Hilal Asyraf's Blog, page 135
October 15, 2012
Pemuda: Inspirasi Pengurusan Kesederhanaan Dalam Kehidupan
Sederhana dan bijaksana. inilah gaya hidup Muhammad Ar Rasul SAW. Hidup bersederhana dan bijaksana saya belajar dari Rasulullah SAW, seorang yang bukan hanya nabi, tetapi beliau juga seorang pemimpin tertinggi membangunkan daulah Islamiah. Sejarah hidup Nabi SAW amat luarbiasa. Baginda adalah dari suku bangsa yang amat dihormati oleh bangsa Arab. Keturunan mulia. Malahan boleh saja Baginda SAW memilih untuk hidup bermewahan seperti para bangsawan dan hartawan. Namun apabila kita menyelak sirah kehidupan baginda SAW kita akan tertunduk malu dan terbangun inspirasi.
Nabi SAW amat bijaksana dalam mengatur kehidupan diri, keluarga bahkan masyarakat Islami. Bermula dari wahyu Ilahi, dibumikan menjadi realiti bahkan membentuk koloni manusia yang memiliki harga diri yang tinggi di sisi Ilahi. Muhammad SAW, pemimpin unggul yang bijaksana namun tetap bersahsiah tinggi. Baginda hidup serba sederhana tanpa mendabik dada. Tidak seperti sesetengah dari kita, yang baru memiliki kekayaan sekangkang kera, gempitanya lagak memiliki dunia dan seisinya.
Inilah Gaya Sederhana Nabi
Saya menangis tetapi tetap teruja ketika membaca sirah Baginda SAW apabila sirah itu menggambarkan betapa sederhananya hidup Baginda sedangkan pada saat itu Baginda boleh sahaja menikmati tampuk kekayaan. Luarbiasa, bijaksana dan sederhana.
Satu ketika, sahabat Nabi SAW, Umar bin Khattab RA berkunjung ke rumah Rasulullah SAW. Ketika beliau memasuki rumah Baginda, dia tersentak seketika melihat isi rumah Baginda SAW, yang ada hanyalah sebuah meja dan alasnya hanyalah sebuah jalinan daun kurma yang kasar, sementara yang tergantung di dinding hanyalah sebuah geriba (tempat air) yang biasa Baginda gunakan untuk berwudhuk. Kehibaan muncul dalam hati Umar RA. Tanpa disedari air matanya berlinang…
Para pembaca sekalian, airmata anda sudah berlinang…? Apa yang anda terbayangkan saat ini? Buat yang bijaksana, sudah berumahtangga dan menjawat jawatan sini dan sana, perhatikan benchmark kehidupan Baginda SAW.
Ini keluhan hati saya, “Ya Rasulullah..air mataku juga menitis wahai Nabi. Tiap kali saya membaca sirah ini, saya tidak pernah gagal menitiskan air mata..kerana saya malu dengan apa yang saya miliki di rumah saya. Aku menyertaimu Umar… rasa hiba….!”
Setelah Rasulullah SAW melihat reaksi Umar, maka kemudian Rasulullah SAW menyapanya. “Gerangan apakah yang membuatmu menangis?” Umar pun menjawabnya, “Bagaimana aku tidak menangis ya Rasulullah? Hanya seperti ini keadaan yang kudapati di rumah tuan. Tidak ada perkakas dan tidak ada kekayaan kecuali sebuah meja dan sebuah geriba, padahal di tangan Tuan telah tergenggam kunci dunia Timur dan dunia Barat, dan kemakmuran telah melimpah.”
Lalu Baginda menjawab “Wahai Umar, aku ini adalah Rasul Allah, Aku bukan seorang Kaisar dari Romawi dan bukan pula seorang Kisra dari Parsi. Mereka hanya mengejar duniawi, sedangkan aku mengutamakan ukhrawi.
Begitulah Nabi SAW mengajar kita erti kesederhanaan. Benchmark kehidupan!
“Sesungguhnya engkau Muhammad mempunyai akhlak yang terpuji” (An Naba’ :7).
Bercita-cita Tinggi Dalam Kesederhanaan
Ramai yang bijaksana tetapi tidak bersederhana. Maka yang lahir, manusia yang sibuk mengejar cita-cita sehingga dunia menjadi tujuan lantas alpa membina masa depan di syurga. Lalu sejarah kemanusiaan dalam membina ketamadunan manusia dengan gaya kesederhanaan diukir kembali oleh seorang lelaki yang luarbiasa. Orangnya amat bijaksana dan pernah mengecap kemewahan kehidupan. Namun, dalam pencarian kehidupan, dia memilih kesederhanaan sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Bukan calang-calang orangnya, seorang khalifah umat, Umar bin Abdul Aziz.
Sebelum menjawat jawatan sebagai Khalifah, beliau adalah Gabenor Madinah. Saat itu beliau seorang yang bergaya. Bila berjalan, harum wangiannya akan tertinggal jauh di belakang langkah-langkahnya. Namun beliau semakin menapaki jalan kemuliaan. Diceritakan oleh pembantu setianya Raja’ bin Haiwah, bagaimana Umar bin Abdul Aziz memilih kesederhanaan di saat kebijakan beliau amat disegani umat. Raja’ bercerita;
“Dulu aku menemani Umar bin Abdul Aziz sewaktu ia menjadi Gabenor Madinah. Beliau menyuruhku membeli baju. Maka aku belikan baju mahal dengan harga lima ratus dirham. Ketika ia melihat dan berkata, “Baju ini bagus, Cuma harganya terlalu murah.”
Namun, ketika Umar bin Abdul Aziz dilantik sebagai Khalifah, ia pernah menyuruhku membeli baju. Maka aku belikan baju berharga lima dirham. Sang Khalifah melihat baju itu dan berkata, “Baju ini bagus, namun harganya mahal.”
Maka Aku menangis. Lantas Umar bin Abdul Aziz bertanya, ‘Kenapa kamu menangis’. Aku menjawab, ‘Kerana aku ingat beberapa tahun lalu bagaimana engkau menilai sebuah baju.’ Maka Umar bin Abdul Aziz mengatakan, ‘Sesungguhnya aku punya jiwa yang berkemampuan kuat. Tidaklah sebuah kemahuan itu tercapai, kecuali aku akan punya kemahuan yang lebih tinggi lagi. Jiwaku pernah menginginkan untuk menikahi Fatimah, anak saudaraku Abdul Malik yang seorang Khalifah, maka aku menikahinya. Lalu jiwaku ingin sekali menjadi Gabenor, aku telah mendapatkannya. Jiwaku kemudian ingin menjadi Khalifah, aku pun mendapatkannya. Sekarang wahai Raja’, jiwaku punya keinginan kuat untuk masuk syurga, dan aku sangat berharap agar menjadi penghuninya.’
Begitulah nyanyian jiwa seorang hamba Allah yang luarbiasa dalam menyikapi dirinya atas segala kurniaan yang telah Allah berikan kepadanya. Memilih dari kemuliaan di dunia, menuju kepada kemuliaan Ilahi. Kita selami kehidupan gaya sederhana Umar Bin Abdul Aziz lagi.
Satu saat ketika Khalifah Umar sakit, pakaian yang dipakainya telah kotor. Muslimah Abdul Aziz kakak Fatimah isteri Khalifah datang menemui adiknya dan melihat Khalifah yang sedang sakit. “Fatimah, basuhlah pakaian Khalifah itu. Sekejap lagi orang ramai akan masuk menemuinya”, tegur Muslimah. “Demi Allah, beliau tidak punya pakaian lagi kecuali yang dipakai itu”, jawab Fatimah.
Seorang perempuan Mesir telah datang ke Damsyik kerana ingin bertemu dengan Amirul Mukminin Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Dia bertanya-tanya di mana istana Khalifah dan orang ramai menunjukkannya. Sampai saja di rumah yang dimaksudkan, perempuan Mesir itu bertemu dengan seorang perempuan yang memakai pakaian yang sudah lusuh dan buruk dan seorang lelaki sedang bergelumang dengan tanah kerana memperbaiki rumahnya.
Perempuan itu bertanya lagi dan apabila mengetahui bahawa perempuan yang ditanya adalah Fatimah isteri Khalifah, dia terkejut luar biasa. Kerana mana ada seorang permaisuri raja yang layak memakai baju buruk seperti itu. Dia merasa takut dan kagum. Akan tetapi Fatimah pandai melayan, sehingga tetamu itu berasa suka dan tenang hatinya.
“Mengapa puan tidak menutup diri daripada lelaki tukang bancuh pasir itu?” tanya perempuan Mesir itu. “Tukang bancuh pasir itulah Amirul Mukminin” jawab Fatimah sambil tersenyum. Sekali lagi tetamu itu terkejut dan beristighfar.
Luarbiasa teladan Umar bin Abdul Aziz kepada kita. Begitu juga sang isteri Khalifah, redha dan setia bersama suami tercinta. Kedua mereka tokoh yang hebat, bijaksana dan serba bersederhana. Benarlah kata Syeikh Amru bin Murrah Al-Jamani RA, seorang tabi’in di Kufah tahun 118Hijrah;
“Barangsiapa yang mencari akhirat, dia akan mengorbankan dunianya, dan barangsiapa yang mencari dunia, dia akan mengorbankan akhiratnya, maka korbankanlah yang fana untuk yang kekal selamanya.”
Tips Sederhana Dalam Kehidupan
Benar, setiap saat, kita berusaha memenuhi hajat kehidupan. Hajat manusia tidak pernah mengecil. Sentiasa mahu dan mahu lagi. Maka tidak hairanlah tatkala Nabi SAW pernah bersimulasi bahawa manusia ini sekiranya dapat memiliki seluruh kekayaan bumi ini, akan bertanya lagi, apakah ada bumi lain yang boleh mereka kerumuni. Inilah manusia. Maka datanglah agama mulia ini, lantas dicontohkan oleh baginda kita Rasulullah SAW dengan mengajar kita “pengurusan kesederhanaan” dalam kehidupan.
Imam Al Ghazali ada memberikan kita tips pengurusan kesederhanaan, agar kita memiliki sifat bersederhana dalam kehidupan. Mari kita selidiki dalam kitabnya Ihya ‘Ulumuddin.
Tips pertama, kesederhanaan dalam penghidupan dan perbelanjaan.
Kesederhaan tidak hanya tercermin dalam gaya hidup saja, tetapi juga dalam pola berfikir membina penghidupan. Seorang yang berfikiran sederhana, tentunya tidak akan sampai melebihi batas keperluan hidup. Tuntutan dan keinginan akan selalu disesuaikan dengan kemampuan. Sehingga tidak ada rasa ingin menguasai dan memiliki hak orang lain di luar haknya.
Sebaliknya, latihlah diri dalam pengurusan kewangan kehidupan, samada individu dan keluarga, perlu ada strategi kewangan yang efektif yang berakar pada penghambaan pada Ilahi, kemudian barulah ia akan mengurus tuntutan nafsu berbelanja dan membeli. Kita harus kembali belajar memilih antara perkara yang harus dibeli, yang boleh dibeli, dan yang tidak perlu dibeli. Secara rasionalnya ramai yang faham perbezaan yang primer dan sekunder, akan tetapi rayuan nafsu yang mengikat diri mengalahkan rasional untuk memilih satu diantara dua. Oleh kerana itulah, kesederhanaan mempunyai hubungan yang erat dengan permasalahan hati, nafsu dan hubungannya dengan Allah SWT.
Tips kedua, pendek angan-angan. Lawannya panjang angan-angan. Maksud “panjang angan-angan” di sini ialah menaruh anggapan bahawa maut masih lambat menimpa diri, sehingga terlupa kepada saat kematian yang akan berlaku bila-bila masa sahaja”.
Penyakit ini adalah satu daripada penyakit-penyakit hati yang kronik. Mangsa penyakit ini akan hanyut dengan cita-cita (angan-angan) yang panjang di lautan khayalan dalam melayari kehidupan duniawi di dunia yang fana ini, sehingga terlupa kepada kematian dan kehidupan ukhrawi di akhirat yang abadi.
Satu saat, Abu Darda’ RA ketika melihat penduduk Himsh beliau berkata:
“Apakah kamu tidak malu membangun apa yang tidak akan kamu tempati selamanya dan angan-angan yang tidak dapat kamu capai dan mengumpulkan apa yang tidak dapat kamu makan. Sesungguhnya orang-orang yang sebelummu telah membangun yang megah-megah dan mengumpulkan sebanyak-banyaknya dan angan-angan yang sejauhnya, akhirnya tempat mereka itu didalam kubur dan angan-angannya merupakan tipu daya dan yang mereka kumpulkan itu hancur lebur.”
Tips ketiga, Imam al Ghazali menyatakan hendaklah ia mengetahui apa yang terkandung di dalam sifat bersederhana iaitu berupa kemuliaan dan terhindar dari sikap meminta-minta serta menghindari kehinaan dan ketamakan. Huraian ini telah kita fahami dari teladan Rasulullah SAW dan Umar bin Abdul Aziz. Bercita-citalah walau setinggi mana, namun semakin tunduklah kita kepada Allah SWT. Maka Allah SWT akan mengukuh dan memuliakan kedudukan kita sebagai hamba-Nya.
Semoga kita mampu membangunkan kebijakan pada diri kita dengan ilmu yang kita pelajari, dan dipagari dengan jiwa yang bersederhana dalam mengurus kehidupan. Rasulullah SAW sendiri mengajar kita agar berhati-hati dalam kehidupan. Dan kesederhanaan menjadi pakaian kehidupan. Baginda sering berdoa;
“Ya Allah, ya Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari dunia yang menghalang kebajikan untuk akhirat. Aku berlindung kepadaMu lagi dari kehidupan yang menghalang kebajikan untuk mati. Dan aku berlindung kepada-Mu dari cita-cita yang mengganggu kebajikan untuk beramal.
Persoalan akhir buat kita semua, lalu di mana gaya hidup sederhana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW serta para pengikut setia baginda dalam kisah penghidupan kita?
October 14, 2012
Fotografi: Perfecto!
“…engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).” [Al-Mulk:3-4]
(Exif: Canon EOS 7D | 50mm | f2.8 | 1/4000s )
Agama: Dosa Yang Tidak Nampak Pada Pandangan Mata
~ Kabur pada pandangan mata, namun tampak pada kesannya~
(Picture by Tengku Muhammad Fahmi)
Hidup manusia tidak dapat lari dari dosa. Namun bukanlah bagi seseorang itu untuk terus-menerus melakukan maksiat kerana kononya insan tidak dapat lari dari kesalahan. Tetapi, kita sebenarnya disuruh melakukan perubahan ke arah kebaikan dengan cara bertaubat.
Di dalam Islam kaitan dosa dalam kehidupan manusia ada pelbagai rupa. Ada yang melibatkan insan dengan Tuhan. Tidak kurang pula dosa sesama hamba. Namun apa yang saya ingin bekongsi di sini adalah dari sudut lain tentang jenis dosa. Ia apa yang nampak pada pandangan manusia dan lebih berbahaya yang sudah terikat dalam jiwa manusia namun tidak sedar akan kehadirannya.
Syirik
Menyekutukan Allah dengan segala sesuatu. Itulah ungkaian makna yang diberi oleh kebanyakan ulama’. Sebelum saya menerangkan lebih lanjut tentang bahayanya syirik melalui pembahagiannya, pernahkah kita terfikir dalam sejarah ketamadunan manusia, adakah syirik ini wujud dahulu dalam erti kata manusia tidak mengenali Rabb-nya kecuali selepas datangnya nabi atau sebenarnya tauhid itu itu sememangnya telah tersemat dalam jiwa manusia?
Allah berfirman:
الرَّحْمَنُ (1) عَلَّمَ الْقُرْآنَ (2) خَلَقَ الْإِنْسَانَ (3)
1 .(Allah) Yang Maha pengasih 2.Yang telah mengajarkan Al-Quran 3.Dia menciptakan manusia (Surah Ar-Rahman: 1-3)
Meneliti ayat dalam surah yang banyak menceritakan nikmat syurga tidak kurang juga azab neraka setimpal dengan amalan manusia ini, beberapa manfaat yang boleh kita uraikan dengan menyatakan sebenarnya kewujudan tauhid kepada Allah adalah fitrah. Ini kerana Allah menyatakan bahawa Dia yang mengajarkan Al-Quran yakni panduan keimanan kepada-Nya bagi manusia seterusnya baru dijelaskan tentang penciptaan insan.
Justeru, dapat disimpulkan sebenarnya, keimanan kepada Allah adalah fitrah dalam jiwa manusia. Bukankah juga manusia pernah bersaksikan bahawa Allah satu-satunya tuhan yang ada suatu ketika dahulu? Seperti yang dirakamkan dalam firman-Nya ketika Dia bertanya:
“Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka (manusia) semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai tentang (hakikat tauhid) ini”(Al-A’raf;172)
Sejarah syirik dalam kehidupan manusia
Dakwah nabi Nuh a.s yang jika kita teliti perjuangan baginda, sarat dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa beliau tempuhi dalam usaha menyebarkan kalimah Allah, dari segi lama tempoh dakwahnya dan natijahnya hanya dalam lingkungan 80 lebih sahaja menyambut seruan beliau. Ia adalah impak daripada peristiwa sebelum perutusan beliau sebagai rasul yang mempunyai umatnya yang menyeliputi seruannya bukan hanya pada kaum keluarga seperti nabi Adam namun kepada manusia secara am.
Pada zaman sebelum perutusan nabi Nuh a.s telah ada 5 orang soleh yang merupakan ketua dari setiap suku kaum yang bertungkus lumus dalam usaha untuk menyeru manusia kembali kepada Allah yang telah dinukilkan nama mereka dalam Al-Quran iaitu wadd, suwa’, yagus, ya’uq dan nasr(Nuh:23).
Setelah beberapa lama mereka meninggal dunia. Bagi mengenang jasa mereka, kaum pada ketika itu mengukir patung peringatan menyerupai ketua-ketua berkenaan. Tujuannya apabila mereka melihat kepada patung-patung tersebut terbit kesedaran dalam kalangan mereka untuk meneruskan kerja-kerja kebaikan yang pernah dilakukakan oleh para solihin tersebut.
Tetapi bersama peredaran zaman fahaman tersebut telah mula terhakis. Hingga sampai pada zaman nabi Nuh a.s, manusia sudah mula taksub dengan patung tersebut hatta ada yang bertindak menyembah mereka. Oleh kerana ketaksuban mereka itu, ramai dalam kalangan kaum nabi Nuh berpaling daripada peringatan baginda. Maka natijahnya seperti yang disebutkan iaitu ramai daripada kaum beliau tidak beriman kepada-Nya termasuklah anak dan isteri baginda sendiri.
Sejarah syirik dalam kalangan masyarakat arab
Diriwayatkan oleh Ibnu Hisham dalam kitab sirahnya bahawa penyembahan berhala ini berlaku apabila seorang arab yang bernama Amru bin Luhai keluar dari kota Makkah menuju ke Sham untuk beberapa urusannnya. Apabila dia sampai ke sebuah tempat bernama Balqa’ dia bertemu dengan seorang yang bernama A’mliq bin Lawaz bin Sama bin Nuh. Ketika itu A’mliq sedang menyembah berhala dan berkata:
“Berhala ini jika kita sembahnya dia akan memberikan kita rezeki”.
Akibat terpedaya dengan kata-kata lelaki tersebut, Amru meminta satu berhala yang bernama Hubal untuk dibawa pulang ke Makkah untuk dia jadikan sebagai bahan penyembaha. Sejak itu, mulanya sejarah hitam penyembahan berhala dalam kalangan masyarakat arab.
Pembahagian syirik dalam Islam
1. Syirik secara terang-terangan (جلي)
Syirik ini adalah syirik yang jelas pada pandangan manusia yang mana kita boleh ukur melalui perbuatan seseorang. Contohnya penyembahan berhala,matahari dan lain-lain. Manakala dari segi pengakuan tentang syirik ini, ia dinilai secara zahir dan jatuh padanya hukum syirik. Tetapi ulama’ ada menyebutkan pengakuan ini boleh jadi syirik bagi manusia tetapi tidak bagi Allah kerana pengakuan tersebut mungkin disebabkan oleh faktor-faktor yang lain seperti diseksa, diancam dan sebagainya.
Oleh sebab itu segala perkara itu bergantung kepada niat seseorang itu atas setiap perbuatannya. Melihat perbahasan yang lebih lanjut, sesetengah ulama’ berpendapat syirik ini merupakan yang paling bahaya dari syirik yang lain dan sesetengahnya tidak. Mengapa?
2. Syirik secara tersembunyi (خفي)
Syirik ini adalah syirik secara tersembunyi yang mana zahirnya bagai air yang tenang namun hakikatnya ia lebih bahaya kerana tidak dapat dinilai oleh pandangan mata. Jika diukur dari sudut perbandingan, syirik secara terang yang boleh dilihat secara jelas dapat dicegah kerana terzahir pada manusia akan kefasadannya berlainan pula halnya dengan syirik yang tersembunyi. Tetapi dari segi hukumnya, syirik secara terang dosanya lebih berat berbanding syirik yang tersembunyi kerana membawa kufur kepada Allah.
Sebahagian ulama’ membahagikan syirik kecil ini kepada dua bahagian pula iaitu:
i- نفق : syirik ini(nifaq) adalah bilamana seseorang itu mensyirikkan Allah tetapi dia mengetahui bahawa dia telah mensyirikkan Allah cuma kadang-kadang terlalai dek arus dunia. Contoh syirik ini apabila seorang berasa riya’, u’jub, takabbur (sifat-sifat yang tidak elok yang membawa maksud bangga diri, menunjuk-nunjuk) dalam perkara baik yang telah dilakukan. Seseorang dapat mengenalpasti perasaan ini tetapi kekadang terlalai atau sengaja tidak mahu untuk mengatasinya. Orang yang melakukan perbuatan ini digelar munafiq(orang yang bepura-pura dalam kebaikan).
ii- سرائر : syirik ini yang asalnya membawa maksud rahsia merupakan antara syirik yang paling bahaya kerana seseorang itu mensyirikkan Allah, namun dia tidak menyedari bahawasanya dia telah mensyirikkan Allah.
Ada tiga keadaan yang boleh menggambarkan jenis syirik ini iaitu:
-apabila seseorang mengharapkan sesuatu lebih dari pengharapannya kepada Allah
-apabila seseorang menyintai sesuatu lebih dari kecintaannya kepada Allah
-apabila seseorang takut kepada sesuatu lebih daripada takutnya kepada Allah
Realiti
Jika kita teliti semula dalam kehidupan kita, kita akan dapati sebenarnya syirik secara rahsia ini banyak berputar dalam kehidupan kita. Sebagai contoh, realiti pelajar sama ada di universiti atau dibangku sekolah lebih bergantung kepada pensyarah atau guru-guru untuk memperoleh kejayaan dalam peperiksaan berbanding usaha mereka dan penrgantungan kepada Allah.
Dalam bab cinta, tidak usah dipanjangkan cerita. Kita sendiri menjadi saksi, muda-mudi kita lebih menyintai pasangannya lebih daripada segalanya(dalam hal dunia), yang mana sepatutnya sepenuh cinta kepada Allahlah yang membawa seorang cinta pada pasangannya.
Bagi mereka yang bekerja makan gaji pula, apa yang disuruh oleh majikan walaupun melanggar syara’ semua dikerjakannya. Hal ini kerana kesan daripada takut jika rezekinya (gaji bulanan) tersekat kerana keingkarannya melaksanakan suruhan majikan namun dia terlupa sebenarnya dia telah melanggar perintah ketua segala ‘majikan’.
Kesimpulan
Oleh itu akhir kata marilah sama-sama kita berdoa agar Allah menjauhkan kita daripada dosa syirik ini baik secara tersembunyi lebih-lebih lagi secara terang-terangan dengan doa yang diajar oleh nabi Muhammad S.A.W :
اللهم إنّا نعوذ بك من أن نشرك بك شيئا نعلمه ونستغفرك لما لا نعلمه
“Ya Allah kami berlindung daripada syirik kepadaMu dengan sesuatu perkara yang kami ketahui, dan kami memohon ampun kepada Mu daripada perkara yang tidak kami ketahui.”
October 13, 2012
Agama: “Top Up” Momentum Melalui Dzul Hijjah
Inspiration by Umar Mita of Langit Ilahi
Madrasah Ramadhan untuk tahun ini sudah berlalu, pelbagai kenangan indah dan bahagia tentang kesungguhan kita merebut fadhilat-fadhilat yang Allah SWT janjikan serta kerendahan hati kita dalam meneliti “Madrasah Tarbiyah Ramadaniyah” dengan pelbagai ujian dan penuh kesabaran bermain dalam akal pemikiran seakan merindui Ramadhan yang lepas dan mengharapkan peluang bertemu semula. Selepas beberapa bulan berlalu meninggalkan Ramadhan yang lepas, tiba pula bulan Dzul Hijjah yang tidak kurang hebatnya kelebihan yang Allah SWT ciptakan buat hamba agar menjadi stesen atau perhentian yang menjana keimanan kepada Allah SWT.
Menanti penuh pengharapan agar dipertemukan oleh Allah SWT akan bulan ini, kerana dalam kelemahan kita untuk bergerak dan terus bergerak maka perhentian-perhentian sebegini yang sentiasa dirindui oleh orang-orang mukmin bagi memperoleh bekal dan menyemai benih takwa. Jika saya tidak silap tinggal tiga atau empat hari lagi kita akan memasuki bulan Dzul Hijjah.
Bulan Penuh Keberkatan dan Kelebihan.
Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menciptakan sesuatu dengan sia-sia dan pasti mempunyai sebab serta hikmah sesuatu itu diciptakan. Dalam Dzul Hijjah ini, 10 hari pertama disebut-sebut oleh Allah SWT dan RasulNya SAW pasti mempunyai keberkatan dan fadhilatnya yang tersendiri. Antara fadhilat yang terdapat dalam bulan ini terutamanya 10 hari yang pertama:
1. Allah SWT bersumpah dengan 10 hari yang terdapat dalam bulan tersebut dan mengingati hari-hari itu dalam Al-Quran Al-Karim.
Firman Allah Azza Wa Jalla:
”Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);”[1]
Para ulamak berselisih pendapat tentang perkataan “Malam yang sepuluh”, Ibn Abbas RA, Ibn Zubair, Mujahid dan para ulamak daripada kalangan Salaf dan Khalaf berpendapat ia merujuk kepada 10 awal Dzul Hijjah, pendapat kedua mengatakan sepuluh awal Muharam dan pendapat ketiga daripada Ibn Abbas melalui riwayat yang lain mengatakan 10 awal Ramadhan, pendapat pertama adalah lebih sohih.[2]
Apabila sesuatu perkara disumpah oleh Allah SWT yang maha agung dalam Al-Quran, ia menunjukkan akan fadhilat perkara tersebut serta kebesaran kedudukannya di sisi Allah SWT. Allah juga berfirman bagi menunjukkan hari-hari ma’lum yang dalamnya disyariatkan beberapa ibadah:
“serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”[3]
2. Hari-hari tersebut paling baik di dunia dan paling dicintai Allah SWT. Rasulullah SAW mengukirkan kata-kata tentang hari-hari tersebut dalam dua buah hadis:
Daripada Jabir RA, telah bersabda Rasulullah SAW : (Hari-hari dunia yang terbaik adalah hari-hari yang sepuluh -10 awal Dzul Hijjah- Kemudian seseorang bertanya: dan adakah tidak sama (hari-hari tersbut) dengan jihad di jalan Allah? Baginda menjawab: Dan tidak sama dengan orang yang berjihad di jalan Allah kecuali pemuda yang … wajahnya dengan tanah)[4]
Daripada Ibn Abbas telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: (Tiada daripada hari-hari yang dalamnya amal soleh lebih dicintai Allah daripada hari-hari tersebut -10 awal Dzul Hijjah- Para sahabat berkata: Ya Rasulullah, dan tidak Jihad di Jalan Allah? Rasulullah SAW bersabda: dan tidak juga jihad di jalan Allah, kecuali pemuda yang keluar dengan dirinya sendiri dan hartanya lalu tidak pulang daripadanya apa-apa)[5]
3. Dalamnya ada hari Arafah, hari raya korban dan Haji, seolah pesta ibadat untuk berebut keredhaan Allah. Rasulullah SAW bersabda tentang kelebihan hari korban:
(Hari-hari yang terbesar di sisi Allah ialah Hari Korban…)[6]
Pada hari Arafah (9 Dzul Hijjah) Allah menjanjikan keampunan kepada hamba-hambanya tahun lalu dan tahun yang akan datang.
Daripada Abi Qatadah Al-Ansari bahawa Rasulullah SAW telah ditanya mengenai puasa hari Arafah (9 Dzul Hijjah)? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Dikafarahkan (diampunkan dosa) setahun lalu dan setahun akan datang[7]
Perkara-Perkara Ibadat yang dituntut untuk dilaksanakan:
Pesta ibadah dalam 10 awal Dzul Hijjah jangan dilepaskan dan disia-siakan oleh kita, seandainya ganjaran bagi setiap ibdah dapat kita lihat melalui panca indera kita sudah tentu kita berlumba-lumba melaksanakannya. Antara ibadat-ibadat yang dituntut bagi setiap muslim untuk melaksanakannya pada bulan Dzul Hijjah:
1. Melaksanakan Manasik Haji dan Umrah
Seperti yang kita sudah maklum, bulan ini adalah bulan yang disyariatkan Haji dan Umrah sudah tentu Ibadat yang terbaik untuk dilaksanakan bagi yang berkemampuan dari segi kewangan serta kesihatan. Ganjaran bagi kedua-dua ibadat ini teramatlah besar seperti mana sabda Nabi SAW:
(Umrah dengan umrah yang lain terdapat kafarah(pengampunan) di antaranya, tiada ganjaran bagi Haji Mabrur kecuali syurga)[8]
2. Puasa Arafah bagi yang tidak melaksanakan Haji. Allah SWT juga memberi peluang kepada hambaNya yang tidak berkesempatan dalam melaksanakan amalan haji dengan menyediakan puasa Arafah sehinggakan menjanjikan keampunan seperti mana hadis yang disebutkan di atas tentang puasa Arafah. Kita juga saling berkongsi perasaan dengan umat Islam yang melaksanakan Haji ketika di Arafah.
3. Banyakkan bertahmid, bertakbir, bertahlil dan zikir-zikir lain, Allah juga menjanjikan ganjaran bagi amalan ini jika dilaksanakan pada bulan ini.
Daripada Ibn Abbas telah berkata: Sabda Rasulullah SAW: (Tiada daripada hari-hari yang begitu lebih dicintai di sisi Allah dan tiada amalan padanya lebih disukai Allah daripad hari-hari sepuluh ini, Maka perbanyakkanlah tahlil, takbir, sesungguhnya ia merupakan hari-hari tahlil, bertakbir dan berzikir kepada Allah. Dan puasa sehari daripadanya menyamai puasa setahun dan beramap padanya digandakan700 ganjaran.)[9]
4. Menyembelih bintang korban. Hukum bagi ibadat ini adalah Sunnah Muakadah berdasarkan pendapat Jumhur, kecuali pendapat Abu Hanifah yang mengatakan wajib dilaksanaka bagi setiap muslim. Pendapat yang rojih ialah sunnah muakadah kerana beberapa orang sahabat Rasulullah SAW seperti Saidina Abu Bakar tidak melaksanakan ibadat ini selama dua tahun berturut bagi mengelakkan masyarakat melihat ibadah ini sebagai wajib[10]
Allah SWT berfirman: “dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati.”[11]
Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”[12]
Penutup
Banyak ganjaran yang Allah SWT janjikan buat hambaNya yang melaksanakan ibadat-ibadat yang dituntut ini. Mungkin ada sebahagiannya kita tidak mampu untuk laksanakan atas sebab kekangan kewangan dan sebagainya, tetapi Allah SWT juga menyediakan ibadat yang mudah untuk kita laksanakan seperti zikir dan puasa. Laksanakan ketakwaan setakat mana yang kita mampu seperti firman Allah SWT:
(Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu)
Wallahu ‘Alam.
[1] Surah Al-Fajr:1-2.
[2] Tafsir Ibn Katsir, Halaman 257, Jilid 8.
[3] Surah Al-Hajj: 28
[4] Riwayat Al-Bazzar dan Ibn Hibban serta disohihkan oleh Albani
[5] Riwayat Imam Bukhari
[6] Riwayat Abu Daud dan Nasaie serta disohikan oleh Albani.
[7] Riwayat Imam Muslim
[8] Riwayat Imam Bukhari dan Muslim
[9] Riwayat Al-Baihaqi
[10] FIkh Sunnah oleh Sayyid Sabiq, Halaman 921
[11]Surah Al-Hajj:32
[12] Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud.
October 12, 2012
Novel: Takdir2 – Percaya Yang Tidak Sirna – Cheritera 14
Picture by Tengku Fahmi of Pelangi Bonda
Perjuangan Angkasa Sakti dan rakan-rakan diteruskan lagi.
Uftzi dan Duarte sedang bergegar tanpa diketahui apa keputusannya.
Brynhildur dan Midori sedang didekati oleh Tentera Tanah Suci, Bumi Barakah dan Chinmayi.
Mari membaca pengembaraan ini.
Cheritera 14
Enjoy!
Matanya terbuka. Kegelapan di singgahsananya, dan suhu yang sangat sejuk di persekitarannya, menghiasi segala derianya. Dia terjaga dari lenanya. Lena untuk mengumpul tenaga yang telah menyusut kerana dia telah menggunakannya.
Perlahan-lahan skrin besar turun mengikut gerak hatinya. Skrin itu memaparkan Duarte. Dia melihat keadaan di sana. O Zero dalam keadaan tersepit. Itulah yang membangkitkannya.
Dia mendengus. Bagaimana boleh jadi sedemikian?
Sepatutnya Duarte tidak mempunyai kekuatan untuk bertahan dari serangan O Zero dan bala tentera dari Ethan. Mengapa O Zero boleh tersepit sedemikian rupa sebagaimana yang dipaparkan di dalam skrin?
Hatinya diserang satu perasaan. ‘Gerun’.
Kepada siapa?
“Kau!” Dia mendongak. Suaranya ditinggikan setinggi-tingginya. Jubin singgahsana bergetar, begtitu juga singgahsananya. Dia bangun berdiri. Beberapa tiub panjang yang bersambung dengan belakang tubuhnya, tercabut.
“Kau fikir aku akan takut hah?” Dia melepaskan auranya. Kali ini seluruh istananya bergegar. Kekuatan yang dasyat. Kekuatan yang menghapuskan seluruh Tentera Chinmayi dengan seorang diri. Yang sangat menggerunkan sesiapa sahaja yang berhadapan dengannya. Namanya sahaja sudah mampu membuatkan orang terduduk.
Dialah Sang Asura.
Namun keperkasaannya, tidak menghalang rasa ‘gerun’ itu muncul di dalam dirinya.
“Kiai Sunyi, marilah bertarung dengan aku!”
“Bukan aku yang akan menewaskan kamu. Allah hanya mengarahkan aku menemani mereka yang ingin menentang kamu sahaja.”
“Jangan jadi pengecut!”
Kiai Sunyi sempat menggeleng. “Orang yang pengecut adalah orang yang tidak mahu mengakui kesilapan dirinya, dan terus menerus memperjuangkan perkara yang salah.”
Sang Asura rasa lebih terhina. “Aaaargh!” Dilibas pedang hanumannya sekuat hati. Terbelah bumi di hadapan Ethan itu. Tetapi Kiai Sunyi dan dua panglima Chinmayi yang masih hidup itu telah menghilangkan diri.
Dia mengetapkan bibir.
Bengang sungguh dirinya.
“Orang yang pengecut adalah orang yang tidak mahu mengakui kesilapan dirinya, dan terus menerus memperjuangkan perkara yang salah.” Kata-kata itu bergema di dalam jiwanya. Dia rasa dipukul-pukul.
“Aku tetap tidak mahu mengalah!” Dia mempersembahkan kekuatannya. Jubin-jubin lantas pecah, singgahsananya meretak, dan skrin besar tadi pun hancur.
“Aku bersumpah akan menghancurkan orang-orang yang beriman dengan Kau!”
Dia pun bergerak semula ke singgahsananya. Jubin-jubin yang pecah bercantum semula. Skrin yang hancur telah bersatu kembali. Singgahsananya juga turut kembali seperti asal. Teknologi tertinggi yang diperolehi oleh manusia. Namun teknologi sedemikian tidak dikeluarkan kepada dunia. Disimpan oleh pihak tertentu untuk kepentingan mereka.
Sebagaimana Sang Asura dicipta oleh mereka.
Tetapi belum sempat mereka menikmati semua teknologi itu, Sang Asura telah menghapuskan mereka.
Mereka adalah penyebab mengapa Sang Asura sangat membenci manusia, dan membenci Tuhan kepada Agama Langit. Kerana manusia-manusia itu menganut Agama Langit.
Pada dia, Agama Langit, dan mana-mana agama yang wujud di atas muka bumi ini, semuanya adalah salah dan merosakkan. Tuhan tidak ada.
“Jika Tuhan ada, maka Dia membenarkan aku tercipta sebegini?” Dia menatap tangannya yang diangkat.
Perlahan-lahan tiub-tiub tadi bergerak mencari belakang tubuhnya, dan mereka bercantum semula. Tenaga kembali disalurkan. Dia perlu menyambung pertapaannya.
*******
Mereka berhenti menunaikan solat. Waktu telah menjengah malam untuk mereka. Maghrib disekalikan dengan Isya’. Namun kelihatan dari kalangan para tentera, ada yang liat untuk melaksanakannya. Kala semua telah bersiap, mereka masih berehat-rehat lagi.
“Sebagaimana yang dinyatakan oleh Syu’bah.” Izrayel menghela nafas.
Ezakiel sekadar mendongak memandang bekas Pendekar Berdosa itu. Kemudian dia memandang Tuk Gurunya, Pertapa Arjuna. Pertapa Arjuna juga akhirnya menghelakan nafas. Lantas dia bersuara:
“Hisyam Wakeel, gerakkanlah orang-orang kamu. Mari kita solat bersama-sama.”
Hisyam Wakeel yang sedang berbaring bersama pengikut-pengikutnya mengangkat kepala.
“Oh, Kiai Hutan. Kiai Hutan, kami sedang kepenatan, biarlah kami berehat terlebih dahulu.”
Kiai Hutan menyilang tangan pada dada. Tidak mampu menerima alasan yang sedemikian rupa.
“Antara ciri-ciri munafiq. Aku ada membacanya di dalam Kitab Langit. Allah Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya berfirman: Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang). Surah An-Nisa’ ayat 142.”
“Apakah mereka ini akan menjadi duri dalam daging perjuangan kita? Atau mereka sebenarnya masih belum biasa dengan disiplin sebagai seorang hamba Allah yang sebenarnya?” Kiai Hutan masih ingin memberikan sangka baik kepada Hisyam Wakeel dan pengikut-pengikutnya.
Ketika ini Waqqas datang mendekati mereka bertiga. “Izrayel, Kiai Hutan, Ezakiel, usah kita hiraukan mereka. Mari, sekalian tentera sedang menanti kita untuk menunaikan solat bersama mereka.”
Izrayel mengangguk. Lantas berpaling. Dia rasa sangat terkilan dengan Hisyam Wakeel. Dia pernah hidup bergelumang dengan dosa, dan jauh daripada Allah SWT. Jiwanya meronta mencari kebenaran, ketenangan dan kebahagiaan, dan dia menjumpainya apabila mengenali Allah SWT dan hidup di dalam Agama Langit.
Namun Hisyam Wakeel itu yang merupakan seorang Muslim, seakan tidak mendalami perkara itu.
Tiba-tiba bahu Izrayel ditepuk lembut. Dia memandang kepada Ezakiel di sisinya. Dia melihat remaja itu tersenyum.
“Apa yang engkau senyumkan Ezakiel?”
“Kerana Abang Izrayel membaca ayat dari Kitab Langit tadi dengan fasih sekali. Nyata 6 bulan ini, abang Izrayel benar-benar berusaha menjadi hamba Allah SWT yang baik.”
Izrayel tersengih.
“Marilah kita solat.” Belakang Ezakiel ditepuk.
Mereka berdiri di atas saf bersama seluruh tentera yang lain. Waqqas melaungkan iqomah. Kiai Hutan mara ke hadapan menjadi imam.
Hisyam Wakeel sekadar memandang mereka itu dengan pandangan yang sinis.
Jelas dia ada rancangannya yang tersendiri.
******
Angkasa tertiarap. Seakan tidak lagi bernyawa.
Aizan Fahmi seperti tidak percaya. Segera dia melibas Tombak Naganya sekuat hati, hingga aura yang terkumpul pada senjatanya, terpancut ke hadapan senjatanya membentuk sabit. Jika Meizin Si Wajah T-Rex tidak lebih berhati-hati, pastinya kepalanya telah melayang ke langit. Aizan Fahmi ingin mengambil peluang ini untuk pergi ke Angkasa.
Namun Meizin bukan calang-calang panglima.
“Kau mahu ke mana itu hah?” Lantas dari mulutnya, dia menyembur beberapa das bebola api.
Aizan Fahmi yang telah membelakangkan Meizin, segera memanipulasikan Tombak Naganya, pergelangan tangan yang cekap memutarkan senjata itu, hingga bebola-bebola api itu berjaya dipukul pergi.
“Jangan halang aku!” Aizan Fahmi mendengus.
“Aku bukan nak halang kau.” Meizin bergerak selangkah ke hadapan. “Aku hendak membunuh kau.” Auranya dilepaskan. Warna merah seakan turun dari langit memenjara Aizan di dalamnya.
“Argh!” Tekanan yang tersangat kuat, hingga Aizan perlu menjadikan Tombak Naganya sebagai tongkat.
“Kenapa aku selemah ini?” Aizan mengetap bibirnya. Di hujung mindanya, dia masih memikirkan Angkasa. Apakah benar sahabatnya itu telah tumbang?
“Haha. Sahabat engkau itu sangat kasihan, tidak mampu mampir ke mari untuk menyelamatkan engkau.” Gutrul bersuara mengejek. Dia selangkah demi selangkah merapati tubuh Angkasa.
“Tetapi aku belum puas lagi dengan engkau budak. Aku mahu tubuh engkau hancur.” Gutrul mengacukan pistol kembarnya. Senjata istimewa yang pelurunya tercipta dari aura Gutrul. Justeru, selagi aura Gutrul masih belum melemah, selagi itu senjata itu akan mampu melancarkan tembakan.
Belalainya perlahan-lahan mencapai tangan Angkasa, dan mengangkat tubuh yang telah longlai itu.
Gutrul mengacukan pistol kembarnya seiring dengan tubuh Angkasa yang diangkatnya.
Tiba-tiba ada sesuatu yang menarik perhatian Gutrul. Yakni tempat tembakannya tadi. Tiada darah yang keluar dari situ. Tidak lama selepas Gutrul mengangkat Angkasa, ada serpihan-serpihan mutiara keluar dari tempat sepatutnya Angkasa ditembak.
“Heh. Kau telah terperangkap.” Angkasa bersuara.
Gutrul membeliakkan mata.
“Pergilah bertemu dengan Tuhan dan berbicaralah dengan Dia!” Angkasa menggenggam kedua-dua belah tangannya.
Belum sempat Gutrul hendak melepaskan tembakan, kepala Gutrul telah ditembusi pedang warisan bapa Angkasa. Belalai yang memegang tangan Angkasa melepaskan lilitannya. Angkasa jatuh turun semula ke bumi.
“Ah, sudah hancur permata ini.” Angkasa melihat kepada serpihan yang berada di muka bumi.
Permata yang dihadiahkan oleh Puteri Maisarah, adinda kepada Aizan Fahmi.
Ketika itu, Gutrul pun tumbang meniarap. Angkasa tidak menanti lebih lama. Dia bingkas mengambil pedang warisan bapanya semula. Terus dia bergerak menuju ke arah Aizan Fahmi yang sedang menentang Meizin berwajah T-Rex.
Saat T-Rex itu sedang leka memerangkap Aizan Fahmi di dalam tekanan auranya, Angkasa muncul memecahkan tumpuan musuh itu, hingga terangkat semula tekanan yang diciptanya.
Meizin seperti terkejut, berundur beberapa langkah. Namun Aizan Fahmi pantas mara beberapa tapak, kemudian memanjangkan pegangannya pada tombak naga, untuk meluaskan lagi perimeter libasan senjatanya. Bilah tombak naga mencium rusuk Meizin, membuatkan T-Rex genetik itu mengerang kesakitan. Mujur dia dilindungi zirah yang tebal, membuatkan serangan Aizan Fahmi itu tidak membelah dua tubuhnya.
Angkasa tidak memberikan ruang rehat. Terus dia ingin membelah Meizin menjadi dua, dari atas. Tetapi Meizin juga bukan sebarang pahlawan, di tengah kesakitan itu dia masih mampu mengacung kerambitnya, menahan serangan Angkasa.
Namun libasan sepenuh kuasa itu membuatkan Meizin melutut ke tanah. Ketika ini wajahnya terus dijamu belakang Tombak Naga Aizan Fahmi, membuatkan dia terlentang ke bumi dan terseret beberapa depa ke belakang.
“Angkasa!” Aizan Fahmi baru mampu untuk menyebut nama sahabatnya yang dijangkanya telah tumbang sebentar tadi. Angkasa sekadar tersenyum. Tidak mampu hendak berbicara panjang sekarang kerana ingin mengambil segala peluang. Dia pantas memecut ke hadapan sebelum Meizin sempat bangun untuk menyerang.
Terus dua kaki Angkasa memijak tubuh Meizin, dan Pedang Warisan Bapanya diangkat tinggi.
“Dan Tuhan kami tidak pernah memungkiri janji!” Angkasa melaung sambil terus menusuk wajah Meizin dengan senjatanya itu.
Darah bersemburan memercik ke udara. Angkasa masih belum mahu menghentikan serangannya. Dia segera mengangkat semula senjatanya sepantas mungkin, dan memukul titisan darah yang berada di udara itu.
Lantas darah-darah itu terbang seperti peluru yang menderu. Membelah udara pergi kepada Fampush Si Gergasi Hijau yang sedang bertarung dengan Kiai Laut. Mujur Fampush seakan dapat menangkap peluru-peluru darah itu, lantas dia melindungi dirinya dengan sayap-sayapnya. Itupun, dia masih terundur ke tepi beberapa tapak.
Kiai Laut menoleh ke arah Angkasa. Tersenyum.
“Meizin dan Gutrul telah tumbang ya?”
Angkasa bergerak perlahan selangkah demi selangkah. Ketika ini baru dia mengambil peluang bermesra dengan Aizan Fahmi semula. Bahu kakanda Puteri Maisarah itu ditepuk.
“Tembakan Gutrul mengenai permata yang dihadiahkan oleh adindamu.”
“Ah.” Aizan Fahmi baru mengetahui.
“Mari kita tamatkan pertarungan di sini. Seakan-akan Tanah Suci memanggil.” Angkasa bersuara.
Aizan Fahmi tersenyum. “Mari!” Tanpa menunggu Angkasa, Aizan Fahmi bergerak pantas ke arah Fampush untuk membantu Kiai Laut.
Angkasa tidak terus ke sana. Dia memandang ke langit.
“Puteri Maisarah.”
Entah mengapa, di tengah kegencaran pertarungan ini, hatinya seakan terbang ke sisi puteri itu.
******
Mata Maisarah terbuka. Dari duduk simpuhnya dia berzikir, dalam keadaan khusyuk menghadap rumah lagenda berbentuk kiub berselimut kiswah hitam, dia seakan disapa sesuatu yang mengejutkan.
“Angkasa Sakti.” Nama pemuda itu terpacul.
Dia kemudian tunduk sujud kepada Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya.
“Ya Rabb, selamatkanlah kekandaku Aizan Fahmi di medan perang, dan selamatkanlah Angkasa Sakti yang aku cintai itu. Janganlah Engkau berikan kekalahan kepada mereka, tetapi berikanlah kemenangan kepada mereka. Permudahkanlah segala urusan mereka, angkatlah segala bebanan mereka, dan berkatilah perjuangan mereka. Sesungguhnya aku tidak kenal mereka melainkan sebagai orang yang baik-baik sahaja.”
Air matanya mengalir. Dia baru sahaja dapat merasai kerehatan kerana urusan mempersiapkan bala tentera ke Brynhildur dan Midori telah selesai. Kini dia hanya mampu berdoa, bertawakkal kepada Allah SWT. Manusia hanya berusaha, yang memberikan keputusan adalah Dia.
Jiwanya meronta ingin turut ke medan perang sama. Pada dirinya, tidak ada makna dia duduk menunggu. Namun mengenangkan ayahandanya Ruh Faizan kekal duduk bersama rakyat, untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang tidak diingini, maka dia membuat keputusan untuk tinggal di Tanah Suci menemani.
Namun, walaupun dia berada di Tanah Suci yang kini tidak berada dalam suasana peperangan, jiwanya tetap terikat dengan peperangan-peperangan di luar sana. Doanya tidak putus-putus. Dia seakan-akan berada di sisi kandanya Aizan Fahmi, dan Angkasa Sakti pemuda yang dia cintai.
Perlahan-lahan puteri Tanah Suci ini mengangkat wajahnya.
Tiba-tiba dia mendengar esak tangis dan hiba dari sekelilingnya. Dia memutarkan kepala.
Dia melihat perempuan-perempuan di Tanah Suci yang turut berada di hadapan Rumah Lagenda bernama Ka’bah ini, sedang menangis.
“Mengapakah kalian menangis?”
Perempuan yang paling hampir dengannya bersuara:
“Kami sungguh terharu dengan seorang puteri yang melekatkan dahinya ke tanah, berdoa dengan bersungguh-sungguh. Maka kami menangis, dan turut berdoa dengan bersungguh-sungguh.”
Air mata yang mengalir perlahan, menjadi lebih deras pada pipinya. Semua yang ada bertambah hiba.
“Berdoalah kepada Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya, seakan-akan kita wujud di tengah medan saya. Sesungguhnya Dia itu tidak akan sesekali mengecewakan hamba-hambaNya!” Dia memberikan semangat.
Semua yang ada mengangguk. Masing-masing kemudian fokus kepada doa mereka.
Hati Maisarah jadi lapang melihat Tanah Suci mempunyai rakyat yang sedemikian rupa. Ada yang keluar berperang, namun yang tinggal di Tanah Suci bukanlah duduk bersenang lenang. Ada hubungan sesama mereka. Lengkap melengkapi. Walau terpisah tubuh dan jarak, jiwa-jiwa tetap bersatu, imanlah yang menjadi materi.
Ketika inilah dia menyematkan satu azam.
“Jika Angkasa kembali dengan selamat nanti, aku mahu berani melamarnya.” Dia menggenggam tangan. Nekad. Dia mahu menjadi pasangan kepada pahlawan itu.
Terasa hati mereka terikat satu.
Lantas dia menyambung munajatnya kepada Tuhan.
Kerana Allah jualah yang mengabulkan segala impian.
Itulah dia keyakinan manusia yang beriman.
*******
Beberapa anak panah meluncur laju membelah udara. O Zero mengelak dengan cekap sekali. Tiada sebatang pun yang mengenai dirinya. Anak panah yang terakhir telah terhenti pada pedang gergasi O Zero.
Ashoka mendengus. Nampaknya O Zero walaupun bertubuh besar, tetapi kepantasannya bukan calang-calang.
Arnav tidak memberikan ruang rehat kepada O Zero. Dia mempraktikkan seni tombaknya dengan kemas dan tangkas. O Zero terpaksa mengelak dan menepis. Arnav sangat pantas. Hampir sahaja tombak hitam miliknya itu hilang dari pandangan mata O Zero.
“Hei, bukankah aku melihat kalian ketakutan tempoh hari di Ethan? Haha.” O Zero cuba bermain psikologi. Dia memang suka merendah-rendahkan lawannya.
“Itu kerana ketika itu kami hilang percaya.” Arnav menjawab pendek. Mata tombaknya masih mencari tubuh O Zero.
“Tetapi tidak kini. Percaya kami tidak akan sesekali sirna.” Terus Arnav memukul bumi dengan tombaknya sekuat-kuat hati sepenuh kuasa. Debu-debu naik menutup suasana. Arnav berguling menjauhi tempat itu.
Tidak lama kemudian, pedang gergasi O Zero membelah bumi, menyah pergi semua debu. Mungkin dia ingin pandangan matanya tidak terganggu. Tetapi ketika inilah sekitar 10 anak panah berterbangan menuju ke arahnya. O Zero tidak sempat untuk mengelak atau mengangkat pedangnya, lantas tangan gergasinya diangkat menutupi wajah.
Sebahagian anak-anak panah itu menembusi tangannya, dan beberapa lagi mengenai bahu dan lengannya. Dia tidak mengerang kesakitan.
“Nampaknya, Orihalcoln bukan lagi penghalang bagi kamu.” O Zero mengetap bibir. Mengaum garang. Auranya dipertingkatkan.
“Hiargh!” Armon muncul dari belakang dengan parang panjangnya. Dia ingin mencantas kepala O Zero dan menghentikan pertarungan ini.
“Heh. Mimpi di siang hari!” Terus O Zero memutarkan tubuhnya dan mengangkat siku tangan gergasinya. Siku itu menjamu perut Armon. Zirah yang dipakai oleh Ketua Panglima Duarte berwajah Puma itu retak.
Berguling Armon ke tanah. Tetapi itu tidak menggentarkan Arnav untuk maju menyerang O Zero. Terus dia melibas tombaknya untuk menyerang wajah O Zero yang terdedah. O Zero mengelak, seraya melangkah ke hadapan serentak. Tangan kirinya yang normal itu menjamu perut Arnav sepenuh kuasa. Darah tersembur keluar dari pahlawan Chinmayi itu.
Ketika ini beberapa anak panah lagi pergi menuju ke wajahnya. Sebaik sahaja Arnav berguling jatuh ke tanah, O Zero tangkas menangkap panah-panah yang berterbangan itu. Tidak cukup dengan itu, dia memutarkan tubuhnya seiring dengan kekuatan pergerakan panah-panah tadi, dan sebaik sahaja putaran tubuhnya lengkap, dia menebak semula panah-panah tersebut.
Mata Ashoka membesar. Tidak percaya dengan apa yang dipersembahkan oleh O Zero. Terus dia berguling ke tanah sambil mendekati Arnav.
“Dia memulangkan semula panah aku!”
Arnav masih cuba menenangkan dirinya. Mujur dia tidak dijamu dengan tangan gergasi O Zero. Matanya melirik kepada Armon yang masih belum mampu bangun.
“Dia ini memang raksasa.” Komen Arnav.
Ashoka menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu, menenangkan.
“Aku ini O Zero. Pemerintah Ethan. Jika aku mahu, aku boleh musnahkan kalian sendirian!” Dia mengaum sekuat hati. Auranya dilepaskan sepuas-puasnya. Bergegar bumi dan benteng Duarte dengan kekuatan O Zero itu.
“Tidak. Engkau tidak akan menang pada hari ini. Kami tidak takut kepada engkau.” Arnav bangkit. Dia nekad.
Lantas Arnav pun melepaskan auranya. Tekanan yang diberikan oleh aura O Zero, ditentang dengan auranya. Ashoka juga melakukan perkara yang sama.
“Panah aku tinggal kurang 10 batang.” Ashoka berbisik.
“Maka jadikan 10 batang itu, 10 batang yang bermakna.” Arnav menumbuk bahu Ashoka.
Ashoka mengangguk.
“O Zero.” Arnav bersuara. “Hari ini engkau akan tahu mengapa kami menyembah Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya, dan bukan Sang Asura.”
Dan ibarat kata-kata itu adalah panah yang laju, jiwa O Zero seperti ditembusi ketakutan.
“Hiargh!” Arnav bergerak maju. Berlari pantas.
O Zero terus menghunuskan pedang gergasinya. Dia berhajat ingin menghapuskan Arnav ini dengan sekali tebas sahaja. Maka disalurkan seluruh kekuatannya pada pedang gergasinya itu.
“Budak, engkau akan maut hari ini.”
“Ajal dan maut itu di tangan Tuhan aku!” Terus dia menujah tombaknya ke arah O Zero.
Sekuat hati, O Zero melibas pedang gergasinya. Angin yang terkumpul pada serangan itu sahaja sudah begitu menggerunkan. Debu-debu yang wujud di atas tanah seakan terangkat, menuruti pergerakan pedang tersebut. Arnav perasan akan perkara ini, lantas mengubah strategi dan menyerang kepada bertahan. Tombaknya ditarik dan menjadi penahan di bahagian dada.
Namun libasan O Zero sangat kuat sekali.
Darah pun bersemburan keluar ke udara.
Ashoka membesarkan mata.
“Aaargh!” Dan ngauman kuat dari O Zero membelah suasana.
Jeneral Utopia itu terundur ke belakang beberapa tapak, memegang bahagian kepalanya. Darah mengalir. Dia menjerit lagi, mengaum kesakitan.
Arnav telah terbaring di tanah. Tersenyum.
Apa yang berlaku?
Saat O Zero melibas, Arnav mengikuti arus libasan itu. Lantas, dia tidak dicantas libasan pedang gergasi O Zero tersebut. Semasa O Zero melibas, Ashoka telah melepaskan dua anak panah, yang mata O Zero menjadi sasarannya. Arnav tercampak menghentam dinding benteng Duarte, manakala O Zero tercedera.
Dengan kehandalan Ashoka dalam memanah, dan O Zero yang terlalu fokus kepada ingin mencantas dua tubuh Arnav, mereka berjaya membutakan mata O Zero.
Pantas Ashoka melepaskan lagi baki panah yang ada, menghujani tubuh O Zero. Darah bersembur keluar lagi. O Zero meraung kesakitan hingga terlutut ke bumi. Arnav perlahan-lahan bangkit dari baringannya di tanah.
“Tempoh hari Sang Asura bertanya, di manakah Tuhan kami? Aku ingin menjawab sekarang, Tuhanku ada di sini.” Arnav menepuk dadanya, walaupun dia tahu O Zero tidak lagi mampu melihat.
O Zero seakan tidak mendengar lagi bicara Arnav. Kesakitan yang dialaminya tidak terperi lagi. Ditambah kegelapan yang menyelimuti dunianya kini.
Pertama kali di dalam hidupnya, dia mengakui bahawa dia mempunyai perasaan takut.
Dia kini merasa takut hingga dia tidak lagi mampu menafikannya.
“Celaka, celaka!” O Zero cuba mempertingkatkan auranya.
Tetapi ketika itulah, kepalanya bercerai dari tubuhnya.
Armon berdiri gagah di belakang tubuh O Zero. Dia yang mencantas kepala Jeneral itu dengan parang panjangnya. Kemudian dia menendang tubuh besar O Zero itu hingga tertiarap menyembah bumi.
“Kemenangan telah menjadi milik kita.” Armon memandang Arnav dan Ashoka.
“Di sini.” Ashoka mengukir senyuman.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Arnav mengacung tombak hitamnya.
Dan kemudian bersahut seruan itu di benteng Duarte.
Cahaya Dia tidak akan terpadam, selagi mana percaya hambaNya kepada Dia tidak sirna.
*******
O Zero telah tumbang!
Mata Long Berk, Valdis, dan Rafael terbuka. Walaupun mereka bertiga berada di berlainan tempat, Long Berk di Amara, Valdis di Brynhildur dan Rafael di Midori, mereka dapat isyarat itu.
Dihantarkan oleh Sang Asura, yang mereka panggil sebagai ‘tuanku’.
Long Berk mendengus kencang. Tidak suka dengan berita yang mencalarkan imej Kerajaan Utopia ini.
“Bagaimana mereka mampu menumbangkan O?”
Persoalan.
Dari mana kekuatan mereka datang?
English Column: Youth of the Beast!
“Find your youth”
Picture by ~zeushead of deviantart.com
The quote by George Bernard Shaw “Youth is wasted on the young” has breathed in a new definition and interpretation of what is actually the meaning of youth. How can youth; which clearly connotes “the condition of being young” is wasted on young people?
Does that mean the state of being a youth is applicable to old people also?
Who is considered youth?
Youth is not defined by rosy cheeks, supple skin, red lips or black hair. Youth is not a stage of life but it is a state of heart that stimulates the fiery state of mind and body. It is a matter inside; your driving-will, your quality of critical thinking, your robustness of emotional management and your overflowing flow of spiritual-physical-mental energy.
Youth means the thirst for adventure and hatred towards stagnancy. You will grow old but your youthfulness is still intact. Time will rumple the skin or whiten the hair but that is not a signal for you to rumple your soul.
Youth is a time where “spring” is seen and it is called “The spring of youth.” The invariant meaning of “Spring” according to Semanticists is “an accelerated movement”. The reason why spring is the best word to describe youth is because of what happens in spring.
What happens in spring?
New life begins in spring; they rose from the coldness and stillness of winter. Flowers blossom, animals awake from their long hibernation, gardens turn green and birds sing throughout the day.
By saying “The Spring of Youth,” it automatically inserts new life to a person. Even though the person is old, they can be considered youth due to the fact that they are full of youthfulness.
Redefining Youth
The conventional definition of youth is a person from the age of 18 – 40. If the definition is applied to Prophet Muhammad, the age of prophet hood for him is 40, which means, he had the luxury to experience being a youth for only one year (plus minus).
But, according to Ibn Kathir (2001) has stated that the prophet, during his lifetime undertook 19 battles and participated in fighting in 8 battles (pg. 2).[1]
In other various sources from “List of battles of Muhammad” on “Wikipedia,” the prophet had the luxury to participate in 100 fights comprises of battles, expeditions and missions.[2]
The best thing to be emphasized here is that he did all these between the age of 40 and 63!
The big question to be asked is that, is the prophet not considered a youth?
Is the prophet not energetic even if he is “old”?
Clash of interest – The old and young generation
If Hollywood has “Clash of the Titans,” between the old and young generation, there is “Clash of Interest.”
The younger generation wants to sprint fast but the older generation says “Wait.” This is only because the old generation believes they are “more experienced”, “older in age” and consider the younger generation as “immature” and needs “a lot of experience to be learnt in time.”
A two-part article by Prensky, M. (2001) has revealed an integral way of thinking in the 20th Century. Although his article is titled “Digital Natives vs Digital Immigrants” and discusses mainly on the clash of interest in terms of technology usage between the Digital Natives (the younger generation) and Digital Immigrants (the older generation), but if the issue presented is expanded further, it actually encompasses the way of thinking in the 21th Century.[3] What did he proposed? It’s not about the older generation has to learn new things and younger generation has to adhere to old/traditional principles but it is about “learning new ways to uphold old/traditional things.”
The older generation refuses to give in to new advancements in technology usage just because technology was not used in their generation. It is alien to them. The example given was in teaching specific software that is CAD (Computer Aided Design). It was difficult to master the software due to the invention of many new buttons. But the developer of the software had a brilliant idea that is to make the CAD mastery interactive. They created a game called The Monkey Wrench Conspiracy, a first person shooter type of game. In order to accomplish the game, they need to master CAD. The game was phenomenal for the digital natives but for the digital immigrants, they were difficult to be comprehended. The wanted a traditional lesson plan which starts with “Lesson number 1 is…”
The issue here is that, not all that comes from the younger people is irrelevant but it is to be reviewed by the older people. And when the younger people sprints fast, the older generation should not say “I’m sorry, we are old” as an excuse not to improve but to understand why the younger people acts that way.
The question has to be repeated, is the prophet not energetic even if he is “old”?
Is the prophet not full of youthfulness even if he is aged half a century?
This is why a youth-adult orientation collaborative unity should be applied in every field.
Youth-adult collaborative unity
This concept is not new. It has been said by Almarhum Umar Tilmisani in a paraphrased way “Hikmah Asy-Syuyukh, fi hamasati As-Syabab” which means “the wisdom of old people is embedded in the driving force of the young.”
The strength-promptness of young people: new ideas, everlasting energy needs to be coordinated by the wisdom of old people because they are more experienced and have gone learnt from many failures in life.
It should be a collaborative unity not leader-slave relationship. Young people and old people must be oriented and mingled together in a collaborative setting so that the ideas and wisdom are matched together to produce a super synergized workforce. They should work together as comrades. Age should not be the obstruction. Just because someone is older and more senior, he she should be the one giving the instructions.
It is true that between the young and the old, physical strength is always an issue. One conclusion that can be made is that the young must learn how to tune down their enthusiasm to reach the slower pace of the old. But that does not mean the old has to be slow forever. They too have to learn to faster their slow pace. If they cannot cope with the young people’s pace, they should entrust them.
Conclusion
Youth is not a period of life but a state of heart. A state of heart with drives people to be energetic. Old people can be considered youth and the prophet has proved it with his youthful qualities in war even though he is an old-timer. Young people who do not possess the fiery features of youth are not qualified to be called youth.
All humans ought to be youth of the best! We should unleash the full potential of the beast sleeping inside of us!
[1] Form “The Battles of the Prophet,” by Ibn Kathir, translated by Wa’Il ‘Abdul Muta’al Shihab, Dar Al-Manarah for Translation, Publishing & Distribution, El-Mansoura, Egypt.
[2] http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_expeditions_of_Muhammad
[3] Prensky, M. (2001). Digital native, digital immigrants. On the Horizon, 9(5), 1-6. http://www.marcprensky.com/writing/pr... - digital natives, digital immigrants - part1.pdf
October 10, 2012
Novel: Takdir2 – Percaya Yang Tidak Sirna – Cheritera 13.
Picture by UmarMita of LangitIlahi
Sepatutnya diupdate pada Sabtu yang lepas.
Tetapi kerana saya sibuk dengan pelbagai urusan, maka hari ini baru ada peluang hendak mengupdate Novel bersiri di LangitIlahi.Com ini.
Enjoy!
Cheritera 13.
2 hari telah berlalu, dan kini Tentera Tanah Suci, Bumi Barakah, dan Tentera Chinmayi yang berlindung di Tanah Suci, telah bersedia untuk menggempur Midori dan Brynhildur sebagaimana yang dirancang.
Ketumbukan telah disusun semula kerana kecederaan Khalid.
Yang akan pergi menyerang Brynhildur adalah Tok Akram, Panglima Terasing, Mughirah Syu’bah, majoriti tentera Bumi Barakah dan separuh Tentera Chinmayi. Panglima-panglima Bumi Barakah seperti Toriq, dan tiga lagi rakannya bernama Hudzaifah Yamani, Yahya Waseem dan Talhah Ubaidillah turut menyertai ketumbukan ke Brynhildur itu.
Yang menggempur Midori pula terdiri dari Pertapa Arjuna, Waqqas Ali Qadri, Ezakiel, Izrayel Junjaki dan majoriti Tentera Tanah Suci, bersama separuh lagi baki Tentera Chinmayi.
Hisyam Wakeel bersama pengikut-pengikutnya pula masuk ke dalam kedua-dua ketumbukan dengan pembahagian yang sama rata. Hisyam Wakeel sendiri turut serta di dalam ketumbukan ke Midori.
Ruh Faizan dan Raja Ali Khan menunggu di Tanah Suci. Tidak meninggalkan tempat itu. Memimpin bersama baki tentera yang ditinggalkan untuk berkubu. Khalid Al-Walid yang masih belum sembuh sepenuhnya turut tidak ikut, dan dijadikan Ketua Tentera sementara menggantikan Izrayel yang keluar.
Di hadapan pintu gerbang gergasi sempadan Tanah Suci, Ruh Faizan berdiri bersebelahan dengan Raja Ali Khan, memandang kepada kedua-dua ketumbukan yang telah bersiap sedia.
“Sesungguhnya tentera sekalian, Allah SWT itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tiadalah Dia menguji kita, melainkan Dia ingin kita mempersembahkan keimanan kita kepadaNya. Maka bergeraklah bukan hendak membunuh musuh sebenarnya, tetapi hendak membawa hidayah Allah kepada mereka. Tawarkan kepada mereka tiga pilihan – Masuk ke dalam Agama Langit, bergabung dengan kita menjadi rakan sekutu dengan membayar cukai kepada kita, atau pilihan terakhir adalah berperang. Janganlah kalian memotong rumput dan pokok-pokok sesuka hati, jangan dicederakan orang-orang yang tidak terlibat di dalam peperangan, dan jangan sesekali disentuh mereka yang bersembunyi di rumah ibadat, melainkan jika mereka menyerang kamu. Kita pergi ke Wilayah mereka adalah untuk membebaskan makhluk-makhluk dari pengabdian kepada sesama makhluk. Kita mahu mereka mengabdikan diri kepada Allah SWT. Dari kesempitan cengkaman agama-agama, kepada keluasan Islam. Dari kezaliman pemerintahan kuku besi, kepada keadilan Islam.”
Khusyuk semua mendengar. Seakan-akan sekiranya ada burung yang turun membuat sarang di atas kepala mereka, pastinya burung itu tidak akan terganggu.
“Maka bertaqwalah kepada Allah, dan bertawakkal lah kalian kepada Dia. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya. Dia yang menciptakan langit dan bumi, Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dialah empunya kekalahan dan kemenangan. Jangan sesekali kepercayaan kita sirna daripadaNya. Sesungguhnya kepada Dialah kita bergantung dan berharap. Dialah yang memberikan natijahnya. Dan kita hambaNya hanya mampu berusaha. Maka berusahalah dengan kesungguhan, moga-moga Dia merahmati kita!”
“Takbir!” Izrayel melaung. Auranya sengaja dilepaskan sebahagian tanda semangat.
Semua yang hadir menegak bulu romanya apabila melihat Izrayel melepaskan aura, mengacung pedang sumbingnya yang berbalut kain kasa itu. Lantas semua yang hadir menyahut takbir itu:
“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!”
Dinding benteng tempat Ruh Faizan berdiri dan merehatkan tangannya di situ, terasa gegaran dari takbir yang dilaungkan seluruh tentera yang ada. Bendera dan panji-panji pejuang berkibar megah melambangkan kekuatan dan kesungguhan. Semangat yang wujud di sempadan Tanah Suci ini benar-benar mampu membuatkan sesiapa yang melihatnya mengalirkan air mata.
Ruh Faizan dan Ali Khan telah mengalirkan mutiara itu.
“Faizan. Moga mereka pulang dengan kemenangan.” Bahu Ruh Faizan disentuh. Ali Khan yang telah kehilangan negaranya, sangat tersentuh dengan suasana ini. Kerana suasana yang sama dia perhatikan, sebelum negaranya diserang dan tenteranya yang dihantar ke Ethan tewas.
“InsyaAllah Raja Ali. Kita akan berjaya. Perancangan yang rapi telah dibuat. Kini masa untuk melaksanakannya.” Ruh Faizan menepuk kembali bahu Raja Ali Khan.
Kemudian Raja Ali Khan memandang kepada lautan tentera di hadapannya.
“Bergeraklah dengan nama Allah Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya!” Dia melaung sambil mengacung tangannya.
“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!” Dua ketumbukan tentera itu bergerak.
Bagi tentera yang akan ke Midori, mereka dijangkakan akan tiba selepas tiga hari. Manakala tentera yang akan menggempur Brynhildur, mereka dijangka akan tiba ke sana selepas 10 hari. Ini kerana Brynhildur adalah pulau dan mereka perlu membina kapal sebaik sahaja mereka tiba di persisiran pantai nanti.
“Bergerak, bergerak, Allahuakbar!” Satu suara kedengaran asing.
Ruh Faizan dan Ali Khan memandang kepada empunya suara.
Hisyam Wakeel.
“Bagaimana dengan dia?”
Ruh Faizan mengenjutkan bahunya. Tidak tahu.
“Kita hanya mampu berhati-hati. Dua hari ini, dia dan pengikutnya benar-benar memberikan kerjasama yang tinggi kepada kita untuk mempersiapkan para tentera.”
“Mengapa dia tiba-tiba berubah hati?” Ali Khan yang memang mengetahui makar-makar yang dilakukan oleh Hisyam Wakeel sepanjang masa lalu masih menyimpan ragu.
“Persoalan yang tidak mampu kita jawab. Namun yang kita mampu adalah berhati-hati.” Ruh Faizan bukan Tuhan. Justeru, yang dia ada hanyalah berwaspada. Bukan bersangka buruk. Tetapi pengalaman mengajar.
Mughirah Syu’bah telah mempersiapkan Tanah Suci untuk menahan gempuran sepanjang ketiadaan mereka. Si Prodigi Medan Perang itu juga telah membentangkan perancangan untuk mengekang Hisyam Wakeel sekiranya lelaki itu ingin membuat makar.
“Jika diperhatikan, dia tidak menawarkan diri mengikuti kumpulan Syu’bah.” Ali Khan tajam pemerhatiannya. Bicaranya memaknakan sesuatu.
“Katanya, Midori lebih hampir untuk orang tua macam dia.” Ruh Faizan menjawab dengan jawapan Hisyam Wakeel.
Raja Ali Khan menghela nafas.
“Moga-moga yang baik-baik sahaja berlaku Raja Ali.” Ruh Faizan menepuk bahu Raja Chinmayi itu.
Raja Ali Khan hanya mampu mengangguk. Memandang tentera-tentera yang sudah semakin kecil ditelan horizon.
*******
“Benarkah kita perlu berjalan selama 10 hari?” Salah seorang tentera bersuara. Seperti tidak senang bunyinya.
“Mengapa dengan engkau ini? Mengeluh?” Salah seorang rakannya lagi bersuara.
“Bukan, aku hanya terfikir, bagaimana kita mahu berperang dalam keadaan letih nanti.” Tentera itu menjawab.
Panglima Terasing mendengar rungutan itu kerana kedua-dua tentera itu tidak jauh darinya. Dia memandang Tuk Akram, yang dia tahu turut mendengar rungutan itu juga. Tuk Akram sekadar tersengih.
Mughirah Syu’bah yang perasan dengan reaksi dua Kiai itu, tidak mampu menyelami mengapakah kedua-dua mereka bereaksi sedemikian. Di dalam kepalanya, dia sibuk memperkemaskan strategi demi strategi. Terutama bagaimana hendak mengatasi keletihan tenteranya selepas perjalanan selama 10 hari, agar tidak dipergunakan kelemahan itu oleh Tentera Brynhildur.
“Syu’bah, berjalan adalah usaha kita. Menyampaikan kita ke destinasi adalah urusan Allah SWT.” Tuk Akram bersuara secara tiba-tiba.
Syu’bah seperti terkejut dengan Tuk Akram yang memintas suara hatinya. Namun dia yang biasa berwajah tenang, sekadar tersenyum sahaja.
“Benar itu Kiai Awan. Semoga Allah SWT memberikan bantuanNya kepada kita.”
Ya, akhirnya, kepada Allah jua mereka menggantungkan harapan.
Kerja mereka hanyalah usaha.
Natijahnya adalah di tangan Allah Yang Maha Memegang Keputusan.
******
Sudah masuk Subuh hari yang ketiga di Duarte. Cahaya mentari juga mula menyinari bumi. Peperangan masih berlanjutan. Tentera makhluk genetik, dan kaum gergasi, disertai ketumbukan tentera dari kalangan manusia di bawah pimpinan O Zero kelihatan tidak letih. Gelombang demi gelombang dihantar sepanjang waktu. Membuatkan tentera Duarte tidak dapat berehat. Benar-benar O Zero dan para tenteranya adalah raksasa.
“Sekitar waktu inilah bukan?” Arnav bersuara memandang Ashoka yang sibuk melepaskan anak-anak panah di atas benteng Duarte. Tentera demi tentera gugur ditebak panah Ashoka yang tepat dilancarkannya.
Ashoka mengangguk.
“Mereka akan mula ke perkampungan itu dan ingin menjadikan ahli-ahlinya sebagai tentera tambahan. Ahli perkampungan itu sepatutnya akan mengkhianati kita dengan berlakon menjadi ahli kampung yang diserang, lantas menyerang kita dari dalam selepas kita membuka pintu gerbang buat mereka.”
Mata Ashoka yang tajam itu, memerhatikan gerak sebahagian tentera O Zero di dalam hutan. Walaupun dia tidak mampu menembusi pokok-pokok di situ, tetapi dia mampu menjangka pergerakan para tentera dengan pergerakan pokok-pokok dan daun-daunnya. Apatah lagi, di dalam Tentera O Zero itu, wujudnya kaum-kaum gergasi yang pastinya akan terpaksa menggerakkan pokok-pokok dan melanggar daun-daun untuk memudahkan perjalanan mereka.
Dia tahu kedudukan kampung yang telah dihapuskan oleh Kiai Sunyi.
Dan tidak lama kemudian, mereka mendengar jeritan demi jeritan yang mengerikan. Datangnya daripada tentera O Zero. Ashoka sekadar tersenyum.
“Telah bermula.”
Walaupun mereka tiada di sana, tetapi mereka tahu apa yang berlaku. Tentera-tentera O Zero yang sedang mampir ke sana sedang diserang secara mengejut oleh tentera-tentera Duarte. Mereka juga telah diperangkap dengan pelbagai perangkap maut yang disediakan di sana.
Arnav menggeleng kepala. “Bagaimana Kiai Sunyi boleh menjangka setepat itu?”
Ashoka mengangkat bahu. Kemudian meneruskan tebakannya. Hingga kini, belum ada lagi Tentera Ethan yang mampu mampir ke Benteng Duarte. Bahkan tiada yang mampu melepasi hutan yang mengelilingi Duarte pun.
“Di dalam keadaan terdesak apabila diserang sedemikian, dengan tentera demi tentera mereka mula tumbang, mereka akan cuba untuk mengambil alih kubu paling kukuh Duarte di tengah hutan agar menjadi kubu mereka terampuh untuk bertahan.” Arnav bersuara. Menceritakan apa yang diceritakan oleh Kiai Sunyi.
Ketika ini mereka dapat melihat ke arah kubu yang telah dimusnahkan oleh Kiai Sunyi itu. Kubu itu telah tiada kerana dihancur rata oleh Kiai Sunyi tempoh hari. Dapat dijangka bahawa tentera O Zero yang ingin cuba mengambil alih kubu itu sedang terkesima dengan keadaan kubu yang telah tiada.
“Serang-serang!” Dan sekali lagi, mereka jatuh ke perangkap maut. Selepas serangan mengejut di situ berlaku, penyerang-penyerang pantas meninggalkan tempat itu. Lantas, pemanah-pemanah dari benteng Kota Utama Duarte telah menebah ribuan panah ke langit, lalu jatuh ke kawasan itu.
Sekali lagi jeritan demi jeritan telah kedengaran.
Matahari semakin menegak di atas kepala. Tentera dari Ethan sedang mengalami kekalahan besar.
“Kerana mereka semakin terdesak, maka O Zero akan menggepalai tentera mereka untuk menyelinap di tengah hutan, menuju ke arah yang sepatutnya tiada siapa akan menjangka mereka akan menyerang dari arah itu.” Ashoka menceritakan semula apa yang Kiai Sunyi jelaskan kepada mereka tempoh hari.
Arnav mengangguk. Memerhatikan kepada satu tompok terbuka di tengah-tengah hutan. Di tengah-tengah pertempuran yang berlaku, di kawasan itu tiada tentera dan tiada pertempuran. Menyebabkan mereka yang ingin menyusup menyerang Duarte secara mengejut, boleh maju ke situ dengan selamat.
Tetapi malangnya, Kiai Sunyi telah melihat semua itu.
“Manjanik sudah sediakah?” Armon bersuara tinggi.
“Siap!” Tentera-tentera Duarte menyahut semangat.
Dan jelas, O Zero benar-benar muncul di kawasan itu, dalam keadaan agak terpana kelihatannya gerak tubuh Jeneral tersebut. Mungkin kerana melihat kawasan itu togel tanpa pokok-pokok yang melindungi pergerakan mereka. Sebentar kelihatan O Zero terus bergerak ke tengah-tengah kawasan tersebut, disertai tentera-tenteranya.
Armon mengangkat tangan. Jatuh. “Serang!”
Peluru-peluru Manjanik yang telah siap dibakar melayang ke udara, sebelum jatuh ke tempat tersebut. Letupan yang kuat kedengaran berdentam dentum. Tidak henti-henti peluru manjanik dilepaskan.
“Serang, serang!” Armon terus menerus menyuarakan arahan.
Arnav dan Ashoka sekadar memerhati. Rupa-rupanya, segala tindakan Kiai Sunyi yang dipersoalkan mereka itu, ada hikmahnya. Ada sebabnya.
“Bukanlah aku melaksanakan ini semua atas akal fikiran aku. Aku bukan manusia seperti kamu. Payah hendak menerangkan kepada kalian. Tetapi ilmuku datang langsung daripada Allah SWT. Dan aku tidak bertindak sesuka hatiku. Aku terikat sepenuhnya kepada Dia.” Itulah pesannya selepas menjelaskan semua tindakannya.
“Dan kerana engkau berdua telah memungkiri janji untuk tidak mempersoalkan tindakanku, maka di sini perpisahan kita. Pergilah ke Kota Utama Duarte, carilah Armon, dan ceritakan apa yang aku ceritakan. Persiapkanlah Duarte. O Zero akan datang tidak lama lagi.”
“Ha? Bagaimana Kiai tahu O Zero mahu datang?” Ashoka bersuara.
“Tiadalah aku ini menyebut sesuatu, melainkan Allah jualah yang mahu aku menyebutnya. Sesungguhnya Dia itu Maha Berkuasa Atas Segala-galanya. Setiap apa yang berlaku, ada hikmahNya. Tugas kita sebagai hamba adalah berusaha dan terus menerus percaya!” Dada Ashoka ditumbuk lembut.
Tugas kita sebagai hamba adalah berusaha dan terus menerus percaya.
Itulah dia iman. Itulah dia pemberi kekuatan.
Ashoka menghela nafas. “Bukankah bagus jika kita terus bersabar. Pastinya kita akan mendapat pelbagai perkara lagi.”
Arnav tersenyum. “Itulah balasan orang yang tidak sabar. Dia tidak akan mendapat banyak kebaikan. Itu juga satu pengajaran dari perjalanan kita dengan Kiai Sunyi.”
“Selepas ini, kita tidak akan sesekali mempersoalkan Allah SWT. Dia tahu apa yang Dia berikan kepada hamba-hambaNya. Kita sebagai hambaNya yang perlu berusaha dan terus percaya kepadaNya.” Ashoka menggeleng.
“Percaya kita tidak akan sesekali sirna. InsyaAllah.” Bahu Ashoka ditumbuk lembut.
Ketika ini, satu ngauman yang tersangat kuat kedengaran di tengah-tengah hutan. Asap yang berkepul-kepul hasil serangan tadi telah terhembus ke tepi. Ada aura yang sangat kuat lagi menekan wujud, membuatkan asap yang terwujud seakan berlari pergi.
“Jahanam, jahanam, jahanam!” Dan suara itu adalah milik O Zero.
“Ah, dia berwajah Harimau Bintang.” Ashoka melihat wajah O Zero. Topeng Jeneral Utopia itu telah tercabut. Mungkin akibat serangan-serangan tadi.
“Dia makhluk genetik rupanya.” Arnav tidak menyangka. Kini dia mula menjangka bahawa semua Jeneral Utopia adalah makhluk genetik. Tetapi kemudian, terus End masuk ke dalam wajah ingatannya.
“Tetapi End Less berwajah manusia bukan?” Arnav memandang Ashoka.
Sahabat karibnya itu mengangguk.
“Tuanku adalah makhluk genetik juga.” Armon mencelah. Membuatkan Arnav dan Ashoka memandang kepada Armon yang berwajah Puma itu.
“Cuma wajahnya amat mirip dengan manusia. Boleh dikatakan, dia adalah antara makhluk genetik yang paling berjaya.” Armon menyambung.
“Benarkah?” Ashoka kehairanan tidak percaya.
“Baginda tidak pernah memakai topengnya ketika berada di dalam istana bersama kami.” Armon menceritakan. “Baginda, walaupun amat jarang bersuara, sangat santun dengan kami. Justeru, apabila baginda memeluk Agama Langit, maka mustahil bagi kami ingin mengikuti Jeneral-Jeneral yang lain seperti O Zero itu.”
Kini mereka bertiga memandang kepada O Zero yang sudah seperti orang gila. Menebas pokok demi pokok untuk terus menuju ke benteng utama Duarte. Dia sudah cedera, namun kekuatannya masih ada.
Ashoka dan Arnav menghela nafas. Tidak menyangka End juga adalah makhluk genetik dengan wajah persis seperti seorang manusia yang biasa. Apakah sebenarnya yang telah berlaku kepadanya?
“Sang Asura memimpin dengan para jeneralnya adalah Makhluk Genetik. Seakan-akan ianya merupakan sebuah penolakan kepada manusia.” Arnav membuat kesimpulan.
“Manusia telah mengkhianati mereka, mungkin.” Ashoka menambah.
“Dan manusia yang katanya beriman kepada Tuhan pula yang melaksanakan semua itu. Maka kebencian Sang Asura tertumpah sekali kepada Agama Langit.” Armon memberikan pendapat.
Akhirnya Arnav dan Ashoka terangguk-angguk membenarkan.
“Pastutlah Kiai Bumi kata, Sang Asura itu adalah teguran Allah kepada manusia. Kerana akhirnya, segala kerosakan yang dibawa oleh Sang Asura itu, hakikatnya adalah dari perbuatan tangan-tangan manusia sendiri.” Arnav mula melihat kebenarannya.
“Kita perlu tunjukkan kepada Sang Asura, yang bukan semua manusia sebegitu rupa.” Ashoka menepuk belakang Arnav. Arnav mengangguk.
Tiba-tiba benteng Duarte bergegar. Arnav, Ashoka dan Armon segera melihat apa yang berlaku. Rupa-rupanya O Zero telah tiba di hadapan benteng. Sedang beruaha untuk merobohkan benteng Duarte itu dengan pedang gergasinya. Kelihatannya semua tentera yang cuba menghalangnya telah tumbang.
“Sudah tiba masanya kita bertiga mengajar dia.” Arnav memandang Ashoka dan Armon.
Kedua-dua sahabatnya itu mengangguk.
Mereka pun bergerak turun.
********
Dia memang tidak dapat menelan apa yang berlaku. Sekelip mata, tentera-tenteranya mati begitu sahaja. Tertipu dengan strategi musuh, membuatkan mereka tersepit ke dalam kotak maut. Hanya dia sahaja yang mampu hidup kerana kekuatannya yang luar biasa itu. Auranya yang tinggi dan kuat itu menghalang dirinya menjadi mangsa penuh kepada letupan-letupan yang berlaku. Pedang gergasinya juga berjasa mengesampingkan banyak peluru manjanik yang menghujani mereka dengan tepat tadi.
Wajahnya juga kini telah terdedah. Satu perkara yang amat memalukan buatnya. Dia tidak suka diketahui sebagai makhluk genetik. Kerana di dunia ini, yang dikira sempurna adalah manusia. Dia tidak suka dipandang rendah.
Apa yang sedang berlaku kepada dirinya kini?
Mengapa dia kelihatan sangat lemah sebegini?
Mengapa?
“Selagi mana seseorang itu tidak mempunyai Allah di dalam jiwanya, selagi itulah dia merupakan seorang yang lemah. Bayangkan, kami mati ke syurgaNya. Kalian mati ke nerakaNya. Hatta mati pun tidak merugikan kami, justeru di manakah kelemahannya?” Antara bicara Kiai Bumi lagi.
Tubuh O Zero menggeletar.
“Argh!” Terus dia berusaha menebas benteng di hadapannya. Dia ingin meruntuhkannya. Auranya tersembur-sembur.
Ketika ini, tiba-tiba dia dapat merasakan ada angin yang amat kuat sedang menderu ke arahnya. Pantas dia menggerakkan pedang gergasinya. Menebas apa yang sedang menuju kepadanya. Terbelah panah itu lantas mengentikan pergerakannya.
Tidak sempat O Zero hendak bersedia, mata tombak sedang menuju ke arah kepalanya. Dia mengelak. Tetapi batang tombak itu seakan mencari pipinya. Lantas dia dipukul, lalu terundur beberapa tapak, hingga belakang tubuhnya mencium benteng yang ingin dirobohkannya tadi. Saat ini satu susuk hitam legam dengan mata berwarna kuning pantas menghayun parang panjang untuk menebas kepalanya. Mujur tangan gergasinya diangkat, menahan pergerakan parang panjang itu.
Kini baru dia dapat melihat siapa penyerang-penyerangnya.
Ashoka dan Arnav dari Chinmayi dan Armon dari Duarte.
“Bertaubatlah O Zero.” Dan itulah kalimah pertama yang muncul dari mulut mereka.
Hatinya seperti dipalu.
Lantas dia menyeringai. Hingga air liurnya bergayut pada dagu harimau bintangnya.
“Celaka, aku tidak akan dihina sebeginI!” Lantas dia mengeluarkan auranya sehabis mungkin. Pedang gergasi dihayun hingga Armon dan Arnav menjauhinya. Tanah tempat dia berdiri meretak. Dia akan mempersembahkan kehebatan terulungnya.
“Sama ada kalian yang mati, atau aku yang pergi pada hari ini!” O Zero mengaum garang.
Arnav, Ashoka dan Armon saling berpandngan. Sangat menggerunkan berdiri di hadapan O Zero yang sekurang-kurangnya dua kali ganda lebih tinggi dari mereka. Tetapi kegerunan itu bukan menjadi penyebab mereka melarikan diri.
Mereka akan berhadapan dengan Pemerintah Ethan itu.
“Maka kepada Tuhan kami, kami memohon kekuatan.” Arnav dan Armon bersiap dengan senjata mereka.
Arnav berdiri jauh dari mereka, bersiap dengan panahnya.
O Zero mengaum lagi. Kemudian terus bergerak untuk menerkam Arnav dan Armon.
Pertempuran terakhir bagi mereka bermula!
*******
Walau beberapa hari telah berlalu, namun pertarungan antara mereka dengan empat panglima pemberontak masih belum berakhir.
“Huh!” Angkasa menghayun pedangnya sekuat-kuat hati. Satu aura terbang berbentuk sabit terbentuk dari hayunannya itu. Tanah terbelah dan membentuk dinding di sisi hayunan itu. Ramai tentera musuh terundur, bahkan ada yang dijamu dagu mereka dengan dinding tersebut. Manakala aura terbang berbentuk sabit tadi menghala ke makhluk genetik berwajah gajah. Namun, aura itu dihancurkan begitu sahaja dengan tembakan-tembakan dari pistol kembarnya.
Angkasa tidak membazirkan masa. Dia terus memecut ke arah musuhnya. Pedang warisan bapanya dipegang pada tangan kanan, manakala sarungnya pada tangan kiri. Dia seakan-akan bertarung dengan dua bilah pedang. Tembakan demi tembakan dilepaskan oleh musuhnya. Namun Angkasa cekap mengelak. Walaupun ada kulitnya yang tergores kerana hampir terkena tembakan lawan.
Kini dia betul-betul berada di hadapan lawannya. Terus dia menebas ke arah kepala. Tetapi lawannya itu bijak menahan dengan pistolnya.
“Kau masih picisan, budak!” Sepucuk lagi pistol sudah menjamah perut Angkasa.
Segera Angkasa berputar, sebelum tembakan dilepaskan. Satu ledakan terbang ke udara. Angkasa pula turun mendarat ke bumi. Ketika itu tendangan makhluk genetik berwajah gajah itu menyapa wajahnya. Angkasa terpelanting ke belakang semula.
Ketika ini, belakang tubuhnya bertemu dengan Aizan Fahmi dan Kiai Laut. Masing-masing terundur menentang musuh. Kiai Laut menentang Makhluk Gergasi berwarna hijau manakal Aizan Fahmi menentang makhluk genetik berwajah T-Rex.
“Mereka sangat kuat.” Angkasa menghela nafas. Mengatur semula keadaannya.
Aizan Fahmi hanya mampu mengangguk. Manakala Kiai Laut memerhatikan lawannya.
“End juga masih belum menumbangkan lawannya.” Kiai Laut bersuara.
Mereka bertiga memandang sebentar kepada End. Walaupun Jeneral Duarte itu tidak berundur, namun dia juga tidak menumbangkan lawannya. End sedang menentang Gergasi berwarna merah. Setakat ini End hanya mengelak sahaja semenjak bermulanya pertarungan mereka beberapa hari yang lepas.
“Dia belum serius bertarung.” Aizan Fahmi menjelaskan keadaan itu. Dia masih ingat bagaimana End ‘melayan’ Rafael ketika Jeneral wilayah Midori itu ingin menghalang mereka.
“End menunggu sesuatu mungkin.” Angkasa menjangka. Dia memandang pada medan perang yang lain. Que Ron dan Ezzen, bersama tentera mereka sedang sibuk membantai musuh-musuh. Semakin lama semakin berkurangan dan mereka semakin maju. Tiada yang dapat menghalang mereka apabila keempat-empat panglima pasukan pemberontak ditahan oleh Angkasa, End, Aizan Fahmi dan Kiai Laut.
“Hei manusia, takutkah?” Fampush Si Gergasi Hijau, Meizin Berwajah T-Rex dan Gutrul Berwajah Gajah bersuara serentak.
“Apa engkau fikir, dengan engkau membeli masa untuk mereka, maka mereka akan menang? Tidak. Selepas kami hapuskan kalian, kami sahaja sudah cukup untuk memenangkan pertarungan ini.” Fampush bersuara angkuh.
“Marilah, menemui ajalmu!” Gutrul melepaskan tembakan bertalu-talu.
Angkasa, Kiai Laut dan Aizan Fahmi kembali berpecah.
“Bagaimana mahu menewaskan mereka yang gagah ini?” Angkasa cuba mengerahkan akal dan tenaganya.
Sebaik sahaja dia tiba di hadapan Gutrul, dia terus melibas senjatanya. Gutrul menunduk, dan belalai Gutrul pergi melibas tubuh Angkasa. Angkasa terdorong ke tepi, namun untuk mengurangkan kesakitan dan menyeimbangkan langkahnya, dia terus menjatuhkan dirinya, berguling dan kemudian menolak tanah untuk bangkit semula.
“Mati!” Ketika ini Gutrul telah mengacukan pistol kembarnya ke arah Angkasa.
Angkasa memutarkan tubuhnya. Tembakan Gutrul itu sekadar mengoyakkan bajunya sahaja. Saat ini, Angkasa melepaskan pedangnya ibarat panah yang ditebak.
Pedang warisan bapa itu menuju deras ke arah Gutrul.
“Ini permainan budak!” Gutrul menembak pedang itu bertubi-tubi hingga pedang itu terpelanting ke atas. Angkasa pula telah menjejak tanah dan bergerak pantas menuju ke arah Gutrul. Belalai Gutrul menjadi sasaran. Ditangkap, dan ditarik ke hadapan. Tumbukan Angkasa pantas melayang ke wajah musuhnya itu.
“Tumbukan alam!” Tumbukan yang berjaya melekukkan zirah milik Long Berk.
Berdentum bunyi kedengaran. Gutrul terundur ke belakang beberapa tapak. Angkasa bergerak lagi dengan lebih pantas untuk tidak menghentikan serangannya pada Gutrul.
Namun ketika ini, kelihatan langkahan Angkasa sedikit gelojoh.
Dum, dum, dum!
Tepat tembakan-tembakan itu mengenai tubuh Angkasa.
Waktu seakan terhenti. Mata Angkasa membesar. Aizan Fahmi yang perasan akan keadaan itu membeliakkan mata.
“Angkasa!”
October 9, 2012
Poster: Know Your Place
“Know your place, and Allah will place you high.”
Jika kita sedar kedudukan kita sebagai hamba-Nya, Dia pasti angkat kedudukan kita.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Ali Imran, 3 : 139)
Mari Menjadi Hamba;
Hamba yang lebih mulia daripada raja-raja!
Sisters: Selagi nafas masih ada
mencari redhaMu selagi nafas masih ada~ picture by Umar Mita of LangitIlahi~
Tahun ini saya kira tahun berduka buat saya dan seluruh keluarga. Bermula awal tahun dengan pemergian datuk, kemudian disusuli pula dengan pemergian opah yang baru dua minggu meninggalkan kami sekeluarga.
Ketiadaan orang paling tua dalam keluarga sebenarnya sedikit sebanyak merobek suasana indah setiap kali semua pulang ke kampung. Dan pasti saat itu akan sangat dirasai pabila menjelang perayaan dan apabila ada majlis keraian.
Jika dulu setiap kali pulang ke kampung akan disambut dengan senyuman opah dan tok, bertanyakan khabar pelajaran, sebelum pulang ke asrama, pasti ada sahaja duit poket buat bekalan hinggakan sampai saya masuk universiti, tok dan opah tak lokek menyumbang sedikit wang ringgit buat belanja ‘minum kopi’ bak kata tok.
Kata abah, usai jenazah dikebumikan, “Yang hidup teruskan kehidupan.”
Kata maktok, “Masa dia dah sampai, kita ni bila pulak Allah nak panggil.”
Peringatan dari Allah
Pemergian dua insan penting dalam keluarga kami ini merupakan peringatan dari Allah. Saban tahun kami disibukkan dengan hal duniawi, tentang harta, tentang membesarkan-besarkan kebanggaan keluarga, tentang anak-anak, tentang cucu-cucu yang kian bertambah, tentang sanak-saudara yang jarang-jarang pulang menjenguk orang tua di kampung, kami terlupa sebentar untuk duduk mengingati suatu perkara yang selalu Allah pesan iaitu kematian.
Hingga pabila telah nampak tanda-tanda itu, kami terdiam, terduduk sebentar mengenang saat-saat yang berlalu yang telah kami persiakan. Saat-saat untuk berkasih-sayang, untuk lebih menghargai satu sama lain, untuk saling memaafkan walau khilaf itu terlalu sukar dilupakan, saat-saat untuk lebih melihat kepada kebaikan yang saling melengkapkan.
Sungguh, tiada daya sehebat mana pun yang dapat menghalang panggilan dari Allah.
Katakanlah, “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan (Al-Jumu’ah:8).
Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh. (An-Nisa’:78)
Untuk seketika, Allah memanggil kami menjengah sebentar peringatanNya tentang kematian. Lalu, diingatkan tentang saat-saat yang telah kami persiakan, kisah lalu yang melukakan, kesibukan yang menjauhkan, kepentingan yang memusnahkan dan hutang yang belum terlunas. Hingga akhirnya, kami hanya mampu menghulurkan sebuah kemaafan dan memohon agar kami diampunkan juga sebelum kami dipanggilNya pula.
Sesungguhnya di sisi Allah ilmu tentang hari kiamat; dan Dia yang menurunkan hujan dan yang mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakan esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuanNya (Luqman:34).
Benar, kematian itu satu peringatan. Mengingatkan kami yang masih hidup, bahawa Allah masih memberikan peluang dan ruang untuk kami terus mengerjakan amal kebajikan. Mengumpul saham-saham, bekalan buat kehidupan di akhirat sana. Kematian itu benar-benar menghentikan seketika nafas kesibukan, memalingkan sebentar wajah-wajah kami untuk melihat pengakhiran sebuah kehidupan.
Sibuk hingga alpa
Kita sibuk dengan akademik hingga terlupa sejenak, ada ketikanya kita perlu pulang untuk bersama keluarga.
Kita sibuk dengan kerjaya, adakalanya kita terlupa bukan wang ringgit yang mampu mengisi hati-hati yang dahagakan cinta dan kasih sayang kita.
Kita sibuk dengan urusan membaik pulih masyarakat, hingga kita lupa ada insan di belakang kita yang lebih memerlukan perhatian kita.
Dan bila saat Allah ingin memanggilnya, baru kita tergesa-gesa pulang melangsaikan tanggungjawab untuk saat-saat yang tersisa.
Sebab itu Allah selalu ingatkan tentang mati. Bukan bermakna bila sudah nazak baru ingin kembali mencari redhaNya, baru ingin membina kasih-sayang, baru ingin melunaskan segala rindu dendam, tapi mengingati mati supaya kita selalu berwaspada dengan perintah dan laranganNya, saling berkasih-sayang selagi nafas masih ada dan melangsaikan segala amanah dan tanggungjawab. Agar tiada sebuah kekecewaan di akhirat sana hingga memohon untuk pulang semula, di mana Allah telah berfirman:
(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, ‘Ya Rabbku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku berbuat amal yang shalih terhadap yang telah aku tinggalkan.’ Sesungguhnya itu adalah dalih yang diungkapkan saja. Dan di hadapan mereka ada ‘barzakh’ sampai pada hari mereka dibangkitkan (Al-Mu’minun:99-100).
Penutup
Sungguh kematian itu mengingatkan, agar kita yang masih hidup ini untuk terus memperbanyakkan amal soleh. Agar kita yang masih hidup ini terus kekal dalam berkasih-sayang kerana kemanisan sebuah ukhuwah itu bermula dengan kerendahan hati dan saling memaafkan.
Moga Allah letakkan mereka yang telah pergi dalam redhaNya dan bersama-sama mereka yang mengerjakan amal soleh.
Selagi nafas masih ada, ayuh gencangkan amal soleh kita, ayuh sebarkan kasih-sayang seluasnya, ayuh saling bermaafan sesama kita, dan moga redha Allah berjaya kita raih di penghujungnya. Amin.
Al-fatihah.
October 8, 2012
Himmah : Hidup Dalam Dunia Sendiri ?
Hidupkah kita ketika kita hidup dalam dunia sendiri?
~ Picture by Umar Mita of LangitIlahi
Situasi 1
“Assalamualaikum.” Seorang abang memberi salam kepada seorang junior ketika bertembung dengan junior itu sewaktu berjalan ke universiti.
Tetapi, sayangnya, salam itu tidak berbalas. Adik itu berlalu tanpa beralih walau sedikit pada abang itu dan seolah-olah macam berjalan buat tak tahu saja. Di telinganya terpasang lengkap headset jenama ‘Beat’, sehingga menutup kelopak telinganya.
Barangkali tenggelam dunianya sendiri. “Aku bagi salam, berjawab bai !” bentak abang itu pula dalam dada.
Situasi 2
“Jom, bro. Kita pergi main dengan kawan-kawan.” Arif mengajak kawannya turun main bersama-sama rakan satu kuliah dengan mereka.
“Ah, malaslah aku. Aku nak tidur la. Penat kut. Semalam tidur lambat. Pukul 3 pagi kut aku tidur.” Temannya pula membalas sedemikian.
“Eh, jomla. Nanti lepas habis main, kau balik tidurla.”
“Ah, malasla. Lagipun, aku bukan pandai main sangat. Nanti orang kata apa pulak.”
“Takpa, bukan penting sangat kau reti main ke tak reti tu. Yang penting, kita turun bergaul dengan orang.”
“Takpelah. Kau pergilah dulu. Kalau larat, aku pergilah.”
Diskusi Situasi
Siapakah yang pernah berdepan dengan dua situasi ini? Ataupun siapakah yang pernah menjadi salah seorang pelakon dalam dua situasi ini?
Saya pasti ada antara kita yang pernah mengalami situasi sebegini. Kalau tidak situasi sebegini pun, paling tidak hampir-hampir sebegini.
Pernah saja saya bersembang dengan seorang sahabat saya di Irbid. Kami berbincang tentang bagaimana kita boleh menyumbang kepada masyarakat di tempat kita berada. Semasa sedang berbincang itu, sahabat saya itu berkata,
“Ada sebilangan besar masyarakat kita yang jarang keluar rumah, yang kita tak pernah jumpa pun. Hidupnya pergi universiti, balik universiti, belajar, pergi makan dan itu sahaja. Hidupnya banyak habis di rumah, main game, layan facebook.”
Sindrom ini bukanlah satu yang aneh di zaman sekarang. Walaupun sebenarnya, ia sangatlah aneh satu ketika dulu di zaman teknologi masih belum begitu benar-benar berkembang.
Sekarang, kalau kita bertemu orang di kaki-kaki lima pun, kita seolah-olah tidak bertemu dengan orang kerana kadangkala orang berjalan, tetapi jiwa dan mindanya hidup di dalam dunianya sendiri.
Kenapa ini berlaku?
Adakah ini disebabkan oleh kesalahan teknologi yang berkembang atau manusia yang sebenarnya lupa akan peranannya?
Sentiasa Bertanya, Apa Peranan Kita Sebenarnya?
Menyalahkan benda yang mati dan tidak bernyawa memang tidak akan menyelesaikan masalah kita. Manusialah yang perlu dibaiki sebenarnya.
Tetapi, usaha hendak membaiki seorang manusia, tidak akan menemukan hasilnya sekiranya manusia itu sendiri tidak berusaha untuk dirinya, bangun dan melakukan sesuatu untuk peningkatan dirinya.
Maka, sebab itu, kita perlu sentiasa bertanya diri kita, apakah peranan kita yang sebenarnya di dunia ini?
Kalau kita merasakan peranan kita di dunia ini hanya sekadar untuk ada saja, maka tidak ada bezanya antara kita dengan makhluk Allah yang lain. Kalau kita merasakan hidup kita di dunia ini hanya untuk kepentingan diri kita semata-mata, maka kalau begitu, kita perlu belajar erti kehidupan dari binatang kerana binatang pun tahu menghargai dan berbuat baik sesama mereka.
Apa peranan kita sebenarnya?
Allah s.w.t. berfirman dalam surah Hud ayat 61 yang bermaksud :
“Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya…”
Itulah peranan kita setelah Allah menjelaskan kepada kita di dalam surah Al-Baqarah ayat 30 bahawa kita adalah seorang khalifah.
Ringkasnya, seorang khalifah tugasnya adalah memakmurkan dunia. Bukanlah untuk membiarkan dunia itu dalam kerosakan apalagi terlibat sekali dalam merosakkan suasana yang ada di atasnya.
Tetapi, bagaimana mungkin kita dapat memakmurkan dunia sekiranya kita hidup di alam kita sendiri tanpa mempedulikan orang lain? Hendak lakukan perubahan, sudah tentulah kita perlu turun bersama dan bergaul dengan manusia. Bukan hidup bersendirian buat hal sendiri.
Kerana perubahan itu bertitik tolak daripada hati, maka kita perlu dekati manusia untuk menyentuh hatinya. Kalau kita asyik duduk saja mengurung diri di dalam rumah, berjalan di kalangan ramai tetapi jiwanya tenggelam dalam kecanggihan teknologi sehingga tidak memberi layanan yang sepatutnya kepada manusia, bagaimana mungkin kita mampu mendekati manusia apalagi menyentuh hati mereka?
Apalagi sekarang ini, dengan teknologi secanggih Facebook, manusia boleh terus berhubung dengan manusia lain walaupun mungkin tak dikenali dengan hanya komen dan buat status di FB. Mungkin kita akan katakan FB mampu mendekatkan yang jauh, tetapi ia tetap terbatas kerana kita tidak sekali-kali dapat menyentuh hati manusia secara langsung apalagi untuk memastikan semua yang berhubung dengan kita di alam FB itu adalah benar-benar jujur orangnya.
Sebab Itu, Keluarlah Dan Bersama Manusia
Kita inginkan sebuah masyarakat yang baik, bukan? Tetapi kalau kita sendiri hidup tidak keluar rumah, tidak bersama manusia, maka bagaimana mungkin kita dapat membantu dan menginspirasikan perubahan ke arah lebih baik dalam masyarakat?
Tak dapat tidak, kita perlu keluar. Bersama dan bergaullah dengan masyarakat.
Jangan tenggelam dalam dunia sendiri saja. Hari ini, ramai anak muda yang tenggelam buat hal sendiri saja. Lebih suka duduk di rumah daripada keluar bergaul dengan orang. Tetapi, kemudian, dia pula yang berharap agar masyarakat yang ada dapat menjadi masyarakat yang baik. Sedangkan dia sendiri tidak ada usaha walau sedikit untuk turut serta dalam usaha perubahan.
Bila suka buat hal sendirilah, menyebabkan ramai yang tenggelam dan kemaruk dalam cinta lelaki perempuan. Kalau jatuh cinta dengan berlawanan jantina, tak pandai nak mengadu dan minta tolong pada ibu ayah. Tidak rujuk orang tua. Lebih suka bertindak sendiri. Akhirnya, kesannya mengundang kepada zina.
Anak-anak muda perlu keluar dan bersama masyarakat. Jangan hanya menjadi keyboard warrior, berdebat sana sini mempertahankan itu ini di dalam FB, tetapi di luar FB tidak ada usaha apapun untuk memahamkan masyarakat dan turut serta dalam usaha perubahan.
Kita perlu kurangkan kelaziman ‘bersukan’ di dalam rumah dan sekali-sekala meluangkan masa pula bersukan dengan sukan yang sebenarnya di luar rumah bersama masyarakat.
Bila berjumpa dengan orang di tepi jalan, kita belajar memberi salam dan bertanya khabar. Paling kurang pun lebarkanlah senyuman. Hari ini, ramai yang bila sudah memasang earphone atau headset di kanan kiri telinganya, maka hilanglah dunianya yang sebenar dan dia pun sudah pergi ke alam yang lain walaupun jasadnya bersama orang ramai. Berjumpa orang pun buat tidak peduli. Orang beri salam pun tidak bersahutan dan tidak berbalas.
Keluar dan bersamalah dengan manusia. Dengan itu, kita akan lebih memahami kehidupan dan perasaan manusia lain. Belajar menghadapi kepelbagaian manusia dan cara bergaul serta berurusan dengan adab-adab yang sepatutnya.
Hari ini, kemahiran komunikasi pun dijadikan sebagai salah satu subjek untuk diajar di institusi-institusi pendidikan. Tetapi, kemahiran ini hanya akan tinggal sebagai catatan-catatan kosong di atas buku semata-mata jika kita tidak turun mempraktiskannya dalam kehidupan kita.
Penutup : Masyarakat Yang Baik, Tidak Dibina Atas Semangat Individualistik Yang Menebal, Keluarlah Bergaul Dengan Penuh Adab
Pentingkan diri sendiri, semangat individualistik yang menebal tidak akan dapat membantu masyarakat ini menjadi baik. Kalau kita sibuk dengan hal sendiri saja tanpa mempedulikan masyarakat di sekeliling kita, tidak peduli jatuh bangun insan di sekitar kita, tidak peduli keadaan ekonomi dan sosiopolitik di negara sendiri, tidak peduli apa yang berlaku pada pemuda pemudi kita, maka bagaimana mungkin kita akan dapat melahirkan masyarakat yang baik?
Jangan tenggelam hidup dalam dunia yang berasingan daripada manusia.
Sekarang mungkin kita seronok hidup berseorangan. Nanti, kita akan perlukan manusia juga. Ketika kita susah, siapa yang kita harapkan untuk membantu kita? Ketika kita dihimpit derita, siapa yang akan membantu kita? Ketika kita mati, siapa yang akan membantu menguruskan jenazah kita?
Kalau kita perhatikan semua ini, maka kita tidak akan pentingkan diri dan habiskan masa untuk memuaskan kehendak kita semata-mata.
Keluarlah bergaul dan bersama manusia. Bermesra dengan adab dan akhlak yang dianjurkan Islam. Janganlah seronok bersembunyi dalam gua sendiri saja.
Kelak, kita akan memerlukan manusia untuk membantu kita. Bukan saja diri kita, bahkan keluarga kita, anak-anak kita. Kalau sejak sekarang, kita terbiasa hidup atas kepentingan diri sendiri saja, maka sehingga besar kita tidak akan pedulikan masyarakat di sekeliling kita.
Masyarakat yang baik tidak hanya memerlukan pemimpin yang baik, tetapi ia memerlukan rakyat yang baik juga. Kalau kita sendiri tidak berusaha untuk menjadikan diri kita salah seorang anggota masyarakat yang baik dan berfungsi di tempat kita berada, maka janganlah bermimpi untuk sebuah masa depan dengan masyarakat dan individu yang lebih baik.
Mulakan hari ini. Ubahlah diri kita !