Hilal Asyraf's Blog, page 149

September 28, 2010

Perkongsian: Membina Momentum Dakwah Dalam Diri Penulis


[image error]

Saya ketika mendeklamasikan Puisi di Reunion MATRI tempoh hari.


Pada 25hb 09 2010, saya telah dijemput untuk memberikan penyampaian berkenaan Penulisan. Tajuk yang diberikan kepad asaya adalah Membina Momentum Dakwah Dalam Diri Penulis. Alhamdulillah, penyampaian berjalan dengan lancar. Tinggal terkilannya saya tidak punya masa yang cukup untuk bersoal jawab dengan audiens memandangkan selepas itu saya perlu bergegas ke Putrajaya bagi menghadiri Reunion MATRI.


Di sini saya hendak kongsikan kertas kerja yang saya bentangkan pada penyampaian itu.


Semoga ada manfaatnya buat pelawat-pelawat Langit Ilahi yang mungkin ada hajat untuk menjadi penulis.


Semoga Allah redha.





Mukaddimah: Penulisan itu…


Penulisan. Saya pernah membaca kata-kata seorang ulama' bahawa Penulisan itu adalah salah satu amal jariah yang terbesar. Jika saya tidak silap, itu adalah kata-kata Imam Asy-Syafi'e Rahimahullah.


Saya melihat betapa benarnya kata-kata beliau itu, apabila saya mula nampak akan potensi penulisan. Mungkin jika kita perhatikan buku-buku yang hanya berputar di dalam Malaysia sahaja, kita sudah dapat melihat berapa jauhnya penulisan itu tersebar, dan berapa ramainya orang yang mampu mendapatkannya.


Itu belum lagi kita hitung penulisan-penulisan yang menembusi seluruh pelusuk dunia, seperti Buku La Tahzan, Buku-buku Steven Covey, Novel-novel seperti Harry Potter dan Twilight Saga, dan sebagainya.


Dan kita lihat pula bagaimana buku-buku terdahulu sebelum kita hidup melepasi waktu seperti Kitab Sohih Bukhari dan Muslim, Kitab Al-Muwatta', Kitab Al-Umm, Hadith 40 susunan Imam An-Nawawi, dan sebagainya yang hari ini masih kita baca dan menjadi bahan rujukan.


Menjadikan saya lebih melihat akan besarnya potensi penulisan ini, adalah apabila saya mendengar sendiri Ustaz Hasrizal bercerita akan kisah Gilgamesh yang ingin mencari cara untuk hidup selama-lamanya. Dan di akhir kembara Gilgamesh, dia menyatakan bahawa, cara untuk hidup selama-lamanya adalah dengan penulisan. Kerana idea kita terus hidup, selagi mana penulisan itu dibaca.


Tidak cukup dengan itu, teknologi dunia yang kini terus berkembang, membuatkan penulisan mampu tersebar lebih luas dan capaiannya lebih jauh.


Di sinilah seseorang penulis itu perlu melihat, betapa penulisannya itu mampu dijadikan sebagai modal untuk melakukan kebaikan yang banyak, dan satu teknik dalam mengajak manusia kembali menghubungkan diri mereka kepada Allah SWT.


Kerana potensi penulisan itu, adalah sesuatu yang teramat besar, untuk dirugikan dan dibiarkan begitu sahaja untuk sesuatu perkara yang tiada maknanya.



Keperluan kepada dakwah


Manusia hakikatnya memerlukan kepada dakwah.


Hal ini kerana, di dalam jiwa manusia berlaku pergelutan antara kebaikan dan kejahatan. Apakah definisi baik dan jahat? Mungkin kita boleh ukur dengan pelbagai ukuran. Tetapi, ukuran yang selayaknya adalah ukuran Allah SWT. Apa yang Allah kata baik, itulah yang kita baik, dan begitulah juga sebaliknya.


"Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;" Surah As-Syams ayat 8.


Maka manusia memerlukan dakwah untuk menarik mereka ke arah ketaqwaan itu. Yakni ke arah apa yang Allah redha. Ke arah mentaati Allah dan meninggalkan larangan-laranganNya. Ke arah membina tiang-tiang keimanan kepada Allah dan tidak lagi mengambil cara hidup selain cara hidup yang diarahkan olehNya.


Seandainya gelombang dakwah kepada kebaikan itu tidak wujud, maka manusia akan lebih mudah mengikuti kejahatan kerana kejahatan itu lebih hampir kepada kesukaan nafsu manusia.


"Syurga dipagari dengan perkara yang dibenci dan neraka dipagari dengan nafsu." (Riwayat Muslim)


Maka di sinilah wujudnya keperluan yang tinggi di dalam dakwah.


Sekiranya manusia itu, dengan sendirinya dapat bergerak ke arah kebaikan, tanpa ada yang menyeru dan mengajak mereka, tanpa ada yang berusaha untuk mendidik dan memimpin mereka, nescaya Allah tidak menghantar para Rasul pada setiap zaman dan kaum untuk menyampaikan didikan dan amanah daripada Allah SWT.



Arahan Allah berkenaan dakwah


Allah SWT menyatakan di dalam firmanNya:


"Serulah manusia ke jalan Rabb-mu (Allah) dengan jalan hikmah (hujjah) dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik" (an-Nahl 125)


"(dan) orang-orang yang beriman laki-laki dan perempuan, sebagian mereka menjadi penolong bagi sebagian yang lainnya. Mereka menyuruh kepada yang baik dan mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah dan sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (At-Taubah 71)


"Katakanlah, inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku, mengajak kepada jalan Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik" (Yusuf 108)


Memerhatikan akan kumpulan arahan ini, jelas kepada kita bahawa dakwah kepada jalan Allah itu hakikatnya adalah satu kewajipan untuk semua. Bukan terletak kepada bahu Rasul semata-mata, dan tamat pada Rasulullah SAW sahaja.


Maka, seorang muslim mukmin, yang faham bahawa Allah itu mesti diimani sebagai ILAH dan RABB, serta ISLAM itu mesti diambil sebagai jalan hidup, hendaklah berusaha menyeru manusia kepada perkara itu.


Jika tiada apa kebolehan, cukuplah dengan akhlak yang baik, dan mempraktis Islam itu dalam keadaan yang terbaik sebagai satu bentuk dakwah.



Tetapi kamu wahai Penulis, mempunyai kelebihan!


Penulis, adalah seorang yang menulis. Tidak kira menulis artikel, cerpen, novel atau puisi, tidak kira juga dalam apa genre. Tidak kira juga sama ada di dalam buku, mahupun di dalam blog. Penulis adalah seorang yang menulis.


Apakah kelebihan penulis?


Kerana dia mampu menulis sesuatu. Mampu melakar idea untuk menulis sesuatu. Baik dalam bentuk cerita untuk medan Novel dan cerpen, mahupun dalam lenggok bahasa indah untuk medan puisi, di dalam artikel-artikel menarik untuk medan blog, website dan majalah.


Penulis mempunyai abiliti, untuk digunakan di dalam dakwah ini. Dia sepatutnya tidak sekadar berdiam diri atau menggunakan abiliti penulisannya ke arah sesuatu yang tidak membawa manusia kembali kepada Allah SWT. Hal ini kerana, sebagaimana yang kita ketahui tadi, Dakwah adalah wajib kepada kita.


Sepatutnya, kelebihan ini digunakan oleh penulis untuk menyampaikan Islam seluas-luasnya. Menyampaikan Islam dalam bentuk yang mudah difahami, dalam bentuk yang menarik, dalam bentuk yang menyentuh hati, dalam bentuk yang lebih dekat dengan masyarakat. Bukanlah kita memberikan masyarakat apa yang masyarakat mahu.


Kita memberikan masyarakat apa yang masyarakat perlu!


Dan Islam adalah keperluan masyarakat sepanjang zaman hakikatnya.



Kreatif dalam berdakwah


Saya tidak akan sesekali menyatakan bahawa, penulisan adalah satu-satunya cara berdakwah, atau penulisan merupakan dakwah yang paling efisyen. Hal ini kerana, dakwah itu perlu dilaksanakan dari pelbagai cabang dan jalan, cara dan upaya, supaya capaiannya lebih jauh dan sebarannya lebih meluas.


Namun saya nyatakan di sini adalah, penulisan adalah salah satu cara berdakwah yang menarik dan kreatif.


Hal ini kerana, penulisan ada keunikannya yang tersendiri. Lebih-lebih lagi selepas penulisan itu berjaya dibukukan.


Penulisan adalah perkara pegun dan tidak bergerak. Selepas dibukukan, ia kekal selagi mana buku itu wujud. Atau jika diletakkan di dalam blog, ia kekal kecuali selepas virus menyerang atau didelete.


Justeru, apabila kebosanan melanda pembaca, dia boleh berehat sebentar sebelum menyambungnya semula. Melainkan penulisan kita itu terlampau tidak bagus, barulah mungkin buku kita akan dibuang begitu sahaja(biasanya perkara ini jarang terjadi). Namun jika kita merupakan penulis yang bagus, bijak menarik perhatian pembaca, sering berusaha menajamkan seni penulisan kita dan memberikan kejutan kepada pembaca, pastinya pembaca tidak akan berganjak dari membaca penulisan kita.


Bahkan, mengikut pengalaman saya, ada ramai pembaca yang sanggup mengulang pembacaannya melebihi 10 kali kerana terlalu terkesan dengan buku yang dibacanya. Tidak cukup dengan itu, ada pembaca yang berubah kehidupannya selepas terkesan dengan isi buku bacaannya.


Maka di sinilah penulis sepatutnya mempergunakan fitrah penulisan itu, di atas jalan mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Penulis sepatutnya kreatif dalam memikirkan, bagaimana hendak membawa manusia pulang kepada Allah dengan wasilah penulisannya.


Penulisan itu sendiri sudah merupakan antara salah satu cara kreatif dalam menyampaikan dakwah. Tetapi di dalam penulisan, kreatif juga diperlukan. Maka penulis yang faham bahawa dakwah merupakan satu kepentingan, perlulah sentiasa kreatif dalam mereka sesuatu yang mampu menarik perhatian pembacanya, agar sampai kepada mesej yang hendak disampaikan.


Di sinilah penulisan, menjadi satu dakwah kepada masyarakat.


Penulis hakikatnya adalah Da'ie!



Medan penulisan, medan pembinaan ideologi


Kita melihat beberapa karya popular, sehingga mampu menembusi negara kita, bahkan menjadi kegilaan masyarakat sedunia.


Antara contoh mudah adalah: Harry Potter.


Jika kita melihat dengan lebih teliti, apakah yang diberikan oleh Harry Potter kepada masyarakat kita? Ya, dunia fantasi penuh menarik, dengan sihir-sihir yang unik, dengan kehidupan seorang Harry Potter yang awalnya kelihatan naif.


Memang dari satu sudut, kita memandang kisah Harry Potter sebagai satu hiburan semata-mata. Tetapi apakah yang datang bersama hiburan itu? Harry Potter mengajak manusia pulang kepada Allah kah? Adakah sihir itu sesuatu yang dibenarkan di dalam Islam atau di dalam Christian?


Bagaimanakah kesan Harry Potter di dalam hidup masyarakat?


"I get letters from children addressed to Professor Dumbledore [headmaster at Hogwarts School of Witchcraft and Wizardry, the books' setting], and it's not a joke, begging to be let into Hogwarts, and some of them are really sad. Because they want it to be true so badly they've convinced themselves it's true." (-Malcolm Jones, "The Return of Harry Potter!", Newsweek (Online), July 1, 2000, page 4.


Itulah kesannya. Sehingga begitu.


Tetapi apakah saya boleh menyalahkan J.K. Rowling kerana menulis buku sedemikian? Tidak. Dia ada hak dia. Dia ada agama dia dan kepercayaan dia. Dia ada target dia. Mungkin dia pun langsung tidak berniat untuk mengajak anak-anak ke alam sihir, tinggal mungkin idea alam sihir itu menarik bagi memotivasikan anak-anak.


Itu untuk J.K. Rowling.


Tetapi untuk kita? Penulis yang agamanya Islam. Penulis yang tuhannya Allah. Penulis yang rasulnya Rasulullah?


Apakah yang kita selitkan di dalam penulisan kita? Ke manakah kita membawa pembaca kita? Apakah yang telah kita cuba naikkan dan biar pembaca kita nampak di dalam penulisan kita?


Persoalan ini sepatutnya kita tanya kepada diri kita.


Kita lihat keberjayaan J.K. Rowling, J.R.R. Tolkien, Sir Arthur Conan Doyle, dan ukuri pula sejauh mana kita mempopularkan Islam, mempromosikannya, dan mendidik masyarakat agar lebih mengenali Islam dan menghayatinya?


Kita lihat pula Sir Arthur Conan Doyle dengan cerita sensasinya yang sehingga kini masih menjadi kegilaan ramai: Sherlock Holmes.


Menurut sumber wikipedia berkenaan Sherlock Holmes, dinyatakan bahawa ramai pembaca yang berharap bahawa Sherlock Holmes itu adalah watak yang sebenar dan bukan sekadar rekaan, kerana terlalu terkesan dan seronok dengan watak yang dipaparkan oleh Sir Arthur Conan Doyle itu.


Tetapi kita penulis Islam, di manakah kita dalam mempromosikan watak-watak yang mampu menjadi qudwah, dalam mengembalikan manusia kepada Allah SWT, dan membangkitkan semula nilai-nilai murni dalam kehidupan insan?


Sejauh manakah kita menggunakan bakat dan kelebihan yang ada pada kita, untuk dakwah?


Sedangkan kita beriman bahawa acuan Allah adalah yang terbaik.


"Acuan Allah, siapakah yang lebih baik acuannya daripada Allah?" Surah Al-Baqarah ayat 138.



Evolusi dari penulisan, medan dakwah yang luas.


Jika kita perhatikan, penulisan adalah basis penting dalam pelbagai media yang lain.


Sebagai contoh, pelukis komik yang baik, dia memerlukan jalan cerita yang bagus. Pelukis yang mempunyai lukisan yang hebat, tetapi tidak mampu membuat jalan cerita yang bagus, dia tidak akan ke mana-mana dalam komiknya. Kerana komik adalah cerita.


Sebab itu saya terbaca, satu idea yang menarik dari komik jepun bernama Bakuman, adalah apabila penulis bergabung dengan pelukis, maka jalan cerita lukisannya menjadi sangat menarik, kemas dan padat.


Dari penulisan, ia boleh berevolusi menjadi komik.


Tanpa kita sedari, karya-karya J.K. Rowlings, J.R.R. Tolkien, Sir Arthur Conan Doyle dan ramai lagi juga berevolusi menjadi filem.


Bahkan, lagu-lagu juga terbina dari penulisan.


Dan tidak mampu kita sangkal lagi, ceramah-ceramah yang disampaikan oleh orang-orang yang hebat, adalah dengan mereka merujuk buku-buku.


Bahkan, lagi tidak mampu kita sangkal adalah, yang melahirkan kebanyakan orang-orang hari ini, adalah apa yang mereka baca.


Lihatlah sejauh mana penulisan itu mampu berevolusi!


Maka, apabila kita menjadikan penulisan itu sebagai satu dakwah, dan dakwah itu hidup dalam segenap huruf penulisan kita, dalam seluruh ayat yang kita tulis, dalam setiap jalan cerita yang kita buat, maka semestinya dakwah itu akan tersebar sangat luas dan bergerak amat jauh.


Sepatutnya, penulis yang memahami akan kepentingan dakwah dan tanggungjawabnya untuk mengislah masyarakat, akan menggunakan bakatnya di dalam penulisan, dan memanipulasikan segala potensi penulisan itu hingga ke tahap maksimas.


Sebab itu saya kira, seorang penulis, tidak sepatutnya sekadar berpuas hati, karyanya dibaca di khalayak pembaca Malaysia sahaja. Sepatutnya diusahakan karyanya itu sebagus mungkin, menembusi pasaran luar negara. Sepatutnya diusahakan, agar karyanya itu berevolusi menjadi drama, filem, atau komik.


Sekiranya dia menulis untuk berdakwah, dan dakwah itu memerlukan kreativiti, dan dia faham bahawa penulisan itu hanyalah salah satu dari banyak kreativiti dakwah, pasti dia akan berusaha memaksimakan peluang penulisannya agar muncul dalam bentuk lain dalam menarik pembaca(yang mungkin nanti berevolusi menjadi penonton) agar lebih dekat dengan mesej-mesej Islam, dan hidup dalam suasana tarbawi.


Kita toleh kiri dan kanan kita, media hari ini menyediakan kita apa?


Bagaimana cara pemakaian yang ditonjolkan?


Bagaimana syakhsiah yang diberikan?


Kemudian kita kecoh akan jenayah yang berleluasa? Kemudian kita sibuk kenapa banyak anak luar nikah, bunuh dan sebagainya? Kemudian kita hairan kenapa anak-anak kita kurang ajar dan tidak beradab serta sebagainya?


Hakikatnya, kita yang tidak membina suasana.


Sedangkan, musuh-musuh Allah itu bijak menyelinap membina suasana agar manusia jauh daripada Allah SWT.



Maka penulis perlu melihat semula, peri penting dakwah dan membina peribadi mereka


Di sinilah penulis perlu melihat, betapa abiliti yang wujud pada diri mereka, mempunyai potensi yang besar dalam dakwah. Betapa penulisan mereka mampu menjadi salah satu saluran penting dalam membina minda dengan membentuk suasana.


Maka penulis yang memahami akan kepentingan ini, perlulah kembali melihat diri.


Allahyarham Sheikh Mustapha Masyur ada berkata:


"Aslih nafsak, wad'u ghairak." yang membawa maksud perbaiki diri kamu sambil ajaklah orang lain.


Maka penulis sendiri perlulah mempunyai satu rasa yang kuat, untuk membentuk dirinya menjadi hamba yang Allah SWT redhai, sambil menarikan jemarinya dalam mengajak manusia lain kembali kepada Allah SWT.


Hanya penulis yang benar-benar mempunyai hubungan dengan Allah SWT sahajalah, yang mampu melihat betapa besarnya akan dakwah ini, dan mampu menggerakkannya. Kehidupan penulis akan diuji hebat. Lumrah manusia yang mempunyai kelebihan. Pasti ujiannya lebih dari manusia biasa.


Populariti, duit royalti, semuanya menggugah.


Bahkan hendak menulis sesuatu yang melawan arus masyarakat, bukan hendak memberikan apa yang masyarakat mahu tetapi hendak memberikan apa yang masyarakat perlu, memerlukan satu ketabahan dan kecekalan.


Dan hanya penulis yang mempunyai hubungan dengan Allah, yang percaya kepada Allah, yang meyakini apa yang Allah suruh itu baik, mengimani bahawa acuan Allah adalah yang terbaik, yang akan cekal dan tidak mengalah, yang akan sabar dan berusaha untuk istiqomah, yang akan berusaha dan menggerakkan dakwah.


Titik tolak perlu betul di dalam hal ini.


Momentum dakwah boleh sahaja terbina kerana hendakkah pengikut yang ramai, momentum dakwah boleh sahaja terbina kerana hendakkan duit dan populariti. Sudah ramai di dalam sejarah, gugur kerana kesilapan dalam noktah bidayahnya pada dakwah.


Silap di titik permulaan, adalah punca kelesuan di tengah kegencaran perjuangan.


Maka penulis yang hendak menjadikan penulisannya satu sumber dakwah, perlulah memahami bahawa keimanan kepada Allah itu, adalah titik bidayah yang benar. Melaksanakan perkara ini, adalah kerana kita beriman kepada Allah, meyakini janji-janjiNya, dan mengharapkan cintaNya serta redhaNya.


Di sini kita lihat, apa yang Allah janjikan untuk manusia yang bergerak dan berusaha berdakwah di atas jalanNya.


1. Predikat sebaik-baik ummat (khairu ummah)



"Kamu sekalian adalah sebaik-baik ummat (khairu ummah) yang diturunkan kepada manusia, menyeru kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah"(Ali Imran 110)


2. Menjadi kelompok yang beruntung



"Hendaklah ada sekelompok diantara kamu yang mengajak kepada Islam (al-khair), menyeru kepada yang ma'ruf dan menjegah dari yang mungkar. Itulah orang-orang yang beruntung" (Ali Imran 104)


3. Pahala yang terus mengalir



"Jika manusia mati, putuslah amalnya kecuali tiga macam: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak shaleh yang mendoakan kedua orang tuanya" (HR. Muslim)


"Man sanna fi al-Islami sunnatan hasanatan falahu ajruha wa ajru man 'amila biha ba'dahu min ghayri an yanqusha min ujurihim syai'un, wa man sanna fi al-Islami sunnatan syayyi'atan kana 'layhi wizruha wa wizru man 'amila biha min ba'dihi min ghayri an yanqusha min awzarihim syai'un "- Barang siapa membuat (menganjurkan dan mengamalkan) kebaikan dalam Islam maka ia akan mendapat pahala serta tambahan pahala dari orang yang mengikuti (ajarannya itu) tanpa sedikitpun mengurangi ganjaran orang itu. Dan barang siapa membuat (menganjurkan dan mengamalkan) keburukan, maka ia akan mendapat dosa serta tambahan dosa dari orang yang mengikuti (ajaran itu) tanpa sedikitpun mengurangi dosa orang itu."(HR. Muslim)


4. Allah berjanji akan mengampuni semua dosa, memberikan surga, pertolongan dan kemenangan yang dekat, sebagaimana tersebut dalam surah Ash Shaff 10 - 13



"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?(yaitu) kamu beriman kepada Alah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya."


"Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman"


Tidakkah kita teruja?



Penutup: Memandang dengan lebih besar dan lebih jauh


Janji-janji itulah yang kita percaya. Dan kita yakin bahawa akhirat adalah kampung kita. Kita melihat dunia ini adalah modal untuk kita mendapatkan akhirat kita. Sebab itu, kita berusaha menggunakan apa yang kita ada, untuk mendapatkan tempat yang terbaik di akhirat sana.


Kita juga tidak hanya memandang akhriat semata-mata. Bahkan pengejaran kita kepada akhirat itu, membuatkan kita membina dunai dengan sebaik-baiknya.


Kita lihat dan pandang dengan lebih jauh dan lebih besar.


Mengapa kita tidak gegarkan penulisan di Malaysia ini dengan penulisan-penulisan yang membawa manusia itu kembali rapat kepada Allah? Mengapa kita tidak naikkan semula Islam itu di dalam penulisan kita? Mengapa Islam itu, tidak diangkat menjadi tema di dalam penulisan kita? Sedang di dalam Islam ada segala-gala.


Dari kita sebarkan nilai murni kosong tanpa sokongan, lebih baik kita sebarkan nilai murni dengan Islam sebagai tongkatnya. Ia menjadi lebih utuh dan teguh. Menyedarkan masyarakat bahawa nilai murni ini adalah saham akhirat mereka. Menyearkan masyarakat bahawa mereka mempunyai Allah yang wajib ditaati dan disembah, dipercayai dan diimani. Menyedarkan masyarakat bahawa, mereka mempunyai sistem bernama Islam yang wajib diambil sebagai cara hidup.


Sepatutnya penulis yang memahami perkara ini, memandang lebih jauh.


Bukankah di hujung jarinya, dia sedang mencorakkan dunia?


Kita hendak memenuhkan rak buku di kedai-kedai yang buku yang bagaimana?


Yang meruntuhkan masyarakat, atau yang membinanya?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 28, 2010 04:39

Puisi Istimewa: Di Atas Bumi Wakafan Itu dan Murabbiku Telah Pergi.

[image error]

Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Tunjong, Perlis.



Saya baru pulang dari KL. Kepala masih blur-blur lagi sebab perjalanan ke hulu-hilir tanpa henti, program itu program ini silih berganti. Badan macam remuk la pula. 4 bulan non stop hulu-hilir. Sampai ada seorang pakcik tu nasihatkan: "Badan tu banyak lagi nak kena guna. Beringat-ingat sikit."


Baik pakcik.


Jadi, tempoh hari, pada 25hb 9 2010, saya menghadiri Reunion MATRI yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Lepasan MATRI. Kebanyakan pelajar MATRI dari pelbagai generasi berkumpul, termasuklah Imam Muda Asyraf yang merupakan Pelajar MATRI Batch SPM 2002 turut hadir sama.


Saya tak mahu ulas panjang.


Post ini saya hanya hendak nukilkan semula dua puisi yang saya baca semasa majlis tersebut.


Semoga Allah redha dengan dua puisi ini.





[image error]

MATRI disimbahi mentari.


Puisi Di Atas Bumi Wakafan Itu



Di atas bumi wakafan itu,


Aku duduk dan berteleku,


Diam dan membisu beberapa waktu,


Sukma kenangan tiba,


Terimbas segala peristiwa.







Aku insan biasa tidak punya apa,


Kosong berdiri tanpa angka,


Tidak pernah tahu untuk apa hidup di atas dunia,


Juga tidak pernah kenal akan Yang Esa,


Di atas bumi wakafan itu,


Aku jumpa segalanya.







Aku seakan berada di tamanan syurga,


Bi'ah solehah yang menghidupkan jiwa,


Manhaj rabbani menggerak segala,


Murabbi mithali sebagai penjaga,


Membesar dan membesar, aku membesar,


Seakan berada dalam tapak semaian, disuburkan cinta dalam diriku kepadaNya


Seakan berada di dalam kilang, diproses menjadi Hamba Yang Esa,


Semuanya di atas bumi wakafan itu,


Seakan diri ini di dalam lombong mutiara,


Syurga di atas dunia.







Aku kini telah pergi meninggalkannya,


Keluar menjadi duta sebagaimana yang dididiknya,


Membelah dunia dengan tamayyuz,


Uzlah syu'uriah tammah menongkah arus,


Keluar menjadi yang terbaik di atas dunia bukan dayus,


Tarbiyah di atas bumi wakafan itu,


Hidup kemas di dalam jiwaku,


Bahkan abadi selepas matiku,


Kuwariskan, kusebarkan,


Membawa manusia kembali kepada Ar-Rahman.







Bumi wakafan masih utuh berdiri,


Terus menerus mengasuh insan Rabbani,


Walau satu persatu penggeraknya dijemput pergi,


Walau pengasas utamanya hilang dari dunia ini,


Tarbiyah terus berjalan walau beribu liku,


Di atas bumi wakafan itu.







Tidak sekali ditawar akademik cemerlang,


Yang disua adalah peribadi gemilang,


Menanam kesyumulan di dalam diri,


Resepi utama di atas bumi wakafan itu


Memprodus anak-anak syurga,


Menghasil The Best In The World.







Maka sia-sialah yang tidak membuka hati mereka,


Maka sia-sialah kepada yang sekadar berbangga-bangga,


Yang beruntung hanyalah yang membumikan,


Yang beruntung hanyalah yang meneruskan,


Ritma-ritma yang timbul di atas bumi wakafan,


Ulama' warasatul anbiya' dijadikan kenyataan,







Aku tersenyum,


Bangun dan semangatku menggunung,


Tidak aku cerita akan pencapaian madrasah itu,


Tetapi aku laungkan isinya kepada jiwaku,


Bergerak dan bergerak, aku terus bergerak,


Mengaplikasikan dan menyebar melepasi lautan biru,


Apa yang kuperolehi di atas bumi wakafan itu,







Bumi Wakafan itu bernama MATRI,


Tempat aku membesar menjadi hamba Ilahi.








[image error]

Gambar 'kedua terakhir' saya dengan Ustaz Dahlan.



Puisi: Murabbiku Telah Pergi



Aku berdiri di sini,


Bukan untuk memuja,


Jauh sekali untuk mengkuduskan dirinya,


Hanya mengimbas kembali,


Akan murabbiku yang telah pergi.







Murabbiku telah pergi,


Perginya takkan sekali kembali,


Perit rasa menelan realiti,


Tetapi inilah hakiki,


Belasungkawa aku lepaskan,


Selepas beberapa waktu kuhentikan tangisan,


Murabbiku, andai air mata ini punya makna buat dirimu,


Pasti akanku menangis hingga kekeringan,


Hingga tiada lagi mutiara yang berjejesan.







Namun sekujur tubuh itu pastinya menolak,


Murabbiku yang telah pergi itu bukan suka diratap,


Tetapi andai sukma-sukmanya diteruskan,


Aku amat pasti di syurga sana dia kegembiraan.







Murabbiku yang telah pergi,


Tubuhnya sederhana,


Namun jiwanya perkasa,


Pandangannya jauh mencapai syurga,


Ideanya praktis bergerak sentiasa,


Walau sakit tegar merai kelilingnya,


Walau di atas katil tetap terus memberi,


Qaudwah dan syakhsiah senjata utama,


Mengajak manusia kembali menjadi hamba,


Pemimpin kepada diri untuk mengubah dunia,


Bukan untuk menjadi pengikutnya,


Sabar dan istiqomah,


Itu bukan perkara yang mampu kalian sanggah.







Murabbiku telah pergi,


Dan dia tiada lagi,


Namun ajaranya masih menyengat,


Kemesraan dan kasihnya masih hangat,


Membuatkan jiwa ini teringat-ingat,


Akan sekujur tubuh yang menjadikan mati sebagai rehat,


Murabbiku pergi diikandung tanah,


Yang diwariskannya kepada kami hanya dakwah dan tarbiyah.







Oh murabbiku telah tibalah waktu rehatmu,


Maka damailah dirimu dari sakit yang membebankanmu,


Oh murabbiku telah tibalah waktu rehatmu,


Maka damailah akalmu yang dikerah untuk perjuanganmu,


Oh murabbiku telah tibalah waktu rehatmu,


Maka damailah tubuhmu yang bekerja untuk Rabbmu,


Oh murabbiku telah tibalah waktu rehatmu,


Maka damailah hati yang menahan perit cerca pada dirimu,


Oh murabbiku telah tibalah waktu rehatmu,


Maka damailah jiw ayang menahan derita melihat kerosakan ummatmu.







Murabbiku telah pergi,


Dan dia telah tiada,


Tetapi aku, kau dan kita semua masih wujud di atas dunia,


Murabbiku telah pergi,


Tetapi kita anak muridnya di merata dunia,


Murabbiku telah pergi,


Dan kitalah yang patut meneruskan langkahannya.







Inilah dia coretan hati,


Buat murabbku yang telah pergi,


Bukanlah kita mendapat kemuliaan,


Dengan menyebut memuja manusia bernama Dahlan,


Tetapi yang mulia hakikatnya itu,


Adalah mereka yang meneruskan perjuangan,


Memberikan sumbangan,


Istiqomah menjadi ibadurRahman.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 28, 2010 01:49

September 23, 2010

Gambar: Menghayati



Indah. Dan ini bukan satu-satunya keindahan di dalam dunia. Tetapi sejauh manakah kita menghargai, dan memulangkan keindahan ini, kepada Allah SWT? ~Picture by Patrickruegheimer of Deviant Art

Indah. Dan ini bukan satu-satunya keindahan di dalam dunia. Tetapi sejauh manakah kita menghargai, dan memulangkan keindahan ini, kepada Allah SWT? ~Picture by Patrickruegheimer of Deviant Art




Kadang-kadang,


Diam pilihan yang terbaik,


Awang-awang,


Aku menghayati hingga jiwaku pulang








~Hilal Asyraf~


0501PM


23092010


Hujan


Rumah, Johor


Malaysia

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 23, 2010 09:07

September 21, 2010

Istimewa: Buat Pembaca cilik.


[image error]

Ahmad Ridhwan Ghazali namanya. Menyapa saya tika di KLIA, Ahad lalu.




Terima kasih kepada adik ini


Yang menambah kekuatan di dalam kehidupan saya


Saya abadikan gambar ini di website ini


Sebagai menghargainya


Yang ingin bergambar dengan saya


Terima kasih sekali lagi


Ketahuilah adik, saya gembira.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 21, 2010 07:38

Istimewa: Khas Mengenang Ustaz Dahlan.

[image error]

Tinggal perjuangan yang hendak diteruskan sahaja.

Beberapa hari ini, setiap kali saya memandang telefon bimbit saya, saya akan merasa sayu.

Sebab saya seakan ternanti-nanti mesej: "Ustaz dah sihat. Alhamdulillah." Atau: "Syukur, perkembangan terkini UDMZ ada peningkatan. Memuaskan." Dan sebagainya.

Tetapi nanti akan ada suara yang memotong: "Ustaz dah tak ada Hilal"

Dan sebak akan muncul.

Dan rasa sakit akan mencucuk-cucuk. Air mata akan berjejesan.

Memang saya tidak mengalirkan air mata...

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 21, 2010 05:55

September 20, 2010

Gambar: Ummi dan Ibu

Ibu&Ummi, berbekas di dalam hati. ~ picture by admintu of deviant art

Ibu&Ummi, berbekas di dalam hati. ~ picture by admintu of deviant art

Dunia ini bukan harganya

Untuk menandingi kamu berdua

Wahai Ibu&Ummi

Dan ini adalah nyata


Aku kira aku bukan manusia

Jika Allah tidak anugerahkanku kamu berdua

Wahai ibu&Ummi

Sederhana kalian membuah bahagia


Membesar di bawah jagaan Ummi

Di pertengahan jalan hidup bertemu Ibu

Kasih Allah seakan tiada garis pasti

Terus terusan berkembang tanpa henti

Sudah bahagia ditambah-tambah lagi


Dari Ummi aku belajar

Dari Ibu aku teguk hikmah

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 20, 2010 16:29

Perkongsian: Islam itu bukan program kelab@persatuan.

Memahami Islam secara hakiki, bukan semata untuk berfakta, tetapi untuk membumikannya ke dalam nyata. ~ picture by walas-ca of deviant art

Memahami Islam secara hakiki, bukan semata untuk berfakta, tetapi untuk membumikannya ke dalam nyata. ~ picture by walas-ca of deviant art

Tempoh hari saya ada mencetuskan satu ayat: "Islam itu bukan program kelab@persatuan" dan alhamdulillah, ramai yang memberikan pandangan masing-masing. Jujurnya, saya amat menghargai semua pandangan yang diberikan. Bahkan sebenarnya saya senang dengan partisipasi yang telah ditunjukkan. Ini menunjukkan kebersamaan kita ada. Saya sebenarnya risau menjadi...

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 20, 2010 05:04

September 19, 2010

Murabbiku, Ustaz Dahlan Mohd Zain telah tiada.

[image error]

Kubur Ustaz Dahlan Mohd Zain

Kadang-kadang realiti itu pahit untuk ditelan. Kadang-kadang hakikat itu amat sakit untuk dihadapi. Tetapi itulah yang manusia perlu lalui. Suratan takdir memang tak akan ada sesiapa yang mampu untuk menjangkanya. Tugas manusia hanya berusaha, natijah-natijah yang melengkapkan sebuah 'realiti' perlu diterima dengan rela dan redha.

Semalam, 18092010, sekitar pada pukul 10.00 pagi, murabbi yang saya kasihi, Ustaz Dahlan Mohd Zain telah dipanggil pergi oleh Allah...

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2010 06:19

September 18, 2010

Istimewa


Istimewa itu kupetik. ~ picture by meriirem of deviant art

Istimewa itu kupetik. ~ picture by meriirem of deviant art






Istimewa


Satu rasa tanpa terjemahan


Tiada mampu ditulis walau sasterawan


Mahupun diluah oleh cendikiawan







Istimewa


Mungkin pada yang lain biasa sahaja


tetapi yang merasa


ia nyata luar biasa







Istimewa


Hari ini


Aku tarah dalam jiwa


Dan kuingat hingga akhirat sana







~Hilal Asyraf~


0218PM


17092010


Rumah, Johor


Malaysia


Sebelum bertolak.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 18, 2010 01:00

September 17, 2010

Perkongsian ringkas: Islam bukan program kelab@persatuan.

Kita memandang Islam itu bagaimana? ~ Picture by soulflamer of deviant art

Kita memandang Islam itu bagaimana? ~ Picture by soulflamer of deviant art

Hari ini saya tidak mahu bercakap panjang. Anda tidak perlu read more pada hari ini.

Cuma hari ini saya hanya hendak mengeluarkan satu ayat.

Untuk anda baca dan hayati.

Anda boleh berikan pandangan dan komen, atau mungkin anda fikir ada makna yang besar daripada ayat ini, maka boleh luahkannya.

Apa ayat yang saya hendak katakan dan kongsikan bersama hari ini?

Ini:

"Islam itu bukanlah satu program kelab@persatuan"

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 17, 2010 03:57