Novel: Takdir2 – Percaya Yang Tidak Sirna – Cheritera 11.
Picture by UmarMita of LangitIlahi.
Sambungan Takdir2: Percaya Yag Tidak Sirna.
Cheritera 11.
Kepada yang lama menanti,
kini Takdir kembali!
Ashoka dan Arnav berwajah pucat lesi. Namun masih menggerakkan langkahan kembali ke pintu utama Duarte. Mereka berdua disambut oleh pengawal pintu utama yang menyapa Kiai Sunyi tadi.
“Ah, kamu berdua adalah yang menemani Kiai Sunyi tadi bukan? Di manakah Kiai?” Mesra pengawal itu menyapa.
Ashoka memandang Arnav. Arnav sekadar memandang kembali Ashoka.
“Dia telah pergi.” Arnav memberitahu, lemah.
Pengawal itu mengerutkan dahi. “Ada apa-apa yang berlakukah?”
Ashoka menghela nafas. “Entah, sukar kami hendak menerima dengan akal. Namun berlaku di hadapan mata kami sendiri.”
“Duarte akan diserang oleh Ethan.” Arnav menambah.
“Hah?” Tersentak pengawal itu.
“Kiai Sunyi menghantar kami berdua ke sini untuk membantu kamu.” Ashoka bersuara.
“Siapakah gerangannya kamu berdua?”
“Aku adalah Arnav, dan dia adalah Ashoka. Kami berdua merupakan dua dari empat panglima Chinmayi.”
“Ah, bukankah kalian telah ditewaskan teruk oleh Sang Asura tempoh hari?” Masih tidak mampu menelan berita yang datang, pengawal itu bertanya banyak.
“Kami berdua diselamatkan oleh Kiai Sunyi.”
Dan mendengar jawapan Ashoka itu, Sang Pengawal seakan baru dapat mencerna apa yang dilihatnya. Kerana itulah Kiai Sunyi berjalan dengan dua orang lelaki ini.
“Baiklah. Masuk segera. Tuanku End tidak ada sekarang kerana keluar mengembara bersama Angkasa Sakti dan Aizan Fahmi dari Tanah Suci ke Uftzi. Yang ada adalah Ketua Panglima kami sebagai ganti – Armon.”
Armon. Ketua Panglima Wilayah Duarte. Bukan nama asing untuk Ashoka dan Arnav. Panglima ini jarang keluar dari Duarte kerana setiap kali End keluar, dia yang akan diarahkan tinggal, menjaga Wilayah Duarte. Juga merupakan jurucakap bagi End, kerana sikap End yang terkenal sering membisu.
“Bawa kami bertemu dia. Kami perlu berbincang segera. Tentera Ethan sedang menghampiri dan dijangka sampai esok.” Arnav menegaskan.
Pengawal itu mengangguk kemudian bergerak mendapatkan rakannya, seterusnya melaung:
“Bukakan pintu gerbang ini!”
Perlahan-lahan pintu gerbang yang megah itu terbuka. Arnav dan Ashoka sama-sama saling memandang.
“Kiai Sunyi itu, nyata bukan manusia biasa.” Ashoka bersuara.
“Kini, aku takkan lagi merapuhkan percaya.” Arnav menarik nafas.
Seakan-akan, mereka berdua manusia yang baru.
Walaupun pada wajah mereka ada kepucatan yang menandakan wujud sesuatu yang menakutkan baru sahaja berlaku.
Apakah yang terjadi antara mereka dan Kiai Sunyi?
Hanya mereka dan Allah SWT sahaja yang tahu.
*******
Suasana di padang pasir itu amat menakutkan. Debu-debu naik berterbangan. Seakan wujud taufan di tengah-tengah keadaan. Sekali-sekala akan kelihatan pasir-pasir terbelah kemudian kembali bersatu semula. Angin berderu tidak teratur. Semuanya kerana pertarungan yang sedang berlaku.
Khalid Al-Walid gagah bertahan dengan pedang-pedangnya. Lawannya adalah Long Berk yang digeruni semua. Lembing hitam yang terkenal membunuh ribuan nyawa itu sedang memukulnya hingga terundur beberapa tapak.
Long Berk di balik topeng memakukan pandangan kepada Khalid. Dengusannya kedengaran. Auranya berat memberikan tekanan. Mantelnya berkibar naik kerana angin yang terhembus dari auranya. Kini lembingnya kembali dipacakkan di sisinya.
“Sudah bersedia untuk dijemput ajal?” Long Berk bertanya sinis.
“Ajal itu di tangan Tuhan, Long Berk. Bukan di tangan engkau.” Khalid mengesat darah yang meleleh dari sisi kepalanya. Sepanjang pertarungan tadi, bahagian itu dipukul dengan kuat oleh lembing hitam Long Berk.
Mata Khalid mengerling melihat sekeliling.
Toriq dan Syu’bah sedang sibuk menentang pengawal-pengawal elit Long Berk. Manakala rakan-rakan mereka yang lain telah syahid terbunuh. Tiada seorang pun pengawal-pengawal Long Berk yang menemui ajal. Semuanya masih bertahan dan bertarung dengan gagah, tanda hebatnya mereka. Syu’bah dan Toriq dalam keadaan tertekan. 10 lawan 2.
“Bagaimana Khalid Al-Walid? Di manakah Tuhan kau sekarang?” Long Berk memegang lembingnya. Tanda dia sudah hendak melancarkan pusingan yang seterusnya.
Khalid Al-Walid sekadar tersengih kelat. “Dia ada bersama kami.”
“Maka apakah Dia akan menyelamatkan kalian sekarang?”
“Kami tidak mengetahui aturanNya. Tetapi kami yakin, yang berlaku atas kehendak Dia itu baik-baik sahaja. Tugas kami hanya berusaha.” Pernafasannya telah diperbetulkan semula, dada jadi lebih lapang, dan kini aura dipertingkatkan semula. Stamina Khalid sangat tinggi. Namun melihat juga siapa lawannya. Dengan pahlawan bertaraf Long Berk, mustahil dia mampu bertahan 20 hari lamanya seperti bertarung askar biasa.
“Aku ingin melihat Tuhan kau itu sekarang!” Long Berk memecut. Berdesup dia hilang dari pandangan Khalid. Sedetik kemudian, dia telah berada di atas Khalid dan melibas lembingnya.
Khalid mengangkat kedua-dua senjatanya, bertahan. Namun lembing Long Berk melentur dan matanya hampir mencecah wajah Khalid. Mujur panglima Tanah Suci itu sempat menggerakkan kepalanya. Tetapi kerana gerakannya itu, pertahannya jadi melemah. Justeru apabila Long Berk menjejak ke tanah, Jeneral Utama Utopia itu berputar dan melibas lembingnya ke bahagian rusuk kanan Khalid. Tercampak Panglima Tanah Suci itu, berguling di atas padang pasir.
“Syu’bah, nampaknya keadaan kita amat tersepit sekarang.” Toriq bersuara risau.
Syu’bah hanya tersenyum. Mindanya berusaha keras mengira pelbagai kalkulasi untuk mengeluarkan mereka dari kesempitan ini. Namun masih tidak berjumpa solusi.
“Senior Toriq, kadangkala Allah itu menjadikan kita tidak berkuasa, agar kita berharap.” Dia menjawab ringkas. Tanda kini tawakkalnya penuh kepada Allah SWT semata-mata.
Toriq seperti tesentak. Dan akhirnya sedar bahawa Syu’bah juga mati akal. Pergantungan kepada Allah SWT ketika ini nyata dirasakan sepenuhnya. 10 pengawal elit Long Berk mengelilingi mereka. Bersiap hendak menamatkan nyawa mereka.
Khalid Al-Walid bagun, dengan lengan menongkat tubuh. Darah keluar dari mulut. Tetapi belum sempat dia bangun sepenuhnya, dia sudah melihat but zirah Long Berk berada di hadapan wajahnya. Satu sepakan keras melandas pada wajahnya.
“Mana Tuhan kau?”
Terus lagi Long Berk menendang-nendang Khalid. Sepakan demi sepakan mendarat pada perut, wajah dan kaki. Sengaja dia tidak terus menamatkan nyawa Khalid. Sengaja hendak menyeksanya.
“Tuhan aku ada bersama kami!” Khalid kekal dengan jawapan itu. Menangkap, memeluk sebelah kaki Long Berk bagi menghentikan sepakan yang menyakitkan itu.
Long Berk tanpa belas kasihan, menunduk, melandaskan sikunya ke belakang tubuh Khalid. Jeritan kesakitan terlepas dari mulut Panglima Tanah Suci itu. Darah keluar membuak. Kemudian Long Berk memutarkan lembingnya, belakang lembing membelasah tubuh Khalid hingga dia terjarak semula dari Long Berk.
“Kamu semua hanya mempercayai sampah. Sampah!” Long Berk bergerak mendapatkan Khalid. Lembing hitamnya kini diselaputi aura yang tebal. Mungkin ini serangan terakhir, bagi menamatkan nyawa musuhnya.
Khalid sekadar mampu melihat. Susuk tubuh Long Berk juga sudah kelihatan samar-samar kerana dia telah kelemahan. Ketua Jeneral Utama Utopia itu, setiap pukulannya nyata amat berat. Auranya yang menekan menambah rencah kekuatan. Khalid nyata bukan lawannya.
“Bunuh sahaja dua orang itu!” Long Berk mengeluarkan arahan, sambil dirinya kini sudah berada benar-benar di hadapan Khalid. Lembing diangkat.
10 pengawal yang semakin merapati Syu’bah dan Toriq menggenggam senjata masing-masing dengan erat. Semua meningkatkan aura dan suasana menjadi lebih kelam kabut. Pasir naik berterbangan dihembus aura-aura yang terhasil. Sangat menekan, hingga dahi Toriq berkerutan.
Syu’bah tersengih. “Ah, ini pengakhirannya? Aku mahu lebih daripada ini.” Ketika ini, dua pedangnya menjadi bercahaya. Cahaya itu kini memanjang melebihi mata pedangnya.
Toriq kehairanan. “Apakah itu?”
“Pedang nyawa. Usaha terakhir.”
Pedang nyawa adalah teknik yang digunakan Syu’bah tatkala pedangnya patah bertarung dengan O Zero. Teknik yang mengumpulkan segala aura yang ada pada bilah pedangnya, memberikan kekuatan yang lebih, namun teknik ini sangat membahayakan penggunanya. Kerana ia akan merosakkan tubuh pengguanya sekiranya digunakan untuk jangka masa yang panjang.
“Marilah!” Syu’bah meninggikan suara. Keluar dari pertahanannya, meninggalkan Toriq. Bergerak mendapatan musuh-musuhnya. Pengawal-pengawal elit Long Berk pun memecut, untuk bersemuka dengan Syu’bah.
“Mati!” Long Berk ketika ini ingin merejam Khalid, untuk menembuskan lembingnya pada belakang panglima Tanah Suci itu.
Pada saat yang genting ini, tempat itu tiba-tiba dihurung api yang marak. Membakar suasana. Padang pasir yang panas bertambah hangat. Khalid mengambil peluang ini berguling. Long Berk disambar api hingga membakar dirinya, terundur dia beberapa tapak.
Pengawal-pengawal elit Long Berk terhenti. Antara mereka dan Syu’bah, wujud dinding api. Tidak cukup dengan itu, api marak yang menghalang perjalanan mereka mula menyambar mereka. Sama seperti Long Berk, mereka mula berada dalam pelukan api.
Syu’bah segera mematikan Pedang Nyawanya. Terkejut dan merasakan tidak perlu lagi.
Dia memandang sekeliling. Toriq juga kelihatan terpinga-pinga.
Ada bantuankah?
“Ini tidak akan dapat menghalang mereka. Tetapi ini masanya untuk melarikan diri.” Satu suara tiba-tiba menyapa cuping Syu’bah. Syu’bah menoleh ke sebelah kirinya.
Kelihatan seorang lelaki tegap, berpakaian serba putih, agak berumur, sedang berdiri tegak di sebelahnya.
“Salam perkenalan. Kiai Api aku punya gelaran.”
Mata Syu’bah membesar.
“Dengar sini, segera pulang ke Tanah Suci dan laksanakan perancanganmu.”
“Tetapi Kiai, Long Berk tetap akan dapat mengejar kami.”
“InsyaAllah tidak. Aku akan kekal di sini.”
“Hah? Bagaimana pula dengan Kiai nanti?”
“Dia tidak akan membunuh aku begitu sahaja. Aku adalah Kiai, dan Long Berk ini egonya tinggi. Dia jika mahu membunuhku, dia akan membawaku di khalayak rakyatnya di Amara, dan membunuhku di hadapan mereka. Semuanya bagi membuktikan betapa Allah itu tiada.”
Syu’bah terdiam seketika. Kemudian suara Long Berk menjerit kedengaran mengisi ruang.
“Tetapi Allah itu sentiasa bersama kita. Tinggal kita perlu sentiasa percaya.” Kiai Api menepuk bahu Syu’bah.
“Pergilah.”
Kiai Api bergerak meninggalkan Syu’bah. Dia terus mara memukul kesemua pengawal elit Long Berk yang sedang kelam kabut dengan api marak yang menyelubungi mereka.
Syu’bah segera mendapatkan Toriq. “Ayuh Toriq, kita perlu membawa Senior Khalid pergi!”
Toriq keluar dari jedanya, dan terus bergerak bersama Syu’bah mendapatkan Khalid. Khalid diusung.
“Apa yang berlaku?” Khalid yang kelemahan bertanya lesu.
“Kiai Api datang membantu.”
“Kiai Api?”
“Dia akan kekal di sini, menghalang Long Berk buat kita.”
“Allah…”
Kiai Api menolah ke arah mereka. “Pergi!” Kemudian kiai itu bergerak mendapatkan Long Berk.
Hung! Api marak yang menyelimuti Long Berk hilang serta merta. Jeneral Utama Utopia itu telah berjaya menenangkan diri, mengumpul auranya dan menyah api yang membakar dirinya. Mantelnya telah terbakar hangus, dan zirahnya berasap. Matanya bersinar dengan kemarahan, memandang seorang lelaki yang dikenalinya.
“Kiai Api!”
“Heh, terkejut?” Lelaki berumur itu mengangkat sebelah kening.
Kiai Api tidak menunggu Long Berk bertindak balas. Dia menghayun tangannya perlahan, kedua-dua belah beralun dengan di sisi tubuh, sambil kaki kiri ditarik ke belakang. Bila hayunan tangan selesai dan kaki menjejak tanah, kedua-dua belah tangan digenggam.
Hong hong hong! Bunyi itu kedengaran bergema membentak kepada alam. Api marak keluar menggila dari muka bumi. Kiai Api sedang mempertingkatkan kekuatannya. Tubuhnya menjadi kemerah-merahan, namun putih bajunya tidak terganggu, hanya beralun sahaja.
“Kau tahu kau tidak akan dapat menewaskan aku Kiai Api!” Long Berk berteriak.
“Engkau? Aku mampu. Tetapi engkau dan 10 pengawal engkau?…” Kiai Api melihat 10 pengawal yang turut telah berjaya melepaskan diri dari cengkaman apinya. “Itu mungkin satu soalan yang berbeza.” Dia tersengih kelat.
“Apa-apa hal pun, aku muncul di sini sebagai pemudah cara bagi anak-anak muda. Kerana mereka yang akan memenangkan perjuangan ini. Aku sanggup mengorbankan diri.”
“Kau akan menyesal!” Long Berk terus menggapai lembingnya.
“Serang!” Dan 10 pengawal elitnya bergerak bersama-sama ke arah Kiai Api.
“Bismillah…” Kiai Api bergerak. Dia tahu apa keputusannya pertarungan ini. Tetapi dia punya percaturan tersendiri.
“Pergilah anak-anak muda, selamatkanlah dunia ini!”
*******
Kiai Laut berada di barisan paling hadapan sekali. Seakan-akan mengetuai gerombolan tentera Makhluk Genetik dan Kaum Gergasi. Que Ron dan Ezzen bergerak bersebelahan. Makhluk Genetik dan Kaum gergari bergerak dalam kumpulan campuran. Panji-panji perang mereka juga bersama-sama.
“Bagaimana agaknya mereka berperang?” Angkasa memandang kepada Kiai Laut, kemudian menjeling kepada senjata laser yang dipegang sebahagian tentera mereka.
“Ibarat pemanah, mereka akan menyerang dari jauh. Tinggal, senjata mereka lebih besar kuasa pemusnahnya, dan lebih tepat sasarannya.” Kiai Laut menerangkan. “Ia adalah senjata yang telah hilang dari genggaman manusia.”
“Kiranya, jika ianya digunakan dalam peperangan kita, kita akan besar kemungkinan memperolehi kemenangan?” Aizan Fahmi berasa gembira.
“Hanya peningkatan dalam usaha. Jika benar mempunyai senjata itu akan membawa kemenangan, maka Sang Asura sudah pasti telah ditewaskan lama dahulu.” Kiai Laut berbicara.
Aizan Fahmi terangguk-angguk.
“Tetapi mungkin boleh dijadikan elemen kejutan dalam peperangan.” Angkasa menepuk Aizan Fahmi. Dan kala Aizan Fahmi memandangnya, dia mengenyitkan mata. Aizan Fahmi tertawa.
“Kita sudah semakin hampir.” Perjalanan yang memakan hampir separuh hari, terhenti dengan bicara Que Ron. Kini jelas kelihatan bala tentera pemberontak di hadapan mereka. Walau jauh, namun jelas ramai bilangannya.
Ketika ini, jambatan yang dinaiki mereka bergegar. Datang seekor makhluk yang besar. Botak bertanduk lima, bermata merah, berkulit hitam, bersayap empat, lengkap berzirah, dan berkaki kambing. Kuku tangannya panjang dan tajam. Menakutkan.
“Tuanku kami berkata, jika kalian dapat menewaskan aku, barulah peperangan ini bermula. Jika tidak, tandanya kami akan memenangi peperangan ini.” Suara garaunya bergema. Berlagak. Angkuh.
Kiai Laut memandang Que Ron dan Ezzen. Kedua-dua mereka mendengus. Teragak-agak sebentar. Tentera Mahluk Genetik dan Kaum Gergasi juga mula riuh.
“Mengapa mereka kelihatan seperti tidak menyahut cabaran makhluk ini?” Angkasa mengeluarkan pertanyaan sambil matanya lekat kepada makhluk hodoh di hadapannya.
“Itu adalah salah seorang dari lima panglima terhebat pasukan pemberontak. Ashnul. Terkenal dengan kehebatannya yang menggila. Jarang turun ke medan perang, namun saat kami ditewaskan selalunya adalah apabila dia keluar. Dan itu belum dikira empat saudaranya yang lain. Mereka belum campur tangan.” Salah seorang tentera makhluk genetik yang berdekatan dengan Angkasa menjawab.
Angkasa menghela nafas.
Pedang bapanya dihunus. Dia ingin pergi mencabar.
Namun ketika ini, tombak mata tiga End menghalang. Angkasa memandang wajah End. Wajah itu seperti kebiasaannya, kosong tidak punya riak dan rasa. End berpaling menghadap Que Ron dan Ezzen.
“Kamu sudah bersedia untuk berperang atau belum?” End bertanya. Dingin suaranya, meremangkan bulu roma yang mendengar.
Que Ron dan Ezzen mengangguk. Jika Ashnul ini perlu digempur untuk membuka jalan kepada kejayaan, maka itulah yang akan mereka lakukan.
“Maka biar aku membuka jalannya.” End bergerak mendahului semua.
“Siapa engkau bajingan?” Suara Ashnul bergema. Kini nafasnya beriringan dengan api yang menyembur. Sengaja dia mempersembahkan kekuatannya.
End diam.
“Siapa engkau?” Kini sengaja Ashnul mengeluarkan auranya. Kepaknya yang empat itu dibentangkan. Sangat kuat dan menekan. Bahkan bau busuk mengiringi aura itu, tanda pekatnya kegelapan yang ada bersamanya.
End masih membisu. Sekadar menatap Ashnul. Tubuhnya yang lengkap berzirah, namun lambang kerajaan Duarte masih tertutup dengan kain yang menyelimuti kawasan lehernya. End segera mencapai sesuatu pada pinggangnya.
“Ah, kau akan aku hancurkan!” Ashnul terus menghunus golok gergasinya, dan menghayun sekuat hati untuk membenamkannya ke bumi. Gegaran kuat berlaku. Angin terhembus. Semua yang ada berkelip mata sebentar.
Namun kala semua kembali memandang ke arah itu, kelihatan golok gergasi Ashnul terhenti apabila bersentuhan dengan tombak mata tiga yang sedang diacung oleh End dengan sebelah tangannya. Bilah golok gergasi Ashnul berada di celah antara dua mata tombak End.
Ashnul ketika ini gementar. Kerana dia sedang memandang End yang siap bersama topengnya.
“Ah,” Angkasa mencapai kain yang menutupi bahagian leher End selama perjalanan mereka ke sini tadi. Kemudian kembali memandang tempat peraturangan.
“Jeneral End Less dari Duarte?” Suara Ashnul ketakutan.
Lambang Duarte jelas di bahagian dada zirah End, dan topeng End itu sangat dikenali dunia.
Dan tanpa bicara, End mempertingkatkan auranya. Tercampak golok gergasi itu dari tombak tiga matanya, membuatkan Ashnul berundur ke belakang beberapa langkah.
Ketika inilah End melompat tinggi, hingga ke paras dada Ashnul. Membuatkan mata makhluk gelap itu terbeliak.
“Pergilah bertemu Allah dalam keadaan menderhakaiNya.”
Dan bunyi letupan kuat berlaku. Ashnul tumbang membelakangkan bumi. End berdiri di tengah-tengah lubang pada tubuh Ashnul. Darah memercik pada sekitar kawasan. Semua yang ada membeliakkan mata hampir sahaja tidak percaya dengan apa yang mereka lihat.
End. Kekuatan yang jarang dipersembahkan di hadapan ramai. Kini beraksi.
“Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar!” Kiai Laut melaung kuat. Disambut semangat oleh Aizan dan Angkasa.
“Ayuh!” Angkasa dan Aizan mendahului Kiai Laut dan seluruh bala tentera, menyerbu. End telah bergerak jauh terlebih dahulu. Bergegar tanah pemberontak dengan gegak gempita para tentera.
Semboyan kedua-dua belah pihak sahut menyahut.
Peperangan di atas Uftzi pun bermula!