Hilal Asyraf's Blog, page 57
July 10, 2014
30 Hari Mencari Tuhan: Saat Kita Berdiri Di Hadapan Allah
Akan sampai kepada kita satu hari di mana kita akan berdiri di hadapan Allah. Berdiri selepas dibangkitkan dari kematian, selepas berlakunya kiamat. Kita berdiri di hari akhirat, berhadapan dengan Allah SWT untuk dinilai dan dihitung segala amal dan perbuatan kita.
Pada ketika itu tiada apa yang bakal tersembunyi, dan tiada apa yang boleh diselindungkan oleh kita kepada Allah SWT. Kita juga tidak boleh lari dan tidak akan ada sesiapa boleh kita salahkan untuk menggantikan tempat kita pada hari tersebut.
Kita dengan Allah SWT.
Apakah kita membayangkan hari tersebut?
Allah Yang Tidak Akan Tertipu
Allah SWT Maha Mengetahui. Dia juga tidak alpa dan lalai. Tidak akan sesekali Dia terlepas apa pun daripada kita.
Firman Allah SWT:
“-59- Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata. -60- Dan Dia lah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Ia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan. -61- Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya). -62- Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.” Surah Al-An’am ayat 59-62.
Allah SWT telah menegaskan perkara ini. Pertemuan kita denganNya adalah antara apa yang sering diulang-ulang di dalam Al-Quran dan juga disebut-sebut dalam sabda Rasulullah SAW.
Apakah yang akan dibicarakan di hadapan Allah kelak?
Tentang kehidupan kita di atas muka bumi ini. Ya, yang sekarang sedang kita lalui ini. Seluruhnya akan ditanya. Setiap detik akan dipersoalkan. Tidak akan terlepas sedikit pun walau sebesar zarah.
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.
Apa yang menjadi kelebihan kepada kita adalah kita masih hidup.
Ya. Masih hidup.
Tandanya kita masih lagi berpeluang untuk mempersembahkan sesuatu yang baik di hadapan Allah SWT kelak.
Berdiri Di Hadapan Allah SWT 5 Kali Sehari
Dalam kehidupan kita, sebenarnya kita telah berlatih untuk berdiri di hadapan Allah SWT. Lima kali sehari di dalam solat.
Solat antara tujuannya adalah untuk kita membersihkan diri. Menjamin kewarasan akal dan minda, dengan bergantung secara terus menerus dengan Allah SWT sepanjang menelusuri hari-hari. Ia seakan titik rehat kita dalam kelelahan mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba.
Solat sepatutnya mengingatkan kita akan hari perhitungan kelak. Kerana di dalam solat tiada bicara yang dibenarkan melainkan apa yang dibenarkan. Pergerakan kita juga terbatas dan tidak boleh berbuat sesuka hati. Solat adalah penyerahan sepenuhnya kepada Allah SWT, ibadah yang mengingatkan kita bahawa kita punya Tuhan, di dalamnya kita ruku’ dan sujud mengkerdilkan diri, mengakui kebesaran Allah SWT bukan sekadar dengan ungkapan ‘Allahuakbar’, tetapi dengan tindakan hingga sanggup melekapkan dahi kita ke tanah.
Di dalamnya penuh dengan doa-doa, saat iftitah, kala ruku’, kala sujud, kala duduk antara dua sujud dan tahiyyat akhir, yang sepatutnya kita sedar itu semua bukan ritual kosong. Tetapi benar-benar ibarat sebuah tali yang mengikat kita kepada Allah SWT.
Ia sepatutnya menjadikan kita sedar akan hubungan yang kita ada dengan Allah SWT.
Hubungan seorang hamba kepada Tuhannya.
Menjadikan kita apabila mengharungi kehidupan, berusaha untuk mematuhi perintahNya, dan meninggalkan segala apa yang dilarang olehNya.
Bayangkan, sebaik sahaja kita usai solat, dengan segala ketundukan dan kekerdilan yang kita tunjukkan, dengan segala doa dan pengharapan, kemudian kita menzalimi orang, mengumpat dan menyumpah seranah, tengok perkara maksiat, melakukan yang haram, dan kemudian kita solat lagi?
Sepatutnya kita akan rasa malu bukan?
Dan itulah simulasi yang kita lalui saban hari sehingga kematian kita. Untuk mengingatkan kita yang akan sampai pada kita satu hari pula, di mana kita akan berdiri sekali sahaja. Dan berdiri itu yang paling lama, diperiksa dengan sangat detail akan seluruh detik kehidupan kita. Kemudiannya tiada berdiri sekali lagi sebagai peluang kedua. Kerana selepas berdiri yang satu itu, kita sama ada mendapat syurga, atau dilempar ke neraka.
Memerhatikan Semula Kehidupan Kita
Sebab itu adalah penting buat kita, semasa masih lagi hidup dan bernyawa, untuk sering melihat semula kehidupan kita. Bermuhasabah. Menginsafi diri dan sering bertanya, apa yang telah aku lakukan, apa yang sedang aku lakukan, apa yang akan aku lakukan.
Jika kita percaya bahawa kita akan berdiri di hadapan Allah SWT, dan Allah SWT itu tidak akan dapat kita lolos dari pengiraanNya, pastilah kita ingin mempersembahkan yang terbaik kepadaNya. Bukankah begitu?
Menyedari bahawa akan ada hari di mana kita berdiri di hadapan Allah, membuatkan kita faham bahawa dunia ini hanya tempat tumpangan sementara. Akhirat jugalah tempat pulang yang kekal abadi dan selama-lamanya.
Di sini kita menilai semula.
Melihat kembali kehidupan ini.
Apakah kehidupan kita yang seperti hari ini, hendak kita persembahkan di hadapan Allah SWT nanti?
Jika kita sendiri sedar yang kehidupan kita yang sekarang ini masih tidak mampu untuk mendapatkan rahmat Allah SWT agar dengan belas kasih Allah, Allah SWT meletakkan kita ke dalam syurgaNya, maka pastilah kita sudah mula perlu bergerak dan merancang, bagaimana untuk hidup dengan kehidupan yang diredhaiNya.
Agar pada hari di mana kita akan berdiri di hadapanNya nanti, kita boleh mempersembahkan kehidupan kita, dengan rasa gembira dan bahagia.
Allah SWT berfirman:
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera.” Surah Asy-Syu’araa ayat 88-89.
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Saat Kita Berdiri Di Hadapan Allah appeared first on Langit Ilahi.
July 9, 2014
Memanusiakan Sekolah dan Manusia

Gambar sekadar hiasan, ihsan daripada Google
Hari ini, saya mahu berterima kasih kepada Mark Zuckerberg. Hari ini, saya juga mahu berterima kasih kepada ibu saya. Ini kerana, melalui rangkaian sosial Facebook, saya berjumpa dengan begitu ramai cerdik pandai walaupun cuma melalui hubungan atas talian. Ini kerana, melalui saranan ibu saya supaya saya memasuki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sewaktu awal saya menerima keputusan Unit Permohonan Universiti (UPU) selepas tamat SPM hampir 6 tahun lepas, saya turut bertemu dengan begitu ramai cendekiawan dan bijak pandai di sana, baik daripada kalangan pensyarah, sahabat-handai yang berfikir dengan kritis, berbincang dan menulis mahupun para aktivis sosial.
Semua rasa terima kasih ini terbit di dalam diri, sesudah melihat sendiri situasi kehidupan para pelajar, atau suka saya gelarkan mereka sebagai adik-adik di sebuah sekolah menengah. Hari ini, setelah genap tiga hari menjadi seorang guru ganti untuk tempoh dua bulan yang mendatang, saya terimbau kembali akan kenangan sewaktu saya bergelar pelajar sekolah dahulu, sehinggalah ke zaman pengajian tinggi yang bakal ditamatkan dalam masa terdekat dengan izin Tuhan. Apatah lagi bila mana terdapat para pelajar yang tidak kalah kenakalan dan kedegilan mereka dengan saya.
Saya kira, selama tempoh berbelas-belas tahun saya bergelar seorang pelajar sedari tadika seawal usia 5 tahun membawa ke usia awal 20-an di universiti, proses mencari ilmu itu adalah sesuatu yang memenatkan. Benar. Ada jatuh dan bangunnya. Ada masa main-main dan tidak serius. Bukan sepanjang masa saya sentiasa bersemangat untuk hadir ke sekolah mahupun kelas-kelas untuk mendengar kuliah yang disampaikan. Namun begitu, seperti yang saya sebutkan di awal penulisan, kehidupan di institusi pengajian tinggi ditambah dengan alam maya yang menghubungkan saya dengan ramai pemikir dan penggerak badan-badan tertentu telah menghidupkan proses pembelajaran dan pengajaran di luar kelas buat saya, seterusnya menambah luaskan pengalaman yang dikutip di luar waktu kuliah. Saya jadi terfikir, kalaulah saya cuma menamatkan pengajian saya selepas sekolah menengah, mana mungkin kemanisan ini akan saya kecapi. Maka benarlah kata sesetengah orang-orang tua yang menyuruh anak-anak belajar di universiti itu bukanlah hanya sekadar untuk lulus peperiksaan setelah mengindahkan gred-gred matapelajaran dengan cuma menyalin dan menghafal nota-nota kuliah secara permukaan, kemudian berhempas-pulas bekerja siang dan malam dalam usaha menaikkan tangga gaji, bahkan lebih daripada itu. Iaitu untuk menjadi seorang manusia yang sedar bahawa menjadi pandai itu perlu untuk memperkasakan masyarakat dan bangsa. Bila kesedaran itu ada, pastilah ada juga kemahuan untuk menjadi pandai, lalu kehadiran ke kuliah mahupun kelas-kelas bukanlah sekadar untuk mahu memastikan senarai kehadiran ditandatangani supaya tidak dibuang universiti di kemudian hari, bahkan untuk mengutip ilmu secara langsung daripada para guru. Satu pengajaran buat saya untuk meneruskan pengajian di universiti pada semester yang akan datang dalam erti kata yang sebenarnya.
Mereka Sedang Mencari Diri Sendiri
Agaknya, begitulah yang sedang dirasai oleh sebahagian daripada adik-adik tersebut. Datang ke sekolah bukan kerana cinta, tetapi kerana rutin kehidupan yang membentuk mereka menjadi begitu. Rutin kehidupan sebagai seorang manusia secara amnya; lahir, bermain-main dengan riang gembira sebagai seorang kanak-kanak, bersekolah bertahun-tahun, bekerja untuk mengejar kekayaan, berkeluarga dan beranak-pinak sehinggalah kembali dikambus oleh coklatnya tanah. Lalu apa yang dicapai pada akhirnya? Dan saya menjadi bertambah kasihan bila mana setiap pagi adik-adik ini perlu datang ke tapak perhimpunan selama lebih kurang 10 minit hanya untuk dileteri dalam bab yang berkaitan dengan disiplin dan yang seumpama dengannya. Malah menjadi bertambah kasihan bila mana yang dilaungkan ke telinga mereka itu adalah mereka perlu sedaya upaya untuk menjaga prestasi dan pencapaian sekolah secara keseluruhan dengan mengurangkan jumlah peratusan kegagalan dalam peperiksaan awam yang berkaitan. Benar. Saya faham kepentingan perkara tersebut, tetapi dalam masa yang sama, dari satu sisi, saya juga suka sekiranya kita sedar dan tahu bahawa pelajar-pelajar yang berada di sekolah menengah apatah lagi di universiti, mereka berada di fasa usia yang memerlukan bukan saja para guru, bahkan juga ibu bapa untuk bersahabat dengan mereka, bukannya lagi memarahi, merotan atau menghukum kesalahan ringan mereka. Bukankah di dalam agama itu sendiri dituntut supaya yang namanya anak-anak itu dibesarkan mengikut fasa usia tertentu? Sedari lahir hingga ke usia 7 tahun, kita digalakkan supaya melimpahi mereka dengan kasih-sayang dan kemanjaan yang meruap-ruap, kemudian membawa ke usia 14 tahun, kita diseru supaya bertegas dalam soal mendidik mereka, dan bila mana usia mereka mencapai 14 tahun ke atas, bersahabatlah dengan mereka, kerana sewaktu usia sebeginilah darah muda mereka sedang menggelegak di samping berminat untuk mencuba sesuatu yang baharu, sehingga kadang-kadang tindakan mereka menjadi rebellious. Usah tipu saya, kerana saya juga pernah melalui waktu-waktu tersebut. Agaknya kerana itulah ada sebahagian daripada mereka yang cuma datang ke sekolah untuk bermain-main, kerana mereka masih belum menjumpai apa yang sedang mereka cari, iaitu diri mereka sendiri. Atau juga kerana mereka tidak diajar untuk hadir ke sekolah dengan penuh rasa cinta. Atau juga kerana permasalahan yang sering timbul antara generasi X dan Y, bila mana senioriti sering menidakkan kebolehan anak-anak muda ini dek kerana ego yang tinggi.
Benar. Saya juga faham, sistem pendidikan masa kini, terutamanya pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) memerlukan guru-guru untuk menjadi sibuk lebih daripada biasa. Sudahlah perlu diberi perhatian terhadap matapelajaran yang diajarkan kepada anak murid, bahkan juga perlu melakukan tugasan sampingan lain, dalam pada mereka juga cuba untuk menjaga periuk nasi mereka, kerana mereka cuma ‘makan gaji dengan kerajaan’ bagi yang mengajar di sekolah kerajaan. Saya tidak katakan semua guru begini sikapnya, tetapi tidak keterlaluan juga untuk saya katakan bahawa sekolah pada masa kini seakan-akan telah menghilangkan fungsi sebenar seorang guru, ataupun lebih tepat lagi pendidik. Pendidik yang bukan cuma mengajarkan kepada anak-anak muridnya akan subjek-subjek tertentu, akan tetapi lebih daripada itu, memperkenalkan mereka kepada kehidupan ini. Syed Naquib Al-Attas dalam kesarjanaannya telah mengungkap dengan panjang lebar kepentingan untuk menggunakan istilah yang tepat dalam hal-hal tertentu terutamanya pendidikan, sehinggalah beliau membawakan tiga makna kepada pendidikan, iaitu ta’lim, tarbiyyah dan ta’dib. Secara ringkasnya, ta’lim bermaksud cuma mengajarkan tanpa membentuk keperibadian yang mana proses ini disokong oleh makna tarbiyyah sebagai mendidik, manakala peringkat yang paling tinggi sudah tentulah ta’dib, iaitu untuk membina sebuah peradaban. Erti pendidikan pada beliau adalah untuk meresapkan dan menanamkan adab pada manusia.
Apatah lagi dalam dunia serba moden yang penuh dengan persaingan ini (dan inilah yang sering ditanamkan di dalam minda anak-anak bahawa mereka perlu bersaing, bukannya membantu sesama lain untuk sama-sama berjaya), anak-anak ini terbentuk oleh stigma untuk terkehadapan dalam pada mengalahkan rakan-rakan sebaya mereka. Secara mudahnya, lihat sahaja pada konsep pengasingan kedudukan kelas darjah di sekolah-sekolah yang mengangkat nilai strata ataupun perbezaan kelas sosial. Anak-anak yang pandai dikumpulkan dalam kelas terhadapan dan terpandai, dan mereka akan menjadi lebih pandai lantaran tumpuan guru-guru diberikan secara lebih terhadap mereka berbanding anak-anak di kelas tercorot. Lalu anak-anak yang keciciran dan ketinggalan ini bergaul sesama mereka yang mempunyai permasalahan yang sama, maka mereka bukan sahaja menjadi bertambah corot bahkan juga lebih bermasalah dalam soal disiplin. Apalah salahnya pemikiran seperti ini dihapuskan, bahawa tidak ada bezanya antara kelas pertama dan kelas terhujung, dan anak-anak ini diajarkan untuk saling membantu dalam memandaikan diri mereka. Janganlah guru-guru menolak untuk mendekati mereka, tetapi hampirilah mereka dengan memberi harapan dan peluang yang sama. Selamilah apakah perkara sebenar di sebalik kenakalan mereka itu. Dan saya tahu, ini memerlukan keberanian dan kejituan yang cukup tinggi!
Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang
Benarlah seperti yang telah diulas dengan panjang lebar oleh cikgu Zul Fikri Zamir, bukan saja pengasas Teach For The Needs (TFTN) yang memberi peluang pendidikan yang sama rata terhadap anak-anak yatim dan juga anak-anak yang ketinggalan, bahkan juga seorang pemikir yang memandang secara jauh akan masa hadapan negara ini melalui penegasan yang ditekankan olehnya tentang sistem pendidikan semasa. Dalam bukunya yang bertajuk ‘Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang,’ kompilasi artikelnya banyak menyentuh kepentingan untuk tidak menjadikan anak-anak bangsa sebagai hanya sekadar sebuah produk, bahkan lebih daripada itu, iaitu menjadi manusia dalam erti kata yang sebenarnya.
Memetik artikel khusus yang telah beliau karang bersama-sama dengan seorang lagi pengasas bersama sebuah badan penggerak ekonomi, BLINDSPOT iaitu saudara Anas Alam Faizli dalam tulisan mereka yang mengulas tentang isu Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) dan juga Programme for International Student Assessment (PISA) yang dijalankan pada tahun 2011, Malaysia dikatakan muncul corot di dalam tangga kajian yang dilakukan oleh indeks-indeks antarabangsa ini. Hal ini berikutan soal pengasingan kelas seperti yang telah saya sebutkan di atas, bahawa kaedah persampelan kedua-dua penilaian tersebut adalah secara rawak, maka keputusannya mewakili kedua-dua pelajar yang pandai dan juga corot.
Penutup: Melahirkan Lebih Ramai ‘Ranchoddas Shamaldas Chanchad’ dan Juga ‘Sophie Amundsen’ dengan Bantuan ‘Ram Shankar Nikumbh’
Belajarlah daripada filem Bollywood bertajuk ‘Three Idiots’ yang mengisahkan tentang perlunya ke sekolah dengan rasa cinta. Watak utamanya, Rancho yang dijayakan oleh pelakon terkenal Aamir Khan telah membuktikan bahawa kecintaan terhadap ilmu yang ingin digali menjadikan bukan sahaja beliau sebagai seorang yang benar-benar berjaya dan berguna kepada masyarakat selepas tamat belajar, bahkan juga dua orang sahabat baik beliau yang mana pada asalnya mereka sering dikatakan bodoh oleh guru mereka. Ini kerana, kata kunci yang telah mereka jumpai adalah rasa cinta akan senantiasa menghadirkan minat untuk mereka lebih mendalami sesuatu perkara itu, biar sesusah mana pun ia.
Selain itu, telusurilah juga novel sejarah falsafah popular yang bertajuk ‘Dunia Sophie’ dalam bahasa Melayunya, yang mana novel ini secara kasarnya banyak menekankan tentang kepentingan falsafah dalam perjalanan mencari makna kehidupan. Sophie Amundsen, seorang anak gadis yang berusia 14 tahun telah berhenti daripada rutin kebiasaannya yang cuma belajar dan membuat kerja rumah sehari-hari bila mana pada satu hari setelah pulang dari sekolah beliau menerima sepucuk surat misteri yang hanya bertanyakan dua soalan; “Siapakah kamu?” dan “Dari manakah asalnya dunia ini?” Bermula dari situ, beliau lebih berminat untuk mengkaji falsafah di sebalik kewujudannya sebagai seorang manusia di dunia ini, yang mana akhirnya membawa beliau kepada pencarian Tuhan. Perjalanan itulah yang telah memanusiakan seorang Sophie Amundsen.
Dan jadilah juga seperti seorang Ram Shankar Nikumbh, seorang guru yang tidak putus asa dalam usaha mendidik seorang pelajarnya yang menderitai simptom Disleksia dalam filem Bollywood lain yang bertajuk ‘Taare Zameen Par.’ Oleh kerana beliau juga merupakan seorang penghidap Disleksia, yang menyebabkan beliau mengalami gangguan pembelajaran seperti menulis huruf secara terbalik sewaktu zaman kanak-kanaknya, beliau mampu menyelami perasaan watak utama dalam filem tersebut, iaitu seorang pelajar sekolah yang juga mengalami masalah yang sama seperti yang telah disebutkan.
Malah, ramai lagi tokoh-tokoh sebenar yang boleh kita pelajari daripada mereka berkaitan dengan soal ini. Untuk akhirnya, saya juga menyeru kepada diri saya untuk memperbaiki cara saya dalam mendekati para pelajar, kerana jauh di dalam hati, saya cukup benci untuk menjadi garang dan marah-marah sebenarnya. Semoga para guru di luar sana juga sama-sama berusaha untuk lebih memanusiakan sekolah dan manusia di dalamnya, iaitu guru itu sendiri dan juga murid-murid, kerana hakikatnya kita ini perlu belajar daripada satu sama lain. Tidaklah guru itu hanya bertindak superior sebagai seorang yang mengajar, tetapi dalam masa yang sama juga guru-guru boleh belajar daripada anak murid berkenaan apa-apa saja pelajaran yang berkaitan dengan kehidupan. Jadi, kata kuncinya, berusahalah untuk merendah hati mengakui kesilapan biarpun terhadap anak-anak yang lebih muda usianya. Dan yang paling penting, tulisan ini sama sekali tidak menidakkan kepentingan ibu bapa dalam perihal mencorakkan keperibadian anak-anak. Hanya saja kepentingan guru dan sekolah yang lebih ditekankan pada kali ini. Juga suka untuk saya ingatkan, semoga para ibu bapa di luar sana tidak tergolong dalam golongan ibu bapa moden yang mudah-mudah menyaman guru hanya kerana mendenda anak-anak mereka yang tidak menyiapkan kerja rumah misalnya!
“Jiwa umpama lampu kaca, dan pengetahuan ialah cahaya (yang memberi api), dan hikmah Tuhan ialah minyaknya. Sekiranya ia menyala, kamu hidup. Sekiranya ia padam, kamu mati.” (Ibnu Sina)
The post Memanusiakan Sekolah dan Manusia appeared first on Langit Ilahi.
July 7, 2014
30 Hari Mencari Tuhan: Kerana Allah Yang Menghitung.
Kadangkala, ada orang mempersoalkan mengapa kita perlu ikhlas. Kenapa tak boleh berbangga-bangga dengan kejayaan. Kenapa tidak boleh mendabik dada. Ada pula yang mempersoalkan, mengapa kita tidak boleh sekadar baik di hadapan orang, di belakang kita buat hal yang kita suka. Ada pula yang mempersoalkan mengapa kita perlu bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu kerja. Ada yang mempersoalkan mengapa kita mesti sangat menjaga diri, menjauhi maksiat dan kena usaha selalu buat kebaikan.
Macam-macam lagi persoalan yang timbul di sekitar medan amal.
Jawapan saya hanya satu.
Sebab yang nak hitung amal kita adalah Allah. Bukan orang lain.
Tiada siapa yang mampu menghitung seperti Allah meghitung
Kesedaran utama yang diperlukan oleh manusia adalah, Allah itu berada di luar liga saingan manusia. Allah itu berada di satu peringkat lain, dan peringkat itu takkan mampu dicapai oleh manusia. Adalah logik perkara ini kerana Allah adalah Tuhan, Pencipta, dan bagaimana agaknya Tuhan itu boleh disaingi? Tidak tersaing adalah ciri-ciri Tuhan yang sebenar.
Begitulah Allah tidak tersaing juga dalam hal perhitungan.
Tiada siapa mampu menghitung sebagaimana perhitungan Allah.
Perhitungan Allah sangat tepat. Tidak akan terlepas daripada Allah walau perkara sebesar zarah.
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya.Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula.” Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.
Perhitungan Allah yang sangat ketat demikian, membuatkan orang yang ingkar di akhirat nanti, bila melihat Allah menghitung amal manusia di Padang Mahsyar, mereka berkata bahawa mereka ingin menjadi tanah.
“Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (hai orang kafir) siksa yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang Telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata:”Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah”. Surah An-Naba’ ayat 40.
Allah penghitung yang tiada siapa mampu berlindung dari hitungan-Nya
Allah adalah penghitung yang sangat telus. Salah satu dari kekuasaan-Nya adalah Allah Maha Melihat. Juga salah satu dari kuasa-Nya adalah Allah Maha Mendengar. Allah SWT juga adalah Mah Mengetahui. Tiada satu daun pun yang gugur di atas muka bumi ini tanpa ianya terlepas dari pengetahuan Allah SWT. Tak akan ada yang terlepas dari perhitungan-Nya.
“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali dia sendiri, dan dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)” Surah Al-An’am ayat 59.
Allah tidak akan mampu dirasuah dan dicabar. Hal ini kerana, manusia itu faqir di hadapan Allah. Allah pula Maha Kaya dan tiada yang mampu mengatasi-Nya. Allah tidak peduli jika seluruh dunia hendak berpaling daripada-Nya. Kerana Dia tidak rugi apa-apa. Tetapi yang rugi apabila berpaling daripada-Nya adalah manusia itu sendiri.
“Dan Musa berkata: Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah) Maka Sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”. Surah Ibrahim ayat 8.
Ini Allah tunjukkan apabila dalam umur dunia ini, telah terjadi beberapa siri ‘pembersihan’ oleh Allah SWT kepada kaum-kaum yang ingkar. Itu adalah akibatnya apabila mereka angkuh dan mencabar Allah SWT. Maka, Allah menunjukkan kepada kita betapa berkuasa-Nya dia. Dia tidak rasa rugi pun menghapuskan ummat-ummat itu. Dia berkuasa memunculkan ummat lain dan memberikan peluang yang sama.
Ini menyebabkan, tiada siapa mampu mengelak, lari, melepaskan diri, bersembunyi dari hitungan Allah SWT.
Sebab Allah yang hitung, sebab itu kita tidak berputus asa
Sebab Allah yang hitung segala amalan kita, sebab itu jugalah kita di dalam beramal tidak berputus asa. Mengapa demikian?
Hal ini kerana, tiada yang mampu sabar sebagaimana sabarnya Allah kepada hamba-hamba-Nya. Allah bukan penghukum yang tidak memberikan peluang. Allah sentiasa membuka peluang.
Allah SWT Maha Penyayang dan Maha Mencintai hamba-hamba-Nya yang berusaha.
Lihatlah kepada pembunuh 100 orang yang akhirnya ke syurga. Bagaimanakah Allah melayan sikapnya yang tidak berputus asa dengan rahmat Allah?
Sebab itu, di dalam beramal, saat kita kejatuhan, kita tidak berputus asa bahkan berusaha bersungguh-sungguh untuk naik semula. Kita tidak rasa malu nak bertaubat berulang kali. Kita tidak rasa malu hendak mengadu kepada Allah akan keaiban diri. Kita tak rasa malu hendak berusaha sampai mati walau tak pernah berjaya sekali pun.
Sebab yang menghitung adalah Allah.
Allah bukan penghitung yang zalim. Allah bukan penghitung yang terburu-buru. Allah bukan penghitung yang pandang satu sudut sahaja. Tetapi Allah adalah penghitung yang adil. Allah adalah penghitung yang sangat tepat perhitungannya. Allah melihat manusia bukan luaran sahaja bahkan dalaman juga. Hatta perkara tersembunyi seperti niat, gerak hati, harapan, cita-cita, semuanya di dalam hitungan Allah SWT.
Oleh kerana Allah adalah penghitung kita, sebab itu kita tiada rasa hendak berputus asa. Tambahan, Allah benci mereka yang berputus asa.
“Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Surah Az-Zumar ayat 53.
Sebab itulah kita buat macam yang dipersoalkan
Mengapa kena jaga niat walau orang tak nampak pun niat tu. Kenapa nak kena jujur dan amanah walau kalau khianat orang tak perasan pun. Kenapa nak kena buat yang terbaik dalam kehidupan. Kenapa tidak berputus asa. Kenapa kita usaha baik sepanjang masa, bukan di hadapan orang sahaja. Dan pelbagai lagi persoalan, semuanya terjawab dengan satu jawapan.
Kerana Allah adalah penghitungnya.
Kalau manusia yang menghitung, kita boleh fikirkan cara untuk berbohong. Kita boleh fikir alasan untuk mengelak. Kita boleh lari ke tempat lain untuk melepaskan diri.
Tetapi Allah, kita tiada jalan untuk lari daripada-Nya.
Kalau manusia yang menghitung, kita tak payah pening nak jaga keikhlasan, nak jujur, nak amanah. Manusia bukannya tahu. Kita tak kisah curi tulang. Kita tak kisah nak tipu. Kita tak kisah nak buat konspirasi, scheme, dan sebagainya. Sebab manusia bukannya tahu.
Tetapi Allah, kita tiada jalan untuk terlepas dari pengetahuan-Nya.
Sebab Allah adalah penghitung, sebab itu kita usaha sungguh-sungguh menjaga segalanya.
Penutup: Faktor penting bagi kedisiplinan, indikator utama buat kejayaan
Apa kunci kedisiplinan diri? Saya akan menjawab – Hubungan dengan Allah.
Bagaimana hendak berjaya? Saya akan menjawab – Hubungan dengan Allah.
Bukanlah hubungan dengan Allah, adalah kita duduk atas sejadah semata dan mengurung diri di dalam masjid sepanjang masa. Tetapi hubungan dengan Allah ini adalah kita merasa kewujudan Allah setiap masa, setiap tempat, setiap ketika. Kita rasa tidak terlepas daripada-Nya, kita rasa dekat dengan-Nya, dan kita rasa Allah Maha Tahu apa yang dilakukan oleh kita.
Ini akan membentuk disiplin sekaligus menyah kemalasan. Ini akan menggerakkan kejayaan sekaligus menerajang kegagalan. Apakah kegagalan itu? Kegagalan adalah apabila kita berputus asa. Menjadi seorang yang berusaha walau tak dapat apa yang hendak dicapainya hingga mati pun, itu adalah satu kejayaan.
Dan kejayaan hakiki yang kita mahukan adalah – Diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga. Itulah dia kejayaan sebenarnya.
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, Maka sungguh ia Telah beruntung. kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” Surah Ali Imran ayat 185.
Maka, kita beramal dengan bersungguh-sungguh.
Sebab kita tahu, Allah yang menghitung. Bukan yang lain.
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Kerana Allah Yang Menghitung. appeared first on Langit Ilahi.
Poster: Kurangkan juadah, banyakkan SEDEKAH !
July 6, 2014
Rejuvenasi Hati: Menghidupkan Jiwa
Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana jiwa boleh mati. Jawapan saya sangatlah mudah. Jiwa boleh mati apabila berjauhan dengan Allah SWT. Mungkin jawapan ini akan kelihatan remeh, tetapi untuk manusia yang percaya bahawa akhirat adalah destinasi akhirnya, maka perkara ini akan kelihatan besar.
Dan hakikatnya, itu satu kebenaran. Jiwa semakin melemah, dan akhirnya mati, kerana ianya jauh dari Allah SWT. Akan ada lompong dalam jiwa, yang akhirnya memunculkan rasa tidak senang, rasa gelisah, rasa resah. Kalau di wajah kita tersenyum pun, di dalam hati tetap rasa gundah. Kita rasa hidup tak bermakna, buat itu buat ini tidak berharga.
Kita rasa kosong. Rasa itu ini adalah palsu. Rasa gelap.
Itulah dia perasaan orang yang mati jiwanya. Mungkin sahaja dia hidup seperti manusia lain, studi macam orang lain, kerja macam orang lain, ada kawan-kawan, ada keluarga, masa hari raya dia gembira, masa terluka dia bersedih. Tetapi dia melalui semua itu dengan kekosongan.
Sebab jiwanya telah mati.
Dia jauh daripada Allah SWT.
Allah, selalunya kita terlepas pandang
Apabila Islam ini diambil secara sebahagian-sebahagian, maka kita akan melihat bahawa manusia berhadapan dengan satu masalah. Iaitu masalah memandang Islam sebagai satu agama yang teori dan hanya wujud dalam buku-buku. Maka di situ, kita akan menghadapi satu lagi masalah, iaitu hubungan dengan Allah tidak mampu kita kuatkan.
Tali temali yang menguatkan hubungan kita dengan Allah SWT, seperti solat, membaca Al-Quran, berzikir, bersilaturrahim, semuanya menjadi lemah kerana semua perkara itu diambil sebagai adat.
Secara tidak langsung, kita telah meletakkan Allah itu sebagai watak sampingan.
“Yang penting aku solat”, “Asalkan sehari aku ada baca Al-Quran, kira setel la”, “Dah hari raya, sure la aku ziarah orang kan?”, “Sedekah la, duit ada banyak. Sapa la nak makan duit aku tu”
Benda-benda ini penyebab jiwa tidak terisi. Walaupun solat, walaupun baca Al-Quran, walaupun bersilaturrahim, walaupun melakukan kebaikan, tetap rasa kosong.
Sebab kita tidak letakkan Allah sebagai matlamat dalam amalan kita itu.
“Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang, (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),” Surah Al-Ma’un ayat 4-6.
Buat sekadar nak habis, buat sekadar nak senangkan hati yang benda tu kita dah buat, buat sebab memang dah tak ada benda lain nak buat, buat sebab semua orang buat, buat sebab benda tu warisan turun temurun.
Pernah tak fikir, buat sesuatu tu betul-betul sebab nak berhubung dengan Allah?
Jalan menghidupkan jiwa hanya satu
Jalan menghidupkan jiwa hanya satu. Itulah dia menjaga hubungan kita dengan Allah SWT. Tiada jalan lain untuk menghidupkan jiwa. Meditasi, tafakur dalam gua, berseorangan, semuanya tiada makna jika ianya tidak berhubung dengan Allah SWT.
Sebab itu, kita sebagai manusia perlu melihat kembali hubungan kita dengan Allah SWT. Lebih-lebih lagi yang merasakan jiwanya kosong, gelap, gundah, resah, dan 1001 lagi perasaan yang tidak senang dalam jiwa dan kehidupannya.
Bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT? Soal diri.
Kemudian lihat kehidupan kita. Dengan apa kita isi? Kebaikankah? Keburukankah? Kalau kita rasa kita dah isi dengan kebaikan, kita lihat pula bagaimana kebaikan itu kita isi. Benarkah kita buat semua kebaikan itu dengan harapan nakkan redha Allah, nakkan kasih sayang-Nya, nakkan cinta-Nya? Atau kita buat baik sebab itu adat, orang lain buat?
Matlamat di dalam beribadah adalah sesuatu perkara yang penting. Kalau beribadah, solat, baca Al-quran, bukan kerana Allah, tetap ketenangan itu tidak akan hadir. Benda ini perlu kita perhatikan dengan serius.
“Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat, dan setiap manusia itu apa yang diniatkannya, barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan rasul-Nya, barangsiapa yang berhijrah kerana dunia untuk habuannya, atau kerana perempuan untuk dinikahinya, maka hijrahnya akan ke arah apa yang dihijrahkannya” Riwayat Bukhari dan Muslim.
InsyaAllah, kalau kita lihat semula benda ni, dan kita koreksi satu persatu, bawa kembali diri kita untuk berhubungan dengan Allah SWT, maka jiwa kita akan kembali hidup.
Cuma jelasnya, tiada yang mampu menghidupkan jiwa kita, selain daripada Pencipta Jiwa itu sendiri. Siapakah Pencipta Jiwa? Dialah Allah SWT.
Dosa pembunuh jiwa
Suka diingatkan, sebagaimana di awal artikel, jauh daripada Allah adalah sebab kematian jiwa. Maka dosa adalah sesuatu yang memutuskan hubungan kita dengan Allah SWT.
Jadi, apa jua dosa, ianya akan membunuh jiwa kita. Perlahan-lahan ia membakar jiwa hingga hangus dan menjadikannya mati. Kadangkala, dosa ini kita lakukan macam benda itu tak berdosa sebab ianya dah jadi kebiasaan masyarakat kita. Contohnya merokok, contoh lain mencarut, contoh lain lagi tak tutup aurat, contoh lain lagi adalah tak jaga pandangan. Antara contoh lagi adalah terlalu asyik dengan hiburan.
Ini antara virus-virus halus yang meragut nyawa jiwa kita. Kita akan lihat, sedar-sedar kita sudah berada di tengah lembah kehancuran, jauh daripada Allah SWT.
Apatah lagi yang hidupnya penuh dengan melakukan hal-hal yang haram seperti bergaul bebas tanpa batasan, berzina, tengok benda lucah, minum arak, pergi pub, mencuri, rasuah, berbohong, membunuh, dan sebagainya.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan satu dosa, terbentuklah bintik hitam di dalam hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfr, maka bersihlah dirinya dari bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melaksanakan dosanya, maka bertambahlah bintik hitam pada hatinya sehingga tertutup seluruh hatinya. Itulah karat yang disebut Allah di dalam kitabnya: Tidak sesekali demikian, sebenarnya apa yang usahakan telah menutup hati mereka[Surah Al-Mutaffifin ayat 14]” Hadith riwayat Al-Baihaqi.
Jiwa lama-lama menjadi hitam seperti buntut kuali. Tidak lagi sensitif. Tidak lagi peka. Tidak lagi dapat merasakan hangatnya bahagia. Akhirnya, memang jiwa tak akan hidup.
Jadi, hendak hidupkan jiwa, tinggalkan dosa, dekati Allah SWT Yang Maha Esa.
Ketenangan, kebahagiaan, kelapangan, semuanya di situ
Apabila jiwa sudah hidup, barulah kita akan mampu merasai ketenangan, kebahagiaan, kelapangan, dan semua perasaan yang menyenangkan. Kita akan melihat bahawa hidup itu bermakna, ibadah-ibadah yang dilakukan rasa berisi dan memberikan kekuatan, dan hubungan dengan manusia itu pun menajdi sesuatu yang menyenangkan.
Semuanya apabila kita jaga hubungan kita dengan Allah SWT.
Persoalannya, siapakah yang menjaga hubungannya dengan Allah SWT?
Mari kita lihat diri kita.
Adakah kita?
Mari sama-sama lihat hubungan kita dengan Allah SWT.
Mari benar-benar menjadi hamba-Nya, mencuci dosa-dosa kita!
The post Rejuvenasi Hati: Menghidupkan Jiwa appeared first on Langit Ilahi.
Rejuvenasi Hati: Berniaga Dengan Allah
Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Agung. Di sisi keagunganNya pula wujud kasih dan sayang yang tidak bertepi kepada hamba-hambaNya.
Bayangkan yang dunia ini diberikan kepada kita tanpa dimintaNya apa-apa bayaran, kita hidup di atas muka bumi ini dengan wujud kuasa untuk memilih jalan kebaikan atau jalan keburukan. Tidak cukup dengan itu, Allah SWT menawarkan pula kita sebuah perniagaan, yang mana perniagaan tersebut tidak sedikit pun memberikan apa-apa keuntungan lebih kepada Allah, kerana Allah SWT sudah tersedia Maha Kaya, tetapi yang untung dari perniagaan tersebut adalah kita.
Begitu sekali kasih sayang Allah SWT.
Persoalannya, apakah kita sudi hendak berniaga denganNya?
Apa yang perniagaannya?
Apakah perniagaan dengan Allah SWT ini?
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” Surah As-Sof ayat 10-11.
Dalam hidup kita, asalnya wujud pada kita kelapangan masa. Semua perkara pada asalnya tidak kita letakkan batasan, halal atau haram, baik atau buruk. Tanpa apa-apa komitmen, kita boleh buat sesuka hati kita di atas muka bumi ini.
Namun dengan mengambil perniagaan ini, maka kelapangan masa tadi sudah mula perlu kita korbankan. Perlu ada masanya untuk menyembah Allah SWT. Perlu ada masanya untuk ibadah dan berbuat kebaikan. Dengan mengambil perniagaan ini, harta kita ada yang perlu dizakatkan, ada yang perlu kita korbankan dalam bentuk infaq dan sedekah. Nyawa kita yang mungkin asalnya untuk kita bersenang lenang, untuk kita berfoya-foya, bila mengambil perniagaan ini, kita perlu memanfaatkannya pada jalan yang diredhai Allah SWT, bukan jalan yang dimurkaiNya. Makanan dan minuman, serta urusan jual beli dan pelbagai lagi urusan hidup mula wujud batas-batasnya, halal dan haramnya, selepas kita mengambil perniagaan ini.
Ya, bila berniaga, pastilah ada perkara yang kita ‘jual’.
Semuanya adalah untuk memenuhi ‘beriman kepada Allah dan RasulNya, serta berjuang menegakkan agama Allah dengan harta dan diri’.
Apa yang kita dapat dari perniagaan ini?
Allah SWT berfirman:
“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” Surah As-Sof ayat 12-13.
Dari pengorbanan kita dengan ‘menjual’ beberapa perkara tadi, Allah SWT menawarkan:
1 – Pengampunan dosa-dosa
2 – Syurga ‘Adn yang di dalamnya pelbagai kenikmatan.
3 – Pertolongan daripada Allah SWT dalam perjuangan.
4 – Kemenangan yang cepat.
Sudahlah dunia ini diberikan percuma, kemudian kita diberikan kuasa untuk memilih sama ada hendak berbuat kebaikan atau keburukan, seterusnya kita ditawarkan pula ganjaran yang berbaloi sekiranya kita memilih jalan kebaikan. Ini membuatkan segala apa yang kita korbankan, seperti keselesaan, keseronokan, harta benda dan sebagainya seakan tidak ada apa-apa. Kita seperti langsung tidak rugi!
Hanya perlu bersabar sebentar, dalam berurus niaga dengan Allah SWT.
Betapa baiknya Allah SWT dengan kita.
Analogi
Analogi terhadap situasi di atas adalah mudah. Ianya adalah seperti berikut:
Seorang taukeh kedai datang bertemu dengan kita, dia berkata:
“Nah, ambil kedai runcit ni. Berniagalah.” Percuma, tanpa apa-apa bayaran sedikit pun. Rugi atau untung kedai runcit tersebut kini terletak pada tangan kita.
Selepas sekian waktu, taukeh kedai runcit datang kembali kepada kita. Bukan untuk mengambil kedai runcitnya semula, tetapi hendak menghadiahkan kita rumah banglo mewah yang terdapat di dalamnya pelbagai kesenangan hanya kerana kita telah menguruskan kedai runcit tadi dengan baik.
Kita mendapat peluang berniaga secara percuma, dan kemudian mendapat ganjaran pula!
Begitulah baiknya Allah SWT dengan kita.
Persoalannya, apakah kita mahu berniaga dengan Allah SWT?
Adakah kita sudi mengeluarkan ‘modal’?
Adakah kita boleh bersabar sementara menanti ‘keuntungan’ yang ditawarkan?
Tiada Kejayaan Tanpa Pengorbanan
Apa yang ditawarkan oleh Allah SWT adalah keselamatan kita dari api neraka. Hendak menjauhi neraka, perlulah bersikap sebagaimana orang yang hendak menjauhi neraka. Kita pastilah perlu mengorbankan banyak perkara, agar kita tidak terheret ke lembah kerosakan, yang seterusnya membawa kita kepada seksa api neraka itu.
Jika kita melihat orang-orang yang berjaya dalam perniagaan, mereka manusia yang punya disiplin. Mereka berstrategi, berperancangan. Dan mereka tidak hidup macam orang yang tak mahu untung hidup. Ada perkara yang orang tak mahu berjaya dalam perniagaan boleh buat, yang orang nak berjaya dalam perniagaan tak boleh buat perkara tersebut.
Sebagai contoh, bermalas-malasan.
Orang yang mahu berjaya dalam perniagaan perlu mengorbankan sikap malas. Dia perlu bersikap sering mencari dan mendapatkan peluang. Dia perlu rajin dan berusaha keras. Itu contoh.
Begitulah kita yang mahu berjaya di akhirat sana. Yang mahu mendapatkan ganjaran keuntungan jauh dari seksa api neraka sebagaimana yang ditawarkan oleh Allah SWT.
Pastilah kita perlu berkorban keselesaan dan kesenangan hidup.
Menjadi hamba kepada Allah SWT. Tunduk kepada perintahNya. Menjauhi laranganNya.
The post Rejuvenasi Hati: Berniaga Dengan Allah appeared first on Langit Ilahi.
July 5, 2014
30 Hari Mencari Tuhan: Allah SWT Yang Memberi Tawa.
Antara perkara yang sering dicari oleh manusia ialah ketenangan dan kebahagiaan. Tiada manusia yang suka berduka, bersedih dan gundah gulana. Kita semua berhajatkan kehidupan dengan hati yang tenang serta tidak serabut jiwa.
Ada yang mencari ketenangan ini di gunung ganang, ada yang mencarinya di tepian pantai, ada yang cuba mendapatkannya pada kala mentari terbenam. Ada yang mencarinya pada makanan yang sedap-sedap, ada yang cuba mengwujudkannya dengan perkumpulan keluarga, ada yang cuba memperolehinya pada sitkom dan rancangan lawak jenaka.
Tetapi apakah kita benar-benar tenang? Adakah jiwa kita benar-benar puas?
Kita mungkin rasa bahagia dan puas sebentar. Tetapi selepas kita turun dari gunung, selepas kita beredar dari pantai, selepas matahari benar-benar terbenam, selepas makanan bertukar menjadi najis, selepas keluarga bersurai, selepas sitkom tamat, bagaimana?
Muhasabah.
Saya sentiasa berpegang kepada kata-kata:
“Kalau hendak bahagia, dekatilah Pemilik Kebahagiaan.”
Ketenangan dan Kebahagiaan Adalah Milik Allah SWT
Apa yang sepatutnya kita terima sebagai hakikat ialah ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar itu tidak wujud pada makhluk-makhluk Allah SWT. Kerana mereka semua tidak benar-benar memiliki kebahagiaan dan ketenangan. Mereka bukan pemiliknya, bukan penciptanya.
Justeru kita kembali kepada pemilik alam semesta, langit dan bumi, serta segala apa yang berada antara keduanya. Baik yang terlihat, juga yang tidak terlihat. Yakni Allah SWT.
Allah SWT lah yang memiliki ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar-benarnya. Dia yang menciptakan ketenangan dan kebahagiaan. Dialah yang berkuasa dalam memberikannya kepada hamba-hambaNya yang dikehendaki atau menariknya semula dan menggantikannya pula dengan tangis serta duka.
Allah SWT berfirman:
“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan.” Surah An-Najm ayat 43-44.
Kita pula sebagai hambaNya, hendaklah bergerak ke arahNya untuk mendapatkan kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar ini. Hanya pada Dia sahajalah wujudnya ketenangan yang tertinggi.
Dialah yang mencampakkan ketenangan pada Musa saat tersepit antara Firaun dan Laut Merah, Dialah juga yang memberikan ketenangan kepada Ibrahim saat nabinya itu dilemparkan ke dalam api, Dia jugalah yang memberikan ketenangan kepada Yunus saat utusannya itu berada di dalam perut ikan nun, Dia yang sama jugalah yang memberikan ketenangan kepada utusan terakhirnya, Muhammad SAW, saat Rasulullah SAW diburu oleh kafir quraisy dan bersembunyi di gua tsur.
Bila kita mendapat ketenangan dari Allah SWT, kita bukanlah tidak langsung merasa gundah atau risau. Sebagai manusia, kita tetap akan merasakannya.
Namun perasaan gundah dan risau itu akan segera terbasmi dengan keimanan, dek kerana kita meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepada Allah SWT. Yang tinggal pada diri kita adalah usaha dan terus berusaha untuk menyahkan asbab kepada berlakunya kegundahan dan kerisauan itu.
Gundah dan risau, serabut dan tekanan, tidak akan melemahkan kita.
Kita akan mampu untuk terus bergerak ke hadapan dalam apa situasi sekalipun.
Kita tidak akan sesekali berputus asa.
Ya, itulah impak ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar.
Merapat Dengan Allah SWT
Justeru hendak mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar daripada Allah SWT, tidaklah kita boleh bersikap dengan sikap orang-orang yang tidak mahukan ketenangan dan kebahagiaan sebenar.
Kita perlu pergi merapat kepada Allah SWT. Menjadi hambaNya yang sebenar-benar hamba. Tunduk dan patuh kepada perintahNya, dan berusaha bersungguh-sungguh dalam menjauhi laranganNya.
Allah SWt berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi petunjuk ke jalan ugamanya, sesiapa yang rujuk kepadaNya. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah Ar-Ra’d ayat 27-28.
Menariknya di dalam Islam, dosa itu diibaratkan sebagai bintik hitam yang bakal melekat pada hati. Boleh dikatakan bahawa mereka yang melazimi dosa, jiwa mereka akan sukar untuk tenang dan tenteram. Kerana mereka semakin jauh dari sumber kebahagiaan dan ketenangan itu sendiri, yakni Allah SWT.
“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan(menutup) hati mereka. Surah Al-Mutoffifin ayat 14.” Hadith riwayat Al-Baihaqi.
Kita sendiri, apabila kita semakin menjauh dari Allah SWT, saat kita memerlukan tempat berpaut yang utuh, tempat mengadu yang terbaik, kita akan rasa kehilangan walau sebenarnya Allah itu dekat. Ini kerana dek dosa-dosa kita, hubungan kita dengan Allah SWT telah terputus. Ini antara faktor kepada keserabutan jiwa dan tidak tenangnya hati.
Apa yang perlu kita lakukan ialah menambah baik hubungan kita dengan pemilik kebahagiaan.
Perbanyakkan amal kebaikan. Dan kita maklum bahawa amal kebaikan menghapuskan dosa-dosa. Boleh dikatakan, amal kebaikan akan mencuci jiwa kita, lantas memurnikan semula hubungan kita dengan Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” Surah Hud ayat 114.
Kadang Kita Terlupa Akan Hakikat Ini
Kadang dalam kesibukan kita mengharungi kehidupan, kita tidak sedar yang kita telah semakin jauh dari Allah SWT. Kita sudah mula kurang berdoa, kita sudah mula tidak menjaga solat, kita mungkin sudah mula terjebak dengan perkara yang Allah murka. Macam-macam.
Itu semua faktor utama keserabutan jiwa.
Dan dek kerana keserabutan tadi, kita mula terlupa bahawa pemilik kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar adalah Allah SWT.
Ada yang sedar akan perkara ini, yakni dia tahu dan faham bahawa kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar itu hanyalah milik Allah SWT. Tetapi keegoan menewaskan dirinya, lantas dia tidak pergi kepada Allah SWT. Dia pergi kepada makhluk-makhlukNya.
Ini sekadar remedi yang sementara.
Lama kelamaan orang seperti ini akan terasa lelah dengan kebahagiaan dan ketenangan sementara yang dikecapinya. Jika ketenangan itu dirasakan wujud pada gunung-ganang, apakah kita akan perlu sentiasa naik gunung, atau terus sahaja tinggal di gunung? Pasti sukar kehidupan yang sedemikian bukan?
Sedang kita juga memerlukan ketenangan di pejabat, di rumah, atau pendek kata dalam seluruh kehidupan kita!
Maha Suci Allah SWT yang mengwujudkan ‘checkpoint’ buat kita untuk senantiasa bersamaNya, yakni dengan solat lima waktu, dan memberikan pula kita instrumen-instrumen pergantungan kepadaNya seperti doa serta amal-amal kebaikan seperti senyuman, sedekah. Agar ketenangan itu senantiasa diberikan kepada kita, bila-bila masa, di mana jua kita berada.
Bila hubungan dengan Allah sudah erat, kita sentiasa merasakan kewujudan Allah SWT di sisi kita, kita akan mula merasa tenang dan tenteram. Dari tenang dan tenteram itu muncul ketabahan, kecekalan, sikap tidak berputus asa. Membawa kepada kehidupan yang lebih bermanfaat dan baik, dengan izinNya.
Muhasabah!
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Allah SWT Yang Memberi Tawa. appeared first on Langit Ilahi.
30 Hari Mencari Tuhan: Kuda Perang dengan Tuannya, Kita dengan Allah SWT
Dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi, ditambah pula dengan tanggungjawab untuk mentaati Allah SWT, memang mudah untuk kadangkala kita merungut dan rasa terbeban.
Bila begitu, kita mula persoalkan mengapa perlu taat kepada Allah, apa yang kita dapat, dan macam-macam lagi. Kerana dek kepenatan, kita mula rasa mahu melepaskan diri dari semua tanggungjawab ini. Kita fikir ianya tidak berbaloi.
Namun bijaksananya Allah SWT dalam memotivasikan hamba-hambaNya agar kekal di atas jalan kebenaran, Dia turunkan buat kita satu surah yang menceritakan perihal kuda perang.
Ya, kuda perang. Yang dibesarkan untuk berperang. Yang pergi ke medan perang dengan peratusan kemungkinan tertinggi untuk bertemu dengan kematian.
Allah SWT berfirman
Perhatikan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Adiyat dari awal hingga penamatnya.
“(1)Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. (2)Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. (3)Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh. (4)Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. (5)Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh. (6)Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. (7)Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian. (8)Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (9) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? (10)Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? (11)Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka – pada hari itu.”
Surah ini boleh kita bahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama, dari ayat 1 hingga ayat 5, yang memfokuskan kita kepada keadaan kuda perang. Manakala bahagian kedua bermula dari ayat 6 hingga 11 yang merupakan refleksi kepada kehidupan kita sebagai manusia.
Kuda Perang, Kehidupan dan Tuannya
Bila kita perhatikan keadaan hidup kuda perang, kita maklum bahawa kehidupannya adalah kehidupan yang merbahaya. Allah SWT menggambarkan betapa beratnya kehidupan kuda perang dengan mempersembahkan kepada kita situasi-situasi yang perlu dihadapi oleh kuda perang.
Kuda perang perlu berlari dengan tangkas hingga kedengaran kencang nafasnya. Kuda perang bila bersungguh-sungguh, ladam pada kakinya akan bergesel dan hingga boleh tercetus percikan api. Kuda perang perlu menyerbu musuh mengikuti tuannya walau dalam apa ketika sekalipun, dan di dalam Surah digambarkan pada waktu Subuh, yang mana kita manusia pun masih lena diulit mimpi. Debu-debu medan perang naik dan menganggu penglihatan mereka, membuatkan mereka sukar memandang bahaya yang bakal menimpa. Dan kuda perang perlu menggempur di tengah kumpulan musuh yang ramai, membuka dirinya kepada segala malapetaka.
Apakah kuda perang dilayan bagai maharaja oleh tuannya hingga kuda perang sanggup merisikokan hidupnya sedemikian rupa?
Kuda perang jika tidak berperang, hidupnya di bangsal. Makanannya tidak mewah. Hidupnya biasa sahaja. Tidaklah sehebat mana jika hendak diukur dengan pengorbanannya.
Apakah kuda perang lari dari tanggungjawabnya?
Tidak. Dia tetap melaksanakannya.
Ya, itulah dia kuda perang.
Mengapa Allah SWT meletakkan kuda perang sebagai perbandingan kepada kita?
Kita dan Allah SWT
Bahagian kedua Surah Al-‘Adiyat adalah refleksi kepada kita sebagai manusia yang hidup berTuhankan Allah SWT, dan mengharap belas rahmat inayahNya.
Selepas menceritakan perihal kuda perang, Allah terus memulakan refleksi kepada manusia dengan menyatakan bahawa kita adalah amat tidak bersyukur kepada Allah SWT.
Setelah menggambarkan kehidupan kuda perang, risiko yang perlu diambil, tanggungjawabnya yang berat dan kemudian layanannya yang tidaklah seberapa, Allah SWT seakan-akan mahu berkata kepada manusia-manusia yang masih lagi tidak bersyukur dengan segala nikmat dan kasih sayang yang Allah SWT telah curahkan kepada manusia, yang berkali-kali ganda jauh lebih baik dari kehidupan seekor kuda perang.
Allah SWT menyatakan kita terlalu materialistik. Mengejar sangat kesenangan, keselesaan, kekayaan. Hingga hendak mentaati Allah SWT pun payah dan terasa berat serta susah. Sedangkan Allah SWT bukan mahu kita taat kepadaNya untuk kegunaan diriNya. Maha Suci Allah SWT, Dia tidak memerlukan kita.
Namun ketaatan kita kepadaNya hanya akan memberikan manfaat kepada diri kita sendiri. Ketaatan kita kepada Allah SWT menjauhkan diri kita dari kerosakan dan kefasadan.
Tidak cukup dengan itu, Allah SWT memotivasikan kita untuk mentaatiNya dengan pelbagai ganjaran dan janji balasan yang indah-indah. Semaklah Al-Quran, dan lihatlah pelbagai janji Allah SWT untuk mereka yang taat kepadaNya. Syurga yang di dalamnya penuh dengan kenikmatan, gandaan pahala, pengampunan dari dosa, ketenangan jiwa, kebersihan hati. Pelbagai!
Di sinilah Allah SWT mengingatkan kepada kita manusia, untuk mengenang hari di mana kita dibangkitkan dari kubur. Allah SWT mahu kita fikir, apakah yang berharga ketika itu. Apakah kesenangan, keselesaan kita terhadap apa yang materialistik, atau ketaatan kita kepada Allah SWT?
Allah menutup Surah Al-‘Adiyat dengan mengingatkan bahawa Allah SWT sahajalah yang akan mampu membantu manusia pada hari mereka dibangkitkan semula di akhirat kelak.
Tidak seperti kuda perang, yang mana selepas kematiannya, tuannya akan meninggalkan dia. Sudahlah hidupnya penuh berisiko, dengan ganjaran layanan tidak seberapa. Selepas mati, tuannya tidak lagi bertanggungjawab kepadanya.
Tetapi tidak dengan Allah SWT.
Selepas kita mati, kita akan berada di alam barzakh dengan mukaddimah terhadap balasan atas apa yang kita laksanakan di dunia. Kemudian dibangkitkan di mahsyar, untuk diadili dan dihisab oleh Allah SWT. Dan kemudian masing-masing mendapat balasan masing-masing mengikut rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Sama ada ke syurga, atau neraka.
Di sinilah kita perlu bertanya, sejauh manakah komitmen kita dalam mentaati Allah SWT itu?
Kita Bukan Kuda Perang
Kuda perang mungkin bersetuju dengan kehidupannya adalah kerana dia tidak mempunyai akal. Justeru dia terpaksa sahaja mengekori hajat tuannya. Dia terpaksa menerima sahaja layanan tuannya.
Tetapi kita bukan kuda perang. Kita ada akal. Dan akal inilah yang dijentik oleh Allah SWT saat membandingkan kita dengan kuda perang. Kuda perang mati, dia tidak akan dibangkitkan semula di akhirat untuk dihisab. Kita bukan kuda perang. Kita akan dibangkitkan semula dan dihitung amalan.
Segala penat lelah kita di dunia ini, akan mendapat ganjaran yang jauh lebih berharga dari segala keletihan dan pengorbanan kita.
Maka sepatutnya akal kita menilai semula akan dedikasi kehidupan kita ini kepada Allah SWT.
Apakah masih patut kita sambil lewa dengan perintahNya?
Apakah masih boleh suka-suka hendak melaksanakan apa yang dilarang olehNya?
Akal kita perlu menilai dan meneliti perkara ini.
Kita bukan kuda perang yang tiada pilihan. Allah SWT menghormati akal yang Dia ciptakan untuk kita ini dengan memberikan kita kuasa untuk memilih.
Namun setiap pilihan ada konsikuensinya.
Apakah kita hendak menjual kesenangan akhirat dengan mengambil kesenangan di dunia, sedang kesenangan di dunia itu murah harganya?
Atau kita sanggup untuk tunduk dan mentaati Allah SWT, menerima dunia sebagai ujian, memahami bahawa di dunia ini ada perkara yang boleh kita lakukan, ada yang tidak boleh kita lakukan, dan seterusnya bergerak untuk menggapai kesenangan yang abadi dengan rahmat Allah SWT di akhirat kelak?
Allah SWT sedang menjentik minda dan hati kita.
Kita bukan kuda perang.
Maka sepatutnya kita boleh buat keputusan yang lebih baik.
Dan Allah SWT bukan ‘tuan’ yang biasa-biasa. Dia pencipta alam semesta, berkuasa atas segala-galanya!
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Kuda Perang dengan Tuannya, Kita dengan Allah SWT appeared first on Langit Ilahi.
July 3, 2014
Ramadhan: Berdoalah! Tiada Siapa Yang Dapat Menghalangmu
gambar hiasan: tumblr.com
Saban hari dugaan datang menerjah kehidupaan ini. Adakala rasa teramat payah. Hampir tejelepok di kaki harapan, meraung dalam kegagalan, melihat seakan tiada lagi sinar. Masa hadapan terasa begitu kabur. Putus asa. Tetapi sering aku gagahi diri untuk terus melangkah walau apa pun yang menanti di hadapan. Kerana jika aku tidak bergerak, aku akan jatuh. Jika aku berhenti, payah untukku bangun kembali. Lalu ku bisik pada diri, teruskanlah walau perlahan.
Namun semenjak kebelakangan ini, kesukaran yang dialami terasa semakin ringan. Dugaan tetap bertandang, satu demi satu.. tetapi seakan-akan jiwa ini sudah terlalu lali dan sebati kerana aku pasti di sebalik ujian, aku akan bangkit. Mendung kan berlalu dan mentari akan muncul kembali, malam tak selamanya dan siang pasti tiba. Walau mendung dan malam tetap menjelma, itulah aturanNya, begitu juga ujian dan dugaan. Kita tidak akan dapat lari. Mahu tidak mahu, kena hadapi.
Di sisi kedukaan, menyusul pula kejayaan, walaupun tidak gemilang tetapi cukup membuat hati girang. Nikmat yang bertandang, rezeki datang silih berganti. Semuanya cukup untuk membuatku berkata pada diri sendiri, “Lihatlah. Bukankah Allah sudah berjanji, di sebalik kepayahan pasti ada kesenangan!” Atas usaha siapa kesenangan ini datang? Adakah atas usaha kita semata-mata? atau ada kuasa lain di sebaliknya? Senyum. Ya ada. Inilah kuasa sekuntum doa.
Nilai Sepotong Doa
Kesenangan dan kejayaan tidak datang bergolek. Perlu ada ikhtiar, usaha dan tawakal kepadaNya. Cuma kadang-kadang kita ini, tidaklah usaha setara mana tetapi tetap diberi ganjaran oleh Allah kerana rahmatNya yang Maha Luas. Namun pernahkah kita terfikir, di sebalik semua rasa bahagia ini mungkinkah bukan kerana usaha kita? Tidak mustahil rezeki, kesenangan, kebahagiaan yang kita kecapi walau sebentar, adalah kerana doa. Doa kita, sudah semestinya tetapi yang selalu kita lupa, mungkin kita sebenarnya sedang didoakan oleh seseorang. Dalam senyap, dalam diam, tanpa kita tahu. Sekarang ini saya pasti, ada dalam kalangan pembaca sudah terbayangkan seseorang dalam fikirannya. Senyum lagi.
Tatkala kita sedang gembira, ada juga yang sedang bahagia melihat kita gembira. Dalam hatinya bersyukur kerana dimakbulkan doanya agar kita ini baik-baik selalu. Tatkala kita berduka, ada yang sedang berduka dalam diamnya sambil berdoa agar nestapa yang kita rasai, berlalu pergi. Ini semua rahsia Tuhan yang kita tidak tahu. Rahsia di antara sang pendoa dengan RabbNya.
Dan siapakah pendoa itu? Cuba ingati satu persatu insan-insan yang berada di sekeliling kita. Ibu bapa, suami, isteri, adik-beradik, saudara mara, sahabat-sahabat, teman-teman, guru-guru, malah sesiapa sahaja dan barangkali, ada insan-insan yang mengenali kita dalam senyap tanpa kita sedari tetapi sentiasa mendoakan kebaikan kita. Segalanya tidak mustahil, dalam diam kita sedang didoakan! Dan kita, adakah sering mendoakan kebaikan mereka juga? tepuk dada tanyalah iman.
Inilah nilai sekuntum doa. Doa itu senjata yang paling ampuh. Andai kita tahu betapa berkuasanya doa itu pasti tidak akan disiakan setiap saat yang berlalu.Abu Hurairah R.A berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
“Doa seorang hamba akan senantiasa dikabulkan. Selama ia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau terputusnya hubungan silaturrahim dan selama tidak minta dipercepat” Ada seseorang bertanya, “Ya Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan minta dipercepat itu?” Baginda pun menjawab, “iaitu ia berkata: ‘Aku sudah berdoa dan terus berdoa tetapi belum pernah aku melihat doaku dikabulkan.’ Maka pada saat itu ia merasa letih dan tidak mahu berdoa lagi.” -Hadis Riwayat Muslim.
Allahu, lihatlah betapa tingginya nilai doa di sisi Allah. Bukanlah Allah tidak mahu mengabulkan tetapi renung diri sendiri bagaimana adab kita berdoa dan meminta kepadaNya selama ini. Juga firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 55;
“Berdoalah kepada Rabb kalian dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”
Allah SWT juga berfirman di dalam surah Ghafir (al-Mu’min), ayat ke 60 yang bermaksud;
“Dan Tuhanmu berfirman:Berdoalah kepadaKu, niscaya akan aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”
Daripada ayat ini, jelas bahawa orang yang enggan berdoa adalah orang yang sombong dan takbur, kerana ada penyakit ego dalam hatinya daripada berdoa kepada Allah SWT. Kerana inilah sebagai hamba yang lemah lagi daif, kita perlu berdoa kepada Allah. Doa tanda pengharapan, kerendahan hati di hadapannya, meyakini hanya Dia yang boleh mengkabulkan segala permintaan dan harapan.
Tetapi Doaku Tidak Dimakbulkan!
Rasulullah SAW bersabda lagi,” Tidaklah seorang muslim berdoa dengan suatu doa yang tidak mengandungi dosa dan bukan untuk memutuskan silaturrahim, kecuali Allah pasti akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga hal; Allah akan mengkabulkan doanya dengan segera, atau Allah menyimpan doanya (sebagai suatu pahala) di akhirat, atau Allah akan memalingkan dan menghindarkannya dari satu keburukan yang sebanding (akibat) dengan doanya itu.” (Hadis riwayat Ahmad,al-Bazzar, dan Abu Ya’la dengan sanad jayyid.)
Justeru, jika doa kita tidak dimakbulkan pasti ada sebabnya. Mungkin doa yang kita pinta itu terlihat baik di mata kita tetapi Allah lebih tahu kesannya jika dimakbulkan doa itu. Perkara yang kita sangka baik, boleh jadi di sisi Allah ia tidak baik lalu dengan kasih dan cintanya, Dia menjauhkan kita daripada apa yang kita pinta itu kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik buat hambaNya. Jadi sekiranya doa kita tidak dimakbulkan, janganlah kita menjadikan ia sebab untuk berhenti berdoa dan berputus asa. Allah tahu sedangkan kita tidak tahu, apa yang berada di hadapan bukanlah seperti apa yang kita sangkakan. Bayangkan sekiranya semua doa manusia dikabulkan Allah begitu sahaja, lalu apa akan terjadi pada dunia? Pasti kucar kacir jadinya. Kerana itu yakinlah dengan sifat Allah yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi, Maha Mengatur, Maha Bijaksana.
Ramadhan ini: Maksimakan Doa
Dengan rahmat Allah yang terbuka selapang-lapangnya Ramadhan ini, mana mungkin doa seorang hamba itu menjadi sia-sia. Dengan syarat, ikhlas dan khusyuklah dalam berdoa. Meminta dengan penuh pengharapan dan kesungguhan serta keyakinan bahawa pasti akan Allah kabulkan. Ambil peluang keemasan ini dengan menggencarkan semaksima mungkin kuasa doa yang kita ada.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa itu mempunyai satu kesempatan berdoa yang tidak akan ditolak pada saat ia berbuka puasa.” (Riwayat Imam Ibnu Majah dan al-Hakim)
Sabda baginda lagi,” Ada tiga orang yang tidak ditolak doanya; orang yang sedang berpuasa ketika ia berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)
Lantaran itu, dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, rebutlah peluang dan rahmat Allah sepuas-puasnya. Pintalah apa yang anda mahu selagi mana ia membawa kepada kebaikan. Mohonlah dengan penuh kerendahan hati dan kelembutan kepadaNya, nescaya akan diperkenankan. Andai sempitnya rezeki, mintalah diluaskan. Andai di hati ada benci, mintalah digantikan dengan kecintaan. Andai dirundung kegagalan, mintalah sebuah kejayaan. Andai hidup sengsara, pohonlah bahagia. Anda tahu apa yang anda mahu, maka pohonlah.
Berdoa bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi sampaikanlah juga doa buat kecintaan-kecintaan kita, agar mereka jua beroleh kebaikan daripadanya. Doakanlah sauara-saudara kita di seluruh dunia terutama yang diuji dengan kepahitan dan penderitaan, penyiksaan yang tak terlihat oleh pandangan mata jauh nun di sana. Syria, Palestin, Burma, Thailand, Afrika, China, Afghanistan, Iraq dan seluruh dunia.
Manusia mungkin boleh menghalangmu daripada berkata-kata dan bertindak, tetapi tiada siapa yang dapat menghalangmu daripada berdoa. Kerana ia lahir dari hati, tiada siapa yang tahu, tiada siapa yang sedari melainkan Ilahi Rabbi. Berdoalah dan berusahalah!
The post Ramadhan: Berdoalah! Tiada Siapa Yang Dapat Menghalangmu appeared first on Langit Ilahi.
Berdoalah! Tiada Siapa Yang Dapat Menghalangmu
gambar hiasan: tumblr.com
Saban hari dugaan datang menerjah kehidupaan ini. Adakala rasa teramat payah. Hampir tejelepok di kaki harapan, meraung dalam kegagalan, melihat seakan tiada lagi sinar. Masa hadapan terasa begitu kabur. Putus asa. Tetapi sering aku gagahi diri untuk terus melangkah walau apa pun yang menanti di hadapan. Kerana jika aku tidak bergerak, aku akan jatuh. Jika aku berhenti, payah untukku bangun kembali. Lalu ku bisik pada diri, teruskanlah walau perlahan.
Namun semenjak kebelakangan ini, kesukaran yang dialami terasa semakin ringan. Dugaan tetap bertandang, satu demi satu.. tetapi seakan-akan jiwa ini sudah terlalu lali dan sebati kerana aku pasti di sebalik ujian, aku akan bangkit. Mendung kan berlalu dan mentari akan muncul kembali, malam tak selamanya dan siang pasti tiba. Walau mendung dan malam tetap menjelma, itulah aturanNya, begitu juga ujian dan dugaan. Kita tidak akan dapat lari. Mahu tidak mahu, kena hadapi.
Di sisi kedukaan, menyusul pula kejayaan, walaupun tidak gemilang tetapi cukup membuat hati girang. Nikmat yang bertandang, rezeki datang silih berganti. Semuanya cukup untuk membuatku berkata pada diri sendiri, “Lihatlah. Bukankah Allah sudah berjanji, di sebalik kepayahan pasti ada kesenangan!” Atas usaha siapa kesenangan ini datang? Adakah atas usaha kita semata-mata? atau ada kuasa lain di sebaliknya? Senyum. Ya ada. Inilah kuasa sekuntum doa.
Nilai Sepotong Doa
Kesenangan dan kejayaan tidak datang bergolek. Perlu ada ikhtiar, usaha dan tawakal kepadaNya. Cuma kadang-kadang kita ini, tidaklah usaha setara mana tetapi tetap diberi ganjaran oleh Allah kerana rahmatNya yang Maha Luas. Namun pernahkah kita terfikir, di sebalik semua rasa bahagia ini mungkinkah bukan kerana usaha kita? Tidak mustahil rezeki, kesenangan, kebahagiaan yang kita kecapi walau sebentar, adalah kerana doa. Doa kita, sudah semestinya tetapi yang selalu kita lupa, mungkin kita sebenarnya sedang didoakan oleh seseorang. Dalam senyap, dalam diam, tanpa kita tahu. Sekarang ini saya pasti, ada dalam kalangan pembaca sudah terbayangkan seseorang dalam fikirannya. Senyum lagi.
Tatkala kita sedang gembira, ada juga yang sedang bahagia melihat kita gembira. Dalam hatinya bersyukur kerana dimakbulkan doanya agar kita ini baik-baik selalu. Tatkala kita berduka, ada yang sedang berduka dalam diamnya sambil berdoa agar nestapa yang kita rasai, berlalu pergi. Ini semua rahsia Tuhan yang kita tidak tahu. Rahsia di antara sang pendoa dengan RabbNya.
Dan siapakah pendoa itu? Cuba ingati satu persatu insan-insan yang berada di sekeliling kita. Ibu bapa, suami, isteri, adik-beradik, saudara mara, sahabat-sahabat, teman-teman, guru-guru, malah sesiapa sahaja dan barangkali, ada insan-insan yang mengenali kita dalam senyap tanpa kita sedari tetapi sentiasa mendoakan kebaikan kita. Segalanya tidak mustahil, dalam diam kita sedang didoakan! Dan kita, adakah sering mendoakan kebaikan mereka juga? tepuk dada tanyalah iman.
Inilah nilai sekuntum doa. Doa itu senjata yang paling ampuh. Andai kita tahu betapa berkuasanya doa itu pasti tidak akan disiakan setiap saat yang berlalu.Abu Hurairah R.A berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
“Doa seorang hamba akan senantiasa dikabulkan. Selama ia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau terputusnya hubungan silaturrahim dan selama tidak minta dipercepat” Ada seseorang bertanya, “Ya Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan minta dipercepat itu?” Baginda pun menjawab, “iaitu ia berkata: ‘Aku sudah berdoa dan terus berdoa tetapi belum pernah aku melihat doaku dikabulkan.’ Maka pada saat itu ia merasa letih dan tidak mahu berdoa lagi.” -Hadis Riwayat Muslim.
Allahu, lihatlah betapa tingginya nilai doa di sisi Allah. Bukanlah Allah tidak mahu mengabulkan tetapi renung diri sendiri bagaimana adab kita berdoa dan meminta kepadaNya selama ini. Juga firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 55;
“Berdoalah kepada Rabb kalian dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”
Allah SWT juga berfirman di dalam surah Ghafir (al-Mu’min), ayat ke 60 yang bermaksud;
“Dan Tuhanmu berfirman:Berdoalah kepadaKu, niscaya akan aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”
Daripada ayat ini, jelas bahawa orang yang enggan berdoa adalah orang yang sombong dan takbur, kerana ada penyakit ego dalam hatinya daripada berdoa kepada Allah SWT. Kerana inilah sebagai hamba yang lemah lagi daif, kita perlu berdoa kepada Allah. Doa tanda pengharapan, kerendahan hati di hadapannya, meyakini hanya Dia yang boleh mengkabulkan segala permintaan dan harapan.
Tetapi Doaku Tidak Dimakbulkan!
Rasulullah SAW bersabda lagi,” Tidaklah seorang muslim berdoa dengan suatu doa yang tidak mengandungi dosa dan bukan untuk memutuskan silaturrahim, kecuali Allah pasti akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga hal; Allah akan mengkabulkan doanya dengan segera, atau Allah menyimpan doanya (sebagai suatu pahala) di akhirat, atau Allah akan memalingkan dan menghindarkannya dari satu keburukan yang sebanding (akibat) dengan doanya itu.” (Hadis riwayat Ahmad,al-Bazzar, dan Abu Ya’la dengan sanad jayyid.)
Justeru, jika doa kita tidak dimakbulkan pasti ada sebabnya. Mungkin doa yang kita pinta itu terlihat baik di mata kita tetapi Allah lebih tahu kesannya jika dimakbulkan doa itu. Perkara yang kita sangka baik, boleh jadi di sisi Allah ia tidak baik lalu dengan kasih dan cintanya, Dia menjauhkan kita daripada apa yang kita pinta itu kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik buat hambaNya. Jadi sekiranya doa kita tidak dimakbulkan, janganlah kita menjadikan ia sebab untuk berhenti berdoa dan berputus asa. Allah tahu sedangkan kita tidak tahu, apa yang berada di hadapan bukanlah seperti apa yang kita sangkakan. Bayangkan sekiranya semua doa manusia dikabulkan Allah begitu sahaja, lalu apa akan terjadi pada dunia? Pasti kucar kacir jadinya. Kerana itu yakinlah dengan sifat Allah yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi, Maha Mengatur, Maha Bijaksana.
Ramadhan ini: Maksimakan Doa
Dengan rahmat Allah yang terbuka selapang-lapangnya Ramadhan ini, mana mungkin doa seorang hamba itu menjadi sia-sia. Dengan syarat, ikhlas dan khusyuklah dalam berdoa. Meminta dengan penuh pengharapan dan kesungguhan serta keyakinan bahawa pasti akan Allah kabulkan. Ambil peluang keemasan ini dengan menggencarkan semaksima mungkin kuasa doa yang kita ada.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa itu mempunyai satu kesempatan berdoa yang tidak akan ditolak pada saat ia berbuka puasa.” (Riwayat Imam Ibnu Majah dan al-Hakim)
Sabda baginda lagi,” Ada tiga orang yang tidak ditolak doanya; orang yang sedang berpuasa ketika ia berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)
Lantaran itu, dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, rebutlah peluang dan rahmat Allah sepuas-puasnya. Pintalah apa yang anda mahu selagi mana ia membawa kepada kebaikan. Mohonlah dengan penuh kerendahan hati dan kelembutan kepadaNya, nescaya akan diperkenankan. Andai sempitnya rezeki, mintalah diluaskan. Andai di hati ada benci, mintalah digantikan dengan kecintaan. Andai dirundung kegagalan, mintalah sebuah kejayaan. Andai hidup sengsara, pohonlah bahagia. Anda tahu apa yang anda mahu, maka pohonlah.
Berdoa bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi sampaikanlah juga doa buat kecintaan-kecintaan kita, agar mereka jua beroleh kebaikan daripadanya. Doakanlah sauara-saudara kita di seluruh dunia terutama yang diuji dengan kepahitan dan penderitaan, penyiksaan yang tak terlihat oleh pandangan mata jauh nun di sana. Syria, Palestin, Burma, Thailand, Afrika, China, Afghanistan, Iraq dan seluruh dunia.
Manusia mungkin boleh menghalangmu daripada berkata-kata dan bertindak, tetapi tiada siapa yang dapat menghalangmu daripada berdoa. Kerana ia lahir dari hati, tiada siapa yang tahu, tiada siapa yang sedari melainkan Ilahi Rabbi. Berdoalah dan berusahalah!
The post Berdoalah! Tiada Siapa Yang Dapat Menghalangmu appeared first on Langit Ilahi.