Mawar Safei's Blog, page 141

February 12, 2015

Hibanya saya pertama kali menerima pesanan masuk daripada...





Hibanya saya pertama kali menerima pesanan masuk daripada Zahar bahawa Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat akhirnya kembali menuju jalan datangnya. Saya pernah berkata kepada Zahar, ada dua kematian pemimpin yang akan saya tangisi antaranya Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Ternyata saya sebak dan tidak dapat menahan airmata seakan-akan ditinggalkan ahli keluarga yang sangat saya sayangi. Tidak bergerak tangan saya untuk menyertai banyaknya ucapan dan doa takziah di wassap dan telegram. Tidak terucap sebarang kata apabila mengenang luhur tuntunan, ikhlas tangan pikunnya setiap kali menadah doa. Saya merasakan kehilangan besar ini bukan sahaja susuknya yang tidak lagi bersama kita, tetapi bernoktah sudah doa serta ilmu yang diangkat menerusi kematian seorang ulama'. al fatehah buat almarhum Nik Aziz Nik Mat, seluhurnya saya titipkan pada waktu dini Jumaah yang mulia...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 12, 2015 11:00

February 9, 2015

Antara musibah orang yang bekerja seharian dengan kompute...





Antara musibah orang yang bekerja seharian dengan komputer ialah apabila fail yang sudah diisi dengan banyak perkara, tiba-tiba tidak dapat dibuka apatah lagi untuk dibaca, diemel atau ditampal semula. Ketika ia berlaku, satu pelajaran besar yang saya perolehi ialah berbaik sangka. Ingat, hati kita perlu selalu dibimbing, antaranya menerusi jalan begini. Maka saya berbaik sangka dengan Allah, begitu juga saya memujuk hati berbaik sangka terhadap sesama manusia....Ini foto terbaru si cantik dari taman, di samping kemuning, memang si merah Bali ini menumpang wangi. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 09, 2015 18:32

January 30, 2015

Dalam ketika tertentu saya yang membaca doa usai solat je...

Dalam ketika tertentu saya yang membaca doa usai solat jemaah di rumah.  Ya, dan saya akan membaca doa dalam bahasa Melayu. Begitu juga Alif Matiin yang turut mengambil giliran mahu kami mengaminkan doanya. Anak saya itu pernah meminta saya berhenti daripada berdoa, apabila saya teresak-esak, katanya, mummy berhentilah menangis, nanti keluar airmata darah. Zahar yang selalunya membaca doa dalam bahasa Arab (yang sangat mengikut teks rutinitas), ketika mendengar itu hanya berdiam. Saya tidak tahu samada Zahar geramkan mulut si Alif Matiin atau masih bersama saya mengalir dalam doa yang dimohon. Sdr tahu apa antara isi bacaan saya? Antaranya saya sangat berharap mudah-mudahan kita tidak dihina saat bermula kematian hingga kita sampai ke padang pengadilan.  Ya, semoga nantinya  kita tidak dicela Allah...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 30, 2015 15:05

January 25, 2015

Diperpanjangkan khabar, Jurnal Melayu ejournal.ukm.m...





Diperpanjangkan khabar, Jurnal Melayu ejournal.ukm.my/jmelayu akan mewujudkan ruangan kreatif bermula keluaran terbarunya Bil 14 (1) Jun ini. Sangat diraikan kiriman puisi tradisional atau moden, penggalan cerpen atau penggalan novel di samping makalah deksriptif seperti selalunya. Ini antara ruang kerja saya. Mohon emel ke jmelayu@ukm.edu.my  Terima kasih. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 25, 2015 18:21

January 13, 2015

Dalam hidup kerap  kita bertembung dengan jajaran pi...

Dalam hidup kerap  kita bertembung dengan jajaran pintu kesempatan. Adakah kita selalu mahu memastikan untuk memasuki kesemua pintu yang ada dan meraih segala keberuntungan di dalamnya? Atau jajaran pintu kesempatan itu mengasuh kita untuk berdiam seketika, cuba mengerti mengapa Allah membentangkan setiap yang muluk untuk kita rengkuh dengan mudah. Di pintu itu juga mungkin kita  kembali melihat, cukupkah disimpan syukur yang panjang dalam lekuk hati yang kotor. Atau saya pernah mengenang, bagaimana nasib mereka yang berada di belakang. Mungkin ia sebenarnya kepunyaan dia ... Ya, saya mahu berdiam  di tepi pintu, sejenak dan menoleh siapa selepas saya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 13, 2015 17:21

January 8, 2015

Pahang, negeri yang hampir setiap tahun saya lawati, masi...

Pahang, negeri yang hampir setiap tahun saya lawati, masih ditenggelami air. Maka doa kita masih panjang untuk mereka. Malah untuk saudara kita di Terengganu (negeri cantik yang saya cinta) dan Kelantan (mengingatkan saya kepada cerpen lama Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah) yang mahu mulakan kehidupan baru, kita masih doakan semoga mereka diberi ketabahan dan saya menambah juga mudah-mudahan mereka mudah beribadah, mereka dikasihani dan diampuni Allah. Ya, Pahang masih dalam bencana. Namun adakah kita melihat banjir benar-benar sebagai bencana? Adakah kita menerima bah sebagai petaka? Atau ia satu refleksi yang menuntut bacaan tersendiri. Atau seperti kata Rumi, ada rahmat dalam perutusan duka. Ya, apakah bacaan saudara terhahap apa yang berlaku itu?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 08, 2015 13:24

December 31, 2014

Akhirnya dia meneruskan perjalanan pulang...saya menerima...


Akhirnya dia meneruskan perjalanan pulang...saya menerima kabar SN Ayahanda Abdullah Hussain meninggal dunia sekitar jam 10 lebih malam tahun baru 2015 dari keluarga almarhum yang kebetulan rapat dengan Zahar. Saya ada menulis kenangan bersamanya dalam entri 15 April 2009, ya Allah cepatnya masa berlalu! Saya ingin mengenang almarhum sebagai lelaki yang budiman, membuat hati kita tenang saat mendengar kisah-kisahnya yang panjang dan sangat menghormati sesiapa sahaja di hadapannya.  Mudah-mudahan Allah memberi tempat yang terbaik buat Abdullah Hussain atas segala kebaikannya dan kesabaran kepada keluarga yang ditinggalkan. Al fatehah. Klik. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 31, 2014 13:05

December 27, 2014

Minggu ini di mana-mana kita bercakap tentang banjir dan ...


Minggu ini di mana-mana kita bercakap tentang banjir dan ia membawa kepada banyak percakapan lain - soal kepimpinan, soal pengurusan, soal amanah, soal kewangan, soal kepercayaan ... Selalu pula saya menyangka, baiknya dengan musibah banyak orang sempat berfikir lebih dalam, lebih pertimbangan. Ya, baiknya dengan kepayahan mengharung air separas pinggang atau mengenang isi rumah yang tenggelam atau terputusnya jalan perhubungan, fakulti otak berselerak dengan fikiran mengapa ia menimpa kita. Baiknya, akhir sekali ia membawa kita kepada keperluan untuk lebih dekat dengan yang Menggerakkan air deras, hujan yang lebat pejur, awan hitam yang menutup langit. Baiknya, apabila kita menerima musibah sebagai rahmah. Waktu saya menulis ini, ada silau matahari pagi di laman rumah. Saya tahu matahari sangat dirindui kala ini sebagaimana bau hujan begitu ditunggu-tunggu suatu ketika dahulu apabila musim panas yang panjang.  Tiba-tiba saya jadi begitu malu untuk mendongak  melihat langit yang cerah di luar rumah, betapa saya begitu malu kepada Allah....
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 27, 2014 17:36

December 19, 2014

Mudah-mudahan dapat sertai .... insya-Allah.



Mudah-mudahan dapat sertai .... insya-Allah.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 19, 2014 21:02

December 17, 2014

Saya sering merungut pada Zahar bila ada peluang mengambi...




Saya sering merungut pada Zahar bila ada peluang mengambil udara tasik di sini sambil berjalan waktu pagi. Banyak yang terbiar dan tidak dipelihara sebaiknya. Dari tandas, ruang pejabat (jendela dan seni hiasnya sangat memikat), pojok minum dan kebersihan tasik sendiri. Bagus sekali program pengindahan ini. Saya hampir mahu menulis surat kepada pihak bertanggungjawab. Nampaknya, tidak perlu lagi ....
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 17, 2014 00:22

Mawar Safei's Blog

Mawar Safei
Mawar Safei isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mawar Safei's blog with rss.