Hilal Asyraf's Blog, page 116
March 24, 2013
Agama: Hadis – 5 Perkara Fitnah Akhir Zaman
~moga dikurniakan cahaya meski fitnah melanda~
UmarMita Of LangitIlahi
Usia manusia semakin lama semakin tua. Begitu juga dunia. Kerna setiap yang hidup itu ada matinya. Setiap permulaan ada penghujungnya. Sebelum mencapai kepada pengakhiran kebiasannya terpampar pada manusia tanda-tandanya. Dunia yang kita berpijak di atasnya ini tidak terkecuali. Semakin hampir kepada penghujung usianya (dunia) terdapat tanda-tanda yang boleh kita renung semula. Apakah ia?
Hadis Fitan
Abu Hurairah merekodkan daripada Nabi sallahu alaihi wasalam(s.a.w):
Masa terasa pendek, amal soleh berkurangan, kebakhilan bermaharajalela, fitnah (maksiat) berleluasa, dan banyaknya kekecohan. Para sahabat bertanya: “Ya, Rasulullah! Apakah kekecohan tersebut? Nabi s.a.w menjawab: “Pembunuhan-pembunuhan”.
(HR Bukhari dalam Kitab Fitan dalam bab ‘Zuhur Al-Fitan’ dan HR Muslim dalam Kitab Al-‘Ilm)
Penerangan Hadis
1. Masa terasa pendek
Dalam menerangkan tentang frasa ini terdapat beberapa pendapat ulama’:
Imam Al-Khatabi: Ia adalah kelazatan dalam kehidupan yang membawa maksud berlaku ketikamana manusia keluar daripada rahim ibunya dan dipertanggungjawabkan kepadanya amanah di muka bumi. Dengan itu, manusia itu berlaku adil dan dia merasa keseronokan dalam kehidupan, tetapi masanya singkat. Hingga sekarang, kebanyakan manusia merasa pendek pada saat manis dalam kehidupan walaupun sebenarnya ia panjang, sebaliknya merasa panjang waktu-waktu yang dibenci meski ia pendek.
Al-Hafizh Ibn Hajar mengambil kata-kata Al-Karmani dalam memberi komen terhadap pandangan Imam Al-Khatabi, bahawa ianya kurang tepat dek kerana ia tidak bersesuaian dengan tersebar luasnya fitnah-fitnah yang lain yang telah disebutkan dalam hadis yang sama selepas itu. Namun, pendapat beliau (al-Khatabi) bersesuaian dengan zaman beliau yang masih terjaga dari pelbagai sudut dalam hal kebaikan.
Justeru, beliau (Ibn Hajar) mengambil pendapat Imam Nawawi yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan masa terasa pendek itu adalah dekatnya manusia kepada hari kiamat. Selain itu, ia juga boleh menggambarkan bahawa masa yang manusia punya, tidak membawa keberkatan dalam kehidupan.
Jika kita renung semula kehidupan kita sehari-hari, masa yang berlalu terlalu pantas. Kita seakan-akan tidak mampu untuk menjangkau sesuatu amalan kebaikan melebihi rutin harian. Bekerja atau belajar. Tiada tambahan ibadah melainkan yang diwajibkan Allah. Hal ini, terjadi kerana kita gagal memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Banyak perkara sia-sia yang bermain dalam minda dek kerana kita selalu ingin berasa selesa. Kita janggal untuk meninggalkan kebiasaan hidup kerna kita tahu mencari kebenaran itu perlu pengorbanan.
Oleh yang demikian, keselesaan itu sebenarnya membunuh kehidupan. Umat yang terdahulu berjaya bukan kerana mereka sekadar hidup bersama nabi s.a.w bahkan berjuang menitis air mata dan darah dalam perjuangan mengangkat panji islam. Mungkin kita tidak sehebat mereka. Tidak pula perlu mengangkat senjata. Namun, dalam bidang yang kita ceburi pastikan ada manfaat untuk agama Ilahi.
2. Berkurangnya Amal
Berkurang amal di sini membawa dua maksud sama ada amal manusia di dunia atau amal kebaikan manusia di akhirat kelak disebabkan kurangnya manusia keberkatan masa seperti yang disebutkan di atas, maka manusia itu kurang mampu untuk beramal soleh natijah dari masa yang seakan-akan terhad.
Dari pandangan lain, berkurangnya amal boleh juga digambarkan kerana mungkin manusia itu beramal soleh namun terdapat kecacatan padanya dek kerana salah laku niat atau cara disamping berlaku banyak pengkianatan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan. Sama ada pemimpin merobek khazanah rakyat, yang berkuasa berterusan menindas yang kurang upaya, ahli ilmu tiada amanah dalam menyampaikan dan sebagainya.
Terdapat juga dalam riwayat yang lain direkodkan bahawa berkurangnya ilmu ganti kepada berkurangnya amal. Boleh jadi makna berkurangnya ilmu adalah kita mudah lupa akan apa yang kita pelajari. Hal ini seringkali terjadi. Mungkin kerana kekurangan kesungguhan kita dalam mendalami sesuatu ilmu dan juga berpunca daripada sistem pendidikan yang kurang memberikan kesan terhadap budaya dan cara fikir manusia.
Selain itu, berkurangnya ilmu juga boleh berlaku dengan cara Allah mencabut nyawa ahlinya(ulama’) dan tidak ada pengganti yang secocok sepertinya. Dalam hadis yang lain nabi sallahu alaihi wasalam menyebutkan dari Abdullah ibn ‘Amr ibn ‘As:
“Sesungguh Allah tidak mencabut ilmu itu dengan mengambilnya daripada dada-dada manusia, tetapi dengan mematikan ulama’-ulama’. Maka tinggallah dunia ini mengambil orang-orang yang jahil sebagai ketua atau tempat rujukan mereka. Bila ditanyakan kepada mereka maka mereka akan menjawab dan memberi saranan tetapi dalam keadaan yang tiada ilmu tentangnya, maka terhumban manusia dalam kesesatan yang berpanjangan.”(HR Bukhari)
Perkara ini benar-benar berlaku kini. Kita lihat umat era ini tidak kurangnya dari sudut sumber ilmu. Bahkan apa yang tercatat-catat dalam lembaran buku-buku muktabar tidak bisa dinafikan kesahihannya dan tidak punya saringan. Namun, realiti yang berlaku sesetengah umat ini khususnya dalam bidang agama dan amnya kepada semua mungkin semakin bijak dalam pengetahuan masing-masing, malangnya ilmu itu digunakan bukan pada tempatnya. Maka terjadilah banyak perbalahan yang tidak berkesudahan dalam perkara-perkara cabang yang sebenarnya telah lama diperbincangkan.
Berkaitan dengan ulama’-ulama’ yang telah dipanggil semula mengadap-Nya juga menjadi buah telinga kita pada hari ini. Semakin ramai pula dalam kalangan mereka dijemput menghadap Allah. Baru-baru ini, Al-Fadhil Syeikh Dr Saeed Ramadhan Al-Bouti (moga Allah merahmatinya), telah pergi meninggalkan dunia. Namun, bukan di sini untuk membincangkan ijtihad beliau atau bagaimana sebenarnya kematian beliau. Suatu perkara yang tidak dinafikan adalah ramai ilmuan meneguk ilmu daripada beliau sama ada secara langsung atau berdasarkan tulisan beliau. Adapun apa yang cuba saya utarakan adalah kematian para ahli ilmu dewasa ini semakin bertambah kian hari. Natijahnya, manusia diambang dalam kesesatan.
3. Kebakhilan Bermaharajalela
Intisari daripada frasa ini adalah manusia zaman ini bersikap tamak bahkan lebih buruk lokek (kedekut) pula untuk berkongsi kepada manusia yang lain. Pelbagai sudut yang boleh dimaksudkan kebakhilan yang melanda umat ini:
i- Orang yang berilmu kedekut dengan ilmunya maka dia meninggalkan untuk mengajarkan manusia dan mengeluarkan fatwa yang membantu manusia.
* Perkara ini ternyata berlaku. Dari sudut lain, boleh juga kita tengok bahawa ramai orang mengajar sesuatu ilmu tetapi bukan memberi manfaat kepada manusia bahkan menambahkan lagi kecelaruan dek kerana ilmu yang tulen tidak lagi disebarkan dengan adil
ii- Orang yang mempunyai kelebihan dalam apa jua bidang meninggalkan untuk mengembangkan kelebihan kepada orang yang lain kerana bimbang disaingi.
iii- Orang yang kaya bakhil dengan hartanya hingga orang-orang miskin terbinasa.
* Dalam sistem kapitalis yang ada sekarang ini, perkara ini menjadi barah berlarutan. Si kaya bertambah kaya. Yang miskin kekal miskin. Dari satu sudut mungkin terzahir orang yang kaya atau pimpinan ini memberi bantuan kepada goloangan miskin yang memerlukan. Hakikatnya mereka merompak kekayaan yang ada dan menindas golongan marhaen.
4. Fitnah (maksiat) berleluasa.
Melihat pada era globalisasi kini, kita lihat maksiat begitu mudah menjalar masuk dalam jiwa manusia. Jika bukan manusia itu yang mencari asbab-asbab yang nyata kepada maksiat, namun kejahatan itu juga bisa turut menusuk melalui niat baik kita. Sebagai contoh dalam pada penggunaan facebook atau twitter atau selainnya, kadang-kadang kita tidak terlepas daripada terpandang iklan-iklan yang termampar yang mana sudah tentu banyak keburukan dari sudut etika.
Belum lagi bicara tentang gadjet yang serba canggih yang mana hari ini menjadi suatu perkara yang asing jika anak muda tidak membawanya. Penggunaan gadjet-gadjet tersebut juga tidak terlepas daripada dosa-dosa kering. Bagaimana pula dengan perlakuan serta hubungan muda-mudi kita sekarang?
Maksiat dan dosa itu dipandang enteng, dan bebas dilakukan tanpa sebarang halangan. Hatta orang lain yang terdiri dari ibupa kadang-kadang dan juga masyarakat yang lain tidak bisa menegur perlakuan buruk yang dilakukan. Justeru, atas sebab-sebab ini kita melihat fitnah maksiat itu semakin berleluasa dan menjadi barah yang semakin parah.
Bukan niat saya menghalang untuk menggunakan segala bentuk kemudahan yang ada. Adapun jika ianya diguna ke arah kebaikan maka ia lebih membawa manusia itu dekat dengan tuhan. Bukan juga untuk menyalahkan sesiapa atau mana-mana pihak, tetapi berbalik kepada menyalahkan diri sendiri yang tidak berusaha untuk mengubah masyarakat kepada lebih baik. Jika tiada kemampuan maka berusahalah menjadi masyarakat yang baik sudah memadai.
5. Banyaknya kekecohan
Berdasarkan riwayat dalam hadis yang disebutkan di atas kekecohan yang banyak berlaku adalah pembunuhan. Tidak dinafikan lagi, akhir zaman ini banyak berlaku pembunuhan akibat daripada peperangan sesama manusia kerana tamakkan harta, kuasa atau bertitik tolak atas kebencian terhadap sesuatu agama. Melihat contoh yang berlegar disekeliling kita seperti yang berlaku di Syria, Palestin dan lain-lain negara.
Dalam riwayat yang lain disebutkan maksud kekecohan itu belaku disebabkan ‘pembunuhan’ dengan lisan. Tidak perlu terbang jauh untuk mengukir contoh. Dalam negara kita sendiri banyak perpecahan dan kekecohan atas sikap tidak amanah ahli ilmu dalam pelbagai bidang dalam pada menyampaikan ilmu lebih lagi dalam melaksanakannya dalam urusan berkaitan dengan manusia yang lain pula.
Kesimpulan
Sudah tentu fitnah-fitnah yang berlaku atau menjadi tanda-tanda kecil bahawa kiamat itu sudah hampir dengan kita. Adapun, apa yang disebutkan dalam hadis ini merupakan ‘ibu’ kepada fitnah-fitnah yang lainnya. Bukan ketakutan yang cuba saya gambarkan dalam artikel saya ini. Tetapi hanya mahu meninggalkan persoalan apa usaha yang kita cuba lakukan untuk membaiki diri sendiri dan masyarakat kita hari ini daripada terselamat daripada fitnah-fitnah ini?
Ayuh muhasabahlah semula wahai manusia!
Himmah : Mengapa Yang Lain Sebelum Allah ?
Luruskan hati kita di atas jalan yang lurus.
~ Picture by mazdashukri.blogspot.com
Bila kita mencintai sesuatu, maka kita akan terdorong untuk selalu memberikan keseluruhan apa yang kita ada dalam hidup ini untuknya.
Bila cinta itu merasuki jiwa, bak kata seorang penyair Arab :
“Jiwanya adalah jiwaku, jiwaku adalah jiwanya.
Hasratnya adalah hasratku, hasratku adalah hasratnya.”
Berubah. Terus berubah cara fikir kita, cara kita bertindak dalam hidup. Segala apa yang kita sedang lakukan sekarang semuanya untuk dia yang kita cintai sekarang. Apa sahaja yang kita lakukan, pasti kita akan terfikirkan dia.
Segala-galanya tentang dia membuatkan kita rasa kita tersenyum bahagia, meskipun ada juzuk-juzuk cerita pahit dan tidak baik tentang dirinya, itu tetap nampak baik bagi kita yang sedang diamun rasa cinta.
Mencintai seorang perempuan atau lelaki untuk dijadikan teman hidup, membuatkan kita selalu ingin memberikan yang terbaik kepadanya.
Mencintai seorang artis atau orang yang terkenal dalam masyarakat, membuatkan kita rasa selalu mahu mengikuti gaya hidupnya, gaya jalannya, gaya rambutnya, fesyen pakaiannya.
Mencintai Selain Allah
Untuk mencintai selain Allah, apakah ia satu yang salah?
Manusia diciptakan dengan fitrah memiliki perasaan untuk mengasihi dan dikasihi. Maka, sesuatu yang fitrah mustahil dapat kita sekat dan halangnya.
Sudah tentulah tidak salah untuk mencintai selain Allah. Kalau tidak ada perasaan cinta kepada yang lain, bagaimana mungkin kita sebagai manusia dan anggota masyarakat mampu saling berkongsi makna bahagia dan saling memberi sesama kita?
Perkenalan, perhubungan yang baik semuanya itu bermula dari perasaan cinta dan kasih kepada yang lain.
Mencintai ayah dan ibu kita. Mencintai sahabat-sahabat kita. Mencintai adik-beradik kita. Mencintai masyarakat kita, guru kita.
Tanpa cinta, mustahil kita akan dapat membina sebuah masyarakat yang saling berkasih sayang dan mahu saling berganding bahu dalam membina sebuah masyarakat yang baik.
Cinta jugalah yang telah mengikat hati-hati para pejuang di jalan Allah untuk tetap sabar di atas jalan juang mereka kerana mereka telah menikmati manisnya cinta daripada ukhuwah mereka di jalan Allah itu.
Tetapi, kadangkala manusia selalu tersalah menguruskan rasa cintanya. Bila tersalah urus, maka ia akan bawa manusia itu jauh dari Allah. Cintanya kepada yang lain jauh mengatasi cintanya kepada Allah. Ia mengagungkan sesuatu lebih lagi daripada Allah.
Bila ia jatuh hati kepada seorang wanita atau lelaki, ia merelakan segala-galanya dari dirinya untuk diberikan kepada teman yang dicintainya itu sebelum mereka benar-benar mempunyai hubungan yang sah. Akhirnya, temannya itu menjadi kecintaan yang lebih besar dalam hatinya, lebih lagi dari Allah.
Segala-gala apapun yang dilakukan, semuanya terdorong untuk memikirkan tentang dia.
Begitu jugalah. Ada orang yang mencintai artis-artis atau orang-orang terkenal, kadangkala sampai berlebihan mengagungkannya. Mengikuti gaya pakainya yang bukan-bukan, meniru fesyen rambutnya, gaya hidupnya. Ada pula yang terlampau mengagungkan artis-artis itu sampai sanggup mahu menyerahkan dirinya untuk bersama dengan artis itu sekiranya berpeluang.
Dulu pernah heboh seingat saya, seorang budak Malaysia baru berumur 13 tahun bangga kerana dapat naik pentas dan dipeluk oleh Justin Bieber. Budak Melayu Islam, baru berumur 13 tahun pula tu.
Saya selalu bertanya dalam diri, kegilaan apakah yang telah melanda ummat ini sehingga ada segelintir besar yang menganggap bahawa dipeluk oleh bukan mahram, berciuman, berpegangan tangan sebelum pernikahan itu adalah cinta. Apakah cinta itu membawa kepada kerosakan diri ?
Nanti Mereka Itu Akan Berlepas Diri Dari Kita
Mereka yang kita cintai itu manusia juga sebagaimana kita. Nanti mereka akan mati.
Hari ini mereka muda, hari ini mereka cantik, hari ini mereka handsome, hari esok belum tahu mereka itu bagaimana.
Kita mengagung-agungkan mereka hari ini kerana ada kelebihan-kelebihan tertentu yang ada pada mereka, kalau esok mereka telah kehilangan kelebihan itu, maka di manakah kita akan letakkan rasa cinta kita itu?
Mereka yang kita terlampau agungkan sangat itu sampai mengatasi keagungan Allah dalam hati kita, apakah mereka itu mampu memberikan sesuatu pula untuk kita setelah kita bermati-matian memberikan segala apa yang kita ada kepada mereka?
Mereka tidak mampu pun. Tidak sebagaimana apa yang telah Allah berikan kepada kita. Allah s.w.t. telah berikan segala-galanya dalam hidup kita ini, tetapi kita selalu alpa dan mengabaikan Allah s.w.t. Bukan sahaja di akhirat, bahkan sejak di dunia lagi, mereka tidak mampu memenuhi hajat dan keperluan hidup kita.
Nanti di akhirat, mereka yang kita agung-agungkan sangat itu akan berlepas diri pula daripada kita. Mereka tidak mampu membantu kita pun di depan Allah. Bahkan, diri mereka itu pun belum tahu bagaimana keadaan mereka di depan Tuhan nanti. Mereka tidak mampu memberikan pahala atau syurga pun kepada kita, apalagi mahu membebaskan kita dari seksa neraka.
Bahkan di dunia pun, mereka tidaklah mempedulikan kita sangat. Kita saja yang kadangkala seronok sendiri ataupun rasa terlebih ghairah untuk bersama mereka.
Sebab itu Allah telah berpesan dalam Al-Quran yang bermaksud :
“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah. Sekiranya orang-orang yang berbuat zalim itu melihat, ketika mereka melihat azab (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu semuanya milik Allah dan bahawa Allah sangat berat azab-Nya, (nescaya mereka menyesal).” [Al-Baqarah : 165]
Dan Allah sambung lagi :
“(Iaitu) ketika orang-orang yang diikuti berlepas tangan dari orang-orang yang mengikuti dan mereka melihat azab dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus. Dan orang-orang yang mengikuti berkata, ‘Sekiranya kami mendapat kesempatan (kembali ke dunia), tentu kami akan berlepas tangan dari mereka sebagaimana mereka berlepas tangan dari kami.” [Al-Baqarah : 166-167]
Nah, lihatlah !
Nanti, mereka itu pun akan berlepas diri dari kita. Tidak mampu pun untuk membantu kita.
Artis-artis yang kita kejar-kejar itu, yang kita terlalu agung-agungkan itu, nanti pun akan sibuk dengan dirinya sahaja di hari perhitungan di depan Allah nanti.
Maka, apakah pada mereka itu kita letakkan sebesar-besar harapan dalam hidup kita?
Cinta kita kepada Allah s.w.t. yang sepatutnya menjadi kecintaan utama dalam hati kita, malangnya bukan saja tidak setara, bahkan tidak sekuat dan tidak sehebat pun kecintaan kita kepada yang lain.
Di manakah kita telah letakkan Allah dalam hidup kita?
Orang Beriman Itu Kecintaannya Kuat Kepada Allah
Cintakan manusia melebihi segalanya, nanti manusia itu akan mati dan fasad.
Cintakan yang lain selain dari Allah, semuanya tidak kekal lama dan akan hancur musnah juga nanti.
Maka, apakah ada tempat utama untuk kita letakkan cinta kita selain daripada Allah yang menjadi tiang asas untuk menjaga kehidupan kita ini ?
Apakah ada?
Sudah tentulah tidak ada.
Asas cinta itu, bila kita letakkannya pada Allah, maka Allah akan menjaga cinta-cinta kita kepada yang lain. Bila dalam hati kita itu, Allahlah yang paling besar dan paling utama, maka Allah akan membuatkan cinta-cinta yang lain itupun nampak besar dan bermakna nilainya dalam hidup kita.
Tetapi bila kita meletakkan cinta yang utama itu kepada selain Allah, maka tidak ada asas yang kuat lagi untuk mampu menjaga cinta-cinta kita kepada yang lain. Tidak ada kebaikan dari cinta kita kepada yang lain bila Allah telah diketepikan dan ditirikan dari hidup kita.
“Ada pun orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah.” [Al-Baqarah : 165]
Penutup : Luruskanlah Pertimbangan Hidup Kita !
Kita berhak mencintai sesuatu selain dari Allah, tetapi tidak sampai mengagung-agungkan mereka melebihi Allah s.w.t.
Kita berhak cinta kepada seorang perempuan atau seorang lelaki, tetapi jangan sampai orang yang kita cinta itu menjadi Tuhan untuk menentukan cara fikir dan gaya hidup kita.
Kita berhak cinta kepada sukan bola sepak, tetapi jangan sampai cinta kita kepada bola sepak itu membuatkan kita alpa kepada tugas utama kita sebagai hamba Allah.
Kita berhak suka kepada apa yang dipersembahkan oleh mana-mana artis, tetapi terlalu mengagungkannya sampai sanggup menyerahkan hidup dan maruah kita untuknya, itu adalah kecintaan yang terkeluar langsung daripada garis syara’.
Luruskan pertimbangan dalam kehidupan kita. Bahawa di dalam hidup kita, neraca utama yang menjadi pertimbangan segala baik buruk adalah neraca Allah s.w.t.
Hendak menjadikan neraca ini sebagai pertimbangan utama kita, tidak dapat tidak, kita mesti letakkan kecintaan utama dalam hidup kita adalah Allah s.w.t.
Bila kecintaan utama kita adalah Allah s.w.t., maka Allah pasti akan memandu kita di atas cinta-cinta kita kepada yang lain. Kita akan terdorong untuk tidak melampau-lampau dalam mencintai sesuatu, menilai keperluan kita untuk melakukan apa-apa tindakan dalam mencintai sesuatu.
Untuk apakah kita meletakkan kecintaan dan keagungan selain Allah, yang belum tentu mampu memberikan apa-apa pun kepada kita di dunia, yang pasti tidak akan dapat membantu kita pun di depan Allah nanti?
Maka, luruskanlah pertimbangan hidup kita !
—————————————
Ingin dapatkan E-book Hingga Ke Syurga?
Dapatkan di LangitIlahi Store!
WHERE TO BUY?
http://langitilahi.com/store
HOW TO BUY?
http://langitilahi.com/store/store-guide
VIDEO GUIDE:
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg
————————–———————
WHY SHOPPING ONLINE?
No closing times
No carrying heavy bags
No traffic & parking jams
No wasting petrol, toll & time
No over-crowded supermarkets & queues
————————————
Mari Menjadi Hamba !
March 23, 2013
Pemuda: Berani Berubah, Mulai Dengan Kemahuan Yang Kuat (2)
Picture by UmarMita
Mahu berubah bererti anda inginkan kejayaan. Kejayaan itu milik kita, itupun jika benar kita hendak memilikinya. Kemahuan untuk memiliki kejayaan adalah pendesak utama manusia mahu berubah. Anda mahu atau tidak? Jika mahu, maka bergeraklah, bertindaklah dan beraksilah. Jika tidak ada kemahuan, maka berpeluk tubuh sahaja dan nikmatilah menonton kejayaan orang lain.
Setiap hari ada sahaja manusia yang telah berjaya mencetuskan kemahuan untuk berubah. Jangan kita pernah putus asa jika masih tidak memiliki kemahuan yang kuat untuk berubah menjadi lebih baik. Perhatikan diri sendiri. Jangan salahkan orang lain. Tadah tanganmu dan berdoalah kepada Sang Maha Kuat, merayu pada-Nya, mohon kekuatan agar kemahuan mahu berubah menyelinap ke dalam hati kita.
Selesa Dengan Tabiat Buruk
Ada sebuah kisah benar, menyayat hati tapi penuh inspirasi yang dikongsikan oleh Syeikh Khalid ar-Rasyid. Kisah seorang pemuda yang suka berpoya-poya. Walaupun ketika isterinya sedang sarat mengandung, dia tidak peduli hal itu. Yang penting dia mahu bergembira bersama teman-temannya. Menghabiskan malam-malamnya dengan berpeleseran bersama kawan-kawan sekufunya.
Satu malam, ketika ada seorang buta berjalan disisinya, pemuda itu dengan sengaja menyadung kaki sang buta. Lalu terjatuhlah sang buta. Semua kawan-kawannya bergelak ketawa melihat aksi lucu itu. Pemuda itu rasa bangga, dapat membuatkan kawan-kawannya gembira.
Satu saat, sudah sampai masa isterinya mahu melahirkan anak. Di hospital, pemuda itu menunggu sehingga lelah. Tiada lagi berita kelahiran anak sulungnya. Lantas dia pulang ke rumah sahaja. Bosan menunggu terlalu lama. Di rumah, dia menerima panggilan dari hospital. Isterinya selamat bersalin. Bergegas ke hospital, hati gembira, cahaya mata yang ditunggu telah tiba. Namun kegembiraannya hanya seketika. Doktor mengesahkan anaknya mengalami cacat yang parah di kedua matanya, dan kesannya, anak itu tidak boleh melihat.
Pemuda itu hanya mampu menundukkan kepala, merasa runtuh. Pertama kali yang terbesit di pemikirannya adalah bayangan orang buta yang telah dia sadung kakinya sehingga jatuh dan menjadi bahan tertawaan orang.
Maha Suci Allah, siapa yang perbuat, dia akan mendapat. Beberapa saat, pemuda itu kebingungan. Beban ini terlalu berat untuk dipikulnya.
Kemahuan Mahu Berubah akan Hadir Jika Mahu
Kita berhenti seketika dengan kisah ini. Saya ingin bertanyakan pada anda. Pada saat sebegini, apakah sang pemuda itu akan berubah? Apakah dengan peristiwa yang telah Allah SWT berikan ini, pemuda itu mahu berubah? Adakah dia sudah menemui penyebab kemahuan untuk berubah?
Kemahuan mahu berubah boleh kita miliki. Terkadang ia datang dari pengalaman kehidupan. Terkadang dari peristiwa-peristiwa yang kita tempuhi. Terkadang dari sebuah pesanan, ungkapan mahupun teguran. Terkadang dari sebuah pemerhatian dan pembacaan. Namun ramai kalangan kita tidak juga mahu mengambil pelajaran. Lalu terus terperosok dalam kegagalan. Sukar mahu berubah menuju kepada lebih ber”tuah”.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (al-Qamar: 17)
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (ar-Ra’ad: 11)
Peringatan Allah SWT:
Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)“. (As-Sajdah: 13)
Kembali kita kepada kisah pemuda tadi. Kehadiran cahaya matanya yang buta tidak dipedulikan. Peristiwa ini tidak mencetuskan kemahuannya untuk berubah dan bersyukur. Pemuda itu tidak memperhatikan anaknya. Anak yang buta itu diberi nama Salim. Dia membuat Salim seolah tiada di rumah. Isterinya hanya mampu bersabar dengan sikap suaminya. Setelah Salim berusia setahun, dia mulai berjalan, tapi ternyata kakinya pincang. Dada pemuda itu semakin bertambah sesak. Salim tidak habis-habis menyusahkan dirinya.
Malam-malam pemuda itu tetap sama. Dihabiskan diluar bersama kawan-kawannya. Isterinya tetap sabar, tidak pernah putus asa meluruskan suaminya, berdoa agar suaminya mendapat hidayah. Pemuda itu berterusan tidak memperdulikan Salim. Sehinggalah Salim berumur 10 tahun.
Engkau Tidak Buta, Tetapi Akulah Yang Buta
Pada suatu hari Jumaat, pemuda itu terbangun sekitar jam 11 pagi. Sepatutnya dia ke masjid menunaikan solat Jumaat, namun dia malas. Dia mahu mengisi undangan ke sebuah majlis keraian. Diapun mula bersiap. Setelah itu melewati ruang tamu, tiba-tiba dia terhenti seketika di hadapan Salim yang sedang menangis. Inilah kali pertama dia merespon tangisan Salim sejak Salim kecil. Sudah sepuluh tahun pemuda itu tidak pernah menoleh peduli kepada Salim, anaknya sendiri. Dia cuba berbuat tidak endah, tapi entah kenapa, hari ini dia tidak mampu.
Buat pertama kalinya, pemuda itu bertanya pada anaknya, “Salim, kenapa engkau menangis.” Ketika dia mendengar suara ayahnya, dia seolah-olah ketakutan dan meraba-raba tangan sekelilingnya. Mungkin Salim terkejut mendengar suara ayahnya berbicara padanya.
Salim menangis. Dia sebenarnya mahu segera ke masjid. Dia tidak mahu kelewatan ke masjid dan khuatir tidak mendapatkan tempat di saf pertama. Sang ayah ini terkejut yang amat sangat. Hati pemuda ini mula lembut sambil memerhatikan telatah Salim.
“Salim jangan sedih, ayah akan menghantar kamu ke masjid. Salim menangis dan menyangka ayahnya sekadar mahu mempermainkannya. Pemuda itu sudah melupakan undangan majlis yang hendak dihadirinya. Hatinya tekad mahu membawa Salim ke masjid.
Kedua mereka mula berjalan ke masjid. Pemuda itu berjalan di sisi anaknya buat pertama kali. Suatu perasaan yang tidak pernah dirasainya telah hinggap disanubarinya. Dia merasa betapa kecilnya dirinya dan betapa besarnya dosanya. Dia tidak ingat bila kali terakhir dia melangkah kakinya masuk ke masjid. Dia mula merasai kesesalan atas apa yang telah dia lalaikan sejak beberapa tahun lalu.
Masjid penuh sesak, tetapi menghairankan, ada satu tempat kosong di saf pertama yang khusus disiapkan untuk Salim. Setelah solat selesai, Salim meminta mushaf Al-Quran dari ayahnya. Pemuda itu tergamam seketika. Dia merasa aneh. Bagaimana anakku ini mahu membaca, sedangkan dia buta? Pemuda itu mengambil mushaf Al-Quran, Salim meminta ayahnya membukakan surah al-Kahfi. Setelah ditemui surah itu, dia menyerahkan mushaf itu kepada Salim. Salim mulai membaca surah al-Kahfi dengan mata yang terpejam.
Ya Allah! Salim hafal surah al-Kahfi dengan lengkap. Pemuda itu merasa malu. Tangan pemuda itu mula membuka mushaf Al-Quran. Dia merasakan sendi-sendinya bergetar. Dia mula membaca dan membaca. Pemuda itu mula berdoa kepada Allah, semoga Allah mengampuninya dan memberinya hidayah. Dia sudah tidak mampu menguasai dirinya dan dia mula menangis teresak-esak di tengah masjid tersebut. Dia tidak sedar airmatanya deras mengalir, kecuali ketika tangan-tangan kecil menyentuh wajahnya dan mengesat airmatanya. Dia adalah Salim. Sang ayah ini memeluk anak kecil itu seeratnya dan memandangnya. Hatinya berkata; “Bukan kamu yang buta, sebaliknya akulah yang buta. Sehingga aku terlena mengikuti kawanku yang menjerumuskanku ke neraka.”
Berani berubah, akhirnya, pemuda tadi sudah menemukan seruan kemahuan untuk berubah. Kemahuan dari dalam dirinya sudah muncul bahawa dia sudah tersalah jalan. Dia perlu kembali kepada Allah. Kemahuan berubah sudah tercetus, melalui peribadi Salim, anaknya sendiri yang telah 10 tahun tidak dia pedulikan, kini dia sudah menemui perasaan baru, kemahuan mahu berubah. Dan dalam kisah ini, pemuda ini telah berubah menjadi pemuda dan sang ayah yang soleh lagi bertanggungjawab dengan izin Allah SWT.
Sebenarnya, kita bukan sahaja belajar bagaimana pemuda itu menemui kunci kemahuan yang mendorongnya untuk berubah. Tetapi kita juga boleh belajar dari kesetiaan dan kesabaran isterinya yang telah sekian lama punya kemahuan untuk tetap bersabar dan mengharap kepada Allah. Walau seberat mana ujian yang ditempuhi, wanita itu punya kemahuan tinggi positif dengan Allah SWT. Kemahuan tinggi tetap yakin bahawa Allah akan memberi petunjuk kepada suaminya. Berani berubah, maka teladanilah dia wahai para wanita solehah akan sosok hebat wanita dan sang isteri dalam kisah inspirasi ini.
Bagaimana pula dengan anda wahai para pembaca sekalian. Masih belum menemui titik tolak pencetus kemahuan anda untuk mahu berubah menjadi lebih baik. Jika masih belum, taubat segera, mohon lagi dengan Allah SWT. Jangan pernah berhenti walau terpaksa menunggu 10 tahun lamanya baru beroleh rasa kemahuan mahu berubah total!
Berguru Dengan Sang Gembala Kambing
Setelah kita menekuni kisah Si Buta Yang Membuat Sang Ayah Melihat, kita berguru pula dengan seorang pemuda sang pengembala kambing. Berani berubah, walaupun dengan sang pengembala kambing, belajarlah dengannya, anda akan menemui jatidiri anda untuk mulakan perubahan.
Pada pandangan anda, apakah sisi kebaikan yang akan dapat kita contohi daripada seorang pemuda yang berkerjaya sebagai pengembala kambing? Jangan pandang rendah pada pemuda ini. Kisah luarbiasa ini sering saya modelkan kepada pelajar dan mahasiswa dalam siri ceramah motivasi saya. Ayuh kita menjejaki pemuda luarbiasa yang berani berubah ini, namanya ‘Uqbah bin ‘Amir al Juhaniy.
‘Uqbah bin ‘Amir al Juhaniy adalah di antara 12 orang pemuda yang memeluk Islam dan tinggal jauh dari kota Madinah untuk mengembala kambing di kawasan perkampungan. Setelah memeluk Islam di Kota Madinah, beliau dan sahabat-sahabatnya seperti biasa, berangkat ke pendalaman kampung meneruskan kerja asasi mereka, mengembala kambing.
Suatu hari mereka berbincang dan berpandangan: “Tiada gunanya jika kita tidak bertemu Rasulullah SAW setiap hari untuk memahami agama dan mendengar wahyu dari langit. Apa kata setiap hari seorang kalangan kita bergilir-gilir pergi ke Yathrib. Tinggalkan kambingnya dan mereka yang tidak ikut serta kalangan kita akan menjaganya.
Pada pandangan anda, apakah respon ‘Uqbah?
‘Uqbah telah berkata:
“Kamu semua pergilah bergilir-gilir bertemu Rasulullah SAW. Biar saya sahaja yang menjaga kambing kamu semua. Kerana saya sangat kasihan kepada kambing saya untuk ditinggalkan kepada orang lain.”
Pelik jawapan ‘Uqbah kan? Dia lebih sayangkan kambingnya daripada bertemu dengan Rasulullah SAW. Terkadang kita juga begitu, kita lebih sayangkan sesuatu sehingga tidak sanggup untuk melepaskannya atau meninggalkannya berbanding daripada melakukan perubahan dan anjakan paradigma untuk menuju kecemerlangan yang lebih besar dan hakiki. Uqbah belum menemui perasaan kemahuan untuk dia perlu berguru kepada Nabi SAW. Maka dia memilih untuk tetap kekal di tempatnya, menemani kambing-kambingnya.
Tetapi kisah ‘Uqbah ini insyaAllah akan mengubah persepsi kita tentang kehidupan. Setelah saban hari sahabat-sahabat ‘Uqbah bergilir-gilir keluar mengunjungi Rasulullah SAW, ,mereka pulang membawa pelbagai ilmu dan ayat-ayat Allah SWT.
‘Uqbah berkata:
“Apabila mereka pulang, saya mengambil apa yang mereka dengar. Saya belajar apa yang mereka fahami. Namun setelah beberapa ketika, saya memuhasabah diri saya. Saya sudah buat kesilapan. Adakah disebabkan beberapa ekor kambing yang tidak menggemuk dan mengkayakan, saya sanggup mempersia-siakan diri saya daripada bersahabat dengan Rasulullah SAW. Saya juga merugi kerana tidak mengambil kefahaman agama daripada mulut baginda SAW sendiri tanpa perantaraan. Kemudian saya meninggalkan kambing-kambing saya dan pergi ke Madinah untuk tinggal di masjid dekat dengan Rasulullah SAW. “
Muhasabah dan Bertindaklah
Berani berubah. Inilah ciri pertama jika anda mahu cemerlang dan berjaya, muhasabah, kenali kelemahan dan kesilapan diri. Lakukan analisis SWOT pada diri sendiri (Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman). Kemudian lakukan perubahan dengan berhijrah, meninggalkan sikap, pemikiran dan cita-cita kerdil kepada sikap, pemikiran dan cita-cita yang lebih tinggi dan besar manfaatnya pada diri kita sendiri.
Untuk lakukan penghijrahan dan anjakan paradigma memerlukan keberanian diri. ‘Uqbah mengajar kita untuk berani membuat keputusan, bertindak lakukan perubahan, yakin dengan keputusan dan berserah kepada Allah SWT semata. Beliau tidak pernah menyangka bahawa natijah dari hijrah dan keputusan besar yang telah beliau lakukan, dengan izin Allah SWT, beliau akhirnya menjadi seorang ulama yang tersohor, syeikh qurra (mahir dengan bacaan Al Quran, ilmuwan profesional, panglima terkemuka yang membuka negeri Islam dan gabenor yang terbilang.
Pepatah mengungkapkan, “Ubahlah dirimu sendiri, dan kau akan mengubah keberuntunganmu.” Uqbah tidak terbayang ketika membuat keputusan meninggalkan kambingnya dan bergerak menuju Allah dan Rasul-Nya, beliau akan diletakkan di barisan hadapan tentera ketika membuka pusat dunia, Damsyik. Dengan izin Allah, memampukan beliau membina sebuah rumah di kebun yang menghijau yang terletak di Bab Tuma (salah sebuah pintu masuk ke kota lama Damsyik).
‘Uqbah juga tidak pernah tergambar bahawa satu hari kelak, beliau menjadi salah seorang panglima yang membuka ‘Zamrud Hijau Dunia’, Mesir. Bahkan menjadi gabenor di sana.
Firman Allah SWT:
“Dan bahawa manusia hanya akan memperoleh apa yang telah diusahakannya” (an-Najm :39)
Penutup: Kemahuan Mahu Berubah, Mintalah Dari Allah
Subhanallah, luarbiasa! Inilah kunci kejayaan yang sebenar. Kemahuan untuk berubah ada dalam diri kita. Kita yang belum menemui kuncinya. Kunci itu telah terpalit dengan dosa-dosa seharian kita. Kita memerlukan keberanian untuk menyelongkar diri kita agar menemui kemahuan yang tinggi untuk berubah menjadi lebih baik. Apabila kunci kemahuan itu Allah berikan, maka bersegeralah melakukan perubahan , penghijrahan dan anjakan paradigma tanpa pernah terlepas mengharap dari Pemilik Kekayaan, Allah SWT. Dari kemahuan mahu berubah, akan menjalarlah perasaan-perasaan positif seperti berani, keyakinan yang tinggi pada diri sendiri, bersungguh, tekad dan sebagainya mengiringi perjalanan kita untuk menuju perubahan yang lebih baik dan diredhai Allah SWT.
Memang kita tidak akan pernah tahu perubahan apa yang akan terjadi dalam 10 tahun ke depan, 100 tahun atau 1000 tahun mendatang. Tapi yang pasti, perubahan itu boleh jadi lebih baik atau malah menjadi petaka kepada kita tergantung pada kemahuan dan semangat kita untuk berubah saat ini. Saya secara peribadi berharap Allah selalu membimbing saya dan anda semua untuk sentiasa diberi kekuatan berani berubah, kemahuan mahu berubah, menjadi lebih baik dan lebih baik, insyaAllah. Kita perlu mengharap dan mengharap kepada Allah, kerana jalan perubahan tidak semudah yang kita sangkakan. Ibnul Jauzi ada berpesan, Jangan sesekali kau menganggap jalan (berubah diri kearah kebaikan) itu mudah. Jalan itu dipenuhi sesuatu yang kita benci, banyak halangan, dan penuh dengan duri-duri tajam yang membuatkan kita sakit.
Kata Kunci
Berani Berubah! Kalau kita mahu berubah untuk menjadi lebih baik di sisi Allah SWT. Allah akan mengurniakan kemahuan dari dalam diri kita untuk berupa dengan cara dan jalan-Nya.
Pemuda: Memoir Pahlawan Atas Kerusi Roda (1938 – 22 Mac 2004)
Kerusi rodanya yang hanya mampu bergerak di ruang yang terbatas,
Telah membuka di hadapanmu ufuk dan zaman yang luas,
Ia (kerusi roda) telah mengajar (manusia) erti perlawanan dan bukannya,
Seperti kerusi-kerusi lain (pemimpin yang tidak peduli) yang lari ketakutan,
Dia (Syeikh Ahmad Yassin) menikmati kelazatan sebuah kematian dan kebenarannya
Dalam perjuangan menjadi contoh dan ingatan…
Pahlawan di atas kerusi roda, Syeikh Ahmad Yasin atau nama penuhnya Ahmed Ismail Hassan Yassin dilahirkan pada tahun 1938 di sebuah kampung bernama al Jora, daerah Majdal dalam wilayah Asqalan. Beliau dibesarkan di sana sehingga tahun 1948. Semasa pendudukan regim Zionis Israel ke atas bumi Palestin, beliau dan keluarga dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.
Kemuliaan Adalah Dengan Bersama Islam
Beliau adalah seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dan amat disayangi oleh guru-guru semasa di sekolah. Beliau juga seorang ahli sukan yang aktif pada zaman sekolah. Pada zaman muda, beliau telah terjatuh semasa beriadah dan menyebabkan beliau lumpuh pada bahagian kakinya. Keadaan yang lumpuh itu tidak menghalang beliau meneruskan kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan kegiatan Islam. Pada tahun 1964, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Ain Shams di Kaherah, namun tidak berjaya meneruskan pengajiannya kerana telah dipenjara oleh pihak Berkuasa Mesir selama sebulan di atas penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dasyat lagi beliau telah dihantar pulang oleh pihak Berkuasa Mesir ke Gaza tanpa sempat menyelesaikan kuliahnya .
Ketika kembali ke Gaza, beliau tidak pernah berhenti dari meneruskan kegiatan dakwahnya. Beliau tetap aktif dengan menjadi tenaga pengajar Bahasa Arab dan juga khatib di Masjid Gaza. Khutbah-khutbah beliau telah berjaya membangkitkan semangat umat Islam Palestin untuk melawan pendudukan regim Zionis pada tahun 1967. Dalam suatu khutbahnya, Syeikh Ahmad Yasin pernah berkata:
“Umat ini tidak akan pernah memiliki kemuliaan dan meraih kemenangan kecuali dengan Islam. Tanpa Islam tidak pernah ada kemenangan. Kita selamanya akan selalu berada dalam kemunduran sampai ada sekelompok orang dari umat ini yang siap menerima panji kepimpinan yang berpegang teguh kepada Islam, baik sebagai cara hidup,sahsiah, pergerakan, pengetahuan, mahupun jihad. Inilah satu-satunya jalan. Pilih Allah atau binasa!
“Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala-bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan) mu, dan agar tenteram hatimu kerananya. Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(Al-Imran: 126)
Qudwah Umat
Syeikh Ahmad Yasin juga aktif dalam kegiatan kebajikan umat Palestin. Pada tahun 1973, beliau bersama sahabat-sahabatnya telah menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberi nama Mujamma Al-Islam yang bermaksud Akademi Islam. Melalui pertubuhan ini, beliau aktif membangunkan masjid-masjid, serta membina imam-iman dan para khatib muda untuk menjadi hujung tombak dalam perjuangan Palestin melawan pendudukan regim Israel. Pertubuhan ini juga aktif menyantuni golongan yang miskin di samping mengurus pendidikan anak-anak Palestin sehingga ke peringkat universiti. Beliau aktif mendidik dan membina generasi muda Palestin untuk berjihad melawan regim Zionis.
Syeikh Ahmad Yasin bukan sahaja dihormati dan dikagumi oleh umat Islam Palestin dan antarabangsa, bahkan juga amat dihormati oleh penganut agama lain. Suatu ketika ada seorang penganut Kristian di kota Ramallah bernama Bassam Hana Rabbah datang menemui Syeikh Ahmad Yasin untuk mengadukan permasalahannya kerana ada seseorang di Gaza melakukan penipuan terhadap dirinya. Syeikh Ahmad Yasin yang juga pimpinan Dewan Islah (perdamaian) dengan bijaksana mampu mendamaikan antara Bassam Hana Rabbah seorang Kristian dengan seseorang yang telah melakukan penipuan. Kata Hana Rabbah; “Beliau menguruskan permasalahan aku dengan benar dan serius, bahkan mampu bersikap adil terhadapku. Hak-hak aku pun telah dikembalikan untuk aku nikmati. Sebagai tanda terima kasih, sebahagian hartaku diberikan kepada Dewan Islah.”
Sebagai seorang kepimpinan Islam dan tokoh umat, kehidupan Syeikh Ahmad Yasin cukup bersederhana. Anak perempuannya, Mariyam Ahmad Yasin telah menceritakan tentang corak kehidupan ayahnya:
“Rumah ayah terdiri dari 3 bilik dengan jendela yang sudah rapuh. Rumah ini sangat sederhana sekali. Ini fakta bahawa ayahku tidak mencintai dunia, namun cintakan akhirat .Ramai yang menawari beliau untuk memiliki sebuah rumah besar seperti para kepimpinan negara yang lain, namun ditolaknya. Bahkan pernah suatu ketika, kerajaan Berkuasa Palestin memberikan sebuah rumah besar di suatu kampung mewah di Gaza, Namun tawaran itupun di tolaknya, dan ayah tidak peduli dengan perbagai bentuk tawaran kesenangan duniawi.
Rumah kami sangat sempit. Tidak ada lantai, dapurpun ala kadarnya. Jika musim dingin, kami kedinginan. Namun jika musim panas tiba, kami pun kepanasan. Ayah sama sekali tidak memikirkan untuk menambah besar rumahnya. Ayah justeru sibuk mempersiapkan rumah di akhiratnya. Walau apapun keadaan kami, Alhamdulillah, kami cukup sabar, kerana kami percaya, InsyaAllah, kami akan melihatnya lagi di syurga-Nya nanti. Untuk itulah kami juga sangat berharap beroleh mati syahid seperti beliau.”
Jihad Adalah Jalan Pilihan
Syeikh Ahmad Yasin amat sinonim dengan perjuangan jihad membebaskan tanah air Palestin dan bumi Al Aqsa. Memandangkan situasi Palestin saat itu berterusan dizalimi oleh Zionis Israel sehingga menuntut mereka untuk berjihad melawan penjajah, Syeikh Ahmad Yasin bersama sahabat-sahabatnya menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan al-Mujahidun al-Falastiniyun pada tahun 1982. Walaupun dirinya lumpuh, ianya tidak menjadi penghalang kepada beliau mendidik dan membina generasi pejuang Palestin bagi berhadapan dengan penjajah Zionis.
Pada tahun 1983, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh Mahkamah Tentera Israel selama 13 tahun atas dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan Zionis Israel. Namun pada tahun 1985, hasil daripada proses pertukaran tahanan di antara PLO dan regim Israel, beliau dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.
Pada tahun 1987, Syeikh Ahmad Yasin dan sahabat-sahabatnya telah menubuhkan Gerakan Pembebasan Islam yang dikenali sebagai HAMAS bagi memerdekakan Palestin dan Masjid Al Aqsa. Ruhul jihad yang telah ditanamkan oleh Syeikh Ahmad Yasin kepada generasi muda Palestin melalui proses tarbiyah yang tersusun, telah mencetuskan kebangkitan umat Palestin melawan penjajahan Zionis Israel. Pada Disember 1987, gerakan massa yang dipelopori anak muda Palestin telah mencetuskan gerakan Intifadhah yang bermodalkan batu melawan tentera regim Israel yang lengkap dengan senjata canggih.
Usaha untuk memenjarakan Syeikh Ahmad Yasin oleh regim Zionis Israel tidak pernah padam untuk menghentikan usaha jihad beliau dan HAMAS. Pada 19 Mei 1989, beliau telah ditangkap oleh pasukan rahsia Israel. Kemudian pada 16 Oktober 1991, Syeikh Ahmad Yasin dijatuhi hukuman penjara seumur hidup ditambah 15 belas tahun lagi oleh Mahkamah Tentera Israel. 1 Oktober 1997, beliau dibebaskan dari penjara Israel akibat tekanan dan ketakutan regim Israel dengan penentangan yang semakin kuat dari HAMAS dan masyarakat antarabangsa. Pada 6 September 2003, sebuah helikopter Apache milik tentera regim Zionis membedil dan merobohkan rumah beliau. Namun beliau telah terselamat dan mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Namun pada Subuh 22 Mac 2004, tentera Israel sekali lagi melancarkan serangan ke atas beliau. Semasa dalam perjalanan pulang dari masjid selepas solat Subuh berjamaah, tiga buah roket dilancarkan ke atas beliau yang lumpuh itu dan mengorbankan Syeikh Ahmad Yasin serta empat yang lain, termasuk anaknya sendiri, Abdul Ghani.
Bintang Itu Tetap Menyinar
Syeikh Ahmad Yasin telah meninggalkan medan perjuangannya. Namun ketiadaan beliau tidak menghentikan semangat dan perjuangan para pewarisnya di bumi Palestin. Menurut Syeikh Saud Abu Mahfuz, Ketua Jawatankuasa Gabungan Antarabangsa Untuk Al Aqsa, melalui proses tarbiyah dan ruh Al-Quran yang dibangkitkan oleh Syeikh Ahmad Yassin sejak 50 tahun yang lalu, kini Gaza adalah kota Islam yang terbanyak melahirkan ribuan para penghafal Quran.
Menurutnya, tidak kurang ada 60,000 hafiz al-Quran di Jalur Gaza. Selain itu, bandar Gaza yang terus dikepung oleh regim Israel dengan dukungan Barat ini juga menjadi bandar terkecil dengan jumlah masjid yang terbanyak di Timur Tengah. Menariknya, kini hampir 100% wanita Muslimah di Gaza telah berjilbab. Semua ini terjadi, ujar Syeikh Saud, kerana berjalannya proses tarbiyah berpaksikan al-Quran.
As syahid Syeikh Ahmad Yasin, pergimu meninggalkan kesan buat kami yang masih berbaki lagi. Mampukah kami meneladani kehidupanmu? Dr. Asy-Syahid Abdul Aziz ar-Rantisi, anak didik kepada Syeikh Ahmad Yasin mengatakan, Syeikh Ahmad Yasin adalah simbol Islam yang besar ketika hidup. Dengan gugurnya beliau, ia menjadi guru unik dan paling menonjol dalam sejarah umat yang besar. Tidak ada sejarah seperti yang diukir Syeikh Yasin, dimana pemimpin yang lemah (dari segi fizikal) mampu mengubah menjadi kekuatan. Ia adalah pemimpin yang tidak pernah percaya dengan kelemahan mutlak seharipun bagi manusia atau dengan kekuatan mutlak selama ia masih bernama makhluk”.
Berani, optimis, dan berjihad, sikap inilah yang telah diajarkan oleh beliau kepada kita. Naluri kepahlawanan itulah yang dimiliki oleh beliau dan ingin diwariskan kepada kita. Sesungguhnya pekerjaan-pekerjaan besar dalam sejarah ini hanya dapat diselesaikan oleh mereka yang memiliki naluri kepahlawanan sejati berpaksikan keimanan kepada Allah. Tentangan-tentangan dan cabaran besar dalam sejarah hanya dapat dijawab oleh mereka yang memiliki jiwa kepahlawanan yang cintakan akhirat dan syurga Allah SWT semata. Dan Syeikh Ahmad Yasin telah mencontohkan kepada kita, bahawa semangat perjuangan dan kepahlawanan kan tetap bergelora meskipun keterbatasan melanda diri.
“Diantara orang-orang beriman itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka diantara mereka ada yang gugur dan diantara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu (sampai saat kemenangan), dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya.” (Al-Ahzab: 23)
Pesanan as Syahid
Akhir bicara sempena memperingati perjuangan Syeikh Ahmad Yasin, dilampirkan pesanan beliau buat tatapan kita bersama, semoga memberi inspirasi ruhiyah buat para pemuda pemudi Islam yang cintakan perjuangan al haq;
Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada Allah SWT, meninggalkan pelbagai sorak kehidupan dan menyingkirkannya ke tepi jalan. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh berjamaah, saatnya kalian menghiasi diri dengan akhlak mulia, mengamalkan kandungan Al Qur’an, serta meneladani Muhammad SAW.
Aku mengajak kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat waktu. Lebih dari itu, aku mengajak kalian, wahai anak-anakku, untuk mendekatkan diri kepada Nabi kalian yang agung.
Wahai para pemuda, aku ingin kalian mengenal dan menyedari makna tanggungjawab, tetap utuh menghadapi kesulitan hidup, meninggalkan keluh kesah, menghadap kepada Allah SWT, banyak meminta ampunan kepada-Nya agar Dia memberi rezeki kepada kalian, menghormati yang tua dan menyayangi yang muda. Aku ingin kalian tidak terlena oleh saluran-saluran lagu audio visual, melupakan kata-kata yang membisikan cinta nafsu, serta menggantinya dengan kata amal, kerja, dan zikir kepada Allah. Wahai anak-anakku, kuharap kalian tidak sibuk dengan muzik dan terjerumus ke dalam arus syahwat.
Wahai puteriku, aku ingin kalian berjanji kepada Allah mempergunakan hijab secara benar. Aku meminta kalian berjanji kepada Allah peduli dengan agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian. Haram hukumnya bagi kalian membuatkan mata para pemuda menjadi kendur dan surut tatkala melihat aksi kalian.
Kepada semuanya, aku ingin kalian bersiap-siap menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dalam beberapa saat hidup tanpa elektrik dan tanpa kebergantungan dengan kemudahan elektronik. Latihlah diri kalian agar dalam sementara waktu merasakan kehidupan yang keras. Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. Carilah sebab-sebabnya dan tawakallah kepada Allah.”
March 22, 2013
Kehidupan: Ambil lah sedikit masa.
Picture by UmarMita of LangitIlahi
Hidup ini sibuk bukan? Kadang-kadang, kepala kita penuh dengan pelbagai permasalahan yang menyumbat. Masalah diri, masalah keluarga, masalah kerja, masalah rakan-rakan. Segalanya menjadi mehnah dan tribulasi dalam kehidupan.
Sebagai manusia biasa, pasti ada suara di dalam hati kita yang inginkan kerehatan dari kemasyghulan dunia ini. Aku nak rehat! Mungkin itu jeritan jiwa kita.
Boleh kah kita berehat dari kehidupan?
Mungkin anda kata, mustahil. Kemungkinan anda melihat, kematian adalah satu-satunya cara untuk kita berhenti dari menjalani kehidupan.
Tapi pada saya, rehat dari kehidupan ketika kita masih hidup adalah tidak mustahil.
Marilah, kita ambil sedikit masa untuk berehat dari kehidupan kita.
Duduk, Beriman Sebentar.
Mu’az bin Jabal RA pernah menyebut:
“ Marilah kita duduk untuk beriman sebentar”
Kata-katanya pada awal itu, dilihat pelik oleh para sahabat yang lain. Namun akhirnya, semua memahami bicaranya.
Manusia itu terlalu sibuk dengan kehidupannya. Hal itu lah, hal ini lah, sehingga dia terlupa untuk mengecas bateri keimanannya kepada Allah SWT, sehingga dia terlupa untuk bermuhasabah akan kehidupannya, akan ketaatannya, akan pengabdiannya kepada Allah SWT.
“ Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” Surah Asy-Syams ayat 7-10
Maka, dalam kesibukan urusan kehidupan insan itulah, Mu’az bin Jabal RA menyarankan kita untuk duduk walaupun sebentar, untuk kita memperbaharui, memperkuatkan, mengecas kembali keimanan kita.
Siapakah Yang Mewujudkan Ruang Ini Buat Dirinya?
Maka persoalannya, siapakah yang memberi ruang dalam hidupnya untuk dia mengecas keimanannya?
Bapa saya pernah bercerita berkenaan seorang pemotong pokok. Pemotong pokok itu mempunyai sebatang kapak yang tajam. Lalu dia keluar mencari kerja dengan kapaknya itu. Dia bertemu dengan seorang pemilik hutan, yang ingin menggaji seorang pekerja untuk memotong pokok di dalam hutannya itu. Maka, Si Pemotong Pokok meminta pekerjaan itu.
Hari pertama, dia berjaya memotong 20 batang pokok. Pemilik hutan itu kagum dan Si Pemotong Kayu meminta untuk dia melakukan lagi kerjanya esok. Pemilik hutan mengalu-alukan.
Hari kedua, Si Pemotong Pokok hanya mampu memotong 17 batang pokok. Prestasinya menurun. Dia kehairanan. Kenapa? Lalu dia memberi alasan kemungkinan dia tidak memberikan yang terbaik dalam pekerjaannya hari ini. Lantas dia meminta kepada pemilik hutan untuk datang lagi esok, dan dia berjanji dia akan bersungguh-sungguh.
Hari ketiga, Si Pemotong Pokok bekerja dengan bersungguh-sungguh. Dia menghayun kapaknya kuat-kuat dan laju. Namun, pada penghujung hari itu, dia hanya berjaya menumbangkan 10 batang pokok. Dia amat terkejut. Lebih rendah dari semalam. Semakin hari semakin buruk. Si Pemotong Pokok meminta maaf kepada Pemilik Hutan. Dia berjanji, esok dia akan memperbaiki prestasinya.
Hari keempat, Si Pemotong Pokok bekerja dengan lebih kuat. Dia mencurahkan seluruh tenaganya. Namun, kerjanya semakin perlahan. Untuk menumbangkan sebatang pokok, memakan masa berjam-jam. Akhirnya, di penghujung hari, dia hanya mampu menumbangkan 5 batang pokok sahaja. Dia sedih, dan kehairanan kenapa prestasinya jatuh teruk sedemikian, walaupun dia berusaha kuat. Dia mengadu akan kelemahannya kepada pemilik hutan.
Pemilik hutan tersenyum. Lalu dia berkata:
“ Kamu terlupa, mengambil waktu rehat, untuk mengasah kapak kamu dengan baik.”
Penutup: Wujudkan Ruang Itu. Cas Keimanan Dirimu.
Ya. Ada waktu, selepas mengharungi pelbagai masalah, mehnah dan tribulasi, kerja dan tugasan, dalam kehidupan yang kita tidak tahu bila penghujungnya hendak menjengah, kita akan rasa keletihan dan kepenatan. Kadangkala kita tersungkur pula di tengah perjalanan.
Hal ini kerana, kita lupa mengambil sedikit masa, berehat untuk mengecas keimanan kita, muhasabah kehidupan kita, hubungan kita dengan Allah SWT. Kita terlupa untuk memperbaiki hubungan kita dengan Akkah, walaupun Allah tidak pernah meninggalkan kita.
“ (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik)” Surah Ad-Dhuha ayat 3
Ambil lah sebentar masa rehat, duduklah berseorangan atau bersama teman, dan bermuhasabahlah akan perjalanan hidup, kondisi hati, dan hubungan kita dengan Allah SWT.
Sematkan azam baru, nyalakan semangat baru, dan suntiklah cita-cita segar untuk perjalanan seterusnya. Dalam setiap perhentian, kerehatan kita itu, kita perbaiki dan pertingkatkan keadaan diri. InsyaAllah, prestasi kita akan tertingkat, semakin tertingkat dan akan terus meningkat.
Mari Menjadi Hamba!
March 21, 2013
Pemuda : Pencemar Dan Pengotor Di Jalan Juang, Bersihkanlah !
Perjuangan adalah jalan yang mahal harganya. Jangan cemarinya.
~ Picture by Umar Mita
Ramai anak muda hari ini yang begitu bersemangat untuk memperjuangkan Islam, tidak kiralah sama ada yang berada di zaman kampus ataupun zaman bekerja.
Diajak pergi usrah, datang. Kadangkala kedengaran ada kisah yang sampai-sampai memanjat pagar universiti semata-mata untuk hadir usrah. Itu mungkin cerita versi dahulu. Versi sekarang, mungkin sudah lain ceritanya.
Diajak datang ke ceramah politik, datang meskipun sudah lewat malam ceramahnya.
Diajak untuk menganjurkan program, begitu bersemangat sekali melibatkan diri.
Dikeluarkan qarar untuk turun berdemontrasi ramai-ramai, begitu bersungguh reaksinya.
Itulah anak muda. Zaman darah masih basah dan tenaga masih penuh kudrat untuk sebuah perjuangan. Zaman yang sangat signifikan untuk sebuah perubahan dan pembaharuan.
Namun, menjadi anak muda yang berjuang tidak cukup hanya sekadar itu.
Memang benar, sekurang-kurangnya berjuang itu lebih baik daripada duduk saja memikirkan hal sendiri dan terjebak pula dalam gejala yang rosak.
Tetapi bagi anak muda yang berjuang, ia perlukan lebih daripada hanya sekadar sebuah semangat. Kerana semangat kosong semata-mata tanpa dilatari oleh ilmu dan akhlak akan menjadi penghalang terbesar kepada kejayaan masa depan perjuangannya.
Di persimpangan jalan perjuangan, seringkali semangat semata-mata akan menyesarkan kita jauh dari jalan yang benar.
Semangat yang dilatari kejahilan, dilatari keburukan akhlak akan merosakkan makna dan hadaf (tujuan) perjuangan.
Kejahilan Dan Kemalasan Diri Untuk Belajar
Saya teringat apa yang disebutkan oleh Dato’ Dr Siddiq Fadhil dalam satu muktamar ABIM, katanya :
“Orang-orang muda kita ini dari semangatnya tidak kurang sekali, tetapi ilmunya itu yang dangkal.”
Ini adalah fitnah paling besar bagi anak muda yang berada di atas jalan perjuangan.
Perjuangannya dilatari oleh ilmu yang sangat cetek dan pengalaman yang sangat singkat, tetapi dia malas pula untuk mahu belajar daripada orang lain, malas pula untuk membaca daripada bahan-bahan yang pelbagai sumber di era perubahan zamannya, malas pula mahu mendengar dan menerima idea orang lain.
Ini akan menimbulkan masalah yang serius terhadap asas cara fikirnya dalam menggerakkan perjuangannya.
Malas membaca adalah penyakit kronik dalam pemuda yang mengaku dirinya terlibat dalam perjuangan, terlibat dalam usaha dakwah dan islah untuk mengubah masyarakat. Para pejuang yang malas membaca, pada asas apakah dia mahu letakkan titik perjuangannya?
Adakah ilmu itu hanya sekadar melalui ceramah-ceramah dalam usrah atau liqo’nya sahaja ? Ataupun melalui penyampaian murabbi perjuangannnya semata-mata? Adakah itu cukup untuk menampung keperluan perubahan era baru sekarang ini?
Ini amat bermasalah. ‘Leaders are readers’ ya akhi.
Kalau kita dakwa kita sedang berjuang, kita perlu rajin membaca. Setiap hari dalam hidup kita mesti ada masa yang kita luangkan untuk membaca bahan-bahan ilmu untuk menambah kefahaman dan keluasan cara fikir kita. Tidak cukup sekadar scroll up Facebook untuk baca update status orang yang kadangkala entah mana datang sumbernya, entah betul ke tidak, tetapi yang lebih menjadi keperluan adalah membaca bahan bacaan dari sumber yang diyakini seperti buku-buku, artikel-artikel ilmiah dan kajian-kajian.
Facebook-facebook juga. Tetapi berjam-jam di depan Facebook scroll atas bawah tunggu update status orang, layan chat seorang dua orang sahaja, ada baiknya kita luangkan masa itu membaca bahan bacaan yang berfaedah. Jangan bazirkan masa kita.
Malas membaca, tetapi masih ada perasaan untuk belajar daripada orang lain masih baik lagi. Ada pula yang sudahlah kurang bahan bacaannya, kemudian malas dan sombong pula mahu belajar daripada guru-guru yang alim, malas mahu mendengar dan menerima idea orang lain. Dia hanya tersekat dengan cara fikirnya saja yang terbina atas asas yang tidak kukuh kerana kejahilan serta kemalasan dan kesombongan untuk belajar.
Sikap buruk ini hanya akan mengotorkan saja langkah perjuangan apalagi jika perjuangan itu menjaja nama Islam bersamanya.
Dari aspek yang lain, kadangkala, corak perjuangan sesuatu kumpulan itu terikut-ikut rentak zaman 80-90 an kerana hanya membaca buku-buku sumber dari era perubahan di tahun itu semata-mata. Di zaman sekarang, zaman telah tersebarnya Revolusi Arab Spring ke banyak negara Arab, zaman di mana orang-orang yang dahulunya selalu ditindas hari ini telah naik menjadi pemimpin, zaman yang maklumat itu tidak boleh disekat melalui satu saluran lagi, zaman keterbukaan dan menyeru kepada bukti serta hujah, maka membaca buku-buku ulama’ yang terlibat dengan kebangkitan dan perubahan era 80-90 an sahaja tidak akan pernah cukup.
Kita perlu luaskan sumber bacaan dan perlu berani untuk baca lebih banyak dan lebih luas dari kebiasaan bahan bacaan kita sekarang.
Kita perlu berani untuk lebarkan fokus bacaan kita dari hanya memberi tumpuan pada satu aliran ulama’ atau imam (yang memang pernah terlibat dalam menggerakan perubahan rakyat) saja. Biar fikiran kita itu terbuka dan sederhana serta tidak jumud pada satu aliran saja. Barangkali aliran ulama’ atau imam yang kita pilih sebagai model kita dalam mendukung perjuangan ini pernah berjaya di tempatnya atau di masanya, tetapi tidak semestinya semua pendapat atau apa yang telah dilakukan oleh imam itu mesti kita ikuti bulat-bulat dan apa yang sesuai dilakukannya di tempat dan zamannya, barangkali ada sebahagiannya menjadi kurang relevan lagi di zaman dan tempat kita hari ini.
Sebab itu pentingnya luaskan bacaan.
Seruan memulakan perjuangan Nabi s.a.w. pun dimulakan dengan seruan membaca. Itu asas mana-mana perjuangan.
Sebab itu, pemerintah yang zalim selalu mahu menutup pintu kecerdikan rakyat, melakukan proses pembodohan ke atas rakyat, supaya rakyat tidak bangun dan berjuang menentangnya. Kerana bila rakyat sudah mula membaca, mendapat maklumat yang banyak, tahu banyak perkara, maka mudah sekali untuk pemerintah yang zalim ditumbangkan oleh rakyatnya.
Kita dan anda wahai para pejuang Islam, malulah untuk mengatakan anda sedang memperjuangkan Islam kalau ada satu hari pun dalam hidup anda berlalu tanpa pernah luangkan masa untuk membaca.
Fitnah Adab Dan Akhlak
Fitnah adab dan akhlak adalah antara masalah yang dominasi dalam mendokong perjuangan menegakkan kebenaran. Kadangkala, salah faham tentang adab dan akhlak akhirnya akan menyebabkan kedua-duanya itu menjadi modal untuk seorang pejuang menyelamatkan kesilapannya di atas jalan perjuangannya.
Akhirnya adab dan akhlak tidak benar-benar berada pada tempatnya, tetapi digunapakai setelah kebenaran tidak menyebelahi kita.
Seringkali, bila semangat semata-mata yang memandu perjuangan tanpa bekal ilmu yang benar, maka kegelinciran akhlak tidak dapat dielakkan akan berlaku. Ada beberapa fitnah adab dan akhlak yang sering berlaku dalam kalangan mereka yang berjuang untuk Islam di negara kita :
1) Tindakan yang melampau-lampau dan berlebihan
Sesetengah orang mendakwa sedang memperjuangkan kebenaran tetapi seringkali tindakan mereka melampau-lampau sampai menimbulkan kebencian dan persengketaan.
Contoh yang paling mudah sekali dalam isu penggunaan kalimah Allah dahulu.
Saya tidak ingin sentuh tentang penggunaan kalimah Allah itu. Tetapi saya ingin sentuh respon seorang Presiden sebuah NGO Melayu Islam yang ingin membakar semua Bible sebagai tanda protes terhadap permintaan orang-orang Kristian dalam isu itu. Dakwanya, dia mahu memperjuangkan Islam, mahu mempertahankan kesucian Islam, tetapi adakah dengan mengeluarkan kenyataan sebegitu akan menyebabkan Islam semakin terbela?
Saya fikir ini adalah tindakan yang berlebihan dan melampau. Tidak perlu membalas sesuatu yang kita tidak bersetuju dalam perkara itu dengan tindakan yang tidak baik. Ia nanti bukan sahaja menimbulkan perpecahan, bahkan tidak membawa kepada penyelesaian masalah pun. Barangkali masalah menjadi lebih teruk.
Berhati-hatilah dengan tindakan kita. Jangan sampai semangat kita membuatkan tindakan kita itu sampai terkeluar dari garis adab dan akhlak serta perkara yang harus dalam Islam.
2) Kata-kata kesat dan lucah
Masalah ini adalah masalah yang amat biasa berlaku dalam masyarakat kita. Tambah-tambah di era dunia tanpa sempadan yang telah berkembang jauh ini, maka komen ikut sedap mulut itu memang perkara yang sangat sukar untuk dihalang.
Bila manusia tidak letak asas berbincang atau komen itu atas asas iman, maka keluarlah kata-kata yang buruk, kesat dan lucah. Bahkan, tempias ini turut terkena pada Adam Corrie yang baru masuk Islam. Orang Melayu Islam sendiri pula yang melakukan hal ini. Menuduh dan memburukkan orang sesuka hati.
Begitu juga kata-kata yang tidak selayaknya dan tidak perlu dalam perbincangan kita ataupun yang bukanlah sebahagian daripada isi perbincangan kita, tahanlah nafsu kita untuk mengeluarkannya kerana kata-kata sebegitu hanya merosakkan hubungan dan tidak semakin menyelesaikan masalah pun.
3) Tidak tabayyun (siasat) dalam masalah
Antara masalah orang yang terlibat dalam perjuangan juga adalah mudah membuat kesimpulan akhir terhadap seseorang tanpa mendengar, menilai dan berjumpa sendiri dengan orang itu.
Contoh mudah adalah dalam isu Amanat Haji Hadi. Pada tahun berapa ucapan itu disampaikan, bagaimana situasi zaman ketika ucapan itu disampaikan, siapa yang meletakkan perkara itu sebagai satu ‘Amanat’, siapa yang heboh-heboh dahulu masalah ini. Itu adalah antara perkara-perkara penting perlu dikaji sebelum sampai kepada kesimpulan akhir.
Ada NGO Melayu yang masih setahun jagung baru umurnya terus saja memberikan arahan kepada Tuan Guru Haji Hadi Awang supaya segera menarik balik amanat itu kerana dikatakan telah menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan Melayu. Padahal, mereka sendiri tidak berada di situ pada zaman ucapan itu disampaikan apalagi dapat faham situasi zaman itu. Kemudian dengan mudah membuat kesimpulan akhir melalui media mereka agar TG Haji Hadi menarik semula amanat itu.
Ini adalah satu contoh.
Masalah ini masalah yang besar. Berapa ramai orang yang telah keluar meninggalkan perjuangan bersama kumpulan-kumpulan Islam ini kerana perjuangan yang kononnya didakwa sebagai perjuangan Islam yang sebenar dan syumul ini, tetapi dengan mudah mencantas sesetengah ahlinya sendiri yang didakwa seolah-olah membawa fikrah baru yang tidak sama dalam jemaah bila mereka berbeza dengan hanya mendengar khabar-khabar angin daripada orang tanpa pergi berjumpa dan berbincang betul-betul dengan ahlinya itu.
Tidak tabayyun itu saja sudah tidak melambangkan Islam. Dalam persaudaraan, sikap tabayyun amat penting. Bila kita mendengar sesuatu yang tidak baik terhadap saudara kita, pergilah bertemu dengannya, bersemuka dan berbincang dengan baik. Jangan hanya tahu memberikan arahan atau hukuman sebelum kita benar-benar faham akan masalah sebenar dan orang yang terlibat dalam masalah itu.
4) Sombong ‘tarbawi’
Sifat sombong ini kadangkala menyerap dalam diri orang yang mengaku dirinya membawa perjuangan Islam. Walaupun didikan membersihkan hati dari kesombongan selalu dimainkan dalam tazkirah-tazkirah serta usrah, tetapi tanpa sedar ia menjangkiti juga sesetengah orang.
Tetapi sombongnya ini bukan bernada biasa, tetapi bernada Islamik kerana orang-orangnya ada yang terlibat dengan usrah, terlibat dengan dakwah tarbiyah.
Bila beri tazkirah, ayat biasa yang selalu akan disebut, “Tegurlah saya. Saya bersedia untuk ditegur kalau salah.”
Tetapi bila teguran diberikan kepadanya, ia bersikap defensif pula mempertahankan tindakannya. Seolah-olah tindakannya itu tidak salah dan tidak pernah ada salah.
Bila dia memberikan teguran kepada orang, dia mahu orang menerima teguran dia. Tetapi bila dia ditegur, dia meminta orang berlapang dada pula terhadap dirinya.
Bila mereka memberikan teguran kepada orang lain, tidak mengapa melalui media saja. Tak bersemuka dan tidak berbincang baik-baik pun tidak mengapa. Tetapi bila orang memberikan teguran terhadap sikap mereka, mereka minta datang ke pejabat mereka pula untuk selesaikan. Kata mereka, bincang belakang-belakang ini bukan sikap kita.
Keliru. Sekejap kata begitu, sekejap kata begini.
Antara kesombongan orang yang mendakwa dirinya sedang memperjuangkan Islam juga adalah tidak mahu belajar atau menerima teguran daripada orang yang mengkritik mereka. Bila diberikan teguran, dibalas semula, “Ini arahan kepimpinan.”, “Nta ni tak faham lagi ni.”, “Jangan nak ajar saya !”.
5) Sabar Yang Bukan Tempatnya
Sesetengah orang tersilap meletakkan makna sabar pada perjuangannya. Bila ditegur tentang kesilapannya, kegelincirannya dalam mendokong perjuangan Islam, terus disangkanya orang mahu menentangnya.
Kesimpulan mudah akhirnya dibuat, orang yang menentangnya adalah orang yang menentang Islam.
Dengan itu, apa saja perbezaan yang datang dari luar kumpulan selain kumpulannya seperti dikritik cara berpolitik, ditegur idea perjuangan, ditegur tentang sikap, maka baginya itu adalah ujian Allah untuk melatih kesabaran dirinya.
Bila dikritik, mulalah timbul jargon-jargon manis untuk tetap mahu bersangka baik dengan kebobrokan idea sendiri serta mahu terus bertahan dengan idea itu.
‘Bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama kita. Ini sebahagian daripada ujian dakwah untuk kita.’
‘Inilah lumrah orang yang berdakwah. Akan sentiasa diuji.’
Seakan-akan orang Islam selain mereka itu yang telah mengkritik atau menegur tindakan mereka yang salah pada beberapa sudut itu, Allah tidak bersama mereka (orang Islam yang lain itu) dan kritikan mereka itu sentiasa salah kerana mereka tidak berada bersama pihak kita.
Kalau mereka berada bersama pihak kita atau kumpulan kita, barulah itu yang dikatakan kebenaran. Kalau mereka di pihak lain, mereka tetap tidak benar walau sebenar dan seramai mana sekalipun yang menyokong teguran mereka itu. Adakah begitu cara fikir kita?
Kalau begitu cara fikir kita, kita memang akan bermasalah besar dalam mendukung perjuangan Islam.
Penutup : Ini Jalan Perjuangan Kita, Bersihkanlah Ia !
Perjuangan mendukung Islam di dalam masyarakat hari ini tidaklah mudah. Ia tidak dibentangkan dengan karpet merah apalagi disediakan bekas-bekas anggur dan buah-buahan untuk dijamu dan disuap masuk ke dalam mulut, tetapi ia adalah jalan yang sentiasa penuh onak dan duri.
Untuk menempuh jalan penuh onak dan duri ini, tidak wajar semangat saja yang memanduinya. Semangat semata-mata akan membuatkan ia selalu tersasar dan mudah sekali terluka kerana terpijak duri-duri di jalanan.
Ia perlu dipandu oleh ilmu yang benar serta akhlak dan adab yang diajar oleh Islam, bukan yang ditentukan oleh kita.
Janganlah malas untuk menuntut ilmu, wahai kader-kader perjuangan. Rajinkan diri untuk menerima ilmu biar daripada siapa pun pihak itu. Jangan hanya seronok mendengar daripada syuyukh sendiri sahaja. Belajar menjadi lebih terbuka dan sederhana dengan menerima pandangan-pandangan daripada orang lain juga.
“Kebenaran itu tidak dikenali dengan siapa pendukungnya, tetapi kenallah apa itu kebenaran, nescaya kamu akan mengenali pendukungnya.” [Saidina Ali b. Abi Talib, Tsaqafatuna Bainal Infitah Wal Inghilak Dr Yusuf Al-Qaradawi]
Bersihkan jalan perjuangan kita agar tidak menjadi fitnah besar untuk perjuangan ini.
Jangan sampai sikap jumud, sempit dan malas kita dalam menuntut ilmu serta kefahaman menyebabkan perjuangan ini lambat bergerak dan berkembang ke hadapan. Jangan sampai rosaknya adab dan akhlak kita merosakkan makna perjuangan ini.
Ini jalan perjuangan kita, bersihkanlah ia !
March 20, 2013
Umum: Jemputan Saya kepada Para Muslimah

Photo by Umar Mita
Dialog Rekaan
Insan A: Apa pendapat anda tentang Muslimah yang ber-vlog?
Insan B: Bagus! Saya galakkan. Kita perlukan lebih ramai Muslimah yang tampil ke hadapan membawa mesej Islam.
Insan A: Tapi, bukankah itu membuka pintu fitnah?
Insan B: Pintu fitnah?
Insan A: Ye la. Ramai lelaki yang akan usha-usha dia and dengar suara dia.
Insan B: Oh, ok. Muslimah tu jaga batas-batas Islam tak?
Insan A: Yes.
Insan B: Dah tu, fitnah apa kebendanya?
Insan A: Ye la. Orang lelaki masih lagi dok gatal-gatal tengok video dia. Bukannya nak dengar mesej yang dia sampaikan.
Insan B: In that case, pencetus fitnah bukanlah si Muslimah tetapi si lelaki gatal tu! Bukan ke Allah arahkan perempuan DAN lelaki untuk jaga kesopanan diri? Other than that, kalau ada perempuan yang dok saja-saja gatal tengok vlog seorang lelaki, bukannya nak dengar mesejnya, bukankah itu juga salah?
Saya post dialog rekaan seperti ini di Facebook page saya, dan saya dapati sambutan yang “hangat” dalam bahagian komen di bawahnya.
Ada yang sokong, ada yang tidak sokong.
Which is fine, saya lihat pendapat daripada kedua-dua pihak sebagai valid. Saya takkan kata satu pihak salah dan satu pihak betul dalam hal ini. Whatever pendapat yang anda pegang, that’s fine by me.
Tetapi saya berpendapat jika ada Muslimah yang ingin tampil ke hadapan, maka hajatnya itu harus disokong dan tidak patut disekat.
As long as Muslimah tersebut menjaga batas-batas agama (syarat sama yang saya akan berikan kepada para Muslimin), contohnya batas-batas dalam aspek pemakaian dan percakapan.
Mengapa Tampil Ke Hadapan?
Saya ingin kemukakan 2 sebab mengapa saya sokong mana-mana Muslimah yang berhajat untuk tampil ke hadapan masyarakat untuk berkhidmat dan berdakwah.
Sebab 1: Masalah Wanita
Kebanyakan emel yang saya terima dalam inbox saya datang daripada para Muslimah. Ini bukanlah satu perkara yang membanggakan buat saya, tetapi ini satu perkara yang menyedihkan.
Mukadimah yang biasa saya baca dalam emel-emel ini ialah: “Saya tak tahu nak cakap dengan siapa.”
Sedih.
Sedih kerana individu-individu ini tiada tempat untuk berkongsi masalah.
Mungkin ramai yang akan jawab, “Allah kan ada?”
Ya betul, Allah itu sentiasa ada. At the end of the day, kepada Dialah kita mengadu. Tetapi itu tidak bermakna kita hadapi masalah berseorangan. Allah jadikan kita sebagai makhluk sosial. Kita perlukan sokongan, dorongan, dan bimbingan daripada individu-individu yang lain.
Nabi Muhammad, insan yang paling dekat dengan Allah, pun ada para Sahabat dan ahli-ahli keluarganya di sisi baginda.
Keadaan ini juga sedih kerana individu-individu Muslimah ini emel saya, seorang lelaki yang cetek pengetahuannya tentang cabaran-cabaran seorang Muslimah, untuk meminta pertolongan dan pendapat.
Of course, saya cuba sedaya upaya untuk membantu. Saya cuba untuk tidak bagi jawapan hitam putih. Saya cuba untuk consider context kehidupan seseorang sebelum memberikan jawapan.
Tetapi dalam hal ini, bagaimana ingin saya consider context kehidupan seorang Muslimah? Saya tidak dapat memahami sepenuhnya kondisi kehidupan seorang perempuan Muslim. I don’t walk in their shoes. Saya cuba sedaya upaya untuk tidak bias, tetapi persepsi saya akan diwarnai mostly by persepsi seorang lelaki.
Prinsip saya ialah leave female issues to women, because women understand women.
Itu tidak bermakna saya abandon terus isu-isu wanita. Itu bermakna saya percaya isu-isu wanita lebih baik jika diuruskan oleh wanita sendiri, kerana wanita memahami wanita. Masalah-masalah yang dikemukakan kepada saya daripada individu-individu Muslimah ini banyak yang berkenaan dengan emosi kewanitaan dan konflik-konflik kehidupan seorang wanita.
Assumption saya ialah, kalau dia mempunyai cara untuk contact seorang Muslimah yang bergiat sama seperti saya, sudah tentu dia akan mengambil option itu.
Logik saya ialah. buat apa tanya seorang lelaki tentang masalah wanita jika boleh tanya seorang wanita tentang masalah wanita?
Sebab 2: Topik Wanita ialah Topik Hangat
Kalau kita cakap pasal Islam dengan yang bukan Muslim, kemungkinan besar akan keluar isu wanita. Itulah realitinya.
Sebagai contoh, lebih kurang 2 tahun yang lalu, saya volunteer dalam satu program di universiti untuk raise awareness tentang Islam. Saya masih ingat satu ketika di mana seorang lelaki bukan Muslim datang kepada saya dan menghujani saya dengan pelbagai soalan. Kebanyakan soalan yang dikemukakan adalah mengenai wanita Muslim.
Dalam kepala saya, saya berfikir, “Kalau dia tanyakan soalan-soalan ni terus kepada wanita Muslim, itu kan lebih baik?”
Tanya saya tentang isu wanita adalah ibarat tanya saya tentang pregnancy – saya hanya boleh jawab berdasarkan ilmu, tetapi seorang Muslimah boleh jawab berdasarkan ilmu dan pengalaman.
Jemputan
Ini adalah satu jemputan, bukan satu paksaan. Sahutlah jemputan ini atas dasar pilihan, setelah berfikir panjang.
Saya menjemput para Muslimah di luar sana, terutamanya daripada kalangan youth, untuk tampil ke hadapan dan bergiat aktif dalam masyarakat. Saya menjemput anda untuk menyatakan kehadiran anda dan menyatakan availability anda untuk berkhidmat – berkhidmat untuk menolong mereka yang memerlukan ataupun sekurang-kurangnya offer sepasang telinga yang mendengar tanpa menghukum.
Dekatkan diri anda dengan masyarakat. Mudahkan perhubungan. Close the gaps.
Tampillah dalam apa jua medium – sebagai vlogger, blogger, speaker, ahli fekah, penulis novel, guru sekolah, dan sebagainya. Biar anda dekat dengan masyarakat dan masyarakat dekat dengan anda.
Syaratnya, anda ingat 3 perkara:
1. Berusaha untuk ikhlas. Jangan kejar populariti, kejarlah redha Ilahi.
2. Berusaha untuk jadi lebih baik dan lebih baik dan lebih baik…(sampailah ke kubur).
3. Berusaha untuk mentaati perintah Allah dan jauhi larangan-Nya.
Nasihat yang sama saya berikan kepada diri saya sendiri.
Muslimah-Muslimah Inspirasi
1. Yasmin Mogahed
2. Wardina Safiyyah
3. Aisyah Shakirah
4. Amal Ahmed Albaz
5. Fatimah Syarha
6. Adibah
7. Dena Bahrin
8. You?
Allahua’lam.
March 19, 2013
Poster: Small Deeds
“Sincerity can make small deeds GIGANTIC.” ~ Boona Mohammed
Native Deen – Small Deeds:
We pass on the deeds ’cause they seem all small
But they might be the deeds that are the best of them all
Mad when I see all the passes I took
On these small little deeds I just overlook
I just can’t believe
Small deeds that I overlook, can you see?
Little deeds that I overlook, and you read
Read about it in my Holy Book, it says:
Small deeds – never overlook.
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya), dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”
(Az-Zalzalah, 99 : 7–8)
Amal, sekalipun kecil, jika dilakukan dengan ikhlas maka nilainya sangat besar di sisi Allah Ta’ala.
(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih. Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah (menjadi) masam berkerut-kerut”. Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera. Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk.”
(Al-Insan, 76 : 9–13)
Ayuh menuju ’amal!
March 18, 2013
Motivasi : Nota Tarbiyah – Sulitnya Bangun Awal Sebelum Subuh
Menyingkap Cahaya Di Sebalik Kegelapan Subuh – Di sana ada sinar kekuatan bagi mukmin sejati!
“ Tidak ada kelazatan di dunia ini, kecuali pada tiga hal : (1) Qiamullail, (2) Bertemu dengan saudara-saudara seiman, (3) Solat berjemaah.”
Ibnu Munkadir
Sahabat pembaca, perasan atau sedar kah kita – kadang-kadang kita begitu sukar dan sulit untuk bangun awal di sepertiga malam? Mudah kata, payah sungguh untuk bangun dan terjaga dari tidur sebelum azan Subuh dilaungkan dan dikumandangkan.
Walhal, ada saatnya kita begitu mudah bangkit daripada lamunan tidur yang nyenyak dan melenakan kita.
Selimut yang ringan itu, terasa begitu berat seperti besi yang mengeras.
Kepala sendiri bagaikan ditolak sesuatu yang memberatkan. Seolah-olah ada konkrit seberat 100 tan menghempas ke muka kita.- Ia melekat erat berbekas di wajah.
Mata yang terpejam itu, bagaikan di”gam” kan oleh gam cap gajah buatan tahi “mata” sendiri.
Pernah kah kita mengalami keadaan dan situasi sebegini?
Jika saya – sejujurnya, pernah bahkan sentiasa dan selalu. Hambatan, kekangan dan ujian untuk bangkit dan bangun daripada tidur adalah mujahadah dan perjuangan yang terbesar saya di awal pagi yang dingin dan hening itu!
Itulah yang saya alami. Saya mencari-cari apa sebabnya, apa puncanya dan kenapa boleh jadi sebegini ? Mungkin tidur lewat sangat kot. Tetapi tidak juga, kerana saya selalu tidur awal, sekitar jam 11.30 sehingga 12.00 tengah malam biasanya, saya sudah “kaku” di atas katil.
Tidur dengan tenang dan nyaman sekali.
Mencari Punca
Saya membelek-belek sebuah buku mencari sesuatu dalam kitab,Tazkiyah hasil tulisan Ustaz Cahyadi Takariawan dan Ghazali Mukri. Buku yang penuh dengan taujih untuk jiwa dan hati. Buku yang mereka rumuskan daripada sebuah kitab “ Al Bahrur Ra’iq fiz Zuhdi war Raqa’iq” karya Dr Ahmad Farid.
Perkongsian yang ingin saya petik dan kongsikan di sini ialah berkisar, – kenapa begitu sulit, payah dan sukarnya untuk kita gerakan diri untuk bangkit di awal pagi yang hening untuk mendirikan qiamullail dan melaksanakan munajat khusus kita dengan rabb kita.
Pernah suatu ketika, ada orang bertanya kepada Ibnu Mas’ud RA :
“ Kami tidak mampu dan boleh bangun malam.”
Jawab Ibnu Mas’ud :
“ Ini kerana, dirimu dijauhkan oleh dosa-dosamu.”
Kisah lainnya, ada orang berkata kepada tabiin yang soleh lagi warak iaitu Hassan al-Basri :
“ Saya tidak boleh bangun malam. Berikanlah aku penawarnya!,”
Kata Hassan al-Basri dengan tenang :
“ Janganlah kalian bermaksiat kepada Allah SWT di siang hari, nescaya Dia akan membangunkan kalian di hadapan-Nya di malam hari.”
At-Tsauri pernah berkata :
“ Saya terhalangi untuk melakukan qiamullail selama lima bulan kerana suatu dosa yang telah saya kerjakan.”
Apa yang boleh kita simpulkan? Apakah yang sebenarnya yang menjadi penghalang kita dalam usaha menghidupkan sunnah mengimarahkan malam bersama Allah SWT?
Jelas. Jawapannya ialah kerana hati kita kotor, hitam, jijik dan rosak. Ini semua lantaran dan asbabnya ialah dosa-dosa, maksiat-maksiat dan noda-noda yang kita buat berulang kali kepada Allah SWT!
Lantaran itu, antara nasihat yang berbekas dan menyentuh hati saya ialah :
“ Janganlah memperbanyakan dosa di siang hari, sebab perbuatan dosa akan menyebabkan hati keras dan terhalang untuk mendapat rahmat daripada Allah SWT.”
Jauh mengaudit diri, merenungi akan perjalanan waktu dan hari-hari yang telah berlalu. Persoalannya, bagaimana dengan kita semua? Terlalu, jauhkan kita daripada kasih sayang Allah SWT sehingga kita tidak terdetik dan tersedar langsung untuk berazam dan bertekad untuk menjadi ahli malam dan perindu syurga?
MasyaAllah, saya tersentuh lagi dengan kata-kata Ibnu Munkadir :
“ Tidak ada kelazatan di dunia ini, kecuali pada tiga hal iaitu qiamullail, bertemu dengan saudara-saudara seiman dan solat berjemaah.”
Penutup : Sejujurnya, kita bagaimana?
Bagaimana dengan kita? Soal untuk bangun awal pagi bukannya bergantung kepada kekuatan luaran dan fizikal kita semata-mata, tetapi ia bergantung kepada keadaan dan kekuatan dalaman kita iaitu kondisi hati kita. Bersihkan ia, jernihkan ia dan bagaimana hati ini hidup berhubungan dengan Rabb-Nya ? – Dan, inilah fokus kita apabila berbicara dengan soal kekuatan.
Kita maklumi,amalan bangun awal sebelum Subuh, adalah amalan para Rasul, para sahabat salafusoleh, para tabiin, para alim ulamak dan pejuang-pejuang agama Allah SWT daripada dahulu sehinggalah sekarang. Dah, ketahuilah ia menjadi kayu ukur kekuatan dan prasyarat untuk meraih bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT.
Jika kita, menyatakan kita adalah individu yang tegar dalam perjuangan deen, perjuangan agama dan perjuangan demi perjuangan – perhalusi hal-hal ini. Berwaspadalah, tentang hakikat kekuatan sebenar dalam perjuangan ini. Kuantiti, kualiti, angka, nombor dan sebagainya – harus diteliti sedalam-dalamnya dalam membicarakan tentang “akar” perjuangan. Ini kerana, sesebuah perjuangan akan rapuh jika tidak ditunjangi oleh akar kekuatan yang benar-benar utuh, kukuh dan mantap.
March 17, 2013
Fotografi: Ar-rijal
“Tak ada seorang nabi pun yang diutus Allah, melainkan ia dipilih di kalangan pemuda sahaja (yakni 30-40 tahun). Begitu pula tidak seorang ‘Alim pun yang diberi ilmu, melainkan ia (hanya) dari kalangan pemuda“. Kemudian Ibnu Abbas membaca firman Allah swt: “Mereka berkata: Kami dengan ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim”
(Al Anbiyaa:60, Tafsir Ibnu Katsir III/183).
(Exif: Canon EOS 7D | Sigma 70-200mm | f3.5 | 1/125s | ISO 100)
#Kredit to Zul Arifin ‘Tantawi’
#Jabal magnet, Madinah Al-Munawwarah, Saudi