Hilal Asyraf's Blog, page 118
March 5, 2013
Poster: Falyatanafasil Mutanafisun
“Falyatanafasil Mutanafisun”
“Let The Competitors Compete / Berlumbalah Orang Yang Ingin Berlumba”
“The last of it is musk. So for this let the competitors compete (i.e. hasten earnestly to the obedience of Allah).”
“Meterainya adalah kasturi; dan untuk itu hendaknya berlumba-lumba orang yang ingin berlumba (menuju ketaatan).”
(Al-Muthoffifin, 83 : 26)
March 4, 2013
Himmah : Rugilah Mereka Yang Tidak Menjaga Masanya
~ Picture byhttp://sternenfern.deviantart.com/
Ketika duduk-duduk dengan beberapa orang sahabat baru ini, kami sempat bersembang-sembang tentang peri pentingnya masa dalam hidup kita.
Ya, bagaimana tidak penting, kehidupan kita ini saja sudah tidak dapat dipisahkan dengan masa. Kehidupan itu sendiri adalah masa. Sebab itu ada ulama’ menyatakan bahawa ‘masa itu adalah kehidupan.’
Siapa yang tidak menjaga masanya dengan baik, maka dia seakan-akan telah mensia-siakan kehidupannya.
Ramai orang ingin melakukan perkara-perkara besar dalam hidupnya, tetapi bila perkara prinsip seperti masa ini saja sudah tidak dijaga, maka ia hanya bermimpi besar sajalah !
Betapa Pentingnya Masa Di Sisi Allah
Kalau masa itu tidak penting, masakan Allah menggambarkannya dalam beberapa surah di dalam Al-Quran?
Allah menggambarkan tentang masa di dalam surah seperti surah Al-Asr, surah As-Syams, Al-Lail, Al-Fajr, dan Ad-Dhuha. Surah Al-Asr itu saja kata Imam Syafie’ :
“Jika manusia memikirkan tentang kandungan surah Al-Asr, itu sudah memadai bagi mereka.”
Menggambarkan bahawa masa adalah persoalan yang besar dalam kehidupan muslim.
Orang yang sambilewa menjaga masanya adalah orang yang tidak serius terhadap hidupnya.
Orang yang selalu melewat-lewatkan atau tidak menjaga masanya adalah orang yang lalai akan tujuan hidupnya.
Hidup kita adalah untuk berubudiah kepada Allah 24/7.
Sekiranya ada masa-masa dalam hidup kita ini telah kita bazirkan, maka bagaimana mungkin dengan masa yang telah dibazirkan itu menyebabkan kita dapat menjadi hamba Allah yang baik?
Kita telah mengkhianati sebahagian daripada amanah besar sebagai hamba Allah dalam kehidupan bila kita tidak serius menjaga masa.
Kerja Bertangguh, Tidur Banyak, Main Game, Mana Amanah Kita Dengan Masa?
Kalau kita melihat betapa kehidupan ini begitu singkat, maka kita akan berusaha memaksimumkan penggunaan masa di hayat kita ini supaya nanti tidak menjadi orang yang menyesal di depan Allah s.w.t.
Benar, kehidupan ummat ini tersangat singkat. Kalau ummat terdahulu mungkin umurnya sampai ratusan, bahkan mungkin ada yang ribuan, tetapi umur ummat ini hanya puluhan.
Sangat singkat dan pendek masa.
Maka, apa mungkin ada masa untuk kita bazirkan dalam tempoh sesingkat ini?
Ada orang yang saban hari hidupnya mensia-siakan waktunya dengan begitu sahaja. Menghabiskan masa dengan tidur banyak, main game dan menonton movie semata-mata. Saya tidak kata itu semua adalah salah, tetapi biarlah berpada-pada dan kita boleh mengawalnya.
Ini tidak. Ada yang sibuk menonton movie dan main game sampai tidak sempat menyiapkan kerja-kerja yang utama. Banyak kerjanya yang lebih utama jadi tertangguh. Bila ditanya, akhirnya diberi alasan yang sama iaitu, tak sempat.
Sebenarnya bukan tidak sempat. Tetapi tidak mengatur program hidup dengan baik.
Datang Lewat Mesyuarat Dan Program Penting, Inikah Peribadi Kita?
Satu masalah juga yang menjadi kebiasaan ‘orang-orang besar’ atau segelintir daripada kita iaitu datang lewat ke mesyuarat dan program-program penting.
Masalah yang menampakkan bagaimana wibawa dan peribadi yang ada pada diri kita.
Sama ada jenis menjaga masa ataupun jenis sambilewa saja.
Menjadi kebiasaan sesetengah orang apabila ada saja program-program besar yang melibatkan dirinya, kalau program bermula pukul 8, 8.30 jugalah yang akan menjadi pilihannya.
‘Tak pa. Sebut je 8 pagi. Mesti 8.30 juga mula tu.’
Akhirnya bila ramai yang berfikir begini, maka ramailah yang memilih untuk datang lewat. Masing-masing sudah set dalam minda masing-masing, kalau program mula pada waktu sekian sekian, kita kena datang lewat sikit setengah jam.
Inilah kegelinciran kita dalam menjaga masa.
Sepatutnya kalau program bermula pada pukul 8 pagi, kita sepatutnya datang 5 atau 10 minit awal untuk bersedia supaya program dapat berjalan dengan baik dan tepat pada waktunya. Bukannya setengah jam selepas waktu sepatutnya program bermula.
Bila kita datang lewat, maka program akan bermula lewat dan lewat jugalah habisnya. Kalau mesyuarat pula, datang lewat akan menyebabkan banyak usul-usul dalam mesyuarat tidak dapat dihabiskan perbincangannya kerana masa yang singkat.
Ini peribadi kita. Siapa kita dengan masa menampakkan betapa wibawa atau tidaknya diri kita ini.
Pemimpin yang baik adalah yang menjaga masanya.
Penutup : Masa Adalah Kehidupan, Jangan Siakan
Masa dalam kehidupan seorang muslim adalah kehidupannya sendiri.
Membazirkan masa bermakna sedang membazirkan kehidupannya sendiri.
Bagaimana mungkin kehidupan yang tersangat singkat ini kita bazirkan begitu saja tanpa diisi dengan ketaatan kepada Allah dan amal yang bermanfaat?
Hendak jadi seorang muslim yang baik, jagalah masamu.
Hendak menjadi seorang pemimpin yang baik, jagalah masamu.
Kesedaran ini perlu dibina secara serius dalam diri kita supaya kita belajar menghargai setiap detik masa kita. Bahawa tidak ada satu detik masa pun dibazirkan melainkan kita perlu isi masa-masa itu dengan baik.
Masih banyak perlu dilakukan. Diri perlu terus ditingkatkan, kelemahan dan kesilapan perlu terus dibaiki, amal perlu diteruskan, kefahaman dan bacaan perlu ditingkatkan.
Banyak. Banyak perkara lagi yang perlu kita lakukan dalam kehidupan kita.
Maka, apakah ada walau sedetik untuk kita membazirkannya?
Pastilah tidak ada.
Masa adalah kehidupan. Manfaatkan dan rancanglah ia dengan baik !
March 3, 2013
Agama: Tafsir Surah Al-Masad: Pasangan Serasi Yang Dikeji
Projek pembangunan semula ummah
Ibn Fuad of LangitIlahi
Kebanyakan perkara dalam kehidupan ini diciptakan secara berpasangan oleh-Nya. Tidak terkecuali manusia. Kebiasaannya pasangan dalam erti kata yang dieratkan dengan ikatan perkahwinan merupakan cerminan pada diri seseorang insan. Walaubagaimanapun, ia bukan sesuatu perkara yang mesti kerana merujuk kepada lipatan sejarah telah terlakar beberapa pasangan yang tidak sehaluan yang mana ada di antara keduanya yang kembali kepada-Nya dengan bahagia tidak kurang juga ada yang derita seperti isteri Nabi Nuh a.s dan Nabi Lut a.s.
Celakalah Engkau!
Sebagai pengenalan,[i] surah ini (Al-Masad) merupakan surah Makkiyah yang diturunkan sebelum hijrah baginda s.a.w dalam rangka menjernihkan aqidah kaum jahiliyah quraisy pada ketika itu. Surah ini juga merupakan salah satu bukti kenabian dengan menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan oleh Allah s.w.t bukan rekaan Muhammad s.a.w. yang akan terangkan lebih lanjut kemudian.
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ ﴿١﴾
Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!
Allah memulakan surah ini dengan celaan kepada Abu Lahab atau nama sebenarnya Abdul Uzza bin Abdul Mutalib yang merupakan bapa saudara kepada nabi Muhammad s.a.w. Surah ini diturunkan selepas peristiwa Abu Lahab mencela baginda s.a.w pada awal permulaan dakwah baginda yang mana ketika itu Allah memerintahkan untuk menzahirkan dakwah baginda bukan lagi secara bersembunyi.
Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim mengenai sebab surah ini diturunkan:
Setelah diturunkan ayat[ii] supaya Rasulullah s.a.w berdakwah secara terang-terangan, baginda mengumpulkan manusia dan berdiri di antara mereka di bukit Safa lalu beliau bertanya kepada kaum quraisy pada ketika itu:
“Jika aku khabarkan kepada kalian disebalik bukit ini ada tentera yang ingin memerangi kamu, adakah kalian akan membenarkan aku?”
Jawab mereka: “Bahkan! Kami tidak pernah melihat engkau berdusta.”
Rasulullah berkata lagi: “Sesungguhnya aku diutuskan sebagai pemberi peringatan kepada kalian daripada azab yang pedih (disebabkan perbuatan syirik menyembah berhala dan pelbagai kemungkaran).
Abu Lahab yang juga turut ada pada ketika itu lantas berkata: “Celakalah engkau sepanjang hari! Dengan sebab ini engkau kumpulkan kami?”
Maka turunlah surah ini sebagai membalas semula kata-kata kesatnya kepada nabi Muhammad s.a.w bahkan terpahat kemas dalam Al-Quran yang diulang-ulang oleh umat islam hingga ke hari ini.
Adapun jika kita teliti semula bagaimana mungkin seorang yang musyrik itu yang mencela baginda s.a.w pada awal dakwah baginda secara terang-terangan, serta-merta dibalas semula celaannya? Bukankah dia boleh bertaubat seperti mana Abu Sufyan yang pada peringkat awalnya juga mementang dakwah baginda?
Di sinilah hujah konkrit menyatakan Al-Quran merupakan daripada Allah s.w.t bukan rekaan manusia kerana hakikat seorang manusia meskipun dia seorang nabi, terbatas pengetahuan atau derianya dalam perkara yang melibat perkara ghaib kecuali apa yang dipertunjukkan kepadanya melalui jalan wahyu. Dalam peristiwa ini, ilmu Allah telah terdahulu mengetahui bahawa Abu Lahab tidak akan menerima dakwah baginda hingga kembali bertemu-Nya. Justeru, Allah merakamkan celaan ini di dalam Al-Quran.
Berbalik kepada ayat yang pertama ini, Allah menyebutkan perkataan ‘binasa’ atau ‘celaka’ kepada Abu Lahab sebanyak dua kali. Ibn Mas’ud menyebutkan bahawa binasa yang pertama adalah ke atas perbuatannya ketika itu dan binasa ke atas dirinya hingga akhir hayat merujuk kepada perkataan binasa yang kedua.
Maka tiadalah kebaikan yang dia tempa selepas peristiwa tersebut disebabkan kesombongannya untuk merendah diri dan hati dalam menerima ajakan ke arah kebaikan. Bagaimana kita? Mungkinkah kita juga dicela oleh-Nya kerana keangkuhan kita menerima kebenaran yang diturunkan? Muhasabah.
Tiada Guna Harta Benda dan Segalanya
مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ ﴿٢﴾
Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.
Ayat ini ingin dinukilkan dalam berbentuk soalan dalam pemahaman untuk mengingkari perkara tersebut yakni segala harta bendanya sama ada dikumpulkan oleh dirinya sendiri atau diwarisi oleh bapanya tidak dapat membantunya kelak. Tambahan, anak-anaknya juga tiada peluang membantunya sebagai mana disebutkan oleh Abu Lahab sendiri bahwa harta dan pewarisnya inilah yang bakal menjadi tebusannya nanti.
سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ ﴿٣﴾
Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.
Itulah seksaan yang dikenakan kepada Abu Lahab di atas keingkarannya dan perbuatan kejinya yang menghalang dakwah Rasulullah s.a.w. Juga, disebabkan ini dia dikenali sebagai ‘Lahab’ yang merujuk kepada seksaan ke atasnya berupa api yang marak.
Merujuk kepada ayat-ayat diatas, perkara yang perlu manusia ingat adalah harta benda dan anak-anak merupakan salah satu ujian dalam kehidupan. Sebab itu, keduanya tidak boleh memberi manfaat apa-apa kepada manusia di akhirat hatta di dunia jika tidak menguruskannya dengan baik. Sebaliknya, bisa menjadi hujah membantu manusia dalam menuju syurga-Nya seperti 3 perkara yang disebutkan oleh hadis nabi s.a.w[iii]:
1. Ilmu yang bermanfaat
2. Sedekah yang berterusan penggunaanya
3. Anak yang soleh yang mendoakannya
Pilihlah Pasangan yang Baik
وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ ﴿٤﴾
Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api.
Dalam usaha Abu Lahab membantutkan dakwah Rasulullah s.a.w, dia juga dibantu oleh isterinya Awra’ binti Harb, iaitu saudara perempuan kepada Abu Sufyan dan ibu saudara kepada Muawiyah atau lebih dikenali sebagai Ummu Jamil.
Dalam Al-Quran, Allah menggelarnya sebagai pemunggah kayu api. Dalam menafsirkan ayat ini, ulama mempunyai dua pandangan berbeza. Pertamanya, bahwa dia sememangnya memunggahkan kayu api yang terdapat duri padanya dan diletakkan dilaluan Rasulullah s.a.w dengan tujuan untuk menyakiti baginda. Pendapat yang lain seperti Sa’id bin Jubair mengatakan, bahwa dia pembawa kerosakan dan dosa melalui kata-kata kesatnya yang menuduh, mencerca dan memfitnah baginda s.a.w. dengan tujuan yang sama.
فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍ ﴿٥﴾
Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.
Itulah seksaan yang dikenakan kepada Ummu Jamil disebabkan kerosakan yang dia lakukan di atas dunia. Berkata Mujahid (ahli tafsir) dan beberapa ulama’ yang lain, tali-tali yang dipintal itu diperbuat daripada rantaian besi daripada api neraka yang dipakaikan dilehernya sebagai seksaan ke atasnya.
Melihat kepada peranan Ummu Jamil ini dalam membantu Abu Lahab menggagalkan usaha dakwah baginda s.a.w, perkara yang boleh kita singkap adalah bagaimana posisi seorang wanita itu amat dominan pada sisi suami. Namun, perkara yang perlu ditekankan adalah adakah kedudukan wanita itu membawa ke arah kebaikan atau keburukan.
Justeru bagi memastikan kebaikan yang kita terima, pemilihan isteri itu merupakan langkah awal yang amat penting dalam usaha membantu kaum lelaki dalam mengemudi bahtera rumah tangga seterusnya mendidik para pewaris menuju syurga-Nya. Begitu juga sebaliknya bagi kaum wanita. Tetapi adakah kita yakin kita boleh mendapat pasangan yang baik jika kita sendiri tidak berusaha berubah untuk menjadi lebih baik? Atau permulaan perhubungan dimulakan dengan kemungkaran? Bagaimana pula generasi masa depan?
3 Mac 1924
Ya. Mungkin kebanyakan kita sudah maklum bahwa tarikh perit ini merupakan tarikh kejatuhan sistem pemerintahan berteraskan khilafah. Namun, sejarah masih tetap menjadi sejarah. Ia bukan untuk ditangis kosong. Bukan hanya menitir di bibir menjadi buah bicara. Tetapi perlunya adanya perancangan yang tersusun dalam mengembalikan Islam sebagai teras utama dalam pemerintahan meski dalam bentuk apa-pun corak pemerintahan bersesuaian keadaan suasana semasa pada ketika itu.
Dalam ingin mewujudkan sistem yang berlandaskan syara’ ini, bukan hanya kerajaan sesebuah negara sahaja yang berperanan bahkan rakyatnya turut perlu mengambil posisi membentuk masyarakat supaya memahami pembawakan islam dalam segenap aspek kehidupan melalui medium yang mungkin berlainan tetapi membawa tujuan yang sama mengikut kesesuaian. Dan masyarakat yang baik ini tidak dapat terbentuk jika permulaan langkah yang melibatkan perubahan dalam DIRI seterusnya KELUARGA tidak diacu dengan baik.
Kesimpulan
Berbalik kepada surah yang mengisahkan tentang celaan terhadap Abu Lahab dan isterinya ini, jika kita tadabbur lebih dalam, kita dapat kaitkan kisah ini dengan diri kita. Abu Lahab dan isterinya diseksa dan dicela kerana secara umumnya mereka berdua menjadi penghalang kepada dakwah baginda s.a.w.
Oleh itu, koreksi semula diri kita. Dengan kehadiran kita di dunia ini berdasarkan sikap dan perwatakan kita adakah menyebabkan dakwah islam itu tidak bisa tersebar luas bahkan lebih teruk menjadi fitnah semula kepada islam dengan perbuatan mungkar hingga kita berhak dicela seperti mereka berdua?
Wallahualam~
[i] Tafsir Hada’iq Ruh wa Ar-Raihan, jilid 32
[ii] Asy-Syuara’ :214
[iii] Sahih Muslim no.3076
Kehidupan: Membuang Karat-karat Jahiliyyah.
Saya, Ustaz Don dan Abang Amin Idris kala bersama dalam Program Forum Sayonara Jahiliyyah, yang diadakan di IPG Bangi pada 2hb Mac 2013
Jahiliyyah.
Apa itu jahiliyyah yang sering orang-orang dakwah perkatakan?
“Ini adalah sistem jahiliyyah!”
“Ini ada unsur jahiliyyah!”
Apa maksudnya?
Setelah bertahun-tahun mengikuti usrah, menjalani proses tarbiyah, dan membaca buku-buku, saya melihat jahiliyyah yang diperkatakan oleh masyarakat dakwah adalah bukan kejahilan biasa. Bukannya jahil yang bermakna bodoh tidak pandai. Bukan bermaksud tidak boleh membaca, tidak tahu mengira. Bukan bermaksud tidak pergi ke sekolah dan tidak mendapat pendidikan universiti. Bukan bermakna tidak mampu berfikir dan membuat kajian.
Namun jahiliyyah yang dimaksudkan adalah, kejahilan yang menutup kesedaran kita bahawa Allah itu adalah Ilah dan Rabb. Bahawa kita ini punya Tuhan, yang kita perlu taat dan akur.
Sistem Jahiliyyah, Unsur Jahiliyyah
Maka apakah dia sistem jahiliyyah? Apakah dia unsur jahiliyyah?
Itulah dia sistem dan unsur yang akan menjahilkan kita dari hakikat bahawa kita ini mempunyai Tuhan. Apa-apa sahaja perkara, yang menjauhkan, menganggu, merosakkan hubungan kita, kefahaman kita, dengan Allah SWT, itu adalah jahiliyyah.
Ia membodohkan kita, daripada fitrah sebenar kita bahawa kita ini berTuhan. Jelas, fitrah manusia itu dia tahu bahawa dia beriman kepada Allah SWT.
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.” Surah Al-A’raf ayat 172.
Justeru, jahiliyyah itu akan mengaburkan kita daripada kenyataan ini. Menjahilkan kita, bahawa kita ini ada Tuhan, untuk ditaati dan disembah.
Hari ini, anasir ini datang dalam pelbagai bentuk dan sistem, melalui pelbagai nama!
Melalui musik yang tidak syara’, drama dan filem yang melanggar batas Islam, majalah dan komik yang mempromosi serta menggahkan kemungkaran, iklan-iklan yang menggoda kita untuk melanggar perintah Allah SWT, sistem pendidikan yang memisahkan urusan dunia dan akhirat, sistem ekonomi yang bermain dengan riba dan rasuah, dan pelbagai lagi bentuk. Boleh muncul dengan pelbagai nama dan rupa.
Namun tujuannya satu – menjahilkan kita bahawa kita ini hidup berTuhan.
Mengikis Karat-karat Jahiliyyah
Zaman teknologi ini, jahiliyyah mudah menyusup ke dalam diri kita. Kerana datangnya daripada pelbagai arah. Televisyen, radio dan internet terutamanya, menjadi medium-medium besar yang membuatkan jahiliyyah ini menyusup, meresap ke dalam masyarakat.
Lahir-lahir sahaja seorang bayi di zaman ini, lambakan senjata-senjata jahiliyyah berlumba untuk menawan hati mereka. Belum ditambah lagi dengan jenis ibu bapa yang tidak mempersiapkan diri, tidak berusaha menjadi manusia yang taat kepada Allah SWT dalam menjadi qudwah, contoh yang baik, kepada anak mereka.
Maka bagaimana mahu mengikis karat-karat jahiliyyah ini, lebih-lebih lagi tatkala ia sudah menjadi darah daging di dalam hati dan diri?
Saya punya beberapa solusi yang saya amalkan sendiri.
1 – Membaca/Menuntut Ilmu.
Mahu atau tidak, kita semua faham bahawa, hendak menggapai sesuatu itu adalah perlu dengan ilmu. Hendak membezakan antara haq dan batil itu adalah perlu dengan ilmu. Hendak menjadi soleh itu, perlu dengan ilmu. Justeru, kita perlu besarkan jiwa kita untuk terus-terusan membaca dan mengembara. Memerhati dan belajar. Belajar, dan belajar lagi. Dari pelbagai sumber dan orang. Bukan tersekat dalam dinding taklid buta(ikut-ikutan), jumud(kesempitan), dan taksub(kefanatikan).
Paling penting, pembacaan yang paling crucial, yang langsung tidak boleh kita tinggalkan adalah pembacaan Al-Quran dan hadith. Itulah dia ‘manual’ pemberian Allah kepada kita.
2 – Mempunyai Perancangan dan Strategi.
Perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata. Karat-karat jahiliyyah, kebiasaan jahiliyyah kita, tidak akan hilang dengan tiba-tiba. Justeru, perlu ada strategi dan perancangan, untuk kita mengikisnya. Maka kita buat perancangan, rangka aktiviti, untuk menjauhkan kita dari jahiliyyah, dan merapatkan diri dengan kehidupan serta kefahaman Islam yang sebenar. Buat jadual, letakkan target apa yang hendak dicapai, kemudian laksanakan secara perlahan-perlahan, satu demi satu, sedikit demi sedikit.
Biar peningkatan kita lambat, tetapi ada peningkatan.
Dari tergopoh gapah, berubah sebentar, kemudian roboh di tengah perjalanan dek kerana tergesa-gesaan.
3 – Berkawan dengan orang yang soleh.
Hendak melakukan perubahan, di tengah bejatnya anasir jahiliyyah dalam kehidupan sekarang, maka sukar dengan berseorangan. Kita akan mudah hanyut dan larut. Justeru, kita perlu bijak mencari teman-teman yang soleh, yang mahukan perubahan seperti kita mahukan. Yang mahu juga keluar dari jahiliyyah, bergerak menjadi hamba Allah SWT yang soleh. Dengan merekalah, kita bersama merancang menghadiri usrah, penyampaian-penyampaian agama, buat diskusi/perbincangan yang menjana minda, memeriksa amalan-amalan, dan berpakat mengadakan program-program yang menarik seperti mengembara bersama, berqiyamullail bersama dan sebagainya.
Bukanlah bermakna kita langsung tidak lagi berkawan dengan rakan-rakan kita yang masih diselimuti jahiliyyah. Tinggal, kita tidak lagi mengikuti jejak langkah rakan-rakan kita yang tidak mahu keluar dari kejahiliyyahan mereka. Namun sebagai kawan, dari masa ke semasa, kita mengajak mereka untuk bersama dengan kita, meninggalkan jahiliyyah yang ada pada diri masing-masing.
4 – Ceburkan Diri Dalam Agenda Dakwah
Salah satu cara memotivasikan diri dalam meninggalkan karat-karat jahiliyyah yang melekat di dalam hati adalah dengan kita menceburkan diri ke dalam medan dakwah. Kita mengajak manusia meninggalkan karat-karat jahiliyyah itu sendiri. Kita sendiri menentang anasir dan sistem jahiliyyah. Kita berusaha memberikan sumbangan yang signifikan dalam usaha dakwah Islam. Dengan itu, jiwa kita akan lebih menginsafi jahiliyyah yang masih melekat di dalam hati, dan merasa jijik untuk terus mempunyai karat-karat jahiliyyah di dalam diri. Terasa saban dakwah kita pada manusia, seperti menampar diri sendiri. Itu akan memacu lagi diri kita untuk berubah.
Jangan malu untuk mula berdakwah. Ketahuilah bahawa Abu Bakr RA itu, setelah masuk Islam, walaupun Al-Quran belum sempurna, walau Rasulullah SAW belum lagi menggerakkan banyak projek dakwahnya, Abu Bakr RA telah menggerakkan projek dakwahnya, hingga Islamnya figure-figure besar ketika itu seperti Uthman ibn Affan, Abdurrahman bin Auf, dan Saad bin Abi Waqqas. Maka jangan berikan alasan. Ceburkan diri. Buat apa yang mampu.
Tambahan, zaman sekarang zaman teknologi. Dakwah bukanlah benda yang ekslusif. Gunakan blog dan Facebook itu sebaiknya!
Penutup: Jangan Sesekali Berputus Asa.
Berurusan dengan jahiliyyah, ketahuilah bahawasanya kita akan ada jatuh bangunnya.
Ada masa tersungkur, ketahuilah itu biasa.
Paling penting, naiklah semula. Bergerak lagi mengikis dan mencuci, hingga hilang karat-karat jahiliyyah daripada hati.
Jangan bosan bertaubat, kerana sesungguhnya Allah SWT amat mencintai orang yang mengulangi taubatnya.
“Sesungguhnya Allah itu amat mencintai orang yang sering bertaubat, dan membersihkan diri.” Surah Al-Baqarah ayat 222.
Jangan sesekali berputus asa.
Mari, bersungguh-sungguhlah kita mencuci karat-karat jahiliyyah, di dalam jiwa!
February 28, 2013
Kehidupan: Penyelesaian Bagi Semua Masalah.
Allah SWT kala menurunkan ayat Al-Quran yang pertama, Allah SWT tidak menurunkan “Berimanlah kamu!”
Tetapi ayat pertama yang diturunkan adalah: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!” Surah Al-’Alaq ayat 1.
Ini membuktikan betapa Allah SWT, walaupun Dia adalah Tuhan, dan Islam yang diturunkanNya adalah kebenaran yang mutlak, Dia tidak ‘memaksakan’ keimanan di dalam jiwa hamba-hambaNya. Tetapi Dia melorongkan hamba-hambaNya untuk mencari, memahami, mendalami, agar dapat melihat makna iman yang sebenar.
Bukti Allah SWT Menganjurkan Penggalian Ilmu dan Pencarian Kefahaman
Kerana itu, Allah SWT memberikan pilihan di dalam kehidupan insan. Bukan paksaan.
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Surah Al-Baqarah ayat 256.
Allah SWT juga membuka ruang usaha kepada manusia.
“Sesungguhnya Allah itu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah dahulu apa yang ada pada diri mereka.” Surah Ar-Ra’d ayat 11.
Dan Allah SWT melayan persoalan-persoalan manusia dalam bentuk penceritaan bagaimana Dia melayan pertanyaan Malaikat dan Nabi-nabiNya. Ini boleh dilihat di dalam Surah Al-Baqarah ayat 30, Surah Al-Baqarah ayat 259 dan 260. Ada lagi beberapa contoh di dalam Al-Quran yang boleh dipetik, memperlihatkan betapa Allah SWT tidak memberikan paksaan. Tetapi Dia membukakan ruang pencarian kefahaman terlebih dahulu, agar ketaatan yang asli muncul dari benak manusia itu sendiri.
Kita boleh melihat betapa Al-Quran wujud di dalamnya juga ajakan-ajakan agar manusia belajar dari yang lebih tahu, agar manusia melihat angkasa lepas, melihat gunung ganang, melihat haiwan seperti semut dan lebah, serta mengajak juga manusia mengembara melihat alam ini serta manusia-manusia yang dibinasakan sebelum ini.
Semua itu, agar akal manusia berfikir, dan mendapatkan kebenaran.
Al-Quran benar-benar adalah ‘huda’, yakni petunjuk, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam ayat ke-2 Surah Al-Baqarah: “Itulah dia Al-Kitab, tiada keraguan di dalamnya, petunjuk buat mereka yang bertaqwa.”
Jawapan Sebenar Kepada Semua Permasalahan.
Maka jawapan sebenar kepada semua permasalahan hakikatnya adalah ilmu.
Mahu atau tidak mahu, seseorang manusia yang inginkan peribadi yang mapan, minda yang mampu merungkai masalah serta semangat yang mampu melangkaui halangan, maka dia perlukan ilmu.
Kata-kata yang amat masyhur, walaupun saya terlupa dari mana datangnya ia, namun padanya wujud kebenaran yang nyata, kata-kata itu saya pegang selama ini.
“Hendak dapatkan akhirat, perlulah dengan ilmu. Hendak dapatkan dunia, perlulah dengan ilmu. Hendak mendapatkan kedua-duanya, juga perlu dengan ilmu.”
Kerana ilmu adalah petunjuk.
Tiada ilmu penulisan, kita tidak akan mampu menulis dengan baik. Tidak tahu apa itu kereta, kemungkinan kita akan anggap motor itu kereta. Tidak tahu hendak berbisnes, bagaimana mahu kita menghadapi sepak terajang dunia perniagaan? Dan begitulah juga apabila kita hendak menjadi orang yang soleh. Jika kita tidak tahu apa itu soleh, dan bagaimana hendak menjadi orang yang soleh, maka adalah mustahil perjalanan kita hendak menjadi orang yang soleh akan menjadi mudah.
Justeru ilmu diperlukan.
Persoalannya, dalam kehidupan kita ini, sejauh manakah kita menyediakan diri kita masa untuk mencari ilmu ini?
Jika duit adalah makanan untuk fizikal kita, jelas bahawa ilmu adalah makanan untuk minda dan jiwa. Maka, apakah kita menyediakan masa untuk penambahan dan rujukan ilmu?
Musuh Kepada Kebenaran
Apabila manusia tidak membuka dirinya untuk menerima dan mencari ilmu sebanyak yang boleh selagi dia masih hidup, maka dirinya akan terjerumus ke dalam lembah yang merosakkan.
Kita melihat betapa ramai manusia hari ini bergantung dengan beberapa figure tertentu, hingga akhirnya melahirkan ketaksuban.
Contoh:
“Kenapa enta cakap begini? Ustaz C dah cakap macam ini.”
“Ana buat rujukan sekian-sekian akhi.”
“Eh, dah Ustaz C cakap macam ini, macam inilah. Lagi nak melawan.”
Situasi begini akan hadir.
Itu belum dikira dengan segala permasalahan yang kecil-kecil pun, kita akhirnya bergantung kepada individu-individu sebegini. Sepatutnya, para ustaz, para motivator, hanyalah pemudah cara, fasilitator dalam kehidupan ini. Mereka melorongkan audiens mereka kepada sumber kebenaran, dan menyemarakkan lagi semangat untuk mencari serta menambah ilmu. Tetapi kadangkala, dek silap orientasi mungkin, ia melahirkan ketaksuban, kejumudan, dan pergantungan yang agak melampau.
Akhirnya masyarakat mula malas membaca, mencari ilmu, dalam skop yang lebih luas. Mereka lebih selesa, jika tidak tahu, bertanya terus kepada figure-figure ini tadi.
Suasana inilah yang seterusnya menimbulkan tekanan dalam diri para penyoal, apabila figure-figure ini mungkin sibuk dan tidak mampu melayan soalan-soalan yang banyak daripada mereka.
Kerana itu, kita melihat dalam sejarah silam, Imam Malik pernah didatangi oleh seorang lelaki yang membawa puluhan soalan. Majoriti soalan itu, dijawab dengan satu jawapan: “Aku tidak tahu.”
Ada yang membahaskan, Imam Malik Rahimahullah itu dengan ilmunya yang sangat tinggi, masakan majoriti persoalan dijawabnya dengan ‘tidak tahu’? Maka antara jawapan kepada perbahasan itu adalah, Imam Malik hakikatnya mengetahui majoriti jawapan itu, tinggalnya, soalan-soalan sedemikian jawapannya sangatlah jelas jika kita mengerah diri kita untuk membaca. Bukannya soalan-soalan yang memerlukan campur tangan seorang ulama’ besar.
Kerana itu, kerajinan kita membaca, ketekunan kita mengkaji, dan ketelitian kita dalam memerhati, adalah apa yang akan membantu untuk membina diri kita, seterusnya melangkah lebih hampir kepada kebenaran yang sebenarnya.
Akhir sekali, kita perlu lihat, para motivator, para ustaz dan ustazah itu, mereka juga adalah pencari-pencari ilmu. Tinggal mereka mencari ilmu lebih daripada kita. Maka mengapa, selain kita sekadar termotivasi dengan kata-kata mereka, tidak kita termotivasi untuk menjadi manusia berilmu seperti mereka juga?
Justeru, musuh kepada ilmu ada tiga.
1. Taqlid (buta)
2. Taksub (individu, kumpulan dan ideologi)
3. Ghuluw (ekstrem)
Kita perlu untuk tidak bergantung kepada satu-satu sumber sahaja. Satu-satu sheikh sahaja. Satu-satu motivator sahaja. Satu-satu kumpulan sahaja. Kita perlu luaskan pembukaan pencarian ilmu kita. Memberanikan diri membuat perbandingan, dan melakukan penilaian. Dari situlah kita akan mendapat kekuatan untuk menyelesaikan segala permasalahan.
Penutup: Ya, Tidak Mampu Membaca Semuanya.
Ilmu Allah ini luas.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” Surah Al-Kahfi ayat 109.
Memang sebagai manusia yang do’if, tidak mampu untuk kita mendapatkan semuanya.
Tetapi dengan kita memberikan masa buat diri ini menimba ilmu, meluaskan sisi pandang, dan menjadi pemerhati yang adil, kita akan perlahan-lahan mampu menggerakkan diri ke arah yang lebih baik lagi dari keadaan kita kini. Sempurna memang takkan dapat kita gapai, tetapi menjadi lebih baik, lebih berprinsip, lebih tenang, lebih lapang, lebih berpandangan jauh, lebih bersemangat, lebih matang, lebih mantap, bukan sesuatu yang mustahil.
Dengan ilmu, kita boleh mengayuh lebih jauh.
Persoalannya, siapakah yang mahu mengeraskan dirinya, berkorban masa dan hartanya, untuk mencari ilmu, di celah-celah kesempitan tuntutan hidupnya?
Sama-sama kita muhasabah.
Motivasi : Doktor, Pendakwah Yang Dicari
~ Picture by http://a-simons.deviantart.com/
Baru-baru ini, ada seorang doktor sebuah hospital Islam di Malaysia datang bertamu di Irbid dan memberi perkongsian bersama dengan beberapa orang pelajar di Irbid, Jordan ini.
Saya tidak berpeluang bersama dalam program itu. Bagaimanapun, sempat juga saya berbual-bual dan bersembang-sembang dengan seorang sahabat saya dari jurusan Dentist berkaitan dengan apa yang dikongsikan.
Katanya, hospital Islam di Malaysia itu mengambil contoh dan pedoman dari sebuah hospital Islam di Jordan ini. Ia diusahakan untuk kebajikan rakyat, bukanlah kerana mencari keuntungan sangat.
Hospital swasta yang tujuannya lebih untuk memberi khidmat kepada pesakit ini tidaklah mengambil untung yang terlalu besar seperti sesetengah hospital-hospital swasta lain. Kebiasaannya, hospital swasta akan mengenakan caj yang sangat mahal ke atas rawatan bagi penyakit-penyakit yang dirawat. Berbeza dengan hospital kerajaan yang sememangnya telah menyediakan subsidi bagi rawatan penyakit di situ.
Apapun, bukanlah itu yang saya mahu highlightkan sangat.
Saya lebih suka mahu menyentuh berkaitan dengan hospital Islam dan doktor yang bekerja di dalamnya itu sendiri. Bila saya menyebut kepada sahabat saya bahawa ada seorang pegawai besar sebuah kerajaan negeri datang ke Jordan tempoh hari kerana mahu mengambil contoh yang sama dari hospital Islam di Jordan ini, dia pun berkata kepada saya :
“Tak mudah sebenarnya. Orang yang dah ada asas Islam, dah ada kefahaman yang jelas terhadap perkara ini, barulah dia mampu melakukannya. Kalau tidak, nanti bila dah nampak duit banyak, mulalah lupa dunia.”
Menarik. Doktor yang memahami Islam, meletakkan Islam sebagai asas dalam kerjanya. Bagaimana?
Nah, mari kita lihat bersama.
Doktor, Orangnya Dicari, Tidak Perlu Mencari
Doktor, kebiasaannya pesakitlah yang akan mencarinya. Jarang pernah terjumpa ada doktor yang harus mencari pesakit dan mengajak pesakit datang ke hospitalnya atau klinik tempat dia bekerja.
Bila seseorang itu jatuh sakit sehingga memerlukan rawatan doktor, maka sudah tentu dia yang akan pergi mencari doktor.
Begitulah kerjaya doktor. Ia tidak perlu susah-susah mencari orang kerana nanti, kalau dia benar-benar berkemampuan dan berkelayakan, pasti ada pesakit yang mencarinya.
Nah, tidakkah ini satu peluang besar buat para doktor untuk memanfaatkan masa dengan pesakitnya untuk menyampaikan Islam dan mengajak manusia lebih dekat dengan Allah?
Kalau seorang daie’ (pendakwah) harus terpaksa mencari mad’u (orang yang ingin didakwah), tetapi seorang doktor mempunyai keistimewaan yang berbeza. Mad’u pula yang datang mencari dan memohon pertolongannya. Maka, kenapa tidak dimanfaatkan peluang ini sebaiknya?
Sebab Itulah Pentingnya Doktor Yang Memiliki Asas Kefahaman Islam Yang Benar
Maka, di situlah saya memerhatikan betapa pentingnya seorang doktor muslim itu memiliki asas kefahaman Islam yang benar.
Dari kefahaman yang benar inilah akan dapat menghasilkan peribadi yang jujur dan tinggi komitmennya dalam memahamkan manusia kepada Islam.
Bukanlah bermakna bila saya katakan seorang doktor itu peluangnya sebagai pendakwah sangat besar, doktor mesti memberi ceramah berjam-jam kepada pesakit seperti seorang ustaz di masjid. Tidak. Bukan itu maksudnya.
Pesakit itu pun pengsan nanti. Sudahlah tengah sakit, dengar ceramah panjang pula. Hihi.
Tidak perlu panjang pun. Cukup dengan adab, akhlak dan ambil beratnya kita dengan pesakit akan memberi kelapangan kepada hati pesakit.
Lebih molek lagi, jika doktor dapat selitkan butiran-butiran nasihat mengingatkan pesakit betapa kesakitan yang melanda mereka sekarang ini adalah ujian dari Allah s.w.t. Mengingatkan mereka kepada janji-janji dan hadiah-hadiah Allah s.w.t. terhadap orang-orang dalam ujian yang bersabar ketika dia diuji.
Ditambah lagi dengan senyuman dan sapaan lembut daripada doktor, pastilah Allah akan membantu untuk menyentuh hati pesakit dengan hidayah-Nya.
Untuk melakukan semua ini, tidak cukup sekadar tahu Islam itu hanyalah solat lima waktu, puasa, bayar zakat dan pergi haji saja, tetapi perlu memiliki kefahaman Islam yang sebenar.
Cakap Doktor Semuanya Didengari Dan Diikuti
Inilah keunikan doktor yang tidak akan tertanding oleh pekerjaan-pekerjaan yang lain.
Setiap butir perkataan dari mulut doktor itu umpama sihir kepada pesakit. Orang sedang sakit, pastilah kata-kata doktor itu didengari dengan penuh teliti supaya dapat membantu proses penyembuhan dirinya dengan lebih cepat.
Apa arahan daripada doktor, apa pantang larang ketika sakit, berapa kali perlu makan ubat, apa lagi yang perlu dilakukan selepas sudah sembuh nanti. Semua itu akan berusaha diikuti dengan baik oleh seorang pesakit.
Maka, inilah peluang yang terbaik untuk menanam dan mendidik dalam diri pesakit akan kekuatan kesihatan tubuh yang sebenar adalah terletak pada kekuatan hubungan kita dengan Allah s.w.t. Inilah masa terbaik untuk menyentuh hati mereka dengan ingatan-ingatan yang membantu mereka untuk lebih dekat dengan Allah s.w.t.
Seorang pesakit kebiasaannya, ketika dia sakit, ego di dalam hatinya berkurang seketika waktu itu. Bila ego berkurang, maka mudah sekali untuk nilai-nilai kebaikan itu disemai ke dalam hatinya.
Inilah peluang keemasan buat seorang doktor. Merawat tubuh pesakit, sekaligus berpeluang merawat juga hati pesakit.
Penutup : Doktor, Pekerjaan Menyebarluaskan Dakwah
Saya bukanlah seorang doktor, apalagi mengambil pengkhususan dalam bidang ini. Tidak, saya bukanlah orangnya. Namun, saya tidak dapat menyembunyikan lagi kekaguman saya pada kelebihan yang ada pada kerjaya seorang doktor. Sebab itu saya memilih untuk berkongsi tajuk ini.
Kerjaya lain tak kurang hebatnya. Setiap kerjaya pun ada kelebihannya yang tersendiri.
Ada orang sekadar memilih untuk berkerjaya sebagai seorang doktor kerana gaji yang besar dan hebat.
Tetapi, bagi seorang doktor muslim, tugas mengajak manusia kepada Allah itu jauh lebih besar dari gaji yang besar dan hebat itu.
Saya bukanlah orang yang selayaknya bercakap tentang hal ini kerana saya bukanlah orang dari bidang ini. Saya hanya berkongsi sekadar termampu. Maafkan saya kalau ada kesalahan dalam perkongsian saya ini.
Betapa signifikannya saya lihat tugas seorang doktor dengan kerja seorang daie’.
Semoga para doktor terus-menerus memberikan khidmat kepada masyarakat.
Untuk memiliki doktor-doktor sebegini, tidak dapat tidak asasnya itu adalah kefahaman Islam yang benar.
Semoga lahir lebih ramai doktor-doktor begini dalam industri kedoktoran kita di Malaysia. Amin !
February 27, 2013
POSTER: Sudah Terbinakah Rumah Kita?
“Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah dilakukanya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan..”
Surah al-hasyr: 18
Kehidupan: Menjejak Mimpi.
Saya mempunyai sebuah modul. Modul tersebut saya gunakan untuk penyampaian motivasi saya jika yang menjemput saya berhajatkan saya menggunakan modul tersebut.
Nama modul tersebut adalah ‘Memandang Masa Hadapan’. Modul tersebut akan mengajak peserta memasang impian, kemudian melakarkan perancangan untuk menggapai impian tersebut.
Namun, bukan modul itu yang saya ingin ceritakan pada artikel ini. Yang saya mahu ceritakan adalah, betapa pentingnya bercita-cita dan punya perancangan yang jelas.
Kemudian bersungguh atas perancangan itu.
Seorang Budak Itu.
Ketika saya berumur sekitar 16 tahun, saya menghadiri sebuah program yang dianjurkan oleh NGO HALUAN. Kem Remaja HALUAN, untuk pengisian cuti sekolah. Saya pergi mengisi masa cuti saya atas galakan Ummi dan Abah. Antara modulnya ketika itu adalah, saya dikehendaki menulis perancangan hidup saya selama 10 tahun ke hadapan. Yakni, sehingga saya berumur 26 tahun.
Saya yang ketika itu hanya berumur 16 tahun, mula melakar perjalanan hidup di dalam program itu. Ya, saya akui, banyak yang saya tulis itu tidak relevan, tidak logik, serta tidak kena. Sekadar memenuhi tuntutan program. Kerana saya masih tidak punya idea yang matang ketika itu. Namun, program itu memberikan makna yang besar di dalam hidup saya. Selepas usai melakar 10 tahun kehidupan, kami diminta melihat perancangan kami, itukah kehidupan yang mahu kami lalui?
Kami ditekankan berkenaan betapa kehidupan kita, perlu ada matlamat, perlu ada perancangan. Cita-cita tidak cukup hanya dengan sekadar lakaran kata aku mahu jadi sekian, aku nak dapatkan sekian. Tetapi perlu ada perancangan bagaimana hendak menggapainya. Perlu ada strategi, perlu ada usaha. Dan mestilah semua itu, memanfaatkan Islam.
Saya masih ingat kata-kata motivator ketika itu: “Mesti kita ini, menjadi orang yang berpagi-pagi dengan memikirkan keadaan ummat. Kita bangun dan keluar dari rumah saban hari, untuk meruntuhkan sistem jahiliyyah hari ini. Jika kita tidak mampu meruntuhkannya, cukuplah dengan berjaya melukakannya. Berhari-hari, hingga mereka jatuh satu hari nanti. Sama ada di zaman kita, atau selepas kematian kita.”
Saya terkesan.
Maka saya mula hidup dengan perancangan.
Hidup Ada Cita-cita. Hidup Ada Perancangan.
Masalah ramai orang adalah fokus. Apabila kita tidak tahu kita hendak capai apa, memang fokus kita bertaburan. Tetapi jika kita tahu kita hendak capai apa, kita akan fokus. Dengan kita mengetahui kita hendak capai apa, kita akan menyusun strategi, dan strategi kita berfokuskan untuk menggapai apa yang mahu kita capai.
Kalau kita merancang mahu menjadi doktor, maka kita fokuskan diri untuk menjadi seorang doktor yang pakar. Jangan kita sibukkan dengan benda lain yang boleh menghalang kita dari menjadi seorang doktor pakar. Jika kita mahu menjadi doktor pakar yang punya pengalaman leadership yang baik, maka pastinya dalam perjalanan kita menjadi doktor pakar itu, kita akan masukkan juga matlamat untuk aktif berpersatuan di tempat kita belajar. Itu adalah pilihan kita, bergantung kepada apa kita mahu capai sebenarnya di dalam hidup ini.
Pokoknya, mempunyai cita-cita, dan mempunyai perancangan.
Bukan sekadar ‘rasa-rasa’.
Dengan matlamat yang jelas inilah kita tidak akan menerima tanggungjawab yang bukan tanggungjawab kita, dan tidak akan melakukan kerja yang bukan kerja kita. Jauh sekali hendak menyibukkan diri dengan benda yang sia-sia.
Dengan matlamat yang jelas inilah kita akan menjadi seorang yang peka dan sensitif. Kita rasa rugi dengan masa yang terbazir, kita rasa ralat dengan kerja yang tidak bermanfaat.
Kerana kita ada cita-cita, kita ada perancangan.
Bukan Semua Kita Cita-cita Kita Akan Tercapai. Tetapi…
Gambar di atas ini adalah perancangan saya sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Jordan. Masih saya simpan kertas ini, hinggalah saya grad, hinggalah kini. Ya, banyak yang tidak terjadi.
Contohnya saya target bertunang pada Julai 2011, tetapi saya bertunang pada 18 September 2010. Contoh lain, saya target berkahwin pada Disember 2012, tetapi saya bernikah pada 07 Julai 2012. Contoh lain, apa yang tak terlihat di dalam perancangan ini adalah, saya telah mensasarkan bahawa saya mesti menerbitkan sebuah novel setiap tahun. Tetapi apa yang berlaku adalah saya menerbitkan secara puratanya 4 buah buku setahun. Contoh lain, saya tidak pernah terfikir hendak membina sebuah syarikat sendiri, tetapi dek kerana fokus kepada bidang penulisan, saya melihat bahawa bidang penulisan bukanlah fokus UTAMA saya akhirnya. Fokus utama saya adalah membina manusia yang boleh menjadi ikon kepada masyarakat. Lantas saya mengumpulkan team, membina syarikat, untuk tujuan itu. Itu semua adalah pendetailan kepada perancangan kasar di dalam gambar di atas ini.
Namun, yang berlaku atas susunan Allah itu indah.
Kita merancang, Allah juga merancang, dan perancangan Allah semestinya yang terbaik.
Tetapi apa yang perlu dilihat adalah, betapa kita memerlukan cita-cita, kemudian menjadi manusia yang punya perancangan, seterusnya mendidik diri agar berstrategi, itulah yang akan memberikan buat diri kita fokus, seterusnya kejayaan.
Ya, bukan semua benda kita nak, kita akan capai. Tetapi apabila kita mula sahaja bergerak hendak mencapai apa yang kita mahu capai, walaupun kita tidak mencapainya, kita akan mencapai banyak benda lain.
Inilah juga adalah pengajaran utama yang dibawa dalam Novel The Alchemist, karangan Paulo Coelho.
Budak itu sekarang.
Penutup: Maka Bermimpilah, Bercita-cita, Rancang, Rangka Strategi, Dan Melangkahlah.
Ketika saya masih muda, saya selalu berkata kepada diri saya bahawa Allah kurniakan manusia ini dua mata. Satu mata adalah untuk memandang masa hadapan sebagai perancangan, satu mata lagi adalah untuk memandang masa belakang sebagai muhasabah. Dan kedua-dua mata itu, bersatu untuk memandang masa kini, serta menggerakkan diri agar terus maju di masa hadapan, meninggalkan kekurangan dan kesilapan masa belakang.
Saya tidak percaya bahawa hidup ini adalah untuk enjoy dengan hiburan yang sia-sia. Hidup adalah masanya untuk bekerja keras, dan berusaha memberikan persembahan terbaik kepada Allah, dengan mengumpul bekalan bagi meniti kehidupan yang baik di akhirat. Justeru dunia menjadi medan kita bekerja, medan kita mencuba, medan kita berusaha. Kerana kerehatan sebenar itu selepas mati sahaja.
Maka, perancangan diperlukan.
Bermimpilah dengan impian-impian yang benar dan mapan, baik dan diredhai Allah, kemudian bercita-citalah untuk menggapai impian itu, jadikan ia sebagai matlamat diri, seterusnya rancang dan rangka strategi agr ianya menjadi realiti, kemudian melangkahlah!
Mungkin tidak kita gapai apa kita cita, tetapi percayalah, untuk yang bertaqwa itu, Allah janjikan kebaikan semata-mata.
“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah Taqwa, dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” Surah Al-Baqarah ayat 197.
“dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” Surah At-Talaq ayat 2-3.
Melangkahlah!
Jejak mimpi-mimpi kita!
February 24, 2013
Sisters: Tiramisu Cinta
Into the new wold ~from Umar Mita of Langit Ilahi~
Misi Menambat Hati Zauj Ketat-ketat
Misi menambat hati zauj kali ini diteruskan lagi. Sudah berjaya mengikat perutnya dengan ikan bilis berlada kegemarannya, saya bergerak setapak lagi mencuba membuat manisan buat pencuci mulut. Puas mencari resipi yang mudah memandangkan saya masih kekok untuk membuat manisan sendiri tanpa bantuan ummi di sisi. Akhirnya, resipi mudah dengan bantuan gambar dari blog ini saya ambil buat rujukan.
Resipi Tiramisu Simple (dari http://mylovelyfamily-ana.blogspot.com)
Bahan-bahan:
250ml Whipping Cream (brand Emborg)
250g Cream Cheese (brand Kraft Philadelphia)
Serbuk Koko (saya gantikan dengan Serbuk Milo)
1 sudu teh esen vanilla
setengah cawan gula castor
serbuk nescafe dan air untuk bancuhan (saya gantikan dengan serbuk koko/milo/vico)
kek span atau biskut ladyfingers
buah strawberry (mengikut citarasa dan kreativiti sendiri)
biskut oreo (mengikut citarasa dan kreativiti sendiri)
Plastic wrapper
Cara-cara:
1. Satukan whipping cream, cream cheese, esen vanilla dan gula castor. Putar dengan mixer hingga sebati bermula dengan kelajuan rendah.
2. Bancuh air nescafe/koko tanpa gula. Lembapkan kek atau biskut tadi (jangan terlalu lembik)
3. Susun kek/biskut dalam cawan atau bekas. Saya gunakan cawan kecil supaya senang nak makan.
4. Lapiskan dengan krim yang diputar tadi.
5. Lapiskan pula dengan biskut oreo yang telah dihancurkan.
6. Lapiskan dengan kek.
7. Lapiskan sekali lagi dengan buah atau boleh juga dengan biskut oreo.
8. Letak sekali lagi lapisan krim. Akhir sekali tabur serbuk koko atau milo.
Susunan tiramisu terpulang pada kreativiti masing-masing.
Saya sebenarnya sudah menderhaka dengan resipi asal penulis blog ini. Dan jika anda pergi ke mana-mana laman resipi, hampir kesemuanya mengolah sendiri mengikut citarasa masing-masing.
Percubaan pertama, saya ikut dengan teliti setiap resipi yang diberikan. Pabila zauj makan, banyak pula pendapatnya yang bertentangan dengan resipi tersebut. Terlalu manis, ada rasa pahit dan sebagainya. Lalu, saya mencuba buat kali kedua mengikut citarasa dan pendapat zauj saya. Hasilnya, zauj menambah-nambah makan tiramisu kali ini. Alhamdulillah.
Hargai Fitrah Raikan Perbezaan
Usia perkahwinan sudah menjejak ke bulan kedua. Dalam tempoh ini saya masih bertatih belajar menjadi seorang zaujah yang sempurna buat zauj yang dikasihi. Perjalanan masih jauh, tapi mengenangkan bila-bila masa sahaja Allah akan panggil diri ini pulang membuatkan saya tidak boleh bertangguh untuk terus berbakti pada beliau.
Dalam tempoh ini, kami mula menjejaki fasa memahami fitrah masing-masing. Kadangkala sifat yang disemai ketika bujang dulu mula sudah terbawa-bawa ke dalam baitul muslim kami. Sifat yang positif itu, sebolehnya dikekalkan dan dimantapkan lagi. Namun, sifat negatif itulah yang sedaya upaya cuba dibendung.
Membaca sebuah buku karangan Prof. Madya Hj. Mohd Nor Mamat, Takluk Hati Pasangan, diri saya sedikit sebanyak mula terdidik dengan buah-buah penyampaian dalam buku beliau. Saya amat tersentuh dengan bicara beliau tentang meraikan fitrah pasangan.
Kita ini sampai kapan pun x akan mampu merubah orang lain apatah lagi pasangan kita sendiri. Yang kita mampu hanya usaha serta doa. Apatah lagi bila wujud perbezaan fitrah, akan berlaku pertembungan dan ketidaksefahaman. Pabila kembali kepada fitrah, kita kembali kepada pencipta fitrah iaitu Allah swt. Kembalikan juga rasa ketidaksefahaman itu kepada pencipta fitrah kerana Dia sahaja yang tahu formula penawarnya. Proses memahami fitrah pasangan masing-masing berlaku sepanjang masa. Ada ketika, kita sudah yakin kita faham pasangan kita. Tiba-tiba esok harinya, pasangan kita berubah angin dan mula menzahirkan sikap baru. Maka, apakah kita patut kecewa kerana perlu belajar lagi? atau terus belajar menghargai fitrah dan meraikan perbezaan yang dimiliki pasangan kita?
Saya seorang yang sangat sensitif pabila ada yang menegur masakan saya. Teringat di kala bujang dulu pabila adik-adik bergurau mengatakan masakan saya tak sesedap ummi masak. Hati saya terasa hinggakan pernah terfikir untuk langsung tidak mahu memasak. Ini fitrah saya sebagai seorang wanita yang mudah bermain emosi. Hinggakan benda remeh sebegini pun ingin makan hati.
Namun, pabila zauj sendiri menegur tentang tiramisu saya, apakah saya perlu memenangkan fitrah saya yang beremosi lantas mengenepikan pendapat zauj? Menarik muka masam dan terus-terusan kecewa dengan komennya tentang masakan saya?
“Jom, kita buat sekali lagi dan kali ini kita olah ikut resipi sendiri.” Lantas ini yang terkeluar dari mulut saya. Dan zauj terus bersetuju tanda sokongan. Alhamdulillah..ingatan pada Allah menyelinap barang seketika ketika emosi belum sempat menguasai diri.
Wanita, dan mainan emosi ini bagaikan darah daging dalam diri mereka. Apakah dengan mengenepikan fitrah ini, kita mampu menakluk pasangan kita?
Kaum Adam, bertindak berpandukan logik akal dan pertimbangan yang melibatkan sedikit sahaja elemen emosi dan perasaan. Apakah dengan mengenepikan fitrah ini mereka mampu menakluk hati kita, wahai kaum Hawa?
Tidak. Inilah yang Allah kurniakan pada kita. Perbezaan yang perlu kita hargai dan hayati dalam melayari bahtera rumah tangga.
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”
(Surah Al-Hujurat, ayat 13)
Alhamdulillah, hasilnya tiramisu kali kedua lebih baik dan sedap. Malah zauj menambah-nambah. Tiada kebahagiaan yang lebih besar bagi seorang isteri melainkan melihat zaujnya bahagia dan gembira dengan hasil air tangannya. Untuk resipi kali kedua ini, saya mengikut sepenuhnya pendapat zauj. Malah zauj turut membantu di dapur sedayanya ketika proses membuat tiramisu yang kedua ini.
Kadang, kita ni gemar sangat terasa hati pabila pasangan mengomel itu ini. Jika diambil dari sudut positif, sebenarnya banyak hasil positif yang akan lahir dari situ. Tapi, jika segalanya dipandang dari sudut negatif: emosi, tindakan, lisan yang negatif, maka lahirlah hasil yang negatif. Lalu, berlakulah pertembungan dan ketidaksefahaman. Sebolehnya inilah yang ingin sangat kita elak.
Fitrah itu berkait rapat dengan Allah dan hanya dengan kembali kepadaNya sahaja kita dapat memenangi fitrah sendiri dan menghargai fitrah pasangan. Jujur saya nyatakan, sepanjang tempoh berumah tangga telah saya khatam beberapa buku berkenaan rumah tangga namun tiada satu pun yang tidak membicarakan tentang kembali kepada pencipta fitrah.
Lalu, apakah saya sendiri atau anda yang sedang melalui kehidupan rumah tangga ini hendak menafikan fitrah dan hubungannya dengan Allah begitu sahaja? Menghadapi dan menjalani alam rumah tangga ini banyak ranjaunya. Perjalanan singkat yang telah saya lalui dua bulan lalu masih terlalu sikit untuk dikongsikan berbanding ramai lagi pembaca yang telah melaluinya bertahun-tahun. Namun, perjalanan yang singkat inilah yang telah banyak mengajar dan mendidik saya untuk menghadapi bulan-bulan dan tahun-tahun yang mendatang.
Kita fahami fitrah kita baik wanita mahupun lelaki. Hargai jugalah fitrah pasangan kita. Andai rasa terlalu berat untuk mengikut rentak pasangan kita, kembalilah kepada Allah. Adulah padaNya. Lafaz Alhamdulillah, Subhanallah, MasyaAllah dan ingatan-ingatan kepadaNya jangan biar lekang dari bibir. Tambahan kita ni yang menggalas amanah sebagai isteri, itulah sebenarnya pujukan yang diajar Rasulullah kepada Fatimah tika mana beliau terasa lelah menanggung amanah rumah tangga.
Tiramisu pahit dan manis
tiramisu ~ dari fb zauj~
Percubaan pertama membuat tiramisu, saya taburkan serbuk koko diselang-selikan dengan krim. Tiramisu yang sudah siap saya simpan dalam peti sejuk kerana sedap dimakan pabila semua bahan-bahan tadi telah sebati dan sejuk. Setelah beberapa jam, saya keluarkan secawan tiramisu dan berikan pada zauj. Ketika itu, masih ada sedikit bahagian serbuk koko yang belum benar-benar sebati dengan krim. Pabila makan, di penghujungnya bagaikan terasa sedikit rasa pahit koko tadi. Sebab itu zauj tidak berapa suka dan menyarankan saya menggunakan serbuk milo.
Melihat pada situasi ini, begitu jugalah kiranya dengan apa yang berlaku dalam kehidupan rumah tangga kita. Ada manis dan pahitnya. Bila kita belum benar-benar sebati dengan semua rencah dan fitrah pasangan kita, pasti terasa pahit sedikit di mana-mana.Mungkin masih memerlukan sedikit masa untuk kita sebatikan fitrah dan rencah kita dengan pasangan kita untuk mengurangkan rasa pahit itu.
Ketika zauj memberikan komen inilah saya sudah mula ingin berperang dengan emosi. Pelik juga kerana pada lidah saya, rasa pahit itu sebenarnya boleh mengurangkan rasa manis krim dan bahan lain. Namun, saya menghormati pandangan zauj dan menerima fitrah dirinya yang lebih sukakan rasa manis.
Lewat petang setelah sedikit lama baki tiramisu yang lain berada dalam peti sejuk, baru saya keluarkan semula dan menjamu zauj makan sekali lagi. Kali ini serbuk koko dah sebati dengan bahan-bahan lain. Pabila zauj makan, langsung tiada komen tentang rasa pahit tersebut.
“Eh, dah x de pula rasa pahit koko tadi. Sedap pula krim ni bila makan dengan serbuk koko.”
“Mungkin sebab yang ini dah lama sikit dalam peti sejuk berbanding yang mula-mula makan tadi.” saya meneka.
Begitu jugalah dengan kehidupan kita. Jika kita mengalah dan menerima dengan hati terbuka, berlapang dada dengan perbezaan fitrah yang kita miliki dan belajar untuk sebati dalam rencah perbezaan pasangan, pasti akan terpadam sedikit kepahitan. Manis itu lebih menyerlah dan terasa. Pasangan akan lebih menghormati dan menghargai dan mudahan setiap perkara yang kita lakukan untuk membahagiakan pasangan kita Allah kira sebagai pahala disisiNya.
Semua ini telah Allah sebut dalam Al-Quran di mana Allah tidak menciptakan alam semesta ini dengan sia-sia. Perbezaan yang dicipta pada lelaki dan wanita juga bukanlah sesuatu yang sia-sia malah inilah yang akan melengkapkan kehidupan sebagai seorang hamba kepadaNya dan khalifah di muka bumi ini.
Kesimpulan
Saya pasti jika kita semua saling mengaitkan kehidupan yang kita jalani setiap hari dengan Allah, tidak kiralah sebagai seorang bujang ataupun berumah tangga, pasti akan kita temui bermacam bentuk hikmah dan pengajaran di sebaliknya. Petikan surah Adz-Dzariyat ayat 20-21:
“Dan di bumi terdapat ayat-ayat (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin. Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?”
Cebisan pengalaman saya ini hanyalah perkongsian di samping mengingatkan diri saya sendiri akan tanggungjawab yang lebih besar iaitu hidup demi mencari redhaNya.
Alhamdulillah, perkahwinan ini sebenarnya telah banyak mendekatkan kehidupan ini dengan penciptaNya. Patutlah Allah dan Rasulullah amat menyarankan perkahwinan. Mudahan perkahwinan saudara dan saudari pembaca juga disinari mawaddah, sakinah dan rahmah. Aminn.
Agama: Doa Yang Mustajab Datang Dari Hati Yang Tidak Terhijab
Doa dengan kerendahan hati, insyaAllah permintaan akan dikecapi
~Pengiran92 Photography~
Dalam kehidupan, sebagai seorang insan semestinya ada banyak perkara yang kita hajatkan. Menariknya adalah apa yang kita hajatkan sudah tentu berbeza mengikut suasana dan apa yang diperlukan oleh setiap manusia, tetapi kita sebagai muslim masih lagi memohon pada zat yang sama. Itu menunjukkan betapa Dialah yang maha kaya yang mampu memberikan segalanya kepada manusia mengikut percaturan-Nya.
Manusia mungkin tersilap penilitian. Banyak dalam kalangan kita tersalah sangka dalam pada ingin memohon sesuatu kepada Yang Maha Esa, kita sering mencari teks-teks doa, menunggu waktu-waktu tertentu atau menziarahi tempat-tempat yang berkaitan dengan harapan hajat-hajat ditunaikan. Bukan beerti salah berbuat demikian, namun pada hemat saya, ada suatu perkara yang perlu lebih ditekankan sebelum perbuatan itu kita lakukan. Apakah ia?
DOA
Dalam satu hadis yang direkodkan oleh Abu Abdullah Al-Hakim dalam Kitab Mustadrak Al-Hakim, ada perkara yang boleh kita ambil dari sudut perlaksanaan doa ketika kita ingin memohon diperkenankan hajat kepada-Nya. Hadis ini biasa di sebut oleh nabi ketika mana baginda ditimpa musibah. Baginda s.a.w bersabda:
اللّهُمَّ إنِي عَبْدُكَ, وَابْنُ عَبْدِك, وَابْنُ أَمَتِكَ, نَاصِيَتِي فِي يَدِكَ, مَاضٍ فِي حُكْمُكَ, عَدْلٌ فِي قَضَاؤُكَ, أَسْأَلُكَ بِكُلِّ إِسْمٍ سَمَّيتَ بِهِ نَفْسَك, أو أَنزَلتَهُ في كِتَابِك, أو عَلَّمتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلقِكَ, أو اسْتَأثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الغَيبِ عِنْدَك, أَن تَجْعَلَ القُرْأَنَ رَبِيعَ قَلبِي, وَ نُورَ صَدْرِي, وَجِلَاءَ حُزْنِي, وَ ذَهَابَ هَمِّي
.
Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMUu, anak kepada hamba lelakiMu, dan anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tangan-Mu, berlalulah penentuanMu terhadapku, hukumanMu ke atas ku adalah adil, aku bermohon kepadaMu dengan keberkatan setiap namaMu yang Engkau namakanya pada diri sendiri, atau yang Engkau turunkan dalam KitabMu, atau yang Engkau ajarkan kepada mana-mana dari penciptaanMu, atau Engkau pendamkan dalam pengetahuan ghaib di sisiMu, agar Engkau jadikan Al-Quran sebagai peneduh jiwaku, cahaya dalam dadaku, serta penghilang kesedihan dan dukacitaku. (Mustadrak Al-Hakim no.1869)
# hadis ini juga turut dirawayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, tetapi dari sanad(periwayatan) yang dhaif seperti yang disebutkan oleh Dar-AlQutni kerana terdapat seorang perawi yang tidak dikenali iaitu Abu Salamah.#
Pencerahan Hadis
Berdasarkan kepada hadis tersebut dapat kita lihat bahawa ketikamana baginda bermunajat kepada Allah sewaktu ditimpa kesusahan, baginda memulakan doa dengan merendahkan diri dengan merasai diri tidak mampu berbuat apa-apa sebagai hamba melainkan dengan bantuan-Nya. Bahkan turut menggelarkan diri sebagai anak yang datang dari dua hamba iaitu ibu dan bapa yang mana kita tahu proses kejadiannya bermula dari perkara yang hina pada tanggapan manusia.
Begitu sebenarnya permulaan doa bagi setiap manusia. Paling penting dalam berdoa adalah kerendahan hati seseorang itu terhadap yang dia minta. Tambahan maksud doa itu sendiri adalah pengharapan dari yang rendah kepada yang lebih tinggi darjatnya di samping mempunyai tujuan yang satu iaitu merasai takut yang membawa kepatuhan pada Allah semata-mata yang tanpa ada berbelah bagi kepada sesiapapun jua.
Jika seorang insan itu hanya mencari teks-teks doa yang diyakini berkesan maka kadang-kadang proses itu memakan masa dan mungkin setelah ia dijumpai perlu pula dihafal dan diingati untuk diamal dalam kehidupan sehari-hari.
Jika seseorang itu hanya mencari waktu-waktu tertentu pula, maka mungkin agak sukar itu dia menunggu kepada waktu yang disebutkan sebagai waktu yang mustajab. Begitu pula, jika mencari tempat-tempat yang mustajab, boleh jadi dia perlu mengorbankan tenaga hatta kewangan juga demi untuk menziarahi tempat-tempat tersebut.
Namun, kelebihan bagi mereka yang mendapatkan hati yang mustajab dengan merendahkan diri di hadapan Yang Esa, maka tidak kiralah apapun yang dia baca (yang mengikut syara’), pada ketikamana pun dia berdoa, atau dimana-mana sahaja dilafazkan doa, maka dia akan dapati bahawa doanya sebenarnya telah dimakbulkan oleh-Nya.
Oleh yang demikian, seperti yang saya terangkan diatas bukan salah kita mencari apa-apa bahan bacaan bahkan jika kita mampu maka doa-doa yang ma’thur(berdasarkan hadis-hadis sahih daripada nabi s.a.w) lebih utama untuk kita baca, atau mencari waktu dan tempat mustajab, tetapi hati yang mustajab itu membuka seluasnya ruang kepada manusia dalam rangka berdoa mengharap kepada-Nya.
Mustajab Doa
Suatu perkara yang perlu dijernihkan semula berkenaan mustajabnya doa ini adalah manusia seringkali beranggapan jika makbul(diterima) doa yang dia pinta, maka sesungguhnya doanya mustajab. Tetapi jika sebaliknya, ada manusia yang masih tidak putus-putus berdoa dan ia amatlah baik, namun tidak kurang juga bertindak mengatakan bahawa Allah tidak mengasihi dirinya, tidak adil kerana memberi nikmat kepada mereka yang lain dan sebagainya.
Suatu perkara kita kena ingat adalah mustajabnya doa kita adalah mengikut susunan Allah kerana Dia lebih tahu apa yang baik dan apa yang buruk bagi diri kita. Allah berfirman:
“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah:216)
Segala penyusunan yang manusia buat meski dia anggap yang terbaik untuk dirinya, namun pengetahuan Allah lebih luas dalam segala perkara terutama yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Oleh itu, kadang-kadang Allah beri apa yang kita tidak pinta dan boleh jadi tidak kita suka namun ia amatlah baik buat diri kita.
Tambahan lagi, jika Allah tangguhkan permintaan kita, sebenarnya Dia ingin kita berterusan meminta kepada-Nya kerana amat menyukai rintihan yang menggambarkan kerendahan hati pada-Nya. Mungkin juga jika Allah makbulkan permintaan kita secara serta-merta kita akan mudah lupa pada-Nya terutama selepas mendapat nikmat. Maka di sini sebenarnya terselit kasih sayang-Nya kepada kita dengan tidak mahu kita berjauhan dengan-Nya.
Selain itu, jika teliti semula, bermula daripada kita dilahirkan hingga apa yang kita ada sekarang telah banyak berlalu nikmat-Nya kepada kita. Bahkan tidak terdaya untuk kita mengekspresiasi rasa syukur atas segala nikmat tersebut. Adapun, ia tidaklah menghalang kita untuk meminta dan terus meminta kerana sesungguhnya Dia Maha Kaya.
Puji-Pujian
Surat rasmi yang hendak dihantar kepada tokoh-tokoh atau syarikat-syarikat koprat biasanya didahulukan dengan pujian atau membesarkan kedudukan pihak penerima selayaknya. Lebih-lebih lagilah apabila kita hendak menghantar ‘surat’ kepada Tuan bagi segala makhluk, maka seharusnya kita memuji-mujiNya kerana Dialah yang paling berhak atas segala pujian. Justeru, pujian ini juga menjadi salah satu adab kita memulakan doa.
Adapun suatu perkara yang perlu kita ambil perhatian, jika kita memuji manusia lazimnya dengan pujian tersebut manusia lebih cenderung untuk memberikan apa yang dia punyai. Namun, Allah tidak begitu kerana kerajaan-Nya sedia hebat. Jika tiada satu makhlukpun yang memuji-Nya maka Allah tetap hebat dan Allah dengan sifat Pemurah dan Pengasihnya masih akan memberikan manusia nikmat-nikmat-Nya.
Demikian, kita melihat dalam hadis ini memuji keadilan, keagungan Allah s.w.t dengan tujuan menampakkan kebesaran Allah kepada manusia yang lemah. Di samping itu, kita juga digalakkan untuk kita memohon doa menggunakan nama-nama yang telah Dia namakan diriNya seperti Al-Ghafur, Ar-rahim, Al-Aziz dan sebagainya.
Kesimpulan
Manusia itu fitrahnya lemah sebab itu kita dikurnia senjata doa untuk memohon kekuatan.
Manusia itu lumrahnya faqir tetapi menjadi ‘kaya’ dengan memohon dengan yang Paling Kaya.
Oleh itu, amat rugilah bagi manusia yang meninggalkan senjata yang ampuh ini kerana kesombongan dirinya terhadap Allah tuan empunya diri.