Hilal Asyraf's Blog, page 105
June 18, 2013
Himmah : Menuju Ramadhan Yang Terancang !
~ Picture by forum.h2un.com
Ramadhan semakin mendekati kita. Tinggal kurang sebulan saja dari sekarang. Apakah kita sudah mula berkira-kira dan merancang persiapan menujunya? Apakah kita sudah mula mendidik anak-anak kita di rumah, kawan-kawan kita di sekolah untuk mula melakukan persiapan menujunya?
Kalau belum, maka marilah merancang bersama kami !
Tetapi, kenapa kita perlu merancang pula? Tidak bolehkah kita masuk begitu saja ke dalam Ramadhan? Tak bolehkah kalau kita masuk ke dalam Ramadhan, kita puasa sajalah, bukan susah pun, kan?
Sebab apa perlu merancang?
Apa Yang Dikejar Sebenarnya Di Dalam Ramadhan?
Kalau ingin berpuasa, maka ia tidaklah susah sangat bagi yang sudah membiasakan diri.
Kalau sekadar ingin memenuhi rutin menghabiskan 30 Juz Al-Quran, pun tidaklah sesusah mana.
Kalau sekadar ingin solat sunat tarawih 8 atau 20 rakaat setiap malam, ia tidaklah membebankan.
Maka, apakah sebenarnya yang kita kejar di dalam Ramadhan ini?
Matlamat akhir di dalam Ramadhan ini bukanlah pada amalan itu semata-mata. Maksudnya bila kita disuruh melakukan puasa, maka bukan terhenti setakat itu saja matlamatnya. Begitu juga, bila disebut ganjaran untuk orang yang membaca AL-Quran di bulan ini sangat besar, bukanlah bermakna kita harus terhenti setakat membaca Al-Quran itu saja. Begitu jugalah amalan yang lain.
Semua amalan kebaikan itu bermatlamatkan pada satu matlamat yang tinggi iaitu sebagaimana yang disebutkan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud :
“Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas ummat-ummat terdahulu sebelum kamu, agar kamu semua bertaqwa.” [Al-Baqarah : 183]
TAQWA. Itulah intipati atau matlamat utama kepada Ramadhan.
Taqwa itu membentuk hamba Rabbani, bukan hamba Ramadhani. Dalam kata lain, ia tidak menjadikan seseorang itu beramal hanya untuk dan di dalam Ramadhan, tetapi memberikan kesan untuk seseorang itu tetap terus melakukan amal kebaikan biar di luar Ramadhan.
Umpama membaca Al-Quran. Kalau di dalam Ramadhan kita membanyakkan bacaan Al-Quran, maka amalan itu perlu diteruskan juga setelah berada di luar Ramadhan. Itulah kesan Taqwa. Orang yang bila keluar daripada Ramadhan, tetapi tidak berusaha meneruskan kebaikan-kebaikan yang dia telah usahakan di dalam Ramadhan atau kembali menjadi jahat, maka seakan-akan dia tidak mendapat hasil atau manfaat dari Ramadhan yang telah ditempuhinya selama sebulan itu.
Begitulah besarnya harga taqwa, matlamat paling besar untuk dicapai di dalam Ramadhan.
Sebab itulah kita perlu melakukan warming up ataupun latihan menujunya !
Biar kita tidak hanya berpuasa, tetapi kita tahu dan sedar bahawa kita sedang mengejar taqwa.
Biar kita tidak hanya membaca Al-Quran, tetapi kita berusaha memahami ayat Al-Quran, berusaha mengamalkannya dalam rangka untuk mengejar taqwa.
Orang yang bertaqwa dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t. :
“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dan syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” [Al-Imran : 133 ]
Begitu besar ganjaran taqwa di sisi Allah s.w.t., maka takkanlah persediaan kita untuk mendapatkannya ala-balai atau sambilewa saja?
Apa Perancangan Anda? Mari Merancang Bersama Kami.
Kita merancang untuk Ramadhan ini supaya kita dapat melaluinya dengan penuh keimanan dan keikhlasan serta kesungguhan. Biar 30 hari ini benar-benar memberikan manfaat untuk bekalan kita sepanjang tahun.
Sabda Nabi s.a.w. :
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisaban (mengira-ngira – tidak puas hati dengan amalannya) diampunkan dosanya yang lepas.” [HR Bukhari Muslim]
Ibn Hajar menyatakan bahawa iman yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah meyakini kefardhuan puasa itu sendiri sementara ihtisaban itu pula adalah meminta ganjaran dari Allah s.w.t.
Imam Nawawi pula menyatakan bahawa ihtisaban itu adalah semata-mata mengharapkan ganjaran Allah s.w.t., bukanlah perhatian dari manusia atau apa-apa saja yang bercanggahan dengan keikhlasan.
Dalam rangka mengharapkan ganjaran Allah s.w.t. itulah, maka marilah persiapkan diri kita dengan amal-amal yang berkualiti agar kita tidak exhausted (semangat di awal, penat bila masuk pertengahan dan akhir).
1) Ajak anggota keluarga atau kawan-kawan rapat untuk bersama-sama puasa sunat di dalam bulan Syaaban. Kalau tidak mampu melakukannya pada kebanyakan hari, paling kurang pun berusahalah pada hari Isnin atau Khamis.
2) Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran. Maka berusahalah tingkatkan frekuensi bacaan dan pemahaman kita terhadap ayat-ayat Al-Quran. Pada sengkang-sengkang masa yang ada, ajaklah anggota keluarga untuk mengadakan majlis tadabbur Al-Quran. Luangkan dalam majlis itu untuk merujuk tafsir para ulama’ pada ayat-ayat tertentu yang kita baca supaya kita dapat mendalami lebih lagi apa yang ingin disampaikan oleh Allah s.w.t. melalui ayat-ayatNya.
3) Meluangkan masa sekali-sekala untuk membaca dan mendalami Fiqh Siam (Fiqh Puasa). Antara kitab yang boleh dirujuk adalah kitab Dr Yusuf Al-Qaradawi berkaitan dengan Fiqh Siam ini.
4) Melatih diri dengan akhlak mulia dan banyak membantu orang lain. Sedekah adalah salah satu jalan membantu orang lain.
5) Memperbaiki interaksi dan cara bercakap dengan orang agar kita terhindar daripada kebiasaan mengumpat dan mengeji manusia yang akan mengurangkan lagi kesempurnaan puasa kita di Ramadhan nanti. Bahkan, mengumpat dan mengeji yang tiada bertujuan itu sendiri adalah satu dosa. Ramai sekali orang yang berpuasa, tetapi telah mengurangkan kesempurnaan puasanya dengan bergosip, mengumpat dan mengeji manusia.
6) Di dalam ayat Al-Quran yang bersambungan dengan ayat berkaitan Ramadhan, Allah telah menyebut perihal doa dan kemakbulannya. Latihlah diri kita untuk bersungguh-sungguh di dalam berdoa. Ada orang yang bersambilewa sahaja di dalam doanya kemudian mengharapkan bantuan Allah ke atas dirinya. Seolah-olah mahu pinjam sesuatu dari majikannya, tetapi main-main ketika memintanya. Mintalah bersungguh-sungguh dengan hati yang ikhlas dan bersedia.
Inilah antara persediaan-persediaan yang kita boleh lakukan dalam rangka menuju ‘ihtisaban’ seperti yang disebutkan di dalam hadis Nabi s.a.w. itu.
Kita tidak mudah merasa puas dengan amal yang telah kita lakukan, tetapi kita sentiasa berkira-kira untuk meningkatkan lagi kualitinya ke tahap yang Allah mahukan.
Penutup : Menuju Ramadhan Yang Terancang !
Kalau hendak mendapatkan kejayaan sekecil kejayaan peperiksaan di dunia seperti UPSR dan PMR pun perlukan perancangan dan perlaksanaan yang baik sejak awal sebelum masuk hari peperiksaan. Maka, apakah hendak mendapatkan kejayaan yang lebih besar, iaitu taqwa yang akan memudahkan perjalanan kita ke syurga itu, kita boleh melakukannya dalam keadaan sambilewa dan ambil mudah sahaja?
Syurga itu tempat luar biasa untuk orang biasa yang berusaha secara luar biasa.
Rancanglah persiapan menuju Ramadhan agar kita tidak menjadi orang yang bersemangat di awal Ramadhan tetapi kemudiannya ‘exhausted’ di pertengahan dan akhirnya.
Ramadhan hanya 30 hari. Tersangat singkat tempoh untuk kita merebut taqwa ini.
Taqwa yang Allah sebutkan di dalam surah At-Talaq :
“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah,maka Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan menganugerahkannya rezeki dari arah yang tak disangka-sangka.”[At-Talaq :2-3]
Mari rancang persiapan menuju Ramadhan kita. Biar Ramadhan kali ini menjadi lebih baik berbanding Ramadhan yang telah lepas. Jangan disia-siakan musim bunga bagi orang beriman ini.
Setahun selepas ini, belum tentu kita diizinkan untuk bertemunya lagi. Maka hargailah Ramadhan kali ini.
Menuju Ramadhan yang terancang !
“Don’t step on it, it’s my place to sleep”
“Home is where the heart is”
Picture by ~BlackJack0919 of deviantart.com
(http://blackjack0919.deviantart.com/art/Home-285744271)
Last two weeks, I joined a meaningful one night “Homeless Outreach” at Jalan Tun Abdul Razak (TAR) organized by IIUM’s Journalism Club (JC).
There, IIUM students had the chance to socialize and mingle with over 60 homeless people breaking the ice barrier between them. Myself included.
It was a golden opportunity for me to understand other people who were born and bred as homeless people living in the streets of Kuala Lumpur.
I would like to share two stories of the night.
Angelina Amir
From left: Saifullah, Angelina Amir and me
It was a big crowd, IIUM students as well as homeless people blended well together. Their smiles and laughter lighted up the night. Two different groups of people from two different worlds merged into one. No one was awkward to greet the other.
I sat there while talking to the people around me, making jokes, laughing and changing stories. I hopped from one place to another. My mission was to know each and everyone there.
As I was walking in the crowd, my focus was walking forward so I wasn’t aware of what I’d step on. Eventually, I accidently stepped on a cardboard box lying on the ground.
Suddenly Angelina Amir, 60 year old woman said to me “Sorry, don’t step on it, it’s my place to sleep.”
“What was I thinking!?” I said to myself. I kept on cursing myself for what I’ve done. Embarrassed by the moment, I spent the next 10 minutes seeking her apology.
That was the most awkward moment of my life and I will never forget this.
Puteri Natalia Fatihah
Me holding Fatihah
I was sceptical before this. I have this stereotype that homeless people are sad and unhappy with their lives. But happiness is something subjective. It is not objective. Living in a household may not be the reason why a family is happy.
A homeless family eating snails together as a family by the river is happier compared to a child eating Chicken Chop alone at home when his parents are busy with office work neglecting his right to be loved as a son.
Looking at Puteri Natalia Fatihah and her family, all those negative perception vanished. Fatihah is a 3 year old cute baby girl. She is second in her family of three daughters. She seemed very happy like any other three year old despite living in the streets. She loves to be played with.
When it was time to go, she cried. I almost cried.
Homeless people are not inferior and homefull are never superior. They can be happier than us and maybe our lives are more miserable than them.
Note to thyself
What happens to water if it stops flowing? Water stagnation will occur. The stagnant water will not be clean and is hazardous to the environment. Stagnation in this context is equivalent to dirtiness.
That is water, what’ll happen to mankind then if they stay stagnant in their own circle without ever trying to understand the circle of others? The same thing will happen, mankind will be corrupted.
Go out from your comfort zone and understand the pain and suffering of others. Go out from your “circle” of people once in a while and understand the people of other “circles”.
You will appreciate life more.
Kehidupan: Membina Sesuatu Yang Besar
Team LangitIlahi bersama family
Ramai ada cita-cita hendak melakukan sesuatu yang hebat, hendak membina sesuatu yang besar, hendak menjadi ‘seseorang’, dan sebagainya.
Saya sendiri, antara cita-cita saya kala bersemangat+terbakar+naik sheikh ialah hendak menjadi Perdana Menteri. Saya masih ingat saya sebut begitu di hadapan Ayah saya kala saya masih sekolah menengah.
“Hilal nak jadi perdana menteri la Abah. Agak-agak boleh?”
Ayah saya acuh tak acuh sahaja, dan berkata: “Boleh, ramai orang ada cita-cita nak jadi perdana menteri.”
Masa itu saya agak kecewa dengan Ayah saya kerana dia tidak ecourage. Suara dia macam benda tu mustahil. Saya pula masa tu tengah bersemangat berapi-api.
Tetapi apabila masa berjalan, waktu berlalu, saya membesar, saya faham kenapa Ayah saya tak encourage saya ketika itu. Hal ini kerana, ketika itu saya dipandu perasaan. Saya dipandu oleh api-api semangat yang menjulang namun hanya untuk ketika itu sahaja. Ianya bukan sebuah cita-cita hasil dari pemerhatian panjang dan perancangan yang kemas.Sebab itu Ayah saya biasa-biasa sahaja.
Sebab itu bila difikirkan semula, jawapannya ialah “ramai orang ada cita-cita nak jadi perdana menteri”. Ya, ramai. Tapi siapa yang dapat tempat itu? Seorang sahaja. Maka saya mula faham bahawa Ayah saya bermaksud: “Kalau betul nak jadi perdana menteri, jangan cakap aja. Kena rancang betul-betul, kena disiplin, kena kemaskan gerak kerja, dan sebagainya.”
Kini menjadi Perdana Menteri bukan cita-cita saya. Saya akhirnya sedar itu sekadar pacuan semangat menjulang tanpa perancangan semata-mata. Ia dipandu perasaan bukan akal yang tenang.
Begitulah ramai orang saya lihat, bercita-cita itu dan ini, berimpian itu dan ini, membicarakan cita-cita besar tetapi bila ditanya apakah perancangannya, tiada. Bila ditanya bagaimana gerak kerja hendak menggapai cita-cita itu, jawabnya tiada.
Ada pula yang bergerak terlalu pantas, gopoh, membina pelbagai perkara, tetapi dek kerana tiada perancangan, dan ianya digerakkan hanya kerana semangat nan berapi-api, maka roboh segala apa yang dibinanya.
Mujur sembang-sembang dengan Ayah saya hari itu, kala saya masih muda belia, memberikan impak dan kesan yang mendalam kepada saya.
Saya menggerakkan LangitIlahi suka-suka. Kemudian bila dijemput menjadi penulis, saya mula melihatnya sebagai peluang. Bila saya pulang ke Malaysia pada tahun 2010 dan mendapat pelbagai jemputan program, saya telah memandang jauh ke hadapan dan membayangkan apabila saya dah grad nanti. Maka saya buat keputusan membina Team LangitIlahi. 2011 LangitIlahi start bergerak secara berkumpulan, agar tidak LangitIlahi ini berbentuk figure centered.
Saya tidak terlalu gopoh hendak mengembangkan LangitIlahi. Saya steady dengan hanya LangitIlahi.Com pada awalnya, kemudian perlahan-lahan membina LangitIlahi Store(kedai online). Pada masa yang sama, saya bina kolumnis-kolumnis LangitIlahi.Com agar maju ke hadapan. Kini ada antara mereka juga bakal menjadi penulis, bahkan ada kalangan mereka sudah mula menjadi vlogger dan penasyid parody terkenal.
Bila saya pulang sebagai graduan Yarmouk University, barulah saya gerakkan secara fulltime LangitIlahi Consultancy. Dengan wang bayaran jemputan yang saya terima, saya perkasakan LangitIlahi di samping sebahagian wang itu saya gunakan untuk menyara keluarga saya.
Kini LangitIlahi sudah berkembang besar secara seimbang dan teratur. Alhamdulillah. Hujung bulan ini, tibalah masanya saya menubuhkan pula Kelab LangitIlahi Community, kerana merasakan kami telah bersedia untuk menerima orang ramai sebagai sebahagian dari keluarga LangitIlahi.
Saya ada banyak cita-cita, saya ada banyak impian.
Tetapi saya adalah yang jenis mengatur perancangan, dan saya sanggup sabar dengan impian saya jika saya tahu ianya tidak relevan di awal masa.
Saya pernah juga gagal dalam menggapai apa saya harapkan, dan daripada kegagalan saya belajar. Itu semua mengajar.
Saya percaya bahawa, hendak membina sesuatu yang besar, perlukan perancangan yang rapi, kesabaran yang tinggi, dan team yang mantap.
Kadang sebelum kita teruja hendak membina sesuatu untuk masyarakat, orang lain, kita kena belajar sabar membina apa yang ada pada diri kita terlebih dahulu.
Dan ramai orang terlupa,
sesuatu yang besar itu juga dibina dengan memerlukan ‘masa’.
Rasulullah SAW sendiri melalui 23 tahun proses dakwahnya sebelum ramai manusia di jazirah Arab masuk ke dalam Islam secara berbondong-bondong.
Sekadar sebuah catatan.
Semoga bermakna.
June 17, 2013
Komik : Mengapa dunia masih sahaja membisu?
June 16, 2013
Poster: Exam
ما يصيب المسلم من نصب ولا وصب , ولا هم ولا حزن , ولا أذى ولا غم حتى الشوكة يشاكها إلا كفر الله بها من خطاياه
“No misfortune or disease befalls a Muslim, no worry or distress, not even a thorn that pricks him, but Allah will expiate for some of his sins because of that.” (Muttafaqun Alaih)
“Tiada satu musibah mahupun penyakit menimpa seorang Muslim, tiada kerisauan mahupun kesedihan, tiada yang melukakan atau menyakitkan sekalipun sebatang duri yang mencucuknya, melainkan dengannya Allah menghapuskan sebahagian kesalahannya.” (Muttafaqun Alaih)
Tempuhlah setiap ujian dengan syukur dan sabar, kerana dengan ujian, Allah naikkan “level” kita
June 14, 2013
Kehidupan: Apakah Aku Layak Digelar Muslimah?
Original artwork by Aisyah Shakirah
Soalan Menarik
“Apakah aku layak digelar Muslimah?”
Ini bukan soalan yang saya reka. Soalan ini pernah ditanya kepada saya.
Soalan ini menarik perhatian. Konteks di sebalik soalan ini membuatkan saya fikir seolah-olah “Muslimah” itu satu level Iman 99 Petala Langit yang hanya golongan sehebat Pendekat Laut sahaja yang boleh capai. Seolah-olah hanya segelintir sahaja yang layak masuk “kelab” ini.
Allahua’lam. Ini hanya spekulasi saya sahaja. Soalan ini ada pencetusnya. Apakah pencetus itu? Saya ingin tahu dengan lebih lanjut.
Apa yang pasti ialah gelaran “Muslimah” itu sudah menjadi satu label yang menggambarkan seorang perempuan Muslim yang begitu hebat, sehinggakan ada antara Muslimah-Muslimah kita yang rasa “tidak layak” untuk digelar “Muslimah”.
Siapakah Muslimah?
Sedangkan apabila seorang perempuan berpegang teguh dengan Shahadah, maka dia bergelar Muslimah. Muslimah itu bukan diukur dengan panjang tuduh atau labuh jubahnya. Sama juga dengan lelaki. Dia tidak dipanggil Muslim kerana panjang pendek janggutnya.
This is a matter of how you see people.
Muslimah itu seorang yang berjihad menentang nafsunya hinggalah maut menjemput. Satu perjuangan dalaman yang tiada sesiapa pun yang dapat lihat, dengar, hidu, sentuh, atau rasa. Tetapi perjuangan dalaman itu ada.
Boleh Jadi…
Boleh jadi seorang Muslimah itu tidak bertudung, tetapi dia menangis kepada Allah meminta kekuatan untuk menyarung sehelai kain di kepalanya.
Boleh jadi seorang Muslimah itu mempunyai teman lelaki, tetapi setiap sentuhan bukan mahram umpama jilatan api neraka baginya.
Boleh jadi seorang Muslimah itu seorang yang tidak solat, tetapi setiap kali azan berkumandang hatinya merayu kepada badannya untuk berdiri di hadapan Allah.
Boleh jadi seorang Muslimah itu…(etc.)
Kelembutan Rasulullah
Teringat saya kisah seorang sahabat yang ketagih minum arak. Walaupun sudah berkali-kali ditangkap dan dihukum kerana meminum arak, dia tidak serik-serik lagi. Satu hari, dia ditangkap lagi. Apabila hukuman dijatuhkan, seorang sahabat yang lain memakinya. Apabila Rasulullah mendengar makiannya itu, dia bersuara, “Jangan memakinya! Apa yang aku tahu ialah dia mencintai Allah dan RasulNya.”
Sahabat yang minum arak itu tersentuh dengan kata-kata Rasulullah. Mana mungkin dia tidak tersentuh, setelah kekasih hati membela dirinya. Sejak hari itu, dia tidak minum arak lagi.
Ya, tidak dinafikan bahawa apa yang dilakukan olehnya itu salah di sisi agama. Tetapi itu tidak bermakna dia tidak beriman. Lemah iman, mungkin. Tetapi tidak bermakna dia tidak beriman. Rasulullah sedia maklum dengan perjuangan para sahabatnya dalam melawan nafsu mereka. Instead of tolak mereka ke tepi, Baginda naikkan semangat mereka dan memberikan dorongan yang mereka perlukan untuk terus berjuang dan tidak mengaku kalah.
Beginilah Rasul kita.
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” (Surah Ali Imran: 159)
Konklusi
Muslimah itu ialah seorang perempuan Muslim.
June 13, 2013
Agama: Syaa’ban – Bulan Persiapan
~Persiapan merupakan lambang kesungguhan untuk mengecapi kejayaan~
Persiapan dan perancangan merupakan antara asas penting dalam melaksanakan sesuatu tugasan kerana padanya akan lahir keseriusan. Sebagaimana manusia berlumba-lumba bersiap siaga dalam apa jua bentuk kehidupan di dunia dari sudut peperiksaan, pekerjaan dan lain-lain, begitu juga manusia sepatutnya bersedia untuk kehidupan di akhirat. Bahkan persediaan hidup di akhirat lebih mustahak kerana manusia kekal selamanya di alam sana.
Bertepatan dengan ‘tetamu kehormat’ yang bakal kunjung tiba tidak berapa lama lagi iaitu Ramadhan, seharusnya kita sebagai ‘tuan rumah’ perlu menyediakan bekalan agar Ramadhan yang kita lalui pada kali ini tidak mengecewakan bahkan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya kerana bukankah sifat orang mukmin itu sentiasa baik dalam urusannya dari hari ke hari?
Syaa’ban dan pengertiannya
Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan pergi ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya juga untuk berperang. Namun, ada pendapat lain yang mengatakan, maksudnya sedemikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan seperti riwayat hadis yang baik dari sudut sanadnya:
“Itulah bulan yang manusia sering lalai tentangnya yang berada antara Rajab dan Ramadhan. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa” (an-Nasai, no: 2316)
Ada sebahagian ulama’ mengertikan syaa’ban mengikut binaan hurufnya dalam bahasa arab:
الشرف ؛ ش : Kemuliaan
العلو ؛ ع : Ketinggian
البر ؛ ب : Kebaikan
الالفة ؛ ا : Kebiasaan/kelembutan
النور ؛ ن : Cahaya
Berdasarkan susunan huruf ini (شعبان) maka ia menjadikan bulan syaa’ban antara bulan yang agung selain bulan-bulan haram atau bulan ramadhan. Sebetulnya ia tidak disebutkan di dalam hadis. Cuma, ada ulama’ yang memberi pengertian ini sekadar memberi suntikan kepada manusia untuk menggambarkan bahawa dalam bulan ini terdapat fadhilat tertentu seperti berpuasa agar manusia terbiasa untuk menempuhi ramadhan seterusnya mendapat nur hidayah dari Allah.
Puasa Syaa’ban dan Keistimewaannya
Seperti yang disebutkan dalam hadis sebelum ini, Rasulullah berpuasa pada bulan syaa’ban kerana pada bulan itu amal diangkat. Dalam hadis yang lain melalui Aisyah r.a:
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” (Muttafaq ‘Alaih)
Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa baginda berpuasa sebahagian besar daripada bulan syaa’ban. Ini merujuk kepada keutamaanya. Dari sudut lain, pada bulan ini juga amalan seseorang itu akan diangakat kepada Allah sedangkan manusia seringkali masih lalai dengan urusan dunia. Oleh itu, antara hikmah puasa dalam bulan ini bukan sahaja sebagai persiapan kita yang bakal menempuhi ramadhan bahkan sebagai peringatan untuk beramal.
Dari sisi yang lain, ada ulama’ yang mengibaratkan puasa syaa’ban seperti solat sunat rawatib iaitu sebagai persediaan dan perhatian bahawa ramadhan yang hanya datang sekali dalam setahun bakal tiba yang mana terdapat pelbagai ganjaran yang boleh kita peroleh jika kita berusaha.
Namun, perlu diambil perhatian kerana terdapat beberapa hadis palsu yang menyatakan keutamaan berpuasa dalam bulan syaa’ban seperti hadis:
“Dan jika ia bangun pagi itu (bulan syaa’ban) dalam keadaan berpuasa maka baginya pahala seperti puasa dua tahun. Setahun sebelumnya dan setahun akan datang.”
*Berkata Ibnu Jauzi hadis ini adalah palsu.
Malam nisfu(pertengahan) syaa’ban)
Hangat di bibir masyarakat tentang keutamaan malam nisfu Syaa’ban. Hadits-hadits terkait dalam masalah ini sebahagian dikategorikan dha’if (lemah), bahkan sebahagian yang lain dikategorikan maudhu’ (palsu) oleh para ulama hadis. Khususnya hadis-hadis yang mengkhususkan ibadah tertentu pada malam tersebut atau hadis-hadis yang menjanjikan jumlah dan bilangan pahala atau balasan tertentu bagi yang beribadah di dalamnya.
Dr Yusuf al-Qardawi menyanggah terdapat hadis tertentu yang berkait keutamaan malam tersebut secara khusus dengan melakukan ibadah-ibadah tertentu. Antara contoh maksud dari hadis palsu berkenaan malam ini adalah:
“Barangsiapa yang melakukan solat empat belas rakaat, membaca al-fatihah empat belas kali, seterusnya diikuti an-nas dalam bilangan yang sama seterusnya membaca ayat kursi dan lain-lain maka baginya dua puluh haji mabrur dan seperti puasa dua puluh tahun yang diterima.”
*Berkata Ibn Hibban terdapat salah seorang perawinya adalah pembuat hadis.
Nota kaki: secara umum hadis-hadis palsu boleh dikenali melalui teks hadis seperti mendapat ganjaran yang melampau bagi amalan yang kecil dan terlalu berlebihan daripada ibadah wajib sebagaimana hadis di atas.
Adapun bukanlah bermaksud malam itu perlu sepi dari segala ibadah. Kita masih bisa terus beribadah seperti malam-malam biasa dan menyerahkan ganjaran hanya pada Allah taala. Yang menjadi salah adalah menyatakan atau melakukan sesuatu ibadat itu mendapat ganjaran atau keutamaan tertentu tetapi tidak berdasarkan hadis-hadis yang sahih.
Menyentuh persoalan membaca surah yassin pada malam tersebut sebanyak tiga kali, ia merupakan suatu bentuk pengkhususan ibadah tidak berdalil. Namun, pembacaan al-Quran hatta membaca surah yassin sekalipun tidak menjadi masalah kerana membaca al-Quran itu ibadah tetapi tidak boleh beranggapan ia adalah suatu surah yang mesti dibaca pada malam berkenaan. Adapun lebih baik kita membaca al-Quran tanpa ada pengkhususan ayat atau surah.
Oleh itu, lebih utama ia tidak dilakukan bukan disebabkan pilihan surah tetapi bilangan bacaan itu menjadi masalah. Hal ini kerana tiga kali bacaan adalah suatu bentuk proses yang lama. Ia boleh membawa pembaca membaca dalam keadaan tergesa-gesa hingga mengabaikan hukum tajwid di dalamnya. Justeru, cukup sekadar sekali dan lebih baik bersama tadabbur ayat-ayat berkenaan.
Qadha’ Puasa dalam bulan syaa’ban
Daripada Aisyah r.a.:
“Aku dahulu memliki baki berpuasa daripada Ramadan, aku tidak dapat mengqada’nya kecuali di bulan Sya’ban, kerana sibuk melayani Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam.”
Berdasarkan hadis di atas ada beberapa permasalahan dapat dirungkaikan:
1. melewatkan qadha’ puasa ramadhan disebabkan uzur
Lebih baik qadha’ bagi lelaki yang berbuka puasa atas sebab-sebab yang dibolehkan atau perempuan disebabkan haid dan nifas dilakukan seawal mungkin dan dalam keadaan berturut-turut, tetapi masih boleh dipisah-pisahkan. Atas sebab keuzuran seperti sakit berterusan maka dibolehkan untuk qadha’ puasa yang berbaki walaupun selepas ramadhan berikutnya tanpa dikenakan fidyah.
2. melewatkan qadha’ puasa ramadhan tanpa keuzuran
Bagi mereka yang mengqadha’kan puasa sebelum bulan ramadhan yakni akhirnya pada bulan syaa’ban maka ia dibenarkan namun tidaklah digalakkan. Adapun bagi mereka yang mengqadha’kan setelah sampai ramadhan berikutnya, jumhur ulama’ mengatakan perlu ia puasa ramadhan terlebih dahulu kemudian diqadha’kan puasa ramadhan ganti yang berbaki beserta fidyah secupak dari makanan mengikut hari berdasarkan ijtihad para sahabat.
Justeru itu, janganlah melewatkan-lewatkan qadha’ puasa jika tiada sebarang keuzuran kerana ia dikira sebagai hutang kita kepada Allah. Lagipun kita tidak pasti adakah kita akan sempat menggantikannya walau di bulan syaa’ban kerana ajal itu lebih dekat darinya.
Puasa separuh akhir bulan Syaa’ban
Daripada Abu Hurairah r.a
Nabi s.a.w bersabda: Apabila berbaki seperdua daripada Syaa’ban maka jangan puasa sekalian kamu.(Tirmidzi, Hasan Sahih)
Berdasarkan hadis ini ulama’ berbeza pendapat ada sebahagian membenarkan jika seseorang itu melazimi puasa pada seperdua sebelumnya atau melazimi puasa sunat Isnin dan Khamis atau puasa nabi Daud a.s (puasa berselang hari).
Adapun pendapat daripada mazhab Syafie seperti disebutkan Imam An-Nawawi bahawa tidak harus berpuasa bahkan ada pendapat dari mazhab ini mengharamkannya.
Justeru, sebagai langkah berjaga-jaga, pada kesempatan syaa’ban yang baru sahaja membuka tabir, ayuh kita berlatih untuk berpuasa di samping boleh berlepas daripada hukum ini sekiranya kita ingin berpuasa pada seperdua akhir syaa’ban nanti.
Puasa hari syak
Hari syak adalah sehari atau dua hari pada akhir bulan syaa’ban sebelum ramadhan datang. Larangan berpuasa pada hari syak disebabkan pada hari tersebut tidak jelas apakah sudah masuk bulan Ramadan atau belum malah ditegah jika niatnya hanya ingin berhati-hati untuk tidak tertinggal ramdhan. Adapun bulan ramadhan diperintah untuk melaksanakannya selepas tampak anak bulan. Walaubagaimanapun era moden ini hal ini tidak menjadi masalah kerana terdapat pengumuman rasmi dikaca televisyen atau radio.
Namun demikian, seseorang itu masih boleh berpuasa jika hari berkenaan bertepatan dengan hari yang disunatkan untuk berpuas seperti hari Isnin dan Khamis. Jika tidak bertepatan dengan mana-mana hari yakni tiada asbab yang lain maka ia tidak dibenarkan.
Kesimpulan
Dalam apa jua perkara yang kita lakukan tidak lepas daripada persediaan kerana dengan ia bukan sahaja kejayaan bisa dikecapi bahkan ia menunjukkan keseriusan dalam diri untuk melakukan sesuatu perkara dengan lebih bersungguh.
Saya nukilkan tips (http://langitilahi.com/8886) daripada BroHamzah berkenaan persediaan kita dibulan syaa’ban dalam rangka perjalanan menuju ramadhan.
Lakukan pembacaan buku daripada kitab-kitab, buku-buku dan artikel-artikel berkaitan dengan Ramadhan.
Lakukan warming-up dengan berpuasa setiap Isnin dan Khamis
Latihan dan intensif tidur awal dan membiasakan diri untuk bangun awal.
Mulakanlah membaca Al-Quran setiap hari dengan penuh tadabur, khusyuk dan terancang.
Luangkan masa mendengar lantunan bacaan Al-Quran daripada pasangan anda, qari-qari yang terkenal dan kaset-kaset radio.
Biasakan diri untuk sentiasa memelihara wudhuk.
Dekati, hampiri dan bergaul dengan orang-orang yang alim, warak dan soleh.
Setiap malam sebelum tidur, bermuhasabahlah diri kita.
Perbanyakanlah mendirikan solat sunat setiap hari, terutamanya di saat sepertiga malam.
Dalam sehari, berikanlah masa untuk bersendirian untuk berzikir kepada Allah SWT.
Mulakanlah amalan bersedekah, sedikit demi sedikit.
Bantulah orang lain yang sangat-sangat memerlukan sama ada dalam bentuk keilmuan, bantuan kewangan, pertolongan kudrat dan kemahiran yang kita miliki.
Luangkan masa bersama ahli keluarga, rakan dan sesiapa sahaja disekitar anda dan berbincangkanlah tentang Ramadhan yang bakal tiba, persediaan, harapan, perlaksanaan dan sebagainya.
Bagi yang berkemampuan untuk mengerjakan umrah, maka rancanglah ia dengan sebaiknya.
Hebah-hebahkan, war-warkan dan maklumkan tentang ketibaan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi kepada kenalan, sahabat handai dan sesiapa sahaja melalui SMS, emel, FB, twitter dan blog-blog anda.
Rujukan
1. Bahru al-mazi syarah mukhtasar sunan tirmidzi oleh Muhammad Idris Al-Marbawi
2. Himpunan hadis dhaif dan maudhu’ oleh Dr Abdul Ghani Azmi
3. Kelebihan bulan rejab, syaa’ban dan ramadhan
June 12, 2013
Himmah : Muslimah Di Era Perjuangan
Al-Marhumah Ummu Nidhal Farhat – antara tokoh muslimah menjadi contoh dalam perjuangan Islam
~ Picture by sahabatalaqsha.com
Barangkali kalau kita memperkatakan tentang seorang lelaki muslim dan perjuangan, kita akan melihat ramai tokoh-tokoh dalam sirah seperti Nabi s.a.w. sendiri, Abu Bakar as-siddiq, Umar Al-Khattab, Khalid Ibn Walid, Uthman Affan, Ali bin Abi Tolib, Saad Abi Waqqas, Abu Ubaidah Al-Jarrah dan ramai lagi para sahabat Nabi s.a.w.
Ya, itu biasa di dalam masyarakat kita.
Namun, bercakap soal muslimah dan perjuangan, seakan-akan ia menjadi satu perkara yang begitu asing dalam masyarakat kita. Seakan-akan bila kita berbicara tentang muslimah, muslimah itu dilihat dalam konteks yang sempit seperti mestilah bersikap lembut atau lembik (?), jalan menunduk, tidak banyak bicaranya, tidak boleh bersikap kritikal dan melawan dalam banyak hal dan harus selalu berada di dapur. Inilah yang ada di dalam pemikiran segelintir besar lelaki dan juga wanita sendiri.
Seakan-akan bila kita berbicara tentang muslimah, tidak ada tokoh wanita di dalam sirah untuk dicontohi sedangkan tokoh sahabiah (wanita muslimah) di zaman Nabi tersangatlah ramai.
Wanita di zaman Nabi s.a.w. adalah wanita muslimah yang tidak dapat dipisahkan dengan istilah perjuangan. Di kalangan mereka bahkan terdapat ramai tokoh yang hebat. Bermula sejak awal perjuangan Nabi s.a.w. sendiri, wanita telah mempunyai tokoh yang hebat menjadi sayap perjuangan Nabi di dalam mengembangkan dakwah Islam, iaitu Khadijah binti Khuwailid.
Juga ada ramai lagi tokoh di kalangan mereka seperti Aisyah binti Abu Bakar, Asma’ binti Yazid, Ummu Salamah, Khaulah, Nusaibah binti Kaab, Fatimah binti Muhammad s.a.w. dan ramai lagi para sahabiah Nabi s.a.w. yang lain.
Memberi Suntikan Kekuatan Kepada Fitrah Perempuan
Barangkali kerana unsur penciptaannya, kadangkala menjadikanwanita muslimah merasa dirinya lebih rendah daripada seorang lelaki.
Ya, kan?
Kalau seorang lelaki itu punya kekuatan tubuh dan juga semangat kelelakiannya untuk dikerahkan demi sebuah perjuangan, pada wanita pula selalunya disangka dengan fitrah penciptaan dirinya yang tidak sekuat kudrat lelaki akan membuatkan dia selalu merasa tidak punya apa-apa kekuatan untuk diserahkan kepada perjuangan.
Pada hakikatnya, wanita dengan fitrah penciptaannya itu yang mungkin tidak sekuat kudrat lelaki atau tidak punya semangat seperti seorang lelaki di dalam jiwanya, mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam mengembangkan sayap perjuangannya.
Tidakkah kita telah melihat bagaimana besarnya peranan wanita-wanita bukan Islam dalam mengembangkan dakyah dan pengaruh mereka di serata dunia? Bukankah mereka juga seorang wanita yang diciptakan dengan fitrah kewanitaan? Lalu, apakah yang membuatkan pengaruh mereka bisa begitu luas sekali walaupun kudrat mereka tidak seperti seorang lelaki, jiwa mereka tidak setahan jiwa seorang lelaki?
Wanita muslimah juga mampu sebenarnya. Tinggal lagi barangkali dengan fitrah penciptaan dirinya yang bersikap pemalu (kebiasaannya) ditambah lagi dengan kefahaman yang kurang mendalam terhadap nas Al-Quran dan hadis berkaitan dirinya (yang selalu membuatkan dirinya merasa risau akan salah bertindak jika mencanggahi kefahaman nas), juga dengan suasana masyarakat yang kurang memberikan dokongan terhadap penglibatan muslimah dalam perjuangan Islam, menyebabkan sesetengahnya selalu mengambil sikap untuk berdiam diri sahaja dan tidak mengekspresikan pendapat dirinya kala menghadapi suasana perbezaan.
Fitrah perempuan yang diciptakan oleh Allah dengan penuh keindahan ini perlu disuntik dengan kekuatan kefahaman Islam, disuntik dengan kekuatan perancangan serta dorongan yang rapi agar perjuangan Islam di sisi wanita berjalan dan berkembang dengan lebih pesat.
Jika jahiliah mengedepankan tokoh-tokoh wanita mereka dan sentiasa mengkaderkan tokoh-tokoh baru dalam mengembangkan sayap jahiliah, maka wanita muslimah sudah tentulah harus lebih serius dalam hal ini agar dapat melebarluaskan lagi sayap perjuangan Islam.
Benar, kita juga tidak kurang tokoh muslimah masa kini, tetapi belum mencukupi !
Kita perlukan lebih ramai muslimah yang bisa terlibat serius berfikir, bekerja dan berani untuk sentiasa ke hadapan di dalam perjuangan Islam.
Penglibatan Wanita Muslimah Di Zaman Nabi Dalam Perjuangan Islam
Dalam usaha mengembangkan dan mempertahankan perjuangan Islam, muslimah di zaman Nabi s.a.w. memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Di kalangan mereka terdapat ramai tokoh-tokoh besar yang telah memainkan peranan penting dalam menjadi tiang kepada episode perjuangan Islam.
Khadijah binti Khuwailid umpamanya, adalah seorang saudagar yang kaya raya. Episod kehidupannya dengan Nabi menjadi saksi bahawa Khadijah telah mempertaruhkan segala kekayaan dan hartanya demi perjuangan Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Tidak hanya itu, beliau juga telah menjadi wanita yang sentiasa memberi dorongan dan kekuatan untuk Nabi tetap yakin dengan pilihan Allah ke atas dirinya sebagai Nabi dan Rasul di saat awal Nabi menerima wahyu yang telah membuatkan dirinya merasa takut dan gementar.
Tidaklah mudah bagi seorang isteri semisal Khadijah untuk menjadi pendokong kepada perjuangan Nabi s.a.w. di zaman yang mentaliti orang ramai yang masih sukar untuk meninggalkan kepercayaan mensyirikkan Allah s.w.t., meninggalkan perbuatan yang menghinakan perempuan, meninggalkan riba dan tipu helah dalam jual beli. Tidaklah mudah menjadi seorang isteri kepada seorang Nabi yang harus memulaka satu perjuangan yang bercanggahan dengan apa yang sedang dianuti oleh masyarakatnya. Isteri harus kuat untuk terus menyokong suaminya.
Tetapi itulah yang telah dilakukan oleh Khadijah.
Di dalam sirah perjuangan wanita di zaman Rasul s.a.w. juga, mereka mempunyai tokoh yang tidak kurang hebat iaitu Asma’ bt Yazid. Beliau dikenal sebagai khatibatun nisa’ (wanita sang jurucakap) kerana selalu mewakili golongan wanita terutamanya wanita Ansar dalam memperjuangkan isu-isu wanita.
Pernah sekali beliau bercakap bagi golongan wanita muslimah, bertanya perihal ganjaran wanita kerana ketidakmampuan mereka untuk turut serta dalam kebanyakan pekerjaan yang dilakukan oleh lelaki.
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku adalah utusan bagi seluruh wanita muslimah di belakangku, seluruhnya mengatakan sebagaimana yang aku katakan dan seluruhnya berpendapat sesuai dengan pendapatku. Sesungguhnya Allah Taala mengutusmu bagi seluruh lelaki dan wanita, kemudian kami beriman kepadamu dan membai`atmu. Adapun kami para wanita terkurung dan terbatas gerak langkah kami. Kami menjadi penjaga rumah tangga kaum lelaki, dan kami adalah tempat memenuhi syahwat mereka, kamilah yang mengandung anak-anak mereka, akan tetapi kaum lelaki mendapat keutamaan melebihi kami dengan solat jumaat, menghantar jenazah dan berjihad. Apabila mereka keluar untuk berjihad kamilah yang menjaga harta mereka, yang mendidik anak-anak mereka, maka apakah kami juga mendapat pahala sebagaimana yang mereka dapat dengan amalan mereka?”
Mendengarkan pertanyaan tersebut, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam menoleh kepada para sahabat dan bersabda :
“Pernahkah kalian mendengar pertanyaan seorang wanita tentang Deen yang lebih baik dari apa yang dia tanyakan?”.
Para sahabat menjawab ,“Benar, kami belum pernah mendengarnya ya Rasulullah!.”
Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Kembalilah wahai Asma` dan beritahukanlah kepada para wanita yang berada di belakangmu bahawa perlakuan baik salah seorang diantara mereka kepada suaminya, dan meminta keredhaan suaminya, mengikuti (patuh terhadap) apa yang disuruhnya (selagi tidak melanggar syara’), itu semua setimpal dengan seluruh amal yang kamu sebutkan yang dikerjakan oleh kaum lelaki ”. [HR Ahmad]
Saya tidak memfokuskan sangat kepada isi hadis ini, tetapi fokus kepada keberanian dan kebijakan Asma’ bt Yazid dalam menuntut hak bagi wanita agar mereka juga memiliki peluang berada di kedudukan tinggi di sisi Allah s.w.t. sebagaimana yang dimiliki oleh lelaki.
Di saat mentaliti masyarakat yang sebelum itu terbiasa memandang wanita itu hanyalah sebagai objek untuk dipergunakan, maka ketrampilan Asma’ dalam isu kewanitaan merupakan simbolik kepada sebuah ketokohan.
Ada lebih ramai sahabiah Nabi yang kalau dibicarakan, kita pasti akan menemui contoh penglibatan yang aktif dalam perjuangan Islam daripada pelbagai aspek. Mereka menjadi tokoh dan contoh yang baik di dalam masyarakat. Saidatina Aisyah umpamanya adalah tokoh ilmuan yang menjadi rujukan masyarakat. Nusaibah binti Kaab yang pernah terlibat dalam perjanjian Aqabah, Perang Uhud dan lain-lain adalah antara tokoh besar muslimah juga di zaman Nabi s.a.w. Jangan dilupakan Sumayyah, tokoh pertama yang merupakan seorang wanita yang syahid di dalam Islam.
Penutup : Keperluan Kepada Para Pejuang Muslimah Yang Berpotensi Di Pelbagai Bidang
Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam salah satu tulisannya yang bertajuk Al-Harakah Wal Amal An-Niswi (Gerakan Islam dan Amal Kewanitaan) telah menyebutkan bahawa gerakan wanita yang berjuang untuk Islam harus diasingkan daripada berada di bawah kekuasaan dan arahan lelaki agar ia mampu berkembang ke tahap yang lebih jauh. Beliau menyebutkan contoh yang telah dilakukan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna yang telah menubuhkan Qismul Akhawat Al-Muslimat (Bahagian Akhawat Muslimah) di dalam gerakan Ikhwanul Muslimin agar wanita dapat melibatkan diri secara aktif dalam perjuangan Islam, juga agar mereka dapat melatih kompetensi dan gerak kerja yang kemas dalam perjuangan Islam sebagaimana yang dilaksanakan oleh lelaki.
Keperluan kita kepada tokoh-tokoh baru muslimah yang berjuang untuk Islam dalam pelbagai bidang sangatlah tinggi di era ini. Bahkan keperluan itu sebenarnya telah dirasai sejak era lepas lagi tinggal lagi belum dilihat secara kritikal di masa lepas.
Pada masa kini, persaingan dengan jahiliah yang tidak kurang menampilkan ramai tokoh-tokoh wanitanya dalam pelbagai bidang tidak kiralah sama ada di bidang kesenian, bidang isu-isu kewanitaan, isu kemasyarakatan, bidang akademik, bidang kesihatan dan sebagainya menjadi satu cabaran besar buat muslimah kita dalam meletakkan diri mereka sesuai dan kekal relevan dengan arus realiti dunia hari ini.
Saya tahu, di luar sana masih ada ramai wanita muslimah berpotensi yang memiliki kefahaman Islam yang baik, memiliki akhlak yang tinggi, berpotensi besar, tinggal lagi perlu disuntik dengan semangat dan bekal kekuatan agar dapat menjadi bukti di dalam masyarakat bahawa muslimah juga dapat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam perjuangan Islam.
Untuk menghasilkan natijah sebegitu, maka tidak dapat tidak peranan muslimah itu sendiri dalam menggerakkan dirinya sangatlah penting. Keseriusan pembinaan kemahiran diri dan ketrampilan di dalam masyarakat, kesungguhan dalam berfikir dan berjuang adalah antara faktor penting untuk sentiasa diperhatikan oleh seorang muslimah.
Muslimah sejati bukanlah seorang yang cuma seronok dilihat dirinya itu cantik apalagi senang dilihat sebagai seorang yang lemah, tetapi seorang yang mampu memberi manfaat untuk ummah !
June 11, 2013
Motivasi : Senyuman Si Kecil – Inspirasi Hati Seorang Bapa
Kehadiranmu – cahaya inspirasi buat insan berkeluarga.
Tiada lafaz yang boleh dikatakan di saat menimang cahaya mata. Ia juga adalah motivasi yang sangat membangkitkan dalam usaha untuk memberikan yang terbaik kepada keluarga yang tercinta.
Hati begitu berbunga-bunga lagi gembira.
Pengalaman menjadi seorang abi (bapa) kepada seorang putri benar-benar membungakan hati saya. Suatu pengalaman yang membuatkan saya teruja dalam ketenangan.^^. Kelihatan cool sahaja, tetapi setiap detik yang ditempuhi hanya saya dan isteri sahaja yang alami dan rasai.
Di sebalik raut wajah saya ini, ada kisah-kisah yang sangat menyeronokan, meletihkan dan pelbagai lagi perasaan yang timbul.
Menjadi seorang abi bukannya semudah memberi jawapan apabila ditanya :
“ Engkau dah berapa orang anak?”
Biasanya, kita akan jawab :
“ Baru seorang.”
“ Alhamdulillah, dan tiga.”
Realitinya, bukan semudah itu.
Apatah lagi, anak adalah sumber pahala yang subur untuk ibu bapa perolehi jika mampu mendidik mereka menjadi anak yang soleh. Teringat kata-kata Akhlaq Hussain :
” Anak soleh menjadi sumber pahala ibu bapa mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat kelak.”
Tentunya untuk menjadi seorang abi, abah, ayah, baba atau papa memerlukan suatu persiapan dan persediaan yang tersendiri. Sebenarnya, banyak perkara yang perlu difikirkan, direncanakan, dirancang dan dilaksanakan untuk menjadi seorang bapa. Pelbagai adjustment, penyesuaian dan kecekapan yang kita perlukan untuk “bersiap” menjadi seorang bapa.
Pengalaman sendiri adalah cara yang terbaik dalam membina kemahiran dan keyakinan. Asas kunci dan prinsipnya ialah mencuba. Mencuba yang bagaimana?
Mencuba dengan ilmu dan “mencedok” pengalaman orang lain yang kita yakini dan percayai. Bukan main cedok sahaja.
Perubahan Hidup
Dikurniakan cahaya mata – merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT. Maha suci Allah SWT yang menganugerahkan sepasang suami isteri anak untuk memberikan suatu lagi bentuk dimensi kehidupan kepada manusia.
Sebagai seorang bapa – harusnya kita melibatkan diri dengan bayi kita sendiri. Ia adalah suatu pengalaman yang sangat signifikan kepada seorang bapa. Amat merugikan bagi seorang bapa yang memiliki anak tetapi hubungannya dengan anak tersebut amat terbatas dan terdapat jurang yang jauh antara keduannya.
Dengan penuh rendah diri, saya kongsikan beberapa tips yang saya ambil daripada pengalaman, pembacaan dan pengamatan saya yang baru sahaja mempunyai seorang anak. Justeru, tentunya ia terbatas dan segala perkongsian amatlah dihargai.
Tips – Melibatkan Diri Anda Dalam Dunia Bayi
(1) Pamerkan kasih sayang, kecintaan dan hubungan keinsanan
Apabila kita menunjukan kasih sayang dan memberi respon kepada isyarat-isyarat bayi, sesuatu kimia semulajadi akan terhasil di otak bayi yang dipanggil neuropeptide. Kimia badan ini penting dalam memainkan peranan terhadap pembinaan emosi bayi.
Ia bukan sahaja menggembirakan dan menyeronokan bayi kita, tetapi ia membina hubungan antara kita dan si manja. Si manja kita akan mulai sedar bahawa kita dengan dirinya mempunyai suatu hubungan yang istimewa.
Macamana hendak buat ? – Pamerkan riak wajah yang meniru wajahnhya seperti menjelir lidah, berkerut, keluarkan bunyi, senyum dan sebagainya. Semua ini akan membantu kita untuk membina perhubungan dan komunikasi antara kita dan bayi.
Smile^^.
(2) Mencuba segala-galanya.
Untuk merasai pengalaman menjadi bapa yang sejati seharusnya kita lakukan semua perkara yang berkaitan dengan bayi kita. Memandikannya, menukarkan lampin, memakaikan baju, buatkan minuman susu, bermain dengannya dan sebagainya.
Kemahiran keibubapaan perlukan latihan. Bak kata mat salleh, practice make prefect. Dan, latihan yang terbaik ialah kita lakukannya sendiri, alaminya sendiri dan rasai setiap perkara yang berkaitan. Kita akan lebih berkeyakinan dan menjadi lebih baik dengan pengalaman sendiri.
Keyakinan inilah yang kita perlukan!
(3) Memberanikan diri dan buat sendiri.
Ambil masa yang berharga lagi berkualiti untuk meluangkan masa bersama bayi kita seorang diri. Ia amat penting untuk kita membina suatu ikatan yang tersendiri antara kita dengan bayi kita. Berikan peluang dan ruang kepada isteri kita untuk berehat dan melepaskan lelahan menjaga bayi kita.
Dalam masa yang sama, jika keadaan semakin rumit atau susah – bayi mulai menangis, meraung-raung dan tidak senang duduk – jangan terus melulu kepada isteri. Kita sebagai bapa, tenangkan hati dan cuba selesaikan masalah itu dengan sendiri.
Berlatih memujuk, buatkan susu, cuba lihat apa punca bayi kita meragam dan juga kita tidurkan dia. Jika berjaya, anda akan merasai suatu kepuasan dan tertingkatnya keyakinan anda untuk “mengasuh” bayi anda sendiri.
(4) Belajar bercakap dengan si kecil anda
Apabila bersama bayi anda, cubalah bercakap, berinteraksi dan berkomunikasi dengannya. Murabbi saya berpesan agar antara kalimah awal yang mesti kita sematkan kepada bayi-bayi kita adalah :
“Allah”
“Assalamualaikum”
“ Allahuakbar”
“ La Ilaha illallah.”
Ini asas komunikasi yang terawal. Biarlah perkataan pertama yang keluar daripada mulut bayi kita adalah Allah SWT. Rabb yang menciptakannya. Secara tidak langsung, penanaman tauhid berlaku.
Di samping itu, mula-mulalah bercakap-cakap dengannya tentang apa yang ada dipersekitarannya. Hubungannya dengan Allah SWT. Contoh :
“ Itu burung. Siapa yang ciptakan burung? – Allah SWT yang ciptakan burung.”
Mungkin akan kata, bayi masih kecil – mana dia faham. Sebenarnya, dalam psikologi bayi ini amat-amat membantu dirinya untuk merasa selamat dan gembira. Ia umpama makanan untuk otak bayi tersebut. Dan yang terpenting, ia membina kemahiran bahasa dan komunikasi daripada usia yang muda.
Hakikatnya, bayi tidak perlu memahami perkataan untuk mendapat kelebihan untuk bercakap. Semuannya adalah sebahagian daripada proses untuk memulakan tumbesaran yang lebih efektif dan terarah kepada suatu yang baik dan selamat.
(5) Luangkan masa untuk bermain
Sebenarnya tidak perlukan masa yang lama untuk bermain dengan si kecil kita. Sekadar 5 sehingga 10 minit sudah memadai. Permainan apakah yang sesuai?
Antaranya, kita membuat mimik muka berkerut, menjelir lidah dan senyum kepadanya. Sebutlah kalimah-kalimah yang baik bagi merangsang minda dan otaknya.
Perkataan, ritma dan cerita membina kemahiran bahasa dan memorinya. Hal ini kita boleh semak dengan rujukan yang lebih berautoriti.
Permainan “cak cak” boleh membina kemahiran bayi kita dalam komunikasi dan menyampaikan emosinya. Perkataan yang boleh kita guna juga ialah Allah, Allah dan Allah.
Penutup : Sebuah perkongsian
Itu serba sedikit yang boleh saya kongsikan. Mungkin ada bapa-bapa, ayah-ayah dan papa-papa ingin kongsikan pengalaman mereka dalam usaha menjadi bapa yang sejati lagi mithali. Kita sama-sama berusaha ke arah itu. Sheikh Ali Hassan An- Nadwi ada menyebutkan suatu reminder kepada bapa-bapa dan ibu-ibu tentang suatu hakikat yang sangat berguna :
” Apa gunanya membesarkan anak kita jika hanya untuk menjadi bahan bakar dalam api neraka!,”
Sentap saya.
Justeru, sama-sama kita persiapkan diri. Penuhi hidup dengan ilmu, amal soleh dan fokuskan kepada Allah SWT. Jika kurang ilmu, sama-sama kita hadir kursus, diskusi dan wacana ibu bapa yang ada.
Kursus-kursus Islamic parenting kini menjadi salah kursus yang kian mendapat tempat di kalangan masyarakat. Dan, saya dan isteri sedang menyusun satu perancangan untuk menfokuskan pendidikan putri kami ini untuk mendedahkannya dengan Al-Quran dan penanaman tauhid.
Isteri saya meletakan target anak kami boleh membaca Al-Quran di usia 4 tahun, memandangkan beliau dapat membaca Al-Quran seawal usia 4 tahun. Justeru, banyak perkara yang perlu kami lakukan untuk menjayakan misi ini. Doakan.
Tugas pendidikan anak-anak bukan dipertanggungjawabkan di bahu isteri semata-mata tetapi ia adalah amanah besar dan penting bagi bapa dan ibu!
June 9, 2013
Komik: Doa. Senjata kita.
Bila susah, ingat Allah.
Bila senang, ingat Allah.
Bila miskin, ingat Allah.
Bila kaya, ingat Allah.
Dalam semua situasi, ingat Allah.
Hubungkan hati kita denganNya, melalui doa.
Doa. Doa. Doa.
Dia suka ^^