Hilal Asyraf's Blog, page 145
October 28, 2010
Cover Matahari saya buat sendiri. Amacam?
October 27, 2010
Gambar: Berdegup semula.
Ia hidup semula! ~ Picture by sweetyblood of deviant art
Dup, dup, dup,
Hidup semula.
[image error]
Kepada yang menanti artikel saya, artikel hari ini akan keluar agak lewat.
Tapi insyaAllah ada.
October 26, 2010
Luahan: Maaf kerana merisaukan.
Dengan Ilahi, harapan tidak pernah putus, walau jiwa telah gelap gulita, dengan berhubung denganNya, kita mampu mencahayakannya semula. ~ picture by sweetyblood of deviant art.
Hem. Nampaknya kesugulan saya beberapa waktu ini memberikan kegusaran juga kepada ramai orang. Hingga ada yang sms, email, ym, bagi mesej di FB dan sebagainya. Saya rasa sangat bersalah.
Saya minta maaf kerana membuat yang risau kerisauan.
Saya bukan tidak ingat segala bicara saya kepada anda-anda yang bersedih sebelum ini. Sepanjang waktu ini saya sentiasa bersama bicara-bicara saya itu. Saya bukan tidak membaca dan tidak mengambil perhatian apa-apa kata semangat yang kalian beri. Sepanjang waktu ini saya mendalami dan ianya menambahkan kekuatan saya.
Tinggal mungkin, Hilal Asyraf itu manusia.
Dia ada masa kecewa. Dia ada masa derita. Dia ada waktu sedih.
Dia manusia, bukan robot tanpa jiwa. Maka dia boleh terluka. Maka dia boleh terasa.
Tetapi oleh kerana dia manusia yang hidup untuk Allah SWT, berhajat mengajak manusia lain kembali kepada Allah, dia telah membuang kegelapan yang cuba menembusi jiwanya.
Hari ini dia senyum bahagia.
Terima kasih kepada yang sentiasa memberikan sokongan dan tembakan doa.
Saya, Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak, menundukkan kepala merendahkan diri, mengucapkan penghormatan tidak terhingga, kasih dan cinta tidak bertepi, kepada kalian yang tidak henti-henti memberikan semangat pada jiwa ini.
Punca kesugulan saya
Ada satu perasaan di dalam jiwa saya, yang sering menyatakan bahawa saya ini bodoh. Bodoh kerana menjadi seperti hari ini. Hari ini itu, bermaksud, saya yang tidak peduli dikutuk dan dihina begitu sahaja.
Saya yang dahulu, akan bangkit dan memijak sesiapa sahaja yang berani berkata buruk kepada saya. Saya akan selar mereka habis-habisan. Kalau di sekolah, saya akan hentam mereka di hadapan perhimpunan atau di medan ceramah.
Tetapi saya yang hari ini, yang Allah berikan Langit Ilahi ini, yang Allah beri rezeki menulis buku-buku, tidak melakukan itu. Saya tidak menyelar mereka. Saya tidak menghentam mereka. Bahkan, saya berusaha melakukan kebaikan kepada mereka.
Sebahagian orang akan berkata bahawa saya patut muhasabah diri, mencari di mana silap saya. Dan saya telah melakukannya. Saya akui mungkin atitud saya pada satu masa dahulu pernah melukakan banyak orang. Maka tanpa banyak soal, bukan setakat muhasabah, malah saya bertanya directly dengan orang yang mengumpat, mengeji, memaki, membuat spekulasi kepada saya. Tetapi tiada jawapan. Saya teruskan, memberi hadiah, menghormati keluarga mereka, dan berusaha membina hubungan baik dengan sesiapa yang rapat dengan mereka.
Tetapi mereka masih begitu.
Mungkin saya yang lama masih tidak terbuang habis. Maka satu perasaan menyatakan saya ini bodoh melakukan semua itu muncul mengasak saya. Di sinilah saya menjadi sugul, sedih, dan menderita. Mungkin ada sebahagian dalam diri saya ini tidak redha dengan apa yang saya lakukan. Bahagian itu mungkin lebih suka saya tidak merendahkan diri saya kerana pada bahagian itu, saya tidak ada apa-apa salah. Bahagian itu merasakan, kalau salah itu salah yang dahulu kala, mengapa dendamnya sampai hari ini? Bahagian itu merasakan bahawa, adalah tidak adil menghakimi seorang yang telah berumur 21 tahun lebih, sudah masuk ke universiti, melalui pelbagai proses, dengan sikapnya semasa 16,17,18 tahun, di sekolah menengah dan dunia masih belum terbuka kepadanya. Bahagian itu merasakan, kalau kesalahan pada 'saat-saat kebodohan' itu boleh diungkit-ungkit sebagai sebab kebencian, maka mengapa saya tidak mengungkit 'saat-saat kebodohan' mereka?
Ego. Itu mungkin nama yang baik untuk sebahagian saya yang memberontak itu. Dia ibarat binatang yang digari dalam tubuh saya. Tetapi rontaannya kali ini telah berjaya memutuskan beberapa rantaian besi yang mengikatnya.
Tetapi saya tidak suka
Saya tidak suka begitu. Tetapi bukan mudah memujuk ego sendiri. Akhirnya, saya jadi sugul dan sedih. Sugul dan sedih yang utama adalah kerana ego saya yang memberontak. Saya risau saya akan kembali menjadi seorang egoistik yang dahulu. Sugul dan sedih yang kedua adalah rentetan dari pemberontakan Ego, yakni bengang dan benci kepada orang-orang yang menghina saya, mengeji saya, membuat spekulasi berkenaan saya. Bengang dan benci itu saya ubah menjadi sugul dan sedih dengan saya berkali-kali menyalahkan diri saya. Ini semua agar hubungan saya dengan orang-orang tersebut masih terjaga. Sekurang-kurangnya, saya tidak kembali seperti dahulu.
Maka jadilah saya seperti saya yang dua tiga hari ini. Down tersangat-sangat. Mungkin sedikit sebanyak, kekecewaan Ego itu memberikan efek juga kepada diri saya.
Saya bukan tidak berusaha untuk tidak down. Jika perasan, dua-tiga artikel saya sebelum saya down adalah berkenaan membuang kemarahan, memberikan kemaafan. Itu semuanya adalah untuk mengelakkan saya dari down.
Tetapi nampaknya, saya jatuh juga. Mungkin kerana botol tempat saya menyimpan segala perasaan saya telah penuh.
Oh ya. Benda ini telah lama berjalan.
Kalau ini adalah kali pertama saya kena, saya tidak akan down sebegini rupa.
Entah sudah berapa lama ya? Saya pun sudah lupa mengira. Dan entah berapa orang ya? Saya pun sudah lupa bilangannya.
Setakat ini, saya masih mampu
Alhamdulillah, dengan doa dan sokongan anda semua, saya mampu berdiri semula. Membaiki semula rantai-rantai rosak yang merantai keegoan saya.
Bahkan saya terharu dengan sokongan anda semua. Ya, saya hampir sahaja terlupa bahawa saya ada keluarga yang lebih besar bernama warga Langit Ilahi dan pembaca-pembaca saya. Mengapa saya mesti 'menjual' jiwa saya hari ini untuk kembali seperti dahulu, hanya kerana hendak merasa 'menang' dengan mereka-mereka yang menyakitkan saya bukan?
Saya masih ada anda.
Akhirnya satu perkara menjadi lawak.
Mereka berkata:
"Ala, pembaca dia bukan kenal dia yang dahulu. Bukannya rapat dengan dia pun. Diorang tengok dia lepas dah jadi penulis. bla-bla-bla."
Yang menjadi lawaknya adalah, pertama: Kalau saya sama seperti dahulu, maka layanan orang kepada saya hari ini, akan sama seperti mereka yang kenal saya dahulu. Tidak begitu? Layanan yang berbeza adalah kerana saya yang telah berbeza.
Kedua: Sejak bila mereka rapat dengan saya? Kenapa pula sahabat rapat saya, yang sepanjang cuti di Malaysia tempoh hari, seperti Hafiz Zainol Abidin, Muhaimin Misran, dan ramai lagi berpendapat sebaliknya dari pendapat mereka? Mereka lebih rapat daripada Hafiz yang tahu 1001 rahsia saya? Saya yakin tidak.
Akhirnya saya ketawa semula.
Penutup: Hilal Asyraf itu manusia biasa.
Namun satu perkara yang saya suka dengan kejatuhan saya dua tiga hari ini, adalah pembuktian bahawa saya adalah manusia. Allah mengingatkan saya dengan peringatan yang baik. Setiap kejatuhan saya dalam kehidupan ini tidak pernah sia-sia. Selepas itu pasti ada kebaikan.
Sebab itu, dalam saya melepaskan semua harapan kepada manusia dua-tiga hari ini, saya tidak melepaskan harapan saya kepada Allah SWT.
Sungguh, hari-hari ini adalah pengajaran yang terbaik.
Wahai ego, tidakkah kau melihat?
Apakah yang kita dapat jika engkau kulepaskan liar?
Tidakkah kau rasa kebahagiaan yang hangat?
Ini lebih aku hargai, berbanding 'kemenangan' yang sunyi.
Sekali lagi semua, saya amat menghargai.
Terima kasih.
Memang tiada bicara sakti atau harta berkati-kati untuk membalas jasa dan budi kalian kepada diri ini.
Semoga Allah redha dengan kita, danterus mengizinkan kita menjadi hambaNya yang sukses.
Esok, perkongsian akan diteruskan seperti biasa.
Untuk mempertingkatkan diri semestinya!
October 25, 2010
Gambar: Gelap, pergilah.
Pergilah. ~ picture by Viviphyd of deviant art
Gelap, pergilah
keluarlah dari tubuh ini
nyahlah dari jiwa ini
sungguh aku tidak perlukan pelukanmu
lepaskanlah
mereka menantiku
melebihi aku memerlukan diriku
~Hilal Asyraf~
0921PM
Dalam bilik, Irbid, Jordan
Incomplete
Puisi Gelap, pergilah.
October 24, 2010
Gambar: ………..
Gambar: ….
October 23, 2010
Gambar: Sedih dan penderitaan.
Cepatlah pergi, atau esok aku yang hari ini akan mati. ~ picture by jamyccah of deviant art.
Sedih dan penderitaan.
Aku adalah yang deritanya tak mampu dicerita
aku adalah yang sakitnya sukar difahami semua
aku adalah yang ditakdirkan bersendiri di atas bumiNya
hatta yang tersayang juga tak mampu memahamiku sebaiknya
air mataku mula berubah menjadi darah
sayapku mula berwarna hitam
aku tidak mengerti mengapa ia semakin parah
walaupun aku cuba menyembunyikannya di dalam senyuman kelam
Sedih dan penderitaan
dan aku rasa hatiku berlubang
sabar dan sabar,
aku berusaha menghentikan
tetapi aku adalah insan bukan malaikat cemerlang
saat tenagaku habis
maka sakitku kembali datang
sampai waktu aku menyedari
sabar memang satu keperitan walau disembunyi dengan riangnya diri
maka pujuklah jiwa, damailah hati
andai semua ini tidak berakhir dalam kehidupanku ini,
semuanya pasti berakhir tatkala aku mati.
~Hilal Asyraf~
0431PM
231010
Dalam Bilik, Irbid, Jordan.
After Every Rainfall
Puisi Sedih dan Penderitaan
Novel Hero: ~1~ Buruanku.
Okeh. Hero episod -1- memunculkan dirinya.
Saya rasa sangat gembira mengarang Hero. Macam ada kepuasan yang tidak terhingga.
Maaf sebab post ini tidak mempunyai gambar. Ada masalah sikit dengan memori. Langit Ilahi sudah semakin sedikit memorinya. Maka kalau post sesuatu yang panjang, sudah sukar hendak meletakkan gambar bersama. Mungkin ini good news kut. Tanda Langit Ilahi semakin berkembang.
Maka saya memberi sepenuh kuasa kepada pembaca untuk memberikan komentar, atau nak bagi idea untuk lebih menarikkan cerita, atau mungkin nak sumbang idea untuk bab yang seterusnya.
So, i hope all of you enjoy this chapter.
May Allah bless.
~1~
-Buruanku-
Ruang bawah tanah itu kemas teratur. Berbentuk bulatan dan berhawa dingin. Lampu-lampu kecil membuang suram. Di bahagian utara, terdapat satu komputer berskrin gergasi. Di tepinya terdapat beberapa lagi skrin kecil. Wujud beberapa papan kekunci di bawah skrin gergasi.
Di bahagian timur pula, tiga buah rak buku kayu damai tegap berdiri. Buku-buku padanya kemas tersusun. Berdekatan dengan rak itu, terdapat pintu lif.
Di bahagian barat, terdapat lima buah balang kaca. Empat daripadanya mempunyai sut 'Hero' di dalam. Manakala satu lagi kelihatan satu sut yang masih belum sempurna.
Di bahagian selatan, terdapat mesin air mineral, terasing di situ sendiri.
Di bahagian tengah, terdapat satu meja bulat sederhana besar yang lutsinar. Kini meja bulat itu mempunyai tiga orang lelaki yang sedang mengelilinginya.
Afam menggaru kepala yang tidak gatal. Puas matanya memandang sekeliling ruang bawah tanah ini. Ruang rahsia yang dicipta entah bila oleh Pak Arbi dan Mr Umayer. Dia mengetahui kewujudan tempat ini dua tahun yang lalu. Semasa dia bersumpah untuk membersihkan Kotaraya Angsana ini dari penjenayah dan korupsi.
"Jadi, data itu?" Suara Mr Umayer menarik Afam keluar dari lamunannya. Afam menoleh kepada Pak Arbi.
"Baru sahaja berjaya memecahkan kodnya. Ada banyak lapisan penghalang." Pak Arbi seakan memberikan laporan. Tangannya bergerak pantas menekan-nekan pada meja bulat.
Imej enam dimensi muncul, beberapa skrin digital terapung dan data-data keluar daripadanya. Afam dan Mr Umayer menumpukan perhatian kepada semua itu.
"Membunuh ahli RING." Afam menyebut satu data yang menarik perhatiannya.
Pak Arbi dan Mr Umayer mendiamkan diri. Mereka juga membaca data itu.
"Bagi menyeret negara ke dalam suasana yang kacau bilau, melemahkan kerajaan, maka semua ahli RING dan pergerakan mereka perlu dihapuskan. Dengan ketiadaan mereka, maka negara akan jatuh ke tangan kita." Afam membaca.
"RING itu apa? Kumpulan mafia?" Afam memandang Mr Umayer dan Pak Arbi.
Kedua mereka itu tetap mendiamkan diri. Mungkin tanda tidak tahu.
"Setakat ini, kematian yang berturut-turut adalah jutawan-jutawan Islam kita, sebagaimana siasatan yang telah kita jalankan." Jari jemari Mr Umayer menari pada meja bulat itu. Enam imej manusia muncul.
"Dalam masa dua tahun ini, enam jutawan ini telah meninggal dunia." Mr Umayer kini mengangkat tangannya, dan lima jarinya berhenti pada salah satu figur.
"Bermula dengan Datuk Amir Muiz bin Amir Shah, meninggal dibunuh oleh Syaitan Bertopeng dua tahun yang lalu." Suara Mr Umayer menggetarkan gegendang telinga Afam. Afam mengeraskan jiwanya melihat imej hidup arwah ayahnya. Dia langsung tidak menyenangi lelaki itu. Tetapi apabila ahli keluarga dibunuh dan tidak dibela oleh kerajaan, dia tetap mempunyai rasa untuk 'mengajar' orang yang bertanggungjawab dan menegakkan kebenaran. Lebih-lebih lagi, ibunya turut terkorban dalam peristiwa tersebut.
Tangan Mr Umayer bergerak seakan menolak figur tadi, dan figur itu hilang diganti figur yang lain.
"Empat bulan selepas itu, Dato' Waqiuddin bin Farid Hazlami. Meninggal dunia kerana sakit jantung." Tangan Mr Umayer bergerak pantas. Mengulang perkara yang sama, figur berganti figur.
"Tiga bulan selepas kematian Dato' Waqiuddin, usahawan berjaya Ya'kub bin Abd Ghafur meninggal dunia kerana kemalangan helikopter. Pada penghujung tahun yang sama, Dr Omari bin Ukashah meninggal dunia kerana keracunan makanan. Dua bulan selepas itu, Datuk Abd Majid bin Abdullah Fahmi meninggal dunia kerana kemalangan kebakaran yang berlaku di syarikatnya. Lima bulan kemudiannya, Dato' Kaya Bakti Aminuddin bin Yasser meninggal dunia apabila keretanya terbabas ke dalam gaung. Sebulan kemudian, Datuk Amir Ar-Rasyid bin Harun Ar-Rasyid mati kerana sakit tua."
Kini semua figur itu hilang bersama data-data mereka.
"Adakah ia memberikan kita apa-apa makna?" Mr Umayer mengangkat kening sebelah.
"Mereka ini ahli RING?" Afam seakan sukar hendak menerima.
Selama dua tahun ini, dia menyiasat kematian-kematian itu. Dia hairan mengapa orang-orang dari 10 jutawan Islam yang amat berjasa kepada kerajaan Malaysia mati satu persatu dalam waktu yang amat hampir. Dia menghidu sesuatu yang kurang menyenangkan dengan suasana itu. Walaupun orang percaya kematian itu di tangan Allah, tetapi Afam tetap merasa sangsi dengan kematian-kematian yang berturutan itu. Maka dia menyiasat kerana risau kematian-kematian itu ada kaitan dengan Syaitan Bertopeng. Namun siasatannya tidak pernah membuahkan hasil, dan Syaitan Bertopeng tidak pernah dapat dikaitkan. Kecuali kematian ayah dan ibunya. Itupun kerajaan tidak menyambung penyiasatan, dan menutup kes atas alasan kekurangan bukti. Alasan palsu yang paling tidak boleh diterima.
Kini satu persoalan baru timbul. Adakah mereka ini ahli kumpulan RING? Arwah ayahnya terlibat dengan kumpulan bawah tanah? Apa tujuan RING? Apa yang hendak dicapai oleh mereka? Siapa lagi bersama mereka? Adakah baki empat lagi jutawan Islam Malaysia yang masih hidup itu juga ahli RING?
"Sememangnya kematian semua orang ini memberikan kesan yang bukan sedikit terhadap ekonomi negara. Tetapi semua pewaris mereka, atau orang-orang yang diamanahkan meneruskan perniagaan mereka telah berjaya mengembalikan kestabilan dan kini ekonomi negara kita turut berada dalam keadaan yang stabil." Mr Umayer memberikan pendapatnya, menghentikan fikiran Afam secara tidak langsung.
"Tetapi kita percaya bahawa mereka ini dibunuh dengan rancangan yang penuh rapi oleh Syaitan Bertopeng. Hanya Datuk Amir Muiz sahaja yang dibunuh terang-terangan." Pak Arbi yang senyap sedari tadi bersuara sambil tangan bermain dengan janggut putihnya yang nipis.
"Aaah, pening-pening. Lebih menambah kepeningan, mengapa plate memori yang penuh dengan data ini begitu cuai dibawa ke mana-mana? Ini bukan gaya Syaitan Bertopeng yang amat berhati-hati. Data sepenting ini tidak akan dibawa oleh orang-orangnya yang biasa." Afam menggaru kepalanya. Rambutnya menjadi semakin berserabut, berjuntai jatuh melepasi dahi. Kemudian dia segera menyeluk saku bajunya, dan mengeluarkan sekotak rokok.
"Ditambah lagi dengan meletupkan ahli-ahli mereka. Memang bukan gaya Syaitan Bertopeng." Pak Arbi menekur data-data dari plate memori tadi yang masih terapung. Kemudian perhatiannya terganggu dengan asap yang dihembus oleh Afam.
"Nampaknya ada masuk campur pihak yang ketiga." Mr Umayer membuat jangkaan.
"Siapa yang berani melawan Syaitan Bertopeng?" Afam menghembus lagi asap dari mulut ke atas.
"Hero." Pak Arbi sengih menyakat.
"Itu terkecuali la Pak Arbiku sayang." Afam buat mata juling. Mereka bertiga ketawa sebentar. Suasana perbincangan yang agak tegang seakan menjadi kendur seketika.
"Hmm. Tidak pasti. Tetapi pihak polis ada maklumat berkenaan satu watak misteri yang dipercayai meletupkan semua penjenayah itu." Mr Umayer mengeluarkan satu alat berbentuk empat sebesar telapak tangan dan menekan-nekan menggunakan kedua ibu jarinya. Satu perkataan terapung di atas meja bulat: DOWNLOADING.
Tidak lama kemudian, satu skrin digital sekitar 22 inci muncul terapung, menyiarkan rakaman.
"Ini adalah rakaman yang mampu didapati dari kamera yang terdapat di bangunan-bangunan berdekatan."
Afam dan Pak Arbi kini sedang melihat kepada seorang lelaki yang menekan punat peletup, menyandang rifle yang saiznya lebih kurang sama dengan saiz tubuh. Kemudian didapati lelaki itu berlari-lari dalam keadaan yang tidak sekata, kadangkala kelihatan seperti sedikit melompat-lompat seakan bergembira.
"Siapa ini? Psiko?" Nampak macam orang gila. Afam menghisap sedalam-dalamnya. Kemudian melepaskan apa yang ada di dalam mulut.
"Tiada data mengenainya. Walaupun berjaya menangkap wajahnya, tetapi wajah itu tidak muncul di mana-mana data di dalam atau di luar negara." Mr Umayer memberikan penjelasan. Rakaman tadi bermain semula.
"Sama ada dia ini lawan kepada lawan, atau kawan kepada lawan, dia tetap adalah lawan kepada kita." Pak Arbi memandang kepada Afam. Lelaki muda itu mengangguk perlahan dengan jari hantu dan jari telunjuknya menyepit batang rokok. Mata Afam nampak tajam dengan penuh tumpuan memerhatikan lelaki misteri itu.
"Hem. Kita masih tidak tahu apa yang mereka cari di dalam pejabat ayah. Sekarang muncul pula maklumat berkenaan RING yang kita tidak pasti. Dan kita juga tidak dapat mengesan lelaki misteri ini." Afam menyilang tangan. Kakinya turut tersilang. Nampak seperti berfikir dengan serius.
"Dan ahli keluarga kita bertambah." Pak Arbi menyiku Afam.
Afam tersengih kelat.
Afeefah Husna. Nama itu terus muncul pada mindanya.
Masalah-masalah mula muncul dalam keadaan berselirat. Satu demi satu. Lebih rumit, semuanya tidak dapat diselesaikan. Dua tahun dia menjadi Hero dengan harapan membersihkan jalanan dari penjenayah yang rakus dan ahli kerajaan yang korup, inilah kali pertama dia merasa seperti dalam kekalahan.
Rasa lemah. Rasa tidak kuat.
Rasa kosong…
Afam menggelengkan kepala. Membuang perasaan negatif tersebut.
"Husna itu masalah kecil sahaja." Afam buat seakan tidak endah.
"Kena lebih berhati-hati agar kerja kita ini tidak bocor kepadanya." Mr Umayer memberikan pesan. Dia bangun berdiri. Bersiap hendak meninggalkan tempat ini.
"Semestinya. Dia pun tak akan lama di sini nanti." Afam angkat kening dua kali.
"Kenapa? Kamu rancang hendak ceraikan dia?"
Afam senyum tanda ya. Siapa yang berhajat hendak hidup dengan perempuan ortodok lagi kuno itu? Cukuplah dengan Makcik Amirah seorang yang begitu ditambah dengan Pak Arbi dan Mr Umayer yang sangat taat dengan agama. Tambah seorang lagi? Kenapalah hidup ini dikelilingi orang yang demikian? Rimas pula rasanya. Cukuplak. Tiga sudah cukup. Mustahil hendak tambah seorang lagi. Sebagai teman hidup pula. Tak kuasa!
"Tuan Amir Faheem tidak pernah membaca sendiri surat wasiat itu rupanya." Senyuman Mr Umayer bergerak bersama gelengannya.
Afam berkerut dahi. Memang selama ini surat wasiat itu tidak pernah dibacanya. Malas.
"Di dalam surat itu dinyatakan, sekiranya Tuan Amir Faheem menceraikan isterinya, maka segala harta akan diwakafkan." Mr Umayer angkat kening dua kali, membalas gaya Afam sebentar tadi.
Mata Afam terbuntang. Pak Arbi sudah ketawa.
"Benarkah?"
Mr Umayer mengangguk. "Mungkin ini peluang Tuan Amir Faheem melakukan perubahan pada kehidupan dan diri Tuan Amir Faheem." Mr Umayer mengenyitkan mata dan bergerak ke arah lif. "Saya pulang dahulu. Apa-apa perkembangan, saya akan hubungi." Salam dilontarkan.
Pak Arbi menjawab salam dalam keadaan berusaha menahan tawa.
"Lawak sangat?" Afam menjeling kepada Pak Arbi. Lelaki berumur itu menukar tawanya kepada senyuman. Tangannya menepuk-nepuk belakang Afam.
"Afam, Afam."
"Macamlah saya betul-betul nak ceraikan Husna." Afam berbicara perlahan.
Pak Arbi terpempan sebentar. Memandang Afam dengan pandangan yang berminat.
"Apa?" Afam buat tidak peduli dengan pandangan pelik Pak Arbi.
*****
Malam hari ini pekat dengan kegelapan. Rembulan tidak wujud di langit untuk menyimbah cahaya. Dan tempat ini bukannya di tengah bandar yang begemerlapan dengan lampu yang terang benderang. Satu rumah agam senyap sunyi di atas bukit yang megah dalam keadaan yang sinonim seperti malam yang menyelimutinya. Mungkin penghuninya sudah melelapkan mata. Hanya lampu di tempat pengawal sahaja yang hidup.
Tiga orang bergerak dengan senyap. Berpakaian serba hitam dengan pistol yang siap dengan alat peredam bunyi. Salah seorang dari mereka membawa beberapa buah beg galas. 'Nightvision' memandu mereka di dalam gelap. Langkah mereka senyap, seiring dengan suasana. Seakan-akan mereka langsung tidak wujud pada saat dan ketika. Mereka semakin mendekati pintu gerbang rumah agam tersebut.
Isyarat tangan dikeluarkan. Satu tembakan dilepaskan. Bunyi berdesup, diikuti dengan pengawal yang berjaga tumbang menyembah bumi. Mereka bertiga bergerak lagi dengan penuh teratur. Sampai di tempat pengawal terkulai, salah seorang dari mereka mengeluarkan lagi isyarat. Ketiga-tiga mereka berpecah.
Seorang menuju ke tempat penjana kuasa yang membekalkan tenaga elektrik untuk rumah agam tersebut. Satu alat dilekapkan pada atas kotak penjana kuasa. Beberapa butang ditekan dan alat itu mengeluarkan bunyi yang rendah lagi menyilukan. Selepas itu, lampu pengawal terpadam. Bunyi kipas penghawa dingin juga turut berhenti. Kuasa sokongan bagi kehilangan tenaga elektrik juga telah dihapuskan. Tugasnya selesai. Orang itu bergerak dengan cermat menuju ke destinasi yang telah ditetapkan.
Seorang lagi sudah memecah masuk ke rumah. Dia sudah mengkaji selok belok rumah. Segala rahsia rumah ini telah berada di dalam kepalanya. Tujuannya adalah peti besi yang terdapat di bahagian bawah tanah berdekatan dengan dapur. Tiba di dapur, dia meletakkan satu alat pemecah kod pada satu pintu yang kelihatan hanya seperti pintu stor. Sembilan tempat angka digital bertukar nombor berkali-kali dalam keadaan yang amat laju, dan satu persatu berhenti pada nombor yang tertentu. Pintu itu yang rupanya merupakan pintu besi dilapik dengan papan kayu tebal, terbuka sendiri. Dia melepasi pintu, turun ke bawah tanah, dan memasukkan wang yang bertimbun ke dalam beberapa buah beg galas yang dibawanya bersama. Selepas selesai, dia bergerak menuju ke destinasi yang telah ditetapkan.
Seorang lagi dengan penuh cekap dan teliti, naik ke aras tiga dan menuju ke satu arah. Pintu tidak berkunci. Dibuka dengan penuh cermat. Selangkah demi selangkah dia membelah bilik besar itu. Menuju ke katil. Namun dahinya berkerut. Targetnya tiada. Tetapi isteri kepada targetnya masih di atas katil.
"Hmmm." Dia berfikir sebentar. Ketika itu, telinganya menangkap bunyi yang sangat perlahan. Dia memutarkan kepalanya mencari bunyi tersebut di seluruh bilik. Akhirnya dia terhenti pada sekujur tubuh yang sedang sujud. 'Nightvision' miliknya menangkap haba daripada tubuh itu. Senyumannya melebar hingga menampakkan gigi.
Perlahan-lahan dia mendekati. Pistol diletakkan pada belakang tengkuk lelaki yang sedang sujud itu.
"Dato' Ikrimah Husni bin Mustafa Kamil, matilah kau dalam sujud kepada Tuhan yang kau percaya!" Picu ditekan. Dari kepala tersembur darah membasahi lantai dalam kegelapan.
Dia pergi ke katil kembali, dan nasib yang sama diterima oleh Sang Isteri.
"Anak-anak mereka sudah diselesaikan." Dua lagi temannya muncul di muka pintu.
"Aku juga sudah dapatkan wang yang dikehendaki." Salah seorang dari mereka menunjukkan beberapa beg di tangannya. Kedua-dua orang itu mendekatinya.
"Bagus." Dia tersengih sendiri.
"Jadi kita boleh bergerak pulang sekarang. Sebelum Hero muncul." Salah seorang dari dua orang tadi memandang rakan yang naik bersamanya.
"Betul. Aku agak risau juga." Seorang lagi menyuarakan kebimbangan.
"Tak perlu risau, sebab kamu berdua memang tidak akan berjumpa dengan Hero sepanjang hidup kamu berdua selepas ini." Suaranya mencelah. Dua orang tadi mula hendak kembali menoleh ke arahnya.
Namun belum sempurna pusingan kepala mereka, dua tembakan sudah dilepaskan, menamatkan nyawa kedua-dua mereka. Terkulai jatuh ke bumi.
"Hahaha, hihihi, huhuhu, hehehe." Akama membuka 'Nightvision' miliknya. Bergerak sedikit terhuyung hayang sambil melompat sekali sekala seperti orang gila.
"Yang ini aku ambil." Dia mengangkat beg-beg penuh dengan wang tadi.
Kemudian dia terus lesap melarikan diri.
*****
Inspektor Ikhwan Rosli hanya menggeleng kepala sebaik sahaja sampai di tempat kejadian. Hatinya dipagut sayu apabila melihat mayat Dato' Ikrimah Husni yang masih kekal dalam keadaan sujud bersama kepala yang separuh pecah dan darah pekat yang sudah kering pada lantai. Kalau bukan dalam suasana kerja, dia sudah ingin menumpahkan air mata.
Seorang lagi antara 10 Jutawan Islam Malaysia telah meninggal dunia. Kes yang juga disiasat olehnya. Dia teramat sangsi dengan kematian berturut-turut kumpulan jutawan tersebut. Kini yang tinggal hanya tiga orang dari mereka. Apakah semua akan mati juga?
"Tiada ahli keluarga yang hidup tuan. Semuanya mati." Salah seorang petugas memotong fikiran Inspektor Ikhwan Rosli.
Inspektor Ikhwan Rosli hanya mampu mengangguk perlahan.
"Kita menjumpai dua mayat. Sudah dikenal pasti mereka daripada Kumpulan Syaitan Bertopeng. Kedua-dua mayat sudah segera dimasukkan ke dalam van khas tanpa pemandu, sebagai langkah berjaga-jaga dengan kemungkinan untuk letupan seperti tempoh hari berulang kembali. Peti besi rumah ini juga ditemui pecah, dan dipercayai wangnya telah dilarikan. Maka dapat diteka bahawa bilangan yang memecah masuk ke rumah ini lebih daripada dua orang."
"Teruskan penyiasatan. Cari segala maklumat yang mampu dikutip. Periksa setiap inci di dalam rumah ini." Arahan dikeluarkan.
Selepas beberapa ketika, hanya tinggal Inspektor Ikhwan di dalam bilik besar tersebut. Para petugas dan penyiasat bertebaran di dalam dan luar rumah. Bilik besar ini sudah selesai diperiksa. Dia kekal berdiri di tempat tadi. Berfikir dan berfikir.
Syaitan Bertopeng tidak merompak rumah. Mereka adalah penjenayah berkelas tinggi yang menjalankan jenayah yang juga berkelas tinggi. Penyeludupan senjata, dadah, rasuah, monopoli ekonomi, dan membina jaringan antara mafia-mafia yang ada di dalam dan luar negara. Mereka tidak merompak rumah, bank dan sebagainya. Dan mereka bukannya orang yang bijak meninggalkan bukti. Tetapi mengapa dua mayat itu wujud di sini?
Hero tidak membunuh penjenayah. Dia tidak pernah membunuh penjenayah. Semua penjenayah ditangkap dan diikat.
Ada sesuatu yang tidak kena di dalam kes ini.
"Jumpa sesuatu?" Satu suara yang sedikit garau membuatkan dua bahu Inspektor Ikhwan Rosli terenjut terkejut. Dia tahu suara itu bukan dari ahli kumpulannya. Refleksnya pantas mengeluarkan pistol dari karung pada dadanya, dan terus berpaling sambil diacukan senjata pembunuh itu pada…
Satu susuk tubuh yang lebih kurang sama tinggi dengannya, serba hitam, diselubungi mantel yang membuatkannya kelihatan gah, bersama helmet besi yang menutupi seluruh kepala, dan dua mata putih yang bersinar.
"Hero?" Pertama kali bersemuka. Wujud rasa gerun di dalam jiwa Inspektor Ikhwan.
"Ya. Pertama kali kita bersua." Bahagian mulut terbuka. Menampakkan bibir dan dagu. Sebatang rokok yang tersepi pada dua jari diletakkan pada bibir yang menanti. Api keluar dari hujung jari. Batang rokok itu dihisap sepuas hati.
"Kau memang langsung tidak bersikap seperti seorang Hero." Manusia. Benaknya berdetak. Selama ini, tiada yang mengetahui akan hakikat sebenar Hero. Manusiakah? Robotkah? Nampaknya hari ini persoalan itu terjawab. Dalam melayan fikirannya, Inspektor Ikhwan tetap setia mengacukan pistol. Bersedia dengan apa-apa sahaja kemungkinan.
"Aku tidak pernah memanggil diri aku sebagai Hero pun asalnya."
"Kenapa kau muncul di sini? Adakah kau tidak tahu bahawa kau sedang diburu oleh kerajaan?"
"Oleh orang-orang yang korup di dalam kerajaan, sebagai pembetulan." Asap berkepul keluar dari mulut.
"Kau ada kaitan dengan peristiwa di sini? Berapa lama kau berada di sini?"
"Aku lewat sekitar dua minit. Aku sampai dan semua telah berakhir. Kamu fikir, siapa yang menghantar isyarat kecemasan kepada polis agar datang ke sini?" Mata putih Hero seakan-akan bersinar hendak membakar Inspektor Ikhwan.
Inspketor Ikhwan mengetap bibir. Hero ini sungguh kurang ajar sikapnya.
"Jadi apa yang kau mahu?"
"Aku tahu kau polis yang baik. Tidak korup seperti yang lain." Hero melangkah mendekati Inspektor Ikhwan.
"Selagi Allah masih menjaga jiwa ini. Aku ulang, apa yang kau mahu?" Dada berdebar lebih kencang.
Hero tersengih. Bunyi nafasnya kedengaran. Dia kini benar-benar berhadapan dengan Inspektor Ikhwan. Muncung pistol menyentuh dadanya yang dilindungi perisai.
"Ingin menyerahkan ini." Hero menyuakan tangan kirinya. Pada telapak tangannya wujud sehelai sapu tangan. Terjahit tulisan jepun di atasnya.
Inspektor Ikhwan Rosli mendekati Hero perlahan-lahan. Masih berjaga-jaga. Sapu tangan itu diambil dengan tangan kiri, manakala tangan kanan setia mengacu senjata.
"Apa ini?" Inspektor Ikhwan sekadar menjeling pada sapu tangan. Perhatiannya lebih besar kepada Hero.
"Aku percaya orang yang meletupkan penjenayah-penjenayah yang dibanteras oleh aku tempoh hari, dengan pemilik sapu tangan ini adalah orang yang sama. Dan pemilik sapu tangan ini, dengan orang yang melakukan semua angkara di sini adalah orang yang sama."
"Kau tahu tentang lelaki misteri?" Sepatutnya maklumat berkenaan lelaki misteri itu adalah rahsia kerajaan.
"Dia sudah ada nama. Akama."
"Mana kau tahu?"
"Tulisan jepun pada sapu tangan itu berbunyi demikian. Maksudnya di dalam bahasa kita adalah Iblis." Hero berpaling. Menuju ke arah balkoni. Dipercayai tempat yang sama pembuat angkara di tempat ini melarikan diri dari sini.
"Nanti, kau hendak pergi ke mana? Apa yang aku perlu lakukan dengan sapu tangan ini?"
"Maklumatnya tiada. Aku sudah berusaha membongkarnya. Yang aku perlukan daripada kau adalah penjagaan rapi terhadap tiga lagi yang masih berbaki daripada 10 Jutawan Islam negara kita. Dengan kejadian hari ini, telah jelas bahawa kematian-kematian mereka ada kaitan dengan Syaitan Bertopeng."
"Sapu tangan ini? Tidak boleh memberi maklumat apa-apa? Jadi apa tujuan kau memberikannya kepada aku? Dan mana kau tahu berkenaan kaitan kematian-kematian para jutawan?"
"Itu ditinggalkan olehnya di sini, sebagai deklarasi peperangan." Hero sudah menjejak keluar balkoni.
"Nanti!" Inspektor Ikhwan cuba mendapatkan Hero.
"Sesi soal jawab tamat." Bahagian mulut dan dagu Hero kembali tertutup. Rokok sudah dibuang entah ke mana. Mantelnya tiba-tiba berubah menjadi keras, dan dengan pantas tersimpan ke dalam pelindung bahunya. But besinya mengeluarkan api, dan dia terus terbang ke langit tinggi.
Inspektor Ikhwan mendongak. Hanya mampu memandang dari balkoni.
Itu rupanya Hero. Yang membanteras penjenayah dalam masa dua tahun ini. Maka di sini dapat dia simpulkan bahawa Hero bukan penjenayah yang cemburu dengan kejayaan Syaitan Bertopeng sebagaimana tuduhan kerajaan terhadapnya. Kemudian Inspektor Ikhwan melihat kepada sapu tangan yang diberikan. Tulisan jepun itu dijamah pandangannya.
Helaan nafas dikeluarkannya.
Tambah satu masalah lagi.
*****
Sedang dia meluncur di udara, Afam melihat skrin di dalam helmetnya. Satu wajah keluar.
"Nampaknya lelaki misteri Akama itu bersama dengan Syaitan Bertopeng, tetapi seakan duri dalam daging buat mereka." Suara Pak Arbi kedengaran.
"Saya sangsi mengapa dia seperti sengaja hendak membuka rahsia Syaitan Bertopeng. Syaitan Bertopeng takkan merompak rumah. Wang yang dirompak itu sekadar diversi." Dahi Afam berkerut. Mungkin tidak dapat menyelesaikan matematik di dalam kepalanya.
"Rasanya itu adalah plan awal. Rompak, bunuh, dan lari. Tidak meninggalkan kesan, menyebabkan cerita ini seperti kes rompak dan bunuh yang biasa."
"Tetapi skrip cerita telah berubah menjadi rompak, bunuh, bunuh dan lari."
"Akama sengaja mengubah skrip, membongkar keterlibatan Syaitan Bertopeng di dalam hal ini." Pak Arbi memberikan pandangan. Afam mengangguk. Seakan mula mendapat sesuatu. Cahaya dalam penyiasatannya selama ini.
"Mungkin data yang kita jumpai tempoh hari adalah tambahan skrip daripadanya juga? Dia sengaja menunjukkan dirinya pada kamera kerana hendak kita mengetahui dia ada di situ sebagai watak tambahan. Persoalannya adalah mengapa?" Afam menimbulkan perkara yang bermain-main di dalam kepalanya.
"Mungkin dia hendak memburu kita?"
"Atau dia menjemput kita untuk memburunya." Afam menjawab perlahan.
Nampak buruannya bertambah.
Tanpa disedari oleh Afam yang sudah jauh meluncur pergi dari tempat kejadian, ada sepasang mata sedang memerhatikannya dengan teropong jarak jauh.
"Hahaha, hihihi, huhuhu, hehehe." Senyumannya melebar dengan tawa yang seakan ditahan-tahan.
"Drama ini akan menjadi lebih seronok nanti Hero. Akan menjadi lebih seronok." Akama sedang duduk bersila bersama-sama beg galas di atas salah satu dahan pokok yang besar tidak berapa jauh dari rumah Agam Dato' Ikrimah Husni.
Kemudian dia terus ketawa sendirian.
*****
"Hem. Tak sangka berkahwin dengan orang yang macam itu." Husna menggumam sendiri. Dia sedang didandan sederhana oleh Puan Amirah Maisarah. Segera Puan Amirah menundukkan kepalanya di sebelah kepala Afeefah Husna.
"Husna rasa Afam tidak sama taraf dengan Husna?" Lembut perempuan separuh umur itu bersuara.
Husna segera menggeleng. "Bukan begitu makcik. Dari segi kekayaan, memang siapalah Husna ini. Husna cakap fasal agamanya. Makcik bukan tak tahu anak saudara makcik itu." Husna menunduk. Dia tidak suka bercakap keburukan orang lain. Itu sahaja yang mampu disuarakan.
Masih teringat akan perbincangan yang dijalankan oleh Makcik Amirah antara dia dan Afam.
Berkepul-kepul asap keluar dari mulut lelaki itu ke atas. Kurang ajar betul mamat ni! Bentak hati Husna. Tengah bercakap dengan makcik sendiri, depan tetamu, pun merokok?
"Jadi kena kahwin dengan perempuan ni?" Afam memandangnya dengan pandangan yang seakan menghina.
"Inilah pilihan makcik. Afam juga suruh carikan bukan?"
"Em, makcik tak boleh carikan yang sekadar cukup-cukup syarat ke? Saya tak berapa sukalah dengan stok-stok ustazah ni."
Eh, ustazah? Tak boleh pakai betul dia ni. Apa dia ingat ustazah sahaja boleh pakai tudung labuh tambah baju kurung?
"Saya lepasan MMU, ijazah dalam bidang kejuruteraan komputer. Dapat anugerah dekan, first class honours." Ingat aku lekeh ke? Husna menjawab dengan berani.
Afam dilihat diam. Ha, baru dia tahu.
"Not interested." Afam memandang ke arah Makcik Amirah.
Kerek betul la dia ni. Hish! Afeefah Husna mengetap bibir geram.
"Afam, Husna ini pun sudah bersetuju nak kahwin dengan Afam."
"Siapa tak suka kahwin dengan jutawan?" Afam menyandarkan tubuhnya santai pada sofa.
Eeeeee, geramnya aku! Sabar Husna sampai ke kemuncak. Terus dia bangun dan berdiri betul-betul di hadapan Afam.
"Sebenarnya, saya terhutang budi dengan Makcik Amirah tahu tak? Makcik Amirah jaga saya dengan baik sepanjang di universiti, kenalkan saya pada Islam, kenalkan saya pada Allah. Awak ingat saya peduli dengan harta awak? Saya sanggup ini pun kerana Makcik Amirah cerita fasal awak, nak bentuk awak jadi manusia. Awak ingat senang saya buat keputusan ini?" Suaranya meninggi.
Dia menentang mata Afam dengan berani. Bengangnya menggunung.
"Now this interesting." Afam mengukir senyuman. Manis. Tiba-tiba jiwa Husna rasa lain. Tiba-tiba kekuatannya tadi hilang. Afam bangun dari duduk. Berdiri dengan lebih dekat lagi di hadapan Husna. Husna terpaksa melangkah selangkah ke belakang. Wajahnya ditundukkan. Rasa panas ditenung sedemikian. Apa aku dah buat ni? Dia pula nak buat apa dekat-dekat macam ini? Makcik Amirah, tolong!
"Makcik, dia ini lulus. Saya suka." Ayat itu didengari, tanpa dia memandang pada tuannya. Apabila dia mengangkat kepala, Afam sudah beberapa langkah meninggalkannya dengan dua tangan menyeluk ke dalam poket seluar riadhahnya.
Segera Husna memalingkan wajah dan memandang Makcik Amirah.
Perempuan itu senyum sahaja.
Husna malu sendiri. Mana nak sembunyikan muka aku ni? Ish.
Husna tersenyum. Malulah pula bila teringat yang itu.
"Ha, kenapa tersenyum seorang diri ni? Apa yang makcik bukan tak tahu berkenaan Afam?" Suara Makcik Amirah mengejutkannya. Husna memandang ke cermin, melihat pantulan imej perempuan itu yang sedang tersenyum. Aaa, kantoi aku! Ya Allah, malunya.
"Yalah. Afam itu macam itu. Saya pun bukannya baik sangat makcik. Saya masih perlu bimbingan dan didikan. Tarbiyah Islam itu masih belum cukup pekat dalam diri saya makcik. Saya takut…" Husna mengadu.
"Jangan takut Husna. Anggaplah bersama dengan Afam ini sebagai tarbiyah. Percayalah cakap makcik, Afam itu jauh di dalam hatinya, dia pasti hendak kembali kepada Allah. Cuma mungkin dia memerlukan sentuhan yang lain dari lain. Sentuhan yang hanya boleh diberikan seorang isteri kepadanya. Yang Pak Arbi dan Makcik tak boleh berikan kepadanya."
"Mampukah saya makcik? Saya perempuan."
"Contohilah seperti Ummu Sulaim wahai Husna yang makcik sayangi. Dia mendidik Abu Talhah yang asalnya kafir, menjadi seorang yang sanggup bergadai nyawa melindungi Rasulullah SAW tercinta di medan Uhud."
Husna tunduk. "Tetapi saya bukan Ummu Sulaim."
"Tetapi kita tetap boleh terus berusaha ke arah itu bukan? Tambahan, Husna cintakan Afam kan?" Makcik Amirah menyempurnakan dandanannya. Baju kurung moden untuk persalinan perkahwinannya sudah siap dikemaskan. Sederhana, tetapi terserlah kekayaan maruahnya.
Husna diam. Merah wajahnya ditanya demikian secara terang-terangan.
"Entah kenapa wujud perasaan ini. Sedangkan tidak berkenalan." Dia tidak menyembunyikannya. Memang Makcik Amirah adalah orang yang dia tidak akan menyimpan rahsia daripadanya.
"Inilah namanya jodoh, sayang." Makcik Amirah mencubit lembut pipinya.
"Tetapi apakah Afam mencintai saya, makcik?" Husna berdiri. Membetul-betulkan sedikit pakaiannya.
"InsyaAllah. Husna kena berusahalah menawan jiwanya. Pandu dia kepada Allah."
"InsyaAllah makcik. Husna akan berusaha." Dia menyemat azam di dalam jiwa. Mungkin ini juga adalah peluang dia meningkatkan dirinya lebih lagi. Seorang perempuan yang tidak suka mencuci kukunya, apabila dia mencuci baju, maka kukunya akan tercuci sekali. Itu pegangannya.
Ya Allah, berikanlah kekuatan.
*****
"Seakan-akan Akama ini ingin membantu kita."
"Kita tidak boleh membuat asumsi sebegitu. Sentiasa memikirkan yang terburuk." Mr Umayer menyatukan kedua belah tangan di bawah dagu. "Ada kemungkinan dia adalah musuh kepada kita dan juga musuh kepada Syaitan Bertopeng."
"Afam, kita perlu lebih berhati-hati. Pak Arbi dapat rasakan sesuatu yang buruk akan dibawa oleh lelaki ini."
Afam diam. Persoalan mengapa lelaki misteri bergelar Akama ini wujud dalam perjuangannya sentiasa bermain-main di dalam fikirannya.
"Dia yang kita tidak ketahui tujuannya, lebih menakutkan berbanding yang lain." Mr Umayer menghela nafas.
"Kita hentikan perbincangan kita setakat ini dahulu. Afam perlu tidur awal hari ini." Pak Arbi memandang Afam.
Esok adalah hari perkahwinannya.
"Tidak. Malam ini Hero tetap muncul seperti biasa." Afam bangun dari tempat duduk.
Walaupun fikirannya diisi dengan rasa ingin mencari Akama, mengetahui motif lelaki misteri itu, kaitannya dengan Syaitan Bertopeng, dan rompakan di rumah Dato' Ikrimah Husni, tetapi seakan-akan semua itu telah hilang dan pergi kini.
Semuanya kerana perempuan yang sedang berdiri di hadapannya kini.
Baju kurung moden putih yang sederhana, tudung labuh sopan menyejukkan pandangan, baju nipis bercorak bunga-bungaan dipadan dengan baju putih di dalamnya. Wajah itu indah hari ini. Lebih indah dari biasa. Wajah itu sedang menunduk di hadapannya.
Oh, apakah perasaan ini?
"Kamu pun cintakan dia."
"Apa dia?"
"Afam, kamu pun cintakan Afeefah Husna."
"Merepek sahaja Pak Arbi."
"Pak Arbi boleh baca."
Cinta?
"Kenapa awak pandang macam itu?" Soalan Husna menarik Afam keluar dari dunianya. Tanpa sedar, mata mereka bertaut. Husna memandang Afam dari atas ke bawah.
Afam nampak sangat segak dengan kot, tali leher, seluar kemeja yang semuanya serba hitam. Kecuali baju kemeja yang dilindungi kot, itu berwarna putih.
Tadi semasa akad nikah, Husna di dalam bilik. Dia memang tidak ambil kisah dengan pakaian yang dipakai Husna. Semua diserahkan kepada Makcik Amirah. Walaupun pakaian Husna ini tidak seksi, tidak kelihatan megah, tetapi…
Macam ada kesenangan apabila melihatnya.
"Sebab awak…." Cantik? Patut sebutkah? Afam berlawan dengan dirinya sendiri.
"Nampak macam nak pergi kelas agama?" Akhirnya itu yang terlafaz, dengan nada seakan merendah-rendahkan.
Terus bibir Husna memuncung. Entah mengapa, Afam rasa tergeletek dengan perubahan wajah itu. Tanpa sedar, dia mengukir senyuman yang teramat manis. Hingga Husna juga terpana melihatnya. Muncungnya hilang begitu sahaja.
"Sebenarnya, saya yang nak bagi kelas agama pada awak." Husna membalas berani. Goreng. Mana boleh bagi mamat ni menang begitu sahaja. Ingat senyuman dia boleh beli satu dunia? Sori sikit.
"Kita tengok nanti Cik Husna. Saya pelajar yang nakal." Terus jadi tak kiut! Afam bicara di dalam hati. Dia pula yang memuncung.
"Sudahlah." Afam menyeluk kedua tangannya pada poket seluar. Bergerak hendak melayan tetamu, yang kebanyakannya merupakan rakan-rakan perniagaan ayah dan ibunya, pelanggan-pelanggan syarikatnya, dan juga orang-orang kenamaan Kotaraya Angsana. Wartawan-wartawan sudah tidak sabar mewawancara dirinya. Manakala jurukamera-jurukamera tidak henti-henti mengambil gambarnya.
Tiba-tiba lengannya rasa disentuh. Macam direnjat elektrik, Afam refleks menoleh.
Lengan Husna bertaut dengan lengannya. Mesra.
"Saya takkan biarkan pelajar nakal saya lari." Husna angkat kening dua kali.
Sekali lagi senyuman manis Afam muncul tanpa sedar.
"Apa-apa sahajalah." Afam bersuara dingin. Seakan malas melayan. Namun di dalam jiwanya, tiada siapa tahu. Dia berdebar-debar. Mengapa? Bukan selama ini dia tidak pernah disentuh oleh perempuan. Bahkan, perempuan yang lebih mengiurkan dan menggoda daripada Husna. Apakah yang sedang berlaku pada dirinya sekarang? Afam tidak mampu mencari jawapannya.
Husna sekadar tersenyum. Tidak endah dengan reaksi dingin Afam. Tetap kemas memegang lengan Afam. Beraninya aku! Husna rasa segan, tetapi menyembunyikan perasaannya itu jauh ke dalam diri.
Mungkin sahaja Afam tidak perasan akan senyumannya tadi. Tetapi untuk Husna, itu adalah tanda hati lelaki itu bukanlah sehitam yang disangka. Tinggal cahaya di dalam jiwanya disembunyikan sahaja.
Tugas Husna untuk mengeluarkan lelaki ini dari kehidupannya yang gelap.
Mereka berdua dengan mesra melayan semua yang hadir.
October 22, 2010
Motivasi: Allah menyeru kamu, Allah menjaga kamu.

Buang kesedihan kamu, kerana sesungguhnya kamu telah dimuliakan. ~ picture by Adila of deviant art.
Manusia sering alpa dan mudah leka dengan kesenangan. Nikmat-nikmat yang melimpah ruah di sekelilingnya mudah membuatkannya lupa dengan tanggungjawabnya terhadap Allah SWT sebagai hamba. Biasanya, manusia dengan banyak kesenangan, lebih cenderung menggunakan atau dipergunakan oleh kesenangannya untuk jauh daripada Allah SWT.
Maka kadangkala, kehidupan akan di'gegar'kan oleh Allah SWT.
Seperti orang yang mengantuk digegarkan oleh rakan di sebelah agar dia terjaga, maka begitulah ujian-ujian yang diberikan kepada manusia.
Seakan-akan ia seruan lembut daripada Allah SWT: "Sedarlah dari kealpaanmu, dan merapatlahg kepadaKu."
Maka ada orang berkata kepada saya: "Tetapi saya tidak pernah mengecapi kesenangan pun seumur hidup saya!"
Saya akan menjawab: "Sama ada kamu yang tidak berusaha bersungguh-sungguh, ataupun Allah tahu sekiranya kamu memperolehi kesenangan, kamu akan lebih kufur daripada hari ini."
Tidakkah kamu melihat Allah ingin menjaga kamu?
Allah, aturanNya tidak pernah sia-sia. Tinggal manusia sahaja tidak menyedarinya.
Satu keyakinan yang pasti, Allah tidak pernah melakukan sesuatu perkara dengan sia-sia. Semuanya pasti ada hikmah dan pengajarannya. Termasuklah dengan apa sahaja yang diberikan kepada kita. Tinggal biasanya, kita tidak memerhatikannya, menelitinya, ataupun ilmu kita tidak sampai untuk menyedari hikmahNya.
Satu yang perlu ditanam di dalam jiwa kita adalah bersangka baik kepadaNya dalam segala hal. Kita kena faham bahawa, Dia Maha Mengetahui, dan kita langsung tidak mengetahui apa-apa.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." Surah Al-Baqarah ayat 216.
Allah sedang menyeru kamu. Memanggil dekat ke sisiNya.
Jangan fikir Allah tidak menyayangi kita apabila Dia memberikan kita kesusahan dan kesukaran. Jangan sangka Allah mebenci kita apabila Dia menguji dan memberikan bencana.
Tidakkah kita perasan apabila kita ditimpa kesusahan, jiwa kita automatik memerlukan sokongan? Dan akhirnya kita faham bahawa tiada sokongan yang lebih kuat melainkan sokongan Allah SWT. Akhirnya kita bergerak kepadaNya, mengadu kepadaNya, meminta bantuanNya.
Maka kesusahan, ujian dan bala bencana yang menimpa kita tadi, hakikatnya adalah 'panggilan kasih sayang' Allah kepada kita. Bagaimana agaknya kalau kita tidak ditimpa kesusahan? Apakah kita lebih mudah mengingati Allah SWT?
"Dan apa musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)." Surah Ash-Shura ayat 30.
Tidak semestinya maksud 'perbuatan tanganmu sendiri' di sini adalah dosa dan maksiat seperti membunuh, mencuri, berzina dan sebagainya. Jauh daripada Allah, lupa kepada Allah, itu juga adalah termasuk dalam 'perbuatan tanganmu sendiri' juga sebenarnya.
Maka, musibah datang memberikan peringatan. Kenapa Allah memberikan peringatan? Kerana Allah bersedia untuk memberikan keampunan. Sebab itu ayat itu ditutup dengna 'dan Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan-kesalahanmu(yang menyebabkan kamu ditimpa musibah)'.
Semua orang-orang kaya di zaman Rasulullah, tetap melalui ujian. Saidina Uthman bin Affan RA diuji dengan kematian kedua-dua isterinya(Ruqayyah dan Ummi Kalthum). Abdurrahman bin Auf RA diuji dengan kakinya yang tempang apabila ditusuk dengan 21 tusukan ketika mempertahankan Rasulullah di Uhud. Belum dikira ujiannya yang meninggalkan semua hartanya di Makkah ketika Hijrah. Sama begitu juga dengan jutawan Suhaib Ar-Rumy, yang pergi ke Madinah sehelai sepinggang apabila hijrah.
Ujian-ujian ini, yang membuatkan mereka lebih menghargai harta-harta yang mereka ada. Adakah dengan menghargai itu bermakna mereka menyimpannya dan bakhil tidak menggunakannya untuk Islam? Tidak. Mereka menjadi seorang yang sangat dermawan, membantu Islam dengan kekayaan mereka, dan mereka tidak sesekali meletakkan kesenangan-kesenangan mereka di dalam jiwa.
Kerana mereka telah diproses oleh ujian yang Allah berikan.
Bagaimana kalau Allah tidak memberikan mereka ujian? Apakah mereka akan menjadi seorang yang sama dengan apa yang mereka jadi di dalam sejarah?
Semestinya tidak. Hal ini kerana, hanya orang yang pernah kehilangan nikmat, tahu apa nikmatnya nikmat. Lebih-lebih lagi apabila jiwanya telah berhubung dengan Allah SWT.
Allah sedang menjaga kamu, menjauhkan kamu dari keburukan.
Ada pula yang mengadu bahawa dia langsung tidak pernah senang. Hidupnya penuh dengan ujian. Hidupnya penuh dengan kesengsaraan.
Guru Aqidah saya, Dr Samirah Tohir pernah berkata:
"Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Ada kemungkinan kesenangan tidak datang kepada kamu, kerana Allah Maha Tahu bahawa kamu akan menggunakan kesenangan itu ke arah kemungkaran nanti."
Tidakkah kita memerhatikan? Ya, mungkin kita akan kata: "Mana ada. Saya akan gunakannya sebaik-baiknya!" Tetapi siapakah kita hendak menandingi pengetahuan Allah SWT?
Kita melihat ramai orang yang hidup dalam kesenangan tertipu dengan kesenangan mereka, tidak mempunyai ketabahan seperti ketabahan kita yang hidup sukar, tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah seperti kita yang seringkali mendekati Allah mengadu dan memohon. Bagaimana agaknya kita apabila diberikan kesenangan?
Tidakkah kita memerhatikan?
Allah sedang menjaga kita, memuliakan kita, mengangkat kita.
"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." Surah At-Taghabun ayat 11.
Tidakkah kita merasa bahagia?
Penutup: Sangka baik kepada Allah, dan melihat segala yang berlaku dengan pandangan mukmin.
Sebagai seorang yang beriman kepada Allah tanpa keraguan, kita sepatutnya mengekstrak hanya kebaikan-kebaikan dari apa sahaja yang berlaku. Seorang yang beriman kepada Allah, akan senantiasa positif kepadaNya. Hal ini kerana, keimanan-keimanannya memandu. Keimanan-keimanannya memimpin. Kita yakin Allah mengharamkan kezaliman pada diriNya, kita yakin bahawa Allah tidak Memungkiri JanjiNya, Kita yakin Allah tidak akan melakukan perkara yang sia-sia.
Maka kita yakin, apabila Allah mengekalkan kita di satu tempat, ada hikmahnya.
Maka kita yakin, apabila Allah memberikan kita bala bencana, ada hikmahnya.
Semuanya perlu kita hubungkan kembali dengan Allah, kehidupan kita, dan akhirat. maka kita akan melihat, memang benar, semua ini bukan sia-sia. Ada sebab kenapa Allah buat demikian kepada kita.
Ini pandangan seorang mukmin.
Sebab itu, orang mukmin memang manusia biasa yang imannya turut turun dan naik. Tetapi orang mukmin, apabila dia berada di bawah, dia tidak akan berlama-lamanya pada kerendahan keimanannya. Dia akan segera naik. Dan apabila dia naik, dia naik lebih tinggi dari sebelumnya.
Orang mukmin sentiasa bahagia dengan kepercayaan ini.
Jika tidak, Sumaiyah yang disula sudah pasti meraung-raung mencaci Allah ketika Abu Jahal hendak menyulanya. Jika tidak, Suhaib Ar-Rumy pasti sudah mencaci-caci Allah ketika dia terpaksa meninggalkan hartanya yang susah payah dikumpulkannya. Jika tidak, Bilal bin Rabah pasti sudah mencaci-caci Allah apabila dia diseret di tengah padang pasir yang panas dan dihempapkan batu di atasnya.
Tidakkah kita memerhatikan?