Hilal Asyraf's Blog, page 143
January 30, 2011
Puisi: Kerna Kamu.
Hujan. Apakah aku boleh mencontohi hujan, menghubungkan dua hati, sebagaimana hujan, menghubungkan langit dengan bumi.
Kerna Kamu
Hujan di negeri kamu itu,
kamu nyatakan tiada kena mengena denganku,
sedangkan wujud relasinya,
kerna yang ditimpa hujan itu adalah kamu.
~Hilal Asyraf~
0624PM
300111
Di Irbid tengah Hujan
Sejuk
It's Happy Line
Puisi Kerna Kamu.
Saya, bila jadi penulis.
Menjadi penulis, satu lagi manfaatnya buat diri saya, saya jadi senang tersenyum. :-)
Saya mula menulis secara serius, semenjak awal tahun 2008. Tetapi bibit-bibit keseriusan itu bermula semenjak awal tahun 2007, ketika saya menulis manuskrip novel pertama saya, Relasi, dan juga ketika memulakan Langit Ilahi yang ketika itu menggunakan Blogspot.
Saya awalnya adalah 'anak blog', sebab saya aktif menulis di blog. Pada akhir tahun 2008, Encik Zakaria Sungib melangkah ke blog Langit Ilahi ketika itu, dan mengajak saya menulis buku motivasi. Peluang itu saya gunakan untuk menunjukkan Cerpen Matahari saya, yang akhirnya berjaya menawan editor dan langsung dijadikan Novel VT. Dari rancangan asal satu buku, kemunculan saya sebagai penulis buku dimulakan dengan kombo. Satu buku Motivasi Langit Ilahi, dan satu Novel VT.
Semenjak itu, saya terus menjadi lebih giat dan aktif menulis. Baik untuk alam maya, mahupun buku di alam realiti. Dan bila menjadi penulis, pelbagai perkara saya rasai.
Maka di sini perkongsian diri.
Banyak perkara yang tidak diketahui
Automatiknya, apabila menjadi penulis, orang ramai senang menyangka bahawa penulis itu tahu semua. Tetapi sebenarnya, apabila saya menerjunkan diri ke dalam bidang penulisan, saya jadi sedar bahawa ilmu saya tidak seberapa. Ketika itu, baru saya nampak betapa banyaknya perkara yang tidak saya ketahui.
Pernah ada satu ketika, saya rasa seperti hendak mengundur diri. Mungkin perasaan 'tidak berilmu' itu terlalu berat, dan tuntutan masyarakat terhadap kita juga besar kerana masyarakat mengharapkan kita memberikan jawapan.
Tetapi akhirnya saya dapat melihat bahawa, itu mungkin apa yang Allah berikan kepada saya, agar saya jadi bersungguh-sungguh dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan saya. Perasaan rasa tidak mampu yang negatif tadi, diubah menjadi satu perasaan yang positif, dengan dijadikan sebagai pemangkin untuk lebih kuat menimba ilmu.
Selain menyedari kekurangan diri, apabila menjadi penulis ini, saya dapat juga mencari satu 'push' untuk mempertingkatkan ilmu di dalam diri.
Hubungan dengan Allah
Saya sentiasa percaya, bahawa orang yang hatinya gelap, tidak akan mampu mencahayakan hati yang lain.
Masyarakat senang bergantung kepada seseorang untuk memberikan 'guide'. Apabila menjadi penulis, saya melihat perkara itu diletakkan ke atas saya. Saya menjadi contoh, saya menjadi perhatian, saya menjadi ikutan.
Satu saat, ini menimbulkan ketakutan kepada saya. Ketakutan kerana saya melihat itu satu tanggungjawab. Maka soalan ini muncul: "Aku ni dah cukup baguskah?" Dan perasaan bahawa tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT, membuatkan ketakutan saya bertambah.
Akhirnya di sinilah saya melihat dan lebih merasakan, bahawa hubungan dengan Allah itu adalah amat penting untuk mencapai kekuatan. Untuk menjadikan penyampaian saya berkesan, dan mampu menyentuh hati pembaca, saya perlukan Allah untuk membantu saya. Sebab Allahlah sahaja yang mampu memberikan hidayah.
Dan di sini jugalah saya menyedari, betapa pentingnya memperbaiki diri. Terasa sungguh bahawa kalau apa-apa keburukan yang diri ini lakukan, itulah dia fitnah kepada Islam. Dan dalam usaha memperbaiki diri itulah juga saya bertemu dengan kenyataan bahawa, hatta perubahan diri juga memerlukan kita untuk dekat dengan Allah SWT, kerana Allah SWT sahajalah yang mampu membantu kita mengubah diri.
Saya rasa bersyukur apabila menjadi penulis, adalah kerana saya menjumpai ini dalam kehidupan saya.
Populariti
Namun bukan semua yang saya dapat adalah kebaikan. Ada juga mehnah dan tribulasi. Antaranya populariti. Saya ini, langsung tak pernah menjangka bahawa penulis juga ada popularitinya. Sebab selama apa yang saya tahu, artis sahaja yang popular.
Tetapi apabila saya menjadi penulis, saya sempat merasakan percikan populariti itu.
Orang minta ambil gambar. Orang minta tandatangan. Orang puji itu dan ini. Orang jemput pergi sana sini. Orang terkejut apabila nampak kita dan sampai ada yang tangkap gambar kandid pun ada(saya jumpa di satu blog). Ada orang admire kita(saya jumpa di beberapa blog).
Sedikit sebanyak, populariti ini menganggu juga kehidupan saya. Persoalan-persoalan menjaga hati adalah yang sering timbul. Memang sukar hendak menjaga hati dalam keadaan itu semua. Tetapi nyata ini satu medan yang baik juga untuk menguji kondisi hati dan diri.
Tidak dinafikan, ada kala rasa bangga itu wujud dalam diri saya. Tetapi pada saya, itulah dia medan yang Allah beri untuk saya meningkat ke satu tahap lagi. Berperang dengan diri sendiri. Memadamkan perkara-perkara sedemikian bukan perkara mudah, tetapi sekurang-kurangnya dengan kemunculan mereka, kita tahu apakah 'penyakit' di dalam hati kita dan mencari cara rawatannya.
Ada orang suka populariti. Saya hanya suka 1/4 sahaja. 1/4 yang saya suka itu adalah, dengan populariti, apa yang saya bawa tersebar lebih luas. Orang cari buku-buku saya, orang quote kata-kata saya, orang sebar artikel-artikel saya, membuatkan segala mesej yang wujud di dalamnya tersebar dengan lebih luas. Saya anggap ini sebagai 'peperangan media' antara saya dan media jahiliyyah.
Tetapi 3/4 lagi, populariti hanya menghapuskan kenormalan hidup, juga membuka kepada pintu-pintu mazmumah yang lain.
Duit
Ramai juga yang bertanya berkenaan duit atau hasil daripada penulisan saya. Saya seingatnya tidak pernah me'reveal'kan kepada umum. Pernah ada yang memohon agar saya berkongsi akan keuntungan yang saya dapat agar menjadi motivasi mereka menjadi penulis.
Tetapi jujurnya, saya agak ralat memikirkan duit yang saya dapat daripada penulisan. Ya, saya boleh simpulkan dengan perkataan 'banyak'. Namun seperti populariti, saya hanya suka 1/4 sahaja duit ini.
Saya suka sebab dengan duit itulah saya boleh sara hidup saya dan merancang masa hadapan seperti perkahwinan tanpa menyusahkan keluarga saya, dan dengan duit itu saya boleh buat kerja yang lebih banyak tanpa menyusahkan orang.
Tetapi 3/4 yang lain, duit hanya membawa kepada kekotoran niat dalam menjadi seorang penulis yang baik. Duit juga membuatkan kita buta dalam menarikan jari kita di atas papan kekunci. Akhirnya mesej penulisan menjadi hambar walaupun gaya bahasanya bagus. Akhirnya yang kita dapat hanyalah duit, tetapi hati manusia tidak tersentuh, dan Allah tidak redha dengan kita kerana niat yang tidak betul.
Menakutkan bukan, apabila kita bayangkan, kita menulis susah payah, dan Allah tak bagi ganjaran apa-apa kepada kita? Di situ, apakah maknanya wang yang kita dapat?
Sebab itu duit juga adalah ujian kepada penulis.
Bukan kawan rapatnya.
Sebab itu saya tidak gemar menjadikan duit sebagai motivasi seseorang menjadi penulis. Hatta saya pun berjuang untuk tidak memikirkannya. Dan kesukarannya adalah, amatlah sukar untuk tidak memikirkan duit. Memang hati manusia ini lemah. Tambah-tambah apabila bergeser dengan keperluan dunia.
Nak kahwin, nak beli rumah, nak beli kereta, semua perlukan duit. Dan penulisan seakan pintu yang membuka kepada jalan untuk mendapatkan semua itu. Sukar untuk melawan rasa menulis untuk duit ini.
Semoga Allah berikan kekuatan kepada saya.
Kehidupan peribadi, dan artikel/karya yang ditulis
Dan yang tak seronoknya menjadi penulis ini, adalah apabila orang suka menghubung kaitkan kehidupan peribadi dengan artikel atau karya yang ditulis.
Contohnya, bila saya sudah bertunang, semua perempuan yang saya tulis, semua sangka itu adalah kerana teringatkan tunang saya. Oh la.
Contoh lain, bila saya menulis fasal masalah bapa dan anak, orang semua sangka saya ada masalah dengan bapa saya. Aiseh.
Ada pula yang menyedari kesamaan hasil karya saya dengan diri saya, menyatakan bahawa saya hendak menunjuk-nunjuk, memberitahu satu dunia dan sebagainya. Macam-macam.
Benda-benda ini menyekat saya. Menjadikan bila saya nak tulis sesuatu isu, saya kena fikir banyak kali. Nanti orang fikir apa? Dan kadangkala risau tafsiran begitu, menganggu pula kehidupan peribadi saya.
Daripada banyak perkara saya boleh tulis dan sebut, perkara-perkara itu menjadi sedikit. Menyebabkan saya terkurung dan terpenjara. Ini amat amat merimaskan.
Memanglah saya sering memasukkan realiti dalam karya saya, tetapi pada saya, sangka-sangka pembaca juga sepatutnya punya limitnya. Bukan semua benda di dalam karya saya adalah saya, dan bukan semua masalah dalam penulisan saya adalah masalah saya. Namun saya faham bukanlah mengubah paradigma ini. Jadi, saya kena hidup dan berjuang dalam hal ini.
Menjadi penulis mengajar saya erti 'privasi'.
Menjadi penulis juga mengajar saya erti 'menghukum peribadi'.
Sekurang-kurangnya saya merasakan semua itu.
Penutup: Sederhana.
Saya belum lagi menjadi sederhana. Saya tahu yang itu. Tetapi apabila Allah izinkan saya menjadi penulis, saya nampak apa itu sederhana, dan menyimpan niat untuk mendapatkannya.
Oh ya, sehingga kini, saya masih tidak mampu menterjemahkan 'sederhana' yang sering saya sebutkan selama ini dengan tulisan atau perkataan yang selayaknya. Saya hanya mampu menyebutkan perkara itu sebagai 'sederhana'.
Sederhana dalam berpandangan.
Sederhana dalam berurusan.
Sederhana dalam pergerakan.
Sederhana dalam akhlak dan pegangan.
Mehnah dan tribulasi, kesukaran, halangan, cabaran, kritikan, tidak dilupakan juga segala detik-detik manis, waktu-waktu gembira, saat-saat suka ketika menjadi penulis, mengajar saya akan 'sederhana'. Itu semua saya belajar dan temui apabila saya menjadi penulis, dan saya masih berusaha untuk menjadi orang yang mampu mempraktiskannya.
Akhirnya saya melihat sebentar ke belakang.
"Bila masanya ada pasang cita-cita hendak menjadi penulis?"
Tiada. Tetapi siapakah yang menjadikan aku penulis?
"Allah."
Siapakah yang memudahkan jalan hingga mencapai hari ini?
"Allah."
Akhirnya saya sampai pada satu konklusi bahawa, penulisan ini memang medan yang dihadiahkan oleh Allah untuk saya, agar saya menjadi lebih bertenaga dalam mempertingkatkan diri, dan berusaha lebih gigih untuk menjadi hambaNya.
Sebab itu saya melihat penulisan, tidak lebih dari satu tanggungjawab yang amat besar daripada Allah untuk saya. Tanggungjawab untuk mengubah diri, dan masyarakat seluruhnya.
Semoga Allah memberkati karier saya ini, dan menjadikan karier saya ini kebaikan buat diri saya. Kebaikan yang membawa diri ke dunia yang ceria, dan akhirat yang bahagia selamanya.
January 29, 2011
Novel Takdir: Cheritera 16.
Cover Novel Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam.
Cheritera 16.
Dan ini adalah Cheritera kedua terakhir untuk tatapan Novel Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam secara online. Dan untuk Langit Ilahi ini, Cheritera 16 adalah yang terakhir akan disiarkan. Hal ini kerana, bermula 1 Februari 2011, saya tidak akan lagi mengupdate Langit Ilahi ini.
Saya akan fokus kepada Langit Ilahi V2 bersama sahabat-sahabat saya.
Nantikan kemunculan Novel Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 nanti.
Tetapi untuk sekarang, enjoy dulu chapter ini.
[image error]
Cheritera 16
"Jadi kamu sudah mendengar dari Pahlawan Berlapan?" Raja Nuo, Raja kepada Kerajaan Jin Hikaya bersuara.
Angkasa mengangguk. Dia dan Izrayel bersama lapan pahlawan berbaju serba putih itu baru sahaja melangkah masuk ke dalam tempat menghadap, raja itu sudah bertanya.
Balai Menghadap itu nyata amat indah. Begermalapan dengan cahaya putih, tetapi tidak pula menyilaukan. Besar, dan luas. Angkasa dan Izrayel berjalan terus ke hadapan. Pahlawan Berlapan pula mengambil tempat masing-masing di Balai Menghadap itu. Empat di sebelah kanan, dan empat di sebelah kiri.
"Aku sudah jangka, yang mereka ini bukanlah pahlawan biasa di tempat ini." Izrayel berbisik kepada Angkasa. Suaranya direndahkan serendah-rendahnya, bagi menjaga suasana.
"Ya, mereka memang bukan pahlawan yang biasa. Mereka berlapan adalah Jeneral untuk Kerajaan Jin Hikaya ini." Raja Nuo bersuara, seakan-akan mendengar bisikan Izrayel itu.
Izrayel terus memandang ke hadapan. Jarak dia dan Angkasa kepada Raja Nuo adalah sekitar sepuluh depa, dan suaranya tadi adalah suaranya yang paling perlahan. Namun raja itu tetap dapat mendengarnya.
"Bukanlah sesuatu yang sukar untuk aku mendengar bunyi sebatang jarum yang jatuh di dalam bilik ini." Raja Nuo memberitahu.
Izrayel dan Angkasa secara tidak langsung mengetahui, bahawa Raja Nuo bukan calang-calang makhluk. Mungkin ini adalah kelebihan kaum jin? Atau mungkin ini adalah hasil latihannya?
"Baiklah, apakah cadangan kalian mengenai hal kami?" Raja Nuo terus ke tajuk perbincangan.
Angkasa memandang Izrayel. Izrayel lebih tua darinya, dan Izrayel pernah menjadi kepala tentera Kerajaan Utopia. Izrayel pastinya lebih berpengalaman. Dia mungkin mempunyai rancangan.
"Aku melihat kalian adalah orang yang hebat, juga pahlawan yang kuat. Kenapa kalian tidak dapat menewaskan mereka?" Izrayel bertanya terus.
Raja Nuo memandang tepat ke arah Izrayel.
"Izrayel Junjaki, kamu nyata seorang yang telus."
"Aku ambil itu sebagai pujian." Bibir Izrayel mengoyak sengih.
Raja Nuo ketawa kecil. "Sebenarnya, seratus tahun yang lalu, Kerajaan Jin Hikaya ini pernah didatangi oleh seorang lelaki manusia. Dia membawa pedang itu." Tangan Raja Nuo menunjuk ke arah pedang Angkasa.
Bapakah? Hati Angkasa terdetik. Mustahil. Seratus tahun dahulu?
"Semestinya bukan Fathi Auni." Izrayel memintas. Menjawab terus persoalan di hati Angkasa.
"Ya, bukan lelaki bernama Fathi Auni. Kami memeluk Islam hasil usaha lelaki ini. Bagaimana dia boleh menembusi alam kami, tidak kami ketahui hingga ke hari ini. Cuma aku merasakan bahawa dia ditakdirkan oleh Allah untuk datang memanjangkan hidayahNya kepada kami." Raja Nuo berhenti sebentar. Matanya memandang ke arah Angkasa.
"Selepas selesai mengajarkan kami Islam selama hampir dua puluh tahun, lelaki ini telah mati di sini. Sebelum mati, dia berpesan bahawa dunia ini nanti bakal huru-hara dengan kedatangan satu makhluk yang amat dasyat. Ketika itu, aku menyatakan yang alam ini tidak boleh dijejaki makhluk dari luar. Tetapi lelaki itu berkata, alam jin juga akan terjejas dengan kehadiran makhluk itu. Cuma, lelaki itu tidak berpesan kepada kami apakah makhluk itu. Kemudian, lelaki itu berpesan kepada kami bahawa, nanti Allah akan datangkan seorang lagi lelaki kepada kami. Lelaki yang sedang sakarat itu meminta kami mewariskan pakaiannya dan pedang ini kepada lelaki yang akan datang." Raja Nuo berhenti lagi. Matanya redup.
Izrayel tersengih. "Makhluk yang dinyatakan itu pastinya adalah Sang Asura. Nampaknya perihal Sang Asura ini menjadi semakin misteri. Ada orang sudah mengetahui akan kemunculannya lebih awal."
Angkasa memandang kepada Izrayel. "Kalian para Jeneral tidak mengetahui apa-apa mengenai latar belakang Sang Asura?"
Izrayel menggeleng. "Wajahnya pun tidakk pernah kami lihat. Seperti jeneral-jeneral, wajah Sang Asura tersembunyi di sebalik topeng. Dan Sang Asura tidak pernah berkongsi apa-apa dengan kami, melainkan perancangan dan arahan."
Angkasa faham. Nampaknya Sang Asura itu memang benar-benar misteri.
"Tidak lama kemudian, seorang lelaki telah datang. Juga, tanpa kami jemput. Dia adalah Fathi Auni" Raja Nuo menyambung.
Angkasa tersentak. Bapa juga pernah masuk ke alam ini?
"Fathi Auni itu telah tinggal bersama kami beberapa bulan. Menyelesaikan beberapa permasalahan baru yang timbul, dan menyambung ajaran lelaki yang telah mati itu kepada kami agar kefahaman kami lebih mantap dan ampuh. Kemudian kami serahkan kepadanya pakaian dan pedang lelaki yang telah mati itu. Sebelum meninggalkan kami, Fathi Auni berpesan supaya kami tetap teguh beriman kepada Allah SWT. Dia langsung tidak menyentuh mengenai kehadiran makhluk yang dasyat. Kami terus bertanya, jika kami punya masalah, siapa yang hendak membantu kami? Fathi Auni menjawab, Allah akan menghantar bantuanNya kepada kami." Raja Nuo berhenti lagi. Kali ini dia tidak menyambung bicaranya. Dia hanya melihat sahaja ke arah Angkasa dan Izrayel.
" Jadi?" Izrayel bertanya.
"Kemudian, 25 tahun yang lalu, satu makhluk bernama Sang Asura muncul dan membuat onar di alam manusia. Kami di sini tidak terjejas ketika itu. Sehinggalah sepuluh tahun yang lepas, apabila Sang Asura menguasai dunia, berlaku gegaran yang amat dasyat di alam kami. Pada ketika itulah munculnya tanah yang amat besar di atas sana. Baru sahaja kami hendak pergi menjengah, jin-jin kufur yang entah datang dari mana berkumpul di antara kerajaan kami dengan tanah baru itu. Kami tidak kenal dengan jin-jin itu, tetapi dari rupa bentuk mereka, nyata mereka bukanlah berniat baik. Mereka cuba mendekati tanah besar itu, tetapi gagal dan tidak pernah berjaya. Akhirnya mereka membina tanah kecil di antara kerajaan kami dengan tanah besar itu dan sering berusaha untuk menembusi tanah besar itu hari demi hari. Lebih lebih teruk lagi, mereka sering melakukan kekacauan dan kerosakan pada kerajaan kami. Sepanjang sepuluh tahun ini, kami meneruskan kehidupan dalam keadaan yang amat sukar." Raja Nuo bercerita panjang lebar.
Izrayel rasa pelik. Adakah Sang Asura itu bersekongkol dengan kaum jin? Bagaimana jin-jin yang kufur itu boleh mengetahui kewujudan tanah baru dalam masa yang sebentar sahaja?
"Kau tahu apa-apakah?" Angkasa yang perasan Izrayel sedang mengerutkan dahi, bertanya.
"Sang Asura memang berhajat untuk menghapuskan Bumi Barakah selepas berjaya menumbangkan Lima Kerajaan. Ini terjadi 10 tahun yang lalu. Tetapi apabila sampai di perbatasan Bumi Barakah, tanah itu telah lenyap dan yang tinggal hanyalah lohong kosong yang dalamnya tidak pernah diukur sesiapa."
Angkasa kembali memandang Raja Nuo.
"Jadi apa yang kami boleh bantu? Sedangkan kamu yang hebat ini pun tidak boleh menentang mereka." Angkasa menyuakan persoalan. Izrayel memandang kepada Raja Nuo semula.
" Ya. Secara logiknya adalah begitu. Tetapi kami tak betah berputus asa. Aku telah bermimpikan kamu. Setelah lama tidak mendengar alunan ayat suci Kitab Langit di jalanan, mereka ini telah mendengar suara kamu. Justeru aku amat pasti yang kamu mungkin boleh membantu kami." Raja Nuo bersuara yakin.
"Adakah kau mengetahui tanah itu adalah tanah apa?" Izrayel bertanya. Dia sekadar hendak menduga, walaupun hatinya kuat menyatakan yang tanah besar itu adalah Bumi Barakah. Kubah Hijau yang dilihatnya sudah cukup sebagai bukti.
Raja Nuo menggeleng. " Secara jujurnya, kami tidak mengetahui secara pasti apakah sebenarnya tanah itu. Tetapi kami sering mendengar suara-suara membaca Kitab Langit setiap hari seperti dengungan sayap lebah. Dan tanah itu kelihatan dimuliakan Allah dengan jin-jin yang kufur tidak mampu menembusinya."
Izrayel mengangguk-angguk. Memang tanah itu memenuhi ciri-ciri Bumi Barakah yang hilang sepuluh tahun lalu. Tambahan, kubah hijau yang dilihatnya tadi menambahkan lagi keyakinannya.
"Ada jin yang menyatakan kepada aku bahawa, Bumi Barakah, tempat Utusan Langit Terakhir dikebumikan telah lesap sepuluh tahun yang lalu. Kemungkinan itulah tempatnya. Kami tidak pasti sejauh mana kebenarannya, tetapi jika benar, maka kami juga tidak tahu bagaimana ia boleh beralih di alam ini." Raja Nuo menambah.
"Aku rasa itu tempat itu sememangnya adalah Bumi Barakah." Izrayel berkata yakin. Sepenuhnya.
Angkasa senyap sahaja. Dia hanya tahu sedikit sahaja mengenai Bumi Barakah, itupun selepas diceritakan oleh bapa suatu masa dahulu.
"Jadi, apakah pandangan kamu sekarang?" Raja Nuo kembali menyuakan persoalan, kembali ke pokok pangkal perbincangan.
Izrayel memandang Angkasa, Angkasa memang Izrayel.
"Kamu tahu Angkasa,"
"Em?" Kening Angkasa terangkat sebelah.
"Nyata Allah SWT itu amat cantik susunannya."
"Mengapa?"
"Aku rasa, Allah menghadirkan kita di sini, untuk kita lakukan sesuatu untuk membebaskan Bumi Barakah dari alam ini. Dengan ini, kesatuan mereka yang beriman akan menjadi lebih kuat dan ampuh." Izrayel bersuara. Setakat ini, kerajaan besar yang menentang Sang Asura hanyalah Tanah Suci dan Kerajaan Chinmayi sahaja. Sekiranya wujud satu lagi kerajaan, pastinya, walaupun tidaklah mampu hendak menumbangkan Sang Asura, ianya menambah kekuatan pasukan yang beriman.
"Jadi apa yang boleh kita lakukan?" Angkasa masih buntu. Dia sebenarnya masih tidak dapat memikirkan apa-apa jalan untuk membantu tanah di atas langit itu.
"Adakah kamu boleh tunjukkan kepada aku di mana kubur manusia yang pertama datang ke mari?" Izrayel terus menyoal Raja Nuo tanpa menghiraukan soalan Angkasa.
Kening Angkasa terangkat. Kubur? Buat apa?
Raja Nuo mengangguk-angguk.
"Ikut aku…"
Raja Nuo bangun dari kerusinya, dan bergerak keluar dari tempat menghadap itu sambil diikuti oleh Angkasa, Izrayel dan Pahlawan Berlapan.
Izrayel tersengih sendirian.
"Kenapa?" Angkasa bertanya.
"Nampaknya, waktu sudah mula bergerak"
"Eh?" Angkasa tidak faham.
Izrayel terus mengunci bicara.
******
"Budak, kau perlu tinggal bersama aku, bukan?" Pertapa Arjuna mendekatkan tubuhnya kepada Ezakiel.
Ezakiel menolak pendekar itu. "Hei, aku tak mahu!"
Arnav, Ashoka dan Pertapa Arjuna ketawa. Ezakiel mendengus.
"Tidak hairanlah kamu ini merupakan tuk guru Ashoka. Perangai kamu berdua serupa."
Tiga pahlawan di sekeliling Ezakiel ketawa lagi. Sikap Ezakiel menyebabkan dia sering sahaja disakat. Ternyata dia hanyalah seorang remaja yang masih mempunyai sikap keanak-anakan.
"Aku memang tidak percaya kalau kau mengaku kau adalah Kiai Hutan. Jauh langsung berbeza dengan Tuk Fathan." Ezakiel menambah.
Tawa Arnav, Ashoka dan Pertapa Arjuna terhenti. Suasana jadi senyap seketika. Ezakiel memandang sekeliling. Adakah dia silap bicara?
"Guru, guru masih tidak menjawab soalan saya." Ashoka memandang gurunya itu.
Pertapa Arjuna menghela nafas. "Ashok, kamu dan Arnav pulang dahulu dan melaporkan segala yang terjadi kepada Raja Ali. Kemudian aku hendak kamu Ashoka, menyambung latihan. Arnav, kamu pula tahu apa yang perlu dilakukan"
Ashoka menggelengkan kepala. Dia hairan kenapa gurunya langsung tidak mahu memberitahu keadaan yang sebenar. Adakah sukar mengaku diri sendiri sebagai seorang kiai?
"Pergi dan jangan membantah." Suara Pertapa Arjuna berbau tegas.
"Baik." Ashoka dan Arnav terus keluar dari pondok Pertapa Arjuna. Ezakiel hanya memandang sahaja mereka berdua pergi.
Suasana jadi sepi. Pertapa Arjuna bangun dari duduknya.
"Aku?" Ezakiel bertanya.
"Apakah yang dipesan oleh Fathan kepada kamu?" Pertapa Arjuna tidak menghiraukan soalan Ezakiel.
"Dia berpesan agar aku berguru dengan Kiai Hutan ilmu tempaan senjata." Ezakiel berusara rendah.
Pertapa Arjuna mengangguk-angguk. "Kau tahu Orihalcoln?"
" Tahu, besi yang terampuh di dunia dan tiada apa yang boleh membelahnya."
Orihalcoln sudah lama ditemui semenjak keadaan muka bumi belum berubah menjadi seperti sekarang. Orihalcoln terdapat hampir dengan kerak bumi. Merupakan logam yang tidak terlebur walau berapa pun darjah kepanasan yang dikenakan ke atasnya. Sehinggalah kemunculan Sang Asura, Orihalcoln bukanlah sesuatu yang mudah didapati kerana kesukaran untuk mengekstraknya dalam kuantiti yang banyak. Tetapi, apabila Sang Asura muncul dengan tenteranya, kelihatan dia dan para jeneralnya, termasuklah pasukan elit dalam tenteranya, menyarung zirah yang ditempa daripada Orihalcoln. Walaupun masih tidak dipastikan bagaimana, ternyata keadaan itu menunjukkan bahawa Sang Asura mempunyai jalan untuk mengekstrak Orihalcoln dalam kuantiti yang banyak.
Pertapa Arjuna tersengih. "Benarkah tiada apa yang boleh membelahnya?"
Ezakiel senyap sebentar. Berfikir. "Erm… Tidak sepenuhnya betul. Aku pernah melihat Izrayel membelah Orihalcoln seperti memotong roti yang lembut sahaja. Dan panah kamu juga boleh menembusi baju besi penyerang-penyerang kami tadi dengan panah kamu." Ezakiel teringat akan pedang sumbing Izrayel yang menembusi baju besi Zanzabiragi. Baju besi itu diperbuat daripada Orihalcoln.
Pertapa Arjuna terus memandang ke belakang. Matanya membesar bulat. Ezakiel terkejut.
"Kenapa? Aku ada buat salah kah?"
Pertapa Arjuna mendekatkan wajahnya kepada Ezakiel. "Kamu kata Izrayel?"
———————————————————
Boleh sempurnakan pembacaan anda terhadap Cheritera 16 di link berikut:
http://langitilahi.com/2011/01/29/novel-takdir-cheritera-16/
[image error]
January 28, 2011
Cinta, dan saya.
Aishiteru, jika aku melafazkannya, aku maksudkan cinta yang ini kepadamu ~ picture by rambotheif of deviant art
Cinta, dan saya. Cinta, dan saya.
Yang membuka pintu hati ini kepada cinta, adalah seorang lelaki bernama Rosdi. Saya senang memanggilnya Pakcik Rosdi. Rosdi bin Baharom nama penuhnya. Dia banyak mengajar saya akan cinta. Banyak menunjukkan kepada saya cinta. Banyak mendidik saya akan kebenaran dan kepalsuan yang ada di dalamnya.
Cinta itu tidak terlimit hanya dengan hubungan lelaki perempuan. Tetapi turut mencakupi hubungan manusia dengan Tuhan. Cinta itu bukan perasaan liar tanpa kawalan, tetapi di dalam Cinta wujud peraturan.
Saya rasa gembira dengan Cinta.
Saya senang dengannya.
Sebab itu saya sangat menyayangi Cinta.
Dan menjaganya.
Cinta yang saya tahu
Apakah cinta?
Cinta yang saya tahu, adalah "Ingin bersamanya di syurga."
Saya hanya tahu yang itu. Sebab di dalam Cinta ada kasih dan sayang. Bukankah amat menghairankan jika saya menyatakan: "Saya sangat sayangkan awak, kasihkan awak, sepenuh hati saya." kemudian saya menyepaknya ke dalam api yang marak. Nyata itu bukan Cinta.
Maka, mahu tidak mahu, apabila disebut Cinta, kita inginkan dia bahagia. Kita inginkan orang yang kita cintai itu senang. Kita inginkan dia tidak sakit. Kita tidak mahu dia cedera. Maka kita patut persoalkan diri kita, apakah bahagia yang tertinggi? Apakah kesenangan yang hakiki?
Bukankah hanya syurga?
Maka adalah sangat pelik, apabila melafazkan cinta, tetapi kita melempar orang yang kita cinta ke dalam neraka. Apakah kesakitan yang lebih dasyat daripada neraka?
Maka Cinta yang saya tahu, hanya itu. "Ingin bersamanya di syurga."
Sekiranya perasaan itu melempar ke neraka, maka itu bukan namanya cinta.
Itu cinta yang saya tahu.
Daripada cinta ini
Daripada kefahaman cinta yang tadi, maka saya belajar untuk mempertingkatkan diri.
Yalah. Bila faham bahawa kalau cinta itu hendak bersama di syurga, maka mempertingkatkan diri adalah perkara yang teramat penting. Bagaimana hendak ke syurga dalam keadaan diri masih lalai dan alpa? Bagaimana hendak ke syurga dalam keadaan diri masih ada rasa cinta kepada maksiat dan kemungkaran?
Maka mempertingkatkan diri menjadi perkara wajib, dan kerana cinta tadi, kita perlu sentiasa memerhatikan peningkatan diri dan merancangnya.
Kita perlu menjadi orang yang kuat untuk menarik orang yang kita cinta itu ke syurga. Kita perlu menjadi orang yang kuat, untuk tidak menyusahkan orang yang kita cinta itu dalam menarik kita ke syurga.
Kalau benar-benar cinta, maka kita tidak akan melepaskannya ke neraka. Kalau benar-benar cinta, maka kita tidak akan menyusahkannya dengan menceburkan diri kita ke dalam neraka.
Kedua-duanya memerlukan kita mempertingkatkan diri.
Dan inilah dia cinta yang hakiki.
Inilah dia sayang yang sebenarnya.
Saya, ingin bercinta begitu.
Saya ingin menyayangi orang-orang yang saya sayang begitu.
Saya hanya faham cinta yang ini
Saya hanya memahami cinta yang ini.
Kalau saya menyebut cinta, saya hanya memaksudkan yang ini.
Maka dengan cinta ini saya tidak jemu. Saya akan terus mencintai orang yang saya cinta. Maka dengan cinta ini saya tidak penat. Saya akan terus mencintai orang yang saya cinta. Maka dengan cinta ini saya tidak letih. Saya akan terus mencintai orang yang saya cinta.
Walaupun cinta saya dipandang sebelah mata. Walaupun kadangkala dipandang merimaskan. Walaupun adakalanya dipandang jelek dan kelihatan hanya omongan.
Bila hendak memanifestasikan "Hendak bersama dengannya di syurga", maka hendak tidak hendak, saya perlu membina cinta ini di atas "Tuan Punya Syurga", yakni Allah SWT. Cinta saya mesti berpaksikan Dia, mengharapkan balasanNya, mengharapkan redhaNya.
Sebab itu cinta ini akan terus saya jalankan. Tanpa peduli apa penerimaan daripada orang yang saya cinta. Tanpa kisah apa jenis balasan yang diberikan oleh mereka.
Sebab bila saya kata bahawa definisi cinta adalah "Hendak bersama dengannya di syurga", maka secara automatik saya sudah niatkan bahawa cinta saya adalah keranaNya.
Dialah yang membalas penat lelah saya. Dialah hakim kepada cinta saya. Dialah yang akan memberi ganjaran. Sebab itu di dalam cinta ini, walaupun wujud mehnah dan tribulasi, tetap kesenangan dan kebahagiaan juga yang menghampiri. Sebab semuanya bergantung kepada Allah SWT, dan berpaksikan perintahNya. Tiada kekecewaan kerana Allah itu tidak pernah mengecewakan.
Tugas saya adalah mencintai dengan kecintaan ini.
Cinta ini tidak pernah mengecewakan.
Dan saya tidak faham akan cinta melainkan cinta yang sebegini.
Sebab itu cinta ini menyenangkan
Sebab itu cinta ini menyenangkan.
Tiada kenegatifan. Yang ada hanya positif. Jika diganggu pancaroba, penawar sentiasa ada. Jika rasa kecewa, kejelasan niat sentiasa menyelamatkan jiwa.
Cinta ini melapangkan. Cinta ini memberikan kekuatan. Cinta ini memberikan kesedaran. Cinta ini melahirkan sayang, dan sayang di dalam cinta ini tak akan malap. Cinta ini menjamin diri ke syurga.
Sebab itu cinta ini menyenangkan.
Saya hanya faham cinta dengan kefahaman ini.
Selain yang boleh memberikan ini, itu bukan cinta pada tafsiran saya. Sebab itu, 'cinta palsu-cinta palsu' lain, tidak diiktiraf sebagai cinta oleh saya. Apa-apa yang melanggar syara', menjemput murka Allah, dan melempar diri ke neraka, itu bukan cinta pada saya.
Melempar seseorang ke dalam api dan itu dinamakan sayang? Saya tidak pernah mendengarnya.
Penutup: Cinta ini banyak mengubah saya
Belajar bercinta banyak mengubah saya.
Ketiadaan cinta membuatkan hati menjadi keras, dan diri sukar untuk tunduk. Ketiadaan cinta membuatkan jiwa sepi, dan diri sukar merasakan ketenangan.
Tetapi bila bercinta, hati jadi lembut, jiwa jadi lapang. Sentiasa rasa ingin tersenyum. Sentiasa rasa ingin mengasihini yang lain. Sentiasa rasa ingin menjadi yang lebih baik. Sentiasa cuba melakukan yang terbaik. Sentiasa berusaha memaafkan. Sentiasa berusaha untuk menebus kesalahan.
Semuanya untuk diredhai Allah, agar mendapat syurgaNya.
Semuanya untuk dikasihi Allah, agar mendapat kekuatan untuk menguatkan orang selain diri kita.
Semuanya untuk menyempurnakan misi "Ingin bersamanya di syurga."
Ingin bersama Ibu Bapa di Syurga. Ingin bersama isteri dan anak-anak di Syurga. Ingin bersama sahabat-sahabat di syurga. Ingin bersama guru-guru di Syurga. Ingin dapat bertemu Rasulullah dan para sahabat radhiallahu'anhum ajma'in di Syurga. Ingin dapat bersama Allah di sana.
Bukankah menyedihkan, hidup selama-lamanya tanpa itu semua? Bahkan dalam derita?
Memahami cinta ini, membuatkan saya berusaha menggerakkan diri.
Semoga saya benar-benar dapat memanifestasikan cinta ini, di dalam kehidupan.
Amiin.
January 27, 2011
Puisi: Hiburanku
Hiburanku wujud di dalam mushaf itu
Hiburanku
Kala sedih,
aku cari hiburan untuk jiwa
memujuk hati yang terluka,
membelai jiwa yang berduka
pelbagai hiburan wujud di atas dunia
tetapi kebanyakannya hanya penawar sementara cuma
tetapi aku selak mushaf itu,
jiwaku terhibur dengan deretan cerita
kamu tahu, mushaf itu amat istimewa
hingga selepas itu dukaku terpadam semua
diceritakan di dalamnya kisah ibu Musa
bukankah mustahil untuk pacal israel sepertinya menembus istana
tetapi Allah dengan kuasaNya
membalas Yukabid yang mentaati perintah
lantas dipulang Musa ke dalam pangkuan pengubat gundah
diceritakan di dalamnya kisah seorang budak yang ditinggalkan saudaranya
bukan sekadar diuji dengan dikhianati keluarganya
bahkan pernah digoda dalam bilik terkunci
juga dipenjara
tetapi Allah dengan kuasaNya
membalas Yusuf yang mentaati perintahNya semua
lantas diangkat Yusuf menjadi pemerintah yang berjaya
diceritakan di dalamnya kisah seorang lelaki yang menyeru kebenaran hakiki,
namun dilempar rajanya ke dalam api,
tetapi Allah dengan kuasaNya
membalas Ibrahim yang percaya tanpa ragu kepadaNya
api menjadi sejuk melanggar hukum asalnya
Maka aku kembali kepada diriku,
besar masalahku, besar lagi masalah mereka
hendak dibandingkan penyelesaianku, oh mudah sahaja
maka mustahil Allah yang membantu mereka akan meninggalkanku begitu sahaja
maka mengapa aku mesti berduka dan berputus percaya?
Bukankah Allah yang ada dengan mereka,
di sisiku juga Dia ada?
Aku terhibur
dukaku melebur
senyuman terukir
kesedihanku meminggir
yakin
itu tidak akan membuatkan aku tersingkir
banyak lagi cerita penawar duka,
banyak lagi kisah membawa cerita,
belum diungkap ayat-ayat sakti di dalamnya
semua pada mushaf itu,
hiburanku yang terulung di kala duka
hingga kini,
hanya senyuman kepuasan yang beraja
~Hilal Asyraf~
0918PM
270111
It's Happy Line
Puisi Hiburanku
Saya, dan veteran.
Saya bersama veteran-veteran yang menyenangkan. :-)
Saya banyak hidup dengan orang yang jauh lebih tua usianya daripada saya. Hidup saya jarang diluangkan untuk yang lebih muda dan sama umur, kecuali selepas saya masuk ke universiti. Dahulu, dalam usaha saya untuk meningkatkan diri, memang sudah disematkan ke dalam hati bahawa menyedut ilmu daripada veteran dalam kehidupan adalah prioriti.
Maka saya bertemu dengan ramai veteran. Hingga hari ini, saya terus sahaja berurusan dengan pelbagai jenis veteran.
Dan veteran di dalam kehidupan ini ada pelbagai jenis.
Ada yang menyenangkan hati. Ada juga yang membuatkan hati terluka sendiri.
Budak, dan orang tua
Satu perkara apabila seorang muda berurusan dengan yang jauh lebih tua daripadanya, adalah kebiasaan dipandang rendah.
Saya merasainya dalam bilangan yang tidak terbilang. Mereka biasanya berfikir bahawa kita tidak tahu apa-apa, kita masih budak, dan budak tak boleh campur atau menegur urusan orang-orang tua.
Budak adalah untuk dikerah. Budak bukan untuk memberikan pandangan. Teguran seorang budak adalah termasuk di dalam pelanggaran etika, dan akan dilabelkan sebagai biadap dan kurang ajar. Apatah lagi apabila teguran itu menyentuh kredibiliti orang-orang tua.
Saya banyak kali merasai perkara ini.
Dan label kurang ajar+biadap itu entah sudah berapa kali dicopkan pada dahi saya.
Tetapi berbezanya layanan mereka terhadap kita
Orang-orang veteran yang sebegitu, akan sering melaungkan perihal 'hormat', 'beradab', 'berhikmah' dan lain-lain. Semuanya untuk menjustifikasikan label 'kurang ajar+biadap' yang dicopkan ke atas dahi anak muda.
Tetapi bila dilihat pula kepada diri mereka, mereka tidak menghormati kita sebagai manusia. Sebagai orang yang memberikan pandangan. Sebagai orang yang memberikan teguran.
Mereka tidak pula berhikmah. Oleh kerana mereka orang tua, mereka dengan senangnya tidak menjaga hati dan perasaan. Terus-terus sahaja melanyak peribadi orang muda, kononnya 'untuk mengajar'.
Dan apabila hormat dan hikmah tiada, masuklah orang-orang tua itu dari kalangan mereka yang tiada adab. Bila berjanji mungkir, bila bersalah tidak meminta maaf, bila silap tidak mahu memperbaiki kesilapan. Sebab? Sebab mereka orang tua. Mengapa perlu tunduk memohon maaf kepada yang muda?
Berlainan apabila kesilapan di pihak orang muda. Orang muda akan dihentam. Ditegur dengan keras. Dikatakan itu dan ini. Disuruh memperbaiki kesilapan. Disuruh meminta maaf dengan kemas. Bila mereka silap, mereka tidak perlu memberikan penjelasan kepada kita, tetapi apabila orang muda silap, kita disuruh menjelaskan apa yang kita lakukan agar lebih tampak kesilapan kita. Bila orang muda silap, tidak cukup dengan meminta maaf, diminta menebus kesilapan itu, tetapi apabila mereka melakukan kesilapan, minta maaf sahaja sudah memadainya. Begitulah, dan sebagainya.
Bukankah orang-orang tua sebegitu adalah orang-orang tua yang hipokrit?
Dan keburukan mereka, bukan sekadar kehipokritan mereka sahaja.
Bahkan membawa kepada sesuatu yang lebih besar.
Melahirkan generasi yang rosak, dan gerak kerja yang merosakkan
Sikap yang sedemikian tadi, saya lihat, melahirkan generasi muda yang rosak. Melahirkan generasi pengganti yang lemah.
Manakan tidak. Yang lahir hanyalah pak angguk dan pak turut sahaja. Takut memberikan idea baru kerana di'doktrin' oleh sikap orang-orang tua. Dilatih patuh buta. Dididik bahawa, masa mereka belum tiba. Dibasuh bahawa mereka ini tidak berkebolehan. Generasi ini nanti adalah generasi 'inferior' kerana pandangan mereka sering tidak diberikan perhatian, dan tidak menerima keadilan yang baik. Lebih buruk, anak-anak muda ini akan membesar, dan sekadar mengulang kesilapan yang sama yang dilakukan oleh orang-orang tua mereka.
` Gerak kerja yang dilakukan juga adalah gerak kerja yang merosakkan. Hal ini kerana, gerak kerja itu tidak mendapat pandangan lain selain pandangan orang-orang tua. Skop pandangan yang sama. Idea yang sama. Berputar-putar di medan pemikiran yang sama. Orang-orang tua yang tidak belajar mengambil teguran yang muda, yang tidak belajar berkerjasama dengan mereka, yang tidak belajar mendalami idea mereka, akan kekal mengulang kesilapan mereka berulang kali, serta kekal statik dengan idea lama. Pembaharuan yang sepatutnya tidak berlaku, dan satu antara dua akan terjadi. Itulah dia kekal statik, atau merudum jatuh. Naik? Tidak sama sekali.
Maka apakah kebaikannya?
Oh, ada. Kredibiliti orang-orang tua itu terjaga. Kekal dilihat tinggi.
Dan anak-anak muda akan menjadi 'patuh, taat dan setia'.
Tetapi saya bertemu juga dengan veteran yang menyenangkan
Tidak dinafikan, saya bertemu juga dengan veteran-veteran yang menyenangkan. Walaupun mungkin bilangan mereka sangat sedikit.
Mereka akan mengambil masa, mendengar apa yang dibicarakan oleh orang muda. Sehingga habis. Mereka tidak akan memotong bicara orang muda. Kemudian mereka akan berbincang bersama-sama dengan orang muda itu, berkenaan pro dan kontra pandangan yang diberikan. Kemudian bersama-sama orang muda tadi itu juga, mereka akan sepakat mencapai satu persetujuan.
Mereka betah ditegur. Walau dalam keadaan apa jua. Dalam keadaan kurang ajar, apatah lagi berhikmah. Tinggal apabila ditegur secara biadap, mereka akan pergi kepada orang muda itu di belakang khalayak ramai, dan menegur akan 'cara teguran' yang tidak sesuai. Tetapi salah cara teguran orang muda itu, tidak akan sesekali dinafikan kebenaran tegurannya, sekiranya benar. Sekiranya teguran itu salah, akan diperjelaskan kesalahannya dengan baik agar orang muda itu memahami.
Bahkan mereka ini, tanpa dipinta, akan mengajak orang-orang muda duduk bersama berbincang dengan mereka. Juga mereka akan meminta pandangan-pandangan orang muda, untuk dibandingkan dengan pandangan mereka bagi mendapat satu pandangan yang terbaik.
Mereka adalah yang tidak segan mengaku kesalahan, dan memperbaiki pula kesalahan mereka. Mereka tidak akan membenarkan pandangan mereka semata-mata mereka orang yang jauh lebih tua.
Dalam perjalanan hidup saya, saya diberikan peluang oleh Allah SWT untuk bertemu dengan orang-orang tua sebegini, duduk dengan mereka, hidup dengan mereka, dan membesar di bawah jagaan mereka.
Apa agaknya kesan apabila duduk di bawah didikan mereka?
Peningkatan. Tiada bicara yang lebih baik.
Peningkatan. Memang tiada bicara lain yang mampu menggantikan.
Anak muda belajar. Oh beginilah bila berurusan. Oh pandangan aku ni kena touch up sikit rupanya. Oh, begini rupanya pandangan yang betul. Oh, dalam hal ini kena begini. Oh, yang ni dah betul dah.
Secara tidak langsung anak-anak muda mejadi berani. Mereka juga tidak takut memikirkan idea-idea baru. Apatah lagi dengan kaedah-kaedah yang dipelajari daripada orang-orang tua tadi.
Sedikit demi sedikit mereka terbentuk menjadi pemimpin, pengganti yang lebih baik kepada orang-orang tua tadi.
Orang-orang tua yang memimpin juga jadi lebih terkehadapan. Idea-idea mereka sering up to date dengan keadaan. Sentiasa segar dengan idea-idea baru. Mereka juga tidak akan mengulang kesilapan yang sama, kerana ada daripada generasi lain yang menegur mereka. Dan mereka menjadi kuat kerana mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pemuda.
Kebaikan apakah yang lebih baik?
Penutup: Jika anak muda perlu belajar, orang tua juga sama
Ini adalah pandangan saya.
Sekiranya anak muda perlu menghormati, orang tua juga sama. Jika anak muda perlu beradab, orang tua juga sama. Jika anak muda perlu berhikmah, orang tua juga sama.
Tambahan, anak muda itu membesarnya mengikuti contoh siapa? Orang tua bukan?
Saya dididik oleh orang tua untuk sentiasa punya kerendahan hati, sentiasa berhikmah, sentiasa beradab, sentiasa berani mengaku salah bila salah, sentiasa berusaha menebus kesilapan. Maka saya amat terluka dengan orang-orang tua yang tidak sedemikian.
Apakah kerana kita orang tua, maka kita boleh berbuat sesuka rasa?
Apakah kerana kita orang tua, maka pandangan kita benar sentiasa?
Sedangkan, untuk melahirkan satu ummah yang kuat, satu organisasi yang kuat, satu gerak kerja yang kuat, asimilasi antara orang tua dan orang muda adalah sangat diperlukan.
Maka bagaimana?
Ini adalah pandangan saya.
January 26, 2011
Puisi: Aku bukan dari kalangan mereka.
Aku adalah yang memilih untuk menjadi burung yang terbang bebas di langit tinggi, dari menjadi lembu yang dicucuk hidungnya di bumi ~ picture by matthewpoland of Deviant Art
Aku bukan dari kalangan mereka
Ramai suka manusia yang bodoh,
kerana manusia itu tak akan bertanya.
Ramai suka manusia yang manja,
kerana manusia itu tak akan berusaha.
Ramai suka manusia yang malas,
kerana manusia itu tak akan berjuang untuk dirinya.
Ramai cinta kepada kaki angguk,
kerana mereka itu menurut segala perintah.
Ramai cinta kepada pak turut,
kerana mereka itu tidak menyanggah.
Ramai yang suka manusia-manusia sebegitu,
tidak memeningkan kepala mereka dengan kebenaran yang sebenarnya
kerna mereka tidak suka akan kebebalan mereka dizahirkan
mereka tidak suka kesilapan mereka diperbetulkan
mereka tidak enak ditunjuk ajarkan
Aku memilih untuk tidak menjadi keramaian itu,
dan memilih untuk tidak menjadi yang disukai mereka.
Aku memilih untuk memerangi keramaian itu,
dan lebih cinta untuk dibenci mereka.
~Hilal Asyraf~
0720AM
260111
Disinari mentari pagi
Irbid, Jordan
Sendiri.
January 25, 2011
Perempuan yang saya suka untuk jadikan pasangan.
Sederhana. Apa itu sederhana? Saya sendiri masih mencari kalam untuk menterjemahkannya. ~ picture by laila jihad of deviant art
Perempuan yang sederhana.
Kebelakangan ini, jawapan itu sahajalah yang keluar. Saya tak pasti kenapa. kenapa ya?
Saya tiada jawapan untuk itu. Tetapi jawapan tadi itu amat menyenangkan saya.
Yang sederhana.
Dan saya sentiasa tersenyum bila melafazkannya.
Definisi sederhana
Sehingga kini, saya belum dapat menterjemahkan apakah itu 'sederhana' yang saya maksudkan. Hem. Masalah juga ni. Haha.
Saya nak kena mendalami sikit situasi saya agar dapat menterjemahkan 'sederhana' yang saya maksudkan. Senang nak menjawab kalau orang tanya.
Tetapi sekurang-kurangnya saya dapat me'rasa'kan 'sederhana' itu.
Oh, 'sederhana' itu amat menyenangkan.
Apa yang lebih mahal daripada sederhana?
Saya pun tidak tahu.
Sederhana ini amat menyenangkan. Tidak memberatkan. Juga tidak terlalu meringan-ringankan. Sederhana buat jiwa lapang. Sederhana buat jiwa tenang.
Sederhana buat wajah ingin sentiasa tersenyum sahaja.
Apa yang lebih mahal daripada sederhana?
Saya pun tidak tahu.
Kesederhanaan itu, sayang yang tak terungkap
Jeles tak kalau tengok couple yang saling mengambil berat?
Jawapan jujur, saya cemburu. Wah, kamcingnya mereka berdua.
Jeles tak kalau tengok pasangan tunang yang hubungan mereka sweet habis?
Jawapan jujur, saya cemburu. Wah, seronoknya!
Jujurnya, kita suka kalau pasangan kita menzahirkan kasih sayang dia kepada kita. Bahkan, apatah lagi kalau kita ini dikelilingi oleh mereka yang risaukan kita.
"Eh, tak nampak hangat pun hubungan kau dengan dia?"
"Dia nampak macam tak suka kau je?"
"Korang berdua ni, sebenarnya ok tak?"
Haha. Memang akan pening kepala dibuatnya. Kadangkala kita akan rasa macam hubungan di atas syara' ni tak seronok kan?
Tetapi saya suka kita kembali kepada definisi sayang.
"Apa itu sayang?"
"Hendak bersama hingga ke syurga. Tidak akan melempar ke neraka."
Nah, bukankah ke'sederhana'annya dalam berhubungan dengan kita satu bentuk 'sayang'?
Bukankah dia telah meyelamatkan kita?
Apakah yang lebih memuaskan hati daripada kebenaran ini?
Oh, sederhana memang indah.
Penutup: Saya suka perempuan yang sederhana
Sederhana itu indah.
Untuk dunia dia menyenangkan.
Untuk akhirat dia menyenangkan.
Dia tidak terlalu memberatkan hingga kita terasa susah.
Dia tidak terlalu meringankan hingga kita terasa dilalaikan.
Saya suka perempuan yang sederhana.
Berdikari. Saya yang tersilap definisi.
Ummi dan Abah, dan saya.
Berdikari. Saya selalu mendengar bahawa asal-usul perkataan ini adalah 'Berdiri Di Atas Kaki Sendiri'. Kebenarannya, saya pun tak tahu. Tetapi yang saya tahu, berdikari membawa maksud mampu berusaha sendiri, dan tidak terlalu mengharapkan orang lain.
Dari kecil, satu perkara yang saya targetkan pada diri saya adalah berdikari.
Tetapi satu perkara yang saya silap, pada satu masa dahulu, berkenaan berdikari adalah, saya mendefinisikannya sebagai "Tak perlu bergantung kepada mak ayah"
Mungkin sebahagian definisi itu betul. Tetapi saya ini terarah kepada sebahagian yang tidak betul. Bagaimana dengan anda? Adakah anda memandang, berdikari itu bermaksud yang sama seperti saya?
Mungkin ada yang akan berkata, mana yang salahnya dengan definisi itu?
Ah, mungkin saya yang salah.
Bila saya faham tak bergantung kepada mak ayah
Ada banyak peristiwa dalam kehidupan saya yang menyebabkan saya betul-betul berusaha untuk 'berdikari'. Tetapi saya kira, cerita-cerita itu hanya akan terbenam dalam diri saya, dan tidak akan saya ceritakan kepada umum.
Berdikari yang saya maksudkan adalah, memutuskan pergantungan daripada ibu bapa saya.
Jadi, bila saya faham berdikari adalah begitu, dan berazam pula untuk ke arah itu, maka saya membentuk satu 'kekerasan' di dalam diri saya.
Saya jadi orang yang tidak pernah mengadu kepada Ummi dan Abah. Agak teruk sedikit, saya jadi orang yang tidak berkongsi cerita dengan Ummi dan Abah. Saya banyak membesar di dalam bilik sekiranya tiada hal, dan kebanyakan masa saya habis dengan pelbagai hal di luar rumah. Tidak banyak masa duduk-duduk bersama Ummi dan Abah, bersembang itu dan ini.
Saya masih ingat, tamat sahaja SPM, saya terus menyibukkan diri dengan mengendalikan pelbagai program remaja. Saya kira, masa lapang saya di rumah ketika itu hanya seminggu dua. Tamat sahaja program-program tersebut, saya terus bekerja di Sekolah Rendah Agama Ghufran, Simpang Renggam dan agak jarang pulang ke rumah.
Tamat pekerjaan saya di SRAG, saya terus menyambung pengajian kembali ke Perlis. Kemudian selepas setahun setengah, saya terus terbang ke Jordan. Ditambah pula dengan dari tingkatan satu tinggal di asrama, saya memang betah hidup tanpa Ummi dan Abah. Tidak pernah mengadu akan markah yang teruk. Hanya mahu menunjukkan kepada mereka sisi cemerlang saya. Saya tidak akan bercerita, melainkan apa-apa yang baik sahaja yang berlaku kepada saya.
Itupun lebih kepada untuk menunjukkan bahawa "Hilal sudah mampu berdikari. Tengok, Hilal mampu buat semua ini tanpa bantuan Ummi Abah."
Dan saya sampai satu tahap, pernah berkata kepada Ummi dan Abah saya: "Apa-apa yang Ummi Abah bagi pada Hilal, duit yuran sekolah, bil api air rumah, dan semua duit belanja yang pernah diberikan, semua itu Hilal anggap sebagai hutang. Nanti dah besar, Hilal bayar semula."
Saya nampak itu adalah berdikari.
Dan saya bersungguh-sungguh mencapai semua itu. Sebab itu, saya sentiasa belajar untuk mencari duit sendiri. Saya tidak pernah meminta Ummi dan Abah membelikan saya itu dan ini. Saya akan beli dengan duit saya sendiri, yang saya kumpul, yang saya dapatkan dengan usaha saya sendiri. Sebab itu, saya sangat gembira apabila Allah SWT berikan peluang kepada saya menjadi penulis. Saya terasa seperti benar-benar telah berdikari.
Tinggal, saya banyak kali sahaja gagal membeli semua barang saya dengan duit sendiri, apabila Ummi melarangnya. Ummi nak juga bayar. Saya pernah merasakan, itu mencalarkan maruah saya sebagai orang yang hendak berdikari.
Itulah saya sikit masa yang lalu.
Efeknya kepada saya
Efeknya, saya kehilangan satu perkara yang berharga. Iaitu kehangatan kasih sayang Ummi Abah. Ummi Abah sangat menyayangi saya, sebagaimana mereka menyayangi anak-anak yang lain. Tetapi disebabkan kefahaman berdikari saya tadi, saya kurang mampu merasainya.
Dan ini adalah kekurangan yang menakutkan. Ibu bapa sebenarnya adalah sesuatu yang besar di dalam kehidupan. Kasih sayang mereka adalah energi. Memandangkan redha mereka adalah redha Allah SWT, selagi mana mereka tidak redha kepada perkara yang dimurkaiNya. Maka, kehilangan mereka daripada jiwa kita, hakikatnya satu kekosongan yang besar yang sepatutnya diraih semula.
Walaupun kita mampu mencapai satu tahap yang tinggi tanpa merasai kehangatan kasih sayang ibu bapa kita, saya percaya bahawa, kita sepatutnya mampu mencapai tahap yang jauh lebih tinggi sekiranya kita merasainya.
Percayalah cakap saya, kehangatan cinta sang isteri pun, tak akan dapat menggantikan kehangatan kasih sayang ibu bapa. Walaupun saya belum berkahwin, saya berani cakap yang ini.
Saya menyedarinya, ketika saya jatuh sakit tempoh hari
Saya menyedari hal ini, apabila saya jatuh sakit teruk tempoh hari pada hujung tahun 2010. Saya tidak pernah sakit seperti itu. Sakit itu dari segi zahirnya nampak seperti demam teruk. Tubuh saya panas. Ditambah dengan musim sejuk, sakit itu terasa seperti menghancurkan tubuh saya.
Tetapi apa yang lebih pada sakit itu adalah, satu perasaan 'takut' datang. Saya tidak pernah ada rasa 'takut' yang sebegitu. Sukar saya hendak ceritakan bagaimana 'takut' yang saya maksudkan ini. Tetapi perasaan itulah yang menjengah. Hingga saya merasakan bahawa saya hampir 'mati'.
Ketika ini, saya teringatkan Ummi dan Abah. Automatik, kehidupan remaja saya, hingga saya menjengah dewasa, terimbas. Baru saya perasan, dari remaja hingga saya dewasa, masa saya terlalu sedikit dengan kedua-dua orang tua saya. Ditambah dengan sikap saya yang memahami berdikari sebagai 'tidak bergantung kepada ibu bapa', saya merasakan Ummi dengan Abah selama ini telah kehilangan seorang anak.
Dan saya terfikir, ketika saya sakit itu, kalau aku mati sekarang, macam mana? Kalau jadi apa-apa pada Ummi Abah sebelum sempat balik Malaysia, macam mana?
Ada beberapa peristiwa lagi semasa cuti saya di Malaysia, yang menambah perasaan itu. Akhirnya ketika itulah saya melihat 'kehilangan' saya. Saya melihat 'kesilapan' saya di dalam memahami 'berdikari'.
Akhirnya buat pertama kali, saya menangis bila menelefon Ummi. Dan ajaibnya, saya tidak pula rasa malu atau rendah. Bahkan, saya rasa lega merendahkan diri kepada Ummi ketika itu. Saya rasa lega mengadu saya kekurangan itu, kekurangan ini. Saya lemah dekat itu, saya susah nak buat yang ini.
Ah, leganya.
Dan setakat ini, tiada kelegaan yang dapat menewaskan kelegaan itu.
Penutup: Ibu bapa tiada ganti, tahu.
Maka sebenarnya, definisi berdikari 'tidak bergantung kepada ibu ayah' itu adalah satu kesilapan sebenarnya.
Saya melihat, mahu tidak mahu, kita memang sepatutnya bergantung kepada ibu ayah kita. Tetapi bukanlah meletakkan semua tanggungjawab di atas pundak mereka, tanpa kita sendiri melatih diri bertanggungjawab. Kita sendiri perlu belajar cari duit, perlu belajar menguatkan diri agar tidak menyusahkan mereka, tetapi kita jangan buang terus Ibu Ayah daripada kehidupan kita.
Mengadu akan kekurangan kita kepada ibu bapa kita, bukan satu pengurangan kepada berdikari.
Duduk dengan mereka, dan membiarkan mereka memanjai kita, membayarkan untuk kita, bukanlah satu kekurangan kepada berdikari.
Banyak meluangkan masa dengan mereka, bukanlah satu yang pengurangan kepada berdikari.
Hakikatnya, ibu bapa ini suka apabila kita memerlukan mereka. Dan saya percaya, hati kita juga akan tenang apabila kita meletakkan diri kita dalam jagaan mereka. Sebab selain Ibu Bapa kita, tiada yang akan mampu memberikan perasaan yang sama.
Dan saya percaya, sekiranya kita menjaga hubungan dengan kedua-dua Ibu Bapa kita, insyaAllah Allah akan memberikan kekuatan yang tidak terhingga kepada kita. Ketenangan yang sebelum ini kita tidak pernah lihat. Kebahagiaan yang sebelum ini tidak pernah kita rasa.
Saya yakin, sebab saya sedang melaluinya.
[image error]
January 24, 2011
Kepahitan. Minuman seharian.
Tersungkur? Heh. Kuatkan diri. Jangan hidup dalam fantasi. ~ picture by matthewpoland of Deviant Art.
Tiada kena mengena dengan kopi sa'dah yang memang terkenal wajib membuatkan wajah malizi berkerut apabila merasainya di Jordan ini.
Kepahitan yang saya maksudkan adalah kepahitan yang bukan sekadar literal. Tetapi memang kepahitan yang sebenar-benarnya. Pahit kehidupan. Yang hadir daripada segala kesusahan dan cabaran yang wujud di atas perjalanan diri ini di atas dunia.
Ramai yang tidak suka dengan kepahitan kehidupan. Maka ramai yang berlari daripadanya. Sebab itu ramai yang jatuh tersungkur dan tidak mampu bangkit apabila di'sapa' olehnya.
Tetapi akhirnya saya melihat, sekiranya kepahitan itu dipandang sebagai minuman seharian, kejatuhan bukanlah sesuatu yang akan datang menghinggap diri kita apabila disapa olehnya.
Mengambil pengajaran daripada ramai orang, dan akhirnya lebih yakin apabila dibuktikan oleh diri sendiri.
Bohong jika zero kepahitan
Ah, memang teramatlah bohong sekiranya saya menyatakan kehidupan saya zero kepahitan. Ada banyak sahaja kepahitan. Boleh pilih. Bahkan semuanya masih terasa lagi akan kepahitannya sekiranya diimbas kembali. Lebih buruk, tiada satu pun kepahitan itu saya lupakan rasanya.
Saya juga masih ingat hari-hari saya sekadar berbaring di atas katil, dan berendam air mata, menutup wajah dengan bantal apabila disapa oleh kepahitan-kepahitan itu. Pernah juga merasakan, tak ada maknanya berusaha menjadi baik, jadi hamba yang Allah redha, jika itulah yang perlu dirasai.
Pelarian yang tiada maknanya
Apa yang saya buat dahulu adalah melarikan diri daripadanya. Bila ada kepahitan, saya melarikan diri. Tidak mahu menghadapinya, tidak mahu memikirkannya, tidak mahu menyelesaikannya. Sebab pahitnya teramat sangat. Kadangkala hingga terasa seperti seluruh tulang temulang ini akan hancur lebur dengannya.
Maka sengaja ditimbulkan harapan-harapan kosong seperti 'ini semua hanya mimpi', 'nanti semua ini akan berakhir', 'semua ini akan berlalu pergi', 'mereka akan berhenti' dan sebagainya.
Mungkin untuk sebahagian kecil masalah, pujukan-pujukan itu menjadi. Ya, ada masalah apabila dibiarkan, ia akan berlalu pergi. Ada jenis orang yang memberikan masalah, sampai satu waktu dia akan berhenti.
Tetapi banyak masalah di dalam dunia, tak akan pergi begitu sahaja. Bahkan menghantui kehidupan sekiranya tidak dihadapi dan diselesaikan. Tidak akan pergi sekiranya tidak diperangi dan dihapuskan.
Jawapan: Menghadapinya, dan memandangnya sebagai biasa.
Akhirnya, saya memandang kepahitan sebagai minuman seharian. Susah, cabaran, halangan, kutukan, kejian, hinaan, cercaan, makian, itu semua saya lihat sebagai kebiasaan. Itu semua saya 'minum' sebagai tonik untuk menambah lagi kekuatan diri.
Semakin hari semakin kebal. Semakin hari semakin lali dengan semua itu. Semakin hari semakin biasa. Apabila diri tidak lagi terlutut dengan kepahitan yang hadir bersama ujian, barulah diri ini mampu melangkah melangkaui ujian tersebut, menumbangkannya, menyelesaikannya.
Apabila minda telah diset bahawa kepahitan adalah perkara yang WAJIB ditemui di dalam kehidupan, dan MESTI dihadapi di dalam perjalanan, ah, hati tak akan terlalu manja untuk menyebabkan tubuh terlutut. Bahkan rasa pahit itu juga akan mampu ditelan ibarat air tawar sahaja.
Nampak senangkan?
Tetapi saya pun dapat semua ini selepas beberapa kali tumbang.
Ah, akhirnya apa yang menyebabkan saya lali dengan kepahitan adalah kerana kalau pandang semula, siapa nak pujuk diri?
Tak ada. Kita ada kita sahaja.
Kita memang ada Allah. Tetapi siapa yang nak gerakkan diri kita pergi kepada Allah?
Kita juga kan? Mampu nak bergerak kepada Allah kalau sudah terlutut dan dikalahkan oleh kepahitan? Mampu hendak bergerak kepada Allah bila berputus asa?
Bohong kalau dikatakan ya.
Penutup: Menelan kepahitan, satu softskill penting.
Saya sampai kepada satu konklusi.
Kebenaran itu tak akan terkalahkan. Kalau kita yakin bahawa kita di atas jalan kebenaran, bahkan keyakinan kita itu tersokong dengan 1001 bukti, maka usah peduli dengan segala kesusahan, cabaran, halangan, kutukan, kejian, hinaan, cercaan, makian. Akhirnya nanti, kemenangan adalah milik kita juga sekiranya kita bersabar.
Jadi, konklusi ini menambahkan ketabahan untuk tidak terlutut dengan kepahitan. Bahkan kita yang 'meminum'nya. Saya tak kata ini akan menghasilan zero kesedihan. Bohonglah kalau macam itu. Tetapi saya berani kata, ini akan menghasilkan kekuatan. Kalau sebelum ini sedih sampai terlentang atas katil berendam air mata, lepas faham benda ini, sekurang-kurangnya kita kuat bergerak walau kesedihan bersarang di jiwa.
Menelan kepahitan ini, satu softkill yang penting juga sebenarnya.
Sebab saya tengok, ramai yang gugur apabila di'sapa' oleh kepahitan.
Come on. Kuatkan diri. Jangan hidup dalam fantasi.
Kepahitan adalah perkara WAJIB di atas dunia ini.
Memahami yang itu, kekuatan akan hadir di dalam diri.
[image error]