Hilal Asyraf's Blog, page 144
January 24, 2011
Cover Novel Takdir untuk tatapan.
"Walau kegelapan menyelimuti dunia, cahaya Ilahi tetap akan terus bercahaya." ~ Cover direka oleh Aiman Rosli.
Novel Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam ini akan menemui pembaca pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 yang akan berlangsung mungkin sekitar April nanti.
Novel Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam ini adalah buku pertama daripada triloginya. Satu kelainan yang saya usahakan dalam penulisan saya adalah Novel Takdir mungkin agak terkeluar daripada realiti kehidupan kita. Saya usahakan agar lebih klasik dan mistik. Novel Takdir ini lebih banyak terkesan dengan keremajaan saya, sebab saya mula menulisnya tiga tahun yang lepas.
Lord of The Ring memang menjadi inspirasi la apabila menulis Novel Takdir ni.
Mungkin dari segi gaya penulisan, tak boleh lagi saya nak lawan dengan JRR Tolkien, tapi saya fikir medan 'pertempuran' saya dengan dia adalah 'mesej yang kami bawa' kut. [image error]
Hero adalah deklarasi perang saya kepada segala superhero yang tak membawa mesej islami. Takdir adalah deklarasi perang saya kepada segala jenis filem pengembaraan, pendekar-pendekar, pahlawan-pahlawan yang tidak membawa mesej islami.
Semoga Allah redha.
January 23, 2011
Cover Hero untuk tatapan.
Cover Hero yang direka oleh Aiman Rosli, Pelajar Tahun 5 Perubatan JUST.
Novel Hero adalah novel terbaru saya yang akan terbit bersama-sama Novel Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 nanti.
Sekiranya anda belum pernah mengetahui tentangnya, boleh membaca 11 episod awalnya secara online di:
http://ms.langitilahi.com/category/novel/hero/
Novel Hero mensajikan cerita yang lain dari lain. Bukan stereotaip hero-hero yang pernah muncul di dalam dunia. Hero ini adalah yang akan membawa anda mendalami apakah makna Hero yang sebenar, dan bagaimana menjadi Hero tersebut.
Sila klik continue reading di bawah ini untuk membaca testimoni seorang pembaca Hero.
"Hero—perwira unik bersifat eklektik—adalah ikon superhero baru yang bakal mengisi kelompongan nilai dalam kepesatan realisasi watak superhero kanak-kanak di kaca televisyen dan filem masa kini. Membaca Hero yang bersifat imaginatif persis menonton sebuah filem aksi, penceritaannya begitu rinci. Saduran seruan Islami oleh Hilal pula tidak putus dalam memberi kesan pembacaan yang segar. Mesej unggul yang dicerminkan membawa pembaca menyelongkar kapabiliti diri sebagai seorang perwira tersendiri! Tidak kikir hikmah, tidak lokek nasihat, Hero jelas memaknakan tanggungjawab, peribadi dan matlamat sebenar seorang muslim sejati. Aksi, Cinta, Komedi dan Hikmah – apalagi yang didahagakan dari sebuah novel? Hero punya segalanya." (Mohd Rasydan Fitri Mohd Baharin, Jurusan Senibina, Birmingham City University.)
January 22, 2011
Novel Takdir: Cheritera 15.
Cheritera 15.
Cheritera 15
Enjoy!
[image error]
Cheritera 15
Aizan Fahmi duduk tenang menghadap rembulan yang sedang mengambang.
"Mengapa anakanda masih kelihatan resah? Seperti sedang memikirkan sesuatu." Suara ayahandanya, Ruh Faizan kedengaran.
Aizan Fahmi tidak menoleh. Pandangannya masih lepas ke luar jendela. Dia tahu, ayahandanya itu akan duduk di sisinya sebentar lagi.
Ruh Faizan melabuhkan punggung. Dia memandang anakandanya itu. Menunggu jawapan.
"Masakan anakanda tidak risau, lelaki yang sepatutnya anakanda bawa ke mari sudah hilang ditangkap sekumpulan manusia aneh." Aizan menyuarakan kegalauannya. Apa yang dilihatnya ketika itu adalah amat diluar akal fikirannya. Mereka itu lesap begitu sahaja, tanpa tanda.
Ruh Faizan mengusap-usap belakang tubuh anakandanya itu.
"Anakanda, setiap yang terjadi itu punya hikmahnya. Allah itu yang mengatur segala-galanya."
"Tetapi bukankah takdir itu terletak di hujung usaha hamba?"
Ruh Faizan menggeleng. "Benar, tetapi Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya itu tetap lebih berkuasa. Kita manusia berusaha merancang, Allah juga mempunyai perancangan, tetapi perancanganNya lah yang terbaik. Kita perlu belajar untuk redha dengan aturanNya. Sesungguhnya kita ini tidak mengetahui."
Aizan Fahmi menghela nafas. Kata-kata ayahandanya ada benar juga. Manusia memang disuruh untuk berusaha, tetapi tidak semestinya segala perkara akan berjalan menurut kehendak manusia.
"Tidak semestinya, yang kamu kira baik itu, baik bagi kamu, dan apa yang kamu kira buruk itu, buruk bagi kamu. Allah SWT ada berfirman: …dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. Surah Al-Baqarah ayat 216." Ruh Faizan menambah. Tangannya tidak lepas dari belakang tubuh anakandanya itu.
Aizan Fahmi mengangguk perlahan. Tersentuh dengan pergantungan ayahandanya kepada Allah SWT. Dia sepatutnya demikian.
Masih jelas pada tubir matanya bagaimana Izrayel dan Angkasa lesap begitu sahaja di hadapan matanya. Sesampainya sahaja dia, Mughirah Syu'bah dan adindanya di perbatasan, dia disambut oleh Khalid Al-Walid yang kemudiannya berlari mendapatkan ayahandanya di tempat tentera yang cedera dirawat. Dia dan adindanya dibiarkan berehat di kubu yang berdekatan dengan perbatasan.
Apabila ayahandanya sampai, Mughirah Syu'bah melaporkan apa yang terjadi kepada ayahandanya itu. Tetapi adindanyalah yang paling kelihatan sedih sekali.
"Ayahanda, iblis telah menangkap sahabat anakanda!" Maisarah bersuara. Suara adindanya itu jelas kerisauan.
"Iblis?" Ayahandanya yang baru tiba terus berubah riak, dari ceria kepada terkejut.
"Makhluk dari api telah membawa sahabat anakanda pergi!" Maisarah dengan mata bergenang memeluk ayahandanya.
Ayahandanya memandang ke arah Aizan Fahmi. Mungkin ada beberapa perkara dari bicara Maisarah itu yang membuatkan ayahandanya itu pelik.
"Seorang pemuda bernama Angkasa, dia telah dibawa pergi oleh lapan orang berbaju serba putih, yang mengaku diri mereka makhluk dari api. Angkasa itu berjalan bersama kami untuk datang ke sini." Aizan memberikan penerangan ringkas, sebelum Mughirah Syu'bah melaporkan dengan lebih jelas.
Ayahandanya senyap dengan tangan mengusap-usap kepala adindanya Maisarah.
Nampak seperti ayahandanya mengetahui sesuatu.
"Makhluk dari api tidak semestinya iblis." Ruh Faizan memberitahu. Lamunan Aizan Fahmi terganggu.
Dari rembulan penuh, matanya beralih kepada ayahandanya.
Ruh Faizan membacakan satu ayat dari Kitab Langit."Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang," Surah Ar-Rahman ayat 15.
"Oh. Tetapi Kiai Bumi memberitahu kami, bahawa Iblis itu tercipta dari api."
"Iblis itu adalah dari kalangan jin yang derhaka. Dalam golongan jin ini, ada yang beriman dan ada pula yang menderhaka kepada Allah SWT." Ruh Faizan menjelaskan.
Aizan Fahmi mula faham. Justeru, yang datang mengambil Angkasa tadi dari pihak yang mana?
"Anakanda jangan terlalu risau. Kalau benar manusia yang bernama Angkasa itu manusia yang terpilih sebagaimana yang anakanda ceritakan, pastinya Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya akan menjaganya. Bahkan, Izrayel yang amat perkasa itu juga telah diatur untuk bersamanya. Ayahanda amat yakin, semua ini ada hikmahnya daripada Dia." Ruh Faizan cuba memberikan ketenangan.
Ruh Faizan tahu akan Izrayel. Nama itu amat masyhur ketika Sang Asura menumbangkan satu persatu kerajaan di dunia ini dahulu.
Aizan Fahmi tersenyum. Antara kelebihan ayahandanya adalah, ayahandanya itu mampu membuatkan seseorang tenang pada saat gusar.
"Adakah Kiai Bumi ada berpesan apa-apa?" Ruh Faizan bertanya.
Aizan Fahmi terdiam sejenak.
"Beritahu ayahandamu, serulah Kiai Awan dari pertapaannya. Kamu akan memerlukan bantuannya nanti."
Pesan Kiai Bumi menjengah.
Namun di dalam benak Aizan Fahmi, dia ada persoalan yang hendak diajukan terlebih dahulu.
"Ayahanda, bukankah seluruh dunia maklum bahawa Kiai Songo tewas dan terkorban di tangan Sang Asura dua belas tahun yang lalu. Kenapa bila anakanda memaklumkan kepada ayahanda mengenai Kiai Bumi, ayahanda kelihatan tidak terkejut?" Mata Aizan tepat menentang pandangan ayahandanya.
Ruh Faizan menghela nafas perlahan.
"Sebenarnya, ayahanda tahu kebenarannya. Cuma, Kiai Awan yang pulang ke Tanah Suci selepas itu, meminta ayahanda merahsiakan hal ini."
"Jadi, adakah Kiai Songo semuanya masih hidup?"
"Mungkin. Ayahanda juga hakikatnya tidak mengetahui apa yang terjadi kepada setiap seorang dari mereka. Yang ayahanda tahu, hanyalah keadaan Kiai Awan. Dia tidak pula menceritakan kepada Ayahanda akan keadaan sahabat-sahabatnya yang lain."
"Kiai Bumi berkirim salam kepada ayahanda, dan dia meminta ayahanda menyeru Kiai Awan. Kiai Bumi kata, kita mungkin memerlukan bantuannya." Aizan menyampaikan pesan.
Ruh Faizan menjawab salam sambil mengangguk perlahan. "Kalau begitu, lebih baik kita bergerak mendapatkan Kiai Awan esok pagi."
Aizan Fahmi mengangguk tanda setuju.
"Erm, anakanda…" Dahi Ruh Faizan berkerut. Aizan Fahmi hairan.
"Kenapa ayahanda?"
"Sebenarnya, apakah yang tidak kena dengan adindamu itu?" Ruh Faizan merujuk kepada Maisarah.
————————————————–
Cheritera 15 boleh dibaca keseluruhannya di:
http://langitilahi.com/2011/01/22/nov...
Enjoy!
[image error]
January 21, 2011
Video: ~4~ Air Yang Mengalir - Langit Ilahi TVShow
~4~ Air Yang Mengalir - Langit Ilahi TVShow
Langit Ilahi TVShow Episod 4.
Air Yang Mengalir.
Semoga memberikan manfaat kepada kita semua.
Enjoy!
[image error]
November 1, 2010
Gambar: Apa yang Allah susun untuk kita
Satu tarikh dua makna. Satu duka satu suka. Tetapi itulah apa yang Allah susun untuk kita. ~ picture taken by Abang Mahfuz(thanks bro!)
Apa yang Allah susun untuk kita
Kita tidak akan sekali dapat menjangka
apakah yang Al-Hakim aturkan buat kita
bijaksanaNya melampaui ilmu yang ada
lantas acuan siapakah yang lebih baik daripada milikNya
Adakala kita tidak suka
adakala kita tersangat gembira
aturanNya bukan pilihan kita
di hujungnya ada redha
dan pada redha itu ada bahagia yang tiada tandingnya
siapakah yang mendidik diri berbaik sangka
kepada Allah yang memahami diri memlebihi kita
Disuruh usaha sudah berusaha
selesai sudah tanggungjawab hamba
maka mengapa tidak kita tunduk pada ketentuanNya?
Apa guna raungan bila gagal?
Apa guna riya' bila berjaya?
Apa guna kecewa bila tidak mendapat yang dikehendaki kita?
Ini semua yang Allah susun untuk kita
Apakah kamu menyangka
kamu jurutera takdir yang lebih mengetahui segala?
Apa yang Allah susun untuk kita
sentiasa terbaik dan membawa bahagia
hatta dugaan dan tribulasi
semuanya untuk kebaikan kita hamba yang bernama manusia
siapakah yang mendalami
siapakah yang meneliti
sungguh manusia adalah hamba yang merugi
~Hilal Asyraf~
0638PM
011110
Dalam bilik, Irbid, Jordan
Bila Rindu
Puisi Apa yang Allah Susun Untuk Kita
Perkongsian: Kahwin awal?
Kahwin awal? Kalau mampu sila lah. ~ model: Zaid Rosli. (sori tak ucap-ucap tahniah lagi bro.)
Kahwin awal. Ramai akan memberikan pro dan kontranya. Benda ini biasanya diutarakan oleh remaja, pelajar. 'Awal' yang dimaksudkan dalam ayat 'kahwin awal' itu biasanya dilihat pada umur 23 ke bawah. Sebab bila dah umur 24, orang tak ramai bising menyatakan itu awal. Walaupun ada juga sebahagian orang yang saya jumpa, dia kata bahawa kahwin umur 25 itu awal juga. Katanya umur 30 baru ok. Entahlah.
Cuma biarlah saya fokuskan 'kahwin awal' ini kepada yang berumur 23 ke bawah ya. Sebab ada benda dalam artikel ini yang saya suka nak khaskan buat mereka yang berumur baya-baya saya ini.
Pertamanya, saya bukan nak kata 'kahwin awal itu betul' atau 'kahwin awal itu salah'. Pada saya, kahwin awal boleh jadi betul, dan boleh jadi salah. Pokok pangkalnya, dalam hal kahwin awal, saya suka untuk membawa diri saya dan diri kita semua untuk melihat semula kepada dua perkara utama dalam isu kahwin awal.
1. Membina rumah tangga.
2. Orang yang hendak membina rumah tangga.
Kenapa saya tak sebut 'kahwin'. Sebab 'kahwin' memang senang. Sehari je kahwin. Majlis kahwin. Akad nikah. Dan lain-lain. Sehari sahaja. Tetapi siapa nak berumah tangga sehari sahaja? Kalau ada tak mengapa. Tak payah baca yang ini.
Tujuan berumah tangga
Maka saya membawa pada asas terlebih dahulu. Apa tujuan berumah tangga?
Rata-rata remaja akan mengutarakan jawapan seperti berikut:
1. Cinta.
2. Tak nak berdosa. Nak tunduk pandangan. Jauhi zina.
3. Nak lorongkan nafsu ke jalan yang benar.
Biasanya untuk pemuda yang belajar sikit, dia akan mengutarakan hadith ini sebagai dalilnya.
Rasulullah SAW ada bersabda: "Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri…" (Muttafaq 'Alaih).
Maka di sini, ramai yang melihat kahwin awal adalah solusi kepada cintanya yang berbuah semasa remaja, semasa belajar. Kahwin awal adalah solusinya untuk menjauhkan dosa dari berhubungan cara yang tidak dibenarkan Islam. Kahwin awal adalah solusi untuk dia menjaga diri dari dari nafsu yang tidak terkawal dan sebagainya.
Tetapi, benarkah tujuan berumah tangga hanya itu?
Rumah tangga bukan sekadar itu.
Rumah tangga hakikatnya adalah madrasah pertama kepada manusia. Sedar atau tidak, ia adalah hakikat yang tidak boleh ditolak. Majoriti masyarakat dunia lahir dari institusi rumah tangga. Mungkin sebahagian kecil lahir di tengah hutan, di lorong gelap, dan membesar tanpa keluarga, itu adalah kes yang boleh dikira terpencil berbanding majoriti seluruh dunia.
Apabila kita memandang bahawa rumah tangga adalah madrasah membina individu-individu dalam masyarakat, dan tanpa kita sedari rumah tangga merupakan asas terpenting kepada sebuah masyarakat, negara, dan ummah.
Memang wujud institusi lain dalam kehidupan kita seperti nurseri, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, dan universiti. Itu kalau tidak kita campur dengan institusi 'underground' baik yang baik, mahupun yang buruk.
Tetapi kita dapat lihat betapa 'asas peribadi' yang datang ke institusi-institusi tadi hakikatnya sudah terbina sebelum mereka masuk ke institusi-institusi tadi. Di manakah ianya terbina?
Di rumah. Di dalam rumah tangga. Di tangan mak ayah, atau sesiapa sahaja yang menjadi 'guru pertama'nya di tempat dia membesar.
Maka sekali lagi kita lihat bahawa, asasnya adalah rumah tangga.
Maka, dapatkah kita dapat membayangkan bagaimana nanti sekiranya rumah tangga yang terbina adalah rumah tangga yang rosak, apakah efeknya kepada pembinaan masyarakat dan ummah?
Ya. Akhirnya kita melihat bahawa, rumah tangga yang kita bina bukan semata-mata kita.
Kita hakikatnya sedang membina ummah.
Rumah tangga bukan sekadar sehari dua.
Baik. Memahami perkara tadi, maka kita perlu melihat bahawa rumah tangga adalah satu perjalanan yang panjang. Bukan sehari dua, kemudian kita robohkan. Pada rumah tangga itu ada tanggungjawab. Tujuannya bukan semata-mata kepuasan hawa nafsu, hendak menjauh daripada dosa dan cintan-cintun semata-mata. Ia meliputi hendak membuat lebih banyak kebaikan(dengan membina rumah tangga yang bermanfaat untuk Islam, mampu memberi sumbangan kepada Islam) dan membawa definisi cinta yang sebenar, yakni hendak bersama hingga ke syurga.
Dan akhirnya kita dapat lihat di sini bahawa rumah tangga bukanlah keseronokan dua individu bernama suami dan isteri semata-mata. Bukanlah di dalamnya wujud semata-mata keindahan. Tetapi wujud juga halangan dan cabaran.
Maka di sini kita melihat bahawa, ada tanggungjawab lain menanti kita di dalam rumah tangga. Tanggungjawab yang memerlukan kita serius dan matang dalam membuat keputusan. Tanggungjawab yang memerlukan kita bijak dalam mengawal emosi dan perasaan. Tanggungjawab yang memerlukan kita mempunyai peribadi yang baik dan mampu mendidik. Tanggungjawab yang memerlukan kita mempunyai teknik pengurusan yang baik dan mampu merancang dengan baik.
Semua ini kita perlukan untuk menjalankan rumah tangga yang baik dan diredhai oleh Allah SWT.
Dapatkah kita melihat besarnya rumah tangga?
Entahlah. Kalau saya, saya pandang rumah tangga itu macam inilah.
Maka datanglah hal kahwin awal.
Apabila membicarakan hal kahwin awal, maka guru saya, Cikgu Azmi Bahari ada menyatakan berkenaan: "Yang layak berkahwin".
Ya. Sebenarnya pada saya, kahwin awal itu bukanlah masalah sekiranya yang nak kahwin awal itu sudah layak berkahwin. Maka timbul persoalan, siapakah yang layak berkahwin.
Cikgu Azmi Bahari cakap pada saya:
"Sekiranya enta dah mampu nak sara keluarga, itu dikira layak berkahwinlah."
Sebahagian orang akan melihat bahawa ini satu cubaan membangkitkan kepentingan wang dalam berumah tangga. Maka ada orang akan kata pada saya bahawa, jangan takut fasal duit, itu semua nanti adalah tu.
Baik, saya bukan takut fasal duit. Dan saya tak rasa Cikgu Azmi Bahari berkata ke arah itu juga. Pada saya, maksud sara keluarga ini adalah orang itu mampu menyara dirinya sendiri terlebih dahulu. Mampu menyara diri ini, tidaklah semestinya duit banyak. Maksudnya, dia mampu berdikari, menguruskan dirinya, mampu mencari sumber wang dan mampu berusaha. Bukan hidup bergantung kepada orang lain, bukannya orang yang tidak mahu mempertingkatkan diri apabila menyedari kekurangan, bukannya mendapat wang dari sumber yang dia tidak usahakan dan sebagainya.
Hal ini apabila kita pulang kepada apa yang saya nyatakan pada sub topik-sub topik sebelumnya, maka ia adalah amat relevan.
Kita perlu menampung satu tanggungjawab yang berat dan besar. Bukan sekadar hendak memberi makan, bahkan memimpin orang ke syurga. Bukan sekadar untuk keseronokan diri, tetapi untuk kebaikan ummah. Maka adakah sebenarnya kita layak melakukan sesuatu perkara yang sangat besar ini, dalam keadaan kita sendiri tidak pandai menguruskan diri dan berdikari?
Jadi, apabila kita sudah mampu menguruskan diri sendiri dan pandai berdikari, tidak kiralah umur berapa pun, maka kahwinlah sekiranya mahu. Bina rumah tangga. Sebab itu dahulu, orang tidak hairan dengan datuk nenek kita yang berkahwin umurnya 17 tahun, 16 tahun, 15 tahun dan sebagainya. Bukan sebab pada umur itu mereka sudah mempunyai harta yang banyak. Tetapi sebab mereka sudah layak berkahwin. Mereka pandai mengurus diri dan berdikari dengan baik.
Boleh bandingkan datuk nenek kita masa umur mereka 17 tahun, dengan pelajar SPM 17 tahun hari ini.
Pada saya, kalau sekadar 'mampu' untuk menampung kos perkahwinan yang hanya makan masa sehari itu, semua orang boleh. Yang mampu RM40,000, kahwin dengan RM40,000. Ada juga yang buat majlis sekitar RM2,000 sahaja. Kahwin memang senang.
Tetapi berumah tangga? Itu satu perkara yang lain.
Tak mengapa, mak ayah tampung.
"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui." Surah An-Nuur ayat 32.
Maka ada remaja yang hendak kahwin awal, merasa mudah dengan bergantung terus kepada ibu bapa mereka berdasarkan dalil di atas.
"Tak apa, ayah ana ada."
"Tak apa, mak ana boleh tampung."
"Kos majlis kahwin, hantaran, semua ummi ana bayar."
"Ayah ana kata dia nak hadiahkan rumah dan kereta. Ana tak payah risau dah."
Hakikatnya. Pada asas, ibu bapa tidak perlu menampung anak lelaki mereka. Sepatutnya, seorang lelaki yang mempunyai hajat untuk berkahwin, perlulah berusaha untuk memenuhi keperluannya agar mampu berkahwin dan menggerakkan rumah tangga.
Tetapi bukanlah salah apabila kita hendak menjaga kehormatan Islam dengan mengelak tragedi seperti berzina, rogol dan sebagainya dengan ibu bapa menampung atau membiayai perkahwinan si anak dan mempermudahkan perjalanan rumah tangganya.
Cuma kenapa saya bangkitkan hal ini di sini?
Kerana saya hendak kita kembali melihat kepada tujuan rumah tangga dan peranannya kepada ummah seperti di atas. Pada saya, orang yang hendak berkahwin awal, kemudian meletakkan pergantungan rumah tangganya kepada kedua ibu bapanya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Rumah minta mak ayah belikan. Kereta nak mak ayah tampung. Sedangkan majlis kahwin dan segala urusannya juga mak ayah yang berikan dana. Tiada dari duit sendiri yang dikumpul dengan penat lelah. Tiada dari usaha keras sendiri berusaha mencari dana. Maka di sini ada satu kepincangan dalam isu memandang berat terhadap tanggungjawab.
Bahkan, kita dapat melihat bahawa isu menampung keperluan hidup berumah tangga adalah tanggungjawab ketua keluarga yakni Si Suami. Bukan tanggungjawab ibu bapa Si Suami.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah yang makan dari hasil usaha kamu sendiri" Hadith riwayat Ahmad.
Dan firman Allah SWT: "…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya." Surah Al-Baqarah ayat 233.
Jadi apakah seorang ketua keluarga, yang dalam perhitungan dan perancangannya: "Tak apa, mak ayah ana ada. Diorang boleh sara ana dengan isteri."
Persoalannya, apakah kahwin dan rumah tangga itu semata-mata hal penyaraan?
Konsikuensi tidak matang terhadap rumah tangga
Apabila tujuan berumah tangga tidak jelas, atau yang mendirikan rumah tangga tidak matang, tidak mampu, maka kesan terhadap rumah tangga adalah buruk.
Perceraian, kepincangan, anak-anak yang tidak terurus, kehidupan yang tidak bahagia dan lebih buruk lagi kepincangan ummah dan kemerosotan kualiti masyarakat. Oh, jangan ceritalah pada saya berkenaan mencari keredhaan Allah SWT dan membawa keluarga bersama ke syurga apabila rumah tangga sudah tidak terurus.
Remaja cenderung melihat kahwin awal adalah satu-satunya penyelesaian dalam hal cinta, menjauhi dosa, takut zina dan sebagainya, sekaligus mematikan opsi-opsi yang lain yang hakikatnya wujud. Sepatutnya kita berpandangan jauh dan melihat dengan teliti.
Apakah kebaikan sebentar kemudian membawa keburukan yang bertali arus itu solusi yang hakiki?
Maka habisilah dan telitilah sabda Rasulullah SAW itu.
Maka saya suka hendak menunjukkan kepada anda akan baki daripada hadith Rasulullah SAW yang saya utarakan di awal artikel ini tadi.
Rasulullah SAW ada bersabda: "Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri…" (Muttafaq 'Alaih).
Sempurnya hadith itu adalah begini:
Rasulullah SAW ada bersabda: "Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri, dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu baginya adalah benteng." (Muttafaq 'Alaih).
Kahwin awal hanyalah untuk orang yang layak berkahwin awal. Yang mampu. Justeru, apabila kita menyedari bahawa kita bukanlah dari golongan yang 'mampu', maka hendaklah kita berpuasa dan memohon perlindungan daripada Allah, menjauhkan diri dari punca-punca yang boleh mendorong kita ke arah keingkaran kepadaNya, dan pada masa yang sama bermati-matian berusaha mempertingkatkan diri kita untuk menjadi orang yang layak berkahwin, orang yang mampu berkahwin.
Diperhatikan semula, hadith ini selain dinyatakan perihal kahwin sebagai solusi, ia juga mengutarakan 'bertahan dan mempertingkatkan diri' sebagai solusi. Apakah natijah puasa? Taqwa. Dan taqwa itu natijahnya adalah peningkatan terhadap peribadi. Mengapa Rasulullah tidak tinggalkan solusinya sekadar 'kahwin' semata-mata?
Kerana 'mampu' adalah satu indikator yang amat penting dalam berumah tangga.
Rumah tangga bukan perkara sehari dua.
Rumah tangga bukan hal kamu berdua(lelaki dan perempuan).
Rumah tangga hal ummah pada hakikatnya.
Kita kahwin bukan semata-mata nak halalkan chit-chat kita dalam YM.
Kita bukan berkahwin semata-mata untuk halalkan pegang tangan peluk-peluk.
Kita bukan berkahwin semata-mata nak halalkan telefon kita bergayut-gayut selama ini.
Kita bukan berkahwin semata-mata kerana nak halalkan dating kita selama ini.
Bukan semata-mata itu semua dan bukan.
Rumah tangga lebih besar dari hal kita berdua. Ia lebih panjang dari apa yang kita sangkakan. Bukan terbina atas suka-suka semata-mata. Tetapi perlu dibina dengan perancangan hakikatnya.
Penutup: Saya bukan kata tak boleh kahwin awal.
Artikel ini bukan melarang kahwin awal. Kalau rasanya sudah mampu, kahwinlah. Artikel ini juga bukan melarang ibu bapa untuk tampung anak-anaknya kahwin awal. Kalau rasa anak-anak itu sudah mampu menguruskan sebuah rumah tangga, maka tampunglah. Artikel ini juga bukanlah nak memberat-beratkan orang bujang yang nak menikah. Saya tak rasa pun ini memberat-beratkan. Kalau rasa sudah layak, tiada masalah, kahwinlah. Umur 15 pun saya tak larang kalau dah layak.
Artikel ini wujud supaya generasi hari ini tidak memandang enteng akan perkahwinan dan rumah tangga yang hendak dibina. Pada saya, kahwin adalah ibadah. Kehidupan berumah tangga adalah ibadah. Semuanya ada saham dalam pembentukan ummah. Justeru kita perlu pandang serius akan hal membina rumah tangga. Kalau benar cinta, cinta mesti hendak bersama ke syurga.
Kahwin bukan semata-mata melempiaskan hawa nafsu, bermain-main, syok-syok, suka-suka.
Kahwin adalah untuk membina rumah tangga, madrasah pertama kepada ummah.
Mengapa tidak boleh kita pandang lebih serius akan hal ini?
Kata-kata guru saya amat saya ingati:
"Perkahwinan hanyalah gerbang. Rumah tangga adalah perjalanan selepas kita melepasi gerbang itu." ~ Pakcik Rosdi bin Baharom, kini Pengarah HEP di Kolej Teknologi Darulnaim, Kelantan.
Ini sekadar cambahan idea saya. Untuk ditimbang-timbangkan.
Semoga bermakna.
October 31, 2010
Perkongsian: Dua perkara yang kita anggap remeh temeh.
Allah. ~ picture by 1sniper101 of deviant art
Allah itu adalah Tuhan yang wajib kita sembah. Allah itu adalah pencipta dan pentadbir pada setiap yang wujud di dalam dunia ini.
Dua perkara itu perkara asas. Ada orang akan kata pada saya: "Ala, ini semua saya dah tahu."
"Benda ni belajar masa sekolah rendah."
Nampak remeh dan lekeh. Ya. Memang remeh sekiranya dipandang dalam sekadar ayat. Mungkin tidak cukup bombastik. Atau terlalu biasa. Mungkin kalau keluar soalan dalam peperiksaan, yang ini kita tak payah baca pun boleh jawab.
Tetapi dua perkara ini adalah asas. Yang mana asas ini memang kebanyakan manusia tahu, tetapi yang asas ini pun tidak mantap untuk dibumikan dalam amalan kehidupan. Intipati kedua perkara ini amatlah besar dan luas untuk dikatakan remeh dan lekeh. Punca utama kepincangan dalam kehidupan manusia, adalah dia lupa akan dua perkara ini.
Allah itu adalah Ilah. Allah itu adalah Rabb.
Sebab itu walaupun perkara ini nampak biasa, ia adalah perkara yang perlu kta tanamkan dalam kehidupan kita.
Kalau benar kita anggap Allah itu Tuhan, tempat kita mengabdikan diri dan bergantungan.
Sekiranya keimanan kita benar dan kita benar-benar meyakini bahawa Allah itu adalah Tuhan, maka kita akan mengimani bahawa Dia Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Berkuasa Atas Segala-galanya, Maha Memberikan Balasan, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun.
Kita akan melihat bahawa, kepercayaan bahawa Allah itu adalah Tuhan kita akan menolak kita untuk mengambil kebaikan dan membuang keburukan di dalam kehidupan kita. Kalau benar bahawa kita percaya bahawa Allah itu adalah Tuhan kita, maka kita tidak akan bermain-main dalam kehidupan kita. Kalau benar bahawa kita percaya bahawa Allah itu adalah Tuhan kita, maka kita akan menghargai kehidupan kita dan mengisinya dengan pengisian yang bermakna. Hal ini kerana kita percaya bahawa Allah Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Memberikan Balasan. Alangkan ibu bapa memberikan hadiah, dan kita mencampaknya begitu sahaja sudah dipanggil kurang ajar. Bagaimanakah perbuatan kita yang mencampak pergi segala pemberian Tuhan dan mengingkari segala perintahNya?
Dan apabila kita jatuh dalam kehidupan kita, kita akan menganggap itu sebagai ujian untuk peningkatan diri dan kaffarah dosa. Kita tidak kecewa berpanjangan dengan dugaan dan ujian yang menimpa, kerana kita yakin bahawa kalau kita sabar, Allah akan mengangkat semua masalah kita. Dan kita tahu bahawa, walaupun kita terkorban di tengah-tengah dugaan, balasan sabar dan tabah dalam melaluinya akan diberikan oleh Allah di hari akhirat. Maka jadilah kita manusia yang mampu bertenang bila ditimpa musibah, mampu waras tika diberikan ujian. Kerna kita yakin bahawa, tempat pergantungan kita adalah tempat pergantungan kukuh tiada taranya.
Tetapi apabila kita tidak meletakkan Allah sebagai Tuhan, maka kita secara automatiknya tidak akan risau akan hari pembalasan, jauh sekali berfikir akan neraka dan syurga, sekaligus tidak kisah akan dosa dan pahala. Kita rasa bahawa buat jahat dan baik itu sama sahaja. Kita rasa hidup ini tidak perlukan peraturan, dan kita berhak berbuat apa sahaja tanpa segan silu atau merasa pelik.
Apabila kita jatuh, ditimpa dugaan, kita rasakan kita adalah manusia paling tidak bernasib baik di dalam dunia, dan terus melakukan perkara-perkara yang bodoh lagi tidak bermanfaat untuk kita. Hal ini kerana, kita sebagai manusia sedar bahawa tiada apa yang wujud di hadapan mata ini kukuh untuk dijadikan pergantungan penuh. Tidak kiralah sahabat paling karib, hatta ibu bapa sekalipun. Semuanya akan ada kecacatan. Maka kita akan jadi manusia yang sugul dan ketakutan.
Kalau benar kita menganggap Allah itu sebagai pencipta dan pentadbir alam ini.
Bagaimana kita melihat alam ini? Perjalanannya amat menakjubkan bukan?
Pernahkah kita mengkaji bagaimana sistem-sistem di dalam tubuh manusia beroperasi? Pernah kita mengkaji bagaimana tumbuh-tumbuhan hidup? Pernah kita mengkaji bagaimana kehidupan-kehidupan mikroorganisma seperti sel dan sebagainya? Pernahkah kita mengkaji pelbagai jenis kitaran ekosistem, kehidupan haiwan, air hujan, peredaran planet dan sebagainya?
Kalau kita tidak yakin bahawa Allah yang menciptakan semua itu, maka kita akan rasa semua itu adalah semata-mata keajaiban alam. Yang hakikatnya tidak membawa makna kepada kita. Ya, keajaiban alam. Tetapi apa maknanya kepada manusia? Oh, manusia boleh hidup dengan baik dengan keajaiban alam ini. Itu sahaja. Tidak lebih. Bila kita mati, bukannya keajaiban alam ini bermakna pun buat kita.
Ya. Kalau kita tidak yakin bahawa Allah yang menciptakan semua itu dan mentadbirnya.
Tetapi persoalan timbul. Adakah logik jutaan sistem, jutaan operasi, jutaan pergerakan, jutaan makhluk ini terjadi secara tiba-tiba tanpa pencipta? Alangkan kita hendak mewujudkan tulisan pun memerlukan penulis. Hatta habuk pun ada sumbernya. Semua makhluk(yang diciptakan) pasti ada khaaliq(pencipta)nya.
Dan Pencipta ini mentadbir jutaan sistem, jutaan operasi, jutaan pergerakan tadi dengan penuh sempurna. Lihatlah bagaimana awan diciptakan dan bagaimana kehidupannya, lihatlah gunung ganang diciptakan dan bagaimana keadaannya, lihatlah planet-planet, sel-sel, kehidupan binatang dan manusia, reka bentuk tumbuh-tumbuhan dan peredarannya. Lihatlah dan lihatlah. Semua adalah sempurna.
Jadi apabila kita meyakini bahawa Allah adalah pencipta itu, pastinya kita akan memandang Islam yang juga diturunkan oleh Allah SWT sebagai peraturan untuk manusia, sebagai peraturan yang terbaik dan tiada tandingannya.
Beriman bahawa Allah adalah RABB(pentadbir) akan membuatkan kita siap melaksanakan perintahNya, dan cekal meninggalkan laranganNya. Kerna kita tahu bahawa, Allah adalah Rabb(pentadbir) yang sukses. SistemNya solid tiada kecacatan. Lihat sahaja alam yang kemas ini. Lihatlah bagaimana kita hidup di atas alam ini. Apabila kita mengambil Islam sebagai cara hidup, maka kita akan pergi ke tahap yang terbaik sekali. Dan pastinya, apabila kita meyakini Allah adalah Rabb, maka kita sendiri tidak akan ebrmain-main dalam mengambil Islam.
Tetapi apabila kita tidak percaya bahawa Allah adalah Rabb?
Kita tidak akan ambil Islam. Kita akan kata Islam itu lekeh. Kita akan kata Islam itu entah apa-apa. Dan apakah akibatnya tidak mengambil Islam? Oh, jangan suruh saya jawab. Saya mahu anda jawab. Lihat sekeliling anda. Baca akhbar-akhbar anda. Lihatlah dunia hari ini.
Anda jawab sendiri.
Kita sangka Allah itu apa?
Allah bukanlah Tuhan yang kita wujudkan. Bahkan Allah yang mewujudkan kita. Kita tidak menyembah Allah dengan memberi rezeki kepadaNya. Bahkan Allah yang memberikan rezeki kepada kita. Allah bukanlah Tuhan yang kita wujudkan semata-mata untuk menyelamatkan diri atau kampung dari bala. Tetapi Allahlah yang mewujudkan kita, dan kita memerlukanNya setiap masa di dalam kehidupan kita, walaupun kala kita dalam senang dan gembira.
Kita sangka Allah itu apa? Mitos rekaan dalam buku-buku cerita?
Tuhan yang boleh kita tipu perdaya?
Tuhan yang boleh kita tewas dan tumpaskan?
Kita selama ini, sangka Allah itu apa?
Keimanan itu bukan sekadar percaya dengan mulut.
Jangan cakap pada saya: "Aku percaya Allah itu Tuhan, aku percaya Allah itu adalah pencipta dan pentadbir alam ini." Sebab mulut bukan pembuktian keimanan kita secara tepatnya.
Apakah tindakan kita? Bagaimanakah kehidupan kita? Apa yang kita buat? Kalau benar kita meletakkan Allah itu sebagai Ilah, sebagai Rabb dalam kehidupan kita?
Saya bukan membawa artikel ini untuk kita menjawab peperiksaan. Saya juga bukan membawa artikel ini untuk ilmu pengetahuan. Saya membawa artikel ini untuk kesedaran dan dibumikan dalam amalan.
Tahu kita memang tahu. Saya yakin anda semua tahu.
Tetapi sejauh mana kita benar-benar hidup dalam kefahaman Allah itu adalah Ilah, dan Allah itu adalah Rabb?
Pandang kehidupan kita. Pandang.
Itulah keimanan kita.
Penutup: Saya mengajak diri saya dan anda, kepada Ma'ruf Al-Akbar.
Saya ajak diri saya dan diri anda, kepada ma'ruf al-akbar, yakni kebaikan yang terbesar sekali dalam kehidupan insan.
Itulah dia dengan meletakkan Allah sebagai Ilah dan Rabb dalam kehidupan kita.
Saya mengajak diri saya dan anda, menjauhi Munkar Al-Akbar, yakni keburukan yang terbesar sekali dalam kehidupan insan.
Itulah dia dengan mengambil Ilah dan Rabb lain selain Allah SWT.
Mari kita kembali kepada dua perkara ini. Yang selama ini kita lihat remeh temeh dan tidak ingin kita selidiki. Hakikatnya ia adalah asas terpenting dalam kebaikan-kebaikan yang ingin kita dapatkan dalam kehidupan kita.
Tidakkah kita memerhatikan?
Maka apa lagi yang kita tunggukan?
October 30, 2010
Novel Hero: ~2~ Pahit.
Orang sering melihat kepada zahirnya. Tetapi orang jarang hendak menyelami jiwanya. ~ picture by jaymyccah of deviant art.
Hero episod 2 sudah datang.
Tak mahu cakap banyak.
Enjoy it!
[image error]
~2~
-Pahit-
Siapakah itu? Dua lembaga itu muncul menghalang cahaya. Semakin lama semakin mendekatinya. Apabila jelas, dia yang terpana. Tidak percaya.
"Ayah? Ibu?"
"Afam anak ibu, apa khabar?" Perempuan itu bersuara lembut. Tudung labuh masuk ke dalam jaket, kain labuh elegan bersama kasut primavera. Memang itu benar gaya ibu. Tetapi Ibu telah…
"Afam," Suara basah itu menggegarkan gegendangnya. Mengundang kerut pada dahinya. Pandangan tajam memanah lelaki yang cuba mendekatinya.
"Kau jangan dekat." Terus telunjuknya naik selarah amarahnya.
Lelaki bermisai dan berjambang nipis, bercermin mata, bertali leher dan berkemeja sempurna itu berhenti dari mendekati Afam. Wajahnya seperti dipalit duka.
"Apakah ini?" Kedua belah tangan Afam memegang kepala dengan kuat. Sakit.
Sepatutnya Ayah dan Ibu telah meninggal dunia. Tetapi apakah ini? Dan dia tersepit antara rindu pada Ibu dan benci kepada Ayah. Dadanya seakan jadi sempit.
"Afam anak ibu, hidup dengan baik ya. Isilah hatimu. Rawatlah jiwamu." Entah bila, Ibu sudah terlalu hampir dengannya, dan tangan perempuan itu menyentuh rapat dadanya. Terasa seakan-akan ada curahan air yang membasahkan jiwanya.
"Afam, nanti satu hari kamu akan faham." Dan entah bila, dia sudah berada dalam dakapan Ayah. Ibu turut mendakapnya juga. Dia tidak mampu berbuat apa-apa.
Bicara kedua-dua orang tuanya seakan menyerap masuk ke dalam dada.
Tanpa sedar air matanya mengalir.
Mengalir dan mengalir.
Dia menangis sepuas-puasnya.
"Awak, awak." Tubuhnya rasa tergoncang.
"Awak. Kenapa ni? Ada apa-apa berlaku?" Kini pipinya seakan diraup lembut.
Perlahan-lahan dia membuka matanya, tetapi seakan agak sukar kerana wujud air yang melembabkan bulu matanya. Genang air mata membuatkan dia payah hendak melihat dengan jelas siapa di hadapannya kini.
Seketika kemudian, dia merasakan air pada matanya diseka. Dia terpaksa menutup mata sebentar, refleks kerisauan sesuatu masuk ke dalam mata. Dibuka matanya semula, barulah dia dapat melihat siapakah di hadapannya.
Dan dia diam tidak mampu berkata apa-apa, apabila wajah lembut Husna menatapnya dengan riak penuh kerisauan. Segera dia mengeraskan diri.
"Awak, kenapa awak?" Tangan perempuan itu masih setia pada pipinya.
Terasa kasih sayang tidak berbelah bagi tumpah pada dirinya. Jiwanya terasa. Namun dia tidak pasti dia patut membuat reaksi apa.
"Apa yang awak sibuk?" Tangan Husna itu dipegang, dan diketepikan. Dia menolak katil dengan sebelah tangan dan duduk perlahan-lahan. Kemudian matanya digosok-gosok. Berair. Aku menangis? Sekejap, Husna ini nampak aku menangis dalam tidur?
"Tak malu ke masuk bilik lelaki? Kata ustazah." Afam cuba menyembunyikan rasa malunya.
"Encik Amir Faheem, kita dah kahwin semalam. Dan awak meracau-racau sampai saya boleh dengar dari bilik sebelah. Saya risau, sebab itu saya masuk." Husna berceloteh dengan wajah separuh geram.
"Pukul berapa ni?" Mengubah topik. Afam memandang keluar. Masih gelap. Langsir tidak disimbahi bias mentari seperti biasa. Sudah lama dia tidak bangun tika langit masih hitam.
"6.30 pagi. Awak sudah Solat Subuh?" Husna bertanya dengan kening sebelah terangkat. "Saya macam pasti belum." Husna menerka.
Afam diam. Aaah, seorang lagi Pegawai Jabatan Agama Islam dalam rumah ini. Cukuplah Pak Arbi seorang bising fasal solat menyolat. Nak tambah seorang lagi? Ish. Dia perasan yang Husna bertelekung lengkap. Mungkin baru lepas solat. Sebab itu racauannya boleh didengari.
"Sudahlah. Jangan sibuk." Malas. Segera dia baring semula dan menarik selimutnya. Namun selimutnya ditarik oleh Husna membuatkannya tersentap. Mata mereka bertemu.
"Semalam awak pergi mana?" Dingin. Wajah itu macam menunjukkan kelukaan. Afam terasa seakan jiwanya juga terluka melihat wajah duka itu. Tetapi segera dia tidak mengendahkan perasaan yang bermain di dalam dirinya.
"Berfoya-foya." Dan itu yang meluncur keluar, pada masa yang sama menarik kasar selimut sambil menghenyak tubuhnya di atas katil.
Tidak lama kemudian dia terasa tilam katilnya terangkat sedikit, tanda Husna bangun, dan dia mendengar pintu bilik ditutup. Tanpa sepatah kata. Tanpa celoteh apa-apa.
Pastinya perempuan itu terluka dengan jawapannya. Sudahlah semalam, dia dengan dinginnya menyuruh Husna tidur di bilik sebelah. Dengan wajah tanpa perasaan dia menjawab:
"Saya kahwin dengan awak sebab terpaksa untuk selamatkan harta ayah saya."
Pagi ini, dengan penuh perasaan perempuan itu merisaukannya, dia pula dengan mudah melukakan perasaan perempuan itu.
Dan entah mengapa, jiwanya merasakan perkara yang sama. Luka.
Mimpi tadi, bila diingat semula, tambah meremukkan dada.
Bila semua kepahitan ini akan berakhir?
Dia sendiri tidak tahu ke mana dia membawa kehidupannya.
*****
Inspektor Ikhwan Rosli diam di kerusinya. Fail-fail berkenaan Syaitan Bertopeng yang dipunggah semula sedang tersusun bertimbun di atas mejanya. Dia telah mengkaji semula semua fail itu selama tiga hari kebelakangan ini. Kini dia dalam keadaan yang teramat letih kerana bekerja tanpa henti. Hanya solat sebagai rehat.
Syaitan Bertopeng bukanlah mafia bawah tanah yang bersembunyi. Mereka adalah mafia yang bergerak bebas di tengah Kotaraya Angsana. Mereka adalah ketua kepada segala dunia gelap di dalam Malaysia. Ketua mereka, Eljurano Demase adalah seorang yang amat licik dan berpandangan jauh. Satu-satunya penjenayah yang melihat kepada kesatuan para penjenayah.
Hasilnya, Syaitan Bertopeng menjadi semakin kuat dari hari ke hari, dan pergaduhan sesama penjenayah telah berkurangan. Kesan daripada hal ini, kerajaan semakin terhimpit. Lebih buruk, ramai pegawai kerajaan dan orang-orang pihak berkuasa telah menjadi boneka kepada Syaitan Bertopeng.
Sebab itu, di dalam banyak kes yang boleh menjatuhkan mereka, Syaitan Bertopeng berjaya melepaskan diri dengan mudah. Hakim adalah orang mereka, pegawai bank adalah orang mereka, pegawai polis adalah orang mereka, dan lebih menakutkan, Ketua Pesurujaya Polis Kotaraya Angsana nampaknya juga merupakan orang mereka.
"Bagaimana awak boleh lepaskan Hero?" Pertanyaan itu disertai hentaman pada meja. Tuan Tahir, Ketua Suruhanjaya Polis Kotaraya Angsana memandangnya dengan wajah yang merah.
"Apakah yang tuan harapkan? Dia dengan segala kekuatan dan teknologi yang dia ada, tuan memang tahu saya mustahil memberkasnya." Dia berani membela diri. Berani kerana benar.
"Bukankah ramai anggota polis ada di situ?" Mata Tuan Tahir menjegil.
"Dan saya sepatutnya menjerit meminta tolong? Hero tetap mampu pergi begitu sahaja." Dia memberikan logik.
Tuan Tahir dilihat terdiam. Tangan yang mengepal penumbuk tadi bergetar. Kemudian tangan itu ditarik dan disatukan dengan tangan kiri, dan keduanya diletakkan di bawah dagu. Gaya berfikir. Mata Ketua Pesuruhjaya Polis itu memandang kiri dan kanan. Seakan gelabah. Nafas turun naik.
"Sekarang, saya turunkan arahan. Kita lipat gandakan kekuatan untuk menangkap Hero. Kerahkan semua anggota kita untuk bersedia bila-bila masa. Dia mesti dijatuhkan."
"Tuan, tetapi dia sedang membantu kita. Selama ini pun, dia yang membanteras segala penjenayah di kota kita. Dalam dua tahun ini, bilangan jenayah sudah berkurangan. Sampai Syaitan Bertopeng pun perlu berhati-hati dengannya." Inspektor Ikhwan tidak mampu menerima arahan yang diberikan.
"Dia adalah vigilante. Meletak hukum di tangan sendiri. Tiada siapa yang meletakkan hukum di tangannya sendiri di bawah kekuasaan saya."
"Dia tidak pernah membunuh sesiapa. Bahkan dia menyerahkan semua penjenayah kepada kita. Saya hairan mengapa kita tidak begitu bersungguh-sungguh dalam menangani Syaitan Bertopeng, tetapi kita berusaha bermati-matian untuk menangkap Hero yang membantu kita selama ini." Kes Dato' Ikrimah Husni pun diletakkan dalam isu rompakan. Nama Syaitan Bertopeng tidak dinaikkan langsung.
"Inspektor Ikhwan Rosli, awak buka mulut awak sekali lagi, pangkat dan jawatan awak semuanya ditarik." Jari telunjuk Tuan Tahir mengacu kepadanya.
Dia menutup mulut.
Jemarinya menari di atas meja. Benar kata Hero, polis juga korup. Selama dia berada dalam Jabatan Siasatan Jenayah ini, bukannya sekali dua dia berurusan dengan kes-kes Syaitan Bertopeng. Tetapi tidak pernah sekalipun Eljurano Demase dan konco-konconya dihadapkan ke mahkamah atau ditangkap untuk dipenjarakan.
Ini menimbulkan persoalan, mengapa Syaitan bertopeng yang sudah tersangat hebat dan seakan telah mengawal negara ini, perlu berurusan dengan 10 Jutawan Islam Malaysia?
Mata Inspektor Ikhwan menjeling ke arah fail-fail yang merupakan kes siasatan terhadap kematian jutawan-jutawan tersebut. Dia juga telah meneliti semua fail tersebut.
Yang boleh mengaitkan ketujuh-tujuh jutawan yang meninggal dunia itu hanyalah mereka bersahabat baik semenjak universiti. Itu termasuklah tiga orang lagi yang masih hidup. Mereka bersepuluh, mengikut rekod adalah pelajar-pelajar UiTM Perlis dan kemudian keluar menjalani hidup masing-masing lalu menjadi jutawan beradasarkan kepakaran sendiri. Bisnes mereka langsung tidak berkaitan. Satu lagi kesamaan, kalau hendak dinyatakan pun, adalah mereka bersepuluh telah membantu negara pulih dari kejatuhan ekonomi, memperkasakan kemakmuran dan kemajuan negara, serta meletakkan negara setaraf dengan negara-negara besar yang lain.
Inspektor Ikhwan terus berfikir. Namun akalnya tidak mampu menangkap mengapa perlu dibunuh jutawan-jutawan ini. Lebih memeningkan, selepas kematian mereka, ekonomi negara tetap stabil. Maka apakah kelebihannya Syaitan Bertopeng membunuh orang-orang ini? Di situ dia menemui titik mati dalam penyiasatannya.
Tidak mampu menangkap apakah yang hendak dicapai Syaitan Bertopeng.
Kemudian Inspektor Ikhwan mengeluarkan PDA dari poketnya. Telunjuknya menyentuh skrin dan menekan-nekan pada imej punat yang wujud. Data-data penyiasatannya terhadap Akama muncul. Namun semuanya tidak mempunyai jawapan. Lelaki misteri itu baru muncul sebanyak dua kali.
Apa kaitan Akama dengan Syaitan Bertopeng? Apakah yang dikehendakinya? Semua itu tidak terjawab.
"Ya Allah. Lemahnya hambaMu ini." Dia memasukkan semula PDAnya dan meraup wajah.
Dia dapat merasakan ada satu perkara besar yang sedang berjalan.
Tetapi dia tidak tahu apakah perkara besar itu dan bagaimana hendak menghentikan.
Akhirnya dia bangun dari kerusinya. Hari ini dia perlu pulang.
Ada usrah yang perlu diikutinya. Tambahan, keluarga pasti sedang merinduinya.
Lampu ditutup, dan fail-fail bertimbun ditinggalkan.
*****
Kotaraya Angsana terang benderang di tengah malam. Lampu pelbagai warna menghidupkan kota dan menceriakan suasana. Kenderaan-kenderaan masih tidak surut memenuhi jalan raya. Manusia ramai lalu lalang dan bertebaran di mana-mana.
Bandar yang hebat ini merupakan mercu tanda Malaysia yang terhebat setakat ini, menewaskan Putarajaya dan Kuala Lumpur. Projek khas yang dijalankan oleh 10 Jutawan Islam Malaysia pada saat kemelut ekonomi yang teruk dan seakan Malaysia tidak lagi mampu menyelamatkan diri daripadanya. Projek ini berjaya menarik ramai pelancong serta menjadi tempat pelaburan ekonomi yang tersubur. Peluang pekerjaan pun naik mengurangkan pengangguran dan satu fakta yang tidak boleh disembunyikan adalah kota ini sifar kemiskinan.
Atas kejayaan yang besar ini, nama 10 Jutawan Islam Malaysia harum dan mereka menjadi terkenal di seluruh pelusuk negara dan dunia. Pelbagai lagi projek mula mereka gerakkan pada negeri-negeri lain di Malaysia dan semua menunjukkan hasil yang memberansangkan. Projek mereka bukan setakat pada bangunan dan wang, tetapi juga kepada pembangunan insan dan Islam.
Dia menghela nafas. Perbuatannya menjemput kepulan asap keluar dari rongga mulut. Angin membawa pergi asap itu entah ke mana. Dia senang dirinya dipukul angin yang menderu di atas bangunan pencakar langit ini. Seakan-akan hatinya berhajat agar masalahnya juga dibawa pergi.
Sudah dua tahun. Dua tahun dia menyarung sut ini. Kebencian terhadap jenayah yang semakin berleluasa, berani seakan tiada siapa yang sanggup membanteras mereka, dan kebenciannya terhadap pihak berkuasa yang menyimpan tangan dan berdiam diri seakan tunduk merelakan apa yang terjadi, membuatkan dia nekad untuk membersihkan keadaan dengan tangannya.
"Sanggup korbankan kehidupan yang senang lenang?" Pak Arbi bertanya dengan serius.
"Nanti mereka akan sampai di hadapan pintu rumah saya juga bukan?" Dia menjawab dingin. Mr Umayer yang memegang payung menghalang dirinya dari terus dibasahi hujan hanya menunduk.
"Kota ini sepatutnya menyelamatkan.Bukannya menjadi sarang penjenayah." Dia mengepal kedua penumbuknya.
Ibu dan Ayah baru meninggal. Mati ditembak oleh ahli Syaitan Bertopeng tanpa sebab yang munasabah. Pembunuhan itu cuba dibuat dengan licin, namun kebijakan Ayah yang menghidupkan kamera pada butang bajunya berjaya mewujudkan bukti. Tetapi bukti itu tidak mampu membawa ketua Syaitan Bertopeng, Eljurano Demase ke balik jeriji. Hakim memutuskan bahawa, bukti itu tidak cukup solid.
Ini menimbulkan kemarahan dalam dirinya. Dia seakan melihat Ejurano Demase mentertawakannya, walaupun wajah lelaki itu tersembunyi di balik topeng. Akhirnya dia berdiri di hadapan kubur Ibu dan Ayah walaupun hujan lebat sedang menggila. Melepaskan kegeramannya.
"Pak Arbi, berikan saya jalan untuk memperbaiki kota ini!" Dia menjerit apabila menyedari pembantu setia ayahnya berdiri di belakangnya. Siapa lagi yang akan mengejarnya ke kuburan selain lelaki itu? Makcik Amirah berada di Putrajaya tempat kerjanya.
Dan soalan "Sanggup korbankan kehidupan yang senang lenang" itu keluar.
"Kami sebenarnya sudah memerhatikan perjalanan Syaitan Bertopeng beberapa tahun kebelakangan ini. Tuan Amir Faheem belajar di luar negara. Maka kami sudah menyiapkan satu projek untuk berurusan dengan mereka." Mr Umayer bersuara.
Dia memandang lelaki yang dipercayai oleh ayahnya untuk menguruskan segala harta dan perniagaannya itu. Dia dapat melihat kemudian Mr Umayer dan Pak Arbi berbicara melalui isyarat mata. Akhirnya Pak Arbi mengangguk, seakan terpaksa tunduk terhadap sesuatu.
Ketika itulah dia diperkenalkan dengan ruang bawah tanah di rumahnya. Itulah saatnya dia pertama kali melihat sut 'Hero'.
"Tuan Amir Faheem, ini adalah sut pintar. Helmet, sarung tangan, perisai bahu dan dada, but, semuanya dibuat dari titanium tetapi ringan dan mudah dikendalikan. Manakala baju dalam diperbuat dari bahan kevlar. Kalis peluru. Mantelnya kalis api, dan boleh berubah menjadi glider, juga boleh dijadikan sebagai perisai peluru. Ia boleh dimasukkan ke dalam perisai bahu. Helmetnya adalah komputer berteknologi tinggi, boleh menganalisis pelbagai perkara, mempunyai infra red yang boleh mengaktifkan nightvision dan juga mengesan pergerakan di balik dinding. Bahagian tangan boleh mengeluarkan penyembur api dan penembak laser. But boleh mengeluarkan api bertindak sebagai jet." Mr Umayer memberikan penerangan.
Matanya tidak berkedip.
Dan semenjak itu dia adalah perwira malam yang muncul memburu para penjenayah. Walaupun dia lebih suka menghukum penjenayah dengan tangannya sendiri, tetapi Pak Arbi dan Mr Umayer telah memberi amaran keras kepadanya.
"Walaupun sut ini boleh membunuh, Tuan Amir Faheem hanya dibenarkan menggunakan sut ini bagi memudahkan tugasan polis sahaja. Tangkap penjenayah, jatuhkan mereka, tetapi tidak sesekali membunuh."
"Jika tidak?"
"Nyawa sut itu di tangan saya." Mr Umayer mengangkat tangannya. Matanya serius.
"Baiklah."
Dan akhirnya dia digelar sebagai 'Hero' oleh masyarakat yang semakin hari semakin menyedari kehadirannya.
Tetapi hari ini, dia tidak tahu bila semua ini akan berakhir. Bila dia boleh melepaskan diri dari sut ini. Tumbang satu penjenayah, muncul penjenayah yang lain. Hari-harinya sebagai 'Hero' tidak pernah berhenti. Kini, muncul pula Akama, sedangkan masalah dengan Syaitan Bertopeng belum lagi berakhir.
Kini polis juga melipat gandakan usaha menangkapnya. Dia perasan kebenaran kata-kata Inspektor Ikhwan Rosli tempoh hari. Polis nampaknya benar-benar melipat gandakan usaha. Dia mula melihat helikopter-helikopter polis menjalankan rondaan dengan giat.
Dia seakan diasak. Dihimpit.
Dan jiwanya seakan kosong tidak terisi.
Apakah jalan yang dipilihnya ini tidak mempunyai pengakhiran?
Selepas Syaitan Bertopeng, selepas Akama, apakah dunia akan aman?
Asap keluar lagi dari mulutnya. Dia tidak tahu jawapannya. Dan persoalan itu membuatkan dia lemah.
"Ada kebakaran berlaku. Pihak Bomba dan Penyelamat mohon respon segera. 2 nyawa masih tersekat di dalam bangunan di Angsana 3/45." Helmetnya memintas panggilan tersebut.
Segera batang rokoknya ditenyeh pada bumbung pencakar langit. Dia berdiri, sementara menanti helmetnya mengesan arah.
"Aku menunggu Iblis, api yang keluar. heh." Afam berseloroh sendiri. Terus dia melompat dari bangunan tinggi itu. Terjun laju menurut graviti. Selepas beberapa saat, mantelnya keluar dari perisai bahu, terbuka seperti glider dan dia meluncur perlahan. Ketika ini butnya mengeluarkan api, mantelnya masuk semula ke perisai bahu dan dia membelah udara bergerak sepantas mungkin ke tempat kejadian.
Tidak lama kemudian helmetnya mula mengesan peningkatan haba. Matanya mula menangkap bangunan tempat tinggal yang sedang terbakar dengan marak sekali. Tanpa menghiraukan jeritan orang ramai yang berkumpul tidak jauh dari bangunan, terus dia berusaha mengesan kehidupan di dalam bangunan dengan teknologi yang ada padanya. Sebentar sahaja, skrinnya mengeluarkan dua imej. Kelihatan seperti seorang ibu yang sedang memeluk anaknya. Di tingkat 5.
Afam berdesup hilang dari udara, terus merempuh masuk ke dalam bangunan. Alang konkrit yang rapuh sudah mula hendak jatuh.
"Tunduk lagi!" Afam menjerit sebaik sahaja berjaya memeluk Ibu dan anak itu. Belakang tubuhnya melindungi dua tubuh tersebut. Alang konkrit itu jatuh menhentamnya. Afam merasa sakit yang teramat sangat. Lantai tempat dia berpijak meretak, dan mereka bertiga jatuh ke tingkat bawah. Saat ini, Afam membuka mantelnya dan menyelimutkan anak beranak itu seerat mungkin sambil terus memeluk mereka. Sakitnya tidak dihiraukan. Butnya mengeluarkan api yang kuat, menolak dirinya melawan graviti.
Pantas dia keluar melalui bumbung yang telah tiada.
Perlahan-lahan dia mendarat pada tempat pasukan bomba dan penyelamat berkumpul. Orang ramai semuanya sekadar tergamam dan separa tidak percaya dengan apa yang sedang dilihat oleh mereka.
"Ini mereka." Afam menyerahkan anak beranak itu.
"Terima kasih, terima kasih." Sang Ibu menangis-nangis. Mungkin tadi dia sudah pasrah menerima kematian.
Afam diam tidak menjawab. Dia hendak bergerak terus meninggalkan tempat itu. Entah mengapa, jiwanya terusik. Dia memang tidak pernah memberikan respon kepada orang-orang yang diselamatkannya. Tetapi keadaan Si Ibu ini, membuatkan dia teringat akan mimpinya malam tadi.
Namun, baru sahaja dia hendak bergerak, tangannya dipegang erat oleh beberapa ahli bomba. Pegangan itu dirasakan amat berbeza. Bukan pegangan kemesraan. Belum sempat dia bertanya, suluhan lampu sorot dari helikopter menjamah pandangan. Bunyi pusingan kipas helikopter menggegarkan pendengaran.
"Hero, berhenti, anda diberkas."
Dan hatinya tiba-tiba seakan ditarah pisau yang tumpul.
Matanya membesar. Apakah ini? Hatinya membentak.
"Lepas." Dia bersuara. Memandang lima anggota bomba yang memegangnya. Semua anggota bomba itu teragak-agak.
"Lepas!" Dia menjerit sambil menghayun tangannya. Kelima-lima anggota bomba itu terpelanting begitu sahaja. Terus butnya mengeluarkan api dan dia memecut ke udara tinggi. Dia bergerak dengan amat laju sehingga tiada yang mampu mengejarnya.
Hatinya terluka. Dia baru sahaja membantu manusia. Tetapi mengapa penguasa yang korup melayannya sedemikian rupa?
Saat ini rasa kosong memeluk jiwa.
Sakit.
Pahit.
"Hahaha, hihihi, huhuhu, hehehe." Akama memerhatikan segala apa yang terjadi sambil bersila di atas tangki air yang ada pada salah satu bangunan berdekatan.
"Kita lihat Hero, sejauh mana kau mampu pergi dan bertahan."
Dan lelaki misteri itu terus ketawa.
*****
Mata Husna lekat pada skrin televisyen. Hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya melalui siaran langsung sebentar tadi.
"Ada patut mereka nak tangkap Hero. Bukankah dia baru sahaja menyelamatkan orang?" Dia bersuara separa geram. Tanpa sedar, dia menggenggam penumbuknya.
"Kerajaan telah korup Husna." Suara Pak Arbi membuatkan bahunya terhenjut.
"Pak Arbi, terkejut Husna." Segera dia membetulkan tudungnya. Dia memang maklum dengan kehadiran pembantu rumah lelaki itu. Sebab itu auratnya tetap dijaga.
"Maafkan Pak Arbi." Lelaki separuh umur itu tersenyum.
"Eh, tak ada apa-apalah. Bukan Husna marah pun." Husna membalas senyuman. Husna kembali memandang televisyen plasma flat 43 inci itu. Entah mengapa, Husna hilang selera untuk menonton televisyen. Tambahan, malam sudah semakin larut. Televisyen itu dipadam.
"Mana Afam ni?" Dia mendengus. Segera dicapainya Al-Quran di meja kecil sebelah sofa. Didikan agar sentiasa menjaga wudhu' kekal dalam kehidupannya, memudahkannya dalam melaksanakan ibadah-ibadah sunnah sebegini.
"Husna dah makan malam?" Pertanyaan itu membuatkan Husna sekali lagi menoleh ke arah Pak Arbi. Lelaki itu sudah tiada di belakangnya, suaranya datang dari dapur.
Tidak lama kemudian pembantu rumah itu keluar.
"Belum Pak Arbi." Husna menjawab separuh malas. Mulutnya muncung sedikit.
"Ya Allah, kenapa?" Riak wajah Pak Arbi kelihatan risau.
"Tunggu Afam." Jawabnya dengan helaan nafas. Kemudian dia kembali memandang kepada televisyen yang sudah terpadam. Sebentar dia termenung.
Afam ni betul pergi berfoya-foya?
Tak rasa apa-apakah?
Pada masa yang sama tangannya membelek helaian Al-Quran. Tetapi dia tak mampu hendak membacanya. Entah mengapa. Rasa sedih? Dia juga tidak mengerti.
"Husna marah?" Suara Pak Arbi membuatkan menungnya tidak lama. Husna mengangkat wajah memandang Pak Arbi, dan menggeleng perlahan.
"Entahlah. Husna sebenarnya sudah siapkan diri untuk hadapai perkara macam ini."
"Jangan risau. Afam itu tidak seteruk yang disangka." Pak Arbi mengukir senyuman, sambil merehatkan lehernya pada kepala sofa.
"Em? Maksud Pak Arbi?"
"Pak Arbi sudah lama berada di rumah ini. Semenjak tiga puluh tahun yang lepas. Semenjak Datuk Amir Muiz masih bujang. Enam tahun sebelum Afam dilahirkan. Dan semenjak Afam lahir, memang Pak Arbilah yang menjaganya dan menguruskan segala halnya."
"Ayah dan Ibu?"
"Teramat sibuk."
"Sampai tidak sempat bersama Afam?"
Pak Arbi melebarkan senyuman. "Itu yang menyebabkan Afam jadi seperti hari ini. Tetapi Afam hakikatnya menutup hatinya dari memahami mengapa dia hidup begini. Hakikatnya, Datuk Amir Muiz melakukan pengorbanan yang besar."
"Maksudnya?"
"Dia dituntut untuk sesibuk itu. Ummah memerlukannya."
Mata Husna membesar. Ummah memerlukan? Mengapa bahasa Pak Arbi ini macam biasa didengarinya? Oh ya, ini bahasa orang-orang ikut usrah.
"Dan dia sebenarnya berusaha untuk memenuhi hak Afam. Waktu senggangnya yang amat sedikit lagi pendek itu, memang dia akan cuba berada di sisi Afam. Tetapi mungkin kerana sikitnya waktu itu, Afam tidak ingat dan tidak merasa. Hanya Datin Athirah sahaja yang mempunyai lebih banyak masa sedikit berbanding Datuk Amir Muiz, mampu meluangkan masa denganya."
"Jadi Afam sangat bencikan ayahnya?"
"Sangat benci. Sangat-sangat benci. Lebih-lebih lagi apabila Afam menjadi seorang yang pemalas dalam pelajarannya dan tidak pula mahu mengikuti lunas-lunas agama dalam kehidupannya. Datuk Amir Muiz memotong wang sakunya, mengurungnya di dalam rumah, mendendanya dengan pelbagai denda."
"Dengan menggunakan waktu senggangnya yang sedikit lagi pendek itu?"
Pak Arbi mengangguk. "Itulah yang membentuk Afam hari ini."
"Kasihannya. Masa kecilnya sengasara."
"Dia tidak mendapat kasih sayang Ayahnya secara terus. Tetapi ini bukanlah kenyataan bahawa Datuk Amir Muiz tidak menyayangi Afam. Hakikatnya, tanggungjawab Datuk Amir Muiz sangat besar."
"Tanggungjawab bisnes?"
"Datuk Amir Muiz lebih dari sekadar itu."
Husna tidak mampu menangkap apa yang dimaksudkan oleh Pak Arbi. Tetapi sengaja dia tidak bertanya, risau ia menjadi semakin rumit untuk difahami. Tetapi jelas untuknya, Datuk Amir Muiz bukan orang biasa.
"Salah satu tanda sayang Datuk Amir Muiz kepada Afam, dia mewasiatkan anaknya itu berkahwin dengan wanita seperti kamu."
"Kenapa pula itu dipanggil sebagai satu kasih sayang?"
"Sebab sayang yang sebenar adalah hendak bersama-sama ke syurga. Maka Datuk Amir Muiz berhajat agar Afam dapat masuk ke syurga. Usaha terakhirnya adalah dengan mendapatkan isteri yang solehah untuk membentuk Afam."
Husna tunduk. Rasa malu. Malu dengan arwah Datuk Amir Muiz yang memikirkan sejauh itu untuk seorang anak. Dan dia rasa malu kerana merasakan dirinya ini tidak layak untuk tanggungjawab sebesar itu.
"Husna kena banyak bersabar dengan dia. Afam adalah lelaki yang jiwanya punya lubang dan luka yang dalam. Dia itu hakikatnya sunyi dan mencari-cari. Kini, Husna sahajalah harapan Pak Arbi, Makcik Amirah, Mr Umayer, arwah Datuk Amir Muiz dan arwah Datin Athirah untuk membentuk Afam."
"InsyaAllah, Husna cuba." Itu sahaja yang mampu diungkapkan.
"Afam itu tidak seteruk yang disangka. Pak Arbi sentiasa yakin bahawa dia itu akan mampu menjumpai jalan yang membawanya kembali kepada Allah SWT. Dan rasanya, doa Pak Arbi sudah separuh terjawab dengan kehadiran Husna."
Wajah Husna rasa panas. Malu dipuji begitu.
"Saya sebenarnya bukanlah baik sangat Pak Arbi."
"Kita semua bukan baik. Kita semua ada sejarah hitam masing-masing. Sejarah mencari Tuhan. Sejarah mencari kebenaran." Pak Arbi memandang siling.
Husna sedikit terkesan dengan kenyataan Pak Arbi. Seakan-akan lelaki itu juga ada masa silam yang kelam.
"Baiklah Husna. Pak Arbi hendak tidur. Husna masih hendak menunggu Afamkah?" Pak Arbi bangun.
Husna mengangguk.
"Dia biasanya balik sangat lewat."
"Tak mengapa Pak Arbi, Husna tunggu juga." Husna nekad.
"Pak Arbi pergi dulu." Pak Arbi bergerak pergi dari ruang tamu.
"Baik Pak Arbi." Husna menghantar dengan pandangan.
Apabila Pak Arbi sudah menghilang, dia mengisi waktu dengan membaca Al-Quran. Sembang-sembang dengan Pak Arbi telah memberikannya gambaran yang lebih mendalam berkenaan Afam.
Entah mengapa, rasa cintanya seakan bertambah.
Dia perlu kuat untuk menarik lelaki itu.
Kalau benar cinta, mesti hendak bersama ke syurga.
*****
Eljurano Demase berjalan menaiki tangga bersama seorang pembantu kanannya.
"Kita perlu bergerak lebih pantas sedikit."
"Risau dengan pergerakan Hero, tuan?"
"Em, itu hanya salah satu faktor. Aku risau dengan campur tangan Akama."
Semua pembantu yang lain senyap.
"Hero ada peraturan. Kita boleh baca dia. Sebab itu kita berjaya melepaskan diri dalam pergerakan utama kita. Tetapi Akama…" Eljurano Demase diam seketika. Yang lain juga tidak berani meningkahnya.
"… Dia seakan makhluk lain."
"Psiko."
"Mungkin seorang genius yang lebih dari kefahaman kita untuk memahaminya."
Mereka sampai ke satu bilik. Pejabat khas buat Eljurano Demase.
"Tuan Eljurano, masa untuk ubat." Seorang jururawat tiba-tiba hadir dari belakang. Satu dulang ubat-ubatan ditatang.
Eljurano Demase mengangguk. Membuka pintu dan mereka bertiga masuk.
"Jadi buruan kita selepas ini siapa?"
"Tengku Muhammad. Pemilik Teguh Corp."
"Baik. Semua akan diselesaikan segera."
"Pastikan segalanya tersusun rapi. Berjaga-jaga dengan Akama."
"Semestinya tuan."
October 29, 2010
Gambar: Muslimah Solehah itu Bidadari
Bidadari syurga di atas dunia ini ~ picture by cerulean of deviant art.
Muslimah Solehah itu Bidadari
muslimah solehah itu bidadari
tersimpan kemas dalam syurga Ilahi
tidak tersentuh oleh manusia rakus mahupun jin
bersih, suci menjaga diri
muslimah solehah itu bidadari
dirinya mahal tidak mampu dibeli
hanya keimanan dan ketaqwaan maharnya nanti
maka siapa yang menolak ketinggian ini?
lembut wajahnya nur ibadah
sopan langkahnya memancar hasanah
malunya perisai mengangkat darjah
fikrahnya jelas, prinsip Ilahi tidak tergugah
muslimah solehah itu bidadari
bidadari syurga yang wujud di dunia ini
yang akan melahirkan anak-anak akhirat
mentarbiyah mereka dengan didikan syurgawi
muslimah solehah itu bidadari
bukan untuk dicari-cari atau dipuja lelaki
tetapi nanti akan berhadapan dengan Ilahi
dan apakah yang kamu wahai perempuan sudah laksanakan dalam kehidupan yang Kuberi?
~Hilal Asyraf~
0223PM
291010
Dalam bilik, Irbid, Jordan
Taqwa
Puisi Muslimah Solehah itu Bidadari
October 28, 2010
Perkongsian: Apabila keperluan muncul, ia bergeser dengan keikhlasan.
kadang dalam senyuman pun keikhlasan perlu diperjuangkan. ~ picture by chuiz9 of deviant art
Keikhlasan. Kalau kita ceramah, mungkin kita boleh syarahkan berkenaan ikhlas selama tiga hari tiga malam. Tetapi mempraktiskannya? Mungkin sebahagian orang akan berkata senang sahaja. Tetapi wujud sebahagian manusia akan membicarakan kesukarannya dalam mengikhlaskan diri.
Orang-orang yang hakikatnya tidak pernah mengalami kesukaran untuk mengikhlaskan diri, sebenarnya tanpa mereka sedari, mereka belum lagi berada di medan yang sebenar.
Hal ini kerana, jika anda mampu mengikhlaskan diri tanpa ada halangan menarik anda keluar dari keikhlasan, maka itu bukannya satu perkara yang boleh anda banggakan atau nampak sebagai pencapaian yang memuaskan. Samalah dengan orang yang beribadah di dalam gua, berbanding dengan orang yang mengajak ke jalan Allah di tengah kota. Keikhlasan yang terbina hasil dari perjuangan adalah ikhlas yang berkualiti.
Bilakah keikhlasan benar-benar teruji?
Bila wujudnya keperluan lain dalam beramal.
Perkongsian dengan manusia yang berjuang.
"Masa enta tak perlukan duit, enta boleh kata tak ada kesukaran dalam mengikhlaskan diri. Dalam hati enta memang tak ada langsung rasa perlu kepada duit, nak pada duit, sebab enta dah ada duit. Jadi enta buat kerja, tanpa fikir sikit pun akan hal itu."
Saya mengangguk-angguk.
"Tetapi, apabila sampai satu waktu, duit merupakan keperluan dalam hidup enta. Enta perlukan duit nak sara anak, sara isteri, sara keluarga. Dalam pada masa yang sama, enta langsung tak ada duit. Duit enta sangat sikit. Apabila ada orang panggil enta pergi program, bagi ceramah, buat talk, agak-agak macam mana?"
Dan saya terkedu.
Dan yang berkongsi itu berkata:
"Bila berada dalam situasi itu, barulah bicara perihal ikhlas. Ikhlas yang sebenar, dilihat pada situasi yang demikian."
Setiap perkara ada dua situasi
"Teori dan praktis. Itu adalah dua situasi. Enta akan nampak satu perkara itu, punya dua definisi berdasarkan dua situasi yang berbeza. Definisi semasa praktis, dan definisinya semasa teori. Mungkin dahulu sebelum enta bergeser dengan keperluan, enta nampak ikhlas itu begini dan begitu. Tetapi bila enta benar-benar bergeser dengan keperluan, enta akan nampak ikhlas itu dalam bentuk yang lain pula. Dan masa itu enta akan nampak, apakah ikhlas yang sebenar. Medannya, keperluan untuk ikhlas dan sebagainya."
Benar dan benar. Saya hanya mampu mengangguk.
Besarnya ikhlas kepada orang yang beriman
Ada orang berkata: "Alah, buat apa susah-susah fikir fasal ikhlas ke tak ikhlas? Tak fikir langsung kan bagus? Buat pening sahaja. Asal kerja jalan sudah."
Ya. Mungkin kita nampak, 'benda-benda tidak nampak' ini melecehkan.
Tetapi ikhlas hakikatnya adalah syarat utama mencapai ISO yang Allah tetapkan. Ikhlas menjamin kelangsungan kerja yang berpanjangan, kekuatan diri dalam melaksanakan amalan dan mempertahankan diri dari keputus asaan dan kekecewaan.
Ikhlas ini besar kerana silap di dalam ikhlas, akan membawa kita ke pengakhiran yang berlainan. Ini terbukti apabila 'niat' dianggap sangat-sangat besar dan penting di dalam Islam. Lihatlah dalam apa kitab hadith sekalipun. Biasanya yang dimulakan adalah hadith berkenaan niat.
"Sesungguhnya setiap amal itu dikira dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang itu dengan apa yang diniatkan olehnya. Sekiranya dia berniat berhijrah kerana Allah dan rasulNya, maka dia akan berhijrah kepada Allah dan rasulNya. Tetapi sekiranya dia berniat berhijrah kerana dunia dan segala habuannya, atau kerana perempuan untuk menikahinya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang dia hendak hijrah kepadanya." Hadith sohih muttafaq alaih.
Keikhlasan adalah penting. Besar kepada orang yang beriman yang berhajatkan redha Allah SWT. Yalah, sekiranya niatnya salah, maka redha Allah bukan berada dalam genggamannya. Sekiranya niatnya salah, maka segala amal adalah sia-sia dan tidak dikira.
Maka mengapa perkara ini tidak diperhatikan?
Kadangkala kita rasa kita sudah cukup ikhlas
Ada waktu, kita rasa kita sudah cukup ikhlas. Berhati-hatilah. Sebab mungkin kita mampu merasakan demikian kerana kita belum diuji. Ikhlas dalam beramal ini ibarat air susu yang keluar antara saluran najis dan darah. Ia tetap putih bersih tidak tercemar, bahkan rasa darah atau bau najis pun tidak keluar bersama dengannya.
"Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan(najis) dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya." Surah An-Nahl ayat 66.
Ikhlas adalah demikian. Dari celah-celah ranjau dan halangan, dugaan dan cabaran yang menarik kita jauh dari keihlasan kita kepada Allah SWT, ikhlas terpancar bersih daripada luhur jiwa dan amalan kita. Ranjau dan halangan, dugaan dan cabaran, itu semua mendidik kita mengenali ikhlas dengan lebih mendalam, dan mengangkat kita pada satu tahap keikhlasan yang baru.
Maka siapakah antara kita yang berusaha menjaga keikhlasannya?
Penutup: Maka perhatikanlah dirimu, saat pergeseran berlaku.
Maka kita perhatikan diri kita. Pada saat-saat pergeseran antara keinginan untuk ikhlas, dan keperluan yang mendesak datang. Maka di situlah kita ukur kualiti diri kita yang sebenar. Di situlah titik ujian dan muhasabah.
Apakah kita mampu untuk ikhlas?
Atau kita ada perasaan untuk memproses lagi diri kita?
Apabila kita faham makna ikhlas, dan keperluannya dalam kehidupan kita sebagai hamba, maka kita akan berusaha menjaganya sebaik mungkin, dan berusaha mewujudkannya dengan kesungguhan yang tidak terkira.