30 Hari Mencari Tuhan: Dia Yang Mengetahui Apa Di Dalam Rahim
Manusia sering berusaha untuk mencapai kemajuan. Teknologi yang semakin berkembang, serta kemampuan-kemampuan yang berjaya dicapai lebih-lebih lagi pada masa era kini, menyebabkan kadang-kadang manusia rasa bongkak dan ingin menandingi Tuhan.
Namun hakikatnya Tuhan itu tidak akan sesekali dapat ditandingi. Allah bukanlah Tuhan seperti yang digambarkan di dalam filem-filem Hollywood, boleh ditandingi dan ditewaskan. Boleh merasa lelah dan susah. Memerlukan bantuan manusia. Tidak dan tidak.
Allah SWT itu Maha Agung.
Apa Di Dalam Rahim
Pada masa manusia sudah mampu mempunyai teknologi untuk mengesahkan jantina bayi di dalam rahim ibu yang mengandung, ada yang mungkin merasakan bahawa kini manusia telah sampai kepada teknologi Tuhan. Kerana Tuhan menyatakan yang Dia mengetahui apa di dalam rahim.
“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua Yang Menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung) dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Luas pengetahuanNya.” Surah Luqman ayat 34.
Namun sebenarnya orang yang beranggapan sedemikian rupa telah memperkecilkan keluasan ilmu Allah SWT dan kebijaksanaanNya.
Langsung sebenarnya tidak sampai kehebatan kita dengan Allah SWT. Tidak dahulu, tidak juga sekarang dan tidak akan kemudian.
Kita sepatutnya memerhatikan ayat itu dengan lengkap dan merasa kerdil dengan kehebatan Allah SWT.
Kita mungkin kini sudah dapat mengetahui apa jantina bayi di dalam rahim ibu. Tetapi apakah kita tahu bagaimana bayi itu membesar nanti? Apakah kita tahu bagaimana dia akan mati? Apakah kita tahu kadar rezeki yang bakal dia perolehi?
Tidak. Dan kita tidak akan sesekali dapat mengetahui.
Tetapi Allah SWT Maha Mengetahui.
Itulah yang dimaksudkan Allah SWT apabila Dia menyebut bahawa Dia mengetahui sebenar-benarnya apa yang berada di dalam rahim. Bukan sekadar jantinanya. Tetapi semua yang tadi.
Allahuakbar.
Tidak hairanlah ayat ini Allah SWT iringi dengan penyataan bahawa:
1 – Allah SWT punya pengetahuan yang tepat berkait hari kiamat.
2 – Allah SWT menyatakan bahawa manusia tidak akan benar-benar mengetahui apa yang bakal diusahakannya esok.
3 – Allah SWT menyatakan bahawa manusia tidak akan dapat mengetahui secara tepat di manakah dia akan mati nanti.
4 – Allah menyatakan bahawa pengetahuanNya amat luas.
Tidak Ada Yang Terlepas Dari Pengetahuan Allah SWT
Berbicara berkait pengetahuan Allah SWT, sesungguhnya tidak akan ada yang dapat berselindung dari pandangan dan pengetahuanNya.
“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali dia sendiri, dan dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)” Surah Al-An’am ayat 59.
Walau sehelai daun yang gugur, walau biji yang jatuh dalam kegelapan, atau ada perkara yang dari kering menjadi basah atau basah menjadi kering, tiada satu pun yang akan terlepas dari pengetahuan Allah SWT.
Allah SWT mengetahui segala-galanya.
Kerana itu, diri kita juga tidak akan sesekali terlepas dari penilaianNya.
Saya sering mengulang ayat berikut:
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.
Dan dek kerana detailnya penilaian Allah SWT ini, maka orang-orang yang hidupnya penuh kederhakaan, penuh dengan menjemput kemurkaan Allah SWT, akan rasa takut di akhirat kelak kerana tahu dirinya tidak akan terlepas. Hingga mereka berharap yang mereka dahulu di dunia hanya debu tanah.
“Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): Alangkah baiknya kalau aku(dahulu di dunia) adalah tanah.” Surah An-Naba’ ayat 40.
Ilmu kita dan Ilmu Allah SWT
Allah SWT berfirman: “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Luqman ayat 27.
Begitu sekali luasnya ilmu Allah SWT. Dialah yang menjadikan dunia ini, dan seluruh yang wujud di dalamnya. Dialah yang mengetahui sebenar-benarnya akan segala-gala. Dia tidak lupa dan tidak pula akan terlupa.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” Surah Al-Kahfi ayat 109.
Namun indahnya Allah SWT, Dia tidak pula sekadar mahu kita mengetahui yang Dia Maha Mengetahui, serta segala ilmu di dunia ini adalah kepunyaanNya, semata-mata. Dia sendiri menggalakkan kita untuk keluar menuntut ilmu, dan memberikan kefahaman kepada diri kita sendiri.
WahyuNya yang pertama sudah merupakan seruan agar kita menambah faham dengan pembacaan. Bahkan di sana, tidak pula Dia terus menjenamakan dirinya sebagai Allah, tetapi Dia menyeru kita agar mencari Tuhan.
Sheikh saya di Yarmouk, Dr Ala’ Hilat, pernah berkata di dalam kelas Aqidah yang saya hadiri, bahawa Allah SWT amat menghormati akal yang Dia ciptakan. Kerana itu, di dalam Al-Quran, ada ayat-ayat yang muhkamat(tetap), dan ayat-ayat yang musytabihat(punya pelbagai tafsiran). Ayat-ayat musytabihat itu adalah sebagai penghormatan terhadap akal manusia untuk berfikir.
Sebab itu lihatlah firman Allah SWT:
“Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan,” Surah Al-Mujadilah ayat 11.
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.” Surah Fathir ayat 28.
Allah SWT menggesa kita untuk menambah ilmu, agar kita tidak menjadi bodoh serta tidak tahu. Agar kita kenal Allah SWT, bukan untuk memenjarakan diri kita hanya di masjid atau tikar sejadah, tetapi untuk memikul tanggungjawab sebagai khalifah, agar dapat membawa orang ramai ke arah pengabdian kepada Allah SWT tadi.
Walaupun ilmu kita takkan dapat setanding dengan ilmu Allah SWT, tetapi dengan ilmu yang terus menerus kita cari, maka kita akan kenal mana baik dan buruk, apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu dihindarkan, apa yang perlu dibuat kawan dan apa yang perlu kita jadikan lawan.
Dengannya kita akan hidup dengan lebih harmoni, dan dapat melaksanakan peningkatan.
Dengan Ilmu, Kita Tunduk KepadaNya
Sebelum wujud segala teknologi, Allah SWT telah mengetahui. Lihatlah bagaimana Al-Quran turun pada zaman tidak wujudnya teknologi, tetapi Allah SWT telah menurunkan ayat berkait embriologi ketika itu. Allah SWT telah menyatakan perihal ‘big bang’ ketika itu. Allah SWT telah menyentuh perihal kulit sebagai reseptor sakit ketika itu.
Bahkan amat banyak sebenarnya rahsia-rahsia alam ini, yang terkandung di dalam Al-Quran, yang hanya dapat didedahkan oleh teknologi kita pada era ini, walaupun Al-Quran telah turun 1400 tahun yang lampau.
Ilmu kita sangat kerdil.
Namun dengan sentiasa istiqomah dalam pencarian ilmulah kita mendapat kebenaran. Kerana cintakan ilmu, kerana hendak menambah ilmu, kita membaca artikel ini.
Sebab itu jangan jemu menuntut ilmu. Bukan untuk menyaingi Tuhan, kerana kita tidak akan sesekali dapat menyaingiNya. Tetapi adalah untuk lebih kenal Allah SWT, dan memberikan peningkatan terhadap cara hidup kita.
Dengan ilmu, kita tunduk kepadaNya.
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Dia Yang Mengetahui Apa Di Dalam Rahim appeared first on Langit Ilahi.