Hilal Asyraf's Blog, page 107
May 28, 2013
Motivasi : Nota Tarbiyah – Hati Kita. Bersih atau Kotor?
BERSIH 5.0 Picture By Ibnu Fuad Of LangitIlahi
—–
“ Jika engaku merasakan kekesatan dalam hatimu, maka duduklah dengan orang-orang yang berzikir dan orang-orang zuhud.”
Ahmad bin Abi Al- hawari Ad Damsyiqi
——
Setiap hari, hati kita terdedah kepada “kepanasan” udara jahiliyah (menghirup bau-bau dosa, maksiat dan noda) yang akan menyairkan serta melunturkan keimanan kita kepada Allah SWT.
” Bayangkan, keimanan kita luntur!”
Suasananya panas, membahang dan mendidihkan – jiwa kita yang asalnya disimbahi ketenangan, kebahagiaan dan ketenteraman ruh iman kian hilang keasliannya. Hati dipenuhi dengan kegelisahan, ketidaktentuan dan bebanan jiwa yang memberatkan. Terkena kemudaratan jahiliyah.
” Hati kian hitam, kotor, jijik, kaku dan semakin gersang!.”
Wahai Para Pendosa! KOTOR membelenggu kalian
Bagikan tersentak dan terkedu.
Memo ini adalah untuk kita – wahai pendosa, agar merenungi diri dan mendalami diri yang dikotori dengan kejelekan dan kebusukan dosa yang menjijikan. Anda sedang bersama-sama KOTOR.
Wahai pendosa yang terhina, hancurnya sesuatu bangsa, rosaknya jiwa, berpecahnya hubungan kekeluargaan, retaknya sebuah perhubungan dan bersimpang siurnya pemikiran, hanyalah akibat dari dosa-dosa dan kemaksiatan. KOTOR meruntuhkan keamanan dan keteguhan bangsa kita.
Wahai pendosa yang terbelenggu, terhalangnya rezeki, kerasnya hati, dan mengeringnya air mata, hanyalah akibat dosa-dosa dan kemaksiatan. KOTOR membuatkan kalian hilang kepekaan dan kesensitifan perasaan.
Wahai jiwa-jiwa pendosa yang hitam, besarnya kemurkaan Allah, besarnya kekhuatiran dan ketakutan menimpa manusia, hanyalah akibat dari dosa-dosa noda dan kemaksiatan. KOTOR itu membebankan anda.
Wahai pendosa yang berwajah keruh, ketahuilah bahawa diciptakannya neraka yang dahsyat serta pemandangan seksa yang pedih, hanyalah akibat dari dosa-dosa dan kemaksiatan. KOTOR inilah yang akan mengheret anda ke lembah azab yang memedihkan.
Wahai pendosa yang berhati keras, dosa yang engkau lakukan itu menyebabkan perasaanmu sempit, terhimpit, sedih, resah, cemas dan diselubungi keputus asaan. KOTOR ini membelenggu jiwa anda.
Wahai pendosa yang lalai, ketahuilah kalian berada dalam keadaan Kotor. Jiwa kalian sebenarnya diselubungi kejijikan, kekotoran dan kejelekan. KOTOR adalah hayat dan kehidupan anda. Anda sebenarnya mencintai KOTOR!
Ingatan ini buat sesiapa sahaja termasuk diri ini
Wahai diri dan semua yang menyulusuri kehidupan ini
Tidak dapat lari dari tercalit dengan calitan dosa dan noda
Koreksilah diri, semoga memo ini menjadi ingatan yang sangat berguna
Wahai para pendosa yang menggerakan KOTOR!
Jika kalian terlanjur di dalam lembah dosa, maka bersegeralah. Bersegeralah dengan lafaz taubat dan istighfar. Bertaubatlah wahai diri. Nurani, jiwa dan hati kita harus dibersihkan, dijernihkan dan diputihkan segera.
Titik-titik hitam, calaran dan gurisan terukir dihati kita. Semuanya akibat, perbuatan dosa kita sendiri. Ya. Inilah kesan dosa, noda dan maksiat kita sendiri.
KOTOR : Kotor hati
KOTOR ini sedang digerakan oleh kalian. Kalian mengagung-agungkan KOTOR. Jiwa begitu ghairah dan asyik dengan KOTOR. Nafsu memuja-muja aktiviti KOTOR tanpa rasa bersalah.
KOTOR ini harus dihalang, diboikot dan disekat dalam kehidupan kita semua. KOTOR ini menghancurkan keharmonian, ketenteraman dan kedamaian. KOTOR inilah yang menghilang keaslian keBERSIHan jiwa dan hati kita.
KOTOR bukanlah pilihan kita. Ia tidak memberikan apa-apa manfaatkan kepada kehidupan dan life style kita. Ayuh, marilah kita gantikan KOTOR ini dengan budaya hidup yang menjadi anjuran Islam. Islam suka dan gemarkan BERSIH.
Hapuskan KOTOR dengan BERSIH!
BERSIH inilah yang menjadi pilihan kalian. Kalian perlukan BERSIH di dalam kehidupan. BERSIH inilah yang menjernihkan dan membersihkan hati dan jiwa kalian yang telah kotor, busuk dan jijik.
BERSIH 5.0
adalah
langkah untuk kalian melakukan proses penghapusan KOTOR di dalam jiwa kalian.
BERSIH 5.0
Ia haruslah menjadi agenda utama kehidupan kita.
Ia perlu digerakan secara bersepadu dan bersistem.
Ia adalah nadi kekuatan untuk kita pulihkan jiwa yang ternoda.
Ia bukannya main-mainan.
Ia adalah sesuatu yang serius, penting dan utama.
Ayuh kita teruskan kempen memperkasakan BERSIH 5.0 ini.
Ayuh, tuntutannya perlu ditunaikan segera!
Pedulikah kita tentang hakikat BERSIH hati yang perlu diservis setiap hari? Bahkan, soal ini jarang sekali mendapat keutamaan dalam agenda seharian manusia. Betulkan kenyataan ini?
Penutup : Ayuh perkasakan BERSIH 5.0
Tuntutan BERSIH HATI (BERSIH). Lima penawar hati ( 5.0) yang akan menjernihkan semula nurani anda. Ia akan mencahayakan kembali cahaya putih di dalam jiwa anda.
Jom BERSIH HATI dengan 5 penawar hati! Inilah dia BERSIH 5.0. Tuntutan yang perlu digerakan dalam kehidupan kita setiap hati. Ayuh, HATI anda mempunyai hak yang harus ditunaikan sesegera mungkin.
BERSIH 5.0
[1] Bersahabat dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.
[2] Sentiasa membaca Al-Quran dengan tadabur, khusyuk dan mengingsafi.
[3] Memelihara perut daripada makanan yang HARAM
[4] Melakukan solat malam (tahajud)
[5] Selalu berzikir dan berdoa kepada Allah SWT
Lima penawar hati ini, merupakan saranan oleh Imam Abul Laith al-Samarqandi, di dalam Kitab Tanbihul Ghafilin.
Semoga ia bermanfaat untuk kita semua. Ayuh, kita gerakan BERSIH 5.0!
BERSIH hati, BERSIH fikrah
BERSIH fikrah, BERSIH perjuangan
BERSIH perjuangan, BERSIHLAH masyarakat
BERSIH masyarakat, BERSIHLAH dunia dari KEJAHILAN
May 27, 2013
Sisters: Hargai Ibu Sebelum Menjadi Ibu
Picture of Krista Siddiqui from an article A Tribute to Mothers by Zafar Siddiqui
Ramai yang kata, kita benar-benar akan mengerti pengorbanan seorang ibu pabila kita sendiri merasa menjadi seorang ibu.
Ramai orang berkongsi cerita, bahawa setelah mengalami detik-detik kehamilan baru terasa akan pengorbanan sebenar ibu sendiri melahirkan.
Ramai juga yang bicara perihal menghargai ibu setelah benar-benar melalui detik keibuan ketika hamil, setelah melahirkan dan menjalani tempoh membesarkan anak-anak amanah Allah.
Menjadi Ibu
Impian setiap insan yang berumah tangga ingin memiliki anak penyambung generasi, buah cinta pengikat dan pelengkap sebuah rumah tangga. Malahan harapan dan impian besar ini diletakkan sepenuhnya kepada kaum Hawa kerana mereka yang bakal memikul tempoh kehamilan dan kelahiran zuriat yang dinanti-nanti.
Detik penantian itu kadangkala terlalu menyeksakan pabila hadir cakap-cakap sekeliling yang tidak jemu bertanya akan bilakah lagi rumah ini bakal diserikan dengan kehadiran tawa nangis anak-anak kecil.
Pabila berita gembira hadir, belum pun melihat bentuknya sudah dihebah-hebahkan kegembiraan ini ke segenap pelusuk alam. Ingin dikongsi berita ini walau penantian itu nanti mungkin bakal dihidangkan dengan pelbagai mehnah ujian yang tidak dijangka.
Catatan Peribadi di Hari Ibu
Diberi peluang oleh Allah untuk merasai detik itu, merasai menerima berita gembira itu benar-benar membahagiakan seluruh jiwa raga saya. Berita yang dinanti-nanti bukan sahaja dalam rumah tangga kecil kami malahan keluarga besar yang sentiasa mendoakan.
Namun, tempoh awal itu benar-benar menguji kesabaran dan ketabahan kami. Kandungan yang sepatutnya membesar dalam rahim ibunya tidak berada di tempat yang sepatutnya. Berulang kali ke hospital demi menjalani ujian ultrasound untuk mengesan kehadiran ‘dia’ dalam kandungan. Tapi tiada. Rekod darah dan ujian lain menunjukkan positif hamil.
Saat ni, hati saya gundah, gelisah, risau dan sedih. Segalanya bercampur baur ditambah dengan kesakitan yang menjadi-jadi di bahagian bawah abdomen. Pergerakan menjadi terbatas, selera mula susut dan tangisan sering menjadi peneman di malam hari saat sujud memohon keringanan ujian dari Allah.
Keputusan ujian darah yang dijalankan menunjukkan saya berkemungkinan mengalami ectopic pregnancy atau threatened abortion. Namun, keputusan masih samar-samar. Doktor masih memberikan harapan agar ianya hanyalah andaian perubatan yang mungkin tidak tepat. Darah diambil lagi untuk rekod seterusnya.
Tempoh menunggu panggilan janji temu seterusnya merunsingkan fikiran saya dan suami. Saat ini suami merupakan insan yang paling sabar melayan emosi yang tidak stabil dan fizikal yang semakin tidak sihat. Dan tatkala kami sudah mula tenang dengan ujian ini, saya terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan setelah hampir tujuh minggu bertahan dengan kehilangan darah yang banyak dan kesakitan yang teramat.
Malam itu juga, yang pertama kali suami tidur di hospital berbantalkan lengan beralaskan kerusi hospital. Malam itu juga, yang pertama kali buat saya didatangi hampir lima orang doktor setiap 30 minit. Darah diambil untuk rekod ujian demi ujian hingga kandungan darah merah semakin menyusut. Akhirnya, tika waktu dhuha saya di arahkan menjalani laparoscopic salpingectomy. Benar, kandungan itu ada tapi bukan dalam rahim saya. Benar, ‘dia’ semakin membesar di usia tujuh minggu, tapi kehadirannya di tempat yang salah akan mengancam nyawa saya. Maka, saya harus melepaskannya pergi.
Sepanjang perjalanan ke bilik bedah, saya curi-curi dengar perbualan jururawat sekeliling. Hari itu hari ibu rupanya. Mereka yang melahirkan anak pada hari itu akan diberikan ganjaran berupa hadiah dari pihak hospital. Sungguh, hati saya sayu. Saya pejam mata rapat-rapat dan laungkan tasbih pada Allah sekuatnya agar saya tidak langsung mendengar perbualan mereka. Hingga akhirnya, saya terpejam setelah dibius dalam bilik bedah. Dalam dunia separa sedar, saya masih terdengar samar-samar perbualan doktor. Tidak menyedari hakikat fizikal saya ditebuk tiga untuk membuang kehadiran ‘dia’ di sana. Dan saat itu, muncul suara, ” Ni lah janin itu.”
Allah… saya terus pejam dan memuji Allah.
Hargai Ibu sebelum Menjadi Ibu
Merasai detik kehamilan sebenar dan merasai detik kelahiran yang penuh mendebarkan, pada saya belum pun sampai saat itu kita sepatutnya telah menghargai ibu kita. Tidak perlu tunggu hingga saat itu untuk menghargai ibu. Tidak perlu mengalami hingga saat itu untuk kita mencurahkan bakti dan menghargai kedua orang tua kita.
Biarkan saat dunia meletakkan tarikh tertentu untuk menghargai ibu sedang kita telah pun menghargai ibu kita pada setiap nafas yang telah Allah kurniakan.
Buat kaum lelaki, jangan tunggu hingga saat anda bergelar bapa, melihat detik isteri melahirkan baru ingin anda merasai pengorbanan seorang ibu. Jangan tunggu hingga saat itu, kalian baru ingin belajar menghargai seorang wanita.
Pengalaman menjadi ‘bakal ibu dan ayah’ mematangkan kami. Tempoh ini, saya lihat dan merasai kesetiaan, kesabaran dan ketabahan suami. Mengenali dirinya yang sangat menyayangi dan menghargai orang tuanya sebelum dirinya bergelar bapa buat saya yakin bahawa pabila ada zuriat kelak, insyaAllah mereka juga pasti akan dididik untuk menghargai kami sebelum sampai pula waktu mereka menjadi ibu bapa.
Pengalaman yang pertama juga buat saya diberi peluang oleh Allah merasai secebis kesakitan ummi saya yang pernah melahirkan kami adik-beradik dengan pelbagai bentuk pembedahan hingga akhirnya Allah kurniakan ‘kerehatan dari kehamilan’ untuk selama-lamanya kepada ummi saya. Apa yang saya alami mungkin terlalu kecil jika nak dibandingkan dengan pengalaman-pengalaman ummi saya.
Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t berfirman: “Dan Kami (Allah) perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada-Ku (tempat) kembalimu.” (Surah Luqman, 31).
Katakan Sayang
Malu untuk menyatakan sayang pada ibu bapa. Saya pun begitu. Sejak kecil perasaan sayang tu sangat asing untuk dizahirkan secara terang-terangan. Sayang itu acapkali ditunjukkan dengan perbuatan; tolong di dapur, belajar rajin-rajin dan menghadiahkan kejayaan demi kejayaan kepada mereka.
Itu sayang yang saya tunjukkan. Bila semakin dewasa, saya sampaikan pada Allah akan cinta dan sayang saya pada mereka. Moga Allah sampaikan terus kepada mereka tanpa perlu saya menzahirkannya di hadapan mereka.
Kalian yang punya keupayaan untuk menzahirkan sayang kepada orang tua kalian, maka teruskanlah. Seronok melihat anak-anak yang hingga sudah dewasa pun masih boleh mengungkapkan sayang terang-terangan.
Selamat Hari Ibu buat ummi dan mak mertua saya. Selamat Hari Guru kepada mereka berdua kerana menjadi guru pertama buat saya dan suami.
Selamat Hari Ibu dan Hari Guru buat sekalian yang membaca.
Moga Allah kurniakan kesejahteraan kepada saya, suami, mereka dan kalian untuk terus mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi ibu bapa kepada generasi seterusnya.
Mari Menjadi Hamba.
May 22, 2013
TeenACE – Mari Berkongsi Cita-cita, Impian dan Harapan
” Hidup ini harus kaya dengan kerja-kerja besar, cita-cita tinggi dan usaha keras tanpa henti.”
Saya punyai cita-cita, impian dan harapan tersendiri.
“” Mengimpikan agar suatu hari nanti dunia ini diwarnai dengan cahaya keimanan yang sebenar dan manusia hidup aman sentosa dibawah naungannya.”"
Anda?
TeenACE – Mari Berkongsi Cita-cita, Impian dan Harapan.
Masa berlalu begitu pantas. Sungguh.
Hari-hari yang berlalu, pergi meninggalkan kita semua dengan satu kepastian yang sangat nyata. Masa itu tidak akan kembali. Kenangan detik-detik usia awal kita dahulu, jika ikutkan rasa hati ingin sahaja kembali beriang gumbira menikmati zaman kanak-kanak rebina yang sungguh menyeronokan. Aktiviti tanpa batas dan kepenatan. Bagaikan dunia ini kita yang punya!
Itu kisah-kisah dulu. Dan kita sedari bahawa kita semakin meningkat dewasa. Menyemak kembali perjalanan hidup, kekadang membuatkan kita gembira. Ada saatnya juga kita hiba. Selang seling juga antara menangis dan ketawa.
Ya. Itulah kehidupan. Pelbagai warna warni menghiasi perjalanan hidup ini. Susunan, aturan dan ketetapan Allah SWT itu pasti yang terjadi. Namun, di sudut celahan kehidupan ini – kita sebagai insan mempunyai pilihan untuk berimpian, bercita-cita dan berusaha menggapainya.
Di situ, ada nilai dan hukum sunattulah dan syariatullah.
Langkahan saya tidak akan berhenti.
Saya akan terus melangkah dan melangkah biar pun payah.
Menuju matlamat yang satu -
Redha Allah !
BroHamzah – Di Usia Ini
Saya menoleh ke belakang. Ah! Dinding rupanya.^^
Saya mengimbas saya yang dulu-dulu. Air mata ada kalanya mengalir. Saya melihat saya yang sekarang. Masya-Allah. Maha Baik dan Maha Pemurahnya Allah SWT. Terlalu banyak perkara yang tidak pernah saya terlintas di benak fikiran – ianya berlaku dan terlalu banyak juga perkara yang saya impikan – ianya terjadi.
Satu sahaja ingin saya kongsikan.
Saya sangat obsess dan penuh passion menghasilkan makalah, menghasilkan tulisan dan artikel-artikel yang dimuatkan dalam mini-majalah yang saya usahakan sendiri. Saya design, saya tulis bahannya, saya lukis sendiri, saya upah adik saya buat kartun serta ilustrasinya, saya cetak sendiri, dan saya jual sendiri.
Semua itu saya lakukan dengan niat untuk sebarkan kalam-kalam bicara kebaikan dan kebenaran kepada semua orang. Ada saatnya, saya rugi. Ada ketikanya, saya untung. Itu tidak penting bagi saya. Tekadnya ialah ingin berkongsi. Itu sahaja.
Hasilnya, lahirlah makalah Permata 1, Permata 2, Mukmin Muslim dan beberapa lagi yang saya tidak ingat namanya. Kesemuanya, sudah hilang dalam simpanan saya kerana habis rosak ketika banjir melanda rumah saya pada tahun 2005.
Kemudian saya beralih dengan berjinak-jinak menceburi dunia blog. Saya mulakan dengan blog BroHamzah awal tahun 2002. Saya ambil artikel-artikel, kata-kata tarbawi dan apa sahaja yang bermanfaat lalu saya muatkan dalam blog tersebut. Waktu itu, di kalangan rakan-rakan dan sahabat-sahabat kenalan yang ada, sayalah antara individu awal yang memiliki blog.
Dari situ, saya memberanikan diri berkongsi dan menghantar tulisan-tulisan saya ke medium media bercetak. Ada majalah, surat khabar dan sebagainya. Ada satu majalah saya hantar 10 artikel. Yang menariknya – kesemua artikel-artikel saya tidak disiarkan. Pendek kata, kena reject free-free.
Ada majalah yang terbit satu sahaja artikel saya daripada berbelas-belas yang saya kirimkan kepada editor. Saat itu, agak terkilan dan kecewa. Susah juga hendak tembusi dunia penulisan ini ya. Saya tidak berputus asa. Lalu, blog la menjadi medium penulisan saya yang utama. Saya tidak terfikir soal saguhati, horonium atau apa-apa bayaran kerana tujuan utama ialah berkongsi untuk semua!
Pernah juga, saya hantar artikel saya untuk dibukukan ke sebuah syarikat penerbitan. Editornya terus mendiamkan diri tanpa sebarang respon. Mungkin, tulisan saya tidak komersial untuk dibukukan. Tidak mengapa. Mungkin itu bukan laluannya.
Hari ini, Allah SWT berikan peluang dan kesempatan kepada saya menulis melalui website LangitIlahi.Com. Saya sangat bersyukur. Niat untuk berkongsi itu terus menyubur dalam jiwa saya. Apa yang saya nukilkan ini sebolehnya untuk manfaat bersama. Ada kebaikan, maka lebar-lebarkanlah ia semahunya. Jika, ada cacat cela – simpanlah di alam maya sahaja. Oh tidak, jika ada kekurangan dan kelemahan maka sampaikanlah ia kepada saya. Akan usaha dibaiki, diperhalusi dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Alhamdulillah. Penghargaan kepada sahabat saya, Hilal Asyraf dan semua sahabat tim LangitIlahi yang sentiasa membakar semangat dan memberikan laluan itu untuk saya terus berkongsi. Medium LangitIlahi ini menjadi saham yang banyak buat kalian.
Itulah cebisan kisah pahit manis BroHamzah. Saya sentiasa memasang cita-cita, impian dan harapan untuk menulis sehingga ke akhir usia. Ini juga, salah satu bekalan akhirat buat saya.
Itu sahaja.^^
Mereka-mereka yang “bermimpi” – Berkongsi Impian & Harapan
Bersahabat itu indah!
Antara kelazatan, kenikmatan dan kemanisan hidup saya ialah dikurnikan oleh Allah SWT – teman-teman, sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang baik. Kemudian,ditambah lagi dengan kekuatan, kelebihan dan kehebatan masing-masing yang pelbagai anugerah kurniaan Allah SWT.
Pelbagai, bermacam-macam dan beraneka rupa.
Hilal Asyraf – antara kekuatannya daripada dahulu ialah gigih dan terlalu gigih. Jika hendakkan sesuatu, beliau akan pastikan beliau akan menggenggaminya.
Hilal Asyraf sendiri, merupakan sahabat junior saya sewaktu di MATRI. Beliau ini berjiwa besar, mempunyai wawasan kehidupan yang jauh dan cekal orangnya. Saya masih ingat sewaktu beliau meminta saya membaca novel tulisannya yang pertama iaitu Relasi.
Hilal minta komentar dan cadangan untuk penambahbaikan. Bersungguh beliau, mencetaknya berhalaman muka surat lalu meminta saya membacanya. Saya masih ingat – novel itu sangat tebal, diprint atas kertas A4. Katanya akan dikeluarkan sebagai novel dalam bentuk cetak. Tersenget juga saya. Biar betul budak ini. Ingat senang ke nak cetak buku. Getus hati saya.
Tapi, hari ini lihatlah. Hilal sudah menulis berbelas buah buku, novel dan sebagainya. Bahkan, telah berjaya terbitkan bukunya sendiri. Kini, kami bersama untuk menuju hasrat yang sama.
Dari manakah ia bermula?
Mimpi!
Impian, hasrat dan cita-cita.
Kenangan kami sewaktu Wacana Pelajar Lepasan MATRI pada tahun 2010 di Putrajaya.
Asyrid sentiasa tampan dan bergaya!
Asyraf Ridzuan – Imam Muda yang segak dan cool. Saya batch dengan saya semasa di MATRI. Juara Imam Muda Siri pertama. Hari ini, beliau menjadi ikon dan tokoh anak muda yang disegani. Keilmuannya, kelantangan berbicara dan sentiasa meniti di bibirnya sirah para Nabi, Sahabat dan Ulama’ menjadi niche beliau tatkala memberikan ceramah, forum dan talk.
Bagi kami, siapa sangka beliau akan sampai ke tahap ini. Tentunya, semua ini adalah anugerah Allah SWT. Namun, pastinya ada sesuatu yang menjadi titik tolak kejayaan dan pencapaian saat ini.
Dari manakah ia bermula?
Mimpi!
Impian, hasrat dan cita-cita.
Azhar dan saya ketika beliau tingkatan dua.
Memiliki suara yang merdu kurniaan daripada Allah SWT.
Harapan agar Azhar terus gigih menyampaikan kebenaran melalui kurniaan ini.
Azhar Hilmi.
Apabila terkenangkan beliau, saya akan tersenyum sendiri. Kali pertama mengenalinya ketika Azhar tingkatan dua. Suatu hari, waktu Subuh saya solat secara berjemaah di surau MATRI. Saat itu, imamnya mengalunkan bacaan dengan suara yang sangat merdu lagi menusuk jiwa.
Terusik hati saya. Surah yang dibaca ialah surah Al-Qiyamah. Saya menghayati bacaan itu, sehingga air mata berkaca-kaca. Allah! Hingga selesai solat, berzikir dan bersalaman, saya tertanya-tanya siapakah yang menjadi imam tadi?
Kata orang sebelah : Azhar Hilmi.
Lalu, nama itu melekat di minda saya.
Dan, Allah SWT susun saya mengenalinya lebih rapat selepas satu program yang saya kendalikan untuk para pelajar tingkatan dua. Beliau selalu sebut bahawa berhasrat untuk menjadi seorang penasyid tanah air. Dan, saya akui sepanjang mengenalinya beliau sangat-sangat meminati bidang ini. Saya juga menghargainya dengan menjemput beliau dan sahabat-sahabat untuk menghiasi suasana dengan alunan nasyid sewaktu majlis perkahwinan saya.
Moga Azhar terus meningkat dan tercapai cita-cita murninya itu.
Dari manakah ia bermula?
Mimpi!
Impian, hasrat dan cita-cita.
Seorang pemuda yang tabah, cekal dan kuat berusaha. Bersahabat dengannya, kita terasa kuat.
Moga anta terus thabat, akhi!
Afdholul Rahman.
Mungkin sahabat pembaca benar-benar mengenali beliau. Salah seorang penulis tegar di LangitIlahi. Beliau juga adalah sahabat saya yang sangat bijak, pintar dan bersungguh dalam setiap kerjanya. Hari ini, beliau terus melangkah untuk merealisasikan cita-citanya untuk berkongsi kebaikan dan kebenaran. Harapan saya baginya ialah agar beliau menjadi seorang alim mujahid dan tokoh rujukan di masa hadapan.
Perjuangan beliau akan terus maju ke hadapan. Dan semua ini bermula dengan langkah yang pertama.
Dari manakah ia bermula?
Mimpi!
Impian, hasrat dan cita-cita.
Qawiem Khairi, sahabat yang murah dengan senyuma. Rupa-rupanya, tidak ada satu pun simpanan gambar saya bersamanya. Mungkin hilang bersama hard disk yang telah dicuri 3 tahun lepas.
Qawiem Khairi,
atau lebih dikenali sebagai Zack! – Ketua Jemaah Imam Muda.
Sahabat junior di MATRI ini – selalu dikatakan sebagai “kembar” saya. Wajah kami agak seiras tetapi Qawiem lebih macho. ^^. Saya mengenali beliau seorang yang ceria, peramah dan pandai buat ayat!
Dan yang terpenting – pandai berlakon sejak di sekolah menengah lagi.
Sebagai Vlogger yang sedang meningkat naik, harapan saya beliau akan terus mengembangkan bakat dan potensi yang ada selari dengan tuntutan Islam. InsyaAllah.
Dari manakah ia bermula?
Mimpi!
Impian, hasrat dan cita-cita.
Penutup : TeenACE – medan kita untuk berkongsi cita-cita!
Sengaja saya kongsikan kisah-kisah mereka ini, agar menjadi satu suntikan kepada kita bahawa semuanya ini tidak mustahil untuk kita kecapi dan genggami. Bermula dengan mimpi, segumpul hasrat di hati mampu direalisasikan jika kita tidak berputus harap dan cekal berusaha tanpa henti.
Ya. Pastinya semua ini adalah pemberian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya gigih, bersungguh dan cekal dalam medan perjuangan untuk “memberi”.
Justeru, marilah bersama-sama kita memulakan langkah ini dengan berkongsi segala isi hati dan mimpi-mimpi yang terbuku dihati.
Di mana?
TeenACE.
29 dan 30 Jun 2013 Nanti!
Maklumat berkenaan TeenACE boleh dirujuk di sini: http://langitilahi.com/teenace/?page_id=30
Pendaftaran boleh dilakukan di sini: http://langitilahi.com/teenace/?page_id=297
Semoga kita semua dapat bertemu di taman ukhuwah dan mahabbah ini nanti.
Moga kita semua mampu bergerak bersama menuju keredhaan Allah SWT.
Jom kita berTeenACE!
May 21, 2013
Kehidupan: Secubit Pengajaran Dari Isra’ dan Mi’raj
Kita sekarang sedang menempuhi bulan Rajab.
Bulan Rajab ini sinonim dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj dari kalangan ummat Melayu. Kerana ramai yang yakin bahawa Isra’ dan Mi’raj berlaku tepat pada 27hb Rajab. Tetapi jika kita telaah Kitab Raheeq Al-Makhtum karangan Sayfurrahman Mubarakfuri, beliau menjelaskan bahawa tarikh sebenar berlakunya Isra’ dan Mi’raj masih dalam perdebatan. Namun rata-rata ulama’ bersetuju bahawa peristiwa ini berlaku pada sekitar 16-12 bulan sebelum peristiwa Hijrah.
Di dalam artikel ini, suka saya mengajak diri saya dan rakan-rakan untuk mencedok secubit pengajaran daripada peristiwa besar ini.
Sejarah Isra’ dan Mi’raj Secara Ringkas
Isra’ bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Masjidil Aqsa. Ini direkodkan di dalam Al-Quran:
“Maha Suci yang telah menjalankan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang diberkahi sekelilingnya untuk meneranginya dengan ayat-ayat Kami.” Surah Al-Israa’ ayat 1
Mi’raj pula bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Aqsa, ke langit tertinggi – Sidratul Muntaha – untuk bertemu dengan Allah SWT.
Terdapat hadith yang panjang menceritakan perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha, dan boleh dirujuk di dalam Kitab Raheeq Al-Makhtum.
Isra’ dan Mi’raj berlaku selepas Tahun Kesedihan, yakni selepas kematian Khadijah dan Abu Tolib, juga selepas peristiwa berdarah yang dilalui oleh Rasulullah SAW di To’if. Tahun yang merupakan tahun kesedihan bukan dek kerana kematian dua orang manusia yang disayangi oleh Rasulullah SAW, tetapi menurut guru saya – Sheikh Mehmed Thowalbeh – tahun itu dinamakan Tahun Kesedihan kerana kerasnya penolakan orang ramai terhadap Islam.
Maka Isra’ dan Mi’raj ini selain bertujuan menurunkan syariat solat kepada ummat, ianya juga adalah sebuah perjalanan untuk menghiburkan jiwa Rasulullah SAW yang tergoncang hebat dengan ujian yang Allah SWT berikan. Dengan perjalanan Isra’ dan Mi’raj ini, keimanan Rasulullah SAW dipertingkatkan lagi, dengan terpampang dengan jelasnya syurga dan neraka di hadapan baginda, bahkan berbicara secara langsung dengan Allah SWT sendiri.
Pengajaran 1: Hubungan Dengan Allah SWT
Isra’ dan Mi’raj menjadi satu titik di mana kita dapat melihat bahawa sekuat mana pun seorang manusia, maka dia memerlukan sokongan Tuhannya. Dia perlu bergantung kepada Allah SWT untuk meneruskan perjalanannya. Rasulullah SAW dipujuk dengan Isra’ dan Mi’raj, begitulah kita juga perlu dipujuk oleh Allah SWT kerana kita hanya manusia biasa. Namun pastinya kita tidak dihadiahkan dengan hadiah seistimewa Rasulullah SAW – yakni perjalanan Isra’ dan Mi’raj itu sendiri.
Namun, lihatlah apa yang Rasulullah SAW bawa pulang dari perjalanan Isra’ dan Mi’raj sebagai hadiah daripada Allah SWT untuk sekalian ummat Islam?
Solat lima waktu.
Itulah dia pujukan Allah SWT kepada ummat. Memulakan hari dengan hubungan erat bersama Allah SWT pada waktu Subuh, mempunyai checkpoint rehat untuk mengadu dan meminta kekuatan kepada Allah SWT pada Zuhur, Asar dan Maghrib. Dan sebelum menutup hari, kita dapat menumpahkan segala penyesalan kita akan salah silap kita pada hari ini serta harapan dan cita-cita kita pada hari esok dengan Solat Isya’. Kelima-lima Solat Fardhu ini adalah untuk memastikan hubungan seorang hamba dengan Allah SWT sentiasa berjalan. Manusia diajar untuk sentiasa memeriksa hubungannya dengan Allah SWT.
Kerana kita memerlukanNya.
Besarnya perkara ini, hingga Solat itu tidak diturunkan sebagaimana hukum-hukum biasa. Rasulullah SAW sendiri perlu naik ke langit, mendapatkannya. Kerana itu solat ini masyhur sebagai tiang agama. Kerana jika kita tidak punya hubungan baik dengan Allah SWT, di manakah harganya agama kita?
Persoalannya, apakah kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT?
Adakah kita menghargai hadiah daripada Allah SWT ini, atau kita campakkan sahaja ke tepi?
Adakah kita solat dengan bersungguh-sungguh, dan menjadikannya sebagai checkpoint untuk mengadu dan meminta kekuatan daripada Allah SWT?
Kemudian kita hairan mengapa kita ‘lemah’ untuk menghadapi duga dan duka kehidupan yang memang akan sentiasa menghampiri kita sehingga kita mati?
Muhasabah.
Pengajaran 2: Hidup Akan Ada TapisanNya.
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah peristiwa yang tidak masuk dek akal. Seorang lelaki tanpa teknologi jet berkelajuan tinggi, tiba-tiba boleh bergerak dari Makkah ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit tertinggi, seterusnya pulang ke Makkah dalam masa semalam sahaja. Bukan sehari semalam, tetapi semalam sahaja. Bermakna, kurang dari 12 jam, bahkan kurang dari 5-6 jam.
Peristiwa yang luar dari capaian akal ini menjadi ‘tumbukan’ hebat para musyrikin Quraisy untuk menghentam perjuangan Rasulullah SAW. Akibat bombastiknya peristiwa ini, akhirnya ramai yang lemah keimanannya meninggalkan Islam dan merasakan Muhammad SAW telah menjadi gila.
Namun jika kita perasan, selepas peristiwa Isra’ dan Mi’raj, tidak lama selepas itu berlakulah peristiwa Hijrah. Kita mengetahui bahawa peristiwa Hijrah ke Yathrib/Madinah menjadi point terpenting dalam pembinaan sebuah daulah Islam, yang selepas itu menguasai seluruh jazirah arab termasuk Makkah sendiri, seterusnya memberikan kegentaran kepada Rom dan Parsi.
Maka dapat kita lihat bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah satu bentuk ‘tapisan’ yang dijalankan oleh Allah SWT kepada ummat Islam ketika itu. Agar hanya yang terbaik sahaja yang akan melepasinya, dan menjadi asas-asas utama kepada pembinaan daulah Islam di Madinah.
Allah SWT berfirman: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata: kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?” Surah Al-Ankabut ayat 2.
Begitulah kita perlu mengambil pengajaran. Bahawa di dalam kehidupan ini, kita akan ditapis dengan pelbagai jenis ujian. Baik kesusahan, baik kesenangan, atau ujian dalam bentuk ideologi. Yang mana akan ada dari kalangan kita yang tumbang, dan akan ada dari kalangan kita akan mara ke hadapan. Yang berjaya akan menjadi batu-batu asas kepada kemenangan Islam di masa hadapan.
Maka adalah merupakan satu urgensi untuk kita memperkasakan diri dari segi ilmu agama, ilmu realiti, agar berlakunya peningkatan intelek pada minda kita, serta diperkasakan juga hubungan kita dengan Allah SWT, menjaga ibadah dan memberikan makanan kepada hati kita, agar kita terselamat dari tapisan ini, seterusnya menjadi yang mara ke hadapan membawa perjuangan agama ini.
Sedikit Berkenaan Rajab dan Fadhilatnya
Di bulan Rajab ini jugalah banyak sekali tersebar hadith-hadith palsu berkenaan fadhilat di dalamnya, dan jenis-jenis puasa yang istimewa terdapat di dalamnya.
Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah:
“Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam.” (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
Ini bukan bermakna tidak digalakkan berpuasa di dalamnya. Tetapi tiadanya puasa-puasa khusus, dengan pahala yang tertentu di dalamnya. Justeru hadith-hadith yang menceritakan berkenaan puasa-puasa khusus berkait Rajab, dan pahala-pahala bila buat sekian-sekian amalan khusus di dalam Bulan Rajab, adalah palsu.
Puasalah seperti Puasa Nabi Dawud, selang sehari. Tiada masalah. Puasalah Isnin dan Khamis, tiada masalah. Puasalah pada hari-hari putih, tiada masalah. Bahkan berpuasa dengan niat hendak memperkasakan diri agar dapat berpuasa sebulan penuh kala Ramadhan nanti, juga tiada masalah. Namun jangan sesekali kita sebarkan hadith-hadith palsu berkenaan fadhilat Rajab.
Penutup: Sama-samalah kita Menjaga Hubungan dengan Allah SWT
Maka marilah kita perhatikan hubungan kita dengan Allah SWT.
Jangan kita ambil endah dengan kesihatan hubungan kita denganNya.
Pastikan ibadah kita terjaga, dan ilmu kita berkenaan agamaNya diperdalamkan. Sentiasalah bermuhasabah, dan melakukan pembaikan terhadap diri kita. Benda baik kita tambah-tambahkan dan jadikan darah daging, benda buruk kita kurang-kurangkan dan jauhi.
Ramadhan juga semakin hampir. Adalah perlu kita meningkatkan stamina keimanan kita, agar kita mampu menggempur Ramadhan dengan tenaga kita yang tertinggi, dan memungut pelbagai lagi hadiah yang Allah SWT taburkan buat kita di dalam bulan yang mulia tersebut.
Jangan lengah memperbaiki diri.
Sampai ke Ramadhan pun belum tentu lagi.
Jangan tunggu.
———————————————
Jom sertai projek membina komuniti baharu harapan Malaysia!
Ayuh kita dengar kisah bagaimana caranya memperkasakan remaja dan belia Malaysia hari ini oleh Hilal Asyraf, Fatih Seferagaic, Anwar Hadi, Aisyah Shakirah, Adibah Awang, Imam Muda Asyraf, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Amin Idris dan ramai lagi!
Anda remaja? belia? mahasiswa? ibu bapa? guru? pensyarah? wakil industri? korporat? agensi kerajaan?
Siapa sahaja yang mahu Malaysia baru hari esok boleh sertai TeenACE2013!
Jom, sertai TeenACE!
KLIK! ▶ http://bit.ly/TeenACE
LIKE! ▶ http://fb.com/myTeenACE
Fotografi: Langit Ilahi
إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ ۗ أَلَا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ ۗ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
[7:54]
(Exif: Canon EOS 7D | Tokina 11-16mm | f16 | 1/160s | ISO 100)
Kehidupan: KLIA – Stesen Taman Melati.
Pada 19hb Mei 2013, saya menerima jemputan untuk memberikan talk di UNIMAS. Alhamdulillah, program berjalan dengan lancar, dan saya juga sampai serta pulang dengan selamat.
Sebaik sahaja turun di KLIA, saya sengaja mengambil keputusan untuk tidak diambil oleh PA saya. Saya memilih untuk pulang sendiri dengan menaiki pengangkutan awam. Saya mahu berjalan melihat keadaan.
KLIA – KL Sentral, KL Sentral – KLCC, KLCC – Taman Melati.
Bermula dengan KLIA Ekspress ke KL Sentral, kemudian menaiki LRT dari KL Sentral ke KLCC, seterusnya KLCC ke Stesen Taman Melati.
Antara kegemaran saya adalah menghayati sekeliling. Sepanjang menaiki pengangkutan awam, manusia yang duduk di sebelah saya bertukar ganti. Ada yang berbangsa india, ada juga yang berbangsa cina, dan ada juga berbangsa melayu. Bahkan orang Pakistan juga ada yang duduk di sebelah saya. Tanpa prejudis, bahu bertemu bahu, saling tidak menganggu dan tidak rasa terancam, tidak rasa benci membenci.
Harmoninya suasana di dalam LRT yang saya naiki. Kadang membayangkan betapa kita perlu melihat warga Malaysia kita sebagai sahabat, dan jika kita rasa diri kita adalah da’ie(pendakwah), kita kena rasa mereka adalah potential mad’u(orang yang nak didakwahkan).
Namun kadang kita tertipu dengan warna kulit, perbezaan bahasa, serta kelainan adat resam dan sejarah bangsa. Lantas kita prejudis hingga lupa bahawa tiada kelebihan antara bangsa arab dan bangsa bukan arab di sisi Allah, begitulah antara melayu dan bukan melayu.
Rasulullah SAW bersabda di dalam Khutbah terakhir baginda:
“Semua manusia adalah dari Adam dan Hawa. Maka orang Arab tidaklah mempunyai kelebihan berbanding bukan Arab, mahupun bukan Arab mempunyai apa-apa kelebihan berbanding orang Arab. Begitulah juga yang berkulit putih tidak mempunyai kelebihan berbanding yang berkulit hitam atau yang berkulit hitam mempunyai apa-apa kelebihan berbanding yang berkulit putih kecuali dengan taqwa dan tindakan yang baik. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Ingat, satu hari nanti kamu akan menghadap Allah dan menjawab atas perbuatan kamu. Maka berhati-hati, agar kalian tidak terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.”
Muslim & Muslimah Kita Yang Tidak Menjadi Contoh Kepada Yang Lain
Pada masa yang sama, perjalanan semalam sempat saya ambil peluang melilau di KL Sentral dan KLCC.
Masih ramai di sini dan sana ummat Islam yang kelihatannya tidak menjadi contoh kepada rakan-rakan non-muslim di Malaysia ini. Rokok, dedah aurat, lelaki pakai rantai dan gelang, perempuan yang colour rambut pun ada, dan mereka ini muslim muslimah.
Kadang kita tak sedar bahawa kita ini majoriti di negara ini, tetapi kita sekadar pandai menggunakan ke’majoriti’an itu untuk menzalimi orang lain. Majoriti itu tidak kita gunakan untuk menunjukkan contoh, untuk menarik ramai lagi rakan-rakan non-muslim kagum dan suka dengan Islam.
Kerosakan kita bermula daripada mana?
Bermula dari kita sendiri, yang menjaja artis dan para selebriti yang tiada akhlak Islam, yang menghasilkan pelbagai karya karut dan khurafat serta cinta yang melalaikan, yang mengimarahkan Malaysia dengan pelbagai rancangan realiti yang jauh dari adab timur serta kesantunan Islam itu sendiri, dan pelbagai lagi.
Kemudian kita sibuk dengan agenda kristianisasi dan menuding jari kepada orang lain kononnya mereka nak runtuhkan negara kita. Sedangkan sebenarnya negara kita sudah lama diruntuhkan oleh kita sendiri.
Bangunan Yang Tinggi VS Kekuatan Peribadi
Bangunan yang tinggi dan megah tidak menyelamatkan akidah kita. Samalah juga jika kita hanya sibuk di Masjid tanpa cakna hal semasa, ia juga tidak akan memenuhi tujuan hidup sebenar Islam – rahmatan lil ‘alamin.
Lantas kena ada usaha untuk meng’asimilasi’kan kedua-duanya. Biar bangunan di negara kita tinggi bersama akhlak warganya, biar kemodenan negara kita megah ke hadapan bersama disiplin Islam yang turut menjadi keutamaan dalam kehidupan kita. Biar seiring.
Perubahan dari pihak atasan adalah perlu. Itu sudah pasti. Namun sebagai rakyat kita juga perlu sedar, kita masing-masing juga perlu mengusahakan perubahan diri.
Rakyat lebih ramai dari pemerintah, lebih ramai dari penerbit filem/drama, lebih ramai dari artis dan selebriti. Jika rakyat boikot benda-benda yang merosakkan akhlak, benda-benda yang bercanggah daripada Islam, mereka yang minoriti ini akan akhirnya tunduk.
Kerana gaji mereka rakyat yang beri.
Penutup: Setiap Diri Kita Punya Peranan
Maka jangan rasa setiap diri kita tiada apa-apa. Setiap kita ada peranannya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab pada orang yang dipimpin.” Hadith Riwayat Bukhari.
Hakikatnya, arus perubahan negara ini,
bermula dengan diri kita sendiri.
Ayuh. Perbaiki diri dan ajak orang lain.
May 20, 2013
Motivasi : Nota Tarbiyah – Cita-cita Orang Berjiwa Besar
Murabbi kami – Abu Munzir
—–
“Cita-cita adalah sesuatu yang murni dan mulia.
Justeru, memilikinya adalah suatu kenescayaan bagi yang mengharapkan kejayaan dan kemenangan.”
BroHamzah
————
Kali ini, ajakan saya ialah kita mendekati sejarah manusia yang hebat dan berjiwa besar. Teringat saya, suatu taujih daripada seorang murabbi saya :
“ Jika ingin menjadi hebat, bergaul dan hiduplah bersama orang-orang hebat.”
Membuka lembaran sejarah orang-orang besar, pasti mengujakan kita. Pastinya, kita mendapatkan suatu kenyataan bahawa umumnya orang besar dalam sejarah mempunyai cita-cita yang tinggi dan hebat.
Kenyataan kedua, mereka dengan segenap usaha, keupayaan dan kesungguhannya, umumnya berhasil dan berjaya menggapai harapan dan cita-cita besar yang mereka inginkan.
Ada suatu kisah yang terukir indah dalam sirah. Abdullah bin Umar, Urwah bin Zubair, Mus’ab bin Zubair dan Abdul Malik bin Marwan RA, adalah orang besar dan tersohor dalam sejarah perjuangan Islam yang termasuk dalam generasi tabi’in.
Suatu hari, mereka duduk-duduk di pelantaran Ka’bah. Bersembang-sembang, berbual-bual dan berbicara sesama mereka. Uniknya, bicara petang mereka bukan bicara kosong. Tetapi bicara yang mengugah jiwa.
Mus’ab mengangkat perbicaraan mereka petang itu, dengan mengatakan :
“ Bercita-citalah kalian.”
Para sahabat masih terdiam dan enggan menyampaikan cita-citanya, sehingga mereka meminta agar Mus’ab lah yang pertama kali menyatakan cita-cita dan keinginannya.
“ Wahai Mus’ab, mulailah dengan dirimu,” Ujar mereka beramai-ramai.
Mus’ab tersenyum. Lalu menjawab :
“ Aku ingin kaum Muslimin mampu menakluki wilayah Iraq, aku ingin menikahi Sakinah puteri Hussien, dan Aisyah binti Thalhah bin Ubaidillah.”
Jelas, bersemangat dan terarah cita-citanya. Beberapa tahun kemudian, Mus’ab berjaya memperolehi apa yang dicita-citanya itu.
Urwah bin Zubair, lalu berkongsi dan mengungkapkan keinginan serta hajatnya. Katanya, dia bercita-cita ingin menguasai ilmu fiqh dan hadis. Hasilnya, kita dapati dalam sejarah Islam – Urwah memang menjadi salah seorang tokoh ilmuan fiqh dan sangat banyak meriwayatkan hadis.
Kemudian, tibalah giliran Abdul Malik Bin Marwan. Apakah cita-citanya? Katanya, beliau ingin menjadi khalifah. Dan tenyata, akhirnya beliau dilantik menjadi khalifah pada zaman khalifah Umawiyah. Bahkan, beliau bukan sahaja menjadi khalifah yang memiliki banyak ilmu dan kuat beribadah, tetapi menjadi perintis sistem pos, menerjemah pelbagai kitab asing dan membuat wang logam dari emas.
Sedangkan yang terakhir, Abdullah bin Umar mengungkapkan apa yang dicita-citakannya. Ia menegaskan, cita-citanya adalah syurga!
Cita-cita : Luahkan, kongsikan dan gerakan!
Menarik bukan? Isu dan permasalahan berkaitan cita-cita, harapan dan impian memang menjadi sebahagian daripada tema yang sering dibicarakan oleh para salafusoleh. Malah, ianya – menjadi sesuatu yang diketahui dikalangan mereka apakah cita-cita mereka dalam kehidupan.
Itu generasi tabi’in, bagaimana pula dengan generasi para sahabat Rasulullah SAW yang hidup sezaman dengan baginda?
Amirul Mukmin, Umar Bin Khattab – suatu hari meminta para sahabat untuk mengungkapkan apa yang mereka cita-citakan.
“ Bercita-citalah kalian!.”
Lalu, seorang sahabat menyahut :
“ Aku ingin sekali seluruh bangunan ini terisi emas yang boleh aku infakan di jalan Allah SWT.”
Umar berkata lagi,
“ Bercita-citalah kalian!.”
Seseorang menyatakan :
“ Aku ingin ruangan ini dipenuhi dengan permata dan mutiara yang boleh aku infakan di jalan Allah SWT.”
Umar berkata lagi,
“ Bercita-citalah kalian!.”
Mereka mengatakan, “ Kami tidak tahu apa lagi yang boleh kami cita-citakan selain itu ya Amirul Mukminin.”
Saidina Umar Al-Khattab berkata :
“ Aku bercita-cita kalau ruangan ini penuh didatangi oleh orang-orang besar seperti Abu Ubaidah Bin Jarrah, sehingga aku boleh berjihad di jalan Allah SWT bersamanya.”
Subhanallah.Subhanallah. Subhanallah.
Luar biasa hebat!
Sentuhan Rasulullah SAW
Akhir sekali, saya ingin kongsikan sebuah kisah tercatat utuh dalam sirah.
Seorang sahabat Rasulullah SAW, Rabiah bin Kaab namanya. Beliau berkongsi pengalaman ketika bermalam bersama junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW pada suatu malam.
“ Diwaktu malam, aku menghampiri Rasulullah SAW dengan menghantarkan air wudhu dan beberapa keperluan yang lain.”
Lalu, Rasulullah SAW bertanya kepada ku dengan penuh lemah lembut :
“ Apa yang engkau cita-citakan, wahai Rabiah?,”
Rabiah membalas dengan penuh penghormatan :
“ Aku ingin menemanimu di Syurga!,”
Rasululllah SAW bertanya lagi :
“ Selain itu, wahai Rabiah?,”
Rabiah menjawab :
“ Sama sahaja Ya Rasulullah, aku hanya ingin menemanimu di Syurga.”
Rasulullah SAW dengan wajah yang tenang mengatakan :
“ Jika demikian, bantulah aku untuk mewujudkan apa yang engkau inginkan itu dengan memperbanyakan sujud.”
( Hadis Riwayat Muslim)
Cita-cita : Kenyataan Hari Ini Merupakan Mimpi Semalam
Apa yang kita perolehi daripada kisah-kisah ini?
Jelas, Rasulullah SAW sendiri mengajukan soalan berkisar cita-cita kepada para sahabat. Inilah didikan daripada junjungan mulia, Rasulullah SAW yang sangat berkesan dalam melahirkan manusia-manusia yang berjiwa luar biasa dan punyai matlamat kehidupan yang jelas dan nyata.
Rasulullah SAW mengajarkan, seseorang tidak hanya cukup dengan mengatakan apa yang ia inginkan, melainkan diperlukan usaha, usaha dan kerja keras untuk mencapainya. Seperti sirah diatas, Rasulullah SAW meminta Rabiah – untuk memperbanyakan sujud dalam usaha beliau merealisasikan cita-citanya untuk bersama Rasulullah SAW di syurga kelak.
Apakah ibrah, pengajaran dan didikan yang kita dapati di sini?
(1) Bercita-citalah kerana itulah amalan generasi sahabat, tabi’in dan para salafusoleh. Sesuatu kejayaan, kecemerlangan dan keberhasilan digapai dengan gambaran cita-cita yang jelas, nyata dan terarah.
(2) Berkongsi, meluahkan dan menyatakan cita-cita, impian dan harapan bukanlah suatu keaiban atau perkara yang memudaratkan tetapi, ianya adalah suatu perkongsian yang sihat. Dengannya, kita lebih bersemangat, terkesan dan akan berusaha lebih gigih bagi mencapainya.
(3) Kita mencontohi kehidupan mereka yang telah pergi kerana kesudahan hidup mereka telah diketahui dan jelas menunjukan bahawa mereka telah membenarkan cita-cita mereka dengan usaha serta tawakkal. Jadi, tunggu apa lagi?
Jadikan mereka role model dalam kehidupan kita.
(4) Oleh itu, marilah kita membina cita-cita. Dan, kemudian sama-sama kita berusaha, berusaha, berusaha, berusaha dan terus berusaha untuk menjejakinya.
(5) Untuk menjadi manusia yang berjiwa besar, pasaklah cita-cita seutuhnya di jiwa dan dada kita. Dan bumikanlah ia di dalam hidup dengan gerakan, amalan dan perbuatan.
Penutup : Melakar Cita-cita, Ia Harus Bermula
Ayuh sahabat-sahabat, teman-teman dan rakan-rakan kalian. Kita diajak dan diseru untuk bercita-cita. Dan, hari ini tanyalah diri kita – apakah cita-citaku dalam hidup ini?
Kita kongsikan, agar terbakar ruh dan jiwa kita – bahawa kita adalah ummat yang bercita-cita tinggi! Pahatlah cita-cita dengan keazaman, kesungguhan dan kesabaran.
Kerana apa?
Hidup perlukan cita-cita.
Perjuangan memerlukan cita-cita
Dan, kejayaan juga perlukan cita-cita.
Gantunglah cita-cita kalian di bulan, kelak bintang bergemerlapan akan berguguran diribaanmu!
May 19, 2013
TeenACE – Saya Mengajak Anda Untuk Mula ‘Bermimpi’ – Bercita-citalah !
Di mana Kita Bermula?
Saya sangat suka kepada sebuah kisah tentang susuk tubuh hebat ummat ini, iaitu Saidina Umar Ibn Al-Khattab yang pernah mengajak beberapa orang sahabatnya pada suatu hari untuk mengimpikan sesuatu dalam hidup mereka.
Kisah ini biarpun ringkas, tetapi ia memberi mesej penting kepada kekuatan yang tidak dapat dipisahkan lagi dengan ummat ini, iaitu kekuatan pemuda.
Kata Umar pada sahabat-sahabatnya, “Bermimpilah!”
Ada yang justeru menyatakan mimpinya begini, “Kalau aku dikurniakan harta yang banyak, nescaya pasti ku sumbangkan untuk Islam.”
Begitu juga dengan beberapa orang sahabat lain. Sehinggalah sampai kepada giliran Umar, para sahabat lantas bertanya, “Apa pula mimpimu, hai Umar?”
“Aku bercita-cita agar lahir lebih ramai pemuda seperti Abu Ubaidah Al-Jarrah, Muaz bin Jabal.”
Itulah cita-cita seorang Umar, sang pembeda antara kebenaran dan kebatilan. Seorang khalifah yang telah berlaku banyak pembukaan wilayah-wilayah baru untuk Islam di zamannya. Seorang sahabat Nabi s.a.w. yang disebutkan oleh Nabi bahawa kalau ada Nabi lagi selepasnya, maka Umarlah orangnya. Orang yang digeruni syaitan di jalanan, disegani juga oleh banyak insan kerana ketegasannya.
‘Bermimpi’ bersama adik-adik saya di Jordan !
Di Manakah Kita Di Dalam Ummat Hari Ini ?
Saya mengenangkan perjalanan hidup yang telah saya lalui pada hari ini sehingga sampai kepada seorang ‘saya’ hari ini. Soalan yang sering bermain dalam minda saya adalah, apakah saya telah menjadi ‘seseorang’ di dalam ummat ini?
Apakah saya telah menjadi ‘somebody’ di dalam ummat ini, ataupun kewujudan saya selama ini hanyalah ‘nobody’?
Abu Ubaidah Al-Jarrah telah menjadi ‘seseorang’ di dalam ummat ini sehingga diiktiraf namanya oleh Umar dalam mimpi-mimpi Umar. Bahkan, Umar itu sendiri adalah ‘seseorang’ di dalam ummat ini.
Sebab itu, saya sering bertanya pada diri, mereka itu telah menjadi ‘somebody’ di kala umur mereka adalah pemuda, apa pula yang aku sedang buat sekarang ini?
Umur saya menghampiri 22 tahun pada tahun ini.
Masih meneruskan Degree Shariah di Universiti Yarmouk yang saya kira masih berbaki dalam 2 tahun lagi kalau tiada aral, InsyaAllah.
Di kala umur yang sudah 22 ini, saya kira ada banyak peningkatan yang saya masih perlu terus lakukan pada diri saya. Saya adalah orang yang tidak mudah berpuas hati dengan apa yang sedia ada pada diri saya sekarang ini.
Pengalaman saya bergaul dengan ramai orang ketika melibatkan diri menjadi fasilitator dan motivator di beberapa tempat di negara ini sebelum kedatangan saya ke Jordan pada tahun 2011 telah mengajar saya banyak perkara agar jangan mudah berpuas hati dengan apa yang telah kita ada dalam hidup ini. Mudah merasa puas dengan tahap kita sekarang telah menjadikan ummat ini mundur prestasinya.
Barangkali, orang melihat penyertaan saya di dalam LangitIlahi ini sebagai sesuatu yang hebat, memiliki Page sendiri dan sebagainya. Barangkali sesetengah orang melihat itu hebat, tetapi bagi saya sendiri itu bukanlah satu nikmat, tetapi satu ujian untuk menguji seriusnya saya dalam meneruskan kerja-kerja mendidik masyarakat.
Saya pun tidak sangka akan sampai ke tahap ini. Pun begitu, saya masih belum berpuas hati dengan apa yang telah saya lakukan di hari ini. Saya masih perlu terus belajar dan belajar. Proses belajar membuatkan saya semakin tahu bahawa banyak perkara yang saya masih tidak tahu dalam hidup ini.
Menjadi Pemuda Yang Bermanfaat Hidupnya
Sedari kecil, saya dan adik-beradik saya dibiasakan dengan didikan Islam.
Kami sentiasa diingatkan agar melunaskan hidup kami di dunia ini untuk Islam. Sebab itu, menjadi satu kebiasaan sejak kami kecil lagi, kami dididik untuk membaca buku-buku kisah para sahabat di zaman Nabi s.a.w., kisah perjuangan para Nabi yang terdahulu dan sebagainya. Buku-buku itulah yang banyak memenuhi perpustakaan rumah kami serta selalu menjadi bahan bacaan kami. Walaupun ibu dan ayah saya bukanlah dari orang yang belajar di bidang jurusan agama, tetapi mereka tidak mencuaikan aspek terpenting dalam hidup ketika mendidik kami, iaitu aspek agama.
Mereka tahu dengan agama itulah yang akan membina peribadi dan masa depan anak-anak mereka, maka sejak kecil lagi, kami dihantar ke program-program pembentukan diri. Bahkan, di rumah kami juga kami dicorak dengan acuan sedemikian.
Sehinggalah saya dewasa, saya sendiri telah terlibat dalam menggerakkan sebahagian daripada projek-projek pembinaan diri itu. Latihan yang saya kira banyak saya dapatkan di sekolah saya, Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah melalui usrah, program-program, kelab dan persatuan telah menjadi aset berguna sepanjang saya terlibat menjadi fasilitator dan motivator beberapa projek pembinaan modal insan.
Ketika menziarahi Al-Marhum Ustaz Dahlan, murabbi kami yang banyak mengesani hidup kami
Sungguh, saya telah bertemu dengan ramai para pemuda pemudi yang masih tercari-cari identiti kehidupannya di dunia ini. Tidak sedikit yang memang sejak kecil adalah seorang Islam tetapi tidak benar-benar mengenal Tuhan dalam kehidupan mereka. Tidak sedikit yang tahu siapa Tuhannya tetapi hidup bagaikan dibawa ombak di lautan, tiada bertujuan hidupnya.
Menjadi Pemuda Yang Berjuang
Berjuang adalah kerehatan bagi seorang pemuda. Itulah yang saya sentiasa pegang.
Saya antara orang yang begitu benci untuk menghabiskan masa saya dengan sia-sia tanpa berbuat apa-apa ataupun menghabiskannya dengan kerehatan semata-mata.
Walaupun saya malu untuk mengatakan yang saya telah pun berjuang apalagi memulakan langkah perjuangan, tetapi saya selalu berusaha dan berdoa agar saya adalah salah seorang daripada pemuda yang berjuang itu.
Usai SPM, saya telah memilih menjadi guru dan warden seketika di sebuah sekolah agama di Kedah selama 3 bulan sebelum saya menyambung semula ke tingkatan 6 di MATRI. Begitu juga, usai tingkatan 6 di MATRI, saya telah memilih mengajar di Kelantan selama 7 bulan (3 bulan pada asalnya, tetapi saya minta dilanjutkan).
Bersama sebahagian anak murid saya di sekolah tempat saya mengajar di Kelantan
Saya tidak memilih menjadi guru untuk cari makan semata-mata, tetapi yang lebih utama adalah saya mahu menimba lebih banyak pengalaman, ilmu dan kemahiran. Ilmu di bilik kuliah tidak mungkin sama dengan pengalaman yang kita dapatkan di medan.
Sebab itu, orang yang hebat di dalam peperiksaannya, belum tentu ia hebat juga di medan praktikal.
Sepanjang bekerja itu, saya memenuhi juga panggilan menguruskan program-program perkhemahan dan pembinaan diri di beberapa negeri.
Terlibat dalam program motivasi
Bertemu dengan pelbagai jenis manusia membuatkan saya menginsafi bahawa saya tidak boleh sekadar berdiam diri menikmati kehidupan ini untuk manfaat diri saya semata-mata, tetapi saya harus menjadi pemuda yang bermanfaat dan terus berjuang di dalam masyarakat.
Maka, berbanding hidup bersama dengan game dan movie semata-mata, saya lebih suka memilih untuk hidup berjuang di luar rumah. Lebih enak dan lebih manis walaupun kadangkala saya mungkin menghadapi ujian kewangan, kesusahan dan sebagainya.
‘Tarbiyah Untuk Perubahan’
Ini adalah tagline saya di awal-awal usia saya memulakan kehidupan saya dalam bidang penulisan.
Saya sentiasa ghairah untuk mahu meningkat dan mahu berubah. Tidak suka berada di takuk yang sama dan lama. Ketika itu umur saya masih belasan tahun. Sekarang telah masuk awal 20-an. Kalau saya melihat semula penulisan saya yang dahulu, mungkin saya akan ketawa keseorangan, tetapi sekurang-kurangnya saya tahu bagaimana saya telah bermula dahulu, dan sekurang-kurangnya saya telah bermula. Dan saya tidak mungkin berhenti.
Hidup tidak akan meletakkan kita di kedudukan Z terus walaupun itu yang selalu kita inginkan. Kita tetap akan bermula dari A. Maka, untuk sampai ke Z itu, kita perlu sabar untuk melalui pelbagai perkara, ujian dan cabaran.
Walaupun saya telah menyertai team LangitIlahi pada hari ini, melakukan beberapa projek penulisan, projek dakwah melalui media dan sebagainya, saya masih tetap dengan tagline itu dalam hidup saya untuk terus berubah menjadi lebih baik dan lebih baik.
Untuk itu, kami di LangitIlahi bawakan Teen Ace. Sebuah program yang saya kira sangat baik sebagai cetusan untuk para remaja yang sedang melangsungkan hidup dan sedang mencari identiti dirinya. Yang mahukan perubahan, yang mahu dirinya menjadi ‘somebody’ di dalam ummat ini.
Teen Ace yang membariskan pelbagai panel yang hebat seperti Imam Muda Asyraf, Ustaz Hasrizal Jamil,, Amin Idris, Anwar Hadi dan lain-lain agar generasi remaja hari ini dapat melihat bahawa masih ada contoh yang baik untuk diikuti di dalam masyarakat pada hari ini, agar remaja melihat diri mereka patut menjadi apa di dalam masyarakat hari ini dan siapa mereka untuk masyarakat di masa depan.
Penutup : Siapakah Anda Untuk 10-20 Tahun Lagi?
Guru saya di MATRI dulu selalu mengulang-ulang satu perkara ketika mengadakan bengkel Strategic Planning dengan kami. Katanya, bila kita merancang strategi, rancanglah untuk 4-5 tahun akan datang. Kalau kita rancang untuk setahun ini saja, maka kita telah rugi.
Begitu jugalah hidup kita, kalau kita hidup untuk hari ini sahaja, kita akan rugi. Rancanglah untuk 10-20 tahun lagi, kita akan menjadi apa di dalam masyarakat?
Untuk perancangan yang besar itu, ia bermula dari cetusan-cetusan mimpi kecil di hari ini.
Mimpi yang menggerakkan lena, yang membangkitkan jiwa untuk bekerja, yang membakar semangat untuk terus berjuang dalam hidup, yang tidak menjadikan kita tersekat di pintu khayalan dan cakap-cakap kosong semata-mata.
Itulah mimpi yang sebenarnya.
Anda bermimpi untuk menjadi siapa 10 tahun akan datang?
Jika kalian mahu bermimpi bersama kami di LangitIlahi, maka jangan lupa, save the date !
29-30 Jun 2013.
Maklumat berkenaan TeenACE boleh dirujuk di sini: http://langitilahi.com/teenace/?page_id=30
Pendaftaran boleh dilakukan di sini: http://langitilahi.com/teenace/?page_id=297
Mari persiapkan diri menjadi generasi pemuda seperti di zaman Rasul s.a.w. Yang hidup mereka dipertaruhkan untuk ummat, menjadi luar biasa di usia muda serta menjadi contoh pula kepada dunia.
Mari gerakkan diri kita.
Mari, bersama kami di TeenAce !
May 18, 2013
Kehidupan: Kesibukan dan Pengurusan.
Umur saya 24 tahun.
Kerja saya banyak.
Komitmen
Selain merupakan seorang penulis yang punya komitmen menulis pelbagai genre buku(kini sedang mengusahakan 5 buah lagi karya sebelum tamat 2013), saya juga merupakan seorang speaker yang perlu ke pelbagai tempat memenuhi jemputan. Kadangkala jemputannya jauh, di Penang, di Perlis, di Johor, di Sarawak, sedang rumah saya di Gombak.
Saya juga mempunyai komitmen untuk menghantar artikel kepada beberapa Majalah, seperti Majalah Al-Mukminah dan Majalah JOM! Komitmen ini akan bertambah kerana baru-baru ini ada majalah lain pula yang menjemput saya menjadi kolumnis mereka.
Pada masa yang sama, saya mengusahakan juga seminar-seminar bersama Team LangitIlahi Consultancy saya, sebagai contoh – Bengkel Penulisan Bersama Hilal Asyraf – dan yang terkini ialah Konvensyen Remaja – TeenACE, yang akan berlangsung 29hb-30hb Jun ini. Project-project ke hadapan ini juga banyak, dan sudah mula diperbincangkan.
LangitIlahi.Com, website pembangunan rohani milik saya turut digerakkan oleh saya. Perlu memastikan rakan-rakan sekolumnis melaksanakan tugas, dan diri sendiri juga perlu mengusahakan content website tersebut.
Saya juga mengikuti usrah, dan perlu juga kepada pengisian diri. Seiring dengan itu semua, saya ada komitmen dengan isteri dan tanggungjawab dengan anak. Saya juga perlu ingat bahawa saya ada komitmen dengan Ummi dan Abah, sebagai seorang anak kepada orang tuanya.
Dan semestinya, saya adalah hamba kepada Allah SWT, maka saya punya komitmen denganNya juga.
Oleh kerana banyaknya tanggungjawab, komitmen dan kerja, saya menjadi seorang yang ‘sibuk’. Hingga sampai satu tahap, saya rasa jelak dengan orang yang tidak serius, lengah, tidak commit, bazir masa, tidak berperancangan dan fikir terlalu mudah. Kerana saya melihat orang seperti itu sebagai ‘pencuri masa’.
“Di Manakah Masa?”
Dahulu saya bertanya, di manakah masa? Mengapa masa seperti tidak mencukupi?
Tetapi di dalam perjalanan hidup saya, telah saya jumpai satu jawapan berkenaan hal itu.
Masa itu ada. Sentiasa ada. Tidaklah Allah SWT akan menciptakan masa sekian waktunya jika ianya tidak cukup buat manusia mengisi keperluannya. Jika Allah ciptakan kita 24 jam sehari, itu maksudnya 24 jam sehari cukup untuk memenuhi keperluan kita. Begitulah 7 hari seminggu, 29-30 hari sebulan, 12 bulan setahun, dan tahun-tahun dalam sepanjang kehidupan kita sampai kita mati. Masa itu semua, adalah CUKUP pada hakikatnya. Cukup untuk penuhi tanggungjawab kita, semua tanggungjawab kita, termasuk tanggungjawab dalam menggapai syurgaNya.
Kerana Allah tidak akan sesekali zalim kepada hamba-hambaNya.
Persoalannya, mengapa kita seakan tidak cukup masa? Kenapa kita rasa lelah dengan banyaknya kerja?
CORE BUSINESS
Kerana kita tidak menyusun masa, dan tidak bijak membahagikan prioriti dalam bekerja. Kadangkala kita meletakkan perkara yang bukan CORE BUSINESS hidup kita di hadapan, menyebabkan apa yang menjadi CORE BUSINESS kita terkebelakang. Dan kala kita perlu melaksanakan CORE BUSINESS tersebut, kita tidak cukup masa.
Seorang yang mengetahui bahawa examnya tinggal lagi sebulan, dan dia mengetahui bahawa dia belum lagi bersedia, adalah sepatutnya dia menjadikan ‘ulangkaji’ sebagai prioriti, jika benar ‘kecemerlangan exam’ adalah CORE BUSINESSnya semasa menjadi seorang pelajar.
Namun malang, ramai menghabiskan masa dengan maraton movie dan drama, bergadang dengan game dan lepak, sedangkan CORE BUSINESSnya semasa belajar bukanlah menjadi penonton drama, gamers atau pelepak yang excellent.
Dalam skala yang lebih besar, begitulah manusia dalam melalui kehidupannya. Persoalan apakah CORE BUSINESS hidupnya sering tidak diendahkan. Dia suka isi terlebih dahulu dengan perkara yang dirasa menyeronokkan, memuaskan nafsunya, namun tidak memenuhi CORE BUSINESS hidupnya.
Justeru saya, semenjak memulakan alam universiti, saya telah menetapkan CORE BUSINESS saya. Saya nak jadi apa sebenarnya? Nak hidup bagaimana? Apa sebenarnya prioriti saya? Semuanya telah jelas di dalam kehidupan saya. Dari kejelasan itu saya menyusun langkahan, membina strategi dan jadual, kemudian perlahan-lahan bergerak menggapai apa yang saya mahu capai. Mungkin orang yang tidak faham apa CORE BUSINESS saya akan melihat saya tidak ‘secemerlang’ dirinya semasa di universiti. Namun usah pedulikan apa kata orang. CORE BUSINESS manusia bisa sahaja berlainan. Yang penting, apakah kita tahu CORE BUSINESS kita? Itu yang penting buat saya.
Penutup: Hari ini dan Diri Kita Sendiri.
Begitulah hari ini, kesibukan diri tidak menghalang saya melaksanakan pelbagai tanggungjawab saya. Namun dunia tidak sempurna. Ada masa Allah uji. Tiba-tiba ada yang batalkan janji, ahli sepasukan ada yang tidak menepati jadual, pertukaran tarikh/tempat, bayaran lambat dibuat, ada masa penyakit lupa juga menyerang, tersalah tengok jadual, ada masa diri terasa juga penat, dan sebagainya. Tension, bengang, marah kala diuji juga biasa terjadi. Itu semua ujian dan dugaan. Namun akhirnya, ujian juga baik jika kita seorang yang tahu apa CORE BUSINESS kita. Ujian menjadi pengajaran, agar kita mampu menjadi orang yang lebih baik dalam memenuhi CORE BUSINESS kita.
Justeru kesibukan bukan sebuah alasan.
Jawapan dan solusinya ada diri kita.
Apa kita hendak capai sebenarnya?
CORE BUSINESS hidup kita apa?
Kemudian bagaimana kita menyusun prioriti kita untuk memenuhi CORE BUSINESS hidup kita?
Kadangkala,
pandai menyatakan ‘tidak’ juga adalah salah satu seninya.
Sekadar sebuah catatan.
Maklumat berkenaan TeenACE boleh dirujuk di sini: http://langitilahi.com/teenace/?page_id=30
Pendaftaran boleh dilakukan di sini: http://langitilahi.com/teenace/?page_id=297
Komik: Gwiyomi = ilmu baru?
“Ilmu merupakan penghubung kita kepada Allah, dengan ilmu, kita akan lebih mendekati Tuhan” Mufti Mesir Sheikh Dr ‘Ali Jum’ah
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Biyadatul Hidayah juga ada mengatakan bahawa kategori manusia dalam menuntut ilmu ada 3 macam:
1) Orang yang menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan di akhirat dan hanya kerana Allah semata-mata
2) Orang yang menuntut ilmu untuk dijadikan sebagai bantuan kehidupannya di dunia yang sementara, untuk mendapat kerja, wang, kuasa, pangkat dan sebagainya
3) Orang yang menuntut ilmu untuk berbangga- bangga dengan ilmunya yang banyak, mendapat kemasyuran, banyak murid dan pengikut, untuk mendapat banyak harta, dan pada masa yang sama merasakan dirinya mendapat martabat di sisi Allah kerana menganggap dirinya ulama yang hebat. Orang ini telah ditipu syaitan.
Imam Al-Ghazali berkata lagi bahawa golongan ketiga adalah golongan yang paling celaka dan rugi. Orang yang kedua juga rugi kecuali jika sedar dan bertaubat.
Oleh itu, mari sama-sama kita muhasabah kembali diri kita. Setiap ilmu baru yang kita pelajari adalah kerana apa. Kerana kemasyurankah? Kerana manfaat duniakah? Atau kerana Allah? dan jika kerana Dia, pastikan ilmu tersebut mampu mendekatkan diri kita kepada Yang Maha Memiliki Ilmu.
Gwiyomi? Tepuk dada tanya iman ^^
————————————————-
Buat adik2 remaja yang dsayangi, mari sama-sama kita rebut peluang dan tambah ilmu dalam mencari identiti mukmin soleh dan solehah dengan melihat sendiri ikon- ikon Islam melalui program TeenACE Langit Ilahi Consultancy. Rujuk http://langitilahi.com/12848
Jumpa anda di sana!!