Hilal Asyraf's Blog, page 51
September 20, 2014
Perkongsian: Pengembara Yang Ketinggalan Bas
Dia berjalan-jalan ke sana ke mari tanpa tujuan. Adakala dia melihat bintang di sebalik awan, malam amat pekat. Dia tertanya-tanya apa yang dia cari sebenarnya? Dia berjalan tapi dia tidak tahu ke mana arahnya. Apa yang dia dapat? Letih sahaja. Sia-sia. Kasutnya haus. Duitnya kehabisan. Lalu dia menjadi seorang yang gagal. Inilah pengembara yang merantau tanpa matlamat dan tujuan, tidak tahu destinasi pilihan. Sekiranya kita tidak tahu apa yang kita mahu, mana mungkin kita dapat mencapai sesuatu dalam hidup ini? Hidup mesti ada target. Target itu yang akan menggerakkan kita untuk membuat perancangan dan berusaha ke arahnya.
Saya juga pernah menjadi orang yang hidup tanpa tujuan. Belajar bersungguh-sungguh tanpa ada cita-cita. Belajar sekadar mahu mendapat pencapaian yang terbaik dalam peperiksaan. Saya kira itu semua berlaku semenjak saya darjah satu sehingga tingkatan tiga. Sehinggalah suatu hari di tingkatan tiga, saya semakin keliru, kenapa saya perlu belajar bersungguh-sungguh? apa yang saya mahu capai sebenarnya? melihat ramai teman-teman seangkatan lain yang semakin hebat pencapaian mereka dalam pelajaran, dengan kematangan yang sangat mengagumkan, saya jadi putus asa lalu saya berkata pada diri sendiri, ah biarlah mereka, dah malas nak bersaing. Kerana apa jadi begitu? kerana saya bergerak tanpa matlamat, tiada objektif yang hendak saya capai. Tiada cita-cita. Maka jadilah saya pelajar yang mempunyai pencapaian yang biasa-biasa sahaja, malah saya tidak mengisi pun borang UPU selepas tamat SPM dan tekad untuk menyambung pelajaran ke peringkat STAM. Ketika itulah, segalanya berubah.
Tertinggal Bas, Beli Tiket Baru
Suatu ketika dahulu, saya hanya bersungguh-sungguh dalam subjek yang saya minati, dan bermain-main dalam subjek yang saya kurang gemar. Hasilnya saya mendapat keputusan yang sangat baik dalam subjek-subjek kegemaran, tetapi nyaris-nyaris gagal dalam subjek yang sebaliknya. Pada ketika itu saya melihat diri saya sebagai seorang pengembara yang ditinggalkan rombongannya. Saat orang lain sudah ke hadapan, saya masih di belakang tertanya-tanya destinasi mana yang harus saya tuju.
Kemudian saat rakan-rakan lain menjejak kaki di alam IPT, saya masih di sekolah menduduki STAM. Bergelar budak sekolah di saat sahabat-sahabat lain bergelar mahasiswa, itu bukanlah sesuatu yang menarik. Tetapi inilah tiket saya untuk melakukan anjakan paradigma loncatan saujana. Saya tertinggal bas, maka saya wajib membeli tiket yang baru setelah saya kenalpasti ke mana destinasi yang harus saya tuju. Saya bermula semula.
Sebenarnya tidak terlambat untuk kita berusaha. Kematangan itu hadir tanpa mengira usia. Ada orang matang awal, ada orang sehingga tua pun masih tidak matang-matang lagi. Ia bukanlah sesuatu yang boleh dibuat-buat. Perubahan itu berlaku perlahan. Diri kita dan pemikiran kita di saat ini, tidak sama dengan diri kita dan pemikiran kita dua tahun yang lepas. Melainkan kita sendiri yang tidak mahu menggerakkan diri untuk ke hadapan, maka lainlah ceritanya pula, masih tersepit di takuk lama. Pada hari ini saya sendiri tidak percaya bahawa saya telah berjaya sampai ke tahap ini. Ini baru suatu permulaan menuju ke sebuah destinasi, tapi yang pasti, sekiranya anda pernah ketinggalan bas, ditinggalkan orang lain jauh ke hadapan, masih belum terlewat untuk membeli tiket baru dan meneruskan perjalanan sendiri.
Ada Aku Kisah?
Dalam perjalanan itu pula, ada likunya, ada durinya. Sudah menjadi norma dan adat manusia apabila berjaya, akan ada yang menyimpan perasaan yang tidak baik, dengki, cemburu dan sebagainya. Dalam proses itu, kita mungkin pernah dikutuk kononnya berlagak dan bangga dengan pencapaian peperiksaan yang memberangsangkan. Kita mungkin juga akan dicop sebagai memilih kawan, hanya berkawan dengan yang hebat-hebat sahaja. Sedangkan kita sedang mencari kawan-kawan yang positif dan hebat duniawi dan ukhrawinya supaya kita dapat berkongsi nilai positif dan semangat yang mereka ada sebagai suatu cabaran dan dorongan untuk kita ke hadapan, tidak bermakna kita melihat rakan-rakan lain dengan pandangan yang merendahkan dan mengabaikan mereka saat memerlukan pertolongan.
Hanya kerana kita lain dari yang lain, hanya kerana kita kuat berusaha dan bersemangat dalam setiap perkara yang kita lakukan, orang melabel kita sebagai seorang yang poyo. Tapi orang poyo selalu berjaya. Itu prinsip saya.
Kerana orang poyo itu ke hadapan menyuarakan pendapatnya saat orang lain masih takut-takut atau tidak mahu peduli langsung dengan apa yang terjadi di sekelilingnya. Orang poyo itu juga lah yang sering mencuba sesuatu yang tak pernah orang lain lakukan. Dia berani, dia tak peduli, dia lakukan apa yang dia mahu untuk mencapai apa yang dia mahu. Bagi saya, itu bagus. Kerana orang poyo selalunya berjaya.Kebanyakan tokoh-tokoh yang ada pada hari, jika disusuri kembali perjalanan hidup mereka, mereka adalah dari kalangan orang-orang poyo yang sering dikutuk dan disisihkan rakan-rakan, malah juga guru-guru dan pengajar.
Jadi? Ada aku kisah?
Singkirkan pandangan-pandangan negatif dan pesimis dari orang-orang yang berada di sekeliling kita kerana terlalu bergantung pada apa kata orang hanya akan membantutkan perjalanan kita mengejar apa yag kita mahukan.
Kita yang mahu berjaya, bukan mereka.
Kita yang sedang berusaha, bukan mereka.Ini cita-cita kita, bukan cita-cita mereka.
Ini hidup kita, bukan hidup mereka.
Jangan buang masa menghadam nista yang sia-sia.
Singkirkan mereka yang menjadi penghalang.
Penutup: Tak Mampu Buat Semua, Jangan Tinggal Semua
Jika dipinta seorang profesor atau doktor membaiki enjin kereta yang rosak, saya pasti tidak semua tahu melakukannya. Mereka pandai, tetapi mereka tidak tahu semua perkara. Cuba minta seorang orang biasa yang lulus hanya setakat SPM cukup makan sahaja, yang bekerja di sebuah bengkel kereta, saya pasti dia mampu menerangkan segalanya tentang enjin kereta malah boleh membaikinya walaupun dia bukan seorang graduan universiti apatah lagi mempunyai PhD. Apa yang dia lakukan ialah, dia belajar dari mata turun ke hati. Setiap hari dia melihat orang membaik pulih kereta, dia belajar melakukannya langkah demi langkah sehingga dia cekap melakukannya dan tidak mustahil dia akan membuka bengkel sendiri suatu hari nanti. Itu juga satu bentuk kejayaan. Pengalaman, kemahiran dan kepakaran itu penting, bukannya pangkat dan gelaran.
Oleh itu, kalau tak mampu buat semua, jangan tinggal semua. Kejayaan bukan milik orang cerdik pandai, tetapi ia milik orang yang positif. Cari potensi sendiri. Allah sangat tidak sukakan orang yang berputus asa. Allah tidak meminta manusia menjadi doktor, engineer, juruterbang, arkitek, mekanik, ahli perniagaan dan sebagainya lagi, tetapi semua ini adalah pilihan manusia itu sendiri. Manusia memilih, lalu Allah menunjukkan jalan. Hidup ini suatu pilihan. Dan pilihan itu haruslah pilihan yang Allah redha. Pilihan yang Allah redha ialah pilihan yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Di pertengahan jalan, kita mungkin akan berubah fikiran dan menukar keputusan, tapi yang penting, teruskan. Orang gagal yang sebenar adalah orang yang duduk sahaja, berputus asa dan tidak mahu berbuat apa-apa lagi dengan alasan, “nak buat macam mana, aku memang macam ni..”
Jangan takut untuk berbuat kesilapan. Kerana dari kesilapanlah kita akan belajar perkara yang betul.
Bergeraklah kerana Allah mahu kita bergerak.
Berjayalah kerana Allah mahu kita berjaya.
The post Perkongsian: Pengembara Yang Ketinggalan Bas appeared first on Langit Ilahi.
September 16, 2014
Umum: YouthACE 2015 – Belia & Masa Depan
Youth Awards, Convention & Exhibition (YouthACE)2015 insyaAllah akan dianjurkan oleh LangitIlahi pada 25hb & 26hb April 2015.
Membawa tema “Belia & Masa Depan”, kami mensasarkan 3000-3500 peserta. Program ini akan berlangsung di Wilayah Tengah.
————–
Pendaftaran
————–
Pendaftaran untuk program ini akan dibuka seawal 18hb Oktober 2014, dengan promosi yuran terendah pada Oktober, November & Disember. Harga yuran akan dimaklumkan semasa pendaftaran dibuka.
————–
Slot
————–
InsyaAllah YouthACE 2015 akan diisi dengan slot-slot berikut:
Hari Pertama -
Slot 1: Ucaptama – Belia & Masa Depan
Slot 2: Belia & Survival Masa Mendatang
Slot 3: Belia Kritis Melalui Tindakan
Slot 4: Forum – Belia Penggerak Islah Masa Depan
Slot 5: Belia Mencari Makna Dirinya
Slot Malam -
Tayangan Perdana Filem karya Qawiem Khairi of LangitIlahi.
Persembahan nasyid
Pelancaran karya-karya ikon LangitIlahi
Pembentangan pencapaian dan aktiviti-aktiviti LangitIlahi
Hari Kedua -
Slot 6: Pentas Belia*
Slot 7: Menghadapi Masa Depan Dengan Ilmu
Slot 8: Forum – Belia & Peranan Terhadap Negara(akan menjemput ahli politik daripada pihak kerajaan & pembangkang, serta ahli akademik sebagai panel)
Slot 9: Muhasabah Belia – Tanggungjawab Mencorak Masa Depan
*Slot Pentas Belia adalah slot yang kami khaskan untuk para belia naik ke pentas, dan membentangkan perkara yang dirasakan bermanfaat dan bermakna, kepada audiens yang hadir. Seorang akan diberikan masa sekitar 5 minit. Akan ruang untuk sekitar 6-7 orang belia. Bagaimana untuk mendapatkan tempat ini? Kami akan nyatakan kemudian secara detail selepas pendaftaran dibuka.
————–
Pertandingan Anugerah Belia
————–
Sepanjang tempoh pendaftaran dari Oktober – April, akan berlangsung Pertandingan Anugerah Belia untuk disertai oleh peserta-peserta YouthACE 2015. Anugerah-anugerah yang bakal dipertandingkan adalah seperti berikut:
Penulis Artikel Terbaik
Penulis Cerpen Terbaik
Sketsa Terbaik
Filem Pendek Terbaik
Nasyid Terbaik
Poster Terbaik
Komik Terbaik
The Best Article In English
The Best Spoken Poetry
Hadiah yang disediakan ialah berbentuk wang tunai dan piala.
Turut ada ialah Anugerah Khas :-
Pendaftar Teramai(yakni yang berjaya membawa paling ramai peserta YouthACE bersamanya). Tempat pertama, kedua dan ketiga.
Hadiah yang disediakan ialah berbentuk wang tunai.
Detail anugerah, seperti syarat-syaratnya, akan dimaklumkan kemudian selepas pendaftaran YouthACE 2015 dilancarkan.
————–
Pameran
————–
Kami mengalu-alukan NGO belia, kebajikan, dakwah untuk bersama-sama kami menyemarakkan lagi YouthACE, agar anak-anak muda yang mendapat pencerahan di sana, punya banyak pilihan medan untuk mereka salurkan potensi mereka.
Kami tawarkan:
- Booth pameran percuma
- jika anda ada video promosi berkait NGO/organisasi anda(bawah 10min) kita akan tayangkan di pentas selang seli dengan penyampaian.
- jika anda ada poster/penplet untuk sebaran, kami akan masukkan siap-siap dalam beg peserta.
Apa yang kami mahu daripada anda hanyalah:
- Sentiasa promosikan YouthACE dan ajak lebih ramai lagi untuk menyertai kami
- Buat yang terbaik di booth anda.
Kami akan maklumkan kemudian berkait pameran ini.
————–
Kerjasama & Tajaan
————–
Kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bekerjasama dengan kami menjayakan Youth Awards, Convention & Exhibition(YouthACE) 2015 ini.
Baik dalam bentuk menjadi rakan media, tajaan hadiah atau cenderamata buat peserta, atau menaja kewangan bagi mengurangkan bebanan program(mungkin boleh murahkan lagi yuran bagi menggalakkan orang ramai untuk hadir).
Kami sangat mengalu-alukannya.
Untuk perkara kerjasama dan tajaan, boleh terus hubungi kami di email admin@langitilahi.com untuk perbincangan.
————–
Nantikan
————–
Nantikan YouthACE 2015.
Ajak rakan-rakan, sanak saudara, keluarga, sesiapa sahaja yang anda kenal untuk menyertai program ini.
YouthACE 2014 telah dihadiri seramai 1500-1600 peserta, dan telah menjadi ‘trending’ selama 2 hari di Twitter Malaysia. YouthACE 2014 telah dihadiri oleh para belia dari seluruh pelusuk negara, ada yang datang dari Sabah & Sarawak, Perlis & Johor. Bahkan ada yang datang dari Brunei & Singapura.
InsyaAllah kita harapkan yang lebih baik lagi di YouthACE 2015 ini nanti.
Kita sebenarnya cemburu bersalut kecewa apabila melihat perhimpunan-perhimpunan yang tidak bermanfaat, yang penuh dengan kemungkaran dan masiat, mendapat kehadiran ramai. Kita marah dan mengkritik perhimpunan-perhimpunan tersebut. Namun marah dan mengkritik sahaja takkan membawa kita ke mana-mana.
Maka kami wujudkan perhimpunan ini. Untuk belia negara kita diberikan pencerahan, sambil kita hargai potensi-potensi yang ada, memotivasikan agar ianya disalurkan ke jalan yang bermanfaat, tidak lain tidak bukan untuk membina masa hadapan yang lebih cerah insyaAllah.
Kami harapkan sokongan dan doa anda semua untuk program ini berjalan dengan berjaya.
Mari Menjadi Hamba!
The post Umum: YouthACE 2015 – Belia & Masa Depan appeared first on Langit Ilahi.
Ketika Syaitan Mengajarkan Taubat
~pic by alnaharegypt.com
Yusuf a.s. datang kepada ayahnya, Yaaqub a.s., mengadukan bahawa dirinya telah bermimpi akan segala kebesaran di langit tunduk sujud kepadanya. Bulan, bintang dan matahari yang ternyata di antara makhluk hebat di cakerawala tunduk kepadanya.
Di balik kehebatan mimpi sedemikian, baginda Yaaqub a.s. mengetahui ada urusan besar sedang diatur oleh Allah s.w.t. untuk anaknya itu.
Lalu dipesannya, “Jangan kau ceritakan mimpi kau itu kepada saudara-saudara kau, nanti mereka merancang makar untukmu.”
Pesanan itu bertali pada ayat yang seterusnya dengan ingatan dari Allah s.w.t. “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.”
Apa kaitan makar saudaranya Yusuf dengan syaitan?
“Boleh jadi syaitan itu,” kata Al-Qurtubi, “yang membawa mereka kepada bermaksud sesuatu yang buruk terhadapmu (Yusuf).”
Kalau saja terhadap orang semulia Yusuf yang mendapatkan mimpi sehebat kebesaran alam yang bersujud padanya itupun syaitan berniat hasad dan mahu bermakar padanya, pasti sesuatu yang tidak menghairankan kalau orang sekerdil kita ini lebih kuat desakan syaitan semisal itu pada diri.
Lubang syaitan itu bukan satu. Sering tersangka pada ramai orang, lubangnya syaitan itu hanya melalui pintu kejahatan yang nampak secara langsung. Syaitan juga sudah begitu berpengalaman dengan lama umurnya dan tidaklah begitu bodoh untuk menusuk ke dalam hati manusia hanya melalui jalan kejahatan.
Beransur-ansur melalui jalan kebaikan, ia menukarkan kiblat kita sedikit demi sedikit kepada kejahatan, membuat kita terkeluar hanya 1 darjah saja dari permulaan landasan yang lurus, 1 darjah itu akhirnya tak disedari, hari demi hari membuatkan 1 darjah itu kian membesar menjadi 90 darjah dan seterusnya kita melencong tersesat tanpa sedar.
Ia tidak harus bersusah payah menyuruh orang baik minum arak, cukuplah dengan hanya berbangga dengan amalnya, ia merosakkan kebaikan tersebut. Ia tidak harus bersusah payah menyuruh orang rajin ke masjid berhenti solat, cukuplah dengan hanya menghantar susuk gadis menggodanya atas alasan meminta nasihat dari seorang yang dirasakannya soleh, yang akhirnya di situ punya potensi kembang biak menjadi maksiat yang menjauhkannya dari Tuhan. Ia tidak harus bersusah payah menyuruh lelaki perempuan bercouple bermaksiat, cukup dengan hanya menyuntik mereka melalui jalan yang dilihat baik seperti study berdua, saling bermesej tazkirah, akhirnya satu pakej lengkap maksiat terangkum di dalamnya bagi mereka yang terpengaruh dengan bisikan syaitan itu.
Kesesatan Nyata VS Iman Yang Tidak Nyata
Syaitan tidak bodoh.
Kita pula tidaklah terlalu bijak.
Kita justeru telah mengetahui lama bahawa jalan syaitan itu adalah kesesatan yang nyata, tetapi berapa ramai yang langung terpengaruh. Barangkali kesesatan yang nyata dihadapi oleh iman yang tidak nyata, maka seringlah iman yang tidak nyata itu tertewas.
Iman yang tidak nyata, yang masih banyak berbelah baginya, yang masih banyak berkira-kira dengan Tuhan di kala Tuhan tidak berkira-kira memberi anugerah-Nya, memilih-milih dalam ibadah yang dirasakan senang dan suka bagi dirinya, bersikap sambilewa dan tidak bersungguh dalam menjejak kaki di atas kebenaran, selalu senang berada dalam keadaan lalai dan leka, akhirnya kita terperangkap dalam nyatanya perangkap kesesatan syaitan.
Iman yang tidak nyata, tidak kuat untuk mendepani kesesatan yang telah nyata.
Meski terbukti dan jelas-jelas di depan mata, bahawa yang di depan kita itu adalah sebuah kesesatan, tetapi kerana iman yang tidak nyata, bergolak di antara hidup, sakit atau matinya iman, membuatkan kesesatan yang nyata itu pun dilihat indah sebagai jalan yang lurus.
Syaitan Bermakar Melalui Jalan Taubat
Sepertimana saudara bersepuluh yang telah bermakar ke atas Yusuf, apakah mereka tidak mengetahui ketikamana mereka bermakar itu, makar mereka itu ternyata adalah suatu kesesatan?
Tidak. Mereka bahkan mengetahui.
Itu adalah kerana makar mereka itu berhasil dari bisikan syaitan. Mereka itu bukan sebarangan orang, mereka adalah anaknya Nabi Yaaqub a.s. Namun, iman tidak membeza-beza anak Nabi atau bukan, keturunan Nabi atau tidak.
Iman tidak diwarisi sebagaimana harta dan takhta sang monarki.
Kalau imannya tidak nyata, maka makar syaitan yang lebih nyata itu akan memenangi ke atas dirinya.
Begitulah sebagaimana yang dirancang oleh mereka. Syaitan bermakar kepada mereka melalui jalan taubat.
“Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja,”kata mereka, lalu disambung lagi, “dan sesudah itu, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang soleh.”
Buatlah jahat semahu kalian, selepas ini, bertaubatlah. Pintu taubat itu terbuka luas untuk kalian. InsyaAllah, masih punya kesempatan taubat selepas berbuat jahat ini. Seakan-akan itulah bisikan syaitan ke atas mereka.
Syaitan bahkan mengajarkan taubat kepada mereka, mengajar tentang bagaimana menjadi soleh. Namun, itu pastinya ajaran yang tidak percuma dan tidak beres.
Ia adalah talbis iblis. Tipu daya iblis.
Ia bersenandung di baliknya bisikan jahat, bukan untuk sampai kepada tujuan taubat itu, kerana akhirnya bisikan syaitan itu permulaannya akan membawa kepada pakej kejahatan berantaian yang lengkap dalam hidup insan sekiranya insan itu tidak segera kembali dan benar-benar bertaubat.
Siapakah yang punya jaminan terhadap hidupnya sesaat selepas dia melakukan dosa dalam kesengajaan dia mengetahui bahawa dosa itu adalah satu dosa? Siapakah yang punya jaminan bahawa dia masih bisa bernafas lagi untuk kembali bertaubat setelah dia memilih melakukan dosa dalam keadaan dia mengetahui itu adalah suatu yang salah?
Justeru, tidak siapa pun punya jaminan sedemikian melainkan Allah s.w.t. Sesiapa yang memilih menangguh taubatnya kerana mendahulukan dosanya yang diketahuinya salah, maka ia telah terjatuh ke dalam perangkap syaitan yang nyata.
Penutup : Persiapkan Iman
Dalam senggang-senggang ruang yang ada, syaitan tidak pernah berputus asa menipu daya kita.
Tidak berjaya dengan jalan yang terang-terang menyuruh berbuat jahat, dimakarnya kita dengan jalan kebaikan.
Tidak berjaya dengan jalan yang besar, dipilihnya denai-denai kecil.
Tidak berjaya dengan jalan dosa, atas nama jalan taubat pun boleh menjadi perangkapnya.
Sentiasalah syaitan itu tidak berhenti bekerja. Ia jelas, di atas kesesatannya yang nyata itu, apa yang ingin dicapainya terhadap manusia.
Kita, dengan iman kepada Allah s.w.t., yang telah jelas sebenarnya bagi kita akan kebenaran jalan Allah s.w.t. ini, apakah kita sejelas dan sekuat itu kita bekerja untuk akhirat kita, untuk Islam kita?
Persiapkanlah iman yang nyata.
The post Ketika Syaitan Mengajarkan Taubat appeared first on Langit Ilahi.
September 13, 2014
Mahasiswa: Mencontohi Peribadi Pemuda Al-Kahfi
Pic By KojeMita Of langtilahi
Bulan September sering dikaitkan dengan bulan pengambilan pelajar-pelajar yang baru ke universiti-universiti atau kolej-kolej yang terdiri dari pelbagai bidang dan berbagai tahap-tahap pengajian. Saban tahun, banyak university dan kolej ini melahirkan ribuan graduan, namun hari ini angka yang ribuan tadi ke mana perginya? Mengapa ramai graduan universiti yang sudah tentu ada tahap keilmuan yang baik ini tidak berjaya mengubah masyarakat awam? Bahkan terlihat dalam kalangan mereka ini semakin rosak dari segi akhlak dan moralitinya? Jauh sekali untuk bermimpi untuk melihat remaja yang tidak sekadar memenuhi roda kehidupan selepas graduan, tetapi berusaha bermanfaat kepada masyarakat dengan ilmu yang ada. Bagaimanapula dari sudut menyebarkan kesedaran islam dari sudut akhlaknya, amalan seharian, muamalat dengan rakan? siapa yang akan tahan memikul beban tanggungjawab ini?
Belum lagi dinilai melalui status jenayah dan keparahan masalah social yang semakin menular dalam masyarakat kita hari ini, adakah kita bisa yakin bahawa generasi muda yang sedia ada kini boleh mencorak kehidupan lapisan generasi akan datang dengan ciri-ciri islam yang sempurna? Soalan-soalan ini perlu dinilai dan dikoreksi semula. Mahasiswa dari segenap pelusuk dunia perlu jelas matlamat sebenar dalam menuntut ilmu. Bukan sekadar tiket untuk mendapat kerja tetapi ada tanggungjawab disebaliknya. Justeru itu, tergambar kepentingan pembentukan golongan muda terutama yang bergelar mahasiswa untuk meningkatkan diri dengan tidak hanya dalam akademik tetapi mengcakupi aspek keluhuran peribadi.
Demikian, apakah ciri-ciri mahasiswa yang dikehendaki untuk kebaikan bagi setiap generasi?
Apakah ada contoh efisen yang bisa diteladani untuk membangunkan generasi dewasa ini?
Pemuda-pemuda pemelihara iman
Sebahagian daripada kita biasa melazimi pembacaan surah al-Kahfi pada pagi hari Jumaat. Adapun lebih baik juga jika ayat-ayat suci yang dibaca tadi diteliti akan makna dan kehendak darinya. Terutama kisah pemuda yang teruji iman mereka. Pun begitu tetap dengan pendirian bahawa Allah sahaja Tuhan yang Esa yang layak disembah tiada keduanya.
Allah s.w.t berfirman:
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? [al-Kahfi:9]
Terdapat pelbagai riwayat yang menyebutkan tentang Ar-Raqim dalam ayat di atas. Sebahagian mufassirin (ahli tafsir) menyatakan ia adalah nama bukit tersebut dan terdapat padanya al-kahf yakni gua. Ada berpendapat bahawa ia adalah batu yang mana terukir nama-nama pemuda yang soleh ini. Namun apa yang lebih penting ayat ini menggambarkan kekuasaan Allah dan bukti bahawasanya Dia mampu mencipta apa sahaja sama ada dari tiada kepada ada lebih lagi hanya menghidupkan semula barang yang sedia ada.
Mungkin ada dalam kalangan kita tertanya-tanya mengapakah pemuda-pemuda ini menyembunyikan diri ke dalam gua?
Tidakkah mereka patut berusaha menyebarkan dakwah kepada masyarakat sekeliling?
Di sini, ada pengajaran yang bisa kita teladan. Tidak dinafikan semangat orang muda dalam membuat banyak perkara sama ada berkaitan dengan dakwah, organisasi persatuan itu amat memberangsangkan. Tetapi semangat ini perlulah selari dengan kerelevanan suasana, tempat dan masa yang betul. Justeru itu juga Nabi Yaakob a.s melarang nabi Yusuf a.s. untuk menceritakan akan mimpi baginda kerana dikhuatiri akan disakit oleh musuh yang dengki. Allah s.w.t merakamkannya dalam ayat:
Bapanya (Nabi Yaakob) berkata:” Wahai anakku( Yusuf a.s)! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.
Ketika itu, pemuda al-Kahfi membuat pilihan terbaik untuk kepentingan dakwah dan kelangsungan iman mereka menepati suasana semasa.Mereka tidak lari dari reality dan tanggunjawab dakwah itu kerana ketika itu raja yang memerintah negara tersebut sering bertindak zalim terutama mereka yang beriman kepada Allah.Tambahan, rakyatnya memberi support yang baik kepadanya.
Oleh sebab itu, dicelah kerosakan masyarakat yang kurang sesuai penyebaran dakwah itu dilaksanakan ditambah tiada golongan berilmu yang memberi sokongan untuk mendidik masyarakat, maka menyembunyikan diri buat mereka adalah jalan yang terbaik kerana dikhuatiri mereka juga akan tergoda dengan rayuan orang sekeliling. Natijahnya rantai keimanan kepada generasi seterusnya kepada Allah akan terputus.
Realiti hari ini, menyembunyikan diri tidak lagi sesuai ditambah ditengah-tengah masyarakat yang dahagakan didikan (tarbiyah) yang sempurna. Namun sikap berjaga-jaga dan menilai sesuatu perkara sebelum dilaksanakan itu perlu dilakukan dalam setiap aspek agar perancangan dakwah dan islah masyarakat itu tidak tergendala atas kertas cadangan tetapi bisa dibumikan di tengah padang masyarakat.
Pemuda-pemuda pilihan
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.[al-Kahfi:10]
Dalam ayat di atas disebutkan perkataan yang mengkhususkan kepada ‘pemuda’ yang merujuk kepada tahap umur mereka pada ketika itu. Apa yang menariknya, dalam lembaran sejarah begitu sinonim dikaitkan bahawa pemuda merupakan golongan yang sering bersungguh dan memberi sokongan yang hebat terhadap penyebaran dakwah islam hinggakan pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda mengakui perkara tersbut dan memerintahkan untuk berbuat baik pada golongan ini bertepatan dengan bantuan yang dihulurkan.
Tetapi tidak bermakna golongan muda suci dari dosa dan kesilapan. Maka benar prasa kata yang menggambarkan kestabilan antara generasi muda dan orang-orang lama iaitu “Hikmah orang tua pada kesungguhan para pemuda”.Orang-orang lama kaya dengan pengalaman, orang muda mewah dengan tenaga dan buah fikiran yang mengimbangi perjalanan sesuatu urusan disamping memelihara kesinambungan perkara positif genarasi terdahulu.
Tambahan pula, golongan muda terbiasa dengan idea baru dan corak pergerakan yang baru berbanding golongan lama yang lebih suka static dengan pegangan yang lama. Mungkin disebab itu, mereka sukar menerima dakwah pemuda-pemuda ini dan akhirnya Allah memilih golongan pemuda sebagai penjaga agama-Nya ketika itu.
Suatu perkara yang penting dalam ayat ini adalah keazaman para pemuda ini untuk tetap teguh beriman dan akhrinya bertawakkal sebagai penyempurnaan urusan.Contoh ini sangat baik diambil iktibar bahawa, keimanan yang utuh yang membawa manusia itu berjaya perlu diiringi dengan tawakkal supaya segala usaha mendapat petunjuk bukan dari akal manusia semata-mata tapi hidayah rabbani.
Menariknya, konsep meminta bantuan Allah yang gambarkan pada pemuda-pemuda ini adalah dengan disempurnakan ketentuan yang Dia telah tetapkan bukan dengan apa yang mereka impikan. Lebih baik demikian bagi manusia dalam meminta bantuan kepada Allah iaitu meminta dipenuhi kehendak kita tetapi bersandarkan apa yang Allah tentukan terbaik buat kita bukan apa yang kita rasa baik.
Ciri-ciri pemuda kahfi yang perlu dicontohi
Pada mereka ini (pemuda al-kahfi) ada contoh teladan yang baik boleh kita ikuti. Namun, lebih menarik ia dikaitkan dalam konteks realiti mahasiswa kerana mempunyai persamaan dari sudut peringkat umur. Bahkan ia adalah ciri utama mereka terpilih sebagai golongan istimewa yang terlakar dalam kitab-Nya. Allah merakamkan ciri-ciri mereka dalam ayat al-Quran seperti firman-Nya:
sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.{13} Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) {14} [al-kahfi:13-14]
Memilih untuk beriman
Hakikat kehidupan adalah suatu pilihan. Pada setiap sedutan dan hela nafas manusia, kita diberi peluang membuat pilihan.Jalan kebaikan atau keburukan. Memilih beriman tidak sama dengan beriman kerana ia sebuah pilihan. Pada saat iman teruji, suasana pula menentang, ditambah kekangan dari kuasa yang lebih kuat (raja), namun jiwa pemuda-pemuda ini tiada gentar untuk memilih Allah dan Rasul sebagai pedoman.
Kata kunci yang dapat kita jadikan iktibar di sini adalah pilihan, semestinya yang mendatangkan kebaikan. Dalam membuat keputusan apa sekalipun perlu kita nilai dengan telus dari segenap aspek. Jangan gopoh kerna jiwa remaja terbiasa untuk cepat dalam menimbang banyak perkara.Pilihan yang terbaik adalah apa yang syara’ kata baik dan sebaliknya.
Berkenaan dengan pilihan juga ia bukan sekadar satu perbuatan static tanpa ada perkembangan. Pilihan perlu selari dengan tujuan dan perbuatan. Pemuda al-Kahfi memilih untuk beriman dan mereka cuba laksanakan perubahan tetapi akhirnya kesudahan mereka Allah yang tentukan. Justeru itu, perlu kita focus dalam buat pilihan dengan berhenti beralasan, sebaliknya ada plan tambahan untuk perlaksanaan.
2. Pergantungan kepada Allah punca diberi hidayah
Apa yang manusia rasa baik belum tentu sebenarnya ia baik pada diri mereka. Begitu sebaliknya. Hakikatnya Allah s.w.t sahaja yang Maha Mengetahui segalanya. Berhenti beralasan dan terus membuat pilihan sebagai langkah awal perubahan yang mana masih dalam kerangka hubungan dengan Allah. Selalu mahasiswa hanya bertawakkal dalam bab perkahwinan dan peperiksaan tetapi meninggalkan aspek yang lebih penting iaitu keimanan.
Ya! Kita telah beriman tetapi belum tentu iman kita sempurna.
ya! Kita telah beriman tetapi belum tentu kita mati dalam keadaan demikian.
Jika setiap perbuatan kita bersandarkan kepada Allah tambahan pula dalam bab yang baik dengan niat ikhlas membantu agama Allah, dengan izinNya segala gerak kerja kita terlaksana di bawah naungan Allah. Lihat sejarah baginda di Taif.Di halau dengan hina dan perbuatan yang menyeksakan tetapi tetap sahaja bergantung kepada Allah diberi petunjuk keluar dari masalah. Dengan kesabaran baginda, hari ini kita dapat merasai nikmat yang utama islam dan iman.
3. Membulatkan tekad
Was-was adalah permainan syaitan. Dalam hal dunia sahaja manusia bisa ragu-ragu tambahan dalam bab aqidah dan ibadah serta perihal yang ghaib berkaitan dosa dan pahala. Sebab itu, kita lihat generasi hari ini rosak disebabkan sikap ragu terhadap kebenaran yang dijanjikan Allah sama ada dalam bentuk ganjaran atau peringatan azab seksaan.
Demikian, jika kita membuat pilihan yang menepati syara’ dengan keazaman yang tinggi dan matlamat yang jelas serta menaruh harapan sepenuhnya usaha kita kepada Allah, nescaya Dia akan berikan kepada kita petunjuk dan naunganNya disamping membulatkan tekad kita untuk menyempurnakan amalan kita hingga balik bertemuNya.
Tambahan lagi, yang paling utama dengan pilihan kita itu, moga-moga Allah bimbing kita untuk merasai nikmat kejayaan Islam seperti yang telah dijanjikanNya sebagaimana yang ditunjukkan kepada pemuda Al-Kahfi setelah sekian lama ditidurkan. Atau lebih baik, Allah kurniakan kepada kita nikmat tegolongan dalam golongan yang membantu agamaNya menjadi pemuda al-Kahfi untuk abad ini.
Gambar Kenangan Penulis ketika berziarah ke Gua Al-Kahfi, Amman,Jordan
Kesimpulan: Jauhi Kelalaian yang melenakan
Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni ada menyebutkan beberapa halangan yang menyebabkan remaja terutamanya sukar untuk melakukan perubahan. Antaranya:
Mengetepikan orang yang berilmu dalam kalangan ulama’ khususnya atau golongan professional dengan lebih mengagungkan idola-idola yang melalaikan.
Menjauhi tempat pengajian dan masjid serta lebih utamakan hiburan
Berlebihan dalam bermain dan terlalu teruja meminati sukan
Suka berteriak dan saling mencela serta bertutur dengan bahasa kasar
Menjadi supporter fanatic dan mudah terpengaruh
Ayuh para pemuda kita muhasabah semula.Memang muda hanya sekali.Begitu juga mati. Bahkan mati tidak kenal usia atau keadaan bersedia, ia datang bila-bila masa. Selain itu, generasi akan datang juga dicorakkan oleh pemuda. Baik pemudanya baiklah generasi seterusnya.
Mulakan langkah perubahan!
rujukan:
1. Tafsir ibn kathir
2. Jadilah Pemuda Al-Kahfi, Dr A’id Qarny
3. Tidurnya Mereka 309 tahun, Abdul Fatah Zakaria
4. Sehingga Pemuda Mengerti, Dr Abdullah Naseer Uluwan
The post Mahasiswa: Mencontohi Peribadi Pemuda Al-Kahfi appeared first on Langit Ilahi.
September 9, 2014
Umum: Telah Terbit – Buku Motivasi Tinta 2 Asyraf
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Buku Motivasi Tinta 2 Asyraf karangan Hilal Asyraf dan Imam Muda Asyraf telah pun terbit.
Buku motivasi santai ini insyaAllah sangat sesuai untuk bacaan harian pelbagai lapisan masyarakat. Di dalamnya ialah catatan santai tentang isu-isu seputar kehidupan, dikarang dengan lontaran idea daripada dua penulisnya.
LangitIlahi Store telah membuka peluang untuk mendapatkannya!
Kami lancarkan Promosi Kombo!
Harga asal ialah seperti berikut:
1 – Buku Tinta 2 Asyraf
Harga asal: RM20.00
Kos penghantaran: RM6.00(semenanjung), RM10.00(Sabah&Sarawak)
2 – Buku Koleksi Facebook Terbaik Hilal Asyraf
Harga asal: RM25.00
Kos penghantaran: RM6.00(semenanjung), RM10.00(Sabah&Sarawak)
——————————–
PROMOSI KOMBO
——————————–
Kombo 1: Buku Tinta 2 Asyraf + Buku Koleksi Facebook Terbaik
Harga: RM40.00(Semenanjung), RM45.00(Sabah&Sarawak)
*Harga sudah termasuk kos penghantaran
Kombo 2: Buku Tinta 2 Asyraf – 2 unit
Harga: RM40.00(semenanjung), RM45.00(Sabah&Sarawak)
*Harga sudah termasuk kos penghantaran
Kombo 3: Buku Koleksi Facebook Terbaik – 2 unit
Harga: RM45.00(Semenanjung), RM50.00(Sabah&Sarawak)
*Harga sudah termasuk kos penghantaran
———————-
CARA BELI
———————-
Hubungi: Saudara Afif Amjaduzzahwi, Pengurus LIStore
Call, SMS atau Whatsapp – 0134749869
Atau email: store@langitilahi.com
Pembelian secara online di website LangitIlahi Store boleh dilakukan bermula malam ini atau esok, selepas data di dalamnya dikemas kini dengan buku baru serta promosi kombo ini.
Pesanan anda akan diuruskan dalam 3 hari bekerja selepas anda melakukan order.
Jika anda berminat dengan buku-buku yang lain, boleh lihat di http://langitilahi.com/store senarai buku yang kami sediakan.
———————–
Promosi kombo hanya sah sehingga 26hb September, kemudian harga akan kembali kepada asal.
Jika berminat, dapatkan segera!
Mari Menjadi Hamba!
The post Umum: Telah Terbit – Buku Motivasi Tinta 2 Asyraf appeared first on Langit Ilahi.
September 8, 2014
Mahalkan Dirimu
Mahalkan dirimu, jangan mudah jatuh cinta
Hilal Asyraf Quote
The post Mahalkan Dirimu appeared first on Langit Ilahi.
September 4, 2014
Belia Naungan Al-Quran : Kepimpinan, Posisi Yang Sensitif
~pic by www.linkedin.com
Menjadi pemimpin adalah suatu tanggungjawab besar, yang tak cukup ditanggung dengan hanya semangat dan kemampuan, tetapi perlu kepada ilmu dan juga sifat amanah.
Kalau boleh diringkaskan sifat-sifat itu, mungkin ia sesuai digambarkan dalam terma yang digunapakai di dalam Al-Quran, iaitu Al-Qawiy dan Al-Amin.
Masih terbayang di ingatan kita ketikamana Abu Dzar datang meminta jawatan kepimpinan daripada Nabi s.a.w., namun tidak dipenuhi hajatnya itu kerana melihat kekurangan Abu Dzar pada sudut kemampuannya menguruskan jawatan itu.
Kata Nabi kepadanya, “Sesungguhnya engkau lemah, sedangkan ia adalah amanah. Dan ia di hari kiamat kelak adalah penghinaan dan penyesalan melainkan orang yang mengambilnya dengan haknya dan menunaikan hak-hak di dalamnya.” [1]
Pemimpin Adalah Posisi Yang Sensitif
Di mana-mana peringkat umur pun, kepimpinan merupakan posisi yang paling sensitif. Ia adalah sesuatu yang berat, tidak suka untuk digalas oleh para salafussoleh melainkan setelah diamanahkan, tidak meminta bila tidak diberi dan ia bukanlah sesuatu yang senang untuk diuruskan.
Menduduki posisi yang sensitif, maka tidak dapat tidak, ia perlukan ketelitian dan kecermatan dalam menguruskannya.
Kata seorang sahabat saya, pemimpin itu ibarat doktor bedah, rakyat atau ahli bawahan adalah doktor biasa. Kalau doktor biasa, mungkin aspek ketelitiannya kurang sikit jika disbanding dengan doktor bedah.
Diibaratkan sebagai doktor bedah, pastinya doktor bedah itu merupakan posisi yang sensitif ketikamana berada di dalam wad bedah. Ia perlu teliti dalam banyak aspek sebelum melakukan pembedahan seperti menjaga kebersihan alatan yang akan digunakan, memastikan alat disteril selepas digunakan, memakai sarung tangan dan penutup mulut serta pelbagai lagi langkah yang perlu diikuti untuk memastikan proses bedah berlangsung dengan sangat baik.
Begitulah juga posisi seorang pemimpin dalam ummat.
Ia perlukan ketelitian, kecermatan dan kehati-hatian. Kerana hakikatnya, ia bukanlah suatu anugerah, tetapi tanggungjawab yang akan ditanya di depan Allah.
Al-Quran Berbicara Tentang Kepimpinan
Ketika Musa a.s. selesai membantu dua orang wanita memberi minum kepada binatang ternakan mereka, baginda di ajak ke rumah ayah mereka. Di situ, salah seorang dari wanita itu memujuk ayahnya untuk mengambil Musa sebagai pekerjanya kerana sebaik-baik pekerja itu adalah yang kuat lagi terpercaya.
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya.” [2]
Demikian juga dalam hal kepimpinan, dipilih orang yang mempunyai kemampuan dan amanah sesuai dengan kedudukan yang ingin dipilih.
Betapa jugalah kepimpinan itu merupakan posisi yang sensitif sehingga Allah berpesan kepada orang-orang yang berada di posisi itu :
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu berlaku adil…” [3]
Ayat ini mendahului ayat yang menyuruh berlaku taat kepada pemimpin.
Kata salah seorang pemikir Islam Mesir, Dr Imarah, “Hendaklah bagi ulil amri itu menunaikan amanah-amanah, amanah kepimpinan yang diserahkan oleh orang ramai bagi mewakili diri mereka, menunaikan amanah itu kepada orang yang berhak ke atasnya, semua jenis amanah dalam setiap medan kepimpinan.” [4]
Bahkan, dalam ayat selepasnya itu pun ketika Allah membicarakan perihal taat kepada ulil amri (orang yang memegang urusan awam), Allah mendahulukan ketaatan itu kepada Dia dan Rasul-Nya.
Sambungnya lagi, “Perhatian lebih yang diberikan terhadap risikonya tanggungjawab pemimpin ini dalam menunaikan amanahnya menunjukkan bahawa ini adalah arahan Allah dan kefarduan dari-Nya, bukan semata-mata urusan duniawi melibatkan antara rakyat dan pemimpin, sebaliknya ia adalah kefardhuan dari Ilahi.” [5]
Sebab itu, Nabi s.a.w. berpesan :
“Setiap dari kalangan kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya…” [6]
Bukan Anugerah, Tetapi Amanah Berat Di Depan Allah
Betapalah beratnya tanggungjawab kepimpinan itu sehingga sahabat yang hebat semisal Abu Bakar as-siddiq pun merasa begitu berat menanggungnya.
Terpamer rasa beban itu dalam ucapannya ketika dilantik menjadi khalifah :
“Wahai manusia sekalian, aku telah dipilih sebagai pimpinan atas kalian sedangkan aku bukanlah yang terbaik di kalangan kalian. Sekiranya aku berbuat kebaikan, maka bantulah aku. Sekiranya aku bertindak salah, maka luruskanlah aku. Kejujuran adalah amanah, sementara dusta adalah pengkhianatan. Orang yang lemah di kalangan kalian sesungguhnya kuat di sisiku hingga aku dapat mengembalikan haknya kepadanya, InsyaAllah. Sebaliknya siapa yang kuat di kalangan kalian adalah orang yang lemah di sisiku hingga aku akan mengambil darinya hak milik orang lain yang diambilnya.” [7]
Bahkan, Umar Al-Khattab yang terkenal dengan kehebatan dan kegagahannya itu pun menuturkan perkataan yang hampir serupa. Walaupun Umar itu diketahui banyak pendapatnya yang selalu bertepatan dengan wahyu ketika zaman Nabi s.a.w dan banyak juga pendapat fiqhnya terutama dalam bidang siasah (politik) yang dibincangkan sehingga ke hari ini, namun sikap tawadhu’ tidak pernah berpisah dari dirinya meski setelah menjawat posisi pemimpin.
Pembaikan Ummat Matlamat Kepimpinan
Sesetengah orang menjawat posisi kepimpinan hanya sekadar meneruskan tradisi orang sebelumnya, tidak ada pembaharuan yang dilakukannya. Bahkan, sesetengahnya hanya memikirkan program apa hendak dilaksanakan berbanding memikirkan program apakah yang sebenarnya perlu untuk dilaksanakan?
Kepimpinan dalam Islam, soal utamanya bukanlah soal menguruskan program, tetapi ia adalah soal menguruskan sumber tenaga manusia serta menyediakan mereka ke arah khidmat untuk masa depan Islam dan masa depan akhirat mereka.
Justeru, kalau ada program yang ingin dirancang sekalipun, ia sepatutnya menjurus ke arah memproses dan memperbaiki manusia, bukan hanya sekadar ada atau sekadar cukup buat syarat saja.
Hasil akhir yang kita harapkan dari proses kepimpinan adalah pembaikan ummat dari sudut iman dan keyakinan mereka kepada Tuhan, dari sudut akhlak dan peribadi, serta pelbagai lagi sudut kehidupan yang lain.
Juga harus diingat, ketika menjadi pemimpin, kerja yang dilakukan harus lebih banyak dari gambar yang tersebar di ruang maya mahupun saluran berita. Ramai yang gambarnya lebih banyak tersebar berbanding kerja yang betul-betul dilakukannya. Ziarah kawasan yang ditimpa musibah, tetapi cukup hanya sekadar bergambar sambil memegang sesuatu seakan-akan menggambarkan dirinya telah melakukan kerja membantu rakyat, sedangkan kehadirannya beramai-ramai hanya sekadar mahu tunjuk muka dan mahu kerjaya politiknya terus dapat dipertahankan, bukanlah betul-betul mahu membantu.
Sebab itu, sikap jujur dan amanah sebagaimana yang ditekankan di dalam Al-Quran sangat penting dalam mengukur kelayakan seseorang untuk menempati posisi kepimpinan ummat. Ia tidak bersikap talam dua muka, datang kepada rakyat hanya apabila kedudukannya mula tergugat. Tidak juga bersikap ambil kesempatan atas kesusahan dan musibah yang menimpa rakyatnya.
Model Nabi s.a.w. Sebagai Pemimpin Teladan
Baginda s.a.w. bukanlah seorang sultan yang asyik duduk di atas takhtanya, memakai pakaian-pakaian tertentu yang berbeza dari kaumnya, apalagi menjamu makanan yang hebat-hebat, tidur di atas tilam yang empuk, namun baginda adalah pemimpin teladan dunia.
Baginda dicintai dan dirindui oleh semua orang yang pernah mengenali dan bersahabat dengannya. Baginda bukanlah pemimpin yang banyak memberikan arahan-arahan, namun empayarnya tersebar luas di bawah pimpinannya.
Berapa ramai orang yang memiliki kerusi takhta yang hebat, pakainya hebat-hebat, gelarannya bertingkat-tingkat, tetapi tidak dikenali apalagi dicintai oleh rakyatnya. Bahkan, keberadaannya dirasakan sebagai beban ke atas rakyat pula.
Baginda s.a.w. terlibat dengan kesusahan bersama para sahabatnya sejak awal lagi ketika baginda memulakan dakwah. Bahkan, bagindalah orang yang paling banyak menanggung derita dan kepayahan di jalan dakwah. Dilukai, dicaci maki, dihina, dikeji, disisihkan kaumnya.
Baginda terlibat dalam kerja-kerja menggali parit ketika Perang Khandak. Bukan hanya berehat di tepi melihat sahabat-sahabatnya bekerja.
Baginda dilukai ketika Perang Uhud.
Baginda bahkan orang yang susah kehidupannya, pernah mengikat batu di perutnya kerana menanggung kelaparan yang amat sangat.
Tidurnya pula bukanlah di atas katil dan tilam yang empuk, tetapi di atas tikar sehingga berjalur belakang badannya kesan daripada tikar kasar itu.
Namun, di balik semua kesusahan itulah tergambar padanya kesederhanaan seorang pemimpin teladan. Di situ, hormat orang terhadap dirinya terbina. Orang merasa cinta kerana pemimpin mereka benar-benar merupakan contoh sejati kehidupan mereka. Orang tidak gusar berada di bawah pimpinan baginda kerana benar-benar merasai kejujuran dan sikap amanahnya.
Penutup : Bermula Dengan Membina Diri
Kata Saidina Umar Al-Khattab :
“Dalamilah ilmu sebelum kamu memimpin.” [8]
Untuk membina contoh dalam diri kita, ia adalah dengan mula membina dan memperbaiki diri. Bagaimana membina dan memperbaiki diri?
Mulalah dengan banyak belajar, membaca, mengutip pengalaman dari orang lain. Bersikap sederhana dalam apa jua tindakan kita serta jangan terburu-buru.
Kita masing-masing adalah pemimpin. Pemimpin terhadap diri kita sendiri, terhadap keluarga kita, terhadap masyarakat di sekitar kita.
Justeru, tidak dapat tidak, walaupun kita tidaklah memegang jawatan khusus tertentu dalam masyarakat kita, namun, secara tidak langsung, kita tetap punya tanggungjawab kepimpinan dalam ruang lingkup kita masing-masing.
Binalah diri kita, perbaikilah iman kita, perbaikilah ibadah dan disiplin ilmu kita supaya di ruang lingkup kepimpinan masing-masing, kita melaksanakan tanggungjawab kita sebaik mungkin dalam meneruskan misi memperbaiki keadaan ummat.
Jangan gopoh juga hendak mendapatkan jawatan kerana jawatan itu adalah fitnah bagi mereka yang tidak mampu menguruskannya.
Kepimpinan bukanlah tempat kita mengutip nama atau kemasyhuran, sebaliknya ia adalah tanggungjawab dan beban yang akan disoal kelak di hadapan Allah.
[1] HR Muslim Kitab Imarah (1825)
[2] Al-Qasas : 26
[3] An-Nisa’ : 58
[4] Muhammad Imarah, Al-Islam Wa As-Siasah Ar-raddu Ala As-Syubhat Al-Ilmaniyyin, Darul Salam, Kaherah, hlmn 36
[5] Ibid
[6] HR Bukhari Kitab Ahkam (7138), Muslim Kitab Imarah (1829)
[7] Ibn Kathir, Al-Bidayah Wannihayah, (terj :) Darul Haq, Jakarta, hlmn 53
[8] Nasihah Ahlul Hadis Lil Khotib Baghdadi, library.islamweb.net/
The post Belia Naungan Al-Quran : Kepimpinan, Posisi Yang Sensitif appeared first on Langit Ilahi.
September 2, 2014
Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Mencedok Pengalaman Orang Lain
Semenjak saya berumur sekitar 16 tahun, saya mempunyai kegemaran merapati orang yang lebih tua. Sekitar pada usia itu juga, saya didedahkan dengan ‘baitul muslim’, menyebabkan apabila saya merapati orang yang lebih tua, saya sering juga bertanya dan meminta perkongsian berkenaan pembinaan rumahtangga.
Rakan-rakan pembaca yang saya doakan, bergaul dengan orang yang lebih tua, atau mereka yang lebih berpengalaman sebenarnya banyak membantu kita. Kita tidak hidup di dalam dunia fantasi yang segala-galanya mudah. Kita hidup di alam realiti, yang setiap tindakan kita mempunyai konsikuensi.
Adalah tidak bijak apabila kita meredah kehidupan ini, tanpa bertanya kepada yang pernah mengharunginya.
Bukanlah dengan bertanyakan orang tua, kita akan selamat dari segala kesilapan lantas menjadi sempurna. Tetapi dengan mendekati mereka, kita akan banyak belajar daripada kesilapan mereka, juga meneliti akan kelebihan yang mereka ada, lantas membuatkan diri kita lebih bersedia untuk menghadapi realiti kita nanti.
Idealistik Vs Realistik
Rakan-rakan pembaca yang saya cintai kerana Allah SWT, mungkin ini pandangan saya, saya melihat bahawa kebanyakan muda-mudi hari ini tidak berfikir panjang dan sering hidup dalam anganan adalah kerana banyaknya mereka dipengaruhi dengan apa yang tertulis di dalam novel-novel, juga filem-filem dan drama-drama.
Tidak kita mampu nafikan wujudnya karya-karya fiksyen yang sangat membuai-buai pembacanya. Tidak kurang juga masalahnya apabila banyak para agamawan yang memfokuskan agama ini pada cerita-cerita indah dan ajaib sahaja. Bukannya saya hendak nafikan kewujudan kisah indah dan ajaib di dalam agama kita, di dalam sirah kita, namun kita juga perlu mengetengahkan sisi realistik agama ini agar generasi mendatang tidak bersikap ambil mudah.
Tambah dengan era masa kini yang mempunyai pelbagai lagi mehnah dan tribulasi, pendedahan terhadap realiti yang bakal dihadapi ini amat penting.
Contoh, saya dipesan oleh Mak Long saya di awal perkahwinan saya:
“Hidup ini kena sabar. Tak boleh kau nak terus ada apa yang Ummi Abah kau dah ada sekarang. Mereka itu semua dahulu bermula dari bawah. Berjimat mengurus harta, gigih bekerja. Maka hiduplah bersederhana semenjak sekarang, dan belajarlah untuk cukup dengan apa yang ada.”
Namun tidak sedikit hari ini yang kita lihat mereka yang baru sahaja berkahwin, sudah terkejar-kejar kehidupan orang lain yang telah 10 tahun berumahtangga. Hendak kereta yang mewah-mewah, rumah besar-besar dan sebagainya. Kalau ada duit tak mengapa, tetapi ramai yang bersemangat mengejar semua ini akhirnya terjebak dengan hutang piutang berjela.
Tidak kita hitung pula dengan mereka yang terjebak dalam pergaduhan rumahtangga, dek kerna tidak dapat mendepani kekurangan pasangan. Semuanya disebabkan kerana sebelum berkahwin, menyangka pasangan yang dikahwininya serba serbi. Bila 24 jam bersama dengannya berhari-hari, baru perasan akan beberapa kekurangan, lantas membuatkan diri rasa tidak senang dengan kekurangan tersebut, lalu bergoncanglah rumahtangga yang dibina.
Ini sekadar antara contoh akibat apabila kita banyak membuai mereka yang hendak berkahwin dengan kisah-kisah manis semata-mata.
Kerana itu banyak mencedok pengalaman realistik orang yang pernah melalui alam rumahtangga itulah yang perlu diusahakan oleh mereka yang berhajat membina rumahtangga bahagia.
Pelbagai Pengalaman, Pelbagai Realiti.
Pelbagai manusia mempunyai pelbagai pengalaman. Kerana realiti yang mereka hadapi berbeza-beza keadaannya. Ada yang dilahirkan kaya, ada yang dilahirkan miskin. Ada yang mempunyai kefahaman agama tinggi, ada yang tiada. Ada yang hidup di kota, ada yang hidup di desa. Ada yang banyak membaca, ada yang kurang pembacaannya. Ada yang pangkatnya tinggi, ada yang gelandangan sahaja. Ada yang berkahwin satu, ada yang hidupnya bermadu.
Justeru usaha mencari pengalaman ini penting. Jangan biasakan diri dibuai dengan cerita-cerita ajaib. Iya, di tangan Allah semuanya bisa terjadi. Tetapi kita letakkan bantuan Allah itu sebagai bonus, kerana Allah SWT sendiri mengarahkan kita untuk berusaha sebaiknya.
Segenap peluang yang terwujud untuk kita mencedok pengalaman orang yang terlebih dahulu melalui realiti berumahtangga sebelum kita, hendaklah kita gunakan sebaiknya. Rendahkan diri, ambil lah masa untuk berbincang, bertanyakan soalan, mencedok pengalaman daripadanya. Walaupun mungkin dia lebih muda daripada kita.
Saya masih ingat ya rakan-rakan pembaca yang dimuliakan, sebelum saya bernikah dahulu pernah saya mengutip pengalaman dengan remaja berusia 19 tahun, yang telah melangsungkan perkahwinan pada usianya dan isteri hanya 18 tahun. Pada usia 19 tahun itu mereka telah dikurniakan seorang anak, dalam keadaan masih lagi belajar.
Bagaimana mereka menguruskan diri, menjana wang menyara keluarga dengan menjual dadih, sambil meneruskan pengajian, banyak mendidik dan mematangkan saya. Saya rasa sangat bertuah dapat mempelajari beberapa perkara daripada mereka, hingga membuatkan saya lebih jelas akan realiti sebuah kehidupan.
Begitu juga apabila Allah izin saya bertemu dengan ramai murabbi yang berpengalaman dalam bidang dakwah dan tarbiyah, di mana mereka banyak berkongsikan realiti dan cabaran dalam membina baitul muslim dan baitud dakwah. Di sana mereka kongsikan pelbagai cerita mereka sendiri, sebagai contoh, ada yang berkongsi kesilapan mereka dalam perjalanan mereka sebelum ini, kemudian mereka menasihatkan saya agar bersedia untuk berjaga-jaga, mengalak dari mengulangi perkara yang sama.
Semua ini banyak mematangkan saya, dan membuatkan saya lebih berperancangan, mempunyai target, dan tidak mengambil mudah akan perjalanan saya ke arah pembinaan rumahtangga.
Allah SWT Mendidik Rasulullah SAW juga dengan kisah-kisah realistik
Kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah, kita akan melihat ya para pembaca yang saya kasihi, bahawa Allah SWT juga banyak mendidik Rasulullah SAW dengan kisah-kisah realistik dari para anbiya’ yang terdahulu.
Terutama ketika fasa Makkah, Allah SWT banyak menurunkan sirah ummat terdahulu, sebagai motivasi dan tunjuk ajar kepada Rasulullah SAW. Apa yang lebih penting, Allah SWT tidak sekadar menceritakan keajaiban para anbiya’ terdahulu, tetapi juga diceritakan cabaran yang mereka lalui, ketabahan dan kecekalan mereka dalam menghadapi ujian, dan apakah kesilapan yang pernah anbiya’ terdahulu lakukan(macam dalam kisah Nabi Yunus).
Semuanya agar Rasulullah SAW memahami realiti yang akan dihadapinya sebagai Rasul, utusan Allah SWT di atas muka bumi ini, dan mampu mendepaninya dengan baik dan berjaya.
Ini Bukan Fantasi!
Kehidupan yang sebenar bukanlah sebuah mimpi. Tidaklah kita membina keluarga di dalam sebuah fantasi. Kita berpijak di alam realiti, dan di alam realiti, setiap tindakan kita mempunyai kesan.
Maka amatlah rugi anak-anak muda, mereka yang berhajat hendak bernikah, tetapi tidak sibuk mencedok pengalaman dengan mereka yang sudah bernikah, sedang melalui alam rumahtangga.
Sesungguhnya tidak rugi orang yang menimba pengalaman.
Banyak persediaan boleh dia laksanakan, pelbagai perspektif akan dapat dia cedok.
Ini bukan sebuah fantasi, ini ialah realiti. Sering saya tulis sebagai kata-kata semangat saya apabila ada orang membeli Buku Sebelum Aku Bernikah: Berusaha Mencapai Mampu,
“Ini adalah kehidupan, ini bukan permainan.”
Agar mereka merasa keseriusan dalam perjalanan membina rumahtangga ini insyaAllah.
——————————————
Seminar Untuk Kita Pendosa di Johor & Kuala Lumpur.
Pendaftaran kedua-duanya boleh dilakukan di:
http://langitilahi.com/kuasa
—————————————-
1 – Seminar Untuk Kita Pendosa: Harapan Selalu Ada.
UTM Skudai, Johor.
27hb September 2014
08.00AM-07.00PM
Penyampai:
Hilal Asyraf, Ameen Misran, Dr Khairul, Ustaz Azlan Shah, Diana Amir.
Yuran -
Asal: RM50.00
Promosi: RM35.00(valid hingga 13hb September)
—————————————-
2 – Seminar Untuk Kita Pendosa: Rejuvenasi Hati
UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
18hb Oktober 2014
08.00AM-07.00AM
Penyampai:
Hilal Asyraf, Ameen Misran, Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, Cikgu Azmi Bahari, Ustazah Fatimah Syarha dan Raisyah Raina(Felixia) Yeap.
Yuran -
Asal: RM50.00
Promosi: RM35.00(valid hingga 1hb Oktober)
—————————————-
Pendaftaran kedua-duanya boleh dilakukan di:
http://langitilahi.com/kuasa
Tempat adalah terhad.
Daftar segera!
The post Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Mencedok Pengalaman Orang Lain appeared first on Langit Ilahi.
September 1, 2014
Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Kahwin Muda VS Kahwin Tua
Antara dilema anak muda apabila berhajat melangsungkan perkahwinan ialah perbahasan berkenaan kahwin muda vs kahwin tua – atau dalam erti kata lain, kahwin lewat sedikit, tak kahwin terlalu awal.
Isu ini sering timbul apabila ada anak-anak muda yang berhajat hendak bernikah awal, mungkin pada penghujung usia 20-an atau awal 20-an, dan ketika masih belajar.
Kadang, dah habis ijazah pun, masih lagi perbahasan ini wujud. Dilihat perlu ada kerja dan ada duit sekian banyak terlebih dahulu.
Pro dan Kontra?
Tidak dapat tidak, rakan-rakan pembaca yang saya kasihi kerana Allah SWT, dalam membicarakan perkara ini, kita akan menemui manusia yang mungkin akan menyenaraikan pro dan kontra berkait kahwin muda vs kahwin tua ini.
Contohnya, kalau berkahwin muda, pronya ialah keadaan diri akan lebih terjaga dari maksiat, diri akan sukar nak terjebak dengan gejala sosial, jiwa lebih tenang kononnya, dan urusan studi akan jadi lebih mudah. Itu antara alasan-alasan yang mungkin kedengaran.
Kontranya, ada yang akan melihat bahawa berkahwin muda ini akan menganggu komitmen terhadap studi, anak muda masih belum ada duit yang stabil lantas tak mampu nak menyara keluarga, anak muda masih belum matang, dan sebagainya lagi.
Kalau sebut kahwin lewat, pronya ialah keadaan diri yang sudah stabil kononnya, sudah banyak pengalaman, sudah boleh fokus pada pembinaan rumahtangga kerana sudah habis studi, sudah ada kerjaya untuk sara hidup keluarga.
Kontranya kita lihat kalau kahwin lewat, ada kemungkinan orang yang kita suka takkan dapat tunggu, mudah terjebak dengan maksiat, jiwa jadi resah sebab tak ada teman hidup untuk jangka masa yang panjang, dan sebagainya.
Kalau dibincangkan secara serius, mungkin kita akan dapat senaraikan lebih banyak lagi. Saya sekadar menyebut beberapa yang sering diulang ramai.
Pengukur Kematangan
Sebelum saya mara kepada jawapan terhadap perbahasan kahwin awal vs kahwin lewat, kahwin muda vs kahwin tua, izinkan saya menyentuh perihal kematangan wahai pembaca yang saya kasihi.
Saya berpendapat bahawa kematangan itu tidak terletak pada umur. Saya melihat bahawa kematangan itu letaknya pada ilmu dan pengalaman.
Tidak menghairankan sebenarnya untuk kita melihat remaja berumur 15 tahun, tetapi matangnya sudah seperti manusia berumur 40 tahun. Bahkan kewujudannya di hadapan mata kita tidak menyebabkan kita mampu melihatnya sebagai seorang budak, dek kerana akhlak dan keperibadiannya, kerana ilmu dan pengalamannya.
Namun kita akan dapat melihat wujudnya ayah-ayah dan ibu-ibu, mungkin berumur sekitar 40-50an, memegang PhD dan berpangkat tinggi, bersikap seperti keanak-anakan, berperangai tidak matang dan sebagainya. Ada.
Umur bukan pengukur kematangan yang sebenarnya.
Kematangan yang sebenar itu datang pada keperibadian yang kita usahakan. Sekiranya seorang anak muda itu menuntut ilmu dengan serius, mempunyai kesedaran yang tinggi, mempunyai pengalaman yang banyak(mungkin kerana rajin mengembara, rajin duduk dengan orang pandai, rajin membaca. dan sebagainya), maka mengapa kita hendak menilainya sebagai tidak matang, hanya kerana dia tidak berumur tua?
Jika kita kembali meneliti sejarah, terlalu ramai orang-orang muda yang tidak layak digelar ‘tidak matang’. Selaklah sirah Mu’adz dan Mu’awwidz, dua remaja belasan tahun yang menumbangkan Abu Jahal. Telaahlah kisah Abdullah Ibn Umar yang telah mengikuti majlis Nabi semenjak usia muda belia. Perhatikanlah ‘Ali Bin Abu Talib yang menggantikan Rasulullah SAW di tempat tidur baginda kala malam peristiwa hijrah. Saksikanlah Muhammad Al-Fateh yang membuka Kota Konstantinopel.
Mereka semua masih muda belia ketika itu, apakah mereka tidak matang?
Yang paling penting sebenarnya ialah…
Kembali kepada tajuk, rakan-rakan pembaca yang saya doakan, apakah yang paling penting untuk membina sebuah percintaan, perkahwinan dan rumahtangga?
Allah SWT berfirman:
“Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan persiapkanlah diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.” Surah Al-Baqarah ayat 223.
Persiapan.
Ya, sebenarnya yang paling penting dalam percintaan, dalam sebuah perkahwinan dan dalam proses mendirikan rumahtangga, yang paling penting sebenarnya ialah persiapan diri kita. Walaupun ayat ini Allah seakan mengkhususkannya untuk lelaki, mungkin kerana tanggungjawab lelaki itu sepatutnya memimpin sebuah keluarga, tetapi nyata khasiatnya – yakni nasihat untuk mempersiapkan diri itu – juga boleh diambil oleh para wanita.
Persiapan dari segi spiritual, mental dan material.
Sejauh mana kita telah mempersiapkan diri?
Mungkin ramai melihat persediaan untuk perkahwinan ini hanyalah persediaan dari segi material. Tetapi hakikatnya mempersiapkan diri untuk sebuah rumahtangga, yang matlamatnya ialah keredhaan Allah dan tempat pulang harapannya ialah syurga, nyatanya kita perlu mempersiapkan diri lebih dari sekadar persediaan material.
Jika kita balik kepada tanggungjawab untuk membawa diri dan ahli keluarga kita ke syurga Allah SWT, jika kita kembali meneliti tujuan hidup kita adalah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini lantas keluarga kita sebagai salah satu batu-bata asas ke arah menyelesaikan tanggungjawab itu, nescaya kita tahu betapa wajibnya kita bersungguh-sungguh melaksanakan persiapan.
Apakah apabila telah terdetik di dalam diri ingin bercinta, ingin bernikah, ingin mengemudi rumahtangga, kita telah menyenaraikan perkara-perkara yang perlu kita persiapkan ke atas diri kita?
Atau kita sekadar tersengih-sengih dengan cita-cita untuk mengahwini seseorang, yang menyebabkan cita-cita itu akhirnya kelihatan seperti angan-angan kosong sahaja?
Mula mempersiapkan diri.
Maka jika kita terdetik hendak bernikah, hendak mencintai seseorang, hendak membina keluarga, maka mulalah mempersiapkan diri.
Ya, kita takkan tahu bila baru kita bersedia. Kita takkan tahu. Namun kita boleh tahu apakah kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk bersedia, atau bukan.
Kalau masih maraton cerita korea, sibuk main game, melepak membazir masa dengan benda sia-sia, masih banyak masa habis dengan perkara lalai dan maksiat, maka di manakah kesungguhan persediaannya?
Kita boleh nilai diri kita secara jujur.
Justeru jika benar hendak bernikah, hendak mencintai seseorang, pastikan diri mempunyai perancangan. Bila hendak berkahwin? Dari sekarang hingga masa hendak berkahwin itu, apakah yang patut kita isi masa kita?
Buku-buku apa patut kita baca? Orang-orang berpengalaman yang mana kita patut jumpa? Wang, bagaimana kita nak berjimat dengan apa yang ada dan macam mana nak tambah pendapatan kalau boleh? Apa target kita dalam kualiti hubungan kita dengan Allah SWT untuk dipertingkatkan dalam masa sebelum berkahwin ini? Apa target kita dari segi kawalan emosi, dan bagaimana kita hendak melatihnya dalam masa sebelum berkahwin ini?
Ya, begitulah sepatutnya kita sibukkan diri kita.
Sibukkan dengan persiapan yang menyeluruh. Bukan sibuk dengan cinta atas angin, gunung everest sanggup kudaki, lautan api sanggup kurenangi, tetapi kemudian tindakannya tidak ada.
Sedangkan tanggungjawab nanti besar!
Maka mulalah mempersiapkan diri. Bentang perancangan, kemudian gencarkan usaha.
Bila Sudah Bersungguh Mempersiapkan Diri
Bila sudah bersungguh mempersiapkan diri, kahwin muda vs kahwin tua bukan lagi satu perbahasan yang patut diperpanjangkan.
Yang muda, kalau dah bersungguh-sungguh mempersiapkan diri, di mana salahnya hendak mendirikan rumahtangga?
Yang tua, kalau langsung tak pernah berusaha mempersiapkan diri, di mana kelebihannya?
Urusan rumahtangga bukan semata urusan duit. Ia juga urusan rohani dan emosi, tanpa kita nafikan bahawa daya survival untuk hidup dalam dunia berpaksikan material ini sangatlah penting.
Berusaha bersungguh-sungguh mempersiapkan diri, itulah jawapan yang ramai manusia cari dalam dilema ini.
——————————————
Seminar Untuk Kita Pendosa di Johor & Kuala Lumpur.
Pendaftaran kedua-duanya boleh dilakukan di:
http://langitilahi.com/kuasa
—————————————-
1 – Seminar Untuk Kita Pendosa: Harapan Selalu Ada.
UTM Skudai, Johor.
27hb September 2014
08.00AM-07.00PM
Penyampai:
Hilal Asyraf, Ameen Misran, Dr Khairul, Ustaz Azlan Shah, Diana Amir.
Yuran -
Asal: RM50.00
Promosi: RM35.00(valid hingga 13hb September)
—————————————-
2 – Seminar Untuk Kita Pendosa: Rejuvenasi Hati
UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
18hb Oktober 2014
08.00AM-07.00AM
Penyampai:
Hilal Asyraf, Ameen Misran, Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, Cikgu Azmi Bahari, Ustazah Fatimah Syarha dan Raisyah Raina(Felixia) Yeap.
Yuran -
Asal: RM50.00
Promosi: RM35.00(valid hingga 1hb Oktober)
—————————————-
Pendaftaran kedua-duanya boleh dilakukan di:
http://langitilahi.com/kuasa
Tempat adalah terhad.
Daftar segera!
The post Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Kahwin Muda VS Kahwin Tua appeared first on Langit Ilahi.
August 31, 2014
Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Nikah Semata-mata Untuk Elak Zina?
Rakan-rakan pembaca yang saya doakan, terima kasih kerana masih istiqomah menyelak lembaran buku yang do’if ini. Semoga Allah merahmati kita semua.
Saya biasa mendengar alasan anak-anak muda yang berhajat hendak berkahwin awal untuk mengelak zina.
Alasan ini seakan menjadi dalil kuat untuk memaksa pihak ibu bapa/penjaga menerima bahawa kita memang sudah kena berkahwin.
Tidak dinafikan bahawa salah satu tujuan perkahwinan ialah untuk mengelak kita dari terjebak dalam maksiat, terlibat di dalam zina dan sebagainya. Namun apabila ada yang menekankan alasan “Saya kena kahwin cepat, kalau tidak nanti saya terlibat dengan zina!” saya sentiasa terfikir:
“Kau bercinta macam mana sampai hendak berzina ni?”
Mengapa Bercinta Hingga Hendak Berzina?
Bagaimana ya rakan-rakan pembaca, kita bercinta hingga boleh terasa seperti hendak berzina?
Bagaimana rupanya cinta yang kita usahakan itu sehingga boleh terasa seperti kalau tidak berkahwin dalam masa terdekat, kita akan berzina dengan pasangan kita?
Saya melihat apabila kita bercinta dengan cinta yang tidak syara’, maka memang kita akan mudah rasa hendak terjebak dengan zina. Bila kita sendiri melayan hawa nafsu kita, memberikannya sebab untuk terangsang, sebagai contoh sering berhubungan melalui telefon dan mendengar suara merdu/kacak pasangan kita, sering berpegangan tangan dan berpelukan, sering melakukan apa yang dikatakan oleh masyarakat sekarang sebagai ‘ringan-ringan’ dan macam-macam lagi.
Semua itu memang akan mudah membuatkan kita rasa hendak berzina dengan pasangan yang belum kita kahwini.
Sebab itu di dalam Islam, batas pergaulan itu wujud. Kerana nafsu seks adalah fitrah. Memang wujud. Islam turun untuk mengawalnya.
Kalau kita bercinta menurut syariat, yakni kita tidak sibuk dengan perkara yang melalaikan, bahkan menjaga batas pergaulan, saya yakin kita takkan rasa seperti hendak berzina. Bahkan kita akan rasa jijik untuk mempunyai perasaan nak berzina itu.
Seks dan Pembinaan Rumahtangga.
Rakan-rakan pembaca yang saya kasihi kerana Allah SWT, apakah sebenarnya tujuan utama sebuah rumahtangga? Adakah seks?
Seks hanya sebahagian dari apa yang sebuah rumahtangga berikan kepada kita. Seks bukan tujuan utama kita berumahtangga. Kalaulah kita menjadikan seks sebagai tujuan utamanya, yakni kita berkahwin semata-mata kerana nak buat seks, maka kita akan mempunyai masalah yang besar.
Sebab itu ya, masalah zina ini tak selesai hanya dengan perkahwinan. Ramai orang yang dah berkahwin, mengkhianati pasangannya dengan berzina bersama orang lain. Berdasarkan apa yang saya perhatikan, ‘rasa nak berzina’ ni sebenarnya muncul dari tidak menjaga batas pergaulan.
Kalau lepas berkahwin pun kita masih tak jaga batas pergaulan dengan lelaki/perempuan yang lain di luar rumahtangga kita, kita pasti akan terjebak dengan masalah yang sama.
Ketika itu sibuklah kita dengan bercerai, dengan nak kahwin satu lagi. Macam-macam.
Permasalahan Yang Sebenar.
Permasalahan yang sebenar saya lihat ya para pembaca, adalah kita tidak memahami bahawa perkahwinan ini mempunyai tanggungjawab yang besar, jauh dari sekadar hendak memuaskan hawa nafsu kita semata-mata.
Keluarga kita, bukan berkenaan kita sahaja. Keluarga kita adalah sebahagian daripada ummat. Apabila kita membina keluarga yang baik, suami yang baik, isteri yang baik, anak-anak yang baik dan taatkan Allah, sebenarnya kita sedang memberikan sumbangan yang tak ternilai untuk ummat ini. Kerana ummat dan agama ini memerlukan ‘tenaga’nya.
Kita hendak menjauhi apa yang Rasulullah SAW sabdakan berkenaan ramainya ummat Islam, tetapi hanya ibarat buih di lautan, yakni tak bermakna apa-apa.
“Satu hari nanti kamu akan dikerumuni musuh sebagaimana semut menghurungi makanan. Sahabat bertanya: Apakah ketika itu kami sedikit ya Rasulullah? Rasulullah menjawab: Tidak, bahkan kamu ramai, ibarat buih di lautan.” Riwayat Abu Dawud.
Makanya pembinaan keluarga itu bukanlah untuk semata-mata untuk seks. Tetapi ianya bertujuan membina ummah ini.
Jika ini yang kita fahami, kita takkan teruja hendak berkahwin semata-mata kerana kita dah ‘tak tahan’. Bahkan jikalah kefahaman berkenaan rumahtangga ini disematkan kepada kita semenjak muda lagi, kita sebelum jatuh cinta lagi akan berhati-hati dengan pelbagai perkara yang melanggar syariat. Kita akan jadi sibuk dengan pembinaan diri.
Bukan sibuk dengan pasangan yang belum halal buat kita.
Membina Diri Sebelum Perkahwinan Lagi
Antara permasalahan yang sering masuk ke dalam mesej di Facebook saya ialah masalah rumahtangga.
Antaranya ialah sang isteri/suami yang masih bermesej sakan dengan lelaki/perempuan lain, bergaul terlebih mesra dengan rakan berlainan jantina di pejabat dan sebagainya, seakan-akan diri belum berkahwin(walaupun hakikatnya tindakan-tindakan tersebut tetap tidak boleh saat kita belum berkahwin).
Saya sering menegaskan bahawa perkahwinan tidak akan automatik menjadikan kita baik, tidak akan automatik menundukkan nafsu dan akhlak buruk kita, sekiranya usaha untuk menjadi baik dan menundukkan hawa nafsu itu langsung tidak pernah berjalan sepanjang zaman bujang kita.
Perkahwinan bukan kayu magik. Perkahwinan hakikatnya adalah satu tahap yang lebih tinggi, yang pastinya untuk berjaya di tahap yang lebih tinggi itu, kita memerlukan persediaan.
Maka semasa bujang lagi, semasa belum berkahwin lagi, latihlah diri untuk tidak bergaul terlalu bebas dengan berlawanan jantina. Latih untuk diri tidak galak, untuk menundukkan pandangan, dan tidak terlalu teruja bila mendapat peluang bergaul dengan berlawanan jantina. Kurangkan berangan-angan dan membayang-bayangkan pasangan idaman.
Jika bergaul bebas, galak dan senang tunduk pada hawa nafsu telah menjadi kebiasaan kita, darah daging kita, ianya akan terbawa-bawa dalam kehidupan kita di alam rumahtangga.
Bagi yang telah berkahwin, belum terlambat untuk buang perangai tersebut. Pandanglah pasangan kita dan belajarlah menghargai mereka dengan lebih baik. Utamakan mereka, luangkan masa lebih banyak dengan mereka dan binalah momen-momen indah bersama mereka. InsyaAllah, rasa nak terlebih mesra kepada yang lain itu akan berkurangan.
Tiada istilah terlambat untuk berubah.
Namun melambat-lambatkan perubahan, pasti akan ada kesannya.
Sama-sama kita bina diri kita insyaAllah.
Menjelaskan Fikrah dan Mensejahterakan Jiwa.
Maka saya kira, apabila fikrah kita jelas, yakni kita faham mengapa sebenarnya rumahtangga itu didirikan, maka ‘rasa hendak berzina’ itu tidak akan terjadi. Kerana hendak berhubungan lelaki perempuan tanpa batasnya pun kita takkan dekati.
Para pembaca yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Ya, perkahwinan merupakan salah satu solusi mengelak zina. Namun saya kira itu bukanlah tujuan utamanya. Maka fahamilah sebenarnya apa yang hendak kita bina dengan rumahtangga. Ujian hawa nafsu ini tidak akan berakhir dengan perkahwinan.
Disiplin menjaga batas pergaulan itu, tetap perlu berjalan selepas berkahwin, pastinya bukan dengan pasangan yang telah kita kahwini, tetapi dengan orang lain di luar rumahtangga kita.
Disiplin itu yang perlu ada. Itu yang mengelak zina sebenarnya.
Memahami perkara ini, kita takkan mudah terjebak dengan perkara yang sia-sia, dan banyak masalah kita selesai insyaAllah.
The post Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Nikah Semata-mata Untuk Elak Zina? appeared first on Langit Ilahi.