Novel Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Prolog – Percaya!
InsyaAllah bermulalah episod bersiri Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir di LangitIlahi.Com
Saya menjangkakan novel ini siap dengan sempurna pada penghujung Ogos 2014.
Saya mohon sokongan dan doa rakan-rakan pembaca agar saya berjaya menyempurnakannya.
Enjoy prolog.
Dan nantikan episod-episod yang seterusnya.
Apakah perasaannya?
Menjadi yang ‘terpilih’?
Siapakah yang memilih? Mengapa aku yang dipilih? Mendapat ‘kuasa’ untuk membuat sebuah keputusan yang besar, yang mengubah sebuah tatacara hidup, menyempurnakan sebuah ‘ramalan’, yang mungkin membawa kemusnahan atau apa yang diharapkan – kemenangan.
Satu perasaan yang berkecamuk.
Hendak sampai ke sini sahaja sudah satu perkara yang memeritkan. Bagaimana nanti kala keputusan perlu dibuat dan tindakan perlu disempurnakan? Apakah aku mampu?
“Angkasa, Jangan hilang perhatianmu!” Suara itu mencecah gegendang telinga, membuatkan aku menoleh ke belakang.
Aizan Fahmi, sedang bertarung dengan binatang yang selama sejarah manusia wujud, hanya mitos semata-mata. Naga. Menyembur api dari mulutnya ke arah sahabat seperjuanganku itu.
Namun Aizan betah mengambil risiko. Semata-mata untuk memberikan aku peluang menjayakan misi yang wujud pada pundakku.
Aku berlari sepantas mungkin. Destinasi yang dituju tidaklah sejauh mana. Aku sudah dapat melihatnya dari sini. Semakin lama semakin hampir.
Tiba-tiba bunyi dentuman yang kuat membuatkan telingaku berdesing hebat. Aku sendiri terpelanting ke belakang. Berguling, sebelum aku dapat menstabilkan keadaan diri, melutut dan memandang ke hadapan. Apakah?
“Apa kalian fikir, Sang Asura terlalu bodoh untuk tidak melihat perancangan ini?” Suara dingin lagi menusuk itu kedengaran. Dengan aura yang menekan, dia yang terkenal hebat sedang berdiri gagah bersama lembing hitamnya. Mantel merahnya berkibar, menutupi destinasiku. Seakan gerhana yang menutup cahaya mentari.
Long Berk. Pahlawan yang digeruni ramai. Di hadapanku kini.
Namun aku tidak takut kepadanya.
Tetapi aku juga tidak bodoh untuk menafikan kehebatannya.
“Jangan ingat engkau akan dapat menghalang.” Aku tekad. Pedang warisan bapa terhunus dengan sendirinya, melayang dan terpacak di hadapanku. Aku pegang hulunya, bangkit dan melibasnya.
Aku tidak dapat menjangka dengan pasti, apakah riak wajah yang sedang dipamerkan Long Berk. Namun dari gerak kepalanya, aku jangka dia sedang tersengih. Merendahkan semangatku.
Seakan dia dapat meneka, yang aku sendiri kurang pasti apakah dia mampu untuk aku tumbangkan.
“Anak Fathi Auni, engkau seperti sedang mengacah langit.” Long Berk bersuara angkuh. Ketika ini, turun daripada langit sekumpulan makhluk yang belum pernah kulihat sebelum ini. Kurus kering, bersayap seperti kelawar, bertanduk seperti kerbau, bertaring, dan kaki seperti kambing. Memegang tombak yang bilahnya berpusar.
10 ekor. Aku yakin mereka bertaraf binatang. Makhluk genetik yang tidak punya akal. Namun mereka mempunyai aura yang tersendiri. Tekanan aura Long Berk, bertambah dengan aura 10 binatang ini.
“Hari ini, engkau boleh memarahi Tuhanmu, kerana mungkir dengan kemenangan yang dijanjikanNya.” Long Berk menghunus lembing hitamnya. 10 binatang yang bersamanya mengeluarkan bunyi aneh, seakan mentertawakanku.
Saat ini, terasa bahang yang tersangat hangat di belakang tubuhku. Aku toleh seketika.
Aizan Fahmi sedang bermandikan hembusan api. Dia bertahan dengan salutan aura yang mempertahankan dirinya.
Kami tersepit.
Sedang masa semakin sedikit.
Di luar sana, tentera utama kami sedang bertempur dengan tentera yang dipimpin sendiri oleh Sang Asura. Sang Asura yang mampu menghapuskan seluruh tentera Chinmayi seorang diri.
Bagaimana?
Hulu pedang warisan bapa kupegang erat.
“Ada kata-kata terakhir, wahai Angkasa Sakti?” Long Berk bertanya, sambil auranya dipertingkatkan. Aku dapat merasakannya, Long Berk mahu benar-benar memusnahkan aku dengan segera.
“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka, sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun. Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janjiNya kepada Rasul-rasulNya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Sedia Membalas.” Aku membaca ayat tersebut.
Long Berk seperti terdiam.
“Surah Ibrahim ayat 46-47. Dan aku memilih untuk membuktikannya.” Aku menyambung.
“Kalau begitu, matilah engkau dengan kepercayaan itu hari ini.” Long Berk menggerakkan lembingnya. 10 binatang tadi meluru laju ke arahku.
Aku tingkatkan auraku.
Percaya.
Sesungguhnya Allah itu tidak akan sesekali memungkiri janjiNya!
The post Novel Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Prolog – Percaya! appeared first on Langit Ilahi.