Hilal Asyraf's Blog, page 119

February 22, 2013

Kehidupan: Bila Duka Menyapa, Bila Masalah Menimpa, Ketahuilah Bahawa…

[image error]


 


Bahawa apa?


Bahawa Dia, yakni Allah, sentiasa ada bersama kita. Bukan sahaja kala kita susah dan berduka sebenarnya. Tetapi juga kala kita senang dan bahagia. Kerana itu, mengingati Allah, menjaga hubungan dengan Allah, bukanlah kala kita susah dan gelisah semata-mata. Tetapi juga kala kita tenang dan gembira.


Allah SWT berfirman:


“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” Surah Al-Baqarah ayat 186.


Allah berfirman bahawa sesungguhnya Dia sentiasa hampir. Namun lihatlah ayat itu sepenuhnya. Dia memperkenankan permohonan orang yang sentiasa berdoa, dan Allah menyeru agar manusia mentaati seruanNya dan beriman kepadaNya agar kita sentiasa berada dalam kebaikan dan kebenaran.


Namun, apakah kita merupakan hambaNya yang sedemikian?



Siapa Yang Meninggalkan Siapa?


Allah SWT adalah yang tidak akan sesekali memungkiri janjiNya.


“(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.” Surah Ali-Imran ayat 8-9.


Maka kala Allah SWT telah berkata bahawa Dia hampir dengan kita, maka mustahil Dia akan menjauhkan diri bukan?


Justeru kala kita rasa kita ditinggalkan oleh Allah saat kita ditimpa musibah dan diuji, maka hakikatnya siapakah yang telah meninggalkan siapa?


Siapa yang bergerak menjauhi siapa?


Sebenarnya, kitalah yang menjauhi Allah SWT.


Muhasabah kembali kehidupan kita, mengapa kita hingga tidak kuat kala ujian datang, kala duka menyapa?


 


Siksaan Ke Atas Khubaib ibn Adi RA, dan Dugaan Ke Atas Kita


Khubaib ibn Adi RA adalah sahabat Rasulullah SAW yang syahid di tiang salib. Dia disiksa oleh Abu Jahal dan konco-konconya. Ada yang menyatakan bahawa dia dipanah, dan ada riwayat lain yang menyatakan badannya dikelar dan disiat kala dia masih hidup, sedikit demi sedikit, perlahan-lahan.


Kala dia disiksa penuh hebat dan berat itu, Abu Jahal bertanya kepadanya:


“Bagaimana Khubaib, jika tempatmu ini diganti dengan Muhammad, dan engkau duduk bersenang lenang bersama keluargamu?”


Khubaib tanpa teragak-agak, di tengah tubuhnya disiat-siat, berkata:


“Jikalah Rasulullah itu tercucuk duri sedang aku pula bersenang lenang dengan keluargaku, nescaya aku tidak akan merasa senang hati dan redha dengan perkara itu!”


Akibatnya, dia disiksa penuh kejam hingga mati.


Ya. Itu ujian ke atas Khubaib. Namun dia tabah, gigih, kala ujian seberat itu menimpanya. Kerana apa?


Kerana imannya teguh. Allah itu dirasa sentiasa hampir denganNya. Janji-janji Allah itu adalah kebenaran buatnya. Bukan sekadar di mulut, tetapi tersemat di hatinya, dan dibuktikan dengan tindakannya. Begitulah hebatnya kita, sekiranya kita memperkemaskan hubungan kita dengan Allah SWT.


Terasa hampirnya kita dengan Allah, hingga segala kesukaran dan ujian di atas muka bumi ini menjadi ringan buat kita.


 


Penutup: Perbaikilah Hubungan Dengan Allah.


Maka kita melihat semula kehidupan kita.


Bagaimana hubungan kita dengan Allah SWT. Bacaan Al-Quran kita. Solat kita. Zikir kita. Amal-amal kebaikan kita seperti solat sunat dan sedekah, serta amanah dan kejujuran, serta akhlak yang baik kepada insan lain. Lihatlah semula semua itu.


Itulah perkara-perkara yang akan memberikan kita kekuatan. Baik kala senang hingga kesenangan tidak merosakkan kita dengan riya’, takabbur, dan ujub. Baik kala kesusahan hingga kesusahan tidak memusnahkan kita dengan putus asa dan kecewa.


Bukanlah menjaga hubungan dengan Allah ini adalah dengan sentiasa memerapkan diri di Masjid. Bukan. Kita masih dianjurkan pergi bekerja seperti biasa, tetapi pastikan kerja kita syara’. Kita masih dianjurkan mencari rezeki. Tetapi pastikan rezeki kita dari sumber yang halal. Kita masih dianjurkan berhubungan dengan orang lain. Tetapi pastikan kita tidak zalim. Dan pastikan kala kita menjalani kehidupan kita ini, Allah tidak kita tinggalkan.


Barulah kala ujian datang melanda, duka datang menyapa, kita rasa kuat dan tabah untuk menghadapiNya.


Kerana Dia ada di sisi kita sentiasa, dan kita merasaiNya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 22, 2013 17:41

February 21, 2013

Kehidupan: Membina Sebuah Legasi.

[image error]


Sebahagian figure LangitIlahi. Dari kanan: Hilal Asyraf, Ameen Misran, Afdholul Rahman, Qawiem Khairi dan Al-fadhil Ustaz Uzair Izham(MUIZ)


 


Kita akan mati.


Bila kita mati, terputuslah amal. Tetapi bukan semua amal akan terputus. Ada tiga amal yang akan kekal memberikan sumbangan pahala kepada kita, dan memadamkan dosa-dosa kita.


Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda : “Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” Hadith Riwayat Muslim.


Dan bagi saya, manusia yang bijak adalah manusia yang mempersiapkan dirinya untuk menghadapi kematian. Dia mempunyai pandangan yang jauh, melangkaui pintu kematian itu sendiri. Melihat, selepas mati, ke mana dia mahu pergi. Pilihan ada dua. Syurga atau neraka. Manusia yang berpandangan jauh sebegini akan memilih. Dan semestinya pilihan ramai adalah syurga. Cuma persoalannya, apa tindakan kita untuk menggapai syurga?


Saya memilih untuk membina dan seterusnya meninggalkan sebuah legasi.


LangitIlahi adalah legasi saya.



Perniagaan Bohong Dan Air Liur.


Orang kata, menulis novel ini adalah satu kerja pembohongan.  Begitu juga orang kata, buat perniagaan motivasi itu hanyalah bisnes air liur yang memberikan harapan kosong, sekadar mengaut untung dari kekurangan orang.


Tetapi saya melihat, semua perkara boleh menjadi buruk, sekiranya salah niat dan caranya. Hatta membaca Al-Quran juga boleh menjadi perkara yang sia-sia, jika sekadar ingin menunjuk-nunjuk. Membaca Al-Quran juga boleh menjadi sebuah penipuan, jika dibaca untuk pembohongan(contoh jual air yasin agar budak jadi pandai dan sebagainya).


Namun jika matlamat kita jelas, dan niat kita bersih, maka menulis novel dan merangka bisnes motivasi bukanlah satu perkara yang hina dan sia-sia. Bahkan, ianya crucial, penting, dalam memberikan anjakan paradigma kepada masyarakat yang kini dilambakkan dengan hedonisme yang tidak terkawal, serta paling buruk – jauh daripada Allah SWT.


Maka tatkala Allah memberikan saya rezeki berjaya menulis novel dan dikenali, saya melihat itu bukan sekadar satu anugerah. Tetapi itu juga adalah sebuah tanggungjawab. Bukan untuk diseronok-seronokkan. Tetapi untuk digunakan agar ia tidak sekadar menjadi satu perkara yang penuh dengan kesia-siaan.


Justeru, saya membina Team LangitIlahi.


 


Pentingnya Berorganisasi.


“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” Surah Saff ayat 4.


“Sesungguhnya syaitan itu serigala kepada manusia seperti serigala kepada kambing yang menangkap mana-mana yang jauh dan terpencil. Maka jangan kamu memencilkan diri dan hendaklah kamu berjama’ah dan mencampuri urusan orang ramai seperti menghadiri masjid.” Hadits riwayat Ahmad bin Hanbal.


Legasi tidak akan terbina dengan seorang diri. Qudwah hasanah kita, Rasul SAW sendiri berorganisasi pergerakannya. Baginda tidak bergerak seorang diri, tetapi baginda bersama sahabat-sahabat baginda. Nama-nama besar seperti Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayubi, mereka bukannya membebaskan Konstantinopel dan Palestin seorang diri. Mereka bersama tentera, organisasi mereka.  Begitulah juga kita melihat Bill Gates, Steves Job, dan lain-lain nama besar dunia. Mereka tidak bergerak dengan sendirinya.


Perlu diingat, Saidina Ali RA pernah berkata: “Kebatilan yang bersistem akan menumbangkan kebenaran yang tidak bersistem.”


Sunnatullahnya, sesiapa yang lebih teratur, berstrategi, dan berusaha keras, dialah yang akan mendapat kemenangannya.


Maka Team LangitIlahi saya bina. Mencari seorang demi seorang rakan yang boleh dipercaya.  Membina kesefahaman dan memulakan kerja-kerja berkumpulan. Walaupun ada yang keluar dan meninggalkan, namun ada juga kemudian yang datang menghulurkan bantuan serta kepercayaan. Dan ada yang kekal bersama, semenjak pertama kali kesatuan terbina.


Mengapa membina Team LangitIlahi ini? Agar jika saya mati, perjuangan ini tidak mati bersama saya.


[image error]


Sebahagian jentera Team LangitIlahi, semasa mesyuarat sulung 2013


 


Ke Mana Hendak Dibawa?


Rakan-rakan yang bersama saya, ke mana hendak saya bawa?


Jawapannya: Ke Syurga.


Itu jangka panjang. Harapan saya agar mereka yang bersama saya mampu menjadi check and balance, memahami potensi saya dan meningkatkannya, mengenal pasti kekurangan saya dan memperbaikinya. Begitulah juga saya kepada mereka. Agar kami sama-sama dapat bergerak ke syurgaNya.


Jangka pendek, saya berhajat untuk membina ikon-ikon yang berwibawa untuk masyarakat mengambil mereka sebagai contoh tauladan. Mereka yang bersama saya inilah, perlahan-lahan, dari arah yang mampu saya usahakan, dan dari sikap serta disiplin mereka sendiri, yang akan menjadi ikon berwibawa buat masyarakat  sedikit masa nanti.


Kini LangitIlahi bukan sahaja menampilkan saya seorang, tetapi mempunyai barisan ikonnya yang tersendiri seperti Ameen Misran, AfdholulRahman, Qawiem Khairi dan Al-Fadhil Ustaz Uzair. Aiman Azlan, vlogger terkenal juga telah bersama dengan LangitIlahi.Com. Itu belum dikira beberapa persona di balik tabir seperti saudara Ammar Amran dan Faiz Shukri of LangitIlahi yang masing-masing mempunyai potensi yang besar untuk digilap, terutama dalam bidang teknologi. Ammar Amran telah mencipta Apps IKIM.fm, manakala Faiz Shukri kini mampu mengendalikan bengkel pembinaan website berasaskan Joomla.


Dan insyaAllah, akan datang lagi beberapa figure yang lain, yang akan digilap dan diketengahkan potensinya kepada masyarakat.


Untuk apa?


Agar masyarakat ada qudwah.



Sebahagian team LangitIlahi semasa mesyuarat tahunan 2012


 


Matlamat Yang Jelas.


Hidup ini adalah perjuangan. Matlamatnya adalah untuk menang di hari kemudian. Kita bersedia untuk kematian, namun kita bukan yang terburu-buru untuk mati dengan kesia-siaan. Dunia adalah ladang, akhirat adalah tempat menuai hasil, maka di dunia inilah perlu ditumpahkan segala penat jerih, agar di akhirat nanti mendapat kebahagiaan yang abadi.


Jelas yang ini, maka kita tidak akan sesat di tengah kancah dunia. Kita ada planning, strategi, dan kita ada sekumpulan rakan yang berjuang bersama-sama. Setiap hari kita ada perancangannya, setiap bulan kita ada misinya, setiap tahun kita ada matlamat yang perlu dicapainya.


Dunia hari ini dengan lambakan hiburan kosong, dan filem serta drama yang menampilkan pelbagai perkara yang tidak syar’ie, ditambah dunia ini dikuasai oleh sistem jahili, maka adalah satu panggilan besar untuk melahirkan ikon-ikon Islamik yang mampu bersinar di medan masing-masing. Itulah dia matlamat ‘jangka pendek’ saya.


InsyaAllah, untuk lebih melancarkan lagi pencapaian matlamat ini, saya dan rakan-rakan di LangitIlahi sedang berusaha untuk menubuhkan Kelab LangitIlahi Community. Agar pencarian potensi dan pembinaan ikon ini tidak lagi hanya untuk manusia yang membesar, bersekolah, dan kenalan rapat saya sahaja. Tetapi kita hendak mencari di tengah lautan manusia hari ini, mutiara-mutiara yang boleh kita gilap dan dijadikan jentera pengislahan masyarakat.


Itu apa yang saya mahu capai, dan itulah tujuan saya menulis segala artikel yang pernah dan akan saya tulis, mengarang segala buku dan novel yang pernah dan akan saya tulis, membina LangitIlahi.Com, membina LangitIlahi Store, membina LangitIlahi Consultancy dan seterusnya membina LangitIlahi Community, membina hubungan dengan pelbagai jenis manusia, semuanya adalah untuk tujuan itu. Membina ikon untuk masyarakat, sekaligus menggemilangkan perjuangan Islam.



Sebahagian team LangitIlahi semasa mesyuarat tahunan 2011


 


Penutup: Moga benar-benar mampu menjadi legasi.


Saat jahiliyah kuat mencengkam dunia, saat ummat Islam dihina, saat muslim dan muslimah sendiri meninggalkan agama dan mempromosikan keingkaran kepadaNya, saat ummat Islam terhimpit dengan serangan dari pelbagai segi, sama ada ketenteraan, atau pembunuh senyap seperti Facebook, website dan TV, mustahil untuk orang yang punya kesedaran bahawa dia akan mati, untuk tidak melakukan apa-apa selagi dia masih punya nyawa untuk hidup ini.


Mustahil.


Saya hendak melakukan sesuatu. Sedang melakukan sesuatu. Dan akan terus melakukan sesuatu. Memberikan sumbangan dalam bentuk usaha dan cita-cita ini.  Semenjak saya remaja lagi, semenjak umur saya belasan tahun, saya sudah memandang dan bercita-cita dengan cita-cita ini.


Alhamdulillah, sedikit demi sedikit, mula menjadi realiti. Terima kasih kepada ramhat dan kasih sayang Allah, terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang memberikan semangat, terima kasih kepada pembaca dan mereka yang memberikan sokongan dan doa. Terima kasih! Langsung tidak saya merasa, dengan sendiri saya mampu membina ini semua. Langsung tidak saya merasa, hanya dengan Team LangitIlahi, semua ini akan berjaya hingga ke hari ini, dan mampu berterusan hingga ke hari nanti. Langsung tidak saya merasa.


Dan persoalan, mungkin ada yang terfikir, mengapa perlu bersusah payah untuk membina legasi ini?


Agar bila saya mati, hanya dosa-dosa saya sahaja mati(terhenti) bersama saya. Sedang pahala dan berkat daripada Allah, terus-terusan berjalan, hasil dari legasi yang ditinggalkan.


Mengapa saya tulis artikel ini?


Agar kita semua mula bersama memikirkan apa legasi yang hendak kita bina di dalam kehidupan ini?


Legasi bermaksud warisan, peninggalan. Apakah peninggalan yang boleh memberikan kita pahala? Atau peninggalan yang hanya akan membuahkan dosa-dosa?


Kita pilih.


Apakah peninggalan yang boleh memberikan manfaat kepada Islam? Atau peninggalan yang hanya akan meruntuhkan masyarakat Islam?


Kita pilih.


Tetapi pilihan itu bermula dari sekarang. Jika kita lalai, nyata kehidupan kita hanya satu kesia-siaan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 21, 2013 21:23

February 20, 2013

Pemuda : Universiti – Medan Membina Insani, Bukan Kubang Melempias Nafsu Haiwani !

[image error]


~ Picture by Dreamer’s Shelter


Di Jordan, melepasi satu peperiksaan yang disebut sebagai taujihi (peringkat menengah seperti SPM di Malaysia) adalah satu kegembiraan yang tidak terkira bagi pelajar-pelajar menengah ini. Lepas peperiksaan ini menandakan mereka sudah berjaya satu langkah awal untuk menuju universiti.


Kegembiraan itu kadangkala disambut dengan budaya-budaya pelik yang agak mengejutkan saya sewal melihat sambutan mereka itu. Apapun, saya rasa tidak perlu saya panjangkan cerita tentang budaya mereka yang dahsyat itu kerana fokus saya lebih kepada menceritakan bagaimana gembiranya mereka selepas mengetahui mereka lulus untuk dapat masuk ke universiti selepas itu.


Di Malaysia sendiri, saya kira dapat masuk ke univesiti itu adalah satu kegembiraan awal bagi seorang ibu dan ayah.


Begitulah alam universiti. Menjadi kegembiraan dan harapan besar bagi sesetengah orang untuk memasukinya. Tetapi, kegembiraan itu tidak harus terhenti di situ saja.


Alam universiti, sesuai dengan namanya, sepatutnya menjadi tempat melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berwibawa dan cakna dengan keadaan masyarakatnya, bukan sekadar jadi tempat menyuapkan ilmu apalagi menjadi kubang melepaskan nafsu haiwani !


 


Mahasiswa, Di Mana Kita?


Saban tahun, tidak sedikit graduan yang keluar daripada institusi-institusi pendidikan tinggi seperti universiti, kolej dan yang sama waktu dengannya. Tidak kiralah daripada jurusan apapun, baik syariah mahupun tidak.


Kita perlu bertanya semula, di mana graduan kita yang ramai ini melata dalam masyarakat di negara kita?


Adakah sijil lulus dari universiti hanya untuk memenuhi permintaan pekerjaan di pasaran atau pun sijil menjadi laku dan terkenal di dalam masyarakat kita?


Kita perlu bertanya, kerana saban tahun majoriti yang keluar menjadi siswazah adalah orang-orang muda, yang berdarah panas, yang sepatutnya penuh dengan cita-cita dan harapan, yang sepatutnya jiwanya penuh dengan keazaman, tetapi adakah keberadaan kita menjadi makna besar di dalam masyarakat? Adakah keberadaan kita memberikan sumbangan ke arah perubahan yang lebih baik dalam masyarakat?


Ataupun kita hanya pergi ke universiti, belajar, menduduki peperiksaan, dan pulang ke kampung halaman hanya untuk duduk mendiamkan diri sahaja? Ataupun kita pergi ke universiti hanya untuk memiliki sijil supaya nanti dapat bekerja dan menyara keluarga kita? Bagaimana dengan masyarakat kita? Bagaimana jiran-jiran yang hidup di sekitar kita? Dapatkah satu sijil kita itu menampung pendidikan dan pembangunan dalam masyarakat kita?


Di mana kita, wahai mahasiswa dalam masyarakat ini?


 


Kita Buat Apa Di Universiti?


Persoalan-persoalan ini hanya akan terjawab dengan melihat apa yang kita sedang lakukan di universiti sekarang. Apa yang kita sedang buat di universiti sekarang?


Belajar ? Ambil exam ? Balik kuliah, pergi kuliah? Lepas tu ?


Balik rumah, main game (?), menonton movie (?), lepas tu apalagi?


Saya tidak katakan itu semua satu perkara yang salah, tetapi apakah hanya sekadar itu ?


Saya mendapat respon daripada seorang sahabat saya di sebuah universiti Islam di Malaysia tentang peliknya seseorang mahasiswa itu jika dia tidak bercouple. Ini satu kehairanan bagi saya kerana pada saya, bercouple itulah yang sepatutnya dipandang sebagai suatu yang pelik.


Bukan sekadar bertentangan dengan larangan Allah yang melarang kita mendekati zina, bahkan ia menghabiskan masa kita pula dengan sia-sia dan kerosakan.


Dukacitanya masa depan sebuah negara dan masyarakat bilamana para pemuda pemudinya yang sepatutnya datang ke universiti untuk membina dirinya, tetapi banyak menghabiskan masa pula dengan dosa dan perkara yang sia-sia. Tidak sekadar hilang keberkatan dalam hidup, bahkan hilang pula sebahagian besar masa untuk pembinaan diri.


Adakah medan universiti benar-benar menjadi medan untuk kita membina diri ataupun kubang tempat melempiaskan nafsu haiwani?


Kerisauan ini, tidak bisa saya diamkan. Saya memikirkan apa yang akan terjadi pada masa depan sebuah negara bernama Malaysia dan masyarakatnya ini dalam 15-20 tahun lagi.


Yang lebih membimbangkan saya adalah apabila terdapat juga segelintir graduan-graduan syariah yang diharapkan untuk memimpin masyarakat dalam hal ehwal agama terlibat dalam krisis dosa dan kerosakan yang mencemarkan wajah Islam. Sudah tentu saya perlu jujur bercakap tentang graduan syariah, kerana saya sendiri adalah salah seorang yang sedang melalui proses mempelajari ilmu-ilmu syariah itu dan saya bergaul dengan ramai pemegang-pemegang sijil syariah.


Saya mohon berlindung daripada Allah s.w.t. daripada terlibat dalam kerosakan-kerosakan yang mencemarkan wajah Islam yang sedang dan akan terus dibawa kerana saya bimbang akan dipersoalkan atas tanggungjawab saya setelah berpeluang mempelajari dan mendalami ilmu ini lebih sedikit daripada orang yang bukan di dalam bidangnya, tetapi tidak bersungguh-sungguh ketika menuntutnya sehingga memberi pengertian Islam yang salah kepada orang ataupun menjadi wajah yang buruk kepada Islam itu sendiri .


 


Kitalah Masa Depan


Sebab itu, berpuas hati setelah dapat masuk ke universiti tidak sepatutnya menjadi perhentian terakhir kita dalam belajar.


Universiti hanyalah sebuah tempat latihan terbuka untuk kita.


Bagaimana mungkin kita dapat menjadi makna besar dalam masyarakat sekiranya keberadaan kita di universiti hanya untuk pergi balik belajar dan melakukan assignment-assignment yang ditugaskan itu saja?


Pergi balik hanya untuk mendengar kuliah, pulang ke rumah memencil diri dalam bilik, menghabiskan masa dengan game dan movie, malas membaca buku, tidak menjaga ibadah, tidak berdisiplin dengan masa dan pengurusan diri, tidak bersungguh membangunkan diri.


Cukupkah hanya itu saja demi sebuah masa depan menuju pembaikan masyarakat ? Apakah cukup?


Apalagi kalau universiti itu menjadi kubang melempiaskan nafsu haiwani, menjadi tempat tontonan pasangan-pasangan couple bermanis-manisan janji sehidup semati pada pukul 12.00 malam ke atas tanpa mengenal batas sehingga lahir bayi buangan, menjadi kubang melahirkan ramai lelaki lembut dan perempuan yang  menjalin hubungan luar tabii ketika memencil diri di rumah.


Di manakah letaknya masa depan untuk Islam yang sering dicita-citakan itu? Tidak sekadar masa depan, bahkan perlu bertanya juga pada diri kita, apakah masih punya harga diri lagi ketika itu?


 


Penutup : Membina Fitrah Insani, Bukan Membela Nafsu Haiwani


Hati saya resah beberapa hari ini memikirkan hal ini. Saya tidak dapat mendiamkan kerisauan yang dalam di hati saya memikirkan dan merenungi hal ini.


Hati yang penuh kerisauan biasanya sentiasa timbul pelbagai persoalan dalam benaknya.


Hal ini pastilah tidak semudah menulis artikel ini. Sudah pasti menulis artikel ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini. Cuma saya sekadar mahu berkongsi kerisauan saya. Saya tahu, ia tidak akan menjadi rawatan kepada masalah ini, tetapi sekurang-kurangnya saya harap dapat mencetuskan rasa risau dalam diri orang lain supaya tidak duduk selesa dan diam saja ketika berada di universiti.


Pergi universiti dalam keadaan selesa, balik selesa, duduk di rumah lebih selesa lagi tanpa memikirkan peranan dan penglibatan mereka secara serius dalam membaiki dan mengubah masyarakat. Ini adalah sikap yang bahaya.


Kita bukan haiwan.


Kita insan.


Hiduplah sebagaimana seorang insan patut hidup.


Hidupnya tidak hanya untuk memuaskan nafsu dan keselesaannya semata-mata, tetapi ada fitrah dalam dirinya yang cintakan kebaikan dan benci melihat kerosakan yang perlu dipenuhi.


Begitulah sepatutnya jiwa seorang mahasiswa patut dibina ketika di alam universiti. Untuk memenuhi fitrah ini, tidak cukup aspek ilmunya saja yang perlu dibentuk, tetapi aspek keimanannya, aspek kemahiran-kemahiran diri dan sebagainya perlu diberikan perhatian yang serius.


Inilah yang sering diabaikan.


Semoga kita dapat bersama dalam menggerakkan arus perubahan dan peningkatan.


Bahawa kita bukan masuk ke universiti untuk menjadi haiwan, tetapi untuk keluar menjadi insan !

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 20, 2013 12:08

February 19, 2013

Agama: Pencerahan Surah Al-Mulk (1)

578850_394564193931190_491119044_n


Lihatlah Langit, Ia cuba mengajar kita sesuatu: Menjadi Hamba Ilahi ~ Pictured by Umar Mita


Muqadimah:


Pada penulisan pada kali ini, suka untuk saya kongsikan berkenaan tafsir surah Al-Mulk, saya akan rungkaikan dan perbincangkan akan surah ini serta kesannya dalam membentuk peribadi muslim yang ideal. Penulisan ini berbentuk santai dan bersiri agar pembaca mendapat input positif lantas mampu menpraktiskan dalam alam kehidupan.


Allah SWT menurunkan surah ini kepada Rasulullah SAW melalui Jibril AS sebelum hijrah ke Madinah dan para ulamak sepakat mengkatogerikan surah ini sebagai Makkiyah iaitu surah yang turun sebelum hijrah. Surah-surah yang dikatogerikan sebagai Makkiyah ini mempunyai signifikannya yang tersendiri, berbeza dengan surah-surah yang dikatogerikan sebagai Madaniyah. Ia lebih kepada pembentukkan aqidah dan pembangunan keimanan para sahabat malah mencantas segala pemesongan dalam mentauhidkan Allah SWT berbeza dengan Madaniyah yang lebih berfokus kepada permasalahan hukum-hakam.


Surah ini mempunyai banyak nama selain Al-Mulk yang bermaksud kerajaan, antaranya Mani’ah (Penghalang),  Al-Waqiah (Pelindung), Al-Manna’ah (Penghalang yang benar-benar menghalang), Tabarakalmulk dan sebagainya, pada sisi pandang masyarakat Arab, sesuatu yang mempunyai banyak nama menunjukkan akan kepentinggannya dan kemuliannya. Jika dilihat kepada sejarah nama kepada Abdul Mutolib juga mempunyai banyak nama kerana menunjukkan akan kemuliannya. Maka surah ini yang juga mempunyai pelbagai nama seolah-olah mengkhabarkan manusia akan kepentinggannya dalam kehidupan seharian manusia.


Hadis Berkenaan Surah Ini:


Ada beberapa hadis yang menerangkan tentang surah ini terutama dari sudut kelebihan membaca serta menghafal surah ini, antaranya:


Hadis yang direkodkan oleh Abu Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya sebuah  surah dalam quran (yang mempunyai) 30 ayat akan mensyafaat pemiliknya sehinggalah ia diampunkan oleh Allah : (تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ).


Daripada Tsabit, daripada Anas telah berkata: Rasullah SAW telah bersabda: “satu surah dalam Al-Quran akan membela pemiliknyasehinggalah ia memasukkannya ke dalam syurga: (تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ)”


Melalui pemahaman kepada hadis di atas menunjukkan bahawa surah ini banyak fadhilat kepada yang membacanya dan menghafalnya malah kepada sesiapa yang membumikan dalam kehidupan seharian. Rasulullah SAW dan para sahabat RA akan membaca surah ini setiap malam sebelum tidur.


Sekilas Pandang Terhadap Surah Ini:


Surah ini 30 ayat, secara ringkasnya, permualaan surah ini Allah memulakan dengan memuji diriNya yang Maha Kuat dan memiliki segala-galanya, Allah mengarah para hambanya agar melihat penciptaan Allah, adakah ada keburukan di sana?, kemudian Allah menceritakan tentang orang kafir yang datang kepada mereka cahaya hidayah dan balasan buat mereka, lalu Allah membandingkan dengan orang-orang mukmin dan balasan bagi golongan ini.


Soalan-soalan padu yang meruntun jiwa ditanya oleh Allah buat hambanya, sedikitnya yang bersyukur sedangkan nikmat yang diberi terlalu banyak, akhir surah ini juga ditutup dengan pertanyaan-pertanyaan yang membuatkan manusia akan berfikir dan bermuhasabah diri.


Hasil Tuaian Siapa Yang Lebih Hebat di Dunia:


تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِير


Maksudnya: “Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;”


Permulaan surah dengan Allah SWT memuji dirinya yang maha agong yang menguruskan segala-galanya dengan kehendaknya, seolah-olah ayat ini cuba merendahkan keegoan manusia yang menyangka diri mereka maha hebat sedangkan ada sesuatu yang lebih hebat dari mereka iaitu Allah Azza Wa Jalla.


Lalu Allah berfirman lagi:


الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ


Yang bermaksud: Dia lah yang telah menjadikan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);


Ayat ini menambahkan lagi kesedaran kepada kita bahawa Allah SWT yang menciptakan kematian dan kehidupan yang menunjukkan kepada terhasilnya segala makhluk, sama ada manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan, bintang-bintang dan segala-galanya bermula dengan tiada. Selari dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah: 28


كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّـهِ وَكُنتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ


Maksudnya: Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu


Penciptaan manusia adalah untuk menguji siapa yang lebih baik amalannya, selepas Allah swt menerangkan bahawa Dia menciptakan sesuatu daripada tiada kepada ada. Hal ini jelas menunjukkan bahawa manusia ada misi dan visi dalam fatrah hidup mereka di dunia. Kesemua perbuatan yang dilakukan semua tanpa ada kecuali akan diperhitungkan lalu manusia akan melihat adakah hasil tuaian mereka yang paling terbaik.


Penciptaan Bukti Allah Hebat


Allah SWT menambah lagi dalam ayat seterusnya:


الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ۖ مَّا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَـٰنِ مِن تَفَاوُتٍ ۖ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِن فُطُورٍ


Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?


Kehebatan dan keagungan Allah Azza Wa Jalla jelas terang lagi bersuluh tampak pada penciptaan-Nya, antaranya tujuh petala langit yang berlapis-lapis, berdiri teguh tanpa tiang dan terhias indah, lalu Allah memberi jaminan bahawa tiada kecacatan dan ketidakseimbangan dalam penciptaan tersebut. Malah Allah SWT mengarahkan untuk lihat semula langit dan menyoal hambanya sama ada kelihatan keaiban dan kekurangan atau sebaliknya. Kemudian Allah SWT sekali lagi memerintahkan para hambanya untuk melihat penciptaannya, pasti sia-sia kepenatan, kerana Maha Hebat menciptakan sesuatu yang hebat yang tiada kurang pada penglihatan kita:


ثُمَّ ارْجِعِ الْبَصَرَ كَرَّتَيْنِ يَنقَلِبْ إِلَيْكَ الْبَصَرُ خَاسِئًا وَهُوَ حَسِيرٌ


Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).


 


Konklusi:


Ayat-ayat dibincangkan di atas benar-benar merawat hati dan jiwa manusia yang sedia menerima arahan dan perubahan yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Ia membuatkan diri kita tertunduk hina sebagai hamba yang dicipta oleh Allah SWT, punya misi dan visi dalam kehidupan ini. Jika kita masih bongkak dan mengangkat dada kesombongan telitilah ayat-ayat quran ini serta rasailah bahawa segala sesuatu adalah milik Allah SWT dan bila-bila sahaja dan di mana sahaja kita boleh dipanggil pulang oleh-Nya. Mari Menjadi Hamba. Nantikan sambungan ayat seterusnya.


 

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 19, 2013 12:30

February 17, 2013

Kehidupan: Berdakwah Melalui Penulisan.

 


Antara karya-karya yang telah saya hasilkan semenjak 2009-2012


 


Jika passion anda adalah menulis, maka pada saya salah satu cabang yang patut diceburi adalah melalui penulisan. Semenjak saya berumur 18  tahun, saya telah giat menulis. Awal-awalnya hanya kerana seronok mereka cerita dan dibaca oleh teman-teman, tetapi bertukar serius apabila melihat kesan yang boleh dibawa oleh penulisan ini kepada masyarakat.


Penulisan sememangnya mendapat tempat yang besar di dalam masyarakat dunia amnya. Kebanyakan ilmu kini diabadikan dalam bentuk teks, dan kebanyakan perkara seperti filem, drama, kartun, lagu, semua pada hakikatnya berevolusi daripada penulisan. Hatta kita lihat, laman sosial paling popular dunia – FACEBOOK – menggunakan penulisan sebagai medium utama penyampaian. Bukan suara, bukan video dan lain-lain.


Maka hakikatnya adalah amat penting bagi kita meneliti keperluan dakwah melalui penulisan ini.


 


Penulisan Membina Minda dan Jiwa Masyarakat.


Sedar atau tidak, antara faktor utama yang membina minda dan jiwa masyarakat adalah penulisan. Kita lihat di sekeliling kita, akhbar, majalah, buku-buku yang menjadi jamahan minda masyarakat saban hari. Semua itu membina pandangan dan pegangan masyarakat. Jika dididik kepada masyarakat melalui penulisan pelbagai jenis ini bahawa 2+2 = 5, maka masyarakat akan percaya bahawa 2+2=5.


Begitulah kita lihat bagaimana dunia menjadikan perkara yang haram sebagai biasa. Mereka mempersembahkannya dalam pelbagai bentuk. Akhbar, Majalah, Buku-buku, dan sebagainya. Hinggalah kita merasakan – tidak menutup aurat itu biasa, bercumbu-cumbu lelaki dan perempuan bukan mahram itu namanya ‘ringan-ringan’.


Minda dan jiwa yang kosong akan meminta untuk diisi. Begitu juga dengan minda dan jiwa yang ingin diperkasakan. Secara tidak langsung, bagi mengisi kekosongan itu dan mendapatkan keteguhan itu, ramai orang akan membaca. Mencari makna, mencari fakta, mencari ilmu, untuk menenangkan keserabutan jiwa dan akal mereka.


Saya sendiri pernah melihat seorang lelaki berbangsa cina, berdiri lama di hadapan rak buku yang penuh dengan karya-karya Islamik, mungkin hendak memilih buku mana yang sesuai untuk menerangkan kepadanya akan Islam.


Ya. Biasanya manusia akan mencari buku, apabila dirasakan sudah tiada yang lain yang mampu hendak membimbingnya.


 


Dunia Penulisan Yang Semakin Meluas.


Dunia penulisan berkembang. Jika dahulu kita hanya boleh mendapatkan penulisan dalam bentuk ‘yang boleh dipegang tangan’ semata-mata, kini penulisan boleh didapati di dalam komputer kita, internet dan sebagainya.


Kewujudan eBook, blog, website, dan laman-laman sosial seperti Facebook telah mengubah skala capaian sebuah penulisan. Kini penulisan menjadi lebih meluas. Seorang penulis tidak lagi semata-mata menulis buku. Seorang penulis juga boleh diterjemahkan sebagai penulis blog, penulis di website, dan juga penulis tegar di laman sosial(rajin update).


Ini semua memberikan kesan sebenarnya. Bukan sedikit masyarakat yang mencari kebenaran di laman sosial. Mencari-cari figure yang mampu memberikan penjelasan kepadanya, yang mampu memberikan makanan rohani melalui update-update yang bermakna kepadanya.


Ya. Penulisan, masih membina dan mengisi jiwa serta minda masyarakat kita.


Penulisan ada kesannya.


 


Dakwah Melalui Penulisan.


Maka kita perlu melihat peri pentingnya kita yang mempunyai passion dalam penulisan ini, baik dalam penghasilan buku, penulisan berita di akhbar, penulisan di blog dan website, hinggalah ke penulisan di laman sosial, untuk menceburkan diri di dalam dakwah melalui penulisan ini.


Dakwah itu pelbagai wasilahnya. Bukannya terperangkap di dalam pertemuan berdepan-depan semata-mata, walaupun hingga kini kita akui, jalan dakwah terbaik adalah dengan berdepan-depan. Namun itu tidak menafikan manfaat wasilah dakwah yang lain. Hingga perang juga merupakan dakwah, pada satu tahap. Justeru penulisan juga adalah salah satu dari wasilah dakwah yang ada.


Dakwah yang berasal dari perkataan arab da’a yang membawa maksud ‘seru’, maka dakwah bermaksud seruan. Sama ada kita membawa dakwah jahiliyyah(dakwah yang tambah menyesatkan orang) atau kita membawa dakwah Islamiyyah(seruan kepada Islam).


Dakwah adalah wajib hakikatnya buat seluruh ummat Islam, secara langsung atau tidak langsung. Bagi mereka yang tidak mempunyai talent dalam bercakap dan menulis atau apa-apa kebolehan yang lain, mereka tetap wajib melaksanakan dakwah melalui akhlak yang baik.


“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan  kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” Surah An-Nahl ayat 125.


Maka yang mempunyai passion di dalam penulisan, apatah lagi.


Seluruh sektor penulisan seperti buku, majalah, akhbar, blog, dan laman sosial Facebook adalah antara ruang yang perlu diceburi. Memperbanyakaan karya-karya Islam, yang menerangkan betapa cantiknya kehidupan Islam, yang menghidangkan bukti-bukti kukuh akan kebenaran Islam, hakikatnya adalah perlu dan wajib.


Pahala dan ganjaran yang Allah SWT sediakan juga adalah besar buat mereka yang menceburkan diri dalam medan dakwah ini.


“Demi Allah, sesungguhnya satu orang diberikan petunjuk Allah melalui perantaraan (pendakwah), maka itu lebih baik daripada unta merah.” Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Nasa’i.


“Barang siapa yang menunjukkan/mengajarkan suatu kebaikan, maka dia mendapat pahala yang sama seperti orang yang melakukannya (mengikutinya).” Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ahmad.


Justeru mengapa kita tidak teruja untuk melaksanakan perkara ini?


Mengapa kita lebih teruja update di Facebook kita perkara yang sia-sia, mengapa kita teruja menghasilkan buku-buku dan novel-novel yang kosong, bahkan melanggar pula batasan syara’ semata-mata kerana wang, mengapa kita teruja menulis sesuatu perkara di akhbar dengan timbangan yang tidak adil serta sebelah pihak sahaja semata-mata, mengapa?


Sesungguhnya tiada yang lebih bermakna, melainkan redha Allah SWT. Justeru, mengapa kita hendak buat perkara yang tidak memberikan kita redhaNya? Bahkan memberikan kita pula murkaNya?


 


Tetapi Awas, Jangan Berbohong!


Tetapi di dalam penulisan, jangan sesekali kita berbohong. Fakta mestilah benar. Rekaan cerita jika mahu dibuat juga, adalah mesti pada jalan ceritanya, bukan pada faktanya. Kita tidak boleh menukar perkara yang fakta seperti Sirah Nabi. Kita reka-reka sirah Nabi begini dan begitu, sedangkan ianya tiada dalam rekod. Kita menipu dan menyebarkan hadith palsu. Ini semua adalah berdosa.


Sejarah, hadith, ayat Al-Quran, kata-kata ulama’, dan sebagainya yang bersangkut paut dengan apa yang dikatakan sebagai ‘fakta’, jangan sesekali ditukar atau direka-reka. Itu nyata akan memberikan implikasi yang buruk. Walaupun dengan niat yang baik.


Rasulullah SAW bersabda:


“Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaknya ia mengambil (bersiap) tempatnya di neraka.” Hadith Riwayat Bukhari, bertaraf mutawatir.


 


Penutup: Bukan Hendak Menyatakan Kita Lebih Baik.


Bukan. Kita tidak lebih baik dari orang lain yang membaca penulisan kita, yang follow blog kita, yang beli buku kita, yang share atau like update kita. Bukan. Bukan populariti, bukan wang, bukan pujian yang kita cari apabila menceburkan diri dalam dakwah melalui penulisan ini.


Niat dan matlamat kena jelas.


Niat adalah kerana Allah, dan matlamatnya adalah untuk mengajak seberapa ramai manusia yang boleh untuk bersama-sama kita kembali kepada Allah SWT, kembali kepada kebenaran.


Kita sekadar menghayati pesanan almarhum Sheikh Mustapha Masyur – Perbaikilah diri kamu, sambil ajak orang lain.


Kita sedang dalam proses memperbaiki diri kita. Sambil kita baiki diri, sambil itu kita ajak orang lain. Begitulah hakikatnya.


Daripada kita buat perkara sia-sia, menulis benda sia-sia, maka mengapa kita tidak sumbangkan sesuatu yang berharga buat Islam, melalui wasilah yang kita ada passion di atasnya?


Mari.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 17, 2013 18:48

February 16, 2013

Pemuda : Aku Tidak Bersetuju Dengan Kerajaan = Aku Pembangkang (?)

Political_language_______by_carbalhax


Jangan sampai kita rosakkan makna politik dalam Islam. 

http://carbalhax.deviantart.com/


 


Seringkali bila disuakan dengan persoalan begini, kalau kita mengatakan kita ketidaksetujuan kita dengan sebelah pihak, kita akan dikatakan berada di sebelah pihak yang satu lagi.


Begitulah situasi yang saya kira kerap berlaku pada kita. Saya sendiri, sudah beberapa kali berdepan dengan persoalan begini.


“Kau sokong mana? Kau sokong kerajaan tak?”


“Tak.”


“Oh, kau ni pembangkangla?”


“Tak.”


“Jangan tipulah. Mustahil kau tak ada belah mana-mana.Kau ni mesti sebelah pembangkang, kan?”


Saya kadangkala terfikir, sampai bila politik sesempit begini perlu diteruskan? Hanya kerana kita kata kita tidak menyokong sebelah pihak, adakah semestinya kita berada bersama pihak yang satu lagi? Adakah hanya kerana kita kata kita menyokong kebenaran yang datang daripada sebelah pihak, terus ditangkapmuat kita sebagai sebahagian daripada pihak itu?


 


Prinsip Kita Adalah Menyokong Dan Mendokong Keadilan


Cara pandang begini perlu diubah. Hanya kerana kita menolak sesuatu pembawaan yang tidak baik daripada sesuatu parti politik, tidak bermakna kita berada di sebelah pihak parti politik yang satu lagi pula.


Saya kira prinsip kita sangat jelas dalam hal ini.


Kita tidak menyokong dan mendokong parti politik hanya kerana parti itu mengatakan dia hendak membawa perjuangan Islam, tetapi kita menyokong dan mendokong kebenaran yang diperjuangkannya.


Apa-apa jua kebenaran, biarpun dari pihak mana sekalipun ia datang, kita tetap menyokongnya.


Bukan parti politik yang jadi pertimbangan kita. Ada cop Melayu Islam atau tidak, ada perkataan Melayu Islam atau tidak, bukan itu yang jadi pertimbangan utama kita.


Pertimbangan utama kita adalah kebenaran dan keadilan sebagaimana Allah berfirman dalam surah Al-Maidah yang bermaksud :


“Dan janganlah sampai kebencian kamu kepada sesuatu kaum itu menghalang kamu untuk berlaku adil kepada mereka. Berlaku adillah kerana itu lebih dekat dengan taqwa.” [Al-Maidah :8]


Keadilan, biar ia datang daripada pihak mana sekalipun, itulah yang menjadi keutamaan kita. Kita tolak segala korupsi, pemakan harta rakyat, fitnah dan jatuh-menjatuh dalam berpolitik kerana itu adalah bentuk-bentuk kezaliman.


Tidak bermakna kerana kita tolak segala kezaliman itu, kita menyokong penuh pihak yang satu lagi.


Yang kita inginkan adalah kebenaran dan keadilan dalam berpolitik.


 


Kedepankan Politik Idea, Bukan Sekadar Politik Partisan


Sudah tentu, dalam negara demokrasi seperti Malaysia, politik partisan itu ada peranannya yang tersendiri dalam membawa aspirasi rakyat. Tetapi itu saja tidak akan pernah cukup.


Yang lebih besar dan lebih utama daripada itu adalah politik idea, politik warga.


Apakah keberadaaan kita di dalam komuniti dan masyarakat kita membawa manfaat daripada sudut mengembangkan idea dan cara fikir masyarakat?


Kita berada di dalam masyarakat, apa idea yang ingin kita bawa dalam membangunkan masyarakat?


Apa idea kita? Apa visi kita? Apa yang kita ingin perjuangkan dalam masyarakat kita? Itulah yang perlu ditanya. Tambah lagi, jika kita terlibat secara langsung dengan politik partisan, lebih-lebih lagilah perlu ditanya, ‘apa yang kita ingin perjuangkan dalam masyarakat kita?’,kerana akhirnya bukan kepentingan individu yang menjadi projek utama kita, tetapi kepentingan warga dan masyarakatlah yang menjadi perhatian kita.


Dukacitanya jika cara fikir kita hanyalah ingin mengajak masyarakat menjatuhkan satu parti kerana ingin mengetengahkan satu lagi parti.


Sebagai contoh, parti A memerintah negara hari ini. Kita pula menyokong parti B. Dukacitanya jika kita ingin menjatuhkan parti A esok dari pemerintahan hanya kerana kita ingin mengangkat parti B, bukanlah kerana kita memahami dan menyedari idea-idea dan perjuangan yang dibawanya.


Sekadar itu saja tidak akan ke mana-mana. Budaya jatuh-menjatuh akan terus-menerus berlaku.


Kerana boleh jadi parti A yang memerintah hari ini kita melihat banyak kesalahannya, tetapi parti B yang baru hendak memerintah itu mungkin belum cukup lama untuk menguji kredibiliti dan sikap amanahnya.


Sebab itu, politik idea dan warga adalah sesuatu yang perlu kita berikan perhatian. Hanya kerana kita menyokong sesuatu kebenaran yang diperjuangkan oleh satu pihak, tidak bermakna kita memberikan sokongan penuh kita kepada pihak itu. Hanya kerana kita menolak kezaliman yang datang dari satu pihak, tidak bermakna kita berada di sebelah pihak satu lagi.


 


Kita Tolak Politik Kotor Yang Bercanggahan Dengan Adab-adab Islam


Maka, kembali kepada prinsip kita iaitu mendokong kebenaran dan keadilan, kita menolak segala bentuk politik kotor dan lucah serta yang berbaur fitnah.


Semua ini bukan saja bercanggahan dengan adab-adab sebagai seorang muslim, bahkan ia melanggar fitrah insan yang sentiasa cintakan kebenaran. Bahkan, ia merendahkan dan menghinakan lagi maruah kita sebagai seorang muslim kerana mencemari asas dan adab dalam perjuangan kita.


Islam tidak ajar kita untuk beriman dengan politik atau parti politik, tetapi Islam mengajar kita untuk mengimani kebenaran.


Tidak semestinya yang mengangkat slogan Islam, yang menyebut-nyebut nama Allah di dalam perhimpunannnya, yang mengangkat perjuangan bangsa itu adalah yang paling jujur. Kalau kita melihat tindakan-tindakan mereka bercanggahan dengan adab-adab yang diajarkan oleh Islam, kita akan katakan itu salah.


Kalau tindakan mereka menepati adab Islam dan membawa maslahah (kebaikan) pula kepada masyarakat, maka kita akan sokong dan menyatakan itulah yang sepatutnya dilakukan.


Kita tidak akan terpengaruh dengan slogan-slogan agama, bangsa dan negara. Jauh lebih penting daripada slogan-slogan itu adalah apakah keadilan telah dinikmati oleh masyarakat kita? Apakah masyarakat kita semakin baik ? Adakah sistem pendidikan kita berjaya melahirkan lebih ramai lagi orang yang berwibawa, berakhlak dan berkredibiliti dalam masyarakat?


Inilah yang perlu kita tanya dan terus tanya.


 


Penutup : Menyokong Kebenaran, Bukan Taksub Kepartian


Ada beza antara menyokong kebenaran dan taksub kepartian.


Taksub kepartian, kalau partinya salah, tetap dipandang partinya itu betul kerana neracanya adalah partinya, bukan kebenaran. Inilah yang berbahaya.


Sepatutnya, asas kita dalam berfikir, mencambah idea, berpolitik dan bermasyarakat adalah kebenaran dan keadilan. Bila kebenaran dan keadilan yang menjadi neraca kita, maka meskipun kita pernah suatu ketika meyokong idea dan perjuangan parti itu, tetapi sekiranya terbukti ia terlibat dalam kesalahan dan korupsi, maka kita akan katakan itu tetap adalah satu kesalahan dan kita memiliki hak untuk mengkritiknya.


Ia tidak boleh menjadi betul meskipun nama Islam terus-menerus diangkat. Ia tidak akan boleh memadamkan hakikat kesalahan itu meskipun nama Allah terus-menerus diangkat dalam ucapan perhimpunan.


Orang daripada partinya berzina, dikatakan betul.

Orang daripada parti lain dituduh berzina, terus menjadi isu dan diperlihatkan seolah-olah itu adalah kesalahan yang besar.


Bukan begini yang kita mahu. Kita tolak politik kotor begini. Kita mahukan politik yang bersih, matang dan membincangkan idea-idea, bukannya politik kotor yang membincangkan peribadi orang, menjatuhkan orang, memfitnah dan sebagainya.


Akhirnya yang kita mahukan adalah tertegaknya kebenaran. Apakah ertinya jika parti yang korupsi dan zalim terus dibiarkan memerintah sedangkan kebenaran tidak ditegakkan?


Maka, marilah perbaiki hal ini. Cara fikir kita, cara kita mendepani masalah-masalah dan isu dalam politik. Sebelum parti, kebenaran dari Islam itulah yang menjadi neraca dan pertimbangan kita. Semoga dengan ini, kita dapat keluar dari politik sempit, ‘hanya kerana aku tidak sokong kerajaan, aku adalah pembangkang’ begitu juga sebaliknya, ‘hanya kerana aku mengkritik pembangkang, aku adalah puak kerajaan.’


Bersihkan cara fikir dan cara politik kita !

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 16, 2013 04:56

February 15, 2013

Umum : Memperbaiki Interaksi Antara Muslim Dengan Not-Yet Muslim

14870_548806741796860_1557190787_n


Islam itu melapangkan dada, bukan semakin menyempitkan.

~ Picture by Umar Mita


 


Islam adalah rahmat kepada semua manusia. Sebab itu Allah menyebutkannya di dalam Al-Quran sebagai rahmatan lil alamin (rahmat kepada sekalian alam), bukan rahmatan lil muslimin (rahmat kepada muslim) semata-mata.


Maka bila ia adalah rahmat kepada semua manusia, sudah tentu ia sesuai untuk semua bangsa, semua kaum, apapun jenis dan warna kulit, apapun jenis bahasa.


Ia tidak ekslusif untuk bangsa-bangsa tertentu saja. Ia bukan untuk bangsa Melayu semata-mata, bukan juga untuk bangsa Arab semata-mata. Namun, kadangkala kita tidak dapat nafikan betapa ramainya umat Islam yang tidak memahami hal ini lalu menjadikan Islam ekslusif untuk bangsanya sahaja sehingga orang belum Islam dari bangsa yang lain menjadi takut kepada Islam bukan kerana Islam itu sendiri, tetapi kerana sikap muslim yang mengekslusifkannya.


Akhirnya, sikap begini membawa kerugian kepada umat Islam juga, bahkan bukan saja tidak berjaya mencapai misi Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam, malah telah memburukkan lagi imej Islam di mata masyarakat.


 


Sikap Ini Perlu Diperbaiki


Kita melihat pertembungan atau perselisihan yang seringkali terjadi antara muslim dan bukan muslim itu bukanlah kerana kesalahan pada nas Al-Quran dan hadis, tetapi kerana masalah sikap dan juga silap faham dalam memahami nas Al-Quran dan hadis.


Benar, memang Allah s.w.t. ada berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud :


“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman setia(mu), mereka satu sama lain saling melindungi…” [Al-Maidah : 51]


Juga dalam ayat yang lain yang hampir sama maksudnya :


“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan musuh-Ku dan musuhmu sebagai teman-teman setia sehingga kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad) kerana rasa kasih sayang, padahal mereka telah ingkar kepada kebenaran.” [Al-Mumtahanah : 1]


Juga dalam ayat lain :


“Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang besar.” [Luqman : 13]


Semua ayat Al-Quran ini adalah benar dan tidak ada masalah, yang bermasalahnya adalah pada cara faham kita.


Saya tidak akan sentuh secara lanjut berkaitan dengan perbahasan dari pemahaman kepada ayat-ayat ini. Cumanya, secara ringkas, ayat-ayat Al-Quran ini sebenarnya tidak membenarkan kita bertolak ansur dalam perkara yang berkaitan dengan akidah dan urusan kita yang khusus berkaitan dengan Islam. Ayat-ayat ini pun masing-masing mempunyai sebab penurunannya dan ia tidak boleh dibaca secara tunggal berasingan begitu sahaja daripada nas-nas yang lain.


 


Allah Tidak Melarang Kita Berbuat Baik Kepada Mereka


Sifirnya mudah saja.


Kalau benar Islam ini adalah rahmat kepada semua manusia, bagaimana mungkin ia boleh menganjurkan sikap kekerasan dalam membawa Islam sehingga menyebabkan orang yang belum Islam semakin jauh dan tawar hati dengan Islam?


Maka, sudah tentulah tidak logik. Allah mendatangkan Islam ini sebagai rahmat untuk semua manusia, maka bagaimana mungkin dalam usaha kita untuk menyampaikan Islam ini kepada mereka, kita bersikap keras dan menolak segala tindakan mereka pula?


Sebab itu, Allah berfirman dalam surah Al-Mumtahanah yang bermaksud :


“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusirmu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” [Al-Mumtahanah : 8]


Dalam ayat ini, Allah mengajar kita bahawa selama mana mereka itu tidak memerangi kita dalam urusan beragama dan tidak pula bersikap zalim dalam urusan dunia kita, maka tidak ada masalah untuk kita berbuat baik dan berlaku adil pula dengan mereka.


Selama mana mereka bersikap baik, mengikut undang-undang dan lunas-lunas yang telah ditetapkan di dalam negara kita, maka tidak ada masalah untuk kita berlaku baik dan bermesra dengan mereka meskipun akidah mereka itu tidak betul.


Kita perlu membezakan antara menerima keberadaan mereka di dalam masyarakat dengan redha terhadap akidah mereka. Kita tidak redha kepada akidah mereka, tetapi itu tidak menghalang kita untuk menerima keberadaan mereka dan berlaku baik dengan mereka.


 


Bagaimana Interaksi Nabi Dengan Bukan Muslim?


Banyak sekali sirah yang menunjukkan kepada kita bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sangat meraikan dan berlaku baik kepada orang-orang bukan Islam.


Bahkan dalam satu hadis, Nabi s.a.w. bersabda :


“Ketahuilah, sesiapa yang menzalimi muahid (non-muslim) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada hari kiamat.” [HR Abu Daud]


Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga dalam bukunya, Al-Watan Wal Muwatanah (Negara Dan Warganegara) ada menukilkan sedikit penerangan berkaitan dengan salah satu petikan dalam Perlembagaan Madinah yang telah dipersetujui bersama antara orang-orang Islam dan bukan Islam di Madinah. Petikan perlembagaan 25 daripada Perlembagaan Madinah itu adalah seperti berikut :


“Sesungguhnya Yahudi Bani Auf adalah ummah bersama orang-orang beriman, bagi Yahudi agama mereka, bagi muslimin, agama mereka…”


Dr Yusuf Al-Qaradawi telah memberikan sedikit huraian berkaitan dengan petikan perlembagaan ini. Katanya :


“Antara yang penting untuk diberikan perhatian adalah nas (petikan perlembagaan) ini tidak menyebut Yahudi adalah ummat ‘dari’ orang-orang beriman, tetapi ummat ‘bersama’ orang-orang beriman.”


Perkhususan penggunaan perkataan ‘bersama’ itu menunjukkan bahawa dalam hal siasah (politik), Nabi meletakkan hak yang sama kepada semua. Tidak ada hak siapa yang lebih daripada siapa. Semuanya memiliki hak yang setara dan sama dalam hak kerakyatan dan kewarganegaraan. Maka, bila kita memiliki hak krakyatan yang sama, apa yang membuatkan kita merasa lebih mulia daripada mereka sehingga membolehkan kita untuk berlaku kasar dan mencaci maki mereka?


Begitu juga, contoh yang sangat jelas kepada kita ketika Rasul s.a.w. memilih seorang bukan Islam iaitu Abdullah bin Uraiqith untuk membantu perjalanan hijrah baginda ke Madinah. Abdullah bin Uraiqith bukanlah seorang Islam, tetapi kenapa baginda memilihnya sebagai salah seorang pembantu dalam sebuah urusan besar yang melibatkan masa depan Islam?


Maka, tidak ada lain sebabnya kerana melihat kejujuran dan sikap profesional yang ada pada Abdullah bin Uraiqith menyebabkan dia dipilih untuk membantu menjayakan hijrah Nabi ke Madinah.


Begitulah cara Nabi berinteraksi dengan bukan Muslim. Baginda memberikan hak kepada mereka yang berhak meskipun orang itu bukan Muslim, baginda tidak mementingkan hak muslim semata-mata.


 


Penutup : Membaiki Extremism Dan Kejumudan Dalam Memahami Agama


Inilah sikap yang perlu kita perbaiki dalam diri kita.


Berapa ramai saya kira orang-orang Islam di Malaysia bila melihat orang-orang dari agama lain terutama dari bangsa selain Melayu, mereka berasa geli dan hina mahu duduk bersama dan bermesra. Akhirnya, hubungan antara agama tidak dapat diharmonikan dan kita pun tidak dapat menyampaikan Islam melalui contoh yang baik.


Dari jauh kita menuduh mereka cuba untuk merosakkan agama kita, tetapi dari dekat kita pula malas bergaul dan tidak baik pula hubungan dengan mereka. Yang lebih buruk adalah menimbulkan perpecahan menggunakan nama agama dan bangsa.


Kita perlu membaiki extremism dalam beragama ini. Islam sentiasa mengajar kita untuk menjadi sederhana dan belajar bergaul dengan semua orang meskipun berbeza agama dan bangsanya. Ia tidak mendidik kita untuk menjadi ummat yang ekslusif dalam bulatan kita semata-mata sambil kita seronok melontar batu kepada orang di luar tanpa meluaskan bulatan itu.


Ramai orang yang bercakap tentang ancaman Kristianisasi, ancaman Freemason dan sebagainya, tetapi tanyalah pada diri kita, kita sebagai muslim apakah yang telah kita lakukan untuk menyebarluaskan Islam ini?


Dengan bersifat keras kepada orang bukan Islam?

Dengan menyerang usaha-usaha mereka?


Tanyalah diri kita dengan jujur.


Islam tidak jumud sehingga kita salah berinteraksi dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang melarang kita mengambil mereka sebagai auliya’. Ayat itu benar, tetapi kita perlu melihat maqasid (tujuan) kepada ayat itu pula. Al-Quran memang tidak membenarkan kita bersekongkol dan bersekedudukan dengan mereka dalam hal akidah, tetapi untuk merawat masalah akidah mereka itulah, kita perlu melalui jalan muamalat.


Kalau muamalat dengan mereka pun tidak bagus, bagaimana mungkin kita dapat membuatkan hati mereka tertarik untuk menerima Islam?


Untuk membina sebuah masyarakat yang lebih baik, kita perlu merawat extremism dan kejumudan dalam memahami Islam ini.


Perbaiki cara berinteraksi kita dengan semua lapisan masyarakat biar dari agama mahu bangsa apapun kerana akhirnya kita bukan ingin memenangkan Islam atas kebencian orang ramai, tetapi kita ingin memenangkan Islam ini dengan tunduknya hati orang ramai terhadap kejujuran dan pembawaan kita yang baik.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 15, 2013 00:23

February 14, 2013

Fotografi: Seeking HIS helps


وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ


Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;

[2:127]

(Exif: Canon EOS 7D | Tokina 11-16mm | f22 | 1/120s | ISO 250)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 14, 2013 00:09

February 13, 2013

Motivasi: Generasi Pandai yang Dibodohkan

Umar-Mita-Malaysia-3


Photo by Umar Mita of Langit Ilahi


Dalam salah satu talk saya di Malaysia semasa cuti musim panas tahun lepas, salah seorang daripada audience bertanya kepada saya:


“Apa perasaan Aiman jadi orang pandai?”


Saya tergamam seketika.


“Huh?”


Soalan tersebut sedikit mengganggu fikiran saya. Mungkin dia sarcastic. Kalau begitu, saya tidak ambil hati. Mungkin dia ikhlas. Kalau begitu, saya bersyukur.


Walau apapun niatnya, saya tertarik juga dengan soalan yang diutarakan.


Saya curious, apakah yang menyebabkan hamba Allah itu menanyakan soalan tersebut? Dari mana datangnya soalan ini? Saya percaya bahawa ada kisah di sebalik kebanyakan soalan. Saya suka melihat sesuatu perkara itu melepasi sempadan apa yang saya nampak. Kerana saya tahu, apa yang mata saya dapat lihat bukanlah keseluruhan ceritanya.


Bak kata Rafiki dalam The Lion King 1 1/2, “Look beyond what you see.”


Saya cuba untuk tidak ambil semua perkara at face value supaya saya tidak terdedah daripada melakukan kesilapan yang boleh dielak. Bukan mudah, tapi saya cuba sedaya upaya.


All it takes is a few moments of thinking.


Maka saya cuba melihat di sebalik apa yang saya nampak, lalu satu persoalan timbul di minda: “Apakah hamba Allah yang bertanya itu merasakan dirinya tidak pandai?”


Definisi, Mentaliti, dan Pendekatan


Saya fikir definisi kita tentang apa itu “pandai” amatlah cetek. Antara faktor utamanya ialah sistem pendidikan kita sekarang. Bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Sistem ini telah mencorak definisi “pandai” kita.


Definisi ini membentuk mentaliti kita, dan mentaliti kita membentuk pendekatan kita.


Kepandaian itu telah diikat dengan abjad dan angka. Mereka yang pandai ialah mereka yang mendapat A dalam peperiksaan. Mereka yang pandai ialah mereka yang mendapat 80% dan ke atas dalam peperiksaan. Dahulu, saya juga terpengaruh dengan pemikiran seperti ini. Saya dibesarkan dengan pemahaman sebegitu rupa dan saya fikir ramai lagi di luar sana yang seperti saya.


Kita sudah lali dengan definisi ini. Ia telah sebati dalam diri kita dan kita tidak fikir dua tiga kali tentangnya. Ketahuilah bahawa banyak perkara yang sebati dengan diri kita harus diubah. Banyak perkara yang sudah biasa dalam hidup kita perlu dipersoalkan.


Contohnya, tabiat merokok dalam kawasan restoran. Ini ialah satu perkara biasa bagi masyarakat kita. Anehnya, masyarakat kita menerima tabiat ini walaupun telah terang lagi bersuluh bahawa ia tidak patut dilakukan. Bagaimana saya tahu bahawa kita telah menerima hakikat ini? Saya dapat tahu daripada kebisuan masyarakat tentangnya. Tauke restoran selalunya tidak kata apa-apa dan kebanyakan customers lain pula tidak tegur. Setakat tegur dalam diam tidak memadai.


Maka, tabiat ini harus dipersoalkan. Apakah ia baik untuk masyarakat? Jika ia tidak baik, mengapa kita tidak bersuara? Apakah kerana sesuatu itu sudah biasa, maka ia tidak salah? Kadang kala yang biasa itu harus dilihat sebagai luar biasa. Aneh.


Persepsi kita tentang kepandaian juga harus dipersoalkan. Apakah kepandaian itu hanya abjad dan angka?


Hanya Abjad dan Angka


Jika para pembaca dapat ingat satu perkara sahaja daripada artikel ini, saya harap para pembaca dapat ingat perkara berikut: kepandaian (intelligence) tidak dapat disukat dengan abjad dan angka.


“Aik, ujian IQ tu apa cerita? Bukan ke tu meletakkan angka kepada kepandaian?”


Sebagai seorang pelajar Psikologi, ingin saya beritahu bahawa tidak ada satu pun ujian IQ yang dapat cover kepandaian manusia secara menyeluruh. Setiap satu ujian IQ ini mempunyai kekurangannya yang tersendiri.


Dalam psikologi, ada pelbagai teori tentang kepandaian. Contohnya:


Horn (1968) dan Cattell (1941, 1963) mengklasifikasikan kepandaian kepada dua jenis: crystallized intelligence dan fluid intelligence.


Sternberg (1988) mengembangkan lagi konsep kepandaian ini kepada 3 kategori: componential intelligence, experiential intelligence, dan contextual intelligence.


Tidak cukup dengan itu, Gardner (1983, 1986) menyumbang lagi kepada kefahaman kita tentang kepandaian dengan membahagikan kepandaian kepada 7 bahagian: verbal intelligence, mathematical intelligence, spatial intelligence, bodily-kinesthetic intelligence, self-reflective intelligence, interpersonal intelligence, dan musical intelligence.


Dan banyak lagi teori yang lain.


Tujuan saya perkenalkan teori-teori ini sekadar untuk memberi gambaran kepada para pembaca tentang complexity seseorang individu apabila kita bercakap soal kepandaian. Pun begitu, tiada teori yang sempurna tentang kepandaian. Kita masih lagi dalam proses memahami dengan lebih mendalam tentang kepandaian manusia (human intelligence).


Maka apabila kita mengukur kepandaian seseorang dengan angka dan abjad semata-mata, maka kita telah mengecilkan potensi dirinya daripada seluas lautan kepada sebuah kotak yang sempit.


Human intelligence is too complex to be quantified by letters and numbers.


Don’t get me wrong, abjad dan angka ini ada gunanya. Tetapi, mereka bukanlah penentu mutlak akan kepandaian seseorang.


Kepandaian


Setiap manusia itu pandai, cuma pandai dalam perkara yang berbeza-beza.


Walaupun kefahaman kita tentang kepandaian manusia masih lagi belum sempurna, tetapi satu perkara sudah kita ketahui dengan jelas: kepandaian itu pelbagai (intelligence is diverse).


Kepandaian tidak tertakluk kepada bidang akademik semata-mata. Jika kita tidak pandai dalam satu perkara, itu tidak bermakna kita tidak pandai dalam semua perkara. Kalau tidak pandai akademik, mungkin pandai dalam sukan, dalam memasak, dalam menari, dalam muzik, dalam berdebat, dalam melukis, dalam bertukang, dan sebagainya.


Tambahan pula, seseorang itu boleh mempunyai kepandaian dalam banyak perkara; bukan pandai dalam satu perkara sahaja. Sebagai contoh, seseorang itu boleh pandai dalam menulis puisi, bermain bola sepak, berkebun, matematik, dan memasak.


Konklusi


Saya harap artikel ini tidak digunakan sebagai alasan untuk malas belajar. Belajarlah bersungguh-sungguh. Cuma jika anda tidak mendapat markah akademik yang cemerlang, ketahuilah bahawa markah tersebut hanyalah abjad dan angka sahaja.


Ramai yang menjadi mangsa abjad dan angka ini. Akhirnya, mereka yang pada hakikatnya pandai dilabelkan sebagai “bodoh”. Mungkin label itu diberikan secara terang-terangan, ataupun secara kias-kiasan.


Tragedinya ialah, mereka percaya kepada label yang diberikan.


Allah kurniakan potensi yang berbeza-beza kepada setiap manusia dan kita memerlukan semua potensi ini untuk berfungsi dengan baik sebagai satu umat yang sihat. Carilah potensi kita dan bantulah yang lain untuk mencari potensi mereka.


Jangan kerana kesempitan minda kita, kita sempitkan kehidupan orang lain.


Kepandaian itu luas dan pelbagai.


Buanglah kotak kecil itu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 13, 2013 21:25

February 12, 2013

Kehidupan: Valentine? Cinta? Islam?


Perlukah kita sambut sekali Valentine’s Day? Apa signifikannya sebagai muslim? ~ Picture by UmarMita


 


14hb Februari saban tahun memang hangat, kerana telah diwar-warkan kepada sekalian makhluk di atas muka bumi ini bahawa itulah dia hari manusia memanifestasikan cinta. Di bawah payungan nama Valentine’s Day, seorang priest bernama Valentinus, dengan lagenda cintanya. Namun apa yang menarik, bukan penganut agama yang sama sahaja sibuk menyambut Valentine’s Day ini, tetapi juga agama-agama lain termasuklah orang-orang dari kalangan orang Islam sendiri teruja untuk menyambutnya sama.


Untuk merawat suasana ini, ada yang mereka cerita bahawa  Valentine’s Day sebenarnya adalah hari kejatuhan Islam di Cordova. Hari di mana ditipu ummat Islam beramai-ramai masuk ke kapal yang dikatakan penjajah sebagai peluang ummat Islam melepaskan diri, kemudian dibakar mereka yang masuk ke kapal itu. Namun nyata, cerita ini tidak punya asal usul dan fakta sejarahnya. Antara punca utama jatuhnya Sepanyol bukanlah serangan dari luar, tetapi hakikatnya adalah masalah dalaman kepimpinan dan rakyatnya sendiri. Melainkan ada sumber sejarah yang kuat untuk menyokong cerita tragedi ummat Islam pada 14hb Februari ini, maka sepatutnya kita tidak teruja berkongsi sesuatu yang tidak kita pasti kesohihannya.


Justeru, bagaimana hendak merawat kemabukan manusia terhadap cinta ini?


Ya, cinta adalah fitrah. Kerana itu mungkin, apabila dicari-cari hari istimewa untuk cinta di dalam Islam tidak dijumpai, maka apabila wujudnya Valentine’s Day, ditumpanginya sekali. Namun kita semua tahu, namanya sahaja sudah nama seorang Priest. Maka bagaimana pantas seorang Muslim menyambutnya sekali?


Itu belum kita periksa dengan teliti, bagaimana pula manifestasi cinta yang akan dilakukan pada Valentine’s day ini?



Cinta?


Apa itu cinta?


Saya telah mengarang sebuah buku bertajuk – Buku Motivasi Cinta: Sebelum Aku Bernikah. Buku yang menceritakan akan kefahaman saya terhadap cinta, nikah, kahwin dan rumahtangga, seterusnya membawa pembaca-pembaca melayari juga pengalaman saya ketika mengembara mencari cinta daripada manusia yang saya cinta.


Namun mudahnya saya ringkaskan cinta itu adalah:


“Sekiranya benar cinta, ianya mesti membawa ke syurgaNya. Apa-apa yang membawa ke neraka, itu tidak akan sesekali namanya cinta.”


Ya. Itulah cinta. Kerana Allah SWT telah berfirman:


“Wahai orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari siksa api neraka.” Surah At-Tahrim ayat 6.


Maka se’sweet’ mana pun kita berbahasa dalam bahasa cinta, mengarang puisi dan romantisnya cerita, mahalnya hadiah dan menariknya suprise, itu semua tidak membawa makna apa-apa jika ianya melempar ke neraka.


Apabila cinta itu dipraktikkan dengan cara yang Allah larang, bersentuhan lelaki dan perempuan yang bukan mahram, keluar berdating dalam keadaan diri belum ada hubungan yang sah, menghabiskan masa dan duit berhubungan sesama kekasih dalam keadaan yang melalaikan dan penuh pembaziran, nyata ini semua telah melanggar banyak perintah Allah SWT. Apatah lagi apabila terjebak di dalam bercumbuan dan zina.


Itu semua bukan cinta.


Tetapi cinta adalah dengan kita mempersiapkan diri menjadi hambaNya yang terbaik. Ya, kita memang tidak akan mampu pasti sepastinya bahawa kita telah menjadi hambaNya yang baik. Namun sekurang-kurangnya kita boleh tanya pada diri ini satu soalan: “Sudah mula usaha atau belum? Sudah cukup bersungguh dalam usaha atau tidak?” Jika kita mampu menanyakan diri kita perkara itu dan menjawabnya dengan jujur, itu antara tanda bahawa kita telah menggapai kematangan dan mampu melangkah untuk memanifestasikan cinta dalam erti kata yang sebenar – yakni bergerak ke arah syurga Allah SWT, berkahwin, membina keluarga yang baik, sambil terus memperbaiki diri dan pasangan serta ahli keluarga.


Itulah dia makna cinta. Bukan terhenti pada perkahwinan semata-mata. Bahkan ianya adalah untuk membina sebuah rumahtangga, merancang untuk menjalani kehidupan dan mati di dalam redhaNya. Cinta yang membawa ke syurga bukan?


 


Islam.


Cinta tidak murah di dalam Islam. Cinta juga tidak pernah kotor di sisi Islam. Islam mengiktiraf cinta, kerana cinta itu fitrah. Sebagaimana Islam mengiktiraf makan dan minum, juga sebagaimana Islam mengiktiraf keperluan seks dalam kehidupan manusia. Islam tidak mengharamkan semua itu bukan? Tetapi Islam melaksanakan apa? Islam turun dengan ‘pengawalan’.


Maka cinta mestilah tunduk kepada arahanNya. Cinta mesti berada dalam batasanNya. Tiada pembaziran, baik masa atau harta. Tiada kemaksiatan, baik ringan atau berat. Rindu? Tiada masalah. Namun bukannya sampai ke tahap angau hingga mandi tidak basah, tidur tidak lena, makan tidak kenyang.


Kemudian perlu dilihat betapa Islam tidak turun agar manusia menjadi hamba perasaan semata-mata. Salah satu rukun iman adalah beriman kepada akhirat, menunjukkan betapa Islam mengajak manusia agar mempunyai wawasan yang jauh dan bermakna.


Maka begitulah mereka yang bercinta di dalam Islam. Bukannya sekadar ana cintakan enti kerana Allah, ana cintakan enta kerana Allah. Bukan sibuk dengan itu. Tetapi cinta di dalam Islam antara lelaki dan perempuan adalah sebuah penyatuan untuk membina ummah. Bukan semata-mata hendak melempiaskan nafsu antara lelaki dan perempuan.


Justeru perlulah kita meletakkan cinta kita selari dengan fitrah Islam itu sendiri.


Kerana itu cinta di dalam Islam punya disiplinnya. Pengisian cinta yang paling penting di dalam Islam adalah persiapan diri. Intipati ayat 6 Surah At-Tahrim itu perlu dihadami. Ummah pula memerlukan manusia-manusia yang mampu menopangnya dengan baik, agar ummah mampu menjadi ummah yang kuat dan unggul. Jika kita tidak mempersiapkan diri menjadi suami yang baik, isteri yang baik, bapa yang baik, ibu yang baik, maka bagaimana kita hendak membina ummah ini?


Nyata kita punya peranan yang besar.


Jika pada perkara yang amat asas seperti cinta sudah kita rosakkan, maka bagaimana agaknya dengan ummah yang hendak kita bina daripada asas itu?


Akan tiba-tiba menjadi kuat?


 


Penutup: Mencari Cinta yang diredhaiNya.


Bagaimana manusia yang tidak punya hubungan dengan Allah memanifestasikan cinta mereka?


Dunia hari ini telah dididik tanpa sedar oleh media barat dan timur akan ‘cara’ bercinta. Cinta mesti angau, cinta mesti dating, cinta mesti pegang tangan, cinta mesti peluk, cinta mesti cumbu, hinggalah kepada cinta mesti seks. Tanpa kita sedar, kerangka cara memanifestasikan cinta sebegini telah di’print’ di dalam minda kebanyakan kita.


Tatkala kita hendak bercinta, automatik kita akan mencontohi cara-cara tersebut.


Kerana itu, kita perlu keluar dari penjara minda dan jiwa ini. Kita perlu mencari cinta yang hakiki, cinta yang diredhai Ilahi. Bermula dengan membina kematangan dan mempersiapkan diri menjadi hamba yang Rabbani.


Buat apa kita sambut Valentine yang punya kaitan dengan Priest dari agama lain?


Mengapa kita tidak punya satu hari yang istimewa untuk memanifestasikan cinta di dalam Islam?


Kerana hari-hari seorang Muslim itu hakikatnya perlu dipenuhi dengan cinta dan kasih sayang, di atas jalan yang benar.


Sama-sama muhasabah.


Keluar dari perangkap cinta yang merosakkan!


 


———————————–


Ingin dapatkan Buku Motivasi Cinta: Sebelum Aku Bernikah?



 


Dapatkan di LangitIlahi Store!


WHERE TO BUY?

http://langitilahi.com/store 

HOW TO BUY?

http://langitilahi.com/store/store-guide


VIDEO GUIDE:

http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=hbINKbCZyvg


————————–———————

WHY SHOPPING ONLINE?

No closing times

No carrying heavy bags

No traffic & parking jams

No wasting petrol, toll & time

No over-crowded supermarkets & queues


————————–———————

Mari Menjadi Hamba!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 12, 2013 08:16