Pemuda: Berani Berubah, Mulai Dengan Kemahuan Yang Kuat (2)
Picture by UmarMita
Mahu berubah bererti anda inginkan kejayaan. Kejayaan itu milik kita, itupun jika benar kita hendak memilikinya. Kemahuan untuk memiliki kejayaan adalah pendesak utama manusia mahu berubah. Anda mahu atau tidak? Jika mahu, maka bergeraklah, bertindaklah dan beraksilah. Jika tidak ada kemahuan, maka berpeluk tubuh sahaja dan nikmatilah menonton kejayaan orang lain.
Setiap hari ada sahaja manusia yang telah berjaya mencetuskan kemahuan untuk berubah. Jangan kita pernah putus asa jika masih tidak memiliki kemahuan yang kuat untuk berubah menjadi lebih baik. Perhatikan diri sendiri. Jangan salahkan orang lain. Tadah tanganmu dan berdoalah kepada Sang Maha Kuat, merayu pada-Nya, mohon kekuatan agar kemahuan mahu berubah menyelinap ke dalam hati kita.
Selesa Dengan Tabiat Buruk
Ada sebuah kisah benar, menyayat hati tapi penuh inspirasi yang dikongsikan oleh Syeikh Khalid ar-Rasyid. Kisah seorang pemuda yang suka berpoya-poya. Walaupun ketika isterinya sedang sarat mengandung, dia tidak peduli hal itu. Yang penting dia mahu bergembira bersama teman-temannya. Menghabiskan malam-malamnya dengan berpeleseran bersama kawan-kawan sekufunya.
Satu malam, ketika ada seorang buta berjalan disisinya, pemuda itu dengan sengaja menyadung kaki sang buta. Lalu terjatuhlah sang buta. Semua kawan-kawannya bergelak ketawa melihat aksi lucu itu. Pemuda itu rasa bangga, dapat membuatkan kawan-kawannya gembira.
Satu saat, sudah sampai masa isterinya mahu melahirkan anak. Di hospital, pemuda itu menunggu sehingga lelah. Tiada lagi berita kelahiran anak sulungnya. Lantas dia pulang ke rumah sahaja. Bosan menunggu terlalu lama. Di rumah, dia menerima panggilan dari hospital. Isterinya selamat bersalin. Bergegas ke hospital, hati gembira, cahaya mata yang ditunggu telah tiba. Namun kegembiraannya hanya seketika. Doktor mengesahkan anaknya mengalami cacat yang parah di kedua matanya, dan kesannya, anak itu tidak boleh melihat.
Pemuda itu hanya mampu menundukkan kepala, merasa runtuh. Pertama kali yang terbesit di pemikirannya adalah bayangan orang buta yang telah dia sadung kakinya sehingga jatuh dan menjadi bahan tertawaan orang.
Maha Suci Allah, siapa yang perbuat, dia akan mendapat. Beberapa saat, pemuda itu kebingungan. Beban ini terlalu berat untuk dipikulnya.
Kemahuan Mahu Berubah akan Hadir Jika Mahu
Kita berhenti seketika dengan kisah ini. Saya ingin bertanyakan pada anda. Pada saat sebegini, apakah sang pemuda itu akan berubah? Apakah dengan peristiwa yang telah Allah SWT berikan ini, pemuda itu mahu berubah? Adakah dia sudah menemui penyebab kemahuan untuk berubah?
Kemahuan mahu berubah boleh kita miliki. Terkadang ia datang dari pengalaman kehidupan. Terkadang dari peristiwa-peristiwa yang kita tempuhi. Terkadang dari sebuah pesanan, ungkapan mahupun teguran. Terkadang dari sebuah pemerhatian dan pembacaan. Namun ramai kalangan kita tidak juga mahu mengambil pelajaran. Lalu terus terperosok dalam kegagalan. Sukar mahu berubah menuju kepada lebih ber”tuah”.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (al-Qamar: 17)
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (ar-Ra’ad: 11)
Peringatan Allah SWT:
Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)“. (As-Sajdah: 13)
Kembali kita kepada kisah pemuda tadi. Kehadiran cahaya matanya yang buta tidak dipedulikan. Peristiwa ini tidak mencetuskan kemahuannya untuk berubah dan bersyukur. Pemuda itu tidak memperhatikan anaknya. Anak yang buta itu diberi nama Salim. Dia membuat Salim seolah tiada di rumah. Isterinya hanya mampu bersabar dengan sikap suaminya. Setelah Salim berusia setahun, dia mulai berjalan, tapi ternyata kakinya pincang. Dada pemuda itu semakin bertambah sesak. Salim tidak habis-habis menyusahkan dirinya.
Malam-malam pemuda itu tetap sama. Dihabiskan diluar bersama kawan-kawannya. Isterinya tetap sabar, tidak pernah putus asa meluruskan suaminya, berdoa agar suaminya mendapat hidayah. Pemuda itu berterusan tidak memperdulikan Salim. Sehinggalah Salim berumur 10 tahun.
Engkau Tidak Buta, Tetapi Akulah Yang Buta
Pada suatu hari Jumaat, pemuda itu terbangun sekitar jam 11 pagi. Sepatutnya dia ke masjid menunaikan solat Jumaat, namun dia malas. Dia mahu mengisi undangan ke sebuah majlis keraian. Diapun mula bersiap. Setelah itu melewati ruang tamu, tiba-tiba dia terhenti seketika di hadapan Salim yang sedang menangis. Inilah kali pertama dia merespon tangisan Salim sejak Salim kecil. Sudah sepuluh tahun pemuda itu tidak pernah menoleh peduli kepada Salim, anaknya sendiri. Dia cuba berbuat tidak endah, tapi entah kenapa, hari ini dia tidak mampu.
Buat pertama kalinya, pemuda itu bertanya pada anaknya, “Salim, kenapa engkau menangis.” Ketika dia mendengar suara ayahnya, dia seolah-olah ketakutan dan meraba-raba tangan sekelilingnya. Mungkin Salim terkejut mendengar suara ayahnya berbicara padanya.
Salim menangis. Dia sebenarnya mahu segera ke masjid. Dia tidak mahu kelewatan ke masjid dan khuatir tidak mendapatkan tempat di saf pertama. Sang ayah ini terkejut yang amat sangat. Hati pemuda ini mula lembut sambil memerhatikan telatah Salim.
“Salim jangan sedih, ayah akan menghantar kamu ke masjid. Salim menangis dan menyangka ayahnya sekadar mahu mempermainkannya. Pemuda itu sudah melupakan undangan majlis yang hendak dihadirinya. Hatinya tekad mahu membawa Salim ke masjid.
Kedua mereka mula berjalan ke masjid. Pemuda itu berjalan di sisi anaknya buat pertama kali. Suatu perasaan yang tidak pernah dirasainya telah hinggap disanubarinya. Dia merasa betapa kecilnya dirinya dan betapa besarnya dosanya. Dia tidak ingat bila kali terakhir dia melangkah kakinya masuk ke masjid. Dia mula merasai kesesalan atas apa yang telah dia lalaikan sejak beberapa tahun lalu.
Masjid penuh sesak, tetapi menghairankan, ada satu tempat kosong di saf pertama yang khusus disiapkan untuk Salim. Setelah solat selesai, Salim meminta mushaf Al-Quran dari ayahnya. Pemuda itu tergamam seketika. Dia merasa aneh. Bagaimana anakku ini mahu membaca, sedangkan dia buta? Pemuda itu mengambil mushaf Al-Quran, Salim meminta ayahnya membukakan surah al-Kahfi. Setelah ditemui surah itu, dia menyerahkan mushaf itu kepada Salim. Salim mulai membaca surah al-Kahfi dengan mata yang terpejam.
Ya Allah! Salim hafal surah al-Kahfi dengan lengkap. Pemuda itu merasa malu. Tangan pemuda itu mula membuka mushaf Al-Quran. Dia merasakan sendi-sendinya bergetar. Dia mula membaca dan membaca. Pemuda itu mula berdoa kepada Allah, semoga Allah mengampuninya dan memberinya hidayah. Dia sudah tidak mampu menguasai dirinya dan dia mula menangis teresak-esak di tengah masjid tersebut. Dia tidak sedar airmatanya deras mengalir, kecuali ketika tangan-tangan kecil menyentuh wajahnya dan mengesat airmatanya. Dia adalah Salim. Sang ayah ini memeluk anak kecil itu seeratnya dan memandangnya. Hatinya berkata; “Bukan kamu yang buta, sebaliknya akulah yang buta. Sehingga aku terlena mengikuti kawanku yang menjerumuskanku ke neraka.”
Berani berubah, akhirnya, pemuda tadi sudah menemukan seruan kemahuan untuk berubah. Kemahuan dari dalam dirinya sudah muncul bahawa dia sudah tersalah jalan. Dia perlu kembali kepada Allah. Kemahuan berubah sudah tercetus, melalui peribadi Salim, anaknya sendiri yang telah 10 tahun tidak dia pedulikan, kini dia sudah menemui perasaan baru, kemahuan mahu berubah. Dan dalam kisah ini, pemuda ini telah berubah menjadi pemuda dan sang ayah yang soleh lagi bertanggungjawab dengan izin Allah SWT.
Sebenarnya, kita bukan sahaja belajar bagaimana pemuda itu menemui kunci kemahuan yang mendorongnya untuk berubah. Tetapi kita juga boleh belajar dari kesetiaan dan kesabaran isterinya yang telah sekian lama punya kemahuan untuk tetap bersabar dan mengharap kepada Allah. Walau seberat mana ujian yang ditempuhi, wanita itu punya kemahuan tinggi positif dengan Allah SWT. Kemahuan tinggi tetap yakin bahawa Allah akan memberi petunjuk kepada suaminya. Berani berubah, maka teladanilah dia wahai para wanita solehah akan sosok hebat wanita dan sang isteri dalam kisah inspirasi ini.
Bagaimana pula dengan anda wahai para pembaca sekalian. Masih belum menemui titik tolak pencetus kemahuan anda untuk mahu berubah menjadi lebih baik. Jika masih belum, taubat segera, mohon lagi dengan Allah SWT. Jangan pernah berhenti walau terpaksa menunggu 10 tahun lamanya baru beroleh rasa kemahuan mahu berubah total!
Berguru Dengan Sang Gembala Kambing
Setelah kita menekuni kisah Si Buta Yang Membuat Sang Ayah Melihat, kita berguru pula dengan seorang pemuda sang pengembala kambing. Berani berubah, walaupun dengan sang pengembala kambing, belajarlah dengannya, anda akan menemui jatidiri anda untuk mulakan perubahan.
Pada pandangan anda, apakah sisi kebaikan yang akan dapat kita contohi daripada seorang pemuda yang berkerjaya sebagai pengembala kambing? Jangan pandang rendah pada pemuda ini. Kisah luarbiasa ini sering saya modelkan kepada pelajar dan mahasiswa dalam siri ceramah motivasi saya. Ayuh kita menjejaki pemuda luarbiasa yang berani berubah ini, namanya ‘Uqbah bin ‘Amir al Juhaniy.
‘Uqbah bin ‘Amir al Juhaniy adalah di antara 12 orang pemuda yang memeluk Islam dan tinggal jauh dari kota Madinah untuk mengembala kambing di kawasan perkampungan. Setelah memeluk Islam di Kota Madinah, beliau dan sahabat-sahabatnya seperti biasa, berangkat ke pendalaman kampung meneruskan kerja asasi mereka, mengembala kambing.
Suatu hari mereka berbincang dan berpandangan: “Tiada gunanya jika kita tidak bertemu Rasulullah SAW setiap hari untuk memahami agama dan mendengar wahyu dari langit. Apa kata setiap hari seorang kalangan kita bergilir-gilir pergi ke Yathrib. Tinggalkan kambingnya dan mereka yang tidak ikut serta kalangan kita akan menjaganya.
Pada pandangan anda, apakah respon ‘Uqbah?
‘Uqbah telah berkata:
“Kamu semua pergilah bergilir-gilir bertemu Rasulullah SAW. Biar saya sahaja yang menjaga kambing kamu semua. Kerana saya sangat kasihan kepada kambing saya untuk ditinggalkan kepada orang lain.”
Pelik jawapan ‘Uqbah kan? Dia lebih sayangkan kambingnya daripada bertemu dengan Rasulullah SAW. Terkadang kita juga begitu, kita lebih sayangkan sesuatu sehingga tidak sanggup untuk melepaskannya atau meninggalkannya berbanding daripada melakukan perubahan dan anjakan paradigma untuk menuju kecemerlangan yang lebih besar dan hakiki. Uqbah belum menemui perasaan kemahuan untuk dia perlu berguru kepada Nabi SAW. Maka dia memilih untuk tetap kekal di tempatnya, menemani kambing-kambingnya.
Tetapi kisah ‘Uqbah ini insyaAllah akan mengubah persepsi kita tentang kehidupan. Setelah saban hari sahabat-sahabat ‘Uqbah bergilir-gilir keluar mengunjungi Rasulullah SAW, ,mereka pulang membawa pelbagai ilmu dan ayat-ayat Allah SWT.
‘Uqbah berkata:
“Apabila mereka pulang, saya mengambil apa yang mereka dengar. Saya belajar apa yang mereka fahami. Namun setelah beberapa ketika, saya memuhasabah diri saya. Saya sudah buat kesilapan. Adakah disebabkan beberapa ekor kambing yang tidak menggemuk dan mengkayakan, saya sanggup mempersia-siakan diri saya daripada bersahabat dengan Rasulullah SAW. Saya juga merugi kerana tidak mengambil kefahaman agama daripada mulut baginda SAW sendiri tanpa perantaraan. Kemudian saya meninggalkan kambing-kambing saya dan pergi ke Madinah untuk tinggal di masjid dekat dengan Rasulullah SAW. “
Muhasabah dan Bertindaklah
Berani berubah. Inilah ciri pertama jika anda mahu cemerlang dan berjaya, muhasabah, kenali kelemahan dan kesilapan diri. Lakukan analisis SWOT pada diri sendiri (Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman). Kemudian lakukan perubahan dengan berhijrah, meninggalkan sikap, pemikiran dan cita-cita kerdil kepada sikap, pemikiran dan cita-cita yang lebih tinggi dan besar manfaatnya pada diri kita sendiri.
Untuk lakukan penghijrahan dan anjakan paradigma memerlukan keberanian diri. ‘Uqbah mengajar kita untuk berani membuat keputusan, bertindak lakukan perubahan, yakin dengan keputusan dan berserah kepada Allah SWT semata. Beliau tidak pernah menyangka bahawa natijah dari hijrah dan keputusan besar yang telah beliau lakukan, dengan izin Allah SWT, beliau akhirnya menjadi seorang ulama yang tersohor, syeikh qurra (mahir dengan bacaan Al Quran, ilmuwan profesional, panglima terkemuka yang membuka negeri Islam dan gabenor yang terbilang.
Pepatah mengungkapkan, “Ubahlah dirimu sendiri, dan kau akan mengubah keberuntunganmu.” Uqbah tidak terbayang ketika membuat keputusan meninggalkan kambingnya dan bergerak menuju Allah dan Rasul-Nya, beliau akan diletakkan di barisan hadapan tentera ketika membuka pusat dunia, Damsyik. Dengan izin Allah, memampukan beliau membina sebuah rumah di kebun yang menghijau yang terletak di Bab Tuma (salah sebuah pintu masuk ke kota lama Damsyik).
‘Uqbah juga tidak pernah tergambar bahawa satu hari kelak, beliau menjadi salah seorang panglima yang membuka ‘Zamrud Hijau Dunia’, Mesir. Bahkan menjadi gabenor di sana.
Firman Allah SWT:
“Dan bahawa manusia hanya akan memperoleh apa yang telah diusahakannya” (an-Najm :39)
Penutup: Kemahuan Mahu Berubah, Mintalah Dari Allah
Subhanallah, luarbiasa! Inilah kunci kejayaan yang sebenar. Kemahuan untuk berubah ada dalam diri kita. Kita yang belum menemui kuncinya. Kunci itu telah terpalit dengan dosa-dosa seharian kita. Kita memerlukan keberanian untuk menyelongkar diri kita agar menemui kemahuan yang tinggi untuk berubah menjadi lebih baik. Apabila kunci kemahuan itu Allah berikan, maka bersegeralah melakukan perubahan , penghijrahan dan anjakan paradigma tanpa pernah terlepas mengharap dari Pemilik Kekayaan, Allah SWT. Dari kemahuan mahu berubah, akan menjalarlah perasaan-perasaan positif seperti berani, keyakinan yang tinggi pada diri sendiri, bersungguh, tekad dan sebagainya mengiringi perjalanan kita untuk menuju perubahan yang lebih baik dan diredhai Allah SWT.
Memang kita tidak akan pernah tahu perubahan apa yang akan terjadi dalam 10 tahun ke depan, 100 tahun atau 1000 tahun mendatang. Tapi yang pasti, perubahan itu boleh jadi lebih baik atau malah menjadi petaka kepada kita tergantung pada kemahuan dan semangat kita untuk berubah saat ini. Saya secara peribadi berharap Allah selalu membimbing saya dan anda semua untuk sentiasa diberi kekuatan berani berubah, kemahuan mahu berubah, menjadi lebih baik dan lebih baik, insyaAllah. Kita perlu mengharap dan mengharap kepada Allah, kerana jalan perubahan tidak semudah yang kita sangkakan. Ibnul Jauzi ada berpesan, Jangan sesekali kau menganggap jalan (berubah diri kearah kebaikan) itu mudah. Jalan itu dipenuhi sesuatu yang kita benci, banyak halangan, dan penuh dengan duri-duri tajam yang membuatkan kita sakit.
Kata Kunci
Berani Berubah! Kalau kita mahu berubah untuk menjadi lebih baik di sisi Allah SWT. Allah akan mengurniakan kemahuan dari dalam diri kita untuk berupa dengan cara dan jalan-Nya.