Terakhir daripada saya, di sini.




[image error]

Langit Ilahi ~ Picture by Tengku Fahmi of Langit Ilahi



31 Januari 2011. Saya sudah niatkan di dalam diri saya untuk berhenti memberikan update di Langit Ilahi yang ini bermula esok. Bermula 1hb Februari 2011, saya tidak akan lagi memberikan apa-apa update di website ini. Saya akan fokus sepenuhnya pada Langit Ilahi V2 yang digerakkan bersama-sama sahabat saya.


Ramai juga yang menyatakan bahawa saya patut meneruskan penulisan saya di Langit Ilahi ini. Tetapi saya kira, saya telah berfikir panjang berkenaan hal ini dan saya bertekad untuk melaksanakannya.


Tetapi saya akan menghormati permintaan ramai, yakni untuk tidak terus memadam website Langit Ilahi ini, dan membiarkannya untuk beberapa ketika. Mungkin buat sebulan dua lagi. Selepas itu, saya akan tetap memadamnya.


Maka, inilah perkongsian terakhir daripada saya di website Langit Ilahi penuh kenangan ini.



Mari Menjadi Hamba


Apakah tujuan asal saya memulakan sebuah laman maya bernama Langit Ilahi?


Untuk mengajak diri saya, dan semua yang membaca penulisan saya, untuk kembali menjadi hamba Allah SWT. Itu satu-satu tujuannya. Tiada yang lain.


Saya berharap, saya berjaya di dalam hal ini.


Saya berharap, selama tiga tahun saya menggerakkan Langit Ilahi berseorangan, dari zaman blogspot hingga ke era website, saya berjaya menyentuh hati saya dan pembaca-pembaca saya untuk pulang menjadi hamba kepada Allah SWT.


Saya berharap, saya berjaya.



Ini laman yang banyak memperkenalkan saya diri saya


Menguruskan Langit Ilahi juga banyak menunjukkan saya diri saya yang sebenar. Banyak ujian dan dugaan dalam menguruskannya, lebih-lebih lagi dalam berkomunikasi dan berhubungan dengan pembaca. Ada ujiannya dalam bentuk kesusahan, ada ujiannya dalam bentuk kesenangan.


Semua itu memperkenalkan saya akan diri saya.


Ada masa saya bersemangat, saya tulis perkara-perkara semangat. Ada masa saya lemah, saya menulis dalam bentuk orang yang kelemahan. Bila saya dalam keadaan sederhana, saya membaca kedua-duanya, saya tertawa. Ini rupanya aku.


Sepanjang menguruskannya berseorangan juga, saya kenal kelemahan saya, limit saya sebagai manusia biasa. Saya baru tahu oh itulah langit, itulah bumi. Saya baru kenal benar apakah itu 'dunia dan orang-orang di dalamnya'.


Langit Ilahi juga seakan menjadi medan pembentukan diri apabila ada yang menegur, memberikan kritikan, yang semuanya memberikan manfaat yang teramat besar buat diri saya. Sedikit demi sedikit, saya terbina dan terbina.


Saya sangat menghargai laman ini.



Hilal Asyraf Langit Ilahi


Dengan laman ini, saya membina tangga-tangga ke arah hari ini. Langit Ilahi seakan tren untuk saya sampai kepada apa yang saya telah sampai hari ini.


Hilal Asyraf Langit Ilahi. Macam tidak boleh dipisahkan. Hingga hari ini, gurauan rakan-rakan berkenaan saya, kadangkala disangkutkan juga Langit Ilahi. Bahkan, ada sahaja yang memanggil saya dengan nama 'Langit Ilahi' terus.


Siapa yang menjangka, hari-hari saya update blog saya, dan blog saya diikuti hingga counternya 60,000 orang dan menarik perhatian syarikat penerbitan? Tak pernah terketuk pun dalam kepala saya ini, bahawa ada orang dari syarikat penerbitan yang ingin membaca blog saya dan menerbitkan pula penulisan saya.


Daripada itu, saya dikenali ramai. Alhamdulillah, nikmat itu jugalah yang membuka peluang untuk saya melihat dunia dengan lebih luas. Bila pulang di Malaysia, orang jemput ke sana ke mari, itu semua menambah pengalaman. Ramai yang menyangka saya adalah orang berilmu yang datang untuk menyampaikan. Sebenarnya bukan, saya memberikan penyampaian hanya kerana saya perlu mengingatkan diri saya, dan juga ingin mengutip lebih banyak pengalaman dan mendapat banyak pengajaran.


Memang kalau ada yang bertanya, saya memang tidak akan menjangka akan sampai ke hari ini begini.


Allah itu benar-benar Maha Kuasa. HambaNya berusaha sedikit sahaja, Dia memberikan nikmatNya pula tidak terhingga.



Usaha dan percaya, natijah pula adalah urusanNya


Antara perkara terpenting yang saya perolehi sepanjang menguruskan Langit Ilahi adalah, Allah itu pasti akan membalas usaha hamba-hambaNya. Tinggal, sejauh mana kita yakin dan percaya, dan sejauh mana kita mampu berusaha atas keyakinan dan kepercayaan kita itu?


Langit Ilahi membuktikan kepada saya bahawa, usaha kerana Allah itu tidak akan pernah sia-sia. Ada sahaja balasanNya, nikmatNya, yang tidak terduga untuk kita. Langit Ilahi juga mengajar saya bahawa, dalam keadaan tersepit bagaimana sekalipun, tetaplah kekal percaya kepadaNya. Allah pasti akan membantu kita.


Usaha, usaha, usaha, usaha. Sambil terus meyakiniNya, sambil terus percaya akanNya, dan pastinya yang akan datang kepada kita nanti hanya yang baik-baik sahaja daripadaNya.


Ini amat berharga.



Mengapa hendak berhenti di sini?


Ada yang bertanya.


Sebenarnya, saya telah memutuskan untuk berhenti bergerak seorang diri. Saya hendak membina sesuatu yang lebih 'besar'. Saya hendak bergerak bersama sahabat-sahabat saya yang mempunyai kefahaman perjuangan yang sama dengan saya.


Bukanlah yang dihentikan itu adalah Langit Ilahi. Bukanlah yang dihentikan itu adalah penulisan-penulisan. Bukanlah yang dihentikan itu adalah mesej yang hendak disampaikan.


Tetapi yang dihentikan itu adalah berseorangan.


Cukuplah saya membina tapak. Sekarang adalah masa untuk saya mengajak sahabat-sahabat saya untuk menggunakan tapak itu.


Tambahan, saya amat terkesan dengan bicara Pakcik Rosdi Baharom, apabila saya menziarahinya di Kelantan semasa cuti tempoh hari. Pesannya:


"Enta kena berikan Islam kepada masyarakat, bukan berikan kepada Hilal Asyraf kepada masyarakat."


Di situlah saya menyimpan hajat besar untuk bergerak bersama sahabat-sahabat sefikrah saya. Sebab saya yakin, sekiranya saya bergerak menggerakkan Langit Ilahi ini berkumpulan, fokus orang kepada saya akan berkurangan. Biar pembaca-pembaca saya, benar-benar fokus kepada Allah, kepada Islam, kepada ingin menjadi HambaNya tanpa perlu berpaut kepada mana-mana individu sebagai 'perantara'.


Saya fikir, ini juga mengurangkan fitnah buat diri saya, dan juga buat pembaca saya.


Saya juga yakin bahawa ini lebih bersih, dalam menyampaikan apa yang Allah SWT redha.



Penutup: Saya minta maaf semua salah silap saya


Saya minta maaf atas semua salah silap saya selama ini sepanjang menguruskan Langit Ilahi ini secara berseorangan selama 3 tahun ini. Mungkin ada perkongsian-perkongsian saya yang tidak menyenangkan, mungkin ada tazkirah saya yang tidak memberikan kesan, mungkin ada yang terguris hati dengan apa yang saya tuliskan, saya menunduk dan memohon kemaafan.


Saya hanya manusia yang berusaha. Saya bukan manusia sempurna.


Saya berharap, segala apa yang saya kongsikan dengan anda, sepanjang Langit Ilahi ini beroperasi, mampu memberikan kebaikan kepada kita bersama.


Kebaikan buat anda, kebaikan juga buat saya.


Kebaikan di atas dunia, dan pastinya kita harapkan kebaikan di akhirat sana.


Marilah sama-sama, kita melihat diri kita semula.


Apakah kita telah menjadi 'Hamba'?


Semoga Allah ampunkan segala salah dan silap saya.




 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 31, 2011 15:52
No comments have been added yet.