Hilal Asyraf's Blog, page 111

April 27, 2013

Poster: Kita Gerakkan

kitagerakkan_small


Kita gerakkan politik

yang bersih dan adil,

berasaskan hujah dan idea,

berlandaskan ilmu dan akhlak,

dengan matang dan bermaruah.


Kita tolak politik

yang kotor dan zalim,

berasaskan emosi dan rasuah,

berlandaskan fitnah dan caci maki,

dengan lagak samseng dan lucah.


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.


Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”


(Al-Hujurat, 49 : 11–12)


Selanjutnya boleh baca di artikel Menggerakkan Politik Yang Bersih dan Matang.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 27, 2013 08:16

April 26, 2013

Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta: Sakti Itu Di Hujung Jari


 


Manusia suka memarahi Tuhan,


Mengapa jadikan hidupnya begitu dan begini,


Tetapi manusia sering terlupa bahawa padanya ada pilihan,


Untuk berusaha menjadi lebih baik,


Atau sekadar tidak bergerak merubah keadaan.


 


 



Matahari memanah. Terasa keterikan makhluk gergasi itu menyimbah pada wajahnya. Terpisat-pisat dia membuka mata.


“Urgh…” Hari baru. Dan dia benci hari baru.


Perlahan-lahan dia menolak tubuh untuk duduk. Bersila sambil menggaru-garu leher. Memandang keliling ‘rumah’nya. Terbina daripada beberapa kotak kadbod yang kalau ditiup angin kuat, akan runtuh. Dia tidur di sini saban hari bertilamkan beberapa kain terbuang yang dikutipnya semula.


Perutnya berkeroncong. Dia mengusap bahagian jasad yang menginginkan sesuatu untuk diisi itu. “Hem, kalau bukan sebab kau, aku tak akan keluar punya.”


Perlahan-lahan dia mengambil satu tin besi, dan keluar dari ‘rumah’nya itu.


“Sufyan, baru bangun?” Satu suara menyapa dari arah belakang, membuatkan langkahnya terganggu. Segera dia menoleh.


Kelihatan seorang lelaki tua, berkulit gelap, kurus kering, berpakaian lusuh lagi kotor dengan rambut panjang tidak terurus, sedang tersenyum kepadanya. Dia tersengih sahaja. “Macam itulah Pak Rama.”


“Bagus-bagus, orang muda memang patut rajin. Nanti kalau ada lebihan, jangan lupa dikongsi.” Pak Rama tertawa senang.


Dia hanya mampu tersengih kelat. Ini namanya apa? Pengemis mengemis pengemis? Tak boleh buat kawan betul Pak Rama ni. Dia menggeleng. Terus bergerak keluar dari lorong kotor tersebut.


Ya, dia adalah seorang pengemis, yang tidak punya rumah, juga tidak mengetahui siapakah keluarganya yang sebenar, dan saban hari kehidupannya diisi dengan cabaran dan dugaan untuk meneruskan hayatnya.


Dia sudah tidak lagi mampu menghidu bau busuk. Dia juga betah untuk berlapar selama empat-lima hari. Dia tidak lagi peduli sama ada makanan yang diperolehi bersih atau kotor. Dia juga biasa dengan pakaian carik-carik, dan rambutnya yang berserabut.


Dia pengemis. Sampah masyarakat.


Tetapi ada satu nyalaan di dalam hatinya. Dia ingin berubah.


Persoalannya, bagaimana?


 


*****


 


“Bang, duit bang. Bantu saya, saya dah lama tak makan.” Tetapi lelaki bersut itu tidak mempedulikannya. Sekadar berlalu begitu sahaja.


“Kak, bantu saya kak. RM1 pun jadilah.” Tetapi perempuan berlengan panjang berambut tocang itu juga tidak mempedulikannya.


Dia tidak betah duduk begitu sahaja. Matahari sudah mula menggelincir, sedang dia masih tidak mempunyai apa-apa untuk mengisi perutnya. Dia bergerak ke restoran berdekatan. Ramai orang di situ.


Di sapanya meja pertama, dia tidak diendahkan. Disapa meja kedua, dia dihalau. Disapa meja ketiga, dia ditengking.


“Hoi, kau ni buat aku hilang selera makan lah!”


Dan sebagaimana yang dijangka, dia didekati oleh beberapa pekerja di restoran. “Hei, jangan masuk restoran ini lagi. Kau menganggu perniagaan kami!”


Tetapi dia perlu berjuang juga untuk kehidupannya. “Bang, kesianlah dengan saya. Saya dah lama tak makan. Berilah saya sedikit makanan. Sesuap nasi pun tak mengapa.”


“Ah!” Seorang pekerja lelaki menolaknya dengan kuat. Tubuhnya yang kurus kering itu terus jatuh tersungkur. Seluruh isi kedai melihatnya. Tetapi tiada wajah kasihan. Semuanya bersama muka kurang senang dengan dirinya.


“Keluar!” Seorang lagi pekerja lelaki meninggikan suara. Tangan pekerja itu menunjuk ke arah jalan besar.


Dia perlahan-lahan bangun. Kemudiannya selangkah demi selangkah, sambil memegang perut, keluar dari kawasan restoran tersebut. Dia perlu mencuba nasib di tempat lain pula nampaknya.


“Ehem.” Kedengaran bunyi deheman dari arah berlawanan. Perlahan-lahan dia menoleh. Kelihatan seorang lelaki dengan rambut tersisir kemas, berkaca mata hitam, berkot dan berseluar kemeja hitam, dan berkasut hitam berkilat. Yang cerah pada lelaki ini hanyalah kulitnya, dan baju kemeja putih yang dilindungi kot.


Ini nak apa pula? Nak menghina aku? Tetapi ayat itu tidak keluar. “Bantu saya bang.” Ayat itu yang keluar, bersama nada hina dan wajah memohon belas.


“Mari.” Lelaki itu mengajaknya. Berpaling dan bergerak ke arah kedai tempat dia dihalau tadi.


Begitu sahaja? Ah, pedulilah! Dia rasa gembira, terus bergerak membuntuti lelaki tersebut. Namun sebaik sahaja dia kembali ke restoran tersebut, dia disambut dengan wajah-wajah yang kurang menyenanginya.


“Tidak mengapa, dia bersama saya. Saya bayar makanannya. Berikan dia apa yang dia mahu.” Lelaki itu bersuara.


Dia membesarkan mata. Tidak percaya. Pemurahnya lelaki ini!


“Saya mahu Nasi Ayam Goreng, dan air Jus Tembikai!” Dia pantas menjerit. Peluang ini tidak boleh dilepaskan.


Salah seorang pekerja di kedai tersebut mencatit, dan terus pergi.


“Mari duduk. Siapa nama kamu?” Lelaki itu mempersilakan.


“Nama aku Sufyan. Siapa nama tuan yang pemurah ini?” Dia teruja untuk mengetahuinya.


Lelaki itu tersenyum. Perlahan-lahan kaca mata hitam itu diturunkan. Terserlah wajah lelaki itu yang bersih. “Nama saya Salman Ainuddin.”


“Aaah.” Dia tidak kenal pun. Tetapi jauh di dalam hatinya, dia rasa lelaki ini seperti malaikat penyelamat buatnya. “Terima kasih tuan. Saya amat-amat berterima kasih.”


Salman menggeleng. “Rezeki itu daripada Allah. Kalau bukan Allah SWT yang memberikan rezekiNya kepada saya, pastinya saya tidak mampu memberikan apa-apa kepada kamu, Sufyan.”


Sufyan tersenyum bersama keluhan. Allah. Entah sudah berapa lama dia tidak menyebut nama itu. Entah sudah berapa lama dia tidak lagi menyembah Tuhan itu.


“Nasi Goreng Ayam dan Jus Tembikai.” Pesanannya sampai. Tanpa menunggu lama, Sufyan terus makan dengan lahap. Tanpa segan silu dengan Salman di hadapannya.


“Sufyan.” Suara Salman perlahan kedengaran di tengah kerakusannya menjamah makanan.


“Ya?” Dia acuh tidak acuh.


“Aku ingin bertanya, selepas makanan ini, apa yang akan kamu lakukan?”


Dan pergerakannya terhenti. Perlahan-lahan wajahnya diangkat. Butir-butir nasi yang masih melekat pada bibir, tidak dihiraukan. Dia seperti tersentak dengan soalan itu. Ya, selepas makanan ini, selepas ini, apa yang dia akan lakukan? Dia tahu akan jawapannya. Jawapan itulah yang membuatkan dia tersentak.


Mengemis lagi. Itu jawapannya.


Dia memandang mata Salman. Dia yakin Salman tahu akan jawapannya. Tetapi nyata mata itu bukan mata mengejek. Itu mata memberikan harapan.


“Tidakkah kamu merasakan, ada sesuatu yang perlu diubah pada diri kamu?”


Sufyan menunduk. Mengangguk.


“Tetapi aku tidak tahu bagaimana hendak berubah. Aku sudah menjadi pengemis semenjak lari dari rumah semasa tingkatan empat. Sekarang sudah berapa tahun? 10? Aku seakan-akan telah tersekat di dalam kehidupan ini. Aku hanya mampu mengharapkan keajaiban sahaja. Mungkin akan ada satu hari nanti, orang seperti kamu yang memberikan aku wang yang banyak.”


Dia melihat Salman sekadar tersenyum mendengar jawapannya.


“Dan selepas kamu mendapat duit yang banyak, dengan keadaan diri kamu yang sekarang, agak-agak apa yang akan terjadi dengan duit itu?” Salman menyoal. Dan soalan itu sekali lagi membuatkan jiwanya terentap.


Dalam keadaan dirinya sekarang, segunung wang pun, akan habis begitu sahaja. Dan dia akan kembali mengemis semula. Dia adalah seorang yang tidak pandai menguruskan wang. Pernah satu hari dia mendapat RM100 daripada pemberian orang, tetapi RM100 itu dihabiskan dalam satu malam sahaja.


Matanya dan mata Salman kembali bertaut.


“Kamu tahu Sufyan. Sakti itu di hujung jari manusia.” Salman berbicara tenang.


Dia tidak faham. Sakti itu di hujung jari manusia? Boleh keluar duit ke?


Salman kelihatannya mengerti ketidak fahamannya. “Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu berusaha mengubah dahulu apa yang ada di dalam diri mereka. Surah Ar-Ra’d ayat 11. Ini bermaksud, di hujung tangan manusia, ada kesaktian untuk mengubah kehidupannya. Keajaiban itu, hanya berlaku sekiranya manusia menggerakkan usaha.”


“Jadi? Apa yang mesti aku lakukan? Usaha apa?”


Dia melihat senyuman Salman melebar. “Kau reti menaip dengan komputer?”


“Pandai.” Sekurang-kurangnya dia masih ingat.


“Bagus. Aku akan ajar kau berblog.”


Blog? Apa itu blog? “Blog itu apa? Surat ke?” Dia tidak mengerti.


“Blog ini, lebih kurang macam diari. Tetapi di dalam internet. Jadi, kau taip kisah kehidupan kau setiap hari di dalam internet.”


Dia mengerutkan dahi. “Apa gunanya?” Dia tidak nampak maknanya.


“Itu adalah usaha. Moga-moga dengan itu, kehidupan kamu berubah.”


“Aku tak ada duit. Macam mana aku hendak ada komputer, internet dan sebagainya?”


Salman tertawa. “Aku akan berikan kamu duit. RM2 setiap hari untuk kau berblog di Cyber Cafe setiap hari.”


“Baik kau bagi aku duit terus untuk hidup. Buat apa suruh aku berblog?”


Salman menggeleng. “Aku hendak bagi kamu joran, supaya kamu pandai mengail ikan dengan sendiri. Apa gunanya aku bagi ikan, tetapi kamu tidak pandai mencarinya sendiri? Aku di sini hendak membantu kamu. Bukan hendak menghancurkan kamu. Kamu mesti pandai berdiri di atas kaki sendiri nanti, tanpa aku perlu lagi memberikan wang untuk menyaramu hari-hari.”


Sufyan terdiam. Jauh sungguh Salman ini memandang. Sunguh dia tidak menyangka.


“Habiskan makanan kamu itu. Kemudian aku akan bawa kau pergi ke Cyber Cafe. Kepunyaan sahabat baikku. Dia tidak akan melayan kamu seperti pengemis. Dia akan melayan kamu seperti manusia. Tetapi, kamu mestilah bersikap seperti manusia juga.”


Akhirnya Sufyan tersenyum. “Baik, aku akan cuba. Cuba untuk berusaha.”


Apakah kehidupannya akan berubah?


Belum pasti.


Apakah peluang ini akan datang lagi?


Belum pasti.


Justeru memandangkan peluang ini sudah berada di hadapannya, dia akan merampasnya. Walaupun dia tidak pasti, apakah kehidupannya akan berubah nanti.


 


******


 


5 bulan berlalu. Dan setiap hari dalam lima bulan itu, dia akan pergi ke Cyber Cafe Pesona kepunyaan Qayyim, sahabat kepada Salman Ainuddin. Dia mendapat layanan yang baik daripada Qayyim, dan dia tidak perlu membayar kerana dikatakan bahawa Salman telah membayar untuknya. Saban hari, dia akan menggunakan internet selama sejam.


Berblog tidak sesukar mana. Blognya direkakan oleh Salman pada kali pertama mereka ke mari. Dia diajar bagaimana untuk menghantar post, mengupload gambar. Akalnya masih tidak terlalu bodoh untuk belajar perkara-perkara mudah tersebut. Hal-hal yang sukar seperti membuat ruang sembang kecil di bahagian kiri blognya, menyediakan tempat yang menunjukkan bilangan pengunjung yang datang ke blognya, itu semua Salman yang uruskan. Apa-apa perkara yang dia tidak fahami lagi, dia akan bertanya terus kepada Qayyim.


Seluruh sari pati kehidupannya, apa-apa yang dirasainya, apa-apa yang dilaluinya, dia curahkan semuanya di dalam blog.


Bagaimana dia berhadapan dengan dugaan untuk tidur sekiranya waktu hujan tiba menyergah. Apa yang dia fikirkan sekiranya dia tidak mendapat makanan selama tiga hari berturut-turut. Apakah mimpinya sekiranya dia tertidur dalam keadaan lapar. Bagaimanakah perasaannya apabila dia mendapat duit atau makanan daripada orang. Apakah jenis orang yang membantunya, bagaimanakah keadaan orang yang menghinanya, dan bagaimanakah pula dia melayan mereka. Bagaimana pula saat dia bersama-sama rakan-rakan pengemisnya. Tidak ketinggalan kisah Pak Rama, juga kisah Ah Chong, dan beberapa lagi rakan-rakan pengemisnya yang masing-masing punya cerita. Semua itu dipatri kemas dalam blognya.


Secara tidak langsung, Sufyan merasakan bahawa kehidupannya seperti ada matlamat. Dia seperti ada target untuk menceritakan sesuatu pada penghujung setiap harinya. Dia rasa puas. Hidupnya seakan punya makna.


Dari masa ke semasa, Salman akan menemuinya, juga menemaninya di Cyber Cafe. Dan setiap kali Salman menemuinya, dia tidak perlu sukar mencari duit untuk mengalas perut kerana Salman pasti akan membelanjanya.


Seperti hari ini.


“Bagaimana berblog?” Salman yang duduk di sebelahnya bertanya mesra.


“Seronok! Tengok, ada beberapa orang komen.” Dia menunjuk ke arah skrin dengan gembira. Post terbarunya mempunyai 10 orang yang telah memberikan komen.


“Hem, satu perkembangan yang menarik.” Salman menepuk bahunya.


Satu perkara yang membuatkan dia tersentuh dengan Salman adalah, Salman tidak memandangnya dengan pandangan yang menjelekkan. Dia benar-benar dilayan seperti manusia. Di situlah dia menyimpan azam untuk berusaha keras, mengikuti nasihat Salman untuk mengubah hidupnya. Tinggal…


“Salman, aku ingin tanya satu perkara.”


“Ya?”


“Sudah lima bulan, apa yang berubahnya?”


Salman sekadar tersenyum. Lelaki ini, seakan tiada apa yang mampu memecahkannya.


“Kamu baru bermula Sufyan. Tahukah kamu, yang Nabi Muhammad, Rasul kita itu pun berjaya selepas 23 tahun?”


“Jadi, apakah aku kena bersabar selama 23 tahun?” Dia kerisauan. 23 tahun, lama tu!


Salman lantas tertawa. Seiring dengan itu, kedengaran juga tawa Qayyim dari kaunter. Mungkin lelaki itu turut terdengar bicaranya.


“Tidak semestinya. 23 tahun itu, Rasulullah SAW berjaya memancarkan Islam pada seluruh jazirah Arab. Pastinya untuk membina satu kehidupan, tidak akan selama itu sekiranya kita pandai.”


“Sekiranya kita pandai? Jadi, apa lagi yang aku perlu lakukan?”


“Ahah, itu satu perkembangan yang baik.”


“Eh? Apa perkembangan yang baik?”


“Kau bertanya, apa lagi yang perlu dilakukan, itu adalah perkembangan yang baik. Itu tandanya, kau hendak melakukan sesuatu lagi yang lebih. Jadi, sekarang kita tambah usaha kita.”


Salman terus membuka beberapa lagi blog dan website.


“Nampak tak, mereka semua ini ada ruang sembang macam yang blog kamu ada?”


Sufyan mengangguk-angguk.


“Tulis: Salam ziarah daripada Sang Pengemis. Kemudian letakkan alamat blog kau di situ.” Salman menunjukkan cara-caranya.


“Untuk?”


“Agar, sesiapa sahaja yang lawat blog atau website mereka ini, bila nampak salam ziarah kau itu, akan tergerak untuk klik alamat blog kau, lalu datang ke blog kau dan membaca tulisan kau. Kalau mereka rasa seronok, mereka akan promosikan pula pada rakan-rakan mereka. Rakan-rakan mereka rasa seronok, mereka akan promosikan kepada rakan-rakan mereka pula. Dan begitulah seterusnya.”


“Menarik.” Sufyan rasa kagum dengan idea tersebut.


“Dengar, ini aku baru tunjuk tiga empat website dan blog. Setiap website dan blog itu, kalau kau perasan, ada ramai kawan-kawan mereka. Nampak tak alamat-alamat blog rakan-rakan mereka di kawasan ini?” Salman menunjuk di satu bahagian pada sisi blog di skrin.


Dia mengangguk-angguk.


“Setiap blog dan website, ada benda ini biasanya. Maka, kau klik semua alamat tersebut, dan kau letakkan Salam Ziarah kau macam aku ajar tadi, pada semua blog mereka.”


“Semua?”


“Semua. Lagi banyak, lagi bagus.”


“Aku tak faham la. Semua ini untuk apa sebenarnya?” Sufyan pening. Dia menggaru kepala.


“Biar lebih ramai orang kenal blog engkau. Baca penulisan kau.”


“Jadi, apa untungnya? Mereka bukan berikan aku duit.”


“Ah ah,” Salman mengangkat jari telunjuknya di hadapan wajah Sufyan. “Mereka akan berikan kau duit. Nanti.”


Dahinya berkerut. Semakin tidak memahami apa yang dikatakan Salman.


“Baik, seterusnya, aku nak kau berubah satu lagi.”


Lagi? Berubah apa pula? Salman ini ada-ada sahaja.


“Hubungan kau dengan Allah macam mana?”


Eh? Hubungan dengan Allah? Sufyan terpinga-pinga. “Er, aku ini memang nama Sufyan. Tapi aku macam tak ada beza antara Pak Rama dan Ah Chong.”


“Ok. Yang itu perbaiki. Mulai sekarang, Solat. Itu paling kurang.”


“Aku tak reti la. Dah lupa. Sepuluh tahun kut dah tak solat.”


“Aku ajar. Dan Qayyim ada di sini. Setiap kali kau dengar azan, kau datang jumpa Qayyim, ikut dia pergi Masjid. Boleh?”


“Er, penting ke benda ini untuk ubah hidup aku?”


Bibir Salman terus dihiasi senyuman.


“Allah SWT itu, Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya. Dialah yang satu-satunya mampu mengubah hidup kau. Maka, mustahil bukan untuk mendapatkan bantuanNya, sekiranya kita tidak mendekatiNya?”


“Allah SWT ada berfirman: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka: sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. Surah Al-Baqarah ayat 186. Ingat ayat ini betul-betul Sufyan. Allah itu Maha Dekat. Dia juga Maha Memperkenankan Doa. Tetapi, manusia itu sendiri pertamanya perlu taat kepadaNya, selain perlu berusaha ubah diri sendiri macam yang aku sentiasa cakapkan pada kau.”


Jiwanya tersentak. Dengan Salman ini, nyata hatinya banyak kali tersentuh. Hidup di atas dunia, tetapi jiwa terhubung dengan yang ghaib tidak tergapai dek mata. Setiap langkahan, setiap perbuatan, semuanya ada sebab yang terhubung denganNya.


Dia? Sufyan tidak tahu dia bagaimana.


“Ini satu lagi perubahan, kalau kau benar-benar ingin berjaya. Allahlah yang akan buat pembaca-pembaca kau tertarik dengan penulisan kau. Dialah juga yang akan buat pembaca-pembaca itu sebar-sebarkan hal berkenaan penulisan kau. Dan satu hari nanti, kalau kau terus istiqomah, aku yakin kehidupan kau akan berubah.” Salman memaut erat bahunya.


Dia hanya mampu tersenyum. Nyata, Salman tidak sekadar membantunya membina kehidupannya. Salman juga membantunya agar mempunyai peribadi yang mampu membina hidupnya sendiri.


“Baik Salman. Aku berusaha.”


 


*******


 


Kini, blognya tidak lagi semata-mata berkongsi berkenaan hidupnya sebagai pengemis. Dikongsikan juga kehidupannya untuk mencari cahaya Ilahi. Bagaimana dia bertarung untuk bangun Subuh. Bagaimana saban hari dia belajar membaca Al-Quran dengan Qayyim. Bagaimana dia adakalanya terlepas Solat Subuh dan Asar. Bagaimana dia berdoa dan memohon kepada Allah, dalam keadaan masih tidak berapa kenal dengan Allah SWT. Bagaimana rasa hatinya apabila menyebut nama Allah, berusaha mendekatiNya, dan berusaha mengenaliNya.


Dia juga kini tidak lagi berdiam diri semata-mata menunggu nasihat Salman.


“Kau sendiri, kena pandai pertingkatkan diri dan kualiti. Ingat, target kau adalah, kau mampu hidup dengan sendiri.” Itu nasihat Salman pada salah satu perjumpaan mereka.


Maka dia kini mempunyai jadual. Bila nak ke masjid, bila masa membaca Al-Quran, bila masa mengemis, bila masa berblog, bila masa ke perpustakaan. Ya, perpustakaan. Di sana, dia mula membaca bacaan-bacaan ringan seperti majalah-majalah untuk remaja. Majalah FOKUS menjadi kegemarannya. Walaupun pada awalnya, hampir segala isi di dalamnya tidak difahami. Dia juga meminati Majalah I dan Solusi, tidak kurang juga majalah ringan seperti ASUH. Itu semua sedikit sebanyak meningkatkan dirinya.


Dia juga kini mula ‘membaca’ kamus. Ya, kamus. Dia akan mencari perkataan-perkataan yang diketahuinya, dan melihat pula apakah perkataan lain yang sama makna dengannya. Akhirnya, perkataan-perkataan baru itu akan digunakan di dalam penulisannya.


Dia juga kini, ada waktu untuk menonton berita. Saban hari, dia akan luangkan masa sejam, sebelum pergi ke Cyber Cafe dengan menonton Berita Terkini di kedai televisyen berdekatan. Menonton dari tepi jalan, percuma tanpa perlu membeli televisyen. Agar dia tahu perkembangan terkini, dan sekali sekala boleh dimasukkan ke dalam penulisannya. Pandangan seorang pengemis berkenaan dunia.


Dia kini juga menabung. Dia tidak akan menggunakan lebih dari RM3 sehari. RM3 itu hanya untuk makan sahaja. Air, dia akan meminta daripada Qayyim. Air kosong. Sekiranya wang yang diperolehinya lebih daripada RM3, itu semua akan menjadi tabungannya. Sampai satu waktu, dia mampu membeli baju dan seluarnya sendiri. Baju dan seluar yang kemas itu, akan dipakai untuk Solat. Dia juga telah berjaya membeli Al-Qurannya sendiri. Al-Quran itu kini penuh dengan tanda-tanda akibat pengajian tajwidnya dengan Qayyim.


Perlahan-lahan, dia berubah. Dan semua itu diabadikan di dalam blog. Tidak lupa juga, diabadikan kisah dia dan Salman, pertemuan mereka, nasihat-nasihat Salman, di dalam blog.


Dia juga tidak lupa menggerakkan apa yang dinasihatkan oleh Salman. Saban hari, dia akan melawat hampir 300 blog hanya untuk meletakkan Salam Ziarahnya dan alamat blognya. Dia dapat melihat makin hari, makin ramai yang menziarahi blognya, yang memberikan komen kepadanya. Dia juga dengan senang hati membalas komen-komen tersebut, dan meraikan sesiapa yang datang di blognya.


Dia dapat melihat ada sebahagian besar pengunjung tetap saban hari, yang pastinya akan memberikan komen pada setiap artikel terbaru miliknya. Kini komennya tidak lagi 10-20, tetapi 50-70 orang setiap post. Kini pengunjungnya bukan lagi 100-200 sehari, tetapi adalah sekitar 10,000-15,000 sehari.


“Alhamdulillah.” Dia meraup wajahnya. Bersandar pada kerusi pusing yang didudukinya.


Setahun sudah berlalu…


 


*****************************************


Baca cerpen ini sepenuhnya di dalam Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.



 


Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.

Harga: RM25.00

Genre: Kumpulan Cerpen.


Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, memuatkan 20 buah cerpen yang bertemakan cinta, namun tidak terpenjara dalam skop Cinta lelaki dan perempuan semata-mata. Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta membawa definisi baru berkenaan Cinta, untuk membebaskan masyarakat hari ini daripada takrif cinta yang salah. Menggunakan cerpen sebagai medium penyampaian, Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta bakal menggegarkan kehidupan anda dengan makna Cinta yang bersih, suci, dan membahagiakan.

———————————————–

WHERE TO BUY?

http://langitilahi.com/store


HOW TO BUY?

http://langitilahi.com/store/store-guide


VIDEO GUIDE:

http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg


———————————————–

WHY SHOPPING ONLINE?

No closing times

No carrying heavy bags

No traffic & parking jams

No wasting petrol, toll & time

No over-crowded supermarkets & queues


———————————————–

Mari Menjadi Hamba!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 26, 2013 22:31

April 25, 2013

April 24, 2013

Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta: Cerpen Kerana Aku Beriman


 


Iman adalah paksi,


Kepada berani


Kepada hamba sejati,


Daripadanya muncul luar biasa,


Yang tidak akan mampu ditandingi sesiapa.


 


 



 


Peluru berimpang siur terbang. Bunyi das tembakan kedengaran bertubi-tubi. Sekali-sekala bunyi letupan mengambil ruang. Tanah tersembur ke udara, mereka di balik kubu menundukkan kepala. Bunyi tembakan kembali mengisi suasana.


Menggeleng. “Allahuakbar. Dasyat!” Dia menyandarkan belakang tubuhnya pada kubu sambil membetulkan perisai wajahnya.


“Haha.” Sahabat di sebelahnya tertawa. Menggeleng juga. “Agak-agak siapakah yang akan mendapat syurga hari ini, dan berbuka puasa bersama bidadari di sana?” sahabatnya itu meluah tanya.


Dia memandang. Bunyi tembakan mengisi renggang. Senyuman meleret.


“Alf Syuja’, aku rasa ayah engkau patut namakan engkau La Mahdud Fi Syuja’ah.”


Sahabatnya Syuja’ menjelirkan lidah. Alf Syuja’. Seribu keberanian. Dia tertawa dengan ulah sahabatnya itu. Berani. Bersahaja.


“A’la, mari!” Syuja’ terus siap dengan raifalnya. Keluar. A’la bangun. Arah berlawanan. Bergerak melepasi kubu pertahanan mereka. Menembak dengan yakin menggunakan Raifal Al-Jabbar rekaan watan. Beberapa musuh tumbang. Bom yang dijatuhkan jet-jet pejuang menggegarkan medan. Sekali lagi semburan tanah menjadi hujan. Mereka mengambil tempat berlindung. Kini tidak bersama.


Rakan-rakan mereka yang lain menggantikan kemaraan mereka. Seakan gelombang kedua. Mara merobohkan pertahanan musuh. Bunyi tembakan berterusan.


“A’la!” Syuja’ melaung dari jauh. A’la dapat melihat, dan menggerakkan kepalanya sedikit sebagai isyarat dia mendengar.


“Hari ini membuktikan iman!” Syuja’ mengangkat senjata.


A’la membesarkan mata.


“Syuja’, hati-hati!”


Dan Syuja’ terus bangun, berlari pantas ke arah kubu musuh. A’la hendak keluar bersama, tetapi nampaknya hujan peluru membatalkan tindakannya. Dia sekadar mampu melihat A’la hilang dalam kabus peperangan.


Hari ini membuktikan iman…


 


******


“Rumah Putih telah mengisukan kepada dunia, bahawa kesatuan negara-negara Islam di bawah satu kepimpinan tidak boleh diteruskan. Katanya, ini hanya akan membiakkan jaringan pengganas. Tetapi memandangkan kini dunia bergantung dengan ekonomi, teknologi, dan kuasa ketenteraan kita, maka suara mereka tidak didengari.” Itu permulaan bicara Jeneral Tengku Alimi Tengku Amiri. Seorang lelaki berambut hitam pendek, tubuh gagah, serta berpakaian pegawai tentera hitam, pakaian rasmi kepada tentera-tentera Kerajaan Khilafah Ar-Rasyid. Orang Malaysia. Antara Jeneral tertinggi Daulah Khilafah Ar-Rasyid, dan distesenkan bagi menjaga tentera utama di Arab Saudi.


“Respon daripada itu, mereka kini dalam keadaan determinasi untuk menggunakan nuklear. Saki baki kerajaan Israel yang memohon perlindungan Rumah Putih juga akan bersama dalam peperangan ini. Itu adalah apa yang intel kita dapat pintas.” Dia menyempurnakan.


Semua tentera yang berada di dalam dewan itu diam. A’la yang turut ada, menyaksikan keadaan sunyi tersebut. Hanya bunyi alat penghawa dingin sahaja kedengaran. A’la tahu, di dalam hati semua tentera, ini adalah sesuatu yang baru.


Mereka tidak pernah lagi berperang dengan mana-mana negara. Dari Malaysia, Indonesia, dan Turki bergerak membina kesatuan kerajaan Islam bergelar Daulah Khilafah Ar-Rasyid, yang kemudiannya disertai Thailand, India, Filipina, Brunei, Jordan, Mesir, Syria, Arab Saudi, Yaman, Libya, dan sebagainya, mereka tidak pernah lagi berperang dengan mana-mana negara.


Kini, pusat pemerintahan di Arab Saudi, digegarkan dengan berita ini. Peperangan sulung.


“Tuan,” Seorang tentera menggaru dahi, sambil sebelah tangan lagi diangkat.


“Silakan.” Tengku Alimi memberikan ruang.


“Tiadakah jalan yang lebih harmoni dari berperang?” Tentera itu bertanya. Ikhlas. Jelas suaranya, adalah wakil semua tentera di dalam dewan ini. Tiada yang suka berperang, walaupun mereka tentera. Seboleh-bolehnya, kalau perdamaian boleh diusahakan, itulah yang akan mereka pilih terlebih dahulu.


Tengku Alimi menggeleng. “Kita sudah cuba buat negosiasi. Tetapi nyata Rumah Putih tidak menerima. Mereka kini sedang sibuk berkempen, agar seluruh Eropah menyertai mereka. Peperangan tidak dapat dielakkan lagi. Kita menerima maklumat bahawa roket-roket nuklear mereka telah bersedia, dan satelit-satelit mereka turut telah menjadikan kita sebagai kiblat sasaran laser. Jika kita tidak bertindak, kita yang akan dibakar.”


Seluruh dewan senyap kembali.


“Tuan.” Bangun seorang lelaki. Seluruh dewan kini ke arahnya memerhati. A’la kenal. Itu sahabat karibnya sendiri. Alf Syuja’.


“Jika perang adalah jawapannya, maka peranglah yang akan kami lakukan. Tidaklah kami akan berkata kepada tuan sebagaimana bani israel berkata kepada Musa: Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu. Surah Al-Maidah ayat 24.”


Alf Syuja’ berhenti seketika. Memandang semua rakan tentera, sebelum kembali memandang Tengku Alimi.


“Tetapi, kami akan berkata: Pergilah tuan berperang dengan Allah SWT, dan kami akan sentiasa berada bersama tuan. Kerana kami ini beriman!”


Terus Alf Syuja’ membaca sepotong ayat dengan lantang:


“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci. Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. Surah Al-Baqarah ayat 216.


“Allahuakbar.” Seorang tentera yang lain melaung takbir, sebaik sahaja Alf Syuja’ berhenti membaca Al-Quran.


“Allahuakbar.” Beberapa tentera lain turut mengikuti. Berdiri bahkan.


“Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Sami’na, wa ato’na Jeneral!” Semua di dalam dewan berdiri, A’la turut bersama, melaung takbir dan sumpah ketaatan sambil mengangkat tangan. Bulu roma meremang dengan semangat.


A’la kemudian memandang kepada Alf Syuja’. Menggeleng. Sahabatnya itu, benar-benar istimewa.


“Alhamdulillah. Terima kasih Alf Syuja’. Inilah dia masanya, Rumah Hitam menumbangkan Rumah Putih. Allahuakbar.” Tengku Alimi mengangkat penumbuknya.


“Allahuakbar!” Semua yang ada melaung sekuat hati.


 


******


 


A’la berlari pantas. Suasana di persekitaran Rumah Putih memang dikawal ketat. Kereta kebal, tentera-tentera, penembak-penembak tepat, pelancar-pelancar laser, juga robot-robot, semuanya berada di situ mengawal pertahanan terakhir mereka.


Kini tentera Daulah Khilafah Ar-Rasyid sudah maju dan berkubu di persekitaran luar.


“Berapa minit lagi? Mereka ingin membazirkan masa kita sebenarnya!” Salah seorang tentera bersuara. A’la melihat jam pada lengan baju tenteranya.


“Tiga minit lagi.”


“Kita tidak boleh lengah lagi.”


“Tetapi pun, kita tidak boleh menembusi.”


“Nuklear-nuklear itu akan terlancar ke arah daulah kita dalam masa tiga minit lagi!” Tentera itu seperti emosi.


Semua mati jalan.


 


*****************************************


Baca cerpen ini sepenuhnya di dalam Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.



 


Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.

Harga: RM25.00

Genre: Kumpulan Cerpen.


Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, memuatkan 20 buah cerpen yang bertemakan cinta, namun tidak terpenjara dalam skop Cinta lelaki dan perempuan semata-mata. Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta membawa definisi baru berkenaan Cinta, untuk membebaskan masyarakat hari ini daripada takrif cinta yang salah. Menggunakan cerpen sebagai medium penyampaian, Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta bakal menggegarkan kehidupan anda dengan makna Cinta yang bersih, suci, dan membahagiakan.

———————————————–

WHERE TO BUY?

http://langitilahi.com/store


HOW TO BUY?

http://langitilahi.com/store/store-guide


VIDEO GUIDE:

http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg


———————————————–

WHY SHOPPING ONLINE?

No closing times

No carrying heavy bags

No traffic & parking jams

No wasting petrol, toll & time

No over-crowded supermarkets & queues


———————————————–

Mari Menjadi Hamba!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 24, 2013 22:41

Kehidupan: Cita-cita.


Picture by UmarMita of LangitIlahi


 


Apakah cita-cita kita?


Mungkin ramai yang akan menjawab dari segi pekerjaan dan karier. Tidak kurang juga yang akan menjawab berkenaan rumah besar, kereta mewah dan pasangan yang menawan.


Mempunyai cita-cita adalah satu kepositifan dalam kehidupan seseorang manusia.


Itu adalah tanda bahawa dia mahu ‘hidup’.


Persoalan yang timbul adalah, apabila kita sudah mencapai apa yang kita cita-citakan itu.


Bagaimana selepasnya?


Hidup tidak terus terhenti bukan? Kita masih perlu meneruskan hari-hari kita bukan?


Akhirnya akan ada satu bisikan ‘kebosanan’ muncul dalam hidup kita. Ada satu angin yang menghembuskan ‘kelemahan’ dalam kehidupan kita. Apabila sudah mendapat apa yang dicita-cita, kita jadi lemah dan tidak berdaya dalam meneruskan kehidupan. Kerana kita sangka, kita sudah sampai ke destinasi kita.


Tahukah kita bahawa, cita-cita itu boleh kita lihat dari pelbagai sudut dan perkara?



Cita-cita yang abadi


Ada satu cita-cita yang biasanya orang terlupa untuk tanamkan dalam dirinya.


Cita-cita kepada akhirat.


Ya. Apa cita-cita akhirat kita? Pernahkah kita tanamkan di dalam diri dan jiwa kita?


Biasanya, apabila ditanya berkenaan akhirat, semua akan berkata hendak masuk syurga. Namun biasanya juga, jawapan kita itu ibarat angin yang berlalu. Usaha untuk merealisasikan jawapan ‘nak masuk syurga’ dengan jawapan ‘saya nak jadi engineer/doktor/pensyarah’ adalah sangat berbeza sekali.


Siapa yang mengambil serius akan cita-cita kepada akhiratnya?


 


Cita-cita akhirat, dasar kepada cita-cita yang lain


Manusia yang menjadikan akhirat sebagai cita-cita mereka yang serius, bukan membuatkannya berhenti bercita-cita akan hal dunia. Bahkan, cita-cita mereka akan hal keduniaan menjadi lebih kukuh apabila dasarnya adalah cita-cita akhirat.


Manusia yang melihat akhirat sebagai cita-cita utama mereka, akan faham bahawa modal yang mereka ada untuk mencapai cita-cita utama mereka itu hanyalah dunia. Waktu kehidupan mereka. Maka, mereka akan menyusun strategi bagi mendapatkan akhirat itu, dengan mempergunakan dunia yang ada.


Di sini, apa sahaja cita-citanya. Baik skor dalam peperiksaan, baik menjawat jawatan tertentu, hatta cita-cita untuk mendapat pasangan dan membina rumah serta mendapatkan kereta, semua itu akan dibina atas binaan cita-cita akhiratnya.


Maka dia akan melaksanakan sesuatu itu dengan kondisinya yang terbaik. Dia akan mencapai sesuatu itu dengan jalannya yang bersih. Dan dia akan bersungguh-sungguh dalam mencapai cita-citanya itu. Hal ini kerana, manusia yang memahami akan cita-cita utamanya dalah akhirat, akan melihat bahawa pencapaian cita-citanya di atas dunia adalah ibadah.


Dalam erti kata lain, saham kepada akhiratnya juga.


 


Hari-hari bercita-cita


Manusia yang melihat cita-citanya adalah akhirat, maka dia akan bercita-cita setiap hari. Setiap kali sebelum tidur, dia akan melihat semula kehidupannya. Apakah kehidupannya sudah baik untuk mencapai cita-cita yang dihajatkan. Setiap kali dia bangun tidur, dia akan mempunyai cita-cita baru dalam menjadikan hari baru itu hari yang terbaik dalam rangka perjuangannya mencapai cita-cita akhirat.


Usaha dalam menggapai cita-cita akhirat adalah usaha yang tiada cuti.


Ini menjadikan manusia, yang benar bercita-cita akan akhirat, sebagai manusia yang matang, kemas, dan sentiasa berusaha mempertingkatkan diri. Manusia seperti ini tidak tentu arah. Dia sentiasa mempunyai hala tuju dan merancang ke mana dia menuju. Dia sentiasa ada sebab dalam melakukan sesuatu dan tidak gemar melakukan sesuatu yang sia-sia.


Hatta tidurnya juga, dalam rangka memberikan manfaat kepada cita-cita utamanya.


 


Penutup: Cita-cita akhirat, membina kualiti kehidupan di atas dunia


Dahulu. Sekitar tahun 1992, ada seorang tokoh memberikan kenyataan di dalam akhbar yang menyatakan bahawa, cita-cita terhadap akhirat menjadikan seseorang itu mundur.


Pada saya, ini adalah satu kesilapan. Pada saya, manusia yang memahami akhirat sebagai cita-citanya, maka kehidupannya akan sentiasa wujud peningkatan. Kualiti kerjanya akan meningkat. Dia seorang amanah dan jujur. Tabah dan cekal. Gigih dan kuat. Sabar dan sentiasa berusaha untuk tenang.


Tinggal ramai orang yang silap memandang cita-cita akhiratnya semata-mata dalam pagar masjid. Semata-mata atas sejadah. Itulah yang membuatkan orang menuduh cita-cita akhirat membawa kemunduran.


Manusia perlu keluar menggegar dan menumbangkan jahiliyyah.


Mencapai yang tertinggi di atas muka bumi sebagai khalifah.


Cita-cita akhirat, mampu membuahkan cita-cita sedemikian, dan memberikan kepada manusia kualiti kehidupan.


Tidakkah manusia memerhatikan?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 24, 2013 15:18

April 23, 2013

Agama: Kempen Pilihanraya – Awasi Lidah Yang Tiada Bertulang!

_walk_and_talk__by_mondaysopaque-d1cjmb7


~Perjalanan ukhuwah bisa berterusan jika mengambil berat penjagaan lisan~


 


Alhamdulillah di Malaysia  telah diadakan hari penamaan calon bagi seluruh kawasan yang dipertandingkan. Walau terdapat beberapa kekecohan, harapnya kita lebih teliti berita-berita yang sampai ke cuping telinga kita agar tidak menyebabkan secara tidak langsung kita menzalimi pihak yang lain.


Bukan bertujuan memanjangkan soal tapisan berita yang perlu dititikberatkan, tapi kali ini memandangkan kesemua parti giat menjalankan kempen untuk memenangi hati rakyat, mungkin terdapat suatu perkara yang diambil ringan iaitu soal akhlak melalui perkataan kesat atau zaman moden sekarang ini tulisan di alam maya.


 


Panduan Lidah


الرَّحْمَـٰنُ ﴿١﴾ عَلَّمَ الْقُرْآنَ ﴿٢﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ ﴿٣﴾ عَلَّمَهُ الْبَيَانَ﴿٤


 


(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya (1). Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran (2). Dia lah yang telah menciptakan manusia (3). Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.(4)


Allah s.w.t selepas menyatakan pujian-pujian ke atas dirinya, kemudian Allah menyebutkan bahawa dia mengajarkan Al-Quran. Dari sudut pandang yang lebih luas, Allah mengajarkan kepada hamba kalimah-kalimah-Nya iaitu Al-Quran kepada manusia. Selepas menyatakan Dia mencipta manusia, Allah menyebutkan Dialah yang mengajar manusia berbicara.


Jika kita teliti di sini, betapa cantik Allah beri panduan kepada manusia di sini cara berbicara yang sepatutnya. Dalam dakwah Rasulullah s.a.w pada awal baginda diutuskan, baginda menunjukkan qudwah yang baik kepada seluruh masyarakat ketika itu. Begitu juga Allah dalam mengajar manusia berbicara menurut cara Al-Quran yang mana kemudiannya Dia menciptakan manusia agar manusia boleh mengambil ibrah dalam menuturkan kata-kata mereka.


Berbicara dengan cara Al-Quran tidak pula membawa maksud, bercakap menggunakan ayat-ayatnya sahaja. Mengambil contoh apabila sahabat-sahabat bertanyakan kepada Aisyah r.a bagaimanakah akhlak Rasulullah? Seterusnya beliau menjawab bahawa akhlak baginda adalah Al-Quran iaitu merangkumi pertuturan yang baik seperti yang disarankan oleh Allah dalam rangka dakwah baginda kepada manusia:


Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. (An-Nahl:125)


Ayat ini jika teliti dari segenap sudut, bukan sahaja seruan kepada jalan Allah dan menasihati sahaja yang perlu dengan cara yang baik, tetapi jika ada perbahasan tentang sesuatu itu juga perlu tidak sekadar baik bahkan lebih baik.


Berbalik semula kepada kempen pilihanraya yang giat dilaksanakan serata inci di tanah air, beberapa perkara yang perlu dimuhasabah bersama adalah kita mengatakan kita membawa islam tidak kira mana-mana parti, tetapi adakah cara kita menyeru manusia itu bertepatan dengan yang ditunjukkan oleh islam?


Bebas dari caci maki dan hasad dengki?


Bebas dari perbuatan yang menyakiti orang lain dari sudut zahir atau batin?


Bagaimana pula jika ada pertembungan idea?


Adakah kita bijak dan matang mengatasi persaingan?


Atau sekadar dipinggiran dan menyatakan rasa tidak puas hati?


Begitu indah Al-Quran memberi panduan pada manusia dalam bab berbicara dan menyeru manusia. Saya tidak nafikan kadang-kadang tersemat rasa kurang senang antara satu pihak dengan pihak yang lain. Mungkin disebabkan keburukan-keburukan yang telah dilakukan. Tapi itu tidak bermakna rujukan kita (al-Quran) boleh diketepikan dalam menekankan soal akhlak.


Rasulullah s.a.w sahaja bukan sekadar ingin berbicara tentang kerosakan akhlak masyarakat Quraisy di Makkah tetapi meluruskan soal akidah yang mana lebih sukar diubah kerana membabitkan soal kepercayaan. Pun begitu, baginda masih tetap kukuh menunjukkan akhlak yang baik yang mana natijahnya baginda berjaya memasukkan unsur tauhid ke dalam jiwa-jiwa mereka.


 


Larangan pada lidah[i]


Terdapat larangan ayat al-Quran terhadap lidah-lidah manusia dalam menuturkan bicara dan kesannya terhadap manusia yang melanggar perintah tersebut. Allah berfirman:


 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿١١


Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-hujurat:11)


 


Allah memulakan ayat ini dengan menyeru “orang-orang yang beriman” untuk menarik perhatian pembaca al-Quran supaya mengambil berat akan ayat seterusnya sama ada akan ada perintah yang mesti dilaksanakan atau ada larangan yang mesti ditinggalkan. Bagi ayat ini, terdapat beberapa larangan yang Allah kemukakan supaya manusia tidak mengamalkannya.


Larangan pertama, Allah sebutkan perkataan يَسْخَرْ yang mana dalam bahasa arab[ii] ia tidaklah sekadar mencemuh atau mengkeji sesuatu kelompok atau orang yang lain, bahkan ia juga membawa maksud merendah-rendah atau menindas melalui cara modern sekarang ini melalui bentuk ayat sarkastik kerana terdapat perkataan yang lain yang membawa maksud kejian.


Pandangan peribadi saya, sarkastik bukan tidak boleh digunakan secara total kerana terdapat beberapa ayat al-Quran yang membawa makna demikian atau disebut dalam bahasa arab uslub istihza’.  Tetapi sarkastik yang tidak dibenarkan adalah yang merendah-rendahkan pendapat orang lain dan menganggap pandangan kita sahaja yang betul lebih-lebih lagi dalam bab ijtihad.


Dari sudut lain, mereka yang menggunakan kaedah sarkastik yang tidak dibenarkan ini bukan sahaja mendapat amaran daripada Allah, tetapi menggambarkan bahawa ketandusan idea matangnya dalam memperbincangkan sesuatu isu yang mana akhirnya dia memilih serangan peribadi kerana tiada berbaki idea untuk disuarakan. Selain itu, secara jelas juga Allah sebut bahawa ia berkaitan dua pihak baik lelaki atau perempuan.


Larangan ini ditegaskan bukan sahaja ia sebenarnya menzalimi orang lain dengan kata-kata yang kesat, tetapi boleh jadi orang yang berkata buruk kepada orang lain itu sebenarnya hanya pada tanggapannya walhal orang yang lain itu lebih baik daripada dirinya. Hal ini disebabkan, kebenaran itu hanyasanya milik Allah s.w.t.


Manusia tiada hak untuk mengatakan bahawa dia paling benar kecuali ada dalil yang jelas menyokong. Tetapi dalam bab ijtihad yang membabitkan soal politik yang tidak ada nas secara terus maka hak kebenaran itu tidak boleh di anak emaskan kepada sesuatu golongan kerana jika benar pandangan itu mendapat dua pahala jika sebaliknya mendapat satu pahala seperti yang disebutkan dalam hadis.


Larangan seterusnya adalah berkenaan dengan membuka keaiban orang lain. Namun, yang sungguh mengecewakan adalah politik di Malaysia amat gemar untuk mengetegahkan isu ini hingga seolah-olah menjadi darah daging yang parah. Keaiban di sini adalah keaiban yang bersifat peribadi iaitu soal dosa-dosa seorang itu dengan Allah.


Adapun keaiban yang melibatkan urusan negara yang merangkumi aspek rakyat seperti pemerintahan yang lemah, korupsi perlu didedahkan bukan dengan dengan tujuan mengaibkan peribadi tetapi untuk mengangkat kebenaran supaya darjat rakyat dan taraf kehidupan bisa diperbaiki. Juga untuk memberi maklumat yang benar kepada para pengundi untuk bijak membuat pilihan yang tepat untuk kemaslahatan sejagat.


Larangan terakhir adalah berkenaan dengan menggelarkan seseorang itu dengan gelaran yang buruk. Perkara ini perlu diambil perhatian secara serius. Tidak kira siapa pun orang itu, kita tidak layak untuk menggelar dengan gelaran yang tidak wajar lebih-lebih lagi jika mereka itu merupakan pemimpin kita yang merupakan orang yang berpengetahuan baik dalam ilmu syariah atau ilmu hayat yang lain. Keburukan pimpinan tidak dapat bisa diubah dengan gelaran tetapi dengan kebijakan rakyat berdasarkan sistem demokrasi yang sedia ada.


Secara ringkasnya, jika lihat gambaran kesan perbuatan ini terus dilakukan, maka akan jatuh seseorang itu dalam kategori orang yang fasiq (yang melazimi dosa) dan ia merupakan sesuatu yang buruk apabila seorang itu berada tahap demikian setelah dia telah beriman. Adapun rahmat-Nya sungguh luas. Pengampunan-Nya tidak terbatas. Justeru, mohonlah keampunan untuk merasai kemanisan iman jika telah terlanjur melakukan.


 


Alam Maya


Merujuk semula perkongsian  saya banyak lebih menjurus kepada penggunaan lidah secara zahir. Justeru, mungkin kita sering terlepas pandang penggunaan ‘lidah’ yang sebenarnya lebih tajam daripada yang zahir iaitu ‘lidah alam maya’. Bukan sahaja orang yang berada di hadapan kita yang boleh mendengar percakapan kita, bahkan boleh jadi seluruh dunia bisa mengakses apa yang kita tulis.


Oleh itu, berhati-hatilah bercakap di alam maya namun tidak bermaksud tinggal ucapan yang baik di lapangan tetapi mengimbangi setiap tutur bicara yang ingin kita perkatakan atau dijadikan sebagai tulisan kerana hakikatnya ia merupakan saham kita di akhirat kelak. Jika baik maka kebaikanlah kita terima. Jika sebaliknya maka kita tahu akibatnya.


Bukan juga artikel bertujuan menghalang sesiapa memberi pandangan. Bahkan mereka proaktif dalam memeberi cadangan secara tidak langsung mempotretkan kesungguhan dan kecaknaannya kepada isu yang berlegar disekitar. Namun, pandangan tersebut janganlah pula menafikan hak-hak orang lain dengan kata-kata yang kurang baik atau menolak pendapat yang lain.


 


Kesimpulan: Pelihara hubungan baik sesama manusia


Bijaksananya Allah menyusun ayat ke-11 dari surah al-hujurat ini dengan mengatakan larangan-larangan-Nya, Allah sebutkan terlebih dahulu dalam ayat sebelumnya bahawa sesunguhnya orang islam itu adalah bersaudara dan cara mengekalkan persaudaraan tersebut adalah menjauhi segala larangan-Nya seperti yang telah dijelaskan.


Akhir sekali, hidup kita bukan sekadar di dunia. Ada alam akhirat menanti di sana. Oleh itu, jagalah kata-kata kita yang akan menjadi saham di kemudian hari. Jagalah hubungan sesama manusia yang menjadi asas kesepaduan sejati.


Wallahualam~


by: https://www.facebook.com/MuhammadUzairIzhammuiz?ref=hl


[i]  تفسير حدائق الروح والريحان,364




[ii]   مفردات ألفاظ القرأن, الإمام راغب الأصفهاني,295




 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 23, 2013 06:10

April 22, 2013

Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta: Cerpen Cinta.


 


Cinta. Indah. Cantik.


Hanya untuk yang mengambilnya dalam bentuk yang sebenar,


Bersama kefahaman yang jelas,


Jika tidak cinta hanya akan merosakkan,


Busuk, jijik,


Dan mengundang kecelakaan.


 



 


Raifal itu diperiksa dengan teliti. Gandar diletakkan pada mata, bersama tangan bersedia seakan-akan hendak menembak. Kemudian diletakkan semula.


“Kau seriuskah?” Temannya yang sedari tadi berada di sisi, bernada risau.


Dia mengangguk.


“Kau tahu bukan yang tempat itu dikawal ketat?”


Dia mengangguk sekali lagi. “Sebab itu kita akan mula merangka perancangan kita sekarang.” Serius.


Temannya menggeleng. “Kita baru sahaja terlepas, Rex. Mujur terlepas. Engkau sudah mahu membahayakan nyawa kita lagi?”


“Aku cintakan dia, Rezi. Aku cintakan dia.” Mata Rex tajam memandang Rezi di sisi.


Rezi menarik nafas dalam, kemudian melepaskannya berat. Memandang Rex dengan pandangan kasihan.


Semalam, mereka baru sahaja terlepas daripada ditangkap oleh Hero. Rancangan mereka untuk merompak bank di Kotaraya At-Taqwa gagal, apabila seorang lagi teman mereka melakukan kesilapan. Mujur mereka berdua belum memasuki bank tersebut. Justeru yang ditangkap adalah teman mereka itu.


Dan teman mereka itu adalah teman wanita Rex.


“Kalau engkau tidak mahu bersama aku, berambus.” Rex menekan suaranya.


Rezi menggeleng. “Mustahil. Sampai ke akhirnya aku bersama engkau. Hatta ke neraka.”


“Mengapa?”


“Sebab aku juga cintakan engkau, sahabat.” Bahu Rex ditepuk mesra.


“Jadi kita perlu buat perancangan macam mana hendak membebaskan Julia.” Rex kini memandang senjata-senjata mereka.


Rezi mengangguk.


 


******


 


Dia memandang mata perempuan di hadapannya. Bundar. Indah. Dia seperti berada di dalam syurga.


“Kenapa? Ada apa-apa dengan muka saya?”


Menggeleng. “Mata awak cantik.”


Wajah perempuan itu spontan menjadi merah. Terus bahunya dipukul manja. “Awak ni, malu saya.”


Dia tertawa. Perempuan itu juga sama. Kemudian mereka sama-sama memandang ke arah tasik di hadapan mereka.


“Awak.”


“Em.”


“Kenapa awak ajak saya keluar ni?” Perempuan itu bertanya perlahan.


“Em…”


“Cakaplah. Kata ada hal penting nak bagitahu.”


“Awak…”


“Ya…?”


“Aliana, Awak cintakan saya tak?”


Mata Aliana membesar.


“Itu yang saya nak sebut sebenarnya. Kita dah berkawan lama. Keluar sama-sama, makan sama-sama, studi sama-sama. Saya sebenarnya, dah lama jatuh cinta pada awak.” Dia bersuara.


Suasana yang sebelum ini sejuk dan menyenangkan, kini menjadi sedikit panas.


“Kenapa awak baru cakap sekarang? Saya pun dah lama cintakan awak.”


“Iya?” Giliran dia membesarkan mata.


Terus tangan Aliana digapai. “Awak tak tipu ni?”


Aliana menggeleng. “Saya tak tipu. Saya benar-benar cintakan awak. Saya berani gadai segala-galanya untuk awak.”


“Segala-galanya?” Dia mengangkat kening sebelah.


“Segala-galanya, Johan.”


Senyuman Johan meleret. “Kalau bermula dengan satu kucupan boleh? Tanda cinta.”


Aliana tersipu malu. Pipinya menjadi merah. Kemudian perlahan-lahan dia mengangkat wajahnya. Menutup mata. Menyediakan dirinya untuk dikucup.


Terus bibir Johan dan Aliana bertemu.


Tanda cinta kata mereka.


Sedang yang ketiga tidak terlihat bersorak ceria.


 


******


 


“Semenjak ada Hero ni, habis semua penjenayah sukar buat kerja ya?” Dia berbicara sambil menumpukan pandangannya pada surat khabar. Berita seorang penjenayah perempuan diberkas menarik perhatiannya.


Sahabatnya tertawa. “Ha’ah. Alhamdulillah. Sekarang setiap negeri sudah ada lima orang Hero. Beberapa tahun lepas, ada di Kotaraya Angsana sahaja. Kini, seluruh negara. Tersepit para penjenayah.”


“Alhamdulillah.” Nadanya mendatar. Surat khabar diletakkan di tepi. Kemudian dia menyandarkan diri pada sofa, sambil melepaskan nafas lemah.


Sahabatnya mengangkat kening sebelah. “Kenapa ni Taqiyuddin?”


“Tak ada apa-apa.”


“Takkan tak ada apa-apa. Tiba-tiba longlai sahaja ni. Lagipun memang aku tengok dua-tiga menjak ni, kau macam ibu ayam hilang anak.”


Taqiyuddin tersenyum kelat. Memandang ke arah lain.


“Ainun.”


“Ha, kenapa dengan Ainun?”


“Entah. Dia macam tak respon sangat pada aku. Aku jadi risau la, Azman.” Taqiyuddin garu kepala yang tidak gatal.


“Ooo. Kau risau buat apa? Kan dah bertunang?” Azman menyilangkan tangannya di atas dada, kemudian bersandar santai pada sofa rumah sewa mereka.


“Tapi macam tak bertunang sahaja. Dia tak layan aku sangat la.”


Taqiyuddin melihat Azman meleret senyuman.


“Apa fasal engkau nampak gembira pula ni?”


“Itu tanda dia cintakan engkau.” Azman berbicara dengan senyuman yang berbunga.


“Cinta apanya kalau macam itu. Sms tak balas, email tak jawab. Sekali-sekala sahaja dia jawab. Itupun aku rasa, kalau boleh balas satu huruf, dia balas satu huruf sahaja.”


Azman tertawa. Taqiyuddin terus memuncungkan bibir melihat reaksi Azman. “Seposen punya sahabat. Ketawa dia. Aku gusar ni. Gundah gulana.” Memandang ke arah lain.


“Aku cemburu tengok Johan dan Aliana. Happy couple. Aku dengar, Johan cerita yang dia confessed pada Aliana. Rupa-rupanya Aliana pun cintakan dia. Siap bising lagi yang dia berkucup dengan Aliana di tasik semalam.” Taqiyuddin berkerut dahi, menceritakan perihal Johan, rakan sekuliah. Azman juga kenal, kerana Azman berada dalam universiti yang sama.


Azman diam sahaja. Membiarkan Taqiyuddin menghabiskan bicara.


“Ada lagi?” Azman angkat kening. Senyuman tidak dilupakan.


Taqiyuddin meleret sengih. “Ada. Kesimpulan, aku tension berhubungan macam ini. Punyalah banyak penjagaan. Aku bukan pegang tangan pun, bukan ajak keluar dating pun. Aku betul-betul cintakan dia. At least kalau aku sms, email, bertanya khabar dan nak bersembang-sembang tu, balaslah. Aku ni risau ni. Dia dahlah aku kenal gitu-gitu je. Sekali dia tak suka aku ke? Tak haru rumah tangga aku nanti?”


Azman menggeleng sambil tersenyum.


“Itulah tanda dia cintakan engkau.” Mengulang kata-katanya tadi.


Kerut di dahi Taqiyuddin bertambah lagi seribu.


“Dan aku berani cakap, Johan tak cintakan Aliana.”


“Ha?” Lagi tambah terkejut. Biar betul. Johan tu sanggup gadai seluruh dunia untuk Aliana. Mustahil Johan tak cintakan Aliana.


“Engkau ni berbelit la Man.”


“Berbelit yang best.”


“Perasan.” Jelir lidah.


Azman tertawa. Akhirnya, Taqiyuddin juga turut tertawa. Tertawa kerana Azman tertawa, kerana Azman tenang, kerana Azman menyenangkan. Walaupun jauh di dalam hati, dia tertanya-tanya apakah maksud Azman yang sebenarnya.


 


*******


 


Hari ini adalah hari baru. Tanda Allah masih memberikan peluang untuk yang ingin bertaubat, bertaubat. Yang ingin menambah amal, menambah amal. Yang ingin berjuang, berjuang. Yang ingin berubah, berubah. Tetapi tidak ramai menghargainya. Lantas hari baru dilalui sama seperti hari sebelumnya.


Namun bukan untuk dia. Dia tidak percaya sedemikian rupa. Hari baru adalah peluang. Dan dia akan bersungguh-sungguh menggunakan peluang tersebut.


“Doktor mahu saya tolong?” Satu suara menyapa. Dia berpaling.


Taqiyuddin. Pelajarnya.


“Oh, Taqiyuddin. Tak mengapa. Terima kasih. Saya boleh angkat sendiri.” Dia memuncungkan bibirnya ke arah kotak hitam yang sedang dibawa.


“Kalau macam itu, saya pergi kelas dahulu.”


“Baik, baik. Belajar rajin-rajin, Taqiyuddin.”


Taqiyuddin yang sudah bermula melangkah pergi, mengangkat tangan. “Baik doktor!”


Dia meleretkan senyuman. Bahagia mempunyai pelajar yang perihatin. Dia terus bergerak hendak menuju ke pejabatnya. Pelajar-pelajar yang melimpasi dirinya ada pelbagai ragam. Ada yang menyapanya, dan ramai pula yang tidak. Ada yang menjaga arahanNya, tetapi ramai pula yang tidak. Itu lebih dirisaukan berbanding orang tidak menyapanya.


“Perlahan-lahan.” Hatinya berbicara sambil bibir tetap murah memberikan senyuman.


Dia mula mendekati pejabatnya. Namun dari jauh, dia sudah perasan ada seseorang sedang menunggunya. Dia tidak kenal pula siapa.


“Assalamu’alaikum. Professor Marzuki Ahmad, betul?” Lelaki itu mendekatinya apabila dia semakin hampir dengan pejabatnya. Lelaki itu bersut hitam penuh dari kot sehingga ke kasut. Baju kemeja putih di dalam jelas kelihatan.


“Waalaikumussalam. Iya saya. Siapakah anda?” Senyuman tetap dilemparkan.


Lelaki misteri itu membalas senyuman.


“Saya dari satu agensi pertahanan rahsia milik Kerajaan.” Kad nama diangkat. Marzuki membaca. Keningnya terangkat. Terkejut.


0-11


Skuad Elit Gerak Khas.


Bahagian Perisikan.


“Skuad Elit Gerak Khas ini apa ya? Dan mengapa cari saya?”


“Mudahnya, kami seperti CIA. Tetapi kepunyaan Kerajaan Malaysia. Berdasarkan risikan kami, kami mempercayai bahawa anda mempunyai hubungan rapat dengan Syamsul A’la. Betul?”


Mendengar nama Syamsul A’la, Marzuki terkejut. Lebih terkejut dari mendengar ‘kami seperti CIA’. Syamsul A’la itu adalah sahabatnya yang paling akrab semenjak kecil. Tetapi telah menghilangkan diri beberapa tahun yang lalu. Marzuki segera meletakkan kotak yang dibawa. Kemudian mendekati lelaki di hadapan pejabatnya.


“Apa yang berlaku dengan Syamsul?”


“Dia hakikatnya adalah salah seorang daripada ejen kami. Tetapi malang, musuh telah berjaya mengaburi pemikirannya. Dia telah pergi bersama mereka beberapa tahun yang lepas, dan dia kini kami berjaya memintas maklumat bahawa dia dalam usaha untuk mensabotaj pula kerja-kerja kami. Dia kini adalah pengganas yang membahayakan keselamatan negara.”


“Benarkah?”


“Kami tidak pernah bercanda, dalam hal keselamatan agama dan negara ini.” Lelaki itu tegas.


Marzuki terdiam sebentar. Tidak menyangka Syamsul adalah seorang perisik, satu hal. Tetapi untuk dia membayangkan Syamsul menjadi pengganas, satu hal yang lain. Syamsul A’la! Sahabatnya yang soleh, baik, amat taat kepada Allah, dan sering menjaga diri daripada kemungkaran kepadaNya. Mengapa boleh jadi sedemikian rupa?


“Jadi, kami diarahkan untuk menghubungi semua kenalan beliau, agar sekiranya beliau pergi menemui mana-mana antara mereka, kami dihubungi pula dengan segera. Jadi, Prof, jangan lupa.” Lelaki itu memberikan kad. Nombor telefon ada pada kad itu.


“Berjaga-jaga Prof. Dia amat merbahaya. Assalamu’alaikum.” Lelaki itu berjabat tangan dengannya, senyum dan kemudian bergerak meninggalkan kawasan pejabatnya itu.


Marzuki sekadar menghantar dengan pandangan mata.


“Syamsul.”


 


******


 


“Johan!”


Tetapi lelaki itu bergerak lebih pantas. Tidak menghiraukan.


“Johan!” Suara mulus yang memanggil sudah berbaur sebak.


Tetapi Johan terus bergerak.


“Sampai hati awak buat saya macam ini. Sudah tiga bulan kandungan ini, siapa hendak bertanggungjawab?” Akhirnya yang dia mampu adalah meluahkan segalanya, sambil memegang perut yang sederhana besar.


Langkahan Johan terhenti. Kini waktu juga seakan terhenti bersama kakinya. Manusia sekeliling memusatkan pandangan terhadapnya. Wajahnya merah.


“Hei Aliana. Entah dengan lelaki mana lagi engkau bersama, aku pula yang engkau cari?”


“Engkau jangan buat tidak tahu, Johan. Aku sudah gadaikan segalanya. Engkau kata engkau benar-benar cintakan aku!”


Awak saya bertukar engkau aku dalam sekelip mata. Yang memerhati semua berbisik-bisik sesama sendiri. Wajah Johan jelas merah dengan marah.


“Mustahil aku hendak cintakan perempuan murah macam engkau ni!”


“Kau bertanggungjawab, Johan. Anak engkau ini!” Aliana menunjuk ke perutnya.


Dahi Johan berkerut. Riak tidak mampu menerima. Tambahan apabila Aliana tanpa segan silu mendedahkan semua di khalayak ramai. Sangkanya Aliana hanya akan mendiamkan diri sahaja.


“Argh!” Terus dia bergerak merapati Aliana, dan dilayangkan penamparnya pada perempuan itu. Aliana terpaling, terundur beberapa tapak. Sebahagian besar penonton wanita menarik nafas terkejut.


“Johan, melampau!” Beberapa pelajar lelaki terus menangkap Johan.


Aliana yang mula menangis teresak-esak mula dikerumuni.


Dari kejauhan Taqiyuddin memerhati.


“Ha, nampak?” Suara Azman muncul bagai mengetahui kesedaran hati. Taqiyuddin memandang sahabatnya di sisi.


“Kesian. Ingat mereka ini couple of the year.”


“Naa. Aku dah cakap dari dulu lagi. Johan itu tidak cintakan Aliana. Aliana pun tak cintakan Johan.” Azman menyilang kedua-dua tangannya pada dada, sambil memerhatikan Johan yang meraung minta dilepaskan, tetapi raungan lelaki itu tidak diendahkan. Dia dibawa dari tempat itu. Mungkin ke balai. Tidak tahu.


“Apa sebenarnya maksud engkau?”


“Kalau aku cakap aku cintakan engkau, munasabah tak aku lempar kau ke dalam api lepas aku cakap begitu?”


“Tak munasabah lah. Kata cintakan aku.”


“Tahu tak apa. Jadi, munasabah ke bila kita kata kita cinta seseorang, kemudian kita ajak dia buat benda yang merosakkan diri, merosakkan maruah, dan lebih-lebih lagi berdosa, serta membawa kepada neraka?”


Taqiyuddin seperti tersepak dengan tamparan yang keras. Walaupun Azman sekadar berbicara dengan nada bersahaja, memandangnya dengan senyuman semanis gula.


“Sekarang amacam bro? Ada puas hati dengan apa yang Ainun buat selama ini pada engkau?” Bahu Taqiyuddin disiku.


“Dia buat begitu tandanya cinta rupanya. Tak mahu aku terjebak dalam dosa, dan hendak kami bersama-sama bergerak ke syurga.” Taqiyuddin mula jelas akan tindakan tunangnya.


“Haa. Untung tak dapat tunang macam itu?” Azman angkat kening dua kali, nakal.


Taqiyuddin tertawa kecil. Menggeleng. Akhirnya menyilang kedua tangannya seperti Azman.


“Alhamdulillah. Cinta yang sebenar, mestilah membawa ke syurga. Itu baru namanya cinta. Selain itu, semuanya palsu belaka.” Syukur. Cinta. Ainun cintakannya. Senyum lebar hingga ke telinga


“Angau.” Terus bahunya ditepuk Azman.


“Sibuk.” Dia menolak Azman kembali.


Dan kedua-dua mereka tertawa.


Aliana telah dibawa pergi oleh pelajar-pelajar perempuan. Mengekori Johan yang dibawa pelajar-pelajar lelaki mungkin. Hal mereka perlu dilaporkan kepada Jabatan Agama untuk urusan lanjut. Taqiyuddin dan Azman tidak berhajat untuk mengekori perkara itu. Bergerak meninggalkan kawasan lapang hadapan universiti untuk bergerak ke kuliah.


Tiba-tiba satu jasad berjalan pantas di hadapan mereka, hampir sahaja mereka melanggarinya. Namun jasad itu tidak berhenti. Bergerak tergesa-gesa seakan ada yang menarik jasad itu.


“Kenapa dengan Prof Marzuki tu?” Taqiyuddin mengerutkan dahi. Hairan.


Azman mengangkat bahu. Menggeleng tidak tahu.


*******


Kereta dipandu laju. Mahu sampai ke destinasi dengan cepat. Terasa diri sekarang mahu mengawal masa. Bukan agar dia sampai tepat pada waktunya. Tetapi ingin memutar ke belakang segalanya, agar hari ini tidak akan ada.


Sahabatnya Syamsul A’la kini sedang berada di Hotel Al-Imaanu Billah, hotel terkenal di Kotaraya At-Taqwa. Hendak meletupkan hotel itu dengan segala isinya, termasuk penghuninya, sekiranya permintaannya tidak dipenuhi.


Kerana itu dia merasa ingin memutar waktu. Saban hari dia berdoa, agar sahabat akrab yang dicintainya dapat diselamatkan. Kerana dia amat cintakan sahabatnya itu. Kini, dia risau dia terlambat. Dia risau dia tidak sempat. Dia tidak mahu sahabatnya melakukan sesuatu yang menyebabkan sahabatnya tidak jumpa jalan berpatah semula.


Dan tidak lama kemudian, dia dihadang kesesakan lalu lintas Kotaraya At-Taqwa. Bangunan Hotel Al-Imaanu Billah kelihatan megah berdiri tidak jauh dari tempatnya. Tidak menanti lama, menjangka bahawa kesesakan ini adalah disebabkan Syamsul, dia terus keluar dari keretanya. Bergerak pantas, berlari sekuat hati ke bangunan hotel yang megah tersebut.


Seiring lariannya, dia sempat memandang ke udara hotel. Kelihatan sekurang-kurangnya tiga Hero sedang terapung di udara. Mungkin bila-bila masa sahaja Syamsul A’la akan dibunuh bagi menyelamatkan keadaan.


Apakah dia sempat?


Dia pantas membelah lautan manusia yang memenuhi tempat itu untuk melihat apa yang terjadi. Menyelit-nyelit untuk sampai ke pintu gerbang hotel.


Belum pun sempat dia masuk ke perkarangan hotel, dirinya ditahan oleh tentera yang berkawal.


“Ini kawasan larangan encik. Hanya pegawai tentera sahaja dibenarkan. Kami ada situasi yang amat genting ini.” Tegas pegawai tentera itu bersuara.


Dia jadi gelisah. Dia ingin menyelamatkan sahabatnya!


“Saya Prof Marzuki Ahmad. Saya kawan rapat Syamsul A’la. Benarkan saya masuk!”


Mata pegawai tentera yang berkawal itu mencerut bersama kerutan dahi.


“Cepat!”


“Sarjan, benarkan dia masuk.” Satu suara memberikan arahan tidak jauh daripada tempat itu. Lelaki yang datang ke pejabatnya tempoh hari. Pegawai tentera tanpa bertanya bergerak ke tepi memberikan jalan. Terus Marzuki bergerak mendapatkan lelaki bersut hitam sempurna.


“Mengapa Prof datang ke mari?” Kehairanan wajah lelaki itu.


“Kerana dia sahabat.” Ringkas jawapan Marzuki. Mendongak ke atas seakan-akan ingin memahami situasi, walaupun matanya tidak mencapai jasad Syamsul yang dikatakan ada di bumbung hotel ini.


“Heh. Untuk orang lain, orang sepertinya sudah tidak diakui sahabat.” Lelaki itu bersuara. Seperti tidak percaya dengan tindakan Marzuki.


“Apakah namanya sahabat yang tidak mencintai sahabatnya, dan apakah nama cinta jika membiarkan sahabatnya ke neraka?” Marzuki mengerutkan dahinya. Tegang wajahnya. Seperti menggesa lelaki di hadapannya membenarkan dia naik ke atas.


Lelaki itu menghela nafas. Memandang beberapa pegawai yang berada di sisinya, seakan-akan wujud perbincangan ringkas hanya dengan menggunakan mata. Tidak lama kemudian, dia memandang semula kepada Marzuki.


“Pergi. Kami hanya ada satu pilihan sahaja kini. Membunuh Syamsul A’la. Tetapi dia hakikatnya adalah penting buat kami. Sebolehnya, kami tidak mahu kehilangannya.”


“Apa maksud kamu dengan ‘dia hakikatnya adalah penting buat kami’?”


“Dia sahabat kami juga. Siapa yang ingin melihat sahabatnya mati dalam kejahatan?” Lelaki itu tersenyum. Menepuk bahu Marzuki.


Senyuman Marzuki mekar, pantas memasuki lif, dan naik ke tingkat paling atas. Waktu di dalam lif seperti amat lambat berjalan. Gemuruh hatinya dengan doa. Tidak lama kemudian, lif terhenti. Sampai ke destinasi. Terbuka.


“Jangan ra…” Dan suara sahabatnya itu terhenti. Mungkin terkejut melihat yang hadirnya adalah diri.


Air matanya bergenang. “Sahabat!” Terus melangkah untuk mendapatkan Syamsul yang kini sudah berambut panjang, memakai pakaian kalis peluru, dan kelihatannya sedang memegang punat peletup pada kedua-dua belah tangannya.


“Marzuki?” Kerut dahi Syamsul tanda tidak percaya.


“Ya. Ini aku. Marzuki!”


“Buat apa engkau di sini? Pergi!” Syamsul menghayun tangan. Menghalau.


Marzuki menggeleng. Langkah diteruskan. “Aku datang untuk engkau. Hentikan semua ini.”


“Tidak. Ini pembalasan buat mereka!” Syamsul meninggi suara.


“Apa salah mereka?”


“Mereka ini telah membunuh isteri aku!”


Marzuki jadi teringat akan berita yang didapatinya akan kematian isteri Syamsul. Tetapi ketika dia ingin perg menziarahi, Syamsul sudah tiada. Jejaknya juga tidak bertanda. Dan dia tidak terkejut mendengar dakwaan Syamsul. Dia sudah diberitahu awal akan hal itu. Lelaki berkod 0-11 itu telah beberapa kali menghubunginya, berkongsi maklumat akan Syamsul.


“Benarkah mereka telah membunuh isteri engkau?”


“Ya!”


“Atau sebenarnya, yang membunuh isteri engkau itu adalah mereka yang engkau sedang bekerjasama dengannya sekarang?”


Syamsul terdiam.


“Engkau antara ejen terbaik dari kalangan SEG. Mengapa SEG hendak membunuh isteri engkau pula? Cuba fikirkan?”


“Mereka ingin aku lebih fokus bekerja!”


“Syamsul sahabatku. Di manakah keislaman kamu? Bukankah SEG itu pasukan yang ditarbiyah. Engkau sendiri menjalaninya. Bukan tentera tanpa jiwa. Mereka kumpulan yang bergerak dengan mentaati Allah. Fokus bekerja datang daripada keimanan yang dilatih. Mustahil mereka menggunakan cara sekotor itu!”


“Tetapi, sudah jelas ada bukti menunjukkan sedemikian!” Syamsul emosi. Suaranya menjadi tinggi.


“Dengan siapakah engkau berhadapan Syamsul? Ryuken. Mereka memang berusaha mencari lubang agar negara Islam kita yang mula membangun ini tumbang. Mereka boleh susun semua bukti itu. Cuba engkau fikir semula dalam-dalam. Engkau lebih arif.” Marzuki tetap berusaha. Tiga bulan ini, dia membuat kajian demi kajian dengan bantuan lelaki berkod 0-11 itu. Dia kini mengetahui serba sedikit akan apa yang berlaku.


Mata Syamsul berkelip-kelip. Mungkin tersedar. Mungkin selama ini dia dimanipulasikan emosinya atas kehilangan isterinya. Bibirnya mula terketar-ketar. Mata bergenangan air menanti pecah untuk tumpah.


“Habis, selama ini, selama ini aku…” Air mata mula mengalir.


Kini Marzuki berdiri betul-betul di hadapan Syamsul. Tidak gentar. Tidak takut. Perlahan-lahan dia memegang sahabatnya itu. Kedua-dua pergelangan tangan digenggam.


“Berhentilah, Syamsul. Pautlah tanganku.” Lembut dia bersuara.


“Selama ini aku buat apa Marzuki? Sudah enam tahun!”


Marzuki menggeleng. “Rahmat Allah masih luas. Untuk semua dosa ada keampunan. Melainkan mati dalam keadaan membantahNya. Maka, janganlah begitu, sahabat. Kerana aku ingin berpimpinan tangan dengan engkau ke syurga.”


“Apakah tanda Allah masih menerima aku?”


“Aku.”


Mata Syamsul membesar.


“Kalau Allah tidak cintakan engkau, Allah tidak akan menghantar aku ke mari, dan tidak akan wujud perbualan ini, maka sekarang engkau telah membunuh ribuan orang di dalam hotel ini termasuk dirimu sendiri.” Tenang Marzuki berbicara. Mata bertemu mata.


“Marzuki!” Akhirnya alat kawalan jauh yang dipegang pada kedua-dua belah tangan dilepaskan. Terus Marzuki memeluknya erat.


“Sahabat. Alhamdulillah.”


Ketika itu juga, bunyi seperti guruh berdentum kedengaran. Marzuki meleraikan pelukannya. Syamsul dan Marzuki memandang sekeliling. Lima jasad bersut serba hitam, yang kemudiannya berselimutkan mantel, bermata putih bersinar, kelihatan megah dan gagah, mengelilingi mereka. Hero.


“Selesai. Selesai.” Marzuki memberitahu. Fikirnya, kelima-lima Hero itu ingin menghabiskan Syamsul.


“Kolonel Syamsul A’la, kami merindui anda.” Kelima-lima Hero bersuara.


Marzuki melihat Syamsul seperti terjeda. Mungkin tidak menyangka akan disambut mesra.


“Kami sebenarnya telah bekerja keras mencari pengatur sebenar kepada pembunuhan isteri Kolonel. Dan kami telah menemuinya setahun yang lalu. Tidak dapat berhubung dengan kolonel adalah perkara yang menggusarkan kami. Sedang kami ingin memberitahu keadaan yang sebenar.” Salah seorang Hero memberitahu.


“Benarkah?” Syamsul memandang Hero yang memberikan penjelasan itu dengan pandangan tidak percaya. Kemudian dia menoleh kepada Marzuki. “Benarkah?”


Marzuki mengangguk. Itulah yang diberitahu oleh lelaki 0-11.


“Alhamdulillah.” Satu suara yang tidak asing untuk Marzuki kedengaran. Semua menoleh ke arah pintu lif.


Lelaki berpakaian serba hitam, berkod 0-11 itu melangkah ke arah mereka.


“Cinta seorang sahabat menyelamatkan kita hari ini. Allah Maha Besar dengan mendidik hambaNya dengan cinta sebegini indah.” Lelaki itu mengungkap syukur.


Marzuki hanya mampu tersenyum.


Tiba-tiba satu bunyi aneh kedengaran. Terus lelaki berkod 0-11 menyentuh jam di tangannya.


“Ya?”


“Mereka telah masuk, Tuan.”


“Bagus. Teruskan seperti biasa.”


Kemudian tangan itu dilepaskan. Lunjur ke bawah menghadap bumi.


“Kenapa?” Marzuki mengangkat kening sebelah. Tertanya-tanya.


“Biasalah, banyak kerja.” Lelaki berkod 0-11 mengenyitkan mata.


 


******


 


Penjara itu seperti lengang daripada pengawal.


Mereka hakikatnya telah memintas maklumat bahawa satu operasi di Hotel Al-Imaanu Billah sedang dijalankan menyebabkan para Hero digerakkan ke sana. Jadi penjara khas yang memagar kriminal besar seperti Julia tidak terjaga hari ini.


“Nampaknya rancangan kita akan berjaya.” Rex mengangkat ibu jari.


Rezi hanya mengangguk. Berhati-hati sambil setia mengacu senjatanya.


Kerana cinta, Rex sanggup menceroboh penjara ini untuk membebaskan Julia. Kerana cintanya juga kepada sahabatnya itu, Rezi sanggup mengikutinya melakukan kerja gila ini.


Mereka dengan langkah senyap penuh berjaga-jaga, bergerak ke sel Julia. Melalui satu jalan yang tidak berapa panjang.


“Sini sepatutnya ada satu perangkap, bukan?” Rex mendongak memerhatikan siling jalan yang mereka lalui.


Rezi mengangguk. Tetapi perangkap itu sudah dimusnahkan olehnya dengan memasukkan virus ke komputer utama penjara ini.


“Gerak segera Rex. Aku sebenarnya tidak sedap hati.”


“Jangan ri..”


Tum!


Kedua-dua jalan keluar disekat dengan jeriji besi berwarna sama seperti dinding, lantai dan siling. Putih. Terkejut kedua-dua sahabat itu, terus bersentuhan tulang belakang mereka bagi mempertahankan diri masing-masing.


Terperangkap.


“Apa ini? Bukankah kita telah musnahkan semuanya?” Rezi tidak percaya.


“Kita pecahkan sahaja jeriji besi ini!” Terus Rex mengacu raifalnya untuk menembak ke arah jeriji. Tetapi belum sempat itu berlaku, senjatanya telah terangkat ke atas, ditarik medan magnet. Begitu juga senjata Rezi. Termasuklah semua senjata mereka yang lain.


“Mustahil!” Rex tidak percaya.


Ketika ini, seorang lelaki muncul dari balik jeriji.


“Rex dan Rezi. Penjenayah yang dikehendaki. Kami sebenarnya menanti hari ini tiba.”


“Kau siapa?”


“Tengku Amiri. Ketua Skuad Elit Gerak Khas.” Lelaki yang kelihatan gagah itu bersuara.


“Kamu berdua agak hebat juga hingga dapat meletakkan virus kepada komputer kami. Tinggal, kamu berdua terlupa bahawa kami juga ada rancangan tambahan sekiranya apa-apa berlaku di sini.” Tengku Amiri bersuara tenang.


“Lepaskan kami!” Rex menjerit.


Tengku Amiri menggeleng. “Kamu tahu apa yang membuatkan kamu terlupa kami ada rancangan tambahan?”


Rezi diam sahaja. Dia tersedar kelalaiannya. Dia tahu jawapan kepada soalan Tengku Amiri itu.


“Cinta palsu telah membutakan kamu. Kamu berdua tergesa-gesa, kerana kononnya hendak melepaskan orang yang kamu cintai. Bukan sahaja cinta itu telah membuatkan kamu lalai dan alpa, tetapi cinta itu juga membuatkan kamu bergerak ke arah kerosakan dengan melakukan apa yang kamu lakukan hari ini.”


“Cinta aku kepada Julia adalah cinta yang benar, bukan buta!”


Tengku Amiri tersengih. “Dengan definisi kamu. Tetapi untuk kami, yang beriman kepada Allah SWT, definisi cinta kami adalah, hendak bersama ke syurgaNya. Maka apa-apa yang membawa kami keluar daripada tujuan itu, itu bukan cinta buat kami.”


Tengku Amiri terus melangkah bergerak meninggalkan mereka.


“Selamat menerima perkhidmatan kami di sini.” Tangan dilambai, tanpa melihat Rex dan Rezi.


Cinta.


Yang memahami maknanya akan menerima kebaikan.


Yang sekadar mengetahui perkataannya sahaja, akan terjun ke lembah keburukan.


 


*****************************************


Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta



 


Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.

Harga: RM25.00

Genre: Kumpulan Cerpen.


Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, memuatkan 20 buah cerpen yang bertemakan cinta, namun tidak terpenjara dalam skop Cinta lelaki dan perempuan semata-mata. Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta membawa definisi baru berkenaan Cinta, untuk membebaskan masyarakat hari ini daripada takrif cinta yang salah. Menggunakan cerpen sebagai medium penyampaian, Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta bakal menggegarkan kehidupan anda dengan makna Cinta yang bersih, suci, dan membahagiakan.

————————–———————

WHERE TO BUY?

http://langitilahi.com/store


HOW TO BUY?

http://langitilahi.com/store/store-guide


VIDEO GUIDE:

http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg


————————–———————

WHY SHOPPING ONLINE?

No closing times

No carrying heavy bags

No traffic & parking jams

No wasting petrol, toll & time

No over-crowded supermarkets & queues


————————–———————

Mari Menjadi Hamba!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 22, 2013 22:37

Kehidupan: Anak Muda dan Politik Negara


 


Dahulu saya adalah yang berpendapat bahawa politik itu kotor. Hingga kini, saya masih berpendapat sedemikian rupa. Bukanlah kerana praktis ‘politik’ itu diharamkan oleh Islam, kerana jelas Allah SWT menciptakan manusia untuk menjadi khalifah, maka politik adalah sebahagian daripada Islam.


Tetapi dek kerana kotornya sikap manusia yang mempraktikkannya, dengan fitnah dan caci maki, dengan selak aibdan penipuan, belum dikira pula dengan yang mengamalkan gengsterisme dalam berpolitik, dan sebagainya.


Kadang, yang berakhlak baik selama ini pun sama ada terpalit, atau terlarut sama. Itu membuatkan dahulu saya menjauhi politik dan tidak suka dengannya. Saya tidak mencampurinya. Kerana umur masih terlalu belia, dan dek kerana fahaman saya yang sedemikian rupa.



Hari ini masih sama fahaman itu, tinggalnya saya memilih untuk turun mencampuri urusan politik ini. Bukan untuk menyibuk, tetapi kerana akhirnya saya menyedari bahawa politik walaupun kita tidak berminat dengannya, politik sentiasa berminat dengan kita. Masa hadapan negara kita berkait dengan keadaan politik semasa. Saya mula sedar bahawa peningkatan taraf hidup, sedikit sebanyak adalah bergantung kepada keadaan politik negara, siapa yang memerintah, bagaimana pemerintahan dijalankan, dan sebagainya.


Saya melihat, sebagai anak muda, saya tidak lagi boleh sekadar hidup selesa dengan kemudaan saya. Saya terjun mencampuri urusan politik, memberikan suara dan pandangan, memerhati dan melontarkan komentar, adalah untuk mencabar diri saya sendiri dan mengutip pengalaman. Hari ini mungkin masih dikira sebagai budak mentah, tetapi saya yakin jika sedari awal saya mencampuri urusan ini, saya akan menjadi semakin matang dan berilmu akannya. Untuk berbicara, perlu baca lebih banyak buku, kena lebih rajin memerhati suasana politik antarabangsa, melihat kenyataan-kenyataan kepimpinan politik hari ini dan sebagainya. Memang renyah, tetapi kalau nak amanah, kenalah belajar bersusah payah.


Politik memang kotor hari ini dan pendapat saya itu mungkin tidak akan berubah buat beberapa masa ini. Tetapi kekotoran ini adalah liku-liku yang perlu dilalui dan ditempuhi. Guru saya sering mendidik akan ‘uzlah syuuriah tammah’(pengasingan syu’ur secara total), dan itulah yang saya usahakan. Supaya politik masa hadapan nanti, untuk generasi akan datang, adalah politik yang bersih. Politik yang lebih menawarkan khidmat dan memenangkan rakyat, politik yang lebih berintergriti, bukan politik yang bermain dengan sentimen, bukan politik siapa lebih terlondeh aibnya, bukan politik ungkit jasa-jasa kemudian suruh rakyat bersyukur sahaja.


Saya mula sedar akan kepentingan hal ini ketika saya berumur 21 tahun. Saya mula melihat, kalau sebagai pemuda, saya hanya fikir fasal diri saya semata-mata, alangkah sia-sianya hidup saya.


Hari ini kita lihat, Pakatan Rakyat VS Barisan Nasional, merupakan pertembungan yang banyak melibatkan kisah-kisah silam, dan kadangkala sukar hendak berpolitik tanpa pihak sebelah sana ungkit begini dan begitu punya cerita, pihak sebelah sini ungkit begini dan begitu punya cerita dan sebagainya.


Saya sentiasa mengharapkan, mungkin, 10-20 tahun lagi, akan ada sebuah parti yang tidak membawa kisah-kisah lama, tidak pula sekadar fokus kepada satu-satu bangsa dan satu-satu agama semata-mata, dan parti ini mampu memberikan nafas baru untuk Malaysia kita.


Parti seperti itu, nak menjadikannya sebuah realiti,

perlu bermula dari hari ini.


Bukanlah saya nak buat parti sendiri. Saya tiada kredibiliti itu, dan bukannya orang yang layak.


Tetapi mungkin, anak-anak muda yang ada kesedaran macam saya, yang lebih berkemampuan, yang lebih memandang jauh ke hadapan, yang hendak merubah suasana politik Malaysia hari ini, sudah boleh merangka-rangka. Sudah boleh mula kuatkan pembacaan, dan belajar-belajar daripada parti-parti dan suasana politik Malaysia hari ini. Buat kajian, buat perbincangan bersama rakan yang sama-sama nak melihat Malaysia yang lebih indah, yang sama-sama nak berbakti dan berjuang untuk rakyat, mula dari sekarang. Mula membahagi tenaga, mula membina networking, mula pengkaderan, mula wujudkan pakar-pakar dalam bidang ekonomi dan politik, budaya dan sejarah, sains dan pendidikan, serta pelbagai lagi, untuk mempersiapkan diri dengan ‘tenaga kerja’ untuk parti yang lebih perkasa.


Masa itu, mungkin saya masih seorang rakyat marhaen, penulis, motivator, tetapi pada masa itu saya akan sokong parti tersebut bersungguh-sungguh, dan menggunakan segala apa yang saya ada untuk membantu menangkan parti tersebut.


Apakah akan wujud suasana sedemikian rupa?

InsyaAllah.

Tetapi kita kena berubah dan mula cakna serta peka,

jauhi permainan sentimen dan akhlak buruk pada diri,

jauhi sikap dan sifat fanatik,

mula membina peribadi yang bersih dan baik,

mula fokus melihat orang yang lebih miskin daripada kita dan bertanya kenapa mereka sedemikian rupa?

mula melihat dengan teliti orang-orang yang lebih kaya dan mewah pula hidupnya dan bertanya kenapa mereka sedemikian rupa?

mula melihat luar dari kerangka bangsa kita semata-mata dan bertanya mengapa bangsa lain begitu dan begini style mereka?

mula melihat dan mendalami makna Islam itu sebenar-benarnya, dan bertanya mengapa Allah firmankan begini dan begitu serta mengapa Rasulullah SAW hidup dan memilih, bertindak, mengarahkan, begini dan begitu?


Untuk kita ada satu kerangka fikir yang matang dan mantap.

Peribadi yang bersih dan hebat.

Minda dan jiwa yang utuh dah kuat.


Mulakan semua itu hari ini.

Bukan untuk membina parti, tetapi lebihnya adalah untuk membina masyarakat madani yang hakiki.


Anak-anak muda, rakan-rakan saya,

Inikalilah kita start.

Jangan lain lain kali.


10-20 tahun lagi insyaAllah adalah zaman kita,

dan ini merupakan sebuah seruan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 22, 2013 22:29

Motivasi : Nota Tarbiyah – Abang, Saya Nak Kahwin!

 


Pernikahan Visi & Misi


 


 Merayakan Cinta Melalui Nikmat Perkahwinan.


Picture By Ismi Amar Of LangitIlahi


 


“ Islam adalah agama cinta. Dan mukmin tidak merasakan manisnya iman sehingga ia merasakan hangatnya cinta.”


 


Dr Mahmud Asy-Syarif


Al-Hubb Fil Islam


 


Kisah Benar


 


“ Abang, saya ada hajat,” Satu ungkapan keluar daripada seorang sahabat.


“ Ya?,” Soal saya ringkas.


“ Saya hajat hendak kahwin,” Katanya berterus terang.


 


Sejak akhir-akhir ini, dialog sebegini kerap hadir dalam kehidupan seharian saya. Ada di kalangan mahasiswa yang berhajat untuk berpasangan, ingin mendirikan rumah tangga dan dengan ungkapan mudah : ingin berkahwin.


 


“ Dan nikahkanlah orang bujang di kalangan kamu dan hamba lelaki dan perempuan yang patut untuk menikah. Jika mereka itu miskin maka nanti Allah berikan kecukupan kepada mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas kurnianya lagi Maha Tahu.”


( An-Nur 24 : 32)


 


Perkahwinan itu


 


Sebenarnya, tidak halangan buat kalian. Bagi saya, berkahwin adalah hak semua bangsa dan manusia. Cuma ringkas sahaja saranan saya bagi mereka-mereka yang mempunyai hajat ini :


(1) Perkahwinan itu adalah gabungan kepada satu amanah, tanggungjawab dan bebanan yang sangat berat. Ia bukannya soal kecil tetapi amanah kubra.


(2) Perkahwinan bermakna anda akan melangkah ke alam yang baru dan zaman yang berbeza dari sebelumnya. Ia bermakna, anda perlukan “sesuatu” sebelum melangkah ke sana.


(3) Perkahwinan, ia perlukan persediaan, persiapan dan segala bentuk perapian yang harus anda lihat secara menyeluruh.


(4) Perkahwinan membawa erti kepada perubahan kehidupan bersendirian kepada berteman. Perubahan untuk menerima seseorang yang akan menjadi pendamping dan peneman hidup.


(5) Keputusan perkahwinan dibuat atas timbangan kematangan, kedewasaan dan dipandu dengan suluhan cahaya pedoman yang jelas, terang dan benar.


(6) Perkahwinan juga adalah kesediaan untuk menerima kelebihan, kekuatan, kelemahan dan kekurangan pasangan yang akan menjadi teman setia dalam mengharungi bahtera rumah tangga.


(7) Perkahwinan harus diatur dengan menyedari dan memahami [2] perkataan iaitu keperluan dan kemampuan. Fikirkan keperluan sebelum, semasa dan selepas berkahwin. Dan Renungkan kemampuan sebelum, semasa dan selepas berkahwin.


 


Zaman Kampus


Adik-adik mahasiswa dan mahasiswi ku


Perkahwinan diasas, dibina dan dibentuk melalui jalan-jalan yang bersih, suci dan jernih. Kerana itulah anda harus melaluinya melalui penuntutan ilmu yang sahih. Saat ini, fokuskan kepada akademik dan ilmu anda. Zaman kampus adalah zaman membina kegemilangan, kecemerlangan dan kejayaan diri.


Ajakanku kepada kalian :


(1) Ayuh, kita sibukan diri dengan aktiviti keintelektualan dan keilmuan yang mampu membina kematangan kita dalam berfikir


(2) Sibukan jadual harian dengan program-program yang dapat mengilap potensi hati, dan diri untuk terus menerus dekat dan hampir dengan Allah SWT. Hadirilah program-program, dan aktiviti-aktiviti yang memberikan sentuhan keimanan kepada kalian. Tazkirah mingguan, ceramah-ceramah motivasi, kuliah pengajian Islam, kursus-kursus memperkasa soft skill, ceburi aktiviti khidmat kemasyarakatan dan sentiasa mencari peluang untuk berbakti kepada bangsa dengan saluran yang ada.


(3) Sentiasa fokus dalam merancang, melaksanakan pelan tindakan dan menilai kemajuan diri dalam aspek-aspek pembangunan kemahiran diri secara konsisten


(4) Memilih dan bersahabat dengan mereka-mereka yang mempunyai kecenderungan untuk meningkatkan kecemerlangan diri sama ada dari aspek intelek, jasmani, ruhani dan emosi.


(5) Berlatihlah untuk memikirkan perkara-perkara yang besar agar, akan lahir dari jiwamu sifat-sifat kepimpinan yang besar dan sentiasa berpandangan jauh ke hadapan


(6) Berfikirlah untuk membangunkan diri, penyelesaian permasalahan ummah, meningkatkan kualiti kepakaran keilmuan kendiri dan sebagainya.


(7) Anda mampu merubahnya.


 


Kendalikan perasaan itu dengan berhemah dan berhikmah


 


“Tidaklah seorang hamba mencapai darjat muttaqin (orang yang takwa) sehingga ia meninggalkan sesuatu yang tidak terlarang kerana khuwatir terjatuh pada yang terlarang.”


 


(HR Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Hakim dari Athiyyah as-Sa’di dengan sanad sahih)


 


Adik-adik mahasiswa mahasiswi yang dihormati,


Saya sangat-sangat memahami perasaan, cetusan rasa dan keinginan naluri yang sentiasa wujud dalam sanubari anda semua. Namun, marilah dengan penuh berhemah dan berhikmah kita sama-sama mengendalikannya dengan panduan suluhan syara’. Perasaan itu fitrah. Perasaan itu pemberian Allah SWT. Ia adalah anugerah kurniaan Sang Pencipta. Kita harus bijak mengemudinya dengan cermat.


Ingatanku ini buat kita semua :


(1) Perasaan dihati yang hadir, biarlah ia disemai dengan asas keimanan yang sentiasa membajai hati dengan ruh-ruh ketauhidan dan semangat mencintai deen Islam.


(2) Peliharalah ia dengan amalan soleh yang menyucikan, menjernihkan dan membersihkan hati kita. Tingkatkan mutu Solat Fardu dengan sentiasa berjemaah. Perbanyakan amalan solat sunnat semampu yang boleh. Lazimilah istighfar dan zikrullah setiap detik kehidupan. Luaskan talian ukhuwah fillah sesama insan. Jadikan solat tahajud di malam hari sebagai amalan kekuatan ruhaniyah. Dan, sentiasa berazam untuk mengerakan dakwah dan tarbiyah sebagai nadi kehidupan.


(3) Naluri perasaan itu, kawallah ia dengan panduan daripada Rasulullah SAW. Perbanyakan ibadah puasa sunnat, bergaul dan sentiasa bersama sahabat-sahabat yang cenderung kepada kesolehan. Pelihara pandangan mata kalian, dengan menundukannya daripada melihat perkara-perkara yang tidak sepatutnya dan cegahlah daripada terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas.


(4) Janganlah memilih untuk jatuh cinta terhadap lawan jantina pada ketika bukan saatnya. Anda berhak untuk melakukan pilihan. Andai diberi pilihan untuk jatuh cinta dan membangunkan cinta, maka – jika saya – pilihlah untuk membangun cinta. Kita gerakan perasaan ini dengan membangunkan cinta yang utama. Belajarlah tentang cinta. Dengan cinta hakiki , kita akan menghargai hayah ini.


(5) Dalam soal jodoh, usahlah sibuk “mencari” tetapi pintalah ia kepada Allah SWT. Memohon dalam tadahan munajat yang menjadikan cinta Allah itu tunjang kepada segala-segalanya. Kepasrahan, pergantungan dan pengharapan itu membulat kepada Allah, InsyaAllah kalian akan dikurniakan “seseorang” yang sangat istimewa dalam hidup. Yakinlah!


(6) Saat dan ketika, sibuklah dengan proses pembangunan dan pembentukan diri kalian. Self development itu lebih utama dan penting. Proses menyolehan, pembaikan dan pengislahan diri harus berlaku dengan konsisten, berterusan dan berkesan. Bermula dari sinilah, persediaan ke arah fasa pembinaan hidup berumah tangga akan lebih berfokus, kukuh, mantap dan menyakinkan!.


 


Penutup : Ia perlukan kesungguhan dan keseriusan


 


Adik-adik sidang pembaca,


Ku tahu, nukilan dan coretan ini begitu sukar dibumikan. Ia memerlukan dedikasi kesabaran yang tinggi dan mujahadah yang sangat luar biasa kepada keupayaan kendiri. Namun, inilah seharusnya yang kita lalui dalam proses didikan hati (Tarbiyah Qalbi)


Tiada yang mudah, kecuali ia adalah kepayahan, kesusahan dan keperitan.


Tiada jalan pintas, short cut atau pendek, kecuali ia adalah jalan yang panjang dan lama


Inilah proses. Suatu bentuk didikan amaliyah. Menuntut kita memahaminya, menghayatinya, menyakininya, melaksanakannya, membuatnya, mengamalkannya dan membumikannya dalam hayah ini.


Setelah berkahwin, saya amat-amat yakin bahawa persediaan, persiapan dan mindsetting amat-amat penting untuk anda semua. Jika tidak, akan timbul pelbagai masalah dan cabaran yang waktu mendatang. Sekurang-kurangnya, kita telah berusaha untuk melakukan yang terbaik!


—–


Jom Nikah!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 22, 2013 19:57

Kehidupan: Matlamat Ukhrawi


Picture by UmarMita of LangitIlahi


 


Al-Quran punya keajaiban. Seni penyampaiannya adalah antara yang menakjubkan. Kadangkala hanya satu ayat memberikan kenikmatan. Kadangkala hanya dengan membacanya wujud ketenangan. Namun Al-Quran bukan semata-mata kitab teori. Tetapi juga kitab praktis untuk diamalkan. Keseniannya juga merupakan satu praktis untuk digerakkan.


Maka di sini saya hendak membawa kepada satu ayat Al-Quran yang mempersembahkan kesenian yang tertinggi di dalam hal mencapai matlamat ukhrawi.


Dalam satu ayat, Allah mempersembahkan kesenian yang menakjubkan, dan secara tidak langsung mendidik kita untuk menghadirkan satu seni dalam mencapai matlamat ukhrawi itu sendiri.



Ayat 185, Surah Ali Imran.


Allah SWT berfirman di dalam ayat ini:


“Sesungguhnya setiap yang bernyawa akan merasai kematian. Dan sesungguhnya setiap perbuatan kamu akan disempurnakan pembalasannya di hari akhirat. Maka barangsiapa yang diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tidaklah kehidupan di dunia itu, melainkan kesenangan yang menipu daya.” Surah Ali Imran, ayat 185.


 


Yang menarik perhatian saya terhadap ayat ini


Ayat ini menarik perhatian saya. Terdapat 4 perkara penting yang ditekankan.


1. Setiap yang bernyawa akan merasai kematian.


2. Setiap amal perbuatan kita akan disempurnakan balasannya di hari akhirat.


3. Sesungguhnya yang berjaya itu, hanyalah yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.


4. Dunia ini, tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu daya.


Jika kita perhatikan. Ayat ini, dari point pertama hinggalah ke point yang ketiga, menerangkan berkenaan akhirat(kematian, pembalasan, syurga dan neraka). Perjalanannya mengikut langkah turutan peristiwa yang betul. Kita mati – dihitung di padang mahsyar – masuk syurga@neraka.


Tetapi yang anehnya, point yang keempat diingatkan berkenaan dunia. Sedangkan, dunia itu kita lalui sebelum kematian.


Mengapa?


 


Seni Allah SWT yang menakjubkan


Sekiranya hendak dibahaskan satu persatu berkenaan point yang diberikan, pasti tidak cukup kolum saya pada ruangan kecil ini. Mungkin sahaja tajuk ini dapat dijadikan satu buku jika dihuraikan secara penuh. Walaupun asasnya, ia hanyalah satu ayat Al-Quran.


Di sini Allah menunjukkan kepada kita, berkenaan akhirat yang akan menjadi tempat kembalinya manusia. Allah menekankan bahawa, kita semua akan menghadapi kematian. Kemudian Allah menjelaskan kepada kita bahawa, kematian itu bukan pengakhiran. Ada satu lagi dunia, yang mana kehidupan kita sebelum mati dijadikan perhitungan untuk mendapat satu antara dua tempat. Syurga dan neraka.


Allah telah menetapkan kepada kita, manusia, bahawa syurga adalah destinasi akhir yang merupakan penanda aras kepada kejayaan. Allah mendeklarasikan dengan amat jelas bahawa, yang berjaya itu hanyalah yang masuk ke syurga, dan selamat dari neraka.


Maka di sini, Allah menerangkan matlamat. Ukhrawi adalah matlamat kita. Di situlah dia wujudnya kejayaan hakiki. Selain itu, bukanlah namanya kejayaan pada hakikatnya.


Di sinilah wujudnya kesenian yang menakjubkan, apabila ayat itu disempurnakan dengan:


“Dan tidaklah kehidupan di dunia itu, melainkan kesenangan yang menipu daya.”


Mengapa tiba-tiba disebut dunia sebagai penyempurnaan ayat?


 


Kerana kamu masih hidup, dan untuk mengajar kamu hakikat hidup di atas dunia


Hal ini kerana, kita masih hidup. Kita belum mati. Kita belum disempurnakan pembalasannya. Kita masih belum masuk ke neraka. Kita masih hidup di atas dunia. Maka di sinilah Allah menarik kita kembali(yang sudah terpukau seakan-akan kita benar-benar berada di dalam akhirat kerana tiga point asal tadi) ke realiti bahawa semua itu belum lagi berlaku.


Kita masih ada peluang. Di sinilah wujudnya ‘harapan’. Maka Allah tidak sekadar berpesan: “Kamu masih hidup.” Begitu sahaja. Tetapi Allah dengan cantiknya menyatakan berkenaan: “Kehidupan di dunia, tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu daya.”


Allah ingin kita lihat kembali kehidupan kita. Lihat hakikat kehidupan di dunia. Dunia bukan matlamat. Dunia hakikatnya hanyalah wasilah untuk kita mendapatkan akhirat. Kesedaran itulah yang diserapkan ke dalam ayat ini hakikatnya.


Maka pada satu sisi yang lain, Allah sebenarnya sedang mengajar kepada kita:


“Maka janganlah kamu tertipu dengan dunia ini. Gunakanlah dia untuk mencapai kejayaan yang hakiki yang telah aku nyatakan tadi.”


Nah. Ini dia kesenian yang tertinggi.


Akhirnya kita nampak akan ‘realiti’.


Dan kita mendapat satu seni dalam mengejar matlamat ukhrawi.


Apakah dia?


Seni mempergunakan dunia.


 


Penutup: Kita pergunakan dunia, bukan dunia pergunakan kita


Maka, kita lepaskan diri kita dari penipuan dunia. Dalam mengejar ‘kejayaan hakiki’ tadi, mata kita hanya melihat akhirat sebagai matlamatnya. Tetapi apakah kita meninggalkan dunia? Tidak. Dengan apa kita hendak mencapai akhirat, kalau bukan dengan menjalani kehidupan yang terbaik di atas dunia?


Di atas dunia kita boleh beramal. Maka jangan tertipu dengan kesenangan yang menarik kita keluar dari jalan amal. Bahkan kita gunakan segala kesenangan yang ada pada kita untuk beramal dengan lebih baik.


Di atas dunia kita masih boleh berikhtiar, berusaha. Maka jangan tertipu dengan anasi-anasir yang mengajak kita memilik ikhtiar dan berusaha ke arah yang salah. Bahkan kita gunakan peluang ikhtiar dan berusaha itu ke arah untuk mendapat keredhaan Allah SWT.


Di atas dunia kita masih ada waktu. Maka jangan kita tertipu dengan waktu yang seakan banyak. Bahkan, kita gunakan segala waktu yang masih ada pada kita, untuk kita gunakan ke arah mendapat keredhaan Allah SWT.


Tidakkah kita melihat demikian?


Semoga Allah redha, dengan seni yang baru kita capaikan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 22, 2013 15:17