Hilal Asyraf's Blog, page 106
June 8, 2013
Himmah : Terima Kasih Kerana Mengkritik Diriku !
~Picture by morebitsfalloff.wordpress.com
Dibandingkan orang yang selalu memuji-muji diriku dan orang yang selalu mengkritik diriku, justeru aku lebih mencintai orang yang selalu mengkritik diriku.
Kritikan, teguran atau apa jua yang sewaktu dengannya itu sekurang-kurangnya memberikanku manfaat dari sudut ingin membaiki dan meningkatkan lagi diriku, tetapi dipuji, diangkat-angkat kemuliaan diri kita itu selalunya membuatkan kita mudah merasa lupa, selesa dan paling bahaya membuatkan kita rasa kita sudah cukup baik !
Merasa sudah cukup baik akan menyebabkan kita terhenti daripada terus maju dalam berfikir dan bertindak. Kita masih berfikir dan bertindak tetapi di tahap yang sama. Kita tidak mampu berfikir dan bertindak di tahap yang lebih baik.
Sebab itu Umar Al-Khattab r.a. pernah berkata saat ia dilantik menjadi khalifah :
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, mereka yang akan membetulkan penyelewengan Umar dengan mata pedangnya !”
Bukan lagi sekadar kritikan atau teguran melalui kata-kata, tapi mata pedang !
Terima Kasih Mereka Yang Mengkritikku !
Ya, saya akui tidak mudah untuk menelan kritikan atau teguran. Kerana teguran atau kritikan itu biasanya pahit, maka menelan ubat yang pahit untuk tujuan penyembuhan dan pembaikan itu memangnya sukar.
Pedulikan dulu soal benar salah kritikan atau teguran yang kita terima itu.
Pedulikan juga dulu bagaimana cara ia disampaikan.
Sekarang kepedulian kita adalah pada bagaimana kita menerimanya?
Meskipun sukar untuk menelannya, tetapi ia adalah lebih baik daripada kita selalu mahu bersikap defensif dan menangkis segala kritikan dan teguran yang disampaikan.
Bersyukurlah sekurang-kurangnya masih ada yang mahu membetulkan kita, mahu melihat kita menjadi lebih baik, menggerakkan kehidupan dengan cara lebih baik.
Kalau kita seorang pemimpin, lebih-lebih lagilah kita perlu merasa nikmat mempunyai anggota bawahan yang cakna, sentiasa mahu terlibat dalam perubahan sehingga menyebabkan dia selalu rajin mengkritik.
Sekurang-kurangnya, kritikan-kritikan itu akan membuatkan kita berjaga-jaga agar tidak sewenang-wenangnya bertindak, lebih teliti dalam segala tindakan dan percakapan kita serta tidak merasa terlalu selesa berada di bangku pemimpin.
Sebab itulah, terima kasih pada orang yang selalu mahu mengkritik dan menegur diriku !
Kita manusia, tidak selalu tepat segala tindakan kita. Ada masa kita akan salah. Ada masa kita akan terdedah kepada kekurangan dan kesilapan. Tidak kiralah siapapun kita. Kita seorang pemimpin berjawatan besar ke, kita seorang pekerja syarikat ke, kita seorang pelajar ke, kita seorang ahli jemaah ke, siapapun kita, kita tidak maksum dari silap dan salah.
Maka, bersyukurlah kritikan itu hadir mengingatkan kita agar sentiasa selalu mahu bertaubat, membetulkan kesalahan serta bergerak dalam keadaan yang lebih baik.
Dalam satu hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud :
“Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan itu adalah yang selalu bertaubat.” [HR Tirmizi, Ibn Majah]
Belajar Dari Kritikan
Kadangkala, perbezaan yang disebabkan oleh kritikan atau teguran itu hanya pada beberapa sudut sahaja.
Misalnya ada yang tidak bersetuju dengan saya kerana cara kerja saya yang terlalu lambat atau cara fikir saya yang tidak berpandukan ilmu yang betul, maka mereka mengkritik dan menegur saya.
Ataupun ada perbezaan dari sudut pendapat di dalam gerak kerja berkumpulan. Maka ketika perbincangan, ada di antara ahli kumpulan yang lantang mengkritik idea-idea ahli lain. Mungkin ahli lain yang tidaklah selantang dirinya ataupun kurang mengkritik akan menjadi kurang selesa dengan tindakan-tindakannya yang selalu mahu mengkritik itu.
Tetapi, tidak mengapalah, biarkan saja dia mereka mengkritik. Orang yang banyak mengkritik itu, biasanya akalnya kritikal dalam berfikir kerana memandang dari banyak sudut. Ia tidak mudah-mudah bersetuju pada satu-satu idea atau tindakan melainkan setelah dia benar-benar melihat kebaikan dari idea itu atau tindakan itu. Barangkali, pada satu idea yang dipersetujui hampir kebanyakan orang, dia yang selalu mengkritik itu melihat pula keburukan perlaksanaan idea itu dari sudut yang lain yang tidak difikirkan oleh orang lain.
Memang benar, kritikan atu teguran itu tidak semuanya benar dan tidak semuanya perlu diterima.
Namun, ada banyak perkara yang kadangkala kita belajar dari orang yang mengkritik kita.
Dr Salman Auda ketika menyebut perihal menerima kritikan orang ini telah berkata :
“Wahai musuhku, terima kasih padamu.
Engkaulah yang telah mengajarkanku bagaimana harus mendengar kepada kritikan – hatta kritikan itu kritikan yang menyakitkan hati – tanpa harus bersikap malu. Engkaulah yang telah mengajarkanku bagaimana untuk terus maju ke depan tanpa ada keraguan, walaupun setelah mendengar cacian dan hinaan yang menjatuhkanku.
Ini adalah benar-benar pelajaran penting yang tidak dapat dipelajari dari buku. Ia hanya dapat dipelajari melalui pengalaman yang Allah berikan kepada kita. Pada awalnya, ia mungkin terasa begitu pahit, tetapi seseorang itu haruslah belajar untuk berdepan dengannya.” [My Enemies. I Thank You !]
Terima kasihlah kepada mereka yang selalu mahu mengkritik kita kerana sekurang-kurangnya itu tanda mereka cakna dengan apa yang kita selalu lakukan dan fikirkan. Barangkali mereka sayang dan prihatin pada kita, tetapi menunjukkannya dalam bentuk yang lain daripada lain.
Terima kasih juga kepada mereka yang selalu mengkritik dan menegur kita kerana telah membuatkan kita sedar diri dan menyeimbangkan antara pujian dan teguran yang kita terima. Terlalu banyak pujian pun tidak baik sebenarnya. Menyebabkan kita merasa terlalu selesa dengan apa yang sedang kita lakukan. Bila kita telah selesa dengan cara fikir dan cara bertindak kita (comfort zone), maka kita akan susah untuk keluar dari lingkaran keselesaan itu.
Terima kasihlah juga kepada mereka yang selalu mengkritik kerana dengan kritikan mereka itu menyebabkan cara fikir kita menjadi tajam dan kita pun belajar untuk lebih kritikal dalam membuat keputusan.
Kritikan Adalah Salah Satu Jalan Untuk Saling Melengkapkan
Jalan pulang menuju Allah itu tidak mudah, dipenuhi cabaran-cabaran. Kalau kita berjalan tanpa ada cabaran yang hebat dan kuat seperti para Rasul, barangkali usaha kita masih biasa-biasa dan kita pun masih di peringkat yang selesa. Untuk menikmati syurga yang luar biasa, cara fikir dan bertindaknya mesti luar biasa juga. Maka, dalam menempuh jalan-jalan yang luar biasa ini, proses saling melengkapi dan saling membangunkan itu adalah satu keperluan.
Kritikan bisa menjadi salah satu daripada jalan untuk saling melengkapkan itu.
Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh generasi para sahabat. Dalam keputusan Rasul s.a.w., Umar Al-khattab antara orang yang selalu tidak bersetuju dengan keputusan Rasul s.a.w. Pandangan Umar selalu berbeza. Dalam peristiwa tawanan perang Badar, Umar berbeza dengan Rasul s.a.w. dan Abu Bakar dengan keputusannya yang menyuruh agar dipancung saja tawanan perang ini. Dalam peristiwa Hudaibiyah, Umar tidak bersetuju pada mulanya perjanjian yang dimeterai oleh Rasul s.a.w. itu dan telah mengkritik perjanjian yang nampak berat sebelah itu walaupun pada akhirnya Umar redha dengan keputusan Rasul.
Aisyah r.anha antara isteri Nabi, sahabiah yang banyak mengkritik kefahaman-kefahaman yang dibawa oleh para sahabat Nabi s.a.w. melalui hadis Nabi s.a.w.
Umar Al-Khattab banyak kali berbeza dengan Khalid sehingga di zaman Umar, Khalid pernah dipecat pun daripada kedudukannya sebagai panglima. Bukanlah kerana ada masalah peribadi antara mereka berdua pun, tetapi kerana Umar bimbang ummat akan menyangkan kemenangan itu disebabkan adanya Khalid sedangkan kemenangan diberikan oleh Allah. Khalid walaupun beberapa kali berbeza dengan Umar, namun Khalid tidak pernah memandang negatif terhadap keputusan Umar. Khalid tetap menerimanya dalam keadaan redha.
Khalid pernah dipecat Umar dari jawatannya di Syria. Ada seorang sahabat yang kemudiannya berpesan kepada Khalid :
“Sabarlah wahai ketua, ia adalah waktu permulaan kepada fitnah.”
Khalid yang tidak memandang negatif dengan keputusan Umar itu lantas menjawab :
“Selagi anak Khattab ini hidup, fitnah tidak akan berlaku !”
Di zaman Umar juga, ada seorang wanita yang bangun di tengah-tengah khutbah Umar dan mengkritik pendapat Umar tentang jumlah mahar untuk wanita. Umar menerima kritikan itu dan mengubah pendapatnya.
Begitulah antara contoh yang berlaku di zaman Nabi s.a.w. Kritikan dan teguran tidaklah menjadikan mereka berpecah dan terasa hati, tetapi diterima sebagai satu saranan memperbaiki lagi diri mereka.
Penutup : Belajar Berinteraksi Dengan Kritikan Dalam Keadaan Terbuka Dan Lapang Dada
“Senanglah dia tu. Tahu mengkritik aje.”
Benar, tidak senang menelan kritikan atau teguran. Apalagi kalau kritikan itu datang dari seorang anak muda kepada seorang tua, dari seorang ahli bawahan biasa kepada seorang pimpinan tinggi kumpulan, dari seorang pelajar kepada seorang pemimpin berkedudukan besar.
Tetapi, tidak ada salahnya kita duduk seketika dalam keadaan terbuka dan lapang dada, mendengar sebahagian kritikan yang disampaikan.
Kalau kritikan itu benar, barangkali ada langkah yang perlu dimuhasabah kembali. Tidak ada salahnya kita mendengar, menerima dan bertukar pendapat dengan orang yang mengkritik kita kerana barangkali dia mampu membantu kita menjadika kita lebih baik.
Kalau kritikan itu tidak benar dan sengaja diadakan untuk menjatuhkan kita, maka berusahalah menyampaikannya semula kepada pelakunya dengan cara yang lebih baik.
Kata Dr Salman Auda :
“Aku merasa gembira bila mengingatkan semula bagaimana Allah membantuku menahan diriku yang mengelakkan aku daripada terjatuh ke dalam perdebatan yang sia-sia dan tiada asasnya, jenis debat yang sengaja dihangat-hangatkan, yang akan menyebabkan penghinaan ke atas diriku tanpa dapat dielakkan – sama ada mengetahui atau tidak –kepada tahap pertikaian untuk memenangkan egoku sahaja tanpa berusaha mencari kebenaran.” [My Enemies, I Thank You]
Semoga Allah lapangkan dada kita menerima kritikan orang lain dalam rangka pembaikan diri.
Semoga Allah bersihkan juga jiwa orang yang mengkritik agar kritikannya itu benar-benar dalam rangka membina dan membantu orang yang dikritiknya, bukanlah kerana ingin menjatuhkannya.
Terima kasih mereka yang mengkritikku !
June 6, 2013
Kehidupan: Saya dan LangitIlahi – Sebuah Perjuangan.
Sebahagian Team LI usai Family Day 2012
LangitIlahi merupakan sebuah blog pada asalnya, yang ditubuhkan pada pertengahan 2007 secara suka-suka dek kerana ajakan rakan.
Kemudian dek kerana saya hidup dalam proses dakwah dan tarbiyah, pasti saya tidak gemar dengan perkara yang hanya ‘suka-suka’.
Serius Menulis, Menjadi Penulis
Beberapa perkara berlaku, menyebabkan saya mula serius menjalankan blog langitillahi.blogspot.com semenjak awal tahun 2008. Pertemuan diri dengan blog Hlovate buatkan saya kemudiannya benar-benar serius berkarya kreatif di blog itu(sebelumnya hanya artikel-artikel perkongsian). Blog tersebut saya update hampir setiap minggu.
Bila saya ke Jordan pada September 2008, saya mula update blog saya seeetiap hari.
Hujung 2008, blog saya ditemui Encik Zakaria Sungib dari Syarikat Galeri Ilmu Sdn Bhd dan saya ditawarkan menjadi penulis.
Matlamat Yang Lebih Besar
Dapat menjadi penulis memang menggembirakan. Namun hidup dalam proses dakwah dan tarbiyah buat diri ini sedar bahawa menjadi penulis bukanlah matlamat yang utama. Ada matlamat yang jauh lebih besar lagi.
Lantas saya memperkemaskan langkah. Upgrade blog jadi website. Tambah rajin menulis. Menghasilkan beberapa lagi buah buku.
Pada penghujung tahun 2010, saya membuat keputusan bahawa LangitIlahi jika mahu pergi jauh, tidak boleh dibawa oleh saya keseorangan. Lantas saya mengumpulkan kenalan rapat, senior dan junior di Sekolah Menengah dulu untuk membina Team LangitIlahi.
2011, Team LangitIlahi mula bergerak berkumpulan. LangitIlahi kemudiannya berkembang dari penulisan saya seorang, kepada beberapa orang. Sehingga kini, di LangitIlahi.Com telah wujud pula ruangan komik, poster, vlog dan nasyid.
CORE BUSINESS LangitIlahi
Antara perdebatan paling hangat apabila LangitIlahi mula berkembang ialah – Apakah CORE BUSINESS LangitIlahi? Jual buku ke? Buat event ke? Jual merchandise ke?
Akhirnya kami menemui jawapannya – CORE BUSINESS LangitIlahi ialah ‘mencetak manusia yang akan memberikan manfaat kepada Islam’.
LangitIlahi semenjak kepulangan saya ke Malaysia bermula Mei 2012 bergerak dengan lebih cergas bersama cabang-cabang yang berjaya ditubuhkan – LangitIlahi.Com, LangitIlahi Store dan LangitIlahi Consultancy.
Ahli-ahli Team langitIlahi turut mula ke hadapan dan diterima masyarakat. Antaranya Ameen Misran, Bro Hamzah, Afdholul Rahman, Qawiem Khairi, dan Azhar Hilmi.
AfdholulRahman dan BroHamzah kini sedang dalam proses menerbitkan buku mereka sendiri dengan Syarikat Galeri Ilmu Sdn Bhd.
Ameen Misran kini menonjol dengan poem englishnya dan mula mendapat jemputan dari banyak pihak.
Azhar Hilmi pula gigih bernasyid parody hingga dipanggil ke MHI membicarakan kariernya bersama saya.
Ini menunjukkan CORE BUSINESS LangitIlahi mula menunjukkan hasilnya.
Maju Ke Hadapan Lagi
Kini LangitIlahi maju setapak lagi dengan menganjurkan Konvensyen Remaja – TeenACE pada 29-30hb Jun 2013 ini di Centrum Setiawangsa. Konvensyen untuk mengumpulkan ‘new blood’ agar menjadi manusia yang membesar bersama cita-cita yang tinggi dan berusaha keras untuk menggapainya.
Di Konvensyen tersebut juga, LangitIlahi akan meluaskan cabangnya dengan menubuhkan kelab kami tersendiri – LangitIlahi Community – yang akan dibuka kepada masyarakat umum.
Kelab ini adalah untuk meluaskan CORE BUSINESS LangitIlahi tadi kepada masyarakat seluruhnya, dan bukan lagi hanya kepada kenalan rapat saya semata-mata.
Bakal Membuka Pejabat
Anak tangga yang lagi bakal kami daki pada September 2013 ini pula ialah membuka pejabat rasmi dan mula menggaji fulltimer. Selama ini pejabat kami hanyalah di Grup Facebook, dan Team LI selama ini bekerja secara percuma dan sukarela. Duit yang menggerakkan LangitIlahi selama ini ialah dari royalti buku-buku saya sendiri. Kami bukan syarikat besar sebenarnya. Alhamdulillah, kesabaran 5 tahun ini mula membalikkan hasil, lantas kami akan naik lagi satu anak tangga tanda keseriusan kami untuk memenuhi CORE BUSINESS mencetak manusia tadi.
Penutup: Perjalanan Yang Masih Jauh
Perjalanan LangitIlahi masih jauh. Tetapi saya tidak takut untuk terus bercita-cita dan istiqomah berusaha. Saya punya cita dan harapan agar tokoh-tokoh Malaysia 10-20 tahun akan datang adalah mereka yang keluar dari ‘rahim’ proses LangitIlahi.
Yang punya ‘wihdatul fikr’(kesatuan fikiran) dan ukhuwwah yang mendalam sesama mereka, menguasai pelbagai bidang terutama di dalam ruang ‘media’ agar daripada mereka ini mampu dibina ‘arus perubah’ yang memberikan manfaat untuk islam. LangitIlahi ialah ‘perjuangan nafas panjang’ saya. InsyaAllah.
Kalau orang yang dah baca Novel Hero, insyaAllah dia faham apa saya nak usaha capai sebenarnya.
InsyaAllah.
Semoga Allah permudahkan.
Mohon doa dan sokongan.
—————————————–
Jom Sertai TeenACE!
Maklumat berkenaan TeenACE boleh dirujuk di sini: http://langitilahi.com/teenace/?page_id=30
Pendaftaran boleh dilakukan di sini: http://langitilahi.com/teenace/?page_id=297
June 5, 2013
Motivasi : Nota Tarbiyah – Pensil Yang Terbaik
Ibrah dari sebatang pensil.
———
“ Jika seseorang berusaha untuk mengalahkanmu dalam urusan dunia, maka kalahkanlah ia dalam urusan akhirat.”
Hassan al-Basri
————
Ada sebuah kisah dan cerita.
Seorang pembuat pensil baru sahaja menyelesaikan tugasnya mencipta sebatang pensil di kilangnya. Tiap-tiap hari, pekerjaannya adalah mencipta dan membuat pencil untuk kegunaan orang ramai.
Pensil yang diciptakannya itu, akan dibuat dengan penuh ketelitian, penuh kesungguhan dan ketekunan. Dia inginkan, pensil itu adalah pensil yang bagus, baik dan terbaik!
Si pensil begitu bersemangat untuk menjalani kehidupannya sebagai sebatang pensil. Ia teruja untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kelak. Berkhidmat sebagai sebatang pensil yang bermutu dan disukai ramai.
Sehinggalah, si pembuat pensil sedang membungkus pensil itu untuk disusun di dalam kotak untuk diedarkan ke pasaran dan ketika itulah, si pembuat penulis memberi nasihat kepada pensil itu.
Katanya : “ Wahai pensil, kamu ingatlah pesanan aku ini agar kamu boleh menjadi pensil yang terbaik.”
“ Pertama, untuk menjadi pensil yang terbaik kamu mesti membenarkan diri kamu untuk berada dalam genggaman seseorang.”
Pensil mendengar dengan penuh khusyuk.
“ Kedua, apabila berlalunya masa kamu akan menjadi tumpul dan ketika itu, kamu perlu bersedia untuk mengalami kesakitan dan kepedihan apabila diasah agar kamu kembali tajam.”
“ Ketiga, bahagian anggota kamu yang paling berharga dan bernilai ialah bahagian dalaman kamu. Bahagian inilah yang akan menentukan berkualitinya diri kamu atau tidak. Karbon dalam diri kamulah yang akan menjadikan kamu pensil yang berkualiti atau sebaliknya.”
Pensil tetap setia mendengar pesanan si pembuatnya.
“ Keempat, kamu juga harus bersedia untuk memadam segala kesilapan-kesilapan yang telah kamu lakukan dengan segera.”
Si pembuat pensil berhenti seketika, sambil merenung tajam kepada pensil.
“ Dan yang terakhir, kamu perlu ingat di atas permukaan apa pun, sama ada lincin, kasar, tidak rata atau sekata kamu perlu meninggalkan kesan dan bekas. Kamu harus melakukan tugas kamu dengan nyata dan jelas sebagai sebatang pencil. Biar pun sukar, kamu mampu melakar dengan baik! ”
Pensil terdiam. Dia membiarkan dirinya dibalut dan dibungkus di dalam kotak. Ketika itu, dia berazam untuk menjadi pensil yang terbaik.
Saya lihat, wajah anda berkerut kehairanan. Betul tak? Sebenarnya saya hajat – sharing dengan anda. Saya ingin kongsikan sesuatu dengan anda. Sebuah analogi yang baik untuk sama-sama kita renungi.
Mari kita letakan diri kita dalam situasi si pensil itu. Jika pensil itu adalah pensil yang terbaik, ia perlu melakukan apa yang telah dipesankan oleh si pembuat kepadanya itu dengan nyata dan bersungguh-sungguh.
Apa kata kita letakan situasi analogi itu kepada diri kita. Untuk menjadi manusia yang terbaik, kita perlu melihat nasihat dan pesanan si pembuat pensil itu dalam presepsi dan sudut pandang kita sebagai insan, manusia dan hamba.
Manusia yang terbaik
Kita jadikan analogi diatas sebagai panduan dan kita reflekkannya kepada diri kita.
Pertama, untuk menjadi manusia yang terbaik kita perlu berada dalam genggaman Allah SWT. Kita perlu berada dalam naungan dan membenarkan diri untuk meyakini, mengimani, mematuhi dan mentaati-Nya sepenuh jiwa dan hati.
Firman Allah SWT :
“ Katakanlah (Muhammad) : “ Apakah (patut) aku mencari tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi segala sesuatu. Setiap perbuatan dosa seseorang, dirinya sendiri yang bertanggungjawab. Dan seseorang tidak akan memikul beban dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitahujan-Nya kepadamu apa yang kamu dahulu kamu perselisihkan.”
(Al-An’am 6 : 164)
Kedua, untuk menjadi manusia yang hebat dan tabah kita sebagai manusia perlu menahan kepedihan apabila diasah dan diasak dengan ujian-ujian, dugaan dan cabaran yang Allah SWT berikan.
Firman Allah SWT :
“ Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “ Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”
(Al-Ankabut 29 : 2)
Ketiga, untuk menjadi manusia yang terbaik – seseorang itu perlu memiliki bahagian dalaman yang terbaik. Apakah bahagian itu?
Ia adalah hati. Hatinya perlu dipenuhi dengan keimanan kepada Allah, ia sentiasa memelihara hubungan dengan Allah SWT dan hati itu ia sangat bersih, jernih, bercahaya dan berkualiti.
Keempat, untuk menjadi manusia yang terbaik – seseorang perlu bersedia memadam segala kesalahan-kesalahannya yang bertentangan dengan syara. Dosa dan maksiatnya harus dihapuskan dengan linangan air mata taubat. Ia perlu sentiasa bertaubat dan memperbaharui taubat.
” Katakanlah, “ Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
(Az-Zumar 39 : 53)
Dan yang terakhir iaitu yang kelima,
Untuk menjadi manusia yang terbaik, kita perlu menzahirkan amalan kita walau apa pun situasi dan keadaan dengan keikhlasan, keimanan dan keyakinan yang membulat kepada Allah SWT. Manusia yang terbaik, akan memberikan kesan dan pengaruh terhadap suasana di sekelilingnya.
Penutup : Komentar seorang hamba
(1) – Semua manusia berhajat, berkeinginan dan menyimpan hasrat untuk menjadi terbaik. Namun, hanya segelintir sahaja yang bergerak dan bersungguh menuju jalan-jalan yang akan mendekatkannya kepada tangga kejayaan untuk menjadi yang terbaik.
(2) – Pensil dan manusia adalah dua unsur yang berbeza. Namun analogi diatas mewujudkan persamaan yang sangat mengena. Saya termenung panjang apabila memikirkannya. Moga analogi membawa memanfaat kepada kita.
(3)- Jika kita lihat, untuk menjadi terbaik ia kembali kepada diri kita dan perubahan yang harus kita gerakan. Memang benar, jika ingin kan yang terbaik kita harus melakukan perubahan, untuk melakukan perubahan kita harus berkorban.
Pergorbanan itu benar-benar diperlukan untuk menjadi yang terbaik!
Persoalannya, bersediakah kita untuk menjadi yang terbaik?
Dan, sanggupkah kita untuk berkorban?
Agama: Isra’ dan Mi’raj – Ibrah sepanjang hayat menuju kejayaan dunia akhirat
Sempurna penjagaan solat, membawa kejayaan dunia dan akhirat
Akal manusia bisa berfungsi untuk menilai fitrah sesuatu perkara sama ada baik atau buruk. Ia juga boleh mencapai tahap berfikir tentang kebesaran dan nikmat-nikmat Allah yang dikurniakan dalam hambanya. Sebab itu, kita lihat dalam al-Quran banyak peristiwa Allah bertanya kepada manusia tidakkah melihat atau meneliti suatu perkara yang telah terjadi atau dikurniakan kepada kamu?
Pun begitu, sifat insani tidak dapat lari dari kekurangan. Seorang manusia boleh menguasai kebanyakan bidang pengajian tetapi mustahil untuk kuasai kesemuanya sekali. Jika begitu akal manusia yang cetek bagaimana mungkin dia mengingkari suatu perkara yang wujud tetapi tidak tercapai akalnya sedangkan dia tahu bahawa perbatasan dalam penggunaan akal?
Isra’ dan mi’raj antara satu peristiwa yang tidak mampu seorang manusia menggunakan logic akal untuk mengekspresiasi kejadian tersebut. Namun, akal yang sihat yang terpandu dengan penggunaan dalil agama yang sihat membawa akal manusia membenarkannya. Sebagai contoh dalam bentuk analogi:
Seekor semut yang berada di dalam poket tuannya yang kini berada di Malaysia. Tuannya itu menaiki kapal terbang ke suatu tempat yang agak jauh dan pulang semula pada hari yang sama setelah selesai tugasannya di sana. Setelah pulang semut itu bercerita kepada kawan-kawannya bahawa dia telah pergi ke suatu tempat yang jauh dan telah selamat pulang.
Allah adalah sebaik-baik contoh. Jika kita fikir tidakkah peristiwa ini janggal bagi kumpulan semut yang mendengar? Tetapi bukankah ia benar-benar berlaku? Peristiwa isra’ dan mi’raj juga begitu. Ia benar berlaku kerana Allah sebagai tuan kepada Rasulullah s.a.w dan sekalian alam yang menjemput baginda untuk bertemu-Nya. Bahkan maha suci Allah dari sama dari sesuatu bahkan Allah bisa melakukannya tanpa sebarang alasan dan logic.
Namun sebagai orang yang beriman, kita diwajibkan untuk percaya kerana peristiwa ini disebutkan dalam al-Quran dan hadis. Justeru itu, peristiwa ini secara tidak langsung menjadi ujian bagi mereka yang mempunyai iman yang meragukan.
Seputar Isra’ dan Mi’raj
Secara ringkas pengertian isra’ dari segi bahasa perjalanan pada sebahagian malam dari segi istilahnya sebuah perjalanan Nabi s.a.w yang bermula dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di al-Quds manakala mi’raj adalah tingkatan atau tangga membelah lapisan langit hingga sampai ke Sidaratul Muntaha seterusnya Bait Al-Ma’mur untuk berjumpa Allah s.w.t dengan menaiki binatang yang bernama Buraq.
Berkisar tentang penetapan tarikh peristiwa ini berlaku terdapat 17 pendapat berbeza para ulama’ tentangnya. Yang masyhur adalah dalam bulan rejab. Cuma sebagai penanda, ia berlaku selepas baginda diutuskan dan setelah kewafatan isteri baginda yang pertama iaitu Saidatina Khadijah. Adapun perkara yang lebih penting untuk diteliti adalah ibrah yang menjadi teladan sepanjang hayat yakni solat.
Hal ini kerana orang yang berusaha menjaga solat dengan baik sebenarnya dia sedang menjaga kehidupannya dengan baik. Setiap perkara dalam kehidupan berkait dengan solat.
Sebelum solat selain daripada rukun yang perlu dilunaskan seperti wuduk, perkara-perkara kemaksiatan juga perlu dijaga untuk mendapat kekhusyukan seperti pandangan mata, fikiran positif dari kekusutan dan sebagainya.
Semasa solat, kita diajar berdisplin dengan cuba ikut arahan Allah dalam pergerakan dan bacaan di samping mengajar kita untuk hanya bergantung kepada-Nya.
Selepas solat pula, solat yang sempurna sepatutnya memberi kesan kepada jiwa dengan mendidik sifat rendah diri selain berasa malu untuk membuat maksiat seperti mendedahkan aurat, mencarut kerana manusia itu sebenarnya hanya hamba yang mempunyai Tuan yang perlu dipatuhi bukan pada waktu tertentu.
Di samping itu, isra’ dan mi’raj sebenarnya ubat duka seorang manusia iaitu baginda s.a.w oleh Allah taala setelah peristiwa kematian bapa saudaranya Abu Talib yang kuat mendokong usaha dakwah baginda meskit tidak memeluk islam, serta wafatnya isterinya yang tercinta Saidatina Khadijah.
Setelah itu, usaha dakwah baginda kian terasa kepahitannya. Quraisy lebih berani hingga sampai tahap menyakiti batang tubuh baginda seperti peristiwa dilemparkan sisa najis kepada baginda ketika solat juga peristiwa baginda dilontar dengan batu hingga darah berlemuran ketika di Thaif.
Ya! Tabiat dakwah sememangnya demikian. Pahit lelah tiada kerehatan. Darah merah bertaburan. Kita mungkin belum sampai ke tahap sedemikan. Namun, Allah meminta daripada manusia untuk dikorbankan jiwa mereka dan hartanya-hartanya dan digantikan dengan nikmat yang besar iaitu mendiami syurga-Nya maka segala kudrat yang terdaya sepatutnya ada dalam jiwa kita cita-cita membantu agama-Nya.
Perjalanan seorang hamba bukan sekadar rohnya
Ulama’ berbeza pendapat tentang adakah baginda s.a.w diperjalankan dalam keadaan roh sahaja atau roh dan jasadnya sekali. Ada yang mengambil pendapat pertama ada yang kedua. Ada juga berkecuali dengan meletakkan antara isra’ dan mi’raj salah satunya adalah dengan jasad dan roh. Adapun yang paling dekat berdasarkan dalil adalah keduanya sekali iaitu jasad dan roh. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ﴿١﴾
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Penafsiran ayat ini bagi mengukuhkan hujah baginda diperjalankan dengan keduanya adalah perkataan tasbih (سُبْحَانَ) merupakan perkataan yang agung dan semesetinya digunakan dalam peristiwa yang agung. Jika peristiwa ini berlaku hanya dengan roh maka ia bukan merujuk pada peristiwa yang besar kerana ia ibarat seperti bermimpi. Namun, peristiwa ini antara peristiwa yang agung di sisi umat islam.
Tambahan pula, Allah juga menggunakan istilah hamba (عَبْد) yang merujuk kepada seorang manusia yang mana bersatunya roh dan jasadnya. Hal ini kerana, jika ia hanya berlaku ketika tidur atau sekadar roh sahaja sudah tentu Allah menggunakan istilah “dengan roh hambanya” yang memisahkan asal erti kata hamba yang merangkumi dua aspek tersebut.
Catatan Khusus berkenaan peristiwa sepanjang isra’ dan mi’raj
ISRA’
1. Pembelahan dada (kepentingan bersuci)
Ibn Hajar menyebutkan pembelahan dada berlaku sebanyak tiga kali. Pertama ketika baginda masih kecil di kampung bani Sa’ad sebagai penjagaan daripada gangguan syaitan. Keduanya ketika baginda diutuskan menjadi rasul sebagai pemuliaan dan penyediaan kepada baginda menerima wahyu dengan hati yang bersih. Ketiga isra’ hal ini berlaku ketika hendak bermunajat kepada Allah.
Hikmah kepada pembasuhan anggota sebanyak tiga kali adalah untuk mencapai kepada tahap kesempurnaan. Hal ini berlaku sebagaimana pada syariah baginda s.a.w dalam bersuci. Hikmah ini adalah yang paling agung kerana cara menyucikan itu digunakan air zam-zam yang diisi dalam bakul yang diperbuat daripada emas dan mengandungi iman dan hikmah seperti lafaz hadis dari Bukhari yang menunjukkan keagungannya.
2. Memilih susu berbanding arak (Islam agama fitrah)
Berlaku perbezaan pendapat disini dalam menentukan ketikamana baginda diberi minuman tersebut. Kata Ibn Kathir bermungkinan diberi dua kali pertama kali sebelum baginda di mi’rajkan dan kedua kali selepas baginda sampai ke sidaratul muntaha yang mana baginda melihat empat batang anak sungai yang dua antaranya adalah sungai Nil dan sungai Furat dan dua lagi disembunyikan dari pandangan baginda. Yang masyhur adalah sekali iaitu kondisi yang pertama.
Apapun ibrah yang lebih utama daripada peristiwa ini adalah islam itu adalah agama fitrah kerana Rasul s.a.w memilih susu merujuk kepada simbolik fitrah. Kata ibn Hajar susu itu dikaitkan dengan fitrah adalah ia merupakan minuman pertama manusia setelah dilahirkan. Namun, yang lebih utama apabila disebutkan agama itu adalah fitrah iaitu tidak mungkin tangga langit tersusun indah, pintu-pintunya dibuka ketika peristiwa mi’raj jika ia diselaputi penyakit yang membarah.
Ia memberi gambaran kepada manusia untuk melaksanakan sesuatu ibadah dengan sebaiknya kerana dewasa kini ramai dalam kalangan manusia beribadah namun hanya bertopengkan kerosakan bukan fitrah. Ia terselindung disebalik kecantikan luaran amal padahal hakikatnya ia tidak lebih dari berpura-pura. Dengan sebab itu, kita melihat segala permintaan sukar untuk dikabulkan kerana terdapat penghadang amal itu sampai kepada Allah s.w.t.
MI’RAJ
Langit pertama (menjauhi setiap jenis dosa-dosa)
Bertemu dengan nabi Adam a.s. Antara hikmah yang tersembunyi adalah baginda merupakan nabi yang pertama dan bapa seluruh manusia. Justeru, diperlihatkan baginda. Di samping itu, perkaitan kepada umat seterusnya adalah sebagai peringatan kepada manusia tentang hukuman Allah kepada baginda yang terkeluar dari syurga dan baginda merinduinya semula yang membawa erti manusia juga tidak terlepas dari hukuman sekiranya membuat perkara larangan juga disamakan kisah hijrah Rasulullah ke Madinah hingga merindui pulang Mekkah.
Antara perkara lain yang disebutkan adalah baginda ditunjukkan hadiah khas buat baginda iaitu telaga kauthar dan juga diperlihatkan dua kelompok dari arah kiri dan kanan baginda. Sebelah kanan tersenyum gembira kerana merekalah ahli syurga berlainan sebelah kiri menangis kerana mereka adalah ahli neraka.
Disebutkan dalam hadis yang diriwayat oleh al-baihaqi bahawa baginda melihat beberapa bentuk seksaan terhadap orang-orang yang melakukan kesalahan di dunia. Walaubagaimanapun ibn Kathir menyifatkan hadis ini lemah kerana salah seorang perawinya tetapi tetap disebutkan oleh beliau disebabkan ibrah daripadanya terdapat dalil nyata yang menyokong. Antara seksaan tersebut adalah:
i) manusia berperut besar hingga tidak mampu berdiri
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. (al-Baqarah:275)
ii) manusia yang menelan bara api
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; (an-nisa’:10)
iii) memakan daging saudara yang telah mati
dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (al-Hujurat:12)
Terdapat pelbagai jenis seksaan lagi. Namun, sekadar suntikan buat kita untuk meninggalkan dosa-dosa yang telah dilarang oleh-Nya. Adapun seksaan yang tidak didatangkan hujah yang lebih kukuh untuk menyatakan kesahihannya adalah ditolak dari kebenaran fakta yang berkait dengan peristiwa isra’mi’raj.
Suatu perkara yang boleh kita muhasabah semula, kebanyakan seksaan yang disebutkan semua terkumpul pada umat kita pada hari. Riba berleluasa. Mengumpat berjela-jela. Justeru bagaimana penyakit ini bisa diubati? Tidak lain tidak bukan dengan kefarduan solat yang sempurna yang telah ditetapkan.
Langit Kedua (menjauhi permusuhan dan sekatan terhadap usaha dakwah)
Bertemu nabi Isa dan Yahya yang sering dimusuhi pengikutnya, telah berlaku permusuhan pada diri baginda Nabi s.a.w pada awal hijrah, baginda selalu dimusuhi orang-orang yahudi, mereka sering melakukan kejahatan terhadap baginda.
Langit Ketiga (menjauhi permusuhan saudara dan lazimi sikap memaafkan)
Bertemu nabi Yusuf a.s. yang dikhianati oleh saudara-saudara dilemparkan ke perigi namun akhirnya dimaafkan segala perbuatan selepas sujud tanda penghormatan begitu juga nabi disakiti oleh kaum kerabat terdekat seperti Abu Sufyan, namun selepas islam beliau memaafkan musuhnya.
Langit Keempat (dakwah untuk keluarga dan masyarakat seluruhnya)
Bertemu nabi Idris yang mempunyai martabat yang tinggi di sisi Allah dan merupakan nabi yang pertama berdakwah selain ahli keluarga iaitu pengikutnya.
Dan ceritakanlah ( hai Muhammad kepada mereka , kisah ) Idris yang terdapat di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. 57 – Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” [Maryam : 56 – 57]
Langit kelima (berbuat baik balasan baik diterima dan teguh atas jalan kebaikan)
Bertemu nabi Harun a.s yang mana kaumnya kembali mencintainya setelah berbuat jahat kepadanya seperti yang berlaku ketika pembukaan kota mekkah bagi Rasulullah.
Langit keenam (sabar dalam perjuangan dibenar sifat cemburu ke arah kebaikan)
Bertemu nabi Musa a.s yang berulangkali disakiti oleh kaumnya seperti mana yang berlaku kepada baginda namun mereka tetap bersabar. Juga nabi Musa. Menangis kerana sedih dan cemburu umat nabi Muhammad s.a.w lebih ramai berbanding dengan baginda.
Langit ketujuh (kekal dalam kebaikan hingga pengakhiran)
Bertemu nabi Ibrahim yang menyandar di sisi Bait Al-Ma’mur (dimasuki oleh tujuh puluh ribu malaikat dan tidak pernah memasuki buat kali kedua) yang menunjukkan hadiah penutup buat baginda dalam umur terakhirnya iaitu manasik haji.
Ibrah umum daripada isra’ dan mikraj
Dalam peristiwa ini terdapat pelbagai macam pedoman yang boleh dijadikan panduan untuk manusia sejagat. Yang utama seperti yang disebutkan sebelum ini berkenaan solat kerana ia merupakan satu-satunya ibadah yang diterima terus oleh Rasulullah daripada Allah berbanding ibadah wajib yang lain. Adapun masih tersirat bermacam mutiara teladan yang lain padanya:
1. Masjidil Aqsa dan isu Dunia Islam.
Keduanya mempunyai perkaitan. Ini kerana makkah selepas perutusan Rasulullah telah menjadi pusat perhimpunan dunia islam dan kesatuan visinya. Peristiwa isra’ dan mi’raj ini juga menunjukkan usaha mempertahankan Palestin sebenarnya mewakili usaha mempertahankan islam itu sendiri.
Setiap orang Islam dari pelbagai ceruk bumi wajib melaksankan dengan apa cara sekali pun. Kecuaian mempertahankan dan membebaskan Palestin merupakan kecuaian terhadap islam. Ia merupakan jenayah yang akan dihukum oleh Allah kepada setiap orang beriman dengan Allah dan rasul-Nya.
2. lambang ketinggian umat islam
Ia sebenarnya mengangkat ketinggian darjat orang islam dengan mengatasi hawa nafsu dan syahwat dunia. Dia juga wajib menjadi manusia yang tiada tolok bandingnya dalam dikalangan seluruh manusia. Sama ada dari segi kedudukannya yang tinggi, visinya yang mulia dan sikapnya yang sentiasa berlegar-legar dalam nilai-nilai murni islam.
3. Penerokaan angkasa
Peristiwa ini membuka kaca mata manusia dari sudut sains bahawa manusia sebenarnya boleh keluar daripada daya tarikan bumi dan angkasawan pertama secara keseluruhannya adalah baginda s.a.w meskipun ia adalah sebuah mukjizat ia membuka kotak pemikiran manusia untuk meneroka.
Kesimpulan
Isra’ dan Mi’raj merupakan suatu peristiwa agung dalam lipatan sejarah umat islam. Ia bukan sekadar hari yang disambut kemuliaanya dan berlalu begitu sahaja. Bahkan, ia adalah hari di mana manusia itu dimuliakan. Dimuliakan dengan ibadah pada-Nya. Dimuliakan kerana hanya bergantung harap pada-Nya tiada yang kedua kerana ia mengandungi ibrah sepanjang hayat iaitu solat. Justeru itu, mereka yang bijak dan ingin berjaya di dunia dan lebih lagi di akhirat akan berusaha menjaga solat dengan sebaiknya.
Rujukan
Isra’ dan Mi’raj oleh Syeikh Jalaluddin As-Suyuti dan Ibn Hajar Askolani
Sirah Nabawiyah oleh Syeikh Mustafa Sibaie
Rahiq Makhtum oleh Mubarak Furi
June 4, 2013
Himmah : Berhati-hati Bila Menerima Berita Tentang Saudaramu !
~ Picture by islamedia.web.id
“Si fulan bin si fulan tu aku dengar sekarang dah pandai couple. Amboi, dulu dialah yang duk tegur dan ceramah agama kat sekolah. Keluar sekolah, jadi entah apa-apa je.”
“Eh, kau tau tak, si A tu sejak nama dia famous, dia mulalah besar diri. Orang bagi teguran pun tak nak dengar.”
Awas !
Bila kita mula mendengar sesuatu tidak baik tentang saudara kita yang sudah lama kita tidak bertemu dengannya, maka elakkanlah memberi komen panjang tentangnya.
Barangkali berita itu benar, barangkali tidak.
Kita pun sudah lama tidak bertemu dengannya, hanya sekadar dengar-dengar daripada orang atau kita pun tidak pernah bertanya padanya sebab dia melakukan sesuatu tindakan yang bagi kita, pelik di mata kita itu.
Sebab itu, adalah lebih baik kita tekan butang PAUSE dulu. Jangan terus bertindak dan bercakap. Bimbang membawa lebih banyak kerosakan dari kebaikan.
Biasakan Tabayyun (Kaji) Kebenaran Berita Sebelum Mahu Cakap Panjang Tentangnya
Allah mendidik kita agar berhati-hati dalam menerima berita. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang fasiq membawa berita, maka kajilah dulu…” [Al-Hujurat : 6]
Di dalam riwayat, dinyatakan sebab penurunan kepada ayat ini adalah kerana kisah seorang sahabat Nabi s.a.w., Al-Walid bin Uqbah yang ditugaskan untuk mengutip hasil sedekah dari Bani Mustaliq. Setibanya Al-Walid di perkampungan Bani Mustaliq, beliau terkejut melihat penduduk di situ ramai-ramai keluar untuk membayar sedekah mereka.
Al-Walid menyangka sebaliknya. Beliau menyangka yang mereka itu telah murtad lalu beliau pun berlari pulang bertemu Rasul s.a.w. mengkhabarkan hal itu kepada baginda s.a.w.Mendengar khabar berita itu, baginda s.a.w. pun mengerahkan bala tentera yang dipimpin oleh Khalid Al-Walid untuk pergi menyiasat apa yang berlaku.
Setibanya di sana, Khalid yang telah menghantar perisiknya mendapati azan masih kedengaran dan solat masih terus dilaksanakan. Maka, Khalid pun pulang dan mengkhabarkan kepada Rasul s.a.w. tentang hal itu.
Dalam kes ini, yang membawa berita adalah seorang muslim juga. Dia telah membawa berita tentang muslim yang lain hanya setelah melihat mereka dari kejauhan dan tidak benar-benar mengetahui keadaan sebenar mereka.
Tujuan penduduk Bani Mustaliq yang keluar beramai-ramai kerana ingin membayar sedekah itu telah disalahsangka sebagai murtad.
Sebab itulah, pentingnya untuk kita melakukan tabayyun (kaji selidik) setiap berita yang kita terima tentang saudara kita, apalagi jika saudara kita itu orangnya terkenal dengan kesungguhan dan semangatnya berjuang untuk Islam selama ini.
Tidaklah pantas bagi orang mukmin untuk tergopoh-gapah dalam menjatuhkan hukuman ke atas saudaranya sendiri ketika dia hanya mendengarkan secebis berita sahaja tentang saudaranya itu. Nanti dibimbangi akan menyebabkan kita tersalah hukum dan ramai pula orang ikut menghukumnya, kita akan menyebabkan dia terjatuh dalam caci maki dan fitnah orang ramai terhadap apa yang dia tidak maksudkan dan dia tidak pernah lakukan.
Sudahlah kita menghukumnya sebelum benar-benar memastikan kebenaran berita yang kita terima tentangnya, kemudian kita telah membuatkan ramai orang pula ikut menghukumnya.
Kalau berita itu tidak benar, kita bukan saja telah melakukan dosa menghukumnya pada perkara yang dia tidak lakukannya, tetapi telah menyusahkan juga kehidupannya.
Elakkan Cakap Belakang
Menjadi kebiasaan sesetengah orang bila mendengar berita-berita tentang saudaranya, pantas dikomennya sebelum dikaji.
Kalau berita itu benar sekalipun, dikira mengumpat.
Kalau berita itu tidak benar, lebih teruk lagilah. Kita telah berdusta kepadanya.
Inilah yang dimaksudkan oleh satu hadis yang mafhumnya :
Rasul s.a.w. bersabda : “Apakah kamu mengetahui apakah mengumpat itu?”
Para sahabat menjawab : “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Baginda s.a.w. menjawab : “Iaitu engkau menyebutkan sesuatu apa yang ada dalam diri saudaramu dengan apa-apa yang tidak disukai oleh dirinya.”
Baginda kemudian ditanya : “Bagaimana pendapatmu wahai Tuan, jikalau dalam diri saudara saya itu memang benar-benar ada apa yang dikatakan itu?”
Baginda s.a.w. menjawab : “Jikalau benar-benar ada dalam dirinya apa yang engkau telah katakan itu, maka engkau telah benar-benar mengumpatnya dan jika tidak ada dalam dirinya apa yang engkau ucapkan itu, maka engkau telah membuat kedustaan terhadap dirinya.” [HR Muslim, Riyadhus Solihin]
Elakkanlah bercakap belakang tentang saudara kita hanya setelah kita menerima berita tentangnya. Barangkali berita itu tidak benar pun. Kalau sekalipun berita itu benar, tidak pantas bagi kita untuk menyebar-nyebarkannya apalagi menyebut-nyebutkannya di hadapan orang ramai. Yang sebetulnya adalah kita berjumpa dengannya, bertanya tentang kebenaran berita yang kita dengar itu, berusaha mendapatkan penjelasannya dengan cara yang baik serta membantu dirinya keluar dari permasalahan itu sekiranya dia benar-benar terlibat dalam permasalahan itu.
Misalnya, kita mendengar tentang perihal saudara kita yang selalu pergi usrah, hadir program agama terlibat dengan couple. Perkara pertama yang perlu kita lakukan sekiranya berada dekat dengannya adalah pergi bertemu dengannya dan dapatkan penjelasannya. Sekiranya benar, tanggungjawab kitalah untuk memberi nasihat dan menegurnya. Sekiranya salah, tugas kita juga untuk membetulkan maklumat yang telah kita dengar daripada orang lain itu.
Janganlah kita pula yang pergi cakap belakang tentang dirinya. Kelak tidak akan menyelesaikan masalah pun dengan kita menyebar-nyebarkannya atau bercakap tentangnya. Malah, berkemungkinan memburukkan lagi keadaan dengan menjauhkan lagi dirinya dari kebaikan.
Penutup : Berilah Hak Yang Sepatutnya Kepada Saudaramu !
Kita pasti tidak suka jika kita diperlakukan dengan perkara yang sama. Orang mendengar berita tidak benar tentang kita, kemudian orang menyebar-nyebarkannya pula. Pasti kita tidak suka jika kita pun diperlakukan sedemikian.
Maka, layanilah saudara kita semuslim itu sebaiknya. Beri hak yang sepatutnya kepada mereka sebagaimana kita inginkan diri kita diberik hak yang sepatutnya juga.
Janganlah kita memburukkan saudara kita di depan orang ramai dengan berita yang belum pasti kebenarannya.
Janganlah kita cepat membuat kesimpulan dengan satu tindakan saudara kita yang kita pun tidak pernah bertanya padanya atas sebab apa dia melakukannnya.
Pergi berjumpa dan bertanya serta dapatkan penjelasannya sekiranya kita dekat dengannya.
Sekiranya kita jauh, teknologi hari ini telah maju ke depan dan tidak ada masalah untuk kita hubunginya melalui Facebook, Skype atau apa jua cara.
Kita telah melakukan kerugian sekiranya dengan tindakan kita menjustifikasi sahabat kita itu sebelum kita mendapatkan penjelasannya telah menyebabkan dia semakin jauh dan rosak hubungannya dengan kita.
Peliharalah ukhuwah kita dengan baik.
Maknakannya dalam tindakan kita.
Bahawa apa yang kita cintai untuk diri kita, itu jugalah yang kita cintai untuk saudara kita.
Dan apa yang kita benci diperlakukan ke atas diri kita, sepatutnya itu jugalah yang kita benci diperlakukan ke atas saudara kita.
Berilah hak yang sepatutnya kepada saudaramu !
June 1, 2013
TeenAce: Diari Seorang Aku – Dari Titik Jahiliyah kepada Sentuhan Tarbiyah
Tiada kuasa yang lebih besar dari Allah, bila Dia berkehendak kita mampu berubah (Jemaah Gangster)
photo by KojeMita of LangitIlahi
Setiap manusia pernah melakukan kesilapan dan dosa. Tetapi bukan kesalahan itu yang perlu dicela, tetapi diri yang tidak mahu berusaha mendekatkan diri pada-Nya. Allah tidak bertanya kita dosa yang bertimbun, tetapi kenapa kita begitu sombong untuk meminta ampun? Manusia fitrahnya tidak selamanya kuat. Adakala lemah. Rebah terarus dengan ombak jahiliyah. Tetapi bukan ketika jatuh itu dikesali, tetapi mengapa kita tidak cuba untuk bangun semula berdiri?
Seorang Aku
Secara tuntasnya, saya sebenarnya masih baru dalam dunia dakwah dan tarbiyah secara serius. Ya, saya dilahirkan dalam keluarga yang memahami kepentingan keduanya. Bersekolah dari sekolah rendah hingga menengah yang menjadikan keduanya pasak dalam sistemnya. Namun, itu tidak beerti hasilnya mesti sama dengan mereka yang sealiran. Sebab itu , suasana yang kondusif itu bukan satu-satunya penjamin perubahan kearah kebaikan tetapi ketumbukan dari dalam diri yang lebih utama untuk berusaha memahami setiap peringatan.
Ibarat sebiji cawan yang terlangkup. Dicurahkan air ke atasnya tetapi tidak akan masuk walau setitis kerana dalam keadaan demikian. Begitu juga kita. Setiap kebaikan apapun yang kita terima tidak akan menusuk ke dalam jiwa jika kita tidak berusaha untuk membuka hati kita untuk cuba beramal dengan apa yang kita dengarkan. Maka tinggallah kita hanya dengan kesombongan.
Sahabat ubat terus beringat
Sebagai seorang remaja yang fitrahnya sukakan keseronokan, saya juga tidak terlepas dari arus jahiliyah yang menyesakkan. Jahiliyah yang saya maksudkan adalah sifat tidak endah dengan kebaikan. Kaum Qurasiy dahulu digelar sebagai orang yang jahil bukan kerana mereka tidak berilmu bahkan mereka merupakan penyair-penyair yang hebat dalam bahasa arab fasih dan sebab itu juga al-Quran diturunkan sebagai cabaran kepada mereka untuk menandingi kehebatannya.
Namun disebabkan mereka enggan menerima kebaikan setelah tampak pada mereka kebenaran maka gelaran tersebut diberikan. Tidak terkecuali halnya dengan kita. Boleh jadi kita juga terjebak dalam situasi yang sama. Sebab itu, saya mahu mengajak pembaca yang umurnya masih muda dari saya, kalian beruntung jika cepat-cepat bangun dari keselesaan yang membuat kita leka dan bagi mereka yang lebih senior masih ada masa untuk kita berubah selagi nyawa belum berada dikerongkongan.
Saya sedar saya bukan seorang yang mampu hidup mengabdikan diri kepada-nya berterusan secara perseorangan. Meski saya tidak begitu mengambil berat tentang peningkatan diri suatu ketika dahulu, tapi masih percaya bahawa apa yang diterima akan membawa kebaikan. Sebab itu, saya tidak terus terleka dengan dunia saya. Saya cuba berkawan dengan mereka-mereka yang baik. Sekurang-kurangnya saya akan terikut cara pergaulan dan perbuatan mereka.
Sahabat se-batch di Matri yang banyak membimbing saya
Jordan: Negara Perubahan
Allah izin saya berpeluang untuk menyambung pelajaran dalam ijazah sarjana muda di sana. Saya amat bersyukur kerana bukan sahaja saya menimba ilmu di sana dengan ulama’ muktabar tetapi di bumi anbiya’ ini juga saya bertemu cinta dengan apa yang dibawa oleh baginda sekian lama. Itulah keseriusan memperbaiki diri dan berusaha mengajak orang lain kepada jalan-Nya.
Sewaktu awal tiba, saya terkesan dengan keseriusan senior-senior saya ketika itu. Mereka adalah saudara Hilal Asyraf sendiri, saudara Sahel, saudara Ammar, saudara Ikhwan dan beberapa orang yang lain. Melihat mereka ini bersungguh dalam usaha-usaha kerja kebaikan walau tanpa ada wujudnya pemantau yang akan mempersoalkan meski mereka duduk tidak berbuat apa-apa, saya jadi malu sendiri untuk terus membatu diri.
Bermula dengan kesedaran ini, saya mula mencari potensi diri yang boleh saya usahakan. Allah Maha Berkuasa. Sejak dari kecil saya sering dibawa ke kuliah agama oleh ayah saya di masjid berdekatan rumah saya, Masjid Abu Bakar Assidiq, Bakar Arang Sungai Petani, Kedah. Meski sering saya cuba untuk meloloskan diri untuk bertandang ke kedai berdekatan kerana kurang rasa kepentingannya, namun saya masih cuba-cuba mendengar.
Dengan ketolakan ini, saya cuba mencari semula kuliah-kuliah ilmu diluar kelas university. Pada tahun pertama, Allah kurniakan seorang guru yang amat saya hormati ilmunya. Beliau adalah ustaz Mahadi calon Master ketika itu. Walaupun hanya setahun, sempat saya berguru dengan beliau tetapi, tidak dinafikan ilmu beliau sungguh luas tambahan pada ketika itu saya belum mampu untuk memahami teks-teks dalam bahasa arab secara bersendirian. Beliau banyak memimpin kelas tambahan yang saya ikuti. Alhamdulillah, natijah walaupun tidaklah begitu besar kerana hakikatnya saya masih seorang yang dhoif, sekurang-kurangnya, beliau meninggalkan kesan kepentingan ilmu terutama dalam bidang deen ini kepada saya.
Ustaz Mahadi pernah menjadi guru kepada Ustaz Azhar suatu ketika dulu (sumber facebook us Azhar Original)
Idola terdekat
Melangkah tahun kedua di Jordan saya mula memikirkan masa depan saya dalam bidang yang saya ceburi. Bukan memikirkan periuk nasi yang bakal saya peroleh tetapi bagaimana saya boleh memanfaatkan apa yang saya terima untuk dikongsi bersama meski masih sedikit cuma. Saya berusaha menjadi seseorang dalam bidang saya ceburi dan masih berusaha dan akan terus berusaha.
Dalam pada itu, bagi saya perlu bagi saya untuk mencari seseorang yang boleh saya jadikan contoh terdekat untuk membakar semangat saya supaya terus menjadi orang yang bermanfaat dalam bidang yang saya ceburi tanpa melupakan kepada tokoh yang banyak meneyentuh hati-hati manusia tidak terkecuali saya walaupun tidak langsung, murobbi saya Arwah Ustaz Dahlan Rahimahullah.
Pembakar semangat
Dalam pada itu suatu perkara yang masih saya cuba kekalkan adalah mencari sahabat-sahabat yang baik kerana saya tahu saya mudah lemah apabila berseorangan. Justeru, itu di bumi ini juga saya masih berusaha mencari hati-hati mereka yang baik untuk saya duduk dalam suasana yang baik bersama mereka.
Bukan bermaksud mengeksklusifkan diri dengan kelompok tertentu, tetapi saya khuatir saya akan mudah terleka jika tidak bersama orang-orang yang boleh mengingatkan saya. Bukan juga membawa erti mereka yang lain kurang baik kerana saya percaya sahabat-sahabat saya di sana berada dalam jalan yang Allah redha. Cuma bagi diri yang lemah saya cuba mencari suatu nilai tambah.
Sebahaigan sahabat-sahabat saya di Jordan
Bersama mereka memberi inspirasi buat saya.
Berusaha menyebarkan kebaikan
Atas kesedaran ini, juga sedikit ilmu yang Allah beri saya mula untuk berkongsi dengan sesiapa sahaja. Alhamdulillah, Allah mudahkan saya untuk turut serta bersama team LangitIlahi hampir setahun yang lalu. Melalu medium ini, peluang saya untuk menyebarluaskan pengalaman menjadi kenyataan. Namun, tidak bermakna saya berpuas hati apa yang saya ada sekarang ini (walaupun hanya sedikit) kerana sifat orang mukmin itu mesti lebih baik dari hari ke hari.
Berkongsi bersama adik-adik di sebuah kem
Kesimpulan: apa yang saya percaya?
Dalam kehidupan ini ada tiga perkara utama untuk mengejar cita-cita:
Sahabat-sahabat yang baik
Idola pemberangsang
Suasana yang baik
Akhir sekali, kita perlu mencari titik perubahan kita untuk kita membuat lonjakan perubahan. Saya yakin dan percaya elemen yang saya sebutkan di atas di samping boleh menjadi noktah permulaan untuk berada di atas jalan kebaikan ada disediakan dalam program TeenAce yang akan datang dengan penampilan figure-figur muda dan berpengalaman.
Ayuh mulakan langkah anda!
Maklumat lanjut
Maklumat berkenaan TeenACE boleh dirujuk di sini: http://langitilahi.com/teenace/?page_id=30
Pendaftaran boleh dilakukan di sini: http://langitilahi.com/teenace/?page_id=297
May 31, 2013
Agama : Teks-teks Agama Yang Telah Diabaikan Harganya
Muslim berdoa mengangkat tangan memohon kemenangan untuk ummat, kenapa ummat masih terus terhina?
Muslim membaca Yasin saban minggu, menyuruh anak minum air Yasin, kenapa anak muslim masih nakal dan gagal?
~Picture by empowernetwork.com
Antara 2 tinggalan besar Islam yang diwariskan oleh baginda Nabi s.a.w. adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Kedua-dua sumber besar ini menjadi rujukan utama dalam kehidupan muslim.
Melalui kedua-duanya, muslim mendapat dorongan (targhib) dalam bentuk-bentuk khabar gembira seperti bantuan Allah, balasan syurga-Nya dan kemenangan demi kemenangan. Melalui kedua-duanya juga, muslim diberi ancaman (tarhib) yang menyebabkan dirinya rasa perlu jauh daripada dosa dan kemaksiatan.
Teks-teks agama ini jugalah yang telah dimanfaatkan oleh para ulama’ silam terdahulu hinggalah sekarang untuk mengeluarkan hukum-hakam berkaitan agama seperti hukum solat, wudhu’, puasa, haji, zakat, taat kepada ibu ayah, hukum keadilan dalam pemerintahan, pemilihan pemimpin dan lain-lain.
Betapa para ulama’ terdahulu telah benar-benar memanfaatkan teks-teks agama ini dengan pemikiran yang kritikal dan mendalam sehingga perbahasan terhadap satu perkataan atau satu ayat sahaja telah memperlihatkan pelbagai sudut pandangan.
Misal yang sangat jelas adalah berkaitan dengan ayat berkaitan dengan quru’, iaitu dalam firman Allah s.w.t. :
“Dan para isteri yang diceraikan (wajib) menahan diri mereka (menunggu) tiga kali quru’.” [ Al-Baqarah : 228]
Istilah quru’ boleh membawa pelbagai tafsiran menyebabkan ada di kalangan ulama’ yang mentafsirkannya sebagai suci dan ada pula yang mentafsirkan sebaliknya iaitu haid.
Perbezaan tafsiran ini adalah kerana cara pandang yang kritikal dari para ulama’ melalui sudut penilaian masing-masing. Mereka tidak mengambil mudah dalam memahami dan mendalami ayat-ayat Allah s.w.t. dan juga teks-teks agama lain walaupun dalam keadaan mereka telah mempunyai kemahiran bahasa arab yang sangat tinggi.
Begitulah usaha para ulama’ terdahulu berusaha memahami ayat Al-Quran dan teks hadis.
Di Mana Pula Harga Teks-teks Agama Dalam Kehidupan Muslim Hari Ini?
Al-Quran dan hadis tidak hanya sekadar sebuah teks untuk dibaca dan dikeluarkan hukum melaluinya.
Tidak hanya itu.
Al-Quran dan hadis telah menjadi alat dan bahan pendidikan penting di zaman Rasul s.a.w. dalam mendidik para sahabatnya.
Teks-teks Al-Quran umpamanya, telah berperanan besar dalam mendidik keimanan dalam diri para sahabat Rasul s.a.w.
Walaupun ada sebahagian besar sahabat Nabi s.a.w. yang tidak sentiasa bersama baginda mendengar setiap ayat-ayat baru yang diturunkan kepada baginda, namun mendapatkan satu ayat sahaja sudah menjadi makna besar dalam hidup mereka.
Begitulah yang dilakukan oleh Abdullah Ibn Umar, seorang sahabat Nabi sa.w. yang sangat akrab dengan baginda. Baginda mengambil 10 ayat daripada Nabi s.a.w., kemudian cuba menghafalnya dan mengamalkannya. Selepas dapat mengamalkannya, maka barulah ia mencari 10 ayat yang baru dan berusaha pula untuk mengamalkannya.
Begitulah para sahabat di zaman Nabi s.a.w.
Memahami teks agama dalam konteks untuk mengamalkannya dan menterjemahkannya dalam kehidupan.
Bagaimanakah interaksi muslim dengan teks-teks agama seperti Al-Quran dan hadis pada masa kini?
Apakah hanya tinggal sebatas majlis bacaan Yasin dan tahlil sahaja untuk dikumandangkan surah-surah tertentu supaya dapat ‘memberi keberkatan’ kepada air yang diletakkan di tengah majlis?
Ataupun hanya tinggal sebatas bacaan talqin selepas nafas tidak lagi mengalir di jiwa insan?
Teks Agama Hanya Alat Jampi Untuk Dapat Hasil Yang Instant?
Dukacitanya pemikiran masyarakat muslim jika teks agama dipandang umpama kitab magis. Kitab magis yang bila dbaca mampu memberikan kuasa perubahan yang instant (segera) tanpa perlukan usaha yang kuat dan lama.
Sedangkan, kalau kita merenung sirah sendiri, Nabi s.a.w. mengambil tempoh masa yang lama untuk mendidik para sahabatnya. Mengambil masa bertahun-tahun untuk dapat membentuk satu batalion Badar yang kuat keimanan mereka meskipun dengan kelengkapan peperangan yang serba tidak kecukupan.
Itulah Al-Quran, diturunkan sebagai teks untuk memproses keyakinan manusia kepada Tuhan. Bukan memberikan hadiah instant sebagai mana yang kita harapkan.
Kalau kita mahukan anak-anak kita menjadi baik, maka kita sebagai ibu bapa perlulah menjadi contoh yang baik kepada anak-anak kita.
Kalau kita mahukan anak-anak kita menjadi soleh, maka kita sebagai ibu bapa perlulah mendidik anak-anak supaya memahami ayat-ayat Allah s.w.t., mengenali Nabi s.a.w., perjuangan baginda dan para sahabat.
Kalau kita mahukan anak-anak kita menjadi pelajar yang cemerlang akademik dan ilmunya, maka kita sebagai ibu bapalah yang perlu sentiasa membantu mendisiplinkan mereka, menasihati mereka, mengawasi kehidupan mereka ketika mereka masih kecil serta selalulah memberikan penghargaan kepada mereka bila mereka mendapat kecemerlangan meskipun sedikit.
Tidak mungkin hari semalam anak kita malas dengan keputusannya 5C, malam ini kita berikan air yasin, kemudian esoknya terus mendapat 5A. Mustahil melainkan dengan izin Allah yang mahu memberikannya atas sesuatu sebab.
Allah memberikan sesuatu kepada hamba-Nya melihat kepada asbab yang berusaha dicapai hamba-Nya. Lihatlah pada orang-orang bukan Islam. Kadangkala kita hairan melihat mereka boleh berjaya dalam peperiksaan, bahkan lebih cemerlang lagi daripada orang Islam sedangkan mereka itu tidak Islam dan tidak beriman kepada Allah.
Jawapannya adalah kerana mereka memenuhi sunnatullah yang membolehkan mereka mendapat kejayaan itu. Mereka telah memenuhi sebab-sebab untuk melayakkan mereka mendapatkan kejayaan itu.
Sementara kita pula, ummat Islam hanya bergantung pada syariatullah. Kita merasakan dengan berimannya kita kepada Allah sudah melayakkan kita untuk mendapatkan kejayaan. Tetapi syariatullah semata-mata tanpa paduan sunnatullah, benar macam mana sekalipun kita, kita tetap tidak akan berjaya kalau kita malas berusaha dan tidak bersungguh-sungguh.
Sebab itu, dalam peristiwa Badar, walaupun Allah menurunkan beribu malaikat membantu tentera Islam dan pada logik akal kita pun, dicampur beribu malaikat itu dengan tiga ratus lebih ummat Islam, sudah tentu lebih daripada 70 orang musuh yang mampu dibunuh oleh tentera Islam. Tetapi kenapa hanya 70 yang terbunuh?
Supaya umat Islam belajar bahawa kehidupan mereka ini tidak berlaku tanpa asbab. Semua perkara berlaku ada asbabnya melainkan sesetengah perkara dengan izin Allah. Kalaulah lebih ramai daripada itu yang terbunuh, barangkali mereka pun tidak belajar untuk berusaha semaksimum mungkin kerana nantinya mereka akan sentiasa bergantung harap kepada keajaiban.
Penutup : Memperbaiki Semula Makna Dan Harga Teks Agama Dalam Kehidupan Insan
Betapa besarnya harga Al-Quran dan hadis dalam kehidupan insan, sehingga daripada kedua-duanya lahir kitab ulama’-ulama’ yang hebat seperti Imam As-Sayuti, Ibn Taimiyah, Ibn Qoyyim Al-Jauziyah, Fadhl Hasan Abbas, Ibn Solah dan lain-lain para ulama’. Tak kurang juga daripada kedua-duanya lahir ulama’-ulama’ mazhab fiqh yang hebat dan masyhur seperti Imam Syafie’, Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hanbali.
Ibn Qoyyim Al-Jauziyah membayangkan Islam dan iman ini umpama pokok yang akarnya adalah bertunjangkan ilmu :
“Maka akar dari keimanan dan keislaman itu adalah ilmu, pengetahuan dan keyakinan. Batangnya adalah keikhlasan, cabangnya adalah amal perbuatan, dan buahnya adalah kesan dari amal soleh seperti adanya pengaruh yang terpuji, sifat-sifat yang terpuji, akhlak yang suci, tujuan yang baik dan mendapat petunjuk yang diredhai … Dengan demikian, apabila ilmu itu benar, maka ia akan sesuai dengan pengetahuan yang terdapat dalam kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t., dan apabila keyakinan itu benar, maka ia akan sesuai dengan apa yang diberitakan yang bersumber dari Allah dan Rasul-Nya, dan apabila keikhlasan itu tertanam dalam hati dan amal perbuatannya, maka ia akan selalu menepati perintah, sedang petunjuk dan jalan yang baik akan mendukung prinsip-prinsip tersebut.” [I’lam Al-Muwaqiin]
Al-Quran dibaca dalam keadaan mestilah kita sedar dan faham akan maknanya. Barulah ia akan memberi kesan kepada jiwa insan. Barulah ia akan mencetuskan gelora perubahan dalam kehidupan insan.
Kalau Al-Quran hanya dibaca untuk memenuhi rutinan, maka ia tidak ubah seperti kita membawa pulang preskripsi daripada doktor tanpa mengambil ubat yang disarankannya. Maka apakah penyakit bisa sembuh dengan hanya membaca preskripsi doktor tanpa memakan ubat yang disarankannya?
Al-Quran dan hadis adalah sumber yang telah mencetuskan perubahan besar dalam generasi terdahulu. Mereka mengambilnya, berusaha memahaminya dan menterjemahkannya dalam kehidupan mereka sehingga mereka itu sendiri diumpamakan sebagai generasi Al-Quran. Mereka tidak mengambilnya sebagai kitab magis untuk mendapatkan kejayaan-kejayaan instant.
Akhirnya teks-teks agama tidak hanya bermain di bibir mereka, tidak juga menjadi alat pancing untuk mendapatkan pengaruh, tetapi menjadi kehidupan di dalam jiwa mereka !
Komik: Dosa VS Pahala
May 29, 2013
Kehidupan: Respon Untuk Short Film ‘Sebelah Sayap’ karya Mat Luthfi
Alhamdulillah, sebelum saya mengarang panjang, betapa saya ingin mengajak rakan-rakan untuk menonton video ini. Bukan karangan saya ini untuk menyatakan short filem ini buruk atau baik. Kerana ianya pada saya memang baik.
Video tersebut boleh ditonton di sini: http://www.youtube.com/watch?v=D78chmFqTaY
Namun saya suka nak memberikan sebuah respon untuk video ini.
SUPERIOR?
Saya adalah budak yang membesar dalam keluarga yang mengikuti proses dakwah dan tarbiyah. Semenjak kecil, saya mengikuti kem-kem tarbawi. Saya dihantar ke Tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah yang dibina oleh orang-orang yang mewakafkan diri mereka di atas jalan dakwah dan tarbiyah.
Usroh, tamrin, ijtima’, dan jargon-jargon seperti takwin fardil muslim, muwosofat tarbiyah, ustaziatul alam, baitud dakwah, dan pelbagai lagi adalah perkara yang telah mendarah daging di dalam hidup saya.
Hingga pernah saya sendiri rasa ‘superior’.
Belajar Memahami
Namun perjalanan ilmu dan perubahan suasana mendidik saya untuk memecahkan superioriti itu. Saya mula belajar memahami orang lain yang tidak merasai nikmat usroh, tamrin, ijtima’ dan lain-lain.
Saya belajar melepak dengan mereka, dan saya mula faham bahawa antara faktor utama dakwah adalah ‘sentuhan hati’. Dan kadangkala ianya memerlukan masa yang lama.
Dengan pertambahan ilmu dan pemerhatian hasil banyaknya berjalan, saya mula lihat betapa kita tidak sepatutnya wewenang hendak melabel rakan-rakan kita dengan label yang berat seperti kafir, munafiq, tidak beriman dan sebagainya. Sebaiknya dicambuk ayat-ayat itu pada diri sendiri sebelum sibuk diletakkan pada bahu orang lain.
Antara yang banyak mengubah saya adalah Buku Bagaimana Menyentuh Hati karangan Abbas As-Sisy. Buku yang mendidik untuk diri ini melihat sesuatu itu dari pelbagai perspektif.
Saya mula memahami bahawa,
jika benar kita ini semakin mendekati Allah,
maka sepatutnya kita menjadi semakin kerdil,
bukan semakin membesar diri.
Targhib dan Tarhib
Saya mula memahami taktik dan kepelbagaian strategi dakwah, bukanlah semata-mata dengan ayat azab siksa neraka, tetapi juga hendaklah dimotivasikan manusia ini dengan ayat-ayat keluasan keampunanNya, ganjaran syurgaNya. Kerana Allah SWT sendiri adalah yang seimbang ayat-ayatNya. Taktik targhib(galakan) dan tarhib(amaran) adalah antara uslub yang Allah SWT gunakan.
Lihatlah ayat-ayatNya:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” ~ Surah Ibrahim ayat 7.
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). ~ Surah Al-An’am ayat 160
Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ~ Surah Al-Baqarah ayat 256
Maka sepatutnya juga kita punya ciri-ciri targhib dan tarhib ini dalam urusan dakwah dan tarbiyah kita.
Dakwah Kita Jangan Sampai Jadi Fitnah
Rasa syukur kita mendapat nikmat usroh, tamrin, tarbiyah dan sebagainya itu kita manifestasikan dalam bentuk kita bersungguh-sungguh mengajak manusia dengan hikmah(bijaksana) kepada Allah SWT.
Kita mahu Islam yang ramah, bukan Islam yang marah tak tentu fasal.
Jangan kerana dakwah kita, buat Islam jadi terfitnah, dan buat orang makin jauh daripada Allah SWT.
Pengajaran Daripada Pembunuh 100 Orang
Allah telah menunjukkan kita dengan jelas di dalam Hadith riwayat Muslim yang mana Rasulullah SAW menceritakan perihal pembunuh yang telah membunuh 100 orang. Kala dia membunuh 99 orang, dia bertemu dengan seorang alim untuk bertaubat.
Alim ini menyatakan dia tidak boleh bertaubat, tak ada harapan. Maka apakah balasan Allah kepada si alim ini? Alim ini dibunuh. Menjadi asbab kepada si pembunuh menambah lagi dosanya. Di dalam syarah hadith tersebut, ianya seakan simbolik kepada ‘tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pendakwah’.
Kemudian dalam keadaan mangsanya genap 100, pembunuh tadi tetap tidak melepaskan sangka baiknya kepada Allah, lantas dia mencari pula alim yang seterusnya untuk mengajarnya agar bertaubat.
Alim yang seterusnya menyatakan bahawa pengampunan Allah amat luas. Dan menunjukkan kepada si pembunuh kampung yang suasananya baik untuk perubahan. Maka si pembunuh, bergerak ke kampung itu. Di tengah perjalanan dia dijemput kematian.
Sengaja Allah mengarahkan sebuah ‘drama’ antara malaikat rahmat dan malaikat azab, untuk melakonkan ‘sketsa’ apakah lelaki ini ke syurga dan ke neraka. Sengaja Allah menyuruh dua malaikat ini mengukur jarak lelaki ini antara dua kampung. Jika hampir ke kampung kebaikan, bawalah dia ke syurga, jika lebih hampir dengan kampung yang sebelumnya, bawalah dia ke neraka. Bila diukur, nyata dia lebih dekat dengan kampung kebaikan dan dia dibalas dengan syurgaNya, walau belum lagi bertaubat.
Mengapa wujudnya ‘drama’ dan ‘sketsa’ itu? Apakah kerana lelaki itu bernasib baik mati dalam keadaan dirinya berjaya lebih dekat dengan kampung kebaikan? Tidak. Siapakah yang mematikan lelaki itu, di saat itu, pada tempat itu, pada jarak yang sedemikian?
Bukankah Allah? Maka tidakkah kita melihat? Allah telah menerima pembunuh yang bersungguh untuk bertaubat ini, bahkan memuliakannya hingga malaikat sanggup ‘berbincang’ akan siapakah yang lebih layak mengambilnya, dan nyata dia telah lebih mulia dengan ‘dipilih’ sendiri oleh Allah SWT untuk memasuki syurgaNya.
Apakah alim yang pertama dapat? Dia tidak mendapat apa-apa dek emosinya. Sedang pembunuh 100 orang memasuki syurgaNya. Begitulah Allah memberikan pembalasan. AdilNya tidak akan mampu diukur sendiri oleh manusia.
Maka bagaimana pula kita?
Yang Allah bagi nikmat faham jargon-jargon arab,
bahkan ada yang pandai cakap arab,
yang semenjak kecil ikut usroh, program tarbawi, tamrin,
naik pelbagai level dalam jemaah kita,
dan macam-macam lagi.
Apakah layak untuk berlagak, dan menerakakan orang?
Atau kita kena rasa, nikmat itu adalah agar kita mencontohi alim kedua dalam cerita pembunuh 100 orang tadi, moga kita ini menjadi cahaya buat yang runsing dan ragu dengan kehidupannya, dengan dosa-dosanya?
Kita Semua Adalah Pendosa
Bukankah kita semua ini pun,
hatta yang ikut usroh,
kita ada dosa kita, ada keaiban-keaiban kita,
cuma Allah menyembunyikannya?
Maka mengapa kita kena rasa ‘superior’?
Apa syurga neraka kita punya?
Tidak sama sekali.
Maka di dalam perjalanan hidup saya, dek kerana saya mula memahami perkara ini, maka saya karang Buku Motivasi Untuk Kita Pendosa, taglinenya – Harapan Selalu Ada.
boleh dapatkan di http://langitilahi.com/store
Harapan selalu ada. Itu yang saya percaya.
Jika berdosa, bertaubatlah. Jika berdosa lagi, bertaubatlah lagi. Berkali-kali. Dengan rasa penuh penyesalan dan keinsafan. Jika diuji dan tergelincir lagi, bertaubatlah lagi. Lagi. Lagi. Lagi dan lagi.
Ketahuilah Allah itu tidak bosan sebagaimana bosannya manusia.
Dia Maha Mengetahui hati kita, Dia Maha Memahami Keadaan kita. Dia tahu kita usaha keras. Dia tahu kita saban malam menangis mengadu kepadaNya. Dia tahu kita bukan sengaja-sengaja, wewenang nak ingkar kepadaNya. Dia tahu, walau berulang kali kita terjatuh, kita rajin bangkit semula bertaubat kepadaNya.
Biarlah kita mati dalam keadaan berusaha, dari mati tak buat apa-apa.
Rakan-rakan, kita semua pendosa.
Jangan resah dan gelisah seakan tiada lagi cahaya.
Situasi watak Mat dan rakannya di penghujung video merenjat saya.
Penutup: Sama-sama kita saling berusaha menjadi hambaNya yang terbaik.
Rakan-rakan, saya bukan malaikat, bukan nabi, bukan juga manusia terbaik, tersoleh di muka bumi ini. Saya ada dosa juga, ada aib juga. Tetapi saya usaha apa saya boleh usaha, agar diri saya dan diri kita semua berjaya ke syurgaNya.
Saya tidak dapat bersama anda sentiasa. Maka moga karya saya – Untuk Kita Pendosa: Harapan Selalu Ada – akan anda jumpai, selami, dalami.
Allah bagi kita hidup,
tandanya Dia sedang berikan peluang untuk kita masuk ke syurgaNya.
Sama-sama kita muhasabah.
Maaf atas coretan panjang.
Video Mat ini sangat terkesan buat saya.
————————————
Sertai Konvensyen Remaja – TeenACE
Sudahkah rakan-rakan mendaftar untuk menyertai Konvensyen Remaja – TeenACE?
Konvensyen ini terbuka kepada semua usia, akan berlangsung pada 29-30hb Jun 2013 ini di Centrum Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Fokus konvensyen ini adalah untuk menyuntik kesedaran dalam diri remaja, pemuda-pemudi dan belia, agar mereka melihat kemudaan itu sebagai aset penting untuk menjadi seorang manusia berperibadi unggul dan berjiwa besar.
Yuran promosi ialah RM100 untuk yang berusia 13-19 tahun, dan RM120 untuk 20 tahun ke atas. Yuran promosi valid hingga 15hb Jun ini. Selepas itu yuran naik ke RM150.
Pembelian 5 tiket secara berkumpulan akan dihadiahkan dengan satu tiket free.
Makanan disediakan.
Untuk maklumat lanjut seperti tentatif, barisan panel, nombor perhubungan dan pendaftaran, sila kehttp://langitilahi.com/teenace/
Jomlah sertai kami. Bina diri, bina hati, bina peribadi.
Kalau tak dapat datang, atau tak nak sertai, paling kurang mohon sebarkan iklan ini. Semoga ada hati yang tertarik untuk menyertai kami.
Sekian,
Mari Menjadi Hamba!
Pemuda: Soal Jawab Remaja – Membuang Masa Petanda Celaka!
Assalamualaikum. Cikgu, saya calon SPM 2013. Saya amat bersemangat setelah mendengar ceramah cikgu di sekolah saya. Saya ingin sangat berjaya tapi saya sering membuang masa saya. Saya cuba lawan sikap negatif saya ini, namun sering tewas. Dalam ceramah cikgu, cigku menyebutkan adalah merupakan merupakan satu jenayah kepada terhadap diri sendiri dan umat Islam apabila kita mensia-siakan waktu dalam kehidupan. Mohon cikgu nasihatkan saya lagi berkenaan perkara menjaga masa ini cikgu.
Remaja Mahu Berjaya, Pahang.
Wa’alaikum warahmatullah wabarakatuh.
Pertamanya syukur kerana hati kita masih merasakan betapa pentingnya masa dalam kehidupan. Sebenarnya sudah terlalu banyak tulisan dan nasihat dari pada ulama, cendekiawan mahupun pakar motivasi berkenaan kepentingan masa dan waktu dalam kehidupan.
Fenomena membuang masa adalah lawan kepada memanfaatkan masa. Time wasters’ adalah penggunaan masa tanpa menghasilkan manfaat samada jangka pendek mahupun jangka panjang. Dengan kata lain apabila kita bertindak tanpa memikirkan manfaat dan kebaikan yang kita dapat, sesungguhnya waktu kita terbuang dengan sia-sia sahaja. Orang yang suka membuang waktu belum mempelajari nilai kehidupan.
Membuang Masa Petanda Celaka!
Untuk memahami betapa kritikal dan pentingnya masa dengan kehidupan kita, saya mulakan dengan mutiara kata ini;
“Salah satu bentuk mensia-siakan kehidupan adalah mensia-siakan masa. Mensia-siakan masa adalah dengan banyak berangan-angan. Oleh kerana itu maka terkumpullah semua kerosakan dengan mengikuti hawa nafsu dan tinggi angan-angan. Sementara seluruh kebaikan terbina dalam diri saat mengikuti petunjuk dan bersiap untuk bertemu dengan Allah.”
“Orang yang membuang masa adalah orang yang tidak memiliki akal. Orang yang berakal katanya adalah orang yang mengetahui bahawa dunia tidak digunakan untuk bersenang-senang. Orang yang berakal, ia amat berhati-hati dalam menggunakan waktu dalam setiap kesempatan.
Demikianlah pesanan Ibnu Qayyim dan Imam al Jauzi kepada kita. Mutiara kata mereka ini amat besar kesannya kepada kita sekiranya kita ikhlas dalam kehidupan ini. Terkadang begitu kerap kita mensia-siakan masa depan kita sendiri dek kerana gagal mengurus masa kita dengan bijak.
Dr. Yusof al-Qaradhawi ada berkata:
“Salah satu tanda celaka adalah dengan mensia-siakan waktu. Siapa yang hari ini masih seperti kelmarin, maka ia golongan yang rugi, sedangkan siapa yang hari ini lebih buruk daripada semalam, maka ia menjadi orang yang terlaknat. Barang siapa yang melewatkan satu hari dari usianya bukan untuk melaksanakan kebenaran atau melaksanakan kewajipan atau kemuliaan yang ia wariskan atau kebaikan yang ia dapatkan atau kemuliaan yang ia usahakan atau ilmu yang ia raih, maka ia telah mensia-siakan masa dan menzalimi dirinya.”
Jenayah dalam Mensia-siakan Waktu
Orang yang kusyuk duduk di cafeteria-cafeteria sambil menghabiskan beberapa batang rokok, duduk bersantai, tanpa tujuan, menghabiskan masa berjam-jam dengan facebook tanpa arah, menghabiskan masa dengan games yang menyeronokan, mereka semua menikmatinya, sementara mereka ini tidak sedar mereka sedang berada dalam keadaan tenat, dirosakkan dan dilalaikan.
Apabila kita bertanya kepada para remaja yang gemar menghabiskan masanya dengan perkara sia-sia, “Apa yang sedang anda semua lakukan.” Tanpa berdosa dan segan silu mereka menjawab, “Menghabiskan waktu.” Bukankah mereka sedang melakukan jenayah, namun tidak disedari. Mereka tidak sedari bahawa mereka sedang mengidap penyakit kronik di dalam hati mereka yang membuatkan mereka lumpuh dan tidak berupaya melihat kehidupan ini dari kacamata keimanan. Bahkan dari kacamata manusia biasa pun kehidupan mereka telah dilumpuhkan.
Selama kita tidak menghargai setiap detik yang berlalu, apabila setiap muslim tidak kembali kepada agamanya, apabila anak bangsa umat ini tidak memberanikan diri untuk menghasilkan prestasi terbaik dalam pelajaran dan pekerjaannya, apabila para penuntut ilmu umat ini tidak mengkayakan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan penguasaan teknologi, maka janganlah kita pernah mengharap keadaan umat ini akan berubah meski seratus tahun lagi. Seratus tahun ke hadapan umat akan tetap menikmati keterpurukannya selama masih belum memanfaatkan waktu mereka. Mereka telah melakukan jenayah besar kepada umatnya sendiri!
Menghargai Masa, Ulama Salaf Amat Memahaminya
Ibnu Qayyim berpesan dengan begitu tuntas membicarakan bagaimana memanfaatkan masa dalam kehidupan:
“Barang siapa yang masanya digunakan untuk Allah dan dengan Allah, bererti masa itu menjadi kehidupan dan umurnya yang sebenar. Jika digunakan untuk selain itu, maka masanya itu tidak dihitung sebagai sebahagian dari kehidupannya, ia hidup seperti haiwan. Juga ketika ia menggunakan masanya dalam kelalaian, kelupaan dan dalam angan-angan kosong. Perkara mensia-siakan waktu yang paling baik adalah dengan tidur dan tidak bekerja. Maka kematian orang ini lebih baik baginya dari kehidupannya.”
Ambil masa seketika untuk muhasabah sebentar akan masa-masa yang berlalu. Bagaimanakah kita menggunakan masa yang dipinjamkan Allah kepada kita. Ternyata begitu banyak rupanya masa kita berlalu dengan sia-sia.
Kita perhatikan lagi bagaimana integriti ulama salaf terhadap masa dan kehidupannya, semoga ianya menjadi ibrah dan ikhtibar buat kita bersama. Antaranya kita belajar dari Abdullah bin Mubarak. Suatu hari beberapa orang berkata kepada Abdullah bin Mubarak “Ketika engkau telah menunaikan solat, mengapa engkau tidak duduk bersama kami?
Dia menjawab, “Saya pergi untuk duduk bersama para sahabat dan tabi’in”. Mereka bertanya, “dimana mereka?”. Dia menjawab, “Saya pergi lalu membaca kitab kitab, maka saya mengetahui amal amal dan keteladanan mereka. Apa yang boleh saya lakukan bersama kalian? Sementara kalian hanya duduk membicarakan aib orang lain.”
Seorang doktor mendatangi Abu Bakar al-Anbari dalam keadaan sakit parah. Doktor melihat urine Abu Bakar, kemudian berkata, “Anda telah melakukan (sewaktu masih sihat dan kuat) sesuatu yang tidak dilakukan oleh siapapun.” Lalu doktor menemui keluarganya dan berkata kepada mereka, “hampir tidak ada harapan (doktor pesimis terhadap kesembuhan penyakitnya).” Lalu keluarganya menemui Abu Bakar dan menyampaikan ulasan doktor kepadanya dan bertanya, “Apa yang dahulu anda lakukan?” Abu Bakar menjawab,” Saya menelaah dan membaca setiap minggu sepuluh ribu lembar.” Allahu Rabbi, ternyata masa yang beliau miliki dipenuhi semaksimanya dengan menuntut ilmu sehingga jatuh sakit.
Ibn ‘Uqail Al-Hambali berkata, “Tidak halal bagiku untuk mensia-siakan sesaat saja dari umurku, sehingga apabila lisanku telah lelah membaca dan berdiskusi, mataku lelah membaca, maka aku menggunakan fikiranku dalam keadaan beristirehat (berbaring diatas tempat tidur). Aku tidak berdiri, kecuali telah terlintas di benakku apa yang akan aku tulis. Dan aku mendapati kesungguhanku belajar.
Amir bin Abdul Qais melewati orang-orang pemalas dan menganggur. Mereka duduk berbincang bincang tanpa arah. Mereka berkata kepada Amir, “Kemarilah! Duduklah bersama kami” Amir menjawab,” Tahanlah matahari agar ia tidak bergerak, baru saya akan menyertai perbincangan kalian.”
Imam Al-Muzani (salah seorang murid Imam Syafi’i) berkata,” Saya membaca kitab Ar-Risalah (kitab ushul fiqh pertama karangan Imam Shafie) sebanyak 500 kali, setiap kali membacanya saya sentiasa menemukan ilmu yang baru.”
Az-Zarkasyi, saat remajanya berhasil menghafal kitab “Minhajuth Thalibin” karya Imam Nawawi (4 jilid besar), sehingga ia dijuluki dengan “Minhaj”.
Fudhail bin Gazwan berkata, “Aku pernah duduk duduk bersama Ibnu Syubrumah dan beberapa sahabat lainnya, pada suatu malam kami berdiskusi (muzakarah) tentang fekah. Lalu kami sama sekali tidak berdiri hingga mendengar kumandang azan subuh.”
Ibnu “Aqil yang menulis sebuah buku besar “Al-Funun” dengan jumlah 800 jilid yang merupakan buku terbesar sejak Adam dan mungin sampai hari kiamat, berkata “Meskipun aku telah berusia 80tahun, aku masih memiliki semangat, kegigihan dan keinginan untuk memanfaatkan waktu seperti ketika aku masih berumur 20tahun.” Ujarnya.
Lihatlah kesedaran para generasi terdahulu. Justeru itu layaklah mereka pada ketika zaman mereka, mereka mampu memimpin dunia justeru mereka mampu mengatur waktu dengan luarbiasa.
Al-Muhasibi atau nama sebenarnya Abu Abdillah, al-Harith bin Asad al-Muhasibi al-Basri. Lahir di Basrah sekitar tahun 165H. Dikenali sebagai al-Muhasibi kerana banyak bermuhasabah tentang dirinya. Beliau seorang ahli ibadat yang tekun, sufi yang zuhud, faqeh dan ulama usul serta ilmu kalam. Beliau pernah berkata;
“Demi Allah, sekiranya waktu diperjual belikan, aku akan membelinya dengan seluruh harta yang aku miliki agar dapat memberikan sumbangsih kepada kaum muslimin.”
“Dari siapa engkau membelinya.” tanya orang ramai.
“Dari mereka yang memiliki banyak waktu kosong dan terbiar.”
Saya sendiri terkesima dengan kata-kata beliau ini. Dari manakah pemikiran cemerlang ini engkau perolehi wahai al-Muhasibi? Mengapa tidak pernah terbersit di benak pemikiran kami umat Islam akan kegeniusan anda yang memiliki orientasi ke arah penggunaan kesempatan masa yang anda mahukan. Al-Muhabisi mewakili ikon gaya berfikir pada ulama terdahulu yang sentiasa mendasyatkan diri mereka dengan memaksimakan kesempatan memiliki waktu yang ada.
Penutup: Sebelum Terlambat
Telah berapa banyak waktu yang telah terbuang dengan percuma? Perhatikanlah firman Allah SWT kepada mereka yang kafir;
“Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? Maka rasakanlah (azab Kami) dan tidaklah ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun. (Fathir:37)
Allah telah mengurnia umur dan waktu yang cukup. Jangan persia-siakan seperti para kafir itu. Wahai para remaja dan pemuda Islam, anda dapat memilih, apakah yang akan anda isi kotak-kotak umur anda? Kemanakah anda harus melaburkan modal dalam hidup anda? Dan yang pasti, anda harus tahu, kerugian adalah sesuatu yang pahit. Janganlah anda menjual barang mahal dengan harga yang murah.
Pesanan Syeikh Amru Khalid; “Waktu adalah kehidupan anda. Dan kehidupan anda adalah nafas yang keluar dari rongga dada anda. Maka pergunakanlah waktu dengan sebaik-baiknya. Dan anda harus mengingatkan diri agar jangan sampai ketika dibangkitkan dari dalam kubur, anda tidak memiliki perbendaharaan amal kebajikan yang cukup, Jika tidak, maka anda akan termasuk orang-orang yang merugi.