Hilal Asyraf's Blog, page 114
April 5, 2013
Kehidupan: Resepi penting membina ukhuwwah atas keimanan – TARBIYAH.
Picture by UmarMita of LangitIlahi
Selama saya menerangkan perihal ukhuwwah atas keimanan, ramai yang bertanya bagaimana hendak membina ukhuwwah yang sedemikian. Akhirnya saya sendiri terkesima. Ya, macam mana ya?
Saya sendiri tertanya-tanya. Tanpa sedar, saya perasan bahawa ukhuwwah yang saya nyatakan itu ibarat fantasi kepada orang lain. Tetapi ukhuwwah seperti itu adalah realiti buat saya. Saya merasainya. Saya melaluinya. Bahkan saya ada banyak bukti di dalam kehidupan saya. Hafiz Zainol Abidin, Tengku Muhammad Fahmi, Muhaimin Misran, Abang Ali Irfan, Abang Amru Irfan dan banyak lagi. Mereka bukannya tidak wujud di dunia ini.
Persoalannya, bagaimana ukhuwwah atas keimanan itu mampu dibentuk?
Adakah semata-mata dengan iman? Atau memerlukan satu ‘push’ yang lain?
Setelah lama berfikir, akhirnya saya mendapat satu jawapan.
Satu perkara yang saya lalui bersama semua sahabat saya itu yang saya lupa hendak ketengahkan. Pada saya, itulah resepi terpenting dalam membina ukhuwwah atas keimanan.
Itulah dia proses Tarbiyah Islamiyyah.
Iman yang diproses, iman yang tidak diproses
Keimanan itu hakikatnya perlu diproses untuk melahirkan keimanan yang berfungsi. Ramai manusia beriman, mempercayai kewujudan Allah SWT, mempercayai Rasulullah SAW, beriman kepada apa yang diperintahkan, dan beriman kepada apa yang dilarang. Beriman bahawa Islam adalah cara hidup yang hakiki. Beriman bahawa saudara dalam keimanan adalah ibarat saudara sendiri.
Tetapi keimanan ini memerlukan proses. Barulah keimanan itu mampu berfungsi. Barulah keimanan tadi mampu melahirkan ketaatan. Barulah keimanan tadi mampu menjauhkan diri kita daripada kemungkaran. Barulah ukhuwwah atas keimanan mampu direalitikan.
Proses itulah yang bernama Tarbiyah Islamiyyah.
Hal ini dibuktikan, dengan Rasulullah SAW menjalankan proses tarbiyah ini kepada para sahabatnya. Baginda bukan semata-mata Rasul yang membawa dakwah. Tetapi baginda juga adalah Rasul yang menjalankan tarbiyah. Ini dibuktikan apabila sesiapa yang beriman dengan baginda, akan dibawa menjalani proses tarbiyah.
Contoh proses tarbiyah yang dijalankan oleh Rasulullah SAW dalam hal ukhuwwah.
Contoh terbesar adalah apabila Rasulullah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Ini adalah satu proses tarbiyah. Kebersamaan mereka, waktu-waktu mereka berkongsi susah senang bersama, waktu-waktu mereka perlu mengorbankan sebahagian harta dan kesayangan mereka untuk sahabat mereka, itu semua membina keeratan dan saling percaya mempercayai satu sama lain. Memperdalam ta’aruf dari sekadar mengenali nama kepada mengenali hati.
Itu belum dikira dengan di dalam peperangan mereka berkongsi makanan, ada satu kisah ketika para sahabat menggali parit Khandaq, ada seorang sahabat menawarkan kepada Rasulullah untuk memakan kambing kuah di rumahnya. Rasulullah mengajak seluruh 3000 orang sahabatnya berkongsi kambing kuah di dalam satu periuk.
Semestinya punya kesan yang mendalam.
Ditambah pula saat mereka bertemu lutut dan lutut ketika mengikuti majlis-majlis Rasulullah SAW, ketika mereka rapat-rapat duduk sehingga tiada sehelai daun mampu gugur ke bumi kerana rapatnya tubuh mereka saat mereka mendengar penyampaian Rasulullah SAW. Ini semua adalah tarbiyah.
Ditambah lagi dengan mereka duduk di satu tempat yang sama, saban hari berjumpa di Masjid An-Nabawi, menjalani kehidupan sebagai mukmin bersama-sama dan berjuang atas perjuangan yang sama. Berkongsi masalah dan sering saling ingat memperingati satu sama lain. Hinggakan apabila Abu Dzar Al-Ghifari bergurauan dengan Bilal bin Rabah dengan memanggilnya ‘anak hitam’, Rasulullah menegur bahawa padanya masih ada sisa jahiliyyah, Abu Dzar pantas merendahkan kepalanya ke tanah meminta Bilal memijaknya untuk membalas perbuatannya. Bilal tidak pula membalas, bahkan memaafkan.
Ini semua memperkukuhkan ukhuwwah mereka.
Menguatkan keimanan mereka.
Proses tarbiyah itulah yang diperlukan
Saya baru perasan yang saya dengan sahabat-sahabat saya tadi menjalani proses yang sama. Di MATRI, kami makan setalam, kami rapat-rapat duduk apabila ada majlis. Apabila ada perkhemahan, kami berkongsi khemah, merasai kesusahan bersama, merasai kemanisan bersama. Kami sering duduk bersama-sama menerima pengisian itu dan ini, kami sering menjalani program-program bersama di tempat itu dan ini. Kami sering bertemu, menjalani modul-modul tarbiyah itu dan ini.
Kefahaman Islam itu terbina dalam diri kami, dan daripada kefahaman Islam itulah kami memahami bahawa kami perlu saling menghargai. Aku dan dia adalah sama. Dia adalah aku. Aku adalah dia. Dia sahabat aku. Dia adalah keluarga aku. Perasaan itu muncul selepas melalui proses tadi. Proses yang bukan sebentar. Memakan masa. Tetapi melahirkan ikatan yang tiada taranya.
Proses inilah yang melahirkan ukhuwwah atas keimanan.
Melalui proses ini, keimanan itu diperkukuhkan. Menjalani proses itu bersama-sama, ukhuwwah itu muncul. Dengan keimanan yang telah diperkukuhkan tadilah, ukhuwwah itu dihargai.
Merasai bahawa sahabat itulah nyawa kita.
Menyebabkan bagaimana berbeza pun umur kami, kami tetap mampu bersama-sama.
Penutup: Hendak melahirkan ukhuwwah yang erat, proses tarbiyah adalah indikator utama
Berbeza dengan mereka yang tidak menjalani proses, ukhuwwah tidak akan mampu terbina atas keimanan yang mentah. Hal ini kerana, kepayahan yang dikongsi bersama sepanjang proses, kemanisan yang dirasai bersama sepanjang proses, adalah apa yang menyebabkan ukhuwwah itu menjadi dalam dan kukuh.
Proses ada pelbagai bentuk. Orang yang tidak mengambil proses tarbiyah islamiyyah juga mampu mempunyai hubungan yang kuat.
Tetapi saya tidak menceritakan sekadar ‘kekuatan hubungan’ semata-mata. Saya hendak menceritakan adalah ‘kekuatan hubungan yang membawa kita kepada Allah SWT dan ke Syurga’. Yang itu, hanya mereka yang menjalani proses tarbiyah Islamiyyah sahaja yang mampu menghasilkannya.
Hingga terasa seakan-akan hati ini terikat dengan mereka. Kasih dengan mereka. Sayang dengan mereka. Cinta akan mereka. Tidak rela mereka dimakan oleh jahiliyyah. Sanggup berhabis wang, berkorban masa, hatta kalau diperlukan sanggup memberikan nyawa, agar dapat bersama mereka ke syurga. Hubungan ini menjadi bukan sekadar untuk berseronok bersama, berduka bersama. Tetapi menjadi hubungan yang mengimpikan masuk syurga bersama-sama.
Hingga melihat wajah mereka sudah mendapat kekuatan. Apatah lagi bersama-sama mereka dalam beramal. Memang tiada bandingan.
Semua ini adalah dengan proses tarbiyah.
Tanyalah Hafiz, tanyalah Fahmi, tanyalah Muhaimin Misran, tanyalah Abang Ali Irfan. Sekiranya mereka membaca artikel ini, saya pasti, mereka akan mengakui apa yang saya bicarakan.
Betul tak antum? Kita ini rapat sebab proses tarbiyah kan?
Kalau bukan sebab kita ini lalui proses tarbiyah, mustahil kita seperti hari ini bukan?
Semoga perkongsian ini bermakna buat semua.
April 3, 2013
Umum: “Habibi, Jom Solat Tepi Abi”

Photo by Umar Mita
Tahun lepas, saya hadiri khutbah Jumaat sebelum datangnya bulan Ramadan. Alhamdulillah, khutbah tersebut mengulas tentang bulan Ramadan yang bakal menjelma. Walaupun khutbah agak mendatar kerana khatib totally membaca teks, tetapi mesej yang ingin disampaikan itu tetap penting. Saya mengaku, saya tidak dapat menghadam kebanyakan isi khutbah tersebut kerana terlalu ‘asyik’ memikirkan betapa mendatarnya penyampaian khatib dan kerana saya senang hilang fokus apabila mendengar penyampaian yang sebegitu rupa. Astaghfirullah.
Mungkin diri saya perlu diperbaiki. Mungkin penyampaian khatib perlu diperbaiki.
Well, at least, saya tidak tidur. Alhamdulillah.
Selepas khatib selesai membacakan doa dan bilal melaungkan iqamah, para jemaah berdiri memenuhi saf-saf. Alhamdulillah, semuanya cepat memenuhi saf-saf hadapan walaupun tidak begitu rapat. Kelihatan rongak di beberapa tempat. Saya berusaha untuk merapatkan saf saya. Saya bergerak seperti ketam, berlaga kaki dengan pak cik di sebelah kiri, dan menjemput pak cik di sebelah kanan saya untuk turut merapatkan saf.
Saya bersiap sedia untuk mengangkat takbir.
Sebelum imam memulakan takbir, dia berkata:
Kanak-kanak di saf belakang. Jangan bising-bising.
Hati saya tertusuk mendengar kata-katanya itu, sehinggakan solat saya sedikit terganggu. Alahai, dah la nak khusyuk dah susah bangat dah. Tiba-tiba kena ganggu dengan benda macam ni pulak.
Jom Fikir Sejenak
Kalau kita letakkan sekumpulan budak-budak kecil dalam satu bilik selama sejam dan kita pesan kepada mereka untuk jangan main-main dan diam, agak-agak mereka boleh ke dok diam?
Bagi saya, sukar untuk saya expect mereka untuk diam. Even kalau budak-budak tak kenal antara satu sama lain, mereka akan bercakap-cakap jugak. Bukan susah budak-budak nak berkawan. Tak macam orang dewasa. Jiwa budak-budak free. For sure mereka akan main-main.
Nak salahkan mereka? Mana boleh. Itu sememangnya zaman untuk mereka bermain. Let kids be kids. Kalau kita sekat mereka daripada bermain time kecil-kecil, takut-takut mereka akan qadha time dewasa pula. Tak ke haru-biru tu.
Kalau begitu keadaannya, kenapa kita expect budak-budak untuk dok diam-diam dalam “saf kanak-kanak” semasa solat? Apatah lagi sepanjang 8 rakaat solat terawih? Itu baru 8 rakaat, belum sembang 20 rakaat lagi.
Apabila mendengar imam berkata begitu, saya membayangkan apakah yang bermain di fikiran kanak-kanak apabila mendengar kata-kata imam tersebut.
“Oh, saf-saf depan untuk orang-orang tua je.”
“Aku ni tak cukup baik ke?”
“Dah ada geng aku kat sebelah ni, camna nak senyap?”
Kita letakkan mereka di belakang bersama rakan-rakan mereka. Bila mereka bising, kita menjeling atau menengking. Selepas itu kita hairan kenapa kanak-kanak tidak sukakan masjid.
For sure, takkan ada orang yang ingin mendidik anak-anak untuk menjauhi masjid. Semua hendak anak-anak mereka dekat dengan masjid dan sayangkan masjid. Tetapi kita kena berusaha untuk match niat kita dengan perbuatan kita. Jangan kita ingat dengan hanya membawa anak-anak ke masjid, secara automatic mereka akan sayangkan masjid. Membawa anak-anak ke masjid itu satu cerita, mendidik mereka supaya sayangkan masjid itu cerita lain.
Adik Saya
Saya ada seorang adik lelaki yang berumur 11 tahun. Kadang-kadang saya akan mengajaknya untuk ke masjid. Alhamdulillah, dia mudah untuk menerima ajakan saya.
Satu malam, saya mengajaknya untuk solat Isyak di masjid berdekatan. Dia ikut. Kami sampai sebelum azan Isyak lagi. Apabila kami melangkah masuk dalam masjid, secara automatic dia terus bergerak ke bahagian belakang masjid. Saya hairan. Saya mengajaknya untuk ke saf pertama kerana saf itu kosong. Saya melihat mukanya serba salah dan dia memandang ke kiri dan ke kanan seolah-olah sudah anticipate ada orang yang akan menghalangnya untuk ke hadapan. Tetapi, dia ikut saya juga.
Keadaan ini mengganggu diri saya. Mengapa perlu saya mengajak adik saya sebegitu rupa? Sepatutnya dia akan terus rasa terpanggil untuk ke saf pertama. Sesiapa yang datang awal maka dia akan dapat saf pertama betul tak? Bukan ke kita patut rebut saf tu? Jadi, kenapa dia ragu-ragu?
Kalau dia berdiri di saf pertama, apakah dia patut bergerak ke “saf kanak-kanak” di belakang apabila imam ingin memulakan solat? Mereka yang tua dapat saf pertama walaupun mereka datang lewat? Adilkah?
Sepanjang saya berada di Kanada, sering kali saya melihat si kecil bersolat di tepi ayahnya. Tak kira sama ada dia berada di saf paling belakang atau saf paling hadapan. Walaupun ada juga yang liar ketika jemaah sedang solat, ramai juga yang saya lihat jinak bersolat di tepi orang tuanya. Tekun memerhati apa-apa sahaja yang dilakukan oleh gurunya itu. Mereka yang liar ketika solat perlu dididik untuk menghormati solat, bukannya diletakkan di saf belakang. Itu tidak menyelesaikan masalah. Malah, mungkin mengundang masalah-masalah yang baru.
“Saf kanak-kanak.” Seolah-olah ada had umur untuk mereka “layak” ke hadapan dan menikmati pahala berada di saf hadapan. Sampaikan saya pernah melihat satu signboard di masjid yang meletakkan dengan spesifik had umur untuk “saf kanak-kanak” tersebut.
“Bawah 7 tahun berada di saf ini.”
Satu Harapan
Saya impikan masjid yang mesra kanak-kanak. Saya ingin mendidik anak-anak saya nanti untuk solat di tepi saya. Bagi saya, itu antara quality time saya dengan mereka. Apakah yang lebih indah daripada solat bersama-sama anak-anak tersayang?
Saya ingin mereka sayangkan masjid, bukan kerana itu taman permainan mereka. Tempat mereka bersembang-sembang dan berlari-lari dengan rakan-rakan mereka. Saya pernah melihat kanak-kanak yang membawa toys mereka ke masjid, seolah-olah mereka sudah plan untuk bermain di masjid dengan rakan-rakan. Saya ingin mereka sayangkan masjid, kerana itu rumah Allah. Saya juga ingin mendidik adik saya untuk sayangkan masjid. Jadi, saya sering kali mengajaknya untuk solat di tepi saya atau dekat dengan saya.
Selepas khutbah tentang Ramadan itu tamat, saya tanya adik saya tentang khutbah yang disampaikan. Dia tahu khutbah tersebut ialah mengenai Ramadan. Bagus la tu, at least dia tahu apa tajuknya. Apabila saya minta dia berikan apa-apa pengajaran yang dia dapat, dia blank. Satu pun dia tidak mampu berikan. Satu pun tak boleh? Bila ditanya, dia kata orang-orang di sekelilingnya bising.
Cuba teka dia berada di mana?
Di saf belakang, bersama kanak-kanak yang lain.
Umum : Menggerakkan Politik Yang Bersih Dan Matang
~ Picture by obrolanpolitik.blogspot.com
Parlimen telah diumumkan pembubarannya semalam, 3 April 2013. Pembubaran ini menandakan juga bahawa pilihan raya akan bermula dalam tempoh 60 hari bermula semalam. Begitu jugalah kempen-kempen bagi parti-parti politik yang bertanding.
Barangkali ramai yang menunggu waktu pengumuman pembubaran parlimen ini semalam, terutama anak muda. Saya dapati banyak update status di Facebook tentang pembubaran parlimen ini. Meriah seperti pengumuman raya pula perasaannya.
Apapun, tempoh kempen yang telah bermula sejak pengumuman pembubaran ini pastilah akan berlangsung dengan penuh sengit ditambah lagi kempen yang memang telah bermula secara tidak rasmi daripada parti-parti yang terlibat dalam Pilihan Raya Umum 2013 kali ini.
Saya tidaklah mahu memanjangkan perbincangan berkaitan PRU 2013 ini. Saya lebih suka untuk menyentuh berkaitan dengan keperluan untuk kita menggerakkan politik yang bersih dan matang, baik sebelum, semasa mahupun selepas PRU ini nanti.
Bagaimana suasana politik itu berlangsung, itu akan menentukan dan mencorakkan sedikit sebanyak cara fikir masyarakat kita. Sebab itu pentingnya untuk kita gerakkan politik yang bersih dan matang. Biar suasana politik yang berlangsung dengan baik ini akhirnya mampu membentuk cara fikir yang baik juga dalam masyarakat.
Asas Pertimbangan Kita Dalam Melibatkan Diri Menjadi Pengundi, Pemerhati, Penyokong Mahupun Pendokong
Ramai orang yang kadangkala menjadi terlalu ekstrem kala telah menjadi penyokong atau pendokong kepada sesebuah parti. Tidak ada salahnya untuk menyokong mana-mana parti yang kita rasakan mampu memberi manfaat kepada kita, tetapi yang salahnya adalah apabila bersikap melampau dalam menyatakan sokongan.
Sebab itu, biar apapun peranan kita sama ada sebagai pengundi, pemerhati, penyokong mahupun pendokong bagi mana-mana parti, kita letakkan asas pertimbangan kepada segala tindakan kita adalah akhlak dan moral.
Islam sendiri sangat menitikberatkan perihal akhlak ini. Bagaimana Allah menyebut dalam surah Al-Qalam perihal akhlak menandakan bahawa akhlak itu adalah sesuatu yang tinggi kedudukannya dalam Islam.
“Sesungguhnya kamu berada di atas akhlak yang mulia.” [Al-Qalam : 4]
Akhlaklah yang menjadi senjata utama Nabi s.a.w. untuk memikat lebih ramai orang untuk memeluk Islam.
Bahkan, Nabi s.a.w. sendiri pernah menyatakan, “Sesungguhnya aku ini diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”[HR Bukhari]
Jika kita meneliti semula hadis ini, kita akan dapati bahawa pada diri manusia itu sebenarnya telah ada basic morality. Nabi s.a.w. datang hanya untuk mencungkil dan mengasah semula basic morality itu supaya berjalan sesuai dengan apa yang Allah mahukan.
Sudah tentu asas akhlak ini adalah asas yang perlu dimiliki oleh semua sama ada muslim atau bukan ketika melakukan pertimbangan sebagai pengundi, penyokong mahupun pendokong. Bagi muslim, perihal akhlak ini lebih-lebih lagilah dituntut kerana Al-Quran sendiri mendidik seorang muslim ke arah itu, bahkan ada satu surah yang disebut sebagai surah adab iaitu surah Al-Hujurat. Sungguh memalukan jika seorang muslim yang mendakwa mendokong perjuangan Islam tetapi bersikap kotor dengan melontarkan kata-kata kesat serta melakukan fitnah terhadap lawannya.
Akhlak yang baik dan bersihlah akan mengawal segala tindakan kita daripada berlaku kegelinciran dan sikap melampau yang berlebih-lebihan.
Politik Lucah Dan Fitnah Bukan Budaya Kita
Kita dapati, tidak sedikit kegelinciran akhlak yang memalukan berlaku dalam kalangan masyarakat kita ketika berplitik terutama di kalangan muslim.
Kadangkala, kegelinciran ini berlaku kerana sokongan dan dokongan di atas dasar emosi semata-mata dan tidak dipandu oleh ilmu dan rasional yang benar.
Sekarang ini, trend melakukan super impose ke atas gambar ataupun video sangat biasa dan mudah sangat dilakukan dengan kecanggihan teknologi dan software yang bercambah. Trend sebegini kalau digunakan ke arah kebaikan, tidak menjadi masalah. Tetapi masalahnya adalah ia selalu digunakan untuk mereka-reka bahan fitnah dan lucah ke atas orang lain.
Akhirnya daripada kes yang tidak ada bertukar menjadi ada, masalah yang memang tidak pernah diketahui ada pun kemudiannya timbul dan menjadi bahan perbincangan, kesan daripada kerja-kerja super impose pada hal-hal yang tidak baik ini.
Para pelaku kerja-kerja sebegini biar dari parti manapun, kalau hal ini diada-adakan, mereka sepatutnya menyedari berbohong ke atas sesuatu yang tidak ada ini adalah maksiat yang besar kesannya.
Dalam satu mafhum hadis yang bermaksud : “Barangsiapa yang menipu, dia bukanlah daripada kalangan kami.”[HR Muslim]
Kesan fitnah sebegini sekiranya tidak ada hanya akan menyusahkan orang-orang yang telah difitnah sekaligus juga menimbulkan kekeliruan dan kekacauan dalam masyarakat. Bahkan, menyebar-nyebarkan sesuatu yang tidak ada pun sebenarnya ini tidaklah mampu membantu mendidik cara fikir masyarakat menjadi semakin baik, bahkan hanya menyebabkan proses pembodohan itu semakin berkembang kerana persepsi yang disebarkan tidaklah berasas kepada fakta dan perkara yang benar-benar berlaku.
Begitu juga caci maki, kata-kata kesat, sumpah seranah kita ke atas lawan kita.
Kita boleh untuk tidak bersetuju dengan mana-mana parti lawan kita, yang tidak menjadi pilihan kita, tetapi untuk memakinya, melemparkan kata-kata kesat kepadanya, itu tidak sepatutnya berlaku.
Saya mengambil contoh Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar di Kelantan. Saya dapati ada sesetengah laman sesawang bahkan di Facebook sekalipun, yang mencaci maki dan memberi gelaran tidak baik kepada beliau hanya kerana berbeza wadah politik. Bahkan ada yang sampai menggelarkan beliau sebagai ‘bapa kafir, bapa dajjal’ dan pelbagai lagi cacian serta gelaran yang tidak baik.
Saya kira, cacian dan makian ini hanya akan memburukkan lagi suasana dan peribadi kita dalam berpolitik. Saya tidak hanya menyebut perihal beliau sahaja. Kalau hal ini terkena pada orang lain juga, prinsip kita tetap sama. Apakah faedah yang kita perolehi daripada caci maki dan memberi gelaran sebegini? Dan apakah benar orang yang kita caci maki itu seteruk caci maki kita itu? Sampai-sampai menggelarkan orang yang kita tidak bersetuju dengannya sebagai kafir, maka di manakah telah gugurnya keserhanaan akhlak dan peribadi kita sebagai muslim?
Bukankah Allah s.w.t sendiri telah berfirman dalam surah Al-Hujurat yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman,janganlah satu kaum mengolok-olok kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok) dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari perempuan (yang mengolok-olok). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk …” [Al-Hujurat : 11]
Ramai orang yang ingin melakukan perubahan atau inginkan kemenangan atas parti pilihannya, tetapi akhlak dan peribadi yang buruk selalu mencacatkan perjuangan mereka. Natijah yang kita harapkan bukanlah semata-mata memperoleh kemenangan dalam pilihan raya itu sahaja, bahkan pemberian hak yang sepatutnya kepada rakyat, penerusan akhlak dan peribadi yang mulia, itulah kemenangan yang lebih memaknakan.
Bila Kita Menerima Berita, Biasakan Diri Mengkaji, Bukan Bulat-Bulat Menerima
Politik biasanya adalah permainan persepsi.
Persepsi-persepi ini kalau tersebar, adalah menjadi kewajipan untuk kita mengkaji dulu berita-berita tentang persepsi ini.
Apakah ia benar-benar berlaku?
Apa pentingnya perkara ini tersebar dalam masyarakat?
Apa kaitan perkara yang tersebar ini dengan hak umum rakyat?
Kaji, itulah sikap yang telah Allah didik kita dalam surah Al-Hujurat :
“Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang fasiq membawa berita, maka kajilah kebenarannya…”[Al-Hujurat : 6]
Ada orang yang ketika berita datang kepadanya, langsung ia menerima dan mempercayainya, lantas terus memberikan hukuman terhadap orang yang dikaitkan dengan berita itu. Berita-berita sebegini banyak tersebar di media-media sedia ada hari ini seperti Facebook, televisyen, Youtube dan sebagainya.
Kadangkala, tersebar berita dan gambar tentang pemimpin-pemimpin tertentu di laman-laman media ini, maka kajilah dahulu sebelum kita menyebar-nyebarkannya. Dibimbangi nanti kita turut berkongsi dosa ke atas perkara yang bohong dan fitnah.
Sebab itu, jangan landaskan politik kita di atas permainan persepsi semata-mata, binalah ia di atas hujah dan fakta yang benar. Cari dan kaji isu-isu yang benar-benar berkaitan dengan hak rakyat, statistik kedudukan ekonomi negara, masalah rasuah, hak pendidikan dan pelbagai lagi isu yang lebih utama untuk diketengahkan berbanding mengetengahkan isu persepsi yang belum pasti kebenarannya.
Bina Politik Bersih Dan Matang Atas Asas Ilmu Dan Hujah
Saya sangat memuji usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak seperti Sinar Harian dan juga pihak lain dalam mendidik rakyat untuk berpolitik dengan cara yang bersih dan matang.
Dialog, diskusi dan debat adalah antara wacana yang perlu dilazimi dalam budaya berpolitik di negara kita.
Wacana sebegini selagimana berlangsung dengan baik atas perkara-perkara yang penting, yang melibatkan hak keadilan rakyat umum, hak pendidikan dan sebagainya, maka tidak ada masalah.
Kita bukanlah melangsungkan debat kerana ingin satu pihak menang ke atas pihak yang lain, ataupun kerana ingin memalukan satu pihak yang lain. Kita melangsungkan debat kerana ingin mencari titik keseimbangan dan keadilan dalam melakukan penilaian.
Bila wacana sebegini dilazimi, maka rakyat akan dididik untuk sentiasa mengkaji dan menilai dengan adil. Bahkan, rakyat tidak hanya akan menerima berita berbentuk satu hala lagi, tetapi diimbang cara fikir dan cara nilai dengan adanya dialog dua hala. Kita dapat mendengar kerelevanan idea dan menilai kemampuan mereka yang ingin menjadi pemimpin dan wakil kepada rakyat dalam mentadbir negara, sekaligus dapat membuat penilaian yang adil.
Hal sebegini sudah tentulah sangat berbeza melalui penyampaian bersifat satu hala seperti mana yang berlaku di sesetengah media utama negara pada hari ini.
Bila penyampaian banyak berbentuk satu hala, maka proses check and balance (periksa dan imbang) tidak dapat dilakukan dengan baik, dan keputusan yang lahir di atas pertimbangan pun selalunya menjadi berat sebelah sekiranya tidak diusahakan untuk mengkaji apakah pula idea perjuangan yang telah dibawa oleh pihak yang lain.
Media yang ada, terutama media utama negara sepatutnya bertindak sebagai alat yang neutral dalam menggerakkan pendidikan, cara fikir dan cara politik yang baik. Barulah dengan ini, proses pembudayaan politik di atas hujah dan fakta dapat berlangsung dengan baik.
Penutup : Kita Gerakkan Politik Yang Bersih Dan Matang !
Sepanjang tempoh kempen ini, bagi mereka yang menjadi pengundi, penyokong mahupun pendokong ataupun yang sekadar menjadi pemerhati tegar, jangan pernah surut untuk melakukan istikharah dan memohon pertolongan dari Allah dalam membantu menentukan siapakah pilihan terbaik untuk terus mentadbir negara.
Kita berpolitik ini bukanlah kerana merebut kedudukan, tetapi kerana ini adalah sebahagian daripada tuntutan Islam dan politik itu sendiri adalah untuk kita mengangkat nilai keadilan Islam dalam pemerintahan.
Sebab itu, pentingnya untuk kita hindari kempen-kempen dengan cara yang lucah dan fitnah serta tidak bermaruah. Biar kita berpolitik dengan akhlak dan peribadi yang mulia, yang dididik oleh Islam.
Politik yang baik hasilnya sepatutnya semakin mengangkat nasib dan martabat rakyat, bukan mengangkat tinggi lagi kediaman wakil rakyat !
Mari gerakkan politik yang bersih dan matang, yang berdiri atas asas ilmu dan hujah. Yang bebas dari fitnah dan lucah. Yang bersih dari rasuah. Bersih dari caci maki, samseng dan kata-kata kesat.
Semoga dengan ini, kita dapat membentuk masa depan sebuah negara dan masyarakat yang lebih baik !
Kita gerakkan !
Poster: Resist Anger
“Resist Anger”
“The strong man is not the one who can overpower others. Rather, the strong man is the one who can control himself when he gets angry.” (HR Ahmad)
How to deal with anger?
The Prophet (s.a.w.) said: “If a man gets angry and says, ‘I seek refuge with Allah,’ his anger will go away.” (Saheeh al-Jaami‘ al-Sagheer, no. 695)
The Messenger of Allah (s.a.w.) said: “If any of you becomes angry, let him keep silent.” (Reported by Imam Ahmad, al-Musnad, 1/329; see also Sahih al-Jaami‘, 693, 4027)
The Messenger of Allah (s.a.w.) said: “If any of you becomes angry and he is standing, let him sit down, so his anger will go away; if it does not go away, let him lie down.”
Berita: Cahaya Mata Pertama, Tahniah Kepada Hilal Asyraf
Bismillahirrahmanirrahim,
Alhamdulillah, segala puji kepada Allah ArRazzaq, yang memberikan rezeki kepada sekalian manusia.
Bagi pihak LangitIlahi, kami mengucapkan tahniah dengan penuh kegembiraan buat Pengasas LangitIlahi, Saudara Hilal Asyraf dan isteri beliau di atas kelahiran cahaya mata pertama , sang puteri yang comel lagi bercahaya di Pusat Bersalin Barakah, Bandar Puteri, Klang. Semoga dengan kehadiran cahaya mata pertama ini memberikan kebahagiaan dan kekuatan buat beliau dan isteri mengorak langkah membina baitul dakwah yang diredhai Allah SWT.
Semoga Saudara Hilal Asyraf terus gencar dengan perjuangan beliau memimpin kami di LangitIlahi membina umat menjadi peribadi mulia dengan keimanan dan ketaqwaan.
Kami doakan agar puteri comel beliau mendapat kebaikan di sisi Allah dengan lafaz doa;
اَللَّهُمَّ أَلْهِمْهُ التَّأْوِيْلَ وَعَلِّمْهُ الْحِكْمَةَ
(Allhummal hamhuttakwil wa a’llimhulhikmah)
Maksudnya: Ya Allah, ilhamkannya Takwil (tafsir al-Quran) dan ajarkannya hikmah (ilmu yang tepat)
اَللَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِ وَانْشُرْ مِنْهُ
(Allahumma barik fihi wanshur minhu)
Maksudnya: Ya Allah, berkatilah padanya dan sebarkanlah ilmunya.
Salam ukhuwah, kecintaan dan kasih kami buat beliau dan keluarga.
Yang Menyayangimu,
Abu Ridhwan (Penasihat LangitIlahi)
Agama: Sifat-Sifat Manusia Dalam Al-Quran
Manusia – Banyak berbeza, namun ada perkara yang sama
Picture by Aiman Azlan Of LI
Artikel kali ini lebih santai iaitu tentang sifat-sifat manusia yang saya keluarkan daripada sebuah kamus Al-Quran[i]. Sifat-sifat ini diambil dari perkataan (إنسان) yang membawa maksud manusia dalam bahasa Malaysia. Uniknya kebanyakan lafaz yang menyebut perkataan ini disertakan lazim sifat-sifat manusia.
Tabiat Manusia
Manusia dilahirkan dalam pelbagai bangsa, agama, persekitaran dan budaya. Tetapi manusia sebenarnya mempunyai beberapa sifat yang sama yang disebutkan dalam Al-Quran yang perlu kita teliti untuk dijadikan pedoman. Adapun sifat-sifat yang tercatat pada lembaran kitab suci itu, kebanyakan bersifat negatif yang menggambarkan bahawa manusia itu lemah. Mengapa?
Seperti yang disebutkan oleh Allah s.w.t:
“Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Fatir:15)
Tiada ruang penafian bahawa Allah berkuasa atas segalanya sama ada di langit atau di dunia. Justeru itu, Allah jadikan manusia bersifat lemah supaya manusia bisa kembali kepada-Nya dalam apa jua keadaan. Namun, dengan rahmat-Nya, Dia tidak membiarkan manusia tanpa pergantungan dan jalan keluar. Lantaran itu, Allah utuskan nabi dan turunkan Al-Quran bagi memberi peringatan.
Sifat-sifat manusia
1. Lemah
Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (An-Nisaa:28)
2. Tidak Bersyukur
Dan Dia lah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur. (Al-Hajj:66)
Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar. (Fussilat:51)
Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. (AL-‘Adiyat:6)
3. Berputus asa
Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. (Hud:9)
Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa. (Al-Israa’:83)
Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah). (Fussilat:49)
4. Tidak menghargai nikmat Allah
Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (Ibrahim:34)
5. Suka membantah
Ia menciptakan manusia dari air benih, (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya. (Al-Nahl:4)
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya. (Al-Kahfi:54)
6. Terburu-buru
Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru. (Al-Israa’:11)
Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya, Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu, maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya). (Al-Anbiyaa’:37)
7. Kufur nikmat
Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah, maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah). (Al-Israa’:67)
8. Bakhil dan kedekut
Katakanlah (wahai muhammad): “jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut” (Al-Israa’:100)
9. Zalim
sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (Al-Ahzab:72)
10. Sombong
Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami, kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu) (Az-Zumar:49)
11. Tidak mengenang budi
Dan mereka (yang musyrik mempersekutukan Allah dengan) menjadikan sebahagian dari hamba-hamba Allah sebagai anak bagiNya. Sesungguhnya manusia (yang demikian sesatnya) sangat tidak mengenang budi, lagi nyata kufurnya. (Az-Zukhruf:15)
12. Resah dan Gelisah
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut)”. [Al-Maarij:19]
Disebutkan seterusnya bahawa manusia yang resah gelisah itu mempunyai dua ciri yang utama iaitu:
1. Apabila ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah [70:20]
2. Apabila diberi nikmat dia kedekut dan bakhil [70:21]
13. Mudah terpedaya
Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu – (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? (Al-Infitar:6)
14. Melampaui batas
Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), (Al-‘Alaq:6)
15. Kerugian
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. (Al-‘Asr:2)
Solusi Sikap?
Kita melihat begitu banyak sifat manusia yang disebutkan oleh Allah. Adapun, ia sebenarnya lebih banyak dari apa yang dikemukakan secara tidak langsung dari lafaz (إنسان). Tetapi adakah sifat-sifat ini berbentuk konkrit yang tidak bisa diruntuhkan dari jiwa-jiwa manusia?
Justeru itu, sebenarnya Allah jualah yang memberi solusi bagaimana untuk merobek sifat-sifat ini dari terus bersarang dalam jiwa manusia. Mungkin terdapat lebih banyak solusi yang lain. Cuma beberapa solusi yang saya rasa amat penting untuk sama-sama kita usahakan untuk menghapuskan sifat ini dari kamus kehidupan.
Pertama: Menjaga solat dengan baik
“Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya”(Al-Ma’arij:23)
Dalam menyebutkan sifat resah dan gelisah yang disebutkan di atas beserta ciri-cirinya, Allah merakamkan pengecualian selepas itu berkenaan sifat ini terhadap orang yang-yang solat dan tetap melazimi solatnya. Namun, solat ini bukan sahaja dalam rangka perlaksanaannya tetapi penjagaan terhadap solat dari segi ketepatan waktu dan kekhusyukannya. Hal ini kerana dalam ayat lain Allah menyifatkan orang-orang mukmin itu mengambil berat akan hal demikian.
Di samping itu, solat juga disifatkan sebagai suatu amalan yang bisa membersihkan manusia dari segala yang buruk dan memotivasikan diri dalam rangka berterusan ke atas kebaikan.
Kedua: Mengeluarkan sedekah
“Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum”(Al-Ma’arij:24)
Selain menjaga solat, Allah juga menyebutkan berkenaan tentang pengeluaran wang pada bukan kegunaan kita iaitu sedekah. Sedekah sebenarnya boleh menjatuhkan dinding ego dan kesombongan seorang itu daripada terus bermahkota perasaan besar diri terutama bagi golongan bangsawan. Selain daripada memberi ketenangan kepada si penerima, bersedekah membolehkan manusia merasai kesusahan orang lain disamping tidak berlaku zalim kepada mereka yang memerlukannya.
Ketiga: Berpesan kepada kebenaran dan kesabaran
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan kepada kesabaran. (Al-Asr:3)
Allah mempotretkan manusia sentiasa dalam keadaan rugi kecuali mereka yang berusaha beriman dengan sebenar-benar keimanan dengan melakukan amal kebaikan disamping turut sama berpesan kepada orang lain tentang kebenaran dan menjauhi kemaksiatan. Justeru, dalam membasmi sifat-sifat buruk yang ada dalam diri manusia, perkara yang penting adalah kita saling menasihati sesama kita kearah kebaikan supaya manusia sentiasa kembali ingat tentang hari pembalasan.
Kesimpulan
Kelemahan ini tidak dapat lari dari kehidupan manusia kerana realiti kehidupan insan itu memerlukan pergantungan kepada yang lebih besar supaya manusia terus kuat menghadapi sifat manusia yang mudah alpa dan leka terutama ketika menikmati kesenangan. Berlainan ditimpa kesusahan baru kita berebut-rebut untuk ingat kepada tuhan.
Moga dengan sedikit perkongsian ini bisa menyedarkan diri kita supaya lebih kuat untuk mengharungi cabaran demi sebuah perubahan kerana kita tidak selamanya hidup di dunia. Sampai suatu masa kita akan dijemput oleh-Nya pulang. Justeru, adakah kita tidak merasa malu kembali kepada-Nya dengan sifat-sifat yang jelek ini sedangkan Dia telah banyak memberi peringatan dalam kitab-Nya ini?
Tepuk dada tanya iman kita~
[i] المعجم المفهرس للألفاظ القرأن الكريم / Syeikh Muhammad Fuad Abdul Baqi/ ms;115-116
April 2, 2013
Pemuda: Soal Jawab Remaja – Tips Fokus Belajar
Assalamualaikum cikgu, mohon nasihat cikgu, saya sering tidak fokus dengan study saya, bagaimana cara terbaik untuk saya atasi masalah ini. Bila saya hilang fokus saya cepat rasa bosan. Macamana nak buat ni? (Syarifah Aminah – Melalui FB)
Dengan nama Allah Yang Memiliki Segenap Ilmu, Ya Allah, Tuhan yang mengajar nabi Ibrahim akan hikmah, ajarkan kami, ya Allah Tuhan yang mengajar nabi Sulaiman akan kefahaman, berilah kefahaman kepada kami.“
Alhamdulillah, soalan ini sering di tanya oleh para pelajar di setiap ceramah motivasi belajar yang saya hadir.
Baiklah, untuk sejenak, cuba bayangkan kita naik sebuah teksi, pemandunya tidak fokus ketika memandu, terhoyong hayang teksi tu. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Agak-agak kita rasa selamat tak? Apa perasaan kita? Agaknya, kita nak tak naik teksi yang pemandunya seperti ini?
Begitu juga dengan study kita. Apabila kita tidak fokus, bererti kita sedang memandu kereta study kita seperti pemandu teksi tadi. Sebab tu study kita tak lancar. Jika tidak diurusi, kita akan berdepan dengan masalah. Ada beberapa tips yang boleh dikongsikan bagaimana kita boleh meningkatkan fokus study kita. Jom kita try. J
Tips 1 – Tekan butang “pause” – rehat seketika
Berhenti dan rehat seketika. Faktor terbesar yang mempengaruhi tumpuan adalah rehat yang cukup dan ini telah diperakui oleh banyak kajian. Penumpuan memerlukan minda anda sentiasa tenang dan rileks. Tetapi pemikiran anda akan terganggu jika anda tidak cukup rehat. Pastikan anda mendapat jumlah tidur yang cukup dan pada masa yang tepat. Jangan tidur pada waktu yang tidak sesuai, ianya akan mengganggu ketenangan otak. Sebaiknya mempunyai masa tidur yang tetap, dan ini merupakan langkah utama untuk meningkatkan tumpuan belajar. Belajar dalam keadaan tidak cukup rehat akan mendatangkan rasa letih dan kepenatan.
Rancang waktu rehat anda dengan gunakan setting masa pada jam atau HP anda. Jika anda merancang waktu rehat, anda tidak akan terlepas waktu untuk menyegarkan diri, atau anda tidak pula asyik kerap berehat dan berehat. J
Kenapa perla ambil waktu untuk rehat seketika? Otak anda memerlukan masa untuk cas semula selepas ia memproses sekumpulan maklumat. Dalam beberapa kajian, berehat dan berjalan seketika akan meningkatkan daya ingatan memori kita menjadi lebih baik.
Tips 2 – Masih tekan butang “pause” lagi – muhasabah diri
Berhenti seketika dan muhasabah diri. Kenapa kita tidak fokus? Apa sebabnya? Apa puncanya? Jika kerana kita kurang keseriusan, atau kerana kita kerap membuang masa, maka perbaiki sikap kita. Check hati kita. Bagaimana hubungan hati kita dengan Allah. Anda solat tak? Doa tak? Solat sunat tak? Masa study berwuduk tak? Luruskan kembali matlamat belajar. Ambil masa rehat sebentar, tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan sambil di dalam hati katakan, Ya Allah, kuatkan diri ini! Ya Allah, berikan kefahaman kepada diri ini. Ya Allah, tolong hamba-Mu ini!
Lakukan kaedah penghapusan (zero defect) dengan istighfar. 10kali, 21 kali, 33 kali, 70 kali, 100 kali. InsyaAllah, kekuatan akan muncul. Dan kembali study.
Tips 3 – Buatlah perancangan
Sentiasa mempunyai rancangan untuk apa sahaja yang anda mahu lakukan. Rancang masa ulangkaji, masa rehat, masa bersantai, masa sosial, masa outing, masa khas dengan Allah SWT. Jika tiada perancangan maka anda akan belajar mengikut rasa hati anda. Miliki jadual hidup. Dalam jadual kehidupan adanya jadual belajar.
Tips 4 – Elakkan Gangguan dan belajar di tempat yang sesuai
Anda perasan tak, semasa kita study, dalam masa yang sama kita sering melayan FB, SMS, menonton TV or Youtube, layan panggilan masuk dan macam-macam lagi. Semua ini faktor gangguan fokus. Adalah tidak bijak untuk belajar dengan HP disisi, walaupun anda sudah set vibrate. Sebaik sahaja sms baru masuk, anda akan melihat. Kita ini manusia! Anda tidak boleh fokus pada belajar jika anda sedang berbual dengan seseorang yang lain atau melayan sms. Maka, tutup seketika HP anda.
Carilah tempat belajar yang sesuai. Terkadang, bilik tidur atau bilik darjah kita bukanlah tempat terbaik untuk belajar. Cari tempat yang tenang, selesa, ada kerusi dan meja, anda boleh duduk dengan sebaik-baiknya tanpa televisyen, komputer atau telefon bimbit dalam jangkauan anda.
Katakan Tidak! Ya, tidak pada ajakan kawan anda yang tidak penting. Ajakan kawan yang tidak penting merupakan satu bentuk gangguan fokus. Berterus terang padanya, katakan anda perlu menyelesaikan ulangkaji anda dulu.
Cari tempat yang ada ruang udara yang lancar. Jauh dari kebisingan dan gangguan bunyi. Perpustakaan atau bilik study khas adalah tempat yang terbaik.
Tips 5 – Memilih masa yang sesuai
Ia akan membantu anda meningkatkan pusat perhatian kepada study. Bilakah waktu anda belajar yang terbaik adalah saat yang paling produktif. Jika anda seorang jenis bangun pagi, maka study waktu pagi. Jika anda merupakan jenis “burung hantu”, maka study waktu malam. Anda tahu diri anda lebih baik daripada orang lain, maka tentukan masa yang terbaik apabila anda berada di kemuncak fokus anda dan kurangnya rasa letih. Ia akan menjadi lebih sukar untuk fokus jika anda sedang melawan keletihan dan masanya tidak sesuai.
Masalah utama pelajar ialah bila waktunya hendak belajar, isu ini adalah kritikal. Maka yang baik ialah belajar harus dilakukan hanya apabila anda dalam keadaan rehat yang cukup, dan memilih masa belajar yang sesuai.
Tips 6 – Memberi ganjaran kepada diri sendiri
Ini kadang-kadang membantu jika ianya boleh mendorong anda menjadi rajin . Sebagai contoh, anda mungkin mengatakan yang saya akan lakukan 30 minit kerja rumah, maka saya akan memberi ganjaran diri saya dengan 15 minit menonton televisyen atau 10minit melayari FB. Atau, setelah berjaya dari pagi hingga ke tengahari melakukan latih tubi menjawab soalan, maka sebelah petangnya outing ke bandar atau ke pantai. Lama-kelamaan, anda membina tabiat melakukan tugas tanpa mengharap sebarang ganjaran. Namun, insyaAllah jika anda jelas bahawa belajar adalah satu ibadah kepada Allah, maka anda akan punya semangat dan fokus untuk belajar kerana akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.
Tips 7 – Membahagikan tugas yang lebih besar kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil
Kadang-kadang, kita rasa beban dan tidak semangat belajar kerana kita merasakan banyak sangat tugas belajar yang perlu di buat. Maka fokusnya mula menurun. Sebaliknya, kita boleh elakkan perasaan ini dengan membahagikan tugasan anda mengikut sub topik dan keutamaan. Mulakan yang anda minat dan suka dahulu. Perlahan-perlahan anda bergerak ke bahagian-bahagian yang lain. InsyaAllah dengan cara ini dapat mengelakan rasa tertekan, bosan, kecewa dan stress.
Tips 8 – Pilih rakan belajar anda yang tepat.
Pilihlah seseorang yang serius untuk berjaya dan berfokus seperti anda. Jangan belajar dengan kawan yang suka berbual dan bermain-main, ianya hanya membuang masa anda. Memiliki rakan kongsi belajar yang osem adalah satu idea yang hebat. Anda boleh berkongsi pandangan, mengagihkan tugasan, saling berbincang dan menjawab soalan. Sewajarnya pilih seseorang yang lebih bijak dari anda. Ia kedengaran seperti sinis, tetapi banyak orang terlepas pandang akan hal ini. Jika anda mahu belajar, memilih rakan belajar yang pintar, berdedikasi, dan tidak keberatan mengajar kita. Sesi belajar anda akan menjadi lebih baik. Kumpulan belajar yang efektif akan dapat meningkatkan kuasa fokus belajar. Cuma jangan jadikan kumpulan belajar kita tempat bergosip atau mengadu domba. J
Tips 9 – Amalkan kaedah belajar yang efektif.
Sebagai contoh, disiplinkan masa belajar anda 30 minit. Gunakan alat penjaga masa samada dengan jam atau HP anda dan tumpukan belajar anda selama 30 minit tanpa gangguan. Kemudian berehat 5 minit. Kembali dan ulang lagi 30 minit dan kemudian rehat lagi. Selepas 4 sesi, berehatlah 30 minit. Pergilah ke luar, menonton tv, meregangkan otot, dan melakukan apa sahaja yang anda mahu. Kadang-kadang kita berasa berat belajar kerana apa yang kita lihat ialah bahawa kita perlu belajar selama 4 jam. Pelbagaikan pendekatan dan anda akan rasa seronok belajar. Fokus akan meningkat apabila kita seronok.
Tips 10 – Bina Kekuatan Motivasi
Apabila setiap kali anda merasa seperti hilang fokus, maka bisikan pada diri anda kata-kata yang dapat menguatkan motivasi anda untuk kembali fokus. Ingat, belajar ini adalah masa depan kita. Bukan sahaja di dunia malahan di akhirat sana. Allah menjanjikan kepada hamba-Nya yang berilmu ini kelebihan beberapa darjat.
Motivasi yang kuat khususnya dari dalam hati kita akan mendorong kita bersungguh dan berfokus. Bacalah Al Quran sebagai penguat jiwa. Bacalah buku-buku motivasi dan kisah-kisah orang berjaya. Jangan pernah tinggal untuk berdoa dan berharap. Lemah motivasi akan menenggelamkan potensi dan menggelapkan masa depan anda. Sering hilang fokus adalah mungkin kerana jiwa kita tidak tenang dan celaru. Serabut dan bermasalah. Motivasinya adalah dengan kembali kepada fitrah, carilah Allah dalam kehidupan anda.
Selamat berjaya dan menikmati saat indah menjadi pelajar!
April 1, 2013
Motivasi : Nota Tarbiyah – Tarbiyah seharusnya berkembang dan terus berkembang
Picture By Pengiran Of Langit Ilahi
—–
“ Tanamkanlah dalam jiwa anak-anak kalian kecintaan untuk berjuang di jalan Allah SWT.’’
Dr Abdullah Azzam
Nota Tarbiyah - ingin membawa kita menyusuri semula akan hakikat tarbiyah (pendidikan) diri kita. Kita semua hajatkan kepada proses ini kerana tanpanya keimanan kita tidak akan sejahtera dan kuat.
Bahkan, dibimbangi akan terus malap, gersang dan kian rosak.
Semalam, murabbi dalam perjumpaan mingguan menyentuh suatu perkara. Katanya buat renungi kita semua :
“ Hari ini, ana lihat – dikalangan adik-adik, muda-mudi dan anak-anak kita banyak membincangkan soal perkahwinan dan kahwin sahaja. Lihatlah, facebook dan blog mereka. Apa yang dibincangkan.”
Seumpama, tiada perkara lain yang lebih aula (utama) dan penting untuk dibincangkan. Tidak salah, namun seolah-olah itulah corak dan pemikiran yang mampu mereka fikirkan. Tiada agenda yang lebih besar.Sebagai individu yang melalui proses ini, lebih banyak perkara besar yang harus kita fikirkan. Tanyalah diri kita, soallah hati kita dan jujurlah dengan keadaan jiwa kita.
” Sudahkah kita memahami, meneliti dan membincangkan bahan-bahan serta buku-buku yang dapat memperingkatkan kefahaman kita tentang Islam?”
Jika ya, soal semula. Sudah berapa banyak buah buku ulama muktabar yang dibelek-belek, ditelaahi dan dibaca? Sudah ia dihadam, difahami dan dibincangkan serta dirumuskan bersama rakan-rakan?
Tersentak kami semalam, banyak sungguh perkara yang disoal dan ditanyakan murabbi yang membuatkan semua terdiam membisu. Bukan segan atau hormat kepada yang lebih berusia semata-mata.
Tetapi, kerana kami tidak tahu. Allah!
Lalu, pelbagai soalan dan muhasabah menerjah minda kami.Masa-masa yang berlalu, dengan aktiviti apakah ia dimanfaatkan? Adakah untuk tujuan peningkatan amal dan diri? Atau menghabis masa dengan dunia online seperti facebook, twitter, blogger dan sebagainya? Atau dengan dunia bacaan novel-novel cintan atau permainan gamers?
Bagaimana dengan Al-Quran? Adakah setiap hari jiwa ini mendapat sentuhan rohani daripadanya.
Bagaimana dengan zikrullah? Pernahkah melaziminya dalam setiap detik kehidupan.
Bagaimana dengan amalan-amalan sunnat yang lain? Adakah kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW atau dakwaan kosong?
Bagaimana dengan usaha dakwah? Adakah ia hanya retorik semata-mata?
Kata murabbi :
“ Wahai anak-anak muda, antum perlu perkukuhkan diri antum. Kukuhkan ia dengan hubungan dengan Allah SWT.Persiapan diri dan persediaan hati sekarang ini juga. Carilah kekuatan melalui ibadah qiamullail, membaca Al-Quran dan berdakwah!.”
“Antum perlu meningkat dan meningkat. Berkembang, berkembang dan terus berkembang.”
Menjadi pokok yang kukuh akarnya,batang yang teguh, dahan yang kuat, dedaunan yang menghijau serta hidup subur memberikan manfaat kepada sekelilingnya.
Terfikir panjang kami semalam. Allah! – Lalainya kami, lemahnya kami serta alpanya kami. Hal tarbiyah ini harus dilihat secara bersistem, serius dan terus menerus dengan konsisten.
Saya, meneliti semula sebuah taujih tulisan Dr Radwan Muhammad Sobhi mengenai tarbiyah. Susunan dan penjelasannya mengenai tarbiyah sangat mengesani dan mudah difahami. Justeru, marilah sama-sama kita semak. InsyaAllah.
Katanya :
Tarbiyah bermaksud pengembangan, iaitu peningkatan. Diriwayat oleh seorang teman Imam Ahmad bin Hanbal, yang menggambarkan kehidupan Imam, ia berkata: “Demi Allah, saya telah bersahabat dengannya selama dua puluh tahun, sama ada musim panas atau musim sejuk, ketika cuaca panas atau sejuk, pagi dan petang, apa yang saya dapati pada setiap hari beliau lebih baik dari sebelumnya”.
Tarbiyah juga bermaksud penjagaan dalam ertikata menjaga, membangun dan hidup bersama (muayasyah).
Disebutkan dari guru terbilang Imam al-Ghazali rahimahullah, ia berkata :
“ Tarbiyah bukanlah menabur benih di dalam tanah dengan harapan untuk tumbuh, tetapi bermaksud memastikan benih ini tumbuh dengan melakukan penjagaan, membuang serangga perosak yang ada di sekelilingnya, menyiram air dan melindungi dari angin kencang. Hasilnya dengan kehendak Allah bahawa benih itu akan tumbuh dan berkembang menjadi pohon yang menjulang tinggi”.
Rumusan dari apa yang mereka katakan tentang tarbiyah, ialah pengosongan dengan menghapuskan setiap perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai dan akhlak Islam, dan memenuhi tempat yang kosong dengan meletakkan nilai-nilai dan akhlak Islam sebagai tempat yang tertinggi, dan tiba tugasan ketiga iaitu mengukuhkan; dengan makna memelihara dan mempertahankan lanjutan proses pengosongan.
Para murabbi mengatakan bahawa tarbiyah bererti seni berurusan yang bertahap dengan jiwa manusia, untuk membawanya kepada kesempurnaan.
Penutup : Apa kesimpulannya :
Tarbiyah itu menuntut kepada peningkatan dan pengembangan. Langkah-langkah melalui proses tarbiyah ialah
Satu,
Kosong dan hapuskan rawasib (karat-karat) jahiliyah dalam diri
Dua,
digantikan dengan nilai-nilai Islam yang tertinggi
Tiga,
perlu sentiasa – Mengukuhkan, menjaga dan memeliharanya sehingga mencapai kesempurnaan.
Itulah, tarbiyah. Usaha dan kerjanya terus menerus sehingga kita kembali bertemu Allah SWT. Ramai kata susah, payah dan getir.
Ya, itulah kaedahnya. Jalan menuju Allah SWT dalam meraih syurga sememangnya begini coraknya. Para Rasul, Nabi, Sahabat, Tabiin, para ulamak, pejuang Islam dan semuanya telah melalui corak ini. Sekiranya, kita tidak berada dalam track ini – bermakna kita telah berada pada penyimpangan yang nyata!
Kehidupan: Kerana Kita Yang Menjauh.
Picture by UmarMita of LangitIlahi
Ramai orang suka bertanya dengan saya akan kegundahan masalah mereka, rasa resah meraka akan perjalanan kehidupan mereka, dan rasa risau mereka berkenaan masa hadapan mereka. Kadangkala saya melihat seakan ada sekelompok manusia ini tersekat dalam satu penjara ghaib yang mengikat ketenangan hidup mereka.
Saya berfikir-fikir, saya kira saya juga pernah menjadi seperti mereka. Saya kira, anda yang sedang membaca juga mungkin sama. Kalau kita tak pernah hadapai, maka saya jangka kita akan hadapinya. Sebab saya melihat, perkara ini lumrah dalam hidup manusia.
Dan yang selamat hanyalah yang mencari penyelesaian. Maka, hendak mencari penyelesaian, perlulah mengenali punca terlebih dahulu. Adakah kita akan melihat semua masalah dan mencari semua puncanya? Bukankah ada ramai orang, berlainan situasi, bermacam jenis masalah? Mustahil hendak mencari semua bukan?
Tak. Yang saya maksudkan adalah satu punca yang kita kongsi bersama.
Yakni, punca utamanya adalah kita jauh daripada Allah SWT.
Ya. Sebab kamu jauh.
Keseimbangan jiwa
Saya percaya bahawa, ketenangan jiwa hanya akan mampu didapati dengan merapati sumbernya. Yakni pencipta kepada ketenangan itu sendiri, dan pencipta kepada jiwa itu sendiri. Mujur untuk kita, pencipta kepada kedua-dua elemen itu adalah sama. Iaitu Allah SWT.
“Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.” Surah At-Taubah ayat 26.
“Katakanlah: Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa” Surah Ar-Ra’d ayat 16.
Kunci kelapangan dalam kehidupan, ketabahan dalam menghadapi musibah, ketenangan dalam menyelesaikan masalah, tidak lain tidak bukan adalah dengan mendekati Allah SWT.
Walaupun jawapan ini nampak remeh, bahkan ada sebahagian orang akan menyindir: “Ala, sikit-sikit balik pada Allah. Macam apa ntah”
Pada saya, bagi orang yang melihat ke dalam perkara Mendekati Allah ini, dia akan mengubah pandangannya dan merasakan bahawa sememangnya inilah dia jalan penyelesaian yang sebenar untuk menjadikan kehidupannya satu kehidupan yang tenteram dan bermakna.
Khasiat mendekati Allah
Kenapa bagi orang yang mendekati Allah SWT, maka musibah yang melanda, masalah yang datang, kesukaran yang menduga, semuanya tidak membuatkan dirinya tenggelam dalam kegelapan?
Pertama: Orang yang beriman percaya bahawa Allah SWT itu menurunkan musibah sebagai ujian. Justeri, mereka tidak melihat musibah sebagai satu perkara yang buruk, bahkan pada mereka, mereka melihat musibah sebagai satu peluang meningkatkan darjat di sisi Allah. Mudahnya saya ceritakan, kalau kita tak ambil ujian SPM, tak masuklah Universiti kan? Kalau tak lepas ijazah di universiti, jangan haraplah nak naik master atau PhD. Betul?
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Kedua: Orang yang beriman percaya bahawa, apa pun musibah yang Allah SWT itu turunkan, semuanya dalam batas kemampuan manusia. Hal ini kerana, Allah sendiri telah berjanji sedemikian rupa. Tinggal manusia itu yang memilih untuk bertahan atau tidak bertahan. Tiada manusia tahu akan limit dirinya. Justeru, orang beriman akan bertahan semampu-mampunya, kerana dia percaya bahawa Allah mengujinya dalam kemampuannya, jadi dia tidak mahu tergugur menjadi yang gagal.
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” Surah Al-Baqarah ayat 286.
Ketiga: Orang yang beriman percaya bahawa, Allah tidak akan memungkiri janji-Nya. Pertolongan akan tiba. Kejayaan akan datang jua. Tidak di dunia, di akhirat sana. Keyakinan ini yang menyuntik semangat seorang mukmin untuk kekal tenang dalam menghadapi masalahnya, kekal sabar dalam menghadapi dugaannya.
“Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.” Surah Az-Zumar ayat 20.
Tiga perkara ini hanya mampu dicapai dengan mendekati Allah SWT.
Pernahkah anda mendekati Allah SWT?
Mendekati dalam erti kata yang sebenar
Ada orang berkata: “Saya solat, saya baca Al-Quran, tapi kenapa hati tetap tidak tenang?”
Memang solat dan baca Al-Quran adalah antara jalan hendak mendekati Allah SWT. Tetapi, apakah kita mengenali Allah SWT? Kalau tidak kenal, agaknya mampukah kita mencari Allah SWT walaupun kita mengambil jalan yang mendekati-Nya?
Di sini persoalannya. Sebab itu saya pernah timbulkan berkenaan solat, baca Al-Quran hanya sebagai adat. Jika kita melakukannya hanya kerana orang lain pun buat, maka ia tidak bermakna. Ini berlainan dengan kita melakukan semua itu dalam keadaan kita memang kenal Allah SWT dan ingin mencari redha-Nya.
Maka, perkara pertama sekali yang perlu kita sedari adalah apakah hubungan kita dengan Allah SWT? Kita siapa, dan Allah itu siapa? Soalan ini perlu kita jelaskan terlebih dahulu dalam diri kita. Jawapan mudahnya adalah kita merupakan hamba-Nya. Kita perlu tunduk kepada-Nya. Kita akan dikembalikan kepada-Nya, justeru apakah ada tujuan lain dalam kehidupan ini selain mengabdikan diri kepada-Nya?
Selepas mengetahui kekerdilan kita, kebesaran Allah, dan merasai keperluan bahawa kita perlu tunduk, taat dan mengabdikan diri kepada-Nya, kita perlu perhatikan pula apakah tuntutan Allah SWT kepada kita? Apakah yang Dia mahu kita lakukan? Bagaimana Dia mahu kita lakukan? Apakah yang Dia larang dan benci? Apakah yang Dia minta kita jauhkan. Bila kita sudah mengetahui semua itu, maka kita laksanakan. Yang Dia arahkan kita langsaikan. Yang Dia suka kita perbanyakkan. Yang Dia benci dan murka kita tinggalkan, yang Dia tidak suka kita kurangkan.
Itulah dia makna mendekati Allah SWT.
Tapi jangan salah sangka. Ada orang ingat, selagi tak kenal Allah, selagi tu tak payah beramal. Salah. Salah satu cara hendak mengenal Allah adalah dengan memenuhi perintah-Nya. Cuma dalam perjalanan kita melaksanakan perintah-perintah-Nya, kita akan sedar kita perlukan lagi ilmu tambahan untuk mengenalinya.
Allah tidak akan mampu kita rapati dengan ikut-ikutan. Kita sendiri perlu mengenali Allah dan merasai kebesaran-Nya sekaligus mengkerdilkan diri dan siap mengerjakan segala apa yang diarahkan-Nya. Barulah kita merasakan bahawa solat itu menghidupkan, membaca Al-Quran itu satu nikmat, berzikir itu satu kerehatan, dan dosa itu satu benda yang menjijikkan.
Kalau sekadar ruku’, sujud, bertakbir tanpa kefahaman, membaca Al-Quran berjuz-juz tanpa kejelasan, berzikir beribu-ribu tanpa perhubungan dengan Allah, hanya mengikuti pergerakan manusia lain sahaja, maka ianya tiada makna langsung. Ibarat tin kosong, bunyinya berdenting-denting tetapi kosong sahaja isinya tidak membawa manfaat.
Penutup: Kamu hanya akan faham kalau kamu mendekat
Benda ini, tak akan difahami oleh orang yang tidak mencuba. Tetapi saya amat yakin bahawa, orang yang telah menjalani proses ini, mendekati Allah dengan sebenarnya ini, memahami apa yang saya bicarakan.
Inilah dia ubat hakiki. Masalah apa pun yang menimpa, inilah dia ubat yang utama sebelum ubat-ubat yang lain. Kenapa tiada sahabat Rasulullah SAW yang bunuh diri kerana tertekan dengan seksaan yang berat? Sebab mereka ada yang ini. Kenapa Nabi Nuh sanggup berdakwah sampai 950 tahun? Sebab Nabi Nuh memahami yang ini. Kenapa Nabi Musa kekal tenang dan tidak menggelabah walau tersepit antara laut dan Firaun? Kerana Nabi Musa mempunyai yang ini. Kenapa Rib’i bin Amir berani berdiri di hadapan Rustum dan mencabar pegangan Rustum walaupun dia berseorangan di singgahsana raja itu? Kerana dia mempunyai yang ini.
Kita?
Kita kena cari ini. Mendekati Allah ini. Kita kena usahakan.
Percayalah. Saya tidak berbohong yang ini. Kalau kamu dapat ini, percayalah yang segala masalah akan menjadi sangat-sangatlah kecil.
Percayalah, dan kamu tak akan rugi.
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” Surah Ali-Imran ayat 139.
Kamu adalah yang tertinggi. Sekiranya kamu beriman.
Jadi, masalah terperusuk dalam kerendahan, kehinaan, dicengkam kegelisaan, keresahan, rasa tenggelam dalam kegelapan dan sebagainya, semua itu kerana apa? Kerana kita jauh, tak kenal Allah, tak rapati Allah, tak rasa hidup dengan Allah.
Nampak?
Kehidupan: Permohonan Kahwin Awal Ditolak Ibu Bapa. Mengapa?
Picture by UmarMita of LangitIlahi
Ramai yang mengadu betapa hasrat mulia mereka tidak mendapat perhatian ibu bapa. Nak kahwin awal, tetapi tidak diperkenankan.
Tanpa saya nafikan, memang ada ibu bapa yang tidak reasonable dalam hal ini, namun sebagai pemuda saya suka untuk melihat kembali mengapa rata-rata permohonan kahwin awal ini dipandang sepi oleh Ibu Bapa kita? Bahkan ada yang memandangnya secara sinis, dan tidak pula merestuinya.
Mengapa?
Peribadi Yang Tidak Meyakinkan
Ada kemungkinan, kita sebagai anak, baik lelaki dan perempuan, masih tidak mempunyai sebuah peribadi yang meyakinkan ibu bapa kita untuk melangsungkan perkahwinan.
Kita masih selekeh, juga masih tidak menunjukkan tanda-tanda mampu berdikari. Bilik masih bersepah. Kekemasan diri tiada. Hidup masih tidak tentu arah. Pelajaran terhuyung hayang. Dengan ibu bapa masih tidak hormat. Di rumah, Ibu Bapa yang jadi pekerja, kita berlagak seperti tuan besar.
Mungkin dek kerana peribadi yang sedemikian rupa, maka tatkala kita kata: “Mak, saya nak jadi suami kepada Si Fulanah tu, boleh?” dalam keadaan umur baru belas-belas atau masa belajar pun belum habis, semestinya akan menimbulkan rasa ‘tidak selamat’ daripada Ibu Bapa kita. “Mak, saya nak jadi isteri kepada Si Fulan tu boleh?” Kita pun tak pernah rasa nak tolong Mak di dapur, kemas rumah jauh sekali, bilik pun memanjang bersepah, belajar pun ke hancur, selalu balik rumah lewat malam, keluar dengan siapa mak pun tak tahu. Tiba-tiba nak jadi isteri orang dalam usia yang sangat muda? Timbul tanda tanya.
Ambil Mudah + Boros
Apa petanda tidak matang?
Antaranya adalah suka ambil mudah.
Saya suka melihat keadaan remaja sekarang yang berkempen ‘turunkan harga hantaran’ dan ‘murahkan bajet perkahwinan’. Kalau ada cerita fasal orang kahwin dengan nilai yang murah, bukan main hangat lagi sharenya. Kan?
Bagus sebenarnya kahwin murah ni. Kerana, kahwin sehari sahaja. Rumahtangga pula kalau boleh nak sehingga ke syurga. Maka semestinya tak berbaloi habiskan duit banyak-banyak pada majlis perkahwinan yang sementara itu.
Namun, dalam anak-anak berusaha minta kahwin murah, kahwin khitbah, dan sebagainya kepada ibu bapa, diri sendiri boros dengan pelbagai perkara. Telefon bimbit beli yang mahal-mahal. Wang biasiswa habis dengan berjalan merata tempat. Kasut juga mahal-mahal. Seluar dan baju ‘custom made’ punya. Komputer kita, sanggup habis duit dengan gajet-gajet komputer termahal walaupun sebenarnya tak perlu pun. Segala gajet kita beli, iPhone, iPad, iPod, dan segala ‘i’ lagi, walaupun tidak penting.
Kemudian tiba-tiba bila kita nak kahwin, kita nak murah-murah. Bila mak tanya, duit ada ke nak kahwin? “Ala mak, kahwin murah tu berkat!”
Ibu Bapa mana yang akhirnya tak rasa anak dia bukanlah orang yang layak nak berkahwin?
Suka ambil mudah. Macam mana nak jadi suami orang, isteri orang, mak bapak orang?
Kuat membazir pula tu. Duit dahlah tak ada. Nak kahwin awal. Mak bapak jugak tanggung itu ini nanti.
Takkan dah berumahtangga, masa tak ada duit, kita call mak ayah kita macam masa kita habis duit belanja masa belajar dulu?
Cermin Diri, Binalah Peribadi
Saya dahulu minta nak kahwin awal. Umur 18 tahun saya dah minta nak kahwin. Ummi Abah saya tolak juga permintaan saya ketika itu.
Abah suruh timba banyak pengalaman lagi, suruh membesar lagi. Ummi pula tanya ada duit atau tiada. Pada masa itu, saya sebagai seorang pelajar agama, ada baaaaaanyak dalil untuk berhujah dengan Ummi Abah saya, agar membenarkan saya kahwin awal juga. Namun, pada hari itulah saya memilih untuk berkata pada diri: “Apa kata, kita ikut Ummi Abah punya nasihat?”
Saya cermin diri saya, dan saya bina perancangan. Sebelum saya ke Jordan pada penghujung tahun 2008, saya berikan kepada Ummi Abah saya kertas kerja untuk berkahwin. Di dalam kertas kerja itu, saya ada cakap rancangan saya untuk cari duit, macam mana saya nak jimat duit dengan duit Abah bagi buat belanja bulanan, macam mana dan bila saya nak habis belajar, bila target nak kahwin dan sebagainya.
Saya sendiri, sepanjang hidup di Jordan, pakaian saya terdiri daripada pakaian-pakaian pemberian senior, dan barangan yang saya beli di kedai bundle Jordan. Baju-baju saya berharga RM2.50 sahaja sehelai. Kadangkala nak merasa pakai berjenama sedikit, saya cari jenama yang elok-elok di bundle itu, dan beli dengan harga RM30, sedang orang lain membelinya dengan harga ratusan ringgit.
Saya juga giat bekerja sebagai penulis, sambil belajar. Saban tahun berusaha menghasilkan karya. Pengajian saya juga saya pastikan on track, habis pada masanya.
Begitulah kehidupan saya. Hingga akhirnya, kala saya tamat pengajian, saya punya sedikit simpanan untuk perkahwinan dan start rumahtangga.
Ummi Abah saya, melihat disiplin ini, Menyebabkan mereka akhirnya bersetuju dan okay untuk saya berkahwin pada awal 20-an. Rancangan saya untuk berkahwin pada umur 24-25 tahun, diawalkan menjadi saya berkahwin pada umur 23 tahun, pada 070712.
Setahun sebelum perkahwinan pula, saya sudah buat kertas kerja untuk berkahwin. Menyatakan berapa wang saya ada, dan bagaimana majlis yang saya mampu. Saya bentangkan kepada Ummi Abah saya, dan kata:
“Ini sahaja Hilal mampu. Kalau lebih daripada ini, mohon Ummi Abah la tanggung.” Dan Ibu bapa saya bersetuju. Ketika itu juga saya sudah siapkan perancangan bagaimana kehidupan saya selepas berkahwin, nak duduk di mana, rumah macam mana, kerja apa dan sebagainya.
Akhirnya alhamdulillah, saya berkahwin dengan tenang dan senang, tanpa hutang keliling pinggang. Bahkan, ada benda yang saya nak bayar, Ummi berbesar hati bayarkan, ada benda yang saya nak tanggung, Abah berbesar hati nak langsaikan. Akhirnya, saya ada bonus lebihan duit untuk meneruskan kehidupan berkeluarga dengan zawjah.
Saya melihat, remaja, pemuda, yang semangat nak kahwin awal ini, pertama sekali kena belajar bina peribadi.
Kemudian jalinkan hubungan baik dengan ibu bapa.
Paling penting, jangan sesekali couple. Itu yang banyak menyusahkan hubungan.
Sebaiknya, sebelum kita ada janji apa-apa dengan pihak satu lagi, kita dah consult dengan ibu bapa kita. Jangan dah bercinta hingga ke langit, nak kahwin baru cari mak bapak. Ini saya nampak, antara faktor kenapa Ibu bapa kurang senang merestui perkahwinan awal kita.
Penutup: Mencari Sinergi Antara Kita Dan Ibu Bapa
Memang ada ibu bapa yang tak reasonable. Anak dah susah payah berdikari, usaha matangkan diri, jimat duit, belajar rajin dan cemerlang, masih lagi tak benarkan sang anak berkahwin.
Ibu bapa begini, kita serahkan kepada Allah SWT sahaja. Kita pula, jangan sesekali jadi seperti mereka kala kita tua nanti.
marilah remaja, pemuda, pemudi sekalian, kita tengok balik peribadi kita, sikap kita, pengurusan diri kita, sebelum kita sibuk dengan isu kahwin murah, hantaran rendah, kahwin awal, nikah khitbah dan sebagainya.
Kita nak bina ummah, bukannya nak main pondok-pondok.
Kahwin ni lebih besar dari sekadar nak melepaskan diri daripada zina. Kahwin ini adalah asas kepada pembinaan ummah.
Check semula diri kita.
Perhatikan kembali bagaimanakah kehidupan kita.
Kita bina keyakinan orang lain terhadap diri kita.
Sekaligus, kita membina masa hadapan yang lebih terjamin buat diri kita.
Ayuh, keluar daripada novel-novel penuh fantasi, dan berpijaklah di alam realiti!