Mawar Safei's Blog, page 139
March 21, 2015
Rencana untuk ke selatan tertangguh lagi minggu ini apabi...
Rencana untuk ke selatan tertangguh lagi minggu ini apabila sekali lagi barisan tenda didirikan di hadapan rumah. Pengantin lagi! Kali ini adinda kepada tetangga kami, Suraya dan Zainal menjadi raja sehari. Saya tidak mengenali pasangan pengantin baru ini, jadi tiada cerita istimewa antara kami. Namun doa masih saya hadiahkan agar mereka dirahmati terus. Setiap kali menjamah nasi minyak pengantin, bonda saya selalu berpesan agar usah lupa mendoakan pasangan yang diraikan. S dan Z sudah beberapa kali menganjurkan majlis perkahwinan adinda-adinda mereka. Saya yakin kedua-dua mereka merupakan kakak dan abang yang sangat menyayangi saudara dan keluarga mereka. Ia suatu yang sangat mengharukan khusus bagi saya yang tidak pernah tahu erti kasih sayang antara saudara kandung (sehingga saya menyertai keluarga besar Zahar). Masya-Allah, menakjubkan sungguh makna kasih sayang itu!
Published on March 21, 2015 14:07
March 20, 2015
Alhamdulillahi rabbil alamin. Bersyukurnya saya apab...
Alhamdulillahi rabbil alamin. Bersyukurnya saya apabila untuk beberapa ketika ini sakit kepala yang selalu datang, tidak lagi menyerang. Biasanya dengan musim panas atau masa makan yang tidak menentu, kepala saya seperti ditimpa batu berukuran gergasi. Terima kasih kepada sahabat tabib yang menyarankan amalan yang mudah sebenarnya, dengan izin Allah. Penawarnya ialah surah al-Falaq . Panduannya, baca dengan hormat ayat demi ayat. Fahami sebaiknya maksud setiap satu. Saya cuba lakukan dengan tertib dalam dan luar solat dengan keazaman agar ibadah khusus dan pekerjaan dapat saya lakukan dengan aman dan kepala yang ringan. Mudah-mudahan ia ubat yang ampuh untuk saudara yang senasib dengan saya. Selain ia mukjizat, saya percaya ikhlasnya tabib itu membantu para pesakitnya. Semoga dia senantiasa dipayungi Rahmat Ilahi.
Published on March 20, 2015 16:51
March 19, 2015
Saya melihat dia berpeluh-peluh mengheret bagasi dan berh...
Saya melihat dia berpeluh-peluh mengheret bagasi dan berhenti di hadapan bilik kerja saya. "Di mana ya saya bisa dapatkan buku-buku yang dipamerkan itu?" Tangannya menghala ke rak kaca di muka pintu masuk utama. Saya segera mendapatkan pembantu untuk menyelongkar gua simpanan buku-buku yang kebetulan berhadapan dengan bilik kerja saya. Susuk lelaki ini mengingatkan saya kepada Zahar. Dihulur kartu namanya,
Holger Warnk
dari Goethe Universitat. O bukankah ini Holger Warnk yang pernah saya lihat fotonya dalam acara ITBM sedikit masa dulu. Cepat pula saya teringat Tautan, antologi puisi Melayu-Jerman. Antara kerjanya di perpustakaan Jabatan Pengajian Asia Tenggara, hampir setiap tahun memunggah buku-buku Melayu ke Frankfurt. Saya teringat beberapa watak perpustakawan dalam Hadiah Hanafi dan Perempuan si Pemetik Harpa. Mereka ini manusia yang menyimpan banyak cerita dan sekali sekali mahu menguji kita yang menjadi pendengarnya.
Published on March 19, 2015 13:54
March 18, 2015
Saya memang sudah tua. Antara petanda ketuaan itu ialah k...
Saya memang sudah tua. Antara petanda ketuaan itu ialah keberanian saya menegur anak-anak muda khusus para mahasiswa saya untuk memelihara aurat. Mana-mana yang mengenakan baju ukurannya hanya ke siku walau tudung cantik berlilit-lilit, akan saya nasihat terus. Mana-mana yang duduk dalam kuliah saya kaki menjulur tanpa sarung, akan saya sebut namanya. Mana-mana pelajar lelaki (khusus tahun akhir) yang sudah pandai bergaya dengan rambut panjang melepasi bahu, akan saya bacakan maksud ayat dari surah suci, betapa kutukan Allah buat mereka. Allah, Allah, Allah. Saya memang bukan seorang yang 'alim (gelaran orang umum untuk mereka yang ahli agama), jauh sama sekali. Namun setiap hari saya berdoa untuk cuba jadi baik daripada semalam. Apabila saya meminta para mahasiswa saya mengurus hukum, maka begitu juga, insya-Allah, hati saya bercakap pada diri sendiri. Cepat pula mahasiswa yang separuh daripada usia saya itu meminta maaf, dan cepat pula saya menyergah mereka untuk segera memohon maaf daripada Allah. Begitulah saya yakini, bukan hanya tugas saya berwacana dalam bilik kuliah; lebih daripada itu tumpuan saya terhadap qalbu mereka. Saya teringat bacaan saya yang belum khatam dari buku TGNA ini, berdoalah sungguh-sungguh agar Allah mencantikkan akhlak kita. Ampuni saya ya Allah, astagfirullah...
Published on March 18, 2015 13:56
March 17, 2015
Rupanya banyak yang kita lakukan atau ujarkan, ditelah or...
Rupanya banyak yang kita lakukan atau ujarkan, ditelah orang dengan pelbagai capahan matra yang mungkin sahaja tidak sama sekali kita terfikirkan. Ia lalu mengheret kita ke negeri kesedihan, keperihan dan memaksa masuk ke daerah yang serba serbi keliru. Allah, bukankah selama ini saya cuba sebaiknya menjadi sahabat yang tulus? Saya cuba menyertai walau saya mungkin sahaja kelihatan aneh dan asing. Rupanya dengan penyertaan yang jujur itu, saya masih ditonton dengan mata canggung. O, rupanya dalam kedunguan itu, saya mencipta petaka sendiri. Dan adakah ini petanda bahawa saya akan terus tidak tahu bagaimana menjadi sahabat yang selayaknya. Saya pernah mencatat kurang lebih begini lama dahulu: Nilai perbuatan usah pernah ditimbang dengan mata manusia. Ia tidak akan pernah menjadi saksama. Apabila telah ada saranan melakukan kebaikan, maka berikhlaslah. Tidak bertambah kerana pujian atau berkurang kerana kejian, kerana keikhlasan itu sangat rahasia.
Atau saya harus segera kembali ke gua lama yang saya tinggalkan. Mungkin itu jalan yang terbaik. Mungkin itu lebih meneduhkan. Seperti petikan dari Perempuan si Pemetik Harpa, apabila mengerjakan sesuatu dari dasar jiwa luhur, maka sangat terasa ada sebatang sungai yang mengalir di dalamnya. Dan itu namanya kebahagiaan. Maka apabila saya melukis, menyanyi atau menyulam kain dan akhirnya memetik harpa, ia merupakan doa dan ingatan saya kepada Dia. Selalu saya dapat rasakan dingin air sungai ketika kaki mencecah dan ia membawa seribu rasa kejernihan, penyucian. Di situ titik Rumi menuntun saya untuk memilih jalan bagi mempunyai kerendahan hati.
Atau saya harus segera kembali ke gua lama yang saya tinggalkan. Mungkin itu jalan yang terbaik. Mungkin itu lebih meneduhkan. Seperti petikan dari Perempuan si Pemetik Harpa, apabila mengerjakan sesuatu dari dasar jiwa luhur, maka sangat terasa ada sebatang sungai yang mengalir di dalamnya. Dan itu namanya kebahagiaan. Maka apabila saya melukis, menyanyi atau menyulam kain dan akhirnya memetik harpa, ia merupakan doa dan ingatan saya kepada Dia. Selalu saya dapat rasakan dingin air sungai ketika kaki mencecah dan ia membawa seribu rasa kejernihan, penyucian. Di situ titik Rumi menuntun saya untuk memilih jalan bagi mempunyai kerendahan hati.
Published on March 17, 2015 13:05
March 16, 2015
Antara sakitnya mata dan hati sebagai guru apabila anak m...
Antara sakitnya mata dan hati sebagai guru apabila anak murid masih mengulang-ulang kesilapan yang sama semasa menyelesaikan tugasan bertulis. Saya pula guru kepada anak murid yang sudah besar panjang. Mereka mendaftar dengan tiket pelajar yang bijak dan matang. Namun apabila berada di sini, di universiti, semuanya akan teruji. Aduhai, kuliah saya berkaitan Pengajian Melayu menuntut mereka mempunyai kemahiran berbahasa yang tinggi. Bahasa itu bukan sahaja ditutur, ditulis tapi sebenarnya ia datang dari fakulti fikir dan pena'akulan yang tekun dan mendalam. Bercakap dengan teman-teman yang sebaya pula, saya semakin jarang bertemu dengan mereka yang mempunyai kekuatan berbahasa yang terpuji. Ya, jarang dan ia sangat malang. Bahasa kita banyak digoda oleh penyalur teknologi, semuanya mahu dipenggal dan hasilnya adalah bunyi dan rupa yang sangat hodoh. Benar ya begitu? Sehingga kehormatan terhadap bahasa sendiri, saya rasakan kian mati. Memang sadis. Namun pada masa yang sama, saya terpukau dengan mereka yang mampu berbahasa dengan kata yang lengkap tanpa dikerat-kerat terutama ketika menulis (sms, wassap, telegram). Bahasa yang turun dari fikiran yang jernih dan sangat meneduhkan. Dan ia tidak pula bermakna tidak mesra, malah ia membawa dalil penghormatan. Bayangkan kejengkelan menerima ucapan terima kasih menerusi penggalan tkasih, tk, jzkk, tq. Di mana letak rasa syukurnya?
Published on March 16, 2015 16:57
March 14, 2015
Sepuluh tenda dipasang di hadapan rumah apabila tetangga ...
Sepuluh tenda dipasang di hadapan rumah apabila tetangga rapat kami, Kak Harlina dan Abang Azhar menerima menantu sulung. Kami antara yang terawal menghuni di kediaman ini 15 tahun lalu. Cepatnya masa! Saya masih ingat si remaja Aikal menghulur juadah berbuka puasa atau kuih minum petang di pintu pagar dapur, kiriman dari ibunya yang rajin mencuba resepi baru. Cepat Aikal menyambung pengajian dalam bidang senibina dan bekerja dalam bidang yang sama. Hari ini anak muda bersopan santun itu bergelar suami. Tahniah dari kami buat Muhamad Aikal dan Nur Farhanah, selamat menjadi raja sehari. Semoga rumahtangga yang dibina dirahmati hingga ke syurga. Saya mengutip hadith dari kartu undangannya: manusia Hawa dijadikan daripada rusuk manusia Adam. Bukan dari kepala untuk menjadi atasnya. Bukan dari kaki untuk menjadi alasnya. Malah dari sisi untuk menjadi teman hidupnya. Dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat di hatinya untuk dicintai. Allah. Saya mengenang usia saya bersama Zahar, memasuki tahun yang ke-18. Alhamdulillahi rabbil alamin...
Published on March 14, 2015 13:50
March 13, 2015
Petang Jumaat penuh rahmat apabila dapat duduk bersama gu...
Petang Jumaat penuh rahmat apabila dapat duduk bersama guru lama. Bertanya khabar. Berganti cerita tentang perkembangan terkini, pengisian rutinitas, tulisan baru atau projek buku. Bertukar harapan dalam usia masing-masing yang tinggal sedikit bakinya. Seingat saya, tidak pernah mengambil kursusnya semasa menjadi mahasiswa. Kami sejabatan ketika saya masuk sebagai tutor dan pernah bersebelahan bilik kerja. Sesekali saya dimintanya membantu mengendalikan komputer. Lucu, banyak pula yang menyangka saya anaknya kerana nama Shafie. Saya juga pernah dalam usrah yang sama dengan isterinya Ustazah Mukminah. Ditemani sahabat, Dr Kay, banyak yang kami fikirkan bagi memanfaatkan ziarah ilmu ini. Entah saya ini terlalu sentimental atau terkesan dengan susuknya yang masih dengan kerendahan hati, saya sebak sewaktu memandu pulang. Entah mengapa, tersekat-sekat saya merakam entri kali ini. Ingatan saya terhadap tokoh Takmilah, Dr Shafie Abu Bakar, bersuling-daling, berkali-kali saya cuba merapikan ayat di sana sini. Atau mungkin saya terkesan dengan kisahnya semasa bergelar wakil rakyat, orang kemanusiaan seperti kita tidak mudah berhadapan dengan pertelingkahan politik. Di ruang GBBI, kami berjanji untuk berjumpa lagi. Saya lihat banyak bungkusan buku tulisannya yang disusun bertimpa-timpa di satu penjuru. Ilmunya yang jarang mahu dijualbeli, sebaliknya dijadikan hadiah kepada yang datang. Allah!
Published on March 13, 2015 14:06
March 12, 2015
Kelas al Mulk kami malam tadi sangat mengesankan. Usai ta...
Kelas al Mulk kami malam tadi sangat mengesankan. Usai tamat bacaan, saya berbahagi video neraka yang dikirim dalam grup wassap. Kawah gunung berapi yang bergolak lahar merah dan asap panas, memang sangat menggerunkan. Banyak yang ditanya AM. Saya bisikkan, neraka atau syurganya kita lebih awal digambarkan semasa kita di dalam kubur lagi. Makanya kelas al Mulk kita mudah-mudahan dapat membawakan cahaya harapan yang menyuluh ke jurus yang aman. AM kemudiannya lena. Dalam mengenang nasib sendiri, saya dikejutkan AM yang terjaga separuh teresak. Mummy, saya mimpi neraka. Takut. Neraka tadi yang mummy cerita. Allah, Allah, Allah, kasihannya AM. Jadi anak yang soleh dan AM insya-Allah ke syurga, pujuk saya.
Published on March 12, 2015 14:43
March 10, 2015
Amalan saya dan Alif Matiin membaca al Mulk sebelum tidur...
Amalan saya dan Alif Matiin membaca al Mulk sebelum tidur (atau kadangkala giliran itu diganti Zahar). AM tahu antara manfaat bacaan surah tersebut adalah untuk kehidupan kami seterusnya di dalam kubur nanti. Namun saya merasakan saat kami membaca betapa Allah menyatakan amatlah sedikit antara hamba-Nya yang bersyukur, ada didikan khusus. Saya bisikkan kepada AM, teruslah bersyukur. Belajar berterima kasih. Terlalu banyak Allah berikan kepada kita. Terlalu banyak yang kita terima. Belajar untuk memberi dan mahu selalu berbahagi. Jangan angkuh dengan apa yang kita punya yang sebenarnya milik Allah. O Alif Matiin, betapa mummy belajar perihal yang sama dalam kelas al Mulk kita. Berterima kasih setiap hela nafas!
Published on March 10, 2015 07:00
Mawar Safei's Blog
- Mawar Safei's profile
- 15 followers
Mawar Safei isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.

