Hilal Asyraf's Blog, page 139

September 25, 2012

Poster: Merdeka

[image error]


Jika kau mahu bebas daripada Allah, ertinya kau menjadi hamba kepada nafsu, dan pada masa yang sama tidak pula kau terlepas daripada segala takdir, tadbir dan sunnah-Nya.


Mana satu pilihan terbaik: menjadi hamba kepada dua tuan, atau hamba hanya kepada Yang Esa?


Ayuh merdekakan diri!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 25, 2012 09:11

September 24, 2012

Umum : Khas Untuk Adik-adik PMR – Maralah Ke Depan !

[image error]


Teruskan pendakian. Puncak sedang menanti kita ! 

~ Picture by Umar Mita


Saya dengar, tidak lama lagi adik-adik saya yang sekarang berada di tingkatan 3 akan menempuh Penilaian Menengah Rendah (PMR). Saya pasti kebanyakan di antara kalian ada yang sudah berdebar-debar menanti hari-hari peperiksaan tersebut.


Tetapi, saya sendiri jujurnya tidaklah dapat menceritakan debaran tersebut bagaimana kerana saya sendiri ketika berada di tingkatan 3, saya bukanlah di kalangan mereka yang benar-benar ‘all-out’ di saat-saat akhir sebelum peperiksaan. Bukanlah kerana saya malas atau tidak suka belajar, tetapi saya ditakdirkan masuk ke hospital dua-tiga bulan sebelum PMR dan hanya kembali membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan kira-kira seminggu sebelum PMR.


Saya sendiri bukanlah orang yang bagus sangat dalam akademik, namun saya selalu yakin pertolongan Allah itu ada untuk hamba-Nya. Alhamdulillah, walaupun tidaklah bersedia mana, tetapi Allah beri juga yang terbaik.


Saya tahu ada adik-adik saya yang sedang berdebar memikirkan semakin hampirnya masa.

Saya tahu ada adik-adik saya yang mungkin rasa dirinya kurang bersedia.

Dan saya tahu juga ada di kalangan adik-adik ini yang PMR ini tidaklah begitu penting baginya.


Maka, mari saya ingin berkongsi rasa dengan kalian semua. Semoga yang berdebar dapat menenangkan jiwanya seketika. Semoga yang rasa kurang bersedia tahu hendak buat apa. Dan semoga yang belum merasa apa-apa mula meledakkan sedikit usaha sekiranya dia telah tersedar dari lena.


 


Allah Itu Ada, Tenangkan Jiwa Damaikanlah Hati


Walaupun saya tidak sempat bersama sahabat-sahabat saya pada saat-saat akhir ketikamana mereka semua betul-betul ‘all-out’ untuk PMR, tetapi saya sempat juga merasakan kedebaran itu untuk seketika sebelum saya dimasukkan ke hospital.


Dan saya pasti, adik-adik yang benar berhajatkan kecemerlangan dalam PMR ini, hatinya mesti berdebar-debar menanti hari peperiksaan. Kalau yang sudah benar-benar bersedia, mungkin gementar dalam jiwanya agak kurang sedikit.


Namun, bagi yang merasakan dirinya kurang bersedia, mungkin debar dalam hatinya itu tidak berhenti memikirkan berbagai-bagai perkara dalam fikirannya.


               “Ish, macam manalah soalan Sains tu nanti?”


               “Rasa-rasa, keluar tak yang kita target hari tu?”


               “Bahasa Arab ni dahlah susah, do. Aku tak taulah boleh jawab ke tak nanti.”


Berdebar. Memikirkan mampu atau tidak untuk menjawab soalan-soalan yang tersedia di atas kertas PMR itu nanti. Memikirkan apakah keputusan yang bakal dia perolehi nanti kalau tersalah jawab.


Sebelum pergi lebih jauh, sebelum kalian yang mungkin rasa tidak begitu bersedia terfikir untuk pasrah dan kecewa saja, marilah kita duduk seketika memberi masa kepada jiwa kita untuk rapat kepada Pemiliknya.


Ketepikan seketika bagi yang mungkin tidak merasa apa-apa atau merasa PMR ini tidak begitu penting.


Bagi yang merasa PMR ini adalah suatu yang besar dalam kehidupannya sehingga dia pun telah benar-benar berusaha siang dan malam melakukan ulangkaji dan perbincangan dalam kumpulan, sehingga dia telah mengorbankan banyak masa main dan masa tidurnya, maka ketahuilah bahawa usaha anda itu tidaklah sia-sia.


Jangan gentar. Jangan gusar. Tenanglah tenang.


Damaikan jiwa, tenangkan hati.


Allah itu ada menilai segala titik usaha kita. Kalau kita masih kurang bersedia ataupun tidak begitu bersedia, Allah tahu kita sudah berusaha semampu mungkin. Kita sudah buat ulangkaji, dah buat perbincangan kumpulan, kita pun dah berusaha baiki segala kelemahan-kelemahan kita.


Di saat-saat akhir ini, mungkin tidak banyak yang kita sempat untuk lakukan. Tetapi, ada satu perkara yang kita boleh lakukan sehinggalah di saat kita berada di dalam dewan peperiksaan sekalipun.


Apakah itu?


Sentiasalah ingat dan merapat pada Allah.


 


Rapat dengan Allah, kunci kepada kejayaan


Berusaha, sudah berusaha. Ulangkaji pun dah ulangkaji. Kelas tuisyen pun dah banyak kita ikuti. Maka, di saat-saat akhir begini, hanya tinggal untuk ulangkaji dua-tiga perkara saja lagi mungkin.


Mungkin ada yang masih rasa kurang bersedia atau rasa gementar.

Maka, mari luangkan masa kita beberapa ketika untuk kita merapat kepada Allah. Rapat kepada Allah itu adalah kunci kejayaan.


Adik-adik yang dikasihi,


Berkemungkinan kita rasa kita ini sangat sedikit persediaannya, tetapi dengan bantuan Allah, Allah boleh memberi lebih daripada apa yang kita jangkakan. Allah boleh mengubah apa yang mungkin tidak terfikir di minda kita.


Tetapi jangan salah sangka. Saya tidak menyuruh kita bertawakkal secara membabi buta tanpa berusaha. Usaha itu sendiri adalah salah satu bentuk tawakkal kita kepada Allah.


Janganlah nanti ada yang malas berusaha dan tidak bersungguh-sungguh bersedia lalu beralasan untuk meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Katanya, cukup dengan yakin kepada Allah, Allah akan bantu. Tetapi, itu saja tidak akan mencukupi.


Saya beri contoh yang mudah. Kita ingin ambil barang di dalam sebuah laci. Tetapi sebelum boleh ambil barang itu, laci itu perlu dibuka terlebih dahulu. Apakah dengan duduk berdoa semata-mata, laci itu akan terbuka sendiri?


Sudah tentu tidak, bukan? Maka, kitalah yang perlu pergi buka laci itu. Kemudian, kalau barang itu ada, kita dapat. Kalau tak, kita tak dapat.


Itulah dia usaha.


Bagi yang sudah benar-benar berusaha, masa-masa akhir begini janganlah dibiarkan dan diisi dengan ulangkaji saja, tetapi manfaatkanlah untuk kita menjadi lebih rapat dan akrab dengan Allah s.w.t. Kerana nanti natijah kepada hasil usaha kita ini, Allahlah yang akan berikan.


Maka, dalam tempoh masa yang ada ini, saya cadangkan untuk kalian beberapa perkara yang ringan untuk kalian lakukan sebagai sarana menempatkan diri kita lebih akrab dengan Allah.


 


1) Luangkan masa untuk solat sunat dan berdoa meminta agar Allah memberi yang terbaik dan membantu kita semasa menajwab.


2) Lazimi istighfar dan taubat agar dosa kita tidak menjadi penghalang antara kita dengan kejayaan yang Allah hendak berikan.


3) Kalau berpeluang, sempatkanlah diri untuk bangun malam sebelum Subuh menunaikan solat sunat dua rakaat, bersendirian bersama Allah s.w.t.


 


3 perkara ini. Ringan-ringan, buat mana yang termampu asal Allah jangan kita tinggalkan. Selain itu, peliharalah peribadi dan akhlak kita. Bertutur kata dengan tutur kata yang baik, menjaga hubungan baik dengan ibu bapa, guru dan kawan-kawan.


Saya tidak minta untuk kita jadi seorang yang hipokrit. Tetapi, barangkali inilah salah satu titik mula yang bagus untuk kita menjadi lebih dekat dengan Allah. Kerana manusia, bila dia mula dihimpit dengan kesusahan dan kepayahan, keperluan untuk bertuhan itu dirasakan sangat tinggi dalam dirinya.


Maka, gunakan peluang ini untuk kita menjadi lebih rapat dengan Allah s.w.t. Boleh jadi ketika kita merasakan kesusahan saat ingin menjawab peperiksaan, Allah menurunkan bantuan memudahkan urusan kita. Boleh jadi ketika kita merasa sudah banyak kesalahan yang kita lakukan ketika menjawab peperiksaan, Allah berikan natijah sebaliknya yang kita tidak jangka.


Yang penting, janganlah kita tinggalkan Allah.


 


Penanda Aras antara kita dengan Allah juga sebenarnya


Orang yang melihat PMR ini hanya sekadar sebagai satu peperiksaan, mungkin dia akan menganggap hal ini sebagai hal yang remeh. Tetapi, orang yang memandang PMR ini lebih daripada itu, dia akan melihat bahawa PMR juga boleh menjadi penanda aras antara hubungan seseorang dengan Allah.


Kenapa saya berkata begitu?


Begini. Bagaimanakah sepatutnya peribadi orang yang mempunyai hubungan dengan Allah ketika dia sedang belajar? Sudah tentulah dia akan bersungguh-sungguh dan memberi fokus terhadap pelajarannya kerana dia tahu Allah sedang memerhatikan apa yang dia lakukan. Di dalam kelas dia memberi fokus, di luar kelas dia bersungguh-sungguh mengulangkaji dan membaiki kelemahannya. Dia tidak sibuk bermain semata-mata, tetapi berusaha membaiki prestasi dirinya.


Orang yang memandang enteng terhadap peperiksaan ini atau apa-apa jua peperiksaan, maka apakah mungkin dia akan bersungguh-sungguh dalam melakukan persediaan dan persiapan?


Logiknya, tidak, bukan?


Maka, orang yang tidak bersungguh-sungguh melakukan persiapan, dia telah melakukan jenayah terhadap ilmu itu sendiri. Bagaimana mungkin orang yang memiliki hubungan dengan Allah ketika belajar, merasakan Allah sentiasa memerhatikan dan menilai dirinya, tetapi dia boleh belajar sambilewa dan tidak berusaha bersungguh-sungguh pula untuk mendapat yang terbaik?


PMR adalah medan untuk menilai kesungguhan dan usaha kita selama tiga tahun kita belajar. Memanglah kita tidak belajar untuk peperiksaan. Tetapi, sekurang-kurangnya ia menjadi salah satu indikator untuk menilai kesungguhan kita.


Orang yang tidak bersungguh-sungguh belajar, malas mengulangkaji dan asyik habiskan masa dengan bermain saja, maka itu telah memberi penanda aras bahawa hubungannya dengan Allah mungkin sedang bermasalah.


Maka, sepatutnya dia perlu mula sedar dan melakukan pembaikan pada dirinya.


 


Penutup : Adik-adik Kami Sekalian, Selamat Berjuang !


Hidup ini memang bukan sekadar untuk PMR juga bukanlah untuk SPM dan sebagainya yang lain. Tetapi sebagai seorang mukmin, kita dituntut untuk sentiasa berusaha dan melakukan yang terbaik dalam apa jua tempat dan bidang yang kita ceburi.


Maka, adik-adik sekalian, teruskan berjuang di saat-saat akhir ini dan jangan lupa luangkan masa kita seketika untuk Allah s.w.t. Kalau kita beroleh kejayaan nanti di dalam peperiksaan ini, kita telah beroleh dua kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan dan yang lebih utama kejayaan kita menjadi hamba yang lebih akrab dengan Tuhannya.


Ketika hati berdebar, mintalah kepada Dia dikurniakan ketenangan.

Ketika kita merasakan kesusahan dan kepayahan, mintalah kepada Dia agar dikurniakan sedikit kemudahan.


Ingatlah, kejayaan itu datang daripada Dia dan bukanlah daripada usaha kita yang kerdil ini.


InsyaAllah, Allah sentiasa ada memberikan apa yang perlu kepada kita. Dan yang perlu untuk kita itulah biasanya adalah yang terbaik.


Akhir kata daripada saya mewakili krew LangitIlahi.com, lakukanlah yang terbaik !


Selamat berjuang !

Semoga Allah membantu kalian !


Doa kami di LangitIlahi akan sentiasa mengiringi kalian, InsyaAllah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 24, 2012 00:32

September 23, 2012

Kehidupan: Angka-angka Kosong, kitakah itu?


Picture by UmarMita of LangitIlahi



Kebelakangan ini saya sering mengembara ke universiti-universiti di serata Malaysia. Dijemput untuk memberikan talk, ceramah dan tazkirah. Satu soalan wajib saya kepada peserta adalah:


“5 tahun lagi, anda adalah siapa?”


Rata-rata akan menjawab pekerjaan mereka. Engineer. Doktor. Pensyarah dan sebagainya. Ada juga yang menjawab “Masih belajar lagi,” sama ada jawapan itu kerana dia ingin menyambung Masters, ataupun dari diploma meningkat ke Ijazah.


Namun bukan itu jawapan yang saya kehendaki.


Maka saya akan bertanya lagi:


“Siapakah di sini cita-citanya adalah untuk menjadi yang bermanfaat buat Islam?”


Dan sunyi akan sentiasa mengekori.


 



Sebuah Kitaran Yang Dibiasakan Kepada Kita.


Bayi, membesar, masuk tadika, sekolah rendah, kemudian menaiki ke sekolah menengah, seterusnya menjejakkan kaki ke universiti. Ada dari kalangan kita mungkin tidak mendapat rezeki ini, namun dia akan membesar dididik suasananya sendiri. Seterusnya semua berimpian untuk mendapatkan kerja, dan menjadi pekerja. Ada yang berkahwin semasa belajar, ada yang berkahwin selepas bekerja, ada yang tidak berkahwin. Bagi yang berkahwin, mendapat anak, seterusnya naik pangkat demi pangkat, rumah makin besar, kereta makin banyak, hutang juga makin bertimbun. Anak kita mendapat anak, dan kita bergelar datuk dan nenek, seterusnya mereka pun membesar dan kita pun semakin tua, dan akhirnya mati.


.


.


Mati.


.


Ya. Mati. Itupun jika sempat melalui semuanya. Jika tidak sempat? Semasa usia muda sahaja kita sudah boleh dijemput pergi.


Ramai manusia terperangkap di dalam kitaran ini, dan akhirnya sekadar menjadi ‘manusia biasa’. Dia bekerja menjadi hamba kepada sebuah sistem yang tidak pun memberikan pulangan kepada agamanya. Dia menuruti sahaja segala apa yang telah sistem aturkan, dan dia pun mati sebagaimana sistem hajatkan. Mati sebagai hamba sistem, yang langsung tidak akan memberikan kesan kepada perjalanan sistem.


Maka di manakah makna hidup jika berada dalam kitaran ini?


Sedar tidak sedar, manusia didoktrin untuk mengikuti arus ini. Kerana itu, apabila disoal berkenaan cita-cita, maka apa yang dilihatnya hanyalah ‘kerjaya’. Dia tidak melihat lebih daripada itu, kerana dia telah duduk di dalam sebuah ‘sangkar’ yang menyekat potensi sebenar seorang manusia, sekaligus mematikan kekuatannya untuk menggapai apa yang patut digapainya.


 


Berapa Ramai Yang Telah Mati Di Dalam Kitaran Ini?


Bilangan ummat Islam telah mencapai billion. Tetapi di manakah ‘kekuatan’ billion itu?


Kita fikirkan semula akan kitaran tadi, dan kita fikirkan semula sekitar hampir 90 tahun selepas kehilangan dawlah Islamiyyah pada tahun 1924, berapa ramai yang telah mati di dalam kitaran tadi? Ya. Secara tidak sedar, kita telah membazirkan ‘nyawa-nyawa kekuatan’ Islam secara tidak sedar. Itu belum dikira mereka yang berjaya melepaskan diri dari kitaran ini, namun diburu, diperangi oleh pemegang sistem hari ini.


Kerana itu, saya tertarik dengan kata-kata seorang ulama’ di eropah yang berbunyi:


“Apakah kamu mengira mereka musuh-musuh Allah itu peduli kamu membaca Al-Quran setiap hari? Tidak. Mereka tidak akan peduli. Mereka hanya peduli apabila kamu mempraktikkan Al-Quran dan mula menganggu perjalanan sistem mereka.”


Maka walaupun bilangan kita billion, tetapi kita tidak hidup untuk menjadi ‘seseorang yang mampu memberikan sumbangan kepada Islam’, akhirnya kita hanya menjadi sebuah angka kosong yang tiada nilainya. Kita menjadi hamba kepada sistem, dan mati di dalamnya. Ibarat buih di lautan, yang langsung tidak menakutkan kita.


Teringat saya akan sabda Rasulullah SAW:


“Akan tiba ketikanya kamu akan dikeronyok oleh musuh-musuh sebagaimana orang-orang yang berebut untuk makan suatu hidangan.”  Para Sahabat bertanya: “Apakah ketika itu jumlah kami sedikit, ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Tidak, bahkan jumlah kamu ketika itu ramai sekali tetapi seperti buih-buih ketika air bah…” Hadith Riwayat Abu Dawud.


Ya. Kita ramai hari ini. Tetapi seperti buih di lautan.


Angka-angka yang kosong.


 


Maka Bagaimana Kami Mahu Menjadi Yang Bermanfaat Buat Islam?


Di sinilah persoalan utamanya. Bagaimana hendak mengeluarkan diri dari ‘kitaran’ ini? Segelintir manusia pernah mempersoalkan saya:


“Habis, kau nak kami buat apa? Tak kerja?”


Bukan. Tetapi jika kamu ingin menjadi doktor, jadilah doktor yang bermanfaat buat Islam. Yang setiap kali orang datang kepada kamu untuk dirawat kesakitannya, kamu turut mampu merawat jiwanya. Tidak cukup dengan itu, kamu akan berusaha mengumpulkan rakan-rakan kamu yang doktor, yang pegawai kesihatan dan seberapa ramai pakar dalam alam medical ini, untuk seterusnya membina beberapa buah hosptal Islamic, yang kala orang masuk ke dalam hospital itu, keluar mereka mendapat sentuhan Islam.


Jika kamu ingin menjadi taukeh restoran, jadilah taukeh restoran yang bermanfaat buat Islam. Yang masakanmu adalah halalan toyyiba(bukan sahaja halal, bahkan terbaik), yang suasana restoranmu adalah syar’ie, menggambarkan akhlak muslim, waiter-waiter menutup aurat dan kemas, restoranmu bersih, servismu sopan, dan pada meja-meja disediakan keratan-keratan muhasabah dan tazkirah untuk tatapan kala pelanggan menunggu makanan. Biar kala manusia keluar dari restoranmu, mereka mendapat sentuhan Islam.


Jika kamu merupakan pelajar bidang komputer, teknologi dan sebagainya, jadilah yang amat bermanfaat buat Ummah. Ummah kini memerlukan apps-apps yang Islamik, game-game yang Islamik, search engine yang Islamik. Yang belajar dalam bidang perfileman, atau yang berbakat menjadi pelakon, ummah kini memerlukan kamu untuk menghasilkan filem-filem dan drama yang Islamik, yang pelakon-pelakonnya bukan sekadar menutup aurat di dalam drama tetapi juga di luarnya, yang bukan sekadar mengamalkan Islam di dalam filem, tetapi juga di luarnya.


Apa-apa sahaja bidang yang kamu ceburi, pastikan ianya bermanfaat buat Islam dan pembangunan ummah. Jika dirasakan tiada sesuatu pun yang boleh disumbangkan melalui kerjaya, maka sumbangkanlah melalui peribadi yang menawan. Jangan hidup sekadar untuk bernafas, bergelak ketawa, bercanda kosong. Tetapi hiduplah dengan menjadi duta-duta Islam di tengah-tengah pejabat dan tempat kerja, di tengah-tengah taman perumahan dan terhadap jiran-jiran.


Pastikan, di dalam hidup anda, paling kurang anda berjaya mengajak seorang dua manusia kembali kepada Allah SWT dan menjadi muslim yang sebenar.


Pastikan anda mendidik keluarga anda, anak-anak anda, untuk menjadi Muslim Mukmin yang bermakna.


Pastikan, anda tidak mati begitu sahaja.


 


Penutup: Saham Buat Pulang Ke Akhirat Sana.


Apabila diangkat gambar Ka’bah di Facebook, ramai yang LIKE. Tetapi apabila diangkat gambar Hospital, mungkin tiada siapa yang peduli. Kerana ‘ibadah’ pada hari ini disempitkan di pagar-pagar masjid, manakala urusan dan keperluan Ummah tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada ibadah. Sedangkan Hospital adalah keperluan Ummah yang amat penting.


Mentaliti sebegini perlu kita pecahkan. Jangan merasa selesa dengan Ka’bah dan Masjid Nabawi yang tersergam indah di Makkah dan Madinah, kala ummat Islam di tempat-tempat lain, negara-negara Islam yang lain, terkebelakang dari segi kemajuan dan peradaban.


Jangan merasa megah dengan qiyamullail berakaat-rakaat sepanjang malam, sedang pada kala siang kita membiarkan ribuan orang Islam hanyut dibawa kerosakan sistem.


Jangan merasa cukup dengan 30 juzu’ yang dikhatam setiap bulan, jubah dan serban yang dipakai, juga masjid yang berjaya kita ziarahi sehari-hari, sedang ummat Islam terus disembelih sehari-hari.


Allah menciptakan kita sebagai ‘khalifah’, pentadbir. Allah tidak menciptakan kita untuk menjadi ‘rahib’.


Maka bergeraklah. Pecahkan kitaran itu. Menjadilah Muslim Mukmin yang bermakna, yang kehadirannya di atas dunia memberikan impak, yang kewujudannya di atas muka bumi memberikan kebaikan, yang hadirnya dia di dalam kehidupan ini memberikan manfaat kepada masyarakat.


Ini adalah saham akhirat kita. Dunia tempat mengumpul saham itu, dan akhirat nanti tempat mendapatkan labanya.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 23, 2012 21:05

Agama: Hasad dengki barah bagi hati

[image error]




Penyakit ini seringkali dikaitkan dengan bangsa melayu. Hakikatnya ia merupakan kerosakan pertama yang berlaku di atas dunia yang melibatkan pelbagai bangsa antaranya yang berlaku dalam peristiwa ketika zaman nabi Adam. Cuma mungkin ia seringkali dikaitkan dengan bangsa melayu kerana sifat ini menjadi tonggak utama meng’hidup’kan cerita seperti sejarah Hang Tuah, Hang Nadim dan sebagainya.



Pembahagian hasad



 merasa benci atau tidak berpuas hati dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang yang didengki dan berharap nikmat itu tidak berterusan.

Hasad ini adalah yang paling keji dan terlarang kerana bukan sahaja seseorang manusia memiliki sifat ini berasa tidak senang dengan kelebihan orang lain ditambah pula rasa tidak bersyukur ke atas nikmat Allah yang diberi kepadanya. Orang yang mengakui beriman perlu berusaha mengikis sifat mazmumah ini kerana kebaikan tidak pernah selari denga keburukan seperti dalam sabda baginda s.a.w:


“Tidak akan berhimpun dalam jiwa hamba Allah iman bersama dengan hasad” (HR Ibn Hibban)  


 2.  Berharap seseorang tidak dapat memiliki nikmat berterusan tanpa merasa benci dan berharap orang lain berada dalam keadaan jahil tanpa dikurniakan nikmat.


Hasad ini juga terlarang. Bezanya cuma seseorang itu bersyukur atas nikmat yang dia terima tetapi berasa iri hati jika ada insan lain yang melebihi dirinya. Namun, adalah lebih baik kita jauhi sifat ini kerana baginda s.a.w bersabda:


“Manusia ini terus berada dalam keadaan baik selagi mereka tidak berdengki-dengki” (HR At-Tabrani)


3. Ghibtoh atau merasa hasad kepada orang lain atas nikmat yang dikurniakan tanpa merasa dengki atau benci nikmat itu berterusan dan dikurniakan kepada orang lain.


Jika pembahagian pertama dan kedua terlarang berlainan pula dengan yang ketiga adalah digalakkan atas dasar untuk berlumba-lumba dengan syarat dalam melakukan kebaikan bukan kemungkaran. Allah menyebut di dalam Al-Quran:


“dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan”. (Al-Mutoffifin:26)


Rasulullah juga ada bersabda melalui Abdullah Ibn Mas’ud:


“tiada boleh berdengki kecuali dalam dua hal iaitu terhadap seorang yang Allah berikan harta lalu dia pergunakan harta tersebut di jalan kebenaran dan seseorang yang Allah berikan dia hikmah lalu dia mengamalkan dan mengajarkan kepada orang lain.” (HR Bukhari)


Dalam hadis ini baginda menyebutkan dua contoh situasi.


Pertamanya berlumba-lumba dalam menyumbangkan harta. Hal ini pernah dirakam dalam kitab sirah sewaktu umat Islam di minta untuk keluar berjihad ke suatu tempat bernama Tabuk walhal tempat itu amat jauh ditambah dengan kepanasan cuaca yang menggigit. Namun, bukan kisah pengorbanan jiwa mereka yang saya ingin gambarkan tetapi kesungguhan para sahabat nabi untuk menyumbangkan harta mereka di mana Saidina Abu Bakr menyumbangkan seluruh hartanya dan diikuti oleh Umar r.a dengan separuh hartanya mereka berikan untuk kegunaan kelengkapan perang umat Islam ketika itu.


Keduanya adalah hikmah atau pengetahuan yang Allah berikan kepada orang lain melebihi dirinya. Hal ini juga menggambarkan kepada kita bahawa berlumba-lumba dalam menuntut ilmu itu dibolehkan cuma ada beberapa sisi perlu kita jaga kerana dalam menuntut ilmu ini sebenarnya ia berada di tebing keikhlasan yang perlu diperhati dengan betul. Maka tidak hairan jika golongan penuntut ilmu terlebih lagi bagi agamawan mempunyai sifat hasad yang terlarang.


Kumpulan Penghasad



Hasad sesama keluarga

Perkara ini bukan perkara baru. Bahkan ia pernah terjadi sejak zaman awal kejadian manusia yang berlaku kepada anak nabi Adam iaitu antara Qabil yang hasad kepada saudaranya Habil disebabkan pasangan kahwinnya tidak secantik pasangan Habil hingga tercetus pertumpahan darah. Allah merakam kisah ini dalam Al-Quran:


“Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.” (Al-Maidah:30)


Begitu pula halnya kisah nabi Yusuf bersama saudara-saudara yang dengki kepadanya disebabkan lebihan perhatian oleh ayah mereka nabi Yaacob ke atas Yusuf a.s. Dewasa kini, sifat ini diterjemah dalam bentuk yang sama cuma berbeza situasi dalam kehidupan manusia yang melibatkan sesama keluarga mereka terutama dalam bab pengwarisan harta hingga mengakibatkan berlaku pergaduhan dan lebih dahsyat terputus hubungan kekeluargaan.


2. Hasad sesama sendiri (bangsa)


Setakat pemerhatian saya, perkara ini sering berlaku dalam masyarakat Melayu dan mungkin jarang berlaku pada bangsa lain. Namun tidak boleh dinafikan ia masih terjadi. Sebagai contoh bangsa Melayu dengki dengan sesama bangsa sendiri dalam urusan kerjaya bisnes dan sebagainya walhal bangsa cina terus maju disebabkan sikap bekerjasama mereka. Maka, dalam hal begini kunci kejayaan itu adalah kebersamaan bukan sekadar dalam perniagaan bahkan ia membuka kejayaan dalam bidang yang lain.


3. Hasad golongan intelektual


Hasad acapkali berlaku dalam kalangan golongan terpelajar atas sebab dengki dengan pencapaian orang lain. Namun, saya mahu khususkan kepada skop agamawan dan juga parti politik. Kita lihat hari ini ramai dalam kalangan agamawan yang hasad antara satu sama lain. Sebab itu timbul fitnah-memfitnah, label-melabel berpunca daripada sifat ini. Tidak kurang ahli politik yang dengki kepada kejayaan parti yang lain hingga sanggup membuka aib lawannya di kalayak umum.


Oleh itu, golongan intelektual perlu ambil perhatian untuk lebih berhati-hati kerana sejarah telah membuktikan di mana ahli kitab tidak mengiktiraf Rasulullah walhal mereka mengetahui kebenarannya. Allah berfirman:


“Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w).” (Al-Baqarah:109)                                                                             


 


Membantu atau menjatuhkan?


Melihat kepada keburukan hasad ini sebenarnya lebih sekadar rasa tidak berpuas hati kepada orang lain dan tidak bersyukur atas nikmat ke atas diri sendiri. Ia hakikatnya membuahkan keburukan yang lain sebagaimana kisah kedua anak nabi Adam yang bermula dengan hasad dan akhirnya berlaku pertumpahan darah. Begitulah liciknya permainan syaitan dan seangkatannya dalam menjerta manusia kedalam kefasadan.


Dari sudut lain, kekadang ada orang beranggapan bahawa menghalang seseorang berbuat kebaikan atas alasan kurang kemampuan itu sebagai bantuan kepada si pendengar nasihat. Namun, saya lebih melihat ia menjatuhkan kemampuan seseorang itu kerana dalam hal kebaikan kebiasaanya manusia mampu untuk melakukannya mengikut taraf kebaikan yang ingin dilakukan. Adapun jika ia jelas seperti seorang yang fakir untuk bersedekahkan hartanya tetapi tidak mempunyai wang itu adalah terkecuali.


Oleh yang demikian, jika terdetik dalam diri anda untuk melakukan kebaikan terutama dalam bab untuk berubah kepada yang lebih baik, maka jangan ditangguhkan niat baik tersebut hanya dengan sebab ada orang lain berkata itu dan ini. Terus lakukan perubahan dan cuba kekalkan momentum tersebut. Begitulah juga dengan kebaikan-kebaikan yang lain.


Merawat hasad


Merawat barah ini perlu dalam dua keadaan kerana ada hasad yang datang dari dalam diri manusia sendiri dan ada juga hasad manusia lain terhadap diri kita. Apapun, yang terutamanya adalah hubungan kita dengan Allah. Bagaimana kita berserah kepada ketentuan Allah juga rasa syukur kita kepada-Nya atas nikmat yang dikurnia.


Adapun cara yang lain adalah kita menghapus rasa hasad kita adalah memaafkan dan berbuat baik kepada orang yang berhasad dengan kita, dan jika datang dari diri sendiri perlu ketahui bahawa hasad tidak membuahkan sebarang natijah bahkan nikmat orang yang kita hasad tidak berkurangan.


Kesimpulan


Akhir sekali marilah sama-sama kita mohon kepada Allah agar dijauhi daripada sifat hasad ini dengan doa yang nabi Muhammad s.a.w ajarkan kepada kita:


ربنا اغفر لنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين ءامنوا ربنا إنك رءوف رحيم


Wahai Tuhan kami, ampunkan dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan jangan engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki dan dendam kepada orang yang beriman. Wahai tuhan kami sungguhnya Engkau maha Pengasih lagi maha Penyayang.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 23, 2012 09:34

Hasad dengki barah bagi hati

[image error]


Penyakit ini seringkali dikaitkan dengan bangsa melayu. Hakikatnya ia merupakan kerosakan pertama yang berlaku di atas dunia yang melibatkan pelbagai bangsa antaranya yang berlaku dalam peristiwa ketika zaman nabi Adam. Cuma mungkin ia seringkali dikaitkan dengan bangsa melayu kerana sifat ini menjadi tonggak utama meng’hidup’kan cerita seperti sejarah Hang Tuah, Hang Nadim dan sebagainya.


Pembahagian hasad



 merasa benci atau tidak berpuas hati dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang yang didengki dan berharap nikmat itu tidak berterusan.

Hasad ini adalah yang paling keji dan terlarang kerana bukan sahaja seseorang manusia memiliki sifat ini berasa tidak senang dengan kelebihan orang lain ditambah pula rasa tidak bersyukur ke atas nikmat Allah yang diberi kepadanya. Orang yang mengakui beriman perlu berusaha mengikis sifat mazmumah ini kerana kebaikan tidak pernah selari denga keburukan seperti dalam sabda baginda s.a.w:


“Tidak akan berhimpun dalam jiwa hamba Allah iman bersama dengan hasad” (HR Ibn Hibban)  


 2.  Berharap seseorang tidak dapat memiliki nikmat berterusan tanpa merasa benci dan berharap orang lain berada dalam keadaan jahil tanpa dikurniakan nikmat.


Hasad ini juga terlarang. Bezanya cuma seseorang itu bersyukur atas nikmat yang dia terima tetapi berasa iri hati jika ada insan lain yang melebihi dirinya. Namun, adalah lebih baik kita jauhi sifat ini kerana baginda s.a.w bersabda:


“Manusia ini terus berada dalam keadaan baik selagi mereka tidak berdengki-dengki” (HR At-Tabrani)


3. Ghibtoh atau merasa hasad kepada orang lain atas nikmat yang dikurniakan tanpa merasa dengki atau benci nikmat itu berterusan dan dikurniakan kepada orang lain.


Jika pembahagian pertama dan kedua terlarang berlainan pula dengan yang ketiga adalah digalakkan atas dasar untuk berlumba-lumba dengan syarat dalam melakukan kebaikan bukan kemungkaran. Allah menyebut di dalam Al-Quran:


“dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan”. (Al-Mutoffifin:26)


Rasulullah juga ada bersabda melalui Abdullah Ibn Mas’ud:


“tiada boleh berdengki kecuali dalam dua hal iaitu terhadap seorang yang Allah berikan harta lalu dia pergunakan harta tersebut di jalan kebenaran dan seseorang yang Allah berikan dia hikmah lalu dia mengamalkan dan mengajarkan kepada orang lain.” (HR Bukhari)


Dalam hadis ini baginda menyebutkan dua contoh situasi.


Pertamanya berlumba-lumba dalam menyumbangkan harta. Hal ini pernah dirakam dalam kitab sirah sewaktu umat Islam di minta untuk keluar berjihad ke suatu tempat bernama Tabuk walhal tempat itu amat jauh ditambah dengan kepanasan cuaca yang menggigit. Namun, bukan kisah pengorbanan jiwa mereka yang saya ingin gambarkan tetapi kesungguhan para sahabat nabi untuk menyumbangkan harta mereka di mana Saidina Abu Bakr menyumbangkan seluruh hartanya dan diikuti oleh Umar r.a dengan separuh hartanya mereka berikan untuk kegunaan kelengkapan perang umat Islam ketika itu.


Keduanya adalah hikmah atau pengetahuan yang Allah berikan kepada orang lain melebihi dirinya. Hal ini juga menggambarkan kepada kita bahawa berlumba-lumba dalam menuntut ilmu itu dibolehkan cuma ada beberapa sisi perlu kita jaga kerana dalam menuntut ilmu ini sebenarnya ia berada di tebing keikhlasan yang perlu diperhati dengan betul. Maka tidak hairan jika golongan penuntut ilmu terlebih lagi bagi agamawan mempunyai sifat hasad yang terlarang.


Kumpulan Penghasad



Hasad sesama keluarga

Perkara ini bukan perkara baru. Bahkan ia pernah terjadi sejak zaman awal kejadian manusia yang berlaku kepada anak nabi Adam iaitu antara Qabil yang hasad kepada saudaranya Habil disebabkan pasangan kahwinnya tidak secantik pasangan Habil hingga tercetus pertumpahan darah. Allah merakam kisah ini dalam Al-Quran:


“Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.” (Al-Maidah:30)


Begitu pula halnya kisah nabi Yusuf bersama saudara-saudara yang dengki kepadanya disebabkan lebihan perhatian oleh ayah mereka nabi Yaacob ke atas Yusuf a.s. Dewasa kini, sifat ini diterjemah dalam bentuk yang sama cuma berbeza situasi dalam kehidupan manusia yang melibatkan sesama keluarga mereka terutama dalam bab pengwarisan harta hingga mengakibatkan berlaku pergaduhan dan lebih dahsyat terputus hubungan kekeluargaan.


2. Hasad sesama sendiri (bangsa)


Setakat pemerhatian saya, perkara ini sering berlaku dalam masyarakat Melayu dan mungkin jarang berlaku pada bangsa lain. Namun tidak boleh dinafikan ia masih terjadi. Sebagai contoh bangsa Melayu dengki dengan sesama bangsa sendiri dalam urusan kerjaya bisnes dan sebagainya walhal bangsa cina terus maju disebabkan sikap bekerjasama mereka. Maka, dalam hal begini kunci kejayaan itu adalah kebersamaan bukan sekadar dalam perniagaan bahkan ia membuka kejayaan dalam bidang yang lain.


3. Hasad golongan intelektual


Hasad acapkali berlaku dalam kalangan golongan terpelajar atas sebab dengki dengan pencapaian orang lain. Namun, saya mahu khususkan kepada skop agamawan dan juga parti politik. Kita lihat hari ini ramai dalam kalangan agamawan yang hasad antara satu sama lain. Sebab itu timbul fitnah-memfitnah, label-melabel berpunca daripada sifat ini. Tidak kurang ahli politik yang dengki kepada kejayaan parti yang lain hingga sanggup membuka aib lawannya di kalayak umum.


Oleh itu, golongan intelektual perlu ambil perhatian untuk lebih berhati-hati kerana sejarah telah membuktikan di mana ahli kitab tidak mengiktiraf Rasulullah walhal mereka mengetahui kebenarannya. Allah berfirman:


“Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w).” (Al-Baqarah:109)                                                                             


 


Membantu atau menjatuhkan?


Melihat kepada keburukan hasad ini sebenarnya lebih sekadar rasa tidak berpuas hati kepada orang lain dan tidak bersyukur atas nikmat ke atas diri sendiri. Ia hakikatnya membuahkan keburukan yang lain sebagaimana kisah kedua anak nabi Adam yang bermula dengan hasad dan akhirnya berlaku pertumpahan darah. Begitulah liciknya permainan syaitan dan seangkatannya dalam menjerta manusia kedalam kefasadan.


Dari sudut lain, kekadang ada orang beranggapan bahawa menghalang seseorang berbuat kebaikan atas alasan kurang kemampuan itu sebagai bantuan kepada si pendengar nasihat. Namun, saya lebih melihat ia menjatuhkan kemampuan seseorang itu kerana dalam hal kebaikan kebiasaanya manusia mampu untuk melakukannya mengikut taraf kebaikan yang ingin dilakukan. Adapun jika ia jelas seperti seorang yang fakir untuk bersedekahkan hartanya tetapi tidak mempunyai wang itu adalah terkecuali.


Oleh yang demikian, jika terdetik dalam diri anda untuk melakukan kebaikan terutama dalam bab untuk berubah kepada yang lebih baik, maka jangan ditangguhkan niat baik tersebut hanya dengan sebab ada orang lain berkata itu dan ini. Terus lakukan perubahan dan cuba kekalkan momentum tersebut. Begitulah juga dengan kebaikan-kebaikan yang lain.


Merawat hasad


Merawat barah ini perlu dalam dua keadaan kerana ada hasad yang datang dari dalam diri manusia sendiri dan ada juga hasad manusia lain terhadap diri kita. Apapun, yang terutamanya adalah hubungan kita dengan Allah. Bagaimana kita berserah kepada ketentuan Allah juga rasa syukur kita kepada-Nya atas nikmat yang dikurnia.


Adapun cara yang lain adalah kita menghapus rasa hasad kita adalah memaafkan dan berbuat baik kepada orang yang berhasad dengan kita, dan jika datang dari diri sendiri perlu ketahui bahawa hasad tidak membuahkan sebarang natijah bahkan nikmat orang yang kita hasad tidak berkurangan.


Kesimpulan


Akhir sekali marilah sama-sama kita mohon kepada Allah agar dijauhi daripada sifat hasad ini dengan doa yang nabi Muhammad s.a.w ajarkan kepada kita:


ربنا اغفر لنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين ءامنوا ربنا إنك رءوف رحيم


Wahai Tuhan kami, ampunkan dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan jangan engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki dan dendam kepada orang yang beriman. Wahai tuhan kami sungguhnya Engkau maha Pengasih lagi maha Penyayang.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 23, 2012 09:34

September 21, 2012

Novel: Takdir2 – Percaya Yang Tidak Sirna – Cheritera 11.


Picture by UmarMita of LangitIlahi.


Sambungan Takdir2: Percaya Yag Tidak Sirna.


Cheritera 11.


Kepada yang lama menanti,


kini Takdir kembali!


 



 


Ashoka dan Arnav berwajah pucat lesi. Namun masih menggerakkan langkahan kembali ke pintu utama Duarte. Mereka berdua disambut oleh pengawal pintu utama yang menyapa Kiai Sunyi tadi.


“Ah, kamu berdua adalah yang menemani Kiai Sunyi tadi bukan? Di manakah Kiai?” Mesra pengawal itu menyapa.


Ashoka memandang Arnav. Arnav sekadar memandang kembali Ashoka.


“Dia telah pergi.” Arnav memberitahu, lemah.


Pengawal itu mengerutkan dahi. “Ada apa-apa yang berlakukah?”


Ashoka menghela nafas. “Entah, sukar kami hendak menerima dengan akal. Namun berlaku di hadapan mata kami sendiri.”


“Duarte akan diserang oleh Ethan.” Arnav menambah.


“Hah?” Tersentak pengawal itu.


“Kiai Sunyi menghantar kami berdua ke sini untuk membantu kamu.” Ashoka bersuara.


“Siapakah gerangannya kamu berdua?”


“Aku adalah Arnav, dan dia adalah Ashoka. Kami berdua merupakan dua dari empat panglima Chinmayi.”


“Ah, bukankah kalian telah ditewaskan teruk oleh Sang Asura tempoh hari?” Masih tidak mampu menelan berita yang datang, pengawal itu bertanya banyak.


“Kami berdua diselamatkan oleh Kiai Sunyi.”


Dan mendengar jawapan Ashoka itu, Sang Pengawal seakan baru dapat mencerna apa yang dilihatnya. Kerana itulah Kiai Sunyi berjalan dengan dua orang lelaki ini.


“Baiklah. Masuk segera. Tuanku End tidak ada sekarang kerana keluar mengembara bersama Angkasa Sakti dan Aizan Fahmi dari Tanah Suci ke Uftzi. Yang ada adalah Ketua Panglima kami sebagai ganti – Armon.”


Armon. Ketua Panglima Wilayah Duarte. Bukan nama asing untuk Ashoka dan Arnav. Panglima ini jarang keluar dari Duarte kerana setiap kali End keluar, dia yang akan diarahkan tinggal, menjaga Wilayah Duarte. Juga merupakan jurucakap bagi End, kerana sikap End yang terkenal sering membisu.


“Bawa kami bertemu dia. Kami perlu berbincang segera. Tentera Ethan sedang menghampiri dan dijangka sampai esok.” Arnav menegaskan.


Pengawal itu mengangguk kemudian bergerak mendapatkan rakannya, seterusnya melaung:


“Bukakan pintu gerbang ini!”


Perlahan-lahan pintu gerbang yang megah itu terbuka. Arnav dan Ashoka sama-sama saling memandang.


“Kiai Sunyi itu, nyata bukan manusia biasa.” Ashoka bersuara.


“Kini, aku takkan lagi merapuhkan percaya.” Arnav menarik nafas.


Seakan-akan, mereka berdua manusia yang baru.


Walaupun pada wajah mereka ada kepucatan yang menandakan wujud sesuatu yang menakutkan baru sahaja berlaku.


Apakah yang terjadi antara mereka dan Kiai Sunyi?


Hanya mereka dan Allah SWT sahaja yang tahu.


 


*******


Suasana di padang pasir itu amat menakutkan. Debu-debu naik berterbangan. Seakan wujud taufan di tengah-tengah keadaan. Sekali-sekala akan kelihatan pasir-pasir terbelah kemudian kembali bersatu semula. Angin berderu tidak teratur. Semuanya kerana pertarungan yang sedang berlaku.


Khalid Al-Walid gagah bertahan dengan pedang-pedangnya. Lawannya adalah Long Berk yang digeruni semua. Lembing hitam yang terkenal membunuh ribuan nyawa itu sedang memukulnya hingga terundur beberapa tapak.


Long Berk di balik topeng memakukan pandangan kepada Khalid. Dengusannya kedengaran. Auranya berat memberikan tekanan. Mantelnya berkibar naik kerana angin yang terhembus dari auranya. Kini lembingnya kembali dipacakkan di sisinya.


“Sudah bersedia untuk dijemput ajal?” Long Berk bertanya sinis.


“Ajal itu di tangan Tuhan, Long Berk. Bukan di tangan engkau.” Khalid mengesat darah yang meleleh dari sisi kepalanya. Sepanjang pertarungan tadi, bahagian itu dipukul dengan kuat oleh lembing hitam Long Berk.


Mata Khalid mengerling melihat sekeliling.


Toriq dan Syu’bah sedang sibuk menentang pengawal-pengawal elit Long Berk. Manakala rakan-rakan mereka yang lain telah syahid terbunuh. Tiada seorang pun pengawal-pengawal Long Berk yang menemui ajal. Semuanya masih bertahan dan bertarung dengan gagah, tanda hebatnya mereka. Syu’bah dan Toriq dalam keadaan tertekan. 10 lawan 2.


“Bagaimana Khalid Al-Walid? Di manakah Tuhan kau sekarang?” Long Berk memegang lembingnya. Tanda dia sudah hendak melancarkan pusingan yang seterusnya.


Khalid Al-Walid sekadar tersengih kelat. “Dia ada bersama kami.”


“Maka apakah Dia akan menyelamatkan kalian sekarang?”


“Kami tidak mengetahui aturanNya. Tetapi kami yakin, yang berlaku atas kehendak Dia itu baik-baik sahaja. Tugas kami hanya berusaha.” Pernafasannya telah diperbetulkan semula, dada jadi lebih lapang, dan kini aura dipertingkatkan semula. Stamina Khalid sangat tinggi. Namun melihat juga siapa lawannya. Dengan pahlawan bertaraf Long Berk, mustahil dia mampu bertahan 20 hari lamanya seperti bertarung askar biasa.


“Aku ingin melihat Tuhan kau itu sekarang!” Long Berk memecut. Berdesup dia hilang dari pandangan Khalid. Sedetik kemudian, dia telah berada di atas Khalid dan melibas lembingnya.


Khalid mengangkat kedua-dua senjatanya, bertahan. Namun lembing Long Berk melentur dan matanya hampir mencecah wajah Khalid. Mujur panglima Tanah Suci itu sempat menggerakkan kepalanya. Tetapi kerana gerakannya itu, pertahannya jadi melemah. Justeru apabila Long Berk menjejak ke tanah, Jeneral Utama Utopia itu berputar dan melibas lembingnya ke bahagian rusuk kanan Khalid. Tercampak Panglima Tanah Suci itu, berguling di atas padang pasir.


“Syu’bah, nampaknya keadaan kita amat tersepit sekarang.” Toriq bersuara risau.


Syu’bah hanya tersenyum. Mindanya berusaha keras mengira pelbagai kalkulasi untuk mengeluarkan mereka dari kesempitan ini. Namun masih tidak berjumpa solusi.


“Senior Toriq, kadangkala Allah itu menjadikan kita tidak berkuasa, agar kita berharap.” Dia menjawab ringkas. Tanda kini tawakkalnya penuh kepada Allah SWT semata-mata.


Toriq seperti tesentak. Dan akhirnya sedar bahawa Syu’bah juga mati akal. Pergantungan kepada Allah SWT ketika ini nyata dirasakan sepenuhnya. 10 pengawal elit Long Berk mengelilingi mereka. Bersiap hendak menamatkan nyawa mereka.


Khalid Al-Walid bagun, dengan lengan menongkat tubuh. Darah keluar dari mulut. Tetapi belum sempat dia bangun sepenuhnya, dia sudah melihat but zirah Long Berk berada di hadapan wajahnya. Satu sepakan keras melandas pada wajahnya.


“Mana Tuhan kau?”


Terus lagi Long Berk menendang-nendang Khalid. Sepakan demi sepakan mendarat pada perut, wajah dan kaki. Sengaja dia tidak terus menamatkan nyawa Khalid. Sengaja hendak menyeksanya.


“Tuhan aku ada bersama kami!” Khalid kekal dengan jawapan itu. Menangkap, memeluk sebelah kaki Long Berk bagi menghentikan sepakan yang menyakitkan itu.


Long Berk tanpa belas kasihan, menunduk, melandaskan sikunya ke belakang tubuh Khalid. Jeritan kesakitan terlepas dari mulut Panglima Tanah Suci itu. Darah keluar membuak. Kemudian Long Berk memutarkan lembingnya, belakang lembing membelasah tubuh Khalid hingga dia terjarak semula dari Long Berk.


“Kamu semua hanya mempercayai sampah. Sampah!” Long Berk bergerak mendapatkan Khalid. Lembing hitamnya kini diselaputi aura yang tebal. Mungkin ini serangan terakhir, bagi menamatkan nyawa musuhnya.


Khalid sekadar mampu melihat. Susuk tubuh Long Berk juga sudah kelihatan samar-samar kerana dia telah kelemahan. Ketua Jeneral Utama Utopia itu, setiap pukulannya nyata amat berat. Auranya yang menekan menambah rencah kekuatan. Khalid nyata bukan lawannya.


“Bunuh sahaja dua orang itu!” Long Berk mengeluarkan arahan, sambil dirinya kini sudah berada benar-benar di hadapan Khalid. Lembing diangkat.


10 pengawal yang semakin merapati Syu’bah dan Toriq menggenggam senjata masing-masing dengan erat. Semua meningkatkan aura dan suasana menjadi lebih kelam kabut. Pasir naik berterbangan dihembus aura-aura yang terhasil. Sangat menekan, hingga dahi Toriq berkerutan.


Syu’bah tersengih. “Ah, ini pengakhirannya? Aku mahu lebih daripada ini.” Ketika ini, dua pedangnya menjadi bercahaya. Cahaya itu kini memanjang melebihi mata pedangnya.


Toriq kehairanan. “Apakah itu?”


“Pedang nyawa. Usaha terakhir.”


Pedang nyawa adalah teknik yang digunakan Syu’bah tatkala pedangnya patah bertarung dengan O Zero. Teknik yang mengumpulkan segala aura yang ada pada bilah pedangnya, memberikan kekuatan yang lebih, namun teknik ini sangat membahayakan penggunanya. Kerana ia akan merosakkan tubuh pengguanya sekiranya digunakan untuk jangka masa yang panjang.


“Marilah!” Syu’bah meninggikan suara. Keluar dari pertahanannya, meninggalkan Toriq. Bergerak mendapatan musuh-musuhnya. Pengawal-pengawal elit Long Berk pun memecut, untuk bersemuka dengan Syu’bah.


“Mati!” Long Berk ketika ini ingin merejam Khalid, untuk menembuskan lembingnya pada belakang panglima Tanah Suci itu.


Pada saat yang genting ini, tempat itu tiba-tiba dihurung api yang marak. Membakar suasana. Padang pasir yang panas bertambah hangat. Khalid mengambil peluang ini berguling. Long Berk disambar api hingga membakar dirinya, terundur dia beberapa tapak.


Pengawal-pengawal elit Long Berk terhenti. Antara mereka dan Syu’bah, wujud dinding api. Tidak cukup dengan itu, api marak yang menghalang perjalanan mereka mula menyambar mereka. Sama seperti Long Berk, mereka mula berada dalam pelukan api.


Syu’bah segera mematikan Pedang Nyawanya. Terkejut dan merasakan tidak perlu lagi.


Dia memandang sekeliling. Toriq juga kelihatan terpinga-pinga.


Ada bantuankah?


“Ini tidak akan dapat menghalang mereka. Tetapi ini masanya untuk melarikan diri.” Satu suara tiba-tiba menyapa cuping Syu’bah. Syu’bah menoleh ke sebelah kirinya.


Kelihatan seorang lelaki tegap, berpakaian serba putih, agak berumur, sedang berdiri tegak di sebelahnya.


“Salam perkenalan. Kiai Api aku punya gelaran.”


Mata Syu’bah membesar.


“Dengar sini, segera pulang ke Tanah Suci dan laksanakan perancanganmu.”


“Tetapi Kiai, Long Berk tetap akan dapat mengejar kami.”


“InsyaAllah tidak. Aku akan kekal di sini.”


“Hah? Bagaimana pula dengan Kiai nanti?”


“Dia tidak akan membunuh aku begitu sahaja. Aku adalah Kiai, dan Long Berk ini egonya tinggi. Dia jika mahu membunuhku, dia akan membawaku di khalayak rakyatnya di Amara, dan membunuhku di hadapan mereka. Semuanya bagi membuktikan betapa Allah itu tiada.”


Syu’bah terdiam seketika. Kemudian suara Long Berk menjerit kedengaran mengisi ruang.


“Tetapi Allah itu sentiasa bersama kita. Tinggal kita perlu sentiasa percaya.” Kiai Api menepuk bahu Syu’bah.


“Pergilah.”


Kiai Api bergerak meninggalkan Syu’bah. Dia terus mara memukul kesemua pengawal elit Long Berk yang sedang kelam kabut dengan api marak yang menyelubungi mereka.


Syu’bah segera mendapatkan Toriq. “Ayuh Toriq, kita perlu membawa Senior Khalid pergi!”


Toriq keluar dari jedanya, dan terus bergerak bersama Syu’bah mendapatkan Khalid. Khalid diusung.


“Apa yang berlaku?” Khalid yang kelemahan bertanya lesu.


“Kiai Api datang membantu.”


“Kiai Api?”


“Dia akan kekal di sini, menghalang Long Berk buat kita.”


“Allah…”


Kiai Api menolah ke arah mereka. “Pergi!” Kemudian kiai itu bergerak mendapatkan Long Berk.


 


Hung! Api marak yang menyelimuti Long Berk hilang serta merta. Jeneral Utama Utopia itu telah berjaya menenangkan diri, mengumpul auranya dan menyah api yang membakar dirinya. Mantelnya telah terbakar hangus, dan zirahnya berasap. Matanya bersinar dengan kemarahan, memandang seorang lelaki yang dikenalinya.


“Kiai Api!”


“Heh, terkejut?” Lelaki berumur itu mengangkat sebelah kening.


Kiai Api tidak menunggu Long Berk bertindak balas. Dia menghayun tangannya perlahan, kedua-dua belah beralun dengan di sisi tubuh, sambil kaki kiri ditarik ke belakang. Bila hayunan tangan selesai dan kaki menjejak tanah, kedua-dua belah tangan digenggam.


Hong hong hong! Bunyi itu kedengaran bergema membentak kepada alam. Api marak keluar menggila dari muka bumi. Kiai Api sedang mempertingkatkan kekuatannya. Tubuhnya menjadi kemerah-merahan, namun putih bajunya tidak terganggu, hanya beralun sahaja.


“Kau tahu kau tidak akan dapat menewaskan aku Kiai Api!” Long Berk berteriak.


“Engkau? Aku mampu. Tetapi engkau dan 10 pengawal engkau?…” Kiai Api melihat 10 pengawal yang turut telah berjaya melepaskan diri dari cengkaman apinya. “Itu mungkin satu soalan yang berbeza.” Dia tersengih kelat.


“Apa-apa hal pun, aku muncul di sini sebagai pemudah cara bagi anak-anak muda. Kerana mereka yang akan memenangkan perjuangan ini. Aku sanggup mengorbankan diri.”


“Kau akan menyesal!” Long Berk terus menggapai lembingnya.


“Serang!” Dan 10 pengawal elitnya bergerak bersama-sama ke arah Kiai Api.


“Bismillah…” Kiai Api bergerak. Dia tahu apa keputusannya pertarungan ini. Tetapi dia punya percaturan tersendiri.


“Pergilah anak-anak muda, selamatkanlah dunia ini!”


 


*******


 


Kiai Laut berada di barisan paling hadapan sekali. Seakan-akan mengetuai gerombolan tentera Makhluk Genetik dan Kaum Gergasi. Que Ron dan Ezzen bergerak bersebelahan. Makhluk Genetik dan Kaum gergari bergerak dalam kumpulan campuran. Panji-panji perang mereka juga bersama-sama.


“Bagaimana agaknya mereka berperang?” Angkasa memandang kepada Kiai Laut, kemudian menjeling kepada senjata laser yang dipegang sebahagian tentera mereka.


“Ibarat pemanah, mereka akan menyerang dari jauh. Tinggal, senjata mereka lebih besar kuasa pemusnahnya, dan lebih tepat sasarannya.” Kiai Laut menerangkan. “Ia adalah senjata yang telah hilang dari genggaman manusia.”


“Kiranya, jika ianya digunakan dalam peperangan kita, kita akan besar kemungkinan memperolehi kemenangan?” Aizan Fahmi berasa gembira.


“Hanya peningkatan dalam usaha. Jika benar mempunyai senjata itu akan membawa kemenangan, maka Sang Asura sudah pasti telah ditewaskan lama dahulu.” Kiai Laut berbicara.


Aizan Fahmi terangguk-angguk.


“Tetapi mungkin boleh dijadikan elemen kejutan dalam peperangan.” Angkasa menepuk Aizan Fahmi. Dan kala Aizan Fahmi memandangnya, dia mengenyitkan mata. Aizan Fahmi tertawa.


“Kita sudah semakin hampir.” Perjalanan yang memakan hampir separuh hari, terhenti dengan bicara Que Ron. Kini jelas kelihatan bala tentera pemberontak di hadapan mereka. Walau jauh, namun jelas ramai bilangannya.


Ketika ini, jambatan yang dinaiki mereka bergegar. Datang seekor makhluk yang besar. Botak bertanduk lima, bermata merah, berkulit hitam, bersayap empat, lengkap berzirah, dan berkaki kambing. Kuku tangannya panjang dan tajam. Menakutkan.


“Tuanku kami berkata, jika kalian dapat menewaskan aku, barulah peperangan ini bermula. Jika tidak, tandanya kami akan memenangi peperangan ini.” Suara garaunya bergema. Berlagak. Angkuh.


Kiai Laut memandang Que Ron dan Ezzen. Kedua-dua mereka mendengus. Teragak-agak sebentar. Tentera Mahluk Genetik dan Kaum Gergasi juga mula riuh.


“Mengapa mereka kelihatan seperti tidak menyahut cabaran makhluk ini?” Angkasa mengeluarkan pertanyaan sambil matanya lekat kepada makhluk hodoh di hadapannya.


“Itu adalah salah seorang dari lima panglima terhebat pasukan pemberontak. Ashnul. Terkenal dengan kehebatannya yang menggila. Jarang turun ke medan perang, namun saat kami ditewaskan selalunya adalah apabila dia keluar. Dan itu belum dikira empat saudaranya yang lain. Mereka belum campur tangan.” Salah seorang tentera makhluk genetik yang berdekatan dengan Angkasa menjawab.


Angkasa menghela nafas.


Pedang bapanya dihunus. Dia ingin pergi mencabar.


Namun ketika ini, tombak mata tiga End menghalang. Angkasa memandang wajah End. Wajah itu seperti kebiasaannya, kosong tidak punya riak dan rasa. End berpaling menghadap Que Ron dan Ezzen.


“Kamu sudah bersedia untuk berperang atau belum?” End bertanya. Dingin suaranya, meremangkan bulu roma yang mendengar.


Que Ron dan Ezzen mengangguk. Jika Ashnul ini perlu digempur untuk membuka jalan kepada kejayaan, maka itulah yang akan mereka lakukan.


“Maka biar aku membuka jalannya.” End bergerak mendahului semua.


“Siapa engkau bajingan?” Suara Ashnul bergema. Kini nafasnya beriringan dengan api yang menyembur. Sengaja dia mempersembahkan kekuatannya.


End diam.


“Siapa engkau?” Kini sengaja Ashnul mengeluarkan auranya. Kepaknya yang empat itu dibentangkan. Sangat kuat dan menekan. Bahkan bau busuk mengiringi aura itu, tanda pekatnya kegelapan yang ada bersamanya.


End masih membisu. Sekadar menatap Ashnul. Tubuhnya yang lengkap berzirah, namun lambang kerajaan Duarte masih tertutup dengan kain yang menyelimuti kawasan lehernya. End segera mencapai sesuatu pada pinggangnya.


“Ah, kau akan aku hancurkan!” Ashnul terus menghunus golok gergasinya, dan menghayun sekuat hati untuk membenamkannya ke bumi. Gegaran kuat berlaku. Angin terhembus. Semua yang ada berkelip mata sebentar.


Namun kala semua kembali memandang ke arah itu, kelihatan golok gergasi Ashnul terhenti apabila bersentuhan dengan tombak mata tiga yang sedang diacung oleh End dengan sebelah tangannya. Bilah golok gergasi Ashnul berada di celah antara dua mata tombak End.


Ashnul ketika ini gementar. Kerana dia sedang memandang End yang siap bersama topengnya.


“Ah,” Angkasa mencapai kain yang menutupi bahagian leher End selama perjalanan mereka ke sini tadi. Kemudian kembali memandang tempat peraturangan.


“Jeneral End Less dari Duarte?” Suara Ashnul ketakutan.


Lambang Duarte jelas di bahagian dada zirah End, dan topeng End itu sangat dikenali dunia.


Dan tanpa bicara, End mempertingkatkan auranya. Tercampak golok gergasi itu dari tombak tiga matanya, membuatkan Ashnul berundur ke belakang beberapa langkah.


Ketika inilah End melompat tinggi, hingga ke paras dada Ashnul. Membuatkan mata makhluk gelap itu terbeliak.


“Pergilah bertemu Allah dalam keadaan menderhakaiNya.”


Dan bunyi letupan kuat berlaku. Ashnul tumbang membelakangkan bumi. End berdiri di tengah-tengah lubang pada tubuh Ashnul. Darah memercik pada sekitar kawasan. Semua yang ada membeliakkan mata hampir sahaja tidak percaya dengan apa yang mereka lihat.


End. Kekuatan yang jarang dipersembahkan di hadapan ramai. Kini beraksi.


“Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar!” Kiai Laut melaung kuat. Disambut semangat oleh Aizan dan Angkasa.


“Ayuh!” Angkasa dan Aizan mendahului Kiai Laut dan seluruh bala tentera, menyerbu. End telah bergerak jauh terlebih dahulu. Bergegar tanah pemberontak dengan gegak gempita para tentera.


Semboyan kedua-dua belah pihak sahut menyahut.


Peperangan di atas Uftzi pun bermula!


 


 


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 21, 2012 21:44

Berita: Pantau kesihatan guru

[image error]


Picture by UmarMita of LangitIlahi.


 


Guru sangat penting dalam proses memajukan negara. Peranan guru dipandang tinggi kerana sumbangan besar mereka dalam membentuk peribadi mulia pelajar. Kerjaya guru tidak terhad kepada mengajar malah mendidik dan membimbing generasi masa depan.



Ada guru yang sanggup berjauhan dengan keluarga kerana sedar tugas mendidik perlukan pengorbanan. Disebabkan tanggungjawab ini, guru sanggup tidur lewat dan tidak tentu masa makan dan minum. Ada juga yang sanggup berjauhan dengan suami dan anak-anak.


Keadaan kerja begini mengundang masalah kesihatan kepada guru. Dengan rahmat Allah swt, ada guru yang bekerja sehingga pencen dan merasai kasih sayang anak-anak murid. Gelaran “cikgu” terus kekal hingga ke akhir hayat dan sentiasa dikenang. Ada juga guru yang lebih disayangi Allah swt lalu dipanggil pulang menemui-Nya.


Kematian Cikgu Normaya binti Mokhtar, 33 tahun, guru bahasa Jepun di sebuah sekolah di Bagan Datoh baru-baru ini harus membuka mata masyarakat.


Arwah dikatakan telah meninggal dunia selepas 12 jam ditemui di rumahnya dalam kawasan sekolah. Dari pukul enam petang sehingga ditemui pada pukul sembilan pagi keesokan hari, arwah hanya ditemani anak lelaki yang berusia tujuh bulan. Tidak dapat dibayangkan bagaimana tangisan anak ini yang kelaparan dan kehausan sambil merengek-rengek di sisi mayat ibunya.


Punca kematian Cikgu Normaya ialah serangan jantung yang dikenali sebagai “conorary artery disease” di mana sebelah jantungnya tidak mendapat bekalan oksigen akibat pengecilan saluran darah.


Rekod perubatan arwah yang terkini hanya sepuluh tahun lepas ketika menjalani pemeriksaan menyeluruh untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun. Tidak ada sesiapa pun yang menyangka arwah akan mengalami serangan jantung seperti itu kerana tidak ada rekod berkaitan penyakit jantung.


Ada beberapa tanda yang dialami oleh Cikgu Normaya yang disedari oleh rakan-rakan di sekolah. Dalam seminggu dua sebelum itu, pengetua sekolah perasan arwah berjalan dengan badan sedikit bongkok. Dia juga pitam beberapa kali dalam tempoh tiga hari terakhir dan berasa seperti hendak muntah serta sakit perut seolah-olah simptom gastrik.


Semasa hari kematian, panggilan telefon pada pukul dua petang masih dijawab, namun panggilan telefon seorang pelajar pada pukul enam petang tidak lagi dijawab. Begitu juga panggilan telefon dari suami dan rakan-rakan pada sebelah malam tidak lagi dijawab. Pesanan mesej ringkas juga tidak dibalas. Ada juga jiran-jiran yang perasan keadaan rumah Cikgu Normaya yang gelap tetapi tidak ada syak kerana menyangka kedua-dua beranak itu sudah tidur.


Suasana pagi hari Khamis agak cemas kerana rakan-rakan mula bertanya ke mana Cikgu Normaya yang tidak tidak kelihatan. Seorang rakan baiknya telah pergi ke rumah arwah dan tergerak untuk menyelak pelapik kasut di bahagian depan rumahnya untuk mencari kunci pendua. Ketika melihat Cikgu Normaya terbaring di atas katil, sangkaannya hanya pitam namun selepas pemeriksaan lanjut, arwah didapati sudah meninggal dunia. Di sisi ada anak lelakinya yang keletihan dan kelaparan, lalu diambil dan diberikan susu.


Pihak sekolah membuat laporan polis dan pegawai perubatan mengesahkan Cikgu Normaya telah meninggal dunia. Pihak polis menggunakan prosedur yang ketat dalam kes kematian ini kerana mangsa masih muda dan tidak ada rekod kesihatan yang meragukan. Selepas semua prosedur diambil, jenazah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.


Ada peristiwa lain yang berlaku ketika jenazah dibawa ke hospital dari sekolah. Trak polis yang digunakan pada masa itu telah kehabisan minyak kira-kira lima kilometer dari hospital. Mujur ada saudara-mara yang mengikut trak tersebut dan membelikan minyak petrol untuk meneruskan perjalanan.


Sejurus selepas Asar, suaminya dari Johor Bharu sampai dan terus dibawa ke bilik mayat untuk melihat jenazah isteri. Air mata suami tidak dapat ditahan lagi, dia menangis sambil dikelilingi ahli keluarga yang lain. Momen emosi ketika itu turut dikongsi oleh rakan-rakan, pengetua dan kakitangan sekolah.


Anak lelaki arwah dibawa berjumpa dengan ayahnya. Ramai yang menitiskan air mata melihat kedua-dua beranak ini kerana hiba.


Setelah keadaan emosi agak reda, jenazah Cikgu Normaya dikeluarkan dari bilik mayat dan dimasukkan ke dalam van jenazah. Suami dan dua orang kenalannya turut naik bersama menuju ke Batu Gajah.


Di rumah Cikgu Normaya, sudah ramai saudara-mara, jiran dan kenalan yang berkumpul untuk ziarah kali terakhir. Selepas itu jenazah dibawa ke masjid untuk sembahyangkan seterusnya dibawa ke kubur. Rakan-rakannya ada menitiskan air mata sambil suami menahan sebak.


Semasa jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, kepulan tanah dihulurkan untuk melapik badan yang diiringkan menghadap ke kiblat. Kain kafan dilonggarkan dan kepingan papan disusun satu demi satu sehingga menutupi seluruh janazah. Tanah kubur dikaut sedikit demi sedikit dan liang lahad tertutup sepenuhnya. Penyemadian Cikgu Normaya diakhiri dengan bacaan talkin dan iringan doa.


Kisah ini menjadi iktibar kepada kita khususnya dalam institusi pendidikan untuk melihat kembali pendekatan sedia ada terhadap kesihatan guru. Dasar kerajaan yang menetapkan kakitangan kerajaan berumur 40 tahun menjalani pemeriksaan kesihatan memang banyak membantu memantau kualiti kesihatan guru. Namun adalah lebih baik jika pemeriksaan kesihatan dilakukan lebih awal seperti selepas dua tahun disahkan jawatan, guru perlu menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh supaya berada dalam keadaan sihat untuk mengajar. Kaedah ini juga sebagai tindak balas terhadap perubahan dalam budaya kerja, tekanan kerja yang banyak dan kerenah pelajar yang berbagai-bagai.


Guru wajar diberi galakan dan kemudahan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan berkala supaya dapat bekerja dengan lebih baik. Galakan ini juga sebahagian daripada proses meningkatkan kualiti perguruan selain daripada kualiti mengajar dan mendidik. Oleh kerana ramai wanita yang menjadi guru, kajian berkaitan wanita dan hubungan dengan penyakit kerap dilakukan.


Dapatan kajian 2011 National Health and Morbidity Survey (NHMS IV) menunjukkan wanita Malaysia mempunyai body mass index (BMI) tertinggi di Asia Tenggara, mereka juga berisiko mendapat tekanan darah tinggi. Wanita Malaysia juga membentuk 60 peratus majoriti penduduk yang memiliki kadar kolestrol lebih tinggi iaitu satu faktor penyumbang kepada serangan jantung.


Dalam memantau kesihatan guru, semua guru wajar diberi ruang dan peluang meningkatkan kualiti kesihatan masing-masing sama ada di bandar atau luar bandar.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 21, 2012 20:35

Pemuda: Saya Terjun Dalam Perjuangan!

[image error] Picture By Umarmita Of Langit Ilahi


Nabi SAW bersabda:


“Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya” (Riwayat al-Bukhari).



Manifestasi Kecintaan Pada Rasulullah SAW


Alhamdulillah, ribuan telah berhimpun di pelusuk negara kerana membantah filem Innocence of Islam yang menghina Nabi Muhammad SAW. Filem kontroversi ini juga telah mencetuskan demonstrasi anti Amerika Syarikat di seluruh dunia. Ini bukanlah tindakan pertama musuh Islam mempermainkan junjungan besar kita Rasulullah SAW. Selepas ini akan ada lagi aksi jahat mereka. Sebenarnya kontroversi ini mereka sadur dari sejarah kebiadapan musuh Rasulullah SAW melakukan pelbagai penghinaan dan komplot pembunuhan semenjak baginda mula menyebarkan wahyu Ilahi.


Walaupun ada yang saya perhatikan dalam perhimpunan tersebut pihak yang mengambil kesempatan menempelak organisasi muslim lain kerana kepentingan peribadi, namun sekurang-kurangnya umat ini masih ada nadi keimanan yang boleh dihidupkan demi kelangsungan perjuangan dakwah Rasulullah SAW. Semoga perhimpunan tersebut menjadi saksi manisfestasi keimanan mereka kepada Rasulullah SAW.


Saya juga melihat ribuan anak muda mudi turut serta dalam perarakan tersebut. Anak muda ini punya semangat tinggi dan cinta yang tidak berbelah bagi harapnya terhadap kemuliaan Rasulullah SAW. Namun ke mana pula jutaan pemuda pemudi lagi yang tidak turut serta? Harap mereka juga memiliki hati yang besar mempertahankan Nabi Muhammad SAW dengan cara masing-masing sepertimana para pemuda yang turun berdemonstrasi. Ada pelbagai cara lagi yang mampu dilakukan oleh pada pemuda lain bagi menunjukkan rasa ketidakpuasan hati kepada pencetus fitnah terhadap Nabi kita.


Tidak lengkap rasanya jika kita tidak mengkaji dan menelusuri kehidupan para sahabat RA bagaimana cara mereka mempertahankan Rasulullah SAW ketika nabi di sisi mereka. Anda boleh membaca banyak tulisan dari teman-teman saya di langitilahi.com yang telah berkongsi pelbagai aksi teladan dari para sahabat RA.


Buat coretan ringkas ini, mari kita belajar dari salah seorang pemuda di zaman Baginda SAW, sejak seusia muda lagi beliau sudah tampil ke hadapan ,menyerahkan tubuh badan dan nyawanya untuk menjayakan dakwah Rasulullah SAW.


Akan Saya Terjun Dalam Perjuangan


Suatu  saat dalam majlis Rasullulah SAW, mengalirlah ayat suci Al- Quran yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW yang  disampaikan langsung di hadapan sahabat-sahabat Baginda, yang bermaksud:


“Muhammad itu tidak lain adalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika ia wafat atau dibunuh, kalian akan berbalik kebelakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik kebelakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang- orang yang bersyukur.” (Al- Imran 144).



Ayat ini menimbulkan reaksi hebat berupa kegoncangan hati dikalangan para sahabat, mereka menduga bahawa yang diberitakan wafat dalam ayat ini adalah Nabi mereka.


Namun seorang sahabat sebaik mendengar ayat tersebut menyahut:


“ Demi Allah, Kami tidak akan kembali murtad setelah Allah memberi kami petunjuk. Kalau dia wafat atau terbunuh, maka saya akan menerjuni perjuangan yang diterjuninya, sampai saya mati kerananya!”


Demikianlah suatu prinsip hidup yang hanya dapat terucap melalui suatu bentuk watak yang serius dalam perjuangan, yang telah melalui proses tarbiyah dan perjuangan Rasulullah SAW dalam menegakkan kebenaran. Maka watak siapakah itu?…,


“ Akan saya terjuni perjuangan” adalah kata- katanya yang mengungkapkan watak kepahlawanan sahabat yang satu ini. Tekad, serius dan bersungguh! Responnya segera! Aksinya membumi! Imannya bergelora! Akhlak dan ibadahnya luarbiasa!


Dialah sang anak muda, sahabat mulia serta sepupu Rasulullah SAW. Ali bin Abi Thalib RA.


Lantas bagaimanakah aksi pahlawan besar ini memikul amanah-amanah besar di bahunya?”.


Untuk seketika, kita toleh kebelakang.


Sang Pahlawan Muda


Pada saat Rasullulah SAW berada di Mekah dan tengah bersiap-siap untuk melakukan hijrah ke Madinah, dimana para sahabatnya mendahuluinya berangkat ke sana. Rasulullah SAW menetapkan suatu strategi dan helah iaitu memilih seseorang yang harus berada di rumahnya sehingga ke siang hari agar para kaum Quraisy yang akan mengepung rumah itu akan menyangka bahawa Rasulullah SAW masih berada di rumah. Dengan helah ini Rasulullah SAW dan sahabatnya Abu Bakar RA dapat terlepas dari cengkaman kafir Quraisy dan menempuh perjalanan menuju Madinah.


Namun bagaimana nasib orang yang menggantikan tempat Rasulullah SAW tersebut? Apa yang akan menimpa dirinya bila orang Quraisy mengetahui semua jerih payah yang telah mereka kerahkan dengan seluruh kekuatan menjadi sia-sia kerana mendapati orang lain yang berada di dalam rumah itu?


Jika kita boleh menduga risikonya maka pastilah ia dibunuh, tatkala Quraisy tidak menemukan lagi cara yang lebih tepat untuk menebus kekecewaan mereka! Orang yang ditakdirkan akan menjadi korban itu, pastilah tidak sekadar dibunuh saja tetapi akan dibunuh di suatu tempat yang sunyi dan terpencil, mungkin di daerah yang sunyi lagi terpencil itu, dia akan disiksa dan dibunuh sebatang kara, tanpa ada seorang kawanpun yang memberinya dorongan semangat dan ketabahan hati, atau kawan-kawan yang akan melambaikan tangan perpisahan dengan penuh belas kasihan. Tidak akan ada semua itu. Namun, melihat risiko-risiko itu, apa yang telah dilakukan pahlawan ini, menolak akan amanah yang dipercayakan Rasulullah SAW terhadapnya? Atau….mengeluhkah kerana besarnya risiko yang harus dipikulnya?


Tidak!!….


Anak muda itu, Ali Bin Abi Talib RA menjalankannya amanah berat itu dengan penuh keikhlasan, kesabaran dan pengorbanan. Perhatikanlah bagaimana figur ini berprestasi dan mengajar kita wahai anak muda Islam seluruh Negara, beginilah aksi nyata mempertahankan agama dan perjuangan Rasulullah SAW.


Saat perang Khaibar berlangsung di mana pasukan muslimin masih gagal menembusi kuatnya kubu pertahanan Yahudi di Khaibar. Rasulullah SAW bersabda “Esok akan kuserahkan bendera Islam ini kepada seorang yang mencintai Allah dan Rasul- Nya. Melalui kedua belah tangannya ia anugerahkan kemenangan”.


Maka pilihan itu jatuh kepada Ali bin Abi Thalib RA. Sedangkan pada saat itu kedua mata Ali sedang membengkak akibat banyaknya pasir yang tertiup dan masuk ke matanya. Tanpa berfikir panjang dan tidak menyedari sebelumnya bahawa tidak ada satu baju perang pun yang melindungi tubuhnya. Dengan pekikan takbir, majulah  ia dan kaum muslimin, dan dalam waktu singkat mampu menerobos benteng dan merebut kemenangan ke tangan Muslimin. Allahuakbar!


Kesimpulan

Benar, Ali bin Abi Thalib RA adalah pejuang yang mengambil saham besar dalam perjuangan memikul amanah besar Agama ini. Ali bin Abi Talib RA termasuk dalam sepuluh orang sahabat tersohor Rasulullah SAW yang dijamin syurga. Ali bin Abi Talib RA terkenal sebagai seorang yang warak, luas ilmunya dan merupakan panglima perang Rasulullah SAW yang berani yang terlibat dalam keseluruhan peperangan bersama Rasulullah SAW kecuali peperangan Tabuk disebabkan keuzuran yang menghalang beliau daripada menyertai perang tersebut . Dan Ali bin Abi Talib RA menyedari  bahawa semuanya hanya dapat dicapai dengan keimanan yang kukuh, keikhlasan kesabaran, serta semangat berkorban yang ia tampilkan sebagai seorang kesatria umat. Begitulah Ali bin Ali Talib RA mengajar kita beraksi semenjak belasan tahun lagi bagaimana pemuda mukmin harus menyediakan diri mereka untuk mempertahankan perjuangan Rasulullah SAW dan agama Allah SWT yang mulia ini. Cinta berserta aksi nyata!


Mari kita persiapkan kekuatan itu!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 21, 2012 17:17

Pemuda: Itsar Itu Ada Pada Kita?

[image error]Picture By Umarmita Of Langit Ilahi


Itsar, saya mula mengenali kalimah ini ketika berada dalam halaqah tarbiyah sekitar tahun 1995. Ketika itu murabbi saya, akhi Dr. Nik Ramli berbicara kepada kami tentang ukhwah dan kualiti ukhwah yang paling mulia dan tinggi ialah Itsar iaitu mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri. Saya tidak pasti apakah wujud sikap itsar dalam masyarakat hari ini, tetapi Alhamdulillah saya pelajari dan merasai qudwah itsar dalam kehidupan saya.


“Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Al Hasyr:9)


Asas Itsar


Ayat ini sudah menjadikan motivasi dan dorongan kepada kita untuk menanam benih  itsar dalam diri. Bahkan para sahabat RA telah ditarbiyah oleh Rasulullah SAW dengan peribadi dan kualiti itsar yang asasnya adalah kecintaan kepada Allah SWT.


Ya! Itulah asas itsar, cinta kepada Allah, kerana Allah dan di jalan Allah. Apabila cinta kepada Allah menjadi prioriti dan fokus dalam kehidupan, maka akhlak itsar kan menyinar dalam berukhwah dan kehidupan.


Itsar tidak lahir tanpa proses keimanan yang benar, tanpa cinta yang kuat, yakin dan kukuh pada Allah SWT dan janji-Nya. Sahabat-sahabat di Madinah yakin akan janji Allah SWT, maka mereka berlaku itsar pada ahli hijrah dari Mekah. Semuanya bermula dari kerana cinta mereka kepada Allah, lalu melimpahlah cinta itu kepada sahabat-sahabat mereka dari Mekah. Itsar pun terbit pada diri mereka.


Itsar Di Hujung Nyawa


Kisah itsar luarbiasa saya belajar dari perajurit di medan Yarmouk yang satu persatu gugur kerana sikap itsar mereka. Semua syahid. Tapi semua hidup. Kerana memang semua syuhada tidak mati di mata Allah. Mereka ada disana, disisi Allah menikmati limpahan kurnia-Nya. Bahkan mereka syahid justeru kerana mereka ingin memberi kesempatan kepada saudaranya yang lain untuk hidup.  Dalam peperangan Yarmouk yang melibatkan hampir 40,000 tentera itu terdapatnya Harits bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahl, Iyash bin Abi Rabiah. Saat usai peperangan,ketiganya cedera yang sangat parah sehingga mereka tersandar tidak berdaya. Walaupun begitu tidak ada satupun ungkapan sedih atau rungutan lisan atas luka yang mereka alamai. Ketika petugas membawa air minuman menghampiri Harits, beliau mengisyaratkan tangannya agar petugas itu segera membawa air minum kepadanya. Datanglah petugas tersebut dengan  bekalan berisi air minuman namun belum sampai ke mulutnya, kedengaran suatu suara meminta air.


Harits melihat saudaranya, Ikrimah dalam keadaan yang parah juga. maka dia membatalkan niatnya untuk meneguk air tersebut seraya menunjuk kepada Ikrimah. Petugas bersegera membawa bekalan air itu kepada Ikrimah. Hampir saja Ikrimah meminumnya, tetapi tiba-tiba dia mendengar satu suara rintihan kesakitan berhampirannya,  matanya melihat saudaranya, Iyash, yang dalam pandangannya lebih memerlukan air minuman. Maka ia pun menangguhkan hasratnya untuk minum dan meminta agar petugas bersegera ke tempat Iyash. Petugas membawa bekalan air tersebut kepada Iyyash dengan tergesa-gesa. Belum sempat Iyyash meneguk air tersebut, malaikat maut lebih dahulu menjemputnya sehingga ia syahid.


Petugas kembali mendatangi Ikrimah, beliau juga telah syahid. Kemudian petugas pun mendatangi tempat Harits, ternyata Harits pun mengalami keadaan yang sama dengan dua sahabatnya yang syahid. Allahu Akbar, alangkah indahnya persahabatan diantara mereka. Merekalah yang menjadikan itsar tidak hanya terbatas pada waktu lapang, tapi juga ketika saat sempit bahkan ketika maut menjemput.


Hebat! Luarbiasa akhlak dan ukhwah para sahabat RA. Mengesankan jiwa. Bagaimana dengan itsar kita bersama keluarga, adik beradik, kawan-kawan sekampus, seasrama dan serumah. Bagaimana itsar kita dalam organisasi atau persatuan. Anda biasa dengar rungutan segala kerja dalam persatuan orang yang sama melakukan, ahli yang lain… ? Terkadang sesama ahli kelompok Islam mereka saling melemahkan sahabat mereka dengan sindiran dan sangkaan buruk. Sesama organisasi Islam pun ada yang saling melontar racun, menyakiti dan konspirasi.


Itsar Untuk Dakwah Islam


Namun tidak bagi sikap para salafus soleh terhadap saudaranya. Mereka lebih mendahulukan saudaranya dalam urusan dunia daripada dirinya sendiri. Bila saja mereka melihat kesempatan untuk berbuat itsar, mereka akan segera mendahulukan orang lain atas dirinya sendiri. Mereka  rela menahan lapar agar orang lain kenyang, menahan haus agar orang lain dapat minum dengan puas. Bahkan, mereka rela untuk mati demi menyelamatkan nyawa orang lain. Mereka lebih mengutamakan hajat organisasi Islam berbanding hajat diri sendiri.


Perkara itu bukanlah sesuatu yang aneh atau asing bagi seorang muslim yang ruhnya kenyang dengan makna-makna kesempurnaan, jiwanya terbentuk dengan tarbiyah yang mengesankan dan cinta utamanya pada Allah, kerana Allah dan di jalan Allah. Itulah shibghah (celupan) Allah, dan siapakah yang lebih baik daripada shibghah Allah?


Benar…acuan dan celupan dari tarbiyah keimanan kepada Allah. Ali bin Abi Thalib RA turut menempa sejarah sebagai generasi paling muda yang mencontohkan seharusnya bagaimana aksi itsar. Di Daar An Nadwah, tokoh-tokoh Quraisy menerima pendapat Abu Marrah yang mengusulkan agar Rasulullah SAW dibunuh di rumahnya baginda. Rasulullah SAW mengetahui konspirasi tersebut. Ketika baginda telah mendapatkan izin untuk hijrah ke Madinah, maka baginda bertekad untuk hijrah, dan mencari seseorang yang mahu tidur di kamarnya pada malam hari untuk menghelah orang-orang Quraisy yang ingin membunuh baginda. Kemudian baginda akan meninggalkan rumah, dan membiarkan orang -orang Quraisy menunggu sehingga baginda bangun dari tidur. Rasulullah SAW memilih Ali bin Abu Thalib. Dan Ali bin Abu Thalib tanpa ragu sedikit pun memberikan nyawanya untuk Rasulullah SAW. Kemudian Ali bin Abu Thalib  tidur di dalam rumah Rasulullah SAW tanpa mengetahui bilakah tangan-tangan jahat akan menyerbu, menangkap dan membunuhnya kerana musuh sangat menginginkan nyawa Rasulullah. Ali bin Abu Thalib tidur, dan itsar kepada Rasulullah SAW dengan kehidupannya. Ia mencontohkan kepada kita tentang pengorbanan dengan nyawa dengan usia yang amat muda belia. Memberikan dirinya untuk organisasi dakwah dan kepimpinan dakwah pada saat meruncing. Luarbiasa jika hari ini dapat dilahirkan lebih ramai pemuda yang mahu itsar dan bekerja sepenuh jiwa raga kepada organisasi dan institusi dakwah dan tarbiyah walaupun menerima pulangan wang ringgit yang kecil. Sering kita dengar sekolah agama rakyat ketiadaan guru muda, yang ada guru-guru pencen yang umur dilarut usia tetapi tetap setia memberi khidmat. Mengapa terjadi sedemikian? Mungkin kerana kurangnya itsar pada institusi islam yang tidak menjanjikan pulangan lumayan.


Itsar Itu Allah Hargai


Terkadang kita tersalah faham. Merasa untuk bersikap itsar apabila kita rasa ada kemampuan dan lebihan rezeki. Namun, sejarah para sahabat telah meletakkan ‘benchmark’ yang luarbiasa bersikap itsar pada saudaranya. Imam Al Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasul SAW menerima kehadiran tamu, namun keluarganya tidak memiliki makanan sedikitpun, lantas salah seorang dari kaum Ansar menemui baginda, meminta izin untuk membawa tetamu tersebut ke rumahnya sedangkan dia tahu di rumah hanya ada makanan secukupnya untuk keluarganya sahaja.


Setiba di rumah, sahabat dari kaum Ansar tersebut menyediakan hidangan untuk tetamunya, dan menyuruh isterinya mematikan lampu. Dia menggerak-gerakkan tangannya seperti orang makan, padahal ia tidak makan sedikitpun, hingga tetamunya  menghabiskan makanan hidangannya. Pada saat itu sahabat Ansar tersebut berbuat itsar kepada tetamunya berbanding pada dirinya sendiri, dan keluarganya. Keesokan harinya, Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat dari kaum Ansar tersebut,


“Sungguh Allah sangat takjub dengan penghormatanmu kepada tetamumu malam tadi”. Lalu, ayat berikutpun turun,


“Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Al Hasyr: 9)


Allahuakbar! Nota lengkap itsar dari teladan-teladan yang menghidupkan imannya dengan kecintaan kepada Allah benar-benar menyentuh hati kita. Apakah sejarah ini kan berulang. Apakah watak-watak itsar luarbiasa ini kan muncul dalam komuniti kita. Justeru Imam Hasan Al Banna berusaha menghidupkan kembali watak-watak ini. Beliau telah merumuskan institusi ukhuwah kalangan angkatan dakwahnya dengan indah sebagaimana berikut.:


 “Yang saya maksud dengan ukhuwah adalah terikatnya hati dan ruhani dengan ikatan aqidah. Aqidah adalah sekokoh-kokoh ikatan dan semulia-mulianya. Ukhuwah adalah saudaranya keimanan, sedangkan perpecahan adalah saudara kembarnya kekufuran. Kekuatan yang pertama adalah kekuatan kesatuan; tidak ada kesatuan tanpa cinta kasih; minima cinta kasih adalah kelapangan dada dan maksimanya adalah itsar (mengutamakan orang lain dari diri sendiri).”


Apabila Murabbi Saya Berlaku Itsar


Suatu saat semester saya berakhir. Saya mengambil keputusan untuk menziarahi murabbi saya di Kangar yang telah mentarbiyah saya di kampus  sebelum pulang ke kampung. Di rumahnya, saya diraikan dan kami berbual mesra. Ketika itu beliau menjaga anak-anaknya yang masih kecil kerana isterinya masih bertugas. Setelah selesai berbicara dan berukhwah, saya meminta izin pulang kerana tiket saya jam 8.00 malam ke Seremban dengan menaiki bas dari Alor Star. Beliau bertanya dari Kangar ke Alor Star naik apa? Saya menjawab dengan bas juga.


Kemudian beliau bangkit, bersiap dan kemudian menuju ke rumah jiran di hadapan rumahnya. Beliau berbincang sesuatu dengan jirannya.


“Ok, jom kita ke Alor Star, ana hantarkan.” Saya terkesima seketika.


“Tak perlulah akhi, ana boleh naik bas dari Kangar aje, tak perlu susah-susah.” Respon saya padanya.


“Takde yang susah-susah pun. Anak-anak ana jiran boleh tengokkan.” Jawabnya dengan senyuman.


Subhanallah, dia bersusah payah untuk menghantar saya ke Alor Star, perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam dari rumahnya, sedangkan dia perlu bersama dengan anak-anaknya. Dan saya sedar, ini bukanlah peristiwa pertama beliau berlaku itsar pada saya. Syukur, saya sempat merasai nikmat berukhwah dan belajar mentarbiyah diri dari generasi baru yang benar-benar berusaha menjelmakan dalam diri mereka dengan akhlak yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA.


Saya selami siapakah murabbi kepada murabbi saya ini. Subhanallah murabbi beliau ketika beliau mula ikut tarbiyah dahulu di zaman kampusnya ialah Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim, majikan saya sekarang. Dan anda tahukah siapa murabbi yang mentarbiyah Dr. Abdullah Sudin. Ya, dengan bangga dan merendah diri, murabbi beliau ialah al marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain. Murabbi akhi Hilal Asyraf, Abu Umar, Bro Hamzah dan kami semua di LangitIlahi,Com. Luarbiasa! Ayuh kita miliki Itsar dalam kehidupan, agar umat ini menang kembali.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 21, 2012 01:29