Hilal Asyraf's Blog, page 127
December 11, 2012
Agama: Tafsir Ayat 5 Al-Fatihah- Taat pada-Nya Sebab Peroleh Bahagia.
~Sebab peroleh bahagia adalah mendekatkan diri pada-Nya.~
picture by UmarMita
Hidup manusia sementara. Justeru, tiada manusia yang ingin mengisi kehidupannya dengan derita. Namun, acapkali derita menyirna dalam kehidupan hamba. Bagi mereka yang kuat jiwa, maka akan terus-menerus memutar roda masa. Bagi yang sebaliknya, akan mencari alternative berbeza bagi memenuhi kekosongan jiwa yang mana tidak bisa diisi dengan apapun jua kecuali balik mendekatkan diri pada-Nya.
Seringkali kita berbicara, jika tidak meniti dibibir pun tetapi jauh dari lubuk hati terdetik, bagaimana sebenarnya memperoleh bahagia?
Dalam Al-Quran telah banyak meletakkan kepada manusia garis panduan ideal yang boleh manusia ikuti untuk berada pada saf kebahagiaan. Adapun kebahagian yang sebenar adalah apabila kita peroleh bantuan daripada Allah meski derita yang kita tempuh dengan menguatkan hati-hati kita atau nikmat dunia yang kita terima tetapi tetap jiwa dalam beribadah kepada-Nya.
Allah s.w.t berfirman:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.” (Al-Fatihah:5)
Lazim diulangi tetapi jarang dihayati
YA! Ayat ini seringkali dibaca oleh kita sebagai seorang muslim yang ingin memanifestasikan rasa cinta hamba kepada Tuannya melalui solat. Bahkan jika kita hendak menghitung kekerapan bacaan ayat ini bermula daripada kita ditaklifkan dengan syariat (baligh) hingga sekarang ini mungkin perlu mengambil masa kerana sekurang-kurangnya 17kali ia akan diulang pada setiap hari.
Namun, apakah istimewanya ayat ini berbanding yang lain?
Apakah kaitannya dengan kebahagiaan?
Jika kita melihat dari pandangan biasa kita akan lihat ia tidak kurang sama dengan ayat yang lain. Namun ia tersembunyi bermacam jenis rahsia yang sukar dilihat pada mata kasar. Dari sudut akidahnya yang membabitkan ke-Esa-an Allah hingga rahmat-Nya kepada manusia sejagat.
Allah dekat dengan kita kenapa kita pula ingin berpaling?
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ ﴿١﴾ الْحَمْدُ لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ﴿٢﴾الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ ﴿٣﴾ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ﴿٤
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (1). Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam(2). Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani(3). Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)(4).
Bukan di sini saya ingin menghurai tafsiran ayat-ayat ini yang sudah tentu mempunyai pelbagai lagi rahsia. Tetapi saya hanya mengajak kita teliti 4 ayat yang awal ini sebelum ayat 5 dalam surah yang sama, Allah menyebutkan puji-pujian kepada diri-Nya sendiri yang menggambarkan kebesaran dan kehebatan Allah.
Adapun jika kita teliti, penggunaan bahasa yang digunakan adalah dalam bentuk fakta yang tidak boleh diingkari kesahihannya. Berbalik, kepada ayat yang ke 5, Allah menggunakan bahasa dalam bentuk seolah-olah kita berdialog dengan-Nya untuk mengkhabarkan kepada kita bahawa dia sentiasa berada bersama kita.
Dengan penggunaan kata ganti diri pada ‘Engkaulah’ satu-satunya tuhan yang disembah seolah-olah pada ketika ini kita berbicara secara langsung dengan-Nya. Maka apa yang kita cari selain memohon bantuan kepada-Nya terlebih dahulu dalam apa jua urusan kita sama ada perkara yang baik ataupun buruk yang datang dalam hidup kita?
Selalu kita mengadu kepada selain-Nya dalam banyak hal dalam kehidupan kita. Tapi tidakkah kita melihat ayat ini menggambarkan Allah itu dekat dengan kita? Bahkan Dia, tidak pernah akan mengecewakan permintaan kita berbanding jika kita minta kepada selain-Nya. Namun, terkadang mungkin Dia tidak kabulkan permintaan kita,tetapi apabila dilihat semula telah banyak nikmat yang kita terima atau mungkin jalan lain yang Dia buka untuk selesaikan permasalah kita.
Allah menguatkan lagi dekatnya hubungan-Nya dengan hamba dalam ayat:
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah:186)
Selama-lamanya tiada yang kedua
Jika difokus lebih mendalam, tersingkap kepada kita keagungan lafaz yang digunakan oleh Allah dalam Al-Quran:
i) نَعْبُدُ
ii) نَسْتَعِينُ
Kedua-dua lafaz ini digunakan dalam bentuk perbuatan yang sedang berlaku dan juga yang akan datang(berterusan) atau disebut dalam bahasa arab sebagai فعل المضارع. Kalimah ini sebenarnya ingin menggambarkan kepada manusia supaya berterusanlah mengabdikan diri kepada-Nya dan mengutamakan permohonan pertolongan dari-Nya dalam apa jua pemasalahan kita baik pada perkara yang sedang berlaku ataupun perancangan pada masa hadapan.
Pengabdian dan Penciptaan
Dalam kehidupan dua perkara ini tidak dapat tidak akan terkesan secara langsung dalam pergerakan manusia di atas dunia kerana keduanya berkaitan antara satu sama lain juga sebenarnya perkara yang menghubungkan kita sebagai hamba dengan Allah yang Esa.
Pengabdian (syari’e)
Ia bermaksud hubungan seorang hamba dengan Tuannya secara directly atau disebut sebagai ibadah yang merangkumi ibadah am dan khusus. Segala perkara yang berkaitan dengan syariat yang ditetapkan dalam Islam adalah termasuk dalam perkara ini seperti solat, puasa, zakat, haji dan perkara kebaikan yang lain yang mendekatkan diri pada-Nya.
Dalam perkara ini sebenarnya, kita perlu meletakkan kerisauan kita kerana mungkin ada perkara yang terkurang dalam ibadah kita sama ada secara sedar atau tidak. Tambahan lagi, perkara ini menuntut kita sebagai hamba berusaha mencari cara memperbaiki ibadah kita dari hari ke hari.
2. Penciptaan/Pemberian (Kauni)
Ia bermaksud hubungan manusia dengan Allah dalam memperakui bahawa Dialah yang berhak ke atas segala yang terjadi di bumi dan di langit, dalam lautan mahupun di atas daratan, di pergunungan mahupun di pedalaman, di desa ataupun kota. Segala-gala kepunyaan-Nya sebagai pencipta.
Tambahan, dalam perkara ini juga kita memperakui bahawa segala nikmat yang kita cita, segala derita yang kita tempa adalah datang dari-Nya. Adapun dalam hal ini, sepatutnya kita tidak meletakkan kerisauan yang lebih berbanding pengabdian kerana semuanya telah ditulis berdasarkan pilihan manusia.
Kaitan keduanya dalam ayat yang ke-5?
Seperti yang sebutkan sebelum ini keduanya saling berkaitan dan juga ada hubungan dengan liku-liku perjalanan hidup insan. Pengabdian merupakan faktor dominan kepada penciptaan atau pemberian. Hipotesisnya, boleh kita putuskan dengan ketingkatan pengabdian yang bererti kekuatan hubungan dengan Allah maka semakin dekat kita kepada bantuan-Nya.
Allah menyebutkan:
“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah
Ayat ini hadir terlebih dahulu sebelum ayat seterusnya:
dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”
Dalam ilmu mukjizat-mukjizat Al-Quran, jika sesuatu perkara itu didahulukan menunjukkan kepentingannya. Begitu juga dengan ayat ini, apabila Allah meminta kita untuk menyembahnya terlebih dahulu yang menjadi penyebab bahawa Dia akan beri pertolongan.
Mungkin ada yang akan tertanya-tanya mengapa orang bukan Islam yang tidak menyembah Allah kelihatan mereka lebih mendapat pertolongan daripada Allah dalam banyak urusan mereka?
Di sinilah bahagia perlu didefinasikan dengan jelas iaitu dengan merasa ketenangan jiwa meski kesusahan yang kita hadapi. Adapun bagi mereka yang tidak beriman Allah beri nikmat atas sifat Ar-Rahman, namun bukan mendekatkan mereka kepada-Nya bahkan ingin menjauhkan diri mereka daripada Allah dengan leka dengan nikmat yang mereka terima. Juga disebutkan sebagai istidraj.
Konklusinya
Berdasarkan ayat yang agung ini, dapatlah kita mengambil iktibar bahawasanya dengan pengabdian diri kepada-Nya menjadi sebab utama kita mendapat bahagia yang sebenarnya yakni pertolongan dari pada Allah ketika senang dan juga susah.
Justeru, perbaikilah hubungan kita dengan Allah, moga-moga segala urusan kita dipermudah.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………….
Rujukan:
تفسير حدائق الرّوح والرّيحان
Ditulis oleh Al-Fadhil Syeikh Muhammad Amin bin Abdullah As-Syafie, jilid pertama daripada 33 jilid yang terkumpul di dalamnya tafsir-tafsir muktabar seperti ibn kathir, Al-Maraghi, Ruh alBayan, dan banyak lagi.
Kritikan Sosial: Kita dan Provokasi Orang Murtad.
Keindahan ciptaan Allah SWT ~ oleh UmarMita of LangitIlahi.
Lewat kebelakangan ini, inbox Page Facebook saya - Hilal Asyraf(Official) - dipenuhi dengan pelbagai soalan berkenaan bagaimana hendak menangani provokasi daripada golongan murtad. Golongan murtad adalah mereka yang telah berpaling daripada keimanan mereka terhadap Allah kepada sesuatu yang berlanggar dengan ajaran Islam. Biasanya soalan yang diberikan akan disertai dengan link Page Facebook golongan murtad, atau account Facebook orang yang telah murtad.
Saya melayari page-page dan account-account tersebut, lantas terfikir untuk menulis artikel ini.
“Kita dan Provokasi Orang Murtad.”
Semoga apa yang saya kemukakan ini akan membuahkan manfaat.
Provokasi Orang Murtad
Ketika saya melayari page-page dan account-account mereka yang telah murtad ini, kelihatan pattern mereka sama. Mempersendakan Allah, Nabi Muhammad dan Al-Quran. Mereka akan mencarut, mencaci, memaki apa sahaja perkara yang terfikir dek minda mereka untuk memperlekehkan Islam dan kepercayaannya. Contohnya mereka akan membangkitkan hal masjid disambar petir contohnya, kemudian memaki Allah kerana tidak menyelamatkan tempat orang beribadah kepadaNya. Mereka juga akan melakukan apa sahaja tindakan yang boleh menyinggung orang Islam sebagai contoh mengupload gambar mereka sedang memakan khinzir.
Ini adalah apa yang akan kita jumpai di Page-page atau account-account Facebook orang/kumpulan yang murtad, terutama yang menggunakan bahasa melayu atau indonesia sebagai perantaraan.
Gayanya akan kelihatan seperti keanak-anakan, emosi membuak-buak, dan sekadar hendak menimbulkan kemarahan orang. Inilah provokasi.
Sepatutnya kita tidak termakan dengan provokasi sebegini.
Daripada berdebat dan melayan mereka, saya nasihatkan untuk membiarkan sahaja. Tinggalkan mereka, dan mereka akan kehilangan audiens. Apabila audiens mereka hilang, mereka sendiri akan tenggelam punca. Page-page dan Account-account provokasi sedemikian ini sebaiknya tidak dilayan.
Page-page dan account-account orang murtad yang patut dilayan adalah yang tidak memberikan provokasi. Tetapi yang membuka ruang perdebatan dan dialog. Yang mengemukakan dalil dan cuba membawa kepada rasionalisma. Page-page yang sebeginilah perlu wujudnya wira-wira Muslim yang intelektual, untuk mencurahkan hujah dan dalil kepada mereka, agar yang membaca di Page itu mendapat pencerahan daripada kedua-dua pihak.
Kita dalam Menangani Hal Ini.
Ramai orang kita bersikap reaktif. Ada sesuatu perkara berlaku, cepat sahaja hendak bertindak. Observasi jarang berlaku. Inilah yang membuatkan timbulnya fitnah dan lebih menyusahkan jalan perjuangan.
Contoh mudah kita lihat dalam isu menangani page-page dan account-account orang murtad ini, orang kita kebanyakannya sibuk melayan page-page ini dengan maki hamun dan caci maki. Pada saya, amat kelakar apabila kita nak mempertahankan agama kita di hadapan orang murtad yang memperlekehkannya, dengan bahasa-bahasa kotor seperti bab*, motherfuc**r dan makian-makian melibatkan ibu bapanya seperti ‘kepala ba**k kau’ dan sebagainya. Ini jelas sekadar menjadi senjata mereka pula untuk berkata: “Ha, tengok perangai orang Islam. Sebab tu aku tinggalkan agama ni. Bajet je suci, orang-orang dia macak tah*” Sekaligus memberikan impak buruk kepada orang-orang di tepi pagar yang membaca, dari kalangan non-muslim atau muslim yang masih tidak jelas akan pegangan agamanya(biasanya muslim sekadar kerana Ibu bapanya Muslim).
Kerana itu, sebaiknya jika kita tidak mempunyai hujah yang baik, tidak mampu mempertahankan agama kita dengan cara yang baik melambangkan Islam, maka kita tidak perlu sibuk-sibuk hendak turut serta dengan page-page dan account-account yang sedemikian. Di manakah manfaatnya?
Kita perlu ingat betapa Allah SWT telah berpesan di dalam Al-Quran:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” Surah An-Nahl 125.
Jelas di sini Allah menyuruh kita untuk berdebat, berbahas dengan baik. Jika orang provok kita, memaki dan memperlecehkan kita, sepatutnya kita tidak melayan mereka dengan cara yang sama tetapi kita mempersembahkan tauladan dan contoh yang baik. Tidak perlu kita hendak mendoakan neraka buatnya, atau terus menakutkannya dengan azab kubur dan sebagainya(kerana dia telah murtad dan tidak mahu mempercayai semua itu) semata-mata untuk menunjukkan betapa benarnya kita(yang mungkin kerana nak tunjuk kita ini di pihak yang benar, agama yang benar, lantas kita rasa tidak mengapa kita kurang ajar dengan mereka dan memperlecehkan pula kembali mereka dengan bahasa yang kasar dan menyakitkan hati). Kerana itu indahnya Allah SWT, Dia menutup ayat ini dengan menyatakan betapa Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dan orang yang mendapat hidayah petunjuk. Tugas kita hanyalah berusaha mempersembahkan kebaikan yang Dia arahkan itu, kepada orang-orang yang telah murtad tadi.
Allah juga melarang hina menghina di dalam berdakwah. Hatta Tuhan mereka yang tidak kita iktiraf pun, kita dilarang menghina dan memperlecehkannya. Hal ini jelas di dalam firmanNya:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” Surah Al-An’am ayat 108.
Maka nasihat saya, jikalah kita ini bukan dari kalangan yang punya hikmah dan keutuhan peribadi, sebaiknya tidak perlu kita campur page-page sebegini. Kerana kita sekadar memburukkan keadaan sahaja. Jika kita ini orang yang mudah marah, kaki mencarut, bersikap buruk, sebaiknya tidak perlu kita sibuk-sibukkan diri kita mahu berbahas dengan orang yang telah murtad, kerana kita sekadar menjadi liabiliti kepada kebersihan Islam itu sendiri.
Dan page-page sebegini, sepatutnya tidak kita layan. Biarkan sahaja.
Jika kita ada kebolehan berdebat, pandai mengutarakan hujah dengan baik, mempunyai bahasa yang menawan dan kefahaman yang utuh, carilah page-page orang murtad yang berbicara dengan baik kepada visitorsnya, bukan bahasa provokatif, penuh carutan dan perlecehan. Kerana Page sedemikianlah yang sebenarnya akan menawan hati ramai orang. Berbicaralah dengan fakta, dengan kebijakan, kemurnian bahasa, kecantikan akhlak dan kematangan diri.
Bukannya menyibukkan diri di dalam page dan account-account provokatif tadi. Page-page dan account-account provokatif itu sekadar untuk mencucuh marah kita dan akhirnya menjadikan kita ‘bukti keburukan Islam’ pula.
Murtad, Salah Siapa?
Sebelum saya menamatkan artikel ini, suka saya sentuh satu sebab mengapa hari ini gejala murtad berleluasa.
Saya ingin mengajak kita melihat kepada pemimpin-pemimpin negara kita, seterusnya barisan selebriti yang menghiasi kaca televisyen dan radio kita, seterusnya drama dan filem yang dibangunkan oleh majoriti pengusaha filem kita, kemudian pergi kepada kebanyakan majalah-majalah kita, dan akhbar-akhbar perdana kita.
Ceritakan pada saya, di manakah ‘Islam yang sebenar’ dalam semua itu?
Ya. Kemudian bayangkan, jika demikianlah ‘Islam yang kita persembahkan’, maka mengapa hairan dengan orang-orang yang lahirnya Islam, kemudian terkeliru dengan agamanya, melihat agamanya tiada beza dengan agama lain, kemudian murtad. Ya, mengapa hairan?
Suasana yang mendidiknya. Dan kitalah yang membentuk suasana itu.
Mana tidaknya mereka boleh tercampak dalam kekeliruan ini, apabila ada slot televisyennya “Fiqh Wanita” atau “Kuliyyah Agama” kemudian dalam slot lain ditayangkan pula artis berpakaian tidak cukup kain, hubungan bebas lelaki perempuan, dan watak-watak yang tidak pula menunjukkan ciri-ciri keIslaman. Mana tidaknya mereka tercampak dalam kekeliruan ini, apabila Ustaz dan Ustazah di sekolah menceritakan berkenaan kecantikan Islam, tetapi kepimpinan kita pula tidak pun mempraktikkan Islam secara menyeluruh.
Jadi, mengapa marah kepada mereka yang murtad ini?
Mengapa tidak melihat apa yang telah kita lakukan?
Bukankah sebenarnya secara tidak langsung, kita inilah yang ‘memurtadkan’ mereka?
Inilah akibatnya apabila kita meninggalkan arahan Allah SWT untuk mengambil Islam secara total dalam firmanNya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” Surah Al-Baqarah ayat 208.
Jelas-jelas Allah tutup ayat itu dengan berhati-hati dengan jejak langkah Syaitan. Kerana apabila kita tidak ambil Islam secara menyeluruh, dan mula mencampur adukkannya dengan gerak langkah syaitan(yakni perkara yang menyimpang daripada Islam), maka secara automatik kita akan gagal.
Penutup: Gejala Murtad, Solusinya Bukan Semata-mata Perdebatan.
Saya melihat gejala murtad ini solusinya bukan semata-mata kita berdebat dengan mereka dan menunjukkan bukti-bukti bahawa Islam itu benar. Kalau nak tunjuk tulisan Allah di langit, silap haribulan lambang salib pun boleh terbentuk pada awan. Kita nak cakap apa pada masa itu? Kalau nak cakap fasal azab kubur, secara lumrahnya, tiada siapa nampak fasal azab kubur dan neraka.
Maka apa yang boleh kita tunjukkan kepada orang-orang yang murtad ini, termasuklah mereka yang non-Muslim, adalah akhlak dan sikap kita sebagai orang Islam. Menjadi seorang yang baik, berdisiplin, ramah, amanah, jujur, cemerlang, matang dan berwawasan. Bersih, kemas, terbaik dalam segenap hal yang kita ceburi. Taat pada Allah dan berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan laranganNya, sekaligus menjadi bukti bahawa keimanan kita kepada Allah, ketundukan kita kepada Agama Islamlah yang menjana, memacu kejayaan hidup kita.
Pada masa yang sama, kita banteras gejala-gejala ‘Islam warna-warni’ yang telah kita berikan kepada rakyat kita sekian lama. Kita cuba kembalikan media kita, selebriti kita, filem dan drama kita, akhbar-akhbar kita, kepada keseluruhan Islam yang jelas membawa kepada keharmonian dan kebaikan, yang pastinya memberikan ‘kelegaan’ kepada semua orang, baik yang berbeza bangsa dan agama. Kerana jika kita selami semula, bukankah Allah SWT berfirman:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” Surah Al-Anbiyaa’ ayat 107.
Maka sebaiknya kita buktikan dengan diri kita, sikap kita, bahawa benarlah Islam itu rahmatan lil ‘alamin. Apakah kita membuktikannya?
Atau kita menakut-nakutkan agama dan bangsa lain dengan betapa ‘superior’nya agama kita, dalam keadaan kita sendiri tidak ‘sesuperior’ agama kita, tidak melaksanakan pun perintah agama kita?
Cakap sahaja memang tidak banyak efeknya. Bahkan banyak pula fitnahnya. Seperti penyokong-penyokong sebuah parti yang memaki parti bukan Islam dengan perkataan ‘lan**u’, ‘Bab*’ kemudian sibuk melaung takbir Allahuakbar. Bagaimanakah pandangan non-Muslim terhadap sikap itu dan bagaimana pula pandangan anak remaja Islam yang tidak kuat pegangannya lagi, belum matang kefahamannya lagi, apabila melihat tindakan sedemikian?
Kita fikir-fikirkan.
December 10, 2012
Kehidupan: Bila kamu hendak berdakwah
Picture by UmarMita of LangitIlahi
Pada suatu hari di Irbid, Jordan, saya pergi lepak dengan junior-junior saya. Makan di kedai Yaman. Memang seronok ke kedai itu pada hujung minggu, memandangkan kedai itu menyediakan roti canai dan teh susu, termasuk murtabak madu yang sedap. Melepaslah rindu dengan roti canai malaysia da teh tarik di bumi sendiri. Tambah istimewa di kedai bernama Mandi Yamani itu, pengunjung boleh duduk bersila. Nak baring pun boleh.
Jadi, kami sental santai macam di rumah aja la. Lepak di situ, sambil minum teh
Sesi mengeteh malam tadi tidak berlalu begitu sahaja. Ada topik besar yang muncul.
Yakni berkenaan dakwah – menyeru manusia kepada kebaikan.
Nak ajak orang pada Islam ini, macam mana?
Qudwah qabla dakwah
Qudwah qabla dakwah bermaksud – menunjukkan contoh sebelum menyeru.
Ramai orang tertanya-tanya, terfikir-fikir kenapa seruan mereka kepada kebaikan tidak memberikan kesan kepada mereka yang diseru. Walaupun dilakukan penyeruan itu dengan penuh kesungguhan.
Jawapannya mudah, kerana dirinya tidak mampu menjadi contoh kepada yang diseru.
Di sini, yang diseru tidak akan merasakan apa-apa. Mereka hanya memandang betapa orang yang menyeru itu, sama sahaja seperti mereka gayanya. Akhlak hodoh juga, tidak kemas juga, mulut mencarut juga, dan sebagainya.
Sebab itu, medan dakwah bukanlah hakikatnya medan berkata-kata semata.
Ia medan menterjemahkan Islam secara syumul(sempurna) di dalam kehidupan.
Merujuk kembali, apakah resepi utama dakwah Rasulullah SAW mampu menarik ramai orang, pastinya kita akan menjumpai satu jawapan yang sama.
Qudwah baginda yang hasanah.
Seni menawan hati
Lain orang, lain cara pendekatannya. Maka, adalah penting bagi seorang da’ie(penyeru) untuk berta’aruf(mendalami) peribadi mad’u(orang yang diseru)nya. Kita perlu bijak menilai apakai jenis pendekatan yang sesuai dengan si fulan, dan si fulan yang lain.
Berdakwah adalah peperangan untuk menawan hati manusia, untuk menyingkir jahiliyyah dari jiwa hamba. Maka berdakwah tidak boleh main bidan terjun sahaja. Perlu ada perancangan yang rapi dan gerak kerja yang sistematik. Perlu ada target, perlu ada kajian, perlu ada pemerhatian. Barulah dakwah yang dijalankan adalah dakwah yang berkesan dan tersebar lalu merebak.
Kadangkala, perlu juga try and error. Tetapi biarlah try and error itu masih berada dalam lingkungan perancangan yang telah disusun selepas membuat satu pemerhatian. Di dalam dakwah, saya tidak rasakan teknik hentam kromo adalah sesuatu yang baik. Hal ini kerana, sekali kita terosakkan kepercayaan mad’u kepada kita, maka kali lain kita ingin mendekatinya semula, sudah ada dinding tinggi lagi tebal yang memisahkan kita dengannya.
Ada orang boleh didekati dengan belanja makan, ada orang pula degan beri hadiah, ada orang dengan merapatinya, ada orang dengan menziarahi rumahnya. Ada pula yang senang apabila kita menjadi bahu menopang masalahnya. Malah, ada juga yang hanya boleh menerima selepas menerima satu tumbukan atau satu tengkingan. Di sini, adalah penting bagi seorang da’ie mempunyai ilmu penilaian baik. Sebab itu, ta’aruf adalah step awal dalam berdakwah.
Yang paling penting, siapa pun kita dekati, cara bagaimana pun kita guna, syakhsiah kita perlulah bersih dan terjaga.
Tamayyuz
Tamayyuz berarti perbezaan. Sebagai seorang penyeru kepada kebaikan, seseorang itu perlu punya tamayyuz dengan orang yang diajaknya. Tamayyuz menutup terus teori – Kalau nak dekati orang hisap rokok, kita kena hisap rokok sama dengan dia.
Kita tidak berdakwah dengan mat rempit dengan cara kita merempit bersama. Jauh sekali berdakwah kepada penzina dengan membelanja dia pelacur. Kita juga tidak pantas mencacakkan rambut kita semata-mata kerana mad’u kita adalah geng punk.
Sebab itu, yang pertama saya utamakan tadi adalah qudwah. Kita sebagai penyeru kebaikan perlu kemas, bersih, berakhlak, sopan dan tegas. Kita ada prinsip kita. Ada ruang toleransi, kita bertoleransi. Tetapi toleransi kita berprinsip. Kita tidak akan bertoleransi sehingga menggadaikan prinsip kita.
Kita kawan dengan perokok, baik, bagus. Tetapi kita tidak merokok apabila dia menghulurkan rokok. Kita rapat dengan kumpulan pelajar bermasalah, baik, bagus. Tetapi kita tidak ikut sama bermasalah macam mereka. Kita berusaha mendekati mereka yang kaki mencarut, baik, bagus. Tetapi kita tidak ikut sama mencarut macam mereka. Geng yang kita dekati adalah kaki lewat solat, tidur terlajak subuh aja kerjanya, baik, bagus. Tetapi kita tidak melewat-lewatkan solat kita, jauh sekali tidur terlajak subuh seangkata degan mereka.
Kita ada perbezaan. Kita ada disiplin, kita ada adab. Pakaian kita kemas, perawakan kita bagus, akhlak kita beradab. Ada masa kita perlu katakan tidak, kita katakan tidak. Kalau perkara itu tidak perlu dibesarkan, kita senyap. Kalau perkara itu perlu ditegur, kita tegur dengan baik. Tidak sekali kita membenarkan yang batil, dan menyertainya.
Dan jangan takut kita akan disisihkan.
Saya percaya, manusia yang punya tamayyuz ini akan lebih dihormati.
Kadangkala, mereka yang punya tamayyuz ini tidak perlu cakap banyak. Perbezaan yang wujud pada diri mereka dengan masyarakat di sekeliling mereka sudah cukup menjadi wasilah(jalan) dakwah mereka.
Jangan putus asa
Satu pantang bagi penyeru kepada kebaikan adalah putus asa. Ini satu garis yang haram dilangkah oleh pembawa kebenaran.
Jika mula perasan tanda-tanda kelemahan di dalam jiwa untuk meneruskan perjuangan di atas jalan ini, perlu segera mendapatkan bantuan dari rakan seangkatan, bermunajat kepada Allah SWT dan berusaha kembali naik.
Allah SWT telah memberikan contoh terbaik kepada kita yakni Nabi Nuh AS yang tidak putus asa dalam berdakwah. 950 tahun ditempuh penuh gigih walaupun yang mengikuti ketika itu hanyalah 83 orang sahaja.
Allah SWT juga telah menunjukkan kepada kita Rasulullah SAW yang gigih menanam risalah Allah SWT dalam jiwa manusia walaupun diseksa, diperangi, dibaling batu dan sebagainya. Iman da Islam yang hari ini kita nikmati, adalah hasil perahan keringat dan aliran darah baginda SAW.
Jika berputus asa, maka sia-sialah apa yang kita bina selama ini.
Berputus asa juga menandakan kelemahan jiwa kita, kekurangan pergantungan kita kepada Allah SWT.
Sedangkan kita perlu yakin, bahawa tugas kita hanya menyampaikan sahaja. Hidayah itu adalah hak milik Allah SWT untuk Dia berikan kepada sesiapa yang Dia sukai.
Penutup: Itulah antara yang kami bincang
Sedar tak sedar, kami dah habiskan masa hampir dua jam di Mandi Yamani. Macam-macam topik kami utarakan. Saya juga hakikatnya amat kagum dengan junior saya yang amat bersemangat, dan amat mengambil berat terhadap keadaan ummah.
Manusia hakikatnya perlukan manusia yang sebegini. Manusia-manusia yang sensitif dan peka. Berusaha kuat dan mencuba. Melaksanakan apa yang difahami dan bergerak dengan gigihnya.
Dakwah ini bukan cukup dengan teori sahaja. Perlukan pembumian dengan amal.
Tetapi bila terjun di medan amal, ramai sahaja yang keguguran. Kenapa?
Kerana terjun dalam keadaan tiada kefahaman dan persediaan. Hanya lemas di dalam teori-teori indah dakwah, kalimah-kalimah orang dakwah, beberapa perkataan arab seperti tsabat dan sebagainya, ukhuwwah itu ukhuwwah ini, jamaah itu jamaah ini, dan akhirnya dirinya entah ke mana, mad’unya entah di mana, dan dia tidak melakukan apa-apa, juga tidak berada di mana-mana, melainkan berlari-lari di dalam dunianya sahaja.
Dakwah bukan cukup dengan teori sahaja. Saya ulang itu.
Perlukan tarbiyah dan pengorbanan. Perlukan latihan dan kejelasan fikrah. Perlukan toleransi da akhlak. Perlukan kesabaran dan ketabahan. Sebab itu, ada satu kata-kata masyhur akan jalan ini.
“Tidaklah jalan ini jalan yang ditaburi dengan bunga-bunga dan permaidani merah, tetapi inilah jalan yang bengkang bengkok, kemudian di atasnya ditaburi dengan duri-duri yang terpacak”
Duri-duri yang terpacak, bukan yang terbaring.
Maka persiapkanlah diri. Mengajak diri dan manusia lain menjadi hamba Ilahi.
Ya, menjadi hamba Ilahi. Bukan hamba satu-satu organisasi.
December 9, 2012
Sisters: Kembara Sydney
Kunjungan saya ke Sydney bulan lalu memenuhi jadual program membawa saya merantau mendalami sisi agama lain yang menghuni bumi Australia. Tiga hari penuh dan padat dengan jadual kunjungan dan ziarah ke Australian Catholic University, Soka Gakkai dan diberi pendedahan tentang salah satu komuniti asal bumi Australia (aboriginal Australia), sebelum kepulauan ini dijajah Inggeris.
Pertemuan ini lebih kepada mencipta peluang diskusi, dialog dan kefahaman dalam menerima persamaan meletakkan sebentar perbezaan di luar meja perbincangan dan memberi ruang supaya nilai-nilai murni diterapkan sepanjang proses pertemuan dan diskusi berlangsung. Juga dengan harapan, tercipta sebuah hubungan yang berterusan dan saling membantu atas dasar kemanusiaan.
Persediaan hati
Saya kira, ini ialah titik utama sebelum perkara yang lebih besar dibincangkan dan dibawa kehadapan mencari sebuah persefahaman dalam perbezaan kepercayaan dan budaya. Jujur saya akui, ini merupakan pengalaman pertama dalam hidup berhadapan secara terus dan melihat dengan jelas Kristian dan Buddha. Bukan tidak pernah dikelilingi teman-teman bangsa Cina dan India yang menganut agama ini. Tetapi tidak pernah saya kira kami berbincang mata bertentang mata tentang agama secara serius dan membuka permasalahan antarabangsa yang berlaku yang meragut nilai kemanusiaan saudara seIslam kita di luar sana.
Wahai ummat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu (bukan kerana keturunan ataupun bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha mendalam pengetahuanNya. (Al-Hujurat:13).
Ayat ini, terus berkumandang dalam minda dan hati kami, peserta-peserta yang mengikuti program ini. Kami, yang datang dari pelbagai budaya dan sejarah, Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Turki-Australia, Arab-Australia, Somali-Australia dan India-Australia, pasti punya pelbagai persepsi, suara-suara hati yang ingin kami lontarkan dalam pertemuan ini.Tapi sering kami diingatkan, pertemuan ini bukan demi mencetus konflik baru, bukan untuk melenting akan perkara yang telah, sedang dan akan berlaku, bukan juga mencipta permusuhan berpanjangan dalam menegakkan kefahaman masing-masing. Tapi ini adalah titik tolak dalam mencipta persefahaman dan penerimaan yang mendalam akan sebuah perbezaan yang wujud yang menjadi jurang terbesar yang mampu mencetus konflik, juga menerima persamaan yang mampu membawa kepada keamanan dan keadilan kepada sebuah perjuangan atas nama kemanusiaan.
Persediaan hati untuk lebih terbuka dan menerima, meletakkan yang keruh di tepi mengambil yang jernih dan terus mendalami kebaikan yang mereka juga ada atas nama manusia. Persediaan hati supaya Allah terus tetapkan hati-hati ini atas redha dan jalanNya. Supaya pelajaran dan pengalaman yang kami perolehi hari ini, bermanfaat buat diri kami, dan seluruh umat Islam dalam terus berjuang menegakkan deen Allah ini.
Ujian
Malam kedua di Sydney, Allah uji beberapa teman yang dibaling beg telur ketika mereka dalam perjalanan pulang dari membeli barang dapur. Dalam pada masa yang sama, sepanjang kami menelusuri gelap malam Sydney usai program untuk mencari restoran halal di pekan yang terdekat, beberapa kereta yang lalu-lalang sempat menjerit dan menggelar kami dengan beberapa panggilan yang kurang enak. Panggilan yang dianggap menghina komuniti Islam di Australia.
Ini juga yang pertama buat saya dan beberapa teman yang datang dari negara-negara Asia Tenggara. Tergamam saya seketika pabila menerima panggilan sebegitu. Sebelum ini pernah saya baca novel karangan Randa Abdel Fateh, penulis Muslim Australia yang sering menceritakan kehidupan minoriti Muslim di Australia dalam tulisan beliau. Pabila berhadapan sendiri dalam situasi tersebut, hanya Allah yang tahu akan ketakutan dan perasaan saya ketika itu.
Jika dibandingkan dengan apa yang berlaku pada kami di sana dan situasi yang dialami umat Islam Rohingya, selatan Thailand, Palestin, ujian itu hanya ibarat gigitan nyamuk. Namun cukup pengalaman ini telah membuka minda dan hati masing-masing untuk lebih menghargai nikmat menjadi seorang Muslim dan terus-terusan memuhasabah diri kami.
Pada satu pertemuan dengan seorang Muslim Australia, ada diceritakan perihal sejarah sebuah rumah api di Eropah yang dahulunya kawasan itu ditakluk dan diperintah oleh kerajaan Islam yang adil lagi saksama. Diceritakan bahawa rumah api tersebut dibina atas tujuan memantau pergerakan musuh-musuh Islam yang ingin menyerang jajahan takluk itu dan sebagai tempat untuk memantau pergerakan kapal-kapal lalu-lalang di perairan tersebut. Kerajaan Islam pada ketika itu sangat hebat malah digeruni oleh musuh-musuh Islam dari tanah seberang. Namun, selepas kejatuhan kerajaan Islam di kawasan tersebut, rumah api itu kini sebaliknya menjadi tempat pemerhati oleh musuh-musuh Islam untuk memantau pergerakan orang Islam dari segenap sudut.
Sejarah yang ringkas cukup untuk menggambarkan keadaan umat Islam pada hari ini. Kita bukan lagi berada di atas rumah api tersebut, yang senantiasa bersiap siaga menghadapi musuh-musuh Islam. Rumah api yang sentiasa ada menjadi benteng awal mempertahankan kerajaan Islam. Umat Islam hari ini telah diperhatikan oleh musuh-musuh Islam ini dari sudut rumah api tersebut. Kita hari ini ialah golongan yang diperhatikan. Golongan yang pada bila-bila masa sahaja akan diserang dari segenap sudut. Kita bukan lagi yang memerhati dari atas rumah api tersebut. Dan itulah yang berlaku pada minoriti Muslim di Australia, selatan Thailang, Muslim-Rohingya dan Palestin. Kita sentiasa diperhatikan untuk dimusnahkan. Nilai kemanusiaan kita bakal, sedang dan akan dirobek pada bila-bila masa sahaja.
Maka apakah kita masih lagi lalai dan terus-terusan menjadi subjek yang diperhatikan?
Penutup:
Ketika berada di meja perbincangan dengan komuniti agama lain, jelas menunjukkan bahawa ruang untuk Islam masih ada dan sebenarnya kita sendiri yang tidak benar-benar bersedia untuk menyampaikan dan melaksanakan kehidupan sebenar sebagai seorang Muslim. Peluang memperkenalkan Islam sebegini tidak seharusnya dipersiakan. Mungkin pada dasarnya kita berdiskusi, berdialog dan bertemu muka atas nama kemanusiaan. Sedarkah kita Islam juga adalah agama dan cara hidup yang mendokong nilai kemanusiaan. Keperluan ke arah ini sangat-sangat disarankan di mana komuniti Islam adalah minoriti seperti yang berlaku di Australia. Mereka di luar sana, selain hanya menjadi pemerhati kepada gerakan dan komuniti Islam ini harus juga disedarkan tentang apa itu Islam yang sebenar, yang sebaliknya berbeza dari gambaran-gambaran media.
Tugas dan peranan kita, kena sentiasa bersiap siaga, persiapkan hati dan diri menjadi figura Islam yang mendukung perintah Allah dan ajaran Rasulullah. Mudah-mudahan, suatu masa nanti, kita bukan lagi golongan yang diperhatikan di atas rumah api tersebut. Malah kita yang berada di sana, di tempat asal kita di mana empayar Islam pernah berdiri tegak menjadi sebutan dan ikutan komuniti agama lain.
Wallahualam.
(memori di Australia masih lekat terpahat di minda penulis, mohon maaf memberi laluan menceritakan secebis pengalaman peribadi ketika berada di sana)
December 8, 2012
Berita : HAMAS – 25 Tahun Penuh Suka Dan Duka
Jalan Menuju Pembebasan!
Menuju ke Merdeka!
Sambutan Ulangtahun ke 25 Tahun HAMAS
8 Disember 2012 – Tentunya ia adalah hari yang bersejarah buat HAMAS, sebuah gerakan Islam Palestin yang berjuang untuk masa depan rakyat Palestin dan bertekad membebaskan Masjid al-Aqsa daripada cengkaman Zionis Israel. Sambutan Jubli Perak – 25 Tahun memberikan satu gambaran kematangan, kedewasaan dan satu anjakan baru bagi mereka.
Puluhan ribu rakyat Palestin membanjir satu perhimpunan khas bagi sambutan acara utama HAMAS 25 Tahun di komples Al-Qatiba, barat Bandar Gaza. Hujan renyai-renyai tidak menghalang mereka untuk terus setia bersama HAMAS dan merasai satu sambutan dengan penuh kehangatan ukhuwah dan semangat juang yang tinggi.
HAMAS tidak muncul secara tiba-tiba. Ia adalah satu rentetan perjuangan yang panjang, berliku penuh duka, disimbahi darah dan diwarnai pengorbanan yang tidak terkira. HAMAS ditubuhkan secara rasmi pada 8 Disember 1987 yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin dan beberapa orang sahabat beliau seperti Dr Abdul Aziz Rantisisi, Salah Syahadah, Muhammad Sham’ah, Isa al-Nashar, Abdul Fatah Dukhan dan Ibrahim al-Yazuri. Penubuhan HAMAS adalah rentetan penstrukturan semula Ikhwanul Muslimin Palestin pada ketika itu.
Di pentas Utama Sambutan. Sokongan Daripada Puluhan Ribu Rakyat Palestin. Juga diikuti oleh rombongan rakyat Malaysia yang mengikuti Misi Solidariti Gaza 2012
Kekuatan HAMAS
HAMAS dan perjuangan Palestin sememangnya tidak dapat dipisahkan. Sesiapa yang menidakan atau menafikan peranan HAMAS serta jihad mereka – ia bererti mereka buta akan sejarah Palestin! Para pejuang mereka, terutama sayap ketenteraan mereka iaitu Briged al-Qassam sangat-sangat digeruni, ditakuti dan diawasi oleh pihak Zionis Israel.
Disiplin, kecekapan, kesungguhan, keberanian dan kepatuhan mereka kepada kepimpinan membuat merekalah tentera yang sentiasa disebut-sebut sebagai tentera contoh. Sehingga ada yang menggelarkan mereka sebagai tentera malaikat.
Syarat penyertaan yang ketat dalam Briged al-Qassam seperti konsisten Solat Subuh berjemaah selama 6 bulan tidak tertinggal, hafal Al-Quran dan hadis, puasa sunat Isnin Khamis dan sebagainya – menjadi ia pasukan tentera yang hebat, luar biasa dan ditakuti musuh. Ternyata, bantuan dan pertolongan Allah SWT mengiringi setiap derapan langkahan mereka di medan tempur!
Salah seorang pejuang HAMAS, komandan Briged al-Qassam.
Populariti HAMAS melonjak
Kemenangan HAMAS secara mengejut dan diluar jangkaan pada 25 Januari 2006 dalam Pilihan Raya telah membuka suatu lembaran baru bagi perjuangan mereka ketika itu. Sungguh, mereka sendiri tidak menyangkakan kemenangan 74 kerusi daripada 132 kerusi yang dipertandingkan. Tetapi, jelas kepada dunia – rakyat Palestin memberikan kepercayaan kepada mereka untuk memimpin mereka.
Populariti HAMAS yang sebelum ini yang banyak melakukan khidmat kebajikan untuk rakyat melonjakan imej mereka untuk diterima rakyat Palestin sebagai kerajaan yang memerintah. Bahkan, ia lebih terbukti lagi selepas mereka menjadi kerajaan Palestin dengan slogan “hidup untuk rakyat”. Mana tidaknya, kesemua menteri kabinetnya tidak mengambil gaji dan hidup mereka fokus untuk kebajikan, perjuangan dan pembangunan rakyat.
Inilah sebenar-benarnya pemimpin! Kemenangan HAMAS adalah satu fenomena, dan ia adalah fenonema yang menggegarkan dunia. Ia bukanlah organisasi atau gerakan yang bergantung kepada populariti individu tetapi ia kuat kepada kekuatan yang ada pada HAMAS itu sendiri.
Barisan pejuang yang hebat. Bersiap siaga sentiasa!
Apa kata mereka? – Tentang HAMAS
Jeneral Ori Saghi, Ketua Shin Bet iaitu Bahagian Perisikan Tentera rejim Zionis mengatakan :
“ HAMAS memiliki budaya kerja profesional, amalan kerahsiaan pada tahap tertinggi dan perlaksanaan operasi yang menonjol dan berkesan.”
Para penganalisis rejim Zionis, memberikan komentar yang positif tentang HAMAS :
“ HAMAS sudah menghasilkan sekumpulan sepsis rakyat Palestin yang baru dan mereka adalah para pejuang Palestin yang baru!.”
Yaacov Jevri, Ketua Shabak pernah mengatakan :
“ HAMAS adalah satu-satunya gerakan yang kami gagal menembusinya. Ini kerana kekuatan sistem dan disiplin gerakan itu.”
Kepulangan Pemimpin Utama HAMAS – Khalid Mesh’al disambut penuh kegembiraan dan kesyukuran. Turut kelihatan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyyah.
Satu yang menggembirakan HAMAS bagi sambutan ulang tahun ke 25 ialah kepulangan pemimpin utama mereka iaitu Khalid Mesh’al . Bertahun lamanya beliau berada dalam buangan selepas kebangkitan rakyat Palestin menentang kekejaman tentera Zionis Israel pada tahun 1987. Namun, Maha Suci Allah SWT yang mengatur segalanya – beliau akhirnya pulang ke tanah airnya sendiri di bumi Gaza.
Siapakah beliau?
Khalid adalah pemimpin utama HAMAS. Selepas peristiwa pembunuhan Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Abdul Aziz al-Rantissi pada tahun 2004, Khalid menjadi tumpuan media. Nama beliau dikaitkan sebagai bakal pengganti al-Rantissi. Namun atas faktor keselamatan HAMAS merahsiakan senarai kepimpinan utama mereka, ramai penganalisis politik menjangka beliau adalah tokoh yang paling layak untuk mengambil alih amanah itu.
Kepulangannya memberikan satu signal kepada keutamaan gerak kerja HAMAS di masa hadapan dan halatuju perjuangan pembebasan Al-Aqsa. Jelas kepada kita, HAMAS sangat bersungguh-sungguh dan penuh komited dengan perjuangan mereka. Banyak perkara yang perlu dikaji, diteladani dan diambil pengajaran daripada perjuangan mereka.
Lambaian pemimpin yang hidup mereka untuk rakyat!
Penutup : Sikap Dan Sumbangan Kita
Sewajarnya – semangat, prinsip, kesungguhan dan juga komitmen mereka harus dicontohi dan diterjemahkan ke dalam perjuangan yang lebih relevan dan sesuai dengan situasi kita di Malaysia. Anak-anak muda Malaysia harus melihat semua ini dengan kaca mata yang lebih positif dan menjadikan ia inspirasi dan motivasi dalam berjuang untuk menggapai impian, cita-cita dan harapan yang diidamkan.
HAMAS telah berjaya membuka mata seluruh manusia untuk melihat bahawa pembebasan Masjid al-Aqsa adalah tanggungjawab seluruh ummat Islam dan ia adalah isu kemanusiaan sejagat. Mereka telah berjaya membuktikan komitmen mereka dalam perjuangan yang suci ini.
Justeru, kita harus persoalkan apakah sumbangan yang telah kita lakukan kepada Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin?
Pemuda : Kenapa Perlu Berputus Asa?
Perlukah berputus asa?
~ Picture by http://antontang.deviantart.com/
Sehingga saat saya menulis artikel ini, saya tidak pasti telah berapa ramaikah manusia di dunia ini yang telah kehilangan harapan dalam hidupnya sekaligus membuatkan dia merasa berputus asa dengan kehidupan ini lalu mengambil keputusan untuk menamatkan hidupnya dengan cara yang sangat buruk.
Saya akui betapa kehidupan ini memang susah. Penuh onak duri dan dugaan.
Ada orang yang telah menamatkan hidupnya dengan membunuh diri untuk menyelesaikan segala tekanan yang membebani jiwanya. Ada orang telah memilih menjadi penagih dadah sebagai jalan mencari ketenangan dalam hidupnya. Ada orang yang memilih untuk berseronok di kelab-kelab malam, menari dan berfoya-foya bersama teman masing-masing, dengan harapan mereka dapat melepaskan segala tekanan yang telah menimpa diri sewaktu mereka bekerja.
Hakikatnya, masalah tidak selesai. Mereka pun tidak berjaya sebenarnya untuk mendapatkan ketenangan yang hakiki.
Ya. Barangkali seronok. Tetapi seronoknya cuma untuk seketika. Usai berfoya-foya, hilanglah semua keseronokan itu dan dia akan kembali berdepan tekanan demi tekanan yang mungkin lebih berat lagi daripada yang biasa dihadapinya sebelum itu.
Waktu-waktu begitu, diuji dengan tekanan yang lebih berat, apakah dos berfoya-foya dan berseronok di kelab malam serta pelbagai jalan lain yang negatif itu masih mampu memberikan ketenangan kepada jiwa kita ?
Tekanan Dan Kesusahan Akan Tetap Dihadapi, Tetapi Bagaimana Diri Kita Yang Menghadapinya?
Ada orang diuji dengan tekanan berurusan dengan manusia, lantas terus keluar maki hamun di mulutnya, mengeji orang itu, mengata sana ini untuk memuaskan hatinya.
Ada orang pula menghadapi tekanan di pejabat dan tempat kerjanya, lalu demi mendapatkan ketenangan, dia mencari kelab-kelab malam sebagai tempat melempiaskan segala tekanan di jiwanya.
Ada orang pula yang gagal dalam peperiksaannya, lalu mengambil keputusan untuk membunuh dirinya demi menghilangkan rasa malu.
Tekanan. Kesusahan.
Di mana-mana pun kita pasti akan menghadapinya. Tinggal lagi, setiap orang diuji berbeza dengan keadaan dirinya.
Bila diuji dengan tekanan diri dan kesusahan, sepatutnya bukan persoalan ‘kenapa ini yang menimpa aku’ terlintas di pemikiran kita. Bertanyalah 1000 kali soalan sebegitupun, kita tetap tidak akan mampu mengubahnya, melainkan kita bertanya sebagai ruang untuk memuhasabah melihat segala kesalahan kita di masa lepas, maka itu tidak ada masalah.
Tetapi, sekiranya kita bertanya soalan sebegini kerana merasa Tuhan itu tidak patut kerana menghukum kita sebegini, maka tidak akan memberi apa-apa jua makna kepada diri kita.
Yang sepatutnya adalah kita bertanya diri kita – ‘Bagaimana aku patut hadapi masalah ini’. Inilah yang sepatutnya terlintas di benak kita.
Ujian sudah di depan kita. Masalah sudah di depan kita. Untuk apa lagi kita bertanya, ‘kenapa aku? kenapa aku?’? Selesaikanlah !
Tenangkan diri dan cari jalan penyelesaian dengan baik.
Kenapa Perlu Cepat Berputus Asa?
Kadangkala, ada manusia yang diuji dengan masalah putus cinta. Ya, saya tahu putus cinta itu memeritkan. Tetapi, kenapa perlu menambah keperitan itu dengan memilih jalan untuk menoreh urat nadi di tangan, menggantung diri, mencampakkan diri ke kancah kebinasaan? Kenapa?
Adakah itu akan menyelesaikan masalah?
Kita ini hilang rasional bila berdepan dengan ujian dan kesusahan. Lebih banyak emosional.
Emosional yang terlampau tidak akan mampu menyelesaikan masalah. Sebab itulah, Allah s.w.t. telah menunjukkan kita jalan menjadi rasional. Ia terpakai pada semua sudut kehidupan.
“Hanya dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang.” [Ar-Ra’du : 28]
Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud :
“Dialah yang telah menurunkan (sakinah) ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin untuk menambah keimanan atas keimanan mereka (yang telah ada).” [Al-Fath : 4]
As-Syahid Sayyid Qutb menyebut dalam tafsir Fi Zilalil Quran tentang perkataan ‘sakinah’ yang dimaksudkan dalam ayat ini, katanya – “Dan sakinah ketika Allah menurunkannya ke dalam hati manusia, ia akan menjadi sesuatu yang menenangkan dan merehatkan, meyakinkan dan menimbulkan kepercayaan, keseriusan dan kekuatan, serta penerimaan dan keredhaan.”
Inilah rasional yang telah dididik oleh Allah s.w.t. kepada manusia melalui Al-Quran. Tinggal lagi, kita yang tidak mengambilnya dan melaksanakannya dalam kehidupan harian kita. Maka, saat kita berdepan dengan tekanan dan kesusahan, bukan diri kita yang menguasai masalah dan tekanan itu, sebaliknya diri kita pula yang dikuasai oleh tekanan dan masalah.
Bila hati tidak tenang, jiwa pun kacau, bagaimana mungkin kita mampu menetapkan keputusan yang baik untuk hidup kita?
Sebab itulah ramai yang tersasar ketika menentukan pilihan hidupnya setelah menghadapi tekanan dan masalah. Jiwanya tidak tenang, dalam hatinya tidak ada ketenangan dan kerehatan sehingga memampukan dirinya untuk menetapkan keputusan yang betul. Yakin dan percaya diri sendiri juga sudah mula memudar.
Hendak redha dan menerima ujian itu dengan hati yang ikhlas dan sabar apatah lagi.
Akhirnya, kelemahan mula menapak di dalam diri sehingga menyebabkan penyakit putus asa sangat mudah menjangkiti jiwa.
Jauh dari Allah. Inilah punca utama yang telah menyebabkan ramai manusia tergelincir dari landasan kehidupannya yang sebenar.
Penutup : Jangan Pernah Berputus Asa, Tolong Jangan.
Saya tahu, ada manusia diuji dengan ujian yang begitu berat sehingga menyebabkan hatinya dihimpit dengan tekanan dan kesusahan yang sangat memeritkan. Barangkali ada yang pernah diuji sehingga kehilangan hampir segala-galanya dalam hidupnya.
Tetapi, ketahuilah Allah itu tidak akan pernah menganiaya hamba-hambaNya. Tidak pernah. Tidak sekali-kali.
Allah berfirman dalam surah Rum ayat ke-36 yang bermaksud :
“Dan apabila Kami berikan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan (rahmat) itu. Tetapi apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) kerana kesalahan mereka sendiri, seketika itu mereka berputus asa.”
Bukan ujian itu datang untuk menyusahkan kita apalagi menyuruh kita berputus asa daripada kehidupan. Kita sendirilah yang memilih sama ada untuk terus kuat atau berputus asa daripada menghadapinya.
Ketika kita putus asa, maka tidak ada siapa-siapa yang harus disalahkan. Tetapi salahkanlah diri kita sendiri kerana kita sendiri yang memilih untuk menjadi lemah dan kalah.
Allah s.w.t. tidak henti-henti memberikan dorongan dan galakan agar kita terus kuat menghadapi tekanan dan rasa susah dalam hidup. Dalam surah Yusuf, ayat 87, yang bermaksud :
“Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat hanyalah orang-orang yang kafir.”
Kembali akrab dengan Allah. Pastilah kita akan temui ketenangan di celah keserabutan hidup yang kita lalui, pasti kita temui kekuatan untuk ikhlas dan sabar mendepani tekanan dan kesusahan dalam kehidupan.
Yang penting, janganlah pernah putus asa. Tolonglah jangan !
December 6, 2012
Berita: Ibu bapa perlu tegas dengan anak remaja
Pembebasan anggota polis, Koperal Jenain Subi daripada sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana dakwaan menyebabkan kematian remaja berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah menerima reaksi bercampur-baur.
Dalam kalangan orang ramai, ada yang bersetuju dan sebaliknya, bagaimanapun alasan penghakiman oleh Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli wajar diberi renungan.
Fokus utama kes ini ialah niat hendak membunuh. Dalam penghakiman beliau, Jenain tidak ada niat tersebut, sebaliknya ingin memberhentikan kereta yang dipandu mangsa. Keterangan pakar menyatakan terdapat 29 butir peluru yang mengenai bahagian belakang dan bawah kereta pada malam tersebut membuktikan kenyataan tersebut.
Namun, alasan yang sangat mustahak untuk direnung oleh ibu bapa khususnya ialah kenyataan beliau bahawa seseorang remaja yang berusia 15 tahun sepatutnya berada di rumah selepas pukul 12 tengah malam.
Kematian Aminulrasyid amat malang dan seharusnya membuka mata masyarakat terhadap kepentingan memastikan anak-anak berada di rumah pada malam hari. Hari ini ibu bapa lebih cenderung berlembut dengan kehendak anak-anak walaupun tahu kehendak tersebut ada kalanya amat membahayakan diri dan orang lain. Membenarkan anak-anak yang masih bersekolah memandu kereta atau motosikal di jalan raya mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna yang lain.
Akibat buruk biasanya menanti anak-anak yang membelakangkan nasihat ibu bapa. Kejadian seorang remaja perempuan berumur 16 tahun yang melecur bahagian muka kerana dibakar oleh teman lelaki boleh menjadi iktibar kepada kita semua. Dek kerana enggan mendengar nasihat ibu, remaja itu mengikut teman lelaki dengan membonceng motosikal ke satu tempat. Oleh sebab berselisih pendapat, tubuh remaja itu dicurah minyak dan dibakar. Dia terpaksa menanggung sakit hanya kerana tidak mendengar nasihat dan rayuan ibunya sendiri supaya turun dari motosikal dan pulang ke rumah.
Kes terbaru ialah dua orang adik-beradik lelaki melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap marah bapa mereka. Kanak-kanak yang berumur enam tahun dan lapan tahun itu bertindak keluar rumah dan menuju ke rumah ibu mereka bersama beg pakaian masing-masing. Mujurlah sikap prihatin orang ramai telah menemukan anak dan ibu.
Banyak lagi kes seperti ini yang tidak diketahui kerana tidak didedahkan kepada umum.
Tindak-tanduk ibu bapa juga menjadi penyumbang kepada bahana yang lebih besar dalam masyarakat. Jika ibu bapa tidak dapat melaksanakan tanggungjawab, maka tugas tersebut diambil alih oleh agensi penguat kuasa yang diberi tanggungjawab oleh negara.
Jika seorang remaja ditahan kerana memandu kereta atau motosikal tanpa lesen yang sah, salah seorang ibu atau bapanya patut didakwa di mahkamah supaya sedar bahawa membenarkan anak memandu tanpa lesen adalah satu kesalahan. Tindakan ini juga membahayakan orang ramai.
Sebagai pengguna, tentulah kita tidak mahu menanggung beban akibat tidak ada sikap tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak sendiri.
Ibu bapa perlu tegas dengan anak remaja
Pembebasan anggota polis, Koperal Jenain Subi daripada sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana dakwaan menyebabkan kematian remaja berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah menerima reaksi bercampur-baur.
Dalam kalangan orang ramai, ada yang bersetuju dan sebaliknya, bagaimanapun alasan penghakiman oleh Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli wajar diberi renungan.
Fokus utama kes ini ialah niat hendak membunuh. Dalam penghakiman beliau, Jenain tidak ada niat tersebut, sebaliknya ingin memberhentikan kereta yang dipandu mangsa. Keterangan pakar menyatakan terdapat 29 butir peluru yang mengenai bahagian belakang dan bawah kereta pada malam tersebut membuktikan kenyataan tersebut.
Namun, alasan yang sangat mustahak untuk direnung oleh ibu bapa khususnya ialah kenyataan beliau bahawa seseorang remaja yang berusia 15 tahun sepatutnya berada di rumah selepas pukul 12 tengah malam.
Kematian Aminulrasyid amat malang dan seharusnya membuka mata masyarakat terhadap kepentingan memastikan anak-anak berada di rumah pada malam hari. Hari ini ibu bapa lebih cenderung berlembut dengan kehendak anak-anak walaupun tahu kehendak tersebut ada kalanya amat membahayakan diri dan orang lain. Membenarkan anak-anak yang masih bersekolah memandu kereta atau motosikal di jalan raya mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna yang lain.
Akibat buruk biasanya menanti anak-anak yang membelakangkan nasihat ibu bapa. Kejadian seorang remaja perempuan berumur 16 tahun yang melecur bahagian muka kerana dibakar oleh teman lelaki boleh menjadi iktibar kepada kita semua. Dek kerana enggan mendengar nasihat ibu, remaja itu mengikut teman lelaki dengan membonceng motosikal ke satu tempat. Oleh sebab berselisih pendapat, tubuh remaja itu dicurah minyak dan dibakar. Dia terpaksa menanggung sakit hanya kerana tidak mendengar nasihat dan rayuan ibunya sendiri supaya turun dari motosikal dan pulang ke rumah.
Kes terbaru ialah dua orang adik-beradik lelaki melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap marah bapa mereka. Kanak-kanak yang berumur enam tahun dan lapan tahun itu bertindak keluar rumah dan menuju ke rumah ibu mereka bersama beg pakaian masing-masing. Mujurlah sikap prihatin orang ramai telah menemukan anak dan ibu.
Banyak lagi kes seperti ini yang tidak diketahui kerana tidak didedahkan kepada umum.
Tindak-tanduk ibu bapa juga menjadi penyumbang kepada bahana yang lebih besar dalam masyarakat. Jika ibu bapa tidak dapat melaksanakan tanggungjawab, maka tugas tersebut diambil alih oleh agensi penguat kuasa yang diberi tanggungjawab oleh negara.
Jika seorang remaja ditahan kerana memandu kereta atau motosikal tanpa lesen yang sah, salah seorang ibu atau bapanya patut didakwa di mahkamah supaya sedar bahawa membenarkan anak memandu tanpa lesen adalah satu kesalahan. Tindakan ini juga membahayakan orang ramai.
Sebagai pengguna, tentulah kita tidak mahu menanggung beban akibat tidak ada sikap tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak sendiri.
Motivasi : Tips – 5 Cara Memulakan Hari Kita Dengan Energetik Lagi Ceria!
Bebaskan Diri Dari Kelesuan, Hambar dan Kecewa!
Salam ceria, penuh senyuman dan bertenaga.
Ianya khusus buat warga pembaca sekalian! Terima kasih atas kesudian dan kelapangan yang tidak jemu-jemu singgah di kolum ini. Terima kasih, arigato dan syukran!
Harapan saya agar anda semua tetap cergas dan bersemangat memulakan hari baru. Kita lupakan segala kekurangan, kelemahan dan segala kekusutan semalam – dan kita bertekad untuk membina hari baru ini dengan ruh yang baru, semangat yang baru dan diri yang baru!
Err…Boleh ka? (Nada ragu-ragu)
Semestinya boleh. Semangat “Yakin Boleh” harus ada dalam genggaman kita semua kerana usaha itu adalah hak milik yang boleh kita kerjakan. Siapa berusaha, dia berjaya.
Anda yakin?
Justeru, untuk sentiasa bertenaga, bersemangat dan ceria – kita boleh rencanakan ia di awal-awal permulaan harian kita. Hal tersangatlah penting kerana faktor pencetus di permulaan hari menjadi elemen penting kepada perasaan, mode dan jiwa kita untuk sepanjang hari yang berikutnya. InsyaAllah – sesuatu yang luar biasa akan muncul dalam kehidupan kita.
Ayuh kita semak 5 tips yang akan menjadi cara yang praktikal untuk sama-sama kita laksanakan dalam kehidupan seharian kita. Terus semangat!
(1) Mulakan Hari Dengan Kebaikan
Hari yang bermakna, adalah permulaannya bercahaya. Bagaimana? Kita luncurkan hari kita dengan amalan soleh. Masih lagi ingat AMAD? Lupa? Saya ingatkan semula : AMAD - Al-Quran, Mathurat dan Dhuha.
Sebolehnya kita bangun awal sebelum Subuh. Menghirup udara pagi yang bersih dan segar akan memacu semangat yang luar biasa dan sama-sama hiasi pagi hari dengan AMAD!
Ayuh janakan AMAD!
(2) Amalkan Senaman Yang Efektif
Hah! Senaman pula?
Ya. Senaman, regangan atau apa-apa yang sewaktu dengannya amatlah penting. Riadhah, bersukan dan aktiviti menyihatkan badan amatlah penting untuk kita semua. Mengabaikan aspek ini, adalah satu perkara yang merugikan kita semua.
Bagun di awal pagi – kita mulakan dengan regangan otot kecil yang ringan-ringan. Biar pun sekejap, tetapi konsisten dan berkesan. InsyaAllah – suatu perubahan akan berlaku kepada kita.
(3) Sentiasa Senyum, Tersenyum Dan Berwajah Manis
Senyum.^^
Ia adalah gambaran jiwa dan perasaan yang bahagia. Bayangkan jika kita temui orang yang hidupnya sentiasa tersenyum, pastinya apa sahaja yang dilalui akan ditempuhi dengan semangat dan seronok. Jika ada masalah, ujian dan cabaran – ia akan berusaha untuk selesaikan dengan sabar, tenang dan tabah.
Syaratnya : Kekalkan senyuman. Kerana, wajah kita akan tampak manis dan menawan. Sesiapa yang memandang kita juga akan tertarik!
Jadi apa lagi, senyum sokmo!
(4) Wujudkan Stesen RnR Dalam Kehidupan
Seharian bekerja, belajar dan melakukan pelbagai aktiviti tentunya akan memenatkan dan meletihkan kita. Oleh itu, kita perlukan stesen atau check point persinggahan yang akan memulihkan kepenatan dan keletihan itu.
Justeru, mewujudkan stesen RnR dalam kehidupan kita amat penting. Stesen Rehat dan Rawat, Stesen Release dan Recharge.
Apakah stesen-stesen itu ? – Solat 5 waktu, Majlis Ilmu-ilmu dan peruntukan masa untuk muhasabah! Ia adalah tempat persinggahan yang meneduhkan hati dan melepaskan lelah kepenatan seharian.
Stesen RnR dimana-mana!
(5) Amalkan 3 Ungkapan Keramat Setiap Hari
Untuk ceria, bertenaga dan bersemangat – kita boleh amalkan 3 ungkapan keramat ini iaitu :
- “ Saudara, terima kasih”
- “ Maafkan saya, saudara”
- “ Saya kasihkan awak.”
Saya pernah huraikan 3 ungkapan ini. Boleh lihat di sini.
Jadi sama-sama kita jadikan ia sebahagian daripada kehidupan kita.
Ia simple, ringkas dan mudah – tetapi penuh erti dan makna!
Penutup : Untuk Ceria, Bertenaga dan Gembira – Ia adalah Pilihan Kita.
Tidak susahkan bukan untuk sentiasa ceria, bahagia dan gembira di awal hari sehingga ke penghujungnya. Ia bergantung kepada bagaimana kita urus dan kendalikan diri dan menghadap setiap masalah, ujian dan cabaran yang hadir dalam hayat ini.
Mari. Mari sama-sama kita berbahagia sepanjang hari, masa dan ketika.
——
Senyum + Ceria + Bahagia = Asas Utama Tenaga!
December 5, 2012
Himmah : Hancurkan Berhala Di Hatimu !
~ Picture by Umar Mita
Setiap kali Allah s.w.t. melantik seorang utusan di kalangan manusia untuk menyampaikan ajarannya, maka pastilah seruannya adalah untuk mengajak manusia kembali kepada Allah. Tetapi, ia bukan sekadar itu saja.
Utusan-utusan Allah s.w.t. ini didatangkan untuk membanteras dan memusnahkan berhala-berhala yang telah dijadikan sekutu terhadap Allah s.w.t.
Masyarakat Arab jahiliah umpamanya, mereka beriman adanya Allah. Tetapi, dalam masa yang sama, mereka mensyirikkan Allah s.w.t. dengan berhala-berhala yang mereka bina di sekeliling Kaabah dan di dalamnya.
Berhala-hala yang mereka sembah ini telah menafikan keagungan dan keesaan Allah s.w.t. Sedangkan Allah s.w.t. itu dapat berdiri dengan sendirinya tanpa pertolongan makhluknya dan tanpa pertolongan sesiapa jua, Dia tidak perlu kepada makhluk untuk jadi perantara antara Dia dan hamba-Nya.
Berhala Yang Wujud Pada Kita Sekarang
Berhala suatu ketika dahulu dibangunkan dalam bentuk fizikal seperti patung-patung yang dibina melalui batu, melalui kurma dan sebagainya. Dalam kisah Nabi Ibrahim a.s. ada dinyatakan tentang berhala yang disembah oleh kaumnya, tetapi diruntuh dan dirosakkan oleh baginda ketika semua kaumnya keluar menyambut perayaan.
Kisah ini diceritakan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Anbiya’ ayat 58-63 yang bermaksud :
“Maka dia (Ibrahim) menghancurkan (berhala-berhala itu) berkeping-keping kecuali yang terbesar (induknya) agar mereka kembali (untuk bertanya) kepadanya. Mereka berkata, “Siapakah yang melakukan (perbuatan) ini terhadap tuhan-tuhan kami? Sungguh dia termasuk orang yang zalim.” Mereka (yang lain) pula berkata, “Kami mendengar ada seorang pemuda yang mencela (berhala-berhala ini), namanya Ibrahim” Mereka berkata, “(Kalau demikian) bawalah dia dengan diperlihatkan kepada orang ramai agar mereka menyaksikan.” Mereka bertanya, “Apakah engkau yang melakukan (perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, wahai Ibrahim?” Dia (Ibrahim) menjawab, “Sebenarnya (patung) besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada mereka, jika mereka dapat berbicara.”
Begitu juga di zaman Nabi s.a.w. ketika peristiwa pembukaan Fathul Makkah. Terdapat banyak berhala di sekitar dan di dalam Kaabah. Maka, Nabi memerintahkan supaya umat Islam memusnahkan semua berhala-berhala yang ada termasuklah di dalam Kaabah. Tidak ada satu pun yang dibiarkan tinggal untuk disembah.
Itulah berhala suatu ketika dulu. Sekarang, masih wujudkan lagi berhala sebegitu?
Ya, masih wujud lagi berhala sebegitu di kalangan orang bukan Islam. Tetapi, pada hari ini bukan itu saja yang wujud, bahkan wujud juga berhala yang disembah dan dipertuhankan oleh orang Islam sendiri.
Berhala ini telah bersarang di hati dan jiwa ramai umat Islam menyebabkan mereka tidak dapat bangun dari kelemahan dan terus tunduk di bawah payung-payung kehinaan.
Berhala yang dimaksudkan ini bukanlah berhala yang nampak zahirnya seperti disembah oleh kaum Nabi Ibrahim a.s. dan orang kafir Quraisy. Tetapi, berhala ini adalah yang sesuatu yang diangkat-angkat dan diagung-agungkan di dalam jiwa umat Islam sehingga meletakkan Allah di tepi.
Berhala Yang Telah Merosakkan Dunia Dan Akhirat Kita
Berhala sebeginilah yang ternyata lebih berbahaya dan lebih merisaukan. Kalau berhala fizikal itu masih jelas kelihatan dan boleh dirosak-rosakkan. Tetapi, berhala yang wujudnya di dalam jiwa manusia ini hanya manusia itu sendirilah yang mampu berusaha membuang dan meruntuhkannya.
Manusia lain tidak mampu mengambil kapak dan meruntuhkannya, kerana ia bukan bersifat fizikal dan dapat disentuh.
Ada manusia yang di dalam kehidupannya mengagungkan nafsu. Dia tidak menyebutkan hal itu di mulutnya, tetapi dalam kehidupannya terlihat sebegitu. Banyak perintah-perintah dan larangan Allah yang dilanggar dan diderhakainya. Bukan kerana tidak tahu, tetapi kerana terlalu menuruti berhala nafsu yang wujud di dalam jiwanya.
Berbanding menghadapi sedikit kesusahan dan kepayahan dalam ketaatan kepada Allah, dia lebih suka untuk tunduk kepada nafsu yang sememangnya menjanjikan kesenangan dan keselesaan setiap masa.
Maka, hidupnya tidak lain hanya untuk menuruti kepuasan nafsunya. Selagi tidak dicapai apa yang diingini oleh nafsunya, maka selagi itu dia tidak berpuas hati. Biarpun apa yang diingini nafsunya itu becanggahan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t., dia tetap tidak peduli.
Yang penting dia dapat apa yang dia mahu.
Ada saja manusia yang di dalam kehidupannya menjadikan harta sebagai berhalanya. Tidaklah bermaksud dia mempertuhankan harta itu, dia menyembah dan sujud kepada harta itu. Tidak. Bukanlah seperti itu.
Orang yang mempertuhankan hartanya, kehidupannya semuanya adalah untuk mendapatkan wang. Apa-apapun, semuanya wang. Kalau tidak ada wang, dia tidak mahu. Contohnya solat. Solat dapat wang tak? Tak dapat, maka dia tidak mahu buat.
Dia tidak kisah orang lain susah atau miskin, asalkan dia kaya. Semakin hari, dia semakin berasa tidak cukup dan ingin mendapatkan lebih banyak lagi harta. Bahkan, dengan harta yang dimilikinya, dia menzalimi pula orang-orang yang lebih susah dan miskin daripadanya.
Inilah orang yang telah menjadikan harta sebagai berhala di dalam hatinya.
Orang yang meletakkan selain Allah dan mendahulukannya di dalam jiwanya, dia telah menduakan dan mensyirikkan Allah di dalam kehidupannya.
Apakah Tidak Cukup Allah Yang Maha Esa?
Nafsu yang kita pertuhankan itu sebenarnya diciptakan oleh Allah s.w.t. juga. Harta yang kita agung-agungkan itu sebenarnya adalah pemberian Allah juga.
Allah ciptakan nafsu itu sebagai alat. Bukan sebagai matlamat untuk kita angkat-angkat.
Allah berikan harta itu juga sebagai alat. Bukan matlamat.
Alat untuk apa? Alat untuk kita menyembah dan tunduk kepada Allah s.w.t. Bukan alat untuk kita angkatnya sebagai tuhan dalam kehidupan.
Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 17 yang bermaksud :
“Kamu hanyalah menyembah berhala-berhala yang diperbuat oleh orang, tidak menyembah Allah yang mencipta segala-galanya, dan kamu hanya mengadakan penyembahan yang dusta. Sesungguhnya mereka yang kamu sembah selain dari Allah, tidak berkuasa memberi rezeki kepada kamu, oleh itu, carilah rezeki di sisi Allah dan sembahlah akan Dia serta bersyukurlah kepada-Nya, kepada Allah jualah kamu dikembalikan.”
Nafsu lagi dipenuhi kehendaknya, semakin tidak puas pula yang kita rasa.
Harta pun begitu. Kalau semata-mata untuk kepentingan dunia, lagi dikorek, lagi kita rasa tidak mencukup harta yang ada itu.
Begitulah juga berhala-berhala lain yang wujud di hati kita. Mereka tidak sekali-kali dapat memberikan rezeki kepada kita. Mereka tidak sekali-kali dapat memberi ketenangan dan kebahagiaan kepada jiwa kita.
Lalu, adakah salah memiliknya?
Sudah tentulah tidak. Tetapi janganlah sampai kita mempertuhankan mereka di dalam kehidupan kita. Bilamana kita mula mengabaikan hak-hak Allah dalam kehidupan kita, maka itu tandanya kita telah mula mempertuhankan mereka dan menduakan Allah s.w.t.
Bila kita sibukkan diri kita lebih kepada selain Allah dalam kehidupan kita, itu adalah bibit-bibit kita mula mengangkat selain Dia dalam jiwa kita.
Penutup : Runtuhkan Berhala Di Hatimu !
Allah tidak mungkin berkongsi tempat dengan makhluk yang diciptakan-Nya. Tidak mungkin kita katakan kita beriman dan taat kepada Allah, tetapi kemudian kita mengutamakan kehendak-kehendak selain Dia dalam kehidupan kita.
Kita penuhi kemahuan-kemahuan nafsu, tetapi kita abaikan suruhan-suruhan Dia.
Kita cari harta sebanyak-banyaknya untuk dunia, tetapi kita lupa untuk mencari bahagian kita di sisi Dia sebanyak-banyaknya.
Kita angkat –angkat cinta dalam kehidupan kita sehingga hati kita menjadi buta kerana cinta, sedangkan kita sendiri lupa mengangkat-angkat cinta kita kepada-Nya dalam jiwa kita.
Berhati-hatilah menangani berhala yang wujud di dalam jiwa kita ini.
Berhala yang tidak terlihat wujudnya dalam bentuk zahir ini lebih berbahaya dan lebih sukar untuk diruntuhkan berbanding berhala yang terlihat dalam bentuk yang zahir. Ia terlalu halus sehingga kadang-kadang kita sendiri tidak perasan kita telah mengangkat selain Allah dalam kehidupan kita.
Kalau benar kita mengutamakan Allah di dalam kehidupan kita, maka runtuhkanlah berhala-berhala yang wujud di dalam jiwa kita sehingga membuatkan kita mengenepikan dan mengabaikan perintah-perintahNya di dalm kehidupan kita.
Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.
Runtuhkanlah berhala di hati agar kita merasai kelazatan beriman kepada Ilahi.
Kala jiwa kita ini bersih daripada selain Dia, maka Allah angkatkan martabat kita di sisi-Nya dan di kalangan manusia.