Hilal Asyraf's Blog, page 108
May 18, 2013
TeenACE – Mengapa Kami Menganjurkannya?
Poster TeenACE 2013
LangitIlahi Consultancy merupakan penganjur utama untuk Konvensyen Remaja – TeenACE yang akan berlangsung di Centrum Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 29hb – 30hb Jun 2013.
TeenACE merupakan sebuah konvensyen yang fokusnya kepada ‘new blood’ negara kita, yakni secara khususnya remaja berusia 13-19 tahun, dan secara amnya untuk para pemuda-pemudi, belia-belia pertiwi.
TeenACE membariskan panel-panel hebat,
Antaranya Fatih Seferagic, imam yang usianya masih amat muda remaja namun sangat popular dengan kemerduan suaranya mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran.
Imam Muda Asyraf, pemenang rancangan realiti Imam Muda Musim Pertama.
Ustaz Hasrizal Jamil, penulis buku tarbawi bestseller dan motivator ulung.
Amin Idris, ikon pengacara TV Al-Hijrah, juga seorang penulis buku yang terkenal dengan tagline ‘Magnet Diri’ nya.
dan pelbagai lagi barisan panel yang hebat untuk menyuntik semangat anak-anak muda agar menjadi anak muda yang soleh dan berjaya di masa hadapan.
Nyata, TeenACE merupakan sebuah ‘project’ yang sangat besar. Pastinya kos menjalankan TeenACE juga tinggi. Tambahan, makanan untuk peserta disediakan(tempat bermalam tidak disediakan).
Persoalannya LangitIlahi Consultancy masih baru, sedang lagi belajar bertatih, namun mengapa kami mengambil risiko menganjurkan program sebegini besar dan tinggi kosnya?
TeenACE dan sebuah harapan masa hadapan.
Jika kehadiran TeenACE tidak mencapai target yang kami hajatkan, maka sudah pastinya kami akan mengalami kerugian. Kerugian dari segi kewangan pastinya. Takut bukan? Ya, bagi sekumpulan anak muda, yang baru bertatih, dan tidak pernah buat seminar sebelum ini, kami di LangitIlahi memang merasa sedikit takut dengan keadaan itu.
Namun, ada satu perkara yang membuatkan kami, Team LangitIlahi, dan secara khususnya, LangitIlahi Consultancy, mengenepikan ketakutan itu tadi.
Iaitu harapan untuk melihat lahirnya anak-anak muda yang punya cita-cita tinggi, bukan semata-mata untuk dunianya, tetapi jua untuk akhiratnya. Harapan untuk melihat wujudnya anak-anak muda belia yang menjauhi kenakalan remaja, dan mula membentuk diri semenjak awal lagi bagi menjadikan dirinya antara penggerak utama pembangunan masa hadapan Islam.
Mengapa kami datangkan ramai ikon di program kami? Hingga Fatih Seferagic pun kami hadirkan, begitu juga Anwar Hadi dan Adibah Awang, demikian jugalah kami datangkan ‘senior-senior’ seperti Ustaz Hasrizal Jamil dan Imam Muda Asyraf, mengapa?
Kerana kami mahu tunjuk kepada anak-anak, para remaja, pemuda-pemudi, bahawa mereka ada sebilangan manusia yang amat layak dijadikan contoh dalam kehidupan mereka. Agar mereka menjauhi selebriti-selebriti yang tidak syar’ie, agar mereka tidak lagi memandang artis-artis dedah aurat sebagai ikutan.
Agar mereka nampak, oh, ada rupanya orang Islam yang hebat, yang boleh dijadikan contoh. Yang cita-citanya, bukan berjaya di dunia semata, bukan wang dan populariti semata, tetapi adalah redha Allah SWT, dan syurgaNya. Aku nak jadi macam dia la. Aku nak hidup macam dia lah.
Ya. Itu yang kami mahu suntik pada anak-anak hari ini, kepada belia hari ini, kepada muda-mudi hari ini.
Apakah Bisnes LangitIlahi yang sebenar?
TeenACE, sama ada berjaya atau tidak, memang akan saya usahakan untuk menjadi program tahunan yang akan dianjurkan oleh kami di LangitIlahi.
Orang pernah bertanya kepada kami, terutama kepada saya(Hilal Asyraf), apa bisnes LangitIlahi sebenarnya?
Jual baju? Jual button badge? Jual buku? Buat seminar?
Bukan, bukan dan bukan.
Kami di LangitIlahi sebenarnya telah menetapkan, dan bersepakat bahawa,
bisnes LangitIlahi yang sebenarnya adalah:
Mencetak manusia-manusia yang mampu menjadi harapan agama.
Sebagaimana kami di LangitIlahi, bermula dari diri saya(Hilal Asyraf), hingga keluarnya penulis muda AfdholulRahman, penulis motivator hati BroHamzah, penulis bersemangat Abu Ridhwan, poet dan penulis english Ameen Misran, vlogger Qawiem Khairi, penasyid parody Azhar Helmi, serta penulis agamawan – Ustaz Uzair Izham, begitulah kami hendak meluaskan usaha ini kepada masyarakat ramai.
Ikon-ikon LangitIlahi.Com
Dari kiri atas: Hilal Asyraf, Abu Ridhwan, BroHamzah, Ameen Misran
Dari kiri bawah: Afdholul Rahman, Azhar Helmi, Qawiem Khairi dan Uzair Izham
Ya, itulah ‘bisnes’ kami di LangitIlahi.
‘Mencetak manusia’
Adibah Awang dan Anwar Hadi, antara ikon yang diketengahkan di TeenACE 2013
TeenACE dan kemudian LangitIlahi Community – Follow Up
TeenACE tidak kami ingin jadikan seperti mana kebanyakan program lain, di mana peserta yang pulang tidak akan ada lagi attachment dengan penganjur program.
Kami akan berusaha melancarkan LangitIlahi Community di Konvensyen Remaja TeenACE, dan mengajak agar para peserta TeenACE menjadi ahli Kelab LangitIlahi Community, agar ‘follow-up’ dapat kami lakukan. Kerana kami serius, hendak membina para pemuda, anak-anak, remaja belia, menjadi harapan agama masa hadapan. LangitIlahi Community, selain akan wujud keistimewaan-keistimewaan tertentu untuk ahlinya, ianya juga merupakan mekanisme untuk membina ukhuwwah antara anak-anak muda, dan mengumpulkan mereka untuk melalui proses pembentukan peribadi yang lebih teratur.
Fateh Seferagic – tokoh muda luar negara, imam yang merdu suaranya – antara yang diketengahkan di TeenACE 2013
Jadilah ‘Ejen’ Kami
Ini bukan jualan makanan kesihatan,
ini bukan jualan alat kuruskan badan,
tetapi kami sedang menjual harapan masa hadapan.
Apakah anda mahu menjadi ejennya?
Jika anda merasakan, TeenACE merupakan sebuah program, konvensyen, yang mampu memberikan sinaran harapan baru untuk Malaysia lima tahun mendatang, 10 tahun mendatang, dengan bermulanya kita membentuk, memberikan cetusan, kepada anak-anak, remaja, belia kita pada hari ini, maka kami harapkan jasa baik rakan-rakan pelawat website LangitIlahi.Com ini, yang selama ini menelaah dan membaca artikel kami di sini, yang selama ini bersama dengan saya(Hilal Asyraf) semenjak saya keseorangan menggerakkan website ini sehinggalah berkumpulan sekarang ini, untuk membantu kami.
Sebarkan maklumat berkenaan TeenACE, poster-posternya, dan promosikannya kepada rakan-rakan, keluarga, sahabat-handai. Selain penyertaan, mungkin juga jika anda ada kenalan yang diketahui sebagai ‘berada’, ‘berduit’, boleh diusahakan agar mereka menghubungi kami untuk memberikan sponsor kepada menjayakan projek TeenACE ini.
Jika ramai boleh menghadiri Jom Heboh!, Akademi Fantasia(bahkan sanggup beratur untuk menjadi salah seorang pesertanya), Konsert K-Pop, dan sebagainya,
mengapa tidak dengan TeenACE, yang kami usahakan untuk membina peribadi-peribadi yang mampu memberikan harapan besar kepada agama kita satu hari nanti.
Penutup: TeenACE, Impian Besar Masa Hadapan.
Adalah besar impian kami di LangitIlahi,
apabila anak-anak, pemuda-pemudi, remaja belia pulang dari TeenACE, mereka mula membina impian mereka, mereka mula menjadi manusia yang bercita-cita, mereka mula membina perancangan untuk menjadi manusia yang berperibadi mulia. Itu yang kami mahukan.
Biar mereka pulang nanti ke rumah, mereka mula berfikir betapa berharganya kemudaan mereka.
Betapa ruginya jika disia-siakan atas jalan yang menyesatkan dan merosakkan.
Betapa sepatutnya mereka mulakan penambah baikan terhadap diri mereka, mula melakar cita-cita dan impian, untuk harapan masa hadapan.
Untuk masa hadapan agama kita. Untuk masa hadapan negara kita.
Maka rakan-rakan LangitIlahi.Com, bantulah kami. Jayakan impian ini.
Maklumat berkenaan TeenACE boleh dirujuk di sini: http://langitilahi.com/teenace/?page_id=30
Pendaftaran boleh dilakukan di sini: http://langitilahi.com/teenace/?page_id=297
May 15, 2013
Umum: Puisi, Selamat Hari Guru
Tiada kata mampu aku luahkan
Buat para guruku yang telah berjasa
Tika dahulu aku hanya seorang murid
Aku masih ingat, saat kau mengajarku
Saat kau menegurku
Saat kau membimbingku
Saat kau memarahiku
Saat kau merotanku
Saat kau memanggil namaku dengan senyuman
Saat kau membakar semangat jiwaku
Saat kau memberi hadiah pada hari kejayaanku
Saat kau yakin mengatakan aku boleh lakukan
Saat kau menghulurkan sedekahmu demi melihat aku terus belajar
Hari ini masa itu telah berlalu
Aku berdiri dengan kesyukuran
Tetap setia mengenang peribadimu
Wahai guru-guruku pencetus kesedaran
Apapun jasamu tidak mampu ku tahan
Kutitipkan doa buat kesejahteraanmu sentiasa
Moga diberkahi tiap langkah dan perjuanganmu
Wahai para guru yang telah mengajarku
Terima kasih selautan budimu
Abu Ridhwan
16 Mei 2013
SUDARA Beach and Spa Resort, Pantai Melawi, Bachok
May 14, 2013
Umum: Untuk Nakbah Palestina Tahun Ke-65
Hari ini sudah tahun ke-65 semenjak Nakbah Palestina berlaku.
Saban tahun ramai yang merintih di dinding Facebook, menjadi tukang share dan like, sebarang post berkenaan Palestina, serta perjuangan ummat di merata tempat.
Namun pernahkah kita bertanya apa yang sedang diri kita buat?
Apa yang boleh kita bantu, lebih dari sekadar share dan like post-post sedemikian di Facebook?
Saya berpendapat ialah,
mula bergerak.
Bagaimana?
1 – Mula berusaha memperbaiki diri menjadi hamba Allah SWT yang baik. Ini nyata satu sumbangan yang besar sebenarnya. Kerana Islam tidak akan tertegak selain bersama manusia-manusia yang mampu memikul dan menyebarkannya.
2 – Sambil memperbaiki diri, kita ajak orang lain untuk menjadi hamba Allah SWT yang baik. Bermula dengan mereka yang mudah diajak, yang dekat dengan kita. Kenalan rapat ke, keluarga ke, contohnya. Ajak mereka bersama menjadi muslim yang baik. Ini merupakan sumbangan yang amat berharga untuk perjuangan Islam, kerana kita sedang menjadikan angka ummat itu berkualiti, bukan angka-angka kosong yang tidak boleh diharapkan Islam.
3 – Mendalami potensi diri, dan sumbangkannya untuk Islam. Contoh kalau kita ada talent bercakap, boleh buat vlog Islamik. Bincangkan isu-isu terkini dari perspektif Islam.
Contoh kalau kita ada talent menulis, maka kita perbanyakkan karya-karya Islamik yang boleh mendidik diri kita dan masyarakat, baik buku motivasi, novel Islamik atau kumpulan cerpen tarbawi.
Contoh kalau kita ada talent buat lagu, dan ada kawan pandai menyanyi(atau kita sendiri pandai menyanyi), maka kita buat lagu-lagu yang bermotivasi, meningkatkan semangat juang, then suruh kawan kita(atau kita sendiri) menyanyikannya. Uploadkan di Facebook atau YouTube.
Contoh lain kalau kita pandai melukis. Maka lukislah komik-komik yang bermesej, yang mengenalkan keindahan Islam, yang meningkatkan semangat untuk terus berjuang, dan yang mendidik ummat ini untuk menjadi ummat yang Allah redha.
Kalau ada apa sahaja talent, kita ni budak pandai ke, buatlah tuisyen untuk pandaikan kengkawan yang lain. Ada talent main apa-apa sukan ke, pastikan kita jadi duta Islam di medan permainan kita itu(tutup aurat, berakhlak baik, fair play). Ada potensi bisnes, kita bisnes untuk untungkan ummat Islam agar dengan kekayaan kita, Islam menjadi kaya juga(jangan kaya sorang-sorang, duit tak boleh bawa masuk kubur pun!)
Macam-macam lagi. Apa potensi anda? sumbangkan!
4 – Bagi yang suka bermasyarakat(ada orang suka duduk pejabat sahaja), maka tubuhkanlah kumpulan-kumpulan yang boleh buat amal kebajikan. Yang boleh pergi ke rumah-rumah anak yatim, yang boleh merapati masyarakat gelandangan, yang boleh menyantuni masyarakat yang tersekat di kesesakan jalan raya, dan macam-macam lagi.
Pastikan Islam sampai kepada mereka. Pastikan mereka dapat merasai kemanisan sentuhan dakwah, dan indahnya proses peningkatan diri melalui sistem tarbiyah Islamiyyah.
Jangan malas, sebab muballigh kristian tidak malas. Kalau kita malas, jangan sibuk salahkan agenda kristianisasi.
Kalau passion kita di sini, mengapa kita bazirkan pada kumpulan-kumpulan tidak membawa kita pergi jauh untuk memperbaiki ummah?
Jangan lah rasa cukup dengan like dan share sahaja benda-benda baik di Facebook. Bukanlah like dan share itu tak bagus. Bagus tu dah bagus dah. Nama pun ‘benda baik’. Tetapi ya, pastikanlah kita bukan sekadar like dan share.
Bergeraklah.
Di internet ada perjuangannya,
tetapi jangan lupa bahawa di alam realiti juga ada tanggungjawab kita.
Kita semua adalah khalifah untuk mentadbir bumi ini.
“Dan ingatlah ketika Tuhan kamu berfirman kepada para malaikat, sesungguhnya Aku ingin menciptakan untuk bumi itu khalifah…” Surah Al-Baqarah ayat 30.
Ayuh.
Bergerak!
Kurangkan mengeluh dan bicara,
banyakkan bekerja.
Untuk Nakbah Palestina tahun ke-65,
kita ubah!
Agama: Duhai Jiwa Yang Berdosa, Tidakkah Kau Merasa Allah Itu Sentiasa Ada Melihat Kita?
Merasai Allah melihat setiap amalan, kunci kejayaan berterusan di jalan kebenaran
Dalam menjalani kehidupan dalam era zaman serba moden ini, bukan suatu perkara yang mudah terutama bagi jiwa-jiwa pemuda mengharungi perjalanan seharian dengan bisa mengorbankan rasa selesa dengan apa yang ada untuk selain dari kepentingan peribadi. Gadjet-gadjet canggih, dunia alam maya tanpa sempadan banyak merosakkan masyarakat kita jika tidak dikawal selia dengan baik dengan proses pendidikan yang berpaksikan nilai-nilai murni Islam.
Namun, tiada guna menyalahkan media. Tiada guna salahkan masyarakat sekitarnya jika tiada rasa ketumbukan dari dalam diri untuk berusaha mengatasinya. Jika mampu atasi sukar pula untuk mengekalkan momentum kebaikan dalam diri hingga berjaya pulang nanti bertemu Allah dalam keadaan diredhai-Nya. Justeru, apakah masih ada cara untuk jiwa ini diperbaiki seterusnya membelah arus untuk terus kekal di atas jalan Ilahi?
Tadabbur ayat al-Quran untuk tahu saranan Allah kepada insan
Allah s.w.t banyak memberi peringatan dan saranan-Nya dalam al-Quran supaya manusia tidak terhanyut dari petunjuk-Nya. Bahkan Dia sentiasa ada, dan kekal ada sampai bila-bila untuk manusia bergantung pengharapan hatta menyukai mereka yang sering meminta pertolongan pada-Nya dalam apa jua keadaan yang mana berlainan sifatnya dengan manusia. Oleh itu, apabila keberadaan Allah itu kita rasai dekat dengan jiwa kita, maka kita akan berasa malu untuk ingkar suruhan-Nya.
Allah s.w.t. berfirman:
وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ ۚ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ۚ وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ ﴿٥٩﴾
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata. [Al-An’am:59]
Merasai Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat
1) Hanya Allah yang benar-benar mengetahui segala yang ghaib
وَعِندَهُ
Dalam ayat ini, perkataan ini digunakan yang mana terdapat dua rahsia dari sudut posisinya dalam ayat dan juga perkataan yang menjadi pilihan.
Berkenaan dengan posisi perkataan ini, dalam ilmu balaghah al-Quran apabila sesuatu perkataan itu didahulukan ia akan membawa maksud tambahan sama ada pengkhususan atau penegasan. Dalam ayat ini, perkataan tersebut mengandungi kedua-duanya sekali dengan membawa maksud bahawa hanyasanya Allahlah yang mengetahui segala yang ghaib bahkan benar-benar mengetahui.
Melihat dari sudut perkataan ini dipilih amat menarik. Menurut ilmu tajwid apabila huruf nun (ن) bertemu dengan huruf dal (د), maka hukum bacaannya adalah ikhfa’ yang membawa maksud sembunyi dalam bahasa Melayu. Berkaitan dengan ayat tersebut, begitu sinonim lafaz ini digunakan kerana bukan sahaja dari sudut posisinya yang strategic tetapi pemilihan perkataan yang menggambarkan bahawa segala yang ghaib itu dalam pengetahuan Allah sahaja (tersembunyi) dari manusia.
Berdasarkan ayat ini Imam Al-Bukhari menyebutkan ada lima kunci ghaib disisi-Nya:
Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat[1]. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan (rezeki)[2], dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung)[3]. Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat)[4]; dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati[5]. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. [Luqman:34]
Kelima-lima perkara ini tidak akan pernah sampai kepada pengetahuan manusia secara pasti kecuali terlihat padanya tanda-tanda akan berlaku perkara tersebut.
Manusia tidak pernah mengetahui bilakah hari kiamat itu akan berlaku yang membawa maksud kita tidak pernah tahu pengakhiran kita lebih-lebih lagi orang lain itu bagaimana. Begitu juga waktu dan keadaan kita dimatikan. Justeru, amatlah tidak adil bahkan ia boleh boleh dikategorikan sebagai zalim jika seseorang itu mudah menghukum seseorang berdasarkan apa yang dibuatnya pada masa kini kerana sifat hati manusia boleh berubah-ubah. Boleh jadi hari ini kita baik tetapi tidak esok dan sebaliknya.
Dari sudut pandang lain, kita sebenarnya tidak boleh menabur persepsi terhadap pihak lain selagi tidak wujud bukti yang jelas akan perbuatan mereka kerana tidak mengetahui perkara yang tersembunyi. Sebagai contoh mengangkat isu perkauman kerana beranggapan ia mempunyai agenda tertentu. Tidak dinafikan semua golongan, bangsa, agama mempunyai buah fikir tertentu untuk digerakkan. Namun, sebagai manusia kita hanya menghukum seseorang berdasarkan zahirnya dan apa yang telah berlaku kerana hakikatnya pengetahuan kita terbatas.
Selain itu, manusia terlindung dari mengetahui rezeki dan segala kebaikan dan keburukan yang akan dikurniakan. Justeru, teruskan berusaha dan jangan sekali-kali berputus asa kerana kita tidak tahu rezeki yang bakal kita terima datang bila dan dari arah mana. Tambahan kadang-kadang bagi pihak kita selalu ingin memilih jalan pintas untuk mendapat rezeki atau kebaikan. Salah. Hakikatnya kebaikan dan rezeki itu didatangi dengan usaha bukan mendatangi dengan berdiam diri semata.
2) Tiada tempat persembunyian dari pengetahuan-Nya.
Allah s.w.t menyebutkan bahawasanya Dia mengetahui setiap yang apa yang ada di daratan dan di lautan yang merangkumi keseluruh pelosok dunia dibawah pengetahuan-Nya. Segala apa yang kita buat akan dirakamkan seterusnya akan ditayangkan semula dihadapan kita kelak. Adakah kita sanggup melihat timbangan dosa kita diberatkan dengan salah laku kita di atas dunia sedangkan kita perlukan jisim pahala untuk kita ke syurga?
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, setiap perkataan yang didahulukan semestinya ada rahsianya. Begitu juga dengan ayat ini. Allah menyebutkan bahawa Dia mengetahui di daratan dahulu kemudian di lautan. Jika kita teliti ia sebenarnya menunjukkan kelemahan manusia iaitu Allah mengetahui segala apa yang manusia terbiasa nampak iaitu segala yang ada di daratan di tambah lagi dalam lautan yang mana manusia amat terbatas untuk ketahui dengan mata kasar tanpa bantuan teknologi. Maha Kuasanya Allah.
3) Tiada suatu perkara terlepas dari genggaman-Nya
Gugurnya daun yang amat ringan bahkan tidak mengeluarkan bunyi pun ketika ia jatuh menyembah bumi diketahui oleh Allah inikan mula amalan-amalan manusia. Sebab itu, dosa itu lebih berat jika dilakukan terang-terangan kerana ia bukan sekadar salah kepada zat dosa tersebut tetapi ia suatu bentuk kesombongan dalam diri manusia seakan-akan tiada pihak yang lebih berkuasa yang bisa membalas perbuatannya.
Oleh yang demikian, era globalisasi ini yang mana kita tahu mudah tersebarnya fitnah saya mengajak untuk sama-sama kita cuba koreksi diri dengan meletakkan diri kita seolah berhadapan dengan-Nya dan Dia melihat segala perbuatan kita. Bertanya pada diri kita:
- Sewaktu kita berfacebook dimanakah kita meletakkan Allah (sebagai pemerhati) dalam post-post kita?
- Sewaktu kita beryoutoube, adakah kita merasai Allah mengetahui apa yang kita lihat?
- Sewaktu kita berchatting di twitter, viber, whatsapp, adakahkita tidak dihitung semula di akhirat sana?
- Sewaktu kita berlebihan menonton movie dan bermain game kita, tidakkah kita akan ditanya tentang masa yang tersia-sia?
Sedangkan sekecil-kecil perkara gugurnya daun pun dalam ruangan pengetahuan Allah, adakah kita boleh yakin kita mempunyai jawapan positif bagi soalan yang diutarakan untuk membantu kita menggapai syurga-Nya?
Ini adalah suatu masalah yang kronik dewasa ini. Meninggalkan unsur ketuhanan hanya dicadar sembahyang. Usai solat, maka ia tidak memberi implakasi pada kerja-kerja harian. Tidak ketika belajar. Tidak ketika berjalan bersiar-siar dan sebagainya. Sebab itu ibadat yang dilaksanakan yang tidak memberi kesan pada jiwa adalah ibadat yang dilakukan atas dasar adat bukan taat.
4) Biar terang atau bercahaya, Allah tahu semuanya.
Manusia normal hanya mempunyai lima pancaindera yang amat terbatas penggunaannya. Kita hanya bisa gapai yang pancaindera kita mampu sahaja. Terbatas. Sebab itu, jangan manusia menyangka dia boleh terlepas dengan menipu manusia lain dalam keadaan mereka tidak tahu atau terbatas pancaindera disebabkan tempat yang gelap tidak bercahaya untuk mengakses sesuatu maklumat. Mungkin hanya di dunia. Tetapi sungguh manusia itu pelupa bahawa ada balasan akhirat di sana kerana Allah s.w.t bersih dari tidak mengetahui segala sesuatu biar apapun jua keadaan persekitarannya.
5) Tiada diskriminasi dalam perkara yang diadili.
Antara sifat Allah itu adalah adil bahkan Dialah pemilik mutlak bagi segala keadilan. Tidak kira manusia itu dari sudut jenis, bangsa, jantina, agama semuanya tidak terlepas dari menjadi ‘pelakon’ bagi watak yang dipilih oleh manusia itu sendiri yang seterusnya akan diadili kesemuanya.
Biarpun dia seorang pemimpin sebuah negara atau sekadar rakyat jelata. Biarpun dia majikan tertinggi atau seorang pekerja makan gaji. Biarpun dia seorang ulama’ terbilang atau golongan professional cemerlang. Tiada suatu kumpulan bahkan perseorangan yang akan terlepas dari dihitung segala amalan.
Kesimpulan
Fitrah normal manusia yang dipandukan keimanan inginkan kebaikan. Namun, sifat-sifat asas yang wujud dalam jiwa manusia itu sungguh bertentangan dengan watak yang baik. Justeru, manusia itu perlu memperbaiki dan melakukan perubahan untuk memastikan dia selamat hingga ke akhir perjalanan menuju tuhan.
Setelah menemui laluan kebaikan, maka perlu pula manusia istiqamah kerana hakikat hati manusia boleh berbolak-balik. Demikian, merasai bahawa sebenarnya Allah itu Maha Mengetahui setiap perkara yang kita lakukan merupakan salah satu langkah utama untuk manusia terus tetap dijalan-Nya kerana tidakkah kita berasa malu dengan usia kita yang teramat singkat ini, kita kembali kepada Allah dalam keadaan yang Allah tidak redha?
Akhir sekali, saya nukilkan persoalan yang pernah ditanyakan oleh Hasan Basri tentang apakah rahsia kezuhudannya di atas dunia. Beliau menjawab:
1)Aku tahu rezeki aku telah ditentukan dan tidak akan diambil oleh orang lain sebab itu aku tenang berusaha.
2) Aku tahu amalan au tidak akan dikerjakan oleh orang lain sebab itu aku sibuk untuk perbanyakkan amalan aku
3) Aku tahu Allah sentiasa melihat kepada aku, sebab itu aku malu Allah melihatku dalam keadaan maksiat
4) Aku tahu mati itu adalah pasti, sebab itu aku berusaha beramal untuk bekalan hari nanti.
* zuhud bukan mesti berktrampilan kurang baik tetapi tidak meletakkan dunia di dalam hati kita.
May 13, 2013
Motivasi : Nota Tarbiyah – Bingkisan Nota Buat Sahabat
Mencari sahabat sejati?
Adakah kalian telah temui?
Picture by ptssrapi.blogspot.com
“ Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur, hiduplah dalam lingkungan mereka, kerana mereka merupakan perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu sukar.”
-Saidina Umar Al-Khattab -
————-
Ada seorang sahabat telah menghantar mesej pertanyaan khabar kepada sahabatnya. Katanya beliau sangat-sangat berhajatkan kepada nasihat daripada sahabatnya itu.
Namun, sahabatnya itu merasakan dirinya tidak layak untuk memberikan kalam nasihat. Tetapi ia cuba dan mengagahi kudrat yang ada kerana, ia tahu inilah hak dalam sebuah jalinan persaudaraan kerana Allah.
Inilah Bingkisan Ukhuwah kerana Allah ; Pertemuan dan perpisahan itu hanya untuk-Nya.
———————————————————————————
CORETAN RASA SEORANG SAHABAT
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,
Buat sahabat yang jauh di sana, akhi fillah.
Semoga dirimu sentiasa berada dalam payungan rahmah, keimanan dan inayah-Nya. Semoga dirimu dan diriku terus berada dalam lingkungan proses pembersihan hati dan sentiasa akrab untuk terus bersama Allah SWT. Sesungguhnya, persaudaraan kita ini adalah persahabatan untuk menuju syurga Allah SWT.
Mesej kirimanmu telahku tatapi, hayati, dan fahami. Syukran kerana sudi menjalinkan ukhuwah ini. Syukran dan jazakallahu khairan khatira atas kesudian menjadi teman dan sahabat seperjuanganku.
Aku, diri ini bukanlah insan yang layak berbicara dan layak untuk memberi kata-kata mahupun tulisan nasihat. Diri ini juga masih perlukan bimbangan, nasihat dan tunjuk ajar daripadamu. Namun, atas permintaan mu aku gagahi jari jemari ini mencoretan nukilan ini khusus buatmu.
Kau pernah berpesan kepadaku : “ Jika diriku lemah, maka –sahabat- bangkitkan diriku semula, jangan sahabat, jangan tinggalkan ku bersendirian tatkala imanku lemah tersungkur dipukul badai tsunami mehnah.”
Bingkisan yang tidak seberapa ini sebenarnya adalah buat diri ini. Anggaplah ia untuk diriku dan buat dirimu jua – wahai sahabat -
Ya, diri yang hina, dhaif dan dipenuhi kekurangan dan kelemahan. Dan kesempatan ini marilah sahabat kita :-
(1) Ikhlaskan niat dan hati kita seluruhnya dalam beramal kerana Allah SWT. Segala bentuk penilaian amalan diterima atau tidak terletak di sini. – Belajarlah untuk ikhlas dan beristiqamahlah dengan penuh kesabaran dan ketabahan.
(2) Slogan kita di dalam membentuk diri menjadi mukmin yang soleh ialah perbaiki diri dan serulah orang lain. Ia harus dibumikan dalam hayah (kehidupan) ini.
(3) Menuntut ilmu itu penting –wahai sahabat- ,gigihlah dan tekunlah dalam proses pembelajaran. Matlamat kita harus jelas, terang dan nyata. Bergeraklah untuk menjadi insan yang pakar di dalam sesuatu bidang pengkhususan.
(4) Proses tarbiyah kita menuntut supaya kita sentiasa meningkat, bergerak dan proaktif. Sibukan diri dengan segala bentuk aktiviti pentarbiyahan dan pastikan tarbiyah ruhiyah tetap berjalan, berlaku dan hidup dalam setiap nadi kehidupan kita. Amalan fardu kita mantapkan dan amalan sunnah kita perbanyakan. Semoga hati kita semakin hidup, segar dan subur dengan cahaya keimanan kepada Allah SWT.
(5) Tarbiyah tanpa dakwah, ia akan mematikan kita malah ia akan menstatikan kita. Kita hanya menyolehkan dan membaiki diri kita sahaja. Nikmat kefahaman ini harus disebarkan. Perkasakan dakwahmu, dan gerakan seluruh kemampuan untuk menyampaikan risalah ini dengan penuh hikmah, bijaksana dan hasanah.
(6) Berjihadlah bersungguh-sungguh dalam medan ilmu. Berjihadlah juga dalam melawan hawa nafsu terhadap keinginan-keinginan dan hasrat-hasrat dunia yang mengiurkan. Pesan seorang murabbiku : “ Wahai anak-anak ku, janganlah kalian menyimpan hasrat untuk mencintai dunia. Hindarilah hati kalian daripada kecintaan dan kemabukan terhadap dunia. Kerana mencintai dunia akan membuatkan kalian jauh daripada Allah SWT”
(7) Berdoalah dalam munajat solat tahajud mu. Wahai sahabat, pohonlah ketetapan, keistiqamahan dan kekuatan dalam mengikhlaskan diri untuk Allah SWT. – Lazimi ia untuk kesejahteraan hatimu.
(8) Akhirnya sahabat, semoga dirimu terus mencintai, merindui dan mendambakan keredhaan Ilahi. Semoga persahabatan dan persaudaraan kita akan membawa kita dalam ruh ukhuwah ini sehingga ke Syurga yang inda abadi.
Sekian, sahabat yang dikasihi. Terimalah coretan dan bingkisan ini seadanya.
Kulampirkan ia dengan penuh pengharapan, dan keyakinan bahawa ia benar-benar akan memberikan manfaat buat kita semua.
Semoga kita akan terus tetap dalam jalan yang lurus ini. Mudahan kita semua berada dalam limpahan keredhaan-Nya sehingga akhir hayat nanti.
Sekian, sahabat. Dari hati tulus ini ku nukilkan buat sanubarimu yang jernih itu.
Sekian,
Sahabatmu Fillah
15 November 2010
8 Zulhijjah 1432 H
7.57 Pagi
—————————————————————–
Penutup : Bingkisan Jiwa
Ukhuwah fillah (persaudaraan kerana Allah SWT) akan subur dan mekar apabila hati-hati ini saling berusaha nasihat-menasihati, lengkap-melengkapi dan sama-sama bergerak menuju Allah SWT. Keindahan, kemanisan dan kebahagiaan ini hanya akan dirasai apabila keduanya sentiasa ikhlas, jujur dan amanah dalam jalinan persaudaraan ini hanya untuk menggapai keredhaan Allah SWT semata-mata.
Salam persaudaraan buat semua sahabat pembaca.
Moga kita bersahabat hingga ke Syurga!
May 12, 2013
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta: Kau Harus Ada.
Kadangkala engkau sendiri tidak menyedari,
Yang aku memerlukanmu untuk menemani,
Sedangkan Adam di tengah syurga yang sempurna juga sunyi,
Apatah lagi aku yang berada di dunia penuh pancaroba,
Pastinya memerlukan dikau wahai bidadari.
“Awak, bangun awak.”
Suara itu menembusi kegelapan. Menarik aku dari kelamnya lena. Perlahan-lahan kubuka mata. Cahaya masuk, dan siling menjadi persembahan pertama.
“Urgh,” Aku mengesat mata, yang kurasa masih tidak hilang kantuknya. Terpisat-pisat. Berkelip beberapa kali.
“Mengantuk lagi?” Suara lembut itu menyapa lagi.
Aku menggeleng. Kemudian perlahan-lahan menumpukan pandanganku kepada yang bersuara.
Dia sedang memandangku dengan perihatin. Dan tiadalah wajahnya itu, melainkan menjemput senyuman hadir pada bibirku.
“Alhamdulillah,” Aku mengucap perlahan. Benar-benar rasa bersyukur dihidupkan. Dan amat bersyukur kerana Allah mewujudkan dia di sisi.
Dia turut tersenyum mekar.
“Ada setengah jam lagi sebelum Subuh. Sempatlah kalau nak qiamullail.” Telapak tangannya menyentuh pipiku. Aku mengangguk faham. Kemudian dia perlahan-lahan turun dari katil.
Aku menolak katil untuk menukar posisi, dari berbaring kepada duduk bersila. Sekadar memandang dia yang berjalan menjauhi katil, kemudian menghilang di balik bilik air.
Senyumanku belum pudar.
Puas hati bangunku hari ini. Seperti juga hari-hari sebelumnya semenjak wujudnya dia. Hatiku lapang. Jiwaku kembang. Bahagia. Dan bahagia ini, sukar sungguh untuk terluput, semenjak hadirnya dia.
Sebentar aku jadi teringat hari-hari lalu. Hari-hari yang sunyi itu. Hari-hari yang perit itu. Hari-hari yang penuh derita dan disulami pelbagai cabaran yang menduga. Bukanlah kini semua itu telah pergi. Tetapi seakan-akan semuanya menjadi ringan dan aku menjadi lebih kuat untuk menempuhnya.
Aku menunduk dengan senyumanku, menggeleng sendiri.
Benar sangkaanku, dia harus ada.
“Alhamdulillah ya Rabb, Alhamdulillah.” Dan syukurku bukan sekadar kata. Segera aku bangun, menuju ke bilik air di luar kamar. Membersihkan diri, siap mengambil peluang qiam yang masih berbaki. Biar syukurku wujud dalam amalan juga.
******
Suasana halaman yang indah mengisi keadaan. Angin pagi sepoi-sepoi bahasa dengan hawa yang sederhana membuatkan diri terasa damai. Antara kegemaran kami berdua, sarapan di halaman rumah kala hening pagi sebelum aku pergi mencari rezeki.
“Apa senyum-senyum?” Tiba-tiba suaranya mengoyak lamunanku.
Aku mengangkat kening. Tanda tanya. Tak faham mengapa aku ditanya.
“Ya la, ada apa-apa ke? Atau muka saya ada masalah?” Dia mengesat pipi dengan belakang tangan yang sedang memegang garfu.
Aku tertawa. “Mana ada apa-apa pada muka awak. Saya sahaja nak senyum. Tak boleh?”
Dia tersenyum sama. “Senyum tak mengapa. Tapi senyum sambil tenung saya lama-lama tu yang buat saya tertanya-tanya. Tak sedap ke Mee Goreng saya masak?”
“The Best in The World. Sama level dengan Ummi dan Ibu masak.”
“Habis tu, senyum-senyum kenapa?”
Aku dengan senyuman yang tidak lekang, menggeleng senang.
“Senyum, sebab awak ada di hadapan saya, sarapan dengan saya.”
Spontan wajahnya merah. “Hish, ingatkan apa tadi.” Terus dia kembali menumpukan perhatian kepada Mee Goreng di atas pinggan.
Aku juga menyambung makan. Sengaja mengekspresikan rasa hati. Kerna aku memang benar-benar rasa beruntung dengan keberadaannya di sisi. Aku tidak dapat membayangkan betapa aku sedang melalui hari-hari ini. Hari yang aku fikir tidak akan tiba buat diri.
“Awak, sibuk tak hujung minggu ni?” Soalan itu muncul saat aku selesai dengan suapan terakhir.
“Kenapa?” Garfu dan sudu kuletakkan saling menyebelah di tengah pinggan yang licin.
“Sibuk tak?” Dia mengerutkan dahinya sedikit. Seakan hendak kujawab juga jawapannya.
“Kalau sibuk kenapa?”
“Kalau sibuk, saya tak nak lah cakap.” Dia menundukkan wajahnya, sambil garfu menolak masuk baki mee goreng ke dalam sudu, kemudian terus membawanya ke dalam mulut.
“Kalau macam itu, tak sibuklah.” Aku mengesat kawasan sekitar mulut dengan tisu, sambil kekal tersenyum. Wajahnya tidak kulepaskan. Walaupun mungkin matahari naik yang boleh kuperhatikan ketika ini indah. Kerna padaku, tiada makhluk ciptaan Allah yang lebih indah dari apa yang ada di hadapanku kini.
Dia mencemikkan muka, sambil meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan . “Saya tak nak sampai ganggu schedule awaklah. Saya tahulah awak sibuk.”
Aku menggeleng. “I’ll manage. Apa yang awak nak cakap sebenarnya?”
“Er…” Teragak-agak. “Keluar jalan-jalan jom?” Wajahnya seakan amat berhati-hati bila melafazkan soalan.
Tawaku muncul lagi. Geli hati melihat wajahnya. Dan tersentuh dengan ajakannya. Aku faham maksud ajakan itu.
“Ada kerja sebenarnya…”
Wajah cerianya hilang sebentar. Aku sudah agak.
“…Tetapi i’ll try to finish it before this weekend. So that we can go jalan-jalan. Dan…” Aku tepat memandangnya. Masih tidak melepaskannya. Dapat melihat yang dia sudah mula hendak tersenyum, tetapi berusaha menahannya.
“Dan…?” Senyumannya seakan terpecah sedikit, tetapi masih mencuba.
“Dan katalah kerja tak habis juga, still, kita akan keluar pergi jalan-jalan juga. Saya tahu, awak nak suruh saya sekali-sekala ambil angin kan?”
“Ha, tahu pun. Asyik kuat kerja sahaja. Kesian saya tengok.” Senyuman kembali menawan wajahnya.
Aku menggeleng senang melihat ulahnya. Aku tahu dia mengajakku berjalan itu bukan kerana dia yang inginkan. Tetapi kerana aku sibuk dengan timbunan kerja dan projek, hingga hampir tidak punya masa merehatkan tubuh dan minda ke mana-mana.
Aku bangun. Perlu segera untuk ke tempat kerja.
“I’ll pick the place, boleh?” Pertanyaannya menyelit sebelum aku berdiri sempurna.
“Baik sayang. Saya setuju. You pick the place, okay?”
Dia mengangguk perlahan.
Segera kujinjit briefcase di tepi kerusi kayu tempat dudukku, kemudian perlahan-lahan bergerak ke arah kereta yang enjinnya telah siap kuhidupkan sebelum sarapan tadi. Aku memang telah siap dengan pakaian kerja setiap kali bersarapan pada hari-hari biasa. Memudahkan pergerakan dan menjimatkan masa.
“Awak,” Suaranya kedengaran, membuatkan aku menoleh.
Segera dicapainya tanganku, dan menundukkan kepala menciumnya.
Kembang jiwa. Perasaan ini, setiap kali hendak bekerja, seakan-akan pembekal kekuatan yang berganda-ganda. Subhanallah. Sungguh, aku amat-amat menghargai perasaan ini. Kalaulah perasaan ini satu makhluk yang boleh kupegang, pasti kusimpan di dalam balang. Kalaulah perasaan ini sesuatu yang boleh dipandang, sudah pasti kurakam biar boleh selalu diulang tayang.
“Take care. Jumpa nanti petang.” Aku menyentuh pipinya lembut dengan telapak tanganku.
“InsyaAllah, awak take care juga.” Matanya mendamai jiwa.
“InsyaAllah.” Sambil masuk ke kereta.
Dengan lafaz bismillah, aku memutarkan stereng dan menekan pedal minyak, menggerakkan keretaku separuh bulatan mengikut ruang yang ada di hadapan rumahku, sebelum bergerak lurus keluar dari halaman rumah.
Sempat aku melihat cermin pandang belakang.
Dia melambai.
Aku tersenyum senang.
******
Bunyi alat penghawa dingin ruang tamu menyulam suaraku membaca Al-Quran. Sambil bersandar pada sofa, tidak jauh dari tempat solatku tadi, aku memegang Al-Quran sederhana besar dengan tangan kanan.
Senggang masa antara Maghrib dan Isya’, kuisi dengan rutinan harian. 10 muka surat paling kurang, sehari. Itu aku disiplinkan buat diri ini. Antara makanan jiwa yang baik adalah Kalamullah sendiri. Membaca Al-Quran, sambil mentadabburnya, akan membuatkan jiwa dekat dengan Allah SWT dan menyedari kebesaranNya, keberadaanNya, kasih sayangNya, dan kecintaanNya.
Tambahan, aku perlu menjaga seseorang sekarang. Bukan semata-mata diriku lagi. Maka Al-Quran adalah antara sumber tenaga wajib yang mesti aku ambil untuk mengisi kekuatanku setiap hari.
Perlahan-lahan, sambil mulut masih mengalunkan Surah At-Taubah kegemaranku, mataku melirik ke arah dia yang khusyuk membaca Al-Quran di tempat solatnya tadi.
Tiba-tiba dia bangun, bergerak mendekatiku, kemudian duduk di hadapanku.
“Awak, tasmi’ bacaan saya, boleh?” Sambil dia menghulurkan mushafnya kepadaku.
Aku melihat wajahnya, kemudian merayap kepada Al-Quran yang disuakan.
Hatiku kembang. Ini bukan pertama kali, tetapi setiap kali ini berulang, aku rasa lapang. Senang. Ketika itu juga senyumanku muncul.
“Awak ni, sikit-sikit senyum sahaja. Dari awal kahwin macam itu.” Dia mengerutkan dahi sedikit.
Senyumanku melebar. Sebelah tangan menutup mushaf yang ada padaku, sambil sebelah lagi menyambut Al-Quran di tangannya.
“Senang hati, kita senyumlah.” Aku menjawab dengan senyuman yang masih berbunga.
“Ya? Ke awak ada nampak apa-apa yang tak kena pada saya? Dari awal-awal lagi saya sebenarnya tertanya-tanya.” Dia berwajah penuh persoalan. Senyuman pada bibirnya beriak mencungkil jawapan.
Itu hanya membuatkan senyumanku memekar.
“Saya senyum, sebab saya nampak awak ada depan saya la.”
“Itu jawapan ke?”
“Ha, sekarang ni nak cungkil rahsia, atau nak saya tasmi’ hafazan awak?”
“Yalah, dia tak nak kongsi dengan kita. Simpanlah rahsia awak tu. Ha, tasmi’ ya? Hafazan plus tajwid sekali tau. Check betul-betul.” Dia mendekatkan diri
“Baik, sayang.”
Suaranya mengambil alih ruang, bersulaman dengan bunyi penghawa dingin. Surah An-Nisa’ kedengaran menggetarkan gegendang telinga.
Aku menikmatinya. Dan rasa nikmat mendengar suara orang yang tercinta mengalunkan ayat-ayat Allah SWT itu membuatkan aku menutup mataku. Tidak menjadi masalah untuk memeriksa apa yang dibaca, memandangkan aku juga menghafalnya.
Sekali-sekala dia tersilap ayat, aku menegurnya. Adakala tajwidnya kurang tepat, aku membetulkannya.
Suasana ini, menyenangkan. Suasana ini, membahagiakan. Suasana ini, amat mengasyikkan.
Hinggalah dia menamatkan bacaannya. Aku membuka mataku semula. Memandang dia di hadapanku. Kalau bukan kerana aku tahu aku masih di dunia, aku sudah berkata bahawa aku sedang berada di dalam syurga.
“MasyaAllah,” Aku memuji Allah SWT. Apakah yang lebih indah dari yang aku sedang lalui ini?
“Banyak salahlah.” Dia bernada seperti kurang berpuas hati, sebelah tangan menggaru kepalanya yang aku yakin tidaklah gatal, sambil sebelah lagi mengambil semula mushafnya.
“Still good lah. Boleh baiki dari masa ke semasa, insyaAllah.”
“Takut awak bosan tasmi’ saya selalu. Banyak salah, mesti bosan.”
Aku menggeleng. “Mana ada. Mana boleh bosan? Hidup kat dunia sekejap sahaja, kalau saya bosan dengan awak, habislah.”
“Kenapa? Apa kaitan dengan duduk dekat dunia?” Wajahnya kehairanan.
“Yalah. Sebab saya nak awak duduk dengan saya di syurga. Syurga selama-lamanya. Kalau di dunia yang sementara lagi sekejap ini saya dah bosan dengan awak, macam mana saya nak hidup selama-lamanya dengan awak di syurga?”
Ketika itu juga tawa kecilnya pecah. Tawanya kedengaran tulus muncul dari hati yang teramat senang. Segera diangkat tangannya yang tidak memegang mushaf untuk menutup sebahagian mulutnya. Adab orang yang ketawa agar nampak sopan.
Dan aku amat senang melihat kesenangannya. Ya Allah, kekalkanlah yang ini.
“Untunglah saya dapat suami macam awak.” Tangannya yang menutup mulut itu bergerak menepuk bahuku.
Aku menundukkan kepala sambil terus tersenyum. Tak berkata apa-apa. Tetapi di dalam hati, aku berbicara sendiri: “Saya yang untung, dapat isteri macam awak.”
“Awak,”
Aku mengangkat kepala memandangnya semula. Senyuman kini menggantikan tawanya tadi.
“Terima kasih sebab sudi tasmi’ saya.” Lembut dia bersuara.
“Sama-sama kasih. Esok, awak tasmi’ saya pula ya?” Aku angkat kening sebelah, seakan menggesanya berjanji.
Dia tersenyum, mengangguk. “Promise.”
Senyumanku jadi tidak pudar. Puas hati. Dengan nikmat tidak terhingga yang Allah berikan ini.
Dia harus ada.
Semestinya.
******
Aku memandang skrin 43 inci desktopku yang melekat pada dinding. Pelbagai kertas kerja tersusun di atas meja. Jari jemari mengetuk irama yang tidak berseni. Sepenuh tumpuan kukerah. Minda kuperah.
Come on, come on. Di dalam hati aku menggesa biar idea berbuah.
Aku adalah seorang CEO. CEO kepada syarikatku sendiri. Syarikat Awan Keimanan Sdn Bhd. Walaupun usiaku baru sahaja menjejak 23 tahun, Syarikat Awan Keimanan Sdn Bhd telah menjadi antara syarikat yang terkenal di Malaysia.
Menjejak umur 18 tahun, aku memulakan satu projek penulisan di alam maya. Lama-kelamaan, penulisanku diikuti ramai. Hingga akhirnya, ada syarikat penerbitan yang singgah dan menawarkan aku menjadi penulis. Dari situ, lebih ramai orang mula mengenaliku.
Aku tidak menerima semua itu begitu sahaja. Aku yang sememangnya bercita-cita besar semenjak kecil, melihat bahawa itu adalah peluang yang Allah SWT supaya aku bergerak lebih jauh lagi dalam menyebar luas agamaNya. Maka terus aku merangka sebuah rancangan.
Aku terus merangka satu projek jangka panjang. Cita-citaku adalah, aku mahu mempunyai sebuah syarikat yang besar, yang menguruskan hal-hal konsultansi, memprodus majalah islami, novel-novel islami, buku-buku motivasi islami, komik-komik islami, sekaligus merekrut penulis-penulis dan pelukis-pelukis yang mempunyai syakhsiah serta kefahaman islami. Tidak cukup dengan itu, kurangka juga agar syarikat itu mampu mempunyai kumpulan nasyid sendiri. Dan untuk satu jangka masa yang lebih panjang, aku yang ketika itu baru berusia pertengahan 18 tahun telah merangka agar semua penulis dan pelukis, termasuk penasyid di bawah syarikat itu, akan mampu menjadi ikon masyarakat, sekaligus menjadi fasilitator dalam program-program motivasi yang dijalankan syarikat.
Aku masih ingat, sekumpulan besar manusia mentertawakan aku tatkala aku meluahkan idea ini. Semuanya berkata bahawa ini adalah mimpi. Tambahan, ketika itu usiaku belum pun memasuki 20-an. Belum lagi menggerakkan semua itu, aku sudah mula mendapat tohmahan seperti berlagak, ego, dan sebagainya kerana dikatakan lemas dalam populariti sendiri.
Aku tidak berputus asa. Tetap berusaha menjadikan semuanya realiti yang berjalan di atas dunia. Akhirnya, pada awal umurku 19 tahun, aku berjaya mengumpulkan sekumpulan manusia untuk bergerak bersamaku. Mereka ini kugelar ‘sahabat’. Bersama mereka, aku bergerak dengan lebih efisyen, proaktif.
Mengharungi semua itu dalam keadaan aku merentas perjalanan sebagai seorang pelajar di universiti bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Tambahan aku belajar di luar negara. Saat rakan-rakan sebayaku sibuk dengan pelbagai ‘kenakalan remaja’, aku korbankan semua itu untuk fokus pada projekku ini. Saat rakan-rakan sebayaku sibuk bercakaran isu persatuan pelajar di tempat belajarku, aku sibukkan diriku pada projekku ini. Saat rakan-rakan sebayaku rakus merantau negara-negara berdekatan tempat belajarku, aku menghabiskan cutiku menyusun atur semua projekku.
Ketika itulah dugaan demi dugaan tiba. Cabaran yang banyaknya tidak terbilang. Aku mula melihat wajah sebenar kehidupan yang hakikatnya tidak senang. Beberapa kali usahaku seakan berhadapan kegagalan. Belum dikira waktu-waktu aku dicemuh dengan pelbagai tohmahan. Ujian demi ujian. Masalah pula bukan di sekitar projekku semata-mata, bahkan di sekitar kehidupan pelajar luar negaraku jua. Ada masalah dengan ahli rumah, ada masalah untuk studi dengan baik, kadangkala ada masalah kesihatan, dan belum lagi dibilang pula masalah-masalah mengekalkan hubungan baik dengan Tuhan.
Aku menempuh semuanya sendirian.
Aku punya beberapa sahabat karib, tetapi mereka tidak mampu menjadi peringan kekal buat kehidupanku. Allah izin, mereka bukan rakan serumahku, dan bukan juga rakan seuniversitiku. Sahabat-sahabatku ini, hanya kadangkala sahaja mampu menziarahiku, meluang masa bersamaku. Saat bersama mereka, aku kuat. Semasa berjauhan daripada mereka, aku sedikit lemah.
Yalah, aku bukannya malaikat.
Dan pernah, saat ujian-ujian berat menimpa dan aku tidak tertahan dengannya, aku menangis sendirian. Derita itu tidak akan pernah kulupakan.
Tidak akan sesekali aku melupakan.
“Ya Allah, idea, idea.” Aku melekapkan dahi ke atas meja. Dahi menyentuh kertas kerja. Baru aku perasan aku telah jauh mengelamun. Teringat pula betapa terseksanya hidup pada saat itu semua.
Tiba-tiba aku terasa rambutku diramas. “Kuatnya dia kerja.” Dan suara lembut itu membuatkan aku mengangkat kepala semula, dan terus mendongak ke arah dia yang kini berada di sisiku. Senyumannya menghiasi tubir pandanganku.
………
*****************************************
Baca cerpen ini sepenuhnya di dalam Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.
Harga: RM25.00
Genre: Kumpulan Cerpen.
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, memuatkan 20 buah cerpen yang bertemakan cinta, namun tidak terpenjara dalam skop Cinta lelaki dan perempuan semata-mata. Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta membawa definisi baru berkenaan Cinta, untuk membebaskan masyarakat hari ini daripada takrif cinta yang salah. Menggunakan cerpen sebagai medium penyampaian, Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta bakal menggegarkan kehidupan anda dengan makna Cinta yang bersih, suci, dan membahagiakan.
———————————————–
WHERE TO BUY?
http://langitilahi.com/store
HOW TO BUY?
http://langitilahi.com/store/store-guide
VIDEO GUIDE:
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg
———————————————–
WHY SHOPPING ONLINE?
No closing times
No carrying heavy bags
No traffic & parking jams
No wasting petrol, toll & time
No over-crowded supermarkets & queues
———————————————–
Mari Menjadi Hamba!
May 11, 2013
Poster: It’s Coming
It’s Rajab already.
اللّهمّ بارك لنا في رجب و شعبان وبلّغنا رمضان
O Allah, bless us in Rajab and Sha’ban, and let us reach Ramadhan.
Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.
(HR Ahmad)
Amin.
Selamat mempersiap diri menuju Ramadan!
May 10, 2013
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta: Dia Memanggilku Untuk Aku MemanggilNya.
Kadangkala Tuhan memanggil kita,
Agar kita memanggilNya,
Agar kita tinggalkan selimut kelekaan,
Menuju ke medan perjuangan untuk membawa kemenangan.
Suasana hari ini damai. Tenang. Padang rumput yang luas, bersama kewujudan beberapa pokok hijau yang merimbun indah, menyempurnakan lagi keadaan di sini. Ketika ini, kelihatan di udara dua pasang burung terbang pulang ke sarang mereka, yang terdapat pada sebatang pokok. Bunyi kicauan pasangan burung itu, membuatkan seorang lelaki yang sedang berteduh di bawah pokok mengangkat wajahnya.
Rambutnya agak panjang, tetapi kemas. Wajahnya cerah, dan matanya bersinar. Berpakaian serba hitam, dengan tangan bersilang di dada bersama kaki yang melunjur di atas hamparan rumput. Perlahan-lahan kepalanya menunduk semula, hingga separuh wajahnya hampir tertutup dengan kolar jaketnya yang agak tinggi.
“Haaah.” Dia memejamkan mata.
Mungkin kicauan burung tadi menganggu rehatnya.
“Tuanku! Tuanku!”
Dan jeritan itu mengundang kerut dahinya. Perlahan-lahan matanya dibuka. Haa….
Seorang lelaki berpakaian tentera lengkap dengan selaras senjata di pinggang sedang berlari mendapatkannya. Sebaik sahaja tentera itu tiba di hadapannya, tentera itu membongkok dan menongkat tubuh dengan kedua-dua tangannya di lutut. Dapat dilihat dada lelaki itu turun naik. Termengah-mengah berusaha mengatur semula pernafasannya.
Dia kenal tentera itu. Tentera itu adalah antara tentera yang rapat dengannya. Satu-satunya manusia yang tahu akan di mana dia senang menyembunyikan dirinya.
Dia perlahan-lahan bangun. Tanpa menunggu tentera itu bersuara, dia terus bergerak meninggalkan pokok tersebut. Tentera yang sedang mengambil nafas untuk berbicara, menoleh ke arah lelaki yang dipanggil Tuanku itu.
“Tuanku? Apa yang tuanku lakukan di sini? Tentera musuh semakin menghampiri. Kami perlukan tuanku! Mengapa tuanku berlari menyembunyikan diri?”
Langkahannya terhenti membelakangkan tentera itu.
“Bukankah ayahandaku ada? Bukankah kekandaku ada?” Dia bersuara. Dingin. Tanpa berpaling.
“Tuanku, tetapi tuanku punya kelebihan pemberian Tuhan. Mengapa mesti melarikan diri ketika kami memerlukan?”
“Aku lemah, aku banyak kecacatan. Aku tidak mampu memimpin kalian. Kau juga tahu, bagaimana keadaanku.” Lelaki itu kembali melangkah. Jarak antaranya dan pokok tersebut semakin bertambah.
“Ayahanda dan kekanda lebih baik.”
“Tetapi mereka telah tewas dalam menghalang Tentera Utopia menghampiri Regalia! Jika tidak, saya tidak akan berada di sini memanggil tuanku. Tuanku, tentera Utopia sudah semakin hampir dengan kita!”
Dia kekal melangkah. Dua tangannya masuk ke dalam poket seluar.
“Pergi, aku bukanlah orang yang layak menerima tanggungjawab ini. Beritahu Ayahdanda dan kekanda, jangan berputus asa.” Dan dia semakin jauh.
“Tuanku Narsil! Maka bukankah tuanku adalah seorang yang berputus asa?!” Tentera itu melaung, seraya lelaki tersebut menjauh.
Lelaki itu melepaskan keluhan. Tangan kanan keluar daripada saku, diangkat, dan melambai tanpa memandang ke belakang.
“Namaku adalah Rafayel.”
Tentera itu terjelepuk.
Kecewa.
Nyata, Raja Muda Narsil belum pulih daripada trauma hari lamanya.
Yang menyebabkan dia berpaling, memilih untuk duduk berdiam diri sahaja.
*****
Dia dikurniakan adalah seorang yang teramat genius. Juga seorang yang mempunyai rupa. Tidak cukup dengan itu, dia adalah seorang yang hebat seni tempurnya. Mempunyai darah yang istimewa. Daripada keturunan Anar dan Isil, dia adalah satu-satunya yang terpilih daripada keluarganya mewarisi satu kuasa lagenda yang istimewa.
Kuasa lagenda yang diwarisinya itu memampukannya mengeluarkan seribu senjata daripada dimensi yang tidak mampu ditembusi manusia. Senjata-senjata itu selain mampu digunakan olehnya untuk menyerang, juga mampu menjadi perisai buat dirinya. Dengan darah yang diwarisinya itu juga, dia mempunyai kuasa telekinesis bagi menggerak dan mengawal semua senjatanya tersebut tanpa sentuhan. Kuasa lagenda ini, membuatkan dirinya hampir sahaja kebal dari segala serangan.
Lantaran itu, dia mendapat gelaran Narsil. Gelaran istimewa yang dikurniakan pada setiap penerima kuasa lagenda tersebut dalam keturunan Anar dan Isil. Datang daripada nar yang bermaksud api, dan thil yang bermaksud cahaya putih, dia adalah apa yang dikatakan sebagai harapan masa hadapan buat kerajaannya. Hinggakan nama sebenarnya, Rafayel, jarang disebut dalam kehidupannya.
Keistimewaannya yang disedari seawal usia 5 tahun, membuatkan dia terus dididik dengan ketat oleh Ayahandanya, Raja Regulus. Guru-gurunya juga terdiri dari kalangan wazir-wazir diRaja yang berpengalaman, mendidiknya dengan tegas dan keras. Hasilnya, dia membesar menjadi seorang yang sangat matang melangkaui umurnya yang sebenar.
Pada umur 15 tahun, dia sudah menjadi antara Panglima Kerajaan Regalia. Pada usia 18 tahun, dia menjadi Ketua Panglima Kerajaan Regalia. Dia dikenali hampir di seluruh pelusuk dunia, sebagai manusia yang terhebat di dunia. Dia disegani kawan, dia digeruni lawan, pada usia yang dikatakan masih hijau.
Namun kehidupannya yang serba istimewa itu sunyi. Dia membesar tanpa sahabat yang benar-benar mampu menjadi sahabatnya. Segala masalah yang wujud di dalam kehidupannya, semuanya adalah masalah yang kompleks menyebabkan dia tidak punya tempat untuk mengadu. Segala idea dan idamannya, semua adalah dari kalangan yang amat abstrak, bombastik dan sukar diterima akal biasa, maka dia tidak punya rakan untuk berkongsi cita. Dia akhirnya menjadi manusia yang tidak difahami sesiapa.
Perjalanan cintanya juga tidak berapa lancar. Mempunyai hubungan dengan wanita dari golongan kebiasaan, ditambah pula dirinya yang lebih tua daripada usia, menyebabkan mereka sukar mendapat kesefahaman yang sama. Hingga kini, perkahwinannya belum berlangsung jua kerana masalah yang wujud di antara mereka.
Dan keperibadian yang besar, yang cuba ditanam secara paksa oleh manusia-manusia di sekelilingnya, ditambah pula dia tidak melalui masa kecil yang normal seperti kebiasaan manusia lainnya, membuatkan dia mempunyai peribadi yang kasar, teramat tegas, dan amat sukar memikirkan sesiapa. Justeru apabila arahannya tidak dipenuhi, atau dilaksanakan sambil lewa, atau dijalankan dengan lambat, dia akan meradang kemarahan. Dia seakan-akan hampir sahaja tidak boleh menerima kelemahan. Dia seakan-akan hanya mahukan kesempurnaan.
Lama kelamaan, dia disisihkan. Ditambah pula, kerajaan dalam keadaan yang aman. Kelebihannya seakan tidak memberikan apa-apa makna. Apatah lagi dengan peribadinya yang telah terbentuk sebegitu rupa, membuatkan dia kelihatan seperti hanya menambah kesukaran. Dia akhirnya dibenci rakyat, dilontar pelbagai tohmahan, dan hasil kebencian itu dia diselubungi pelbagai fitnah dan dugaan.
Dia yang akhirnya tersedar akan kekurangan dirinya, betapa rosaknya dirinya telah dibina, dan betapa dia memahami bahawa rakyat patut mempunyai pemimpin yang lebih baik daripada dirinya, serta sedar bahawa perempuan yang dicintai itu lebih senang jika dia adalah rakyat biasa, dia turun daripada kekuasaannya. Kakandanya, Ragnar, mengambil alih tempatnya.
Namun keadaan tidak berubah untuknya.
Dia tetap tidak disenangi. Apatah lagi dia tidak boleh merubah peribadinya dalam waktu yang singkat. Dia yang telah dibina sedari kecil sebegitu rupa, dia yang telah mempunyai akal dan pemikiran jauh melebihi usianya, tidak mampu menghilangkan semua itu. Dia mungkin boleh menghilangkan segala kemegahan kepunyaannya, tetapi ‘kemegahan-kemegahan dalaman’ yang telah menjadi darah dagingnya nyata bukanlah sesuatu yang boleh dibuang begitu sahaja.
Akhirnya dia memilih untuk memasung dirinya ke satu alam yang sunyi.
Langsung tidak memperdulikan apa-apa.
Dia lari jauh daripada manusia. Jauh daripada perempuan yang dicintainya. Jauh daripada keluarganya. Jauh daripada kerajaannya. Jauh daripada kuasanya. Jauh daripada segala tanggungjawabnya.
Dia tidak mahu memberikan masalah kepada sesiapa. Dia tidak mahu melukakan sesiapa. Dia tidak mahu membuatkan sesiapa menderita.
Dia takut akan dirinya.
Hingga dia pernah merajuk kepada Allah yang menciptanya sedemikian rupa. Sekiranya dia tidak punya keistimewaan, dia tidak akan dibesarkan demikian. Sekiranya dia tidak dibesarkan demikian, dia tidak akan mempunyai peribadi yang menyebabkan dia tidak disenangi ramai. Jika dia tidak mempunyai peribadi yang tidak disenangi ramai, pastinya sekarang dia akan bahagia, sebagaimana orang kebiasaan.
Rajuknya itu hingga membuatkan dia meninggalkan banyak perintah Allah. Hingga membuatkan dia pernah menyentuh apa yang dilarang oleh Allah. Dia merasakan, itu semua akan menjadikannya manusia biasa.
Namun sampai satu tahap, dia sedar itu juga tidak akan merubah apa-apa dalam kehidupannya. Hanya menambah keserabutan jiwanya.
Menyedari segala kekurangannya, menyedari segala kecacatannya, menyedari segala kelemahannya, menyebabkan dia merasakan lebih tidak pantas memegang apa-apa pun tanggungjawab.
Mustahil pemimpin yang rosak sepertinya, mampu membawa masyarakat ke arah kemenangan. Sejarah telah membuktikan bahawa, yang membawa kemenangan kepada ummat hanyalah orang-orang yang bersih hatinya. Seperti Rasulullah SAW, seperti Abu Bakr RA, seperti Umar RA, seperti Ali RA, seperti Sa’ad bin Abi Waqqas RA, seperti Khalid Al-Walid RA, seperti Qa’Qa’, seperti Muhammad Al-Fateh, seperti Salahuddin Al-Ayubi.
Kalau di eranya kini, adalah seperti Angkasa Sakti, seperti Aizan Fahmi, seperti Mughirah Syu’bah, seperti Arnav Satyankar dan mereka yang berjaya menumbangkan kekuasaan Sang Asura suatu ketika dahulu.
Dan manusia seperti mereka itu, yang wujud pada zaman ini, adalah kakandanya, Ragnar. Seorang yang soleh. Seorang yang sabar. Seorang yang bertolak ansur. Seorang yang disenangi ramai. Seorang yang lemah lembut. Ragnar yang membesar secara normal itu, lebih sempurna walaupun tidak mempunyai darah yang istimewa sepertinya. Sempurna sebagai manusia biasa, yang disenangi semua.
Maka bukanlah dia yang sepatutnya dipanggil untuk menyelamatkan rakyatnya.
Bukan dia.
Dia adalah yang berdosa kepada manusia, dan yang melarikan diri daripada Tuhannya.
Narsil Rafayel terus berjalan ditemani monolog diri. Kenangan-kenangan lampau datang menerjah ke dalam hati. Dia bersembunyi di bawah kain yang menyelimuti seluruh tubuhnya hingga ke kepala. Kain lebihan yang menjadi seakan kerudung penutup kepala itu, melindungi dirinya dari dikenali di tengah kekalutan Kerajaan Regalia. Dia dapat melihat kiri dan kanannya, rakyat bergerak kelam kabut berlari ke sana ke mari. Musuh sudah teramat hampir, dan bilangan mereka teramat banyak sekali.
Kerajaan Regalia dijangka tewas.
Narsil Rafayel mengeluh.
Ditutup matanya sebentar. Menggeleng.
Bukan aku. Bukan aku.
Dan dia terus berjalan, merentas kota, mencari tempat bagi merehatkan jiwanya.
******
Di atas bumbung Masjid Utama Kerajaan Regalia, dia duduk bersila. Menikmati rembulan indah penghias malam.
Dia tidak dapat mencari tempat yang lebih tenang lagi melainkan tempat ini.
Hatinya semakin kacau dan kacau. Dia tidak tahu apakah maknanya. Risau?
Haaaa… Nafas dihela.
Ke rembulan purnama dia memandang.
Sampai ke telinganya berita bahawa tentera musuh sudah membuat perkhemahan di luar benteng Kerajaan Regalia. Dia tidak perlu melihat barisan tentera musuh untuk memastikan kekuatan mereka. Dia amat kenal Kerajaan Utopia warisan Sang Asura yang tumbang seratus tahun yang lampau. Kini Kerajaan itu kembali bangkit dengan kekuatan yang tidak terduga dalam jangka masa dua-tiga tahun ini. Pergerakan yang awal-awalnya berjalan secara senyap-senyap, secara licik berjaya merapuhkan beberapa kerajaan utama dalam kekuasaan Kerajaan Bersatu Tanah Suci. Dua-tiga tahun yang lalu, mereka menubuhkan Kerajaan Utopia secara rasminya, dan kini adalah giliran Kerajaan Regalia untuk ditumbangkan, bagi melemahkan Kerajaan Bersatu Tanah Suci.
Semasa menjadi Ketua Panglima, dia pernah menyarankan agar perhatian yang lebih keras diberikan terhadap pergerakan tersebut. Namun dia dianggap radikal, muda dan berdarah panas. Maka saranannya tidak diperhatikan. Kini, hampir semua jangkaannya menjadi dengan tepat.
Apakah aku perlu benar-benar turun, Ya Rabb?
Adakah Kau benar-benar sedang memanggil aku?
HambaMu yang berlari daripadaMu ini?
Tup, tup, tup.
Bunyi yang teramat-amat lemah itu kedengaran. Malam yang teramat sunyi membuatkan telinganya yang sudah terlatih itu lebih efektif. Gegendangnya bergetar menangkap gerakan tersebut. Namun dia kekal membantu diri seakan tidak menyedari.
Dia memejamkan mata. Dalam kegelapan ciptaannya, dia seakan-akan dapat merasai haluan angin yang terganggu dengan pergerakan-pergerakan di sekelilingnya. Ada satu, dua, tiga, empat… lima belas orang, sedang berusaha mengelilinginya dengan berhati-hati.
Dan beberapa ketika kemudian, dia dapat merasakan haluan angin di sekitarnya terganggu dengan lebih dasyat. Semua penyerangnya itu sedang mara dengan kelajuan yang tinggi untuk menyerang.
Matanya terbuka.
Ketika itu juga muncul tiga puluh bilah pedang melindungi sekeliling dirinya. Menahan kesemua senjata musuh yang tadinya ditujah untuk menembusi tubuhnya.
“Raja Muda Narsil, ternyata rupanya yang sedang bersila di atas bumbung ini adalah kamu.” Salah seorang musuhnya bersuara. Gaya bicara seperti ketua kepada kumpulan tentera ini.
Dia masih dalam silaannya. Memandang kepada musuhnya yang berbicara. Bantuan daripada sinaran purnama, dia dapat melihat lambang pada perisai tentera tersebut.
“Tentera Elit Utopia. Berani sungguh menyelinap masuk ke dalam Regalia.”
“Tidak sangka, kami diberikan peluang untuk menumbangkan kamu. Sedangkan tugas kami pada malam ini hakikatnya hanyalah untuk mensabotaj tentera Regalia.” Tentera itu membalas berani.
“Narsil Rafayel, kamu akan mati malam ini.”
Terus kesemua musuhnya itu menjarakkan diri, bersedia untuk melakukan serangan kali kedua. Jika tadi mereka hanya berpedang dan bertombak, kini sudah ada yang mula mengambil senjata yang boleh melancar tembak.
“Oh, kamu juga sudah berjaya menghasilkan rifle ya?” Dia perlahan-lahan bangun. Rifle adalah satu senjata yang wujud ribuan tahun yang lampau. Tinggal peredaran masa, dan kekurangan bahan telah menghentikan penggunaannya di dalam zaman. Kini, menggunakan teknologi baru di zaman ini, senjata itu telah berjaya dicipta semula oleh Kerajaan Bersatu Tanah Suci.
“Dan kami amat yakin, rifle kami akan menumpaskan rifle ciptaan Kerajaan Bersatu Tanah Suci.” Tentera Utopia itu yakin.
“Serang!” Ketua musuh memberikan arahan. Yang memegang rifle menembak. Yang kekal berpedang dan bertombak mula bergerak menyerang.
Tiga puluh bilah pedang yang terapung di sekeliling Narsil mula berputar menjadi pertahannya yang solid, menangkis semua tembakan, hingga tiada satu peluru pun yang mampu melepasi dan mengenai tubuhnya.
“Kamu hanya menjemput kematian kamu pada malam ini!” Narsil mengorak langkah. Tiga puluh pedang tadi lenyap sebentar. Dan salah satunya digenggam erat oleh Narsil. Dia menerjah ke arah musuhnya yang terhampir.
Musuhnya itu melibas pedang untuk mencantas kepalanya, namun dia segera menunduk dan bergerak pantas menikam tubuh musuhnya. Pedangnya itu menembusi tubuh tersebut. Ketika ini, seorang lagi tentera Utopia sedang melayang ke arahnya bersama tombak. Narsil melepaskan pedangnya tadi, dan sebilah pedang yang lain muncul di tengah udara, dia terus menggenggam pedang itu dan mengesampingkan serangan musuhnya. Mata tombak membenam ke bumbung masjid. Tanpa memberikan masa walau sesaat, Narsil terus mengangkat pedangnya memisahkan kepala musuhnya itu dari tubuh.
Ketika ini, sepuluh Tentera Elit Utopia yang menggunakan rifle menembak.
Namun tembakan mereka tetap tidak mengenai Narsil. Pedang-pedang yang terapung muncul sekali lagi melindunginya secara automatik. Narsil terus mara ke arah para penembak. Namun langkahannya dihalang oleh tiga lagi penyerang. Dua daripadanya melibas pedang mereka, namun dihentikan oleh pedang-pedang yang muncul terapung melindungi Narsil.
Pada saat ini, seorang lagi yang bertombak segera menujah senjatanya melalui ruang antara kedua wajah temannya. Tombak itu meluncur, melepasi pedang yang melindungi Narsil, dan menuju ke wajahnya. Tetapi Narsil telah tiada dan tombak itu hanya menjamah udara. Narsil sedang menunduk, dan kedua belah tangannya menujah ke hadapan menyentuh perut dua musuhnya yang berpedang. Sebaik sahaja tangannya menyentuh zirah mereka berdua, dua bilah pedang muncul pada kedua-dua tangannya, menembusi tubuh musuh-musuhnya.
Darah tersembur ke udara. Dan belum sempat darah itu jatuh ke bawah, Narsil sudah memutarkan tubuhnya 360 darjah. Selepas pergerakan tersebut, tubuh Tentera Elit Utopia yang menyerangnya dengan tombak tadi terus terpisah daripada pinggang. Narsil mendarat dengan sebatang tombak wujud dalam pegangannya.
Darah membasahi bumbung masjid.
Sepuluh lagi menyambung tembakan. Kini mereka bergerak mengepung Narsil, dan berusaha menyerangnya dari pelbagai arah. Narsil sekadar mengikuti pergerakan mereka dengan anak mata, tanpa berganjak selangkah. Tombak di dalam pegangannya menghilang. Dan satu tembakan pun tidak mampu menembusinya hingga sekarang. Pedang-pedang yang terapung di sekelilingnya berputar melindungi.
“Mustahil pertahanan kau ini sempurna!” Ketua Tentera Elit Utopia menjerit.
“Ya, mustahil sempurna. Yang sempurna itu hanyalah Allah. Tinggal…” Narsil memandang ke arah ketua itu. Tangan kanannya diangkat dengan telapak yang terbuka. Sebilah pedang muncul dalam pegangannya.
“…Kau tidak akan menjumpai kecacatannya malam ini.” Dia terus melemparkan pedangnya ke arah ketua tersebut. Namun ketua itu berjaya mengelak. Pedang tersebut terpacak pada bumbung Masjid.
Ketua tentera tersebut memandang sekilas ke arah pedang yang terpacak di sisinya itu. “Bodoh, apakah kau menyangka aku tidak akan…” Dan apabila dia memandang semula ke hadapan, Narsil sudah tiada di tempatnya tadi.
“Mampu mengelak?” Kini suara Narsil muncul di telinganya.
Namun sudah terlewat untuk dia bereaksi. Darah telah tersembur keluar dariapda mulutnya. Tubuhnya telah ditembusi pedang. Dia sempat melihat sebelah lagi tangan Narsil memegang hulu pedang yang terpacak.
“Teleportasi?”
“Tiada dalam penyiasatan kamu?” Narsil tersengih. Ketua musuhnya itu tumbang menyembah bumbung masjid. Antara kelebihan kuasanya adalah, dia boleh muncul di tempat senjatanya wujud.
“Aaargh!” Salah seorang dari sembilan yang tinggal menjerit. Dia menarik satu senjata yang sedari tadi tersandang di belakang bahunya. Senjata tersebut berbeza daripada rifle. Seperti ada ‘buah’ yang berbentuk tirus di hadapannya, dan bentuk tubuh senjata itu lebih mendekati silinder.
“Apakah itu?” Narsil tidak pernah melihatnya.
“Matilah!” Picu senjata itu ditarik. ‘Buah’ berbentuk tirus yang merupakan hadapan senjata tadi berpisah daripada tubuh senjata tersebut.
Satu letupan besar berlaku di atas bumbung masjid. Asap berkepul-kepul terhasil. Tubuh Narsil hilang daripada pandangan.
“Apakah kita telah berjaya?” Tentera yang melancarkan senjata aneh tadi bersuara.
Lapan yang lain tidak menjawab. Masing-masing teragak-agak untuk memeriksa. Mereka tidak akan dapat memastikannya, melainkan asap yang terhasil daripada letupan tadi menghilang pergi.
“Ternyata senjata bazooka ini, walaupun sekecil ini mampu menghasilkan kerosakan yang sebegini rupa ya?” Salah seorang daripada mereka bersuara. Mungkin ini baru pertama kali mereka mencubanya.
“Kita pasti menang dalam peperangan esok hari. Kita punya yang lebih besar bersama kita.” Seorang lagi mula bernada gembira.
“Haha.” Yang lain tertawa. Mereka hampir yakin bahawa Narsil telah terbunuh. Selangkah demi selangkah mereka mendekati asap yang berkepul-kepul.
Tiba-tiba deruan angin yang kuat terhasil. Asap yang berkepul tercantas. Pedang-pedang terapung yang setia melindungi Narsil berputar laju. Ibarat wujud kipas yang kuat, asap tebal terhembus hilang. Dan Narsil gagah berdiri di tengah-tengah lindungan pedang-pedang. Bumbung masjid tempat dia berdiri tadi berlubang. Senjata tadi menghasilkan letupan yang menghancurkan tempat dia berdiri. Namun dia tidak jatuh, bahkan kekal berdiri kerana kewujudan sebilang pedang-pedang yang menjadi lantai buatnya….
*****************************************
Baca cerpen ini sepenuhnya di dalam Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.
Harga: RM25.00
Genre: Kumpulan Cerpen.
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, memuatkan 20 buah cerpen yang bertemakan cinta, namun tidak terpenjara dalam skop Cinta lelaki dan perempuan semata-mata. Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta membawa definisi baru berkenaan Cinta, untuk membebaskan masyarakat hari ini daripada takrif cinta yang salah. Menggunakan cerpen sebagai medium penyampaian, Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta bakal menggegarkan kehidupan anda dengan makna Cinta yang bersih, suci, dan membahagiakan.
———————————————–
WHERE TO BUY?
http://langitilahi.com/store
HOW TO BUY?
http://langitilahi.com/store/store-guide
VIDEO GUIDE:
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg
———————————————–
WHY SHOPPING ONLINE?
No closing times
No carrying heavy bags
No traffic & parking jams
No wasting petrol, toll & time
No over-crowded supermarkets & queues
———————————————–
Mari Menjadi Hamba!
May 9, 2013
Poster: Ta’aruf
“O mankind, indeed We have created you from male and female and made you peoples and tribes that you may know one another. Indeed, the most noble of you in the sight of Allah is the most righteous of you. Indeed, Allah is Knowing and Acquainted.”
(Al-Hujurāt, 49 : 13)
“And of His signs is the creation of the heavens and the earth and the diversity of your languages and your colors. Indeed in that are signs for those of knowledge.”
(Ar-Rūm, 30 : 22)
May 8, 2013
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta: Cinta Murabbi
Murabbi. Cintanya bukan dengan hanya memuja muji,
Tetapi kadangkala dengan sedikit kekerasan dan cabaran,
Agar anak didiknya tidak lembik dalam kemanjaan,
Tetapi mampu menongkah lebih jauh sekadar dari alam persekolahan.
Aku memandang jari-jemariku. Kuku merah jambu cerah kuperhatikan. Ibu jari bermain sebentar dengan empat lagi temannya yang lain. Kemudian kulandaskan semuanya ke lantai musolla. Keluhan berat terlepas.
Nombor 27 daripada 30 orang ahli Kelas Tingkatan Tiga Asy-Syafi’e.
“Tahniah Hanafi. Tahniah. Kau baru sahaja berjaya menobatkan diri sebagai tiga tercorot di dalam kelas.” Aku memerli diri sendiri. Mengeluh lagi.
Kemudian aku menelentangkan diri. Memandang bumbung musolla usang.
Pelbagai rasa datang menjengah.
Sedangkan pada peperiksaan akhir Tingkatan Dua, aku mendapat tempat pertama. Seakan-akan terasa ironinya apabila aku naik mengambil hadiah nombor satu tingkatan dua, tatkala keputusan peperiksaan pertengahan tahunku , aku adalah tiga tercorot. Majlis penyampaian hadiah tahun ini seakan persembahan lawak pula rasanya.
Apa dah jadi dengan diri aku ni?
Aku melepaskan keluhan lagi. Nafas lemah keluar dari rongga. Tutup mata. Gelap. Malas memikirkan semuanya.
Dan bunyi telapak kaki memijak lantai kayu Musolla mula membingitkan suasana.
Pelajar-pelajar tamat kelas dan mula bersedia untuk Solat Zuhur.
Pejam mata. Malas nak bercakap dengan sesiapa.
Sebelum waktu Zuhur masuk, aku ingin tidur tak mempedulikan apa-apa.
******
“Hanafi.” Satu suara memanggil.
Aku yang sedang mengikat tali kasut, mengangkat kepala.
Sir Yahya Ismail. Guru baru di sekolahku ini. Juga merangkap Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar. Antara guru yang tajam memerhatikan gerak-geriku kebelakangan ini.
“Bagaimana keadaan enta sekarang? Mendaki ataupun menurun?” Kedengaran agak sinis. Tambah dengan pincingan matanya yang diiringi sengihan itu, sepeti sembilu yang mencucuk jiwaku.
Aku menundukkan kepalaku semula. Menyempurnakan ikatan tali kasutku.
“Tak tahulah Sir. Ana tak tahu.” Endah tak endah aku menjawab.
Siap. Aku bangun. Tetapi aku tidak jadi melangkah. Rupanya Sir Yahya masih kekal berdiri di hadapanku.
Mata kami bertemu.
“Enta kena usaha lagi kuat. Jangan malas-malas. Sekarang sudah bukan masanya untuk enta bermain-main lagi. Fokus belajar!” Dan kemudian Sir Yahya berlalu pergi.
Aku menghantarnya dengan pandangan.
Mengeluh.
Aku sebenarnya agak tertekan dengan suasana ini. Menggeleng. Aku menyeluk dua tanganku ke dalam saku seluar, dan membuka langkah untuk ke kantin. Selera makan tengahariku hilang apabila disapa Sir Yahya.
“Di sini, bersama dengan kita ada pelajar yang pada tahun lepas mendapat tempat pertama di dalam kelasnya. Tetapi pada peperiksaan pertengahan tahun, dia mendapat tempat ketiga tercorot di dalam kelasnya. Orangnya selama ini aktif. Syarahan, sukan, pengawas, ketua asrama, semuanya dia ceburi. Tetapi malang, prestasinya dalam pembelajaran merosot.”
Suara Sir Yahya di atas musolla semasa perhimpunan calon-calon peperiksaan PMR dan SPM tergiang.
“Maka di sini Sir ingin mencabar pelajar itu, untuk naik semula. Menjadi seorang yang cemerlang. Sekiranya cabaran Sir ini tidak disahut, Sir akan mengecapnya sebagai seorang yang bacul!”
Dan seluruh isi musolla ketika itu tertawa, sambil rata-rata memandang kepadaku.
Aku ketika itu hanya mampu menundukkan wajah, dan mengetap bibir.
Mataku bergenang.
Tertekan.
******
“Kenapa muka muram ni Hanafi? Selalu enta ceria sahaja.”
Aku yang berbaring kepenatan di atas gelanggang bola tampar memandang tuan punya suara yang bertanya. Ustaz Mahadzir merapati. Duduk di sebelah pembaringanku.
“Tension.”
Ustaz Mahadzir tertawa. “Ini mesti sebab baru-baru ni dapat tiga tercorot kan?”
Aku sekadar mengangkat keningku dua kali tanda ya. “Orang bagi pressure banyak la pada ana. Ana tension. Lagi-lagi Sir Yahya. Ana rasa macam kena himpit. Hari-hari dia tanya.”
“Sebenarnya, Sir Yahya pun ada minta ana agar tak benarkan enta ikut latihan Bola Tampar lagi.”
“Ya?” Aku bangun bersila. “Kenapa Sir Yahya tu macam tak suka dengan ana? Guru-guru lain pun ada yang sinis dengan ana. Kalau bercakap tu, macam perli sahaja semuanya.”
“Hish. Mana ada. Bersangka baiklah. Semua ingin yang terbaik daripada enta. Semua yakin enta boleh berikan yang terbaik.”
“Ana dah usaha dah ustaz. Mungkin inilah ana. Memang belajarnya tak excellent. Nak buat macam mana lagi?” Aku meluahkan perasaan. Membongkokkan tubuh memandang lantai gelanggang.
“Hanafi, kadang-kadang itu kita perlukan orang lain untuk sedarkan kita potensi kita. Ana sendiri rasa enta ada kekuatan untuk buat yang lebih baik.”
“Habis, ustaz rasa ana patut berhenti main bola tampar?”
“Terpulang. Sebenarnya Hanafi, masalahnya adalah bagaimana enta bahagikan masa dan disiplinkan diri. Sukan, tugas sebagai pengawas, tugasan di asrama, dan belajar. Kena pandai bagi prioriti. Banyak kerja yang boleh dibahagi-bahagikan dengan kawan-kawan lain. Bukan semuanya kita kena buat sendiri. Barulah efisyen dan proaktif. Dan tak membebankan diri.”
Aku tersenyum. “Ustaz memang terbaiklah.”
“Sir Yahya terbaik juga. Guru-guru lain semuanya terbaik. Enta sahaja yang tak tahu.” Ustaz Mahadzir memberikan senyuman balas sambil menepuk-nepuk belakang tubuhku.
******
Aku bukanlah pelajar pandai. Tetapi aku lebih merasakan diriku bernasib baik. Aku tak pernah rasa aku layak untuk mendapat 5A semasa UPSR. Aku juga tak pernah terfikir aku akan berjaya mendapat no 3 semasa tingkatan satu. Apatah lagi mendapat nombor 1 semasa tingkatan dua.
Aku bukan seperti sahabat-sahabatku yang lain, yang sanggup bersengkang mata menghadap buku. Kalau bersengkang mata bersembang itu aku sangguplah. Tetapi hendak memandang barisan kata, urusan tatabahasa, formula-formula, memang bukan Hanafi la jawabnya.
Dan apabila guruku membosankan, aku tidur di dalam kelas. Aku cepat bosan dengan perkara yang statik. Juga cepat hilang minat dengan penyampaian yang tidak menarik. Aku sukakan perkara yang bergerak dan memberikan kepuasan. Sebab itu aku suka aktiviti Kokurikulum berbanding kurikulum.
Tetapi sekarang, aku ditekan untuk mendapat keputusan yang cemerlang.
Oh ya, satu lagi aku lupa, aku tak suka dipaksa. Aku suka buat apa yang aku suka. Justeru, bertambahlah tekanan dalam diriku apabila jatuh dalam suasana begini.
Ustaz Sya’ari, guru yang menguruskan kawad kaki memanggilku pada satu hari.
“Hanafi, ada satu benda sikit nak minta bantuan enta ni.”
“Apa dia?”
“Enta kena dapat 9A masa PMR nanti.”
“Oh.” Aku mula rasa kurang enak. Ustaz Sya’ari pun nak main bagi tekanan juga?
“Ana serius ni. Sebab guru-guru akan buat keputusan berdasarkan keputusan peperiksaan enta nanti.”
“Ha? Keputusan apa yang diorang nak buat?”
“Melarang sepenuhnya penyertaan pelajar-pelajar tingkatan tiga dan tingkatan lima dalam apa sahaja aktiviti Kokurikulum Sekolah.”
Baru sahaja seperti termotivasi dengan bicara Ustaz Mahadzir tempoh hari, selepas mendapat berita itu aku terasa seperi dihempap gunung.
Ya Allah, kenapa aku mesti ada di tengah-tengah masalah ini?
“Habis Ustaz, ana perlu buat apa?”
“Enta kena fikirlah.”
Tahniah. Bagilah cadangan.
Sekarang bagaimana?
******
PMR semakin hampir. Aku semakin tersepit. Bulan depan sudah Peperiksaan Percubaan.
Aku masih rasa aku sama seperti dahulu. Sebab sepanjang latihan-latihan yang diberikan oleh guru-guruku, markahku masih menunjukkan kecorotan yang melampau.
“Hanafi, enta ni macam mana sebenarnya?” Cikgu Rogayah bersuara apabila memberikan kertas latihan Sains yang terbaru kepadaku. Pada kertas tersebut terpampang markah. Rendah.
“Benda-benda yang senang pun enta tak boleh jawab.”
“Dah ana tak tahu Cikgu.” Aku menggaru kepala yang tidak gatal, sambil sebelah lagi menyambut kertas yang diberi.
Cikgu Rogayah menggeleng kepala. “Kita sekarang ni latih tubi sahaja Hanafi. Silibus pelajaran dah habis. Dan mustahil Cikgu nak luangkan masa dengan enta seorang, sebab ada lagi 200 pelajar tingkatan tiga yang perlukan Cikgu. Enta kena fikirkan macam mana nak catch up balik perkara-perkara yang enta dah terlepas ni. Kalau beginilah enta, jangan kata A, C pun mungkin payah.”
Ouch. Satu kata-kata yang amat tidak memotivasikan di situ wahai Cikgu Rogayah. Aku menggeleng.
“Jangan hancurkan harapan orang-orang yang percaya kepada enta Hanafi.”
“Eh?” Kata-kata Cikgu Rogayah itu membuatkan aku menatap wajahnya semula.
“Guru-guru bermesyuarat. Antara isu yang naik adalah hal enta. Ada guru cadang untuk biar enta letak jawatan pengawas. Juga tak perlu lagi urus asrama. Ada yang cadang enta tak patut masuk Pertandingan Bola Tampar peringkat Negeri yang akan berlangsung lepas Peperiksaan Percubaan ini. Macam-macam.”
“Jadi, keputusannya?”
“Ummi Halimaton tak benarkan. Ummi Halimaton kata, dia percaya enta mampu berikan yang terbaik.”
Dan bicara Cikgu Rogayah itu merenjat jiwaku.
Ummi Halimaton….
******
“Assalamu’alaikum. Apa khabar Ummi?” Aku melangkah masuk ke pejabat Ummi Halimaton.
Namanya Halimaton binti Hussein. Tetapi seluruh warga sekolah ini memanggilnya dengan gelaran ‘Ummi’. Mungkin kerana dia adalah isteri kepada Mudir. Aku sendiri tidak pasti mengapa orang memanggilnya Ummi. Namun dia memang seperti Ummiku sendiri.
“Waalaikumussalam. Hanafi, masuk-masuk. Mari duduk.” Ummi menyambutku dengan wajah ceria. Seperti biasa.
Hubungan aku dengan Ummi amat erat. Berbanding pelajar-pelajar lain terhadap Ummi. Aku diibaratkan sebagai anak emasnya di sekolah ini. Mungkin kerana aku adalah wakil sekolah untuk Pertandingan Syarahan. Aku mula rapat dengan Ummi pun kerana Ummi banyak melatihku dalam hal itu.
Sampai ada satu kata-kata yang pernah disebut oleh guru-guru lain:
“Kalau Ummi tu ada anak perempuan lagi Hanafi, kamu mesti dah jadi menantu dia.”
Kata-kata itu lebih bernada perli kepadaku. Mungkin kerana Ummi banyak mempertahankan aku.
“Ummi kecewa dengan Hanafi?” Aku risau itulah isunya aku dipanggil ke bilik ini.
Ummi tertawa. Menggeleng. “Hanafi, Ummi panggil ini bukan sebab kecewa. Tetapi sebab Ummi percaya dengan Hanafi.”
Aku mengerutkan dahi. Apa maksudnya?
“Minggu ini, Sekolah berhajat untuk menghantar 20 orang pelajar lelaki, dan 20 orang pelajar perempuan, yang menjadi harapan Sekolah untuk mendapat 9A. Mereka akan dihantar ke satu program Motivasi oleh seorang Pakar Motivasi terkenal di negara kita ini.”
“Oh.” Jadi apa kena mengenanya dengan aku? Aku ketiga tercorot. Semestinya bukan dalam senarai sekolah untuk dihantar ke program itu. Atau Ummi sengaja hendak mencetuskan motivasi menggunakan teknik cemburu? Aku cemburu tak dapat pergi, maka aku akan berusaha kuat? Begitu?
“Jadi Ummi?” Aku bertanya. Sebab aku memang tertanya-tanya.
“Jadi, Ummi nak Hanafi pergi. Boleh?”
Mata aku membesar. Biar betul. “Eh? Tadi Ummi kata untuk pelajar harapan sekolah.”
“Betul. Hanafi adalah harapan Ummi dan seluruh sekolah juga bukan?” Ummi tersenyum.
Aku menghela nafas. “Hanafi tak mampu Ummi. Hanafi rasa berat sangat apabila fikir yang Hanafi macam tak tahu apa-apa fasal pelajaran. Lagi-lagi Sejarah, Sains, Geografi dengan Matematik. Memang hancus, Ummi. Hancusss.” Aku memanjangkan ‘ssss’.
“Hanafi anak Ummi. Ummi anggap Hanafi memang macam anak Ummi sendiri. Ummi amat yakin dengan Hanafi. Guru-guru lain pun sama sebenarnya.”
“Yakah? Kenapa guru-guru lain macam ada yang tak suka dengan Hanafi? Ada yang sinis. Ada yang beri tekanan. Hanafi makin rasa tak mampu Ummi.”
“Hanafi, bukan semua manusia sama. Dan bukan semua manusia melihat seseorang itu dengan pandangan yang sama. Ada guru memandang, dengan meletakkan tekanan barulah Hanafi boleh keluarkan potensi Hanafi yang sebenar. Ada guru pula fikir, Hanafi ni perlu dikejutkan dengan sindiran dan kesinisan mereka. Agar Hanafi tercabar dan bergerak. Ada pula yang fikir, Hanafi ini perlu didodoi, barulah hendak meningkat. Masing-masing bergerak dengan cara masing-masing. Tetapi semuanya mempunyai harapan terhadap Hanafi. Hanafi kena pandang begitu.” Panjang lebar Ummi berbicara.
Aku diam. Luas pandangan Ummi.
“Sekarang ini, apa kata Hanafi terima pelawaan Ummi ini. Boleh?”
Aku memandang wajah tua Ummi.
Perempuan berumur ini, benar-benar mengasihiku.
Apa yang telah aku lakukan untuk membalas kasihnya?
“Baik Ummi. Hanafi terima. Dan Hanafi janji, Hanafi takkan rosakkan kepercayaan Ummi.”
Aku berazam sesuatu.
*******
Realiti bahawa aku bukanlah orang yang memiliki daya studi yang kuat bukanlah satu perkara yang boleh dinafikan begitu sahaja. Maka aku perlu kreatif.
Berbanding dengan menelaah pelajaran, membaca buku, apa kata aku membuat banyak latihan? Itu ideaku. Dan latihan-latihanku mestilah bermakna untuk cemerlang di dalam peperiksaan. Tambahan, apabila aku mengikuti program motivasi tempoh hari, motivator tersebut ada berkata:
“Selagi masa masih ada, selagi itu harapan belum sirna. Maka gunakanlah masa yang masih berbaki, lakukan sesuatu untuk mencapai kecemerlangan dan menghapuskan kegagalan yang belum tertulis lagi.”
Maka aku mengetuk pintu bilik Guru. Bertemu dengan guru-guruku. Daripada Cikgu Rogayah, kuminta segala contoh soalan dan jawapan peperiksaan Sains. Daripada Cikgu Rosmawar, aku minta untuk pelajaran Sejarah. Daripada Cikgu Mohamad, aku minta untuk pelajaran Geografi. Daripada Cikgu Nor Asmah, aku minta untuk pelajaran Matematik. Bagi Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, aku banyak mengutip contoh-contoh karangan dan teknik-teknik mudah skor daripada Ustazah Aisyah dan Teacher Barshimah. Untuk Bahasa Melayu, Pendidikan Islam dan Kemahiran Hidup, aku tidak gentar kerana ketiga-ketiga matapelajaran itu sudah berada di dalam tangan.
Aku habiskan masa dengan latih tubi. Habis soalan, aku tanda sendiri, membandingkan jawapanku dengan contoh jawapan. Jika silap, aku membaca contoh jawapan tadi dan memerhatikan pula jawapanku, apa yang silapnya.
Aku juga mengubah suasana pembelajaranku. Tidak lagi duduk di dalam kelas semasa prep. Aku akan pergi ke kelas juniorku tingkatan dua atau tingkatan satu dan studi di sana. Pada masa yang sama, aku menawarkan diri kalau-kalau ada antara mereka yang inginkan aku mengajar mereka akan silibus mereka.
Aku tidak lagi bermain di kala waktu riadhah selepas asar, melainkan ketika dipanggil untuk latihan bola tampar.
Aku siapkan jadual. Setiap hari dan setiap jam. Detail. Waktu ini hendak buat apa. Waktu itu hendak buat apa. Hari ini pelajaran apa yang perlu difokus. Hari itu pelajaran apa yang perlu dibuat latihannya.
Dan selepas tiga minggu, tibalah aku ke gerbang Peperiksaan Percubaan.
“Ini masanya untuk aku menunjukkan bukti perubahan.”
Dan aku ketuk gerbang itu dengan keyakinan.
******
Mungkin bukan antara yang mendapat 8A atau 9A. Tetapi aku menunjukkan peningkatan yang membanggakan. 4A 5B. Berbanding sebelum ini yang wujudnya C dan kurangnya A.
4A adalah Bahasa Melayu, Kemahiran Hidup, Bahasa Inggeris, dan Pendidikan Islam
Aku tersenyum. Latihanku nampaknya berjaya. Sains, Geografi dan Sejarah yang sebelum itu hanya mendapat C, aku berjaya menaikkannya kepada B. Tinggal Bahasa Arab sahaja kekal. B. Tetapi hampir juga menjadi A, kerana markahnya adalah 78%.
Aku menjadi bersemangat.
“Hanafi, bagaimana enta sekarang? Mendaki atau menurun?” Sir Yahya Ismail bertanya pertanyaan rutinnya itu.
Aku mengangkat kepala dengan yakin.
“Mendaki Sir. InsyaAllah mendaki.”
Sir Yahya tersenyum. Dan itu senyuman pertamanya kepadaku.
“Sir ada tips untuk lebih cemerlang?” Aku bertanya berani.
Dan senyuman Sir Yahya menjadi semakin lebar.
“Hubungan dengan Allah juga perlu diperhatikan.”
Aku menerima saranan itu juga dengan senyuman.
Benar. Hubungan dengan Allah SWT. Siapa yang hendak memberikan kecemerlangan? Bukankah Allah SWT? Usaha dah ada. Tetapi usaha sahaja tidak cukup sebenarnya. Hubungan dengan Allah itu perlu diperhatikan semula.
Maka aku tambah di dalam jadualku. Solat Dhuha di waktu rehat. Apabila loceng rehat berbunyi, aku akan bergegas ke kantin dan membeli sepaket kacang. Kemudian aku terus ke musolla dan melaksanakan Solat Dhuha. Di dalam sujud terakhir, aku meminta kepada Allah agar Dia membukakan pintu rezeki kecemerlangan dalam kehidupan buatku. Aku minta keberkatan dalam usaha-usahaku.
Aku tahu usahaku sedikit. Sangat-sangat sedikit.
Allah jugalah yang mampu mengeluarkan manfaat daripada usaha-usahaku itu.
Sebab Allah yang memegang natijahnya. Bukan aku dan usaha-usahaku.
Setiap kali sebelum tidur, Solat Hajat menjadi rutin. Suasana asrama memudahkan juga, memandangkan lepas Maghrib wajib membaca Al-Quran, maka aku tidak sukar hendak mencari masa untuk menghayati kalam-kalam Allah tersebut. Al-Mathurat yang menjadi jadual di sekolah setiap kali lepas Solat Asar, juga membuatkan aku tidak sukar mencari masa buatnya.
Dan itu semua menambah kekuatanku.
Buat hati lebih tenang. Buat keyakinan bertambah. Buat semangat memuncak.
Walaupun PMR kini semakin lama semakin hampir, aku langsung tidak gentar.
******
“Macam mana hari ini?” Ustaz Mahadzir menyapaku yang baru keluar dari barisan. Ada lima minit sebelum masuk ke dewan peperiksaan.
Aku tersenyum.
“Ana tak akan rosakkan kepercayaan Ustaz.”
“Dan guru-guru yang lain.” Ustaz Mahadzir menyambung.
Senyumanku melebar.
“Ya. Dan guru-guru yang lain.”
“Kepada calon-calon PMR, sila masuk ke dalam dewan sekarang.”
“Ok. Pergi sekarang. Ana sentiasa doakan enta.” Ustaz Mahadzir menepuk belakang tubuhku.
“Terima kasih ustaz. Semoga Allah makbulkan doa ustaz.” Aku terus bergerak.
Di dalam hati, aku berdoa.
“Ya Allah, aku telah berusaha, dan usaha terakhirku adalah dengan memberikan jawapan yang terbaik semasa peperiksaan ini. Terimalah usahaku. Dan sekiranya aku ini hambaMu yang berdosa, dan amalku bukanlah yang Engkau hendak terima, maka lihatlah cinta dan kasih guru-guruku itu, dan terimalah doa mereka.”
******
Dan untuk setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Untuk setiap sesuatu itu ada maknanya.
Siapa sangka hari-hari terhitam dalam kehidupanku itu bakal mengeluarkan aku menjadi manusia yang baru.
Daripada seluruh pelajar, hanya 12 orang sahaja yang berjaya mendapat 9A.
Daripada 12 orang itu, 9 daripadanya adalah pelajar perempuan.
Dan daripada 3 orang pelajar lelaki yang berjaya mendapat 9A, seorang daripadanya adalah aku.
Pada hari keputusan PMR keluar, Ustaz Mahadzir menelefon ke rumah menyampaikan keputusan peperiksaanku. Dapat kudengari sebak kegembiraannya.
“Guru-guru di sini, semuanya mengucapkan tahniah. Ada dari kalangan mereka kata, macam mimpi menjadi nyata. Semua bangga dengan enta.”
Itulah ucapannya. Aku sujud syukur ketika itu dengan rasa yang tak terungkap.
Dan selepas itu, hidupku berubah.
Aku senang untuk duduk-duduk dengan guru-guruku. Meminta nasihat. Meminta tunjuk ajar. Nyata, mereka apabila didekati, aku mendapat pengajaran dan motivasi yang lebih banyak lagi. Kekuatanku seperti bertambah. Pemikiranku seperti jadi meluas.
Dan apabila bergaul dengan mereka, terasa sungguh cinta mereka kepada diri ini. Juga kepada semua anak murid yang mereka punya.
Sir Yahya menjadi pengendali usrahku semasa aku tingkatan 4 dan 5.
Aku pula semakin rapat dengan Ummi Halimaton dan beberapa kali bertandang ke rumahnya. Bahkan, tidur di rumahnya. Menjadikan aku agak rapat dengan mudirku, Ustaz Dahlan, yakni suaminya. Maka bertambahlah lagi pengalaman dan ilmuku hasil perkongsian dengan mudir.
Dengan Ustaz Mahadzir, kami sudah seperti adik beradik. Itu dan ini berkongsi.
Aku rasa bahagia.
Dan satu hari Ustaz Mahadzir pernah berkata kepadaku:
“Kami ini bukan sekadar guru. Kami hajat untuk menjadi murabbi. Ustaz Dahlan mengajar kami begitu. Jadi kami bukan semata-mata ingin anak murid kami berjaya dalam peperiksaan. Tetapi juga berjaya dalam kehidupan. Sebab akhirnya, apa yang kami hajatkan adalah, kami dan anak-anak murid kami mampu masuk ke syurga Allah SWT. Kalau benar cinta, mesti hendak bersama di syurga bukan?”
Ya. Sebab itu, apabila aku memandang semula, apa yang guru-guruku lakukan pada masa lalu itu bukanlah untuk aku menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Mereka memberikan tekanan, untuk aku menjadi seorang manusia yang berfikir. Mereka tidak terus memberikan jawapan, agar aku menjadi seorang manusia yang gigih dan berusaha, memerah minda dan mencari jalanku. Mereka sinis agar aku menjadi manusia yang sensitif dan peka. Mereka menyayangi, agar aku menjadi manusia yang mengrhargai.
Mereka bukan hendak menjadikan aku seorang pelajar yang cemerlang.
Mereka hanya ingin menyelamatkan aku daripada menjadi manusia yang gagal.
Sebab hanya manusia yang sedar, peka, sensitif, gigih berusaha, berdikari, menghargai, adalah manusia yang berjaya. Di dunia, mahupun di akhirat sana.
Mereka bukan sekadar guru. Mereka adalah Murabbi. Murabbi membawa maksud – Orang yang menjaga, yang mendidik, yang membesarkan. Mereka bukan sekadar mengajar setakat persekolahan dan silibus pengajian. Mereka kekal mendidik diri ini, berkongsi nasihat, mengambil berat, walau berakhirnya sesi persekolahan, walau aku telah berada di universiti. Mereka mendidik berkenaan kehidupan, agar berjaya di akhirat. Bukan semata-mata cemerlangnya peperiksaan.
Hasil didikan mereka, akhirnya aku berdiri di mana aku berdiri hari ini.
Alhamdulillah.
Cinta Murabbi-murabbiku memandu.
Daripada mereka, Allah menyalurkan cintaNya kepadaku.
*****************************************
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.
Harga: RM25.00
Genre: Kumpulan Cerpen.
Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, memuatkan 20 buah cerpen yang bertemakan cinta, namun tidak terpenjara dalam skop Cinta lelaki dan perempuan semata-mata. Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta membawa definisi baru berkenaan Cinta, untuk membebaskan masyarakat hari ini daripada takrif cinta yang salah. Menggunakan cerpen sebagai medium penyampaian, Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta bakal menggegarkan kehidupan anda dengan makna Cinta yang bersih, suci, dan membahagiakan.
———————————————–
WHERE TO BUY?
http://langitilahi.com/store
HOW TO BUY?
http://langitilahi.com/store/store-guide
VIDEO GUIDE:
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg
———————————————–
WHY SHOPPING ONLINE?
No closing times
No carrying heavy bags
No traffic & parking jams
No wasting petrol, toll & time
No over-crowded supermarkets & queues
———————————————–
Mari Menjadi Hamba!