Hilal Asyraf's Blog, page 141
September 15, 2012
Cerpen: Bila Kamu Menghina Rasulullah Aku.
Rasulullah SAW itu, sentiasa hidup di dalam diri kami, di dalam kehidupan kami. ~ Picture by UmarMita of LangitIlahi.
Maafkan saya kerana masih tidak dapat update Takdir2: Percaya Yang Tidak Sirna.
Agak kesibukan. Lebih-lebih lagi apabila dihimpit isu-isu semasa yang terbaru, menagih diri membuat respon.
Saya perlu mendahulukan cerpen ini,
sebagai response saya kepada filem Innocence Muslim.
Cerpen Bila Kamu Menghina Rasulullah Aku.
Semoga ada manfaatnya di dalam cerpen ini.
Enjoy!
Aku terdengar kekecohan itu. Seperti dunia sedang bergegar dan gunung ganang menangis. Aku melihat dari jendela kesibukan hidupku. Rupanya kekasihku dihina lagi yang entah buat kali ke berapa. Dan ummat baginda menjadi marah, lantas timbul kekecohan di sini dan di situ.
Aku menghela nafas. Sebak itu wujud.
Menutup mata. Aku dapat rasa ada cecair sejuk mengalir pada pipi di bawah mata.
Aku terkilan dengan kedua-duanya. Kepada yang membina video itu dan kepada yang merosakkan wajah Islam dengan sikap mereka.
Aku lantas melihat semula ke belakang. Kepada susuk tubuh itu yang kini abadi di atas helaian-helaian kertas di dalam kitab-kitab mukhtabar. Berusaha untuk mencari sesuatu.
Buat mereka yang menghina Rasulullah SAW aku itu.
Dan buat mereka yang berakhlak buruk, dalam mempertahankan Rasulullah SAW aku itu.
********
Baginda kelihatan tersangat letih. Dengan darah yang menjadi warna tubuhnya ketika itu. Luka-luka menghiasi diri. Di sisinya Zaid bin Harithah berusaha memberikan yang terbaik kepada tubuh suci itu, tanpa menghiraukan dirinya yang turut luka-luka hasil jamahan batu-batu dari penduduk Ta’if.
Ketika itulah baginda berdoa kepada Allah SWT. Menyatakan akan usahanya, dan memohon ampun jika ini semua berlaku kerana kelemahannya. Menyatakan betapa lemahnya baginda, dan kepadaNya sahaja tempat baginda mampu bergantung harap.
Meruntun dunia mendengar doa itu, hingga malaikat turun memberikan tawaran. Jika mahu, gunung di Ta’if itu akan diangkat lalu dengannya Kaum di Ta’if itu dihancurkan. Namun di tengah luka dan kepedihan, di tengah kesedihan dan ketidak upayaan, Rasulullah SAW aku itu berkata:
“Jangan, moga daripada mereka, akan lahir orang-orang yang beriman kepadaNya.”
Aku yang tidak berada di sana, namun berdiri di tempat itu dengan dihubungkan helaian-helaian Sirah itu pada hujung jemariku, menangis.
Inilah Muhammad SAW yang dibenci itu.
Mengapa ini tidak diceritakan di dalam cerita mereka itu?
Mengapa ini tidak dicontohi oleh mereka yang mahu mempertahankan baginda itu?
*******
Baginda ketika itu dalam saat yang genting. Manusia-manusia rakus dari kumpulan kaafir Quraisy sedang berlumba untuk menamatkan nyawa baginda. Barisan tentera Muslimin di Medan Uhud yang hancur akibat ketidak patuhan sebahagian tentera, membuatkan tentera-tentera musuh berjaya menerobos ke benteng terakhir. Semua dahagakan darah baginda.
Yang ada di sisi baginda pada saat cemas itu hanyalah Sa’ad bin Abi Waqqas dan Talhah bin Ubaidillah. Mempertahankan Rasulullah SAW dengan segala kemampuan yang mereka ada, sebelum para sahabat yang lain tiba.
Ketika itu Ibn Qami’ah dari pasukan lawan berjaya menerobos dan melandaskan pukulan. Bahu baginda menjadi mangsa, dan kemudiannya pipi baginda. Hingga tali pengikat keledar besi yang dipakai baginda, terperusuk masuk ke pipi baginda. Beberapa batang gigi baginda patah, dan mengalirlah kemudiannya darah. Hingga baginda menakung dengan tangan suci baginda darah itu.
Saat ini, apa yang keluar daripada mulut baginda?
“Wahai Tuhanku, ampunkanlah kaumku itu, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”
Dan bersegeralah Abu Ubaidah yang telah sampai berusaha mencabut tali pengikat keledar itu, hingga giginya pula yang tercabut. Datang pula Abu Talhah, Abdurrahman bin Auf dan Abu Bakr mempertahankan baginda dan memukul musuh agar meninggalkan kawasan itu.
Suasana itu sangat mengharukan. Aku tidak berada di sana. Namun aku seakan wujud di sana. Bergetar hati ini ‘melihat’ suasana itu.
Mengapa ini tidak pula diceritakan?
Dan mengapa sikap itu tidak pula menjadi contohan?
*******
Kelihatan baginda mesra berlumba lari dengan Aisyah yang dicintainya. Kelihatan baginda menyantuni isteri-isteri baginda di rumah. Kepada Hafsah, kepada Ummu Salamah, kepada Zainab binti Jahsy dan lain-lain dari Ummahatul Mukminin, baginda mengasihi semuanya. Bahkan masih memuji dan mengingati isteri pertamanya Khadijah dengan penuh kasih dan cinta.
Seorang yang walaupun sibuk menerima tentangan, peperangan, memberikan penyampaian, keluar memerhatikan sahabat dan rakan, tetap pulang ke rumah dalam keadaan yang tidak membawa tekanan dan masih ada masa bermesra dengan isteri dan anak-anak baginda, membantu menguruskan hal ehwal rumahtangga.
Bagindalah juga yang menunjukkan contoh yang cantik kepada isteri-isteri baginda. Kala roti yang dibawa oleh Aisyah terjatuh, baginda adalah yang mengutipnya, meniupnya, dan memakannya. Tiada pembaziran di sisi baginda. Kala Aisyah cemburu kepada madunya Zainab, hingga menampar hidangan yang datang daripadanya, baginda adalah yang tenang dan sekadar lembut mengajak Aisyah mengutipnya semula, meminta Aisyah menghantarkan hidangan balas buat madunya.
Jika benarlah tubuh yang suci itu merupakan seorang yang gila seks, merupakan seorang yang sukakan seks dengan kanak-kanak, melakukan penderaan seksual, maka mengapa isteri-isterinya bahagia dan kemudian menjadi antara paksi penyebaran ajaran yang dibawa oleh baginda?
Baginda adalah yang mengangkat hak para wanita, para isteri, yang selama ini dianggap sekadar tempat melempiaskan nafsu dan melakukan kerja-kerja seperti hamba. Baginda adalah yang memuliakan para wanita dan menghormati baginda. Tiada baginda membentak isterinya kala makanan tiada, tiada pula baginda adalah yang bising kala makanan tidak kena dengan seleranya.
Maka mengapa itu semua tidak diceritakan?
Dan mengapa, dari kalangan ummat baginda, yang mengaku beriman dengan baginda, tidak mencontohi keadilan ini kepada wanita mereka?
Aku tidak berada di sana, tidak wujud kala baginda wujud, namun aku sentiasa tidak pernah gagal merasa hidup dengan kehidupan baginda. Kutekap buku sirah yang berhubung dengan tanganku ke wajah, kalaulah dari tulisan-tulisan itu dapat kuhidu haruman tubuh baginda.
Air mata ini mengalir.
*******
Apakah orang ramai mengenali Abdullah ibn Ubai ibn Salul? Kepala munafiq. Antara yang menyebarkan cerita fitnah akan kecurangan Aisyah RH. Antara yang membuatkan 300 orang dari 1,000 orang tentera Uhud berpatah semula ke Madinah. Antara yang berkata di kalangan orang ramai tanpa segan silu bahawa dia akan menghalau Muhammad keluar dari Madinah.
Hingga Umar RA yang terkenal pantas melindungi baginda ingin memenggal kepala celaka itu. Tetapi apa yang Rasulullah SAW lakukan?
Dihalangnya Umar, dan berkata:
“Apakah engkau ingin nanti manusia berkata, bahawa Muhammad membunuh saudaranya?”
Dan kala Abdullah ibn Ubai ibn Salul ini mati, baginda dengan penuh kasih, ingin melaksanakan Solat Jenazah kepadanya dan mendoakan kebaikan buatnya. Tetapi Allah SWT sendiri menghalang baginda. Hingga turun ayat:
“Kamu memohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja). Kendati pun kamu memohonkan ampun bagi mereka tujuh puluh kali, namun Allah sekali-kali tidak akan memberi ampun kepada mereka. Yang demikian itu adalah karena mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.” Surah At-Tawbah ayat 80.
Tetapi kasihnya baginda, baginda berkata: “Maka aku akan memohon ampun buatnya lebih dari 70 kali.”
Dan kemudiannya Allah memberikan penegasan akan maksud ayat tadi:
“Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.” Surah At-Tawbah ayat 84.
Membuatkan Rasulullah SAW memahami bahawa memang tiada keampunan, buat yang mati tanpa bertaubat dari dosa-dosanya.
Namun kasihnya Rasulullah SAW itu terpancar pada tindakannya ketika itu. Walau Abdullah ibn Ubai Ibn Salul itu kerjanya hanyalah untuk melukakan baginda dari hari ke hari. Dari masa ke masa. Dari waktu ke waktu. Tetapi lihatlah bagaimana Rasulullah SAW melayannya. Berusaha hingga ke akhirnya agar seluruh ummatnya masuk ke dalam syurgaNya.
Mengapa ini tidak diceritakan oleh mereka?
Mengapa keindahan dan kecantikan sikap ini tidak pula dicontohi oleh mereka yang ingin mempertahankan baginda?
Aku tidak berada di sana. Tetapi kisah-kisah ini hidup bersama diri. Aku sentiasa mencari di mana semua ini dalam kehidupan hari ini, terutama di dalam diri.
Di manakah baginda yang dikatakan kita cinta itu, di dalam kehidupan kita ini?
********
Kala tentera berzirah lengkap itu bergerak dari empat penjuru Makkah, menggegarkan kota suci itu dengan derap kaki dan tunggangan, semua yang wujud di dalam kota itu bergetaran. Bermain semula segala seksaan, hinaan, usaha untuk pembunuhan, kempen untuk peperangan, yang mereka laksanakan ke atas Rasulullah SAW.
Semua masuk ke rumah masing-masing, ada yang bersembunyi di Masjidil Haram, dan Abu Sufyan bersembunyi bersama keluarganya di dalam rumah. Kerana Rasulullah SAW yang mulia itu sebelum datang bersama 10,000 tenteranya, telah mengembalikan Abu Sufyan ke Makkah dengan mesej penuh kemanusiaan:
“Barangsiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan, dia akan selamat. Barangsiapa yang masuk ke rumah masing-masing, dia akan selamat. Barangsiapa yang masuk ke dalam masjid, dia akan selamat.”
Dan kemudian pecahlah panggilan agar semua berkumpul di sekitar Rasulullah SAW. Ada mata-mata yang sempat melihat bagaimana baginda masuk dengan menungganginya untanya. Tidak pula tubuh mulia itu mendabik dada pada hari dia sepatutnya melaksanakan sedemikian. Bahkan tubuh mulia itu menunduk, hingga kepalanya hampir menyentuh belakang untanya. Mulut terkumat kamit merendahkan diri baginda kepada Yang Esa atas kejayaannya.
Kala seluruh Makkah senyap hendak menerima keputusannya, baginda yang mulia itu bertanya:
“Sangkaan kamu, apakah yang aku akan lakukan?”
Berkatalah yang hampir dengan baginda:
“Kami mengenalimu sebagai orang yang baik, maka kami yakin engkau akan melakukan kepada kami yang baik-baik sahaja.”
Tersenyum baginda ketika itu, dan kemudian baginda yang pernah diseksa, dihina, diusahakan untuk dibunuh oleh penduduk Makkah itu berkata:
“Pada hari ini, aku berkata kepada kalian sebagaimana Yusuf berkata kepada saudara maranya: Pada hari ini tiada cercaan buat kalian, moga-moga Allah mengampuni kalian dan Dia itu adalah Yang Maha Penyayang dari kalangan Penyayang(Surah Yusuf ayat 92)”
Ya. Aku tidak wujud pada hari itu. Tiada di sana ketika itu. Namun aku dapat merasa getaran kasihnya baginda. Bagaimana seorang gila darah dan peperangan boleh melaksanakan tindakan sedemikian rupa? Bagaimana seorang gila seks mampu berakhlak sebegitu rupa?
Mengapa ini tidak diceritakan oleh mereka?
*******
Mereka menghina susuk tubuh suci itu, tanpa menyedari betapa baginda mengasihi akhi-akhi dari kalangan para Nabi. Sering dididik kepada ummat baginda, bahawa Musa itu saudaranya, bahawa Isa itu saudaranya.
Mereka menghina susuk tubuh suci itu, tanpa pernah ambil peduli betapa baginda sering berpesan kepada tenteranya agar tidak mencantas pokok sesuka hati, agar tidak menganggu orang yang berada di dalam rumah dan rumah-rumah ibadat. Sejarah sendiri mengakui betapa Salahuddin Al-Ayubi adalah bukti kepada indahnya ajaran baginda ini, menakhluk Baitul Maqdis dengan aman menyantuni ahli-ahlinya, sedang penakhluk Baitul Maqdis dari kalangan Tentera Salib menumpahkan darah hingga ke paras lutut kuda.
Kadangkala aku menjadi amat hairan dengan bagaimana mereka mempermainkan susuk tubuh mulia ini. Dikatakan kalau betul lelaki suci ini baik, maka mengapa ummat Islam ada yang melakukan keganasan.
Ya. Aku hairan apabila muslim melakukan kesalahan, yang disalahkannya adalah Islam.
Aku ingin bertanya, akan nuklear yang diturunkan ke Hiroshima dan Nagasaki. Apakah itu ajaran Injil? Apakah agama Kristian bersalah?
Aku ingin bertanya akan pengambilan Palestin dan penubuhan tanah haram Israel, pembunuhan demi pembunuhan di sana, kezaliman demi kezaliman di sana, apakah itu ajaran di dalam Taurat? Apakah boleh aku mahu menghina agama Yahudi akan kesilapan ini?
Islam dipersalahkan atas perlakuan Muslim, maka apakah mereka ini boleh menerima jika aku menyalahkan Kristian atas perbuatan penganutnya, dan Yahudi atas perbuatan penganutnya?
Pastinya atas dasar hak asasi manusia, kamu akan bising dan memarahi aku. Tetapi lihatlah kamu!
Saban waktu tanpa segan mereka menghina Rasulullah SAW, Islam, keEsaan dan keSucian Allah SWT, tanpa kajian dan pemerhatian yang menyeluruh. Gila seks, gila darah, itu sahaja tomahan mereka. Tomahan demi tomahan yang tidak langsung dilihat oleh mereka sisi-sisi lain kehidupan baginda.
Bagaimana baginda melayani cucu-cucunya yang bermain di atasnya kala dia sedang solat.
Bagaimana baginda bergurau bermesra dengan perempuan yang lebih tua, bertaraf nenek.
Bagaimana baginda duduk dengan orang-orang miskin sehingga yang datang melihat tidak mampu membezakan baginda dengan mereka.
Bagaimana amanahnya baginda, bagaimana belas kasihannya baginda dalam menjatuhkan hukuman, bagaimana bencinya baginda dengan kezaliman.
Mengapa ini semua tidak diungkit dan diangkat?
Dan yang buat aku lebih hairan, mengapa ini semua tidak dicontohi dengan baik oleh mereka yang mengaku mempertahankan baginda?
********
Aku membuka mata. Keluar dari lautan imbasan. Kuletakkan kitab-kitab yang menceritakan susuk indah itu, dan kuhela nafas.
Rasulullah SAW aku itu, yang mulia dan cantik peribadinya itu, tidak pernah membunuh orang yang tidak sepatutnya dibunuh. Jika ada yang bersalah, maka yang bersalah sahaja menerima hukumnya. Di dalam Islam, tidak diajar bahawa anak mewarisi dosa ibu bapanya, orang lain mewarisi dosa orang lain.
Maka tiada di dalam akhlak Islam, tiba-tiba dibom bangunan, dibunuh orang yang tidak berdosa, atas kesilapan dan kerosakan yang dilakukan oleh orang lain kepada Islam kita.
Namun di sebelah pihak sana, tidakkah intelektual yang dicanangkan wujud pada diri mereka ini tidak terfikir, siapalah yang tidak marah dan terganggu emosinya kala orang yang dikasihinya melebihi diri sendiri dihina?
Justeru, mengapa mula mencari fasal?
Apakah tidak cukup sebelum-sebelum ini segala video yang menghina tatacara kehidupan Islam, Rasulullah SAW, bahkan Allah SWT sendiri dihina dengan rakus? Tidak cukupkah?
Dan kepada saudara maraku, entah aku fikir berapa kali kita menerima provokasi sebegini. Tidak kita belajarkah? Memang mereka sengaja mahu buat kita marah dan kemudian beraksi sebagaimana aksi-aksi yang tidak sepatutnya, agar perjalanan dan perjuangan mereka untuk memburukkan nama Islam menjadi lebih mudah.
Aku sentiasa berfikir bagaimana hendak mengubah suasana ini.
Lantas akhirnya aku tengok diriku.
Hei, kenapa aku masih duduk di sini?
Lantas aku berdiri, bergerak melaksanakan kerja-kerja.
Telefon pintarku kuangkat, Umar Mita sahabat karibku, videografer dan fotografer yang pakar, kudail nombornya.
“Assalamu’alaikum Umar, jom buat video. Nabi kita dihina. Kita pulangkan sesuatu kepada mereka, dengan cara yang selayaknya.”
Kemudian aku buka komputerku, kulihat pada laman sosial yang aku sertai, ternampak Ameen Misran sahabatku, hebat berpuisi di dalam Bahasa Inggeris. Lantas aku hantarkan mesej:
“Ameen, buat satu poem, tunjukkan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Ada orang menghina Nabi kita. Mari kita pulangkan sesuatu kepada mereka, dengan cara yang selayaknya.”
Kemudian aku terlihat saudara seIslamku dari eropah telah membuat puisi yang hebat, dengan rasa gembira aku share.
Aku teringat akan sahabatku Uzair yang merupakan seorang pelajar agama yang cerdik, lantas aku hubungi dia: “Uzair, ada orang hina Nabi kita. Tulislah artikel, nota, untuk kita ulas isu ini sebaiknya.”
Aku yang ada kebolehan menulis cerita, menulis sedikit cerita.
Kemudian selesai, aku keluar dari rumah. Menyantuni masyarakatku seperti biasa. Memanggil ahli-ahli usrahku berkumpul, duduk di dalam bulatan bagi membersihkan fikrah kami, kemudian berdiskusi akan hal ini.
“Dakwah itu perlu digencarkan lagi. Sampaikan keindahan Islam, dan membentuk lagi peribadi-peribadi yang indah bagi menjadi duta kepada Islam buat masyarakat. Hingga sampai satu saat kita mampu membina sistem kita sendiri, dan merobohkan sistem yang rosak ini. Mengangkat keadilan dan membasmi kezaliman. Agar lebih ramai lagi mencintai deen ini, Tuhannya, dan Rasulnya.”
Ya. Itu respon aku.
Dan aku berharap nanti, Allah pertemukan aku dengan kekasihku yang dihina itu.
Aku mahu mampu berkata di hadapan baginda nanti:
“Sesungguhnya aku telah membelamu, dengan akhlakmu wahai kekasihku.”
Ya. Inilah yang aku akan lakukan, bila kamu menghina Rasulullah aku.
September 14, 2012
Fotografi: The Existence
Indeed, in the creation of the heavens and the earth and the alternation of the night and the day are signs for those of understanding.
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.
(3:190)
(Exif: Canon EOS 7D | 50mm | f2.8 | 1/5000s )
September 13, 2012
Agama: Ikhlaskan Niat tuntutan buat Hati yang Beringat
-Hati yang basah mengingati Allah-
Ikhlas dalam kebaikan merupakan suatu tuntutan. Namun, ia adalah perkara yang paling sukar untuk dipraktikkan kerana ia wujud bukan dari percakapan atau perbualan tetapi dari dalam hati sanubari yang diterjemah dalam amalan sehari-hari. Ikhlas merupakan barisan dari barisan amalan hati bahkan ia berada pada titik permulaan disebabkan ia penentu ganjaran bagi setiap perbuatan.
Tauhid
Mungkin kita tidak sedari sebenarnya ikhlas merupakan buah tauhid yang murni. Lawan bagi keikhlasan adalah riya’ dan ia merupakan syirik yang tersembunyi. Oleh yang demikian, jika manusia melakukakan sesuatu perbuatan bukan kerana-Nya, maka ia seolah-olah meminta pertolongan daripada yang lain. Ia amat bertentangan dengan tujuan sebenar kita diciptaka di atas muka bumi ini. Allah berfirman:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Adz-Zariyat:56)
Peranan
Niat yang ikhlas memainkan peranan yang penting dalam amalan. Oleh sebab itu, Allah memberi pilihan bagi manusia untuk menentukan arah niat yang mereka hajati tetapi ia bakal diadili nanti. Firman Allah s.w.t:
“Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu.” (Ali-Imran:145)
Nabi s.a.w juga ada bersabda daripada Umar Al-Khattab r.a:
“Setiap amal disertai dengan niat. Setiap amal seseorang bergantung dengan apa yang diniatkannya” (HR Bukhari)
Melalui dua sumber utama umat Islam ini menjelaskan peranan niat yang ikhlas dan kaitannya dalam setiap tingkah laku kita. Justeru, keikhlasan amat dituntut bagi memastikan amalan yang dikerjakan lebih sempurna dan mendapat ganjaran dari-Nya kerana jika amalan kita lucut dari keikhlasan maka ia suatu yang merugikan. Allah berfirman:
“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”(Al-Furqan:23)
Berbeza
Suatu amal kebajikan yang dibuat oleh sebilangan manusia boleh jadi berbeza ganjarannya. Boleh jadi si fulan melakukan amal itu mendapat lebih ganjaran pahala atau sekadar secukupnya, bahkan boleh jadi ia bertukar menjadi dosa. Hal ini disebutkan dalam maksud hadis kepemilikan kuda yang diriwatkan oleh Bukhari dan Muslim dari hadis Abu Hurairah:
Kuda itu ada tiga jenis:
Kuda bagi Allah : kuda yang dipersiapkan untuk tujuan jihad di jalan Allah. Setiap urusan yang berkaitan dengannya merupakan pahala.
Kuda bagi syaitan : kuda yang dipersiapkan untuk tujuan taruhan. Setiap urusan yang berkaitan dengannya merupakan dosa.
Kuda bagi manusia : kuda yang dipersiapkan untuk tujuan mata pencariaan. Maka kuda ini merupakan penghalang bagi menutup lubang kemiskinan.
Begitu gambaran kepada manusia, bahawa kepentingan berniat dengan perkara yang baik dan melaziminya untuk sentiasa diperbaharui bagi mengejar darjat keikhlasan.
2H – 1H?
2H adalah perkara yang halal dan harus yang mana keduanya boleh berubah hukum berdasarkan niat seseorang. Manakala 1H adalah haram yang mana hukum tetap dan tidak berubah.
Sebagai contoh dalam perkara yang halal bertukar menjadi haram ialah penyembelihan. Asal penyembelihan adalah halal jika diniatkan kerana Allah dengan disebutkan nama-Nya dan dilakukan di tempat yang sepatutnya. Namun ia bertukar menjadi haram apabila dilakukan kerana selain-Nya ditambah dilakukan ditempat yang tidak dibenarkan seperti di tanah perkuburan.
Harus seperti yang diketahui jika melakukannya tidak mendapat apa-apa begitu juga jika ditinggalkan. Amatlah rugi bagi kita melazimi rutin seharian namun tiada sebarang ganjaran yang mana hanya dibezakan dengan niat. Sebagai contoh dalam hal makan dan minum. Ia boleh bertukar menjadi ibadat yang ada padanya ganjaran kebaikan dengan diniatkan agar makanan yag kita jamahi memperkuatkan tubuh badan dalam beramal kerana Allah. Bukankah lebih baik? Justeru, jangan biarkan kehidupan seharian anda tanpa ada imbalan pahala.
Bagi perkara yang jelas pengharamannya seperti arak,zina, mencuri dan sebagainya, niat tidak memberi sebarang kesan kerana permulaan bagi amalan-amalan ini merupakan perkara yang dilarang walaupun semurni manapun niat seseorang itu. Sebagai contoh seseorang itu mencuri untuk ia sedekahkan kepada orang yang memerlukan. Niat sucinya tidak menghalalkan perbuatannya itu. Justeru, hanya kebaikan yang terzahir dari sumber yang baik sahaja yang diterima-Nya. Rasulullah ada bersabda daripada Abu Hurairah r.a:
“sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik” (HR Muslim)
Dasar penerimaan amal
Dalam kita melaksanakan sesuatu amalan kebaikan, pusat penerimaan amalan kita dinilai secara batin (dalaman) dan zahirnya (luaran). Oleh yang demikian, ulama’ menggariskan paksi penerimaan sesuatu amalan kepada 2:
Niat yang ikhlas dan benar.
Sebagaimana hadis yang disebutkan diatas setiap amalan disertai dengan niat yang mewakili ruangan batin manusia dalam penerimaan amal.
Bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah
Mewakili ruangan zahir manusia sebagaimana hadis baginda s.a.w:
“barangsiapa mengerjakan sesuatu amalan yang tidak mengikut perintah kami, maka ia tertolak” (HR Muslim)
[Matlamat tidak menghalalkan cara]
Mungkin kaedah ini sesuai digunakan kerana ia menggambarkan kepada kita bahawa setiap amalan itu bukan sahaja diterima atas keikhlasan niat tetapi melalui cara yang bertepatan dengan nas agama.
Salah Faham
Kebaikan adalah fitrah dalaman bagi setiap insan. Tiada manusia tidak sukakan kebaikan kecuali jasadnya manusia tetapi berhati syaitan. Namun, dalam melakukan kebaikan sudah tentu datang bisikan-bisikan yang menjadi gangguan. Bagi mereka mempunyai hati yang cekal, kebaikan itu terus-menerus dikerjakan sambil diiringi dengan semaian keIKHLASAN. Bagi mereka yang meninggalkannya, ketahuilah maka syaitan telah berjaya menewaskan anda! Ironinya, JANGAN pernah berhenti melakukan kebaikan kerana ia dapat menghapuskan keburukan. Sabda nabi s.a.w melalui lisan Muaz bin Jabal:
“Bertakwalah kepada Allah dimana saja kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu menghapus keburukan dan pergauilah manusia dengan akhlak yang baik”(HR Tirmidzi, hasan sahih)
Hakikat keikhlasan itu dipandu oleh niat yang murni. Namun, satu perkara yang perlu ditekankan iaitu niat itu bukan melalui lafaz bukan juga aturan minda. Oleh itu, lafaz yang baikpun bukan penentu keikhlasan. Lafaz niat melalui gerakan lidah tidak membawa erti sebenar niat bukan juga melalui permainan minda. Ia hanya salah satu tanda manusia itu berniat. Berapa ramai dewasa kini, melafazkan niat dalam sesuatu akad kewangan contohnya namun dalam sistem operasinya masih mengamalkan riba dan seumpamanya.
Adapun niat sebenarnya ditentukan melalui keazaman seseorang dalam ingin melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya mengandungi segala yang tersirat mengenai sesuatu perlaksanaan. Selari dengan pendapat Dr Yusuf Qardawi dalam karyanya ‘Konsep Niat dan Ikhlas Menurut Islam.’
“Niat merupakan amal hati secara murni, bukan amal lidah”
Percampuran
Manusia lemah. Kadang permulaan amalan ikhlas muncul. Dipertengahan ada yang gugur ada yang masih bertahan. Namun, keikhlasan sebenarnya paling sukar dijaga selepas suatu amalan itu dikerjakan kerana ia diselimuti oleh gambaran perkara baik yang cuba kita kongsikan kepada orang lain.
Bagi perkara yang dilaksana hanya kerana Allah, tiada masalah kerana sudah tentu beroleh ganjaran. Begitu pula sebaliknya jika buat kerana yang lain (riya’) maka amalan itu tertolak bahkan membawa kepada syirik. Mungkin timbul suatu persoalan bagaimana amalan yang terdapat pecampuran ikhlas dan riya’ kerana hati manusia sentiasa bergolak? Saya mengambil pendapat imam ibn Rajab dalam menjelaskan perkara ini.
Kebaikan tidak selari dengan keburukan. Jika salah satu naik semestinya turun bagi yang lain. Dalam hal ini, manusia yang dipermulaannya ikhlas kemudian didatangi bibit riya’ tidak lupus terus ganjarannya tetapi ia berkurangan. Di sini istighfar atau taubat itu memainkan peranan untuk melengkapi semula segala amalan. Bagi yang awalnya riya’ kemudian ia bertaubat maka kepada Allahlah tempat berserah. Moga-moga amal kita yang dahulunya diterima kerana Allah berfirman:
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan.” (Al-Furqan:70)
Ketaatan yang dinampakkan dan disembunyikan
Mungkin ramai kita beranggapan bahawa semua amalan jika ingin keikhlasan secara total perlu disembunyikan. Dari satu sudut ada benarnya. Namun saya memandang sudut yang lain iaitu jika manusia menampakkan amalan yang wajib (dengan keikhlasan terjaga) atas sebab menampakkan kecantikan Islam, bagi saya ia merupakan suatu usaha dakwah yang berjaya terutama orang yang jauh dari fahaman islam sama ada orang islam sendiri mahupun bukan islam.
Adapun dalam amalan sunat, kita lebih digalakkan untuk melakukan secara sembunyi dan sebab itu jugalah adanya ibadah qiam( bangun malam) sunat bagi menguji keikhlasan para hamba. Tambahan bagi bab dosa pula, kita amat dituntut untuk menutup aib kita sendiri lebih-lebih lagi orang lain kerana disebutkan dalam hadis baginda tidak bersua dengan wajah penzina kecuali selepas beberapa kali penzina itu mengaku. Ia menggambarkan kepada kita dosa yag kita lakukan dan sedar ia merupakan suatu kesalahan maka adalah lebih baik kita sendiri yang sembunyikan dan memohon keampunan.
Kayu ukur
Hakikatnya ukuran keikhlasan bukan terletak pada bahu manusia. Kepada Allah jua untuk menilainya. Cuma mungkin beberapa perkara yang boleh kita teliti untuk memuhasabah diri sendiri bukan menjadi bukti untuk menidakkan keikhlasan orang lain. Antaranya adalah takut populariti.Namun perlu dijelaskan juga takut populariti bukan bermaksud lari dari dunia popular kerana jika itu menjadi tafsirannya bagaimana imam-imam besar terdahulu dikenali hingga kini jika mereka tiada populariti?
Apa yang perlu kita faham, terutama pada aktivis dakwah adalah bukan tujuan popular itu menjadi batu tanda namun penyampaian maklumat itu lebih utama. Adapun populariti itu datang dari masyarakat yang menilai bukan melalui diri sendiri yang cuba menggapai (melalui jalan yang salah seperti membesarkan diri). Amatlah rugi bagi seseorang yang mempunyai idea yang matang namun tidak bisa sampai ke tengah masyarakat hanya kerana bertopengkan maksud keikhlasan yang dangkal.
Antara kayu ukur lain adalah seseorang itu tidak tenggelam dengan pujian dan tidak pula lokek untuk meberi pujian pada yang selayaknya. Di samping itu, orang yang ikhlas berusaha berbuat selayaknya dalam memimpin selain menjadikan redha Allah sebagai tujuan.
Dorongan dan hasil dapatan
Sebagai kesimpulan, keikhlasan merupakan suatu perkara yang amat sukar diperoleh tetapi ia bukan suatu yang mustahil. Insan sememangnya lemah. Oleh itu, sebagai usaha kita menuju keikhlasan, usahalah mencari pendorong-pendorong yang boleh mengingatkan kita kepentingan sifat ini. Antaranya kita bolehlah bertemankan dengan orang-orang yang kita merasai keikhlasannya, selain membaca sirah orang yang mukhlis dan memperkuatkan ilmu kita bagi memudahkan melawan hawa nafsu yang bermaharajalela.
Adapun hasil dapatan di akhirat sudah tentu berupa nikmat yang tidak dapat kita lihat. Namun di dunia ini, orang yang ikhlas dan cuba kearah keikhlasan akan merasai ketenangan jiwa yang abadi serta memperoleh kekuatan rohani yang tidak boleh ditandingi di samping kesinambungan amal yang terus-menerus kekal.
Wallahualam~
Ikhlaskan Niat tuntutan buat Hati yang Beringat
-Hati yang basah mengingati Allah-
Ikhlas dalam kebaikan merupakan suatu tuntutan. Namun, ia adalah perkara yang paling sukar untuk dipraktikkan kerana ia wujud bukan dari percakapan atau perbualan tetapi dari dalam hati sanubari yang diterjemah dalam amalan sehari-hari. Ikhlas merupakan barisan dari barisan amalan hati bahkan ia berada pada titik permulaan disebabkan ia penentu ganjaran bagi setiap perbuatan.
Tauhid
Mungkin kita tidak sedari sebenarnya ikhlas merupakan buah tauhid yang murni. Lawan bagi keikhlasan adalah riya’ dan ia merupakan syirik yang tersembunyi. Oleh yang demikian, jika manusia melakukakan sesuatu perbuatan bukan kerana-Nya, maka ia seolah-olah meminta pertolongan daripada yang lain. Ia amat bertentangan dengan tujuan sebenar kita diciptaka di atas muka bumi ini. Allah berfirman:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Adz-Zariyat:56)
Peranan
Niat yang ikhlas memainkan peranan yang penting dalam amalan. Oleh sebab itu, Allah memberi pilihan bagi manusia untuk menentukan arah niat yang mereka hajati tetapi ia bakal diadili nanti. Firman Allah s.w.t:
“Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu.” (Ali-Imran:145)
Nabi s.a.w juga ada bersabda daripada Umar Al-Khattab r.a:
“Setiap amal disertai dengan niat. Setiap amal seseorang bergantung dengan apa yang diniatkannya” (HR Bukhari)
Melalui dua sumber utama umat Islam ini menjelaskan peranan niat yang ikhlas dan kaitannya dalam setiap tingkah laku kita. Justeru, keikhlasan amat dituntut bagi memastikan amalan yang dikerjakan lebih sempurna dan mendapat ganjaran dari-Nya kerana jika amalan kita lucut dari keikhlasan maka ia suatu yang merugikan. Allah berfirman:
“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”(Al-Furqan:23)
Berbeza
Suatu amal kebajikan yang dibuat oleh sebilangan manusia boleh jadi berbeza ganjarannya. Boleh jadi si fulan melakukan amal itu mendapat lebih ganjaran pahala atau sekadar secukupnya, bahkan boleh jadi ia bertukar menjadi dosa. Hal ini disebutkan dalam maksud hadis kepemilikan kuda yang diriwatkan oleh Bukhari dan Muslim dari hadis Abu Hurairah:
Kuda itu ada tiga jenis:
Kuda bagi Allah : kuda yang dipersiapkan untuk tujuan jihad di jalan Allah. Setiap urusan yang berkaitan dengannya merupakan pahala.
Kuda bagi syaitan : kuda yang dipersiapkan untuk tujuan taruhan. Setiap urusan yang berkaitan dengannya merupakan dosa.
Kuda bagi manusia : kuda yang dipersiapkan untuk tujuan mata pencariaan. Maka kuda ini merupakan penghalang bagi menutup lubang kemiskinan.
Begitu gambaran kepada manusia, bahawa kepentingan berniat dengan perkara yang baik dan melaziminya untuk sentiasa diperbaharui bagi mengejar darjat keikhlasan.
2H – 1H?
2H adalah perkara yang halal dan harus yang mana keduanya boleh berubah hukum berdasarkan niat seseorang. Manakala 1H adalah haram yang mana hukum tetap dan tidak berubah.
Sebagai contoh dalam perkara yang halal bertukar menjadi haram ialah penyembelihan. Asal penyembelihan adalah halal jika diniatkan kerana Allah dengan disebutkan nama-Nya dan dilakukan di tempat yang sepatutnya. Namun ia bertukar menjadi haram apabila dilakukan kerana selain-Nya ditambah dilakukan ditempat yang tidak dibenarkan seperti di tanah perkuburan.
Harus seperti yang diketahui jika melakukannya tidak mendapat apa-apa begitu juga jika ditinggalkan. Amatlah rugi bagi kita melazimi rutin seharian namun tiada sebarang ganjaran yang mana hanya dibezakan dengan niat. Sebagai contoh dalam hal makan dan minum. Ia boleh bertukar menjadi ibadat yang ada padanya ganjaran kebaikan dengan diniatkan agar makanan yag kita jamahi memperkuatkan tubuh badan dalam beramal kerana Allah. Bukankah lebih baik? Justeru, jangan biarkan kehidupan seharian anda tanpa ada imbalan pahala.
Bagi perkara yang jelas pengharamannya seperti arak,zina, mencuri dan sebagainya, niat tidak memberi sebarang kesan kerana permulaan bagi amalan-amalan ini merupakan perkara yang dilarang walaupun semurni manapun niat seseorang itu. Sebagai contoh seseorang itu mencuri untuk ia sedekahkan kepada orang yang memerlukan. Niat sucinya tidak menghalalkan perbuatannya itu. Justeru, hanya kebaikan yang terzahir dari sumber yang baik sahaja yang diterima-Nya. Rasulullah ada bersabda daripada Abu Hurairah r.a:
“sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik” (HR Muslim)
Dasar penerimaan amal
Dalam kita melaksanakan sesuatu amalan kebaikan, pusat penerimaan amalan kita dinilai secara batin (dalaman) dan zahirnya (luaran). Oleh yang demikian, ulama’ menggariskan paksi penerimaan sesuatu amalan kepada 2:
Niat yang ikhlas dan benar.
Sebagaimana hadis yang disebutkan diatas setiap amalan disertai dengan niat yang mewakili ruangan batin manusia dalam penerimaan amal.
Bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah
Mewakili ruangan zahir manusia sebagaimana hadis baginda s.a.w:
“barangsiapa mengerjakan sesuatu amalan yang tidak mengikut perintah kami, maka ia tertolak” (HR Muslim)
[Matlamat tidak menghalalkan cara]
Mungkin kaedah ini sesuai digunakan kerana ia menggambarkan kepada kita bahawa setiap amalan itu bukan sahaja diterima atas keikhlasan niat tetapi melalui cara yang bertepatan dengan nas agama.
Salah Faham
Kebaikan adalah fitrah dalaman bagi setiap insan. Tiada manusia tidak sukakan kebaikan kecuali jasadnya manusia tetapi berhati syaitan. Namun, dalam melakukan kebaikan sudah tentu datang bisikan-bisikan yang menjadi gangguan. Bagi mereka mempunyai hati yang cekal, kebaikan itu terus-menerus dikerjakan sambil diiringi dengan semaian keIKHLASAN. Bagi mereka yang meninggalkannya, ketahuilah maka syaitan telah berjaya menewaskan anda! Ironinya, JANGAN pernah berhenti melakukan kebaikan kerana ia dapat menghapuskan keburukan. Sabda nabi s.a.w melalui lisan Muaz bin Jabal:
“Bertakwalah kepada Allah dimana saja kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu menghapus keburukan dan pergauilah manusia dengan akhlak yang baik”(HR Tirmidzi, hasan sahih)
Hakikat keikhlasan itu dipandu oleh niat yang murni. Namun, satu perkara yang perlu ditekankan iaitu niat itu bukan melalui lafaz bukan juga aturan minda. Oleh itu, lafaz yang baikpun bukan penentu keikhlasan. Lafaz niat melalui gerakan lidah tidak membawa erti sebenar niat bukan juga melalui permainan minda. Ia hanya salah satu tanda manusia itu berniat. Berapa ramai dewasa kini, melafazkan niat dalam sesuatu akad kewangan contohnya namun dalam sistem operasinya masih mengamalkan riba dan seumpamanya.
Adapun niat sebenarnya ditentukan melalui keazaman seseorang dalam ingin melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya mengandungi segala yang tersirat mengenai sesuatu perlaksanaan. Selari dengan pendapat Dr Yusuf Qardawi dalam karyanya ‘Konsep Niat dan Ikhlas Menurut Islam.’
“Niat merupakan amal hati secara murni, bukan amal lidah”
Percampuran
Manusia lemah. Kadang permulaan amalan ikhlas muncul. Dipertengahan ada yang gugur ada yang masih bertahan. Namun, keikhlasan sebenarnya paling sukar dijaga selepas suatu amalan itu dikerjakan kerana ia diselimuti oleh gambaran perkara baik yang cuba kita kongsikan kepada orang lain.
Bagi perkara yang dilaksana hanya kerana Allah, tiada masalah kerana sudah tentu beroleh ganjaran. Begitu pula sebaliknya jika buat kerana yang lain (riya’) maka amalan itu tertolak bahkan membawa kepada syirik. Mungkin timbul suatu persoalan bagaimana amalan yang terdapat pecampuran ikhlas dan riya’ kerana hati manusia sentiasa bergolak? Saya mengambil pendapat imam ibn Rajab dalam menjelaskan perkara ini.
Kebaikan tidak selari dengan keburukan. Jika salah satu naik semestinya turun bagi yang lain. Dalam hal ini, manusia yang dipermulaannya ikhlas kemudian didatangi bibit riya’ tidak lupus terus ganjarannya tetapi ia berkurangan. Di sini istighfar atau taubat itu memainkan peranan untuk melengkapi semula segala amalan. Bagi yang awalnya riya’ kemudian ia bertaubat maka kepada Allahlah tempat berserah. Moga-moga amal kita yang dahulunya diterima kerana Allah berfirman:
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan.” (Al-Furqan:70)
Ketaatan yang dinampakkan dan disembunyikan
Mungkin ramai kita beranggapan bahawa semua amalan jika ingin keikhlasan secara total perlu disembunyikan. Dari satu sudut ada benarnya. Namun saya memandang sudut yang lain iaitu jika manusia menampakkan amalan yang wajib (dengan keikhlasan terjaga) atas sebab menampakkan kecantikan Islam, bagi saya ia merupakan suatu usaha dakwah yang berjaya terutama orang yang jauh dari fahaman islam sama ada orang islam sendiri mahupun bukan islam.
Adapun dalam amalan sunat, kita lebih digalakkan untuk melakukan secara sembunyi dan sebab itu jugalah adanya ibadah qiam( bangun malam) sunat bagi menguji keikhlasan para hamba. Tambahan bagi bab dosa pula, kita amat dituntut untuk menutup aib kita sendiri lebih-lebih lagi orang lain kerana disebutkan dalam hadis baginda tidak bersua dengan wajah penzina kecuali selepas beberapa kali penzina itu mengaku. Ia menggambarkan kepada kita dosa yag kita lakukan dan sedar ia merupakan suatu kesalahan maka adalah lebih baik kita sendiri yang sembunyikan dan memohon keampunan.
Kayu ukur
Hakikatnya ukuran keikhlasan bukan terletak pada bahu manusia. Kepada Allah jua untuk menilainya. Cuma mungkin beberapa perkara yang boleh kita teliti untuk memuhasabah diri sendiri bukan menjadi bukti untuk menidakkan keikhlasan orang lain. Antaranya adalah takut populariti.Namun perlu dijelaskan juga takut populariti bukan bermaksud lari dari dunia popular kerana jika itu menjadi tafsirannya bagaimana imam-imam besar terdahulu dikenali hingga kini jika mereka tiada populariti?
Apa yang perlu kita faham, terutama pada aktivis dakwah adalah bukan tujuan popular itu menjadi batu tanda namun penyampaian maklumat itu lebih utama. Adapun populariti itu datang dari masyarakat yang menilai bukan melalui diri sendiri yang cuba menggapai (melalui jalan yang salah seperti membesarkan diri). Amatlah rugi bagi seseorang yang mempunyai idea yang matang namun tidak bisa sampai ke tengah masyarakat hanya kerana bertopengkan maksud keikhlasan yang dangkal.
Antara kayu ukur lain adalah seseorang itu tidak tenggelam dengan pujian dan tidak pula lokek untuk meberi pujian pada yang selayaknya. Di samping itu, orang yang ikhlas berusaha berbuat selayaknya dalam memimpin selain menjadikan redha Allah sebagai tujuan.
Dorongan dan hasil dapatan
Sebagai kesimpulan, keikhlasan merupakan suatu perkara yang amat sukar diperoleh tetapi ia bukan suatu yang mustahil. Insan sememangnya lemah. Oleh itu, sebagai usaha kita menuju keikhlasan, usahalah mencari pendorong-pendorong yang boleh mengingatkan kita kepentingan sifat ini. Antaranya kita bolehlah bertemankan dengan orang-orang yang kita merasai keikhlasannya, selain membaca sirah orang yang mukhlis dan memperkuatkan ilmu kita bagi memudahkan melawan hawa nafsu yang bermaharajalela.
Adapun hasil dapatan di akhirat sudah tentu berupa nikmat yang tidak dapat kita lihat. Namun di dunia ini, orang yang ikhlas dan cuba kearah keikhlasan akan merasai ketenangan jiwa yang abadi serta memperoleh kekuatan rohani yang tidak boleh ditandingi di samping kesinambungan amal yang terus-menerus kekal.
Wallahualam~
September 12, 2012
Himmah : Perlu Buat Apa Ketika Hendak Berubah ?
Mendaki pun ada stepnya. Bukan boleh terus sampai ke puncak. Ikut step juga.
~ Picture by Umar Mita of LangitIlahi ~
Apakah yang sepatutnya dilakukan bila kita sudah mula menapakkan langkah untuk melakukan perubahan pada diri?
Kena bertudung labuh? Kena berkopiah dan berserban?
Kena jalan sambil tunduk? Atau kena sentiasa menangis?
Apakah yang perlu kita lakukan sebenarnya?
Ada orang yang mungkin kehidupannya sebelum dia berubah tidaklah begitu teruk. Mungkin dulu dia seorang yang malas untuk ikut solat berjemaah dan tidaklah selalu sangat turut serta berbuat kebaikan. Level teruk sebegitu mungkin masih ok lagi.
Tapi ada orang, kehidupannya terjebak dalam maksiat yang lebih berat. Dia pernah terlibat dengan arak dan zina. Dia pernah hidup berfoya-foya dengan lelaki yang bukan mahramnya. Itu macam mana pula?
Perlu Jelas, Apa Akar Perubahan Kita?
Pertamanya, yang telah dianugerahkan dengan kesedaran, Alhamdulillahlah. Itulah tanda Allah sangat-sangat menyayangi kita. Sekurang-kurangnya, kita telah sedar yang kita pernah silap sebelum ini. Bukankah Nabi s.a.w. pernah menyebut yang mafhumnya :
“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan untuk dirinya, difahamkan kepadanya tentang agama.” [HR Bukhari]
Perubahan ini perlu diisi agar ia tidak menjadi perubahan yang kosong dan atas dasar ikut-ikutan semata-mata. Tetapi hendak diisi dengan apa?
Ada orang yang meletakkan makna perubahan itu pada bertudung labuh selepas berubah, mesti berkopiah dan berjubah, rajin baca Al-Quran dan bagi ceramah.
Ada pula yang meletakkan makna perubahan itu pada kemestian menjadi seorang agamawan selepas berubah. Selepas berubah, jadi seorang ustaz atau ustazah. Ataupun selepas berubah, menjadi seorang penceramah di merata-rata tempat. Hakikatnya, di situkah makna perubahan yang sebenar?
Kita perlu tanya diri kita semula. Apakah akar atau titik tolak yang menjadi pendorong kepada perubahan kita?
Allah?
Teman wanita atau teman lelaki?
Parti politik?
Apakah akar kepada perubahan kita?
Kalau benar titik tolak kepada perubahan kita adalah Allah s.w.t., maka ada sesuatu yang perlu kita lakukan.
Saya tidak menafikan bahawa manusia mungkin boleh menjadi salah satu asbab kita semakin dekat dengan Allah. Tetapi, sudah tentulah bukan kerana manusia itu kita berubah. Kerana manusia itu sekali-kali tidak mampu memberikan balasan pahala dan dosa pada kita.
Kita mungkin mendapat bimbingan daripada seseorang.
Kita mungkin tersentak dan terdorong untuk berubah selepas mengalami perisitiwa tertentu bersama dengan manusia-manusia di sekeliling kita.
Itu semua hanyalah asbab untuk Allah menyampaikan hidayah-Nya kepada kita. Tetapi hidayah itu tetap bukan dari manusia itu, tetapi ia daripada Allah. Maka, titik tolak kepada perubahan kita yang sepatutnya adalah Allah s.w.t.
Cadangan Saya Untuk Mereka Yang Sudah Menapakkan Langkah Untuk Melakukan Perubahan
Kadang, kita diuji di celah perubahan kita. Bila kita sudah berubah menjadi lebih baik dari sebelum ini, nanti ada yang akan caci maki, memerli, mengejek dan sebagainya. Tetapi, bersabarlah. Semua itu adalah cabaran di sepanjang perjalanan kita untuk berubah.
Namun, suka saya ungkapkan di sini, bahawa sudah tentulah sabar saja belum mencukupi. Ada sesuatu yang kita perlu isi di dalam perubahan ini selain sabar.
Perubahan yang sebenar bukanlah semata-mata pada luaran kita. Kita pakai tudung labuh, pakai kopiah dan jubah, itu bukan perubahan yang sebenarnya. Orang Arab ramai je yang pakai jubah, jadi adakah itu bermakna mereka semua bagus? Orang Arab ramai je yang pakai tudung, siap tutup lagi dengan niqab, adakah itu bermakna mereka semua itu baik?
Belum tentu.
Pun perubahan itu bukanlah pada kebolehan kita menyampaikan ceramah dan bernasyid dengan kalam-kalam arab dan zikir selepas kita berubah.
Perubahan yang sebenar adalah bilamana mula mengubah jiwa kita ini dari dalam. Tanam dan bangunkan jiwa kita dengan keimanan. Didik akal kita dengan kefahaman.
Sebab apa berubah? Sebab apa perlu buat begini selepas berubah? Perlukah aku buat begini selepas berubah?
Justeru, saya ingin cadangkan kepada mereka yang sedang melalui fasa perubahan yang besar pada diri agar memberi fokus pada membangunkan kefahaman dan peribadi mereka. Berubah memiliki kefahaman Islam yang lebih baik dan menetapkan matlamat yang lebih jelas untuk diri, tidak bermaksud kita perlu menukar profesion kita daripada seorang pelakon menjadi seorang ustazah, tidak bermaksud kita perlu menukar diri kita menjadi seorang abid sepenuh masa di masjid dan meninggalkan kehidupan dunia.
Tidak. Orang yang jelas perubahannya adalah kerana Allah, maka ia akan mengisi perubahannya dengan membina dan membangunkan keimanan serta kefahaman yang benar di dalam dirinya dulu tanpa mengenepikan profesion dan keadaan dirinya. Inilah cadangan saya bila kita sudah mula menapakkan langkah untuk berubah :
1) Carilah majlis-majlis ilmu atau usrah untuk membantu anda membentuk peribadi dan kefahaman anda. Sekiranya anda memperolehi guru yang baik, yang dapat membimbing anda secara langsung, itu lebih bagus. Guru itu biarlah yang benar-benar boleh dipercayai untuk membantu dan membimbing kita.
2) Sekiranya ada soalan atau kemusykilan, bertanya dulu pada orang yang lebih arif dalam bidang itu, bukan main redah je. Bukan setiap perkara kita boleh komen dan kita keluarkan hujah dalam keadaan pengetahuan agama kita yang terhad.
3) Dekati Al-Quran dan dalami isi-isinya. Al-Quran kalau dibaca begitu saja, kita tidak akan dapat memanfaatkan isinya sedangkan isinyalah yang telah mengubah generasi para sahabat Rasul s.a.w. menjadi sebaik-baik generasi. Maka, dalamilah Al-Quran.
4) Cari sahabat-sahabat yang soleh dan baik untuk membantu anda berubah. Sahabat yang soleh yang boleh memberi nasihat dan bersedia menegur anda, bukan yang tahu mengiyakan semua perbuatan anda. Dia mahu bersama anda ke syurga dan mahu pula menarik anda dari lubang neraka sekiranya anda terjatuh ke sana.
5) Ketepikan dulu caci-maki dan kejian manusia. Teruskan mengisi dan membaiki diri anda.
Nah, 5 step in, cubalah satu demi satu. Anda tidak perlu berjubah dan berkopiah untuk buktikan anda adalah seorang yang ‘baru’ yang lebih baik.
Anda tidak perlu berceramah untuk buktikan anda telah pun berubah.
Dan anda tidak perlu jadi abid yang selalu mengalirkan air mata dan selalu menghabiskan masa duduk di masjid semata-mata hanya kerana ingin berubah.
Mulakan langkah dengan membina kefahaman. Lalui proses untuk membaiki dan membangunkan diri. Kita tidak mahu orang yang berpakaian jubah dan kopiah kerana ikut-ikutan semata-mata, menganggap bahawa jubah dan kopiah sebagai ‘pakaian orang soleh-soleh’. Kita tidak mahu bacaan Al-Quran sekadar menjadi rutinan harian saja. Kita tidak mahu tangisan yang kosong semata-mata. Kalau begitu, ia tak akan memberi kesan apa-apa pun pada kehidupan dan pertimbangan kita.
Usahakanlah sesuatu untuk mengisi jiwa kita dengan keimanan dan kefahaman.
Penutup : Fokus Pada Isi, Bukan Kulit
Janganlah terburu-buru untuk ke depan setelah perubahan atau menjadi terlalu dilema pula oleh kesalahan-kesalahan yang lepas. Saya tahu, di antara kita ada yang pernah jatuh sejatuh-jatuhnya dalam kehidupannya. Dia merasakan dia telah melakukan dosa yang begitu besar sehingga tidak mungkin diampunkan lagi oleh Allah s.w.t.
Tetapi ketahuilah bahawa Allah s.w.t. itu Maha Pengampun. Rahmat-Nya jauh lebih luas melangkaui kita berbanding murka-Nya. Selagi kita masih diberikan kehidupan, selagi kita mampu bangun dari lena dalam kemaksiatan, maka pohonlah keampunan dan rahmat-Nya.
Dia sentiasa akan membukakan jalan untuk kita sekiranya kita ini benar-benar ingin kembali kepada Dia.
Asalkan kita bersungguh-sungguh dan ikhlas, Dia pasti akan tunjukkan jalan.
Tetapi ketika kita mengisi perubahan itu, isilah ia dengan keimanan dan kefahaman yang benar terhadap bekalan kehidupan kita ini.
Berubahlah ke arah benar dengan jalan yang benar pula !
September 11, 2012
Kehidupan: Mudahnya Kita Hilang Identiti.
Picture by UmarMita.Com ( http://www.facebook.com/umarmita )
Baru-baru ini, kita kecoh dengan fenomena Gangnam Style yang dibawa oleh Psy dari Korea. Aksi tariannya yang mungkin dikira sebagai ‘lawak’ oleh ramai antara kita, dilihat sebagai kononnya ‘mencuit hati’. Akhirnya, perkara ini menjadi fenomena apabila ramai yang mempromosikannya, ditambah dengan pelbagai video yang cuba meniru aksi tersebut dengan dinamakan pelbagai nama seperti ‘sekian sekian Style’ dan ‘begitu begini Style’ contohnya.
Dari segi Psynya, saya tidak mahu komen apa-apa. Dia bukan seorang Muslim. Saya tidak punya masalah dengan cara dia mahu mengekspressikan pendapatnya, suaranya, melalui tarian dan lagunya. Saya sebagai manusia, menghormati Psy sebagai seorang manusia juga. Mungkin pada darjat seorang Psy, seorang Korean yang bukan Muslim, apa yang dilakukannya merupakan sebuah ‘masterpiece’, ‘lain dari lain’ dan sebagainya.
Namun bagi Muslim-muslim yang meniru tarian Psy, saya punya persoalan kepada mereka.
Di manakah identiti seorang Muslim yang terpancar, kala kita mencontohi tarian Psy itu?
Juga kepada rakyat Malaysia yang katanya terkenal dengan adab dan sopan, di celah manakah kita memancarkan adab dan kesopanan kita kala kita membuat pelbagai video mencontohi ‘Style’ Psy?
Apa-apa Yang Baik, Tidak Mengapa Kita Contohi. Namun…
Apakah salah mencontohi bangsa lain atau agama lain?
Saya berpendapat bahawa, segala apa yang membawa kepada kebaikan, tidak salah untuk kita contohi. Selagi mana ianya tidak membawa kepada percampuran dan pertelingkahan dengan pegangan dan Akidah kita sebagai seorang Muslim. Akhlak dan sikap kita sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT.
Ini jelas di dalam isu seruan untuk memanggil orang ramai Solat. Semua agama ada cara untuk memanggil penganutnya bersembahyang. Maka, ianya adalah sesuatu yang baik, yakni mengumpulkan orang ramai untuk sama-sama beribadah kepada Tuhan. Justeru, untuk ummat Islam, Solat memerlukan seruannya. Maka Rasulullah SAW telah mengumpulkan para sahabatnya, berbincang bagaimanakah untuk menyeru orang ramai Solat, menandakan telah masuknya waktu Solat.
Di situlah yang dicontohi. Menyeru orang ramai untuk beribadah, memperingatkan yang lalai bahawa waktu ibadah telah masuk.
Namun, kala mempraktikkannya, Rasulullah SAW telah menolak cadangan-cadangan yang punya kaitan dengan ibadah Yahudi dan Nasrani. Kerana itu ditolak cadangan membunyikan loceng, meniup trompet dan serunai atau menyalakan api. Kerana itu semua ada kaitan dengan ibadah agama lain secara ritualnya. Akhirnya Umar Al-Khattab RA mencadangkan diteriakkan seruan: “Telah masuk waktu Solat,” barulah cadangan itu diterima, dan Rasulullah SAW menukarkannya kepada seruan “As Solaatu Jami’ah.”
Hinggalah apabila Abdullah ibn Zaid RA bermimpikan seruan Azan, maka diceritakannya kepada Rasulullah SAW. Dan cadangan itu diterima oleh Rasulullah SAW, menggantikan seruan yang dicadangkan sebelum ini.
Justeru ini antara model ‘mencontohi’ sesuatu daripada orang bukan Islam, atau agama lain.
Kita mengambil yang baik, namun kita membersihkan elemen-elemen yang bersangkut paut dengan akhlak mereka, akidah mereka, dan sebagainya yang bertentangan dengan akhlak serta aqidah Islamiyyah.
Kerana itulah di dalam kehidupan, kita tidak dilarang menggunakan teknologi ciptaan orang bukan Islam. Kerana ianya baik. Segala idea dan kebijaksanaan yang baik dan memberikan manfaat, tidak salah kita contohi dan ambil. Namun, apa-apa yang buruk berkaitan dengannya, tidak sesekali kita ambil.
Fenomena Melunturkan Identiti Diri Kerana Mencontohi
Saya secara peribadi melihat beberapa fenomena di Malaysia ini yang sebenarnya agak mencuit jiwa saya. Saya tidak nafikan betapa kita kagum dengan beberapa perkara yang dilakukan oleh bangsa dan agama lain. Contohnya, kita kagum dengan industri nyanyian mereka. Kita kagum dengan industri perfileman mereka. Kita kagum dengan ‘luar biasa’nya mereka.
Namun itu pada saya tidaklah sepatutnya membuatkan kita ingin mencontohi mereka sehingga melunturkan akhlak dan sikap kita sebagai seorang Muslim dan Malaysian.
Kita di Malaysia, kita tidak membudayakan gengsterisme. Bahkan, gengsterisme adalah apa yang cuba kita banteras. Namun malangnya, industri perfileman kita seronok memasyhurkan kehidupan gengster di dalam filem-filem.
Kita di Malaysia, kita tidak membudayakan rempit dan lumba haram. Bahkan, itu semua adalah apa yang cuba kita jauhkan daripada anak-anak muda kita. Namun malangnya, industri hiburan kita sibuk mengangkat cerita-cerita ini sebagai tema, memperkenalkan budaya ini, dan menunjukkan ke’indah’an hidup di dalam kumpulan ini.
Kita di Malaysia, hakikatnya bukan budaya kita untuk menjadi pengecut dengan cerita-cerita tahyul. Kita jika dikaji semula, adalah yang penuh dengan semangat wirawan dan wirawati para pendekar melayu dan pejuang bangsa selama ini. Namun, Industri hiburan sibuk mengangkat dan menghasilkan kisah hantu demi hantu buat santapan minda dan mata masyarakat.
Kita mungkin kagum dan rasa teruja dengan idea ‘Rancangan Realiti’. Namun, rancangan realiti kita meniru ‘bulat-bulat’ segala apa yang dipersembahkan oleh masyarakat yang memulakan idea tersebut.
Malaysian Idol contohnya. Diambil dari American Idol kalau tidak silap saya. Diterjemahkan semula ke dalam Bahasa Ibunda kita, Malaysian Idol sepatutnya adalah Idola Orang Malaysia. Namun malang seribu kali malang, pemakaian-pemakaian persertanya bukanlah pakaian ke’Malaysia’an, dan apa yang dinyanyikan mereka majoritinya bukanlah lagu-lagu yang menunjukkan semangat ke’Malaysia’an atau Ke’Islam’an bagi yang Muslim.
Saya pernah menonton sebuah rancangan masak-masak bagi yang ingin menjadi Chef Selebriti. Antara jurinya adalah seorang Chef melayu muslim yang terkenal di Malaysia ini. Namun malang, salah seorang chef yang berbangsa melayu, warganegara Malaysia, telah memberikan komentar yang sangat kasar pada peserta rancangan itu. Sama seperti rancangan Hell’s Kitchen di barat. Sedangkan, berkasar bukanlah budaya yang hendak kita naikkan di dalam masyarakat kita.
Dan perkara ini terdapat di dalam banyak sisi di dalam kehidupan kita.
Persoalan saya adalah mengapa kita perlu mencontohi orang luar hingga ke tahap melunturkan identiti kita?
Kita boleh persoalkan bagaimana Selebriti-selebriti kita di Malaysia ini, berapa ramai yang berpakaian dan berakhlak seperti orang Malaysia, orang Islam, dan berapa ramai yang berakhlak seperti artis-artis antarabangsa, berpakaian seperti pakaian mereka, bersikap seperti sikap mereka.
Ya. Mengapa?
Datanglah Gangnam Style
Pada saya, Gangnam Style hanyalah satu bukti kukuh untuk menyatakan bagaimana ‘didikan’ massa yang selama ini diberikan melalui Televisyen kita, melalui pawagam, melalui radio, melalui internet, telah berjaya meresap ke dalam masyarakat hari ini.
Kalau dahulu mungkin pengarah filem, penulis skrip, golongan artis, pengarah rancangan Televisyen, sahaja yang sibuk mencontohi orang luar sambil melunturkan identiti Malaysia, dan Muslim. Tetapi kini dengan jelas kita lihat rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan, baik yang melayunya, atau yang bukan melayu, baik yang Muslim atau bukan Muslim, tanpa segan silu meruntuhkan identiti mereka dengan meniru Gangnam Style.
Ini adalah bukti bagaimana dalamnya resapan yang telah berlaku.
Hingga dirasakan, yang Psy lakukan itu adalah apa yang patut dilakukan tanpa segan silu oleh orang Malaysia dan orang Islam secara khususnya.
Kalau Benar Ideanya Baik, Mengapa Persembahkan Mengikut Cara Sedemikian?
Saya sentiasa mempersoalkan:
“Jika benar desperate nakkan Malaysian Idol, so mengapa tidak usahakan sebuah rancangan yang benar-benar melahirkan idola untuk rakyat Malaysia? Penuh dengan adab sopan dan etika seorang Malaysian, dan yang muslimnya dengan etika Muslimnya?”
“Kenapa kita tidak cuba mengangkat martabat pahlawan melayu, kehidupan dengan kod pahlawan, di dalam drama-drama kita di samping mengangkat adab-adab Islam yang sebenarnya pekat di dalam kehidupan kita pada drama-drama dan filem-filem kita?”
“Gangnam Style adalah sindiran seorang Psy kepada golongan kaya yang tidak peduli dengan golongan miskin. Jadi, mengapa tidak kita utarakan ‘Style’ lain mengikut tatacara dan kesopanan rakyat Malaysia, Islam, tetapi membawa mesej yang sama juga?”
Ya. Saya sentiasa mempersoalkan.
Mengapa mesti melunturkan identiti, dan ikut bulat-bulat, hingga akhirnya, kita akan dipersoalkan semula:
“Kau ni nak tunjuk apa sebenarnya?”
Dan kita dicop tidak lebih dari peniru yang sekadar hendak menambah lagi gelak dan tawa orang di atas dunia.
Sedangkan dunia terus sakit, masalah terus tidak selesai, kita pula menambah masalah-masalah baru dalam permasalahan moral masyarakat.
Penutup: Islam itu indah, akhlak itu dakwah.
Dakwah paling mudah adalah akhlak. Itu jugalah yang paling penting sebenarnya. Keindahan Islam bukan terletak pertama sekali pada falsafahnya, pada Aqidahnya yang kemas dan sebagainya. Pertama sekali, ia akan terpancar pada akhlak penganutnya.
Jika akhlak penganut Agama Islam roboh, maka segala konsep, kefahaman Aqidah, dan pelbagai lagi keindahan yang wujud di dalam Islam, akan dikabui dan dilihat tidak realistik.
Kerana itu adalah penting bagi kita memikirkan perkara ini secara serius.
Benda baik, nilai yang baik, tiada masalah untuk kita contohi.
Namun, kita perlu lihat juga pada apa yang dibawa oleh orang luar itu, orang bukan Islam itu, apakah ianya boleh kita tiru bulat-bulat, atau perlu kita proses dengan cara dan akhlak kita sebagai Muslim?
Ketahuilah bahawa menunjukkan KLCC dan KL Tower, pakai baju melayu atau kain sarung, dan sebagainya, itu belum cukup menunjukkan ‘Style’ Ke’Malaysia’an kita dan Ke’Islam’an kita, jika tariannya masih tarian terkinja-kinja yang nyata bukan di dalam kamus adab dan akhlak Malaysia dan Islam kita.
Moga artikel ini memberikan makna ke dalam minda dan jiwa.
Semoga ada peningkatan pada masyarakat ini, apabila wujud jiwa-jiwa yang tersedar dari lenanya.
Berita: Nilai hidup bermula di rumah
Picture by http://neo-innov.deviantart.com/
Akhlak, adab dan tingkah laku amat akrab antara satu sama lain. Akhlak baik semua orang suka. Ibu bapa sangat berhajat kepada anak menantu yang boleh mempamerkan tingkah laku yang boleh dicontohi.
Namun pelajar pada hari ini memiliki set nilai yang bercampur-baur kesan daripada pendedahan terhadap globalisasi yang dibawa melalui internet, konsep langit terbuka dan maklumat tanpa sekatan. Pengaruh tingkah laku negatif dipupuk melalui norma-norma yang dikongsi bersama melalui kumpulan rakan sebaya, kelab atau pertubuhan tertentu.
Contoh yang amat biasa kita dengar ialah ponteng kelas atau ponteng sekolah. Amat mudah bagi pelajar hari ini untuk melepaskan masa persekolahan dengan melakukan aktiviti sendiri yang menyeronokkan berbanding bersusah-payah berfikir dan menuntut pelajaran. Aktiviti ponteng sekolah sudah menjadi beban kepada guru, sekolah dan ibu bapa sendiri kerana sekolah akan kecewa dengan tahap pencapaian pelajar masing-masing dan ibu bapa menyalahkan guru yang dianggap gagal memastikan kecemerlangan anak-anak mereka.
Sekolah berasrama penuh tidak mnghadapi masalah ponteng seperti ini sebaliknya sekolah harian menghadapi kerenah pelajar yang tidak sedar diri tentang masa depan. Ponteng sekolah boleh menjadi indikator utama kepada masalah yang lebih serius seperti krisis keluarga, pengaruh rakan dan gangsterisme.
Di institusi pengajian tinggi, kos pengajian yang meningkat, keperluan terhadap alat-alat elektronik dan budaya hedonisme telah mendedahkan sebilangan kecil pelajar yang terlibat dalam jual beli dadah, pelacuran dan rompakan. Kes-kes begini menjadikan pihak pentadbiran institusi pengajian tinggi lebih prihatin dan tegas dengan tingkah laku pelajar masing-masing. Antara pilihan mereka ialah membuang pelajar yang bermasalah dan memalukan imej institusi seperti yang dilakukan oleh sebuah kolej swasta ke atas pelajar yang beraksi tidak senonoh dalam satu perhimpunan baru-baru ini.
Membentuk nilai hidup harus bermula sejak kecil dan dalam lingkungan keluarga. Pelajar yang berkembang tanpa mendapat tunjuk ajar dan modal hidup yang betul akan berakhir dengan pelbagai tingkah laku menyimpang yang merosakkan diri sendiri dan turut dirasai orang lain.
Di Timur, nilai-nilai hidup masih kuat kerana masyarakatnya beragama dan memahami tuntutan agama masing-masing. Agama menjadi pengikat yang kukuh di samping budaya hidup yang menebal dalam tradisi masing-masing. Agama dan budaya ini menjadi benteng kepada kekuatan hidup masyarakat Timur. Andainya penghayatan agama dan amalan budaya ini pecah, pengaruh Barat amat mudah mengambil tempat dalam hati fikiran pelajar kerana proses perubahan seperti ini amat cepat berlaku pada hari ini.
Peranan dan tanggungjawab institusi yang mengawal nilai-nilai hidup pelajar mungkin perlu diserahkan kepada undang-undang jika sistem pendidikan dan institusi keluarga gagal. Bagaimanapun penguatkuasaan peraturan hanya melahirkan pelajar yang tidak ada keyakinan diri dan hanya mementingkan diri sendiri. Namun, jika tidak ada pilihan lain yang lebih baik, kita boleh memikirkan pilihan ini.
September 10, 2012
Cerpen: MemanggilMu.
Picture by UmarMita.Com
Cerpen MemanggilMu.
Cerpen lama. Tapi saya naikkan semula.
InsyaAllah, bermula minggu ini, saya akan kembali istiqomah update cerpen dan Novel bersiri.
InsyaAllah Novel Takdir2: Percaya Yang Tidak Sirna akan disambung hingga ke episod ke 18 bermula Sabtu ini insyaAllah.
Doa-doakan.
Semoga Allah memberikan kekuatan.
Apa-apa hal pun, enjoy dulu cerpen yang ini.
Semoga bermanfaat.

Bergerak. Hidup ini terus bergerak. Tidak pernah ada berhenti. Yang berhenti hanyalah diri kita. Tetapi hidup ini terus berjalan. Masa tidak akan menunggu kita. Kita yang perlu berlari bersaing dengannya.
Aku duduk di atas sofa. Fikiranku sedang berserabut. Kebelakangan ini banyak masalah yang menimpa diriku. Semuanya bermula dengan masalah kewangan. Dari masalah kewangan, berbunga lagi seribu masalah. Masalah pelajaran anak-anak, masalah bayaran rumah, masalah belanja bulanan, masalah kenderaan dan pelbagai lagi masalah menghumban hidupku ke dalam sebuah lembah yang gelap. Seakan-akan tiada masa hadapan.
Mungkin dengan harta yang aku ada sekarang, aku masih boleh menampung kehidupanku selama sebulan atau dua bulan lagi, tetapi bagaimana untuk tahun-tahun yang berikut? Bagaimana?
Argh,
Aku mengurut kepalaku. Rasa sakit.
“Abang, kenapa nampak macam ada masalah besar aje?” Satu suara menyapaku. Memecahkan lamunanku, membelah leretan masalahku. Aku menoleh.
Isteriku, Maisarah sedang memandang dengan pandangan yang bersih. Aku menghulurkan tanganku kepadanya. Dia mengukir senyum. Tanganku disambut. Aku menariknya perlahan-lahan untuk duduk di sebelahku.
“Sayang dah sarapan?” Aku bertanya.
“Itu sepatutnya pertanyaan saya tau.” Isteriku mencuit hidungku. Sekilas aku memejamkan mataku. Maisarah ketawa.
“Nakal.” Aku tersengih sambil melarikan pandanganku ke halaman rumah. Halaman rumah terletak di luar bahagian kanan ruang tamu.
Isteriku sebenarnya tidak tahu akan masalahku ini. Aku pun tidak bercadang hendak berkongsi dengannya. Aku amat sayang dan cintakannya, maka aku tidak mampu melihatnya bermuram durja atau risau berjela dengan masalah ini. Tambahan, dia adalah suri rumah sepenuh masa. Aku tidak mahu memberatkannya.
“Anak-anak dah pergi?” Aku bertanya basa-basi. Isteriku mengangguk. Sebenarnya aku tahu yang anak-anakku pergi ke latihan taekwando mereka pada setiap hari ahad tepat pukul 9.00 pagi. Tetapi sengaja bertanya untuk mengisi ruang.
“Abang ada masalah apa sebenarnya?” Maisarah bertanya lembut. Dagunya diletakkan pada bahuku. Harumnya menyentuh hidungku. Mungkin dari pertanyaanku tadi, dia makin terasa seperti aku ada masalah.
Aku senyap.
“Abang ada sembunyikan sesuatu dari saya ya?” Maisarah bertanya lagi. Aku tak nafikan bahawa Maisarah adalah seorang isteri yang amat solehah dan baik. Tidak seperti aku, agak meringankan suruhan Allah, dan tidak ambil pusing dengan peraturan-peraturan Islam. Namun Maisarah tidak jemu-jemu menasihatiku. Aku bukan tidak mahu menuruti nasihatnya, namun aku terlalu sibuk dengan perniagaan. Tidak sempat hendak memikirkan akhirat.
Maisarah juga sering mengambil berat dan menyokongku dalam segala hal. Kami hakikatnya berkongsi semua perkara, masalah dan hal. Namun untuk masalah ini, aku rasa tidak bijak untuk berkongsi dengannya. Kenapa? Entahlah. Mungkin aku tidak sampai hati.
“Sayang, abang nak tanya satu benda boleh tak?” Aku menatap wajahnya. Mata kami bertemu.
Maisarah tersenyum. “Boleh, banyak pun boleh.” Aku mengoyak senyum juga mendengar kata-katanya.
“Kalau sayang ada masalah, apa yang akan sayang buat?” Aku meluahkan pertanyaan. Maisarah kulihat senyap. Namun tak lama kemudian dia tersenyum kembali. Tanganku dipaut erat.
“Kalau saya, saya akan balik kepada Allah.”
“Balik kepada Allah?” Keningku terangkat.
****
Aku adalah seorang usahawan. Aku terlalu sibuk dengan urusan perniagaanku. Aku mempunyai sebuah syarikat yang besar. Di bawah syarikatku itu terdapat dua puluh jenis perniagaan. Aku adalah antara sepuluh usahawan yang paling berjaya di Malaysia ini. Aku ada rumah yang besar, kereta yang besar dan segala-galanya.
Dua bulan yang lepas, ada seorang ejen datang bertemu denganku. Dia menyatakan bahawa dia mempunyai pelan cadangan untuk menaikkan kekayaan yang aku ada. Aku agak tertarik. Ketika itu, aku dikelabui rasa ingin bersaing kekayaan dengan sembilan lagi usahawan paling berjaya di Malaysia ini. Aku rasa aku perlu melonjakkan diriku ke tingkat yang pertama. Menjadi usahawan paling berjaya di Malaysia menewaskan usahawan-usahawan yang lain.
Aku mengambil pelan cadangan ejen itu tanpa berfikir panjang. Oleh kerana konsep gerak kerjanya terlalu kompleks, aku serahkan sahaja kepada ejen itu untuk menguruskan segalanya. Pada mulanya, akses-akses perniagaanku yang tidak berapa penting kuserahkan kepadanya untuk dinaik taraf agar laba yang lebih besar masuk ke dalam poketku. Sebulan berlalu, segalanya berjalan dengan baik, untung yang aku dapat berlipat kali ganda. Aku jadi gembira. Gembira yang teramat sangat.
Aku menyuruh ejen itu untuk mempergiatkan kerjanya. Untuk mendapat untung yang amat besar dalam masa singkat, aku memberikan beberapa lagi akses peniagaan yang lebih penting, lebih rahsia. Tamak dan haloba mulai menguasai diriku. Tidak berfikir lebih panjang, tidak membuat pertimbangan yang lebih rasional. Aku hanya melihat kekayaan.
Namun dua minggu selepas itu, ejen itu menghilangkan diri. Pelbagai cara aku gunakan untuk mencari dan menghubunginya kembali, namun segalanya hanya sia-sia. Setelah aku selidiki latar belakangnya, tiada yang benar akan dirinya.
Kini dia sudah menghilangkan diri. Aku memeriksa perniagaanku, bertanya kepada setiausahaku akan perkembangannya. Sebagaimana yang aku jangka, beberapa perniagaanku yang besar sudah ditutup, untung dan modalnya telah hilang dari akaun, aku turut diberitahu bahaya syarikatku telah menampung hutang yang amat besar kerana beberapa urusan perniagaan yang tidak langsai.
Melihat angka hutang dengan beberapa perniagaan besarku ditutup, aku terduduk. Benar-benar seperti terhantuk dengan titanium. Rasa hidup ini gelap. Ketika ini barulah aku teringatkan masa hadapan isteriku di rumah, aku teringat anak-anakku. Apa yang telah aku lakukan? Apakah kehidupanku sebelum ini tidak cukup? Sekarang apa yang telah terjadi?
Tamak. Kerana tamak, mataku yang celik menjadikan hatiku buta.
Ketika itu imbasan wajah isteriku yang amat baik itu melayar di pemikiran. Apakah ini bayaran kebaikannya selama ini? Segala pesan-pesanannya mula menerjah ke dalam ingatanku ketika itu.
“Kita kena ada sifat qan’ah bang.”
“Kekayaan kita sebenarnya bukan hak kita, semuanya adalah hak milik Allah.”
“Kita kena infaq harta kita sebagai tanda bersyukur bang”
“Allah sayang hambaNya yang bersyukur, tetapi bersyukur bukan terikat hanya pada ucapan Alhamdulillah, tetapi ia perlu dibuktikan dengan perbuatan kita, taat kepada Allah dan meninggalkan laranganNya.”
Ah…Maisarah, kenapa abang lupa dan tidak mengendahkan segala pesananmu?
****
“Ah, Tuan Emrullah. Apa khabar?” Seorang tua, penjaga merangkap iman kepada masjid yang berdekatan dengan rumahku. Dia tinggal sepenuh masa di masjid bersama keluarganya. Rumahnya betul-betul di sebelah masjid.
“Sihat Alhamdulillah.” Aku menjawab pertanyaannya. Roman wajahku kumaniskan dengan senyuman.
“Tuan buat apa di sini pada waktu yang begini?” Pak Majid, nama orang tua itu, bertanya dengan ramah.
Memang, sekarang pukul 10.00 pagi. Belum lagi waktu solat.
“Pak Majid buat apa pada waktu begini di sini?” Aku memulangkan pertanyaan. Pak Majid tersenyum manis.
“Haha,” Pak Majid tertawa kecil sambil menepuk bahuku. “Tuan Emrullah, sekarang ini waktu dhuha, maka saya ingin solat sunat dhuha. Semoga Allah luaskan rezeki saya.”
“Oh, Pak Majid nak jadi lebih kaya?” Aku bertanya pelik. Tak sangka orang macam Pak Majid ni pun ada hati nak jadi lebih kaya.
“Tuan Emrullah, luaskan rezeki tak semestinya mendapat duit yang lebih banyak. Kebahagiaan dan kelapangan hidup adalah rezeki, dapat beribadah kepada Allah dengan baik juga satu rezeki, dapat mendekatkan diri dan mengingati Allah sentiasa juga adalah satu rezeki.” Sekali lagi Pak Majid menepuk lembut bahuku.
Aku terasa seperti hatiku ditusuk sesuatu yang amat tajam. Rasa ngilu. Terasa kata-kata Pak Majid mengetuk mindaku yang alpa. Aku hanya nampak material. Hakikatnya ada banyak lagi rezeki yang lebih berharga dari wang dan harta. Senyuman manis Pak Majid masih lagi belum terungkai. Dia menepuk-nepuk lagi bahuku.
“Tuan Emrullah, Allah itulah yang paling berkuasa, Dia amat hampir dengan kita. Justeru hidup kita ni kena setiap masa bergantung denganNya, kehidupan kita akan jadi bermakna sekiranya kita kembali kepada Allah, segala masalah kita akan selesai jika kita kembali kepadaNya.” Pak Majid berpesan sebelum bergerak meninggalkanku. Dia berdiri menunaikan solat tidak jauh daripadaku.
Kembali kepada Allah?
Aku duduk bersandar di dinding masjid. Melihat Pak Majid mendirikan solat Dhuha beberapa depa di hadapanku. Aku melihat dengan mata kosong. Tiada lamunan, tiada imbasan pemikiran. Fokusku hanya kepada solatnya.
Tiba-tiba hatiku rasa tersentuh. Apa yang telah aku isi dengan kehidupanku selama ini?
“Kalau saya, saya akan balik kepada Allah.” Bicara Maisarah menyapa ingatanku.
Aku datang ke masjid ini untuk mencari ketenangan. Allah dan masjid kelihatan amat sinonim. Maka hati aku menggerakkan aku untuk datang ke masjid yang amat jarang sekali kujejaki. Masjid ini hanya aku singgahi jika ada urusan perniagaan, solat hari raya, majlis berbuka puasa, majlis-majlis sambutan dan sebagainya.
Aku hendak mencari ketenangan. Aku hendak memanggil Allah. Aku hendak memanggilNya. Kata-kata Pak Majid seakan-akan menghantarku kembali ke alam nyata, mengejutkanku dari tidur yang amat panjang. Mataku masih tidak lepas dari memandangnya bersolat. Dia sedang berada dalam kedudukan tahiyyat akhir.
Selepas dia memberikan salam, Pak Majid menoleh ke arahku.
“Tuan Emrullah, Allah adalah penyelesai segala masalah. Dia Maha Tahu, panggillah Dia, dan Dia akan menjawab panggilan kita. Sesungguhnya Allah itu tidak pernah mengecewakan hamba-hambaNya” Lembut Pak Majid bersuara, dia seakan-akan tahu gerak hatiku.
Perlahan-lahan aku bangun. Aku bergerak menuju ke tempat mengambil wudhu’.
Ya Allah, aku ingin memanggilMu.
Permudahkanlah segala urusanku.
****
Semenjak itu, aku mula mendisiplinkan diri dengan peraturan-peraturan ALLAH.
“Sayang, kalau sayang bagi tazkirah pada abang setiap kali lepas solat maghrib boleh?” Pertanyaan yang membuatkan Maisarah mengangkat kening. Dia menekapkan telapak tangannya pada dahiku.
“Abang demam?” Dia bertanya. Aku mencuit hidungnya.
“Nakal.”
Aku mendisiplinkan diri, aku jadualkan waktu solat di dalam rutin harianku. Bersama Maisarah, aku mengatur kembali kehidupanku. Dalam salah satu pesanannya, Maisarah memberitahuku bahawa, kita hidup ini untuk mendapat redha Allah, maka kita mestilah memenuhi syarat-syarat untuk menjadi hambaNya yang diredhai.
Bersama-sama Maisarah, aku bertatih menjadi seorang hamba. Hamba kepada Allah. Dia menuntunku mengenal kembali Al-Quran, mengenal solat malam, solat hajat, taubat dan sebagainya. Dia membimbingku untuk berzakat dan bersedekah, amal soleh dan segala pintu kebaikan lagi.
Aku juga meluangkan masa-masa lapang dengan Pak Majid.
“Pak Majid, ajarlah saya supaya jadi hamba Allah yang diredhaiNya. Saya nak jadi muslim mu’min yang baik.” Aku bersila di hadapannya tenang. Mata Pak Majid memandangku dengan pandangan yang lembut.
“Maka bersedialah, sesungguhnya ia bukanlah jalan yang dibentang permaidani merah, dan ditaburi bunga, kerana syaitan sentiasa membengkokkan jalannya, dan melontarkan duri-duri yang terpacak lagi berbisa di sepanjang jalannya.”
Aku menganggu-angguk. “Saya sedia apa sahaja, insyaAllah. Kalau saya lemah, Pak Majid ingat-ingatkanlah saya.”
****
Di pejabat, aku atur semula perniagaanku. Aku memanggil beberapa teman rapatku ketika belajar yang terkenal soleh, yang mereka ini aku jauhi satu ketika dahulu. Mereka kujadikan penasihat-penasihat dan rakan kongsiku.
Bersama mereka aku mengikuti usrah untuk menambah kefahamanku tentang Islam, bersama mereka aku bangunkan kembali syarikatku yang sudah tempang. Aku tutup semua perniagaan belum ditutup, yang aksesnya telah kuserahkan kepada ejen satu masa dahulu, aku tumpukan kepada baki perniagaan ringan yang tidak kuberikan aksesnya kepada ejen. Dengan baki perniagaan ini, aku mulakan strategi baru, strategi yang kususun bersama sahabat-sahabatku.
Hidupku berjalan, walaupun tidak sesenang dahulu, aku tidak boleh membiarkan masa menewaskanku, aku tidak membiarkan waktu berlalu begitu sahaja, aku berusaha keras menaikkan kembali prestasi syarikatku, aku berusaha bermati-matian meningkatkan diriku. Aku bersaing dengan waktu.
Walaupun tidak mempunyai simpanan bermilion-milion seperti dahulu, tetapi entah mengapa, hatiku menjadi lapang. Aku melakukan segala kerja tanpa tekanan. Duduk bersama-sama sahabat yang ikhlas dan baik membuatkan kehidupan tambah lapang. Duduk bersama isteri yang solehah dan bersama-samanya mendaki menjadi hamba Allah yang baik, membuatkan hidup rasa bahagia dan bermakna. Satu rasa yang tidak terungkap dengan bicara.
Kini saban malam aku telah membiasakan diri dengan qiammullail. Sesibuk mana pun kehidupanku, seletih mana pun tubuhku, aku tetap akan bangun. Bangun untuk memanggilNya. Bangun untuk berbicara denganNya.
Bila bangun di tengah malam sepi berseorangan denganNya,
Aku rasa tenang.
Aku rasa senang.
Rasa yang tak terungkap, hubungan yang kompleks, tetapi amat melapangkan. Dia tidak dapat kulihat, tetapi aku dapat rasakan Dia amat dekat. Aku ada membaca di dalam Al-Quran, Allah berfirman,
“Sekiranya hambaKu bertanya tentangKu(wahai Muhammad), maka sesungguhnya Aku amat dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 186.
Di dalam sendirian ini, terasa seperti didakap oleh rahmatNya. Amat bahagia. Dari suka menjadi cinta. Kalau boleh diceritakan rasa cinta ini, sudah kukongsikan dengan semua. Namun ia rasa yang sukar untuk dicoret dengan pen, sukar untuk diluah dengan bicara.
Ya Allah, aku memanggilMu. Aku memanggilMu. Aku amat memerlukanMu. Banyak lagi yang perlu aku pelajari. Ya Allah, bimbinglah aku, jagalah aku, rahmatilah aku.
Mendaki, aku mendaki, mendaki menjadi hambaNya yang diredhai.
*****
“Aku akan ingat, tetapi aku tak gentar.” Aku menjawab tenang.
Ejen yang pernah menipu aku sedang berdiri di hadapanku kini. Kali ini dia datang bukan lagi hendak menipuku, tetapi dia datang dengan ugutan. Ugutan agar aku menghentikan perniagaanku, atau mereka akan mensabotaj kehidupanku. Rupa-rupanya dia ini adalah upahan sainganku.
“Kau jangan berlagak Emrullah,” Dia menuding jarinya kepadaku. “Kau ingat kau bagus?!” Dia membentakku.
Aku memandangnya kosong. Tenang berada di kerusiku. Ejen itu berdiri dengan mata yang menjegil di hadapan mejaku.
“Kau ada siapa hendak bantu kau?” Ejen itu membentak lagi.
Aku menghela nafas.
Prestasi syarikatku yang meningkat secara konsisten dan kukuh, malah kini perniagaannya mula bersaing dengan syarikat maju dunia, bukan lagi berputar-putar pada Malaysia sahaja, mungkin membuatkan beberapa sainganku rasa tercabar dan dengki. Semua ini bukanlah dari kegigihanku sebenarnya, semuanya adalah anugerah Allah, berkah musyawarah serta kerjasama yang serius dari sahabat-sahabat, kemudian sokongan dari Maisarah serta tunjuk ajar dari Pak Majid, akhirnya aku bertapak pada platfom yang lebih tinggi.
“Aku menyelesaikan urusanku dengan Allah, maka Allah menyelesaikan segala urusanku dengan rakyatku.” Itu bicara Umar Abdul Aziz, jika aku, mungkin aku akan tukarkan perkataan ‘rakyat’ kepada kehidupan. Dan sesungguhnya Allah benar-benar menunjukkan rahmat dan kasih sayangNya kepadaku.
“Aku ada Allah.” Lembut aku menjawab, disambut dengusan dari ejen itu. Tanpa menunggu, dia terus berlalu pergi.
“Jaga kau Emrullah!”
“Allah yang akan menjagaku” Kataku tegas. Tidakku kira selain ALLAH, tidakku takut selain Allah.
*****
“Kenapa senyuman awak nampak amat manis pada hari ini?” Maisarah membetulkan tali leherku. Senyumanku tidak lekang memandangnya.
“Oh, tolonglah beritahu benda yang saya tidak tahu” Aku mengangkat mata ke atas.
“Eh, perasannya awak ni.” Isteriku mencubit pipiku.
“Siapa yang puji saya dulu?” Aku mencubit pipinya.
“Sengaja nak hiburkan orang yang tak terhibur.” Dia melepaskan tangan dan berpaling ke rak baju.
“Kita sentiasa terhibur.”
“Awak terhibur dengan apa?” Dia memandang ku semula
“Dengan rezeki yang luas diberikan olehNya.” Aku menjawab senang.
“Manisnya.”
“Senyuman saya?” Aku mengangkat kening sambil mendekatinya.
“Rahmat dan kasih sayang yang diberikan olehNya” Maisarah menjawab perlahan.
“Awak sayang saya?” Aku memegang tangannya.
“Awak sayang saya?” Dia bertanya kepadaku semula.
“Buktinya pada kehidupan.” Aku menjawab.
“Buktinya pada cinta kepadaNya.” Maisarah menjawab.
Aku dan Maisarah tertawa bersama-sama. Indah. Kelakar pula, bersaya-saya, berawak-awak. Rasa macam awal-awal kenal dahulu.
“Sayang, terima kasih ya.” Aku meluahkan rasa.
“Berterima kasihlah kepada Allah.” Maisarah tunduk.
“Ya, terima kasih kepada Allah kerana memberikan isteri yang amat solehah, tabah dan bijak.” Aku mengucup pipinya. Merona merah wajahnya.
“Dah siap ke ni?” Maisarah bertanya.
“Dah, saya punya pakar fesyen dah siap dandan dah.” Aku menjawab selamba. Tangan Maisarah pantas mencubit pipiku. Aku tertawa.
“Mari pergi, nanti lewat.” Isteriku menarik tanganku.
Aku membiarkan diriku ditarik.
“Abang!” Maisarah mencemikkan muka.
Aku tertawa. Seronok menyakat isteriku. “Jom, jom.”
Kami bersama-sama bergerak.
Bergerak ke sebuah majlis. Di majlis ini aku mendapat anugerah Dato’, sebagai penghargaan kepada jasaku dalam mempertingkatkan ekonomi negara dan bantuanku kepada pengurangan kadar kemiskinan di negaraku ini. Formula perniagaan dan strategi yang diatur oleh aku dan sahabat-sahabat perniagaanku, dengan izin Allah, telah berjaya. Kini syarikatku kembali berada di sepuluh tangga teratas di dalam sepuluh syarikat terbaik di Malaysia, dan sebagai peningkatan, syarikat aku merupakan syarikat yang kedua terbaik di Asia Tenggara.
“Abang tak nak bawa surat khabar?” Maisarah memegang surat khabar hari ini, aku melihatnya.
Berita utama, ‘Syarikat Gulung Tikar, Amal Peras Ugut’ bersama gambar pengarah syarikat serta ejen yang amat kukenali menghiasi muka hadapan. Aku tersengih. Di dalam hati lafaz tahmid bergema. ALLAH Maha Besar.
“Tak payah, abang dah baca tadi.”
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Ya Allah, terima kasih. Tidak akan datang bahagia hari ini, tanpa belas ihsan, petunjuk, rahmat dan maghfirah, inayah dan kasih sayang daripadaMu.
Panggilanku telah dijawab.
Sesungguhnya Dia tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya.
Motivasi: Jangan PerTUHANkan Kelemahan.
Picture by UmarMita.Com
“Memang, kita orang melayu ni memang susah nak cemerlang dalam peperiksaan.”
“Orang Islam memang macam itu, kalau buat bisnes mesti tak laku.”
“Illuminati dan Freemason tu perancangan diorang kemas sangat, kita buatlah apa pun, mereka akan tewaskan kita punya.”
Ayat-ayat tersebut adalah ayat-ayat yang mempertuhankan kelemahan. Kita tahu kita ada kelemahan, kita ada kekurangan, kemudian kita sibuk mengangkat kelemahan-kelemahan kita menjadi alasan agar kita tidak pergi lebih jauh.
“Aku memang tak ada harapan. Kalau nak buat baik aja, mesti gagal.”
Atau sebagai alasan agar kita tidak melaksanakan perubahan ke arah kebaikan. Kerana kelemahan kita yang asyik terjatuh, kita terus hentikan segala usaha.
Hakikatnya, kita tidak boleh sedemikian rupa.
Halangan Agar Tidak Melakukan Apa-apa.
Alasan bahawa kita punya kelemahan hakikatnya bukanlah alasan yang valid.
Manusia semuanya mempunyai kekurangan. Kelemahan. Kecacatan. Yang sempurna itu hanyalah Allah SWT. Yang Maha Perkasa, Maha Besar, Maha Bijaksana, hanyalah Allah SWT.
Manusia memang akan ada kekurangannya. Namun itu bukan alasan yang perlu diperbesar-besarkan untuk tidak berusaha mencapai sesuatu yang lebih tinggi.
Kita tahu kita lemah, maka kita pertamanya perlu mengenal pasti apakah benar ianya merupakan satu kelemahan? Atau sebenarnya sekadar mainan pemikiran kita?
Kemudian, apabila sudah mengenal pasti itu adalah sebuah kelemahan, kita patut berfikir bagaimana hendak mengatasinya? Apakah langkah-langkahnya?
Seterusnya pada masa yang sama, kita perlu nilai di dalam diri kita dan bertanya, apakah pula kekuatan yang kita ada? Senaraikan dan kemudian fikir bagaimana hendak menggunakan kekuatan-kekuatan tersebut.
Perancangan dan cara berfikir sebeginilah yang akan menghasilkan kekuatan untuk mengatasi kelemahan yang ada pada kita. Bukannya membesar-besarkan kelemahan, yang kemudiannya menjadi alasan untuk tidak melakukan apa-apa.
Keyakinan Mengatasi Kelemahan.
Di dalam kehidupan ini, ada satu perkara yang mampu menggandakan kekuatan yang ada sehingga mengatasi kelemahan yang wujud.
Itulah dia keyakinan.
Namun untuk kita orang-orang Islam yang punya keimanan, keimanan pula mampu menggandakan kekuatan yang diberikan oleh keyakinan.
Keimanan bahawa Allah akan bersamanya, keimanan bahawa Allah akan membantunya. Keimanan bahawa Allah akan menilainya, keimanan bahawa dunia ini hanya sementara dan akhirat itu kampung halamannya, keimanan bahawa segala yang ditentukan Allah SWT adalah baik, keimanan bahawa Allah SWT mengarahkan hamba-hambaNya untuk berusaha dan pelbagai lagi yang tersurat di dalam didikan menjadi seorang Muslim Mukmin.
Ini semua memberikan keyakinan agar kita mengatasi kelemahan diri.
Kerana itu, memperkasakan keimanan adalah perkara yang wajib buat kita. Kefahaman yang jelas terhadap keimanan kita kepada Allah SWT, kepada para malaikat, kepada para Rasul, kepada kitab-kitab samawi, kepada qada’ qadar dan kepada Hari Akhirat adalah amat penting. Kerana keimanan terhadap semua ini akan mampu memberikan kita kekuatan yang nyata.
Saya akan mengungkit beberapa peristiwa sejarah yang dirakamkan di dalam Al-Quran sebagai pengajaran buat kita pada subtopik yang seterusnya.
Sejarah Yang Lemah Mendapat Kemenangan.
“Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah, dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar. Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir. Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini, akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.” Surah Al-Baqarah ayat 249-251.
Ya. Mereka dalam kelemahan. Bilangan mereka sedikit. Apabila melihat tentera Jalut, mereka ketakutan. Namun keyakinan dan keimanan kepada Allah SWT mengatasi ketakutan itu, lantas mereka menggempur dengan penuh berstrategi dan mendapat kemenangan yang dianugerahkan oleh Ilahi.
Perkara yang sama berlaku saat Khalid Al-Walid memimpin tenteranya menentang tentera musuh yang besar bilangannya. Wujud askarnya yang bersuara: “Ramai sungguh bilangan mereka.” Tetapi Khalid Al-Walid menjawab: “Sedikitnya bilangan mereka kala mereka ditewaskan.”
Dan kemudian mereka menggempur dan mencapai kemenangan.
Di manakah resepinya keyakinan Khalid Al-Walid? Keimanan kepada Allah SWT.
Itulah yang berlaku kepada Tentera Badar yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Mereka hanya sekitar 300 orang sahaja, manakala tentera musuh adalah 1,000 orang. Tetapi tidak pula mereka memperbesar-besarkan isu kecilnya bilangan mereka. Bahkan mereka bersemangat berjuang kerana yakinnya mereka kepada Allah, di samping strategi yang mereka usahakan. Dan kemenangan menjadi milik mereka.
Begitulah juga dalam peristiwa perubahan diri. Rasulullah SAW pernah menceritakan perihal pembunuh 100 orang yang ingin bertaubat. Kita lihat di dalam hadith itu, dia telah membunuh 100 orang, namun dia tidak menjadikan maksiatnya sebagai alasan bahawa dia tidak mahu bertaubat. Bahkan dia mengembara mencari orang alim yang boleh mengajarnya untuk bertaubat. Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim.
Ya. Sedikit pun kelemahan tidak menjadi alasan. Tidak diperbesar-besarkan.
Jika ada kelemahan, cari jalan mengatasinya.
Bukan mempertuhankannya.
Penutup: Maka Usah Dijadikan Kelemahan Sebagai Alasan.
Maka berhentilah menjadikan kelemahan sebagai alasan. Kelemahan memang akan ada. Kekurangan memang akan wujud. Tetapi itu bukan alasan untuk tidak berbuat apa-apa.
Mungkin kita memang tak pandai dalam pengajian. Tetapi itu bukan alasan untuk menjadi budak nakal. Mungkin kita memang tidak pandai berbicara, tetapi itu bukan alasan untuk tidak menyebarkan Islam. Mungkin kita memang tidak pandai berniaga, tetapi itu bukan alasan untuk tidak memberikan sumbangan kepada perjuangan Islam.
Ada banyak jalan lain. Persoalannya, apakah kita berusaha dan mencari?
Berhentilah mengungkit kelemahan sebagain alasan.
Lihatlah kelemahan, ketahuilah bagaimana hendak mengatasinya. Listkan kekuatan yang ada, dan ketahuilah bagaimana hendak menggunakannya.
Jangan sesekali mempertuhankan kelemahan kita.
September 9, 2012
Pemuda: Menjadi Yang Matang Lebih Dari Usianya.
Matang.
Ayat ini sentiasa bermain di dalam fikiran para remaja, pemuda dan pemudi. Antara sebab mengapa perkataan ‘matang’ itu popular, dukacitanya, bukanlah kerana tanggungjawab yang bakal dipikul oleh seorang manusia di masa hadapan biasanya. Tetapi biasanya, perkataan matang itu popular di kalangan remaja adalah kerana orang selalu berkata: “Tak matang lagi, tak boleh kahwin.”
Maka semata-mata untuk berkahwin, maka remaja mula keluar mencari apakah itu ‘kematangan’. Tujuan? Tujuannya untuk berkahwin.
Namun hakikatnya matang itu lebih dari sekadar untuk berkahwin. Kerana tugas menjadi seorang pemuda dan pemudi adalah besar untuk masa hadapan perjuangan Islam, pembangunan negara dan masyarakat. Kematangan diperlukan kerana hanya orang-orang yang matang akan membuat keputusan yang baik, dan akan melorongkan kehidupannya pada kehidupan yang baik, sekaligus mengurangkan peratus untuk kerosakan berlaku di dalam masyarakat. Remaja sebagai ‘darah baru’ di dalam masyarakat perlu menjadi matang bagi menggantikan kepimpinan negara hari ini, bagi mewarnakan masyarakat hari ini dengan warna-warna yang indah.
Justeru, bagi mereka yang menyedari akan tanggungjawab mereka sebagai pemuda dan pemudi, kita kembali bertanya: “Bagaimana mahu mendapatkan kematangan itu?”
Langkah 1: Banyakkan Membaca Bahan-bahan Yang Berat
Antara faktor kematangan adalah membaca. Remaja yang kurang membaca akan menjadi amat sempit pemikirannya, dan tidak terbuka. Sekaligus ilmunya tidak bertambah, dan dia tidak mengalami peningkatan pada cara berfikirnya.
Bahan bacaan juga memainkan peranan. Banyak membaca sahaja belum tentu ada gunanya. Justeru, remaja, pemuda dan pemudi perlu bijak mengisi masa dengan bahan bacaan yang berat. Tidak semestinya bahan bacaan yang berat ini adalah buku yang tebal. Tetapi bahan bacaan yang berat ini adalah yang mempunyai cara berfikir yang lebih mendalam, membahaskan sesuatu yang lebih besar, dan menyentuh akan konsep-konsep serta teori-teori tertentu. Bahan-bahan bacaan seperti cara pengurusan wang, pengurusan masa, cara komunikasi yang berkesan, sikap-sikap yang memberikan kekuatan, itu semua adalah bahan bacaan yang perlu disantuni bagi mengejar kematangan.
Dan semestinya, antara bahan bacaan wajib bagi membentuk pemikiran seorang mukmin dan muslim yang baik adalah tafsir Al-Quran yang dikarang oleh ulama’-ulama’ mukhtabar, tanpa meninggalkan bahan-bahan bacaan yang lain.
Kita tidak membaca untuk terus percaya. Kita membaca untuk mengumpul ilmu dan membuat perbandingan. Kita membaca untuk melihat cara berfikir, bagaimana manusia memandang sesebuah perkara. Kita membaca untuk mempertingkatkan kualiti diri. Kita membaca untuk lebih memahami.
Namun, aktiviti membaca bahan yang agak berat ini telah ditinggalkan oleh kebanyakan remaja hari ini. Mereka hanya sukakan hiburan, membaca novel-novel cinta, menonton drama dan filem. Mereka sukakan sesuatu yang boleh membuatkan mereka tertawa, dan rasa seronok semata-mata.
Langkah 2: Meluangkan Masa Bersama Orang Yang Lebih Tua.
Antara lagi perkara yang boleh meningkatkan proses kematangan adalah meluangkan masa untuk duduk bersama orang yang lebih tua. Tidak semestinya kerana orang yang lebih tua itu adalah orang yang lebih berilmu. Tetapi adalah kerana orang yang lebih tua itu telah hidup lebih lama daripada kita. Duduk bersama mereka adalah untuk mengutip hikmah-hikmah yang ada pada mereka.
Mereka telah terlebih dahulu melalui kehidupan, dan pastinya di dalam kehidupan mereka wujudnya cabaran dan halangan yang pernah dilalui. Di situlah kita anak-anak muda sepatutnya tidak segan merapati mereka dan bertanya akan pengalaman-pengalaman mereka.
Bukan untuk kita terima bulat-bulat, namun adalah untuk kita melihat dan mengambil pengajaran dari apa yang dikongsikan.
Apatah lagi jika orang yang lebih tua itu jelas lebih tinggi ilmunya. Jelas lebih tinggi kesungguhannya dalam perjuangan Islam. Jelas punya fikrah yang mantap. Jelas merupakan seorang yang soleh. Itu lebih membuatkan kita perlu untuk meluangkan banyak masa dengan mereka.
Dengan ini, kesilapan yang pernah mereka lakukan ketika mereka muda tidak kita ulangi. Jika kita buat kesilapan, kita hanya akan membuat kesilapan yang baru. Dengan itu, graf ummat ini akan meningkat naik. Bukannya naik dan kemudian turun, naik dan kemudian turun.
Langkah 3: Mengembara Ke Pelbagai Tempat.
Mengembara. Tetapi mengembara dengan mata yang terbuka. Keluar dari tempat kita untuk beberapa ketika, bagi melihat suasana yang lain dari apa yang kita hidup selama ini. Keluarlah ke Eropah dan melihat gaya kehidupan mereka. Carilah pendapat-pendapat Ulama’ Islam di sana, dan berfikirlah mengapa mereka mengeluarkan pendapat sedemikian berdasarkan kehidupan masyarakat di sana. Pergilah ke Timur Tengah, dan lihatlah gaya kehidupan manusia di sana. Kemudian berfikirlah mengapa mereka bersikap sedemikian rupa. Berjalanlah lebih jauh, melihat kerajaan demi kerajaan, menyantuni ahli-ahli masyarakatnya, dan belajar daripada kehidupan.
Kemudian kaitkanlah dengan kefahaman yang wujud di dalam diri kita. Pada ilmu-ilmu yang kita dapat di Universiti, pada pemikiran-pemikiran yang telah kita santuni pada buku-buku yang telah kita bacai, pada konsep dan teori yang pernah kita perhati. Di situ kematangan kita akan meningkat. Kita akan berfikir dengan fikiran yang lebih luas. Kita akan melihat dengan pandangan yang lebih sederhana.
Sekaligus menjadikan kita matang lebih dari usia kita.
Penutup: Kita Perlukan Remaja, Pemuda dan Pemudi Yang Matang Lebih Dari Usianya.
Umur bukan penentu kematangan. Usaha dan cara berfikir adalah apa yang menentukan kematangan kita. Kita perlu berusaha membangkitkan kematangan ini dan sentiasa mempertingkatkan kualiti kematangan kita. Walaupun umur kita baru menjengah 15 tahun, kita sepatutnya sudah mula merancang bagaimana mahu mempertingkatkan kematangan kita.
Hilangnya remaja, pemuda dan pemudi yang matang akan menyebabkan kelahiran ramai manusia-manusia yang tidak sensitif dan tidak peka. Melahirkan manusia-manusia yang bacul dan jahil. Melahirkan manusia-manusia yang tidak bersemangat, tidak peduli, dan yang pastinya tidak boleh memimpin, sekaligus membawa kita kepada kerosakan di masa hadapan.
Remaja, pemuda dan pemudi mempunyai kekuatan, masa, tenaga. Satu perkara yang ditakuti oleh musuh-musuh Allah SWT adalah apabila remaja-remaja mula sedar akan keadaan dirinya dan bergerak mencapai kematangan buat agamanya. Kerana itu mereka giat menghancurkan remaja yang hiburan dan perkara-perkara yang ringan.
Kerana mereka ingin menghalang sebuah kebangkitan.