Hilal Asyraf's Blog, page 125

January 3, 2013

Rancang bentuk keluarga sakinah

Selepas tiga hari berada pada tahun 2013, banyak isu tahun lepas yang melingkari kehidupan masyarakat. Antaranya isu sosial yang merangkumi keluarga dan masyarakat seperti perceraian, perebutan anak, pergaduhan dan perselisihan faham. Ada juga yang melibatkan kematian akibat dipukul. Dalam isu politik, topik perbincangan dilihat menjurus kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan. Justeru, timbul pelbagai kisah lama yang gunanya untuk menarik perhatian pengundi sebagai sebahagian daripada strategi memenangi pilihan raya tersebut.


Dalam surat khabar hari ini kita dapat lihat bagaimana pasangan rumah tangga menjadi porak-peranda kerana pasangan hidup tidak seperti yang diimpikan. Itu belum lagi bercerita mengenai anak-anak lelaki dan perempuan yang buruk akhlaknya, tingkah laku biadap dan terlibat dengan pelbagai masalah. Isu-isu ini menjadikan surat khabar semakin laris kerana isu-isu masyarakat telah disensasikan.


Tahun 2013 penuh dengan cabaran keluarga. Trend pelaporan ke atas isu-isu keluarga dilihat menjurus kepada ketelusan dan lebih ekstrem seperti penderaan kanak-kanak dan pengabaian warga emas. Berita tentang pembuangan bayi sudah menjadi biasa dan tidak lagi menjadi isu “gempak” berbanding 17 tahun lalu.


Saya baru sahaja dapat berkongsi cerita tentang harapan seorang bapa untuk melihat anak-anaknya akan ada yang menjadi seorang ustaz. Beliau ada lima orang anak dan semuanya lelaki.


Dia dan anak sulung terlibat dalam bisnes, menjadi usahawan yang berjaya tetapi belum ada yang menjadi ustaz sebagai pelengkap kepada kehidupan dunia yang seimbang.


Lalu seseorang bertanya, “Macam mana hendak lahirkan seorang ustaz dalam keluarga kamu?”


Dia menjawab, “Saya sedang memujuk dua anak untuk cenderung kepada ustaz, InsyaAllah sedang berusaha ke arah itu”.


“Macam mana kamu nak bentuk anak jadi ustaz, kamu sendiri tak pakai ketayap, jadi macam mana anak-anak nak ikut?”


Soalan ini sukar dijawab kerana jangkauan pemikirannya tidak begitu jauh. Lalu beliau diberi penyelesaian.


“Carilah menantu yang boleh menjadi ustazah, nak harapkan cucu dah agak jauh”.


Kisah ringkas ini berkaitan dengan memilih pasangan untuk anak-anak supaya akan lahir sebuah keluarga yang mendapat rahmat Allah swt. Ia juga berkaitan dengan kerisauan seorang bapa untuk mencari pasangan yang sesuai dengan anaknya yang dapat ditumpang kebahagiaan hidup.


Menjadi tanggungjawab kita untuk menginstitusikan kaedah membentuk keluarga yang mendapat rahmat Allah swt. Pembentukan akhlak dan sikap anak-anak bermula sejak kecil dan berterusan sehinggalah mendirikan rumah tangga dan beranak-pinak. Keluarga muda yang ada keinginan membentuk keluarga seperti ini mesti berusaha menjadi ilmu dan membina hubungan dengan keluarga yang lain supaya hajat dan impian mereka akan dicapai.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 03, 2013 09:00

January 2, 2013

Motivasi : Tips – 3 Mindsetting Kenapa Aku Bernikah?

 


[image error]


 


Sudahkah Anda Menontonnya? Saya syorkan.


Vlog – Sudikah Awak?


Oleh : Qawiem Khairi Of LangitIlahi


 


Sengih.^^


Suka saya dengan Vlog terbaru Qawiem Khairi bersama sahabatnya, Amir Lutfi – Sudikan Awak? – yang sedang hangat di alam maya. Berulang-ulang kali saya melihatnya sambil tersenyum riang. Mesejnya sampai, penyampaian santai dan mudah difahami.


Benar apa yang diutarakan untuk sama-sama kita fikirkan dan amalkan dalam kehidupan kita. Persiapan, persediaan dan awal hasrat membina bahtera perkahwinan merupakan suatu perkara yang sangat-sangat penting bagi pasangan yang bakal berkahwin.


Justeru, kali ini suka saya kongsikan berkaitan tujuan, matlamat dan mindsetting yang harus ada bagi semua manusia dalam melangkah ke fasa yang penting ini. Perkahwinan atau pernikahan bukan hanya bertujuan untuk menghalalkan hubungan antara lelaki antara perempuan semata-mata tetapi ada tujuan dan matlamatnya yang sifatnya jauh lebih mulia.


Berikut saya petik daripada sebuah kitab yang sangat bagus dijadikan rujukan oleh kita semua dalam memahami pembinaan rumah tangga dan proses pendidikan anak-anak, iaitu Prophetic Parenting, Cara Nabi Mendidik Anak ( Tajuk asal dalam bahasa Arab iaitu Manhaj at-Tarbiyah  an-Nabawiyyah lith Thifl)  tulisan Dr Muhammad Nur Abdul Hafuzh Suwaid.


3 yang utamanya ialah  :


 


(1) Perbanyakan Jumlah Ummat Islam dan beri kegembiraan kepada Rasulullah SAW


MasyaAllah.


Mulianya tujuan ini. Hal ini dinyatakan oleh baginda Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud :


“ Nikah adalah sunnahku. Maka barang siapa yang tidak mengamalkan sunnahku bererti dia bukan termasuk golonganku. Menikahlah kalian, kerana sesungguhnya aku berharap memiliki jumlah umat yang banyak melalui kalian di antara umat-umat lainya pada hari Kiamat kelak.”


Riwayat oleh Ibnu Majah daripada Aisyah RA.


Rasulullah SAW mempunyai hasrat dan cita-cita yang murni. Tidakkah kita mahu menjadi insan-insan yang akan merealisasikan hasrat murni baginda ini?


Terpancar cahaya kegembiraan di raut wajah baginda jika impian ini sama-sama kita bumikan.


Ayuh, bernikah dan banyakan zuriat!


 


 


(2) Memelihara Dan Dekatkan diri kepada Allah SWT


Saya teringat suatu masa ketika belajar – ada beberapa pasangan rakan yang berkahwin muda. Lalu, saya Tanya apa yang dirasai setelah bernikah?


Jawab mereka : “ Tenang dan semakin khusyuk solat!”


Alangkah mulianya manusia yang memelihara kehormatan dirinya dengan jalan-jalan yang suci dan murni. Pernikahan adalah suatu ibadah yang halal, suci dan bersih. Melaluinya, hati kita akan tenang, tenteram dan bahagia.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :


“ Dan pada kemaluan salah seorang daripada kalian terdapat sedekah. Mereka bertanya, “ Wahai Rasulullah, bagaimana boleh salah seorang kami memuaskan syahwatnya kemudian dia mendapat pahala?”


Baginda menjawab :


“ Tidakkah kalian melihat apabila dia menyalurkannya pada sesuatu yang haram bukahkah dia mendapat dosa? Maka demikian pula apabila dia menyalurkannya pada sesuatu yang halal, dia akan mendapat pahala.”


Riwayat oleh Muslim, An-Nasai’ dan Ahmad.


Itulah kemanisan dan kenikmatan bahawa sesiapa yang memelihara kesucian diri dengan jalan yang jernih lagi halal.


Anda? Bila lagi?


 


(3) Membangunkan Generasi Muslim


Ya.


Membangunkan Sebuah Generasi.


Kita bernikah untuk membangun generasi. Satu generasi yang akan menegakan dan mendaulatkan Islam. MasyaAllah, hebat hasrat, cita-cita dan impian ini.  Dalam berhubungan intim, seharusnya kita berniat untuk mendapatkan anak yang soleh.


Anak adalah anugerah, kurniaan dan pemberian Allah SWT. Dan yang lebih membahagiakan lagi jika dikurniakan anak yang soleh. Tugas dan amanah ibu bapa ialah mempersiapkan anak-anak menjadi calon Syurga Allah SWT.


Inilah tugas utama kita. Dan, hal ini harus menjadi agenda dalam membina rumah tangga.


Berkahwin atau bernikah bukannya satu amal yang kecil atau kerdil tetapi ia adalah amalan yang besar dan mempunyai impaknya kepada kehidupan kita sebagai hamba Allah SWT.


 


Penutup : Bernikah, bersama, berjuang dan  berbahagia hingga ke Syurga.


Tekad bersama.


Alam rumah tangga dipenuh pelbagai warna-warni. Lantaran itu, jika tujuan dan matlamatnya bersih dan murni – insyaAllah ianya akan berada dalam naungan keberkahan Allah SWT. Kebersamaan, keselarasan dan kesefahaman antara kedua pasangan – suami isteri – sangat-sangat penting dalam menjayakan hasrat murni pernikahan Islami.


Justeru, bernikah bukan hanya gambaran keseronokan, keceriaan dan happy yang berpanjangan tetapi ia adalah sebuah kebersamaan, perjuangan dan kesepakatan untuk berlumba menuju Syurga.


Tidakkah kita ingin bersama pasangan yang dicintai di dunia sehingga ke Syurga?


Jika – ya. Pilihlah untuk memulakan “sesuatu” hari ini dan sekarang juga!


 


——–


Bernikah + Bersama + Berjuang + Sehaluan = Berbahagia Dunia Akhirat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 02, 2013 23:42

January 1, 2013

Fotografi: “Letting go.”


Me, climbing at Perlis.


“Holding on is believing that there’s only a past,

letting go is knowing that there’s a future.”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 01, 2013 05:57

December 31, 2012

Agama: Sudut Pandang Islam Terhadap RIBA

[image error]


Riba adalah suatu perkara yang kurang diambil penting dalam masyarakat islam Malaysia, mungkin disebabkan kesedaran dan kejahilan masyarakat dalam memahami isu riba. Sejak merdeka negara kita ditumbuhi dengan banyaknya bank konvensional secara pesat umpama cendawan tumbuh selepas hujan dan bank Islam tiada lagi ketika itu. Kebanyakkan bank ini menyediakan instrument-instrument yang penuh dengan riba dan gharar (penipuan) yang jelas dilarang oleh Islam.


Apabila adanya Bank Islam Malaysia yang ditubuhkan pada April 1983 dan window-window islam yang dibuka sendiri oleh bank konvensional seperti RHB Islamic Banking,HSBC Amanah, dan lain-lain lagi, bilangan yang menggunakan instrument-instrument  patuh syariah masih lagi berada dalam nisbah yang sedikit jika dibandingkan dengan nisbah bilangan penduduk Malaysia yang menggunakan bank-bank konvensional, malah kebanyakkan yang menggunakan instrument patuh syariah terdiri daripada bukan Muslim. Umat islam masih suka menggunakan instrument-instrument yang mengamalkan riba agar cepat kaya dan mudah tanpa memikir ke hadapan dari sudut jangka panjang dan balasan yang Allah janjikan untuk orang-orang yang terlibat dalam riba.


Dalil-Dalil Pengharaman Riba:


1. Allah menghalalkan semua jenis jual beli kecuali jual beli yang melibatkan riba, Allah berfirman dalam kitab sucinya:


“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”[1]


2. Perang diisytiharkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW terhadap manusia yang terlibat dengan riba. Tiada maksiat lain yang Allah dan Rasul iklankan perang terhadap seseorang kecuali RIBA. Allah berfirman juga


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”[2]


Ayat di atas ini sangat jelas akan pengharaman riba, Allah memanggil dengan panggilan “Wahai Orang Beriman”, Ibn Abbas RA telah berkata dalam satu riwayat: Kami (sahabat) apabila mendengar ayat-ayat yang menyebut ‘wahai orang-orang beriman’, kami mendongak kepala kami, kami memasang telinga kami untuk mendengar dan ambil perhatian serta bersedia untuk menerima arahan daripada Allah SWT.” Jadi ambil perhatianlah wahai orang-orang beriman.


Sesungguhnya nas ini diikat oleh Allah dengan perkataan iman seolah Allah berkata: Orang-orang beriman itu meninggalkan saki baki riba yang mereka miliki. Faham daripada konteks ini bahawa tidak berimanlah seseorang  kecuali dia bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan saki baki riba. Jika tidak melaksanakan perkara ini dia bukanlah orang beriman walaupun dia mengiklankan bahawa dia orang beriman kerana tiada iman tanpa ketaatan kepada Allah SWT dan tanpa patuh pada segala arahannya.[3]


3. Hadis tentang larangan riba:


Dari Jabir Ibn Abdillah telah berkata: Rasulullah SAW menglaknat sesiapa yang memakan (harta) riba, yang menjadi wakil, penulis (bagi kontrak)  dan saksi-saksi, Baginda telah berkata: Mereka semua sama)[4]


4. Hadis lain juga ada menyebut bahawa riba termasuk dalam dosa besar:


 


Rasulullah SAW bersabda: Jauhilah kamu daripada tujuh dosa-dosa besar: Syirik kepada Allah dan Sihir, bunuh manusia yang diharamkan darahnya oleh Allah, memakan (hasil) riba, memakan harta anak yatim,…)[5]


5. Para ulamak pada setiap zaman berijmak mengatakan haram mengambil riba. Ibn Qudamah telah berkata: Umat bersepakat mengatakan riba haram.[6]


Pemahaman daripada dalil yang disertakana di atas, bahawa haram dan berdosa besar sekiranya seseorang terlibat dengan riba. Zaman sekarang yang terlalu ramai manusia mengejar dunia seolah-oleh kita tidak mampu lari daripada riba malah sekiranya kita cuba lari pasti terkena tempiasan riba ini.


Jenis-jenis riba:


Ulamak membahagikan riba kepada dua iaitu riba dalam jualbeli dan riba hutang.


1. Riba Dalam Jual Beli:


Jenis ini berkait rapat dengan beberapa buah hadis yang berkaitan dengan kategori-kategori barang yang digelar barang ribawi sekiranya tidak mengikut syarat yang ditetapkan.


Daripada Ubadah ibn As-Somit RA telah berkata: “aku telah mendengar Rasulullah SAW melarang daripada jualbeli emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam kecuali secara sama bentuknya (timbangannya, isipadunya atau bilangan) barangsiapa yang menambah (timbangannya) sesungguhnya ia telah melakukan riba”


Dalam riwayat yang lain: “…tidak mengapa sekirannya jual beli emas dengan perak, (timbangan) lebih antara yang lain (tetapi) tangan dengan tangan (menukar pada waktu yang sama)…”


Difahami daripada hadis di atas, sekiranya jual beli pada jenis yang sama, wajib timbangannya, isipadunya atau bilangannya sama antara satu sama lain dan menukarkan barang-barang tersebut pada waktu yang sama tidak dibenarkan salah seorang daripada merek menangguh dalam jual beli ini. Sekiranya tidak menepati dua syarat disebutkan di atas maka ia menjadi riba.


Sebagai contoh Ahmad membeli 10 kilo beras gred A daripada Ali dengan bayaran sebanyak 5 kilo beras gred B pada tarikh 25/1/2012. Jual beli ini adalah riba sepertimana yang difahami daripada hadis di atas, dan ulamak mengelarkan riba ini sebagai riba fadhl (riba lebihan).


Contoh lain: Siti membeli 10 gram emas 999 daripada Aminah pada tarikh 25/1/2013 dengan bayaran 10 gram emas 916 pada tarikh 27/1/2013. Jual beli ini juga digelar riba walaupun timbangan gram emas sama tetapi berbeza dari segi masa pertukaran barang maka ia disebut oleh para ulamak sebagai riba nasi’ah (riba tangguh).


Sekiranya berbeza jenis barang, maka jual beli seperti mana yang kita sukai atau kehendaki sama ada timbangan lebih daripada barang yang lain, atau sama atau pun kurang daripada barang tersebut tetapi bersyarat pertukaran barang mesti pada waktu yang sama.


Sebagai contoh: Hilmi membeli 3 kilo barli daripada Karim dengan bayaran 10 kilo garam pada tarikh yang sama dan masa yang sama.


Jual beli berbentuk seperti ini kerap berlaku pada zaman ini antaranya  forex (jual beli mata wang) sekiranya tidak mengikut syarat yang disebutkan di atas iaitu sama nilainya sekiranya jenis matawang adalah sama dan juga jual beli tersebut pertukaran wang tersebut pada waktu yang sama, maka dibenarkan oleh syara’.


2. Riba Hutang


Riba seperti ini sudah dikenali dalam masyarakat kita, malah banyak instrument pinjaman dan pembiayaan yang disediakan oleh bank konvensional dan ahlong-ahlong baik yang rasmi atau haram mempunyai unsur riba jenis ini. Riba hutang ini bermakna seseorang meminjam wang atau sesuatu harta dengan kadar tertentu dan akan membayar hutang ini dalam tempoh tertentu dengan syarat membayar wang tambahan, dan sekiranya lewat daripada waktu yang ditetapkan wang yang disyaratkan semakin meningkat.


Riba tidak dipanggil riba pada zaman sekarang tetapi dipanggil dengan panggilan yang Nampak baik kononnya seperti Bunga, faedah, interest dan sebagainya. Riba seperti ini juga diharamkan oleh islam.


 


Kalau Riba  Sedikit  dibenarkan?[7]


Ada  beberapa ulamak yang berpandangan membenarkan jual beli riba sekiranya nisbah nilai riba tersebut sedikit iaitu tidak menjangkau 2% dan sekiranya nilai riba melebihi daripada nisbah tersebut maka haram baginya. Mereka berdalilkan:


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”[8]


Ulamak rabbani menolak pendapat ini dengan berhujahkan:



Ayat أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً  berlipat-lipat ganda bukanlah menunjukkan bahawa syarat bahawa ia tidak dibenarkan sekiranya banyak atau pun mengambarkan sebagai pengikat bagi riba tetapi merupakan penerangan kepada realiti ketika zaman jahiliyah riba dikaut secara banyak sehingga menzalimi orang ramai.
Ulamak seluruh zaman sudah bersepakat akan haramnya riba baik sedikit atau pun banyak, maka pendapat di atas sudah keluar daripada ijmak ulamak dan bererti mereka tidak memahami usul fikh. Sedikit akan membawa kepada banyak, islam sekiranya mengharamkan sesuatu akan mengharamkan semua yang berkaitan dengannya berdasarkan dalil saddu zaraie’ (menutup jalan yang membawa kepada mafsadah). Seperti mana arak, ada orang minum sedikit sudah mabuk dan ada yang minum banyak belum menjadi mabuk, maka islam mengharamkan semua baik yang sedikit atau pun yang banyak.
 Adakah mereka beriman dengan sebahagian kitab dan mengkufuri sebahagian yang lain?  Adakah mereka tidak membaca ayat yang lain seperti: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba”, “Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu”, dan “Allah susutkan  riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah”. Maka keseluruhan ayat-ayat yang berkaitan riba menunjukkan bahawa pengharaman secara qat’iyah dan jelas.

Penutup: Wahai Orang Beriman, Jauhilah!


Sebagai penutup, orang-orang beriman apabila mendengar arahan Allah swt terus melaksanakan tanpa banyak soal, dan meninggalkan larangan-Nya tanpa ragu-ragu. Kewujudan bank islam yang menyediakan pelbagai instrument yang patuh syariah boleh digunakan oleh masyarakat islam. Walaupun terlalu banyak tarikan-tarikan duniawi daripada pihak-pihak yang menyediakan instrument yang berpaksikan riba baik bank mahupun kerajaan, tetapi Allah SWT sentiasa membantu hamba-hambanya yang berpegang teguh pada deen-Nya.


Barat menjadi bukti satu persatu bank konvensional mereka gulung tikar seolah-olah Allah mengishtiharkan perang terhadap pengguna riba dengan membuatkan mereka menjadi muflis dan mula beralih kepada sistem ekonomi islam. Pada 2009 sahaja sebanyak 97 buah bank di barat diishtiharkan muflis, anataranya National Bank Of Commerce Berkeley USA, Bank of Clark County Washington USA Magnet Bank dan banyak lagi. [9]Maka saya akhiri penulisan ini dengan satu persoalan, sekiranya barat sudah mula beralih kepada sistem ekonomi islam, kenapa kita berebut-rebut mengambil sistem ribawi sebagai paksi?





[1] Al-Baqarah:275




[2] Al-Baqarah: 278-279




[3] Sayyid Qutb, Fi Dzilal Al-Quran (2004), jld 1, hal. 330




[4] Hadis Sohih Riwayat Muslim




[5] Hadis Sohih Riwayat Muslim




[6] Al-Mughni oleh Ibn Qudamah, Jilid 4, hal. 3




[7] Tafsir Ayat Ahkam, Dr. Ali As-Sobuni, Jld. 1, hal. 280




[8] Ali-Imran: 130




[9] http://www.fdic.gov/

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 31, 2012 10:05

Kehidupan: 2013


Masa, jangan kita lepaskan ia ~ Picture by UmarMita of LangitIlahi


 


Tahun baru. 2012 pergi berlalu. 2013 datang membawa masa yang baru. Tetapi angka tetap angka. Sekadar memberikan peringatan kepada manusia. Istimewa tiada istimewa. Masa tetap berjalan seperti biasa. Meninggalkan kita. Meninggalkan kita.


Ajaib. Memang ajaib. Diri penuh noda dan dosa. Allah panjangkan umur. 1433H kepada 1434H. 2012M kepada 2013M. Hem. Pernah pandang diri sendiri?


Itu pun masih ramai yang alpa. Menyambutnya dengan riang dan tawa. Seakan dipanjangkan usia, didekatkan kepadanya syurga. Seakan disambung usia, semakin panjanglah ia. Sedangkan, syurga belum pasti. Sedangkan, mati semakin menghampiri.


Belum dikira dengan yang menyambutnya bersama maksiat.


Yang mabuk, yang hilang dara, yang membazir dengan bunga api dan kelap kelip lampu berduit-duit kala rakyat ada yang miskin menderita. Ditambah tahun usianya oleh Tuhan, belum pun sehari, bertimbun dosa kita balas kembali.


Pandang semula 2012, 2011, 2010, 2009, 2008, 2007, 2006, 2006, 2005, 2004, 2003 dan seterusnya. Pandang ke belakang.


Kemudian toleh semula kepada 2013.


Apakah akan sama? Jika ya, celakalah kita.



Mu’min dan Masa


Tiada apa yang lebih kita percaya melainkan bicara Allah SWT. Dan tiada kerugian yang lebih besar daripada kerugian masa, kerana dengan itulah Dia bersumpah akannya kerugian yang nyata.


“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.” Surah Al-‘Asr ayat 1-2.


Bermakna, semua manusia itu dalam kerugian apabila berhadapan dengan masa. Kerana masa pergi dan tidak akan sesekali kembali. Masa adalah nyawa, dan tiada siapa dapat menangani pemergiannya.


Namun orang yang beriman tahu bagaimana untuk menjadi yang tidak rugi. Kerana di dalam surah yang sama, Allah SWT berfirman:


“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Surah Al-‘Asr ayat 3.


 


Begitulah orang yang beriman mengatasi kerugian yang dihadapi dek masa. Mereka ‘mengisi’ masa yang ada dengan perkara yang bermakna. Beriman, beramal soleh, dan berpesan-pesan terhadap kebenaran dan kesabaran.


Kerana masa yang bermakna, hanya masa yang Allah kira sebagai amalan kebaikan, yang menjadi saham untuk kita ke syurga sana.


 


Kita Isi Kehidupan Kita Dengan Apa?


Pandang semula 2012, 2011, 2010, 2009, 2008, 2007, 2006, 2006, 2005, 2004, 2003 dan seterusnya. Pandang ke belakang.


Kita isi semua itu dengan apa?


Kemudian pandang ke hadapan. Kita akan mengisi kehidupan seterusnya, yang Allah panjangkan usia kita, yang kalau Allah berikan lagi kehidupan kepada kita, kita mahu isi dengan apa?


Dengan kebodohan yang sama dengan sebelumnya?


Dengan maksiat yang sama dengan sebelumnya?


Atau kita rasa menyesal dengan segala kekurangan kita pada tahun-tahun yang telah berlalu, dan rasa bersyukur Allah SWT masih memanjangkan usia kita untuk tahun ini, lantas bertindak untuk melakukan perubahan?


 


Penutup: Khalifah Berjiwa Hamba. Itu Tujuan Penciptaan Kita.


Saya sering bertanya di mana-mana program yang saya hadiri – “Siapakah anda 5 tahun akan datang?”


Ramai yang menjawab status diri(berkahwin, jadi suami atau isteri), status belajar(masih degree, pelajar Master atau ambil PhD) atau status pekerjaan(Engineer, Doctor, Ustaz). Sedangkan saya tidak bertanya – “Apakah anda 5 tahun akan datang?”


Saya tanya ‘siapakah anda’.


Namun jawapan sedemikian keluar kerana begitulah kita telah dididik sistem. Untuk menjadi robot, menjadi pekerja buat mereka. Lantas, di hujung minda kita, itu sahaja di fikiran.


Sedangkan, Allah SWT menjadikan kita untuk menjadi Khalifah yang berjiwa hamba!


“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri kepada Aku.” Surah Adz-Dzariyyat ayat 56.


“Dan ingatlah ketika Rabb kamu berbicara kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku ingin ciptakan untuk bumi ini khalifah.” Surah Al-Baqarah ayat 30.


Kita bukan dicipta untuk bermain-main dan menghabiskan masa. Kita dicipta untuk MENTADBIR bumi ini dengan kalimah Dia. Bukannya untuk tunduk di bawah sistem yang tidak mengEsakanNya!


Maka bagaimana kita boleh melepaskan masa berlalu begitu sahaja?


Siapakah kita 5 tahun akan datang?


Kita yang pada hari inilah yang menentukannya.


Cukuplah masa yang telah kita buang,


2013 ini mulakanlah langkahan untuk menjadi manusia yang bernilai di sisiNya!


Khalifah yang berjiwa hamba!


Mari!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 31, 2012 05:51

Umum : 2013. Seruan Memperbaharui Sikap !


Terus berjalan, tapi dengan diri yang baru.

~ Picture by Umar Mita 


 


2012 berlabuh meninggalkan kita. Kini, 2013 menanti untuk didepani. Satu tahun, terasa begitu singkat.


Masa begitu pantas berlalu.


Bila kita berada di awal tahun, terasa begitu lambat masa berlalu. Tetapi bila kita sudah berada di hujung tahun, terasa masa ini begitu pendek sekali. Memanglah begitu realiti manusia. Bila berada di awal, terasa masih banyak masanya. Bila sudah berada di akhir, baru menyesal memikirkan telah banyak masa dibazirkan dulu.


Sehingga setelah setahun berlalu, seakan-akan masih banyak yang belum kita persiapkan untuk peningkatan diri kita. Masa semakin berlalu, tapi adakah diri kita bergerak menjadi lebih baik atau sebaliknya?


Maka, mari bersama kami melakukan muhasabah. Semoga kita menjejakkan kaki ke 2013 kali ini dengan lebih baik beserta dengan perancangan yang lebih kemas.


 


Apa Yang Telah Anda Lakukan Semalam?


Ketika kita melakukan penilaian terhadap apa yang telah kita lakukan semalam, bukan penilaian dari sudut keduniaan sahaja yang perlu kita lakukan.


Bahkan, sudut akhirat kitalah yang lebih utama untuk kita lakukan penilaian.


Ada orang menilai berapa banyak harta yang telah dicapainya dalam tahun 2012. Sudah mencapai target yang diinginkan atau belum?


Ada orang pula menilai dari segi kedudukannya dalam kerja-kerjanya. Sudah di tahap manakah kerja-kerjanya sekarang? Adakah kerja-kerjanya memenuhi keperluan semasa atau tidak?


Ada orang pula menilai dari segi bacaannya. Berapa banyak bukukah yang telah dikhatamkannya dalam setahun ini dan sejauh mana pula kefahamannya terhadap apa yang dibacanya itu?


Semua penilaian ini penting sebenarnya. Tetapi jangan terlupa sesuatu.


Penilaian kita untuk akhirat kita. Adakah semua yang kita lakukan itu, bekerja, mencari nafkah, membaca dan sebagainya itu mengundang redha Allah atau sebaliknya?


Dalam tahun 2012 yang telah berlalu ini, apakah dosa yang semakin bertambah ataupun pahala? Ataupun adakah kita hanya maintainkan graf jatuh naik iman yang sama sahaja kadarnya?


Tanyalah soalan ini pada diri kita.


2012 ini telah kita lalui dengan pelbagai cerita suka duka, pahit manis serta isu-isu masyarakat yang tidak pernah berhenti. Kadangkala, kita menemui isu-isu, masalah-masalah dan cerita-cerita yang tidak menyenangkan hati, kadangkala kita dapati ada pertembungan-pertembungan yang menyakitkan antara NGO-NGO Islam, parti-parti politik sedia ada dan kumpulan-kumpulan lain dalam masyarakat. Maka, bagaimanakah respon kita ketika berdepan dengan semua isu dan masalah ini?


Ada orang kadangkala merespon dengan cara yang positif. Ada orang pula respon dengan cara yang tersangat negatif. Ada orang pula sederhana.


Sebab itulah kita sentiasa perlukan kepada satu asas yang kukuh iaitu asas keimanan kepada Allah.


Asas inilah yang akan menjaga nilai pada diri kita ketika kita tampil berbicara dalam soal politik, terlibat dalam aktiviti berkaitan dengan hubungan kemasyarakatan ataupun pembangunan individu. Asas inilah yang akan menjaga nilai-nilai pada diri kita ketika bergaul dan berinteraksi dengan manusia.


Sebagaimana pokok yang baik akan menghasilkan buah yang baik, maka begitu jugalah iman. Iman yang baik, tindakan dan perkataan yang terhasil dari tubuh juga pasti menjadi baik.


Asas ini bila berada kukuh di dalam jiwa kita, ia akan menjadikan kita manusia yang sentiasa berfikir tentang masa depannya.


 


Sebab Itu, Bila Kita Beriman, Kita Mesti Sentiasa Melihat Dan Berfikir Untuk Hari Esok


Allah berfirman dalam surah Al-Hasyr,  ayat 18 yang bermaksud :


“Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap jiwa memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok.”


Ayat ini sangat dekat dan signifikan dengan orang yang mengakui dirinya beriman kepada Allah s.w.t.


Lihatlah, Allah mengaitkan orang-orang yang beriman dalam ayat ini dengan keperluan untuk dia sentiasa melakukan penilaian terhadap apa yang telah dia persiapkan untuk hari esoknya.


Iman sepatutnya menjadikan kita manusia yang bervisi dan berpandangan jauh. Iman sepatutnya menjadikan kita insan yang berwawasan.


Itulah kesan iman yang sepatutnya. Maka, ketika kita mendepani pelbagai isu, masalah dan cerita pahit manis dalam 2012, adakah kita telah memikirkan kesan-kesannya pada tahun 2013 dan tahun-tahun yang seterusnya?


Betapa ruginya manusia yang terjatuh ke dalam masalah dan musibah besar, lalu ia kecewa dan tidak meneruskan kehidupannya dengan baik. Sedangkan musibah, masalah dan ujian itu hanyalah seketika di dunia ini sahaja. Bahkan, kehidupan di dunia ini tidaklah lama, tersangat singkat pula. Apakah kita rela dengan kekecewaan kita dalam kehidupan yang singkat ini akhirnya membawa kita kepada musibah lebih besar di akhirat nanti?


Ada manusia pula yang terbiasa berada di kedudukan dan pangkat yang tinggi baik dalam pejabat ketika kerja ataupun dalam pemerintahan sebuah negara. Kadangkala, sebahagian mereka ini tidaklah begitu peduli sangat pun dengan keadaan rakyat di bawahan. Rasuah, gelapkan wang dan pelbagai lagi sikap pecah amanah berlaku kerana sudah terbiasa lama memerintah.


Ada pula yang hanya sekadar jadi penyokong, pemerhati dan pengkritik dari tepi. Bila timbul isu, maka kritikan-kritikan serta komen mereka mula timbul. Ada yang kadangkala bersifat berat sebelah, ada pula yang memihak kepada pihak-pihak tertentu, ada pula yang bukan memberi kritikan tetapi melontarkan caci maki dan kejian atas nama kritikan untuk memuaskan hatinya.


Yang mendepani semua isu dan masalah ini dengan sikap dan akhlak yang baik, kita sangat hargai dan kagum dengan orang-orang begini. Tetapi, kita sangat terkilan dengan mereka yang berakhlak buruk, pecah amanah dan melampau-lampau dalam tindakannya ketika mendepani atau mereka sendiri terlibat dalam masalah itu.


Sebab itulah, untuk mengawal sikap melampau-lampau, akhlak buruk, pecah amanah dan sebagainya ini, imanlah asas yang kukuh untuk menjaganya.


 


Melengkapi Ciri Menjadi Hamba Yang Baik


Insan, bila hubungannya baik dengan Allah, dia merasakan kesan iman itu dalam kehidupannya, pastilah dia akan mengetahui bahawa Allah sentiasa memerhatikan dan menilai segala tindakan dalam kehidupannya.


Maka, bila dia tahu Allah sentiasa melakukan penilaian ke atas dirinya, dia akan sentiasa berhati-hati bila bertindak. Dia akan teliti bila mengeluarkan kata-kata.  Kerana dia tahu setiap sudut hidupnya sama ada sedang menaikkan sahamnya di sisi Allah ataupun semakin membuatkan dia hilang kedudukan di sisi Allah.


Sebab itu, menuju tahun 2013 ini, mari kita perbaiki asas ini dalam diri kita agar kita melengkapi ciri untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik.


Hamba Allah yang baik bukan sahaja yang sentiasa berteleku di atas tikar sejadah, di masjid memikirkan solat dan zikirnya saja, tetapi hamba Allah yang baik itu adalah yang baik di dalam semua aspek kehidupannya.


Baik dalam interaksinya dengan manusia.

Baik dalam menguruskan kehidupannya sama ada kehidupan bujang atau kehidupan berkeluarga.

Baik dalam urusan politik, pemerintahan dan pentadbiran negara.

Baik dengan urusan kerja dan belajarnya.


Ada orang yang solat, tetapi berperangai buruk dalam interaksi dengan manusia.

Ada orang pula yang tahu baca Al-Quran, tetapi tidak amanah dalam cara berpolitik. Mengumpat orang sana sini, menimbulkan fitnah dan sebagainya.


Menuju 2013, semua ini sepatutnya perlu diperbaiki dan diperbaharui.


 


Penutup : Tahun Baru, Mari Tukar Yang Baru !


Menuju tahun baru, mari kita tukar dan perbaharui yang sudah lusuh, lama, rosak dan tidak elok.


Yang lusuh, rosak kalau masih digunakan lagi, ia akan menyebabkan kita jatuh terus ke dalam gaung kebinasaan.


Sikap yang buruk, mari kita perbaiki dan ubah.


Tahun baru bukan tahun untuk kita berseronok sebenarnya kerana bila bertambahnya tahun, kita bukannya semakin muda, bahkan semakin tua. Bukannya semakin jauh, bahkan semakin dekat dengan kematian.


Tidak tahulah saya kalau masih ada yang mahu menyambut kedatangan tahun baru 2013 ini dengan pesta, maksiat dan sebagainya yang bukan makin mengingatkan kita kepada hakikat kembali kita kepada Allah, tetapi semakin membuatkan kita alpa dan lalai pula.


Bertambah tahun, semakin dekat dengan mati, sepatutnya membuatkan kita semakin rasa keperluan untuk dekat dengan Allah, bukannya semakin seronok enjoy dan lupa masa depan di akhirat sana nanti.


Jelas perkara ini, pastilah kita akan menyediakan diri kita sebaiknya, melakukan semula muhasabah terhadap apa yang telah kita lakukan pada masa lepas dan memperbaiki lagi perjalanan kita di masa depan.


Apa yang masih sempat diubah, ubahlah segera sebelum terlambat. Apa yang perlu ditukar dan diperbaiki, lakukanlah segera. Janganlah sampai kita terjatuh ke dalam lubang penyesalan yang menyebabkan tidak ada kesempatan lagi untuk kita berubah ketika itu.


2013, tahun yang baru, mari bina ‘kita’ yang baru !


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 31, 2012 04:19

December 28, 2012

December 26, 2012

Umum: Coretan Hati Seorang Hilal Asyraf.


Jenama LangitIlahi yang telah dibangunkan setakat ini.




Siapakah yang follow karya-karya saya, artikel-artikel saya, semenjak pertengahan tahun 2007?


Pada ketika itulah saya memulakan jejak langkah saya di alam maya,  dengan sebuah blog beralamatkan http://langitillahi.blogspot.com.


Hari ini atau esok, Page FB Langit Ilahi  dijangka akan mencecah 100,000 follower. Buat saya macam terhantuk sebentar, dan memandang ke belakang akan perjalanan saya.


Jika ditolak setengah tahun pada 2007, dan dikira  bermulanya perjalanan saya ini semenjak 2008, maka telah 5 tahun saya mengorak langkah di dalam arena penulisan di alam maya. Bermula dengan hanya aktif di Blog, kemudian mula aktif di Facebook dan penerbitan buku.



2012


Sekarang sudah tahun 2012. Saya sudah tamat pengajian universiti dan mempunyai segulung ijazah dalam bidang Usuluddin. Sudah bernikah dan isteri pula telah mengandung masuk bulan yang keenam. Sepanjang 5 tahun ini, telah 20 buah buku diterbitkan. Kini saya tidak lagi menggerakkan Langit Ilahi berseorangan, saya menggerakkannya secara berkumpulan. Bahkan LangitIlahi bukan hanya LangitIlahi.Com sahaja. Kini LangitIlahi sudah mempunyai LangitIlahi Store, LangitIlahi Consultancy dan tidak lama lagi kami akan melancarkan pula Kelab LangitIlahi Community.


LangitIlahi.Com pula bukan semata-mata artikel dan karya kreatif sahaja. Kini sudah ada fotografi, komik, poster, vlog dan ulasan berita. Jika dahulu LangitIllahi.blogspot.com  mendapat 60,000 visitors setahun, LangitIlahi.Com kini mendapat sekitar 70,000 visitors sehari. Jika dahulu LangitIlahi.Com hanya dikenali melalui saya – Hilal Asyraf -, kini Langit Ilahi sudah mempunyai beberapa figure yang lain seperti AfdholulRahman, Ameen Misran, BroHamzah, Iron Mask, NorIhsan, UmarMita, Qawiem Khairi dan lain-lain. Bahkan, Vlogger terkenal, Aiman Azlan turut bersama dengan kami.



Sebahagian Team LangitIlahi semasa mesyuarat tahunan 2012 di Kelantan pada September lalu.



Jauh. Jika saya diminta kembali ke titik mula, dan bergerak semula, saya tidak berani. Kerana saya tidak yakin saya mampu melakukannya semula. Kerana saya tahu, ini semua bukan semata-mata usaha saya. Ini semua adalah anugerahNya.  Ini semua hasil doa dan sokongan orang ramai, keluarga, sahabat-sahabat, pembaca-pembaca dan sebagainya.  Apatah lagi Langit Ilahi bukan menjual gosip artis, bukan blog politik, bukan juga blog lukisan cinta yang lawa menggoda, bukan dan bukan. Hanya sebuah jenama yang mengajak diri pengasasnya, penggerak-penggeraknya, dan sesiapa yang sudi membaca serta mengikutinya untuk menjadi hambaNya. Namun sokongannya tetap hangat. Ini semua anugerah Allah SWT. Nyata. Kerana jika sepenuhnya hasil usaha manusia, mustahil.


Saya menarik nafas panjang. Saya melihat tanggungjawab semakin besar. Takut saya tidak mampu. Takut saya tidak layak. Tetapi saya ada satu penyakit.


 


Penyakit Saya.


Penyakit saya itu adalah penyakit untuk sentiasa berusaha menggapai yang lebih tinggi. Yang lebih besar.


Angka 100,000 ini, apakah saya berpuas hati? Tidak. Bukan tidak berpuas hati dalam rangka tidak bersyukur. Namun tidak berpuas hati sekadar bergembira  kerana telah mencapai angka follower yang ramai. Saya sering bertanya kepada diri saya, “Mana 100,000 orang ni? Mana?”


Ya. Merata-rata. Ramainya saya tidak kenal. Ramainya tidak dapat saya sentuh. Maka angka tinggal angka. Saya tidak berpuas hati dengan sedemikian rupa.


Maka telah saya rangka satu perancangan untuk membina Kelab LangitIlahi Community, dengan target agar sekurang-kurangnya 5% daripada follower kami selama ini, akan bersama dengan kami di alam realiti. Dengan program-program seperti perkumpulan umum, family day, gathering santai, dan sebagainya agar fikrah dan tarbiyah itu mampu kami sampaikan secara berdepan-depan. Bukan sekadar pada post di Website, status di Facebook, dan buku-buku di pasaran.


Tanggungjawab akan semakin memberat jika begitu, tetapi saya kira itulah yang patut saya laksanakan. Jika tidak, dakwah hanya akan tinggal satu aksi kosong sahaja.


Dakwah perlu diiringi proses. Maka jika saya sekadar berpuas hati dengan angka-angka yang ada di alam maya, bergembira dengannya, berbangga dengannya, maka saya hanyalah orang yang rugi. Saya tidak mahu menjadi orang yang rugi.


Ya, saya banyak kekurangan. Kecacatan. Saya bukan manusia paling taat kepada Allah. Bukan juga hambaNya yang paling soleh. Tetapi saya mahu berusaha, agar saya ada  sesuatu yang hendak dibawa pulang ke akhirat sana. Yang apabila saya berdiri di hadapanNya, seluruh pancaindera saya boleh mempertahankan saya daripada api nerakaNya. Itu harapan dan cita-cita saya.


Kerana saya percaya, apabila kita berusaha mengajak orang melakukan kebaikan, kita akan berusaha menjadi baik juga.


Moga itu mampu menjadi realiti.


 


Perancangan 2013


Untuk 2013, insyaAllah LangitIlahi akan mempunyai beberapa target.


1 – Menerbitkan Buku sendiri(kami sedang mengusahakannya dan telah gagal berkali-kali. Moga Tahun 2013 masanya untuk menjadi realiti)


2 – Menerbitkan e-Magazine kami sendiri.


3 – Merasmikan Kelab LangitIlahi Community dan melaksanakan aktiviti-aktivitinya.


4 – Mula menggerakkan Bengkel Penulisan Islamik dengan patent yang tersendiri.


 


Selain itu, kami akan terus berusaha menaik taraf LangitIlahi.Com dan LangitIlahi Store dari segi servis, update, dan sebagainya. Kami juga akan mempunyai beberapa design baju terbaru untuk tahun 2013 nanti. Mohon doa dan sokongan semua.


 


Sempena Mencecah 100,000 Follower


InsyaAllah kami akan buat BIG SALE hari ini atau esok di LangitIlahi Store. Kami akan bagi harga terendah pernah kami berikan.



Nantikan pengumuman akannya di Page FB Langit Ilahi. Jangan lepaskan peluang. Alert dengan pengumuman di Page itu.


 


Penutup: Usaha Urusan Kita, Natijah Urusan Allah.


Allah SWT mengarahkan manusia untuk berusaha, maka kita berusaha. Hendak masuk syurga itu ada banyak cara kita boleh buat, kerana kebaikan itu ibarat syurga itu sendiri, manakala kejahatan itu ibarat sepohon buah khuldi di dalamnya. Kita boleh menyampaikan dan melakukan kebaikan dengan pelbagai wasilah dan cara. Hingga paling kurang pun, jika tidak mampu menulis, melukis, berVlog dan sebagainya, mampu berakhlak baik itu sendiri sudah merupakan satu usaha untuk mengajak manusia ke syurgaNya, sekaligus menjadikan diri kita orang yang melakukan kebaikan. Itu yang saya percaya.


Dan kejayaan usaha kita itu adalah pada tangan Allah SWT.


Yang penting, kita usaha atau tidak.


Ya, usaha kadangkala tidak menunjukkan hasil pada awalnya. Namun apabila kita istiqomah dalam melaksanakannya, bersungguh-sungguh dalam melakukannya, insyaAllah akan ada hasilnya. Tidak besar, kecil. Tidak banyak, sedikit. Namun Allah tidak tanya berapa ramai orang terima dakwah kita. Allah tanya, kita usaha atau tidak usaha.


Marilah sama-sama, saya dan anda, kita berterusan dalam usaha mengajak kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar ini. Bermula dengan diri kita insyaAllah.


Mohon terus memberikan doa dan sokongan, kepada saya, Team LangitIlahi dan LangitIlahi itu sendiri.


Mari Menjadi Hamba!


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 26, 2012 08:50

Agama: Kisah Maryam ibu Isa a.s: Natijah Ketinggian Tawakkal Boleh Melebih Amal.

[image error]


 


Picture by AsyrafIlman Of langitIlahi


Semalam 25/12 merupakan hari perayaan bagi orang Kristian. Bukan di sini saya ingin sebutkan berkenaan perbahasan yang berkaitan tentang hari tersebut dari segi ucapan atau meraikannya. Namun jika kita lihat agama Kristian, ia amat berkait dengan salah seorang nabi yang wajib juga kita imani iaitu Isa a.s. Mereka beranggapan bahawa Isa a.s adalah anak Allah. Namun, dalam surah Al-Ikhlas ayat yang ke 3, Allah menafikan perkara tersebut kerana sebenarnya ia menyifatkan kekurangan kepada Allah dengan adanya sesuatu yang menyerupainya.


Berbalik kepada perkara yang ingin saya tekankan dalam artikel ini bukanlah mengenai aqidah Kristian, namun kisah Isa a.s berkaitan sebelum kelahiran baginda, juga sebelum kelahiran ibu baginda iaitu Maryam yang mana ada ibrah yang bisa kita teladani  berkenaan konsep tawakkal dalam kehidupan seharian kita.


 


Kisah mereka


Konsep tawakkal. Kadang-kadang kita tersalah sangka, dan seringkali terjadi pada diri kita iaitu kita melazimi sifat tawakkal dan meletakkan tawakkal itu betul kepada Allah tetapi malangnya atas usaha yang kita lakukan bukan atas kemampuan dan ihsan Allah s.w.t


Apabila kita menyebutkan tentang sifat tawakkal (berserah) seringkali kita kaitkan dengan usaha. Ada benarnya. Cuma kadang-kadang maksud tawakkal itu tidak sampai pada tahapnya iaitu kita acapkali berserah dengan usaha yang kita lakukan, kita harap kita mendapat ganjaran. Bukan salah perkara tersebut, namun sifat tawakkal ini sebenarnya lebih tinggi dari amal iaitu kita berharap dengan segala usaha yang kita lakukan dalam pada menjaga keikhlasan, maka Allah ganjarkan dengan sesuatu kebaikan meskipun bukan dalam jangkaan.


Suka saya memetik kisah-kisah yang pernah berlaku dalam ruangan kehidupan Maryam ibu nabi Isa a.s iaitu sebelum kelahiran beliau. Ibu beliau yang bernama Al-Yasaban dan ayah beliau Imran merupakan pasangan yang amat tua yang mana hampir mustahil untuk mereka mendapatkan anak. Namun, ibu Maryam tidak berputus berdoa dan berserah hanya kepada Allah, dan membuat nazar sekiranya dia dikurniakan anak maka dia akan jadikan anak itu sebagai hamba yang mengabdikan dirinya kepada Allah.


Allah memperkenankan permintaan tersebut seperti mana firmannya:


(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Ali-Imran:35)


Walaupun begitu, Allah menguji si ibu dengan memberinya anak perempuan yang dinamakan Maryam yang mana kita tahu sifat insani seorang wanita kurang sesuai untuk mereka terlibat dalam lapangan (luaran)pada setiap masa. Bukan bermaksud menghalang para wanita daripada terlibat dalam aktiviti luaran, namun ruang bagi kaum wanita adalah agak terhad berbanding kaum lelaki. Demikian juga, faktor seorang nabi dipilih dalam kalangan lelaki.


Bukan juga maksud saya meninggi atau merendahkan mana-mana jantina, malah adanya kedua ini adalah saling lengkap melengkapi. Bahkan Maryam ibu Isa a.s merupakan seorang contoh yang baik dan dijadikan ikon dalam kalangan orang yahudi pada usianya masih muda terutama bagi golongan belia. Namun, sifat seorang ibu semestinya ada kegusaran dalam hatinya ingin melepaskan seorang anak perempuan untuk diabadikan sebagai hamba yang hanya tinggal ditempat ibadat. Kesedihan ibu ini dirakam oleh Allah, namun atas tiket tawakkal yang tinggi kepada Allah, akhirnya Allah pelihara anak perempuan tersebut (Maryam):


 


Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”. (Ali-Imran:36)


 


Berterusan daripada kisah kehidupan Maryam dalam tempat ibadat yang dipelihara oleh bapa saudaranya yang merupakan seorang nabi iaitu Zakaria a.s, suatu hari nabi Zakaria masuk menemui Maryam dalam mihrab (tempat khusus ibadat) dan baginda mendapati ada makanan di sisi beliau. Anehnya makanan tersebut adalah makanan yang tidak akan dapat ditemui pada musim ketika itu. Lalu, timbul rasa ganjil dalam sudut hati Zakaria a.s akan peristiwa tersebut namun baginda tetap yakin bahawa ia datang dari Allah sepertimana yang dikhabarkan oleh Maryam kepadanya.


Rentetan pada peristiwa tersebut, nabi Zakaria yang juga tua pada ketika itu ditambah isterinya yang mandul tetap berharap dan berserah kepada Allah agar dikurniakan kepada mereka zuriat yang baik yang boleh menjadi tali menghubungkan dakwah baginda kepada sekalian manusia selepas kewafatan baginda nanti.


Dalam keadaan nabi Zakaria yang tua dan isterinya yang mandul itu, akhirnya Allah memperkenankan permintaan mereka di atas ketinggian pergantungan mereka kepada kuasa yang Maha Esa dengan seorang anak yang juga merupakan seorang nabi iaitu Yahya a.s. Allah member khabar gembira itu melalui firman-Nya:


 


 Lalu ia diseru oleh malaikat sedang dia(Zakaria a.s) berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): “Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh”.

Nabi Zakaria berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”. (Ali-Imran:39-40)


 


Tawakkal itu bagaimana?


Melalui kisah yang telah saya nukilkan di atas sebenarnya ada beberapa perkara yang bisa kita jadikan pedoman dalam hidup kita terutama berkenaan perlunya ketinggian tawakkal itu melebihi segalanya.


Jika kita lihat sebentar tadi, pasangan Imran (ibubapa Maryam) dan juga pasangan Zakaria a.s (ibubapa Yahya a.s) adalah merupakan dua pasangan yang tua bahkan ada di antara isteri mereka yang mandul yang mana hampir mustahil untuk mereka dapatkan anak pada sisi pandangan manusia. Namun kehendak Allah mengatasi segalanya. Dia (Allah) mampu membatasi logik  fikiran manusia, berdasarkan kesungguhan pengharapan hamba kepada-Nya.


Mungkin dari satu sisi, kita memandang bahawa mereka ini adalah termasuk dalam golongan manusia pilihan dan juga merupakan dari kumpulan para nabi yang mana diberikan kepada mereka kelebihan. Namun, percaya dan yakinlah, kita sebagai manusia biasa yang terlalu banyak kelemahan ini juga boleh mendapat kelebihan-kelebihan yang tidak disangka-sangka yang membatasi usaha-usaha kita apabila kita benar-benar bergantung dan berharap kepada-Nya. Sebab itu, tawakkal kita jangan kita harapkan dengan apa yang telah kita usahakan sahaja, tetapi mohonlah kepada Allah dengan sifat Pemurah dan Penyayang-Nya agar kita dikurniakan nikmat atas dua sifat ini bukan semata-mata atas usaha kita kerana Dia mampu berbuat segalanya.


 


Usaha Jangan Dinafi


Walaupun saya tuliskan bahawa pergantungan kepada-Nya itu diletakkan pada kemuncak yang tertinggi, tetapi usaha untuk mengejar bahagia dan cita-cita jangan pula kita lupa. Bahkan disebutkan dalam kisah nabi Isa a.s juga sebelum kelahiran baginda, ketika ibu baginda didatangi malaikat Jibril yang membawa berita kelahiran Isa a.s, lalu Maryam pergi keluar dari tempat tinggalnya ke suatu tempat yang jauh.


Dalam keadaan mengandung itu, apabila beliau keletihan selepas berjalan, beliau (Maryam) bersandar pada sebuah pohon kurma sambil menanggung sakit untuk bersalin. Dalam keadaan itu, tetap Allah beritakan kepada malaikat Jibril untuk diberitahukan kepada Maryam agar beliau menggoncangkan pohon tersebut untuk mendapatkan makanan. Sedangkan jika kita fikirkan semula, boleh sahaja Allah berikan serta-merta makanan kepada Maryam di atas pengorbanan  beliau, juga seperti yang diberikan kepada beliau ketika beliau berada di mihrabnya, namun di sinilah terdapat pengajaran yang boleh dijadikan teladan bahawa tawakkal itu perlu diimbangi dengan usaha. Kisah ini dipotretkan sepertimana firman Allah:


 


Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. (Maryam:25)


 


Oleh itu, usaha itu merupakan sesuatu perkara yang dominan untuk kita jadikan ia sebagai penyebab kita beroleh sesuatu kebaikan. Hal ini juga disebutkan oleh baginda s.a.w dalam hadis daripada Umar Al-Khattab r.a:


“Sekiranya kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benarnya, sungguh kalian akan diberikan rezeki sebagaimana seekor burung diberika rezeki ketika ia pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar, dan pulang di petang hari dalam keadaan kenyang.”(HR Ahmad: no 208/373/376)


Jika kita teliti sebaiknya, nabi menyifatkan orang yang benar-benar tawakkal akan diberika rezeki seperti seekor burung diberikan makanan. Namun tidakkah kita sedar bahawa burung yang disifatkan itu ‘keluar’ yang membawa maksud berusaha untuk mendapatkan rezeki? Justeru, pengharapan perlu disusuli dengan usaha.


Kesimpulan


Mungkin sebahagian daripada kita menganggap bahawa kita seolah-olah ‘mendesak’ untuk dikurniakan sesuatu nikmat tetapi kurang berusaha. Justeru, saya sebutkan juga kepentingan untuk kita berusaha, cumanya hakikat kita sebagai manusia ini sememangnya fakir di hadapan Allah, bahkan kita tidak mampu untuk memenuhi ruangan hidup kita dengan sebulatnya kepada-Nya kerana kita lemah dan adakalanya jatuh ke lembah dosa.


Tambahan lagi, jika Allah takdirkan kita masuk ke syurga-Nya pun bukan atas usaha kita tetapi Rahmat-Nya.Oleh itu, pengharapan dan pergantungan kepada Allah dengan sebenar-benarnya membolehkan seseorang manusia itu diberi kenikmatan menjangkaui logik akal manusia jika dibumikan sifat percaya.


…………………………………………………………………………………………………………….


Penulis bakal menghadapi peperiksaannya yang terakhir bagi semester ini tidak lama lagi dan mungkin juga sebahagian dalam kalangan sahabat pembaca melalui perkara yang sama. Justeru, mohon didoakan dan kita ambil ibrah daripada kisah tawakkal dan usaha ini untuk diaplikasikan. Moga dengan itu, Allah beri kita kejayaan. Selamat maju jaya!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 26, 2012 05:52

December 25, 2012

Berita: Bersama menghadapi cabaran sosial negara

[image error]


Picture by UmarMita of LangitIlahi


 


Masalah sosial adalah masalah negara. Bukan hanya masalah yang berlegar di sekitar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ataupun Majlis Agama Islam Negeri malah menuntut perhatian dan sokongan daripada pemimpin negara, negeri, badan-badan korporat dan ahli komuniti. Masalah sosial adalah masalah bersama untuk difikirkan jalan penyelesaiannya. Tidak cukup mengadakan seminar yang menghasilkan resolusi yang panjang berjela tanpa mengambil tindakan yang konkrit.



Di mana puncanya masalah sosial yang berlaku di dalam masyarakat hari ini?


Apakah salah sistem pendidikan negara? Apakah keupayaan masyarakat yang beragama tidak begitu alim untuk melahirkan penganut yang berjiwa hamba bagi melaksanakan tuntutan agama dalam kehidupan? Atau apakah kita terlalu cepat hendak mengejar serba-serbi sehinggakan tertinggal asas pembentukan sikap dan budaya iaitu nilai?


Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur sebagai contoh kejayaan sebuah negara yang bangkit daripada kekalahan perang, wawasan Tun sebenarnya menjangkau sekadar melihat bangunan yang tinggi dan teknologi yang canggih. Beliau ingin mengajak masyarakat Malaysia melihat apa yang ada pada dan di dalam diri orang Jepun. Apa yang kita nampak?


Jepun pada tahun 1972 adalah sebuah negara yang sedang menggerakkan ekonomi supaya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara Barat. Pada pertengahan tahun 1970-an, selepas minyak yang pertama, Jepun telah menjadi negara kedua terbesar kuasa ekonomi selepas Amerika Syarikat.


Di peringkat antarabangsa, pendidikan di Jepun sangat cemerlang. Kadar celik huruf hampir 100 peratus dan dalam penyelidikan mengenai kemahiran akademik, pelajar-pelajar Jepun memperoleh markah yang tinggi. Nisbah pelajar yang memasuki pengajian tinggi adalah 96 peratus manakala 55 peratus semua pelajarnya akan menjejakkan kaki ke universiti.


Kesungguhan Jepun memajukan sektor penyelidikan pembangunan (R&D) sangat dibanggakan. Mencatatkan 109,000 hakcipta yang melebihi 8,000 hakcipta di Amerika Syarikat meletakkan Jepun sebagai negara terbesar mempunyai hakcipta di seluruh dunia. Kombinasi bajet kerajaan dan swasta dalam R & D ialah ¥15 trilion, kedua selepas Amerika Syarikat.


Negara Jepun secara umumnya tidak ada orang yang kelaparan. Walaupun terdapat individu atau kelompok yang tidak ada tempat tinggal tetapi mereka berusaha untuk mendapatkan makanan. Sangat sukar untuk berjumpa orang yang betul-betul lapar, kebuluran atau sangat miskin di Jepun.


Keajaiban Jepun membina masyarakat dan negara sangat menakjubkan. Daripada sebuah komuniti yang hampir lumpuh kerana di bom sewaktu Peperangan Dunia Kedua, Jepun bangkit sebagai jaguh kuasa ekonomi dunia.


Keajaiban Jepun ini terletak pada pendidikan ke atas masyarakatnya. Bermula di tadika, para pelajar dididik dan diasuh untuk menghargai nilai. Kasut yang dipakai untuk keluar dari rumah ke sekolah tidak sama dengan kasut yang dipakai ketika masuk ke dalam kelas. Sistem ini seterusnya membentuk watak pemandu teksi yang sangat mementingkan nilai dan maruah negara apabila enggan menerima tip yang diberikan oleh pelanggannya di lapangan terbang kerana berpuas hati di atas perkhidmatan yang diberikan.


Jadi, apa salahnya sistem pendidikan kita berbanding Jepun? Jawabnya ialah sistem pendidikan kita gagal dari segi penyuburan nilai. Di dalam kelas, guru mengajar mengenai pentingnya menjaga kebersihan persekitaran, di depan pintu pagar sekolah sampah bersepah-sepah kerana penjual keropok dan ais krim memulun untung. Di mana letaknya nilai dan amalan murni membuang sampah tersebut?


Kurikulum pendidikan harus menekankan kepentingan nilai bersama kepentingan ilmu pengetahuan. Setiap mata pelajaran yang diajar wajar menerapkan aspek nilai supaya para pelajar dapat mengaitkan ilmu yang diperolehi dengan sesuatu nilai. Umpamanya mata pelajaran matematik, nilai ketekunan, disiplin dan mengutamakan ketepatan adalah antara pengukuhan nilai melalui ilmu pengetahuan. Matematik adalah suatu ilmu yang diberikan oleh Tuhan agar kita dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah dalam keadaan yang pasti dan tidak ada perasaan was-was.


Oleh itu hasrat kerajaan untuk mengatasi masalah sosial khususnya dalam kalangan generasi muda patut bermula dengan pendidikan.


Sekiranya perlu, kerajaan melalui agensi-agensi pelaksana boleh mempelbagaikan pusat rujukan bagi menggerakkan anak-anak muda mencintai ilmu dan nilai dalam hidup mereka. Malah jika perlu pihak kerajaan boleh menubuhkan institusi yang membuat penyelidikan mengenai nilai supaya penyuburan nilai dapat dirancang dan dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.


Pihak swasta telah lama melaksanakan program penyemaian dan penyuburan nilai kepada para pelajar melalui kem-kem pembangunan diri semasa cuti sekolah. Kadangkala terdapat juga program seperti ini yang mengutamakan keuntungan berbanding keberkesanan program tersebut ke atas peserta.

Menanam sesuatu nilai yang baik dan terpuji adalah suatu kemahiran yang boleh dipelajari. Contohnya nilai rajin atau mahu mendengar cakap. Ucapan dan gesaan yang menggalakkan nilai tersebut dapat merangsang seseorang untuk bertindak ke arah menzahirkan nilai yang dikehendaki. Pengulangan pelabelan dari semasa ke semasa pasti akan menjadikan nilai yang diingini melekat kuat pada seseorang itu.


Di sinilah letaknya kepentingan sains sosial bagi menyelesaikan masalah manusia. Sains dan teknologi semata-mata tidak mampu untuk menyelesaikan masalah sosial yang semakin kompleks. Di samping membelanjakan wang untuk kemudahan hidup masyarakat dan pembangunan negara, sains dan teknologi harus disokong oleh penggeraknya iaitu manusia yang mempunyai emosi dan pemikiran. Pemerkasaan modal insan ini sedikit sebanyak mampu membina peribadi agung generasi muda supaya kehidupan mereka akan lebih bermakna berbanding berseronok tanpa arah haluan.


Masalah sosial adalah masalah bersama. Pihak kerajaan dengan caranya, pihak swasta dengan strateginya dan masyarakat turut mempunyai pendekatannya tersendiri untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah ini.


Doa dan harapan kita ialah biarlah setiap strategi dan tindakan yang hendak dilaksanakan akan menyuburkan jiwa manusia supaya tidak berpaling daripada rasa berTuhan kerana tamadun dunia yang besar adalah berpaksikan pada agama sebagai asas kecemerlangan


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 25, 2012 01:21