Hilal Asyraf's Blog, page 148
October 10, 2010
Perkongsian: Dosa membunuh jiwa.
Sampai satu saat, kedamaian pun akan hilang dari jiwa ~ picture by ssilence of deviant art.
Di dalam Novel Sinergi, ada saya ceritakan berkenaan bagaimana orang-orang beriman melayan 'dosa'. Ya. Di dalam Fanzuru juga ada saya kongsikan bagaimana guru saya, Sheikh Asyraf Banu Kinanah menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu serius hendak menggapai redha Allah SWT, maka dosa kecil pun akan dilihat besar untuk dirinya.
Maka di sini kita dapat melihat bahawa dosa adalah sesuatu perkara yang bukan kecil.
Ya, apakah perkara yang lebih menakutkan bagi seseorang yang matlamatnya hendak mendapatkan keredhaan Allah, melainkan jauh daripada Allah? Itu adalah satu mimpi ngeri.
Maka dosa menjauhkan kita daripada Allah SWT.
Lebih hebat lagi, dosa adalah seperti virus.
Sekiranya dilazimi dan dilayan seperti 'biasa', maka ia akan membunuh jiwa.
Dosa, jauh daripada Allah
Basis pertama dalam melakukan dosa adalah kerana hilangnya iman di dalam hati. Ini adalah apa yang saya perolehi daripada buku Tazkiyatun Nafs karangan Dr. Anas Ahmad Karzon.
Beliau memetik sabda Rasulullah SAW:
"Tidak akan berzina seorang penzina itu sekiranya ketika dia hendak berzina itu dia beriman," Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Ini menunjukkan betapa keimanan dan dosa bukanlah dua perkara yang mampu wujud di dalam satu masa. Apabila manusia melakukan dosa, tanda keimanannya sedang mempunyai masalah. Keimanannya ketika itu tidak mampu merasakan Allah bersamanya, Allah melihatnya. Keimanannya ketika itu tidak mampu memikirkan apakah konsikuensi perlakuannya hari ini di akhirat. Menyebabkan dia tetap melakukan kemungkaran tersebut.
Maka ketika dia melakukan dosa, dia jauh daripada Allah SWT.
Walaupun hakikatnya, Allah itu amat dekat dengannya.
Maka apabila dilazimi kejauhan ini…
Maka apabila jiwa dilazimi dengan 'kejauhan' ini, lama kelamaan kita akan menyedari bahawa diri menjadi lemah dan tidak kuat. Bukan lemah dan tidak kuat untuk menjalani kehidupan seperti manusia biasa yang lain. Tetapi lemah dan tidak kuat untuk berhubungan dengan Allah SWT.
Bacaan Al-Quran kita akan berkurang, keingatan kita terhadap Allah SWT akan menyusut, kita kurang hendak bergaul dengan orang-orang yang soleh, mengikuti program-program yang mengajak kepada kebaikan dan sebagainya. Hatta nanti, solat pun kita cincai halai balai, dan jangan cerita fasal ke masjid. Jauh sekali.
Kerana hati telah lemah.
Di dalam buku Menjadi Hamba Rabbani karangan Dr. Majdi Al-Hilali, beliau ada menyatakan bahawa rohani kita berasal dari langit. Maka makanannya adalah dari apa yang diturunkan dari langit, yakni berhubungan dengan Allah SWT.
Di sinilah kita melihat betapa apabila kita melazimi dosa, hati kita kekeringan, seterusnya membawa kita kepada kelemahan yang dinyatakan.
Tidak akan mampu gembira dengan kegembiraan orang yang beriman
Bahana besar daripada perkara ini adalah, apabila jiwa kita terbunuh, maka kita tidak akan mampu bergembira dengan kegembiraan orang yang beriman. Apakah kegembiraan orang yang beriman? Adalah apa yang dinyatakan di dalam hadith Rasulullah SAW:
"Ajaibnya orang beriman, sesungguhnya setiap urusannya untuk mereka adalah baik, sekiranya mereka diuji mereka bersabar, dan sekiranya mereka diberikan anugerah mereka bersyukur." Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Di sini dapat kita lihat akan kondisi seorang mukmin.
Tetapi untuk jiwa yang terbunuh, perkara ini tidak akan dapat dirasai. Apabila 'kejauhan' itu dilazimi, maka lama kelamaan perkara ini akan menghilang daripada diri mereka. Hal ini kerana, mereka jauh daripada Allah SWT, dan tidak akan mampu hendak menghubungkan apa-apa denganNya.
Penutup: Apakah yang lebih menakutkan dari dosa?
Sebab itulah, sebagaimana yang saya sebutkan di dalam Fanzuru, apabila guru saya Sheikh Asyraf Banu Kinanah menceritakan besar dan menakutkannya dosa itu, seorang murid bertanya:
"Wahai doktor, apakah tiada dosa kecil?"
Kemudian dia menjawab: "Mengapa? Apakah kau hendak melakukannya?"
Satu kelas terdiam.
Besarnya dosa. Efeknya juga melemahkan kita. Lemah dan lemah, hingga jatuh ke tahap terbawah. Bila sumber penerimaan cahaya langit(jiwa) sudah terkatup, apakah mungkin cahaya menerobos masuk?
Maka di sinilah kita perlu melihat diri. Artikel ini semestinya untuk melihat diri, bukan menuding jari ke arah orang lain.
Bagaimanakah kita dengan dosa, dan bagaimanakah layanan kita terhadapnya.
October 9, 2010
Perkongsian: Jangan menuntut ilmu melalui blog?
"Menuntut ilmu itu adalah FARDHU bagi setiap muslim" Hadith riwayat muslim ~ picture by yuniarko of deviant art.
Semalam, ada orang mengutarakan kepada saya satu permasalahan yang pertama kali saya dengar, dan ia mengundang rasa geli hati saya.
"Kawan saya kata, kita tak boleh belajar dari blog-blog, facebook(pendek kata, internet) sebab dia kata, Rasulullah ajar kalau menuntut ilmu kena berdepan-depan."
Ha. Macam mana tu ya? Siap angkat nama Rasulullah SAW lagi. Kalau biasa-biasa, bila dengar nama Rasulullah sahaja, kita dah tak tanya dah.
Macam mana? Langit Ilahi ni tak boleh ikutlah? Tak boleh ambil apa-apa dari Langit Ilahi lah?
Saya tersenyum.
[image error]
Memang. Menuntut ilmu perlu berdepan-depan.
Memang. Kalau ditanyakan kepada saya, saya akan menjawab antara adab menuntut ilmu adalah berhadapan dengan guru. Mengambil terus daripadanya tanpa perantara. Memang itu yang ditunjukkan dengan jelas oleh Jibril AS apabila bertemu dengan Rasulullah SAW di dalam hadith Jibril yang popular, apabila Jibril bertanyakan pelbagai soalan kepada Rasulullah SAW.
Diriwayatkan di dalam hadith itu, lutut mereka bertemu.
Inilah dia adab bila berguru.
Saya tidak menafikan hal ini.
Menuntut ilmu berhadapan dengan si penyampai, sememangnya adalah cara terbaik, yang tidak dapat disangkal lagi.
Tetapi…
Tetapi, apakah salah mencari maklumat tambahan apabila sudah mempunyai kemudahan seperti internet dan sebagainya?
Tidak. Hal ini tidak memerlukan dalil kerana mengikut kaedah fiqh, "Asal kepada segala perkara adalah halal melainkan ada dalil yang mengharamkannya."
Maka di sini, setakat ilmu saya yang rendah ini, tidak terdapat dalil menyatakan bahawa haram sekiranya kita menuntut ilmu selain berdepan-depan.
Ini dibuktikan oleh para ulama' terdahulu yang menulis buku. Sedangkan, Rasulullah SAW tidak menulis hadith-hadith baginda. Tetapi selepas selesai masalah untuk tersilap ayat Al-Quran dan hadith baginda, Rasulullah mengarahkan sahabat-sahabatnya untuk menulis. Ini diperkuatkan pula dengan ulama'-ulama' yang wujud selepas zaman itu, menulis kitab-kitab mereka.
Berkenaan menuntut ilmu di internet, saya melihat sheikh-sheikh saya di Jordan ini turut menyuruh kami anak-anak muridnya membuat rujukan dari internet. Sekiranya, menuntut ilmu, mengambil maklumat dari internet merupakan satu kesalahan, semestinya sudah wujud pergaduhan antara sheikh yang setuju dengan sheikh yang tidak setuju di Yarmouk ini.
Tetapi lihatlah. Rujukan. Bukan ambil bulat-bulat.
Apa yang kita belajar di dalam kelas, kita bandingkan dengan maklumat di internet.
Semata-mata internet, semestinya tidak kena.
Mengambil manfaat dari internet
Dunia telah digerakkan oleh teknologi hari ini. 1001 satu kemudahan telah wujud. Antaranya yang paling popular adalah internet.
Maka ambil lah apa yang bermanfaat dan tinggalkanlah apa yang membawa kemudaratan daripadanya.
Agar melayari internet juga menjadi ibadah buat kita.
Kesilapan utama dalam mengambil ilmu dari internet.
Silap yang utama di dalam perihal mengambil ilmu dari internet adalah, dia mengambil bulat-bulat begitu sahaja. Saya tidak sarankan hal ini. Hatta apa-apa yang anda ambil dari Langit Ilahi sekalipun, hakikatnya saya tidak berapa gemar anda terus mengambilnya begitu sahaja.
Di blog-blog, facebook dan sebagainya, ia hanya cambahan idea. Pendapat penulis berdasarkan ilmunya. Tidak semestinya semua yang dibicarakan benar. Ini dapat kita perhatikan bahawa banyak lagi blog-blog lain yang wujud, menentang Islam dan memberikan informasi salah.
Maka ilmu yang dituntut secara berdepan-depan adalah perlu bagi menilai 'bahan-bahan tambahan' ini. Di sinilah kita melihat, kepentingan dalam mencari guru yang baik dan boleh dipercayai. Agar ilmu-ilmu itu dapat kita lihat dalam bentuk 'pembumian', yakni diamalkan. Bukan semata-mata teori.
Dan hakikatnya, apabila menuntut ilmu berdepan-depan juga, kita tidak boleh menutup keterbukaan kita dengan semata-mata mendengar pendapat seorang guru. Latih diri untuk mendengar pendapat dari pelbagai guru. Di situlah baru kita berjaya mewujudkan kesederhanaan dalam langkahan kita.
Penutup: Saya adalah realiti. Bukan fantasi. Jangan risau. [image error]
Saya Hilal Asyraf, adalah manusia yang hidup. Kalau tak percaya, boleh tanya sesiapa yang pernah berjumpa dengan saya. Saya bukan fantasi.
Kalau ada kemampuan, boleh mencari saya untuk berdepan-depan. Tinggal saya tidak anggap diri saya sebagai guru kalian. Saya sama macam kalian juga. Tinggal website ini adalah ruang perkongsian. [image error]
Maka selesailah hal ini kiranya. Konklusinya, mencari ilmu tambahan secara tidak terus(melalui buku, internet, radio dan sebagainya) hakikatnya tidak haram bahkan digalakkan untuk mencambah pengetahuan dan memperdalam kefahaman.
Tetapi, berdepan-depan dengan guru bukanlah sesuatu yang patut ditinggalkan.
Masalahnya adalah belajar tanpa guru.
Itu masalah yang besar yang sebenarnya.
October 8, 2010
Gambar: Aku cemburu hujan.
Menghubungkan langit dan bumi ~ pciture by brade_s of deviant art.
Aku Cemburu Hujan
Dia turun
di tanah ini lebih sejuk
titis-titis mutiara bersama hawa syurga
basah
menghidupkan dunia
dari awan datangnya ia
bumi tempat sujudnya dia
sungguh Yang Maha Perkasa mencantumkan Langit dan Tanah begitu sahaja
dengan hujan sebagai penghubungnya
aku cemburu hujan
mudah menyatukan dua makhluk berlainan darjat
menyegarkan alam sejagat
memberikan kehidupan
menjemput keharmonian
tambah bila datang bersama pelangi indah
sungguh aku tenggelam dalam kecemburuan
bagi yang beriman melihat mendapat pengajaran
bagi yang tidak percaya melihat sekadar biasa
aku hamba yang berzikir tika berdiri, duduk, berbaring dan bergalih
tiadalah Rabbku mencipta semua ini untuk bersia-sia
pasti ada hikmah untuk aku menghirupnya
segar
harum bau bumi naik ditarik hangat
kudepangkan tangan
hidup
aku cemburu hujan
~Hilal Asyraf~
04.52PM
08102010
dalam bilik, Irbid, Jordan
Pertama kali merasai hujan di Jordan selepas pulang
Aku Cemburu Hujan
Pengumuman: Sedikit berkenaan Novel Takdir.
Novel Takdir pergi dari Langit Ilahi, Novel Hero datang mengganti. :-)
Ramai bertanya berkenaan Novel Takdir saya.
"Bila nak sambung?"
"Enta dah balik Jordan ni, sambunglah."
Dan sebagainya.
Susah hati saya tengok pertanyaan-pertanyaan ini. Em, bolehkah saya bagi satu jawapan tetapi jawapannya agak mengecewakan?
"Novel Takdir tidak akan disambung lagi di website Langit Ilahi."
Ya. Itu jawapannya. Buat pengetahuan, Novel itu sudah hampir sempurna. Dan untuk membuatkannya menjadi lebih 'suprise', saya tak mahu reveal banyak-banyak berkenaannya. Sebab pada saya, Takdir adalah 'masterpiece' saya.
InsyaAllah, dapatkan Novel Takdir pada Pesta Buku Kuala Lumpuar 2011 akan datang.
Kali ini, saya janji novel itu tidak akan keluar lambat macam VT dan Sinergi.
Sebab saya akan hantar awal pada editor.
Oh ya, buat pengubat duka akan 'kehilangan' Takdir ini, saya akan berkongsikan Novel terbaru saya yang selama ini hanya disebut-sebut sahaja, yakni Novel Hero mulai minggu depan. Yang ni saya umumkan awal-awal, bahawa Novel Hero akan 'bersiaran' di Langit Ilahi selama 17 minggu. Jadi ada 16 bab tambah satu prolog.
Tunggu.
[image error]
October 7, 2010
Internet yang turun dari langit.
Langit gelap sudah berlalu pergi, Langit Ilahi kembali lagi! Semoga Allah redha. ~ picture by be-youself of deviant art.
Saya senyum sampai telinga sekarang ni. Sambil menggeleng kepala saya entah berapa kali. Sebab saya rasa macam lawak pula.
Selepas menyakat-nyakat warga Langit Ilahi dalam Bahasa Arab broken saya, menyatakan bahawa internet hanya kemungkinan masuk ke rumah saya seminggu atau dua minggu lagi di cybercafe tadi, sebaik sahaja saya pulang ke rumah, orang yang menguruskan internet telah memasang internet.
Maka sekarang, saya sedang online di rumah.
Haha.
MasyaAllah. Subhanallah. Alhamdulillah.
Ada sesiapa yang doakan biar internet saya ada ke?
Warga Langit Ilahi rindu sangat ni. Bertuahnya saya(perasan mode) [image error]
Alhamdulillah.
InsyaAllah, selepas ini Langit Ilahi akan diupdate seperti biasa. Dan memandangkan saya telah pulang ke Jordan dan tanah Urdun ini menjanjikan kelapangan yang teramat sangat kepada saya(selain studi, saya bukan buat apa-apa. Best!) maka saya akan kembali menjawab SEMUA komen untuk post-post selepas ini insyaAllah.
Semoga Allah redha.
Ba'da wasaltu fi Urdun…
Inni aftaqidu lahu kathir. 'indama naltaqi, sanatakallam bi lughah arabiah syuwayya awwalan. Allahumma firghlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu.
Assalamu'alaikum.
keifa hal ahli syabakah Langit Ilahi? Ad'u ilallah an yanzil rahmatuhu ilaikum, wa arju annallaha sayajma'na fil jannatihi ma'an.
Aqulu wa billahittaufiq,
awwalan, afwan 'ala ta'khir li irsal risalah jadidah fi hazihil syabakah.
thanian, Yujad musykilah kathir ba'da wasaltu ila urdun. ana ma'a ahli baiti nughaiyyir internet fi baitina. ashhan hik, ma fish internet fi baiti. walakin insyaAllah, biiznillahi ta'ala warahamatuhu 'alaina, saya'ti internet fi usbu' au usubu'ain. hatta zalik, arjukum an tasbirun.
thalisan, atakallam bi 'arabi fi hazihil risalah hazal yaum, li inno lughati fil arabi binazzil syuwayya. yumkin ashhan waqti fi malizia waqtan towilan. 'ala kullihal, ba'da khamsah ayyam fi urdun, ana a'ish hayah sa'idah.
InsyaAllah, sa uwaqif risalati fi hazihin nuqtah. arjukum an la tansawuni fi du'aikum. Uhibbukumfillah.
(siapa dapat translate, dia best. haha. sori, broken arabic. Sekali sekala menyakat warga Langit Ilahi. Tak mengapa kan? kan kan kan? )
[image error]
Cerpen: Masyitah(new version)
Semoga Allah redha.
Saya yakin ramai yang menunggu update di Langit Ilahi. E-mail-email yang saya terima dan mesej-mesej dari Facebook bertanyakan kenapa tak update amat merisaukan saya.
Maaf, sebabnya akan saya ceritakan pada post selepas ini untuk menenangkan hati semua.
Tetapi sebagai tanda meminta maaf, saya kira tak cukup sekadar dengan 'minta maaf' daripada saya.
Jadi saya sediakan hadiah untuk pelawat-pelawat Langit Ilahi.
Satu cerpen. Bertajuk: Masyitah.
Oh, dulu saya pernah buat satu cerpen yang tajuknya sama. Tetapi ini yang lain punya.
Enjoy it!
Jangan lupa komen ya.
[image error]
Masyitah
Kau mentari hatiku,
Menyinar terang gelita hidupku,
Kau sinar penyaman kalbu,
Lapang senang datang menyerbu.
Kau mentari hatiku,
Di dalam jiwa hanya satu,
Kau sumber tenagaku,
Memancar kekuatan dalam langkahku
Kau mentari hatiku,
Menyinar terang gelita hidupku,
Maka teruslah dikau menyinarkan cahaya
Ibarat Masyitah di zaman Musa
Yang teguh terjun ke dalam didihan syurga
Ya Allah letihnya! Hariz Arifi membentak di dalam hati. Tali leher yang sudah dilonggarkan, ditarik. Kunci kereta dicabut dari tempatnya. Briefcase diambil dari tempat duduk belakang sebelum dia membuka pintu dan keluar dari Camrynya.
Kerja yang banyak di universiti tadi membuatkan kepalanya macam sedikit berpinar. Perlahan-lahan dia menarik nafas menghirup udara segar halaman rumahnya yang menghijau. Sebelah tangan yang tidak memegang beg dilarikan ke belakang leher, mengurut-ngurut perlahan.
"Ish,ish. Kenapa gaya macam tak makan setahun sahaja ni?" Satu suara lembut menyapa gegendang. Pantas Hariz menoleh ke arah pintu rumah. Matanya terus terpaku di situ.
Seorang perempuan bercermin mata, bertudung labuh, bersama baju lengan panjang yang labuh dan seluar riadhah. Nampak sederhana. Mungkin sahaja orang lain akan menyatakan bahawa perempuan ini biasa sahaja, tiada yang istimewa. Tetapi untuk Hariz Arifi, wanita di hadapannya kini adalah satu-satunya bidadari yang wujud di atas dunia yang fana ini.
Tanpa sedar, kakinya melangkah ke arah perempuan itu. Wanita itu sedikit terkejut melihat Hariz Arifi yang semakin mendekat dengannya. Beberapa langkah kemudian, jarak antara Hariz Arifi dengannya sudah tinggal sejengkal sahaja. Dia terpaksa mendongak sedikit untuk memandang Hariz Arifi yang lebih tinggi berbandingnya.
"Kenapa?" Perempuan itu bertanya teragak-agak. Kebisuan Hariz Arifi membuatkannya tertanya-tanya.
Hariz Arifi meletakkan beg di tangan. Kemudian memandang sekali lagi perempuan itu sedalam-dalam. Perempuan itu mengangkat kening. Ada apa-apa yang tidak kenakah? Hati bertanya.
Tiba-tiba Hariz Arifi menggores senyum. Terus dipeluk perempuan itu seerat-eratnya.
"Tata, rindunya saya pada awak!" Sambil menggoyangkan tubuh perempuan itu sedikit ke kiri dan ke kanan.
"Apa buat gaya seribu tahun tak jumpa ni? Terhantuk stereng kereta? Malulah kalau orang nampak. Kita di hadapan rumah ni." Perempuan itu terkejut dengan reaksi Hariz Arifi. Spontan kedua belah tangannya bereaksi untuk menolak tubuh Hariz Arifi. Hariz Arifi perlahan-lahan meleraikan rangkulannya. Senyumannya masih belum hilang. Mata mereka berdua bertemu.
"Tata, bila tengok muka awak, semua kepenatan saya hilang." Hariz mencubit kedua belah pipi perempuan di hadapannya.
"Yalah tu. Cukup-cukuplah jiwang karat awak tu. Lemas saya." Perempuan itu menarik kedua belah tangan yang mencubit pipinya, kemudian menunduk mengambil beg Hariz Arifi tadi.
"Lagi satu, sejak bila nama saya jadi Tata ni ha? Ingat Bas Tata MATRI ke?" Dia mencebik sebaik sahaja berdiri tegak semula.
Senyuman Hariz Arifi semakin lebar. "Masyitah, jadi Tata. Itu panggilan manja saya pada awak."
"Tak naklah. Ada patut Tata." Perempuan yang bernama Masyitah itu berpaling dan perlahan-lahan melangkah masuk ke rumah.
"Comel apa Tata. Kiut."
"Habis tu, awak saya panggil Haha nak tak?" Masyitah memandang Hariz Arifi yang kini berjalan beriringan dengannya ke bilik.
Pecah ketawa Hariz. "Comel jugak tu. Tata dan Haha. Kalau ini status Facebook, saya dah 'like' awal-awal."
"Senget." Hariz ditolak lembut. Akhirnya Masyitah juga ketawa.
"Saya tak mahu Tata. Saya nak Masyitah. Harapnya, boleh menjadi Masyitah seperti di zaman Musa."
Tawa Hariz Arifi terhenti. Bertukar dengan senyuman manis.
"Saya sentiasa doakan awak semoga mampu mencapainya. Tiara Masyitah."
Masyitah turut tersenyum.
Sampai di hadapan tangga, Masyitah hendak naik tetapi Hariz menuju ke dapur.
"Eh, nak pergi mana? Tak nak naik dulu?"
Langkahan Hariz terhenti. Matanya menyapa wajah Masyitah. Kemudian perlahan-lahan dia menggeleng. "Puan Masyitah, saya nak pergi memasak. Saya tahulah awak kaki diet. Tapi takkan tak nak makan langsung? Tak benarkan saya ke dapurkah?" Dan tanpa menunggu jawapan, Hariz Arifi bergerak ke dapur meninggalkan Masyitah dengan senyuman.
Masyitah menggeleng.
Baru tadi muka macam orang tak makan seribu tahun.
Balik memasak pula? Ini yang aku tak nak dulu. Ish…
Akhirnya langkahan dikorak naik ke atas untuk meletakkan beg, tidak menghiraukan desiran di dalam hati. Namun perasaan itu tidak akan hilang begitu sahaja. Semestinya.
Memang namanya Masyitah.
Tetapi dia bukanlah sebaik Masyitah di zaman Musa. Hanya berharap untuk menjadi sepertinya sahaja. Belum tahu mampu mencapainya atau tidak.
*****
"Kahwin dengan Hariz Arifi?" Matanya membesar. Terkejut.
"Em, dia berhajat kepada Masyitah. Apa pandangan Masyitah?" Ibu bertanya lembut.
"Eh, tak naklah!" Segera dia menjawab.
"Kenapa?"
"Er…" Macam mana hendak menjawab soalan 'kenapa' ini ya? Sepatutnya pertanyaan itu dilontarkan kepada Hariz Arifi. 'Kenapa' dalam banyak-banyak perempuan di dunia ini, dia yang menjadi pilihan hati?
"Syitah tak sedia la Ibu. Syitah muda lagi. Baru habis SPM. Lagipun…" Ibarat bertih jagung, pantas dia memberikan alasan. Hatinya macam dihimpit-himpit dengan tekanan yang amat berat.
"Lagipun?"
"Dia Hariz Arifi. Ibu bukan tidak kenal siapa Hariz Arifi."
Ya. Hariz Arifi. Beberapa tahun lebih tua daripadanya. Masyitah kenal akan dia. Merupakan senior di sekolah lamanya. Tetapi kini, bukan sedikit orang yang mengenali nama itu. Umur masih muda tetapi pemikirannya kadangkala menakjubkan veteran-veteran di dalam kehidupan. Gerak langkah pemuda itu pantas. Kerja pemuda itu adalah memperbaiki dirinya sambil mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Semua itu dilakukan semasa belajar di luar negara. Hari ini nama itu semakin meningkat naik di Malaysia. Hampir semua kawan-kawan Masyitah mengenalinya. Begitu juga dengan jiran-jirannya.
Kahwin dengan orang macam itu?
Mampukah aku?
Diri banyak perkara masih belum diperbaiki. Masih rasa terlalu muda untuk segala tanggungjawab. Masih rasa ingin berseronok itu dan ini. Kahwin? Umur baru 18!
Serabut kepala memikirkannya.
Kenapa tak pilih mana-mana pembawa usrah di sekolah mereka dahulu yang kini masih aktif di universiti masing-masing?
Kenapa dia?
"Ibu, tolaklah ya?"
Ibu menghela nafas. "Baiklah Masyitah. Ibu ikut sahaja apa yang Masyitah senangi. Tetapi Ibu sukalah dengan Hariz tu."
Masyitah diam. Masalahnya, aku tak mampu. Muda lagi. Itu satu hal. Hal yang lebih besar lagi, adalah aku ini tak sama macam Hariz itu. Aku tidak sebaik Masyitah penyisir rambut anak Firaun!
Pap!
Lamunan kenangan yang terimbas itu pecah begitu sahaja. Kedua belah telapak tangan Hariz yang bersatu di hadapannya. Terus ditolak lelaki itu. "Awak!"
"Termenung apalah tu sampai saya datang pun tak perasan. Teringat saya ya?"
"Tekan lif naik sendirilah." Masyitah memuncung. Matanya kembali kepada nota-nota di atas meja jepun. Sempat bola matanya menyapa buku-buku yang berselerak dan komputer riba yang hidup di tempat yang sama. Penuh meja jepun itu dengan barang-barang studinya.
Hariz menarik garisan manis pada bibir. Tubuhnya dirapatkan dengan tubuh Masyitah.
"Ini kenapa ni? Encik Hariz Arifi, Tiara Masyitah mahu studi ni. Minggu depan saya final exam."
"Garangnya." Pipi Masyitah ditarik lembut.
"Ish!" Tangan itu ditepis. Hariz ketawa.
"Awak, dari kacau saya, baik awak buat tesis awak tu. Kata nak habis Masters sama-sama dengan saya graduasi."
"Tesis saya sudah hampir siap. Itu sebab saya kacau isteri yang ter'chenta' ini."
"Jahat!" Pantas sebelah tangan Masyitah mencari pinggang Hariz. Hariz mengelak dengan segera. Akhirnya mereka berdua ketawa. Masyitah sampai menggeleng.
"Tadi terfikir apa? Saya keluar dapur, masuk dapur, keluar dapur semula awak masih termenung lagi. Susah sangat studi sampai terfikir nak melancong ke Zargus ke?"
"Ada pula macam itu. Ingat orang studi sampai sewel?" Masyitah sengih.
"Manalah tahu."
"Teringat masa awak propose saya pada Ibu."
"Oho."
Suasana jadi sepi sebentar. Bunyi desiran kipas mengisi ruang.
"Akhirnya kahwin juga kita ya?" Hariz menatap Masyitah.
Masyitah mengangguk perlahan. Perkahwinan mereka baru berusia setahun setengah. Hariz Arifi sudah hampir menamatkan mastersnya, manakala Masyitah pula sudah hampir menyelesaikan ijazahnya.
"Menyesal tak?" Tiba-tiba Masyitah melontarkan soalan, mengundang angkatan kedua-dua kening Hariz Arifi.
"Menyesal?"
"Kahwin dengan saya?"
Hariz Arifi tersengih. Kemudian menggeleng. "Tak pernah menyesal."
"Betul? Kahwin dengan orang tak pandai masak, tak solehah, tak menonjol dalam dakwah dan tarbiyah," Masyitah mengangkat satu persatu jarinya seakan membilang. Hariz setia mendengar.
"Tak hafal Al-Quran banyak, tajwid pun tak hebat, asyik kena kejut Subuh hari-hari, ibadah sunat kurang, Tak lovely, asyik studi sahaja, Tak pandai layan awak, tak…" Dan bicara Masyitah terhenti di situ. Jari telunjuk Hariz Arifi sudah melekat pada bibirnya. Mata mereka bertemu.
"Saya tak perlukan semua itu. Bukankah saya sudah kata sebelum kahwin, yang saya mahu daripada awak hanyalah awak berada di sisi saya sahaja. Saya tidak minta lebih daripada itu." Jari telunjuk itu diturunkan. Kedua belah tangan kini mencari tangan Masyitah. Memegang erat tangan lembut itu.
"Untuk saya, cukup sekadar awak bernafas di sisi saya. Biar saya yang masak, biar saya yang kemas rumah, biar saya yang baca Al-Quran untuk awak, biar saya yang hari-hari kejut awak Subuh, biar saya yang lovely, biar saya yang caring, biar saya yang asyik layan awak. Biar saya semua." Hariz Arifi menyempurnakan bicara.
"Saya bukan Masyitah di zaman Musa. Setahun setengah ini, banyak saya sudah susahkan awak. Lebih-lebih lagi hal dakwah dan tarbiyah. Sahabat-sahabat lain yang macam awak, isteri mereka semua hebat-hebat. Semua ke hadapan sama-sama. Saya…" Masyitah menunduk.
"Mana ada awak tak bantu dalam dakwah dan tarbiyah?"
"Eh? Ada saya bantu?" Masyitah berfikir. Ada bagi ceramah? Tak ada. Ada bagi idea? Pun tak ada. Ikut program sebagai orang biasa sahaja adalah. Menjadi penggerak, pemikir, tak pernahlah pula.
"Ada. Bila awak ada di sisi saya, saya jadi kuat. Bila saya jadi kuat, saya lebih bersemangat dalam melaksanakan dakwah dan tarbiyah. Bila saya bersemangat melaksanakan dakwah dan tarbiyah, kerja-kerja dakwah dan tarbiyah berjalan lebih lancar. Bila kerja-kerja dakwah dan tarbiyah berjalan lebih lancar, insyaAllah ramai orang akan mendapat manfaat."
Masyitah terpana. Garis manis pada bibir Hariz tidak pudar. Tangan Hariz semakin erat memegang tangan Masyitah.
"Bukankah awak telah membantu? Tak puas hati lagi?" Hariz merapatkan dahinya ke dahi Masyitah. Wajah Masyitah kemerahan.
"Tapi…"
"Tak ada tapi-tapi lagi. Eh, kenapa la awak fikir benda ini hari ini? Sudahlah. Minggu depan hendak final exam. Nanti serabut kepala otak. Mari makan. Saya sudah siap hidang di dapur tu. Hari ini saya masak special. Sotong masak sambal kegemaran awak." Hariz bangun.
Masyitah diam. Tidak mampu berkata apa-apa.
"Lah. Bangun pun nak saya tolong? Romantiknya." Hariz menghulurkan tangan apabila Masyitah tidak bangun-bangun.
Masyitah mencebik. "Senget." Masyitah menyambut tangan Hariz, dan suaminya itu membantu dirinya bangun. Mereka berjalan beriringan ke dapur.
Hariz ketawa. Di dalam hatinya dia bahagia. Bahagia apabila bidadari jiwanya bahagia. Tiada apa yang lebih mendukakannya melainkan kedukaan bidadari jiwanya ini.
Entah mengapa Allah memberikan perasaan ini kepadanya.
Kepada seorang Tiara Masyitah.
*****
"Dijemput pasangan suami isteri Dr Ali Zahidi dan Dr Maryam Umairah!"
Sepasang suami isteri berjalan beriringan sebaik sahaja pengerusi majlis melaung nama. Tepukan kedengaran memenuhi dewan.
"Kini dijemput pula, Hariz Arifi, motivator kita."
Hariz Arifi bangun dari kerusi yang telah dikhaskannya di barisan hadapan.
"Maaf ya awak. Saya malu nak ke hadapan." Masyitah menarik hujung kot Hariz.
Hariz menarik senyuman. Menggeleng. "Awak ada ini pun sudah cukup." Tangannya menyentuh pipi Masyitah.
Langkah diatur menaiki pentas. Ada empat kerusi untuk ahli panel sebenarnya. Majlis ini adalah perkongsian dua pasangan suami isteri. Tetapi satu kerusi kosong. Itu sebenarnya tempat buat Masyitah.
"Maaf, bidadari saya sangat pemalu. Jadi saya kira saya seorang sahaja di atas ini." Hariz membuat gaya 'peace'.
"Lagipun, saya takut ter'overshadow' pasangan Abang Ali Zahidi dan Kak Maryam Umairah saya ini." Matanya memandang pasangan suami isteri di sebelahnya, sambil tangan menyapa lengan Dr Ali Zahidi. Seniornya ketika di sekolah dahulu.
Ucapannya disambut tawa dewan. Dr Ali Zahidi menyambut gurauan itu dengan senyuman. Begitu juga Dr Maryam isterinya.
Forum Baitul Muslim yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa anjuran NGO bernama HALUAN itu bermula.
*****
"Macam mana?" Soalan dikeluarkan.
"Macam mana apa?" Hariz memandang Dr Ali Zahidi.
"Macam mana hidup dengan Masyitah?" Dr Ali Zahidi menunjuk kepada meja perempuan. Kelihatan isterinya, Dr Maryam sedang makan bersama dengan Masyitah.
"Amat amat amat bahagia." Senyuman Hariz melebar.
Dr Ali Zahidi mengangguk sambil mata garfu dibenamkan pada daging sebelum sudu di tangan kiri membuatkan daging itu menjadi lebih kecil.
"Sebenarnya, ana tak sangka enta pilih dia." Dr Ali Zahidi bersuara selepas menelan makanannya. Matanya memandang tepat Hariz.
Hariz yang baru sahaja hendak menyuap makanannya tidak jadi berbuat demikian. Senyumannya yang tadi melebar, menjadi kendur.
"Kenapa Abang Ali cakap begitu?"
"Yalah. Dalam organisasi kita ini, ramai lagi akhawat yang berkaliber. Yang boleh bersama-sama dengan enta dalam melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah ini. Yang boleh ke hadapan dengan enta."
Hariz diam.
"Memilih yang telah siap diproses, lebih mudah. Maka kita boleh buat banyak kerja lagi. Boleh bergerak lebih jauh lagi."
"Teorinya, itu memang benar."
"Jadi? Kenapa dulu enta pilih dia?"
"Sebab dari segi praktikalnya, teori itu tidak berjalan buat saya."
"Em?" Dr Ali Zahidi tidak dapat menangkap maksud Hariz.
"Abang Ali, Rasulullah SAW pesan untuk kita mencari wanita yang baik agamanya."
"Ya."
"Masyitah dari segi asas agama, dia jelas."
"Ok."
"Jadi saya tidak perlukan sebab tambahan. Hal ini kerana, Allah bagi saya jatuh cinta kepada dia. Saya tidak perlukan apa-apa sebab lain selain perasaan ini. Saya tidak berkahwin dengan dia kerana apa-apa. Saya berkahwin dengan dia kerana dia. Kerana dia itu Tiara Masyitah. Bukan kerana dia itu Masyitah seperti Masyitah di zaman Musa."
"Yalah. Tetapi bukankah lebih bagus enta pilih yang seperti Masyitah di zaman Musa? Yang berani ke hadapan menegakkan kebenaran. Ini hendak berkongsi pun tidak mahu. Apa manfaatnya kepada masyarakat? Berkahwin dengan orang macam dia, enta nak selalu tinggalkan rumah pun tidak boleh."
Hariz menghela nafas.
"Abang Ali. Apa pandangan Abang Ali terhadap saya. Apakah saya ini bermanfaat kepada masyarakat?"
Dr Ali Irfan mengangguk. "Sebab itu ana cakap perkara ini. Orang macam enta, rugi jika bersama dengan orang seperti Masyitah. Enta masih muda, sebab itu ana berbicara akan hal ini. Ana berpesan kepada enta sebagaimana pesan Ibrahim kepada Ismail. Tukarlah."
Hariz tersengih.
"Tahukah Abang Ali bahawa, saya menjadi bermanfaat sebagaimana yang Abang Ali nyatakan itu hari ini, dengan kehadiran siapa?"
Dr Ali Zahidi diam.
"Dia." Hariz menunjuk kepada Masyitah yang khusyuk bersama Dr Maryam.
"Kita kenal semenjak sekolah menengah Abang Ali. Abang Ali tahu saya ini macam mana dahulu. Walaupun saya aktif dalam dakwah dan tarbiyah di sekolah, saya panas baran, tidak sabar, keras kepala dan sebagainya. Saya juga lemas dalam kekayaan keluarga saya."
Dr Ali Zahidi mengangguk. Dia ingat semua itu. Dan Hariz Arifi di hadapannya kini adalah seorang manusia yang jauh berbeza.
"Bila Allah lekatkan cinta di dalam hati saya kepada Masyitah, saya jumpa satu perkara."
"Apa dia?"
"Kesederhanaan. Dia memang bukan Masyitah di zaman Musa, Abang Ali. Tetapi dia datang dari kesederhanaan. Keluarganya sederhana. Dia dibesarkan dalam kesederhanaan. Kesederhanaan itulah yang membuatkan saya yakin dengan cinta yang Allah berikan kepada saya. Kesederhaan itulah yang membuatkan saya kembali melihat diri saya, kehidupan saya, pergerakan saya, kerja-kerja dakwah dan tarbiyah saya."
Dr Ali Zahidi tidak berkata apa-apa.
"Orang semua menyatakan bahawa perubahan saya adalah kerana saya berusaha sendiri. Dari satu sisi, mungkin benar. Tetapi sebenarnya, saya bergerak untuk berubah itu adalah apabila saya bertemu dengan kesederhanaan yang ada pada Masyitah dan keluarganya. Akhirnya jadilah saya sebagai saya yang hari ini. Jika Abang Ali menyatakan bahawa saya hari ini adalah seorang yang bermanfaat kepada ummah, maka tidakkah yang membentuk saya juga telah memberikan manfaat? "
"Ana hanya hendak enta pergi lebih jauh. Pada ana, enta boleh pergi lebih jauh lagi. Tengok ana hari ini. Ke hulu ke hilir memberikan penyampaian. Apabila ada isteri seperti Maryam yang mampu berdiri bersama-sama aku, kerja menjadi lebih mudah. Kini satu Malaysia sudah mengenali ana. Brunei, Indonesia dan Singapura juga sudah mula hendak memanggil ana."
Hariz menggeleng. Senyumannya mekar hingga ke telinga.
"Jika itu hendak diukur sebagai kejayaan, dan sampai ke tahap itu yang Kak Maryam boleh bantu Abang Ali, pada saya, saya lebih dari itu."
Mata Dr Ali Zahidi membesar.
"Kini, buku-buku dan novel-novel saya sudah mula hendak diterjemahkan ke pelbagai bahasa di seluruh dunia. Produser-produser filem turut menghubungi saya untuk memfilemkan beberapa novel saya. Syarikat Motivasi saya juga sudah mula berkembang keluar dari Asia Tenggara. Terdapat juga sambutan hangat dari Eropah. Kini Masters saya sudah hampir tamat, maka saya kira lepas ini bolehlah saya fokuskan sebentar kepada perjalanan kerja-kerja ini agar lebih kukuh sebelum saya menyambung ke PhD."
Dr Ali Zahidi kelu.
"Abang Ali, Masyitah sendiri tidak perasan bagaimana hakikatnya dia telah membantu saya bergerak sejauh ini. Kehadiran Masyitah adalah anugerah Allah yang terbesar buat saya. Dia menghilangkan penat saya, mengubati gundah saya, menambah semangat saya, dan buat saya sentiasa kembali mengingati amanah yang Allah berikan kepada saya. Sebab saya cintakan Masyitah. Saya mahu masuk syurga dengan dia. Maka saya bersungguh-sungguh di atas dunia ini kerana itu. Biar saya boleh bawa dia masuk syurga."
Dr Ali Zahidi akhirnya menggeleng.
"Ana tiada bicara untuk enta lagi. Maafkan ana kalau sudah mengganggu jiwa enta. Ana tersilap perhitungan."
"Abang Ali, sebagaimana Kak Maryam itu bukannya Maryam ibu kepada Isa, begitulah juga dengan Masyitah saya. Sememangnya dia bukan Masyitah di Zaman Musa. Tetapi mereka masing-masing ada kelebihan. Kak Maryam dengan kelebihannya, mampu menonjol dan aktif dalam dakwah dan tarbiyah bersama Abang Ali. Masyitah pula, kelebihannya adalah memberikan kehidupan kepada saya."
Dr Ali Zahidi mengangguk sambil tersengih.
"Sepatutnya, baitul muslim tadi enta seorang sudah lebih dari memadai. Ana malu dengan enta."
"Tidak. Kita tetap kena bersama-sama. Siapalah saya jika dahulu Abang Ali tidak mendidik saya." Hariz merendah diri. Kini matanya perlahan-lahan digalihkan kepada Masyitah. Nampaknya isterinya itu sudah selesai makan.
"Dia memang bukan Masyitah di zaman Musa. Saya hidup di dalam realiti, sebab itu saya mampu menerimanya."
Dr Ali Zahidi hanya mampu mengangguk lagi.
Benar. Realiti.
Rata-rata hari ini orang terbiasa dengan kesempurnaan fantasi. Mencari hanya yang sempurna. Kemudian kecewa apabila melihat kecacatan selepas perkahwinan.
Tetapi nampaknya Hariz Arifi berbeza.
Dia membesar-besarkan segala kelebihan yang ada pada isterinya, walaupun hakikatnya kelebihan itu sebesar kuman cuma. Yang mungkin di mata orang lain, tiada apa maknanya.
Menyebabkan orang sepertinya jadi malu sendiri, berbicara dengan Hariz Arifi.
*****
Dia terbangun di tengah malam. Gegendang telinganya bergetar mengejutkan tubuh. Biasanya dia tidur nyenyak sahaja kerana setiap malam dia akan keletihan studi. Tetapi semenjak graduasi, dia sudah tidak ada apa yang hendak dikejarkan. Dia sudah tidak perlu studi teruk-teruk seperti dahulu. Mungkin sebab itu lenanya juga senang terjaga. Dia sudah tidur awal.
Matanya memandang ke sudut bilik. Satu lembaga sedang duduk bersimpuh ditemani cahaya oren dari lampu tidur.
Hariz Arifi.
"Rajin betul suami aku ni." Gumamnya. Malu sendiri. Hariz Arifi hanya mengejutkannya pada malam Jumaat. Tetapi dia tahu yang suaminya itu hampir setiap malam akan bangun melaksanakan qiamullail jika tiada keuzuran.
"Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Ya Allah, rahmatilah Masyitah."
Eh? Masyitah? Nama aku. Perlahan-lahan dia bangun dari pembaringan. Ingin mendengar dengan lebih jelas. Dia dapat melihat Hariz Arifi bersama kedua belah tangan yang terangkat.
"Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Sesungguhnya aku amat mencintainya. Kau telah hadirkan dia sebagai penghidup jiwaku. Acapkali aku melihatnya, dia menumbuhkan kebahagiaan dalam hatiku. Maka ya Allah, rahmatilah dia."
Tiba-tiba hati rasa sebak. Ayat-ayat yang terlantun menghentak gegendang telinganya agar bergetar itu, seakan tembus mendodoi jiwanya juga.
"Ya Allah, jadikanlah Masyitah itu wanita yang Kau redhai dan jagalah dia. Permudahkan segala urusannya. Golongkanlah dia dalam golongan orang yang berjaya, cemerlang dalam segala halnya, khususnya dalam ketaatan kepadaMu dan dalam perjalanannya menuntut ilmu."
Aku pernah mendoakan dia tak? Tiba-tiba Masyitah mempersoalkan dirinya. Jangan kata doakan dia, doa untuk diri sendiri sungguh-sungguh pun sekali sekala sahaja. Ish…
Tiba-tiba mata rasa berkaca.
"Ya Allah, masukkanlah Masyitah itu dari kalangan ahli syurgaMu, redhailah dia Ya Allah, terimalah dia Ya Allah. Jadikanlah dia seorang yang beriman dan solehah. Lindungilah dia dari kejahatan dan kemungkaran."
Air mata mengalir.
"Sesungguhnya aku amat mencintainya ya Allah. Maka cintailah dia. Sebagaimana Kau hidupkan jiwaku apabila melihatnya, maka hidupkanlah jiwanya untuk mencintaiMu dan menjadi hambaMu yang baik."
Perlahan-lahan Masyitah baring dan berpaling mengiring dari arah Hariz Arifi.
"Amiin."
Tangannya menggenggam selimut. Mulut mengungkap "Amin," bersama air mata yang mengalir.
Ya Allah, rahmatilah suami aku.
Dan jadikanlah aku ini orang yang mampu menyenangkannya.
*****
"Kenapa ya tiba-tiba hendak bawa saya bercuti?" Soalan itu hadir diiringi dengan bunyi ombak memukul pantai.
"Tak boleh?" Burung camar menghiasi suasana.
"Boleh. Saya suka." Mentari senja menambah keindahan.
"Ha, ingat sayang saya ini tak suka. Boleh saya tempah tiket balik hari ini juga." Keadaan pantai yang sudah mula sedikit dengan orang ramai membuatkan mereka berdua dapat duduk-duduk dengan tenang.
"Tak naklah. Lawa sini. Pantai dia sangatlah cantik."
"Awak cantik lagi."
Diam.
Hariz memandang sebelahnya. Masyitah tunduk menekur pasir pantai.
"Kenapa diam? Ingat nak bangga-banga. Orang puji."
"Speechless. Awak selalu puji saya itu ini. Lebih-lebihkan saya itu ini. Saya tak pandai nak main 'jiwang-jiwang' macam awak. Saya takut nanti lama-lama awak bosan dengan saya."
"Haha. Bosan dengan awak? Habis, saya nak hidup macam mana kalau saya bosan dengan awak? Saya pun tak dapat bayang. Mustahil terjadi insyaAllah." Sungguh-sungguh Hariz berbicara.
"Manalah tahukan. Awak takkan tak penat dengan saya?"
"Kan dah cakap tempoh hari? Lagipun, dalam hampir dua tahun ini, awak tengok saya layan awak, saya hidup dengan awak, ada pernah buat gaya penat selain bila saya balik kerja?"
Tak ada. Tetapi jawapan itu tinggal di kerongkong Masyitah sahaja.
"Awak tanya kenapa bawa awak bercuti kan?"
"Ya."
"Lawa tak matahari itu?" Hariz memanjangkan tangan, menunjuk ke arah mentari dengan jari telunjuk. Matahari itu hampir terbenam ditelan horizon kerana senja.
"Lawa."
"Awak adalah matahari saya."
"Matahari?"
"Matahari adalah sumber tenaga. Matahari juga adalah paksi menjaga keseimbangan sistem solar kita. Matahari petunjuk arah. Awak adalah semua itu. Tanpa awak, saya samalah macam bumi tanpa matahari, gelap dan tidak hidup. Tanpa awak, saya samalah seperti sistem solar kita ini tanpa matahari, tidak seimbang dan bergerak ke arah kehancuran."
Masyitah tidak mampu berbicara apa-apa. Hawa yang ada kini seakan-akan membuatkan dadanya sebak dan dia rasa seperti ingin menangis.
"Dan untuk jawapan kepada soalan kenapa saya bawa awak bercuti adalah…"
Apa lagi? Hariz Arifi, awak memang pandai buat jiwa saya tunggang terbalik.
"Selamat Hari Lahir."
Masyitah terpana sebentar. Hari Lahir. Hari ini…
MasyaAllah.
"Haha. Dah agak dah dia lupa. Sibuk sangat studi. Bila dah graduasi, tarikh lahir sendiri pun lupa." Hariz ketawa sendiri. "Percutian ini adalah hadiah hari lahir dan hadiah graduasi sekali. Boleh ya?"
Tiba-tiba air mata Masyitah menitis.
"Eh, awak, kenapa menangis?"
Segera Masyitah melentokkan kepalanya pada bahu Hariz.
"Kenapa ni?" Hariz menggosok perlahan belakang tubuh Masyitah.
"Terima kasih ya awak?"
Hariz menggelengkan kepala. "Saya yang patut ucap terima kasih sebab awak sudi kahwin dengan saya, berada di sisi saya."
"Boleh tak bagi saya menang sekali dalam menghargai?" Masyitah yang sudah melekat pada bahu Hariz bersuara.
Hariz ketawa. Air mata meleleh pun boleh buat orang ketawa. Isteri aku ni kiut sungguh.
"Saya janji akan berusaha dengan lebih baik lagi. Biar benar-benar boleh menjadi matahari awak, ibarat Masyitah di zaman Musa, yang teguh terjun ke dalam didihan syurga."
Hariz tidak menjawab. Hanya leretan senyuman. Matanya kekal memandang matahari yang semakin ditelan horizon. Masyitah damai di bahunya.
Di dalam hati tidak henti mengucap hamdalah.
Kebahagiaan ini, memang tiada bandingannya.
Isterinya memang bukan Masyitah di zaman Musa.
Tetapi dia adalah Tiara Masyitah, bidadari di dalam jiwa.
Yang Allah salurkan daripada Masyitah ini, kekuatan dan kehidupan kepadanya.
Coretan hati: Saya cuma nak kata, Hariz Arifi adalah jenis suami yang saya berusaha untuk menjadi.
September 30, 2010
Diari: Mencium Langit.
Semoga Allah redha.
Hari ini harinya.
Saya sudah mahu berangkat ke Jordan.
Semalam, semasa sibuk packing barang-barang, saya seakan dicucuk oleh satu jarum yang besar.
"Begini rupa rasanya." Saya berkata kepada diri. Rasa apa?
Rasa masa yang berjalan. Semalam seakan saya dapat 'menggenggam'nya. Alhamdulillah. Allah memberikan saya penutup cuti yang baik. Yakni meningkatkan lagi kesedaran saya berkenaan masa dan waktu.
Hari ini saya akan kembali mencium langit.
Terbang di awanan tinggi.
Untuk bertapa dan mempertingkatkan diri.
Pulang ke Malaysia, bukan dalam perancangan.
Semasa ahli rumah lain sibuk membincangkan berkenaan pulang ke Malaysia, saya tidak turut serta. Saya hanya mendiamkan diri semata-mata. Sebab perancangan untuk pulang ke Malaysia itu tiada.
Tetapi beberapa kali bersembang dengan Ummi saya, Ummi seakan memberikan kiasan menyuruh saya pulang. Maka akhirnya saya bertanya: "Ummi betul mahu Hilal pulang ni?"
Ummi kata ya.
Maka saya pulang. Untuk tidak membiarkan 4 bulan ini berlalu pergi begitu sahaja, maka saya war-warkan kepulangan saya agar sesiapa yang berhajat untuk meng'guna'kan saya boleh menghubungi saya.
Pemberian Allah, berkat ketaatan kepada seorang Ummi.
Hanya dengan mentaati permintaan dan haajat Ummi untuk pulang, akhirnya Allah memberikan pemberianNya yang mencurah-curah semasa cuti ini.
Jemputan yang saya terima sangat banyak. Bahkan akhirnya terjadi juga beberapa 'penolakan' teerhadap jemputan yang saya terima kerana tidak punya masa. Dengan jemputan yang banyak ini, alhamdulillah seluruh semenanjung saya jejaki.
Allah mengizinkan saya memandang dunia ini dengan lebih luas dari sebelum ini, bergaul dengan pelbagai orang dan berkenalan dengan lebih ramai lagi orang baru. Itu sememangnya satu anugerah yang besar.
Jemputan-jemputan ini sahaja sudah memakan 3 bulan dari percutian saya.
Sepanjang itu juga, saya sempat menghadiri Reunion Batch 8 Hidayah. Merasai kehangatan sahabat-sahabat saya di Sekolah Rendah Islam Hidayah Johor. Sempat juga saya hadiri Reunion Pelajar Lepasan MATRI di Putrajaya, berjumpa dengan banyak wajah yang sebelum-sebelum ini tidak sempat saya jumpai.
Allah berikan peluang untuk saya bersama-sama dengan keluarga saya. Bergerak hulu-hilir dengan Hilmi, begitu juga dengan Mus'ab dan bercanda-canda dengan Nusaibah. Duduk bersembang itu ini dengan Abah dan Ummi, melalui hari-hari penting seperti Hari Raya bersama mereka.
Allah berikan saya peluang untuk bertemu semula dengan guru-guru saya semula. Meneguk banyak nasihat lagi daripada mereka. Memohon doa daripada mereka.
Allah berikan peluang kepada saya untuk bertemu saudara mara saya, bergembira dan bermesra dengan mereka.
Allah berikan saya menghabiskan masa dengan Hafiz, sahabat yang paling saya cintai.
Allah berikan kepada saya seorang tunang. [image error]
Saya dapat menghadiri apa jua majlis berkenaan Ustaz Dahlan Mohd Zain, Mudir yang saya kasihi. Saya sempat bermalam beberapa hari di rumahnya, bersembang mesra dengannya, berkongsi itu dan ini dengannya. Saya berada hampir dengannya ketika dia sakit. Saya sempat berpeluang menjaganya. Saya berada pada hari kematiannya, menziarahi kuburnya. Allahuakbar.
Dan banyak lagi yang mungkin tidak mampu saya tuliskan di sini.
MasyaAllah.
4 bulan saya di Malaysia adalah PENUH. Bahkan banyak perkara bermakna yang bukannya berada dalam perancangan dan peraturan saya. Semuanya Allah anugerahkan tanpa saya minta dan jangka.
Kepulangan saya, adalah tepat hakikatnya.
Allahuakbar. Saya puas hati!
Pulang ini dapat mengukur diri.
Satu perkara penting yang saya dapat semasa pulang ini adalah mengukur diri sendiri. Sejauh mana kebolehan dan kemampuan saya. Dengan memenuhi jemputan-jemputan, dengan memberikan penyampaian demi penyampaian, dengan program-program yang mana saya menjadi peserta, serta beberapa lagi peristiwa yang menimpa, akhirnya saya dapat melihat saya ini berdiri di mana sebenarnya.
Selepas meletakkan diri saya sendiri melalui beberapa ujian, seterusnya melakukan banyak muhasabah, saya nampak di manakah saya berdiri sebenarnya.
Tidak perlulah saya kongsikan di sini 'di manakah saya berdiri' itu.
Biarlah saya dengan apa yang saya perolehi.
Yang penting, saya melihat setahun setengah di Jordan yang mendatang ini, adalah masa saya untuk bertapa mempertingkatkan diri.
Saya mahu pulang, menjadi manusia yang berdiri di tempat yang lebih tinggi dari sekarang.
Doakan saya.
Penutup: Pulang ke Jordan untuk mempertingkatkan diri lagi.
Jadi, saya akan berpisah dengan Bumi Malaysia untuk Setahun setengah lagi.
Saya fikir, adalah satu pengkhianatan sekiranya saya tidak menggunakan setahun setengah itu dengan sebenar-benar penggunaan.
Saya hendak pulang ke Jordan untuk mempertingkatkan diri lagi.
Saya harap Allah benarkan.
Saya harap Allah permudahkan.
Maka di sini saya mengharapkan doa kalian.
Harap sangat-sangat.
Teruskan tembakan doa. Semoga Allah benar-benar makbulkan.
Ps: Di kesempatan ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah menjemput saya megendalikan program-program, yang memberikan tempat tinggal kepada saya, yang bergambar dengan saya, yang memberikan kasih sayang kepada saya, yang menggembirakan saya sepanjang saya berada di Malaysia ini. Ketahuilah sesungguhnya saya, Hilal Asyraf, amat menghargai kalian.
Perkongsian: Apakah cukup wahai Ibu Bapa?
Sayang biar sampai ke syurga. Itu sayang yang sebenarnya. ~ picture by regi-chan of deviant art.
"Apakah kamu mendidik anak kamu berkenaan Islam dan peranannya sebagai mukmin?"
"Sudah. Aku telah menghantarnya ke sekolah Islam yang terbaik di Malaysia."
…….
"Bagaimanakah kamu mendidik anak kamu berkenaan Islam dan hubungannya terhadap Allah?"
"Oh, mudah. Aku telah menghantarnya ke sekolah Islam yang terbaik di Malaysia."
……
Apakah cukup wahai Ibu Bapa?
Mendidik anak berkenaan Islam, hubungannya dengan Allah, peranannya sebagai mukmin, hanya dengan menghantar mereka ke sekolah agama yang terbaik? Adakah itu telah melangsaikan tugasan kalian wahai Ibu Bapa?
"Saya pun tak tahulah kenapa dia jadi teruk macam ini. Sedangkan didikan agama telah saya berikan."
"Macam mana didikan agama yang telah awak berikan?"
"Saya sudah menghantarnya ke sekolah Islam yang terbaik di Malaysia."
…….
Tanggungjawab.
Saidina Umar Al-Khattab RA apabila ditanya berkenaan tanggungjawab seorang bapa, beliau menjawab: "Tanggungjawab bapa kepada anak ada tiga: Mencari ibu yang baik untuk si anak, memberikan nama yang baik kepada anak, dan mendidiknya dengan Al-Quran dan Islam."
Di sini dapat kita lihat bahawa, mendidik anak itu sebermula mencari pasangan hakikatnya. Hatta memberikan nama yang baik juga satu didikan. Disempurnakan dengan tarbiyah Islam semasa hidupnya si anak.
Ini adalah tanggungjawab Ibu dan Bapa.
Tetapi rata-rata kita kadangkala tidak memikirkan akan hal ini. Kita gembira dengan kehadiran anak, tetapi kita tidak menghargainya selayaknya.
Oh, jangan cerita pada saya duit, rumah, jaga anak tidur, cuci najis dia dan sebagainya adalah tanda kasih sayang. Ya, saya akui itu tanda kasih sayang. Tetapi apakah makna sayang yang sebenar-benar sayang?
Yakni kita hendak masuk syurga bersamanya. Sekarang ini, apakah yang telah kita lakukan untuk masuk syurga bersama anak-anak kita?
Kalau sekadar 'bela', kita juga bela ayam, lembu, kambing untuk disembelih. Kita jaga semua binatang itu, dengan baik, untuk kita sembelih dan makan. Kita bukan membela binatang-binatang itu untuk hidup selama-lamanya dengan mereka.
Jadi sekarang bagaimana?
Sayangkah kita kepada anak-anak dengan sayang yang sebenar-benarnya?
Kesilapan paling asas
Silap paling asas dalam mendidik anak-anak adalah menyerahkan segala-galanya kepada institusi pendidikan seperti nurseri, sekolah dan universiti. Kita fikir, bila hantar ke nurseri terbaik, anak kita akan membesar menjadi yang terbaik. Bila hantar ke sekolah Islam yang bagus, automatik anak kita menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT. Bila hantar ke universti yang bagus, kita rasa pasti anak kita menjadi seorang manusia yang brilliant.
Di sinilah kesilapan kita.
Hakikatnya, didikan asuhan Islam dan pembentukan minda seorang mukmin itu, perlu dijalankan juga oleh Ibu Bapa di rumah. Bahkan sebelum lahirnya anak, kita sudah memberikannya satu suasana yang baik. Kita pilihkan untuknya 'ibu@bapa' yang baik agar hawa tarbiyah itu tetap berjalan seiring tumbesarannya, kita berikan nama yang baik agar dia membesar dengan panggilan yang mendoakan kebaikan kepadanya.
Bukan tidak perlu langsung hantar ke sekolah, tetapi di sini persoalan yang saya timbulkan adalah apakah peranan kita di rumah?
Apakah kita mengasuhnya dengan didikan Islam? Atau di rumah kita sekadar menggunakan anak sebagai sumber keseronokan kosong semata-mata? Kita hantar dia ke sekolah Islam, tetapi kehidupan kita di rumah tidak menyediakan dia suasana yang baik untuk memahami Islam?
Bagaimana mengasuh itu?
Bagaimana ya?
Pertama sekali adalah membina diri. Sebagai ibu bapa, kita perlu sedar bahawa kita adalah qudwah pertama kepada anak-anak. Mereka membesar dengan kita, mereka hidup dengan kita, maka hendak menjadikan mereka seorang hamba Allah yang baik, kitalah yang pertama perlu menggerakkan perkara itu di dalam diri kita.
Akhlak memainkan peranan. Ucapan kita, amalan kita, pergaulan kita, apa yang kita lihat, apa yang kita tonton, pakaian yang kita pakai, cara kita berurusan, semuanya memberikan kesan dan mempunyai saham.
Kemudian hidupkan bi'ah Islam di dalam rumah. Solat berjemaah, wujudkan beberapa program seperti membaca Al-Quran bersama-sama kemudian ada tazkirah ringkas, tetapkan waktu qiamullail sebulan sekali dan sebagainya. Hidupkan dengan tidak membiasakan anak-anak menonton rancangan yang melalaikan dan mengajar anasir jahiliyyah, hidupkan dengan membiasakan anak-anak mendengar bacaan Al-Quran dan sebagainya.
Jalankan semua ini dengan halus bukan dengan paksaan. Mulakan dari diri kita dahulu, kemudian kita ajak anak-anak.
Pokok pentingnya, Ibu Bapa perlu sentiasa mencari peluang untuk menyuntik perkara ini ke dalam diri anak-anak secara halus. Dari kecil bermain kad dengan mereka, kita reka kad-kad yang islamik. Ada waktu kita bersembang dengan mereka, sentiasa berusaha hubungkan mereka dengan Allah SWT. Bermacam cara, semuanya berada di dalam satu medan bernama kreatif.
Pada saya, orang yang benar-benar menyayangi anak mereka, hendak ke syurga bersama anak mereka, dia akan melihat perkara ini.
Penutup: Sekolah sahaja tidak cukup. Islam itu seluruh kehidupan.
Percayalah. Sekiranya kita kata bahawa kita telah mendidik anak(dengan erti kata kita menghantar anak ke sekolah islam) maka hakikatnya kita telah silap dengan kesilapan yang besar.
Sekolah hanyalah tempat persinggahan si anak. Dan di sekolah terdapat ramai lagi anak-anak lain. Maka jika dillihat kembali, keburukan yang dibawa oleh anak-anak di sekolah mereka bukanlah diprodus oleh sekolah, tetapi mereka bawa dari rumah. Maka siapakah yang bertanggungjawab?
Maka di sinilah kita perlu melihat kepentingan menjadikan rumah sebagai institusi tarbiyah.
Siapakah yang benar-benar menjadikan rumahnya sebagai institusi tarbiyah?
Apakah ciri-ciri institusi tarbiyah?
Ada tiga.
1. Digerakkan menggunakan sistem Allah SWT(manhaj Rabbani)
2. Penggeraknya adalah Murabbi Yang Mithali(pendidik yang boleh dicontohi)
3. Suasananya adalah suasana yang baik(bi'ah solehah)
Maka perhatikan, apakah rumah kita bergerak dengan sistem Allah SWT? Apakah keluarga kita menjalankan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang?
Maka perhatikan, apakah kita sebagai ibu bapa telah berusaha menjadi murabbi(pendidik) yang mithali?
Maka perhatikan, apakah kita telah mencipta suasana di rumah kita dengan suasana tarbawi? Yang solehah?
Jangan cerita bahawa kita sudah mendidik anak kita hanya dengan menghantar mereka ke sekolah.
Itu belum cukup wahai Ibu Bapa.
Itu belum cukup.
September 29, 2010
Motivasi: Saya hendak berdakwah. Boleh?
Akhlak. Akhlak. ~ picture by Issam-zerr of deviant art.
Ada orang rasa diri dia tidak berguna untuk Islam.
"Saya ni bukannya hebat sangat. Ilmu tak ada. Nak cakap fasal Islam tak boleh sangat."
"Saya ni bukannya petah berbicara. Nak cakap dengan orang tak reti. Nak dakwah lagi lah."
Dakwah. Satu perkataan popular yang asalnya dari perkataan da'a di dalam bahasa arab. Da'a bermaksud seru manakala dakwah adalah seruan. Biasanya, apabila disebut dakwah, kita akan mengaitkannya dengan seruan kepada Islam.
Kalau ditanyakan kepada saya, siapakah yang layak berdakwah, maka saya akan katakan semua orang islam. Apakah hanya untuk orang berilmu sahaja? Tidak. Saya akan katakan kepada semua. Hakikat dakwah adalah wajib sebenarnya.
Tetapi persoalan yang sering dibangkitkan selepas itu adalah: "Tidak punya ilmu, tidak petah berbicara, tidak hafal Al-Quran banyak, tidak sekolah agama dan bla-bla-bla."
Ok. Stop.
Saya rasa kita kena ubah sesuatu di dalam diri kita.
Kita kena faham bahawa, kita semua boleh berdakwah.
Kewajipan dakwah.
Dakwah adalah wajib. Sesiapa yang mnyatakan tugasan dakwah telah terhenti apabila Rasulullah SAW telah wafat maka itu adalah kesilapan. Hal ini kerana, di dalam Al-Quran jelas telah menyatakan bahawa dakwah merupakan wajib kepada semua.
"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan." Surah Al-Baqarah ayat 140.
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi(faedah) umat manusia (Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah." Surah Ali-Imran ayat 110.
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar." Surah Al-'Asr ayat 1-3.
"Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat." Hadith riwayat Bukhari.
"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan hartabenda dan diri kamu." Surah As-Saff ayat 10-11.
Di sini kita dapat melihat betapa Allah SWT tidak mengarahkan dakwah itu hanya kepada Rasulullah SAW semata-mata. Tetapi juga kepada ummat Islam yang beriman lainnya. Terdapat pula isyarat-isyarat lain akan kewajipan dakwah ini kepada semua apabila Rasulullah SAW menghantar utusan-utusan da'ienya ke serata tempat. Apabila Abu Bakr RA tetap meneruskan usaha-usaha dakwah walaupun kewafatan Rasulullah SAW dan begitulah juga khalifah seterusnya.
Jika benar dakwah hanya untuk Rasul sahaja, maka Rasulullah tidak akan menghantar utusan, dan sahabat-sahabat sepatutnya berhenti menyebarkan Islam.
Maka, ketahuilah di sini bahawa, saya, anda, dan saudara-saudara kita di dalam Islam yang lain itu semuanya mempunyai tanggungjawab dalam menyebarkan Islam ini.
Habis, macam mana saya hendak berdakwah?
Soalan itu pun muncul. Bila sudah tahu tanggungjawab, maka kita akan mencari cara bagaimana hendak melaksanakan tanggungjawab. Ini bagi mereka yang baik hatinya, suci jiwanya. Rasa tanggungjawab itu akan memberat di pundak hingga mereka berusaha untuk mengerjakannya.
Tetapi bagi yang jiwanya diselimuti hawa nafsu, mungkin dia merasakan ini semua tidak perlu. "Aku peduli apa." Mungkin.
Jadi, macam mana hendak berdakwah?
Satu perkara yang perlu disedari adalah, dakwah ini luas medannya. Jika di dalam buku usul dakwah saya, ringkasan yang dibuat oleh Dr 'Adnan Khutotobeh daripada buku Usul Dakwah karangan Dr Abdul Karim Zaidan, ternyata jalan-jalan untuk melaksanakan dakwah itu melebihi puluhan.
Maka soalan pertama yang perlu ditanya, apakah yang kita ada?
Ya. Apa yang anda ada?
Anda pandai menulis? Maka gunakan penulisan anda untuk mengajak manusia kembali kepada Allah SWT.
Anda pandai berbicara? Maka gunakan kepetahan anda untuk mengajak manusia kembali kepada Allah SWT.
Anda pengarah filem? Maka gunakan kelebihan anda untuk mengajak manusia kembali kepada Allah SWT.
Anda seorang guru? Maka gunakan peluang pekerjaan anda untuk mengajak murid-murid serta rakan sekerja untuk kembali kepada Allah SWT.
Anda seorang pensyarah? Maka gunakan peluang di dalam kuliah anda untuk mengasimilasikan pengajian anda dengan mengembalikan manusia kepada Allah SWT.
Anda seorang doktor? Maka sambungkan harapan pesakit-pesakit anda kepada Allah SWT.
Begitulah. Apa sahaja abiliti, kelebihan, yang kita punyai, kita gunakannya sebagai peluang untuk menyebarkan agama Allah dengan lebih luas lagi.
Masalahnya saya tidak punya apa-apa. Saya orang biasa sahaja.
Masalah timbul adalah apabila kita tidak mempunyai abiliti seperti berani bercakap dan mempunyai kebolehan seperti menulis dan sebagainya.
Tetapi sebenarnya ini bukan masalah pun.
Dakwah tetap wajib kepada anda.
Bagaimana?
Paling kurang dengan akhlak. Yang ini, semua orang pun kena buat. Ya, akhlak. Itu juga adalah dakwah. Anda tidak pandai bercakap? Tak mengapa. Anda tidak mempunyai kelebihan apa-apa? Tak mengapa.
Binalah akhlak anda. Itu satu dakwah hakikatnya.
Mengapa? Sebab akhlak adalah apa yang manusia pandang. Hakikatnya, akhlak adalah perkara yang paling basic. Pendakwah yang pandai cakap pompang pomping pun, kalau akhlak tak ada, tetap tak berguna juga.
Anda pensyarah tetapi segan nak cakap fasal Islam? Maka tunjukkan akhlak yang baik.
Anda jurutera, tetapi tak tahu nak sebar Islam macam mana? Maka tunjukkan akhlak yang baik.
Anda guru, tetapi tak tahu hendak mengajak anak murid kepada Islam bagaimana? Maka tunjukkan akhlak yang baik.
Anda seorang ahli keluarga, tetapi mati akal hendak mengajak keluarga kepada Islam? Maka tunjukkan akhlak yang baik.
Begitulah.
Akhlak ini yang anda perlu perhatikan. Anda boleh berdakwah melaluinya. Tunjukkan syakhsiah muslim muslimah anda. Tepati janji, tepati waktu, bicara yang baik, pakaian yang sopan dan kemas, amanah dan jujur, baik hati dan mengambil berat, ziarah dan memberikan hadiah, sentiasa senyum dan sentiasa berusaha meringankan masalah orang.
Ini juga adalah satu dakwah.
Tidakkah anda memerhatikan? Mudah bukan? Bahkan ia adalah antara cara dakwah yang paling berkesan. Kita semua tahu bahawa manusia suka orang yang berakhlak. Professor hebat macam mana pun, kalau tak ada akhlak, kita pun benci.
Maka jika kita memahami bahawa dakwah itu wajib, wajiblah bagi kita menjaga akhlak kita. Hal ini kerana, keburukan akhlak kita adalah palitan lumpur kepada Islam itu sendiri. Bukankah kita telah berdosa?
Tak ada alasan bukan? Apakah berakhlak pun memerlukan abiliti atau kelebihan tertentu?
Saya tidak rasa begitu.
Penutup: Bertebaranlah di muka bumi, dan serulah manusia.
Di sinilah kecantikan Islam. Mudah. Semua orang boleh buat. Semua orang boleh aplikasi. Tambahan, Islam tidak bergerak secara sendiri-sendiri. Ia bergerak secara jama'i. Bukanlah Rasulullah sahaja perlu berdakwah, ummat baginda juga perlu. Jika tidak, baginda tidak akan menghantar Mus'ab bin Umair RA ke Madinah, baginda tidak akan menghantar Mu'adz bin Jabal ke Yaman. Baginda tidak akan menghantar 80 sahabat yang akhirnya mati di dalam peristiwa Bir Al-Ma'unah.
Paling kurang dengan akhlak. Itulah peranan kita.
Yang ada kepetahan berbicara, yang ada kelebihan menulis, yang mampu menonjol ke hadapan, yang boleh memimpin, yang mampu mengaut ilmu lebih tinggi, semua ada tugasan masing-masing dan tanggungjawab menggunakan abiliti mereka untuk Islam.
Tetapi tetap orang yang tidak mempunyai kelebihan-kelebihan itu, mempunyai peranannya juga. Bayangkan ya, pendakwah pompang pomping cakap Islam itu bagus, Islam itu cara hidup yang sebenar, tetapi ada ummat Islam yang rogol bukan Islam. Bagaimana? Tidakkah itu mencacatkan?
Maka di sini kita perlu faham betapa kita juga berperanan.
Akhlak adalah dakwah.
Jangan kata anda tidak boleh berdakwah.
Binalah akhlak.
Itu tugasannya.