripada kematian di dunia, dan kami akan dihitung oleh
Allah SWT.





            “Dan
katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu,
maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu
kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi
orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana
khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi
pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah
buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat
bersenang-senang.
 Sebenarnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan
menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.
 Mereka
itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan
memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam;
mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang
berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah
Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.”
Surah Al-Kahf ayat 29-31.





            Maka
pastinya kami tidak mahu menjadi yang rugi, yang terseksa.





            Kami mahu
menjadi yang berjaya. Yang bahagia selama-lamanya.





Maka kerana itu, kami bersungguh-sungguh
di dalam kehidupan ini.





Kerana kami beriman dengan wujudnya hari akhirat itu, maka
kami bersungguh-sungguh dalam mengisi kehidupan di dunia ini. Kami berusaha
mengisinya dengan kebaikan. Kami berusaha mencuci diri kami daripada kejahatan.
Kerana kami yakin, semua yang kami lakukan akan diberikan pembalasan. Di dunia
mungkin tidak, tetapi di akhirat adalah pasti.





            “Sesungguhnya
manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.
 Dan
sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang
demikian.
 Dan
sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).
 (Patutkah
ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika
dibongkarkan segala yang ada dalam kubur?
 Dan
dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada?
 Sesungguhnya
Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya
kepada) mereka – pada hari itu.
Surah Al-‘Adiyat ayat 6-11.





            Kami
tidak mahu di akhirat nanti, kami dimarahi oleh Allah SWT. Kami tidak mahu pada
saat yang kami paling memerlukan rahmat dan kasih sayangNya, kami ditinggalkan.





            “Dan
sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya
adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari
kiamat dalam keadaan buta.”
Surah Toha ayat 124.





Kalau kita perasan, di manakah lagi
tempat beramal kalau bukan di dunia?





Maka kerana itulah, di dunia ini kami
bersungguh-sungguh.





Sesungguhnya yang berjaya, dalam erti
kata yang sebenar, adalah yang terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam
syurga.





“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai
mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan
kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga
maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia
ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah
kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Surah Ali-Imran ayat 186.





Maka semestinya, kami tidak mahu diri
kami tertipu dengan dunia.





Dunia kami jadikan medan untuk kami
beramal dan mentaatiNya.





Keimanan Menggerakkan Kami.





Kalaulah kami ini tidak beriman dengan hari akhirat,
nescaya kami akan melakukan apa sahaja yang kami suka di dunia. Mati, menjadi
debu. Tetapi indahnya Allah SWT dalam ‘menghidupkan’ dunia ini, dijanjikan
kepada hamba-hambaNya akhirat yang kekal abadi. Agar di dunia ini, tidaklah
hambaNya hidup semberono.





            Keimanan
ini menggerakkan kami. Kami percaya dengan apa yang Allah SWT janjikan kepada
kami. Kami percaya dengan wujudnya akhirat sebagaimana yang dinyatakan olehNya.
Kami percaya dengan syurga dan neraka yang diciptakan olehNya.





            Bahkan
logiknya, sangatlah pelik apabila alam serba sempurna ini, diciptakan hanya
untuk dihancurkan begitu sahaja. Pasti selepas kehancurannya, ada sesuatu
selepasnya. Mustahil Tuhan melakukan perkara yang sia-sia.





            “Dan
(ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di
antaranya, secara main-main.”
Surah Al-Anbiya’ ayat 19.





            Dengan
jelas, Allah SWT menyatakan bahawa kepadaNya kita semua akan dikembalikan.





            “Maka
adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada
kepada ada) hanya untuk bermain-main? Dan kamu (menyangka pula) kepada kami
tidak akan dikembalikan?”
Surah Al-Mu’minun ayat 115. 





            Maka
keimanan ini menggerakkan kami. Menggerakkan kami untuk beramal dan berusaha.
Melajkukan yang terbaik di atas dunia. Membeli akhirat dengan dunia ini.
Bukannya membeli dunia dengan menjualkan akhirat.





            Maka kami
tunduk, taat, dan patuh kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.





            “Demi
sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan
baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak
(dalam masa susah dan senang).
Surah Al-Ahzab ayat 21.





Penutup: Akhirat kampung halaman kami.
Dunia hanya tempat kembara.





Akhirat adalah kampung halaman kami. Ke sana kami akan
kembali.





            Dunia ini
tidak lain hanyalah tempat kembara mengumpul bekal. Hanya ladang untuk menanam
benih. Akhirat adalah kehidupan sebenar, dan tempat menuai hasil.





            Kepercayaan
ini membuatkan kami penumpang bahtera tidak bermain-main di atas dunia. Serius.
Berwawasan. Matang. Dan tidak mensia-siakan apa yang kami ada. Segala apa yang
kami mampu, kami sumbangkan kepada Islam, di atas jalan Allah SWT.





            Semuanya
untuk membina kehidupan di sana.





            “Wahai
orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh
menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
 Iaitu,
kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan
menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah
yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang
sebenarnya).
 (Dengan
itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam
taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu
di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga Adn. Itulah kemenangan yang
besar.
Dan
ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan
kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang
mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.”
Surah As-Saff ayat 10-13.





            Anda
bagaimana?





            Irkam
Ma’ana!





            Naiklah
bersama kami!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 19, 2019 23:34

Naiklah Bersama Kami – Kami Adalah Yang Beriman Dengan Qada’ dan Qadar.





Qada’ dan Qadar. Kita sering mendengar. Mudah ceritanya,
Qada’ adalah perlaksanaan terhadap apa yang telah Allah tentukan. Manakala
Qadar adalah sukatan yang telah Allah SWT tetapkan pada satu-satu perkara.





            Qada’
terbahagi kepada 2.





Qada’ Mubram: Yakni ketentuan yang pasti dilaksanakan.
Contohnya, kiamat, mati. Itu semuanya memang pasti. Tidak boleh diubah.Qada’ Mu’allaq: Yakni ketentuan Allah SWT yang tidak pasti
berlaku kepada semua, tetapi bergantung kepada sesuatu perkara. Contohnya,
kisah Saidina Umar RA yang tidak pergi ke satu negeri kerana negeri itu
diserang wabak taun. Abu Ubaidah Al-Jarrah RA bertanya kepada Umar RA: “Apakah
engkau melarikan diri daripada takdir Allah?” Umar RA menjawab: “Saya lari
daripada takdir Allah, kepada takdirNya yang lain.”



Maka kami penumpang bahtera keimanan,
yang destinasinya adalah Allah SWT, redhaNya, syurgaNya, beriman dengan qada’
dan qadar ini. Segala apa yang berlaku, kami mempercayai bahawa itu semua
adalah susunanNya, tanpa menafikan ruang dan peluang untuk kami berusaha dalam
menjadikan hari kami lebih baik dan selesa.





Dalil-dalil akan kewajiban mempunyai
keimanan ke atas Qada’ dan Qadar.





“Dan tiap-tiap suatu adalah ditetapkan disisi Allah dengan
kadar yang tertentu.”
Surah
Ar-Ra’d ayat 8.





“Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap suatu lagi menentukan
keadaan makhluk itu dengan ketentuan takdirnya yang sempurna.”
Surah Al-Furqan ayat 2.





            “Apabila
Allah hendak meluluskan suatu perkara maka ia hanyalah berfirman kepadanya :
Jadilah lalu terus berlaku.”
Surah
Ali-Imran ayat 47.





“Dialah Allah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian ia
tentukan ajalnya. (Tempoh kematian kamu).”
Surah Al-An’am ayat 2.





Sabda Rasulullah SAW: “Hendaklah kamu percaya kepada Allah, MalaikatNya, Kitab-kitabNya,
Rasul-rasulNya, Hari Akhirat, dan beriman pula dengan Qadar (ketentuan) baik
dan buruk.”
Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.





Maka jelas di sini, bagi yang menaiki
bahtera keimanan, beriman kepada qada’ dan qadar adalah satu kewajiban. Nyata.
Tiada dolak-dalih.





Ramai Yang Salah Faham.





Ramai yang menyangka bahawa, apabila dia mengetahui segala
sesuatu itu sudah punya ketetapannya daripada Allah SWT, maka tidak perlu lagi
kepada usaha.





            Ini
berlaku kepada seorang lelaki yang meninggalkan untanya tanpa ditambat.
Rasulullah SAW bertanya: “Mengapakah engkau tidak menambat untamu?”





            Lelaki
itu menjawab: “Aku bertawakkal.”





            Rasulullah
SAW membalas: “Ikatlah untamu, dan bertawakkal lah.”





            Jelas
bahawa, beriman kepada qada’ dan qadar tidak bermakna kita melepaskan
segala-galanya begitu sahaja. Tetapi kita juga dituntut untuk berusaha. Kerana
usaha adalah salah satu tanda bahawa kita masih yakin kepada Allah SWT.





            Allah SWT
sendiri berfirman:





            “Sesungguhnya
Allah itu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu terlebih
dahulu mengubah apa yang ada di dalam dirinya.”
Surah Ar-Ra’d ayat 11.





            Dan buat
apa Allah SWT mengarahkan hamba-hambaNya untuk berdoa, kalau usaha itu tidak
perlu? Bukankah berdoa itu sendiri adalah salah satu daripada bentuk usaha?





            “Dan
berkata Rabb kalian: Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku makbulkan!”
Surah
Al-Ghafir ayat 60.





            Kami yang
menaiki bahtera keimanan ini tidak semudahnya menyalahkan takdir dalam segenap
urusan kami. Tidaklah kami berkata bahawa Allah telah memang mentakdirkan kami
buruk apabila kami melakukan keburukan. Tidaklah pula kami berkata bahawa Allah
adalah yang memutuskan jodoh kami apabila jodoh kami terputus. Dan tidaklah
pula kami pandai-pandai menyatakan itu dan ini adalah takdir kami, kerana nyata
kami tidak punya pengetahuan berkenaan hal itu.





            Di
sinilah kami mempercayai bahawa, ruang usaha dan ikhtiar itu terbuka luas.





            Mahu
menjadi apa?





            Mahu
mendapatkan apa?





            Usaha.





            Allah SWT
sendiri berfirman:





            “Apabila
kamu telah berazam, maka bertawakkal lah kepada Allah.”
Surah Ali-Imran
ayat 159.





            Jelas,
usaha sambil berserah. Bukan berserah semata-mata. Bukan berusaha semata-mata.
Perlu lengkap melengkapi.





Tetapi Sekiranya Kami Tidak
Memperolehi…





Tetapi sekiranya kami, setelah berusaha dengan gigih dan
mencuba segala solusi, tetap tidak berjaya, tetap tidak mendapatkan apa yang
kami mahu, maka redha adalah jawapan kami kepada Allah SWT. Begitulah juga
apabila kami ditimpa kelemahan, kerosakan, bencana. Kerana akhirnya, kami
sebagai hambaNya tidak mengetahui apa-apa. Allah jualah yang mengetahui apa
yang baik atau buruk bagi kami.





            “Diwajibkan
ke atas kamu berperang dan itu bukanlah disukai kamu. Tetapi boleh jadi apa
yang kamu benci itu baik buat kamu. Dan boleh jadi apa yang kamu sukai itu
buruk bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui, manakala kamu tidak mengetahui.”

Surah Al-Baqarah ayat 216.





            Maka kami
redha. Pasrah. Dan jelas bahawa kami berusaha dalam keadaan kami yakin bahawa
Allahlah yang memberikan bantuan kepada kami, Allahlah yang memberikan tenaga
kepada kami, Allahlah yang memberikan keizinan kepada kami. Maka apabila Dia
memberikan sesuatu yang bukan kami mahu, kami perlu yakin bahawa itu adalah
yang terbaik bagi kami. Sesungguhnya pengetahuan Allah, nyata tidak akan
sesekali mampu ditandingi pengetahuan hamba-hambaNya.





            Dan kami
amat percaya, bahawa Allah SWT itu tidak akan sesekali zalim kepada
hamba-hambaNya.





            Rasulullah
SAW bersabda di dalam hadith qudsi bahawa Allah SWT berfirman: “Wahai
hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman pada diriKu, dan
Aku menjadikannya haram untuk diri kalian. Maka janganlah kalian saling
menzalimi.”
Hadith Riwayat Muslim.





            Maka
nyatanya, segala apa yang berlaku pasti wujud suratan hikmahNya, kebijaksanaanNya.





            Ini
membuatkan kami redha. Positif.





            Semuanya
adalah kami percaya bahawa, segala apa yang berlaku adalah daripada ketentuan
Allah SWT. Allah SWT hanya inginkan yang terbaik buat kami.





Penutup: Ketentuan Allah. Kerana Itu
Kami Tunduk.





Mempercayai Qada’ dan Qaar dalam erti kata yang sebenar
adalah teramat penting bagi menjalani kehidupan yang sejahtera. Salah
memahaminya, kita tidak akan bekerja. Silap memahaminya, kita akan sentiasa
meletakkan segala kesalahan kepada Allah SWT.





            Tetapi
bagi yang memahaminya dengan baik, akan bahagia, akan kuat berusaha.





            Sebab itu
kami penumpang bahtera, sentiasa kuat dan bahagia.





            Kadangkala
kami jatuh juga. Merungut juga. Merintih juga. Tetapi mengenangkan hakikat
qada’ dan qadar ini, jiwa kami akan terpujuk semula. Kerana itu Rasulullah SAW
dan Para sahabat tabah berjuang hingga ke akhirnya. Kerana mereka memahami
qada’ dan qadar ini dalam erti kata yang sebenarnya.





            Maka apa
yang kita tunggu lagi?





            Marilah
beriman dengan keimanan terhadap qada’ qadar ini sebenar-benarnya.





            Irkam
Ma’ana.





            Naiklah
bersama kami.





            Ke atas
bahtera keimanan yang menuju kepada Allah, redhaNya, syurgaNya!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 19, 2019 23:24

Naiklahh Bersama Kami – Kami Yang Beriman Dengan Al-Quran.





Kita menyelak lagi lembaran para penumpang bahtera, yang
menjadikan Allah SWT sebagai destinasinya, begitu juga redhaNya dan syurgaNya.
Kali ini membicarakan lagi perihal ciri-ciri penumpang bahtera, yakni kami
penumpang bahtera, adalah yang beriman dengan Al-Quran.





            Kita
semua sedia maklum bahawa semua agama punya kitabnya. Tetapi satu persoalan
yang boleh kita lontarkan adalah sejauh mana kebenaran kitab-kitab mereka?
Benar ini tidaklah kita ukur dengan kepercayaan mereka. Tetapi perlu kita ukur
dengan realistiknya perjalanan dunia. Begitu juga Al-Quran, sebenarnya.





            Kami
penumpang bahtera, keimanan kami kepada Al-Quran bukanlah buta.





            Bukanlah
kerana Al-Quran itu kitab agama Islam, maka kami percaya dengan membuta tuli
begitu sahaja. Kami percaya dengan ilmu, dengan kebenaran yang memang jelas
wujud kepadanya.





Diturunkan Al-Quran sebagai kitab yang
sempurna.





Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT, melalui wasilah
malaikatNya, Jibril AS kepada Rasulullah SAW. Diturunkan kala X-ray belum
wujud, kala angkasa lepas belum dikaji, kala pelbagai penemuan di dalam
kehidupan belum lagi ditemui.





            Diturunkan
pula kepada Rasulullah SAW, seorang ‘ummi’, yakni buta huruf. Seorang
pengembala kambing. Seorang yatim piatu. Seorang yang duduk di lembah arab, yang
peradabannya jauh lebih mundur dari dua peradaban besar ketika itu – Rom dan
Parsi.





            Sebelum
Al-Quran, telah diturunkan kepada ummat manusia beberapa kitab. Yang masyhur
adalah Kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Dawud AS, Kitab Taurat yang
diturunkan kepada Nabi Musa AS, dan Kitab Injil yang diturunkan kepada Isa AS.
Tetapi kitab-kitab ini telah diselewengkan oleh ummat-ummatnya selepas wafatnya
Rasul mereka.





            Maka
diutus Rasulullah SAW bersama kitab muktamad daripada langit, yang turun secara
berperingkat-peringkat, bukan sekaligus.





            “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan
peringatan(Al-Quran) dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
Surah Al-Hijr ayat 10.





            Hingga
apabila ada yang menuduh bahawa Rasulullah SAW mereka-reka isi Al-Quran, Allah
SWT telah menurunkan empat kali ayat cabaran agar ada yang cuba mencipta
sesuatu yang sesempurna Al-Quran yang Allah SWT turunkan.





            “Dan
jika kamu tetap dalam keraguan tentang Al-Quran yang kami wahyukan kepada hamba
kami(Muhammad), buatlah satu surah yang semisal Al-Quran itu dan ajaklah
penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.”

Surah Al-Baqarah ayat 23.





“Atau(patutkah) mereka mengatakan:
Muhammad membuat-buatnya. Katakanlah: (Kalau benar apa yang kamu katakana itu),
maka cubalah datangkan sebuah surahg seumpamanya dan panggillah sesiapa yang
dapat kamu panggil selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.”
Surah Yunus ayat 38.





“Bahkan mereka mengatakan: Muhammad
telah membuat-buat Al-Quran itu. Katakanlah: (Kalau benar demikian), maka
datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah
orang-orang yang kamu sanggup selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang
benar.”

Surah Hud ayat 13.





“Maka hendalah mereka mendatangkan
kalimah yang seperti Al-Quran itu, jika mereka dari kalangan orang-orang yang
benar.”

Surah At-Tur ayat 34.





“Sesungguhnya jika manusia dan jin
berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan
dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu
sebahagian yang lain.”
Surah Al-Isra’ ayat 88.





Dan tiadalah sesiapa, dari dahulu hingga
sekarang, mampu mencipta sesuatu sesempurna Al-Quran. Seindah Al-Quran.
Se’benar’ Al-Quran.





Tiada.





Memang tidak dapat dinafikan, wujud
usaha-usaha tersebut. Tetapi tiada yang berjaya. Apa yang mereka reka dangkal
sekali, dan langsung tidak mampu menyamai kehebatan Allah SWT yang menurunkan
kalamNya itu.





Sempurna Dari Segala Segi.





Al-Quran sempurna dari segala segi. Lenggok bahasanya
tiada pembaziran. Sempurna. Nyata manusia yang mereka sesebuah buku, tidak akan
mampu mencipta sebuah buku sesempurna itu. Tiada.





            Apatah
lagi, apabila diturunkan pada zmaan tidak wujudnya tekologi moden, Al-Quran
mendahului sistem X-Ray 14 kurun lebih awal apabile menceritakan bagaimana
perjalanan embriologi bayi hingga lahirnya ia.





            “Kemudian Kami ciptakan air benih itu
menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul
daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian
Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami
bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan
dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”
Surah
Al-Mu’minun ayat 14.





            Bagaimana
seorang Rasulullah SAW, yang buta huruf, zamannya tidak pula punya teknologi
X-Ray mampu mengeluarkan ayat sebegini dengan sendiri?





            Al-Quran
juga jelas membicarakan perihal angkasa raya:





            “Selain itu (sungguh ngeri) ketika
langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
hendak dustakan?”
Surah
Ar-Rahman ayat 36-37.





            Dan kala
manusia berjaya mencipta Teleskop Hubble, kita menjumpai letupan di angkasa
raya yang mengeluarkan bentuk seperti bunga mawar.





            Kemudian,
pada zaman moden inilah kita menjumpai bahawa reseptor ‘sakit’ wujud pada
kulit. Namun Al-Quran telah menyatakannya 14 kurun lebih awal.





            “Sesungguhnya orang-orang yang kufur
ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api
neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka
kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Surah
An-Nisa’ ayat 56.





            Mengapa
tidak digantikan tulang dan sebagainya? Kerana jelas mengikut kajian terkini
bahawa, sekiranya kulit terbakar hangus, maka tidak lagi rasa sakit akan
muncul. Jelas ilmu bahawa kulit adalah yang mempunyai reseptor ‘sakit’ itu
dinyatakan 14 kurun sebelum penemuannya menggunakan teknologi moden!





Pelbagai lagi keajaiban ilmu yang wujud
di dalam Al-Quran, dan mustahil ini mampu dicapai oleh Rasulullah SAW, direka
sendiri oleh baginda, yang duduk di lembah arab, ditambah pula baginda seorang
yang buta huruf!





            Al-Quran
juga tidak pernah menyatakan sejarah-sejarah yang silap.





            Tidak
cukup dengan itu, Al-Quran tidak sesekali hanya menceritakan perihal sejarah
semata-mata, tetapi juga membawa makna dan pengajaran yang mendalam. Ditambah
dengan nilai bahasa yang sangat tinggi hingga membuatkan bangsa arab yang
terkenal dengan ketinggian sastera mereka, turut terdiam. Ini semua membuatkan
Al-Quran menjadi kitab yang tidak tertanding. Al-Quran juga realistik dengan
peredaran zaman. Tiada apa-apa perubahan yang dilakukan ke atas isi Al-Quran
semenjak dari zaman Rasulullah SAW, tetapi masih relevan hingga kini.





            Al-Quran
nyata kitab Hidayah daripada Tuhan. Bukan direka-reka oleh tangan manusia!





            Kita
boleh kaji Bible pada hari ini. Kita akan jumpa pelbagai kesilapan. Dalil-dalil
yang bertembung. Kemudian sejarah yang silap. Penggunaan bahasa yang lemah.
Kita boleh jumpa pelbagai kecacatan di dalam Bible jika kita kaji.





Dan lihatlah alam ini.





Kemudian kita lihatlah alam ini. Sempurna bukan?





            Peredaran
orbitnya. Kitaran airnya. Komposisi udaranya. Perjalanannya. Semuanya sempurna.
Teratur. Tidak berlanggaran sesama sendiri. Kecuali jika manusia menganggunya
dengan tangan-tangan mausia sendiri.





            Kini,
selepas penemuan demi penemuan, tiada siapa yang mampu untuk menafikan kewujudan
‘Pencipta’ untuk alam ini. Tinggal, masing-masing masih mencari, ‘siapakah’
pencipta tersebut.





            Di
sinilah kita suakan kesempurnaan Al-Quran.





            Tidakkah
kita lihat bahawa Al-Quran itu seakan-akan galaksi ‘kecil’? Yang bergerak
dengan sempurna. Ayat-ayatnya tidak bertembung. Seninya sangat tinggi. Bukankah
serupa dengan penciptaan alam ini?





            Maka
siapakah yang menurunkan Al-Quran? Bukankah Allah?





            Maka
siapakah yang mencipta alam ini, kalau bukan yang mampu memberikan kesempurnaan
yang sama?





            Bukankah
Allah?





Penutup: Ini Keyakinan Kami.





Maka Al-Quran sentiasa menjadi teman kami, penumpang
bahtera. Al-Quran menjadi dasar perlembagaan kehidupan kami, petunjuk sepanjang
perjalanan kami.





            Al-Quran
adalah inspirasi utama kami. Menyuluh kegelapan dalam kehidupan kami. Sumber
kebenaran itu akhirnya adalah Al-Quran sendiri.





            Kerana
itulah Allah SWT memberikan peringatan agar sentiasa mendalami Al-Quran:





            “Maka adakah mereka tidak berusaha
memahami serta memikirkan isi Al-Quran?”
Surah
Muhammad ayat 27.





            Persoalannya
kini, siapakah yang mendalami Al-Quran? Siapakah yang mengkaji Al-Quran?





            Anda
bagaimana?





            Marilah
naik ke bahtera ini bersama kami. Menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk. Teman
hidup. Agar hidup sentiasa dipandu kebenaran dan ditemani ketenangan hakiki.





            Irkam
Ma’ana!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 19, 2019 23:15

Naiklah Bersama Kami: Kami Beriman Dengan Rasulullah SAW.

Bagi yang penumpang bahtera ini pada zaman mutakhir ini,
Rasulullah SAW adalah satu persona penting. Kerana baginda adalah pemandu
sebenar bahtera ini. Nakhoda utama, yang bergerak untuk menyelamatkan lebih
ramai manusia pada zamannya dan selepas kewafatannya.





            Justeru,
kami penumpang bahtera beriman dengan baginda SAW. Bahkan, kami bukan sekadar
mempercayai, tetapi juga menjadikan baginda sebagai qudwah. Itu antara
ciri-ciri yang utama bagi penumpang bahtera ini, yang destinasinya adalah
keredhaan dan syurgaNya.





            Apa yang
istimewanya Rasulullah SAW? Mungkin ada yang bertanya.





            Baginda,
adalah manusia yang teristimewa, dan di dalam kehidupannya, terdapat pelbagai
contoh yang menggegarkan jiwa. Siapa yang mengikuti jejak langkah baginda akan
selamat, bagi yang berdegil, akan akan mendapat keburukan sebagai penamat.





Gesaan Allah SWT





“Demi sesungguhnya,
adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi
orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari
akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa
susah dan senang)
Surah Al-Ahzab ayat 21.





            Allah SWT
menggesa hamba-hambaNya untuk mencontohi Rasulullah SAW. Allah sendiri jelas
menyebut bahawa, orang yang mengharapkan keredhaanNya, itulah orang-orang yang
mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan mereka.





            Bukan
mencontohi yang lain. Bukan dan bukan.





            Bahkan,
Allah SWT menggesa untuk segala arahan Rasulullah SAW itu dituruti, dan apa
yang dilarang oleh baginda juga ditinggalkan.





            “Apa
yang dibawa kepada kamu oleh Rasul(Rasulullah), ambillah(taatlah). Dan apa yang
dilarangnya kepada kamu, tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah,
sesungguhnya Allah itu amat keras hukumanNya.”
Surah Al-Hasyr ayat 7.





            Hingga
begitu sekali Allah SWT menyuruh hamba-hambaNya mentaati Rasulullah SAW. Nyata,
Rasulullah SAW bukan manusia biasa dari kalangan manusia. Baginda adalah
manusia termulia, dalam kalngan manusia biasa ini.





            Seorang
yang tidak akan melakukan apa-apa, tidak akan bersuara, melainkan semuanya
adalah daripada Allah SWT.





            “Dan ia tidak
memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan
pendapatnya sendiri.
 Melainkan segala yang
diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
Surah An-Najm ayat 3-4.





            Maka bagi
penumpang bahtera yang hendak menuju kepada Allah SWT dan syurgaNya, semestinya
Rasulullah SAW adalah yang menjadi contoh. Apatah lagi, baginda adalah nakhoda
kepada bahtera ini. Rasulullah. Utusan Allah SWT. Untuk menjadi rahmat,
penyelamat, kepada seluruh alam ini.





            “Dan tiadalah
Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi
sekalian alam.

Surah Al-Ahzab ayat 107.





Ketenangan hidup itu, ada pada apa yang
ditunjukkan oleh baginda





Rasulullah SAW bukanlah manusia paling senang di dalam
hidup. Bahkan, baginda adalah manusia yang melalui pelbagai cabaran dan mehnah
dalam kehidupannya. Rasulullah SAW dilahirkan sebagai anak yatim, dan pada
umurnya enam tahun baginda menjadi yatim piatu. Pada umur 8 tahun, baginda
kehilangan nendanya yang mencintainya penuh kasih – Abdul Muttalib. Kemudian
baginda dibela oleh pakciknya, yang mempunyai ramai anak membuatkan dirinya
tidak kaya – Abu Talib.





            Lantas
Rasulullah SAW ini membesar dengan dididik kesukaran. Diangkat menjadi Rasul
pada usia 40 tahun, dan kaum kerabatnya tidak pula menerima ajakan baginda.
Bahkan, baginda ditohmah, dikeji, bahkan diseksa dengan dasyat sekali. Tengkuk
baginda pernah menjadi tempat melandasnya perut unta yang penuh najis lagi
busuk. Tubuh baginda pernah menjadi tempat mendaratnya batu-batu, hingga berdarah
seluruh tubuh. Gigi baginda pernah patah di dalam peperangan, dan baginda
pernah terjatuh akibat dipukul musuh. Baginda juga tidak lepas dari cubaan
membunuh berkali-kali dari musuh yang berbeza-beza.





            Baginda,
bukanlah malaikat. Itulah yang menjadikan baginda sebagai contoh kita, manusia
biasa.





            Baginda
menunjukkan kepada kita, saat-saat sukar apa yang perlu dilakukan.





            Rasulullah
SAW, saat sukarnya, baginda tidak mengadu kepada orang ramai. Bahkan, baginda
mengadu kepada Allah SWT.





            “Wahai
Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya
upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah kepada siapa
Engkau menyerahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkam aku ataukah kepada
keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku, tidak ada keberatan bagiku
asal aku tetap dalam keredhaan-Mu. Dalam pada itu afiatMu lebih luas bagiku.
Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari segala langit
dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan
akhirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun
atasku azab-Mu kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau redha. Tidak
ada daya upaya melainkan dengan Engkau.”





            Itulah dia doa baginda apabila baginda dilempar batu
hingga berdarah-darah seluruh tubuh ketika berdakwah di satu tempat bernama
Ta’if. Baginda tidak mencaci yang membaling batu kepadanya, tidak pula merungut
kepada Allah yang memberikan tugasan berat ini kepadanya, tidak pula berhenti.
Tetapi baginda memohon kekuatan yang lebih, meminta agar dirinya diselamatkan agar
menjadi lebih tabah untuk meneruskan perjuangan.





            Apabila
bapa saudaranya Abu Talib, dan isterinya Khadijah meninggal dunia pada tahun
yang sama, yang mana kedua-duanya amat kuat melindungi baginda, telah
menyebabkan ramai manusia semakin hebat menyeksa baginda hingga dinamakan tahun
itu tahun kesedihan. Pada tahun itu, Allah SWT menurunkan ayat penenang kepada
baginda, yang akhirnya menjadi motivasi juga buat kita.





            “Demi waktu
dhuha,
 Dan malam apabila
ia sunyi-sepi(berhenti),
 (Bahawa)
Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu,
sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
 Dan sesungguhnya
kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
 Dan
sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan
di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.
 Bukankah
dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
 Dan
didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah
petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?
 Dan
didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?
 Oleh
itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,
 Adapun
orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;
 Adapun
nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai
bersyukur kepadaNya.

Surah Adh-Dhuha ayat 1-11.





            “Bukankah Kami
telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman
dan hidayah petunjuk) ?
 Dan Kami telah
meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam). Yang memberati
tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?
 Dan Kami telah
meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan
berbagai kemuliaan)?
 Oleh itu, maka
(tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai
kemudahan,
 (Sekali lagi
ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
 Kemudian apabila
engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah
engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),
 Dan kepada
Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).
Surah Asy-Syarh ayat 1-8.





            Walaupun
selepas era dakwah di Makkah, yakni era dakwah di Madinah Rasulullah SAW sudah
menjadi seorang pemerintah, ujian dan dugaan tetap datang tidak bertepi.
Peperangan demi peperangan, urusan dengan Yahudi dan kaum munafik, semuanya
datang tidak berhenti.





            Namun,
baginda tetap masih ada masa untuk isteri dan anak-anaknya. Tetap ada masa
memberikan penyampaian dan pengisian kepada para sahabatnya. Tetap ada masa
bersenda gurau dengan anak-anak kecil dan melayani orang-orang tua yang ada
bersamanya.





Jelas baginda menunjukkan resepi
ketenangan di dalam kehidupan ini kepada kita. Walaupun kehidupan baginda penuh
dengan ranjau dan halangan, tidak pernah direkodkan bahawa baginda adalah
seorang yang tertekan, emosi, hilang kawalan dan seabagainya. Jauh sekali
membunuh diri dan melakukan tindakan-tindakan gila yang lainnya.





            Resepi
ketenangan, yang ada pada baginda adalah – baginda merapat kepada Allah SWT.





            Kerana
itu, penumpang bahtera ini, menjadikan baginda contoh utama.





Rasulullah SAW dan makna kehidupan





Rasulullah SAW sering mendidik ummatnya agar bersederhana
dan tidak pula menjadikan dunia sebagai matlamat. Baginda mendidik agar
kehidupan ini bersih dari segala makar yang merosakkan. Baginda mengajak hanya
kepada kebaikan, agar kita dapat mencapai makna kehidupan.





            Rasulullah
SAW bersabda:





            “Tidaklah
kekayaan itu dengan kekayaan harta, tetapi kekayaan yang sebenar adalah
kekayaan jiwa.”
Hadith riwayat Muslim dan Bukhari.





            “Sesungguhnya
Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada kedua ibu bapa, menanam anak
perempuan hidup-hidup, enggan memberikan harta miliknya tetapi meminta-minta
pula kepada yang lain, dan ditegah lagi ke atas kamu tiga perkara iaitu
mengada-adakan cerita, banyak bertanya(perkara yang tidak penting), dan
membazirkan harta.”
Hadith riwayat Bukhari.





            Makna
kehidupan itu ditunjukkan oleh Rasulullah SAW adalah dengan melakukan perkara
yang diredhai Allah SWT. Segala apa yang diarahkan baginda, adalah arahan
daripada Allah SWT. Dan kita sendiri sudah dapat melihat bahawa, tiada apa yang
diarahkan oleh Allah SWT itu melainkan hanya mendatangkan kebaikan kepada kita
semua.





            Kami
penumpang bahtera, mustahil menjadikan yang selain ini sebagai contoh ikutan
kami.





            Sudahlah
dunia selamat dan sejahtera, hidup dalam ketenangan dan bahagia, tetapi di
akhirat pula dijanjikan syurga yang kesenangannya tiada batas?





            Pasti
inilah pilihan kami.





Lebih-lebih lagi, Rasulullah SAW ini
merindui kami.





Abu ‘Ubaidah Al-Jarrah
RA bertanya: “Wahai Rasulullah s.a.w, adakah manusia yang lebih baik dari
kami? (sedangkan) Kami Islam bersama-sama kamu dan kami berjihad bersama-sama
kamu.” Menjawab Baginda SAW: “Ya (ada) iaitu kaum yang berada selepas
dari kamu, mereka beriman denganku, sedangkan mereka tidak pernah
melihatku.”
Hadith Riwayat Ahmad
dalam musnadnya.





            Mustahil kami akan berpaling daripada Rasulullah SAW.





            Akhlak baginda yang bersih, hala tuju yang baginda pergi,
dan apa yang baginda bawa semuanya adalah kebaikan. Bahkan baginda amat
mencintai ummatnya, walaupun yang bukan sezaman dengan baginda.





            Maka kami penumpang bahtera akan bergerak untuk memenuhi
perjuangan baginda.





Penutup: Hendak pergi kepada Allah,
perlu mengikuti Rasulullah





Allah SWT berfirman:





            “Katakanlah
(wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya
Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Surah Ali-Imran ayat 31.





            Maka
pastinya kami, yang menaiki bahtera ini untuk menuju kepadaNya, akan mengikuti
Rasulullah SAW. Daripada bagindalah kami belajar akan ibadah, kami belajar akan
akhlak, kami belajar akan perjuangan yang tidak kenal penat lelah. Daripada
baginda kami mengambil kekuatan, untuk meneruskan kehidupan.





            Kerana
kami yakin bahawa, dengan mengikuti apa yang baginda tinggalkan, kami tidak
akan sesat.





            “Aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh
dengannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah dia Al-Quran,
dan Sunnahku.”
Hadith riwayat Muslim dan Sunan Abu Dawud.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 19, 2019 23:12

Naiklah Bersama Kami: Kami Adalah Yang Beriman Kepada Allah SWT

Kita masih berada di dalam bahtera yang menuju ke
destinasi tertinggi. Itulah dia keredhaan dan syurga Ilahi. Sesungguhnya adalah
terletak kepada diri untuk memilih berada di dalam bahtera ini atau tidak mahu
bersamanya. Tiada paksaan.





            Tetapi
mengetahui bahawa ‘banjir besar’ yang berlaku dalam kehidupan masyarakat, kita
pastinya terfikir apakah kita sekadar ingin meneruskan kehidupan sebagai
‘perenang’ di dalam kerosakan ini, atau kita ingin melakukan perubahan dan
menaiki bahtera yang menyelamatkan kita? Pasti pengakhiran untuk kedua-dua
pilihan adalah sesekali tidak sama.





            Menaiki
bahtera ini, adalah ditawarkan kebahagiaan dan kelapangan jiwa, keselamatan dan
ketenangan hati, yang pastinya takkan mampu dicari di mana-mana selain di dalam
bahtera ini.





            Antara
ciri-ciri penumpang bahtera ini adalah, Kami beriman kepada Allah SWT.





            Itu
motivasi tertinggi kami.





Mengapa Keimanan Kepada Allah Adalah
Motivasi?





Persoalan utama. Mengapa keimanan kepada Allah
menyelamatkan kehidupan, dan memberikan motivasi untuk kita menongkah segala
cabaran serta menyelamatkan diri daripada kerosakan?





            Jawapannya
mudah.





            Kerana
keimanan kepada Allah adalah yang memberikan diri rasa ‘kebersamaan’.





            “Dan
demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa
yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya
daripada urat lehernya,
Surah Qaaf ayat 16.





            Maka
bagaimanakah sekiranya kita bersama dengan seorang sultan? Tidakkah kita merasa
selamat? Ya. Maka bagaimana pula jika kita percaya dan merasai bahawa kita
sentiasa bersama, bahkan amat dekat pula dengan Sultan Yang Menguasai Seluruh
Alam?





            “Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: 
Siapakah pencipta langit dan bumi?  Nescaya mereka menjawab: Semuanya
diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui.”
Surah Az-Zukhruf
ayat 9.





            Pastinya
rasa selamat yang tidak terhingga. Pastinya rasa termotivasi untuk melakukan
gerak kerja. Dan semestinya, kita akan merasa malu dan segan untuk melakukan
kejahatan. Kerana kita merasai, bahawa Dia bersama. Sebab itu, yang beriman
kepadaNya dengan keimanan yang sempurna, akan menjauhi perkara yang tidak diredhaiNya.





            “Tidak
akan mencuri seorang pencuri, sekiranya ketika dia mencuri itu dia beriman.
Tidak akan meminum arak seorang peminum arak, sekiranya ketika dia hendak
meminum arak itu dia beriman. Tidak akan berzina seorang penzina, sekiranya
ketika dia hendak berzina itu dia beriman.”
Hadith Riwayat Bukhari dan
Muslim.





            Nah.
Bagaimana keimanan kepada Allah tidak mampu menjadi ‘penyelamat’?





            Kerana
itu, yang menaiki bahtera ini, adalah yang beriman kepadaNya. Semua berusaha
menyelamatkan diri dari kerosakan yang menjemput murkaNya.





Mustahil kepada Tuhan tidak kami
tundukkan diri





Kita melihat dunia. Sempurna sistemnya. Amat indah
ciptaannya. Penuh dengan pelbagai peraturan, dan tidak pula berlanggaran. Hanya
sekiranya diganggu oleh tangan nista sang manusia, barulah berlaku pelbagai
kerosakan.





            Perhatikanlah
awan di langit, perhatikanlah pula air di sungai dan lautan, perhatikan
haiwan-haiwan bagaimana mereka hidup, perhatikan pula tumbuh-tumbuhan bagaimana
mereka membiak dan memberikan manfaat, dan mikrokan pandangan kita dengan
memerhati plankton-plankton, zarah-zarah, sel-sel yang wujud, kita besarkan
pula pandangan kita memandang Galaksi Bima Sakti dan memerhati bagaimana
Matahari, planet-planet, bintang-bintang, komet-komet, semuanya bergerak dengan
baik, teratur, kemas.





            Apakah
semua itu tiada yang menyusunnya? Mustahil.





            Pastinya
ada.





            Siapa?





             “Allah jualah yang menjadikan langit
terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya,
kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan
(untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk
suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan;
Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada
pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).
Surah
Ar-Ra’d ayat 2.





            “Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk
kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang
dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu
dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki
bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal
kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).
Surah Al-Baqarah ayat 22.





            Maka
bagaimanakah kepada Yang Menguasai Dan Menciptakan Seluruh Alam ini, kami tidak
menundukkan diri? Dia adalah Tuhan. Bukti bahawa Allah adalah Tuhan, dapat
dijelaskan dengan kesempurnaan Al-Quran. Al-Quran, sehingga hari ini, langsung
tidak diketemui cacat celanya, bahkan telah diakui mukjizatnya yang pelbagai.
Maka jelas, bahawa Tuan Punya Al-Quran adalah Tuan Punya Dunia.





            Mustahil
kami penumpang bahtera menafikan.





Tuhan Itu Mendidik Agar Kami Hidup
Dengan Baik





Beriman kepada Allah SWT bermakna kami perlu tunduk dan
patuh kepadaNya. ArahanNya adalah yang utama perlu dilaksana. LaranganNya
adalah yang pertama perlu ditinggal sejauhnya. Neraca penumpang bahtera adalah:
“Baik itu adalah apa yang Allah katakan baik, buruk itu adalah apa yang Allah
katakan buruk.”





            Kerana
itu penumpang bahtera menjauhi apa-apa sahaja yang dilarangiNya.





            Mematuhi
arahanNya untuk hidup dengan kehidupan yang baik mengikut acuanNya.





Maka kami meninggalkan sebarang kemungkaran, sebarang
kerosakan, sebarang perkara yang Allah SWT tidak memberikan kami kebenaran
untuk melakukan.





“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu
perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”
Surah Al-Israa’ ayat 32.





“Dan janganlah engkau membelanjakan
hartamu dengan boros yang melampau.
 Sesungguhnya
orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu
pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Surah Al-Israa’ ayat 26-27.





“Dan janganlah kamu campur adukkan yang
benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal
kamu semua mengetahuinya.”
Surah
Al-Baqarah ayat 42.





“Dan berikanlah kepada anak-anak yatim
(yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang
baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan
menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu
adalah dosa yang besar.”
Surah
An-Nisa’ ayat 2.





“Diharamkan kepada kamu (memakan)
bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan
daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana
yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang
mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati
dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis
nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu
merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah
perbuatan fasik.”
Surah
Al-Ma’idah ayat 3.





“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada
orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka
(daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang
demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam
PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
 Dan katakanlah kepada
perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada
memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan
hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami
mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau
anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang
perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang
gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada
perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan;
dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang
tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah,
wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Surah An-Nur ayat 30-31.





Kalau diperhatikan, semua laranganNya adalah
perkara-perkara yang memang membawa kerosakan di dalam kehidupan manusia. Semua
arahanNya adalah yang membawa kebaikan kepada kehidupan kita. Dia mendidik kami
agar menjalani kehidupan ini dengan baik.





Kerana itu, penumpang bahtera penyelamat ini adalah yang
beriman kepadaNya, mempercayaiNya, meyakiniNya, tanpa ragu-ragu mahupun
berburuk sangka.





Dialah tempat berlindung dan berpaut.





Daripada
Abu Hurairah r.a.d. katanya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah
s.w.t. berfirman: Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu
adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadapKu, dan Aku bersamanya apabila dia
mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu didalam hatinya maka Aku mengingati dia
didalam hatiKu, dan jika dian mengingatiKu dalam perhimpunan maka Aku ingati
dia dalam perhimpunan yang lebih baik (yakni jemaah para malaikat yang maksum
dan suci daripada segala dosa). Apabila hambaKu mendekatiKu sejengkal, maka Aku
dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia
sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati
dia dengan berlari.”
Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim
dan lain-lain.





            “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya
kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah)
sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa
apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan
mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka
menjadi baik serta betul.
Surah Al-Baqarah ayat 186.





            Itulah Dia
Allah SWT. Yang penumpang bahtera beriman kepadaNya. Dia sentiasa bersama.
Sentiasa mengasihi. Sentiasa menyayangi hamba-hambaNya. Kerana itu, kami
penumpang bahtera tidak gundah dan tidak gusar. Tetap kami bergerak menongkah
kehidupan mentaatiNya walau sesukar mana.





            Kerana kami
penumpang bahtera bahagia. Jiwa kami merdeka, apabila kami beriman dan
mempercayaiNya.





            Sehingga
Rasulullah SAW bersabda:





            Rasulullah
SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang
beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiad
ayang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya
dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik
untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu
baik untuknya”
 Hadith
riwayat Muslim.





            Ajaib itu
adalah kerana kami beriman kepadaNya.





            Kerana Dia
adalah motivasi kami semua.





Penutup: Kerana itu kami penumpang bahtera sentiasa bahagia.





Kami membina dunia di atas pencarian keredhaanNya. Kami tidak
menjadi anak-anak dunia, bahkan kami adalah anak-anak akhirat yang berusaha
menggapai kasihNya.





            Dan Allah
sentiasa memberikan kami semangat dan sokongan, agar kami benar-benar berjaya.





            “Janganlah
kamu berasa lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya kamu adalah
orang-orang yang tinggi, sekiranya kamu beriman.”
Surah Ali Imran ayat
139.





            Maka tiada
yang mampu menjaga kami melainkan Ilahi.





            Tiada yang
mampu menunjukkan kami kehidupan yang baik melainkan Allah SWT.





            Tiada yang
mampu menguatkan kami, selain Dia.





            Maka Allah
adalah asas, bagi segala perkara dalam kehidupan penumpang bahtera.





            Kerana itu
kami bahagia, kuat, dan tidak tergugur dengan apa-apa duga.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 19, 2019 23:01

August 19, 2018

Perkongsian Pengalaman: “Ustazah, ustazah bagi tak kalau suami ustazah nak berpoligami?”

Senyap sunyi kelas sebaik sahaja soalan panas tersebut dilontarkan. Pada hari tersebut, hanya lebih kurang 10 orang pelajar perempuan yang hadir ke kelas Fiqh Wanita. Mereka semua berusia dalam lingkungan 20-an dan masih belum berkahwin. Disebabkan tidak ramai yang hadir, kami bersembang santai. Saya sudah lupa, apakah yang menyebabkan timbulnya soalan ini ketika sesi soal jawab antara saya dan para pelajar. Apa yang pasti, soalan ini sangat kuat melekat dalam memori. Mana mungkin lupa, kalau soalannya sudah sepanas ini, belum lagi jawapannya.


Pelajar yang bertanya hanya tersengih-sengih apabila disiku oleh rakan di sebelah. Nampaknya semua pelajar ternanti-nantikan jawapan daripada saya. Saya hanya tersenyum sambil memilih kata untuk berbicara.


“Baiklah, sebelum ustazah jawab, sama ada ustazah bagi atau tidak kalau suami ustazah nak berpoligami, ustazah nak tanya dulu beberapa soalan. Boleh?”


“Boleh!” Hampir serentak mereka menjawab.


 


Suami Isteri Pertama


“Cuba teka, siapakah suami isteri yang pertama sekali diciptakan?” Saya mengajukan soalan.


“Adam dan Hawa!” Hampir seluruh peajar menjawab dengan semangat.


“Tepat sekali!” Saya mengangkat ibu jari.


“Soalan seterusnya, Hawa bagi tak Nabi Adam berpoligami?”


Para pelajar kelihatan terpinga-pinga.


“Eh, ustazah. Hawa seorang je kan wanita yang Allah ciptakan? Mana ada perempuan lain lagi masa tu.” Salah seorang pelajar memberikan jawapan. Saya tertawa mendengarnya.


“Betul tu. Jadi asalnya, suami isteri pertama hidup dalam perkahwinan monogami, iaitu satu suami dan satu isteri. Setuju?”


Para pelajar mengangguk sambil tersenyum-senyum.


 


Isteri yang Bersedia Dimadu


“Sekarang, cuba teka, siapakah Nabi yang isterinya menghadiahkan isteri lain untuk suaminya?”


“Nabi Ibrahim. Sarah hadiahkan Hajar.” Pelajar yang lain pula cepat-cepat menjawab mendahului rakan-rakannya yang lain.


Saya tersenyum dan mengangkat ibu jari tanda jawapan yang diberikan adalah tepat. Pelajar tersebut tersenyum lebar.


Saya mengimbas kembali kisah yang diriwayatkan dalam Kitab Sahih al-Bukhari daripada Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- berkenaan Nabi Ibrahim -‘alaihissalam- dan Sarah ketika datang ke satu tempat yang dikuasai oleh seorang Penguasa yang zalim. Sarah merupakan seorang wanita yang sangat cantik dan Penguasa tersebut berniat jahat terhadap Sarah. Dipendekkan cerita, Allah -subhanahu wa ta’ala- melindungi Sarah lalu Penguasa tersebut membebaskan Sarah dan menghadiahkan Sarah seorang hamba wanita yang bernama Hajar. Kemudian, Sarah pula menghadiahkan Hajar kepada Ibrahim setelah Sarah merasakan bahawa dirinya tidak mungkin boleh mengandung.


Dalam kitab Fathul Bari ada dinukilkan bahawa apabila Sarah menghadiahkan Hajar kepada suaminya Ibrahim, Sarah meletakkan syarat supaya Hajar dikahwini sebagai seorang isteri dan bukan hanya djadikan sebagai hamba wanita.


“Ma sha Allah, ustazah! Baiknya hati Sarah!” Salah seorang pelajar bersuara.


“Tapi ustazah, bukan ke Sarah tak suka pada Hajar? Sarahlah yang suruh Nabi Ibrahim halau Hajar ke padang pasir kalau tak silap saya.” Pelajar yang lain pula bertanya.


Saya tersenyum.


“Bagus soalan ni. Sememangnya dalam kisah-kisah Israeliyyat menggambarkan Sarah membenci Hajar. Namun, kisah-kisah ini tidak boleh dipercayai kerana bertentangan dengan hadith yang sahih. Dalam hadith sahih disebutkan bahawa Sarah cemburu namun tidaklah sampai Sarah mencederakan dan menghalau Hajar. Sarah dan Hajar merupakan wanita yang sangat baik dan mulia akhlaknya lagi terpilih. Sehinggakan dalam al-Qur’an ada diceritakan bagaimana para malaikat datang bertamu ke rumah Ibrahim dan Sarah untuk menyampaikan berita gembira khusus untuk Sarah yang baik hati. Cuba teka, apakah berita gembira tersebut?” Saya menyelitkan lagi soalan.


“Ishaq!” Jawab mereka beramai-ramai.


“Ya, betul. Setelah bertahun-tahun lamanya, Nabi Ibrahim dan Sarah sudah pun sangat tua. Sarah diberikan khabar gembira bahawa beliau akan melahirkan seorang anak bernama Ishaq. Malah, dalam surah Hud, ayat 71-72, ditambah lagi dengan berita gembira akan kehadiran cucunya pula bernama Ya’qub! Malah, bukan sekadar anak dan cucu biasa, tetapi anak dan cucu yang soleh yang bakal menjadi Nabi lagi.”


Para pelajar mengangguk-angguk. Kedengaran juga bunyi ‘oh’ yang panjang.


“Kalau kita sendiri pun, adakah kita sampai hati nak halau madu yang baik hati ke tanah gersang yang tak ada orang?” Saya memberikan provokasi.


Beberapa pelajar menggelengkan kepala. Manakala yang lain pula yang hanya tersengih-sengih.


“Tengok, kita wanita yang biasa-biasa ni pun ada juga yang tak sampai hati. Inikan pula Sarah, wanita yang sangat baik hati dan dipuji pula dalam al-Qur’an. Sebenarnya, kisah Hajar ditinggalkan di padang pasir bersama anaknya Ismail yang masih bayi itu adalah atas perintah Allah. Bukan perintah Sarah. Allah perintah begitu dengan hikmah yang sangat besar. Sehinggakan ibadah Haji dan Aidil Adha sangat berkait rapat dengan Hajar. Teka apa kaitan antara Hajar dan ibadah Haji?”


“Ulang-alik buat Sa’ie antara Safa dan Marwah!”


“Air zam-zam!”


Tiba-tiba, ada yang mengangkat tangan.


“Cemburu tu biasalah kan, ustazah? Tidak salah cemburu, sebab itu fitrah manusia. Cuma jangan melampaui batas sampai mencederakan dan memudaratkan. Betul tak, ustazah?” Dia memberikan komentar.


Giliran saya pula yang mengangguk dan tersenyum.


 


Berbeza Tahap Cemburu


“Pernah dengar isteri-isteri Nabi yang bermadu dan juga berkawan rapat?” Saya menyoal lagi.


“Aisyah dan Hafsah kan, ustazah?” Seorang pelajar menjawab.


“Tepat!” Saya mengangkat ibu jari.


Saya menceritakan serba sedikit sebab turun ayat surah al-Tahrim, ayat 1-5. Bagaimana Hafsah menceritakan satu rahsia kepada Aisyah dan Allah menegur mereka berdua dan meminta mereka berdua supaya bertaubat. Ayat ini secara tidak langsung menunjukkan betapa rapatnya mereka berdua walaupun bermadu.


“Maksudnya, ada madu yang boleh berkawan rapat ye, ustazah?” Seorang pelajar meminta kepastian.


“Benar. Tahap cemburu berbeza bagi setiap orang. Ada orang cemburunya sangat tinggi kepada orang ini, tapi dengan yang ini tidak cemburu mana. Aisyah dan Zainab binti al-Jahsyi contohnya, sangat cemburu. Tetapi Aisyah dengan Hafsah tidaklah cemburu mana. Siap boleh berkawan dan berkongsi rahsia!”


 


Suami yang Memilih Monogami


“Ada seorang Nabi, diberikan ujian tidak mempunyai anak sehingga sudah tua, sama juga seperti Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim berpoligami, namun, Nabi ini memilih untuk kekal monogami yakni beristeri satu. Siapakah dia?”


Para pelajar berkerut dahi. Ada yang memandang rakan sebelah dan ada pula yang membelek-belek buku. Saya menambah lagi,


“Nabi ini tidak putus-putus berdoa, sehingga doanya dirakamkan oleh Allah di dalam al-Qur’an..”


“Nabi Zakaria!” Salah seorang pelajar memberikan jawapan.


“Tepat sekali!” Saya mengangkat ibu jari.


“Isteri Nabi Zakaria tak bagi Nabi Zakaria berpoligami ke, ustazah?” Salah seorang pelajar mengangkat tangan.


“Wallahu a’lam. Ustazah pun tidak tahu. Tidak pula diceritakan sama ada isteri baginda bagi atau tidak. Dalam surah al-Anbiya’, ayat 90, al-Qur’an menceritakan bahawa Allah memakbulkan doa Nabi Zakaria dan membaikkan isteri baginda yang mandul. Malah, Allah memuji mereka suami isteri kerana mereka suka bersegera melakukan kebaikan, sering berdoa dengan penuh harap dan takut serta sangat khusyuk dan merendah diri kepada Allah.” Saya menerangkan.


“Kiranya, berpoligami atau tidak, atas pilihan masing-masing kan, ustazah?” Pelajar lain pula bertanya cuba memastikan.


“Ya, betul. Pilihan dan juga ujian dalam masa yang sama. Ustazah, teringat kata-kata guru ustazah. Guru ustazah kata, walaupun isteri Nabi Zakaria mandul, namun Nabi Zakaria tetap memilih untuk kekal beristeri satu dan terus-menerus bersabar dan berdoa. Walaupun isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut merupakan isteri yang jahat, namun Nabi Nuh dan Nabi Lut tidak pula menceraikan isteri masing-masing dan tidak pula berpoligami. Ini kerana mereka tahu bahawa perkahwinan adalah tanggung jawab dan amanah yang berat. Oleh itu, kemandulan isteri atau kejahatan isteri bukanlah menjadi kemestian seorang suami itu perlu berpoligami. Masng-masing ada latar belakang dan ujian yang berbeza. Ada orang yang memang tidak sanggup berpoligami.”


“Maksud ustazah, poligami ni pilihan dan tanggungjawab dan juga ujian kan?”


“Betul. Ada Nabi yang berpoligami, ada Nabi yang tidak berpoligami. Berpoligami atau tidak, bukan menunjukkan seorang itu lebih baik daripada yang lain. Nabi Muhammad -sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri, memilih untuk tidak berpoligami ketika Khadijah -radhiallahu ‘anha- masih hidup.”


“Maksudnya, kalau nak berpoligami, seeloknya isteri pertama mati dulu ke, ustazah?”


Satu kelas tergelak mendengar soalan tersebut.


“Tidak juga. Kalau tengok pada kisah Nabi Ibrahim, Sarah masih hidup ketika Nabi Ibrahim berkahwin dengan Hajar. Itu yang ustazah kata, setiap orang lain kisah hidupnya, lain ujiannya, lain pula pilihannya.”


 


Pilihan


                “Kalau ustazah pula?” Pelajar yang mula-mula bertanya tadi mengangkat tangan sekali lagi. Kawan di sebelah menyiku sambil membulatkan mata kepadanya.


Saya tertawa melihat ulah mereka berdua.


“Eh, ustazah kan perempuan. Ustazah mana boleh berpoligami.” Saya bergurau sambil ketawa.


“Alah ustazah ni. Kalau suami ustazah lah, nak berpoligami, ustazah bagi ke?” Tersengih-sengih dia mengulang soalan dengan susunan ayat yang berbeza.


Tiba-tiba, entah mengapa, kelas menjadi sunyi. Orang dulu-dulu ibaratkan macam ada malaikat lalu. Saya memandang mereka semua sambil tersenyum.


“Rasa-rasanya?” Saya masih mahu meneka mereka.


“Tak bagi kot!”


Beberapa pelajar cuba meneka. Pelajar-pelajar yang lain pula hanya diam menanti jawapan yang akan keluar daripada mulut saya sendiri.


“Kalau ustazah, ustazah tiada halangan. Ustazah bagi je. Suami ustazah yang kena bertanggungjawab dan suami ustazah yang kena buat pilihan untuk diri dia sendiri.”


Satu kelas gempar seketika. Ada macam-macam bunyi yang mampu ditangkap oleh telinga saya. ‘Ha!’ ‘Wow!’ ‘Ish!’ ‘Ustazah..’ semua bergabung, sahut-menyahut.


“Wah! Apa yang buatkan ustazah bagi?” Bulat matanya memandang saya.


Saya memandang dia dan seluruh pelajar di hadapan saya. Saya tersenyum sambil berfikir untuk menyusun bicara.


 


Kebaikan Budi Mencairkan Hati


“Alhamdulillah, selama ustazah kahwin dengan suami, ustazah menjadi saksi kebaikan budi dan kemuliaan hati suami. Suami ustazah tak merokok. Bertanggungjawab. Rajin pula bantu ustazah bila di rumah. Sapu sampah, buang sampah, basuh pinggan, basuh baju, lipat kain baju, sental bilik air, mop lantai, basuhkan berak kencing anak, mandikan anak, tolong masak. Apa lagi ye? Ha, kalau butang baju tercabut ke, ada koyak kat mana-mana ke, suami ustazah jahit sendiri. Pernah juga ustazah tak sempat gosok tudung ustazah, suami ustazah tolong gosokkan tudung ustazah. Ha, isteri mana yang tak cair kan..”


“Ala ‘sweet’nya suami ustazah!”


“Ada lagi ke suami yang macam tu?”


Lagi sekali kelas menjadi hingar-bingar.


“Ustazah suka baca karya ustazah Noraslina Jusin, isteri pertama Dr. Zaharuddin Abd. Rahman. Beliau banyak menulis tentang perkahwinan, poligami dan rumah tangga. Beliau juga selalu memuji madu dan suami beliau yang baik budi. Benarlah, kebaikan budi mampu mencairkan hati.”


Saya menyambung lagi.


“Tapi tidak bermakna, kalau ada isteri yang tidak izinkan dan tak benarkan suami dia kahwin lain itu, tak baik atau suami dia tak baik. Solehahnya seorang isteri itu bukanlah diukur dengan dia membenarkan suami berpoligami atau tidak. Ingatlah yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa. Tahap ketakwaan seseorang itu kita tidak tahu, hanya Allah yang tahu. Lagipun, lain orang, lain cara fikirnya, lain pula ujian hidupnya. Kan?”


Para pelajar mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum.


Inilah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan di sini. Sekadar berkongsi pengalaman saya disoal dengan soalan ini, bukan berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak. Saya akui, ada ramai wanita yang dilukai suami kerana berpoligami, lebih-lebih lagi oleh suami yang curang dan miang. Ketahuilah, saya termasuk mereka yang menentang poligami oleh mereka yang tidak bertanggungjawab!


 

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 19, 2018 02:21

August 18, 2018

Baca Surah Ini Terus Tak Jadi Nak Membawang

Kisah 1


 


“Kau nak tahu, kawan kita itu dah bercerai.”


“Ish. Kau dengar daripada siapa? Kau jangan memandai-mandai.”


“Iye betul. Aku tahulah, aku kan rapat dengan dia. Aku dengar dia mintak cerai sebab tak tahan dengan perangai suami dia, dah berumur ini makin lama makin menjadi pulak.”


“Apa yang suami dia buat?” “Suami dia ada kekasih baru. Dia kata yang dia itu dah tak cantik dan seksi macam dulu.” “Eei..teruknya laki dia kan? Dah tua tak sedar diri.”


 


Kisah 2


 


“Assalamualaikum.”


“Waalaikumussalam. Eh, Faizal dah sampai pun. Naik apa?”


“Naik motor je.”


“Ha! Naik motor je? Ish kau ni Faizal, tahun lepas naik motor, tahun ini pun naik motor jugak? Apalah kau ni Faizal, majulah sikit. Belilah kereta satu, naik kereta barulah bergaya.”


Ini antara skrip yang berlegar-legar dalam hidup saya baru-baru ini. Anda semua mungkin ada skrip-skrip masing. Jadi ini hanya sekadar contoh untuk kita memahami isu yang akan kita bincangkan.


Saya fikir bukan mudah untuk kita tidak bercakap tentang orang kerana setiap masa kita mempunyai peluang untuk melakukan perkara tersebut. Ada sahaja perkara yang nak disembangkan.


Mula-mula mungkin kita akan cerita tentang kerja, idea dan sebagainya. Tetapi lama-kelamaan, kita akan terjebak juga untuk bercerita tentang hal orang lain. Kalau istilah hari ini kita panggil ‘membawang’.


Jadi penting untuk kita semua tadabbur surah ini supaya dapat memberi peringatan kepada diri kita terutamanya diri saya.


 


Mengapa surah ini dinamakan al-Humazah?


 


Surah ini dinamakan al-Humazah kerana dimulakan dengan firman Allah SWT “Wailul likulli humazatil lumazah”.


Secara ringkasnya surah ini nak cerita kepada kita tentang masalah akhlak yang sukar dibendung di kalangan masyarakat iaitu mengumpat dan menghina orang.


Surah ini dimulakan dengan seksa pedih bagi setiap orang yang mencela, merendahkan dan menghina orang lain.


Seterusnya surah ini menceritakan tentang sebab orang yang suka mengumpat dan menghina adalah kerana mereka hanya sibuk mengumpul harta seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya di dunia.


Akhir surah ini, Allah mencela kedua-dua golongan tersebut dan beritahu tempat tinggal mereka adalah Neraka Hutamah.


 


Humazah Vs Lumazah


 


Kecelaan besar bagi tiap-tiap pengumpat, pencela.


Surah al-Humazah (104) : 1.


Menurut Tafsir al-Misbah, perkataan “Wailun” itu membawa dua maksud, pertama ialah menggambarkan kesedihan, kecelakaan dan kehinaan. Kedua, perkataan itu digunakan untuk mendoakan seseorang agar mendapatkan kecelakaan dan kehinaan.


Celakalah dan (rasakanlah) seksa pedih bagi setiap orang yang mengumpat serta mencela dan menghina orang lain.


Muqatil berkata, “Humazah adalah orang yang mengumpat, sedangkan lumazah adalah orang yang menghina manusia di depan mereka.”


Menurut Doktor Wahbah al-Zuhaili, “Perkataan humazah bermaksud seseorang yang mengumpat dan menghina orang lain dengan perkataan, perbuatan atau isyarat. Manakala lumazah adalah seseorang yang mengeji orang lain dengan isyarat alis dan mata.”


Ibnu Abbas pula berkata, “Humazah adalah orang yang suka mengumpat dan lumazah adalah orang yang suka mencela.”


Secara mudahnya, humazah bermaksud apabila kita menceritakan tentang seseorang dengan sesuatu yang dia tidak suka. Kalau apa yang dia cerita itu betul macam mana?


Itulah namanya mengumpat. Cuba lihat kisah 1 di atas. Kalau tak betul pulak, itu bermaksud kita menfitnahnya.


Menurut Dr. Hamka, “Pengumpat ialah orang yang suka membusuk-busukkan orang lain;  dan merasa bahawa dia saja yang benar. Kerap kali keburukan orang dibicarakannya di belakang orang itu, padahal kalau berhadapan dia bermulut manis.”


Lumazah pula bermaksud kita menyakiti seseorang dengan menghina atau mencari cacat cela seseorang. Kalau dia niat gurau macam mana? Niat gurau boleh tapi jangan sampai menyakiti hati orang lain.


 


Harta Tidak Bawa Ke Mana


 


Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!


Surah al-Humazah (104) : 2-3.


Antara sebab mengapa orang suka mengumpat dan menghina orang lain adalah kerana mereka menyangka bahawa mereka merasa lebih tinggi berbanding dengan orang lain.


Mereka berasa begitu kerana kagum dengan diri mereka sendiri yang telah berjaya mengumpul harta yang banyak.


Mereka menyangka bahawa hartanya itu akan menjamin dirinya hidup kekal dan tidak akan mati kerana betapa takjubnya mereka dengan harta yang mereka kumpulkan sehingga tidak memikirkan tentang bekalan setelah mati.


 


Mereka akan dicampakkan ke dalam Neraka Hutamah


 


Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam al-Hutamah. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia al-Hutamah itu? (al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintah-Nya). Yang naik menjulang ke hati. Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka. (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang.


Surah al-Humazah (104) : 4-9.


Allah menafikan sangkaan mereka, sekali-kali tidak! Atau bahasa kita jangan perasan! Harta kita yang bertimbun-timbun itu tidak akan mampu membantu kalau kita suka mengumpat dan menghina orang lain, malah Allah akan campak kita ke dalam Neraka Hutamah.


Perkataan dicampakkan digunakan bagi menunjukkan mencampakkan sesuatu yang tidak berharga. Contoh sampah, sampah adalah satu benda yang tidak bernilai.


Maka kita pun mencampakkannya sahaja ke dalam tong sampah. Berbeza pula dengan  telefon bimbit jenama Iphone 8, Huawei P20 dan sebagainya. Kita tidak akan suka-suka campak kerana ia sangat berharga pada pandangan kita.


Kemudian Allah menyindir kita, tahukah kita apa itu Neraka Hutamah?


Neraka ini adalah satu tempat yang tidak terbayang oleh akal fikiran kita, apinya menyala-nyala dan tidak akan padam selama-lamanya.


Neraka ini betul-betul dapat menghancurkan apa-apa sahaja yang dicampakkan ke dalamnya.


Neraka ini membakar manusia hidup-hidup sehingga ke hati. Hati disebutkan secara khusus kerana hatilah punca segala-galanya.


Hatilah tempat akidah kita boleh menyimpang, niat yang buruk, akhlak tercela seperti takabur dan merendahkan manusia dan perbuatan-perbuatan buruk yang lain.


Ayat ini menggambarkan seolah-olah neraka adalah satu tempat yang dalam seperti telaga. Seluruh pintu neraka tertutup rapat dan langsung tidak ada ruang seperti tingkap untuk mereka bernafas.


Tujuannya supaya mereka rasa menderita dan berputusa asa untuk ke luar daripada tempat tersebut.


Tidak ada harapan yang api itu akan padam atau mengurangkan kepanasan api tersebut. Mereka tidak akan dapat keluar daripada neraka tersebut.


 


Pengajaran


 


Saya sentiasa mengulang-ulang surah ini dalam solat supaya saya sentiasa ingat, jangan membawang! Allah beri amaran keras pada orang yang suka mengumpat dan menghina orang lain. Kita akan mendapat kerugian, seksaan dan kehancuran.


Kita juga kena berhati-hati dengan kekayaan yang kita miliki kerana mampu menyeret kita ke neraka. Kita kena ingat bahawa harta sekali-kali tidak memberi manfaat kepada kita selagi tidak digunakan di jalan Allah.


Jagalah setiap patah perkataan yang kita keluarkan dan jagalah juga jari-jemari kita yang memberi komen di media-media sosial.


Jangan lupa bekalan kita di akhirat!


 


 


 


 


 


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 18, 2018 22:20

August 14, 2018

Perkongsian Pengalaman : Semakin Dewasa, Semakin Mudah Redha


Bayangkan suatu petang yang indah tetiba sahaja saya mendapat berita buruk. Berita yang sangat mendukacitakan dan tidak pernah disangka akan menerima berita sebegitu. Tidak pernah terlintas sekali tentang itu.


Berita itu boleh dianalogikan seperti batu besar yang menghempap rumah kita, menyebabkan rumah kita hancur sekelip mata. Barang, segala peralatan rumah dan perabot rumah, usah dibicarakan. Pasti hancur lebur sudah.


Balik dari kerja, kita lihat rumah kita ranap! Tiada lagi tempat untuk kita berteduh. Terpaksa bekerja keras semula untuk membina rumah baru. Begitulah ibarat mudah saya katakan apa yang saya alami baru-baru ini.


Allah Yang Maha Baik telah berikan saya ujian yang cukup besar dalam hidup saya. Tahun ini kali kedua saya menerima ujian berat sebegitu. Sekelip mata!


Mulanya memang menangis jugalah. Ya sebab semua itu secara mengejut dan tiba-tiba.


Malam itu memang saya menangis sepuas hati kepada Yang Maha Mendengar. Saya ceritakan kesedihan hati saya ini. Saya luahkan segala pada-Nya. Saya meminta kekuatan dari-Nya untuk menerima ketentuan itu.


Keesokan harinya saya semakin kuat dan apa yang saya dapati adalah saya mudah sekali redha dengan ketentuan itu. Walhal ia amatlah berat untuk saya!


Saya berbisik dalam hati, “Ya Allah, aku redha dengan semua ini. Aku yakin Engkau akan berikan yang lebih baik.”


Saya juga bisikkan kata pembangkit semangat buat diri, “Just let it go. Jangan ditanya kenapa aku diberi ujian seberat ini. Jangan difikir lagi tapi fikirlah untuk melangkah ke hadapan.”


Saya membisikkan kata itu semasa saya berada di stesen LRT. Sewaktu saya melihat LRT berlalu pergi meninggalkan saya, terus saya beranggapan berita buruk itu dibawa pergi bersama dengan pemergian LRT itu.


“Okay, just let it go!”


Saya bangkit dari tempat duduk dan meninggalkan stesen LRT itu. Bye bye. Saya akan mencari rezeki baru.


Semenjak itulah saya semakin sedari, kalau dulu saya sering persoalkan kenapa diuji begini, kenapa dan kenapa.


Namun kali ini tidak lagi. SubhanAllah, begitu mudah saya redhakan hati menerima ketentuan dari Yang Maha Esa.


Tiada guna bersedih lagi. Kalau Allah swt dah ‘cakap’ rumah itu kita hanya diizinkan diami sementara, maka sementara sajalah tempohnya.


Maka tiada jalan lain, hanyalah REDHA. Redha dan bersangka baik pada-Nya pasti Allah ada gantian lebih baik. Amin.


Sedarlah saya, semakin dewasa ini semakin mudah hati ini meredhai dengan setiap ujian Allah swt.


Nak kata betapa dahsyatnya apabila kita redha, yakin dan bersangka baik pada Allah swt, tak sampai 5 hari saya menerima berita buruk, Allah swt dah berikan saya berita gembira. Malah berita baik itu (rezeki) adalah apa yang saya impikan selama ini.


Allahuakbar. Allahuakbar. Maha Kuasa sungguh Tuhanku.


Semakinlah saya yakin dengan rezeki-Nya. Dia yang menarik rezeki, Dia jualah akan memberi rezeki.


Selagi mana terus yakin dan bersangka baik dengan-Nya, rezeki yang ditarik akan diberi ganti lebih baik. Alhamdulillah Ya Rahman.


Sujud syukur saya kepada-Nya. Rezeki baru ini tidak akan saya persiakan.


Titipan saya buat para pembaca yang mungkin sedang dilanda ujian berat, Dia menguji kita hingga jatuh dan Dia jugalah Maha Kuasa bisa bangkitkan kita.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 14, 2018 09:51

August 6, 2018

Perkongsian Pengalaman: “Ustazah, wanita haid, nanti selepas suci, ada kena qadha’ solat ke?”

“Ustazah, betul ke ni? Ada orang kata, kalau kita mula datang haid waktu Asar, belum sempat solat Asar, nanti bila dah berhenti haid, kita kena qadha’ Asar dan waktu Zuhur juga?”


Terkebil-kebil saya mendengar soalan tersebut.


“Apa soalannya? Qadha’ Zuhur kalau mula datang haid waktu Asar atau berhenti daripada haid waktu Asar ye?” Saya bertanya kembali meminta kepastian.


“Mula datang haid, ustazah. Itulah, biasa saya dengar, wanita haid kalau berhenti haid waktu Asar, baru kena qadha’ Zuhur kan? Ini terbalik pula. Betul ke, ustazah?” Dahinya turut berkerut.


“Eh, ustazah! Wanita haid, nanti selepas suci, ada kena qadha’ solat ke?” Sampuk yang lain pula terpinga-pinga.


“Bukan wanita haid tak perlu qadha’ solat ke, ustazah? Puasa baru kena qadha’ kan?” Seorang jemaah di bahagian belakang pula menambah.


Suasana dalam kuliyah Dhuha pagi itu menjadi hingar-bingar seketika.


Mungkin ada pembaca yang turut keliru cuba memahamkan soalan di atas. Maafkan saya kalau anda terpaksa membaca berulang kali soalan tersebut. Saya cuba menjawab persoalan ini dengan bahasa yang mudah, biiznillah.


 


Beza antara Berhenti dan Bermulanya Haid


“Dalam mazhab Syafi’ie, wajib bagi wanita yang berhenti haidnya pada waktu Asar atau Isyak untuk menunaikan solat fardhu tersebut serta mengqadha’kan solat fardhu yang sebelumnya yakni solat Zuhur atau Maghrib, jika mereka sempat berada dalam waktu kedua itu yakni Asar atau Isyak, sekadar takbiratul ihram, bukannya bagi wanita yang baru datang haid.”


“Kalau mula haid waktu Asar, tak perlu qadha’ Zuhur kan, ustazah? Kalau berhenti haid waktu Asar sahaja yang kena qadha’ Zuhur kan? Betul tak ustazah?” Penyoal yang merupakan orang pertama sekali bertanyakan isu ini meminta kepastian.


Saya tersenyum memandangnya. Terselit rasa berterima kasih atas soalannya sebentar tadi. Rupanya masih ramai yang keliru, malah tidak tahu menahu berkenaan isu qadha’ solat wanita haid selepas suci. Disebabkan soalan beliau, ramai pula yang mendapat ilmu baru. Pasti pahala daripada soalannya itu berganda-ganda pula.


“Tepat sekali. Kalau seorang wanita itu mula datang haid waktu Asar, maksudnya dia kan dah solat Zuhur sebab masih suci masa Zuhur. Jadi tak timbul isu kena qadha’ waktu pertama -yakni Zuhur dan Maghrib- jika mula datang haid waktu kedua -yakni Asar dan ‘Isyak-. Isu qadha’ hanya timbul apabila berhentinya haid waktu kedua -yakni Asar dan ‘Isyak-, maka kenalah qadha’ juga waktu pertama -yakni Zuhur dan Maghrib-.”


Saya memandang wajah-wajah di hadapan saya. Berkerut-kerut dahi majoriti mereka. Maka saya pun segera ke papan putih untuk membuat jadual dengan harapan isu ini difahami dengan lebih jelas. Wabillahittaufiq.


 





Contoh
Waktu Solat
Apakah solat yang perlu dilakukan setelah mandi wajib?


Berhenti haid jam 5 petang
Waktu solat kedua: Asar.

Waktu solat pertama yang telah berlalu: Zuhur
Solat Asar secara tunai


kemudian solat pula Zuhur secara qadha’.


 


Berhenti haid jam 9 malam
Waktu solat kedua: Isyak


Waktu solat pertama yang telah berlalu: Maghrib
Solat Isyak secara tunai kemudian solat pula Maghrib secara qadha’.


 


Berhenti haid jam 7 malam
Waktu solat kedua: Asar


Waktu solat pertama yang telah berlalu: Zuhur
Jika Maghrib masuk jam 7.20 malam.


 


Sempat mandi wajib dan kemudian solat Asar secara tunai. JIka ketika solat Asar, azan Maghrib berkumandang, teruskan solat seperti biasa (usah gelabah dan membatalkan solat tersebut :D). Kemudian boleh pilih antara qadha’ solat Asar atau solat Maghrib secara tunai terlebih dahulu.


 


Jika selepas mandi wajib, anda tidak sempat solat Asar, waktu Maghrib sudahpun masuk, maka anda boleh tunaikan solat Maghrib secara tunai dan solat Asar dan juga Zuhur secara qadha’.


Berhenti haid jam 5.30 pagi
Waktu solat kedua: Isyak


Waktu solat pertama yang telah berlalu: Maghrib
Jika Subuh masuk jam 5.40 malam.


 


Sempat mandi wajib dan kemudian solat Isyak secara tunai. JIka ketika solat Isyak, azan Subuh berkumandang, teruskan solat Isyak seperti biasa (usah gelabah dan membatalkan solat tersebut :D). Kemudian boleh pilih antara qadha’ solat Maghrib pula atau solat Subuh secara tunai terlebih dahulu.


 


Jika selepas mandi wajib, anda tidak sempat solat Isyak dan waktu Subuh sudahpun masuk, maka anda boleh tunaikan solat Subuh secara tunai dan solat Isyak dan juga Maghrib secara qadha’.



 


“Jadi, isu qadha’ solat kedua bersama dengan solat pertama adalah berkait dengan berhenti haid, bukan bermula haid. Ini kerana apabila seorang wanita itu bermula haidnya pada waktu Asar, sedangkan dia sudah menunaikan solat fardu Zuhur, maka dia hanya wajib untuk menunaikan solat fardhu Asar, atau mengqadhanya selepas suci jika dia tidak sempat solat Asar sebelum datangnya haid. Begitu juga jika dia sudah melaksanakan solat Asar, kemudian datang haid pada waktu Asar juga, maka dia tidak perlu mengqadha solat Zuhur dan Asar kerana dia sudah selesai melaksanakan kedua-duanya. Tidak menjadi syarat sah suatu solat itu mesti sah juga solat fardu selepasnya, atau datang penghalang (seperti haid dan gila) pada waktunya sedangkan solat-solat fardu itu sudah pun dilaksanakan.”


Jemaah di hadapan saya mengangguk. Namun, masih ada yang berkerut dahi. Tiba-tiba ada yang mengangkat tangan.


“Ustazah, ini pertama kali saya dengar pasal qadha’ solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak. Ini dalam mazhab Syafi’e ke, ustazah?” Seorang wanita dalam lingkungan 30-an bertanya.


Saya tersenyum dan mengangguk.


 


Tulisan Mufti Wilayah


                “Mari kita lihat apa yang Mufti Wilayah tulis berkenaan isu ini.” Saya membuka laman web rasmi Mufti Wilayah.


                Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Yang sahih di sisi kami (mazhab al-Syafie) bahawa mereka yang uzur wajib untuk melaksanakan solat Zuhur jika dia sempat melaksanakan apa yang wajib dengannya dalam solat Asar (apabila hilang uzurnya). Inilah pendapat Abdurrahman bin Auf, Ibn Abbas, ahli fiqh Madinah yang tujuh, Ahmad, dan selain mereka. Manakala kata al-Hasan, Qatadah, Hammad, al-Thauri, Abu Hanifah dan Malik, tidak wajib ke atas orang itu.)”Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/66).


Ini kerana waktu Asar adalah waktu uzur bagi solat Zuhur dan waktu Isyak adalah waktu uzur bagi solat Maghrib. Waktu uzur di sini boleh diertikan sebagai ‘waktu kecemasan’ yakni waktu yang dibenarkan penangguhan solat fardu ke waktu solat fardu yang lain disebabkan suatu keuzuran dan kepayahan seperti musafir. Dalam konteks haid dalam soalan di atas, wajib qadha waktu pertama bukan hanya bersifat afdhal (lebih baik) tetapi wajib kerana waktu kedua adalah waktu uzur bagi solat pertama.


Buktinya seperti kata Imam al-Syirazi Rahimahullah dalam kitab al-Muhazzab: “Dalilnya ialah bahawa waktu Asar bersama waktu Zuhur, dan waktu Isyak bersama waktu Maghrib adalah hak orang yang uzur yakni musafir. Maka, mereka yang berada dalam kategori uzur (seperti wanita berhaid apabila suci, orang gila apabila sedar dan lain-lain), waktu kedua itu adalah waktu solat pertama di sisi mereka.”


Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah  menghuraikan: “Sekiranya solat yang sempat itu adalah Subuh, Zuhur, atau Maghrib maka tidak wajib solat melainkan solat itu sendiri. Sekiranya solat Asar dan Isyak, maka wajib melaksanakan solat Zuhur dengan Asar, dan solat Isyak dengan Maghrib tanpa khilaf (dalam mazhab al-Syafie).” Pendapat yang azhar (tepat) bahawa waktu solat yang sempat itu ialah seseorang itu berada dalam suatu waktu solat tidak kurang masanya daripada kadar takbiratul ihram, manakala pendapat lain ialah satu rakaat. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/65)


Untuk memudahkan faham, kami nyatakan dengan contoh. Fatimah datang haid pada 1 haribulan Mac jam 6.00 petang sedangkan dia masih belum menunaikan solat fardu Asar. Maka, apabila Fatimah suci kelak, dia wajib mengqadha’ solat fardhu Asar yang dia luputkan pada 1 haribulan itu. Fatimah tidak wajib mengqadha’kan solat fardhu Zuhur yang sudah selesai dia tunaikan pada hari itu. Pada 7 haribulan Mac, jam 6.00 petang, Fatimah sudah suci daripada haid dan mandi wajib. Maka dia wajib untuk mengqadhakan solat fardhu Asar bagi 1 haribulan yang lalu dan solat fardhu Zuhur pada hari ini, dan menunaikan solat fardhu Asar secara tunai pada waktunya.


 


Tidak pernah qadha’


“Ada soalan?” Saya bertanya cuba memastikan tahap kefahaman jemaah di hadapan saya.


“Ustazah, macam mana ye? Saya ni sejak pertama kali datang haid dulu tak pernah qadha’ macam yang ustazah terangkan ni. Pertama kali saya tahu pasal ni.” Seorang wanita dalam usia 40-an mengangkat tangan bertanya.


“Ye lah, ustazah. Saya pun.” Beberapa jemaah lain turut mengiyakan.


“Jangan risau. Islam agama yang mudah dan tidak menyusahkan ummatnya. Isu ini pun memang isu khilaf seperti yang telah diterangkan. Mazhab Hanafi dan Maliki berpendapat, tidak wajib qadha’ solat yang pertama, walaupun sempat berada dalam waktu solat yang kedua. Mereka pun ada dalil dan hujjah mereka. Kita hormati pandangan semua ulama’ muktabar. Apa yang dah lepas, kira sudah lepas.”


“Ustazah, wajib ke saya qadha’ semula semua solat yang dah tertinggal tu? Berdosa ke kalau tak qadha’?” Tanya yang lain pula.


“Kalau tanya ustazah soalan ni, ustazah cenderung menjawab dengan pendapat para ulama’ yang berpegang dengan konsep ‘yassiru wa la tu’assiru, bashshiru wa la tunaffiru’. Maksudnya: mudahkanlah jangan susahkan, berilah khabar gembira, bukan membuatkan orang lari menjauh. Tak berdosa kerana kita tidak tahu sebelum ni. Lagipun macam ustazah dah cakap, ini isu khilaf yang masih ada ruang untuk kita beramal dengan pendapat yang tidak mewajibkan. WAllahu a’lam.”


“Ada soalan lagi?” Sekali lagi saya bertanya.


Jemaah hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum.


 


Menjawab sekadar apa yang diketahui


Begitulah serba sedikit isu qadha’ solat bagi wanita haid selepas suci yang dapat saya kongsikan di sini. Sebenarnya, saya juga tiada ilmu berkenaan hal ini sehinggalah saya membaca jawapan yang disebutkan oleh Dr. Zulkifli al-Bakri sendiri di pautan ini: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2324-al-kafi-718-adakah-wajib-solat-zuhur-sekiranya-haid-datang-pada-waktu-asar


Saya memohon maaf jika saya ada tersilap kata, tersilap bahasa sepanjang menjawab segala persoalan. Mohon ditegur jika ada kesalahan dan kekhilafan yang berlaku. Saya akui, boleh jadi, jawapan untuk soalan yang ditujukan kepada saya hari ini berbeza dengan jawapan untuk soalan yang sama pada minggu depan atau bulan depan. Ini kerana apa yang saya ketahui hari ini mungkin berbeza dengan apa yang saya ketahui pada minggu dan bulan seterusnya. Akhirnya, saya hanya menjawab dan berkongsi sekadar apa yang saya tahu.


 


Akan Datang


                Perkongsian akan datang mungkin agak ‘panas’ sedikit. Ini kerana saya ada menerima soalan daripada pelajar saya berkenaan poligami. Poligami? Ya, mereka bertanyakan soalan ‘cepu emas’: “Ustazah, ustazah bagi tak kalau suami ustazah nak berpoligami?” Ha, lebih kurang begitulah soalannya! Ingin tahu jawapannya? Teruskan mengikuti website Langit Ilahi. Semoga Allah memberkati masa para pembaca yang sudi meluangkan masa membaca coretan ini. Amin, amin ya Rabb.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 06, 2018 02:32