Hilal Asyraf's Blog, page 117
March 17, 2013
Agama: Mata Punca Kebanyakan Dosa
~Menangislah wahai mata akan dosa-dosa yang telah kau tempa~
Pandangan mata merupakan cermin bagi hati manusia. Bagaimana dia menjaga pandangan, begitu jugalah hatinya berkedudukan. Seterusnya keadaan hati ini yang memandu setiap amalan insan sama ada ditembusi cahaya kebaikan atau bersawang dosa dan kemaksiatan. Oleh yang demikian, mata merupakan akar untuk menjaga segala dosa dan punca mendapatkan pahala.
Pandangan Mata
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menjaga pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menjaga pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. (An-Nur:30-31)
Dalam banyak perkara apabila Allah mensyariatkan hamba-hambaNya untuk melaksanakannya atau melarangnya, kebiasaan Allah akan menyatakan dalam ayat yang merangkumi keseluruhan muslim tanpa mengklafikasikan mengikut jantina. Namun, dalam perihal menjaga pandangan ini, Allah sebutkan dua kali yang mana berbeza dari sudut ayat dalam rangka pensyariatannya kepada berlainan jantina untuk menggambarkan kepentingan bagi setiap lelaki dan wanita itu menjaga pandangannya.
Hal ini disebabkan, menahan pandangan mata adalah dasar untuk menjaga kemaluan dan lain-lain kemaksiatan. Berkaitan itu juga pandangan mata disebutkan terlebih dahulu dalam ayat tersebut berbanding untuk menjaga kemaluan.
Dalam pada itu, pengharamannya bukanlah secara mutlak yang beerti ada dalam keadaan tertentu untuk kemaslahatan yang pasti, seperti urusan jual beli, perubatan dan perkara-perkara penting yang menuntut berlainan jantina berurusan. Demikian, pandangan mata bukan diharamkan secara total sebaliknya menjaga kemaluan dituntut dalam apa jua keadaan kecuali pada yang dibenarkan.
Larangan dan pengingkaran terhadap pandangan mata juga disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w:
Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas diri anak Adam bahagiannya dari zina. Dia mengetahui yang demikian tanpa boleh dimungkiri. Mata itu bisa berzina, dan zinanya adalah pandangan. Lidah itu bisa berzina dan zinanya adalah perkataan. Kaki itu bisa berzina dan zinanya adalah ayuhan langkahan. Tangan itu bisa berzina dan zinanya adalah kekerasan. Hati itu bisa berkeinginan dan berangan-angan, sedangkan kemaluan membenarkan perbuatan itu atau mendustakannya. (Bukhari & Muslim)
Merujuk pada hadis ini, dapat kita singkap bahawa pandangan mata disebutkan juga pada awalnya kerana boleh menjebak manusia kepada kemaksiatan lainnnya. Akhirnya, kemaluan menjadi pembukti kefasadan itu berlaku atau dicegah.
Punca Maksiat Mata
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, mata antara punca utama kemaksiatan seterusnya. Bahkan ia ibarat panahan beracun yang mana apabila sekali manusia terkena maka sukar menyembuhkannya semula. Jika boleh diubati pun masih berbekas kesan atau parut panahan. Nabi s.a.w bersabda:
“Pandangan mata itu laksana anak panah beracun daripada berbagai macam anak panah Iblis.” (HR Ahmad)
Selain itu, punca kemaksiatan pandangan mata yang utama adalah wanita. Walaubagaimanapun tidak dinafikan lelaki juga boleh menjadi asbab. Namun, para wanita lebih membawa impak yang besar kesan daripada tidak menjaga auratnya dengan baik. Disebutkan juga dalam surah An-Nur[i], Allah mendahulukan penzina-penzina wanita daripada lelaki kerana menjadi sumbangan utama ke arah maksiat zina.
Bahkan disebutkan juga dalam hadis baginda s.a.w:
“Aku tidak meninggalkan cubaan yang lebih membahayakan kepada lelaki selain daripada wanita. (HR Bukhari)”
Adapun punca kemaksiatan ini bukanlah bererti merendahkan martabat wanita. Melihat pada lipatan sejarah berapa banyak wanita yang memberi sumbangan kepada Islam secara terus seperti Asiah isteri Firaun atau memberi sumbangan dengan menjadi penguat kepada dakwah seperti yang dibuat oleh isteri-isteri nabi.
Tambahan, dalam perkara maksiat yang lain seperti pencurian, Allah mendahulukan golongan lelaki dalam menyebutkan tentang hukumannya dalam Al-Quran[ii]. Namun, dalam dosa yang melibatkan pandangan mata dan seterusnya membawa kepada zina amat berkait rapat dengan golongan wanita.
Oleh yang demikian, kepentingan wanita terutama dalam bab menjaga aurat amatlah penting kerana ia bukanlah berkaitan dosa kepada diri sendiri tetapi juga bersangkutan dengan orang disekitarnya. Cuba fikir adakah kita (para wanita) suka jika bapa, abang-abang dan adik-adik kita mendapat dosa dengan perbuatan seorang wanita yang lain? Begitu juga masyarakat kita yang lain tidak suka untuk perkara yang sama menimpa keluarga mereka.
Manfaat menjaga pandangan mata
Setiap larangan yang diperintahkan dalam bab ibadat secara umumnya perlu diterima oleh manusia tanpa persoalan disebabkan ia merupakan proses keabdian seorang insan kepada Tuhan. Namun, akal atau hujah manfaat bagi larangan tersebut bukanlah bererti dinafikan dan tidak boleh diterima. Begitu juga dalam bab menjaga pandangan ini ada beberapa kebaikan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim Al-Jauzi[iii]:
1. Membersihkan hati dari derita dan penyesalan
Manusia yang suka mengumbar pandangan matanya, maka penyesalan yang dirasakan tiada henti-hentinya kerana dengan perbuatan tersebut jiwa menjadi gelisah akan perkara yang dilihatnya disamping tidak dapat mengawal hawa nafsunya.
Pandangan akan menyusup ke dalam hati seperti anak panah yang meluncur saat dibidik. Jika tidak membunuh, tentu ia akan merobek luka. Ia (pandangan) juga boleh diibarat seperti bara api yang dilemparkan pada dahan-dahan kering, jika tidak membakar semuanya, nescaya akan membakar sebagian antaranya.
Kata sebuah syair:
Segala peristiwa berawal dari pandangan mata,
Jilatan api bermula dari setitik bara,
berapa banyak pandangan yang membelah hati,
laksana anak panah yang melesat dari tali,
selagi manusia punya mata untuk memandang,
dia tidak lepas dari bahaya yang menghadang,
senang dipermulaan dan ada bahaya di kemudian hari,
tiada ucapan selamat datang dan ada bahaya saat kembali.
2. Mendatangkan cahaya dan keceriaan serta kegembiraan di hati
Allah (pemberi) cahaya kepada langit dan bumi. (An-Nur:35)
Ayat ini disebutkan setelah Allah menyuruh lelaki dan perempuan menjaga pandangan dan kemaluannya. Kemudian datang ayat ini. Tidakkah kita juga sebahagian dari keduanya?
Kegembiraan yang menyelinap dalam jiwa manusia tidak lain tidak bukan kerana kemampuannya menahan nafsunya dari larangan Allah. Tatkala pembekuan nafsunya ini berjaya dilakukan, saat ini datangnya kegembiraan.
3. Membuka pintu dan jalan ilmu serta memudahkan untuk mendapatkan asbab ilmu
Selalu manusia mempotretkan kebaikan adalah cahaya, keburukan adalah kegelapan, dan cahaya tidak akan masuk dalam kegelapan. Tp bukankah sifat cahaya menerangi kegelapan? Ya, tapi ia tidak pernah akan sama tempat bercahaya dan tempat diterangi cahaya. Yang mana lbh jelas?
Bilamana digambarkan ilmu adalah cahaya, dan ia tidak mudah memancar dalam jiwa bersawang dosa. Sekalipun ia terima cahaya nescaya lebih malap dari yang hati yang jernih. Hal ini terjadi ilmu itu bukan sekadar terpenjara pada akal manusia, tetapi ia menerobos dinding hati supaya subur darinya amal. Jika hati bersinar terang, maka akan muncul hakikat pengetahuan di dalamnya dan mudah terkuak, sehingga ilmu-ilmu itu bisa dihadam. Namun, bagi mereka yang bemudah-mudah dalam pandangan mata, maka hatinya akan menjerit kegelapan. Jalan ilmu terasa sempit, pintu ilmu seolah-olah tidak terbuka.
4. Membebaskan hati dari syahwat yang memabukkan dan kelalaian yang melenakan
Melampiaskan pandangan mata pasti akan membuatkan pelakunya lalai terhadap Allah dan memikirkan hari akhirat sehingga menyebatkan dia terjerat dalam tawanan cinta. Firman Allah:
Demi umurmu (Muhammad), sesungguhnya mereka terumbang-ambing di dalam kemabukan(kesesatan). (Al-Hijr:72)
Pandangan mata adalah segelas arak dan cinta yang dapat memabukkan bila meminumnya. Mabuk cinta lebih parah daripada mabuk kerana arak. Orang yang mabuk kerana arak biasa segera kembali. Berlainan dengan orang mabuk cinta, hingga terkadang sukar untuk tersedar kecuali diambang mati.
5. Menutup pintu maksiat seterusnya
Pandangan mata merupakan gerbang syahwat yan menuntut perlaksanaannya. Larangan Allah terhadap perkara ini merupakan tabir pemisah pelaku dan dosa. Siapa yang berani menceroboh tabir ini, maka tidak mustahil dia mudah terdorong untuk merosakkan penghadang seterusnya kerana ia tidak akan berhenti pada satu tujuan sahaja.
Jiwa manusia fitrahnya tidak upaya menentang tujuan yang sudah diperoleh, lalu keinginan untuk mendapat suatu yang baru semakin membuak-buak tambahan perkara itu tampak lebih indah melalui jendela pandangan pelaku. Justeru, menutup pintu utama itu amat penting supaya dapat menghalang kemaraan maksiat yang lain.
6. Mendatangkan firasat yang kuat
Menahan pandangan bisa mendatangkan kekuatan firasat dalam kebaikan, kerana ia amat berkait dengan soal kekuatan hati. Jika hati kental, buah pandangannya tidak mudah tersasar. Hal ini disebabkan hati berkedudukan seperti cermin yang memperlihatkan kepada manusia seluruh apa yang ada dari pantulannya. Sedangkan pandangan ibarat hembusan nafas pada cermin yang mana semakin banyak hembusan semakin pudar kekuatan hati dan menyebabkan manusia mudah terkalah.
7. Melangkah kepada kebaikan yang lebih mendekat diri dengan tuhan
Hawa nafsu manusia mudah terjaga apabila pandangan mata terpelihara. Dengan sebab itu, kebaikan yang lain mudah untuk manusia usaha untuk dilaksana. Melihat contoh dalam lembayung sirah, Allah mensyariatkan berpuasa terlebih dahulu pada tahun kedua hijrah sebelum memerintahkan nabi s.a.w dan para sahabat berjihad dalam perang badar pada tahun yang sama dalam bulan puasa pula. Apakah rahsianya?
Sudah tentu, supaya para sahabat dapat mendidik nafsu mereka dengan kesusahan, untuk mereka dapatkan kekentalan jiwa menghadapi musuh yang mendatang. Begitu juga dengan kita, jika kita bisa menawan hawa nafsu dari mara, maka ruang kebaikan yang lain akan terhampar pada pandangan mata.
Kesimpulan
Menjaga pandangan mata tidak terikat dengan pada keadaan persekitaran luaran yakni di ruangan awam seperti university, supermarket atau lain-lainnya sahaja. Tetapi ia juga turut menuntut manusia untuk cuba menahan pandangan tatkala bersendirian atau dihadapan gadjet-gadjet yag serba canggih kini.
Akhir sekali, sudah tentu kebaikan menjaga pandangan ini lebih banyak daripada apa yang cuba dikongsikan. Mungkin ini sekadar peringatan bersama kepada kita moga kita tidak mudah lupa saat kita menghadapi ujian tersebut dihadapan mata.
[i] An-Nur:2
[ii] Al-Maidah:38
[iii] Cinta dan Rindu dalam Al-Quran, Ibn Qayyim
March 15, 2013
Pemuda: Berani Berubah; Sentiasalah Bicara Positif Terhadap Diri Sendiri (1)
Bagaimana anda menerangkan tentang diri anda sendiri? Dengan pandangan positif atau negatif? Apa yang kita katakan kepada diri kita sendiri secara signifikannya mempengaruhi kualiti kehidupan kita, dan keupayaan kita untuk melakukan perkara-perkara yang bermanfaat secara berkesan. Kebanyakan kita sering berkata-kata dengan diri sendiri. Kita bercakap kepada diri sendiri sepanjang hari dan malangnya, kita sering bercakap hal yang negatif terhadap diri kita. Selalunya ia disertai dengan rasa bersalah tentang masa lampau yang telah dilalui, atau kebimbangan tentang masa depan kita. Sering berkata negatif terhadap diri sendiri boleh memusnahkan benih harapan untuk kita berusaha menggapai impian dan perubahan.
Tidak semua insan dilahirkan bernasib baik, berwajah cantik, tampan, hidup dalam kemewahan, lahir dari kalangan ibu bapa yang berpendidikan, atau cemerlang dalam pelajaran. Lantas kita sering berbisik tentang kekurangan diri sendiri. Mengeluh dan mengeluh.
Usah berfikir yang anda tidak boleh berjaya. Sebaliknya fikirlah yang anda seorang yang cekal, tidak mudah berputus asa dan terus berusaha untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan seharian. Lontarkan kata-kata semangat pada diri anda. Pujilah diri anda sendiri, jangan mengharap pujian orang kerana pujian orang terkadang palsu. Berkatalah pada diri bahawa anda punyai masa depan yang baik insyaAllah asalkan diri anda mahu berubah. Positiflah pada diri sendiri dengan membisikkan kata-kata positif.
Pendekatan ini selari dengan pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat hendaknya dia berkata perkataan yang baik ataupun diam” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
Kalau kita diminta bicara yang baik tentang segala perkara, kenapa tidak pada diri sendiri. Tindakan kita sering diilhamkan oleh fikiran kita. Fikiran kita sering termakan dengan kata-kata bisikan pada diri sendiri. Amalan bercakap positif dengan diri sendiri boleh membantu kita menetapkan matlamat dan kemahuan mahu berubah menjadi lebih berkesan. InsyaAllah ianya juga akan mendorong perbuatan kita untuk melakukan tindakan yang baik dan bermanfaat.
Hapuskan Bisikan Negatif Dalam Diri
Langkah pertama adalah miliki kesedaran bahawa kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (At Tin : 5)
Justeru berhentilah mengatakan yang tidak baik dan negatif terhadap diri sendiri sehingga melemahkan integriti diri untuk berubah. InsyaAllah, pada diri anda punyai nilai kebaikan. Namun perasaan itu kabur setelah kita sering berbisik yang negatif terhadap kelemahan diri. Sudah pasti ianya tidak akan mudah untuk mengubah persepsi negatif pada diri sendiri jika anda mempunyai sejarah yang panjang bercakap negatif pada diri sendiri. Mengatakan diri anda dari sudut negatif di sepanjang tahun kehidupan mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor. Sebagai contoh, jika ibu atau bapa anda berulang kali memberitahu anda bahawa anda adalah “lembab”, anda mungkin percaya dengan benar bahawa diri anda lembab. Anda akan mendapati bahawa perbualan dalaman anda akan sering diisi dengan bisikan “Saya begitu lambat” dan “ia adalah begitu sukar untuk belajar kerana saya lembab”. Jika anda sentiasa memberitahu diri anda dengan hikayat negatif, tindakan anda akan mencerminkan harga diri anda yang rendah. Ia akan menjadi sukar untuk anda mendapatkan keyakinan diri sendiri untuk berubah jika anda sentiasa meletakkan diri anda di bawah.
Bisikan Itu Punya Pengaruh
Berkata yang baik pada diri sendiri bererti menegaskan tentang siapa jati diri kita. Jika kita sering mengatakan yang negatif pada diri sendiri bermakna kita telah melemahkan keyakinan kita sendiri. Maka kita hidup bergerak tanpa punya keyakinan. Kita termakan dengan bisikan sendiri yang mengatakan kita tidak boleh, tidak mampu, kita lemah, tidak punya apa-apa kelebihan, diri ini tak pandai, tidak seperti orang lain dan sebagainya. Akhirnya akan berbuahlah pemikiran, sikap dan tindakan yang negatif.
Muhammad Ali, petinju terkenal selalu berkata pada dirinya, “Aku petinju yang hebat. Apa pun yang terjadi aku tetap petinju yang hebat. Akulah petinju terbaik dunia.” Dalam sebuah temubual di televisyen beliau di tanya, “Mengapa anda selalu berkata demikian?” Muhammad Ali menjawab, “Kerana kalimat itu memberikan aku rasa percaya pada diri , menguatkan keinginanku dan membuatku konsentrasi pada target yang ingin aku capai. Jika akhirnya aku gagal, aku akan belajar dari kegagalan, kemudian berlatih lebih baik lagi hingga berhasil.
Berbicara positif terhadap diri sendiri merupakan pendekatan strategik menumbuhkan fikiran dan perilaku kita supaya tetap positif seperti mana yang telah dibuktikan oleh Muhammad Ali. Ianya dapat memotivasikan diri, meningkatkan keyakinan diri, dan meningkatkan fokus mengembangkan potensi dan kelebihan yang ada pada diri berbanding menyesali kelemahan dan kekurangan diri.
Mulai saat ini, mulalah mengatakan yang positif pada diri. Setiap saat, ulangkan ungkapan dan kata-kata yang luarbiasa pada diri , moga ia memberi kekuatan pada diri untuk tetap semangat melakukan perubahan.
Ya Allah, aku sedar hambamu ini sedang diberikan sedikit ujian dariMu..
namun hambamu ini merasakan dirinya lemah..
aku bermohon agar Engkau dapat berikan hambamu ini kekuatan dalam hatinya,
Engkau berikanlah aku petunjuk agar cahayaMu itu meresap
lalu membakar semangatku kembali..
aku mohon agar kesulitan ini dapat dihadapi dengan tenang..
aku tahu air mata ini tidak sepatutnya mengalir tanpa sebab yang kukuh
namun aku pasti kau mengetahui setiap yang berlaku pada zahir dan batin diri hamba-hambamu…
Allah Jua Pemberi Kekuatan
Memang sukar untuk menghilangkan kebiasaan kita yang negatif hanya dengan menggantikannya dengan kebiasaan yang positif. Tetapi, insyaAllah, kita mampu menghilangkan kebiasaan negatif itu dengan menggantikan ungkapan negatif itu kepada ungkapan yang positif. Ini kerana bisikan positif kita itu secara tidak langsung akan mempengaruhi tindakan kita, dan selanjutnya tindakan kita akan mempengaruhi kebiasaan serta tingkah laku kita. Menurut para ahli psikomotorik, jika sering mengungkapkan perkara positif tentang diri sendiri, baik ketika akan tidur, mahupun saat bangun, apatah lagi selesai kita solat dan berdoa, alam bawah sedar akan bekerja sehingga segenap fikiran kita dipenuhi perkara-perkara positif setiap saat. Itulah yang sering dilakukan oleh orang yang berjaya.
Bagi kita sebagai hamba Allah SWT. kita punya tempat berharap dan bergantung. Mengungkapkan kata positif pada diri adalah dengan sering menghubungkan hati kita kepada Allah SWT. Sumber kekuatan sebenar kita datang dari kurniaan Allah SWT.
Dari Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari kecil.”
Allah SWT mentarbiyah kita dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Maa syaa Allah, laa quwwata illaa billah (Sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). (Al-Kahfi: 39)
“Laa haula wa laa quwata illa billah” (Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).” (HR Bukhari dan Muslim)
Subhanallah, ulang-ulangkanlah hadis qudsi dan ayat-ayat semangat dari Allah SWT ini pada hati dan diri kita, Allah SWT cukup dekat dengan kita untuk membantu hamba-Nya yang ikhlas mengharap rahmat-Nya untuk berubah dan memperbaiki kualiti kehidupannya. Seringlah berbisik bahawa Allah SWT sentiasa ada bersama kita. Sentiasa mendengar doa dan harapan kita.
Berani berubah! Adalah mereka yang mengubah momokan bisikan negatif kepada kalimat yang positif pada diri sendiri. InsyaAllah, pertolongan Allah SWT akan bersama anda!
Himmah : Surah Ad-Dhuha – Belajarlah Positifkan Hidup !
Positiflah memandang hidup !
~ Pictue by www.jokeroo.com
Surah Ad-Dhuha adalah antara surah yang sangat memotivasikan dan sangat menyentuh hati. Siapa yang membaca surah Ad-Dhuha, memahami maksudnya, merasainya dengan hati, pastilah hatinya akan disentuh oleh manisnya kisah sentuhan Allah ke atas Nabinya, Muhammad s.a.w.
Kisah penurunan surah yang penuh kemanisan yang menjelmakan semula kekuatan bagi seorang hamba Allah untuk terus positif meneruskan kehidupannya sebagai hamba Allah. Kisah bagaimana seorang hamba yang diberi harapan bahawa masih ada cahaya di dalam kehidupannya di kala dia terasa kegelapan yang pekat telah meliputi hidupnya.
Begitulah Ad-Dhuha memberikan semula harapan Tuhan untuk kehidupan insan.
Siapakah pemberi harapan yang lebih baik selain dari Allah dalam hidup ini?
Siapakah tempat bergantung yang lebih baik selain dari Allah kala kita dijemput masalah?
Sudah tentulah Allah satu-satunya.
Kadangkala Kita Merasakan Seakan-akan Allah Tidak Mempedulikan Kita
Ada masa-masa di dalam kehidupan kita ini seakan-akan kita merasakan Allah tidak memberikan respon terhadap diri kita.
Hidup terasa sugul. Kosong. Suram.
Seakan-akan Allah itu tidak lagi mempedulikan kita.
Kita berzikir setiap hari, tetapi kadangkala zikir itu terasa kosong tanpa makna. Tidak mampu menembus dan memberikan kekuatan kepada jiwa kita.
Kita membaca Al-Quran setiap hari, tetapi kadangkala bacaan Al-Quran kita tidak ubah seperti bacaan sebuah buku biasa yang tidak memberikan apa-apa makna yang luar biasa.
Begitulah juga amalan-amalan ketaatan lain. Kita berusaha bersungguh-sungguh melakukan pelbagai kebaikan dalam hidup kita, tetapi kadangkala kita merasakan Allah seakan-akan tidak memberi respon atau mempedulikan apa yang sedang kita usahakan selama ini.
Bila kita dijemput kesusahan atau keperitan hidup, di manakah bantuan Allah datang mengeluarkan kita dari segala kepayahan itu?
Bila diuji dengan musibah yang sangat berat dan kadangkala rasa tidak tertanggung, kita mula bertanya, kenapa Allah timpakan sehingga sebegini rupa sekali ke atas aku? Apakah Allah sudah tidak sayang lagi kepada aku?
Bila kita menghadapi satu kedukaan, kemudian ditambah pula kedukaan yang baru, sudah jatuh ditimpa tangga lagi, kita mula bertanya, apakah Allah sudah tidak mempedulikan aku?
Kadangkala, hari kita penuh dengan kesibukan sehingga kita pun menjadi begitu penat. Dalam keadaan kepenatan itu, datang pula kesibukan baru. Tidak sempat rehat pun, ada tanggungjawab baru pula menimpa di atas bahu kita.
Kita bertanya pada diri kita, Allah tak tahukah aku penat ni, kenapa ada tanggungjawab baru pula menimpa aku? Terasa seakan-akan beban di bahu kita begitu berat dengan banyaknya tanggungjawab di bahu kita. Kadangkala, kerana hati kita tidak begitu kuat, air mata kita mudah mengalir memikirkan betapa lemahnya kita untuk sebuah tanggungjawab yang begitu besar.
Begitulah Perasaan Nabi, Adakah Allah Telah Membenci Aku?
Begitulah surah Ad-Dhuha menggambarkan perasaan yang ada pada Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu ia diturunkan.
Ia menenangkan perasaan yang sedang gundah gulana kerana memikirkan Tuhannya telah meninggalkannya.
Ia membangkitkan semula rasa semangat dalam jiwa bahawa Tuhannya tidak pernah tinggalkannya bahkan sentiasa terus-menerus menunjukkan jalan dan membimbingnya.
Ia umpama tiupan bayu kasih sayang, pujuk rayu yang begitu menyentuh hati dari seorang Kekasih kepada kekasihnya. Perdampingan yang menyebabkan terungkainya sangkaan-sangkaan negatif di hati. Belaian yang menyebabkan hati yang lemah terasa kuat semula.
Bagaimana mungkin ia tidak menjadi belaian yang menenangkan hati, memberikan kekuatan dan semangat untuk meneruskan perjalanan di kala wahyu sudah tidak turun kepada Nabi dalam tempoh yang begitu panjang sekali. Sehinggalah Ummu Jamil, isteri Abu Lahab berkata kepadanya : “Wahai Muhammad, aku rasa syaitan kau telah tinggalkan kau !” .
Sehingga ke tahap itu sekali. Sudahlah tidak memiliki sesiapa lagi sebagai teman rapat dalam hidupnya, kemudian terputus wahyu pula dari satu-satunya sumber kekuatannya, selepas itu ditohmah pula oleh Arab Musyrik, siapakah yang mampu menahan lagi hatinya dalam keadaan begini?
Bertanya pada hati, apakah Allah sudah tidak mempedulikan aku lagi?
Tidak, Allah Bukannya Sedang Membiarkan Kamu
Allah memulakan surah Ad-Dhuha ini dengan gambaran waktu dhuha dan malam yang memberikan sinar baru bagi kehidupan insan.
Mendidik jiwa yang sedang bersedih untuk bersangka baik dengan Tuhan yang menguji dirinya dengan kesedihan itu.
Begitulah Allah memberikan jawapannya kepada Nabi Muhammad s.a.w.
“Tuhanmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak (pula) membencimu.” [Ad-Dhuha : 3]
Seakan-akan Allah mahu berkata kepadanya, ‘Tidak akan pernah Aku tinggalkanmu sejak Aku telah memilihmu, mana mungkin Aku marah kepadamu sejak Aku telah mencintaimu.’
Dia sentiasa ada untuk kamu kala kamu diuji dengan musibah dan kesusahan. Dia sentiasa ada kala kamu dijemput dengan kedukaan dan kesedihan.
Janganlah pernah merasa jauh dari Allah.
Kamu telah berusaha membuatkan Allah rasa cinta kepada kamu, maka bagaimana mungkin Allah akan membiarkan dan tidak mempedulikan hamba-Nya yang berusaha mengejar cinta-Nya?
Bukankah Allah Yang Telah Memberikan Apa Yang Kamu Ada Hari Ini?
Dengan kehidupan yang masih ada pada kita hari ini, dengan segala macam nikmat yang masih ada pada kita hari ini, maka bukankah itu semua Allah yang telah berikannya pada kita?
Kadangkala, kita mungkin diuji dengan kemalangan sehingga kehilangan sebahagian anggota badan kita ataupun hilang fungsi sebahagian anggota kita, tetapi di sana, di negara-negara Islam yang mengalami peperangan, mereka diuji dengan lebih teruk lagi sehingga bukan sekadar kehilangan anggota tubuh badan, bahkan hilang nyawa juga. Bukankah Allah masih memberikan kehidupan kepada kita untuk kita teruskan usaha memperbaiki diri dan berbakti ?
Kita mungkin diuji dengan kematian ibu ayah kita kala kita telah dewasa, ada anak-anak kecil yang telah kehilangan ibu ayahnya sejak dia masih kecil. Tidak kenal siapa ibu ayahnya, tidak ada siapa yang menjaganya. Maka, bukankah Allah yang telah memberikan kita ibu ayah untuk mengambil berat urusan kita sewaktu kita kecil sehingga kita tidak terbiar menjadi peminta sedekah seperti segelintir kanak-kanak yang ada pada hari ini?
Kalau benar Allah tidak sayangkan kita, maka kenapa kita berada di atas dunia ini pada hari ini?
Bukankah kerana tanda Allah sayangkan kitalah, Allah memberikan kehidupan untuk kita terus memperbaiki diri. Untuk kita terus mencurah bakti kepada alam ini. Bukankah itu tanda Allah masih pedulikan dan sayangkan kita?
Bukankah juga diberi kefahaman Islam yang baik, memiliki kehidupan yang baik itu tanda Allah masih sangat sayangkan kita walaupun sehebat apapun musibah dan kesusahan yang menyelimuti kehidupan kita hari ini?
Penutup : Maka, Positiflah Meneruskan Kehidupan
Kalau Allah bencikan kita, maka tidak Allah berikan kehidupan ini kepada kita.
Kalau Allah ingin membiarkan kita, mustahil Allah menganugerahkan kita kefahaman yang baik terhadap Islam, terhadap kehidupan dan destinasi kembali kita.
Tidak, bahkan Allah tidak pernah membenci dan menjauh dari kita, kitalah yang selalu cepat bersangka-sangka dan menjauh dari Allah.
Bila kita susah, kita ada Allah bersama dengan kita yang menjadi kekuatan yang tidak tertandingkan kala menempuh kesusahan itu.
Bila kita ditimpa kedukaan yang berturut-turut, Allah ada juga untuk menjadi teman mendengar segala aduan dan luahan perasaan kita.
Allah ada. Ya, Allah itu ada.
Maka, kenapa perlu terus bersedih dan bermuram durja meneruskan hidup?
Positiflah, senyumlah dan bersemangatlah meneruskan kehidupan !
“Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan (dengan bersyukur).”[Ad-Dhuha : 11]
Komik : Allah sebaik-baik tempat kembali
March 14, 2013
Kehidupan: 40-an, 50-an Yang Jatuh Dalam Kesedihan.
Picture by UmarMita of LangitIlahi
Tahukah kita akan berada di akhirat berapa lama?
Selama-lamanya.
Tahukah anda berapa lama kita akan hidup di atas dunia ini?
Katalah paling kuat pun sekitar 80 tahun. Kalau lebih itu, bonuslah kiranya.
Bila kita bandingkan selama-lamanya dengan 80 tahun, di manakah harganya 80 tahun yang kita lalui?
Ya. Tiada harganya, kerana 80 tahun akan lesap dimamah ‘selama-laman’nya.
Jika kita memilih untuk hidup dalam 80 tahun yang penuh susah payah, kemudian dianugerahkan syurga abadi, kita akan rasa betapa susah-payah 80 tahun itu langsung tidak ada apa-apa makna dengan nikmat syurga yang kekal abadi. Kita akan rasa lega, kita memilih untuk bersusah payah menjadi hamba Ilahi yang baik selama 80 tahun, kerana sekejapnya 80 tahun itu, dibalas dengan syurga yang nikmatnya jauh melangkaui kesukaran kita di dunia selama 80 tahun.
Jika kita memilih untuk hidup dalam 80 tahun yang penuh dengan senang lenang kerana tidak mentaati Tuhan, tidak perlu hidup dalam peraturan, kita buat apa kita suka, kita akan rasa betapa ruginya kita bersenang lenang 80 tahun itu, apabila dibalas dengan neraka yang kekal abadi. Kita akan rasa menyesal, kita memilih untuk melupakan Allah, ingkar kepadaNya, merasakan selama ini peraturan Islam itu payah dan sukar, lantas memilih untuk menderhakaiNya selama 80 tahun. Kerana sekejapnya 80 tahun itu, dibalas dengan neraka yang azabnya tidak terkata, membuatkan kita tahu betapa tidak bermaknanya 80 tahun penuh senang lenang yang kita kecapi di dunia.
Menjadikan Umur Kita Umur Bermakna.
Umur adalah perkara yang tidak akan kembali. Walau kita lolos sesaat, sesaat itu tidak akan datang semula kepada diri. Kerana itu, apabila membicarakan kerugian manusia, Allah bersumpah dengan masa:
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.” Surah Al-’Asr ayat 1-2.
Maka adalah sepatutnya kita melihat semula apa yang kita telah gunakan, dan akan gunakan, dengan masa kita?
Apakah perjalanan yang kita telah pilih, dan akan pilih, merupakan sesuatu yang bermanfaat atau sekadar sesuatu yang akan kita sesalkan?
Adakah kita ini jenis bijak mengambil pengajaran, apabila telah tersilap kita akan melakukan perubahan.
Atau adakah kita ini sekadar yang tidak peduli, asal duit masuk dalam poket, asal ada rumah untuk berlindung, asal dapat ketawa, asal dapat menghiburkan hati semata-mata? Kemudian pada umur 40-an, 50-an, kita akan terpaku dengan penyesalan – apakah yang telah selama ini aku lakukan?
Di Atas Jalan Dakwah Juga, Akan Timbul Rasa Tidak Bermakna.
Kadangkala di atas jalan dakwah sendiri, jalan yang dirasakan penuh dengan amalan kebaikan, saat masa, harta, jiwa raga dikorbankan untuk menegakkan kalimah Allah SWT yang tinggi.
Tetapi dek kerana perancangan yang silap, cara yang tidak kena, strategi yang tidak mapan, maka sampai masanya nanti, kala umur di hujung usia, diri akan diulit dengan penyesalan.
“Apa yang aku buat selama ini?”
Tidak dinafikan, dengan niat yang baik dan cara yang tidak menyalahi syara’, tetap diri mendapat pahala. Namun biasalah manusia, makhluk yang punya emosi, dia akan melihat semula dirinya. Mungkin dilihat dakwahnya tidak berkembang, atau mungkin jiwanya diserang dengan asakan takabbur, riya’, ujub dengan apa yang dicapainya, atau mungkin dirasakan segala pencapaiannya itu sia-sia kerana tidak membawa perubahan kepada masyarakat, atau dia melihat dia masih berseorangan dalam melayari perjuangan(bermakna dakwahnya tidak melahirkan pelapis). Semua itu membawa dirinya mempersoalkan semula perjalanan dakwahnya, perjalanan hidupnya.
Ke mana perginya duit, masa, dan jiwa raga yang dikorbankannya?
Perasaan ini sama ada akan dijawab dengan pemberontakan(menyalahkan terus segala teknik dakwah yang pernah diguna pakai, mengkritik habis-habisan pelbagai teknik dakwah), atau dijawab dengan perubahan metod di saat akhir, dan berusaha memperbaiki mana kesilapan yang sempat dengan cara meninggalkan pelapis-pelapis yang memahami.
Pilihan jawapan terletak pada diri.
Namun ya, itu untuk orang yang menghadapi situasi ini. Bagi yang belum, bagi remaja dan pemuda seperti saya, apakah kita memilih untuk menjadi seorang tua berumur 40-an, 50-an, yang penuh dengan penyesalan-penyesalan?
Semenjak Muda Memahami Realiti, Semenjak Muda Punya Strategi
Saya sendiri tidak mahu menjadi manusia yang berumur 40-an, 50-an, 60-an, yang kemudian jatuh dalam kesedihan dan penyesalan yang menggunung tinggi. Bebanannya, hanya Allah sahaja yang mengetahui. Menyesali umur-umur yang tidak akan sesekali kembali, Allahuakbar. Kalau saya sendiri merenung umur 24 tahun saya yang telah berlalu pun saya tidak dapat menanggung rasa kesedihannya, apatah lagi hendak melihat 40 tahun, 50 tahun, 60 tahun yang telah disia-siakan. Pasti lebih hebat tekanan emosi dan deritanya.
Maka saya memilih untuk tidak menjadi orang tua yang tenggelam dalam penyesalan dan kesedihan. Lebih buruk, orang tua yang langsung tidak punya penyesalan walau hidupnya telah disia-siakan.
Saya mahu memilih menjadi seorang tua yang riang dengan kehidupan yang telah dilaluinya. Bukan kerana kehidupannya senang lenang, tetapi kerana dia puas dengan mengharungi segala cabaran dan dugaan yang ada, disebabkan pada umurnya 40-an, 50-an, 60-an, dia sudah punya aset kebaikan yang besar, yang boleh dibawa pulang untuk bertemu dengan Tuhannya. Projek-projek dakwah yang telah berkembang, kader-kader dakwah yang telah dibina untuk bekerja bersamanya dan menggantikannya, dan masyarakat yang mula membangun menjadi bijak serta sedar akan makna kehidupan yang sebenarnya.
Saya mahu menjadi orang tua itu.
Maka semenjak mudalah perlu disuntik realiti ini, menjadikannya sebuah impian dan cita-cita.
Semenjak mudalah kita perlu belajar melaksanakan kerja secara berstrategi, bukan buat ikut suka semata-mata.
Semenjak muda jugalah kita perlu mendidik diri agar mampu bekerja berkumpulan, dan belajar bagaimana mempertingkatkan pula orang lain agar mampu bergerak bersama-sama kita.
Penutup: Umur, Biar Ia Bermakna.
Umur ini biarlah ianya bermakna. Jangan sudah berlalu pergi, baru kita mahu rasa segalanya sia-sia. Menyesal nanti tidak bermakna, kerana umur tidak akan kembali kepada kita.
Semenjak muda jadilah yang punya perancangan yang jelas, dan belajarlah menjadi orang yang kerap bermuhasabah.
Jangan suka bergerak sendiri, tetapi bergaul lah dengan orang-orang soleh dan baik, serta mencari rakan yang mampu bersama kita, dalam melakukan perubahan dan peningkatan yang lebih baik seterusnya.
Kita cuci diri dari menghabiskan masa dengan dosa.
Kita jauhkan diri dari sibuk buat kerja yang sia-sia.
Biarlah semenjak muda kita didik diri untuk menghabiskan masa dengan gerak kerja yang berkualiti, dengan amal-amal yang dikira oleh Ilahi.
Semenjak muda ini, selagi masa dan usia masih belum banyak yang lolos. Kita jaga, kita perhati, kita susun, kita berstrategi.
Pastikan, jangan kita menjadi orang tua yang penuh dengan penyesalan nanti.
March 13, 2013
Kehidupan: Usah Menunggu Ikhlas

Picture Memoir by Valimar @ deviantart.com
Sebagai seorang Muslim, saya percaya yang ikhlas tu satu prerequisite untuk Allah terima apa-apa sahaja amalan kita. Tak kesah la solat ke, derma ke, puasa ke, belajar ke, pakai tudung ke, main bola ke, dating dengan isteri ke, tulis blog ke, atau apa-apa saja, kalau tidak ikhlas maka semuanya sia-sia.
Oleh itu, ramai yang kata:
“Apa gunanya aku buat kalau tak ikhlas? Baik tak payah buat.”
Sekilas pandang, memang kata-kata itu betul. Tapi, bila kita investigate lebih sedikit konteks kata-kata tersebut, somehow ada bau-bau yang tak kena. Ayat macam ni, pada pandangan saya, betul dan salah.
Ayat ni betul kerana konsepnya benar. Memang sia-sia perbuatan kita kalau tidak ikhlas, sedangkan penciptaan kita atas muka bumi ni ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Kalau ada Quran dalam tangan ataupun Quran app dalam smartphone, boleh la rujuk Surah az-Zariyat, Ayat 56:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu.” (Surah az-Zariyat, Ayat 56)
Melakukan sesuatu perbuatan dengan ikhlas kerana Allah itu ialah essence kepada pengabdian kita kepada-Nya. Plus, Nabi kita pernah cakap:
“Tiap-tiap amal perbuatan tidak lain adalah berdasarkan niat dan balasan bagi setiap amal manusia sesuai dengan apa yang diniatkan…” (Sahih Bukhari)
Cerita pasal niat ikhlas ni memang panjang. Saya pernah hadiri halaqah mingguan di universiti saya di Kanada, yang fokusnya hanyalah kepada hadis niat yang saya quote di atas. Tapi selepas 5 kelas halaqah (setiap satu halaqah sejam lamanya), cikgu yang mengajar saya mengatakan bahawa pengulasan tentang niat ni boleh dibuat secara mendalam lagi. Pergh, boleh bincang dalam lagi ke bro?! Saya yang belajar dengan dia pun dah berbuih mulut dah dengan penjelasannya yang cukup mendalam.
Tapi itulah hakikatnya. Islam ini lautan ilmu yang tiada dasarnya.
Saya masih ingat lagi cikgu saya tu pernah kata, “We need scholars that specialize on Niyah (intention). You could spend your whole life studying this topic.”
Dalam masa yang sama, ayat “Apa gunanya aku buat kalau tak ikhlas? Baik tak payah buat” tu saya lihat ada satu downside. Ada something wrong dari segi penggunaannya. Kerap kali saya perhatikan orang akan guna ayat ni sebagai alasan, seolah-olah untuk justify mengapa mereka tidak buat perkara yang mereka patut buat.
Apakah ini hakikatnya? Allahua’lam. Saya tidak tahu. Saya tidak tahu apa yang bermain dalam hati mereka.
Tetapi, jika inilah hakikatnya maka di sini kita temui masalahnya. Alasan seperti ini selalunya diungkap untuk melegakan hati kerana ada reason untuk mereka pegang, dan mereka kekal dalam zon selesa mereka.
Mengapa saya katakan “zon selesa”? Kerana perubahan itu perit. Ramai yang rela kekal dalam zon selesa daripada hadapi keperitan semasa dalam proses untuk berubah. Tapi kena ingat, yang perit tidak semestinya buruk. Kalau kita mengelak semua yang perit, alamatnya ubat yang pahit pun kita takkan makan. Maka, kita rela untuk kekal sakit.
Tapi hakikat keperitan ini harus kita akui. Kerana itu kita harus memberikan sokongan moral kepada mereka yang sedang berada dalam proses perubahan. Sesungguhnya mereka sedang mendaki gunung yang tinggi, dalam ribut yang kuat.
“Saya sedang menunggu masanya.”
Kata-kata seperti ini juga sering diungkapkan. Saya tanya diri saya sendiri, “Mereka menunggu apa?” Menunggu hidayah? Menunggu petanda? Menunggu ikhlas?”
Pengalaman hidup telah mengajar saya bahawa saya tidak boleh tunggu ikhlas, tapi saya harus buru ikhlas. Kerana ikhlas itu satu target, maka mana boleh kita menunggu satu target kan? Kita harus buru target itu! Dalam pemburuan ikhlas itu pula, kita harus iringi dengan perbuatan yang kita inginkan ikhlas di dalamnya itu.
Pursuing sincerity and doing the act must go hand in hand and not one after the other.
Apa rasional saya?
Rasional saya ialah tiada sesiapa pun yang boleh nyatakan dengan 100% confidence bahawa dia ikhlas dalam melakukan sesuatu perbuatan. Walaupun dia mengaku akan keikhlasannya, seharusnya ada sedikit kerisauan dalam dirinya akan possibility untuk tidak ikhlas. Kerana dalam rasa tidak tentu, kita akan hati-hati, takutkan yang buruk, dan harapkan yang baik.
Tiada siapa yang tahu isi hati seseorang melainkan tuan badan dan Tuan badan.
Adalah menjadi nature hati untuk berbolak-balik. Even dalam perkataan Arab bagi “hati” iaitu “qalb” pun membawa maksud “sesuatu yang berbolak-balik”. Hati ini liar dan ia takkan jinak. Adalah menjadi perjuangan hakiki kita untuk kekalkan hati ini atas jalan yang benar. Kerana itulah Nabi kita ajar kita doa ini:
“Wahai Tuhan Yang Membolak-balikkan hati, tetapkan hati ini di atas agama-MU.” (Riwayat Tirmizi)
Ada yang tanya saya bagaimana saya jaga hati saya untuk kekal ikhlas dalam melakukan kerja saya. Jawapan yang saya berikan lebih kurang sama dengan penerangan yang saya berikan di atas. Keikhlasan itu satu perjuangan. Ia satu jihad dalaman yang tiada siapa yang dapat lihat. Secara jujurnya, saya tidak dapat recall satu masa di mana hati saya mempunyai pure sincerity. Saya selalu dalam perjuangan untuk ikhlaskan niat saya dan saya fikir perjuangan itu takkan berakhir hinggalah saya mati. Saya harus sentiasa ingatkan diri saya untuk ikhlaskan niat dan saya kelilingi diri saya dengan mereka yang dapat mengingatkan saya akan perkara yang sama.
Yang pastinya, saya tidak akan berhenti melakukan kerja ini selagi mana saya mampu melakukannya.
Jangan kerana terlalu takut diri tidak ikhlas, kita terus tidak buat apa yang kita patut buat. Saya lihat ada dua extremes di sini. Satu extreme ialah kita buat tanpa ikhlas. Satu lagi extreme ialah kita tak buat kerana takutkan tiada ikhlas. Maka, saya ambil jalan tengah. Saya lakukan apa yang saya patut lakukan dan pada masa yang sama, saya berjuang untuk ikhlas.
Satu lagi kata-kata emas cikgu saya yang mengajar halaqah tentang niat itu ialah, “When you read the biographies of these giants of Islam (scholars), one thing that they all share is that they all struggle with keeping their intentions pure.”
“Kalau saya berubah selepas itu saya tewas, bagaimana?”
Mengapa kita takutkan masa hadapan yang tidak menentu? Apakah anda tahu bahawa anda akan tewas? Dan jika anda tewas sekalipun, bukankah anda manusia biasa? Jika jatuh, bangkit semula! Jatuh lagi? Bangkit lagi, dan lagi, dan lagi, dan lagi…
Allah doesn’t expect you to be perfect. He expects you to try your best to be as close as you can, to perfection.
Penulisan saya ini bukanlah berniat untuk kondem sesiapa. Usaha saya ialah untuk memahami, bukan “mengkondemi.” Saya harap anda juga begitu. Maka dengan itu, saya sebagai “mufti” post ini mengharamkan sesiapa untuk menggunakan penulisan ini sebagai senjata kondem. Haram!
Penulisan saya ini juga bukanlah berniat untuk memaksa sesiapa untuk berubah. Niat saya dengan penulisan ini ialah untuk offer view yang berbeza (tetapi tidak asing) mengenai ikhlas. Keputusan untuk berubah atau kekal sama itu di tangan anda. The freedom of choice itu telah diberikan oleh Allah kepada anda.
Dan siapa tahu, mungkin inilah “seru” yang anda tunggukan kesampaiannya selama ini.
Usah menunggu ikhlas, kejarlah ia!
March 11, 2013
Nota Tarbiyah : Jernihkan Hati Di Awal Pagi
Pada Subuh Ada Kehidupan.
“ Sesungguhnya hati seseorang manusia apabila bersih dan bersinar akan dapat merasai hakikat kelazatan iman kepada Allah SWT.”
Imam Hassan al-Banna
Awal Subuh yang hening
Antara perkara yang saya belajar daripada murabbi-murabbi dalam proses tarbiyah ini ialah sentiasa berusaha untuk bangun awal pagi sebelum azan Subuh berkumandang. Kata Murabbi saya :
“ Waktu awal pagi yang hening adalah waktu yang sangat istimewa bagi orang yang beriman. Ia waktu bermunajat, menangis dan mengadu kepada Kekasihnya. Amalan bangun awal ini adalah amalan para Rasul terdahulu, para sahabat dan juga amalan orang yang soleh dan warak.”
Saya berazam, bertekad dan merancang untuk berusaha untuk bangun sebelum azan subuh. Pernah dalam satu penyampaian seorang sahabat ada menyebut :
“ Kata seorang ulamak, jika seorang mukmin itu bangun selepas azan Subuh itu tandanya dia adalah seorang mukmin yang lalai.”
Tersentak hati saya. MasyaAllah.
Penawar hati, jiwa, perasaan dan sanubari insan. Sangat mujarab!
Nasihat Imam Ghazali
Di dalam kitab Bidayatul Hidayah, Imam Ghazali memberi nasihat 4 perkara yang perlu dilakukan oleh seorang mukmin muslim di awal pagi sebelum subuh. Katanya 4 perkara itu ialah :
(1) Membaca Al-Quran
Melalui hari-hari dalam kehidupan, tanpa ruh Al-Quran adalah tanda kepincangan dan kelesuan jiwa yang sangat kronik. Harus kita memprogram diri untuk membaca, menghayati dan memahami intipati Al-Quran. Biarkan ruh Al-Quran mengalir dalam setiap urut nadi darah kita dengan harmoni, dan aman.
(2) Berdoa
Berdoa adalah senjata kekuatan mukmin yang sangat ampuh. Sangat pelik jika, seorang mukmin itu jarang-jarang berdoa. Menjadikan doa sebagai amalan harian adalah salah satu kaedah yang sangat baik dalam membina hubungan yang kukuh antara makhluk dan Khaliq.
Berdoa akan melahirkan jiwa mukmin yang sentiasa menyakini janji-janji Allah SWT, pasrah kepada ketentuanNya, sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT dalam setiap tanduknya dan ia merupakan tanda ketundukan serta penyerahan sepenuhnya kepada Rabbul Alamin.
(3) Berzikir
Zikrullah adalah amalan soleh yang sangat baik kepada hati. Ia akan menghidupkan, menyegarkan dan memantapkan hubungan hati kita dengan Allah SWT. Banyak zikir-zikir yang boleh kita jadikan amalan dalam hidup ini. Salah satunya juga ialah, zikir al-Mathurat yang disusun oleh Imam Hassan Al-Banna. Alhamdulillah, saya mulai mengamalkannya sejak dari sekolah menengah lagi, ia banyak menguatkan jiwa saya. Cubalah dan rasailah kesannya.
(4) Berfikir
Banyak ayat Al-Quran yang mengalakan usaha-usaha untuk berfikir. Islam adalah agama yang sangat mengalakan umatnya berfikir. Semasa awal subuh juga, kita boleh merencanakan waktu untuk membaca buku, ulangkaji pelajaran, merancang tugasan harian dan berfikir untuk melakukan sesuatu untuk masa hadapan kita. Berfikir itu adalah langkah bagi melaksanakan tuntutan ubudiyah dengan jalan yang terbaik!
Ia harus direncanakan
Amalan-amalan ini adalah amalan ruhaniyah yang akan menguatkan jiwa, hati dan riak wajah. Ia akan mendekatkan hati kepada Allah SWT, membersihkan dan menjernihkan jiwa yang kotor akibat kelalaian serta perbuat dosa dan maksiat kepada Allah SWT.
Ruhaniyah mukmin perlu sentiasa menekankan aspek tarbiyah qalbiyah ini. Didikan hati dengan ibadah ruhaniyah adalah kata kunci kepada pertolongan dan bantuan Allah SWT. Jiwa yang cekal, kuat dan tabah akan berjaya diwujudkan melalui tarbiyah ruhaniyah seperti ini.
Kita mulakan secara ansur maju, usah bertangguh lagi. Marilah kita berusaha bangun awal di pagi hari. Hiasi malam dengan munajat, zikir, membaca Al-Quran, solat malam dan sebagainya bagi membina keperibadian yang mantap serta mampu membentuk kekuatan jiwa yang utuh.InsyaAllah.
Kita usaha, berusaha dan terus berusaha.
Jihad untuk bangun sebelum Subuh adalah langkah pertama kita dalam proses tarbiyah ini.
Siapa yang akan melakukan semua ini?
Saya, Anda dan kita semua!
March 10, 2013
Cerpen: Mencari Ilahi.
Cerpen ini diinspirasikan oleh keislaman Ruben, atau namanya kini adalah Abu Bakr(gambar).
Semoga Allah redha.
Aku tidak faham. Mereka berdiri, tunduk separuh tubuh, kemudian bangun kembali, kemudian bersujud. Mereka mengulang-ulang perbuatan itu dengan mengangkat tangan, terkumat-kamit seakan membaca mantera. Diakhir dengan menoleh kiri dan kanan, seakan-akan baru keluar dari alam lain.
Lama aku menjenguk mereka ini. Aku tidak faham.
Apa sebenarnya mereka lakukan. Tidakkah letih. 5 kali sehari, setiap hari tanpa ada keringanan?
Tetapi, tidak langsung pada wajah mereka riak kepenatan. Jauh sekali kebosanan.
Apa sebenarnya mereka ini?
Seakan-akan makhluk lain yang wujud di alam semesta hari ini.
Aku terus memerhati. Sambil mencari makna yang tersembunyi.
Di dalam kehidupan sekelompok manusia bergelar Muslim.
*****
“Hoi terroris.”
Dia tidak menoleh.
Aku memanggilnya sekali lagi. “Hoi terroris”
Dia tetap tidak menoleh. Jauh sekali mengendahkan. Seakan-akan itu bukan panggilan yang layak untuknya. Aku jadi sedikit geram. Lantas bergerak menarik bahunya.
“Aku memanggilmu tadi. Apakah kau tidak mendengar” Suaraku sedikit tinggi.
Kali ini dia menoleh. “Namaku Mursyid. Seorang muslim, bukannya terroris” Lembut dia memperkenalkan diri, tetapi terserlah ketegasan yang tinggi dalam nada suara. Tanda dia punya rasa kehormatan yang tinggi.
“Bukankah orang Islam yang menghidupkan keganasan, meruntuhkan bangunan, membunuh orang tua, perempuan dan anak-anak kecil?” Provokasi kukeluarkan. Sengaja kusimbah petrol pada api yang kuwujudkan.
Mursyid tersenyum. “Mari duduk saudaraku” Tangannya menarikku dengan lembut. Bangku kayu berdekatan menjadi tempat landasan punggung.
Dari sini, aku dapat melihat ramai muslim yang keluar dari masjid. Selesai solat waktu petang mereka. Di tengah keterasingan suasana kehidupan, memandangkan ini tanah airku, bukan negara orang-orang Islam.
“Islam agama kami bermaksud kesejahteraan.” Suara Mursyid tenang. Seakan-akan mengusap lembut jiwaku. Ditambah pula senyumannya yang manis itu.
“Dan kami tidak akan membawa apa-apa melainkan kesejahteraan”
“Bohong. Bukankah orang-orang dari agamamu yang menyalakan api kekacauan? Meruntuhkan World Trade Centre dan mengancam kedamaian ummat?” Aku tidak berpuas hati.
Mursyid menggeleng. “Kalau kami perlu berperang sekalipun, perang kami adalah yang membawa kesejahteraan”
Aku terjeda. Adakah wujud peperangan yang membuahkan kesejahteraan?
“Adakah kamu meneliti Sirah Rasulullah SAW?”
“Muhammad bin Abdullah yang gila seks dan dahagakan darah itu?”
Terkoyak senyuman Mursyid. “Nyata kamu tidak mengenalinya. Kamu sekadar membaca tulisan orang-orang kamu, kemudian kamu menilainya dengan penilaian kamu. Bukankah itu tidak adil?”
Ya. Jujurnya, tidak adil. Aku mengetahui itu. Sekarang aku seakan terperangkap.
“Baginda Rasulullah SAW, berpesan kepada kami agar tidak memotong rumput dan kayu sebarangan jika berperang, tidak menganggu rumah ibadah, dan tidak memperapa-apakan perempuan dan anak kecil”
Aku terdiam. Begitukah?
“Dan kalau kamu ingin tahu, baginda Rasulullah SAW memaafkan semua kaum yang menyeksanya dahulu, ketika baginda telah berjaya menguasai kembali Makkah”
Aku terjeda sekali lagi.
“Bagaimana kamu boleh nyatakan bahawa baginda dahagakan darah?”
“Habis, kenapa ummat Islam hari ini mengganas? Membunuh orang, dan merosakkan kedamaian kehidupan masyarakat? Lihat apa terjadi pada negaraku hari ini. Kacau bilau dan ketakutan disebabkan orang Islam”
Mursyid kulihat tidak berubah wajah. Tetap tenang dan menyenangkan. Aku yang melihatnya juga, secara tidak langsung seakan tersapa dengan ketenangannya. Seakan-akan dia menghidupkan jiwaku yang selama ini kacau.
“Ketahuilah saudaraku…” Mursyid mengurut lembut bahuku. “Aku tidak percaya itu dilakukan oleh orang Islam yang betul-betul beriman kepada Allah SWT dan taat kepada rasul-Nya. Dan jika benar sekalipun orang Islam yang melakukan, maka itu bukan anjuran Islam. Dia telah terkeluar dari jalan Islam yang sebenar”
Aku tidak mampu berkata apa-apa. Jika aku hendak menyalahkan agamanya kerana tindakan penganut, maka pastinya aku akan tertimpa dengan serangan ke atas agamaku pula. Bukan sedikit paderi-paderi yang terdedah melakukan hubungan seks dengan remaja bawah umur. Itu belum dikira dengan kempen menentang keganasan yang membuahkan lebih banyak kerosakan.
Kulihat Mursyid tersenyum. “Saudaraku, kami ini adalah yang berusaha untuk menonjolkan imej Islam yang bersih, agar kamu semua melihat kasih sayang Allah terhadap kamu. Rasulullah itu, datang dengan Islam, dan Islam itu membawa kesejahteraan pada seluruh ummat. Kami, sedang membuktikan itu”
Aku tunduk. Tujuan utama untuk memprovokasi umat Islam di kediamanku terpatah begitu sahaja.
“Jemput datang ke rumahku?”
“Eh?” Aku terkejut. Mursyid tetap dengan wajah yang berseri.
“Mari. Agar kamu berkenalan dengan keluargaku. Siapakah namamu wahai saudaraku?” Mursyid menghulurkan salam.
“Ru.. Ruben” Aku secara automatik menjabat. Seakan-akan ada kuasa ghaib menggerakkan tanganku.
“Ruben, mari.” Dia menarik tanganku lembut.
Seakan membawa jiwaku bersama dengannya.
*****
“Islam dengan orang Islam itu adalah dua perkara yang berbeza. Islam daripada Allah SWT, maka peraturannya solid dan sempurna. Tetapi pada masa yang sama, orang Islam adalah manusia yang mempunyai kelemahan. Ada yang berjaya memanifestasikan Islam, ada yang tidak berjaya. Tetapi masih lagi, jika kita mengambil Islam sebagai cara hidup, ketenangan akan muncul dalam jiwa kita”
Itu kata-kata Mursyid ketika aku menziarahi rumahnya.
Rumahnya sangat bersih. Walaupun kecil, tetap membahagiakan. Entah kenapa, aku seakan terserap ke dalam syurga. Anak-anaknya baik dan beradab. Isterinya juga amat menjaga diri dan tidak terlalu bergaul denganku. Berbanding isteriku yang terdedah pada lelaki-lelaki lain dan anak-anakku yang langsung tidak beradab ketika berbicara denganku, aku terasa segan dengan Mursyid.
“Islam ini, pada mereka yang faham, adalah 24 jam, sepanjang 7 hari. Yakni setiap masa. Tiada rehat dalam menjadi hamba Allah SWT. Maka, setiap masa perlu kekal terikat dengan peraturan Islam”
“Adakah kamu semua tidak penat?”
“Apakah kebahagiaan itu satu kepenatan? Di dalam Islam ini, peraturannya, membuatkan kami bahagia” Mursyid mengusap kepala anaknya yang comel itu, sambil memandangku.
Aku tersengih bila mengingati bicaranya itu. Agamaku, hanya wujud di hari ahad. Malah, bila melakukan dosa, boleh pula diampunkan hanya dengan membayar wang. Dari satu sudut, aku melihat itu satu manipulasi gereja untuk mereka yang berdosa. Bagaimana manusia yang berdosa, yang tidak sempurna, boleh mengampunkan manusia lain?
“Kamu mempercayai Allah. Justeru, di mana Allah?” Soalan yang aku tertanya-tanya selama ini. Hairan dengan orang Islam yang mampu taat, sedangkan tuhan mereka tidak kelihatan.
“Kamu hidup selama ini dengan menyatakan wujudnya nyawa. Justeru, di manakah nyawa?” Mursyid menjawab soalanku dengan soalan.
Mataku membesar. Jiwaku rasa tertusuk. Perasaan apakah ini?
“Allah itu amat dekat dengan kita wahai Ruben. Dia adalah Pencipta kita. Yang paling memahami kita. Yang memenuhi hak-hak kita”
“Bagaimana dia boleh membahagikan masa pada ramai manusia di atas muka bumi ini? Aku tidak nampak logiknya” Aku masih ragu-ragu.
“Adakah Tuhan perlukan logik manusia? Dia itu Tuhan Ruben. Tuhan. Dia tidak terikat dengan hukum-hukum yang mengikat manusia serta makhluk-mahkluk lain”
Dia itu Tuhan Ruben… Dia itu Tuhan… Tuhan…
Aku rasa tertampar-tampar. Ya, apakah jika benda yang dipahat oleh manusia, boleh dikatakan sebagai Tuhan? Apakah yang memerlukan orang lain, boleh menjadi tuhan?
“Keistimewaan Islam, kami ada rasa hubungan yang dekat dengan Allah SWT. Dia ghaib, tapi kami beriman dengannya. Tanpa ragu. Menyebabkan kami sentiasa berjaga-jaga sepanjang masa dan waktu dalam memenuhi amanah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya. Ini juga membuatkan kami tidak takut, tidak mudah berputus asa, dan tidak merasa lemah”
Aku tersengih sendirian.
Perbualan-perbualan dengan Mursyid, membuatkan aku banyak berfikir.
Adakah kepercayaan, hubungan dengan tuhan ini, menyebabkan mereka seperti apa yang aku nampak?
Tenang, kuat, mempunyai maruah dan setiasa berkeyakinan?
“Tidakkah Islam ini ideologi Muhammad bin Abdullah sahaja?”
Mursyid menggeleng. “Islam itu adalah daripada Allah SWT. Rahmat pada sekalian alam. Rasulullah SAW hanyalah manusia yang dihantar untuk menyampaikannya, dalam keadaan baginda menjadi contoh hidup sebagai bukti bahawa Islam itu mampu diimplementasikan manusia”
Hatiku bergetar.
Islam…
Allah…
******
Aku mengkaji dan mengkaji Al-Quran selepas perbualan dengan Mursyid tempoh hari. Mursyid yang menghadiahkanku Al-Quran terjemahan ke bahasa ibundaku sebagai hadiah semasa aku berpapasan dengannya.
“Di dalam Al-Quran ini, ada petunjuk”
“Aku bukan orang Islam”
“Tidak semestinya orang Islam sahaja yang perlu membaca Al-Quran”
Dan aku mula mengkaji. Perbincangan dan perbahasan dengan Mursyid tempoh hari membuatkan aku dahagakan kebenaran. Aku mula melihat betapa Islam ini adalah satu sistem hidup yang patut dijadikan panduan.
Aku yang awalnya mengkaji Al-Quran untuk mencari kelemahannya, kini tidak mampu lagi menahan perasaan hati yang akan bergetar hebat setiap kali membaca ayat-ayat yang dikatakan kalam tuhan itu.
Pertama kali mengkhatamkan terjemahannya, aku berkata di dalam jiwa:
“Ini bukan kalam manusia”
Semestinya. Aku tidak silap akan itu. Tiada kecacatan, malah pemilihan perkataan yang digunakan, adalah yang paling sesuai pada tempat yang hendak dinyatakan. Tiada percanggahan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain. Jika ada kekeliruan, sentiasa ada penjelasannya. Malah, satu sistem hidup yang cantik dapat dilihat daripada Al-Quran ini.
Aku jadi rasa tidak cukup, lantas aku mengkaji kehidupan Muhammad bin Abdullah. Aku selak hadith-hadithnya. Aku teliti perjalanan kehidupannya. Akhirnya aku tidak menjumpai apa yang dinamakan kecacatan.
Yang selama ini membuat tohmahan daripada kaumku, aku dapat merasakan mereka mempunyai niat yang busuk. Mereka sekadar memotong-motong juzu’ hidup Muhammad bin Abdullah ini, tanpa mengungkit pula bahagian lain yang mengimbangi tindakannya pada bahagian yang disebutkan tadi.
Yang ada hanya kebenaran.
Jiwaku seakan meronta-ronta.
Aku inginkan kebenaran!
Tuhan, apakah Kau membenarkan?
Sekarang aku mahu bukti yang terus daripada Tuhan yang bernama Allah ini.
Ya, aku ingin mencabarnya. Buktikan bahawa Dia benar. Aku tidak mahu mendengar kata orang lain. Aku tidak mahu bergantung pada buku. Aku sudah puas mengkaji. Sekarang, aku ingin Dia sendiri keluar membuktikannya kepadaku.
******
Aku duduk dikelilingi lilin. Sengaja kututup lampu bilikku, dan membiarkan tingkap terbuka. Angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan lilin itu meliang liuk. Aku membina satu medan yang dinamakan sebagai medan spiritual.
Aku percaya bahawa Allah itu ada di dimensi lain. Dan hendak memanggil-Nya keluar, aku kira perlu menggunakan cara ini.
Aku memegang Al-Quran, membaca-bacanya dalam bahasa arab mengikut ajaran Mursyid selama ini. Aku sudah boleh membaca Al-Quran dalam bahasa aslinya. Lebih menusuk, lebih memberikan kesan.
Sampai ke satu muka surat, aku berhenti. Aku mengambil nafas. Aku rasa sudah bersedia untuk memerhatikan tanda, keajaiban secara langsung daripada Allah SWT.
“Ya Allah!” Aku menjerit.
“Jika Engkau benar, maka berikan aku tanda!” Launganku keluar menerobos tingkap.
“Aku lihat Islam adalah agama yang baik, tetapi aku masih tidak cukup yakin. Sekarang, berikan aku tanda yang boleh membuatkan aku masuk ke dalam agama-Mu ini!”
Sunyi. Sepi. Aku sendiri dan tiada apa-apa berlaku. Di dalam kepalaku, aku mengharapkan lilin-lilin tadi menjadi api marak menjulang, atau rumah ini bergegar, atau dinding roboh secara tiba-tiba, atau ada makhluk datang memberitahu aku itu dan ini.
Tetapi tetap tiada apa yang berlaku.
“Allah, ini peluang kau. Kalau tak, aku tak akan menerima Islam ini” Aku mengugut.
Aku hendak Allah muncul sendiri, atau paling kurag menunjukkan tanda.
“Bukankah Kau sangat berkuasa Ya Allah. Tunjukkan kekuasaan-Mu itu sekarang!”
Masih sunyi sepi. Yang menemaniku hanya desiran angin yang mask melalui tingkap.
Aku menggeleng. Mungkin Allah sibuk. Itu fikiranku.
“Tak mengapa. Aku masih memberikan Kau peluang. Aku akan tunggu petanda Kau di sini, dan Aku tidak akan berganjak!” Aku bersemangat dan bertegas.
Maka, aku memilih untuk menyambung pembacaan Al-Quranku tadi.
Kuselak muka surat sebelah untuk menyambung pembacaan.
Ayat itu kubaca.
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” Surah Al-Baqarah ayat 164.
Dunia seakan menjadi terlalu sunyi. Aku seakan terserap ke dalam alam lain. Bulu romaku meremang naik. Tubuhku bergetar hebat. Pada pemikiranku mula muncul awan tanpa tali, bumi yang berputar pada paksi tetapi tiada yang menjadi paksinya, planet-planet yang bergerak dengan kemas di dalam orbit tanpa berlanggaran, kitaran hidup haiwan dan tumbuhan, kitaran air, kadar udara yang sangat-sangat sempurna, peredaran darah di dalam tubuh manusia, dan 1001 lagi kejadian yang menakjubkan yang berlaku dalam kehidupan manusia.
Air mataku mencucur.
Allahuakbar.
Allahuakbar.
Allahuakbar.
Aku sujud.
“Sesungguhnya aku naik saksi, tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu Utusan Allah”
******
Aku mengangkat kedua belah tanganku separas telinga, kemudian aku terkumat-kamit membaca Al-Fatihah dan ayat Al-Quran, kemudian aku mengangkat lagi kedua tanganku dan tunduk separuh tubuh, kemudian bangun semula dan sebentaar kemudian turun sujud. Kuulang semua itu sebanyak empat pusingan, kemudian kututup dengan menoleh kanan dan kiri sambil memberi salam.
Aku bertahmid, bertasbih dan bertakbir perlahan.
Tiba-tiba pehaku ditepuk lembut. Aku menoleh. Mursyid dengan senyuman manis. Aku membalas senyumannya.
“Mari ziarah ke rumahku petang ini” Mursyid mengajak.
Aku mengangguk. “Biar aku berdoa dahulu?”
“Baiklah” Mursyid kembali ke posisi duduk antara dua sujud.
Aku mengangkat tangan.
“Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat iman dan Islam yang telah Kau berikan kepadaku”
March 8, 2013
Komik : Meneroka Hikmah Di Sebalik Musibah
March 5, 2013
Nota Tarbiyah – Alhamdulillah, Aku Bersyukur Kepada-Mu
Picture By Ibnufuad Of LangitIlahi
Alhamdulillah, kalimah syukur hanya layak dipanjatkan kepada Allah SWT. Kalimah yang menggetarkan jiwa-jiwa mereka yang beriman.
Dengan mengucapkan “ Alhamdulillah” -, atas segala kurniaan, penganugerahan dan pemberian nikmat yang pelbagai. Ia adalah lambang kehambaan, keimanan, ketundukan dan kekerdilan sebagai seorang hamba Allah SWT.
Bangunnya kita daripada tidur pagi ini – harus dimulai dengan kebeningan hati yang bersyukur dan bersyukur.
Di pagi sangat sungguh indah dan penuh berkah.
Embun yang menitis setiap pagi begitu dingin.
Kedinginan, kesejukan dan kesegaran inilah menguatkan lagi rasa kesyukuran kepada Yang Maha Esa.
Udaranya terjaga, bersih, nyaman dan menyegarkan. Menghirup udara yang masih terpelihara daripada nafas-nafas sang pendosa. Hiruplah udara di awal pagi sebelum fajar. Ia adalah waktu-waktu bersendirian bagi mukmin muslim yang sedang khusyuk bermunajat dan menadah tangan mengharapkan keampunan dan belas ehsan Sang Pencipta.
Alhamdulillah.
Allah SWT mendidik kita untuk bersyukur, satu kata yang lebih luas maknanya daripada berterima kasih. Syukur, ia lahir daripada natijah, hasilan keimanan yang tersemat kukuh disanubari.
Sebuah Sketsa Kehidupan
Di dalam sebuah buku karya, Amru Khalid iaitu Ibadah Sebening Hati terdapat suatu kisah yang menyentuh rasa hati saya.
Suatu hari, Amru Khalid telah bertemu dengan sekumpulan golongan remaja. Beliau terfikir suatu bentuk persoalan untuk sembang-sembang santai bersama mereka.
“ Saya ingin mengajukan satu permainan berbentuk soalan kepada kalian,” Soalnya.
“ Apakah nikmat yang paling besar dan kalian paling hargai di dalam kehidupan ini,” Beliau bertanyakan soalan kepada mereka.
Ada yang menjawab dengan penuh yakin. Ada yang kelihatan teragak-agak . Pelbagai jawapan dan ucapan.
Ada yang menjawab : “ Nikmat kehidupan”
Ada juga menyebut : “ Nikmat Iman dan Islam”
Tidak kurang juga, ada yang menyatakan : “Nikmat belajar dan ilmu”
“ Dan pelbagai lagi.”
Kemudian, seorang pemuda memberi jawapan yang menyentuh hati Amru Khalid :
“ Nikmat Allah SWT yang sangat berharga dan besar bagi saya ialah nikmat Allah SWT sebagai Rabb saya.” Jawabnya tenang.
Saya terpaku, dan tersentuh.
Begitu halus, sensitif, peka dan hidup hati pemuda tersebut.
Ya, alangkah beruntung dan berbahagianya kita apabila dipilih untuk menjadi Muslim. Rabb, Ilah dan tuhan kita adalah Allah SWT. Kita mempunyai tempat sembahan, pengaduan dan penyerahan segala perasaan cinta, kasih dan sayang terhadap-Nya.
Ketika dilimpahi kenikmatan dan kesenangan, kita mengucapkan lafaz kesyukuran kerana menyedari hakikat pemberian-Nya yang begitu banyak.
Ketika susah, kita mempunyai tempat untuk mengadu, merintih, meluahkan perasaan, menagih simpati, meletakan harapan kasih dan berdoa memohon bantuan pertolongan.
Iman mulai bertapak dihati. Ia disemai dan dibajai dengan subur dan kian mekar dijiwa hamba Rabbani.
“ tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan.”
( Al- Hujurat : 7)
Penutup : Tanyalah hati kecil kita
Jujurlah kita dengan sanubari kecil kita, adakah kita benar-benar bersyukur dan merasai sesuatu dengan semua nikmat ini?
Saidina Umar sentiasa memberikan suatu ungkapan yang menakjudkan serta mengetarkan jiwa perhambaan : “ Sesungguhnya kami dahulu adalah kaum yang hina. Lalu Allah memuliakan kami dengan Islam. Sekiranya kami mencari kemuliaan selain daripada apa yang dimuliakan Allah, pasti Allah akan menghina kami.”
Ruh Islam meresapi jiwa dan perasaan kita – sehingga kita merasa izzah (bangga) dengan keislaman, kemukminan dan kemusliman kita. Kita tidak malu atau kekok untuk mengistiharkan – “ Saksikanlah bahawa Aku seorang Muslim.”
Setiap hari kita akan membawa imej, lambang dan syiar perwatakan seorang muslim dan muslimah. Muslimnya, dengan berhias dengan akhlak muslim dengan wajahnya penuh cahaya keimanan dan kesan daripada wudhuk dan soalan. Tidak lokek dengan senyuman dan sapaan. Muslimahnya , begitu tenang dan bahagia mengenakan pakaian yang meliputi seluruh aurat dengan senang, dan tiada beban. – Malah, dia bangga menjalankan perintah dan arahan Allah SWT.
Justeru, seharusnya setiap helaan nafsa kita yang terhembus akan selari dengan ungkapan ini :
“ Ilahi, hamba-Mu hadiri memohon keampunan, kerahmatan dan pemeliharaan-Mu. Kasihilah diriku, suluhilah jiwa ku dengan cahaya hidayah-Mu, kurnialah kepada pengakhiran yang baik dan masukilah aku ke dalam golongan ahli Jannah-Mu yang indah lagi mempesonakan.”
Itulah yang diperbuat hasil keimanan
Membuka mata dan hati
Menumbuhkan kepekaan.
Menyinari kejelitaan, keserasian dan kesempurnaan
Iman adalah persepsi baru terhadap alam,
Apresiasi baru terhadap keindahan.
Dan kehidupan di muka bumi.
Di atas pentas ciptaan Allah,
Sepanjang malam dan siang
Cetusan rasa sanubari – Sayyid Qutb –
Alhamdulillah, syukur sehingga hari ini kita semua berusaha untuk terus menerus menjadi seorang muslim dan muslimah yang taat sepenuhnya kepad Allah SWT.
Semoga Allah SWT berikan kita kekuatan. Kita perlu mencari alasan dan kekuatan untuk terus menjadi kuat.
Kuat keimanan.
Kuat ketaqwaan.
Kuat dalam beramal dengan amal keislaman.
Ayuh kita kuat dengan sentiasa bersyukur!
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.