Novel Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 1- Menikmati Kemenangan
Alhamdulillah, saya telah berjaya menyiapkan Bab pertama dalam Novel Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir.
Mungkin ada yang perasan di prolog lalu, bahawa saya telah menggunakan sisi pandang pertama ‘aku’ dari kaca mata Angkasa. Ianya berbeza dengan teknik penyampaian dalam novel-novel Takdir yang lepas, yang mana semuanya disampaikan dari kaca mata ketiga.
Saya sekadar cuba membawa perubahan, dan saya fikir sebagai buku yang terakhir untuk Takdir, saya mahu membawa kita semua lebih mendalam ke dalam diri Angkasa, anak muda yang membawa tanggungjawab besar dalam cerita ini. Saya sarankan anda berikan komen untuk penambah baikan kepada Takdir 3 ini, moga-moga ianya dapat menjadi sebuah novel yang terbaik insyaAllah.
Enjoy bab yang pertama ini, okay?
Pasir di medan ini sedang terhembus naik. Mengabui mataku yang cuba mencari lawan. Aura yang dasyat sedang memenuhi ruang udara, memberikan kesan kepada debu-debu hingga terapung, dan angin pula mula bergerak menampar-nampar wajah menganggu fokus. Namun kuusahakan agar lawan-lawanku tidak terlepas dari perhatian. Walau pandangan sudah mula semakin kabur.
Ya, lawan-lawan.
Ada dua penentang, yang mana kedua-duanya adalah bertaraf lagenda.
Tiba-tiba bilah sumbing pedang milik lawanku menerobos membelah kabus debu, mujur desiran angin yang terhasil dari gerakannya yang pantas tidak terlepas dari dikesani diriku. Lantas aku mengelak dengan berundur selangkah, pedang warisan bapa kuhayun menghentam pedang sumbing itu ke tanah. Tetapi serangan tuan punya senjata tidak berakhir di situ.
Telapak tangan kirinya mara dengan laju untuk menghinggap ke dadaku. Aku mengesampingkan serangan itu dengan gerak siku. Tubuh lawanku itu berputar. Tetapi dia seperti yang aku kenali, tidak pernah mengalah. Dengan daya yang aku hasilkan buatnya tanpa sengaja apabila mengesampingkan serangan tadi, dia berputar 360 darjah bersama-sama sebuah sepakan padu yang amat laju.
Aku hanya sempat mengangkat lenganku, bertahan. Namun tendangan yang bersalut aura yang dasyat telah membuatkan diriku terpelanting, membelah kabus debu yang semakin pekat.
Belum pun sempat aku menjejakkan kaki ke tanah, apatah lagi hendak mengatur pernafasanku semula, datang dari arah hadapan tombak tiga mata. Senjata seorang lagi lawan.
Dengan daya yang tersisa, aku gerakkan kepala ke belakang, mengelak hujaman tombak tiga mata itu dari menyapa wajah. Gerakan itu membuatkan aku berpusing 180 darjah, dan kemudian menekap ke tanah. Serangan tidak terhenti di situ.
Tombak tiga mata kini dihayun ke tempat aku mendarat. Pedang warisan bapa kuangkat ke atas. Bilah dua senjata bertemu. Namun bagi diriku, seakan sebuah tiang gergasi yang sedang jatuh menghempap diri. Dapat aku rasakan kakiku seakan sedikit terbenam ke tanah dek kuatnya hayunan tombak tiga mata tadi.
Ketika inilah juga, pedang sumbing mara dengan kepantasan gerak langkah tuannya, muncul menerjah dari kabus debu nan pekat, dihayun untuk menebas kepalaku saat diri sedang tersekat.
Segera aku salurkan auraku kepada pedang, dan kemudian menolaknya pantas ke atas. Membuatkan tombak tiga mata terangkat sedikit, memberi ruang kepada diriku untuk berguling ke sisi, mengelak pedang sumbing lawan.
Pedang sumbing itu hanya membelah debu-debu. Dan ketika ini, tombak tiga mata telah kembali mencariku. Mereka nyata pahlawan yang bukan calang-calang. Bila aku berjaya mengesampingkan serangan itu, pemilik pedang sumbing sudah menyertai arus serangan itu dengan senjatanya.
Langkahku berterabur dalam menerima semua serangan dari mereka berdua. Pedang warisan bapa pantas meyalani tombak tiga mata dan pedang sumbing yang bertali arus menujah ke arahku. Tetapi aku pastikan tiada langkah yang silap, agar diri ini tidak jatuh sebagai mangsa di medan ini. Bersabar mencari peluang dalam keserabutan yang ada.
Tiba-tiba belakang tubuhku tersentuh sesuatu yang keras.
Penghadang medan!
Pedang sumbing dan tombak tiga mata pantas mengambil peluang dari alpaku nan sesaat. Tujahan yang teramat laju kedua-duanya membuatkan aku hampir sahaja tidak dapat mengelak. Gores luka pada wajah terhasil apabila aku hanya berjaya menjarakkan diriku dengan jarak yang tersangat dekat.
Aku ambil peluang ini untuk mempraktikkan teknik terbaru yang aku perolehi daripada Kiai Api.
Pedang warisan bapa aku lempar ke udara, kedua-dua telapak tangan kusalut dengan aura yang bertumpu hanya padanya, kemudian segera aku menunduk, menghentam kedua-duanya pada permukaan tanah.
Letupan kuat berlaku. Kabus debu terus menghilang, kerana debu-debu pasir telah jatuh. Aku dapat melihat dengan jelas yang kedua-dua lawanku telah tiada berdekatan denganku. Mereka kini berada beberapa depa dariku. Dalam keadaan tertunduk, dan sedang bangkit.
Pedang warisan bapa jatuh terpacak ke tanah.
Aku bangun dan memegang hulunya, menarik dan menghunusnya semula.
Aku dapat lihat pemilik pedang sumbing itu tersengih, dan kemudian tertawa kecil.
“Apa yang kelakarnya?” Aku bertanya.
“Budak, kau dapat mengundurkan kami berdua, itu satu peningkatan.” Ada nada gembira pada suaranya. Namun aku sendiri tidak pasti, apakah itu gembira, atau itu sebenarnya sindiran. Bukan aku tidak tahu perangainya. Suka bergurau. Izrayel, begitulah dia dengan diriku
Pemilik tombak tiga mata seperti yang aku selama ini kenali, diam sahaja. Riak wajahnya juga tidak berubah. End, pemimpin Duarte, semenjak selepas peperangan besar yang lalu, dia akan datang ke Tanah Suci untuk berziarah dan melatihku.
“Kita mahu teruskan lagi?” Aku bertanya. Masih dalam keadaan berjaga-jaga.
“Pastilah.” Izrayel nampak bersemangat. “Maghrib pun belum masuk lagi. Atau engkau sudah kepenatan?” Dia tertawa sinis.
Aku mula mengatur pernafasan. “Aku tak boleh menghampakan hajat guruku!” Melontar semula gurauan Izrayel. End nampak sudah bersedia hendak melangkah mara.
“Apa kata kalian berehat sahaja?” Tiba-tiba satu suara membelah suasana, menghentikan langkahan kami bertiga.
Aku memandang ke arah belakang Izrayel dan End. Suara itu datang dari batang tubuh yang sedang berdiri di tempat ramai tentera berkumpul untuk menyaksikan pertarungan kami. Dari reaksi para tentera tersebut, aku dapat jangkakan yang mereka juga tidak menyedari pemilik suara itu hadir di kalangan mereka.
Izrayel dan End berpaling untuk melihat.
“Tuanku Ruh Faizan.” Aku dapat menangkap suara Izrayel. Terus aku melangkah merapatinya dan End.
“Assalamu’alaikum. Aku terhibur melihat pertarungan kalian. Marilah berehat, dengan minum-minum bersamaku. Tambahan aku perlu mengutamakan tetamu yang mulia di sini, pemimpin Duarte kita.” Ruh Faizan bersuara tenang. Walaupun dia tidak berpakaian laksana seorang raja, kredibilitinya dapat dirasa. Karismanya yang tinggi, membuatkan orang ramai menghormatinya. Aku dapat melihat tentera-tentera spontan bangun untuk menghormati kehadirannya. Tetapi Ruh Faizan meminta mereka duduk dan bertenang seperti biasa.
“Budak ini masih perlu dilatih Tuanku. Agar dia mampu berhadapan dengan Sang Asura nanti.” Izrayel menepuk belakang tubuhku. Sedang mataku pula cuba mencari seseorang. Namun yang kutemui di sisi Tuanku Ruh Faizan hanyalah Tuk Akram, atau lebih dikenali sebagai Kiai Awan.
“Tidak mengapa. Untuk hari ini, marilah meluangkan masa denganku.” Ruh Faizan kekal dengan senyumannya.
Izrayel mengangguk. Kemudian dia menepuk pula bahuku. “Selamat kau budak. Bakal bapa mertua tak sampai hati melihat kau dibelasah.” Dan tertawa.
Aku hanya mampu tersengih dengan ulahnya. Suka menyakatku. Aku memandang End yang bergerak bersama Izrayel.
Bibir pemimpin Duarte itu koyak sedikit dengan senyuman. Jarang berlaku. Ia membuatkan aku akhirnya turut tersenyum. Lantas mengikuti mereka berdua.
Dari belakang itu, aku melihat Izrayel petah bersuara kepada End, walaupun End kekal diam.
Mereka berdua adalah dua orang pahlawan terhebat, yang semenjak peperangan besar lepas berakhir, tidak jemu mempertingkatkan kekuatanku. Mereka memang benar-benar sudah kuanggap seperti guru.
Perbincangan panjang selepas tamat peperangan telah membawa kami kepada konklusi yang tidak kecil.
Kami perlu bersedia untuk menggempur Utopia dalam masa setahun.
Dan kini tujuh bulan telah berlalu.
Tiga bulan lagi.
Aku menghela nafas.
Apakah aku telah mampu?
*******
Suasana damai dan tenang. Cuaca di Tanah Suci katanya tidak sepanas dahulu. Katanya, sebelum aku tiba ke mari, tanah ini tandus. Kini yang aku lihat ialah rumput telah menghampari tanah, dan bercucuk tanam adalah sebahagian aktiviti masyarakat di sini. Walaupun wujud beberapa kawasan yang berpasir dan tanah merah, dan kebanyakannya menjadi medan latihan ketenteraan.
Aku, Izrayel dan End duduk bersila di atas hamparan tikar, tidak jauh dari Rumah Lagenda, atau kini orang ramai telah mula menyebut namanya Ka’bah. Bersama kami ialah Ruh Faizan, Kiai Awan, dan menyertai kami sebentar tadi Mughirah Syu’bah, Khalid Al-Walid dan Waqqas. Di hadapan kami adalah hidangan ringkas, minuman teh sahara panas dan roti.
“Di manakah Aizan Fahmi, Tuanku?” Aku bertanya. Sekadar berbasa basi.
“Dia berada di sempadan. Gilirannya bertugas menjaga dan melatih tentera di sana.” Ruh Faizan menjawab dengan ramah. Senyuman tidak pernah lekang dari wajah Raja kepada Tanah Suci ini.
“Aku ingat engkau akan bertanya di manakah Puteri Maisarah.” Izrayel menyampuk. Aku pantas menyikunya. Terasa seperti wajahku terbakar panas. Pantas mataku mengerling ke arah Ruh Faizan.
Dia sekadar tersenyum.
“End, bagaimana Duarte?” Ruh Faizan bertanya.
“Alhamdulillah. Semuanya baik. Kualiti hidup, sebelum ini pun Duarte memang merupakan wilayah termaju, cuma kali ini bertambah baik. Masyarakat juga telah berbondong-bondong menerima Islam sebagai cara hidup mereka.” End mengeluarkan suaranya yang jarang boleh didengar.
“Allahuakbar.” Ruh Faizan bertakbir perlahan, dan takbirnya disahut oleh kami semua.
“Kita pada saat-saat aman sebegini, janganlah sesekali lupa bahawa ianya datang dengan belas dan rahmat kasih daripada Allah SWT. Selama ini kita diuji dengan kesukaran dan kesusahan, memang kita rasa Allah SWT amat dekat dengan kita, tetapi janganlah pula kesenangan dan kemenangan mengubah semuanya.” Ruh Faizan menambah.
Peringatan ringkas yang memberikan sentuhan kepada jiwaku. Ruh Faizan adalah raja yang bukan sahaja amat menjaga hal ehwal material rakyat, tetapi dia juga sangat menitik beratkan hal penjagaan jiwa raga mereka. Saban hari kuliah selepas Subuhnya tidak pernah berhenti. Memberikan peringatan demi peringatan agar rakyatnya kekal menjadi hamba Allah SWT yang sebenar.
“Namun kita juga berterima kasih kepada Duarte, dengan bantuan yang banyak daripada pihakmu End, keadaan di Tanah Suci, Bumi Barakah, dan lain-lain mengalami banyak peningkatan. Alhamdulillah.” Ruh Faizan menyambung.
End sekadar mengangguk sedikit. Riak wajahnya biasa sahaja. Dia memang begitu orangnya.
“Syu’bah, kongsikanlah keadaan kita yang terkini dengan mereka.” Ruh Faizan bersuara hemah.
Mughirah Syu’bah, panglima termuda Tanah Suci, dan merupakan prodigi medan perang. Akhlak dan santunnya setanding dengan Ruh Faizan, amat disegani oleh ramai orang. Walaupun muda, tiada yang memperkecilkannya. Dia kini merupakan ketua strategi bagi Kesatuan Wilayah Islam yang terdiri dari Tanah Suci, Bumi Barakah, Chinmayi, Duarte, Uftzi dan Brynhildur.
Wilayah Midori telah menjadi hak milik Chinmayi, manakala Chinmayi yang lama telah terbakar hangus dek angkara Long Berk durjana. Wilayah Ethan pula telah diserap masuk ke dalam Duarte, maka ianya telah menjadi di bawah tanggungjawab End.
“Kita sudah menggerakkan da’ie-da’ie kita di seluruh dunia, kecuali Amara. Mereka bertindak menyampaikan berita kemenangan kita di seluruh pelusuk dunia, untuk menghapuskan pengaruh Sang Asura, sekaligus mengajak masyarakat kepada Islam, dan mendidik mereka akannya.” Mughirah Syu’bah dengan wajah yang berhias senyum.
“Dengan ketiadaan aktivit daripada pihak Utopia, pergerakan para da’ie kita selama 7 bulan ini tidak mendapat tentangan yang besar. Walaupun masih ada di beberapa kawasan terpencil, yang kita tidak dapat yakinkan mereka untuk meninggalkan penyembahan mereka terhadap Sang Asura.”
“Dunia bukan sempurna.” Khalid Al-Walid mencelah.
Aku mengangguk. “Tetapi kita pun tidak boleh berputus asa dalam menyeru, bukan?”
Yang lain mengangguk dengan lontaranku.
“Pada masa yang sama, Uftzi sedang mempersiapkan teknologi untuk berhadapan dengan Utopia. Latihan ketenteraan sedang giat dijalankan di semua wilayah.”
“Apakah kita memang langsung tidak punya apa-apa maklumat berkait Utopia?” Izrayel bertanya. Kali ini nadanya serius.
Mughirah Syu’bah menghela nafas. Namun ceria wajahnya tidak menghilang.
“Kami telah beberapa kali menghantar pasukan risikan, namun sedikit sahaja yang kembali. Rata-ratanya mati sebelum dapat sampai ke Utopia. Yang dapat sampai pun, akan menerima tentangan dari mekanisme pertahanan di sana.”
“Sang Asura memang telah meningkatkan pertahanan di sana semenjak istananya dipecah masuk oleh para Kiai dahulu.” End menambah tiba-tiba.
Entah kenapa, aku seperti seronok mendengar End bersuara. Mungkin perasaan aku sahaja. Mataku dan End bertaut sebentar. Dia mengangkat kening sedikit, seakan bertanya kepadaku mengapa. Aku mengangkat kepalaku dengan pandangan bermakna. Sengaja. Aku senang bersahabat dengannya. Dia seakan anugerah besar Allah SWT kepada kami.
“Apakah nanti penggempuran kita telah mengambil kira semua itu? Di sana nanti cuacanya terlalu sejuk.” Izrayel memberikan pesan. Pengalamannya sebagai Ketua Jeneral Utopia memberikan banyak kelebihan.
“Ya. Itu semua menjadikan kita lebih teliti dalam persediaan yang sedang kita laksanakan. Para tentera nanti akan dilengkapi dengan pakaian yang boleh memberikan mereka pertahanan dari cuaca yang ekstrim. Senior Izrayel tidak perlu risau.”
Izrayel bermain dengan janggut nipis pada dagunya. Dia seperti berfikir dengan mendalam sekali.
“Mengapa Izrayel?” Kiai Awan bersuara.
“Angkasa akan melaksanakan misinya semasa kita semua menggempur Utopia bukan?” Izrayel memandang kepadaku.
“Misi itu kekal sebagaimana kita bincangkan sebelum ini.” Mughirah Syu’bah memberikan peringatan akan mesyuarat Kesatuan Wilayah Islam yang dilaksanakan sekitar sebulan selepas peperangan yang lalu.
“Kita sebenarnya memerlukan pengetahuan yang lebih mendalam akan keadaan terkini Utopia. Aku risau jika misi Angkasa itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik, jika ada perubahan-perubahan dilakukan oleh Sang Asura. Tambahan, End sendiri telah lebih dari setahun meninggalkan tempat itu.” Izrayel memandang pula kepada End.
“Kita tidak boleh risikokan keadaan tersebut. Setakat ini, calon utama yang boleh memberikan cabaran kepada Sang Asura hanyalah Senior Izrayel dan Senior End. Kalau hendak pergi memeriksa keadaan Utopia, hanya senior berdua yang mampu melakukannya. Tetapi pastilah ia tidak akan berlaku dengan mudah, dan kita risau jika apa-apa berlaku kepada senior berdua, justeru merosakkan perancangan utama kita.”
Suasana tempat rehat itu diam sebentar selepas penjelasan Mughirah Syu’bah. Ruh Faizan, Kiai Awan, Khalid dan Waqqas nampak seperti sedang memikirkan apa yang sedang dibangkitkan oleh Izrayel, bersama jawapan Syu’bah. Mungkin, kerana aku sendiri sedang begitu.
Aku memandang kepada End, dan sebagaimana jangkaanku, riyak wajahnya sedikit pun tidak berkocak.
“Kita sekadar perlu bersedia sebaik mungkin. Peluang hanya sekali sahaja.” End bersuara.
Izrayel melepaskan keluhan. Dia seperti kurang berpuas hati. Namun nampaknya Izrayel pun menerima keadaan kami.
“Eh, minumlah, dan jamahlah roti yang dihidang. Sibuk berbincang, hingga terlupa bahawa tujuan kita adalah untuk berehat sebentar.” Ruh Faizan memberikan kesantaian kepada suasana yang menjadi hangat dek perbincangan tadi.
Masing-masing kembali dengan keadaan santai, mengambil cawan dan menguyah roti. Namun semuanya diam. Mungkin masih memikirkan perbincangan tadi.
Aku pula melepaskan pandangan ke Ka’bah. Bangunan yang tidak berjaya diruntuhkan Abrahah, saat tiada seorang pun manusia yang melindunginya. Namun sejarah mengkhabarkan kepadaku bahawa ia pernah runtuh disebabkan oleh tangan orang Islam sendiri.
Dalam konflik aku dengan Sang Asura, kadang aku bertanya apakah mungkin wujud sebuah solusi di mana kita tidak perlu berperang dengannya?
Aku dapat melihat, apa yang berlaku hakikatnya adalah sebuah salah faham yang besar, dek kedangkalan sikap orang-orang Islam sendiri.
Ah. Entahlah.
Pastilah jalan keamanan yang paling kami dambakan.
Persoalannya, apakah itu realistik dengan keadaan hari ini?
Betapa benarlah kalam Allah SWT: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Ar-Rum ayat 41.
Sekarang manusia telah mula sedar dan kembali kepada Allah SWT. Manusia ini jugalah yang sedang berusaha memperbaiki keadaan yang rosak disebabkan tangannya sebelum ini. Walaupun bukan tangan aku, bukan tangan Ruh Faizan, dan bukan tangan sesiapa yang berjuang pada hari ini, kesilapan generasi lalu benar-benar menghantui hingga ke generasi hari ini.
Kami yang perlu menggalas tanggungjawab untuk memperbaikinya.
“Bercakap fasal Puteri Maisarah.” Tiba-tiba suara Ruh Faizan memecahkan lamunanku.
“Dia sekarang sibuk mengajar Al-Quran saban petang kepada anak-anak perempuan di Tanah Suci.” Dan Raja Tanah Suci itu senyum penuh bermakna kepadaku.
Kembali wajahku terasa panas. Dan aku dapat dengar Izrayel tertawa nakal.
******
Kuturunkan tubuhku. Dahi mencium tanah. Menghadap Ka’bah. Di tengah malam nan pekat.
Kemudian bangun, duduk antara dua sujud. Sujud semula. Pada sujud ini, kuadukan segala kekuranganku, dan meminta kekuatan daripada Pemilik Kekuatan. Sengaja kupanjangkan sujud yang akhir ini, meluahkan segala apa yang mungkin tidak mampu aku luahkan kepada manusia. Kerana aku dididik oleh Bapa, bahawa hanya Allah SWT sahaja hakikatnya tempat kita bergantung harap yang sebenarnya.
Setelah lama begitu, aku bangun kembali di posisi bernama tahiyyat akhir. Selepas usai bacaan selawat dan doa kepada Utusan Langit Ibrahim dan Utusan Langit terakhir, Muhammad SAW, aku lemparkan salam ke kanan dan kiri sebagai penamat buat solat tahajjudku di malam hari.
Aku tidak berseorangan di lapangan Ka’bah walaupun waktu sekarang ialah sepertiga malam. Lapangan ini tidak pernah sunyi dari orang yang bertawaf dan beribadah. Walaupun pada waktu sebegini, tidaklah seramai seperti waktu lainnya.
Aku mendapat ketenangan bila bangun malam dan mengadukan kelemahanku kepada Tuan Punya Ka’bah. Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya, aku tahu Dia sebenarnya sedang memberikan uji dan duga kepada hamba-hambaNya.
Namun di celah semua itu, Dia kurniakan juga waktu-waktu aman dan tenang. Bahkan di celah-celah cabaran pun, tidak pernah Dia lupa menyisipkan kepada para hambaNya kebahagiaan dan kekuatan.
Sebagaimana firmanNya yang sering aku ulang sebagai penguat diri:
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” Surah Al-Insyirah ayat 5-6.
“Tenang sungguh di sini ya.” Suara itu menyapa. Aku toleh ke kanan, arah suara itu datang.
End. Bersila di sisiku. Amat pelik apabila dia tiba-tiba membuka bicara kepadaku. Aku tersenyum.
“Apakah engkau gentar, Angkasa?” End bertanya. Memang amat jarang mendengar End bersuara berturut-turut sebegini. Riyak wajahnya yang beku dari segala perasaan itu, menambah tekanan kepada soalannya.
Aku menghela nafas. Mengalih wajahku dari memandang bekas Jeneral Utopia itu. Tunduk.
“Aku tipu kalau aku kata aku langsung tidak ada rasa takut.” Aku bersuara. Kemudian perlahan, aku mengangkat kepala, memandang Ka’bah di hadapanku.
“Tetapi aku juga tipu kalau aku kata takutku membuatkan aku gentar untuk berhadapan dengan Sang Asura.” Aku memegang pedang warisan Bapa yang kemas di sisiku bersama sarungnya.
“Fathi Auni telah mendidikmu dengan baik.” End memuji, sambil menepuk bahuku. Mesra. Tindakan yang amat amat amat jarang, atau hampir tidak pernah dia lakukan kepadaku.
Aku seperti terpana.
“Kau tahu, aku juga dalam konflik saat hendak meninggalkan Sang Asura. Orang-orang Islam selama ini telah menyakiti kami. Tetapi kala bertemu dengan Ruh Faizan di medan perang, aku mula memisahkan antara Islam dan orang-orangnya, lantas aku cuba menerima kebenaran.” End membuka cerita.
Selain kisah yang dibukanya semasa kami bersama-sama dalam perut paus, aku memang tidak pernah melalui keadaan di mana End bersembang panjang, walaupun selama 7 bulan ini kami banyak kali bertemu.
“Kadangkala, kita memang akan punya perasaan takut dan gusar dalam membuat keputusan. Apatah lagi bila keputusan itu bukan sahaja memberikan impak kepada diri kita, bahkan kepada orang-orang di bawah jagaan kita, yang bergantung kepada kita.”
Aku terangguk-angguk, mengakui.
“Menentang Asura, yang sudah seperti abangku sendiri, bukanlah sebuah keputusan yang mudah. Tambah pula aku mengetahui akan beza kekuatannya dengan kekuatanku. Tetapi ada satu perkara yang tidak membuatkan aku rasa rugi dengan keputusan yang aku ambil.”
“Apa dia?” Aku mencelah tanya.
“Ini.” End menunjuk kepada sekeliling.
Mataku menebar kepada orang-orang yang sedang bertawaf, dan juga kepada orang-orang yang sedang beribadah, baik dengan solat, atau membaca Al-Quran.
“Ketenangan. Aku tenang dengan keputusan ini.”
“Bagaimana pula aku?” Aku bertanya untuk kepastian, bagaimana ceritanya boleh membawa manfaat kepada situasiku.
Kerana jika aku gagal, ramai nyawa akan terbunuh. Kegagalan aku bakal membawa kepada gagalnya perjuangan ini.
Ketika ini, tangan End memegang bahuku. Seakan cuba menenangkan semarak jiwaku. Matanya tepat memandang mataku.
“Jika kita tewas dan terbunuh pun, kita ke syurga Allah SWT. Maka mengapakah itu tidak memberikan ketenangan buat kita?”
Jawapan End menyentak jiwaku.
Aku benar-benar terpana.
Perlahan aku dapat rasakan mataku basah, dan air mata mengalir pada pipiku. Terus aku mendakap End di hadapan Ka’bah. Aku menangis teresak-esak dengan apa yang dilontarkannya. Seakan dalam masa End memberikan jawapannya, dan persoalan yang bersama dilontarkannya, aku mempersoalkan keimanan aku selama ini. End yang Islamnya masih baru, membuatkan aku tambah terhantuk dengan apa yang disampaikannya.
“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.” Surah Al-Baqarah ayat 154. Aku bacakan ayat itu dalam dakapan End.
“Allahuakbar. Indah.” End menepuk-nepuk belakang tubuhku.
“Terima kasih End.” Aku menjarakkan diri. Memandang End kemudian merehatkan pandanganku pada pedang warisan Bapa.
Apa yang perlu digusarkan?
The post Novel Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 1- Menikmati Kemenangan appeared first on Langit Ilahi.