Hilal Asyraf's Blog, page 133

October 28, 2012

Agama: Roh Pengorbanan Dalam Jiwa Insan

[image error]


Dunia ladang ‘berkorban’ untuk dituai diakhirat hasil kejayaan~


(picture by UmarMita of LangitIlahi)


 


Pengorbanan adalah suatu amalan mulia pada sudut pandang Tuhan mahupun insan.  Tidak kiralah dari sudut harta, perasaan, atau yang paling tinggi nyawa. Manuskrip  sejarah kejayaan coretan orang terdahulu adalah dengan manifestasi pengorbanan dalam kehidupan insan.  Namun, apakah erti pengorbanan yang sebenar yang perlu kita fahami? Bagaimanapula contoh pengorbanan umat yang terdahulu dalam membangunkan agama-Nya?


 


Remaja dan Pengorbanan


i-Masa lalu


Antara faktor kejayaan  Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang penuh dengan kisah perjuangan dan pengorbanan dalam segenap sudut adalah dengan kehadiran jiwa-jiwa remaja disekeliling dakwah baginda. Jiwa yang mendidih dengan pelbagai perasaan. Cinta dan kasih sayang. Tingginya semangat dan miliki tubuh yang kuat.


Rasulullah s.a.w. sendiri pada masa mudanya mengorbankan masa keremajaanya demi untuk berdikari tanpa menyusahkan bapa saudaranya dengan mengembala kambing dan membawa barang dagangan Saidatina Khadijah untuk diniagakan. Lihat pula anak remaja, Saidina Ali terlibat dalam perjuangan dan pengorbanan terhadap menegakkan risalah kebenaran. Beliau sanggup menjadi galang ganti di tempat tidur Rasulullah s.a.w. sewaktu Nabi memulakan misi hijrah bersama Abu Bakr.


Dalam medan peperangan Usamah Bin Zaid pemuda yang tiada tandingan. Dengan kecekapan dalam pimpinan dan ketajaman strategi peperangan beliau diangkat menjadi panglima perang meski dalam usia muda belumpun cukup 20-an. Teliti pula zaman terkemudian, kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh memimpin bala tentera yang ramai hingga berjaya menerobos tembok kota Constantinople dalam pada usia yang juga muda. Pastinya, perkara yang sama bagi kejayaan tokoh-tokoh ini adalah pengorbanan jiwa mereka untuk bersedia bagi membina peribadi yang boleh menjadi satu nilai contoh pada manusia seterusnya.


 


ii-Masa Kini


Era globalisasi kini, kita boleh lihat sendiri keadaan remaja kita yang begitu meruncingkan. Walaupun bukanlah ia bersifat kepada seluruh remaja, tetapi perjalanan hidup remaja hari ini bagai tiada tujuan yang jelas. Hidup dipenuhi dengan kelalaian dalam urusan keduniaan, dibuai hangatnya perasaan dan pelbagai onar yang menjauhkan manusia dengan Tuhan. Sedangkan Allah berfirman:


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz-Zariyat:56)


Justeru, menghidupkan jiwa pengorbanan dalam diri adalah suatu tuntutan kerana manusia dicipta bukan untuk berseronok dan berehat semata-mata tetapi melakukan ibadah yang mencakupi ruang lingkup yang mendalam maksudnya. Realiti hidup mewah, selesa dan cukup dengan apa yang ada merupakan satu bentuk jajahan minda yang boleh menjadikan remaja alpa dengan sensitiviti keadaan,batasan pergaulan dan hiburan serta  gaya hidup.


Remaja boleh memilih untuk terus unggul dalam cita-cita dan perjuangan hidup. Dan remaja juga boleh memilih untuk terus dibelenggu dengan jiwa santai, tiada perancangan hidup, kerdil cita-cita dan tandus dengan jiwa perjuangan. Pilihan ini sebenarnya penting kerana ia menentukan corak hidup remaja, bangsa dan umatnya.


Tahap keremajaan adalah putaran hidup yang amat sukar lagi mencabar kerana gejolak jiwa remaja bagai api yang membakar kayu menjadi bara. Dalam situasi ini remaja amat ideal dengan sesuatu perkara, ingin meniru sesuatu perbuatan yang mana dalam fikirannya baik yang boleh menonjolkan dirinya, rasa ingin mencuba yang tinggi dan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan, memiliki jiwa perwira yang hebat malah kadang-kadang diselangi perasaan ‘memberontak’ yang membuak-buak.


Sekiranya elemen asasi ini berada dalam olahan yang negatif ia bakal merosakkan potensi remaja. Sebaliknya jika elemen ini diadun dengan nilai-nilai perjuangan dan pengorbanan yang positif, ia bakal membimbing remaja menjadi tenaga dewasa yang mempunyai potensi besar untuk maju dan berjaya.


Kepentingan jiwa pengorbanan perlu ada hubungkait dengan bagaimana  remaja memusnahkan kehidupannya dalam usia umur yang awal kerana kesan jangka panjangnya ialah kehancuran bangsa dan negaranya sendiri bahkan lebih teruk  melibatkan agama. Jiwa pengorbanan harus dapat mengajak remaja berfikir betapa dominannya generasi muda yang berkredebiliti, memiliki daya juang yang tinggi, pentingkan ilmu pengetahuan, tidak mudah terhanyut dengan arus hidup yang membinasakan,serta berupaya membezakan baik-buruk dan halal-haram.


 


Pengorbanan dua hala


Pengorbanan dua hala adalah hubung balas dua pengorbanan. Ibubapa dan anak-anak, masyarakat dan negara dan sebagainya.Dewasa kini, antara kes yang amat meruncingkan adalah hubungan anak-anak dengan ibubapa masing-masing. Melihat di dada akhbar berita anak mencaci orang tuanya, memukul hingga cedera tidak kurang ada juga yang membunuh mereka merupakan salah satu tanda kiamat semakin dekat.


Oleh itu, jiwa pengorbanan haruslah memandu remaja mengenang pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu seperti  ibu bapa yang bersusah payah membesar dan memberi pendidikan kepada kita supaya remaja memahami bahawa mereka juga bakal meningkat dewasa dan generasi ini perlu diteruskan. Justeru, mereka akan lebih menghargai erti nilai pengorbanan kerana mereka juga bakal bergelar ibubapa.


Tidakkah kita pernah dengar rakaman Allah dalam Al-Quran menggambarkan kisah Ibrahim a.s menyembelih anaknya, Ismail a.s yang taat kepada ayahnya itu di mana keduanya redha dengan perintah Allah yang merupakan lambang keagungan suatu pengorbanan.


“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (As-Saffat:102)


Jika terjun ke alam realiti, manusia akan sedari telah banyak pengorbanan ibubapa kepada anak-anak mereka. Masakan tidak, lihat anak-anak yang bisa hidup mewah, berupaya menyambung pelajaran ke luar atau dalam negara, berkebolehan meneruskan kehidupan adalah bersumberkan insan bernama ibu dan bapa. Justeru, sedarlah jiwa muda (anak-anak), susah tiba peribadi Ismail a.s disemat dalam jiwa iaitu dengan bersedia membalas segala jasa.


Jalan Keluar


Para remaja harus memiliki keinsafan bahawa kita diciptakan oleh Allah s.w.t. mempunyai visi dan misi yang perlu mereka laksanakan. Para remaja harus mampu membina jiwa kehambaan yang tinggi dengan mendidik jiwa patuh dan taat terhadap sesuatu yang baik dan bermanfaat. Allah menjadikan seluruh yang ada didunia ini bertunjangkan kepatuhan dan ketaatan masing-masing terhadap ketentuan-Nya atau sunnatullah.


Sehubungan itu, berlaku ketertiban, ketepatan, keseimbangan dan sistem dan hal yang sama juga harus ada pada manusia khususnya remaja supaya sesuatu yang kita lakukan adalah atas dorongan jiwa kehambaan yang tinggi supaya watak kekhalifahan nanti mampu mengurus hidup, rahmah dan nikmat Allah yang banyak dengan amanah yang tinggi terhadap pedoman dan titah perintah Allah s.w.t.


“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” (Al-Baqarah:30)


Tujuan manusia adalah mentadbir alam atau disebut sebagai khalifah. Justeru, perkara yang mendidik jiwa (tazkiyatun nafs) amat dominan perlu dipupuk dalam jiwa remaja kerana mereka adalah asset yang amat bernilai yang menjadi agen perubahan bagi agama, bangsa dan negara.


 


Aspek pengorbanan dan kelebihan


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga” (At-Taubah:111)


Pengorbanan dalam kehidupan insan tidak dapat lari daripada dua faktor yang amat dicintai manusia iaitulah nyawa dan segala yang berkaitan dengannya (kehidupan) serta harta yang merupakan penjana bagi nyawa tersebut. Atas sebab itu, Al-Quran hanya menyebutkan dua elemen penting ini kerana menjadi tunggak kepada segala jenis pengorbanan insane


Natijahnya, kelebihan yang manusia bakal peroleh adalah syurga yang tidak tergambar nikmatnya, tidak pernah didengar oleh mana-mana telinga, tidak pernah terlihat pada pandangan mata. Begitulah gambaran ‘kemewahan’ bagi manusia yang cekal jiwa dan berusaha berkorban jiwa dan raga dalam kehidupan.


 


Penutup


Mengorbankan diri daripada runtunan hawa nafsu yang jelik adalah suatu jihad. Memahami batas buruk dan baik akan sesuatu memerlukan ilmu. Menginsafi bahawa bangsa dan umat sedang menghadapi pertarungan sengit terhadap faktor globalisasi dan penjajahan bentuk baru suatu tuntutan. Membuat persiapan yang tersusun rapi dalam saf-saf yang tangkas dan bijaksana menuntut ilmu, latihan dan keterampilan perlu dititikberatkan.


Inilah fokus pengorbanan yang harus dimiliki oleh remaja khususnya dan amnya kepada semua. Percayalah jika remaja tidak melakukan pengorbanan merancang hari depan yang lebih dihormati tunggulah perancangan musuh yang ingin menghancurkan generasi dan umat kita dalam keadaan yang amat hina. 


Tuntasnya, landasan pengorbananlah yang menyebabkan manusia melakukan perubahan, menempa kemajuan dan akhirnya mampu membina peradaban seterusnya memacu kemajuan insan dalam kehidupan.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 28, 2012 07:42

October 27, 2012

October 26, 2012

Sisters:Menghayati AidilAdha

[image error]

AidilAdha di bumi Australia ~picture by Toie Alonto fb~



Eid Mubarak everyone!


Alhamdulillah, dengan izin Allah Aidil Adha kali ini saya berkesempatan meraikannya di bumi Australia.


Dari kelmarin hinggalah ke hari ini, ungkapan Eid Mubarak tak lekang dari bibir masing-masing. Saling ingin mengucapkan dan meraikan erti pengorbanan dari sirah agung Nabi kita.


Maaf zahir batin buat pembaca kolum Sisters yang dirahmati Allah sekalian. Sama-sama kita hayati erti sebenar sebuah pengorbanan, dan mudahan Allah lipat gandakan pahala buat kita dan seluruh umat Islam di seluruh dunia.


Menjadi minoriti


Selama sembilan hari berada di bumi Australia, hati dan fikiran saya benar-benar terbuka dengan budaya dan kehidupan di sini. Sebelum ini, kotak fikiran dan pengetahuan saya tentang Australia hanya seputar pembacaan dari buku-buku, novel, dan laman web. Tapi, pabila berpeluang merasai pengalaman tinggal di sini barulah dapat lihat semuanya dengan pandangan sebenar.


Pengalaman hari ini meraikan AidilAdha bersama komuniti kecil masyarakat Islam Australia bagaikan memberi nafas baru buat saya untuk lebih melihat kehidupan  menjadi seorang Islam di bumi asing. Berlainan situasinya di negara kita, pada hari sebegini kita diberi cuti untuk pulang ke kampung halaman meraikannya bersama keluarga dan rakan taulan. Kita punya kesempatan untuk berehat dan sama-sama menghayati kemeriahan AidilAdha dan Aidilfitri. Mereka di sini terpaksa ponteng sekolah dan kerja untuk meraikan Aidil Adha. Malah, berdasarkan cerita-cerita kehidupan mereka di sini, Aidilfitri pun kadang-kala terpaksa disambut di tempat kerja.


Halangan-halangan ini semua tidak membantutkan usaha mereka untuk meraikan AidilAdha dengan penuh kemeriahan dan kesyukuran. Tuan rumah saya di sini telah menjemput saya untuk meraikan AidilAdha bersama Benevolence Australia (http://benevolenceaustralia.org/) sebuah organisasi Islamyang ditubuhkan oleh sekumpulan Muslimah Australia yang bertindak sebagai badan kebajikan, memberi peluang untuk komuniti kecil ini bersuara dan ruang untuk umat Islam yang tidak berasa diwakili dalam masyarakat Australia. Di sini, saya dapat lihat pelbagai usaha murni dijalankan oleh golongan wanita untuk memberikan yang terbaik buat kehidupan masyarakat Islam sekeliling mereka dan generasi pendokong Islam yang bakal menerajui komuniti mereka kelak.


Aktiviti-aktiviti


Apa yang saya lihat,  tentang cara kita meraikan perayaan ini di negara kita dan mereka di Australia tidak banyak bezanya. Hari ini ialah hari untuk bertemu dan berkumpul bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai, dan AidilAdha juga diraikan dengan menikmati aneka juadah dari segenap jenis budaya dan bangsa. Seronok saya dapat merasa makanan-makanan dari Timur Tengah yang pasti sukar didapati di Malaysia. Berkesempatan juga beramah mesra dengan pelbagai lapisan budaya dan bangsa yang tidak terjangkau dek pemikiran saya bagaimana mereka boleh berhijrah dan hidup jauh dari tanah tumpah darah nenek moyang mereka membina kehidupan di bumi asing di mana Islam adalah golongan minoriti di sini.


Antara yang paling menarik dapat saya lihat ialah cara mereka menggembirakan anak-anak kecil di sini. Terdapat pelbagai permainan untuk diterokai dan paling menarik perhatian saya di pusat komuniti di mana AidilAdha ini diraikan ialah terdapat ruangan khas untuk kanak-kanak menjalani simulasi haji. Saya fikir, aktiviti sebegini elok sahaja diadakan di tadika/sekolah atau pada waktu lain. Tapi, menariknya inilah memori yang ingin mereka tinggalkan buat anak-anak kecil generasi pendokong Islam kelak tentang AidilAdha. Berbeza dengan kita, jika ditanya pada anak-anak kita, tentu sahaja mereka hanya ingat tentang bunga api, makanan, duit raya dan rancangan-rancangan tv. Usaha ini saya lihat sangat patut dicontohi. Meninggalkan memori indah tentang Islam dan sirah-sirah agung pada generasi pendokong Islam yang bakal meneraui ummat kita kelak.


Penutup


Alhamdulillah, semua ini diraikan dengan penuh kesederhanaan dan kesyukuran.


Moga Allah rahmati saudara-saudara Islam kita di seluruh pelosok dunia.


Moga Allah tetapkan hati-hati kita dalam Iman dan Islam


 


Salam AidilAdha dari Australia.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 26, 2012 08:34

October 25, 2012

Poster: Sacrifice for Paradise

[image error]


“Sacrifice for Paradise.”


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga…” (At-Taubah, 9 : 111)


Korbankan apa yang dipinjamkan, untuk mendapat apa yang dijanjikan.


Salam Aidiladha daripada LangitIlahi.com;

كل عام وأنتم بخير

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 25, 2012 12:22

October 24, 2012

Agama: Pastikan Korban Bersyariat

 



Photo by Redfishid


Pengenalan:


Amalan korban yang dilakukan oleh setiap umat islam daripada pelbagai pelusuk dunia pada setiap tahun mempunyai sejarah atau kisah yang tersendiri, kisah yang mengambarkan kepentingan agama didahulukan daripada kepentingan peribadi, kisah yang mencoretkan si anak yang patuh pada seruan wahyu, kisahnya juga menunjukkan ketabahan si bapa dalam melaksanakan  tanggungjawab yang berat  setelah sekian lama diuji tanpa mendapat zuriat. Kisah Nabi Ibrahim Khalilullah AS yang mendapat wahyu agar menyembelih si anak tercinta, Nabi Ismail semuanya termaktub kemas dalam kitab suci.


Lalu Allah SWT mensyariatkan korban untuk umat Nabi Muhammad agar hambanya menjadi hamba, agar kepentingan Allah SWT didahulukan daripada segala-galanya, agar hikmah dapat digarap daripada kisah Nabi Ibrahim dan anaknya.  Firman Allah SWT tentang syariat korban:


Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).[1]


(Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu[2])


Ibadah ini dilaksanakan oleh baginda  SAW sendiri, seterusnya menjadi ijma’ semua sahabat dalam melaksanakan amalan korban. Hampir semua para ulamak menyatakan hukum amalan ini hanya sunnah muakadah (amalan sunnat yang dituntut) dan makruh bagi yang tidak melaksanakan ibadah korban sekiranya mampu, berdalilkan beberapa buah hadis, antaranya:


Daripada Anas RA telah berkata: (Rasulullah SAW telah membuat korban dengan dua ekor kambing putih bertanduk dua, lalu aku melihat baginda meletakkan dua kakinya ke atas dan baginda bertakbir lalu menyembelihnya dengan tangan baginda sendiri)[3]


 


Daripada Aishah RA:  Nabi SAW bersabda :  (Tiada amalan anak adam pada hari raya korban suatu  amalan lebih dicintai Allah  daripada menumpahkan darah (binatang korban),  sesungguhnya pada hari kiamat ia akan datang dengan tanduk-tanduknya, kuku-kukunya  dan bulu-bulunya, dan sesungguhnya darah (korban itu) akan mengambil tempat di sisi Allah Azza Wajjala sebelum ia tumpah ke tanah, makah bersihkan niat kamu (semasa melakukan korban)[4]


berbeza pula pendapat  Imam Abu Hanifah dengan mengatakan hukumnya wajib bagi yang mampu.[5]


Sekitar Perbincangan Isu Fikh


Bagi menjadikan amalan korban yang kita laksanakan Allah terima sebagai satu amalan yang dicintai Allah, selain ikhlas kerana Allah amalan ini mesti berlandaskan syariat kerana amalan ini amalan ta’abudi  dan kita laksanakan sebagaimana generasi awal laksanakan amalan korban. Di sini ada beberapa perbincangan isu serta hukumnya dalam Ibadat korban:


Waktu Sembelihan Korban


Penyembelihan korban dilaksanakan selepas solat A’idil Adha, jika dilaksanakan sebelumnya, ia tidak dikira sebagai ibadah korban, seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bara’ Bin A’zib: Rasulullah SAW telah bersabda:


(Perkara pertama yang kami mulakan dengannya pada hari ini (Hari Raya A’idil Adha): kami melaksanakan solat, kemudian pulang lalu kami berkorban…)[6]


Imam Syafie berpendapat  tempoh untuk melaksanakan korban ialah selama empat hari, iaitu pada hari A’idil Adha dan tiga hari selepas 10 Dzulhijjah berdalilkan sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:


(Arafah semuanya (adalah) terhenti dan hari-hari tasyriq semuanya (adalah hari) sembelihan korban)[7]


Makruh hukum menyembelih korban pada waktu malam kerana ada hadis larangan berkenaannya dan takut tersalah ketika melaksanakan penyembelihah serta orang-orang  fakir tidak hadir pada waktu malam untuk mengambil daging korban pada waktu tersebut.[8]


Jenis Binatang Korban


Tidak sah korban seseorang itu secara ijma’ melainkan binatang penyembelihannya adalah unta, lembu dan kambing, atau yang sama jenis dengannya dan binatang sembelihan tersebut baik jantan atau pun betina. Allah SWT telah berfirman:


(Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu)[9]


Dan tiada hadis atau perbuatan sahabat-sahabat dalam melaksanakan ibadat korban ini selain pada binatang yang disebutkan di atas, kerana korban merupakan suatu ibadah yang berkaitan dengan haiwan ternakan  yang ditetapkan.[10]


Berkongsi Bahagian Binatang Korban


Ulamak bersepakat bahawa tidak dibenarkan berkongsi pada kambing atau biri-biri, binatang tersebut hanya untuk satu bahagian sahaja dan satu bahagian itu hanyalah untuk seorang. Manakala dibenarkan berkongsi tujuh bahagian bagi binatang ternakan seperti unta, kerbau dan lembu berdasarkan dalil hadis Jabir RA:


(Kami melaksankan korban bersama Rasulullah SAW di Hudaibiyah: Unta tujuh bahagian dan lembu tujuh bahagian)[11]


Tidak dibenarkan setiap satu bahagian dikongsi lebih daripada seorang kerana tiada dalam Al-Quran dan Sunnah malah ibadah ini berbentuk tauqifiah (hanya bersandar pada wahyu). Imam Ahmad Hanbal membenarkan seseorang itu berkongsi dengan ahli keluarganya dalam satu bahagian berdalilkan hadis A’ishah RA:


(Sesungguhnya nabi SAW melaksanakan korban dengan seekor kibash untuk Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda..)[12]


Hal ini bermakna, seseorang itu boleh berkongsi  satu bahagian dengan ahli keluarganya  yang berada di bawah tanggungannya. Tidak dibenarkan berkongsi dengan kawan-kawan untuk mengumpul duit  bagi membeli satu bahagian daripada binatang korban kerana kawan-kawan bukanlah berada di bawah tanggungannya dan dikira tidak mampu untuk melaksanakan ibadah korban.


Binatang Korban Gemuk atau Binatang Korban yang Mahal Harganya


Binatang korban yang banyak dagingnya lebih baik daripada binatang yang mahal harganya atau pun sebaliknya? Binatang korban yang gemuk adalah binatang terbaik untuk korban kerana lebih ramai akan dapat merasai daging tersebut dan manfaatnya tetapi kadang-kadang binatang korban yang mahal adalah lebih baik untuk dijadikan korban jika dilihat pada sisi yang berbeza.


Binatang yang banyak dagingnya adalah terbaik untuk korban walaupun harganya murah apabila dilihat dari sudut manfaat yang dapat diberikan. Namun jika dilihat dari sudut kejujuran dan keikhlasan kepada Allah SWT dalam amal ibadat ialah apabila binatang tersebut harganya mahal, kerana kita sanggup serta rela untuk mengeluarkan dana dan duit yang banyak dalam melaksanakan korban dan mengharapkan Allah SWT terima korban kita.


Lebih baik yang ada kedua-duanya, mahal harganya serta banyak dagingnya, atau pun ciri-ciri binatang korban yang mana yang lebih banyak memberi kesan kepada hati pengorban dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.


Pembahagian Daging Korban


Disunatkan untuk si pengorban mengambil 1/3 daripada sembelihannya, 1/3 daripada sembelihannya digunakan untuk memberi makan kepada orang fakir daripada kalangan jirannya dan 1/3 lagi untuk sedekah kepada yang meminta.[13] Berdalilkan hadis riwayat Ibn Abbas: Nabi SAW telah bersabda:


(Satu pertiga (daripada binatang korban) diberi makan kepada ahli keluarganya (si pengorban), satu pertiga lagi diberi makan kepada jiran-jirannya yang fakir dan satu pertiga lagi disedekahkan kepada yang meminta)[14]


Firman Allah SWT juga:


( makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.)[15]


Dan dibenarkan untuk memberi kepada orang lain atau kita mengambilnya lebih daripada satu pertiga, pendapat kebanyakkan ahli ilmi.


Penyembelihan dilakukan oleh Muslim


Sembelihan mesti dilakukan oleh orang Islam dan lebih afdhol sekiranya orang yang melaksanakan korban itu sendiri yang menyembelih. Ia dilakukan oleh muslim kerana ibadah ini adalah amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan pendapat Imam Syafie sah sekiranya sembelihan itu dilakukan oleh kafir zimmi yang terdiri daripada ahli kitab tetapi makruh hukumnya.[16]


Menjual Kulit Binatang Korban


Orang yang berkorban boleh memanfaatkan binatang korbannya sama ada memakan sebahagiannya, memberi makan kepada orang miskin atau pun menyedekah sebahagiannya untuk orang lain. Berdasarkan dalil yang telah disebutkan di atas tentang pengagihan.


Berkenaan dengan menjual kulit atau pun daging atau pun lain-lain daripada bahagian binatang korban tidak dibenarkan berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah:


Rasulullah SAW bersabda: (Barangsiapa yang menjual kulit binatang korbannya, maka tidak ada korban baginya)[17]


Pengarang kitab Nihayatul Mujtahid ada menulis: para ulamak sepakat mengatakan bahawa tidak boleh menjual daging korban, tetapi mereka berselisih pendapat tentang kulit dan bulunya yang dapat dimanfaatkan. Jumhur ulamak berpendapat tidak boleh kecuali Abu Hanifah yang membenarkan penjualannya dengan syarat menjualnya dengan selain dinar dan dirham. Atha’ berpendapat boleh menjualnya walaupun dengan dihar dan dinar. Ulamak sepakat tentang dibenarkan memanfaatkan dengannya.[18]


Hadis yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa kulit binatang korban tidak boleh dijual, malah penggunaan kulitnya sama seperti dagingnya. Pemilik kulit tersebut boleh memanfaatkannya, menghadiahkannya atau menyedekahkan kepada orang-orang fakir.[19]


Penutup:


Sebagai penutup, saya memohon maaf sekiranya terdapat beberapa isu yang saya tidak sentuh kerana kesuntukan masa dan sedikitnya ruang yang ada, semoga bermanfaat kepada kita semua dan Allah SWT menerima amalan yang Allah sukai ini kerana dilaksanakan mengikut syariat-Nya serta menjadi bekalan kepada kita untuk bertemu Allah Azza Wa Jalla pada hari pengakhiran nanti. Wallahu a’lam.





[1] Al-Kautsar:1-3




[2] Al-Hajj:36




[3] Hadis Riwayat Jama’ah




[4] Hadis Riwayat Al-Hakim, Ibn Majah dan Tirmizi, Hadis ini berstatus hasan gharib




[5] FIkh Sunnah oleh Sayyid Sabiq, Penerbitan Darul FIkr 2007, Halaman 921, Jilid ketiga.




[6] Riwayat Al-Bukhari dan Muslim




[7] Riwayat Al-Baihaqi




[8] Fiqh Islami Wa Adilatuhu oleh Dr. Wahbah Zuhaili, Penerbitan Darul Fikr 2008, Jilid 3, Halaman 609.




[9] Al-Hajj:34




[10] Mughni Al-Muhataj oleh Imam Syamsudin Muhammad As-Syirbini, penerbitan Darul Faihak 2009, Jilid 5, Halaman 564




[11] Riwayat Al-Jama’ah




[12] Riwayat Abu Daud




[13] Al-Mughni oleh Ibn Qudamah, Jilid 13, Halaman 134




[14] Riwayat Al-Hafiz Abu Musa Al-Asfahani dalam Al-Wazoif, Hadis ini berstatus hasan.




[15] Al-Hajj:36




[16] Al-Mughni oleh Ibn Qudamah, Jilid 13, Halaman 140




[17] Riwayat Al-Hakim (2/389-390) dan Al-Baihaqi (99/294), Sheikh Albani telah menghasankan hadis ini dalam kitabnya Sohih Al-Jami’ As-Soghir, (no. 6118)




[18] Subulus Salam Jilid 4, Halaman 95.




[19] Taudhihul Ahkam min Bulughul Maram oleh Sheikh Abdullah Bin Abd Rahman Al-Bassam, Jilid 6, Halaman 70.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 24, 2012 18:48

Himmah : Bukan Ritual Tahunan, Tapi Ibadah Yang Perlu Dimaknakan

[image error]


~ Kaabahkah yang besar atau Pemilik Kaabah yang besar di dalam hati kita?


 


“Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji !” ~ [27, Al-Hajj]


Saban tahun kita berkorban bila tiba Aidil Adha. Saban tahun juga, kita memenuhkan Masjidil Haram untuk menunaikan haji di musim ini. Kalau yang tidak berpeluang menunaikan haji akan melakukan korban di tanah tempatnya berada, maka yang berpeluang pergi ke haji juga sebenarnya sedang berkorban.


Meninggalkan hidup dalam keselesaan semata-mata untuk bersesak-sesak dengan ramai orang lain. Ketika sebahagian kita sebenarnya boleh pilih untuk hidup lebih selesa, tidak perlu bersesak-sesak dengan orang ramai semasa tawaf di sekeliling Kaabah, berebut-rebut melontar jamrah, tetapi kita tetap memilih untuk mendahulukan kesusahan melaksanakan syariat Allah ini ke atas keselesaan yang sedang kita nikmati.


Kalau difikir-fikirkan, sememangnya untuk apa kita perlu bersesak-sesak di tempat seperti Makkah itu? Apa yang istimewanya?


Semasa sempat menunaikan umrah pada bulan Ramadhan yang lepas, saya bersembang dengan seorang sahabat. Makkah memang agak panas ketika itu, apatah lagi kami memang berada dalam musim panas ketika itu, tetapi iklim panasnya sangat berbeza dibandingkan Jordan dan Malaysia. Bahangnya itu Allah sajalah yang tahu.  “Kalau Makkah ini tak ada Kaabah”, kata sahabat saya itu, “bukan tempat Nabi s.a.w. memulakan perjuangannya, tak ada orang yang akan datang ke sini setiap tahun.”


Tetapi, kenapa saban tahun ramai juga yang sentiasa ingin menziarahi dan memenuhi bumi Al-Haramain itu?


 


Ritual Yang Tidak Memberi Kesan, Tujuan Ibadah Yang Dilupakan


Apakah di bumi Makkah itu ada kemenangan yang telah Allah janjikan untuk ummat sebagaimana yang telah Allah janjikan untuk generasi awal semasa pembukaan semula Kota Makkah? Apakah ada di situ sehingga berbondong-bondong manusia pergi ke situ?


Ataupun apakah di bumi Makkah itu ada harta yang banyak, yang bilamana beramai-ramai manusia pergi ke situ, mereka akan dapat mengumpulkannya dan membawa ia pulang ke negara masing-masing?


Apa sebenarnya yang ada di situ?


Yang ada di situ hanyalah bangunan yang telah sekian lama wujud sejak zaman Nabi Ibrahim. Bangunan yang dijadikan pusat untuk mengumpulkan muslim dari seluruh dunia. Bangunan yang pernah menjadi saksi berdirinya beratus berhala di sekelilingnya ketika dahulu. Bangunan yang pernah juga menyaksikan Islam berdiri penuh kegemilangan satu ketika dahulu di bawah tangan generasi Rasul s.a.w. dan para sahabat.


Itulah dia bangunan Kaabah.


Hari ini, bangunan itu telah diperelokkan strukturnya dan kawasan di sekelilingnya. Ditambah lagi dengan Menara Jam yang berdiri megah di tepinya itu sehingga seorang pak cik pernah berkata kepada saya sewaktu melakukan umrah tempoh hari, “Dulu masa saya datang, bangunan menara ini belum ada. Waktu itu, kalau kita tinggal agak jauh sedikit dari Masjidil Haram, maka kita akan dapat melihat Kaabah di sebalik bukit. Tetapi hari ini, menara itu yang besar dan nampak dulu. Bahkan menara itulah yang besar dalam hati manusia yang datang hari ini.”


Hakikatnya, Kaabah itu hanyalah cuma sebuah bangunan. Tidak ada kesucian satu apapun padanya melainkan di sekitarnya telah menyaksikan perjuangan hakiki membangunkan Islam, bahkan di sisinya juga telah menyaksikan berlakunya perjuangan menentang Islam. Kaabah yang tersimpan pada salah satu penjurunya Hajarul Aswad, yang berebut-rebut ingin dicium oleh manusia, sedangkan satu ketika dahulu, Umar pernah berkata, “Kau hanyalah batu. Kalau tidak kerana Nabi s.a.w. telah mencium engkau, pasti aku tidak akan mencium engkau.”


Saban tahun, muslim berkumpul di sekitar Kaabah. Muslim perlu bertanya, adakah kita yang berdiri dan berkumpul di tepi-tepi Kaabah hari ini adalah termasuk yang membantu membangunkan Islam ataupun kita tergolong dalam kalangan yang menentang Islam juga. Orang bukan Islam mungkin tidak dapat menembus masuk ke Kaabah, maka pastilah yang ada hanya muslim sahaja.


Memanglah yang datang menunaikan haji itu cuma muslim. Kita tidak sekali-kali mempertikaikan apa yang di dalam hati mereka. Tetapi, kita perlu bertanya semula, bila kita berdiri di tepi Kaabah hari ini, kita berebut-rebut mencium Kaabah, mencium Hajarul Aswad, kita perlu bertanya semula di golongan manakah kita terhadap Islam pada hari ini?


Kerana hari ini, watak Abu Jahal atau Abu Lahab itu mungkin tidak tampil secara langsung, tetapi ia tampil melalui peribadi segelintir muslim. Di Kaabah, dia menunaikan haji, tetapi apakah dia telah maknakan ibrah di sebalik haji itu dalam kehidupanya?


Kadangkala, orang berkumpul untuk melakukan haji atau umrah hanya kerana menunaikan sebuah ritual. Melazimi bacaan tertentu, bertawaf, melontar batu, bertahallul, tetapi makna di sebalik ibadah itu gagal diterjemahkan dalam kehidupan. Akhirnya amalan yang asalnya bertujuan ibadah ini hanya tinggal menjadi adat yang tidak mampu membawa apa-apa perubahan pun dalam kehidupan insan.


 


Rindu Pada Tempat, Bukan Pada Pemilik Tempat


Seringkali banyak insan yang sudah menjejakkan kakinya ke bumi Makkah sama ada untuk melakukan umrah atau haji jika ditanya, apakah masih punya keinginan untuk ke sana lagi jika berpeluang?


Jawapannya, ‘Sudah tentulah. Bagaimana mungkin tidak rindu pada tempat sedemikian? Bumi berkah tempat kelahiran Nabi s.a.w. Kalau boleh pergi sekali lagi, mestilah hendak pergi.’


Salahkah rindu pada tempat bermulanya perjuangan Islam itu?


Sudah tentulah tidak ada yang salah. Tetapi, seringkali rindu pada tempat telah mengalahkan rindu kita pada Pemilik tempat itu.


Tidak ada salahnya rindu pada tempat itu kerana itu memang sangat digalakkan dalam sunnah baginda s.a.w. Tetapi, pastilah sunnah yang diajarkan bukan hanya untuk bersusah payah ke sana, tetapi juga untuk memaknakan susah payah kita itu.


Kalau tidak, masakan Allah mengaitkan dalil berkaitan haji dengan taqwa. Renungi firman Allah s.w.t. dalam surah 197 yang bermaksud :


“(Musim) haji itu (pada) bulan-bulan yang telah dimaklumi. Barangsiapa mengerjakan ibadah haji dalam (bulan-bulan) itu, maka janganlah dia berkata rafas (yang menimbulkan syahwat), berbuat maksiat dan bertengkar dalam (melakukan ibadah) haji. Segala yang baik yang kamu kerjakan, Allah mengetahuinya. Bawalah bekal kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa. Dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal!”


Ibadah-ibadah yang difardhukan di dalam haji itu sepatutnya membawa kesan pada diri kita untuk meninggalkan keburukan-keburukan yang ada dalam diri kita. Bukanlah keburukan itu ditinggalkan untuk tempoh haji itu saja. Tetapi, inilah latihan Allah s.w.t. sebenarnya ke atas kita.


Orang yang sudah melazimi sesuatu tabiat, pastilah akan terbiasa dengannya. Begitulah latihan yang Allah mahu kita lalui sebenarnya. Tetapi, kerana kita kadangkala terbiasa melakukan ibadah dengan hanya mendalami fizikalnya saja tanpa memaknai batinnya, maka tidak hairanlah bila telah selesai melakukan haji sekalipun, berkata buruk, bergosip, mengumpat dan mengeji jiran masih tidak dapat kita tinggalkan.


Yang Allah mahukan di dalam ibadah haji dan umrah itu adalah agar hati kita tunduk dengan sebenar-benar ketundukan kepada Allah. Ketundukan ini sepatutnya membawa kita untuk tunduk kepada arahan-arahanNya juga dalam segenap kehidupan. Berlaku adil, bersikap toleransi dan tolak ansur, menjaga hak-hak manusia lain walaupun berlainan agama dan bertanggungjawab terhadap diri dan masyarakat. Bukanlah sekadar berbangga pulang membawa title ‘haji’ atau ‘hajah’ di depan.


Itulah sebenarnya yang kita mahukan.  Terjemahkan ketaatan itu dalam bentuk yang hidup. Bukan hanya kaku dan mati di kaki-kaki sejadah dan masjid sahaja.


 


Penutup : Lihatlah Masyarakat, Apakah Doa Seorang Muslim Di Kaabah Sudah Tidak Makbul?


Saban tahun, masyarakat muslim berkumpul di sisi Kaabah, di antara tempat-tempat yang makbul doanya. Berdoa, merintih, menangis di sisinya, tetapi kenapakah umat Islam terus-menerus ditimpa kehinaan?


Negara-negara Islam antara yang negara yang mencatatkan korupsi yang tinggi. Umatnya pula ramai yang miskin. Di negara Islam juga berlaku penderaan dan penafian terhadap hak wanita.


Selepas berlaku Arab Spring tempoh hari, sebahagian regim korup ini telah dijatuhkan. Kita berharap agar pemerintah yang naik menggantikan pemerintah korup sebelum ini dapat memimpin umat Islam melakukan perubahan pada diri dan negara mereka ke arah yang lebih baik. Pun begitu, masih ada regim yang terus berkuasa hari ini dan boleh sesuka hatinya menentukan hidup mati, untung rugi rakyat di tangannya.


Inilah penghinaan yang berlaku di dalam negara-negara Islam sendiri. Itu belum kira yang telah menyerang umat Islam dari luar dengan gambar dan video berbentuk penghinaan terhadap Nabi s.a.w.


Apakah telah hilang kemuliaan pada umat sedangkan umat saban tahun berkumpul berdoa di tempat, yang memang dikenali antara tempat yang termakbul doanya? Apakah doa kita tidak termakbul? Atau doa kita yang belum bersungguh-sungguh?


Bangun dan lihatlah semula realiti di depan mata kita. Ummat ini perlu dibaiki, tetapi tidak mungkin dapat dilakukan oleh orang yang malas berusaha dan sedikit kesungguhannya. Ia juga tidak mungkin dapat dibaiki jika kita hanya hidup untuk kepentingan diri kita saja. Duduk di atas sejadah menangisi kesalahan diri saja tidak akan dapat membaiki umat ini.


Keluar dan lakukanlah sesuatu. Perbaiki keaiban dan kelemahan pada diri agar kelemahan yang ada pada kita tidak menjadi penyebab kepada kekalahan ummat ini.


Inilah kesimpulan dari sebahagian nilai yang Allah terapkan untuk kita di dalam ibadah haji. Bahawa ia bukan hanya sebuah ritual tahunan untuk dilazimi, tetapi ia adalah ibadah untuk dimaknakan dalam kehidupan insani !

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 24, 2012 13:13

Agama: Haji – Ibrah Bagi Diri yang Teliti

[image error]


~Gambar sebahagian sahabat saya yang pergi menunaikan umrah~


Bagi kita yang tiada di Makkah sekarang ini tentu sekali merasa ‘iri hati’ dengan mereka yang berpeluang menunaikan ibadah haji. Mana tidaknya, di Jordan tahun kebelakangan ini pelajar-pelajar tidak lagi berpeluang untuk menunaikannya. Jika di Malaysia pula, proses ibadah haji agak sukar  dengan belanjawan yang mahal serta faktor kuota yang terhad membuatkan hati membuak dengan perasaan ingin pergi.


Isu berkenaan kuota ini agak sensitif kerana pernah melibatkan perbahasan tentang kedudukan Makkah sepatutnya berada dibawah kerajaan Saudi ataupun OIC disebabkan ada pihak yang menyatakan Saudi kurang adil dalam pembahagiannya dengan membahagikan mengikut negara yang mereka suka. Dari sudut lain, apabila Makkah berada dibawah Saudi, dengan adanya kuota kelancaran ibadah haji lebih terjaga kerana pernah berlaku insiden kematian jemaah haji disebabkan kesesakan yang melebihi had. Bagi saya kedua-duanya ada pro dan kontra.


Namun, saya tidak bercadang memanjangkannya di sini. Apa yang saya ingin bawa adalah bukan bagaimana ingin melaksanakan ibadah haji kerana relevannya pembaca yang membaca artikel ini sekarang, tidaklah pergi menunaikan haji tambahan pula terdapat pelbagai kursus pula yang boleh diikuti bagi sesiapa yang ingin melaksanakannya. Tetapi, saya lebih suka berkongsi amalan dan ibrah yang mungkin dapat kita kutip bersama dan cuba untuk laksana di manapun kita berada sebelum Allah memanggil kita ke ‘rumah’-Nya.


 


Arafah, Pengumpulan Semua Jenis Manusia


Esok jemaah haji di Makkah akan berwuquf di Arafah  dimulai setelah matahari tergelincir sampai terbit fajar pada keesokan harinya. Banyak perkara sunat yang bisa mereka lakukan seperti membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan lain-lain. Mereka juga diberi keringanan oleh Allah dengan dibolehkan untuk solat jama’ dan qasar.


Bagaimanapun ia tidak bermakna kita yang tiada di sana tidak perlu berbuat apa-apa. Malahan terdapat hadis yang sangat menggalakkan kita untuk berpuasa pada hari Arafah tambahan lagi esok juga hari khamis yang disunatkan untuk berpuasa. Kelebihan puasa Arafah seperti yang diriwayatkan daripada nabi s.a.w setelah ditanya oleh Abi Qatadah:


“Ia menghapuskan dosa tahun lepas dan tahun yang akan datang” (HR Muslim).


Antara kelebihan lain tentang hari Arafah dan amalan yang kita dapat gandakan ketika bertemu dengannya adalah:


1.  Permohonan doa dan beramal soleh


Doa merupakan hubungan dan juga antara waktu paling dekat insane dengan tuhan. Doa dari hati yang ikhlas ditambah dengan keberkatan hari tertentu membuatkan ia mudah diterima oleh Allah. Justeru, hadis nabi menceritakan tentang kelebihan berdoa pada hari Arafah:


“Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik ucapan yang pernah aku dan rasul sebelumku ungkapkan ialah tiada tuhan melainkan Allah”  (HR At-Tirmidzi).


Namun ia tidak terhad kepada memohon doa bahkan kepada amal soleh dan kebaikan yang lain sepertimana sabda baginda:


“Tiadalah hari untuk beramal soleh yang paling disukai Allah dari hari-hari ini, iaitu hari-hari sepuluh (10 hari pertama Zulhijjah” (HR Bukhari)


2.  Hari Pembebasan


Hari ini manusia suka hidup bebas. Namun kebebasan yang dikecapi haruslah diiringi dengan syariat Illahi agar ia lebih terpandu. Kita juga akan merasa lega apabila bebas daripada bebanan kerja dunia sama ada dalam bentuk pelajaran atau pekerjaan. Adapu kebebasan hakiki adalah apabila kita berjaya bebas daripada neraka Allah nanti. Justeru, hari Arafah yang juga hari pembebasan manusia daripada api neraka, maka mohonlah pada-Nya agar kita turut dalam golongan tersebut. Nabi s.a.w bersabda:


“Tidak ada satu hari pun yang di hari itu Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka daripada hari ‘Arafah, sebab pada hari itu Dia turun kemudian membangga-banggakan mereka di depan para malaikat seraya berfirman: ‘Apa yang mereka inginkan? “  (HR Muslim)


 


Begitu besar ganjaran dan kelebihan yang Allah janjikan kepada mereka yang berusaha untuk berpuasa. Namun demikian untuk menambahkan lagi rasa membuak dalam jiwa kita untuk berpuasa, suka saya nukilkan ibrah daripada hari Arafah agar sama-sama kita dapat hayati:


1.  Hari Peringatan tentang Kebangkitan


Pada tanggal 9 Dzulhijjah ini, para jemaah akan berkumpul di Arafah. Ia mengingatkan kita tentang hari akhirat iaitu saat kita dibangkitkan semula dari kubur menuju ke mahsyar untuk sama-sama berhimpun. Allah mengingatkan kepada kita tentang hari kebangkitan ini dalam firman-Nya:


“Iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.” (Surah Al-Hud: 103).


Selain itu, ia juga menggambarkan kesesakan hari akhirat kelak ketika mana kita dihisab. Ada yang menjerit kegembiraan, ada yang merungut keletihan dan pelbagai reaksi lagi. Bagi kita yang bakal menerima buku amalan adakah kita pasti kita akan terima dengan hati yang gembira atau perasaan yang berduka? Tepu dada tanya iman semula!


2.  Penyatuan Ummah


Hari Arafah juga menggambarkan kesatuan ummah(Islam). Orang kaya, orang miskin. Orang ternama, orang biasa. Semua dikumpulkan ditempat yang sama dalam pakaian yang sama iaitu ihram yang juga menjadi peringatan bahawa sehebat mana atau sehina manapun kita di dunia, apabila ajal datang menjemput maka kain kafan yang putih persis ihram itu yang bakal membalut tubuh.


Namun penyatuan ini tidak bermakna jika hanya ketika musim haji sahaja. Penyatuan ini perlu berterusan hingga ke ruang lingkup yang lebih luas seperti pentadbiran, pengurusan, pendidikan dan sebagainya. Dari sudut lain, umat Islam juga harus bersatu dalam isu kemaslahatan Islam seperti menghentikan kekajaman rejim Basyar di Syria dan juga cengkaman Israel di Palestin serta beberapa isu yang melibatkan umat Islam yang teraniaya. Bagi kita jika tidak mampu menghantar bantuan tentera, cuba hulurkan melalui bantuan kewangan yang ada, seuntai doa atau yang paling penting adalah sama-sama berusaha membina dinding jiwa generasi akan datang terutama golongan muda dengan ketaqwaan dan keimanan yang sebenarnya. Moga suatu hari nanti, mereka mewarisi Islam yang boleh menguasai dunia.


Selain itu, jika kita teliti alangkah hebatnya kuasa Allah s.w.t ketika mana Dia memerintah nabi Ibrahim menyeru umat manusia untuk mengerjakan haji ketika itu walaupun tidak ada medium yang canggih seperti kita dewasa kini tetapi ia sampai ke telinga kita pada hari ini bahkan akan terus didengari hingga kiamat nanti. Allah berfirman:


“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.”  (Surah Al-Hajj: 27-28)


 


Haji Terakhir


Pada hari Arafah juga sebenarnya merupakan hari yang disempurnakan bagi kita deen Islam. Tiada kecacatan baginya dan akan terus terpelihara hingga dunia ini sendiri telah tiada. Allah berfirman:


“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Maidah: 3).


Dalam masa yang sama ketika mana ayat ini turun menandakan lengkapnya agama Islam, nabi s.a.w ada menyampaikan khutbah terakhirnya yang saya rasa penting untuk dikongsikan bersama. Antara isi khutbah yang disebutkan oleh baginda adalah:



Berpegang teguh kepada Al-Quran dan sunnah.
Larangan riba(mencari dan membelanja harta secara haram).
Keadilan merupakan prinsip  Islam yang utama
Melindungi dan menjaga nyawa, harta dan kehormatan.
Larangan mempersendakan agama Allah.
Hak lelaki ke atas wanita, hak wanita ke atas lelaki.
Ikatan utama umat Islam adalah ikatan akidah dan Islam. Ikatan ini yang membawa mereka kepada prinsip persamaan dan kerjasama dalam perlaksanaan undang-undang Islam.

Terdapat beberapa perkara lagi, namun cukuplah untuk saya kongsikan sedikit kerana apa yang lebih penting adalah bukan kita mengetahui banyak sesuatu perkara tapi perlaksanaanya dalam kehidupan yang lebih utama. Namun tidak dinafikan pengetahuan tentangnya juga satu keperluan.


 


Kesimpulan


Konklusinya, dalam persediaan manusia mengerjakan haji bahkan lebih besar iaitu persediaan manusia untuk menghadapi kematian perlu ada bersamanya bekalan. Dan bekalan yang terbaik adalah ketaqwaan. Allah berfirman:


“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (taqwa),dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)”. (Al-Baqarah:197)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 24, 2012 06:54

Motivasi : Tips – 3 Ungkapan Keramat Pengikat Kasih Sayang

 


[image error]


“ Kasih sayang itu akar hati, daya terkuat nadi”


Kasih sayang – satu ungkapan yang selalu disebut-sebut acapkali oleh kita semua. Tahukah kalian, ia adalah satu juzuk yang sangat penting kepada nilai dan kehidupan manusia. Tanpanya, manusia hidup umpama robot. Bergerak, berinteraksi dan berkomunikasi saban waktu, tetapi tiada “sentuhan” atau line hati sesama manusia.


 


Tiada hubungan.


Tiada jalinan.


Dan, tiada perasaan.


 


Bertemu, berjumpa dan bersapa. Tetapi, tiada apa-apa!


Hati adalah tempat bertapaknya kasih sayang. Manusia yang memiliki kasih sayang akan merasai kebahagiaan, ketenteraman dan kedamaian. Jika ditanya kepada sesiapa pun, inilah hasrat, cita-cita dan impian  yang ingin dimiliki dan dikecapi dalam hidup masing-masing.


Ia kian luntur


Dewasa ini, nilai kasih sayang kian pudar dan luntur di kalangan manusia sejagat. Persaudaraan, persahabatan, perhubungan dan kemanusiaan telah hilang sesuatu yang padanya ada nilai dan harga. Dunia aku-aku kamu-kamu lebih mendominasi warna-warna kehidupan bermasyarakat. Saya menyemak, meneliti dan cuba memahami hakikat ini.


Lalu, satu kesimpulan yang boleh saya buat bahawa, kasih sayang sesama manusia perlu diikat, dijelmakan dan dinyatakan melalui suatu perantaraan dinamakan komunikasi.


Komunikasi terbahagi kepada tiga : melalui lisan, melalui gerak badan dan hati. Ketiga-tiganya penting. Hari ini saya kongsikan 3 Ungkapan keramat yang akan mengubah kehidupan kita dalam berkasih sayang dan di dalamnya kita harus gabung jalinkan ketiga-tiga elemen komunikasi ini. Apabila jalinan 3 komunikasi ini bersatu ia akan menghasilkan suatu hasilan di luar jangkaan kita.


Teliti 3 Ungkapan yang penuh keramat ini :


 


(1) Saya Sayang Awak


Berbungakan hati ini.


Ungkapan 3 patah perkataan. Ia punyai kuasa dan penangan yang kuat kepada manusia.


“ Saya Sayang Awak”. Ia adalah satu ungkapan bahasa dunia yang mempunyai suatu kesan dan impak yang luar biasa kepada kehidupan!


Uhibbuki fillah (Arab), Sarang Hae (Korea), Wo ai ni (China), I Love You (Inggeris), Aishiteru(Japan), Mahal Kita (Filipina) dan  Aamee tuma ke bhalo aashi (Bangladesh)


Dalam apa jua bahasa, budaya dan suasana – ungkapan ini adalah luar biasa, memukau, menyentuh dan hebat. Ia perlu diungkapkan, dinyatakan dan dizahirkan. Bahkan junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW mengesyorkan agar dalam perhubungan, persaudaraan dan persahabatan – kita harus menyatakan perasan kita kepada saudara kita.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahu kepadanya”.


(HR Abu Daud dan Tirmizi)


Begitu juga dalam hubungan keluarga – suami, isteri, anak-anak dan saudara-saudara perlu membiasakan dengan jelmaan ungkapan ini, sama ada secara lisan atau tindakan.


Justeru, apa lagi. Gunakan apa jua SMS, Facebook dan lisan untuk menyatakan perasaan ini kepada merea yang layak anda ungkapkan mengikut tetapan syara’.


Kepada yang belum berkahwin, don’t try this at home!


 


(2) Terima Kasih, Awak


Tenang mendengarnya.


Ungkapan ini akan melembutkan jiwa sesiapa sahaja. Ia lambang penghargaan, keperhatinan dan kelembutan jiwa. Secara psikologi, manusia sangat sukakan pujian dan penghargaan.


Apabila menyemak di dalam sirah Rasulullah SAW dan para sahabat, pujian dan penghargaan adalah perkara yang tidak pernah diabaikan. Ungkapan yang jujur, ikhlas lagi luhur ini telah melunakan ramai jiwa-jiwa manusia yang akhirnya terpaut kepada keindahan akhlak Rasulullah SAW.


Ia tidak terbatas kepada individu tertentu sahaja, tetapi merentas semua manusia. Lelaki, perempuan, tua, muda dan sesiapa sahaja. Ringankan mulut sambil tersenyum dan selalu menyebut :


“ Terima kasih ya, Cik”


“ Arigato!”


“ Thank You!”


“ Syukran!”


 


Dan, yakinilah anda akan alami sesuatu yang berbeza.


 


 


(3) Awak, Maafkan Saya


Sejuk sahaja. Bagaikan air dingin mengalir dalam jiwa.


Memaafkan dan memohon maaf adalah suatu yang sukar dilafazkan bagi jiwa yang ego, bongkak dan sombong.


Harus kita sedar, antara perkara yang menjauhkan jurang kita sesama manusia adalah sifat ego yang tidak berkesudahan. Tiada kerendahan hati, jiwa berantakan dan terikut pujukan syaitan – adalah punca kenapa kemaafan sukar dituturkan daripada lidah manusia.


Akhlak mukmin yang terbaik adalah akhlak yang mengikuti segala perbuatan Rasulullah SAW. Baginda terkenal sebagai seorang yang penyabar dan pemaaf.


Tidakkah menjadi pemaaf itu adalah suatu yang dicintai oleh baginda Rasulullah SAW? Alangkah ruginya kita jika tidak menghiasi diri dengan akhlak nabi.


 


Nota Penting : – Berikan fokus, tumpuan dan perhatian  anda!


Jika diteliti, dalam 3 ungkapan ini ada perkataan Awak. Ia mempunyai signifikan yang tersendiri. Perkataan “Awak” itu membawa maksud yang sangat mendalam. Kalian boleh gantikan ia dengan apa jua kata ganti nama. Jika suami isteri, – sayang. Jika ibu bapa – anakku. Jika rakan karib – sahabatku.


Apakah maknanya? Ia sebenarnya memberikan makna fokus, tumpuan dan perhatian yang membulat kepada insan yang ditujukan ungkapan ini.


 


Apabila ingin menyatakan cinta kepada ibu, nyatakan secara mendalam.


“ Abang sayang ibu. Sayang sangat-sangat” (Awak di sini = Ibu)


Apabila ingin mengungkapkan penghargaan kepada sahabat, sebutkan namanya :


“ Terima kasih, Amin/ Aminah. Terima kasih banyak-banyak”. (Awak di sini = Amin/Aminah)


Apabila berhajat memohon maaf kepada adik sendiri, katakan dengan rendah hati :


“ Adik, maafkan abang ya. Abang bersalah” (Awak di sini = Adik)


Ungkapan-ungkapan ini biasa sahaja, tetapi ia sangat berbisa apabila kita tahu menggunakannya pada masa, tempat dan ketika yang sesuai dan kena pada saatnya. Justeru, apa lagi – inilah saat untuk mempraktikannya.


 


Penutup : Bukan sekadar ungkapan


Lafaz, ungkapan, percakapan dan luahan – bukanlah pernyataan mutlak kepada segala isi hati. Tetapi, ulama ada menyebut : “ Lidah adalah senduk hati.” Apa yang terkeluar dari lidah dan lisan itu ada makna dan ertinya.


Berhati-hati, bertaqwa dan sentiasa berawas dalam menyatakan segala perasaan dan nurani adalah suatu sikap yang murni. Justeru, sewajarnya kita menjadi insan yang apabila berbicara dan bertutur – kalamnya sangat-sangat dinanti-nanti dan disukai ramai.


Kita adalah apa yang kita ungkapkan.


Kita juga adalah apa yang dilakukan.


Oleh itu, yang menjadi garis panduannya ialah iman dan taqwa!


—————


Rahsia komunikasi hati yang berjaya ialah hati kita bersih, suci dan jernih. Justeru, untuk disayangi oleh manusia, jauhilah perbuatan dosa dan maksiat dan dekatkan diri kepada Allah SWT.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 24, 2012 01:32

October 22, 2012

Kehidupan: Musuh Kita Yang Sebenarnya.


Melihat siapakah musuh kita yang sebenarnya – Picture by UmarMita of LangitIlahi


 


Siapakah?


Manusia yang mengutuk-kutuk kita?  Manusia yang mengeji kita? Manusia yang menganiayai kita?  Manusia yang tikam belakang kita? Mereka yang buat jahat kepada kita?


Kalaulah kita duduk sebentar, dan bermuhasabah kembali, mereka itu bukanlah musuh kita yang sebenarnya.


Siapakah musuh kita yang sebenarnya?


Syaitan.


Ya. Itulah musuh kita yang sebenarnya.


Mungkin pada sebahagian orang, perkara ini kelihatan simple.


“Musuh kita adalah siapa?” Jawapan: “Musuh kita adalah syaitan!” Mungkin sebahagian orang akan menganggapnya sebagai satu ilmu budak tadika. Tetapi di dalam artikel ini saya ingin membawa lebih daripada itu.


Saya ingin membawa kepada mengapa kita kena faham bahawa syaitan itu adalah musuh kita yang sebenarnya.



Metodologi Ya’kub AS


Apabila Yusuf AS bermimpi akan satu fenomena yang menakjubkan, 11 bintang, matahari dan bulan sujud kepadanya, Yusuf AS telah menceritakan hal itu kepada bapanya Ya’kub AS.


 “(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku.” Surah Yusuf ayat 4.


Dan lihatlah apa yang dikatakan oleh Nabi Ya’kub AS.


“Ayahnya berkata: Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka membuat makar (untuk membinasakan) mu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.“ Surah Yusuf ayat 5.


Pause.


Lihat apa yang dikatakan oleh Nabi Ya’kub?


Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia…


Nabi Ya’kub tidak berkata: “Sesungguhnya abang kamu itu semuanya pendengki dan jahat.” Apa yang dia katakan adalah: “Takut abang kamu akan melakukan sesuatu kepada kamu, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata”


Perbuatan busuk abangnya itu, direlasikan dengan syaitan yang menyebabkan manusia tersimpang.


Sungguh cantik Ya’kub AS mendidik.


Dan apakah impak dari didikan ini?


 


Hubungan dengan Allah yang kuat, berlindung dari syaitan.


Yusuf AS telah melalui kehidupan yang getir. Dia telah dibuang ke dalam perigi untuk dibiarkan mati. Allah mengasihinya dan menyelamatkannya dengan ada saudagar telah mengambilnya. Ditambah rahmat kepadanya dengan dia dibeli oleh Pemerintah Mesir ketika itu.


Ujiannya tidak terhenti di situ.


Dia digoda oleh ‘Imra’ah Aziz’(yang biasa dinamakan sebagai Zulaikha). Tetapi lihatlah ya seorang Yusuf AS yang telah dididik oleh bapanya Ya’kub AS betapa syaitan adalah musuh yang nyata. Sedang hakikatnya Yusuf adalah seorang lelaki dan Imra’ah Aziz ketika itu sedang berpakaian seksi dan menggoda.


Namun Yusuf kekal dengan kewarasannya. Kerana dia tidak nampak seorang perempuan cantik ketika itu. Dia sedang melihat syaitan yang sedang hendak menjatuhkannya. Pantas dia berlindung kepada Allah SWT.


“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: Marilah ke mari, aku bersedia untukmu. Yusuf menjawab: Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya. Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.” Surah Yusuf ayat 23-24.


Impaknya, Yusuf berlari menyelamatkan diri, walaupun dia tahu bahawa pintu telah terkunci. Mengapa ya Yusuf AS berlari sedangkan dia tahu bahawa dia tiada jalan untuk melarikan diri?


Kerana dia sedang berhadapan dengan musuh.


Maka dia berusaha juga melarikan diri, walaupun dia tahu dia tiada tempat untuk berlari.


Sekurang-kurangnya, ketika itu, itulah usaha yang dia ada untuk menjaga dirinya daripada musuh itu.


Dan Allah membayar usahanya dalam kesempitan itu, dengan menyelamatkannya.


 


Kemaafan yang besar, tiada prejudis, bukan pendendam


Apabila Yusuf AS yang telah berjaya melepasi segala tribulasi, bertemu dengan abang-abangnya yang berusaha mencari makanan di Mesir, adakah dia membalas dendam kepada abangnya? Adakah dia tidak membantu abangnya mencari makanan? Apakah dia menganiayai abangnya semula?


Tidak.


Bahkan ketika itu, Nabi Yusuf AS berkata:


“Yusuf berkata: Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani. Surah Yusuf ayat 93.


Mengapa? Mengapa Yusuf AS mudah memaafkan saudara-saudaranya? Yang mencampakkan dirinya di dalam perigi tua untuk MEMBUNUHNYA! Mengapa?


Hal ini kerana, abang-abangnya bukan musuh kepada Yusuf AS.


Musuh Yusuf AS adalah syaitan yang telah menggoda abangnya.


Sebab itu dia memaafkan abang-abangnya.


Tambahan, abang-abangnya ketika itu telah bertaubat dan meminta maaf.


Sekelumit dendam pun tidak wujud di dalam diri Yusuf AS terhadap abang-abangnya.


Sebab abang-abangnya bukan musuh kepadanya. Musuhnya adalah syaitan.


 


Penutup: Kefahaman ini, lebih dari sekadar pengetahuan


Apabila kita memahami betapa syaitan itu adalah musuh kita, maka kita akan mudah untuk melangkaui cabaran dan dugaan di dalam kehidupan. Kita akan lebih kemas mengawal diri. Kita akan lebih tenang berurusan dengan orang lain.


Sikap toleransi yang tinggi, disiplin yang menggunung, keseriusan yang padu dan kematangan yang kemas akan terhasil sekiranya kita faham betapa kita ini hidup ditemani ‘musuh-musuh’ yang telah bersumpah untuk menyesatkan kita sesesat-sesatnya.


“Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur” Surah Al-A’raaf ayat 16-17.


Kamu, kalau tahu musuh ada di sebelah kamu, apakah kamu akan bersambil lewa? Maka di dalam hidup kita akan berjaga-jaga dengan seketat-ketatnya.


Dengan kefahaman ini juga, kita tidak akan menyingkirkan pendosa. Kita akan berlapang dada merapati mereka dan sabar dalam mengajak mereka kepada kebenaran. Kita faham, mereka sedang dikelirukan oleh syaitan. Maka kitalah yang patut membantu menghulurkan tangan. Bukan membiarkan.


Kefahaman ini, lebih dari sekadar pengetahuan.


Ia melahirkan sesuatu yang besar.


Peribadi unggul yang tiada tandingan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 22, 2012 20:11

October 21, 2012

Sisters : Menjadi Ibu Generasi – Kunci Pertama : Iman Yang Mendalam

 


[image error]


 


Tembusilah Jiwa Kita dan Anak-anak Dengan Keimanan.


Picture By Umarmita Of LangitIlahi


 


 


Bismillah, – dengan nama Allah SWT perkongsian ini dinukilkan.


Agak lama saya menyepi, mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan fasa-fasa baru dalam kehidupan saya. Daripada fasa seorang surirumah kepada seorang wanita berkerjaya sebagai pendidik di sebuah institusi swasta.


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.


Tidak ada kekuatan melainkan segalanya dari Allah SWT.


Hari ini, Allah SWT menganugerahkan sedikit kekuatan untuk kembali berkongsi di laman ini. Maka ingin saya teruskan sambungan siri Menjadi Ibu Generasi yang sekian lama juga terhenti. Semoga bermanfaat.


 


Pendahuluan : Sketsa Kehidupan


 


Kelihatan seorang ibu sedang melayan anaknya yang berumur 9 bulan yang sedang ‘bermain’ dengan sebuah buku bergambar.


“Mukhlisah sayang… Mukhlisah sedang baca buku apa itu…”


“Oooo..UUuu…,” respon si comel itu sambil menunjukkan bukunya.


“Oh, buku ‘animals’…. Masya-allah.. pandai anak ummi ni…! Maha suci Allah yang menjadikan anak ummi ini pandai…! Maha baik Allah!”


“Aaaaa….,” Respon si comel lagi.


“Allah…. Allahuakbar ke Mukhlisah nak sebut? Masya-allah.. pandainya anak ummi!”


Si comel tersenyum bangga.


“Mukhlisah.. siapa yang bagi semua kemahiran dan kelebihan ini, sayang ummi?”


Si comel memandang ibunya dengan pandangan manja.


Sambil meletakkan si comelnya di atas riba, si ibu pun berkata :


“Allah.. Allah yang Maha Baik, Yang Maha Pengasih yang menjadikan segala-galanya. Allah yang Maha Baik yang memberikan Mukhlisah kemahiran dan kelebihan ini. Tidak ada yang dapat memberi Mukhlisah kepandaian, kelebihan dan kemahiran baru melainkan hanya sanya Allah SWT.”


“ Segala puji bagi Allah SWT yang Maha Baik. Hanya kepada Allah kita sembah, dan hanya kepada Allah, kita mohon pertolongan ya sayang ummi…”


Si comel mengangguk-anggukkan kepalanya tanda terhibur dengan kata-kata ibunya.


******************************


Mungkinkah?


Sisters yang dikasihi kerana Allah SWT,


Di atas adalah dialog seorang ibu yang sedang berusaha menanamkan tauhid kepada anak kecilnya. Si ibu sedang cuba membangkitkan rasa kagum dengan kehebatan Allah yang Maha Esa. Si ibu sedang membuatkan si kecilnya sama-sama merasai kebaikan Allah yang tidak ada tandingannya. Dalam masa yang sama, si ibu sedang mencurahkan perhatian, kasih sayang serta ilmu berbahasa buat si kecilnya itu.


Sekadar persoalan untuk difikirkan bersama, agak-agak kalian, mungkinkah dialog di atas dapat diungkapkan oleh seorang ibu yang tidak mengenal Allah SWT? Atau mungkinkah kalimah-kalimah tersebut datang daripada seorang ibu yang dirinya sendiri tidak mencintai Allah SWT dan tidak menjadikan Allah SWT sebagai tujuan utama dalam kehidupannya?


Pada saya, tidak mungkin! Kerana seperti kata para ulamak : “ Seseorang tidak akan mampu memberi sesuatu yang dia tidak miliki.”


Tidak mungkin seseorang ibu yang berpegang kehidupannya kepada perkara-perkara Jahiliyah akan menyalur dan menyediakan elemen-elemen yang menyuburkan iman kepada anak-anaknya dalam rangka supaya anaknya besar nanti akan menyerahkan seluruh hidupnya kepada Allah SWT semata-mata.


Tidak mungkin seseorang ibu yang tidak merasakan kenikmatan dalam mentaati Allah SWT dapat menyampaikan kepada anak-anaknya akan keindahan hidup dalam acuan Allah SWT. Tidak Mungkin!


Maka, jelas di sini kepentingan untuk seorang wanita yang berhajat untuk menjadi ibu generasi untuk memiliki iman yang mendalam kepada Allah SWT. Boleh juga dikatakan adalah sangat urgent untuk seorang wanita melihat kembali faktor utama yang amat berpengaruh dalam menjadikan dia seorang ibu yang akan melahirkan generasi hebat di masa akan datang (Insya-Allah)!


 


Iman Itu Mesti Diproses


 


Para akhowat Muslimah yang dikasihi Allah SWT,


Apakah itu iman?


Iman di sini – bermaksud keyakinan, kepercayaan dan I’tikad bulat bahawa hanya sanya Allah SWT adalah Rabb dan Illah yang layak disembah dan diserahkan kehidupan ini. Iman adalah elemen terpenting kehidupan seorang manusia, apalagi kehidupan seorang wanita Muslim yang ingin menjadi seorang ibu kepada sebuah generasi.


Walau bagaimanapun, ketahuilah saudari-saudariku, keimanan yang mendalam ini tidak hadir dengan sendirinya, tanpa melalui proses yang membentuknya.


Tentu sahaja proses itu harus bermula daripada awal, sebelum-sebelum anda menjadi seorang ibu lagi. Namun, jika telah menjadi ibu, anda belum terlambat. Ayuh mulakan sekarang!


 


Langkah-langkah membina iman yang mendalam : -


 


(1) Mengenal Allah dengan sebenar-benarnya


Adakah mungkin seseorang yang kita tidak kenal, dapat kita cintai sepenuh hati? Begitu jugalah dengan Rabb Yang Maha Agung. Jika kita tidak mengenali Allah SWT , amat sukar untuk iman atau keyakinan kita menjadi bulat bertekad hanya kepada-Nya. Maka, salah satu jalan utama untuk membentuk iman yang mendalam, para akhowat Muslimah mestilah berusaha mengenali Allah SWT.


 


Bagaimana? Terdapat banyak jalan untuk mengenal Allah SWT. Antaranya mendekati kalam Allah SWT yang mulia, Al-Quran. Lihat bagaimana Allah SWT menggambarkan dirinya dengan sifat-sifat dan nama-nama tertentu. Contohnya, mengapa Allah SWT acap kali mengaitkan diri-Nya dengan kalimah Ar-rohman? Apakah yang Allah SWT mahu sampaikan dengan kalimah Ar-rohman itu? Selain Ar-rohman, apalagi nama Allah SWT yang sering Allah SWT sebut-sebutkan dalam Al-Quran?


 


Insya-Allah, saya yakin semakin kita berusaha berkenalan dengan Allah SWT, semakin luas rahmatnya buat kita. Dan, dengan itu, semakin tertingkatlah keimanan kita kepada-Nya.


 


(2) Mencintai ALLAH SWT Sepenuh Hati


 


Apabila seorang Muslimah mengenali Allah SWT, sedikit demi sedikit ia pasti akan mencintai-Nya. Apabila jiwa mencintai Allah SWT, keimanan seseorang wanita Muslimah akan menjadi ampuh lagi kukuh. Dia akan mencintai Allah SWT lebih dari rasa cintanya kepada dirinya sendiri, suaminya, hartanya dan segala miliknya.


Seorang muslimah itu juga akan mencintai apa yang dicintai Allah SWT, dan akan membenci apa yang dibenci Allah SWT. Ia akan merasa sentiasa keberadaan-Nya, pengawasan-Nya, dan keagungan-Nya.


Perasaan ini akan membolehkan dia hidup tenang, penuh kepasrahan dan tawakal kepada Allah SWT semata-mata. Cintanya membuat dia berusaha menjunjung titah perintah Rabb yang dicintainya dalam seluruh kehidupannya, termasuk dalam hal membesarkan dan mendidik anak-anaknya.


Salah satu doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam usaha memperoleh cinta Allah SWT yang bermaksud :


“Ya Allah, jadikalan Engkau lebih aku cintai daripada diriku, keluarga, harta, dan anakku, serta air yang dingin di saat dahaga.”


(HR Tarmizi)


 


(3) Mentauhidkan ALLAH SWT dalam seluruh kehidupannya


 


Iman seorang Muslim atau Muslimah tidak akan sempurna selagi dia tidak berusaha mentauhidkan Allah SWT dalam seluruh kehidupannya. Mungkin akan ada yang bertanya, apa itu tauhid?


Tauhid – itu makna mengesakan Allah SWT sehingga Allah SWT satu-satu yang disembah, ditaati, diikuti dan dicintai sebagai Rabb dan Ilah!


Kenal dan cintanya seorang wanita Muslimah itu kepada Allah SWT semata-mata akan memberi kesedaran kepadanya untuk berusaha mentauhidkan Allah dalam seluruh kehidupannya.


Firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi (18) : 110 yang bermaksud :


“ Katakanlah, sesungguhnya aku ini  hanyalah seorang manusia seperti kamu, yang telah menerima wahyu, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Esa. Maka barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan-Nya (mensyirikkan) dengan sesuatupun dalam ibadahnya kepada Tuhannya.”


Pendek kata seluruh kehidupannya difokuskan hanya untuk mencapai redha Allah SWT yang ia Imani, cintai dengan sepenuh jiwa semata-mata. Makannya, minumnya, tidurnya, mengandungnya, membesarkan anaknya untuk Allah SWT, kerana Allah SWT, di jalan Allah SWT.


Allah, Allah, Allah adalah matlamat utama hidupnya.


 


Penutup – Di sinilah Titik Tolaknya


 


Kata Prof Dr. Yusuf Al-Qordowi di dalam bukunya, Iman dan Kehidupan :


“Imanlah satu-satunya unsur yang dapat mencipta perubahan dalam jiwa manusia, dan menjadikan manusia itu dalam bentuk yang baru, sehingga berubah pada pandangan hidup dan jalan hidup yang ditempuhnya”


Justeru, dapat kita simpulkan, perkara pertama, utama dan penting yang harus dimiliki seseorang wanita Muslimah yang bercita-cita untuk menjadi seorang ibu yang daripadanya terbina sebuah generasi yang hebat ialah iman yang mendalam.


Imanlah yang menggerakkan kehidupannya, dan imanlah yang menjadikan dirinya luar biasa untuk memikul tanggungjawab yang luar biasa ini. Iman yang berpengaruh besar dalam kehidupannya itu, akan kemudiaannya mempengaruhi kehidupan anak-anaknya sama ada secara lansung atau tidak lansung.


Semoga Allah SWT membantu kita dalam usaha untuk memiliki iman yang mendalam itu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 21, 2012 07:53