Hilal Asyraf's Blog, page 52
August 31, 2014
Menjiwai 3 Prinsip Kemerdekaan
Merdeka Jiwa, Merdeka Pemikiran, Merdeka Perbuatan
Malaysia seperti kebiasaan saban tahun akan menyambut Hari Merdeka. Mengenang jasa perwira-perwira yang terdahulu amatlah baik kerana ia salah satu lambang cintakan tanah air yang mana kita dituntut untuk turut merasakannya. Tetapi sekian tahun berlalu, berita mengenai sambutan merdeka seringkali membisik ke telinga kita tentang perkara-perkara negative seperti pergaulan bebas, pembaziran dan berbagai lagi.
Manusia sering dikelirukan dengan beranggapan merdeka itu adalah bebas dari cengkaman penjajah semata, atau mereka bebas melakukan apa sahaja kemahuan yang akhirnya menular pelbagai gejala social yang lain. Manusia sering mengisi waktu mereka dengan pengumpulan yang ada dalamnya maksiat kerana ia turut mengisi nafsu syahwat.
Adakah ini erti sebenar merdeka yang boleh dibangga?
Kesyumulan islam
Mengenang jasa perwira yang terdahulu tidak menjadi salah tetapi cara menyambut itu yang bermasalah. Mungkin juga sebahagian kita jauh terlupa jasa nabi kita Muhammad s.a .w. yang mana orang yang awal memerdekakan umat terkemudian dengan membebaskan manusia daripada kemelut jahiliyah seterusnya membawa natijah berbuah redha Allah.
Dalam mendefinisi erti konkrit merdeka, molek dinukilkan kata-kata seorang pahlawan iaitu Rubi’ bin Amir ketika dalam peperangan Qadisiyah ketika mana disoal oleh musuh iaitu Rustam tentang tujuan orang islam datang dan bersungguh menyebarkan agama islam, beliau berkata:
“Kami telah diutuskan untuk mengeluarkan segala sesuatu, daripada penyembahan hamba kepada hamba kepada penyembahan mutlak kepada Allah yang satu, daripada kekejaman agama-agama terdahulu kepada keadilan islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Definisi ini akan dikupas selanjutnya. Namun secara umum, kata-kata ini menggambarkan bahawa islam yang dipikul panjinya oleh rasulullah dan para sahabat yang sampai kepada kita hari ini adalah islam yang amat efisen kerana ia merupakan risalah untuk semua zaman hatta zaman sebelum kedatangan baginda s.a.w. Bahkan jika nabi dan umat terdahulu masih wujud ketika ini, semuanya akan mengikut ajaran Allah melalui Rasulullah ini.
Dalam menyifatkan Islam yang datang ini sesuai pada setiap zaman, maka tidak terlepas juga bahawa ia bersifat sejagat. Terbuka kepada semua lapisan manusia, semua jenis bangsa dan peringkat umur manusia. Ia tidak bersifat ideal pada golongan tertentu, tetapi sebaliknya golongan tertentu menjadi ideal bilamana mereka mengambil islam secara sempurna.
Menerusi sirah, kita melihat islam yang diturunkan dalam bahasa arab tidak hanya untuk bangsa penuturnya sahaja. Dalam lembaran sejarah berapa ramai sahabat yang bukan dari kaum arab yang melakar nama dalam pesada orang-orang yang dekat dengan Allah bahkan menjadi penolong baginda dalam menyampaikan dakwah. Mengambil contoh Salman Al-Farisi yang mana kisah hijrahnya berkali-kali dalam kesungguhan mencari hidayah dan idea bernas beliau berkenaan pembinaan parit ketika perang Khandak mengangkat martabat beliau disebabkan Islam yang dipegang bukan bangsanya yang dijulang.
Selain itu, kesyumulan islam juga menusuk keseluruh pintu fasa kehidupan manusia daripada semua aspek. Baik dari segi akidah iaitu bukan sekadar dengan lafaz syahadah atau percaya kewujudan Allah, tetapi kesan keduanya dalam reality kehidupan yang membuka penjara minda manusia daripada segala jenis kekusutan jerat hawa nafsu kepada cahaya dinding keimanan yang jitu.
Tambahan lagi, islam itu melengkapi setiap sudut kehidupan manusia dengan menjadikan ia sebagai ibadah. Selalu manusia membayangkan ibadah adalah yang khusus sahaja termasuk solat, puasa, zakat dan haji. Namun, sebenarnya konsep ibadah itu lebih luas merangkumi setiap gerak-geri manusia kerana hakikat manusia dihidupkan di atas dunia ini adalah pengabdian kepada Yang Esa dengan syarat ia perlu perkara yang tidak keluar dari legar yang Allah redha.
Seterusnya, lengkap islam itu dinilai dari suatu sisi yang amat halus iaitu akhlak. Merujuk kepada banyak sirah menggambarkan ketelusan akhlak baginda dalam menyebarkan risalah bahkan banyak ayat al-Quran menyifatkan akhlak itu adalah perkara yang termasuk dalam urusan iman. Baik iman maka baik akhlak dan sebaliknya. Baik akhlak pula, bukan pada kelompok tertentu tetapi kepada alam sejagat meliputi manusia, haiwan, bernyawa atau tidak dan lain-lain.
Kata Imam Hassan Al-Banna:
Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan, Islam adalah daulah dan tanahair atau kerajaan dan ummah, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. kebudayaan dan undang – undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sahih yang melengkapi antara satu sama lain.
3 Prinsip Merdeka
Melalui kata-kata Rubi’ bin Amir dapat kita klasifikasikan beberapa bentuk rangka kemerdekaan yang akan memahat makna merdeka dalam konteks yang lebih luas. Antaranya adalah:
1. Merdeka Jiwa
Sebagaimana seorang insan sedia maklum, jiwa atau hati manusia yang menjadi raja bagi dirinya adalah asset utama dalam pembentukan peribadi seseorang. Manakala hati itu pula bahkan seluruh anggota manusia merupakan hamba bagi satu Tuan yang agung. Justeru, manusia yang tidak mengendahkan pengabdian kepada tuan kepada hati sebenarnya tidak memiliki jiwa yang merdeka.
Demikian frasa kata yang dinukilkan bahawa islam itu mengeluarkan manusia daripada penghambaan kepada sesama hamba kepada pengabdian mutlak kepada Allah. Jika dahulu zaman jahiliyah, manusianya menyembah berhala, namun tidak lagi ketika ini. Pun begitu, ‘berhala’ yang sama turut wujud dalam diri manusia melalui media social, hiburan dan pelbagai medium yang melekakan yang menyebabkan rasa cinta pada semua ini mengatasi kecintaan manusia kepada Allah.
Penekanan turut diberikan dengan mencoretkan bahawa hanya Allah yang Satu yang layak disembah. Tidak sepatutnya manusia hanya memberi tumpuan terhadap perkara yang berkaitan ibadah serta hal-hal yang membatalkannya yang mana jika tidak sempurna ibadah menyebabkan ia terbatal tetapi masih boleh diganti semula. Berlainan pula berkaitan dengan aqidah, jika terbatal ia boleh menyebabkan bukan sahaja ibadah tetapi segala jenis perlakuan kita tidak diterima Allah.
Justeru itu, penelitian terhadap perkara-perkara yang boleh menyebabkan terbatal aqidah melalui kata-kata seperti jampi yang tiada panduan wahyu, perbuatan penyembahan kepada yang lain juga tidak terlepas perkara yang sering berlegar dalam masyarakat kita dewasa kini berupa alatan seperti tangkal, gelang(tujuan jampi) dan sebagainya.
Hal ini berkaitan juga dengan sifat ibadurrahman yang Allah jelaskan bahawa antara ciri-ciri mereka itu tidak menyekutukan Allah s.w.t dengan segala sesuatu dengan meyakini bahawa Dia sahajalah pemberi rezeki, penyembuh penyakit, dan segala yang berlaku di atas dunia adalah dibawah kehendak dan kekuasaanya tiada selainya. Allah s.w.t berfirman:
Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, [Al-Furqan: 68]
Sesungguhnya kesan manusia menjaga hak Allah yakni sebagai hanyasanya yang layak disembah memberi kelebihan yang besar kepada manusia iaitu dengan Allah menjaga hak manusia sama ada di dunia dan di akhirat sana. Maka perhambaan kepada manusia itu dapat dihapuskan tetapi menjadikan apa yang manusia perbuatkan itu hanya semata asbab mencapai kehendak dan ketentuan Allah s.w.t.
2. Merdeka Pemikiran
Islam pada mata Barat sebenarnya amat hebat bahkan terdirinya fahaman barat itu bukan berasalkan daripada pemikaran filasuf mereka sahaja tetapi daripada kebenaran agama. Malangnya, mereka memanipulasikan kebenaran itu untuk sesuai dengan kehendak mereka. Berlainan pada mata umatnya sendiri kerana mereka (Barat) berusaha mengaburkan mata umat islam dengan pelbagai hiburan yang menyebabkan jiwa orang islam terdidik dengan rasa selesa dan selalu ingin memuaskan hawa nafsu. Islam dianggap pengganas. Kolot. Mundur. Pelbagai tohmahan yang dilemparkan. Malangnya peredaran zaman sekarang ini tidak seiring peredaran fahaman masyarakat terhadap islam.
Tidak menafikan pertolongan Allah kepada umat islam dalam menegakkan agamanya. Tidak pula mengecilkan usaha pelbagai pihak dalam usaha penyebaran islam yang sebenar, tetapi hadir perasaan kecewa kerana tohmahan yang ditujukan kepada islam itu tidak hanya dilakukan oleh golongan barat yang sememangnya memusuhi islam, tetapi hari ini orang islam sendiri memberi sindiran terhadap golongan yang berusaha menyebarkan kefahaman islam.
Bukan memberi konklusi segala yang datang dari barat itu adalah salah. Dalam soal yang berkaitan wahyu sama ada yang disuruh atau ditegah maka campur tangan ideology barat perlu diteliti dengan jelas. Jika konsep yang dikemukakan ada unsur keislaman maka ketahuilah ia sebenarnya hak orang islam kerana hakikatnya segala bentuk kebenaran dan kebaikan adalah milik orang islam yang mana hikmahnya telah hilang dari genggaman mereka.
Hakikat Islam itu bersifat adil jika dilihat dalam setiap ruang lingkup kehidupan seorang muslim bukan dari beberapa segi sahaja. Islam itu adil kerana Allah itu adil. Tidak seperti agama-agama yang lain samada yang telah direka cipta atau diselewengkan. Islam bersifat insaniyyah yang mengambil berat akan perihal hidup seorang insan.
Pada zahirnya seperti ada percanggahan dengan konsep pertama yang lebih menerangkan konsep rabbaniyah iaitu penafian ada unsur yang sama dengannya. Namun insaniyyah adalah elemen yang membawa ia hidup dalam kalangan manusia sebagai contoh diutuskan nabi Muhammad s.a.w seorang rasul dalam masa yang sama seorang manusia untuk membuktikan bahawa risalah yang disampaikan adalah menepati sifat-sifat keinsanan bukan suatu bentuk khayalan. Adapun rabbaniyah adalah sumber asas atau tonggok utama unsur insaniyyah itu tercapai.
Adilnya islam itu berbanding agama yang lain juga, merungkai ciri islam yang bersifat sederhana. Hakikatnya manusia ini lemah untuk membina suatu system yang seimbang. Sebaik manapun ia dikaji atau dirancang pasti ada kecacatan dan tidak bersifat universal yang meliputi semua aspek. Kesederhanaan islam merangkumi setiap aspek sama ada dalam ibadah dengan tidak mengenepikan soal siyasah atau selainnya dengan tumpuan ibadah (khusus) semata-mata. Ia juga meliputi aspek akhlak yang tidak terlalu terbuka dalam semua perkara dan tidak pula tertutup dalam kondisi yang sama.
Pada sisi lain keadilan islam yang juga merupakan agama yang sesuai semua zaman adalah pada sifat kombinasi antara keseimbangan atau tegar (constancy) dan perkembangan atau keanjalan (flexibility).Aspek ketegaran adalah bersumberkan wahyu yang telah ditetapkan ke atas sesuatu perkara manakan aspek keanjalan adalah bagaimana perkara itu dilaksanakan mengikut suasana dan waktu yang kondusif.
Lantaran itu, perkembangan dalam islam adalah positif. Sejauh mana maju dunia hari ini dengan teknologi dan media, pasti ada islam di sana. Cuma penelitian lebih halus dalam setiap perkara perlu diperbahas oleh yang mereka yang ahli tentangnya. Sekaligus, hal ini membuktikan islam itu tidak bersifat sempit atau closed-minded seperti yang dicanangkan oleh musuh-musuh islam.
Meneliti kebudayaan barat dan kesyumulan islam
a) Kebudayaan barat itu berdasarkan falsafah dan bukannya datang daripada agama. Yang difahamkan agama itu boleh dirumuskan kepada tiga pegertian:
i- Agama itu berasasakna penutunan daripada Allah s.w.t denga perantaraan wahyu yang diturunkan kepada nabi kepada ummatnya. Pengertian ini yang dipegan oleh mereka yang percaya akan kebenaran agama. Justeru itu mereka mempercayai bahawa agama itu perlu dipertahankan dengan sehabis daya kerana ia matlamat tertinggi kehidupan.
ii- Agama itu sehimpunan kepecayaan tahyul termasuk cara-cara melangsungkan ibadat atau penghambaan diri sebagaimana yang telah ditetapkan. Pengetian begini dipegang oleh mereka yang tidak percaya akan kebenaran agama. Mereka beranggapan bahawa agama ini suatu kepalsuan malahan ia adalah suatu bentuk halangan yang perlu ditentangkan keranan menyekat pembangunan.
iii- Agama itu sehimpunan pendapat-pendapat dan undang-undang yang disusun rekaoleh para bijaksana dan filasuf bagi keperluan sejahtera dan ketenteraman khalayak ramai, masyarakat insan bagi mencegah hawa nafsu dan membina serta menjamin tatatertib dalam pelbagai golongan dan masharakat insan. Pengertian ini dipegang oleh golongan yang bersikap tidak peduili akan agama tetapi beranggap ia penting sebagai alat bagi negara iaitu mencpai sejahtera tetapi tertakluk atas bahu pihak yang berkuasa tertentu.
Di sini dapat ditonjolkan bahawa islam itu suatu agama pembebasan yang meletakkan syariat itu sebagai kedudukan yang tertinggi dan mengangkat kemuliaan semua manusia (humanism menurut islam) berbanding takrifan yang lain dengan mengimbangi antara kebenaran dalil dan kebatasan aqal di samping menolak diskriminasi sesuatu pihak atas nama agama. Inilah konsep agama itu disebut sebagai konsep minna zulumat ila nur (daripada kegelapan kepada cahaya).
Barat mengambil takrifan yang ketiga. Justeru itu, syiar kemanusiaan (humanisme) itu dikibarkan lebih teratas berbanding syariat dek kerana wujud tangan-tangan yang berkepentingan yang menjadikan ia alat untuk mencapai tujuan negara bukan sebagai keyakinan yang menjadi panduan kehidupan.
b) Kebudayaan barat yang menjadikan asasnya humanisme yang mementingkan dasar keistimewaan kemanusia dan keduniaan serta kebendaan dan tidak meletakkan agama dan jaran serta kepercayaan ketuhanan sebagai yang utama dan penting selain menjadi alat kesejahteraan dan ketenteraman masharakat demi mencapai maslahat sahaja.
Humanisme dari sudut politik merangkumi dua jalan yang satunya diberi nama kapitalisme dan yang lainya sosialisme. Falsafah hidup keduanya ini bersatu dibawah bumbung humanisme sedangkan cara bagi melunaskan tujuan masing-masing berlainan bahkan tampak bertentangan keduanya.
Lantaran itu, intisari falsafah ini berdasarkan fahaman dualisme, yakni mengikrarkan adanya dua hakikat dan kebenaran yang bertentangan dan yang mutlak. Inilah juga yang dimaksudkan dengan pandangan syirik berbanding tauhid kerna hakikat kebenaran dalam islam itu asalnya melalui tanzil (penurunan wahyu) daripada Allah bukan dari pada akal manusia.
Islam yang syumul itu datang dengan membawa tujuan untuk memerdekakan aqal. Kata Dr Yusuf Qardawi, Islam itu datang meluruskan aqal daripada kesan-kesan khurafat dan kebattilan juga membebaskan ia daripada taqlid buta. Taqlid buta ini merangkumi pembebasan daripada ikut-ikutan generasi nenek moyang, ataupun daripada cengkaman para penguasa, atau daripada penyelewengan para ilmuan, ataupun daripada persetujuan awam berdasarkan pedapat majority yang tidak terbina atas asas syara’.
Hakikat islam itu tidak memerangi secara total peranan aqal dalam kehidupan kerana keduanya tidak akan pernah bertentangan seperti yang disebutkan oleh Imam Al-Ghazali sama ada dari sudut penelitiannya kerana aqal dan naqal (dalil) keduanya datang daripada Allah ataupun dari sudut perbuatannya keranan tidak mungkin hakikat deen itu berlanggaran antara satu sama yang lain.
c) Kebudayaan Barat juga terbina berdasarkan pandangan hidup yang tragik iaitu menerima kesengsaraan hidup sebagai satu kepercayaan yang mutlak yang mempengaruhi peranan manusia dalam dunia. Manusia dianggap sebagai pelakon drama kehidupan dan pahlwannya membayangkan watak yang tragik.
Sesungguhny barat sedari dahulu sudah menceraikan agama daripada kehidupan seharian dan hanya memeluk tradisi atau perbendaharaan adat yang diwarisi turun-temurun , falsafah dan ilmu pengetahuan sebagai dasar hidup mereka.
Pemungkiran daripada kepercayaan terhadap agama ini telah menjadi darah daging mereka kemudian diperkukuhkanj pula oleh kekecewaan dalam pengalaman beragamakan Kristian (pada zaman gelap) yang mengekploitasi agama untuk kepentingan gereja dan paderi. Ilmuan dan cerdik pandai diseksa kerana mempunyai pandangan berbeza dengan ‘agama’ pada tafsiran mereka. Natijahnya, agama itu tiada menjamin keyakinan bahkan ia hanya penuh dengan duri dugaan yang palsu.
Faham agama menurut barat yang mana berasal daripada istilah Latin iaitu ‘religio’ yang membentuk perkataan ‘relegion’ mengandungi usul makna mengikat, kenyataan terhadap yang diikat dan dasar-dasar pengikat. Malangnya kesemua ini tiada dasar yang jelas dalam istilah tersebut.
Akan tetapi dalam sejarah barat, yang menjelaskan sifat agamanya itu adalah menerusi pengikatan berbentuk paksaan oleh golongan paderi terhadap khalayak ramai yang sesungguhnya tidak merelakannya kerana tidak membawa sebarang faedah. Oleh sebab kesesalan ini, agama dianggap belenggu yang menafikan kebebasan kerana pengikatan ini berlaku antara manusia biasa dan manusia yang berkuasa tanpa rasa rela.
Berlainan dengan islam. Istilah deen (الدين) jika huruf د disebutkan dengan baris bawah maka ia diertikan dengan agama seperti yang terdapat dalam al-quran. Jika ia disebutkan dengan baris atas maka ia merujuk kepada keadaan diri yang berhutang, dan penaklukan diri untuk menurut perintah serta meninggikan sifat keinsanan kerna kehidpuan manusia dengan tuhan itu adalah hutang menerusi nikmat yang Dia berikan dengan menuntut penghambaan sebagai bayaran.
Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat (penaklukan) sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan. [Ali-Imran: 83]
Agama pada sisi Allah itu adalah Islam [3:19] yang mengandungi makna takluk dengan rela dan sungguh kepada perintah-Nya. Insan yang rela mempersembahkan dirinya kepada Allah dianggap sebagai muslim sedangkan yang tidak rela digelar kufur iaitu dengan menutup pintu akal yang menerima kebenaran sehingga dirinya menolak apa yang diterima akal sebagai benar.
Justeru itu, kerana islam itu memperikan hakikat keadaan makhluk jelata yang semuanya tertakluk kepada Penciptanya maka islam adalah agama fitrah dan agama pembebasan khilaf dengan barat yang mengangkat penaklukan sesama manusia.
Penaklukan ini (dengan rela) tidak berbentuk paksaan total, kerana hakikat manusia punyai pilihan. Pun begitu, jika ia berbentuk paksaan total maka tiadalah halangan bagi Allah sebagai Tuhan. Namun demikian agama fitrah iini datang dalam bentuk hikmah yang menyentuh perihaal jiwa dan akal manusia dengan tidak meletakkan paksaan bahkan memberi pilihan. Inilah konsep ‘la ikrah ha fiddin’ (tiada paksaan dalam agama) tetapi apabila seruan deen itu disambut keterikatan dan penaklukan tadi dituntut. Walaupun begitu, dengan rahmatnya Dia masih menunjukkan jalan hidayah-Nya dan mengkhabarkan tentang ganjaran sebagai penerima secara rela, dan seksaan bagi yang berpaling padanya.
Faham agama itu, dalam islam mempunyai perkaitan yang erat dengan faham keadilan. Bagi barat keadilan adalah suatu perkara yang berlangsung menerusi dua pihak yang seperti masharakat dan negara, rakyat dan penguasa. Justeru itu keadilan itu menafikan keadilan yang berlaku dari satu pihak yakni kepada diri sendiri bahkan begitu juga kezaliman yang tidak berlaku kecuali melalui dua pihak.
Sedangkan islam menegaskan fahaman yang berbeza dengan menjadikan keadilan itu pertama sekali berpunca daripada diri sendiri bahawa seseorang itu boleh melakukannya atau sebaliknya kezaliman terhadap diri sendiri. Oleh sebab itu, peranan ilmu itu penting bagi memandu setiap individu kea rah kebenaran dan menjadi syarat utama keadilan. Kata prof Naquib Al-Attas:
“Sebab keadilan beerti keadaan di mana sesuatu itu berada tetpat pada tempatnya sehingga mewujudkan suasana harmoni atau kesaksamaan, maka berikutlah bahawa sifat ilmu sahaja yang dapat tahu menempatkan masing-masing pada tempatnya dengan tepat”.
Nah di sini tergambarnya kepentingan ilmu itu hingga ia memandu ke arah keadilan dan melahirkan keyakinan. Dari sini juga terbit keimanan pada hari kemudian dan keluasan cara fikir bahawa di sana ada pembalasan atas setiap apa individu itu perbuatkan sama ada perbuatan zalim yang membawa bencana atau keadilan yang membuah bahagia.
3. Merdeka Perbuatan
Suatu unsur kemerdekaan yang mungkin ramai manusia kurang merasai kepentingannya adalah merdeka perbuatan. Merdeka perbuatan bermaksud manusia itu boleh melakukan segala sesuatu tetapi masih lagi menepati skop dalam ruang yang menepati syara’. Jika syara’ (islam) kata ia adalah baik maka baiklah ia begitulah sebaliknya. Malangnya, pengamatan konsep ini sering disalah erti. Manusia lebih cenderung kepada konsep kebebasan mutlak tanpa ada pengkhususan skop tertentu.
Maka membiaklah kerosakan moral dan akhlak di katas nama kepalsuan kebebasan. Sambutan kemerdekaan bukan lagi untuk mengenang jasa perwira tetapi malam pesta bagi anak muda-mudi. Disebabkan salah faham konsep ini juga, manusia terlalu cintakan dunia dan hanya beranggapan segala urusan terhenti di sana tanpa ada timbang-tara semula baik buruknya, dengan beranggapan tiada pembalasan yang sejajar dengan amalan yang dilakukan.
Hakikat merdeka dari sudut perbuatan adalah melakukan sesuatu perbuatan tetapi tidak hanya bermatlamat dunia tetapi jauh mengimpikan kesenangan akhirat. Jika perkara maksiat yang dimpikan maka peringatan balasan azab itu menjadi penghalang untuk berbuat demikian. Jika perkara kebaikan yang diidamkan maka kesungguhan melakukannya luar biasa kerana tidak sabar menanti ganjaran yang terbentang luas berdasarkan gesaan atas apa yang dipercayai.
Begitulah islam memerdeka manusia dari sudut perbuatannya. Tidak melihat islam pada peringkat dunia sahaja, tetapi melalui kaca mata akhirat kerana sesungguhnya anak Adam itu akan kembali kepada Allah s.w.t dengan segala perbuatannya yang telah diperbuatkan.
Barangsiapa yang kembali kepada-Nya dengan dengan memperakui bahawa Allah sebagai tuhan sekalian alam sebagai mana yang pernah semua manusia saksikan dahulu [7:172] maka sesungguhnya dia orang yang beruntung. Perjanjian ini adalah pengakuan penerimaan tugas dan tanggunjawab insan kepada dirinya terhadap tuhannya. Justeru penyaksian yang suci tidak terkesan dengan noda haiwani membentuk generasi ahsani taqwim (sebaik-baik penciptaan).
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). [At-Tin: 4]
Manakala manusia yang lalai akan hutang diri dan budi, daya serta tugas dan tanggungjawabnya yang patut ditujukan kehadrat Ilahi, telah memungkiri perjanjiannya. Dengan demikian telah juga menzalimi dirnya dan nasibnya merugikan dan keadaannya lebih sesat daripada haiwan.
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. [Al-A’raf: 179]
Kitab suci dalam al-quran mengibaratkan kehidupan duniawi ini seumpama suatu modal atau perdagangan dan manusia hanyalah musafir dalam perjalanan menjadi pedagang yang melangsungkan amanah ‘jual beli’ dan kerja pertukaran barangan tersebut sama ada beruntung atau rugi tergantung kepada pengenalan terhadap ilmu yang sebenarnya mengenai diri insan serta penunaian janji terhadap tuhan-Nya
Manusia dianggap dalam keadaan rugi bagi mereka yang bermatlamatkan dunia semata-mata kerna tidak melihat jauh kepada akhirat yang mana jika ia beramal dengan sebenar iman maka dikurniakannya balasan pinjaman yang baik (قرضا حسن) bahkan diganjari dengan faedah yang berlipat kali ganda (أضعافا كثيرة).
Kesimpulan: Ayuh, bangunkan jiwa Merdeka!
Pengamatan terhadap konsep merdeka tidak pernah berakhir selagi nyawa dikandung badan, selagi jasad tidak terkafan, selagi liang lahat bukan tempat persinggahan kerana merdeka yang sebenar adalah kejayaan kita menjadi adi wira Allah s.w.t dalam menegakkan agamanya dan peroleh syurga di akhirat sana. Janganlah jadi seperti bait syair ini:
Muslim tergenggam belenggu kafir,
akhirat luput, dunia tercicir,
budaya jahil luas membanjir,
Banyak yang karam tiada tertaksir.
Merdekakan jiwa dan hati dengan zikir ilahi, merdekakan nafsu dengan amal, merdekakan akal dengan ilmu, merdekakan anggota badan dengan ikrar (pengabdian) kepada tuhan.
Itulah kemerdekaan yang hakiki dan abadi.
Rujukan
Majmu’ Rasail Imam Al-Banna
Sifat Ibadurrahman fi Quran, Abdulrahman Husain
Flexiblity Islam Dr Yusuf Qardawi
Risalah untuk Kaum Muslimin,Prof Naquib Al-Attas
Mauqif Islam Min Aqal Wa Ilm, Dr Yusuf Qardawi
The post Menjiwai 3 Prinsip Kemerdekaan appeared first on Langit Ilahi.
August 26, 2014
Menjadi Pemuda Gaza dari Diri Kita
*8 Tips Praktikal Membantu Palestin*
Allah s.w.t boleh bantu saudara kita di Gaza sekelip mata sahaja dengan membinasakan orang-orang Israel dan Zionis sebagaimana Dia mengazab kaum-kaum terdahulu yang ingkar akan perintah utusan-Nya. Kaum Nabi Nuh ditenggelamkan dalam banjir yang besar, kaum ‘Ad yang dibinasakan dengan bunyi guruh yang kuat hatta dengan sekecil-kecil tentera seperti nyamuk yang bisa membunuh Raja Namrud. Sungguh Dia Maha Berkuasa.
Namun, ini tidak berlaku kenapa?
Allah sengaja tinggalkan kepada seluruh manusia kemudiaanya untuk menilai siapa dalam kalangan ini yang paling beriman dan bertaqwa kerana tiadalah muslim sifat keduanya yang mana mereka tidak sensitive akan isu global umat islam. Allah menguji kita sama ada benar kita ikhlas dan berperan membantu atau tiada perasaan diam membatu?
Kenapa seolah umat islam dikenakan hukuman diperangi berterusan, dibiarkan tanpa ada bantuan?
Kata Dr Majdi AL-Hilali ada 3 perkara;
1. Segala bentuk ujian ini adalah dalam perancangan Allah dan ilmunya yang maha luas dan pasti ada hikmah tersembunyi
Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan Allah hendak melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya) beriman [Ali-Imran:166]
2. ujian ini juga merupakan bentuk pengajaran kepada ummat manusia kerana jauh akan risalahnya dengan tidak beramal dengannya dan tidak pula mahu menyebarkannya.
apabila kamu ditimpa musibah (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan musibah kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (musibah) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “Musibah itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [Ali-Imran:165]
3. Ujian ini adalah jalan untuk menyedarkan ummat dari kelalaian mereka dan mengembalikan mereka kepada kebenaran.
Dan Kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana), supaya mereka kembali (bertaubat).[Az-Zukhruf:48]
Apa yang berlaku di Gaza bukanlah isu rakyat Palestin tetapi isu umat islam seluruhnya kerana di sana ada pengajaran bagi kita. Cakna akan akan isu ini bukan sekadar terbina semata atas dasar kasihan dan simpati, tetapi atas dasar kesedaran dari kehidupan yang melalaikan.
Mengapa perlu bebaskan Palestin?
Dalam semangat kita berdemonstrasi, boikot, menyumbang tenaga memberikan kesedaran, menginfaqkan harta untuk membeli bekalan pernahkah kita bertanya mengapa sebenarnya kita membantu Gaza? Dr Raghib As-Sirjani ada merungkai persoalan yang mungkin pernah timbul dalam benak pemikiran manusia.
i- Adakah Palestin itu perlu dibebaskan untuk memerdeka tanah al-Quds itu sendiri?
Jika ini pengambilan hak tanah melalui jalan kemerdekaan tanah tersebut menjadi hadafnya kita lihat berapa banyak negara islam merdeka yang dikuasai tampuk pemerintahannya oleh seseorang yang bergelar muslim masih lagi tunduk mengikut telunjuk barat?Akhirnya kita akan melihat kemerdekaan al-Quds hanya pada tanahnya bukan pada pemerintahannya.
ii- Adakah Palestin itu perlu dibebaskan kerana padanya masjid al-Aqsa?
Jika ini sasaran utama kita bagaimana negara islam yang tiada tempat suci umpama masjid seperti di Afghanistan, Syria, Iraq, Shishan. Adakah tempat ini akan lengang daripada bantuan kerana beranggapan tiada kepentingan bagi umat islam? Adakah perlu suatu tempat suci baru umat akan tergerak untuk membantu?
Bahkan tidak! Sesungguhnya darah umat islam itu lebih berharga daripada tempat suci dan lebih bernilai pada sisi Allah s.w.t. Dalam sebuah hadis nabis s.a.w da menyebutkan:
Hancurnya dunia lebih ringan di sisi Allah dibandingkan terbunuhnya seorang muslim. [Hr Tirmidzi]
Bukan sekadar itu, ketika zaman nabi s.a.w ketika mana seorang wanita muslimah yang diperlakukan tidak elok oleh orang yahudi, maka dibunuh yahudi tersebut oleh seorang muslim. Orang yahudi yang lain tidak berpuas hati lalu membunuh muslim tersebut. Apbila sampai berita ini kepada Rasulullah s.a.w, baginda bertindak membela maruah wanita tersebut dan darah seorang muslim hingga menjadi asbab berlakunya perang Bani Qainuqa’.
Begitu juga ketika pemerintahan Khalifah al-Mu’tashim [218H-226H], meskipun beliau terpengaruh dengan fahaman mu’tazilah, namun peranan beliau dalam membela maruah seorang wanita muslimah yang dicabul kehormatannya jauh di negeri Ammuriyah berbanding tempat pemrintahannya di Baghdad, beliau telah menghantar satu pasukan tentera yang akhirnya membawa pembukaan kota tersebut dan memperi tamparan hebat kepada Rom dengan terbunuh 30,000 tentera mereka.
Begitu halnya Islam itu membela maruah umat islam. Maka seharusnya darah umat islam yang haram dititiskan itu lebih perlu dituntut haknya kecuali dalam beberapa perkara yang disebut pengecualiaanya dalam hadis nabi s.a.w:
Tidak halal darah seorang muslim, kecuali karena salah satu dari tiga hal: orang yang berzina padahal ia sudah menikah, membunuh jiwa, dan orang yang meninggalkan agamanya lagi memisahkan diri dari jama’ah (kaum muslimin). [HR Bukhari dan Muslim]
iii- Adakah Palestin itu perlu dibebaskan kerana sejarah penduduknya kaum Arab?
Sebagai bangsa bukan arab adakah kita tiada peranan dalam isu ini jika isu kaum arab penduduk utama kaum arab yang diketengahkan. Justeru itu, dalam isu ini bahkan dalam pelbagai isu yang mempunyai hadaf membangun dan membina penyatuan umat islam seharusnya bangsa itu tidak diangkat menjadi tujuan utama.
Kaum Kan’an yang pertama dari keturunan arab yang menduduki Palestin itu adalah tersiri dari golongan mereka yang menyembah berhala. Jika bangsa yang menjadi tujuan utama maka ia memberi kesan buruk kepada kaum yang lain untuk sama-sama membantu. Maka bangsa lain yang muslim akan kurang rasa bersama kerana yang dimuliakan pada Palestin itu bukan kerana islam yang menjadi penyatu tetapi bangsa tertentu yang bersekutu.
Selain itu, jika diteliti banyak nabi-nabi bahkan mojoriti bukan berbangsa arab juga pernah mendiami bumi berkenaan seperti nabi Daud, Yaakob, Yusuf, Ibrahim dan lain-lain. Jika benar bangsa yang perlu dijadikan tujuan maka tidak wujudlah usaha penyatuan mempertahankan Palestin bagi seluruh umat.
iv- Adakah Palestin itu perlu dibebaskan kerana simpati kepada mangsa pelarian?
Simpati terhadap mangsa pembunuhan atau pelarian adalah suatu sifat yang mulia. Bahkan ia menjadi mercu tanda keimanan kita sesama muslim kerana muslim itu hakikatnya ibarat suatu badan. Jika sebahagian anggota tercedera maka sebahagian lagi turut berasa. Tetapi titik tolah simpati ini kadang-kadang boleh kendur bersama berlalunya masa.
Mungkin ketika Palestin diserang bertubi-tubi oleh pihak Zionis, disebarkan pula melalui media dan dada-dada akhbar akan menerbitkan rasa simpati dan kasihan kita. Tetapi bagaimana jika peperangan itu dihentikan seketika suatu masa nanti atas desakan seluruh dunia kepada zionis, adakah ia membawa maksud kemenangan telah berpihak kepada umat islam. Tentunya tidak. Justeru itu, ia tidak boleh menjadi tujuan utama dalam misi pembebasan Palestin kerana manusia itu bisa berubah-ubah perasaannya bergantung kepada isu yang diputarkan.
vi- Adakah Palestin itu perlu dibebaskan untuk menghentikan pertumpahan darah?
Tidak dinafikan dalam maqasid syariah penjagaan terhadap naf yang merangkumi nyawa dan darah manusia itu amat dititikberatkan. Menjaga nyawa boleh menjadi penyebab untuk kita menjaga harta kerana manusia perlukannya untuk kehidupan. Menjaga harta untuk kehidupan pula menjadi penyebab menjaga keturunan untuk merasai kebahagiaan. Tetapi menjaga agama itu adalah paling utama seperti yang disebutkan oleh Imam al-Juwaini kerana ia menjaga aqidah umat islam yang membawa kejayaan dunia dan akhirat.
Allah s.w.t berfirman:
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). [al-Hujurat:15]
Dalam ayat tersebut menerangkan bahawa orang yang sebenar-benar beriman itu adalah orang yang percaya (beriman) kepada Allah terlebih dahulu sebelum dia beramal dengan amalan yang baik yang lain kerana aqidah adalah teras utama penerimaan amalan itu diangkat dan diterima. Justeru itu, perkara selainnya (aqidah) tidak boleh menjadi tujuan utama kerana ia akan membawa tujuan yang sia-sia.
vii- Palestin perlu dibebaskan kerana ia adalah ia adalah tempat israa’ Rasulullah s.a.w
Perkara yang membezakan Palestin dengan negara yang lain adalah ia menjadi tempat israa’ baginda s.a.w. Tetapi ia bukanlah bermaksud disebabkan ia semata-mata tempat israa’ dek kerana dalam peristiwa tersebut pelbagai perkara yang berlaku sepanjang peristiwa tersebut.
Di sinilah baginda menjadi imam bagi para nabi sekalian yang merujukkan pada ia sebenarnya lambang penyatuan ummat atas dasar deen Allah s.w.t dan tanggunjawab menyebarkan risalah yang pernah dilakukan oleh para nabi tanpa mengira bangsa meskipun dalam kalangan mereka terdiri dari pelbagai bangsa selain daripada menjadi qiblat pertama ummat islam yang menjadi simbol kebersamaan seluruh umat islam yang pertama.
Tambahan lagi, ketika isra’, sebelum baginda di mi’rajkan, baginda diberi pilihan untuk memilih arak atau susu dan baginda memilih susu yang membawa maksud fitrah suci bagi agama islam itu yang menanam rasa cinta mereka akan tanah Palestin bukan sekadar sebagai tanah yang suci tetapi tanah yang menjadi salah satu ikon kesucian islam.
Palestin juga perlu dibebaskan kerana ia juga menjadi suatu tempat yang membenarkan risalah baginda s.a.w sebagai seorang nabi yang mana hanya menyampaikan apa yang diamanahkan oleh Allah s.w.t bukan suatu rekaan tersendiri ketikamana baginda mengkhabarkan akan peristiwa tersebut (isra’), sebahagian kaum musyrikin meminta baginda menyifatkan masjid al-Aqsa.
Penting bagi setiap mereka yang mahu (sepatutnya semua) membantu secara langsung atau tidak langsung dalam isu ini memahami kan perkara ini agar kita tidak memperjuangkannya atas dasar ikut-ikutan ataupun ia adalah isu viral di alam media yang akan akhirnya membawa kepada natijah kendurnya sensitive apabila ia berlalu sedangkan Palestin masih belum benar terbebas!
Perancangan buruk terhadap umat islam
Setelah mengetahui penyatuan islam itu adalah yang paling utama dalam pembebesan Palestin, ada baiknya kita mengetahui perancangan musuh untuk menghancurkan umat islam kerana keburukan yang terancang dapat mengalahkan kebaikan yang tidak terancang selain daripada memberi kesedaran inilah jalan-jalan pyang digunakan oleh musuh sebagai jarum untuk melemahkan umat islam.
Satu dunia hari ini menyaksikan peguasaan mereka terhadap politik, ekonomi dan ketenteraan. Meskipun mereka berlaku zalim membunuh rakyat tidak berdosa bahkan menyerang dengan senjata kimia, kuasa-kuasa besar dunia tidak mempertikaikannya bahkan sebahagiannya memberi sokongan dalam bentuk senjata ketenteraan dan sebagainya.
Justeru, pada peringkat ini suatu masa yang lama perlu diperuntukkan bagi mengubah atau lebih tepat mengembalikan semula islam sebagai suatu peradaban yang menguasai isi muka bumi ini. Namun, hakikatnya perancangan utama musuh islam bukan menguasai bahagian-bahagian di atas. Bahkan ia hanyalah wasilah untuk mereka menguasai umat islam itu sendiri melalui proses merosakkan akhlak dan pemikiran umat islam melalui media massa dan teknologi yang canggih
Bagaiamana Memenangkan Palestin?
Peperangan dari sudut akhlak dan pemikiran menjadi tujuan utama musuh islam. Dari sudut akhlaknya dengan menanggalkan adab dan syariat islam dalam kehidupan dengan merasakan tiada masalah melakukan dosa secara terbuka seperti maki hamun atau mendedahkan aurat di laman social dan sebagainya. Dari sudut pemikiran pula, musuh menyerang dari sudut jika tidak mengikut telunjuk mereka maka mereka merupakan generasi yang kolot yang tidak menerima kemodenan sedangkan ia bercanggah dengan syariat.
Islam tidak menghalang pembaharuan dan kemodenan. Tetapi perlu difahami kemodenan yang dimaksudkan. Kata Prof Naquib Al-Attas:
“Pembangunan, pembaharuan bukan beerti menyesuaikan islam dengan masakini (dari ‘uruf yang salah), tetapi penentangan islam terhadap sejarah masa kini yang jauh menyimpang dari islam. Pembangunan yang dimaksudkn mensharatkan pembagunan jiwa, keyakinan dan kemampuan akal yang bisa menjelmakn perubahan besar seiring kehendak islam kerana banyak masalah-masalah keruntunan jiwa oleh orang-orang islam itu adalah disebab kejatuhan maruah diri sendiri, kekurangan ilmu yang membawa kekurangan iman.”
Dr.Yusuf Al-Qaradhawi, yang merupakan ketua Persatuan Ulama’ Sedunia buat kali keempat juga pernah menyatakan bahawa kembalinya Palestin ke pangkuan umat Islam hendaklah didahului dengan kembali kepada Islam kerana sesungguhnya setiap kemenangan tidak pernah dicapai umat Islam sendirian, tetapi kerana ada kebersamaan dengan Allah swt.
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ada menyatakan:
“Dulu Hertzel mengatakan bahawa kembalinya gerakan Zionisme hendaklah dimulai dengan kembalinya ajaran Yahudi. Oleh kerana itu, kita lebih layak mengatakan bahawa kembalinya Palestin hendaklah dimulai dengan kembalinya kita kepada Islam.”
Kemenangan pasukan yang sedikit keatas pasukan yang ramai, golongan yang lemah boleh mengalahkan yang kuat, dan Musa a.s boleh memenangi (mengalahkan) Fir’aun, itu adalah kerana Musa a.s berperang di medan peperangan bukan bersendirian, sesungguhnya dia bersama Allah dan Allah SWT bersama dengannya (turut serta dan memberikan bantuan.
Peranan pembangunan ummah melalui seorang muslim
1. Mengerakkan kefahaman yang benar dengan kadar yang segera.
Mengerakkan kefahaman yang benar bermaksud kepada kefahaman terhadap deen Islam, tidak tertumpu kepada kefahaman terhadap isu Palestin semata-mata bahkan kefahaman dalam pelbagai ilmu mengikut bidang masing-masing kerana peradaban itu tidak dibina atas dasar semangat semata-mata tetapi buta tetang ilmu. Dari sini, kita perlu melihat bahawa setiap orang yang mengaku muslim itu perlu berperanan kerana hakikatnya kita adalah asset besar bagi islam.
Dalam sirah menggambarkan sinergi kesatuan dan peranan setiap muslim itu. Mus’ab bin Umair r.a merupakan seorang sarjana yang mengajar ilmu kepada penduduk Madinah. Ada bersamanya seorang sahabat bernama As’ad bin Zirarah r.a yang merupakan muridnya juga tetapi tidak mempunyai kepetahan bercakap seperti Mus’ab. Namun apa yang beliau lakukan adalah mengajak mereka yang mempunyai keinginan dan sikap yang baik terhadap islam untuk turut serta menghadiri majlis ilmu yang diadakan oleh Mus’ab yang akhirnya menatijahkan keislaman sebahagian besar penduduk Madinah.
Kadar yang segera yang dimaksudkan adalah keperluan memenuhi masa yang ada dengan baik kerana hakikatnya masa manusia lebih sedikit daripada kerja-kerja manusia. Dalam pengislahan akhlak dan pemikiran tidak seperti perubahan menguasai ekonomi, ketenteraan dan politik kerana ia perlukan masa yang segera. Masa dalam bab ini bukanlah perawat yang baik kerana setiap hari umat Islam di Palestin berdarah tetapi musuh islam pula semakin kuat. Justeru, kadar yang segera perubahan perlu sama-sama dilakukan dan dipikul tanggungjawabnya.
2. Doa kepada Rakyat Palestin
Seperti yang wajib setiap orang beriman percaya doa adalah senjata bagi kita. Jadi perbanyakkanlah doa kepada mereka yang berjuang di medan sana diperteguhkan niat, dikurniakan ketenangan dalam berjihad selain berdoa juga kehancuran keatas musuh-musuh islam. Tidak tertinggal juga doakan kepada seluruh umat islam supaya bangun dan sedar dari mimpi yang panjang untuk mengambil peranan dalam isu ini.
Dalam usaha doa ini suatu perkara yang perlu kita jelas adalah doa itu bukan daripada lidah tetapi hati yang takut dan berharap kepada Allah. Doa yang mustajab dari hati yang tidak terhijab. Hakikatnya doa juga sebenarnya bukan pilihan kepada manusia tetapi ia suatu kewajipan kerana mereka yang tidak berdoa digolongan dalam kalangan orang yang takabbur.
Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. [Ghafir:60]
3. Buang rasa takut dan lemah dalam diri orang islam
Kemungkinan suasana dunia mengakibatkan umat islam rasa takut dan lemah. Dituduh sebagai pengganas, ditindas, sesama muslim sendiri bertelagah dalam isu remeh. Semuanya menjadi faktor melemahkan umat islam. Justeru, perlu kita kembali kepada peribadi mereka yang terdahulu beriman daripada kita yakni rasulullah s.a.w, para sahabatnya dan semua ulama’ dengan meletakkan keyakinan pada bantuan Allah, dengan membenarkan risalah nabi s.a.w melalui peranan yang boleh kita laksanakan.
4. tabaru’ harta (infaq)
Orang mukmin itu tidak hanya membenarkan imannya dengan keyakinan tetapi dengan amalan. Dan antara amalan yang mengukuhkan keimanan adalah solat dan bersedekah. Oleh sebab itu, seringkali dua ibadat ini disekalikan dalam banyak ayat al-Quran untuk menggambarkan kepentingan keduanya. Bahkan mereka yang benar beriman sanggup berjihad mengorbankan diri (tenaga:solat) dan hartanya. Abu Bakr sendiri memerangi golongan yang berkeras tiadak membayar zakat kerana menilai bahawa kedua amalan ini tidak boleh dipisahkan.
Bahkan perlu juga juga diberi kesedaran bahawa infaq ini tidak akan mengurangkan harta, bahkan ditambahkan pula. Namun yang paling utama adalah kita meyakini bahawa ganjaran utama kita adalah syurga. Allah s.w.t berfirman:
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. [Al-Baqarah:245]
Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa(133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah. (134). [Ali-Imran:133-134]
5. Boikot
Boikot barang-barang yang jelas keuntungannya digunakan untuk membantu Israel dalam membunuh rakyat Palestin. Mungkin ada sebahagian pihak mengatakan bahawa boikot ini tidak memberi apa-apa kesan kepada ekonomi Israel, tetapi sebenarnya memberi kesan yang besar terhadap ekonomi Israel. Antara syarikat yang pernah terkesan akibat pemboikotan ini ialah Supermarket Sainsburry di Mesir ditutup, penerbangan American Airlines ke tel Aviv bermasalah, penerbangan Trans World America muflis serta kempen memboikot produk Amerika di negara-negara Arab mengakibatkan kerugian sebanyak 40%.
Namun perlu diperingatkan pemboikotan yang dibuat perlu diselari dengan ilmu untuk memberi kefahaman dan kesederan untuk kita paling kurang membantu dari satu sudut yang kemungkinan sebilangan besar kita mampu lakukan. Jauhi emosi dengan merosakkan premis barangan yang jual barangan boikot dan lain-lain sebaliknya dahulukan nilai adab.
Adapun yang paling penting dalam proses boikot adalah memboikot GAYA HIDUP mereka yang tidak selari dengan ajaran islam itu yang lebih utama kerana peribadi unggul yang dibentuk dari neraca suci islam ini yang akan melahirkan generasi dan menjadi petunjuk kepada seisi dunia dengan keyakinan.
6. Islah diri dan Masyarakat
Perkara-perkara selain noktah ini disebutkan terlebih dahulu kerana ia merupakan usaha terdekat yang bisa semua orang berperanan. Tetapi noktah akhir ini memerlukan pada suatu jangka yang lama bergantung kepada usaha kita semua muslim. Namun, bukan bermaksud mustahil bahkan ia janji yang benar kerana Allah s.w.t yang menjanjikannya.
Antara perkara awal untuk islam adalah dengan menguasai media pada peringkat sederhana dengan menyebarkan kesedaran islam dan kepentingan mengambil berat akan isu Palestin. Cuma janganlah kerana kawan-kawan kita tidak ‘share’ atau ‘update berkenaan Gaza, kita kata dia tidak cakna akan isu semasa yang menimpa saudara seislam kita.
Cakna isu Gaza dan Syria perlu dilihat lebih mendalam dengan bukan hanya sekadar berbuat seperti di atas. Tetapi cakna yang perlu kita sematkan dalam diri adalah dengan doa kepada mereka dan usaha kita untuk berjaya dalam bidang masing-masing agar Islam bisa tumpang dengan kelebihan kita. Itulah cakna yang sebenar kerana isu ini akan berlalu. Namun jika ada kesedaran melakukan perubahan, maka isu ini secara tak langsung berkait dengan usaha kita yang berterusan.
Beza antara Yahudi,Israel dan Zionis
Sebelum diakhiri artikel yang panjang ini (semoga beroleh manfaat), perlu diperjelaskan akan perbezaan akan istilah ini supaya kita tidak menzalimi orang yang tidak bersalah. Secara ringkasnya yahudi adalah agama daripada Allah s.w.t yang diturunkan kepada nabi Musa. a.s melalui taurat yang mana mereka ini berbangsa Israel yakni keturunan nabi Yaa’kob a.s.
Sementara zionis pula adalah gerakan politik yang diketuai oleh Teodre Hetzel yang bertujuan mewujudkan negara yahudi (tidak semua penganut yahudi bersetuju). Nama ini diambil daripada sebuah bukit bernama Sohyun yang membentuk nama As-sohyuniyah (zionis).
Kesimpulan: Jadikan Darah Mujahiddin Lebih Bernilai
Sememangnya mereka yang syahid yang terkorban dalam medan peperangan mempunyai nilai tersendiri di sisi Allah s.w.t kerana ia merupakan kematiaan yang paling mulia. Adapun, kita yang tiada di medan bisa menambahkan nilai itu dengan berusaha melakukan perubahan dalam diri supaya tercetus perubahan secara global dek kerana angka yang syahid itu sebenarnya lebih sedikit berbanding mereka yang cakna akan isu Palestin. Buktinya bukan sekadar orang islam yang menuntut soladiriti terhadap mereka bahkan bukan muslim.
Hakikatnya,
Gaza hanya perlukan daripada kita sedikit sumbangan dan doa,
tapi kita perlukan Gaza untuk persatukan umat islam sedunia,
untuk membebaskan al-Aqsa tercinta,
untuk memberi semangat melakukan kerja,
untuk menyuntik jiwa memerangi musuh durjana.
Rujukan
Palestin Agar Ia Tidak Menjadi Seperti Andalus, Dr Raghib Sirjani
Apa Hakikat Peranan Kepada Palestin, Dr Majdi Al-Hilali
Tarikh Khulafa Imam Suyuti
Risalah untuk Kaum Muslimin, Prof Naquib AL-Attas
Kesan Boikot.html
The post Menjadi Pemuda Gaza dari Diri Kita appeared first on Langit Ilahi.
August 24, 2014
Ragam di FB
Marah
Marah adalah naluri kepada manusia normal. Tidak ada manusia yang tidak mempunyai perasaan marah. Hatta para nabi dan rasul, sahabat-sahabat ridhwanu ‘alaih, salafussoleh, juga mempunyai perasaan marah. Bezanya adalah kemarahan mereka itu dikawal dengan iman, mereka marah apabila agama Allah diperkotak-katikkan, mereka marah apabila hukum Tuhan dipermainkan, mereka marah apabila berlakunya kemaksiatan. Dan marah mereka, bukanlah marah yang berlandaskan nafsu tetapi marah yang sememangnya perlu. Tetapi merenung diri sendiri, kita tidaklah sesempurna itu kerana kita juga manusia biasa yang mengalami peningkatan dan penurunan iman.
Apabila manusia gagal mengawal perasaan marah, timbul lah penyakit baran. Baran dapat dikesan apabila seseorang itu mudah melenting, cepat merasa marah dan perkara ini berlaku secara berulang-ulang kali. Ketika ini, mindanya berada di bawah separa sedar lalu menyebabkan kegagalannya menahan perasaan marah. Baran yang kronik boleh membawa kepada kesan yang membahayakan diri sendiri dan orang lain. Oleh kerana itu Rasulullah SAW bersabda dalam menasihati ummat baginda, mafhumnya:
Daripada Abu Hurairah R.A, seorang lelaki berkata kepada Nabi, “Nasihatilah aku, (Nabi) berkata, “Janganlah kamu marah. Lelaki tersebut berulang kali meminta nasihat, dan berkata Nabi pada setiap kali, “Janganlah kamu marah”.
-Hadis Riwayat al-Bukhari
Lafaz jangan bukanlah bererti larangan secara mutlak, tetapi yang dimaksudkan adalah supaya mengawal perasaan marah agar tidak mengakibatkan mudharat yang lebih besar. Bahkan marah adalah pintu masuk syaitan ke dalam hati.
Seringnya sifat baran ini disabitkan kepada kaum lelaki yang secara generalnya lebih cenderung untuk melepaskan rasa marah berdasarkan faktor budaya. Wanita pula secara psikologinya lebih suka memendam dan berdiam. Namun begitu, baran juga dialami oleh kaum wanita apatah lagi apabila mereka mengalami perubahan pada hormon estrogen dan progesterone yang membuatkan mereka berubah secara tiba-tiba baik dari segi emosi mahupun fizikal. Perubahan ini selalunya tidak disedari oleh wanita tersebut tetapi disedari oleh mereka yang berada hampir dengan wanita itu. Baran wanita lebih sukar untuk difahami kerana adakala ia berlaku tanpa sebab yang jelas. Ada pandangan juga yang menyatakan bahawa sifat baran ini diwarisi secara genetik berdasarkan cara seseorang itu dibesarkan lalu minda separa sedarnya menyerap masuk nilai-nilai dari persekitarannya itu tanpa dia sedari.
Mengawal Perasaan Marah
Untuk merasa marah, ia bukan sesuatu yang salah. Tetapi sekiranya tidak dapat dikawal, akan menyebabkan baran yang berisiko menyebabkan kecederaan jiwa dan jasad baik diri sendiri mahupun orang lain. Rasulullah SAW yang sangat mencintai ummatnya lebih arif akan hakikat ini nyata pernah bersabda dalam mendidik ummatnya:
“Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak , maka hendaklah ia berbaring” (Riwayat Muslim)
Dr. Ahmad Syauqi secara perubatannya menyatakan bahawa perubahan postur daripada posisi berdiri kepada duduk, seterusnya daripada duduk kepada berbaring bertujuan supaya saraf dan otot yang menjadi tegang ketika dihinggapi perasaan marah, menjadi lebih relaks untuk memberi kesempatan kepadanya untuk kembali tenang (Yusuf al-Hajj Ahmad,2012).
Punca marah dan baran dipengaruhi oleh turun dan naik iman. Iman itu bertambah dan berkurang. Oleh sebab itu, seseorang itu perlu mengkoreksi kembali dirinya sejauh mana dia menjaga hubungannya dengan Allah dari aspek kesempurnaan pelaksanaan ibadah dan menjaga diri daripada kemaksiatan, adakah hatinya semakin menjauhi Tuhan atau sebaliknya. Kerana apabila kita menjaga hak-hak kita dengan Allah, maka Allah akan menjaga diri kita dan hak-hak kita sesama manusia. Semakin seseorang itu sukar mengawal kemarahannya, semakin mudah hatinya dihasuti syaitan.
Memahami Orang Yang Baran.
Namun demikian, ramai yang tersalah langkah ketika berhadapan dengan orang yang baran, lantas menyebabkan mereka menjadi mangsa amarah. Mereka menghulurkan bantuan yang tidak diperlukan. Menurut kajian psikologi (John Gray, 2008), apabila seseorang melepaskan kemarahan dan rasa tidak puas hatinya, dia bukan meminta supaya masalahnya diselesaikan tetapi dia cuma meluahkan apa yang dia rasa tetapi respon-respon yang tidak dikehendaki yang diberikan oleh pendengar menjadikan dia lebih tertekan. Seseorang lebih cenderung untuk melepaskan rasa marahnya kepada orang yang dia kenali dan agak hampir dengan dirinya berbanding orang yang tidak dikenali atau tidak berapa rapat.
Dalam keadaan ini, berdiam adalah cara yang terbaik kerana apabila berdiam diri, lisan tidak akan mengeluarkan kata-kata yang tidak disenangi. Rasulullah SAW telah bersabda:
“Apabila salah seorang daripada kalian marah, maka sebaiknya ia diam.” (Riwayat Ahmad)
Kita sendiri tidak pasti kata-kata yang manakah yang akan menambahkan kemarahan kerana baran itu sendiri tidak dapat dijangka ibarat bom masa yang boleh meledak pada bila-bila ketika, lalu berdiam adalah sebaik-baik perbuatan. Elakkan banyak bertanya, sebaliknya menjauhkan diri buat sementara waktu juga adalah langkah yang terbaik untuk memberi ruang dan masa buat dirinya supaya dia kembali rasional. (Khamsiah Mohd Etli, Jabatan Peguam Negara). Masa adalah sebahagian daripada rawatan. Berikan dia masa.
Merawat Diri Sendiri.
Bantuan yang terbaik yang dapat membantu seseorang yang baran adalah dirinya sendiri. Melawan nafsu sendiri lebih sulit daripada mengangkat senjata untuk pergi berperang. Saya sendiri merupakan seorang yang sukar menahan kemarahan lebih-lebih lagi sekiranya saya tidak berpuas hati dengan diri sendiri. Mungkin saya juga adalah seorang yang baran. Kerana itu untuk mengawal diri saya daripada merasa marah, saya lebih suka berdiam diri dan melakukan perkara-perkara yang saya gemari untuk mengalihkan rasa marah itu, malah saya lebih suka dibiarkan sendiri tanpa dipujuk. Itu langkah mujahadah saya dan bagi saya, saya tidak perlu tunjukkan kepada semua orang apa yang sedang saya usahakan.
Antara langkah mujahadah untuk merawat diri sendiri daripada sifat baran adalah dengan melazimi istighfar. Kerana barangkali, ada dosa yang kita lakukan baik dalam kita sedar atau tidak yang menyebabkan kita merasa tidak puas hati dengan diri sendiri lalu ditafsirkan dengan luahan kemarahan yang tidak mempunyai punca dan sebab yang jelas. Sentiasalah juga memperbaharui wudhuk kerana api kemarahan berpunca daripada syaitan, dan api hanya boleh dipadamkan dengan air. Berwudhuklah dengan ikhlas.
Baran bukanlah suatu yang mudah untuk diubah, ia memakan masa dan usaha yang berperingkat-peringkat. Perlahan-lahanlah ketika berubah kerana perubahan drastik selalunya tidak kekal. Biarkan lambat asalkan selamat. Apabila berhadapan dengan seseorang yang baran yang sudah lama kita kenali, salah untuk kita melabel dirinya dengan cop “tidak pernah nak berubah” atau “tidak pernah cuba nak berubah” kerana usaha untuk berubah itu terletak dalam dirinya dan hatinya sendiri. Siapa kita untuk menilai seseorang itu mahu berubah atau tidak, berusaha untuk berubah atau tidak sedangkan kita tidak tahu betapa sebenarnya dia sedang bermujahadah merawat dirinya sendiri dan mujahadah itu menjadi rahsia antara dirinya dengan Allah. Dia tidak perlu mempamerkan riak bahawa dia sedang berubah. Yang pasti, suatu hari nanti perubahan itu tetap akan terlihat hasilnya setelah dia berjaya menghabiskan proses itu.
Seperti melihat anak-anak yang sedang membesar, kita tidak dapat melihat dan mencatat tumbesarannya setiap hari kerana ia berlaku secara perlahan-perlahan dan konsisten, hingga akhirnya apabila dia sudah menjadi dewasa, baru kita sedari betapa pantas masa berlalu, kanak-kanak yang kecil kini menjadi dewasa. Begitu juga dengan proses mengubah dan merawat diri sendiri. Ia tidak akan berlaku dengan mendadak. Kita mungkin akan perasan akan perubahan-perubahan besar bila tiba masanya tetapi sementara itu, berhentilah menilai dengan nilaian yang mengecewakan sebaliknya teruskanlah berdoa dan berikan masa yang dia perlukan.
Penutup: Dan Berbekal Lah.
Nyata, tulisan ini saya tujukan buat diri sendiri terutamanya. Pesan saya kepada diri sendiri dan para pembaca, berbekal lah dengan kesabaran dan ketaqwaan kepada Allah. Kerana apabila kita sabar, puncak tinggi ketaqwaan akan kita kecapi. Sabar memang tidak mudah, kerana itu Allah menjanjikan ganjaran yang indah bagi mereka yang bersabar. Menjauhkan diri dari kemarahan memerlukan kekuatan jiwa dan keimanan yang kukuh. Teruskan berusaha untuk berubah walau tidak disaksikan manusia. Sabda Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang mulia:
“Orang yang kuat bukanlah orang yang selalu menang dalam pertengkaran, akan tetapi orang yang kuat, adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika anda mempunyai kenalan rapat atau saudara yang pemarah, berikanlah mereka masa dan peluang untuk berubah. Jangan terlalu cepat menilai, hormati pendirian mereka. Mereka juga manusia yang tidak sempurna. Jika mereka ingin ketawa dan gembira, raikanlah. Jika mereka ingin bersendiri, biarkanlah. Yang pasti, dalam diam sebenarnya mereka sedang berperang dengan diri sendiri, mereka adalah doktor yang sedang merawat sekeping hati. Doakan mereka. Itu pasti
The post Marah appeared first on Langit Ilahi.
August 23, 2014
[Akademi Langit Ilahi Sesi 2014/2015]
Assalamu’alaikum.
Semoga rakan-rakan berada dalam rahmat Allah SWT.
InsyaAllah sebagaimana yang pernah dimaklumkan dahulu, bermula Septmber 2014, Langit Ilahi akan menubuhkan Langit Ilahi Academy.
Namun ada sedikit perubahan dari segi fokus. Jika sebelumnya dinyatakan Akademi ini akan memberikan fokus kepada penulisan dan lukisan, kami telah membuat keputusan untuk fokus kepada penulisan sahaja terlebih dahulu.
Akademi ini akan berjalan selama 12 bulan secara online. Medium utama komunikasi dan penyampaian adalah melalui Facebook Grup yang secret(tidak open). Akan ada sekurang-kurangnya 2 bengkel percuma di wilayah tengah, bersama saya dan beberapa penulis serta editor-editor berpengalaman untuk sepanjang sesi Akademi ini berjalan.
Sesi Akademi Langit Ilahi akan bermula September 2014 dan berakhir pada Ogos 2015.
Kami akan mengambil 10 orang pelajar yang betul-betul berminat sahaja dan kami akan lakukan ‘interview’ untuk penyaringan permohonan.
Kami mengenakan yuran komitmen(untuk memastikan pelajar serius) sebanyak RM50 sebulan. Dan yuran akan dipulangkan semula sebanyak 50% jika pelajar komited hingga tamat setahun pengajian. 50% lagi akan digunakan untuk kos operasi. Terma & syarat yang lebih detail akan dimaklumkan jika pelajar berjaya diterima masuk.
Sepanjang sesi Akademi Langit Ilahi ini berjalan, pelajar Akademi akan berpeluang:
1- Mendapat didikan terus dari saya untuk mengasah bakat penulisan baik penulisan kreatif(khusus novel & cerpen sahaja) juga penulisan non-kreatif(khusus penulisan berbentuk motivasi & perkongsian sahaja).
2 – Diberikan medan untuk mempersembahkan karya secara berkala & konsisten di website Akademi Langit Ilahi(bakal dibangunkan bulan hadapan). Para pelajar akan diberikan tugasan mengikut jadual untuk berkarya di website Akademi.
3 – Segala artikel & karya yang dipersembahkan pelajar di web Akademi akan dipromosikan di Page FB Hilal Asyraf(Official) dan Page FB Langit Ilahi.
4 – Di fasa terakhir Akademi, pelajar akan diminta menyiapkan manuskrip untuk dinilai editor-editor berpengalaman dari syarikat buku terkenal. Yang dinilai baik oleh editor, insyaAllah manuskripnya akan diterbitkan syarikat tersebut(bergantung kepada pihak syarikat).
5 – Pelajar Akademi akan menerima ijazah khas daripada pihak Langit Ilahi di Youth Awards, Convention & Exhibition(YouthACE), sambil jika tamat pengajian dengan karya yang berjaya diterbitkan, karya itu akan dipromosikan serta dijual di YouthACE dan pelajar itu sendiri diberikan peluang untuk berucap di pentas YouthACE. LangitIlahi juga akan komited membantu penjualan bukunya dengan menjualnya secara berterusan di Langit Ilahi Store.
6 – Pelajar yang terbaik dan dirasakan layak oleh pihak pengurusan Langit Ilahi, akan mempunyai peluang menjadi barisan kolumnis tetap di LangitIlahi.Com dan dikira sebagai ahli penuh Tim LangitIlahi, selepas tamat sesi di Akademi.
————
Syarat & Permohonan Menjadi Pelajar:
————
Syarat :-
1) Umur: 20-30 tahun sahaja.
2) Benar-benar serius dan berminat.
3) Bersedia untuk komited.
Cara Mohon:
Hantarkan semua perkara berikut di email hilalasyraf@gmail.com sebelum 31hb Ogos 2014.
-gambar(sebaiknya berukuran pasport)
-nama penuh
-tarikh lahir
-alamat rumah
-link Facebook peribadi
-nombor telefon
-berminat untuk karya kreatif atau non-kreatif?(pilih satu sahaja)
-cita-cita & wawasan dalam dunia penulisan(dalam satu ayat sahaja)
-sejak bila mengenali Langit Ilahi
-apa program anjuran Langit Ilahi yang pernah diikuti
Bersama maklumat ini semua, hantarkan juga dua artikel(jika memilih karya non-kreatif) bertemakan Belia Harapan Masa Hadapan, atau dua cerpen(jika memilih karya kreatif) bertemakan ‘Perjuangan Untuk Dunia Ini’. Karya yang dihantar mestilah tak lebih 5 muka surat, dengan font calibri size 11, single spacing
Anda akan mendapat jawapan pada 10hb September, sama ada diterima atau tidak. Kemudian sesi Akademi akan bermula pada 15hb September 2014.
—————
Kami membina Akademi Langit Ilahi ini sebagai langkah pembinaan masyarakat dengan memberikan ruang untuk mereka yang berpotensi, mengasah bakat yang ada untuk manfaat ummah.
Jika Akademi ini berjaya dan berjalan lancar, kami berhajat untuk mengembangkannya pada sesi yang mendatang dengan lebih banyak lagi medan untuk diasah, seperti lukisan komik dan videografi.
Moga ini menjadi saham yang baik untuk akhirat kami, dan sebuah usaha yang baik untuk pembangunan ummah ini insyaAllah.
Mari Menjadi Hamba!
~ seorang hamba,
Hilal Asyraf
Pengasas LangitIlahi.Com,
CEO Lantera Iman Resources.
The post [Akademi Langit Ilahi Sesi 2014/2015] appeared first on Langit Ilahi.
August 20, 2014
Belajarlah untuk Mendengar. Mendengar, Tanda Peduli. Mendengar, Tanda Menghargai.
photo source: www.wallcore.net
Seorang suami yang kepenatan kerana baru pulang dari kerja lewat malam itu tiba-tiba “diserang” dengan seribu satu soalan dari isterinya saat dia melangkah masuk melepasi pintu utama.
“Abang pergi mana lewat-lewat malam ni?? abang tahu tak hari ini hari apa? abang lupa ka??” Si isteri bising-bising.
“Tak…abang tak pergi mana-mana..kan abang kerja… awak ni dah kenapa…” dengan suara yang tenang si suami memujuk.
“Abang tahu tak berapa lama saya tunggu abang balik?? abang selalu lupa anniversary kita kan?? abang memang tak pernah nak ambil berat hubungan kita ni. Abang tahu tak hari ni ulangtahun perkahwinan kita??”
“Mana ada abang lupa..abang tak pernah lupa lah… abang siap buat reminder lagi anniversary kita bila…awak..awak dengar sini.. saya nak berterus-terang ni..”
“tak pernah lupa apa…tahun lepas abang lupa, dah la tak beli hadiah, ni lauk ni saya masak sempoi untuk abang, sampai dah sejuk dah, mana sedap macam ni.. apa yang abang nak bagitahu???oooo abang nak kahwin lagi satu ye??abang jangan nak macam-macam..” mula lah si isteri mengarut-ngarut. Biasalah, emosional. Selama beberapa minit si isteri membebel-bebel akhirnya dia berhenti setelah melihat suaminya tersengih seorang diri.
“Kenapa awak diam? boleh pulak buat muka tak bersalah..”
“dah habis bebel dah? nah tengok ni baik-baik..” Lelaki penyabar itu menghulurkan kalendar yang terlekat di dinding.
“cuba awak tengok hari ni berapa haribulan.. tengok betul-betul ya…”
“err…30 Ogos 2014″ jawab isteri.
“Ulang tahun kita berapa haribulan?” tanya suami lagi.
“err… 30 September…”
“jadi? siapa yang lupa sebenarnya sekarang ni?” haaa kan dah kena. Si isteri menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia tersilap tarikh rupanya. Kan bagus jika dari awal lagi dia bersikap professional dan rasional, tidak terburu-buru. Sepatutnya dari awal lagi dia cuba mendengar apa yang suaminya cuba sampaikan. Tidak lah dia malu sendiri.
“itulah apa yang abang cuba nak terus terang dari tadi tapi awak taknak dengar…ish..”
“errk…maaf ye abang sayang intan payung… saya excited sangat kut nak sambut ulangtahun kita.. huhu..aaahh takpe takpe, lauk yang sejuk ni saya panaskan dalam microwave ye..anak-anak dah tidur.. boleh la kita date dua orang je.. setiap bulan buat anniversary pun takpe.. saya tak kisah.. huhu..”
Belajar Untuk Mendengar
Demikian adalah di antara situasi salah faham yang mungkin terjadi di antara suami isteri akibat keengganan si isteri untuk mendengar terlebih dahulu sebaliknya terus menerjah bak kata orang, “serbu tak pakai helmet”. Situasi yang lebih kurang sama juga boleh terjadi dalam mana-mana interaksi dua hala sama ada sesama ibu bapa dengan anak-anak, antara majikan dengan pekerja, antara guru dengan murid, antara ketua dengan pengikutnya, antara dua sahabat, dan seumpamanya. Yang akan mencetuskan salah faham ini adalah sikap enggan mendengar apa yang cuba disampaikan sebaliknya hanya bertindak melulu mengikut emosi masing-masing. Harus diingatkan, apa yang kita sangkakan, tidak semestinya benar, pendapat kita, tak semuanya betul.
Belajar untuk mendengar adalah kemahiran komunikasi dan psikologi yang cukup penting dalam sesuatu hubungan. Apabila kita mendengar, kita sebenarnya memberi masa dan ruang untuk akal kita berfikir dengan lebih waras dan rasional dalam membuat keputusan. Malah ia membolehkan kita melihat dunia dari kaca mata si pelontar bicara. Menjadi pendengar yang baik, bukan sekadar mendengar, tetapi memberi respon yang sesuai terhadap apa yang didengari. Tindakbalas-tindakbalas penting seperti angguk dan geleng, nota suara seperti “ahaa..” “hmmm..” “ya..” “lepas tu?” , soalan-soalan yang berkaitan dan sebagainya sangat perlu bagi meyakinkan seseorang itu bahawa kita sedang mendengar apa yang dia bicarakan.
Mendengar apa yang cuba disampaikan menerbitkan aura positif dalam interaksi apabila pihak yang cuba menyampaikan merasa dirinya dihargai. Ia merupakan salah satu faktor kepada perbincangan yang berkesan kerana di dalam suatu perbincangan, perlu ada sikap keterbukaan menerima dan menolak pendapat, dan untuk melakukan demikian, perlu ada pihak yang mendengar. Tidak boleh ada sebelah pihak bercakap, pihak yang lain juga mahu bercakap pada masa yang sama, sebelah pihak berdiam, pihak yang lain pun diam juga. Maka di manakah interaksinya? Apabila suatu pihak bercakap, satu pihak yang lain pula harus mendengar dan sebaliknya.
Setiap pendapat itu mempunyai nilainya yang tersendiri. Orang yang enggan mendengar, adalah orang yang rugi.
Belajar Mendengar Alasan
Saat ini saya tergelak sendiri. Teringat pada iklan hari raya yang lalu yang dikeluarkan oleh pihak Telekom Malaysia berhad (TM) yang berjudul “Adik” . Saya pasti ramai yang meminati iklan ini kerana kecomelan telatah adik, seorang kanak-kanak perempuan yang sangat lasak dan nakal dengan muka tidak bersalahnya. Setiap kali adik buat hal seperti melepaskan anak ayam dari sangkarnya, terjun sungai dan pulang dalam keadaan basah-basah, memanjat pokok kerana menjadi “Superman” lalu membuatkan ibunya terkejut, dan sebagainya lagi, bermacam-macam alasan yang diberikan adik ketika dimarahi ayah. Antara perkara yang saya belajar dari iklan ini ialah, walaupun adik selalu buat perangai, ayah tetap mendengar apa alasan yang diberikan adik. Ayahnya tidak terus mendenda atau menghukumnya, sebaliknya mendengar terlebih dahulu apa alasan yang diberikan meskipun sangat tidak munasabah. Selepas itu barulah dikenakan denda.
Dalam situasi anak kecil sebegini, penting untuk cuba mendengar apa jua alasan yang diberikan. Tindakan seperti ini membuatkan seorang anak merasakan bahawa ibu dan ayah masih menyayanginya walaupun dia membuat kesalahan, setelah diberi peluang untuk memberi alasan maka dia faham bahawa perbuatannya itu salah dan dia perlu didenda kerana ibu bapanya mempunyai sebab untuk menerima atau menolak alasan yang diberikan. Kelak apabila dia sudah dewasa, dia mempunyai sifat terbuka untuk berkongsi dengan ibu bapanya kerana dia tahu, ibu bapanya sudi mendengar. Keengganan ibu bapa untuk mendengar alasan anak-anak semasa kenakalan masa kecil mereka malah terus menghukum akan menyebabkan si anak membesar menjadi seorang yang suka memendam dan memberontak, kerana pada fikirannya, ibu dan bapanya tidak memahami dan tidak akan cuba memahami masalah yang dia hadapi.
Belajar mendengar alasan bukan setakat dalam konteks keibubapaan sahaja, malah dalam semua aspek. Tidak dinafikan ada segolongan manusia gemar memberi alasan atas kesalahan yang mereka lakukan secara sengaja. Sifat ini sangat menjengkelkan. Suka beralasan menunjukkan seseorang itu tidak amanah, tidak serius dan sambil lewa terhadap tanggungjawab yang diberikan kepadanya. Orang yang suka beralasan kelak tidak akan dipercayai lagi, malah semakin ramai akan cuba menjauhi. Namun harus diingati, mendengar tidak bermakna menerima. Kita sendiri boleh menilai sama ada suatu alasan itu boleh digunapakai atau tidak. Ada alasan yang benar, ada juga alasan yang direka-reka. Untuk menerima atau tidak, itu terpulang ke atas kita.
Mencelah Percakapan Orang Lain, Bukan Tabiat Yang Baik
Mencelah atau menyampuk ketika orang lain sedang berkata-kata, bukanlah tabiat yang baik apatah lagi terpuji. Sama ada kita akan dilabel sebagai penyibuk, suka menyampuk, tak sabar, nampaknya itu bukanlah gelaran yang boleh kita banggakan. Jika kita sedang berada dalam satu suasana dialog, biarkan satu pihak menghabiskan percakapannya terlebih dahulu sebagai tanda kita menghormati dirinya. Jika ada sesuatu yang kita ingin sampaikan di tengah-tengah perbualan, minta izin untuk mencelah. Ia lebih sopan dan tidak menyakitkan hati. Kadang-kadang kita sibuk melontarkan idea dan pendapat sendiri seakan-akan kita sahajalah yang betul dan bagus pendapatnya, pendapat orang lain hanya sampah dan tidak berguna.
Ini bukanlah sikap yang bagus, tetapi ia adalah sebahagian daripada penyakit sombong dan riak yang bukan sahaja dibenci manusia, tetapi lebih lagi dibenci Allah. Beri peluang untuk orang lain bersuara, hormati pendapat mereka. Sikap suka menyampuk atau mencelah percakapan orang lain menunjukkan diri kita yang tidak mempunyai adab, tidak bersabar dan pentingkan diri sendiri. Cuba hormati suasana perbualan tersebut. Apabila kita menghormati orang lain, nescaya kita juga akan dihormati.
Penutup: Allah dan Rasul-Nya adalah pendengar yang setia
Allah tidak pernah bosan mendengar doa, juga rintihan, keluhan, tangisan, pengaduan hamba-Nya. Kerana Dia adalah pendengar yang paling setia, pendengar yang terbaik. Rasulullah SAW juga apabila sahabat dan umatnya datang mengadu, berbincang dan bermusyawarah akan sesuatu masalah, baginda akan mendengar terlebih dahulu apa yang cuba disampaikan. Barulah selepas itu baginda membuat keputusan. Justeru kita? Mengapa tidak boleh kita cuba lenturkan sebentar ego kita untuk mendengar apa yang orang lain cuba sampaikan?
Belajarlah untuk mendengar, belajarlah untuk menjadi pendengar yang baik.
Mendengar tanda penghargaan, mendengar tanda penghormatan.
Mendengar, tanda sabar.
Mendengar, tanda sayang, tanda peduli.
Mendengar, dapat menyelamatkan sebuah perhubungan.
Siapa tahu, kita mungkin telah menceriakan hari seseorang hanya dengan mendengar
The post Belajarlah untuk Mendengar. Mendengar, Tanda Peduli. Mendengar, Tanda Menghargai. appeared first on Langit Ilahi.
Ringkas: Mendengar, Tanda Peduli. Mendengar, Tanda Menghargai.
photo source: www.wallcore.net
Seorang suami yang kepenatan kerana baru pulang dari kerja lewat malam itu tiba-tiba “diserang” dengan seribu satu soalan dari isterinya saat dia melangkah masuk melepasi pintu utama.
“Abang pergi mana lewat-lewat malam ni?? abang tahu tak hari ini hari apa? abang lupa ka??” Si isteri bising-bising.
“Tak…abang tak pergi mana-mana..kan abang kerja… awak ni dah kenapa…” dengan suara yang tenang si suami memujuk.
“Abang tahu tak berapa lama saya tunggu abang balik?? abang selalu lupa anniversary kita kan?? abang memang tak pernah nak ambil berat hubungan kita ni. Abang tahu tak hari ni ulangtahun perkahwinan kita??”
“Mana ada abang lupa..abang tak pernah lupa lah… abang siap buat reminder lagi anniversary kita bila…awak..awak dengar sini.. saya nak berterus-terang ni..”
“tak pernah lupa apa…tahun lepas abang lupa, dah la tak beli hadiah, ni lauk ni saya masak sempoi untuk abang, sampai dah sejuk dah, mana sedap macam ni.. apa yang abang nak bagitahu???oooo abang nak kahwin lagi satu ye??abang jangan nak macam-macam..” mula lah si isteri mengarut-ngarut. Biasalah, emosional. Selama beberapa minit si isteri membebel-bebel akhirnya dia berhenti setelah melihat suaminya tersengih seorang diri.
“Kenapa awak diam? boleh pulak buat muka tak bersalah..”
“dah habis bebel dah? nah tengok ni baik-baik..” Lelaki penyabar itu menghulurkan kalendar yang terlekat di dinding.
“cuba awak tengok hari ni berapa haribulan.. tengok betul-betul ya…”
“err…30 Ogos 2014″ jawab isteri.
“Ulang tahun kita berapa haribulan?” tanya suami lagi.
“err… 30 September…”
“jadi? siapa yang lupa sebenarnya sekarang ni?” haaa kan dah kena. Si isteri menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia tersilap tarikh rupanya. Kan bagus jika dari awal lagi dia bersikap professional dan rasional, tidak terburu-buru. Sepatutnya dari awal lagi dia cuba mendengar apa yang suaminya cuba sampaikan. Tidak lah dia malu sendiri.
“itulah apa yang abang cuba nak terus terang dari tadi tapi awak taknak dengar…ish..”
“errk…maaf ye abang sayang intan payung… saya excited sangat kut nak sambut ulangtahun kita.. huhu..aaahh takpe takpe, lauk yang sejuk ni saya panaskan dalam microwave ye..anak-anak dah tidur.. boleh la kita date dua orang je.. setiap bulan buat anniversary pun takpe.. saya tak kisah.. huhu..”
Belajar Untuk Mendengar
Demikian adalah di antara situasi salah faham yang mungkin terjadi di antara suami isteri akibat keengganan si isteri untuk mendengar terlebih dahulu sebaliknya terus menerjah bak kata orang, “serbu tak pakai helmet”. Situasi yang lebih kurang sama juga boleh terjadi dalam mana-mana interaksi dua hala sama ada sesama ibu bapa dengan anak-anak, antara majikan dengan pekerja, antara guru dengan murid, antara ketua dengan pengikutnya, antara dua sahabat, dan seumpamanya. Yang akan mencetuskan salah faham ini adalah sikap enggan mendengar apa yang cuba disampaikan sebaliknya hanya bertindak melulu mengikut emosi masing-masing. Harus diingatkan, apa yang kita sangkakan, tidak semestinya benar, pendapat kita, tak semuanya betul.
Belajar untuk mendengar adalah kemahiran komunikasi dan psikologi yang cukup penting dalam sesuatu hubungan. Apabila kita mendengar, kita sebenarnya memberi masa dan ruang untuk akal kita berfikir dengan lebih waras dan rasional dalam membuat keputusan. Malah ia membolehkan kita melihat dunia dari kaca mata si pelontar bicara. Menjadi pendengar yang baik, bukan sekadar mendengar, tetapi memberi respon yang sesuai terhadap apa yang didengari. Tindakbalas-tindakbalas penting seperti angguk dan geleng, nota suara seperti “ahaa..” “hmmm..” “ya..” “lepas tu?” , soalan-soalan yang berkaitan dan sebagainya sangat perlu bagi meyakinkan seseorang itu bahawa kita sedang mendengar apa yang dia bicarakan.
Mendengar apa yang cuba disampaikan menerbitkan aura positif dalam interaksi apabila pihak yang cuba menyampaikan merasa dirinya dihargai. Ia merupakan salah satu faktor kepada perbincangan yang berkesan kerana di dalam suatu perbincangan, perlu ada sikap keterbukaan menerima dan menolak pendapat, dan untuk melakukan demikian, perlu ada pihak yang mendengar. Tidak boleh ada sebelah pihak bercakap, pihak yang lain juga mahu bercakap pada masa yang sama, sebelah pihak berdiam, pihak yang lain pun diam juga. Maka di manakah interaksinya? Apabila suatu pihak bercakap, satu pihak yang lain pula harus mendengar dan sebaliknya.
Setiap pendapat itu mempunyai nilainya yang tersendiri. Orang yang enggan mendengar, adalah orang yang rugi.
Belajar Mendengar Alasan
Saat ini saya tergelak sendiri. Teringat pada iklan hari raya yang lalu yang dikeluarkan oleh pihak Telekom Malaysia berhad (TM) yang berjudul “Adik” . Saya pasti ramai yang meminati iklan ini kerana kecomelan telatah adik, seorang kanak-kanak perempuan yang sangat lasak dan nakal dengan muka tidak bersalahnya. Setiap kali adik buat hal seperti melepaskan anak ayam dari sangkarnya, terjun sungai dan pulang dalam keadaan basah-basah, memanjat pokok kerana menjadi “Superman” lalu membuatkan ibunya terkejut, dan sebagainya lagi, bermacam-macam alasan yang diberikan adik ketika dimarahi ayah. Antara perkara yang saya belajar dari iklan ini ialah, walaupun adik selalu buat perangai, ayah tetap mendengar apa alasan yang diberikan adik. Ayahnya tidak terus mendenda atau menghukumnya, sebaliknya mendengar terlebih dahulu apa alasan yang diberikan meskipun sangat tidak munasabah. Selepas itu barulah dikenakan denda.
Dalam situasi anak kecil sebegini, penting untuk cuba mendengar apa jua alasan yang diberikan. Tindakan seperti ini membuatkan seorang anak merasakan bahawa ibu dan ayah masih menyayanginya walaupun dia membuat kesalahan, setelah diberi peluang untuk memberi alasan maka dia faham bahawa perbuatannya itu salah dan dia perlu didenda kerana ibu bapanya mempunyai sebab untuk menerima atau menolak alasan yang diberikan. Kelak apabila dia sudah dewasa, dia mempunyai sifat terbuka untuk berkongsi dengan ibu bapanya kerana dia tahu, ibu bapanya sudi mendengar. Keengganan ibu bapa untuk mendengar alasan anak-anak semasa kenakalan masa kecil mereka malah terus menghukum akan menyebabkan si anak membesar menjadi seorang yang suka memendam dan memberontak, kerana pada fikirannya, ibu dan bapanya tidak memahami dan tidak akan cuba memahami masalah yang dia hadapi.
Belajar mendengar alasan bukan setakat dalam konteks keibubapaan sahaja, malah dalam semua aspek. Tidak dinafikan ada segolongan manusia gemar memberi alasan atas kesalahan yang mereka lakukan secara sengaja. Sifat ini sangat menjengkelkan. Suka beralasan menunjukkan seseorang itu tidak amanah, tidak serius dan sambil lewa terhadap tanggungjawab yang diberikan kepadanya. Orang yang suka beralasan kelak tidak akan dipercayai lagi, malah semakin ramai akan cuba menjauhi. Namun harus diingati, mendengar tidak bermakna menerima. Kita sendiri boleh menilai sama ada suatu alasan itu boleh digunapakai atau tidak. Ada alasan yang benar, ada juga alasan yang direka-reka. Untuk menerima atau tidak, itu terpulang ke atas kita.
Mencelah Percakapan Orang Lain, Bukan Tabiat Yang Baik
Mencelah atau menyampuk ketika orang lain sedang berkata-kata, bukanlah tabiat yang baik apatah lagi terpuji. Sama ada kita akan dilabel sebagai penyibuk, suka menyampuk, tak sabar, nampaknya itu bukanlah gelaran yang boleh kita banggakan. Jika kita sedang berada dalam satu suasana dialog, biarkan satu pihak menghabiskan percakapannya terlebih dahulu sebagai tanda kita menghormati dirinya. Jika ada sesuatu yang kita ingin sampaikan di tengah-tengah perbualan, minta izin untuk mencelah. Ia lebih sopan dan tidak menyakitkan hati. Kadang-kadang kita sibuk melontarkan idea dan pendapat sendiri seakan-akan kita sahajalah yang betul dan bagus pendapatnya, pendapat orang lain hanya sampah dan tidak berguna.
Ini bukanlah sikap yang bagus, tetapi ia adalah sebahagian daripada penyakit sombong dan riak yang bukan sahaja dibenci manusia, tetapi lebih lagi dibenci Allah. Beri peluang untuk orang lain bersuara, hormati pendapat mereka. Sikap suka menyampuk atau mencelah percakapan orang lain menunjukkan diri kita yang tidak mempunyai adab, tidak bersabar dan pentingkan diri sendiri. Cuba hormati suasana perbualan tersebut. Apabila kita menghormati orang lain, nescaya kita juga akan dihormati.
Penutup: Allah dan Rasul-Nya adalah pendengar yang setia
Allah tidak pernah bosan mendengar doa, juga rintihan, keluhan, tangisan, pengaduan hamba-Nya. Kerana Dia adalah pendengar yang paling setia, pendengar yang terbaik. Rasulullah SAW juga apabila sahabat dan umatnya datang mengadu, berbincang dan bermusyawarah akan sesuatu masalah, baginda akan mendengar terlebih dahulu apa yang cuba disampaikan. Barulah selepas itu baginda membuat keputusan. Justeru kita? Mengapa tidak boleh kita cuba lenturkan sebentar ego kita untuk mendengar apa yang orang lain cuba sampaikan?
Belajarlah untuk mendengar, belajarlah untuk menjadi pendengar yang baik.
Mendengar tanda penghargaan, mendengar tanda penghormatan.
Mendengar, tanda sabar.
Mendengar, tanda sayang, tanda peduli.
Mendengar, dapat menyelamatkan sebuah perhubungan.
Siapa tahu, kita mungkin telah menceriakan hari seseorang hanya dengan mendengar
The post Ringkas: Mendengar, Tanda Peduli. Mendengar, Tanda Menghargai. appeared first on Langit Ilahi.
August 12, 2014
Tidak Hilang Tetapi Tersembunyi
Seminggu dua ini sememangnya kesabaranku benar-benar diuji. Manakan tidak, tiba-tiba internet connection jadi lembab kalah siput khinzir. Sudahlah banyak kerja yang perlu diselesaikan, laporan, kertas kerja, urusan email dan surat menyurat semuanya memerlukan capaian internet yang pantas. Aku sudah mula rimas. Dalam hati “memuji-muji” adik-adikku yang suka sangat layan cerita korea dan muat turun movie sampai internet di rumah jadi lembab begini.
Tapi hari ini tetiba aku mendapat suatu idea, apa kata aku ubah laptopku supaya lebih dekat dengan modem wifi. Mungkin boleh laju. Aku memulakan percubaanku bagi menguji hipotesis ku. Ternyata hipotesis ku benar. Semakin dekat kau dengan modem, semakin laju line internet. Fikir-fikir balik, memang lah… Dah kenapa la tak buat awal-awal. Tampar dahi.
Talian Allah Percuma,Tak Meminta Dibayar.
Aku fikir dan berfikir. Jika sambungan internet yang lembab boleh buatkan terjejas segala kerja-kerja, boleh pula kita berusaha sehabis mungkin untuk mendapatkan akses internet yang laju supaya selesai tugasan-tugasan kita. Kalau di kampus atau di mana-mana yang ada wifi, boleh pula kita bergerak ke sini ke sana semata-mata untuk mencari posisi yang terbaik, yang dapat mengakses internet dengan pantas. Tetapi ada tak kita sedar, jarak yang jauh antara kita dengan Tuhan sebenarnya sedang menjejaskan “kerja-kerja dan tugasan-tugasan” kita sebagai insan? Sebagai hamba Allah?
Termenung sebentar. Allah.
Jiwa yang tidak tenteram, hidup terasa seakan tidak terurus. Resah dan gelisah terasa, semuanya tidak kena.
Lihat berapa ramai yang hidup kaya raya, wang berjuta billion trillion zillion, tetapi kehidupannya tidak bahagia.
Lihat berapa ramai yang memiliki pangkat, kuasa dan nama, tetapi akhirnya hidup dalam kemurungan kerana tidak menemukan ketenangan.
Lihat berapa ramai yang merangkul segulung ijazah kehormat, beroleh pangkat professor dan doktor, tetapi tidak mampu menjadikan pencapaian itu jaminan kebahagiaan, malah hidup semakin tertekan.
Lantas segala kejayaan dan kegemilangan yang dicapai, pada hakikatnya menjadi sia-sia.
Ini kerana kita tidak berusaha mencari Dia dan mendekati Dia sedangkan Allah telah menyediakan buat kita talian sepanjang hayat percuma tidak dibayar dua puluh empat jam sehari semalam tanpa gangguan komunikasi baik tika ribut taufan mahupun kemarau yang berpanjangan. Ia percuma, tanpa perantara terus kepada-Nya, ia terlalu hebat! Tetapi kenapa tidak kita menggunakan peluang yang Allah beri itu? Alangkah ruginya kita.
Kita tidak mendekati titik kekuatan dan punca kuasa yang sepatutnya. Allah adalah penjana kekuatan kita. Pada-Nya ada kekuatan yang kita cari. Kian jauh, kian lemah lah kita. Ibarat line internet sebentar tadi, semakin jauh, semakin lemah akses, dan akhirnya hilang. Kita tidak mahu hilang akses kepada Allah. Hilangnya kebergantungan kepada Allah menyebabkan manusia terkontang-kanting hilang pegangan dan arah tuju. Walaupun mereka mendapat segala yang mereka mahu, tetapi hidup mereka kosong dari matlamat. Setelah memperoleh segalanya mereka tetap tidak akan puas kerana mereka tidak mendapat apa yang sepatutnya iaitu ketenangan dan rahmat Allah. Mereka yang tidak mengenali Allah mencari hiburan yang melalaikan, dadah yang merosakkan, kecantikan yang mengaibkan (tidak menutup aurat) dengan harapan dapat berolehlah ketenangan yang dicari namun tidak. Mereka tidak mendapatnya. Dari manakah datangnya ketenangan dan kekuatan itu kalau bukan dengan mendekati Allah? Bagi mereka yang sedar, bermulalah sebuah pencarian akan sumber kekuatan yang hilang.
Kembali Merapati, Allah Sentiasa Menanti
Ingin kembali merapati, mulakanlah semula dengan solat. Ya solat. Kerana solat adalah penentu hubungan kita dengan Allah. Saat kita rukuk dan sujud, kita merasa akrab dengan-Nya, saat kita menadah tangan berdoa, kita yakin hanya Dia yang mendengar rintihan dan permintaan kita.
Solat adalah medium penyucian diri dan hati. Solat juga ada sumber kekuatan kita menempuh ranjau kehidupan. Bagi orang-orang yang beriman, solat adalah suatu kerehatan. Ketika solat, kekhusyukan yang hadir memisahkan diri daripada kekusutan fikiran. Seolah-olah masalah tidak pernah wujud kerana ketika solat, dunia terpisah dari hati. Yang ada hanya Ilahi. Selama ini dunia inilah yang banyak mendatangkan masalah kepada kita, lalu dijadikan solat itu sebagai suatu pemisah dan kerehatan agar manusia dapat melupakan dunia dan kembali bertenang bagi menstabilkan emosi serta hanyut dalam dakapan Ilahi.
Orang yang menjaga solatnya, akan terurus kehidupannya. Sebagaimana dia menguruskan waktu solatnya, maka Allah akan mempermudahkan dirinya mengatur jadual hidupnya. Jika dia seorang yang sentiasa menjaga solat di awal waktu, maka dia akan menjadi orang yang menepati masa dan tidak suka bersikap bertangguh-tangguh. Sekiranya dia mampu mendisiplinkan ibadah solatnya, nescaya ibadah-ibadah lain pasti akan terlaksana dengan mudahnya. Lalu kita tertanya-tanya, mengapa ada orang yang menunaikan solat, tetapi masih bersikap buruk dan gagal menampilkan qudwah yang baik? Maka kita kembali kepada tujuan solat itu sendiri. Adakah dia solat kerana dia sudah biasa bersolat lantas solatnya seolah-olah menjadi seperti adat sahaja? Atau dia solat kerana mahu menjaga namanya di sisi manusia agar terlihat baik senantiasa? Banyak kemungkinannya yang pasti hanya Allah yang tahu apa yang ada dalam hati kita. Tiada manusia yang sempurna.
Oleh kerana itu, jika mahu berubah, mulakanlah dengan solat. Itu kunci segalanya. Jika tidak tahu, belajarlah jangan malu. Jika malas, lawan perasaan itu hingga syaitan dan nafsu tewas. Walaupun kadang-kadang tak berjaya, sekurangnya pahala kerana mencuba itu ada. Allah Maha Baik, tidak mensia-siakan usaha hamba-Nya.
Solat membersihkan hati dari dosa seperti air membersihkan jasad dari noda. Bayangkan 5 kali kita mandi setiap hari, adakah mungkin badan akan berbau busuk lagi? Tidak. Kecuali kita yang berhenti melaksanakannya. Jadi, jangan berhenti.
Penutup: Mencari Titik Kuasa, Punca Kekuatan
Tidak perlu memandang jauh, ia berada dalam diri. Hati. Letaknya Allah dalam hati, umpama bateri yang menggerakkan alat. Tanpa bateri, alat tiada fungsi. Bezanya, Allah tidak akan mati. Dia hidup selamanya. Dalam hati kita, Dia lah sumber kekuatan untuk kita terus bergerak. Adakala kita terlalu mengharap petanda yang jauh untuk meyakinkan kita pada kekuasaan Allah, dicarinya keajaiban-keajaiban seperti lakaran nama Allah pada awan di langit, atau pada buah yang dibelah, malah pada kulit haiwan yang ditawan. Itu semua terlalu mudah bagi Allah. Sebaliknya yang harus kita renungi adalah penciptaan jasad kita sendiri. Ia terlalu dekat! Lihat jantung yang berdegup, darah yang mengalir. Urat yang tersusun cantik pada otot yang membaluti daging. Lapisan demi lapisan kulit yang melindungi badan, adakah itu semua tidak cukup hebat dan ajaib bagi meyakinkan kita bahawa Allah itu ada dan Maha Berkuasa atas segalanya?
Renungi diri sendiri. Orang yang tidak mengenal dirinya, tidak akan mengenal Rabbnya. Kerana pada diri, ada bukti kewujudan dan kekuasaan Allah pada mereka yang berfikir. Mencari titik kuasa, punca kekuatan, ia ada di sini. Dalam hati, dalam diri. Ia sebenarnya tidak hilang, cuma tersembunyi, menanti untuk ditemui.
The post Tidak Hilang Tetapi Tersembunyi appeared first on Langit Ilahi.
August 11, 2014
Belia Naungan Al-Quran : Cinta Yang Menghidupkan
Cinta adalah sumbu kekuatan dalam kehidupan. Ia menghidupkan nafas yang terhenti, membangunkan jiwa yang layu, menyegarkan mata yang kuyu sekaligus memandu momentum memindahkan dari sebuah perasaan kepada tindakan, dari sebuah angan-angan yang mungkin tak kesampaian kepada realiti yang menggugah perasaan.
Cinta adalah kata kerja.
Di perjalanan kehidupan yang malap, ia adalah nyalaan yang membangunkan harapan.
Di denai penuh onak dan duri, ia adalah tolakan keyakinan untuk terus membangun diri.
Di lorong-lorong nan sunyi dan sepi, ia adalah ghairah yang mencetus kebangkitan hati.
Cinta Di Dalam Al-Quran
Cinta tertinggi adalah mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari yang lain. Dengan memiliki rasa cinta sebegitu, kita menemukan kelazatan iman di dalam kehidupan.
Demikian juga dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran :
“Katakanlah (wahai Muhamad) sekiranya kalian mencintai Allah s.w.t. , maka ikutilah aku, nescaya kamu akan dikasihi Allah dan akan diampunkan dosa-dosa kamu.” [1]
Lafaz cinta itu menjadi terkuatkan melalui penyerahan segala-galanya di dalam hidup kepada Allah s.w.t. Memberi segala, berkorban segalanya kerana apa yang dicintai :
“Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekalian alam.” [2]
Namun, perjalanan cinta tidaklah kudus dari ujian dan dugaan. Tidak semua yang kita cintai akan kita miliki. Tidak semua yang kita cintai juga baik untuk kita.
Banyak yang kita cintai, kadangkala tidak baik pun untuk kita.
Demikian antaranya Allah mengingatkan kita tentang cintakan syahwat, bahawa syahwat itu jika kita yang mengawalnya, maka ia menjadi baik. Tetapi sebaliknya jika kita yang dikawal olehnya.
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang paling baik. Katakanlah : Inginkah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari demikian itu? Untuk orang-orang yang bertaqwa, pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya.” [3]
Cinta juga gelora yang menggerakkan diri untuk ringan dalam berkebajikan, ikhlas tanpa mengharap balasan.
“Dan mereka memberikan makanan yang dicintainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah dan kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” [4]
“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebaikan sehingga kamu menginfaqkan apa yang kamu cintai.” [5]
Cinta juga menumbuhkan perasaan kasih sesama suami isteri dan sesama anggota masyarakat.
Demikian hal itu kita lihat terpamer dalam doa Ibrahim ketika meninggalkan Hajar di tanah tandus tiada manusia, tiada hidupan.
“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di sisi rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah rezeki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” [6]
Demikian juga hal itu terpamer ketika Nabi s.a.w. mahu mendoakan untuk bapa saudaranya, Abu Talib, lantas dijawab oleh Allah s.w.t. :
“Sesungguhnya engkau tidak dapat memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai, tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.” [7]
Perjalanan Cinta
Islam adalah agama cinta. Ia bukan sebagaimana didakwa oleh sesetengah orang yang menuduh Islam adalah agama yang bermula dengan pedang.
13 tahun dakwah Nabi di Makkah adalah bukti bahawa dakwah Islam adalah dakwah cinta. Dicaci maki, dihina, diseksa, dipulaukan, semua penderitaan yang menimpa ke atas mereka, tetapi tidak pernah diberi keizinan oleh Nabi untuk membalas atau memeranginya dengan kekerasan. Sabar, keteguhan dan terus bekerja adalah jawapan kepada serangan-serangan yang menimpa mereka.
Bahkan, seawal kemasukan Nabi ke Madinah menuju pembentukan sebuah negara, Nabi mengucapkan : “Sebarkan salam, berilah makan, hubungkanlah silaturahim, solatlah di waktu malam pada ketika manusia sedang tidur, masuklah ke dalam syurga dengan sejahtera.” [8]
Nabi tidak masuk dengan pedang atau kekerasan ketika membentuk negara. Baginda memulakannya dengan pembinaan masjid, mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar seterusnya memeterai perjanjian antara golongan-golongan di Madinah.
Demikian juga, kita pernah mendengar, Nabi s.a.w. menyatakan : “Sekiranya Allah mencintai seseorang hamba, Dia akan berkata kepada Jibril : Wahai Jibril, Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia, maka Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril memanggil penduduk langit (dan berkata) sesungguhnya Allah Taala mencintai si fulan, maka cintailah dia, maka penduduk langit pun mencintainya.” [9]
Cinta menumbuhkan harapan dalam beragama, menguatkan ikatan dengan Tuhan dan manusia serta memperbaiki ketenangan jiwa dalam hidup.
Sebagaimana Dr Walid Fatihi melalui rancangan bersirinya di Youtube yang bertajuk WaMahyaya berkata, bahawa perasaan cinta itu merembes hormon oksitosin atau dikenali juga sebagai hormon cinta yang selain mendorong manusia bermasyarakat dan bersilaturahim, ia juga mencegah dari pengaruh-pengaruh negatif ke atas psikologi, saraf dan tubuh manusia.
Melalui sebuah kajian saintifik, Dr Helen Fisher mendedahkan bahawa melalui hormon yang dirembeskan hasil perasaan cinta itu mencetuskan kekuatan luar biasa dan membangunkan prestasi seseorang seperti mampu bermusafir dalam tempoh yang lama tanpa rasa penat dan ingin tidur, mampu berjaga malam, hatta sehingga sanggup mati untuk apa yang dicintainya.
Mungkin itulah agaknya yang dirasai oleh Salman Al-Farisi ketikamana cintanya sangat kuat kepada kebenaran sehingga dia sanggup menjelajah ke serata tempat, diuji pelbagai macam dugaan sehingga menemui Islam sebagai agama yang benar. Begitu hebat interaksi cinta dengan pemiliknya. Siapa yang jujur dan ikhlas, Allah akan menunjukkan jalan kepadanya. Bahkan, cintanya berbalas dengan cara yang tak disangkakan sehingga dia diangkat sebagai salah seorang ahlul bayt Nabi s.a.w. walaupun dia bukanlah dari asal keturunan dan tanah kelahiran yang sama.
Cinta juga telah menyebabkan Bilal tidak mampu menahan lamanya menetap di Madinah setelah kewafatan Rasul s.a.w. Ia memilih berkelana ke Syam demi mengubati rasa rindu yang teramat dalam hasil cinta yang tulus kepada baginda s.a.w. Hanya selepas beberapa tahun di Syam, ia pulang dan mengalunkan azan dan azan itu telah menggamit memori ramai para sahabat yang pernah hidup sezaman dengan Nabi sehingga hari itu, ramailah orang memenuhi masjid. Seakan-akan mereka merasakan Nabi hidup kembali dan bersama mereka.
Perasaan itu sungguh indah dan mengasyikkan.
Kalau Nabi s.a.w. memulakan dakwahnya dengan pedang, pasti tidak wujud perasaan sedemikian rupa dalam diri para sahabat. Sehingga telah berlalu puluhan tahun lamanya setelah wafatnya Nabi, perasaan itu masih kuat dalam diri mereka.
Betapalah cinta menghiasi perjalanan kebangkitan agama ini.
Sebab itu, orang yang berjuang dan hidup untuk agama ini tanpa ketulusan perasaan cinta, ia bagaikan tubuh tanpa roh. Terlihat syiar-syiar yang agung, tetapi rupanya dalaman kosong tidak mengesankan akhlak dan keperibadian.
Penutup : Beragama Dengan Rasa Cinta
Cinta-cinta lain, terbimbing melalui cinta berTuhan dan beragama dalam diri kita.
Tanpa agama, cinta kita mungkin tergelincir, songsang dan merosakkan.
Sebab itu, beragamalah dengan penuh rasa cinta. Sungai tanpa air, tidak ada maknanya, air pula kalau dicemari dengan sampah-sarap terus-terusan, tak akan ada juga manfaat untuk diri dan masyarakat.
Beragama dengan rasa cinta mengundang kehadiran roh dalam manifestasi ibadah. Ia tidak kosong, wirid dan bacaan harian bukan adat, tetapi ia adalah ibadat yang mengesankan makna ketakutan dan iman kepada hari akhirat.
Beragama dengan rasa cinta itu menyebabkan kita sentiasa ghairah untuk meninggalkan dosa dan maksiat ketika kita melakukan kebaikan. Bahawa kita tahu tidak mungkin bercampur antara kejernihan kebaikan dengan kekeruhan dosa di dalam satu ruang yang sama. Kita mungkin akan terjatuh dalam dosa, tetapi bukan itu yang menjadi himmah kita. Himmah kita sentiasa adalah untuk keluar dari lubang dosa itu.
Kalau himmah kita adalah dosa itu, cinta kita barangkali bermasalah besar.
Beragamalah dengan rasa cinta, supaya akhirnya beragama membaiki diri kita, membaiki kehidupan kita dan juga pengakhiran kita.
[1] Al-Imran : 31
[2] At-taubah : 108
[3] Al-Imran : 14-15
[4] Al-Insan : 8-9
[5] Al-Imran : 92
[6] Ibrahim : 37
[7] Al-Qasas : 56
[8] HR Tirmizi dan Hakim
[9] HR Bukhari dan Muslim
The post Belia Naungan Al-Quran : Cinta Yang Menghidupkan appeared first on Langit Ilahi.
Bagaimana menjadikan Masa Muda Bermakna?
Muda memang sekali, tetapi bukan alasan ingkar arahan ilahi
Masa adalah suatu bentuk penciptaan Allah yang ajaib.Ia tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Setiap insan pasti pernah lalui masa lampau dan bakal menjalani masa depan. Tetapi masa tidak berkait dengan Allah kerana ia juga makhluk. Sebab itu wujudnya Allah itu tiada permulaan dan pengakhiran kerana semuanya dibawah kuasa Allah.
Masa sebenarnya menjerat manusia jika ia dibiarkan berlalu sia-sia. Masa lalu tidak bisa diputar kembali walau sebanyak mana harta yang kita punya untuk dijadikan sebagai ganti. Namun begitu, ia bukan suatu perkara yang perlu disesali kerna apa yang penting masa hadapan yang bakal kita tempuhi bagaimana cara terbaik untuk kita kemudi?
Dalam al-Quran sering Allah bersumpah dengan masa bahkan secara jelas disebutkan pada setiap waktu itu, sama ada pagi, petang atau malamnya. Yang pasti, manusia itu pasti dalam kerugian pada setiap detik yang berlalu itu seperti yang disebutkan oleh Allah. Pun begitu, mereka yang berusaha memanfaatkan masa dengan sebaiknya, maka mereka inilah tergolong dalam golongan yang beruntung baik pada dunianya mahupun akhirat.
Masa itu kehidupan.Pepatah yang sering dikait bila disebut mengenai masa. Dan kehidupan manusia yang paling utama adalah ketika mana dalam usia mudanya baik untuk manfaat dunia lebih lagi manfaat akhirat. Bagaimana?
Jika seseorang berhajatkan dunia semata, masa muda menjadi waktu yang utama.Sewaktu kecil mungkin tanggungjawab ibubapa untuk menjaga mereka. Bila usia kian dewasa, mereka perlu berusaha belajar, bekerja bersungguh-sungguh untuk kejar cita-cita tersendiri. Kereta mewah?Rumah besar?Dan pelbagai impian yang sering menjadi idaman setiap insan.
Lebih lagi seseorang yang berhajatkan dunia dan akhirat.Dunianya sahaja tidak boleh ditinggalkan.Perlu tetap berusaha untuk mengecapi semuanya.Cuma, perlu tambahan usaha untuk bekalan hari kemudian berbentuk amalan.Apa yang penting di sini adalah setinggi atau sejauh mana cita-cita seorang manusia, walau apa jua matlamatnya, masa muda menjadi asset utama penentunya.
Amat rugilah mereka menggunakan masa muda hanya bermatlamatkan dunianya sahaja kerana pada usia yang sepatutnya menjadi usia emas inilah segala-galanya mereka punya. Kekuatan fizikal.Kecerdasan mental.Keberanian dan kesungguhan semuanya menjadi pakaian.Tetapi bukankah pada Allah kita bakal dikembalikan?Justeru itu, seharusnya bagaimana mungkin kita menjadikan masa muda kita ini bermakna?
Selagi Masih Muda
Bagi sebuah bangsa, pemuda disebut sebagai agent of change bagi setiap generasi yang wujud.Sebuah perjuangan, tidak mengira ideology apapun yang menjadi taruhan, hampir mustahil sukses tanpa campur tangan orang muda. Sejarah membuktikan hal demikian seperti yang dilaksanakan oleh baginda s.a.w menawan hati kaum muda pada awal dakwahnya.
Sayang, kini ramai pemuda Islam terutamanya menjadi mangsa sembelihan jahilliyah.Mereka terkepung oleh 1001 media dan sarana yang memuaskan kehendak nafsu.Mereka terjebak menggunakan masa dengan aktiviti yang tidak bernilai ibadah, merosakkan diri sendiri dan menghancurkan potensi.Mereka kemudian terhempas menjadi generasi yang tidak memiliki jati diri dan pegangan hidup.
Sayang, sungguh sayang! Walhal masa muda adalah waktu bunga potensi diri tumbuh mengembang. Tetapi kesalahan memanfaatkan akan membawa pemuda ke gerbang kegagalan. Hakikatnya, masa muda seorang manusia tidak hanya terikat dengan urusan dunia kerna sebagai muslim setiap amalan yang dilakukan pasti ada balasan. Dengan itu, sebenarnya tiada perkara hanya untuk dunia sahaja.
Begini seharusnya waktu muda
Ada beberapa perkara yang disebutkan oleh Dr ‘Aid Abdullah al-Qarny yang bagus untuk kita sebagai pemilik jiwa yang muda jadikan semakan bersama sebagai langkah kita membumikan masa muda dengan lebih bermanfaat. Antaranya:
Memerhatikan amalan fardu
Bagi mereka yang kurang pengetahuan dalam amalan fardu, sebaiknya ia dipelajari kerana ia merupakan kewajipan bagi setiap individu muslim. Mereka yang selangkah dihadapan yang sudah mengetahuinya pula, perlu buat semakan semula kesempurnaannya kerana dengan kondisi amalan yang sempurna akan membuahkan kesan dalam kehidupan manusia.
Sebagai contoh, bagi mahasiswa terutamanya yang tinggal bersendirian jauh dari keluarga, tidak kira jelas pengetahuan agama atau terkurang darinya sering kelewatan dalam menunaikan solat terutama pada dini hari (subuh).Sedangkan, sebahagian daripada kesempurnaan solat itu juga dikerjakan di awal waktu kecuali dengan keuzuran.Maka seharusnya,diari harian kita perlu diisi dengan muhasabah kendiri supaya kita boleh memperbaiki kelemahan diri.
Dalam lembaran sejarah nabi s.a.w memfokuskan terlebih dahulu soal hal-hal yang wajib pada awal usia dakwah baginda. Sebuah hadis yang disepakati akannya ada menceritakan sabda baginda s.a.w yang mana Allah berfirman:
“Tidak ada usaha hamba-Ku untuk mendapat redha-Ku yang lebih Kucintai daripada melaksanakan hal-hal yang Ku-wajibkan kepadanya.Hamba-Ku senantiasa berusaha mendapatkan keredhaan-Ku hingga Aku mencintainya.”(HR Bukhari)
Amalan fardu menjadi petanda hubungan kita dengan Allah kerna ia adalah perintah wajib yang diarahkan. Jika baik amalan fardu maka seharusnya baiklah hubungan kita dengan Allah. Bahkan ia menjadi suatu bentuk kecintaan Allah pada hamba-Nya kerna patuh akan suruhan-Nya. Justeru itu, mengambil berat akan kesempurnaan amal fardu amat penting terutama pada usia muda kerna dalam usia ini manusia mudah belajar jika terdapat kesilapan dalam amalan berbanding mereka yang sudah berusia terbiasa dengan perbuatan yang sudah terbiasa.
2. Memaknakan cinta dan ukhuwah
Fitrah pada usia muda adalah perasaan cinta. Tetapi memaknakan cinta bukan dengan merosakkan kesuciannya. Cinta yang sebenar adalah yang mendorong membuat kebaikan, jika mengajak kepada kemungkaran ketahuilah ia cinta palsu.Seringkali diusia muda, remaja terkalah dengan perasaan cinta.Tetapi cinta yang hakiki yang membawa manusia itu lebih dekat dengan redha ilahi.
Cinta juga luas definisinya.Tidak hanya terikat dengan cinta pasangan lelaki dan perempuan. Tetapi cinta membuah ukhuwah sesama islam. Banyak orang berdiri gah di atas podium membicara tentang ukhuwah.Malangnya turun ke bawah berinteraksi dengan masyarakat dengan tongkat dan cemeti. Segalanya dilihat jelek, jika ada saudara melakukan kesalahan, bukan memandang dengan pandangan rahmat bahawa ia perlu diselamatkan. Lebih parah ada berani bertindak menghukum.
Sewaktu muda biasa manusia punyai banyak kenalan atas beberapa faktor seperti belajar bersama, satu tempat bekerja dan sebagainya. Tetapi hubungan ini merugikan jika ia tidak dimaknakan. Jika berlainan jantina perlu ada batasan.Manakala jantina yang serupa seharusnya meletakkan hubungan persahabatan itu tidak sekadar keluar makan bersama, belajar dan bekerja bersama tetapi ingin taat kepada Allah juga bersama.
Amat rugi mereka yang berukhuwah hanya untuk kepentingan dunia semata.Kerna dua orang yang saling mencintai kerana-Nya adalah merupakan salah satu golongan yang mendapat naungan Allah kelak.Tanggalkan ego siapa lebih berusia.Buangkan rasa siapa lebih berilmu.Simpan sebentar perbezaan fahaman kita selagimana ianya benar.Ikatlah ukhuwah itu kerana-Nya dan untuk-Nya.
Seperkara lagi, ukhuwah atau rasa cinta tidak semestinya kita bersama dalam waktu yang lama.Tetapi ingatan yang ikhlas terutama dalam berdoa.Antara perkara kerugian orang muda ialah jauh dari orang-orang berilmu dan para ulama’ kerana pada mereka terdapat hikmah di samping tidak mengabaikan hubungan kekeluargaan.
3. Tanam ketinggian cita-cita dan memanfaatkan potensi
Banyak di antara pemuda merasakan dirinya berada di ‘luar peta’, tiada siapa yang melihatnya dan bebanan tugas pada bahu orang lain. Jika ditanya mengapa tidak kamu menjadi seperti sekian-sekian orang yang bermanfaat buat ummat melalui pelbagai ilmunya atau usahanya? Tentu sekali dia akan mengatakan sudah ada mereka yang mengisi kekosongannya.Mengapa perlu bersusah-payah segala?
Tetapi mengapakah tidak pemuda berusaha menjadi sebahagian darinya?Moga dengan itu keberadaan kita di dunia tidak hanya menambah bilangan angka kosong tetapi mempunyai peranan tersendiri. Juga menjadi tiket perlepasan kita apabila disoal tanggungjawab kita di hadapan Allah kelak seperti firman-Nya:
Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri{14}. Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).{15} [Al-Qiyamah: 14-15]
Tambahan lagi, cita-cita yang tinggi itu bukanlah menjadi orang yang berharta, ataupun yang ternama.Tetapi makna cita-cita yang tinggi itu adalah hidup dalam keadaan mulia dan mati dalam keaadan beriman dengan mengikuti jalan baginda s.a.w dan menyebarkannya. Itulah cita-cita teragung yang sepatutnya menjadi impian setiap jiwa terutama pemuda kerana pada usia emas ini mereka punya segalanya.
Di samping itu, mengenal potensi diri dan langkah pembinaannya amat penting kerana setiap manusia pasti memilikinya tinggal lagi berbeza-beza.Cuma mungkin ada tersalah menggunakannya atau mungkin tersilap memilihnya.Sebab itu tiada istilah cemburu dalam potensi.Yang ada adalah daya saing. Bagaimana potensi itu dibina dan di mana ia berfungsi?
Nabi s.a.w ada bersabda dalam hadis:
Setiap orang diberi kemudahan sesuai dengan tujuan ia diciptakan. (HR Muslim)
4. Waktu terbuang kerana lebihan hiburan dan menunda pekerjaan
Berhibur yang syara’ tiada salahnya. Bahkan ia juga makanan pada jiwa. Tetapi berlebihan dengannya menjadikan ia sakit, rosak bahkan boleh mematikan. Sebaiknya setiap detik yang berlalu itu disusun perancangannya agar tidak berlalu dengan sia-sia.Definisi kepada hiburan itu sendiri luas dan berbeda mengikut individu. Apapun mereka yang beranggapan perkara kebaikan itu suatu hiburan akan terbebas dari belenggu pembuangan masa dengan sia-sia.
Beralih kepada sikap menunda, hari ini ia seakan menjadi suatu tradisi. Tetapi ia bukanlah suatu perkara yang baik kerna ia bisa ‘membunuh’ kita seperti pujangga orang bijaksana:
Barangsiapa yang menanam benih ‘nanti’ akan tumbuh sebuah taman bernama ‘mudah-mudahan’, yang memiliki buah namanya ‘seandainya’, yang rasanya adalah ‘kegagalan’ dan ‘penyesalan’.
Kata-kata ini sejajar dengan firman Allah s.w.t:
Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka). [Al-Hijr:3]
Kehidupan manusia mempunyai banyak tanggungjawab yang mana melebihi masa yang ada.Maka sikap bertangguh dan menunda ini sebenarnya membuatkan kita lalai seterusnya segala tuntutan ke atas kita terabai.Demikian, sikap negative ini sepatutnya dinyahkan daripada bersarang dalam perbuatan kita.
Kesimpulan: Masa muda amat berharga
Sesungguhnya pertolongan tidak akan datang dengan hanya berangan, redha dengan keadaan sekarang, berterusan untuk berehat, mengutamakan keselamatan (takut berjuang). Bahkan ianya hanya akan datang dengan mempesembahkan pasukan-pasukan korban, gerombolan syuhada’ merentasi pertarungan berdarah, dan jihad yang pahit.
Untuk itu persediaan untuk menghadapi kesemua itu perlu kesabaran dan perancangan bahkan dalam tempoh yang lama. Jika usia muda tersia maka kemenangan itu juga akan tiba dalam tempoh yang lama. Justeru anak muda, persiapkan dirimu dengan ‘senjata’ bukan barangan di medan juang semata, tetapi ilmu, kesedaran dan kekuatan hubungan dengan-Nya.
Sebuah syair tertulis;
Biarkan daku menggapai ketinggian yang tidak mampu dicapai insan,
Kemuliaan yang tersukar pasti jiwa akan tercabar,
yang mudah pasti hanya untuk orang yang lemah,
Engkau mahu mencapai ketinggian dengan harga murah,
Sedangkan untuk mendapat madu mestilah disengat lebah.
Selagi Masih Muda, Dr ‘Aid Qarny
Sehingga Pemuda Mengerti, Abdullah Nasih Uluwan.
The post Bagaimana menjadikan Masa Muda Bermakna? appeared first on Langit Ilahi.