Hilal Asyraf's Blog, page 54
July 27, 2014
Perkara-perkara sunat dan larangan ketika Aidilifitri
Salam Aidilfitri di LangitIlahi
Hari Raya boleh diibaratkan seperti R&R atau tempat persinggahan kepada manusia dalam bermusafir menjalani jalan-jalan kehidupan. Ia juga boleh diibaratkan oasis ditengah-tengah kekeringan padang pasir yang menjadi harapan pedagang meneguk air menghilangkan kehausan. Oleh itu, dalam lembaran sejarah kita melihat tidak mengira agama atau bangsa sudah tentu mempunyai hari perayaan tertentu untuk menzahirkan rasa gembira dan bersuka ria.
Islam tidak terkecuali. Zaman jahiliyyah dahulu, seperti yang diceritakan oleh Anas r.a, kaum ansar mempunyai dua hari yang mereka sambut dan rayakan bersama. Namun, baginda telah berkata kepada beliau bahawasanya Allah telah menggantikan perayaan tersebut dengan dua hari yang lebih baik dari keduanya iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Hari raya dalam islam mempunyai perkaitan besar dengan ibadah yang telah disyariatkan. Aidilfitri seperti sedia maklum berkait rapat dengan ibadah puasa bahkan dianggap sebagai hari kemenangan kepada umat islam. Disebabkan itu manusia dituntut untuk bergembira menyambut hadiah istimewa tersebut daripada Allah s.w.t. Baginda s.a.w bersabda:
Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, gembira ketikamana dia berbuka, dan ketika dia pulang bertemu Allah s.w.t dia gembira dengan puasanya (amal kebaikan). [Muttafaq ‘Alaih]
Bergembira ketika berbuka di sini membawa dua maksud iaitu gembira ketika berbuka pada setiap hari dalam bulan Ramadhan setelah azan berkumandang, maka dia meraikan kejayaannya berpuasa pada hari tersebut. Maksud yang kedua pula adalah gembira setelah tamatnya bulan Ramadhan dalam erti kata berjaya berusaha untuk taat kepada Allah dalam menjalani perintah-Nya selama sebulan bukan bebas menuruti hawa nafsu kerana sungguh Ramadhan membawa seribu kebaikan.
Hakikat berhari raya
Rata-rata umat Islam hari ini bergembira dengan syawal yang saban tahun menjelma. Tetapi kekeliruan dalam meraikan masih pada tahap yang sama. Maka tidak hairanlah pada tanggal 1 Syawal sahaja ramai dalam kalangan orang Islam yang menyambutnya dalam keadaan dicemari dengan maksiat seperti keseronokan melampau hingga tidak menjaga batas pergaulan, pertuturan dan sebagainya.
Hari raya hakikatnya mempunyai maknanya yang tersendiri yang perlu dititikberatkan iaitu makna Rabbani dan makna Insani. Makna rabbani bermaksud manusia itu tidak lupakan tuhannya meski dalam kegembiraan berhari raya. Ia bukan membawa erti keseronokan hari raya itu membenarkan kita meletakkan hawa nafsu sebagai panduan atau pembebasan dari ibadah dan ketaatan. Bahkan hari raya itu perlu diisikan dengan amalan kebaikan dan lebih baik dituruti dengan perkara sunat.
Ia bukan sekadar perbuatan tambahan bagi kita dalam ibadah (sunat), tetapi ia menggambarkan wajah ibadah kita dalam ramadhan dek kerinduan dan rasa cinta kita beribadah bersungguh-sungguh dalam bulan yang mulia tersebut hingga terbawa-bawa pada bulan luar selain darinya. Maka di sini matlamat menjadi hamba yang rabbani itu tercapai bukan hamba ramadhani.
Makna insani pula boleh diertikan kepada dua iaitu melengkapi fitrah seorang manusia yang perlu hidup bergembira pada beberapa ketika di atas kejayaan (berpuasa) yang dikecapi juga sebagai hadiah yang teragung. Selain itu, ia membawa maksud memberi kegembiraan kepada manusia yang lain juga melalui sedekah yang disumbangkan dan zakat fitrah yang wajib dilaksanakan.
Perkara-perkara sunat dan larangan Aidilfitri
Malam hari raya
i- Menyambut hari raya dengan takbir dan tahmid
Perkara ini disebutkan di akhir ayat setelah penerangan tentang berpuasa seperti dalam ayat yang selalu dibaca:
Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (takbir) kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [al-Baqarah:185]
Takbir mempunyai dua bahagian iaitu mutlak dan muqayyad. Takbir mutlak adalah takbir yang berterusan yakni tiada had masa yang dikhususkan. Bagi Aidilfitri maka ia bermula pada malam akhir ramadhan hingga sebelum solat sunat hari raya. Dalam tempoh ini kita disunatkan bertakbir tidak kira samada di masjid, di rumah dan sebagainya.
Takbir muqayyad ataupun yang bersangkutan padanya itu dengan sesuatu yang lain hanya pada aidiladha kerana takbir itu dilakukan setelah usai kita bersolat fardu. Bahkan sebahagian ulama’ menetapkan ia bisa dilakukan setelah solat berjemaah.
Mengenai lafaz takbir tiada hadis yang sahih yang menetapkan bacaan tertentu kecuali dalam suatu riwayat yang disebutkan oleh Ibn Mas’ud dan diguna pakai oleh Imam Ahmad iaitu dengan lafaz:
“الله أكبر.. الله أكبر.. لا إله إلا الله .. والله أكبر .. ولله الحمد“
Adapun penambahan lafaz yang lain seperti salawat dan sebagainya tidak disebutkan dengan jelas. Namun demikian, lafaz-lafaz yang lain yang mengandungi puji-pujian ke atas baginda bukan beerti salah untuk diamalkan tetapi tidak dikhususkan pada takbir hari raya sahaja.
ii- memperbanyakkan doa
Dalam sebuah hadis yang berstatus lemah disebutkan bahawa terdapat 5 malam yang mana tidak akan tertolak doa seseorang itu dan diantaranya adalah pada malam hari raya aidilfitri dan aidiladha. Walaupun begitu, Imam Syafie ada menyebutkan bahawa berdoa pada malam-malam tersebut tidak menjadi kesalahan bahkan amat disukai tetapi menetapkan ia sebagai kefarduan merupakan suatu kesalahan.
iii- bergembira tetapi batasan terjaga
Kesedihan pemergian ramadhan bukan bermakna menjadi penghalang untuk kita bergembira pada malam hari raya kerna ia pergi meninggalkan kita hanya bersama kelebihan yang ada padanya. Adapun Allah tuan kepada ramadhan dan juga kita masih ada dan tetap mendengar rintihan hamba dan tidak pernah berhenti mengurniakan rahmat-Nya.
Justeru, sepatutnya kita perlu terus meminta untuk diistiqamahkan segala kebaikan yang telah dilakukan dalam bulan ramadhan ke dalam bulan yang lainnya. Dr Yusuf Qardawi pernah berkata dalam khutbahnya:
Barangsiapa yang menyembah ramadhan maka ia telah pergi, barangsiapa yang menyembah Allah maka Dia tetap ada mendengar doa-doa kita.
Adapun bergembira perlu kena batasannya. Dalam pergaulan antara lelaki dan wanita terutamanya perlu dijaga. Jangan mulakan hari kita, setelah melangkah keluar dari bulan mulia dengan maksiat. Bergembira dengan bermain mercun sebaiknya cuba elakkan. Selain membawa kepada pembaziran ia juga boleh memudaratkan. Jika sampai kepada tahap ini maka ia adalah ditegahkan untuk dilakukan.
2- Amalan di pagi hari raya
i- mandi sunat aidilfitri
Perbuatan ini disebutkan oleh Imam Malik daripada athar Saidina Umar yang berbuat demikian sebelum beliau keluar untuk menunaikan sola sunat. Tambahan, mandi sunat ini digalakkan untuk semua kelompok manusia lelaki sama ada dewasa atau kanak-kanak juga wanita hatta dalam keadaan berhadas tetapi niat mandi sunat aidilfitri bukan mandi wajib. Dari sudut waktu, kita lebih digalakkan untuk mandi setelah solat subuh.
ii- Memperindahkan hiasan diri
Umumnya bagi semua lapisan manusia pemakaian yang indah amat digalakkan pada hari tersebut. Tidak semestinya baru tetapi ia pakaian terbaik yang kita ada. Jika mampu menyediakan yang baru lebih baik dengan syarat tidak membazir. Bagi lelaki sunat untuk memakai wangi-wangian tidak bagi wanita sekadar keperluan sahaja di samping tidak memakai pakaian yang menarik perhatian jauh sekali yang tidak menutup aurat juga tidak berlebihan dalam bersolek.
Adapun perhiasan yang melampau bahkan salah di sisi agama tidak sama sekali dibenarkan hingga mungkin kepada tahap ingin mengubah ciptaan Allah. Sungguh pada setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya dan Dia Maha Sempurna begitu juga ciptaan-Nya. Larangan mengubah ciptaan ini ada disebutkan dalam al-Quran bahkan ditegaskan bahawa ia adalah ikutan daripada syaitan:
Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata”. (Surah al-Nisa’:119)
Antara perkara-perkara yang ditegah untuk dilakukan seperti yang diriwayatkan dalam hadis dari Abdullah ibn Mas’ud:
Allah melaknat orang yang membuat tatu, yang meminta dibuat tatu untuknya, yang mencukur kening, yang meminta dicabutkan bulu di mukanya dan orang yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana mereka semua telah menukarkan ciptaan Allah. [Muslim:3945]
Hari ini, terutama dalam perihal mencukur kening seolah menjadi kebiasaan walhal ia adalah perkara yang dilarang dalam islam. Tambahan membuat pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan adalah dilarang. Namun demikian, berlaku pengecualian jika ia memudaratkan tubuh badan atau dengan hadaf perubatan maka ia dibenarkan.
iii- Makan sebelum bersolat sunat hari raya
Biasanya sewaktu ramadhan kita akan berhenti makan tatkala azan subuh kedengaran. Justeru, bagi membezakan hari ramadhan dan hari raya aidilfitiri disunatkan kepada kita untuk makan sedikit seperti pernah dilakukan oleh baginda s.a.w dalam hadis daripada Anas r.a:
“Nabi s.a.w. tidak keluar untuk menunaikan solat sunat pada pagi hari Aidulfitri sehinggalah baginda makan beberapa biji tamar terlebih dahulu.”[Bukhari:899]
Dalam riwayat yanglain menyebutkan bahawa baginda memakan tamar itu dalam jumlah yang ganjil.
Adapun berpuasa pada hari ini (1 Syawal) adalah haram hukumnya. Namun, kita masih disunatkan bahkan amat dituntut untuk melakukan puasa sebanyak 6 hari dalam bulan syawal yang mana ganjarannya cukup besar. Daripada Abu Ayub Al-Ansari:
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian disusuli dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Muslim:1976)
Orang yang bertaqwa pasti merindui ramadhan. Bahkan para sahabat baginda s.a.w menangisi pemergiannya hatta ada yang mengharap sepanjang tahun itu adalah ramadhan. Demikian Allah kurniakan ganjaran yang sama dengan berpuasa sepanjang tahun. Maka rugilah mereka yang tidak berusaha merebut peluang keemasan ini. Cuma perlu diingatkan, janganlah kita terlalu banyak makan hingga kita lupakan akan kesihatan kita. Berwaspada.
iv- Keluar beramai-ramai ke masjid untuk menunaikan solat
Demi menzahirkan rasa kegembiraan manusia terhadap hari raya maka disuruh para wanita yang dalam keadaan haid sekalipun untuk turut serta tapi bukan bersolat sekadar mendengar khutbah dan meraikan kemeriahan. Ummu A’tiyah ada berkata:
Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada aidilfitri dan aidiladha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (HR Bukhari).
Tambahan lagi kita lebih digalakkan untuk berjalan kaki sekiranya berkemampuan juga tidak mendatangkan mudharat yang lain kerana dengan itu kita lebih dapat banyak peluang dengan ramai orang seperti saranan baginda pada pagi hari raya.
v- Solat sunat aidilfitri
Waktu solat ‘eid ini dilakukan pada waktu pagi namun tidak digalakkan untuk dilakukan terlalu awal kerana memberi peluang kepada umat islam untuk menyempurnakan tuntutan zakat juga memberi ruang untuk bertakbir dan bertahmid kerana aidilfitri masa untuk ibadat keduanya sebentar cuma. Tamabahan lagi solat sunat sebelum melaksanakan solat ‘eid tidak disyariatkan seperti hadis nabi s.a.w dari Ibn Abbas r.a:
Sesungguhnya nabi s.a.w keluar untuk bersolat hari raya ‘eid sebanyak dua rakaat tetapi tidak menunaikan solat sunat sebelum atau selepasnya dan bersama-sama baginda adalah Bilal.[Bukhari:934]
Tambahan lagi, solat sunat eid ini tidak perlu kepada azan dan juga khutbahnya adalah selepas solat bukan seperti solat Jumaat iqamah seperti sabda baginda s.a.w:
Sesungguhnya tidak ada azan untuk solat aidilfitri dan aidiladha, dan sesungguhnya khutbah itu selepas usai solat(sunat hari raya) [Bukhari:905]
Cara-cara solat sunat hari raya
1) Bahawa nabi s.a.w bersolat (sunat ‘eid) sebanyak dua belaskali takbir, tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua. [HR Ahmad]
2) ‘Umar bin Al Khattab pernah menanyakan pada Waqid Al Laitsiy mengenai surah apa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w ketika solat ‘AidilAdha dan ‘AidulFitri.D ia menjawab,
“Nabi s.aw. biasa membaca “Qaaf, wal qur’anil majiid” (surah Qaaf) dan “Iqtarobatis saa’atu wan syaqqol qomar” (surah Al Qamar).” [Muslim:1469]
3) Daripada Nu’man bin Basyir, “Rasulullah s.a.w biasa membaca dalam solat ‘eid mahupun solat Jum’at “Sabbihisma robbikal a’la” (surah Al A’laa) dan “Hal ataka haditsul ghosiyah” (surah Al Ghasyiyah).”[Muslim:1444]
Daripada hadis-hadis di atas bisa disimpulkan dalam bentuk yang mudah.
Rakaat pertama:
a) Takbiratul ihram dan tujuh kali takbir beserta tasbih, tahmid, dan takbir
b) Bacaan al-Fatihah dan surah digalakkan surah Qaf atau al-‘Alaa
c) ruku’ dan sujud seperti biasa
Rakaat Kedua:
a) takbir lima kali beserta tasbih, tahmid dan takbir
b) Bacaan al-fatihah dan surah digalakkan surah al-Qamar atau Al-Ghasyiyah
c) ruku’ dan sujud seperti biasa dan diakhiri dengan salam.
Adapun hukum untuk solat hari raya berbeza pendapat ulama’ akannya. Imam Malik dan Imam Syafie menetapkan sebagai sunat yang amat dituntut. Manakala Imam Ahmad Ibn Hanbal menyatakan ia sebagai fardu kifayah sementara imam Hanafi sebagai wajib.
Khutbah ‘Eid
Solat hari raya mungkin berbeza pendapat para ulama’ mengenainya. Adapun khutbah ‘eid hukumnya adalah sunat kerana thabit dari hadis baginda s.a.w daripada Abdullah bin As-Saib berkata:
“ Aku saat ini akan berkhutbah. Siapa yang mau tetap duduk untuk mendengarkan khutbah, silakan ia duduk. Siapa yang ingin pergi, silakan ia pergi. [HR An-Nasai, Ibn Majah dan Abu Daud]
Beza khutbah ini selain dari segi hukum ia juga dilaksanakan setelah usai solat seperti hadis yang disebutkan sebelum ini. Adapun tuntutan mendengar peringatan amat dititikberatkan terutama bagi wanita kerana pada kesempatan ini bukan sekadar yang dibenarkan solat sahaja bahkan mereka yang dalam keadaan uzur juga digalakkan duduk mendengar nasihat kerana sungguh nasihat itu amat bermakna. Selain itu juga, hikmahnya adalah kita bisa berjumpa dengan ramai orang dan memberi ucapan tahniah.
vi- Disunatkan pergi dan pulang dari solat melalui jalan yang berbeza.
Setelah usai bersolat, hendak pulang daripada solat ‘Eid kita disunatkan untuk mengambil jalan yang berbeza seperti perbuatan nabi yang dirawayat oleh Jabir r.a:
“Nabi s.a.w jika bersolat `Eid, Baginda mengambil jalan yang berbeza antara pergi dan pulang” (HR Bukhari)
Kemungkinan hikmah perbuatan baginda adalah supaya kita dapat berjumpa dengan manusia bagi mengeratkan hubungan sesama kita. Adapun perkataan yang digalakkan untuk disebutkan ketika bertemu adalah yang baik dan menggambarkan suasana yang gembira. Bagi para sahabat mereka sering mengucapkan:
“TaqabbalaLlah minna wa minkum (semoga Allah menerima amalan kami dan kalian)”
vii- Saling menziarahi dan menziarahi kubur
Dituntut juga kita saling menziarahi sesama saudara dan sahabat handai untuk mengeratkan sillaturahim. Cuma perihal bersalaman antara bukan mahram perlu dititik beratkan supaya tidak hilang keberkatan aidilfitri yang merupakan hadiah agung daripada Allah. Bersama ini saya lampirkan artikel berkenaan hukum salam dengan yang bukan mahram.
Ketika berziarah pula adab-adab dan nilai murni perlu dijaga. Tidak terlalu lama. Menjaga batasan pandangan. Adapun jika dihidangkan makanan walhal kita sedang berpuasa, maka sunat untuk kita berbuka bagi meraikan tuan rumah yang bersusah payah menyediakan makanan seperti perbuatan nabi s.a.w yang disebutkan dalam hadis.
Dalam bab menziarahi kubur tidak disyariatkan untuk berziarah ketika pagi hari raya. Tetapi mengambil alasan bahawa pada ketika inilah kebanyakan dalam kalangan manusia pulang ke kampong halaman. Maka ini adalah kesempatan mereka untuk berziarah. Tiada masalah. Cuma yang salah dari sudut pemikiran adalah waktu pagi ini sahaja yang mesti berziarah bagi mereka yang berdekatan.
Konklusi: Istiqamah
Ramadhan merupakan bulan perniagaan kita dengan Allah s.w.t yang mana segala modal dikeluarkan oleh Allah bermula daripada kudrat kita berpuasa dan melakukan ibadah yang lainnya hinggalah kepada fadhilat-fadhilat yang terdapat dalam bulan ramadhan.
Tetapi baiknya Allah segala keuntungan kita perolehi. Bahkan tidak membawa untung apapun pada Allah jika kita ambil atau tinggal. Kita hanya ibarat peniaga yang hanya berusaha menggunakan modal untuk keuntungan kita semata-mata dan pasti jika kita merebutnya maka tiada sebarang kerugian yang ditanggung.
Adapun setelah berlalu ramadhan ini, maka promosi-promosi yang disediakan pada mulia tersebut tidak lagi dapat kita kecapi. Pun begitu rahmat Allah senantiasa terbuka untuk kita meminta doa. Paling penting adalah kita berdoa moga Allah kuatkan kita untuk istiqamah dengan kebaikan yang dilaksanakan pada bulan ramadhan dapat kita praktikkan pada bulan yang lain.
Melihat tarbiyah ramadhan berkesan bukan pada ketika kita berada di dalamnya, tetapi bagaimana kesannya pada kehidupan sebelas bulan mendatang dari sudut ibadah dan juga akhlak kita.
~Wallahualam~
Pada kesempatan ini saya Muhammad Uzair Izham (Muiz) menyusun jari memohon kemaafan daripada pembaca yang membaca artikel-artikel saya jikalau terdapat kata-kata yang mengguris hati atau terdapat kecacatan dan kesilapan harap dibetulkan. Moga Allah redha dengan kita dan kuat kita.
Rujukan:
1) Qaradawi.net
2) Fiqh Sunnah Sayyid Sabiq (terjemahan)
The post Perkara-perkara sunat dan larangan ketika Aidilifitri appeared first on Langit Ilahi.
July 26, 2014
Umum: Refleksi Seorang Hamba Terhadap Ramadhan
Hari ini dijangkakan hari terakhir bagi Ramadhan buat tahun 1435H. Ini juga Ramadhan yang ke-25 dalam hidup saya semenjak saya dilahirkan, dan ianya merupakan Ramadhan yang ke-17 yang saya berpuasa penuh di dalamnya.
Semenjak kecil, saya dibesarkan dan dididik dengan pelbagai pengajaran, pemahaman dan tazkirah berkait Ramadhan. Dari menerima semua jenis hadith dan fadhilat, hingga sampai saya tahu ada di antaranya adalah palsu dan tidak benar. Dari menganggapnya sebagai rutin tahunan, hingga saya mula melihat ianya bukan sekadar ritual kosong untuk diulang-ulang.
Saya bukanlah manusia yang sempurna, tidaklah setiap 17 kali Ramadhan yang saya lalui sepanjang kehidupan saya, saya melayaninya dengan baik. Hingga kini masih berusaha membentuk diri dan mendidik agar diri ini dapat benar-benar menghargainya.
Namun Ramadhan kali ini bakal meninggalkan saya dan kita semua.
Saya terfikir untuk melakukan sedikit refleksi terhadapnya.
Dengan harapan, moga Ramadhan akan datang, Allah SWT masih bermurah hati dan berbelas kasihan kepada saya dan kita semua, seterusnya memberikan lagi kita Ramadhan, dan menjadikan kita orang yang menghargainya.
Ramadhan Yang Berulang-ulang
Sudah berapa kali kita Ramadhan?
Untuk diri saya, sudah 17 kali saya beRamadhan. Bermakna, jika saya darabkan dengan 29 hari, maka saya sekurang-kurangnya telah berpuasa di bulan Ramadhan sebanyak 493 hari. Bukan satu bilangan yang kecil lagi sedikit.
Namun bila saya dewasa ini, lebih-lebih lagi semenjak dua-tiga tahun kebelakangan ini, saya mula mempersoalkan, di manakah manifestasi kepada ratusan hari Ramadhan yang telah saya lalui itu di dalam kehidupan saya.
Jika kita mengenal Allah SWT, kita akan tahu bahawa Allah SWT itu adalah Tuhan yang tidak suka kepada kesia-siaan. Dia tidak menciptakan kita dengan sia-sia. Dia juga tidak akan mengutuskan rasulNya dengan sia-sia. Maka sudah pastilah Dia tidak memfardhukan Ramadhan sekadar sia-sia.
Di sinilah saya mula mempersoalkan Ramadhan-Ramadhan yang telah saya lalui.
Banyak, bukan sedikit, tetapi di manakah manifestasinya dalam kehidupan saya?
Allah Mengkehendaki Kita Untuk Bertaqwa
Memberikan persoalan itu kepada diri, maka pastilah kita mula mencari apa yang Allah SWT kehendaki dengan Ramadhan, hingga Dia memfardhukannya kepada kita setahun sekali.
Sebagaimana solat yang Allah SWT fardhukan sebagai pencegah perbuatan keji dan mungkar, Allah SWT telah memfardhukan puasa di bulan Ramadhan untuk kita menggapai taqwa.
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” Surah Al-Baqarah ayat 183.
Apakah itu taqwa?
Umar Al-Khattab pernah bertanya kepada Ubai, kedua-duanya adalah sahabat Nabi SAW, berkait taqwa.
Ubai bertanya kepada Umar: “Apakah engkau pernah melalui jalan yang berduri?”
Umar menjawab: “Pernah.”
“Apakah yang engkau lakukan?”
“Aku akan menyingsing jubahku, dan berjalan dengan berhati-hati(agar tidak terpijak duri)”
“Itulah dia taqwa.” Ubai memberikan konklusi.
Dapatlah kita simpulkan di sini bahawa taqwa adalah sejenis mekanism yang membuatkan kita berhati-hati, rasa risau dan takut, untuk ‘memijak’ apa yang telah dilarang oleh Allah SWT kepada kita.
Mekanisme ini yang Allah SWT mahu wujudkan di dalam diri kita dengan mengarahkan kita melalui Ramadhan. Saban Ramadhan, taqwa inilah yang hendak Allah SWT tingkatkan di dalam diri hamba-hambaNya.
Untuk apa?
Agar sepanjang 11 bulan lagi, kita hidup dengan mekanisme ini bergerak aktif, mengiringi kehidupan kita agar hidup sebagai hamba Allah SWT yang sebenar-benarnya.
Kerana itu Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” Surah Ali-Imran ayat 102.
Sebab itu ditekankan dengan penekanan yang teramat tinggi, bahawa Ramadhan itu sangat penting sebagai checkpoint kita untuk bersiap, dalam menghadapi 11 bulan yang lain. Hingga Rasulullah SAW mengaminkan kecelakaan yang didoakan oleh Jibril kepada orang-orang yang diberikan Ramadhan, tetapi keluar tanpa dapat membersihkan diri mereka(sebagai tanda mereka tidak bersungguh-sungguh memanfaatkan Ramadhan).
“Kemudian Jibril berkata lagi: Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah Amin! Maka aku(Rasulullah) berkata: Amin.” Hadith Riwayat Bukhari.
Pengabaian Kepada Ramadhan, Membawa Kepada Kerosakan Ummat.
Jika kita keluar dengan taqwa, kita akan menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik. Saban Ramadhan, taqwa kita diperbaiki lagi, dan jika kita jenis hamba yang bagus, kita akan berjaya meningkatkan lagi tahap ketaqwaan kita.
Jika ummat Islam melayani Ramadhan dengan layanan yang benar, maka jadilah kita ummat yang kuat. Kuat untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Kuat untuk menggendong mesej Islam sebagai rahmat buat semesta alam ini.
Namun apakah kita menghargai Ramadhan yang datang kepada kita setiap kali?
Mungkin kita dilihat seperti menghargainya. Kita berpuasa, kita bangun berterawih berpuluh rakaat. Kita memperbanyakkan amal kebaikan. Namun apakah kita memahami untuk apa?
Jika kita melaksanakan itu semua, kerana sekadar ianya adat kebiasaan masyarakat saban Ramadhan, hanya kerana ikut-ikut kosong, tetaplah juga kita tidak ke mana-mana. Keluar Ramadhan, kita kembali menjadi orang yang sibuk dengan dosa dan maksiat.
Sebab itu dijelaskan dengan terang tanpa berselindung, bahawa Ramadhan objektifnya adalah ketaqwaan. Taqwa ini yang akan melorongkan kita ke jalan yang Allah SWT redhai. Yang akan membentuk kita menjadi hamba Ilahi nan sejati.
Taqwa itu pula tidak cukup sekadar dipesan sebagai ‘hasil daripada Ramadhan’ semata-mata. Ianya bukanlah semata-mata peningkatan level taqwa. Tetapi apa yang menjadi target adalah pengaplikasian taqwa itu di luar Ramadhan.
Agar bila berakhirnya Ramadhan, tidak berakhirlah peribadi mulia yang telah kita bina sepanjang Ramadhan tadi.
Di Manakah Ketaqwaan Itu?
Pada titik inilah kita bermuhasabah. Hari ini sekali lagi Ramadhan akan meninggalkan kita. Setiap kali Ramadhan meninggalkan kita, kita rasa sedih kerana ianya telah pergi. Kita juga rasa cemas, kerana risau jika kita tidak berpeluang lagi merasainya.
Maka sepatutnya pada waktu-waktu akhir ini kita mempersoalkan kepada diri kita, di manakah taqwa yang sepatutnya menjadi target?
Kerana jika ianya tidak wujud pada kita, Ramadhan yang telah berlalu ini nyatanya telah dirugikan.
Lebih merisaukan, apakah kita akan masuk ke dalam mereka yang tergolong dalam kecelakaan yang telah diaminkan oleh Rasulullah SAW?
Risau. Na’udzubillah.
Umur Makin Meningkat, Kita Ada Misi Untuk Diselesaikan
Memahami yang Allah SWT tidak menciptakan kita dengan sia-sia, dan Dia sebenarnya telah memberikan kepada kita misi untuk mentadbir dunia, kita sebenarnya perlu benar-benar melihat semula kepada amal ibadah kita.
Islam hakikatnya bukan agama yang memisahkan urusan dunia dan akhirat. Ianya adalah saling lengkap melengkapi.
Segala ibadah yang ditetapkan oleh Allah SWT, bukan semata-mata untuk memenuhkan kantung amalan, tetapi ianya juga hakikatnya adalah proses pembentukan peribadi. Jika amal-amal tadi gagal membentuk peribadi, maka ianya tidak bermakna sebenarnya.
Umur kita makin meningkat. Jika kita lihat ke belakang, banyak sebenarnya telah kita beribadah. Solat contohnya, jika kita kira solat fardhu lima waktu sepanjang 10 tahun kebelakangan ini, kita telah laksanakannya sebanyak 18250 solat, belum dicampur dengan solat-solat sunat seperti tarawih, Dhuha, Hajat, Taubat dan sebagainya.
Ya, banyak. Namun di manakah solat-solat itu di dalam kehidupan kita yang hari ini?
Begitulah Ramadhan. Di manakah Ramadhan yang telah kita lalui itu selama ini? Apakah ibadah-ibadah ini telah berjaya membentuk diri kita? Atau akhirnya ibadah-ibadah ini sekadar rutin tahunan, ritual kosong, yang kita laksanakan kerana masyarakat kita laksanakan, kerana ibu bapa buat, kerana kawan buat, kerana sekolah suruh, kerana itulah suasana negara kita?
Maka rugilah kita.
Menjadilah kita buih-buih di lautan. Banyak tetapi tidak punya kekuatan. Dikerumuni musuh, dan tidak mampu melawan.
Kita perlu keluar dari kitaran ini. Kita ada misi untuk diselesaikan.
Kita tidak mahu solat kita, ramadhan kita yang mendatang, jika diizinkan Allah SWT untuk kita laksanakannya lagi, menjadi sekadar satu lagi solat atau satu lagi Ramadhan.
Kita mahu benar-benar melaksanakannya dengan benar.
Kerana kita ada misi untuk disempurnakan.
Muhasabah.
Semoga Allah kira Ramadhan kita tahun ini, walau secacat mana pun kita dalam melayaninya. Moga dengan penyesalan dan azam baru kita, Allah SWT memberikan belas kasihan, lantas mengurniakan kita lagi Ramadhan yang akan datang. Paling tidak pun Dia akan memberikan kita kekuatan untuk mengharungi 11 bulan mendatang ini dengan baik, dengan peningkatan peribadi, agar kita dapat benar-benar menjadi hambaNya yang beroperasi!
The post Umum: Refleksi Seorang Hamba Terhadap Ramadhan appeared first on Langit Ilahi.
30 Hari Mencari Tuhan: Refleksi Seorang Hamba Tuhan
Ketika saya mengarang buku ini, saya telah berumur 25 tahun. Saya telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, yang sulung perempuan, yang kedua ialah lelaki. Saya telah tamat pengajian di Yarmouk University, Jordan dalam bidang Usuluddin, dan kini saya bekerja sendiri dengan menggerakkan LangitIlahi yang telah saya asaskan semenjak 2007 lagi.
Saya telah Islam semenjak lahir. Ummi dan Abah saya adalah muslim. Pendidikan formal saya semenjak kecil ialah di institusi-institusi yang mengkhususkan Islam sebagai fokus utama mereka. Tadika Ibu, Tadika Iman, Sekolah Rendah Islam Hidayah(SRIH) Johor, Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI) Perlis, dan kemudian ke Yarmouk University mengambil Usuluddin.
Saya telah mengenal Allah SWT sebagai Tuhan semenjak saya kecil lagi. Diberitahu oleh Ummi Abah, dididik oleh guru-guru.
Namun apakah itu telah menjadikan saya seorang hamba Allah SWT yang sempurna dan baik, dan apakah pengetahuan saya berkenaan Allah SWT sudah lengkap? Apakah saya langsung tidak gentar dan takut kepada apa-apa selain Allah SWT? Apakah saya langsung tidak berbuat dosa kerana takutkan Allah SWT?
Saya Manusia Biasa
Saya manusia biasa. Ada kesilapan. Ada kekurangan. Ada kelemahan.
Walaupun saya telah kenal Allah SWT sebagai Tuhan saya buat sekian lama semenjak awal kehidupan, saya masih lagi ada terbuat salah dan silap.
Kadang masih terselit di dalam jiwa saya ketakutan kepada selain Allah SWT.
Ada masa, saya terlalai dan leka kemudian membelakangkan Allah SWT.
Ada ketika, saya tergelincir dan melakukan dosa.
Ilmu saya tidaklah pula setinggi mana. Saya bukan pelajar paling cemerlang di dalam kelas, dan tidaklah merupakan pemegang gred yang tinggi.
Dan sehingga ke hari ini sebenarnya saya masih berterusan berusaha mencari hakikat sebenar kebenaran, dan terus menerus mencuba untuk lebih mengenali Allah SWT.
Pencarian Diri Dengan Mengenal Tuhan
Apa yang saya dapati dalam kembara saya sebagai seorang manusia, ialah pengetahuan kita kepada Allah SWT itu hakikatnya tidak boleh dilayan sebagai pengetahuan ‘fakta’.
Kita tidak boleh sekadar mengetahui Allah itu Esa, untuk betul dalam menjawab soalan jika ditanya “Allah ada berapa?”
Kita juga tidak boleh sekadar tahu Allah itu Tuhan, sekadar untuk betul ketika menjawab soalan “Siapakah Tuhan?”
Sebab itu pada awal usia saya 20-an, semasa saya telah berada di Yarmouk University, saya sering berkata kepada rakan-rakan saya bahawa, ketika inilah kita perlu kembali merujuk hakikat sebenar yang kelihatan sangat asas seperti Allah itu Esa, Allah itu Maha Besar, Allah itu Maha Mendengar, Allah itu Maha Melihat, Allah SWT itu Maha Pencipta dan sebagainya.
Bukan kerana tidak lama lagi ada ujian peperiksaan yang akan menilai jawapan kita betul atau salah. Tetapi kesempurnaan pemahaman terhadap perkara yang dilihat sangat asas tadi itu adalah apa yang akan membentuk tindakan dan amalan kita sepanjang kehidupan.
Ya. Ia membentuk tindakan dan amalan kita.
Kerana itu, pada saya, walaupun kita mungkin dahulu dibesarkan di sekolah agama, atau kita pernah belajar di universiti agama, kita perlu kembali memahami hakikat bahawa kefahaman Islam ini adalah untuk pembumiannya di dalam amal. Bukan semata-mata untuk menjawab peperiksaan.
Sebab itu kita perlu terus menerus mengembara untuk mencari Tuhan.
Bukanlah mencari itu kerana kita masih belum berjumpa, tetapi kita cuba mencari hakikat sebenar akan perhambaan kita kepadaNya. Dengan lebih mengenali Allah SWT, kita akan lebih mengenali diri kita, tahu apa yang kita patut laksanakan serta apa yang patut kita hindari. Hidup dengan lebih teratur kerana jelas akan tujuan dan destinasi kita.
Hidup dengan kehidupan berTuhan.
Kembali Kepada Al-Quran
Jika dahulu Al-Quran sekadar kita baca kerana cikgu suruh, atau kerana ibu bapa suruh, hari ini kita mempunyai pandangan berbeza terhadap Al-Quran apabila kita mula mencari Tuhan.
Kita membaca Al-Quran kerana hendak mencari. Jika kita mahu lebih mengenali Tuhan, siapakah yang lebih baik dalam memberitahu akannya, selain Dia sendiri?
Al-Quran kita selak dengan penuh minat, kita tidak lagi membacanya sekadar baca, tetapi membacanya untuk memahami. Kita menelaah terjemahan dan tafsirnya, dan di sana kehidupan kita bakal terbentuk sekali.
Tidaklah akhirnya Al-Quran kita layan sebagai ayat-ayat suci yang tergantung di dinding rumah, tetapi kita benar-benar cuba membawa menghidupkan Al-Quran dalam kehidupan kita. Hidup dengan apa yang diperintahkan olehNya, menjauhi apa yang Dia larang.
Kerana apabila kita kembali kepada Al-Quran, kita kembali dekat dengan Allah SWT. Kita sedang didakap dengan firman-firmanNya. Terasa benar seperti Allah SWT sendiri yang sedang berbicara kepada kita secara terus. Kewujudan Allah SWT itu lebih dirasai, kerana kita sendiri membaca dan memahami apa yang dikatakan olehNya, bukan sekadar mendengar-dengar sahaja apa yang dikatakan orang berkait denganNya.
Namun hari ini kita disibukkan banyak, lantas Al-Quran jarang kita telaah. Kita terlepas kisah-kisah yang Allah SWT selitkan buat iktibar kita. Kita tidak melihat apa yang Allah SWT terangkan perihal diriNya. Kita jadi tidak tahu akan apa yang Allah suruh dan apa yang Allah tegah ke atas diri kita.
Sebab itu akhirnya kita hidup seperti tidak berTuhan.
Walaupun pada masa dan ketika tertentu, kerana adat dan keadaan masyarakat, kita tetap menyelak Al-Quran seperti membaca Yasin di malam jumaat atau kematian, atau semasa doa selamat serta kesyukuran. Ia menjadi ritual kosong.
Sedangkan Al-Quran bukan alat ritual.
Al-Quran itu ‘huda’. Petunjuk.
Tidak Berputus Asa Dalam Pencarian Ini
Pencarian ini hakikatnya adalah proses sepanjang hayat. Memang ada masa kita akan tersungkur dan jatuh. Kita rasa letih dan penat. Tetapi kita perlu kuatkan diri kita untuk meneruskan kembara pencarian ini.
Kerana dengan terus mencari, kita akan terus belajar.
Kalau kita terjatuh, kita bangkit semula. Allah sendiri tidak berputus asa dengan kita, maka jangan sesekali kita berputus asa dengan Allah SWT.
Bila kita teruskan pencarian, kita lebih kenal Allah SWT, kita tahu Dia tidak akan meninggalkan kita. Kita tahu Dia sentiasa memberikan peluang kepada kita. Kita tahu Dia tidak akan menzalimi kita. Lantas itu membuatkan kita semakin kuat dan semakin kuat.
Kita tidak menjadi sempurna. Tetapi kita akan bergerak ke arah peningkatan.
Jika Saya Tidak Mengenal Allah SWT
Saya tidak pasti bagaimana orang lain yang tidak mengenali Allah SWT. Tetapi jika saya memandang kehidupan saya selama 25 tahun kebelakangan ini, saya rasa bertuah dan bersyukur yang saya mengenali Allah SWT.
DenganNya saya mempunyai tujuan hidup. DenganNya saya mempunyai ukuran yang mana salah dan mana yang benar. DenganNya bila saya tersalah, saya akan rasa hendak perbetulkan. DenganNya bila saya ada kelebihan, saya fikir untuk memanfaatkannya kepada orang lain. DenganNya saya belajar mencintai orang lain. DenganNya saya mula tahu kepentingan membentuk peribadi diri yang baik. DenganNya, saya faham yang kehidupan saya bukan untuk bermain-main. DenganNya saya rasa lebih tenang, tenteram dan selamat. DenganNya saya jadi lebih positif. DenganNya saya terus mencari ilmu dan terus menerus memperbaiki diri. DenganNya saya faham kenapa perlu membersihkan diri dari sikap ego dan takabbuar. DenganNya saya kenal kelemahan dan kekurangan diri. DenganNya, saya jadi manusia yang punya cita-cita dan ada wawasan tersendiri.
Sebagaimana saya nyatakan, saya bukan sempurna. Namun kerana kenal dengan Allah SWT, saya tidak berputus asa hanya kerana kekurangan saya. Saya anggap itu sebagai cabaran.
Dan betapa saya saban hari rasa syukur bila dibangunkan dan diberikan peluang untuk menghargai satu hari lagi di dalam kehidupan saya, untuk mengisinya dengan kebaikan, untuk memadamkan keburukan semalam, dan bertaubat atas dosa yang telah dilakukan.
Bila hidup dengan mengenal Allah, kita akan rasa hendak mencari redhaNya sentiasa. Perkara yang Dia redha pula bukanlah perkara-perkara yang buruk. Semua perkara yang diredhaiNya, hakikatnya apabila kita usahakan, memberikan kebaikan kepada diri kita sendiri.
Kalau saya tidak mengenali Allah SWT, saya mungkin boleh jadi orang yang baik juga. Tetapi apa nilai ‘kebaikan’ saya? Di manakah kayu ukur ‘kebaikan’ saya? Saya mungkin boleh jadi orang yang positif, tetapi berpautkan ‘apa’? Adakah ianya kukuh dan sekuat berpaut kepada Allah SWT? Dan bila saya mati, saya akan ke mana? Adakah sekadar menjadi debu? Jika begitu untuk apakah kehidupan di atas dunia ini? Di manakah saya boleh dapatkan ketenangan yang kekal tersemat di dalam jiwa saya?
Lebih banyak keraguan dan keserabutan berbanding kejelasan yang menjemput ketenangan.
Bila mengenal Allah SWT, kita mempunyai tapak yang utuh untuk berpijak. Kita punya tujuan yang jelas untuk kita bergerak ke arahnya. Kita tidak lagi teraba-raba dalam bergerak di atas dunia. Ini adalah salah satu sebab kenapa saya menjadikan Langit Ilahi yang saya asaskan itu bertemakan “Mari Menjadi Hamba”
Hingga Bertemu Dengan Allah SWT
Kita akan hidup dengan proses pencarian ini, hingga kematian kita.
Selepas kita mati, selepas melalui alam barzakh, kita akan dibangkitkan semula. Di sana kita akan berdiri di hadapan Allah SWT. Berakhirlah pencarian kita.
Kita tidak perlu mencari lagi ketika itu.
Allah SWT sudah berada di hadapan kita.
Namun pada ketika itu Allah SWT berada di hadapan kita sebagai penilai. Sebagai Tuhan yang akan menghisab setiap detik di dalam kehidupan hamba-hambaNya di dunia. Sebagai Tuhan yang bakal memberikan keputusan, sama ada ke syurga atau ke nerakakah kita.
Jika pada hari itu, baru kita rasakan benarnya wujud Allah SWT, dan alangkah ruginya kerana tidak ‘mencari’ Allah SWT dengan bersungguh-sungguh di dunia dahulu, perasaan kita itu tidak memberikan kepada kita apa-apa makna.
Kerana pada hari itu, memang semua manusia akan automatik beriman. Yalah, kerana mereka telah dapat melihat kebenaran apa yang Allah janjikan di dalam Al-Quran semasa di dunia. Namun keimanan pada hari itu tidak memberikan apa-apa bantuan.
Allah SWT meletakkan ujian terbesar dalam kehidupan di dunia ini adalah dengan tidak memperlihatkan diriNya secara jelas. Pahala dan dosa pula tidak diberikan dalam bentuk material. Tidak pula Dia pernah menunjukkan syurga dan neraka kepada hamba-hambaNya semasa di dunia. Semua itu perlu diimani, walaupun tidak pernah muncul secara realiti di dalam kehidupan kita. Semua itu hanya dikhabarkan di dalam Al-Quran, dan di dalam sabda-sabda Rasulullah SAW.
Keimanan itu, di dunia ini, hanya mampu diperkasakan dengan ilmu. Ilmu pula perlu dicari. Kita perlu mencarinya. Dengan pencarian, kita mula faham, dari faham berbuahlah tindakan.
Pencarian ini akan berjalan hingga ke akhir hayat.
Walaupun kita telah mengenal Allah, kita telah tahu apa itu Islam, kita terus menerus mencari untuk lebih faham dan tahu, kerana kita mahu beramal dengan lebih baik dan benar.
Supaya pada hari kita benar-benar bertemu dengan Allah SWT, kita adalah hambaNya yang telah berusaha memenuhi apa yang Dia mahu, dan telah berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan apa yang Dia larang.
Pada hari kita benar-benar berdiri di hadapan Allah SWT kelak, kita akan menarik nafas lega kerana pencarian kita telah membawa kita kepada kebenaran. Kita rasa bertuah kerana tidak berputus asa. Kita rasa selamat, kerana apa yang telah bertemu dengan apa yang kita usaha cari selama di dunia.
Justeru semasa di dunia ini, kita terus mencari. Saya terus mencari. Terus menerus berusaha menjadi yang lebih baik lagi.
Hingga kita bertemu dengan Allah SWT nanti.
Pertemuan yang sepatutnya sering kita bayangkan sepanjang hidup kita. Kerana kita tahu, itulah dia destinasi kita. Justeru apa yang sedang kita usahakan di atas muka bumi ini? Buat tidak tahu? Atau perlu melaksanakan sesuatu?
Jika kita rasa perlu melakukan sesuatu, pencarian adalah apa yang kita perlu usahakan.
Agar lebih faham, lebih jelas, lebih tahu, seterusya membentuk tindakan.
Sama-sama kita refleksi diri.
Muhasabah.
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Refleksi Seorang Hamba Tuhan appeared first on Langit Ilahi.
July 25, 2014
30 Hari Mencari Tuhan: Datang Daripada Allah, Kembali Kepada Allah
Dari mana kita datang?
Kenapa kita didatangkan?
Ke mana kita akan pergi?
Tiga soalan ini sangat popular dalam mengupas perihal kehidupan seorang manusia. Sebagai seorang yang dibesarkan di dalam proses tarbiyah islamiyyah, saya didedahkan dengan tiga soalan ini agak awal di usia remaja saya.
Ia membentuk perspektif kehidupan saya. Dan dalam kebanyakan buku motivasi yang saya tulis, saya memang akan menyelitkan perbincangan berkait tiga soalan ini di dalamnya. Kerana saya sendiri kira, ianya penting untuk dihadam oleh semua.
Lebih-lebih lagi di dalam Buku 30 Hari Mencari Tuhan, pastilah kita mahu memahami akan hakikat sebenar kehidupan kita ini, bukan?
Datang DaripadaNya dan Kembali KepadaNya
Soalan pertama dan ketiga, adalah soalan yang biasanya diberikan jawapan terlebih dahulu. Dan bagi seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT, sudah pasti jawapan saya adalah kita datang daripada Allah SWT, dan kita akan kembali kepada Allah SWT juga.
Ini berdasarkan firman-firman Allah SWT:
“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari kiamat, sesungguhnya Kami (Allah) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian daripada air mani, dari air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui“ Surah Al Hajj ayat 5.
“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.“ Surah Al-Baqarah ayat 156.
Di sini kita memahami bahawa titik mula kita adalah Allah SWT. Dia yang menciptakan kita. Daripada tiada kepada ada, Dialah yang memilih kita untuk ‘ada’.
Dan kita juga memahami dari jawapan ini bahawa, apabila kita mati, pengakhiran kita adalah kembali kepada Allah SWT. Di sana kita akan berdiri di hadapanNya, dihitung dan dinilai akan setiap detik kehidupan kita di atas muka bumi ini. Kemudian keputusan akan diumumkan, sama ada kita akan ke syurgaNya atau ke nerakaNya.
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik). Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 88-91.
Di sini kita melihat bahawa kita ini ada ‘pemilik’.
Yang mana pemilik ini telah mencipta kita, dan Dia akan memanggil kita kembali.
Logiknya
Bila kita datang daripada Allah, dan akan pulang semula kepada Allah SWT, apakah logiknya yang patut berlaku di tengah-tengah antara dua perkara tersebut?
Apakah kita patut buat sesuka hati kita? Hidup mengikut hawa nafsu dan buat apa sahaja yang kita rasa nak buat?
Apakah kita patut sibukkan diri kita dengan kelalaian dan kealpaan, serta memenuhi kehidupan kita dengan perkara yang sia-sia?
Atau sebenarnya kita patut faham bahawa, jika kehidupan kita ini datangnya daripada Allah, dan akan pulang semula kepada Allah, bukankah yang masuk akal ialah, antara dua perkara tersebut, yang kita perlu lakukan ialah apa yang memenuhi keredhaan Allah SWT?
Ya.
Itulah dia jawapan kepada soalan yang kedua.
“Mengapa kita didatangkan?”
Adalah untuk memenuhi misi yang Allah SWT telah tetapkan kepada kita.
Misi Kita
Allah SWT tidak menciptakan kita dengan sia-sia. Jika Allah SWT menciptakan kita untuk bermain-main, maka pastilah tidak akan wujud penilaian di akhirat kelak.
Wujudnya penilaian di akhirat kelak menandakan bahawa ada perkara yang patut kita lakukan apabila hidup di atas muka bumi.
Di sini, perlu kita tanamkan dengan kuat di dalam diri dan jiwa kita, akan dua firman Allah SWT:
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Aku ingin menjadikan untuk bumi itu khalifah(pentadbir).” Surah Al-Baqarah ayat 30.
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri(kepadaKu).” Surah Adz-Dzariyyat ayat 56.
Dua ayat ini jangan sesekali dipisahkan. Kerana kedua-duanya perlu diletakkan bersama untuk kita menggapai makna sebenar tujuan kita didatangkan di atas muka bumi ini.
Kita punya tugas untuk mentadbir bumi ini, agar segala isinya tunduk kepada pengabdian terhadap Ilahi. Itulah misi kita.
Misi ini membuatkan Islam menjadi sebuah cara hidup, dan bukan semata-mata agama yang tersekat di pagar-pagar masjid dan di sekitar sejadah sahaja. Misi ini membuatkan seluruh kehidupan, menjadi sebuah ibadah kepada Allah SWT. Kerana kita telah menyerahkan diri kita kepadaNya, untuk memenuhi misi ini.
Maka kita tidak boleh menganggap yang keberadaan kita di atas muka bumi ini adalah untuk bermain-main sahaja. Untuk hidup, bernafas, kemudian mati. Untuk kumpul duit, kemudian mati. Untuk berasmara, kemudian mati. Tidak dan tidak.
Kita ada tanggungjawab untuk memimpin. Kalau bukan sebagai pemimpin berjawatan, kita tetap perlu memimpin diri sendiri dan keluarga kita. Memimpin ke arah mana? Ke arah ketaatan kepada Allah SWT tadi. Dengan itu, kita juga perlu sedar bahawa diri kita sendiri perlulah pertamanya tunduk kepada Allah SWT.
Itulah dia misi kita.
Dan kita akan dinilai dengan misi ini.
Apakah kita melaksanakannya?
Memenuhkan Kehidupan
Datang daripada Allah, kembali kepada Allah, maka hidup pastilah untuk Allah SWT.
Kita akan berdiri di hadapanNya.
Ketika itu tiada apa yang dapat menyelamatkan kita, melainkan dengan rahmat dan kasih sayangNya. Maka apakah kita hidup, dengan kehidupan yang mencari keredhaanNya? Atau selama ini kita telah bazirkan kehidupan kita dengan menjemput kemurkaanNya?
Di sinilah kita perlu menilai kembali diri kita.
Laksanakan muhasabah.
Sesungguhnya kehidupan kita bukan sebuah kehidupan yang akan terhenti dan pergi begitu sahaja. Selepas kehidupan ini, kita akan kembali berhadapan dengan Allah SWT yang telah menciptakan kita.
Apakah kita mahu bertemu denganNya, dalam keadaan kita tidak berusaha untuk memenuhi kehendakNya?
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Datang Daripada Allah, Kembali Kepada Allah appeared first on Langit Ilahi.
30 Hari Mencari Tuhan: Allah Hanya Mahukan Kebaikan Buat Hamba-hambaNya
Sebagai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Allah SWT tidak mahukan apa-apa melainkan kebaikan buat hamba-hambaNya. Apa yang Dia suruh, dan apa sahaja yang Dia tegah, hakikatnya adalah untuk membawa kebaikan kepada kita.
Namun kebanyakan kita tidak sedar, dan menganggap segala batas syariat yang telah Allah SWT letakkan dalam kehidupan kita, semata-mata sebagai kongkongan.
Kerana itu ada kalangan manusia yang mahu bebas dari kongkongan ini.
Hakikat yang sebenarnya, mereka yang mahu ‘bebas’ ini sebenarnya terpenjara dengan hawa nafsu sendiri, hingga gagal dapat melihat hikmah di sebalik setiap perintah dan tegahan Allah SWT.
Perhatikan Alam Serba Teratur, Bagaimana Jika Mereka Ingkar?
Jika kita boleh mengambil sedikit masa untuk bermuhasabah dan melihat kembali kepada keteraturan alam, kita pasti akan dapat melihat bahawa hidup dengan berperaturan hakikatnya adalah kehidupan yang membawa ke arah kebaikan.
Hawa nafsu memang menginginkan kita menjadi liar. Kerana pada hawa nafsu ada ketamakan yang tidak akan dapat kita cukupi kehendaknya. Ia akan terus meminta untuk dipenuhi tanpa mengira baik dan buruknya kepada diri kita.
Tetapi jika perhatikan matahari. Tugasnya mungkin membosankan. Matahari perlu tetap pada tempatnya, menjaga graviti galaksi bima sakti, lantas memberikan kemudahan kepada planet-planet untuk berputar mengelilinginya dengan selamat dan tidak saling berlanggaran.
Bayangkan jika matahari memilih untuk ingkar dengan apa yang telah diaturkan untuknya. Dia memilih untuk derhaka dan pergi bergerak ke sini dan sana. Apa akan jadi kepada galaksi kita?
Hancur. Planet-planet mungkin berlanggaran. Segala bintang akan mula berkecamuk dan saling berhentaman. Membawa kepada kerosakan dan kehancuran.
Begitulah jika kita melihat apa-apa sistem pun di dalam semesta ini. Bayangkan jika kadar oksigen yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ini dilanggar hadnya. Katalah ia naik mencanak, maka akan terbakarlah seluruh bumi ini. Bagaimana jika ia suka-suka untuk turun amat rendah? Akan matilah seluruh kehidupan di atas muka bumi ini.
Apa yang menjadikan semuanya kekal dalam keadaan teratur dan beroperasi dengan cantik?
Kerana patuhnya mereka kepada apa yang telah Allah aturkan.
Apa Yang Disuruh, Wujud Kebaikan Buat Insan
Apabila Allah SWT menyuruh kita untuk berzakat, walaupun nampak seperti duit kita berkurang, di sana sebenarnya terpapar konsep saling lengkap melengkapi sesama insan. Orang yang kaya akan dapat nikmat kerendahan hati, membuatkan dirinya jauh dari sikap ego, dan memenuhi jiwanya dengan sikap memikirkan orang lain. Manakala yang miskin pula mendapat bantuan, untuk membina kehidupan dan jika dia berjaya, dia pula meneruskan kitaran yang cantik ini.
Apakah zakat dan sedekah itu akan mengkayakan Allah SWT?
Tidak, Allah SWT sudah sedia kaya. Kebaikan zakat dan sedekah bukan untuk menambah kekayaan Allah SWT. Kebaikannya adalah untuk manusia itu sendiri.
Begitulah apabila Allah SWT menyuruh kita solat. Bukanlah solat kita itu menambah keagungan Allah SWT. Allah SWT sedia agung tanpa penyembahan kita. Dia adalah Yang Maha Sempurna. Tetapi kitalah manusia yang memerlukan solat. Kita memerlukan pergantungan kepada Tuhan. Lihatlah manusia lain yang tidak beriman kepada Allah SWT, mereka akhirnya tetap cuba mencari ‘Tuhan’ masing-masing untuk diserahkan diri mereka kepadanya. Ada yang memilih menyembah batu, pokok, matahari, bahkan ada juga yang menyembah hawa nafsu sendiri. Hidup berTuhan hakikatnya memang fitrah manusia, kerana manusia memerlukannya. Solat fardhu lima kali sehari, memenuhi keperluan ini lantas memberikan kehidupan yang lebih tenang dan tenteram kepada manusia, serta menjadikan mereka fokus dan kuat, kerana sentiasa berhubung dengan Allah SWT.
Apakah solat itu untuk memperkasakan Allah SWT?
Tidak, Allah SWT sudah sedia kuat tanpa penyembahan kita. Akhirnya kebaikan solat itu balik kepada diri kita sendiri.
Begitulah Haji jika kita perhatikan. Diwajibkan kepada kita yang mampu, untuk melaksanakannya, sekali seumur hidup. Di sana letaknya pengorbanan harta, menyedarkan manusia agar tidak hidup kerana harta. Di sana letaknya juga ketenangan, bila mana kita menghadap rumah Allah SWT, dan secara spiritualnya kita termotivasi untuk menjadi hamba yang lebih baik lagi. Di sanalah juga kita sedar yang Islam bukan untuk diri kita sahaja, bukan juga untuk bangsa kita sahaja, dan tidaklah di dalam Islam itu wujud kemuliaan dari segi pangkat dan harta, kerana di dalam ibadah Haji kita bergaul dengan ummat Islam dari seluruh dunia, beribadah di tempat yang sama, melaksanakan rukun Haji yang sama, berpakaian dengan pakaian yang sama, membuatkan diri kita rasa kerdil dan terseraplah ke dalam jiwa kita rasa kesatuan untuk ummat ini.
Apakah dengan berHaji itu akan menambah kehebatan Allah SWT?
Tidak. Allah SWT sudah sedia hebat tanpa Haji. Akhirnya kebaikan Haji itu balik kepada diri kita sendiri.
Begitulah kita melihat sekian banyaknya perkara-perkara yang Allah SWT suruh. Semuanya tersembunyi hikmah yang besar di dalamnya. Dan itu semua bukannya untuk Allah SWT sebenarnya, kerana Allah SWT itu Tuhan dan tidak memerlukan apa-apa pun. Itu semua hakikatnya adalah untuk kebaikan kita dan seluruh semesta ini.
Apa Yang Dia Tegah, Untuk Menyelamatkan Kita Dari Keburukan
Lihatlah pula tegahan-tegahan Allah SWT.
Apabila Dia mengharamkan untuk kita berzina, di sana sebenarnya bukan sekadar untuk mendidik kita agar menundukkan hawa nafsu. Tetapi menjauhkan kita dari bencana penyakit. Hari ini kita sendiri dapat melihat virus-virus yang tidak terawat seperti AIDS dan HIV yang menyerang manusia, berpunca dari penderhakaan sebahagian manusia terhadap perintah Allah SWT ini.
Di sana juga Allah SWT hendak menjaga nasab keturunan kita, dan menjaga institusi keluarga, yang kita semua tahu apabila keluarga kita terjaga, jiwa kita juga tenang dan bahagia.
Lihatlah apabila Allah SWT mengharamkan arak. Di sana Allah SWT hendak menyelamatkan kita dari kefasadan yang datang daripada arak itu sendiri. Kemalangan, pergaduhan, pembunuhan, jenayah dan sebagainya yang muncul dari ketidak warasan akal, yang terhasil dari efek peminuman arak. Masyarakat yang membenarkan arak di dalam komunitinya, adalah masyarakat yang akan berhadapan dengan 1001 masalah.
Apakah kita akan dapat melaksanakan kerja kita dengan baik, jika akal kita sudah hilang dimamah kemabukan?
Lihatlah juga larangan Allah SWT kepada pencurian. Bukan sahaja untuk menjaga keamanan jiwa manusia agar mereka boleh hidup dengan rasa selamat, tetapi juga untuk orang yang rasa ingin mencuri, agar dirinya tidak terjebak dalam kebahayaan.
Allah SWT juga mengharamkan penipuan, pengkhianatan. Apakah kerana Allah mudah tertipu dan dikhianati? Tidak. Allah SWT tidak akan sesekali tertipu dan mampu untuk dikhianati. Tetapi pengharaman ini adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri. Agar manusia boleh kekal percaya mempercayai sesama mereka, seterusnya hidup dengan semangat saling lengkap melengkapi. Penipuan dan pengkhianatan akan merobohkan sinergi sesama manusia, bila keraguan mula timbul akan kesetiaan dan kejujuran sesama mereka, kekuatan pasti tidak akan dapat dibina.
Allah SWT mengharamkan manusia untuk boros dan membazir. Apakah kerana Allah SWT akan menjadi kurang kaya dengan pemborosan manusia? Maha Suci Allah SWT dari sebarang kekurangan. Sesungguhnya Dia Maha Kaya. Tiadalah pemborosan manusia akan memberikan kesan kepada diriNya. Namun siapakah yang rugi bila manusia boros berbelanja? Manusia itu sendiri.
Allah SWT mengharamkan manusia memakan bangkai, babi dan anjing, juga adalah untuk kebaikan manusia. Agar manusia selamat dari penyakit.
Semuanya ada kebaikan yang tersembunyi. Dan tidaklah Allah SWT itu suka melakukan sesuatu dengan sia-sia.
Semua yang Dia perintahkan, ada hikmahNya.
Dia adalah Yang Maha Bijaksana.
Dia mengetahui segalanya, dan kita hakikatnya tidak tahu apa-apa.
Taati PerintahNya, Jauhi LaranganNya
Walaupun Dia Maha Tahu, dan Dia tahu bahawa segala apa yang Dia perintahkan bukan sesuatu yang sia-sia, Dia masih menyatakan bahawa tiada paksaan buat manusia. Manusia bebas memilih sendiri apa yang mereka mahu. Suruhan dan tegahan sudah diwar-warkan, kini terpulang sendiri kepada manusia untuk memilihnya.
Dan manusia yang waras, pastilah akan memilih untuk mentaatiNya.
Kajilah setiap suruhan dan tegahan Allah SWT. Manusia pasti akan dapat melihat betapa untungnya orang-orang yang mentaati Allah SWT.
Kerana tiadalah yang Allah SWT harapkan, melainkan untuk kebaikan hamba-hambaNya.
Tinggal kadang manusia itu ego. Dia terlupa Tuhan itu Maha Tahu. Maka dia buat kepala sendiri, seakan-akan dia lebih mengetahui daripada Allah SWT sendiri.
Muhasabah.
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Allah Hanya Mahukan Kebaikan Buat Hamba-hambaNya appeared first on Langit Ilahi.
July 24, 2014
30 Hari Mencari Tuhan: Bersyukur Allah Itu Tuhan Kita
Pernahkah anda membaca buku Amr Khalid, bertajuk Ibadah Sepenuh Hati? Satu buku yang saya memang syorkan agar anda cari dan membacanya. Amr Khalid adalah motivator berasal daripada Mesir dan sangat popular hari ini di Timur Tengah terutamanya.
Antara salah satu isinya adalah, dia menceritakan bagaimana dia duduk dengan beberapa orang pemuda dan bersembang berkenaan nikmat terbesar dalam dunia ini. Amr Khalid mendengar banyak jawapan yang memuaskan, antaranya nikmat kehidupan, iman dan Islam. Tetapi Amr Khalid berkata, dia tertarik dengan satu jawapan yang tidak pernah lagi diberikan orang apabila dilontarkan jawapan tersebut.
“Nikmat kita yang terbesar adalah, Allah sebagai Rabb, Ilah kita.”
Ya, jawapan itu membuatkan seorang yang hebat dan masyhur seperti Amr Khalid juga tertarik.
Kita sendiri di dalam buku ini telah banyak membicarakan perihal Allah SWT.
Kini, apakah terdetik di dalam diri kita yang kita ini sangat bersyukur kerana dirinya mempunyai Tuan, Tuhan, Pengatur, Pencipta, seperti Allah SWT?
Dia adalah yang mencipta alam ini
Kita maklum bahawa Allah SWT sangat teliti dalam mencipta alam ini. Dia menciptakan seluruh semesta ini dengan sangat teratur, hingga keteraturan itu menakjubkan kita semua.
Pelbagai makhluk yang wujud, namun kewujudan masing-masing punya tujuannya, dan kewujudan semua itu saling lengkap melengkapi dalam menggerakkan ekosistem yang teratur di dalam kehidupan ini.
Kita telah melihat perkara ini dan membandingkannya dengan keteraturan di dalam Al-Quran yang nyata punya similariti, menandakan yang Tuhan kepada Al-Quran adalah Tuhan pencipta kepada alam semesta ini.
Bayangkan jika bukan Allah SWT Tuhan kita?
“Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.” Surah Al-Anbiya’ ayat 22.
Tetapi kerana Allah adalah Tuhan kita, maka lihatlah bumi berputar teratur mengelilingi matahari mengikut jadualnya. Matahari juga tetap pada tempatnya dan menjaga graviti galaksi kita. Oksigen juga cukup buat semua. Ekosistem juga bergerak dengan teratur, saling lengkap melengkapi dengan kitaran yang telah disediakan buat mereka. Tubuh manusia, yakni tubuh kita sendiri beroperasi hasil gabungan pelbagai sistem yang bergerak mengikut aturan yang telah Allah tetapkan, lantas kita melihat kita dapat hidup dengan baik di atas muka bumi ini, melaksanakan pelbagai kerja dan aktiviti.
Ada antara kita pernah menonton filem Hollywood, perhatikan bagaimana mereka menggambarkan Tuhan mereka. Bergaduh, berperang sesama sendiri, dengki mendengki, ada yang berzina dengan manusia, dan akhirnya membuat dunia huru-hara. Sudah pastilah Tuhan yang sebenar bukan sedemikian rupa, itulah dia rupanya apabila manusia mencipta Tuhan mereka sendiri, mereka akan mencipta Tuhan berdasarkan bayangan diri sendiri(manusia). Tetapi Allah SWT adalah Tuhan sebenar-benarnya, dan tiada Tuhan melainkan Dia, lantas kita dapat lihat bahawa alam semesta bergerak dengan baik sekali.
Hinggalah tangan-tangan manusia yang merosakkannya.
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Ar-Ruum ayat 41.
Dia Maha Luas Kasih SayangNya.
Allah mempunyai kekuatan yang teramat hebat, sampai mampu mengatur alam ini sesempurna itu. Mengetahui segala perkara sehingga mampu menjaga keseimbangan dunia ini sehingga mencapai tahap sempurna. Sehebat-hebat makhluk di muka bumi ini, tidak akan ada yang mampu menandingi-Nya.
Tetapi, Yang Maha Sempurna ini, Yang Maha Kuat ini, Dialah juga Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang, Yang Maha Pengampun. Dia tidak pernah meninggalkan hamba-hamba-Nya, malah sentiasa membuka peluang kepada hamba-hamba-Nya, walaupun Dia tahu hamba-hamba-Nya banyak berdosa kepada-Nya dan melakukan kesilapan.
Allah SWT berfirman: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syuraa ayat 32.
Dia amat dekat dan membuka pula peluang untuk permintaan.
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” Surah Al-Ghafir ayat 60.
Malah, Dia berjanji pula menambahkan nikmat untuk sesiapa yang taat.
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu,” Surah Ibrahim ayat 7.
Sedangkan, nikmat-Nya yang telah ada sekarang pun tidak terhitung.
“Sekiranya kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu” Surah Ibrahim ayat 34.
Tidakkah kita rasa bersyukur bahawa Tuhan kita adalah Allah SWT?
Tidakkah kita rasa lega untuk menundukkan jiwa kepada-Nya?
Maka di manakah bukti kesyukuran kita?
Apakah Belum Tiba Masanya?
Allah SWT itu, Maha Hebat, Maha Berkuasa. Dia Lebih Besar dari segala-galanya. Kita di hadapan-Nya sangat kerdil, kecil, tidak berkuasa lagi tidak mempunyai apa-apa.
Kita bermaksiat saban hari, endah tidak endah dengan perintah-Nya, buat tidak tahu dengan ajaran-Nya. Tetapi Dia masih lagi menghidupkan kita hari ini.
Sedangkan jika Dia mahu, Dia boleh mematikan kita semalam.
Tetapi Allah tidak pernah membenci hamba-hamba-Nya. Kehidupan kita ini tanda kasih-sayang-Nya.
Maka apakah belum tiba masanya kita tunduk pada Allah SWT ini?
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka” Surah Al-Hadid ayat 16.
Kalau kita masih ada rasa ego, ingkar untuk tunduk, hidup dengan arahan-Nya, dalam ketaatan kepada-Nya, tidakkah kita ini hamba-Nya yang tidak bersyukur?
Sejahtera Bagi Yang Mendapat Petunjuk
Ketika Musa AS berhadapan dengan Firaun, berlaku dialog antara mereka. Allah SWT merakamkan dialog ini di dalam Al-Quran.
“(49) Firaun berkata: Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa? (50) Nabi Musa menjawab: Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya. (51) Firaun bertanya lagi: Jika demikian, bagaimana pula keadaan kaum-kaum yang telah lalu? (52) Nabi Musa menjawab: Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, tertulis di dalam sebuah Kitab. Tuhanku tidak pernah keliru dan Dia juga tidak pernah lupa. (53) -Dia lah Tuhan- yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya. (54) Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang-orang yang berakal fikiran. (55) Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.” Surah Toha ayat 49-55.
Nabi Musa sendiri cuba membawa Firaun untuk melihat alam sejagat ini, agar Firaun dapat berfikir akan benarnya wujud Tuhan yang sebenar-benar Tuhan, yakni Allah SWT.
Namun Firaun enggan.
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah tunjukkan kepada Firaun segala tanda-tanda yang membukti kekuasaan Kami; dalam pada itud ia mendustakannya dan enggan beriman.” Surah Toha ayat 56.
Ke manakah akhirnya Firaun ini? Mati lemas apabila laut yang dibelahkan Allah SWT untuk Nabi Musa dan Bani Israel terkatup, menenggelamkannya dan bala tenteranya. Kemudian Allah kekalkan jasad Firaun untuk menjadi tatapan pengajaran buat zaman seterusnya hingga ke hari ini.
Sesungguhnya kesejahteraan hanya akan datang bagi yang menerima petunjuk.
Itulah pesan Nabi Musa AS kepada Firaun sebelum memulakan dialog tadi.
“Oleh itu, pergilah kamu berdua(Musa & Harun) kepadanya(Firaun), kemudian katakanlah: Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk agama Allah. Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia dan di akhirat ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya.” Surah Toha ayat 46-47.
Kasihnya Allah SWT kepada hamba-hambaNya, hingga Firaun pun dihantarkan kepadanya Musa & Harun, untuk mengajaknya kepada kebenaran. Untuk Firaun dapat melihat petanda-petanda kewujudan Allah SWT, agar Firaun menjadi hamba yang mengabdikan dirinya kepada Allah SWT.
Tetapi Firaun kufur, tidak bersyukur dengan nikmat Allah SWT ini, bahkan memilih untuk memerangiNya.
Apakah kita mahu pengakhiran yang sama?
Sungguh bagi yang memerhatikan dan mendalami, akan terbitlah rasa syukur di dalam dirinya bahawa Tuhannya adalah Allah. Bukan sahaja kerana Allah SWT menjaga dunia ini dengan sempurna, tetapi juga sangat kasih dan sayang kepada hamba-hambaNya.
Orang yang benar syukurnya kepada Allah SWT, akan menterjemahkannya dengan amal dan tindakan. Bergerak hidupnya untuk mentaati dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Jika tersilap, akan segera dia perbaiki dan berusaha meninggalkan kejahatan yang dilakukan sebelumnya.
Apakah kita hamba yang bersyukur itu?
Bersyukurkah kita yang Allah itu adalah Tuhan kita?
Atau bagaimana?
Muhasabah.
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Bersyukur Allah Itu Tuhan Kita appeared first on Langit Ilahi.
July 23, 2014
30 Hari Mencari Tuhan: Dia Yang Maha Pengampun
Allah SWT itu Maha Kaya. KekayaanNya membuatkan Dia tidak rasa sedikit pun rugi untuk mengampunkan hamba-hambaNya yang bersungguh dalam meminta pengampunan.
Dia sendiri tahu bahawa Dia menciptakan kita dalam keadaan kita akan terjebak dengan dosa. Dia tahu Dia tidak menciptakan kita untuk hidup suci tanpa kesilapan. Kerana kita hanya makhlukNya. Yang sempurna hanyalah Dia.
Namun Allah SWT tidak meninggalkan kita dengan ketidak sempurnaan kita begitu sahaja. Dia tidak lokek membukakan buat kita peluang-peluang keampunan. Allah SWT bahkan menyediakan banyak peluang untuk Dia mengampunkan kita.
Tinggal kita sahaja, apakah mahu mendapatkan keampunanNya atau tidak.
Seruan Untuk Tidak Berputus Asa
Allah SWT sangat memahami hamba-hambaNya. Dialah yang menciptakan kita, Dia amat mengetahui perihal kita luar dan dalam. Justeru Dia mengetahui juga pertarungan di dalam diri kita bila berhadapan dengan dosa-dosa kita.
Ada kalangan kita rasa bahawa dosanya banyak, hingga dirasakan Allah SWT telah mentakdirkannya untuk masuk ke neraka. Sedangkan sebenarnya, selagi belum kita mati, selagi itu masih ada peluang untuk kita membersihkan diri.
Allah SWT memahami keadaan ini, lantas Dia tidak lupa menyelitkan seruan agar kita tidak berputus asa dengan rahmatNya. Dia tidak pernah melupakan hamba-hambaNya, walaupun yang penuh dosa dan melakukan penderhakaan.
“Katakanlah (wahai Muhammad): (Bahawa Allah SWT berkata) Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. “ Surah Az-Zumar ayat 53-54.
Betapa baiknya Allah SWT, dan betapa penyayangNya Dia kepada hamba-hambaNya.
Memang ada balasan untuk orang yang berdosa, namun Allah SWT tidak lupa memberikan peluang terlebih dahulu buat kita semua untuk sedar dan berubah.
Diserunya kita, diberinya kita harapan dan peluang.
Apakah balasan kita terhadap kebaikan ini?
Janji-janji Keampunan
Allah SWT juga meletakkan amat banyak janji keampunan dan ganjarannya di dalam Al-Quran.
Lihatlah firman-firman Allah SWT:
“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” Surah Hud ayat 114.
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar.” Surah As-Sof ayat 10-12.
“Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dia mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”Surah Ali-Imran ayat 129.
“(133)Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. (134)Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (135)Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (136)Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.” Surah Ali-Imran ayat 133-136.
“Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” Surah An-Nisa’ ayat 64.
“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah An-Nisa’ ayat 110.
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).” Surah Hud ayat 3.
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.” Surah An-Nisa’ ayat 145-146.
Banyak, terlalu banyak janji dan seruan Allah SWT agar kita kembali kepadaNya, meminta ampunanNya. Tanda Dia sentiasa membukanya.
Apakah kita menyahut seruan-seruan ini?
Betapa penyayangnya Allah SWT kepada kita. Apakah nanti kalau kita diseksa oleh Allah SWT di akhirat kelak(na’udzubillah), kita mahu berkata bahawa Allah SWT tidak berbelas kasihan kepada kita?
Sesungguhnya Dia telah membuka peluang yang sangat luas kepada kita!
Kisah Pembunuh 99 Orang
Bila membicarakan perihal ampunan Allah SWT, saya tidak akan sesekali lupa untuk menukilkan hadith berkait pemubuh yang telah membunuh 99 orang, kemudian dia mula mencari jalan untuk bertaubat.
Perhatikan sabda Rasulullah SAW berikut:
Daripada Abu Said Al-Khudri RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Dahulu sebelum kalian ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang, hingga dia bertanya kepada seorang alim dari kalangan penduduk bumi. Mereka menunjuk kepada seorang rahib(ahli ibadah), kemudian orang tersebut mendatangi rahib itu dan berkata bahawa dia telah membunuh 99 orang. Apakah masih ada kesempatan baginya untuk bertaubat? Rahib tadi menjawab: Tidak. Orang itu terus membunuhnya, sehingga genap menjadi 100 orang. Kemudian dia bertanyakan pula akan penduduk bumi yang paling alim. Maka ditunjukkan kepadanya seorang alim. Lalu dia bertanya kepadanya bahawa dia telah membunuh 100 orang, apakah masih ada kesempatan baginya untuk bertaubat? Orang alim tersebut menjawab: Ya! Dan siapa yang boleh menghalangi antaramu dengan taubat. Pergilah ke negeri ini dan itu, kerana di sana ada orang-orang yang beribadah kepada Allah SWT. Beribadahlah bersama mereka, danjangan kembali ke negerimu kerana negerimu adalah negeri yang jelek. Kemudian orang itu pergi, namun di tengah-tengah perjalanannya dia meninggal. Sehingga malaikat rahmat dan malaikat azab berselisih berkenaan pengakhirannya. Malaikat rahmat berkata: Dia datang dalam keadaan bertaubat, menghadap Allah. Malaikat Azab berkata: Dia belum sempat beramal soleh sama sekali. Kemudian datanglah kepada kedua malaikat itu seorang malaikat dalam bentuk manusia. Mereka(kedua-dua malaikat itu) menjadikannya sebagai pemutus urusan mereka. Malaikat itu berkata: Ukurlah antara kedua negeri tersebut, yang mana lebih dekat jaraknya. Maka itulah yang lebih berhak. Maka mereka mengukurnya. Ternyata mereka dapati bahawa dia lebih dekat ke negeri yang baik. Maka Malaikat Rahmat mengambilnya.”Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Saya belajar hadith ini di Yarmouk University, dalam mata pelajaran Hadyi An-Nabawi Fi Adab Wa Ar-Riqa’(petunjuk Nabi dalam kesantunan dan pelembut hati) di bawah didikan Sheikh Dr Muhammad Audeh Al-Hawari.
Sheikh Dr Muhammad Audeh Al-Hawari bertanya di dalam kelas:
“Siapakah yang telah mematikan pembunuh ini di situ?”
Kami menjawab: “Allah.”
“Dan saksikanlah bahawa Allah SWT telah menerima taubat hambaNya ini sebelum para malaikat itu berbalah mengenainya.”
MasyaAllah. Lelaki itu belum pun bertaubat. Dia baru hendak bertaubat. Namun kesungguhan yang telah dia tunjukkan untuk bertaubat itu telah menyebabkan Allah SWT mengampunkannya. Walaupun dia telah membunuh 100 orang!
Luasnya ampunan Allah SWT.
Dr Muhammad Audeh berkata bahawa, perbalahan dua malaikat itu sengaja Allah jadikan sebagai drama untuk refleksi kepada penilaian orang ramai terhadap pembunuh ini. Secara zahirnya, dia tidak sempat bertaubat, pastilah orang rasa dia patut ke neraka. Secara zahirnya juga, orang akan melihat kepada ‘sejauh mana dia berusaha nak bertaubat’, maka dijadikan halnya perbandingan ukuran tadi.
Tetapi sebelum metod pengukuran itu dipilih, sebelum dua malaikat mengetahui yang lelaki ini lebih hampir ke kampung kebaikan, siapakah yang telah mematikannya di situ, yakni dekat dengan kampung kebaikan, agar dia dimasukkan ke dalam syurga?
Bukankah Allah SWT?
Di sini tergambar akan luasnya ampunan Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Begitulah juga kita dapati dalam hadith perempuan penzina yang dimasukkan syurga hanya kerana dia memberikan minum kepada anjing yang kehausan.
Allah SWT sangat pemurah. Kerana itulah apabila kita teliti Al-Quran, kita akan bertemu dengan Surah Al-Mulk ayat 2. Allah SWT berfirman:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang terbaik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” Surah Al-Mulk ayat 2.
Jika dilihat pada teks arab ayat ini, Allah SWT menggunakan perkataan ‘ahsanu’ yang membawa maksud terbaik, bukannya ‘aksaru’ yang membawa maksud terbanyak. Di sini bermakna Allah SWT bukan mahu menilai kita dari segi banyaknya amalan, tetapi dari segi terbaiknya kita dalam melaksanakan satu-satu amal.
Pastilah sebagai manusia, kita tidak mampu mengetahui yang manakah amalan kita yang terbaik, yang paling ikhlas, paling khusyu’ dan sebagainya. Kerana itu kita memperbanyakkan amal. Namun hendaklah kita sedar bahawa, yang dikira Allah SWT adalah sejauh mana terbaiknya kita dalam melaksanakan amal-amal tersebut.
Perhitungan dari segi amalan terbaik juga adalah bukti kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Di muka bumi ini ada hamba Allah yang masuk Islam lewat, ada yang bertaubat lewat, ada yang umurnya pendek, macam-macam. Tetapi Allah bukan kira dari segi nilaian angka, Allah kira apakah kita bersungguh melaksanakannya dengan sebaik mungkin?
Pembunuh tadi bersungguh dan memberikan yang terbaik dalam mencari keampunan Allah SWT. Dia tidak berputus asa walau dikatakan oleh orang dia tidak punya apa-apa harapan. Dia sanggup pula hendak pergi mengembara jauh untuk bertaubat.
Maka walaupun dia belum bertaubat, Allah SWT sudah mengganjarinya dengan syurga.
Besarnya rahmat Allah SWT.
Namun sedikit dari kalangan kita yang menghargai perkara ini.
Muhasabah.
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Dia Yang Maha Pengampun appeared first on Langit Ilahi.
July 22, 2014
30 Hari Mencari Tuhan: Dia Yang Mengetahui Apa Di Dalam Rahim
Manusia sering berusaha untuk mencapai kemajuan. Teknologi yang semakin berkembang, serta kemampuan-kemampuan yang berjaya dicapai lebih-lebih lagi pada masa era kini, menyebabkan kadang-kadang manusia rasa bongkak dan ingin menandingi Tuhan.
Namun hakikatnya Tuhan itu tidak akan sesekali dapat ditandingi. Allah bukanlah Tuhan seperti yang digambarkan di dalam filem-filem Hollywood, boleh ditandingi dan ditewaskan. Boleh merasa lelah dan susah. Memerlukan bantuan manusia. Tidak dan tidak.
Allah SWT itu Maha Agung.
Apa Di Dalam Rahim
Pada masa manusia sudah mampu mempunyai teknologi untuk mengesahkan jantina bayi di dalam rahim ibu yang mengandung, ada yang mungkin merasakan bahawa kini manusia telah sampai kepada teknologi Tuhan. Kerana Tuhan menyatakan yang Dia mengetahui apa di dalam rahim.
“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua Yang Menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung) dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Luas pengetahuanNya.” Surah Luqman ayat 34.
Namun sebenarnya orang yang beranggapan sedemikian rupa telah memperkecilkan keluasan ilmu Allah SWT dan kebijaksanaanNya.
Langsung sebenarnya tidak sampai kehebatan kita dengan Allah SWT. Tidak dahulu, tidak juga sekarang dan tidak akan kemudian.
Kita sepatutnya memerhatikan ayat itu dengan lengkap dan merasa kerdil dengan kehebatan Allah SWT.
Kita mungkin kini sudah dapat mengetahui apa jantina bayi di dalam rahim ibu. Tetapi apakah kita tahu bagaimana bayi itu membesar nanti? Apakah kita tahu bagaimana dia akan mati? Apakah kita tahu kadar rezeki yang bakal dia perolehi?
Tidak. Dan kita tidak akan sesekali dapat mengetahui.
Tetapi Allah SWT Maha Mengetahui.
Itulah yang dimaksudkan Allah SWT apabila Dia menyebut bahawa Dia mengetahui sebenar-benarnya apa yang berada di dalam rahim. Bukan sekadar jantinanya. Tetapi semua yang tadi.
Allahuakbar.
Tidak hairanlah ayat ini Allah SWT iringi dengan penyataan bahawa:
1 – Allah SWT punya pengetahuan yang tepat berkait hari kiamat.
2 – Allah SWT menyatakan bahawa manusia tidak akan benar-benar mengetahui apa yang bakal diusahakannya esok.
3 – Allah SWT menyatakan bahawa manusia tidak akan dapat mengetahui secara tepat di manakah dia akan mati nanti.
4 – Allah menyatakan bahawa pengetahuanNya amat luas.
Tidak Ada Yang Terlepas Dari Pengetahuan Allah SWT
Berbicara berkait pengetahuan Allah SWT, sesungguhnya tidak akan ada yang dapat berselindung dari pandangan dan pengetahuanNya.
“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali dia sendiri, dan dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)” Surah Al-An’am ayat 59.
Walau sehelai daun yang gugur, walau biji yang jatuh dalam kegelapan, atau ada perkara yang dari kering menjadi basah atau basah menjadi kering, tiada satu pun yang akan terlepas dari pengetahuan Allah SWT.
Allah SWT mengetahui segala-galanya.
Kerana itu, diri kita juga tidak akan sesekali terlepas dari penilaianNya.
Saya sering mengulang ayat berikut:
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.
Dan dek kerana detailnya penilaian Allah SWT ini, maka orang-orang yang hidupnya penuh kederhakaan, penuh dengan menjemput kemurkaan Allah SWT, akan rasa takut di akhirat kelak kerana tahu dirinya tidak akan terlepas. Hingga mereka berharap yang mereka dahulu di dunia hanya debu tanah.
“Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): Alangkah baiknya kalau aku(dahulu di dunia) adalah tanah.” Surah An-Naba’ ayat 40.
Ilmu kita dan Ilmu Allah SWT
Allah SWT berfirman: “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Luqman ayat 27.
Begitu sekali luasnya ilmu Allah SWT. Dialah yang menjadikan dunia ini, dan seluruh yang wujud di dalamnya. Dialah yang mengetahui sebenar-benarnya akan segala-gala. Dia tidak lupa dan tidak pula akan terlupa.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” Surah Al-Kahfi ayat 109.
Namun indahnya Allah SWT, Dia tidak pula sekadar mahu kita mengetahui yang Dia Maha Mengetahui, serta segala ilmu di dunia ini adalah kepunyaanNya, semata-mata. Dia sendiri menggalakkan kita untuk keluar menuntut ilmu, dan memberikan kefahaman kepada diri kita sendiri.
WahyuNya yang pertama sudah merupakan seruan agar kita menambah faham dengan pembacaan. Bahkan di sana, tidak pula Dia terus menjenamakan dirinya sebagai Allah, tetapi Dia menyeru kita agar mencari Tuhan.
Sheikh saya di Yarmouk, Dr Ala’ Hilat, pernah berkata di dalam kelas Aqidah yang saya hadiri, bahawa Allah SWT amat menghormati akal yang Dia ciptakan. Kerana itu, di dalam Al-Quran, ada ayat-ayat yang muhkamat(tetap), dan ayat-ayat yang musytabihat(punya pelbagai tafsiran). Ayat-ayat musytabihat itu adalah sebagai penghormatan terhadap akal manusia untuk berfikir.
Sebab itu lihatlah firman Allah SWT:
“Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan,” Surah Al-Mujadilah ayat 11.
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.” Surah Fathir ayat 28.
Allah SWT menggesa kita untuk menambah ilmu, agar kita tidak menjadi bodoh serta tidak tahu. Agar kita kenal Allah SWT, bukan untuk memenjarakan diri kita hanya di masjid atau tikar sejadah, tetapi untuk memikul tanggungjawab sebagai khalifah, agar dapat membawa orang ramai ke arah pengabdian kepada Allah SWT tadi.
Walaupun ilmu kita takkan dapat setanding dengan ilmu Allah SWT, tetapi dengan ilmu yang terus menerus kita cari, maka kita akan kenal mana baik dan buruk, apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu dihindarkan, apa yang perlu dibuat kawan dan apa yang perlu kita jadikan lawan.
Dengannya kita akan hidup dengan lebih harmoni, dan dapat melaksanakan peningkatan.
Dengan Ilmu, Kita Tunduk KepadaNya
Sebelum wujud segala teknologi, Allah SWT telah mengetahui. Lihatlah bagaimana Al-Quran turun pada zaman tidak wujudnya teknologi, tetapi Allah SWT telah menurunkan ayat berkait embriologi ketika itu. Allah SWT telah menyatakan perihal ‘big bang’ ketika itu. Allah SWT telah menyentuh perihal kulit sebagai reseptor sakit ketika itu.
Bahkan amat banyak sebenarnya rahsia-rahsia alam ini, yang terkandung di dalam Al-Quran, yang hanya dapat didedahkan oleh teknologi kita pada era ini, walaupun Al-Quran telah turun 1400 tahun yang lampau.
Ilmu kita sangat kerdil.
Namun dengan sentiasa istiqomah dalam pencarian ilmulah kita mendapat kebenaran. Kerana cintakan ilmu, kerana hendak menambah ilmu, kita membaca artikel ini.
Sebab itu jangan jemu menuntut ilmu. Bukan untuk menyaingi Tuhan, kerana kita tidak akan sesekali dapat menyaingiNya. Tetapi adalah untuk lebih kenal Allah SWT, dan memberikan peningkatan terhadap cara hidup kita.
Dengan ilmu, kita tunduk kepadaNya.
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Dia Yang Mengetahui Apa Di Dalam Rahim appeared first on Langit Ilahi.
July 21, 2014
Membentuk Peribadi ‘Ibadurrahman, Agar Allah Kasih dan Redha
Pada suatu hari saya disapa oleh satu perasaan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata.
” …’Ibadurrahman. Siapakah ‘Ibadurrahman? ‘Ibadurrahman adalah hamba kepada Allah yang Maha Pengasih..” kata-kata itu terngiang-ngiang di hati. Alangkah bahagia dan bertuahnya menjadi ‘Ibadurrahman, iaitu hamba-hamba yang mendapat naungan sifat Maha Pengasih Allah S.W.T, hamba-hamba yang Dia kasih dan Dia redhai. Inilah dia hamba-hamba yang beriman. Allah memanggil hamba-hambaNya yang beriman dengan gelaran yang cukup istimewa, lembut pada lidah, lunak pada hati mereka yang mengungkap kalimah syahadah dan membuktikannya melalui amal yang menjadi saksi kepada keimanan mereka.
Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad utusan Allah. Malah lafaz kesaksian ini saya ulang dan ulang pada setiap kali solat lima waktu. Ya, saya mengaku bahawa saya adalah seorang Islam (muslim), tetapi sejauh mana telah saya buktikan keimanan saya dengan sifat dan perbuatan yang membolehkan saya tergolong dalam ‘Ibadurrahman?
Lantaran itu, saya mengajak diri saya dan para pembaca membuat satu checklist terhadap diri kita sendiri, sebagai suatu titik perbandingan dan muhasabah, adakah kita memiliki sifat-sifat hamba Allah yang beriman yang layak menjadi seorang ‘Ibadurrahman.
Sifat-sifat ‘Ibadurrahman, hamba-hamba Allah yang beriman dalam al-Quran : Surah al-Furqaan ayat ke 63 – 74
1. Merendah diri, tidak bersifat sombong dan angkuh, memaafkan ucapan buruk dari orang yang jahil (bersabar) dan membalasnya dengan ucapan yang baik.
“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahmaan (yang Maha Pengasih), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan-santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” (Al-Furqaan: 63)
Mereka ini adalah orang-orang yang merasa mulia dengan kemuliaan Allah S.W.T dan nikmat Islam yang dikurniakan kepada mereka. Mereka berjalan di atas muka bumi dengan penuh kerendahan hati tanpa rasa sombong dan angkuh, tidak bersikap keras dan kejam terhadap orang lain. Bahkan jiwa mereka senantiasa merasa tenang dan tenteram tanpa tergesa-gesa ketika melakukan sesuatu. Penglihatan, pendengaran dan anggota tubuh mereka cukup sederhana. Bahkan mereka bersifat sabar dengan memaafkan ucapan buruk dari orang yang jahil sepertimana Rasulullah S.A.W tidak membalas perbuatan jahil mereka dengan kesabaran dan lemah lembut.
2. Bangun untuk melaksanakan solat di waktu malam (qiamullail)
“Dan orang yang melalui malam hari dengan keadaan sujud dan berdiri untuk Rabb mereka,” (al-Furqaan: 64)
Mereka ini adalah orang yang sedikit sekali tidur di waktu malam hari demi membuktikan ketaatan dan kecintaan kepada Allah S.W.T. Saat orang lain enak dibuai mimpi di akhir-akhir malam, mereka tenggelam dalam nikmatnya beribadah kepada Allah. Dalam keheningan dan kesepian, mereka memohon keampunan daripada Allah atas dosa-dosa yang telah mereka kerjakan ketika siang hari mahupun malam hari, baik dalam terang baik dalam sembunyi.
3. Takut kepada siksaan api neraka Jahannam
“Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan.”
“Sesungguhnya neraka Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat tinggal” (Al-Furqaan: 65 dan 66)
Hamba yang beriman, yakin kepada siksaanNya, lantaran kerana tidak sanggup menanggung penyiksaan itu, mereka berusaha untuk menjauhi dosa dan tidak putus-putus berdoa agar dijauhkan dari siksaan neraka Jahannam yang maha dahsyat dan terlalu buruk siksaannya.
4. Tidak terlalu boros dalam membelanjakan harta selain pada jalan Allah
“Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tidak bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah di antara kedua-duanya (boros dan bakhil) itu.” (al-Furqaan: 67)
Iaitu mereka yang tidak berlebih-lebihan dalam membelanjakan hartanya dalam urusan keduniaan, mengatur perbelanjaan sesuai dengan keperluan, tidak mengabaikan nafkah dan hak-hak keluarga di bawah tanggungan mereka, berlaku adil dan baik dalam memenuhi keperluan-keperluan itu, tidak terlebih dan tidak pula terkurang. Berlebih-lebihan dalam berbelanja hanyalah dibolehkan untuk tujuan fisabillah (infaq).
5. Menjauhi kesyirikan kepada Allah SWT, tidak membunuh, tidak berzina
“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak), dan tidak pula berzina dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya.”
“Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,” (al-Furqaan: 68-69)
Dan yang dikatakan hamba yang beriman itu adalah hamba yang menjauhi kesyirikan kepada Allah Yang Maha Esa, kerana syirik adalah dosa yang paling besar yang tidak akan diampunkan Allah S.W.T. Bahkan dosa syirik menurut Ibnu Abbas r.a, akan mengheret seorang hamba itu kepada dosa-dosa besar yang lain pula termasuk membunuh orang-orang yang tidak sepatutnya dibunuh, dan penzinaan. Barangsiapa yang melakukan perkara-perkara terkutuk tersebut pasti akan mendapat dosa yang berganda dan dikenakan azab yang pedih. Nauzubillahi min zaalik.
6. Bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha)
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”“Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal salih, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat” (al-Furqaan: 70-71)
Adapun tetapi, dengan cinta dan belas kasihan Allah S.W.T, Allah memberi peluang kedua buat hambaNya yang menzalimi diri sendiri untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat nasuha selagi mana mereka tidak melakukan kesyirikan kepada Allah S.W.T.
Orang beriman sentiasa memperbaharui taubatnya. Taubat membersihkan hati yang kotor akibat dosa, menggantikan amal-amal buruk yang telah dilakukan dengan kebaikan dan kebajikan. Malah orang yang benar-benar bertaubat setelah mengerjakan kemaksiatan akan dicampakkan ke dalam hati mereka rasa benci kepada kemaksiatan tersebut sehingga mereka tidak mahu kembali kepadanya lagi dan Allah Taala akan menukar keburukan itu dengan kebaikan buat mereka, membawa diri mereka keluar dari kegelapan, menuju cahaya.
7. Tidak memberikan persaksian palsu dan menjaga kehormatan diri
“Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat, mereka lalui (sahaja) dengan menjaga kehormatan diri.” (Al-Furqaan: 72)
Orang-orang yang beriman sentiasa menjaga lidah mereka daripada memberikan persaksian palsu iaitu berdusta secara sengaja kepada orang lain, mengucapkan kata-kata dusta. Dan mereka juga menjaga kehormatan diri mereka dengan menjauhi dan mengelakkan diri daripada berada di tempat-tempat yang sia-sia dan majlis-majlis yang melalaikan dan penuh kemaksiatan.
8. Memahami kebenaran dan memberi perhatian kepada ayat-ayat Allah
“Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Rabb mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang tuli dan buta.” (al-Furqaan:73)
Sifat ini membezakan sifat mukmin dan kafir yang apabila diberikan peringatan daripada ayat-ayat Allah, mereka memekakkan telinga dan membutakan mata seolah-olah mereka tidak mendengar dan tidak melihatnya. Mereka enggan menerima kebenaran dan tidak mahu mengubah keadaan mereka mengikut kehendak Allah, maka peringatan-peringatan Allah menjadi tidak bermanfaat buat mereka. Sedangkan bagi orang beriman, ayat-ayat Allah adalah peringatan yang bermanfaat sebagai panduan kehidupan di dunia, dan menyelamatkan mereka di akhirat kelak.
9. Mendoakan diri, keturunan dan ahli keluarga.
“Dan orang-orang yang berkata, ‘Wahai Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.” (al-Furqaan: 74)
Apabila ditanyakan mengenai ayat ini, Hassan al-Basri r.h menjawab bahawa demi Allah, tidak ada sesuatu yang dapat menyejukkan mata seorang Muslim berbanding saat ia melihat anak yang dilahirkannya dan saudara yang mengasihinya sebagai orang yang taat kepada Allah.
Seorang mukmin itu berasa begitu senang bahawa ibadah mereka bersambung kepada ibadah anak-anak dan keturunan mereka, hidayah yang mereka perolehi akhirnya bermanfaat kepada keturunannya sehingga pahalanya menjadi banyak dan baik tempat kembalinya sesudah kematian.
Sabar, kunci menjadi hamba ‘Ibadurrahman
Demikianlah bagaimana Allah Taala menyebutkan sifat-sifat ‘Ibadurrahman iaitu sifat-sifat hamba-Nya yang beriman dengan sifat-sifat yang indah serta perkataan dan perbuatan yang sangat terpuji. Lalu Allah mengakhiri ayat-ayat ini dengan janjiNya kepada orang-orang yang beriman serta ancaman bagi mereka yang mensyirikkanNya:
“Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat (kedudukan) yang tinggi (di dalam Syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,”
“Mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan kediaman.”
“Katakanlah (kepada orang-orang musyrik), Rabbku tidak akan mempedulikanmu jika tidak kerana ibadahmu. (Tetapi bagaimana kamu beribadah kepadaNya) padahal sungguh kamu telah mendustakannya? Kerana itu kelak azab akan menimpamu.” (al-Furqaan: 75-77)
Lihat bagaimana Allah menjanjikan balasan yang baik setelah hamba-hambanya berusaha melaksanakan hal-hal dan sifat-sifat tersebut kerana Allah tahu ia bukanlah sesuatu yang mudah malah menuntut kesabaran yang cukup tinggi. Orang yang tidak sabar tidak akan mampu memenuhi kehendak-kehendak Allah, maka ia tidak akan mampu menjadi ‘Ibadurrahman. Kerana itulah Allah meletakkan ciri kesabaran pada tempat yang pertama. Orang yang tidak sabar tidak akan mampu memaafkan orang lain, tidak mampu mengerjakan qiammullail dengan istiqamah, tidak mampu menahan diri daripada melakukan perkara membawa kepada api neraka, tidak mampu menahan diri daripada boros dalam berbelanja, tidak mampu mengawal diri daripada melakukan kesyirikan baik kecil mahu besar, tidak mampu menahan diri daripada membunuh dan berzina, tidak mampu menahan lidah dari berdusta, tidak mampu menjaga diri daripada melangkah ke tempat-tempah maksiat dan akhirnya putus asa daripada terus mendoakan kebaikan dirinya, zuriatnya serta keturunannya.
Bahkan tetapi, orang beriman yang bersabar dengan izin Allah dapat melakukan setiap satu daripada perkara tersebut langkah demi selangkah dan berperingkat-peringkat. Allah tidak akan membebankan manusia dengan sesuatu yang tidak mampu hambaNya pikul. Bermula dengan menjaga lidah dan hati, kepada pembinaan diri melalui qiammullail, mengawal nafsu duniawi, menahan diri daripada kesyirikan, zina dan pembunuhan, mendidik diri agar berkata benar dan menjaga maruah diri sehinggalah akhirnya dipinta kepada Allah S.W.T agar dikekalkan hidayah dan kebaikan kepada zuriat dan keturunannya.
Allah Maha Tahu dalam proses pembinaan diri menjadi hamba yang diredhai ini, adakala hamba pasti akan terjatuh dan diuji kerana jalan yang ditempuh bukanlah jalan yang indah malah dihiasi dugaan dan bisikan syaitan. Lalu dibukakan seluasnya ruang untuk taubat dan memperbaiki diri, agar seorang hamba itu dapat bangun kembali dan meneruskan perjalanannya menjadi ‘Ibadurrahman.
Penutup: Menjadi Mukmin yang ‘Ibadurrahman, atau sekadar Muslim yang mengucap syahadah
Begitulah peringatan dan panduan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita hambaNya agar kita berfikir, memahami, dan berusaha menjadi hamba yang Dia kasih dan redha. Sifat-sifat hamba yang beriman atau ‘Ibadurrahman membezakan seorang hamba yang mukmin dengan seorang hamba yang musyrik. Seorang musyrik itu mengaku dengan lisan bahawa dia meyakini kewujudan Allah, tetapi hatinya mempersekutukan Allah dengan ciptaan, bahkan tindakan dan perbuatannya tidak langsung menggambarkan keimanannya.
Justeru, di sinilah muhasabah kita bermula. Sekiranya kita tidak memenuhi satu pun daripada ciri-ciri hamba yang beriman seperti yang telah dinyatakan tersebut, nampaknya kita perlu mula risau bagaimanakah keadaan hati kita sebenarnya. Adakah kita ini seorang mukmin yang diredhai Allah, atau kita hanya seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah semata-mata. Dan yakinlah, Allah SWT sentiasa mengalu-alukan taubat hambaNya.
Wallahua’lam.
——————————————————————————————————————————————————-
Rujukan Tafsir Al-Quran:
Tafsir Ibn Kathir, Jilid 6, juzuk ke 19, Surah al-Furqaan ayat 63 hingga 77.
The post Membentuk Peribadi ‘Ibadurrahman, Agar Allah Kasih dan Redha appeared first on Langit Ilahi.
July 20, 2014
30 Hari Mencari Tuhan: Mereka Yang Memilih Untuk Beriman KepadaNya dan Mereka Yang Derhaka.
Di dalam sejarah kemanusiaan, telah berlalu sebelum kita generasi demi generasi. Di antara mereka ada yang memilih untuk beriman dan tunduk kepada Allah SWT. Ada pula di antara mereka yang memilih untuk menderhakaiNya.
Kita sebagai generasi yang hadir di kemudian hari, adalah bijak bagi kita untuk belajar dari generasi-generasi lepas. Agar kelebihan yang ada pada mereka dapat kita contohi dan teladani, manakala apa yang buruk telah mereka lakukan dapat kita jadikan sempadan.
Melihat Kepada Mereka
Kita melihat kepada manusia-manusia atau sekumpulan manusia yang telah memilih untuk beriman kepada Allah SWT sepanjang sejarah kemanusiaan ini.
Kita cuba melihat kepada Nuh AS dan mereka yang telah beriman dengan apa yang dibawa olehnya. Kita melihat walaupun Nuh AS diuji dengan kesukaran dalam berdakwah, Allah SWT telah memberikan baginda satu jangka masa yang amat panjang untuk memikul tanggungjawab dakwah ini – yakni selama 950 tahun – dan dakwahnya pula tidak diterima oleh kaumnya ketika itu. Yang menerima hanya segelintir, sekitar 83 orang sahaja. Kaumnya pula bukan sekadar tidak menerima, bahkan menghina, mengeji, dan mengganggu pula urusan dakwah baginda. Tidak cukup dengan itu, antara yang menentang dakwah baginda adalah isteri dan anak baginda sendiri.
Beratnya ujian Nabi Nuh AS, dan mereka yang memilih untuk beriman dengannya.
Namun apakah pengakhiran mereka?
Mereka dipilih oleh Allah SWT sebagai orang-orang yang selamat, saat bahtera yang dibina di tengah daratan mengalir di atas banjir besar yang menenggelamkan walaupun gunung ganang. Ketika semua yang selama ini menentang dan mengeji hancur musnah diazab oleh Allah SWT, mereka selamat dan menjadi penerus kepada kelangsungan kehidupan manusia di atas muka bumi ini.
“Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir. Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung ‘Judi’ serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim.” Surah Hud ayat 42-44.
Kita melihat pula kepada Ibrahim AS. Baginda memikul tanggungjawab dakwah semenjak remaja. Baginda telah dengan beraninya meruntuhkan berhala-berhala sembahan kaumnya, yang ditukangi sendiri oleh bapanya. Baginda menjawab persoalan-persoalan kaumnya dengan bijak. Menjemput kemarahan kaumnya hingga dilemparkan ke dalam api yang marak menyala.
Apakah pengakhiran kepada Ibrahim AS?
“Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim? Dia menjawab: (Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata. Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim. Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)? Nabi Ibrahim berkata: Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu? (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya! Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).” Surah Al-Anbiya’ ayat 62-70.
Baginda diselamatkan oleh Allah SWT, yang telah mengarahkan agar api itu menjadi sejahtera buat Ibrahim AS. Allah SWT kemudian menjadikan Ibrahim AS sebagai antara NabiNya yang terulung, dengan dari keturunannya diutus para Nabi. Anaknya Ishaq diangkat menjadi Nabi, dan dari Ishaq datangnya Ya’kub, Yusuf dan Nabi-Nabi dari keturunan Bani Israel. Manakala anaknya yang sulung, Ismail, juga diangkat menjadi Nabi, dan dari keturunan Ismail, datanglah Nabi Muhammad, Rasulullah, yang kita semua ikuti dan cintai.
“Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh. Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.” Surah Assaffat ayat 108-113.
Kita lihat pula kepada Yusuf AS. Dia memilih untuk beriman kepada Allah SWT. Diuji semenjak kecil, dengan dibuang ke dalam telaga oleh abang-abangnya. Kemudian dia diselamatkan, dan diambil oleh pemimpin Mesir. Di sana dia diuji lagi, dengan digoda oleh Isteri Pemimpin Mesir itu, dan atas keimanannya kepada Allah, dia menolak. Disebabkan itu, dia dipenjarakan.
Apakah balasan Allah SWT buat Yusuf AS?
“Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman. Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.” Surah Yusuf ayat 99-101.
Dia bebas dan kemudiannya menjadi penasihat Mesir. Menyelamatkan Mesir dari bencana kemarau, dan Allah SWT memulangkan kepadannya keluarganya, serta memuliakan Yusuf di kalangan mereka.
Kita lihat pula kemudiannya kepada Musa AS. Dia yang dibesarkan di Istana Firaun, diuji Allah SWT apabila menumbuk mati salah seorang bangsa Qibti, yang membuatkan dia kemudiannya melarikan diri. Dididik oleh Nabi Syu’aib di Madyan, seterusnya diangkat menjadi Rasul untuk pulang berdakwah kepada bapa angkatnya – Firaun.
Dia diuji dengan pelbagai ujian. Hingga ke tahap dia terpaksa membawa Bani Israel untuk keluar dari cengkaman Firaun. Dan di sana juga dia masih diuji, dengan tersekat antara laut merah dan tentera Friaun yang ingin menghapuskan mereka.
Apakah yang Allah lakukan kepda Musa AS?
“Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit. Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan. Nabi Musa menjawab: Sesekali tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), yang memberikan petunjuk!. Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Pukulah laut itu dengan tongkatmu. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ. Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya). Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakkan mereka tidak juga mahu beriman.” Surah Asy-Syu’ara’ ayat 60-67.
Allah SWT telah membelahkan laut buatnya, menyelamatkan dirinya dan kaumnya, kemudian menenggelamkan Firaun dan mengekalkan pula jasad Firaun itu buat pengajaran generasi seterusnya.
Kita lihat pula Nabi Lut yang diutuskan kepada kaumnya, Nabi Saleh yang diutuskan kepada Kaum Thamud, dan Nabi Hud yang diutuskan kepada kaum ‘Ad.
Mereka ini mendapat kesukaran dalam urusan dakwah mereka. Kaum mereka berdegil dan tidak mahu beriman.
Kaum Nabi Lut berdegil dengan nafsu homoseksual mereka, bahkan bertindak hendak menceroboh rumah Nabi Lut, kerana bernafsukan para malaikat yang datang pada ketika itu dengan wajah lelaki kacak.
“Maka tidak lain jawapan kaumnya adalah mengatakan: Usirlah Luth beserta keluarganya dari negerimu; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang (menyatakan diri mereka) bersih.” Surah An-Naml ayat 56.
“Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar. Nabi Lut berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, tolonglah daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka).” Surah Al-Ankabut ayat 29.
Kaum Nabi Saleh pula bertindak mencabar dengan menyembelih Unta mukjizat.
“Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan.” Surah Hud ayat 65.
Kaum ‘Ad pula berdegil walau telah diberikan amaran. Terus kekal dengan pilihan hendak menderhakai Allah SWT.
“Mereka berkata: Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu! Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu)”. Surah Hud ayat 53-54.
Apakah balasan Allah SWT kepada orang-orang yang beriman kepadaNya?
Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Lut, Nabi Saleh, Nabi Hud dan kaum mereka yang memilih untuk beriman. Manakala Kaum Nabi Lut, KaumThamud, Kaum ‘Ad dihancurkan dan diazab dengan bencana yang dasyat.
Diriwayatkan Kaum Nabi Lut diangkat tinggi ke langit dan kemudian dihempas secara terbalik. Tempat mereka kini dikenali sebagai Laut Mati, laut yang amat masin hingga kita tidak boleh tenggelam di dalamnya, dan tempat terendah di atas muka bumi.
KaumThamud dan Kaum ‘Ad, yang terkenal sebagai penoreh gunung ganang dan perkasa, tiada seorang pun dari kalangan mereka yang selamat. Bahkan Rasulullah SAW pernah singgah ke Hijr, tempat Kaum Thamud, Rasulullah SAW telah melarang para sahabat dari meminum air yang wujud pada telaga di situ, dan Rasulullah SAW tidak berlama-lama di tempat tersebut.
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah (binasakan bandar itu dan telah) tinggalkan bekas-bekasnya sebagai satu tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang-orang yang mahu memahaminya.” Surah Al-Ankabut ayat 35.
Kita pandang pula kepada Kaum Nabi Yunus AS. Mereka pada asalnya tidak mahu beriman, sehingga Nabi Yunus marah dan meninggalkan mereka untuk diazab oleh Allah SWT. Saat azab semakin hampir, mereka memilih untuk beriman. Apakah balasan Allah SWT buat mereka?
“Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya selain kaum Yunus? Tatkala mereka (kaum Yunus itu), beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu yang tertentu.” Surah Yunus ayat 98.
Allah SWT telah menurunkan rahmatNya ke atas kaum ini, dan terpahatlah pujian Allah SWT untuk kaum Yunus AS di dalam Al-Quran, buat tatapan manusia hingga ke akhir zaman.
Kita pergi sebentar kepada pemuda-pemuda Kahfi, yang memilih untuk beriman kepada Allah SWT lantas diburu oleh pemerintah yang zalim. Allah SWT telah menyelamatkan mereka, menidurkan mereka di dalam gua selama 300 tahun, dan kemudian membangkitkan mereka sebentar sebagai bukti kebesaranNya. Mereka bangkit saat orang ramai telah tunduk kepada Allah SWT, dan akhirnya jadilah mereka golongan yang dimuliakan, hingga ke hari ini. Sedang kerajaan dan pemerintah yang zalim pada zaman mereka telah tiada dan hilang begitu sahaja ditelan zaman.
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” Surah Al-Kahfi ayat 13.
Kita lihatlah pula kepada Nabi kita, Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Yang telah menggerakkan dakwah dan perjuangan Islam selama 23 tahun. Diuji dengan pelbagai ujian, ditentang oleh pelbagai pihak. Namun sedikit pun mereka tidak berhenti dan mengalah. Bahkan langkah diteruskan dan diluaskan usaha-usaha.
Mereka bukan ditentang oleh orang-orang yang kecil. Antara penentang mereka ialah Abu Jahal, seorang yang gagah perkasa serta dihormati masyarakat Makkah. Antara penentang mereka juga ialah Abu Lahab, pakcik kepada Rasulullah SAW sendiri. Di fasa Makkah, mereka melalui pelbagai seksaan dan kejian. Ada yang gugur dan diseksa dengan begitu teruk sekali seperti Sumaiyyah yang syahid, dan Bilal bin Rabah yang diletakkan batu besar atas badannya.
Mereka hingga terpaksa meninggalkan Makkah yang mereka cintai, berhijrah ke Madinah dan membina kerajaan sendiri. Ujian tetap belum berakhir.
Mereka diuji pula dengan fasa peperangan. Quraisy Makkah berperang dengan mereka di Badar dan Uhud. Pada peperangan Khandaq, Quraisy Makkah bersatu dengan pelbagai kaum untuk menumbangkan mereka di Madinah.
Ummat Islam mendapat tentangan bukan sahaja dari luar, tetapi juga dari kaum Yahudi yang duduk di dalam Madinah, dan telah mempunyai janji sepakat sebelum ini dengan mereka. Berlakulah peperangan antara mereka di Khaibar, kubu orang-orang Yahudi.
Bila kekuatan Islam semakin meningkat di Madinah, Rom pun mula rasa tercabar dan mula menghantarkan tenteranya. Berlakulah peperangan Mu’tah, peperangan Tabuk.
Namun akhirnya apakah balasan Allah SWT kepada yang beriman?
Makkah kembali ke tangan Islam, dan seluruh penduduknya beriman. Begitulah juga seluruh jazirah Arab, berbondong-bondong manusia datang dan mengkhabarkan kemasukan mereka ke dalam Islam. Bahkan selepas kewafatan Rasulullah SAW, Islam terus berkembang dan berkembang, perjuangan diteruskan oleh para sahabat, para tabi’in, dan mereka yang mengikuti mereka selepas itu. Hingga ke hari ini.
Di manakah Abu Jahal? Dia mati dengan hina sekali di peperangan Badar. Bukan ditumbangkan oleh jaguh ternama pun, dia jatuh di tangan remaja belasan tahun, Mu’adz dan Mu’awwidz. Kemudian mati di tangan Abdullah ibn Mas’ud.
Di manakah Abu Lahab? Dia mati dalam kekufuran. Diserang penyakit. Mati dalam penderitaan. Bahkan namanya terabadi di dalam Al-Quran sebagai ahli neraka bersama isterinya, sebagai peringatan daripada Allah SWT kepada yang lain-lainnya.
Begitulah juga Yahudi dan Rom serta Parsi yang menentang cahaya Islam. Mereka semua akhirnya roboh dan terpaksa tunduk di bawah pemerintahan Islam.
Hinggalah ummat Islam itu sendiri memilih untuk membelakangkan Islam. Memilih untuk derhaka kepada Allah SWT. Memilih untuk hidup dengan sistem yang tidak mengangkat syariat Allah SWT. Yang menyebabkan Allah SWT menarik pula kemenangan dan segala kekuatan yang telah Dia kurniakan kepada mereka yang beriman.
Paten Kemenangan, dan Paten Kehancuran
Kita dapat melihat dari pergerakan sejarah kehidupan manusia yang telah kita lewati sebentar tadi, bahawa paten kemenangan adalah apabila seseorang atau satu-satu kaum/kumpulan itu tunduk kepada Allah SWT.
Di sana, mereka akan dijauhkan dari bala bencana, dikurniakan kemakmuran, diberikan kemenangan. Bahkan Allah SWT sendiri berjanji sedemikian rupa bagi mereka yang mentaatiNya.
Itu pula baru apa yang digambarkan pada kemenangan duniawi. Tewas menang dalam peperangan. Ada juga sebenarnya Nabi yang mati dibunuh, seperti Nabi Yahya dan Nabi Dzakariyya. Tetapi apakah itu menandakan mereka tewas?
Kemenangan tetap datang buat semua yang beriman kepada Allah SWT, kalau bukan di dunia yang sementara ini, di akhirat yang kekal abadi itu adalah pasti. Dan kemenangan di akhirat kelak sebenarnya adalah kemenangan yang sebenar, yang hakiki.
Namun kita melihat semula kehidupan kita hari ini.
Apakah cara hidup kita hari ini adalah cara hidup yang menjemput keredhaanNya, sekaligus menjemput sebuah kemenangan?
Atau sebenarnya cara hidup kita kini adalah cara hidup yang menjemput kemurkaanNya, sekaligus itulah sebabnya mengapa kita sedang berada dalam ketewasan yang berpanjangan?
Sejarah kehidupan manusia telah menjadi bukti bahawa mereka yang telah menderhakai Allah SWT, tidak akan mengecap kejayaan. Lihatlah kepada Iblis yang menderhakai Allah SWT, dia akhirnya dihalau keluar dari syugaNya. Dan lihatlah apabila Adam dan Hawwa juga menderhakai Alah SWT, mereka juga akhirnya dihalau keluar dari syurgaNya. Begitulah kita jika ingin menderhaka kepada Allah SWT. Kita akan kehilangan kekuatan, sumber kesenangan dan ketenangan, lantas akan menjadi kumpulan yang tewas!
Hanya yang benar-benar tunduk kepada Allah, yang mencari keredhaanNya, yang hidup atas syariatNya, itulah sahaja golongan yang akan berjaya. Golongan ini pula takkan sepi dari ujian demi ujian.
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Dan golongan yang berjaya ini, tetap akan wujud. Sama ada kita berada di dalamnya, atau kita tidak berada di dalamnya.
Persoalannya, apakah kita mahu bersama dengan kemenangan?
Jika ya, maka berimanlah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar keimanan, dan biarlah keimanan itu menggerakkan kehidupan kita!
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Mereka Yang Memilih Untuk Beriman KepadaNya dan Mereka Yang Derhaka. appeared first on Langit Ilahi.