Hilal Asyraf's Blog, page 2

June 27, 2019

Untuk Kita Pendosa – Aku Berdosa, Tetapi Aku Berjaya?





Kita
tahu bahawa ilmu itu cahaya, dan tidak akan memasuki hati-hati yang gelap. Tetapi
kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula,
sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha.





Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada Allah
akan dipermudahkan jalan kehidupannya. Tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak
solat, namun bisnesnya menjadi. Sedangkan kita pula hidup dengan penuh cabaran
dan duga.





Kita juga tahu bahawa, Islam ini agama yang benar, tetapi
kita sering melihat orang-orang yang bukan Islam itu lebih berjaya, dan
ummat  Islam tertindas dalam kehidupan
sempit lagi derita.





              Orang bertanya kepada saya. Kenapa
begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak
benar?





              Maka saya hendak bertanya kepada
anda.





              Adakah anda tahu apa itu istidraj?





Makna Istidraj.





Istidraj
ini adalah satu kalimah, yang sering merujuk kepada keadaan seseorang itu yang
terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya,
walaupun dia bukan hamba Allah yang taat. Malah seorang pembuat maksiat yang
tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah
maksud istidraj?





              Istidraj adalah, apabila Allah
memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah, untuk manusia
itu menjadi lebih jauh dariNya.





              Biasanya, manusia yang mendapat
istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan Islam dalam
kehidupan, juga tidak berusaha mengenali Allah SWT.





Contoh Qarun.





Contoh
manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Kita lihat contoh yang mudah. Qarun.
Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusia  yang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak
yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat
oleh orang-orang yang kuat. Baru kunci. Belum gedungnya lagi. Hal ini hendak
menyatakan betapa kayanya dia. Dia hidup di zaman Nabi Musa AS.





              Kisah Qarun terdapat di dalam
Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala
pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang
bertambah semalam tidak pula luak digunakan.





              Tetapi bila Nabi Musa cuba
mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada Allah SWT,
Qarun menjawab:





              “Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta
kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada
padaku.”
Surah
Al-Qasas ayat 78.





              Lihat. Lihat apa kata  Qarun. Dia nyata semakin jauh dari Allah,
walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban
waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin
dan hamba.





              Apakah pengakhiran Qarun? Dia
akhirnya ditenggelamkan Allah ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini
terdapat di dalam Al-Quran.





              “Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di
dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya
dari azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.”
Surah
Al-Qasas ayat 81.





              Nah, apakah itu yang kita mahu?





Mari Kita Berfikir Sejenak.





Sebab
itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul
di dalam hati kita apabila kita ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan
maksiat, kemudian kita berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah
yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?





              Saya yakin, 99% akan merasa
begini, “Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”





              Apakah yang akan terjadi kepada
anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari Allah. Itulah
istidraj.





              Jangan rasa gundah bila anda
menjaga hubungan dengan Allah, tetapi anda masih tidak berjaya di dalam
pelajaran mengikut neraca manusia lain. Contoh macam seorang kawan saya. Dia
mendapat 2A, sedangkan pada pandangan manusia biasa, cemerlang itu dikira
dengan A yang banyak. Tetapi apa kata kawan saya?





              “ Ana dapat hidup tenang, bahagia,
boleh lagi beribadah kepada Allah, kemudian ana masih boleh hidup dalam
ketaatan kepadaNya. Maka itupun ana dah puas hati la Hilal. Mungkin ana tak ada
rezeki dalam SPM, ana ada rezeki dalam benda lain.”





              Nampak? Dia tidak jauh dari Allah,
malah bersangka baik kepadaNya, menerima dengan redha, ditambah pula dengan
azam untuk berusaha di lapangan lain pula. Pada saya, itulah kecemerlangan yang
sebenarnya.





              Saya masih ingat kata-kata guru
Al-Quran saya, Ustaz Abdul Hadi bin Othman, apabila saya pertama kali
menjejakkan kaki ke MATRI, sekolah menengah saya. Kata beliau,





              “Antum datang sini, kami nak bagi
antum menjadi manusia yang soleh, yang cemerlang akhlak, yang terjaga syahsiah,
yang bersih pemikiran. Bukan untuk kaut A bertimbun. Kalau antum dapat banyak A
dalam peperiksaan, maka itu adalah bonus.”







Maka Jangan Gusar.





Maka
jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan kita dengan Allah
itulah yang pertama sekali perlu kita perhatikan. Jika kita berjaya membina
hubungan keimanan yang baik, insyaAllah, datanglah badai apa sekalipun, kita
akan mampu melaluinya.





Sebenarnya Allah suka menguji hamba-hambaNya yang beriman.
Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.





              Terdapat dua orang nelayan.
Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada Allah.
Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala
yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala
mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya
pada hari itu.





              Malaikat yang melihat keadaan itu
bertanya kepada Allah.





              “Ya Allah, apakah yang telah
berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, Engkau berikan dia rezeki yang banyak. Sedangkan
hambaMu yang menyebut namaMu, Engkau tidak memberikan dia apa-apa?”





              Allah SWT menjawab:





              “Yang menyekutukanKu,
tempatnya  memang sudah pasti Neraka.
Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya?
Tetapi HambaKu yang beriman itu, Aku hendak mmemberikan kepadanya syurga, maka
Aku suka mengujinya kebenaran imanNya.”





              Nah, jangan anda kecewa bila
diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah studi, gagal dalam
perniagaan walau kemas menyusun strategi. 
Itu semua adalah sebahagian dari ujian Allah. Allah menguji hanya untuk
mereka yang dikasihi. Bukankah Allah SWT 
ada berfirman:





              “ Apakah manusia itu mengira Kami
akan membiarkan mereka berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum
diuji?”

Surah Al-Ankabut ayat 2.





Gagal
Di Dalam Sesuatu Perkara, Bukan Gagal Di Dalam Kehidupan.





Jika
gagal dalam satu-satu perkara, itu adalah perkara  itu. Kita masih belum gagal dalam kehidupan.
Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaAllah Allah akan memberikan
sesuatu yang bermakna kepada kita. Bersangka baiklah kita kepada Pencipta kita.





Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan
masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, Allah masih lagi dekat dengan
kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita. Tanda Dia
tidak membiarkan kita.





              Mustahil kita suka senang sebentar
di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti kita merana. Adakah kita mahukan
istidraj?





              Saya yakin tidak.





Penutup: Wajib Untuk Tidak Merasa Tenang.





Kita
wajib untuk tidak berasa tenang jika kita berbuat dosa kemudian kita berjaya.
Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa
bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT.





              Aku berdosa, tetapi aku berjaya.
Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang
membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.





              Mari kita sama-sama duduk, dan
bermuhasabah semula.





              Mencuci dosa-dosa kita.





              Memperbetulkan kesilapan-kesilapan
kita.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2019 05:38

Untuk Kita Pendosa – Berikanlah Alasanmu Itu Kepada Allah.





Alasan.
Kita suka memberikan alasan. Atas kelalaian kita, atas kecuaian kita, atas
kesilapan kita, atas kesalahan kita, atas segala apa yang berlaku dan
menghasilkan ketidak senangan, maka kita akan memberikan alasan.





              Kenapa fail exam? Sebab soalan
doktor yang susah. Saya dah studi rajin-rajin dah.





              Kenapa solat lewat? Tadi air sejuk
sangat. Badan tak tahan.





              Kenapa couple? Nak rapatkan
ukhuwwah. Saling kenal mengenal. Tak kenal maka tak cinta.





              Kenapa hantar kerja lambat?
Semalam ada urusan penting.





              Ya. Banyak alasan kita. Dan dalam
banyak perkara, semua ada alasannya yang tersendiri. Manusia yang kita berikan
kepadanya alasan, mungkin hanya mampu menarik nafas dan sekadar berpuas hati
dengan alasan yang diberikan. Sebab, dia tidak tahu sama ada alasan itu betul
atau tidak.





              Tetapi, bagaimana dengan Allah?





              Sesungguhnya Allah itu Maha
Mengetahui.





Setiap alasan yang hendak kita keluarkan, berikannya dahulu kepada Allah





Kenapa
buat berzina? Sebab si fulanah tu goda aku dulu. Kalau tak, aku tak buat dosa.





              Tujukan alasan itu kepada Allah.
Kemudian kamu fikirkan, apakah Allah akan menerimanya?





              Kenapa meniru dalam peperiksaan?
Tak sempat studi sebab kerja banyak sangat.





              Tujukan alasan itu kepada Allah.
Kemudian kamu fikirkan, apakah Allah akan menerimanya?





              Kenapa qada’ Solat Subuh pagi
tadi? Terlajak tidur.





              Tujukan alasan itu kepada Allah.
Kemudian kamu fikirkan, apakah Allah akan menerimanya?





              Apa pandangan anda? Kalau semua
alasan-alasan yang kita rekakan itu, kita bentangkan di hadapan Allah, apakah
Allah akan menerimanya?





              Ya. Zahir alasan, mungkin
menunjukkan kita tidak bersalah. Bagaimana yang tersmebunyi di sebalik alasan
itu?





              Benarkah terlajak tidur, atau dah
bangun kemudian tidur semula? Benarkah tak sempat studi sebab kerja banyak
sangat atau selama ini kita yang lewat-lewatkan kerja yang banyak tu sampai tak
sempat studi? Benarkah kita berzina sebab digoda, atau selama ini kita yang tak
berusaha untuk menahan godaan?





              Allah, Maha Mengetahui
Segala-galanya, Maha Halus Pemerhatian-Nya.





              Allah, takkan terlepas perkara
yang kecil-kecil itu, walau tersembunyi jauh di dalam lubuk hati kita.





Melatih diri hidup tanpa alasan jika ingin berjaya





Seseorang
itu, hanya akan mampu berdisiplin, berusaha bermati-matian mencapai apa yang
dikehendaki, adalah apabila dia meninggalkan alasan dan bergerak mengambil
usaha sebagai tangga kejayaaan.





              Alasan, hanya melemahkan semangat,
jiwa dan hati. Sekali alasan kita diterima, kita akan tergerak untuk memberikan
alasan lagi di lain kali.





              “Kenapa tak pergi usrah tadi?”





              “Ana ada kerja sikit la. Sori la
ya”





              Sedangkan dia sengaja matikan
alarmnya, silentkan hensetnya, dan tidur seakan-akan tiada janji temu untuk
usrahnya. Selepas itu, dia akan rasa hendak memberikan alasan lagi. Dia akan
tidak hadir usrah lagi. Alasan, menghalang kebaikan.





              Alasan juga, mencambahkan
kejahatan.





              “Ala, takpe kut, sikit je ni.
Chatting sekejap aja.” Ya. Chatting sekejap. Tanya khabar saje. Hantar smileys
sikit tunjuk mesra. Disokong pula alasan menjaga ukhuwwah.





              Akhirnya meleret entah ke
mana-mana. Alasan tadi, menghadang kebenaran dosa, lantas menarik diri untuk
terus melakukannya. Kali seterusnya tambah lagi sedikit. Kali seterusnya,
tambah lagi sedikit. Sampai nanti:





              “Ala, dating tak pegang tangan tak
apa. Jangan la sentuh-sentuh. Makan sama-sama, studi sama-sama , apa salahnya
kalau selagi tak bersentuhan. Kan? Kan? Kan?”





              Ya. Sampai ke tahap itu, hati kita
tak akan rasa itu satu dosa, apabila alasan melindunginya.





              Dan pesanan saya. Berikan alasan
itu kepada Allah SWT. Berikan.





              Bagaimana agaknya?





Penutup: Syurga bukan untuk orang mengelat





Ka’ab
bin Malik RA tidak menghadiri perang Tabuk. Dia menghadap Rasulullah SAW dan
langsung tidak mengemukakan alasan. Lihatlah apa yang dia katakan:





              “Ya Rasulullah, jika aku mahu, aku
boleh mencipta alasan. Tetapi aku tahu, walau aku terlepas di hadapan kau hari
ini, aku tetap tidak akan terlepas di hadapan Allah nanti.”





              Lihatlah Ka’ab bin Malik RA ini.
Dia telah mempersembahkan alasannya terlebih dahulu kepada Allah, dan dia
mengetahui bahawa alasan-alasannya takkan diterima. Lantas dia bergerak jujur
dan mengaku akan ketidak hadirannya ke medan perang adalah tanpa sebab yang
munasabah.





              Lantas Allah mengarahkannya untuk
dipulau sebagai denda. Tetapi selepas dia mengharungi dendaan itu dengan tabah,
maka Allah menurunkan ayat Al-Quran mengampunkannya. Termasuklah Ka’ab dari
kalangan yang termulia antara sahabat Rasulullah.





              Tetapi lihatlah pula para munafiq
yang tidak pergi juga pada Perang Tabuk itu. Mereka memberikan alasan kepada
Rasulullah SAW dengan pelbagai alasan. Cuaca panas, ladang sedang masak ranum
dan tiada penjaga, anak isteri tiada pelindung dan sebagainya. Rasulullah diam
sahaja tanpa menghukum mereka.





              Adakah mereka berjaya mendapat
syurga?





              Tidak. Bahkan Allah SWT berfirman
mengherdik mereka.





              “Dan mereka akan bersumpah
dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan
pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri
mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu
orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).”
Surah
At-Taubah ayat 42.





              Dan kemudian Allah campakkan
mereka ke tahap yang hina. Lebih hina dari orang kafir di dalam neraka.





              “Sesungguhnya orang-orang
munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari
(lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat
sesiapa pun yang boleh menolong mereka.”
Surah An-Nisa’ ayat 145.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2019 05:36

Untuk Kita Pendosa – Kekosongan Di Dalam Hati.





Di
dalam hati kita, ada satu lompong. Kosong. Tidak terisi.





              Semua kita merasakan
kekosongannya. Ruang itu sunyi. Dan kita takut dengan kesunyian yang ada di
dalam ruang itu.





              Akhirnya kita mula mencari sesuatu
untuk mengisinya. Ada yang mencari harta, ada yang mencari pasangan, ada yang
mencarinya dengan memanjat gunung dan menyelam ke dasar laut, ada yang berusaha
mengisinya dengan menganiaya orang lain, dan ada juga yang mengisinya dengan
cara menggembirakan orang lain.





              Tetapi akhirnya semua itu ibarat
berpusing di dalam bulatan.





              Rasa kosong itu tetap tidak
terisi. Kita rasa takut dengan kekosongan itu.





              Maka apakah kekosongan itu? Dengan
apakah kita patut mengisinya?





              Itulah dia ruang khas untuk Ilahi.
Kosong, kerana kita tidak mengisinya dengan perkara yang patut kita isikan
padanya. Itulah dia ketundukan dan ketaatan, serta pergantungan kita kepadaNya.





Kesedaran bahawa pergantungan kita adalah rapuh





Kita
isi hidup kita dengan pelbagai pengisian. Kita bergantung dengan pelbagai
pergantungan. Kita harap kasih sayang insan itu akan berkekalan. Kita damba
kebahagiaan kita akan berterusan.





              Tetapi sebagai manusia yang
berfikir, kita akan terfikir, sejauh manakah kesenangan kita akan berkekalan?
Selama manakah keamanan yang ada pada kita akan berterusan?





              Apakah selepas kematian orang yang
memberikan kasih sayang kepada kita, kita akan dapat meneruskan kebahagiaan ini
seperti biasa? Apakah harta ini akan dapat memuaskan kita selama-lama?





              Akhirnya kita akan melihat, ada
1001 kemungkinan di dalam perjalanan hidup kita di atas dunia ini, yang mampu
membawa kita kepada kesengsaraan.  





              Kemalangan, tragedi, musibah,
dugaan, kematian, semuanya adalah boleh terjadi, dan lantas kita sedar bahawa
kita adalah sangat lemah. Tidak berkuasa. Tidak mampu berbuat apa-apa
sebenarnya.





              Di sinilah kita melihat kerapuhan.





              Dan takut pun muncul.





              Gerun dengan hari esok tanpa
pergantungan yang utuh.





Allah adalah yang terampuh





Di
sinilah akhirnya kita melihat, kekosongan itu hanya akan terisi apabila kita
mendekat dengan Ilahi. Apabila kita mengadu kepadaNya. Apabila kita berharap
kepadaNya. Apabila kita meminta kepadaNya. Apabila kita bernaung di bawahNya.
Apabila kita melaksanakan perintah-perintahNya dan meninggalkan laranganNya.





              Sebab kita yakin bahawa, Allah
adalah yang terampuh.





              Dia yang menciptakan kita. Dia
yang memberikan kita bahagia dan sengsara. Dia yang menyusun atur seluruh alam
ini. Dia yang menciptakan semuanya. Dia yang Maha Tahu, Maha Mendengar, Maha
Melihat, Maha Berkuasa Atas Segala-gala.





              Tiada yang mampu menandingiNya.





              Hatta kehebatan mentari juga dalam
kekuasaanNya.





              Hatta keindahan bulan juga dalam
genggamanNya.





              “Dan (ingatlah) ketika
Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala
sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang
nyata. Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim
kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia
dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka
ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar),
lalu ia berkata: Inikah Tuhanku? Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia
berkata pula: Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.
Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata:
Inikah Tuhanku? Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: Demi
sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya
menjadilah aku dari kaum yang sesat. Kemudian apabila dia
melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: Inikah
Tuhanku? Ini lebih besar. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai
kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan
(Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku
kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar
tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan
sesuatu yang lain). Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun
berkata: Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia
telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan
sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku
menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku
meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil
pelajaran?”
Surah Al-An’am ayat 74-80.





Dengan Allah, kekosongan itu terisi





Dengan
mendekati Ilahi, kekosongan di dalam hati yang amat misteri itu terisi. Rasa
takut hilang. Rasa gundah sirna. Rasa gelisah musnah. Rasa resah punah.





              Yang ada hanyalah ketenangan.





              Ketenangan yang ditunjukkan Bilal
bin Rabah RA saat batu menghempap atas dadanya.





              Ketenangan yang ditunjukkan Suhaib
Ar-Rumy RA saat mengorbankan seluruh hartanya.





              Ketenangan yang ditunjukkan Bara’
bin Malik RA saat dia melemparkan dirinya ke kubu musuh.





              Ketenangan yang ditunjukkan oleh
Sa’ad bin Abi Waqqas RA saat dia ingin merentas sungai yang besar dan dalam.





              Ketenangan yang ditunjukkan oleh
Rasulullah SAW, saat dia hanya berdua bersama Abu Bakr di dalam Gua Tsur.





              Hingga ke tahap nyawa di hujung
tanduk, ketenangan itu tetap wujud sebagai mana yang ditunjukkan oleh Khubaib
ibn ‘Adi RA, saat tubuhnya dilapah hidup-hidup oleh Abu Jahal, dan juga apa
yang ditunjukkan oleh Ali ibn Abi Talib RA saat dia menggantikan tempat tidur
Rasulullah SAW.





              Apatah lagi sekadar kehidupan
kita.





              Ketenangan, rasa selamat, rasa
bahagia, rasa aman yang abadi ini, yang terwujud walau saat kesukaran dan
kegelisahan yang tinggi ini, hanya akan didapati apabila merapat dengan Ilahi.
Inilah hakikatnya yang kita cari-cari.





              Dan pada Ilahi adalah tempat untuk
kita menuntutnya kini.





Penutup: Kembalilah kepada Allah dengan sebenar-benar pengembalian





Maka
dekatilah Allah. Bukan semata-mata di dalam solat dan ibadah kita di masjid,
bukan semata-mata di dalam qiam kita di tengah malam. Tetapi juga di tengah
pejabat kita, di meja makan kita, di rumah kita, di tengah tempat belajar kita,
di tengah padang permainan kita, di taman-taman rekreasi kita.





              Mendekati Allah, tunduk kepadaNya,
sepanjang masa. Ketika.





              Kehidupan kita sendiri, kita bina
atas apa yang diredhaiNya.





              Dan kita telah lihat
manusia-manusia yang telah berlalu sebelum kita, yang melakukan perkara yang
sama(yakni mendekati Allah, tunduk kepadaNya sepanjang masa), apa yang mereka
perolehi di dunia, dan apa yang mereka akan perolehi di akhirat.





              “Setelah menerangkan
akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa
orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata):
Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan
dan bawaan baiknya! -Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan
engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di
sisi Tuhanmu)! – Serta masuklah engkau dalam kumpulan
hamba-hambaku yang berbahagia – Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!
Surah Al-Fajr ayat 27-30





              Tidakkah kita melihat, ini jawapan
kepada ‘kekosongan’ itu?





              Maka apakah yang patut kita
lakukan sekarang?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2019 05:35

Untuk Kita Pendosa – Nak Atau Tak Nak?

Benteng
yang menjadi pemisah antara kecemerlangan dunia akhirat seseorang, dengan
kegagalan mereka, adalah benteng bernama: “Nak ke tak nak?”





              Ini adalah benteng ajaib. Kalau
kita sebutkan nak, akan muncul pintu pada pintu itu. Sekiranya kita menyebutkan
tak nak, maka yang kelihatan hanyalah dinding dan kita akan kekal berdiri di
hadapan dinding itu tanpa mampu meneruskan perjalanan.





              Manusia yang tidak mampu berjaya,
hakikatnya dia tersekat pada dinding bernama nak ke tak nak ini. Hal ini
kerana, biasanya mereka akan memilih tak nak.





              Mereka tertipu dengan benteng
majazi yang sebenarnya tidak wujud itu.





              Dan perhatian, dalam membicatakan
‘nak ke tak nak?’ ini, saya membicarakan dalam konteks ‘nak ke tak nak?’ ke
arah kebaikan dan sekutu dengannya. Tidak saya bicarakan perihal ‘nak ke tak
nak?’ dalam erti kata membuat keburukan dan sekutu dengannya.





Pilihan yang Allah beri





Allah
SWT berfirman:





              “Tidak ada paksaan dalam
ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan
(kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman
kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama)
yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi
Maha Mengetahui.”
Surah Al-Baqarah ayat 256.





              Allah menyatakan bahawa tiada
paksaan dalam Islam. Tetapi Allah menyatakan juga bahawa, ketiadaan paksaan itu
tidak bermakna ia menghilangkan efek mengambil kebenaran dan kejahatan.





              Sesiapa yang mengambil kebenaran
akan selamat, sesiapa yang mengambil keburukan akan hancur. Hukum ini tetap
tidak berubah, walaupun paksaan tidak diletakkan ke atas kita dalam memilih
baik dan buruk.





              Begitulah sekiranya kita hendak
mencapai kecemerlangan, baik kecemerlangan dunia mahupun akhirat. Benteng
bernama “nak ke tak nak?” ini tiada paksaan padanya. Anda boleh sahaja memilih
tak nak. Juga tiada siapa memaksa anda untuk nak.





              Tetapi memilih nak ada efeknya,
dan memilih tak nak ada efeknya.





              Dan tiada paksaan dalam membuat
pilihan, tidak akan menghilangkan efeknya.





Efek memilih nak





Bila
anda memilih nak, maka anda memilih satu jalan yang sukar. Kadangkala jalan ini
memerlukan anda meninggalkan apa yang selama ini anda suka. Jalan ini juga akan
anda tempuhi dengan 1001 ujian dan halangan serta cabaran. Itu kesan sampingan
kepada ‘nak’.





              Sebagai contoh, apabila
membicarakan perihal mengubah masyarakat kepada masyarakat yang mentaati Allah,
Syed Qutb menjelaskan keadaan kepada pilihan itu dengan kata-katanya yang
masyhur: “Jalan ini tidak ditaburi oleh bunga-bunga, tetapi ditaburi oleh
duri-duri yang terpacak





              Ini contoh kesan sampingan
terhadap pilihan ‘nak’.





              Kesan sampingan ini amat ditakuti
ramai orang. Menyebabkan ramai yang tidak berani memilih ‘nak’. Namun, kesan
sampingan ini hanya wujud dalam waktu yang pendek sahaja. Kesan utamanya adalah
beribu kali ganda lebih menyenangkan dari 1001 ujian tadi, dan jika kita
membicarakan perihal akhirat, selain menyenangkan, ia juga bersifat abadi.





              Allah SWT berfirman: “Oleh
itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran
disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya
tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan”
Surah Asy-Syarh ayat 5-6.





              Namun, ramai yang terlalu takut
dengan kesan sampingan pada jalan memilih ‘nak’ ini.





              Itu menyebabkan, ramai yang
memilih tak nak.





 Efek memilih tak nak





Bila
anda memilih tak nak, maka anda memilih satu jalan yang mudah. Anda tidak
memilih untuk melepasi benteng, tetapi sekadar berdiri tanpa melakukan apa-apa
di hadapan benteng itu. Jalan ini tidak susah dan sukar kerana anda tidak
memerlukan usaha dan pengorbanan. Malah, anda boleh berbuat sesuka hati anda
tanpa perlu dikawal apa-apa peraturan. Kesenangan, kemudahan, itu adalah kesan
sampingan kepada ‘tak nak’.





              Kesan sampingan ini menyenangkan
semua orang. Menyebabkan ramai yang suka memilih ‘tak nak’. Namun, perlu
diketahui bahawa kesan sampingan ini hanya wujud dalam jangka masa yang
sementara sahaja. Kesan utamanya, hakikatnya adalah amat menakutkan dan
merosakkan diri beerkali ganda lebih dari kesenangan tadi. Dan jika kita
membicarakan perihal akhirat, kesenangan sebentar di dunia kerana meninggalkan
hukum-hakam Allah, akan dibayar dengan keperitan neraka yang amat dasyat dalam
keadaan abadi selama-lamanya.





              “Dan janganlah engkau
menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami
berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang
merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya;
sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.”

Surah Toha ayat 131.





              Namun, ramai yang terpedaya dengan
kesan sampingan pada jalan memilih ‘tak nak’ ini.





              Itu menyebabkan, ramai yang tidak
memilih ‘nak’.





Pilihan di tangan anda. Efek tetap berjalan





Pilihlah.
Jika nak ke arah kebaikan, maka anda akan merasai kesan sampingannya yang
sementara itu dan kemudian mendapat kesannya yang abadi itu. Jika anda tidak
hendak pada kebaikan, dan hendak kepada keburukan, maka anda akan merasai kesan
sampingannya yang sementara itu dan kemudian mendapat kesannya yang dasyat
dalam bentuk abadi itu.





              “Sesungguhnya Allah tidak
mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada
pada diri mereka sendiri”
Surah Ar-Ra’d ayat 11.





              Melewat-lewatkan pemilihan ‘nak ke
tak nak?’ ini menyebabkan anda membazirkan masa anda dan akhirnya mencampakkan
anda dalam golongan yang memilih tak nak juga.





              “Demi Masa, sesungguhnya
manusia itu dalam kerugian”
Surah Al-‘Asr ayat 1-2.





              Keputusan perlu dibuat.





              Tiada paksaan.





              Tetapi anda akan mendapat apa yang
sesuai dengan pilihan anda.





Penutup: Allah Maha Pengasih bukan?





Ini
kasih sayang Allah SWT yang terbesar pada pandangan saya. Dia tidak memaksa.
Tetapi dengan lemah lembut penuh berhikmah, Allah memberikan amaran. Dengan
kuasa-Nya, Allah boleh sahaja membuatkan semua beriman kepada-Nya. Tetapi Dia
tidak melakukan demikian. Dia mahu meguji hamba-hamba-Nya dan memberikan mereka
IKHTIAR.





              “Dia lah yang telah
mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan
keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha
Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang
bertaubat);”
Surah Al-Mulk ayat 2.





               Allah tidak memaksa untuk kita mentaati-Nya
atau bukan, hendak berjaya atau tidak. Tetapi Allah menceritakan keburukan
tidak mentaati-Nya, dan keburukan memilih kegagalan.





              Sebab itu, Allah melarang sesiapa
sahaja yang mentaati-Nya untuk berputus asa. Hal ini kerana, berputus asa
adalah antara jalan dalam pilihan ‘tak nak’ tadi. Sesiapa yang tidak berputus
asa, dia sentiasa memilih ‘nak’ kepada kebaikan.





              Ini satu kasih sayang Allah SWT
yang terbesar buat manusia.





              Kita yang memilih.





              Namun balasan tetap akan wujud
untuk setiap apa yang kita pilih.





              Tetapi berbalik pada kita, untuk
percaya atau tidak dengan balasan terhadap 
pilihan kita.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2019 05:33

Untuk Kita Pendosa – Dosa. Kita Perlu Melihatnya Semula.





Ramai
yang tertanya-tanya, apakah itu ‘dosa’ sebenarnya?





              Ya. Dalam melayari buku ini, yang
dikhaskan buat kita para pendosa, pastinya kita sendiri ingin mengetahui apakah
sebenarnya itu dosa.





              Dosa hakikatnya adalah apa yang
dipalitkan kepada mereka yang melanggar batasan yang Allah SWT tetapkan. Contoh
mudah:





              Allah SWT memberikan arahan untuk
kita tidak boros, kita boros. Maka dosa pun terpalitlah pada diri kita. Allah
SWT memfardhukan kepada kita solat, kita tidak solat. Maka dosa pun terpalitlah
pada diri kita. Itulah secara mudahnya, apabila kita hendak mengetahui apakah
itu dosa.





Biasanya kita tidak mahu untuk menilai semula





Tetapi
malang buat kita, rata-rata kita para pendosa kebanyakannya tidak rela untuk
menilai semula. Kerana kita takut untuk berubah. Jauh di dalam hati, hakikatnya
kita mengetahui bahawa kita bersalah kepada Allah. Berdosa.





              Jadi kita tidak mahu menilai. Kita
tidak mahu memeriksa. Benarkah kita berdosa? Kita lebih rela tidak tahu.
Kononnya tidak tahu, tidak perlu bertanggungjawab.





              Kita salah sebenarnya. Orang tidak
tahu, adalah yang sering tertipu. Dosa tetap dosa, kerana dosa ada efeknya. Ada
sebab kenapa Allah melarang itu dan ini. Semuanya kerana itu memberikan
keburukan kepada kita. Maka bayangkan kita bergelumang dengannya sehari-hari
dalam kehidupan kita? Apa yang akan terjadi kepada diri, kepada hati, kepada
minda kita?





              Sebab itulah dikatakan oleh
Rasulullah SAW bahawa, sebaik-baik pendosa adalah yang membersihkan dirinya.





              “Setiap anak adam itu
melakukan kesalahan, sebaik-baik yang melakukan kesalahan adalah yang
bertaubat.”
Hadith riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Ibn Majah.





              Berdosa bukan penutup kepada pintu
rahmat Allah. Tetapi, pintu rahmat Allah SWT akan tertutup kalau kita
terus-terusan bergelumang di dalamnya. Hidup kita akan rosak kalau kita tidak
cepat membersihkan diri kita daripadanya.





              Kerana itu, kita bergerak untuk
menilai semula kehidupan kita.





              Bagi mencuci karat-karat dosa ini
dari terus melekat lama.





Dosa boleh muncul dari pelbagai arah





Dosa
ini, bukan pada beberapa perkara tertentu sahaja. Bahkan, dalam segenap sudut,
boleh dosa memalit kita. Kerana kita juga memahami bahawa, di dalam kehidupan
ini semuanya ada dua. Baik, dan buruk. Tiada tengah-tengah hakikatnya.





              Sebab itu di dalam Islam, yang
tengah-tengah itupun dinasihatkan agar kita tidak terlalu biasa dengannya.
Tengah-tengah itulah yang dinamakan sebagai syubhah. Perkara yang kita tidak
tahu Allah benarkan, atau tidak benarkan. Jadi, apabila kita tidak tahu, kita
akan lebih kepada perkara itu adalah apa yang Allah tidak benarkan. Untuk
menjaga diri dan jiwa kita.





              Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn
Basyer RA, beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu
terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di
antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang
kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat
maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan
barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam
perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan
larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa
setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah
perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu
ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila
ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah
ia adalah hati.”
Hadith riwayat
lmam Bukhari dan Muslim.





              Mengapa kita dinasihatkan untuk
berhati-hati dengan perkara yang kita tidak pasti haram atau tidak? Itu adalah
kerana, di hadapan Allah SWT, tiada perkara yang dinamakan sebagai
‘tengah-tengah’. Di hadapan Allah, semuanya adalah Halal dan Haram. Maka, kalau
kita selalu bermain-main di ‘tengah-tengah’, dan yang kita sangka
‘tengah-tengah’ itu pula adalah haram, maka kita telah bergelumang di dalam keharaman
sebenarnya. Sebab itu hadith itu menyebut:





              Umpama seorang pengembala yang
mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk
ke dalamnya.”





              Dan
jelas kepada kita melalui hadith ini bahawa, tempat utama penyerangan dosa
adalah hati sebenarnya.





Neraca penilaian sesuatu itu berdosa atau tidak.





Bagaimana
hendak mengetahui sesuatu itu adalah dosa atau tidak?





              Bagaimana hendak memeriksa sama
ada perbuatan harian kita adalah berdosa atau tidak? Style harian kita adalah
berdosa atau tidak? Cara kehidupan kita berdosa atau tidak?





              Mudah. Tidaklah Allah SWT
menurunkan Al-Quran dan Rasul itu melainkan untuk menjadi petunjuk kepada kita,
hambaNya.





              “Bulan Ramadan adalah
yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan
menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan)
perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
Surah Al-Baqarah
ayat 185.





              “Samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada
kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan
ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan
maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat
kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”
Surah Al-Baqarah ayat 151.





              Mudah ceritanya, apa yang Allah
katakan buruk, itulah buruk bagi kita. Walaupun kita nampak itu adalah baik.
Apa yang Allah katakan sebagai bagus, itulah bagus bagi kita. Walaupun kita
nampak perkara itu tidak baik buat kita.





              Itulah nilaiannya. Sebagaimana ada
satu kata-kata yang masyhur yang berbunyi:





              “Baik itu adalah apa yang
dikatakan baik oleh syara’, buruk itu adalah apa yang dikatakan buruk oleh
syara’”





              Maka kita lihat semula kehidupan
kita.





              Apakah perkara yang sering kita lakukan,
apakah pakaian kita, apakah cara bercakap kita, apakah makanan minuman kita,
apakah ibadah dan kepercayaan kita, selama ini berada dalam lingkungan yang
dikatakan ‘baik’ oleh Allah SWT?





              Maka ketahuilah sekiranya kita
berada di luar lingkungan itu, kita nyata telah berdosa.





Penutup: Bermulalah sebuah pembersihan





Mengetahui
bagaimana hendak menilai sesuatu itu adalah dosa atau tidak, barulah kita
mengetahui bagaimana hendak memulakan sebuah pembersihan.





              Kita akhirnya tahu bahawa, dosa
itu adalah apa yang Allah SWT tidak suka, larang, tegah ke atas kita. Maka
akhirnya kita juga tahu bahawa, kalau itu yang adalah dosa, maka berlari
daripadanya adalah bermakna kita pergi kepada apa yang Allah suka, arah, gesa,
galakkan ke atas kita.





              Maka, di sinilah kita bermula.





              Membersihkan diri kita.





              Bergerak menjadi seorang hamba.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2019 05:31

Sebelum Kita Bernikah – Menguak Jendela Realiti Rumahtangga

Rakan-rakan
yang saya kasihi kerana Allah SWT,





Rumahtangga adalah alam selepas pernikahan. Jika
pernikahan dan majlis kahwin panjangnya sekitar sehari dua sahaja, rumahtangga
pula tiada limit masanya. Melainkan jika di tengah perjalanan, kita memilih
untuk bercerai, na’udzubillah. Kita mengharapkan rumahtangga yang kekal hingga
ke syurga sana, dan tidaklah kita mahu pula keluarga kita berkumpul
bersama-sama di nerakaNya.





              Ramai sebenarnya yang tidak
terpandang akan perihal rumahtangga.





              Ramai sibuk fokus kepada asmara
cinta sebelum bernikah, dan juga kemegahan serta kegemilangan majlis kahwin.
Mungkin kerana ramai menganggap bahawa kejayaan cinta adalah apabila seseorang
itu berjaya mengahwini siapa yang dicintainya.





              Sebenarnya, bukan itu ukuran
kejayaan cinta yang sebenar.





Takrif Kejayaan Hakiki





Membicarakan
perihal kejayaan, hendaklah kita kembali melihat apa yang Allah SWT sebut
berkait kejayaan.





              Allah SWT berfirman:





              “Tiap-tiap yang bernyawa akan
merasai kematian, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan
balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan
ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan
di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu daya.”
Surah
Ali-Imran ayat 185.





              Apakah kejayaan hakiki selepas
kita membaca ayat ini?





              Diselamatkan dari neraka, dan
dimasukkan ke dalam syurga.





              Maka bagaimanakah rumahtangga yang
berjaya?





              Rumahtangga yang berjaya adalah
apabila kita berjaya membawa diri dan ahli keluarga kita untuk selamat dari
neraka, dan mendapat tempat pula di syurga Allah SWT.





              Bagaimanakah kita boleh mencapai
perkara tersebut?





              Pastilah dengan mentaati dan
memenuhi perintah Allah SWT serta menjauhi larangan-laranganNya, sepanjang
perjalanan kehidupan kita, termasuklah dalam kehidupan berumahtangga.





Ini Bukan Cerita Fantasi





Jika
saya perhatikan secara peribadi, media massa banyak memaparkan dan
menghangatkan cinta yang tidak syar’ie sebelum perkahwinan. Hingga kini pun, apabila
‘cinta islamik’ mula mendapat tempat, tetap cinta sebelum bernikah yang
dilebih-lebihkan.





              Kita akan membincangkan perihal
cinta sebelum bernikah dengan lebih detail pada bab yang lain. Namun apabila
banyak fokus terlalu diberikan kepada cinta asmara sebelum pernikahan, ia
membuatkan ramai melihat bahawa kesempurnaan cinta itu hanya dapat dilihat pada
berjaya atau tidak ‘hero’ mengahwini ‘heroin’nya.





              Dan ramai yang menghentikan
gambaran ‘kejayaan’ cintanya pada titik itu sahaja.





              Hakikatnya, kehidupan kita ini
bukan fantasi yang terlakar pada novel, drama atau filem, yang mana kebanyakan
hero dan heroinnya berjaya bersatu, dan kemudian cerita pun berakhir.





              Selepas kita melafazkan akad
nikah, selepas berakhirnya majlis kahwin yang dihadiri ramai, yang di dalamnya
kita memakai pakaian indah, yang ketika itu wujud pelbagai juadah sedap, yang
semasanya orang tersenyum dan gembira dengan kita, yang saat itu orang mahu
bergambar dan meraikan kita, selepas itu semua, kita akan hidup dengan pasangan
kita, meneruskan kehidupan berumahtangga.





              Kehidupan berumahtangga tidak akan
sentiasanya indah. Lumrah hidup ini Allah SWT ciptakannya bersama ujian.





              “Dia lah yang telah mentakdirkan
adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah
di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu),
lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
Surah Al-Mulk
ayat 2.





              “Patutkah manusia menyangka
bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka
tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
Surah Al-Ankabut ayat 2.





              “Adakah patut kamu menyangka
bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan
cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada
kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan
penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah
Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya)
pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan
kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”
Surah
Al-Baqarah ayat 214.





              Ujian juga boleh muncul dalam
bentuk perkara yang kita senangi. Harta benda, isteri dan anak-anak.





              “Dan ketahuilah bahawa harta
benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di
sisi Allah jualah pahala yang besar.”
Surah Al-Anfaal ayat 28





Begitulah nantinya rumahtangga. Akan diuji. Baik secara
langsung atau secara tidak langsung, baik ujian jangka pendek juga ujian jangka
panjang. Kita sendiri akan perlu menguruskan segala mehnah dan tribulasi
sepanjang berumahtangga.





              Kita juga akan mempunyai
tanggungjawab, melayani suami/isteri, menyara kehidupan, membesarkan anak,
menjaga hubungan dengan keluarga sendiri dan keluarga mertua, dan itu semua
perlu kita usahakan sambil kita bekerja, bersahabat, bermasyarakat.





              Dengan itu semua, kita pula
mempunyai tanggungjawab dengan Allah SWT sebagai hambaNya, dan punya tugas
untuk membawa diri, keluarga dan orang sekeliling ke syurgaNya.





              Pastilah ini semua bukan mudah
untuk disempurnakan, dan tidak akan dapat kita lunaskan dengan peribadi yang
lemah, yang tidak punya tanggungjawab, tidak ada disiplin dan sebagainya.





              Ya. Pada titik ini, kita patut
sudah mula dapat membayangkan, mengapa pentingnya kita bersedia dan menambah
kefahaman.





              Malang bagi orang yang saat
bercinta, dia hanya melihat asmara sebelum bernikah dan majlis kahwin nan indah
sahaja. Malanglah juga orang yang menyangkakan, kehidupannya akan sempurna dan
indah-indah belaka sahaja.





              Kita akan jadi tidak bersedia
untuk menghadapi, apa yang pasti bakal kita hadapi nantinya.





Kewangan





Rakan-rakan
yang saya kasihi kerana Allah SWT,





              Oleh kerana dunia yang kita sedang
jalani hari ini adalah dunia serba materialistik, persoalan wang memang mahu
tidak mahu akan timbul sepanjang kita berumahtangga. Lebih-lebih lagi bagi
pasangan yang berkahwin muda, hal kewangan memang akan menjadi isu yang patut
kita ambil berat.





              Wang bukan untuk dihabiskan semasa
majlis kahwin, dan jangan sesekali jadikan majlis kahwin sebagai salah satu
punca anda hidup berhutang.





              Selepas berumahtangga, ada
pelbagai perkara memerlukan wang.





              Bil elektrik, bil air, bil
internet, bil telefon, urusan kereta(servis, minyak, minyak hitam, tayar), wang
dapur, perabot dan keperluan rumah, dan nanti bila nak dapat anak, ada bayaran
bersalin, barang keperluan bayi dan macam-macam lagi.





              Dan ini semua bukan sekali bayar,
akan habis. Ianya akan berterusan meminta kita untuk mengeluarkan wang kita.





              Dalam hal ini, bertawakkal dan
berdoa semata-mata tidak mencukupi. Islam menganjurkan kita untuk berusaha,
sambil diiringi dengan tawakkal dan berdoa. Bukan berdoa dan berharap sahaja.





              “Telah datang kepada
Rasulullah SAW seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di
pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada
Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, adakah unta itu perlu saya tambat dahulu dan
kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian bertawakal? Rasulullah
S.A.W. menjawab: Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal.”

Hadith Riwayat Tirmidzi.





              Kita akan bincangkan hal kewangan
ini dengan lebih panjang lebar pada bab yang lain.





              Namun apa yang kita patut tahu
pada awal-awal ini ialah, pentingnya kita mempunyai perancangan dan kesungguhan
usaha dalam hal kewangan. Ramai yang menyatakan bahawa perkahwinan akan membuka
pintu rezeki, anak sebagai penambah rezeki dan sebagainya. Saya akui juga,
tetapi tanpa perancangan yang baik, bagaimana rezeki mahu terbuka dan sampai
kepada kita?





              Apakah Allah SWT suka untuk
membantu orang yang malas dan tidak berusaha, langsung tidak ambil kisah,
membazir dan sebagainya?





              Pastilah tidak bukan.





              Kejayaan datang dengan usaha,
diiringi tawakkal dan pengharapan.





              Begitulah juga kejayaan dalam
menjemput rezeki.





Suami & Isteri





Teras
kepada sebuah rumahtangga ialah suami & isteri. Kemudian jika Allah SWT
mengizinkan, akan dikurniakanlah kepada kita anak-anak.





              Di sini kita perlu ingat bahawa
suami bukanlah raja, isteri bukanlah hamba. Hakikatnya masing-masing ada
peranannya, dan perlu saling lengkap melengkapi.





              Manusia adalah makhluk emosi,
begitulah juga suami & isteri. Hendaklah sama-sama bijak mengawal emosi,
tidak mendahulukan ego, dan fokus kepada faham memahami, agar tugas untuk
lengkap melengkapi itu dapat disempurnakan dengan baik.





              “Dan orang-orang yang beriman,
lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain;
mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan
mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan
RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Surah At-Tawbah ayat 71.





              Rasulullah SAW bersabda: “Orang
yang baik antara kamu adalah orang paling berlaku baik terhadap isterinya.”

Hadith Riwayat Tirmidzi.





              Kita semua maklum bahawa lelaki
diberikan tugas untuk memimpin keluarga, namun itu adalah tanggungjawab,
bukannya sesuatu yang boleh disalah gunakan.





              “Kaum lelaki itu adalah pemimpin(pengawal
yang bertanggungjawab) terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah
melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang
perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi
nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Surah An-Nisa’ ayat 34.





              Ianya bukan untuk kita menjadi
diktator di dalam rumahtangga. Kerana itu pada wanita, ada hak untuk meminta
cerai, sekiranya suami menganiayainya dalam berumahtangga. Kerana itu jugalah
hadith Rasulullah SAW tadi, memfokuskan kepada kebaikan suami terhadap isteri,
kerana kepimpinan berumahtangga ada pada tangan suami.





              Keluarga yang harmoni adalah
apabila suami dan isteri boleh bekerjasama untuk membina keluarga yang bahagia.
Ianya tidak akan dapat terhasil jika satu pihak sahaja yang berusaha.





Jika kita berkahwin pada awal usia 20-an, dan mati pada
usia 70-an, ¾ kehidupan kita adalah dalam alam rumahtangga. Panjang dan
bukannya pendek. Untuk kekal harmoni dan bahagia sepanjang masa itu, pastilah
memerlukan usaha yang juga gigih.





Ia takkan terbina secara tiba-tiba seperti magik.





Kita perlukan ilmu, kefahaman dan usaha.





InsyaAllah pada bab-bab yang seterusnya, kita akan sedikit
demi sedikit mengupas perkara ini dengan lebih luas lagi.





Anak-anak





Rakan-rakan
pembaca yang saya muliakan kerana Allah SWT,





              Dalam rumahtangga, anak-anak
adalah rezeki daripada Allah SWT. Ada rumahtangga yang tidak dikurniakan rezeki
ini. Maka bersyukurlah apabila kita dikurniakan anak-anak sebagai penyambung zuriat,
dan bagi yang tidak, boleh usaha apa yang patut. Jika tidak dapat juga,
ketahuilah bahawa Allah SWT itu adalah yang paling tahu apa yang baik buat
hamba-hambaNya.





              Anak-anak juga, selain merupakan
anugerah dan kegembiraan kita, ada masanya ia menjadi ujian dan dugaan kepada
kita. Tanggungjawab kita adalah membesarkan mereka dengan baik. Bukan
semata-mata kerana mereka adalah anak kita dan zuriat kita. Tetapi kerana
mereka ini akan membesar menjadi sebahagian dari masyarakat. Pastilah kita tidak
mahu menjadi penyumbang kepada benih-benih yang buruk di dalam komuniti kita,
bukan?





              Di sini hendaklah kita faham
bahawa kita bakal menjadi guru yang pertama, contoh ikutan buat anak-anak. Kita
akan bincangkan dengan lebih detail perkara ini di bab yang kemudian.





              Tetapi apa yang penting setakat
ini untuk kita faham ialah, cinta kita kepada pasangan, kepada bakal suami dan
bakal isteri kita, hakikatnya bukanlah cerita kegembiraan asmara semata-mata.





              Hakikatnya orang yang berhajat
untuk mencintai seseorang, dia sepatutnya sudah merancang persediaan buat
dirinya sendiri.





              Kerana tanggungjawabnya nanti
bukan kecil dan sedikit.





              Inilah rumahtangga wahai
rakan-rakan yang saya muliakan.





              Bukan fantasi di dalam
cerita-cerita.





              Kita akan mengalaminya, dan kita
akan perlu menguruskan semua ini sebaik mungkin.





              Ianya juga bukan cerita diri kita
semata-mata.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2019 04:49

Sebelum Kita Bernikah – Meniti Realiti Pernikahan

Rakan-rakan
pembaca yang saya doakan agar dirahmati Allah SWT,





              Ringkas telah kita membicarakan
cinta, saya berhajat membawa rakan-rakan berbicara seputar pernikahan pula.





              Pernikahan itu ibarat gerbang,
rumahtangga adalah isinya. Sebenarnya pernikahan hanya mukaddimah kepada alam
rumahtangga.





              Tetapi ramai yang
membesar-besarkan pernikahan dengan kebesaran yang tidak sepatutnya. Ini bukan
sahaja membawa masalah dari segi rohani dan jiwa kita. Tetapi juga membawa
kepada tanggungan yang berat, perlu ditampung oleh generasi kini.





              Kerana ramai mahu ‘menang’ sehari,
dan tidak memikirkan hari-hari selepas pernikahan nanti.





Rukun Pernikahan





Sebelum
pergi lebih jauh, moleklah kiranya saya ketengahkan terlebih dahulu rukun
pernikahan.





              Ianya mudah dan ringkas sahaja
sebenarnya.





              Pernikahan memerlukan
perkara-perkara berikut:





Pengantin lelaki (Suami)Pengantin perempuan
(Isteri)WaliDua orang saksi lelakiIjab dan kabul (akad
nikah)



Setiap satu daripada rukun ini pula, ada syarat-syarat
sahnya. Contoh syarat sah pengantin lelaki, syarat sah pengantin perempuan, dan
seterusnya. Tetapi saya tidak akan paparkan di sini kerana akan melewahkan
artikel. Saya sarankan untuk lebih lanjut, bolehlah rakan-rakan pembaca membuka
buku fekah berkait hal syarat sah nikah, atau pun boleh google untuk
mendapatkan maklumatnya.





              Apa yang saya mahu paparkan di
sini ialah, pernikahan asasnya adalah apa yang telah disenaraikan itu.





              Kenduri kendara bukanlah perkara
wajib di dalam pernikahan. Kerana itu ianya tidak ada dalam senarai di atas.
Namun begitu, kenduri adalah digalakkan di sisi syara’ sebagai tanda kesyukuran
dan juga untuk mengwar-warkan pernikahan.





              “Ketika tiba waktu pagi hari
setelah Nabi SAW menjadi seorang pengantin dengannya (Zainab bin Jahsy), beliau
mengundang masyarakat, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka
pun bersurai.”
Hadith Riwayat Bukhari.





              Rasulullah SAW juga pernah
berpesan kepada ‘Abdurrahman bin Auf RA: “Laksanakanlah walimah(kenduri kahwin)
walaupun hanya dengan seekor kambing.”
Hadith Riwayat Bukhari.





              Anas bin Malik RA juga pernah
meriwayatkan: “Ketika Rasulullah SAW menikahi seorang perempuan, beliau meminta aku
supaya mengundang beberapa orang (lelaki) untuk makan.”
Hadith Riwayat
Bukhari.





              Kenduri, selain fungsinya adalah
sebagai petanda kesyukuran, ianya juga adalah instrumen untuk mengwar-warkan
bahawa Si Fulan telah berkahwin dengan Si Fulanah, agar apabila mereka keluar
bersama-sama, tidaklah terjadinya fitnah. Sebab itu disunatkan agar perkahwinan
itu dihebahkan.





              Oleh kerana kenduri bukan
kewajipan, tidak menjadi masalah bagi mereka yang belum berkemampuan, untuk
sekadar bernikah sahaja, dan menunda kenduri pada waktu-waktu lain. Atau
cukuplah buat jamuan kecil-kecilan bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat.
Namun begitu, walaupun tanpa majlis kahwin atau majlis kahwin yang sangat
kecil-kecilan, war-warkanlah juga makluman bahawa diri itu telah berkahwin
dengan sekian fulanah/sekian fulan, melalui pelbagai medium media sosial hari
ini, untuk memudahkan urusan kehidupan akan datang.





Majlis Kahwin Itu Hanya Sehari





Rakan-rakan
pembaca yang saya kasihi,





Lumrahnya majlis kahwin hanya sehari, atau paling kuat pun
dua hari(rumah lelaki & rumah perempuan) itupun pada dua hari yang biasanya
berselang agak lama. Kalau saya, masa saya kahwin dahulu, berselang seminggu.





Namun masyarakat kita hari ini telah memberat-beratkan
sehari-dua majlis perkahwinan ini, sehingga seakan-akan sehari-dua inilah yang
menjadi matlamat kepada sebuah percintaan.





Majlis kahwin yang asalnya digalakkan sebagai petanda
kesyukuran, sebagai instrumen mengwar-warkan perkahwinan, telah menjadi medan
persaingan.





Majlis tak nak kalah dengan orang lain, majlis kena
‘trend’ terkini, mesti nak jemput ramai orang, pakaian dan perhiasan pengantin
yang mahal dan belum lagi dikira dengan solekan-solekan, hiburan serta adat
istiadat yang berlanggar dengan syariat. Fotografer pun nak yang paling mahal.





Jangan kata majlis kahwin, majlis pertunangan mengikut
‘trend’ hari ini pun sudah mahukan tukang solek, pelamin, dan kenduri yang tak
kurang besarnya. Itu belum dikira dengan ‘demand’ wang hantaran yang kadang
entah apa-apa. Nilai ikut sijil katanya, lagi tinggi pendidikan, lagi tinggi
wang hantarannya.





Tanpa disedari(sebenarnya semua sedar), semua itu
sebenarnya memerlukan wang. Secara langsung, ianya membebankan bakal pengantin.





Saya ada seorang kenalan. Dia berkahwin selepas bekerja
sekitar tiga tahun. Oleh kerana ibunya berhajat mahu lebih ramai orang datang
ke majlis kahwinnya yang sehari cuma itu, dia terpaksa berhutang dengan bank
sekitar RM30,000. Gajinya taklah sebanyak mana, hendak memulakan rumahtangga,
perlu berhutang pula semata-mata untuk majlis kahwin sehari.





Bukankah bagus jika majlis kahwinnya sederhana sahaja,
ajak mana yang mampu(tidak membebankannya untuk membiayai majlis kahwin sampai
perlu berhutang), agar dia tidak perlu menanggung hutang, dan gajinya dapat
dinikmati dengan baik untuk perkara yang mendatang, untuk perkembangan keluarga
dan rumahtangganya?





Kenapa digadaikan untuk majlis yang durasinya sehari cuma?





Ini tidak patut sebenarnya.





Saya akan kembali membahaskan hal ini pada bab akan
datang. Namun sekadar untuk di sini, saya simpulkan betapa perlunya kita keluar
dari mengikuti ‘trend’. Kita tidak mahu menyukarkan perkahwinan. Menyukarkan
perkahwinan bermakna kita memudahkan maksiat, memudahkan penzinaan.





Taat Semasa Nikah, Derhaka Semasa
Majlis Perkahwinan?





Pernikahan
dan majlis perkahwinan adalah gerbang kepada alam rumahtangga. Pada permulaan
alam rumahtangga kita, sepatutnya kita usahakan agar ianya dapat menjemput
rahmat dan barokah daripada Allah SWT.





              Sebab  itu jika kita perhatikan, semasa bernikah,
semasa majlis kahwin, biasanya akan ada doa. Doa hakikatnya adalah instrumen
pergantungan kita dengan Allah SWT. Tanda kita berharap kepada Allah SWT.
Apakah pantas bagi seseorang itu untuk meminta kepada Allah SWT sesuatu,
kemudian semasa memintanya, dia menderhaka kepada Allah SWT?





              Kita biasa melihat majlis-majlis
pernikahan, yang biasanya pengantin lelaki dan pengantin perempuan kemas
berbusana yang menutup aurat, mematuhi syariat. Ada pula yang berhajatkan lebih
keberkatan, buat di masjid.





              Namun apabila sampai majlis
perkahwinan, ianya penuh dengan perkara yang tidak syara’. Pengantin perempuan
mula berpakaian mendedahkan aurat serta ketat, solekan yang tebal dan perhiasan
yang berlebihan. Manakala majlis pula dihiasi dengan hiburan-hiburan yang tidak
syar’ie dan melalaikan. Belum dicampur dengan adat istiadat yang melanggar syariat
Islam. Dan kadang apa yang lebih menyedihkan, dalam keadaan itu semua,
tiba-tiba ada majlis berdoa, ada majlis selawat, kononnya untuk menyerikan lagi
majlis dengan harapan Allah SWT merahmatinya.





              Ini sebenarnya tidak sepatutnya
berlaku.





              Jika mahu pertolongan Allah SWT,
berharapkan Dia membuka rezeki kepada rumahtangga kita, mengharapkan Allah SWT
memberikan rumahtangga kita kebahagiaan, maka taatilah Dia. Usaha patuhi
syariat. Jangan kata semasa majlis perkahwinan, hatta semasa sebelum bernikah
lagi.





              Ada pula yang berduit lebih,
sebelum nikah lagi dah upah fotografer yang mahal harga bayarannya, untuk buat
album ‘pre-wedding’. Tangkap gambar peluk pegang sana sini, sedangkan belum
bernikah, belum lagi halal.





              Jangan kita pandang enteng, dan menganggap
pematuhan syariat itu hanya sebahagian dari adat istiadat juga. Kita mematuhi
syariat semasa bernikah, kerana itu kebiasan kita. Sebab itu kita tak rasa
bersalah buat majlis yang tidak syara’, kerana begitulah juga kebiasaan kita.
Ini tidak patut.





              Jemputlah rahmat dan barokah
daripada Allah SWT, dengan mentaatiNya. Di awal perkahwinan ini, bukankah baik
ianya dimulakan dengan permulaan yang cantik di sisi Allah SWT?





              Bukankah baik jika perjalanan
rumahtangga kita, bermula dengan keredhaan Allah SWT?





Bersederhana Semasa Pernikahan,
Pandang Jauh Untuk Rumahtangga





Majlis
nikah, majlis kahwin, sekejap sahaja. Tetapi rumahtangga, kita semua
mengharapkannya kekal hingga ke syurga.





              Untuk kekal itu, perlukan
kefahaman dan persediaan. Saya akan sentuh perihal rumahtangga pada bab
seterusnya.





              Bersederhanalah dengan majlis
pernikahan dan majlis kahwin kita. Bukanlah tak perlu buat langsung. Ianya
adalah sunnah yang digalakkan. Jika ada kemampuan, walaupun sedikit, usahakan.





              Nilai ‘sederhana’ itu bukanlah
dilihat dari majlis itu datangnya sikit orang, pilihan makanannya mestilah
sedikit sahaja, pengantinya langsung tidak berbaju indah. Tidak dan tidak. Ia
bukan dinilai dengan zahirnya.





              Mahu jemput ramai orang, mahu
sediakan juadah yang pelbagai, mahu berpakaian indah, tiada masalah jika mampu.
Saya ulang, jika mampu. Jika ianya tidak jatuh dalam pembaziran untuk kita.
Jika kita memang ada duit, dan apabila kita buat majlis kahwin itu, tidaklah
sampai perlu berhutang atau sempit, tidaklah sampai perlu membebankan kehidupan
berumahtangga kita kelak.





              Setiap orang ada kemampuan
berbeza.





              Definisi sederhana pada saya
adalah apabila kita buat apa yang termampu, tetapi yang kita buat itu tidaklah
pula melanggar syariat, dan tidaklah juga membebankan diri kita.





              Yang menjadi masalah, adalah
apabila kita semua rasa kita patut persembahkan kemegahan, kemewahan, dan
berhabis-habisan pada majlis kahwin, sampai sanggup berhutang, sanggup tanggung
beban semasa berumahtangga.





              Dan katalah kita mampu sekalipun,
kalau ianya berakhir dengan pembaziran, dilakukan kerana rasa nak menunjuk
kekayaan, rasa nak tunjuk kemewahan dan kemegahan, maka ianya jadi tidak patut
juga.





              Bagi yang tidak punya
banyak wang, utamakanlah wang untuk rumahtangga kelak.





              Bagi yang banyak wang, kahwin ini
sehari cuma, tetap tidak patut sebenarnya kita berlebih-lebihan hingga ke tahap
membazir untuknya. Wang yang banyak(sebab kaya sangat) boleh disalurkan kepada
perkara yang lebih bermanfaat seperti sedekah, infaq, membantu perjuangan Islam
dan sebagainya.





              Janganlah kita menggadaikan
rumahtangga kita dengan majlis perkahwinan.





              Ianya hanya gerbang sahaja.





              Ibarat menang membeli pintu
termahal dan terindah, tetapi rumahnya rapuh dan tidak senang diduduk, maka di
manakah maknanya?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2019 04:44

Sebelum Kita Bernikah – Mencari Makna Cinta Yang Benar-Benar Sejati

Rakan-rakan
pembaca yang saya kasihi kerana Allah SWT,





Cinta adalah isu yang akan sentiasa segar dan hangat,
serta terus dibincangkan zaman berzaman. Kerana cinta adalah fitrah.
Berputiknya cinta di syurga, semenjak bapa kita Adam AS, mula punya perasaan
kasih dan sayang kepada ibu kita Hawwa, bersatu dengannya dan melahirkan
generasi manusia.





              Cinta secara dasarnya adalah perasaan.
Perasaan ini akan membuatkan kita bertindak terhadapnya, berdasarkan definsi
kita akan hakikatnya.





              Jika kita memahami cinta dengan
definisi A, maka kita akan bergerak dalam kembara cinta ini dengan cara A.





              Jika kita memahami cinta dengan
definisi B, maka kita akan bergerak dalam kembara cinta ini dengan cara B.





Pentingnya Mendefinisikan Cinta





Selepas
saya bernikah, saya sering dijemput ke program-program berkait cinta,
pernikahan dan rumahtangga. Saya sering mengajak audiens untuk bersama-sama menggambarkan
satu situasi.





              Katalah kita ini semenjak kecil,
diberitahu bahawa ‘gear’ 1 adalah ke kanan dan ke bawah, bila menonton
televisyen pun, diiklankan bahawa ‘gear’ 1 adalah ke kanan dan ke bawah, bila
Ayah nak ajar kita bawa kereta pun dikatanya ‘gear’ 1 adalah kanan dan ke
bawah, maka apakah ada kemungkinan bahawa saat untuk pertama kalinya kita
hendak masukkan sendiri ‘gear’ 1, kita akan gerakkanya ke kiri dan ke atas?





              Pastilah tidak. Automatik, kita
akan mengikuti apa yang telah ditanam ke dalam diri kita. Sebab kita selama ini
faham, ‘gear’ 1 adalah ke kanan dan ke bawah. Mustahil kita akan tiba-tiba
sengaja mahu gerakkan ‘gear’ ke kiri dan ke atas.





              Apa akan terjadi kalau kita
gerakkan gear ke kanan dan ke bawah? Itu ‘reverse gear’, maka kereta kita akan
ke belakang, bukan ke hadapan. Hasilnya tidak akan sama.





              Begitulah pentingnya kita
mendefinisikan cinta kita. Kerana definisi yang salah, akan membawa kita ke
jalan yang salah.





              Sebab itu saya secara peribadi,
menekankan bahawa, hal cinta dan perkahwinan, adalah hal yang penting untuk
dididik kepada anak-anak, bukan hanya kepada mereka yang hendak berkahwin atau
yang dikatakan ‘cukup umur’ sahaja.





              Kerana sedar atau tidak, ada pihak
yang cuba mendefinisikan cinta dengan acuan mereka yang tersendiri, dan didikan
mereka ini sampai kepada anak-anak kita melalui televisyen, internet, ikon dan
selebriti.





              Jika kita tidak mengambil langkah
awal untuk mendefinisikan cinta kepada anak-anak kita, sudah pastilah mereka
akan terlebih dahulu diracuni dengan definisi lain, yang sampai kepada mereka
dengan lebih pantas dek kerana hebatnya teknologi maklumat masa kini.





Dunia Mendefinisikan Cinta





Dunia
hari ini telah mendefinisikan cinta dengan pelbagai acuan. Namun yang paling
penting, kepelbagaian acuan ini sebenarnya membawa kepada satu konklusi. Yakni
kemurkaan Allah SWT.





              Cinta digambarkan penuh dengan
igauan, angau, pembaziran, hingga ke tahap pergaulan bebas, berpacaran dan
kesanggupan untuk berzina. Semuanya pula digambarkan sebelum berlakunya
pernikahan.





              Selebriti-selebriti dan ikon-ikon
telah digunakan untuk mempopularkan perkara ini. Begitu juga karya-karya
seperti novel, lagu, drama dan filem. Jangan kata barat, sebenarnya di Malaysia
sendiri pun, cinta digambarkan dengan gambaran yang tidak tepat.





              Ianya digambarkan dengan gambaran
penuh hawa nafsu. Seakan-akan cinta ini hanya bermakna, kalau kita benar-benar
mengikuti perasaan kita semata-mata. Mengenepikan yang lain-lain, termasuk
Allah SWT, apatah lagi ibu bapa dan keluarga sendiri.





              Kemudian semua tindakan ini
digambarkan dengan gambaran yang indah-indah, manis-manis, dan kelihatan
sempurna amat. Menerawangkan jiwa-jiwa, membuai hati-hati, hingga terasa itulah
dia namanya cinta. Itulah dia yang perlu kita lakukan kalau hati dipagut cinta.
Itulah dia yang perlu kita buat kalau kita nak bercinta.





              Dan akhirnya inilah yang membentuk
generasi kini dalam bercinta.





              Jangan anggap perkara ini remeh.
Kerana cinta biasanya adalah mukaddimah kepada pernikahan, kepada pembinaan
rumahtangga. Jika asas kepada rumahtangga itu sendiri sudah dipenuhi dengan
penderhakaan kepada Allah SWT, secara logiknya bagaimana rumahtangga itu boleh
menjadi rumahtangga yang Allah SWT redhai, rumahtangga yang menghasilkan
manusia-manusia yang soleh, rumahtangga yang bermanfaat untuk perjuangan Islam?





Cinta Yang Hakiki





Rakan-rakan
pembaca yang saya doakan agar dirahmati Allah SWT,





Saya berpendapat, dan pendapat ini telah saya catatkan di
dalam Buku Sebelum Aku Bernikah: Berusaha Mencapai Mampu, bahawa cinta yang sebenar
adalah apabila kita berhajat untuk membawa orang yang kita cintai itu ke syurga
Allah SWT.





              Justeru apa-apa sahaja yang
membawa ke neraka Allah SWT, itu tidak boleh kita namakannya sebagai cinta yang
sebenar. Kita mungkin boleh menamakannya sebagai cinta hawa nafsu, cinta buta,
cinta palsu atau apa-apa sahaja yang tidak menggambarkan ia sebagai jalan yang
betul dan benar.





              Saya nyatakan demikian kerana,
cinta, atau kasih sayang, hanya dapat dibuktikan dengan tindakan dan bukannya
kata-kata. Saya bawa analogi, jika saya katakan saya cinta kepada isteri saya
contohnya, kemudian saya tendang dia jatuh ke dalam api yang marak, apakah
bermakna kata-kata cinta saya kepadanya? Tidak bukan. Sebab akhirnya saya
tendang dia ke dalam api.  Cinta apa
macam itu?





              Begitulah tidak bermaknanya segala
asmara kita, kejiwangan kita, kemanisan kita dalam bercinta, apabila akhirnya
ia sekadar mengundang kemurkaan Allah SWT dan melemparkan diri kita serta orang
yang kononnya kita cintai itu ke nerakaNya.





              Bila kita mempunyai kefahaman
cinta yang sebegini, ia akan membuat kita mendahulukan Allah SWT, berbanding
kehendak dan hawa nafsu kita sendiri. Jika kita mahu membawa seseorang ke
syurga Allah SWT, apakah kita akan mengajaknya kepada apa yang dimurkai
olehNya? Pastilah tidak. Jika kita mahu membawa seseorang ke syurga Allah SWT,
apakah kita akan membiarkan diri kita tidak punya apa-apa peningkatan, sekadar
menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia? Sudah pastilah tidak.





              Allah SWT telah berfirman:





              “Wahai orang-orang yang beriman,
jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari siksa api neraka.”
Surah
At-Tahrim ayat 6.





Cinta, Fitrah Yang Perlukan
Pimpinan





Kita
semua maklum bahawa cinta ialah fitrah. Hendak berteman itu ialah fitrah. Dan
Islam tidak turun untuk mengharamkan fitrah. Islam turun untuk memimpin fitrah
manusia ke jalan yang tidak memberikan mudarat kepada kita.





              “Dihiaskan (dan dijadikan indah)
kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu
perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun,
dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan
binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah
kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali
yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
Surah Ali Imran ayat 14.





              Kerana itu Allah SWT tidak
mengharamkan perasaan cinta, namun memberikan pesan dan tunjuk ajar kepada kita
akan halnya.





              “Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai
kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati
dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri)
perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu
mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang
yang berfikir.”
Surah Ar-Rum ayat 21.





Allah tidak lupa menyelitkan ke dalam Al-Quran akan kisah
orang yang mabuk dalam percintaan hingga melanggar kesantunan dan syariat,
sebagai pengajaran buat kita.





“Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir
(mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya
(Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu
sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya
berada dalam kesesatan yang nyata.”
Surah Yusuf ayat 30.





Dan Allah SWT mengurniakan kepada kita Rasulullah SAW,
yang merupakan seorang manusia seperti kita, dan dia juga punya perasaan cinta,
dia berkahwin dan berumahtangga. Justeru Rasulullah SAW adalah contoh terbaik,
yang banyak memberikan didikan berkait hal ini.





“Sekelompok orang berkumpul membicarakan sesuatu. Lelaki
pertama berkata, saya akan solat malam dan tidak tidur. Yang lain berkata, saya
akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga berkata, saya tidak akan menikah
dengan wanita. Perkataan mereka ini sampai kepada Rasulullah SAW. Maka baginda
berkata, kenapa ada orang-orang yang begini dan begitu?! Aku solat malam tapi
juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa
yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku.”
Hadith Riwayat Bukhari
dan Muslim.





Kita akan cuba mengupas perihal Rasulullah SAW dan
rumahtangganya pada bab yang lain.





Namun di sini jelas bahawa cinta bukan sesuatu yang
diharamkan secara asasnya. Tetapi bagaimana kita bercinta adalah apa yang akan
menjadikannya halal atau haram. Cinta yang berteraskan semata-mata kepada hawa
nafsu dan syahwat, akan membawa kita kepada kerosakan.





Manakala cinta yang berteraskan petunjuk daripada Allah
SWT dan RasulNya, itulah dia cinta yang hakiki, cinta yang akan membawa kepada
kebahagiaan dunia dan akhirat.





Kita mesti berusaha untuk belajar memimpin cinta kita.





Dengan cinta yang terpimpin, kita akan mencorakkan
pernikahan dan rumahtangga kita, dengan corak yang diredhai oleh Allah SWT.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2019 04:42

Sebelum Kita Bernikah – Kenapa Kita Jatuh Cinta dan Bernikah?

Rakan-rakan
pembaca yang saya kasihi, semoga berada dalam rahmat Allah SWT.





              Orang yang tak tahu hendak ke mana,
takkan tahu apa yang perlu dipersiapkan untuk sampai ke destinasi, dan dia
takkan sampai ke destinasinya yang sebenar. Kerana pada titik permulaan lagi,
dia tidak tahu hendak ke mana. Justeru dia tidak tahu bekalan apa yang perlu
dia bawa, apa yang tidak penting agar dia dapat sisihkan supaya tidak
menyukarkan perjalanan. Dia juga tak tahu di mana letaknya destinasinya, kerana
dia tidak tahu hendak ke mana, lantas dia akan tersesat dan teraba-raba.





Begitulah juga dalam hal cinta, pernikahan dan rumahtangga.  Bila kita tidak tahu kenapa kita jatuh cinta,
kenapa kita bernikah dan mendirikan rumahtangga, kita tidak akan tahu bagaimana
cara yang sebenarnya untuk menangani semua perkara tersebut, apa yang boleh dan
apa yang tak boleh berkait dengannya, dan kita akan tersasar dari jalan
mencapai kecemerlangan yang sebenar di dalamnya.





Adalah penting kita bertanya kepada diri kita.





Kenapa aku jatuh cinta?





Kenapa aku bernikah dan mendirikan rumahtangga?





Kerana soalan-soalan ini akan mencorakkan diri kita yang ingin
mengembara ke alam percintaan, pernikahan dan rumahtangga.





Hadith Niat Yang Perlu Menjadi
Peringatan





Rakan-rakan
yang saya cintai kerana Allah SWT,





              Rasulullah SAW telah bersabda:





              “Sesungguhnya setiap amalan itu
adalah dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang itu dinilai dengan apa yang
diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya
akan pergi kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan
dunia untuk kemewahannya, atau wanita untuk dikahwininya, maka hijrahnya akan
pergi kepada apa yang dituju olehnya.”
Hadith Riwayat Bukhari dan
Muslim.





              Hadith ini merupakan hadith yang
sangat penting, dan perlulah sentiasa menjadi peringatan buat diri kita. Semasa
kita hendak membuat satu-satu keputusan atau tindakan, kita perhatikan hadith
ini dan bertanya, “Sebenarnya kenapa aku buat begini?”





              Kerana niat itu membentuk rupa
tindakan kita.





              Jika kita berniat kerana Allah
SWT, kita akan membentuk tindakan kita itu di bawah petunjuk Allah SWT. Dan
kita tidak akan melencong ke arah lain, melainkan arah yang diredhai oleh Allah
SWT. Kerana niat kita adalah untuk Allah SWT, relevanlah Allah SWT menjadi kata
tertinggi dalam setiap gerak langkah kita dalam satu-satu perkara. Justeru jika
ada jalan yang tidak diredhai oleh Allah SWT, walaupun jalan itu nampak
memberikan kita sesuatu yang lumayan dari segi duniawinya, kita akan
tinggalkan. Kerana niat kita adalah untuk Allah SWT.





              Tetapi jika keduniaan yang menjadi
niat kita, sudah pastilah kita akan suka untuk mengenepikan syariat Allah SWT,
asalkan kita berjaya mendapatkan kemewahan yang dijanjikan oleh dunia.





              Kita akan pergi kepada apa yang
diniatkan oleh kita.





              Begitulah juga cinta dan
pernikahan.





              Jika kita niatkan kerana Allah
SWT, kita akan mencorakkan percintaan dan pernikahan kita atas apa yang Allah
SWT redha. Kita akan meninggalkan apa sahaja yang Allah SWT larang, dalam
melayari bahtera percintaan dan pernikahan. Walaupun mungkin, apa yang Allah
SWT larang itu, adalah apa yang nafsu kita mahukan, adalah apa yang mungkin
menjadi ‘trend’ masa kini dan dilakukan pula oleh kebanyakan rakan-rakan. Kita
tidak rasa cacat mengorbankan semua itu, kerana niat kita jelas bercinta dan
bernikah kerana Allah SWT. Lantas kita akan bergerak kepada Allah SWT.





              Jika niat kita bercinta dan
bernikah hanya kerana hawa nafsu semata-mata, hanya kerana ikut-ikut kawan
contohnya, ini akan membuatkan kita banyak mengabaikan perintah dan larangan
Allah SWT. Kita akan tidak segan silu mengambil jalan penderhakaan terhadap
Allah SWT saat melayari bahtera cinta dan pernikahan. Kita akan pergi kepada
apa yang kita hajatkan.





              Kita akan dapat apa yang kita
hajatkan.





              Itu janji Allah SWT.





              Namun perbandingan orang-orang
yang mendapatkan redha Allah SWT, yang mana Allah SWT inia dalah pemilik syurga,
pemilik ketenangan, pemilik rezeki, pemilik segala-galanya, bukankah itu yang
lebih bermakna?





              Berbanding mendapatkan dunia yang
fana serba sementara ini sambil menjemput kemurkaan Allah SWT.





              Maka lihatlah semula niat kita.





              Kenapa kita jatuh cinta dan mahu
bernikah?





Misi Sebagai Manusia Di Atas Muka
Bumi





Kita
perlu melihat semula akan tujuan Allah SWT menciptakan manusia di atas muka
bumi ini. Allah SWT itu tidak sesekali suka kepada perkara yang sia-sia. Dia
tidak akan melakukan sesuatu tanpa ada kepentingan dan kerjanya. Allah SWT
telah menyatakan hal ini di dalam firmanNya:





“Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi
serta segala yang ada di antaranya, secara main-main.”
Surah Al-Anbiya’ ayat
19.





Dan Allah SWT mengingatkan kita bahawa penciptaan kita
juga bukanlah sebuah penciptaan yang sia-sia:





              “Maka adakah patut kamu
menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya
untuk bermain-main? Dan kamu (menyangka pula) kepada Kami tidak akan
dikembalikan?”
Surah Al-Mu’minun ayat 115.





              Apakah misi kita?





              Kita perhatikan bahawa kala Allah
SWT menciptakan manusia, Allah SWT mengkhabarkannya kepada para malaikat.
Ketika Dia mengkhabarkan perkara tersebut, Allah SWT tidak menyatakan bahawa
Dia hendak menciptakan satu makhluk bernama manusia. Tetapi apa yang Allah SWT
nyatakan ialah Dia hendak menciptakan khalifah atau ‘pentadbir’ di atas muka
bumi ini.





              Ya, itulah misi kita. Dan besarnya
misi itu, sehingga Allah SWT menyebutnya secara jelas saat Dia hendak
menciptakan manusia.





              Firman Allah SWT:





              “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu
berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan untuk bumi itu khalifah.”

Surah Al-Baqarah ayat 30.





              Mentadbir bumi ke arah apa?





              Ke arah yang Allah SWT redhai,
yakni dengan menjadi rahmat kepada alam ini, memakmurkannya, menjaganya dengan
baik, dan semua itu akan mampu dicapai dengan tunduk serta patuh kepada Allah
SWT. Makanya antara tugasan besar khalifah ialah membawa manusia untuk
mengabdikan diri kepada Allah SWT, yang juga telah Allah nyatakan bahawa itu
merupakan antara tujuan manusia diciptakan.





              “Tidak Aku ciptakan jin dan
manusia, kecuali untuk mengabdikan diri.”
Surah Adz-Dzariyat ayat 56.





              Kita juga sedar bahawa khalifah
itu tidak semestinya kita semua perlu berjawatan. Sebuah negara hanya
memerlukan seorang perdana menteri, dan barisan kabinet menteri pun ada
bilangan yang terhad. Maka mustahil untuk kita semua memegang jawatan sebagai
pemimpin.





              Kerana itu khalifah yang
dimaksudkan ini tidak terhad kepada jawatan kepimpinan. Tetapi juga merangkumi
tanggungjawab memimpin diri, keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling semampu
kita. Apa yang penting, apa pun yang kita boleh pimpin, di sana tergalas
tanggungjawab untuk membawanya kepada keredhaan Allah SWT tadi.





              Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah!
Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan
terhadap apa yang dipimpin. Seorang raja yang memimpin rakyat adalah pemimpin,
dan dia akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya. Seorang suami adalah
pemimpin anggota keluarganya, dan ia akan dipertanggungjawabkan terhadap
mereka. Seorang isteri juga pemimpin bagi rumah tangga serta anak suaminya, dan
ia akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba juga
pemimpin atas harta tuannya, dan ia akan dipertanggungjawabkan terhadap apa
yang dipimpinnya. Ingatlah! setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan
dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya.”
Hadith Riwayat
Muslim.





              Dua misi besar ini perlu kita
fahami, kerana di sinilah kita melihat apa tugas kita dalam percintaan dan
rumahtangga.





              Ya, kita ada tanggungjawab
sebenarnya.





              Cinta dan perkahwinan bukan untuk
seronok-seronok kosong. Bukan semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu.





Tanggungjawab Dalam Keluarga





Memahami
tugas sebagai khalifah yang berperanan untuk membawa manusia ke arah pengabdian
kepada Allah SWT, dan memahami bahawa tugas tersebut tidak semestinya berjalan
bersama jawatan rasmi, kita mula melihat bahawa dalam percintaan dan
kekeluargaan juga kita bakal punya ‘kerja’ untuk dilaksanakan.





              Iaitu membawa diri kita dan orang
yang kita cintai, kepada tujuan yang sama, yakni pengabdian diri kepada Allah
SWT. Kemudian bersama-sama membina sebuah keluarga, juga dengan tujuan agar
keluarga itu berkembang sebagai sebuah keluarga yang mengabdikan diri kepada
Allah SWT.





              Kita perlu lihat yang kita
memegang sebuah peranan yang tidak kecil di dalam hal ini.





              Kerana dari keluarga kita akan
lahir manusia-manusia yang kemudiannya apabila digabungkan dengan keluarga-keluarga
lain, membentuk masyarakat. Apakah kita mahu menyumbang ahli-ahli yang buruk
kepada masyarakat kita? Sudah semestinya tidak. Kita semua mengimpikan
masyarakat yang baik, maka hendaklah kita semua berperanan membentuk
ahli-ahlinya yang baik, dan itu adalah tanggungjawab kita di dalam keluarga
kita.





              Firman Allah SWT:





              “Wahai orang-orang yang beriman,
jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari siksa api neraka.”
Surah
At-Tahrim ayat 6.





              Inilah dia tanggungjawab kita.





Bila Niat Kita Benar





Rakan-rakan
pembaca yang saya kasihi,





              Membawa kita semua jauh kepada
misi di atas muka bumi dan tanggungjawab dalam keluarga, hakikatnya adalah
untuk kita sama-sama melihat pentingnya niat yang jelas.





              Ya, kita ada tanggungjawab
sebenarnya. Ada kerja yang perlu dilakukan. Ada misi yang perlu disempurnakan.





              Niat kita kena jelas, barulah
tanggungjawab dan misi ini dapat diusahakan. Barulah kita tahu apa yang perlu
kita laksanakan. Niat yang benar akan membuatkan kita membentuk perjalanan
cinta, pernikahan dan rumahtangga kita untuk menyempurnakan tanggungjawab dan
misi tadi.





              Manakala niat yang batil, akan
sekadar membawa kita kepada kesia-siaan dan jalan yang tidak Allah SWT redhai.
Tanggungjawab sebenar akan terabai, seterusnya memberikan impak negatif bukan
sahaja kepada diri kita, tetapi juga kepada masyarakat.





              Hendaklah kita sentiasa jujur dan
bertanya kepada diri sendiri.





              Kenapa aku bercinta?





              Kenapa aku bernikah?





              Apakah kerana Allah SWT, atau hawa
nafsu semata-mata?





              Jika kerana Allah SWT, kita ada kerja
untuk diusahakan, ada misi untuk disempurnakan. Dan kerja serta misi ini, tidak
akan dapat dilunaskan dengan baik, tanpa persediaan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2019 04:40

Remaja – Mengait Cinta Anak Perempuan Kepada Bapanya.

Ada yang bertanya, macam mana anak perempuan boleh ‘jatuh cinta’ dengan bapanya hingga menjadi ‘cinta pertama’ dalam hidup? Baik, mari saya kongsikan dalam posting ini.





1. Sebaik-baiknya ia perlu bermula dari awal, ketika bayi berada dalam rahim ibu, walau kita masih belum tahu jantinanya. Bacalah Al-Quran, berkomunikasi dengan bayi dan ucaplah kata-kata yang baik pada anak, juga pada isteri.





2. Bila anak ini dilahirkan, azankan di telinganya. Tak cukup dengan itu, si ayah harus belajar bagaimana untuk membasuh uri anak dan menanam ‘kembarnya’ itu.





3. Walau badan anak masih lembut, si ayah belajarlah untuk mandikan anak. Kena beranikan diri. Basuh berak anak jangan lupa. Jangan sekadar sental dengan tisu basah, basuh juga ia dengan air paip. Takkan nak harapkan mak mentua atau isteri yang tengah berpantang tu?





4. Bila anak berusia 7 hari, mohon si ayah cukur rambut bayi. Beli je mesin gunting rambut di Mr DIY. Kemudian, cukur pakai pisau cukur. Senang. Jangan beri alasan takutlah, kepala bayi lembutlah, rasa gelilah, eh, macam-macamlah. Anak kita tu, berilah servis yang terbaik ya.





5. Bila anak selesai menyusu badan, bersambung pula dengan susu formula, ayah tolonglah belajar buat susu anak. Saya dulu, langsung tak tahu bab ini. Zero! Sampaikan berapa sukatan susu yang perlu diisi dalam botol pun tak tahu. kahkah





6. Tapi iyalah, bila anak dah mula minum susu botol, mulalah jam 2 3 pagi dok merengek suruh buat susu. Jadi, janganlah pergi kejut isteri untuk buatkan. Ayah bangunlah tidur, bancuh susu dan beri pada anak. Dapat pahala tau.





7. Bila anak dah besar sikit, selalulah peluk mereka. Cium dahi, pipi, tangan dan ubun-ubun anak. Mereka akan rasa disayangi oleh seorang ayah.





8. Sebelum anak pandai untuk gosok gigi dan mandi sendiri, si bapa haruslah uruskan benda tu. Gosokkan gigi mereka, jirus dan sabunkan. Anggap saja ia satu khidmat yang kita beri untuk membantu isteri di rumah.





9. Sikatkan rambut anak perempuan kita selepas mandi. Belajar bagaimana nak ikat rambut mereka. Memang susah, dia lari sana sini. Ah, kau pandai-pandailah kunci pergerakan depa. Kahkah





10. Orang perempuan suka dipuji, maka pujilah anak perempuan kita selalu. Jangan kedekut untuk cakap comellah anak ayah, cantiklah anak ayah, bagi pickupline ke, apa sahajalah. Yang penting, kata-kata pujian.





11. Bila kita peluk anak, jangan lupa cakap, ayah sayang (nama anak). Buatlah setiap hari. Dan ajar anak kita tu cakap benda yang sama. (Namanya) sayang ayah!





12. Ayah dan anak perempuan perlu ada chemistry. Maksud saya, kena pandai masuk ketika mereka bermain. Sebagai contoh, bila dia naik atas badan kita, maka jadilah kuda. Bila anak main masak-masak, kita cubalah buat-buat rasa masakannya (walaupun tak ada apa-apa yang dia suap pada mulut kita). Gunalah imaginasi untuk mewarnai imaginasi anak kita. Jangan dok ralit main game je.





13. Tonton kartun kegemaran mereka bersama-sama. Bab ini saya suka. Upin Ipin saya tengok bersama mereka, Boboiboy, Ejen Ali, Ultraman, Doraemon, Omar Hana, Didi & Friends dan lain-lain. Err, sebenarnya bapak yang lebih suka, bukan anak. Kahkah





14. Ayah dan anak perempuan kena ada trademark. Sebagai contoh, high five ke, fist bumb ke (macam Baymax dalam Big Hero 6), fist bumb macam dalam Ejen Ali ke (Neuro Style), colek ibu jari ke, macam-macamlah yang boleh dibuat.





15. Bila anak dah pandai bercakap, jadilah pendengar yang baik. Mendengar dengan penuh minat apa yang anak kongsikan, ceritakan, aduan dan sebagainya. Tunjukkan yang kita prihatin dan mendengar apa yang mereka katakan. Bukan anak cakap, mata kita dok mengadap phone layan group wassap.





16. Ayah kena sentiasa berkomunikasi dengan anak. Tanamkan persoalan akidah pada anak, bercerita, kongsikan kisah-kisah Nabi serta ajarkan doa-doa dan Al-Quran.





17. Si ayah wajib berkongsi pada anak-anak, berkenaan private part, sentuhan selamat dan tidak selamat, menjaga aurat, soal akil baligh anak perempuan dan isu-isu melibatkan kesihatan reproduktif.





18. Jangan lebih-lebihkan antara anak lelaki dan perempuan. Layan sama rata. Tolong sangat jangan banding-bandingkan sesama mereka. Kata-kata tengok abang kau tu rajin, kau bodoh. Tengok akak kau tu, belajar pandai, kau macam tu jelah result. Anak amat benci kata-kata ini. Tukar kepada perkataan yang lebih baik, “anak ayah semua pandai. Yang membuat kalian berbeza adalah usaha serta sikap tidak berputus asa. Keep it up! Jom sama-sama berjaya. Kita bantu membantu satu sama lain.”





19. Bila anak perempuan ini meningkat usia remaja, ketika itu mereka akan rasa bapanyalah lelaki paling baik, kacak, prihatin, pendengar yang baik dan boleh berkongsi cerita. Maka, mereka tak akan sewenang-wenangnya beri cinta pada lelaki tah mana-mana yang dia jumpa di sekolah, dalam internet atau tepi jalan. Mereka tak akan pilih lelaki selekeh untuk menjadi pasangan hidupnya.





Aku rasa cukup 19 point ini. Semoga bermanfaat untuk kita semua. Moga kita menjadi bapa-bapa yang disayangi anak perempuan dan lelaki. Amin.





Kau tahu kawan, salah satu punca berlakunya kes cabul seorang bapa kepada anak perempuanya adalah disebabkan si ayah tidak berperanan sebagai seorang bapa. Beliau bertindak sebagai diktator di rumah dan mahu anak takut padanya.





Sejak anak perempuan ini kecil, langsung tak disentuh, dipuji, dimandi, disuap makan dan dibelai. Bila anak ini dah akil baligh, dah besar, tumbuh payu dara dan sebagainya, si jantan ini akan melihat anak dengan ‘pandangan’ yang lain. Tak rasa itu adalah anaknya.





Minta dijauhkan. Nauzubillah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2019 01:57