Hilal Asyraf's Blog, page 6
June 4, 2018
Api perselisihan
Deruan air sungai yang menenangkan. Kicauan burung yang mendamaikan. Hamparan sawah padi yang mengasyikkan, dilatari bukit-bukau yang tersergam kukuh. Kampung yang indah. Seindah namanya. Sesiapa yang melihat pasti terpukau.
Tanah yang subur kurniaan Tuhan yang maha kuasa. Campaklah apa sahaja biji benih, pasti akan tumbuh hijau dan segar. Sebutlah apa sahaja jenis sayur-sayuran dan buah-buahan, pasti ditemui di tanah ini. Sumber yang tumbuh dari dalam tanah menjadi punca rezeki buat rakyat di mandala ini.
Penduduk yang terdiri daripada pelbagai suku kaum menghiasi demografi kampung ini. Daripada suku kaum bumiputera yang telah mendiami sejak ratusan tahun lalu, sehingga suku kaum bukan bumiputera yang baru menghadirkan diri hasil kolonisasi para penjajah terdahulu.
Hal itu bukanlah satu masalah buat penduduk Kampung Bunga Raya. Kepelbagaian suku kaum yang ada mewujudkan suasana warna-warni dalam aspek sosial dan ekonomi mereka. Masing-masing mampu hidup dengan aman, harmoni dan saling menghormati.
Namun, mutakhir ini tiang keharmonian Kampung Bunga Raya bergegar dek dilanggar oleh angin kekecohan yang ditiup oleh sekumpulan manusia yang kononnya inginkan perubahan dalam negara. Angin kencang yang berpunca daripada ibu kota telah membadai hampir keseluruhan negara. Angin kencang yang membawa debu-debu ketidakfahaman telah berjaya menutup pandangan akal sesetengah individu tentang kebenaran.
***
Sebuah kereta keluaran tempatan berwarna merah jambu berhenti di hadapan kedai makan pak Muin. Seorang gadis cilik berbaju kurung merah, lengkap bersolek di wajah keluar dari perut kereta. Gadis tersebut membuka bonet kereta lalu mengeluarkan sebuah kotak yang tidak diketahui isinya, kemudian masuk ke kedai makan yang menjadi tempat lepak sekumpulan pemuda kampung tersebut. Gadis itu kelihatan bak pelakon filem Harry Potter, Emma Watson, mungkin mempunyai darah kacukan Nusantara dan bangsa penjajah dari tanah Inggeris.
Dengan senyuman menguntum di bibir, kumpulan pemuda itu didekati. Kumpulan pemuda yang terdiri daripada 5 orang itu seperti sudah berjanji untuk bertemu gadis cilik di kedai itu. Gadis itu mengetuai perbualan antara mereka sambil tangan mengagih-agihkan kertas yang dikeluarkan dari kotak tersebut. Gayanya persis memberi arahan akan sesuatu perkara. 5 orang pemuda hanya mendengar dan menganggukkan kepala sahaja tanpa bersuara. Riak wajah kelihatan serius sekali. Air yang terhidang juga tidak disentuh.
Hafiz yang sedang minum petang selang beberapa meja hanya memerhati gelagat 5 orang pemuda bersama gadis itu. Pisang goreng disuap ke mulut sambil mata kadangkala menjeling ke arah mereka. Hafiz berasa aneh, kebiasaannya apabila 5 orang pemuda itu lepak pasti gegak gempita kedai itu dengan suara tawa mereka.
Namun hari ini suasana di kedai itu bungkam. Pasti ada sesuatu yang sedang dirancang oleh mereka. Hafiz tidak mahu berburuk sangka tetapi siapa yang tidak kenal 5 orang pemuda tersebut. Mereka sering mencetuskan masalah dalam kampung ini.
Lebih aneh lagi, gadis cilik itu belum pernah dilihatnya di kampung ini. “Barangkali gadis itu datang dari bandar” desis hati Hafiz. “Tetapi apa yang dia ingin lakukan dengan kumpulan pemuda ini?” Bermacam-macam perkara menjengah ke kotak fikirannya. Awan-awan soalan yang datang itu ditepis bagi mengelakkan wujud prasangka yang tidak baik. Usai pisang goreng yang berbaki dihabiskan, Hafiz segera mengangkat kaki meninggalkan kedai itu.
***
Kedengaran suara para hamba yang bangun meninggalkan belaian mimpi malam bagi menyahut panggilan Ilahi pada subuh hari. Keempukan tilam dan kehangatan selimut dilempar demi merealisasikan seruan “Solat itu lebih baik daripada tidur.”
“Amin.”
“Amin.”
Laungan kalimah “amin” diucapkan oleh makmum bagi menyambut alunan doa sang imam. Bait-bait pengharapan dipanjatkan ke hadrat Tuhan yang maha esa. Mengharapkan pengampunan, rahmat, pelindungan dan petunjuk daripada Pemilik alam ini.
Usai mendirikan solat subuh, beberapa orang penduduk kampung termasuk Hafiz segara menghampiri ketua kampung yang sedang duduk berzikir bersendirian di saf hadapan masjid. Masing-masing menunjukkan sehelai kertas yang dijumpai di hadapan rumah mereka semasa keluar ke masjid tadi.
Ketua kampung yang mesra dipanggil Haji Man oleh penduduk kampung terkesima apabila membaca isi kertas itu. kesemua kertas itu membawa isi yang sama. Suasana hati yang sejuk sesejuk angin subuh tadi tiba-tiba berubah menjadi bahang yang membakar jiwa.
Haji man sudah sedia maklum tentang isu yang tular di media sosial. Isu mengenai sekumpulan manusia di ibu kota yang memperjuangkan hak kesamarataan antara kaum dengan menghapuskan hak keistimewaan suku kaum bumiputera. Sebelum ini, isu ini hanya berlegar di ibu kota, tetapi sekarang sudah berjaya menembusi dinding kampung mereka dengan tersebarnya kertas ini.
Haji Man khuatir isu ini akan mencetus konflik antara kaum di kampung ini. Dia takut penduduk daripada kaum bumiputera menuduh kaum bukan bumiputera ingin merampas hak mereka. Manakala, penduduk kaum bukan bumiputera pula akan menuduh penduduk kaum bumiputera sebagai zalim dan tidak adil dalam melayani hak mereka sebagai warga negara ini juga.
“Apa yang kita perlu buat sekarang Haji Man?” Seorang penduduk menyuarakan kebimbangan yang tersimpan di benaknya.
Haji Man meminta mereka supaya bertenang. Haji man yakin akan keampuhan tali persaudaraan dan kasih sayang antara kaum di kampung. Propaganda ini tidak akan berjaya memudarkan warna-warni keharmonian di kampung ini.
“Buat masa sekarang kita tunggu dan lihat apa yang bakal terjadi. Namun saya yakin tiada apa yang buruk bakal berlaku.” Haji Man optimis dalam menghadapi hal ini.
“Persoalan utama sekarang ini adalah siapa yang bertanggungjawab menyebarkan benih api perselisihan ini?” Soal Haji Man sambil tangan mengoyak-ngoyakkan kertas itu.
Penduduk lain menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak tahu. Hafiz diam sebentar sebelum membuka bicara. Dia menceritakan hal yang dilihatnya di kedai makan pak Muin pada petang kelmarin.
Terbakar hati mereka mendengar cerita Hafiz. “Dasar kacang hantu kampung. Biar kami ajar mereka Haji Man.”
“Sabar dahulu. Kita belum ada bukti yang menunjukkan mereka yang bersalah. Saya sendiri akan siasat perkara ini.” Ujar Haji Man menenangkan hati penduduk yang sedang panas.
***
Sudah seminggu sejak tersebarnya kertas yang mengandungi propaganda itu berlaku. Namun, suasana kampung Bunga Raya tetap kekal tenang dan harmoni. Tidak berlaku sebarang kekecohan mahupun pergaduhan dek propaganda itu. walaupun perkara ini hebat diperbincangkan antara penduduk, masing-masing mampu berbincang dengan akal fikiran yang waras dan tidak mengikut emosi.
Siasatan Haji Man dalam mencari penyebar kertas-kertas itu sudah menemui jawapan. Kelima-lima pemuda itu sudah mengaku bersalah kerana menyebar perkara yang tidak sepatutnya disebarkan. Perkara yang disebarkan boleh menyebabkan runtuh tembok kedamaian kampung ini.
Haji Man selaku ketua kampung telah meminta seluruh penduduk kampung untuk hadir ke balai raya pada petang itu. Haji Man ingin 5 orang pemuda yang bersalah itu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penduduk kampung atas kesalahan mereka.
“Kami ingin memohon maaf atas kesilapan yang telah kami lakukan. Mata kami sudah dikelabui oleh wang yang dijanjikan oleh gadis itu.” Seorang pemuda berucap bagi mewakili rakannya yang lain. Tergetar-getar tangannya memegang mikrofon dek takut diapa-apakan oleh penduduk kampung.
“Kami maafkan. Yang penting jangan ulangi lagi.” Jerit penduduk kampung sebagai tanda sudah memaafkan mereka. Mengalir air mata mereka berlima dengan ketulusan hati penduduk kampung untuk memaafkan mereka walaupun sering membuat masalah dalam kampung ini.
Haji Man berbangga dengan sikap penduduk kampung Bunga Raya. Walaupun datang benih-benih api perselisihan, mereka tetap tenang menghadapinya. Isu tentang penghapusan hak keistimewaan penduduk bumiputera dan kesamarataan hak antara kaum ialah isu yang sensitif. Jika tersilap langkah pergaduhan antara kaum boleh tercetus.
Dengan kefahaman yang tinggi terhadap sejarah dan perlembagaan negara dapat meleraikan konflik ini. Haji Man sentiasa menasihati penduduk kampung agar menjaga keharmonian antara kaum. Sentiasa berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama kerana keadilan itu bukanlah bermaksud kesamarataan tetapi meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.
Haji Man juga berpesan akan peri pentingnya memahami sejarah negara agar kita faham akan asal usul diri sendiri seterusnya mampu membina masa depan yang lebih baik. “Belajarlah daripada sejarah agar nanti kita tidak ditulis dalam sejarah sebagai bangsa yang malang.” Haji Man mengakhiri ucapannya pada petang sebelum semua penduduk pulang ke kediaman masing-masing dengan keadaan aman dan harmoni. Api perselisihan telah berjaya ditendang sebelum masuk menerobos ke dalam sanubari penduduk kampung bunga raya.
June 1, 2018
Perkongsian Pengalaman: Soal-jawab Wanita di bulan Ramadhan
Kelas Fiqh Wanita masih diteruskan dalam bulan Ramadhan. Hadirin bersalaman. Beberapa orang turut mengucapkan, “Ramadhan Karim, ustazah.”
“Allahu akram.” Saya membalas dengan ucapan yang bermaksud -Allah lebih mulia-. Ucapan yang sudah ada skema jawapannya.
“Ustazah, seronok saya rasa ada kelas bulan Ramadhan. Pahala berlipat ganda.” Seseorang berkata dengan nada teruja.
“Hari ni kita buka untuk soal-jawab, boleh ustazah?”
Saya hanya mengangguk sambil tersenyum.
Jemaah yang ramah dan suka bertanya. Kalau di universiti, pasti mereka sudah dapat markah penuh untuk ‘penglibatan dalam kelas’ kerana sikap suka bertanya dan suka belajar.
Teringat saya akan seorang pensyarah saya yang suka berjenaka. Katanya, semasa mengambil Diploma Pendidikan di Universiti ‘Ain Shams, Mesir, beliau pernah diminta untuk mengajar kelas yang dipenuhi orang Arab. Guru beliau akan menilai sejauh mana beliau dapat mengawal kelas yang penuh dengan pertanyaan.
“Masa tu cabaran untuk saya ialah macam mana nak buat pelajar diam. Semua pelajar kalau boleh nak bercakap. Ada yang nak bertanya, ada pula yang nak bagi pendapat. Sekarang di Malaysia, pelajar semua diam. Cabaran saya sekarang, macam manalah nak buat kamu semua mahu bercakap. Emas penuh dalam mulut!”
Kami para pelajar Malaysia ketawa mendengar sindiran berhemah beliau.
Malah, ada juga pensyarah yang memberi setengah markah bagi setiap soalan yang ditanya di dalam kelas. Cukup 20 soalan, barulah pelajar akan dapat 10/10 bagi markah ‘penglibatan dalam kelas’.
Akhirnya, markah yang diberikan bagi setiap soalan hanyalah ganjaran duniawi. Sekadar menjadi motivasi pelajar untuk memaksa diri agar ‘jangan malu bertanya’. Hakikatnya, ganjaran daripada Tuhanlah yang sepatutnya menjadi dambaan hati.
“Bayangkan, disebabkan soalan kita, kita dapat ilmu baru, orang lain juga dapat ilmu baru. Ilmu bercambah, pahala pun bertambah-tambah. Boleh buat bekalan selepas mati. Jadi, tanya, jangan tak tanya.”
Itulah ayat yang sering saya gunakan untuk menggalakkan para hadirin bertanya.
Pelembap bibir dan gincu
“Ustazah, boleh tak nak pakai ‘lip balm’ atau ‘lipstick’ masa puasa?” Seorang hadirin bertanya.
“Ya lah, ustazah. Ada rasa bila pakai. Lagi-lagi ‘lip balm’ yang berperisa macam ‘strawberry’ ke oren ke,” sampuk yang lain pula.
“Bagus soalan tu.”
Saya mengangkat ibu jari. Dua orang yang bertanya tadi tersenyum lebar.
“Soalan ini pernah ditanya kepada Mufti Wilayah, Dr. Zulkifli al-Bakri. Dalil-dalil dan perinciannya puan-puan boleh tengok sendiri dalam web rasmi Mufti Wilayah. Ada satu edisi khas Ramadhan.” Saya melihat wajah-wajah di hadapan saya. Ada yang terangguk-angguk, ada pula yang tidak sabar mengetahui jawapannya.
“Jawapannya boleh, tiada masalah walaupun ada rasa. Asal jangan kita pula yang ‘over’ pergi jilat-jilat bibir yang ada pelembap bibir atau gincu tu sudahlah.”
Hadirin ketawa mendengar jawapan tersebut.
Di sini, saya sertakan jadual untuk menambahkan kefahaman.
Soalan
‘Lip balm’ dan ‘Lipstick’
Bolehkah pakai masa puasa?
Boleh
Adakah pemakainnya dianggap berhias berlebihan yang diharamkan?
‘Lip balm’ biasanya dipakai untuk mengelakkan rekahan kulit bibir, maka harus hukumnya.
Cuma pemakaian ‘lip balm’ dan juga ‘lipstick’ yang berwarna perlu secara bersederhana. Jangan berlebihan dan jangan pula dengan niat untuk menunjuk dan berhias diri kepada lelaki ‘ajnabi’.
Adapun pemakaian dengan niat untuk berhias diri kepada pasangan, adalah sunat dan berpahala.
Rasa Makanan
“Bulan puasa ni, nak masak untuk berbuka, boleh kan ustazah kita rasa sikit? Cuma jangan telan kan ustazah? Lepas dah siap rasa, kita ludah keluar. Boleh kan ustazah?”
“Ya, boleh,” jawab saya.
“Itulah, saya pernah dengar, ustaz kata, boleh. Cuma tak pa ka, ustazah, lepas dah ludah keluar, dah kumur-kumur, lekat lagi rasa tu?” Puan yang bertanya mula berkerut-kerut.
“Ish, hang masak apa berbuka sampai susah nak hilang?” Rakan di sebelah menyampuk.
“Ala, kari ka, tomyam ka, asam laksa ka, semua lagu tu la,” jawabnya kepada rakan yang bertanya. Hadirin yang mendengar ada yang tertawa geli hati.
Kemudian, beliau menyambung lagi soalan.
“Walaupun ada lagi rasa, tak pa ka telan air liur yang ada rasa tu, ustazah? Kira sama macam pakai ‘lip balm’ yang perasa oren dan strawberi tu, kan ustazah? Walaupun ada rasa, tetapi tak batal posa.”
“Ya, betul tu. Tepat sekali.” Saya mengangguk sambil tersenyum.
Beliau sudah tahu, cuma mahukan lebih kepastian. Sangat bagus sikap begitu. Malah, mungkin ada dalam kalangan hadirin yang ingin bertanya, tetapi malu, turut mendapat manfaat daripada soalan beliau.
Jadual di bawah, diharap dapat menambahkan lagi kefahaman kita.
Soalan
Rasa Makanan
Bolehkah merasa makanan ketika berpuasa?
Harus hukumnya bagi orang yang mempunyai keperluan untuk berbuat demikian (seperti tukang masak dan lain-lain) untuk merasa makanan dengan syarat tidak menelannya. Berkumurlah selepas merasa makanan tersebut.
Bagaimana jika masih terdapat rasa makanan walaupun selepas berkumur?
Tiada masalah. Ia hanya rasa dan kesan yang tertinggal pada lidah, bukan ‘ain atau makanan itu sendiri. Air liur boleh ditelan seperti biasa. Begitu juga halnya dengan rasa ubat gigi yang masih tertinggal walaupun setelah berkumur-kumur.
Bolehkah merasa makanan bagi mereka yang tiada keperluan untuk merasanya? Sekadar suka-suka, kemudian meludahnya.
Makruh hukumnya. Perbuatan sekadar suka-suka tanpa ada keperluan ini dibenci dalam agama kerana termasuk hal yang sia-sia. Malah, boleh membawa kepada haram apabila melibatkan pembaziran.
Korek Hidung dan Telinga
“Ustazah, betul ke korek hidung, korek telinga tak batal puasa?” Berkerut-kerut dahi seorang makcik bertanya.
Walaupun nada soalan berbunyi serius, tetapi sudah kedengaran jemaah ketawa mengekek. Saya hanya tersenyum dan memujinya kerana bertanya.
“Bagus soalan makcik ni.”
Bukan apa, saya percaya hadirin perlu diberikan galakan untuk bertanya. Pujian atas pertanyaan yang dibuat, harap dapat memberikan semangat kepada hadirin untuk tidak malu bertanya walau ditertawakan.
Dulu, ketika masih menuntut di universiti, saya pernah bertanyakan soalan di dalam kelas, lalu seisi kelas tertawa kelucuan. Saya pula hanya terpinga-pinga dan rasa malu mula menebal. Lalu, pensyarah terus berkata, “Bagus, soalan kamu! Pertama sebab tiada soalan bodoh. Semua soalan adalah tanda seseorang itu pandai berfikir lalu bertanya. Kedua, soalan itu bagus kerana membuatkan orang lain tertawa dan kelas menjadi ceria.”
Kata-kata beliau itu memberikan satu kelegaan dan membuatkan hati saya berbunga-bunga. Walaupun saya sudah lupa apakah soalan yang telah saya tanyakan, namun kata-kata pensyarah saya masih segar dalam ingatan. Kini, saya pula yang menyampaikan apa yang pernah dikatakan oleh pensyarah saya itu kepada hadirin. Kemudian, barulah saya menjawab pertanyaan makcik tersebut.
“Ya, betul tu makcik. Korek hidung dan telinga tidak membatalkan puasa. Begitu juga jika menitiskan ubat ke dalam hidung, telinga ataupun mata. Mufti Wilayah ada sentuh pasal isu ni dalam laman web rasmi beliau.”
Tiba-tiba saya teringat satu kata-kata lucu:
“Ustaz saya pernah kata, sesiapa yang korek hidung atau korek telinga memang tidak batal puasa, kecuali…” Saya berhenti seketika, memandang para hadirin dan melihat reaksi mereka. Mereka kelihatan tertanya-tanya apakah dia pengecualian tersebut.
“Kecuali, kecuali apa? Kecuali, jika selepas dia korek hidung atau telinga tu, dia pergi makan tahi hidung atau tahi telinga dia.”
Kedengaran bunyi geli-geleman “eeii” dan “eiew” menguasai suasana. Saya pula yang tertawa.
Soalan
Korek Hidung dan Telinga
Bolehkah mengorek hidung dan telinga ketika berpuasa?
Harus hukumnya. Malah, sunat membersihkan hidung daripada kotoran menggunakan air seperti ketika berwudhu’. Cuma air yang dimasukkan ke dalam hidung jangan berlebihan sehingga masuk ke kerongkong.
Bolehkah menitiskan ubat hidung, mata atau telinga ketika berpuasa walaupun terkadang ada rasa pahit di tekak apabila berbuat demikian?
Boleh, tiada masalah. Ia hanya rasa dan kesan ubat, bukan ‘ain atau ubat itu sendiri.
Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan, selagi mana ubatan yang diberikan atau ujian yang dilakukan oleh doktor bertindak sebagai ubat dan untuk tujuan kesihatan – bukan bertindak sebagai makanan dan minuman -, maka ia dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Termasuklah menyedut nab, ubat semburan untuk penyakit lelah, suntikan vaksin, derma darah, ambil darah untuk pemeriksaan dan lain-lain.
Mandi Wajib
“Ustazah, kalau kita belum mandi wajib, tapi kita bersahur dan niat untuk berpuasa. Lepas tu dalam jam 6.15 pagi macam tu, baru mandi wajib dan solat Subuh, sah tak puasa kita, ustazah?” Tanya seorang wanita berusia lingkungan 30-an.
“Sebelum jawab, ustazah kena tanya semula, mandi wajib sebab suci daripada haid atau sebab ‘janabah’?”
“Kalau sebab bersama suami?” Tanyanya malu-malu.
“Oh, itu dalam bahasa Arab dipanggil ‘janabah’. Jawapannya sah puasa. Sebab puasa ni syarat sahnya tak berkait dengan sudah mandi wajib atau belum. Sudah mandi wajib ni bukan syarat sah untuk puasa. Dengan kata lain, puan mandi wajib untuk membolehkan puan menunaikan solat Subuh. Puasa tetap sah walaupun belum mandi wajib ketika azan Subuh,” jawab saya sambil tersenyum.
Puan yang bertanya mengangguk faham.
“Ustazah, kalau sebab haid atau nifas macam mana pula?” Tanya yang lain.
“Kalau sebab haid atau nifas, kena pastikan betul-betul dulu, bilakah waktu suci? Kalau seorang wanita tu cek tengok dalam jam 5 pagi memang dah suci dah. Lepas tu dia bersahur. Kemudian lepas dah azan Subuh, dalam 6.15 pagi macam tu, baru mandi wajib, maka sah juga puasanya. Kenapa? Sebab sucinya ialah sebelum Subuh lagi. Ini kerana antara syarat sah puasa ialah suci daripada haid dan nifas daripada terbit fajar (Subuh) sehingga terbenam matahari (Maghrib). Bilakah waktunya sesorang itu mandi wajib, tidak berkait dengan sah atau batalnya puasa. Sebab mandi wajib hanya untuk membolehkan seseorang solat, bukan untuk membolehkan seseorang berpuasa. Jelas tak?” Tanya saya pula sambil memandang wajah hadirin.
Ada yang mengangguk dan ada pula yang masih berkerut-kerut. Mungkin cuba menghadam maklumat yang diberi.
“Ustazah, kalau kita cek sebelum tidur dalam jam 11 malam macam tu, masa tu tengok ada lagi sikit kuning. Lepas tu bangun-bangun je dah jam 7 pagi, ustazah. Cek tengok dah suci dah. Nak kena puasa ke?” Yang lain pula mengangkat tangan bertanya.
“Bagus soalan tu. Oleh sebab sebelum tidur tu kita tak ada niat nak puasa lagi, cuma dalam hati terdetik, kalau suci kena puasa, kalau tak suci tak perlu puasa. Maka, bila ada ‘kalau’ itu bermakna niat puasa belum sah lagi. Jadi, tak perlu berpuasa. Hari tersebut tetap dikira sebagai hari puasa yang perlu diganti nanti selepas Ramadhan. Cuma selepas mandi wajib, qadha’ atau gantilah solat Subuh yang tertinggal untuk langkah berhati-hati. Ini kerana boleh jadi masa Subuh tadi dah suci dah. Jelas tak?” Tanya saya kepada yang bertanya.
Beliau mengangguk sambil menjawab, “Jelas, ustazah.”
Rapatkan Saf
“Ustazah, satu lagi masalah dalam bulan puasa ni, masa solat Terawih, ustazah. Susah benar nak rapatkan saf. Sebenarnya nak rapatkan ke kanan atau ke kiri, ustazah? Orang kanan saya tarik saya, yang belah kiri pun tarik saya juga,” adunya sambil mengerutkan dahi.
“Jadi rebutan pun susah tu, ustazah,” usik rakannya pula disambut dengan ketawa yang lain.
“Jadi rebutan okeylah juga. Ni saya ni, ustazah. Orang kanan dan kiri saya dua-dua pun tak nak bergerak, ustazah. Saya keliru nak pilih, nak rapatkan saf ke mana satu. Kalau saya rapatkan ke kanan, belah kiri saya kosong, kalau rapatkan ke kiri, belah kanan pula yang kosong. Tak khusyu’ solat saya dibuatnya,” adu yang lain pula.
Juga disambut dengan gelak-ketawa hadirin. Sememangnya, hari yang ceria. Tidak terasa lapar dan dahaga walaupun berpuasa.
“Macam-macam ye. Apa yang penting janganlah sampai bergaduh sebab saf. Ukhuwwah kena jaga, lagi-lagi di bulan Ramadhan yang mulia. Janganlah sebab saf jadi bermasam muka.” Saya membuat pendahuluan sambil tersenyum sebelum menjawab soalan.
“Asalnya kita kena rapatkan ke kanan untuk rapatkan saf. Tapi kalau ada seorang atau dua orang saja sebelah kanan kita, yang sebelah kiri kita panjang dah safnya. Kita rapatkan arah kiri, arah yang lebih ramai. Lebih mudah sebab tak perlu ramai-ramai nak kena bergerak rapatkan saf. Tapi katalah, orang sebelah tak nak bergerak walaupun kita dah rapatkan ke sebelah yang ramai. Tak apalah, kita ‘husnuzzon’, bersangka baik, mungkin dia tak tahu, atau memang sedang khusyu’ solat sampai tak perasan yang sebelah dah kosong. Bulan puasa ni kita berkasih-sayang, tolong-menolong dan banyakkan senyuman. Senyum tu kan sedekah. Berganda-ganda pula pahalanya dalam bulan Ramadhan. Yang penting, janganlah sebab saf jadi gaduh-gaduh, masam muka, marah-marah. Boleh kan?”
Hadirin hanya mengangguk-angguk sambil tersenyum simpul.
Soalan
Rapatkan Saf
Bergerak ke kiri atau ke kanan?
Ke kanan
Jika sebelah kiri lebih ramai?
Rapatkan ke kiri
Jika ada jemaah yang duduk di atas kerusi?
Rapatkan ke arah jemaah yang berkerusi
Boleh tak nak marah orang sebelah yang tak rapatkan saf lepas solat?
Janganlah marah-marah. Nanti orang sebelah dah tak nak datang solat jemaah T.T
Akan Datang
Banyak lagi sebenarnya soal-jawab yang ingin saya kongsikan. Rasanya, cukup dulu setakat ini yang mampu saya tulis dan coretkan untuk tatapan pembaca sekalian. Insya-Allah akan datang, saya akan berkongsi tentang “adakah ‘lipstick’, ‘lip balm’, krim muka dan lain-lain ‘make-up’ menghalang air daripada sampai ke kulit?” Ini kerana saya menerima banyak pertanyaan, terutama ketika musim perayaan Aidilfitri, berkenaan hal ini. Maklumlah, ramai agaknya yang ingin berhias dan mengenakan ‘make-up’ pelbagai jenis di hari raya yang meriah dengan rumah terbuka. Mohon doa para pembaca dan semoga bermanfaat. ‘Amin, amin ya rabb.’
May 28, 2018
Perkongsian Pengalaman : Cara Tuhan Memujuk
-Awal Bulan-
Grup Whatsapp itu sedikit kecoh dengan berita keputusan temuduga kerja guru. Kata mereka dah keluar.
Tapi ada yang bercanggah pendapat, itu jawatan guru yang lain.
Oleh sebab saya tak mahu dibelenggu dengan percanggahan itu, saya pilih jalan untuk hubungi jabatan itu.
“Saya nak tanya, keputusan guru *** keluar hari ini ke?” Tanya saya sejurus panggilan dijawab.
Soalan saya tak dijawab.
“Boleh berikan nombor kad pengenalan puan?” Suara lelaki di talian meminta maklumat saya untuk dibuat semakan.
“91+++++.”
“Hanim Nabila, betul?”
“Ya saya.” Hati sudah berdebar namun tak henti berdoa, moga jawapan baik-baik saja.
“Maaf, puan tak berjaya.”
Allahu, perkataan “tak berjaya” itu terngiang-ngiang di telinga saya walaupun panggilan itu telah ditamatkan.
Saya melihat wajah rakan saya yang setia menanti jawapan.
“Macam mana?”
“Tak dapat.”
Ketika itu saya seperti percaya itu adalah keputusan temuduga guru yang saya mohon.
Entahlah mahu percaya dan belajar redha dari awal atau tolak ia.
Lagipun lelaki itu tak jawab persoalan saya. Tapi kalau bukan jawatan itu, kenapa dia semak keluar nama saya tak berjaya, kan.
Entah.
Namun air mata saya tetap mengalir, sedih dengan keputusan itu.
Kalau betul, lebih sedih mengingatkan jadi guru adalah impian orang tua.
Tak lama selepas itu hati lega apabila ada rakan beritahu, keputusan jawatan yang kami mohon belum keluar lagi.
*****
-Hujung Bulan-
Waktu rehat pejabat, saya buka Internet, grup Whatsapp sama dipenuhi dengan mesej bertalu-talu.
Hati semakin berdebar-debar.
Saya buka dan baca, rupanya beberapa orang dalam grup itu telah menerima emel dari jabatan bahawa mereka lulus temuduga.
Begitu juga beberapa kawan saya.
Setiap jam saya tunggu emel itu masuk dalam Inbox. Sehingga dua hari telah berlalu, tiada. Disitu fahamlah saya, tak dapat kerja itu.
Apa yang saya belajar dari kejadian ini?
Ada hikmah Allah tetapkan kenapa awal bulan itu saya terima jawapan ‘tak berjaya’ lebih awal.
Biarpun saya tahu itu jawapan untuk jawatan lain.
Rupanya Allah nak saya bersedia untuk terima segala kemungkinan.
Ya. Memang jawapan itu jawatan lain tapi bila saya memilih untuk belajar redha dari awal, jadi hujung bulan itu saya tak terlalu sedih.
Tak terlalu sedih kerja itu bukan rezeki saya. Sekurangnya saya dah berlapang dada.
Saya berbicara dengan Dia,
“Allah Engkau baik, Engkau ada cara-Mu sendiri untuk pujuk aku. Untuk tak biarkan aku bersedih dengan ketentuan hari ini.”
Mungkin Allah swt nak pujuk saya lagi.
Dia takdirkan pertemuan saya dengan seorang kawan yang sudah lama tidak berjumpa.
Sembang punya sembang, dia bertanya.
“Awak mohon tak kerja itu?”
Belum sempat saya jawab, dia memintas dulu.
“Tak payahlah awak jadi cikgu. Dah ramai orang jadi cikgu sekarang ini. Awak bimbing ummah dengan cara lain lah pula.”
Saya senyum lebar kepadanya. MasyaAllah. Ketika itu, saya semat kuat ayat dia dalam ingatan sebagai kata semangat.
Dua kejadian yang Allah aturkan itu sudah cukup untuk saya redha dan tidak lagi bersedih.
Begitulah takdir Tuhan berjalan dalam memujuk hamba-Nya dari bersedih. Takdir Tuhan itu apabila dipandang sudut positif, akan melegakan jiwa sang hamba.
Buat apa lagi mahu dikenang sesuatu yang bukan rezeki kita?
Seharusnya kita fokus kepada apa yang ada depan mata dan merancang buat yang terbaik. InsyaAllah.
May 25, 2018
Motivasi : Bebaskan Jiwamu!
Setiap daripada kita mahukan kebebasan dalam hidup. Kebebasan bersuara, kebebasan ke mana-mana tanpa sekatan, bebas untuk memilih dan sebagainya. Tidak kurang juga, menginginkan kebebasan daripada cengkaman rasa resah, gelisah, kesedihan dan bebas daripada segala bentuk perkara yang tidak menyenangkan jiwa.
Jiwa Yang Dibelenggu
Seandainya jasad yang dibelenggu, kita akan dapat lihat betapa sengsaranya seseorang itu. Tidak mampu bergerak dengan bebas, tangan mahupun kakinya dikekang untuk mencapai dan melangkah. Alangkah siksanya kita yang melihat. Belum lagi dikira orang yang menadah derita itu.
Lain pula keadaannya apabila jiwa yang dibelenggu. Tiada siapa yang dapat meneka dan melihat keadaannya. Boleh sahaja seseorang yang jiwanya dibelenggu kesedihan, kejahilan dan maksiat masih mampu tersenyum. Bahkan, berbual dan berinteraksi seperti biasa tanpa menunjukkan keadaan sebenar jiwanya yang sedang ‘sakit’.
Apabila jiwa semakin sakit kerana dibelenggu oleh kesedihan, maksiat yang berterusan, dan pengisian kerohanian yang semakin menipis, akhirnya, ianya akan mebawa kepada natijah yang besar. Salah satunya adalah, berasa sempitnya hidup ini.
Justeru, jiwa yang merasakan sedemikian, memerlukan proses pembebasan. Benar, bukan mudah untuk meleraikan jiwa dan nafsu yang sudah terbiasa dengan maksiat dan kemungkaran. Tetapi, tiada yang mustahil jika kita benar-benar mahu bebas daripada belenggu itu.
Bebaskan Jiwa Itu!
“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhan mu dan penyembuh bagi penyakit penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang orang yang beriman” (Yunus : 57)
Dalam firman Allah di atas, Allah telah katakan bahawa Dia telah mengirimkan kunci bagi membebaskan jiwa-jiwa yang sakit dan dibelenggu. Lihat pula firman Allah SWT yang berikutnya,
“Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang orang yang zalim selain kerugian” (Al Israa : 82)
Maka, Al-Quran boleh menjadi salah satu daripada jalan untuk membebaskan jiwa yang dibelenggu. Baca,fahami, dan menghayati Al-Quran akan medidik jiwa kepada kebesaran Allah SWT. Mengingatkan nafsu dan hati kepada sifat Rahman, Rahim dan rahmat Allah SWT. Dengan menjadikan Al-Quran ini sebagai peneman sepanjang masa, tidak mustahil, jiwa akan bebas daripada cengkaman rasa gelisah dan keinginan nafsu yang liar ke arah maksiat.
Bangkitlah jika kita merasakan jiwa kita seakan-akan diikat dan dipenjara dengan rasa seperti yang disebutkan tadi. Usah diisi masa yang berlalu dengan kemungkaran, kelak apabila hati sudah hitam dan terbiasa dengannya, tiada ruang untuk keinginan melakukan kebaikan. Akhirnya, hati tidak tenteram.
Allah berfirman :
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. (Al-Muzzammil : 6)
Oleh itu, perkuatkanlah diri untuk bangun menunaikan solat dan ibadat malam. Lakukanlah semampu yang kita boleh walaupun sekejap dan sedikit bilangannya. Mudah-mudahan ianya membantu membebaskan dan merawat jiwa kita.
Penutup : Pilihlah Untuk Bebas!
Kerana kebebasan adalah satu elemen yang membawa ketenangan. Maka, pilihlah ia. Terutamanya membebaskan jiwa kita daripada maksiat dan kekotoran dosa.
“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Asy Syam : 8-10).
Jika jiwa berasa kosong dan tidak tenang,
Sering sahaja ingin melakukan maksiat dan dosa,
Bangkit, bersihkan jiwa, dan pilihlah untuk bebas dan tenang.
Jadilah orang yang beruntung!
May 15, 2018
Perkongsian Pengalaman: “Kentut faraj? Macam mana tu, ustazah?”
“Ustazah, kalau keluar angin daripada depan, batal wudhu’ tak?” Seorang wanita mengangkat tangan bertanya.
“Masa saya solat, kadang-kadang bila duduk tahiyyat akhir tiba-tiba rasa macam keluar angin, ustazah. Cuma bukan kentut biasa tu, tapi kentut faraj. Batal tak solat?”
“Kentut faraj? Macam mana tu, ustazah?” Seorang gadis muda pula bertanya dengan wajah polos terpinga-pinga.
Inilah antara situasi dan soalan yang kerap ditanya sebaik sahaja kelas Fiqh Wanita mula membincangkan tajuk “Perkara-perkara yang membatalkan wudhu’” dengan subtopik: “Keluar sesuatu daripada dua jalan”.
Mufti Wilayah, Dr. Zulkifli al-Bakri juga ada menulis dalam web rasmi beliau di mana beliau menjelaskan dengan terperinci khilaf (perbezaan pandangan) dalam kalangan ulama’ silam yang mana sebahagiannya menganggap kentut faraj membatalkan wudhu’ dan sebahagian lain menganggapnya tidak membatalkan wudhu’. Para pembaca yang ingin melihat sendiri dalil-dalil yang dikemukakan boleh ke pautan ini: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1248-al-kafi-418-angin-yang-keluar-daripada-qubul-wanita-adakah-membatalkan-wuduk?highlight=WyJrZW50dXQiLCIna2VudHV0JywiLCJmYXJhaiIsIidmYXJhaiJd.
Saya pula lebih cenderung membincangkan isu ini daripada perspektif Sains Perubatan dengan melihat punca asal datangnya ‘kentut’ atau ‘angin’ tersebut. Maklumat ini saya perolehi daripada pembacaan buku “Wanita, isteri dan rahsia seksual” oleh Prof. Emeritus Dr. Mohd Ismail Tambi, facebook Prof. Imelda Balchin dan juga Dr. Erna Nadia yang memuat naik perbincangan berkenaan kentut vagina dalam facebook page Medical Mythbusters Malaysia.
Kentut Faraj disebabkan Udara dalam Faraj
“Cuba tengok ni.”
Saya cuba menarik perhatian para pelajar ke arah mulut saya yang sudah dikembungkan. Udara yang sudah terperangkap penuh di dalam mulut itu saya keluarkan. Meniru bunyi kentut. Gema kentut dengan bantuan pembesar suara membuatkan mereka ketawa terkekeh-kekeh.
Saya memberikan penerangan bahawa begitulah apabila seorang wanita itu melakukan pergerakan-pergerakan di dalam solat seperti rukuk dan sujud. Udara daripada luar boleh masuk ke dalam rongga faraj yang terbuka. Apabila udara yang terperangkap dalam faraj itu dihimpit seperti kita duduk atau berdiri, akan terhasillah kentut faraj.
Mari kita perhatikan nota Dr. Erna Nadia:
Vagina ialah tiub berotot, bersifat elastik dan fleksibel. Ia boleh mengembang dan mengempis serta mengandungi udara.
“Puan rasa, kenapa agaknya kentut faraj puan alami kadang-kadang terjadi ketika tahiyyat akhir?” Soalan itu saya tujukan kepada wanita yang bertanya tadi.
“Oh, tu ka udara dalam faraj. Banyak udara mai masuk masa saya sujud kot, ustazah.”
Jawapan itu menyebabkan para hadirin ketawa. Saya pula tersenyum lebar. Ya, nampaknya yang bertanya sudah memahami bahawa faraj wanita mempunyai ruang dan terisi oleh udara di dalamnya. Apabila beliau sujud, lebih banyak udara berpeluang masuk ke dalam rongga faraj. Udara ini akhirnya terhimpit ketika beliau duduk tahiyyat akhir, lalu menghasilkan keadaan seperti keluar angin daripada ‘depan’.
Kentut Faraj disebabkan Penyakit
Dr. Erna Nadia menyenaraikan dua sebab kenapa berlaku kentut faraj:
Pertama: Udara normal yang berada di dalam faraj (seperti yang telah diterangkan)
Kedua: Udara yang datang daripada usus.
Sebab pertama tidak berbahaya dan perkara yang normal terjadi (seperti yang telah diterangkan sebelum ini). Manakala, sebab kedua (udara daripada usus) merupakan penyakit yang perlu mendapat rawatan doktor.
Prof. Mohd Ismail Tambi juga menjelaskan bahawa rongga faraj dan rongga usus besar hanya terasing oleh dinding. Jika dinding ini tidak kuat, rongga faraj boleh terjerlus ke usus atau usus boleh terjerlus ke dalam rongga faraj. Maka apabila seorang wanita melepaskan udara daripada usus, ‘angin’ atau ‘kentut’ yang sepatutnya keluar melalui dubur, boleh keluar melalui faraj.
Oleh itu, jika seorang wanita berasa sakit atau ada darah semasa kentut faraj, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Dua Sebab Kentut faraj: yang membatalkan dan yang tidak membatalkan wudhu’
Saya cenderung kepada pendapat ulama’ yang mengatakan bahawa kentut faraj yang disebabkan oleh udara normal yang berada di dalam faraj merupakan kentut yang tidak membatalkan wudhu’, sekaligus tidak membatalkan solat sekiranya ia terjadi ketika sedang solat.
Manakala, kentut yang disebabkan oleh udara daripada usus besar merupakan kentut yang membatalkan wudhu’. Namun, oleh sebab ini merupakan satu bentuk penyakit, maka wanita yang menderitainya mendapat ‘rukhsah’ iaitu keringanan sebagaimana seorang pesakit. Solat boleh ditunaikan dengan berdiri, duduk atau mengiring mengikut kemampuan.
Saya juga cenderung kepada pendapat ulama’ yang memberikan ‘rukhsah’ -keringanan- kepada pesakit seperti ini (sekiranya terdapat ‘mashaqqah’ -kepayahan dan kesukaran- untuk mengambil wudhu’ setiap kali kentut faraj) untuk menjamakkan solat secara ‘tamam’ iaitu solat Zohor ditunaikan empat rakaat dan boleh dijamakkan dengan solat Asar empat rakaat, begitu juga solat Maghrib ditunaikan tiga rakaat dan boleh dijamakkan dengan solat ‘Isya’ empat rakaat.
Namun, jika mengambil semula wudhu’ setiap kali berlakunya kentut faraj itu adalah perkara yang mudah untuk dilakukan, maka perlulah diulangi wudhu’ kerana kentut faraj yang disebabkan udara daripada usus besar itu sama sahaja seperti kentut melalui dubur.
Jadual ini diharapkan dapat menambahkan lagi kefahaman kita:
Soalan
Kentut faraj disebabkan udara dalam rongga faraj
Kentut faraj disebabkan udara daripada usus besar
Normal atau penyakit?
Normal dan tidak berbahaya.
Namun kekerapan terjadinya kentut faraj berbeza bergantung kepada faktor umur, kekuatan otot pelvis dan sama ada sudah atau belum berkahwin.
Wanita yang sudah berkahwin biasanya lebih kerap mengalami kentut faraj (yang normal) berbanding wanita yang belum berkahwin.
Penyakit yang memerlukan rawatan doktor.
Adakah membatalkan wudhu’?
Tidak membatalkan wudhu’.
Ya, membatalkan wudhu’.
Adakah mendapat rukhsah (keringanan) dalam beribadat?
Tiada rukhsah.
Ya, mendapat rukhsah sebagaimana rukhsah untuk ibadat pesakit.
“Ustazah, ustazah madzhab Syafi’e ke ustazah?”
Tersenyum saya mendengarnya. Sememangnya, pendapat di atas agak berbeza dengan pendapat madzhab Syafi’e seperti yang telah diulas oleh Dr. Zulkifli al-Bakri dalam laman web rasmi Mufti Wilayah (saya telah letakkan pautannya di bahagian awal penulisan ini).
Ya, saya bermadzhab Syafi’e. Cuma dalam isu-isu tertentu, saya cenderung untuk memilih pendapat para ulama’ yang disokong oleh Sains Perubatan walaupun bertentangan dengan madzhab Syafi’e.
Saya juga akui bahawa terdapat pandangan yang mengatakan bahawa seseorang itu perlu mengikut hanya satu madzhab untuk mengelakkan kekeliruan dalam ibadat, dan saya hormati pendapat tersebut. Namun, saya cenderung kepada pendapat para ulama’ yang membolehkan seseorang memilih pendapat berdasarkan dalil yang diyakininya walaupun pendapat tersebut berbeza dengan madzhabnya. Ini kerana saya percaya bahawa setiap kita memilih sekadar apa yang kita tahu. WAllahu a’lam.
Senaman Kegel
Para doktor menggalakkan kita tidak kira wanita atau lelaki, sudah berkahwin atau belum untuk mengamalkan senaman Kegel (dikenali juga sebagai senaman kemutan) setiap hari. Senaman ini penting bagi menguatkan otot pelvis. Ini kerana otot pelvis bertugas sebagai benteng bagi lubang kencing, lubang faraj dan juga dubur. Kelemahan otot pelvis akan menyebabkan ketiga-tiga lubang itu sukar dikawal. Dengan kata lain, apabila otot pelvis lemah, sesorang mudah terkencing apabila batuk atau ketawa dan mudah pula terkentut sama ada melalui faraj atau dubur. Cara terbaik untuk mengatasi kelemahan otot pelvis adalah dengan mengamalkan senaman Kegel.
“Macam mana nak buat senaman tu, ustazah?”
Caranya hanya dengan mengemutkan faraj seperti menahan kencing atau menahan kentut selama tiga saat dan lepaskan kemutan selama tiga saat. Ulangi proses ini sebanyak 10-20 kali kemutan, tiga hingga lima kali sehari. Boleh dilakukan sambil baring, duduk atau berdiri. Setelah beberapa hari dan senaman kemutan ini dapat dilakukan dengan lancar, bolehlah ditambah kepada lima saat pula, kemudian tujuh saat dan akhirnya hingga sepuluh saat bagi setiap proses mengemut dan melepaskan kemutan. Mudah tetapi perlu istiqamah. Jadi saya cadangkan buatlah senaman ini setiap kali selesai solat fardhu.
“Ustazah, mak saya selalu mengadu terkencing bila batuk. Kalau buat senaman ni, boleh elok tak ustazah?”
Boleh Insya-Allah. Senaman ini sememangnya amat disarankan oleh para doktor dan pakar-pakar perubatan. Cuma untuk merasai kesan positifnya, perlukan masa. Menurut Prof. Ismail Tambi, biasanya selepas 6 minggu diamalkan secara konsisten barulah kesan baiknya dapat diperolehi. Malah, senaman kemutan ini perlu diteruskan dan diamalkan secara istiqamah sehingga akhir hayat.
Mari kita lihat gambar yang dikongsikan oleh Prof. Imelda Balchin di fb beliau:
Gambar di atas menunjukkan bagaimana otot lantai pelvis (pelvic floor muscles) memegang atau menjadi benteng untuk tiga jalan:
Jalan pertama: salur kencing (urethra) -yang merupakan jalan kepada pundi kencing (bladder)
Jalan kedua: rongga faraj (vagina) -yang merupakan jalan kepada rahim (uterus)
Jalan ketiga: dubur yang merupakan jalan kepada usus besar (rectum).
Walaupun para ulama’ silam menggunakan istilah “keluarnya sesuatu daripada dua jalan”, sebenarnya terdapat tiga jalan yang amat berkait rapat dengan batal atau tidak wudhu’ seseorang.
Untuk maklumat tambahan berkenaan tiga jalan tersebut, terutamanya tentang ‘keputihan’ dan ‘air wadi’, boleh pergi ke pautan ini: http://www.langitilahi.com/perkongsian-pengalaman-ustazah-adakah-air-wadi-dan-keputihan-itu-najis-dan-membatalkan-wuie/
Saya juga ada menulis berkenaan air mani wanita di pautan ini: http://www.langitilahi.com/perkongsian-pengalaman-soalan-yang-paling-kerap-ditanya-oleh-wanita-dalam-bab-mandi-wajib/
Insya-Allah, perkongsian seterusnya akan berkisar tentang soalan-soalan yang kerap ditanya oleh wanita berkenaan puasa dan Ramadhan. Apakah hukum memakai gincu dan ‘lip balm’ (pelembap bibir) ketika berpuasa di bulan Ramadhan, hukum merasa makanan kemudian meludahnya dan sebagainya. Mohon doa pembaca semoga penulisan-penulisan ini bermanfaat. Amin, amin ya rabb.
May 12, 2018
Motivasi : Kita Di Dunia Yang Mana?
Pernah tak kita terfikir, mengapa Allah memilih kita untuk melihat, bernafas, berjalan dan menikmati dunia ini? Adakah ianya sekadar suka-suka? Atau ada maksud yang terhijab daripada kita, sehinggakan kita menjadikan dunia ini sebagai tempat untuk bersuka ria semata-mata.
Kita Ada Di Dunia Yang Mana?
Pertama, dunia yang penuh dengan suka ria dan tiada arah tujuan. Setiap masa yang berlalu dilalui mengikut keinginan nafsu semata-mata, sehingga menafikan dan melupai keberadaan Allah SWT sebagai Rabb, Pencipta dan Pemilik alam ini.
Natijahnya, dosa dilakukan secara terang-terangan dan merasakan hidup ini adalah sesuatu yang sia-sia. Apabila ditimpa musibah, hatinya memberontak dan mudah berputus asa. Masanya dipenuhi dengan kesibukan untuk mengumpul harta tanpa rasa puas. Begitulah keadaan seorang manusia yang berada di dalam dunia yang kosong tanpa tahu arah perjalanan hidupnya.
Kedua, dunia seorang hamba yang mengenal erti dan tujuan hidupnya.
“Sesungguhnya solatku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku adalah kerana Allah SWT, Tuhan sekalian alam.” (Al-An’am: 162)
Lihatlah kalam yang sering kita bacakan di setiap permulaan solat ini. Setiap inci kehidupan kita, tidak kiralah apa jua ibadat, pekerjaan, sehinggakan kematian sekalipun, adalah untuk dan kerana Allah SWT.
Manusia yang memahami dan mendalami tujuan hidupnya, dia tahu, apa jua gerak kerja yang dilakukannya adalah kerana Allah semata-mata. Sebagai contoh, seorang yang memahami tujuan hidupnya akan sedaya upaya meninggalkan dosa sehabis baik. Jika dia tersilap, pasti taubat menjadi langkah pertamanya. Kerana apa?
Tidak lain hanyalah kerana, dia tahu, dia hanyalah hamba yang menurut perintah Allah SWT. Oleh sebab itulah, dia tidak boleh berbuat dosa dan lalai sesuka hati, setiap masa.
Justeru, kita ada di dunia yang mana?
Dunia Jambatan Akhirat
“ Tiadalah hidup di dunia ini melainkan permainan dan gurauan. Sesungguhnya kampung akhirat, lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Apa tidakkah kamu memikirkan ?”
(Al An’am 6 : 32 )
Alangkah indahnya jika di akhirat kelak, kita dibangkitkan dan kemudian diletakkan ke dalam sebaik-baik tempat, iaitu syurga. Kita kekal di dalamnya dengan nikmat yang tidak berpenghujung. Namun, kita perlu sedar, sekarang ini kita berpijak di mana. Kita masih di dunia yang penuh ujian.
Oleh itu, apabila Allah SWT menyatakan kehidupan akhirat itu lebih baik bagi orang-orang bertaqwa, apa pula pilihan kita? Adakah mahu terus menerus menjadi hamba yang berbuat dosa dan melupakan Allah SWT?
Benar, didiklah diri untuk sentiasa takut dengan azab pedih Allah SWT. Daripada itu, kita akan mula meletakkan tujuan hidup ini sebagai tempat untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata. Akhirnya, kita akan nampak dengan jelas, dunia ini adalah jambatan yang perlu ditempuh untuk menuju ke akhirat yang kekal abadi.
Penutup : Memaknakan Dunia
Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku semata-mata. (Adz Dzaariyat : 56)
Apabila Allah SWT menyatakan hidup kita ini semata-mata untuk beribadah kepada-Nya, maka tiada alasan lain mengapa kita berada di dunia ini.
Ya, apa jua yang kita lakukan di dunia ini, adalah kerana kita hamba kepada Allah SWT.
Justeru, sebagai hamba, tiada perkara lain yang wajib kita lakukan melainkan menyembah, mentaati, menuruti segala peraturan Allah SWT.
Kita hidup di dunia ini punya makna. Kerana itu akhirat diciptaka. Bagi memberi hadiah kepada mereka yang mewarnai dunia dengan ketaatan.
May 2, 2018
Buat Baik Digandakan Sepuluh, Buat Jahat?
Pendahuluan
Manusia secara fitrahnya suka melakukan kebaikan. Suka tolong orang susah. Suka sedekah orang miskin. Suka gembirakan orang yang sedih. Suka mudahkan orang yang sukar.
Sebaliknya ada juga manusia yang suka melakukan kejahatan. Suka menipu, mencuri, merompak, merogol, membunuh dan sebagainya.
Jadi buat baik merupakan pilihan kita.
Kita kena faham bahawa setiap orang boleh buat baik. Tidak perlu menunggu diri menjadi sempurna. Tunggu jadi orang ternama baru nak tolong orang susah, tunggu kaya baru nak sedekah, tunggu jadi ustaz baru nak nasihat dan tunggu jadi macam-macam lagi barulah nak buat baik.
Teringat kata-kata orang yang bijaksana,
Orang berbuat baik dibalas baik adalah perkara biasa, orang berbuat jahat dibalas jahat lagi lah biasa, orang berbuat baik dibalas jahat juga biasa tetapi orang berbuat jahat tetapi dibalas baik adalah luar biasa. Itu lah manusia budiman.
Itulah akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Baginda tidak pernah membalas segala kejahatan yang dilakukan terhadap baginda.
Orang Yang Bahagia Adalah Orang Yang Buat Baik
Sebenarnya kita kena tahu bahawa orang yang buat baik adalah orang yang bahagia. Bukan sahaja bahagia di dunia tetapi bahagia juga di akhirat.
Firman Allah SWT :
Sesiapa yang datang membawa amal kebajikan (yang telah dikerjakannya) maka ia akan beroleh balasan yang lebih baik daripadanya, dan mereka akan beroleh aman sentosa daripada kejadian-kejadian yang mengerikan pada hari kiamat itu. Surah al-Naml (27) : 89.
Ketika Hari Kiamat nanti, manusia akan terbahagi kepada dua golongan iaitu orang yang bahagia dan orang yang celaka.
Siapakah orang yang bahagia?
Orang yang bahagia adalah orang-orang beriman yang melakukan amal soleh. Jika kita beriman dan melakukan amal soleh ketika di dunia, maka kita akan mendapat pahala yang besar.
Siapakah orang yang celaka?
Orang yang celaka adalah orang-orang kafir, orang-orang yang melakukan maksiat dan seumpama dengannya. Mereka akan dilemparkan ke dalam api neraka dalam keadaan wajah mereka dahulu sambil dikatakan kepada mereka, “Inilah balasan amal perbuatan kalian”.
Cuba kita bayangkan sebentar.
Jika kita naik motor, kemudian ditakdirkan kita jatuh dan muka kita dahulu yang mencium jalan raya? “Huh”. Tak dapat bayangkan sakitnya. Inikan pula di dalam api neraka.
Rahmatnya Allah
Firman Allah SWT :
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). Surah al-An’am (6) : 160.
Menurut ulama tafsir, ayat ini ada kaitan dengan ayat yang saya sebutkan sebelum ini.
“Orang yang melakukan kebaikan akan mendapat balasan yang lebih baik daripadanya…”
Apakah balasan yang lebih baik itu?
Barang siapa yang melakukan satu kebaikan, dia akan mendapat sepuluh kali ganda pahala. Malah boleh jadi sehingga tujuh ratus kali ganda atau berganda-ganda lagi mengikut kehendak Allah SWT.
Saya berikan contoh mudah, jika kita sedekah RM1, maka Allah akan beri kita RM10. Jika kita sedekah RM10, maka Allah akan beri kita RM100 dan begitulah seterusnya.
Tetapi kebaikan itu tidak semestinya dengan duit, ini hanya sekadar contoh untuk kita mudah faham.
Jika satu kebaikan Allah gandakan sepuluh pahala, kalau satu kejahatan pula bagaimana? Adakah Allah gandakan juga?
Tidak!
Ayat ini beritahu kita bahawa jika kita melakukan satu kejahatan, maka kita akan ditulis melakukan satu kejahatan sahaja. Inilah bukti betapa Allah sangat mengasihi hambanya.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata,
Rasulullah SAW bersabda, Allah Azza Wa Jalla berfirman, ‘Apabila seorang hamba-Ku berkira-kira (dalam dirinya) untuk melakukan kebaikan, maka Aku tuliskan baginya kebaikan walaupun dia masih belum mengamalkannya. Apabila dia telah mengamalkannya, maka Aku tuliskan baginya sepuluh kali ganda yang serupa dengannya. Apabila dia berkira-kira untuk melakukan kejahatan, maka Aku mengampuninya selagi mana dia belum mengamalkannya. Apabila dia telah mengamalkannya, maka Aku tuliskan baginya kesalahan yang serupa dengannya.’
Rasulullah SAW bersabda lagi, ‘Para malaikat berkata, wahai Tuhanku, itulah hamba-Mu yang ingin melakukan kejahatan,’ sedangkan Dia mengetahui perkara tersebut, lalu berfirman, ‘Awasilah dia, jika dia melakukannya, maka tulislah baginya suatu kesalahan yang serupa dengannya. Jika dia meninggalkannya, maka tulislah ia baginya suatu kebaikan. Sesungguhnya ia meninggalkannya kerana-Ku.’
Baginda bersabda, ‘Apabila salah seorang dalam kalangan kalian yang baik Islamnya, maka setiap kebaikan yang dikerjakannya ditulis dengan sepuluh sehingga 700 kali ganda, dan setiap kejahatan yang dikerjakannya ditulis dengan kejahatan yang serupa (tanpa digandakan) sehinggalah dia bertemu Allah,’” Riwayat Muslim.
Kesimpulan
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir, para ulama telah mengkaji tentang keadaan orang yang meninggalkan maksiat dan menyimpulkan bahawa mereka ini terbahagi kepada tiga kategori.
Pertama, kadang-kadang dia meninggalkannya kerana Allah SWT. Ini ditulis baginya satu kebaikan kerana dia meninggalkan kejahatan itu semata-mata kerana Allah.
Contoh, seseorang yang ada niat mencuri, tiba-tiba teringat dengan azab api neraka, jadi dia tidak jadi mencuri kerana takut dengan azab Allah yang sangat pedih. Maka dia akan mendapat satu pahala.
Kedua, kadang-kadang dia meninggalkannya kerana lupa atau lengah. Dalam keadaan ini, dia tidak mendapatkan pahala atau dosa sebab dia tidak meniatkan suatu kebaikan dan tidak pula melakukan satu kejahatan.
Contoh, seseorang yang ada niat mencuri, kemudian dia terlupa atau pun tertidur, maka dia tidak akan mendapat apa-apa sama ada dosa atau pun pahala. Tidak dapat pahala sebab dia tidak niat untuk melakukan kebaikan. Tidak dapat dosa sebab dia tidak melakukan sebarang kejahatan.
Ketiga, kadang-kadang dia meninggalkannya kerana tidak mampu melakukan atau malas setelah berusaha melakukan namun tetap tidak berjaya. Perbuatan ini dikira telah melakukan kejahatan tersebut.
Contoh, seseorang yang ada niat mencuri, dalam usaha dia nak mencuri itu tiba-tiba ada ramai orang atau pun ada orang yang jaga, setelah dia berusaha pelbagai cara untuk mencuri, tetapi tidak berjaya lalu dia pun balik, maka dia dikira telah melakukan kejahatan tersebut.
Perkongsian Pengalaman: “Ustazah, adakah ‘air wadi’ dan ‘keputihan’ itu najis dan membatalkan wudhu’?”
Untuk menjawab persoalan di atas, saya terlebih dahulu suka mengajak pelajar-pelajar kelas Fiqh Wanita untuk melihatnya daripada perspektif Sains Perubatan. Daripada manakah datangnya ‘air wadi’ dan juga ‘keputihan’? Apakah kelenjar atau organ yang menghasikannya?
‘Air Wadi’
Pertama, mari kita kenal pasti, apakah yang dimaksudkan oleh ‘air wadi’?. Para ‘ulama’ menamakan ‘air wadi’ bagi lendir yang keluar ketika kencing. Sains membuktikan bahawa kelenjar Bartholin berfungsi untuk mengekalkan kelembapan faraj dan melindungi faraj. Setiap kali seorang wanita kencing, air kencingnya akan melalui kawasan faraj disebabkan lubang kencing yang berada di atas lubang faraj. Kelenjar Bartholin akan menghasilkan lendir yang melindungi faraj dan mengelakkan kuman air kencing menjangkiti faraj. Lendir inilah yang dinamakan oleh para ‘ulama’ sebagai ‘air wadi’.
(Pernah nampak gambar ini? Saya juga meletakkan gambar yang sama dalam penulisan saya yang lepas berkenaan air mani wanita. Gambar yang diambil daripada fb Prof. Imelda)
Urethra ialah lubang kencing yang terletak di atas lubang faraj. Kelenjar Bartholin selain berfungsi mengeluarkan air mazi ketika ransangan syahwat, ia juga mengeluarkan lendir ketika wanita kencing bagi melindungi faraj daripada kuman. Oleh itu, apabila wanita membasuh kencingnya, dia akan mendapati terdapat juga lendir di sekitar kawasan faraj.
“Jadi, air wadi ni najis dan membatalkan wudhu’lah kan ustazah?”
Ya, disebabkan ‘air wadi’ keluar bersama air kencing yang najis dan membatalkan wudhu’, maka secara automatik, ia menjadi najis kerana terkena air kencing.
Namun, ada juga ‘ulama’ yang mengatakan ‘air wadi’ juga selain istilah bagi lendir yang keluar ketika kencing, ia juga istilah bagi lendir yang keluar ketika penat atau mengangkat barang yang berat. Maka, ustazah cenderung kepada pendapat ‘ulama’ yang mengatakan bahawa ‘air wadi’ (yang dianggap oleh sebahagian ‘ulama’ silam turut keluar ketika penat dan angkat barang yang berat), tidak najis dan tidak membatalkan wudhu’ apabila tidak terkena air kencing dan tidak pula keluar ketika kencing.
Secara semulajadinya, kelenjar Bartholin memang akan menghasilkan lendir bagi melindungi faraj ketika berjalan, angkat barang berat dan sebagainya. Banyak atau tidak lendir yang dikeluarkan bergantung kepada individu dan keadaannya. Sebagai contoh yang mudah, kelenjar peluh akan mengeluarkan peluh. Banyak atau tidak peluh yang dikeluarkan berbeza bagi setiap individu dan keadaannya (panas atau sejuk).
Apabila lendir yang dihasilkan oleh kelenjar Bartholin ini tidak terkena air kencing, maka ia tidak najis. Keluarnya juga tidak dianggap membatalkan wudhu’ kerana lendir tersebut tidak keluar melalui lubang kencing mahupun lubang faraj. Ia keluar daripada kelenjar Bartholin yang berada di tepi faraj.
“Macam mana ye ustazah, kadang-kadang masa kencing tu macam banyak sangat lendirnya. Masa basuh tu nak kena korek keluar ke ustazah semua lendir sampai bersih?”
Kalau lendir itu banyak dan berada di dalam lubang faraj, maka itu mungkin lendir ‘keputihan’ yang bercampur dengan lendir ‘air wadi’ daripada kelenjar Bartholin. Maka, tidak perlu dikorek keluar. Ini juga nasihat yang diberikan oleh para doktor.
Perbuatan mengorek faraj dengan jari untuk membersihkan lendir yang ada akan mendedahkan faraj kepada jangkitan kuman. Begitu juga, jika seorang wanita ingin memastikan sama ada dia sudah suci daripada haid, cukup sekadar dengan meletakkan kapas atau tisu di bahagian luar faraj tanpa perlu mengorek ke bahagian dalam faraj. Malah, penggunaan pencuci faraj hanya untuk bahagian luar sahaja dan tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam faraj.
Ini kerana mencuci bahagian dalam faraj akan mengakibatkan kemusnahan flora semulajadi ‘acidophilus’ yang bertindak sebagai pelindung faraj. Ini berlaku apabila flora tersebut dijangkiti kuman lalu musnah. Akhirnya, kawalan tahap asid dalam faraj terganggu dan kuman perosak akan mengganas.
“Habis tu kalau lendir tu ada lagi walaupun dah basuh kencing, macam mana ustazah? Tak najis ke lendir ‘keputihan’ tu?”
Keputihan
Keputihan ialah istilah yang biasa kita guna untuk menggambarkan lendir jernih bercampur putih yang yang keluar daripada lubang faraj. Sebelum menjawab soalan di atas, ada lagi satu soalan yang sering ditanya:
“Normalkah ustazah keluar lendir keputihan ni? Tapi memang tiada ransangan seksual apa pun. Masa belajar, masa dalam kelas contohnya, bangun daripada duduk rasa macam basah. Kadang-kadang sikit je, kadang-kadang tu banyak.”
Ya, normal. Menurut Prof. Emeritus Mohd. Ismail Tambi wanita secara normalnya akan mengeluarkan antara 20-120 gram cecair daripada faraj pada satu-satu waktu dalam pusingan haid. Waktu yang banyak berlaku keputihan ialah beberapa hari sebelum ovum keluar (proses ovulasi) dan beberapa hari sebelum haid keluar (apabila ovum tidak disenyawakan).
Cecair dan lendir keputihan yang keluar sebelum ovulasi ini berwarna cerah, bertali-tali dan kemudiannya bertambah dengan cecair lebih lembap berwarna putih. Cecair yang keluar sebelum haid pula lebih pekat dan kekuningan akibat tidak balas hormon ‘progesterone’ yang meningkat lalu menyebabkan ‘mukosa’ atau lendir faraj berubah.
Bau berubah-ubah dan apabila terkena atau bercampur peluh ia akan berbau masam. Andainya terdapat jangkitan (jangkitan biasa ialah jangkitan kulat yis dan kadang-kadang daripada jangkitan bakteria lubang najis) jangkitan ini akan menyebabkan bau keputihan itu berbau busuk seperti najis dan menyebabkan kegatalan di sekitar faraj.
Keradangan faraj juga boleh mengakibatkan pengeluaran lendir keputihan yang banyak seperti alahan kepada bahan pencuci faraj, kosmetik seperti minyak wangi, sesetengah ‘pad’ atau ‘patiliner’ dan pakaian dalam yang ketat dan sintetik.
Berbalik kepada soalan “Habis tu kalau lendir tu ada lagi walaupun dah basuh kencing, macam mana ustazah? Tak najis ke lendir ‘keputihan’ tu?”, saya cenderung kepada pendapat para ‘Ulama’ yang mengatakan bahawa, tidak mengapa kerana ia tidak najis. Malah, keluarnya keputihan semata-mata tidak membatalkan wudhu’ (jika keputihan keluar bersama air kencing, maka wudhu’ tetap batal kerana kencing).
Pendapat ini berasaskan kepada banyak dalil. Dr. Ruqayyah binti Muhammad al-Muharib, pensyarah Universiti Ummu al-Qura, Mekah al-Mukarramah ada menulis sebuah buku yang disebarkan secara percuma dengan dana daripada Mu’assasah Sulaiman al-Rajihi.
Dr. Ruqayyah membawakan perbincangan yang panjang lebar bermula dengan perbezaan pandangan ‘ulama’ silam berdasarkan mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i, Hanbali dan juga Zahiri. Lalu diakhiri dengan memberikan pandangan peribadi berdasarkan perbincangan beliau dengan pakar sakit puan. Beliau menyenaraikan lapan dalil utama yang menyokong pendapat bahawa keputihan tidak najis dan tidak juga membatalkan wudhu’.
Antara dalil yang dapat saya kongsikan di sini ialah:
حديث أم عطية: «كنا لا نعد الكدرة والصفرة شيئًا»
Hadith Ummu ‘Atiyyah: “Sesungguhnya kami tidak mengambil kira warna keruh dan kekuningan (yang keluar daripada faraj) sebagai sesuatu apa pun” (Hadith Sahih Riwayat al-Bukhari).
Menurut Dr. Ruqayyah, jika lendir keruh dan kekuningan yang keluar daripada faraj tidak dianggap sebagai sesuatu apa pun -tidak dianggap najis dan tidak pula dianggap membatalkan wudhu’-, maka apatah lagi warna keputihan.
Begitu juga, dalam penerangan hadith ada dinyatakan bahawa warna keruh dan kekuningan yang keluar selepas daripada suci tidak dianggap sebahagian daripada haid. Ini bermakna, ia tidak menyebabkan hadath besar dan tidak juga hadath kecil.
Jika warna keruh dan kekuningan itu menjadi sebab seorang wanita berhadath kecil dan memerlukan wudhu’, maka pastilah akan dijelaskan dalam hadith di atas. Apabila tiada penjelasan, maka hukum asal adalah lendir keputihan kekal suci dan tidak membatalkan wudhu’. WAllahu a’lam.
Jadual
Diharapkan jadual di bawah dapat membantu menambahkan lagi kefahaman kita:
Persoalan
Air Wadi
Keputihan
1. Apa maksudnya?
Air wadi mempunyai 3 maksud:
i. Majoriti ‘ulama’ mengehadkan maksud ‘air wadi’ kepada lendir yang keluar ketika kencing.
ii. Sebahagian ‘ulama’ pula menambahkan maksud air wadi turut mencakupi lendir yang keluar ketika penat, dan…
iii. Lendir yang keluar ketika angkat barang berat.
Lendir keputihan yang keluar daripada lubang faraj.
2. Dari manakah ia terhasil?
Kelenjar Bartholin yang berada di tepi faraj.
Mukosa faraj dan juga serviks.
3. Apakah warna dan baunya?
Jernih seperti air liur.
Bau berdasarkan apa yang dimakan oleh individu tersebut.
Sebelum ovulasi, ia berwarna jernih dan bertali-tali, kemudian bertambah dan berwarna putih.
Sebelum haid (jika tiada persenyawaan berlaku) warna akan menjadi lebih pekat dan kekuningan akibat tindak balas hormon progesterone.
Baunya masam apabila terkena peluh.
Berbau hancing jika terkena air kencing.
Berbau najis apabila terkena jangkitan.
3. Normal tak?
Ya, normal.
Ya, normal. Ia merupakan fisiologikal discaj.
Namun, apabila ada jangkitan atau keradangan faraj akibat alahan, keputihan akan meningkat dan mengakibatkan kegatalan. Perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
Najis tak?
Air wadi adalah najis apabila keluar ketika kencing kerana sudah bercampur dengan air kencing yang najis.
Namun, jika ia keluar sebab penat atau angkat barang berat, maka ia tidak najis dengan semata-mata keluar air wadi.
Tidak najis kerana ia adalah proses semulajadi dan tiada dalil yang jelas menunjukkan keputihan itu najis.
Malah, hadith Ummu ‘Atiyyah menyokong bahawa keputihan tidak najis.
Batal wudhu’ tak?
Batal apabila keluar ketika kencing.
Tidak batal wudhu’ dengan semata-mata keluar ketika penat atau angkat barang berat.
Tidak batal. Sebagaimana tidak najis berdasarkan hadith Ummu ‘Atiyyah.
Saling Menghormati
Namun begitu, saya tidak nafikan bahawa ramai juga para ‘ulama’ yang berpendapat bahawa keputihan itu membatalkan wudhu’ kerana ia keluar daripada lubang faraj, walaupun ia suci. Ada juga yang berpendapat keputihan itu najis dan juga membatalkan wudhu’. Maka setiap kali sebelum solat, wanita yang mengalami keputihan perlu membersihkan kawasan najis dan mengambil wudhu’. Saya hormati pandangan-pandangan mereka yang juga disertai dalil-dalil yang kuat.
Apa yang saya tulis di sini, bukanlah pendapat saya sendiri. Tulisan ini sekadar berkongsi pendapat yang menjadi kecenderungan saya. Saya percaya, setiap individu mempunyai kecenderungan berdasarkan siapa gurunya, di mana dia belajar dan buku apa yang dibaca. Pendek kata, kita cenderung memilih pendapat sekadar apa yang kita tahu.
Di sini saya kongsikan pesan guru saya, pilihlah pendapat yang kita rasa yakin untuk beramal dengannya, pendapat yang akan membawa kita lebih dekat dengan Allah, lebih rajin beribadah dan bukan sekadar kerana mengikut nafsu untuk mengambil mudah dalam agama. Ingatlah konsep ‘pendapat saya betul, tetapi sentiasa ada kemungkinan untuk salah’ agar kita tidak sombong dan tidak memandang rendah pandangan ilmuan lain. Malah, sentiasa berlapang dada untuk menerima teguran dan nasihat.
Insya-Allah, saya akan berkongsi pula berkenaan ‘kentut faraj’ dalam perkongsian akan datang. Mohon doa pembaca dan semoga bermanfaat.
May 1, 2018
Nikmatnya Rezeki yang Dimiliki
Sesuatu yang kita dapat dan miliki, itulah rezeki kita. Percaya atau tidak, syukur atau ingkar, rezeki itu datang pada tempat dan waktu yang sesuai. Mungkin ada yang kita terlepas pandang keberadaan rezeki yang ada pada kita. Bahkan, lupa dan alpa akan rezeki yang dimiliki.
Rezeki itu adalah suatu nikmat daripada Allah s.w.t yang telah diberikan kepada hamba-Nya yang terpilih. Sesiapa saja tidak akan terlepas daripada mendapatkannya. Baik manusia yang taat akan suruhan-Nya atau ingkar dengan perintah-Nya kerana Allah itu bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim.
Setiap daripada manusia itu berbeza-beza rezeki yang diperoleh mengikut kehendak Allah, Sang Pemberi Rezeki. Tidak perlu dibandingkan rezeki setiap seorang itu. Lihat sahaja pada diri kita sendiri yang jika direnungkan, terlalu banyak nikmat yang diberi sehingga tidak terhitung setiap daripada itu.
Firman Allah s.w.t dalam surah Ibrahim, ayat 34:
واتاكم من كل ما سألتموه , وإن تعدوا نعمت الله لا تحصوها , إن الإنسان لظلوم كفار
“Dan Ia telah memberi kepadamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya, manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”
Rezeki juga datang dengan pelbagai bentuk. Allah datangkan kepada kita dengan rezeki berbentuk kejayaan yang hakiki, makanan dan minuman yang halal, anggota badan yang cukup dan sihat, keupayaan yang berbagai, pasangan hidup yang baik, kekayaan yang melimpah, kebahagiaan yang damai, nafas dan nyawa yang sempurna dan sebagainya. Paling berharga adalah rezeki kehidupan dengan nikmat iman dan islam.
Sering kita ketepikan nikmat berharga ini. Nikmat yang tiada tandingannya. Berada dalam iman dan islam adalah anugerah yang tidak terdaya untuk kita mengungkapkan rasa syukur. Jika kita nikmati rezeki ini, pasti rebah sujud tidak terhenti.
Kadangkala, kita terlalu asyik membandingkan rezeki kita dengan orang lain. Ada yang berlagak sombong atas apa yang dia miliki. Ada juga yang menyalahkan takdir kerana tidak memperoleh apa yang dihajati. Inilah yang manusia diuji. Rezeki lebih, tidak hargainya dengan baik malah, bangga sendirian dan memperlekehkan yang kurang. Kecil rezeki, juga tidak menghargai apa yang dimilikinya malah, sering melihatnya tidak adil.
Sebenarnya, rezeki kurang atau lebih itu adalah ujian kepada kita sama ada syukur ataupun kufur. Seperti firman Allah s.w.t yang disebut di dalam kitab-Nya, surah Ibrahim, ayat 7:
وإذ تأذن ربكم لإن شكرتم لأزيدنكم , ولإن كفرتم إن عذابى لشديد
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya akan tambahkan nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”
dan surah an-Nisa’, ayat 147:
ما يفعل الله بعذابكم إن شكرتم وءامنتم , وكان الله شاكرا عليما
“Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatnya) serta kamu beriman (kepada-Nya)? Dan (ingatlah), Allah sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).”
Kedua-dua ayat ini sangatlah berkait-rapat yang mana Allah s.w.t menyukai dan menyuruh agar kita bersyukur serta membalas dengan sebaik-baiknya dan akan memberi ganjaran dengan menambahkan nikmat-Nya kepada hamba-Nya yang bersyukur. Juga sebaliknya, sesiapa yang ingkar atas nikmat yang diberi, maka azab Allah menanti.
Ini bermakna, kurang atau lebih rezeki seseorang, bukan untuk dibanggakan atau disalahkan. Tetapi, hendaklah bersyukur dengan apa yang dimiliki dengan sepenuh kesyukuran. Rezeki yang ada, dikongsikan kepada yang lain. Jika tidak dapat berkongsi, cukuplah menghargai dan mensyukuri nikmat itu kerana Allah akan menambahkan nikmat jika kita bersyukur.
Oleh itu, sentiasalah menikmati segala yang kita miliki, berterima kasih kepada Yang Maha Memberi dan berdoa agar dikekalkan dan ditambahkan rezeki. Sesungguhnya, Allah tidak akan menyiksa orang-orang yang bersyukur dan beriman kepada-Nya.
April 29, 2018
The Best Ride of Your Life
The sad thing about books, or movies is that, once you finish it – then it really is over. You come back to reality – which, most of the time isn’t as great as the book or movie you just finished. You go back to mundane routines, to actual life problems – stuff that you need to handle by yourself. Yes sure, inspiration from books and movies can push you forward in life, making it easier for you, but most of the time, it doesn’t last long.
In today’s generation of rapidly developing technology, you’ll find yourself being immersed more and more into the invisible waves of social media – and if you don’t want to drown in it you’ll need to know how to pull yourself out before it’s too late. The clutches of social media can be very damaging, in mental and emotional ways. Your perception of life changes, you build different types of preferences based on what you see and what the Explore button leads you to, and you get accustomed to being more comfortable in virtual than being present in the present.
It’s sad to say that most of the things you see on social media are probably just a staged representative of the actual thing. It’s so easy to hide on social media, yet at the same time, show everything that you want to the world. A little contradicting – but that’s it.
Once you start scrolling, you can’t stop. Even when you get to yesterday’s posts, you’ll keep refreshing and the cycle continues. A lot of time gets wasted and you still get caught in the mundane routine of life: trying to survive a day at a time. But guess what – you don’t have to stay in that cycle if you don’t want to.
Here’s a secret: you are the navigator of your life, and where you are sailing to depends on where you steer your life. If you already knew that, here’s another secret: most of us don’t realise how amazing we are as a person, and that each and every one of us have whatever it takes to actually be as amazing as the famous Instagrammer that you stalk every day, as inspiring as the main character in the book you just read, or as successful and dramatic as the hero in the last movie you watched.
Bet you didn’t know that (ok perhaps you did – but I bet you forget about it most of the time).
Here’s the thing: we are the best thing ever created on Earth. We, humans, are God’s greatest creatures, yet we don’t take pride in being the best thing alive on Earth. Created with perfection, physically as well as mentally. No other creature has the ability to think and perceive right from wrong, apart from us. Even animals do not have brains that are as intellectually profound as ours.
“Indeed, We created humans in the best form.” [Al-Quran 95:4]
Every one of us have a set of abilities that are unique, tailored perfectly to our strengths and weaknesses. Something that is super easy for you might be the most difficult thing for someone else. Everyone has it differently, that is why we are all so unique. I think it’s high time we all take a moment to appreciate ourselves as who we are – all the good and the bad. Sometimes we try so hard to be ‘perfect’ or to be someone we’re not, just to fit in, or just to feel good when others look up to us.
Take some time to be by yourself, in a setting that is most calm for you. Use that alone time to recognise your strengths and weaknesses, your goals and aspirations. You might be stuck from the very start, because you don’t even know what strength you have, but look – if you don’t believe that you have even an ounce of admirable strength about yourself, then perhaps you should just go home and go back to being stuck in the virtual world of never being amazing because you are too busy looking at others being amazing.
If you don’t appreciate yourself first, then who else can appreciate you? If you look close and hard enough, there are so many amazing qualities that you have, that you can use to make yourself a better person for the community, for example. Learn how to channel your strengths and work hard to improve on your weaknesses. Create big goals and small milestones and celebrate every part of your success in becoming a better person.
At the end of the day, when God asks you, “What have you done with your life?”, at least you can smile and say the meaningful things you have done, that has led you back to appreciating everything that He has given you. And for being a grateful servant, I hope He looks at you with Mercy and open the gates of Heaven for you.
Stop scrolling on your social media, turn off your notifications and start working on the reality. Time is running out! Sail the world and widen your horizons! Keep working hard to become better, and don’t stop until you become the best version of yourself. You will thank yourself when you reach your destination, and I assure you – this would be the best ride of your life.