Hilal Asyraf's Blog, page 131

November 11, 2012

Agama: Muslim Bercita-Cita Meninggalkan Perkara Yang Sia-Sia

[image error]


~Tinggi cita-cita perlu selari dengan usaha~


(picture by UmarMita)


Setiap manusia ada cita-cita. Demikian ia tidak berguna jika tidak ada bersamanya usaha. Namun, ramai yang terlupa bukan usaha ke arah mengejar cita-cita sahaja yang perlu ada, meninggalkan perkara yang boleh menghalang manusia untuk menggapainya juga perlu diteliti bersama.


Dewasa kini, berdasarkan realiti secara umum yang dapat saya lihat sama ada di Malaysia atau di luar negara, kebanyakan daripada remaja yang terdiri dalam golongan mahasiswa seringkali cuai untuk menggunakan masa dengan sebaiknya. Banyaknya di habiskan pada perkara yang tidak meningkatkan peribadi diri sama ada dari segi rohani mahupun aqli.


Kalau kita melihat kepada masa hadapan negara, pemuda sering diibaratkan sebagai asset yang amat berharga yang akan memandu tampuk kepimpinannya. Namun, jika perkara-perkara yang tidak bisa member impak peningkatan yang sering berputar dalam roda kehidupan remaja, adakah kita boleh mengharap negara akan berubah menjadi lebih baik? Lebih kurang menyenangkan lagi sebenarnya ia menjadi fitnah semula kepada Islam di atas kelalaian kita.


Sibukkan diri dengan perkara yang berfaedah


 


عن أبي هريرة رضي الله عنه قال؛ قال رسول الله (صلى)؛ من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه


Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:


“Muslim yang baik itu meninggalkan perkara yang tidak berfaedah baginya”[HR Tirmidzi, Hassan]


 


Ulama’ menafsirkan hadis ini sebagai hadis yang merangkumi separuh hidupan setiap insan. Hal ini disebabkan dalam kehidupan manusia, mereka ada dua pilihan utama bagi setiap perkara sama ada melakukan atau ditinggalkan. Tidak kira ia baik atau buruk manusia diberi pilihan. Namun dalam hadis ini manusia disuruh untuk meninggalkan segala sesuatu yang tidak berfaedah.


Adapun sebahagian ulama’ pula menafsirkan bahawa hadis ini meliputi keseluruhan hidup insane kerana larangan Nabi s.a.w untuk meninggalkan perkara yang tidak berfaedah jika difahami dari sudut sebaliknya, kita akan dapati baginda hanya menyuruh kita membuat perkara kebaikan. Justeru, elemen pencegahan kepada keburukan dan penggesaan terhadap kebaikan telah dinukilkan dalam hadis ini.


Secara umumnya maksud hadis di atas yakni muslim yang baik  ialah tanda-tanda kesempurnaan seseorang islam itu juga kebenaran imannya sama ada lelaki atau wanita adalah meninggalkan perkara yang tidak berfaedah iaitu dari perkara yang tidak penting baginya baik urusan kedunian lebih-lebih lagi urusan akhirat dari aspek percakapan, perbuatan dan kepercayaan.


 


Kebaikan perlu dicari, keburukan datang dengan sendiri


Hakikatnya dalam kehidupan manusia perkara ini memang menjadi kebiasaan. Hal ini disebabkan, kebaikan itu tidak akan dapat manusia laksanakan kecuali apabila dia berusaha ke arahnya walhal keburukan pula walau seseorang manusia tidak berbuat apa-apa dia akan datang dengan sendirinya. Contoh jika kita berseorangan di hadapan komputer apa yang kita akan lakukan?


 


Bermain game atau menonton movie berterusan?


Berfacebook atau bertwitter berpanjangan?


atau,


Menelaah bahan ilmiah yang mendekatkan diri kepada Allah?


Menjadi medium penghubung dengan sanak saudara yang berjauhan?


 


Semua ini kita sendiri tentukan. Saya tidak bermaksud menghalang sesiapa daripada menggunakan media kontemporari ini. Bahkan, jika kita terutama dalam kelompok remaja atau mahasiswa tidak menggunakan platform ini, bagi saya mereka ini akan ketinggalan banyak perkara kerana medium ini begitu pantas tersebar pengkhabaran berita di dalamnya ke seantero dunia. Tambahan pula, ia boleh menjadikan urusan dakwah kita dipermudah.


Cuma saya mengajak diri sendiri serta anda semua agar kita bijak menguruskan masa dan seimbang dalam menggunakannya kerana darah muda khususnya perlu dilengkapi dari segenap perkara. Baik jiwa yang subur ketaatan kepada-Nya dan peribadi diri yang mulia. Semua ini kita tidak akan dapat jika kita masih terus-menerus leka dengan perkara dunia yang tidak membuahkan apa-apa. Justeru ia mesti menjalani suatu proses pembentukan peribadi manusia yang bakal lahir darinya peribadi yang melengkapi ciri-ciri muslim yang sejati seperti dalam rajah dibawah ini:


 


[image error]


~ciri-ciri peribadi muslim by NorIhsan Of Langit Ilahi~


 


Begitu sebenarnya kehidupan manusia. Namun, saya juga tidak menafikan meninggalkan kemaksiatan adalah sesuatu perkara yang sukar tetapi ia bukan mustahil. Hal ini kerana bukan sekadar faktor dalaman seseorang insan yang lemah sahaja yang menyebabkan dia mudah terjerumus ke lembah dosa tetapi faktor luaran yang cuba menyesatkan turut meninggalkan kesan. Allah berfirman:


“Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia,”(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”. [An-Nas: 4-6]


 


Kekangan ini akan wujud hinggalah manusia itu mati. Meskipun demikian, ia bukanlah menjadi penghalang utama seorang manusia tidak bisa mengejar cita-cita dan berjaya dalam erti kata sebenarnya. Bahkan inilah sebenarnya kejayaan hakiki, jika kita berjaya menepis hasutan-hasutan ini  yang menjerumus ke arah keburukan, maka tiada yang boleh menghalang kita membumikan cita-cita dunia dengan usaha.


Justeru, bagi hati yang peduli dengan perkara ini, Nabi s.a.w ada mengajarkan doa agar diri ini lebih termotivasi:


أعوذ بكالمات الله التامات من شر ما خلق


“Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluknya”


Konklusi


Sibukkan diri kita dengan perkara yang berfaedah yang membawa kita dekat dengan akhirat, agar kita tidak disibukkan dunia yang menyebabkan kita sesat.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 11, 2012 05:32

November 9, 2012

Kritikan Sosial : Dilanda Azab Si Perokok

 


[image error]


Ada yang memilih untuk berehat, menenangkan fikiran dan meluruskan ketegangan di sini.


Stesen RnR. ( Rosak dan Racun)


Serius.


Saya semakin benci dengan perbuatan dosa ini. Kepulan asap berwarna putih dihembus-hembus penuh bangga. Keluar daripada nafas yang busuk, mulut berbibir hitam serta bergigi arang,  dari rongga-rongga dalaman yang rosak dan baunya sungguh meloyakan dan menjijikan!


Semenjak tinggal di negeri ini, saya semakin meluat, benci, menyampah dan bertambah berganda-ganda – tidak suka – sejenis batang yang berwarna putih dan  hujung pangkal berwarna keemasan ini. Nampak biasa-biasa sahaja batang ini tetapi telah membuatkan jutaan manusia yang sungguh “berakal” untuk terpikat dan jatuh cinta padanya.


 


Saya ke kedai, ada asap keluar di hujung sana.


Saya berjalan ke taman bunga, ada juga si makhluk berasap ini.


Saya ke gerai makan, lagi parah! – Setiap meja berasap. Sana berkepul-kepul. Sini juga berkepul-kepul.


Lagi menyeksakan, apabila ada makhluk ini di dalam tempat tertutup. Dihembus racun-racun tanpa rasa bersalah!


Saya semakin tension, geram dan cemuih!


 


Firman Allah SWT yang bermaksud :


 


“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”


(Ar-Rum 30 : 41)


 


Anak Lelah


 


Lebih menambahkan kebencian saya ialah, putri kecil saya yang lelah semakin teruk sakitnya apabila setiap kali ke kedai makanan pasti terhidu udara kotor akibat perbuatan tidak bertanggungjawab ini. Saya sebenarnya sedih, kecewa dan hampa. Ummat manusia ini suka buat benar-benar yag merosakan, memusnahkan dan menghancurkan tanpa mereka sedar. Opsss… Sebenarnya, ramai yang sedar lagi tahu. Tapi ketahuilah, mereka semua sudah buta hati!


Maaf saya tulis ini bukan beremosi atau apa-apa. Saya kecewa sudah berganda-ganda. Suatu kisah benar dan sememang yang benar terjadi. Kisah yang dikongsikan oleh kawan isteri saya.


Di sekolahnya, ada seorang guru besar. Dia punya tabiat yang sangat bagus kononnya. Iaitu kuat merokok. Setiap hari, setiap masa, setiap ketika – tabiatnya melepaskan giannya dengan menghisap berbatang-batang rokok. Bukan satu, tetapi berkotak-kotak. Ditariknya rokok yang bertar-tar lagi bertosik itu dalam paru-parunya lalu dihembus keluar merosakan udara yang segar lagi bersih.


Itulah pekerjaan utamanya seharian. Dari muda sampai tua. Rileks sahaja. Apabila dengar kisah ini, terdetik dalam  hati saya – kesian la kepada isteri dan anak-anaknya. Kemudian, dengan izin Allah SWT – isterinya jatuh sakit kerana terkena penyakit kerosakan paru-paru. Isterinya, menangguh kesakitan, penderitaan dan keperitan yang bersangatan.


Dan, akhirnya meninggal dunia. Disiasat, disiasat dan disiasat dari mana punca sakitnya- Tentunya anda tahukan? Ya. Akibat asap rokok yang merbahaya itu. Mati kerana perbuatan suami yang durjana! Itulah jeritan hati saya.


Tuan-tuan dan puan-puan nak tahu? Lepas itu apa jadi  kepada si guru besar tadi. Dia terus menghisap rokok tanpa rasa bersalah. Anak-anak dah puas menasihatinya. Tetapi, guru yang kononnya besar ini buat muka tidak malu dan next projectnya pastinya nak membunuh semua anak-anaknya – hanya dengan hembusan asap!


 


Fatwa Rokok – Kesannya 1 Sahaja : Dosa


 


Cukupkah dengan kempen kesedaran berhenti merokok yang diwar-warkan secara bermusim dalam semua media yang ada. Berulang-ulang di televisyen, di surat khabar, di alam maya dan realiti. Di dunia online dan dunia offline.


Di kotak rokok yang ada gambar yang horror, menggerikan dan menakutkan – peparu hitam, mulut berkanser dan macam-macam lagi.


Slogan “Katakan Tidak Pada Rokok, Say No To Smoke dan sebagainya.


Cukai rokok yang semakin tinggi dan pastinya akan menguntung pihak yang membuat, mengedar dan menjualkannya.


Muzakkarah Fatwa Majlis Kebangsaan juga telah berbincang, meneliti dan membuat keputusan bahawa merokok adalah HARAM sejak tahun 1995 lagi. Majlis bersidang buat kali ke 37 pada 23 Mac 1995 itu telah membentangkan hujjah-hujjah dan fakta-fakta yang tidak boleh disangkalkan oleh siapa lagi.


Tetapi, kenapa masih ramai yang merokok? Bahkan, semakin hari bertambah dan terus bertambah. Daripada pelajar sekolah menengah sehinggalah kepada golongan profesional. Kalau dilihat kepada statistik kementerian Kesihatan Malaysia, kini bilangan rakyat Malaysia yang merokok mencecah 4.7 juta orang. Purata perokok di Malaysia membelanjakan sebanyak RM 178.89 sebulan untuk membeli rokok. Buang duit dan membazir!


Setiap hari kira-kira 40 sehingga 50 orang perokok baru terjebak dengan maksiat ini.


Ah? Maksiat?


Ya. Merokok adalah maksiat. Suatu perbuatan yang berdosa, haram dan akan memberikan kesan kepada jiwa dan hati. Sudah hilang nilai dosa dan pahala dalam jiwa mereka. Akhirnya, yang tinggal hanya bangkai bernyawa tunggu masa untuk diangkat ke liang kubur sahaja.


Namun, ada mereka kisah?


Tepatlah seorang penya’ir bermadah ;


 


Kulihat dosa-dosa ;


Mematikan segala hati ;


Hinalah dirimu apabila bergelumang dengannya,


Sedangkan meninggalkan dosa-dosa ;


Menyegar-hidupkan segala hati;


Kebaikanlah buat dirimu jika menentangnya.


 


Perokok : Mereka terseksa menanggung azab


Saya sudah bertemu dengan ramai perokok tegar yang berhenti merokok. Tahniah dan syabas saya ucapkan. Mereka menyatakan alangkah bodohnya aku dulu. Ulangan : “ Alangkah bodohnya aku dulu.”


Sekali lagi, bagi kemas sikit : “ Alangkah bodohnya aku dulu, ketagih hisap rokok!.”


Hah, tahu pun. Saya kata, tak baik cakap macam tu. Gunalah perkataan : kurang cerdik atau tidak pandai – sedap sikit.


Tak!


“ Bodoh itu tepat dan sesuai!.” Siapa kata? Dia yang kata bukan saya.


Saya diam. Bodoh. Saya pulang ke rumah membuka kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi 4. Mencari perkataan bodoh. Dan saya jumpa maknanya secara definisinya :


 


“ Sukar mengerti atau mempelajari sesuatu”


“Bebal”


“Dungun”


“Tolol”


“Tidak acuh”


“Tidak menghiraukan”


“Tidak tahu membezakan yang baik atau buruk.”


 


“Jadi, kalau kita kata orang yang berasap ini bodoh boleh la?,”Tanya saya.


“ What Ever!,” Cebek kawan saya itu sambil buat memek-memek muka.


Jelas kawan saya, sebenarnya mereka-mereka yang merokok ini jiwa mereka kosong, hati mereka kering dan kontang tidak berisi. Shortcut untuk mengisinya adalah dengan merokok. Di sana, ada kenikmatan, kebahagiaan, dan melayang-layang. Tapi, mereka silap. Ya silap dalam perhitungan dan pertimbangan dalam memilih.


“Jadi, apa yang menyebabkan kamu berhenti merokok?,” Soal saya lagi.


“Kerana tarbiyah.”


“Kerana Aku Sayang Allah SWT lebih  daripada Rokok.”


“Ustaz aku cakap, kalau ketagih sangat rokok – tahan dulu kat dunia. Bila masuk Syurga, mintalah rokok banyak-banyak kepada Allah SWT,” Ujarnya lagi.


“Eh, kat Syurga ada rokok ke?,” Tanya saya.


“ Entahlah, arak pun ada. Tak kan rokok tak ada,” Katanya.


Kami gelak sama-sama.


 


Penutup : Merokoklah Sampai Puas


 


Buat si perokok yang budiman, merokoklah sehingga puas dan benar-benar puas. Kemudian, buatlah pertimbangan.


Buat si perokok yang bijaksana, merokoklah sehingga mati agak benar-benar mati. Kemudian, buatlah pilihan.


Buat si perokok yang berperikemanusiaan, merokoklah sehingga bangkit semula dan benar-benar bangkit semula. Kemudian, bertaubatlah.


 


“Bang,” Terdengar suara isteri di sebelah.


“Ya,” Saya mengganguk nada bersahaja.


“ Kita tidak benci pelakunya tetapi kita benci perbuatannya. Nasihatlah dengan kasih sayang dan cinta. Bukankah dakwah itu akarnya cinta,” Ujarnya lembut.


 


Saya buntu.


Sekian.


—–


Keputusan Ditangan Anda.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 09, 2012 16:51

November 8, 2012

Motivasi : Tips – 6 Petua Tangani Stress Secara Harmoni

[image error]


 


Tenang. Damai. Aman. Tenteram & Bahagia.


Ia adalah hak milik semua insan.


Picture By Pengiran92 of LangitIalhi


 


Stress.


Bila sebut pun kita akan terasa tekanan dan himpitannya. Itulah penangan stress. Stress bukanlah sesuatu yang perlu dilenyapkan dan dihapuskan dalam kehidupan kita. Tetapi ia perlu ditangani dan diurus dengan bijak dan betul.


Unik dan istimewanya kehidupan ini – ia diwarnai dengan pelbagai situasi dan keadaan. Salah satunya ialah stress, tekanan dan himpitan. Cuba banyakan hidup tanpa stress?


Kita akan menjadi bosan. Sekiranya hal ini berlaku, kerja dan produktiviti kita merudum , tidak proaktif dan menurun. Namun, stress ini perlu dibawah kawalan dan tidak boleh berlebihan serta membawa mudarat.


Sebagai muslim, kita benar-benar yakin segala ujian, musibah dan cabaran itu datang daripada Allah SWT. Imanlah yang akan menjadi tonggak utama kepada penyelesaian setiap stress yang kita hadapi. Bertitik tolak daripada inilah, kita harus tangani stress secara harmoni, penuh pengharapan dan pergantungan kepada Allah SWT. Ayuh kita semak, petua-petua ini :


 


(1) Ubah wajah Stress secara positif


Langkah paling awal ialah mengubah paradigm kita tentang stress itu sendiri. Katakan pada diri stress itu adalah sebahagian daripada diri, jiwa dan kehidupan kita!


Nescaya, kita akan rasai sesuatu yang berbeza daripada orang lain. Minda positif dan cara pandangan yang baik akan membawa kepada cara berfikir yang mengharmonikan kehidupan ini. Sedarilah hakikat ini dengan merenungi firman Allah SWT yang bermaksud :


“ Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ditimpa kesusahan dia berasa keluh kesah. Dan apabila mendapat kesenangan dia sangat bakhil.”


( Al-Ma’arij  70 : 19-21)


 


(2) Mulakan hari anda dengan AMAD!


AMAD? Macam nama orang pula? Boleh berkenalan.


 


A = Al-Quran


Ma = Mathurat


D = Dhuha ( Solat Sunat)


Hari yang dimulakan dengan AMAD adalah hari yang sangat tenang, bahagia dan mententeramkan. Ia berbeza dengan hari-hari yang berlalu tanpa AMAD ini. Kerana apa?


Hati, jiwa, perasaan dan sanubari kita berhubungan kuat dengan Allah SWT. Rabb yang melimpahkan segala ketenangan, cahaya dan kebahagiaan kepada manusia. Tiada hari yang lebih baik, mulia dan berharga daripada hari-hari yang jiwanya dekat dan hampir dengan Allah SWT.


Ingatkah kita dengan sabda Rasulullah SAW kepada Bilal RA yang bermaksud :


 


“ Wahai Bilal, tenangkan kami dengan solat.”


(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Ayuh, AMADkan diri anda!


 


(3) Kemas, susun dan atur tempat kerja anda!


 


Kekadang kita stress sebab kita serabut! Pandangan mata kita diserabut dengan tempat kerja, kediaman dan suasana pejabat yang serabut.


Jadi, langkah paling praktikal ialah kemas, susun dan atur segala peralatan, kemudahan dan kerusi meja di temapat kerja kita. Kalau kita pelajar, meja belajar mesti berada dalam keadaan yang menyenangkan.


Kata boss saya : “Pastikan meja tip top!.”


Cuba lakukan, dan kemudian nyatakan perasaan anda setelah semuanya kemas, bersih, tersusun dan teratur. Kongsikan ya!


 


(4) Gunakan haruman yang menyegarkan


Saya pernah hadiri satu kursus pengendalian dan mengurus stress. Menariknya, salah satu cara yang diketengahkan dalam menghadapi stress adalah melalui aroma terapi bau-bauan.


Secara fitrahnya, bau yang wangi, harum dan sedap dihidu dapat memberikan ketenangan, kedamaian dan keharmonian kepada jiwa. Kerana itu juga, salah satu perkara yang dicintai oleh baginda Rasulullah SAW adalah wangi-wangian.


Saya cuba mengamalkan kaedah ini. Di bilik kerja, kediaman, kamar tidur dan di dalam kereta saya akan letakan satu wangian yang dipanggil lavender. MasyaAllah – kehidupan saya semakin nyaman dengannya.


Anda ingin cuba? Saya syorkan. Cubalah dengan wangian yang selesa dan sesuai dengan anda. InsyaAllah, itu ikhtiyar kita.


 


(5) Kikis dosa, bintik-bintik hitam di hati dengan TIM!


Salah satu, kesempitan dan himpitan hidup adalah akibat perbuatan dosa. Dosa akan menyebabkan kita diburu oleh perasaan bersalah dan terus bersalah. Akibatnya, stress hadir tanpa kita sedar.


Oleh itu, kikis dan buang dosa-dosa yang melekat dalam jiwa kita dengan TIM. Apa pula ini?


 


T = Taubat


I = Istighfar


M = Muhasabah


Kesannya? Kehidupan kita menjadi luar biasa. Hati tenang, jiwa tenteram dan nurani begitu damai. Lihatlah ahli-ahli taubat, mereka menghirup keharuman taubat di awal-awal pagi dengan solat taubat dan akhirnya terpancar ketenangan di wajah mereka yang penuh berseri.


Tidakah kita teruja untuk menjadi seperti mereka?


 


(6) Kurangkan Gossip dan menjadi penunggu Gossip


Akhirnya, langkah ini adalah langkah yang tersukar. Gossip, kata-mengata, menyebar fitnah atau budaya mengumpat tumbuh subur di kalangan manusia. Realitinya, ia berlaku disemua tempat, kedudukan dan masa.


Gossip adalah suatu perbuatan yang menyeronokan jiwa. Sekali terkena, kita akan ketagih. Menjaja keburukan, keaiban dan kesalahan orang lain sememangnya selari dengan kehendak hawa nafsu. Tetapi, ramai yang tidak sedar kesannya kepada keharmonian jiwa?


Kita akan bersangka-sangka buruk kepada sesiapa sahaja.


Hati kotor dan semakin hitam kerana sebar gossip adalah suatu dosa.


Gossip memang best, seronok dan mengasyikan kerana ia disukai oleh jiwa manusia yang busuk.


 


Kerana itu, tanda jiwa kita bermasalah dan stress – kita sukakan dosa. Dan salah satunya ialah menjaja gossip di mana-mana. Justeru, jika terasa amat-amat tension, tertekan dan sebagainya : tanyalah dalam hidup anda, adakah aku ini penggosip yang tegar?


Anda setuju?


 


Penutup : Hiduplah Dengan Hembusan Ketenangan


Jika dilihat balik, kita sebenarnya punyai pilihan sama ada untuk hidup dalam keadaan tertekan atau dalam keadaan yang penuh ketenangan.


Kita diberikan pilihan.


Tiada siapa pun boleh memaksa kita.


Terpaksa, dipaksa atau sebaliknya – semuanya terletak dibahu kita semua.


Kita punyai hak untuk merasai ketenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada semua manusia. Ketahuilah, ketenangan adalah hak milik semua insan!


Jadi apa lagi, sama-sama kita urus stress dengan harmoni!


——-


Hati Bahagia + Ketenangan Di Jiwa + Hidup Senyum Sentiasa = Ia bagaikan hidup di Syurga!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 08, 2012 01:00

November 7, 2012

Sisters: Menjadi Ibu Generasi – Kunci Kedua : Ilmu yang luas

 


Para Ibu, Sanggupkah Kita Membesarkan Pemimpin Masa Hadapan Dengan Sebuah Kejahilan?


Ayuh Bersama Tingkatkan Ilmu!


Picture by Pengiran M. Badi’uzzaman of Langit Ilahi


 


Pendahuluan – Kisah bayi koma


Ketika blog-walking, saya terjumpa berita yang ditulis oleh seorang doktor tentang kisah seorang bayi berusia empat bulan yang mengalami koma setelah diberi susu formula yang dicampurkan air yang melebihi sukatan yang ditetapkan.


Hal ini terjadi disebabkan ibu kepada bayi tidak mengetahui atau tidak mempunyai ilmu bahawa bayi bawah 6 bulan tidak boleh diberikan air lebih daripada kadar yang sepatutnya kerana air tersebut akan menjadi racun kepada bayi tersebut. Akibatnya, bayi tersebut menjadi sawan dan kemudiannya koma tidak sedarkan diri.


Apabila membaca kisah tragis tersebut, hati menjadi pilu.  Saya terfikir, kekurangan ilmu (dalam konteks di atas, ilmu sains) pada seorang ibu mengakibatkan nyawa si bayi terancam. Bagaimana pula kekurangan ilmu deen dan ilmu-ilmu lain? Apakah kesan dan akibatnya kepada si anak nanti?


Bahkan dalam urusan menjaga kesihatan jasmani anak sekalipun, seorang ibu memerlukan ilmu yang cukup. Inikan pula dalam urusan menjaga dan memperkembangkan seluruh potensi anak dalam aspek ruhani, emosi dan intelektual anak agar dia membesar menjadi seorang Hamba Allah yang cinta dan patuh kepada Rabbnya. Tentu seorang ibu itu memerlukan ilmu yang luas, setuju?


Maka, di sini ingin saya kongsikan pula kunci kedua untuk menjadi seorang ibu generasi  yang luas biasa iaitu memiliki ilmu pengetahuan yang luas.


 


Ilmu itu membezakan


Akhowat yang dikasihi Allah SWT,


Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar (39): 9 yang bermaksud;


“Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”


Begitu juga dalam konteks kita para muslimah, dalam usaha kita untuk menjadi seorang ibu generasi. Adalah amat berbeza seorang ibu yang memiliki ilmu dengan seorang ibu yang tidak memiliki ilmu dalam mengurus dan mengendalikan anak-anaknya. Lihat saja dua sketsa dibawah ini sebagai renungan bersama.


Dua orang ibu menghantar anak masing-masing yang berumur 3 tahun ke sebuah taska. Perhatikan cara kedua ibu ini mengendalikan anak masing-masing.



Situasi A


Anak      : Ummi, kenapa kakak perlu ke sekolah? (bertanya dengan wajah yang monyok)


Ummi    : Kakak rasa kenapa ya?


Anak      : Sebab ummi nak kakak pandai.


Ummi    : Alhamdulillah, bagus anak ummi.


Anak      : Tapi, Ummi, kenapa kakak mesti belajar di sini? Kalau belajar di rumah tak boleh ke?


Ummi    : Kakak solehah, kakak rasa kenapa ummi hantar kakak ke sini?


Anak      : Sebab Ummi perlu pergi kerja ke?


Ummi    : Bijak anak ummi ni…! Ummi perlu bekerja. Kakak duduklah baik-baik di sekolah ya. Nanti petang ummi ambil ya. Insya-allah.


Anak      : Tapi, Kenapa ummi perlu pergi kerja?


Ummi    : Kakak rasa kenapa?


Anak      : Macam ummi selalu kata, “Sebab ummi nak beri yang terbaik untuk anak-anak ummi..”


Ummi    : Masya-allah, anak ummi sangat pandai! Okay sayang, ummi pergi dulu. Ummi sayang kakak selalu. Doakan ummi ya!


Anak      : …….. Okay…..



 



Situasi B


Anak      : Ummi, kenapa kakak perlu ke sekolah?


Ummi    : Sebab kakak perlu belajar banyak perkara.


Anak      : Kenapa kakak mesti belajar, ummi? Kenapa kakak tak boleh belajar di rumah?


Ummi    : Kakak, kan ummi kata kakak kene pergi sekolah. Pergi je la. Petang nanti ummi datang ambil ya.


Anak      : Nak balik rumah…. Tak nak pergi sekolah….!!


Ummi    : Shh… Jangan nangis-nangis. Jangan nakal-nakal. Ummi pergi dulu. Assalamu’alaikum.


Anak      : Waaaaa (menangis)



 


Sisters yang dikasihi Allah SWT,


Berdasarkan situasi di atas, apakah yang dapat anda simpulkan?


Kelihatan ibu di situasi A lebih tahu tentang psikologi perkembangan anaknya berbanding ibu di situasi B, bukan?


Mengikut kajian ilmu psikologi, salah satu tanda perkembangan sihat pada akal anak-anak ialah mereka mula banyak bertanya. Pertanyaan mereka disebabkan oleh banyak faktor, sama ada si anak benar-benar ingin mengetahui, atau pertanyaannya itu hanya merupakan cara mereka hanya mahu menzahirkan protes mereka terhadap sesuatu tindakan.


Si ibu di situasi A meraikan kesedihan dan pertanyaan anaknya dengan bertanyakan soalan kembali dan memberikan penjelasan dengan penuh kesabaran kepada anaknya. Tindakan si ibu ini meninggalkan kesan positif kepada emosi anak yang ditinggalkan. Sebaliknya, ibu di situasi B tidak berbuat demikian, maka kesan kepada anak yang ditinggalkannya juga berbeza.


Kedua-dua ibu di atas tentu sahaja amat menyayangi anak-anak mereka, tetapi bagaimana mereka mengendalikan anak mereka sedar ataupun tidak dipengaruhi oleh ilmu yang mereka ada.


Maka, dalam usaha kita untuk menjadi seorang ibu yang luas biasa, yang menjadi batu asas kepada sebuah generasi yang hebat, tentu saja kita mesti berusaha untuk memiliki sesuatu yang dapat mengangkat darjat kita di sisi Allah SWT iaitu ilmu pengetahuan.


Firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah (58) : ayat 11 yang bermaksud


“…nescaya Allah akan meninggikan orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat.”


 


 Ilmu apa yang perlu dikuasai itu?


“Ilmu Allah ni luas la, awak.. Ilmu apa yang saya perlu kuasai sebagai syarat minimum untuk saya menjadi seorang ibu yang baik?” tanya seorang teman kepada saya.


Saya terdiam. Betul juga tu. Ilmu Allah SWT itu luas, ilmu apa yang harus dikuasai seorang wanita muslimah dalam usaha untuk mempersiapkan diri menjadi seorang ibu generasi?


Ketika sibuk merujuk bahan-bahan fikrah yang ada, tiba-tiba suami tercinta menghulurkan buku catatannya.


“Sayang, ini senarai ilmu yang seorang murabbi (pendidik) perlu ada. Al-Marhum Ustaz Dahlan yang kongsikan dulu masa di sekolah. Mana tau ada manfaatnya.”


Menarik dan sangat bermanfaat. Senarai yang memang dicari-cari!


Maka di sini, saya kongsikannya.


 


1)      Ilmu syara’ (syari’at)


Ilmu yang pertama harus dimiliki oleh seorang ibu generasi ialah ilmu syara’.


Apa itu ilmu syara’?


Ilmu syara’ atau syariat islam ialah ilmu terkait hukum dan aturan Islam  yang sempurna dan menyeluruh mencakupi seluruh permasalahan hidup manusia dan kehidupan dunia ini. Contoh ilmu syara’ yang dekat dengan kita ialah ilmu tentang kewajipan solat, cara-cara mendirikan solat, ganjaran mendirikan solat dan hukuman meninggalkan solat. Sumber utama ilmu syara’ ini adalah Al-Quran, Hadith, Ijma’, Qiyas dan Ijtihad. Namun, tidak dapat tidak, ilmu syara’ ini mesti ditelusuri dengan keimanan total kepada Allah taala.


Sebagai seorang ibu Muslimah yang berhajat melahirkan anak-anak Muslim yang mencintai Deen mereka , sanggupkah kita membiarkan diri kita jahil pada ilmu yang hakikatnya wajib (fardu ain) dihayati oleh setiap umat Islam ini? Tentu jawapannya tidak, bukan?


Bagaimana seorang Muslimah dapat mempelajari ilmu ini?


Antara jalan-jalannya ialah dengan banyak membaca buku-buku Islam dan kerap menghadiri program-program islam seperti usrah, seminar dan nadwah yang dianjurkan di tempat masing-masing. Selain itu, para wanita boleh mempelajari ilmu syara’ dalam halaqoh keluarga yang diadakan oleh suami atau ayah masing-masing (note: para suami dan ayah, ini tanggungjawab anda yang mesti ditunaikan!). Tak lupa juga, kepada mereka yang ada kemudahan televisyen dan radio, anda juga boleh mengikuti program islam yang dikeudarakan terutama dalam stesen tv dan radio islamik seperti TV Al-Hijrah dan IKIM.


Insya-allah, sekiranya kita serius dalam menuntut ilmu Islam yang akan membantu kita menjadi Muslim yang lebih baik, besar keberkatan yang dijanjikan.


Teringat kata-kata seorang ‘ulama mujtahid, Imam Al-Maududi dalam kitabnya, Dasar-dasar Islam;


“Anda selalu bersikap penuh perhatian dalam mengerjakan sawah ladang anda, mengairi dan melindungi tanaman-tanaman anda, memberi makan ternak anda dan mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang bersangkut paut dengan matapencarian anda yang lain. Kerana, bila anda tidak bekerja dengan penuh perhatian, anda pasti akan kelaparan dan kehilangan sesuatu yang sangat berharga bagi anda, yakni nyawa anda. Maka, kenapa anda tidak bersikap serius dan bersunguh-sungguh dalam mencari ilmu pengetahuan, yang pada pengetahuan inilah bergantungnya hakikat anda disebut sebagai seorang Muslim dan hidup seterusnya sebagai seorang Muslim?”


 


 


2)      Ilmu waqi’ (semasa)


Seterusnya, ilmu kedua yang diperlukan oleh seorang ibu generasi ialah ilmu waqi’.


Apa itu ilmu waqi’?


Ilmu waqi’ bermaksud ilmu realiti semasa. Ilmu-ilmu ini adalah satu keperluan dan ilmu harus dipelajari dengan berpaksikan iman dan syara’. Sumber ilmu ini adalah melalui kajian, pemerhatian, pengembaraan dan pengalaman mereka yang mengkaji. Contohnya ilmu waqi’ yang mesti dikuasai ialah ilmu penjagaan bayi, ilmu pemakanan sihat bayi dan kanak-kanak, ilmu mengajar anak berbahasa dan sebagainya.


Ilmu ini sangat penting yang sekiranya kita tidak milikinya berkemungkinan mengancam nyawa si anak seperti apa yang terjadi dalam kisah yang saya kongsikan di permulaan tulisan ini.


Bagaimana anda boleh dapatkan ilmu waqi’ ini?


Sama sahaja. Banyaklah membaca bahan-bahan ilmiah dan bermaklumat seperti majalah Mami&Baby, website Baby centre dan lain-lain. Hadirkanlah diri ke kelas-kelas atau seminar-seminar keibubapaan yang dianjurkan. Tontonlah rancangan-rancangan dokumentari yang terkait dengan keibubapaan.


Bunyinya mudah, bukan? Tapi, semaklum saya, berapa ramai ibu yang tidak ambil berat dengan usaha mendapatkan ilmu-ilmu realiti semasa ini.


 


3)      Ilmu nafs (psikologi)


Akhir sekali, ilmu yang amat-amat diperlukan oleh seorang ibu generasi dalam menghasilkan anak-anak yang hebat ialah ilmu nafs atau bahasa modennya ilmu psikologi.


Apa itu ilmu nafs?


Ilmu nafs ringkasnya ialah ilmu mengenal fitrah manusia. Firah manusia ini termasuklah jiwa, emosi, personaliti, perasaan dan watak manusia. Sumber ilmu ini boleh dirujuk daripada kajian, pemerhatian, pengembaraan dan pengalaman pengkaji yang tidak bertentangan dengan kedua-dua sumber asas islam iaitu Al-Quran dan Assunnah.


Hakikatnya ilmu nafs ini adalah sebahagian daripada ilmu waqi’. Namun, Al-Marhum Ustaz Dahlan menyebutnya secara khusus kerana beliau ingin menegaskan kepentingan penguasaan ilmu ini bagi seorang murabbi (pendidik).


Begitulah juga kita sebagai seorang ibu, pendidik utama dan pertama kepada seorang bayi. Amat penting kita menguasai ilmu mengenal fitrah jiwa, emosi dan perasaan anak kecil kita demi memastikan kita dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah mendidik mereka dengan sebaik mungkin.


Contoh pengaplikasian ilmu nafs adalah seperti dua dialog di atas.


 


Penutup – Kisah mama bosan


Akhowat yang dikasihi Allah SWT,


Telah saya mulakan tulisan ini dengan sebuah kisah benar, maka ingin saya akhiri tulisan ini  juga dengan sebuah kisah benar.


Mungkin para akhowat maklum tentang kisah ‘Mama Bosan’ yang pernah dihebohkan di akhbar dan siaran-siaran radio minggu lalu, bukan?


Ya, kisah mama bosan tersebut ialah terkait dengan seorang ibu muda berusian 20-an yang kebosanan dengan tugasnya sebagai surirumah. Si ibu itu kemudiaannya menghabiskan masa di salah satu pusat siber selama 8 jam hampir setiap hari semenjak tahun lalu untuk bermain permainan komputer sehingga sanggup membiarkan anak kecilnya kelaparan.


Hati siapa yang tak sebak mengenangkan keadaan anak kecil tersebut. Tetapi, saya lebih lebih lagi berasa kesal dengan si ibu tersebut. Pada saya, kalau melihat senarai ilmu di atas pun dah cukup untuk seorang wanita yang ingin menjadi ibu yang hebat punya masa untuk dihabiskan dengan sia-sia, bukan?


Walaupun menjadi seorang surirumah (yang tak dibebani dengan tugas di tempat kerja), bagaimana kita boleh menjadi bosan sedangkan terlalu banyak yang boleh dilakukan, terutama dalam usaha menambah ilmu pengetahuan? Sama-sama kita renungkan, kalau tak pun ilmu itu tidak berguna untuk dirinya, ilmu itu pasti berguna untuk anak-anak kita! Allahuakbar…


Konklusinya, tidak dapat tidak, jom kita bertindak serius dalam menambahkan ilmu pengetahuan kita sekiranya kita serius untuk menjadi ibu kepada sebuah generasi yang hebat! Yosh!

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 07, 2012 17:52

Pemuda : Pelajaran Merosot, Salah Gerakan Islam Atau Indidivu?


~ Picture by Umar Mita



Saya selalu mendengar aduan-aduan tentang merosotnya keputusan pelajaran segelintir mahasiswa baik di universiti di Timur Tengah mahupun di Malaysia sendiri.


Kemerosotan ini seringkali dikaitkan dengan penglibatan dalam aktiviti luar ataupun aktiviti persatuan. Dan yang lebih buruk lagi, mahasiswa-mahasiswa yang terlibat dalam gerakan Islam terutamanya, sekiranya keputusan pelajaran mereka merosot, maka gerakan Islam yang mereka sertai itulah yang akan mendapat ‘cop’ tidak baik.


Alangkah busuknya nama dakwah sekiranya gerakan-gerakan yang mengaku melakukan kerja-kerja Islam secara berkumpulan dituduh dan didakwa pula sebagai sarang membiakkan lebih ramai lagi orang-orang yang gagal dan merosot dalam pelajarannya.


“Nilah punca. Setiap minggu sibuk keluar universiti nak pergi program. Sampai belajar ke mana, keputusan entah ke mana.”


“Gerakan-gerakan Islam ini hanyalah penyubur individu yang malas belajar dan suka berfikir satu hala saja. Sebab tu belajar pun tak bagus. Asyik tarbiyah, tarbiyah aja.”


“NGO-NGO Islam ni tak payah ada pun takpa. Tengoklah, antara yang merosot pelajaran di universiti pun orang-orang yang sibuk duk ikut NGO-NGO ni.”


Maka, di sini, saya suka berkongsi pandangan-pandangan saya terhadap hal ini.


 


Gerakan-gerakan Islam Ini Penting Sebenarnya


Masalah ini bukan masalah baru sebenarnya. Cuma bila ia timbul, gerakan Islam terutamanya selalu menjadi mangsa utama untuk dipersalahkan. Pada satu sudut, sesetengah gerakan-gerakan yang ada ini mungkin punya kelemahan dan kekurangannya yang tersendiri dalam memberi fokus terhadap hal-hal pelajaran dan akademik. Tetapi bukanlah semua gerakan Islam begitu sebenarnya.


Dan bagi saya, tidak wajarlah kerana kemerosotan pelajaran dan keputusan peperiksaan segelintir kecil aktivis gerakan Islam di universiti, kita menghukum kesalahan itu secara keseluruhan ke atas aktiviti-aktiviti gerakan Islam dan gerakan Islam itu sendiri.


Pada saya, kewujudan gerakan-gerakan dakwah yang sedia ada dan bercambah sekarang ini sangat bagus dan penting sebenarnya dalam membantu membentuk sebuah masyarakat yang lebih baik. Walaupun kadangkala, kita mendengar juga beberapa isu kurang enak berlaku dalam kalangan mereka, tetapi kita tetap tidak harus menafikan bahawa peranan mereka sangat diperlukan dalam keadaan masyarakat kita hari ini.


Kenapa saya berkata begitu?


Ya, lihat saja suasana yang wujud di Malaysia hari ini. Di celah kita beria-ia menginginkan perubahan dari sudut iklim politik dan cara masyarakat berfikir, sebenarnya masih wujud segolongan besar anggota masyarakat kita yang bukan saja tidak terlibat dalam mengambil cakna isu-isu masyarakat dan negara, bahkan mereka terlibat dan terpengaruh pula dalam agenda-agenda yang merosakkan diri mereka.


Di kalangan anggota masyarakat kita juga masih wujud golongan yang belum sampai kepadanya kefahaman Islam yang sebenar menyebabkan dia selalu terjebak dalam kehidupan di lembah kemaksiatan. Agama diperkenalkan kepada mereka ini hanya sebagai satu bentuk ilmu untuk mengisi akal, bukan sebagai proses untuk membentuk jiwa.


Akibatnya, kita mampu lahirkan ramai graduan-graduan sekolah dan universiti bertatahkan nama Islam tetapi gagal memaknakan Islam secara keseluruhan dalam kehidupan.


Begitulah antara latar masyarakat kita pada hari ini.


Maka, di sinilah gerakan-gerakan Islam yang ada hari ini memainkan peranan mereka. Kalau gerakan-gerakan Islam ini tidak wujud, maka entah pada siapa lagi kita dapat harapkan untuk membantu membimbing dan membaiki masyarakat yang ramai dan besar ini. Tidak mungkin kita letakkan pergantungan pada usaha kerajaan yang memerintah semata-mata atau siapa saja yang memiliki kuasa dalam negara untuk membimbing dan membaiki masyarakat yang besar ini. Tidak mungkin juga usaha-usaha perubahan dapat dilakukan jika kita tindakan kita terhenti hanya sebatas perbincangan dan diskusi yang berpanjangan.


Sebab itulah, peranan gerakan-gerakan Islam ini sangat penting sebenarnya dalam membantu melakukan perubahan dalam masyarakat.


Selain membentuk jati diri insan dan berusaha membangunkan hubungan insan dengan Tuhan, mereka juga terlibat dalam pembinaan pelbagai kemahiran-kemahiran insaniah seperti bergaul dan berkomunikasi dengan masyarakat, turun membantu dan menggauli manusia dari pelbagai lapisan dan latar belakang serta pembinaan nilai-nilai yang baik sebagai seorang manusia.


Bahkan, kemahiran-kemahiran semasa yang diperlukan seperti bercakap di depan, mengurus program dan sebagainya antara latihan-latihan yang wujud dalam gerakan-gerakan sebegini.


Inilah antara kepentingan gerakan-gerakan Islam yang ada ini dalam membantu memperbaiki dan meningkatkan potensi setiap individu dalam masyarakat. Mustahil kerja-kerja sebesar gerakan ini mampu dilakukan seorang diri kerana bila kita berseorangan, kita pun tidak punya kemahiran yang banyak, bahkan akan lebih akan cepat terasa lemah dan pantauan kita terhadap peningkatan orang yang telah kita dakwahkan itu pun nanti akan memiliki banyak kecacatan dan kekurangan.


 


Sebab Itu Saya Tidak Pandang Ini Sebagai Salah Gerakan, Tetapi Lebih Kepada Individu


Antara tujuan gerakan-gerakan Islam yang ada ini sudah tentulah untuk membaiki keadaan individu dan masyarakat itu sendiri.


Maka, bagaimana mungkin dengan tujuan sedemikian, gerakan Islam pula yang disalahkan sebagai tempat membiakkan ramai orang yang teruk dan merosot pelajarannya?


Sebab itu, saya lebih suka melihat masalah ini sebagai masalah prioriti individu sebenarnya.


Ya, masalah prioriti. Apa itu? Memilih dan meletakkan keutamaan dalam hidup.


Bukan gerakan Islam yang salah hakikatnya ketika keputusan-keputusan sebahagian ahlinya dalam pelajaran merosot , tetapi individu yang menyertai gerakan Islam itu sendirilah yang gagal menyusun dan mengatur masanya dengan baik untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran menyebakan keputusannya sedikit merosot.


Masalah dalam menentukan prioriti ini hakikatnya bukan saja berlaku pada aktivis gerakan Islam, bahkan yang tidak berada dalam gerakan Islam ini pun sebenarnya lebih teruk terjebak dalam masalah ini.


Kalau aktivis gerakan ini mungkin sibuk berprogram sana sini, keluar bermesyuarat, merancang dan menganjurkan program sehingga ada di antara mereka yang terabaikan sedikit pelajaran, orang yang tidak terlibat dalam gerakan ini pula atau apa-apa aktiviti persatuan di universiti mungkin sibuk bermain game, sibuk download dan menonton movie serta keluar lepak-lepak di kota pada malam-malam hari sehingga sambilewa mengulangkaji pelajarannya meskipun masanya banyak sebenarnya.


Maka, adakah penyertaan mereka ke dalam gerakan-gerakan itu menjadi kesalahan ketikamana orang yang tidak melibatkan diri dengan apa-apapun sebenarnya lebih ramai yang gagal dalam pelajaran mereka?


 


Perlu Tanya Juga, Betulkah Peratusan Besar Merosot Dalam Pelajaran Adalah Yang Terlibat Dalam Gerakan Islam?


Kadangkala, kerana yang melakukan kesalahan sebegini adalah orang yang terlibat dalam gerakan Islam, maka orang suka membesar-besarkannya, sehingga kita melihat seolah-olah yang merosot dalam akademik ini, sejumlah besarnya adalah daripada kalangan aktivis gerakan Islam.


Barangkali kerana orang beralasan begini. “Ah, dia tu orang dakwah. Kena jaga lebihla dari orang lain.”


Benar, memang sepatutnya orang yang lebih tahu akan kebaikan itu sendiri menjadi contoh dalam hal kebaikan itu. Orang yang bawa dakwah, maka sepatutnya dialah yang menjadi contoh kepada orang lain dari pelbagai sudut kehidupannya, dari sudut akademiknya.


Tetapi, amatlah tidak wajar jika hanya dengan sebab seorang dua sahaja aktivis gerakan Islam itu yang merosot dalam pelajarannya, kita membesar-besarkan hal itu seolah-olah sejumlah besar dari kalangan pelajar yang telah merosot pelajarannya itu lahir daripada gerakan-gerakan Islam ini.


Saya bukanlah ingin membela mana-mana gerakan Islam ini. Tetapi ketika kita menilai, maka kita seharusnya berlaku adil.


Kalau masalah itu berdiri di atas fakta yang benar, bahawa memang ternyata majoriti pelajar yang merosot dalam pelajarannya itu adalah daripada kalangan aktivis gerakan dakwah, maka mungkinlah terdapat sedikit kewajaran di situ untuk kita katakan bahawa sebahagian masalah mungkin berpunca daripada gerakan itu sendiri.


Dan sudah tentulah gerakan yang mempunyai ahli sedemikian perlu mengkaji semula manhaj dan perjalanan gerakannya sehingga menghasilkan orang-orang yang begitu gah di medan dakwah tetapi kalah dalam pentas qudwah. Hebat bercakap tentang Islam, tetapi pelajaran pun terbang akan menampakkan ketempangan pula dalam perjuangan.


Sebab itulah saya bertanya, adakah begitu biasa sekali peratusan besar yang kecundang dalam pelajaran di universiti itu datang daripada aktivis-aktivis yang terlibat dalam gerakan Islam?


Kalau ia satu kebiasaan, maka gerakan-gerakan Islam yang terlibat memang sangat-sangat perlu lakukan muhasabah semula ke atas perkara ini. Kalau ia hanya satu momokan, maka membesar-besarkan masalah ini pada faktor penglibatan pelajar dalam gerakan Islam semata-mata adalah sangat tidak wajar.


 


Membersihkan Nama Dakwah – Aktivis Gerakan Islam Perlu Serius Meneliti Masalah Ini


Masalah akademik, kehadiran ke kelas serta pointer mungkin nampak biasa bagi sesetengah orang. Memang benar, pointer tinggi belum tentu menandakan kejayaan dalam kehidupan. Selalu hadir ke kelas pun belum tentu kita akan berjaya dalam peperiksaan akhir.


Tetapi, semua itu sebenarnya melambangkan nilai disiplin dalam diri kita.


Pointer tinggi atau rendah, bukan itu yang utama, tetapi  yang penting usaha kita mesti kuat ke arah mencapai yang paling tinggi. Faham atau tidak pelajaran, berjaya atau tidak dalam peperiksaan akhir, yang penting kita menanam disiplin dalam diri untuk rajin hadirkan diri ke kelas.


Itulah nilai disiplin kita. Apa guna berkobar-kobar laungkan seruan Islam, tetapi selalu tidak hadir ke kuliah? Apa makna dakwah kalau kita sendiri ketika belajar telah menghilangkan nilai berkah ketika menuntut ilmu itu dengan selalu tidak hadir ke kelas?


Ada saja kawan yang pernah menceritakan kepada saya, bagaimana seorang mahasiswa di sebuah universiti di Mesir yang hadir ke universiti hanya ketika musim peperiksaan. Selain musim peperiksaan, dia berada di Malaysia melakukan kerja-kerja lain dan tidak menghadiri kuliah-kuliah di universiti.


Bagi saya, itu adalah satu jenayah yang sangat besar. Kita tidak hadir ke kelas dan datang hanya untuk peperiksaan, kita telah meninggalkan disiplin sebagai seorang pelajar. Tugas seorang pelajar yang utama adalah untuk duduk dan belajar, bukannya untuk duduki peperiksaan.


Menduduki peperiksaan itu hanya sebahagian daripada aspek pelajaran masa kini.


Siapa yang meninggalkan disiplin untuk hadirkan diri ke kelas terutamanya bagi aktivis gerakan Islam, maka dia telah menzalimi makna dakwah yang dibawanya. Kerana dakwah Islam ini adalah seimbang dan sederhana.


Ia tidak memberatkan salah satu aspek sehingga terabai satu aspek. Tidak sibuk berdakwah sehingga mengabaikan pelajaran. Tidak sibuk berprogram sehingga mengganggu masa untuk mengulangkaji pelajaran.


Kadangkala, segelintir aktivis gerakan Islam yang suka ambil mudah akan memetik kisah As-Syahid Imam Hasan Al-Banna yang bermimpi dapat melihat soalan-soalan peperiksaannya. Ketahuilah, bahawa mimpi sedemikian bukanlah untuk semua orang. Peristiwa itu berlaku pun bukanlah kerana diminta oleh Imam Hasan Al-Banna, tetapi kerana beliau memang benar-benar tidak sempat dan beliau pun memang orang yang sangat akrab hubungannya dengan Allah.


Kita? Kita, kadangkala ada saja masa kosongnya. Tinggal lagi kita tidak pandai menyusunnya. Kita tidak melihat prioriti kita. Bila kita menolak untuk hadir seketika ke sesuatu program atas sebab pelajaran, maka ia bukanlah satu dosa kerana itu memang adalah hak kita sebenarnya. Janganlah kita rasa begitu bersalah.


Yang penting, berusahalah menyusun masa dan prioriti dalam kehidupan kita.


 


Penutup : Aktivis-Aktivis Dakwah – Seimbangkan dan Susunlah Prioriti Dengan Baik !


Saya sendiri bukanlah orang yang bagus sangat pointer di universiti. Ya, saya akui itu. Tetapi sekurang-kurangnya saya masih menjaga semua itu.


Saya juga terlibat dengan program-program persatuan pelajar di sini, menguruskan usrah di bawah persatuan pelajar, menulis dan menguruskan LI.com lagi, melakukan kajian-kajian ilmu lagi dan ada pelbagai lagi perkara dalam seminggu untuk diurus. Tetapi, itu tetap tidak dapat menafikan hak masa saya untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran.


Orang yang mengaku membawa dakwah, terlibat dalam kerja-kerja Islam, terlibat dengan gerakan-gerakan Islam perlu lebih teliti dalam tindakan mereka. Walaupun kadangkala, bukan salah mereka keseluruhannya sebahagian masalah yang ditimbulkan itu, terutamanya berkaitan dengan kemerosotan pelajaran.


Yang penting, aktivis-aktivis gerakan Islam perlu sentiasa ingat bahawa Islam tidak pernah mengajar kita untuk berlebih-lebihan dalam satu hal sehingga menzalimi satu hal lain dalam kehidupan kita. Seimbang dan sederhanalah.


Juga yang paling penting, berusahalah menyusun prioriti. Jangan kerana kesalahan diri kita sendiri, kita membawa fitnah yang lebih buruk kepada Islam.


Yang lebih utama, kita utamakan.

Yang tidak utama, kita kemudiankan.


Biar ketika kita menyebarluaskan Islam ini, bukan kata-kata saja yang menebar, bahkan ia hadir bersama contoh-contoh yang segar !

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 07, 2012 12:21

Fotografi : Suatu hari nanti..


Suatu hari nanti, daku bercita-cita menjadi pendokong agama Allah.

Mencuba dan terus mencuba menjadi yang terbaik disisi-Nya meskipun aku tahu aku tidaklah sempurna.

Suatu hari nanti, daku tidak gentar menjadi ‘asing’ berada di dalam masyarakat yang penuh porak peranda jiwanya,

malah aku akan sangat berasa ‘izzah’ dengan keasingan ku ini.

Dan terus menerus mengajak manusia untuk pulang ke jalan yang Allah suka..


(Exif: Canon EOS 5D Mark 3 | 50mm | f1.4 | 1/1000s )

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 07, 2012 11:16

November 6, 2012

Kehidupan: Belajar 5 Perkara Daripada Nuh AS.


Poster menarik. Juga berkenaan pengajaran daripada Sirah Nuh AS. Oleh Nur Farah Aisyah.


 


Semasa Kuliyyah Tazkiyatun Nafs pada tarikh 6hb November 2012 di Masjid UIA Gombak, saya ada menggariskan beberapa pengajaran yang boleh diperolehi daripada Kisah Nuh AS. Saya kira, pengajaran itu menarik untuk dikongsikan di LangitIlahi.Com juga, di ruangan Kehidupan ini.


Mari sama-sama meneliti!



1 – Nuh dan umurnya.


Nabi Nuh berdakwah 950 tahun. Persoalan utamanya adalah, mengapa dia sanggup bersusah payah selama 950 tahun untuk mengajak manusia ke jalan Allah SWT? Mengapa tidak dia berputus asa?


Kerana, Nabi Nuh adalah manusia yang beriman, yang percaya akan hari akhirat. Kita semua memahami bahawa akhirat itu ‘kholidiina fiiha’, kekal selama-lamanya. Maka, sekiranya kita ukur ‘selama-lamanya’ dengan ’950 tahun’, nyata 950 tahun itu seakan-akan tiada makna.


Justeru, bagi yang beriman dengan hari akhirat, kita takkan rasa gundah dengan kesusahan urusan kita dalam menegakkan amanah Allah di atas muka bumi ini. Kerana akhirat nanti, segala pengorbanan kita akan terasa berharga.


 


2 – Dakwah dan Masa.


Nabi Nuh mengambil masa 950 tahun berdakwah, barulah dia mendoakan agar Allah memberikan azab kepada kaumnya. Dia mengambil ‘satu jangka masa yang panjang’ sebelum membuat keputusan yang kaumnya memang tiada harapan lagi.


Begitulah sepatutnya kita, di dalam dakwah jangan tergesa-gesa menjatuhkan hukuman. Kena belajar untuk ambil ‘satu jangka masa yang panjang’ dalam usaha mengajak manusia ke jalan Allah SWT. Bukannya baru sebulan-dua, setahun-dua, sudah cop fulan bin fulan sudah tiada harapan.


Dan lumrahnya dalam menyeru manusia, memang memerlukan masa. Kerana manusia bukan plastisin. Ketuk terus berubah. Manusia ibarat tanah liat untuk dibuat tembikar. Perlu dibentuk perlahan-lahan.


 


3 – Taat kepada Arahan Tuhan Walaupun Berat.


Nuh bukanlah si pembuat kapal. Tetapi apabila Allah arahkan Nuh membina kapal, Nuh melaksanakannya dengan taat.


Bahtera itu pula dibina di atas padang pasir, kala tidak ada petanda hujan akan turun pun. Tetapi dia taat kepada Tuhannya, lantas dilaksanakan arahan itu tanpa banyak cerita. Kerana dia yakin, jika dia taat kepada Allah, pengakhiran untuknya hanya yang baik-baik sahaja.


Kita bagaimana?


Solat di rumah sendiri pun belum tentu kita laksanakan dengan baik.


 


4 – Keluarga Yang Sebenar Adalah Yang Dihubungkan Dengan Aqidah.


Selepas banjir berlangsung, Nuh merasa sedih dengan anaknya yang tidak terselamat. Lantas Nuh berdoa agar Allah menyelamatkan anaknya, dia berkata bahawa anaknya itu adalah ahli keluarganya. Tetapi Allah SWT menyatakan bahawa anaknya bukan dari ahli keluarganya, kerana anaknya tidak beriman.


Di sini bukanlah bermaksud bahawa kita jangan respect keluarga kita yang tidak beriman(jika ada). Namun jika keluarga kita yang tidak beriman itu meminta atau melakukan sesuatu yang bercanggahan dengan keimanan kita, nyatanya ketika itu kita perlu mengutamakan keimanan kita kepada Allah SWT.


 


5 – Seruan ‘Ya Bunayya, Irkam ma’ana’


Walaupun 950 tahun dakwahnya tidak diterima, bahkan Nuh dicaci dan dikeji sepanjang dakwahnya, Nuh yang melihat anaknya sedang terkapai-kapai kelemasan telah memanggil anaknya dengan panggilan yang baik – “Ya Bunayya, Irkam ma’ana, wa la takum ma’al kaafiriin.” Surah Hud ayat 42. Bermaksud: Wahai anakku, naiklah bersama kami(ke atas bahtera), dan janganlah engkau bersama orang-orang yang kaafir.


Dia masih memanggil dengan panggilan yang baik. “Wahai anakku.”


Dia masih mengajak untuk naik ke bahtera. “Irkam ma’ana”


Dia masih lagi memberikan peringatan. “Dan janganlah bersama-sama dengan orang yang kafir.”


Sedangkan dakwahnya sudah ditolak selama 950 tahun, dicaci, dimaki, dikeji dan sebagainya. Pada hari itu sepatutnya adalah hari dia berbangga,  hari dia rasa dialah pemenangnya. Hari dia berpuas hati kala orang yang membencinya diazab Allah SWT. Tetapi Nuh berjiwa da’ie, dan da’ie(penyeru) tidak berakhlak sedemikian. Lantas selagi masih ada peluang, dia menyeru, mengajak dengan baik. Dia tidak pula berkata: “Padan muka, hari itu aku dah cakap korang tak nak dengar!”


 


Penutup: Kita belajar daripada Nuh.


Kekuatan Nuh hakikatnya berlandaskan kekuatan iman. Dia beriman kepada Allah dan hari akhirat, itulah yang menjana keistiqomahan Nuh dan ketaatannya.


Dari situlah juga Nuh yang merasai kemanisan iman, merasakan betapa ruginya orang-orang yang tidak merasai kemanisan itu. Lantas, berbanding rasa suka melihat orang diazab,  dia bahkan merasa kasihan dan masih berusaha memberikan ajakan demi ajakan walau di saat-saat akhir.


Semoga kita belajar menjadi da’ie dan hamba Allah SWT yang baik, daripada Nuh AS!

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 06, 2012 19:55

Poster: Impression

First is what we always judge, when what Allah counts is the last.


 


“Impression: First is what we always judge, when what Allah counts is the last.�”


“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan sekumpulan lelaki yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan sekumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik…” (Al-Hujurat, 49 : 11)


“Demi Allah yang tidak ada ilah selain-Nya, sesungguhnya diantara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya diantara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga  maka masuklah dia ke dalam syurga.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).


Kali pertama itu yang membentuk persepsi manusia, sedangkan kali terakhir itu yang dinilai Pencipta.


Sama-samalah kita bersangka baik sesama Mukmin, dan sama-samalah kita berdoa moga dimatikan dalam husnul khatimah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 06, 2012 09:21

November 5, 2012

Himmah : Kenapa Begitu Sukar Meninggalkan Dosa?


‘Apakah ketika kita hampir terjatuh, kita biarkan saja diri kita tersembam tanpa ada apa usaha?’

~ Picture by Umar Mita


 


“Jauhkanlah diri dari maksiat kerana yang aku risaukan pada kamu, bukanlah musuh kamu, tetapi dosa-dosa yang kamu lakukan. Bilangan tentera kita tidak seramai tentera mereka. Kelengkapan senjata kita juga tidak sehebat kelengkapan senjata mereka. Maka,” Umar Al-Khattab menyambung untaian kalamnya kepada Saad bin Abi Waqas, “kalau amalan kemaksiatan dan tabiat kita sama dengan mereka, sudah pastilah kelebihan dan kemenangan akan menyebelahi mereka.”


Kata-kata biasa yang bawa makna luar biasa. Diucapkan pula oleh seorang pejuang yang selalu ikhlas terhadap Rabbnya, yang hidupnya selepas Islam tiadalah ada apa manfaat yang lebih besar baginya selain mewakafkan dirinya untuk Islam.


Ia bukan datang dari orang yang berbicara sebatas teori dan tidak berpijak di pentas realiti. Tetapi, ia benar-benar datang dari lubuk hati seorang insan yang mengharapkan redha Tuhannya.


Maka, ketika kata-kata sebiasa ini diucapkan, ia terus merembes kesan luar biasa ke dalam jiwa orang yang mendengarnya. Terasa kegentingan untuk menanggalkan pakaian dosa dari jiwa. Terasa begitu hina tangan yang berdoa meminta pertolongan Dia, tetapi saat berdoa, dosa terus meraja di jiwa.


 


Ketika Rasa Malu Bertukar Jadi Nafsu Yang Melulu


Tiadalah senjata terampuh syaitan dalam menjatuhkan insan melainkan dengan melorongkan kita ke longkang-longkang dosa. Kerana saat kita terlorong dan terjerumus masuk ke dalamnya, rasa malu pun bertukar jadi nafsu yang melulu, rasa segan bertukar jadi keberanian yang mengejikan.


Lantas, itulah yang membuatkan Umar merasa perlu untuk menyampaikan pesanan itu kepada panglimanya yang juga merupakan sahabatnya, Saad bin Abi Waqqas.


Kerana begitu buruk kesan dosa ini menyebabkan Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Quran menggambarkan keburukan dosa dengan maksudnya :


“Dan celakalah bagi setiap orang yang banyak berdusta lagi banyak berdosa.”  [Al-Jatsiyah : 7]


Bukan kita tidak tahu. Kita tahu bahawa Allah pun tidak cinta kepada hamba-hambaNya yang selalu melazimi diri dengan dosa dan tidak berusaha meninggalkannya.


Namun, seringkali keinginan dan kecenderungan dalam jiwa kita tunduk patuh mengiyakan kemahuan dosa untuk menggelapkan jiwa kita. Bukanlah dosa itu yang datang memaksa-maksa kita untuk menerimanya melainkan kitalah yang menjemputnya masuk ke dalam jiwa kita.


Akhirnya, cahaya terang dalam hati bertukar jadi kegelapan. Ketajaman pemikiran menjadi semakin tumpul, hilang sensitiviti dalam jiwa dan kesungguhan bertukar jadi kemalasan yang melemahkan.


Bukan kita minta jadi begitu. Tetapi seringkali begitulah yang berlaku.

Kita mahu menjauh dari dosa, tetapi setiap kali kita ingin cuba meninggalkannya, kita tewas lagi.


 


Kenapa Begitu Sukar Meninggalkan Dosa?


Hanya orang yang telah hilang deria rasa berdosa saja tidak akan merasa keperluan untuk bertaubat dan menggerakkan dirinya meninggalkan dosa.


Orang yang masih punya deria ini akan terus dibayangi dengan dosa-dosanya sehingga kadangkala mengalir air matanya menterjemahkan segala bayangan hidupnya dalam sebuah kehinaan dan kekejian. Ya, kan? Kerana dosa itu satu yang hina dan menghinakan, keji lagi mengejikan, maka bagaimana mungkin hati tidak menangis saat telah kalah ketika bertarung mempertahankan kemurniannnya?


Lalu, kalau benar hidup dalam dosa itu adalah sebuah bayangan hidup yang penuh kehinaan dan kekejian, apakah yang membuatkan kita begitu sukar sekali untuk meninggalkannya?


Benar.


Kita bukan tidak mahu meninggalkannya. Bahkan, setiap kali kita berusaha untuk meninggalkannya, kita terjebak dan terjerumus lagi. Apakah puncanya?


 


Kenalpasti Punca


Kata seorang ulama’ : “Kecenderungan kepada kebaikan umpama air yang mendaki bukit sedangkan kecenderungan kepada kejahatan umpama air yang menuruni bukit.”


Seringkali kegagalan kita untuk meninggalkan dosa berakarkan kepada beberapa perkara, antaranya :


 


1)      Keinginan dan kecenderungan yang kuat kepada dosa


Antara dua kecenderungan, jiwa kita lebih cenderung kepada yang mana?


Jika keinginan dan kecenderungan kita lebih kuat ke arah dosa, maka kita perlu mula membersihkan dan membaiki keinginan di dalam jiwa kita itu.


Ramai orang inginkan syurga, impiannya cenderung kepada syurga, tetapi jiwa dan amalnya pula sebaliknya, lebih cenderung kepada dosa. Mana mungkin mahukan syurga, cintakan syurga, tetapi dalam masa yang sama cinta juga kepada dosa.


Tidak mungkin kedua-duanya boleh bersama. Kalau benar cintakan syurga, maka tanggalkanlah cinta kita terhadap dosa dan jalan yang boleh membawa kita ke neraka.


 


2)      Tidak merancang peningkatan


Kenapa kita tidak mampu tinggalkan dosa? Kerana kita tidak merancang peningkatan dan perubahan diri kita dengan bersungguh-sungguh.


Kita mahu jadi lebih baik. Mahu meningkat. Tetapi usahanya sangat singkat. Cita-cita dan angan-angan tinggi, tetapi tidak sanggup korbankan rehat, tidak sanggup bersusah-payah meskipun sedikit. Maka, bagaimana mungkin peningkatan dapat dilakukan?


Kalau benar ingin meningkat, kita perlu disiplinkan diri. Susun masa, jadual atau apa saja untuk mendisiplinkan diri kita supaya banyak masa dihabiskan pada kebaikan berbanding selesa dan tenggelam keseorangan dalam dosa dan maksiat.


 


3)      Membiarkan diri bila berada dalam kelemahan dan tidak berusaha bangun darinya


Kesilapan yang sering kita lakukan adalah selalu membiarkan diri kita berlama-lama dalam kelemahan tatkala kita berada dalam musim itu. Kita adukan segala kelemahan itu kepada Allah tetapi kita tidak mengusahakan sesuatu untuk bangun darinya.


Tidak mungkin laci terbuka sendiri kalau hanya sekadar berada di depan laci berdoa agar ia terbuka.


Tak, mustahil.


Kalau kita ini orang yang banyak dosanya, maka usahakanlah untuk diri sendiri agar dapat lakukan solat sunat taubat, berdoa memohon ampun kepada Allah serta kembali merenung ayat-ayat Allah s.w.t. supaya hati kita kembali menjadi lebih akrab dengan Allah. Luangkan masa kita untuk melihat diri kita dan melakukan refleksi serta bergeraklah melakukan sesuatu untuk membersihkan diri kita.


Itulah yang penting sebenarnya. Bukan cukup dengan duduk berdoa dan mengadu saja kepada Allah tanpa ada usaha yang bersungguh-sungguh dan serius dari diri kita sendiri.


Kata seorang sahabat saya satu ketika dulu, “Kalau kita ini dah terjatuh dalam sungai, cepat-cepatlah capai tebing kalau kita mampu.”


Maka, begitulah sebenarnya. Adakah biasa bagi orang yang sudah tahu dirinya sedang kelemasan dan dia pun mampu mencapai tebing menyelamatkan dirinya, tetapi dia biarkan saja dirinya tenggelam dalam kelemasan itu tanpa berusaha berbuat apa-apa?


Pelik, kan?


 


4)      Berkawan dengan kawan-kawan yang tidak baik


Seringkali antara pengaruh yang memberi kesan besar ketika kita ingin berubah adalah suasana sekitar kita dan kawan-kawan kita. Kawan-kawan yang tidak baik biasanya akan menjadi penghalang kepada perubahan diri kita.


Cacian, perlian, sindiran dan sebagainya adalah ‘buah tangan’ yang kita akan terima sebagai ‘penghargaan’ daripada kawan-kawan yang tidak baik ini. Waktu itu, akan terujilah akan kebenaran prinsip yang ada dalam jiwa kita.


Adakah hanya kerana takutkan kehilangan kawan-kawan yang sedemikian perangainya menyebabkan kita sanggup mengorbankan segala usaha kita untuk membersihkan diri kita daripada segala dosa noda? Tanyalah dengan jujur pada diri kita, apakah redha mereka itu yang lebih kita harapkan atau redha Allah yang berkekalan lamanya itu kita utamakan?


Ketahuilah, kawan yang baik, sahabat yang bagus adalah mereka yang selalu mengingatkan kita kepada Allah. Mereka berada di atas jalan yang sama. Ketika kita ingin berubah, bukan perlian atau sindiran yang sepatutnya datang menyambut diri kita dari seseorang yang bernama sahabat, tetapi dorongan dan galakanlah yang sepatutnya mengiringi hasrat kita itu.


Inilah antara sebahagian punca utama yang menyebabkan kita begitu sukar untuk meninggalkan dosa. Kenalpasti dan mulalah merawatnya sedikit demi sedikit.


Orang yang benar-benar serius ingin membersihkan jiwanya daripada dosanya, maka dia akan serius melakukan hal-hal sebegini.


 


Penutup : Bertegaslah Sikit Dengan Diri Kita, Wahai Saudara !


Ya akhi, kalau anda mahu berubah, anda mahu keluar dari lubang dan longkang dosa, anda perlu mula belajar bertegas dengan diri anda sendiri.


Lakukan apa yang sepatutnya anda lakukan. Bukan apa yang anda mahu lakukan.


Kerana ramai orang yang mahu berubah, tetapi tidak memenuhi keperluan-keperluan untuk dirinya berubah dan tertingkat. Sebaliknya, dia lebih suka bergerak mengikut apa yang dia mahu.


Seringkali apa yang kita mahu tidak sama dengan apa yang kita perlu. Yang kita mahukan seringkali tertumpu pada kesenangan dan keselesaan sehingga membunuh semangat perjuangan kita untuk keluar dari lubang-lubang yang penuh kehinaan itu. Sedangkan yang kita perlukan itulah sebenarnya yang membantu membina prinsip dalam jiwa kita serta seringkali ia bertentangan dengan suasana selesa yang telah biasa kita nikmati.


Kalau benar inginkan syurga, maka bersedialah untuk korbankan rasa cinta terhadap dosa dalam jiwa. Mustahil kita mengatakan yang kita inginkan syurga tetapi dalam jiwa masih ada rasa cinta yang sangat besar terhadap dosa.


Maka, untuk meninggalkan dosa, mulai hari ini, belajarlah bertegas dengan diri anda sendiri, wahai saudara !

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 05, 2012 04:51

November 4, 2012

Agama: Perubahan Demi Generasi Hadapan


~Cahaya sinaran kegemilangan perlu dituruti dengan proses perubahan~


 (picture by UmarMita)


Beberapa hari lagi bumi Malaysia menjadi saksi bahawa akan berlaku proses keruntuhan akhlak secara perlahan tetapi berbisa terutama dalam kalangan remaja. Rakyat bakal disajikan dengan hiburan yang tidak semena-mena meski bayaran yang dikenakan tidak kurang dari angka ratusan.  Maka kita akan lihat masyarakat kita menuju ke arah segala macam bentuk kemusnahan.


Musnah jiwa yang sensitive terhadap isu semasa yang berkait dengan agama.


Musnah taruhan orang tua terhadap golongan belia yang bakal menerajui negara.


Semua ini dek kerana hidangan ‘istimewa’ yang rakus menjamah keprihatinan manusia. Artis sebagai idola bukan lagi nabi jauh sekali ulama’. Muzik pengisi jiwa yang lara bukan lagi Al-Quran yang mengandungi nasihat dari-Nya.


Namun masihkah ada harapan untuk mereka yang mahu melihat kegelapan ini disinari semula dengan cahaya Rabbnya?


Sudah tentu ada! Hal ini disebabkan, kemenangan Islam itu adalah janji dari Dia yang semestinya ditepati. Tetapi harus bagaimana sifat perubahan yang sepatutnya agar ia mendatangkan kesan?


 


Islam dan Perubahan  


Islam tidak pernah menghalangkan perubahan dan perkembangan. Bahkan amat  digalakkan jika ia mendatangkan keuntungan. Terdapat perkara yang tidak berubah walaupun zaman berubah dalam agama seperti larangan terhadap perkara yang jelas pengharamannya dan sebagainya. Adapun ia hanyalah  bersifat minoriti.


Dalam Islam, pintu perubahan terbuka untuk membuka minda dan jiwa manusia supaya memandang sesuatu perkara dalam situasi semasa. Namun, sudah semestinya perubahan tersebut mempunyai had yang tertentu. Juga sifat perubahan dalam Islam adalah bertindakbalas yakni dengan merawat semula kelompongan yang ada.


Perubahan dalam Islam dapat disimpulkan dalam satu kata-kata yang amat masyhur dalam sejarah ketamadunan Islam sebagaimana yang disebutkan oleh Rubi’ bin Amir ketika berhadapan dengan Rostum panglima tentera Parsi dalam peperangan Qadisiyyah:


“Kami ini telah diutuskan oleh Allah untuk mengeluarkan segala sesuatu (keburukan kepada kebenaran) daripada penyembahan sesama hamba kepada penyembahan Allah yang Esa, daripada kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat” 


 


Daripada kata-kata hikmah ini dapat kita rungkai beberapa aspek perubahan yang mana saya yakin jika adanya usaha yang dilakukan ke arah pembaikan selari pula dengan lorong yang Islam datangkan maka hasil yang bakal ditemui adalah kejayaan . Antaranya:


1.  Bertepatan acuan tauhid dan akhlak


Melihat kepada tanggungjawab para nabi terdahulu, kita akan dapati Islam datang membawa tauhid yang satu iaitu mengajak manusia untuk tunduk menyembah Allah. Menelusuri sirah nabi s.a.w, kita akan dapat melihat gambaran tauhid yang disemat dalam jiwa para sahabatnya hingga mereka yakin tiadalah pengharapan dan pergantungan mereka selain Allah.


Namun, tauhid ini bukan sekadar dua kalimah syahadah. Tetapi ia adalah satu tuntutan terhadap perkara yang berkait dengan syahadah tersebut dari sudut perlaksanaan rukun Iman dan Islam juga penyebaran dakwah kepada ummah.


2.  Lingkungan kerangka nilai dan adab


Islam datang kepada manusia sebagai rahmat ketika mana agama lain melakukan timbang tara mengikut taraf kedudukan sesama manusia. Kita dapat lihat pada zaman jahiliyyah dahulu, para hamba diseksa, dihina dan sebagainya. Namun, islam membawa cahaya dengan mengangkat martabat manusia dan menghapuskan elemen kezaliman kepada nilai keadilan.


Bilal bin Rabah. Dia hanya seorang hamba biasa. Tetapi islam bukan pandang pada kedudukan pada mata manusia tetapi sisi taqwa itu yang lebih utama. Justeru,  selepas islam berdiri megah, maka Bilal dinaikkan kedudukannya sudah pasti bukan lagi yang terhina sebagai seorang hamba sahaya.


3.  Bersifat menyeluruh


Manusia yang melihat hidupnya sekadar di dunia adalah manusia yang rugi kerana kehidupan sebenar manusia bermula selepas manusia itu mati. Justeru, perubahan yang dilakukan oleh insan haruslah merupakan perkara yang mengcakupi ruanglingkup kehidupan manusia sejagat yang membolehkan mereka menuai hasilnya di akhirat.


Kita akan melihat mereka yang hidup bermatlamatkan dunia, akan melihat dalam skop kepuasan dunianya semata-mata. Manakala orang yang melihat menjangkau masa hadapan yakni kehidupan selepas dibangkitkan maka mereka inilah golongan yang menuju kegemilangan.


 


Kaedah perubahan dalam Islam


Kita telah melihat bagaimana sebenarnya islam itu datang membawa perubahan positif dalam kehidupan manusia. Namun dalam pada manusia ingin melakukan perubahan yang positif perlu ada kaedah yang memandu manusia agar tidak tergelincir daripada jalan yang digariskan oleh agama.


Antara kaedah yang merupakan dasar dalam perubahan adalah:


1.  Menjaga kepentingan semasa (maslahah umum)


Dalam noktah ini, Islam menggariskan pula perihal kepentingan semasa yang perlu dijaga oleh manusia:


i-                    Memelihara agama


ii-                   Memelihara nyawa


iii-                 Memelihara harta


iv-                 Memelihara jiwa


v-                  Memelihara maruah


Jika kembali kepada isu yang dikemukan iaitu berkenaan konsert gergasi yang bakal diadakan, saya mengajak diri saya dan anda para pembaca dari sudut mana ia menjaga kepentingan semasa dalam hidup manusia?


Bahkan program ini sebenarnya meruntuhkan moral dalam agama. Menggadaikan maruah mereka yang menggilai kumpulan tersebut hingga terbawa-bawa dalam etika pemakaian. Mengorbankan jiwa-jiwa muda yang sepatutnya diisi kekosongannya dengan taqwa. Tambahan boleh juga dikategorikan sebagai tidak menjaga harta dengan sebaiknya kerana bayaran mahal yang dikenakan.


Justeru, sudut mana program ini mendatangkan kepada Islam keuntungan? Dari aspek apa program ini boleh menggerakkan perubahan?


2.  Mengambil yang paling ringan keburukannya


Dalam situasi tertentu, kita akan melihat pertembungan dengan sesuatu perkara yang ada keburukannya namun mungkin berbeza dari segi tahapnya. Sebagai contoh isu kepimpinan yang mesti diterajui oleh golongan Islam dalam negara kita kerana dikatakan selari dengan negara Islam hendaknya.


Namun, berdasarkan kaedah ini, Islam menyingkap jaring perpisahan sesama agama dalam pemerintahan dengan meletakkan asas kepada kepimpinan itu yang utama iaitu orang yang mampu dan mempunyai sifat amanah. Jika kedua sifat ini dimiliki oleh golongan bukan Islam maka selayaknya kepimpinan diterajui oleh golongan ini. Namun, dalam hal kepimpinan tertinggi dan yang melibatkan hal ehwal umat Islam maka perlu diberi takhtanya kepada umatnya sendiri.


3.  Berperingkat-peringkat (tadarruj)


Perubahan yang   bersifat keseluruhan dari sudut isi perubahan tetapi tidak pada langkah-langkahnya bahkan perlu kepada pemeringkatan yang tersusun supaya tidak berlaku kejutan budaya. Akhirnya masyarakat tidak mampu menerima apa yang ingin dibawa bahkan lebih buruk menolak terus proses perubahan tersebut.


Sedangkan konsep Islam itu cukup murni dengan tidak melaksanakan syariat tanpa memandang keadaan sesebuah masyarakat (uruf). Pensyariatan solat, puasa,  jihad  dan pengharaman arak contohnya tidak berlaku melainkan dengan pemeringkatan demi meraikan naluri manusia ketika itu yang  sukar menerima sesuatu yang baru melainkan bagi yang kuat imannya.


Bukanlah maksud pemeringkatan yang ingin dijalankan dengan meletakkan ‘akan datang’ dilaksanakan dan ‘menangguhkan pelaksanaan’  itu sebagai caranya. Kalimah Tadarruj itu jangan disalahertikan dengan melengah-lengahkan pensyariatan hukum Allah bahkan bermaksud meletakkan matlamat, wasilah dan tadarruj secara terperinci dan teratur.


Khalifah Umar Abdul  Aziz  ketika ditanya anak beliau,  Abdul Malik mengapa beliau tidak melaksanakan hukuman terhadap golongan zalim yang  wujud pada zaman tersebut dengan kekuasaan beliau sebagai khalifah ketika itu beliau menjawab:


“Jangan terlalu gopoh wahai anakku, sesungguhnya Allah s. w. t mencela arak itu dua kali di dalam Al- Quran dan mengharamkannya pada kali  ketiga.  Sesungguhnya aku bimbang melaksanakan kebenaran sekaligus terhadap manusia kerana mereka akan mendakwa aku secara sekaligus” 


 


Cabaran dan gambaran kekeliruan


Kadangkala ada antara manusia keliru dengan proses perubahan kerana bilamana seorang insan itu berusaha melakukan perubahan didatangkan kepadanya pula cabaran yang menyebabkan perjalanan semakin sukar seperti ujian-ujian yang menyebabkan kemalangan jiwa dan sebagainya. Mengapa?


Saya jadi teringat baru-baru ini ada seseorang bertanya kepada saya:

“Kenapa saya ingin berubah ke arah kebaikan, Allah hadirkan lagi ujian dan cabaran? Bukankan saya ingin menuju pada Rahmat-Nya?


Saya menjawab:


“Sebenarnya jika anda perasan sudah ada rahmat Allah pada diri anda kerana ketika anda ingin berubah Allah masih tetapkan anda untuk mencari kebaikan dan kuatkan anda menghadapi ujian”


Berapa ramai orang yang telah berputus asa untuk berubah kerana dia berasa jauh dari rahmat Allah? Ingat ketika Allah berfirman:


“janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”. (Yusuf:87)


 


Kesimpulan


Isu –isu keruntuhan moral  yang melanda bagaikan tsunami ini di negara kita perlu dirawat dengan segera agar ia tidak menjadi barah yang parah yang akhirnya merugikan kita dan lebih besar merugikan Islam.


Justeru, semua pihak bermula daripada individu hingga ke tampuk pemerintahan perlu peka dengan permasalahan ini agar kita berjaya ‘membina’ negara kita yang baru berdasarkan acuan Islam di atas ‘robohan’ kebatilan.


Ayuh mengorakkan langkahan PERUBAHAN!

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 04, 2012 05:56