Hilal Asyraf's Blog, page 140

September 20, 2012

Himmah : Sebening Cinta Untuk Seorang Kekasih


~ Picture by IbnuFuad of LangitIlahi


 


Di saat dunia heboh dan bising dengan isu filem yang menghina Nabi s.a.w., kita sendiri, sebagai umat Islam lebih tahu bagaimana sepatutnya kita berdepan dan merespon dengan isu ini. Filem ini tidak lain hanya sebagai satu provokasi untuk menimbulkan lagi kemarahan umat Islam.


Tetapi, kita yang lebih mengenali siapa Rasul kita, siapa sahabat-sahabat yang berada di tepi baginda ketika hayatnya, maka membalas semula provokasi ini dengan keganasan atau tindakan seumpama itu  hanya akan mencemarkan lagi sirah perjuangan mereka ini.


Kita berbangga mempunyai seorang Rasul seperti baginda s.a.w. Tetapi kebanggaan itu tidak akan ke mana kalau kita tidak berusaha mencontohi akhlak dan peribadi baginda.


Kita tahu betapa cintanya para sahabat kepada Rasul s.a.w. Amatlah mustahil cinta sebesar ini dapat disemai dengan kuasa, pangkat dan wanita. Amatlah mustahil. Maka, di saat filem yang menghina Rasul s.a.w. ini tersebar, kita sendiri sudah memiliki bukti kukuh bahawa baginda bukanlah orang yang sedemikian.


Mana mungkin cinta sahabat kepada Rasul s.a.w. yang menjalar di dalam hati mereka itu timbul dari kepura-puraan sehingga mampu menghasilkan pengorbanan dan kecintaan yang luar biasa. Kita bisa berkata cinta kepada Rasul, tetapi kita belum tentu bisa mengotakan cinta itu. Tetapi para sahabat, mereka benar-benar cinta dan telah mengotakannya.


Bukan hanya dengan harta dan masa, bahkan jiwa mereka sendiri.


 


Kecintaan Yang Tidak Dipaksa, Bahkan Lahir Tulus Dari Dalam Jiwa


Seorang lelaki cinta kepada seorang perempuan, apakah perasaan cinta itu lahir dari sebuah paksaan atau sogokan?


Tidak. Paksaan tidak akan melahirkan cinta. Begitu juga sogokan. Kita mungkin boleh menyogok manusia dengan wang dan kedudukan, tetapi untuk memastikan di dalam hati mereka ada setulus cinta untuk kita, itu belum pasti. Mereka mungkin suka berada dekat dengan kita, tetapi bukanlah benar-benar kerana diri kita, kadang-kadang kerana wang dan kedudukan yang ada pada kita.


Hakikatnya, mereka tidak cinta pada kita, tetapi cinta pada apa yang ada pada kita.


Habis harta kita, hilang kedudukan kita, maka pudarlah segala perasaan yang kononnya dahulu dikatakan sebagai cinta itu.


Cinta tidak bisa dipaksa. Ia lahir tulus dari dalam jiwa. Ia bukanlah sesuatu yang boleh dibuat-buat atau direka-reka.


Maka, begitulah cinta para sahabat terhadap Nabi s.a.w. Ia bukan sebuah paksaan melalui kekuasaan atau wanita. Ia adalah perasaan yang terbit dari keikhlasan dan ketulusan cinta seorang sahabat kepada sahabatnya.


Nabi s.a.w. mendekat mereka bukanlah dengan harta mahupun wanita apatah lagi melalui kedudukan. Nabi mendekati mereka sebagai seorang sahabat. Bercakap kepada mereka umpama seorang kawan. Nabi tidak minta diagungkan, tetapi kerana kemuliaan akhlak Nabi, maka para sahabat menganggap Nabi adalah bintang yang bersinar di dalam hati mereka.


Bila hilangnya Nabi, seolah-olah itu adalah satu kehilangan yang besar. Bahkan lebih besar dari kehilangan keluarga mereka sendiri.


Pernah selepas tentera Islam pulang dari sebuah peperangan, ada seorang sahabiyah (wanita) bertanya, “Rasulullah bagaimana? Rasulullah bagaimana?”, sedangkan wanita itu mempunyai ahli keluarga yang turut sama menyertai peperangan itu. Tetapi, bukan ahli keluarganya dulu yang ditanya, bahkan Rasulullah s.a.w. dulu yang ditanya. Wanita ini tidaklah mempunyai kaitan atau apa-apa ikatan dengan Nabi s.a.w Bukan juga isteri Nabi s.a.w.


Selepas dijawab dan dikhabarkan bahawa Nabi dalam keadaan baik, maka legalah hatinya.


 


Sebening Cinta Bilal


Saya pernah menukilkan bagaimana dalamnya cinta Bilal terhadap Rasul s.a.w. sehingga selepas pemergian Rasul s.a.w., Bilal terasa kehilangan yang amat besar di dalam jiwanya menyebabkan dia meminta daripada Abu Bakar untuk keluar berhijrah dan berjihad.


Bukan apa, tidak tahan lagi hatinya menanggung kesedihan mengenangkan zaman-zaman ketika bersama Rasul s.a.w.


Rasul s.a.w. seorang yang dicintai sahabatnya. Baginda datang meraikan orang-orang biasa seperti Bilal yang mungkin pada mata masyarakat ketika itu, orang seperti Bilal ini tidak ada harganya. Tetapi, Rasulullah s.a.w. telah memberikan nilai yang sangat tinggi kepada orang-orang miskin dan golongan hamba seperti Bilal menyebabkan Bilal begitu cinta kepada Rasul s.a.w.


Beliaulah muazzin pertama di dalam Islam. Bila Rasulullah penat, Rasulullah akan minta Bilal azan merehatkan jiwa-jiwa mereka dengan kalimat-kalimat membesarkan Allah.


Tetapi, setelah Rasulullah s.a.w. tidak ada, maka kehilangan itu seolah-olah dirasakan seperti kehilangan seluruh dunia. Bilal menanggung hiba yang tidak tertahan lagi sehingga meminta untuk keluar berhijrah dan berjihad.


Makkah, akhirnya sunyi daripada azan Bilal. Buat seketika, azan yang selalu mengiringi zaman semasa mereka berada bersama Rasul s.a.w. sudah tidak kedengaran lagi selepas Bilal keluar dari Makkah.


Lama tidak pulang, akhirnya bila suatu hari Bilal bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w., maka Bilal pun bercadang pulang ke Makkah. Bila Bilal pulang, setelah lama tidak kedengaran azan di zaman-zaman mereka bersama Nabi s.a.w. dahulu, Makkah buat kesekian kalinya bergema semula dengan suara azan Bilal.


Para sahabat yang pernah hidup di zaman Nabi s.a.w. saat mendengar azan itu masing-masing saling bertanya, “Apakah Rasulullah telah hidup semula?”.


Hari itu Makkah basah dengan tangisan para sahabat. Berduyun-duyun para sahabat datang pada hari itu mendengarkan azan Bilal. Mereka terkenangkan zaman ketika mereka bersama Rasul s.a.w. dulu. Penuh kerinduan. Penuh kecintaan.


Dan Bilal, kerana kecintaannya yang begitu mendalam terhadap Nabi s.a.w., tidaklah dapat tertahan hatinya bila sampai saja seruan azannya itu pada kalimah ‘Muhammad’. Hatinya diruntun kesedihan dan kedukacitaan mengenangkan zaman-zaman awal bersama baginda. Baginda adalah orang yang hebat di dalam hati para sahabat.


Bilal berusaha meneruskan azannya, tetapi tetap tidak mampu menghabiskannya. Suaranya tertahan pada kalimah ‘Muhammad’. Tidak mampu lagi diteruskannya.


Sehingga sedemikian hebat kecintaan para sahabat. Mustahil seorang yang dulunya hamba akan mempunyai kecintaan yang begitu mendalam sehingga sebegini rupa jika Muhammad yang digambarkan di dalam filem itu adalah peribadi yang sebegitu, nauzubillah.


Tidaklah sama orang yang mereka-reka cerita dengan orang yang benar-benar memiliki kecintaan yang mendalam di dalam jiwanya.


 


Ini Bukan Sebuah Rekaan, Tetapi Adalah Satu Kebenaran


Rasul s.a.w. datang membawa agama ini bukanlah melalui pedang yang menjadi simbolik kepada keganasan, juga bukanlah datang untuk menyambung budaya Arab jahiliah yang selalu mempergunakan wanita.


Rasul s.a.w. datang membawa simbolik keamanan dan kesejahteraan. Bahkan, sebelum beberapa tokoh dunia memperjuangkan hak wanita lewat beberapa kurun ini, Rasul s.a.w. telah lebih dulu memperjuangkan hak wanita.


Bagindalah yang telah mengangkat nilai wanita menjadi tinggi di saat masyarakat Arab jahiliah ketika itu memandang perempuan ini dengan nilai yang sangat rendah dan hina. Melahirkan seorang anak perempuan adalah satu kehinaan bagi mereka. Sebab itu, tidaklah menghairankan kita jika kita pernah mendengar di kalangan mereka ada yang menanam anak perempuan sendiri.


Tetapi, Rasulullah datang membebaskan semua itu.


Lihatlah bersama perjuangan Rasul s.a.w. Ada srikandi-srikandi gagah yang sentiasa bersama di barisan perjuangan wanita selain isteri baginda sendiri yang sentiasa mengiringi perjuangannya, iaitu Khadijah.


Wanita terawal bersama usaha dakwah Rasul s.a.w. Bersusah-payah bersama Rasul, menjiwai kesusahan yang dialami oleh Rasul. Ketika baginda dalam kerisauan, Khadijahlah teman penenang jiwanya. Memujuk dan memberi rangsangan kepadanya. Ketika dakwahnya ditolak oleh masyarakatnya, Khadijahlah yang memberi semangat kepadanya.


Inilah cinta yang telah ditunjukkan oleh baginda s.a.w. terhadap umatnya menyebabkan para sahabat merasa begitu cinta terhadap baginda Rasul s.a.w.


Baginda meraikan orang di sekitarnya. Menghargai usaha-usaha manusia di sekitarnya. Selalu bergaul dengan lemah-lembut dengan orang di sekitarnya. Maka, siapalah yang tidak jatuh hati melihat peribadi sebegini?


Peribadi ini bukanlah sebuah kepuraan-puraan untuk memancing lebih ramai pengikut, tetapi ia  memang adalah peribadi sebenar baginda. Lantas, dengan peribadi sebenar beginilah menyebabkan manusia jatuh cinta padanya.


 


Penutup : Benarkah Kita Cinta Pada Baginda?


Kalau benar cinta, apakah bukti cinta kita padanya?


Sahabat telah membuktikan cinta mereka. Mereka labuhkan segenap cinta mereka hanya pada Allah dan Rasul sebelum segala sesuatu. Bukan teman wanita atau teman lelaki mendahului cinta mereka terhadap Allah dan Rasul. Tidak juga sanak-saudara dan keluarga mereka. Apatah lagi kabilah mereka.


Abu Bakar, ketika Islamnya ayahnya, Abu Quhafah, beliau tidaklah begitu gembira bila melihatkan Nabi kesedihan teringatkan bapa saudaranya, Abu Talib yang tidak masuk Islam. Sedangkan Abu Quhafah tu ayahnya sendiri, mempunyai pertalian yang lebih dekat dibandingkan dengan Abu Talib. Sepatutnya dia gembiralah dengan Islamnya ayahnya. Tetapi kerana yang sedih itu adalah Nabi s.a.w., maka hati Abu Bakar pun menjiwai perasaan yang sama.


Kita, sampai ke tahap itukah kita menjiwai perjuangan dan kehidupan Rasul s.a.w.?


Apa bukti kita cinta pada baginda? Sudahkah kita berusaha mencontohi akhlak dan peribadi baginda?


Datanglah berapa kali provokasi pun menghina Islam, menghina Nabi s.a.w., tetapi kalau kita sendiri tidak ada apa perubahan pada peribadi kita, maka kita hanya seolah-olah membenarkan apa yang diprovok oleh orang bukan Islam itu.


Kalau benar cinta, usahalah membentuk peribadi kita menjadi seperti baginda atau para sahabat.

Kalau benar cinta, tinggalkanlah segala simbolik keganasan dan keburukan akhlak pada diri kita.


Sebening cinta dari seorang kekasih untuk kekasihnya,

Kerana mengharap dapat bersamanya di syurga sana.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 20, 2012 01:46

September 19, 2012

Poster : Kegelapan Takkan Hilang Dicerca


 “KEGELAPAN tidakkan hilang kerna dicerca.


KEGELAPAN hanya akan pergi tatkala hadirnya tangan-tangan yang membawa CAHAYA”



*Download full picture here*

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2012 20:22

Motivasi : Tips – 5 Langkah Semarak Cinta Terhadap Rasulullah SAW

 



 


Cahaya Cinta Itu – Ia Menyinari Hati-hati Yang Kelam dan Kusam.


Picture By Umarmita Of Langit Ilahi


 


Muhammad Ibn Abdullah


Nabi yang mulia, Insan yang terulung dan manusia yang unggul.


Rasulullah Sallahualaihi Wassalam


Susuk tubuh dan peribadi yang menyejuk nurani dan hati bagi sesiapa yang mengenalinya. Walaupun tidak pernah hidup bersama baginda, walaupun tidak pernah bertentangan mata dan walaupun tidak pernah berbicara dan bersua muka – baginda tetap hidup di nadi setiap insan.


Bahkan, insan yang mulia ini disayangi, dirindui bahkan dicintai oleh seluruh ummat manusia sejak dahulu sehingga saat ini.


“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”


Surah Al-Ahzab ayat 21.


Rasulullah SAW adalah manusia yang istimewa, dekat di jiwa dan memiliki “aura” seorang pemimpin yang berwibawa. Baginda adalah qudwah yang nyata, seorang murabbi ulung dan juga seorang rasul yang terus menerus diingati sepanjang zaman.


Justeru, timbul persoalan tentunya dalam menzahirkan cinta dan sayang kepada baginda bukan semata-mata tuturan bicara di bibir semata-mata tetapi  harus dijelmakan dalam bentuk tindakan, penghayatan dan kehidupan. Berikut adalah 5 langkah dalam usaha menyemarakan cinta terhadap Junjungan Mulia, Rasulullah SAW :


 


1)  Berpegang teguh dengan ajaran dan didikan Rasulullah SAW


Ada yang sensitif  apabila Rasulullah SAW dihina, dicerna dan dicaci. Namun, kehidupannya jauh daripada kehidupan Rasulullah SAW.


Justeru, tanda utama kita mencintai Rasulullah SAW ialah kita mengambil seluruh ajaran dan didikan Rasulullah sebagai teras utama jalan kehidupan kita. Kita menggengaminya dan menghidupkan seluruh didikan Rasulullah SAW ini sehingga kita kembali bertemu Allah SWT.


Inilah pengikut Rasulullah SAW yang sejati!


 


2)  Mengamalkan segala sunnah Rasulullah SAW dari sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya.


Sunnah Rasulullah SAW itu meliputi, tindakan, percakapan dan kehidupan Rasulullah SAW. Jika kita suka, gemar dan cinta dengan seseorang yang kita sanjung dan hormati maka kita akan melakukan apa sahaja yang dia lakukan. Oleh itu, hal ini sama juga konsepnya dengan sunnah Rasulullah SAW.


Bermula membuka mata di awal pagi sehingga melelapkan mata di pengakhiran malam, kita memperhalusi setiap tindakan kita dengan mencontohi gerak geri dan amalan harian Rasulullah SAW. Bahkan kita berbangga melakukannya dan berusaha menyebarkannya kepada sesiapa sahaja.


Ayuh, kita hidupkan sunnah!


 


3)   Sentiasa berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW.


Antara tuntutan yang utama dan dicintai oleh Allah SWT ke atas muslim ialah memperbanyakan selawat ke atas baginda Rasululllah SAW. Di mana sahaja kita berada, tidak kira masa dan waktu – kita begitu mudah dan selalu teringat Rasulullah SAW. Seusai solat, ketika berjalan, saat berehat dan sebagainya, kita punyai ruang untuk mengingati Rasulullah SAW!


Jika hiburan nyanyian dan nasyid yang menjadi halwa telinga kita bergema – yang menjadi pilihan adalah selawat dan puji-pujian kepada baginda Rasulullah SAW. Saat itu, hati begitu tenang, damai dan tenteram.


Inilah asas kecintaan yang subur dan mekar buat kita semua!


4)  Berusaha menyelusuri haruman sirah baginda dari saat kecil hinggalah baginda wafat


Bak kata patah : “ Tak kenal maka tidak cinta.” Suatu yang mengaibkan bagi seseorang jika menyatakan dia cinta kepada Rasulullah SAW tetapi tidak pernah tahu, mengerti dan menghayati perjalanan kehidupan baginda secara keseluruhannya.


Ketahuilah, membaca sirah baginda Rasulullah SAW membuatkan kita semaki jatuh cinta dan terus-menerus mengasihi baginda. Cukuplah, sebuah buku sirah yang lengkap untuk kita hadamkan dan kita sentiasa mengulanginya secara berkala  untuk melebarkan perasaan kasih ini agar cinta itu terus mekar!


Harumannya terus mewangi dan menyegarkan!


 


5)  Meneruskan usaha dakwah baginda yang telah diwariskan buat ummatnya.


Akhir ini agak sukar. Antara sunnah baginda yang besar ialah melaksanakan dakwah. Keseluruhan hayat dan nadi kehidupan baginda dikorbankan dan diwakafkan untuk dakwah kepada Allah SWT.


Kemuncak kecintaan kita kepada baginda, ialah kita turut merasai betapa pentingnya untuk bersama-sama baginda merealisasikan visi dan misi dakwah kepada ummat manusia agar mengenali Allah SWT dan memperhambakan diri kepada-Nya.


Pilihlah untuk berdakwah dengan kemampuan yang paling maksima, agar kita sentiasa “hidup” bersama Rasulullah SAW. Pernyataan ini adalah bukti yang paling besar dan utama sebagai “signal” cinta kita terhadap baginda.


 


Penutup : Kita Punyai Pilihan!


5 Langkah ini, adalah langkah yang praktikal, mudah dan sesuai dilakukan oleh sesiapa sahaja. Bagi kita yang menyatakan cinta kepada baginda, kita harus jelmakan pembuktian itu dengan jelas, terang dan nyata. Kita berhak memilih untuk berikan yang terbaik buat baginda Rasulullah SAW. Teringat saya kata-kata ini :


“ Biasakanlah dirimu melakukan hal-hal yang termulia dan yang terbaik. Kirimkanlah dulu ke liang kuburmu hal-hal yang akan menyenangkanmu di sana sebelum kamu mendatanginya.”


(Ibnu Jauzi)


Mari kita semak, lihat dan amati perkara ini sedalam-dalamnya dalam kehidupan kita. Adakah kita ini benar-benar pejuang serta pengikut Rasulullah SAW  yang “tegar” atau hanya omongan kosong di pinggiran kata?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2012 19:46

Berkata Baik atau Diam

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2012 09:38

September 18, 2012

Motivasi: Kami Beriman Dengan Rasulullah SAW.


Keindahan hidup dalam keimanan yang kita kecapi hari ini adalah daripada usaha Rasulullah SAW, dengan izin Allah SWT.


-Picture by UmarMita of LangitIlahi-


 


 


Bagi yang penumpang bahtera ini pada zaman mutakhir ini, Rasulullah SAW adalah satu persona penting. Kerana baginda adalah pemandu sebenar bahtera ini. Nakhoda utama, yang bergerak untuk menyelamatkan lebih ramai manusia pada zamannya dan selepas kewafatannya.


Justeru, kami penumpang bahtera beriman dengan baginda SAW. Bahkan, kami bukan sekadar mempercayai, tetapi juga menjadikan baginda sebagai qudwah. Itu antara ciri-ciri yang utama bagi penumpang bahtera ini, yang destinasinya adalah keredhaan dan syurgaNya.


Apa yang istimewanya Rasulullah SAW? Mungkin ada yang bertanya.


Baginda, adalah manusia yang teristimewa, dan di dalam kehidupannya, terdapat pelbagai contoh yang menggegarkan jiwa. Siapa yang mengikuti jejak langkah baginda akan selamat, bagi yang berdegil, akan akan mendapat keburukan sebagai penamat.



Gesaan Allah SWT


“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) Surah Al-Ahzab ayat 21.


Allah SWT menggesa hamba-hambaNya untuk mencontohi Rasulullah SAW. Allah sendiri jelas menyebut bahawa, orang yang mengharapkan keredhaanNya, itulah orang-orang yang mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan mereka.


Bukan mencontohi yang lain. Bukan dan bukan.


Bahkan, Allah SWT menggesa untuk segala arahan Rasulullah SAW itu dituruti, dan apa yang dilarang oleh baginda juga ditinggalkan.


“Apa yang dibawa kepada kamu oleh Rasul(Rasulullah), ambillah(taatlah). Dan apa yang dilarangnya kepada kamu, tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah itu amat keras hukumanNya.” Surah Al-Hasyr ayat 7.


Hingga begitu sekali Allah SWT menyuruh hamba-hambaNya mentaati Rasulullah SAW. Nyata, Rasulullah SAW bukan manusia biasa dari kalangan manusia. Baginda adalah manusia termulia, dalam kalngan manusia biasa ini.


Seorang yang tidak akan melakukan apa-apa, tidak akan bersuara, melainkan semuanya adalah daripada Allah SWT.


“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Melainkan segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. Surah An-Najm ayat 3-4.


Maka bagi penumpang bahtera yang hendak menuju kepada Allah SWT dan syurgaNya, semestinya Rasulullah SAW adalah yang menjadi contoh. Apatah lagi, baginda adalah nakhoda kepada bahtera ini. Rasulullah. Utusan Allah SWT. Untuk menjadi rahmat, penyelamat, kepada seluruh alam ini.


“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Surah Al-Ahzab ayat 107.


 


Ketenangan hidup itu, ada pada apa yang ditunjukkan oleh baginda


Rasulullah SAW bukanlah manusia paling senang di dalam hidup. Bahkan, baginda adalah manusia yang melalui pelbagai cabaran dan mehnah dalam kehidupannya. Rasulullah SAW dilahirkan sebagai anak yatim, dan pada umurnya enam tahun baginda menjadi yatim piatu. Pada umur 8 tahun, baginda kehilangan nendanya yang mencintainya penuh kasih – Abdul Muttalib. Kemudian baginda dibela oleh pakciknya, yang mempunyai ramai anak membuatkan dirinya tidak kaya – Abu Talib.


Lantas Rasulullah SAW ini membesar dengan dididik kesukaran. Diangkat menjadi Rasul pada usia 40 tahun, dan kaum kerabatnya tidak pula menerima ajakan baginda. Bahkan, baginda ditohmah, dikeji, bahkan diseksa dengan dasyat sekali. Tengkuk baginda pernah menjadi tempat melandasnya perut unta yang penuh najis lagi busuk. Tubuh baginda pernah menjadi tempat mendaratnya batu-batu, hingga berdarah seluruh tubuh. Gigi baginda pernah patah di dalam peperangan, dan baginda pernah terjatuh akibat dipukul musuh. Baginda juga tidak lepas dari cubaan membunuh berkali-kali dari musuh yang berbeza-beza.


Baginda, bukanlah malaikat. Itulah yang menjadikan baginda sebagai contoh kita, manusia biasa.


Baginda menunjukkan kepada kita, saat-saat sukar apa yang perlu dilakukan.


Rasulullah SAW, saat sukarnya, baginda tidak mengadu kepada orang ramai. Bahkan, baginda mengadu kepada Allah SWT.


“Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah kepada siapa Engkau menyerahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkam aku ataukah kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keredhaan-Mu. Dalam pada itu afiatMu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akhirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya upaya melainkan dengan Engkau.”


Itulah dia doa baginda apabila baginda dilempar batu hingga berdarah-darah seluruh tubuh ketika berdakwah di satu tempat bernama Ta’if. Baginda tidak mencaci yang membaling batu kepadanya, tidak pula merungut kepada Allah yang memberikan tugasan berat ini kepadanya, tidak pula berhenti. Tetapi baginda memohon kekuatan yang lebih, meminta agar dirinya diselamatkan agar menjadi lebih tabah untuk meneruskan perjuangan.


Apabila bapa saudaranya Abu Talib, dan isterinya Khadijah meninggal dunia pada tahun yang sama, yang mana kedua-duanya amat kuat melindungi baginda, telah menyebabkan ramai manusia semakin hebat menyeksa baginda hingga dinamakan tahun itu tahun kesedihan. Pada tahun itu, Allah SWT menurunkan ayat penenang kepada baginda, yang akhirnya menjadi motivasi juga buat kita.


“Demi waktu dhuha, Dan malam apabila ia sunyi-sepi(berhenti), (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati. Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik; Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. Surah Adh-Dhuha ayat 1-11.


“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ? Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam). Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). Surah Asy-Syarh ayat 1-8.


Walaupun selepas era dakwah di Makkah, yakni era dakwah di Madinah Rasulullah SAW sudah menjadi seorang pemerintah, ujian dan dugaan tetap datang tidak bertepi. Peperangan demi peperangan, urusan dengan Yahudi dan kaum munafik, semuanya datang tidak berhenti.


Namun, baginda tetap masih ada masa untuk isteri dan anak-anaknya. Tetap ada masa memberikan penyampaian dan pengisian kepada para sahabatnya. Tetap ada masa bersenda gurau dengan anak-anak kecil dan melayani orang-orang tua yang ada bersamanya.


Jelas baginda menunjukkan resepi ketenangan di dalam kehidupan ini kepada kita. Walaupun kehidupan baginda penuh dengan ranjau dan halangan, tidak pernah direkodkan bahawa baginda adalah seorang yang tertekan, emosi, hilang kawalan dan seabagainya. Jauh sekali membunuh diri dan melakukan tindakan-tindakan gila yang lainnya.


Resepi ketenangan, yang ada pada baginda adalah – baginda merapat kepada Allah SWT.


Kerana itu, penumpang bahtera ini, menjadikan baginda contoh utama.


 


Rasulullah SAW dan makna kehidupan


Rasulullah SAW sering mendidik ummatnya agar bersederhana dan tidak pula menjadikan dunia sebagai matlamat. Baginda mendidik agar kehidupan ini bersih dari segala makar yang merosakkan. Baginda mengajak hanya kepada kebaikan, agar kita dapat mencapai makna kehidupan.


Rasulullah SAW bersabda:


“Tidaklah kekayaan itu dengan kekayaan harta, tetapi kekayaan yang sebenar adalah kekayaan jiwa.” Hadith riwayat Muslim dan Bukhari.


“Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada kedua ibu bapa, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberikan harta miliknya tetapi meminta-minta pula kepada yang lain, dan ditegah lagi ke atas kamu tiga perkara iaitu mengada-adakan cerita, banyak bertanya(perkara yang tidak penting), dan membazirkan harta.” Hadith riwayat Bukhari.


Makna kehidupan itu ditunjukkan oleh Rasulullah SAW adalah dengan melakukan perkara yang diredhai Allah SWT. Segala apa yang diarahkan baginda, adalah arahan daripada Allah SWT. Dan kita sendiri sudah dapat melihat bahawa, tiada apa yang diarahkan oleh Allah SWT itu melainkan hanya mendatangkan kebaikan kepada kita semua.


Kami penumpang bahtera, mustahil menjadikan yang selain ini sebagai contoh ikutan kami.


Sudahlah dunia selamat dan sejahtera, hidup dalam ketenangan dan bahagia, tetapi di akhirat pula dijanjikan syurga yang kesenangannya tiada batas?


Pasti inilah pilihan kami.


 


Lebih-lebih lagi, Rasulullah SAW ini merindui kami.


Abu ‘Ubaidah Al-Jarrah RA bertanya: “Wahai Rasulullah s.a.w, adakah manusia yang lebih baik dari kami? (sedangkan) Kami Islam bersama-sama kamu dan kami berjihad bersama-sama kamu.” Menjawab Baginda SAW: “Ya (ada) iaitu kaum yang berada selepas dari kamu, mereka beriman denganku, sedangkan mereka tidak pernah melihatku.” Hadith Riwayat Ahmad dalam musnadnya.


Mustahil kami akan berpaling daripada Rasulullah SAW.


Akhlak baginda yang bersih, hala tuju yang baginda pergi, dan apa yang baginda bawa semuanya adalah kebaikan. Bahkan baginda amat mencintai ummatnya, walaupun yang bukan sezaman dengan baginda.


Maka kami penumpang bahtera akan bergerak untuk memenuhi perjuangan baginda.


 


Penutup: Hendak pergi kepada Allah, perlu mengikuti Rasulullah


Allah SWT berfirman:


“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah Ali-Imran ayat 31.


Maka pastinya kami, yang menaiki bahtera ini untuk menuju kepadaNya, akan mengikuti Rasulullah SAW. Daripada bagindalah kami belajar akan ibadah, kami belajar akan akhlak, kami belajar akan perjuangan yang tidak kenal penat lelah. Daripada baginda kami mengambil kekuatan, untuk meneruskan kehidupan.


Kerana kami yakin bahawa, dengan mengikuti apa yang baginda tinggalkan, kami tidak akan sesat.


“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dengannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah dia Al-Quran, dan Sunnahku.” Hadith riwayat Muslim dan Sunan Abu Dawud.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 18, 2012 21:03

Kehidupan: Ustaz Dahlan bin Mohd Zain Dalam Kenangan.

[image error]


Kenangan pada tahun 2005 ketika saya Tingkatan 4 bersama Ustaz Dahlan bin Mohd Zain, di MATRI.


 


Hari ini 18hb September 2012. Pada 18hb September 2010, hari itu sepatutnya merupakan hari yang gembira buat saya. Kerana pada hari itu, saya bertunang dengan isteri saya sekarang ini. Namun, semasa diri saya sedang gembira mempersiapkan apa yang patut untuk urusan pertunangan pada pagi hari itu, SMS masuk ke dalam telefon bimbit saya.


“Hilal, Ustaz Dahlan nazak.”


Jiwa sedikit resah, berdoa agar umur Ustaz Dahlan dipanjangkan. Tetapi Allah SWT itu lebih berkuasa atas segala-galanya, masuk ke dalam kantung inbox saya satu lagi SMS, dan kemudiannya bertali arus SMS yang sama, berbunyi:


“Innalillahi Wa Inna Ilaihi Roji’un. Ustaz Dahlan yang kita kasihi telah meninggalkan kita. Dia telah meninggal dunia.”


Terus saya berkata kepada Ummi dan Abah saya: “Ummi, Abah, habis sahaja urusan pertunangan ni, Hilal pergi Perlis terus ya?”


Dan keizinan diberikan. Usai sahaja majlis pada waktu tengahari, saya bergegas memandu kereta Ummi, pergi ke Perlis, tempat Ustaz Dahlan bersemadi.


Lebih ini tahun kedua tarikh itu datang selepas Ustaz Dahlan tiada. Izinkan saya mengambil slot kehidupan ini, bagi mengenang dirinya.


Moga-moga ada manfaatnya buat kita semua.



Kali Pertama Dirapati Ustaz Dahlan Bin Mohd Zain


Bagi yang mengikuti saya semenjak awal saya menjadi penulis, akan perasan saya sering menulis berkenaan Ustaz Dahlan bin Mohd Zain. Siapakah Ustaz Dahlan? Beliau merupakan mudir tempat saya menuntut ilmu selama 7 tahun di Perlis. Mudir kepada Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis.


Saya yang merupakan anak jati Negeri Johor, dihantar merantau merentas negeri-negeri di Malaysia ke Perlis, hanya kerana Abah ingin saya meneguk mutiara daripada peribadi ini. Abah yang mengenali Ustaz Dahlan, mengagumi syakhsiah dan fikrahnya, lantas berharap agar saya mampu mendapat barang seteguk dua hikmah dari susuk tubuh yang hebat itu.


Namun kalau saya masuk ke sana sebagai tingkatan satu, saya sekadar memandang Ustaz Dahlan dari jauh sahaja tanpa merapatinya. Mendengar penyampaian mingguannya bertajuk ‘peribadi mukmin’ semasa perhimpunan, yang kadangkala saya tertidur di tengah-tengahnya. Ketika itu, saya tidak melihat apa istimewanya peribadi ini sehingga dikagumi Abah, dan dihormati ramai orang. Kerana saya tidak rapat dengannya.


Tetapi pada satu hari, tahun 2004, Allah izin saya menjadi petugas menguruskan majlis berbuka puasa besar-besaran yang dihadiri ibu bapa di MATRI. Tugas saya adalah mengangkat cawan dan talam, menyusun dan mengedarkan makanan, juga menguruskan apa yang patut. Ketika itu ada air tumpah di atas tempat duduk. Saya pantas mengelapnya. Tanpa saya sedar, rupa-rupanya Ustaz Dahlan ada berdekatan di tempat itu.


Kemudian, ketika sesi makan-makan, Ustaz Dahlan yang duduk bersama rakan-rakan veterannya memanggil saya untuk makan bersamanya.


“Hilal, duduk sini.” Saya masih ingat Ustaz melambai di tengah-tengah ramai.


Saya yang ketika itu sudah berbau masam kerana berpeluh melakukan pelbagai kerja, memegang baju saya dan berkata: “Ana busuk la ustaz.”


“Tak apa, mai sini. Makan.”


Dan saya duduk bersama Ustaz Dahlan, makan setalam dengannya, bersama rakan-rakannya yang jauh lebih tua. Itu pertama kali saya benar-benar berada rapat dengan Ustaz Dahlan.  Dia bukan pengetua yang ekslusif di dalam majlis-majlis. Dia mampu duduk bersama dengan saya, petugas yang ketika itu busuk baunya, kerana mahu menghargai saya mengelap air yang tumpah tadi, sambil bertaaruf dengan lebih rapat ke atas saya.


 


Ustaz Dahlan Yang Menawan Hati.


Semenjak peristiwa pada tahun 2004 itu, saya memang rapat dengan Ustaz Dahlan. Apatah lagi isteri Ustaz, ‘Ummi’ Halimaton(meninggal tahun 2009) sudah seperti ibu angkat saya kerana saya kerap memasuki pertandingan syarahan manakala Ummi adalah guru Bahasa Melayu.


Ketika saya berada di tingkatan enam atas, Ummi Halimaton ada dimasukkan ke dalam hospital atas rawatan mata. Sepanjang Ummi Halimaton di hospital, saya dan rakan-rakan menjaga Ustaz Dahlan di rumah. Di situ, lebih terserlah akhlak Ustaz Dahlan.


Ustaz Dahlan yang tua itulah yang memasak untuk kami apabila dia melihat kami tercengang-cengang tak tahu nak masak apa. Ustaz Dahlan itulah yang bangun lebih awal, dan mengejut kami. Ustaz Dahlan jugalah yang walaupun dihalang dengan keras oleh kami, tetap naik ke tingkat dua rumahnya mengemaskan bilik untuk kami tidur. Ustaz Dahlan jugalah yang tiba-tiba hilang di pagi hari, dan kembali ke rumah dengan membelikan nasi lemak untuk kami sarapan. Sedangkan kami yang ditugaskan untuk menjaganya.


Saya masih ingat kala saya sudah menjadi penulis, dan menulis di Majalah ANIS, ketika saya pulang bercuti pada tahun 2010, tahun kematian Ustaz. Saya menziarahi Ustaz yang semakin tenat ketika itu. Kelihatan Ustaz melunjur di atas katil, baru sahaja meletakkan Majalah ANIS di sisinya. Saya di dalam hati rasa hairan: “Ustaz baca Majalah ANIS?” Sebab saya tahu Ustaz Dahlan tidak membaca majalah itu.


Akhirnya saya bertanya: “Ustaz, Ustaz baca Majalah ANIS juga?”


Dan saya masih ingat jawapannya yang meruntun hati saya ketika itu: “Ana baca sebab enta ada tulis artikel dalam tu.”


 


Ustaz Dan Staf-staf MATRI.


Pada tahun 2012, saya telah tamat pengajian. Saya berazam untuk perlahan-lahan memulakan langkah menulis Buku bertajuk “Murabbiku Dalam Kenangan: Ustaz Dahlan bin Mohd Zain” sebagai tanda kasih dan hormat saya kepada beliau. Maka di dalam perjalanan saya untuk menghasilkan buku tersebut, saya kembali ke MATRI dan menemubual beberapa orang guru.


Pelbagai perkongsian diceritakan. Pelbagai pengalaman dikongsikan oleh guru-guru saya itu.


Namun ada beberapa similariti apabila mereka berbicara berkenaan Ustaz Dahlan.


Antaranya adalah, mereka pasti akan menceritakan bahawa Ustaz Dahlan bukan orang yang suka mengarah. Ustaz Dahlan akan lebih suka mengajak berbincang dan mengajak sahabat-sahabatnya menyuarakan pandangan.


Mereka juga pasti akan menceritakan kesabaran dan hikmah Ustaz dalam mengikis karat-karat jahiliyyah di dalam kehidupan mereka. Antara orang kanan Ustaz Dahlan, Cikgu Mohd Abduh, menceritakan bagaimana Ustaz Dahlan sentiasa berusaha datang lebih awal dari masa yang dijanjikan, dan jarang dia berkata jangan ini dan jangan itu, tetapi dia lebih senang menunjukkan yang dia meninggalkan perbuatan itu.


Mereka juga kebanyakannya memandang Ustaz dengan pandangan yang tinggi. Bagi yang umur berdekatan dengan Ustaz Dahlan, mereka melihatnya sebagai Abang. Dari kalangan guru saya yang lebih muda, mereka ramai melihat Ustaz Dahlan sebagai ayah. Ketika saya menemubual seorang lagi guru saya, Cikgu Azmi Bahari, beliau berkata:


“Bila Ustaz Dahlan hilang, seakan hilangnya satu figur yang mampu memahami benak hati kami semua.”


Dan saya memang tidak menafikan kata-kata serta pandangan guru-guru saya tadi kerana saya sendiri melihat bagaimana santunnya Ustaz Dahlan melayan staf-staf MATRI. Antara yang menyentuh hati saya adalah bagaimana Ustaz Dahlan, setiap kali mahu keluar makan sarapan, dia tidak akan pernah lupa mengajak Pak Man, tukang kebun MATRI.


Pak Man akan diajak, walaupun Pak Man berpeluh-peluh, masuk ke dalam Volvo Ustaz Dahlan, dan dibawa menjamah sarapan. Saya pernah bertanya Pak Man yang juga telah berumur itu, mengapa dia masih lagi susah payah bekerja membersihkan MATRI dan tidak berehat sahaja di rumah. Pak Man menjawab ketika itu:


“Kerana di MATRI ini ada tarbiyah.” Menunjukkan betapa berjayanya Ustaz Dahlan dalam membina sebuah bi’ah, yakni suasana, yang mampu membina jiwa-jiwa yang mahukan redhaNya.


Dan sat lagi similariti mereka apabila berbicara akan Ustaz Dahlan, pastinya ada nada sebak. Bahkan ada antara guru-guru saya terpaksa berhenti ditemu bual kerana mengambil masa menahan air mata, atau cuba bersuara namun suara terlekat di rengkong.


Hatta Pak Lah, tukang masak MATRI, apabila ditemu bual akan Ustaz Dahlan, dia turut sebak dan menangis.


“Kami rasa kehilanganlah.” Itu antara yang disepakati semua manusia di sekelilingnya apabila ditemu bual.


 


Ustaz Dahlan Mohd Zain Dalam Kenangan.


Saya pernah ditanya oleh Abah ketika saya tingkatan 5.


“Apa cita-cita Hilal sebenarnya?”


Saya ketika itu tidak pasti apa cita-cita saya sebenarnya. Akhirnya saya berkata kepada Abah: “Tidak pastilah. Abah ada cadangan apa-apa ke?”


“Jadilah pencetak manusia.”


“Hah?” Saya tercengang tidak pernah mendengar akan profession mencetak manusia.


Kemudian Abah menyambung: “Macam Ustaz Dahlan. Dia cetak manusia.”


Hari ini, apabila dilihat semula, walaupun Ustaz Dahlan telah tiada, namun legasi yang ditinggalkannya dalam bentuk ‘kitab-kitab yang berjalan’ wujud di merata tempat di Malaysia ini. Lepasan-lepasan MATRI yang menjadi, mahupun teman-teman seangkatannya, juga anak didik-anak didik daripada usrah beliau, semuanya hidup dengan intipati didikan dan tarbiyah yang beliau laksanakan.


Ustaz Dahlan telah tiada. Tetapi fikrahnya hidup. Hidup di dalam peribadi-peribadi yang didiknya.


Dan dia yang tidak menggantungkan apa-apa ‘jenama’ pada fikrahnya, membuatkan anak didiknya yang menjadi kebanyakannya benar-benar berusaha menggapai redha Allah SWT dalam kehidupan.


Saya yang telah menemubual guru-guru akan bertanya satu soalan wajib: “Pandangan ustaz/cikgu, kenapa Ustaz Dahlan asaskan MATRI ni?”


Mereka akan menjawab lebih kurang mafhumnya sama, begini: “Untuk melahirkan manusia-manusia yang Rabbani, mampu memimpin masyarakat ini.”


 


Penutup: Pengajaran Daripada Ustaz Dahlan bin Mohd Zain.


Jika saya diminta menceritakan berkenaan Ustaz Dahlan, pastinya berkajang artikel pun tidak mencukupi. Pelbagai sisi boleh disentuh dan diceritakan untuk mengambil ibrah dan pelajaran. Namun cukuplah saya menyatakan bahawa, Ustaz Dahlan bin Mohd Zain adalah manusia yang melihat lebih dari dirinya sendiri dan dari kehidupannya.


Dakwah yang dibawa oleh Ustaz Dahlan adalah kasih dan sayang, di samping berusaha bersungguh-sungguh membawa manusia pulang kepada Allah SWT dan penekanan terhadap Islam sebagai cara hidup. Di tengah-tengah itu, Ustaz Dahlan menghormati kreativiti, pandangan-pandangan baru, dan menggalakkan agar kami anak-anak muridnya aktif bergerak melakukan sesuatu untuk Islam walau tidak diarah dan diawasi.


Ustaz Dahlan adalah susuk tubuh penuh sederhana, yang mengajak kita menjadi hamba Allah SWT pada masa yang sama tidak meninggalkan tanggungjawab kita sebagai khalifah.


Saya sangat terkesan dengan Ustaz Dahlan.


Mencintainya seperti mencintai ibu bapa saya.


Semoga Allah merahmati beliau, dan semoga perkongsian saya ini ada manfaatnya.


Doakan agar urusan saya menulis Buku Murabbiku Dalam Kenangan: Ustaz Dahlan Mohd Zain dipermudahkan Allah SWT dan menjadi kenyataan.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 18, 2012 02:12

September 17, 2012

Umum: Prosedur Menjemput Personel LangitIlahi Untuk Berprogram.


- Logo Rasmi LangitIlahi Consultancy -


 


Memandangkan ramai bertanya berkenaan bagaimana prosedur untuk menjemput personel LangitIlahi memenuhi jemputan ceramah, bedah buku, bengkel penulisan dan sebagainya, maka kami di LangitIlahi Consultancy akan terangkan prosedur-prosedur untuk menjemput personel-personel LangitIlahi Consultancy.


Sebarang urusan jemputan personel LangitIlahi(bukan terhad kepada Hilal Asyraf sahaja) adalah perlu melalui kami di email consultancy@langitilahi.com untuk memudahkan urusan. Harga boleh dibincangkan. Sebaiknya, semasa hendak menjemput itu, perlulah diberikan beberapa maklumat:


 


1 – Nama program.


2 – Tempat program.


3 – Masa program dijalankan.


4 – Tajuk/konsep penyampaian.


5 – Bilangan penonton/pendengar dan kalau boleh disertakan sekali latar belakang mereka secara general.


6 – Bajet bayaran. Nyatakan mengikut kemampuan anda, dan kita akan bincang.


 


Data berkenaan personel LangitIlahi yang ada, anda boleh dapati di sini:


http://langitilahi.com/our-team

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 17, 2012 21:51

Pemuda: Momentum Mencintai Rasulullah SAW.


Membina Momentum Kecintaan Kepada Rasulullah SAW – Picture by UmarMita of LangitIlahi.


 


Peribadi Rasulullah SAW terus dihina dan dipermainkan oleh para musuh agama Allah SWT. Kelihatan berduyun dan bergerombolan umat ini berhimpun dan berteriak mempertahankan kemuliaan Rasulullah SAW. Saya yakin, situasi ini akan terus berulang dan berulang. Musuh Allah tidak kan pernah berdiam menyuntik amarah umat Islam. Bagi diri saya, saya mengambil kesempatan mencermin diri. Di saat musuh terus mencetuskan kemarahan kita berulang kali, sudah sejauh mana pula tahap kecintaan kita terhadap Baginda SAW.


Ya, persoalan ini membuatkan saya menunduk malu. Saya sedar, cinta saya pada mu wahai Rasulullah SAW amat jauh lagi. Terkadang rasa malu menyatakan yang diri ini cinta padamu sedangkan hakikatnya kami jauh dari sunnahmu.



Dengan wajah ketundukan, saya mencari kekuatan menyelami hakikat cinta kepada Rasulullah SAW yang sebenar-benarnya. Hari ini terlalu banyak perisa dan formula-formula cinta yang dicetuskan oleh sang manusia, sehinggakan hakikat cinta kepada junjungan besar kita dikesampingkan atau sekadar mengisi hari-hari tertentu seperti sambutan Maulidur Rasul sahaja. Makin celaru apabila ada pula umat Muhammad yang bangga dan teruja meraikan hari cinta (Valentine Day), sedangkan cintanya kepada Muhammad entah ke mana.


Kita semua boleh mendakwa kita cinta dan kasih Rasulullah SAW, tetapi sejauh manakah pembuktian cinta kita? Cinta menuntut pembuktian nyata! Tidak cukup kalau sekadar berarak dan berselawat pada Hari Maulidur Rasul semata! Cinta tidak cukup sekadar mendakwa kita umat Muhammad semata!


Pembuktian Cinta


Manusia yang mengejar cinta kemanusiaan, mereka bersungguh-sungguh menzahirkan cinta mereka, siang malam asyik teringat sang kekasih yang dicintai, hatta sampai peringkat sedia menjual jiwa dan raga kononnya demi membuktian kecintaan sesama mereka, syara’ atau tidak, kita boleh lihat sendiri contoh yang ada di luar sana. Nampak bahagia, namun hakikatnya mereka bercinta atas asas yang rapuh. Malahan ramai juga yang kecewa akhirnya.


Begitu sekali manusia berusaha membuktikan cinta mereka. Justeru bagaimana pula dengan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.? Apakah sehebat itu juga atau bagaimana? Apakah mencintai Rasulullah ada persaingan dengan cinta-cinta yang lain? Mencintai Rasulullah SAW merupakan kewajipan bagi setiap muslim dan semuanya mengaku ingin mencintai Baginda, namun tidak semua pengakuan itu benar dan tidak semua keinginan itu baik. Oleh kerana itu diperlukan bukti dan tanda yang dapat dijadikan dalil kebenaran pengakuan cinta kita terhadap Rasulullah SAW. Ini kerana apabila pengakuan tidak dibuktikan dengan dalil yang nyata, maka tentulah ramai manusia membuat kerosakan dan kekacauan dengan pengakuan-pengakuan dusta, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:


“Seandainya manusia diberikan (diterima) semua pengakuannya, tentulah ramai orang yang menuntut darah dan harta orang lain.” (HR: Al-Bukhari)


Cinta kepada sang kekasih Allah SWT ini besar ertinya kepada kita. Suatu ketika, seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah SAW seraya menanyakan tentang hari kiamat. Rasulullah bertanya: “Apa yang telah engkau persiapkan untuk hari itu?” Orang Badwi itu berkata: “Ya Rasulullah, aku tidak memiliki apa-apa, tetapi aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.” Mendengar itu, Rasulullah SAW menjawab, “Anta ma‘a man ahbabta. Engkau bersama orang yang kau cintai.” (HR Bukhari)


Dan Rasulullah SAW ada bersabda lagi:


“Seseorang di antara kamu belum beriman sehingga aku lebih dicintainya daripada kedua orang tua, anaknya dan seluruh manusia.” HR. Bukhari dan Muslim.


Firman Allah SWT:


“Katakanlah: “Jika kamu mencintai Allah ikutilah aku (Rasulullah SAW) niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (‘Ali Imran:31)


Saya yakin kita semua pernah membaca hadith dan ayat Al Quran di atas. Cabaran utama adalah sejauhmana kita membumikan cinta itu di dalam kehidupan kita. Percintaan yang benar dan sejati akan menterjemahkan cinta itu dalam kehidupan. Kecintaan yang tulus dan mulus akan menerbitkan umat yang kuat dan dinamik. Bukankah begitu gambaran kualiti para sahabat RA yang merupakan model terbaik umat yang paling mencintai nabi junjungan besar. Iman mereka mantap, sahsiah, peribadi dan akhlak mereka ampuh, kehidupan mereka yang sentiasa berusaha membuktikan kecintaan mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. dalam setiap masa dan fasa dakwah Islam. Siapa yang boleh menidakkan teladan kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW? Namun mengapa hari ini umat begitu longlai dan lemah? Apakah kerana kita belum menzahirkan lagi cinta kita kepada Rasulullah SAW?


Rasulullah Mencintai Umatnya


Firman Allah SWT:


“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu.” (Al Ahzab:21)


Ketika dalam kehidupan baginda, baginda telah menyatakan kerinduannya kepada kita hari ini, ummat baginda yang tidak pernah baginda jumpai. Mereka menggelarkan diri ummat yang meneruskan perjuangannya selepas baginda tiada sebagai ‘ikhwan’, bermaksud saudara-saudara. Nyata tinggi dan mendalam kasih baginda terhadap ummatnya.


Apabila baginda wafat, dunia kehilangan manusia terbaik sepanjang sejarah peradaban. Kelam pun menyelimuti seluruh langit. Baginda mengucapkan selamat tinggal sekaligus selamat datang pada generasi yang akan mengikuti millah-nya. Dalam doa-doa di keheningan malam, Rasulullah SAW  selalu bermunajat kepada Allah SWT tentang kerisauan terhadap keadaan umatnya. Dengan rasa takut dan harap, Baginda sentiasa berdoa agar umatnya senantiasa berada di jalan yang diredhai Allah. Baginda tidak rela apabila melihat umatnya ada dalam genggaman syaitan. Namun pernahkah kita sedar dan peka akan perkara ini?


Rasulullah SAW dengan segenap cinta, pengharapan dan kerisauannya, telah memberikan isyarat kepada kita bahawa Baginda sentiasa berfikir akan masa depan umatnya. Lantas, bagaimana dengan kita? Apakah kita juga selalu memikirkan dan meneladani Rasulullah SAW dalam seharian kehidupan kita? Sudahkah kita merasakan pengaruh cinta Rasulullah SAW dalam jiwa kita? Pertanyaan itu akan segera terjawab ketika mengukur kualiti akhlak dan keperibadian kita, serta sejauh mana kita mengenal Rasulullah SAW.


Ketika umat Islam diperintahkan agar mencintai Nabi Muhammad SAW maka itu sama sekali bukan kerana Nabi Muhammad memerlukan cinta umatnya, cinta siapa lagi yang diperlukan padahal Baginda sudah menjadi kekasih Allah? Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk mencintai Baginda, kerana apabila kita mencintai Rasulullah dengan jujur maka insyaAllah sahsiah dan peribadi kita akan sesuai dengan perilaku, sahsiah dan peribadi Baginda.


Momentum Cinta


Cinta kepada Rasulullah SAW memiliki implikasi yang sangat luas, antaranya kata Al qadhi ‘Iyadh termasuk tanda mencintai Nabi adalah membela sunnahnya dan menegakkan syariatnya serta ingin bertemu dengannya. Maka untuk mewujudkannya ia akan mengerahkan jiwa dan harta kekayaannya.


Besar kesannya terhadap kehidupan seseorang tatkala dia benar-benar menzahirkan cintanya kepada Rasulullah SAW. Pertamanya, cinta kepada Rasulullah SAW adalah sebuah prinsip aqidah; keislaman seseorang juga ditegaskan dengan prinsip kecintaan ini. Kerapuhan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW adalah kerana kerapuhan aqidah dan keimanan kita kepada Baginda. Justeru persoalan cinta kepada Rasulullah SAW adalah persoalan aqidah. Ini bukan persoalan kecil atau pecisan. Namun mengapa hari ini umat mendahulukan kecintaan kepada yang lain melebihi kecintaan kepada Rasulullah SAW?


Keduanya, cinta kepada Rasulullah SAW akan memberi momentum yang kuat ke arah untuk mengikuti sunnah dan meneladani akhlak Baginda. Hari ini dunia kehilangan peribadi yang soleh sebagaimana yang pernah dijelmakan oleh para sahabat RA saat berguru di bawah madrasah Rasulullah SAW. Mereka menjadi umat contoh dan umat teladan. Hari ini umat seperti hilang arah. Hilang keperibadian sejati sebagai umat Muhammad. Hilang hamasah untuk mencontohi Baginda SAW dalam kehidupan. Formula untuk membangkitkan kekuatan umat adalah dengan segera kembali berguru di madrasah Baginda dengan meneladani Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam segenap kehidupan. Mencontohi, mengikuti Rasulullah SAW dan berjalan di atas manhaj Baginda SAW serta berpegang teguh dan mengamalkan seluruh perkataan dan perbuatan Baginda SAW adalah tanda pertama cintakan Rasulullah SAW. Bahkan orang yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW adalah orang yang mengikuti Rasulullah SAW secara zahir dan batin serta selalu menyesuaikan perkataan dan perbuatannya dengan sunnah Rasulullah SAW.


Orang yang mencintai Rasulullah SAW adalah orang yang bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran Baginda. Ianya dizahirkan dengan mengamalkan sunnahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu dan kelazatan dunia.


Ketiga, kecintaan kepada Rasulullah SAW mampu menyatukan kembali umat Islam dan membina sikap kebersamaan. Pernah satu saat berlaku pertengkaran di antara para sahabat Ansar dan Muhajirin akibat momokan sang yahudi, namun hati mereka bertaut kembali hasil dari tarbiyah dan kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW.


Hari ini ramai yang membicarakan soal perpaduan bangsa melayu, apakah perjuangannya atas asas kecintaan kepada Allah dan Rasulullah? Sekiranya bukan, makan kesatuan tidak akan terjelma, sebaliknya yang hadir adalah kepentingan masing-masing semata.


Akhirnya, kecintaan kepada Rasulullah SAW akan membawa keberuntungan di akhirat kelak. Siapa yang tidak mahu selamat di akhirat? Justeru bersegeralah membumikan kecintaanmu kepada Rasulullah SAW.


“Katakanlah: “Jika kamu mencintai Allah ikutilah aku (Rasulullah SAW) niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (‘Ali Imran:31)


Inilah hanyalah sekadar catatan di atas pena, hakikatnya kita belum benar-benar lagi menyelami cinta kepada Rasulullah SAW. Masih jauh lagi. Saya meminjam kata-kata dari Dr. Ahmad Muhammad al-Hufy. Sebelum beliau menulis tajuk Min akhlak an-Nabiy beliau memulakan tulisannya dengan penuh kerendahan hati,


“Ya, Rasulullah, junjunganku! Apakah kata-kata yang tak berdaya ini mampu mengungkapkan ketinggian dan keluhuranmu? Apakah penaku yang tumpul ini dapat menggambarkan budi pekertimu yang mulia? Bagaimana mungkin setitis air akan sanggup melukiskan samudera yang luas? Bagaimana mungkin sebutir pasir akan mampu menggambarkan gunung yang tinggi? Bagaimana mungkin sepercik cahaya akan dapat bercerita tentang matahari? Sejauh yang dapat dicapai oleh sebuah pena, hanyalah isyarat tentang keluhuran martabatmu, kedudukanmu yang tinggi, dan singgasanamu yang agung.”


Semoga kita, para pemuda pemudi Islam tergolong dalam golongan umat Muhammad yang menzahirkan dan membumikan cintanya kepada Baginda SAW, amin.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 17, 2012 20:47

Pemuda : Kenapa Perlu Label-Melabel?

 



Muslim berdiri dalam saf yang sama, maka kenapa pecah-belahkannya? 

~ Picture by Umar Mita 


 


Hati saya beban bila kadangkala mendengar sebahagian kumpulan memberikan gelaran kepada sebahagian kumpulan yang lain, bila mendengar sebahagian agamawan memberi gelaran kepada sebahagian agamawan yang lain.


Memberi gelaran yang bawa maksud buruk itu pada saya adalah sesuatu yang berat bagi orang-orang Islam, apatah lagi bila gelaran-gelaran buruk itu dilemparkan kepada saudara seIslamnya sendiri.


Gelaran seperti ‘wahabi’ dan yang sewaktu dengannya, bukanlah perkara pelik bagi saya. Hanya kerana saya pernah bersekolah di Perlis (walaupun saya menetap di Pulau Pinang sebenarnya), maka saya pernah dilabel sebagai ‘wahabi’ oleh beberapa orang ustaz dari sebuah institusi agama di Malaysia ini.


Hakikatnya, kenapa perlu label-melabel ini?


 


Konotasi Yang Bawa Maksud Buruk


Kadang, saya tidak faham kenapa sampai perlu label-melabel begini. Kalau dikatakan ‘wahabi’ itu kerana menerima pendapat dari mazhab yang lain dari Syafie, maka kalau begitu semua ulama’ mazhab yang lain seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal dan imam-imam lain adalah ‘wahabi’ jugalah, ya?


Konotasi ‘wahabi’ ini memang kebiasaannya membawa maksud yang buruk pada orang yang mendapat gelaran sebegini.


“Ni tak baca qunut. Wahabi.”


“Ni tak baca tahlil. Wahabi.”


Sedangkan tak baca qunut itu adalah pendapat dalam mazhab Hanafi dan Hanbali. Maka, takkanlah mereka juga ‘wahabi’?


Sampailah satu tahap, apabila kita tidak bersetuju dengan orang, walaupun bukan dalam hal furu’ akidah ataupun fiqh, kita akan terus gunakan cop ‘wahabi’ ni sebagai penyelamat diri kita, juga sebagai neraca untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa kitalah yang betul dan dialah yang salah.


Di Kelantan, satu ketika dahulu, Menteri Besarnya, Tok Guru Nik Aziz pernah dilabel oleh beberapa orang sebagai ‘wahabi’ hanya kerana berbeza fahaman politik.


Dr Asri sendiri, seorang tokoh agama yang sangat terkenal di negara kita dilabel sebagai ‘wahabi’ kerana menerima keluasan mazhab dan tidak terhad kepada satu mazhab sahaja.


Bukan dia seorang sahaja, bahkan Menteri Besar Perlis pun suatu ketika dahulu, Datuk Seri Shahidan Kassim pun dilabel ‘wahabi’.


Tak cukup dengan itu, orang-orang yang pulang membawa pemikiran baru dalam kalangan masyarakat, supaya masyarakat kita bangun membuat perubahan pun dilabel sebagai ‘wahabi’.


 


Label Selalunya Menjarakkan


Label-label begini akhirnya bukanlah untuk membuktikan mana kebenaran, mana bukan. Tetapi ia lebih digunakan sebagai senjata untuk menjatuhkan orang yang tidak bersetuju dengannya.


Apa-apa hal sikit, kalau tak setuju, ‘wahabi’.


Bukanlah fokus saya pada ‘wahabi’ ini saja, tetapi ini salah satu contoh yang kuat dan selalu berlaku dalam masalah label-melabel di Malaysia, mungkin juga di tempat-tempat lain.


Bila kita memberi gelaran yang bawa maksud buruk kepada orang yang tidak sependapat dengan kita, kita telah pun membina jarak antara kita dengan dia. Kita bukan semakin dekat dengan dia, bahkan semakin jauh daripada dia. Sedangkan para ulama’ dulu, perbezaan pendapat antara mereka tidaklah menjadi barrier yang menjarakkan lagi hubungan antara mereka, bahkan mereka itu saling berkasih sayang meskipun tidak berdiri di atas pendapat yang sama.


Lihat saja firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 11. Allah memberi peringatan kepada manusia tentang hal ini selepas Allah menyatakan bahawa orang beriman itu adalah bersaudara.


“… dan janganlah kalian saling mencela diri-diri kalian dan janganlah kalian saling memanggil dengan gelaran (yang buruk)…” [Al-Hujurat : 11]


Allah menyebutkan ayat ini selepas ayat tentang ukhuwah kerana mengingatkan manusia bahawa inilah antara punca perpecahan dalam masyarakat kita.


Gelar-menggelar dengan gelaran yang buruk bukanlah jalan untuk membuktikan yang mana benar, yang mana bukan. Gelar-menggelar ini hanya akan digunakan setelah orang tidak ada modal lagi untuk berhujah.


Sepatutnya, pentas ilmu seperti melalui perbincangan, debat ilmiah digunakan kalau benar pada diri kita ada hujah yang benar terhadap pendapat yang kita pertahankan. Bukanlah dengan cara melabel manusia dengan labelan yang buruk.


 


Label-melabel bukan akhlak kita


Kadang, orang tidak tahu pun apa tafsiran kepada labelan seperti ‘wahabi’. Sekadar dengar-dengar daripada orang ataupun terbaca dalam mana-mana website ataupun share poster-poster dalam Facebook.  Kemudian dia pun terikut-ikut melabel orang dengan labelan-labelan yang menjarakkan lagi hubungan antara keluarga muslim.


Tidak dikaji dengan betul-betul teliti. Hanya kerana labelan-labelan seperti itu datang daripada mereka yang berjubah dan berserban serta selalu mengungkapkan zikir dan selawat, maka dianggapnya semua itu betul.


Hakikatnya, bukan semua orang yang berjubah dan berserban itu jujur dengan agamanya. Bukan semua orang yang mulutnya selalu terkumat-kamit berzikir itu semestinya dia itu orang yang baik.


Datang ke negara Arab dan kita akan nampak di tangan-tangan Arab selalu bermain dengan biji-biji tasbih itu tetapi di tangan sebelah lagi tangannya memegang rokok. Ada yang berjubah tetapi tidak berakhlak. Hendak beribadah di hadapan Kaabah pun berebut-rebut dan bertolak-tolak.


Maka, janganlah bulat-bulat terima walaupun yang mengatakan tentang hal itu adalah seorang syeikh berserban yang hebat dan dikagumi anak muridnya sekalipun. Kajilah dulu akan kebenaran sesuatu labelan itu sebelum kita terlibat dalam dosa memberi gelaran yang buruk dan tidak sepatutnya kepada manusia.


“Wahai orang-orang beriman, sekiranya datang orang fasik membawa kepadamu suatu berita, maka telitilah kebenarannya agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatan itu.” [Al-Hujurat : 6]


 


Penutup : Kita Bukan Tuhan Yang Menentukan Syurga dan neraka Manusia


Sebagai kesimpulan dari saya, kita ini bukanlah orang yang maksum, tidak bersih daripada dosa untuk bebas memberikan gelaran-gelaran buruk kepada manusia.


Kita bukan Tuhan untuk hukum manusia. Kita manusia seperti orang yang kita gelar itu juga. Ada hari kita salah, ada hari kita betul. Kita pun belum tahu destinasi akhir kita, di syurga atau di neraka.


Maka, untuk apa kita memberikan gelaran yang tidak baik kepada manusia yang tidak sekepala atau sependapat dengan kita?


Belajarlah untuk berlapang dada dan menerima keluasan dalam beribadah.

Kaji sedalam-dalamnya sebelum kita ingin bersetuju atau terikut-ikut dengan apa-apa jua ajaran.


Label-melabel ini bukan suatu yang ringan, tetapi ia suatu yang berat. Merosakkan hubungan dan membenih kekeliruan dalam masyarakat.


Nanti orang akan keliru melihat, agamawan ini, berjanggut dan berserban boleh pula mengata dan melabel agamawan yang lain sesuka hati, maka adakah ini yang dikatakan agama?


Hentikanlah label-melabel sebegini. Agama datang membaiki keadaan manusia, membaiki hubungan antara manusia, tetapi dengan ada label-label begini, ia hanya akan menyesakkan dada saja.


Semoga Allah menunjukkan kebenaran pada kita.


 


—————————————————————————————————–


(link ni mungkin dapat membantu menjelaskan lagi pada kita apa itu ‘wahabi’)


http://www.youtube.com/watch?v=NE7uqWX6jl8

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 17, 2012 00:43

September 16, 2012

Agama: Hari Malaysia – Peranan Kita yang bagaimana?


~dari bandar hingga ke hutan, Malaysia akan kita tawan~ (captured by UmarMita)


Hari ini genap 49 tahun negara tercinta kita bergelar Malaysia. Bukan mahu mengupas tentang sejarahnya. Namun demikian, penting juga untuk kita ambil kisah kerana memetik kata-kata George Santayana tentang sejarah:


“Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.”


Begitu pentingnya kita mengambil pengajaran dalam setiap kejadian agar kita tidak mengulangi kesilapan generasi terdahulu atau lebih baik dapat memanipulasikan kerja-kerja mereka dengan cara-cara yang terkemudian dan lebih kehadapan. Sekarang ini masih hangat diperkatakan tentang isu filem yang menghina nabi yang bertajuk “Innocence of Muslims”. Banyak respons secara baik diadakan tidak kurang juga yang bertindak ganas. Sebelum pergi lebih jauh saya sarankan untuk anda membaca note saya terlebih dahulu untuk lebih jelas apa yang cuba saya kongsikan.


http://www.facebook.com/notes/langit-ilahi/isu-filem-menghina-nabi/396733780393198


Sejarah membuktikan bahawa kaum yahudi dan nasrani tidak pernah-pernah berhenti untuk menjatuhkan umat islam. Jika ketika zaman nabi s.a.w dahulu baginda dicaci, dilemparkan batu, hari ini walaupun baginda telah tiada namun musuh-musuh islam ini masih tidak lelah untuk memburukkan baginda. Dari sudut positif, kita melihat sebenarnya dakwah baginda terkesan hingga ke hari ini menyebabkan mereka bagaikan cacing kepanasan. Tentang ketidaksetujuan mereka dengan islam Allah merakamkan dalam Al-Quran:


“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu)” (Al-Baqarah:120)



Taif


Suatu sirah yang tidak bisa dilupa. Jika artikel saya di atas merujuk penghinaan berbentuk ejekan kepada baginda maka peristiwa ini lebih lagi perlu kita hayati kerana batang tubuh suci baginda yang teraniaya. Sejarah hitam ini yang melibatkan penyiksaan ke atas baginda bukan sahaja ketika dakwah baginda di Thaif, tetapi kronologi sebelum ia berlaku juga memeritkan.


Bermula dengan berita kematian dua pelindung utama baginda Saidatina Khadijah dan Abu Talib. Musyrikin Quraisy yang mulanya tidak berani menyakiti tubuh baginda, mula menunjukkan belangnya bahkan secara berkumpulan. Namun suatu sudut yang lain, mereka sebenarnya takut untuk berhadapan dengan baginda berseorangan. Banyak perisiwa penganiayaan yang berlaku seperti leher baginda dijerut, dilemparkan najis ke atas kepala nabi sedang baginda bersujud dan sebagainya.


Hati seorang manusia sudah tentu merasai sedikit kecewa. Namun bukan bermakna baginda berputus asa. Cuma baginda mengambil langkah berbeza dalam menyeru manusia dengan berpergian ke Taif dengan harapan ada di sana sinar iman. Tetapi jawapannya adalah sebuah kehampaan. Bahkan lebih dahsyat lagi penyeksaan terhadap baginda dan anak angkatnya, Zaid bin Harithah. Pemimpin-pemimpin khabilah di Taif mengerahkan suku kaum mereka yang terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa untuk melemparkan batu kepada mereka berdua sewaktu ingin keluar daripada kota tersebut hinggakan darah baginda mengalir membasahi kaki baginda walaupun setelah cuba dihalang oleh Zaid r.a.


Keluar daripada kota tersebut, nabi s.a.w dan Zaid r.a singgah berehat di kebun pembesar Quraisy, Utbah bin Rabiah yang amat memusuhi nabi. Allah Maha Pengasih dan berpegang pada janji-Nya. Nabi tidak akan wafat sebelum baginda berjaya menyebarkan dakwah menuju Allah. Allah mencampakkan rasa simpati dalam hati yang dahulunya memusuhi baginda setelah mendengar suatu doa daripada baginda:


“Wahai Tuhanku! Kepada-Mulah aku mengadu kelemahan diriku, lemahnya kekuatanku, kecilnya ikhtiar dan dayaku dalam menghadapi manusia. Wahai Tuhan yang Maha Penyayang, Engkau Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau Tuhanku. Kepada siapa Engkau mahu serahkan diri ini? Kepada orang yang jauh yang mensia-siakan aku? Atau kepada musuh yang Engkau serahkan nasibku? Kalau sekiranya Engkau tidak marah kepadaku, nescaya tidak aku peduli lagi. Tetapi kemaafan-Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung cahaya sinar-Mu yang menerangi segala kegelapan. Yang akan menjadi baik segala urusan dunia mahupun akhirat daripada turun ke atasku murka dan kemarahan Engkau. Engkau yang mempunyai keredhaan. Segala kepujian hanya bagi Engkau sampaikan Engkau redha. Dan tiada daya dan upaya melainkan Engkau, ya Allah”


Setelah itu, Allah memerintahkan malaikat penjaga gunung bertemu nabi untuk menawarkan kepada baginda tawaran menghempap bukit di Taif ke atas kaum sekitarnya. Namun nabi melarang perbuatan tersebut bahkan baginda berkata:


“Jangan binasakan mereka. Sesungguhnya mereka dalam golongan yang tidak mengetahui. Apa yang aku harapkan adalah semoga suatu hari nanti akan lahir daripada sulbi mereka anak-anak yang menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun.”


Setelah itu datang seorang hamba tuan kebun tersebut yang beragama Kristian bernama Addas untuk memberikan baginda anggur yang akhirnya memeluk Islam dengan hanya lafaz basmallah yang baginda ucapkan sebelum makan. Seterusnya baginda pulang ke Mekah dan memasukinya dengan bantuan Mut’im bin ‘Adi. (salah seorang pembesar Quraisy yang menyokong pembatalan pemulaun ke atas umat Islam). Walau selepas tohmahan dan seksaan yang diterima, semuanya tidak menghalang baginda terus berusaha berdakwah hinggakan ketika itu islamnya seorang pemimpin dari luar Mekah yang datang ke sana hanya ingin berjumpa nabi iaitu Tufail bin Amru dari suku kaum Daus.


Malaysia dan Kita


Lihatlah! Dari hati kita yang paling dalam. Rasulullah yang bebas daripada kesalahan dalam dakwah baginda, namun juga manusia biasa dalam hal dunia, tetapi bagaimana baginda bisa tangani rasa marah yang mana penganiayaan itu terkena ke atas tubuh baginda sendiri. Bahkan dengan sifat pemaaf dan rendah hati baginda berdoa agar mereka mendapat hidayah-Nya. Berlainan halnya dengan kita, lebih ‘pura-pura’ marah daripada melakukan kerja yang membina deen-Nya.


Berbalik kepada isu penghinaan ke atas nabi ini juga bersempena dengan hari Malaysia hari ini, untuk kita lihat wajah Malaysia yang baru di masa hadapan ayuh sama-sama kita mainkan peranan. Lalu  harus bagaimana? Jangan kita kecilkan skop rasa marah kita dengan tunjuk perasaan dan adakan himpunan. Ia bukan kesalahan jika dilakukan secara aman. Cuba lihat semula industri seni kita di Malaysia, karya yang mana yang boleh membuatkan rasulullah bangga jika baginda masih bersama kita? Juga yang mana yang menampakkan keindahan islam walaupun dalam hiburan?


Bukan menafikan usaha sesetengah pihak yang telah memulakan langkah menjurus kearah islamisasi perfileman. Namun ia bersifat minoriti. Oleh itu, mereka yang berautoriti juga mereka yang menceburi bidang media ini terutamanya melalui medium radio,televisyen dan lain-lain, harus memikul tanggunjawab ini berdasarkan posisi mereka. Tunjukkan islam sebagai jalan penyelesaian menerusi karya anda. Ia juga sebenarnya menjadi projek kita membina semula umat ini daripada terus leka dengan arus dunia. Mereka yang lain gunakan kelebihan dalam bidang masing-masing untuk melahirkan bantahan kita pada desakan musuh-musuh Islam ini.


Munkin pengamal media boleh mencontohi rakaman ini :


http://www.youtube.com/watch?v=sDqnRqTVtCo&feature=share


Motif saya menceritakan kisah nabi di Taif adalah lihat bagaimana rasulullah walaupun selepas diseksa begitu rupa, baginda tidak terus-menerus menzahirkan rasa marah dan kecewa sahaja, namun baginda masih memainkan peranannya sebagai seorang penyampai risalah. Buktinya adalah islamnya hamba yang bernama Addas dan ketua suku kaum Daus, Tufail bin Amru. Begitulah sepatutnya kita, melalui bidang masing-masing kita mengambil peranan kita untuk menggoncangkan kekuatan musuh dengan membina kekuatan kita sendiri bukan menambahkan kekuatan mereka melalui demonstrasi ganas yang membolehkan mereka berhujah atas perlakuan kita.


 Oppa Gangnam Style


Terlanjur saya sebutkan pasal Malaysia, ingin juga saya sebutkan perihal kumpulan ini yang makin digilai terutama dalam kalangan remaja. Jika kita sedar ini juga sebenarnya taktik musuh melemahkan kita dengan hiburan yang tidak bermoral selain video-video kontroversi mereka yang membuktikan kelemahan kita dengan tidak berjaya mengawal sikap kita hingga bertindak dibawah akal yang waras.


Mulanya saya tidak berkenan untuk ambil tahu akan kumpulan ini. Namun selepas melihat sambutan yang hangat dalam laman sosial saya tergerak untuk singkap sedikit  supaya dapat saya sampaikan sesuatu pesanan. Bukan ingin membincangkan tentang hukum. Anda sendiri boleh bernilai jika ada wanita auratnya terbuka dan aksi-aksi yang melampau adakah ia masih tidak salah di sisi agama? Mungkin juga ada yang berkata dia hanya mendengar muziknya sahaja tanpa melihat pada rakaman video.


Apa yang cuba saya jelaskan adalah meskipun ia sekadar muzik namun ia sebenarnya membentuk peribadi kita yang bagaimana. Sebagai contoh jika kita perasan orang yang sukakan lagu rock atau gemar menyanyikannya akan berpakaian ala-ala rock. Walaupun bukan semua, tetapi rock itu kononnya telah sebati dalam jiwa mereka. Begitu sebenarnya peranan muzik membentuk peribadi. Adapun peribadi yang paling agung sudah tentulah nabi s.a.w dituruti orang-orang yang bertaqwa selepas baginda. Allah berfirman:


“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu.” (Al-Hujurat:13)


Rasulullah s.a.w telah membawa style baginda dalam segenap ruang lingkup kehidupan. Kita marah orang mempersendakan baginda dengan cacian dan perbuatan keji walhal kita juga tidak cuba berusaha membentuk peribadi rasulullah dalam diri kita. Tiada makna apa-apa cuma mungkin berbeza kita dengan mereka (musuh islam) kita tidak menghina baginda, tetapi kita masih tidak beramal dengan apa yang baginda cuba bawa seterusnya menyampaikan kepada orang lain. Oleh itu tingkatkan diri kita dengan usaha mengubah corak kehidupan diri kita dengan style baginda (islam yang sempurna) seperti firman Allah.


“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata.”(Yusuf:108)


Penutup


Kesimpulannya, Malayisa memerlukan manusia khususnya remaja dan amnya kepada semua yang bukan hanya leka dengan hiburan dunia, dibuai keindahan cinta semata, dipengaruh media yang tidak tentu hala, disibukkan dengan keseronokkan bola, dan banyak perkara yang boleh membuatkan kita berasa selesa dengan sistem yang ada. Hakikatnya, Malaysia amat menantikan mereka yang sama yang dapat menggegarkan dunia dengan filem, video, radio, penulisan dan media massa yang lain tanpa mengabaikan tanggungjawab utama mengajak manusia untuk sama-sama mengabdikan diri pada Rabbul Izzati.


Akhir kata, halusi bait-bait kata dalam video ini, moga-moga kita lebih terinspirasi.


http://www.youtube.com/watch?v=nyzezMZ2PbY


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 16, 2012 07:09