Hilal Asyraf's Blog, page 128
December 2, 2012
Novel: Takdir2 – Percaya Yang Tidak Sirna – Cheritera 15.
Picture by Umar Mita of LangitIlahi.
Assalamu’alaikum.
Alhamdulillah, kini kembara Angkasa Sakti dan rakan-rakannya bersambung lagi.
Tempoh hari saya ada kata yang episod online ini akan bersambung hingga Cheritera ke-18.
Tetapi saya membuat keputusan untuk episod Online ini berhenti sekadar di Cheritera ke-15 ini sahaja.
InsyaAllah Novel Takdir2: Percaya Yang Tidak Sirna ini akan diterbitkan pada Kuala Lumpur International Book Fair tahun 2013.
Jadi jangan susah-susah cari di pasaran sebab memang belum terbit.
Tunggu KLIBF’13 nanti ya.
Sementara itu, enjoy episode terakhir online ini!
Doakan agar Allah permudahkan urusan saya!
Semasa seseorang itu diangkat menjadi Jeneral Kerajaan Utopia, mereka diberikan sebuah alat agar dapat merasai keadaan satu sama lain. Ketika Izrayel Junjaki meletakkan posisinya sebagai Ketua Jeneral, dia telah menanggalkan alat tersebut lantas jejaknya tidak mampu dikesani. Tetapi End Less pemerintah Duarte, dia tidak menanggalkan alat tersebut yang melekat pada belakang lehernya. Namun dia berjaya menyuntik auranya ke bahagian alat itu agar pergerakannya tidak mampu dikesani dan dirinya tidak mampu dihubungi. Tetapi End tetap mampu mengetahui apa yang berlaku kepada rakan-rakan Jeneralnya.
Dan ketika sedang dia melayan Wokie Si Gergasi di Uftzi, dia mengetahui akan tumbangnya O Zero. Lantas langkahnya terhenti ketika itu juga. Menyebabkan Wokie menyangka itu adalah peluang untuk menumbangkan bekas Jeneral Utopia ini. Lantas Wokie cuba merodok End dengan tanduk tunggalnya. Tetapi End bukannya alpa dan leka, ketika inilah dia mempersembahkan kekuatannya.
Tanduk Wokie itu ditangkap dengan kemas menggunakan tangan kiri yang bebas, kemudian pinggangnya berputar mengikuti tubuh, melempar Wokie sekuat hati hingga tubuh Gergasi Merah itu menghentam kubu miliknya sendiri. Kubu roboh dan ramai yang mati.
Semua yang ada di medan perang terkesima sebentar melihat apa yang terjadi.
End memandang kepada rakan-rakannya, Kiai Laut, Aizan Fahmi dan Angkasa Sakti yang sedang sibuk menentang Fampush Si Gergasi Hijau. Pertarungan tiga manusia itu dengan gergasi hijau turut terhenti apabila End berjaya melempar Wokie.
“O Zero telah mati.” End bersuara. Mata Kiai Laut, Aizan Fahmi dan Angkasa Sakti membesar. Gembira di dalam hati, hingga bibir mereka bergerak mengungkap hamdalah.
“Jangan bergembira! Aku masih ada!” Fampush melibas ekornya.
“Kiai Laut, kita tamatkan pertarungan ini sekarang!” Angkasa Sakti melaung.
Kiai Laut mengangguk. Terus dia mempraktikkan auranya. Air dari udara terkumpul, menembak tubuh Fampush ibarat peluru. Gergasi Hijau mengerang kesakitan lantas mempertahankan dirinya dengan sayap yang besar.
Aizan Fahmi bergerak pantas mengelilingi Fampush, kemudian memecut deras untuk menyerang Gergasi itu dari belakang. Empat lagi sayap Fampush mula berkibas untuk menyelamatkan diri. Aizan Fahmi terpelanting dek angin yang sangat hebat, namun anakanda Ruh Faizan itu tidak menyembah tanah, bahkan berdiri dengan gagah berpasakkan tombak naganya.
Ketika Fampush sedang sibuk mempertahankan diri dari serangan depan dan belakang inilah, Angkasa Sakti yang sedari tadi mengambil peluang kesibukan musuhnya untuk mengumpul aura, melepaskan segala kekuatannya dalam sebuah penumbuk. Tumbukan Alam yang dipelajarinya daripada Kiai Suci, bapa angkatnya. Angkasa melompat, dan melepaskannya.
“Hiaaargh!” Tumbukan itu tepat mengenai pinggang kanan Fampush. Gergasi hijau itu terkejut, kemudian terpelanting dimamah daya Tumbukan Alam yang pernah meretakkan zirah Long Berk ini. Darah bersemburan dari mulut Fampush.
“Aaaaaargh!” Satu jeritan menggegak gempita kedengaran, disertai dengan beberapa buah batu-batan turun dari langit menjunam ke arah End. End mendongak melihat ancaman yang hadir, namun gelabah tidak sekali menjadi sikap bekas Jeneral Utopia ini. Tenaganya dikumpul pantas bersama tarikan nafas, kemudian tombak tiga matanya dilibas ke atas. Batu-batan yang datang pecah meninggalkan debu-debu hanya.
“Celaka End Less, celaka!” Wokie Si Gergasi Merah sudah kembali berada di hadapan kubu. Keluar bergerak perlahan-lahan dengan wajah penuh kesakitan. End sekadar berdiri di tempatnya tadi. Tidak bergerak tidak melangkah. Menanti.
“Aku akan musnahkan engkau!” Wokie membuka mulutnya, melepaskan bebola api untuk membakar End.
Ketika inilah End bergerak pantas ke hadapan. Beberapa tentera Genetik dan makhluk gergasi lain dari tentera musuh cuba menghalang, namun kepantasan End seperti kilat, tiada siapa dapat menyentuhnya, bahkan mereka pula tercedera. Ada yang tercedera akibat serangan End, ada yang tercedera akibat bebola api Wokie yang menyambar mereka.
“Argh!” Wokie melepaskan lagi bebola api, kali ini lebih besar agar End tidak sempat mengelak ke kiri, mahu pun ke kanan kerana sedang terlalu laju bergerak ke hadapan. Tetapi End kelihatan tidak memandang bebola api itu sebagai ancaman. Terus dia berhenti mengejut hingga tanah tempat dia memijak merekah mengikut seretannya, dan tombak tiga matanya diputarkan ke atas.
Bebola api itu melantun ke belakang apabila bertembung dengan Tombak Tiga Mata milik End. Dan tidak pula bebola api itu terhenti, bahkan semakin bertambah laju bergerak membakar lebih ramai musuh yang berada di belakang End. Bebola api itu tetap tidak berhenti, hinggalah Fampush turut terkena bebola api itu sekali. Mengerang kesakitan Fampush Si Gergasi Hijau. End jelas bijak mengambil kesempatan. Membuatkan Wokie bertambah geram dan marah.
“Hempaplah dia! Dia hanya seorang!” Wokie seperti menjadi gila, mengarahkan seluruh tentera di hadapan kubu untuk menyerang End serentak.
Semua mula berhenti bergerak ke hadapan, semua kini menurut arahan Wokie. Menumpukan perhatian ke arah End. Semua melompat menyerang End serentak.
Tetapi End pemerintah Duarte itu tidak bergerak.
“Satu waktu dahulu, ketika peperangan di Medan Muazzam, aku langsung tidak membunuh sesiapa, dan hanya duduk melihat sahaja. Tentera-tenteraku yang berjuang dan membunuh segala. Namun, benteng tenteraku pecah, dan musuh dalam bilangan yang sangat ramai menerjah ke arahku serentak. Lebih kurang begini.” End mendongak melihat musuh-musuh yang semakin hampir.
Ketika itulah End mempertingkatkan auranya, setinggi mungkin, kemudian melibas Tombak Tiga Mata miliknya ke kanan, ke kiri, dan ke atas, seterusnya memacakkan belakang tombak itu ke tanah semula. Bumi bergegar dan meretak.
Wokie membeliakkan mata.
“Dan kepala mereka ketika itu putus dari tubuh badan mereka, seperti apa yang berlaku kepada tenteramu hari ini juga.” End bersuara.
Darah bersemburan di udara, kepala-kepala musuh, baik dari makhluk genetik mahupun kaum gergasi, terputus dari tubuh mereka. Hujan darah berlaku, dan End memutarkan senjatanya menghasilkan angin yang melindungi tubuhnya dari dikotorinya darah yang banyak. Sekitarnya kini seperti dihampari permaidani darah. Kepala-kepala dan tubuh-tubuh musuhnya jatuh menghempap bumi.
Ramai mati.
Tubuh Wokie bergetar. Inilah kekuatan Jeneral End Less, Pemerintah Wilayah Duarte. Orang sebegini hebat pun tunduk kepada kumpulan manusia yang menganut Agama Langit? Mengapa? Mengapa orang yang sebegini hebat mengkhianati Sang Asura? Sedangkan mereka yang menentang Que Ron dan Ezzen ingin bersama Sang Asura untuk menguasai dunia. Mengapa End memilih untuk berdiri di mana dia berdiri sekarang?
End mula melangkah setapak demi setapak. Telapak kakinya mula diwarnai darah musuh-musuh yang telah tumbang. Sengaja dia melepaskan auranya agar suasana menjadi tertekan buat musuh.
Keadaan ini amat menggerunkan. Wokie hingga melutut. Sambil melihat End yang menghampiri, matanya menangkap nasib sahabatnya Fampush Si Gergasi Hijau.
Fampush sudah tidak tentu arah selepas sebahagian tubuhnya terbakar hasil pantulan bebola api Wokie yang dilancarkan oleh End ke arahnya tanpa jangkaan. Kiai Laut kelihatan sedang menutup wajah Fampush dengan seni kawalan airnya. Fampush sedang tidak tentu arah kehilangan nafas, sambil Kiai Laut berpeluh mengawal airnya agar tidak pecah. Angkasa Sakti dan Aizan Fahmi mengambil peluang ini dengan menyerang tubuh Fampush.
“Pancung Langit!” Angkasa Sakti melibas pedang warisan bapanya itu dengan seni yang dipelajari daripada Kiai Langit. Fampush Si Gergasi tumbang menyembah tanah. Air yang menghalang pernafasannya pecah. Kiai Laut kelihatan tercungap-cungap. Seni yang sukar dipraktikkan rupanya.
Fampush tidak sempat menyusun pergerakannya semula. Bangkit pun tidak sempat. Angkasa Sakti dan Aizan Fahmi sudah berdiri di atasnya pantas, kemudian kedua-dua pahlawan itu menujah senjata mereka pada kedua-dua belah mata Fampush. Teriakan Fampush menggegak gempita.
Tentera Que Ron dan Ezzen mula meliputi medan peperangan dan semakin hampir dengan kubu. Tentera-tentera pemberontak mula tewas dan yang masih hidup berlari kembali ke kubu. Walaupun ramai antara tentera Que Ron dan Ezzen tumbang, semangat mereka tidak luntur. Bahkan dengan kehadiran End, Angkasa Sakti, Aizan Fahmi dan Kiai Laut, semangat mereka bertambah-tambah.
Wokie menggigil. Tidak pernah mengalami suasana sebegini selama ini.
“Bagaimana?” End bersuara.
Baru Wokie perasan yang End sudah berada di hadapannya. Terkejut. Takut.
“Di mana ketua engkau?” End bertanya.
Wokie hendak memandang ke belakang, tetapi matanya sempat menangkap Fampush yang telah menemui ajal apabila kepalanya dipenggal oleh Aizan Fahmi dan Angkasa Sakti kerana masih cuba melawan.
Tewas. Semuanya tewas. Dalam lima bersaudara, kini tinggal Wokie sahaja.
Takut. Takut. Takut. Menyerang jiwa Wokie. Air matanya seperti hendak mengalir. Tidak pernah dia mengalami keadaan sebegini. Takut.
“Aaargh!” Wokie melepaskan semburan api yang amat marak ke arah End yang amat dekat dengannya. Dia melepaskannya sekuat hatinya. Seluruh tenaganya dilepaskan. Dia tersepit, dia ketakutan. Dia berharap serangan ini akan menghapuskan End.
“End!” Kiai Laut, Angkasa Sakti dan Aizan Fahmi turut terkejut dengan serangan yang tidak terjangka itu.
Kiai Laut cuba untuk membantu dengan seni airnya. Tetapi dia tidak mampu lagi mempraktikkan seni itu. “Allahuakbar, segala kekuatan itu daripada Allah jua datangnya ia.” Dia mengeluh. Dia kelemahan. Auranya sudah kehabisan akibat pertarungan yang panjang.
“Tidak mengapa. End insyaAllah tidak apa-apa.” Angkasa Sakti menepuk bahu Kiai Laut. Dia cuba untuk yakin, namun hatinya tetap risau. Maka kepada Allah jugalah dia berharap.
Tentera-tentera musuh mula bersorak. Menyangka End berjaya ditumbangkan. Api yang sangat kuat dan marak itu hingga merosakkan muka bumi. Bahkan kehangatannya turut dirasai oleh mereka yang jauh dari tempat itu. Pastinya End tumbang!
Wokie berhenti apabila dia kehabisan tenaga. Seluruh kekuatannya dilumurkan pada semburan api tadi. Letih. Tercungap-cungap. Asap berkepul-kepul di hadapannya, menutup pandangan dari melihat apa yang terjadi. Namun harapannya, End telah menjadi abu.
“Sudah habis?” Satu suara kedengaran.
Mata Wokie membesar. Suara End!
Namun belum sempat dia hendak menggerakkan tangannya untuk menampar End, End sudah berdiri di bahunya. “Kamu pahlawan yang hebat. Tetapi angkuh. Sesungguhnya ada yang lebih hebat daripada kamu, dan Allah itu lebih hebat dari segala-galanya.” End bersuara.
Walaupun End selamat, namun dia bukannya kebal. Tubuh dan senjatanya berasap dan tangannya kelihatan melecur sedikit.
“Aku terpaksa memutarkan tombakku dalam masa yang panjang, pada masa yang sama berusaha menyalutkan seluruh tubuhku dengan aura yang tebal agar tidak terbakar. Serangan engkau memang serangan yang hebat. Cuma belum cukup untuk menumbangkan aku.”
“Heh, engkau ini suka berbicara juga rupanya ya.” Wokie tersengih.
“Hanya untuk orang yang berusaha seperti kamu.”
“Jangan ingat aku hendak menga…” Wokie menjerit sekuat hati dan hendak memalingkan wajahnya ke arah End untuk menyerang lagi. Tetapi anehnya, dia melihat tubuhnya pula dan End masih di bahunya. Dia melihat darah yang berterbangan di udara. Dia melihat lehernya. Rupa-rupanya kepalanya telah terpisah dari tubuh dan sedang tercampak di udara.
End memandang kepala Wokie yang sebentar berada di udara, sebelum jatuh menyembah bumi. Tubuh Wokie masih dalam keadaan berlutut di hadapan kubu.
Ketika ini semua yang berada di kubu musuh menjerit ketakutan.
“Subhanallah. Allahuakbar.” Kiai Laut tidak mampu berkata apa-apa tatkala melihat kekuatan End. Terasa belas kasih Ilahi menyentuh jiwanya, kala dia berfikir bagaimana agaknya jika End terus menjadi musuh kepada Agama Langit. Sempat dia mengimbau kisah Utusan Langit Terakhir, yang Allah membantu Rasulullah SAW itu dengan manusia-manusia hebat yang dahulunya menjadi musuh seperti Umar Al-Khattab dan Khalid Al-Walid.
Allah itu Maha Pengasih. Dan Dialah pemilik hati. Manusia hanya mampu berusaha. Dialah yang menjadikan sesuatu itu jadi.
“Kiai Laut, nampaknya kemenangan telah menjadi milik kita.” Que Ron dan Ezzen mendekati.
Angkasa Sakti dan Aizan Fahmi berpandangan sesama sendiri.
“Tetapi bukankah mereka mempunyai ketua?”
Ezzen menjawab: “Ya. Wayu namanya. Tetapi kelihatan dia tidak muncul.”
Ketika inilah End terpelanting dari tempat dia berdiri tadi ke tempat Kiai Laut, Angkasa Sakti dan Aizan Fahmi berada. Semua yang ada terkejut. Angkasa dan Aizan cuba membantu End.
“Aku cuai.” End bersuara. Sedikit mengerang kerana tubuhnya memang sudah kesakitan akibat serangan Wokie tadi.
“Pertama kali melihat engkau tumbang.” Angkasa bersuara.
End sempat mengukir senyuman. “Aku hanya hamba.”
Semua melihat ke arah kubu musuh. Ketika ini, tubuh Wokie yang berada di pintu masuk itu tiba-tiba musnah. Kiai Laut, Angkasa Sakti, Aizan Fahmi terbeliak.
“Wayu sudah sampai.” Ezzen bersuara. Que Ron sekadar mampu menyilang tangan di dada.
Dalam keadaan darah Wokie turun seperti hujan, kelihatan satu bala tentera baru bergerak keluar dari kubu. Satu makhluk genetik bertubuh seperti Ezzen, jelas merupakan kacukan ular, lengkap dengan zirah perang, sedang menggepalai bala tentera yang terdiri dari makhluk genetik dan kaum gergasi itu, dalam keadaan dirinya dipayungi tenteranya dari hujan darah yang menimpa.
“Macam kita sahaja tubuhnya.” Angkasa bersuara. Dia menyangka ketua pemberontak adalah dari kaum gergasi.
“Dia bekas ketua jeneral aku.” Ezzen bersuara. “Kekuatannya amat hebat.”
Kiai Laut yang masih mengah, bersuara kepada Que Ron dan Ezzen: “Kamu berdua, serulah dia supaya mengalah.”
Que Ron dan Ezzen berpandangan sesama sendiri.
“Mustahil Kiai Laut.”
“Mengapa?” Angkasa kehairanan. Bala tentera Wayu memang nampak gagah, tetapi jelas sedikit cuma. Wayu mungkin hebat, tetapi dia sedang berhadapan dengan Kiai Laut, End, Aizan Fahmi, Que Ron dan Ezzen, termasuk dirinya – Angkasa Sakti. Apakah dia terlalu hebat?
“Kerana luka di dalam dirinya terlalu dalam.”
“Hah?” Aizan Fahmi tidak mampu memahami.
Kini semua memandang Wayu.
“Ezzen, Que Ron, sekarang engkau sanggup bergabung dengan golongan manusia celaka ini pula ya?” Wayu berteriak.
“Setelah kalian sering berperang sesama sendiri, tamakkan kuasa, kini kalian sanggup bergabung dengan manusia-manusia yang telah mengkhianati kaum kita. Rendahnya diri kalian!” Wayu meninggikan suara lagi.
“Dia membenci manusia. Terutama yang berAgama Langit.” Ezzen memberitahu.
“Kerana manusia yang berAgama Langitlah yang menciptakan kami, kemudian menyisihkan kami. Kerana itu Kiai Laut, kami sukar menerima seruanmu.” Que Ron memandang Kiai Laut.
Kiai Laut sekadar mampu mengangguk. “Aku memahami.”
Sejarah jelas menunjukkan bahawa ketika zaman 5 Kerajaan dahulu, wujud perang dingin antara mereka, dan masing-masing berusaha mencipta senjata yang mampu menewaskan lawan mereka. Makhluk Genetik dan Kaum Gergasi adalah hasil dari kajian persenjataan mereka. Namun apabila kaum-kaum ini kelihatan membahayakan mereka, Makhluk Genetik dan Kaum Gergasi ini mula hendak dihapuskan, kecuali yang taat kepada mereka.
Sebahagian besar Kaum Gergasi dan Makhluk Genetik melarikan diri dan menghilang. Lama kemudian baru diketahui bahawa mereka hidup di satu tempat bernama Uftzi, dan tiada manusia yang berjaya menjumpai atau menjejakkan kaki ke Uftzi. Mereka tahu pun berdasarkan cerita-cerita makhluk genetik dan kaum gergasi yang turun dari sini.
Sebahagian kecil Kaum Gergasi dan Makhluk Genetik yang tidak berhijrah pula tunduk kepada pelawaan Sang Asura, untuk membalas dendam terhadap manusia.
“Tetapi bukan semua manusia sedemikian.” Angkasa Sakti mengetap bibir.
Que Ron dan Ezzen mengangguk. Benar. Tetapi Wayu tidak mahu mendengar semua itu. Wayu yang turut berhijrah bersama mereka, rasa kecewa dengan pergaduhan yang berlaku di Uftzi antara Mahluk Genetik dan Kaum Gergasi. Lantas merasakan bahawa mereka sepatutnya tinggal sahaja di bumi dan tunduk pada pelawaan Sang Asura. Kerana itu akhirnya, dia membina ketumbukan tenteranya sendiri, mengkhianati Kerajaan Kaum Gergasi dan Makhluk Genetik.
“Dendamnya menggunung tinggi dan berapi-api.” Ezzen menghela nafas.
“Sekarang adalah masanya aku menghapuskan kamu semua, dan menjadikan Uftzi sebagai salah satu wilayah kekuasaan Sang Asura!” Wayu menamatkan teriakannya.
“Serang!” Arahan dikeluarkan.
Bala tenteranya mula bergerak.
“Kiai Laut, End Less, biarlah Wayu ini kami uruskan. Kalian bantulah kami untuk menghadang kemaraan tenteranya.” Ezzen berbicara, dia dan Que Ron memandang Kiai Laut dan End. Kedua-duanya mengangguk tanda setuju.
“Aku mahu menentangnya juga.” Angkasa Sakti mencelah.
Que Ron dan Ezzen memandang Angkasa.
“Aku mahu tunjukkan kepada dia bukan semua manusia begitu!” Bersungguh Angkasa bersuara.
Que Ron memandang Ezzen. “Mungkin Angkasa Sakti ini boleh membantu kita.”
Ezzen mengangguk. “Angkasa Sakti, ya. Marilah.”
Que Ron dan Ezzen memandang ke arah tenteranya. “Turutilah arahan Kiai Laut, Jeneral End, dan anakanda Ruh Faizan bernama Aizan Fahmi ini. Kami hendak bertarung secara langsung dengan Wayu.”
“Baik!” Seluruh tentera mentaati.
Pusingan terakhir.
Que Ron, Ezzen dan Angkasa Sakti pun bergerak.
“Tanah Suci, nantikan kami.” Angkasa membisik pada dirinya. Selepas tamat peperangan di Uftzi, pastinya Tanah Suci akan mendapat ketumbukan tentera tambahan yang sangat hebat.
Semoga Allah mempermudahkan. Dia berdoa. Segala pergantungannya kepada Allah jua!
******
Tentera pimpinan Izrayel Junjaki dari Tanah Suci sedang berada di tengah hutan. Mentari sudah memacak di tengah langit. Tengahari dan waktu sudah hampir memasuki Zuhur. Namun terik mentari tertapis dengan pokok-pokok yang wujud. Mereka dijangka akan tiba tidak lama lagi di Midori. Ini pun perjalanan mereka seakan telah disingkatkan oleh Allah dengan cara tidak mereka jangka. Jika tidak, perjalanan ke Midori tidak akan sesingkat ini.
“Apakah memang para Kiai ini ada keramat untuk menyingkatkan perjalanan?” Ezakiel bertanya kepada Pertapa Arjuna.
Pertapa Arjuna tersenyum. Menggeleng. “Kami tidak punya apa-apa keramat. Kami tidak mempunyai magik untuk kami kawal. Singkatnya perjalanan, bukan dalam kawalan kami. Cumanya kami bertawakkal sepenuh hati kepada Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya. Masa, Bumi, Nyawa kita, semuanya adalah milikNya. Maka Dialah yang menyingkatkan perjalanan, manakala kami hanya berharap sepenuh hati sambil berusaha.”
“Oh.” Ezakiel turut tersenyum. Dia rasa senang berjalan bersama gurunya. Sepanjang perjalanan merentasi belantara Midori ini, dia dapat melihat beberapa haiwan datang mengiringi perjalanan mereka dan menghampiri gurunya. Gurunya punya kelebihan berbicara dengan haiwan, walaupun gurunya berkata bahawa dia tidak memahami bicara mereka. Kiai Hutan memang gelaran yang tepat buat gurunya.
“Hoi, lama lagi ke!” Satu suara kedengaran di tengah-tengah bala tentera mereka. Izrayel, Ezakiel, Pertapa Arjuna, dan Waqqas Ali Qadri yang memimpin tentera menoleh.
“Lamanya kita berjalan!” Satu lagi suara berteriak.
“Orang Hisyam Wakeel.” Waqqas bersuara, memandang Izrayel.
“Kalian ada apa masalah?” Izrayel lantas bersuara. Pergerakan tentera terhenti.
“Bila mahu sampai?” Beberapa orang menjerit seperti orang gila.
“Kita sudah semakin hampir.” Izrayel memberitahu. Marahnya terjentik, tetapi dia masih cuba mengawal rasa di kalbu.
“Kau mahu kami berperang dalam keadaan letih sebegini? Panas terik sebegini?” Mereka bersuara lagi. Kini seluruh tentera mula menjadi riuh.
“Bukankah kita baru sahaja berehat, dan bukankah panas sebegini adalah biasa untuk kalian? Bahkan pokok-pokok ini telah menghadang keterikan mentari.” Izrayel cuba mengawal keadaan dan menjentik rasional.
“Ah, kau memang nak kami semua mati!” Mereka masih berdegil membuat kacau.
Pertapa Arjuna memandang Izrayel, “Jika mereka terus begini, habislah operasi kita. Kita mahu mengejutkan Midori. Tidak boleh bising sebegini.” Izrayel mengangguk faham. Lantas dia mengangkat kedua-dua belah tangannya.
“Kalian, kita sedang berada dalam teritori musuh. Operasi kita perlukan kerahsiaan. Kita mahu mengejutkan musuh.”
“Pergi mampuslah engkau Izrayel! Engkau bukannya beriman sebelum ini, apa yang engkau tahu hendak memimpin kami?” Teriakan itu kembali meriuhkan keadaan.
“Kita jangan ikut lagi tentera ini. Jangan ikut!” Keadaan mula tidak terkawal.
“Cis, jelas orang-orang Hisyam Wakeel ini memberikan masalah!” Waqqas geram.
“Baiklah, siapa mahu pulang, pulang. Kami tidak memerlukan kalian. Allah bersama-sama kami, dan berapa pun bilangan yang kami ada, itulah yang akan kami gunakan untuk berjuang di atas jalanNya. Kita tidak memerlukan kuantiti, kita memerlukan kualiti.” Izrayel mula berpaling untuk meneruskan perjalanan.
“Serang!” Kedengaran satu suara melaungkan arahan. Izrayel terkejut, lantas segera berpaling.
“Argh!” Suara tentera-tentera mengerang kesakitan turut kedengaran. Waqqas, Pertapa Arjuna dan Ezakiel turut terkejut. Tentera mereka berbunuhan sesama sendiri.
Keadaan mula berkecamuk, riuh rendah. Mereka mula bergaduhan sesama sendiri. Orang-orang Hisyam Wakeel bukan mudah hendak dikenali, tetapi jelas mereka yang memulakan perkara ini. Kini tentera pimpinan Izrayel mula berperang sesama sendiri.
“Allahuakbar. Apa yang sedang berlaku ini?” Izrayel terkejut.
“Berhenti, berhenti!” Ezakiel menjerit.
Tetapi tiada siapa yang menghiraukan mereka. Bahkan ada sebahagian tentera pergi menyerang Waqqas, Pertapa Arjuna, Ezakiel dan Izrayel.
“Arahan Hisyam Wakeel perlu kami turuti!” Mereka cuba membunuh kepimpinan tentera dari Tanah Suci ini. Namun mereka bukan tandingan. Izrayel pantas sahaja menebas tubuh mereka. Waqqas mengelak serangan ke arahnya, kemudian terus anak panahnya menikam belakang musuhnya. Ezakiel menangkap pedang yang ditujukan kepadanya, kemudian mencairkan pedang itu seterusnya menekapkan besi cair lagi panas itu pada wajah musuhnya. Pertapa Arjuna pula tidak sempat berbuat apa-apa, seekor singa genetik yang sentiasa menemaninya telah menerkam musuhnya.
“Mana Hisyam Wakeel?” Izrayel cuba mencari.
“Ya, baru kita perasan dia tiada.” Waqqas bersuara.
“Ah, dia pasti ada agendanya yang tersendiri!” Ezakiel memandang gurunya. Pertapa Arjuna mengangguk.
Ketika inilah satu siulan panjang kedengaran lagi mengilukan. Hutan itu tiba-tiba bergegar dengan gegaran yang sangat kuat. Dan satu tekanan yang teramat berat muncul. Ezakiel hampir sahaja hendak melutut, jika tidak Pertapa Arjuna menghulurkan tangan dan menyalurkan kekuatan. Izrayel kenal akan aura ini.
“Rafael.”
“Hahahahahahaha. Bergaduhan sesama sendiri?” Kuat suara itu kedengaran. Semua tentera yang bergaduhan sesama sendiri terhenti seketika.
“Hihi. Bantuan kami telah tiba.” Orang-orang Hisyam Wakeel yang wujud di tengah-tengah tentera mula merasakan rancangan mereka berjaya.
“Serang!” Suara Rafael kedengaran memberikan arahan. Orang-orang Hisyam Wakeel meneruskan agenda mereka, pada masa yang sama tentera-tentera Wilayah Midori muncul dari atas pokok-pokok yang memayungi tentera Tanah Suci. Mereka turun ibarat hujan, terus melancarkan serangan.
Saat ini, Singa genetik yang menemani Pertapa Arjuna mula mengaum sekuat-kuat hati ke satu arah. Izrayel, Ezakiel, Waqqas dan Pertapa Arjuna memandang ke arah itu. Kelihatan dari celah pokok-pokok besar yang ada, muncul Rafael sedang menunggang seekor serigala gergasi, ditemani beberapa serigala bersaiz besar bersama mereka.
“Ah, Izrayel yang digeruni ada bersama. Ha, ha, hahahaha. Menarik, menarik!” Rafael ketawa berdekah-dekah. Dia dengan keceriaannya yang tidak bertempat itu memang tidak mampu dipisahkan.
“Rakan-rakan, serang!” Serigala-serigala dilepaskan.
Semua terjun ke tengah medan, membaham tentera-tentera Izrayel. Pasukan Tanah Suci diserang hebat. Barisan mereka terus kucar-kacir.
“Engkau sudah tahu kami akan datang.” Izrayel memandang Rafael.
“Hahaha. Orang Tanah Suci dikhianati oleh orang-orang mereka sendiri. Kami sudah mengetahui!” Rafael memegang perutnya, banyak ketawa.
“Ini semua aturan Hisyam Wakeel.” Waqqas kegeraman.
“Waqqas, Ezakiel, Kiai Hutan, bergerak untuk menyatukan semula barisan tentera kita. Aku akan cuba menentang Rafael dan serigala-serigala yang ada.” Izrayel menghunus pedang sumbingnya.
“Izrayel, engkau berikan tumpuan penuh kepada Rafael. Serigala-serigala itu biar aku uruskan. Waqqas, usahakan agar rakan-rakan dari Chinmayi dalam tentera kita dapat bersama denganmu. Ezakiel, cuba satukan kembali tentera-tentera yang lain.” Pertapa Arjuna mencadangkan.
Izrayel mengangguk. Kemudian dia memandang Waqqas dan Ezakiel, mengarahkan mereka bertindak segera.
Mereka pun berpisah. Singa Genetik turut beredar mengikuti Pertapa Arjuna.
“Ah, engkau hendak menentang aku berseorangan? Haha. Menarik, menarik.” Rafael ketawa, mendekati Izrayel dengan serigalanya.
“Angkuh sungguh engkau, sudah lupakah engkau aku ini siapa?” Izrayel menajamkan pandangannya.
“Bekas ketua aku? Haha.” Rafael menentang pandangan itu. “Aku memang mahu menguji kekuatan aku dengan engkau. Mungkin jika engkau berjaya aku tumpaskan, aku tidak perlu takut lagi dengan Long Berk. Bahkan, aku mungkin akan dinaikkan pangkat oleh Tuanku Asura. Bukankah itu menarik? Menarikkan? Hahaha.”
“Kalau kematianmu satu perkara yang menarik, maka aku tidak akan berbelas kasihan.” Izrayel terus memegang hulu pedangnya dengan kedua-dua belah tangan.
“Bersiap sedialah Rafael.” Terus Izrayel lesap usai ucapannya.
Rafael melompat meninggalkan Serigalanya, menghunuskan kedua-dua bilah pedangnya. Ketika inilah dia melihat serigala tunggangannya tadi terbelah dua. Darah bersemburan merata-rata. Izrayel telah menebas serigala itu dalam keadaan yang sangat pantas.
“Cis, dia masih hebat. Bahkan lebih hebat daripada dahulu!” Kegerunan menyelinap dalam diri Rafael. Dia tahu dia tidak akan mampu menentang Izrayel seorang diri.
“Turun sekarang!” Dia melaung. Izrayel yang sedang berlari pada sebatang pokok untuk menangkapnya di udara, kini perasan akan kehadiran 10 orang tentera elit Rafael.
“Sudah aku jangka!” Izrayel mengetap bibir. Terus dia menolak tubuhnya menuju ke arah Rafael yang berada di udara. Tetapi hajatnya itu tidak kesampaian apabila 10 tentera elit itu menghalangnya. Mereka bersepuluh sungguh gagah perkasa.
Memang setiap dari mereka bukan lawan Izrayel, tetapi jika bergandingan tenaga, ditambah pula dengan Rafael, Izrayel juga akan tertekan.
Kini dia sedang menjunam turun dari udara menuju ke bumi sambil tubuhnya dicengkam oleh 10 pahlawan elit ini. Pantas Izrayel mengeluarkan auranya, kemudian cuba memutarkan tubuhnya. 10 pahlawan elit Rafael terpelanting menjauhi dirinya. Izrayel mendarat ke bumi dengan penuh bergaya. Tanah retak seraya pendaratannya.
“Belum tamat Izrayel!” Rafael menujah dengan kedua-dua pedangnya dari udara. Laju pergerakannya. Rafael memang terkenal pantas.
Terus Izrayel mempertahankan diri dengan pedang sumbingnya. Hutan bergegar dengan pertembungan mereka. Pertarungan yang sengit bermula.
“Ya Allah, kami merancang lain dan Engkau memberikan yang lain. Kini barisan kami kucar kacir dan musuh pula amat hebat mengepung dan menyerang kami. Tetapi segala susunan Engkau aku yakini adalah yang terbaik, maka kami akan terus berusaha untuk memenangi perjuangan dan ujian ini. Bantulah kami Wahai Ilahi!” Suara hati Izrayel berdoa.
********
Bau masin air laut menyengat hidung. Angin yang bertiup membuatkan diri terasa nyaman. Bunyi ombak memukul pantai menggetarkan gegendang telinga.
“Bagaimana mahu ke Brynhildur jika begini?” Toriq, Panglima dari Bumi Barakah, saling berpandangan bersama tiga rakannya yang lain – Hudzaifah Yamani, Yahya Waseem dan Talhah Ubaidillah.
Panglima Terasing memandang ke arah laut. Kemudian dia menoleh ke arah Mughirah Syu’bah.
Panglima genius medan perang dari Tanah Suci itu berdiam diri. Memandang jauh ke laut.
Mereka tahu Brynhildur adalah pulau. Tetapi mereka menyangka akan ada perusahaan kapal di sini. Mughirah Syu’bah memandang ke arah pusat perkapalan yang kini hancur dan tidak tinggal apa-apa. Nampaknya perusahaan kapal di sini sama ada sudah lama tiada, atau sudah dihancurkan.
Perancangan mereka terganggu.
“Kiai Langit, senior-senior Panglima dari Bumi Barakah sekalian, saya tidak punya apa-apa perancangan baru buat masa ini.” Mughirah Syu’bah bersuara. Sopan seperti biasa. Sambil terus memandang laut.
Panglima Terasing atau Kiai Langit menghela nafas. “Allahuakbar. Allah jualah yang punya kata akhir dalam segenap perancangan dan usaha kita. KepadaNya kita bersangka baik dan bertawakkal.”
Hudzaifah Yamani, Panglima Bumi Barakah yang berambut perang, tinggi lampai, bersenjatakan parang kembar, berzirah lengkap, mengangguk. Yahya Waseem, Panglima Bumi Barakah yang amat kacak, berambut hitam pekat, tingginya seperti Mughirah Syu’bah, menyandang sebilah pedang panjang di belakangnya, sekadar berdiam diri. Manakala Talhah Ubaidillah, pemanah handalan dari Bumi barakah, berambut hitam sedikit terpacak, sekadar menepuk bahu Toriq agar redha. Toriq mengangguk.
“Celaka, mereka ini menipu kita!” Satu suara kedengaran. Mengejutkan semua yang ada. Semua kepimpinan memandang.
“Kata mahu berperang di atas jalan Tuhan, tetapi rupanya membawa kita bersiar-siar melihat lautan!” Seorang lagi menyelar.
Semua yang ada mula kecoh. Ada yang mula menyuruh mereka berdiam. Tetapi ada pula yang seperti hendak menyokong. Semua terasa penat dan letih berjalan jauh.
“Bertenang, bertenang. Kita tidak menyangka perusahaan kapal di sini telah tiada.” Panglima Terasing cuba menenangkan keadaan.
“Ah! Kamu semua kepimpinan yang tidak boleh diharap!”
“Mari kita pulang!”
“Tinggalkan mereka ini!”
Mughirah Syu’bah melihat satu persatu wajah yang melaungkan api kemarahan dan perpecahan di tengah tentera mereka. Kemudian dia menghidu angin laut.
“Mereka ini orang-orang Hisyam Wakeel.” Syu’bah berbisik kepada Panglima Terasing. Mata Kiai Langit itu membesar.
“Dan, tentera musuh sedang menghampiri.” Mughirah Syu’bah memandang ke belakang.
Ketika inilah satu letupan berlaku di tengah-tengah pantai tempat mereka berada. Pasir pantai terangkat ke udara. Semua yang hadir terkejut.
“Itulah tandanya. Serang!” Satu suara melaungkan arahan di tengah-tengah tentera yang dipimpin oleh Panglima Terasing.
“Argh, Argh!” Erangan kesakitan kedengaran. Tentera mereka diserang dari dalam. Orang-orang Hisyam Wakeel mula bergerak.
“Allahuakbar, apakah yang sedang berlaku?” Toriq memandang keadaan yang sedang berlaku di tengah tentera mereka, kemudian menoleh ke arah laut.
Kapal-kapal besar lagi banyak muncul di tengah-tengah lautan. Mereka menghujam Tentera dari Tanah Suci ini dengan meriam dan tombak. Pada masa yang sama, Tentera dari Tanah Suci ini sibuk dengan serangan dari dalam barisan mereka sendiri.
Mughirah Syu’bah kekal di tempatnya. Dia amat tenang walau rakan-rakan kepimpinan yang lain sudah mula menggelabah.
“Senior Hudzaifah, Senior Yahya dan Senior Toriq. Kalian pergi menyusun semula tentera kita. Senior Talhah, sebagai pemanah handalan Bumi Barakah, sila pimpin rakan-rakan kita dari Chinmayi untuk menggunakan kelebihan mereka menyerang kapal-kapal musuh ini. Panglima Terasing, dengan penuh hormat, sila menemani saya. ” Mughirah Syu’bah menyentuh bahu Panglima Terasing di sebelahnya.
Toriq dan rakan-rakannya bergerak pantas mengikut arahan Syu’bah.
Kiai Langit memandang anak muda bernama Syu’bah ini.
Tenang.
“Jika Allah izin kita pulang dari keadaan yang amat tersepit ini, aku mahu engkau ceritakan kepadaku akan kisah kehidupanmu.” Panglima Terasing bersuara.
Mughirah Syu’bah tersenyum sahaja.
Ketika inilah kapal-kapal besar itu semakin mendekat ke persisiran pantai, namun tidak terus mara ke hadapan. Mereka kelihatannya hanya hendak menyerang dari jauh.
“Hahaha. Mati, mati, mati! Ada hati mahu menyerang kami di Brynhildur. Kami yang mara ke mari!” Suara Valdis kedengaran pada sebuah kapal yang paling besar, berada di tengah-tengah kapal yang lainnya.
“Itulah dia sasaran kita Panglima Terasing.” Mughirah Syu’bah menunjuk. Yang ditunggu akhirnya keluar juga. Kapal Paling Besar itulah target mereka.
“Cumanya, bilangan mereka terlalu ramai.”
“Mereka amat sedikit bila ditewaskan.” Mughirah Syu’bah berbicara.
Panglima Terasing tersenyum dibuatnya. “Kamu ini… memang.” Belakang tubuh Panglima genius itu ditepuk oleh Kiai Langit.
“Jadi, macam mana kita mahu ke kapal itu?”
“Kiai Langit, jangan terlalu merendah diri.” Mughirah Syu’bah menyalurkan auranya ke telapak kaki, kemudian terus bergerak merentas lautan.
Panglima Terasing tersenyum. “Bukan sebarangan orang boleh mengawal aura sedemikian mudah.” Kemudian dia turut melakukan perkara yang sama. Bukan merupakan satu kesusahan buatnya.
Mughirah Syu’bah dan Panglima Terasing bergerak untuk mengkucar-kacirkan musuh di pengkalan mereka sendiri.
Walaun dalam keadaan tersepit, mereka tidak mahu mengalah.
Pantang.
Usaha selagi masih ada ruang.
Percaya mereka tidak akan sesekali sirna!
*******
Suasana mula melabuh ke senja. Maisarah bersendirian di dalam kamar. Kepada Yang Esa jualah dia banyak bersama, mengadu segala gundah gulana. Apatah lagi apabila tentera-tentera Tanah Suci sudah keluar untu berperang di luar.
Kenangan pahit kali terakhir Tanah Suci berperang di luar masih berbekas di dalam hatinya. Itulah kala bondanya meninggal dunia dibunuh oleh Long Berk durjana kerana hendak melindungi ayahandanya. Semenjak itu tidak pernah Ayahandanya mengarahkan tentera berperang luar dari kawasan Tanah Suci.
Dia sudah lama tidak mendengar pengkhabaran daripada kandanya Aizan Fahmi, dan dengan itu juga dia tidak mengetahui keadaan Angkasa Sakti. Risaunya menggunung tinggi kini.
Beginilah dia saat kerja-kerjanya telah selesai di medan bersama ibu-ibu Tanah Suci. Usai tentera bergerak keluar, maka ibu-ibu pun pulang ke rumah kerana tiada lagi persediaan yang hendak dilakukan seperti sebelum tentera pergi. Sebelum tentera pergi, mereka sibuk mempersiapkan buat para tentera itu dan ini. Kini semua kembali ke rumah dan mengadukan tawakkal kepada Ilahi.
Ayahandanya, Raja Ali dan Panglima Khalid yang masih belum sembuh sepenuhnya telah banyak menghabiskan masa di sekitar Ka’bah. Beribadah, memberikan penyampaian kepada masyarakat yang masih tinggal, dan membuat persiapan dengan tentera-tentera yang masih berbaki jika ada kemungkinan Tanah Suci diserang.
Maisarah melekatkan dahi pada sejadah, berdoa dan terus berdoa.
Allah jualah empunya segala kekuatan. Dialah pemilik kemenangan dan pemberi kepada kekalahan. Maka segala permohonan itu kepadaNya. Maisarah yang tidak mampu berperang di tengah medan, sekurang-kurangnya merasakan dirinya mampu menyumbang dengan berdoa bersungguh-sungguh kepadaNya.
Tiba-tiba leher Maisarah seperti dicengkam.
Baru sahaja dia hendak menjerit, mulutnya pula ditutup.
Matanya bergerak kiri dan kanan cuba melihat siapakah yang sedang menangkapnya kini.
“Diam, kau akan menjadi tebusan buat aku menundukkan Ruh Faizan!”
Dia kenal suara itu!
Hisyam Wakeel!
Allahuakbar, Ayahanda, tolong!
Tetapi suaranya tidak keluar. Dia terus dibawa lari.
————————————–
Novel Takdir 2: Percaya Yang Tidak Sirna boleh dibaca secara ONLINE dari Prolog hingga Cheritera 15 di link:
http://langitilahi.com/category/karya...
Sekian.
Berita: Kemalangan jalan raya menjadi-jadi
Gambar diambil daripada - http://sriamannews.blogspot.com
Kematian ngeri yang melibatkan hampir sedozen nyawa melayang dalam dua minggu ini amat mengecewakan. Bermula dengan empat pekerja Propel di Gopeng, lima sekeluarga maut di Slim River, seterusnya empat lagi di negeri Johor.
Kemalangan seperti ini meninggalkan kesan yang sangat negatif ke atas persepsi pengguna jalan raya di Malaysia berkaitan sikap pemandu dan infrastruktur jalan raya.
Dalam kemalangan maut, sama ada yang berlaku di lebuh raya atau jalan persekutuan, siapakah yang bertanggungjawab? Setiap jalan raya mempunyai sistem pentadbiran yang membantu memudahkan perjalanan. Contohnya, jalan yang berturap, garisan yang jelas dan papan tanda yang memudahkan. Kebanyakan jalan raya disenggara dengan baik khususnya yang melibatkan kegunaan orang ramai.
Sikap salah-menyalahkan dan menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah. Sikap ini juga jauh daripada memberi penyelesaian.
Perkhidmatan jalan raya diuruskan beberapa agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia dan di pihak swasta, syarikat konsesi bertanggungjawab membuat senggaraan. Biasanya agensi-agensi ini mempunyai pengkhususan kepakaran masing-masing dan sentiasa dikoordinasi melalui akta dan undang-undang di peringkat persekutuan.
Contohnya bagi meningkatkan penguatkuasaan had laju di lebuh raya, Polis Diraja Malaysia sentiasa membuat perangkap had laju di laluan “hitam” sepanjang Lebuhraya Utara Selatan. Pengguna yang memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan, mereka hanya perlu menunggu saman trafik yang dihantar ke rumah. Saman jenis ini dinamakan saman ekor kerana saman dikeluarkan dan mengikut pemandu sehinggalah ke rumahnya melalui perkhidmatan pos. Masalah saman jenis ini ialah alamat yang tidak lengkap, pemandu telah berpindah rumah, kenderaan sewa dan penggunaan nombor plat palsu.
Penguatkuasaan yang sedang hangat diperkatakan hari ini ialah Automatic Enforcement System (AES). Pemasangan di beberapa tempat “panas” di seluruh negara menimbulkan konflik kepada pengguna. Dalam sebulan pelaksanaannya, ribuan pengguna telah disaman. Walaupun reaksi pengguna bercampur-campur, kerajaan bertegas melaksanakan sistem ini kerana telah membantu pengguna jalan raya di 90 buah negara seluruh dunia.
Jika melihat kepada kerja-kerja senggaraan jalan raya, boleh dikatakan proses ini agak perlahan. Contohnya, mengecat garisan putih. Kadangkala kita tidak boleh bezakan lorong tengah dan lorong tepi kerana warna garisan yang sudah pudar, terdapat juga lubang dan lopak kecil yang membahayakan penunggang motosikal. Papan tanda juga tidak strategik dan patah sudah lumrah.
Menurut Malaysian Institute of Road Safety Research (Miros), kemalangan jalan raya disumbangkan oleh faktor manusia berbanding mesin atau alam. Manusia sebagai pengendali mesin bertanggungjawab sepenuhnya atas kemalangan yang berlaku kerana mereka mempunyai pilihan untuk mengelak kemalangan. Contohnya kita ambil keletihan semasa memandu sebagai kajian kes. Bukan sedikit kemalangan yang berlaku kerana faktor letih. Jika kita memandu dari Putrajaya ke Ayer Keroh, Melaka kita akan dapat lihat penghadang jalan yang remuk, kesan hitam tayar kerana brek mengejut dan lori masuk gaung. Semua kejadian ini boleh dielakkan jika pemandu mengambil sedikit masa untuk berehat dan meneruskan perjalanan selepas badan kembali segar.
Di Malaysia, seolah-olah satu penyakit apabila sesuatu kemalangan jalan raya berlaku. Penyakit ini ialah kemalangan yang meragut banyak nyawa. Jika di Perak melibatkan empat atau lima orang sekali gus, di Johor pun begitu. Mungkin di tempat lain akan jadi perkara yang sama.
Menjaga keselamatan diri ketika berada di jalan raya perlu diingatkan kepada semua pengguna. Kempen kesedaran dan pemanduan berhemah wajar digandakan khususnya oleh kementerian yang berkenaan. Sehingga kini tidak banyak iklan peringatan yang disiarkan berbanding beberapa tahun lalu. Kerajaan wajar memperuntukkan sejumlah dana bagi kempen keselamatan jalan raya kerana kematian yang tinggi akibat dilanggar atau melanggar kenderaan adalah satu kerugian kepada negara. Keadaan ini juga menunjukkan sistem pengangkutan negara masih tidak banyak berubah.
English Column: To Boycott or Not to Boycott today’s Nazis?
“It may look soft but it isn’t”
Picture by by ~shiaking of deviantart.com
It is said that “The Holocaust” was the excuse to slaughter the Palestinians by the Zionists. Nothing is more despicable than using the massacre of them by the Nazis to justify the genocide of other people.
Well, if this Holocaust is true, the one who exterminated them was the German Nazis but now, the Nazis of today are the Zionists! They are repeating the same animalization as the German’s once did!
Given the brutalization of today upon the Palestinians, the question has to be asked, is it advisable to boycott or not to boycott today’s Nazis?
The contribution of Israel to the world
The term Israel, Jews, Zionist are different. But in this article, it connotes the same.
Nobody can deny the contributions of Israel to the world in the development of science, technology, food and almost everything under the sun.
The lists of boycott Israeli companies are long. But the most close to the heart of Malaysians are McDonalds, Nestle, Arsenal FC, Nokia, Disney, Starbucks, Coca Cola, Danone, Motorola, Intel, Huggies, Cadbury, L’OREAL and many more. Too long. Almost every goods sold in the market are Israeli-related products.
In the advances of computer for example, the most preferred processor by Intel raging from Pentium MMX Chip to the fastest i7 were all designed, developed and produced by Israel. Even the alternative of Intel such as AMD has negative rumors surrounding it.
For the food industry, Nestle is by far the most dominant food maker in the world. From a personal point of view, the products of Nestle are unparalleled in every way; in its taste, its price and its design. For example, Nestle’s breakfast cereal of Kokokrunch and Honeystars are the best compared to other cereals.
In addition, in Malaysia, ironically, the company that champions the Halal Project is Nestle not any full-fledged Muslim product but Nestle, the infamous supporter of Israel.
How hard any Muslim product tries to rival Milo, they will fail. Milo is sold in every single stall; either it is a stall near a dumpsite or in any first-class air-conditioned luxurious restaurant. Milo is unrivaled, HPA produced “Radix Coco”, DH Mega produced “Smylo”, and even the once famous “Vico” by a Chinese company Yan Haw still could not challenge Milo.
The answer “Sorry we don’t sell them here, we only have Milo” will heard whenever the question “Do you have Vico (or the aforementioned products) here?“ is asked.
How impactful is the boycott effort?
Humans are interested in truth that are definite and tangible not indefinite and intangible. So before jumping into any conclusions, it is crucial to discuss how impactful is the effort of boycott of Israeli-related companies.
Published in 1994, Constance A. Hamilton conducted a research titled “Effects of the Arab League Boycott of Israel on U. S. Businesses,” to estimate the costs to U.S business of the implementation of the Arab League boycott of Israel for the year 1992 to 1993. In 1993, it is reported that all the 1,020 US companies experienced $410 million loss of export sales to the boycotting countries and Israel due to the boycott effort made.
But, the $410 million is not as gigantic as it sounds. It is just a small-minute amount. The total for export sales in 1993 is $165.2 billion. 1 billion is equivalent to 1000 million. When $410 million is divided to $165.2 billion, the lost is just 1 out of 40, which is an insignificant amount.
That is why some countries claim that boycott is “not important” in resulting companies investment decisions.
But, given by the weak impact on their economy, is boycott absurd?
Every effort counts
The saying “It’s not the destination that’s important, it’s the journey” taken from Ralph Waldo Emerson’s quote “Life is a journey, not a destination,” signifies that effort is more important than the result.
Boycott is an effort. Even though it is still not impactful enough to hit the enemy dead on the ground, it still gives impact. This is called strategy, a strategy to downgrade the enemy’s economy.
The ones who deserve to be mocked are those who couldn’t care less about their brothers and sisters out there. No need to mock those who promote the idea of boycott which is in line with the idea of “promoting good and prohibiting evil.”
Learn from McDonalds Malaysia
The Public Relation (PR) of McDonalds Malaysia is really efficient. They will try their best in securing their customers confidence in them.
Since the assassination of Ahmed Al-Jaabari, who ran the organization’s armed wing, Izz el-Deen Al-Qassam on November 15 by Israel, McDonalds Malaysia managed to tackle the situation by giving out 200,000 free burgers two days after that.
Although they said that “to reinforce the importance of starting the day with a wholesome breakfast”, it is obvious to spot it as a desperate tactical effort to not lose their customers. This is followed by the statement to exonerate any accusation that McDonalds has a link with Israel.
The most obvious and recent tactical strategy is the “Prosperity Burger.” Usually it will come out during Chinese New Year, but why now?
Muslim companies have to learn from McDonalds. There are many reasons why McDonalds is one of the most preferred fast food restaurants.
It has been over six decades the issue of boycott has been discussed but Muslims still fail to produce their own companies to rival these aforementioned companies.
Why can’t the Malaysia’s Ramly Burger change their nature of company instead of being suppliers, why don’t they set up a fast food restaurant to rival the Big Mac or the prosperity burger?
Conclusion: AGREE to DISAGREE
If you do not agree on the issue of boycott, it is recommended for you not to ridicule the people who promote it.
Let us AGREE to DISAGREE.
“Boycott will not affect Zionis, I repeat, boycott will not affect Zionist but it will affect you, the degree of your love and concern to your brothers and sisters” – Dr. Syed Haleem (Mavi Marmara Hero).
It’s not about boycott, it’s about love.
To boycott or not?
It’s your call.
Poster: Time to wake up!
kadang-kadang kita rasa Allah tak bantu,
sebenarnya Allah akan bantu kalau kita mahu.
[2:124]
“Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”
Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat
(asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”
salam perkenalan.. :)
November 30, 2012
Kritikan Sosial: Hujah Penolakan Tiada Istilah Jihad di Gaza
~yang ditanya bukan natijah, tetapi usaha untuk merubah~
(picture by IbnuFuad of LangitIlahi)
Semalam ada seseorang minta saya ulas isu berkenaan seorang ustaz yang menyatakan bahawa “tiada jihad di Gaza” dan beberapa pandangan yang berlainan dari kebiasaan. Kepelbagaian pandangan itu adalah perlu dan ia diterima selagi mana ada dalil yang tepat mengukuhkan hujah masing-masing.
Cuma bagi pendapat saya ada perkara yang kurang sesuai diketengahkan kepada masyarakat. Adapun saya mengkritik mereka bukan kerana saya orang paling berilmu tetapi atas amanah ilmu sekadar yang saya tahu yang agak berlainan sisi pandangan, justeru saya menulis artikel ini sekadar kemampuan.
Namun, mereka-mereka yang berada dalam video tersebut atau seangkatan dengannya merupakan orang yang celik ilmu, tetapi agak tersasar dari segi pertimbangan. Beberapa perkara yang cuba saya gariskan berdasarkan video tersebut dan saya rasa perlu diperbetulkan adalah:
1- Jihad sepertimana yang disebutkan di dalam Al-Quran perlu menepati syarat bahawa musuh tidak boleh lebih dua kali ganda dari tentera Islam. Jika lebih yang membawa maksud kekurangan tentera di pihak Islam maka tiada istilah jihad seperti yang berlaku di Palestin sekarang. Disebutkan secara jelas jika musuh 200 tentera islam perlu lebih dari 100 berdasarkan dalil dari firman Allah s.w.t bersama tafsir dari Ibn Kathir:
Maksudnya : Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.(AL-Anfal:66)
Berkata Ibn Katsir rahimahullah : Jika umat Islam adalah separuh daripada jumlah musuh maka tidak dibenarkan bagi mereka melarikan diri daripada musuh (yakni wajib diperangi) manakala jika selain daripada sedemikian (yakni umat Islam kurang daripada separuh) maka tidak diwajibkan ke atas mereka memerangi musuh dan dibenarkan bagi mereka menjauhkan diri dari musuh.
Hujah saya: Saya mengambil ayat dari surah yang sama dan merujuk dari rujukan yang sama untuk menjelaskan pandangan saya. Ayat itu berserta tafsiran menyatakan bahawa:
Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.(Al-Anfal:64)
Dalam menafsirkan ayat ini Ibn Kathir menyebutkan:
Cukuplah ke atas kamu bantuan Allah dan orang-orang beriman yang mengikuti kamu meskipun bilangannya sedikit.
Ayat ini dikuatkan lagi dengan sirah Rasulullah s.a.w dalam peperangan Badar yang merupakan peperangan pertama terbesar umat islam. Adapun bilangan tentera islam hanyalah 313 berbanding 1000 orang tentera musuh. Dan adakah 14 orang yang islam yang meninggal dalam peperangan tersebut tidak dikira syahid kerana ia bukan sebahagian daripada jihad disebabkan bilangan yang kurang?
Benar dalam tafsir ibn kathir menyebutkn tafsiran ayat 66 seperti yang disebutkan diatas. Cuma jika dilihat lebih teliti ia adalah keringanan Allah terhadap tentera islam yang tidak berkemampuan berkenaan dengan bilangan yang diwajibkan terlebih dahulu. Adapun jika bilangan melebihi separuh wajib teruskan perjuangan dan jika sebaliknya bisa menjauhi diri dari musuh juga betul.
Persoalan yang saya ingin timbulkan disini, adakah keringanan itu yang mempengaruhi kewajipan tentera islam berperang juga merupakan syarat menunjukkan bahawa jihad itu diiktiraf? Bagi saya tidak kerana sirah yang saya bawakan di atas dan beberapa peperangan yang lain menunjukkan bahawa tiada masalahpun jika bilangan itu kurang kerana kewajipan itu disebutkan jika ia melebihi separuh, sebaliknya jika ia berkurang dan jatuh kewajipan itu bukan bermakna jihad itu tidak diambil kira dan ia bukan perkara yang terhalang meski tentera islam ingin meneruskan perjuangan dengan bilangan yang sedia ada.
2- Seseorang yang ingin berperang perlu ada persediaan rohani, aqidah dan tauhid yang secukupnya sebelum turun ke medan. Peperangan perlu bersistem dengan pemimpin perlu mengangkat panji sebagai tanda. Jika tidak ia tidak dikira sebagai jihad.
Hujah saya: Sejauh mana dia melihat pembangunan dan persediaan tentera Islam di sana. Saya secara jujur juga bukan orang yang paling tahu tentang persediaan mereka. Namun ketika saya berada di Jordan ini, yang mana tragedi ini berlaku disebelah negara ini, saya mendapati sumber-sumber yang sahih berkenaan ketenteraan di Palestin.
Antaranya adalah tentera mereka kebanyakannya adalah orang yang menghafal Al-Quran dan kerap bersolat malam. Ini dari aspek rohani. Dari sudut aqidah, jika benar mereka ini masih lemah dari sudut ini mustahil mereka berani pertaruhkan nyawa untuk membela negara. Namun kerana kekuatan keimananlah mereka sanggup berjuang bermati-matian kerana Allah untuk membebaskan bukan hanya negara sebenarnya tetapi juga membela agama islam melalui Al-Aqsa yang menjadi tunggak utama di sana.
Lihat sirah Khalid AL-Walid. Beliau memeluk Islam pada bulan Safar tahun 8Hijrah tetapi menjadi bukan tentera biasa tetapi panglima tentera Mu’tah pada bulan Jamadilawal tahun yang sama. Tempoh persediaan itu lebih singkat berbanding persediaan yang tentera muslim di Palestin kerana jika dilihat dari sudut hafalan sahaja ia sudah memakan masa.
Peperangan yang bersistem bagi saya dewasa kini, bukanlah peperangan mengangkat panji dan menyerang musuh secara serentak seperti yang berlaku dahulu kerana peperangan era moden menggunakan pelbagai senjata berpeluru yang bisa ditembak dari jarak jauh. Justeru, perlu ada persiapan dan perancangan yang efektif. Juga ia dikira berstrategi meski dalam keadaan sembunyi kerana mengurangkan risiko kecederaan tentera.
3- Rakyat Palestin harus berhijrah dari tanah mereka untuk memelihara nyawa dan keluarga mereka dari tangan yahudi sebagaimana Nabi berhijrah dari tanah lahirnya Mekah ke Madinah.
Hujah saya: Perlu dilihat semula Rasulullah saw berhijrah atas beberapa sebab utama:
i) wahyu dari Allah.
ii) untuk menyelamatkan diri dan orang islam.
iii)ajakan dari Ahlul-Madinah
iv)berusaha mengembangkan dakwah
v)tidak mengusir kaum Quraisy sebab itu sebahagian tanah mereka juga.
Lihat realiti di Palestin kini, wahyu itu sudah tentulah tiada tetapi ia masih boleh menggunapakai ijtihad ulama’ tertakluk kepada membawa kebaikan yang lebih besar. Tambahan, tanah Palestin bukan hak milik yahudi jadi seperti yang dicanang-canangkan tetapi ia milik kaum kan’an. Justeru, seharusnya umat islam terus bergesa untuk membebaskan Palestin dari cengkaman musuh.
Dari satu sudut sebenarnya saya bersetuju untuk orang Palestin berhijrah dari sana berdasarkan beberapa syarat:
i)jika kekurangan kelengkapan dan persediaan (tetapi benarkah mereka di sana kurang bersedia?)
ii)golongan lemah terdiri dari orang tua, wanita dan kanak-kanak.
Adapaun bagi saya orang yang berkemampuan untuk meneruskan perjuangan bagi membebaskan Palestin perlu meneruskan niat murni itu kerana itu adalah medan jihad mereka (dan kita juga sebenarnya cuma bukan korbankan nyawa tetapi apa yang termampu) yang wajib mereka pertahankan. Hal ini kerana Allah berfirman:
Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu – kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain – maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali. (Al-Anfal: 16)
Berdasarkan ayat ini jelas sebenarnya menunjukkan kepada kita bahawa jika seseorang itu berada dalam medan jihad tidak boleh dia melarikan diri kecuali dalam keadaan yang disebutkan dalam ayat tersebut. Bahkan melarikan diri dari medan pertempuran juga merupakan salah satu daripada tujuh dosa besar yang disebutkan nabi yang mana juga disebutkan dalam ayat di atas tentang azab yang bakal diterima jika mereka berbuat demikian.
4- Boikot adalah perkara yang tidak realistik kerana tak memberi kesan kepada yahudi. Nabi sendiri bermuamalah dengan yahudi.
Hujah saya: Jika melihat kisah burung yang cuba memadamkan api ketika nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup menggunakan paruh kecil amatlah tidak relevan dari sudut logiknya. Namun perkara ini perlu diberi perhatian kerana yang bakal ditanya bukanlah soal natijahnya tapi apa usaha kita dalam membantu umat islam.
Boikot merupakan senjata yang bisa digunakan kita kerana kita tidak mampu untuk berjuang seperti mereka di sana. Tidak timbul soal memboikot perkara yang halal sebenarnya seperti yang diutarakan. Orang yang memboikot bukan kerana makanan itu haram tetapi di atas sensitivity dan prihatin kepada saudara se-Islam yang ditimpa musibah disana. Saya bagi satu analogi:
Bayangkan ada satu syarikat yang datang merobohkan rumah anda, dan syarikat itu amat dikenali di kawasan anda. Selepas peristiwa itu, jiran-jiran anda tetap menggunakan produk dari syarikat brkenaan. Justeru apa perasaan anda? Sebab itu dalam soal ini pemboikot bagi saya bukan menimbulkan isu halal atau haram tetapi soal sensitiviti.
Namun satu perkara yang perlu kita jaga adalah bagi orang memboikot tidak mempersenda mereka yang tidak berbuat demikian sebaliknya cuba fahamkan tentang kefahaman perlu adanya usaha membantu umat Islam walau sekecil-kecil usaha. Bagi mereka yang tidak boikot pula jangan memperlekehkan usaha mereka yang berbuat demikian kerana sekurang-kurangnya mereka telah berusaha sekadar terdaya.
Berkenaan dengan muamalah nabi dengan yahudi perlu dilihat lebih mendalam yakni, baginda berbuat demikian kerana telahpun ada ikatan janji untuk saling membantu dalam Piagam Madinah. Justeru, dengan keterikatan kepada perjanjian ini kedua-dua pihak perlu berbuat baik antara satu sama lain kecuali ada pihak mencerobohinya.
Kesimpulan
Ada beberapa perkara lagi yang disebutkan cuma saya tidak nyatakan di sini kerana saya tidak berniat memanjangkan perbahasan isu ini kerana apa yang lebih penting bagi kita adalah usaha sedaya mampu melalui bidang masing-masing dan juga seperti yang terdapat dalam gambar di atas .
Adapun saya berkongsi ini juga sekadar pandangan peribadi yang mungkin ada betul dan salahnya. Tetapi saya masih ingin menulis artikel ini kerana saya tidak mahu dengan pandangan yang berbeza ini menyebabkan umat Islam hilang sensitivity terhadap saudara kita di sana.
Ketahuilah perkara ini akan berterusan dan tidak akan ditelan dek zaman, selagi Al-Aqsa tiada dalam genggaman!
November 29, 2012
Umum: Tiada Jihad Di Palestin?
Malaysia digemparkan dengan kenyataan seorang ustaz bahawa tiada jihad di Palestin. Ramai yang share dan menyatakan kebencian terhadap kenyataan itu. Maki hamun pun ada. Ya, saya memahami betapa kita terkilan dengan penyataan sedemikian rupa, dalam keadaan Gaza diserang dan bermandikan darah saban hari. Saat mereka menunjukkan kekentalan mempertahankan bumi pertiwi, tiba-tiba ada yang berkata bahawa tiada jihad di sana, orang Palestin patut keluar dari Palestin, seterusnya dikatakan pula usaha boikot itu sia-sia, dan sebagainya yang jelas tidak mengambil berat akan keadaan semasa.
Justeru ini sekadar coretan saya akan isu ini, sekadar apa yang saya belajar.
1 – Jika Jihad perlukan 2 kali ganda musuh, maka Badar tidak menjadi jihad buat Rasulullah SAW dan para sahabat. Kerana tentera Islam pada ketika itu 313 dan musuh 1000. Ini jelas menunjukkan Idris Sulaiman sudah tersilap mentafsirkan sepotong ayat Al-Quran:
“Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.” Al-Anfal ayat 66.
Ayat ini bukan ayat arahan. Tetapi cuma Allah nak kata semasa berperang itu, seorang daripada kita at least kena tumbangkan dua orang musuh, dengan itu kalau kita berperang dengan angka yang sedikit pun, kita boleh menang. Ini lebih kepada strategi sahaja. Terbukti apabila Allah SWT sendiri ‘mengubah’ strategi itu. Sebelumnya, angka yang Allah SWT letakkan lebih tinggi.
“Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.” Surah Al-Anfal ayat 65.
Seorang kena lawan 10 sebelumnya.
Tetapi Allah mahu meringankan kewajipan ini, lantas dikurangkan seorang lawan dua. Namun yang penting perlu dilihat bahawa keypointnya bukanlah ‘angka’. Kerana ‘angka’ jelas berubah. Tetapi dalam kedua-dua ayat itu, yang kekal sinonim adalah ayat ‘sabar’.
Pendek kata, tentera perlu bersabar dalam menumbangkan musuh walau berapa ramai pun mereka. Jika mereka bersabar, tidak gopoh, mereka kental dan cekal, pastinya tentera yang lebih ramai pun akan mampu mereka tewaskan. Ayat ini fasal ‘strategi’. Bukan fasal berapa lawan berapa baru boleh dikira sebagai jihad.
Justeru kita telah melihat banyak di dalam sejarah Islam selain Perang Badar, yang musuh lebih besar 2 kali ganda dari tentera Islam.
Perang Uhud – 700 tentera Islam VS 3000 tentera Musyrikin Makkah.
Perang Khandaq – 3000 tentera Islam VS 10,000 tentera gabungan Ahzab.
Perang Mu’tah – 3000 tentera Islam VS 200,000 tentera Rom Byzantine.
Banyak contoh bukan?
Apakah itu semua bukan Jihad?
Angka hanyalah strategi. Jihad adalah tindakan kita dalam berjuang di atas jalan Allah SWT. Tiada kena mengena dengan angka yang ramai atau sedikit.
2 – Ustaz tersebut juga berkata seakan-akan di Palestin itu semberono sahaja peperangannya. Lantas dia melihat tiada apa di sana melainkan kegagalan.
Sebenarnya jika kita menyelami keadaan di Palestin, kita tahu HAMAS amat berstrategi. Mereka bukan sahaja mempunyai orang di dalam Palestin. Mereka ada orang di luar Palestin, seperti Khaled Mesy’al untuk membina hubungan baik dan mengangkat suara HAMAS dari luas Palestin.
Mereka mempunyai ketua-ketua yang menyusun strategi perang, agar kekal bertahan di sana. Kita semua tahu apalah yang boleh dibandingkan Gaza yang kecil itu berbanding Israel yang mempunyai pelbagai teknologi dan telah memperhambakan Amerika Syarikat itu.
Jika tanpa strategi, pastinya kita tidak akan melihat Gaza masih ada sekarang.
HAMAS bukan sahaja berperang menggunakan senjata. Mereka juga bersungguh dalam medan politik. Kerana itu mereka memenangi pilihanraya yang lepas hingga Ismail Haniyyeh diangkat menjadi Perdana Menteri.
Bahkan tiada siapa boleh cakap yang HAMAS tiada pengintip di merata tempat sebagai salah satu strategi mereka. Mereka juga giat melatih pelapis-pelapis baru dari masa ke semasa.
Yang mereka ada hanyalah ‘kegagalan’?
Tidak. Setiap kali mereka mampu bertahan dari dihancurkan oleh Israel, itu bukankah satu kemenangan? Justeru negara-negara Islam yang lain mempunyai lebih banyak masa untuk keluar dari kebodohan masing-masing, dan mula bertindak membela saudara mereka di Gaza sana!
3- Orang Palestin patut meninggalkan Palestin?
Alasannya adalah untuk menyusun strategi?
Inilah pentingnya memahami fiqh semasa. Kita bukan lagi di zaman orang Islam minoriti. Kita ada angka yang besar di atas muka bumi ini. Tinggalnya ramai antara kita berdiam diri dan tidak membantu. Kita banyak negara Islam, tetapi kebanyakannya berdiam diri. Kemudian kita nak orang Palestin tinggalkan tanah suci itu untuk dicemari Zionis?
Seperti apabila ada gengster pecah masuk rumah kawan kita, kemudian kita kata pada kawan kita: “Hei, biarlah dia. Kau kena keluar dari rumah itu.” Begitu? Mustahil bukan?
Kita ramai. Yang patut kita suruh ‘bergerak’ adalah orang-orang Islam agar mempunyai kesedaran, lantas bergerak membantu sahabat kita di Palestin. Bukannya kita suruh orang Palestin ‘bergerak’ keluar dari tanah mereka.
Mengapakah mereka, orang-orang Palestin itu bersungguh mempertahankan tanah itu, menggadaikan nyawa mereka?
Apakah kita lupa bahawa di sana terdapat Baitul Maqdis, tanah suci kita?
Apakah hanya kerana Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi telah terjaga rapi, penuh teknologi, kita boleh mengabaikan Masjidil Al-Aqsa dan membiarkan ianya ternoda?
Orang di Gaza sana, di Palestin sana, memahami tanggungjawab mereka untuk mempertahankan tanah itu.
Mereka sedang melaksanakan apa yang patut kita laksanakan, apabila ada tanah ummat kita dicabuli.
Dan kita mengkritik mereka, seterusnya mencadangkan agar mereka meninggalkan tanah suci itu?
4 – Boikot adalah tindakan yang tidak bermakna katanya. Benarkah?
Sekurang-kurangnya, kita berusaha bukan? Ada strategi untuk memberikan efek kepada ekonomi mereka. Tinggal ramai nak buat atau tidak sahaja. Maka sepatutnya bukan kita perlekehkan usaha, sepatutnya kita kritik orang yang tidak mahu bersama-sama berusaha.
Ini seakan-akan bila Rasulullah SAW nak keluar berjihad dan ada yang tidak mahu pergi kerana panas, maka kita kata – “Sebaiknya tak payah pergi, sebab panas. Tak logik betul arahan Rasulullah itu!” Seakan-akan begitu pula. Sedangkan kita sepatutnya mengkritik orang-orang yang memberikan alasan yang lemah dan tidak mahu berusaha. Lihatlah Allah SWT sendiri mengkritik pihak yang mana:
“Orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut perang) itu, merasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah, dan mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah dan mereka berkata: Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini. Katakanlah: Api neraka itu lebih sangat panas(nya) jika mereka mengetahui.” Surah At-Taubah ayat 81.
Jadi mengapa mengkritik yang berusaha?
Dan boikot adalah antara usaha yang boleh dilakukan dalam keadaan sekarang. Selain banyak perkara lain yang boleh dibuat seperti memperkasakan media, membina peribadi-peribadi yang cakna, memperkasakan ekonomi dan sebagainya.
Penutup: Jangan Tidak Mempunyai Perasaan.
Jangan lah kita mudah berbicara, mengkritik rakan kita di Gaza sana, seakan-akan rakyat Palestin itu pula keluar dari negara mereka, serang negara orang lain, bunuh orang tak berdosa, pada 1948 itu. Mereka itu sedangkan, dijajah, diambil hak mereka tanpa kebenaran, dirobohkan rumah-rumah, dirosakkan kebun-kebun.
Kita boleh pula berbangga berjabat tangan dengan penjajah, melukut meminta kemerdekaan dengan mereka, dan menyambutnya setiap tahun pada 31hb Ogos. Balasannya? Balasannya kita perlu ikut sistem mereka, sistem pendidikan mereka, dan banyak perkara. Hasilnya? Hasilnya minda kita masih terjajah, walau nampak negara kita macam sudah merdeka.
Tiba-tiba kita mahu mengkritik manusia yang berjuang bersungguh-sungguh mempertahankan bukan sahaja tanah air mereka, bahkan tanah suci ummat Islam.
Maka kenapa mesti dikritik jihad mereka?
Kita yang duduk di sini boleh berpakaian kemas, putih bersih tanpa debu dan darah, boleh berkopiah rapi yang cantik tanpa pasir dan koyak akibat peperangan, mungkin kita boleh cakap banyak pada mereka yang sedang berjuang, dan sibuk mempersoalkan fasal aqidah, sedangkan isu Palestin bukan semata-mata isu agama. Ianya isu kezaliman yang berlaku ke atas mereka.
Kalau orang kafir dizalimi oleh orang Islam pun kita patut bela orang kafir itu, apatah lagi orang Islam yang dizalimi oleh Zionis yang dilaknat Allah itu. Patut kita rasa malu hendak mengkritik mereka yang berjuang itu.
Janganlah tidak berperasaan.
Mari usahakan apa yang boleh diusahakan.
Pemuda: Awas Virus Ghaflah
Rasulullah SAW bersabda, dari Saddad bin Aus RA;
“Orang yang cerdas adalah orang yang menghitung dirinya di dunia dan beramal untuk setelah kematian, sedangkan orang yang bodoh adalah orang yang mengikuti hawa nafsu dan berkeinginan atas Allah hanya dengan berangan-angan.” (HR. Tirmidzi)
Pesanan Nabi SAW ini menguji kita samada kita ini golongan cerdas atau bodoh. Tiada orang yang rela dirinya diperbodohkan apatah lagi dikatakan bodoh dan jahil. Namun Nabi SAW membuatkan perbandingan sebegini bagi meletakkan nilai hidup kita berada pada paksi Ilahi. Justeru itulah kita perlu mendinamikan kehidupan kita dengan sentiasa berada dalam suasana-suasana yang dapat mendidik hati kita agar sentiasa bermuhasabah dan beramal. Dan seterusnya melayakan kita menjadi hamba Allah yang cerdas.
Dialog Orang Soleh
Dialog yang terjadi dengan orang-orang soleh, sentiasa penuh dengan nasihat, hikmah bahkan taujih yang begitu kuat menancap di hati. Pengalaman saya ketika berkesempatan menziarahi dai’e dan murabbi, pasti akan beroleh bekalan yang dapat mendidik jiwa lantas iman menjadi tertingkat. Suatu saat saya pernah bermusafir dengan pakcik Rosdi Baharom, salah seorang murabbi saya dalam satu perjalanan sekitar tiga jam memandu kereta. Sungguh, air mata saya bercucuran tumpah ke bumi sebaik berbual dengan beliau, nasihat santai dan susunan kisah-kisah para sahabat yang beliau nukilkan telah menggugah iman saya dan merasai kekerdilan diri di hadapan Allah SWT. Suasana tersebut tidak dapat kita perolehi di luar sana apatah lagi jika masyarakat sibuk berbicara hal keduniaan berbanding hal keakhiratan. Bukanlah bermakna saya mengatakan kita tidak perlu memikirkan dunia, kerana sang murabbi saya itu bukan sahaja seorang pendidik jiwa, malahan seorang saintis berjaya di salah sebuah jabatan kerajaan. Kini beliau bertugas di Kolej Teknologi Darulnaim sebagai doktor hati kepada kami semua. Kehidupan beliau penuh dengan kerja-kerja mendidik manusia, bahkan tekad hidupnya adalah untuk mewakafkan diri kepada dakwah dan tarbiah. Berpeluang bersama dengan beliau akan menjadikan diri kami cerdas!
Saya mengajak anda semua wahai pemuda Islam untuk kita mendekati satu kisah murabbi di zaman Tabi’in pula, suasana beliau bersama anak-anak didiknya perlu kita suburkan kembali, apatah lagi di zaman yang serba moden ini. Suatu hari satu soalan “mendidik” pernah diajukan oleh seorang soleh bernama Muhammad bin Wasi ’rahimahullah kepada orang-orang di sekelilingnya.
“Apakah kalian hairan, jika kalian melihat seseorang menangis di syurga?”
Orang–orang yang berada di sekitar Muhammad bin Wasi ’ menjawab pasti, “Tentu saja kami hairan wahai Syaikh.”
Lalu Muhammad bin Wasi ’ mengatakan,
“Seharusnya kita lebih hairan apabila melihat seseorang yang masih hidup di dunia, tertawa terbahak, sementara ia belum tahu bagaimana akhir perjalanannya di akhirat kelak…”
Kita, khususnya diri saya begitu memerlukan dialog-dialog seperti ini. Dialog yang mercerdaskan iman kita. Dialog yang keluar dari lisan seorang soleh, dan langsung menyentak kesedaran. Muhammad bin Wasi ’rahimahullah yang telah mengucapkan nasihat begitu menusuk hati, adalah seorang salafusoleh di zaman Tabi ’in yang terkenal kerana doa-doanya sering dikabulkan Allah SWT. Ungkapan beliau santai tetapi bagi hati yang masih ada iman, hatinya akan bergetar dan tersentak atas kelekaan selama ini.
Awas Virus Ghaflah
Lawan cerdas dari hadis Nabi SAW tadi ialah kebodohan. Bodoh kerana ditipu akibat kelalaian sendiri. Ketahuilah, bahawa jerat syaitan yang paling berbahaya adalah ketika dunia begitu menguasai hati dan menguasai keinginan seseorang. Hati yang sudah dipenjarai oleh dunia, akan menjadi longlai, lemah dan tidak mampu melakukan perhitungan apapun terhadap arah gelombang bisikan syaitan yang membuat seseorang terumbang ambing, tidak tentu arah. Dunia yang telah menguasai hati menjadikan seseorang lemah keinginan untuk terbang ke tingkat ubudiyah yang tinggi. Hati yang terkuasai dunia, menjadi lebih berat, malas, dan terbelenggu oleh kesalahan.
Jerat syaitan itu bernama ghaflah, yang ertinya lalai. Berapa sering kita terjerat oleh perangkap syaitan itu? Saat kehidupan begitu menyeret dan menjauhkan kita dari Allah SWT. Sedikit demi sedikit. Sejengkal demi sejengkal. Hampir tak terasa. Sampai saat kita tersedar, ternyata kita sudah begitu jauh meninggalkan ketaatan. Ternyata, sudah terlalu jauh jarak yang kita buat antara kita dengan Allah SWT. Sudah terlampau lama kita berpura-pura lupa dan melupakan Allah SWT. Mungkin, ada sebahagian kita yang selanjutnya tidak mampu lagi untuk kembali. Ini adalah kerana sudah terlalu nikmat merasakan keadaan yang telah dilalui. Saat kita tidak bersedih lagi atas kelalaian yang dilakukan. Saat kita tidak berduka lagi dengan dosa yang berulangkali kita lakukan. Saat kita tidak lagi menangis dan sama sekali tidak menitiskan air mata atas kemaksiatan dan kedajalan yang dilakukan. Saat itu adalah petanda hatinya sudah mati. Dan jika sudah berlaku sedemikian, sindir Syeikh Imam al Ghazali, engkau mintalah hati yang baru dari Allah SWT.
Itulah ghaflah, kelalaian. Itulah jerat syaitan yang paling berbahaya. Ghaflah, penyakit yang menjangkiti hati agar hati menjadi rela dengan kegawatan iman yang rendah, tenang dengan kemaksiatan, dan begitu mengikat mata dengan dunia. Tidak ada tempat lagi untuk akhirat. Renungkanlah firman Allah,
“…Dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak mendapatkan petunjuk.” (QS.An Naml:24)
Mari memeriksa hati kita, andai kita terjerat oleh perangkap syaitan yang berbahaya ini. Bertanyalah saudaraku, tentang berapa banyak kita mengingat tentang solat malam yang kita tinggalkan dalam satu bulan, dalam satu tahun? Bertanyalah saudaraku, tentang berapa kali kita bermuhasabah dan merenungi kesalahan dan dosa, lalu kita bersedih atau menangisinya? Bertanyalah saudaraku, tentang berapa kali kita telah membaca dan mengkhatamkan Al Qur ’an seumur hidup? Berapa banyak kita mengajak dan mendorong keluarga untuk, setidaknya membaca dan mengkhatamkan Al Qur’an? Bertanyalah saudaraku, tentang seberapa rindu kita kepada syurga? Bertanyalah saudaraku, tentang berapa banyak kita memikirkan jarak yang membezakan antara hidup hingga titik kematian yang tidak pernah kita tahu bila datangnya?
Mari bandingkan pertanyaan-pertanyaan itu dengan pertanyaan lain. Bertanyalah saudaraku, tentang berapa sering kita berfikir untuk membeli pakaian dan aksesori rumah? Bertanyalah wahai pemuda pemudi Islam, tentang berapa banyak kita berfikir untuk mencari pekerjaan tambahan untuk membiayai keperluan hidup yang tidak pernah ada habisnya? Bertanyalah wahai anak muda, tentang berapa kali kita mengingat dan menginginkan makanan yang enak dan nikmat? Bertanyalah wahai mahasiswa, tentang berapa sering kita habiskan memikir masa depan dunia kita?
Bagaimana kita menjawab dan membandingkan antara dua kelompok pertanyaan tadi? Mari buka jerat-jerat ghaflah yang melilit jiwa dan hati kita. Perhatikan dengan teliti, renungkan dalam-dalam, dosa dan kemaksiatan apa yang kita tinggalkan di hari ini, di hari-hari, bulan-bulan, dan tahun-tahun yang telah lalu? Lalu, bekal kebaikan apa yang sudah kita persiapkan untuk hari setelah mati?
Dengarkanlah lagi, sebuah dialog penuh nasihat dan taujih yang menyedarkan antara seorang soleh, Hasan Al Basri, dengan seseorang yang ada di sampingnya. Saat pemakaman jenazah, Hasan Al Basri rahimahullah bertanya pada seseorang, “Menurutmu, jika dia kembali hidup di dunia, apakah ia akan melakukan amal soleh?” Orang itu menjawab, “Ya, pasti.” Hasan Al Basri menyambut perkataan itu dengan jawaban, “Jika ia sudah pasti tidak akan dapat hidup kembali di dunia untuk melakukan amal soleh, engkaulah yang seharusnya sekarang melakukan amal-amal soleh…”.
Penutup: Ayuh Mentarbiyah Kehidupan
Ayuh, mari kita memberi masa kita untuk di didik, kepada yang telah berada dalam halaqah-halaqah pentarbiahan, jangan biarkan kehadiran anda dalam halalah semakin merosot dengan alasan anda merasakan ada urusan dunia lebih besar dari urusan masa depan anda di akhirat kelak atau merasakan sudah ada jaminan anda ke syurga nanti.
Kepada yang pernah ber”usrah” tapi telah lama ber”sara” dari menghadirinya, fikirkan kembali, apakah tindakan anda itu menambahkan iman atau sebaliknya…
Kepada yang belum pernah merasai sentuhan tarbiah dari halaqah-halaqah yang berjalan dan bertebaran di bumi ini, dan berhajat untuk melalui proses mendidik jiwa, mari bergabung bersama kami di Langitilahi.com. Hubungi kami, kami senang untuk bersama anda yang mahu ditarbiyah sepanjang hayat. Semoga Allah memilih kita untuk bersama-sama di didik dengan iman yang dinamik. InsyaAllah.
November 28, 2012
Motivasi : Tips – Himpunan 5 Mutiara Kata Pejuang Palestin Yang Luar Biasa
Gerakan HAMAS – sebuah rentetan perjuangan yang panjang dan getir.
Melaluinya, telah lahir ramai tokoh pejuang Palestin yang hebat,
berwibawa, digeruni musuh dan disegani kawan.
Sejarah Palestin telah ditoreh dengan perjuangan air mata, darah dan nyawa. Ia adalah sebuah epik perjuangan yang benar-benar berlaku dan bukannya khalayan atau dogengan sebuah filem peperangan atau pertempuran.
Menarik untuk dinyatakan di sini ialah perjuangan Palestin ini telah melahirkan ramai tokoh-tokoh pemimpin, pejuang dan perajurit yang sangat hebat , berwibawa dan luar biasa keperibadian dan semangat juang mereka. Sama ada mereka dikenali atau tidak – betapa sesungguhnya sejarah perjuangan Palestin yang panjang ini digencarkan oleh pejuang-pejuang yang hidup dan mati mereka adalah untuk perjuangan yang suci ini.
Saya kongsikan himpunan kata-kata mutiara yang sangat berbisa dan mempunyai aura yang luar biasa yang lahir daripada jiwa-jiwa ruh yang berjuang dengan keimanan, keikhlasan dan keyakinan hanya sanya kepada Allah SWT.
Semoga jiwa kita terbangkit dengannya!
1. Mutiara Satu
“ Sekiranya saya mati, akan bangkit 1000 lagi orang seperti saya.”
Ucapan terakhir Syeikh Ahmad Yassin, pengasas dan pemimpin spiritual HAMAS sebelum beliau dibunuh. Kata-kata beliau ini mengambarkan sebuah keyakinan dan harapan kepada generasi muda yang dipimpin beliau dalam HAMAS.
Nadi pengerakan dan pengkaderan HAMAS ialah tarbiyah imaniyah. Mereka benar-benar menggerakan tarbiyah ini sehingga lahirnya pejuang-pejuang yang tidak dikenali di mata masyarakat tetapi kemahuan mereka kuat, tinggi hubungan dengan Allah SWT dan sangat-sangat tekun dalam memelihara amal soleh.
Kerana itu, Syeikh Ahmad Yassin sangat-sangat yakin bahawa, yang akan menggantikannya pasti ada bahkan banyak kuantitinya – semuanya ada anak-anak didik dan para pemuda pemudi yang dididik olehnya .
MasyaAllah!
2. Mutiara Dua
“ Kematian tetaplah kematian, meskipun kerana dibunuh atau kanser. Sama sahaja. Tidak ada bezanya, mati disebabkan oleh sebuah ‘apache’ atau serangan jantung. Tetapi saya lebih memilih terbunuh oleh ‘apache’.”
Ungkapan si pemberani, As-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi pemimpin HAMAS yang menggantikan Syeikh Ahmad Yassin selepas kesyahidannya.
Luar biasa kecintaannya kepada jihad dan mati syahid sehingga beliau tidak takut kepada sesiapa pun kecuali Allah SWT. Perjuangan yang digalasnya bersama rakan-rakan HAMAS akhirnya membawa kepada kejayaanNya menemui Allah SWT melalui pintu syahid. Sejarah Dr Abdul Aziz Rantisi akan menggugah jiwa anda untuk mencontohi beliau. Dari semua segi, kepintarannya, kelembutannya, kewarakan dan kesungguhannya dalam berjuang!
Beliau aman di sana, kita pula bagaimana?
3. Mutiara Tiga
“ Kami bukan bermain dengan keganasan ataupun kekejaman. Kami sedang bekerja!.”
Mahmoud Zahhar, salah seorang pemimpin dalam barisan kepimpinan kolektif HAMAS. Menyingkap kehidupannya membuatkan kita terpegun, kagum dan rasa begitu takjub. Rupa-rupanya, dicelah kehidupan manusia yang serba moden sebegini masih ada manusia sesoleh ini dan mampu mengegarkan Zionis Isreal dengan pelbagai teknik, strategi dan helah yang sangat licik.
Beliau dikatakan antara pemimpin barisan hadapan HAMAS selepas pemergian Dr Abdul Aziz Rantisi. HAMAS terpaksa merahsiakan identiti pengganti Rantisi agar ketua tertinggi HAMAS tidak diketahui umum sebagai langkah keselamatan. Namun, daripada sumber-sumber rakyat Palestin – Mahmoud Zahhar, adalah salah seorang kepimpinan HAMAS yang menjadi mastermind untuk HAMAS era baru ini.
Beliau terus-menerus bekerja, bekerja dan bekerja. Tegas, penuh disiplin dan memberikan komitmen 100% kepada perjuangan Palestin. Kerana itu, ruhnya benar-benar membakar jiwa para pejuang walaupun hanya dengan kata-kata yang ringkas dan bersahaja!
4. Mutiara Empat
“ Sehari di dalam penjara seperti sejam di luar penjara.”
Ungkapan penuh bertenaga daripada Syeikh Salah Syahadah . Beliau adalah pengasas Briged Izzudin al-Qassam, salah satu sayap penting dalam HAMAS. Beliau terkenal dengan seorang yang teguh berpegang kepada prinsip perjuangan, berani dan gagah. Mahir dalam seni mempertahankan diri terutama Judo dan memiliki tubuh badan yang sasa dan gagah.
Beliau ditahan di dalam penjara rejim selamat 14 tahun. Namun, baginya itu tidak melunturkan langsung semangatnya, bahkan di dalam penjara beliau telah melatih para tahanan dengan senaman yang lasak, pelbagai seni pertahanan diri, berkhutbah, membaca dan menghafal Al-Quran.
Beliau juga mati syahid akibat serangan rejim Zionis dengan taktik paling kotor iaitu membedil bangunan rumahnya sehingga hancur!
Allahuakbar!!
5. Mutiara Lima
“ Silakan kau pilih wahai isteriku yang tercinta, melepaskan aku sebagai suamimu atau hidup bersama-sama dengan jihad di dalamnya.”
Tutur bicara lembut Yahya Ayyas kepada isterinya yang tercinta, Ummu Barra tentang perjuangan dan pemilihan hidupnya. Siapakah beliau?
Beliau adalah pahlawan, ikon dan wira bagi anak muda Palestin. Beliau muncul sebagai pemimpin sayap komanda HAMAS dan pakar bom yang dapat menghasilkan impak yang kuat daripada bahan-bahan kimia yang mudah diperoleh dan ubat-ubatan sahaja. Lantaran, kemahiran dan kepakaran inilah beliau ditakuti dan digeruni oleh pihak Zionis Israel.
Namun, jiwa ruh dan perasaannya sentiasa bersama jihad perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis sehingga beliau mati syahid akibat dibunuh oleh rejim Zionis dengan bantuan ejen mereka daripada kalangan orang Palestin sendiri.
Beliau tersenyum dan berbahagia di sana. Semoga kita menyusulnya.
Penutup : Mereka membuktikan harga sebuah perjuangan
Inilah mereka.
Inilah kisah perjuangan mereka.
Inilah bingkisan kata-kata mutiara mereka yang menggugah jiwa.
Mereka telah membenarkan perjuangan mereka dengan air mata, darah dan nyawa.
Justeru, seharusnya merekalah ikon yang wajar bertahta di hati kita dalam peta perjuangan ini!
—–
Perjuangan Sebenar = Menuntut Air Mata, Tenaga, Darah Hatta Nyawa!
Bulatan Cinta : Manisnya gula-gula Iman!
Umum : Untuk Adik-adik SPM – Cuti Panjang, Nak Buat Apa?
Masa muda adalah masa kemuncak !
Pic by Umar Mita
Saya dengar adik-adik SPM sudah tamat peperiksaan. Merdekalah tu maknanya, ye? Hehe.
Apapun, semoga SPM yang telah berlalu itu dipermudahkan dan dibantu oleh Allah.
“Habis SPM, nak kena buat apa, bang? Cuti panjang lagi ni. Tak tahulah nak buat apa.”
“Bang, bagi nasihat sikit apa kitaorang boleh buat masa cuti ni. Lambat lagi ni sementara nak tunggu masuk U. Ada 2-3 bulan lagi.”
Ada sebahagian adik-adik sudah tamat SPM inbox saya bertanya soalan-soalan sebegini. Maka, saya suka berkongsi jawapan itu di sini kerana saya merasakan ada banyak perkara yang dapat adik-adik lakukan.
Tidak terhad. Bagi yang bukan lepasan SPM sekalipun, sekiranya anda sedang bercuti panjang sekarang ini dan tidak ada apa-apa untuk dilakukan, maka tidak ada masalah untuk membaca post ini.
Pertama – Apa Anda Perlu Buat?
Ada banyak perkara anda boleh buat.
Tetapi sebelum anda bergerak melakukan apa jua perancangan anda semasa cuti panjang ini, anda perlu tahu apa yang anda perlu buat sebenarnya untuk diri anda?
Boleh buat dengan perlu buat adalah 2 perkara berbeza. Ada perkara yang mungkin anda boleh buat tetapi tidak perlu pun untuk anda sebenarnya. Ada perkara yang perlu untuk anda lakukan dan anda memang boleh melakukannya.
Untuk menentukan apa yang perlu atau apa yang tidak perlu untuk diri anda, ia kembali kepada bagaimana keadaan diri anda sekarang. Maka, anda perlu lakukan sedikit muhasabah untuk diri anda melihat apakah yang masih kurang pada diri anda pada saat sekarang ini?
Saya berikan beberapa aspek mudah sebagai contoh untuk kita menilai diri kita.
1) Aspek ibadah
Aspek ini adalah aspek terpenting untuk dititiberatkan dalam diri kita. Aspek ibadah ini luas merangkumi ibadah umum dan khusus. Kedua-duanya kita perlu perbaiki. Ada orang semasa SPM, begitu bersungguh-sungguh menjaga solat dan doanya, kadangkala ditambah lagi dengan solat-solat sunat. Tetapi usai SPM, semua itu ditinggalkan dan diabaikan.
Ibadah-ibadah sebegini seperti solat fardhu, bacaan Al-Quran, serta ibadah-ibadah lain yang ringan-ringan ini janganlah ditinggalkan. Kerana ini adalah bekalan yang akan menjaga diri kita sepanjang kita bercuti.
Sebab apa perlu bekalan-bekalan sebegini?
Sebab ada orang yang bila bercuti, kadangkala masanya tidak tahu hendak diisi dengan apa sehingga bila diajak kawan-kawannya untuk bersama dalam majlis maksiat, maka ia pun menuruti ajakan itu. Sekiranya kita menjaga dan memelihara bekalan-bekalan sebegini, ia mampu menjadi perisai yang akan menjaga hati kita daripada mudah terpengaruh dengan ajakan-ajakan tidak sihat sepanjang bercuti ini.
2) Aspek Pembinaan Kefahaman Islam dan Pembentukan Jiwa
Kenapa saya katakan aspek ini adalah satu keperluan? Kerana nanti majoriti anda akan memasuki alam universiti seterusnya alam bekerja. Maka, hendak bergerak ke arah itu, kefahaman Islam yang asas dan jiwa yang berprinsip sangatlah diperlukan.
Hari ini, kita lihat ramai mahasiswa yang hanyut sewaktu berada di universiti dengan budaya hidup hedonism sehingga mengabaikan keperluan bermasyarakat, terikut-ikut dengan budaya couple barat sehingga melunaskan fitrah pada jalan yang salah, pergaulan lelaki perempuan yang tidak terjaga, mudah ditipu dan diperdayakan bila dijanjikan dengan sedikit wang dan belaian.
Maka, sebab itu, pentingnya pembinaan kefahaman Islam ini supaya kita tahu apa prinsip kita, mana yang kita boleh ikut, mana yang tidak, apa tugas kita yang sepatutnya. Orang yang memiliki kefahaman Islam sahajalah akan tahu mana baik dan tidak baik untuk dirinya.
Sebab itu, saya sangat sarankan pada mahasiswa untuk mengikuti usrah dalam tempoh cuti panjang ini untuk mendapatkan hal ini. Kita boleh dapatkannya di masjid-masjid, dalam ceramah umum, tetapi ia bukan dalam bentuk pembinaan, tetapi hanya dalam bentuk penyampaian.
3) Aspek Kemahiran-kemahiran Semasa
Kemahiran semasa yang saya maksudkan ini sebagai contohnya bercakap di hadapan, kemahiran mengurus organisasi, kemahiran menganjurkan dan menguruskan program, kemahiran komunikasi.
Untuk menjadi mahasiswa yang baik serta anggota masyarakat yang baik, kemahiran-kemahiran semasa begini sangat diperlukan. Bukan saja sebagai persediaan untuk melakukan presentation sewaktu di universiti nanti, bahkan ia adalah satu keperluan dalam kita berkomunikasi dengan masyarakat.
Kemahiran-kemahiran semasa ini adalah nilai tambah yang sangat berharga bagi diri kita dalam menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang baik nanti.
Kita telah ada kefahaman Islam, ibadah kita pun terjaga, maka dengan adanya aspek kemahiran semasa ini lagi pasti akan lebih memudahkan kita menyampaikan mesej Islam dan menyebarkan seruan pembaikan ke dalam masyarakat.
Untuk meningkatkan kemahiran-kemahiran semasa ini, kita boleh menyertai mana-mana kem motivasi sebagai fasilitator atau urusetia, menyertai seminar-seminar atau bengkel-bengkel berkaitan, melakukan khidmat masyarakat dan sebagainya.
4) Aspek Ilmu Pengetahuan
Cuti panjang merupakan saat terbaik untuk anda lakukan banyak pembacaan dan hadir ke kelas-kelas luar seperti kelas fiqh, akidah dan sebagainya.
Inilah masa terbaik untuk anda bina ilmu pengetahuan serta tsaqafah dalam minda anda. Nanti setelah sibuk berada di universiti dengan bidang masing-masing, anda mungkin tidak sempat lagi untuk mendalami ilmu-ilmu ini.
Maka, bermula dari sekarang, rancanglah masa setiap hari supaya tetap ada sedikit masa untuk lakukan pembacaan buku-buku yang membina minda kita, menambah kefahaman kita dalam beragama, isu-isu umum berkaitan dengan masalah-masalah ekonomi dan politik yang sedang melanda dunia dan sebagainya.
Tak perlu banyak. Sehari ada sejam pun dah ok. Kalau boleh lebih, lagi bagus.
5) Aspek Kewangan
Ini juga masa yang subur untuk anda belajar mencari nafkah hidup tanpa perlu bergantung kepada ibu ayah. Usai SPM dan STAM, saya sendiri pernah mengambil pengalaman bekerja sebagai guru di sekolah swasta.
Ya, selain aspek pengalaman mengajar dan mendidik manusia, kita juga belajar erti kesusahan mendapatkan secupak nasi untuk makan harian kita. Barulah di sini kita akan tahu menghargai kesusahan yang dihadapi dan dirasai oleh kedua-dua ibu ayah kita ketika mereka berusaha memberi nafkah untuk kita.
Ini adalah lima aspek yang saya rasa penting untuk anda lakukan penilaian dalam tempoh bercuti ini sebagai pemangkin untuk anda fikirkan apa yang sesuai untuk diri anda sendiri lakukan dalam tempoh cuti panjang ini.
Ada lagi aspek-aspek lain sebenarnya. Apapun semua ini ditentukan berdasarkan penilaian anda juga sebenarnya. Aspek mana yang anda perlu tingkatkan, maka masukkanlah ke dalam perancangan.
Perancangan biar detail dan objektif. Biar kita nampak dan jelas apa kita boleh lakukan untuk mencapai matlamat yang kita hajatkan terhadap diri kita.
Kedua – Anda Perlu Sedar Anda Sedang Bergerak Menuju Umur Dewasa
Masa cuti ini adalah masa ujian besar bagi anda.
Kerana ada orang yang nantinya akan mengisi masa cutinya ini dengan baik. Ada pula yang menghabiskannya dengan lepak-lepak bersama kawan-kawannya yang tidak baik sehingga akhirnya menjebakkan dirinya ke dalam kancah yang tidak baik.
Ramai yang begitu. Sewaktu di sekolah dulu, dialah pengawas yang biasa menegur orang yang melakukan kesalahan. Tetapi, selepas tamat persekolahan, dia pula yang melakukan kesalahan-kesalahan itu, bahkan kadangkala lebih teruk lagi. Perubahan yang sangat ketara jauhnya.
Tahu kerana apa?
Kerana masa kosong yang panjang selepas SPM tidak dirancang dan diisi dengan baik. Bila kita tidak isi masa kita dengan kebaikan, maka pastilah kita akan terjebak dalam kerosakan dan kesia-kesiaan.
Di waktu cuti ini, muhasabahlah diri anda yang anda sekarang sedang bergerak menuju umur dewasa dan umur tua. Masa muda ini, masa remaja ini anda akan tinggalkan. Sudah tidak lama.
Seringkali bila saya sendiri memikirkan masa-masa muda yang telah lepas, ada sedikit kekesalan dalam jiwa kerana tidak menyedari dan mengambil berat beberapa perkara sejak dari dulu lagi. Banyak perkara yang kita boleh lakukan dulu, tidak lagi boleh dilakukan sekarang.
Sebab itu, anda perlu sedar yang anda sedang bergerak menuju umur dewasa. Dewasa anda, bagaimanakah yang anda mahu corakkan?
Menjadi dewasa yang bermanfaat untuk Islam dan ummat atau sekadar jadi dewasa yang seronok dalam kehidupan dunianya saja?
Usamah bin Zaid, saat umurnya 18 tahun telah dipertanggungjawabkan sebagai panglima perang, maka apakah anda mempunyai kualiti dewasa sehingga tahap itu sekarang ini?
Ketiga – Kehidupan, Masa Muda Adalah Saham Akhirat
Adik-adikku,
Kehidupan, masa muda kita ini singkat saja. Tidak lama.
Ia akan jadi saham kita di akhirat nanti. Kalau kita isi dan gunanya dengan baik, maka ia akan jadi saham yang baik untuk kita ke syurga. Kalau kita isi dan gunanya ke arah yang tidak baik, maka tidaklah tinggal masa muda itu melainkan saham yang akan menghantar dan mencampakkan kita ke neraka.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan tidaklah kehidupan ini melainkan permainan dan senda gurau. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu adalah sebaik-baiknya bagi orang bertaqwa. ” [Al-An’am : 32]
Maka, pada kehidupan yang sesingkat ini, janganlah dibazirkan walau sesaat pun.
Selama mana ada masa dan ruang untuk kita lakukan peningkatan terhadap diri kita, maka rebutlah ia. Janganlah kita hilangkan peluang ini dengan menghabiskan masa cuti untuk menonton movie dan tv semata-mata, membeli-belah, keluar berseronok dan berfoya-foya dengan kawan-kawan.
Inilah masa penting untuk membina diri kita, membangunkan peribadi kita.
Nikmat, keseronokan ini akan hilang. Tidak kekal lama.
Tetapi diri kita yang kita bina ini, manfaatnya banyak sampai ke akhirat, apatah lagi bila manfaat itu dapat ditumpang oleh ramai orang.
Penutup : Inilah Yang Anda Boleh Lakukan Sebenarnya
Seringkali kerisauan saya bertumpu pada adik-adik yang baru usai SPM. Saya bimbang kerana kadangkala ada yang saya kenali dulu sangat baik, tetapi kerana 5 bulan cuti tidak diisi dengan baik, dia terjebak dalam kancah yang tidak sihat. Saya bimbang kerana masyarakat saban hari perlukan pembaikan, tetapi perawatnya saban tahun tidak bertambah bahkan pesakitnya pula yang bertambah.
Maka, untuk adik-adik saya yang baru usai SPM, ini adalah pesanan penuh kasih dan sayang daripada saya serta warga LangitIlahi yang lain. Kami sangat menghargai potensi-potensi baru seperti anda.
Barangkali, kalau anda ingin menganjurkan program-program bersama dengan wakil-wakil Langitilahi pun, kami sangatlah mengalu-alukan. Kami juga bersedia memenuhi permintaan anda sekiranya ingin mengadakan bengkel penulisan ke, kem pembangunan insan ke atau apa-apa jua.
Ini bukanlah promosi. Ini hanya tawaran sekiranya anda benar-benar serius ke arah peningkatan diri, maka kami bersedia membantu apa yang kami mampu.
Tinggal lagi, anda perlu serius dengan diri anda, serius melaksanakan peningkatan diri anda. Siapkan jadual, minta bantuan ayah ibu untuk bantu dan pantau diri kita, minta nasihat daripada kawan-kawan yang soleh dan baik.
Kita perlukan lebih ramai perawat-perawat dalam ummat ini yang mampu dan memiliki kemahiran untuk turun merawat penyakit-penyakit yang ada dalam tubuh ummat. Maka, tenaga-tenaga muda seperti kalianlah yang sangat-sangat diharapkan.
Kalau tidak tenaga baru dan bersemangat seperti kalian, maka siapakah lagi yang bisa diharapkan?
Sebab itu, masa cuti ini, fikir-fikirkanlah dan rancanglah cuti kalian sebaiknya. Saya telah kongsikan sebahagian aspek dan langkah yang mungkin boleh menjadi guideline untuk membantu peningkatan anda. Semoga sedikit sebanyak dapat membantu kalian.
Ajaklah kawan-kawan kalian juga untuk bersama dalam hal ini melakukan peningkatan. Biar cuti kali ini jadi cuti yang memberi makna untuk kehidupan kita, sekarang, masa depan dan akhirat kita.