Hilal Asyraf's Blog, page 62

May 29, 2014

Fotografi : Kehidupan

DSC_0148


 


Georgetown,Penang

f6.3 | ISO 100 | 1/200s




Allah SWT menciptakan semua makhluknya dengan pelbagai manfaat tetapi bukan semua ciptaan Allah itu bermanfaat untuk kita


The post Fotografi : Kehidupan appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 29, 2014 06:43

Iman Mengubah Pandangan Hidupnya



the-choice-of-2-paths-problem-generating-and-problem-solving


Suatu ketika, Rasul s.a.w. pernah meminta pendapatnya tentang apa yang perlu mereka lakukan terhadap tawanan Badar.


Katanya, “Kita bunuh saja tawanan perang ini, ya Rasulullah.”


Saat itu, Abu Bakar memberikan jawapan yang lebih lembut. Kata Abu Bakar, “Kita ambil duit tebusanlah, ya Rasulullah.”  [Sofwatut Tafasir – Syeikh Ali As-Sobuni]


Ternyata Rasul s.a.w. lebih cenderung kepada jawapan yang lebih bernada lembut itu daripada Abu Bakar.


Beberapa hari selepas itu, dia terkejut ketka bertemu Rasul s.a.w. Baginda sedang menangis bersama Saidina Abu Bakar. Terus dia bertanya kepada Rasulullah, “Apakah yang sedang kalian tangiskan? Beritahulah padaku. Kalau ada perkara yang perlu ditangiskan, aku akan tangisi bersama. Kalau tidak ada sekalipun, aku tetap akan menangis juga melihat kalian menangis.”


Rupanya, Allah telah menurunkan wahyu berkaitan dengan apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang mukmin terhadap tawanan musyrikin yang berada di tangan mereka itu. Ternyata, jawapannya menepati skema yang Allah putuskan untuk mereka. Menangis Rasul s.a.w. dan Abu Bakar kerana merasa seolah-olah telah melakukan kesilapan yang besar.


Siapakah sahabat besar ini sehingga wahyu yang turun pun seolah-olah membenarkan kata-katanya? Dialah Umar Al-Khattab. Dialah Al-Farouq, pembeda antara haq dan batil !


 


Iman Telah Mengubah Pandangan Hidupnya


Umar telah membuktikan pada dunia bahawa prinsip hidup seseorang itu boleh berubah secara total bila iman telah meresap ke dalam jiwanya.


Daripada dulu seorang penentang kemudiannya berubah menjadi seorang pendokong.

Daripada dulu seorang yang sangat membenci Rasul s.a.w. kemudiannya berubah menjadi orang yang paling mencintai Rasul s.a.w.


Kalau dulu sewaktu jahiliah, dia pernah melangkahkan kakinya penuh keberanian dengan niat untuk membunuh Rasul s.a.w., tetapi selepas Islam, dialah orang melangkahkan kaki penuh keberanian meninggalkan Kota Makkah untuk hijrah ke Madinah.


Tidak bermakna para sahabat lain adalah penakut bila mereka berhijrah secara senyap dan sembunyi. Itu adalah sebahagian daripada strategi juga sebenarnya untuk mengelakkan masalah yang lebih besar.


Kata-katanya yang tegar dan menggerunkan pihak musyrikin Makkah itu telah membuatkan langkah hijrahnya ke Madinah tidak diganggu oleh sesiapapun.


Umar menggertak tanpa pernah ada rasa takut – “Barangsiapa yang inginkan ibunya kehilangan anak, anaknya menjadi yatim, isteri kesayangannya menjadi balu, marilah bertemu di belakang lembah ini.” [Umar Al-Khattab, Peribadi dan Hayatnya –Dr ‘Ali Muhammad As-Solabi]


Siapa yang berani menghalangnya? Tidak ada. Tidak ada yang berani.


Kalau dulu, ia menggunakan keberanian dan kekuatannya itu untuk menentang Islam, kini ia menggunakan kekuatan dan keberaniannya itu untuk menguatkan lagi Islam.


Dulu penentang, sekarang pendokong.


Berubah terus segala pendirian dan prinsip hidupnya. Bukan kerana ia tamakkan nama atau kedudukan, tapi kerana iman telah benar-benar bertakhta di hatinya menyebabkan cara pandangnya terhadap hidup berubah terus 100%.


Para pendakwah, ustaz dan orang-orang agama pun perlu berusaha mencontohi hal ini. Ketika kita menyampaikan Islam, bukan penyampaian kita itu yang akan mengubah mereka, tetapi iman yang berada di hati merekalah yang berperanan untuk mengubah diri mereka. Ceramah kita, tazkirah kita hanyalah sebagai satu jentikan untuk kesedaran itu berputik di hatinya.


Apapun, iman adalah asas yang penting untuk dibangunkan dalam diri insan kerana itulah sebenarnya titik tolak untuk menggerakkan perubahan dalam diri manusia.


Buktinya? Buktinya lihatlah pada Umar.


 


Fizikalnya Barangkali Keras, Tapi Hatinya Sangat Lunak Kepada Allah


Umar memang terkenal dengan kekerasan dan keberaniannya. Sebab itu, tidak ada siapa yang berani menghalangnya ketika dia ingin berhijrah kerana mereka tahu mereka tidak akan dapat mampu menandingi Umar.


Sifat kerasnya itu memang telah ada pada dirinya sejak sebelum Islam lagi. Dan peribadi Umar itu telah membenarkan apa yang disebutkan oleh Rasul s.a.w. dalam satu hadisnya yang bermaksud :


“Manusia ini seperti besi. Sebaik-baik kamu dalam jahiliah adalah sebaik-baik kamu dalam Islam sekiranya kamu memahami.”


Betapa gerunnya orang kepada Umar sehingga diriwayatkan dalam satu hadis daripada Saad bin Abi Waqas, “Umar Al-Khattab meminta izin untuk bertemu Rasulullah s.a.w. Bersama Rasul ketika itu ada beberapa orang wanita sedang bercakap dengannya dan bertanya terlalu banyak soalan kepadanya sehinggakan suara mereka lebih kuat dari suara baginda. Bila Umar Al-Khattab meminta izin untuk masuk bertemu Rasul s.a.w., mereka lari da bersembunyi.


Rasulullah s.a.w. pun membenarkan Umar masuk,  maka Umar pun masuk dan melihat Rasul s.a.w. sedang tersenyum. Umar berkata, “Semoga Allah sentiasa membuatkanmu tersenyum, wahai Rasulullah.” Baginda berkata, “Aku berasa sangat ajaib dengan perempuan yang bersamaku tadi. Bila mereka mendengar suaramu, mereka terus berlari dan bersembunyi.”


Umar berkata, “Engkaulah yang lebih layak untuk ditakuti oleh mereka, wahai Rasulullah.” Kemudian Umar berkata (kepada perempuan-perempuan itu), “Wahai orang yang memusuhi diri sendiri, kalian takut kepadaku tetapi tidak kepada Rasulullah?”


Mereka menjawab, “Ya. Kerana kamu lebih garang dan keras daripada Rasulullah s.a.w.” Maka baginda pun bersabda. “Wahai Ibn Khattab, demi Tuhan yang nyawaku di tangan-Nya, tidaklah syaitan bertemu engkau di atas satu jalan melainkan dia akan memilih jalan lain.” [HR Bukhari, no. 3683]


Itulah Umar. Tegas. Keras. Garang.


Tapi hatinya lunak. Tersangat lunak kepada Allah s.w.t.


Sebab itu, kita dapati pesanan-pesanannya kepada panglima-panglima perang di zamannya bukanlah dari sudut strategi, kerana dia tahu ada orang yang telah menguruskan bahagian strategi peperangan itu. Tetapi pesanannya selalu menjurus kepada menjaga hubungan dengan Allah dan meninggalkan dosa.


Kerana bagi dirinya, itu adalah punca utama kemenangan. Dan itu juga adalah punca utama kekalahan.


Maka, Umar walaupun mungkin ada sebilangan sahabat yang gerun pada kekerasan dirinya, tetapi kita tidak harus menafikan bahawa hubungannya dengan Allah tersangatlah hebat.


 


Inilah Yang Membuatkan Dirinya Diiktiraf


Keputusannya mungkin selalu berbeza dengan Rasul s.a.w. dan Abu Bakar dalam beberapa sudut. Tetapi, keputusannya yang berbeza itu kadangkala seolah-olah diiktiraf kebenarannya melalui wahyu Allah s.w.t.


Bukanlah Umar itu seorang Nabi atau Rasul, tetapi kerana imannya yang benar kepada Allah s.w.t. membuatkan dia memiliki firasat yang tajam dan keputusannya selalu tepat.


Nabi s.a.w. pernah bersabda dalam satu hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud :


“Di kalangan orang-orang sebelum kamu ada sesetengah orang yang sangat dikagumi. Jikalau ada dari kalangan ummatku orang untuk dikagumi, maka Umarlah orang itu.” [HR Bukhari, no. 3689]


Inilah rahsia seorang Umar.


Bermula daripada mengasah keimanan, akhirnya pandangan dan cara fikirnya pun berubah menjadi tajam. Ketika manusia mungkin menilai dunia dari sudut pandang keduniaan, tapi Umar menilai dunia dengan sudut pandang akhirat.


Barangkali, itulah yang menyebabkan telah tersimpan untuk Umar sebuah istana di syurga.


Hadis daripada Abu Hurairah r.a. juga yang bermaksud :


“Sewaktu aku tidur, aku bermimpi berada di syurga. Tiba-tiba aku melihat seorang perempuan sedang berwudhuk di tepi sebuah istana, maka aku bertanya, ‘Untuk siapakah istana ini?’ Mereka iaitu malaikat menjawab, ‘Untuk Umar Al-Khattab.’ Aku cuba untuk masuk, tetapi aku teringat akan kecemburuanmu lalu aku pun beredar dari situ. Setelah mendengar perkara itu, Umar menangis dan berkata, “Wahai Rasulullah, apakah aku harus cemburumu?” [HR Bukhari, no. 3680]


 


Penutup : Ketika Cinta Umar Melabuhkan Kemenangan Untuk Ummat


Islamnya Umar adalah satu kekuatan untuk ummat Islam. Dakwah yang bermula secara sembunyi-sembunyi di Makkah itu mula dizahirkan selepas Islamnya Umar.


Bukannya Umar inginkan namanya diangkat-angkat dan dipuji-puji kerana kekuatan yang ada pada dirinya itu, tetapi pada kadar kecintaannya kepada Rasul s.a.w. dan Islam, itulah yang mampu dilakukannya.


Setiap orang mencintai Rasul s.a.w. Dan Umar pun adalah salah seorang yang mencintai Rasul s.a.w.


Dia pernah cuba untuk bertanding dengan Abu Bakar dalam memberi sumbangan infaq kepada Islam, tetapi ternyata dia tidak pernah berjaya menang ke atas Abu Bakar. Pun begitu, sumbangannya kepada Islam sangatlah banyak sehingga pembukaan demi pembukaan wilayah baru Islam banyak dilakukan di zamannya.


Islamnya Umar adalah kekuatan, hijrahnya Umar adalah kemenangan.


Umar, adalah antara orang yang dicintai oleh Rasul s.a.w. “Pernah satu ketika, Amr Al-As bertanya kepada Rasul s.a.w., “Wahai Rasulullah, siapakah yang paling engkau sayangi?”


Baginda menjawab, “Aishah.”


Kemudian, aku bertanya lagi, “Kalau dari kalangan lelaki?”


Jawab baginda, “Ayahnya.”


“Kemudian siapa?”


Baginda bersabda, “Umar Al-Khattab.” Kemudian, baginda menyebutkan beberapa nama lagi.” [HR Bukhari, Muslim, Ibn Hibban]


Sebening cinta Umar kepada Rasul s.a.w. melabuhkan kemenangan untuk ummat. Dia tidak duduk diam dan hanya berselawat semata-mata, tetapi dia mengusahakan sesuatu untuk perubahan ummat.


Maka, di manakah pula cinta kita terhadap Rasul s.a.w. telah berlabuh dalam ummat ini?


The post Iman Mengubah Pandangan Hidupnya appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 29, 2014 04:34

May 27, 2014

Haram dan halal?

Haram dan halal bagi sesetengah kelompok

Haram dan halal bagi sesetengah kelompok “manusia”. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan sebegini. Amin.


The post Haram dan halal? appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 27, 2014 09:35

May 26, 2014

Poster: Why you have to pray?

pray


And if you were to count Allah’s favors, you would not be able to number them; most surely Allah is Forgiving, Merciful. Surah al-Nahl:18


The post Poster: Why you have to pray? appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 26, 2014 09:59

May 25, 2014

Isra’ dan Mi’raj: Ibrah sepanjang hayat demi kejayaan dunia akhirat

10365370_807536472590551_2688938879276901420_o


Sempurna penjagaan solat, membawa kejayaan dunia dan akhirat


Akal manusia bisa berfungsi untuk menilai fitrah sesuatu perkara sama ada baik atau buruk. Ia juga boleh mencapai tahap berfikir tentang kebesaran dan nikmat-nikmat Allah yang dikurniakan dalam hambanya. Sebab itu, kita lihat dalam al-Quran banyak peristiwa Allah bertanya kepada manusia tidakkah melihat atau meneliti suatu perkara yang telah terjadi atau dikurniakan kepada kamu?


Pun begitu, sifat insani tidak dapat lari dari kekurangan. Seorang manusia boleh menguasai kebanyakan bidang pengajian tetapi mustahil untuk kuasai kesemuanya sekali. Jika begitu akal manusia yang cetek bagaimana mungkin dia mengingkari suatu perkara yang wujud tetapi tidak tercapai akalnya sedangkan dia tahu bahawa perbatasan dalam penggunaan akal?


Isra’ dan mi’raj antara satu peristiwa yang tidak mampu seorang manusia menggunakan logic akal untuk mengekspresiasi kejadian tersebut. Namun, akal yang sihat yang terpandu dengan penggunaan dalil agama yang sihat membawa akal manusia membenarkannya. Sebagai contoh dalam bentuk analogi:


Seekor semut yang berada di dalam poket tuannya yang kini berada di Malaysia. Tuannya itu menaiki kapal terbang ke suatu tempat yang agak jauh dan pulang semula pada hari yang sama setelah selesai tugasannya di sana. Setelah pulang semut itu bercerita kepada kawan-kawannya bahawa dia telah pergi ke suatu tempat yang jauh dan telah selamat pulang.


Allah adalah sebaik-baik contoh. Jika kita fikir tidakkah peristiwa ini janggal bagi kumpulan semut yang mendengar? Tetapi bukankah ia benar-benar berlaku? Peristiwa isra’ dan mi’raj juga begitu. Ia benar berlaku kerana Allah sebagai tuan kepada Rasulullah s.a.w dan sekalian alam yang menjemput baginda untuk bertemu-Nya. Bahkan maha suci Allah dari sama dari sesuatu bahkan Allah bisa melakukannya tanpa sebarang alasan dan logic.


Namun sebagai orang yang beriman, kita diwajibkan untuk percaya kerana peristiwa ini disebutkan dalam al-Quran dan hadis. Justeru itu, peristiwa ini secara tidak langsung menjadi ujian bagi mereka yang mempunyai iman yang meragukan.


Seputar Isra’ dan Mi’raj


Secara ringkas pengertian isra’ dari segi bahasa perjalanan pada sebahagian malam dari segi istilahnya sebuah perjalanan Nabi s.a.w yang  bermula dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di al-Quds  manakala mi’raj adalah tingkatan atau tangga membelah lapisan langit hingga sampai ke Sidaratul Muntaha seterusnya Bait Al-Ma’mur untuk berjumpa Allah s.w.t dengan menaiki binatang yang bernama Buraq.


Berkisar tentang penetapan tarikh peristiwa ini berlaku terdapat 17 pendapat berbeza para ulama’ tentangnya. Yang masyhur adalah dalam bulan rejab. Cuma sebagai penanda, ia berlaku selepas baginda diutuskan dan setelah kewafatan isteri baginda yang pertama iaitu Saidatina Khadijah. Adapun perkara yang lebih penting untuk diteliti adalah ibrah yang menjadi teladan sepanjang hayat yakni solat.


Hal ini kerana orang yang berusaha menjaga solat dengan baik sebenarnya dia sedang menjaga kehidupannya dengan baik. Setiap perkara dalam kehidupan berkait dengan solat.


Sebelum solat selain daripada rukun yang perlu dilunaskan seperti wuduk, perkara-perkara kemaksiatan juga perlu dijaga untuk mendapat kekhusyukan seperti pandangan mata, fikiran positif dari kekusutan dan sebagainya.


Semasa solat, kita diajar berdisplin dengan cuba ikut arahan Allah dalam pergerakan dan bacaan di samping mengajar kita untuk hanya bergantung kepada-Nya.


Selepas solat pula, solat yang sempurna sepatutnya memberi kesan kepada jiwa dengan mendidik sifat rendah diri selain berasa malu untuk membuat maksiat seperti mendedahkan aurat, mencarut kerana manusia itu sebenarnya hanya hamba yang mempunyai Tuan yang perlu dipatuhi bukan pada waktu tertentu.


Di samping itu, isra’ dan mi’raj sebenarnya ubat duka seorang manusia iaitu baginda s.a.w oleh Allah taala setelah peristiwa kematian bapa saudaranya Abu Talib yang kuat mendokong usaha dakwah baginda meskit tidak memeluk islam, serta wafatnya isterinya yang tercinta Saidatina Khadijah.


Setelah itu, usaha dakwah baginda kian terasa kepahitannya. Quraisy lebih berani hingga sampai tahap menyakiti batang tubuh baginda seperti peristiwa dilemparkan sisa najis kepada baginda ketika solat juga peristiwa baginda dilontar dengan batu hingga darah berlemuran ketika di Thaif.


Ya! Tabiat dakwah sememangnya demikian. Pahit lelah tiada kerehatan. Darah merah bertaburan. Kita mungkin belum sampai ke tahap sedemikan. Namun, Allah meminta daripada manusia untuk dikorbankan jiwa mereka dan hartanya-hartanya dan digantikan dengan nikmat yang besar iaitu mendiami syurga-Nya maka segala kudrat yang terdaya sepatutnya ada dalam jiwa kita cita-cita membantu agama-Nya.


 


Perjalanan seorang hamba bukan sekadar rohnya


Ulama’ berbeza pendapat tentang adakah baginda s.a.w diperjalankan dalam keadaan roh sahaja atau roh dan jasadnya sekali. Ada yang mengambil pendapat pertama ada yang kedua. Ada juga berkecuali dengan meletakkan antara isra’ dan mi’raj salah satunya adalah dengan jasad dan roh. Adapun yang paling dekat berdasarkan dalil adalah keduanya sekali iaitu jasad dan roh. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:


سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ﴿١


Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


Penafsiran ayat ini bagi mengukuhkan hujah baginda diperjalankan dengan keduanya adalah perkataan tasbih (سُبْحَانَ) merupakan perkataan yang agung dan semesetinya digunakan dalam peristiwa yang agung. Jika peristiwa ini berlaku hanya dengan roh maka ia bukan merujuk pada peristiwa yang besar kerana ia ibarat seperti bermimpi. Namun, peristiwa ini antara peristiwa yang agung di sisi umat islam.


Tambahan pula, Allah juga menggunakan istilah hamba (عَبْد) yang merujuk kepada seorang manusia yang mana bersatunya roh dan jasadnya. Hal ini kerana, jika ia hanya berlaku ketika tidur atau sekadar roh sahaja sudah tentu Allah menggunakan istilah “dengan roh hambanya” yang memisahkan asal erti kata hamba yang merangkumi dua aspek tersebut.


Catatan Khusus berkenaan peristiwa sepanjang isra’ dan mi’raj


ISRA’


1.  Pembelahan dada (kepentingan bersuci)


Ibn Hajar menyebutkan pembelahan dada berlaku sebanyak tiga kali. Pertama ketika baginda masih kecil di kampung bani Sa’ad sebagai penjagaan daripada gangguan syaitan. Keduanya ketika baginda diutuskan menjadi rasul sebagai pemuliaan dan penyediaan kepada baginda menerima wahyu dengan hati yang bersih. Ketiga isra’ hal ini berlaku ketika hendak bermunajat kepada Allah.


Hikmah kepada pembasuhan anggota sebanyak tiga kali adalah untuk mencapai kepada tahap kesempurnaan. Hal ini berlaku sebagaimana pada syariah baginda s.a.w dalam bersuci. Hikmah ini adalah yang paling agung kerana cara menyucikan itu digunakan air zam-zam yang diisi dalam bakul yang diperbuat daripada emas dan mengandungi iman dan hikmah seperti lafaz hadis dari Bukhari yang menunjukkan keagungannya.


2.   Memilih susu berbanding arak (Islam agama fitrah)


Berlaku perbezaan pendapat disini dalam menentukan ketikamana baginda diberi minuman tersebut. Kata Ibn Kathir bermungkinan diberi dua kali pertama kali sebelum baginda di mi’rajkan dan kedua kali selepas baginda sampai ke sidaratul muntaha yang mana baginda melihat empat batang anak sungai yang dua antaranya adalah sungai Nil dan sungai Furat dan dua lagi disembunyikan dari pandangan baginda. Yang masyhur adalah sekali iaitu kondisi yang pertama.


Apapun ibrah yang lebih utama daripada peristiwa ini adalah islam itu adalah agama fitrah kerana Rasul s.a.w memilih susu merujuk kepada simbolik fitrah. Kata ibn Hajar susu itu dikaitkan dengan fitrah adalah ia merupakan minuman pertama manusia setelah dilahirkan. Namun, yang lebih utama apabila disebutkan agama itu adalah fitrah iaitu tidak mungkin tangga langit tersusun indah, pintu-pintunya dibuka ketika peristiwa mi’raj jika ia diselaputi penyakit yang membarah.


Ia memberi gambaran kepada manusia untuk melaksanakan sesuatu ibadah dengan sebaiknya kerana dewasa kini ramai dalam kalangan manusia beribadah namun hanya bertopengkan kerosakan bukan fitrah. Ia terselindung disebalik kecantikan luaran amal padahal hakikatnya ia tidak lebih dari berpura-pura. Dengan sebab itu, kita melihat segala permintaan sukar untuk dikabulkan kerana terdapat penghadang amal itu sampai kepada Allah s.w.t.


MI’RAJ


Langit pertama (menjauhi setiap jenis dosa-dosa)


Bertemu dengan nabi Adam a.s. Antara hikmah yang tersembunyi adalah baginda merupakan nabi yang pertama dan bapa seluruh manusia. Justeru, diperlihatkan baginda. Di samping itu, perkaitan kepada umat seterusnya adalah sebagai peringatan kepada manusia tentang hukuman Allah kepada baginda yang terkeluar dari syurga dan baginda merinduinya semula yang membawa erti manusia juga tidak terlepas dari hukuman sekiranya membuat perkara larangan juga disamakan kisah hijrah Rasulullah ke Madinah hingga merindui pulang Mekkah.


Antara perkara lain yang disebutkan adalah baginda ditunjukkan hadiah khas buat baginda iaitu telaga kauthar dan juga diperlihatkan dua kelompok dari arah kiri dan kanan baginda. Sebelah kanan tersenyum gembira kerana merekalah ahli syurga berlainan sebelah kiri menangis kerana mereka adalah ahli neraka.


Disebutkan dalam hadis yang diriwayat oleh al-baihaqi bahawa baginda melihat beberapa bentuk seksaan terhadap orang-orang yang melakukan kesalahan di dunia. Walaubagaimanapun ibn Kathir menyifatkan hadis ini lemah kerana salah seorang perawinya tetapi tetap disebutkan oleh beliau disebabkan ibrah daripadanya terdapat dalil nyata yang menyokong. Antara seksaan tersebut adalah:


i)  manusia berperut besar hingga tidak mampu berdiri


Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. (al-Baqarah:275)


ii)  manusia yang menelan bara api


Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; (an-nisa’:10)


iii)  memakan daging saudara yang telah mati


 dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (al-Hujurat:12)


Terdapat pelbagai jenis seksaan lagi. Namun, sekadar suntikan buat kita untuk meninggalkan dosa-dosa yang telah dilarang oleh-Nya. Adapun seksaan yang tidak didatangkan hujah yang lebih kukuh untuk menyatakan kesahihannya adalah ditolak dari kebenaran fakta yang berkait dengan peristiwa isra’mi’raj.


Suatu perkara yang boleh kita muhasabah semula, kebanyakan seksaan yang disebutkan semua terkumpul pada umat kita pada hari. Riba berleluasa. Mengumpat berjela-jela. Justeru bagaimana penyakit ini bisa diubati? Tidak lain tidak bukan dengan kefarduan solat yang sempurna yang telah ditetapkan.


Langit Kedua (menjauhi permusuhan dan sekatan terhadap usaha dakwah)


Bertemu nabi Isa dan Yahya yang sering dimusuhi pengikutnya, telah berlaku permusuhan pada diri baginda Nabi s.a.w pada awal hijrah, baginda selalu dimusuhi orang-orang yahudi, mereka sering melakukan kejahatan terhadap baginda.


Langit Ketiga (menjauhi permusuhan saudara dan lazimi sikap memaafkan)


Bertemu nabi Yusuf a.s. yang dikhianati oleh saudara-saudara dilemparkan ke perigi namun akhirnya dimaafkan segala perbuatan selepas sujud tanda penghormatan begitu juga nabi disakiti oleh kaum kerabat terdekat seperti Abu Sufyan, namun selepas islam beliau memaafkan musuhnya.


Langit Keempat (dakwah untuk keluarga dan masyarakat seluruhnya)


Bertemu nabi Idris yang mempunyai martabat yang tinggi di sisi Allah dan merupakan nabi yang pertama berdakwah selain ahli keluarga iaitu pengikutnya.


Dan ceritakanlah ( hai Muhammad kepada mereka , kisah ) Idris yang terdapat di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. 57 – Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” [Maryam : 56 – 57]


Langit kelima (berbuat baik balasan baik diterima dan teguh atas jalan kebaikan)


Bertemu nabi Harun a.s yang mana kaumnya kembali mencintainya setelah berbuat jahat kepadanya seperti yang berlaku ketika pembukaan kota mekkah bagi Rasulullah.


Langit keenam (sabar dalam perjuangan dibenar sifat cemburu ke arah kebaikan)


Bertemu nabi Musa a.s yang berulangkali disakiti oleh kaumnya seperti mana yang berlaku kepada baginda namun mereka tetap bersabar. Juga nabi Musa. Menangis kerana sedih dan cemburu umat nabi Muhammad s.a.w lebih ramai berbanding dengan baginda.


Langit ketujuh (kekal dalam kebaikan hingga pengakhiran)


Bertemu nabi Ibrahim yang menyandar di sisi Bait Al-Ma’mur (dimasuki oleh tujuh puluh ribu malaikat dan tidak pernah memasuki buat kali kedua) yang menunjukkan hadiah penutup buat baginda dalam umur terakhirnya iaitu manasik haji.


Ibrah umum daripada isra’ dan mikraj


Dalam peristiwa ini terdapat pelbagai macam pedoman yang boleh dijadikan panduan untuk manusia sejagat. Yang utama seperti yang disebutkan sebelum ini berkenaan solat kerana ia merupakan satu-satunya ibadah yang diterima terus oleh Rasulullah daripada Allah berbanding ibadah wajib yang lain. Adapun masih tersirat bermacam mutiara teladan yang lain padanya:


1.  Masjidil Aqsa dan isu Dunia Islam.


Keduanya mempunyai perkaitan. Ini kerana makkah selepas perutusan Rasulullah telah menjadi pusat perhimpunan dunia islam dan kesatuan visinya. Peristiwa isra’ dan mi’raj ini juga menunjukkan usaha mempertahankan Palestin sebenarnya mewakili usaha mempertahankan islam itu sendiri.


Setiap orang Islam dari pelbagai ceruk bumi wajib melaksankan dengan apa cara sekali pun. Kecuaian mempertahankan dan membebaskan Palestin merupakan kecuaian terhadap islam. Ia merupakan jenayah yang akan dihukum oleh Allah kepada setiap orang beriman dengan Allah dan rasul-Nya.


2.  lambang ketinggian umat islam


Ia sebenarnya mengangkat ketinggian darjat orang islam dengan mengatasi hawa nafsu dan syahwat dunia. Dia juga wajib menjadi manusia yang tiada tolok bandingnya dalam dikalangan seluruh manusia. Sama ada dari segi kedudukannya yang tinggi, visinya yang mulia dan sikapnya yang sentiasa berlegar-legar dalam nilai-nilai murni islam.


3. Penerokaan angkasa


Peristiwa ini membuka kaca mata manusia dari sudut sains bahawa manusia sebenarnya boleh keluar daripada daya tarikan bumi dan angkasawan pertama secara keseluruhannya adalah baginda s.a.w meskipun ia adalah sebuah mukjizat ia membuka kotak pemikiran manusia untuk meneroka.


4. Keutamaan memilih sahabat yang baik


Hal ini dapat kita lihat ketikamana Abu Bakar r.a membenarkan cerita baginda s.a.w. Saat masyarakat mencemuh baginda dengan kata nista, menuduh baginda berdusta dan gila, beliau tampil untuk membenarkan perkara tersebut tanpa sebarang keraguan sehingga beliau digelar assidiq (yang membenarkan). Justeru itu, tabiat dakwah hatta fitrah manusia itu pun, demi menjalani kehidupan seorang muslim yang baik perlukan kepada sahabat yang baik yang banyak serta boleh membantu kita di saat kita diuji atau lemah bukan sekadar ketika senang dan gembira untuk melancarkan perjalan dakwah atau paling kurang memberri kekuatan kepada kita untuk sentiasa berterusan untuk istiqamah dalam jalan kebaikan.


Kesimpulan


Isra’ dan Mi’raj merupakan suatu peristiwa agung dalam lipatan sejarah umat islam. Ia bukan sekadar hari yang disambut kemuliaanya dan berlalu begitu sahaja. Bahkan, ia adalah hari di mana manusia itu dimuliakan. Dimuliakan dengan ibadah pada-Nya. Dimuliakan kerana hanya bergantung harap pada-Nya tiada yang kedua kerana ia mengandungi ibrah sepanjang hayat iaitu solat. Justeru itu, mereka yang bijak dan ingin berjaya di dunia dan lebih lagi di akhirat akan berusaha menjaga solat dengan sebaiknya.


Rujukan


Isra’ dan Mi’raj oleh Syeikh Jalaluddin As-Suyuti dan Ibn Hajar Askolani


Sirah Nabawiyah oleh Syeikh Mustafa Sibaie


Rahiq Makhtum oleh Mubarak Furi


 


The post Isra’ dan Mi’raj: Ibrah sepanjang hayat demi kejayaan dunia akhirat appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 25, 2014 04:48

May 24, 2014

Jalan Membebaskan Cengkaman Hawa



ilustrasi tahanan kabur_0~picture by hukum.teraspos.com



Hawa nafsu melengkapkan ciri-ciri kemanusiaan seorang manusia. Dengan adanya hawa nafsu, manusia merasai kelazatan hidup, memiliki kecenderungan untuk hidup berpasangan, makan minum, tidur dan bekerja.


Namun, hawa nafsu kalau tidak dikawal, ia akan mengawal kita pula nanti.


Kecenderungan yang asalnya boleh menjadi baik akhirnya bertukar menjadi barah yang merosakkan masyarakat sekiranya tidak dikawal.


Kecenderungan untuk memiliki pasangan jika tidak diuruskan dan dikawal, ia akan menjadi fitnah dengan tersebarnya dosa zina, budaya couple dan maksiat serta berdua-duaan dengan bukan mahram. Daripada situ, ia mungkin mengakibatkan pula timbulnya penyakit kelamin, bayi terbuang dan pelbagai lagi penyakit sosial.


Begitu juga kecenderungan untuk makan minum, jika tidak diuruskan dan dikawal, akan berlaku pembaziran, ketirisan dan pemborosan. Orang yang kaya makan semahu-mahunya sedangkan orang miskin dan tidak berharta terbiar di tepi jalan mengutip sisa-sisa. Kecenderungan makan minum yang tidak dikawal dan diuruskan pun boleh menjadi punca lahir masyarakat kapitalis !


Justeru, untuk mengawal hawa nafsu ini memerlukan perjuangan yang sangat besar daripada dalam diri kita agar kita terbebas dari cengkamannya, dan berakhir dengan kita yang mengawalnya, bukan kita yang dikawalnya.


 


Bagaimana Mengawalnya?


Oleh kerana perjuangan ‘melawan’ keinginan diri ini merupakan sesuatu yang susah, maka Allah s.w.t. sentiasa menjanjikan bantuan untuk mereka yang berusaha ke arah itu.


Allah s.w.t. berfirman :


“Orang-orang yang bersungguh-sungguh di jalan Kami, nescaya Kami akan menunjukkan mereka jalan-jalan kami.” [Al-Ankabut : 69]


Namun, sebelum sampai bantuan Allah yang memudahkan kita untuk menguruskan hawa di dalam diri kita itu, ia haruslah bermula dengan usaha daripada diri kita sendiri.


Said Hawwa dalam bukunya Tarbiyatuna Ruhiyah (Pendidikan Rohani) menyebutkan 4 rukun mujahadah yang dapat membantu kita membebaskan diri daripada cengkaman hawa nafsu ini iaitu :


1) Al-Uzlah (Pengasingan)


2) As-Somt (Diam)


3) Al-Ju’ (Berlapar)


4) As-Sahr (Berjaga malam)



Al-Uzlah  (Pengasingan)


Pengasingan yang dimaksudkan tidaklah bermaksud mengasingkan diri terus daripada suasana bermasyarakat. Asal kehidupan seorang muslim itu bahkan, kata Said Hawwa, adalah bergaul dengan pergaulan yang soleh, bermasyarakat dengan baik.


Yang dimaksudkan dengan al-uzlah adalah mencari waktu-waktu tertentu agar kita mengasingkan diri kita seketika dari keramaian untuk kita memberi fokus kepada pembentukan diri kita sendiri. Bukanlah setiap masa kita mengasingkan diri sehingga hak-hak masyarakat pun terabai.


Kata Said Hawwa, “Semakin dikenali seseorang manusia, semakin banyak hubungannya, semakin banyak hubungannya, semakin sempit pula kebanyakan waktunya dengan sebab hubungan ini, sekiranya semakin sempit waktunya, maka uzurlah dia dari melengkapkan dirinya sendiri dari sudut ilmu, amal dan keadaan dirinya sendiri, oleh sebab itu, ia perlu kepada al-uzlah.”


Bergaul dengan manusia jika mencetuskan kesedaran beriman kepada Allah, maka itu adalah ubat kepada perjuangan membebaskan diri kita dari cengkaman hawa nafsu. Namun, kebiasaannya bergaul dengan manusia pada kebanyakan waktu selalu membuatkan kita berada dalam keadaan ghaflah (lalai) dan leka, justeru kita perlukan waktu-waktu privasi untuk diri kita sendiri, membina, membentuk dan memperbaiki kekurangan-kekurangan diri kita di hadapan Tuhan.


 


As-Somt (Diam)


Hadis yang sangat masyhur selalu kita ulang-ulangkan adalah apa yang dipesan oleh Rasul s.a.w. iaitu :


“Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik atau diam.” [HR Bukhari]


Bercakap banyak itu kadangkala membuatkan manusia selalu terbabas. Justeru, bermula dengan mengawal lidah, kita mengawal zikir-zikir yang sampai dan mengesani hati kita.


Jika lidah selalu menuturkan keburukan dan perkara maksiat, maka itulah bentuk ‘zikir’ yang sampai dan mengesani hati kita. Hati yang selalu terkesan dengan kata-kata yang tidak baik, membentuk budaya hidup dan cara fikir yang tidak baik juga.


Justeru, kita selalu dipesan agar berhati-hati dalam berkata-kata kerana kata-kata itu selain adalah doa, ia juga boleh menjadi senjata yang melukakan jiwa.


Tidaklah bermaksud dengan diam ini, kita berhenti daripada bercakap perkara-perkara yang baik dan benar. Bagi mereka yang menyampaikan ceramah, sentiasa berpesan kepada manusia dengan kebenaran dan kesabaran, sentiasa nasihat-menasihati, maka tidak ada masalah untuk diteruskan dengan sentiasa diiringi bersama pesanan itu muhasabah untuk diri sendiri.


Lidah kita lebih dekat dengan telinga kita. Bila kita bercakap apapun, ia sampai kepada kita dahulu sebelum sampai kepada orang lain. Justeru, belajarlah bercakap perkara-perkara yang baik agar apa yang selalu mengesani jiwa kita melalui apa yang kita dengar membentuk peribadi diri yang baik.


“Diam ..,” kata Said Hawwa, “… adalah muaqddimah kepada ketepatan. Siapa yang berjaya dalam diamnya sedangkan dia bebas berkata apa saja, maka dia akan berjaya dalam menyampaikan kata-kata yang tepat dengan petunjuk Allah.”


Berapa ramai orang bercakap, tetapi kata-katanya hanya sia-sia belaka, tidak memberi apa-apa manfaat. Berapa ramai orang yang sedikit bercakapnya, tetapi mengesani hati, diingati dan diamalkan sampai mati.


 


Al-Ju’ (Berlapar)


Selalu makan dan berada dalam keadaan kekenyangan itu mengundang kelalaian dalam ubudiah kita kepada Tuhan. Orang yang banyak makannya sepatutnya banyak pula kerja dilakukannya. Tetapi orang yang banyak makannya, banyak pula rehatnya, nescaya itu adalah satu permulaan kepada kerosakan jiwa.


Banyak makan menaikkan selera syahwat. Justeru, diingatkan oleh baginda s.a.w bagi para pemuda yang mahu bernikah, tetapi belum memiliki kemampuan, maka dianjurkan sunnah berpuasa.


“Wahai para pemuda, barangsiapa di kalangan kamu yang berkemampuan untuk bernikah, maka bernikahlah kerana dengan bernikah itu akan menundukkan pandangan dan membentengi kemaluan, barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu adalah pendinding.” [HR Bukhari]


Sunnah berpuasa ini adalah sebahagian daripada jalan berlapar kerana jalan berlapar ini menyekat dan mengurangkan keghairahan syahwat di dalam diri kita.


Bahkan, Nabi s.a.w. dan beberapa sahabatnya sendiri pun selalu berada dalam keadaan lapar sehingga mengikat perut mereka dengan batu. Makan mereka tidak sehebat kita, namun perjuangan mereka mencetuskan inspirasi kepada dunia. Makan kita lebih hebat daripada mereka, namun perjuangan kita sungguh jauh dari mereka.


Jangan bicara tentang perjuangan di medan perang kalau di medan katil di pagi hari pun, kita masih terus tewas dengan hawa nafsu kita.


Makanlah tetapi untuk membantu kita supaya dapat beribadat dengan baik. Apalah kebaikan yang kita perolehi dengan makan terlalu banyak sehingga mengundang rasa malas dalam beribadat, menyebabkan kita menunaikan ibadat dalam keadaan lalai dan sambilewa kepada Allah s.w.t.


 


As-Sahr (Berjaga malam)


Ramai orang menyangka malam hanyalah untuk tidur, demikian pernah dipesan oleh guru saya, Sir Nasir Salleh.


Sebenarnya malam bukanlah untuk tidur semata-mata. Siapa yang tidak mengawal tidurnya di malam hari, akan membawa masalah kepada banyak perkara seperti terlewat solat Subuh secara berjemaah, tidak dapat peluang berqiamullail, tidak dapat melakukan amalan-amalan lain dengan baik seperti wirid dan bacaan Al-Quran.


Allah s.w.t. berfirman :


“Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyu’) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan.” [Al-Muzzammil : 6]


Bangun malam itu adalah sebuah kekuatan untuk jiwa. Bangun malam yang dimaksudkan bukanlah untuk menonton perlawanan bola sepak, menonton movie atau lain-lain. Tetapi bangun malam yang dimaksudkan adalah orang yang bangun malam untuk tunduk kepada Allah s.w.t., melakukan tahajjud, beristighfar, tadabbur ayat-ayat Allah s.w.t., sujud dan berdoa kepada Allah s.w.t.


Demikian itulah membentuk kekuatan di dalam jiwa kita, bukan hanya kekuatan dalam mendepani diri kita sendiri, tetapi juga kekuatan dalam menguruskan masyarakat.


Namun, harus diingat, jangan sampai bangun malam yang menjadi perkara sunat menyebabkan mudarat pula pada perkara wajib seperti solat Subuh. Ada orang yang bangun malam tetapi kemudiannya mengabaikan solat Subuh yang merupakan kewajipan yang lebih utama, maka tidak ada manfaatnya juga bila yang sunat lebih diutamakan dari yang wajib.


 


Penutup : Membentuk Tabiat Dalam Diri


Keempat-empat rukun mujahadah ini jika dibiasakan setiap hari, maka ia akan membentuk tabiat diri kita.


Belajar meletakkan privasi masa untuk diri sendiri supaya kita ada masa untuk bermasyarakat, ada juga masa untuk kita membaiki dan membentuk diri.


Belajar bercakap perkara yang perlu dan diam ketika merasakan tidak ada perkataan bermanfaat yang boleh kita tuturkan.


Belajar berlapar melalui makan minum sekadar perlu dan latihan berpuasa.


Belajar bangun malam untuk membentuk kekuatan dalaman yang kukuh.


Ini adalah jalan yang membantu kita menuju kejayaan membebaskan diri dari cengkaman hawa. Hawa nafsu kita tidak akan pernah puas selama mana pun kita sentiasa memenuhi kehendaknya. Sentiasa kalau hari ini kita terjebak dalam kawalannya, ia akan mendorong kita untuk melakukan lebih dan lebih lagi.


Justeru, perlu ada tabiat dan disiplin diri yang perlu kita biasakan agar jiwa kita kekal kuat di atas jalan menuju Allah, tak mudah goyah dengan keinginan-keinginan yang bukan berbentuk keperluan, tak mudah gugur dengan kecenderungan-kecenderungan dunia yang bersifat sementara.


The post Jalan Membebaskan Cengkaman Hawa appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 24, 2014 19:20

Cantik Tidak Lama, Tampan Tidak Kemana

Beautiful-village-hd-wallpaper-1080

Picture from ~ http://1080hdwallpaper.com/


Fitrah manusia itu sangat suka kepada kecantikan. Cantik rupa, cantik pakaian dan cantik tubuh badan.


Jika dipinta seseorang memilih antara sehelai baju yang cantik dengan sehelai baju lusuh, tentu sahaja baju yang cantik itu menjadi pilihan. Begitu juga seorang lelaki, kalau disuruh memilih antara dua orang wanita untuk dijadikan bakal isteri, pasti pilihannya yang paling cantik. Itu fitrah.


Allah S.W.T itu Maha Cantik


Allah s.w.t memiliki sifat Yang Maha Cantik dan Dia sangat suka pada kecantikan.


Sabda nabi Muhammad,


“Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan”


Lihatlah betapa cantiknya Allah menghiasi alam yang terbentang luas ini. Pokok-pokok yang merimbun hijau. Bunga-bungaan yang terserlah keindahan warna-warninya. Tumbuh-tumbuhan yang melata dengan pelbagai cara. Langit biru yang kukuh tanpa tiang. Dihiasi pula dengan tompok-tompok awan yang melukis permandangan. Lautan luas terbentang yang tidak bertepian.


Kalau kita perhatikan pula pada diri kita, alangkah uniknya manusia itu diciptakan. Kita diciptakan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian. Setiap anggota dan pancaindera saling melengkapkan.


Allah berfirman di dalam surah At-Tin.


“Sesungguhnya kami telah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”


Rasulullah sendiri seorang yang sentiasa tampil dengan perwatakan yang kemas, rapi dan kacak. Makanya kacak tidak menjadi masalah, cantik tidak salah. Yang salahnya bagaimana mengurus cantik itu. Itu yang perlu dititik beratkan, bukan dilepas tangan.


Semua orang ingin cantik


Produk-produk kecantikan hari ini sangat laris di pasaran. Apa sahaja produk yang menjanjikan kecantikan akan mendapat tempat. Pelbagai nama dengan ramuan yang berbagai. Tak cukup dengan itu,pembedahan plastik pula diperkenalkan. Semuanya mendapat sambutan.


Semua wanita ingin cantik rupawan. Semua lelaki ingin tampil menawan. Siapa tidak suka kalau dipuji cantik? Siapa tidak bangga dipuji kacak?


Papan-papan iklan jalan raya dipenuhi dengan iklan bermodelkan wanita cantik. Buka sahaja kaca televisyen, pelakon-pelakon tampan jelita membintangi drama dan filem. Tidak sedikit yang mencipta nama hanya kerana memiliki wajah yang indah menawan.


Betapa ramai yang sedia berkorban demi bergelar cantik. Duit sudah terlalu banyak dikeluarkan. Biar tak berharta asalkan punya wajah yang  jelita. Demi diri kelihatan menawan, segalanya boleh dikorbankan.


Biarlah tidak cantik, biarlah tidak kacak.


Saya teringat akan seorang teman. Suatu petang semasa bermain bola, saya keluar melepas lelah di tepi padang. Mata saya tertangkap pada seorang teman saya yang sejak tadi termenung sendirian. Jangkaan saya tentu ada perkara besar yang di fikirkan. Saya menghampiri lalu duduk di sebelahnya.


“Takkan tengok sahaja? Tak nak main sekali?” sapa saya memotong menungannya. Dia senyum. Tubuhnya agak gempal.Kulitnya hitam manis. Semanis wajahnya juga.


“Malaslah..” Dia membalas pendek. Pandangannya dibuang jauh ke tengah padang.


“Fikir apa ni Aril.. Ceritalah. Mana tahu kalau aku boleh tolong. Nak kahwin kah?” saya mencucuk. Dia lantas menoleh memandang saya. Wajahnya tampak berminat untuk berkongsi.


“Aku tengah susah hati ni sebenarnya. Hmmm. Ada kah orang yang nak kahwin dengan aku? Aku ni rupa tak ada, berjerawat pula. Badan macam belon. Kulit serupa manggis. Nak kata pandai, periksa selalu atas pagar saja. Entahlah..” sayu sungguh keluhannya. Terpancar sebuah kerisauan.


Saya tersenyum menahan ketawa.


“Siapa cakap kau tak handsome, handsome apa. Manis lagi! Kau sahaja yang tak perasan”. Wajah murungnya mula mengukir senyuman.


Perbualan semakin rancak. Saya membatalkan hasrat untuk kembali bermain bola. Ada perkara lebih penting untuk diperbincangkan.


“Cantik, handsome, kacak, comel, semua tu ada pada setiap ciptaan Allah. Mungkin kita rasa yang kita ini tak sekacak mana, tetapi tak mustahil ada orang yang nampak kita ni sangat kacak. Ada perempuan yang ramai orang kata dia cantik tapi kita tengok dia biasa-biasa saja.”


“Allah yang maha bijaksana mencipta citarasa manusia itu berbeza-beza. Kalau semua lelaki handsome itu berkahwin dengan perempuan cantik, siapa hendak kahwin dengan perempuan yang kurang cantik? Kesian pula lelaki yang tak berapa kacak, takda perempuan cantik yang nak…” saya berceloteh panjang. Dia mengangguk-ngangguk.


“Aku pun perasan sekarang ni banyak juga pasangan pengantin yang ‘ibarat pinang dibelah dengan kapak’. Isteri bukan main lawa, suami dia jangan cakaplah,aku rasa aku hensem lagi. Hehe.” Kami berdua ketawa.


“Habis tu apa yang nak dirisaukan? Allah kan adil. Allah takkan menganiaya hamba-hambaNya. Percayalah”


Dua tahun selepas perbualan itu, dia menghubungi saya. Saya dijemput ke rumahnya. Kenduri kahwin katanya. Saya terdiam. Aik.. Dia pula yang dulu daripada saya. MasyaAllah….


Bersyukurlah!


Saudara,


Usah risau kalau kita tidak cantik. Jangan rasa hina andai kita tidak tampan. Kadangkala kecantikan orang lain itu membuat kita rasa rendah diri. Adakala ketampanan orang  lain menyebabkan kita rasa tiada harga diri.


Kita persoalkan kenapa kita tidak secantik dirinya? Mengapa kita tidak dilahirkan tampan sepertinya? Kita tidak boleh ubah rupa yang sedia ada. Kita selalu terlupa segala nikmat lain yang kita terima.


Bersyukurlah wahai pelupa. Allah pemilik alam semesta yang menciptakan kita. Mana mungkin sang Pencipta tidak tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba ciptaanNya. Jangan dipinta yang tidak ada. Sebaliknya memanfaatkan yang sedia ada. Bukan cantik luaran yang kita kejarkan, tapi indah dalaman yang kita impikan.


Manusia hari ini terlalu sibuk menghiasi luaran sehingga terlupa sisi dalaman. Luaran itu tak lama. Kulit yang tegang sampai masa berkedut juga. Kecantikan akan hilang dimamah tua. Rambut tidak selamanya hitam. Bila sampai masanya, kepala kita diganti dengan uban.


Diri kita bukan kita yang punya. Yang luaran itu akan pudar seiring usia. Yang dalaman itu yang harus dibina. Dalaman itu yang akan kita bawa bertemu Allah Azza Wajalla.


Tentu saja dalaman itu adalah HATI.


Kenapa bukan hati itu yang kita persiapkan?Mengapa bukan hati itu yang kita hiaskan?


Cantik itu tidak selamanya membawa kebahagiaan. Bahkan dengan kecantikan itu boleh mengundang kemurkaan tuhan. Hanya untuk dikata cantik dia langgar perintah Allah. Auratnya didedahkan. Kerana ingin dipuji cantik akhirat dia gadaikan. Malah dengan kecantikan itu semakin melorot kehinaan. Maaf kalau saya katakan,kecantikan itu telah merosakkan ramai anak muda-mudi zaman ini. Kecantikan yang sementara itu akhirnya memakan diri.


Apalah guna cantik itu andai neraka yang akan menjadi pengakhiran?


Lihatlah bintang-bintang filem dunia. Sebahagian besar daripada mereka memiliki aset rupa yang sangat istimewa. Namun bahagiakan mereka? Keluarga mereka porak-poranda. Rumahtangga huru-hara. Hidup mereka berakhir dengan derita.


Biarlah tidak cantik asalkan hati beriman. Biarlah tidak tampan janji taqwanya mapan. Jangan mudah rendah diri dengan rupa zahir. Jangan rasa kecil hati dengan itu semua.


Bukan semua manusia lahir dianugerahkan kecantikan rupa. Tetapi setiap insan itu dihadiahkan sekeping hati yang perlu ditempa. Hati itu yang akan menjadikan kita mulia. Hati itulah yang bertakhta padanya bahagia.


Maha suci Allah yang maha bijaksana dalam mencipta kita. Dia sentiasa berlaku adil pada kita hamba-hambaNya. Allah tidak menilai kita dengan paras rupa. Syurga itu bukan untuk mereka yang cantik tampan semata-mata. Tetapi Syurga itu untuk semua pemilik hati yang bertaqwa.


Sabda nabi junjungan mulia:


“Sesungguhnya Allah s.w.t tidak melihat luaran kamu dan harta kamu, tetapi Allah s.w.t. melihat hati kamu”


Cukuplah merisaukan tentang luaran diri. Bersyukurlah dengan segala yang dimiliki.


Mari kita cantikkan hati. Mudah-mudahan dengannya kebahagian itu bertandang kemari.


The post Cantik Tidak Lama, Tampan Tidak Kemana appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 24, 2014 00:06

May 23, 2014

Selamat Hari Guru \(^_^)/

[image error]


” Guru bukan hanya di sekolah mahupun di universiti. Guru adalah orang yang telah mengajar sesuatu ilmu kepada diri kita. Tidak kira peringkat umurnya, agamanya dan bangsanya. Hargailah diri mereka. Tanpa mereka kita tidak berada pada tahap ini. ” MS


 


The post Selamat Hari Guru \(^_^)/ appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 23, 2014 07:45

Tips Warming Up Menuju Ramadhan!

Ramadhan_sisFaeez


“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisaban (mengira-ngira – tidak puas hati dengan amalannya) diampunkan dosanya yang lepas.” [HR Bukhari Muslim]


Idea asal: Afdholul Rahman


Ilustrasi: SisFaeez


The post Tips Warming Up Menuju Ramadhan! appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 23, 2014 01:23

May 22, 2014

PSY, Panda dan GST

Malaysia dan Kota Raya: Gambar merupakan ihsan Google

Malaysia dan Kota Raya: Gambar merupakan ihsan Google


Kalaulah Panda itu merupakan seekor haiwan yang boleh berbahasa manusia, pasti ia akan merasa rimas kerana dirinya sering sahaja dibicarakan dan menjadi perhatian umum baru-baru ini. Ini kerana, massa diberitakan dengan laporan yang saya kira tidaklah begitu mengejutkan berkaitan dengan pembinaan kompleks panda gergasi di Zoo Negara yang menelan kos sebanyak RM 25 juta.


Apa yang nak dihairankan? Bukankah panda itu merupakan haiwan yang hampir kepupusan? Jadi sewajarnyalah kan kita begitu mengambil berat akan serba-serbi kehidupan mereka? Manalah nak sama dengan jumlah manusia yang semakin bertambah dan melebihi 30 juta orang saban hari di Malaysia ini? Ialah. Manusia tak akan pupus, biarpun ada yang bertaraf gelandangan, fakir miskin tidak cukup makan dan pakai dan yang seumpama dengannya. Yang pasti, manusia akan terus bertambah dan bertambah. Tidak seperti panda yang bakal pupus dan menghilang dari dunia ini. Lagipun, tahun ini kan Tahun Melawat Malaysia.


Apa juga yang nak dihairankan, bukankah sekitar Februari tahun lepas, seorang penyanyi K-Pop, PSY yang terkenal dengan tarian Oppa Gangnam Stylenya di bawa masuk ke Malaysia, khasnya Pulau Pinang bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina di sana yang menelan belanja sekitar RM 2 juta? Biarpun The Malaysian Insider melaporkan pada 3 Februari 2013 bahawa konsert tersebut ditaja oleh Mega Ultimate, sebuah syarikat swasta gergasi dan bukannya Barisan Nasional seperti yang dicanangkan pada mulanya, namun ianya tetap merupakan sejumlah wang yang bukan sedikit.


Ialah. Baik kerajaan mahupun badan korporat tersebut, tidakkah mereka belajar teori ekonomi bahawa kedua-dua entiti ini merupakan antara salah satu penyumbang terbesar dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK)? Andai saja entiti-entiti ini tidak hanya menumpukan perhatian sekitar perbelanjaan hasil (revenue expenditure) yang bersifat one-off seperti pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) misalnya, malah memberi fokus yang lebih utama terhadap perbelanjaan modal (capital expenditure), mungkin saja impian dan cita-cita untuk mencapai status negara maju melalui Wawasan 2020 mampu dilaksanakan dengan baik.


Memetik laporan akhbar Utusan online yang bertarikh 30 September 2010, mantan Perdana Menteri yang juga merupakan pengasas Wawasan 2020 itu sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan bahawa Malaysia tidak mungkin akan berjaya mencapai matlamat tersebut sekiranya tidak mengubah beberapa landskap ekonominya. Tambah beliau lagi dalam ucapannya selepas menyampaikan ucapan penutup di Forum CEO 2010;


“Bagaimanapun, Malaysia masih mampu mengejar impian itu jika kerajaan sanggup untuk melaksanakan beberapa perubahan penting, antaranya mengurangkan pelaburan langsung asing (FDI). Ini kerana FDI tidak lagi relevan buat masa ini kerana pelabur asing hanya menyumbang 10 peratus kepada perolehan negara di samping meningkatkan aliran keluar wang dari negara ini. Malaysia tidak akan maju jika terus bergantung kepada FDI kerana pelabur asing hanya mementingkan keuntungan, jadi mereka memilih negara lain yang lebih murah, kita tidak akan mampu bersaing walaupun semakin banyak sektor diliberalisasikan,”


Tambah beliau lagi, kerajaan sewajarnya memberikan tumpuan kepada bidang yang lebih relevan sewaktu itu, iaitu pelaburan langsung domestik (DDI).


Kata beliau;


“Ada satu syarikat pembuat kapal tempatan yang mengeksport kapal ke seluruh dunia termasuk Norway tetapi tidak pernah menerima tempahan dari negaranya sendiri, kerajaan patut melihat kepada kes-kes sebegini.”


Bandaraya Kuala Lumpur vs Gelandangan


Meskipun ibu kota Kuala Lumpur yang menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat terus berkembang-pesat dari masa ke semasa yang menjadikan negara ini berfasiliti kelas pertama, ia sama sekali tidak mampu menutupi permasalahan-permasalahan warga kota kebanyakan yang tampak jelas dari terus menyinggah di retina. Ibarat pepatah Melayu yang mengatakan, ‘bangkai gajah, tak dapat ditutup dengan daun pisang, kelihatan dan berbau juga.’ Di sekitar kawasan Kuala Lumpur seperti Chow Kit, Masjid Jamek dan Pasar Seni, terdapatnya para gelandangan yang cuma berlindung di balik jambatan beralaskan kotak, malah adakalanya di tepi-tepi sungai akibat tidak mempunyai kuasa beli yang mencukupi dalam pasaran.


Antara faktor utama yang mengakibatkan keadaan seperti ini adalah kenaikan harga rumah dan hartanah yang melambung tinggi dan mencanak naik saban waktu, menyebabkan kebanyakan warganegara yang berpendapatan sederhana apatah lagi yang berada di bawah paras kemiskinan tidak lagi mampu untuk memiliki ‘rumah mampu milik.’ Terkini, akhbar The Star bertarikh 18 Februari 2014 melalui tajuknya, ‘Sweet news for home buyers,’ melaporkan secara sinikalnya pada pandangan mereka yang tidak berkemampuan ini saya kira, berbunyi;


“You must have an average household income of RM 14,580 a month to afford a home in the Klang Valley, according to a recent study.”


Malah, di dalam muka surat yang sama di dalam akhbar tersebut turut dilaporkan berkenaan dengan kadar kenaikan harga rumah yang tidak selari dengan kenaikan harga dan tangga gaji dan pendapatan isi rumah. Setiausaha Kehormat Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah (National House Buyers Association), Chang Kim Loong dipetik sebagai berkata, pembeli, terutamanya pasangan muda yang baru berumahtangga perlu membeli rumah yang berkadaran sebanyak empat kali ganda purata gaji bulanan mereka sahaja, sekiranya lebih, mereka pasti tidak akan mampu untuk membayarnya.


Memetik laporan akhbar Utusan online yang bertarikh 19 Mei 2014 yang bertajuk ‘Syurga kami di bawah jambatan’ pula, sepasang suami isteri bersama-sama dengan empat orang anak mereka, yang mana salah seorang daripadanya merupakan kurang upaya (OKU) dilaporkan sebagai sudah menjadi penghuni tetap di bawah jambatan konkrit di Lebuh Pasar Besar berhampiran Pasar Seni selama hampir beberapa bulan semenjak tahun lepas akibat tidak mampu untuk membayar sewa rumah. Manakan tidak, mereka cuma bekerja dengan mencari barangan lusuh setiap hari dengan pendapatan yang cuma berjumlah tidak melebihi RM 10.


Entah siapa yang lebih kasihan dan wajar disantuni, mereka ataupun Fu Wa dan Feng Yi si panda dari China itu.


Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Hasil Bumi


Dan kurang setahun daripada sekarang, rakyat yang sudah sedia miskin ini pasti akan lebih menderita kesusahan, bahkan tidak mustahil melarat kelaparan. Apa tidaknya, belum pun tiba 1 April 2015, harga barang secara umum sudahpun dinaikkan oleh para penjual ekoran daripada pengumuman kerajaan berkenaan dengan pelaksanaan cukai GST.


Saya sendiri sebagai seorang rakyat biasa turut merasakan tempiasnya. Apa tidaknya, sebagai seorang penggemar ais krim Baskin Robbins yang cuma kadang-kadang dibeli, harga asal berjumlah RM 5.85 sen seingat saya untuk sebatang (kon) aiskrim bersama dengan satu scoop perisa telah meningkat ke RM 6.15. Dan di atas resit pembelian tersebut, tecetak dengan jelasnya perkataan GST (Government Services Tax, dan oh, tersangatlah misleading!) dengan kadar pengecasan sebanyak RM 0.30/0.40 sen. Nah, belum pun tamat tahun 2014, kesan berkaitan dengan inflasi berikutan GST telah pun dikenakan! Inilah yang dipanggil sebagai teori domino-effect di dalam ekonomi.


Apatah lagi, wacana siri 28 anjuran Sinar Harian yang dilaporkan secara bertulis bertarikh 22 Mei 2014 (semalam) telah melakarkan tajuk ‘Jangan Beban Rakyat,’ yang membawa isu seputar GST untuk kefahaman rakyat kebanyakan dengan wacananya yang bertajuk, ‘GST: Siapa Untung Siapa Rugi.’ Biar bagaimana positif pun sisi GST tersebut, ia tetap tidak dapat mengubah hakikat bahawa yang akan menanggung kesan akhirnya adalah para pembeli. Ini kerana, pengeluar di setiap peringkat akan menyerap semula kos kenaikan harga pembuatan dan pengeluaran barang mereka dengan mengecas harga yang lebih tinggi daripada biasa kepada pengguna akhir (final consumer). Kerana itu pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli tegar memperjuangkan pelaksanaan cukai khas terhadap orang kaya sebelum GST untuk kerajaan memperoleh pendapatan alternatif.


“Kenapa nak kenakan GST yang pukul rata rakyat tidak kira tua, muda, miskin, cacat atau pun tidak. Di Malaysia masih ada cukai yang belum dikenakan pada orang kaya, iaitu capital gain tax, win for tax dan super rich tax,” katanya dalam diskusi tersebut.


Idea ini serupa dengan apa yang pernah dibawakan oleh saudara Anas Alam Faizli, pengasas bersama BLINDSPOT, sebuah badan penggerak dan pemikir sosio-ekonomi di dalam wacananya yang bertajuk ‘Talk on GST: Breaking the Block of Confusion’ yang diadakan sekitar pertengahan Mac lepas. Selain memperkenalkan capital gain tax, saudara Anas turut berpendapat bahawa Malaysia boleh juga menguatkuasakan sistem percukaian dengan memperkenalkan inheritance tax, iaitu cukai yang dikenakan ke atas harta peninggalan orang-orang yang bukan saja kaya, bahkan jutawan.


Manakala di dalam buku tulisannya yang bertajuk, ‘Rich Malaysia, Poor Malaysians’ pula beliau menggariskan kepentingan hasil bumi utama negara, iaitu petroleum. Ini kerana, beliau menekankan kepentingan untuk rakyat Malaysia memahami bahawa hasil bumi yang satu ini merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. Mana tidaknya, daripada cuma berpendapatan sekitar RM 60 bilion pada tahun 2000, pendapatan negara mencanak naik sehingga ke RM 224 bilion baru-baru ini ekoran sumbangan PETRONAS sebanyak sekitar 35% hingga 45% kepada pendapatan kerajaan semenjak tahun 2007 hingga 2011.


Selain itu, berbalik kepada forum berkaitan GST tersebut, beliau turut menekankan kepentingan polisi kerajaan untuk bersifat pro rakyat. Ini kerana, sistem perindustrian masa kini, terutamanya perkilangan dan pembinaan banyak dipenuhi oleh warga asing yang dibayar dengan kadar yang rendah oleh para majikan berikutan nilai matawang yang rendah yang dimiliki negara pekerja-pekerja asing tersebut. Bagaimana dengan 75% penduduk Malaysia yang berkelulusan SPM boleh bersaing dengan mereka ini kerana faktor upah dan gaji? Ialah. Dengan kos sara hidup di Malaysia, takkanlah penduduknya mahu dibayar setaraf dengan bayaran kepada pekerja asing tersebut. Oleh itu, beliau berpendapat bahawa kerajaan perlu menaik tarafkan penawaran pekerjaan untuk penduduk-penduduk tempatan dalam industri perkilangan, pembinaan dan juga servis, dan dalam masa yang sama juga memperkasakan tangga upah dan gaji yang setimpal. Dalam erti kata lainnya, menaikkan kadar upah minimum. Manakala pekerja-pekerja asing ini boleh dibiarkan untuk terus berkhidmat sebagai orang gaji di rumah mahupun di kebun-kebun.


Penutup: ASEAN Economic Community (AEC) dan Masa Hadapan Negara


Adapun, Malaysia sebagai salah sebuah negara anggota ASEAN bersama-sama dengan sembilan buah negara lain turut sama berusaha bergerak untuk mencapai objektif AEC pada tahun 2015, iaitu mengintegrasikan pertumbuhan ekonomi, sosial dan politik melalui asas pasaran dan pengeluaran tunggal, perkembangan ekonomi yang ekual dan beberapa lagi. Apatah lagi Malaysia bakal menjadi negara yang akan mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan.


Namun begitu, yang menjadi persoalan utama adalah berjayakah Malaysia dan negara jirannya menuju ke arah itu? Apatah lagi dengan permasalahan-permasalahan semasa yang melanda.


Memetik laporan akhbar Sinar Harian yang bertarikh 22 Mei 2014, risikan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati bahawa penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi yang melibatkan Malaysia dan negara jiran secara sindiket melalui penjawat awam sudah berada pada tahap yang serius. Selain itu, SPRM Perlis juga mendapati bahawa ketirisan bahan api ke negara jiran melibatkan anggota agensi penguatkuasaan dalam negeri sendiri.


Lalu, di manakah letak duduknya AEC ini nanti?


Kerana itu, pucuk pangkal permasalahan ekonomi negara sebenarnya berbalik semula kepada pengurusan kerajaan. Bukan cuma terletak di bahu rakyat kebanyakan yang cuma asyik disuruh berjimat dalam berbelanja, kalau tidak pun terus pindah ke luar negara seandainya tidak berpuas hati dengan kerajaan. Bukankah di dalam laporan audit yang terkini semakin banyak pendedahan ketirisan demi ketirisan yang dilakukan oleh para penjawat awam ini? Malah diperkenalkan pula GST untuk lebih ‘mencekik’ rakyat secara regresif.


Bak kata seorang sahabat;


“Pelaksanaan GST haruslah dilakukan mengikut prinsip ekonomi yang diajar Nabi Yusuf di mana hasil dipungut dan disimpan di waktu ekonomi meningkat sebagai bekalan untuk dibelanjakan semasa ekonomi merudum. Pelaksanaan GST di Singapura berjaya kerana diperkenalkan ketika kerajaan kaya dengan simpanan sehingga boleh memperkenalkan pelbagai skim bantuan untuk mengurangkan impak kenaikan harga dek GST kepada golongan susah.”


Hai lah panda.


Nasib badan menjadi barang ‘pertukaran’ dalam sistem barter pasca modernisasi.


The post PSY, Panda dan GST appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 22, 2014 22:28