Hilal Asyraf's Blog, page 142

September 6, 2012

Pemuda : Ketika Kau Merasa Hidup Ini Sukar

[image error]


~ Langit terlalu luas untuk segala kesukaran yang kau hadapi ~

Picture by  http://soulofautumn87.deviantart.com/



Siapakah yang tidak pernah merasa sukar dalam kehidupan ini? Semua orang biasa merasakan kepayahan dalam hidupnya.


Hidup di atas dunia, begitulah rentaknya. Kita tidak akan pernah terlepas dari kesusahan dan kepayahan hidup. Namun, kesusahan yang diterima oleh setiap orang berbeza-beza.


Ada orang yang kuat jiwanya, diuji dengan kesusahan yang lebih besar.


Ada orang yang lemah dan tidak tahan diuji, maka ujian yang datang kepadanya walaupun mungkin nampak biasa di mata orang yang diuji lebh teruk daripada itu, tetapi bagi dirinya sendiri ujian itu sudah cukup susah dan sukar baginya.


Kehidupan ini beginilah. Kita akan berdepan dengan kepayahan, berdepan dengan kesukaran.


 


Apakah Kerana Kesukaran Ini, Kita Akan Mundur?


Saat ditimpa dan diuji dengan kesukaran dan kepayahan, jiwa kita memang terasa perit, tidak tercerita bagaimana rasanya, sehingga kalau kita ditanya saat itu, apakah kita suka berada dalam kesukaran itu?


Sudah tentulah kita akan menjawab, Tidak.


Bukan kerana kita takut dengan kesusahan yang kita hadapi itu, tetapi kerana terlalu susah dan peritnya menanggung bebanan kepayahan itu, menyebabkan kita rasa, kalau aku tak diuji sebegini, kan lebih bagus?


Kita sentiasa terfikir, kenapa aku? Kenapa aku yang diuji sebegini? Kenapa manusia lain boleh hidup senang-lenang, bergembira dengan keluarga dan anak-anak mereka, tetapi aku tersadai di sini keseorangan menanggung segala kepayahan-kepayahan ini?


Apakah Tuhan ingin menyusahkan aku?


Tidak. Tidak sekali-kali.


Bukanlah ketika Tuhanmu menghantar kesusahan dan kepayahan itu ke dalam hidupmu, Dia ingin menyusahkan kamu. Tidak. Tidak sekali-kali.


Dia mahu kamu jadi lebih kuat. Sebab itu, ketika kamu susah, Dia tidak pernah meninggalkan kamu. Dia sentiasa memujuk kamu.


“Bukankah Kami telah melapangkan dadamu? Dan Kami pun telah menurunkan bebanan darimu, yang memberatkan punggungmu.” [Al-Insyirah : 1-2]


Dia sentiasa memujuk dan memberi dorongan kepada kamu agar kamu tetap menjadi orang yang kuat menempuh segala kepayahan yang ada. Dia mahu kamu ini menjadi seorang yang cepat matang dalam memahami makna kehidupan.

Dia hanya mahu kamu tahu bahawa bila kamu ditimpa kesusahan sebegitu, ketika kamu mungkin ditinggalkan oleh manusia, Dia mahu kamu tahu bahawa kamu selalu ada Dia di sisimu.


 


Ketika Kau Merasa Sukar


Kesusahan ini nanti kita akan tinggalkan juga. Akan datang suatu hari nanti bila mana kita terjaga dan membuka mata kita, penderitaan yang sedang kita tanggung, kesukaran yang sedang kita hadapi ini akan berakhir juga.


Ketika itu, yang kita rasakan hanyalah kemanisan. Setelah berhari-hari menanggung hidup dalam kepayahan, maka sudah pastilah kita akan merasa begitu bahagia dan gembira bila suatu hari kita bangun, kesukaran itu telah pun berlalu pergi dan sirna dari mata kita.


“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” [Al-Insyirah : 5-6]


Sebab itu, ketika merasa sukar, janganlah pernah putus asa. Janganlah pernah bersedih.


Ketika kita merasa sukar, ketahuilah bahawa Allah itu masih ada. Ketika dunia mungkin menyisihkan atau tidak mempedulikan kita, Allah sentiasa ada mendengar dan mengetahui rintihan hati kita.


Allah s.w.t itu sentiasa ada. Allah s.w.t. tidak pernah tinggalkan kita.


Mengadulah kesusahanmu kepada Allah dan Allah pasti akan mendengarnya.

Ceritalah segala kesukaran yang engkau tempuhi kepada Allah dan Allah pasti ada untuk mendengarmu.


 


Penutup : Dan Hanyalah Kepada Tuhanmu, Kamu Berharap


Sebagaimana Allah s.w.t. telah menguji Nabi s.a.w. dengan beberapa siri kesusahan dan kepayahan dalam hidupnya, serta kemudian Allah mengeluarkannya daripada kesusahan itu dan memberinya kemudahan, maka begitu jugalah kita.


Nabi s.a.w. itu kalau nak dibandingkan ujiannya dengan ujian kita, memang tidak terbanding hebatnya. Baginda s.a.w. dilontar dengan batu oleh anak-anak penduduk Thaif, hilang dua orang kesayangannya, dilempar dengan perut unta, dicaci maki, dikasari dan pelbagai lagi kesukaran yang dihadapinya.


Tetapi, baginda selalu percaya dan berharap kepada Allah.


Maka, kita pun, ketika diuji dengan kesukaran dan kepayahan, pulanglah dan mendekatlah kepada Allah. Pastilah Allah akan membukakan jalan dan memudahkan ketika mana kita hampir berputus asa tidak bertemu jalan penyelesaian.


“Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap.” [Al-Insyirah : 8]

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 06, 2012 13:54

Berita: Aiman Azlan Menyertai Team LangitIlahi.Com!

[image error]


Aiman Azlan bersama Pengasas LangitIlahi.Com – Hilal Asyraf – ketika Hilal Asyraf menghantar beliau pulang ke Kanada di KLIA.


 


Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barokatuh,


Semoga sidang pembaca dan pelawat LangitIlahi.com yang dikashi berada dalam rahmat dan maghfirah Allah SWT. Sesungguhnya kita ini diciptakan oleh Allah SWT, dan kepada Allah SWT kita kembali, masakan logik di tengah-tengah antara keduanya itu kita isi dengan keingkaran kepada Ilahi. Maka hendaklah kehidupan ini kita lorongkan kepadaNya, berdiri atas apa yang Dia suruh, dan meninggalkan apa yang Dia larang.


Alhamdulillah, sebagaimana tajuk post ini nyatakan, kami dengan suka citanya ingin mengumumkan bahawa Aiman Azlan, yang merupakan Vlogger terkenal dan juga fenomena remaja abad ini sebaris dengan Mat Luthfi dan Anwar Hadi, kini menyertai Team LangitIlahi.Com.


Ini disahkan oleh Pengasas LangitIlahi.Com sendiri, iaitu Muhammad Hilal Asyraf, di Page Facebooknya – Hilal Asyraf(Official) -


InsyaAllah role Aiman Azlan akan kekal sebagai Vlogger, dan insyaAllah kita akan dapati penulisan-penulisannya juga akan mula berada di LangitIlahi.Com.



Selain Aiman Azlan, terdapat juga di LangitIlahi.Com hakikatnya tiga lagi personel baru.


[image error]


Afdholul Rahman of LangitIlahi(kiri sekali) bersama Pengasas LangitIlahi.Com – Hilal Asyraf – dan bersama mereka berdua adalah MUIZ of LangitIlahi(tengah-tengah) dan Mukhlis Nasri of LangitIlahi(paling kanan). Berbaju biru itu bernama Qawiem Abdul Baqi, merupakan ahli rumah mereka di Jordan. Semua adalah serumah.



Pertamanya adalah Kolumnis bahagian Agama, ustaz muda kita dari Yarmouk University, Jordan. Merupakan pelajar dalam bidang Usuluddin di sana, bernama – Muhammad Uzair bin Izham – atau lebih dikenali sebagai MUIZ of LangitIlahi. Artikel-artikel di bahagian Agama telah mula ditulis oleh beliau dan alhamdulillah, setakat ini sambutannya agak baik.


Keduanya juga adalah Kolumnis bahagian Agama, juga ustaz muda kita daripada Yarmouk University, Jordan. Pengkhususan dalam bidang Fiqh wa Usuluhu, bernama – Muhklis Nasri. Beliau masih belum mula menulis, namun telah menyatakan persetujuannya bersama Team LangitIlahi.


Akhirnya sekali, LangitIlahi.Com juga menerima kehadiran seorang Vlogger yang kini sedang meningkat naik namanya, itulah dia Vlogger Qawiem Khairi dan kini dikenali sebagai Qawiem Khairi of LangitIlahi. Video pertama beliau boleh ditonton di sini: http://www.youtube.com/watch?v=qiDLVAj9FS0&feature=youtu.be


[image error]


Kelihatan Vlogger Qawiem Khairi bersama Pengasas LangitIlahi.Com – Hilal Asyraf -



Penutup: Semoga Kemasukan Ini Memberikan Kekuatan Kepada Langkahan Perjuangan!


Tiadalah apa yang kami harapkan daripada kemasukan ini melainkan ianya memberikan kekuatan kepada langkahan perjuangan Islami. Kita semua sebenarnya sama-sama bergerak untuk mengajak diri dan manusia lain kembali menjadi hamba yang Rabbani. Kerana itu LangitIlahi konsisten dengan temanya – Mari Menjadi Hamba – yang jelas bahawa kita bukanlah diciptakan untuk menjadi hamba kepada selainNya. Hanya hamba kepada Dia dan Dia sahaja.


Kami mengharapkan sokongan dan doa daripada pembaca dan pelawat LangitIlahi.Com.


InsyaAllah, pada tarikh 8hb dan 9hb September 2012 ini, kami Team LangitIlahi yang berada di Malaysia akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Team LangitIlahi bagi membincangkan beberapa hal serta merancang beberapa projek besar. Kini tiga dari empat cabang LangitIlahi telah berjaya kami bangunkan – LangitIlahi.Com, LangitIlahi Store dan LangitIlahi Consultancy – manakala sebuah cabang lagi masih di dalam proses, yakni Kelab LangitIlahi yang bernama LangitIlahi Community. Kami juga ingin mengemas kini senarai kolumnis dan ahli Team kami dan insyaAllah akan kami umumkan selepas mesyuarat tersebut bersama beberapa projek perancangan kami.


Terus menembak doa dan memberikan sokongan.


Semoga Allah memberikan kemudahan dalam setiap langkahan.


Mari Menjadi Hamba!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 06, 2012 06:11

Komik : Kita serupa.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 06, 2012 03:51

September 5, 2012

Teknologi Maklumat: Mencari Jodoh Di Facebook.

[image error]


Penikahan saya.


 


Zaman sekarang zaman teknologi. Jika dahulu pelajar luar negara akan bertanya: “Di manakah tempat tinggal kami?”, kini soalan pertama adalah: “Macam mana nak dapatkan internet di sini?” Internet dengan kehidupan hari ini, memang tidak mampu dipisahkan.


Dan antara fenomena alam maya adalah Facebook. Laman sosial paling berjaya abad ini, paling popular, dan paling melekat di dalam hati pengguna-penggunanya. Kini, suara-suara hati dapat didengari kerana ramai yang menulisnya di Facebook. Namun berserta dengan itu, fitnah juga semakin menjadi-jadi kerana pembaca bebas menginterprestasi apa-apa yang dibacanya. Ada orang menggunakan Facebook untuk kebaikan, dan ada yang menggunakannya untuk tujuan jahat.


Antara isu yang menarik sepanjang saya menggunakan Facebook adalah isu mendapatkan jodoh melalui Facebook.


Ya, Facebook menjadi tempat mendapatkan Jodoh.


Mendengar penyataan ini, apakah yang muncul di dalam hati anda?



Logika Dunia Maya.


Logiknya di alam maya, gambar dapat diedit. Jantina boleh ditipu. Nama boleh ditukar. Sikap boleh dilakonkan. Kerana diri yang sebenar tersembunyi di sebalik screen yang jauh dari orang ramai. Kita semua mengetahui logik ini. Dan satu perkara yang patut kita letak di dalam diri kita adalah, di internet, semua boleh jadi satu penipuan.


Status Facebook yang soleh, gambar yang hensem dan cantik, aktiviti-aktiviti yang ditunjukkan, boleh jadi hanyalah satu rekaan.


Melainkan kita pernah bertemunya di alam realiti. Melihatnya dengan mata kepala sendiri. Barulah sangkaan kita bahawa itu hanya satu rekaan boleh dipecahkan. Tetapi selagi mana kita belum bertemunya di alam realiti, tidak pernah melihat dia muncul di mana-mana media massa, maka kita wajib meletakkan ‘berhati-hati’ dalam setiap expectation kita di alam maya.


 


Jodoh Di Tangan Tuhan katanya.


“Ala, jodoh di tangan Tuhan, kalau di Facebook terjumpa, di Facebook la juga terjumpanya.”


Ada yang akan main cara mudah, menjawab sedemikian. Ya, saya tidak pernah menafikan jodoh di tangan Tuhan. Namun, Rasulullah SAW menyuruh kita berusaha dalam mencari Jodoh, dengan memilih Jodoh yang baik. Allah SWT pula berfirman agar kita menikahi mereka yang mukmin. Ini semua menandakan bahawa usaha adalah perlu, walaupun kita meyakini bahawa Jodoh di tangan Allah SWT. Kerana perkara yang baik itu Allah akan berikan hanya kepada yang berusaha, walaupun dia bukan seorang yang beriman, kerana itulah Sunnatullah.


Maka berusahalah lebih sedikit dalam mencari Jodoh. Apakah tiada lagi cara lain selain melalui Facebook yang penuh dengan 1001 syak wasangka sebenarnya?


Kadangkala saya fikir, kita sekarang sudah terlalu attach dengan Facebook, sehingga perkara seperti mencari jodoh pun hendak kita lakukan di situ.


Bukan sekali dua orang mengadu kepada saya mereka putus cinta dengan orang yang disangka mereka baik di Facebook. Di Facebook, orang jahat pun silap haribulan boleh buat fake account, letak gambar orang pakai serban, setiap hari post benda-benda baik, agar orang contact dia, mesej dia, dan kemudian dia pergunakan orang-orang yang desperate ini untuk kepentingan dirinya sendiri.


Jangan terlalu naif.


Jodoh di tangan Tuhan. Tetapi usaha pun kena betul juga.


 


Di Luar Pengetahuan Ibu Bapa.


Kadangkala, hanya tertarik dengan status-status yang baik, kita pun memberanikan diri mendekati. Mula dengan selalu ikuti di status, kita selalu like dan comment, share sekali, seterusnya kita mesej dia. Hingga satu tahap, kononnya nak berta’aruf sebab nak dijadikan isteri, atau hajatkan si fulan menjadi suami. Mulalah dengan ta’aruf, hingga ke tahap bertukar-tukar gambar. Jumpa tak pernah pun. Sua muka tak pernah pun. Seronok bertukar-tukar berbalas-balas mesej.


Dan lebih buruk, ini semua di luar pengetahuan Ibu Bapa.


Bila benda ini mengakar di dalam jiwa, tertanam kemas di dalam hati, saat perasaan merasuk diri, bila tiba-tiba semuanya pecah di alam realiti menyedari penipuan berlaku ke atas diri, mulalah menangis tidak berlagu. Kepada siapa diri mahu mengadu? Ibu bapa pun tidak tahu. Kepada rakan yang lebih kurang sama kepala dengan kita? Semestinya tidak.


Akhirnya kepada Ustaz-ustaz Facebook juga diadukan masalahnya.


Semua Facebook.


Akhirnya? Masalah tidak selesai. Jiwa tidak tenang. Hidup tunggang langgang.


Sedangkan, kalaulah kita meminati seseorang, atau berhajatkan hendak berkahwin, mengapa tidak berbicara pada ibu bapa, atau ustaz ustazah yang baik dengan kita, atau pun rakan yang lebih dewasa yang kita yakin dia baik dan boleh bantu kita?


Untuk saya, kala sebaik sahaja saya punya perasaan cinta, saya akan luahkan kepada Ibu bapa saya, kepada ustaz saya, kepada sahabat terbaik saya, agar saya mendapat pandangan dan komentar untuk menyeimbangkan perasaan saya dengan realiti yang perlu saya hadapi. Di situ, peratus untuk membuat keputusan yang silap adalah kurang.


Dan saya amat yakin, mencari jodoh di Facebook, kalau kita bincang dengan Ibu bapa, rakan yang soleh/solehah, ustaz dan ustazah, pastinya perkara ini akan dibangkang awal-awal. Kerana logika maya yang saya utarakan tadi.


 


Penutup: Hiduplah di Alam Realiti.


Berjalanlah. Melihatlah. Belajarlah. Jangan terlalu attach dengan Facebook dan alam maya sehingga kita ini buta akan realiti kehidupan yang sebenarnya. Logiknya, kita mahukan jodoh yang baik. Justeru, jodoh yang baik itu mustahil semudah status-status yang baik di Facebook, mustahil semudah wajah tampan di Pic Profile dan sebagainya. Sedangkan kita hendak hidup dengan orang itu bukan setahun dua.


Gunalah jalan cinta yang benar. Kongsikan perasaan dengan orang tua. Berpijaklah pada realiti dunia. Risik dahulu latar belakang orang yang kita suka. Kalau apa yang kita lihat di Facebook itu realiti, orangnya betul-betul ada, maka selidik dahulu profilenya, aktivitinya, sembang-sembangnya dengan rakan-rakan dari jauh. Tahu dulu wajah sebenarnya bagaimana, check dahulu sikapnya bagaimana, berikanlah diri masa, jangan terus-terus tergoda. Istikharahlah, istisyarah(bermesyuarat)lah. Jangan semberono sahaja.


Semoga yang baik itu, hidup bersama kita.


Jangan menyesal di kemudian hari, dan tiada siapa dapat membantu lagi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 05, 2012 02:56

Kehidupan: Tanpa Strategi, Di Manakah Asbabnya Untuk Menang?


Picture taken from http://abdelghany.deviantart.com/


 


Di dalam kehidupan ini, saya berusaha mengajak agar kita punya plan dan strategi di dalam perjuangan kita menegakkan Islam. Namun, saya telah bertemu beberapa orang yang berkata:


“Buat apalah nak planning-planning? Kita ini kalau bawa Islam, sudah sah-sah Allah bantu. Kemenangan itu ada pada Islam! Jangan ragu!”


Bertemu dengan manusia sebegini, saya mula memahami permasalahan sebenar dalam strategi perjuangan ummat Islam hari ini dan saya mula mendapat jawapan kepada mengapa ummat Islam tidak mampu naik sebagai ummat yang berjaya membawa perjuangannya hari ini.


Kerana mereka sangka, apabila kita sudah Islam, dan kita berjuang menegakkan Islam(dengan apa cara pun), maka kemenangan akan datang kepada kita.


Ini adalah kefahaman yang salah, seterusnya membuatkan kita menjadi lemah dalam isu-isu yang mendatang, dan terus kalah dan kalah, dihina dan dihina kerana tewasnya kita dalam perjuangan.



Jikalau Dengan Dalil – Kita Islam, Kita Perjuangkan AgamaNya – Itulah Penjemput Kemenangan…


Saya melihat kembali kepada Sirah Nabawiyah. Melihat kepada seorang manusia ulung bernama Muhammad bin Abdullah SAW, yang kita gelarnya dengan gelaran agung – Rasulullah SAW – yang mana baginda ini adalah kekasih kepada Allah. Bukan manusia biasa seperti kita secara darjatnya. Apabila orang menyakiti baginda, Allah murka. Apabila ada orang yang membuatkan baginda gembira, Allah turunkan kasihNya. Begitulah sekali Rasulullah SAW di sisi Allah SWT.


Jika benarlah hanya dengan ‘Kita orang Islam, Kita perjuangkan AgamaNya, jadi tak payah planning-planning, Allah akan bagi kemenangan kepada kita’, maka mengapakah kekasih Allah SWT itu membuat pelbagai perancangan dalam menyebarkan agama yang tidak lain tidak bukan diturunkan oleh Allah SWT sendiri?


Rasulullah SAW ketika berdakwah, baginda pergi kepada ahli keluarga dahulu. Mengapa tidak baginda terus ke tengah-tengah Ka’bah, dan menyeru begitu sahaja sebaik sahaja mendapat wahyu?


Rasulullah SAW kala hendak pergi ke Ta’if, baginda membawa anak angkatnya Zaid bin Harithah RA, bukannya Abu Bakr RA agar orang tidak menyangka bagina ke Ta’if untuk berdakwah. Keluar dengan Zaid bin Harithah RA melihatkan bahawa itu adalah ayah dan anak angkat keluar berjalan.


Rasulullah SAW kala berhijrah, memilih keluar pada waktu malam bukan waktu siang. Baginda keluar secara sembunyi-sembunyi, bukannya terang-terangan. Baginda tidak pergi terus ke Madinah, tetapi menghala ke Yaman terlebih dahulu, dan baginda bersembunyi di Gua Thur untuk membuatkan orang yang mengejarnya tidak dapat mengejar baginda. Baginda tidak keluar sendirian, tetapi baginda keluar bertemankan Abu Bakr RA.


Rasulullah SAW ketika Perang Badar, baginda mengikut pandangan sahabat baginda untuk memilih kem berdekatan mata air. Ketika perang Uhud, baginda menempatkan pemanah di atas bukit. Ketika Perang Khandak, baginda menerima pandangan Salman Al-Farisi RA untuk menggali parit. Ketika Perang Mu’tah, baginda menyediakan tiga orang ketua. Rasulullah SAW ketika peristiwa Fathul Makkah, masuk melalui keempat-empat penjuru Makkah itu.


Apa yang saya sebut di atas ini, semuanya adalah strategi. Semuanya adalah perancangan. Jika benarlah dengan alasan kita ini sudah Islam, kita ini sudah hendak perjuangkan agama Allah, maka strategi dan perancangan adalah tidak diperlukan, Allah akan terus berikan kita kemenangan, maka bagaimanakah seorang kekasih Allah, saya ulang – Kekasih Allah – melaksanakan perancangan dan strategi? Apakah kurangnya tawakkal Rasulullah SAW kepada Allah? Mustahil sekali!


 


Apabila Strategi Tidak Diperhalusi, Kita Ditipu dan Sering Melakukan Silap Lagi dan Lagi.


Di dalam berdakwah hari ini, mengapa dakwah tidak mendapat sambutan? Kerana di dalam dakwah tidak ada strategi. Kita sibuk mengharamkan itu dan ini, kita sibuk mengkafirkan dia dan dia, dan kita sibuk menerakakan orang. Strategi tiada. Terus sahaja.


Seorang perokok yang merokok 20 batang sehari, ke arah nak berhenti merokok telah berjaya mengurangkan dari 20 kepada 10 batang. Tetapi kita tidak appreciate. Kita terus kata: “Alah, merokok juga. Buat apa.”


Seorang perempuan yang sebelum ini tidak menutup aurat, namun kini telah berpakaian sopan, tinggal tidak bertudung sahaja. Tetapi kita tidak appreciate. Kita kata: “Alah, tak tutup aurat juga.”


Kita tidak punya strategi. Kita tidak ambil kira bagaimana kita approach seseorang. Kita tidak ambil tahu latar belakang keadaan orang yang hendak kita dakwahkan. Kita rasa, asal kita dakwah, asal kita cakap tu benda betul, maka Allah akan tolong kita. Bagaimana agaknya Allah mahu menolong orang yang tidak berstrategi sedang Rasulullah SAW juga berstrategi? Hatta Allah SWT yang berkuasa membolak balikkan hati manusia pun, kala Dia hendak mengharamkan Arak untuk manusia, Allah telah menurunkan tiga ayat. Bukan satu ayat untuk terus haramkan. Bagaimana kita?


Begitulah yang terjadi apabila isu Hudud dibangkitkan di negara kita. Dengan mudah kita kafirkan mereka yang mengeluarkan idea ‘menangguhkan terlebih dahulu perlaksanaan hukum hudud’. Dengan mudah kita menjawab: “Bukankah hudud itu hukum Allah? Mana boleh tangguh!”


Kita tidak lihat keadaan masyarakat, kemampuan kempimpinan, dan kekuatan para pemimpin untuk melaksanakan perkara itu. Silap cara, hudud menjadi fitnah. Strategi tidak kena, hudud pula akan disalah guna untuk menghukum mereka yang tidak sebulu dengan kepimpinan. Lebih buruk, apabila pemimpin bukan orang yang siap memikul amanah melaksanakan hukuman hudud yang nyata jelas kekerasan impaknya itu, hudud akan bertranformasi dari 100 sebat kepada beratus-ratus sebat seperti yang berlaku di Arab Saudi. Akan digunakan untuk menindas perempuan pula nanti. Yang miskin pula nanti yang akan sibuk dipotong tangan kerana mereka mencuri, manakala yang songlap duit juta-juta tidak dikenakan hukuman.


Siapa kata hukum Allah SWT tidak boleh tangguh? Tangguh adalah strategi. Solat Jama’ ada jama’ ta’khir. Yakni melambatkan Solat Zuhur ke dalam waktu Solat Asar. Solat Magthrib ke Solat Isya’. Sedangkan Solat adalah tiang agama, hukum Allah SWT. Justeru mengapa ia boleh ditangguhkan? Dan jelas Rasulullah SAW sendiri mengarahkan penangguhan hudud jika suasana tidak sesuai melaksanakannya:


“Jangan dipotong tangan pencuri ketika di dalam peperangan.” Hadith Riwayat At-Tirmidzi.


“Jangan dipotong tangan ketika permusafiran.” Hadith Riwayat Abu Dawud.


Namun orang yang tidak faham, dan merasakan strategi tidak penting, menganggap penangguhan Hukum Hudud dikatakan satu kesalahan. “Inikan hukum Allah, mengapa mesti tangguh?” Itu sahaja logiknya. Difikirkan, laksanakan sahaja hukum hudud, kita akan menang. Kita akan aman. Kita akan makmur. Ia tidak semudah itu.


Hukum Hudud datang selepas urusan rakyat itu diselesaikan. Hak rakyat usaha dipenuhi. Saat kala kepimpinan negara tidak mengambil lebih dari yang sepatutnya.


Namun kita berdegil. Kita yakin kita akan menang hanya dengan mengangkat perjuangan Islam.


Sedangkan kemenangan kepada yang lebih berstrategi.


Masyhur kata-kata Saidina Ali RA:


“Kejahatan yang berstrategi akan menewaskan kebaikan yang tidak berstrategi.”


Akhirnya bila kita angkat sesuatu perjuangan tanpa strateginya, kita akan ditewaskan. Seakan-akan pergi berperang dengan sengaja tidak memakai baju besi dan membawa senjata. Seakan-akan hendak membuka pintu, tanpa bergerak memulas tombolnya, atau zaman sekarang kalau ada pintu automatik, tanpa setkan sensornya, atau tanpa klikkan butang alat pembuka jarak jauhnya.


Justeru?


Bagaimana tiba-tiba kita boleh memenangkan Islam yang besar ini, rahmat kepada sekalian alam ini, dengan pergi meredah begitu sahaja tanpa perancangan?


 


Penutup: Kita Sibuk Takutkan Illuminati Dan Freemason Yang Berstrategi Katanya. Tetapi Tidak Melihat Kesilapan Diri.


Hari ini kita sibuk ditakutkan dengan fenomena ‘Teori Konspirasi Freemason dan Illuminati”, saya tidaklah kata semuanya silap. Namun kadangkala kita hingga terlalu paranoid. Lebih teruk apabila saya mengajak kepada merancang perjuangan Islam ini dengan lebih berstrategi, ada yang menjawab:


“Buat apa, orang kafir dah tahu semua. Mereka akan gagalkan perancangan kita.” Ya, itulah buruknya paranoid yang melanda. Merasakan rancangan kita akan gagal, kerana terlalu percaya akan kemasnya perancangan musuhnya.


Kita biarkan musuh merancang, namun kita tidak merancang strategi yang kemas dan cantik. Kita tidak muhasabah kesilapan kita, kita ulang dan ulang kesilapan kita. Kita tidak bijak. Kita sekadar percaya bahawa kita bawa agama Allah, walau tanpa strategi pun Allah akan bantu kita. Kita marah orang ambil Al-Quran secara juz’i-juz’i(sebahagian-sebahagian), namun kita sendiri ambil secara sebahagian-sebahagian.


Kita ambil Surah Muhammad ayat 7: “Sekiranya kamu membantu agama Allah, Allah akan membantu urusan kamu dan memperkuatkan langkahan kamu.”


Tetapi kita meninggalkan Surah Ar-Ra’d ayat 11: “Sesungguhnya Allah itu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka.”


Justeru, di manakah strategi kita?


Di manakah plan kita?


Apakah kita ‘membaca’ keadaan masyarakat?


Adakah kita ‘ambil tahu’ keperluan masyarakat?


Pernahkah kita ‘cuba selami’ apa yang masyarakat suka dan tidak suka?


Di dalam perjuangan untuk mengajak masyarakat kembali kepada Allah SWT, kita perlu mengenali dan memahami masyarakat. Cuba masuk dari bahagian yang mereka suka. Cuba masuk dengan perkara yang selaras dengan level mereka. Cuba menawan hati mereka terlebih dahulu. Cuba membina connection dengan mereka dahulu.


Di manakah strategi kita?


Percayalah, meredah begitu sahaja, tidak akan ada kemenangan buat kita.


Kerana di manakah asbab kemenangannya untuk Allah berikan kemenangan itu buat kita?


Walau kita memperjuangkan agamaNya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 05, 2012 00:18

September 4, 2012

Berita: Jadual Program Hilal Asyraf September – Disember 2012.

[image error]


Logo LangitIlahi Consultancy


 


Memandangkan jemputan untuk LangitIlahi Consultancy menghantar Hilal Asyraf memenuhi jemputan ceramah, bedah buku, bengkel penulisan dan sebagainya semakin banyak, maka kami mengambil inisiatif untuk menunjukkan kepada umum jadual Hilal Asyraf dari September-Disember 2012 di sini.


Sebarang urusan jemputan personel LangitIlahi(bukan terhad kepada Hilal Asyraf sahaja) adalah perlu melalui kami di email consultancy@langitilahi.com untuk memudahkan urusan. Harga boleh dibincangkan. Sebaiknya, semasa hendak menjemput itu, perlulah diberikan beberapa maklumat:


1 – Nama program.


2 – Tempat program.


3 – Masa program dijalankan.


4 – Tajuk/konsep penyampaian.


5 – Bilangan penonton/pendengar dan kalau boleh disertakan sekali latar belakang mereka secara general.


6 – Bajet bayaran.


Di sini, kami nyatakan jadual untuk Hilal Asyraf of LangitIlahi untuk September – Disember 2012




-SEPTEMBER-


 


1hb:

Perkahwinan sahabat – Puncak Meru, Perak.

Perkahwinan sahabat – Sungai Petani, Kedah.


2hb: Jejak Kisah Ke Bumi Kekasih(program untuk yang nak fly ke middle east) – Masjid Seberang Jaya, Penang.


3hb:

Program Mahasiswa(rahsia) – Tempat(Rahsia).

Menghantar abang ipar pulang ke Korea – KLIA.


5hb: Program Raise Our Spirit – INTEC, Shah Alam.


7hb:

Bedah Buku Motivasi Irkam Ma’ana – UniSZA, Terengganu.

Bengkel Usrah Tunjang Tarbiyah – Kuala Terengganu.


8hb-9hb: Mesyuarat Agung+Family Day Team LangitIlahi – Kelantan.


10hb: Zaujah start belajar.


12hb: Jemputan Talk – Institut Profesional Baitulmal, Kuala Lumpur(belum confirm lagi).


15hb:

Gathering Santai Mahabbah Ukhuwwafillah bersama followwers Hilal Asyraf(official)

Perkahwinan sahabat – Selangor.


16hb:

Perkahwinan sahabat – Selangor.

Perkahwinan sahabat – Selangor.


22hb: Ke Mana Destinasi Kita Selepas Ini? – UTHM, Johor.


23hb: CyberDa’ie: Dakwah Beyond Boundries – UM, Kuala Lumpur.


24hb: Forum Remajar – under JC, UIA, Gombak.


27hb: Cinta dan Cita-cita – UniMap, Perlis.


28hb: Program di UUM, Kedah.


29hb: Program di UNIMAS, Sarawak.


 

-OKTOBER-


5hb: Forum – UTeM, Melaka.


6hb: Seminar Baitul Muslim – under OneHeart Solution, Lembah Klang.


7hb: Forum (Intellectual Discourse) – CONVEST, UIA, Gombak.


9hb: Rasulullah Qudwah Agung – UPSI, Kolej Za’ba, Perak.


11hb, 12hb, 13hb: Program di Singapura dengan Syabab MKS.


19hb: Cinta Kepada Allah dan Rasul – UiTM, Shah Alam.


20hb: Dakwah Melalui Penulisan – UPSI, Perak.


27hb-28hb: Bengkel Penulisan Kreatif – Anjuran LangitIlahi Consultancy, Selangor(tempat belum confirm).


 

-NOVEMBER-

4hb: Inspiration Islamic Festival – UPM, Serdang.


9hb: Program Super Muslim: Membina Potensi Diri – UUM, Kedah.


26hb: Talk Sebelum Aku Bernikah – Universiti Malaysia Terengganu.


 

-DISEMBER-

13hb: Membina Kematangan – Perpustakaan Negara.


 


Penutup: Anda dialu-alukan Membuat Tempahan untuk Tahun 2013.


Hilal Asyraf adalah pengasas kepada website LangitIlahi.Com dan beliau telah menulis 17 buah buku yang terdiri dari 8 buah Novel, 6 buah Buku motivasi, 2 buah kumpulan cerpen dan sebuah kumpulan puisi dalam masa 4 tahun ini. Beliau berpengalaman mengendalikan program-program bengkel penulisan, talk motivasi, tazkirah agama atau perkongsian perihal cinta, dan perkara yang berkaitan.


Walaupun kelihatan bulan November dan Disember banyak yang kosong, kami akan kurang mengambil jemputan pada bulan itu kerana hendak memberikan ruang kepada beliau fokus kepada penulisan, penghasilan buku pula.


Bagi yang berhajat menjemput beliau pada tahun 2013, kami mengalu-alukannya.


Prinsip kami di LangitIlahi Consultancy adalah siapa tempah dahulu, dia dapat dahulu. Walaupun yang tempah kemudian menawarkan wang yang lebih lumayan. Melainkan ada hal-hal peribadi seperti emergensi kekeluargaan atau jatuh sakit, insyaAllah program tidak akan dibatalkan. Jika berlaku, kami akan berusaha menggantikan penceramah kami dengan personel LangitIlahi yang lain terlebih dahulu.


Mari Menjadi Hamba adalah tema kami.


Semoga Allah SWT memberkati usaha ini.


Sekian.


 

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 04, 2012 23:16

January 31, 2011

Langit Ilahi V2

[image error]

Langit Ilahi baru.


Bermula 1hb Januari 2011 yang lalu, Langit Ilahi baru telah dilancarkan.


Bermula 1hb Ferbruari 2011 pula, Langit Ilahi yang sekarang ini tidak akan lagi aktif, bahkan akan dipadamkan sekitar sebulan atau dua bulan lagi. Segala Novel bersiri, cerpen, puisi dan segala karya saya akan selepas ini hanya muncul di Bahagian Karya di Langit Ilahi baru tersebut.


Langit Ilahi yang baru, mempunyai lima orang penulis, termasuk saya sendiri, Cikgu Azmi Bahari@Abu Umar, Encik Razali Ma'rof@Abu Ridhwan, 'Ali Irfan bin Jamalluddin@BroHamzh, dan Muhaimin Misran. Diikuti dengan dua kartunis bernama Afiq Nasyiron dan Rafi', bersama-sama dengan seorang fotografer bernama Tengku Muhammad Fahmi.


Sertai kami, Kumpulan Langit Ilahi, di Langit Ilahi yang baru, pada link berikut.


http://langitilahi.com.


Semoga Allah redha.


Terus Menjadi Hamba!

4 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 31, 2011 16:04

Terakhir daripada saya, di sini.




[image error]

Langit Ilahi ~ Picture by Tengku Fahmi of Langit Ilahi



31 Januari 2011. Saya sudah niatkan di dalam diri saya untuk berhenti memberikan update di Langit Ilahi yang ini bermula esok. Bermula 1hb Februari 2011, saya tidak akan lagi memberikan apa-apa update di website ini. Saya akan fokus sepenuhnya pada Langit Ilahi V2 yang digerakkan bersama-sama sahabat saya.


Ramai juga yang menyatakan bahawa saya patut meneruskan penulisan saya di Langit Ilahi ini. Tetapi saya kira, saya telah berfikir panjang berkenaan hal ini dan saya bertekad untuk melaksanakannya.


Tetapi saya akan menghormati permintaan ramai, yakni untuk tidak terus memadam website Langit Ilahi ini, dan membiarkannya untuk beberapa ketika. Mungkin buat sebulan dua lagi. Selepas itu, saya akan tetap memadamnya.


Maka, inilah perkongsian terakhir daripada saya di website Langit Ilahi penuh kenangan ini.



Mari Menjadi Hamba


Apakah tujuan asal saya memulakan sebuah laman maya bernama Langit Ilahi?


Untuk mengajak diri saya, dan semua yang membaca penulisan saya, untuk kembali menjadi hamba Allah SWT. Itu satu-satu tujuannya. Tiada yang lain.


Saya berharap, saya berjaya di dalam hal ini.


Saya berharap, selama tiga tahun saya menggerakkan Langit Ilahi berseorangan, dari zaman blogspot hingga ke era website, saya berjaya menyentuh hati saya dan pembaca-pembaca saya untuk pulang menjadi hamba kepada Allah SWT.


Saya berharap, saya berjaya.



Ini laman yang banyak memperkenalkan saya diri saya


Menguruskan Langit Ilahi juga banyak menunjukkan saya diri saya yang sebenar. Banyak ujian dan dugaan dalam menguruskannya, lebih-lebih lagi dalam berkomunikasi dan berhubungan dengan pembaca. Ada ujiannya dalam bentuk kesusahan, ada ujiannya dalam bentuk kesenangan.


Semua itu memperkenalkan saya akan diri saya.


Ada masa saya bersemangat, saya tulis perkara-perkara semangat. Ada masa saya lemah, saya menulis dalam bentuk orang yang kelemahan. Bila saya dalam keadaan sederhana, saya membaca kedua-duanya, saya tertawa. Ini rupanya aku.


Sepanjang menguruskannya berseorangan juga, saya kenal kelemahan saya, limit saya sebagai manusia biasa. Saya baru tahu oh itulah langit, itulah bumi. Saya baru kenal benar apakah itu 'dunia dan orang-orang di dalamnya'.


Langit Ilahi juga seakan menjadi medan pembentukan diri apabila ada yang menegur, memberikan kritikan, yang semuanya memberikan manfaat yang teramat besar buat diri saya. Sedikit demi sedikit, saya terbina dan terbina.


Saya sangat menghargai laman ini.



Hilal Asyraf Langit Ilahi


Dengan laman ini, saya membina tangga-tangga ke arah hari ini. Langit Ilahi seakan tren untuk saya sampai kepada apa yang saya telah sampai hari ini.


Hilal Asyraf Langit Ilahi. Macam tidak boleh dipisahkan. Hingga hari ini, gurauan rakan-rakan berkenaan saya, kadangkala disangkutkan juga Langit Ilahi. Bahkan, ada sahaja yang memanggil saya dengan nama 'Langit Ilahi' terus.


Siapa yang menjangka, hari-hari saya update blog saya, dan blog saya diikuti hingga counternya 60,000 orang dan menarik perhatian syarikat penerbitan? Tak pernah terketuk pun dalam kepala saya ini, bahawa ada orang dari syarikat penerbitan yang ingin membaca blog saya dan menerbitkan pula penulisan saya.


Daripada itu, saya dikenali ramai. Alhamdulillah, nikmat itu jugalah yang membuka peluang untuk saya melihat dunia dengan lebih luas. Bila pulang di Malaysia, orang jemput ke sana ke mari, itu semua menambah pengalaman. Ramai yang menyangka saya adalah orang berilmu yang datang untuk menyampaikan. Sebenarnya bukan, saya memberikan penyampaian hanya kerana saya perlu mengingatkan diri saya, dan juga ingin mengutip lebih banyak pengalaman dan mendapat banyak pengajaran.


Memang kalau ada yang bertanya, saya memang tidak akan menjangka akan sampai ke hari ini begini.


Allah itu benar-benar Maha Kuasa. HambaNya berusaha sedikit sahaja, Dia memberikan nikmatNya pula tidak terhingga.



Usaha dan percaya, natijah pula adalah urusanNya


Antara perkara terpenting yang saya perolehi sepanjang menguruskan Langit Ilahi adalah, Allah itu pasti akan membalas usaha hamba-hambaNya. Tinggal, sejauh mana kita yakin dan percaya, dan sejauh mana kita mampu berusaha atas keyakinan dan kepercayaan kita itu?


Langit Ilahi membuktikan kepada saya bahawa, usaha kerana Allah itu tidak akan pernah sia-sia. Ada sahaja balasanNya, nikmatNya, yang tidak terduga untuk kita. Langit Ilahi juga mengajar saya bahawa, dalam keadaan tersepit bagaimana sekalipun, tetaplah kekal percaya kepadaNya. Allah pasti akan membantu kita.


Usaha, usaha, usaha, usaha. Sambil terus meyakiniNya, sambil terus percaya akanNya, dan pastinya yang akan datang kepada kita nanti hanya yang baik-baik sahaja daripadaNya.


Ini amat berharga.



Mengapa hendak berhenti di sini?


Ada yang bertanya.


Sebenarnya, saya telah memutuskan untuk berhenti bergerak seorang diri. Saya hendak membina sesuatu yang lebih 'besar'. Saya hendak bergerak bersama sahabat-sahabat saya yang mempunyai kefahaman perjuangan yang sama dengan saya.


Bukanlah yang dihentikan itu adalah Langit Ilahi. Bukanlah yang dihentikan itu adalah penulisan-penulisan. Bukanlah yang dihentikan itu adalah mesej yang hendak disampaikan.


Tetapi yang dihentikan itu adalah berseorangan.


Cukuplah saya membina tapak. Sekarang adalah masa untuk saya mengajak sahabat-sahabat saya untuk menggunakan tapak itu.


Tambahan, saya amat terkesan dengan bicara Pakcik Rosdi Baharom, apabila saya menziarahinya di Kelantan semasa cuti tempoh hari. Pesannya:


"Enta kena berikan Islam kepada masyarakat, bukan berikan kepada Hilal Asyraf kepada masyarakat."


Di situlah saya menyimpan hajat besar untuk bergerak bersama sahabat-sahabat sefikrah saya. Sebab saya yakin, sekiranya saya bergerak menggerakkan Langit Ilahi ini berkumpulan, fokus orang kepada saya akan berkurangan. Biar pembaca-pembaca saya, benar-benar fokus kepada Allah, kepada Islam, kepada ingin menjadi HambaNya tanpa perlu berpaut kepada mana-mana individu sebagai 'perantara'.


Saya fikir, ini juga mengurangkan fitnah buat diri saya, dan juga buat pembaca saya.


Saya juga yakin bahawa ini lebih bersih, dalam menyampaikan apa yang Allah SWT redha.



Penutup: Saya minta maaf semua salah silap saya


Saya minta maaf atas semua salah silap saya selama ini sepanjang menguruskan Langit Ilahi ini secara berseorangan selama 3 tahun ini. Mungkin ada perkongsian-perkongsian saya yang tidak menyenangkan, mungkin ada tazkirah saya yang tidak memberikan kesan, mungkin ada yang terguris hati dengan apa yang saya tuliskan, saya menunduk dan memohon kemaafan.


Saya hanya manusia yang berusaha. Saya bukan manusia sempurna.


Saya berharap, segala apa yang saya kongsikan dengan anda, sepanjang Langit Ilahi ini beroperasi, mampu memberikan kebaikan kepada kita bersama.


Kebaikan buat anda, kebaikan juga buat saya.


Kebaikan di atas dunia, dan pastinya kita harapkan kebaikan di akhirat sana.


Marilah sama-sama, kita melihat diri kita semula.


Apakah kita telah menjadi 'Hamba'?


Semoga Allah ampunkan segala salah dan silap saya.




 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 31, 2011 15:52

Saya dan buku-buku saya.




[image error]

Saya dan guru-guru saya, bersama Ustaz Abu Hasan Morad, dengan buku-buku saya.



Hari terakhir di Langit Ilahi, saya ingin tinggalkan senarai buku-buku yang telah saya tulis selama ini, setakat ini. Juga saya akan buat senarai ringkas projek saya yang seterusnya. [image error]


Pejam celik, pejam celik, sudah dua tahun saya menjadi penulis buku. Begitulah juga usia Langit Ilahi. Dua tahun. Ironinya, umur saya sekarang 22 tahun. huhu.


Inilah dia hasil tangan dan akal saya, hati dan jiwa saya, selama 2 tahun ini.


Semoga Allah redha.


[image error]






1. Novel VT. (Telah terbit)


Novel VT adalah buku saya yang pertama terbit di alam realiti. Bermula dengan cerpen Matahari yang ditunjukkan kepada Encik Zakaria Sungib, Novel VT direalisasikan. Saya mula menulis Novel VT pada awal januari 2009 dan menyempurnakannya pada awal Februari 2009. Novel VT adalah yang banyak membantu memperkenalkan saya kepada orang ramai. Sehingga kini, Novel VT masih dicari dan jualannya masih hangat. Amat sesuai untuk remaja, dan juga guru-guru sebenarnya.



[image error]

Cover Novel VT


Novel VT mengisahkan Kumpulan Bola Tampar Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah yang menghadapi kemungkinan untuk dibubarkan kerana prestasi buruk mereka, ditambah pula dengan akhlak buruk pemain-pemainnya. Ketika ini datang seorang guru yang misteri bernama Hussam, dipanggil khas oleh Ustaz Mahadzir, warden merangkap pengurus pasukan Bola Tampar tersebut, bagi menyelamatkan pasukan itu. Adakah Hussam akan berjaya? Metod apakah yang digunakan oleh Hussam untuk mendidik pemain-pemain bola tampar yang liar itu?



2. Novel Terasing. (Telah terbit)


Novel Terasing adalah Novel saya yang kedua terbit. Karya yang sebenarnya saya tulis sebagai sekuel kepada Novel Relasi, telah terbit dahulu sebelum Novel Relasi. Terasing saya tulis padang penghujung tahun 2007. Asas kepada Novel Terasing adalah, ukhuwwah itu dengan semua, dan jangan asingkan orang yang berdosa, juga orang yang berdosa jangan sesekali mengasingkan diri dari kebaikan.



[image error]

Cover Novel Terasing.


Saifullah telah bermimpikan akan sahabatnya, Zaman, yang telah terpisah lama. Di dalam mimpi itu, dia diperingatkan akan janjinya kepada sahabatnya itu. Tidak lama kemudian, Zaman pulang. Tetapi Zaman yang dikenali sudah berbeza perawakannya. Pada masa yang sama, Kumpulan Kongsi Gelap Homurodama mula melakukan huru-hara dengan menculik anak-anak. Lebih memburukkan keadaan, Saifullah turut menjadi mangsa buruan kumpulan tersebut. Mengapakah Saifullah turut diburu? Dan bagaimana pula kisah ukhuwwah Saifullah dan Zaman?



3. Novel Relasi. (Telah terbit)


Novel Relasi hakikatnya dalah Novel pertama yang saya tulis. Saya menulisnya pada awal tahun 2007. Asas kepada novel ini adalah ukhuwwah. Ketika itu saya sekadar menulisnya untuk suka-suka sahaja. Tetapi tidak sangka Abah melihatnya dan memberikannya kepada rakannya yang juga merupakan novelis: Puan Maskiah. Daripada titik itulah saya merintis jalan seorang penulis.



[image error]

Cover Novel Relasi.


Saifullah dan Senior, dua sahabat karib yang membina ukhuwwah atas dasar kerana Allah SWT. Namun wujud salah faham antara mereka, yang membuatkan Saifullah menjauhi Senior. Pada masa yang sama, Empat Paksi Kejahatan di sekolah telah melakukan huru-hara dan berusaha untuk menjatuhkan Saifullah. Bagaimanakah Saifullah melalui kehidupannya, dan bagaimana pula pengakhiran hubungannya dan Senior?



4. Novel Remaja Mulia. (Telah terbit)


Novel Remaja Mulia adalah Novel kategori Awal Remaja yang pertama saya tulis. Awalnya, tiada langsung rancangan untuk menulis novel ini. Encik Zakaria Sungib yang memberikan cadangan untuk menghasilkannya. Memandangkan ketika itu saya sedang menulis Novel Sinergi, maka saya rancang Remaja Mulia sebagai 'prekuel' kepada Novel Sinergi. Dan apabila saya siap menulis Remaja Mulia, saya terus menjadi semangat untuk menulis buat adik-adik. Hingga saya tetapkan dalam diri saya bahawa: "Aku ini, setahun mesti paling kurang buat satu novel awal remaja untuk adik-adik." [image error]



[image error]

Cover Remaja Mulia.


Remaja Mulia mengisahkan Irfan Hakimi yang baru kematian bapanya. Dia akhirnya tinggal dengan Haji Makruf, teman rapat ayahnya. Berasal dari keluarga yang sederhana, dan akhirnya menumpang di rumah sahabat ayahnya yang cukup-cukup makan sahaja, Irfan Hakimi perlu melalui pelbagai perkara di sekolahnya angkara Empat Sekawan yang sering berusaha menyusahkanya. Di sekolahnya, dia membina hubungan dengan pelajar baru yang agak 'brutal', bernama Rasyid Zakwan. Pelajar bermasalah. Bagaimanakah Irfan Hakimi melalui kehidupannya? Bagaimana pula Irfan Hakimi dan Empat Sekawan yang sering menyusahkannya? Dan apakah yang akan terjadi kepada Rasyid Zakwan apabila Irfan Hakimi merapatinya?



5. Novel Sinergi. (Telah terbit)


Novel Sinergi adalah 'Novel Terhebat' saya setakat ini. Dalam semua novel saya yang telah terbit, saya sangat mencintai Novel Sinergi. Mengapa? Saya sukar hendak menceritakannya. Mungkin boleh tanyakan orang yang telah membacanya. Novel Sinergi saya tulis di penghujung tahun 2009. Keimanan adalah asas kepada novel ini.



[image error]

Cover Novel Sinergi.


Novel Sinergi mengisahkan akan Irfan Hakimi dan Rasyid Zakwan yang telah membesar dan belajar di Jordan. Mereka membawa 'konsep keimanan' di dalam kehidupan mereka, yang menghasilkan satu formula bernama 'Sinergi'. Konsep Keimanan mereka itu berjaya menggerakkan warga Pelajar Melayu di Irbid, Jordan ke arah kebaikan. Namun, kedatangan lima pelajar genius bergelar 'Disaster Five' seakan-akan cuba menentang apa yang dibina oleh dua sahabat itu. Lebih memburukkan, muncul satu watak misteri bernama Secret yang kelihatannya menyokong perjuangan 'Disaster Five'. Tambahan, Secret seperti mengetahui kisah hitam dalam kehidupan Irfan. Bagaimanakah Irfan Hakimi dan Rasyid Zakwan melalui semua itu? Adakah konsep keimanan mereka dapat dipertahankan? Apakah yang akan berlaku kepada Disaster Five dan Secret?



6. Novel Remaja Harapan. (Telah terbit)


Apabila masuk 2010, saya merancang untuk menulis satu kisah remaja yang banyak aksi. Saya juga merancang untuk kisah itu tidak terlalu banyak tazkirah, dan juga tidak membawa isu yang terlalu berat. Saya turut merancang agar buku itu nanti mempunyai satu muka surat tazkirah motivasi selepas setiap bab. Itulah dia Novel Remaja Harapan. Novel kategori Awal Remaja saya yang kedua. Saya menulisnya sepanjang cuti saya di Malaysia pada tahun 2010.



[image error]

Cover Novel Remaja Harapan.


Megat Iskandar Asyraf adalah seorang pelajar darjah lima yang tertekan kerana sering diganggu oleh Lima Sekawan Darjah Enam yang hebat seni tempurnya. Akibat sering dibuli, akhlak dan tingkah laku Iskandar turut berubah. Keadaan ini disedari oleh Ayah dan Ibunya, lantas Iskandar diajak untuk mengikuti satu proses peningkatan terhadap dirinya. Apakah proses tersebut? Dan bagaimanakah proses tersebut membantu Iskandar dalam masalahnya? Apakah yang akan berlaku antara Iskandar dan Lima Sekawan?



7. Kumpulan Cerpen Matahari. (Telah terbit)


Sepanjang dua tahun saya menjadi penulis, saya sering juga mengisi masa lapang dengan menulis pelbagai cerpen. Akhirnya, 18 daripada tiga puluh cerpen saya itu, saya pilih untuk dimasukkan ke dalam Buku Kumpulan Cerpen Matahari. Matahari adalah Kumpulan Cerpen saya yang pertama, yang mana setiap cerpen di dalamnya mempunyai makna yang besar buat diri saya.



[image error]

Cover Kumpulan Cerpen Matahari.


Kumpulan Cerpen Matahari ini mempunyai 18 cerpen pelbagai genre. Antara yang wujud di dalamnya adalah Cerpen Matahari(pencetus kepada Novel VT). Kumpulan Cerpen ini sarat dengan realiti kehidupan manusia seharian, juga dengan masalah-masalah yang biasa dijumpai. Wujud juga perihal cinta, ukhuwwah, hubungan dengan Allah dan motivasi. Kumpulan Cerpen yang mana jika diselak setiap helaiannya, seakan menyelak cerita hidup kita sendiri.



8. Buku Motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita. (Telah terbit)


Tuhan Tidak Lupakan Kita adalah Buku Motivasi saya yang pertama. Encik Zakaria Sungib pada satu hari menjengah ke Langit Ilahi(yang ketika itu masih blogspot) pada penghujung tahun 2008, dan menawarkan kepada saya untuk mengumpulkan 60 artikel saya di dalam satu buku. Dari situ, lahirlah Buku Motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita.



[image error]

Cover Tuhan Tidak Lupakan Kita



9. Buku Motivasi Langit Ilahi: Kembara Hamba Mencari Cahaya. (Telah terbit)


Kembara Hamba Mencari Cahaya adalah Buku Motivasi kedua saya. Juga merupakan kumpulan artikel saya di zaman blogspot dahulu. Terkumpul di dalamnya 60 artikel, yang banyak berkisar akan realiti kehidupan kita dalam perjalanan kita mencari hidayah Allah SWT.



[image error]

Cover Kembara Hamba Mencari Cahaya



10. Buku Motivasi Langit Ilahi: Fanzuru. (Telah terbit)


Fanzuru adalah Buku Motivasi ketiga saya. Fanzuru membawa maksud: Maka lihatlah. Buku ini adalah kumpulan pengalaman saya bersama beberapa orang yang memberikan kesan dalam kehidupan saya dengan bicara mereka. Jadi di dalam Fanzuru, saya quote semula kata-kata mereka, dan saya kongsikan apakah pengajaran yang saya perolehi daripada bicara mereka itu. Setakat ini, pada saya, Fanzuru adalah buku motivasi saya yang terbaik.



[image error]

Cover Fanzuru





11. Novel Hero. (Belum terbit) - akan terbit pada KLIBF'11 nanti.


Novel Hero adalah Novel saya yang ketujuh selepas Remaja Harapan. Bila disebut Hero, biasanya orang akan terfikirkan figur seperti Batman dan Superman bukan? Tetapi saya jamin Novel Hero saya ini akan memberikan impak yang sangat berbeza kepada pembacanya. Uniknya Hero, ideanya awal-awal saya dapat hanya daripada 'chewing gum' yang terlekat pada dinding kuliah saya. Hero adalah cabaran saya buat superhero-superhero yang tidak membawa kepada Islam di luar sana. Antara yang menariknya Hero ini, saya munculkan banyak watak-watak daripada novel saya sebelumnya. Sebagai contoh, Tengku Amiri, Tengku Atikah, Saifullah, Irfan Hakimi dan Rasyid Zakwan, Sara Afifah dan Sara Nasuha, juga Faiz Abdul Aziz.



[image error]

Cover Novel Hero


Novel Hero mengisahkan Amir Faheem bin Amir Muiz atau singkatannya adalah Afam, yang beraksi sebagai Hero di Kotaraya Angsana. Bermula semenjak dua tahun lepas, Hero telah berjuang untuk menumbangkan Kumpulan Syaitan Bertopeng, kumpulan mafia yang mengetuai segala kejahatan di dalam negara. Namun usahanya sehingga kini tidak menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Pada masa yang sama, 10 Jutawan Islam Malaysia mati satu persatu, dan Hero akhirnya mendapat petunjuk bahawa kejadian itu ada kaitan dengan Syaitan Bertopeng, namun dia tetap tidak mempunyai bukti yang jelas. Merumitkan keadaan, satu penjenayah misteri bergelar Akuma muncul dan menyedarkan Hero akan kelemahan yang wujud pada diri dan jiwanya. Tambah mengkomplekskan situasi, Afam terpaksa berkahwin dengan Afeefah Husna, seorang perempuan yang solehah, amat kontra dengan Afam yang tidak peduli akan hal agama, untuk menyelamatkan hartanya. Bagaimanakah Afam, atau Hero, melalui kehidupannya, dan menyelesaikan masalahnya? Mampukah dia menumbangkan Syaitan Bertopeng, dan menyelamatkan Kotaraya Angsana? Dan apakah dia mampu menyelamatkan jiwanya sendiri?



12. Novel Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam. (Belum terbit) - akan terbit pada KLIBF'11 nanti.


Novel Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam adalah Novel saya yang kelapan. Novel ini sebenarnya telah siap saya tulis lebih awal lagi daripada Novel VT. Tetapi saya peram lama sebab nak ubah banyak perkara. Tambahan, saya sayang sangat dengan Novel Takdir ini, hingga takut nak minta sesiapa terbitkannya. Novel Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam adalah novel pertama daripada triloginya. Akan muncul nanti Novel Takdir 2 dan 3 pada tahun-tahun yang akan datang bagi melengkapkan ceritanya. Saya masih ingat saat saya memulakan Novel Takdir ini, niat saya adalah untuk menumpaskan Lord of The Ring karangan JRR Tolkien, juga ingin menewaskan komik-komik macam Naruto, Bleach, One Piece dan sebagainya. huhu.



[image error]

Cover Novel Takdir: Cahaya Tidak Terpadam.


Novel Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam mengisahkan perjalanan seorang pemuda bernama Angkasa Sakti yang membawa misi untuk mengembalikan manusia ke jalan Allah SWT. Dunia ketika itu telah berada di bawah genggaman satu makhluk yang amat berkuasa bernama Sang Asura, dan majoriti manusia telah melupakan Allah SWT. Hanya tinggal dua kerajaan yang berpegang teguh dengan Islam, yakni Kerajaan Tanah Suci, juga Kerajaan 'Hijau' Chinmayi. Saksikan perjalanan Angkasa Sakti yang penuh dengan pengajaran dan aksi.



13. Buku Motivasi Batu-Bata Kehidupan. (Belum terbit) - akan terbit pada KLIBF'11 nanti.


Buku Motivasi Batu-Bata Kehidupan adalah 60 kumpulan artikel saya yang terbaru, merupakan kompilasi artikel-artikel berkenaan pembinaan kehidupan sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT di website Langit Ilahi. Buku Motivasi Batu-Bata Kehidupan juga tidak lagi menggunakan 'tag' Buku Motivasi Langit Ilahi di hadapannya. Buku Motivasi saya yang keempat.(Masih tiada cover)



14. Buku Motivasi Jangan Menangis Hamba. (Belum terbit) - akan terbit pada KLIBF'11 nanti.


Buku Motivasi Jangan Menangis Hamba adalah kumpulan 60 artikel saya di Website Langit Ilahi, yang semuanya berkisar berkenaan motivasi untuk bangkit semula, dan mengingatkan kita akan luasnya pengampunan Allah SWT. Untuk saya, saya suka Buku Motivasi saya yang ini. Buku Jangan Menangis Hamba ini juga tidak lagi menggunakan 'tag' Buku Motivasi Langit Ilahi. Buku Motivasi saya yang kelima.(Masih tiada cover)



Buku-buku dan novel saya yang akan datang


Di dalam kepala saya, ada banyak cerita dan motivasi yang ingin ditumpahkan ke dalam bentuk buku. Setakat ini, yang ada di dalam kepala saya, yang sudah siap dirangka isinya, adalah buku-buku berikut:


1. Novel VT2: AvantGarde.


2. Novel Bujang Beriman.


3. Novel Gadis Syurga(awal remaja).


4. Novel Destinasi Cintaku.


5. Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.


6. Novel Takdir2.


7. Novel Pemuda Harapan.


8. Beberapa buah buku motivasi, yang saya tidak boleh ceritakan lagi tajuknya. [image error]


Doakan agar semua mampu direalisasikan.



Penutup: Saya harap, ini semua adalah saham akhirat.


Saya hanya mampu berharap, agar semua buku saya ini menjadi saham akhirat saya. Tiadalah harapan yang lebih besar daripada itu. Pada saya, duit, populariti, pujian orang, itu semua hanyalah pisau dua mata buat saya. Ada waktu berguna buat saya, ada waktu mungkin menghancurkan saya. Tetapi pastinya ganjaran Allah tidak akan langsung memberikan kerugian buat saya.


Saya juga amat berharap agar yang membaca buku-buku saya, menyebar luaskannya kepada rakan-rakan. Saya yakin, buku-buku motivasi saya, terutama Fanzuru, Tuhan Tidak Lupakan Kita, dan Jangan Menangis Hamba amat baik buat hadiah rakan-rakan.


Saya bukan menulis sebab saya ada 'cerita' yang saya nak kongsi.


Saya menulis sebab saya ada 'mesej' yang saya nak kita bersama dalami dan fahami.


Semoga ini semua Allah kira sebagai saham akhirat kita bersama, insyaAllah.


Amiin.


Doakan kejayaan saya ya.



ps: Ada yang mengadu buku-buku saya sukar dijumpai. Hem.. Sebenarnya, cara termudah untuk mendapatkan buku-buku saya adalah 'menggempur' pejabat Galeri Ilmu Sdn Bhd di alamat berikut:


Galeri Ilmu Sdn Bhd

Astana Karya, No 44 Jalan Pekaka 8/3

Seksyen 8, Kota Damansara

47810 Petaling Jaya

Selangor


(alang-alang dah datang Galeri Ilmu tu, mintalah diskaun. Cakap, nak cari kat kedai susah, saya terpaksa pergi ke Galeri Ilmu. Takkan tak bagi diskaun kut. haha)


dan anda juga amat amat amatlah mudah untuk mendapatkan karya saya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 yang akan berlangsung sekitar April ini di PWTC. SEMUA buku saya akan ada di Gerai Galeri Ilmu, KECUALI Novel Terasing yang hanya akan dijumpai di Gerai Telaga Biru dan Relasi yang saya pun tak tahu kedai apa yang jual buku ini.


Anda juga dengan mudah, boleh mendapatkan buku-buku saya dengan membeli secara online, terus daripada Galeri Ilmu di website mereka pada alamat belian online berikut:


http://www.galeriilmu.com.my/index7.php?PageSelId=28


sekian, selesai masalah nak beli buku-buku saya. [image error]

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 31, 2011 15:03

Khas buat Pembenci



Love and hate ~ picture by Leox90 of Deviant Art.

Love and hate ~ picture by Leox90 of Deviant Art.




Bukan semua orang suka saya. Saya sedar yang itu. Mustahil seseorang itu disukai dan disenangi semua bukan?


Ada pembenci yang saya tahu dan kenal. Ada juga pembenci yang saya tidak tahu dan tidak kenal pun. Semestinya artikel ini khas buat pembenci yang saya tahu dan saya kenal sahaja. Sebab pembenci yang saya tidak tahu dan saya tidak kenal itu, apa yang boleh saya katakan kepadanya bukan?


Jadi, sempena hari terakhir saya di Langit Ilahi ini, ini adalah khas daripada saya buat para pembenci.



Salah dan silap saya


Saya akui saya ada buat salah dan silap yang mungkin sebahagiannya saya sedari, dan kebanyakannya tidak saya sedari. Salah silap itu mungkin dilakukan oleh saya yang hari ini, juga mungkin dilakukan oleh saya yang semalam, juga mungkin dilakukan oleh saya tahun-tahun yang telah berlalu.


Mungkin ayat yang saya boleh pakai adalah, saya bukan maksum, sempurna, untuk tidak melakukan dosa dan kesalahan langsung. Tetapi saya tidaklah hendak memakai ayat itu untuk memadamkan atau buat tidak peduli dengan salah yang saya telah lakukan, jika ada. Namun, kebenarannya, saya juga manusia, sebagaimana kamu-kamu yang membenci saya juga.


Maka sekarang, jika benar saya ada salah dan silap saya, tunjukkan di mana saya salah, di mana saya silap. Nyatakan apa yang tidak puas hati. Apa yang dirasakan meluat. Apa yang tidak sukanya. Apa yang dibencinya. Nyatakan segala-galanya. Saya bukanlah orang yang sukar dihubungi. Paling mudah mencari saya di Facebook. Type sahaja 'Hilal Asyraf'. Kalau ingin privasi, hantarkan mesej ke inbox saya. Kita boleh bincang.


Kalau benar saya salah, saya akan minta maaf dan kalau mampu saya akan menebus kesilapan saya.



Orang-orang yang saya tahu mereka tidak suka saya


Orang-orang ini, saya rasa saya sudah berusaha mencari mereka. Mesej mereka. Tanya apa silap dan salah saya. Ada waktu, saya kenal siapa kenalan mereka, dan minta kenalan mereka tanyakan apa masalahnya.


Tetapi hampanya, saya tidak mendapat jawapan. Mesej tidak dibalas. Ataupun, jawapan yang selalunya diterima adalah: "Dah dia memang macam itu."


Ya, saya memang macam apa? Macam itu, itu macam apa? Macam mana saya nak selesaikan masalah ini, kalau saya pun tak tahu nak selesaikan daripada apa.


"Ubah diri tu." Jawapan ini juga saya pernah terima. Jadi, nak ubah diri daripada mana? Saban hari saya berusaha mengubah diri, semestinya mengubah diri memakan masa, namun persoalannya adakah usaha saya untuk mengubah diri itu diambil kira oleh 'peminta'? Akhirnya saya buntu. Nak apa sebenarnya? Tapi tak pernah beritahu.


Yang lebih menyayat hati, selepas saya berikan mesej bertanyakan apakah salah saya, dan saya nyatakan juga di dalam itu bahawa jika saya tahu saya nak perbaiki silap saya, saya nak tebus salah saya, selepas itu saya tetap dicaci-caci dan diumpat keji.


Apakah ini?



Macam budak tadika pun ada kadangkala


Pernah ada seorang itu, berani bercakap dengan saya akan perkara ini. Namun apabila bincang dan berbincang, dia tidak dapat membuktikan bahawa saya bersalah di dalam hal yang dia jadikan faktor kebenciannya terhadap saya.


Namun, berbanding permintaan maaf yang sepatutnya saya dapat kerana difitnah hingga dibenci, saya pula yang dinasihatkan dengan nasihat begini: "Kau ni kan, tak boleh ke angguk sahaja?"


Aik? Angguk apa? Angguk pada salah yang saya tak buat? Saya tanya begitu. Dan pedihnya hati saya, apabila dia membalas: "Ha'ah. Iyakan je la apa yang kami kata. Tak boleh? Kenapa mesti nak bela diri tu sangat?"


Sudah. Macam mana saya boleh hidup jika saya perlu mengiyakan semua kesalahan yang saya tidak buat? Jika begitu, saya lebih rela tidak mendapat 'kemaafan'.


Kadang-kadang saya lihat, begitulah. Pembenci-pembenci yang saya kenal, apabila saya meminta sebab mengapa membenci saya, tidak mampu memberikan jawapan. Kadang-kadang pula, jawapan yang diterima mengecewakan. Lebih teruk, ada waktu saya memberikan penjelasan untuk menegakkan kebenaran, mereka tidak mahu mendengar. Bahkan, bila saya membela diri, saya dikatakan ego, keras kepala, dan asyik nak menang sahaja.


Melihat ini, saya rasa macam budak tadika pun ada.


Tak rasional langsung.



Cerita saya, tak ada yang mahu dengar


Pernah satu peristiwa semasa cuti di Malaysia, ada satu fitnah timbul melibatkan saya dengan seseorang. Habis saya dihentam oleh kawan-kawan 'seseorang' itu, kerana kelihatannya saya adalah seperti orang jahat la dalam 'drama' itu.


Tetapi tiada siapa yang mahu pergi dan bertanya kepada saya pula, apa yang saya buat, dan apa kronologi yang saya lalui. Kemudian saya terus 'dihukum'?


Saya yakin kalau benda yang sama yang terjadi pada diri saya, terjadi kepada pembenci-pembenci saya, mereka juga tidak suka.



Saya tidak minta pun 'minta maaf' kamu.


Saya adalah yang tidak kisah pun kalau orang tidak minta maaf kepada saya, jika mereka bersalah. Saya sudah rasa cukup dengan 'penerimaan' mereka sahaja. Tidak mengapalah jika malu untuk mengaku bahawa telah tersalah mentohmah saya dengan pelbagai perkara. Tetapi apa salahnya dihentikan 'pembencian' ini sekiranya tidak memberikan apa-apa makna?


Dan sekiranya benar saya adalah yang salah, sekiranya benar sayalah yang menimbulkan huru-hara, di manakah salahnya jika ditunjukkan bukti kepada semua tohmahan dan umpatan itu. Mengapa mesti takut berkata benar jika benar yang salahnya adalah saya.



Orang tak hitung


Kadangkala orang tak menghitung bagaimana terseksanya jiwa dilayan demikian. Orang tak tahu bagaimana peritnya hati dilayan sedemikian.


Bukan nak menafikan kesalahan kalau benar salah. Kalau salah, salahlah. Tetapi mengapa mesti 'dihukum' sebelum 'pengadilan'? Mengapa saya tidak diberikan hak untuk tahu di mana salah saya, atau diberikan hak menjelaskan apa yang disangka sebagai 'kesalahan' saya?


Orang hanya peduli titisan air mata mereka. Orang hanya kisah perasaan mereka. Orang hanya tahu kepuasan mereka.


Tetapi apakah mereka pernah kisah perasaan saya yang berada di tengah-tengah perkara ini?


Tahukah betapa peritnya apabila kita usaha nak tahu di mana salah kita, agar hubungan itu dapat diperbaiki, tetapi kita tidak diendahkan? Dan tahukah peritnya selepas usaha-usaha itu, suara busuk masih kedengaran?


Orang tak hitung pun.



Penutup: Jika benci, mari sama-sama leraikan kebencian


Jika punya masalah dengan saya, bukanlah satu kekurangan untuk pergi kepada saya dan berbincang. Berbanding menyebar-nyebarkan cerita yang entah betul dan entah tidak, yang kemudiannya memberikan efek buruk.


Saya sedia meminta maaf atas kesalahan saya, bahkan silalah beritahu apa yang saya perlu lakukan agar hati-hati kamu menjadi senang dan tenang, agar kamu boleh menerima saya. Sekiranya benar saya salah, saya akan menundukkan kepala memohon kemaafan dan berusaha bersungguh-sungguh menebus kesalahan saya.


Mari sama-sama leraikan kekusutan ini.


Mengapa mesti begini?


Dan mungkin akan wujud mereka yang 'keras kepala', atau menjadi lebih 'bersemarak' selepas membaca artikel ini. Kepada mereka ini, saya di sini dengan tegas hendak menyatakan:


"Saya akan berdoa kepada Allah memohon pengadilan antara kita. Saya menundukkan kepala saya bukan untuk dipijak. Saya menundukkan kepala saya hanya untuk memperbaiki hubungan kita. Tetapi sekiranya kamu berkeras kepala, biarlah Allah menggariskan garisan antara kita. Sesungguhnya Allah itu jugalah pemisah antara kebenaran dan kegelapan yang nyata."


Selebihnya, saya pulangkan kepada Allah SWT.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 31, 2011 13:04