Berdikari. Saya yang tersilap definisi.



[image error]

Ummi dan Abah, dan saya.



Berdikari. Saya selalu mendengar bahawa asal-usul perkataan ini adalah 'Berdiri Di Atas Kaki Sendiri'. Kebenarannya, saya pun tak tahu. Tetapi yang saya tahu, berdikari membawa maksud mampu berusaha sendiri, dan tidak terlalu mengharapkan orang lain.


Dari kecil, satu perkara yang saya targetkan pada diri saya adalah berdikari.


Tetapi satu perkara yang saya silap, pada satu masa dahulu, berkenaan berdikari adalah, saya mendefinisikannya sebagai "Tak perlu bergantung kepada mak ayah"


Mungkin sebahagian definisi itu betul. Tetapi saya ini terarah kepada sebahagian yang tidak betul. Bagaimana dengan anda? Adakah anda memandang, berdikari itu bermaksud yang sama seperti saya?


Mungkin ada yang akan berkata, mana yang salahnya dengan definisi itu?


Ah, mungkin saya yang salah.



Bila saya faham tak bergantung kepada mak ayah


Ada banyak peristiwa dalam kehidupan saya yang menyebabkan saya betul-betul berusaha untuk 'berdikari'. Tetapi saya kira, cerita-cerita itu hanya akan terbenam dalam diri saya, dan tidak akan saya ceritakan kepada umum.


Berdikari yang saya maksudkan adalah, memutuskan pergantungan daripada ibu bapa saya.


Jadi, bila saya faham berdikari adalah begitu, dan berazam pula untuk ke arah itu, maka saya membentuk satu 'kekerasan' di dalam diri saya.


Saya jadi orang yang tidak pernah mengadu kepada Ummi dan Abah. Agak teruk sedikit, saya jadi orang yang tidak berkongsi cerita dengan Ummi dan Abah. Saya banyak membesar di dalam bilik sekiranya tiada hal, dan kebanyakan masa saya habis dengan pelbagai hal di luar rumah. Tidak banyak masa duduk-duduk bersama Ummi dan Abah, bersembang itu dan ini.


Saya masih ingat, tamat sahaja SPM, saya terus menyibukkan diri dengan mengendalikan pelbagai program remaja. Saya kira, masa lapang saya di rumah ketika itu hanya seminggu dua. Tamat sahaja program-program tersebut, saya terus bekerja di Sekolah Rendah Agama Ghufran, Simpang Renggam dan agak jarang pulang ke rumah.


Tamat pekerjaan saya di SRAG, saya terus menyambung pengajian kembali ke Perlis. Kemudian selepas setahun setengah, saya terus terbang ke Jordan. Ditambah pula dengan dari tingkatan satu tinggal di asrama, saya memang betah hidup tanpa Ummi dan Abah. Tidak pernah mengadu akan markah yang teruk. Hanya mahu menunjukkan kepada mereka sisi cemerlang saya. Saya tidak akan bercerita, melainkan apa-apa yang baik sahaja yang berlaku kepada saya.


Itupun lebih kepada untuk menunjukkan bahawa "Hilal sudah mampu berdikari. Tengok, Hilal mampu buat semua ini tanpa bantuan Ummi Abah."


Dan saya sampai satu tahap, pernah berkata kepada Ummi dan Abah saya: "Apa-apa yang Ummi Abah bagi pada Hilal, duit yuran sekolah, bil api air rumah, dan semua duit belanja yang pernah diberikan, semua itu Hilal anggap sebagai hutang. Nanti dah besar, Hilal bayar semula."


Saya nampak itu adalah berdikari.


Dan saya bersungguh-sungguh mencapai semua itu. Sebab itu, saya sentiasa belajar untuk mencari duit sendiri. Saya tidak pernah meminta Ummi dan Abah membelikan saya itu dan ini. Saya akan beli dengan duit saya sendiri, yang saya kumpul, yang saya dapatkan dengan usaha saya sendiri. Sebab itu, saya sangat gembira apabila Allah SWT berikan peluang kepada saya menjadi penulis. Saya terasa seperti benar-benar telah berdikari.


Tinggal, saya banyak kali sahaja gagal membeli semua barang saya dengan duit sendiri, apabila Ummi melarangnya. Ummi nak juga bayar. Saya pernah merasakan, itu mencalarkan maruah saya sebagai orang yang hendak berdikari.


Itulah saya sikit masa yang lalu.



Efeknya kepada saya


Efeknya, saya kehilangan satu perkara yang berharga. Iaitu kehangatan kasih sayang Ummi Abah. Ummi Abah sangat menyayangi saya, sebagaimana mereka menyayangi anak-anak yang lain. Tetapi disebabkan kefahaman berdikari saya tadi, saya kurang mampu merasainya.


Dan ini adalah kekurangan yang menakutkan. Ibu bapa sebenarnya adalah sesuatu yang besar di dalam kehidupan. Kasih sayang mereka adalah energi. Memandangkan redha mereka adalah redha Allah SWT, selagi mana mereka tidak redha kepada perkara yang dimurkaiNya. Maka, kehilangan mereka daripada jiwa kita, hakikatnya satu kekosongan yang besar yang sepatutnya diraih semula.


Walaupun kita mampu mencapai satu tahap yang tinggi tanpa merasai kehangatan kasih sayang ibu bapa kita, saya percaya bahawa, kita sepatutnya mampu mencapai tahap yang jauh lebih tinggi sekiranya kita merasainya.


Percayalah cakap saya, kehangatan cinta sang isteri pun, tak akan dapat menggantikan kehangatan kasih sayang ibu bapa. Walaupun saya belum berkahwin, saya berani cakap yang ini.



Saya menyedarinya, ketika saya jatuh sakit tempoh hari


Saya menyedari hal ini, apabila saya jatuh sakit teruk tempoh hari pada hujung tahun 2010. Saya tidak pernah sakit seperti itu. Sakit itu dari segi zahirnya nampak seperti demam teruk. Tubuh saya panas. Ditambah dengan musim sejuk, sakit itu terasa seperti menghancurkan tubuh saya.


Tetapi apa yang lebih pada sakit itu adalah, satu perasaan 'takut' datang. Saya tidak pernah ada rasa 'takut' yang sebegitu. Sukar saya hendak ceritakan bagaimana 'takut' yang saya maksudkan ini. Tetapi perasaan itulah yang menjengah. Hingga saya merasakan bahawa saya hampir 'mati'.


Ketika ini, saya teringatkan Ummi dan Abah. Automatik, kehidupan remaja saya, hingga saya menjengah dewasa, terimbas. Baru saya perasan, dari remaja hingga saya dewasa, masa saya terlalu sedikit dengan kedua-dua orang tua saya. Ditambah dengan sikap saya yang memahami berdikari sebagai 'tidak bergantung kepada ibu bapa', saya merasakan Ummi dengan Abah selama ini telah kehilangan seorang anak.


Dan saya terfikir, ketika saya sakit itu, kalau aku mati sekarang, macam mana? Kalau jadi apa-apa pada Ummi Abah sebelum sempat balik Malaysia, macam mana?


Ada beberapa peristiwa lagi semasa cuti saya di Malaysia, yang menambah perasaan itu. Akhirnya ketika itulah saya melihat 'kehilangan' saya. Saya melihat 'kesilapan' saya di dalam memahami 'berdikari'.


Akhirnya buat pertama kali, saya menangis bila menelefon Ummi. Dan ajaibnya, saya tidak pula rasa malu atau rendah. Bahkan, saya rasa lega merendahkan diri kepada Ummi ketika itu. Saya rasa lega mengadu saya kekurangan itu, kekurangan ini. Saya lemah dekat itu, saya susah nak buat yang ini.


Ah, leganya.


Dan setakat ini, tiada kelegaan yang dapat menewaskan kelegaan itu.



Penutup: Ibu bapa tiada ganti, tahu.


Maka sebenarnya, definisi berdikari 'tidak bergantung kepada ibu ayah' itu adalah satu kesilapan sebenarnya.


Saya melihat, mahu tidak mahu, kita memang sepatutnya bergantung kepada ibu ayah kita. Tetapi bukanlah meletakkan semua tanggungjawab di atas pundak mereka, tanpa kita sendiri melatih diri bertanggungjawab. Kita sendiri perlu belajar cari duit, perlu belajar menguatkan diri agar tidak menyusahkan mereka, tetapi kita jangan buang terus Ibu Ayah daripada kehidupan kita.


Mengadu akan kekurangan kita kepada ibu bapa kita, bukan satu pengurangan kepada berdikari.


Duduk dengan mereka, dan membiarkan mereka memanjai kita, membayarkan untuk kita, bukanlah satu kekurangan kepada berdikari.


Banyak meluangkan masa dengan mereka, bukanlah satu yang pengurangan kepada berdikari.


Hakikatnya, ibu bapa ini suka apabila kita memerlukan mereka. Dan saya percaya, hati kita juga akan tenang apabila kita meletakkan diri kita dalam jagaan mereka. Sebab selain Ibu Bapa kita, tiada yang akan mampu memberikan perasaan yang sama.


Dan saya percaya, sekiranya kita menjaga hubungan dengan kedua-dua Ibu Bapa kita, insyaAllah Allah akan memberikan kekuatan yang tidak terhingga kepada kita. Ketenangan yang sebelum ini kita tidak pernah lihat. Kebahagiaan yang sebelum ini tidak pernah kita rasa.


Saya yakin, sebab saya sedang melaluinya.


[image error]

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 25, 2011 12:27
No comments have been added yet.