Hilal Asyraf's Blog, page 103

July 9, 2013

Komik : “Ramadhan, kami datang..”

Ramadhan_SisFaeez


Untuk beberapa detik Ramadhan yang akan tiba,


apa-apa sahaja boleh berlaku pada kita,


Maka, janganlah berputus asa untuk terus berdoa,


“Ya Allah, sampaikan lah kami kepada Ramadhan..”


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 09, 2013 01:34

July 8, 2013

Enter The Ramadan


Ramadan is a wonder


Picture by by *Identifyed-Khaos of deviantart.com


Image courtesy of link


I was born on the 13th November 1989. That means my birthday is on the 13th of November every year. For a specific reason, when it comes to celebrating my own birthday, I am not that motivated.


I don’t feel sad if people don’t wish me happy birthday. I’ve never hoped for people to give me birthday gifts. I will temporarily disable my Facebook Timeline so that people won’t post any birthday wishes on my wall.


The most I would do on my birthday is treating my own self at any expensive fast-food restaurant.  Nothing more nothing less.


The reason is because of Ramadan.



Ramadan Revolution  


The quote “Life begins at the end of your comfort zone” can be further explained that “Life will start if and only if our comfort zone is behind us.” If we are still cozy in our warm blankets sleeping, we are not living.


Life should be made an inevitable revolution. Each minute is a minute to reform and to transform into a better person.


What happens during a country’s revolution? There will be series of demonstrations by thousands of millions of people along the streets. People who are with the revolution will make unimaginable sacrifices from their usual everyday boring life to persuade their government in fulfilling their demands.


Ramadan too is a time for revolution, revolution of what? Revolution of the self.


Ramadan is a time to turn to Allah, a time to focus on building your spirituality so that it may last for the remaining 11 months.


Ramadan is a flea market for spiritual shopping  


People come to flea markets usually because the item sold there are high quality with low prices. But people wait for Ramadan because Ramadan sells high quality spiritual items free of charge.


Each place you go during Ramadan, you will feel the warmth of Islam and Iman warming your souls.


People during Ramadan are naturally transformed to be better. Before Ramadan waking up for Subh is difficult but during Ramadan it’ll be a piece of cake. Before Ramadan, performing qiamullail is impossible but during Ramadan standing for 20 rakaats of Tarawikh is made possible. Rich-greedy people before Ramadan only keep his wealth with himself but during Ramadan they sponsor Sahur and Iftar for a month.


This is what Ramadan has been doing to us all these years.


Conclusion


The only obstruction between me and Ramadan is the day of Tuesday. My life only begins with Ramadan. Before Ramadan I’m dead. This Ramadan will be my 24th Ramadan.


That will be marked in my calendar as my 24th birthday.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 08, 2013 07:53

Umum: Pendaftaran LangitIlahi Community Sudah Dibuka!

[image error]




[PENDAFTARAN MENJADI AHLI LANGITILAHI COMMUNITY DIBUKA!]


Assalamu’alaikum.

Alhamdulillah. Kami telah membuka pendaftaran untuk anda menjadi ahli LangitIlahi Community.


Jika anda ingin mendaftar, sila ke http://langitilahi.com/community/?pag...


Terbuka kepada semua peringkat umur.

Yuran tahunan RM30 sahaja untuk setahun keahlian.


Keistimewaan yang bakal anda perolehi:


1 – Discount 10% ketika membeli apa-apa barang pun di LangitIlahi Store.


2 – Discount 20% dari harga yuran jika mengikuti program yang dianjurkan oleh LangitIlahi Consultancy.


3 – Berpeluang mengikuti pengisian online khas untuk ahli LICommunity di FB Grup LICommunity(grup tertutup, ahli sahaja).


4 – Berpeluang menyertai program Training of Trainers(ToT) untuk menaikkan taraf anda dari ahli biasa kepada ‘ahli aktif’, dan dengan itu anda menjadi Fasilitator LangitIlahi, yang semestinya berpeluang menjadi fasilitator program-program anjuran LangitIlahi.


5 – Berpeluang bersama LangitIlahi Community menjalankan program berbentuk community dan charity.


Buat masa ini sistem pembayaran hanyalah melalui PayPal.

Bagi yang tiada PayPal, tidak mengapa. Anda boleh register dahulu sebagai ahli ‘free’(ahli free tidak akan mendapat keistimewaan seperti yang dinyatakan di atas). Kami sedang usahakan agar payment secara bankin online boleh dilakukan dalam masa terdekat.


Nanti bila kami berjaya uruskan sistem pembayaran secara bankin online tersebut, maka ketika itu jika anda nak naikkan level anda sebagai ahli yang mendapat keistimewaan, anda boleh berbuat demikian bila-bila masa sahaja. :)


Mari Membina Komuniti Berjiwa Hamba!


http://langitilahi.com/community

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 08, 2013 06:15

July 7, 2013

Kehidupan: Muslim Itu Siapa Sebenarnya?

PALESTINIAN-ISRAEL-GAZA-HAMAS-MESHAAL


 


Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barokatuh.


Rakan-rakan pembaca yang dikasihi, semoga kalian berada dalam rahmat dan payungan kasih Ilahi. Selalulah berdoa agar kita ditetapkan keimanan kita, bahkan diberikan rezeki untuk mempertingkatkannnya. Kerana kita hanyalah hambaNya yang lemah. Dialah juga yang memiliki kekuatan kita.


Siapakah Muslim?


Mengapa kita pergi kepada persoalan ini wahai pembaca yang dicintai?


Kerana orang yang tidak dapat membezakan antara haiwan dan manusia, tidak akan mengetahui apakah yang patut dilakukan oleh manusia. Begitulah manusia yang tidak mengetahui apakah bezanya Muslim dengan yang bukan, dia tidak akan memahami tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim/Muslimah.


Maka persoalan ini mahu saya ajak bersama untuk kita telaah, selami dan dalami, dalam artikel yang ringkas ini.


 


Apakah Itu Islam?


Sebelum pergi kepada pokok bernama ‘Muslim’, sebaiknya kita pergi kepada akarnya dahulu. Akar kepada pokok Muslim, namanya ‘Islam’.


Ya rakan-rakan pembaca. Jika anda seorang Muslim, adakah anda tahu apakah itu Islam?


Islam itu balik kepada perkataan asalnya, yakni ‘Salam’. Ianya berasal dari Bahasa Arab, bermaksud sejahtera. Maka ‘Islam’, secara ringkasnya ialah mensejahterakan diri dengan tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah SWT. Dengan kata lainnya, menyerahkan diri kita untuk terikat dengan apa yang Allah kata.


Islam ini tidak turun dengan semata-mata nama ‘Islam’ itu sahaja. Islam datang bersamanya Al-Quran, dan As-Sunnah. Kalam Allah SWT, dan kalam serta petunjuk Nubuwwah(Rasulullah SAW). Turunnya Al-Quran pertama sekali kepada Rasulullah SAW, dengan ayat ‘Iqra’ bermaksud ‘baca’. Bukan ‘berimanlah’, ini menunjukkan betapa Allah SWT menyusun agar agama ini, cara hidup yang bernama Islam ini, diikuti dengan kefahaman, bukan dengan perasaan yang membuta tuli.


 


Maka Seorang Muslim Itu Siapa?


Maka seorang Muslim ialah yang menundukkan dirinya kepada Al-Quran dan As-Sunnah ini, bersama-sama spiritnya sekali, yakni dengan kefahaman bukannya secara membuta tuli. Kadang manusia beragama dengan perasaan inilah yang membawa kepada sikap ekstrim. Beragama dengan kefahaman, akan membawa kepada modesti, yakni kesederhanaan.


Kerana itu muslim itu sederhana sahaja sebenarnya dia. Akhlaknya adalah akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Islam menyediakan pelbagai situasi, dalam bentuk para sahabat Nabi. Akhlak Si Kaya, ada sahabat-sahabat bernama Abdurrahman bin Auf RA, Uthman bin Affan RA, Suhaib Ar-Rumy RA. Akhlak Si Miskin, ada sahabat-sahabat seperti Bilal bin Rabah RA, Abu Hurairah RA dan sebagainya.


Semua ada. Teratur dan kemas. Islam meraikan semuanya.


 


Tanggungjawab Seorang Muslim.


Memegang sesuatu perkara, pasti ada tanggungjawabnya wahai rakan-rakan pembaca yang dikasihi.


Begitulah juga dengan memegang title sebagai seorang Muslim.


Selain memenuhi makna seorang Muslim itu sendiri – yakni tunduk dan patuh kepada Allah SWT, melalui apa yang diperintahkannya di dalam Al-Quran atau menerusi sunnah RasulNya – seorang Muslim itu juga mestilah yang peka dengan sekelilingnya. Dia tidak beragama sendiri-sendiri. Dia hidup dengan agamanya, maka agamanya adalah untuk orang sekelilingnya berkongsi kebaikannya bersama-sama.


Kerana Islam itu asasnya Rahmatan Lil Alamin.



“Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” Surah Al-Anbiya’ ayat 107.


Justeru seorang Muslim itu mestilah seorang yang berakhlak baik, membawa imej yang bersih, menjauhi perkara-perkara mazmumah, dan hendaklah dia berlaku baik serta adil kepada orang sekelilingnya.


Seorang Muslim juga tidak akan sesekali mengorbankan prinsip agamanya, untuk yang berlawanan dengannya. Kerana jelas kepadanya bahawa Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.


“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan Yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki Yang ada Dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa Yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.” Surah Ali Imran ayat 19


 


Tetapi dia menunjukkan ketinggian itu bukan dengan menghina agama lain, bukan dengan menzalimi agama lain, orang lain. Tetapi dengan dia mempamerkan keindahan Islam, melalui akhlak dan kehidupannya. Melalui ketegasannya menjaga prinsipnya dan membuktikan kebenaran prinsipnya berdasarkan hujah-hujah yang absah.


Seorang Muslim juga tidak boleh memaksa non-muslim untuk menjadi muslim. Kemasukan seseorang ke dalam Islam, menjadi seorang Muslim ini mestilah dengan keredhaan hatinya sendiri. Dengan sukarela.


Kerana itu jika diperhalusi, di dalam Islam ada istilah ‘kafir dzimmi’, yakni mereka yang bukan Islam, tetapi duduk di bawah pemerintahan kerajaan Islam, dan mempunyai hak mereka. Mereka wajib disantuni dan tidak dizalimi. Tidak pula dipaksa mereka ini memeluk agama Islam. Namun kesantunan dan penjagaan terhadap hak mereka itu jugalah merupakan salah satu dakwah kepada mereka.


Itulah dia seorang Muslim.


Indah.


 


Penutup: Apakah Kita Benar-benar Muslim?


Rakan-rakan pembaca yang saya cintai,


Perbahasan berkenaan ‘siapakah sebenarnya seorang Muslim itu?’ hakikatnya panjang. Tidak akan mampu ditampung dengan sekerat artikel ini. Bolehlah dirujuk dengan lebih mendalam pada Buku yang saya sarankan untuk anda semua membaca dan mendalaminya – Apa Ertinya Saya Menganut Islam – karangan almarhum Mujahid Dr Fathi Yakan.


Buku yang mengupas persoalan ini secara menyeluruh.


Apa yang saya coretkan ini sekerat cuma, sekadar untuk menjentik diri kita dengan persoalan:


“Apakah kita telah benar-benar Muslim?”


Ya. Marilah bersama kita melihat kehidupan kita dan menghitung dengan sedikit coretan yang saya usahakan di dalam artikel ini. Jika ya, apakah telah cukup? Jika tidak, maka apakah kita masih lagi mahu bertangguh. Lebih-lebih lagi pada kad pengenalan kita yang muslim di Malaysia ini, ada perkataan ‘Islam’ di sana. Apakah kita tidak akan bertanggungjawab dengan ‘Islam’ itu? Menutup mata dan merasakan kita akan hidup selama-lamanya tanpa dibangkitkan berdiri di hadapan Yang Esa nanti?


Saya akhiri artikel ini dengan firman Allah SWT:


“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang Yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) Yang diturunkan (kepada mereka)? dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang Yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa Yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang Yang fasik – derhaka.” Surah Al-Hadid ayat 16.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 07, 2013 05:33

July 5, 2013

Motivasi: Resolusi Ramadan

Poster---Its-Coming


Selalunya apabila Ramadan menjelma, ramai yang akan berpasang niat untuk mengubah diri mereka untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Walaupun saya berfikir niat tersebut sepatutnya ada setiap masa (kerana maut tidak mengenal usia), tidak dinafikan bahawa bulan Ramadan wajar dimanfaatkan sebagai salah satu platform untuk kita memperbaiki diri sendiri.


But how?


Kesedaran


Perubahan bermula dengan kesedaran; sedar bahawa ada perkara dalam diri yang hendak dan mesti diubah. Mana mungkin kita boleh baiki kereta kita yang rosak, jika kita tidak sedar bahawa ia rosak dan bahagian mana yang rosak.


Bagi diri kita, mungkin kesedaran ini datang setelah kita refleksi diri. Mungkin juga kesedaran ini datang setelah seorang hamba Allah points out sesuatu mengenai diri kita yang wajar diubah.

Kesedaran ini akan membawa kepada niat untuk berubah.


Tindakan


Seperti yang dikatakan sebelum ini, niat sahaja tidak cukup. Apabila kita berdiri di hadapan Allah dan Allah persoalkan mengapa kita tidak berubah (sedangkan peluang itu ada), apakah cukup dengan kita berkata, “Ya Allah, aku sudah berniat dan selepas itu aku tak buat apa-apa!”


Apakah tindakan susulan kita?


Jika kita sedang terjumpa batu besar di tengah perjalanan dan hanya berniat sahaja untuk mengalih batu tersebut, sudah pasti batu tersebut tidak akan ke mana. Kita juga tidak akan ke mana.


Jika kita sedar bahawa kita perlu mengubah sesuatu tentang diri kita, kita sepatutnya merasakan ia satu tanggungjawab ke atas diri kita sendiri untuk bergerak dan tidak duduk bersahaja.


Resolusi Ramadan


Sempena Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi (semoga Allah memanjangkan umur kita), jom kita ambil peluang ini untuk bergerak setapak lagi ke arah menjadi diri yang lebih baik daripada sebelumnya. Kita tidak perlu bergerak sama laju; lain orang, lain kelajuannya. Tapi kita perlu bergerak menuju arah yang sama dan kita bantu satu sama lain untuk menuju destinasi kita.


Saya cadangkan setiap daripada kita (bermula dengan diri saya) list down resolusi-resolusi Ramadan masing-masing; apakah goals kita dan bagaimana kita hendak mencapainya.


Sebagai contoh,


Goal: Menghafal 3 surah baru daripada Juz 30.

How: Menghafal satu ayat sehari.


Goal: Mengenali Rasulullah dengan lebih mendalam.

How: Membaca separuh bab sehari daripada The Sealed Nectar.


Goal: Merapatkan hubungan dengan keluarga.

How: Menyediakan iftar bersama-sama dan taraweeh di rumah bersama-sama.


Goal: Makanan sihat.

How: Masak sendiri, gunakan pinggan kecil supaya tidak makan banyak.


Goal: Berhenti merokok.

How: Buang semua rokok yang ada, berkawan dengan mereka yang tidak merokok.


Goal: Kurangkan mengumpat.

How: Kurangkan bercakap, banyakkan berzikir. Jika mengumpat, akan derma RM10.


Goal: Kurangkan TV.

How: Unplug TV, letak dalam kotaknya, dan simpan dalam almari.


Senarai di atas hanyalah contoh untuk memberi pencerahan tentang apa yang maksudkan dengan resolusi Ramadan. Tidak semestinya kena ada banyak perkara. Jika kita hanya mampu mengubah 1 perkara sahaja, itupun sudah dikira sebagai satu kejayaan yang wajar disyukuri.


Semasa kita cuba melaksanakan resolusi Ramadan kita, kita mungkin dapati bahawa goal yang kita letakkan itu agak sukar untuk kita capai. Mungkin goal kita itu terlalu besar buat diri kita.

Maka, kita buat adjustment kepada goals kita. Jadikan goals tersebut lebih realistik buat diri kita.


Jangan kita cepat putus asa. Kita bergerak dalam kadar masing-masing. Ada yang bergerak laju, ada yang bergerak perlahan. Isunya bukanlah kelajuan. Isunya ialah arah. Asalkan kita bergerak ke hadapan menuju destinasi yang benar, maka kita berada dalam keadaan yang baik Insha Allah.


Proses perubahan ini mencabar dan ia harus dilalui dengan sabar.


Mengubah diri tidak mudah, tapi ia juga tidak mustahil.


Ramadan Kali Ini


Ramadan merupakan bulan transformasi. Jika kita masuk dan keluar daripada Ramadan orang yang sama, maka kita telah sia-siakan Ramadan kita.


Umpama kereta kotor berlumpur yang masuk ke car wash, tetapi masih berlumpur jua setelah keluar. Sia-sia sahaja masuk car wash. Melayang pergi duit kita.


Ramadan datang dan pergi. Terpulanglah kepada kita untuk memerah sebanyak mungkin barakah daripadanya selagi mana Ramadan masih bersama dengan kita.


Ramadan kali ini, jadikan ia bermakna.


Jadikan ia awesome!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 05, 2013 02:43

July 4, 2013

Agama: Ramadhan – Mencari Sijil Taqwa

21333_524779074255334_1502507208_n


~Taqwa ubat penyembuh duka dalam jiwa~


Selama lebih sebelas tahun kita mengerah tenaga, membanting tulang untuk melayakkan kita memasuki ke alam university. Bermula dari sekolah rendah selama 6 tahun diteruskan lagi dengan sekolah menengah 5 tahun berikutnya. Segala daya sudah tentu dicurahkan agar hasilnya juga turut menggembirakan.


Begitu halnya dengan ramadhan yang bakal tiba. Seharusnya kita sebagai hamba pendosa melihat ia merupakan rahmat dari Yang Maha Esa. Sebelas bulan telah berlalu. Sepatutnya kita diulik rindu kerana ramadhan merupakan musim untuk kita beriman. Bukan beerti, beriman dalam musim tertentu, tetapi ia adalah suatu tempoh masa persediaan dalam menjalani reality kehidupan mendatang.


Jika ramadhan dianggap seperti musim bunga maka ia mekar dengan pahala. Jika diibaratkan musim luruh maka ia adalah daun-daun dosa yang bakal gugur. Jika diibaratkan musim sejuk maka ia dingin dari segala kemaksiatan. Jika diibaratkan musim panas, maka ia bahang pembakar dosa dan semangat untuk beramal pada-Nya.


Ramadhan akan tiba seperti biasa. Tetapi cara kita menyambut ramadhan itu yang menjadikan ia berbeza. Jika dengan persiapan yang terperinci dari sudut ibadah, fizikal, mental dan rohani yang telah kita bina, maka dengan izin-Nya, ramadhan yang bakal tiba tidak akan berlalu dengan sia-sia. Berlainan pula jika kita membatu diri diam tiada persediaan maka ia tidak ubah seperti yang sebelumnya.


 


Definisi Taqwa


Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah:183)


Allah menjanjikan hadaf daripada berpuasa yang diwajibkan dalam bulan ramadhan itu adalah ketaqwaan seperti yang dirakamkan dalam ayat di atas. Kita bisa berbangga di dunia memperoleh pelbagai anugerah di dunia. Pelajar cemerlang, pekerja terbilang dan pelbagai lagi. Walhal ia tidak membawa erti jika tiada kaitan hubungan dengan Allah. Berbeza dengan anugerah taqwa yang mana sudah tentunya melayakkan kita untuk mengecapi syurga. Sebab itu Allah menjadikan asas perbezaan antara manusia bukan dengan pangkat, harta dan paras rupa tetapi mereka yang paling bertaqwa.


Allah s.w.t berfirman:


 Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). (al-Hujurat:13)


Begitu adilnya Allah. Apapun kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri manusia ia tidak menyebabkan manusia itu terhina, tetapi mereka yang cuba menjauhkan diri dari rahmat Allah dengan tidak bersungguh mengejar janji-Nya melalui darjat taqwa maka dia sebenarnya menuju ke gerbang celaka.


Pelbagai definisi yang disebutkan oleh ulama’ dalam menggambarkan maksud taqwa yang mana perbezaan ini sebenarnya memberi manfaat yang sangat besar pada diri kita dek kerana ia seolah-olah menjadikan setiap sisi kehidupan adalah mendorong manusia ke arah ketaqwaan selagi mana ada usaha yang berterusan.


Antaranya seperti yang disebutkan oleh Saiyyidina Ali r.a dalam mengertikan taqwa iaitu sebagai rasa takut kepada Allah s.w.t, beramal dengan al-Quran dan sunnah rasul-Nya, hidup dalam dalam keadaan besederhana, dan bersedia menghadapi hari kemudiaannya(akhirat). Definisi ini boleh dikupas dengan lebih mendalam untuk sama-sama kita praktikkan dalam kehidupan.



Rasa takut kepada Allah

Manusia secara spesifiknya orang beriman akan mudah rasa takut dengan Allah taala. Ini kerana sifat takut itu lahir dek kerana mengingatkan azab-Nya atau bimbang kita akan jauh dari rahmat Yang Esa. Padahal dengan kedua perkara ini sebenarnya melayakkan kita memperoleh syurga. Hal ini disebabkan melalui rasa takut inilah manusia berusaha meninggalkan apa sahaja yang dilarang dan bersungguh-sungguh melaksanakan apa yang diperintahkan


Malangnya manusia itu mudah lupa hatta bagi kaum lelaki yang mana saban Jumaat diulang-ulang nasihat menyeru kita supaya bertaqwa, namun sejauhmana ia sampai ke dalam jiwa kita dan melahirkan rasa takut yang berbekas dalam setiap perbuatan kita? Justeru, suka untuk dinukilkan ayat tersebut sebagai peringatan bersama agar kita menjadikan ia tujuan dan matlamat utama dalam kehidupan baik di dunia atau akhirat kerana mati dengannya adalah satu kemuliaan.


Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (Ali-Imran:102)


2. Beramalkan dengan al-Quran dan rasul-Nya.


Kehidupan manusia tidak lari dari ujian tidak lari dari gangguan. Kadang-kadang musibah-musibah ini membawa jauh dengan tuhan. Namun hakikatnya manusia itu boleh diselamatkan selagi mana dia betul-betul menggenggam erat pada sumber wahyu manusia sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w:


Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu berpeguh teguh pada keduanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah rasul-Nya. (Muwatta’:1678)


Itulah janji Allah yang melalui lisan baginda s.a.w kepada kita. Menariknya hadis ini tidak memberi tahu kepada kita sekadar membaca dan bertadabbur tetapi menggesa kita untuk berpegang teguh padanya yang merangkumi pembacaan, tadabbur, mengamalkan juga berusaha menyebarkannya. Moga-moga dengan usaha kita itu akan tumbuh bibit taqwa dalam jiwa kita dan menjadi asbab mendapat rahmat-Nya.


Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat. (al-An’am:155)


3. Hidup dalam keadaan besederhana (qana’ah)


Dengan ketaqwaan ia juga membentuk sifat sensitive dalam jiwa insan. Peka terhadap keadaan sekeliling isu semasa berkaitan kemanusian tanpa melupakan isu kenegaraan. Melalui sikap rendah hati ini akan mendidik manusia agar bersikap sederhana. Bukan bererti sederhana kita tinggalkan dunia tetapi sederhana yang membawa kita dari memandang kesempitan dunia dalam setiap perkara kepada keluasan dunia dan akhirat dalam setiap amalan.


4. Bersedia menghadapi hari kemudian


Hakikat kesudahan bagi setiap insan hanya terdapat dua pilihan sama ada syurga yang penuh kenikmatan atau neraka yang amat menyeksakan. Sudah tentu bagi orang beriman syurga menjadi pilihan. Tetapi jalan menuju alam sana itu memerlukan persediaan sebagaimana persediaan kita dalam perkara dunia seperti peperiksaan dan sebagainya lebih lagilah dalam urusan akhirat yang mana kita akan kekal di sana untuk selamanya.


Justeru itu mereka yang memandang dunia ini hanya tempat permusafiran maka dia memandang bahawa akhirat itu matlamat utama, maka dia akan berusaha sebaiknya untuk membumikan cita-cita. Bagi mereka beranggapan kehidupan dunia ini sebagai pedagang maka dia akan berjalan merantau mencari keuntungan sebagai bekalan untuk hari kemudian. Oleh itu, mereka yang bijak adalah yang hidup di dunia tetapi melihat akhirat dalam amalnya kerana hakikat di sana penuh kenikmatan.


Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (al-Qasas:83)


 


Kepentingan taqwa


Taqwa amat dominan dalam kehidupan manusia. Jika merujuk kepada ayat-ayat berkaitan dengan dakwah para nabi kita akan melihat semuanya berkaitan dengan persoalan taqwa kerana ia membabitkan seruan kepada aqidah yang benar. Hal ini kerana taqwa juga boleh dikaitkan dengan lafaz yang agung iaitu  ( لا إله إلا الله ).


Seperti firman Allah s.w.t:


(Ingatlah) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap Islam)  perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang menyebabkan kamu panas hati), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada “Kalimah Taqwa”, sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan “kalimah Taqwa” itu serta menjadi ahlinya. (al-Fath:26)


Hakikat taqwa berkaitan dengan ubudiyah manusia dengan Rabb-Nya yang merupakan batu asas dalam keimanan. Maka tidak dinamakan sempurna iman seseorang tanpa ada taqwa dalam jiwa. Di samping itu, taqwa juga membawa kepada ketenteraman  selagi mana kita berusaha mendapatkan dan  terus berpegang dengannya.


 


Kelebihan Taqwa


Dalam al-Quran banyak ayat menerangkan kelebihan-kelebihan taqwa. Antaranya:


1. Mendapat cinta Allah kerana tiada cinta yang lebih mulia dari mendapat cinta dari-Nya.


 maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa. (ali-Imran:76)


2. Penawar  mengalahkan bisikan syaitan


Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). (al-Aa’raf:201)


3. Asbab terbuka pintu rezeki dan dipermudahkan urusan


dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). (At-Talaq:2)


4. Sebaik-baik bekalan untuk hari kemudian


dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah bertaqwa. (al-Baqarah:197)


5. Peroleh kejayaan dunia dan akhirat


Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita. (Az-Zumar:61)


Pelbagai lagi kelebihan yang disebutkan. Apa yang penting bukan sekadar tahu akan kelebihan tetapi usaha yang berterusan untuk mendapatkannya. Sekalipun jika kelebihan-kelebihan khusus tidak kita ketahui secara terperinci, hakikatnya jika benar sijil taqwa itu diperolehi maka berbagai jenis kenikmatan dan kelebihan akan kita kecapi.


 


Kesimpulan : Mengapa mesti taqwa?            


Kerana taqwa memandu manusia bailk kepada Rabbnya dengan kemenangan hakiki dalam syurga yang kekal abadi.


Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. (an-Nur:52)


Oleh itu, berkesempatan dengan bulan ramadhan yang menjanjikan taqwa sebagai ganjaran utama, maka sepatutnya jiwa orang beriman yang cakna tidak akan melepaskan peluang ini dengan sia-sia bahkan menjadikan ia suatu titik tolak untuk beramal dengan sebaik-baiknya.


 


Rujukan


Tafsir Fizilal Al-Quran.


 


 


 


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 04, 2013 21:17

Fotografi: Ekspedisi Ramadan

 


[image error]


| Laluan ke Ad-Deir Monastery | Petra-Jordan |

( Sony Alpha Nex-5N | f11 | 1/80 |ISO100 )


 


Tahukah anda, ekspedisi pendakian ke Ad-Deir Monastery memakan masa kira-kira hampir 3 jam?


Anda perlu menempuh laluan bukit berbatu dan berliku, menapak sebanyak 788 anak tangga.


Malah anda harus mempunyai stamina yang mantap untuk sampai ke destinasi.


Anda pasti akan teruja dan merasa puas apabila tinggalan sejarah yang gah dan mengkagumkan itu sudah berada di hadapan mata setelah berhempas pulas dengan keletihan dan bahang kepanasan.


Dan sekiranya anda mendaki sedikit lagi di hujung sana, anda akan tiba di puncak View The End of The World yang sungguh menakjubkan!



******************************************


Ya! Bagitulah juga ekspedisi Ramadan kita yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi. Ia pasti menuntut cabaran dan kepayahan sekiranya tiada persediaan rapi dan semangat jitu sepertimana hendak mendaki ke Ad Deir Monastery.



Ayuh! Usah tunggu lagi! Mari kita bina stamina kental buat menempuh 30 hari mendatang. Kita didik jiwa perkasa, menyemai benih cinta dan ketaatan pada Tuhan. Kita gandakan usaha kita semaksima mungkin agar ekspedisi agung kali ini mampu kita tempuh dengan jayanya lalu menjadikan ia paling cemerlang daripada sekalian ekspedisi kehidupan. Kelak kita akan merasa nikmat dan berkat, apabila hidup ini benar-benar kita habiskan dengan sepenuh jiwa hamba dan keimanan.



5 hari lagi. Bersediakah kita untuk memulakan ekspedisi ini?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 04, 2013 09:59

July 3, 2013

Himmah : Ramadhan – Harapan Untuk Pendosa

7daystoramadhan_web


Picture by Ashraf Ilman of LangitIlahi


 


Telah berapa banyak Ramadhan dilalui dan kita pun telah mengabaikannya. Dalam keadaan kita telah mengabaikan Ramadhan itu, barangkali kita terlupa akan betapa banyaknya rahmat Allah yang dicurahkan di dalam bulan Ramadhan mengalahkan bulan-bulan yang lain.


Kita ini insan berdosa. Tidak lepas dari salah dan silap.


Barangkali yang pernah hidup dalam suasana beragama, dari kecil hingga besar dididik dengan agama, dan dia pula seorang yang taat beragama, mungkinlah suasana yang menyokong untuk dirinya melakukan dosa itu pun semakin berkurang dan mengecil. Berbeza dengan seseorang yang didikan agamanya sejak kecil pun tunggang-langgang dan dia pun bukanlah jenis yang taat beragama, orangnya selalu bermaksiat dan dosa, maka suasana yang mempengaruhi dirinya untuk melakukan dosa itu besar dan lebih mudah untuk menjerumuskan dirinya ke dalam lembah dosa.


Apapun, masing-masing kedua-duanya tetap tidak lepas dari dosa. Tinggal lagi skalanya mungkin berbeza. Namun, tidaklah semestinya orang yang sejak kecil telah dimudahkan oleh Allah s.w.t. berada di dalam suasana beragama dan ketaatan kepada Allah itu lebih besar pahalanya dari orang yang sejak kecil berada dalam suasana didikan yang tunggang-langgang.


Allah Maha Adil. Barangkali orang yang didikannya itu sejak kecil tidak pernah didedahkan dengan suasana beragama dan ketaatan yang sebenar kepada Allah itu mungkin lebih mulia kerana dia harus terpaksa menempuh perjuangan yang besar untuk keluar dari kepompong sisi gelap hidupnya yang lama.


 


Sebab Itu Allah Sediakan Ramadhan


Ramadhan adalah harapan untuk pendosa. Di dalamnya Allah telah cipta satu suasana ketaatan yang sentiasa mendorong diri kita untuk kembali kepada-Nya.


Bulan manakah lagi yang dinyatakan kemuliaannya yang pelbagai, kemudian diikat pula kemuliaannya itu dengan Al-Quran yang menjadi panduan besar kehidupan ummat Islam. Bulan manakah lagi?


Tidak ada melainkan bulan Ramadhan.


Allah Maha Tahu betapa tidak semua hamba-Nya merasai peluang berada di dalam suasana didikan keluarga yang baik, sekolah yang baik, maka Allah s.w.t. telah mengkhususkan bulan Ramadhan ini sebagai satu madarasah (sekolah) bagi ummat Islam di seluruh dunia agar yang sudah sedia tahu tanggungjawabnya kepada Allah mendapat kekuatan dari suasana Ramadhan untuk terus istiqamah, juga agar yang masih mencari ruang memperbaiki dirinya menemui harapan Tuhan di celah kelalaian kehidupannya selama ini.


Lihatlah di seluruh dunia umat Islam. Bila tiba Ramadhan, suasananya menjadi sedikit berubah. Semakin ramai orang yang rajin membaca Al-Quran, semakin ramai orang yang mahu bersedekah dan infaq, semakin ramai orang yang mengambil peluang untuk meramaikan lagi saf-saf masjid terutama di awal Ramadhan.


Keberkatan suasana Ramadhan ini adalah aturan Allah s.w.t. yang telah disediakan untuk jiwa-jiwa insan yang inginkan perubahan pada dirinya sebagai satu dorongan atau galakan untuk membantu dirinya.


Insan berdosa yang ingin keluar dari kancah dosanya, maka Allah Maha Tahu keikhlasan di hatinya.


Insan berdosa yang ingin bergerak melakukan pembaikan pada dirinya, maka Allah Maha Mendengar rintihan di hatinya.


Maka disediakan-Nya Ramadhan untuk kita, tinggal lagi, apakah kita mahu benar-benar menghargainya atau kita hanya akan sekali lagi melaluinya sekadar seperti bulan-bulan yang biasa juga?


 


Bulan Yang Dibukakan Seluas-luasnya Pintu Keampunan, Tanda Harapan Untuk Kita


Kalau Allah menjanjikan keampunan-Nya dengan sebesar-besar keampunan, maka itu adalah tanda besarnya kasih Allah kepada kita dan besarnya harapan yang telah Dia berikan kepada kita.


Di dalam hadis Nabi s.a.w. :


“Barangsiapa yang berpuasa di dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisaban (berkira-kira menghitung amal/ keikhlasan), maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lepas.” [HR Bukhari Muslim]


Juga dalam riwayat yang hampir serupa tetapi dengan lafaz sedikit berbeza :


“Barangsiapa yang mendirikan (amalan-amalan) di dalam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisaban, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lepas.” [HR Bukhari]


“Barangsiapa yang menghidupkan Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan ihtisaban, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lepas.” [HR Bukhari]


Ada banyak hadis yang menceritakan tentang luasnya harapan yang Allah berikan terhadap insan di dalam Ramadhan ini.


Tidak hanya hadis, bahkan di dalam Al-Quran, ayat berkaitan dengan doa yang dikaitkan dengan ayat-ayat berkaitan dengan Ramadhan sebelumnya itu turut menjadi bukti kasih Allah kepada insan. Lihatlah firman Allah s.w.t. ini :


“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka memperoleh kebenaran.” [Al-Baqarah : 186]


Ayat ini telah dikaitkan dengan beberapa ayat sebelumnya yang berkaitan dengan Ramadhan.


Ayat ini telah menunjukkan harapan besar buat insan yang mahu mengubah dirinya menjadi lebih baik, mahu memperbaiki dirinya menjadi lebih dekat dengan Tuhan bahawa bagi diri mereka itu masih ada ruang dan peluang yang cukup besar.


Allah s.w.t. secara langsung bila ditanya tentang diri-Nya, maka terus dijawab-Nya ‘Sesungguhnya Aku dekat.” Ia tidak pula menggunakan perkataan “Katakanlah” sebagai perantara misalnya “Katakanlah, sesungguhnya Aku dekat.” Tetapi terus dijawab-Nya, “Sesungguhnya Aku dekat.”


Di dalam Bahasa Arab, uslub bahasa begini memberi manfaat dari sudut kepentingannya menunjukkan betapa Allah s.w.t. sungguh-sungguh ingin menyatakan bahawa Dia sangat dekat dengan kita. Tidak ada perantara, tidak ada apa yang dapat menghalang. Kita berdosa sebesar apapun, mintalah dibersihkan diri daripada-Nya. Kita silap sebesar apapun, mintalah harapan daripada-Nya.


Dia akan membantu kita.


Dia pasti akan membantu kita dengan syarat kita tidak tinggalkan arahannya dalam ayat itu iaitu, “Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku…” .


Kita hendak Allah ampunkan kita, bersihkan jiwa kita, maka kita juga perlulah berusaha memenuhi apa yang Allah inginkan dari diri kita.


Jaga perintah-Nya, tinggalkan larangan-Nya. Berusaha memperbaiki akhlak dan sikap kita. Berusaha meninggalkan kebiasaan-kebiasaan buruk pada diri kita yang tidak disukai-Nya.


Barulah harapan yang Allah tinggalkan untuk kita itu menjadi berharga dan bermakna. Jika tidak kita hanya mengejar harapan dengan keadaan tangan kosong.


Ingin diampunkan Allah, ingin jiwa dibersihkan dari dosa, tetapi ketika berbuka puasa sahaja sudah menyumbat mulut dengan perkara-perkara haram, ketika berbuka puasa sahaja sudah mencaci maki dan mengeji orang. Lalu, bagaimana mungkin kita bisa memenuhi syarat harapan yang telah Allah bukakan untuk kita itu?


 


Penutup : Bersihkan, Bersihkan Jiwamu Wahai Pendosa !


Apa lagi yang tinggal pada seorang pendosa selain dari harapan Tuhannya yang ingin mengampunkannya?


Di dunia mungkin saja ia sudah disisihkan oleh manusia kerana kotornya dirinya dan selalu saja menyusahkan manusia. Barangkali manusia pun sukar untuk menerima dirinya lagi dan dia pun merasa dirinya terlalu kotor.


Tetapi percaya sajalah bahawa harapan Tuhan itu masih ada.


Ramadhan ini, bulan yang dibukakan seluas-luasnya pintu keampunan, bulan yang  Allah janjikan di dalamnya sebesar-besar harapan buat insan, marilah kita bersihkan jiwa kita.


Bersihkan jiwa kita wahai pendosa !


Kalau bulan Ramadhan ini pun tidak kita manfaatkan, maka kita telah mensia-siakan satu tapak semaian yang sangat subur sebagai cetusan untuk melakukan perubahan pada diri.


Rebutlah harapan Ramadhan kali ini.

Bersihkan jiwamu wahai insan !

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 03, 2013 23:36

Motivasi : Tips – 6 Persiapan Holistik Sebelum Ramadhan

Persiapan Ramadhan


 


Ramadhan yang dirindui.


Hadirnya harus dengan persediaan dan persiapan.


Agar hasilnya semaksima mungkin!


 


Tiada yang lebih bermakna dalam hidup ini dengan memiliki jiwa yang tenang, bahagia dan tenteram.


Hati sebegini lahir daripada jiwa, nurani dan perasaan yang bersih, jernih lagi putih. Ia hidup, subur dan sensitif dengan ruh-ruh keimanan yang utuh hanya sanya kepada Allah SWT.


Perjuangan hidup kita adalah untuk miliki hati sebegini. Hati-hati inilah yang mampu melahirkan jiwa penyabar, sentiasa berbaik sangka dan berlapang dada dalam apa jua situasi, keadaan dan ujian yang menimpa.


Ramadhan adalah “pusat” latihan zaman berzaman yang silibusnya direncana khas oleh Allah SWT untuk hamba-hambaNya yang ingin pulang bertemu-Nya dengan hati yang mutmainah.


Firman Allah SWT yang bermaksud :


“ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, agar kamu menjadi orang yang bertaqwa.”


( Al-Baqarah 2 : 183)


Ramadhan adalah madrasah tarbiyah.

Ramadhan adalah universiti kerohanian yang terulung.

Ramadhan adalah kilang pencetak manusia berjiwa hamba.

Ramadhan adalah stesen rehat dan rawat ( RnR) bagi sang daie untuk cas power diri.


Sahabat. Apa khabar dengan Ramadhanmu nanti?

Apa persediaan dan persiapan?

Dah warm-up belum?


Generasi Salafusoleh dahulu, bersiap menyambut kehadiran Ramadhan beberapa bulan sebelum dengan jiwa yang berkobar-kobar, semangat dan penuh gembira.


Jom sama-sama kita semak persiapan yang sewajar kita buat untuk bersiap siaga pada tahap terbaik untuk melangkah kaki dalam bulan yang sangat-sangat hebat ini!


 


[1] Persiapan Hati, Jiwa Dan Perasaan


 


Asas ini, tersangatlah penting.


Niat menjadi titik utama kepada segala-gala dalam amalan ibadah kita kepada Allah SWT. Lantaran itu, sama-sama kita perbaharui, fokuskan dan pasakan hati, seluruh jiwa serta perasaan untuk melalui Ramadhan ini adalah untuk meraih keredhaan Allah SWT dan memperolehi ganjaran taqwa daripada-Nya.


Ini selari dengan objektif utama Ramadhan itu sendiri.


 


[2] Ucapkan Tahniah Sesama Kita


 


“Ramadhan Kareem! Kullu ‘am wa antum bi kheir!”


( Ramadhan yang mulia, semoga sepanjang tahun kami dalam keadaan baik!)


Satu amalan yang sangat mulia dan baik yang wajar disuburkan sesama kita ialah mengucapkan tahniah dan syabas tatkala memasuki bulan Ramadhan.


Ia adalah satu ucapan yang menggambarkan kegembiraan, kebahagian dan keseronokan menyambut kehadiran Ramadhan dengan kenikmatan, kemeriahan dan berwarna-warni. Kita boleh suburkan budaya ini agar ruh Ramadhan itu hidup, segar dan dirai dengan kegembiraan yang sewajarnya.


 


[3] Persediaan Fizikal dan Jasmani Luaran


Aspek fizikal sangat penting untuk memberikan keselesaan, kekuatan dan kemampuan yang terbaik untuk menjalani ibadah di sepanjang bulan Ramadhan.


Tubuh badan yang sihat, cergas dan cerdas memampukan kita untuk memberikan tumpuan yang terbaik, kesempurnaan dan ketertiban dalam semua aspek ibadah. Sifat ini adalah sifat yang mulia dan menitiberatkan kekuatan agar ibadah diterima oleh Allah SWT.


 


[4] Persiapan Mental, Fikiran dan Intelektualan


Hal ini sangat penting.


Satu perkara yang perlu disetkan dalam minda kita ialah Ramadhan adalah bulan kebaikan. Sifat positif, berbaik sangka dan lapang dada untuk menjadikan bulan Ramadhan adalah turning point untuk berubah, menjadi lebih baik dan terbaik.


Kaedah yang terbaik untuk menjayakan mindsetting ini adalah dengan ilmu. Meluangkan masa, menelaah kitab, menghadiri majlis ilmu dan tazkirah tentang fiqh serta segala ilmu tentang Ramadhan – akan banyak membantu kita untuk melakukan ibadah dengan betul, benar dan selari dengan tuntutan syariat.


 


[5] Persediaan Kebendaan dan Material


Material seperti duit, wang dan harta kita boleh ditransfer menjadi pahala. Bagaimana? Caranya melalui sedekah, infaq dan derma. Jalan inilah yang banyak membantu kita mendekatkan diri kepada Allah SWT terutamanya sekali di bulan Ramadhan al-Mubarak.


Ideanya – kita kumpulkan dan himpunkan duit kita khusus untuk didermakan pada bulan Ramadhan. Ganjarannya?


Masya-Allah, berlipat kali ganda. Bukan sahaja duit, tetapi kita boleh pelbagaikan bentuknya kepada skim wakaf. Contoh praktikal, mewakafkan komputer, alatan pengajaran dan pendidikan kepada institusi pendidikan untuk kegunaan mendidik generasi di masa hadapan.


Ini adalah pelaburan yang pulangannya adalah berganda-ganda tanpa had.


Selain itu, wang ini boleh kita jadikan modal untuk menaja projek berbuka puasa kepada ahli-ahli puasa. Pahalanya, berganda. Umpama memperolehi pahala insan yang berpuasa. Bukankah ini satu kebijaksanaan dalam berlumba-lumba membuat kebaikan?


 


[6] Persiapan Kerohanian


Akhir sekali, sebelum menjejaki Ramadhan kita perlu memperbanyakan taubat. Taubat ini akan membersihkan diri kita daripada karat-karat dosa dan noda. Natijahnya, kita akan memperolehi hati yang bersih, jernih, suci dan putih yang akan menjadi magnet yang paling kuat untuk menarik segala kebaikan-kebaikan di sepanjang Ramadhan.


Kesannya, kita akan mudah melazimi amal ibadah, air mata mudah tumpuh, hati sensitif dengan kebaikan dan kita akan mencintai Allah SWT sebenar-benarnya.


Justeru, rohani harus dibersihkan dengan memohon keampunan daripada Allah SWT, meminta maaf daripada segala kesilapan daripada ibu bapa, bagi pasangan suami isteri – pohon maaf setulus hati sesame mereka dan bagi rakan-rakan sekerja, wajar menghulurkan kemaafan dalam salah laku sepanjang pergaulan seharian.


 


Penutup : Rasai Perbezaan Dengan Persiapan!


Mereka yang bersiap sedia menghadapi Ramadhan dengan persediaan sangat-sangat berbeza dengan mereka yang menjejaki Ramadhan tanpa sebarang mind setting dan persiapan.


Ya. Bayangkan kita di meja peperiksaan yang besar. Tanpa study, tanpa rehat yang cukup, tanpa pensil, alat tulis yang lengkap dan ilmu yang cukup. Apa akan jadi? Kita akan gelabah, stress, hampir pitam dan tidak mampu menjawab dengan baik. Prestasi kita merudum!


Kerana itu, untuk Ramadhan kita wajar memasuki dan menyantuni dengan persediaan yang secukupnya. Agar kita melepasinya nanti dengan keputusan yang membahagiakan.


Berjaya meraih gelaran : “ Ahli Taqwa!”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 03, 2013 19:01

Umum: eBook Semarak Ramadhan!

1044424_594307357258218_920248289_n


 


 


[eBook Semarak Ramadhan]


Bagaimanakah persediaan Ramadhan anda?

Mahukah Ramadhan anda menjadi lebih bermakna dengan pengisian-pengisian jiwa berbentuk ilmu dan hentakan kesedaran?


10hb Julai 2013 ini, kami di LangitIlahi Store akan menerbitkan eBook Semarak Ramadhan untuk bacaan kita bagi memantapkan lagi penghayatan Ramadhan kali ini.


Pengisian secara holistik, seputar sebelum, semasa, dan selepas Ramadhan, dalam bentuk penyampaian yang pelbagai – penulisan, komik, dan poster – akan membawakan anda sebuah pandangan baru yang jelas terhadap ibadah wajib setahun sekali ini.


Anda akan memandang Ramadhan, dengan pandangan yang berbeza selepas menghadamkan eBook Semarak Ramadhan ini!


10hb Julai 2013 ini,

dapatkan di LangitIlahi Store.

Hanya RM10 sahaja!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 03, 2013 17:57