Hilal Asyraf's Blog, page 110
May 2, 2013
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta: 7 Hentian Cinta
Cinta itu bukan mudah,
Mustahil jika hendak membawa ke syurga tidak akan diuji,
Justeru cinta akan ditapis Ilahi,
Hingga diri benar-benar layak memikulnya nanti.
Perhentian Pertama: Dasar Kepada Cinta.
Engkau tidak meminta. Engkau tidak pula berdoa mengharapkan dia. Saban waktu solat, yang engkau doakan hanyalah wanita yang sederhana. Memahami agamaNya, berakhlak, dan dari keturunan yang baik. Sejuk wajah memandang, tenang dan menyenangkan. Engkau tidak sebut nama sesiapa. Dan itulah yang menjadi canda harian dikau dengan Hazwan.
“Doakan ana dapat bidadari yang sederhana, faham agamaNya, berakhlak, sejuk wajah memandangnya.” Bisik kau ke telinga Hazwan saban dia mengangkat tangan berdoa, dan begitulah dia melakukannya kepada engkau, kala kalian berkesempatan.
Tetapi Allah jatuhkan rasa itu kepada Si Dia. Dari arah yang tidak disangka-sangka.
“Takkan nampak dari jauh, sudah mahu jatuh hati?” Engkau sentiasa mempersoalkan diri. Kau tidak pernah bertemu dengannya. Engkau tidak kenal sikap dan akhlaknya. Engkau tidak tahu keluarganya bagaimana. Dan engkau tidak pernah tahu bagaimana agamanya.
Bertudung labuh bersama seragam sekolahmu, itu belum membuktikan apa-apa. Namun hanya sekilas pandang, jiwamu seakan tidak mahu melepaskannya. Wajah itu lekat di dalam hati, dan sentiasa diulang tayang dalam minda.
“Allahuakbar.” Resah jiwamu, sukar mahu mengaku.
“Inikah cinta?”
Tetapi engkau tidak terus lemas di dalam perasaan. Jiwamu belum buta. Engkau tahu cinta hanya rasa, bukan Tuhan yang perlu diutama. Maka engkau tidak lama membiarkan diri bertarung dengan raksasa rasa.
“Ini kenapa muka sugul ni?” Sapa Ustaz Mikail yang engkau jumpa.
Engkau sekadar memandangnya kosong. Wajah lelaki berambut kemas, berbaju melayu, bertubuh sedikit gempal, sedang menatapmu dengan pandangan kasih. Tangan kanannya kini di bahu kirimu, tanda mesra.
“Ana ni macam jatuh hati pada seorang pelajar perempuan ini la Ustaz.”
Dan wajah jernih murabbimu itu kini beriak terkejut. Dua kening terangkat. Kemudian perlahan-lahan bibir merekah dengan senyuman, dan tawa kecil mengekori keadaan.
“Serius?” Tawa masih ada pada ustaz merangkap warden asrama tempat engkau menadah ilmu itu.
Engkau memuncungkan bibir. “Seriuslah ustaz. Buat apa ana main-main.”
“Oh, ok, ok. Dah besar dah rupanya anak murid ustaz ni. Tingkatan enam la katakan.” Bahumu ditepuk lagi dua tiga kali.
“Ustaz, berikanlah ana nasihat. Ana jatuh hati sebab tertengok dia sahaja tempoh hari. Ana tak kenal dia. Ana tak tahu dia bagaimana. Jadi, apa ana patut buat?” Engkau meluahkan segala ragu di dalam kalbu. Dan Ustaz Mikail tidak terus menjawab persoalanmu.
Beberapa ketika, bilik warden itu hanya dihiasi bunyi kipas yang berpusing di siling.
“Cinta. Dasarnya mestilah Pencipta Kepada Cinta.” Ustaz Mikail mula berbicara.
“Maka jika benar itu cinta, mestilah menurut perintahNya.” Kali ini tangannya menggosok belakang tubuhmu. Senyuman di bibir Ustaz Ridhwan, seakan diiringi 1001 makna.
Mata engkau membesar.
“Jangan tertipu dengan cinta. Kadangkala, syaitan hanya mempermainkan kita. Sekarang, pergilah dengan nama Tuhan, bermulalah kembara enta untuk mencapai cinta dengan pengalaman.”
“Aduh, sasteranya Ustaz.” Engkau mencebik. Dan mulut Ustaz Mikail berbuah tawa.
“Sudah tidak tahu, perlulah menjemput tahu. Jangan sekadar rasa, nanti merasa sahaja.” Kini pipimu pula disentuh lembut, seterusnya Ustaz Ridhwan bangun.
“Itu sahaja nasihat Ustaz?”
“Iya. Lebih dari cukup bukan? Enta bukan anak kecil lagi. Allah memberikan kita peluang untuk berusaha. Masanya, kembara bermula.”
Engkau menggaris senyum. Engkau sedar, bukan Ustaz Ridhwan tidak mampu membantumu dari A hingga Z, dari sifar kepada infiniti, tetapi dia memilih untuk mendidikmu. Cukup sekadar engkau mengetahui atas dasar apa cinta harus engkau bina, sekaligus engkau mengetahui apa yang sepatutnya engkau jauhi, dan kemudian dia menghantarmu bergerak memulakan kembara.
Kembara cinta.
“Terima kasih ustaz.”
Perhentian Kedua: Kenal Dia, kenal dia.
“Satu perkara yang remaja hari ini sering lupa adalah, rumah tangga itu merupakan batu-bata kepada pembinaan ummah. Maka, hendaklah rumah tangga itu sendiri dibina dengan binaan yang baik. Dan apakah binaan yang lebih baik, selain ketaatan kepada Allah SWT? Sesungguhnya dosa dan maksiat di atas jalan ini, hanya akan merapuhkan rumah tangga, sekaligus menyumbang kepada kelemahan binaan ummat.” Cikgu Bahar berbicara.
Seminar Bait Muslim yang engkau ikuti selama sehari suntuk, berakhir. Lafaz alhamdulillah keluar dari bibir. Menyedari hati disapa cinta, engkau pergi mencari Dia. Engkau sedar ini bukan untuk kepuasan nafsu semata-mata. Maka ilmu engkau penuhkan di dalam dada. Cinta membawa ke rumah tangga, dan rumah tangga adalah batu asas kepada pembinaan ummah. Mustahil dibangunkan dengan sambil lewa!
Betapa telah terpatri di dalam jiwamu, tujuan penciptaan manusia adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya.
“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri(kepada Aku)” Surah Adz-Dzariyyat ayat 56.
Dan engkau amat sedar, bahawa pengabdian itu bukan semata-mata memenjarakan diri di dalam masjid, dan berteleku di atas tikar sejadah. Bahkan, pengabdian itu termasuk menjadi pentadbir dunia, kerana Allah SWT juga berfirman: “Ingatlah ketika Tuhanmu berkata kepada para malaikat, sesungguhnya Aku mahu jadikan di dunia ini khalifah.” Surah Al-Baqarah ayat 30.
Maka mustahil jalan cinta ini akan engkau lalui dengan maksiat.
“Cinta biar dipandu dengan keimanan.” Begitulah pesan mudirmu, Ustaz Arif, saat engkau menamatkan pengajian. Maka keimanan itulah yang engkau cuba perkemaskan.
Tidak pula engkau tinggalkan ruang ikhtiar.
Bukanlah engkau ini manusia yang membiarkan urusan sebegini besar kepada Tuhan semata-mata. Fahaman tawakkalmu adalah dengan usaha. Bukan menanti semata-mata. Jika benar jodoh itu tidak perlu diusahakan, tidak perlu dicari, maka pastinya Allah SWT tidak berfirman di dalam Al-Baqrah ayat ayat 221, akan arahan untuk tidak bernikah dengan perempuan yang musyrik. Dan pastinya Rasulullah SAW tidak akan bersabda untuk menggalakkan mencari pasangan yang baik agamanya.
Nyata, itu adalah isyarat daripada Allah dan Rasul, agar manusia ‘mencari’ pasangannya. Bukan menunggu semata-mata.
Maka engkau berusaha. Sebelum menamatkan pengajian, engkau bergerak untuk mengenalinya. Engkau pergi menemui guru-gurumu yang mengetahui dirinya, maka engkau bertanya akan peribadinya. Engkau pergi kepada warden asrama perempuan, engkau tanya akan kehidupannya. Adik perempuanmu, Maisarah, hingga menjadi mata-mata.
“Oh, nama dia Atikah.” Bila engkau diberitahu adindamu itu.
“Kak Atikah sangat baik tau Abang. Cuma dia bukan ketua usrah la. Hafalan pun tak banyak.” Engkau mendengar adindamu memberitahu. “Dia suka baca komik, tengok drama jepun, dan dengar lagu inggeris.”
Engkau tersenyum. Perkara yang sama ada diberitahu oleh guru-gurumu dan ustazahmu yang merupakan warden itu.
“Abang ni, tiba-tiba suruh tanya fasal Kak Atikah, ada apa-apa ke? Tak pernah pun suruh orang jadi spy macam ini.” Maisrah memandang dengan wajah curiganya yang comel itu.
Senyum engkau melebar. “Mahu ambil dia jadi kakak ipar Maisarah.” Engkau angkat kening dua kali.
“Ha? Really?” Kedua-dua bahumu dipegang oleh Maisarah. Sofa ruang tamu seperti bergegar dengan reaksi adindamu itu. Engkau mengangguk.
“Habis, lepas tahu kekurangan-kekurangan dia tadi, Abang still nak ambil dia?”
“Abang nak buat satu perkara dahulu sebelum pergi ke luar negara, dan sebelum benar-benar buat keputusan ambil dia jadi isteri.”
“Apa dia?”
“Nak ziarah rumah dia.”
Mata adindamu terbeliak. Engkau tertawa.
“Okay, tetapi rasanya Abang akan jumpa satu lagi kekurangan dia.”
“Hem?” Engkau angkat kening sebelah. Hairan dengan kenyataan itu.
“Keluarga dia sederhana sahaja. Tak macam keluarga kita.” Kau lihat adindamu menebarkan pandangan ke sekeliling. Engkau akhirnya turut melepaskan pandangan kepada ruang tamu.
Luas. Indah. Televisyen skrin flat plasma 43 inci, dengan set home theater, pokok-pokok hiasan yang menyenangkan, sofa yang cantik lagi empuk, dan sempat engkau memanjangkan lehermu melepasi langsir indah, memandang ke luar. Terdapat air pancur, dan taman hijau di sekelilingnya, serta tiga buah kereta mewah yang diparkir tidak jauh dari hadapan pintu rumah, walau di matamu kini hanya mampu menjengah sebuah sahaja daripadanya.
“Takut Abang tawar hati.” Maisarah bersuara.
“Ai, cakap macam berharap Atikah itu jadi kakak ipar sahaja.” Engkau menoleh kembali kepada adindamu.
“Dia cool kut. Maisarah suka yang cool.” Adindamu mengangkat isyarat ‘peace’. Dan engkau tertawa senang hati.
“Kita tengok dulu macam mana.” Engkau sekadar mengangkat keningmu dua kali. Gaya nakalmu yang telah bersebati dengan diri.
*******
“Jahatla Abang ni!” Pinggangmu dicuit Maisarah. Engkau hanya mampu tersenyum di dalam kereta.
Sekarang baru sahaja mengambil pulang adindamu, dari rumah Atikah yang engkau cinta. Senyum hingga ke bibir, kerana taktikmu berjaya.
“Ada patut adik sendiri dijadikan decoy!”
“Oklah tu. At least you tak jadi toy.” Engkau tertawa lagi.
“Jahat!” Bahumu ditepuk lagi.
Adindamu punya program di Johor Bahru. Dengan suka rela, engkau sudi menjadi yang mengambilnya. Sengaja engkau tidak membenarkan Ayah atau Ibu mengambil adindamu dari program seperti biasa. Kerana kali ini engkau mengetahui yang adindamu akan menanti di rumah Atikah. Seperti biasa. Tinggal sebelum ini, engkau tidak mengenali siapa Atikah.
“Senyum apa panjang-panjang. Angau!” Bahu engkau ditepuk untuk sekian kali.
Engkau sekadar mampu menggeleng, sambil senyum kekal pada bibir diri. Mata kekal pada pemanduan, dengan dua tangan kejap pada stereng.
“Abang rasa, Abang nak ambil Atikah jadi isteri abang.” Tiba-tiba engkau bersuara.
Engkau tidak melihat wajah adindamu, tetapi dia senyap seketika. “Ha, sebab dah tengok dia cantik!” Kemudian baru dia bersuara.
Engkau menggeleng lagi. Kalau kerana cantik, lebih baik dari kali pertama pandang, terus engkau masuk melamar. Bukan kerana cantik.
“Kerana dia dan keluarga dia, sederhana.” Senyuman engkau menghinggap telinga.
Engkau telah terbiasa dengan kemewahan dan kebesaran. Kerana itu, engkau melalui alam remajamu dengan penuh rasa tinggi dan angkuh. Engkau sering memandang rendah orang lain, dan tidak menganggap mereka berharga. Hinggalah ayahandamu menghantar ke sekolah berasrama yang baru sahaja engkau tinggalkan, yang mendidikmu akan Islam yang sebenar, sekaligus membasuh jiwamu dengan akhlak langit. Namun sisa jahiliyyah masih ada, ditambah keluargamu masih kaya dan orang kebesaran. Engkau kenal dirimu, yang masih terbiasa dengan kehebatan. Menjadi ketua dalam pelbagai arena, sentiasa berjaya dalam pelbagai perkara, ditemani puja dan puji, dan sering disimbahi populariti.
Itu semua membentuk sebuah hati. Engkau kenal dirimu, jauh di dalam hati engkau sebenarnya sunyi. Tidak kurang yang menggelarmu berlagak, hanya kerana gaya engkau berbicara, cara engkau berjalan, dan pakaian yang engkau kenakan. Kerana itu, sahabatmu hanya seorang, itulah dia Hazwan yang tua setahun daripadamu. Ketiadaannya di sisi, menyedarkan engkau hanyalah seorang yang sunyi. Kalaulah bukan kerana wujudnya Ilahi, pasti engkau telah membunuh diri kerana kesunyian ini.
Tetapi hari ini, seakan kepingan yang tidak lengkap di dalam hatimu terisi. Saat engkau menjengah ke rumah Atikah yang sederhana. Tidak besar, tetapi seperti syurga. Bersinar dengan akhlak ibu bapanya yang mesra.
Ditambah dengan betapa pemalunya Atikah, hingga dia kekal di balik tabir yang memisahkan dapur, tidak keluar hatta menatang dulang seperti dalam drama-drama. Engkau bukan tidak pernah singgah ke rumah kenalanmu sebelum ini. Tetapi adik-adik atau kakak-kakak perempuan mereka sering teruja untuk menunjukkan diri kepadamu. Nyata, siapa yang tidak kecoh jika anak orang besar sepertimu bertandang.
Tetapi itu tidak berlaku kepada Atikah. Tidak juga kepada Ibu Bapanya. Hal ehwal jawatan Ayah dan Ibumu tidak disentuh langsung. Ibu bapanya, tatkala berbicara, nyata terpapar kefahaman mereka yang ampuh akan Islam, dan cita-cita mereka yang tinggi terhadapnya. Bicara mereka seperti mutiara, penuh dengan nuansa Islam dan tidak pula membicarakan yang sia-sia.
Rumah mereka kecil, tetapi mereka bahagia!
Engkau jatuh cinta.
“Jadi, apa Abang mahu buat?” Maisarah bertanya.
“Kertas kerja.”
“Ha?”
Perhentian ketiga: Membina Kehidupan.
Engkau kini berada di timur tengah. Jordan bumi idaman. Engkau mendengar betapa terbukanya guru-guru di tanah ini, dan betapa indahnya komuniti melayu yang ada. Dan guru-gurumu, hatta mudir turut menggalakkan engkau ke mari. Membuatkan jiwamu berapi-api untuk menadah segala mutiara di sini.
Engkau fokus dengan pengajian, di samping berusaha membina peribadi.
Roh, akal dan jasad, engkau tempa agar menjadi apa yang diarahkan Ilahi. Memang engkau tahu tidak akan mencapai sempurna, tetapi engkau tahu jika engkau berusaha, akan menjadi lebih baik dari yang sebelumnya.
Bukan itu sahaja fokusmu. Membina kekuatan agar mampu menyara kehidupan juga engkau usahakan. Engkau memahami betapa hendak membina keluarga, bukan hanya dengan perasaan. Tetapi dengan kemampuan.
“Interesting.”
“Isn’t it, Ayah?” Engkau sekadar meleret senyum. Engkau lihat Maisarah di sisi Ibumu terkebil-kebil. Apa yang interestingnya? Mungkin itu yang sedang dia fikir.
Engkau lihat kertas kerjamu diberikan pula kepada Ibu. Ayah memandang tepat kepadamu.
“Perancangan ini, langsung tidak libatkan duit Ayah dan Ibu?” Ayah menajamkan pandangan. Dia dengan gayanya, tegas. Gaya seorang yang berjaya. Yang tidak pernah memanja-manjakan anaknya. Sekiranya dia melihat harta membuatkan anaknya terpesong, dia tidak akan teragak-agak menariknya.
“Er, still perlu duit Ayah dan Ibu untuk taja pengajian Afeef. Masih perlu duit saku.” Engkau garu kepala. Engkau sangka ayahandamu tersilap baca. Engkau sudah nyatakan sedemikian di dalam kertas kerja.
“Ya. Itu Ayah tahu. Maksud ayah, untuk perkahwinan. Semuanya, majlis pertunangan, majlis perkahwinan, bahkan untuk sara hidup keluarga selepas itu, Ayah nampak Afeef letak itu semua di bawah tanggungan Afeef. Afeef dalam kertas kerja kata, Afeef akan plan untuk cycle wang saku yang Ayah Ibu bagi, untuk generate your own income.” Mata Ayah masih tidak melepaskan wajahmu. Dan engkau mengangguk tanda benar akan bicaranya itu.
“Afeef mungkin tak berjaya. Tetapi Afeef nak buktikan yang Afeef ini seorang yang berusaha. Bukan kemaruk nak kahwin sahaja.”
“Nice. Interesting. Ayah suka. Go on. Macam inilah anak Ayah.”
Engkau tersenyum lebar. Apatah lagi, Ayah sedang tersenyum sama. Engkau rasa bahagia dapat membanggakan dia.
“Afeef, Ibu pernah jumpa dan pernah singgah rumah Atikah itu sebelum ini. Biasa ambil Maisarah kalau ada program di Johor Bahru.” Ibu pula bersuara.
“Ya Ibu, Afeef tahu itu.”
“Budaknya baik, lembut. Wajahnya amatlah menyenangkan hati Ibu, akhlaknya sangatlah cantik. Dia ibarat perempuan dari zaman lalu. Kalau Afeef benar mahukan dia, Ibu setuju. Tetapi buktikanlah dahulu dirimu itu.”
“Baik Ibu!”
Maka engkau tidak sekadar bersenang lenang meniti masa lapang sebagai pelajar universiti luar negara. Apatah lagi pelajar deeniyah, punya banyak masa terluang. Sehari, hanya tiga jam sahaja waktu kelas. Maka masa yang lebih, engkau susun sebaik mungkin.
Menadah ilmu tambahan di kelas-kelas masjid. Menjalani usrah yang dianjurkan oleh persatuan. Seterusnya mengikuti program-program kemasyarakatan yang disediakan. Membina hubungan dengan kenalan baru. Seterusnya fokus menggerakkan projekmu.
“Penasyid, tanpa alat musik. How it sound to you?”
“Hem. Interesting. Cool.” Maisarah angkat ibu jari.
Saban waktu terluang, engkau dengan kelebihan suaramu yang sering menyihir pelajar asramamu sebelum ini, akan mendendangkan lagu yang engkau sendiri cipta. Dirakamkan, dan dimuat naik ke YouTube. Engkau bina Blog untuk bercerita pandanganmu akan dunia hiburan di Malaysia, juga negara luar. Engkau promosikan pada rakan-rakanmu di Jordan.
Saban peluang muncul, jika ada acara besar yang dianjurkan oleh persatuan, engkau akan berusaha mendapatkan tempat untuk melakukan persembahan.
Perlahan-lahan, apa yang engkau buat mula tersebar.
Penasyid tanpa alat musik, nyata memberikan impak yang besar memandangkan perkara itu belum lagi popular di Malaysia. Ditambah pula apa yang engkau alunkan itu adalah kalam-kalam yang mengingatkan manusia kembali kepadaNya, memberikan manusia kesedaran agar hidup di dalam peraturan Islam, mengejutkan manusia yang lena, memberikan harapan kepada yang kecewa, dan memotivasikan jiwa. Nyata satu kombo yang menggegarkan mereka yang mendengarnya.
Selepas beberapa bulan, video-videomu mencapai ratusan ribu penonton. Blogmu kini dilawati ribuan orang saban waktu. Pandangan-pandanganmu berkenaan hiburan mula menjadi perhatian dan diambil berat. Engkau mula menjadi sebutan ramai.
“Afeef. Tahniah.”
“Em?” Engkau memandang mas’ul usrahmu, Zakariyya. Usrah telah usai, engkau sahaja yang masih tinggal selepas yang lain pulang. Sengaja. Engkau memang suka mendengar tambahan perkongsian daripada sembang-sembang yang santai daripada para senior.
“Engkau popular sekarang aku tengok. Ramai kenalan aku di Malaysia pun sibuk dengar nyanyian engkau di YouTube.”
“Alhamdulillah. Semua karunia adalah milik Allah, senior.” Engkau tertunduk segan. Engkau sebenarnya kurang senang orang berbicara akan karier nyanyianmu. Apatah lagi bila yang dibicarakan adalah popularitimu.
Engkau menjaga jiwamu.
Kalau boleh, biarlah masyarakat sekeliling memandangmu sebagai orang biasa. Bukan orang lain.
“Banyak lagi kena belajar dengan orang macam senior.” Engkau menambah.
Senior Zakariyya tertawa. “Aku tak pandai menyanyi.”
“Tetapi Senior pandai menawan hati yang jauh dari Ilahi.”
“Kita ini sama sahaja Afeef. Sama sahaja. Teruskan usaha engkau. Aku sentiasa menyokongmu.” Tangannya mencapai bahumu.
Engkau pulang ke rumah sewamu malam itu dengan hati yang senang. Rasa syukur kepada Allah yang membukakan hati orang lain untuk mendengar nyanyianmu, sekaligus menyebar luas lagi penyampaianmu.
Engkau sampai ke rumah, terus membuka komputer ribamu. Memerhatikan perkembangan di blogmu. Tiba-tiba, satu perkara menarik perhatianmu.
“Assalamu’alaikum Tuan Afeef. Kami dari Syarikat MuminzMusic Record, di bawah seliaan Datuk Amir Ar-Rasyid. Kami berhajat ingin menjadikan tuan penyanyi kami. Kami berhajat ingin menerbitkan album tuan. Jika tuan sudi, sila hubungi kami di email…”
Dan selepas itu tidak dapat engkau baca, kerana kini pandanganmu dihalangi genangan air pada mata. Perlahan-lahan air matamu tumpah.
Allahuakbar!
Perhentian Keempat: Melamar Bidadari.
Keadaan benar-benartelah berubah. Kini, engkau terkenal sebagai penasyid tanpa alat musik di Malaysia. Sedang engkau tidak pernah muncul di sana hingga kini. Engkau sekarang adalah pelajar tahun 3, di University of Yarmouk, Irbid, Jordan.
Engkau memang tidak berniat untuk pulang ke Malaysia, melainkan pada tahun ini.
Engkau sudah punya perancangan yang tersendiri.
Hari ini adalah harinya engkau menaiki penerbangan pulang ke Malaysia. Menjejak tanah airmu, tempat wujud keluarga yang tercinta. Walau kadangkala engkau melepas rindu dengan ber’Skype’ dengan mereka, namun nyata tidak sesekali sama dengan bertemu bersua muka.
“Jaga diri baik-baik mate.” Fawwaz, rakan serumah, pelajar perubatan mengucapkan selamat tinggal.
“Balik ini, sah-sah full jadual engkau.” Dadamu disentuh penumbuk Toriq, juga rakan serumah, pelajar Usul Fiqh yang seangkatan denganmu.
“Doakan aku ok. Semoga Allah jaga aku.” Mereka berdua engkau paut dalam pelukan, sebelum keluar dari rumah, menuruni anak tangga dan menanti teksi ke lapangan kapal terbang. Engkau tidak membawa apa-apa melainkan sebuah bagasi.
Engkau berdiri di tepi jalan. Menanti teksi yang telah engkau hubungi.
“Assalamu’alaikum.” Satu suara lembut menerpa gegendang.
Engkau memandang. Dan ketika itu juga engkau seperti terpana.
Seorang akhawat, berpurdah, bersama dua orang temannya, sedang berdiri di hadapanmu.
Engkau angkat kedua-dua kening. “Waalaikumussalam. Ya?” Hairan mengapa akhawat yang tidak engkau kenali ini boleh berada di hadapanmu kini.
“Em, akhi nak balik Malaysia kan?”
“Iya. Tengah tunggu teksi.”
“Saya sebenarnya ada benda penting.” Akhawat berpurdah itu menundukkan wajahnya.
“Oh, ok. Apa dia?” Engkau berlagak biasa. Walaupun melihat riya’ wajah dua rakan akhawat itu, seakan perkara pentingnya itu tersangat-sangat penting buat dirinya.
“Saya ini, berhajat untuk menjadi sayap kanan akhi.”
Dan engkau diam seribu bahasa.
“Akhi, akhi sila consider Raudhatul Husna. Dia seorang yang aktif dalam dakwah, dan menghafal 30 juzu’ Al-Quran. Seorang yang pantas untuk menjadi pendamping akhi di atas medan yang penuh liku ini.”
Salah seorang dari rakannya bersuara. Akhawat berpurdah sekadar menundukkan wajahnya.
Engkau mengerutkan dahi. Dada berdegup kencang.
Raudhatul Husna. Engkau sering mendengar nama ini. Disebut selalu oleh rakan-rakanmu. Perempuan yang terkenal dengan solehahnya, dan dari rakan-rakan engkau yang punya rakan-rakan perempuan, ramai yang menyatakan wajah di balik purdah itu tersangat indah. Pencapaian akademiknya juga sangat mantap, saban tahun mendapat anugerah dekan. Pelajar Usuluddin, tahun 4, University of Yarmouk. Senior kepadamu dari segi batch, namun umurnya sebaya denganmu.
Bukan perempuan sebarangan!
Engkau menghela nafas. Garu kepala yang tidak gatal.
“Em. Husna.”
“Ya, akhi.”
“Saya dalam perjalanan untuk melamar bidadari saya.” Engkau menepuk bagasimu.
“Ya, saya ada dengar juga.” Raudhatul Husna mengangkat wajah. “Sebab itu saya mencuba.”
Allahuakbar.
“Saya tidak harapkan jawapan sekarang. Saya harap akhi pertimbangkan. Mohon diri dulu akhi. Nampaknya, teksi akhi pun dah sampai. Assalamu’alaikum.”
Teksi kini tersedia di hadapan mata. Pemandunya mengucapkan selamat kepadamu. Engkau membalas sapaannya, dan kemudian menghantar Raudhatul Husna dan dua rakan perempuannya pergi dengan pandangan.
“Waalaikumussalam.” Jawapan mulia itu meniti pada bibir.
Engkau menggeleng.
********
Seperti yang dijangka, jadualmu di Malaysia penuh. Saban hari, ada jemputan persembahan ke sana ke mari. 3 tahun para peminatmu menanti. Saban waktu sebelum ini sekadar melihat persembahanmu hanya di alam maya, kini engkau muncul dalam realiti.
“Assalamu’alaikum Malaysia!” Engkau menjerit kuat.
“Waalaikumussalam!” Dan Dewan Sultan Iskandar bergegar dengan jawapan itu.
Engkau dapat melihat ayahanda dan bondamu, bersama adindamu Maisarah di tempat duduk VVIP. Mereka sedang tersenyum gembira, dan itu membuatkan engkau bahagia. Wang royalti album, populariti, bukanlah apa-apa jika hendak dibandingkan senyuman daripada mereka.
Antara tarikan apabila mengikuti persembahanmu adalah, ia seakan-akan ubat kepada jiwa. Tanpa alunan musik, yang ada hanya suara, diselang seli pula dengan motivasi kehidupan yang engkau sampaikan, ia memberikan impak dan kelainan dari apa yang dibawa oleh industri hiburan selama ini.
Engkau hingga ditemu bual oleh beberapa stesen televisyen dan radio, dan dijemput memberikan ceramah motivasi untuk sekolah-sekolah dan universiti-universiti di seluruh Malaysia. Bakat, ditambah dengan persembahan luar biasa yang engkau bawakan, disempurnakan lagi dengan umur yang baru sahaja 20-an, membuatkan engkau menjadi satu fenomena di Malaysia.
Engkau kini boleh dikatakan sebagai yang telah berjaya.
“Nampaknya Afeef, Afeef telah berjaya membuktikannya.” Ayah bersuara, saat sarapan pagi di halaman. Bunyi air pancur menghiasi suasana.
“By the way, actually, kalau Afeef tak berjaya pun capai macam apa yang Afeef capai hari ini, Ibu dengan Ayah memang dah fikir nak support sahaja Afeef kahwin awal. Afeef berusaha sahaja, sudah cukup buat kami gembira. Tetapi nampaknya, Allah beri lebih lagi. Afeef betul-betul berjaya!” Ibu nyata gembira.
“So, Ibu, Ayah, can we discuss about ‘that’ thing?” Engkau angkat kening dua kali dengan senyuman nakal.
“Abang ni, duduk Jordan tiga tahun, tak berubah-ubah gayanya!” Pinggang engkau dicuit Maisarah.
Seluruh keluarga tertawa.
“Okay, hujung minggu ini Ayah dan Ibu free. Maisarah, please notify to her family, yang Ayah dan Ibu nak datang ziarah.”
“Ai ai sir!” Maisarah buat gaya tabik, dengan jemput-jemput masih di tangan.
Engkau tersenyum bahagia.
Sepanjang waktu sebelum ini, engkau berdoa bersungguh-sungguh agar engkau berjaya. Bukan sahaja berjaya dalam karier menyanyi, tetapi berjaya sebagai seorang da’ie. Berjaya membina diri, menimba ilmu, dan mempunyai kefahaman yang luas lagi sederhana dalam agamamu. Saban tahun, jika ada peluang, engkau meluangkan masa cuti semestermu menziarahi Rumah Allah di Makkah, berdoa, mempertingkatkan diri, dengan penuh pengharapan.
Engkau kira, waktu bahagiamu sudah semakin dekat.
Allah akan memakbulkan segala harapan.
“Alhamdulillah.”
Perhentian Kelima: Menempuh Ujian.
Engkau sugul.
Wajah yang sentiasa ceria, menjadi sedikit kelam. Engkau tetap meneruskan jemputan-jemputan yang masih berbaki. Engkau tersenyum di khalayak ramai, tetapi engkau bersedih di dalam hati.
“Macam mana Ayah, Ibu?”
Engkau bertanya ceria apabila Ibu dan Ayah pulang. Namun engkau perasan wajah mereka tidak seceria biasa. Maisarah juga masuk ke rumah dalam keadaan menundukkan kepala.
“Eh, kenapa ni?”
Mereka bertiga duduk di atas sofa ruang tamu.
“Em, abang, Kak Atikah tolak la.”
“Ha? Seriously?” Engkau memandang Ibu dan Ayah.
Kedua-dua orang tuamu mengangguk. Hatimu meretak.
*****************************************
Baca cerpen ini sepenuhnya di dalam Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.
Harga: RM25.00
Genre: Kumpulan Cerpen.
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, memuatkan 20 buah cerpen yang bertemakan cinta, namun tidak terpenjara dalam skop Cinta lelaki dan perempuan semata-mata. Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta membawa definisi baru berkenaan Cinta, untuk membebaskan masyarakat hari ini daripada takrif cinta yang salah. Menggunakan cerpen sebagai medium penyampaian, Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta bakal menggegarkan kehidupan anda dengan makna Cinta yang bersih, suci, dan membahagiakan.
———————————————–
WHERE TO BUY?
http://langitilahi.com/store
HOW TO BUY?
http://langitilahi.com/store/store-guide
VIDEO GUIDE:
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg
———————————————–
WHY SHOPPING ONLINE?
No closing times
No carrying heavy bags
No traffic & parking jams
No wasting petrol, toll & time
No over-crowded supermarkets & queues
———————————————–
Mari Menjadi Hamba!
Kehidupan: Jambatan Hati.
Picture by UmarMita of LangitIlahi
Antara soalan yang popular saya perolehi semasa memberikan talk adalah berkenaan bagaimana hendak mengajak rakan kepada kebaikan, bagaimana hendak menegur sahabat dengan baik dan perkara-perkara yang sedemikian rupa.
Bila saya jawab, “Tegur sahajalah.” Ramai akan memberikan ekspressi terkejut. “Tak terasa ke nanti dia?”
Maka di sini saya melihat satu perkara yang kurang dalam hubungan kita dan sahabat kita, atau orang sekeliling kita. Sampaikan kita rasa takut dia akan terasa apabila kita menegurnya. Sampaikan kita risau penerimaannya terhadap kita. Sampaikan kita mati akala apakah teknik yang perlu kita gunakan untuk mengajak mereka kepada kebaikan.
Apakah yang kurang itu?
Jambatan hati.
Apakah jambatan hati?
Jambatan hati adalah hubungan antara hati. Biasanya digunakan jambatan adalah kerana fungsi jambatan adalah untuk menghubungkan dua tanah yang terpisah. Maka di sinilah kita sebagai hamba Allah yang ingin memberikan kebaikan yang banyak kepada orang sekeliling, perlu membina jambatan antara hati-hati kita dengan mereka.
Maka, apakah yang mampu menjadi ‘jambatan’ antara hati-hati kita?
Bahan asas yang utama dalam hendak membina ‘jambatan’ antara hati-hati kita itu adalah keimanan kepada Allah SWT. Dan ‘jambatan’nya adalah akhlak dan kebaikan yang kita semaikan kepada mereka.
Pokoknya, kita membina hubungan kita dengan mereka, untuk mengejar keredhaan Allah SWT.
Memberikan kebaikan, satu perniagaan jangka panjang
Tidak semestinya projek “amar ma’ruf nahi munkar” itu perlu terwujud hanya pada ketika kita melihat kemungkaran berlaku di hadapan mata kita. Apabila kita melihat sahabat kita tersungkur, baru ada perasaan hendak mengajaknya kepada kebaikan. Bukanlah pada masa itu baru kita nak ajak pergi minum, pergi slow talk, bagi tazkirah dan sebagainya.
Hakikatnya, memberikan kebaikan kepada orang sekeliling adalah satu elemen ‘jambatan hati’ yang amat penting. Memberikan kebaikan semenjak awal. Rapat dan meraikan. Berhubungan baik dan menunjukkan kemesraan. Ziarah dan sentiasa berusaha menghulurkan bantuan. Pada masa yang sama, kita menjalankan proses ta’aruf dan berusaha untuk mendalami peribadi.
Dalam pada masa yang sama, menunjukkan qudwah hasanah juga adalah salah satu ‘jambatan hati’ pada hakikatnya. Segala kebaikan yang kita usaha pancarkan, semua itu hakikatnya menyumbang kepada pembinaan ‘jambatan hati’ antara kita dan manusia di sekeliling kita.
Walaupun perkara ini nampak ‘slow’, tetapi kesannya adalah sangat menyengat. Memang nampak sukar memberikan kebaikan tanpa apa-apa sebab khusus melainkan kerana Allah SWT semata-mata. Tetapi inilah dia ‘perniagaan’ jangka panjang kita.
Hubungan yang terbina itu akan membuatkan kita lebih erat, dan dia akan lebih mudah hendak mendengar pendapat kita.
Maka kita terus-terusan memberikan kebaikan, membina jambatan hati, antara hati kita dan hati-hati mereka.
Elemen tersembunyi di dalam ‘jambatan hati’
Dan janganlah kita semata-mata melihat kepada zahir sahaja jambatan hati ini. Jangan semata-mata kita melihat amal-amal kebaikan yang kita curahkan tadi adalah limitasi kepada pembinaan jambatan hati.
Jambatan hati juga sepatutnya terus kita wujudkan walau mungkin kita dan mereka itu tidak bersua dan bertemu. Itulah dia dengan membersihkan hati kita, mengikhlaskan niat kita, dan sentiasa melayangkan doa buat mereka.
Ketahuilah bahawa, hidayah itu adalah milik Allah. Kadang-kadang kita lupa akan hakikat ini, lantas hanya bermati-matian dalam hal fizikal, tanpa bermati-matian juga mendoakannya secara khusus dalam angkatan tangan kita. Siapakah yang istiqomah dalam mendoakan orang yang ingin diajaknya kepada kebaikan?
Dan ketahuilah bahawa, cermin yang hitam takkan mampu memantulkan cahaya.
Masalah apabila diwujudkan kasta
Ada antara kita tidak mahu membina jambatan hati. Hal ini kerana di dalam hati kita, kasta-kasta seperti ‘orang tak berakhlak’, ‘kumpulan lagha’, ‘rosak’ dan sebagainya telah kita wujudkan. Di sini, di dalam hati telah wujud ‘hijab’ atau ‘dinding’ yang menghalang kita untuk menegur dengan teguran yang menyentuh jiwa.
Tiadalah dari mulut itu akan sampai melainkan hanyalah ke telinga. Tetapi yang daripada hati itu akan terus sampai ke hati juga. Maka pembinaan ‘jambatan hati’, ‘perniagaan jangka panjang’ kita tadi adalah satu elemen yang sangat penting.
Tetap membina hubungan, meraikan, mendalami, meneliti bukanlah bermakna kita juga perlu terjebak dengan segala ‘perlanggaran’ yang dilakukan. Janganlah takut dengan bicara yang biasanya kedengaran begini: “Nanti kalau ana tak nak ikut, diorang dah tak nak rapat dengan ana.”
Untuk budak-budak sekolah yang belum dewasa, mungkin begitu. Tetapi lumrahnya apabila di universiti, bila di dalam masyarakat, sekiranya kita adalah yang mencurahkan kebaikan, orang lain(melainkan yang benar-benar berniat buruk) tidak akan menyuakan kepada kita keburukan. Malah, akan muncul rasa segan dan hormat apabila kita dengan sopan menyatakan prinsip kita.
Ini semua termasuk dalam terma ‘perniagaan jangka panjang’. Kita mungkin tidak akan melihat hasil ini dalam sehari dua, seminggu dua, sebulan dua. Tetapi dalam satu jangka masa, dengan usaha yang tidak pernah kenal lelah, kita akan melihat perubahan demi perubahan terhadap target-target kita tadi.
Hati yang telah tertaut itu berbeza
Dua hati yang telah bertaut itu berbeza dengan dua hati yang tidak berhubung. Hatta seorang penceramah yang baik pun, adalah penceramah yang membina jambatan hati dengan masyarakatnya semampunya. Walaupun mungkin dia tidak membina jambatan hati dengan seorang perseorang dalam masyarakatnya.
Ibarat orang yang bercinta, berbeza bukan dengan orang yang tidak bercinta?
Begitulah hasilnya apabila dua hati berhubung.
Bicara akan lebih mudah didengar, pendapat akan lebih mudah diperbincangkan, dan hati akan lebih tenang dalam menerima.
Penutup: Jambatan hati, hilangkan benci, tanamkan kasih
Pada saya, ketiadaan jambatan hati adalah yang membuatkan kita takut orang terasa dengan teguran kita. Sebab? Sebab kita tidak rapat dengannya. Kita tidak memahami apa sebenarnya masalah dia.
Sebenarnya, sekiranya ada jambatan hati, memang kena ‘sembur’ akibat terasa ditegur itu memang ada. Tetapi oleh kerana kita telah membina jambatan hati tadi, lama-lama dia yang akan kembali kepada kita, meminta maaf dan muhasabah semula. Ini berlaku kepada sahabat karib saya sendiri apabila dia dibuang lebih kurang tiga bulan dari kehidupan sahabatnya. Semuanya hanya kerana dia memberanikan diri menegur. Tetapi selepas itu, sahabatnya yang ditegur itu kembali kepadanya. Meminta maaf. Bahkan melakukan perubahan. Mungkin sahaja dalam selama ‘jambatan hati’ itu dibina, hati Sang Sahabat tadi telah terlentur dan lembut sebenarnya. Siapa tahu bukan?
Hilangkan kebencian di dalam hati. Tanamkan kasih. Biar kita lihat semua wajah, semua wajah itu kita sayang dan berusaha membawanya ke arah kebaikan.
Jangan sesekali merasakan, pada kita ada tanggungjawab ‘melempar orang ke neraka’. Sebab sepanjang ilmu yang saya ada, saya hanya tahu bahawa Allah bagi tanggungjawab pada manusia untuk ‘membawa orang ke syurga’. Hatta arahan Allah untuk memerangi orang-orang yang ingkar kepadaNya juga adalah atas hendak membawa lebih ramai orang menjadi hambaNya yang sebenar.
Maka di sini kita lihat semula.
Mula membina jambatan hati antara kita.
Sebarkan kebaikan dengan cara yang halus.
Biar hati-hati yang ada menjadi mulus.
May 1, 2013
Poster : The Truth
April 30, 2013
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta: Cerpen Yang Tertinggi Cintanya
Kalau benar cintamu kepada Tuhan lebih tinggi,
Maka di manakah pembuktiannya?
Sesungguhnya cinta bukan sekadar dengan kata dan angan-angan,
Tetapi dibuktikan dengan amal tindakan.
Al-Quran itu dipegang dengan kemas. Mata menumpukan perhatian. Hati seakan-akan sedang bersemayam di atas awan. Membaca dengan penuh penghayatan.
Dia perlukan ketenangan yang lebih. Allah sedang mengujinya.
Surah Toha itu dialun suaranya, gemersik memenuhi ruang biliknya. Surah kesenangan di kala gundah, surah kekuatan di kala susah.
“Ehem.”
Dan pembacaannya terhenti. Perlahan-lahan dia menoleh.
Farid Mursyidi sedang menyandarkan bahu pada bingkai pintu, dengan wajah dihiasi senyuman nakal.
“Nak apa?” Dia bertanya perlahan, sambil memusingkan seluruh tubuhnya, tetapi masih kekal bersila. Dia tahu, pastinya Farid perasan wajah monyoknya itu. Perlahan-lahan Farid mendekatinya.
“Masih bermasalah dalam membuat pilihan wahai sahabatku Syakir Muntasir?” Bahunya ditepuk, dan Farid kini bersila di hadapanya. Lutut bertemu lutut.
“Aku masyghul la. Keputusan yang sukar.” Syakir menggaru kepala.
“Istikharahnya macam mana?”
“Apa, kau ingat semua istikharah keluar mimpi bagi jawapan? Kalau macam itu baik aku istikharah setiap malam periksa.” Syakir menjelirkan lidah. Farid seakan-akan tidak tahu bagaimana sistem istikharah yang sebenarnya berfungsi.
Farid tertawa senang. Bahu Syakir ditepuk beberapa kali. Mungkin memahami, sambil terkesan dengan canda tadi.
Istikharah bukanlah satu keajaiban untuk menggolekkan jawapan kepada kita. Istikharah hakikatnya perlu diiringi usaha membuat kalkulasi yang baik. Tanda istikharah bukan semestinya mimpi, tetapi hakikatnya adalah ketenangan hati yang kuat apabila membuat keputsan.
“Aku nampak jalan ke sebelah B lebih benar dan aku macam lebih tenang ke sana.” Syakir melepaskan keluhan. Nampak bahawa Jalan B bukan jalan pilihan asalnya.
“Kau rasa, kalau kau pilih jalan B, jalan A akan hilang?”
Dan kini matanya dan mata Farid bertaut. Sengih kelat muncul pada wajah Syakir. “Lebih kurang. Kau tahu aku cintakan Humaira’ bukan? Aku hanya perlu tunggu dua tahun sahaja lagi.”
“Tapi pada masa yang sama, kau perlu berkahwin sekarang. Kau adalah orang yang siap, sudah bersedia, dan kau memang perlu kahwin. Kalau tak, resah gelisah tak berhenti. Fokus terganggu. Namun, memilih Anum Sakeena ada downsidenya.”
“Ada ‘banyak’ downsidenya.” Syakir menambah.
Farid pula yang menghela nafas kali ini. Ya, keputusan yang sukar.
“Kadang-kadang Syakir, walaupun kita ini manusia yang ikuti jalan dakwah dan tarbiyah, kita masih terikat dengan gari-gari dunia bukan?” Farid menolak tubuh, bersandar pada dinding. Melunjur kaki, sambil memandang siling.
Jiwa Syakir seakan tercucuk dengan kalam itu. Dia melihat sahaja sahabatnya itu.
“Maksud?”
“Yalah. Kalau aku, aku akan biarkan sahaja Anum. Aku akan sanggup tunggu Humaira’. Aku sanggup menderita dua tahun, dari ambil risiko duduk dengan Anum. Tambahan, dalam posisi kau, aku cintakan Humaira’. Tinggal…” Kata-kata Farid terhenti. Dia melirik kepada Syakir.
Mata Syakir dan Farid bertemu. Syakir hanya diam. Ingin Farid menyempurnakan bicara.
“Tinggal kita tahu, Anum memerlukan bantuan kita, pertama. Kedua, dalam posisi kau, kita memerlukan kehadiran Anum yang sanggup berkahwin dengan kita sekarang. Ketiga, hajat Anum bukan hajat yang kecil, dan belum ada yang sanggup membantunya, sedang kita telah terlanjur memikirkannya, tambah pula dalam posisi yang siap untuknya.”
“Kita? Kau ajalah yang pergi ambil Anum.”
Farid tertawa. “Kita di sini bermaksud kau lah. Aku mana mampu kahwin lagi. Kau dah mampu, tinggal kena tunggu sebab nak kejar cinta sahaja. Itulah yang aku kata, kita ini walaupun ikut jalan dakwah dan tarbiyah, kita masih terikat dengan gari-gari dunia. Kita amat tahu relevannya hajat Anum, tetapi kita rasa sukar nak penuhi hajat dia, sebab hajat dia tak ada harganya di atas dunia. Hanya berharga di akhirat sana. Aku sebut kita, sebab kalau aku jadi engkau, aku sendiri jadi berat.”
Suasana bilik itu senyap sebentar. Seakan menunggu giliran, azan isya’ dari Masjid University of Yarmouk kedengaran. Azan mendayu-dayu, seakan waktu rehat dari perbincangan yang mengkusutkan itu.
Dunia dan akhirat. Orang-orang yang mengikuti jalan dakwah dan tarbiyah pun, adakalanya masih tergari dengan dunia. Sedangkan, secara sedarnya, dia tahu apa pilihan yang patut dia lakukan.
Azan tamat. Doa. Mata Farid dan Syakir kembali bertemu. Masih senyap.
Perlahan-lahan Farid berdiri, dan mendekati Syakir. Bahunya disentuh lembut.
“Mungkin ada waktu itu, kita kena belajar untuk campak segala-galanya, dan hanya percaya kepadaNya. Kena berani buat leap of faith.”
Kemudian Farid bergerak keluar dari bilik. Pastinya hendak menuju ke masjid.
Syakir keseorangan.
Campak segala-galanya, dan hanya percaya kepadaNya.
*******
Anum Sakeena. Seorang yang pada zahirnya kelihatan seperti bidadari. Dia lawa. Dia cerdas. Dia juga aktif dalam urusan dakwah dan tarbiyah. Lebih mencantikkan peribadinya, dia tiada kasta. Dengan rakan-rakan yang tidak berapa faham Islam pun, dia masih bergaul, mendekati, dan memesrai. Sebab itu pelajar-pelajar perubatan dan pergigian di Jordan amat mengasihinya. Pembetulan, semua pelajar di Jordan ini mengasihinya.
Namun Allah SWT menguji. Anum Sakeena dipercayai mempunyai Systemic Lupus Erythematosus atau SLE. Satu penyakit yang akan meragut nyawanya untuk satu jangka masa yang tidak lama lagi. Tetapi tiada siapa yang melihat Anum Sakeena bersedih hati atau kegelisahan. Dia seakan-akan manusia paling tabah yang berjalan di atas dunia ini. Dia tidak pula pulang ke Malaysia dan berhenti belajar seakan-akan dunia telah kiamat. Dia masih meneruskan kehidupan, studi dengan rajin, dan hidup dengan gembira.
Tetapi, ada satu perkara yang menggusarkan Anum Sakeena. Dan perkara itu tidak diceritakan kepada sesiapa, kecuali seorang manusia yang diyakininya dalam keadaan mampu, dan mungkin akan membantunya.
Itulah dia Syakir Muntasir. Pelajar Tahun 3 Fiqh Wa Usuluhu di University of Yarmouk. Satu angkatan dengan Anum Sakeena, tinggal Anum Sakeena mengambil pengkhususan Iqtisod Islami.
Syakir Muntasir sangat terkenal dengan manusia yang lebih tua dari usianya. Walaupun di luar Syakir kelihatan seperti manusia yang tidak peduli apa-apa, tetapi apabila keadaan memerlukan seorang Syakir Muntasir untuk serius, tiada sesiapa yang mampu menghentikannya. Fikirannya matang, fikrahnya jelas, disiplinnya tinggi, pandangannya jauh, dan dia seorang yang siap untuk memikul tanggungjawab yang besar, juga mampu menghadapi banyak dugaan kehidupan.
Dan Anum Sakeena amat pasti, Syakir Muntasir sedang mempersiapkan diri ke gerbang perkahwinan, memandangkan ura-ura bahawa lamaran lelaki itu ditolak, atau lebih tepat lagi, ditangguhkan untuk diterima, telah tersebar dalam komuniti di sini. Perempuan itu nampaknya tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab pada ketika ini. Dua tahun dimintanya tangguh. Berita sebegini tidak sukar didapati, kerana Syakir Muntasir sangat terkenal di sini. Sama ada dia mendiamkan segala cerita di dalam tubuhnya seorang, atau cerita itu akan bergerak meliputi seluruh Jordan dalam masa yang sekejap sahaja. Dan Syakir Muntasir juga manusia, pasti paling kurang dia akan berkongsi masalah hidupnya dengan teman-teman karib.
Mendengar berita itu, Anum Sakeena terasa seakan-akan Allah membukakan jalan untuknya. Walaupun dia tidak tahu, apakah perancangan Allah SWT yang sebenarnya, namun nyatanya dia telah membuat kalkulasi dan merasakan inilah yang terbaik. Maka dengan berani, setelah mendapat izin ibu ayahnya, dia mewakilkan seorang senior tahun 6 Perubatan untuk menyampaikan hajatnya kepada Syakir Muntasir.
“Anum Sakeena ingin dirinya dikahwini Syakir Muntasir, kerana adalah satu hajatnya yang besar sebelum meninggalkan dunia ini dia meninggalkan satu saham akhirat yang besar untuk dirinya, dan meninggalkan satu hadiah yang besar untuk Islam di atas dunia. Itulah dia seorang anak. Anum Sakeena ingin ada cebisan dirinya, yang tinggal di atas dunia ini untuk terus memberikannya pahala, dan berjuang untuk Islam buat dirinya.”
Dan saban hari, Anum Sakeena berdoa agar Allah SWT memakbulkan hajatnya, atau memberikannya sesuatu yang lebhi baik.
Itulah hajatnya.
Dan bukan sebarang orang akan menyahutnya.
******
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia!
Syakir bangun dari pembaringannya malam itu. Saat dia yakin dan tenang dengan keputusannya. Saat dia membuat keputusan, untuk membuat satu anjakan paradigma, lompatan saujana yang akan mengubah lorong hidupnya.
Dia mencapai telefon bimbitnya. Ibu Humaira’ dihubungi.
“Ibu, Syakir rasa, Syakir nak buat keputusan ini.”
Dan hanya esak tangis sahaja kedengaran. Syakir tabah. Tidak tergugah.
Ummi Abahnya dihubungi. “Syakir nekad.”
Dan Ummi Abahnya tidak berkata apa-apa lagi. Menyokong, dan mendoakan.
Dia menggenggam erat tangannya. Keputusan yang berat. Tetapi hendak diluahkannya.
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia!
Mendail nombor terakhir. Kak Rasyidah, pelajar perubatan tahun 6 yang menghubunginya tempoh hari mewakili seorang Anum Sakeena.
“Akak, saya setuju. Sampaikan kepada Anum.”
Dan, selepas itu, dia terduduk.
“Aku telah membuat lompatan itu Ya Allah. Dan sekarang, aku serahkan diriku sepenuhnya kepada Engkau. Sungguh, aku hanya hambaMu yang tidak mengetahui apa-apa. Membuat keputusan ini, sekadar ingin menghormati seorang mujahidah yang benar-benar mencintaiMu Ya Rabb. Nyatanya, aku sebelum ini tidak mencintaiMu sehebat CintaNya, yang walau mati pun masih ingin terus berjuang untukMu.”
Bukan senang melepaskan apa yang selama ini dikejar. Bukan senang memilih sesuatu yang diketahui tidak lama lagi akan hancur. Bukan senang hendak mengenepikan pilihan sendiri, perasaan hati, untuk memilih sesuatu yang benar dan hakiki, kerna biasanya walaupun pilihan diri itu salah, itulah yang disenangi. Dan hari ini dia melakukan, apa yang ramai manusia tidak mampu.
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia.
Air mata mengalir deras di pipi Syakir Muntasir malam itu.
******
“Sebenarnya, berapa lama lagi masa untuk awak hidup?”
…..
*****************************************
Baca cerpen ini sepenuhnya di dalam Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.
Harga: RM25.00
Genre: Kumpulan Cerpen.
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, memuatkan 20 buah cerpen yang bertemakan cinta, namun tidak terpenjara dalam skop Cinta lelaki dan perempuan semata-mata. Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta membawa definisi baru berkenaan Cinta, untuk membebaskan masyarakat hari ini daripada takrif cinta yang salah. Menggunakan cerpen sebagai medium penyampaian, Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta bakal menggegarkan kehidupan anda dengan makna Cinta yang bersih, suci, dan membahagiakan.
———————————————–
WHERE TO BUY?
http://langitilahi.com/store
HOW TO BUY?
http://langitilahi.com/store/store-guide
VIDEO GUIDE:
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg
———————————————–
WHY SHOPPING ONLINE?
No closing times
No carrying heavy bags
No traffic & parking jams
No wasting petrol, toll & time
No over-crowded supermarkets & queues
———————————————–
Mari Menjadi Hamba!
Umum: Bengkel Penulisan Islamik Bersama Hilal Asyraf ZON SELATAN.

POSTER BENGKEL PENULISAN ISLAMIK BERSAMA HILAL ASYRAF ZON SELATAN
Alhamdulillah, Bengkel Penulisan Islamik Bersama Hilal Asyraf Zon Selatan mendapat sambutan yang sangat hangat. 77 orang telah mendaftar. Ini membuatkan kami, menaikkan lagi kuota hingga kepada 100 orang.
Sebagai hadiah buat warga Johor, harga akan kami bekukan seperti yang berada di dalam poster hingga ke tarikh Bengkel Penulisan berlaku, yakni 11hb Mei 2013.
Kepada yang hendak mendaftar, pendaftaran masih dibuka. Seat masih ada 23 kosong. Bawa lagi ramai orang, lagi murah harganya.
CARA PENDAFTARAN:
Sila SMS: BPIS ke 019-4491170
Setelah mendapat respon, Sila bank in 50% wang pendaftaran ke akaun:
CIMB 01060005322202 (HILMI BIN ABD RAZAK)
Barulah pendaftaran anda dikira.
Ambil peluang ini segera!
Detail program:
Tempat – Dewan Al-Ghazali, Masjid Sultan Ismail, UTM, Skudai, Johor.
Tarikh: 11hb Mei 2013
Masa: 8.30pg – 5.00ptg
Harga asal: RM200 satu kepala
Slot:
1 – Niat, Matlamat, dan Disiplin.
2 – Menjemput dan membumikan idea.
3 – Teknik Graf Penceritaan.
4 – Islamik & Tarbawi
5 – Blog dan kepentingannya dalam karier penulisan.
DISCOUNT:
1 – Datang berdua: Discount 40%
2 – Datang bertiga-lima: Discount 50%
3 – Datang berenam-berlima belas: Discount 60%
*jika berkumpulan, daftarkan senarai nama, senarai nombor ic, kepada 019-4491170. Kemudian masa bank in duit, bank in 50% dari jumlah harga berkumpulan tersebut. Jika bukan begini, pendaftaran tidak dikira berkumpulan.
Jangan lepaskan peluang okay!
April 29, 2013
Motivasi : Nota Tabiyah – Rahsia Menunduk Pandangan
Mata – kita pencetus dosa atau pahala?
Tiket awal ke Syurga atau Neraka?
—–
“ Relalah menerima apa yang Allah SWT berikan kepadamu, nescaya anda menjadi orang yang paling kaya. Jauhilah apa yang Allah SWT haramkan bagimu, nescaya anda menjadi manusia paling wara.”
Ibnu Mas’ud RA
Risalah Al-Mustarsyidn
Suatu hari, ada seorang anak murid bertemu dengan murabbinya. Dia ingin meluahkan sesuatu permasalahan kepada murabbi yang disegani dan dihormatinya itu.
Saat itu, hatinya benar-benar gersang, hambar dan kaku. Setiap ibadah yang dilaksanakannya seolah-olah kering dan tidak meninggalkan kesan kepada hatinya. Kenikmatan dan kemanisan beribadah dan bermunajat jua semakin hari semakin hilang daripada kehidupannya.
Dia runsing, bimbang dan resah. Adakah dia sudah kehilangan cinta dan kasih sayang daripada Allah SWT. Ya, dia sentiasa konsisten dan istiqamah menghadirkan diri dalam majlis-majlis ilmu, mendengar tazkirah mingguan dan pengisian-pengisian kerohanian.
Tetapi jauh di sudut hatinya, dia meronta-ronta.
“ Hati ini benar-benar kosong….”
“ Murabbi, hajat benar agar dapat membantu hamba ini,”Katanya lembut kepada Sang Murabbi yang dithiqahinya.
Air matanya mengalir. Sebak dan sayu. Dia merasakan seolah-olah sudah hilang segala keserian dan kehidupan yang membahagiakan. Matanya berkaca-kaca. Dia tertunduk di depan insan yang disayanginya.
“ Akhi, pernahkah anta merasai seperti saat ini, sebelum ini?,” Tanya Murabbinya.
“ Belum lagi ya Murabbi,” Jawabnya dengan nada perlahan.
“ Anta tahu, kadang-kadang jasad dan fizikal kita hadir ke dalam program-program pengisian ilmu dan tazkirah hati tetapi hati kita tidak dibawa bersama-sama. Hati tidak hadir ke dalam majlis ilmu, sedangkan sasar utama proses pensucian dan tarbiyah ini ialah hati. – Program berjalan tetapi proses tidak berlaku,” Kalam murabbi itu penuh tarbawi dan menusuk kalbu.
“ Jadi, sekarang ini apa yang perlu saya buat?,” Soalnya dengan penuh sinar pengharapan.
“ Tunduk pandangan dan peliharalah mata anta,” Kata murabbinya.
“ Hah! Kenapa pulak?,” Soalnya kepelikan.
Menunduk Pandangan
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman hendaklah mereka menahan pandangan.”
( An- Nur : 30)
Di dalam buku Apa Ertinya saya menganut Islam, Dr Fathi Yakan telah menghuraikan berkaitan akhlak-akhlak yang perlu ada paa seorang muslim. Salah satunya ialah menundukan pandangan. Menundukan pandangan, bererti berusaha untuk mengalih pandangan, menutup dan dengan penuh sifat mujahadah dengan penuh keimanan, dan kerendahan hati daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah, kerana pandangan itu akan menimbulkan syahwat dan mendorong seseorang terjatuh ke lembah kehinaan.
Dia akan bermujahadah daripada melihat perkara-perkara keji, kotor, jijik dan berbau dosa. Matanya dipelihara daripada perkara-perkara sebegitu. Kerana apa? – Pandangan mata akan memberikan kesan kepada hati. Setiap pandangan mata akan memberikan kredit kepada hati. Sama ada terbentuknya bintik-bintik hitam kerana dosa, atau menjernihkan hati dengan amalan kesolehan.
“ Dengan menundukan pandangan – anta akan dikurniakan oleh Allah suatu nikmat yang jarang-jarang diperolehi oleh manusia lain,” Kata Murabbi.
“ Apa dia, wahai murabbi ?,” Katanya dengan penuh minat.
“ Allah SWT akan berikan nikmat dan kemanisan dalam beribadah. Anta akan merasai nikmat kekhusyukan di dalam solat!,” Katanya dengan lemah lembut.
Ya. Dengan menundukan pandangan, Allah akan berikan suatu nikmat yang sangat manis dan mahal. Kekhusyukan di dalam solat. Kerana, mata yang terpelihara dan terjaga – menjadi asbab hati, jiwa dan perasaan itu jernih, bersih, putih dan suci. Kesannya – ibadah solat akan terfokus, khusyuk dan membahagiakan.
Pratikal menunduk pandangan : Mustahil?
Boleh ke hendak menunduk pandangan. Rasa macam tidak logik. Hari ini, dimana-mana dan diserata tempat, terdapat banyak bentuk-bentuk kemaksiatan dan kemungkaran :
(1)- Kota raya, – lihatlah bagaimana cara remaja-remaja berpakaian terutama perempuan. Sangat-sangat mengoncangkan iman dan mengiurkan perasaan. Pusing ke kanan, masyaAllah. Alih ke kiri juga, perkara yang sama. Di mana-mana tidak kira masa dan tempat. Setiap kali mata memandang, hati berdebar-debar rasanya.
(2)- Kedai buku dan gerai majalah juga sama – lihatlah majalah-majalah picisan dan rendah moral yang berlambak dipasaran. Cover majalah yang mendedahkan segala-galanya. Sekali terpandang, tergugat hati dan seluruh jiwa raga. Macam-macam gaya yang diperlihatkan. Begitu juga dengan surat khabar yang ada sekarang. Iklan-iklan yang menggiurkan seringkali mencabar kelelakian dan keimanan yng bertahta di hati. Gambar-gambar yang didedahkan seolah-olah tiada unit tapisan dan diletak tanpa pemantauan undang-undang.
(3)- Filem-filem dan drama-drama yang dihasilkan sama ada peringkat tempatan atau antarabangasa apatah lagi. Pastikan akan mendedahkan perilaku dan agenda-agenda membangkit syahwat, mengghairahkan nafsu dan merosakan keharmonian iman.
(4)- Alam maya internet pun sama juga . Laman-laman website yang sentiasa mengganggu keharmonian ketika melayari internet sering muncul secara tiba-tiba, sangat-sangat mengejutkan iman! Ini tidak masuk lagi, yang gambar-gambar yang tidak soleh, separuh berpakaian dan aksi-aksi yang jijik dan kotor yang mudah dicapai di alam sesawang ini.
(5)- Mesej-mesej berbau lucah dan video-video yang dihantar secara rambang ke handset kita selalu mengganggu ketenteram iman. Bisikan syaitan dan nafsu selalu – mengarahkan agar membukanya dan menikmatinya. Jadi bagaimana harus kita buat?
(6)– Dan, banyak lagi. Semuanya ke arah kehancuran dan kemusnahan keimanan.
Jadi, bagaimana mahu memelihara mata? Sukar sekali.
“ Akhi, memelihara mata dan menunduk pandangan memerlukan sifat mujahadah nafsu yang sangat tinggi. Ia adalah bentuk jihad yang menuntut pengorbanan kejiwaan yang tinggi. Tetapi, yakinlah ganjarannya adalah sangat mahal dan tidak ternilai,” Murabbi meneruskan bicara kalamnya.
Menunduk pandangan bererti kita memelihara kehormatan dan kemuliaan diri. Keaiban-keaiban sebegini harus dijaga dan dicegah awal-awal lagi. Ingatlah sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Hendaklah kamu menahan pandangan kamu dan menjaga kehormatan kamu atau Allah menelungkupkan muka kamu.”
( Hadis riwayat At-Tabarani)
Menunduk pandangan, bagaimana hendak dibumikan?
“ Akhi, takutkan Allah SWT, banyakan mengingati mati dan bayangkan suasana hari Akhirat,” Kata murabbi lagi.
Perkara ini tidak akan berlaku tanpa, kekuatan keimanan. Ya imanlah yang akan menjadi dinamo, penggerak dan nadi utama segala bentuk tindakan kita.
Setiap kali, mempunyai peluang untuk melakukan bentuk-bentuk dosa dan maksiat – bayangkanlah episode-episod ngeri dan gelombang kedahsyatan sakaratul maut. Bayangkan bentuk kematian yang agar menimbulkan keinsafan dan kesedaran.
Dan, ketika jiwa dan hati dirundum kelesuan dan kelemahan – banyakan juga mengingati azab dan ancaman-ancaman yang akan Allah SWT berikan di hari akhirat kelak. Suasana-suasana hari kebangkitan yang digambarkan di dalam Al-Quran dan dijelaskan di dalam Hadis, mampu mengetuk hati dan meleburkan keangkuhan kita terhadap Allah SWT.
Penutup : Dimana kepekaan kita?
Petang itu, anak muridnya itu menangis sepuas-puasnya. Dia sedar akan dosanya. Barulah dia sedar bahawa selama ini, dia tidak begitu halus dan peka dalam soal penjagaan dan pemeliharaan matanya. Selama ini, matanya telah menyebabkan hati dan jiwanya kosong dan hilang kemanisan di dalam beribadah.
“ Murabbi, terima kasih banyak-banyak. Saya sedar dan insaf. Bimbinglah saya, Murabbi. Pandulah aya murabbi. Saya tidak mahu kehilangan Allah SWT di dalam diri saya. Saya tidak mahu kembali seperti zaman kejahiliyah saya dahulu,” Katanya tersedu-sedu di hadapan pembimbingnya.
Kata-kata murabbinya masih basah.
Ia sangat berkesan di hati dan menyentuh perasaan keinsanannya.
“Dengan memelihara pandangan daripada perkara-perkara keji, jijik, mungkar dan berbau dosa – Allah SWT akan campak satu kenikmatan yang jarang-jarang manusia perolehi. Iaitu : Nikmat Kekhusyukan dalam solah!”
Ya Allah, bantulah diri ini dalam memelihara pandangan dan mata kurniaan-Mu ini.
Berikanlah aku kekuatan Ya Allah untuk mengharungi kehidupan yang dipenuhi gelombang maksiat yang dahsyat. Ingin aku harungi kehidupan ini dengan keimanan seharum semerbak kasturi.
Kehidupan: Kekosongan di dalam hati.
Picture by UmarMita of LangitIlahi
Di dalam hati kita, ada satu lompong. Kosong. Tidak terisi.
Semua kita merasakan kekosongannya. Ruang itu sunyi. Dan kita takut dengan kesunyian yang ada di dalam ruang itu.
Akhirnya kita mula mencari sesuatu untuk mengisinya. Ada yang mencari harta, ada yang mencari pasangan, ada yang mencarinya dengan memanjat gunung dan menyelam ke dasar laut, ada yang berusaha mengisinya dengan menganiaya orang lain, dan ada juga yang mengisinya dengan cara menggembirakan orang lain.
Tetapi akhirnya semua itu ibarat berpusing di dalam bulatan.
Rasa kosong itu tetap tidak terisi. Kita rasa takut dengan kekosongan itu.
Maka apakah kekosongan itu? Dengan apakah kita patut mengisinya?
Itulah dia ruang khas untuk Ilahi. Kosong, kerana kita tidak mengisinya dengan perkara yang patut kita isikan padanya. Itulah dia ketundukan dan ketaatan, serta pergantungan kita kepadaNya.
Kesedaran bahawa pergantungan kita adalah rapuh
Kita isi hidup kita dengan pelbagai pengisian. Kita bergantung dengan pelbagai pergantungan. Kita harap kasih sayang insan itu akan berkekalan. Kita damba kebahagiaan kita akan berterusan.
Tetapi sebagai manusia yang berfikir, kita akan terfikir, sejauh manakah kesenangan kita akan berkekalan? Selama manakah keamanan yang ada pada kita akan berterusan?
Apakah selepas kematian orang yang memberikan kasih sayang kepada kita, kita akan dapat meneruskan kebahagiaan ini seperti biasa? Apakah harta ini akan dapat memuaskan kita selama-lama?
Akhirnya kita akan melihat, ada 1001 kemungkinan di dalam perjalanan hidup kita di atas dunia ini, yang mampu membawa kita kepada kesengsaraan.
Kemalangan, tragedi, musibah, dugaan, kematian, semuanya adalah boleh terjadi, dan lantas kita sedar bahawa kita adalah sangat lemah. Tidak berkuasa. Tidak mampu berbuat apa-apa sebenarnya.
Di sinilah kita melihat kerapuhan.
Dan takut pun muncul.
Gerun dengan hari esok tanpa pergantungan yang utuh.
Allah adalah yang terampuh
Di sinilah akhirnya kita melihat, kekosongan itu hanya akan terisi apabila kita mendekat dengan Ilahi. Apabila kita mengadu kepadaNya. Apabila kita berharap kepadaNya. Apabila kita meminta kepadaNya. Apabila kita bernaung di bawahNya. Apabila kita melaksanakan perintah-perintahNya dan meninggalkan laranganNya.
Sebab kita yakin bahawa, Allah adalah yang terampuh.
Dia yang menciptakan kita. Dia yang memberikan kita bahagia dan sengsara. Dia yang menyusun atur seluruh alam ini. Dia yang menciptakan semuanya. Dia yang Maha Tahu, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Berkuasa Atas Segala-gala.
Tiada yang mampu menandingiNya.
Hatta kehebatan mentari juga dalam kekuasaanNya.
Hatta keindahan bulan juga dalam genggamanNya.
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.” Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”. Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). “Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”. Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: “Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?” Surah Al-An’am ayat 74-80.
Dengan Allah, kekosongan itu terisi
Dengan mendekati Ilahi, kekosongan di dalam hati yang amat misteri itu terisi. Rasa takut hilang. Rasa gundah sirna. Rasa gelisah musnah. Rasa resah punah.
Yang ada hanyalah ketenangan.
Ketenangan yang ditunjukkan Bilal bin Rabah RA saat batu menghempap atas dadanya.
Ketenangan yang ditunjukkan Suhaib Ar-Rumy RA saat mengorbankan seluruh hartanya.
Ketenangan yang ditunjukkan Bara’ bin Malik RA saat dia melemparkan dirinya ke kubu musuh.
Ketenangan yang ditunjukkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas saat dia ingin merentas sungai yang besar dan dalam.
Ketenangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, saat dia hanya berdua bersama Abu Bakr di dalam Gua Tsur.
Hingga ke tahap nyawa di hujung tanduk, ketenangan itu tetap wujud sebagai mana yang ditunjukkan oleh Khubaib ibn ‘Adi RA, saat tubuhnya dilapah hidup-hidup oleh Abu Jahal, dan juga apa yang ditunjukkan oleh Ali ibn Abi Talib RA saat dia menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW.
Apatah lagi sekadar kehidupan kita.
Ketenangan, rasa selamat, rasa bahagia, rasa aman yang abadi ini, yang terwujud walau saat kesukaran dan kegelisahan yang tinggi ini, hanya akan didapati apabila merapat dengan Ilahi. Inilah hakikatnya yang kita cari-cari.
Dan pada Ilahi adalah tempat untuk kita menuntutnya kini.
Penutup: Kembalilah kepada Allah dengan sebenar-benar pengembalian
Maka dekatilah Allah. Bukan semata-mata di dalam solat dan ibadah kita di masjid, bukan semata-mata di dalam qiam kita di tengah malam. Tetapi juga di tengah pejabat kita, di meja makan kita, di rumah kita, di tengah tempat belajar kita, di tengah padang permainan kita, di taman-taman rekreasi kita.
Mendekati Allah, tunduk kepadaNya, sepanjang masa. Ketika.
Kehidupan kita sendiri, kita bina atas apa yang diredhaiNya.
Dan kita telah lihat manusia-manusia yang telah berlalu sebelum kita, yang melakukan perkara yang sama(yakni mendekati Allah, tunduk kepadaNya sepanjang masa), apa yang mereka perolehi di dunia, dan apa yang mereka akan perolehi di akhirat.
“Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! – Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia – Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! “ Surah Al-Fajr ayat 27-30
Tidakkah kita melihat, ini jawapan kepada ‘kekosongan’ itu?
Maka apakah yang patut kita lakukan sekarang?
Himmah : Segerakan Taubatmu !
Kalau kamu melihat betapa dekatnya kamu dengan kematian, nescaya kamu tidak akan sanggup untuk menangguhkan lagi taubatmu !
~ Picture by Myberita.com
Telah berapa banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita meskipun kita sebagai hamba-Nya ini terus-menerus berbuat dosa dan maksiat kepada-Nya.
Semalam berbuat dosa, tetapi hari ini Dia masih mahu membangunkan kita setelah kita dimatikan seketika di malam hari.
Semalam, kehidupan kita dipenuhi dengan kelalaian serta kealpaan kepada-Nya, tetapi hari ini Dia masih memberikan hari baru kepada kita.
Umpama seorang majikan dengan pekerjanya. Majikan terus-menerus memberikan gaji dan menjaga kebajikan pekerjanya meskipun pekerjanya itu tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkannya dan tidak melakukan tugasnya dengan baik. Kalau di syarikat-syarikat ternama dan profesional, pekerja jenis ini sudah lama dipecat.
Kita di dunia ini adalah ibarat pekerja itu.
Tinggal lagi Allah masih memberikan ruang kepada kita, belum ‘memecat’ kita dari kehidupan ini. Maka, apakah kita masih berleka-leka lagi untuk tidak mengambil peluang yang telah Allah berikan itu?
Allah S.W.T. Sebaik-Baik ‘Majikan’
Allah s.w.t. adalah sebaik-baik ‘majikan’. Kalau kita bekerja dengan manusia, mustahil sekali orang yang malas, tidak memenuhi syarat yang dikehendaki, tidak serius dalam bekerja akan kekal lama di dalam syarikat.
Tetapi, Allah s.w.t. masih terus memberikan peluang kepada kita untuk memperbaiki prestasi diri kita meskipun kita berkali-kali tidak benar-benar memanfaatkannya dengan baik.
Sudahlah kehidupan ini dipinjamkan oleh Dia, tubuh ini, nyawa ini adalah hak milik Dia, kemudian diberikan lagi nikmat-nikmatNya kepada kita, tetapi kita pula masih terus-terus lupa dan lalai kepada-Nya, bermain-main dan tidak bersungguh dalam mentaati-Nya.
Di dalam ibadah kita, kita tidak benar-benar berusaha untuk khusyuk dan fokus. Lakukan hanya sekadar untuk memenuhi rutin harian sebagai seorang muslim. Kadangkala, rasa nak solat, solat. Tak nak solat, tak solat. Begitu juga puasa dan ibadah-ibadah kita yang lain.
Akhlak kita, kadangkala tidak mencerminkan bahawa kita ini adalah hamba kepada Allah s.w.t. Kita bongkak, riak, rasa besar diri dengan apa yang kita miliki. Sedangkan kita ini hanyalah hamba. Apa yang ada pada diri kita, semuanya hanyalah pinjaman dari Allah s.w.t. Tidak ada sesuatu pun yang kita miliki dalam hidup ini melainkan semuanya adalah kepunyaan Allah s.w.t.
Kita lalai dan alpa. Kita lupa bahawa kita di dunia ini ada tugasan dan tanggungjawab. Kita adalah para ‘pekerja’ Allah s.wt. di dunia ini.
Biar siapapun kita di dunia ini, biar apapun pangkat dan kedudukan kita di dunia ini, kita CEO syarikat ke, kita guru besar sekolah ke, kita Pengarah Syarikat ke, kita Menteri ke, siapapun kita, kita semua adalah sama di sisi-Nya.
Kita adalah para pekerja-Nya yang sedang dinilai !
Kalau kita CEO, tetapi kita main-main dalam ibadah kita, kita tidak jujur menguruskan syarikat, menggelapkan wang syarikat, pecah amanah, kita pasti akan disoal di depan Allah kelak dengan apa yang telah kita lakukan.
Sekiranya kita adalah seorang guru besar atau imam masjid, kita pasti akan disoal apakah yang telah kita didik masyarakat kita. Adakah mereka menjadi semakin baik atau sebaliknya? Adakah kita sendiri telah berusaha menjadi contoh yang baik dalam masyarakat kita?
Kita akan disoal kerana kita adalah para ‘pekerja’ Allah di setiap bidang yang kita ceburi.
Maka Untuk Itu, Segerakanlah, Jangan Tangguh Taubatmu !
Antara penghalang terbesar kepada kejayaan dan kemuliaan umat Islam adalah penangguhan taubat.
Ramai yang bersikap ‘tidak apa’ bila telah terjebak dengan dosa. Lama-kelamaan, sikap belepas tangan sebegitu menyebabkan lahirnya orang yang merasa ringan dengan dosanya. Dosa umpama lalat hingga di hidung semata-mata, bukan lagi gunung yang menghempap dirinya.
Kerana penangguhan taubat inilah, Allah tangguhkan juga kemuliaan dan kemenangan untuk umat Islam. Sebab itu, meskipun umat Islam saban tahun bertambah, meskipun umat Islam ada yang kerja dan kedudukannya hebat, ada yang hartanya mencurah-curah, tetapi umat Islam terus-menerus dihinakan. Dituduh sebagai pengganas, wanita-wanitanya dizalimi, ada negara yang ditindas dan sebagainya.
Maka, segerakanlah taubat kita, jangan pernah menangguhkannya.
Hari baru yang Allah berikan, adalah peluang besar untuk kita memohon ampun terhadap dosa-dosa semalam.
Kalau hari baru pun kita masih gunakan untuk terus-menerus menjadi hamba yang alpa, maka hari baru bukan lagi menjadi satu rahmah, tetapi satu istidraj, iaitu ujian yang akan menjauhkan lagi kita dari Allah s.w.t.
Allah s.w.t., meski sebesar apapun silap kita, meski sekotor apapun kejahatan yang telah kita lakukan, selama mana kita tidak mensyirikkan Dia, Dia masih tetap membukakan pintu taubat seluas-luasnya untuk kita membersihkan diri dan kembali merapati-Nya semula.
“Sesungguhnya Allah itu melebarkan tangan-Nya pada waktu malam untuk mengampunkan dosa di waktu siang, dan melebarkan tangan-Nya di waktu siang untuk mengampunkan dosa di waktu malam.” [ HR Muslim]
Di dalam satu hadis Qudsi yang mafhumnya :
“Wahai anak Adam ! Sesungguhnya kalau kamu meminta dan berharap kepada-Ku, pasti Aku akan ampunkan kamu dengan apa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak peduli.
Wahai anak Adam ! Walaupun dosa kamu mencecah langit sekalipun, kemudian kamu meminta ampun pada-Ku, nescaya Aku akan ampunkan, dan Aku tidak peduli.
Wahai anak Adam ! Kalau kamu datang kepada-Ku dengan dosa seisi bumi ini pun, kamu bertemu Aku dalam keadaan kamu tidak mensyirikkan-Ku, nescaya Aku akan datang pula kepada kamu dengan keampuan seisi bumi ini juga.” [HR Tirmizi]
Betapa penyayangnya Allah terhadap hamba-Nya, meskipun dalam keadaan kita banyak mengingkarinya, Dia masih membukakan seluas-luas pintu untuk kita kembali kepada-Nya. Membukakan pintu untuk kita membersihkan diri. Membukakan pintu untuk kita beristighfar, memohon ampun terhadap dosa-dosa kita.
Maka, mengapa kita masih mahu bertangguh-tangguh mengejar keampunan-Nya sedangkan hari-hari kita telah berlalu dengan penuh kelalaian dan kealpaan kepada-Nya?
Penutup : Taubat – Jalan Mengembalikan Kita Kepada Kemuliaan Hidup
Taubat adalah jalan yang telah dilalui oleh orang-orang soleh sebelum kita. Para sahabat Nabi s.a.w., mereka adalah orang yang telah melaluinya.
Mereka yang dahulunya menentang Nabi s.a.w. sewaktu hidup di dalam jahiliah, tetapi saat mendapatkan kesedaran di dalam jiwa mereka, mereka telah bertaubat dan bersungguh-sungguh mencari pengampunan Allah s.w.t.
Kalau dahulu menjadi penentang, selepas bertaubat dan bersama Nabi s.a.w, mereka adalah para pendokong Islam yang paling tegar sekali.
Taubat telah mengembalikan ummat kepada kemuliaan hidup suatu ketika dahulu.
Taubat juga membuatkan kehidupan terasa lebih bermakna, hati terasa lebih tenang menghadapi kehidupan, kerja-kerja kita juga terasa lapang.
Segerakanlah bertaubat !
Bersihkan diri kita dari dosa-dosa yang lepas di saat yang masih ada pada kita sekarang kerana kita tidak tahu apakah masih ada seketika lagi untuk kita atau apakah masih ada esok untuk kita?
Bersihkan diri kita, istighfar, minta ampun kepada Allah, hentikan diri kita daripada meneruskan dosa dan kelalaian kita serta iringilah kehidupan kita dengan melakukan banyak kebaikan.
Jangan sampai kita ‘dipecat’ dalam keadaan kita sedang lalai dan bermain-main dengan tanggungjawab kita kepada-Nya.
Segerakanlah !
—————————-
Ingin dapatkan e-book Hingga Ke Syurga?
Dapatkan di LangitIlahi Store!
WHERE TO BUY?
http://langitilahi.com/storeHOW TO BUY?
http://langitilahi.com/store/store-guide
VIDEO GUIDE:
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg
————————–———————
WHY SHOPPING ONLINE?
No closing times
No carrying heavy bags
No traffic & parking jams
No wasting petrol, toll & time
No over-crowded supermarkets & queues
————————————
Mari Menjadi Hamba !
April 28, 2013
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta: Ajaib
Ajaib. Luar biasa,
Dengan keimanan, manusia mampu mencapainya,
Berlainan dengan manusia yang lainnya,
Tatkala ramai akan berputus asa,
Dia masih mendongak kepala dan berusaha.
Dia berlari pantas. Jantungnya berdegup kencang. Pandangannya kabur, dek air mata yang masih deras melimpah. Dia cuba untuk memecut lebih laju, tetapi sudah berada di batas kudratnya. Bersungguh, untuk menyampaikan satu berita.
Dia perasan manusia di sekeliling sedang memerhatikannya. Tidak dia pedulikan. Yang dia tahu, dia mahu sampai ke tempat tujuan. Dia merasakan dirinya sudah semakin hampir. Walaupun hakikatnya tempat ini adalah asing buat dirinya. Ibu Kota Langit Tinggi, bandar utama di bawah pemerintahan Kerajaan Islam Leo Niveus, pertama kali dijejakinya.
Berhenti. Termengah-mengah. Kiri kanan ditoleh.
Tidak nampak apa yang dicari. Yang dijangkanya patut dapat dilihat jika sampai ke ibu kota. Dia menundukkan kepala. Cuba melegakan dada yang sendat.
“Tuan, maafkan kami. Ada apa-apa yang kami boleh bantu?” Suara tegas tetapi bernada mesra kedengaran menggetarkan gegendang telinga. Terus dia mengangkat wajah. Dua lelaki berpakaian tentera, sedang berada di hadapannya.
Terus dia mencengkam kedua-dua belah bahu salah seorang daripada mereka.
“Tolong! Tolong! Tunjukkan aku di manakah Istana Leo Niveus!”
Mata tentera yang dicengkamnya membesar.
“Em, Leo Niveus tidak mempunyai istana.” Tentera itu berbicara lembut. Memegang semula kedua-dua tangannya lembut, menjauhkan dari bahu.
Matanya membesar. “Leo Niveus tidak mempunyai istana? Aku dengar di sinilah Kerajaan Islam yang mengetuai semua penganut agama kita. Mustahil dia tidak mempunyai istana.” Dia meninggikan suara.
“Leo Niveus hanya tinggal pada rumah kecil di hujung bandar ini. Apakah hajat tuan sebenarnya? Tuan nampak seperti diburu garuda.”
“Ya. Seluruh kampungku di perbatasan sudah menjadi padang jarak padang tekukur.”
“Benarkah?” Kedua-dua tentera seperti tidak percaya.
Dia mengangguk beberapa kali pantas. “Jeneral yang menyerang perkampunganku berkata, mereka hendak membersihkan sampah dari muka bumi ini.”
“Mari, kita bertemu Tuanku Leo sekarang!”
Terus tangannya dipimpin tentera itu, bergerak menghadap raja tanpa istana.
******
Di perkarangan masjid mereka berkumpul. Suasana kelihatan tegang. Kerana yang berkumpul itu adalah yang berpakaian perang. Kalau dipandang dari hadapan tempat keluar para jemaah, hampir sahaja tidak terlihat penghujungnya. 50,000 orang. Itulah bilangan mereka. Panji-panji berkibar megah tanda bersedia.
Bertentangan dengan semua itu, seorang lelaki berpakaian sederhana, baju tanpa kolar berbentu ‘V’, lengan panjang, dan berseluar labuh dengan sebilah pedang tersandang pada pinggang, berselipar jerami, duduk di atas sebuah bangku kecil.
“Kerajaan Lorem Cornicem ya?” Lelaki berambut kemas dengan beberapa helai terjuntai pada dahi itu menghela nafas lemah. Seakan kecewa.
Dia yang melapor mengangguk.
“Siapa namamu wahai lelaki?”
“Aurum.”
“Kerajaan Lorem Cornicem pimpinan Raja Aliquam itu adalah satu kerajaan yang besar dan kuat. Selama ini, kita mempunyai perjanjian damai dengan mereka bagi menjaga keamanan. Nampaknya dengan menyerang perkampungan kamu, mereka hendak menyatakan bahawa mereka telah menjadi kuat dan tidak lagi memerlukan perdamaian dengan kita.” Lelaki itu memegang dagunya yang berjanggut nipis, gaya berfikir.
Kemudian dia terus bangun. Menghadap semua tentera.
“Wahai Aurum. Perhatikanlah ini semua. Semuanya untuk menebus maruah agamamu yang terpijak. Sampah yang sebenar adalah yang tidak tunduk kepadaNya. Aku Leo Niveus, akan menunjukkan kepada mereka bagaimanakah sebenarnya manusia yang beriman kepadaNya.”
Leo Niveus menghunuskan senjata. Mengacungnya ke udara.
“Maju. Kita akan ‘mendidik’ mereka.” Leo Niveus melaung dengan suara yang tinggi.
“Takbir!” Seorang tentera melaung.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Bergegar suasana dengan gema takbir seluruh tentera.
Bulu roma Aurum menegak melihat apa yang ada di hadapan matanya. Terasa jiwanya kembang. Kesedihannya seakan sedang disapu pergi. Kini matanya menangkap Leo Niveus yang sedang menyarung zirah perangnya.
“Tuanku, tuanku turun sekali?” Sangkanya raja hanya duduk di istana.
“Bukankah itu tenteraku, sedang bersabung nyawa? Mustahil aku sekadar duduk di sini menunggu berita, sekiranya aku punya masa.” Leo Niveus memegang topi perangnya, dan menyarung pada kepalanya.
“Tambahan, mereka menggelar yang beriman kepadaNya adalah sampah, dan ingin pula membersihkannya. Maka mustahil sebagai ketua mereka yang beriman kepadaNya, aku tidak turun untuk memberikan pengajaran kepada mereka.” Bahu Aurum ditepuk, sebelum Leo Niveus bergerak ke arah seekor kuda hitam yang besar, dan menaikinya.
Aurum membeliakkan mata.
Manusia apakah ini?
Dia tidak punya istana, tetapi jiwanya seperti tidak akan mampu dibeli walau yang digadaikan adalah dunia.
*******
Dia bergerak melangkah ke singgahsana dengan gagah. Sedikit pun dia tidak menoleh kiri dan kanan. Hanya memijak pada permaidani merah. Keyakinan mengiringi, kerana dia tahu dia punya Ilahi. Datang kosong tanpa senjata, kerana itu adalah syaratnya untuk menghadap Sang Raja.
Aliquam. Itu nama Raja yang kini sedang berada di atas singgahsana, menerima kehadirannya.
“Amat berani kalian mengetuk pintu kota istana aku. Apakah kalian gila hendak menjemput kematian dengan segera?” Suara Aliquam yang tinggi menyambutnya.
Dia tenang. Menggeleng.
“Raja Aliquam. Kami datang adalah untuk menebus maruah yang telah dicalarkan oleh engkau.” Kedua-dua tangannya bersatu di belakang tubuh. Teguh. Biar itulah yang dilihat oleh sesiapa yang melihatnya sekarang. Kerana dia bukan membawa imejnya sekarang. Dia sedang membawa imej ummah.
“Hahaha. Menebus maruah? Dengan kekuatan kalian yang rendah?” Berdekah-dekah tawa Aliquam. Hingga memegang perut tanda senak terlalu kuat ketawa. Menghina.
Dia kekal tenang. Sedikit pun dahinya tidak berkerut, atau wajahnya menunjukkan rasa terhina.
“Apa yang kalian mahukan sebenarnya? Kalau mahu emas, aku ada untuk memberikannya. Kalau mahu wanita, aku ada ramai untuk kamu semua melempiaskan nafsu ke atas mereka. Buat apa bergadai nyawa menentang aku, yang kalian tahu mempunyai kekuatan yang tidak terkira.”
“Raja Aliquam, kami ini adalah satu kaum, yang datang ke mari untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan terhadap Pencipta Manusia, daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, daripada korupsi agama-agama kepada keadilan Islam. Maka hari ini, kami adalah untuk memenuhi perkara itu.” Dia melafaz bicara penuh yakin. Di dalam jiwa tiada ragu.
Dia dapat melihat mata Raja Aliquam membesar. Mungkin jiwa raja itu tersentak dengan bicaranya.
“Engkau, siapakah nama engkau, dan apakah engkau salah seorang dari panglima Leo Niveus?”
Dia menggeleng.
“Namaku adalah Maxima, dan aku hanyalah seorang prebet.” Dia menjawab gagah. Sedikit pun tidak merasa rendah.
Aliquam menepuk pemegang kerusinya. Mata terbelalak. “Tentera biasa? Gila. Bicaramu ibarat seorang panglima.”
“Kerana kami semua adalah ajaib, luar biasa. Pilihan di tangan engkau sekarang, Raja Aliquam. Menyerah, atau bersedia untuk bermandi darah.” Maxima sampai kepada tujuan kehadirannya. Memberikan pilihan kepada Raja Aliquam.
“Jangan fikir aku akan menyerah.”
“Maka bersedialah untuk memerhatikan kami membersihkan kamu.”
“Jangan fikir hamba kerdil seperti kalian mampu memperapa-apakan kami!” Raja Aliquam menjerit emosi.
“Kami memang hamba yang kerdil. Tetapi kerdil hanya kepadaNya. Kepada kalian, kami sentiasa adalah yang luar biasa.” Maxima berpaling, melangkah keluar dari balai singgahsana.
Perang.
******
Dia memerhatikan benteng kukuh Bandar Lorem Cornicem. Tinggi. Tebal. Hanya ada satu pintu masuk. Gerbang utama yang besar. Belum dikira pula tentera-tentera pihak lawan yang ramai melebihi bilangan mereka. Tiga kali ganda, 150,000 orang.
“Bagaimana Panglima Angelus?” Seorang tenteranya bertanya kerisauan. “Pertahan mereka sangat kukuh, dan bilangan mereka pula teramat ramai.”
Angelus menggaris senyuman. Menggeleng. “Sedikitnya mereka, apabila ditewaskan.”
Kemudian dia menoleh ke belakang, kelihatan rajanya Leo Niveus sedang berbicara dengan beberapa tentera di barisan hadapan. Dia bergerak mendapatkan rajanya yang berada di atas kuda itu.
“Tuanku, kita sudah boleh mulakan sekarang.” Dia mendongak.
Leo Niveus mengangguk. Terus rajanya itu memacu kudanya, bergerak.
“Oh yang beriman kepadaNya. Hari apakah ini?”
“Rabu!”
Dia melihat Leo Niveus menggeleng. Dia pun sebenarnya agak kehairanan dengan soalan itu. Mengapa bertanya akan hari? Dan apabila para tentera menjawab dengan tepat, mengapa rajanya menyatakan itu adalah salah pula?
“Hari ini, adalah Hari Agama Allah akan terangkat mulia di hadapan mereka!” Leo Niveus menghunus pedang dan mengacunya ke arah Bandar Lorem Cornicem.
Angelus seperti terpukul dengan laungan itu. Dan Angelus yakin seratus peratus, apa yang jiwanya rasa, dirasai juga oleh seluruh tentera. Itu dapat dibuktikan dengan jeritan semangat dan hentakan kaki para tentera. Bumi serta merta bergegar, dan langit seakan-akan hendak runtuh dengan suasana yang ada.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.”
“Maka sekarang, persembahkan keajaiban yang beriman kepadaNya ini, kepada mereka!”
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!”
“Dengan nama Allah, bergeraklah!” Leo Niveus melaung sambil kudanya mengangkat kedua-dua belah kaki hadapan. Pedang rajanya itu mengacu ke arah Bandar.
Sekali lagi bumi bergegar, dengan gerakan tentera. Seakan-akan ada raksasa yang bergerak, untuk menghapuskan sebuah kota.
Angelus tersenyum. Memang mereka sedikit. Tetapi mereka tidak gentar. Kerana mereka adalah ajaib. Maka tiada apa yang mampu menggegar.
“Angelus, kawal tenteramu.” Bahunya ditepuk. Rakannya, Aquilae mengenyitkan mata. Seorang panglima sepertinya juga.
“Kamu juga sama,”
Terus Angelus bergerak mendapatkan kudanya.
Bergerak untuk menumbangkan musuhnya.
******
Medan bergegar dengan pelbagai bunyi. Dentingan senjata bertemu adalah musik normal yang mengiringi. Letupan daripada manjanik-manjanik menambah gempita suasana. Belum dikira dengan bunyi luncuran panah yang mengilukan telinga.
Tenteranya semakin berkurangan. Tentera musuh masih ampuh seperti tidak akan mampu ditumbangkan. Benteng kuat Lorem Cornicem nyata tidak mampu ditembusi.
“Aquilae!” Satu suara menyeru namanya. Dia menoleh di tengah gempita peperangan. Terkejut dengan apa yang dilihatnya.
“Tuanku!”
Rajanya itu sedang berusaha bergerak ke arahnya. Tiba-tiba ada dua tentera musuh bersenjatakan tombak menghalang. Tetapi Leo Niveus lincah mengelak tujahan musuh. Pedang dan sarung menjadi senjata kembarnya. Kedua-dua tombak kini mencium tanah dengan batang ditekan kedua-dua senjata pada tangan rajanya. Terus rajanya menggerakkan kedua-dua senjata itu pada arah berlawanan, menjamu wajah kedua-dua penyerangnya.
Satu tercantas dijamu bilah mata pedang, seorang lagi terundur beberapa tapak kerana dipukul sarung. Tetapi nyawanya juga tidak panjang, rajanya terus menuruti pukulan itu dengan tusukan kematian daripada pedangnya. Tumbang kedua-dua musuh yang menghalang.
Aquilae tersengih sendiri. Menggeleng. Rajanya bukan raja biasa yang sekadar duduk berehat di istana dan pandai mengarah. Rajanya adalah antara tempat berlindung terampuh, tatkala peperangan berada pada kemuncaknya.
“Bagaimana situasi sekarang Aquilae?” Rajanya bertanya apabila mereka merapat. Mengambil perlindungan pada satu kubu yang dibina dari perisai tentera yang lain.
“Kita tidak dapat menembusi benteng mereka tuanku. Tentera kita yang cuba memasuki menaiki tangga juga tidak berjaya. Semuanya dengan mudah dijatuhkan mereka. Manjanik kita juga tidak mampu merobohkan pintu mereka. Tebal.”
“Maka kita perlukan sesuatu yang lebih drastik dan mengejutkan.” Leo Niveus seperti berfikir.
“Ah, aku juga tidak dapat memikirkannya. Ya Allah!” Leo Niveus mengetuk dahinya. Seperti memaksa untuk keluarnya idea. Gagal.
Tiba-tiba Aquilae terfikirkan sesuatu. Ada satu strategi, menjengah mindanya. Berani mati.
“Tuanku. Lemparkanlah saya ke balik bandar. Saya buka dari dalam.”
Dia dapat melihat dahi rajanya berkerut.
“Engkau akan menemui ajal.”
“Bukankah itu cita-cita yang membuatkan kita ini luar biasa tuanku?” Hatinya yakin tanpa ragu dengan keputusan itu.
Dia melihat rajanya memalingkan wajah dan berdiam seketika. Bunyi suasana perang mengisi renggang. Kemudian rajanya memandangnya semula.
“Semoga Allah bersama kamu.” Bahunya ditepuk. Dia tersenyum.
Terus Aquilae berlari pantas ke salah satu manjanik. Mendapatkan tentera yang mengawal senjata itu.
“Lontarkan aku.”
“Hah?”
“Lontarkan aku ke balik pintu.”
“Apakah tuan panglima telah gila?”
Aquilae menggeleng. “Ini hanyalah tindakan biasa, bagi orang yang luar biasa. Aku mengimpikan hari ini untuk tiba, dan Allah telah menyediakannya di hadapan mata.”
Bahu askar itu ditepuk. “Cepat. Jika tidak, kita akan tewas.” Terus dia masuk ke tempat untuk melontarkan batu.
“Bukankah tuan panglima hanya akan jatuh mencium bumi dan mati nanti?” Askar itu kembali mendapatkannya.
“Tidak. Tentera mereka ibarat rumput yang menghampar bumi. Aku akan jatuh ke atas mereka.”
“Tetap tuan panglima akan mati kerana ramainya mereka.”
Aquilae tersenyum. “Kalau aku mati, aku mati dengan membuka pintu itu untuk melorongkan kemenangan buat kamu.” Mengenyitkan mata.
“Semoga Allah bersama Tuan panglima.”
“Semoga Allah bersama kita semua.”
Askar itu terus ke tempat pelancar.
“Tuan telah bersedia?” Melaung tanya.
“Ya.” Aquilae menyilang kedua belah tangan pada dada. Hatinya kini memohon agar Allah mempermudahkan urusannya. Merealisasikan strateginya.
“Lancar!” Dan suara Askar itu hanya mampu didengarinya sementara, sebelum seluruh pandangannya sekadar dihidangkan dengan putih biru warna langit yang bersulamkan awanan. Sejuk, angin menderu, tetapi dia yang seperti melawan semuanya.
Perlahan-lahan, dia merasakan tubuhnya menjunam. Dia mula memandang ke bawah. Dia kini telah melepasi pintu utama kota. Dia mula turun ke bawah. Benar seperti jangkaannya, bumi di balik pintu penuh hanya dengan tentera-tentera Aliquam. Jadi dia akan jatuh di atas mereka.
“Mesti memberikan mereka persembahan yang terbaik. Inilah dia manusia yang beriman kepadaNya!” Pedang dihunus. Sarung pedang dipegang kemas pada tangan kiri. Dia menjunam seperti meteor.
Terus turun dengan menusuk senjatanya pada salah seorang tentera, menjadikan tubuh askar itu seperti tilam dan dia berguling bagi mengurangkan daya kejatuhannya. Dia tidak cedera!
Tetapi kini dia dikelilingi tentera musuh yang tidak terkira bilangannya, dan dia seorang sahaja.
Senyum.
“Menarik.”
Terus dia berlari menuju ke arah pembuka pintu. Tentera-tentera musuh gempar dengan kehadirannya yang tidak disangka-sangka. Semua tertumpu kepadanya kini. Aquilae menebas kiri dan kanan seperti lalang. Namun dia sendiri tidak dapat mengelak libasan dan tusukan senjata musuh yang tidak terkira. Tubuhnya mula luka di sini dan sana. Darah bersemberusan, bercampur darahnya dan musuh yang ditumbangkan.
Dia semakin hampir dengan alat pembuka pintu gerbang.
“Allahuakbar!” Aquilae melaung garang. Beberapa tentera yang berbaki menghalang laluannya dicantas tanpa berfikir panjang. Tumbang. Kini tiada yang menghalangnya dari pembuka pintu. Terus dicantasnya tali yang mengikat alat pembuka pintu. Alat itu berputar pantas.
Senyuman menghiasi wajah.
“Hentikan alat itu. Hentikan!”
Terus Aquilae berpaling, menghadap sekalian musuh yang kalau dari pandangannya, ibarat lautan itu. Menggeleng. “Kamu tidak akan sesekali menghentikan putaran alat ini.” Kedua-dua belah tangannya didepangkan paras pinggang, dengan kedua-duanya erat memegang sarung dan pedang.
“Dengan nama Allah, seorang pun tidak akan melepasi aku.”
“Matilah!” Tentera-tentera musuh menggempur.
“Allahuakbar!” Aquilae bergerak membalas gempuran. Ibarat seekor semut melawan hentaman seekor gajah. Beberapa orang di hadapan Aquilae tumbang, digantikan pula dengan yang lain. Pemegang-pemegang tombak menusuk. Dada Aquilae mula menjadi mangsa. Darahnya tersembur. Tetapi dia tidak pula berhenti. Memotong batang tombak itu dengan pedangnya, dan meneruskan lagi perlawanan. Kepalanya pula dihentak sarung pedang musuh. Sakit. Tetapi tidak dihiraukan. Penentangan diteruskan. Bahkan yang menghentaknya tadi telah tumbang apabila menerima tusukan. Musuh tumbang dan tumbang. Mula membukit dan dia berdiri di atas mereka.
“Allahuakbar!” Melaung lagi. Itulah kekuatannya. Darah mula mencucur dari kepalanya, dari dadanya. Dan zirah panglimanya sudah mula koyak, dan calar balar. Tubuhnya sendiri mula bergetar kerana kehilangan darah yang banyak. Bibirnya menggeletar. Mula terasa sejuk. Dia sudah terasa seperti hendak tumbang. Tetapi pantas dicapainya sebatang tombak, memacakkannya dan bersandar pada belakang tombak itu. Tidak sekali mahu tumbang, di hadapan musuh-musuhnya.
Namun tiada musuh yang berani mendekatinya kini.
Pada pandangannya yang semakin kabur itu, semua musuhnya mula berundur setapak demi setapak.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Gempita suara daripada tenteranya kedengaran. Bibir mengukir senyuman.
“Allahuakbar. Siapakah lagi yang hendak merendah-rendahkan Engkau wahai Ilahi, selepas melihat hambaMu ini?” Perlahan dia bersuara sendiri.
“Aquilae, Aquilae!” Suara Angelus menusuk telinga. Terasa tubuhnya dipeluk.
“Bagaimanakah kita?”
“Dengan terbukanya pintu itu, kemenangan telah menjadi milik kita.”
Sengih. “Alhamdulillah.” Dia mula memejamkan mata.
“Hei Angelus.”
“Ya sahabatku.” Dia masih dapat merasakan tangannya dipegang erat.
“Aku menang. Aku dapat bertemu Allah dahulu sebagai syuhada’.”
“Haha.” Kedengaran serak sebak suara Angelus. “Jangan bermimpi. Telah ramai sahabat kita yang lain tumbang terlebih dahulu mendahuluimu.”
“Sekurang-kurangnya, aku menang dengan kamu Angelus.”
Dan perlahan-lahan dia merasa tubuhnya ringan.
Gelap. Tidak lagi merasai kehadiran Angelus di sisi.
Hidupnya telah berhenti.
******
Dia memandang musuh utamanya itu.
“Engkau hendak membunuh aku Leo Niveus?”
Dia hanya tersenyum melihat Aliquam.
“Aliquam, masuklah engkau ke dalam agama ini.”
“Engkau berkata sedemikian sedang aku dalam tawananmu? Sampai mati pun tidak akan aku mengucup kepercayaanmu.”
Dia tetap mengekalkan senyuman. Tenang.
“Tuanku, apakah patut jika aku memeggal sahaja kepalanya?” Panglimanya, Angelus bersuara.
Menggeleng. “Sabar Angelus. Maka apakah bezanya kita dengan dia yang memusnahkan perkampungan Aurum itu?”
“Jadi tuanku, apakah arahan tuanku sekarang?”
Leo Niveus tersenyum lebar. Memandang Aliquam dengan pandangan yang bersinar.
“Ikat dia di tiang masjid yang baru kita bina di bandar ini.”
“Engkau hendak menyeksa aku Leo Niveus?” Aliquam menjerit.
“Tidak Aliquam. Kami adalah manusia luar biasa, yang tindakan kami bukan semudah itu untuk engkau jangka.” Dia mengenyitkan mata. Tenang. Tanda jiwanya merdeka.
*******
Lima hari lima malam dia diikat pada sebatang tiang berhampiran dengan masjid yang baru dibina oleh musuh-musuhnya. Tetapi jangkaannya meleset, dia langsung tidak diseksa bahkan dilayan dengan baik. Makanan yang diberikan kepadanya adalah makanan yang terbaik, sedap. Memandangkan dia diikat, maka dia disuap.
Dia melihat musuh-musuhnya yang lima kali sehari akan berkumpul di masjid ini untuk beribadah. Bahkan ada pula dari kalangan mereka yang kadangkala berlama-lama di masjid ini menambah ruku’ dan sujud kepada Tuhan mereka.
Dia melihat wajah-wajah manusia ini punya ketenangan. Dan seakan dia mampu memerhatikan hati mereka, dia yakin jiwa-jiwa musuhnya juga adalah bahagia. Dia melihat mereka adalah yang hormat menghormati sesama sendiri, beradab, tetapi tidak pula rendah untuk dihina. Mereka adalah yang sederhana, tetapi tetap kemas dan bersih sentiasa. Ada ketinggian, dalam peribadi mereka.
Pada masa yang sama dia melihat bagaimana rakyat tinggalannya diadili. Semua tidak diperapa-apakan. Tentera-tenteranya yang ditawan turut diberikan peluang. Bagi yang memasuki Islam, dibebaskan. Bagi yang tidak mahu memasuki Islam, tetapi mahu tunduk dan taat di bawah pemerintahan mereka, juga dibebaskan. Hanya yang berdegil dengan kedua-dua keputusan sahaja, dibunuh. Selain itu, tiada pembunuhan dilakukan kepada sesiapa atas sebab apa sekalipun. Yang ada hanyalah keindahan.
Lebih mengharukan, Leo Niveus saban hari akan datang menziarahinya, duduk berjam-jam di hadapannya menemaninya.
Seperti sekarang.
“Bagaimana Aliquam? Masuklah ke dalam Islam.” Leo Niveus di hadapannya tersenyum seperti biasa. Lembut.
“Engkau hendak aku memasuki agamamu, dalam keadaan aku adalah tawanan?”
Leo Niveus kekal bersahaja. Tetapi nampaknya, hari ini sedikit berlainan. Tertawa kecil. Menggeleng. Apakah Leo Niveus akan menamatkan nyawanya?
“Pengawal..” Leo Niveus bersuara.
Apakah ini pengakhirannya?
“…Bebaskan Raja Aliquam.”
Dan pengawal-pengawal Leo Niveus taat. Tali yang mengikatkanya pada tiang dileraikan. Dia kini berdiri semula, bahkan Leo Niveus membantunya.
“Sekarang kamu bebas. Keluarlah dari kota ini jika engkau masih mahu meneruskan penentangan. InsyaAllah, kami bersedia bila-bila masa untuk menyambutnya.”
Dia memerhatikan Leo Niveus sedalam-dalamnya. Tidak berganjak. Lelaki ini, hampir sahaja dia tidak mampu membezakan lelaki itu dengan pengawal-pengawalnya kalau bukan kerana dia kenal akan wajah seorang Leo Niveus. Tetapi itu tidak pula merendahkan kredibiliti musuhnya itu.
“Leo Niveus, ceritakan kepada aku, mengapa kalian adalah sebegini?”
“Apa maksud engkau, wahai Aliquam, dengan ‘begini’?”
“Ajaib, begini. Seakan-akan tiada apa yang mampu menumbangkan kalian, merendah-rendahkan kalian, menggusarkan kalian.”
Dan kini dia melihat bibir Leo Niveus merekah dengan senyuman.
“Utusan Langit Terakhir, Rasulullah SAW yang kami imani bahawa dia adalah utusan daripada Allah SWT pernah bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya”
“ ’Begini’ itu, adalah ajaran dalam agama yang kami anuti. Tidak lebih, dan tidak kurang. Kerana kami beriman kepadaNya. Bila Dia memberi, kami mensyukuri. Bila Dia menguji, kami bersabar memperkuatkan diri.” Leo Niveus menyempurnakan.
Dia terjeda dengan jawapan yang diberikan.
Menyusup ke dalam jiwa.
Lebih-lebih lagi selepas apa yang dia perhatikan selama lima hari ini.
“Kalian, nyata satu kaum yang ajaib. Sekarang saksikanlah…” Yakin. Jiwanya yakin.
“Sesungguhnya aku naik saksi bahawa Allah itu adalah Rabb dan Ilah, dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu adalah Utusan Langit Terakhir yang membawa kebenaranNya.”
Dia melihat Leo Niveus terkejut, bersama dua pengawalnya.
Tetapi tidak lama. Kemudian, air mata mengalir daripada lelaki itu, dan dia terus berada dalam dakapannya.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!”
Dia tersenyum. Dia masuk ke dalam agama mereka, disambut dengan tangis penuh gembira? Sedangkan Leo Niveus adalah seorang raja.
Ajaib manusia yang berada di dalam agama ini.
Dan dia ingin menjadi sebahagian dari kalangan mereka.
************************************
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.
Harga: RM25.00
Genre: Kumpulan Cerpen.
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, memuatkan 20 buah cerpen yang bertemakan cinta, namun tidak terpenjara dalam skop Cinta lelaki dan perempuan semata-mata. Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta membawa definisi baru berkenaan Cinta, untuk membebaskan masyarakat hari ini daripada takrif cinta yang salah. Menggunakan cerpen sebagai medium penyampaian, Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta bakal menggegarkan kehidupan anda dengan makna Cinta yang bersih, suci, dan membahagiakan.
———————————————–
WHERE TO BUY?
http://langitilahi.com/store
HOW TO BUY?
http://langitilahi.com/store/store-guide
VIDEO GUIDE:
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg
———————————————–
WHY SHOPPING ONLINE?
No closing times
No carrying heavy bags
No traffic & parking jams
No wasting petrol, toll & time
No over-crowded supermarkets & queues
———————————————–
Mari Menjadi Hamba!
Kehidupan: Ukhuwwahfillah Abadan-Abada.
Bagi yang lama follow saya, mereka akan selalu mendengar perihal Hafiz Zainol Abidin. Bagi saya, dia adalah sahabat terbaik yang saya pernah ada.
Mula berkenalan dengannya pada tahun 2002, 11 tahun yang lampau, ketika sama-sama kami bersekolah di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Beseri, Perlis, dia merupakan seorang yang amat akrab dengan abang sepupu saya, Aiman Hassan.
Selepas itu, saya menjadi pengawas bersama dengannya, diletakkan dalam biro yang sama, dan ukhuwwah kami semakin erat dan erat. Kami selalu tidur di musolla bersama-sama, puasa sunat bersama-sama, buka puasa sama-sama.
Allah mentakdirkan Hafiz Zainol Abidin ini menyambung pengajian di UTM, Skudai, Johor, berdekatan dengan rumah saya. Itu membuatkan hubungan Hafiz dan keluarga saya bertambah erat. Dia bukan asing lagi buat keluarga saya.
Isteri Hafiz, Kak Afeefah Solehah merupakan jiran saya dan amat rapat dengan keluarga saya. Saya yang suruh Hafiz kahwin dengan Kak Afeefah(Mujur Kak Afeefah suka. haha).
Sepanjang pengajian saya di Jordan, saya tidak pernah rasa berjauhan dengan Hafiz, kerana saya sering berhubung dengan beliau, zaman tu zaman YM. Bila zaman Facebook, kami sama-sama berFacebook.
Kini kami sama-sama telah bernikah, dan sama-sama telah mempunyai seorang anak. Anak Hafiz, Muhammad Saeed Ramadhan, tua setahun daripada anak saya, Puteri Raihanah Sophia. Macam saya dan Hafiz juga, Hafiz tua setahun daripada saya.
Walaupun demikian, kami masih amat akrab, dan saling kasih mengasihi sesama kami. Dia masih mengungkapkan uhibbukafillah kepada saya, dan begitulah saya kepadanya.
Ukhuwwahfillah(ukhuwwah kerana Allah) benar-benar wujud dan dirasai oleh saya. Hafiz telah banyak berkorban untuk saya, banyak bersama saya mengharungi suka duka. Hafizlah yang drive kereta menemani saya menemui Puan Hajah Maskiah Masrom – manusia pertama yang menyatakan saya ada potensi besar dalam bidang penulisan. Hafizlah juga yang menemani saya untuk pertama kalinya pergi ke Pejabat Galeri Ilmu Sdn Bhd, semasa saya pulang bercuti dari Jordan pada tahun 2010. Dialah juga temannya bila saya mengadu kesukaran perjalanan hidup, terutama fasa-fasa kala saya difitnah. Dia ada kala saya miskin dan tak punya apa-apa, dan dia di situ juga kala saya ada duit dan berharta.
Ramai mendambakan ukhuwwah kerana Allah, dan menyangka cukup sekadar dengan lafas ‘uhibbukafillah’ sebagai tandanya. Hakikatnya lafaz hanya sebahagian kecil. Sebahagian besarnya adalah tindakan.
Ukhuwwahfillah punya matlamat jelas – hendak membawa diri kita dan sahabat kita itu ke syurga Allah SWT.
Ukhuwwahfillah bermaksud, kita setuju untuk menampung beban saudara kita, tanpa mengharapkan pembalasannya semula. Kita melakukan segala pengorbanan untuk kesenangan dirinya, semata-mata agar hubungan ini membawa kita ke syurgaNya.
Ukhuwwahfillah adalah untuk menggapai janji Allah SWT, di dalam sabda Rasulullah SAW berkenaan 7 golongan yang dijanjikan mendapat naungan Allah SWT pada hari tiada naungan melainkan naunganNya, yakni 2 orang yang berkasih sayang kerana Allah dan bertemu berpisah hanya kerana Allah SWT.
Ukhuwwahfillah memerlukan masa, bukannya boleh tercipta sekelip mata. Ianya datang bersama proses tarbiyah, bukannya sekadar bacaan buku dan harapan semata-mata. Mengharungi getir suka duka kehidupan, dan di sanalah akan terbitnya sebuah fahaman tidak bertulis antara kita dan sahabat kita – “Aku cintakan engkau kerana Allah” dan muncul lah di sana Ithar, maqam tertinggi dalam persahabatan antara dua manusia.
Ukhuwwahfillah.
Abadan abada.
InsyaAllah.