Hilal Asyraf's Blog, page 109

May 8, 2013

TeenACE – Saya Mengajak Anda Untuk Mula ‘Bermimpi’.

TeenACE3


Dahulu, saya  hanya seorang budak.


Saya pernah berumur belasan tahun. Pernah menjadi remaja. Pernah bujang.


Pernah belajar di sekolah menengah, pernah melalui alam Universiti.


Pernah studi di dalam negara, juga pernah diberikan kesempatan mengaji di luar negara.


Kini saya sudah berumur 24  tahun, sudah tamat universiti dengan ijazah Usuluddin dari Yarmouk University, Jordan.


Sudah mempunyai isteri dan seorang anak.


Sudah bekerja, dan bekerja sendiri di syarikat LangitIman Resources yang dibina sendiri.


Saya telah menghasilkan 20 buah buku dalam bentuk Buku Motivasi-Novel Islamik-Kumpulan Cerpen Tarbawi, dan sedang menghasilkan beberapa buah lagi untuk tahun ini.


Merupakan motivator di LangitIlahi Consultancy dan penulis tetap di website pembangunan rohani, LangitIlahi.Com yang kedua-duanya dibina sendiri. Saya juga merupakan penulis tetap di Majalah JOM!, Majalah HALUAN, pernah menjadi kolumnis Majalah ANIS dan Majalah Remaja, serta bakal menulis di beberapa Majalah yang lain.


Dahulu, semasa saya masih seorang budak, saya hanya mampu ‘bermimpi’. ‘Bermimpi’ mahu mejadi ‘seseorang’.


Sekarang, dengan Teen Award, Convention & Exhibition (TeenACE) 2013, saya hendak mengajak para remaja, pemuda dan belia, untuk punya mimpi masing-masing juga.


TeenACE akan diadakan di Wilayah Tengah(tempat secara spesifik akan diumumkan kemudian), dengan yuran yang berpatutan(akan diumumkan kemudian), pada 29hb-30hb Jun 2013, dengan barisan panel dalam dan luar  negara yang berkaliber insyaAllah. Save the date first!



Budak Yang BerImpian


Semenjak kecil, Abah telah membiasakan saya dengan sirah-sirah Nabawiyah. Kisah para sahabat Nabi adalah apa yang menjadi kebiasaan saya ketika kecil. Kisah-kisah seperti ketokohan Usamah bin Zaid RA yang menjadi jeneral untuk menentang Rom pada usia 18 tahun, kehebatan Mu’adz dan Mu’awwidz yang menumbangkan Abu Jahal di medan Badar sedangkan usia mereka ketika itu hanya sekitar 15 tahun, Abdullah ibn Umar RA yang telah duduk satu majlis ilmu  Rasulullah SAW dengan para sahabat yang jauh lebih tua, Muhammad Al-Fateh yang telah membuka Konstantinopel kala berumur 21 tahun, kisah Ummul Mukminin Aisyah RH yang telah menjadi amat faqih dan rujukan orang ramai pada usia yang masih muda.


Itu semua menginspirasikan saya untuk menjadi seorang yang berjiwa besar dan bercita-cita tinggi. Maka semenjak saya remaja, semenjak belasan tahun, saya sudah punya perasaan hendak menjadi ‘seseorang yang bermanfaat’ satu hari nanti. Bahkan, apabila saya hampir menginjak umur 18 tahun, umur 21 tahun, saya sering bertanya: “Aku dah buat apa? Lepas ini nak buat apa?”


f13


Saya ketika tingkatan 4


Maka, semenjak saya berumur belasan tahun, saya mula serius mengikuti pelbagai program pembinaan diri, bahkan menjadi antara fasilitatornya dan penggeraknya. Saya juga mula merapati golongan yang lebih berusia, dan banyak menimba pengalaman daripada mereka, berbincang dengan mereka, terutama dari kalangan guru-guru saya. Ini menjadi kebiasaan saya semenjak berusia 16 tahun hinggalah ke hari ini.


OLYMPUS DIGITAL CAMERA


Saya ketika menjadi fasilitator dalam salah sebuah program sekolah. Dan di sisi saya ialah Cikgu Azmi Bahari, antara guru yang saya suka meneguk ilmu dan nasihat daripadanya.


“Arkitek Manusia.”


Ketika saya berusia 18  tahun, usai SPM, saya telah memilih untuk menimba pengalaman menjadi guru di sebuah sekolah agama swasta – Sekolah Rendah Agama Ghufran – di Simpang Renggam, Johor. Kini sekolah itu telah bertukar namanya menjadi Sekolah Rendah Islam As-Siddiq. Saya menjadi guru sambilan, di samping ditugaskan menjadi pembantu warden. Semuanya untuk lebih mendidik diri, dan menimba lebih ilmu untuk menjadi seorang yang lebih baik di masa hadapan.


OLYMPUS DIGITAL CAMERA


Masa menjadi Cikgu sambilan di Sekolah Rendah Agama Ghufran(Sekarang – Sekolah Rendah Islam As-Siddiq) di Simpang Renggam


Senggang hujung minggu, kala cuti pelajar pulang ke rumah, saya akan pulang juga ke rumah. Salah satu daripada senggang itu, saya ada duduk-duduk dengan Abah saya, dan ketika itu saya disuntik satu inspirasi.


“Hilal nak jadi apa lepas ini?”


“Entahlah. Belum pasti lagi.”


“Jadilah arkitek manusia?”


“Huh?” Saya tidak faham. Arkitek manusia itu apa? Design tubuh manusia? Bukan Tuhan punya kerja ke tu?


“Jadilah macam Ustaz Dahlan, dia itu arkitek manusia.” Ujar Abah. Barulah saya memahami.


OLYMPUS DIGITAL CAMERA


Abah sangat supportive. Ini adalah contohnya. Abah menemani saya di program yang saya menjadi fasilitatornya. Gambar kala saya berumur 19 tahun ini.


Ustaz Dahlan Mohd Zain, kini merupakan almarhum, meninggal pada 18hb September 2010(tarikh pertunangan saya), adalah merupakan mudir di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis, tempat saya belajar sekolah menengah. MATRI jugalah yang selepas itu saya pilih menjadi tempat ‘pertapaan’ saya sebelum pergi menyambung pengajian ke Jordan. Al-Fadhil Almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain adalah seorang da’ie(pendakwah) ulung, mempunyai visi yang jauh dan misi yang besar. Beliau sudah melahirkan ramai pemuda-pemudi bersyakhsiah cantik, berjiwa kental, dan kini bertebaran di seluruh Malaysia menyebarkan kebaikan dan membentuk pula manusia-manusia lain. Pendek kata, Ustaz Dahlan Mohd Zain merupakan murabbi(pendidik) yang menggerakkan proses dakwah(seruan) dan tarbiyah(didikan) Islamiyyah yang telah melahirkan ramai orang lain sepertinya. Arkitek manusia!


Saya teruja. Dek kerana itu, saya memohon masuk kembali ke MATRI, menjadi pelajar tingkatan enam atas selama setahun setengah, untuk menimba pengalaman bersama Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain. Ustaz Dahlan Mohd Zain lah antara penyebabnya saya menyambung pengajian ke Jordan. Beliau yang mencadangkan saya, dan beberapa orang rakan, untuk menyambung pengajian ke Yarmouk University, di daerah Irbid, negara Jordan.


f41


Saya dan Ustaz Dahlan. Gambar diambil kala saya Tingkatan 5.


Saya, selepas di’latih’ dan semakin disuntik pelbagai inspirasi sepanjang setahun setengah bersama Almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain, sudah mula mengenal pasti potensi diri ketika itu – penulisan. Maka, sebelum saya ke Jordan lagi, sudah saya setkan bahawa saya akan me’maksima’kan potensi saya tersebut untuk Islam. Saya juga mahu menjadi ‘arkitek manusia’.


Lantas, jadual saya di Jordan bukan sekadar belajar, tetapi juga ‘bekerja’ sebagai penulis, mengasah bakat dan potensi, menyusun perancangan dan melaksanakannya.


OLYMPUS DIGITAL CAMERA


Saya berpidato di salah sebuah program semasa di Jordan. Ketika ini saya masih Tahun 1 di Yarmouk University.


Saya  masih ingat, awal-awal saya hendak mengorak langkah kala saya menjejakkan kaki di tingkatan enam atas, kala saya mulakan sebuah blog bernama ‘langitillahi.blogspot.com’, saya sematkan pada diri saya satu kata-kata:


“Melakar langit sejarah, membina awan impi, bila aku menjejak, ia akan menjadi pasti”


Saya sering kuatkan semangat saya. Memberanikan diri untuk mencuba, cekalkan diri untuk menghadapi gagal, tabahkan diri untuk bangkit semula, dan kentalkan diri untuk meneruskan perjalanan walau apa jua cabarannya!


Kini


Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, saya berjaya berusaha dan mencapai beberapa target saya.


Pada tahun pertama saya berada di Jordan, Allah izin saya telah dilamar menjadi seorang penulis oleh syarikat buku pada penghujung tahun 2008. Maka pada April 2009, karya sulung saya berjaya diterbitkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur’09.


Pada tahun kedua saya berada di Jordan, blog saya – langitillahi.blogspot.com – telah berjaya dinaik taraf  menjadi website – langitilahi.com dengan temanya kekal “Mari Menjadi Hamba”


Pada tahun ketiga saya berada di Jordan, saya tidak lagi menggerakkan LangitIlahi.Com secara berseorangan, tetapi saya sudah mempunyai ‘team’. Saya juga telah membina syarikat saya sendiri, bernama LangitIman Resources. Daripada itu semua, perjalanan telah berkembang dan kini di bawah LangitIman Resources sudah ada LangitIlahi Consultancy dan kedai online – LangitIlahi Store.


312204_2304481664476_1622306485_2291544_446121334_n


Saya berjaya menamatkan pengajian saya di Yarmouk University pada 27hb Mei 2012, dengan membawa pulang ijazah BA(hons)  Usuluddin.


484301_3204042985390_193236644_n


Bersama jubah graduasi.


Saya berjaya mengahwini perempuan yang saya cintai, Tengku Masyitah binti Tengku Paris, pada 07hb Julai 2012. Kemudian pada 2hb April 2013, kami dikurniakan puteri sulung kami. Alhamdulillah.


Baby1-horz1


Semenjak saya pulang ke Malaysia usai menjadi graduan Yarmouk University, saya telah menerima banyak jemputan. Alhamdulillah.


Program


Antara sebahagian program yang saya dijemput mengendalikannya.


Page FB saya juga telah mencecah 100,000 followers, dan begitu juga Page FB Langit Ilahi yang jauh lebih baik – melebihi 150,000 followers


Page Hilal Asyraf-horz


Pejam celik-pejam celik, juga, karya saya bilangannya sudah mencecah 20 buah karya sepanjang 2009-2012.


Barisan Buku Di Pesta Buku


Bahkan, karya terbaru saya – Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta – telah diterbitkan sendiri oleh Syarikat saya – LangitIman Resources, dan mendapat sambutan amat hangat hingga terjual 3000 unit dalam masa hanya sebulan lebih.


Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta


Cover depan Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta


Selepas ini, kami di LangitIman Resources hendak menerbitkan pula Buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain.


885285_10151463565523190_1925987886_o


LangitIlahi juga telah menghasilkan figure-figure lain, selain diri saya semata-mata. Ameen Misran – poet english. Azhar Hilmi – Penasyid. Qawiem Khairi – Vlogger. UzairIzham – Agamawan. Kolumnis kami seperti BroHamzah dan AbuRidhwan juga kini sudah mula mendapat jemputan daripada pelbagai pihak untuk memberikan talk motivasi. Afdholul Rahman of LangitIlahi, bersama BroHamzah dan Abu Ridhwan juga bakal menerbitkan buku mereka sendiri, menyertai saya menjadi penulis yang serius. Dan hajatnya LangitIlahi akan menjadi tempat untuk membina lebih ramai ikon yang boleh menjadi qudwah hassanah(contoh yang baik) buat masyarakat!


Team LI - best


Dari kiri atas: Saya, AbuRidhwan, BroHamzah, AmeenMisran,


Dari kiri bawah: AfdholulRahman, AzharHilmi, Qawiem Khairi, UzairIzham


Yang terbaru, kala Pesta buku Antarabangsa Kuala Lumpur’13, saya telah menerima sambutan yang sangat hangat daripada para pembaca yang datang.


936702_592875004070281_476808446_n


Bersama para pembaca dan pembeli karya-karya saya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013


Dan TeenACE adalah sebuah lagi mercu peningkatan dan kejayaan yang bakal saya dan LangitIlahi capai, apabila LangitIlahi Consultancy julung-julung kalinya menganjurkan sebuah Konvensyen!


logo__teence2013


Penutup: Mahukah anda mula ‘bermimpi’?


Justeru ya teman-teman, rakan-rakan, yang sudi membaca celoteh ini,


mahukah anda juga mula ‘bermimpi’?


Saya bukan mengajak anda untuk bermimpi di dalam lena. Tetapi mimpi yang sebenar-benar mimpi.


Mimpi yang mengejutkan kita dari lena,

yang menuntut kita untuk bergerak bukan berbaring semata,

yang menjadikan kita celik bukan sekadar terpejam sahaja,

yang mengajak kita menjadi luar biasa, bukan sekadar biasa.


Jika anda adalah pemuda-pemudi, remaja yang suka hendak bermimpi bersama saya dan Team LangitIlahi, block siap-siap date 29hb-30hb Jun, untuk menyertai TeenACE.


Mari,

persiapkan diri untuk menjadi Usamah bin Zaid, Mu’adz dan Mu’awwidz, Muhammad Al-Fateh, Aisyah Ummul Mukminin zaman ini.


“Melakar langit sejarah, membina awan impi, bila aku menjejak, ia akan menjadi pasti.”


Block the date guys!


29hb Jun – 30hb Jun 2013.


Tempatnya di Wilayah Tengah, secara spesifik akan diumumkan kemudian.


Bayarannya juga akan diumumkan kemudian.


Tandakan di kalendar dahulu.


29hb Jun – 30hb Jun 2013, hari anda bermimpi bersama dengan saya, serta barisan panel yang akan kami datangkan di TeenACE!


466027_498976653502243_83270133_o

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 08, 2013 14:22

Pemuda: Berani Berubah, Siapa Abu Bakar Yang Seterusnya…? (3)

5DM30800-16-14


Picture by UmarMita of LangitIlahi


Berani Berubah! Ayuh kita belajar dari karektor orang yang hebat dan luarbiasa. Ada sesiapa yang bernama Abu Bakar? Semoga anda mewarisi ketokohan yang dimiliki oleh para tokoh yang bernama Abu Bakar, begitu juga kita semua walaupun tidak bernama Abu Bakar. Ketokohan mereka insyaAllah mampu mencetuskan inspirasi untuk kita teladani dalam kehidupan. Semoga bertambah lagi model-model terbaik untuk kita teladani dalam membina peribadi dan kualiti diri kita sebagai muslim.


Yang Membenarkan Rasulullah SAW


Siapa yang tidak kenal Abu Bakar as-Siddiq. Beliau individu terawal menyahut dakwah Rasulullah SAW sehingga beliau digelar sebagai as-Siddiq, yang sentiasa membenarkan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Pengorbanannya begitu besar dalam dakwah Rasulullah SAW, Nabi ada bersabda; “Islam tertegak diatas harta Khadijah RA dan pengorbanan Abu Bakar RA”. Abu Bakar as-Siddiq adalah seorang sahabat yang terkenal dengan keteguhan imannya, kecerdasan akal, tinggi kemuliaan akhlak, lemah lembut dan penyantun. Rasulullah SAW pernah menyanjungi sahabatnya itu dengan sabdanya, “Jika ditimbang iman Abu Bakar as-Siddiq dengan iman sekalian ummat maka berat lagi iman Abu Bakar.” Demikian teguhnya iman Abu Bakar RA. Gelaran Al-Siddiq yang diberikan terhadap diri Abu Bakar RA adalah lantaran memandang sikap serta pendiriannya yang teguh dalam membenarkan serta membela diri Rasulullah SAW. Andainya seluruh ummat manusia akan mendustakan Muhammad SAW., Abu Bakar RA akan pasti tampil dengan penuh keyakinan untuk membela Baginda SAW.


Selepas keislamannya, beliau dengan pantas terus berdakwah dan dapat mengislamkan beberapa orang sahabat yang agung (As-Sabiqun Awwalun) termasuk Uthman bin Affan, Abdul Rahman Auf, Zubir al-Awwam, Saad bin Waqqas, Thalhah bin Ubaidillah dan ramai lagi. Ternyata beliau telah merekrut sahabat-sahabat yang luarbiasa untuk menguatkan dakwah Islam.


Beliau adalah teman akrab Rasulullah SAW. Beliau cukup setia menemani Rasulullah SAW membangunkan dakwah. Peneman Nabi SAW ketika hijrah.


Abu Bakar as-Siddiq menginfaqkan seluruh hartanya di jalan Allah SWT kerana sangat yakinkan balasan dari Allah Yang Maha Kaya. Dalam Perang Tabuk, Rasulullah SAW telah meminta kepada sekalian kaum Muslimin agar mengorbankan hartanya pada jalan Allah. Kemudian datanglah Abu Bakar RA membawa seluruh harta bendanya lalu meletakkannya di antara dua tangan baginda Rasul SAW. Melihat banyaknya harta yang dibawa oleh Abu Bakar RA, bagi tujuan jihad itu maka Rasulullah SAW. menjadi terkejut lalu berkata kepadanya:


“Hai sahabatku yang budiman, kalau sudah semua harta bendamu kau korbankan apa lagi yang akan engkau tinggalkan buat anak-anak dan isterimu?”


Pertanyaan Rasulullah SAW. itu dijawab oleh Abu Bakar as-Siddiq dengan tenang sambil tersenyum, ujarnya. “Saya tinggalkan buat mereka Allah dan RasulNya.


Beliau juga telah mengorbankan seluruh hanta bendanya untuk menebus orang-orang yang ditawan, orang-orang yang ditangkap atau disiksa. Selain daripada itu beliau juga telah membeli hamba-hamba yang kemudian dimerdekakannya. Salah seorang hamba yang dibelinya lalu dibebaskannya ialah Bilal Bin Rabah.


Quraish Mekah pernah berusaha gerakan hasutan agar Abu Bakar meninggalkan dakwah Rasulullah SAW. Mereka berpakat untuk memujuk Abu Bakar supaya menyembah tuhan-tuhan mereka. Dalam kalangan penduduk itu, Thalhah bin Ubaidillah telah dilantik menjadi wakil mereka.


“Wahai Abu Bakar, bangkitlah dan ikutilah aku!”


“Ke mana kamu mahu membawa aku?”


“Aku ingin mengajakmu kembali menyembah tuhan Lata dan Uzza!”


“Beritahulah aku, siapakah Lata itu?”


“Dia adalah anak perempuan Allah!”


“Kalau begitu, siapakah ibunya?”


Thalhah terdiam, tidak dapat menjawab pertanyaan yang akhir itu. Abu Bakar menoleh ke arah teman-teman Thalhah dan berseru: “Ayuh, mari bantu rakan kamu ini menjawab soalanku!”


Namun tiada siapa pun yang dapat menjawab pertanyaan itu. Kesemuanya diam membisu. Thalhah memandang rakan-rakannya itu lalu berkata kepada Abu Bakar:


“Bangkitlah, wahai Abu Bakar! Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah pesuruh Allah!”


Abu Bakar menyambut tangan Thalhah dan memimpinnya menemui Rasulullah SAW.


Luarbiasa!. Abu Bakar memiliki kebijakan dalam menyampaikan risalah dakwahnya. Beliau tidak melihat usaha dakyah Abu Thalhah sebagai masalah besar baginya. Abu Bakar tidak menuduh rombongan yang cuba melemahkan imannya ini sebagai pelampau atau rasis beragama. Tetapi dengan penuh hikmah beliau berkomentar dan berdakwah dengan kelembutan dan kebijakan yang akhirnya menjinakkan hati dan perasaan Abu Thalhah untuk menerima hidayah Allah.


Pada 7 haribulan Jumadil Akhir tahun ketiga belas Hijrah, beliau ditimpa sakit. Ketika itu beliau berusia 63 tahun. Setelah 15 hari lamanya menderita penyakit, Abu Bakar RA telah meninggal dunia pada 21 Jumadil Akhir tahun 13H, bertepatan dengan 22 Ogos tahun 634 Masihi. Beliau memerintah sebagai Khalifah selama 2 tahun 3 bulan 10 hari. Abu Bakar RA meninggal dunia dengan menyediakan tiang-tiang pokok dari kekuatan Islam yang memudahkan lagi kerja-kerja penyebaran dakwah oleh Khalifah seterusnya iaitu Umar Al-Khattab, yang mana sebahagian Syam dan Iraq telah berada dibawah pemerintahan Islam ketika hayat beliau.




Ulama Hadith Yang Kuat Hafalannya


Nama lengkapnya adalah Abu Bakar Muhammad ibn muslim ibn’ Ubaidillah ibn Syihab ibn Abdullah ibn al-Harits ibn Zuhrah ibn Kilab ibn Murrah al-Qurasyi az-Zuhri al-Madani, beliau lahir pada tahun 50 H, iaitu pada masa pemerintahan Khalifah Mu’awiyah ibn Abi Sufyan. Beliau digelar dengan nama Muhammad ibn Syihab az-Zuhri. Abu Nu’aim mengatakan; Di antara mereka terdapat alim yang lurus, dan perawi yang hebat, Abu Bakar Muhammad Bin Muslim  Bin Syihab az-Zuhri. Abu Bakar Muhammad lebih dikenali dengan panggilan az-Zuhri


Az-Zuhri hidup pada akhir usia sebahagian para sahabat RA, dan beliau masih sempat bertemu dengan sejumlah sahabat RA ketika berusia 20 tahun lebih. Oleh kerana itu, beliau sempat mendengar hadis dari para sahabat seperti Anas ibn Malik. Abdullah ibn Umar, Jabir ibn Abdillah, Sahal ibn Sa’ad, Abu At-Thufail, Al-Masur ibn Makhramah dan lainnya.


Menurut para ulama, tidak ada ulama yang lebih tinggi kemampuannya khususnya dalam bidang ilmu agama dari az-Zuhri. Menurut pandangan al-As-Zalani, Zuhri mendapat beberapa gelaran, antaranya al-Faqih, al-Hafizh al-Madani dan lain-lain. Ada sebuah kisah tentang kesetiaan dan keteguhan hafalannya terlihat ketika suatu hari Hisyam ibn Abd al-Malik memintanya untuk mengajarkan sejumlah hadis untuk anaknya. Lantas az-Zuhri meminta menghadirkan seorang juru tulis dan kemudian beliau menyampaikan sejumlah 400 hadis. Setelah berlalu lebih sebulan, az-Zuhri bertemu kembali dengan Hisyam, ketika itu Hisyam mengatakan kepadanya bahawa kitab yang berisikan 400 hadis tempoh hari telah hilang. Az-Zuhri menjawab, “Engkau tidak akan kehilangan hadis-hadis itu,” kemudian beliau meminta seorang juru tulis, lalu dia menyampaikan kembali hadis-hadis tersebut, setelah itu, beliau menyerahkan kepada Hisyam dan isi kitab tersebut ternyata satu huruf pun tidak berubah dari isi kitab yang pertama.


Az-Zuhri adalah seorang yang sangat teliti dan bersemangat dalam memelihara sanad hadis bahkan beliau yang pertama menggalakan penyebutan sanad hadis tatkala meriwayatkannya. Dan beliau telah memberikan perhatian yang besar dalam pengkajian dan penuntutan ilmu hadis, bahkan beliau bersedia memberikan bantuan terhadap mereka yang berkeinginan mempelajari hadis namun tidak mempunyai dana untuk itu. Az-Zuhri memiliki sekitar 2000/2200 hadis.


Adz-Dzahabi mengatakan, “Bukti kekuatan hafalan az-Zuhri adalah bahawa dia hafal al-Quran dalam 80 malam.” Begitulah ketinggian kemampuan hafalan beliau.


Az-Zuhri juga seorang dermawan. Dari al-Laits dia mengatakan, suatu saat, az-Zuhri memberi segala yang ia ada kepada yang memerlukan. Setelah selesai ia memberi, maka dia meminjam semula dari pembantunya. Unik sikap ulama mulia ini.


Beliau telah meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun 124 H. Antara mutiara katanya yang menggerakkan jiwa adalah:


“Jauhilah oleh kalian dari belenggu kitab iaitu menahannya. (yakni tidak menyebarkan isinya.”


Seharum Kasturi Bau-Mu



Dalam kitab Al-Mawa’idz wa Al Majalis karangan Ibnul Jauzi, diceritakan sebuah kisah keimanan seorang pemuda yang luarbiasa. Pada suatu hari, seorang hamba Allah telah bertanya kepada Abu Bakar Al-Miski, mengapakah engkau sungguh wangi, seharum bau kasturi…? Dengan bersahaja dia menjawab: Demi Allah sudah bertahun aku tidak memakai minyak wangi.” Lalu Abu Bakar Al-Miski menceritakan kisahnya yang telah menguji keimanannya.


“Pada suatu hari aku dalam perjalanan ke masjid, lalu mendengar suara seorang wanita menjerit meminta tolong, bahawa ibunya sakit, lalu aku pergi ke tempat suara itu. Setibanya aku disitu aku mendapati seorang wanita menyuruhku masuk kedalam rumahnya. Bila aku masuk rumah itu barulah aku tahu bahawa rumah itulah adalah milik seorang wanita. Wanita tersebut menyuruh orang suruhannya mengunci pintu lalu mengajak aku untuk bersama dengannya. Barulah aku sedar bahawa aku tertipu.

Namun dengan rasa takut terhadap Allah SWT. aku menolak ajakannya. Wanita tersebut mengugut aku yang dia akan menjerit sekiranya aku menolak permintaannya itu. Selepas puas aku berfikir, lalu aku berkata padanya bahawa aku ingin membersihkan diri terlebih dahulu dan meminta izin untuk ke bilik air. Wanita tersebut mengizinkan aku masuk ke bilik air. Di bilik air aku telah melumurkan najis di seluruh badanku dan terus keluar tanpa membersihkannya. Sejurus aku menghadap wanita tersebut, aku dihalaunya keluar kerana bau busuk yang tidak tertahan olehnya.


Maka aku terselamat dari dosa dan maksiat, aku terus pulang kerumah dan membersihkan badan. Pada malam tersebut aku bermimpi, atas ketaqwaan aku terhadap Allah, kerana aku menolak peluang dihadapan mata maka aku dianugerahkan haruman kasturi dan digelar manusia paling wangi… Beginilah caranya aku beroleh gelaran tersebut.”


Luarbiasa Abu Bakar Al-Miski, marilah kita mencontohi Abu Bakar Al-Miski, manusia yang harum berbau kasturi kerana takutkan azab Allah SWT. Betapa perlunya perasaan takutkan Allah ini terselit dihati ummat Islam yang inginkan kebahagiaan hakiki. “Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.” (al-Mulk:12)


Matanya Buta Demi Al Aqsa



Syeikh Abu Bakar al-‘Awawidah, merupakan anggota Rabitatul ‘Ulama Filistin (Persatuan Ulama Palestin). Sejak 1992, bersama isteri dan lapan anaknya, Syeikh Abu Bakar terpaksa hidup di Damaskus, 200km dari Dora, Khalil-Hebron, Palestin, kota kelahirannya yang juga tempat bersemayamnya jasad Nabi Ibrahim AS. Bicara beliau begitu lembut, murah senyuman, Saat hendak ke mana-mana lengannya harus dipimpin kerana matanya buta akibat dipukul dan diberikan kejutan elektrik oleh tentera Zionis selama 54 hari berturut-turut pada tahun 1981. Namun begitu, gelapnya dunia di mata Abu Bakar sama sekali tidak mengurangi keteguhannya memberi tarbiyah ruhiyah dan ilmiyah kepada rakyat Palestin yang terusir dan terpaksa bermukim di Syiria.


Kehidupan beliau sebelum Allah izin menjadi buta adalah berjuang mempertahankan Masjid Al Aqsa dan bumi Palestin dari penjajahan Yahudi Israel. Pada tahun 1981 beliau telah dipenjara dan disiksa oleh tentera Israel selama 54 hari. Begitu juga tahun 1982 beliau dipenjara selama 5 bulan. Tahun 1983 selama 15 hari, tahun 1988 selama 6 bulan, tahun 1990 beliau ditangkap dua kali; pertama 37 hari, kedua 14 hari, dan pada tahun 1991 beliau mendekam di penjara selama 5 bulan. Begitulah perjuangan beliau berkali-kali ditangkap dan disiksa oleh Israel tanpa henti. Kemuncaknya pada tahun 1992, Syeikh Abu Bakar Al-’Awawidah ditangkap dan diusir ke Marj Az-Zuhur, sebuah daerah antara Palestin dan Lubnan, bersama 414 orang mujahidin Palestin lainnya, di antaranya termasuklah asy-Syahid Dr. Abdul Aziz Al-Rantissi. Beliau kini tidak dibenarkan memasuki Palestin manakala Israel telah menjatuhkan hukuman penjara sekiranya Syeikh Abu Bakar memasuki Palestin.


Seruan beliau agar menjadikan Al-Qur`an sebagai bahan bacaan yang dicintai oleh semua lapisan umat Islam dari pusat asuhan kanak-kanak sehinggalah di pejabat para pemimpin kerajaan. Bukan sahaja mempelajarinya sebagai amalan yang penting, tetapi semua muslim harus bersegera menghidupkannya dalam kehidupan dan kegiatan seharian.Kata beliau lagi, kami di Gaza mengusahakan agar di setiap rumah di Gaza harus ada minimanya seorang anak yang menghafal al-Quran. Jika ada satu rumah yang tidak ada seorang pun yang menghafal al-Qur`an, maka keluarga itu dianggap aib.


Penutup: Siapa Abu Bakar Yang Seterusnya?



Semoga kita teruja dengan 4 model Abu Bakar yang luarbiasa ini. Masih belum terlambat untuk kita mencontohi mereka.


Perjuangan itu dirintis oleh orang-orang yang alim,

Diperjuangkan oleh orang yang ikhlas,

Dimenangkan oleh para pemberani,

Diteruskan oleh mereka yang merindui syurgawi.


Allah SWT berfirman yang bermaksud:


“Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menuruti jalan petunjuk; dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.” Maryam: 76)


Mutiara kata, Berani Berubah, pada setiap namamu, ada inspirasi dan kemampuan luarbiasa yang mampu engkau gerakkan menjadi kekuatan membangun diri. Mulalah menyelongkar potensi anda sekarang! Dan beraksilah menuju syurga Ilahi!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 08, 2013 10:48

May 7, 2013

Motivasi : Nota Tarbiyah – Sayonara Tarbiyah

tarbiyah-itu2


 


Sejauhmana hati kita terpaut dan terikat dengan


kemanisan tarbiyah?


 


—–


“Ya Allah! Jika Engkau tidak memperkenankan doaku, maka berilah aku kesabaran untuk menerima kehendakMu.”


Muaz bin Jabal RA


Nota tarbiyah ini saya kongsikan hasil catatan beberapa tahun dahulu. Ianya sebagai check-list dan senarai semakan kita dalam memelihara keaslian dan keteguhan kita dalam melalui proses didikan untuk menjadi hamba Allah SWT. Kongsian ini, adalah titipan daripada murabbi Sir MAZA. Syukran Sir atas panduan yang diberikan.


Sahabat pembaca yang budiman,


Sedar atau tidak – kita rasa begitu selesa dididik, diasuh dan ditatang dengan biah-biah serta proses didikan oleh para pendidik kita. Timbul perasaan selesa, – biasa dan semakin hari segala didikan itu menjadi rutin semata-mata sehingga “hilangnya” proses yang seharusnya benar-benar berjalan dalam diri kita.


Murabbi saya pernah menyebut : “ Program berjalan, tetapi proses tidak berlaku.” Maknanya apa ? – kita hadir kesemua program yang direncana, disusun dan diaturkan. Hadir jasad, fizikal dan tubuh badan ke dalamnya. Tetapi, kehadiran jiwa – hati – kemahuan & kesungguhan dikesampingkan sehingga “proses” yang diharapkan berlaku – tidak hidup dan nyata dalam kehidupan kita.


Lama kelamaan, sedikit demi sedikit timbullah simpton-simpton sayonara tarbiyah. Ia itu bibit-bibit untuk memencil, menyendiri, menghilang dan “selamat tinggal” tarbiyah!


Justeru, murabbi saya – Sir MAZA – berkongsi dengan kami tentang faktor-faktor yang akan menyebabkan kita meninggalkan proses tarbiyah :


 


(1) Adanya Rawasib Tarbiyah


Apa itu rawasib jahiliyah? Rawasib Jahiliyah itu ialah karat-karat atau sisa-sisa amalan sewaktu kita dalam kejahilan. Sewaktu, tidak kenal apa itu Islam, apa itu proses penyucian jiwa dan tidak tahu kenikmatan Iman dan sewaktu dengan nya.


Maaf dinyatakan di sini, – semasa kita berada dalam proses ini – masih ada rawasib-rawasib atau bentuk-bentuk keaiban yang masih kita simpan, sayang dan “jauh” sama sekali untuk mengikisnya. Dan – tanpa kita sedari, inilah punca kita semakin hari semakin jauh daripada Allah SWT.


Justeru, cuba tanya diri kita. Apakah rawasib, keaiban atau dosa-dosa yang masih kita “reserve” dalam proses didikan ini. Mungkin sahabat baik atau murabbi kita tidak tahu – tetapi ketahuilah Allah SWT itu Maha Mengetahui!


Kaitannya dengan dosa, amat-amat akrab. Jika kita terus menerus bergelumang dengan perkara-perkara ini, maka akan hilang perasaan berkobar-kobar serta “himmah” kita untuk memperbaiki diri. Dan, inilah bencana dan musibah yang terbesar dalam diri kita.


 


(2) Tidak boleh berada di bawah


Ehmm.. Apa makna ini? Bermakna, kita tidak boleh berada di bawah didikan atau pantauan individu-invidu yang akan mendidik kita kerana asbab-asbab tertentu. Terutamannya, jika ia melibatkan faktor-faktor luaran. Contohnya, individu itu kelulusan akademiknya lebih rendah daripada kita.


Kita memiliki, Ijazah Sarjana – tetapi individu bertanggungjawab ke atas kita hanya diploma. Kita “terasa” lain macam sahaja dengannya. Kita tidak selesa dan tidak “ngam” kerana faktor-faktor ini. Walhal, individu itu sudah lama berada dalam proses didikan ini – dan dia punyai kewibawaan dan pengalaman dalam proses ini.


Atau, murabbi kita yang diamanahkan kita hanya golongan bawahan dari segi kerjaya. Kita pula, berpangkat – luar biasa hebat! – timbul pandangan semacam sahaja kita dengannya.


Justeru, jika hal ini ada dalam jiwa dan hati kita. Bermuhasabahlah, masih terdapat banyak perkara yang harus diperbaiki!


 


(3) Tiada penyerahan diri sepenuhnya (100%)


 


Aspek ini, sangat-sangat penting. Jika kita tiada penyerahan sepenuhnya kepada proses tarbiyah, tiada kepercayaan kepada murabbi yang akan mendidik kita – nescaya proses “sayonara” kita terhadap tarbiyah kian hampir.


Apakah yang dimaksudkan dengan serah 100 %?


Maknanya, jiwa kita – ketaatan kita – dan semuanya tentang diri kita dibulatkan untuk menerima panduan Allah SWT dan Rasulullah SAW sepenuhnya. Tiada juz’I – juz’I atau separuh-paruh mengikut kehendak kita semata-mata.


Hati kita dibuka seluas-luasnya untuk disinari nur hidayah Allah SWT.


Segala perbuatan dosa dan maksiat kita bertekad untuk buang kesemuannya.


Kita konsisten dengan amalan soleh.


Dan – kita iltizam dengan semua program tarbiyah yang disusun oleh pendidik kita.


Penerimaan kita harus membulat tanpa sebarang keraguan dan kesangsian. Dan – di sinilah rahsia keberhasilan dan kejayaan tarbiyah.


 


(4) Ada kepentingan diri di saat penglibatan dalam proses tarbiyah


Ya. Ini juga sangat-sangat penting. Ia berkaitan dengan keikhlasan dan kejujuran kita dalam mengabungkan diri dengan proses tarbiyah.


Tiada wujud aspek-aspek kepentingan diri. Hajatkan habuan keduniaan atau menjurus kepada keuntungan diri.


Eh, adakah macam tu? Ada…, banyak sebenarnya hal ini terjadi kepada kebanyakan individu yang menglibatkan diri dengan proses tarbiyah kerana maksud-maksud, tujuan-tujuan dan matlamat-matlamat yang bukan kerana Allah SWT. Bukan kerana ingin membaiki diri, tetapi kerana lain.


Contoh? Hmm.. Sama-sama kita renungi dan kongsikan contohnya.


 


(5) Ego yang tidak berkesudahan


Faktor ini, adalah faktor yang akan melanda sesiapa sahaja. Sifat Ego adalah sifat syaitan dan jika kita tidak pelihara hati dan jiwa – ia akan menghinggapi diri kita.


Sifat Ego tidak akan ada kesudahan, jika tanpa kerendahan hati. Maaf jika dinyatakan, – sesiapa sahaja akan diuji oleh Allah SWT dengan keegoaan ini. Bagaimana?


 


Apabilan Allah SWT kurniaan kepada-Nya pelbagai nikmat, anugerah dan pemberian. Kecerdikan, kepintaran, kemahiran yang pelbagai dan kemasyhuran. Dan – jika hal ini bertapak di dalam jiwa kita cepat-cepat kembali kepad Allah SWT.


 


Bayangkan kelemahan, kekerdilan dan kekecilan kita.


Kita tiada apa-apa untuk diegokan, dibongkakkan dan sebagainya.


Jauhi Ego! – Kerana, kesannya ialah bibit-bibit kebencian akan tersemai di dalam jiwa manusia.


 


Penutup : Kita sayang tarbiyah


 


Itulah sedikit perkongsian yang ingin saya nyatakan. Buat kita semua yang berada dalam rahim didikan ini. Sifat dan sikap “taqwa”, berhati-hati dan penuh kepekaan sangat penting dalam membantu kita untuk terus kekal dalam suasana yang mampu memproses kita menjadi hamba Allah SWT.


 


Katakan Sayonara Jahiliyah,


Dan – buktikan kita sayangkan tarbiyah!

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 07, 2013 18:59

Agama: PRU 13 – Berita-Berita Gembira Tentang Kemenangan Islam

ISLAM_by_Psychiatry


Yakin dan Percaya Bantuan-Nya akan tiba!


5 Mei. Telah berlalu sesi pemilihan raya. Berbagai agenda. Beraneka isu. Bukan berhajat membincangkan segala tragedi yang terjadi. Apapun saya sentiasa doa yang terbaik untuk Malaysia. Pastinya Allah lebih Mengetahui dalam setiap sesuatu. Disebabkan itu juga, Dia khabarkan kepada sekalian umat manusia bahawa ada berita gembira yang cuba disampaikan dalam Kalam-Nya. Namun, pernahkah kita berusaha teliti dan fahami? [i]


 


Ibrah Kisah Musa a.s


Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.[al-Qasas:4]

Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).[al-Qasas:5]

Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.[al-Qasas:6]


 


Begitulah tindakan jahat Firaun dan sekutu-sekutunya dengan menyembelih kanak-kanak lelaki dek kerana berada dalam ketakutan disebabkan dia bermimpi bahawa akan ada dari kaumnya yang akan bangkit menentang dia semula. Namun, kehendak Allah melebihi segalanya. Peribadi yang akan menumbangkannya itu memasuki istana pada usia kecil lagi. Dialah Musa a.s.


Musa a.s dihanyut dalam sebuah kotak di sebuah sungai oleh ibunya bagi mengelakkan baginda dibunuh. Dengan izin Allah, orang-orang Firaun menjumpai dan membawa bayi tersebut ke istana. Asiah (isteri Firaun) yang melihat bayi tersebut dihidayahkan untuk menjaganya. Memeritkan bagi Firaun walaupun bukan dalam pengetahuannya, bayi tersebut yang akan menumbangkannya. Akhirnya dia sendiri membenarkan bayi tersebut diberi hak penjagaan.


Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.[al-Qasas:8]


 Berkisar kisah dakwah baginda kepada Firaun bersama saudaranya Harun banyak dirakam dalam ayat-ayat al-Quran. Namun, bantuan Allah tiba. Pertembungan antara hak dan batil telah berakhir dengan kekalahan Firaun di tangan ahli-ahli sihirnya sendiri yang akhirnya sujud dengan rendah diri dan mereka berkata seperti mana yang akan disebutkan di dalam al-Quran:


 ”Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam. (Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun”.[al-A’raf: 121-122]


Firaun menjadi berang dan menggertak untuk membunuh mereka yang bersama nabi Musa a.s. Namun, Firaun terlupa. Dia bukan hanya lawan manusia. Tetapi dia berlawan dengan mereka yang berada dalam kebenaran. Sudah tentu kebenaran itu akan dibantu. Lalu Allah perintahkan Musa a.s membawa kaumnya keluar melarikan diri pada waktu malam seperti tergambar dalam ayat-Nya:


(Setelah mengetahui keadaan itu) maka Firaun mengutus (orang-orangnya) ke bandar-bandar (negeri Mesir), untuk mengumpulkan (tenteranya) [53], Sambil berkata kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang (Musa) itu adalah segolongan kecil [54], Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan kita marah [55]. Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan berjaga-jaga [56]”.   Dengan sebab itu maka kami jadikan mereka (Firaun dan tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan matair [57], Dan juga khazanah-khazanah kekayaan serta tempat tinggal yang mulia [58].  Demikianlah keadaannya dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan tenteranya milik Bani Israil sebagai pusaka [59]. [Asy-syuara’: 53-59].


 


Bantuan Untuk Orang Beriman


Dalam kitab-Nya juga, Allah telah banyak berjanji bahawa akan menolong orang-orang yang beriman dan berusaha menegakkan agama-Nya. Namun, bentuk pertolongan itu kadang-kadang datang dalam bentuk berbeza. Atau mungkin jua pertolongan itu datang dalam bentuk ujian untuk memastikan mereka yang diuji mendapat ganjaran pada sisi-Nya di akhirat kelak. Allah berfirman:


Dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai; dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman. [al-Anfal: 19]


Kesedaran bahawa bantuan Allah ini amat dekat ketikamana manusia berada dalam keadaan genting dan sedang menghadapi cubaan. Tetapi seperti yang dijelaskan di atas, tidak semua pertolongan itu datang dalam bentuk gembira pada pandangan manusia secara serta-merta kerana setiap kejayaan itu telah ditetapkan oleh-Nya dalam jangka masa mengikut pencaturan maha bijaksana.


Allah merakamkan situasi yang cantik pada penutup surah Yusuf a.s:


(Orang-orang yang mendustakan agama Allah itu telah diberi tempoh yang lanjut sebelum ditimpakan dengan azab) hingga apabila para rasul berputus asa terhadap kaumnya yang ingkar dan menyangka bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang yang berdusta, datanglah pertolongan Kami kepada mereka, lalu diselamatkanlah sesiapa yang Kami kehendaki. Dan (ingatlah bahawa) azab Kami tidak akan dapat ditolak oleh sesiapapun daripada menimpa kaum yang berdosa. [Yusuf:110]


Begitulah pertolongan Allah tiba bila-bila masa berdasarkan pengetahuan-Nya walaupun sebelumnya orang yang beriman itu bersangka seolah ditipu kerana tiada bantuan kepada mereka. Juga sebagai penetapan-Nya bagi mereka yang ingkar akan ditimpa azab dari-Nya nanti.


Kata seorang penyair:


“Tika kesengsaraanmu memuncak, jalan keluarmu pun tersedia,

Telah hampir malammu menjadi cerah seperti siangnya.”


 


Penyekatan terhadap konspirasi dan tipu daya mereka yang ingkar


Allah s.w.t tidak hanya berjanji memberi bantuan kepada beriman. Sebagai tanda kekuasaan dan kehebatannya serta lambang keadilan-Nya, Allah juga bisa menyekat kemaraan orang-orang kafir atau mereka yang ingkar dengan perintah-Nya. Mungkin di mata manusia mereka gah. Mereka bisa melakukan apa sahaja. Tetapi tidak dengan Allah. Firman Allah:


Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, wahai Muhammad) bermati-mati menjalankan rancangan jahat [15],  Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka, dan menggagalkannya) [16]. Oleh itu janganlah engkau hendakkan segera kebinasaan orang-orang kafir itu, berilah tempoh kepada mereka sedikit masa[17]. [at-Tariq: 15-17]


Sepertimana bantuan kadang-kadang Allah tidak sampaikan segera kepada mereka yang beriman, begitu juga bagi mereka yang ingkar, Allah tidak segerakan balasan terhadap mereka kerana semua akan berjalan mengikut perancangan-Nya. Sebab itu, antara perkara bagi orang yang ingkar tidak kira dari orang-orang kafir lebih-lebih lagi orang yang mengaku beriman perlu sedari suatu perkara yang disebut sebagai ‘istidraj’ iaitu Allah mengurniakan nikmat namun bukan atas dasar kasih-sayang-Nya tetapi untuk menjauhkan manusia dengan kebenaran.


Walaubagaimanapun kebenaran pasti akan berdiri. Tidak di dunia di mahkamah maha adil di akhirat kelak. Moga orang-orang yang beriman dijauhkan daripada kesesatan ini (isitidraj) kerana jika ia menimpa sukar untuk ternampak semula sinar cahayanya.


Perkara lain yang perlu diambil perhatian adalah, Allah berkuasa melakukan sesuatu perkara itu sama ada bersebab ataupun tidak. Tidak hairan bagi suatu kuasa yang maha tinggi. Namun, apa yang pasti janji pertolongan kepada orang-orang beriman selamanya akan bersama mereka hingga kalimah-Nya dijulang.


 


Pertolongan Allah melalui kaum yang lain


Antara khabar gembira lain yang disebutkan dalam al-Quran adalah ugutan kepada orang-orang yang murtad dan berpaling dari agama Allah. Namun, ia tidaklah bermaksud mereka yang berpaling ini akan menyebabkan agama Islam itu lemah. Tidak akan pernah. Islam itu lebih tinggi dari segalanya. Siapa yang meninggalkannya, tiada kesan pada kerajaan Allah bahkan manusia itu sendiri yang rugi kerana bakalan terima azab dan seksa.


Selain itu, Allah juga telah berjanji menyediakan untuk umat ini suatu gerabak mukmin yang utuh dari pelbagai aspek sama ada hubungan dengan Allah ataupun sesama mereka demi menegakkan panji islam. Janji itu pasti. Tetapi adakah kita yakin jika kemenangan itu telah sampai kita berada dalam golongan orang yang berjaya jika tiada apa-apa usaha untuk merubah diri untuk menjadi hamba sebaiknya kepada Allah?


Allah menegaskan:


Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.[al-Maidah:54]


Al-Hafiz Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat suci al-quran ini berkata:


Allah s.w.t ingin menggambarkan kepada manusia tentang keagungan kuasa-Nya, jika ada kalangan mereka yang berpaling dari memperjuangkan agama dan menegakkan syariah islam, maka Dia bisa menggantikan dengan orang yang lebih baik dan lebih kuat seperti firman Allah dalam ayat yang lain:


Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu. [Muhammad:38]


 


Allah Menunjukkan Tanda-Tanda Kekuasaan Kepada Mereka


Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. [Fussilat:53]


Sungguh al-Quran itu benar kerana ia datang dari pemilik segala bentuk kebenaran. Cuma terserah pada diri manusia untuk percaya atau mendustakannya walhal setiap janji yang tersusun membentuk kalam-Nya adalah benar-benar belaka.


Kesimpulan


Artikel saya ini  adalah umum untuk semua tanpa mengaitkan mana-mana pihak terutama dalam kalangan parti politik negara kerana hakikatnya islam itu masih belum berpasak teguh di atas muka bumi ini tetapi janji yang telah terpatri adalah pasti.


Akhir sekali, saya mengajak diri saya dan kalian para pembaca untuk koreksi diri semula, adakah bahtera kejayaan yang bakal berlayar nanti, kita tergolong sebagai nakhodanya? Atau kita hanya melambai tangan di persisiran melihat ombak memukul di tepian?


Wallahualam~





[i]  Berita-berita Gembira Kemenangan Islam. Dr Yusuf Al-Qardawi


 


Segala urusan dan pertanyaan boleh hubungi penulis di: https://www.facebook.com/MuhammadUzairIzhammuiz?ref=hl

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 07, 2013 05:45

May 6, 2013

Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta: Cerpen Kabus Cinta.



 Cinta itu ada selekoh tajamnya,


Dan di dalam perjalanan cinta, ada kabusnya,


Kadangkala selekoh tajam dikelambu kabus hingga kita tidak melihatnya,


Kerana itu, di dalam cinta wujud berhati-hati juga.


Bukan semberono melaluinya dengan penuh kelajuan semata-mata.





Dia berbaring memandang siling putih. Kosong. Tidak seperti di Malaysia yang punya kipas pada siling kebiasaannya. Di Jordan, kebanyakan rumah sewa tidak mempunyai kipas dinding. Pelajar-pelajar yang menyewa akan membeli kipas sendiri yang boleh dialihkan, sebagaimana yang sedang berpusing memberikan angin damai dari penjuru bilik kepada dirinya kini.


Berbantalkan dua belah tangan, dia terus mengenangkan seseorang.


Irfan Hakimi. Sahabat akrab yang sudah seperti keluarganya sendiri. Tambahan, mereka memang tinggal bersama semenjak bapa sahabatnya itu meninggal dunia. Sudah hampir setahun sahabatnya meninggalkannya di sini, selepas tamat graduasi.


Dia yang mengambil Pergigian di Jordan University of Technology, perlu mengharungi lima tahun pengajian, berbanding sahabatnya itu yang mengambil jurusan Usuluddin di University of Yarmouk, hanya perlu mengambil empat tahun pengajian.


Kini dia juga hampir dengan tarikh graduasi. Tinggal sebulan lagi untuk peperiksaan final. Namun bukan itu yang menggusarkan diri. Ada perkara lain yang mencuitnya kini.


Kehilangan sahabat karibnya yang sering memberikan nasihat, dorongan dan sokongan kepadanya itu amat terasa, apabila masalah-masalah di sisi menghambatnya kini.


“Irfan, kan bagus kalau kau ada sekarang.” Dia bersuara. Kemudian keluhan dilepaskan.


Walaupun dia pada hakikatnya mempunyai ramai sahabat karib di Jordan ini, baik dari kalangan yang sama jurusan dengannya atau jurusan perubatan yang sama universiti dengannya, juga dari kalangan yang belajar di Yarmouk mengambil jurusan agama, tetap tiada yang mampu menggantikan Irfan sebagai sahabat terbaik buat dirinya.


“Tak ada kau, longgar skrew-skrew kepala aku. Haih…” Mengeluh lagi.


“Weh, meracau apa seorang diri tu?” Satu suara menerobos dari luar pintu biliknya. Segera dia menggerakkan kepala, memandang ke arah pintu.


Kelihatan Dzulkarnain, teman serumahnya kini, dan juga merupakan sahabat karib sepengajiannya, sedang menyandarkan sebelah bahu pada bingkai pintu. Senyuman lebar terukir, diiringi gelengan kepala. Tidak lama kemudian, Dzulkarnain membuka langkah mendekati katil.


“Terfikir apa ni Asid?” Dilabuhkan punggungnya di atas katil. Asid kekal dengan posisi tadi. Tidak bangun.


“Teringat Irfan.”


“Oh. Apa khabar dia sekarang?”


“Usah ditanya. Bahagia memanjang.” Jawab Asid acuh tak acuh.


Dzulkarnain tertawa.


Asid mengerut dahi. Kemudian matanya digerakkan, memandang wajah Dzulkarnain. “Weh, apa yang lawaknya ni? Aku buat lawak ke?”


“Tak ada la, yang engkau tu jawab macam sedih sahaja apa fasal? Selalunya, bila Irfan bahagia, kau bahagia sama. Bila dia sedih, kau pun gaya macam dunia terbalik sahaja. Ini tak, kau cakap dia bahagia, tetapi nada macam kecewa. Itu yang lawak tu.” Dzulkarnain menggeleng dengan tawa yang masih tersisa.


Dzulkarnain kemudian memandang Asid.


“Kau ada masalah apa ni Asid? Masalah dengan Nasuha ya? Atau masalah dengan Isra’ sebenarnya ni?”


Akhirnya Asid tertawa kecil. Tak sangka Dzulkarnain perasan akan nadanya yang datar, hingga seakan-akan mampu menembusi hatinya, dan menjangka apa yang bermain-main di dalam jiwanya. Ditebar pandangannya ke arah siling kosong itu semula.


“Dua-dua.”


“Masalah apanya?”


“Aku ajak Nasuha kahwin tahun ini sebenarnya, lepas aku habis belajar. Nasuha berkeras nak kahwin tahun depan, lepas dia habis belajar. Tahun ini, dia nak bertunang sahaja.” Nasuha, atau nama penuhnya adalah Sara Nasuha, merupakan wanita yang dicintai oleh Asid, atau nama penuhnya, Rasyid Zakwan. Beberapa peristiwa telah menghubungkan mereka berdua pada tahun yang lalu.


“Oh. Gembiralah macam itu, dia nak kahwin dengan kau. Apa masalahnya?”


“Benda itu jadi masalah, sebab kau pun tahu yang Isra’ tak lepas-lepaskan aku.” Asid menekan suaranya. Isra’ adalah perempuan berbangsa arab, yang hidup dengan gaya hidup agak kebaratan, merupakan pelajar sekelas dengan Asid di sini. Isra’ memang jelas mencintai Asid, dan selama ini berusaha memenangi hatinya. Dan kini, masih lagi berusaha.


“Oh, itu masalahnya.”


“Kau pun tahu, aku dengan Nasuha bukannya rapat sangat. Kenal pun kenal-kenal gitu sahaja. Dengan Isra’ pula, dari tahun satu sekelas. Dia pula sering ambil berat pada aku, sering usaha dekati aku, sering bantu aku itu ini, sering kongsi cerita itu ini dengan aku, dalam kelas selalu usaha duduk dengan aku, masa praktikal pula kumpulan dengan aku.”


“Kau tergoda?”


Pecah tawa Asid spontan. “Jahat la kau ni Dzul. Apa fasal guna terma tergoda pula?”


“Isra’ tu lawa. Macam Nancy Ajram. Macam Emma Roberts. Mana la tahu kan, hati kau tercuit ke.” Dzulkarnain mencuit bahu Asid. Mereka berdua tertawa.


“Hati tercuit mungkin la. Tetapi tergoda tu, tak la. Tercuit sebab dia baik, tambah terfikir pula perempuan yang kita suka macam nak tak nak sahaja dengan kita. Tergoda tu tak la, tergoda tu lebih pada nafsu.”


Dzulkarnain pun mendiamkan diri selepas itu. Asid juga tidak menyambung bicara. Bilik itu hanya diisi dengan bunyi kipas, dan kicauan burung dari luar tingkap bilik.


“Aku takut.” Asid meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Memecah senggang sunyi antara mereka.


Dzulkarnain mengangguk-angguk. Tetapi apakah yang boleh dia bantu? Dzulkarnain juga tidak tahu. Isra’ itu sebenarnya tahu bahawa Asid mencintai Nasuha. Tetapi oleh kerana Asid dan Nasuha tidak mempunyai apa-apa hubungan yang sah, juga ikatan yang rasmi, menyebabkan Isra’ sentiasa rasa bahawa dia masih berpeluang. Sebenarnya, di belakang Asid, Dzulkarnain dan seorang lagi sahabat mereka berdua, Halim, telah pergi bertemu dengan Isra’ dan membincangkan hal ini. Isra’ tetap berkeras untuk mencuba nasibnya. Memperjuangkan cintanya kepada Asid.


Manakala Nasuha, itu mustahil untuk dibawa berbincang. Dzulkarnain dan Halim tidak kenal rapat dengan Nasuha. Tambah pula, kalau cakap suruh kahwin awal ini, macam dah masuk urusan kekeluargaan orang.


“Sabarlah Asid. Kami insyaAllah cuba membantu.”


Asid hanya tersenyum kelat. Memahami limitasi sahabat-sahabatnya di sini.


Sebab itu dia rindukan Irfan Hakimi, sahabat karibnya itu.


Yang kini sudah rasmi menjadi suami kepada Sara Afifa, kakak kembar kepada Sara Nasuha.


“Cinta memang payah, Dzul.”


Dan Dzulkarnain hanya mampu tersenyum.


 


******


 


“Asid!”


Terundur Asid ke belakang, terkejut dengan Isra’ yang tiba-tiba muncul di hadapannya. Bau minyak wangi harum menusuk hidung. Isra’ tertawa sambil menutup mulut. Indah wajah perempuan itu, memang menyentuh kalbu. Tanpa segan silu, dia terus duduk di sebelah Asid, menyebabkan Asid terpaksa menjarakkan dirinya sedikit.


“Why do you look so tired?”


“Haha.” Asid tertawa paksa tanpa memandang Isra’. Penat la, dah hari-hari awak kejar saya. Mana Dzul dengan Halim ni? Masa ni la juga mereka berdua tu tak ada dalam dewan kuliah. “Well, final exams is just around the corner.” Dia menundukkan wajah memandang bawah meja. Apa fasal la Dr Farouq datang lambat hari ini? Hish.


“Don’t worry, if you have any problem, ask me. I’ll help you.” Isra’ memandang tepat pada Asid.


“Thanks Isra’. You are very kind to me.”


“Well, that doesn’t matter for me. You always knew that i’mactually in…” Isra’ mula memperlahankan suara. Hendak meluahkan sesuatu yang penting.


Asid tahu apa yang penting itu. Dia sudah beberapa kali mendengarnya. “Shhh…” Pantas dia memotong. Sempat dia melirik Isra’ yang mengangkat kepala memandangnya kini. Asid menggeleng.


“Don’t Isra’. Please don’t finish that sentence.” Suara Asid datar.


Isra’ diam. Kedengaran keluhan dilepaskan selepas beberapa saat.


“Well, I’ll try harder next time.” Isra’ bangun, dan bergerak meninggalkan tempat duduk Asid. Dia tahu Asid tidak berapa gemar dia berada berdekatan dengan diri lelaki itu.


“Isra’, when will you stop doing this?” Chasing me, loving me like this? Tetapi ayat seterusnya itu tidak melepasi kerongkong Asid. Asid yang melepaskan soalan itu dalam keadaan menunduk, perlahan-lahan mengangkat kepala.


Matanya dan mata Isra’ bertemu.


“Until I have lost all of my chances.” Kemudian Isra’ berpaling dan pergi.


Barulah Dr Farouq masuk. Pergh, dah berpakat dengan Isra’ ke doktor ni? Sumpah Asid di dalam hati. Menggeleng. Ketika ini jugalah baru Dzulkarnain dan Halim muncul, mengambil tempat di sisi Asid. Asid memandang kedua-dua sahabatnya itu. Apa fasal baru datang?


“Kenapa? Kami ada buat salah?” Halim angkat kening sebelah. Tidak memahami pandangan Asid. “Pandang macam raksasa nak tumpaskan ultraman.” Mulut celoteh Halim tidak berhenti dengan satu soalan.


Asid tersenyum kelat.


“Ya Allah, janganlah kau uji aku dengan apa yang aku tak mampu. Kuatkanlah jiwa aku. Kasihanlah dengan aku. Aku memang dambakan perempuan yang mencintaiku, tetapi aku juga dambakan yang benar-benar mencintaiMu ya Rabb.” Kedua-dua penumbuknya dikepal, saat bibir menggumam perlahan kalimah-kalimah tersebut.


 


*******


 


Suasana ruang tamu rumah sewa Bangunan Bukhari itu terus ceria. Selepas bacaan doa rabithah dibacakan sebagai penutup program usrah mingguan mereka, sesi membuka cerita-cerita tidak formal pula dimulakan. Dan cerita pertama, adalah cerita yang mengundang tawa ahli-ahli usrah itu.


“Kau biar betul ni Wafiq? Serius?” Asid tidak berkelip memandang adik usrahnya nan seorang itu. Yang sekarang memegang gelaran lelaki paling kacak di Irbid, bernama Wafiq Wasim. Juga terkenal di Malaysia sebagai penyanyi popular yang misteri. Blognya yang sering menjadi tempat dia menumpahkan lagu-lagu terbaru rekaannya sendiri kini antara blog yang paling popular di Malaysia. Kini syarikat-syarikat rakaman sudah mula mengutarakan permintaan agar dia menjadi anak rakaman mereka. Sudahlah kacak, bersuara merdu, popular, bakal berduit banyak, soleh pula. Nyata lelaki kegilaan ramai.


Wafiq Wasim sekadar mengangguk bersama senyuman manis.


“Tahniahlah bro.” Badruddin menumbuk lembut bahu Wafiq.


“Engkau pecah rekod batch kita di sini la nampaknya. Orang pertama kahwin.” Yusuf mencuit tubuh.


“Barakallahu lakuma.” Harith bersuara mendoakan.


Pap, pap, pap. Muiez bertepuk tangan satu persatu sambil menggeleng kepala. “Marvellous bro. Marvellous.”


Mereka berempat, dicampur Wafiq, terkenal sebagai Disaster Five tahun lalu. Kini, mereka digelar The Five Light. Dari pembawa porak peranda yang terkenal, menjadi lima remaja yang amat soleh dan dedikasi di atas jalan dakwah dan tarbiyah. Hasil usaha Irfan Hakimi, dan Asid. Kini, Asid memandu usrah mereka berlima.


Asid tersenyum. “Alhamdulillah. Bagus-bagus. Patutlah aku syak semacam sahaja bila engkau rajin tanya fasal baitul muslim dengan aku semenjak dua menjak ni.”


Wafiq membalas senyuman itu dengan senyuman yang lebih lebar. “Sembang banyak dengan Abang Asid la buat saya lebih yakin untuk teruskan perkara ini. InsyaAllah, kami sebenarnya rancang nak bertunang sekejap sahaja. Bulan 6 ini balik cuti bertunang, sebulan, kemudian bulan 7 kami akan langsungkan perkahwinan, sebelum saya dan bakal isteri datang semula ke sini untuk teruskan pengajian semester pendek di sini.” Wafiq adalah pelajar Jordan University of Technology, semester pendek adalah wajib, bukan pilihan seperti pelajar Yarmouk.


“Kiranya aku kena hadirlah ni? Aku sudah graduasi masa itu.” Asid tertawa.


“Mas’ul saya, kenalah hadir.” Wafiq berbicara ceria. Asid terangguk-angguk.


“Dari sekarang, simpanlah niat yang jelas. Kahwin itu hanya gerbang sahaja. Rumah tangga itu dunianya. Kita nak bina keluarga yang boleh beri manfaat kepada Islam. Sebab itu cinta kita cinta sampai syurga, bukan cinta nafsu semata.” Asid memberikan kalam nasihat.


“InsyaAllah Abang Asid. InsyaAllah.” Wafiq mengangguk, faham.


“Abang Asid, agak-agak bila Abang Asid pula nak kahwin ni? Dari segi fikrah rumah tangga muslim ni, Abang Asid yang selalu bagi nasihat. Tup-tup Wafiq kahwin dulu. Dengan Kak Nasuha macam mana?”


The Five Light ini mengetahui hubungan antara Asid dan Nasuha, kerana semasa mereka bergelar Disaster Five tahun lalu, mereka telah merancang penganiayaan kepada Sara Nasuha, yang menyangka perempuan itu adalah tunang kepada Irfan Hakimi. Akibat penganiayaan itu jugalah, Sara Nasuha dan Asid menjadi agak rapat, dan mengetahui bahawa masing-masing mempunyai rasa cinta sesama mereka.


Asid terjeda sebentar dengan soalan itu. Hatinya tersentuh.


Garu kepala yang tidak gatal, Asid tersengih kelat.


Sukar hendak bersuara.


Sebenarnya, dia sendiri memarahi dirinya, yang mengetahui bahawa jauh di dalam jiwanya, dia tidak mampu bergembira sepenuhnya mendengar Wafiq hendak berumah tangga. Sebab dia rasa betapa dia yang lebih tua dan merupakan orang yang selama ini menjadi tempat rujuk Wafiq, sepatutnya telah berkahwin dahulu.


Akhirnya hanya helaan nafas dilepaskan.


Sara Nasuha…


Nama itu hanya bergema di dalam jiwa.


 


********


 


“Assalamu’alaikum Sahabat!” Wajah di skrin itu sedang tersenyum ceria memandangnya.


“Wa’alaikumussalam, Irfan!” Asid rasa seperti hendak melonjak dari kerusi, dan hendak terus masuk ke dalam skrin. Rindunya dia pada suara dan wajah itu.


“Apa khabar kau? Sihat? Macam makin kurus sahaja ni? Risau final exam ke?” Peperiksaan final akan menjelang pada minggu hadapan.


“Aku sihat-sihat sahajalah. Yang engkau ni Irfan, apa khabar?”


“Alhamdulillah. Sihat-sihat. Ni, aku ada berita seronok nak bagitahu ni.” Irfan Hakimi angkat kening dua kali gaya nakal.


Asid angkat sebelah kening. “Oh, itu sebab Skype dengan aku sekarang?”


“Hish, sejak bila kita Skype kena ada sebab? Bukan memang sebulan sekali aku skype dengan engkau ke? Dah kebetulan berita ni muncul masa-masa aku nak skype dengan engkau ni.” Irfan kekal menjaga keikhlasan persahabatan. Benar, dia tidak pernah menghubungi Asid bersebab. Kala-kala tiada masalah, tiada hal, tetap dihubungi Asid sebagai silaturrahim dan mengambil berat keadaan sahabat. Satu perkara yang amat menyentuh jiwa Asid.


“Apa beritanya? Macam teruja benar sahaja aku nampak.” Asid pun jadi teruja.


“Engkau… bakal… jadi… pakcik!!!” Dan Irfan tertawa senang selepas itu.


Mata Asid membesar.


“Afifah mengandung. Tiga minggu dah.” Irfan kelihatan memegang kamera dengan kedua-dua belah tangan, seakan-akan kamera itu adalah wajah Asid yang sebenar.


Tetapi tidak lama kemudian, Asid perlahan-lahan mengalirkan air mata. Dia tidak mampu mengawal perasaan yang bermain di dalam jiwanya. Semakin lama semakin deras lelehan air mata itu. Jiwanya terasa seperti ditusuk sembilu.


Minggu lepas, berita Wafiq. Minggu ini, berita kegembiraan Irfan pula. Dia rasa sedih, sebab sebenarnya dia ingin bergembira sepenuhnya dengan kegembiraan orang-orang yang disayangi. Dia sepatutnya, ketika ini, dia hendak bergembira sepenuhnya, segembira-gembiranya, dengan kegembiraan Irfan yang sudah seperti adik beradik kandungnya sendiri. Tetapi, apakah perasaan ini? Apakah perasaan yang terseksa yang sedang berada di dalam jiwanya kini?


Tangisannya semakin kuat. Bahunya terenjut-enjut atas cubaannya untuk menahan tangisan itu. Tetapi dia tidak mampu. Air mata terus deras mengalir.


Irfan di skrin tergamam.


“Asid?” Suara kedengaran dari corong pembesar suara.


“Kenapa ni?” Kerisauan.


“Irfan, aku minta maaf. Aku cuba untuk gembira dengan berita ini, tetapi nyata ada juzu’ di dalam hati aku, yang cemburu dengan kegembiraan engkau. Yang mengharapkan engkau tidak membawa berita ini. Ada sebahagian di dalam diri aku, yang rasa terseksa mendengar berita ini, yang rasa diri ini tidak diperlakukan dengan adil oleh Ilahi.”


“Astaghfirullah.” Irfan beristighfar terkejut.


“Apa masalah kau sebenarnya ni Asid? Cuba cerita. Aku kan ada ni.” Suara Irfan sayu, jelas terpancar belas kasihannya kepada Asid. “Kalau kau hajat aku untuk ada di sisi engkau, sekarang juga aku telefon universiti untuk minta cuti, dan esok juga aku ambil tiket kapal terbang pergi Jordan.”


Terharu Asid mendengar. Dia tahu, kalau dia kata: Ya, aku nak engkau ada di sini, Irfan akan benar-benar melakukannya. Dia kenal Irfan, dan bagaimana Irfan menghargai persahabatan mereka.


Asid menggeleng. Perlahan-lahan dia cuba bersuara.


“Aku cintakan Nasuha, Irfan. Tetapi dia, dia tak berapa mahu berbincang dengan aku. Tanpa dia nak dengar sebab musabab aku ajak kahwin tahun ini, dia berkeras dengan pendiriannya untuk kahwin selepas dia tamat pengajian. Aku ini tersekat sekarang Irfan. Kau kenal Isra’ kan?”


Irfan mengangguk. Semasa dia berada di Jordan lagi, dia tahu masalah Asid dengan perempuan keturunan arab berkehidupan barat yang bernama Isra’ itu.


“Dia semakin giat berusaha untuk mendapatkan aku. Aku tak pasti sekarang ini. Ada sesuatu di dalam diri aku, menyatakan aku patut terima sahaja Isra’. Aku patut tinggalkan sahaja Nasuha. Aku rasa terseksa Irfan. Kau tahu, Wafiq hendak berkahwin? Sedangkan aku mas’ul dia Irfan. Aku rasa, Nasuha itu terlalu memberatkan aku. Sedangkan aku rasa aku patut berkahwin untuk bantu aku, selamatkan diri aku.” Asid meluahkan segala-galanya.


“Aku rasa, cinta aku kepada dia itu tak ada maknanya. Aku rasa tak berguna sekarang. Aku rasa Allah tak menyebelahi aku. Aku sudah usaha dengan cara terhormat dengan Nasuha. Lalu mak ayah dia, nyatakan hajat yang sebetulnya. Bukan aku terus-terus dengan dia. Tetapi, apa yang aku dapat? Bila berbincang tidak mahu berbincang. Dia asyik minta aku memahami dia, dia pula tidak hendak memahami keadaan aku.”


Sayu suara Asid, ditambah esak tangisnya lagi, membuat Irfan juga berwajah durja.


“Aku tahu keadaan engkau ini. Nasuha ada beritahu aku.”


Asid perlahan-lahan mengangkat kepala. Ya, Nasuha kini secara rasminya adalah adik ipar kepada Irfan.


“Nasuha itu, mungkin kita payah nak ubah persepsi pemikiran dia Asid. Dia mungkin, tak berfikir dari sudut pandangan engkau. Aku tahu betapa engkau banyak berusaha berfikir dengan sudut pandangan dia. Tetapi, inilah dia Asid, cabarannya bila bercinta. Kita kadang-kadang, terpaksa mengorbankan sesuatu yang kita rasa baik, untuk sesuatu yang lebih baik.”


“Maksudnya?” Asid tidak memahami.


“Sesuatu yang baik, adalah kau kahwin awal dengan Nasuha. Kau terjaga. Terselamat. Tetapi, takut-takut bila engkau mati-matian dapatkan yang baik itu, sesuatu yang lebih baik pula terlepas. Iaitu penyatuan engkau dan Nasuha. Mungkin bila engkau terlalu usaha sangat mengubah persepsi dia, dia terus tinggalkan engkau, maka rugilah engkau terlepas perempuan sebaik dia.”


“Habis, apakah aku patut bersabar? Aku cintakan dia Asid. Dan sekarang,c inta ini rasanya tidak dibalas dengan adil.”


Irfan mengangguk perlahan. Memahami.


“Hidup ini adalah perjalanan. Dan di tengah perjalanan itu, kita akan melalui satu kawasan berkabus yang mempunyai selekoh tajam. Kabus itu bernama Cinta. Yang tidak menyusun langkahannya dengan baik, akan melanggar penghadang selekoh, dan jatuh ke dalam gaung yang mencelakakan. Engkau wahai Asid, engkau sedang melalaui Kabus Cinta itu. Kalau engkau tidak menjaga langkahan engkau, dan ingat kembali tujuan asal engkau bercinta, engkau akan terbabas di selekoh tajam itu, dan jauh ke gaung celaka.” Irfan menuturkan nasihat penuh hikmah itu perlahan-lahan. Satu persatu disebut dengan jelas.


Asid mengerutkan dahi.


“Cinta ini kabus Asid. Kabus tebal hingga kita tak nampak jalan. Melainkan engkau jelas apa yang engkau hendak capai. Kalau sampai kita rasa Allah tak adil, kita rasa kecewa yang melampau hingga hati kita terganggu, kita rasa tidak gembira, hingga ibadah pun terganggu, hingga hendak gembira dengan kegembiraan sahabat pun sukar, itu namanya kita sudah mula hendak melanggar selekoh penghadang itu Asid. Aku sebenarnya tidaklah peduli sangat, sama ada engkau memilih Isra’, mahupun memilih Nasuha. Tetapi yang aku peduli adalah, bagaimanakah engkau melalui Kabus Cinta ini, Asid. Bagaimana? Dan engkau juga perlu melihat, bagaimana Isra’ dan Nasuha, melalui pula Kabus Cinta mereka? Siapakah yang setakat ini, cintanya benar-benar terjaga dek batas-batas syara’?”


Dan kini, jiwa Asid seperti disimbah air ketenangan. Lapang. Tangisannya mula berkurangan. Kini air matanya sekadar mengalir perlahan.


Kabus Cinta. Dia sedang melaluinya. Isra’ sedang melaluinya. Nasuha sedang melaluinya.


Dia melihat Irfan tersenyum.


“Asid sahabat aku yang aku kasihi, bersabarlah. Kadang-kadang, untuk capai benda yang baik itu memang payah. Aku rasa, kalau engkau bersabar lebih sedikit daripada yang selama ini, engkau akan lihat satu contoh yang melanggar selekoh tajam yang aku nyatakan itu.”


Eh? Kening Asid terangkat.


“Ingat pesan aku sahabat. Engkau pun tahu sebenarnya, Nasuha cintakan engkau. Mungkin dia ada caranya tersendiri agar tidak jatuh pada gaung celaka itu, walaupun mungkin terlalu paranoid untuk aku katakan.” Irfan tertawa. “Tetapi Isra’, mengikut apa yang engkau cerita selama ini, engkau tahu dia cintakan engkau juga. Tetapi bagaimanakah cinta dia? Dan percayalah cakap aku Asid, cinta dia adalah yang akan menghentam selekoh tajam itu, dek kerana dikelabui matanya oleh Kabus Cinta.”


Dan pesanan Irfan itu seperti mengembalikannya ke alam nyata, dari alam mimpi yang selama ini menyelimutinya.


“Jangan jatuh ke gaung itu Asid. Percayalah. Bersabarlah. Dan sibukkanlah kehidupan engkau. Ketika mana engkau sering disibukkan aku dahulu.” Irfan tertawa menyempurnakan pesanannya itu.


“Seperti mana engkau sering disibukkan aku dahulu.”


Asid akhirnya tertawa sama.


 


*******


 


Asid mula menyusun kehidupannya kembali.


Hidupnya disibukkan dari seawal sebelum Subuh, hingga waktu tidurnya pukul 12.00 malam. Solat-solat yang digalakkan di sepertiga malam dilaksanakan dengan giat. Waktu pagi selepas Subuhnya diisi Al-Mathurat dan Bacaan Al-Quran bersama sahabat-sahabatnya yang lain. Sarapan pagi bersama Dzulkarnain dan Halim di rumah. Kemudian pergi ke perpustakaan untuk studi memandangkan minggu ini adalah minggu persediaan sebelum peperiksaan final menjengah beberapa hari lagi. Zuhur di perpustakaan, sebelum makan tengahari bersama Dzulkarnain dan Halim, kemudian diisi dengan studi bersama-sama mereka berdua pula selepas itu. Solat Asar dan Al-Mathurat, kemudian turun beriadhah hingga hampir Maghrib. Solat Maghrib dan membaca Al-Quran, kemudian makan malam bersama sahabat-sahabatnya, Solat Isya’ dan mengulang kaji nota-nota yang dibuat pada waktu siang. Pukul 11.30 malam membaca Al-Mulk, dan solat taubat dua rakaat bersama-sama solat hajat dua rakaat sebelum memejamkan mata pada pukul 12.00 malam.


Itulah yang dia lakukan, dan betul-betul dia mendisiplinkan dirinya.


Nama Nasuha tidak sekalipun keluar dari bibir. Isra’ juga berjaya disisihkan memandangkan kelas sudah lagi tiada. Dia benar-benar rasa lapang kini.


Bertahan, bertahan, bertahan. Itulah yang dia sering sebutkan untuk memujuk diri. Kembali mengajak diri dan bermuhasabah akan persoalan cinta. Dia tidak mahu tersesat di dalam kabus cinta, lantas menghadang penghadang yang akan membuatkan dia terhumban ke gaung celaka.


Dan apa yang dia lakukan ini, diteruskan hingga ke musim peperiksaan. Dua minggu peperiksaan final berjalan. Praktikal dan bertulis. Semuanya berjalan dengan lancar. Senyuman Dzulkarnain dan Halim setiap kali tamat peperiksaan nyata memberikannya ketenangan, selain doa dan pergantungannya kepada Allah SWT.


Tetapi ada sesuatu menyentuh benaknya pada penghujung peperiksaan. Dia perasan bagaimana Isra’ memandangnya. Dia perasan pandangan mata itu adalah pandangan ketakutan. Takut kehilangan sesuatu. Takut kehilangan diakah?


Menyedari bahawa hari-hari akhir semakin mendekati, dan nanti mereka memang tidak akan punya peluang bersama lagi, apakah Isra’ merasa risau? Persoalan itu muncul di benak Asid. Pandangan Isra’ merisaukan dirinya.


Tetapi dia berusaha untuk tidak menghiraukan.


Dan selepas dua minggu, peperiksaan final pun tamat.


Senyuman terukir di bibir.


 


*******


 


Hari ini merupakan hari ketujuh terakhir untuk dia berada di Jordan. Segala urusan selepas graduasinya dua minggu lepas telah selesai semuanya. Dan kini Asid sedang bersama-sama rakan seangkatannya di Universiti sebagai perkumpulan terakhir mereka. Baik melayu, baik arab, baik bangsa-bangsa lain, semua berkumpul di Dibben Forest, Jerash, Jordan.


Mereka sama-sama memanggang ayam, hot dog, dan berkongsi itu dan ini. Meriah. Ditambah pula dengan pelbagai bangsa berkumpul bersama, yang selepas ini masing-masing akan pulang ke negara masing-masing, kecuali rakyat Jordan yang akan kekal di sini. Ada juga sesi meluahkan perasaan selepas graduasi. Semuanya menarik, dan menyentuh hati.


Program berjalan lancar, dari pagi hinggalah ke tengahari. Program akan ditutup dengan sesi fotografi.


“Kita tangkap gambar di mana ni?” Asid mencekak pinggang. Keletihan selepas perut disumbat dengan makanan.


“Tayyib kata dekat kawasan lapang tu.” Dzulkarnain menunjuk.


“Kenapa? Dah tak larat jalan? Tu la, sumbat lagi banyak-banyak makanan dalam perut.” Halim berceloteh.


Asid tertawa. “Takkan la sampai tak larat jalan. Kau ni pun Halim, pada-pada la perli aku.”


Akhirnya Dzulkarnain dan Halim sama-sama tertawa.


“Dah-dah, jom jalan.” Halim bergerak pantas. Diikuti Dzulkarnain dan Asid.


“Asid,” Tiba-tiba satu suara menghentikan langkahan Asid. Dia kenal akan suara itu. Perlahan-lahan dia menoleh. Sebagaimana yang dijangka, Isra’ berdiri di belakangnya.


“Can you help me? I think i lost my watch in the forest when all of us do our activities there.” Isra’ mengangkat tangan, menunjukkan pergelangan yang kosong tanpa jam seperti kebiasaan. Wajah itu memohon belas.


Asid menggaru kepala. Dzulkarnain dan Halim memandangnya. Dia kemudiannya memandang semula kepada Isra’.


“Please?” Isra’ merayu. Asid memandang semula kepada dua orang sahabatnya.


“Pergilah. Bukan ada orang lagi nak tolong dia.” Halim separuh rela bersuara, sambil memandang sekeliling mereka yang telah lengang, kerana pelajar-pelajar lain sudah pergi berkumpul di kawasan lapang.


Asid melepaskan keluhan. “Let’s go.”


Mereka berdua memasuki hutan itu semula, ke tempat mereka tadi berkumpul melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama yang lain. Kelihatan masih jelas arang yang sudah lembab dibasahi air yang disiram tadi sebelum bersurai dari situ.


Isra’ terus menuju ke satu tempat, yakni kawasan yang mungkin diduduki dia tadi. Asid turut pergi ke tempat itu. Sama-sama mencari di bawah daun-daun kering yang menghampari kawasan itu menutup bumi.


Asid khusyuk. Bersungguh-sungguh berusaha untuk membantu, tanpa sedikit pun membuka bicara dengan Isra’. Isra’ seakan-akan tidak wujud. Fokusnya mencari jam itu secepat mungkin, agar dia boleh pergi meninggalkan Isra’ secepat mungkin. Selepas hari ini, Isra’ akan terkambus dalam sejarah hidupnya sahaja. Bukan lagi sebahagian dari hidupnya yang berjalan.


Tiba-tiba bau wangian Isra’ semakin menusuk hidung. Dan anehnya, bau itu semakin kuat dalam keadaan yang pantas. Belum sempat Asid bereaksi, tubuhnya telah terlentang ke bumi, dengan Isra’ mendakapknya seerat mungkin. Matanya membesar, terkejut tidak percaya.


“Astaghfirullah Isra’, what are doing?”


………………


*****************************************


Baca cerpen ini sepenuhnya di dalam Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.



 


Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.

Harga: RM25.00

Genre: Kumpulan Cerpen.


Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, memuatkan 20 buah cerpen yang bertemakan cinta, namun tidak terpenjara dalam skop Cinta lelaki dan perempuan semata-mata. Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta membawa definisi baru berkenaan Cinta, untuk membebaskan masyarakat hari ini daripada takrif cinta yang salah. Menggunakan cerpen sebagai medium penyampaian, Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta bakal menggegarkan kehidupan anda dengan makna Cinta yang bersih, suci, dan membahagiakan.

———————————————–

WHERE TO BUY?

http://langitilahi.com/store


HOW TO BUY?

http://langitilahi.com/store/store-guide


VIDEO GUIDE:

http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg


———————————————–

WHY SHOPPING ONLINE?

No closing times

No carrying heavy bags

No traffic & parking jams

No wasting petrol, toll & time

No over-crowded supermarkets & queues


———————————————–

Mari Menjadi Hamba!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 06, 2013 22:31

Umum: Kalam Pengasas LangitIlahi.Com – Tolak RACISM


 


Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barokatuh,


Saya, Muhammad Hilal Asyraf, pengasas LangitIlahi.Com, berpesan kepada rakan-rakan Page Langit Ilahi ini dengan pesanan yang serius dan menekan.


Janganlah sesekali kalian wahai rakan, terjerat dengan permainan perkauman yang sedang dihangatkan sekarang.


Bertaqwalah kepada Allah wahai rakan-rakan.

Bertaqwalah kepada Allah,

bertaqwalah kepada Allah.


Jangan dihina-hina dan dituduh-tuduh kaum lain.

Jangan dihangatkan apa yang sebenarnya sedang menjadi permainan segolongan kumpulan tertentu.


Sesungguhnya yang mulia itu adalah Islam dan bukannya bangsa. Tetapi adalah taqwa dan iman. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:


“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Surah Al-Hujurat ayat 13.


Taqwa dan iman itu pula bukan terbukti semata-mata dengan mulut dan apa yang tersemat di dalam hati, tetapi juga dengan amal dan tindakan. Kata-kata masyhur para tabi’in:


“Iman itu bukan sekadar cita-cita, bukan juga sekadar kata-kata, tetapi ianya adalah apa yang tersemat di dalam hati, DAN DIBUKTIKAN DENGAN AMAL!”


Maka rakan-rakan yang saya kasihi, terapkanlah nilai-nilai Islam dalam diri kita. Semaikanlah kasih sayang antara kita, antara kaum-kaum kita.


Jangan dek kerana kesimpulan melulu beberapa pihak, hendak terus ditegangkan hubungan antara kaum.


Bukankah mereka juga saudara kita dalam kehidupan? Allah menyuruh kita agar berta’aruf dengan mereka, bersuai kenal, mendalami. Bukankah kita semua SeMalaysia? Di manakah semangat 1Malaysia yang dicanang-canangkan selama ini?


Wahai rakan-rakan yang saya cinta dan kasih kerana Allah SWT,

bertaqwalah kita kepada Allah SWT,

Dan jadilah kita manusia yang sabar dan mengkaji. Pandang beberapa pandangan, dalami beberapa buah fikiran, kemudian barulah buat kesimpulan. Jangan dek kerana ketergesa-gesaan kita, maka ada kaum yang menerima bencana dek tangan-tangan kita.


Saya mengingatkan diri saya dan kalian dengan firman Allah SWT:


“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” Surah Al-Hujurat ayat 6.


Rakan-rakan yang saya kasihi dan cinta,

Janganlah kalian layan mereka yang racist, dan cuba mengapi-apikan isu perkauman serta menghina-hina kaum lain.


Marilah kita pulang kepada akhlak Islam yang santun dan sopan, dan mulakanlah tanggunggjawab yang selama ini ditinggalkan oleh kita, yakni ‘Dakwah dan Tarbiyah’ kepada diri, kepada kaum kita sendiri, dan kepada kaum-kaum yang lain di Malaysia ini.


Ingatlah bahawa dari kalangan kaum berbangsa Cina dan India itu, adanya saudara-saudara seIslam kita.


Jangan sesekali kita terperangkap dengan cetusan api perkauman yang me’generalise’kan semuanya dalam satu bakul bangsa.


Bangkitlah rakan-rakan dengan akhlak dan santun,

tunjukkanlah bahawa kita adalah Muslim yang ramah bukan Muslim yang marah,


sesungguhnya saya berpesan ini dengan serius dan menekan,

bertaqwalah kita kepada Allah,

dan ingatlah pesan Rasulullah SAW,

carilah keharmonian dan keamanan,

jauhilah api perkauman,

eratkan hubungan sesama kita,

pastikan Malaysia kita tenang dan aman!


~ Pengasas LangitIlahi.Com,

Muhammad Hilal Asyraf

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 06, 2013 22:31

Himmah : Tanpa Izin Tuhanmu, Tiada Yang Mampu

happy_but_sad_by_s_s_j-d3382e9


~ Picture by http://s-s-j.deviantart.com/


 


Menelusuri susur perjalanan hidup ini adalah satu laluan yang cukup mencabar dan menguji kekuatan jiwa insan. Insan tanpa Tuhan, lemahlah dia. Insan berjalan tanpa Tuhan, rebahlah dia.


Meski sekuat apapun seorang insan, tanpa Allah di jiwanya, segala kekuatan yang ada hanyalah kosong tanpa ada makna.


Insan datang daripada Tuhan dan akan kembali kepada Tuhan. Maka di antara dua destinasi datang dan pergi itu, harapan kekuatan insan sudah tentulah pada Tuhan yang mengutuskan.


Dengan kehidupan fana yang sentiasa menipu daya ini, kehidupan insan tidak pernah lari dari ujian.


Barangkali kita sedang menghadapi saat-saat yang begitu melukakan.

Barangkali kita sedang menghadapi waktu-waktu yang mendukacitakan.

Barangkali kita sedang terasa begitu down sekali.


Tetapi, insan yang rapat hatinya dengan Tuhan, Tuhan tidak pernah sekali-kali membiarkannya.


 


Pastilah Allah Tidak Mengujimu Melainkan Dia Ingin Memberikan Kebaikan


Nabi s.a.w. pernah diuji dengan kesakitan dan kelukaan yang dahsyat di medan Uhud, tetapi kemudiannya Allah menghadiahkan kegembiraan di medan Khandak.


Baginda pernah diuji dengan perjanjian Hudaibiyah yang sangat jelas berat sebelah, tetapi dihadiahkan Allah dengan pembukaan Kota Makkah selepas Musyrikin sendiri melanggar perjanjian itu.


Hidup ini begitulah.


Kadangkala, Allah menguji kita dengan sesuatu yang kita rasakan tidak adil untuk orang seperti kita yang telah banyak bersusah payah dan berusaha dalam kehidupan berbanding orang lain, tetapi bila dilihat dan direnung semula, rupanya Allah ingin berikan selepas itu sesuatu yang lebih besar dan lebih baik daripada apa yang telah kita miliki.


“Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” [Al-Baqarah : 216]


Syed Qutb dalam tafsirnya Fi Zilal menukilkan kalam yang sangat manis berkaitan dengan ayat ini :


“Setiap insan – dengan pengalamannya tersendiri – ketika merenung kehidupannya pasti akan mendapati banyak perkara di dalam hidupnya yang dibenci tetapi di sebaliknya ada kebaikan yang sangat banyak, serta (dia juga akan mendapati) kelazatan yang banyak tetapi rupanya di sebalik itu ada keburukan yang sangat besar. Telah berapa banyak peristiwa yang telah membuatkan insan jatuh dalam kesedihan, kemudian dia mendapati setelah beberapa ketika, Allah pun telah mengeluarkannya dari kesedihan itu. Dan berapa banyak ujian yang telah ditelan insan dalam keadaan tercungap-cungap nafasnya menghadapinya sehingga kemudian terhenti segala kesusahan ujian itu,  kemudian dia mendapati daripada ujian itu kebaikan dalam hidupnya apa yang dia tidak perolehi dalam keadaan aman (tenang) yang berpanjangan.” [Fi Zilalil Quran, Dar Syuruk]


Allah tidak menguji insan tanpa tujuan. Allah menguji insan kerana ingin memberi ganjaran serta kebaikan yang lebih besar lagi daripada apa yang telah dia miliki.


Tinggal lagi, apakah insan positif memandang rahmat Tuhan saat dirinya dicengkam payah dan peritnya ujian?


 


Tanpa Izin Tuhanmu, Tiada Siapa Mampu Mengapa-apakan Kamu


Allahlah yang mengizinkan manusia bergerak sebebasnya di atas dunia ini. Allah jugalah yang telah memberikan kudrat kepada insan, menjaga susun atur dan pergerakan alam ini agar kehidupan insan menjadi harmoni.


Kalau kita bersedih dan terluka kerana diperlakukan dan dikhianati oleh manusia, ketahuilah bahawa ada Allah yang Maha Besar dan Maha Kuasa, yang lebih berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas manusia yang menzalimi kita itu.


Kalau kita terluka dan dukacita kerana sikap buruk manusia terhadap diri kita, ketahuilah bahawa ada Allah yang Maha Kuat dan Maha Perkasa untuk membalas segala tindakan jahat manusia itu.


Kalau kita merasa lemah kerana kurangnya kudrat kita untuk membalas segala kejahatan dan keburukan manusia terhadap diri kita, Allah yang Maha Menghukum dan Maha Menghinakan sentiasa akan mampu menghinakan manusia yang telah menghinakan kita itu.


“Jagalah Allah, Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau mendapati-Nya bersama kamu. Jika engkau meminta, maka mintalah kepada Allah. Jika engkau memohon pertolongan, maka mohonlah kepada Allah. Ketahuilah, jika seluruh manusia berkumpul untuk memberi manfaat kepada kamu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan mampu melakukannya melainkan apa yang telah Allah tuliskan untuk kamu. Dan jika mereka berkumpul untuk memberi mudharat kepada kamu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan dapat memberi mudharat kepada kamu melainkan apa yang telah Allah tuliskan terhadap kamu …” [HR Tirmizi]


Jangan pernah berhenti berjalan dan berjuang andai terluka di pertengahan jalan.


Itu hanyalah obor untuk menghangatkan lagi semangat dan bara perjuangan di dalam jiwa kita dalam menempuh kehidupan.


Jangan pernah putus harapan meneruskan perjuangan kehidupan andai diuji dengan caci maki, tohmahan dan kekejian.


Kalau kita tidak mampu menghentikan semua itu dengan tangan kita, Allah sentiasa ada dan berkuasa untuk menamatkan semua kejahatan itu dengan sekelip mata.


Insan jangan pernah jauh daripada Tuhan kerana itulah sumber kekuatan dan keberdayaan. Biar sehebat apapun kekuatan fizikal kita, tetapi tanpa kekuatan spiritual dan dalaman kita, kita hanyalah ibarat tin kosong yang kuat berbunyi.


 


Penutup : Kuatlah, Bersabarlah Dan Teruslah Bergerak !


Kalau hidup ini berlalu penuh kesenangan tanpa ada apa-apa kesusahan dan ujian, ia tidak akan jadi bermakna. Barangkali, kita pun tidak begitu menghargai banyaknya nikmat dan kebaikan yang telah kita perolehi dalam kehidupan kita.


Barangkali, kita pun menjadi lebih jauh daripada Tuhan bila hidup terlalu senang tanpa dugaan.


Sebab itu, janganlah pernah lemah dan longlai kala merasakan diri tidak begitu kuat di dalam menempuh ujian. Jangan menangisi lemahnya diri kita, tetapi hadapilah dengan penuh kekuatan.


Kita tahu ada Allah yang menjaga urustadbir alam ini. Pastilah Dia tidak akan membiarkan diri kita sia-sia dengan usaha kita yang berpanjangan itu. Pastilah Dia tidak akan membiarkan kezaliman dan kejahatan itu berleluasa sehingga dapat memberi mudharat kepada diri kita.


Bahawa kalau kita mentaati-Nya, pastilah Dia tidak akan meninggalkan kita ini sia-sia di atas dunia.


Tinggal lagi kita, perlu terus kuat dan sabar serta teruslah bergerak !


Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita !

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 06, 2013 13:51

May 5, 2013

Umum: Kenyataan Rasmi Pengasas LangitIlahi.Com Pasca PRU’13


PRU’13 sudah melabuhkan tirainya.


 


 


Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barokatuh,


 


Keputusan pilihanraya telah keluar,

dan Barisan Nasional nampaknya sekali lagi meneruskan pemerintahan.


Kami di LangitIlahi mengucapkan tahniah dan takziah kepada pemenang. Tahniah sebab menang, takziah sebab diberikan amanah yang berat.


Kami suka untuk mengingatkan bahawa amanah bukanlah satu perkara untuk dikhianati. Amanah akan ditanya oleh Allah SWT. Walaupun di dunia kelihatan seperti kita boleh berbuat sesuka hati, di akhirat kelak Allah akan menghitung detail setiap amalan kita nanti.


Maka kepada para pemimpin, ittaqullah, bertaqwalah kepada Allah. Jangan diambil harta yang bukan harta kita. Santunilah orang-orang miskin dan anak-anak yatim. Jauhilah negara ini dari kemaksiatan dan kemungkaran. Semua ini akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak.


Kepada Pakatan Rakyat pula, semoga dapat menjadi pembangkang yang baik di negara ini sebagai check and balance kepada kerajaan kita. Amanahlah juga dengan tanggungjawab kalian, dan bersabarlah dengan sebarang duga serta cabaran. Tidak dinafikan ada beberapa perkara meragukan dengan keputusan pilihanraya kali ini, namun kadangkala perlulah juga dimuhasabahkan semula keadaan kumpulan dan diri. Harapnya sebarang ketidak puas hatian, sebarang perkara yang dirasakan tidak adil, boleh diusahakan mencapai penyelesaian dan keadilan secara aman dan selamat, untuk kesejahteraan semua pihak.


Apa-apa hal pun, kami di LangitIlahi percaya bahawa, kerajaan yang baik itu memerlukan pembangkang yang kuat. Teruskan usaha, bersuara membawa aspirasi golongan bawahan, menjadi suara kedua yang memeriksa dan mengimbangi kerajaan kita.


Kami amat yakin bahawa segala apa yang Allah aturkan selepas kita semua berusaha keras di tempat masing-masing, pasti ada hikmahnya.


Semoga Allah melaknat para penipu, dan menjaga mereka yang menegakkan kebenaran agamaNya, dalam semua pihak yang ada.


Sekian,


~ Pengasas LangitIlahi.Com


Muhammad Hilal Asyraf

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 05, 2013 21:20

May 4, 2013

Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta: Cerpen Aku.



Sahabat yang terbaik,


Bukanlah yang hanya mampu berkata: “Sabarlah, Sabarlah.”


Tetapi adalah sahabat yang akan berkata,


“Apa masalahmu? Mari aku bantu.”


 


 


Termenung. Sedikit kebosanan. Ruang mataku diisi dengan sebatang pokok di hadapan Dewan Makan, dan di sekeliling pokok itu terdapat pelajar-pelajar lain yang kelihatan seronok bersembang sesama sendiri. Rasa menyesal pula pergi terlalu awal ke tempat ini. Rupanya hari ini Dewan Makan akan dibuka sedikit lambat. Lebih baik melepak di atas musolla tadi, boleh juga berbaring menghilangkan letih di tengah hari ini.


Sudah seminggu di sekolah baru ini. Aku masih tidak punya kawan rapat. Namun, aku tidak berapa peduli. Aku seakan dapat menghidu bahawa takdirku adalah berseorangan di atas dunia ini. Setakat aku berumur 13 tahun ini, aku memang tidak punya seorang pun teman yang boleh digelar sebagai sahabat karib. Sedang teman sekolah rendah sepanjang 6 tahun pun tiada satu yang rapat denganku, apatah lagi di sekolah asrama yang baru aku jejaki ini.


Mungkin kerana aku berbeza. Mungkin. Aku kasar, tidak mudah berkata lembut, agak lancang, asyik berfikiran jauh, tidak suka bertolak ansur, dan sering hendak menang dalam apa-apa sahaja. Ah, aku tidak peduli. Bukan satu kekurangan buatku. Aku bisa sahaja hidup sendiri.


“Seorang sahaja?”


Cuping telingaku menangkap pertanyaan itu. Membuatkan leherku automatik menoleh. Seorang pelajar berpakaian pengawas, agak tinggi, berwajah cerah, memakai songkok, sedang berdiri di hadapanku dengan roman wajah yang manis. Siapa pula ni?


“Boleh aku duduk sebelah kau?” Dia bertanya. Nyata aku duduk berseorangan di atas penghadang jalan berdekatan Dewan Makan ini. Malas-malas aku mengangguk.


“Kenapa seorang sahaja?”


“Memang tak ada kawan.” Aku menjawab perlahan sambil menekur jalan tar di hadapan.


“Oh, biasalah. Kau baru lagi di sini kan? Nanti insyaAllah, lama-lama ada la sahabat.” Dia berbicara mesra. Seakan telah 10 tahun berkenalan pula. Membuatkan aku mengangkat wajah memandangnya.


“Iya? Aku macam tidak yakin sahaja aku akan mampu mendapat sahabat di sekolah seperti ini.” Aku tahu bicaraku itu berbau sinis. Tetapi aku tidak dapat mengawalnya. Aku memang begini. Aku sudah dapat menghidu perbalahan yang bakal berlaku antara aku dan dia sebentar lagi.


“Em? Kenapa kau berkata begitu?”


“Iyalah, aku lihat senior-seniornya tidaklah sebaik mana. Bercakap gah sahaja, tetapi akhlak tidak setara mana. Tetap membuli junior juga. Suruh orang bagi salam dulu, tetapi mereka tidak pula mengamalkannya. Bila junior tak beri salam, tahu pula hendak marah.” Aku memuncungkan bibir, dan mendengus menunjukkan kebencian aku yang mendalam.


Ya. Apa yang aku luahkan tadi, itulah yang aku perhatikan sepanjang minggu orientasi ini berjalan. Abah kata, sekolah ini lubuk mutiara, tempat tersimpannya 1001 hikmah. Tetapi entahlah, aku tidak nampak apa yang istimewanya sekolah ini apabila melihat senior-seniornya. Dan sekarang, pelajar di sebelah aku ini menyatakan aku akan mendapat sahabat di sini? Heh. Dalam mimpi sahaja mungkin terjadi.


“Cakap tu baik-baiklah sikit.” Dia mula bersuara tegas.


Ahah! Aku sudah katakan yang tiada siapa akan tahan dengan aku. Orang tidak pernah suka dengan mereka yang bercakap tulus. Orang lebih suka pujian palsu.


“Apa yang aku cakap itu benar, bukan?”


“Iya. Tetapi senior-senior bukanlah para malaikat. Apa yang baik daripada mereka kita ambil, apa yang buruk daripada mereka kita tinggal. Kalau kau tidak puas hati dengan mereka, maka jadilah senior yang lebih baik nanti.”


“Hah, hanya alasan kau sahaja untuk menyembunyikan kesalahan senior-senior di sini. Sekolah ini nyata tidak bermakna apa-apa. Sama sahaja seperti sekolah-sekolah lain. Apa yang ‘the best in the world’nya di sini?” Aku merendah-rendahkan laungan semangat yang sering digunakan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah ini.


Wajah pengawas di sebelahku mula merah.


“Kau ni!” Tangannya mula hendak mencapai bahuku. Tetapi aku dengan langkah tempur didikan Abah, pantas menangkap pergelangan tangannya sebelum sempat menyentuh tubuhku.


Matanya membesar. Mataku membalas. Tangannya sengaja kugenggam sekuat hati. Biar dia terasa sakitnya.


“Sudah, berambus.” Aku menghalau. Tangannya kulepaskan perlahan.


“Haih…” Dia menggeleng kepala. Bangun meninggalkanku.


Aku buat tidak peduli.


Pasti dia tidak akan lagi berhubungan denganku.


Aku pasti, dia amat memarahiku. Mungkin dia akan menceritakan kepada rakan-rakannya akan hal aku. Silap hari bulan, dialah musuh aku yang paling ketat di sekolah ini satu hari nanti. Siapa tahu, bukan?


Heh.


 


******


 


Aku memandang papan kenyataan di musolla. Biasanya pada papan kenyataan ini ada pelbagai info terkini berkenaan aktiviti sekolah, juga terdapat fakta-fakta agama dan juga akademik. Aku sekadar tertarik pada bahagian aktiviti sekolah. Aku ingin tahu apa program yang akan diadakan oleh sekolah ini untuk minggu hadapan.


Tiba-tiba aku perasan cuping telingaku disentuh. Sentuhan itu pula dapat kurasakan kemesraannya. Pantas aku menoleh ke belakang.


“Si…”…apa… dan yang baki itu hanya terlekat pada kerongkongku.


Dia. Pengawas semalam. Kini sedang berada di hadapanku, dan tersenyum mesra.


“Tengah tengok apa? Apa yang menarik?” Dia terus menepuk bahuku dan mendekati papan kenyataan. Memandang ke arah jadual yang menunjukkan aktiviti sekolah.


Aku sekadar memandangnya. Kemudian tanpa berminat untuk mengungkit perselisihan semalam, aku sekadar menyilang tangan ke dada dan melihat kembali jadual aktiviti sekolah.


Suasana antara kami hanya diisi dengan bunyi pelajar-pelajar lain melalui tempat itu untuk keluar dari musolla, juga beberapa pelajar yang turut melihat papan kenyataan.


“Nama aku Hariz.” Suaranya menggegar gegendang. Perlahan-lahan aku menoleh. Dia sedang tersenyum. Apakah dia ini terlupa bahawa kami baru sahaja berselisihan semalam?


“Nama kau siapa? Aku cuma tahu yang kau ini adik saudara Umair sahaja. Umair itu sahabat karib aku tahu. Tinggal dia tua setahun sahaja daripadaku.”


Ah, kawan Umair? Umair itu abang sepupuku. Tua dua tahun daripadaku. Satu-satunya keluarga yang aku ada di sekolah ini, juga salah satu sebab mengapa Abah amat yakin untuk menghantar aku berjauhan daripada rumah ke mari.


Hariz di sebelahku kekal tersenyum. Seakan hari semalam tidak pernah berlaku. Dan tadi semasa dia menyentuh cuping telingaku, aku dapat merasakan kemesraan yang amat daripadanya. Aneh. Perasaan apakah ini?


“Haikal.” Aku menjawab perlahan.


“Em?” Kening Hariz terangkat sebelah.


“Nama aku Haikal. Haikal Aizuddin.”


Senyuman penuh cahaya terukir di bibirnya. Segera dia menghulurkan tangan. “Muhammad Hariz.” Dan kami berjabat.


Hangat. Bukanlah ini kali pertama aku berjabat tangan dengan manusia. Tetapi, entah, mengapa aku rasakan jabatan tangan kali ini terasa seperti sesuatu yang tidak pernah kurasai sebelum ini. Dan apakah rasa senang yang terwujud di dalam hatiku ini?


“Makan jom?” Hariz terus memaut bahuku, dan belum sempat aku menjawab, tubuhku telah didorongnya ke rak kasut.


Itulah dia permulaannya.


 


******


 


Masa pantas berlalu. Sedar tidak sedar, Hariz sudah tingkatan lima dan aku telah memasuki tingkatan empat. Hari-hari nyata berlalu tanpa menunggu langkahan insan. Sama ada manusia itu yang memecut untuk menewaskan waktu, atau manusia itu akan ditinggalkan.


Persahabatan aku dan Hariz juga bertambah erat. Kami ibarat kembar yang tidak dapat dipisahkan. Siapa yang percaya bahawa awal pertemuan kami adalah pergaduhan. Tetapi entah mengapa seperti aku sahaja yang mengingati perkara itu. Hariz, dia langsung tidak pernah menimbulkan kenangan yang satu itu. Mungkin sahaja dia memang tidak pernah ambil peduli akan perkara itu? Jika benar, nyata dia adalah manusia yang ajaib.


Empat tahun yang telah berlalu, diisi oleh dengan keeratan kami. Terlalu banyak kenangan yang dikongsi bersama. Terlalu banyak perkara yang dilalui berdua. Kemasukan aku sebagai ahli Badan Pengawas Sekolah tambah mengeratkan hubungan kami, apatah lagi apabila aku diletakkan pada Biro yang sama dengan Hariz. Lebih menakjubkan, sepanjang aku menjadi pengawas, kami tidak pernah ditukarkan ke biro lain. Kerja-kerja bersama di dalam pengawas, kursus-kursus kepimpinan, program-program, semuanya menjadikan hubungan kami bertambah erat.


Kami turut bersama-sama merancang pelbagai program sampingan buat diri kami sendiri, seperti berpuasa sunat bersama-sama dan tidur di musolla untuk qiamullail bersama-sama.


Nyata empat tahun yang telah berlalu, adalah empat tahun yang indah. Aku seakan dikurniakan seorang abang oleh Allah SWT. Dan kehadiran Hariz lebih dari sekadar memenuhi kekosongan ruang Abang itu, bahkan dia jugalah qudwah kepadaku. Banyak mengajarku akan Islam yang sebenar daripada akhlaknya, mendidik aku dengan kesungguhannya di dalam kerja, dan sentiasa di sisi apabila tiada orang lain bersama.


Percaya atau tidak, yang mampu bertahan dengan kelancangan dan kekasaranku, hanya Hariz seorang. Aku masih ingat ketika aku mengamuk dan mengoyakkan komik mereka di pejabat asrama, mengakibatkan beberapa rakanku di dalam pengawas tidak senang dengan kemarahanku ketika itu, hanya Hariz sahaja yang pergi kepadaku dan bertanya apa yang sebenarnya telah berlaku.


“Kal.” Suara Hariz menyapa. Dia yang baru sahaja menyalin baju tidur, mampir ke katilku dan duduk.


“Apa?” Aku menggerakkan kepala sedikit.


“Ada masalah apa?”


Aku tertawa. “Kenapa? Muka aku ni muka ada masalah kah?” Tiba-tiba sahaja tanya ada masalah.


“Tak adalah. Semalam, bila balik daripada slot terakhir, kau terus sahaja tidur. Tak sembang-sembang macam biasa pun.” Hariz merujuk kepada Program Muhasabah Islami yang dijalankan oleh seorang motivator jemputan sekolah semalam.


Mata aku membesar. Hariz berkerut dahi memandangku. Kemudian tawaku meletus.


“Hei, aku serius ni.” Dia menolak bahuku.


“Entahlah. Aku tak ada sebab pun. Mungkin letih kut. Tak fikir apa, balik terus lelapkan mata.” Aku menggeleng. Tawaku masih tersisa.


“Serius ni?” Hariz seperti tidak puas hati.


“Ya Allah, abang aku seorang ni, sungguh.” Aku mengangkat tangan, gaya bersumpah. Memang sungguh aku tidak ada apa-apa. Bahkan aku sekarang ini masih tergeletek dengan Hariz yang amat menjaga aku hinggakan perubahan sekecil itu pun disangkanya aku punya masalah. Hariz, Hariz. Aku menggeleng lagi.


Hariz menghela nafas dan tersenyum. “Baguslah macam itu.” Dan senyuman Hariz itu tidak akan mampu aku cari di mana-mana lagi di dunia ini. Aku pasti. Membuatkan aku tersenyum sama.


“Tak lama lagi dah nak habis sekolah dah.”


“Em, kau pun nak ambil SPM. Studi lebih sikit, bro.” Aku menumbuk lembut bahunya.


“Tak risaulah studi. InsyaAllah, aku boleh.”


“Mestilah, kalau tak penatlah aku doa untuk kau hari-hari.”


Senyuman Hariz terkoyak lebih lebar. Mungkin terkenangkan sesuatu apabila aku nyatakan perihal doa. Kami berdua sebenarnya punya kegemaran yang aneh apabila berdoa. Kami jarang berdoa pada masa yang sama. Apabila aku yang berdoa dahulu, maka Hariz akan merapatiku dan berbisik kepada telingaku:


“Doakan aku biar cemerlang dalam pelajaran, dimurahkan rezeki, dikekalkan keimanan, dan dapat isteri yang solehah.”


Dan kemudian apabila Hariz pula yang berdoa, aku akan merapatinya dan berbisik ke telinganya, menyatakan perkara yang sama.


Hampir setiap kali, jika punya peluang, itulah yang akan kami lakukan. Mungkin itulah yang menjengah ingatannya, menyebabkan dia tertawa.


“Tahun depan aku dah tak ada. Kau ok ke?”


“Ha? Haha.” Keningku terangkat sebentar, sebelum tawaku yang telah terhenti tadi bersambung semula.


Come on la Hariz. Ingat aku ini apa? Pelajar darjah satu?”


“Yalah, manalah tahu kan. First time kut kita berpisah ni.”


“Banyak kali dah. Entah berapa kali dah cuti kita ni, bukan balik rumah yang sama pun.” Aku menjelir lidah sedikit ke arahnya. Berseloroh. Hariz tertawa kecil.


“Kau tahu apa maksud aku kan?”


Tawaku mula surut. Perlahan-lahan aku mengangguk. “InsyaAllah, aku survive. Come on la Bang, aku dah 16 tahun. Tahun depan 17 tahun.”


“Baguslah.” Hariz memandang hadapan. Wajahnya memaparkan kelegaan. Dan entah mengapa, aku amat tersentuh. Hariz nyata amat mengambil berat akanku. Entah di mana lagi hendak aku cari sahabat seperti dia? Mungkin tidak akan aku jumpa di mana-mana.


“Hei, janganlah sedih sangat. InsyaAllah, Allah akan susun yang terbaik punya untuk kita. Aku pasti yang itu. Kalau ada apa-apa, insyaAllah aku ada untuk kau.” Aku menepuk belakang Hariz.


“InsyaAllah, aku ada untuk kau juga.” Dia menepuk belakangku pula.


Kami berdua tersenyum bersama.


“Bila-bila masa, di mana jua.” Kalam itu, sama-sama kami ucapkan, serentak. Membuatkan kami berdua kemudiannya sedikit tersentak. Kemudian tertawa bersama. Tidak menyangka kami akan menyatakan perkara yang sama, bersama-sama.


Kami diam sebentar. Mata Hariz menentang mataku.


“Uhibbukafillah.” Sekali lagi serentak.


Dan tawa mengisi malam kami itu.


 


******


 


Nyata, susunan Allah itu amat ajaib. Kita akan lebih merasakan ajaib, apabila susunan Allah itu menepati hajat hati kecil kita, namun kita tidak pernah menukilkannya langsung di dalam bentuk lafaz permintaan. Sekurang-kurangnya, itulah yang aku rasai apabila mengetahui Hariz memasuki universiti yang hampir dengan rumahku.


Menjerit Hariz ketika memberitahu bahawa dia mendapat universiti itu. Aku sendiri hilang bicara apabila mengetahuinya. Sekadar mampu menyatakan bahawa aku amat gembira juga. Namun aku tidaklah terlalu lama mampu merasai keindahan kewujudan Hariz di perkarangan rumahku, memandangkan aku menyambung pengajianku semula ke tingkatan enam di sekolah menengahku dahulu.


Tetapi memandangkan aku berada di dalam tingkatan enam, maka aku punya lebih kelonggaran berbanding pelajar biasa. Telefon bimbit contohnya, bukanlah satu benda yang haram untuk kubawa dan guna pakai. Maka hubungan dengan Hariz kekal erat dengan kemudahan teknologi yang satu itu.


“Assalamu’alaikum.” Suaranya serak kedengaran.


Hatiku bergetar spontan. Kenapa ni? “Waalaikumussalam. Bang? Sihat tak tu?” Abang atau Bang, sudah menjadi panggilan biasaku kepadanya. Walaupun aku biasa juga memanggilnya Hariz.


“Aku tengah down ni Kal.”


“Eh? Kenapa ni?”


Dan aku duduk bersila di atas bangku kelas mendengar luahannya. Rupanya pensyarahnya telah memberikan markah yang teramat rendah kepadanya, walaupun dia amat yakin dia telah melakukan yang terbaik. Bahkan presentationnya adalah yang mendapat pujian semua orang di dalam kuliahnya. Dia merasakan bahawa pensyarahnya itu telah berlaku tidak adil kepadanya.


Aku yang tidak menjejak ke universiti kerana memilih untuk menyambung tingkatan enam ini, tidak mampu membayangkan apa yang Hariz lalui, namun dapat juga memahami perasaannya yang diperlakukan demikian.


“Sabar bang, sabar.”


“Aku tengah sabar la ni.” Kedengaran esak di ganggang. Hatiku pula menjadi rawan.


“Allah nak uji ni. InsyaAllah, ada la tu kebaikan lepas ini.” Aku cuba memujuk.


“Aku faham yang itu. Tapi sedihlah.” Aku seakan dapat melihat air matanya sedang berjejesan walaupun dia tidak berada di hadapanku. Ya Allah, pedihnya.


“Kau rehatlah dulu ya? Dah tengah malam dah pun ni.” Aku memanjangkan leher menjengah luar, gelap. Dataran sekolah juga lengang tanpa ada pelajar yang berjalan di atasnya. Mungkin semua sudah pulang ke asrama dan bertemankan selimut masing-masing.


“Em,” Suara Hariz lemah. Perit aku mendengarnya.


“Hariz, insyaAllah ada hikmahnya semua ini.” Sekali lagi aku berpesan. Entah, aku tidak ada kalam yang lebih baik. Itu sahaja yang mampu aku ucapkan. Sebab itu sahaja yang aku percaya. Allah ini, dia tidak pernah mengecewakan hamba-hambaNya.


“Dan kau kalau apa-apa, jangan tak call aku. Call aku. Ok? Ok?” Aku bertegas mengingatkan.


“Em, insyaAllah.”


Senyap sebentar. Hening malam mengisi suasana. Aku sendiri mati bicara. Kasihan Hariz.


“Hei,” Tiba-tiba suara serak Hariz kedengaran.


“Apa?”


“Terima kasih.”


“Ala, aku bukan tolong apa pun. Tolong dengar sahaja. Apa la yang aku bantu kau?” Aku menghela nafas. Rasa bersalah pula tidak mampu membantu apa-apa. Sedangkan aku tahu sahaja, yang aku memang tak mampu membantunya apa-apa.


“Tak, kau dengar aku punya luahan ini pun, bantuan sebenarnya. Terima kasih Haikal, sebab ada di sisi aku.”


“Kau tahu tak Hariz, kalaulah terjadi satu masa nanti, seluruh dunia telah tinggalkan kau, sampai nanti mungkin isteri dengan anak-anak pun tinggalkan kau, kau agak-agak siapa manusia yang akan kekal berada di sisi kau masa itu?”


Hening malam kembali mengisi buat seketika.


“Aku.” Aku menepuk dada dengan yakin sekali. “Aku ada di sisi kau masa itu.”


Dan aku kedengaran esak dari corong. Aku seakan melihat air matanya menitis jatuh. Tetapi kali ini aku dapat merasakan dia sedang tersenyum.


“Take care bro. Uhibbukafillah.”


“Uhibbukafillah. Thanks.”


Dan entah mengapa, dengan merasakan bahawa Hariz telah tersenyum itu, hatiku yang tadinya gundah menjadi tenang semula.


Ya Allah, kasihanilah sahabatku itu sesungguhnya aku mengasihaninya. Sayangilah sahabatku itu sesungguhnya aku menyayanginya. Dan aku amat tahu kasihMu lebih besar melebihi kasihku, dan sayangMu lebih luas berbanding sayangku, maka kepada Kau sahajalah aku meminta kasih dan sayang untuknya itu.


Aku meraup wajah. Hariz itu ibarat nyawaku.


Mustahil dia akan kubiarkan kesedihan begitu.


 


******


 


Tamat tingkatan enam, aku berjaya menyambung pengajian ke luar negara. Timur Tengah. Mengambil pengajian agama. Di sini, kehidupan aku berubah memandangkan aku banyak diharapkan oleh persatuan melayu untuk melakukan itu dan ini. Maka hubungan aku dan Hariz sedikit terganggu dari segi kekerapan komunikasi. Kami sudah jarang berhubung. Aku pula jarang muncul di internet. Boleh dikira dengan sebelah jari sahaja bilangan komunikasi kami pada tahun pertama aku di Timur Tengah.


Namun cinta aku terhadap sahabatku nan seorang itu kekal membara di hatiku. Kadangkala aku memaki kesibukanku kerana tidak mampu meluang banyak masa dengannya. Entah berapa kali aku dapati offline message terisi dengan mesej bertanya khabar daripadanya. Namun aku tidak sempat melayannya. Sungguh aku rasa bersalah.


Kini sudah masuk tahun yang ketiga. Pelajaranku semakin sukar. Tinggal dua semester lagi, dan aku akan menamatkan pengajianku di sini. Kerja-kerja kursus bertimbun di kanan dan kiriku. Belum dikira urusan persatuan lagi yang masih berada di sekelilingku. Aku hampir sahaja tidak punya masa buat diriku sendiri, apatah lagi untuk orang lain.


Dan pada saat penuh kritikal inilah, Allah menguji aku.


Duit Persatuan hilang di tangan aku. Jumlahnya hampir menjangkau RM10,000 ringgit. Kewarasanku hampir sahaja terpadam apabila mendapati wang yang sepatutnya aku hendak masukkan ke dalam bank itu hilang daripada almariku.


Seluruh pelajar melayu di sini gempar mendengar berita itu.


Serta merta aku dicemuh dan menjadi bahan makian ramai. Tidak pandai menjaga duit, lalai, cuai, semuanya dihumbankan kepadaku. Sedangkan aku telah berusaha menjaganya sepenuh jiwa dan ragaku. Aku sendiri tidak pasti bagaimana duit itu boleh lesap begitu sahaja. Hendak menuduh ahli rumahku yang lain, aku tidak sampai hati memandangkan mereka selama ini baik-baik sahaja denganku.


Selepas beberapa hari, tidak cukup dengan segala makian tadi, aku dituduh pula ingin mencuri wang tadi. Kepimpinan persatuan turut mempunyai syak wasangka yang sama. Aku pula memang tidak punya bukti kukuh untuk menafikan perkara itu. Tinggal pertahanan diriku setakat ini adalah, jika benar aku yang mencuri wang tersebut, pastinya aku akan membelanjakannya, dan apa yang aku belanjakan itulah yang patut menjadi bukti. Namun, setakat ini, perbelanjaanku adalah seperti kebiasaanku selama ini. Maka nyata bukan akulah pencurinya.


Tetapi masyarakat melayu di tempat aku belajar tidak mampu menerima alasan itu. Kata mereka, zaman sekarang sudah maju. Sekiranya aku simpan wang itu ke dalam bank, maka cukup beberapa waktu aku akan mendapat faedahnya yang lumayan. Aku menafikannya, dengan menunjukkan kad bank aku dan menyuruh mereka memeriksanya sendiri. Tetapi ada pula suara yang menyatakan bahawa, mana mungkin aku hendak menunjukkan kad bank yang wujud di dalamnya duit persatuan itu.


Aku mati akal. Tidak mampu mempertahankan diri. Kini, laungan untuk menggantikan duit pula kedengaran. Boleh dikatakan hampir kesemua pelajar melayu yang wujud di sini membenciku sekarang, menyebabkan tiada yang menyokongku. Jika ada yang kasihan pun, tiada yang mampu bangkit membantuku. Takut nanti ditelan badai kemarahan orang ramai, dan lemas di dalam lautan kebencian mereka.


Dunia seakan menjadi sempit.


Sangat-sangat sempit.


RM10,000, aku mana ada duit sebanyak itu?


Berhari-hari aku tenggelam di dalam kesedihan. Beberapa hari itu jugalah aku tidak pergi ke kelas. Aku tidak dapat menumpukan perhatian untuk menghabiskan kerja-kerja aku yang bertimbun, juga aku tidak mampu hendak berjalan di tengah orang ramai yang akan menghina dan mencercaku.


Aku sekadar berbaring, termanggu di atas katil mengenangkan nasib diri, ditemani air mata yang berjejesan setiap masa. Sejadahku habis basah di tempat sujudku, begitu juga bantal.


“Kalau aku ini aku yang dahulu, habis mereka semua itu. Dan sedih ini tidak akan hadir.” Aku mengenang kembali diriku yang amat keras di sekolah menengah dahulu. Sekarang, entah mengapa, cercaan dan makian terasa amat menusuk kalbu. Sedang dahulu aku kebal sahaja dengan semua itu. Aku benar-benar rasa bersalah dengan kehilangan wang itu, tetapi bukanlah aku tidak menjaganya dengan baik. Laci telah dikunci dengan baik, bahkan aku telah bercadang untuk pergi ke bank awal pagi sebelum aku perasan duit itu telah hilang.


“Ya Allah, apakah ini?” Aku sakit kepala. Tertekan.


Ketika inilah, telefon bimbitku berbunyi. Siapa? Orang persatuan yang nak minta aku ganti duitkah? Perlahan-lahan telefon bimbit itu aku capai. Kulihat nama yang tertera.


Hariz.


Keningku terangkat sebelah. Guna telefon? Tak mahalkah telefon dari Malaysia ke mari?


Segera aku membuka lipatan telefon bimbitku.


“Assalamu’alaikum, Hariz?”


“Waalaikumussalam. Kal. Apa khabar?”


“Sihat. Kau?” Aku menjawab datar. Cuba menyembunyikan masalah.


“Aku sihat sahaja.”


“Kenapa telefon ni? Tak mahal? Kenapa tak guna internet sahaja?” Aku bertanya.


“Aha, aku ni sebenarnya dengar kau ada masalah.”


Aku diam. Berita itu tersebar sampai ke Malaysia kah? Hem. Zaman tanpa sempadanlah katakan.


“Tak nak kongsi?” Hariz bertanya.


“Seganlah, kongsi masalah. Aku ni nak kongsi benda gembira sahaja dengan kau.” Aku cuba mengelak.


“Haikal, aku ni, kau buat lawak bodoh pun aku suka nak dengar. Apatah lagi benda sedih yang memerlukan seseorang untuk berada di sisi kau, Haikal. Mesti aku lagi patut dengar kan?” Aku seakan mampu melihat senyumannya di balik sana. Membuatkan aku tersengih. Dan perlahan-lahan sengihanku pudar, dan tubuhku menggeletar. Aku menangis, hingga bahuku terenjut-enjut.


Aku ceritakan segalanya kepada Hariz. Apa yang berlaku kepadaku, dan bagaimana masyarakat melayu di sini melayanku.


“Tiada siapa percaya dengan aku, Hariz. Semua orang tinggalkan aku. Aku tension. Aku dah la tengah bertimbun dengan kerja kursus. Periksa pun dah dekat.” Aku menceritakan semuanya.


“Hem, bertenang, bertenang.” Hariz menenangkan aku.


“Aku tengah usaha la ni.” Aku menghela nafas.


“Ha, sekarang, apa kata kau pergi ke bank.”


“Eh?”


“Sekarang, pergi ke bank. Keluarkan duit untuk bayar balik wang yang hilang itu.”


“Aku mana ada duit Hariz. Kalau ada duit, dah lama aku bayar balik. 10,000 ringgit bang, bukan 10,000 rupiah.”


“Iyalah, tengoklah dulu dalam bank. Mana tahu ada RM10,000.” Hariz tetap bertegas dengan suruhannya. Aku dapat merasakan kewujudan senyuman dalam bicaranya.


Aku segera bersiap dan turun dari bangunan rumah sewaku, kemudian bergerak pantas menuju ke bank yang berdekatan. Aku periksa baki terkini akaun simpananku. Mataku membesar.


RM11,492. Angka itu menjengah tubir mataku.


Segera aku telefon semula Hariz.


“Mana kau tahu…”


“Aha, aku baru sahaja doa kepada Allah, agar turunkan wang daripada langit untuk kau.” Hariz tertawa.


“Banyaklah kau punya daripada langit. Ini duit kau ya Hariz?”


Hariz terus tertawa. “Em, itu duit aku. Kau guna dahulu. Aku sebenarnya simpan duit itu untuk kahwin. Tetapi dah kau ada masalah ini. Aku dahulukannya kepada kau.”


Mataku kembali berair. Hariz, Hariz.


“Kenapa sampai macam ini Hariz? Mana mungkin aku boleh terima ini? Aku nak bayar semula kepada kau bagaimana?”


“Kalau kau tak dapat bayar semula, maka tak perlu bayar. Aku tak kata pun kau kena bayar semula, bukan?”


Aku hampir sahaja ternganga mendengarnya. “Hariz!”


“Terimalah. Ambil lah. Kita boleh kumpul duit lagi. Dan belum tentu kau tidak jumpa semula RM10,000 kau yang hilang itu. Percayalah, apa yang berlaku ada hikmahnya daripada Allah SWT. Kau tidak ingat apa yang kau pesan semasa aku kejatuhan dahulu?”


Aku terkesima sebentar. Teringat.


“Ada hikmahnya semua ini. Dan aku dah nampak salah satu hikmahnya sekarang.”


“Apa dia?” Aku kehairanan.


“Allah nak ukhuwwah aku dengan kau, meningkat satu tahap lagi.” Sekali lagi, aku seakan dapat meihat Hariz tersenyum di sebelah sana.


Air mataku mengalir deras. Terenjut-enjut bahuku di hadapan mesin pengeluar wang. Aku perasan keadaanku itu menjemput pandangan aneh daripada beberapa orang arab yang berada di sekelilingku.


“Hei Haikal.”


“Ya?”


“Kalaulah nanti terjadi satu saat, seluruh dunia hilang kepercayaan dengan kau, bahkan memerangi kau, hatta mungkin waktu itu keluarga kau turut bertindak dengan tindakan yang sama, kau tahukah siapa manusia yang akan berada di sisi kau?”


Aku tergamam. Dadaku bergetar kuat. Aku tahu jawapannya.


“Aku. Aku ada di sisi kau pada saat itu.”


Dan air mataku mengalir, namun pada bibirku terukir senyuman.


Ya Allah. Apakah hadiah yang lebih besar daripada nikmat iman dan Islam yang Kau berikan kepadaku, selain daripada Hariz ini?


Tiada, Ya Allah, tiada.


Saat-saat aku hampir sahaja berputus asa dengan Kau, dialah yang kembali menyambungnya. Siapalah sahabat yang lebih baik, daripada sahabat yang apabila bersamanya, dia mengingatkan aku kepadaMu, Ya Allah?


MasyaAllah. MasyaAllah.


“Haikal,”


“Em?”


“Take care. Uhibbukafillah.”


“Thanks. Uhibbukafillah.”


Dan hidupku bercahaya semula, serta tidak pernah lagi kegelapan muncul dalam kehidupanku selepas hari itu berlalu.


 


******


 


Bunyi ombak memukul pantai membawaku kembali ke alam realiti. Rupanya aku terimbas kembali segala memori dahulu. Dari perkenalan pertama, hinggalah kepada apa yang menjadikan Hariz itu tidak dapat ditandingi hatta oleh nyawaku sendiri. Aku tersenyum, menggeleng sendiri.


“Weh, isteri kau kat belakang tu.” Bahuku ditolak lembut.


Aku cuba mengimbang semula tubuhku. Memandang manusia yang menolakku itu sebentar, sebelum memandang ke belakang. Isteriku sedang melayan anakku, sambil bersembang mesra dengan seorang lagi perempuan yang turut bersama anaknya.


Kemudian aku memandang manusia di sebelahku itu semula.


“Kenapa tiba-tiba bagitahu yang isteri aku ada di belakang?”


“Dah kau tersenyum sorang-sorang. Teringat siapa lagi kalau bukan si buah hati?” Dia mengangkat kening dua kali. Gaya nakal.


Aku tertawa. “Aku sebenarnya teringat kaulah, Hariz.”


Tawa Hariz meletus sama. “Senget ke apa ha? Aku ada kat sebelah kau je ni.”


Aku menggeleng. “Banyak sudah kita lalui ya?”


“InsyaAllah, banyak lagi kita akan lalui.”


“Harap Allah membenarkan kau terus berada di sisiku sahabat.” Aku memandang Hariz.


Dia tersenyum. “Semoga Allah juga membenarkan kau untuk terus berada di sisiku, sahabat. Sampai ke syurga.”


Aku turut mengukir senyuman.


“Sampai ke syurga sana.”


Kami sama-sama melepaskan pandangan ke horizon.


Hati lapang. Jiwa tenang.


“Hei,” Tiba-tiba kami serentak bersuara.


Tertawa sebentar kami dibuatnya. “Macam mana boleh sama pula ni.” Serentak lagi. Kami berpandangan sebentar, tertawa lagi.


“Uhibbukafillah.” Dan sekali lagi, serentak juga.


Dan tawa mengisi ruang antara kami berdua.


Ya Allah, terima kasih atas ukhuwwah ini.


Moga kekal ke syurgaMu nanti.


 


*****************************************


Baca cerpen ini sepenuhnya di dalam Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.



 


Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.

Harga: RM25.00

Genre: Kumpulan Cerpen.


Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, memuatkan 20 buah cerpen yang bertemakan cinta, namun tidak terpenjara dalam skop Cinta lelaki dan perempuan semata-mata. Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta membawa definisi baru berkenaan Cinta, untuk membebaskan masyarakat hari ini daripada takrif cinta yang salah. Menggunakan cerpen sebagai medium penyampaian, Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta bakal menggegarkan kehidupan anda dengan makna Cinta yang bersih, suci, dan membahagiakan.

———————————————–

WHERE TO BUY?

http://langitilahi.com/store


HOW TO BUY?

http://langitilahi.com/store/store-guide


VIDEO GUIDE:

http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg


———————————————–

WHY SHOPPING ONLINE?

No closing times

No carrying heavy bags

No traffic & parking jams

No wasting petrol, toll & time

No over-crowded supermarkets & queues


———————————————–

Mari Menjadi Hamba!

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 04, 2013 16:31

May 3, 2013

KOMIK: Apa kata mereka??

prou


Mereka mungkin bukan siapa2..


bukan Perdana Menteri,


bukan CEO syarikat besar,


namun suara mereka merupakan suara kita..


kerana mereka dan kita adalah sama:


rakyat MALAYSIA (YG SAH!)


 


Pilihanraya adalah rahmat bagi manusia bijak,


tetapi derita kepada manusia rakus dan gila kuasa..”


-Syeikh Kadir al Jailani-


Mari semua, kita buat pilihan yg bijak.


Moga Allah bersama kita. ameen


 


*Selamat mengundi!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 03, 2013 21:32