Hilal Asyraf's Blog, page 146
October 21, 2010
Perkongsian: Lihatlah dia, dan lepaskanlah kebencian kamu.

Hulurkanlah kemaafan. Allah akan menyambutnya walaupun mereka tidak mempedulikan. ~ picture by Lady-Tori of Deviant Art.
Mari kita cakap fasal memaafkan orang lain lebih sikit. Saya sukalah pula bab ini. Untuk pujuk-pujuk diri juga. Merawat hati yang berlubang ini.
Hari ini, saya sekadar hendak memberikan contoh terbaik di dalam hal ini.
Lihatlah dia.
Dan lepaskanlah kemarahan kamu.
Dia - Rasulullah SAW. Lihatlah.
Siapa yang tidak kenal akan Abu Jahal dan sengeketanya terhadap Rasulullah SAW. Abu Jahal pernah mencampak perut unta pada tengkuk baginda saat Rasulullah SAW sedang sujud di sekitar Ka'bah. Hingga Fatimah RH menangis melihat keadaan Rasulullah SAW.
Tetapi Rasulullah SAW pada suatu hari, pernah berdoa kepada Allah SWT:
"Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan islamnya salah satu dari kedua hambaMu ini, Umar Al-Khattab dan Amru ibn Hisyam(nama sebenar Abu Jahal)"
Mengapa masih didoakan Abu Jahal?
Siapa yang tidak tahu akan tindakan Kaum Taif kepada Rasulullah SAW. Hingga pecah kaki baginda berdarah dibaling batu tanpa belas kasihan oleh penduduk tempat itu.
Tetapi apakah yang Rasulullah buat ketika peluang menghapuskan kaum itu tiba?
"Jangan. Moga-moga dari tulang sulbi mereka nanti, akan muncul manusia-manusia yang beriman kepada Allah SWT."
Mengapa masih didoakan mereka dengan kebaikan?
Ketika kepala baginda dihentam batu saat kaum musyrikin Makkah bersungguh-sungguh menyambar peluang untuk membunuh baginda di medan Uhud, hingga menyebabkan darah baginda tumpah mengalir.
Tetapi apakah yang baginda sebutkan pada saat yang menyakitkan itu?
"Ya Allah, ampunilah ummatku ini, sesungguhnya mereka itu tidak mengetahui."
Satu hari, Thufail bin Amr RA datang kepada Rasulullah SAW dan memberitahu bahawa kaumnya, Bani Daus tidak mahu beriman kepada Rasulullah SAW walaupun sudah sekitar 3-4 tahun di dakwah.
Tetapi apakah yang baginda sebutkan?
Baginda mengangkat kedua tangan baginda dan berdoa: "Allahumahdi dausan. Allahumahdi dausan." bermaksud: Ya Allah, berikanlah hidayah kepada Bani Daus, ya Allah, berikanlah hidayah kepada Bani Daus.
Pada suatu hari, jiran baginda, seorang yahudi yang keras membenci baginda, menabur duri pada jalan baginda, kuat menghina baginda, jatuh sakit.
Apakah yang baginda lakukan? Adakah baginda bergembira dengan penderitaannya?
Baginda berizarah, bahkan membantu mempermudahkan urusan yahudi tersebut.
Abdullah ibn Ubai ibn Salul, kepala munafiq, yang sering memfitnah baginda, membenci baginda, menikam belakang tubuh baginda(khianat) dan amat keras permusuhannya dengan baginda serta sering menyukarkan baginda.
Orang ini, pada hari kematiannya, apakah yang Rasulullah SAW lakukan?
Baginda mendoakannya. Hingga Allah menegur Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa kalau Rasulullah SAW mendoakan Abdullah ibn Ubai ibn Salul ini 70 kali sekalipun, tetap Abdullah ibn Ubai ibn Salul ini tempatnya di neraka.
Apakah yang Rasulullah SAW lakukan apabila mendengar teguran itu?
"Maka aku akan mendoakannya lebih dari 70 kali."
Hingga Allah menegur baginda sekali lagi, dengan tegas menyatakan, berapa banyak kali pun doa baginda, Abdullah ibn Ubai ibn Salul tetap di neraka.
Saat baginda berjaya menawan Makkah, kembali kepada mereka yang selama ini mneyeksa baginda, berada di atas mereka yang selama ini memerangi baginda, semua yang ada di Makkah risau dengan apakah keputusan Rasulullah SAW terhadap mereka kerana teringat segala kesalahan mereka kepada Rasulullah SAW.
Tetapi apakah yang baginda lakukan saat itu?
"Sesungguhnya pada hari ini, kamu semua tidak akan diapa-apakan. Aku ampunkan kalian."
Bagaimanakah kamu wahai yang mengakui dirinya cinta kepada Rasulullah?
Bagaimanakah kita wahai orang-orang yang mengakui bahawa dirinya mencintai Rasulullah SAW?
Tidakkah kita melihat apakah yang ditunjukkan oleh baginda?
Memang. Sedih dan bengang, marah dan kecewa bukan benda yang senang kita lupakan. Bukan mudah untuk kita hilangkan.
Tetapi kita mulakan dengan step pertama.
Memaafkan. Memaafkan dengan dada yang lapang.
InsyaAllah yang lain akan datang kemudian. Kelapangan hati, ketenangan jiwa, kesegaran roh, akan hadir kepada kita insyaAllah. Pasti.
"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka…" Surah Ali-Imran ayat 159.
Cukuplah segala kebencian ini, sengketa ini. Jadilah orang yang memulakan kebaikan.
Dia tikam kamu. Kamu tikam dia semula. Dia tikam kamu lagi. Kamu balas balik. Kawan kamu marah dia tikam kamu. Kawan dia pula marah bila tengok kamu tikam dia balik. Kawan dia tikam kamu. Kawan kamu tikam dia. Kawan dia tikam kawan kamu. Kawan kamu tikam kawan dia.
Siapa yang suka benda ini?
Cukuplah semua ini. Tidakkah kita merasakan 'kehitaman' jiwa kita di dalam hal ini?
Janganlah. Biarlah orang lain tidak peduli dengan kehitaman jiwa mereka. Biarlah orang lain tidak peduli dengan 'dosa-dosa' seperti menghina, memfitnah, buat spekulasi yang bukan-bukan, mengumpat dan sebagainya. Biarlah dan biarlah. Tetapi kita tidak sekali demikian. Jangan jadi demikian.
Mengapa melemparkan diri sendiri ke neraka?
Tidakkah kita ini manusia-manusia yang inginkan keredhaan Allah dan mempercayai janji-janjiNya?
Penutup: Lapangkanlah jiwa. Tenangkanlah hati.
Kunci kelapangan jiwa dan ketenangan hati adalah di dalam roh kita ini tiada kebencian terhadap orang lain. Dan ia adalah salah satu dari kunci-kunci syurga.
Pada suatu hari, Rasulullah SAW bersama sahabat-sahabatnya sedang duduk bersama. Tiba-tiba baginda bersabda: "Akan datang selepas ini seorang ahli syurga." Maka muncul lah fulan bin fulan. Keesokannya juga sama, Rasulullah bersabda perkara yang sama, dan muncul fulan bin fulan yang sama. Keesokannya lagi juga sama. Rasulullah SAW bersabda perkara yang sama, dan muncul fulan bin fulan yang sama.
Akhirnya seorang sahabat Rasulullah pergi berziarah ke rumah lelaki itu, dan tidur di rumahnya untuk menyiasat apakah amalannya. Selama tiga hari, sahabat Rasulullah itu tidak menjumpai apa-apa ibadah yang hebat, yang besar,yang menarik. Akhirnya dia menyatakan hajat sebenarnya tidur di rumah lelaki itu.
Lelaki itu menjawab: "Ibadahku adalah sebagaimana yang kau lihat. Tiada yang menakjubkan. Biasa-biasa sahaja."
Sambung lelaki itu: "Tetapi di dalam hatiku tidak ada sangka buruk, rasa benci, kepada saudara-saudara mukminku."
Tidakkah kita memerhatikan?
Lepaskanlah kebencian, kesakitan hati, kemarahan diri.
Maafkanlah.
Maafkanlah.
Lapangkanlah jiwa, tenangkanlah hati.
October 20, 2010
Motivasi: Exam dan exam.
Sedang menjalani exam mengira smarties. [image error] ~ picture by lady-Tori of deiant art.
Ada orang buat request artikel berkenaan peperiksaan. Hem.
Jadi saya fikir, saya buat satu post berkenaan dengannya. Dengar kata, musim exam sudah semakin hampir untuk pelajar-pelajar universiti di Malaysia. Yakah? Saya dengar sahaja. Sebenarnya, Jordan pun sudah hendak mula exam.
Tetapi saya biasanya tak fikir sangat periksa.
Namun itu tidaklah menjatuhkan martabat kepentingan peperiksaan.
Periksa tetap penting. Walaupun saya tak fikir sangat fasal periksa.
[image error]
Sekadar teringat akan bicara Ibrahim Jawarneh.
Satu hari, semasa keputusan imtihan awwal(peperiksaan pertama) bagi maddah(pelajaran) Fiqh Ibadat 2 keluar, ramai pelajar mendapat markah yang rendah. Oh, pembetulan. Ramai pelajar yang mendapat markah yang teramat-amat rendah.
Maka pensyarah yang mengajar, Sheikh Dr Ibrahim Jawarneh melenting di dalam kelas.
Satu ayat dia yang paling tidak boleh saya lupa adalah:
"Antum allaziina la yakhafuunallah!"
Atau dalam bahasa melayunya: "Kamu adalah orang-orang yang tidak takutkan Allah!"
Ayat itu keluar, atas sebab markah peperiksaan kami yang rendah pada hari itu.
Apa kaitan tidak takutkan Allah, dengan markah rendah dalam peperiksaan?
Ada pelajar arab marah dengan 'tuduhan' itu. Apa kaitan markah peperiksaan, dengan keimanan kepada Allah? Tidak takutkan Allah adalah tuduhan yang berat sebenarnya.
Tetapi Dr Ibrahim Jawarneh tetap dengan kata-katanya.
"Pelajaran kamu semua adalah amanah. Kamu bermain-main dalam pelajaran kamu. Sebab itu kamu dapat markah yang rendah!"
Maka ada pelajar arab yang lain berkata: "Soalan kau yang susah sangat!"
Dr Ibrahim Jawarneh berkata: "Soalan yang mana? Tunjukkan pada aku!"
Bila pelajar arab itu menunjuk, maka Dr Ibrahim Jawarneh membuka kitab dan menunjukkan jawapan. "Bukankah jawapannya di sini? Apa yang susahnya? Apakah kamu tidak membaca buku dengan baik?" Pelajar itu diam.
Seorang pelajar lagi berkata: "Kau ajar, kami tak faham. Uslub kau susah!"
Dr Ibrahim Jawarneh berkata: "Apakah kau pernah datang ke bilik aku dan suruh aku terangkan semula apa yang kau tidak faham? Tidak pernah bukan?" Pelajar itu diam.
Ada pelajar berkata: "Yang soalan ini kau tidak ajar pun!"
Dr Ibrahim Jawarneh menjawab: "Benarkah? Atau kau yang ponteng kelas pada hari itu?"
Pelajar itu diam.
Akhirnya Dr Ibrahim Jawarneh berkata: "Kamu semua, bermain-main dalam pelajaran kamu. Kamu tidak menuntut ilmu dengan serius. Ini adalah amanah! Kamu semua adalah orang-orang yang tidak takutkan Allah!"
Dan tiada siapa lagi yang bersuara.
Penutup: Kalau kamu takutkan Allah, kamu studi sungguh-sungguh.
Sebenarnya, apa yang saya nak bawakan bukanlah peperiksaan sangat. Yalah. Apa guna saya cakap fasal peperiksaan kalau studi pun tidak sungguh-sungguh.
Pokok pangkalnya pun, kalau saya hendak cakap fasal peperiksaan, tetap saya kena cakap fasal studi sungguh-sungguh bukan? Apa tips menghadapi peperiksaan yang lebih baik dan lebih penting dari studi sungguh-sungguh?
Fahamkah kamu maksud ayat ini:
"…kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." Surah Ali Imran ayat 159.
Mengapa selepas berazam, terus disebut tawakkal? Di manakah 'usaha'?
Ahah! Apakah yang Allah mahu tunjukkan ini?
Maksudnya, sebaik sahaja sudah berniat untuk mendapatkan sesuatu(dalam hal kita ini adalah score exam), maka tawakkal sudah bermula ketika itu juga. Apakah tawakkal? Adakah tawakkal ini maksudnya berlepas tangan dan berdoa semata-mata? Tidak. Tidak dan tidak.
Tawakkal itu termasuklah usaha. Usaha kita adalah satu tawakkal juga.
Tidakkah anda melihat?
Gambar: Ya, aku memang bukan malaikat.
Ya, Aku memang bukan malaikat. ~ picture by Lady-Tori of Deviant Art.
Ya, Aku Memang Bukan Malaikat
Ya, aku memang bukan malaikat
yang bersama sayapnya wujud berkat
yang wajahnya sempurna senang jiwa melihat
yang penciptaannya cantik menawan dan memikat
Ya, aku memang bukan malaikat
yang imannya mendatar tiada lagi ruang untuk ditingkat
kerna sudah di sisi Yang Esa melakukan tugas mengangkat amanat
yang tiada dosa dan senantiasa taat
Ya, aku memang bukan malaikat
yang akan memuaskan hatimu setiap saat
pasti ada dosa yang membuatmu hangat
pasti ada cacat yang buat kau melaknat
Ya, aku memang bukan malaikat
tetapi engkau juga sama
dengan nama insan kita terikat
apakah kita berbeza darjat?
Ya, aku memang bukan malaikat
apakah dengan itu sebagai alasan
maka aku dilayan seperti syaitan?
~Hilal Asyraf~
0735PM
201010
Dalam bilik, Irbid, Jordan
Sunyi sepi
Ya, Aku Memang Bukan Malaikat
Perkongsian: Berikanlah kemaafan, walaupun sukar.
[image error]
Semoga Allah terangkan jiwa kita, apabila kita berusaha untuk menerangkannya. ~ picture by adila of deviant art.
Susahkan nak maafkan orang? Ya. Saya akui susah. Bukan mudah hendak memaafkan orang yang telah melukakan kita. Yang mungkin memfitnah kita. Yang mungkin menyebar cerita-cerita palsu fasal kita. Yang suka membuat spekulasi dan cerita itu dan ini berkenaan kita. Yang tikam kita dari belakang. Yang khianat kita. Yang tak habis-habis cari fasal dengan kita. Yang itu, yang ini, yang begitu dan yang begini.
Memang susah hendak memaafkan. Saya tidak bohong.
Lebih-lebih lagi apabila kita sudah cuba berlapang dada, berhenti dari meneruskan sengketa, bahkan menghulurkan tangan meminta kemaafan kalau-kalau ini semua dimulakan oleh diri kita, tetapi kita tidak dilayan bahkan semakin menjadi-jadi pula kebencian mereka terhadap kita.
Memang susah. Saya tidak pernah kata senang.
Tetapi berikanlah kemaafan.
Walaupun sukar.
Jangan jual jiwa kamu.
Apakah untungnya kita melenting dengan orang yang melakukan macam-macam pada kita?
Ya, saya faham jiwa kita sakit. Hati kita cedera. Kita terasa. Lagilah kalau orang-orang itu kita sayang sebenarnya. Kita anggap macam keluarga kita. Keluarga mereka pun kita rapati dengan baik, adik beradik mereka pun kita layan dengan baik, bahkan kita pernah memberikan hadiah kepada mereka, dan bertanya pula apa salah kita yang membuatkan mereka tidak suka kepada kita.
Dengan sikap mereka yang masih membenci kita, bahkan cerita 1001 macam berkenaan kita, spekulasi macam-macam, menimbulkan persoalan-persoalan yang membawa fitnah kepada kita, memang kita akan terluka dan sangat-sangat terluka. Ya. Saya faham.
Tetapi perasankah, apabila kita mula 'membenci' mereka, rasa 'sakit hati' dengan sikap mereka, rasa hendak 'membalas' apa yang mereka lakukan, tidakkah anda melihat 'kehitaman' yang mula 'menjamah' jiwa anda?
Tidakkah anda melihat bagaimana syaitan mula 'memeluk' jiwa anda?
Tidakkah anda sedar iblis yang sedang 'mentertawa'kan anda?
Apa bezanya anda, dengan mereka yang melakukan pelbagai perkara kepada anda itu?
Bukankah di dalam jiwa anda juga ada kebencian yang menjijikkan itu?
Bukankah di dalam akal anda, tiada rasional yang menyenangkan itu?
Jangan jual jiwa kita wahai saudara-saudarai yang saya cintai.
Jangan jual jiwa kita.
Biar Allah laknat mereka, biar Allah balas mereka!
Ada yang tersangat terluka, ada yang tersangat sakit hati, mungkin kerana diri sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kesilapan silam diri, mungkin kerana diri sudah berkorban pelbagai perkara agar suasana jernih kembali, tetapi terasa seperti tersangatlah bodoh dirinya dengan segala usaha itu apabila orang-orang itu buat dek sahaja.
Maka diangkat tangan dan berdoa: "Ya Allah, laknatilah mereka. Lihatlah mereka itu Ya Allah. Hitunglah mereka. Balaslah perbuatan mereka. Porak perandakanlah kehidupan mereka!" Dengan air mata kesakitan yang mengalir-alir.
Turunkan tangan kita itu. Hentikan doa itu. Jangan.
Apakah yang sedang 'memeluk' jiwa anda ketika anda mendoakan kecelakaan itu?
Adakah orang-orang itu memijak ISLAM anda? Adakah orang-orang itu menghina TUHAN anda? Tidak. Tidak dan tidak. Mereka hanya tidak menyenangi anda. Mereka hanya mengeji anda. Mereka hanya membuat spekulasi berkenaan anda. Mereka hanya memfitnah anda.
"Tapi aku dah usaha baiki diri aku. Ingat senang? Mereka nak apa? Sempurna macam malaikat?"
Ya. Saya faham susah. Saya faham. Saya faham kesakitan itu.
Tetapi kenapa kesabaran itu perlu dihentikan hari ini? Kenapa perlu melayan perasaan 'terasa bodoh' itu? Syaitan sedang membolak balikkan anda sebagaimana anak kecil membolak balikkan bola. Syaitan sedang menambah ranting-ranting kayu pada api kecil yang menanti membakar balak.
Tenang wahai saudara saudariku.
Angkat tanganmu kembali. Sebutlah: "Ya Allah, kekalkan kesabaranku. Lapangkan jiwaku. Dan AMPUNkanlah mereka semua itu, sesungguhnya mereka tidak mengetahui. Mereka tidak mengetahui hal yang sebenar. Mereka tidak mengetahui motifku yang sebenar. Mereka tidak mengenaliku secara benar. Maka AMPUNkanlah mereka, dan AMPUNkanlah diriku yang mungkin menyebabkan semua ini berlaku. LAPANGkanlah jiwa mereka untuk menerimaku, dan teruslah LAPANGkan jiwaku untuk menerima mereka."
Seka air mata tadi.
Macamlah mereka pun tak ada salah. Salah mereka lagi besar!
Kita bengang. Usaha kita untuk berbaik tidak diterima. Alasannya adalah dosa-dosa silam yang entah dari kurun ke berapa. Alasannya adalah alasan rapuh yang sebenarnya dengan beberapa penjelasan semuanya boleh diselesaikan. Salah silap kita diungkit-ungkit. Kecil dikorek-korek, yang besar lagi digolek-golek. Seakan kita memang tidak berhak untuk berbaik-baik dengan 'golongan mereka'.
Kita bengang. Kita nak ungkit kesalahan mereka. Ya. Mereka ingat kita tidak tahu semua keaiban mereka?
"Diorang ungkit dosa-dosa aku, aku pun nak ungkit dosa-dosa mereka!"
Oh. Jangan-jangan. Berhenti sebentar. Lihatlah cermin. Lihatlah wajah anda semasa melaungkan ayat itu. Anda sukakah? Adakah itu anda yang anda suka?
Jangan rendahkan martabat anda.
Kita hamba Allah. Yang hendak mengajak manusia kepada kebaikan. Mengapa kita hendak memalukan mereka? Apakah itu membawa kepada kebaikan? Adakah dengan membalas perbuatan mereka dengan perbuatan yang serupa, ia membawa kepada kesatuan? Adakah selepas itu mereka akan baik dengan kita?
Tenang.
Kita selesaikan urusan kita. Mereka, kita doakan agar mereka dapat juga melaksanakannya.
Di dalam Langit Ilahi 3: Fanzuru, saya ada nyatakan berkenaan kata-kata seorang khatib di Jordan, yang menyatakan bahawa tanggungjawab kita dengan saudara kita adalah tanggungjawab kita kepada Allah SWT. Baik kepada saudara kita, membina hubungan yang diredhai Allah dengan mereka, cuba meminta maaf segala kesalahan kita, memaafkan semua kesalahan mereka, itu semua adalah tanggungjawab kita kepada Allah SWT sebenarnya.
Kita bukan mengharapkan kecintaan mereka. Kita bukan mengharapkan kasih sayang mereka. Kita bukan mengharapkan mereka memuji kita.
Kita hanya harapkan keredhaan Allah SWT.
Manakala mereka kepada kita, itu adalah mereka dengan Allah SWT. Mereka maki kita, spekulasi perihal kita, memburuk-burukkan kita, mengeji kita, memfitnah kita, membenci kita, tidak membalas kebaikan-kebaikan kita,tidak hendak melihat kepada perubahan-perubahan kita, itu semua adalah antara mereka dengan Allah SWT.
Mari menjadi 'ibad Ar-Rahman
'Ibad Ar-Rahman adalah hamba(yang mengabdikan diri) kepada Ar-Rahman, yakni Allah SWT. Jika kita benar-benar hendak menjadi hambaNya, maka lihatlah salah satu ciri-ciri 'ibad Ar-Rahman.
"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;" Surah Al-Furqan ayat 63.
Dan lihatlah kebenaran bicara saya di atas, dengan kalam Allah SWT ini:
"Jadilah kau orang yang pemaaf, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya). Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)." Surah Al-A'raff ayat 199-201.
Jadilah pemaaf. Suruhlah perkara yang baik. Berpalinglah dari orang-orang jahil. Kalau dihasut syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah. Sesungguhnya sekiranya kita benar bertaqwa, hendakkan keredhaan Allah, maka apabila syaitan berusaha 'memeluk' kita, maka kita akan ingat bahawa kita hamba Allah, segera kita menjauh dari syaitan dan mengambil jalan yang benar, yakni memaafkan dan mengajak kepada kebaikan.
Penutup: Peringatan ini, khas buat saya.
Jujurnya, artikel ini saya tulis khas buat saya. Jujurnya, jiwa saya sedang berlubang sekarang. Walaupun mungkin sudah tersembuh sedikit dengan ulah rakan-rakan di Jordan sepanjang hari tadi. Sengaja saya lewatkan artikel hari ini selewat-lewatnya. Memberi masa saya rasional dan berfikir semula.
Ya. Saya sudah kata saya faham apa perasaannya. Memang rasa macam bodoh.
Tetapi jalan 'orang-orang bodoh' inilah yang hendak membawa kita masuk ke syurga.
Terus istiqomah memberikan kebaikan kepada orang lain. Walaupun orang lain membenci kita. Jangan ungkit usaha kita, perubahan kita, kebaikan kita kepada mereka. Mereka bukannya tidak tahu. Dan kita juga tidak buat semua itu untuk keredhaan mereka.
Kita sebenarnya hanya ingin ketenangan di dalam jiwa. Tidak suka sengketa. Tidak suka benci membenci. Tapi dah orang tak mahu. Kita nak buat macam mana kan?
Maka kita doakan agar Allah memperbaiki hubungan kita dengan manusia.
Kita bukan tidak berusaha. Nanti di hadapan Allah kita berdiri, kita boleh bercakap dengan Allah dalam keadaan tersenyum apabila Allah bertanya mengapa hubungan kita dengan mereka itu tidak baik. Kita menjawab: "Saya sudah berusaha ya Allah." Dengan yakin dan tidak takut.
Maafkan saya. Artikel ini khas untuk pujuk diri saya.
Semoga anda juga mendapat manfaatnya.
October 19, 2010
Gambar: Bulan Subuh, Mentari Senja
Bulan Subuh, Mentari Senja. Indah. [image error] ~ picture by jbrum of deviant art.
Bulan Subuh, Mentari Senja
Bulan Subuh,
saat hari baru hendak bermula
dan bulan bergerak meninggalkan kita
kesatuan antara dua
saat sebentar yang ketenangannya melebihi segala-gala
Mentari senja,
saat malam bermula
bila bersatunya matahari tinggi dengan tanah di bumi
penciptaannya menakjubkan mata
waktu indah takkan mampu diganti apa
Bulan Subuh, Mentari Senja
jika dua ini manusia
maka ia pasangan setara
tiada tolok banding ketepatannya
ibarat 'puzzle' yang tercantum semula
dan aku adalah yang pertama meredhainya
Bulan Subuh, Mentari Senja
karya Yang Maha Esa tiada tara
momen yang tiada bandingannya
~Hilal Asyraf~
0853PM
19102010
Dalam bilik, Irbid, Jordan
You Think I Don't Care
khas buat mereka.
[image error]
Motivasi: Hari baru adalah hadiah. Tidakkah kamu memerhatikan?

bila kita bangun, apakah kita berusaha menjadi hambaNya? ~ picture by pharax of deviant art.
Bangun tidur. Mungkin bagi ramai orang, biasa sahaja. Hal ini kerana, sekiranya dia berumur 30 tahun, dia sudah bangun tidur sebanyak 365hariX30=10950 kali. Bahkan ada orang berhajat untuk menyambung tidurnya agar lebih panjang lagi. Dia malas bangun. Mentari hari baru menyakitkan untuknya.
Untuk saya, hari baru adalah hadiah. Ia adalah tanda rahmah. Dan ia tanda bahawa masih terbuka untuk kita pintu maghfirah. Tanda peluang masih diberikan kepada kita oleh Allah.
Tidakkah anda memerhatikan?
Dengan keadaan kita sebegini, sememangnya patut kita bersyukur
Apakah keadaan kita?
Sungguh kita adalah manusia yang sering mempunyai masalah. Baik dengan Allah SWT, ataupun dengan manusia, yang mana masalah kita dengan manusia itu pun terhasil kerana kerosakan hubungan kita dengan Allah SWT.
Saban hari kita melakukan kesalahan. Kadangkala kita tidak peduli sampai tidak terkira. Dengan Allah kita sambil lewa. Dengan manusia kita buat banyak angkara. Kantung dosa kita bertambah, tanpa kita berusaha menghapuskannya.
Itulah keadaan kita.
Dan kita tidur seakan-akan hari itu tiada salah yang kita lakukan.
Esoknya Allah mengizinkan kita melihat hari baru?
Dengan keadaan kita sebegini, sepatutnya kita bersyukur dengan kesyukuran yang tidak terhingga.
Allah tetap bangunkan kita, walaupun Dia berkuasa membayar kekufuran kita.
Berapa ramai yang mati semasa tidur?
Ramai.
Tetapi hairan bukan, Allah masih menghidupkan kita. Anda masih hidup. Saya masih hidup. Sedangkan semalam kita adalah manusia yang berdosa. Kita tidak bertaubat pun. Kita tidak peduli pun. Kita jauh daripada Allah. Kita tidak ingat Allah pun semasa hendak melelapkan mata. Kita tidak pernah rasa hendak sedih kalau-kalau esok bukan hari kita.
Tetapi Allah bangunkan kita juga. Walaupun Dia berkuasa membayar segala kekurang ajaran kita kepadaNya dan kepada manusia lain dengan menghentikan hayat kita semasa tidur kita.
Biar kita tidak sempat bertaubat. Biar kita mati dalam kekufuran dan masuk ke neraka.
Tetapi Allah tidak lakukan demikian pada kita. Kepada saya yang menulis dan anda yang membaca.
Bagaimana agaknya kita, dengan keadaan kita hari ini, sekiranya kita mati di dalam tidur kita semalam?
Oh, anda telah berumur berapa?
30 tahun? Telah 10950 kali anda di'beri'kan peluang oleh Allah SWT.
Hari baru adalah hadiah
Mata kita terbuka pada hari baru, berapa ramai yang mensyukurinya. Sesungguhnya ramai yang tidak sedar bahawa semasa tidurnya, dia sedang melangkahi jambatan yang di bawah mempunyai api. Tetapi dia berjaya melepasinya dan dia bangun pagi.
Namun siapakah antara kita yang menggunakan hari barunya untuk memperbaiki semalamnya? Atau kita menggunakan hari baru kita untuk menambah lebih kemungkaran dan kemaksiatan kepada Allah dan manusia?
Hari baru adalah hadiah. Berapa ramai antara kita yang menghargainya? Berapa ramai antara kita menggunakan hari barunya dengan sebenar-benarnya?
Atau kita menganggap, ia hanyalah kitaran biasa?
Bangun tidur, hidup, tidur semula, nanti esok bangun balik.
Adakah begitu?
Sehingga kita menjadi 'buta' dengan pembukaan peluang yang Allah berikan kepada kita.
Hari baru adalah hadiah. Ia adalah tanda rahmah. Dan ia tanda bahawa masih terbuka untuk kita pintu maghfirah. Tanda peluang masih diberikan kepada kita oleh Allah. Dengan hari baru, dosa-dosa semalam boleh kita tebus, kekurangan-kekurangan semalam boleh kita tambahkan, silap dan salah semalam masih boleh kita minta ampun, hutang semalam masih boleh kita bayar.
Tetapi siapakah yang menghargai hari baru?
Bagaimanakah layanan kita dengan 'hadiah' Allah ini?
Penutup: Siapa yang buang hadiah, dia kurang ajar.
Adakah anda suka dengan orang yang mem'buang' hadiah yang anda berikan?
Saya tidak pasti jika anda suka. Tetapi saya tidak suka. Saya namakan orang sebegitu kurang ajar.
Bagaimana pula dengan orang yang mem'buang' hadiah yang Allah berikan?
Allah berikannya hari baru untuk menebus hari semalam, tetapi dia menggunakannya ke arah kemungkaran dan keingkaran. Menambah dosanya. Terus membuat onar di atas dunia.
Bagaimana?
Tidakkah kita malu dengan diri kita?
Jadi hari ini bagaimana?
Dan apa pula perancangan untuk esok sekiranya esok masih menjadi 'hadiah' kepada kita?
Seorang mukmin yang baik, adalah yang menghargai apa yang Allah berikan kepadanya.
Maka di manakah kita?
October 18, 2010
Pilihan: Cover Matahari. Pilih dan komen.
Sebenarnya, saya suka cover ni. Nasib baik orang luar negara punya. huhu. T.T ~ picture by TenOfSwords of Deviant Art.
Ahah. Sekarang ini saya ada benda hendak minta tolong.
Sanggup tolong?
Saya hendak anda tolong saya pilihkan cover Matahari. Syarikat GISB minta saya pilih. Sebenarnya, saya ada dah 'sesuatu' di dalam hati saya. Tetapi saya sukalah pula hendak dengar pendapat dan pilihan pembaca-pembaca.
Jadi, silalah pilih yang mana anda berkenan. Kemudian mungkin boleh komen-komen sikit fasal covernya. Mungkin ada cadangan, untuk buat ia lebih menarik.
[image error]
Cover 1
Cover 2
Cover 3
Cover 4
Cover 5
Cover 6
Penutup: Saya sebenarnya inginkan anda punya pandangan.
Saya sengaja buat suvery ini.
Saya suka bersama-sama anda. Saya harap, anda suka bersama-sama saya. Pada saya, kerja-kerja saya adalah untuk kita. Itu satu hal. [image error]
Hal yang kedua, dengan komen-komen anda, saya boleh suakan kepada syarikat agar mereka boleh buat cover yang lebih bermakna dan lebih cantik dan lebih gempak.
Hal yang ketiga, ada sesiapa yang hajat nak cipta cover untuk buku-buku saya? Anda rasa boleh berikan yang lebih baik? Sila hubungi saya. Saya menantikan anda. [image error]
Semoga Allah redha.
Istimewa: Khas untuk yang demam.

sakit? ~ picture by Healzo of deviant art.
Demam. Kesian. Tambah kalau demam panas, plus pening-pening kepala. Badan pun jadi lemah, rasa tak kuat dan tak bertenaga.
Oh ya, sebelum apa-apa, saya dah sihat alhamdulillah. Cuma mungkin saya tetap pening-pening kepala sedikit kerana saya press diri saya overclock kerana overwork. Tapi itu biasalah untuk saya. Orang ingat saya tanya fasal demam di Facebook sebab saya masih demam.
Sebenarnya, saya tanya fasal demam, untuk cari apa penawar demam secara tradisionalnya.
Sebab ada orang tak sihat-sihat demamnya.
Maka ini istimewa untuk yang demam.
Kalau dia tak larat bangun, maka yang sihat di sisinya, sila tolong bacakan untuk dia ya. [image error]
Sakit: Satu hadiah.
Sakit satu hadiah. Percaya?
Saya percaya. Kadangkala, bibir kita lama tidak menyebut nama Allah SWT. Tetapi semasa sakit, nama itu akan kita sebut. Kadangkala bukan sekali, tetapi berkali-kali. Kan?
Sakit, adalah hadiah daripada Allah agar kita kembali hampir kepadaNya.
Kita sebagai manusia biasa, memang memerlukan sedikit 'ujian' untuk kita kembali kepada Yang Mampu Menyelesaikan Segala Ujian. Tidak begitu?
"Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata…" Surah Luqman ayat 32.
"Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." Surah Al-An'am ayat 17.
Tetapi tidak ramai yang memerhati.
Demam: Cara melegakannya.
Ah, demam. Macam mana hendak melegakan demam?
Pilihan pertama saya adalah: Bangun dari katil, dan berusaha keluarkan peluh. Lawan. Cergaskan tubuh. Banyak minum air masak. Saya buat yang ini, tak pernah fail. [image error]
Pilihan kedua(cadangan orang): Minum teh limau dengan madu. Nak lebih mujarab, tambah halia.
Pilihan ketiga(cadangan orang): Minum sup panas dan makan bubur ayam panas.
Pilihan keempat(cadangan orang): Blend timun buat jus, kemudian minum. Menyejukkan dalaman tubuh. [image error]
Pilihan kelima(Cadangan orang): Minum air kelapa.
Pilihan keenam(cadangan bakal doktor): Minum jus oren. banyakkan liquid dan vitamin C.
Pilihan ketujuh(Cadangan orang): 100Plus tambah dengan Panadol ActivFast.
Pilihan kelapan(Cadangan orang): Makan kurma dan selawat.
Pilihan kesembilan(Cadangan orang): Minum barli plus apricot.
Pilihan kesepuluh(kesimpulan cadangan-cadangan yang ada): Makan je semua di atas ini. [image error]
Pilihan kesebelas(cadangan umum): Pergi jumpa doktor, check, ambil ubat.
Ha… susah-susah saya buat survey di facebook.
Inilah dia semua cadangannya.
Moga ada yang membantu.
Ada orang di dalam dunia ini, yang saya sakit apabila mereka sakit.
Ada beberapa manusia di dalam dunia ini, yang saya akan sakit apabila mereka sakit.
Jadi, saya harap, untuk orang-orang yang dimaksudkan ini, jagalah kesihatan.
Saya cukup sihat apabila kalian sihat. Walaupun mungkin ketika itu saya kesakitan.
[image error]
Jadi, jaga diri, jaga kesihatan ya. Walaupun saya tahu mungkin orang-orang ini tak peduli pun saya sihat ke saya sakit. Tapi saya peduli. Kalau saya sakit, kalau saya tak sihat, kalau saya risau sangat, saya susah nak buat banyak kerja. Jadi, orang-orang yang saya sayang kena sihat-sihat sentiasa. [image error]
Atamanna laki, an tata'afiina qariiban, ya qurratu 'aini.
Kepada semua, jaga kesihatan.
Kita sebagai hamba Allah, banyak kerja.
Kalau sakit, kita tak boleh nak buat banyak kerja, dan kualiti kerja kita jadi berkurangan.
Kita tidak mahu demikian bukan?
Semoga Allah redha dengan kita semua.
October 17, 2010
Motivasi: Ada waktu kita sedih.

sadness? ~ Picture by denizaybar of deviant art
Ada waktu kita sedih. Sedih itu, sedih ini. Sedih dengan pelbagai perkara. Kematian, kemalangan, kehilangan, cacian dan makian, umpatan orang dan sebagainya.
Ada juga yang sedih dengan rupa parasnya, sedih dengan kejadiannya, sedih mengenangkan nasibnya, sedih dengan cara hidupnya.
Tidak kurang juga yang sedih dengan dirinya yang lemah, keimanannya yang rendah, ibadahnya yang sedikit dan sebagainya.
Ada waktu, memang manusia akan merasakan kesedihan.
Kenapa saya cakap begini?
Entah.
Orang mukmin takkan bersedih lama.
Percayakah anda bahawa orang mukmin tidak akan bersedih lama?
Saya meyakini hal itu. Memanjang-manjangkan kesedihan, bukanlah sebahagian dari ciri seorang mukmin. Hatta Rasulullah SAW sendiri, bersedih hanya seketika. Baik ketika kematian anak-anaknya, mahupun kematian sahabat-sahabat baginda yang tercinta. Bahkan kesedihan itu tidak termuncul saat baginda menderita sakit diseksa, lapar, perang dan sebagainya.
Tetapi sindrom dari kalangan kita adalah, kita suka memanjangkan kesedihan.
Perasankah kita, apabila kita memanjang-manjangkan kesedihan, apakah sebenarnya yang telah 'kita hilangkan' dalam kehidupan kita?
Allah SWT.
Ya. Seakan-akan Allah itu tidak wujud, dan membiarkan kita.
Seakan-akan Allah itulah Yang Zalim, dan Dialah yang sengaja membuatkan kita bersedih.
Benarkah?
Apakah bicara Allah berkenaan kesedihan?
Saya suka dengan ayat-ayat ini:
"Kami berfirman: Turunlah kamu semua dari surga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, niscaya tidak ada kekhawatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati." Surah Al-Baqarah ayat 38.
" Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani dan orang-orang Shabiin, siapa saja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, hari kemudian dan beramal saleh, mereka akan menerima pahala dari Tuhan mereka, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati. " Surah Al-Baqarah ayat 62.
"(Tidak demikian) bahkan barang siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." Surah Al-Baqarah ayat 112.
"Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." Surah Al-Baqarah ayat 262.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." Surah Al-Baqarah ayat 277.
"Jika kamu memperoleh kebaikan, niscaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira karenanya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, niscaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan." Surah Ali Imran ayat 120.
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." Surah Ali Imran ayat 139.
"Hai Rasul, janganlah hendaknya kamu disedihkan oleh orang-orang yang bersegera (memperlihatkan) kekafirannya, yaitu di antara orang-orang yang mengatakan dengan mulut mereka: Kami telah beriman, padahal hati mereka belum beriman; dan (juga) di antara orang-orang Yahudi. (Orang-orang Yahudi itu) amat suka mendengar (berita-berita) bohong dan amat suka mendengar perkataan-perkataan orang lain yang belum pernah datang kepadamu; mereka merobah perkataan-perkataan (Taurat) dari tempat-tempatnya. Mereka mengatakan: Jika diberikan ini (yang sudah dirobah-robah oleh mereka) kepada kamu, maka terimalah, dan jika kamu diberi yang bukan ini, maka hati-hatilah. Barang siapa yang Allah menghendaki kesesatannya, maka sekali-kali kamu tidak akan mampu menolak sesuatu pun (yang datang) daripada Allah. Mereka itu adalah orang-orang yang Allah tidak hendak menyucikan hati mereka. Mereka beroleh kehinaan di dunia dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar." Surah Al-Maidah ayat 41.
"Katakanlah: Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikit pun hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil dan Al Qur'an yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Sesungguhnya apa yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dari Tuhanmu akan menambah kedurhakaan dan kekafiran kepada kebanyakan dari mereka; maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir itu." Surah Al-Maidah ayat 68.
"Dan tidaklah Kami mengutus para rasul itu melainkan untuk memberi kabar gembira dan memberi peringatan. Barang siapa yang beriman dan mengadakan perbaikan, maka tak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." Surah Al-An'am ayat 48.
"(Orang-orang di atas A'raaf bertanya kepada penghuni neraka): Itukah orang-orang yang kamu telah bersumpah bahwa mereka tidak akan mendapat rahmat Allah? (Kepada orang mukmin itu dikatakan): Masuklah ke dalam surga, tidak ada kekhawatiran terhadapmu dan tidak (pula) kamu bersedih hati." Surah Al-A'raf ayat 49.
Saya tidak tahu apa perasaan kalian apabila membaca semua terjemahan ini.
Tetapi saya, rasa lega.
Rasa tenang.
Rasa damai.
Bila bersama dengan Allah, ikut apa yang Rasulullah ajar, hidup bersungguh-sungguh mengamalkan Islam, ajak manusia lain buat kebaikan, itu semua hakikatnya memadamkan kekhuatiran, kesunyian, kesedihan, ketakutan dan sebagainya.
Betapa selepas membaca ayat-ayat tadi, jelas kepada kita bahawa, kita tidak sepatutnya menjadi manusia yang memanjang-manjangkan kesedihan mereka, terus jatuh dan jatuh ke dalam lohong hitam perasaan mereka.
Kita ada Allah.
Dan kehidupan kita bersamaNya memadamkan segala kenegatifan.
Penutup: Kesedihan adalah keperluan. Tetapi dosnya tidak boleh berlebihan.
Sedih memang baik. Sekali sekala ia melembutkan hati. Tanda jiwa yang sensitif. Tanda hati yang peka.
Tetapi merendam roh kita ke dalam kesedihan terlalu lama akan mereputkannya.
Apakah alasan untuk memanjangkan kesedihan?
Kesedihan tidak akan pernah menjadi penyelesaian kepada sesuatu masalah.
Maka perhatikanlah masalah, bergerak menyelesaikannya.
Jika masalah itu bukan datang dengan penyelesaian, sebagai contoh: Kematian rakan karib, murabbi tercinta, ibu bapa tersayang dan sebagainya, hendaklah tabah dan melangkahlah memandang apa yang masih ada pada kita.
Sesungguhnya seorang mukmin itu tidak sepatutnya bersedih terlalu lama.
Kerana dia ada Allah di sisinya.
Dan kesedihan bukanlah cara seorang hamba Allah mengabdikan diri kepadaNya.
Gambar: Bahagia-bahagia itu
Gembira? ~ Picture by axataita of deviant art
Bahagia-bahagia itu
Bukan semua memahami,
bahagia-bahagia yang muncul di dalam hati,
bahagia-bahagia yang tidak akan mampu diungkap dengan bicara
hatta takkan sekali mampu diterjemah oleh akal
bahagia-bahagia yang istimewa
ada waktu kau sedari
saat melihat Ibu Bapa
ada kala kau rasai
tika bersama sahabat tercinta
ada tika kau lihat
masa memandang ke arah bayi
ada saat kau sentuhnya
bila kau berdiri di dalam masjid
ada waktu kau hayati
saat kau sujud penuh keinsafan pada Ilahi
bahagia-bahagia yang istimewa
yang tidak akan mampu diungkap dengan bicara
hatta takkan sekali mampu diterjemah oleh akal
bahagia-bahagia yang akan membuatkan kau seperti terbang ke awangan
walaupun kau tidak punya sayap untuk menyentuh awan
bahagia-bahagia yang istimewa
hadiah daripada Yang Esa
buat kegembiraan makhlukNya bernama manusia
~Hilal Asyraf~
0743AM
171010
Dalam bilik, Irbid, Jordan
Puzzle of My Heart
Bahagia-bahagia itu.