Hilal Asyraf's Blog, page 147

October 17, 2010

Gambar: Hamba Berdosa




[image error]

Gelap ~ Picture by viviphyd of deviant art.


hamba berdosa







semalam aku berjanji


hari ini aku mungkiri


sampai taubat aku malu untuk ulangi


hingga aku takut menjengah esok pagi


kerana rasa berdosa yang wujud di dalam jiwa ini







aku hamba berdosa


tertanggung berjuta di pundak


malu untuk mengangkat wajah


dikerunyuk pengkhianatan diri


dengan keimanan yang melemah







apakah wujud jalan kembali


wahai Ar-Rahman Ya Rabbi


wahai Al-Ghafur Ya Ilahi


kebuntuan dalam sendiri







namun dosa-dosa ini


bukan tanda cintaku padaMu palsu


tinggal aku hamba berdosa


yang lemah dan langsung tidak bermaya







~Hilal Asyraf~


7.25AM


171010


Dalam bilik, Irbid, Jordan


Close Your Eyes


Hamba Berdosa.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 17, 2010 04:29

October 16, 2010

Novel Hero: ~0~ Hari Yang Buruk




Hero. Enjoy it. ~ Picture by Viviphyd of deviant art.

Hero. Enjoy it. ~ Picture by Viviphyd of deviant art.


Maaf lambat post hari ini. Sibuk keluar ke pasar pagi tadi. Kemudian sibuk touch up bab prolog ini. Semalam sudah bagi beberapa orang testing baca. Jadi saya banyak baiki bahkan tulis semula bab prolog ini. Hehe.


Maaf sekali lagi sebab lambat.


Baiklah, yang dinanti sudah tiba.


Bab -0- Hero, bersedia untuk dinikmati oleh anda.


Enjoy it!


Komen jangan tak komen.


[image error]





Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang,


aku memulakan kisah ini.


Tiadalah harapan daripada impian yang melayang,


melainkan karya ini diredhai.


Tiadalah yang kupinta dari pembaca yang tersayang,


selain berusaha mengambil manfaat dari kisah ini.




Hero


Hero,


lebih sekadar pembanteras jenayah


….



Karya terbaru oleh


HILAL ASYRAF






~0~


-Hari yang buruk-



Ruang balai yang luas itu dipenuhi ramai. Lampu-lampu mengeluarkan cahaya cerah gemilang. Musik santai berlagu, mengiringi puluhan manusia berpasang-pasangan yang sedang menari mengikut rentaknya. Yang lelaki semuanya kemas bersut penuh, kota hitam dipadan seluar hitam, siap dengan kasut hitam berkilat. Manakala yang perempuan semuanya berpakaian gaun yang indah dan menawan mata yang memandang. Lampu Chandelier French Empire saiz besar, siap dengan lilin di kelilingnya, menambah kemewahan suasana.


"Faheem, tak mahu menari dengan saya?" Suara menggoda, milik seorang perempuan berambut perang panjang mencecah bahunya yang terdedah. Pakaiannya bersulam emas yang menarik perhatian. Tangan besarung hingga ke lengan itu diacukan kepada lelaki yang duduk diam sudut balai.


Lelaki itu menggeleng. "Maaf Cherry, saya tak berapa berminat untuk menari malam ini."


"Baiklah. Kalau ada apa-apa, panggil saya." Dan Cherry mengucup jari telunjuk dan jari hantunya, kemudian meletakkan kedua jari itu pada pipi lelaki tadi. Lelaki tadi menarik sengih, melihat sahaja Cherry pergi meninggalkannya.


Hatinya rasa kosong. Jiwanya tidak terisi. Walaupun dia sedang berada di tengah balai yang amat mewah, dan dikelilingi oleh manusia-manusia korporat, dia tetap merasa terpenjara di satu kawasan yang tidak menyenangkan. Musik santai yang berdendang tidak mampu membelai perasaannya yang gundah menjadi tenang.


Akhirnya dia mengeluarkan sebuah kotak dari saku kotnya, dari kotak itu ditarik sebatang rokok, lalu dinyalakan rokok itu dan dihisap sepuas hatinya. Helaan nafasnya selepas itu, diiringi asap putih yang keluar dari mulut. Kemudian dia menundukkan kepala dengan dua siku di atas lutut menahan tubuh.


Mengapa dia seakan mayat yang berjalan?


Dia mengangkat kepala dan memerhatikan manusia-manusia yang ada di dewan serba mewah itu. Perempuan-perempuan yang cantik, berkelas tinggi, pakaian mewah dan menjolok mata, mengapa tiada satu pun yang menarik perhatiannya? Tiada satu pun yang dilihat, mampu mengisi perasaan di dalam jiwanya.


Haa… Asap terlepas keluar sekali lagi.


Akhirnya dia bangun, bergerak keluar dari majlis.



*****



"Pulang awal nampaknya malam ini Afam?" Seorang lelaki menunggu di muka pintu, rambut putih semuanya, dari garis-garis pada dahinya dapat dijangka bahawa umur lelaki ini melebihi separuh abad. Namun tubuhnya tegap dan segak. Dia berpakaian kemas walaupun sekadar kasual.


Dia senyum kelat. "Tiada yang sesuai, Pak Arbi." Dua tangan diangkat. Puntung rokok yang sudah terpadam nyalaan apinya terselit antara jari telunjuk dan jari hantunya.


Lelaki bergelar Pak Arbi itu hanya tersenyum. "Pak Arbi dah agak."


"Ala, Pak Arbi memang berharap tak dapat pun kan?" Kaki dilangkah melepasi pintu utama rumah agam itu.


Matanya disajikan dengan pemandangan yang tidak kurang hebatnya dengan balai tari-menari tadi. Tinggal tempat ini tidak mempunyai musik seperti tadi, dan tidak ada ramai orang. Rumah agam ini dihuni oleh dua orang sahaja. Dia dan Pak Arbi, pembantu setianya yang telah bersamanya semenjak dia boleh mengingat.


Ibu dan Ayahnya telah meninggal dua tahun yang lalu. Dalam satu tragedi kemalangan.


"Afam, kalau dapat perempuan dari majlis-majlis macam itu, memang Pak Arbi tak setuju pun." Bahunya dicuit sedikit.


Mereka berjalan melepasi ruang tamu, menaiki tangga, menuju ke perpustakaan di tingkat atas.


"Pak Arbi nak yang solehah, tudung labuh, jaga solat, ortodok, kuno. Macam Makcik Amirah kan?"


"Em, ortodok dengan kuno, boleh jadi pensyarah ya?" Pak Arbi memberikan soalan berbentuk sindiran.


Dia mencebik. Kena balik.


"Kalau macam itu, apa kata Pak Arbi kahwin dengan Makcik Amirah. Idea bernas." Dia memetik jari di hadapan wajah lelaki itu. Pak Arbi hanya ketawa sambil menggeleng. Pada masa yang sama, tangannya kemas menarik salah satu buku pada rak.


"Orang sedang bercerita tentang kamu. Afam ni." Pak Arbi menjeling Afam dengan riak wajah buat geram. Afam ketawa.


Rak itu terbuka seperti pintu automatik.


Mereka berdua masuk ke dalamnya, dan turun ke bawah.



*****



Gelap. Tiada apa pun kelihatan pada pandangan mata kasar. Menjangka perkara ini, mereka sudah mempersiapkan diri mereka dengan 'nightvision'. Kumpulan empat orang ini bergerak dengan penuh berhati-hati. Walaupun segala jenis sekuriti pada syarikat Amir&Co ini sudah dilepasi, bahkan pengawal keselamatan pun tidak menyedari akan kehadiran mereka, mereka tetap berjaga-jaga.


Kotaraya Angsana ini ada penjaganya. Yang ditakuti dan digeruni semua penjenayah di atasnya.


"Ingat, dua masuk ke dalam. Aku dan kau." Salah seorang dari mereka bertindak sebagai ketua, menunjuk kepada rakan di kanannya.


"Kau berdua, tunggu di luar. Berjaga-jaga. Takut 'dia' datang."


Dua yang baki mengangguk.


"Tetapi nampaknya, dia seperti tidak memunculkan diri pada malam ini." Salah seorang daripada dua itu bersuara.


"Kita tidak pernah tahu." Sang Ketua mengingatkan.


Mereka sudah sampai ke tempat yang dituju. Satu pejabat khas. Tempat Pengarah Utama dalam Syarikat Amir&Co ini. Ada data penting yang hendak dicuri daripada tempat ini. Mereka juga diarahkan untuk meletupkan tempat ini.


Sekuriti pada pintu cuba dibatalkan oleh Sang Ketua dengan sebuah gajet khas untuk perkara itu. Pembantunya di sisi memerhatikan sambil menanti arahan. Manakala dua lagi berjaga-jaga sebagaimana yang disuruh. Mereka memandang keluar, melepasi cermin besar di sisi mereka. Langit gelap tanpa rembulan.


"Eh, apa itu?" Salah seorang dari yang ditugaskan menjaga melihat sesuatu. Seorang lagi mencari. Mata mereka membesar. 'Nightvision' mereka mengesan haba dari objek yang semakin menghampiri tempat mereka itu.


"Dia datang!" Dan jeritan itu tenggelam dalam bunyi cermin yang dipecahkan. Dua penjaga tadi sudah terbenam kepala mereka pada dinding.


Sang Ketua menoleh manakala pembantunya sudah merapat ke dinding pejabat.


Satu lembaga hitam, dengan mantel menutup tubuh, memakai helmet penuh, dengan dua mata putih sedang menegakkan postur badannya. Dua tangan melepaskan mangsa yang sudah pengsan, kembali disembunyikan di sebalik mantel.


"Syaitan Bertopeng?" Susuk tubuh serba hitam itu bersuara. Agak garau.


"Mati!" Submachine-gun di pinggang terus diacukan kepada lembaga itu dan ditekan picunya tanpa teragak-agak. Tembakan bertubi-tubi dilepaskan. Tepat mendarat pada tubuh lembaga itu. Si Pembantu turut melakukan perkara yang sama.


Selepas beberapa ketika, yang kedengaran hanyalah bunyi detakan. Peluru sudah habis.


"Tamat?" Lembaga itu bersuara.


"Tak mungkin!" Sang Ketua tidak percaya, terus bangun dan menyerang dengan pisau rambo.


Lembaga itu memutarkan kedua belah tangannya, menyebabkan mantelnya bergerak dengan pergerakan yang sama, mengabui mata Sang Ketua yang memakai 'Nightvision' dan satu tendangan dilepaskan di sebalik mantel, tepat menjamah perut Sang Ketua. Lelaki itu terpelanting menghentam pembantunya.


Kaki yang dilengkapi but besi itu masih terangkat dalam keadaan menendang.


"Tewas? Heh." Lembaga itu bersuara sinis melihat dua penjenayah yang sudah pengsan itu sambil menurunkan kakinya.


Ketika ini, bahagian mulut helmetnya terbuka. Dia mengeluarkan sebatang rokok, dan menyelitkannya pada bibir. Hujung jarinya mengeluarkan api kecil, membakar hujung rokok. Dia menghisap sedalam-dalamnya, sebelum melepaskan kepulan asap, yang akhirnya dihembus angin keluar dari tingkap yang dipecahkan tadi.


"Em?" Dia perasan sesuatu. Skrin dari dalam helmetnya bereaksi dengan reaksi yang kuat pada satu objek berdekatan dengan tubuh penjenayah yang baru ditendangnya tadi.


Segera dia mendekati tubuh Sang Ketua. Satu plate besi damai di sisi penjenayah yang sudah pengsan itu. Plate itu diimbas. Matanya membesar. Hampir tidak percaya dengan apa yang dia dapati dari imbasan itu.


"Pak Arbi." Dia bersuara.


"Ya. Dapat apa-apakah?"


"Tengok apa yang saya sudah download."


Senyap sebentar.


"Ini penemuan yang besar. Mengaitkan Syaitan Bertopeng dengan semua kematian itu."


"Ya."


"Kamu dapat daripada mana?"


"Plate besi yang terkandung data di dalamnya. Macam plate rahsia Syaitan Bertopeng. Tetapi…"


"Apa yang tetapi?"


"Mengapa plate ini di sini? Mudah sangat ditemui. Macam bukan Syaitan Bertopeng meletakkan rahsia sebegini besar bersama orang sebegini."


"…."


Dia memandang keempat-empat penjenayah yang sudah tidak sedarkan diri itu.


"Saya uruskan mereka ini, dan pulang dahulu."


"Ya. Kita bincang nanti."



*****



"Tak ada jalan lainkah?" Afam mengerutkan wajahnya memandang dokumen di hadapannya. Afam duduk memeluk belakang kerusi.


"Tak ada." Lelaki separuh abad berkemeja dari atas hingga ke bawah, bersama kasut kulit berwarna kelabu itu menggeleng. Walaupun sedar bahawa pandangan Afam bukanlah ditalakan kepadanya.


"Macam mana ni…" Afam menggaru kepala.


"Oh ya. Sedap angin hari ini. Tidak perlu penghawa dingin. Terima kasih kerana menjimatkan elektrik." Lelaki itu mengangkat kening dua kali, sambil memandang keluar pejabatnya. Cermin besar, kedua paling hampir dengan pejabatnya telah tiada. Masih belum sempat diganti. Manakala dinding di hadapannya, masih terdapat dua lekukan.


Afam tersengih. "Mr Umayer, jangan tukar tajuk. Saya tengah pening ni."


"Ala, kahwin sahajalah dengan sesiapa. Bukankah Tuan Faheem ramai kenalan wanita?" Mr Umayer senyum penuh makna.


"Eh, ini perli ke?" Afam buat gaya pandangan tajam. Mr Umayer terus dengan senyumannya.


"Syaratnya jelas di sini, perlu berkahwin dengan perempuan yang menjaga agamanya, dan boleh dipercayai. Mana ada saya kenal perempuan macam ini." Afam melandaskan dagunya pada belakang kerusi. Gaya malas.


"Ayah ni memanglah. Dah dekat alam lain pun susahkan orang lagi." Afam terus membebel sendiri sambil matanya memerhatikan dokumen yang tertera padanya wasiat Ayahnya.


Ayahnya telah menyediakan satu wasiat khas buat dirinya. Yakni sekiranya dia tidak berkahwin dengan perempuan yang telah ditetapkan ciri-cirinya oleh Ayahnya sebelum umurnya menjangkau 24 tahun, maka segala harta yang sepatutnya diwarisi oleh Afam akan disedekahkan kepada anak yatim dan fakir miskin di seluruh negara.


"Tuan Faheem, Datuk Amir Muiz ada sebabnya yang tersendiri. Semua ini dilakukan untuk kebaikan Tuan Faheem juga." Mr Umayer tenang di mejanya.


Afam memuncungkan bibir. "Kebaikan apanya. Saya malas nak memahami. Huh."


"Habis, Tuan hendak biarkan semua harta ini hilang begitu sahaja? Bagaimana dengan pembiayaan 'Hero'?"


"Tahu tak apa. Ini yang saya pening fikir." Afam melontar pandangan keluar. Telinganya sayup-sayup mendengar bunyi siren polis dan ambulan. Dia tahu semua itu berada di bawah syarikat Amir&Co ini.


"Fasal semalam, agak-agak apa yang mereka mahukan dari pejabat ini ya?" Afam membetulkan postur duduknya. Kemudian dia memusingkan kerusi itu, membuatkan dirinya memandang sekeliling. Pejabat itu sederhana besar. Dinding di hadapan dan di belakang Mr Umayer penuh dengan rak berisi buku-buku dan dokumen-dokumen. Manakala bahagian kanan adalah cermin besar membolehkan sesiapa dari bilik ini menjamah panorama Kotaraya Angsana. Manakala bahagian kiri adalah dinding yang dilekatkan gambar keluarga Afam sebelum Ayah dan Ibunya meninggal, juga anugerah-anugerah pencapaian syarikat, dan juga gambar arwah Ayah Afam bersama Mr Umayer dan Pak Arbi. Akhirnya dia menghentikan pusingan itu dengan dirinya menghadap Mr Umayer.


"Ada kemungkinan, semua kematian itu memang berkaitan." Mr Umayer bermain dengan janggutnya.


"Kalau dilihat semula, semua yang meninggal adalah rakan karib Ayah."


"Jadi?"


"Adakah Ayah ada terlibat apa-apa dengan Syaitan Bertopeng?"


Mr Umayer diam.


Afam menghela nafas. Dia tidak dapat menyelesaikan masalah ini.


"Ah, biar saya selesaikan masalah harta dahulu." Terus dikeluarkan telefon bimbit dari saku kotnya. Satu nama dicari dari senarai hubungan. Kemudian ditekan punat untuk memanggil. Tunggu sebentar. Ganggang di sebelah sana terangkat.


"Makcik Amirah. Saya perlukan bantuan makcik." Matanya memandang Mr Umayer.


Penolong kanan Ayahnya yang setia itu sekadar tersenyum.



*****



Kawasan hadapan Syarikat Amir&Co dipenuhi kereta polis. Terdapat juga van untuk membawa penjenayah. Kelihatan pegawai-pegawai yang bertugas sibuk memeriksa kawasan. Beberapa orang awam kelihatan sedang disoal siasat. Ramai pejalan kaki, juga pemandu-pemandu yang memperlahankan pergerakan mereka kerana ingin mengambil tahu. Tidak kurang juga ada yang bergerak hingga ke tali kuning penanda kawasan dilarang masuk untuk mengetahui apa yang terjadi.


Pagi di tengah Kotaraya Angsana kecoh.


Di tengah kesibukan itu, seorang pegawai polis berdiri menghadap empat orang penjenayah yang siap terikat kemas dengan tali keluli khas. Pegawai itu menggeleng. Yang dia tahu, hanya seorang sahaja di dunia ini yang menggunakan tali keluli itu. Tali keluli yang sehingga kini tidak tahu bagaimana dicipta, dan di mana dicipta.


Perlahan-lahan tangan pegawai itu menyapa dahi penjayah yang paling hampir dengannya.


Tanda terbakar. Tetapi sekadar bulat kecil yang sederhana. Pegawai itu menghela nafas. Dia tahu itu tanda cucuhan puntung rokok yang masih menyala. Tanda tersendiri yang ditinggalkan oleh tuan punya tali keluli yang mengikat penjenayah-penjenayah ini.


"Nampaknya bukti-bukti jelas menunjukkan bahawa mereka ini dibanteras oleh Hero, tuan." Seorang penganalisis memberikan tabik sambil membuat laporan.


Tabik dibalas. Anggukan diberikan. "Ya, saya pun sudah boleh agak."


"Dan penjenayah-penjenayah ini nampaknya dari Kumpulan Syaitan Bertopeng tuan. Ini berdasarkan topeng-topeng yang terdapat pada pinggang mereka, dan juga tatu kumpulan yang wujud pada setiap belakang leher mereka." Penganalisis menambah. Mereka dipercayai tidak memakai topeng kerana menggunakan 'Nightvision'.


Dia mengangguk. Syaitan Bertopeng. Di dalam hatinya, dia terasa hairan. Mengapa Syaitan Bertopeng memecah masuk Syarikat Amir&Co? Dia tidak mampu menghubungkan kedua perkara itu bersama. Apa yang dicari?


Penganalisis tadi hendak menyambung lagi, tetapi dia sudah mengangkat tangan menghentikan anak buahnya itu. "Saya sudah tahu. Tiada bukti yang ditinggalkan oleh Hero yang mampu membantu kita menjejakinya bukan?"


Penganilisis itu mengangguk lemah.


"Tidak mengapa. Terima kasih atas usaha kamu. Teruskan kerja kamu yang lain." Dia menepuk bahu penganalisis. Penganalisis hanya memaniskan roman wajah dengan senyuman.


"Nampaknya, bertambah lagi kerja kita Inspektor Ikhwan Rosli." Baru beberapa langkah penganalisis meninggalkannya, satu suara menyapa. Perlahan-lahan Inspektor Ikhwan mengangkat kepalanya. Dia kenal akan suara itu.


" Kes kematian satu persatu usahawan utama negara kita juga belum dapat diselesaikan. Hero masih belum berada di dalam tangkapan kita. Kini pergerakan Kumpulan Syaitan Bertopeng pula merisaukan kita." Kelihatan seorang pegawai lagi, berpakaian kasual bersama kot coklat sedang mendekatinya. Dia kelihatan agak berumur. Senior di dalam anggota polis di sini.


"Inspektor Yahya, tak ada apa-apa penemuan baru?" Inspektor Ikhwan bertanya, walaupun dia hakikatnya tahu akan jawapannya. Baik Hero mahupun Syaitan Bertopeng, kedua-duanya melakukan kerja dengan licin sekali. Ahli Syaitan Bertopeng juga tidak akan mudah disoal siasat.


Sebelum ini, anggota-anggota mereka yang ditangkap, akan menjadi gila sebaik sahaja disoal siasat. Mengikut kajian pihak berkuasa, semua ahli Syaitan Bertopeng sudah disuntik dengan ubat khas agar apabila mereka ditangkap dan disoal siasat, otak mereka akan menjadi rosak dan mereka tidak akan dapat memecahkan rahsia. Bahkan, suspek-suspek utama yang disyaki mengetuai Syaitan Bertopeng, semuanya akan dilepaskan selepas mahkamah tidak mampu mencari bukti untuk mereka.


Inspektor Yahya menggeleng sambil tersengih. "Macamlah kamu tidak tahu."


Inspektor Ikhwan turut tersengih. "Ya, macamlah saya tidak tahu."


"Tetapi bagusnya, kita dapat orang-orang mereka." Mata Inspektor Yahya memandang kumpulan penjenayah di belakang Inspektor Ikhwan.


"Kali ini kita sudah suntikkan mereka ini dengan peranti yang membasmi ubat yang boleh membuatkan mereka menjadi gila itu."


"Alhamdulillah. Ini satu perkara yang baik!" Inspektor Ikhwan ceria. Berita itu baru buatnya. Dan baginya itu adalah berita gembira.


"Mungkin mereka ini boleh berikan kita apa-apa maklumat berkenaan Hero."


"Ya. Saya rasa, dia bertanggungjawab juga dengan cermin-cermin bangunan yang pecah di tengah kota itu." Inspektor Ikhwan berseloroh. Rasa gusarnya tadi seakan hilang.


Tanpa mereka sedari, jauh dari tempat mereka berdua bersembang, jauh dari Bank Besar Kotaraya Angsana, ada sebiji mata sedang memerhatikan mereka melalui teropong sebatang rifle.


"Hehehehe. Bye-bye." Pemilik mata itu buat gaya mengucup sambil sebelah tangannya bergaya melambai. Sebelah tangan lagi memicit sebuah punat.


Tit, tit, tit…


"Inspektor Ikhwan, bunyi apa tu?"


"Eh?" Inspektor Ikhwan juga mendengarnya. Menoleh ke kiri dan ke kanan mencari.


Tit tit tit. Bunyi itu semakin pantas.


"Tolong…" Salah seorang penjenayah bersuara. Inspektor Ikhwan dan Inspektor Yahya memandang. "Tolong…" Yang lain juga bersuara.


Tittittit. Semakin pantas.


"Lari!" Inspektor Ikhwan mengorak langkah, mendepangkan tangan menarik Inspektor Yahya bersama. Orang sekeliling gempar bertempiaran. Suasana jadi kelam kabut. Merasakan tidak sempat hendak pergi lebih jauh, Inspektor Ikhwan menjatuhkan tubuhnya dan tubuh Inspektor Yahya.


Boooooom!


Satu letupan kuat terjadi dari tubuh-tubuh penjenayah yang ditangkap. Van pembawa penjenayah yang tadinya diparkir berdekatan dengan penjenayah-penjenayah tersebut terpelanting menghentam bangunan di hadapan Bank Besar Kotaraya Angsana. Angin yang menderu kuat terhasil, membuatkan bahagian bawah kot yang dipakai oleh Inspektor Ikhwan dan Inspektor Yahya tertiup naik menutup belakang tubuh. Mereka terselamat hanya beberapa inci dari letupan.


Inspektor Ikhwan menoleh ke belakang. Van sudah tiada di tempatnya. Penjenayah-penjenayah tadi semuanya sudah lenyap terhapus dek letupan tadi. Tiada sisa. Jalan raya tempat penjenayah-penjenayah dikumpulkan tadi berlubang. Asap berkepul-kepul. Ramai yang tidak sempat melarikan diri, tercedera. Jeritan dan lolongan kedengaran. Suasana jadi kucar kacir.


"Bagaimana Inspektor?" Inspektor Yahya diperhatikan dengan penuh kegusaran. Inspektor yang lebih senior itu menolak bumi untuk bangun. Dia turut melakukan perkara yang sama.


"Ini bukan Syaitan Bertopeng!" Inspektor Yahya bersuara. Matanya tidak melepaskan api-api yang terwujud pada merata tempat akibat letupan tadi. Riak wajahnya masih dalam keadaan terkejut.


"Satu lagi masalah?" Inspektor Ikhwan menduga. Dia masih sedang berusaha menenangkan dadanya yang berdegup kencang.


"Inspektor Ikhwan Rosli, buat siasatan pada kawasan letupan ini dan kumpul sebanyak maklumat yang boleh. Kuman pun jangan dilepaskan." Inspektor Yahya berpaling dan bergerak pergi dengan wajah berkerut seribu.


"Baik." Inspektor Ikhwan segera bergerak mencari penganalisis.


Inspektor Yahya pula bersuara: "Jauhkan orang awam dari sini. Bawa yang tercedera ke hospital. Panggil lebih banyak ambulan. Saya mahu, dalam lingkungan satu kilometer, tiada yang lain selain anggota polis di sini!"


Inspektor Ikhwan mendengar arahan itu dalam langkahannya. Hatinya berbolak balik. Masalah demi masalah muncul.


Hari ini nyata hari yang buruk. Nyawanya hampir melayang!


"Apa yang terjadi?" Tiba-tiba bahu Inspektor Ikhwan disentuh. Inspektor itu menoleh.


"Oh, Tuan Umayer." Mr Umayer berdiri di hadapannya kini. Di sebelah lelaki separuh abad itu, terdapat seorang pemuda. Semasa siasatan dilakukan di tempat kejadian, hadapan pejabat Mr Umayer, pemuda itu tiada.


"Ini…"


"Saya Amir Faheem."


"Ah, anak Datuk Amir Muiz!" Inspektor Ikhwan pantas mengecam. Siapa tidak kenal dengan anak tunggal Datuk Amir Muiz? Seluruh Kotaraya Angsana mengenalinya. Tinggal, ini kali pertama Inspektor Ikhwan berhadapan dengan orangnya.


"Letupan tadi…" Anak Datuk Amir Muiz itu memandang ke tempat letupan.


"Penjenayah-penjenayah tadi sudah diletupkan." Inspektor Ikhwan menjawab ringkas.


Dia melihat Mr Umayer dan Amir Faheem berpandangan sesama sendiri.


Apakah yang mereka berdua fikirkan?



*****



"Kau mesti ada penjelasan yang munasabah!" Satu hentaman mendarat pada meja. Lelaki yang menyembunyikan wajahnya di sebalik topeng kelihatan sedang mengawal amarahnya.


"Hehehe, hahaha, huhuhu, hihihi." Satu susuk tubuh ketawa dengan pelbagai nada. Tidak terefek dengan keadaan lelaki bertopeng. "Jangan marah. Nanti kena jual."


"Celaka!" Terus muncung revolver dilekapkan pada dahi lelaki yang ketawa itu.


"Kau jangan bermain-main dengan aku. Ini Eljurano Demase tahu!" Lelaki itu menepuk dadanya dengan tangan kiri. Sabarnya di penghujung.


"Buat apa kau hendak marah dengan kehilangan empat orang bodoh itu? Aku memudahkan kerja kau." Lelaki yang ketawa tadi tersenyum. Wajahnya tenang. Dia tidak terkesan dengan revolver yang berada pada dahinya. Matanya memancarkan keyakinan yang tidak berbelah bagi.


"Belum pernah ada orang melayan Syaitan Bertopeng sebegini!"


"Aku bangga menjadi orang yang pertama." Senyumannya bertukar sinis.


"Celaka!" Ibu jari menarik penukul revolver.


"Ketua Syaitan Bertopeng, aku tahu masalah kau adalah Hero. Aku sedar kau takut dengan kapabilitinya yang tidak terduga. Maka aku adalah malaikat dari langit, datang untuk menyelesaikan masalah kau. Apa yang aku lakukan itu, hanyalah sebagai pengenalan kepada diri aku. Aku sanggup melakukan apa-apa untuk menjatuhkan Hero." Matanya tidak berkelip, menentang tepat mata Eljurano di sebalik topeng.


Muncung Revolver dijauhkan. Senyuman lelaki tadi semakin melebar.


"Percayalah kepada aku. Hero bukanlah Tuhan. Dia juga bukan Utusan Tuhan. Dia akan korup. Jiwanya akan gelap."


Ketua Syaitan Bertopeng senyap.


Lelaki di hadapannya misteri. Hingga dia sendiri menjadi tidak berani.



*****



Dia teragak-agak hendak membunyikan loceng buat kali keempat. Perlukah? Rasa takut dan segan menjalar. Tetapi apabila dia melihat perempuan separuh umur di sebelahnya mengangguk dengan senyuman, dia menguatkan diri menekan lagi loceng rumah agam itu.


Rumah yang besar. Tiga tingkat. Bukan setakat tinggi, bahkan panjang. Sebesar padang bolakah rumah ini? Dia tidak tahu.


"Macam tak ada orang aja makcik." Dia kerisauan.


"Ada. Makcik dah telefon." Perempuan separuh umur, bertudung bidang dan berbaju kurung itu tetap tenang berdiri jauh sedikit di dari muka pintu.


Dia yang berpakaian lebih kurang serupa, tinggal tudungnya adalah tudung labuh, menunduk.


Ketika ini, pintu dibuka.


"Manalah Pak Arbi ni. Kenapa tak dibukanya pintu ni?" Gegendangnya bergetar dengan suara mengomel dari balik pintu yang sedang terbuka. Dia mengangkat wajahnya.


Seorang lelaki, tinggi daripadanya, berpakaian kasual dengan baju lengan panjang dan seluar riadhah yang agak labuh, rambut tersikat kemas ke hadapan, berkulit sedikit cerah, dan mata bersinar terang. Tinggal rokok pada bibir lelaki itu merosakkan suasana. Lelaki itu kelihatan terkejut.


"Eh, peminta sedekah ke?" Lelaki itu bertanya.


Soalan itu automatik membuang rasa malunya, dan membakar jiwanya. Terus dia menentang pandangan lelaki itu.


"Saya ada gaya peminta sedekah?" Suaranya ditegaskan. Pantang sungguh harga diri dipermainkan. Apakah lelaki ini fikir? Anak orang kaya dan semua yang lain miskin? Dengan rokok di bibir, tidak senonoh menjemput tetamu sebegini!


"Habis tu, gaya ortodok, kuno, datang ke sini. Apa lagi kalau bukan meminta sedekah?"


Baru sahaja dia hendak bersuara untuk membalas, bahunya ditarik lembut dari tepi. Ketika ini sempat dia melihat riak wajah lelaki tadi berubah.


"Afam, kalau begitu, makcik ni ortodok tambah kuno lah ya? Gaya peminta sedekah?" Lembut suara itu kedengaran. Ditambah dengan senyuman tuannya.


"Eh, Makcik Amirah." Lelaki bergelar Afam itu bersuara. Kejap, dia Afam? Ini? Hatinya rasa tidak senang. Matanya sekadar melihat lelaki itu bersalaman dengan Makcik Amirah, perempuan separuh umur yang menemaninya ke sini.


"Er, kenapa dia ni ada di sini?" Afam itu bertanya.


"Ha, inilah dia makcik kenalkan. Bakal isteri kamu, Afeefah Husna." Tubuhnya ditarik lembut mendekati Makcik Amirah.


Dia dapat melihat mata lelaki itu membesar.


Hatinya juga sudah tunggang terbalik.


"Husna, ini Amir Faheem." Makcik Amirah menunjuk.


Awal perkenalan sudah dimulakan dengan dua mata seakan laser superman.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 16, 2010 13:28

October 15, 2010

Pengumuman: Senarai buku-buku saya.


[image error]

Saya yang terkini. :-)



Ada orang minta saya senarikan buku-buku saya. Saya suka sebenarnya nak letak di sidebar, tetapi macam semak la pula. Saya kena bincang dengan admin(Ihsan Berahim) untuk letakkan buku-buku saya di bawah banner Langit Ilahi atas ni, atau letak kat bahagian banner bawah ni. Mungkin. Tengoklah macam mana.


Jadi, di sini saya senaraikan buku-buku saya bersama review ringkas berkenaan buku-buku tersebut. Saya juga akan letakkan beberapa buku yang bakal terbit dan beberapa yang berada dalam perancangan saya.


Enjoy it!


[image error]




[image error]

Cover depan Novel VT


1. Novel VT (Sudah terbit)


Novel keluaran GISB(Galeri Ilmu Sdn Bhd). Diterbitkan pada tahun 2009. Harganya RM25.00. Boleh didapati di kedai-kedai seperti MpH, Popular, atau order secara online di bukuonline2u.com.


Ini novel pertama saya yang diterbitkan. Kisah utamanya adalah berkenaan satu kumpulan bola tampar dari Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah yang hendak dibubarkan kerana prestasi pemain-pemainnya yang merudum dan akhlak mereka yang merosot.


Tetapi kedatangan seorang jurulatih misteri membawa kelainan. Konsep sukan adalah ibadah dipegang dan disebarkan.


Saya tulis novel ini khas sebagai dedikasi kepada Kumpulan Bola Tampar MATRI, atau family VT saya semasa sekolah menengah dahulu. Juga sebagai penghargaan khas kepada MATRI, sekolah menengah saya yang banyak mendidik. Juga sebagai satu wadah mengajak manusia kembali melihat bahawa kehidupan itu satu ibadah, dan ibadah itu tidak sekadar terpenjara di pagar-pagar masjid semata-mata.


Boleh search komen-komen pembaca dengan menulis 'VT Hilal Asyraf' atau 'Hilal Asyraf VT' di google. [image error]




[image error]

Cover depan Novel Relasi


2. Novel Relasi. (Sudah terbit)


Novel keluaran Syarikat Citra daripada YWJ(Yayasan Warisan Johor). Diterbitkan pada tahun 2009. Harganya RM26.90. Amat sukar didapati di kedai-kedai kerana masalah syarikatnya. Tetapi sebagai alternatif mudah, boleh order secara online di bukuonline2u.com.


Ini novel pertama yang saya tulis di dalam hidup saya, atau lebih tepat, karya pertama saya dalam sejarah hidup saya. Ditulis semasa saya di awal umur 18 tahun. Tetapi ia hanya terbit pada tahun 2009 kerana masalah syarikat. Jadi ceritanya agak kurang matang pada saya dan agak klise. Lebih-lebih lagi apabila saya dilarang oleh syarikat untuk membuat penambahan, pengurangan dan penambah baikan. Namun bolehlah kalau nak baca-baca buat isi masa lapang. Cubaan yang baik untuk budak berumur 18 dan baru nak belajar mengenal dunia ketika itu. [image error]


Novel ini saya tulis berkenaan ukhuwwahfillah. Berkenaan watak utama bernama Saifullah dan permasalahan ukhuwwahnya dengan manusia sekeliling, termasuklah seniornya yang digelar Senior.


Komen berkenaan Relasi sangat sedikit. Mungkin sebab ramai yang tak mampu dapatkannya. Tapi masih boleh usaha cari di google. [image error]




[image error]

Cover depan Novel Terasing.


3. Novel Terasing. (Sudah terbit)


Novel keluaran Syarikat TBSB(Telaga Biru Sdn Bhd). Diterbitkan pada tahun 2009. Harganya RM20.00. Antara novel saya yang paling mudah didapati di kedai-kedai seperti MpH, Popular, dan juga kedai-kedai buku yang menjual buku-buku TBSB. Kalau di Johor, cari sahaja di Badan Bookstore Angsana. Yang malas, boleh order dengan bukuonline2u.com.


Asalnya, novel ini adalah 'satu' dengan Relasi. Tetapi akhirnya saya pecahkan dua. Ideanya juga tidak seberapa. Bahkan terdapat beberapa kesilapan fakta. Namun, ramai pula yang sukakannya. Sampai saya pun hairan. [image error]


Novel Terasing menyambung kisah Saifullah dan permasalahan ukhuwwahnya. Kini dengan sahabat yang telah lama terpisah dengannya. Fokus cerita adalah berkenaan tidak mengasingkan manusia yang berdosa, dan bagaimana kita sepatutnya berhadapan dengan keterasingan kita.


Secara keseluruhannya, novel ini ringan. Tak tebal sangat. Ada aksi. Ada cinta. Mungkin resepinya yang cukup membuatkan orang suka. Mungkin.


Boleh search-seacrh di google untuk melihat apa komen-komen orang berkenaan novel ini.




[image error]

Cover depan Novel Remaja Mulia


4. Novel Remaja Mulia. (Sudah terbit)


Semasa saya sedang bertungkus lumus menyiapkan Novel Sinergi, syarikat Galeri Ilmu meminta saya menulis satu novel awal remaja. Maka dalam masa satu minggu di hujung tahun 2009, saya tulis novel ini. Terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd, harganya hanya RM12.00, diterbitkan pada penghujung tahun 2009, dan saya tidak pasti apa statusnya di pasaran, mudah didapati atau tidak. Apa-apa hal, bukuonline2u.com ada untuk anda. [image error]


Oleh kerana saya tengah bertungkus lumus menyiapkan Sinergi ketika itu, maka saya menjadikan Remaja Mulia sebagai prekuel kepada Sinergi. Ia mengisahkan berkenaan Irfan Hakimi, pelajar darjah enam, yang menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan di dalam kehidupannya. Hingga satu ketika dia seperti hendak menyalahkan Allah atas segala. Apakah pengakhirannya?


Novel ini, saya tulis khas untuk adik-adik, agar mematangkan diri mereka seawal usia mereka. Hal ini kerana, Islam memerlukan pemuda-pemudi yang matang pada umur remaja.


Setakat ini, yang saya perasan berkenaan komentar Remaja Mulia ini, adalah pemilik blog cilik bergelar Hanan Tomodachi. Boleh search tengok. [image error]




[image error]

Cover depan Novel Sinergi.


5. Novel Sinergi (Sudah terbit)


Novel Terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Diterbitkan pada Tahun 2010. Harganya adalah RM23.00. Mudah didapati? Saya pun tak pasti la. Tapi bila saya jalan-jalan di kedai buku di Malaysia, ada banyak jugalah kedai yang jual. Susah-susah, cari di Kinokuniya. InsyaAllah ada. Oh, tidak dilupakan bukuonline2u.com untuk yang malas berjalan. [image error]


Novel ini adalah yang paling saya sayang setakat ini(setakat yang dah terbit ni). Berkisarkan berkenaan keimanan. Berlatar belakangkan kehidupan di Jordan. Watak utamanya adalah Irfan Hakimi, dibantu oleh Rasyid Zakwan. Kedua mereka membawa kita memerhatikan kehidupan yang dibina atas keimanan dan hasilnya. Mereka kuat berusaha membina suasana PERMAI di Jordan. Namun usaha ini mula diganggu oleh lima orang genius bernama Disaster Five. Ketika itu juga, satu watak misteri bernama Secret muncul menambah kacau bilau. Satu sejarah hitam yang disimpan oleh warga PERMAI berkaitan dengan Irfan Hakimi dan Rasyid Zakwan, dibongkar semula. Apakah keimanan mampu menyelamatkan segala?


Novel ini saya tulis, dedikasi khas buat warga PERMAI, sahabat-sahabat saya di Jordan yang banyak membahagiakan saya sepanjang di rantau orang. Saya juga tulis novel ini khas untuk ummat, ingin menyedarkan kita semua bahawa keimanan itu hendak tidak hendak, perlu diperhatikan,perlu diambil berat, dan perlulah segala perkara itu dibina atas keimanan dan dipandu olehnya.


Boleh baca komen-komen berkenaan Sinergi dengan men'seacrh' 'Hilal Asyraf Sinergi' di Google. InsyaAllah anda akan berjumpa dengan blog-blog atau laman-laman yang menyatakan tentangnya. [image error]




[image error]

Cover depan Buku Langit Ilahi Tuhan Tidak Lupakan Kita.


6. Buku Motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita. (Sudah terbit)


Buku Motivasi terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Diterbitkan pada tahun 2009. Harganya adalah RM21.00. Mudah didapati di kedai-kedai buku seperti MpH, Popular. Boleh juga di'order' dari bukuonline2u.com.


Ini adalah buku yang Allah izin menjadi pemula bagi karier saya sebagai penulis. Buku Motivasi saya yang pertama. Merupakan kumpulan artikel saya di http://langitillahi.blogspot.com.


Artikel-artikelnya berkisar berkenaan hubungan manusia dengan Allah SWT, dan kesedaran bahawa Allah itu hampir dengan kita. Pergantungan kepada Allah, dalam siri-siri kehidupan kita adalah apa yang dititik beratkan di dalam buku ini.


Buku ini senang dijadikan hadiah-hadiah. Boleh juga dibuat penyampaian di dalam usrah untuk orang yang baru-baru nak ikut.


Komen berkenaan buku ini boleh search di google. Ada. [image error]




[image error]

Cover depan Kembara Hamba Mencari Cahaya


7. Buku Motivasi Langit Ilahi 2: Kembara Hamba Mencari Cahaya. (Sudah terbit)


Buku Motivasi terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Diterbitkan pada tahun 2010. Harganya adalah RM23.00. Mudah didapati di mana-mana kedai yang menjual Langit Ilahi 1. Juga boleh di'order' di bukuonline2u.com.


Ini buku motivasi saya yang kedua. Juga merupakan kumpulan artikel saya di laman saya kurun yang lalu: http://langitilahi.blogspot.com.


Jika Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita lebih membawa kepada diri kita dan Allah SWT, Kembara Hamba Mencari Cahaya lebih kepada sekitar peredaran kehidupan kita sendiri.


Sesuai juga dijadikan hadiah. Saya sarankan, kalau nak baca yang ini, baca Langit Ilahi 1 dahulu. [image error]


Komen berkenaan buku ini tak banyak. Tak best kut. Haha. [image error]




[image error]

Cover Fanzuru.


8. Buku Motivasi Langit Ilahi 3: Fanzuru (Sudah terbit)


Buku Motivasi terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Diterbitkan pada tahun 2010. Harganya adalah… berapa ya? Lupa dah. Huhu. Kurang dari RM25.00, atas dari RM22.00 semestinya. Baru sangat keluar. Masih panas. Dan sudah mula tersebar di kedai-kedai buku. Cari jangan tak cari. Bukuonline2u.com juga sudah mula jual. [image error]


Buku ini memenangi hati saya setakat ini. Mungkin kerana ia adalah paling santai. Kedua, saya menulisnya sepenuhnya berdasarkan pengalaman saya sendiri. Fanzuru adalah mengajak pembaca agar melihat hikmah-hikmah yang saya perolehi daripada manusia di sekeliling saya. Sekaligus mengajak diri kita mengaktifkan jiwa, atas segala apa yang berlaku di sekeliling kita, dan menghubungkannya kepada Allah SWT.


Setakat ini, komen orang, cover Fanzuru adalah yang paling ganas dalam buku motivasi saya. Haha. [image error]


Amat sesuai juga dijadikan hadiah. Semestinya insyaAllah.


Komen berkenaan buku ini, saya tak jumpa lagi. Mungkin sebab baru. Tak best? Saya tak tahu. haha. Andalah hakimnya.



9. Kumpulan Cerita Matahari. (Akan terbit)


Buku ini belum terbit. Tetapi sudah hampir sangat nak terbit. Keluaran Galeri Ilmu Sdn Bhd. Tebalnya mungkin menjangkau 400 muka surat. InsyaAllah akan terbit sebelum 2010 berakhir. Harga tidak diketahui.


Buku ini memuatkan sebanyak 18 cerpen saya. Banyak menceritakan perihal kehidupan manusia dan menghubungkan semuanya kembali kepada Allah SWT. Ada kisah-kisah persekolahan, ada kisah guru, ada cerita pendekar, ada juga kisah cinta. Matahari menjadi majaz utama di dalam kumpulan cerita ini. Semua cerita ada kaitan dengan Matahari. Ahah. [image error]


Buku ini pada pandangan saya seronoklah kalau baca masa-masa lapang. Ya kut. Saya cadang sahaja. Manalah tahu kalau ada yang baca, terus baca sampai habis. Huhu. [image error]


Apa-apa hal pun, doakan agar ia selamat terbit.


Peribadinya, saya suka kumpulan cerpen ini. Hihi.



10. Novel Remaja Harapan. (Akan terbit)


Ini novel awal remaja. Akan diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd. InsyaAllah akan terbit sebelum hujung tahun ini. Harga tidak diketahui lagi.


Dulu Remaja Mulia, sekarang Remaja Harapan. Saya rasa saya nak dedikasikan diri saya agar buat buku untuk adik-adik remaja ini setiap tahun paling kurang satu buku. Amacam adik-adik? Suka? hehe. Rancangannya untuk mengeluarkan dua buku Remaja Harapan, ditukar menjadi satu terlebih dahulu. Remaja Harapan dua akan menyusul kemudian.


Sikit spoiler, Remaja Harapan mengisahkan akan watak utama: Megat Iskandar, pelajar darjah lima yang merudum prestasinya dan juga akhlaknya. Dia sering dibuli oleh lima sekawan yang terkenal hebat dalam seni tempur di sekolahnya. Akhirnya, ayahnya menawarkan diri untuk menjalankan satu proses kepadanya. Proses itu bernama tarbiyah. Dari proses itu, Megat Iskandar berubah dari kosong, menjadi yang terulung. Apakah yang dilaluinya? Apakah yang dicapainya? Hehe. Cari buku nanti bila dah terbit. Novel ini ada banyak pertempuran. Aha. Haritu siapa minta Abang Hilal banyakkan lawan-lawan? Hihi. [image error]


Saya hendak menyatakan kepada adik-adik bahawa, hendak menjadi seorang yang matang, ada jalannya. Bukan semberono sahaja. Ada disiplinnya. Bukan sebarangan sahaja. Dan saya hendak menyatakan bahawa, adik-adik ini adalah harapan Islam. Semua adalah harapan. Tiada satu pun yang bukan. Maka semua sepatutnya membina diri masing-masing seawal usia mereka. [image error]


Harapnya, nanti adik-adik terhibur dengan Remaja Harapan ini.



11. Novel Takdir. (Masih dalam proses)


Novel ini adalah novel terpanjang dan paling lama saya peram dalam kepala saya. Huhu. Dari saya umur 18 tahun lagi. Sekarang umur saya dah 21 nak masuk 22 dah pun. InsyaAllah akan diterbitkan oleh GISB, dan akan terbit pada tahun 2011.


Novel Takdir akan ditulis sebagai trilogi. Mengisahkan perjalanan Angkasa Sakti dalam menyelamatkan dunia dan segala isinya daripada cengkaman Sang Asura. Novel Takdir akan sarat dengan perihal Akidah, Keimanan, Hubungan dengan Allah, Dakwah dan Tarbiyah, Perjuangan Fisabilillah, Kesatuan Ummah, Musuh-musuh Allah, Cinta dan hubungan sesama manusia. Angkasa Sakti akan dilihat mengumpul teman-teman, sambil perjalanannya diisi pelbagai cabaran dan kejutan, dan dia akan belajar banyak perkara baru.


Novel ini insyaAllah akan disiapkan sebelum tamat tahun 2010. Saya takkan biarkan Novel ini lambat muncul di Pesta Buku 2011 sebagaimana Novel VT dan Sinergi dahulu. Saya takkan benarkan lagi.


Novel Takdir adalah hadiah saya kepada Ummah. Ada mesej yang besar terselit di dalamnya.


Saya yakin anda akan terhibur dan terkesan dengan novel ini.


Bahkan, editor saya, Encik Zakaria Sungib menjangkakan sesuatu yang besar akan terhasil daripada Takdir ini nanti. [image error]



12. Novel Hero. (Masih dalam proses)


Novel ini adalah novel yang saya tidak berfikir akannya. Dia muncul sendiri dalam pemikiran saya selepas saya melihat 'bubblegum' yang ditepek oleh entah siapa pada dinding kelas saya di Yarmouk. InsyaAllah Novel ini akan diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd, dan insyaAllah akan terbit pada tahun 2011.


Novel Hero mengisahkan watak utama, Amir Faheem bin Amir Muiz atau Afam, sebagai Hero di Kotaraya Angsana. Walaupun dia adalah seorang Hero, dia tidak berperawakan sepertinya. Dia kuat merokok, tidak solat dan tidak mempunyai ciri-ciri muslim pada dirinya. Dia berhadapan dengan Kumpulan Syaitan Bertopeng, yang telah berjaya mengkorupkan sebahagian besar pegawai Kerajaan dan sedang merancang sesuatu yang besar. Pada masa yang sama, dia terpaksa berkahwin dengan seorang perempuan bernama Afeefah Husna, solehah dan taat pada agama, untuk menyelamatkan seluruh hartanya. Konflik dalam perjalanan hidupnya bertambah dengan kewujudan penjenayah misteri bernama Akama.


Hero adalah novel yang saya cuba jadikannya agak berat dengan pelbagai konflik yang berselirat. Konflik Afam dengan tanggungjawabnya sebagai Hero, konfliknya dalam menguruskan Syaitan Bertopeng dan campur tangan Akama, konfliknya berhadapan dengan pihak kerajaan, serta konflik dalamannya dengan dirinya sendiri, berkenaan tujuan hidup dan matlamat yang cuba dicapai. Ditambah juga di dalam cerita ini konflik Afeefah Husna dalam usahanya membentuk Afam, tanpa mengetahui identiti suaminya sebagai Hero.


Jika ada yang cuba membayangkan bagaimana rupa Hero saya ini, ahah, cuba gabungkan Iron Man dan Batman dalam The Dark Knight. Anda akan dapat jawapannya. haha.


Novel Hero juga adalah unik untuk saya kerana saya akan menjemput watak-watak di dalam karya saya sebelum ini, sebagai watak sampingan di dalam novel ini. Tengku Amiri akan memegang watak yang agak penting dalam cerita ini, isterinya Solehah akan muncul sebagai watak sampingan, begitu juga bapanya, Tengku Muhammad. Irfan Hakimi dan Sara Afifah, Rasyid Zakwan dan Sara Nasuha, Saifullah dan Tengku Atikah, Tengku Saifullah(Senior) dan isterinya Wardah juga akan muncul. Wah wah. Amacam? Gempak tak? [image error]



Penutup: Aha, itulah dia setakat ini yang boleh dispoilkan. [image error]


Jadi saya rasa setakat itu sahaja yang boleh saya cerita. Sebenarnya di dalam kepala saya, ada lagi perancangan berkenaan Buku Motivasi Langit Ilahi 4 hinggalah Buku Motivasi Langit Ilahi 9. Dan saya sudah mempunyai idea untuk lima lagi buah novel. Tetapi biarlah semua itu rahsia dahulu. [image error]


Kepada yang minta saya senaraikan semua buku-buku saya, harap anda berpuas hati.


Siap dapat spoiler buku baru lagi. [image error]


Semoga Allah redha dengan semua ini, dan mempermudahkan segala urusannya.


Harapnya, kalian sebagai pembaca Langit Ilahi, memapah saya dengan tembakan doa kalian. Saya hanyalah manusia yang cacat, tanpa doa dan kasih sayang kalian.


Semoga Allah permudahkan.


[image error]

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 15, 2010 12:51

Motivasi: Asas-asas menghidupkan hati.


Jangan biarkan hatimu mati terpenjara ~ picture by addicted2love of deviant art

Jangan biarkan hatimu mati terpenjara ~ picture by addicted2love of deviant art



Menghidupkan hati. Tidak semudah menghidupkan api pakai pemetik api. Semestinya hendak menghidupkan hati, memerlukan usaha dan pengorbanan.


Hati adalah milik Allah SWT, kematian hati adalah satu perkara yang menakutkan bagi insan yang bergerak mencari keredhaan Allah SWT dalam kehidupannya.


Mungkin ramai tercari-cari, bagaimana hendak melepaskan diri dari lubang dosa, seterusnya membawa diri ke tingkatan yang lebih baik.


Saya punya beberapa langkah sebagai resepi.


Sekadar berkongsi.


Semoga ini memberikan kekuatan kepada yang mencari keredhaan Ilahi.





Perkara basic, jangan tinggal.


Resepi utama dalam menghidupkan hati adalah, menjaga perkara-perkara asas. Di dalam rutin seharian kita sebagai manusia yang beriman, apakah perkara asas?


1. Solat Fardhu.


2. Membaca Al-Quran.


Dua perkara ini, jangan sesekali tinggalkan.


Di dalam seharian, solat fardhu adalah prioriti. Memang kita boleh solat sehingga akhir waktu, tetapi apabila kita me'manja'kan diri kita dengan me'ringan'kan urusan terpenting kita dengan Allah SWT, maka di situ syaitan akan menyusup.


Percantikkan solat fardhu kita. Solat dengan tertib, cuba tingkatkan kualitinya dengan khusyuk, dan rasailah kenikmatan dalam segenap pergerakannya. Jangan laju-lajukan, jangan cepat-cepatkan. Biarkan solat itu flow sendiri, dan kita yang mengikutinya.


Berkenaan dengan Al-Quran. Al-Quran adalah Kalam Allah, mukjizat kepada ummat. Di dalamnya ada penawar-penawar hati, bahkan lenggok aturannya sahaja sudah boleh mendamaikan jiwa.


Maka tetapkanlah dalam sehari, waktu untuk membacanya. Paling kurang dua muka surat sehari. Maka jika anda istqomah, dalam dua minggu anda sudah boleh menamatkan satu juzu'. Ansur maju.


Solat dan Al-Quran, kedua-duanya datang dari langit.


Ia makanan UTAMA kepada roh kita, yang juga berasal dari langit nan tinggi.



Satu lagi perkara penting jangan sekali ditinggalkan ~ senjata insan.


Biasanya, manusia memandang remeh akan hal yang satu ini.


Apakah dia?


Doa.


Ya. Mahu tidak mahu, sekiranya kita mahu menghidupkan jiwa kita, menyalurkan kekuatan ke dalam hati kita, hendaklah kita istiqomah dalam berdoa kepada Allah SWT. Jangan ditinggalkan sesekali. Bahkan buat berkali-kali. Paling kurang setiap kali lepas solat, berdoalah.


Tidak kisah dalam bahasa apa pun. Mintalah kepada Allah.


Sesungguhnya meminta, adalah tanda kerendahan hati kita kepadaNya.


Mengadu kepada Allah akan kelemahan diri. Minta kepada Allah segala apa yang dihajati. Kemudian mendoakan sesiapa yang tersayang di dalam kehidupan ini.



Berikan tambahan-tambahan yang ringan.


Ibarat benteng pertahanan. Sekiranya hendak bertahan lebih lama, perlulah bentengnya lebih tebal. Di dalam dunia yang serba mengasak ini, tiga perkara tadi semata-mata tidak cukup.


Berikanlah tambahan-tambahan yang ringan. Contoh mudah: Solat sunat Dhuha, dan dua rakaat sebelum tidur untuk memohon ampun kepada Allah dan menyuarakan hajat diri kepadaNya.


Perkara lain adalah sedekah. Mungkin boleh disiplinkan diri, menderma seminggu RM1 dan sebagainya.


Begitulah. Ringan-ringan.



Booster dalam menghidupakn hati.


Sesungguhnya, kambing yang keluar dari kumpulannya akan lebih mudah dibaham serigala. Manusia yang bersendiri, lebih mudah sujud kepada berhala. Berhala apa? Berhala nafsu dan dunia.


Maka ini saranan saya yang teramat saya tekankan. Luangkanlah masa duduk bersama orang yang soleh. Carilah rakan-rakan yang baik, yang apabila kamu bersamanya, dia membawa kamu kepada Allah SWT. Banyakkan waktu bersama mereka. Banyakkan perkongsian dengan mereka. Jika ada program-program yang mereka anjurkan, usahakan diri untuk sertai.


Ini akan menambah kekuatan hati, dan memperkuatkan perlindungan di sekeliling diri.



Penutup: InsyaAllah, sekiranya dilazimi, kita akan terasa seperti dilindungi.


Itu adalah perkara-perkara basic. Asas dalam menjaga kesihatan jiwa dan menghidupkan hati. Dalam apa jua peringkat umur, perkara-perkara inilah yang perlu diperhati.


Mulakan dengan yang pertama saya ceritakan tadi. Kemudian tambah dan tambah. Perlahan-lahan.


Sekiranya anda gandingkan artikel ini, dengan artikel Cara Efektif Meninggalkan Dosa, maka anda akan dapat memerhatikan Sinerginya. Percayalah. Usaha meninggalkan dosa semata-mata, tidak akan membawa anda ke mana-mana.


Tetapi anda akan mendapat tolakan luar biasa, apabila anda meninggalkan dosa, pada masa yang sama anda berusaha melaksanakan perkara-perkara di atas ini.


Sekiranya semua perkara asas ini anda lazimi, pastinya anda akan terasa seperti dilindungi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 15, 2010 07:00

October 14, 2010

Perkongsian: Menjaga kesihatan adalah wajib.



Bila sihat, baru boleh terbang tinggi. ~ picture by valentinakallias of deviant art.

Bila sihat, baru boleh terbang tinggi. ~ picture by valentinakallias of deviant art.



Alhamdulillah, Allah izin saya telah sihat sikit. Mungkin semalam itu sebab kurang minum air dan kurang tidur rasanya. Sebab tu badan panas, kepala pening-pening dan rasa nak demam. Tambah pula dengan perubahan cuaca di Irbid.


Maka, bila Allah dah bagi saya sakit, saya suka la nak cakap fasal kesihatan.


Bolehkan? [image error]


Hakikatnya, menjaga kesihatan adalah wajib.


Maka apa-apa perkara yang kita lakukan ke arah keburukan kesihatan kita adalah haram.


Di sini kita cuba perhatikan, mengapa wajib?


Apa yang besar sangat kesihatan selain sihat?


Ha… [image error]



Arahan Allah SWT yang jelas.


"…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu;…" Surah Al-Baqarah ayat 195.


Larangan mencampakkan diri ke dalam kerosakan sudah jelas di dalam Al-Quran. Dengan ayat inilah, apa-apa sahaja perkara yang membawa keburukan kepada manusia menjadi larangan di dalam Islam. Ayat ini, adalah dalil terkuat juga bagi pengharaman rokok, yang dikatakan tidak dinyatakan haram di dalam Al-Quran.


Maka dapat dilihat, menjaga kesihatan tubuh badan, kebaikan anggota tubuh, kesejahteraan akal dan rohani, semuanya adalah wajib, dan melemparkan semua itu ke dalam keburukan adalah merupakan satu dosa.


Tambahan, Allah telah memberikan kepada kita semua yang ada pada kita ini, apakah kita sewenang-wenang menggunakannya, membiarkannya, ke arah kerosakan, tanpa nanti ada hari perkara ini akan dipersoalkan? Boleh fikir-fikir.



Sekiranya tidak sempurna sesuatu yang wajib itu kerananya, maka 'nya' itu menjadi wajib.


Terdapat satu kaedah di dalam fiqh, yang berbunyi: "Sekiranya tidak sempurna sesuatu yang wajib itu kerananya, maka 'nya' itu menjadi wajib." Kaedah ini digunakan dalam permasalahan wudhu'. Apakah wudhu' wajib? Ini menjadi persoalan. Tetapi tidak sesekali sempurna solat(satu perkara yang wajib) tanpa wudhu'. Maka di sini, automatiknya, wudhu' menjadi wajib sebelum melaksanakan solat.


Kita pernah membicarakan berkenaan kewajipan berdakwah, dan betapa perlunya wujud satu gelombang menyelamatkan dunia ini dari keingkaran kepada Allah SWT. Maka, saya timbulkan persoalan di sini. Bagaimana agaknya jika kita sakit? Adakah kita akan mampu melaksanakan kewajipan berdakwah tadi dengan baik?


Adakah apabila kita sakit, kita boleh muncul di tengah masyarakat untuk menunjukkan akhlak yang baik sama seperti dalam keadaan kita sihat?


Adakah apabila kita sakit, kita boleh beribadah dengan cergas dan baik sama seperti dalam keadaan kita sihat?


Adakah apabila kita sakit, kita mampu bermesra dengan orang lain, sama seperti dalam keadaan kita sihat?


Semestinya tidak.


Maka di sini, menjaga kesihatan, jatuh pada tahap wajib. Hal ini kerana, tanpa kesihatan, kita tidak dapat melaksanakan perkara-perkara yang wajib tadi sesempurna mungkin.



Bila menjaga kesihatan itu wajib, maka…


Apabila menjaga kesihatan itu menjadi wajib, maka riadhah untuk menjaga kesihatan juga adalah wajib. Apabila menjaga kesihatan itu menjadi wajib, maka makan makanan yang sihat itu juga hakikatnya adalah wajib.


Di sinilah saya ingin berkongsi, pengalaman saya duduk-duduk bersama sekumpulan veteran, yang faham akan tugas mereka sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini. Walaupun mereka telah berumur melangkaui 40-an, malah ada yang sudah menghampiri 60-an, mereka tidak meninggalkan riadhah.


Ada di kalangan mereka yang istiqomah berjogging mengelilingi UIA, kawasan perumahan, kawasan-kawasan rekreasi dengan kala yang tetap dalam seminggu.


Bahkan, ada sekumpulan kecil dari kalangan veteran ini, sering sahaja berbicara isu pemakanan sihat dan bagaimana cara pemakanan yang sepatutnya apabila mereka berkumpul selepas riadhah. Lebih membuatkan saya kagum dan rasa segan dengan mereka adalah, mereka melaksanakannya. Walaupun mereka berumur hampir 60-an, tetapi stamina mereka masih tinggi. Mereka melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah, memerah akal fikiran, melebihi saya yang muda ini.


Saya dapat melihat, mereka ini ditolak oleh fikrah yang saya kongsikan di atas tadi.


Pada mereka, kehidupan sebagai hamba Allah itu wajib, menyampaikan amanah Allah itu adalah wajib, maka kesihatan untuk memudahkan semua itu juga menjadi wajib secara automatiknya. Maka mereka berdedikasi dalam hal itu untuk memenuhi tanggungjawab mereka tadi.



Penutup: Adalah amat merugikan bukan?


Adalah amat merugikan, jika kita berpotensi mengabdikan diri kepada Allah sehingga sekian umur, tetapi kita terhenti pada umur yang lebih awal daripada itu.


Adalah amat merugikan, jika kita boleh lebih pantas dalam sesuatu kerja, tetapi kita jadi lambat daripada itu.


Adalah amat merugikan, jika kita boleh buat lebih banyak kerja, tetapi kita hanya dapat melaksanakan sikt daripada itu.


Semuanya kerana kita tidak kuat. Lemah. Tidak sihat. Tidak mempunyai stamina yang sepatutnya, tidak mempunyai kesihatan yang sepatutnya.


Bukankah itu amat merugikan?


Maka mari sama-sama memerhatikan kesihatan kita, menjaganya dengan sebaik mungkin. Kalau Allah nak bagi kita sakit, memang kita takkan dapat mengelak. Tetapi sekurang-kurangnya, bila berdiri di hadapan Allah nanti dalam menceritakan kelemahan kita, kita boleh berkata kepada Allah:


"Sesungguhnya aku telah menjaga kesihatanku sebaik mungkin."


Dengan yakin tanpa ragu, dan anggota tubuh kita pun takkan membangkang.


Mari. Jika benar ingin menjadi hamba Allah yang sejati!


[image error]

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 14, 2010 04:54

October 13, 2010

Diari: Tak Sihat


.... ~ picture by dealingheart of deviant art

.... ~ picture by dealingheart of deviant art



Hari ini saya tidak sihat.


Sangat tidak sihat.


Semalam dah mula rasa.


Hari ini betul-betul tak sihat.


Ca'nt fight it anymore.


Just want to lay down and sleep.


Weak.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 13, 2010 04:12

October 12, 2010

Gambar: Manusia aneh



Aneh? ~ Picture by haizeel of deviant art

Aneh? ~ Picture by haizeel of deviant art





Dunia hari ini terbalik,


mereka melihat aku aneh,


hanya kerana aku menyatakan bahawa Allah adalah ILAH dan RABBku,


dan hidup dengan menjunjung semua perintahNya,







mereka kata aku aneh kerana dunia adalah untuk bersuka ria,


aku serius di atasnya,


mereka kata aku aneh kerana mati lambat lagi tiba,


aku mempersiapkan diri untuknya,


mereka kata aku aneh kerana Islam itu di masjid sahaja,


aku membawanya ke mana-mana






mereka rasa aneh kepadaku


dan terus dengan keanehan mereka




tetapi mereka tidak tahu,


jauh dalam sudut jiwaku,


mereka juga kulihat aneh untukku,







Aneh apabila mereka melihat alam sebegini sempurna aturannya,


mereka tidak percaya bahawa yang mengatur alam ini berkuasa,


aneh apabila mereka tahu akan kewujudan Allah dan beragama dengan agamaNya


tetapi tidak hidup dengan hukum-hukum Yang Esa,


aneh apabila mereka bersedihan mereka mencari-cari Yang Kuasa,


tetapi bila tenang dan bahagia mereka meninggalkanNya







Mereka pandang aku aneh


kerana aku tidak bersama mereka


Aku turut memandang mereka aneh


kerana mereka tidak bersamaku mengabdikan diri kepadaNya







Aku dengan keanehanku,


mereka dengan keanehan mereka,


nanti keanehan-keanehan ini akan berdiri di hadapan Yang Esa


pada Hari Tiada Perlindungan Selain PerlindunganNya,







maka aneh pada haritu adalah orang-orang yang tidak percaya


juga di dunia mereka tidak mempedulikan arahanNya







~Hilal Asyraf~


11.30AM


121010


Seorang diri,


dalam bilik, Irbid, Jordan.


It's hard to die


Manusia Aneh.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 12, 2010 08:49

October 11, 2010

Motivasi: Cara efektif meninggalkan dosa.



Buang dosa! ~ picture by jump-4-joy of deviant art

Buang dosa! ~ picture by jump-4-joy of deviant art



Satu permasalahan yang bersangkutan dengan dosa adalah meninggalkannya. Ya. Ramai yang berhadapan dengan masalah ini. Apakah cara yang terbaik, dan paling berkesan dalam meninggalkan dosa? Mungkin itu satu soalan yang mana jawapannya dinantikan mungkin oleh jutaan manusia yang berhajatkan keredhaan Allah SWT.


Sememangnya, kegusaran terhadap dosa, menandakan keimanan masih lagi punya cahaya.


Maka, dari selaput dosa yang melekit lekat pada jiwa kita, bagaimana hendak keluar daripadanya?


Di sini ada buah idea, untuk sama-sama kita renungkan dan perhatikannya.





Kesilapan utama dalam meninggalkan dosa.


Ramai manusia, apabila berhajat hendak meninggalkan dosa, mereka hanya melihat MENINGGALKAN DOSA semata-mata. Pada saya, ini adalah kesilapan yang fatal dalam meninggalkan dosa.


Maka yang tersemat di dalam kepala, adalah perkara-perkara seperti 'berhenti, tinggal, jauh,' dan sewaktu dengannya. Mereka akan perhatikan betapa sukarnya meninggalkan dosa apabila terus disuruh tinggal. Akhirnya, mungkin dapat tinggal beberapa hari, kemudian buat kembali. Ramai yang gagal dalam mendaki 'gunung ke syurga', ramainya jatuh kembali.


Jadi bagaimana?



Kebaikan itu, memadamkan keburukan.


Allah SWT berfirman:


" Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan-kejahatan." Surah Hud ayat 114.


Silap bagi mereka yang memandang ayat ini dengan maksud berikut: "Buat dosa tak mengapa, asalkan buat baik banyak. Sebab kebaikan-kebaikan kita menghapuskan dosa-dosa kita."


Salah dan salah.


Ayat ini hakikatnya adalah untuk yang hendak MENINGGALKAN dosa. Bukan alasan untuk yang hendak MEMBUAT LEBIH BANYAK dosa.


Maka jawapan kepada permasalahan di atas, yakni hendak meninggalkan dosa, terkandung di dalam ayat ini. Yakni, buatlah kebaikan. Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu akan memadamkan perasaan ingin melakukan kemungkaran. Hal ini kerana, sifir kehidupan ini mudah, kebaikan dan kejahatan tidak akan dapat bersatu di dalam satu waktu.


Maka kita perhatikan ayat Al-Quran tadi secara penuh:


"Dan dirikanlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat." Surah Hud ayat 114.


Dan dirikanlah solat. Solat adalah paksi kepada segala kebaikan. Ia adalah tiang agama. Kemudian lihatlah isyarat Allah mengarahkan kita menambah dengan perkara-perkara sunat di dalam firmanNya: dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Kemudian barulah Allah menyebut: Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan-kejahatan.


Maka, resepi utama dalam hendak menguatkan langkahan kita dalam meninggalkan kejahatan dan dosa adalah dengan melakukan kebaikan!



Balang kehidupan. Pengisiannya.


Sekiranya kita hidup 80 tahun, maka yang ada pada kita hanya 80 tahun. Dan apa yang boleh diisi di dalam 80 tahun adalah hanya 80 tahun. Maka di sini kita melihat satu limitasi. Hendaklah kita menganalogikan kehidupan kita ini ibarat cawan. Jika diisi air, ia akan penuh. Bila penuh, apakah kita akan dapat pula mengisi air yang lain? Tidak.


Begitulah konsepnya meninggalkan dosa. Dengan melakukan kebaikan, kita telah meng'isi' kehidupan kita. Apakah semasa kita melakukan kebaikan, kita melakukan kejahatan yang hendak kita tinggalkan tadi? Semestinya tidak. Sebab waktu untuk melakukan kejahatan, telah kita isikan dengan melakukan kebaikan.


Maka lihatlah betapa indahnya Allah SWT menyatakan kerugian manusia di dalam Surah Al-'Asr, dan mengecualikan kerugian itu terhadap mereka yang telah berjaya mengisinya dengan baik.


"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." Surah Al-'Asr ayat 1-3.


Tidakkah anda memerhatikan?



Alihkan perhatian, tambahkan kekuatan.


Semestinya, mengalihkan perhatian dari dosa yang kita lakukan adalah cara yang terbaik. Tetapi kita hendak alihkan perhatian kita kepada apa? Di sinilah perlunya kita memahami akan keperluan mengisi kehidupan dengan kebaikan-kebaikan.


Jangan bohong dengan saya dengan menyatakan: "Aku dah buat banyak benda baik, tapi still ada masa gak nak buat benda jahat ni."


Bohong dan bohong. Hakikatnya, Allah menciptakan benda baik itu banyak dan melebihi 24 jam sehari jika hendak melaksanakan semua. Hatta ada manusia itu, terpaksa mengorbankan waktu tidurnya kerana hendak melakukan lebih banyak kebaikan.


Maka di manakah waktu melakukan dosa?


Tambahan, sekiranya kita banyak melakukan kebaikan, maka jiwa kita akan terisi, hati kita akan disirami siraman yang menghidupkan peribadi. Kehidupan akan bercahaya, kerana kita berhubungan dengan Ilahi. Kekuatan akan muncul di situ. Kekuatan yang tiada taranya.


Tidakkah anda melihat, hendakkan ketenangan jiwa, apakah yang perlu dilakukan terlebih dahulu?


"Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang." Surah Ar-Ra'd ayat 28.


Bukankah disebut: "Bahawa dengan mengingati Allah…" Terlebih dahulu?


[image error]



Penutup: Melangkah hari baru tanpa dosa. Susunlah kehidupanmu!


Allah Maha Penyayang. Walaupun anda dan saya berdosa, anda dan saya masih diizinkanNya hidup sampai ke hari ini. Walaupun anda berdosa, anda masih diizinkan membaca artikel saya ini dan membaca idea saya ini. Walaupun saya berdosa, saya masih diizinkan menulis artikel ini dan diberikan idea ini. Maka sekarang ini, bagaimanakah kita membalas kasih sayang Allah SWT?


Marilah kita melangkah hari baru dengan berusaha mati-matian mengisi kehidupan kita dengan kebaikan.


Di situlah waktunya kita meninggalkan kejahatan.


Hakikatnya, bergerak kepada Allah dengan bergerak mengingkariNya itu ibarat satu bergerak ke utara dan satu lagi bergerak ke selatan. Selangkah kita kepada Allah, selangkah kita telah meninggalkan kejahatan. Selangkah kita ke arah kemungkaran, hakikatnya kita telah selangkah meninggalkan Allah SWT.


Tidakkah kita ini manusia yang memerhatikan?


Marilah kita isi kehidupan!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 11, 2010 18:15

Perkongsian: Bila kamu bising fasal Zina Hati.


Zina? ~ picture by unda of deviant art.

Zina? ~ picture by unda of deviant art.



Cerpen saya yang terkini, nampaknya menjemput satu ayat dua perkataan bertulis: ZINA HATI. Saya tidak faham di mana silap dan salahnya kerana perkataan itu adalah amat 'asing' dalam arena penulisan saya selama ini, walaupun karya-karya yang lebih kurang demikian telah banyak dikeluarkan oleh saya sebelum ini.


Tapi seronok juga. Boleh menulis artikel ini. Haha. Hidup ini mahu tenang dan steady sahaja. Cool.


Jadi di dalam artikel ini saya akan membicarakan berkenaan Zina Hati.


Dan sedikit teguran kepada orang yang hendak 'menegur' berkenaan Zina Hati ini.


Semoga Allah redha.


[image error]





Asal istilah Zina Hati


Hati boleh berzinakah? Aha. Mana datang istilah Zina Hati ini? Datangnya adalah daripada hadith berikut:


Dari Abu Hurairah r.a. katanya Nabi saw. bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya.Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti." Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2281.


Maka di sinilah munculnya istilah Zina Hati.


Bukan sebarang reka sahaja ya. [image error]



Bagaimana zina hati?


Macam mana hati boleh berzina? Adakah dengan membayangkan dirinya melakukan zina dengan kekasihnya? Boleh juga demikian. Tetapi tidak semestinya perkataan 'zina' itu diterjemahkan kepada mengkhayalkan perbuatan memasukkan zakar ke dalam faraj semata-mata.


Zina Hati boleh juga terjadi apabila kita terlalu asyik mengkhayalkan pasangan kita, orang yang kita suka dalam keadaan mereka itu masih belum mahram terhadap kita. Yalah, zina itu adalah untuk kita dengan yang bukan isteri@suami kita. Kalau dia suami@isteri kita, itu tidak zina namanya. Tidak begitu? Fahamkan?


Maka yang membawa kepada terlalu asyik mengkhayalkan itu boleh bermula dengan pergaulan yang tidak terbatas baik di alam maya atau di alam realiti, dengan pelbagai cara dan versi. Akhirnya ia mewujudkan gangguan di dalam jiwa dan hubungan kita dengan Allah terganggu. Di sinilah berlakunya zina hati.


Kita tidak akan memandang Zina Hati ini besar, melainkan ia menganggu hubungan kita dengan Allah SWT. Hal ini kerana, dua perkara yang mustahil bersatu adalah keingkaran kepada Allah dan ketaatan kepadaNya. Gangguan terhadap jiwa, semestinya melunturkan kehidupan hati kita.


Satu perkara yang perlu diperhatikan di dalam hal Zina Hati adalah, apabila ianya tidak terkawal lagi, maka mungkin kita akan terbayangkan 'zina' yang sebenar di dalam khayalan kita, dan kemungkinan besar kita akan benar-benar melakukannya di alam realiti.


Maka hendaklah kita kembali memerhatikan bagaimana kita dalam menjaga batas hubungan antara lelaki dan perempuan.



Satu perkara berkenaan Zina Hati


Satu perkara penting perlu diperhatikan pada Zina Hati adalah, terletak perkataan 'hati' di sebelah perkataan 'zina' itu. Ya. Ada perkataan 'hati'. Maka di sini, siapakah yang dapat menghukum, menghitung, mengadili hati seseorang manusia itu?


Selain Allah SWT, saya tidak kenal sesiapa yang mampu melakukannya. [image error]


Sebab itu, kita tidak boleh mengatakan kepada si fulan bin fulan: "Enta dah zina hati ni." walaupun mungkin dia kelihatan angau berjalan melayang macam atas angin. Hal ini kerana, ingat, jatuh cinta, rindu, itu adalah fitrah. Dan naturalnya, memang manusia ada waktu 'slip'nya, tetapi tidaklah itu boleh dijadikan dalil untuk menghukum hati seseorang.


Guru saya di dalam ilmu Aqidah, Dr Ala' Hilat mendidik saya bahawa: "Hatta sekiranya kau melihat seseorang itu sujud kepada pokok sekalipun, jangan sesekali kau mengkafirkannya (yakni menghukum keimanannya). Tetapi katakanlah kepadanya, bahawa perbuatannya adalah perbuatan orang kafir."


Maka kaedah ini digunakan di dalam permasalahan hati, dan semestinya permasalahan perkara Zina Hati ini. Tidak boleh menuduh seseorang itu: "Enta zina hati ni," tetapi bolehlah berkata kepadanya: "Angau-angau ni bolehlah membawa kepada zina hati. Enta kena hati-hati." Ternyata, ayat pertama dan kedua adalah dua ayat yang sama sekali berbeza. Di sini letaknya beza 'tuduhan' dan 'teguran'.


Sebab itu, sebagai contoh paling dekat dengan mata anda sekarang, adalah artikel saya dan website Langit Ilahi ini. Jika anda perasan, Langit Ilahi banyak membincangkan hal-hal hati, keimanan, hubungan dengan Allah, dosa dan sebagainya. Banyak hal dalaman. Tetapi apakah saya mengajar anda untuk menghukum orang lain? Tidak. Banyaknya melihat diri sendiri.


Sebagai contoh, apabila saya berkata keimanan itu buktinya adalah amal. Kalau tak pakai tudung itu tanda tidak sempurnanya iman. Dari segi fakta, ia benar. Tetapi ia tidak boleh digunakan untuk menuding jari seperti ini: "Tengok akak tu, dia tak pakai tudung. Iman dia tak sempurna." Tidak dan tidak. Tidak sesekali untuk menghukum orang lain.


Dia tidak memakai tudung, itu mungkin adalah simptom kurang sempurnanya iman. Maka kita sebagai 'doktor' menjangka dia ada masalah iman. Tetapi kita tidak tahu, benarkah dia ada masalah keimanan dengan Allah? Atau dia memang tidak tahu tudung itu wajib? Jika dia tahu tudung itu wajib, apa masalah lain yang mungkin menyebabkan dia tidak memakai tudung? Maka kita approach dengan hikmah, untuk merawat 'tidak pakai tudung' yang kita nampak.


Tetapi bayangkan ya, anda terus-terus berkata: "Hei si fulanah binti fulanah, kau tak pakai tudung ni, iman kau tak sempurna." Agak-agak apa pandangannya terhadap kita?


Sebab hal-hal sebegini, jika hendak digunakan untuk mendidik masyarakat pun, ia perlu dikeluarkan dalam bentuk umum. Sebab kita memang tidak akan mengetahui apa kondisi hati seseorang. Kita hanya dapat menjangka sahaja. Yang benarnya, hanya Allah tahu. Maka sekiranya kita menegur, kita tegur secara umum. Jika benar dia bersalah, dan teguran kita adalah teguran yang kena padanya, insyaAllah dia akan tertarik kepada kita dan memperbaiki dirinya.


Tidakkah begitu? [image error]



Ekstremis di dalam isu Zina Hati


Saya pernah menyarankan berkenaan: "Kalau rindu, jumpalah tunang. Ajaklah makan bersama famili." Kaedah ini diajar sendiri oleh guru saya, mudir saya, Ustaz Dahlan bin Mohd Zain.


Tetapi, wujud suara-suara menyatakan: "Ish, mana boleh. Nanti zina hati."


Pada saya, ini adalah pandangan yang ekstremis. Minta maaf saya sebut.


Cuba lihat kiri dan kanan anda, apa suasana masyarakat hari ini? Hubungan tanpa syara' itu sudah jadi kebiasaan bukan? Couple pegang-pegang tangan, dating dan sebagainya. Sebagai manusia biasa, memang kita pun ada hajat hendak melakukan demikian. Lebih-lebih lagi kalau yang bertunang tu memang bertemu pun tak pernah, atau sembang pun jauh sekali, sms pun hal-hal penting nak uruskan itu ini then full stop. Jadi apa salahnya me'rai'kan kegundahan jiwanya dengan cara yang syara'?


Kenapa mesti mengeluarkan isu Zina Hati di sini?


Tidakkah anda melihat bahawa teknik ini adalah 'gula-gula' untuk menenangkan 'anak yang merengek menangis'? Di sinilah seninya.


Contoh lain. Cerpen-cerpen jiwang yang syar'ie. Yakni ditulis berkenaan percintaan antara suami isteri. Mengapa diungkit perkataan Zina Hati? Kemudian dikaitkan pula dengan pengarangnya, dinyatakan pengarangnya juga Zina Hati. Mengapa demikian wahai manusia-manusia yang saya kasihi?


Tidakkah anda melihat dari satu sudut bahawa watak itu adalah SUAMI&ISTERI? Kemudian sejak bila pula anda menjadi TUHAN dengan menyangka penulisnya membayangkan yang bukan-bukan? Kemaruk itu dan ini? Sepatutnya, karya adalah karya. Penulisnya adalah penulisnya. Apakah jika seorang penulis berjaya menulis satu watak yang jahatnya tak boleh blah, sadis dan kejam, dikatakan kepadanya: "Dalam kepala enta ni ada juga bayang benda-benda begini ya."


Sedangkan, kadangkala, seorang penulis itu(contohnya saya) tidak menulis sesuatu itu dari 'pengalaman'(yakni pernah buat, atau mengkhayalkan diri membuatnya) tetapi mungkin karya itu terhasil dari maklumat-maklumat lain(bacaan, pengamatan) yang diadun dan digubah menjadi karya. Dan perlu dilihat juga, KESELURUHAN karya membawa kepada apa? Apa tema utama? Apa yang hendak disampaikan? Tidakkah ZINA HATI merupakan satu perkataan yang hakikatnya merupakan cebisan puzzle yang tidak tepat untuk melengkapkan 'puzzle' karya tadi?


Maka, jika ekstremis di dalam Zina Hati ini tidak dikawal, maka 'gula-gula' buat masyarakat dalam mengajak mereka kembali kepada 'cinta yang bersih', memperbaiki takrif mereka terhadap 'cinta', akan lenyap. Apakah begitu yang dikehendaki?


Maka tidak boleh wujud kompilasi Aku Terima Nikahnya, maka jangan ditulis Ayat-Ayat Cinta atau Ketika Cinta Bertasbih, maka jangan dibuat Tautan Hati dan Mawar Berduri, dan karya-karya Hlovate sepatutnya diharamkan. Kerana semua itu, sekiranya difikirkan secara ekstrim, mampu membawa kepada zina hati.


Bagaimana?


Maka di sini nasihat saya. Memang bagus niat baik nak risau fasal Zina Hati. Tetapi ekstrem juga bukanlah sesuatu yang bagus. Tambah-tambah, berkenaan hal hati yang 'tidak nampak' ini.


Betul? [image error]



Penutup: Zina Hati, Allah adalah saksi


Maka akhirnya, jika dilihat dan diperhatikan kembali, zina hati adalah sesuatu yang hanya Allah mampu menjadi saksi. Kita sebagai manusia, yang hendak mengajak diri dan masyarakat agar menjadi hamba yang Allah redhai, hanya mampu menjaga diri sendiri dan memberikan teguran kepada masyarakat dalam bentuk umum.


Adapun tuduhan, adalah tidak sesuai langsung hakikatnya. Oh, melainkan anda adalah Khidir di zaman ini, maka itu bukanlah termasuk di dalam ajakan saya ini. [image error]


Pesanan kepada semua pula, sekiranya benar hendak menjadi hamba yang Allah redha, maka hati adalah perkara pertama yang perlu dijaga. Niat, keikhlasan, kejelasan matlamat, semua perlu diperhatikan. Begitulah juga pentingnya menjaga hati dari maksiat-maksiat, lebih-lebih lagi yang halus menyusup seperti Zina Hati ini.


Hal ini kerana, apabila hati dijangkiti virus-virus ini, hubungan kita dengan Allah akan terganggu. Itu semestinya.


Allah adalah saksi. Walaupun mungkin orang lain tidak berhak menghukum kondisi hati kita. Tetapi Allah tahu.


Dan kita juga tahu kondisi hati kita sendiri, untuk melakukan perubahan.


Atau kita memilih untuk membiarkan? [image error]


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 11, 2010 12:32

Gambar: Malu dengan mereka


Perjuangan. Bukan semata-mata bicara. Tetapi digerakkan dengan amalan. Dan wujud pengorbanan. ~ Picture by chocosweete of deviant art

Perjuangan. Bukan semata-mata bicara. Tetapi digerakkan dengan amalan. Dan wujud pengorbanan. ~ Picture by chocosweete of deviant art



Malu dengan mereka






Apabila mendengar kisah mereka dilantunkan,


aku menjadi malu.


Malu dengan mereka.


Sungguh diriku sepatutnya menyambung perjuangan


tetapi diri ini kelihatan hanya di pinggiran


tidak serius


akhirnya panji kan bergalih tangan







aku malu dengan mereka yang awal,


juga mereka yang berjaya menyambung mereka,


orang-orang yang memancung malam dengan Ar-Rahman


yang hitam kelopak matanya memohon kasih Al-Mannan,


yang tidurnya sedikit mengerah tubuh untuk 'Adnan,


yang perutnya kempis diikat untuk mengajak ummat


yang darahnya menyembur tumpah di medan perjuangan


sedang aku


mencecah sedikit pun belum tentu







aku malu dengan mereka


usahaku baru secubit


belum lagi menggunung tinggi


maka apakah pantas aku menuntut rehat buat diri


sedang mereka yang awal


rehat mereka hanyalah mati







~Hilal Asyraf~


7.23AM


111010


dalam bilik, Irbid, Jordan


kesunyian pagi


Malu Dengan Mereka

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 11, 2010 04:30