Hilal Asyraf's Blog, page 124

January 9, 2013

Motivasi : Tips – 8 Petua Menabung Secara Efektif Dan Sistematik

 



Sudahkah Anda Menabung?


 


Sudah 10 tahun saya menabung secara serius atas inisiatif sendiri semenjak tahun 2002. Begitu pantas masa berlalu, – dan bersyukur kepada Allah SWT di atas pengalaman yang berharga ini. Bagi saya, menabung adalah satu amalan yang baik dan mampu meninggalkan kesannya yang tersendiri bagi si pengamalnya.


Statistik kajian Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna, Malaysia (ERA Consumer Malaysia) dan Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) menunjukan bahawa, antara golongan yang banyak berhutang dan diisytihar bankrap adalah golongan muda yang berusia berusia antara 18 tahun sehingga 35 tahun.


Hasil kajian didapati bahawa lebih kurang 47 % pekerja muda mempunyai hutang yang serius iaitu lebih 30% daripada gaji bulanan mereka digunakan utuk membayar hutang . Dan, kajian juga mendapati, 37 % pekerja muda mengaku bahawa mereka berbelanja melebihi tahap kemampuan mereka. Ia adalah sesuatu yang mengejutkan kita semua. Terfikir bagaimanakah hal ini begitu mudah terjadi? Di manakah silapnya?


Menabung = Latihan berjimat cermat


Kali ini, saya ingin kongsikan sendiri pengalaman 10 tahun menabung yang pada asalnya saya terinspirasi daripada amalan tabungan yang diamalkan oleh abah saya sendiri. Semenjak sekolah rendah, saya akan melihat abah saya sentiasa menyimpan duit syiling RM 1 beberapa keping ke dalam tabungnya yang diperbuat daripada kayu setiap hari. Kemudian, apabila sudah penuh – tabung itu akan dipecahkan. Lalu, antara insan yang terpilih untuk membantu mengira wang adalah saya.


Tahukah apa perasaan saya ketika itu?


Sangat-sangat teruja, termotivasi dan terbangkit perasaan untuk memiliki tabung sendiri. Wang yang banyak dihadapan mata membuatkan saya begitu bersemangat untuk memulakan langkah awal untuk menabung seperti abah saya. Namun, hasrat itu hanya benar-benar berlaku apabila saya memasang tekad untuk menabung secara serius ketika tingkatan 5. Akhirnya, dengan izin Allah SWT saya berjaya menabung selama setahun sepanjang tingkatan 5 dan memecahkan tabung selepas keputusan SPM diumumkan.


Wah! Itulah hasilan pertama yang penuh keterjuaan! Wang pada ketika itu sekitar RM 280. Sehari seringgit, lama-lama membukit! Baiklah, saya kongsikan bersama petua-petua yang berkesan untuk menabung :


 


1. Tanamkan MINAT Untuk Menabung


Ya. Ia syarat yang utama. Minat itu penting kerana menabung merupakan satu pekerjaan. Ia perlu dilakukan setiap hari tanpa jemu. Tanpa minat yang mendalam, lama kelamaan yang tinggal hanya tabung yang kosong tanpa isi.


Macamana? Bolehkah dengan langkah pertama ini?


Anda berminat?


 


2. Pastikan Target Simpanan Yang Akan Ditabungkan Setiap Hari


Ini penting. Jumlah tabungan harian perlulah jumlah yang sama. Contoh sehari RM 1. Justeru, kita akan pastikan setiap hari sebanyak RM 1 akan dimasukan ke dalam tabung kita tanpa sehari pun tertinggal.


Jika tertinggal, maka kita akan cover balik dengan memasukan jumlah hari yang terlepas.


Sebagai permulaan, tidak perlu banyak. Jika mampu RM 0.50 maka, menabunglah RM 0.50. Kemudian, lihatlah hasilnya setahun kemudian.


Saya yakin, pada tahun pertama anda akan begitu gembira!


 


3. Jenis Tabungan Yang Kukuh Dan Selamat


Saya syorkan jenis tabung anda adalah jenis yang diperbuat daripada kayu, besi, aluminium atau ukiran tanah liat. Yang penting asalkan, ia sukar dibuka. Jadi, wang kita sama ada syiling atau kertas akan kekal di situ selepas setahun.


Jika terdesak pun, kita tidak akan usik wang tabungan kita kerana ia susah dibuka dan memerlukan usaha untuk memecahkannya.


 


4. Letak Tabung Ditempat Selamat Tetapi Mudah Lihat


Seterusnya, sewajarnya kita meletakan tabung kita ditempat yang selamat tetapi ia mudah dilihat oleh kita. Kerana apa? Ia akan menarik perhatian kita setiap hari di awal pagi untuk menabung.


Contoh, sebelum ke tempat kerja, sekolah atau univerisiti – tabunglah yang akan kita lihat dan memasukan duit ke dalamnya sebelum berbuat urusan kerja yang lain. Secara tidak langsung, ia menjadi perkara utama yang kita lakukan setiap hari.


 


5. Masukan Menabung Sebagai Keutamaan Dalam Jadual Hidup


Kelihatan petua ini terlalu mudah, tetapi ramai yang gagal menabung kerana “minda” si penabung tiada dalam agenda hidupnya. Akhirnya, terlupa dan akan terus terlupa.


Mudah bukan, celik mata – antara perkara terawal kita lakukan ialah masukan duit ke dalam tabung. Mulakan dengan mindsetting sebegini, yakinlah bahawa akhirnya menabung akan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.


 


6. Kenalpasti Punca Simpanan Tabungan Anda


Ada yang akan tertanya-tanya. Mana cukup duit saya untuk disimpan? Maka pelbagai alasan yang akan kedengaran. Baiklah, begini sahaja. Kita sebenarnya boleh semak seharian perbelanjaan secara menyeluruh dan akan sedari ada barang-barang harian yang dibeli tanpa keperluan.


Jika kita gantikan ia dengan niat untuk menabung, maka wang itu akan bermanfaat untuk tabungan kita. Bagi contoh seperti membeli surat khabar 2 jenis yang berbeza , maka kita kurangkan kepada satu. Satu akhbar berharga RM 1.20 sudah boleh disimpan wangnya dalam tabungan kita. Contoh lain ialah bayaran mencuci kenderaan kita motor atau kereta. Kita rajinkan diri membasuh kereta dan wangnya tadi boleh disimpan sebagai tabungan. Mudah bukan?


Bagaimana? Nampak laluannya?


 


7. Disiplin, Disiplin dan Disiplin


Wah! Penatnya membaca perkataan ini. Relaks dan tenang-tenang sahaja. Untuk menjayakan misi menabung ini – saya perlu akui bahawa disiplin adalah prasyarat yang harus ada amalan menabung. Tanpanya, segala impian akan terkubur!


Bagaimana hendak disiplin?


Jawapannya : Paksa, paksa dan paksa diri. Jika sudah memiliki tabung, maka paksalah diri untuk melaksanakannya. Jika terlupa, kita cuba cover balik mana yang tertinggal. Yang terpenting, kita teruskan menabung tanpa putus asa.


 


8. Berpegang kepada prinsip – Seringgit demi seringgit, lama-lama membukit!


Akhirnya, ialah yang harus ada kepada si pengamal amalan menabung. Prinsip sabar, sabar dan sabar. Tiada kejayaan yang mudah dalam apa jua lapangan dan bidang kerja. Begitu juga dengan menabung.


Sehari Seringgit, Lama-lama membukit akan menjadi kenyataan jika kita terus cekal dalam kesabaran. Mulakan secara berperingkat-peringkat dan bertahap. Yakinlah dengan diri sendiri.


Anda boleh!


 


Penutup : Rahsia Kehidupan


Yang terpenting yang saya perolehi daripada amalan menabung ini ialah rahsia mengecapi kejayaan dalam kehidupan. Apakah dia?


Itulah – istiqamah, konsisten dan berterusan. Melalui tabungan 10 tahun ini, saya telah menggunakan wang itu untuk pelbagai perkara – termasuk perbelanjaan perkahwinan saya, membeli buku-buku ilmiah saya, mengurus keperluan keluarga saya dan target masa hadapan ialah saya akan gunakan ia untuk menunaikan ibadah haji pada tahun 2025 nanti.


Apakah perkara yang paling menggembirakan hasil daripada menabung?


Mengira wang simpanan yang banyak? Bagi saya tidak, yang menggembirakan ialah apabila kita dapat memanfaatkan dan menggunakan wang hasil tabungan untuk sesuatu yang berharga untuk diri dan keluarga kita serta boleh disedekah kepada mereka yang memerlukan.


InsyaAllah. Keberkatan menabung akan kita rasai suatu hari nanti. Justeru, usah tunggu lagi.


Menabunglah hari ini dan sekarang juga!


——


Tabung Wang Niat Matlamat = Berkat!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 09, 2013 18:13

January 8, 2013

Kehidupan: Ikhlas, Daripada Hati Sampai Ke Hati.


Dr Ala’ Hilat. Kini merupakan pensyarah di Yarmouk University, Jordan. Saya belajar daripada beliau mata pelajaran Aqidah, Firaq, dan Muqaronatul Adyan.


 


 


Bab paling takut saya hendak tulis dan kongsikan adalah bab ikhlas.


Kerana saya jarang bertanya kepada diri – apakah aku ni ikhlas?


Sebab saya rasa, apabila saya bertanya, maka akan mulalah timbul rasa riya’. Dan mula timbul rasa takut hendak melakukan sesuatu kerana takut riya’ akibat melakukannya. Maka itu nyata akan menganggu kerja-kerja saya, yang banyak bergaul dan berinteraksi dengan masyarakat, yang banyak berlumuran dalam kancah perhatian dan sambutan.


Tetapi kadangkala, mahu tidak mahu, kita perlu melihat semula bab ikhlas dan muhasabah akan keikhlasan kita.


Tidak mahu mengulas panjang, saya sekadar mahu berkongsikan perkongsian guru saya, Dr Ala’ Hilat berkenaan kisah yang berkait dengan Ikhlas ini.


Semoga bermakna.



Pada Satu Hari.


Pada satu hari, ketika saya berada di tahun akhir(tahun 4) Yarmouk University, kelas Manahij Al-Mufassirin tiada, ditangguhkan. Maka saya ambil kesempatan menziarahi kelas Dr Ala’ Hilat, guru kesayangan saya di kelas pengajian Aqidah 1 yang dikendalikan olehnya. Sebelum-sebelum itu, kala saya berada di tahun 2 Yarmouk University, saya belajar mata pelajaran yang sama dengan Dr Ala’ Hilat. Hari itu, saya sengaja pergi menjadi pendengar, kerana rindu dengan penyampaiannya.


Saya masuk ketika dia sedang mengajar, dan meminta izin menjadi pendengar. Dia mengalu-alukannya. Ketika saya duduk, dia berkata kepada seluruh kelas:


“Haza laisa tullabi, walakin sohibi.”

Bermaksud – Ini bukan pelajarku, tetapi adalah sahabatku.


Saya rasa segan bila Dr Ala’ cakap begitu. Siapalah saya, hendak dikatakan sebagai sahabat kepada guru-guru saya yang mulia.


Dan nyatanya, apabila duduk di dalam kelas itu, seperti yang saya jangka, seperti sedang menghadap ‘seorang laut’ yang penuh dengan air ilmunya.


 


Tumpahan Nasihat Beliau.


“Perhatikanlah perkara itu sama ada ianya membuahkan amal atau tidak. Sekiranya membuahkan amal, maka perbincangkanlah, sebutlah. Tetapi sekiranya tidak membuahkan amal, maka diamlah, tinggalkanlah.”


“Semua perkara itu boleh menjadi berhala kepada kita, termasuklah sulton(kuasa/kekuatan).”


“Semasa kamu berusaha, berusahalah seperti tiada yang akan mampu memberikan natijah yang baik selain usaha kamu itu. Tetapi di dalam hatimu, bergantunglah kepada Allah SWT, dengan penuh keyakinan bahawa tiada apa akan mampu memberikan natijah yang baik selain dengan pertolonganNya.”


“Jangan menyukarkan urusan kebaikan. Kemungkinan satu ayat yang kamu sebut, mampu mengubah matlamat seorang manusia terhadap kehidupannya.”


“Perbanyakkanlah mendidik manusia dari sisi praktikal, daripada sibuk berbicara sisi teori semata-mata.”


 


Perihal Ikhlas.


Dan di dalam kelasnya itu, Dr Ala’ menceritakan perihal ikhlas seorang khatib muda daripada Yaman, yang tatkala dia memberikan khutbah, belum lagi dia memulakan isi khutbahnya, baru sahaja dia memuji-muji Allah SWT, seluruh masjid pecah dengan tangisan manusia.


Dr Ala’ menceritakan betapa khatib ini, kala turun dari mimbar, sedikit pun tidak mendongakkan kepalanya, bahkan dia berjalan dengan tunduk. Masjid dipenuhi ramai orang semata-mata ingin mendengar khutbahnya.


Satu hari orang bertanya kepada khatib itu, apakah rahsianya hingga mampu menggegarkan jiwa manusia sedemikian rupa?


Khatib muda itu menjawab:

“Setiap Khamis malam Jumaat, aku akan bangun di tengah malam, meminta dengan bersungguh-sungguh kepada Allah agar memberikan aku rezeki ikhlas. Dan air mata manusia kala mendengar suaraku, adalah pancaran daripada Allah terhadap air mataku yang mengalir kala meminta bersungguh-sungguh kepadaNya.”


Dan Dr Ala’ Hilat pun berpesan:

“Maka pastikanlah dirimu beramal dengan ikhlas. Tiadalah apa yang datang dari hati, melainkan akan sampai kepada hati juga.”


 


Penutup: Konklusi – Dari hati sampai ke hati.


Ikhlas bukanlah perkara pertama yang perlu ada. Ikhlas perlu datang selepas faham. Sekiranya kita tidak memahami, keikhlasan kita tidak ada maknanya.


Tidak faham mencuri itu salah, maka kita mencuri dengan ikhlas, nyata tetap tidak akan kita mendapat apa-apa kebaikan daripadanya.


Namun, setelah kita memahami duduk letak sesuatu perkara itu di dalam Islam, maka kita perlulah mencari keikhlasan kita untuk melaksanakannya. Kerana tanpa keikhlasan, amalan kita tidak akan mampu memberikan makna. Keikhlasan juga adalah apa yang menghubungkan dua jiwa. Kerana akhirnya, Allah jualah yang akan menyambungkan jiwa-jiwa manusia kepada kita. Keikhlasan adalah apa yang akan menjadi jambatan antara hati kita dan mereka.


Ikhlas juga adalah bahan bakar buat kita meneruskan kerja-kerja kebaikan.


Kerana kita hanya akan ikhlas apabila kita mengharapkan balasan Allah semata-mata. Bila kita mengharapkan balasan Allah semata-mata, semestinya kita tidak akan mudah berputus asa. Kerana kita yakin, segala duga, segala duka, segala apa yang datang menimpa walau sesusah mana pun ia, adalah datang daripadaNya juga. Itulah ujianNya, untuk melihat keimanan kita.


“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.


Ikhlas akan membuatkan kita terus berjalan. Kerana itulah ikhlas.


Marilah sama-sama kita mencari ikhlas, dan berusaha untuk menjaga keikhlasan kita.


Daripada hati, akan sampai ke hati juga.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 08, 2013 06:59

January 7, 2013

Kritikan Sosial: Seputar Isu Amanat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.


Teks Amanat Haji Hadi yang menjadi isu kebelakangan ini.




 


Amanat Haji Hadi. Begitulah nama popular yang diwar-warkan oleh media masa kini. Kecoh dibangkitkan semula, kemudian hangat diperbincangkan di sini dan sana.  Dikhabarkan betapa amanat itu merosakkan aqidah, kemudian digembar-gemburkan dengan kata Tuan Guru Haji Hadi mengkafirkan lawannya.


Ada seruan agar kita melihat isu ini dibangkitkan luar dari kerangka politik. Yakni, kita menilai Amanat itu, tanpa dipengaruhi oleh suasana politik. Dibangkitkan oleh siapa, dibangkitkan bila, jangan kita peduli, yang penting kita diskusikan isi dan implikasi amanat itu, serta apakah patut Tuan Guru menarik semula amanat tersebut. Namun, saya amat tidak bersetuju dengan seruan tersebut kerana kita tidak boleh menjadi senaif itu. Kerana jelas jika kita perhatikan, isu Amanat Haji Hadi ini dibangkitkan oleh parti lawannya, di dalam musim ‘demam’ PRU13.


Saya melihat, ini adalah sebahagian daripada ‘game’ politik.


“Apa isu yang boleh kita bangkitkan bagi menumbangkan lawan kita?” Itu kita maklum adalah political game.


Kemudian kita telah melihat pattern apabila mendekati musim PRU’13 ini, yang mana segala isu mula dibangkitkan agar dapat menumbangkan lawannya. Hinggakan, isu yang sepatutnya telah senyap dan sunyi serta tidak diungkit lagi, keluar diperhangatkan semula. Tambahan, diperhangatkan semula saat isu-isu hangat mula menghujani pihak kerajaan ketika ini.


Jadi pada saya, adalah kurang bijak kita sekadar berkata – “Haji Hadi, tariklah amanat tu.”


Kerana, jelas jika kita bersikap sedemikian, kita adalah sebahagian ‘catur’ kepada political game ini.



Keadilan Terhadap Tuan Guru Haji Hadi.


Ramai orang dan banyak pihak cuba memberikan justifikasi terhadap Amanat Tuan Guru Haji Hadi. Namun, saya suka agar kita tidak sendiri mentafsirkan ‘isi’ amanat. Kerana yang layak memberikan perincian terhadap isi amanat itu hanyalah Tuan Guru Haji Hadi yang menyebutnya.


Tetapi, justifikasi yang saya puji adalah pada mengajak kita berfikir rasional akan keadaan ketika amanat itu dikeluarkan, yang mana jelaszaman itu pihak UMNO amat lantang mengeluarkan statement yang mencabar tunjang Islam itu sendiri. Satu lagi justifikasi yang saya rasa rasional adalah yang mengajak untuk kita melihat betapa amanat itu jika kita baca, tidak sampai 5 minit. Tetapi ceramah Tuan Guru Haji Hadi ketika tahun 1981 yang mana amanat ini dipetik daripadanya, dikatakan hampir 1 jam setengah. Justeru, memang tidak layak untuk kita sekadar melihat amanat itu, tanpa melihat apa penjelasannya.


Bukan Haji Hadi yang pilih ayat itu, kemudian jadikannya sebagai ‘amanat’ untuk disebarkan sebegitu sahaja. Ini ibarat kata-kata Ustaz Azhar Idrus dalam ceramahnya yang panjang, tetapi diambil sepatah dua patah, untuk disebar-sebarkan lantas menimbulkan pelbagai interprestasi. Saya memahami perkara ini, kerana kadangkala ia terjadi juga pada diri saya sendiri, sebagai penulis dan pengendali program.


Namun apakah saya akan kata Amanat Haji Hadi 100% tidak menimbulkan kekeliruan? Saya pun tidak akan kata sedemikian. Kerana itu, pada saya, justifikasi untuk menceritakan semula mengapa berlakunya cerai kerana perbezaan parti, boikot kenduri, tidak mahu berimamkan dari parti lain dan sebagainya adalah satu tindakan yang lemah. Kalau benar pun perkara itu, tindakan itu sekadar dilihat orang ramai yang kita hendak ‘spin’ cerita. Kita kena terima hakikat, ada juga yang melihat amanat ini dengan tafsiran sendiri, lantas melakukan perkara-perkara tersebut.


 


Punca Perpecahan.


Amanat Haji Hadi punca perpecahan ummat melayu Islam di Malaysia?


Saya rasa, ini adalah tuduhan yang tidak sepatutnya. Jikalah perpecahan ummat melayu Islam di Malaysia ini hendak diletakkan atas amanat Haji Hadi, kita perlu melihat dengan kaca mata yang lebih meluas. Sebelum amanat itu wujud, perpecahan sudah berlaku. Dan apakah selepas amanat itu wujud, semua perpecahan adalah disebabkan amanat beliau?


Kita jangan mudah meletakkan masalah ‘takfir’ itu pada amanat Haji Hadi, seakan-akan semua orang yang melakukan ‘takfir’(mengkafirkan orang lain), adalah disebabkan amanat Haji Hadi. Itu nyata tidak logik. Kerana, penjelasan batas antara iman dan kufur itu bukannya dilakukan oleh Tuan Guru Haji Hadi semata-mata. Ramai orang lain menjelaskannya. Dan memang akan ada orang yang apabila dia mengetahui batas iman dan kufur, menjadi teruja untuk mengkafirkan orang lain. Maka, apakah itu semua salah amanat Haji Hadi?


Pada saya, apabila kita mula melihat Amanat Haji Hadi lah yang merupakan punca perpecahan ummat Melayu Islam di Malaysia, maka kita sebenarnya sudah terperusuk dalam political game tadi, yang memang ingin kita meletakkan kesalahan dan kacau bilau yang ada ini pada amanat itu.


Namun apakah maksud sebenar Tuan Guru Haji Hadi akan amanatnya itu? Kita tidak tahu yang sebenarnya, maka kerana itu kita berhajatkan Tuan Guru Haji Hadi menjelaskannya. Selepas penjelasan Haji Hadi itu, kita akan menilai.


Jika mahu dijadikan isu, saya pernah bertemu dengan seorang makcik yang menghina hukum potong tangan: “Ish, takutlah. Tak dapat bayang kita semua kudung. Hudud ni memang jahatlah.” semata-mata kerana Tun Mahathir ketika itu baru sahaja mengkritik hukum potong tangan. Bergaduh satu keluarga apabila makcik itu berkata sedemikian. Belum kita kira dengan keluhuran aqidahnya lagi. Jadi, Amanat Haji kita bisingkan, mengapa tidak pula kita katakan ‘amanat-amanat’ Tun turut menimbulkan perpecahan dan kekeliruan?


Mengapa, media tidak bisingkan amanat-amanat ‘orang’nya?


Selepas amanat Haji Hadi, hingga kini, ada sekitar 30 tahun. Dalam 30 tahun ini, terjadi pelbagai perkara. Peristiwa Memali, penarikan bantuan perkapita terhadap Sekolah Agama Rakyat, korupsi yang menjadi-jadi dilaporkan oleh audit negara saban tahun, isu royalti minyak rakyat Kelantan dan betapa ‘bias’nya kerajaan pusat terhadap negeri itu, belum dikira dengan kes-kes terpencil yang saya perolehi daripada rakan-rakan saya yang ingin memohon bantuan kewangan bagi menyambung pengajian – ketika interview, mereka ditanya sokong parti mana. Semua itu boleh menjadi sebab kepada perpecahan. Maka mengapa kita pulang kepada 1981, dan menyalahkan amanat Haji Hadi?


 


Sikap Mereka Yang Membangkitkan Isu


Kemudian kita boleh melihat kepada sikap mereka yang membangkitkan isu ini. Ganas menyerang susuk tubuh tuan punya amanat saban hari. Menggunakan media yang capaiannya sampai ke kampung-kampung itu  untuk menebarkan persepsi terhadap Amanat Haji Hadi, berdekatan musim pilihanraya ini.


Apabila susuk tubuh itu dihujani pelbagai soalan oleh wartawan, susuk tubuh itu menjawab dengan mudah – Berikan dirinya 1 jam LIVE di dalam media yang mentohmahnya, mereka yang membangkitkan isu main lari-lari pula.


Dari ‘boleh, dengan syarat kena rakam’ hinggalah ‘tak jadi siar, kerana Amanat Haji Hadi ada unsur rosak Aqidah.’


Ditambah pula satu tuduhan baru – Amanat Haji Hadi merosakkan Aqidah. Kemudian sibuk menteri lain komen – Takut kalau siar akan meracuni penonton.


Sikap beginilah yang menyebabkan saya amat tidak bersetuju kita sewenang-wenangnya mengikut rentak yang sama dengan mereka dan berkata kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi – “Tariklah amanat tu.” Kerana jelas, yang membangkitkannya pun mempunyai agenda yang tersendiri. Mereka tidak membangkitkannya kerana mereka concern dengan aqidah ummat Islam. Mereka tidak membangkitkannya kerana mereka risau amanat itu akan meracuni rakyat dan menjadi punca perpecahan. Mereka membangkitkannya, kerana itu adalah sebahagian ‘political game’. Ini nyata perbuatan yang culas.


Mereka menyerang susuk tubuh itu dan memberikan pelbagai persepsi terhadap ucapannya menggunakan media yang capaiannya menelusur hingga ke kampung-kampung, kemudian bila pemilik tubuh itu meminta untuk diberikan penjelasan, 1001 alasan digunakan. Forum dan diskusi dilakukan atas nama Amanat Haji Hadi, Amanat Hadi, tetapi Tuan Guru Ustaz Abdul Hadi tidak pula dipanggil.


Jika hendak dikatakan kerosakan aqidah, maka filem-filem dan drama-drama melayu yang selama ini disiarkan, banyak unsur khurafat dan yang menyalahi pegangan agama kita. Saya masih ingat Sinetron Bawang Merah Bawang Putih dari Indonesia yang ditayangkan di televisyen kita, nyatanya drama itu penuh unsur khurafat dan campur aduk antara Islam dan kufur, ditayangkan tanpa masalah. Rancangan realiti berbentuk hiburan melampau dan sebagainya tiada masalah pula ditayangkan. Penganugerahan kepada artis-artis yang nyata tidak mengikuti syara’ nyata ditunjuk dan mereka diangkat pula seakan-akan menajdi ‘role model’ buat masyarakat.


Sila jawab pada saya, di manakah relevannya rakyat disogokkan dengan drama Bini-biniku Perkasa dan cerita hantu saban malam selama ini?


Ini semua kemudiannya dijawab dengan mudah oleh ‘Ulama Muda’ dengan berkata: “AJL itu hanya rosak akhlak. Amanat Hadi rosak Aqidah.”


Mudahnya justifikasi itu.


“Kenapa tidak siar di Youtube aja! Sibuk nak LIVE di TV!” Ada suara yang berkata sedemikian. Sedangkan kita semua tahu, youtube ini capaiannya tidak seperti televisyen. Tambahan, saya amat hairan. Yang diminta hanyalah 1 jam. 1 jam. Bukannya hari-hari nak 1 jam. Tuan Guru nak 1 jam sahaja, LIVE. Baki 23 jam dan hari-hari seterusnya, ambil lah kalau tak nak bagi sangat. Jadi, mengapa pihak yang membangkitkan isu ini tidak pula mahu bersetuju?


Pelik pada saya yang memerhati.


 


Sikap Pihak Ketiga


Di Malaysia, kita ada NGO – Non Govermental Organisation. Biasanya NGO akan menjadi pihak ketiga dalam hal sebegini. Sedikit saya hendak sentuh akan sikap pihak ketiga di dalam isu ini.


Adalah sepatutnya pada saya, NGO tidak bersikap bias dalam menilai perkara ini. Juga tidak sepatutnya kita menjadi terlalu naif.


“Marilah kita melihat perkara ini di luar kerangka politik. Mari kita fokus semata-mata kepada Amanat Haji Hadi.”


Itu pada saya adalah naif. Mahu tidak mahu, kita perlu mengambil kira situasi yang menyebabkan perkara ini dibangkitkan. Siapa yang membangkitkan. Mengapa ia dibangkitkan. Jika tidak, kita sekadar akan menari dengan rentak yang political game ini mahu kita tarikan.


Jika kita benar-benar merasakan Amanat Haji Hadi itu satu masalah, maka mengapa tidak kita bincangkan perkara ini sebelum ini? Mengapa, hanya kala dibangkitkan isu ini oleh media massa utama negara berhampiran musim PRU’13, kita pun semangat hendak menilai Amanat Haji Hadi di luar kerangka politik? Nyatanya, sekiranya kita menilai amanat ini kerana ia digembar-gemburkan oleh media massa utama negara berhampiran musim PRU’13, kita sebenarnya telah masuk dalam kerangka politik.


Sepatutnya, berhampiran PRU’13 ini, jika kita mahu memberikan komentar terhadap isu ini sekalipun, kita perlu adil.


Setakat ini, tiada statement yang saya nampak lebih patut berbanding statement: “Haji Hadi kena bagi penjelasan, Media Massa Utama Negara perlu berikan ruang kepada Haji Hadi.”


Dengan ini, Haji Hadi terpaksa memberikan penjelasan yang detail, dan pada masa yang sama kita berjaya mendidik media massa utama negara untuk menjadi matang dalam isu-isu yang sebegini.


Jika kita sekadar berkata: “Haji Hadi kena tarik balik amanat,” dan membutakan mata terhadap diskusi sendiri-sendiri, interprestasi dan tohmahan saban hari yang diberikan media massa utama negara terhadap Amanat tersebut, maka kita sebenarnya sudah menari dengan tarian yang dikehendaki oleh mereka yang membangkitkan isu ini berhampiran PRU’13.


Sebuah blog milik veteran salah satu NGO di Malaysia yang menyeru agar Amanat Haji Hadi ditarik balik ada menyatakan bahawa dia merasakan adalah wajar Haji Hadi memperincikan amanatnya. Kemudian, selepas itu, dia berkata, adalah wajar Haji Hadi menarik semula amanat itu.


Suruh perincikan, kemudian suruh tarik balik amanat.


Sepatutnya cukup kita kata – Haji Hadi perlu perincikan amanat itu.


Selepas penjelasannya, barulah kita nilai apakah amanat itu perlu ditarik balik atau tidak.


Mengapa kita selaku pihak ketiga, kena berkata: “Haji Hadi perlu tarik balik amanat beliau.” ?


Sepatutnya kita menyokong amanat itu diperincikan, diberikan penjelasan, kemudian kita menegur pula media massa utama negara agar adil dalam hal ini, dan selepas itu semua barulah kita menilai apakah amanat sedemikian perlu ditarik balik atau tidak.


Jika tidak, kita sama sahaja dengan mereka yang membangkitkan isu ini berhampiran PRU’13.


 


 


Penutup: Kita Perlukan Politik Yang Matang.


Saya sebagai anak muda, merasakan betapa gentingnya negara kita memerlukan politik yang matang.


Kalau benar hendak tidak bersetuju, tiada salahnya kita panggil batang tubuh itu dan ajak berdiskusi. Gunakan saluran media kita yang mencapai hingga ke ceruk kampung itu untuk urusan pembijakan rakyat dan peningkatan sikap. Bukannya menjadi batu api, mengadu domba dan penyebar fitnah.


Saya tidak mahu kata Amanat Haji Hadi itu solid, tiada cacat cela dan langsung tidak akan membuatkan orang salah faham serta akan langsung tidak menimbulkan fitnah. Namun, saya juga tidak bersetuju dengan sikap mereka yang membangkitkan isu ini. Saya tidak akan menjadi catur kepada political game ini, dan amat menentang mereka yang cuba ‘memanipulasikan’ rakyat.


Resolusi saya adalah:


1 – Tuan Guru Haji Abdul Hadi memang sepatutnya memberikan penjelasan terhadap amanatnya. Agar jelas kepada orang ramai untuk memahami akan duduk letak sebenar amanat itu.


2 – Media Massa utama negara sepatutnya memberikan peluang kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi untuk memberikan penjelasan, selepas 1001 ‘pentafsiran sendiri’ yang dilakukan oleh mereka, kerana kita mengambil kira rakyat yang tidak punya akses internet dan hanya bergantung kepada Media Massa utama negara untuk mendapatkan berita. Itu pun jika benar, media massa utama negara dan kepimpinannya concern dengan masalah ‘aqidah dan perpecahan ummat’ di negara ini.


Jika ini bukan sekadar political game, maka itulah yang patut dilaksanakan.


Mengapa mesti perpanjangkan perkara ini?

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 07, 2013 21:34

Pemuda : Uruskan Wangmu Dengan Baik !


Picture by http://xadik.deviantart.com/


 


Saya terpanggil untuk berkongsi hal ini melihatkan terdapat sebilangan anak muda yang kurang serius menjaga dan mengambil berat hal ini.


Barangkali, tajuk ini tidaklah sepenting mana, tetapi bagi kehidupan seorang muslim, setiap penjuru hidupnya adalah sangat penting untuk diperhatikan supaya tidak menjadi fitnah untuk dirinya baik di dunia mahupun di akhirat sana nanti.


Kenapa pengurusan wang ini begitu penting?


Kerana saya mendapati ada orang yang begitu beria-ia ingin bernikah, tak habis-habis isu imam makmum, rusuk kanan kiri, tetapi dia mengalami masalah dalam menguruskan kewangan hidupnya sendiri.


Juga ada yang hidupnya tidak begitu berada atau sangat sederhana, tetapi belanja hidupnya mengalahkan orang berada.


Juga ada anak muda yang hidupnya terbelenggu dengan hutang kerana masalah pengurusan wang.


Maka, melihat kepentingan hal ini, saya rasa terpanggil untuk berkongsi. Kemungkinan tidak dapat dikongsikan semuanya dalam post ini, tetapi saya mulakan juga.


 


Allah Dan Nabi Telah Ajar Kita


Kalau masalah wang ini tidak penting, maka mustahil Allah menekankannya dalam banyak ayat Al-Quran.


Ya, memang Allah tidak menyebut perkataan ‘wang’ secara langsung di dalam Al-Quran. Tetapi, bukankah wang itu adalah sebahagian dari harta? Maka, Allah mengajar kita untuk sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga dengan harta.


Tidak ada masalah bagi kita, umat Islam untuk mencari dan mengumpulkan harta sebagai nafkah hidup. Tetapi masalahnya adalah pada bagaimana kita menguruskan harta kita.


Sebab itu, Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud :


“Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar.” [Al-Anfal : 28]


Allah tidak melarang kita mendapatkan harta, tetapi Allah mengingatkan kita supaya berjaga-jaga dengan fitnah harta itu dalam kehidupan kita.


Juga dalam satu hadis Nabi s.a.w., baginda telah mengingatkan kita tentang 4 perkara yang akan disoal di depan Allah s.w.t. kelak :


“Tidak akan berganjak dua kaki seorang hamba Allah (dari tempat hisab di padang mahsyar) sebelum ia ditanya berkenaan : Umurnya, pada apakah dihabiskannya? Ilmunya, bagaimanakah diamalkannya? Hartanya, dari mana ia perolehi dan cara ia belanjakannya? Tubuhnya, bagaimanakah ia menggunakannya? ” [HR Tirmizi dari Abi Barzah Al-Aslami, no. 2417]


Dalam post kali ini, saya tidak akan sentuh banyak. Cukup 2 persoalan utama yang saya rasa perlu tekankan iaitu :


1)      Berapa banyak kita dapat atau ada dalam sebulan?


2)      Aulawiyyat Sebenar Di Mana?


Mari berkongsi buah fikir dengan saya.


 


Berapa Kita Dapat Atau Ada Dalam Sebulan?


Hendak berbelanja atau menggunakan wang, kita perlu benar-benar tahu, sebenarnya dalam sebulan, seminggu atau sehari, kita memiliki berapa sahaja wang untuk dibelanjakan?


Ada antara anak-anak muda yang masih disara oleh ibu ayahnya. Ada pula yang susah kehidupannya, maka dia berusaha sendiri untuk menyara hidupnya dengan melakukan perniagaan.


Tidak ada masalah dari mana pun kita memperolehi wang itu selamamana sumber itu halal. Yang penting untuk diperhatikan setelah kita memperoleh wang itu, kita perlu disiplinkan diri mengambil tahu berapa wang yang benar-benar ada pada kita untuk boleh digunakan.


Ada sesetengah anak muda yang masih di bawah tanggungan ibu ayahnya, apabila menerima saja wang saraan daripada ibu ayahnya, terus dibelanjakan tanpa perancangan. Ada juga yang mungkin menerima tajaan ataupun zakat daripada badan-badan tertentu, tetapi tidak berdisiplin menguruskannya.


Bila terima saja wang, terus difikirkan untuk dihabiskannya dengan membeli cd game, movie dan sebagainya yang bukanlah keperluan. Ada juga yang menghabiskan wangnya dengan makan luar dan makan yang mahal-mahal.


Tidak diperhatikan dulu di mana keperluan untuk dibelanjakan wang itu, apa prioriti utama kita untuk wang yang kita terima itu bagi setiap bulan?


Untuk menentukan prioriti ini, kita perlu jelas, berapa sebenarnya yang benar-benar ada di tangan kita?


Kalau sebulan kita hanya menerima RM500, takkan kita berbelanja seperti orang yang menerima RM1000 pula? Kalau sebulan kita hanya memiliki 150 dinar (dalam matawang Jordan), takkan kita berbelanja seperti orang yang memiliki 500 dinar pula?


Mudahnya begini. Orang yang ada RM1000, dia mungkin boleh makan dua bar coklat setiap malam. Satu coklat bar, katakanlah dalam RM2. Kalau setiap malam makan 2 bar, bermakna sudah jadi RM4. RM 4 kita darabkan dengan 30 hari dalam sebulan akan menghasilkan RM120.


Cuba bayangkan pula, orang yang hanya memiliki RM 500 berbelanja seperti itu juga.


RM 120 bagi orang yang memiliki RM 1000 hanyalah baru 12 % sedangkan bagi orang yang memiliki RM 500 sudah kehilangan 24%. Nampak? Kan beza tu.


 


Aulawiyyat (Keutamaan) Sebenar Di Mana?


Sebab itu saya sentuh hal ini.


Saya mendapati fenomena ini kebiasaanya terjadi pada anak-anak muda yang hidup berasingan dan berjauhan dari keluarga. Fenomena ini juga menjangkiti mereka yang terbiasa hidup dalam kesenangan dan kemewahan.


Hidup terbiasa menerima wang daripada ibu ayah. Tidak perlu susah-susah kerja.  Bila duit masuk, terus keluarkan dan dibelanjakan tanpa ada perancangan. Apabila membeli barang pula, urusan-urusan berkaitan dengan keperluan tidak dilangsaikan dahulu, tetapi sibuk pula hendak mengutamakan pembelian barang-barang kehendak.


Saya kira ini penyakit yang menjangkiti orang yang terbiasa jiwanya hidup di dalam keselesaan. Semasa hidup di alam persekolahan, semuanya dikawal dan disediakan oleh ibu ayah. Keluar dari kepompong kawalan, bila berjauhan dan perlu uruskan sendiri hidup, tidak pandai menguruskan pula.


Saya kagum dengan segelintir teman-teman saya yang agak sedikit sulit dari segi sara hidupnya (terutama di Jordan), kadangkala saya lihat mereka ini lebih cermat berbelanja. Mereka mungkin mendapat wang saraan yang lebih sedikit setiap bulan, tetapi mereka tahu hendak dibelanjakan ke mana dahulu wang mereka itu, berapa wang tetap perlu dikeluarkan setiap bulan dan sebagainya.


Menimbang antara keperluan dan kehendak, sudah tentulah keperluan yang menjadi keutamaan.


Bagi seorang anak muda, terutamanya yang hidup berasingan ataupun berjauhan dari keluarga, antara contoh yang sangat signifikan adalah sara hidup di rumah sewa, yuran belajar dan makan minum harian. Ini adalah antara keperluan yang memang tidak dapat dielakkan.


Maka, sebelum wang dialirkan di tempat-tempat lain, seharusnya sejumlah wang telah disimpan untuk urusan ini ataupun kita lunaskan dahulu bayaran pada urusan-urusan keperluan ini. Bukannya bila dapat wang, terus berbelanja tanpa fikirkan untuk melangsaikan urusan keperluan ini.


Nanti kita akan menyusahkan teman serumah sewa sekiranya kita hidup bersama orang lain dalam rumah sewa. Kita akan mengalami masalah untuk meneruskan proses pembelajaran sekiranya yuran tidak dilunaskan. Begitu jugalah makan minum. Kalau kita tidak mempunyai aset wang yang banyak, tetapi selalu menghabiskan wang dengan makan minum yang mahal-mahal di luar, kitalah yang akan menanggung akibat di hari kemudian nanti.


Sebab itu, penting untuk saya katakan agar kita dapat menentukan prioriti dalam berbelanja dan menggunakan wang.


Kalau wang yang kita miliki sedikit, maka kita berbelanja cara sedikit. Kalau wang yang kita miliki itu melebihi kadar belanja untuk keperluan, maka tidak ada masalah untuk kita berbelanja lebih sedikit dari kebiasaan.


Supaya kelak hidup kita tidak terbeban dengan hutang, muflis dan kesempitan.


 


Penutup : Berjaga-jagalah, Kerana Harta Telah Banyak Menyebabkan Manusia Jatuh Dalam Fitnah


Barangkali, masalah ini nampak remeh bagi sesetengah orang. Namun, saya melihat hal ini perlu dipesan agar generasi muda menjadi generasi yang bijak berbelanja dan pandai menguruskan wangnya.


Latihlah diri untuk merasa cukup dengan apa yang ada. Disiplinkan diri agar wang kita sentiasa disalurkan pada jalan yang bermanfaat dan diredhai Allah. Disiplinkan juga diri untuk melihat butiran keluar masuk wang kita.


Kita ambil tahu keluar masuk wang kita bukanlah bermakna kita kedekut, tetapi untuk memastikan perbelanjaan kita itu benar-benar menepati garisan yang telah Allah tetapkan serta garisan keperluan dalam kehidupan kita.


Berjaga-jagalah kerana harta telah membuatkan ramai manusia jatuh dalam fitnah. Ada orang dikejar hutang bertahun-tahun, ada pula yang sampai terpaksa menggelapkan wang syarikat atau kumpulannya untuk kepentingan dirinya, ada pula yang sampai terpaksa mencuri.


Janganlah sibuk hendak berkahwin, bernikah sahaja, tetapi uruskan wang pun tunggang langgang lagi. Nanti hendak uruskan kewangan keluarga pula. Belajarlah uruskan harta dengan baik.


Juga, janganlah sibuk hendak berbelanja saja. Tengok dan nilailah di mana keperluan kita, masa depan kita dunia dan akhirat.


Ketika Allah berfirman tentang ayat berkaitan harta, Allah tidak minta kita menjauhinya, tetapi Allah cuma ingatkan kita tentang fitnahnya agar kita sentiasa teliti dan waspada ketika menguruskannya.


Pemuda, uruskanlah wangmu dengan baik !

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 07, 2013 06:18

Fotografi: Malam.


Kadangkala, kita sangka kita besar.


Sesungguhnya, Allah lagi besar.


Dia Maha Besar.




“تُولِجُ اللَّيْلَ فِي الْنَّهَارِ وَتُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَتُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ الَمَيَّتَ مِنَ الْحَيِّ وَتَرْزُقُ مَن تَشَاء بِغَيْرِ حِسَابٍ”




“Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau beri rezeki siapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab (batas).” Surah Ali-Imran ayat 27.






 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 07, 2013 06:05

January 6, 2013

Kehidupan: Seorang Lelaki, Duit dan Perkahwinan.


Picture by UmarMita of LangitIlahi


 


Duit dalam isu perkahwinan adalah perkara yang besar. Seringkali duit menjadi isu apabila hendak mendirikan rumahtangga. Di dalam isu ini pula, akan terbahagi tiga golongan. Golongan yang akan menekankan bahawa wang adalah penting, juga golongan yang akan berkata bahawa wang bukan segalanya.  Yang ketiganya adalah golongan yang menekankan wang, tetapi untuk pemborosan semata-mata.


Saya semestinya pergi kepada golongan yang pertama. Namun, apa yang boleh saya kongsikan di sini hanyalah pengalaman dan observasi saya.


Biasanya hal duit ini berkait rapat dengan pihak lelaki. Kerana pihak lelakilah yang akan sibuk hendak memberikan mahar dan hantaran kepada pihak wanita. Pihak lelaki juga merupakan yang bertanggungjawab memberikan nafkah.


Dilema duit memang dilema yang besar.


Di sini saya suka mencoret sesuatu akannya.



Duit Bukan Segala-galanya.


Ada yang mudah memikirkan sedemikian sahaja. Baginya, duit langsung tidak penting. Yang dilihatnya sebagai penting adalah keberkatan majlis(yang biasanya dikaitkan dengan murahnya majlis), dan keluhuran syara’ yang diaplikasikan di dalam urusan cinta dan perkahwinan, serta kemantapan syakhsiyyah Islamiyyah pada diri. Selain itu, perkara materialistik seperti wang, dilihat hanya merupakan perkara sampingan.


Walaupun ini merupakan pandangan yang rata-rata melihatnya sebagai ‘ideal’, saya adalah yang tidak bersetuju dengan pandangan sebegini rupa.


Duit memang bukan segala-galanya. Namun kita perlu berpijak di alam realiti. Alam ini, tempat kita hidup sekarang ini, duit adalah antara unsur utama untuk menjalani kehidupan.


Banyak atau sikit duit kita, itu nombor dua. Tetapi jangan kerana kita rasa kita bukan nak mengejar dunia, dan mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata, maka kita letakkan duit sebagai perkara yang bukan penting dalam kehidupan kita.


Kita kena akui, duit adalah keperluan hari ini.


 


Pemborosan Yang Perlu Dielakkan.


Boros itu adalah membelanjakan lebih dari apa yang sepatutnya. Boros tidak semestinya berkadar dengan pengeluaran duit yang banyak. Ada beza kita jemput 2000 orang dan membelanjakan RM10,000 untuk menjamu mereka, dengan kita menjemput 2000 orang dan membelanjakan RM150,000 hanya untuk menjamu mereka.


Jika kita seorang yang mempunyai wang yang lebih, tidaklah salah untuk berbelanja besar dalam meraikan rakan-rakan yang jauh, menjemput ramai orang untuk berkongsi bahagia pada hari besar kita. Tiada masalah. Itu tidak termasuk dalam pembaziran. Membazir hanyalah apabila kita berlebih-lebihan.


Bagi yang tidak mampu, mengapa perlu menjemput ramai orang? Jemput sekadar yang mampu.


Namun ramai yang meletakkan ‘nilaian manusia’ dalam majlis yang ‘sekali dalam hidup’ ini.  Maka pada hari itu, pakaian pengantin adalah yang paling mahal walau hanya dipakai sekali, pakaian yang sudahlah mahal itu dibeli pula 3 pasang. Tidak cukup dengan itu, sengaja wang  maskahwin dan hantaran dinaikkan setinggi yang boleh. Perkahwinan pula mahu pelbagai tema yang bombastik – tema flora, tema fairy tale dan macam-macam. Belum lagi yang menempah DJ bertauliah, buat di hotel berprestij dan sebagainya.


Ada juga pemborosan berlaku bukan dalam bentuk berlebih-lebih. Pemborosan juga ada berlaku dalam membentuk ‘buat apa yang tidak kita mampu’.


Saya berkongsi pengalaman seorang teman yang mempunyai duit cukup-cukup sahaja untuk meneruskan kehidupan dengan pasangannya. Namun atas nialain ‘takut malu dengan orang ramai’, maka ibu bapanya memaksanya meminjam bank sebanyak RM30,000 agar dapat menjemput lebih ramai orang. Akhirnya dia kini hidup dengan berhutang.


Ya, kalau mampu sedikit, mengapa mesti menjemput ramai hanya kerana ‘takut orang kata apa’? Ini nyata tidak sepatutnya berlaku.


Boros baik dalam bentuk berlebih-lebihan, atau dalam bentuk buat perkara yang tidak kita mampu, adalah amat dilarang di dalam Islam.


Membuatkan perkahwinan menjadi susah, dan seakan satu beban buat mereka yang ingin menjalinkan hubungan yang sah.


 


Menguasai Pengurusan Wang Dan Daya Survival.


Namun adalah satu perkara yang perlu dititik beratkan kepada para pemuda untuk menguasai pengurusan wang dan daya survival untuk menjamin perjalanan rumahtangga yang baik.


Kita jangan terpengaruh dengan filem, drama dan novel-novel yang sentiasa ‘menyebelahi’ watak utamanya. Buka karpet pun keluar duit kalau masa susah. Jangan.


Duit sikit atau banyak, itu bukan masalahnya. Saya ulang, itu bukan masalahnya.


Namun bagaimana kita menguruskan wang kita?


Duit banyak, kalau tidak pandai menguruskan wang, apa gunanya? Duit sikit, kalau pandai menguruskannya, insyaAllah bermakna.


Maka semenjak bujang, apakah kita jenis yang mula belajar menguruskan wang kita?


Daya survival pula adalah daya untuk kita berdikari. Kadang pada hari ini, kita mudah bergantung kepada ibu ayah kita. Sibuk nak bina rumahtangga, tetapi top up masih pau kawan, masih lagi mengharap 100% ibu bapa untuk menanggung kita. Ini adalah gejala yang tidak sihat.


Justeru, sudah perlu ada usaha untuk menjadikan diri kita ini seorang yang pandai mencari sara hidup, menggerakkan tulang temulang kita agar tidak malas mencari rezeki, mengerah minda dan akal kita untuk berfikir bagaimana mendapatkan rezeki yang halal dan baik.


Pengurusan wang adalah antara indikator matang.


Bayangkan, apakah status minda dan jiwa kita, apabila kita bergolok gadai duit kita membeli telefon pintar yang terkini, komputer yang mahal, kasut, baju dan seluar yang berjenama mewah, tiba-tiba masuk bab perkahwinan kita mahu hantaran dan maskahwin murah-murah? Nyata amat ironi di situ bukan?


Dengan pengurusan wang ini jugalah akan menambah keyakinan Ibu Bapa untuk memberikan ‘kad hijau’ pada hajat kita untuk melaksanakan perkahwinan.


Ingatlah bahawa setelah berumahtangga, kita ada pelbagai tanggungan. Bil api, bil air, bil internet, minyak kereta, servis kereta, sewa rumah, barang dapur, duit belanja untuk isteri, duit untuk kirim kepada Ummi Abah dan ibu ayah mertua, urusan dengan rakan-rakan lagi, dan apabila mendapat anak, anak pula kita perlu tanggung.


Maka bagaimana kita hendak menghadapi semua ini tanpa pengurusan wang yang baik?


 


Penutup: Duit, Jangan Langsung Dipandang Enteng!


Islam menekankan usaha. Bukan tawakkal semata-mata.


Jelas apabila Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah apa yang ada di dalam diri mereka terlebih dahulu.” Surah Ar Ra’d ayat 11, bermakna usaha, yakni tindakan itu perlu ada di samping berdoa semata-mata.


Jangan kita sangka, keberkatan itu semata-mata pada majlis yang murah.


Kita bukannya berkahwin dan terus mati.


Kita berkahwin, dan kemudian kehidupan rumahtangga itu akan kita lalui.


Daripada Saad bin Abi Waqash RA bahawa dia pernah berkata dalam sakitnya: “Ya Rasulullah, Sesungguhnya hartaku banyak dan tidak ada yang akan mewarisi harta itu selain seorang anakku yang perempuan, bolehkah aku wasiatkan hartaku itu kesemuanya?” Rasulullah menjawab: “Jangan.” Aku bertanya lagi: “Bagaimana kalau seperdua? ” Baginda menjawab: “Jangan.” Aku bertanya lagi: “Kalau sepertiga? ” Rasulullah menjawab: “Ya, boleh dan sepertiga itu telah banyak. Sesungguhnya apabila engkau tinggalkan ahli waris engkau itu kaya lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam kemiskinan, meminta-minta kepada manusia.” Riwayat Bukhari dan Muslim


Jelas Rasulullah SAW melarang kita meninggalkan keluarga kita papa kedana, hingga mereka tinggal dalam kemiskinan dan meminta-minta kepada manusia. Dan inilah yang kita perlu pastikan untuk keluarga kita.


Maka pengurusan wang adalah penting. Bukan murah mahal, banyak sedikit yang menjadi isunya.


Semoga ini bermakna buat kita, terutama para muda remaja yang ingin bercinta.


Perkemaskanlah dirimu.


Sesungguhnya yang memperkemaskan diri itu sentiasa ada yang baik buatnya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 06, 2013 06:27

Kehidupan: Mahalkan Dirimu. Jangan Mudah Jatuh Cinta.

 



Picture by UmarMita of LangitIlahi


Jatuh cinta. Memang hangat. Saya akui kerana saya pernah lalui. Kadangkala sukar untuk kita berfikiran waras ketika mengharunginya. Kita lebih suka mengikut jiwa dan perasaan, berbanding akal yang dikurniakan olehNya.


Namun alhamdulillah, satu perkara yang saya syukuri dalam kehidupan saya adalah proses dakwah dan tarbiyah yang berjalan. Proses ini memberikan kesedaran, membuatkan saya faham bahawa cinta itu bukan yang utama di dalam kehidupan. Ada yang lebih utama.


Hari ini, begitu juga dengan hari-hari semalam, dan tidak saya terkejut jika hari-hari ke hadapan, remaja dan pemuda-pemudi teruja dengan cinta. Asyik.  Mainan perasaan menjadikan diri ketagih akan perhatian insan yang didambakan. Kadangkala sibuk kita dengan 1001 ciri perempuan lelaki idaman, buat diri sibuk bertanya: “Diakah jodoh aku? Diakah jodoh aku?” Hingga segala kebetulan seakabn-akan merupakan ‘petanda daripada Tuhan’.


Ini melemahkan.


Dan saya menyeru pemuda dan pemudi, dari lohong ini, diri itu dikeluarkan.



Cinta Perlu Difahami Sedari Awal.


Saya amat menegaskan betapa cinta dan kefahaman akannya perlulah dididik di dalam jiwa remaja semenjak awal. Bukan untuk menyuruh mereka kahwin awal, tetapi adalah supaya mereka tidak mengambil definisi cinta, cara-cara bercinta, daripada sumber yang rosak, yang wujud di kiri dan kanan mereka kala proses pendewasaan.


Hari ini, definisi cinta dan cara bercinta, diambil secara tidak langsung tanpa disedari, daripada filem-filem, drama-drama, novel-novel pop dan sebagainya. Membuatkan secara tidak langsungnya, apabila disebut cinta, atau apabila jiwa diserang perasaan cinta, automatik mereka akan melaksanakan sebagaimana yang mereka tahu dan faham melalui sumber-sumber yang sedemikian.


Justeru saya menegaskan agar kita punya silibus berkenaan cinta, perkahwinan dan rumahtangga semenjak tingkatan satu lagi, agar remaja kita tidak membesar dengan definisi cinta yang tidak syara’, lantas mengimplimentasikannya dengan cara yang tidak benar.


Cinta yang silap inilah yang membuatkan manusia apabila bercinta, menjadi tidak keruan. Kerana disangkanya cara untuk menyampaikan rasa cinta kepada orang yang dicintai mestilah dengan ayat-ayat asmara yang berbunga-bunga, dengan perkataan cinta dan sayang. Cinta mestilah keluar bersama-sama, berdua-duaan, berpegangan tangan, bersentuhan. Bahkan, wujud tafsiran cinta pada hari ini mestilah dibuktikan dengan seks, dan dikatakan itulah kemuncak cinta.


Tidak hairanlah remaja kita, apabila disambar dengan halilintar cinta, diri jadi entah apa-apa. Tambah zaman laman sosial hari ini. Hingga ada yang tanpa segan silu update gambar dirinya dan kekasihnya, berpelukan, berciuman, walau belum lagi berkahwin. Bahkan, lebih dari itu, berani pula mengharap ‘keredhaan’ orang ramai atas hubungan yang melanggar batasan syara’.


Bagi yang ‘Islamik’ sedikit, walaupun mungkin tidak keluar bersama, ramai yang terjebak dengan SMS, email, chatting, poster-poster ‘cantik’ berkenaan cinta, puisi-puisi jiwang, dan pelbagai lagi. Kemudian masa banyak dihabiskan dengan isu bakal makmum dan bakal imam. Belum dikira dengan sibuknya kita nak menilai beberapa perkara seperti ‘mimpi’, ‘kebetulan-kebetulan’, yang kita rasa, merupakan petunjuk daripada Allah SWT.


Ini melemahkan.


 


Memahalkan Diri.


Manusia ini kalau tidak punya apa-apa, tidak berhargalah ia.


Maka sepatutnya, pada usia masih muda ini, kita sibukkan diri dengan mencari ‘apa-apa’ untuk dimasukkan ke dalam diri kita agar kita menjadi berharga. Mahal. Semestinya ‘apa-apa’ itu adalah perkara-perkara yang bermanfaat dan berharga juga. Kalau diisi dengan sampah, maka sampahlah kita.


Berapa banyak buku telah kita telaah?


Berapa banyak program pemantapan minda dan peribadi yang telah kita hadiri?


Dalam lautan ilmu itu pula, setelah mendapat kefahaman akannya, berapa banyak pula yang kita implemenkan dalam kehidupan kita?


Apakah kita ini cakna isu semasa?


Pandaikah kita menguruskan wang?


Bijakkah kita dalam meneruskan survival hidup?


Sudahkah kita memulakan perjalanan untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak nanti?


Sudakah kita memulakan usaha membina diri agar mampu menjadi suami dan isteri yang baik kepada pasangan kita nanti?


Persoalan-persoalan ini sepatutnya bermain di dalam minda kita. Menjadikan diri kita mahal. Bukan sibuk dengan – Apakah dia jodoh aku? Apakah dia jodoh aku? Inikah petandanya dia jodoh aku? Apakah mimpi aku semalam merupakan satu petunjuk? Apakah dia bakal imamku? Apakah dia bakal makmumku? Macam mana hendak melamar? Macam mana nak hadapi lamaran seseorang? –  terlebih dahulu.


Kita di dalam pengajian akademik kita, kita punya tahapan. Maka begitulah kita dalam proses percintaan. Dalam hendak mendirikan rumahtangga. Kita bukan terus skip kepada “Bagaimana hendak melamar dan menerima lamaran.”


Kerana itu, saya bersetuju dengan pendapat Ustaz Hasrizal di dalam salah sebuah status Facebook beliau apabila beliau berkata bahawa beliau lebih senang jika kita berikan peluang diri kita ‘membesar’. Mengembara melihat dunia, menambah ilmu dan mematangkan jiwa, sebelum kita sibukkan diri dalam kancah cinta.


Ini tidak. Semenjak sekolah menengah sudah mula sibuk dengan cinta. Sibuk dengan frasa bakal imamku, bakal makmumku. Kala berusia mahasiswa yang sepatutnya kita teguk pengalaman untuk menjadi pemimpin dan membina ummah, mempersiapkan diri untuk menjadi yang bermakna buat masyarakat, kita sibuk dengan asmara dan fantasi rumahtangga. Persediaan entah ke mana.


Kemudian kata hendak berumahtangga, hendak membawa pasangan ke syurga?


Bagaimana hendak ke syurga kalau diri itu tidak punya apa-apa persediaan ke arahnya?


 


Duduk, Dan Timbalah Pengalaman.


Tenangkanlah jiwa. Bebaskanlah  diri dari segala filem, drama dan novel-novel cinta yang membuatkan kita sibuk untuk menjadi sepertinya. Lihat semula diri, dan tanya apa matlamat untuk berada di atas muka bumi. Lihat sebentar kepada rumahtangga, dan selami realitinya. Rumahtangga itu bukannya syurga secara muktamadnya. Rumahtangga hanya akan menjadi syurga, jika kita bergerak mempersiapkan diri kita. Jika tidak, rumahtangga boleh menjadi neraka buat kita.


Rumahtangga punya 1001 tanggungjawab. Rumahtangga bukan hanya kisah dua orang berkasih sayang menjalin hubungan asmara. Rumahtangga adalah asas kepada ummah!


Dan Allah telah copkan tanggungjawab yang besar di dalamnya:


“Wahai orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari siksa api neraka.” Surah At-Tahrim ayat 6.


Maka mengapa tergesa-gesa dengan perasaan. Hidupkan minda kita. Imbangi perasaan itu. Bergerak persiapkan diri.


Duduklah sebentar, menimba pengalaman. Daripada sekeliling, daripada orang-orang yang telah mendahului kita, daripada orang-orang yang lebih tua, daripada kitab-kitab agama dan penyampaian-penyampaian berkenaan rumahtangga.


Bukan kita terjah dahulu alam cinta, kemudian baru mencari itu semua.


Kita ada matlamat hidup yang lebih besar daripada cinta.


 


Penutup: Mahalkanlah dirimu. Jangan Mudah Jatuh Cinta.


Jadilah manusia yang mempunyai kesedaran. Yang bukan sibuk dengan mainan perasaan.


Kadangkala bila kita sibuk dengan mainan perasaan, maka ‘disakat’ sedikit, jiwa sudah gelabah. ‘Diuji’ sedikit, kita telah rebah. Sedangkan ummah memerlukan kita untuk kuat dan gagah. Agar kita mampu menggerakkan ummah ini ke hadapan, bukan ke belakang.


Kita perlu ingat, selepas berumahtangga, akan masih ada kerja-kerja. Bukannya terus mati dan masuk ke syurga. Bukan.


Maka kita perlukan susuk tubuh yang kuat untuk menompang tanggungjawab ini.


Dan itu tidak akan kita perolehi dengan sibuk berperasaan semata-mata.


Bukalah mata, bangkitkanlah kesedaran jiwa.


Cinta itu mungkin, sedang mati itu pasti menjemput kita.


Allah tidak bertanya kita berjaya berkahwin dengan orang kita cinta atau tidak, tetapi Allah akan bertanya bahawa umur kita, di mana telah kita usahakan atasnya.


Marilah, mahalkan diri kita.


Jadilah hambaNya yang berguna.


 


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 06, 2013 02:26

January 5, 2013

Kehidupan: Seorang Lelaki Yang Terbangun Pada Malam Hari.


Picture by UmarMita of LangitIlahi


 


Terbangun pada waktu malam.


Tidak kira apa sebabnya. Tidur awal. Sudah tertidur lama. Atau memang walaupun tertidur lewat, tetapi terjaga. Apakah yang dilakukan?


Bila saya diberi peluang yang sama, saya berfikir panjang.


Dalam pekat malam, saya cuba melihat penghujung kehidupan.


Ya. Apakah penghujung kehidupan yang kita kehendaki?



Saat Segalanya Tiada.


Dalam kepekatan malam itu, kita dalam melihat betapa kita tidak mempunyai apa-apa. Tiada gemerlapan lampu poluariti, tiada harta pada tangan, tiada sanak saudara, yang ada hanyalah kita sendiri di tengah malam. Seorang diri bersama kepekatan gelap.


Mungkin terjaga di tengah kepekatan malam, adalah simulasi diri selepas mati. Saat segalanya tiada. Yang ada hanyalah kita, dan Dia yang memegang nasib kita.


Bezanya, hari ini kala kita terbangkit di tengah kepekatan malam, kita masih boleh bergerak mengikut tindakan sendiri, dan melakukan sesuatu. Boleh merasa insaf lantas bergerak memohon keampunanNya. Merintih akan dosa-dosa kita, lantas memohon kemaafanNya. Boleh mengadu akan kelemahan kita, lantas berusaha memperbaikinya.


Tetapi saat segalanya tiada, selepas ditarik nyawa kita oleh Allah SWT, ketika itu kita pasti akan merasa insaf, menyesal dan rasa bersalah. Namun ketika itu kita tidak akan mampu bergerak memohon keampunanNya. Kerana ketika itu sudah tertutup pintu taubat dan terhenti segala peluang untuk mengutip pahala. Kita pasti akan kembali mengenang segala dosa kita, bezanya kita sudah tidak mampu berbuat apa-apa.


Kepekatan malam, dan kita terbangkit di tengahnya, benar-benar buat kita rasa kerdil.


Bagi yang mahu memerhatikannya.


 


Sama Ada Mengambil Peluang, Atau Terus Tidur Semula.


Bukan kita yang membangkitkan diri kita. Tetapi Allah jualah pemilik tenaga dan kudrat diri kita. Justeru Dialah yang membangkitkan kita. Maka tidakkan kita terasa betapa kala kita ‘terbangun’ di tengah malam, justeru itu adalah ‘panggilan’ kasih sayangNya?


Apakah kita mengambil peluang, mendirikan barang 2 rakaat, ataupun paling kurang bermuhasabah akan diri dan perjalanan hidup kita, atau kita hanya menarik semula selimut dan tidur semula?


Tindakan menggambarkan diri.


Menggambarkan sikap.


Kemudian kita lihat pula pada tindakan kita untuk seluruh kehidupan kita. Kita memilih jalan apa? Apakah achievement kita di dalam Islam?


Sudah berapa ramai orang kita usahakan untuk menarik mereka ke jalan dakwah?


Sudah berapa banyak kemungkaran di atas muka bumi ini yang usaha kita cegah?


Sudah berapa banyak kekuatan untuk Islam telah berjaya kita bina untuk generasi hadapan?


Apa yang telah kita buat selama kita hidup, dan apa yang akan kita buat jika kita terus diberikan peluang untuk hidup?


Kerana jika perasan, kita saban hari dibangunkan dari tidur, setiap pagi. Apakah keputusan kita?


Sama seperti ‘simulasi’ kita ‘dijagakan’ Allah pada tengah malam hari. Apakah keputusan kita?


 


Penutup: Hidup Adalah Mimpi. Akhirat Kita Terjaga.


Kehidupan ini hanya sementara. Akhirat jualah tempat yang kekal abadi selama-lamanya.


Hidup ini ibarat mimpi sahaja. Dan di akhirat nanti kita terjaga sebenar-benarnya. Baru kita perasan segala tindakan kita ada konsikuensinya. Sikap dan amalan kita semuanya ada balasanNya.


Ketika itu barulah kita mahu menghargai segala momen yang wujud ketika kita berada di dunia. Namun, kita tidak akan kembali.


“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” Surah As-Sajdah ayat 12.


“Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).” Surah An-Naba’ ayat 40.


Namun saat saya menulis artikel ini, dan saat anda membacanya, kita masih hidup di atas dunia ini.


Maka mengapa kita tidak kita ambil peluang ini untuk bersama-sama bermusahabah melihat diri kita.


Mari Menjadi Hamba.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 05, 2013 14:04

January 4, 2013

Kehidupan: Seorang Lelaki Yang Berangan Menjadi Kaya.


Picture by UmarMita of LangitIlahi


 


Semasa saya belum mempunyai tenaga mencari duit sendiri, saya sering berimpian untuk menjadi kaya. Semasa saya mula mempunyai sedikit duit hasil pencarian sendiri, saya sering berimpian untuk menjadi lebih kaya.


Saya fikir, dengan saya menjadi kaya, millionare, billionare, saya akan mampu memberikan sumbangan yang besar kepada agama saya. Saya mampu membantu yang miskin, dan meningkatkan ekonomi orang-orang Islam. Membantu yang susah, mengenyangkan yang lapar, dan kala berlaku peristiwa seperti Gaza diserang, Rohingya ditimpa bencana, saya mampu memberikan wang yang banyak tanpa berfikir.


Saya yakin, bukan saya sahaja mempunyai cita-cita yang sedemikian rupa.


“Nanti bila kaya, kita akan bantu semua ini!”


Nanti bila kaya.


Namun apabila saya membesar, dan mencapai usia ini, timbul satu soalan dalam hidup saya:


“Bila kita akan kaya?”



Sembang-sembang dengan sepupu.


Saya mempunyai seorang sepupu yang sentiasa mencurahkan hikmah dan kebijaksanaan dalam kehidupan saya. Saya pernah nyatakan akan dirinya di dalam Buku Motivasi LangitIlahi3: Fanzuru. Namanya Aiman Hassan.


Satu hari semasa berjalan dengannya, dia berkata:


“Kita memang macam itu, masa tak ada duit, kita katalah bila ada duit kita nak bantu ini, beri itu, tolong ini, sumbangan itu. Tetapi nanti bila kita ada duit, kita beli kereta mahal, rumah besar, perabot cantik, pakaian best-best, makanan berkualiti kononnya(kononnya), kemudian kita sibuk nak berikan benda-benda yang sama kepada isteri, kepada anak-anak, kepada ibu bapa kita. Akhirnya?”


Bicara itu seakan membangkitkan saya.


Ya. Kita takkan kaya-kaya sebenarnya. Sekiranya kita maksudkan ‘kaya’ itu dengan banyak duit. Hal ini kerana, rata-rata manusia apabila mempunyai banyak duit, mereka akan mengubah gaya hidup mereka. Gaya hidup yang berubah itu memerlukan penambahan wang.


Jadilah orang yang bergaji RM10,000 sebulan tak ada bezanya dengan yang bergaji RM3,000 sebulan.


Yang bergaji RM10,000 sebulan hidup dengan kos RM9,000 sebulan. Di mana bezanya dengan yang bergaji RM3,000 hidup dengan kos RM2,500 sebulan?


 


Duit Bukan Penyelesaian


Adakah tidak boleh menjadi kaya?


Boleh. Menjadi kaya tidak pernah haram. Kerana itu, di dalam sejarah Islam, wujud sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang kaya seperti Abdurrahman bin Auf RA, Suhaib Ar-Rumy RA, Uthman bin Affan RA dan lain-lain.


Sekiranya kita tidak boleh menjadi kaya, pastinya sudah wujud larangan daripada Rasulullah SAW dan tidak akan wujudnya sahabat-sahabat yang berharta.


Namun, apabila kita meletakkan ‘duit sebagai penyelesaian’, maka kita tidak akan menyelesaikan apa-apa. Kerana duit akan mencengkam jiwa kita.


Sekiranya kita punya niat “Aku nak jadi billionare!” maka duit akan menjadi utama buat kita. Bagaimana nak jadi billionare?


Masa kita ada duit, kita akan sibuk berusaha untuk menjadi lebih kaya. Kita labur sana sini. Jangan terkejut kalau saya kata, inilah sebabnya mengapa berlakunya rasuah dan songlap duit. Kerana walaupun sudah bergajin RM10,000 sebulan, dirasakan ‘masih tidak kaya’. Untuk jadi lebih kaya, perlukan ‘pelaburan’. Ada orang melabur dengan cara halal, dan ada orang ‘melabur’ dengan cara yang haram.


Ya. Duit bukan penyelesaian dalam cita-cita hendak memberikan ‘sumbangan’.


 


Pembentukan Peribadi dan Usaha Memberi Dari Hari Ini.


Belajar membentuk peribadi, dan berusahalah ‘memberi’ semenjak hari ini. Semenjak kita belum berduit. Semenjak duit kita masih sedikit. Itulah yang saya lihat apa yang Rasulullah SAW didik pada para sahabat baginda.


Apabila para miskin rasa cemburu melihat yang kaya mampu bersedekah dengan banyak, Rasulullah SAW tidak pula berkata: “Kalian semua, jadilah usahawan seperti mereka. Nanti ummat Islam akan menjadi kuat apabila kita menjadi kaya.”


Tidak.


Tetapi apa yang Rasulullah SAW jawab kala aduan para miskin itu sampai kepadanya? Perhatikan.


Daripada Abu Dzar RA katanya: “Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada baginda: Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka. Jawab Rasulullah SAW: Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih(subhanallah) adalah sedekah, setiap kalimah takbir(Allahuakbar) adalah sedekah, setiap kalimah tahmid(Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap kalimah tahlil(Lailahaillah) adalah sedekah, amar makruf dan nahi mungkar(mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah. Bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula sedekah. Mereka bertanya: Jika demikian, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami? Jawab Rasulullah SAW: Apakah pandangan kamu terhadap mereka yang melepaskan syahwatnya melalui jalan haram dan mendapat dosa, maka apakah yang melakukannya melalui jalan yang halal tidak mendapat pahala?” Hadith Riwayat Bukhari.


Begitu. Rasulullah SAW tidak mengajak mereka untuk melihat ‘duit’ sebagai penyelesaian. Tetapi Rasulullah SAW mengalihkan mereka kepada amalan yang boleh mereka usahakan walaupun tanpa duit yang banyak.


Menyimpan cita-cita menjadi kaya itu tidak salah.


Tetapi salahnya adalah apabila kita merasakan kaya adalah penyelesaian.


Percayalah, sekiranya kita merasakan bahawa dengan menjadi kaya baru bantuan dapat kita hulurkan, kekayaan akan mencengkam jiwa kita terlebih dahulu dengan kemewahan.


Sebaiknya kita melihat apa yang kita ada sekarang, dan apa yang kita boleh usahakan.


 


Meletakkan Dunia Pada Tangan, Akhirat Pada Hati.


Kekayaan sememangnya merupakan bonus. Bukan sedikit orang-orang kaya dalam kalangan orang Islam. Bahkan kita punya negara yang sangat kaya seperti Arab Saudi dan Dubai. Maka mengapa masih ada yang kelaparan dan ada negara Islam yang kepapaan?


Kerana duit bukan penyelesaian. Menjadi kaya tidak semestinya menjadikan kita PASTI boleh memberikan bantuan. Kadangkala, menjadi kaya, kekayaan mencengkam pula kita dengan pelbagai tanggungan.


Kita rasa takut ‘duit kita hilang’. Maka kita mula menyimpan. Dan kita takkan rasa simpanan kita cukup.


Kita rasa tak berbaloi duit banyak, tetapi rumah masih kecil, kereta masih biasa, pakaian masih simple dan sebagainya. Maka kita mula beli rumah banglo mewah walau hidup hanya bertiga, kita mula membeli pelbagai perabot walau kita tidak berapa menggunakannya, kita mula membeli kereta, komputer, televisyen, peti sejuk, mesin basuh yang amat mahal walau kita tidak memerlukannya, kita membeli banyak pakaian walau banyak yang masih elok masih tersimpan dan tidak terpakai.


Kita rasa mahu menjadi ‘lebih kaya’, maka kita laburkan lagi duit kita dan cuba mencari lubang-lubang bisnes yang lain agar menjadi lebih kaya.


Akhirnya di manakah ‘bantuan’ yang kita hendak hulurkan?


Itu akibatnya, bila kita mengejar kaya dengan dunia itu di dalam hati.


Sedangkan, Abdurrahman bin Auf RA, Suhaib Ar-Rumy RA, Uthman bin Affan RA tidak mengejar kekayaan. Mereka tidak ingin menjadi kaya. Kaya itu hanyalah bonus dalam kehidupan mereka. Yang mereka lakukan hanyalah bekerja, berusaha. Yang mereka niatkan, matlamatkan, adalah hidup dalam keadaan memberikan sumbangan kepada Islam.


Sumbangan datang dahulu, bukan datang kemudian.


Kerana itu, tidak teragak-agak manusia ini melepaskan wang mereka dalam memberikan sumbangan kepada Islam. Merekalah yang menanggung belanja ketenteraan para sahabat, membeli kuda dan persenjataan, membeli mata air daripada yahudi, dan melabur untuk memperkasakan ekonomi para sahabat yang lain. Menjadikan daulah Islamiyyah ketika itu perkasa dan mapan.


Akhirat di hati mereka.


Dunia itu  hanya di tangan, untuk mereka manipulasikan, pergunakan.


 


Penutup: Kaya Yang Sebenar, Adalah Yang Menghargai Apa Yang Dia Ada.


Akhirnya saya kini sentiasa bertanya kepada diri saya, apa yang saya ada?


Tidak semestinya duit. Duit sedikit, tidak mengapa. Saya ada skill penulisan, maka saya menyumbang kepada ummah ini dengan penulisan. Saya ada website yang diikuti ramai, maka saya menyumbang kepada ummah ini dengan menggunakan website saya. Saya ada Facebook yang diikuti ramai, maka saya menyumbang kepada ummah ini dengan menggunakan Facebook itu.


Saya ada sedikit duit untuk derma, tidak mengapa, saya dermakan dengan sedikit duit itu. Walaupun tidak banyak. Yang penting, saya tidak melimitkan sumbangan saya hanya pada duit.


Saya punya rakan-rakan yang mempunyai pelbagai kelebihan, maka saya menyumbang kepada ummat ini dengan mencungkil kelebihan rakan-rakan saya agar kelebihan mereka itu terarah untuk manfaat ummat.


Saya mampu buat program-program yang memberikan manfaat kepada ummat, maka saya buat.


Akhirnya saya tidak rasa saya ‘miskin’ hingga tidak mampu memberikan sumbangan.


Hingga saya perlu jadi ‘kaya’.


Tidak.


Saya hanya perlu menghargai apa saya ada, dan mengusahakannya.


Begitu, saya sudah kaya sebenarnya.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 04, 2013 00:57

January 3, 2013

Berita: Rancang bentuk keluarga sakinah


Picture by UmarMita of LangitIlahi


 


Selepas tiga hari berada pada tahun 2013, banyak isu tahun lepas yang melingkari kehidupan masyarakat. Antaranya isu sosial yang merangkumi keluarga dan masyarakat seperti perceraian, perebutan anak, pergaduhan dan perselisihan faham. Ada juga yang melibatkan kematian akibat dipukul. Dalam isu politik, topik perbincangan dilihat menjurus kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan. Justeru, timbul pelbagai kisah lama yang gunanya untuk menarik perhatian pengundi sebagai sebahagian daripada strategi memenangi pilihan raya tersebut.



Dalam surat khabar hari ini kita dapat lihat bagaimana pasangan rumah tangga menjadi porak-peranda kerana pasangan hidup tidak seperti yang diimpikan. Itu belum lagi bercerita mengenai anak-anak lelaki dan perempuan yang buruk akhlaknya, tingkah laku biadap dan terlibat dengan pelbagai masalah. Isu-isu ini menjadikan surat khabar semakin laris kerana isu-isu masyarakat telah disensasikan.


Tahun 2013 penuh dengan cabaran keluarga. Trend pelaporan ke atas isu-isu keluarga dilihat menjurus kepada ketelusan dan lebih ekstrem seperti penderaan kanak-kanak dan pengabaian warga emas. Berita tentang pembuangan bayi sudah menjadi biasa dan tidak lagi menjadi isu “gempak” berbanding 17 tahun lalu.


Saya baru sahaja dapat berkongsi cerita tentang harapan seorang bapa untuk melihat anak-anaknya akan ada yang menjadi seorang ustaz. Beliau ada lima orang anak dan semuanya lelaki.


Dia dan anak sulung terlibat dalam bisnes, menjadi usahawan yang berjaya tetapi belum ada yang menjadi ustaz sebagai pelengkap kepada kehidupan dunia yang seimbang.


Lalu seseorang bertanya, “Macam mana hendak lahirkan seorang ustaz dalam keluarga kamu?”


Dia menjawab, “Saya sedang memujuk dua anak untuk cenderung kepada ustaz, InsyaAllah sedang berusaha ke arah itu”.


“Macam mana kamu nak bentuk anak jadi ustaz, kamu sendiri tak pakai ketayap, jadi macam mana anak-anak nak ikut?”


Soalan ini sukar dijawab kerana jangkauan pemikirannya tidak begitu jauh. Lalu beliau diberi penyelesaian.


“Carilah menantu yang boleh menjadi ustazah, nak harapkan cucu dah agak jauh”.


Kisah ringkas ini berkaitan dengan memilih pasangan untuk anak-anak supaya akan lahir sebuah keluarga yang mendapat rahmat Allah swt. Ia juga berkaitan dengan kerisauan seorang bapa untuk mencari pasangan yang sesuai dengan anaknya yang dapat ditumpang kebahagiaan hidup.


Menjadi tanggungjawab kita untuk menginstitusikan kaedah membentuk keluarga yang mendapat rahmat Allah swt. Pembentukan akhlak dan sikap anak-anak bermula sejak kecil dan berterusan sehinggalah mendirikan rumah tangga dan beranak-pinak. Keluarga muda yang ada keinginan membentuk keluarga seperti ini mesti berusaha menjadi ilmu dan membina hubungan dengan keluarga yang lain supaya hajat dan impian mereka akan dicapai.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 03, 2013 09:00