Hilal Asyraf's Blog, page 121
February 1, 2013
Keselamatan anak tanggungjawab ibu bapa
Jumlah kanak-kanak dan remaja yang hilang di seluruh negara sepanjang tahun 2012 menunjukkan kaum Melayu lebih ramai. Jumlah besar yang hilang ialah 2750 orang terdiri daripada lelaki seramai 817 orang dan perempuan pula 1933 orang. Kaum India merupakan kelompok terbesar yang hilang iaitu 668 (lelaki 244 orang dan perempuan 424 orang) manakala Cina adalah kelompok paling sedikit dengan hanya 307 lelaki dan 229 perempuan. Daripada keseluruhan yang hilang (4804 orang), kanak-kanak dan remaja perempuan yang lebih banyak hilang iaitu 3188 orang berbanding lelaki (1616).
Statistik ini menunjukkan kanak-kanak dan remaja perempuan lebih dominan dalam kes kehilangan dengan jumlah umur semasa hilang ialah 13 hingga 17 tahun iaitu seramai 1684 orang. Separuh daripada yang hilang ini dijumpai semula iaitu 2332 orang sementara selebihnya masih belum dijumpai.
Fokus utama umur yang hilang ini ialah 13 tahun dan ke atas iaitu ketika mula melangkah ke alam remaja dan zaman persekolahan. Kenapakah pada peringkat umur ini mereka mudah hilang dan hanya sebahagian yang dijumpai semula?
Kehidupan masyarakat yang semakin kompleks menyumbang kepada kes-kes yang berlaku. Kompleks di sini bermaksud peranan keluarga yang semakin mencabar dan sukar diramal. Contohnya, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dimarahi kerana pulang lewat ke rumah cenderung menjadi seorang perajuk dan membuat keputusan bermalam sehari dua di rumah rakannya tanpa memaklumkan kepada kedua ibu bapa. Kerisauan keluarga telah mendesak mereka membuat laporan polis dan hebahan media supaya anak mereka kembali ke rumah.
Dalam situasi seperti ini, hubungan keluarga sangat penting kerana ia dapat menentukan sejauh mana konflik dapat dileraikan.
Cabaran lain ialah penceraian ibu dan bapa menyebabkan anak-anak kurang mendapat sentuhan kasih sayang. Emosi anak-anak yang hidup tanpa kasih sayang salah seorang ibu atau bapa amat jauh bezanya dengan kasih sayang bersama-sama kedua ibu dan bapa. Mereka lebih mudah terpengaruh dengan rakan yang dapat menampung kehendak kasih sayang yang hilang tadi dan cenderung menurut tingkah dan gerak laku rakan tadi. Jika nasib baik, akhlak yang dibentuk, jika tidak tentulah masa depannya juga tidak menentu.
Kisah penceraian pasangan muda yang baru berkahwin juga membimbangkan kita kerana kes seperti ini bukannya sedikit. Kisah sensasi seperti ini kerap melibatkan golongan artis yang lebih menonjolkan kemewahan hidup berbanding keberkatan hidup. Selepas mendapat anak seorang dua, mulai muncul satu persatu masalah keluarga sehingga menjadi bualan umum. Ada masanya kes ini berlanjutan dua tiga tahun.
Kesan yang ketara ke atas kanak-kanak dan remaja yang hilang ialah trauma yang serius dan berpanjangan. Perubahan yang jelas ialah tingkah laku yang semakin agresif ataupun murung. Kesan trauma lebih teruk pada kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun berbanding yang berumur lima tahun ke bawah. Bagi kes yang serius, rawatan hanya boleh diberikan oleh pakar dan dalam tempoh tertentu sehingga pulih.
Ibu bapa yang prihatin boleh mengambil langkah-langkah lebih ketat khususnya keselamatan anak-anak. Bukan sahaja orang yang tidak dikenali yang boleh menyebabkan anak-anak ini hilang malah orang yang dikenali perlu turut menjadi perhatian seperti rakan sekolah, teman lelaki dan orang yang baru dikenali melalui media sosial.
Keprihatinan ibu bapa dan ahli keluarga merupakan kunci kepada keselamatan anak-anak yang sedang membesar. Selain itu, komuniti setempat juga wajar menjadi sebahagian daripada kumpulan prihatin supaya medan rasa bersama itu semakin besar. Seterusnya ialah hubungan erat komuniti dan polis yang dapat menyumbang kepada tindakan pantas polis dalam mengesan dan menjejak mangsa yang dihilangkan.
Dalam menentukan keselamatan anak-anak dan remaja, peranan ibu bapa amat penting kerana mereka bertanggungjawab 100 peratus ke atas keselamatan anak-anak walau di mana saja berada.
January 29, 2013
Pemuda : Prioriti Kita Dalam Membawa Bendera Islam
Mana Prioriti Kita? Akar atau Pokoknya?
~Picture by Umar Mita
“Kau tau tak rokok tu haram? Membazir pula. Cepat pulak dapat penyakit. Kenapa kau merokok?”
“Haram couple ! Kau nak masuk neraka ke?”
“Kurang ajar punya Cina. Cuba nak hapuskan Islamlah tu. Takde kerja lain.”
Masing-masing individu dalam umat Islam membawa bendera atau dalam erti kata lain membawa imej Islam di setiap penjuru kehidupan mereka. Memang benar, Islam itu tidak dapat digambarkan secara tepat melalui tindakan seorang muslim kerana seorang muslim belum tentu benar Islamnya. Tetapi melalui muslimlah, masyarakat dapat mengetahui dan melihat imej Islam itu.
Cara kita menegur orang yang melakukan dosa dan kesilapan. Akhlak dan peribadi kita dalam kehidupan seharian. Interaksi kita dengan orang yang bukan Islam. Kata-kata yang keluar dari mulut kita.
Mudah atau susahkah Islam?
Memaksa atau mendidikkah?
Kegelinciran Segelintir Orang Yang Ingin Melakukan Islah
Ramai orang yang tergelincir ketika membawa bendera Islam. Bersemangat tetapi kadangkala tersilap cara. Ikhlas ingin orang berubah dan mengikut lunas-lunas Islam yang sebenar, tetapi tidak sabar dan selalu bersikap terburu-buru. Tersilap dalam menentukan mana satu prioriti untuk didahulukan dalam membawa bendera Islam.
Mahu orang melakukan kebaikan, inginkan manusia meninggalkan keburukan, tetapi kadangkala kita tersilap cara. Ada yang terus memaki-maki dan mengeji orang, kadangkala dengan kata-kata yang kesat pula, ada yang terus memberi hukum haram, neraka dan sebagainya, bahkan ada pula yang kadang-kadang memberi label-label tertentu yang tidak elok sehingga menjauhkan antara kita dengan mereka, antara orang yang hendak membaiki dengan orang yang hendak dibaiki, antara pendakwah dengan orang yang hendak didakwah.
Dalam Al-Quran, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Dan serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan contoh yang baik. Dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik.” [An-Nahl : 125]
Hikmah itu sebagaimana didefinisikan oleh Imam Mujahid membawa maksud ‘benar dalam perkataan dan perbuatan’.
Bagaimanakah mengukur kebenaran dalam perkataan dan perbuatan kita?
Sudah tentulah ukuran kita adalah apa yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. sama ada melalui Al-Quran dan hadis.
Kalau mahu menyeru manusia kepada kebaikan, mahu manusia berubah ke arah lebih baik dan meninggalkan keburukan, tetapi kita pula menggunakan kata-kata kesat, memberi label, terus memberi hukum sehingga membuatkan hatinya merasa benci dengan Islam, adakah wujud hikmah di situ?
Maka, dengan sebab itulah, para pemegang bendera Islam, yang merasakan bahawa dirinya sedang membawa imej Islam perlu bijak menentukan prioriti ketika bercakap tentang Islam atau menjadi gambaran kepada Islam.
Merapati Sebelum Memperbaiki
Sebelum kita mahu memperbaiki manusia, sekiranya kita mampu mencapai manusia itu, pergilah rapat kepadanya.
Itulah keutamaan sebelum kita mahu membaikinya.
Kadangkala, ada orang yang terburu-buru terus mahu memaki hamun orang, menuduh orang, memfitnah orang dengan niat ingin membetulkan dan membaiki orang itu. Tetapi dia telah tersilap cara.
Barangkali orang yang mahu ditegur itu tidak tahu atau jahil tentang dosa itu. Barangkali dia lahir daripada keluarga yang latar belakang agamanya tidak begitu baik, mungkin itulah yang menyebabkan dia terjebak dengan dosa-dosa dan kemungkaran.
Ada juga orang yang mahu berubah menjadi lebih baik, mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan oleh Islam, tetapi kerana tidak ada suasana yang baik, tidak ada kawan-kawan baik yang boleh membantu dirinya ke arah itu, maka terus-menerus dia dibawa oleh arus yang tidak baik.
Maka, tugas kitalah yang membawa bendera Islam ini untuk pergi rapat kepada mereka dan berusaha mengenali hati budi mereka. Kalau benar kita ingin membaiki mereka, maka binalah hubungan di antara kita dengan mereka dahulu.
Kata guru saya, “Bina jambatan hati antara kita dengan mereka.”
Ya, jambatan kalau telah elok terbina, senang untuk kita rentas dari satu tebing ke tebing yang lain, Begitu jugalah hati. Kalau telah terbina hubungan yang baik antara kita dengan dia, kita tidak perlu keras-keras pun, tidak perlu maki hamun pun, kadangkala tidak perlu cakap banyak pun, dia sendiri sangat mudah menerima bila kita memberikan teguran atau nasihat.
Berbanding dengan kita dengan dia pun tidak pernah kenal, tiba-tiba kita datang kepada dia terus tegur. Sudah tentulah dia akan cepat melenting dan marah kita semula.
Begitu juga, kadangkala, ada orang yang merasa cukup dengan hanya memberikan teguran umum melalui Facebook, membuat status dan yang sewaktu dengannya. Tidak dinafikan bahawa semua itu sebenarnya adalah satu keperluan juga dalam mengislah dan memperbaiki manusia. Mana tahu mungkin ada yang tersentuh dengan kata-kata dan teguran kita itu lalu mengambil perhatian untuk mengubah dirinya.
Namun, itu sahaja tidak cukup. Mungkinlah ada orang yang tersentuh lalu mahu berubah, tetapi tahukah kita berapa orang jumlahnya? Atau benarkah ada? Berbanding dengan kita pergi dan merapati manusia lalu mengenalinya, menjadi sahabat yang baik dengannya lalu berusaha membantu perubahan dirinya sedikit demi sedikit, manakah yang lebih diyakini hasilnya?
Tugas Kita Yang Utama Untuk Membaiki Real Problem, Bukan Presenting Problem
Ramai orang yang cepat mahu menegur atau marah ataupun memaki hamun orang yang melakukan dosa dan kesilapan adalah kerana mereka tidak tahan melihat masalah sedia ada (presenting problem) yang ada di depan mata mereka.
Melihat orang merokok, hati cepat mahu marah.
Melihat lelaki dan perempuan berdua-duaan, hati cepat mahu mengata.
Melihat perempuan tidak menutup aurat, terus memfitnah sana sini.
Begitu jugalah dosa-dosa peribadi yang lain.
Pokok yang baik itu terhasil kerana akarnya yang baik juga. Kalau akarnya itu saja sudah rosak, maka pokok dan buahnya rosak juga.
Sebab itu, bila kita ingin membaiki manusia, lihat dan analisislah apakah masalah sebenarnya (real problem)?
Pokok yang rosak, buah yang rosak, kalau kita mahu membaikinya dengan mengambil langkah membuang semua buah-buah busuk di dahannya tanpa mempedulikan akarnya, maka nanti hasilnya akan sama juga. Ia tidak akan menghasilkan pokok yang baik.
Kadangkala, orang merokok bukan kerana dia mahu merokok pada awalnya. Tetapi kerana pengaruh suasana. Pengaruh rakan-rakannya.
Ada orang yang tidak menutup aurat, bukan kerana dia tidak mahu menutup aurat, tetapi hatinya tidak ada dorongan ke arah itu. Dia tahu menutup aurat itu wajib, tetapi di dalam hatinya ia tidak merasa penting terhadap hal itu.
Islam bukan sekadar agama hukum, tetapi Islam adalah agama roh. Ia tidak datang untuk memberikan arahan-arahan tertentu kepada manusia tanpa mendidiknya pula ke arah itu. Tidak, bukan begitu Islam.
Lihatlah bagaimana Allah menurunkan perintah larangan meminum arak. Berperingkat-peringkat Allah mendidik ummat melalui Rasulnya, akhirnya sampai sahaja ke ayat yang terakhir, para sahabat sudah dapat memahami dan tanpa cakap banyak lagi terus memecahkan tempayan-tempayan arak di rumah mereka.
Sebab itu, dalam konteks kita sebagai seorang individu dalam masyarakat, bila kita mahu membaiki keadaan masyarakat, tidak cukup sekadar memberi atau menetapkan hukum, kerana hukum hanya akan mampu merawat presenting problem, tetapi lebih daripada itu kita perlu mendekati manusia, mendidiknya, memulihkan keimanannya kerana itu akan membantu merawat real problem.
Manusia bermasalah bila imannya kepada Allah bermasalah.
Manusia bermasalah bila tidak ada hubungan dengan Allah.
Kita boleh ceritalah betapa bahayanya merokok, rokok itu haram, membazir duit dan sebagainya, tetapi jika kita tidak menyelesaikan akar kepada masalah itu, maka masalah itu akan terus-menerus ada.
Penutup : Membetulkan Prioriti Sebelum Ramai Yang Menjauhi
Setiap individu muslim adalah penjuru kepada Islam itu sendiri. Setiap orang membawa gambaran tertentu terhadap Islam. Dalam hidupnya, dalam cara pergaulannya, dalam kata-katanya, dalam dakwahnya dan lain-lain.
Jika kita membawa imej yang ganas, maka Islam akan dikenali sebagai agama terrorist.
Jika kita membawa imej yang ekstrem, maka Islam akan dikenali sebagai agama ekstremist.
Walaupun Islam bukanlah selayaknya digambarkan sebagaimana tindakan diri kita itu, tetapi begitulah orang melihat Islam. Orang melihatnya daripada para pembawa dan pendokongnya.
Sebab itu, betulkanlah prioriti kita dalam membawa bendera Islam. Ketika kita ingin orang bergerak menjadi lebih baik, memahami Islam, hidup dengan cara hidup Islam, dan meninggalkan kemungkaran, maka prioriti kita dalam bertindak adalah sepatutnya membuatkan orang lebih tertarik untuk mendekati Islam, bukannya membuatkan orang semakin rasa jauh daripada Islam.
Bendera Islam ini mulia, maka muliakanlah juga cara kita mendokongnya !
Umum: Bengkel Penulisan Islamik Bersama Hilal Asyraf di Pendang Lake Resort, Kedah.
[DISCOUNT 25% Untuk Bengkel Penulisan Islamik Bersama Hilal Asyraf di Pendang Lake Resort]
Detail program:
Tempat: Pendang Lake Resort, Pendang, Kedah Darul Aman.
Tarikh: 2hb Februari 2013
Masa: 8.30pagi – 5.00petang.
Pengendali: Hilal Asyraf.
Bilangan slot: 5 slot.
- Niat, Matlamat, Disiplin dalam Kekuatan Seorang Penulis.
- Menjemput Idea dan bagaimana Membumikannya.
- Teknik Graf Penceritaan(cara merangka cerita)
- Salah silap biasa dalam tatabahasa.
- Blog dan kepentingannya pada karier penulisan.
Harga:
RM200. Daftar sebelum 1hb Februari – Discount 25% = RM150.
Minum pagi, makan tengahari, minum petang dan sijil disediakan!
Cara mendaftar:
Sila SMS: BPIZU ke 019-3499039
Setelah mendapat respon, Sila bank in 50% wang pendaftaran ke akaun: MAYBANK 164472294793 (MUHAMMAD AR-RASYID JAAFAR)
Kepada yang berminat, sila mendaftar dengan segera sebelum tiba 1hb Februari 2013. Promosi 25% tamat pada 12.00 malam, 31hb Januari 2013.
Biodata Pengendali Bengkel: Hilal Asyraf
Nama penuh: Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak.
Lahir pada: 16hb Januari 1989,
merupakan anak sulung kepada 4 orang adik beradik.
Status: Telah berkahwin pada 070712
Asal: Johor.
—————–
Pendidikan
—————–
Mendapat pendidikan Sekolah Rendah di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Senai, Johor. 1995-2001.
Menyambung pendidikan Sekolah Menengah di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Beseri, Perlis. 2002-2008.
Meneruskan pengajian ke peringkat ijazah di Yarmouk University, Irbid, Jordan. 2008-2012.
Kini memegang ijazah B.A(hons) Usuluddin dari University of Yarmouk.
—————————————————
Pengalaman Dalam Bidang Penulisan
—————————————————-
Merupakan seorang penulis buku-buku motivasi dan novel-novel Islamik semenjak tahun 2009.
Semenjak tahun 2009-2012, beliau telah menghasilkan 20 buah karya.
9 buah Novel Islamik – Novel VT, Relasi, Terasing, Remaja Mulia(kategori kanak2), Sinergi, Hero, Remaja Harapan(kategori kanak2) Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam, dan Novel Misi Hero.
7 buah Buku Motivasi – LangitIlahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita, LangitIlahi2: Kembara Hamba Mencari Cahaya, LangitIlahi3: Fanzuru – Maka Lihatlah, Buku Motivasi Batu-Bata Kehidupan, Buku Motivasi Cinta – Sebelum Aku Bernikah, Buku Motivasi Irkam Ma’ana – Naiklah Bersama Kami dan Buku Motivasi Untuk Kita Pendosa: Harapan Selalu Ada.
2 buah Kumpulan Cerpen – Kumpulan Cerpen Matahari dan Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.
1 buah kumpulan puisi – Kumpulan Lantunan Bicara: Meniti Kehidupan Ini KeranaNya.
Pernah memenangi Hadiah Sastera Johor dalam kategori Novel kanak-kanak melalui Novel Remaja Mulia.
Pernah dijemput sebagai tetamu di TV1 untuk Novel Remaja Mulia dan dijemput mengisi slot Sinopsis di TV1 juga untuk Buku Motivasi Batu-Bata Kehidupan, dan Nasi Lemak Kopi O di TV9 untuk Buku Motivasi Batu-Bata Kehidupan.
Juga merupakan Kolumnis di beberapa buah Majalah seperti:
1 – Majalah Anis (2010-2011)
2 – Majalah HALUAN (2010-kini)
3 – Majalah Remaja (Sepanjang Tahun 2012)
4 – Majalah JOM! (2012-kini)
Keaktifan beliau di dalam medan penulisan menarik minat Kedai Buku besar Malaysia, Kinokuniya, KLCC untuk mendedikasikan buat beliau satu ruang khas di kedai buku tersebut:
[image error]
Jangan lepaskan peluang untuk berbengkel bersama beliau!
Daftar segera, sebelum terlambat!
January 28, 2013
Fotografi: Berkah Yang Melimpah.
Kundasang
Hidup di atas muka bumiNya,
mahu keindahan-keindahan yang ada di atasnya,
tetapi kemudian,
murka kepadaNya.
Celakanya lah kita.
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
“Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” Surah Al-A’raff ayat 96.
January 25, 2013
Himmah : Antara Cintakan Nabi Dan Usaha Untuk Kemenangan Islam
~ Picture by gentaquran.com
Saban tahun, maulid Nabi disambut di pelbagai peringkat sama ada di peringkat kampung, bandar, di peringkat rakyat mahupun kerajaan mahupun di peringkat antarabangsa sekalipun. Saya tidak ingin membahaskan tentang tarikh dan hukum berkaitan dengan maulid Nabi kerana ini telah pun disentuh oleh sahabat saya, Al-Fadhil Ustaz Mukhlis Nasri dalam artikelnya.
Cuma setelah sekian lama menyambutnya, bertahun-tahun kita menyambutnya, berarak dan melakukan pelbagai perkara sebagai tanda menzahirkan kecintaan kepada baginda s.a.w., kita perlu jujur bertanya kepada diri dan masyarakat kita, di manakah kedudukan Islam di dalam masyarakat kita sekarang?
Kedudukan Islam yang saya maksudkan di sini bukanlah sekadar syiar-syiar yang memang jelas kelihatan di mata seperti pembinaan masjid, Al-Quran dan kalimah Allah. Bukan juga sekadar berkaitan dengan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, haji, puasa mahupun berkaitan dengan hukum ke atas manusia seperti hudud, taazir dan qisos.
Bukan hanya sekadar itu. Lalu, apa?
Lebih luas daripada itu. Sudahkah Islam itu menjadi cara hidup di dalam masyarakat kita? Apakah Islam itu difahami secara menyeluruh sebagaimana yang telah dibawa oleh Rasul s.a.w. satu ketika dulu? Bagaimanakah akhlak dan kefahaman terhadap Islam dalam masyarakat kita?
Kita Kagum Dengan Perjuangan Baginda
Kita tidak menafikan bahawa ummat Islam ini, semuanya mencintai Nabi s.a.w. Bila diungkapkan saja nama Nabi s.a.w., terus timbul rasa kekaguman dalam diri pada usaha dan jasa Nabi s.a.w. terhadap ummat ini. Ada yang bahkan tidak tertahan air matanya, terus mengalir bila diungkapkan sirah-sirah perjuangan baginda s.a.w.
Ya, bagaimana mungkin kita tidak kagum pada susuk tubuh yang pernah dilempar perut unta yang busuk ke belakang badannya kala ia sedang solat di depan Kaabah, susuk tubuh yang tercedera di medan Uhud kala bertempur mempertahankan maruah Islam, susuk tubuh yang sanggup berlapar dan hidup sederhana demi menyampaikan Islam ini kepada ummatnya. Bagaimana mungkin kita tidak kagum?
Perjuangannya sangat hebat. Sebab itulah Allah berfirman dalam Al-Quran :
“Sesungguhnya pada diri Rasul itu ada contoh yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan (rahmat) Allah dan hari akhirat.”[Al-Ahzab : 21]
Tetapi, kekaguman dan pujian saja tidak mencukupi. Kekaguman dan pujian ini jika tidak dituruti dengan usaha untuk mengikuti apa yang telah Nabi s.a.w. tinggalkan untuk kita, maka ia hanya tinggal bermakna untuk diri kita, tetapi tidak bermakna untuk ummat.
Ramai orang boleh berceramah dan bersyair memuji Nabi s.a.w., tetapi berapa ramai pulakah yang bersedia menuruti sunnah perjuangan baginda di atas jalan kesusahan dan kepayahan itu?
Ramai orang yang berzikir, kuat beribadah kerana ingin mengikuti Rasul s.a.w., tetapi berapa ramai pula yang menggunakan bekalan ibadahnya itu untuk turun ke medan perjuangan menyampaikan Islam, menghadapi kesulitan sebagaimana yang telah dihadapi oleh Rasul s.a.w.?
Ramai pula orang yang solat, tetapi kadang-kadang di luar solatnya dia menyokong sistem kezaliman dan kemungkaran.
Ramai juga orang yang berzikir dan berselawat di dalam masjid, tetapi di luarnya dia memaki hamun, mencemuh dan mengeji manusia.
Kita kagum kepada Nabi s.a.w., berarak saban tahun memuji dan berselawat ke atas Nabi, akhirnya, ke manakah kita akan membawa kekaguman kita ini?
Adakah kekaguman ini hanya bermula di hari sambutan dan akan berakhir di hari yang sama juga? Adakah kekaguman ini hanyalah hiasan di mulut kita saja dan usai berkata-kata tentang Nabi, kita bisa berkata apa saja termasuk mencaci maki dan berdusta?
Cintakan Nabi, Ambillah Islam Secara Keseluruhan
Kekaguman ini, kecintaan ini hanya akan menjadi bermakna bila kita menuruti sunnah perjuangan baginda. Apakah sunnah perjuangan baginda yang terbesar?
Mengambil dan membumikan Islam secara keseluruhan dalam hidup. Itulah kemenangan yang telah dibawa oleh Rasul s.a.w. dalam diri para sahabat dan menjadi contoh kepada masyarakat dunia ketika itu.
Itulah sunnah terbesar yang perlu kita ikuti. Rasul s.a.w. tidak datang hanya semata-mata untuk mengajar kita cara berpakaian atau jenis pakaian mana paling baik, tidak hanya semata-mata diutuskan untuk mendidik kita cara berpolitik, tidak juga semata-mata diutuskan untuk mendidik kita supaya hanya menjadi abid atau rahib 24 jam dalam kehidupan kita.
Tetapi Rasul s.a.w. datang untuk mendidik manusia supaya mengambil Islam dalam keseluruhan hidupnya. Namun, sayangnya kita yang menginginkan kemenangan Islam ini, mengambil Islam di satu sudut dan meninggalkannya pula di satu sudut yang lain.
Islam itu tidak hanya ada dalam cara berpakaian kita, tetapi ia juga wujud dalam akhlak dan peribadi kita. Islam itu tidak hanya ada dalam ibadah dan zikir kita, tetapi ia juga wujud dalam cara kita berpolitik dan menguruskan ekonomi negara. Islam itu tidak hanya ada dalam bentuk syiar-syiar yang tertentu seperti masjid, Al-Quran dan sebagainya itu, tetapi ia wujud juga dalam kesungguhan usaha dan disiplin menguruskan kehidupan.
Ada orang hari ini yang mengambil aspek-aspek tertentu sahaja daripada Islam. Baginya, itu sahajalah Islam. Itu sahajalah yang dididik Islam.
Ada orang yang memfokuskan pada aspek pembersihan jiwa dan ibadah, baginya itulah saja yang dididik oleh Islam. Ia tidak memberi perhatian dan tidak melibatkan diri dalam usaha-usaha pentadbiran, politik dan ekonomi. Baginya, Islam ini cukup dengan pembersihan jiwa dan kita pasti akan menemui kemenangan yang dijanjikan itu nanti.
Ada pula yang memfokuskan pada bidang politik sahaja. Baginya, itulah cara termudah untuk mendidik masyarakat dengan Islam. Setelah diambil alih kuasa, mudahlah untuk melaksanakan hukum-hukum Islam. Itulh tafsiran kemenangan padanya.
Tetapi adakah semudah itu?
Kalau semudah itu, maka Rasul s.a.w. tidak perlu bersusah-payah mengusahakan pendidikan untuk masyarakat dari bawah ketika berada di Makkah. Bukan baginda tidak ada peluang untuk menjadi pemimpin politik, bahkan baginda sudah ditawarkan pun oleh pembesar-pembesar Quraisy, tetapi baginda menolak. Bukan itu yang menjadi tujuan utama baginda.
Baginda juga tidak memfokuskan hanya pada duduk berzikir dan beribadah di dalam masjid semata-mata, bahkan baginda merealisasikan kesungguhan baginda dalam usaha berpolitik dan memelihara ekonomi masyarakat Islam waktu itu. Itu adalah contoh yang ada pada peribadi Rasul s.a.w., bahawa Islam itu syumul (menyeluruh) meliputi semua aspek kehidupan.
Tidak Cukup Bermain Kata, Perlu Penuhi Syarat Usaha
Islam memang syamil (sempurna), kamil (lengkap) dan mutakamil (melengkapkan).
Tetapi melaungkan slogan saja tidak akan pernah mencukupi. Begitulah juga, sebagaimana kita melaungkan slogan mencintai Nabi s.a.w., itu saja tidak akan pernah mencukupi.
Selain berkata-kata, bergeraklah membumikan usaha.
Usahalah untuk memahami Islam ini dengan baik dan realisasikanlah ia dalam akhlak kita, peribadi kita, kata-kata kita, disiplin dan kesungguhan kita.
Ramai orang yang inginkan kemenangan, tetapi disangkanya dengan hanya berkata-kata dan melaungkan slogan sudah akan membawanya dekat kepada kemenangan.
Allah akan membantu ummat ini namun bukanlah secara ajaib, tetapi melalui usaha.
Berusahalah untuk memahami Islam dengan baik. Berusahalah untuk mendalami Al-Quran dan hadis kerana itulah sumber utama yang menjadi panduan kehidupan seorang muslim. Berusahalah untuk berinteraksi dengan cara yang baik dengan semua pihak tidak kiralah sama ada yang berbeza agama, berbeza cara fikir dan latar belakang politik.
Berusahalah memperbaiki akhlak dan peribadi kita kerana itu adalah cermin yang paling ketara terhadap Islam. Nabi s.a.w. datang membawa contoh peribadi dengan akhlak yang unggul, bagaimana mungkin kita yang mengatakan kita cinta kepada baginda berakhlak dengan akhlak yang buruk pula?
Berusahalah juga untuk memperbaiki kesungguhan dan keseriusan kita dalam menjaga ibadah, disiplin menuntut ilmu, membaca, berfikir dan berdakwah.
Penutup : Penuhi Syarat Dan Bergeraklah Menuju Kemenangan !
Mari perbaiki kehidupan kita, kehidupan masyarakat dan ummat kita.
Maulid Nabi bukan sekadar untuk disambut dengan melafazkan kecintaan di mulut, tetapi ia harus dibuktikan dalam usaha kita.
Bagaimana mungkin kita mengatakan kita cinta kepada Nabi s.a.w., tetapi kita leka berada di atas katil-katil keselesaaan dan kesenangan sehingga melalaikan kita dari tugas-tugas untuk beribadah, memperbaiki dan meningkatkan prestasi diri kita sebagai seorang muslim?
Bagaimana mungkin kita mengatakan kita cinta kepada Nabi s.a.w., tetapi kita biarkan diri kita dihanyutkan oleh arus nafsu sehingga membuatkan kita seringkali tertipu dengan dunia dan selalu berharap pada kepentingan-kepentingan duniawi serta melupakan masa depan kita di akhirat?
Mari perbaiki cara kita mencintai Nabi s.a.w.
Cinta Nabi s.a.w. harus disertai dengan kesanggupan, kesungguhan dan keseriusan kita untuk memahami Islam dan menyampaikannya pula kepada masyarakat.
Inilah cinta yang sebenar. Ini jugalah cinta yang telah menautkan generasi awal. Mereka tidak hanya sekadar menerima Islam untuk diri mereka sahaja menjadi soleh, tetapi mereka berusaha pula dengan penuh kesungguhan untuk menyampaikannya kepada orang lain.
Ummat yang memahami Islam ini semakin lama semakin membesar dan bertaut pula di atas keimanan kepada Allah. Akhirnya, setelah syarat-syarat kemenangan itu mereka penuhi, maka tidak ada apa lagi yang tinggal ketika itu melainkan, kemenangan itu milik Islam !
January 23, 2013
Kehidupan: Birthday Rasulullah, kita, dan ajaran baginda.
Maulid Nabi.
Kebiasaan di Malaysia, akan ada perarakan, program-program mengingatkan ummah semula kepada Rasulullah SAW, akan ada banyak ceramah fasal maulidur rasul, dan pelbagai lagi. Jika di Jordan, maulidur rasul tidak semeriah di Malaysia dari segi program-program, perarakan dan sebagainya. Namun di Jordan, tidak perlu menanti maulidur rasul, kerana Rasulullah SAW itu seakan-akan sebati dengan majlis-majlis ilmu, suasana ilmiah, yang berjalan sepanjang hari di sana. Kadang, orang-orang Arab ini apabila bergaduh, dan dilaungkan kepada mereka – Sollu ‘Alan Nabiy! – mereka akan berhenti, bertenang, menghormati selawat ke atas Rasul SAW. Suasana yang susah hendak kita temui di Malaysia, walaupun saban tahun menyambut Maulidur Rasul dengan meriah.
Bid’ah kah menyambut Maulidur Rasul?
Saban RabiulAwwal, akan berlaku perbahasan, apakah bid’ah menyambut Maulidur Rasul?
Sebuah negara arab, saya tidak mahu sebut negara mana, para ulama’nya tegas menyatakan bahawa menyambut Maulidur Rasul adalah haram. Sampai kenyataan itu dikeluarkan pada muka hadapan akhbar. Namun, sekitar sebulan kemudian, tiba hari lahir Raja negara arab tersebut. Para ulama’ yang menyatakan bahawa menyambut Maulidur Rasul itu adalah haram kerana bid’ah, sibuk menggalakkan rakyat negara tersebut agar menyambut hari lahir Raja dengan sebab menunjukkan rasa cinta dan berterima kasih kepada amir yang menjaga negara selama ini. Situasi yang menyedihkan pada saya.
Penjelasan mudah – Memang Rasulullah SAW, dan para sahabat tidak menyambut maulidur rasul. Kerana saya tidak nampak keperluan mereka menyambutnya. Zaman mereka bersih, dekat dengan Rasul, sahabat-sahabat masih hidup, dan jahiliyyah juga tidak hebat merosakkan komuniti ummat Islam yang gagah ketika itu. Tetapi hari ini, ummat mula lemah, dan masyarakat mula rosak. Jahiliyyah ada di internet, televisyen, radio bahkan di taman-taman. Idola-idola lain dimunculkan dari Korea, Jepun, Hollywood, Hong Kong bahkan di Malaysia sendiri. Maka di mana salahnya kita jadikan bulan kelahiran baginda sebagai checkpoint agar Ummat cakna, peka, sensitif dengan Rasulullah SAW, dan ajaran baginda?
Namun saya setuju adalah salah jika kita ada-adakan ibadah khusus untuk Maulidur Rasul seperti puasa maulidur Rasul, zikir khas maulidur Rasul, dan sebagainya yang jelas menambah-nambah dalam agama. Namun buat program kebaikan yang bersih dari unsur pemujaan dan penambahan ibadat baru, maka di mana salahnya?
Birthday Rasulullah SAW, Kita dan Ajaran Baginda.
Namun apa yang menyedihkan adalah apabila kita bagai nak rak menyambut birthday Rasulullah SAW dengan pelbagai acara, tetapi pempraktisan ajaran baginda Rasulullah SAW itu tidak kita laksanakan pun dalam kehidupan kita. Kadangkala, maulidur Rasul itu kita layan seperti adat turun temurun. 12 RabiulAwwal, cuti, program Rasul. Masuk Bulan RabiulAwwal, mesti sebut fasal Rasulullah SAW. Habis sahaja bulan RabiulAwwal, Rasulullah SAW pun habis. Ini adalah penyakit.
Kita bukannya menyambut Maulidur Rasul untuk mengingati baginda pada hari tertentu, pada bulan tertentu semata-mata. Namun kita mahu menjadikan Maulidur Rasul sebagai checkpoint, agar kita boleh terus menerus mencintai baginda untuk hari-hari seterusnya, sambil menyebar luas ajaran baginda.
Tetapi apakah itu yang kita usahakan?
Cara sambutan Maulidur Rasul itu sendiri perlu kita perhatikan. Kita perlu pastikan bahawa program Maulidur Rasul kita adalah program yang mampu memberikan impak maksima kepada ummah dan masyarakat. Seakan-akan Rabiul Awwal adalah bulan kemuncak dalam kita hendak mempromosikan Rasulullah SAW sebagai rahmatan lil alamin dan ajaran baginda.
Bukan pemujaan kepada batang tubuh Rasulullah SAW itu yang perlu difokuskan. Tetapi hakikatnya apa yang perlu kita fokuskan adalah sikap kita terhadap ajaran baginda, dan bagaimana ajaran baginda itu hendak diterapkan dalam kehidupan kita. Itu yang sepatutnya menjadi fokus.
Rasulullah SAW dan Kita.
Jika kita mengkaji sejarah dan Sirah Nabawiyyah, kita akan mengetahui bahawa tiada tarikh yang tepat untuk hari lahir baginda. Cuma disepakati adalah Rasulullah SAW lahir pada Bulan RabiulAwwal, hari Isnin. Manakala tarikh secara tepat, tidak diketahui. Ada yang mengatakan 2hb RabiulAwwal, ada yang mengatakan 8hb, ada yang mengatakan 12hb, ada juga yang mengatakan 22hb.
Jelasnya, atas khilaf ini, kita dapat melihat 2 perkara.
1 – Jelas baginda tidak menyambut tarikh lahir baginda. Jika baginda sambut, sudah pasti tiada khilaf.
2 – Yang mengawal ilmu adalah Allah SWT. Jelas, Allah SWT sendiri merahsiakan tarikh lahir baginda secara tepat daripada kita.
Persoalannya, mengapa?
Jawapan saya: Kerana fokus Islam bukanlah pemujaan kepada individu. Kita kasih dengan Rasulullah SAW, namun kita bukan memuja baginda. Kita kasihkan Rasulullah SAW bersebab. Kerana Allah kasihkan baginda. Itu sebabnya. Fokus Islam adalah pada ajarannya, pada ketundukan kita kepada Allah SWT, pada kita mengimarahkan bumi ini agar tunduk kepada perintahNya. Bukannya mengangkat satu individu, dan memuja-mujanya. Bukan.
Kerana itu, Maulidur Rasul, jika mahu diadakan, hendaklah diadakan selari dengan fokus sebenar Islam ini. Kita menyelak Sirah Rasulullah SAW, bukan untuk menjadi pemuja Rasulullah SAW. Namun untuk belajar daripada baginda, bagaimana hendak meneruskan perjuangan baginda di atas muka bumi ini. Penerusan perjuangan Islam itu adalah fokus sebenar.
Maka jangan rasa sudah menjalankan tugas kita dengan sekadar berarak keliling kampung, buat majlis peringatan terhadap Rasulullah SAW, buat majlis selawat dan sebagainya dalam Bulan Rabiul Awwal sempena Maulidur Rasul ini. Ini hanya checkpoint sahaja.
Fokus sebenar adalah pada penerusan perjuangan baginda, penyebaran Islam untuk dijadikan sebagai ustaziatul alam(mahaguru alam).
Kita sambut Maulidur Rasul, buat pelbagai majlis agar orang ramai kembali kepada ‘track’ yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Namun jika kita sambut Maulidur Rasul sekadar untuk mengangkat dan memuja seorang manusia bernama Muhammad, maka itu nyata Rasulullah SAW pun tidak ajar. Jika baginda ajar, pastinya baginda yang akan anjurkan agar orang sambut birthday baginda saban tahun.
Penutup: Makna Sebenar Mencintai Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna keimanan seseorang dari kalangan kamu selagi mana aku ini tidak dicintai olehnya melebihi anak-anaknya, ibu bapanya, dan seluruh manusia di atas dunia.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka apakah makna cinta kepada Rasulullah SAW?
Ketika Rasulullah SAW wafat, para sahabat gempar dan merasakan dunia seakan-akan telah tamat. Umar RA mengembarkan pedang di tengah jalan, dan melaung: “Barangsiapa yang mengatakan bahawa Rasulullah telah wafat, maka akan aku cantas kepalanya!” Dan ada beberapa para sahabat yang menutup pintu, bermuram durja, sedih teramat sangat dengan pemergian baginda.
Namun Abu Bakr RA ketika itu, menghentikan tangisannya dan berkata: “Wahai Rasulullah SAW, andai air mata ini ada gunanya buat dikau, maka aku akan menangis hingga kering.” Kemudian dia keluar menenangkan ummat, dan melaung: “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” Surah Ali Imran ayat 144.
Kemudian Abu Bakr dipilih menyandang jawatan Khalifah yang pertama, seterusnya bergerak memperkasakan kerajaan Islam ketika itu, dan menyebarkannya.
Itulah dia cinta yang tertinggi. Meneruskan perjuangan Rasulullah SAW. Bukan mudah, apabila orang yang sangat kita cinta, hormati, sayangi, mati. Banyak gerakan di dunia ini, apabila mati Sang Ketua, runtuhlah kumpulannya. Namun Abu Bakr RA menunjukkan ‘cinta yang sebenar’ antara dia dengan Rasulullah SAW. Dia menunjukkan apa yang Rasulullah SAW mahu pada ummat ini. Itulah dia meneruskan perjuangan baginda. Tidak hairanlah, Rasulullah SAW sangat mengasihi Abu Bakr.
“Sesungguhnya manusia yang paling mententeramkan atas diriku di dalam persahabatan dan hartanya adalah Abu Bakar, dan jikalau aku mengambil seorang kekasih selain Tuhanku, nescaya Abu Bakarlah yang aku ambil sebagai kekasih, namun dia adalah saudaraku dan sahabatku.” Hadith Riwayat Bukhari.
Maka bagaimana kita dengan Rasulullah SAW?
Apa yang kita buat sebagai bukti cinta yang sebenar-benar cinta kepada baginda?
Poster : Menghidupkan Sunnah Terbesar Nabi Muhammad SAW
Rasulullah SAW itu telah mengabdikan dirinya sepenuh kepada perjuangan membebaskan manusia daripada kejahilan kepada cahaya Islam.
Baginda bergerak dengan rasa penuh cinta dan kasih sayang terhadap umatnya semata-mata kerana Rabb.
Kini, kitalah yang harus memilih samada untuk bersama-sama baginda di dalam perjuangan ini mahupun tidak.
Ayuh menghidupkan sunnah terbesar Rasulullah SAW!
“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran ayat 31)
*to download, please click here*
Agama: Hukum Fikh – Sambutan Maulid Rasul SAW
Dia pembawa Rahmat buat sekalian alam~ Picture By Umar Mita of Langit Ilahi
Saat kelahiran pembawa rahmat buat seluruh alam, selepas hari-hari berlalu tanpa panduan ilahi, selepas wanita-wanita hidup sebagai hamba pemuas nafsu, pihak yang lemah sentiasa ditindas, agama samawi disonsangkan mengikut hawa dan cita rasa, ditambah penyakit-penyakit kefasadan meratapi tubuh masyarakat, seolah tiada solusi buat mereka. Masyarakat ketika ini umpama liabiliti tiada empayar yang mahu menawan negara ini, kerana tiada kebaikan jika menjajah mereka.
Tanda cinta dan kasih Sang Pencipta pada manusia diutuskan seorang Rasul pembawa risalah ilahi, penyebar cinta buat insani, Pada bulan Rabie’ Al-Awal, Rasulullah SAW dilahirkan dari sebuah keluarga yang mashur akan kebaikannya dari generasi ke generasi. Kelahiran ini mengembirakan bumi dan seisinya malah Abu Jahal yang menjadi musuh Islam adalah orang yang paling gembira dalam menyambut kelahiran Rasulullah SAW. Inilah tanda kasih ilahi tidak membiar masyarakat terpesong dari pedoman lalu mengutus Nabi sebagai utusan.
Rasulullah SAW Lahir Berapa Hari Bulan?:
Ahli sejarah dan para ulamak bersepakat bahawa Rasulullah SAW dilahirkan pada hari Isnin, bulan Rabie’ Al-Awal dan pada tahun gajah, tetapi berselisih dalam menetapkan hari bulan kelahiran baginda, ada pendapat yang mengatakan 2,8,10,12,17 atau 22. Mashur masyarakat mengatakan 12 hari bulan,tetapi ahli falak membuat pengiraan bahawa hari Isnin pada bulan Rabie’ Al-Awal ketika tahun itu bersamaan dengan 2,9,16 dan 23 hari bulan, bukanlah 12 hari bulan.
Walaubagaimana pun, perbezaan tarikh ini bukan satu isu pokok yang menjadi perbalahan malah perbahasan dan perdebatan berkenaannya tidaklah membuahkan amal, ditambah pula tiada dalil atau asas yang kukuh bagi setiap pendapat yang dikemukakan. Maka terpulang kepada sesiapa sahaja untuk menerima mana-mana tarikh dan menolaknya.
Ia Juga Bulan Kewafatan Baginda SAW.
Bulan Rabie’ Al-Awal juga bulan kewafatan nabi saw, selepas selesai melaksanakan tugas yang ditaklifkan oleh Allah swt. Semua para sahabat tidak mampu menahan linangan air mata kesedihan daripada jatuh membasahi janggut apabila kekasih dipanggil pulang bertemu Pencipta. Tergiang-giang dibenak sahabat akan kebaikan dan kecintaan Rasulullah SWT terhadap mereka. Sehingga ada atsar dari sahabat menyebut “Laula Murabbi Ma ‘araftu Rabbi”- Sekiranya tiada murabbi aku tidak kenali Rabbku.
Malah ada sahabat ketika mengajar para tabien tentang hadis nabi, apabila menyebut sahaja “Qala Al-Habib Rasulullah SAW”- telah berkata Kekasihku Rasulullah SAW, lalu jatuh pengsan kerana kecintaan terhadap baginda. Baginda wafat pada hari Isnin bersamaan dengan 12 Rabie’ Al-Awal pada tahun 11 Hijrah.
Sambutan Maulid Nabi SAW Bid’ah?
Sebahagian daripada para ulamak mengharamkan sambutan maulid Rasulullah SAW secara mutlak tertutamanya ulamak daripada Hijjaz antaranya Imam Ibn Bazz, Sheikh Hassan, Ibn Utsaimin dan lain-lain ulamak.
Mereka berpendapat sambutan ini adalah bid’ah kerana berdalilkan beberapa tafsiran:
1. Sambutan ini tiada asas dalam Islam, malah tidak dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW maka perkara ini adalah bid’ah yang ditolak dan menyesatkan:
“Ke atas kamu sunnahku dan sunnah khulafa’ ar-rasyidin yang diberi petunjuk selepas aku, berwaspadalah kamu akan perkara-perkara baru (dalam agama), maka setiap perkara baru itu bida’ah dan setiap bid’ah itu adalah kekesatan” (Riwayat Ahmad 4/126, Tirmizi bil. 2676)
2. Sambutan maulidul rasul menyerupai penganut Kristian, penganut kristian mempunyai perayaan tersendiri dalam menyambut sambutan kelahiran Nabi Isa AS, sedangkan Rasulullah SAW melarang umatnya menyerupai kaum kafir malah mengarahkan agar berbeza dengan mereka. Rasullah menyebutkan dalam dua buah hadis:
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia sebagian daripada mereka” (Riwayat Imam Ahmad 2/50, Abu Daud 4/314)
“Berbezalah kalian dengan orang-orang musyrik” (Riwayat Muslim Bil. 259, 1/222)
3. Mereka juga berpendapat bahawa menghidupkan bid’ah dalam sambutan maulud akan membuka pintu untuk melaksanakan bid’ah-bid’ah yang lain serta membuatkan umat islam bermalasan dalam sunah-sunah rasululullah saw.
Dibenarkan Sambut Maulid Rasul SAW:
Terdapat juga beberapa ulamak yang menganggap sambutan ini bukanlah bid’ah dholalah tetapi adalah harus dalam islam antara yang berpandapat seperti ini ialah Ibn. Hajar Al-Asqolani, Dr. Ahmad Toyyib, ulamak-ulamak azhari, Habib Umar dan ramai lagi.
Para ulamak yang berpandangan boleh juga mempunyai beberapa hujah, antaranya:
1. Berdalilkan beberapa hadis yang menunjukkan betapa pentingnya untuk mencintai Rasulullah SAW dan sambutan maulidur rasul merupakan salah satu cara mengesprasikan kecintaan terhadapa baginda SAW:
“Demi Zat yang diriku berada dalam kekuasaan-Nya, tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehinggalah aku lebih dia cintai daripada orang tua dan anak-anaknya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain:
“Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mencintai aku lebih daripada orang tuanya, anak-anaknya dan manusia seluruhnya” (Riwayat Bukhari)
2. Terdapat hadis menceritakan berkenaan Rasulullah SAW berpuasa pada hari Isnin, apabila ditanya oleh para sahabat lalu baginda berkata pada hari itu aku dilahirkan dan turunnya wahyu pertama. Hal ini mengambarkan bahawa Rasulullah saw sendiri memperingati hari-hari kelahirannya dengan berpuasa pada hari Isnin.
“Dari Abi Qatadah al-Ansori RA, sesungguhnya Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa isnin, lalu baginda menjawab: pada hari itu aku dilahirkan dan wahyu diturunkan kepadaku.”
3. Sambutan maulidur rasul telah pun dilaksanakan oleh ulamak-ulamak yang terdahulu malahan berlalu generasi ke generasi, sekiranya sebahagian mengatakan bid’ah yang sesat, maka sebahagian itu telah menyesatkan beberapa generasi yang sebelum ini. Amalan ini adalah selaras dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Apa-apa yang dipandang oleh umat Islam sebagai suatu amalan yang baik, maka ia adalah baik di sisi Allah, dan apa-apa yang dipandang keji oleh umat Islam sebagai suatu amalan yang keji maka ia adalah keji disi Allah”
Kesimpulan: Jangan Biar Bermusim
Setelah diteliti kedua-dua pendapat, saya secara peribadi melihat bahawa pendapat yang mengharamkan secara mutlak melihat isu ini sebagai isu akidah dan ibadah selaras dengan sebuah kaedah fikhiyah Al-Aslu fi Ibadah Muharamah (Asal dalam Ibadah Haram) manakala pendapat yang bertentangan melihat hukum ini dari sudut cara memperingati Rasulullah saw. Isu ini sudah lama dibincangkan oleh para ulamak, kebanyakkan membenarkan.
Secara peribadinya juga, saya melihat sambutan ini dibenarkan dalam Islam dan memperingati kekasih SAW sepatutnya dijalankan setiap hari dengan kita mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW, tetapi dalam menghadapi zaman yang penuh dugaan dan serangan jahiliyah, sambutan-sambutan ini dilihat sebagai satu stesyen kepada umat Islam dalam memperingati Rasulullah SAW agar umat islam terus sedar.
Tambahan juga perlu dilihat apa yang diisi dalam sambutan tersebut sekiranya syarie tidak bertentangan dengan syara’ maka ia dibenarkan, tetapi jika ia diisi dengan kemaksiatan seperti percampuran antara lelaki dan perempuan maka haram sambutan tersebut. Sebagai penutup, seorang muslim sepatutnya hari-hari adalah hari memperingati kelahiran Rasulullah SAW, tidak bermusim, kecintaan terhadap nabi sentiasa berkembang mekar dalam jiwa sanubari. Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi, Wahai orang-orang beriman berselawatlah ke atas Nabi. Allahumma Solli ‘ala Muhammad. Wallahu ‘Alam.
Rujukan:
Ar-Rahiq Al-Makhtum, Imam Mubarakfuri
Fil Bidayah Wa An-Nihayah, Imam Ibn Katsir
Al-Hawi li Al-Fatawa, Imam As-Suyuthi
Sulthon Al-Ulamak, Syeikh Izz Ad-Din Bin Abd. Salam
Fatawa Ibn Bazz
Komik: Benarkah C.I.N.T.A?
Antara faedah berselawat adalah:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w bersabda;
“Sesiapa yang berselawat kepada-ku sekali selawat
nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu..”
[HR Muslim, Tirmizi, Abu Dawud, Nasa'i, Imam Ahmad dan Ibn Hibban]
dan lagi..
Dari Anas r.a bahawa Nabi s.a.w., bersabda;
“Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu
pada hari qiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah
orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku di dunia..”
[HR al-Baihaqi]
dan lagi..
Dari Ibn Mas’ud r.a. bahawa Nabi s.a.w bersabda;
“Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari qiamat ialah
orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.”
[HR Tirmizi]
dan banyak lagi!!
Tak ambil masa yang banyak pun untuk berselawat.
dimana2 tak kira masa..
sambil tunggu pensyarah datang, sambil duduk tunggu bas, sambil berehat.. pun boleh.
Ayuh! sama-sama; saya dan teman-teman semua..
untuk perbanyakkan selawat kita.
Salam maulidur rasul. Sollu ‘alan Nabiyy.
January 22, 2013
Something I left behind
“The memories left behind”
Picture by ~LorenzoDiFolco of deviantart.com
http://lorenzodifolco.deviantart.com/...
Azzam typed a text message to his mother on his HTC Incredible S.
“Assalamualaikum. Mama, how are you? I left something at home T_T”
It has been a while since the last time Azzam contacted his mother, once a week is already long enough what more if it is a month then. His mother must be worried sick. That morning, he wanted to say he misses her so much but he doesn’t want to use the regular phrase “I miss you” which is used by most people.
He just finished Psycholinguistics class and on the way to his next class which is Semantics. He waited while he walked.
After five minutes her mother’s reply came into his inbox “Wslm. I’m fine. Where have you been?”
English Lab 3 which is the venue for his next class was a few steps away from him, he typed a quick reply to his mother “I’ve been busy. Mama, I left something important at home only you can get it for me. I’ll get back to you. Got a class right now.”
He switched off his phone before he entered his class.
After one hour and a half his class, he got out of his class and straightly went to HS café located near the mosque.
Crashed down on one of the chairs there and switched on his phone. His phone vibrated endlessly indicating that a bunch of messages came rushing their way into his inbox.
‘Four messages from Mama’ displayed on his LED touch screen.
“How many times I’ve told you, you should pack your things well. Don’t leave anything behind! Don’t forget anything at home! I’ve reminded you again and again, time and again so that you shall not forget! So what you want now? You want me to post it for you? Don’t ever think I will post it for you. It’s not that I don’t love you but I want you to learn a lesson. If you really want it, come back home and take it yourself. Come back home straight away.”
Azzam smiled all the way. He knew his mother too well; he knew she is pissed off judging from her text message. He predicted that his mother would a long “advise” in SMS. If he is in front of her, she will definitely give him a non-stop lecture.
But he felt guilty for playing a game with his mother. He gave her a call to say his real intentions.
“Assalamualaikum. Mama. Sorry for making you worry just now” he started the conversation on the phone.
“Do you know what I left at home?” He asked his mother.
“No. You tell me” her mother as if not interested in answering.
“I left my wonderful memories with you at home. Memories only you can remember, mother” he answered.
“Why didn’t you tell me earlier?” her mother’s voice was a bit soft, not like before.
“I miss our moments together, isn’t it good for a little humor?” he replied.
“Humph” She sighed.
“Do you forgive me mama?” Azzam using a soft appealing voice.
“Okla okla.”
It is nearly time for Zohor prayer “Mama, I got a class at 2pm. Need to do some reading beforehand.”
“Oh by the way Mama, you don’t have to post what I left behind. Haha. Assalamualaikum!”